Tafsir Surah Jathiya Ayat 1 – 8 (Andaian agama yang salah)

Pengenalan:

Ini adalah surah yang menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa yang akan menyebabkan manusia dihumban ke dalam neraka. Kalau tidak faham tentang tauhid dalam berdoa, maka manusia akan melakukan syirik, yang menyebabkan mereka akan dihumban ke dalam neraka selama-lamanya.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan mesej utama yang hendak disampaikan selain dari bahaya syirik adalah: hendaklah kita menyelamatkan diri kita dari sombong dan bongkak. Maka surah ini mengajar kita untuk merendahkan diri.

Kita dapat merendahkan diri kita dengan melihat tanda-tanda pada alam. Allah ﷻ yang telah menjadikan alam yang begini hebat. Maka ketahuilah yang Allah ﷻ yang hebat dan bukannya kita. Kita selamanya bergantung kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, janganlah kita rasa sombong dan bongkak pula.

Surah ini juga menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa. Ada salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘wasilah’ yang dilarang dalam urusan doa mereka. Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat  وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah.

Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan (wasilah) yang dilarang. Menggunakan perantaraan dalam berdoa dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Tentang cara berdoa telah diberitahu dalam Surah Ghafir dan Dakwa Surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam berdoa dan istianah (permintaan).

Cuma surah ini juga mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawab kesamaran-kesamaran itu, Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah Jathiya ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Mari kita lihat ringkasan kekeliruan yang telah disentuh dalam Surah-surah Ha Mim ini selepas Surah Ghafir:

Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa berkata, apabila mereka seru selain dari Allah ﷻ dalam doa, mereka dapat juga apa yang mereka kehendaki. Maka Allah ﷻ menjawab kekeliruan ini dengan memberitahu dalam Surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua: kononnya ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura telah memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak. Itu semua dalil palsu atau disalah fahami.

Seterusnya, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah dengan kata mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi mereka cuma seru untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa mereka makbul dan mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak.

Mereka kata mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan itu kerana tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita juga ada fahaman sebegini, maka mereka turut sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

Surah Dukhan telah menjawab kekeliruan yang keempat: Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ ada makhluk lain yang boleh mendengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka kata begitu kerana akidah syirik mereka.

Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka walaupun mereka sudah mati. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia. Walaupun sudah mati bagi mereka sekurang-kurangnya, apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka

Maka Allah ﷻ telah menjawab dalam Surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita. Oleh kerana itu kita harus berdoa dan seru hanya kepada Allah ﷻ.

Surah Jathiya ini hendak menjawab kesamaran yang kelima. Ada yang kata, kalau Allah ﷻ hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Mereka kata mungkin Allah ﷻ pendengarkan doa manusia kepada mereka, sebab itulah tok nenek pakai pendapat itu dulu (dan mereka ikut sahaja pendapat itu).

Mereka kata mustahil Allah ﷻ tidak boleh buat begitu. Dalam hal ini, kena tegaskan kepada mereka bahawa bukan itu syariat Allah ﷻ. Akal kamu sahaja yang kata mereka yang mati itu boleh dengar. Apa-apa pun, tentang perkara ghaib kena ada dalil.

Mereka kata apa yang mereka buat itu bukan sampai jadi syirik. Allah ﷻ jawab yang dalam syariat Allah ﷻ tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan. Tidak boleh pakai agak-agak atau mungkin-mungkin. Syariat tentang akidah memang sudah jelas kerana ia adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain.

Allah ﷻ juga sudah melarang seru kepada selain dari Dia dalam berdoa dan penyembahan. Terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi hujah tentang ini. Lalu bagaimana Allah ﷻ benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

Maksud surah ini berkenaan perkara itu ada dalam ayat 18 yang memberitahu bahawa syariat Allah ﷻ ini jelas terutama sekali tentang akidah:

ثُمَّ جَعَلناكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). 

Allah ﷻ memberitahu yang Dia telah menjadikan syariat atas kita yang perlu diikuti. Kita kena ikut syariat yang Allah ﷻ telah tetapkan kerana syariat adalah satu pegangan dan cara hidup. Cara hidup itu ada dua jenis: Ibadat (hubungan makhluk dengan Allah ﷻ) dan Adat (hubungan hamba dengan hamba yang lain). Kedua-dua perkara ini perlu ikut syariat.

Syariat itu amat jelas kepada mereka yang belajar, dan apa yang mereka perlu lakukan hanyalah ikut sahaja. Jangan memandai-mandai buat andaian yang baru.

Memang ramai yang hendak reka perkara baru dalam agama, dan mereka tidak bawa dalil, melainkan andaian mereka sahaja. Contoh seperti yang kita telah sebut sebelum ini – kalau Allah ﷻ mahu, Dia boleh memberi wali dan Nabi itu mendengar doa dan seruan kita.

Ini amat bahaya, jadi kita kena tolak andaian yang sebegitu kerana berlawanan dengan dalil-dalil yang ada. Oleh itu, kalau ada hujah yang bukan datang dari dalil yang sahih, maka itu adalah dalil dari hawa nafsu. Ia datang dari mereka yang tidak tahu tentang syariat dan wahyu, jadi kita jangan ikut orang yang sebegitu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah dalil daripada Tuhan yang Azizulhakim.

حم

Sahih International

Ha, Meem.

Malay

Haa, Miim.

 

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqatta’ah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqatta’ah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa, kita tidak akan tahu.

Bukanlah huruf-huruf Muqatta’ah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana ilmu ghaib hanya milik Allah ﷻ sahaja.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk melihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’ dan mengaku begitu kepada manusia.

Ini penting kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun tidak tahu dengan pasti, mereka akan menjawab juga mengikut agak-agak, walaupun tahu maklumat itu tidak tepat. Maknanya mereka menggunakan akal sahaja tanpa landasan dalil dari wahyu. Ini salah dan tidak boleh dilakukan. Kalau tidak tahu, cakap sajalah tidak tahu, senang.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 soalan sahaja dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’. Sebenarnya menjawab ‘tidak tahu’ pun adalah sebahagian dari ilmu, maka janganlah segan untuk mengaku tidak tahu.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Mulakan belajar dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu baru. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqatta’ah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqatta’ah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqatta’ah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Ia ada ‘getaran’ tersendiri. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah ﷻ telah turunkan untuk kita.


 

Ayat 2:

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Sahih International

The revelation of the Book is from Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Turunnya Al-Qur’an ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnya Al-Qur’an ini,

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh-Nya. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini.

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya. Allah ﷻ mengambil masa untuk memberikan Al-Qur’an ini kepada manusia.

Kelebihannya, manusia dapat mengambil pengajaran sedikit demi sedikit kerana cara begini dapat memantapkan pemahaman dan ingatan kita terhadap Al-Qur’an. Jika diberikan sekaligus, boleh menyebabkan manusia lemas dengan maklumat kerana terlalu banyak diterima dalam satu masa.

Ini mengajar kita bahawa untuk memahami Tafsir Al-Qur’an, perlu mengambil masa yang lama dan tidak boleh dipelajari dengan kelam kabut. Kita kena memahaminya dengan mendalam. Sekurang-kurangnya setakat yang kita mampu. Belajarlah sedikit demi sedikit supaya pemahaman semakin meningkat dan meningkat. Jangan kelam kabut hendak faham semua.

 

مِنَ اللهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Qur’an ini bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali lain. Ia daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu hanya pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita. Oleh itu Al-Qur’an bukanlah dari kata-kata Rasul.

Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata yang sentiasa menurut arahan Allah ﷻ dan menyampaikan apa yang telah disuruh. Manusia pula bersifat hamba, oleh itu kena ikuti apa yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Begitu juga Malaikat, mereka juga taat kepada arahan dari Allah ﷻ. Jibrail hanya sampaikan Al-Qur’an dari Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita. Maka dengar baik-baik, bahawa Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan dari orang lain.

Oleh itu, jangan kamu mempermainkan dan buat tidak endah kepadanya. Kita kenalah belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya sampai faham. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak memahami apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Malangnya, kebanyakan dari orang Islam hanya membaca sahaja Al-Qur’an ini tanpa memahami apa yang mereka baca. Oleh kerana itu, banyak perkara yang mereka langgar.

Sepatutnya kita menghargai ayat-ayat dari Al-Qur’an ini kerana ia dari Allah ﷻ, Tuhan yang menjadikan kita. Namun, amat sedih sekali dengan sikap masyarakat kita. Jika menerima surat dari orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan mereka akan terus baca. Begitu juga kalau surat dari kekasih, berkali-kali dibaca dan tenung.

Berbeza pula dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ayat-ayat Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ?  Apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja. Sedangkan surat manusia kita baca sahaja semuanya.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan Sifat-Nya agar manusia dapat mengenal Allah ﷻ dan semua itu telah diterangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri sendiri, bukan?

Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak memperkenalkan Diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya. Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini. Tambahan lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ.

Maka, hendak mengenal Allah ﷻ, mula-mula sekali kenalah belajar Tafsir Al-Qur’an. Begitu banyak Allah ﷻ telah terangkan mengenai Diri-Nya dalam Al-Qur’an.

Bukannya dengan belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ, ini adalah cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ kononnya hendak kenal Allah ﷻ dengan cara cepat, tetapi mereka tertipu. Mereka ditipu oleh syaitan.

Mereka reka cara-cara amalan yang salah, bidaah dan cara yang syirik turut ada. Amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Malah yang mencipta cara amalan begitu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia.

Allah ﷻ sebut dalam ayat ini yang Dia bersifat Maha Perkasa. Kalau kamu hendak lawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa jua. Dia kebal daripada segala ancaman makhluk.

Allah ﷻ tidak akan terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan makhluk serta daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa dan tidak ada sesiapa yang boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Ini berlawanan manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya atau tidak memberi sokongan kepadanya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa.

Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, mereka akan hilang sokongan dari orang bawahan. Seseorang ketua atau pemimpin jika tiada sokongan itu, mereka akan lemah dan rebah. Namun, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Jika seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan berkurangan walaupun sedikit.

Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan, ia tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan, kepatuhan kita atau dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz.

Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lebih perkasa dari Allah ﷻ? Maka disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh buat apa-apa sahaja, kepada sesiapa, mengikut kehendak-Nya.

Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang termasuk polis, askar mahupun ulama. Oleh sebab semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu.

Perkara sebegini sebenarnya tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ  .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa, menindas orang lain dan berbuat sesuka hati. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua iaitu yang Maha Bijaksana.

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Hukum dan undang-undang Allah ﷻ  adalah tepat dan sesuai untuk manusia. Kalau ada yang rasa tidak sesuai, masalahnya dengan orang itu dan bukannya dengan hukum Allah ﷻ.

Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan kehidupan di dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan tidak betul.

Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak menerima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an. Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian dan manusia pasti mampu terima pengajaran Al-Qur’an. Maka jangan kata susah hendak belajar tafsir Al-Qur’an ini. Malangnya ada juga golongan ustaz yang jahil, kata manusia biasa tidak layak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Sesiapa yang kufur, akan masuk neraka dan untuk yang beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum Allah ﷻ telah tentukan.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat hukum. Manusia pula kena ‘mengikut’ hukum, bukan ‘membuat’ hukum. Jika hendak buat hukum, mesti Al Hakim iaitu Allah ﷻ sahaja kerana Allah Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim iaitu yang bijaksana.

Dia sememangnya Maha Bijaksana. Sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Allah ﷻ tidak terus memberi hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, mati dan sebagainya.

Begitu juga bagi orang yang menyembah patung Hindu itu. Tiada terjadi apa-apa kepada kepada mereka seperti sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ biarkan sahaja manusia hendak buat syirik dan kezaliman. Allah ﷻ tangguhkan azab supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Namun, apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat di neraka.

Maksud al-Hakim ada dua: ‘Yang Maha Bijaksana’ dan ‘yang menetapkan hukum’.

  1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Kita hendaklah mengikutinya kerana kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
  2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 3: Dalil Aqli kepada Qudrat Allah ﷻ .

إِنَّ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّلمُؤمِنينَ

Sahih International

Indeed, within the heavens and earth are signs for the believers.

Malay

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

Berbagai-bagai tanda kekuasaan Allah ﷻ terdapat dalam alam ini. Tanda-tanda itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh mengambil pengajaran adalah mereka yang beriman sahaja. Oleh itu, lihatlah bagaimana indahnya Allah ﷻ menjadikan alam ini.

Semakin beriman seseorang itu, maka semakin banyak tanda-tanda kehebatan Allah ﷻ yang dia akan nampak. Mereka yang tidak beriman akan melihat alam ini biasa-biasa sahaja tanpa terdetik dalam hatinya bahawa semuanya ini dijadikan oleh Allah ﷻ. Namun apabila seseorang itu beriman, dia akan melihat segala keindahan dan kejadian alam ini adalah begitu hebat dan indah sekali. Malah mengingatkan dia kepada Allah ﷻ.

Bukti dari dalil itu telah diberikan kepada semua orang. Namun yang boleh ambil peringatan itu adalah mereka yang mukmin sahaja iaitu mereka yang ada inabah untuk beriman, mahu jadi orang beriman dan taqwa.

Malangnya, dalam dunia ini ramai saintis yang mengkaji tentang alam ini, tetapi mereka tidak menyandarkan kelebihan alam itu kepada Allah ﷻ. Mereka hanya melihat perkara luaran sahaja dan segala kehebatan alam itu hanya kejadian alam yang biasa dalam fikiran mereka.


 

Ayat 4: Sambungan Dalil Aqli

وَفي خَلقِكُم وَما يَبُثُّ مِن دابَّةٍ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

And in the creation of yourselves and what He disperses of moving creatures are signs for people who are certain [in faith].

Malay

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

وَفِي خَلْقِكُمْ

Dan pada kejadian diri kamu sendiri,

Lihatlah juga kepada diri kita sendiri. Kita dijadikan dalam sebaik-baik kejadian. Padahal asal kita ini hanyalah sperma sahaja. Sebagai contoh, tengoklah kepada kehebatan kulit kita sahaja sudah cukup. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan penciptaan kulit kita. Itu belum dikira penciptaan organ dalaman lagi.

 

وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ

serta (pada kejadian) segala binatang yang melata yang dibiakkanNya,

Binatang yang melata itu termasuklah kita dan binatang yang terbang di udara. Entah berapa banyak jenis binatang termasuk serangga yang hidup di dalam alam ini sampaikan para saintis juga belum lagi berjaya untuk mengenali kesemuanya. Di segenap tempat di alam dunia ini sama ada sejuk atau panas akan ada sahaja kehidupan padanya.

 

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang menyakininya.

Siapakah yang menjadikan segala binatang dan kehidupan itu? Itulah Allah ﷻ. Oleh kerana itu, hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ lah pencipta dan pentadbir langit dan bumi. Siapakah yang memberi makanan dan keperluan mereka kalau bukan Allah ﷻ?

Tanda ini semua manusia boleh melihatnya tetapi siapakah yang boleh mengambil pelajaran darinya? Ia hanya boleh difikirkan oleh mereka yang yakin sahaja iaitu yakin dengan Allah ﷻ, Hari Kebangkitan dan kekuatan serta kehebatan Allah ﷻ.

Selain itu, mereka mungkin belum yakin lagi, tetapi ‘mahu’ menyakini iaitu bagi yang membuka hati terhadap kebenaran. Mereka mencari-cari kebenaran dan kerana itu Allah akan tarik mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 5: Sambungan Dalil Aqli.

وَاختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَما أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّماءِ مِن رِّزقٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَتَصريفِ الرِّيٰحِ ءآيٰتٌ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Sahih International

And [in] the alternation of night and day and [in] what Allah sends down from the sky of provision and gives life thereby to the earth after its lifelessness and [in His] directing of the winds are signs for a people who reason.

Malay

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

وَاخْتِلٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti,

Lihatlah bagaimana siang itu sentiasa datang selepas malam dan malam sentiasa datang selepas siang tanpa ada perubahan padanya.

Lihatlah juga bagaimana sifat malam itu amat berbeza dengan sifat siang. Ada perkara yang kita lakukan pada waktu malam dan ada yang khusus pada waktu siang.

Malam dan siang adalah tanda Qudrat Allah ﷻ, kerana bukanlah malam dan siang itu terjadi sendiri. Allah ﷻ yang jadikan siang dan malam. Bukanlah siang itu ada kerana ada matahari, tetapi Allah ﷻ yang jadikan siang itu.

Maka untuk mengingatkan manusia dengan perkara ini, Nabi ﷺ mengajar bacaan doa pagi dan petang. Doa ini diajar supaya kita ingat bahawa Allah ﷻ yang zahirkan malam dan siang.

 

وَمَا أَنزَلَ اللهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ

dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit,

Yang dimaksudkan ‘rezeki’ dalam ayat ini adalah ‘air hujan’. Kenapakah air hujan ini dinamakan ‘rezeki’? Ini kerana air hujan itu menjadi sebab untuk memenuhi pelbagai keperluan lain antaranya dapat kita dan binatang-binatang yang melata jadikan  minuman. Selain itu, air hujan juga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan untuk manusia dan binatang.

 

فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا

lalu Dia hidupkan dengannya bumi sesudah matinya,

‘Bumi yang mati’ maksudnya adalah bumi yang gersang, tidak ada tumbuh-tumbuhan. Bila tidak ada semua itu, maka binatang dan manusia juga tidak mahu duduk di tanah kerana sumber makanan tidak ada.

Namun, apabila Allah ﷻ menurunkan hujan kepada bumi, ia seperti hidup semula. Tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan subur dan binatang juga akan datang kerana ada sumber makanan di tempat itu. Maka kawasan tanah itu akan ‘hidup’.

 

وَتَصْرِيفِ الرِّيٰحِ

serta (pada) pertukaran angin,

Lihatlah bagaimana pergerakan angin itu boleh berubah-ubah. Kadangkala dapat dirasakan, dan kadangkala tidak. Arah pergerakannya turut berubah-ubah. Kadangkala dari arah kanan atau kiri, atau dari arah depan ataupun belakang. Tiupannya juga berbeza-beza. Kadangkala lembut sahaja bagaikan sepoi-sepoi bahasa, kadangkala sangat kuat sehingga boleh menumbangkan pokok!

Kehadiran angin itu juga menggerakkan awan yang membawa air dari satu tempat ke tempat yang lain. Peredaran angin adalah satu rezeki kerana dengannya dapat menyampaikan debunga dari satu tanaman kepada tanaman yang lain yang menyebabkan penumbuhan tanaman yang pelbagai.

Siapakah yang menentukan pergerakan itu? Adakah kita mempunyai kuasa langsung untuk mengubah pergerakan angin? Tidak ada langsung. Kita lemah dan hanya menerima sahaja apa yang Allah ﷻ berikan.

 

ءآيٰتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

(semuanya itu mengandungi) tanda-tanda bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Segala kejadian yang disebut dalam ayat ini boleh dirasai dan dilihat oleh semua manusia, tetapi siapakah sahaja yang boleh mengambil pelajaran daripadanya? Hanya mereka yang menggunakan akal sahaja yang boleh mengambil ingatan daripadanya. Mereka menggunakan akal untuk melihat alam ini dan berfikir tentangnya.

Allah ﷻ telah berikan akal kepada semua manusia, tetapi yang mahu menggunakannya tidak ramai. Ingatlah semua yang terjadi itu bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan dengan Qudrat-Nya.


 

Ayat 6: Kesimpulan Dalil-dalil Aqli yang telah disebut.

تِلكَ ءآيٰتُ اللهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤمِنونَ

Sahih International

These are the verses of Allah which We recite to you in truth. Then in what statement after Allah and His verses will they believe?

Malay

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?6

تِلْكَ ءآيٰتُ اللهِ

Itulah ayat-ayat dalil kekuasaan Allah

Telah diberikan sebelum ini tanda-tanda tentang esa-Nya Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja tempat untuk disembah dan dipuja dalam berdoa.

‘Ayat’ atau ‘tanda-tanda’ itu ada di dalam dua jenis iaitu ayat yang kita boleh baca (Al-Qur’an) dan ayat yang ada pada alam ini. Ayat-ayat yang disebut sebelum ini adalah tentang tanda-tanda yang ada pada alam. Berkenaan ayat-ayat yang Allah ﷻ turunkan dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an, apakah firman Allah ﷻ tentangnya?

 

نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

yang Kami bacakan kepadamu kerana menegakkan kebenaran;

Selain daripada tanda-tanda pada alam, ada juga ayat-ayat yang dibaca, diberi kepada kita untuk dibaca dan fikirkan. Itulah pentingnya kita membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia dan ia perlu difahami dengan belajar Tafsir Al-Qur’an. Kalau setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham, ia tidaklah memenuhi kehendak Allah ﷻ.

Apakah haq yang Allah ﷻ hendak tegakkan? Ia untuk menzahirkan kebenaran bahawa Allah ﷻ lah sahaja yang layak disembah dan tempat kita meminta pertolongan.

 

فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللهِ وَءآيٰتِهِ يُؤْمِنُونَ

maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya?

Kalau ayat-ayat yang Allah ﷻ telah berikan itu tidak dapat melahirkan iman dalam diri manusia, maka ayat mana lagikah yang mereka mahu?

Kalimat حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ merujuk kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang diwahyukan kepada manusia.

Kalimat آيَاتِهِ pula merujuk kepada tanda-tanda yang ada pada alam ini untuk kita perhati dan fikirkan. Kedua-dua tanda ini berkait rapat kerana kita melihat pada Al-Qur’an dan adakala juga alam. Ayat Al-Qur’an ini mengingatkan kepada alam dan alam pula mengingatkan kita kepada ayat-ayat Al-Qur’an.

Kedua-dua jenis ayat ini diberikan kepada kita untuk membangkitkan iman dalam diri. Lihatlah bagaimana ada manusia yang masuk Islam selepas membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Terdapat manusia setelah melihat pada tanda-tanda alam ini, terbuka hati tentang kewujudan Tuhan. Mereka yang mendapat iman ini terus mencari-cari siapakah Tuhan yang menjadikan alam ini. Ini kerana di dalam diri mereka ada keinginan untuk mencari kebenaran.

Kalau kedua-dua ayat ini tidak dapat membangkitkan iman mereka, maka tidak ada lagi harapan untuk manusia memperolehi iman. Ini kerana cuma dua cara ini sahaja yang dapat membantu.


 

Ayat 7: Ayat 7 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia tentang kesombongan dan kesyirikan Quraish Mekah. Penyakit Orang Mekah percaya adanya Allah tetapi mensyirikkanNya dengan menggunakan perantara dalam doa dan ibadah.

Ayat 7 ini adalah Ayat Zajrun dan takhwif ukhrawi kepada mereka yang berdusta dalam perkara akidah yang tidak diajar dalam syarak

وَيلٌ لِّكُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

Sahih International

Woe to every sinful liar

Malay

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –

 

Celaka besarlah bagi mereka yang tidak mahu menerima wahyu di akhirat kelak. أَفَّاكٍ adalah mereka yang melakukan penipuan yang besar dari segi akidah. Mereka telah reka perkara-perkara baru dalam bab iman dan  melakukan penipuan dalam agama.

Dia juga menjadi أَثِيمٍ kerana apa yang dilakukannya adalah berlawanan dengan suruhan Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Mereka langgar syariat yang Allah telah tetapkan untuk diiikuti. Apa sahaja yang berlawanan dengan apa yang Allah ﷻ suruh akan menyebabkan dosa.


 

Ayat 8: Siapakah mereka itu dan apakah sifat-sifat mereka?

يَسمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتلىٰ عَلَيهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُستَكبِرًا كَأَن لَّم يَسمَعها ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

Sahih International

Who hears the verses of Allah recited to him, then persists arrogantly as if he had not heard them. So give him tidings of a painful punishment.

Malay

Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يَسْمَعُ ءآيٰتِ اللهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ

Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya,

Ini adalah tentang mereka yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan tafsirnya. Mereka sudah biasa mendengar ayat Al-Qur’an, bukan tidak tahu langsung mana satu ayat Al-Qur’an.

 

ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا

kemudian dia terus berlagak sombong,

Berlagak sombong enggan menerima apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Mereka menolak kebenaran dan menghina orang yang sampaikan kebenaran serta tidak mahu mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang disampaikan.

Ada pendakwah yang telah memberikan tafsir ayat-ayat itu. Namun, mereka tidak mahu terima dan juga enggan belajar Tafsir Al-Qur’an kerana sombong. Mereka rasa tindakan yang dilakukan itu sudah betul walaupun ia berlawanan dengan ayat Allah ﷻ.

 

كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا

seolah-olah dia tidak mendengarnya;

Mereka buat tidak tahu sahaja selepas dibacakan ayat-ayat Allah ﷻ dan diterangkan maksudnya. Macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mereka masih lagi hendak pakai apa yang dikatakan dan diajar oleh guru mereka. Termasuk juga segala yang telah diamalkan turun temurun oleh tok nenek mereka.

 

فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang amat pedih.

Allah ﷻ perli dengan sebut ‘beri berita gembira’. Padahal ia bukan berita baik. Berita yang diberikan kepada mereka adalah azab seksa iaitu azab dalam neraka. Maka mana berita gembiranya?

Azab pedih itu tentunya akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka dimasukkan kerana mereka tidak endah dengan ajaran Al-Qur’an, buat tidak tahu sahaja. Lihatlah bagaimana besarnya balasan azab kepada mereka yang tidak endahkan ayat-ayat Allah ﷻ .

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 83 – 89 (Tiada Syafaat Qahriyah)

Ayat 83: Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

فَذَرهُم يَخوضوا وَيَلعَبوا حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي يوعَدونَ

Sahih International

So leave them to converse vainly and amuse themselves until they meet their Day which they are promised.

Malay

Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).

فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا

Oleh itu, biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main

Kalimah يَخُوضُوا dari katadasar خ و ض yang asalnya bermaksud masuk dalam air dan diliputi oleh air itu, macam seorang yang sedang berendam dalam pool. Maksudnya, seseorang yang tenggelam dalam apa yang sedang dilakukannya. Tengah leka sungguh. Jadi ia bermaksud seseorang yang bersungguh-sungguh melakukan sesuatu.

Dalam konteks ayat ini, ianya tentang mereka yang membantah-bantah dalam ayat-ayat Allah. Mereka bersungguh-sungguh bantah tentang agama. Mereka terus menentang dengan memberikan hujah-hujah bathil (tanpa nas).

Allah suruh biarkan mereka dalam kesesatan dan sedang leka bermain-main dan leka dengan dunia. Tak perlu layan bantahan dan debat mereka itu. Jangan hiraukan. Akan tetapi dalam masa yang sama, jangan pula berhenti dari tabligh kepada mereka. Teruskan berdakwah kepada mereka. Tapi bagaimana pula?

Maksudnya, jangan peduli kata-kata mereka yang hendak melemahkan agama itu. Teruskan berdakwah untuk sampaikan kepada manusia. Jangan hirau gangguan, halangan dan bantahan dari mereka. Jadi maksud ayat ini adalah teruskan dalam dakwah. Jangan hiraukan apa yang mereka buat. Kena faham maksud ayat ini, jangan silap tafsir pula. Bukannya tinggalkan dakwah kepada mereka, kerana kita tetap kena dakwah juga.

Ayat ini juga tentang mereka yang bermain-main hal agama. Ramai manusia yang kalau hal agama, mereka akan buat main-main. Kalau kita beritahu sesuatu tentang perkara agama, mereka akan jadikan bahan jenaka. Mereka tidak serius dalam hal agama.

Malangnya, ada penceramah yang begitu juga, sampaikan ada yang dalam ceramah agama pun, mereka akan buat lawak juga. Padahal, perkara agama ini adalah perkara yang besar, perkara yang serius. Maka, jangan kita layan ustaz-ustaz yang menggunakan lawak dalam kuliah mereka. Itu bukanlah cara untuk menyampaikan dakwah.

Juga ayat ini tentang mereka yang leka dengan dunia. Mereka sendiri tahu yang mereka akhirnya akan tinggalkan semua perkara yang mereka kumpulkan itu. Bagaikan budak-budak main permainan daun terup. Mereka pakai duit dari daun. Mereka pun tahu yang duit daun itu tidak laku, tapi semasa bermain itu mereka bersungguh-sungguh benar. Bukankah apabila emak mereka panggil mereka makan, mereka tinggalkan sahaja, bukan?

Begitulah perumpamaan dunia dan kerana itu Allah gunakan kata mereka jadikan dunia sebagai permainan. Mereka tahu mereka akan tinggalkan semua pencarian dunia nanti apabila mati kelak, tapi semasa mereka mencarinya, bersungguh benar mereka, leka sungguh sampai lupa akhirat.

 

حَتَّىٰ يُلٰقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ

sehingga mereka menemui hari mereka yang dijanjikan kepada mereka

Iaitu janji yang telah diberikan kepada mereka, dimana Allah sudah berjanji untuk memberi balasan azab kepada mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab seksa. Waktu itu baru mereka menyesal kerana leka sangat dengan dunia, sampai tidak bersedia untuk akhirat.


 

Ayat 84: Ini adalah dalil aqli.

وَهُوَ الَّذي فِي السَّماءِ إِلٰهٌ وَفِي الأَرضِ إِلٰهٌ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ العَليمُ

Sahih International

And it is Allah who is [the only] deity in the heaven, and on the earth [the only] deity. And He is the Wise, the Knowing.

Malay

Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَٰهٌ

Dan (ingatlah), Allah jualah ilah yang berhak disembah di langit,

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk langit. Kerana Dia Tuhan bagi langit.

 

وَفِي الْأَرْضِ إِلَٰهٌ

dan Dia lah ilah yang berhak disembah di bumi;

Allahlah sahaja yang layak disembah oleh penduduk bumi. Kerana Dia Tuhan di bumi. Tidak boleh disembah selain Allah. Yang selain Allah, tidak layak dan tidak boleh disembah.

Kalau di langit, Allah itu Tuhan dan di bumi itu juga Allah sebagai Tuhan, maksudnya Allahlah sahaja yang layak disembah di mana-mana pun. Tidak ada Tuhan yang lain.

Jangan silap faham pula: Tidaklah ada satu Tuhan di langit dan satu Tuhan di bumi pula. Di kedua-dua alam itu, Allahlah sahaja Tuhan yang boleh disembah. Takut ada yang salah faham pula dengan ayat ini dengan kata ada dua ilah pula.

 

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ

dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

Kenapa Allah sahaja yang layak jadi ilah? Kerana hanya sahaja yang memiliki dua sifat ini.

Allah memerintah alam ini dengan Maha Bijaksana kerana Dia Maha Mengetahui keperluan segala perkara.

Dia juga yang Maha Mengetahui apakah hakikat dunia dan hakikat langit. Kita hanya dapat mengetahui sedikit sahaja berdasarkan dari kajian sains. Tapi pengetahuan yang sempurna hanya ada pada Allah sahaja. Allah tahu apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sebelum dia lahir lagi.


 

Ayat 85:

وَتَبارَكَ الَّذي لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما وَعِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And blessed is He to whom belongs the dominion of the heavens and the earth and whatever is between them and with whom is knowledge of the Hour and to whom you will be returned.

Malay

Dan Maha Berkat Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

وَتَبَارَكَ الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan Maha Berkat Dia yang milikNya kerajaan langit dan bumi

Ayat ini menafikan syirik dalam berkat. Allahlah sahaja yang mempunyai Keberkatan. Allahlah yang Maha Berkat. Ini adalah salah satu dari Sifat Allah.

Oleh kerana berkat itu milik Allah, maka sesiapa yang hendak mengambil berkat kepada selain Allah, itu adalah kufur. Maka, jangan minta berkat daripada makhluk, dari guru, ustaz, wali dan sesiapa pun. Ramai masyarakat kita yang salah faham dengan maksud berkat dan kerana itu mereka selalu melakukan tabarruk kepada perkara-perkara yang tidak patut.

Antaranya, mereka bertabarruk dengan ustaz mereka, guru mereka, orang yang balik dari Mekah dan sebagainya. Sebagai contoh, ada orang yang peluk mereka yang baru balik dari Haji dengan kata: “nak ambil berkat sikit”.

Ini adalah salah sama sekali. Yang lebih teruk adalah mengambil keberkatan dari kubur seperti yang mula diajar oleh puak-puak Habib yang datang dari Yaman itu. Ingatlah yang tidak ada keberkatan pada kubur, termasuklah kubur Nabi sendiri.

Allah ada memberi keberkatan kepada beberapa perkara seperti Tanah Haram dan lain-lain lagi. Tapi kenalah ada dalil baru boleh kita kata yang tempat-tempat tertentu itu ada berkat. Kena ada disebut oleh Allah dalam Al-Qur’an atau dalam hadis. Ini perkara yang memerlukan dalil dan bukannya kata-kata dari manusia.

Perbincangan tentang tabarruk adalah perbincangan yang panjang yang perlulah dipelajari oleh orang-orang kita supaya tidak tersalah faham dan melakukan tabarruk yang dilarang.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Segalanya milik Allah. Langit adalah milikNya dan bumi juga milikNya dan apa-apa sahaja di antara keduanya. Apa yang ada diantara keduanya pun kita tidak tahu, tapi apa-apa sahaja yang ada antara keduanya, milik Dia sahaja.

Oleh kerana segalanya milik Allah, maka Dia tidak memerlukan sekutu atau wakil.

 

وَعِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ

dan di SisiNyalah sahaja ilmu tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu dan apa yang benar-benar akan terjadi. Nabi tak tahu, para Malaikat hatta Jibrail pun tidak tahu bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Banyak kali diulang-ulang dalam Al-Qur’an tentang perkara ini.

Maka, berhentilah untuk agak-agak bilakah ianya akan berlaku. Yang pasti, ia akan berlaku. Yang kita perlu lakukan adalah bersedia untuk menghadapinya. Malangnya, ada orang yang mengaku ahli agama yang cuba-cuba juga untuk mengagak bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Dalam dua ayat ini adalah pegangan Tauhid kita. Iaitu ada Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Asma wa Sifat. Itulah juga dinamakan Tauhid Tiga Serangkai atau Tauhid 3T.

Tauhid Rububiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah yang memiliki alam ini. Itu adalah sifat Rabb.

Tauhid Uluhiyyah – Allah memberitahu kita yang Dialah ilah di langit dan di bumi. Hanya Dia sahaja yang layak disembah dan layak diibadati.

Tauhid Asma’ wa Sifat – Allah memberitahu salah satu SifatNya, iaitu hanya Dia sahaja yang mempunyai ilmu tentang Hari Kiamat. Sifat ini tidak ada pada makhluk yang lain.


 

Ayat 86: Ini adalah Maksud Surah ini.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Sahih International

And those they invoke besides Him do not possess [power of] intercession; but only those who testify to the truth [can benefit], and they know.

Malay

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).

وَلَا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ الشَّفٰعَةَ

Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat,

Hanya Allah sahaja yang mempunyai kuasa syafaat. Allahlah sahaja yang menentukan siapa yang boleh ‘beri’ syafaat dan siapa yang boleh ‘mendapat’ syafaat itu. Maknanya, pemberi syafaat Allah yang tentukan, dan penerima syafaat pun Allah juga yang tentukan. Tidak ada sesiapa yang selain dari Allah mempunyai kuasa penentuan itu.

Ramai yang mengamalkan tawasul dan menyembah kepada sembahan-sembahan seperti wali, Nabi dan malaikat kerana mengharapkan ‘syafaat qahriyah’ dari mereka. Syafaat Qahriyah adalah ‘syafaat kasih-sayang’. Mereka sangka, kerana Allah sayang kepada Nabi, wali dan malaikat itu, maka kalau mereka merapatkan diri dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah akan sayang juga kepada mereka. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali.

Dalam potongan ayat ini seterusnya, Allah memberikan dua syarat untuk membolehkan memberi dan menerima syafaat:

 

إِلَّا مَن شَهِدَ بِالْحَقِّ

kecuali sesiapa yang bersaksi dengan Kalimah Haq

Iaitu dua Kalimah Syahadah, Kalimah Tauhid. Iaitu mereka yang hanya menyembah Allah dan hanya mengikut agama dan amalan yang diajar oleh Nabi. Mereka ini sahaja yang dibenarkan memberi syafaat dan menerima syafaat. Seperti para Nabi kerana mereka hanya menyembah Allah sahaja, dan mereka itu dibenarkan memberi syafaat. Tetapi hanya boleh diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Iaitu mereka yang tauhidnya juga sempurna.

Kalau mereka yang tauhidnya tidak sempurna, ada mengamalkan syirik dalam amalan dan fahaman mereka, mereka itu tidak ada harapan untuk memberi dan menerima syafaat. Malang sekali masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik, tapi dalam masa yang sama mereka meminta-minta syafaat dari Nabi Muhammad.

Meminta syafaat kepada Nabi Muhammad itu juga sudah amalan yang syirik, kerana yang ada kuasa syafaat hanya Allah sahaja. Mereka telah meletakkan kuasa Allah pada Nabi Muhammad pula, dan ini adalah syirik.

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

dan mereka mengetahui

Iaitu mengetahui apa yang mereka saksikan. Mereka tahu siapa yang mereka berikan syafaat itu. Mereka tahu siapa yang boleh diberikan syafaat itu. Mengetahui bahawa menyeru Allah sahaja yang akan dapat syafaat.

Hanya Allah sahaja yang boleh beri syafaat. Nabi Muhammad tidak dapat memberikan syafaat kepada mereka yang tidak layak. Nabi Muhammad pun bukan boleh menentukan siapa yang dapat syafaat. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Dan kalau ada yang mengamalkan amalan syirik, mereka tidak layak diberikan syafaat itu.

Maksud ‘mengetahui’ itu juga boleh bermaksud mengetahui tentang apakah tauhid dan apakah syirik. Untuk tahu, kena belajar sampai faham. Kalau tidak faham, itu maksudnya tidak tahu dan mereka yang tidak belajar dan tidak tahu, akan terjerumus ke dalam lembah kesyirikan kerana tidak belajar. Syaitan akan mengambil peluang dari kejahilan mereka itu untuk menyesatkan mereka.

Sebab itu orang yang masuk syurga adalah mereka yang ada ilmu. Tidak ada dalil yang orang jahil masuk syurga. Maka, kita kenalah ambil usaha untuk faham tentang tauhid dan tentang syirik supaya iman kita sempurna. Kalau iman kita sempurna, barulah layak untuk mengharapkan syafaat dari Allah.

Inilah kekeliruan yang amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka sangka ada orang yang boleh memberi syafaat kepada mereka. Oleh itu mereka rasa selamat. Antaranya yang mereka keliru adalah tentang Nabi Muhammad sendiri. Mereka sangka Nabi Muhammad itu ada ‘kuasa’ untuk memberi syafaat. Maka kerana itu ramai yang meminta syafaat sekarang kepada baginda.

Ini adalah kerana kekeliruan kepada dalil yang ada dalam Al-Quran dan hadis. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Bila tidak belajar, mereka ikut sahaja kata-kata orang yang tidak semestinya benar.

Maka kerana mereka sangka Nabi Muhammad boleh menentukan syafaat ikut kehendaknya, mereka telah meminta syafaat itu kepada Nabi dalam berbagai cara. Ada yang buat qasidah, ada yang minta syafaat kepada Nabi di kuburan baginda dan macam-macam lagi. Antaranya, mereka sedekah Fatihah kepada baginda sebagai ‘upah’ untuk beri syafaat kepada mereka. Ini adalah antara kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita tanpa sedar.


 

Ayat 87: Ini adalah dalil aqli i’tirafi. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah pun boleh terima yang menjadikan mereka adalah Allah.

Inilah dalil bahawa mereka itu ada Tauhid Rububiyyah. Maka, kenapa ada yang tidak dapat terima perkara ini? Mereka kata Ajaran Tauhid 3T adalah salah kerana mengatakan Musyrikin Mekah itu ada tauhid. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tahu baca sahaja, memang akan kata begitu. Tapi kita yang belajar Al-Qur’an dan cuba menghayati Al-Qur’an ini, memang selalu berjumpa dengan ayat ini. Apa mereka tidak baca Al-Qur’ankah?

Dalil aqli i’tirafi bermaksud hendak menunjukkan kepada Musyrikin Mekah yang mereka pun sudah terima Allah itu ada, hanya Allah sahaja yang menjadikan mereka dari tidak ada kepada ada. Kalau perkara itu mereka sudah iktiraf, maka kenapa mereka tidak terus sembah hanya Allah sahaja?

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَهُم لَيَقولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

Sahih International

And if you asked them who created them, they would surely say, ” Allah .” So how are they deluded?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?”

Tanyalah kepada Musyrikin Mekah itu. Tanyalah kepada musyrik zaman sekarang pun. Tanya mereka: Siapakah yang menjadikan kamu dan alam ini?

لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”.

Musyrikin Mekah kenal Allah dan mereka terima yang Allahlah Pencipta alam ini. Musyrikin Mekah akan jawab yang Allahlah yang mencipta dan menjadikan mereka. Mereka tidak akan kata berhala yang menjadikan mereka, atau malaikat yang menjadikan mereka dan lain-lain. Mereka akan tetap kata Allah lah yang menjadikan mereka.

Ini disebut dengan jelas dalam ayat-ayat seperti ini. Maka, kalau ada yang mempertikaikan ajaran Tauhid 3T yang mengatakan Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah, maka kita boleh katakan yang mereka itu tidak baca Al-Qur’an – atau, kalau mereka baca, mereka tidak faham Al-Qur’an; maknanya, mereka orang jahil.

Musyrik zaman sekarang pun. Mereka mungkin tidak kenal nama Allah, tapi mereka akan jawab: Tuhan yang satu. Tanyalah kepada orang Hindu contohnya. Baru kita tahu bahawa patung yang mereka sembah itu adalah ‘dewa’ sahaja, bukannya Tuhan.

 

فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

(Jika demikian) maka bagaimana mereka boleh dipesongkan?

Bagaimana mereka boleh terpesong fahaman dalam bab tawasul? Kalau mereka kata Allahlah yang menjadikan mereka, kenapa mereka boleh kata sembah selain Allah? Kenapa mereka boleh minta kepada Allah melalui perantaraan? Itulah yang menghairankan sekali. Tentulah ada banyak sebab yang antaranya kerana mereka sombong untuk terima kebenaran.


 

Ayat 88:

وَقيلِهِ يٰرَبِّ إِنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ لّا يُؤمِنونَ

Sahih International

And [ Allah acknowledges] his saying, “O my Lord, indeed these are a people who do not believe.”

Malay

Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!”

وَقِيلِهِ يٰرَبِّ

Dan katanya: Wahai TuhanKu!

Kata siapa? Kata Nabi Muhammad. Ini adalah kata-kata Nabi Muhammad setelah berdakwah sekian lama dan Musyrikin Mekah itu tetap menolak dakwah baginda. Ini adalah kata-kata rayuan baginda kepada Allah.

Lihatlah kata-kata Nabi Muhammad ini. Baginda sendiri tidak bertawasul kepada selain Allah. Baginda terus minta dan seru kepada Allah sahaja. Bukankah Nabi Muhammad itu adalah ikutan kita? Adakah contoh bagaimana Nabi menggunakan perantaraan dalam doa baginda?

Ayat ini boleh diterjemahkan begini: Allah bersumpah dengan perkataan Nabi Muhammad.

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman

Ini adalah kata-kata aduan dari Nabi Muhammad kepada TuhanNya. Setelah melihat apakah reaksi kaumnya terhadap dakwah baginda, baginda mengadu kepada Allah yang kaumnya itu mungkin tidak akan beriman.

Bayangkan yang Nabi Muhammad sendiri akan mengadu tentang mereka. Nabi Muhammad seorang yang lembut tapi baginda sendiri pun akan mengadu tentang umat baginda! Maknanya, Nabi telah terasa sangat dengan apa yang mereka telah kata dan lakukan.

Nabi sendiri akan menjadi saksi bahawa mereka tidak beriman. Bayangkan dalam pengadilan mahkamah Allah nanti, yang menjadi saksi mahkamah itu adalah Nabi Muhammad sendiri. Bagaimana nak selamat kalau begitu?

Nabi ada juga mengadu di waktu lain dalam Furqan: 30

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini sesuatu yang ditinggalkan”.

Tidakkah kita takut kalau Nabi sendiri beritahu kepada Allah bahawa kita buat tak kisah kepada Al-Qur’an yang Allah telah turunkan ini? Bukankah ramai antara masyarakat kita yang memang buat tak endah sahaja dengan Al-Qur’an ini? Mereka baca Al-Qur’an, tapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.


 

Ayat 89: Apakah jawapan Allah kepada kata Nabi itu?

Ini adalah apa yang perlu Nabi dan kita lakukan kepada mereka yang tidak mahu beriman dan benci kepada islam.

فَاصفَح عَنهُم وَقُل سَلٰمٌ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

Sahih International

So turn aside from them and say, “Peace.” But they are going to know.

Malay

(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ‘Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!”

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ

Maka janganlah engkau hiraukan mereka,

Kata dasar فَاصْفَحْ telah dibincangkan dalam ayat 5 surah ini. Kalimah ini digunakan antara Nabi dengan umat – Ibubapa dengan anak – Suami dengan isteri.

Jangan hiraukan mereka. Maksudnya, jangan hukum mereka lagi. Kerana bila kita tak hiraukan, kurang sedikit resah hati kita. Mereka nak berdebat dan menentang itu adalah kerana mereka tak faham. Allah tenangkan hati Nabi dalam ayat ini supaya Nabi jangan putus asa. Jangan layan sangat penolakan mereka itu.

Teruskan dakwah kepada manusia yang mahu mendengar. Yang tak mahu dengar, hanya mahu berdebat dan menentang sahaja, tinggalkan mereka buat sementara waktu. Oleh itu, palingkan muka kamu dari memarahi mereka. Kerana marah bukanlah ubat. Cuma ajar supaya mereka boleh memahami dengan sukarela, tanpa paksaan.

 

وَقُلْ سَلٰمٌ

dan katakanlah: `Selamat tinggal! ‘

Kita disuruh kata begitu untuk habiskan perdebatan itu. Kalau cakap banyak pun buang masa. Inilah yang diajar kepada kita untuk kita katakan.

Kena tahu bahawa lafaz سَلَامٌ dalam ayat ini bukannya bermaksud ‘Salam sejahtera’ seperti yang selalu kita guna. Takkan kita nak kata mereka sejahtera pula setelah tolak wahyu. Tapi maksud سَلَامٌ dalam ayat ini adalah ‘Selamat tinggal’. Ini dinamakan ‘Salam Mufaraqah’ iaitu ucapan selamat tinggal buat sementara waktu. Nanti datang lain kali di kesempatan yang lain untuk berdakwah kepada mereka. Ini bukanlah tinggalkan terus.

 

فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

Mereka akan mengetahui kelak

Mereka akan mengetahui akibat keingkaran mereka itu di Hari Akhirat nanti. Mereka sedap sahaja menolak dakwah Nabi dan penyebar tauhid kepada mereka, tapi nanti mereka akan merasai akibat penolakan mereka itu di akhirat kelak.

Atau, ia boleh bermaksud mereka akan dapat kebenaran. Akhirnya nanti mereka akan tahu apakah kebenaran itu dan mereka akan beriman. Lihatlah bagaimana mereka yang tolak Nabi pada awal Islam pun ramai yang masuk Islam akhirnya.

Allahu a’lam. Lompat ke Surah yang seterusnya, Surah Dukhan

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 74 – 82 (Permintaan untuk dimatikan)

Azab siksaan ahli neraka
Neraka adalah seburuk-buruk tempat kembalinya insan. Tidak ada lagi kematian, hanya kehidupan yang abadi.

Ayat 74: Ayat 74 – 80 adalah Perenggan Makro Kelapan dan Allah memberitahu kita balasan bagi orang yang durhaka. Ayat 74 ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang penghuni-penghuni Syurga. Apabila Allah menceritakan tentang Syurga, Allah menceritakan juga tentang neraka.

Begitulah juga apabila diceritakan tentang orang beriman, diceritakan juga tentang orang yang tidak beriman. Begitu juga apabila Allah memperkatakan tentang tauhid, Dia juga akan memperkatakan tentang syirik.

Oleh kerana itu, seorang guru mestilah memberitahu dua-dua perkara itu. Iaitu kena beritahu kepada masyarakat apa yang perlu dilakukan dan juga perlu memberitahu kepada mereka apa yang perlu ditinggalkan. Kena cerita berita baik dan juga berita buruk supaya kita dapat berjaga-jaga.

Malangnya, kebanyakan guru hanya memberitahu apa yang perlu dilakukan sahaja, tetapi tidak memberitahu apa yang salah. Macam mereka cerita tentang syurga sahaja tapi tak sebut tentang neraka pula.

Mereka tidak beritahu tentang kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat kerana takut yang masyarakat akan marah kalau diberitahu yang apa yang mereka lakukan adalah perkara salah. Seperti amalan-amalan syirik dan amalan-amalan bidaah. Takut nanti masyarakat sudah tidak hormat mereka, tidak panggil mereka datang mengajar lagi, takut masyarakat tidak beri upah lagi kepada mereka.

Oleh kerana itu ramai masyarakat tidak tahu bahawa banyak perkara yang salah mereka lakukan kerana mereka tidak diberitahu. Kerana kalau ustaz yang mengajar mereka pun tidak tegur, tentulah mereka sangka apa yang mereka lakukan selama itu adalah benar sahaja.

إِنَّ المُجرِمينَ في عَذابِ جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

Sahih International

Indeed, the criminals will be in the punishment of Hell, abiding eternally.

Malay

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa,

Dalam tafsir disebut yang dosa yang dimaksudkan adalah dosa syirik. Mereka berdosa sama ada mereka sedar atau tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik. Mereka dikira salah dan berdosa walaupun tidak tahu kerana tidak ada usaha untuk belajar.

Mereka juga telah terbukti berdosa dan telah dihakimi di Mahsyar. Mereka telah diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah SWT. Apa yang akan jadi kepada mereka?

 

فِي عَذَابِ جَهَنَّمَ خٰلِدُونَ

kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.

Mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Inilah sebesar-besar seksa yang mereka akan hadapi.

Oleh kerana mereka kekal dalam neraka, ini bermaksud ‘dosa’ yang dimaksudkan adalah dosa syirik. Azab yang paling berat di akhirat adalah kerana dosa syirik. Kerana kalau seseorang itu beriman, tapi ada melakukan dosa, dia akan dimasukkan ke dalam neraka tapi tidak akan kekal di dalamnya.

Ini adalah pemahaman dengan ayat-ayat dan hadis Nabi. Iaitu cuma mereka yang melakukan syirik sahaja yang akan kekal dalam neraka selama-lamanya.


 

Ayat 75: Allah sambung dengan menceritakan azab kerana syirik.

لا يُفَتَّرُ عَنهُم وَهُم فيهِ مُبلِسونَ

Sahih International

It will not be allowed to subside for them, and they, therein, are in despair.

Malay

Tidak diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan),

لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ

Tidak diringankan azab itu daripada mereka,

‘Taftir’ adalah apabila sesuatu itu diringankan atau direhatkan. Itu tidak akan berlaku kepada ahli-ahli neraka walaupun sesaat pun, sejam atau sehari. Mereka akan terus diseksa tanpa henti.

Bukan itu sahaja, kekuatan seksaan itu juga tidak akan dikurangkan, malah akan bertambah. Memang ada ayat yang menceritakan bagaimana ahli neraka akan meminta kepada penjaga neraka untuk memberi rehat kepada mereka dari seksaan azab neraka, tapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

 

وَهُمْ فِيهِ مُبْلِسُونَ

dan mereka di dalamnya berputus asa

Kalimah مُبْلِسُونَ dari katadasar ب ل س yang bermaksud tidak ada harapan – putus asa. Dari katadasar yang sama juga Iblis dinamakan – kerana Iblis itu tidak ada harapan untuk selamat. Dia sudah berputus asa untuk masuk ke dalam syurga.

Ahli neraka memang ada merayu bersungguh-sungguh untuk diselamatkan dan dimaafkan, tapi tidak dilayan dan akhirnya mereka akan putus asa. Ini dipanggil iblas.

Mereka putus asa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada keadaan itu. Mereka tidak boleh bergerak ke mana-mana pun. Permintaan mereka untuk keluar dari neraka, diberi rehat atau diberi kurang azab tidak diendahkan.

Mereka akan terus menerima apa yang mereka akan terima di dalam neraka. Tidakkah ini menakutkan sekali? Jadi kenapa tidak mahu mengamalkan tauhid? Kenapa ada lagi yang masih sembah dan buat ibadat kepada selain Allah? Kerana ada lagi yang doa kepada selain Allah? Kenapa ada lagi yang mengamalkan tawasul dalam doa mereka?

Kalau di dunia, kita ada juga harapan yang kesusahan dan musibah yang kita hadapi akan diangkat, berkurang atau diberi penyelesaiannya. Harapan itu akan mengurangkan sedikit rasa kesusahan yang kita alami itu. Paling kurang pun, kita tahu yang akhirnya kita akan mati dan apa yang sedang kita hadapi itu akan selesai juga dengan kematian kita.

Tapi, bukankah di akhirat nanti tidak ada kematian? Ini dengan terang disebut dalam Taha:74

إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ

“Sesungguhnya, sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang dia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.


 

Ayat 76: Maka berat sekali azab yang akan dikenakan kepada golongan musyrik itu. Tapi adakah Allah zalim dengan memberi azab kepada mereka selama-lamanya?

وَما ظَلَمنٰهُم وَلٰكِن كانوا هُمُ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And We did not wrong them, but it was they who were the wrongdoers.

Malay

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

وَمَا ظَلَمْنٰهُمْ

Dan tidaklah Kami menganiaya mereka,

Mungkin ada tanya atau terfikir dalam hati: “tidakkah Allah zalim dengan melakukan begitu?” Mereka gunakan akal mereka dan kira: manusia hidup dan buat salah selama mereka hidup sahaja (entah berapa tahun sahaja), tapi kena azab selama-lamanya.

Jawapannya: Allah tidak zalim kerana Allah tahu apa yang akan dilakukan oleh manusia itu dalam ilmuNya yang sempurna – kalau mereka hidup lama lagi pun, mereka akan terus melakukan syirik. Oleh itu dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu yang Dia adalah adil dan apa yang Dia lakukan itu tidaklah zalim.

Allah tidak zalim dengan mengenakan azab sesuka hati. Bukanlah Allah terus membuat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka. Tapi Allah telah berikan peringatan demi peringatan kepada manusia.

Bukan sahaja diturunkan wahyu untuk manusia, tapi Allah telah bangkitkan juga para Nabi dan Rasul, para penyebar tauhid untuk memberi ingat kepada mereka; mereka sahaja yang degil tidak mahu dengar dan tidak mahu memberi perhatian. Jadi, tidaklah Allah zalim.

 

وَلَٰكِن كَانُوا هُمُ الظّٰلِمِينَ

akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Mereka dikenakan azab kerana salah mereka sendiri. Allah telah beri hidayah kepada mereka. Hanya apabila mereka menolak hidayah baru mereka ditetapkan akan dimasukkan ke dalam Neraka itu. Dan mereka telah melakukan kezaliman yang paling besar iaitu melakukan syirik terhadap Allah.

Ini penting untuk kita fahami kerana jangan salahkan Allah akan nasib mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu.  Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka yang engkar, bukan sebab lain. Ingatlah yang Allah tidak pernah zalim sama sekali.


 

Ayat 77: Selepas mereka dimasukkan ke dalam Neraka, apakah permintaan mereka?

وَنادَوا يٰمٰلِكُ لِيَقضِ عَلَينا رَبُّكَ ۖ قالَ إِنَّكُم مّٰكِثونَ

Sahih International

And they will call, “O Malik, let your Lord put an end to us!” He will say, “Indeed, you will remain.”

Malay

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

وَنَادَوْا يٰمٰلِكُ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik!

Ini adalah permintaan mereka sebelum mereka jadi mublis (putus ada). Banyak sekali permintaan ahli neraka nanti yang disebut dalam Al-Qur’an. Mereka ada minta keluar untuk kembali ke dunia, mereka ada minta dikurangkan azab, minta diberi tangguh azab untuk seketika. Dalam ayat ini disebut lagi permintaan mereka.

Ini adalah dalil bahawa nama malaikat penjaga neraka adalah Maalik. Banyak nama-nama malaikat yang tidak ada dalil, seperti nama Azazil, Izrail, Israfil sebenarnya tidak ada dalil. Maka, hendaklah kita guna nama yang digunakan dalam Al-Qur’an ataupun dalam hadis yang sahih.

Nama Maalik ini bukanlah bermaksud ‘Raja’ dalam bahasa, tapi memang nama khasnya ‘Malik’. Allahu a’lam.

 

لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ

Biarlah Tuhanmu buat keputusan ke atas kami!”

Keputusan apa yang mereka minta? Keputusan untuk mematikan mereka terus. Mereka minta supaya mereka dimatikan sahaja kerana kerana sudah tidak tahan menderita dengan azab Neraka.

Kalimah لِيَقْضِ dari katadasar ق ض ي yang bermaksud ‘memberi ketetapan’ dan dalam ayat ini bermaksud ‘ketetapan kematian’. Kita pun biasa pakai kalimah qada’ dan qadar kerana Allah telah menentuk perjalanan hidup kita. Tapi dalam ayat ini bermaksud minta mati. Macam kita kalau kena seksa di dunia, kita minta mati sahajalah, kerana sudah tidak tahan. Kerana kita tahu kalau mati, kesakitan itu akan berhenti.

Malangnya, tidak akan ada kematian lagi di akhirat kerana mereka akan diseksa berterusan. Kalau mereka mati, tidaklah merasa terseksa lagi. Padahal, tujuan mereka dimasukkan ke dalam Neraka adalah untuk merasai seksa. Maka, mereka tidak akan dimatikan sampai bila-bila. Mereka memang diseksa teruk sangat sampai rasa macam nak mati, tapi mati tak datang-datang. Kalau sudah rentung, mereka akan diberi dengan kulit yang baru.

Bayangkan, selalunya manusia tak minta mati. Kalau sakit macam mana pun, manusia akan cuba nak terus hidup juga. Manusia akan cari ubat, cari jalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan walaupun untuk masa yang sekejap lagi. Tapi lain pula di neraka nanti. Di Neraka, mereka beriya-iya minta supaya dimatikan. Menunjukkan seksa sangat rasanya.

Kenapa mereka minta kepada Malik pula? Kenapa tak minta terus kepada Allah? Kerana apabila mereka berdoa Allah tak bagi mereka bercakap lagi. Itulah sebabnya mereka cuba minta kepada Malik pula.

 

قَالَ إِنَّكُم مّٰكِثُونَ

Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal!”

Selepas malaikat penjaga neraka ditegur selepas 1,000 tahun baru dia menjawab. Kerana kerja malaikat bukan untuk melayan ahli neraka tetapi untuk seksa mereka. Tapi akhirnya Maalik dengar juga setelah sekian lama.

Tapi jawapan yang diterima itu langsung tidak memberi kepuasan kepada mereka. Mereka diberikan jawapan yang mereka tidak akan diberi peluang langsung. Sudahlah tidak ada peluang untuk diringankan azab dan direhatkan azab seketika pun tidak boleh, sekarang permintaan untuk dimatikan pun tidak dilayan.

Oleh itu ada dua yang kekal:
1. Mereka akan kekal tidak mati-mati
2. Mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.


 

Ayat 78: Ayat Zajrun. Kenapa mereka diseksa? Mereka diberitahu seperti yang disebut dalam ayat ini:

لَقَد جِئنٰكُم بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَكُم لِلحَقِّ كٰرِهونَ

Sahih International

We had certainly brought you the truth, but most of you, to the truth, were averse.

Malay

(Bagi menyatakan sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman): “Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu (melalui Rasul Kami), akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak suka kepada kebenaran itu”.

لَقَدْ جِئْنٰكُم بِالْحَقِّ

“Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu

Mereka diseksa kerana Allah telah menyampaikan kebenaran dalam bentuk wahyu dan telah dibangkitkan Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka. Dan Allah telah memberikan guru-guru agama yang mengajar tauhid.

Kalau dulu ada Nabi dan Rasul yang menyampaikan ajaran Allah, tapi sekarang manusia yang memberi peringatan itu. Bukannya Allah tidak beri hidayah kepada mereka. Tapi apa yang terjadi?

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كٰرِهُونَ

akan tetapi kebanyakan kamu tidak suka kepada kebenaran itu”.

Bukan mereka tidak tahu, tapi mereka yang tak mahu. Mereka tak suka dengan ajakan tauhid itu. Ini kerana  mereka sombong nak ikut. Mereka berat hati nak ikut. Hati mereka tak boleh nak terima.

Mereka hendak menikmati kehidupan dunia tanpa kekangan. Sebagaimana Allah telah firman dalam Shura:13

كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Apabila tidak ikut, mereka akan buat perkara yang salah. Sebab itulah mereka dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 79: Ayat Zajrun.

أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ

Sahih International

Or have they devised [some] affair? But indeed, We are devising [a plan].

Malay

Bahkan mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan, maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan rancangan mereka).

أَمْ أَبْرَمُوا أَمْرًا

Adakah mereka itu telah mengambil keputusan?

Kalimah أَبْرَمُوا dari kata dasar ب ر م yang bermaksud ‘mengikat’ seperti mengikat tali. Jadi إبرَم bermaksud mengikat dan mengumpulkan sesuatu bersama. Ini adalah satu peribahasa Arab. Sebab waktu itu, pembinaan rumah mereka menggunakan tali untuk mengikat bahagian binaan rumah.

Dan tali yang dipintal dan diikat itu adalah untuk kekal kerana bukan untuk dibuka lagi kerana rumah itu perlu kukuh, jadi tali tidak boleh senang teruntai. Maksudnya dalam peribahasa ini, Allah tanya adakah mereka sudah buat keputusan tetap untuk tidak beriman? Adakah keputusan sudah muktamad?

Dan ayat ini juga boleh bermaksud membuat rancangan.

Apakah rancangan mereka? Adakah mereka sudah buat rancangan untuk menyelamatkan diri mereka dari neraka? Allah tanya adakah mereka sudah ikat tali-tali mereka – sudahkah mereka ada rancangan untuk menyelamatkan diri mereka?

Ini adalah kerana mereka memang telah berbincang sesama sendiri apa yang mereka akan buat kalau mereka dimasukkan ke neraka. Ada yang kata mereka akan merayu bersungguh-sungguh, ada yang kata mereka akan lawan dengan penjaga neraka kerana dalam Al-Qur’an disebut mereka itu beberapa orang sahaja.

Atau rancangan yang dimaksudkan adalah rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad. Kerana mereka sudah tidak boleh melawan Nabi Muhammad dengan hujah, maka mereka buat perancangan untuk membunuh sahaja Nabi Muhammad.

Tapi kenapa mereka tidak bunuh baginda dari awal-awal lagi?

Kerana Nabi ada penaung iaitu Abu Thalib. Tapi selepas Abu Thalib mati, mereka nampak peluang untuk menjalankan rancangan mereka berhasil. Tapi, kabilah Arab amat kuat tahap persatuan mereka, sampaikan kalau kabilah yang membunuh ahli kabilah mereka, mereka akan bersatu untuk menentang kabilah yang membunuh itu.

Oleh itu, mereka telah membuat perancangan untuk bergabung semua wakil dari kabilah Arab untuk membunuh Nabi. Itu adalah supaya Kabilah Bani Hashim tidak dapat hendak membalas balik kerana mereka terpaksa berhadapan dengan semua kabilah Arab.

 

فَإِنَّا مُبْرِمُونَ

maka Kami juga merancang

Kalau mereka telah tetap untuk tidak mahu beriman, atau merancang hendak melepaskan diri, maka Allah pun membuat rancangan untuk menghancurkan mereka. Dan kalau begitu, Allah pun sudah tetapkan akan masukkan mereka ke dalam neraka.

Kalau mereka sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada peluang untuk keluar lagi dari Neraka.

Dan kalau mereka membuat rancangan untuk membunuh Nabi, Allah pun buat rancangan juga untuk menggagalkan rancangan mereka. Iaitu Allah hijrahkan Nabi ke Madinah dan memenangkan Islam.

Rancangan mereka tidak akan berjaya, tapi rancangan Allah akan berjaya. Seperti yang Allah firmankan dalam Ali Imran:54

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللهُ ۖ وَاللهُ خَيرُ الماكِرينَ
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

 

Ayat 80: Apa mereka sangka mereka akan lepas dengan perancangan mereka itu?

أَم يَحسَبونَ أَنّا لا نَسمَعُ سِرَّهُم وَنَجوٰهُم ۚ بَلىٰ وَرُسُلُنا لَدَيهِم يَكتُبونَ

Sahih International

Or do they think that We hear not their secrets and their private conversations? Yes, [We do], and Our messengers are with them recording.

Malay

Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) ada menulis segala yang mereka lakukan.

أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوٰهُم

Adakah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri?

Mereka sangka, dengan mereka berbincang sesama sendiri senyap-senyap di tempat tersembunyi, Allah tidak tahu? Adakah mereka sangka perancangan sulit mereka itu selamat?

Sirr – perbincangan rahsia dua orang sahaja (atau apa yang ada dalam hati mereka dan diberitahu kepada orang lain).

Najwa – perbincangan rahsia lebih dari dua orang.

 

بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ

bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) di sisi mereka ada menulis segala yang mereka lakukan.

Tentulah Allah dengar. Malah ada malaikat yang mencatat apa yang mereka rancangkan. Mereka sangka mereka sedang berahsia dalam membuat rancangan mereka tetapi Allah beritahu malaikat itu di sisi mereka sahaja. Lalu bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri mereka? Semua itu akan dibentangkan kepada mereka sebagai bukti.


 

Ayat 81: Ayat 81 – 89 adalah Perenggan Makro Kesembilan dan ia mengajar kita Tauhid Uluhiyyah. Maka sekarang kita berbalik kepada perbincangan Tauhid kembali. Ini adalah satu hujah yang Allah ajar kepada Nabi. Allah menekankan yang Dia tidak mempunyai anak.

Musyrikin Mekah mengatakan Allah ada anak dan anak-anak itu adalah para malaikat. Kristian pula mengatakan Nabi Isa anak Allah. Yahudi pula kata Nabi Uzair anak Tuhan. Maka Allah menolak fahaman salah mereka.

قُل إِن كانَ لِلرَّحمٰنِ وَلَدٌ فَأَنا أَوَّلُ العٰبِدينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “If the Most Merciful had a son, then I would be the first of [his] worshippers.”

Malay

Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): “Kalau betul Allah yang Maha Pemurah mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!”

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدٌ

Katakanlah: “Kalau betul yang Maha Pemurah mempunyai anak

Musyrikin Mekah itu menentang tauhid kepada Allah. Mereka kata Allah ada anak. Begitu juga agama-agama yang lain seperti Yahudi dan Kristian pun kata Tuhan ada anak. Tapi tidak pernah Allah beritahu sendiri yang Dia ada anak.

Kalau ada, tentu Dia beritahu sendiri seperti firmanNya dalam Zumar:4

لَّوْ أَرَادَ اللهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.

Kalau Allah hendakkan anak, tentu Dia sendiri pilih siapa anakNya, dan apakah yang kita perlu buat kepada anakNya itu – nak kena sembahkah, nak bagi korbankah dan sebagainya.

Sebenarnya, bukan ‘anak’ yang dimaksudkan. Mereka melantik ‘anak’ itu sebagai perantara doa sahaja untuk sampai kepada Allah. Kerana mereka rasa Allah tidak dengar doa mereka kalau tidak ada perantara.

Jadi, ‘anak’ yang dimaksudkan dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain adalah ‘na’ib‘ untuk menyampaikan doa mereka. Iaitu seseorang yang rapat dengan orang yang tinggi kedudukannya. Macam orang kanan menteri yang boleh bisikkan permintaan kepada menteri. Maka ramailah yang minta kepada orang kanan itu, bukan?

 

فَأَنَا أَوَّلُ الْعٰبِدِينَ

maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu;

Nabi disuruh memberi satu hujah kepada manusia yang syirik itu. Kalau Allah itu ada anak dan Dia telah beritahu untuk sembah anakNya itu, tentu Nabi sendiri akan mula-mula sembah. Kerana Nabi akan taat dengan apa yang Allah suruh.

Tapi Allah tidak pernah ada anak. Allah juga tidak pernah kata Dia ada anak. Yang Allah suruh adalah menyembahNya sahaja. Jadi, kita nak buat apa lagi? Sembah Allah sahaja.

Jadi, apabila Nabi pun disuruh berhujah sampai begini, memang menunjukkan bahawa memang Allah tidak pernah dan tidak akan ada anak.

Jangan kita sangka ayat ini tidak kena kepada kita. ‘Anak’ yang dimaksudkan bukanlah ‘anak kandung’, tapi ‘Anak Angkat’ Allah (atau na’ib). Kerana manusia menyangka Allah ada menyayangi makhluk-makhlukNya sampaikan macam anak angkat.

Maka, orang kita pun begitulah juga pemahaman mereka. Mereka kata ada orang yang rapat dengan Allah, maka kenalah sembah mereka, beribadah kepada mereka, bodek mereka, gunakan mereka sebagai wasilah dalam doa dan sebagainya.

Sebab itulah ramai kalangan masyarakat kita yang beri salam, puji dan puja, sedekah Fatihah dan sebagainya kepada Nabi, wali dan Malaikat. Apabila berdoa, sebelum berdoa mereka akan seru nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai perantara dalam doa. Itulah salah faham dalam kalangan kita tentang ‘Anak Angkat’ ini.

Terjemahan kedua bagi ayat ini: Nabilah yang pertama-tama sekali mengingkari. Maknanya Nabilah orang yang mula-mula menolak pembohongan itu. Iaitu menolak dengan beriman dalam mendustakan dakwaan Allah ada wakil / anak / anak angkat / na’ib.


 

Ayat 82: Adakah benar tanggapan mereka itu? Tentu tidak!

سُبحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

Sahih International

Exalted is the Lord of the heavens and the earth, Lord of the Throne, above what they describe.

Malay

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – Tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Dia) dari apa yang mereka katakan itu.

سُبْحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan dan memelihara langit dan bumi,

Allah itu Maha Suci dari apa yang mereka katakan itu. Mereka sahaja yang memandai-mandai cipta satu akidah baru dalam agama. Mereka memang tidak ada dalil.

 

رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Tuhan Arasy, – (Maha Sucilah Dia) dari apa yang mereka sifatkan itu.

Allah Maha Suci dari apa yang mereka sifatkanNya, iaitu Dia ada anak angkat. Allah juga Maha Suci dari memerlukan perantaraan dalam berdoa, dalam ibadat (kecuali wasilah yang dibenarkan).

Maka, janganlah kita buat ibadat kepada entiti yang lain. Berhentilah dari beri salam, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat seperti yang dibuat oleh ramai dalam kalangan masyarakat kita. Berhentilah dari mengamalkan tawasul yang dilarang.

Allah menyebut bahawa Dia adalah Tuhan Arash. Arash itu amat tinggi. Dan Allah itu di atas lagi dari Arash. Ini hendak menceritakan ketinggian Allah. Allah Maha Tinggi dari apa yang mereka itu sifatkan. Apa yang mereka sifatkan kepada Allah itu adalah tidak layak untuk Allah.

Sifat memerlukan anak ini adalah sifat makhluk yang lemah yang mahukan kesinambungan keturunan kita. Kita juga memerlukan anak-anak untuk menolong kita dalam kehidupan dunia ini. Allah tidak perlukan semua  itu. Jadi, kenapa Allah perlukan anak?

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 67 – 73 (Berhati-hati dalam berkawan)

Pilih rakan yang baik

Ayat 67: Ayat 67 – 73 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan ia memberitahu kita kesudahan bagi orang bertaqwa. Ayat 67 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi.

الأَخِلّاءُ يَومَئِذٍ بَعضُهُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ إِلَّا المُتَّقينَ

Sahih International

Close friends, that Day, will be enemies to each other, except for the righteous

Malay

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana ada kalangan Musyrikin Mekah berdebat dengan Nabi Muhammad. Mereka yang berdebat dengan Nabi Muhammad tentang Nabi Isa dalam ayat-ayat itu adalah kawan-kawan rapat belaka. Itulah sebabnya mereka berani kerana ada kawan untuk sama-sama menggelakkan Nabi Muhammad. Begitulah manusia, apabila ada geng, mereka akan jadi berani terlebih.

Tetapi itulah jenis kawan yang menyebabkan mereka jadi sesat. Mereka sama-sama menempah tempat dalam neraka. Sama-sama bertolongan untuk keburukan, bukan untuk kebaikan. Semasa mereka di dunia, mereka berkawan amat rapat tapi di akhirat nanti, mereka akan menjadi musuh yang amat jauh.

Kalimah الْأَخِلَّاءُ adalah dari kata dasar خ ل ل (Khalil) yang bermaksud ‘menembus’ dan oleh itu ia bermaksud ‘kawan yang amat rapat’ yang menembus ke dalam hati dan bukan kawan yang biasa. ‘Khalil’ adalah persahabatan yang paling rapat sekali. Sepertimana Nabi Ibrahim diberi gelaran Khalilullah.

Selalunya, manusia menjadi sesat sebab ada kawan yang ajak mereka ke arah kesesatan itu. Merekalah yang mengajak kepada perkara yang tidak baik. Kita biasa sangat dengan kawan-kawan yang jenis macam ini. Mereka menjadikan perkara yang buruk nampak baik.

Apabila kita bersama dengan mereka, macam tidak ada apa-apa sahaja kesalahan yang kita lakukan. Kita rasa macam tak berapa bersalah apabila buat kejahatan bersama dengan dia. Mereka itulah yang jadi teman ponteng kelas, hisap rokok, mengintai anak dara orang dan sebagainya.

Bagaimana kawan yang rapat semasa di dunia dulu boleh menjadi musuh pula di akhirat? Sebagai contoh, ada orang yang beriman, tapi berkawan juga dengan kawan yang tidak beriman. Yang beriman itu nanti akan masuk syurga dan yang tidak beriman akan dimasukkan ke dalam neraka.

Semasa di Mahsyar lagi, mereka yang sudah ada masalah itu nanti akan merayu kepada kawannya yang beriman itu. Dia bersungguh-sungguh minta tolong kepada kawannya itu. Tapi kawannya akan memberitahu bahawa dulu semasa mereka di dunia, dia sudah ajak kawannya yang tidak beriman itu banyak kali untuk datang belajar, jangan buat perkara buruk dan sebagainya, tapi kawannya itu tidak mahu.

Maka, itulah sebabnya mereka dibezakan di akhirat kelak. Walaupun mereka di dunia dulu berkawan, tapi di akhirat nanti, mereka sudah tidak berkawan lagi. Mereka tidak boleh menolong orang lain. Mereka sudah jadi musuh sudah waktu itu.

Ada kawan yang halang kawan pergi untuk belajar atau buat kebaikan. Mungkin ada yang hendak pergi belajar Tafsir Al-Qur’an atau belajar di kelas agama, tapi ada pula kawannya yang berkata: “Buat apa yang kau sibuk nak belajar, jom kita pergi makan lagi bagus”. Sampai menyebabkan kawannya itu tidak jadi untuk belajar.

Maka, di akhirat kelak, kawan yang telah dipesongkan itu akan marah dengan kawannya yang menghalangnya itu, dan mereka menjadi musuh waktu itu. Kerana mereka akan kata: “Kalaulah bukan kerana kau, aku tentu sudah belajar dengan bagus dan tidak susah di akhirat ini! Nyah kau dari aku, aku dan kau musuh sekarang!”. Begitulah lebih kurang penjelasan yang boleh kita sampaikan.

 

إِلَّا الْمُتَّقِينَ

kecuali orang-orang bertaqwa.

Dalam kitab Tafsir Jalalyn, yang dimaksud dengan ‘taqwa’ adalah muwahhidoon – orang yang mengamalkan tauhid.

Persahabatan yang didasari oleh taqwa akan berterusan sampai ke syurga. Mereka itulah yang bersama-sama pergi belajar, bersama-sama berdakwah dan menegakkan hukum Allah. Mereka berkawan ‘kerana Allah’. Mungkin kenal di kelas pengajian dan perkenalan itu berterusan sampai mereka menjadi kawan yang rapat.

Bukanlah mereka berkawan kerana harta atau kerana kerja di tempat yang sama tetapi kerana persamaan akidah. Dan ini adalah persahabatan yang amat manis sekali. Persahabatan itu akan berkekalan sampai ke syurga. Sedangkan persahabatan yang didasari oleh perkara-perkara lain, tidak akan berterusan sampai ke syurga. Mereka hanya setakat berkawan di dunia sahaja.

Kita adalah makhluk yang bersosial. Kita memerlukan teman untuk berbicara, untuk buat kerja sama-sama dan sebagainya. Oleh itu, untuk buat kebaikan, ianya akan lebih mudah dengan adanya kawan yang boleh membantu dan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan usaha kita.

Masalahnya, untuk buat keburukan pun memerlukan kawan juga. Dan kita memang mudah terpengaruh dengan kawan. Kalau kawan itu baik, maka kita selalunya akan jadi baik dan kalau kawan itu jahat, maka kita boleh jadi jahat juga. Maka berjaga-jagalah dalam berkawan.

Ayat ini juga bermaksud, orang yang bertaqwa tidak terikut dengan kelakuan salah kawannya. Walaupun kawannya buat perkara yang tidak baik, dia tidak ikut kerana dia ada prinsip taqwa yang mantap dalam dirinya. Dia akan tegur kesalahan kawannya dan mengajak kawannya ke arah kebaikan.

Kerana dia tahu bahawa apa yang kawannya lakukan itu adalah salah dan akan membawa kepada keburukan di akhirat kelak. Orang yang bertaqwa seperti itu tidak masuk ke neraka disebabkan kawannya. Walaupun kawannya buat perkara syirik atau bidaah, dia tidak terkesan, kerana dia tidak ikut sekali. Dia tetap berkawan kerana dia hendak dakwah kepada kawannya itu.

Kawan yang baik akan mengajak kepada kebaikan. Mereka jugalah yang memberitahu tentang ilmu yang baik kepada kawannya. Kalau belajar agama, dia akan beritahu dan ajak kawannya sekali untuk sama-sama menadah ilmu. Dia akan kongsi bersama ilmu yang dia tahu walau sedikit mana pun.

Oleh itu, kalau anda belajar agama seperti belajar Tafsir Al-Qur’an, belajar Hadis, maka ajak kawan-kawan sekali. Begitu juga anda yang sedang membaca tulisan ini, kongsikan juga kepada kawan. Tidak perlu minta kebenaran, terus sahaja kongsikan. Telah dihalalkan awal-awal lagi. Kita memang memerlukan kawan-kawan yang sebegini.

Semoga Allah berikan kepada kita kawan-kawan yang mengingatkan kita kepada kebaikan, yang mengajak kita kepada kebaikan. Kadang-kadang kita rasa lemah dan lelah juga untuk beramal, malas nak kuliah agama dan sebagainya, harapnya Allah berikan kita kawan yang memberi semangat untuk kita.


 

Ayat 68: Ayat Tabshir Ukhrawi. Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa itu?

يٰعِبادِ لا خَوفٌ عَلَيكُمُ اليَومَ وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

Sahih International

[To whom Allah will say], “O My servants, no fear will there be concerning you this Day, nor will you grieve,

Malay

(Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”.

يٰعِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ

Allah Taala berfirman: “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini tidak ada ketakutan ke atas kamu;

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini (yang tidak disebut) – ini adalah kata-kata sambutan dari Allah. Ini adalah satu penghormatan kepada mereka. Dan ini menunjukkan yang mereka mendapat layanan baik dari Allah sendiri. Allah sendiri sambut mereka di syurga! Semoga kita termasuk dalam golongan ini, aameen.

Mereka yang dirujuk dalam ayat ini adalah orang-orang yang bertaqwa – yang berkawan kerana Allah, menolong sesama sendiri kepada jalan Allah. Allah sambut mereka dengan kata-kata yang menyenangkan apabila mereka sampai ke syurga nanti.

Ketakutan adalah perasaan tidak sedap dengan apa yang mungkin terjadi di masa hadapan. Maksudnya, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak. Mereka akan diselamatkan di setiap tempat pelepasan seperti yang telah disebut dalam ayat Zumar:61

وَيُنَجِّي اللهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

(Dan Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa di tempat ‘pelepasan’ mereka; mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita.)

‘Tempat Pelepasan’ yang dimaksudkan adalah tempat-tempat azab seperti kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka. Itulah tempat-tempat yang akan dikenakan kesusahan dan azab dan mereka yang beriman akan diselamatkan di tempat-tempat itu. Mereka juga akan dapat minum air dari Telaga Kautsar yang apabila minum sahaja air itu, tidak akan dahaga sampai bila-bila.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:

Dalam kalimat عِبَادِ itu, sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim. Dalam ilmu balaghah, ini adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia terus meningkatkan ketaqwaannya.

Dalam ayat ini, digunakan kalimah عِبَادِ dengan dihazafkan ي kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang tenang dan telah ditetapkan imannya, tidak akan goyah lagi. Dan yang mendapat kedudukan itu adalah hamba yang istiqamah dalam ibadah.

 

وَلَا أَنتُمْ تَحْزَنُونَ

dan kamu pula tidak akan berdukacita”.

Kalau ‘takut’ itu adalah perasaan tidak senang kepada apa yang akan terjadi di masa hadapan, ‘dukacita’ adalah perasaan yang tidak sedap dengan apa yang telah terjadi dahulu. Iaitu, apabila kita teringat sesuatu yang terjadi dahulu, menaikkan perasaan sedih. Jadi, ‘takut’ untuk masa hadapan, dan ‘dukacita’ adalah untuk masa lampau.

Termasuk dalam sedih itu adalah perasaan menyesal atas perbuatan mereka yang lalu. Itulah yang akan terjadi kepada mereka yang tersilap memilih kawan sampaikan mereka berbuat benda yang salah sampaikan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan sedih mengenangkan kesilapan lampau yang mereka lakukan.

Apabila dalam syurga, tidak akan ada langsung perasaan sedih. Kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala nikmat. Kalau ada perasaan sedih, akan berkuranglah kenikmatan itu. Di syurga nanti, tidak akan rasa sedih kerana kita tidak ingat pun segala masalah, segala kesusahan semasa di dunia dulu.

Kita sampaikan tidak terkenangkan lagi orang yang kita sayang pun kalau mereka tidak masuk ke syurga. Katakanlah anak kita tidak dapat masuk syurga, atau ayah, atau ibu… kita tidak teringatkan mereka. Allah akan cabut perasaan itu dari kita. Kerana kalau kita terkenangkan mereka, kita akan rasa sedih. Dan Allah tidak mahu kita rasa sedih kalau kita ahli syurga.

Lihatlah penggunaan nahu dalam ayat ini. Allah akan berkata sendiri kepada penghuni syurga itu. Alangkah nikmatnya, Allah sendiri yang akan memberitahu kita yang kita tidak perlu takut dan tidak akan bersedih. Itu akan menenangkan kita. Kalau orang lain yang cakap, belum tentu lagi.


 

Ayat 69: Siapakah mereka yang selamat itu?

الَّذينَ ءآمَنوا بِئآيٰتِنا وَكانوا مُسلِمينَ

Sahih International

[You] who believed in Our verses and were Muslims.

Malay

(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,

الَّذِينَ ءآمَنُوا بِئآيٰتِنَا

(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami,

Mereka itu yang beriman dengan sebenarnya. Apabila mereka beriman, mereka juga kenalah beramal dengan ayat-ayat itu. Maka, hendaklah kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan belajar memahami hadis-hadis Nabi dari mereka yang tahu, supaya kita dapat faham agama ini dari sumber yang sahih. Bukan dari mereka yang jahil.

Kerana salah belajar akan menyebabkan kita salah faham. Maka, bukan hanya memilih kawan sahaja kita kena berhati-hati, tapi memilih guru pun kena lebih berhati-hati lagi. Kerana silap pilih gurulah yang menyebabkan ramai akan salah mengamalkan agama ini.

 

وَكَانُوا مُسْلِمِينَ

serta mereka dahulu orang-orang Islam yang taat patuh,

Iaitu dulu mereka taat dan patuh dengan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. ‘Muslim’ bermaksud orang yang tunduk patuh seluruhnya kepada arahan Allah dengan ikut syariat. Janganlah kita baca sahaja ayat-ayat Allah tapi kita tidak tunduk patuh. Maka kenalah belajar apakah syariat yang perlu kita ikuti.


 

Ayat 70: Masih dalam ayat tabshir lagi.

ادخُلُوا الجَنَّةَ أَنتُم وَأَزوٰجُكُم تُحبَرونَ

Sahih International

Enter Paradise, you and your kinds, delighted.”

Malay

(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.

ادْخُلُوا الْجَنَّةَ

Masuklah kamu semua ke dalam Syurga

Inilah nikmat yang amat besar sekali. Yang paling penting, di syurga juga barulah kita dapat melihat Allah. Ini adalah nikmat yang amat besar. Takkan kita tidak teringin hendak melihat Allah yang telah menjadikan kita?

Sekali lagi, Allah sendiri bercakap dengan kita. Alangkah nikmatnya!

 

أَنتُمْ وَأَزْوٰجُكُمْ تُحْبَرُونَ

kamu dan isteri-isteri kamu, dalam keadaan bergembira”.

Kalimah تُحْبَرُونَ bermaksud mereka itu gembira yang amat sangat sampaikan tidak ada ruang untuk bersedih.

Allah suruh ahli syurga masuk dengan pasangan dia. Kerana ‘kawan yang baik’ termasuklah juga pasangan hidup kita. Bukan di dunia sahaja mereka menjadi pasangan kita, tapi boleh sampai ke syurga. Dengan syarat, mereka juga beriman. Tentulah amat membahagian sekali kalau kita dapat masuk ke syurga dengan pasangan hidup kita semasa di dunia dulu.

Kalimah تُحْبَرُونَ dari katadasar ح ب ر yang bermaksud ‘mencantikkan sesuatu’. Jadi perkataan تُحْبَرُونَ bermaksud ‘dicantikkan’ iaitu apabila muka kita berseri-seri dengan kegembiraan. Itulah kecantikan yang sebenarnya. Kadang-kadang, ada orang yang dipakaikan dengan baju dan perhiasan yang cantik, tapi muka mereka tidak berseri dengan kegembiraan kerana mereka sebenarnya tidak gembira.

Tetapi, apabila dimasukkan ke dalam syurga, memang jelas yang wajah mereka akan berseri dengan kegembiraan. Bukankah kecantikan seseorang itu lebih terserah dengan cahaya kegembiraan pada wajahnya?


 

Ayat 71:

يُطافُ عَلَيهِم بِصِحافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكوابٍ ۖ وَفيها ما تَشتَهيهِ الأَنفُسُ وَتَلَذُّ الأَعيُنُ ۖ وَأَنتُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

Circulated among them will be plates and vessels of gold. And therein is whatever the souls desire and [what] delights the eyes, and you will abide therein eternally.

Malay

Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.

يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ

Mereka diedari dengan talam-talam dari emas dan piala;

‘Diedari’ itu bermaksud mereka akan dihulurkan bersilih ganti dengan talam-talam dan piala-piala itu. صِحَافٍ adalah talam yang saiz makanan di dunia boleh mengenyangkan lima orang.

Kalimah أَكْوَابٍ pula diterjemahkan sebagai ‘piala’ yang merujuk kepada bekas minuman yang besar mulutnya yang tidak ada pemegang padanya. Dan ia memang khas digunakan untuk minum arak. Kalau orang Arab memang sudah anggap yang ia digunakan untuk minum arak dan bukan minum air yang lain.

Ia tidak mempunyai pemegang kerana kita boleh minum dari bahagian mulut mana-mana sahaja, yang susah untuk dilakukan jika ada pemegangnya. Dan kalau ada pemegang, kadang-kadang bukankah pemegangnya tidak selesa? Lihatlah bagaimana detail sekecil itu pun dipermudahkan untuk kita.

Dan ianya diperbuat dari emas syurga, bukan emas dunia, jadi tidak sama kualiti keduanya. Emas di dunia ini hanya ciplak kepada emas di syurga sahaja jadi kualitinya pasti tidak sama. Macam bandingan antara iphone sebenar dengan iphone replika yang diletakkan di kedai.

Kalimah يُطَافُ juga bermaksud mereka akan diberikan dengan hidangan itu dari berbagai arah. Kalau kita di restoran di dunia, kita tahu makanan kita akan sampai dari mana iaitu dari arah dapur sahaja kerana dari situlah makanan datang, bukan? Tapi di syurga nanti, ianya akan diberikan dan dihulurkan kepada kita dari semua arah.

Ini sebagai isyarat yang makanan yang diberikan kepada kita itu banyak sampaikan kena diberikan dari semua arah. Dan memang kita akan makan dengan amat banyak sekali di sana. Seorang ahli syurga akan diberikan dengan nafsu makan seribu orang!

Padahal, ahli syurga bukan lapar pun. Ini kerana lapar adalah satu keburukan dan ketidakselesaan, maka tentu ia tidak ada di syurga. Cuma mereka makan kerana hendak makan sahaja, untuk memuaskan nafsu makan sahaja, untuk menikmati hidangan yang lazat itu. Bukannya makan untuk menghilangkan lapar kerana lapar memang tidak ada.

 

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ

dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu

Kita akan mendapat apa sahaja yang kita mahu. Dan setiap manusia mempunyai kemahuannya yang berlainan. Ada orang yang suka makanan yang manis dan ada orang suka makanan yang pedas. Ada yang suka berjalan-jalan, ada yang suka bersembang, macam-macam.

Segala keinginan nafsu kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ini tidak salah kerana memang di syurga adalah tempat untuk memuaskan nafsu sahaja – di dunia sahaja kita kena tahan nafsu kita, tapi di syurga, boleh memenuhinya. Begitulah, kalau kita tahan nafsu kita di dunia, kita akan dipuaskan nafsu kita di syurga.

Ada berbagai minat yang berlainan bagi manusia. Sampaikan ada yang mahu bercucuk tanam kerana dia suka, sedangkan segalanya telah tersedia di dalam syurga. Itu pun diberikan kepada ahli syurga itu.

Dari Abu Hurairah, dia mengisahkan, “Pada suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang berbincang-bincang dengan para sahabatnya, di sisi baginda ada seorang laki-laki dari ahli badi’ah (Arab Dusun pen.). Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sesungguhnya ada seseorang dari ahli jannah yang meminta kepada Rabb-nya untuk bertani maka Allah berfirman, ‘Bukankah engkau sudah mendapatkan apa yang engkau inginkan?’ Maka dia menjawab, ‘Ya, tetapi aku suka bercucuk tanam.’ Maka Allah pun mengizinkannya. Lalu dia segera menebar benih, dan dalam waktu sekelip mata, (benih itu) tumbuh, meranum, dan tiba waktu tuainya. Dan hal itu pun (menumpuk) seperti gunung. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, ‘Wahai anak Adam, ambillah (semuanya), maka sesungguhnya hal itu tidak akan mengenyangkan sedikit pun.’ Maka dia (laki-laki dari Arab dusun) itu berkata, ‘Demi Allah, engkau tidak akan menjumpai mereka kecuali (mereka adalah) orang-orang Quraisy atau orang-orang Ansar, kerana mereka adalah orang-orang yang suka bertani, (sedangkan kami bukan orang-orang yang suka bercucuk tanam, pen.). maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pun tertawa.” (HR. Bukhari dalam Kitabul Harsi wal Muzaro’ah, no.2348 dan Ahmad, 2:512)

Allah sebut pemberian di syurga itu dalam lafaz umum sahaja – boleh dapat apa sahaja yang dikehendaki oleh nafsu – kerana tidak boleh nak sebut satu persatu kerana banyak sangat.

 

وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ

serta dipandang indah oleh mata;

Kalimah تَلَذُّ bermaksud ‘lazat’ iaitu apa yang kita sukai. Maknanya pandangan kita pun ada lazatnya juga. Di syurga nanti ada benda-benda yang hanya dengan melihatnya pun kita sudah menggembirakan kita kerana cantiknya, kerana indahnya. Tidak dapat nak dibayangkan semasa kita di dunia ini.

Kelazatan itu memang ada pada ‘rasa’ dan juga ada pada ‘pandangan’. Selalunya ‘lazat’ itu kita gunakan untuk lidah, bukan? Tapi ada juga lazat untuk pandangan kita. Bukankah sebelum kita makan, kita akan melihat kepada makanan itu? Kadang-kadang dengan melihat kepada rekaan dan susunan pada makanan itu sahaja sudah membuka selera kita.

Sebab itulah sekarang ramai dikalangan orang-orang muda suka menangkap gambar makanan dan menyebarkannya kepada rakan-rakan mereka di Facebook dan Instagram. Walaupun mereka tidak dapat memberi rasa lazat makanan itu kepada kawan-kawan mereka, tapi mereka dapat memberi ‘kelazatan’ pada pandangan mata.

Begitu juga dengan pakaian kita. Sebelum kita pakai dan merasai kesedapan pada kain itu, kita akan melihat kepada warnanya, coraknya, potongannya, bukan?

Lihatlah bagaimana di syurga nanti, kedua-dua jenis kelazatan itu akan diberikan oleh Allah kepada kita. Lazat pada lidah dan pada pandangan mata juga.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَأَنتُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.

Kalau dalam dunia apabila kita berada tempat yang kita suka, tempat nyaman, menang kita suka. Tapi sebenarnya dalam hati kita, kita tahu yang lama kelamaan kita perlu meninggalkan tempat itu juga. Contohnya, kita duduk di hotel yang paling mahal di dunia – kita tahu yang kita akan tinggal sekejap sahaja dan akhirnya akan keluar juga.

Pengetahuan itu akan mengurangkan kenikmatan kita di tempat itu kerana kita tahu yang kita kena meninggalkannya. Akan ada sedikit rasa sedih dalam hati kita terutama bila sudah semakin hendak tinggalkan tempat itu.

Tetapi ini tidak akan berlaku di syurga nanti kerana ahli syurga akan tetap kekal di syurga selama-lamanya. Itulah satu nikmat yang besar – kita tahu yang kita akan selamat di dalamnya. Perasaan kita akan tenang mengetahuinya. Dan ini adalah satu lagi tambahan nikmat.


 

Ayat 72:

وَتِلكَ الجَنَّةُ الَّتي أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And that is Paradise which you are made to inherit for what you used to do.

Malay

Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.

وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا

Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang kamu mewarisinya,

Kita mewarisi syurga itu dari datuk kita Nabi Adam a.s. Tujuan hidup kita adalah hidup di dunia supaya kita kembali mendapat hak kita, iaitu kedudukan kita di syurga.

Dan kita hanya dapat mewarisinya jika kita ada hubungan rapat dengan tuan syurga itu, iaitu Allah. Kalau tidak ada hubungan rapat, tidak mendekatkan diri, jangan haraplah.

 

بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.

Huruf ب dalam ayat ini adalah ‘ba sababiah’ – penyebab terjadinya sesuatu. Kita masuk syurga kerana usaha kita. Maknanya untuk kita mendapat Syurga itu, memerlukan usaha yang gigih dari kita untuk beramal. Bukanlah hanya duduk-duduk goyang kaki sahaja. Kehidupan dunia ini bukanlah hanya untuk membuang masa sahaja tetapi mestilah dipenuhi dengan amal ibadat yang sah. Jangan pula buat ibadat bidaah.

Kita masuk ke syurga kerana rahmat dari Allah. Tidak layak untuk kita kata kita masuk syurga kerana amal kita. Tapi, dalam ayat ini, Allah yang beritahu kita yang Dia masukkan kita ke dalam syurga kerana apa yang kita telah kerjakan. Bagaimana nak kompromi dua perkara ini?

Itu bezanya – kita sendiri tidak boleh cakap begitu, tapi Allah berhak untuk mengatakannya, kerana Dia yang menentukan apa yang menjadi punca untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Sebagai perumpamaan, katakanlah seorang ayah menjual tanahnya kepada anaknya. Tanah itu berharga sejuta tapi dia jual sepuluh ribu sahaja dengan anak dia. Maka anak itu tidak boleh kata tanah itu berharga sepuluh sahaja kerana itu bukan harga pasaran. Tapi ayahnya kata: “Kau bagi sepuluh ribu, tanah itu kau punyalah”.


 

Ayat 73:

لَكُم فيها فٰكِهَةٌ كَثيرَةٌ مِّنها تَأكُلونَ

Sahih International

For you therein is much fruit from which you will eat.

Malay

“Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya”.

لَكُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ كَثِيرَةٌ

“Untuk kamu di dalamnya berbagai jenis buah-buahan,

Disebut ‘buah-buahan’ kepada bangsa Arab kerana mereka tinggal di tempat yang tidak banyak buah-buahan. Jadi, diberikan motivasi kepada mereka dalam bentuk perkara yang memang dipandang tinggi oleh mereka. Mereka amat suka kepada buah-buahan. Kita pun suka juga makan buah-buahan, bukan?

Dan buah-buahan itu amat banyak. Tidak akan berkurangan dan tidak ikut musim. Ini pun nikmat juga. Macam di dunia, selalunya buah itu ikut musim. Sebagai contoh, durian kena tunggu musim dia baru boleh kita nak beli. Kalau ada duit pun, tapi kalau musim belum sampai lagi, tidak boleh di mana-mana.

 

مِّنْهَا تَأْكُلُونَ

darinya kamu makan”.

Kalimat مِّنْهَا bermaksud kita boleh makan apa-apa sahaja buah yang ada di dalam syurga itu. Kita boleh pilih mana-mana buah yang kita suka. Dan tidak ada buah yang membahayakan. Kerana kalau dalam dunia, bukan semua buah boleh makan. Kalau makan durian pun, ada orang yang tidak boleh makan.

Dan kalau yang boleh makan pun, tidak boleh makan banyak sangat. Tapi di syurga nanti, tidak ada masalah langsung nak macam buah apa, berapa banyak pun.

Semua yang disebut di atas adalah sebahagian sahaja ‘bayang-bayang’ yang diberikan kepada kita tentang apakah yang kita akan dapat di syurga nanti. Pada hakikatnya tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan tepat. Seperti yang Allah firmankan dalam Sajdah:17

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Apa yang ahli syurga akan dapat adalah berlebih-lebih lagi dari apa yang telah disebut dalam ayat-ayat Al-Quran. Sampaikan tidak dapat dibayangkan dengan mata dan difikirkan oleh akal. Yang diberitahu adalah sebagai motivasi kepada kita untuk berusaha beramal.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 61 – 66 (Nabi Isa tanda Kiamat)

Ayat 61: Kembali kepada kisah Nabi Isa a.s. Sekarang Allah hendak memberitahu yang penurunan baginda adalah tanda dekatnya Hari Kiamat.

وَإِنَّهُ لَعِلمٌ لِّلسّاعَةِ فَلا تَمتَرُنَّ بِها وَاتَّبِعونِ ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Sahih International

And indeed, Jesus will be [a sign for] knowledge of the Hour, so be not in doubt of it, and follow Me. This is a straight path.

Malay

Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

Dan sesungguhnya kedatangan Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat,

Seperti yang kita tahu, Nabi Isa telah diangkat ke langit dan baginda akan diturunkan kembali nanti. Ayat ini sebagai isyarat dan maklumat lebih lanjut tentang penurunan kedua Nabi Isa a.s. seperti yang ada dalam riwayat hadis. Penurunan baginda itu adalah sebagai tanda yang Hari Kiamat sudah hampir.

Inilah satu lagi kelebihan Nabi Isa iaitu sebagai maklumat yang Hari Kiamat sudah dekat. Ia adalah tanda besar. Apabila baginda diturunkan semula, baginda akan memperbetulkan kembali agama Kristian (kembali kepada agama Islam). Baginda juga akan membunuh Dajjal yang telah menyesatkan manusia pada waktu itu. Ketika itu semua Nasara akan masuk Islam dan akan bergabung dengan orang Islam yang lain untuk menentang Yahudi yang diketuai oleh Dajjal. Ini seperti yang diberitahu dalam hadis. Kedatangan baginda itu sebagai tanda yang akhir zaman sudah dekat.

Tafsiran kedua, dhomir إِنَّهُ dalam ayat ini merujuk kepada Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an ada ilmu tentang kiamat. Sesiapa yang mahu tahu tentang akhirat, maka silalah baca Al-Qur’an dan tentu akan percaya adanya Hari Akhirat. Kerana Al-Qur’an ada ilmu yang sempurna tentang kiamat.

Tafsiran ketiga, kelahiran Nabi Isa sendiri adalah tanda dan hujah bagi hari kebangkitan semula. Kalau Allah boleh hidupkan seorang manusia tanpa bapa, maka tentulah Allah boleh nak hidupkan kembali manusia di hari akhirat nanti. Kuasa Allah tiada batasnya.

 

فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا

maka janganlah kamu ragu-ragu tentangnya,

Janganlah kita ragu-ragu tentang datangnya Hari Kiamat itu. Ianya pasti akan datang. Sama ada kamu setuju atau tidak, percaya atau tidak, ia tetap akan datang juga. Maka sepatutnya kita terimalah sahaja, kerana kalau tolak pun ia tetap datang juga, bukan?

 

وَاتَّبِعُونِ هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

dan turutlah aku; inilah jalan yang lurus.

Nabi Muhammad disuruh untuk mengajak kaumnya untuk mengikuti jalan yang dibawanya itu – Jalan Tauhid. Itulah jalan yang lurus – ikut dan taat kepada Allah. Kita selalu berdoa dalam Surah Fatihah dalam solat kita setiap hari supaya ditunjukkan jalan yang lurus. Maka, inilah dia jalan yang lurus!

Jalan yang lurus itu adalah dengan mengikuti jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad, iaitu jalan Tauhid. Iaitu kita mengikut jejak langkah Nabi mentauhidkan Allah. Untuk mengetahuinya, hendaklah kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan juga hadis Nabi. Tidak ada cara yang lain, wahai umat Islam sekalian.


 

Ayat 62:

وَلا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيطٰنُ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Sahih International

And never let Satan avert you. Indeed, he is to you a clear enemy.

Malay

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطٰنُ

Dan janganlah Syaitan menghalang kamu

Jangan biarkan syaitan menghalang kita daripada menurut jalan yang lurus; Juga jangan biarkan syaitan menghalangi kita dari bersedia buat persiapan untuk menghadapi hari kebangkitan. Jangan biarkan syaitan menghalang kita dari Tauhid.

Syaitan akan sentiasa membisikkan kepada kita perkara-perkara yang tidak baik. Antaranya syaitan akan mengindahkan kehidupan dunia ini sampaikan kita lupa untuk bersedia menghadapi akhirat. Kita sibuk menikmati kehidupan kita sampaikan kita lupa untuk beramal ibadat sebagai persediaan kita di akhirat.

Syaitan juga akan membisikkan perkara-perkara yang bidaah dan syirik supaya kita amalkan, kerana kalau buat syirik, akan kekal dalam neraka dan itulah yang mereka mahu.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Syaitan telah berjanji untuk menyesatkan kita. Mereka tidak mahu kita masuk syurga. Syaitan mahu kita bersama-sama mereka dalam neraka. Maka, kita kenalah berhati-hati. Kita kena ingat yang Syaitan tidak akan melupakan kita. Mereka tidak ada kerja lain lagi dari menyesatkan kita.

Mereka musuh yang nyata kerana mereka sendiri mengaku musuh kita seperti yang disebut dalam Al-Quran. Selalunya kita ada musuh tapi musuh itu tidak mengaku. Tapi syaitan mengaku dengan terang.

Dan apabila digunakan kalimah لَكُمْ (untuk kamu) dalam ayat ini dalam susunan sebegini, ia memberi isyarat yang itulah kerja khusus syaitan. Mereka tidak ada kerja lain melainkan untuk menyesatkan manusia. Maka mereka memang fokus nak sesatkan manusia.

Dan ia juga bermaksud mereka tidak pernah jadi kawan kepada kita, tapi 100% musuh kepada kita. Tidak pernah ada walau pun seekor syaitan yang baik yang mahukan kebaikan untuk kita. Semua sekali mahukan keburukan untuk kita dan mahu menipu kita.


 

Ayat 63: Dalil Naqli Tafsili (kerana ada disebut nama Nabi). Sekarang disebut sedikit kisah Nabi Isa a.s.

وَلَمّا جاءَ عيسىٰ بِالبَيِّنٰتِ قالَ قَد جِئتُكُم بِالحِكمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعضَ الَّذي تَختَلِفونَ فيهِ ۖ فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطيعونِ

Sahih International

And when Jesus brought clear proofs, he said, “I have come to you with wisdom and to make clear to you some of that over which you differ, so fear Allah and obey me.

Malay

Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

وَلَمَّا جَاءَ عِيسَىٰ بِالْبَيِّنٰتِ

Dan ketika Nabi Isa datang dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Ini ketika Nabi Isa datang kepada kaumnya, Bani Israil. Nabi Isa datang dengan membawa berbagai-bagai keterangan yang diberikan oleh Allah bagi membuktikan kenabian baginda. Baginda bukannya datang dengan tangan kosong, tapi baginda bawa bukti. Samalah dengan kita juga: apabila kita berdakwah, jangan dakwah dengan tangan kosong tapi bawalah dari Al-Qur’an dan hadis.

 

قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِالْحِكْمَةِ

berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat,

‘Hikmah’ itu boleh diterjemahkan dalam banyak maksud:

  • Hikmah kebijaksanaan.
  • Hukum dalam Injil. Yang mengandungi ajaran akidah dan syariat. Dan ada hukum yang tidak sama dengan Kitab Taurat. Maknanya dari dulu lagi sudah ada pembatalan hukum dan ini biasa sahaja. Jadi jangan hairanlah kalau ada pembatalan hukum dengan datangnya Al-Qur’an. Oleh itu, bila datang Al-Qur’an, Bani Israil kena terimalah pembatalan hukum yang ada dalam Taurat dan Injil itu.
  • Pati agama. Mengingatkan kaumnya kembali kepada asas agama. Kerana Bani Israil sudah ada Taurat tapi mereka sudah lupa dan tinggalkan ajaran sebenar. Kerana mereka sudah pakai ajaran rekaan ahli agama mereka. Maka mereka kena diingatkan kembali dengan ajaran tauhid yang sudah lama mereka tinggalkan.

 

وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ

dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya.

Nabi Isa a.s. telah diturunkan di waktu Bani Israil berpecah belah antara mereka kerana berbagai-bagai pendapat yang berbeza. Perbezaan mereka itu termasuklah dalam perkara aqidah. Ini adalah kerana para pemuka agama mereka telah mengubah-ngubah ajaran agama sampaikan mereka telah jauh dari agama yang benar. Maka Nabi Isa diturunkan untuk memperjelaskan manakah akidah dan amalan mereka yang salah itu.

Walaupun mereka ada Kitab Taurat tapi mereka bertelagah tentangnya. Kerana telah ada penukaran dan penyembunyian dalam kitab itu oleh pendeta-pendeta mereka. Dalam ayat ini disebut kalimah بَعْضَ yang bermaksud ‘sebahagian’ sahaja. Ini adalah kerana tidaklah semua pembetulan akan dilakukan. Ada perkara-perkara yang kecil dan remeh temah yang tidak perlu disentuh.

Samalah sekarang dalam masyarakat kita. Ramai yang sudah tidak tahu apakah tauhid dan apakah syirik. Mereka sudah jauh dari wahyu dan kerana itu mereka tidak tahu lagi tentang agama. Maka untuk merapatkan kembali mereka kepada agama tauhid, kenalah ajak mereka belajar tafsir Al-Qur’an. Kena semarakkan pengajaran tafsir Al-Qur’an dalam kehidupan kita kembali.

 

فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطِيعُونِ

Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Maka, hendaklah bertaqwa iaitu menjaga hukum dalam setiap amalan dalam kehidupan. Dalam setiap perkara, kena perhatikan apakah yang Allah kehendaki kita lakukan dalam perkara itu.

Dan hendaklah golongan Nasara itu taat kepada Nabi Isa. Macam kita juga, kena taat dengan ajaran Nabi Muhammad. Tidak ada makna kalau hendak ikut kepada Kitab Wahyu, tapi tidak ikut kepada Rasul yang menyampaikan. Maka tidak ada makna nama orang Islam tapi tidak tahu tafsir Al-Qur’an dan tidak tahu ajaran dari Hadis.


 

Ayat 64: Allah menegaskan yang Nabi Isa tidak pernah suruh manusia sembah dia.

إِنَّ اللهَ هُوَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Sahih International

Indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. This is a straight path.”

Malay

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu,

Allah menekankan lagi kedudukan Nabi Isa di dalam ayat ini dimana Nabi Isa sendiri mengaku yang Allah itu adalah Rabbnya. Lalu bagaimana ada manusia yang kata yang baginda itu adalah tuhan, Anak Tuhan, atau sebahagian dari Tuhan?

Itu semua adalah pembohongan sahaja yang sebenarnya tidak ada dalam kitab asal mereka pun. Malah, kalau dilihat dalam Bible sekarang pun, tidak ada di mana-mana ayat yang mengatakan dengan jelas bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Yang difahami oleh penganut Kristian sekarang adalah hanya kata-kata ahli agama mereka dan ketua mereka yang telah menipu mereka. Kerana ketua agama itu pun tertipu juga.

 

فَاعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

Nabi Isa suruh umatnya menyembah Allah, bukan menyembah dirinya. Itulah jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah ‘menyembah Allah’. Dan hanya menyembah Allah sahaja tanpa ada disembah entiti yang lain.

Satu lagi maksud فَاعْبُدُوهُ adalah ‘menghambakan diri kepadaNya’. Kita kenalah menjadi hamba kepada Allah. Kena taat kepada segala suruhanNya.

Kita selalu memohon supaya ‘diberikan kita jalan yang lurus’ dalam bacaan Fatihah kita, sekurang-kurangnya dalam solat kita. Ayat ini memberitahu kepada kita, ‘Jalan yang Lurus’ adalah ‘menyembah Allah’ sahaja.

Kalau beginilah kata-kata Nabi Isa, maka penganut Kristian yang sekarang mengaku mengikut Nabi Isa pun kenalah ikut juga sebegini. Penjelasan dari Nabi Isa itu sudah jelas sangat. Tapi masih ada yang tidak mahu ikut. Jadi kalau sekarang sudah jelas tapi masih ada yang tidak ikut juga, itu adalah perkara biasa.


 

Ayat 65: Takhwif Duniawi.

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ ظَلَموا مِن عَذابِ يَومٍ أَليمٍ

Sahih International

But the denominations from among them differed [and separated], so woe to those who have wronged from the punishment of a painful Day.

Malay

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan bersekutu berselisihan sesama sendiri.

Kumpulan yang timbul selepas Nabi Isa diangkat telah berselisih tentang Nabi Isa. Ada yang kata baginda itu seorang Rasul dan manusia sahaja, ada yang kata baginda sebahagian daripada Tuhan, ada yang kata baginda sendiri Tuhan, ada yang kata baginda ahli sihir, ada yang kata baginda adalah seorang Nabi dan macam-macam lagi.

Sampai sekarang terdapat perbezaan pendapat yang berbagai-bagai itu masih ada lagi dikalangan manusia. Maka kerana itu ada beribu-ribu mazhad di kalangan Kristian. Mereka pun pening nak pilih mana satu mazhab yang hendak diamalkan.

 

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang zalim itu,

Kezaliman yang dimaksudkan adalah pendapat mengatakan yang Nabi Isa bukan seorang Rasul tapi anak Tuhan atau sebahagian daripada Tuhan, atau Tuhan sendiri. Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan terhadap Allah.

 

مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ

dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

Iaitu mereka akan dikenakan azab itu pada hari Kiamat. Mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih. Padahal orang Nasrani ini ramai yang baik-baik, suka menolong orang. Tapi kerana salah faham dalam bab agama ini, mereka dikenakan dengan azab yang pedih, amat pedih.

Lihatlah yang kena azab seksa itu adalah mereka yang berbuat kezaliman iaitu kerana kufur dan syirik. Mereka yang disembah seperti Nabi Isa tidak bersalah dan mereka tidak akan dikenakan dengan azab.

Oleh itu jikalau manusia yang mengaku beragama Islam pun menyembah Nabi, wali dan malaikat, mereka pun akan dikenakan dengan azab neraka. Tidaklah Nabi, wali dan malaikat itu bersalah kerana mereka tidak pernah pun suruh mereka dipuja.


 

Ayat 66: Takhwif Ukhrawi.

هَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Sahih International

Are they waiting except for the Hour to come upon them suddenly while they perceive not?

Malay

(Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan.

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ

Tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat

Mereka yang tidak mahu beriman itu tidaklah ada yang mereka tunggu melainkan kematian sahaja. Walaupun banyak kali Nabi Muhammad telah berdakwah dan berhujah dengan mereka tetapi mereka masih tidak mahu menerima iman dan hanya mahu berdebat sahaja. Kerana kehidupan mereka mungkin senang sahaja tidak ada masalah, jadi mereka tidak mahu beringat-ingat. Tapi ingat, di akhirat nanti mereka tidak akan lepas.

Macam juga dengan ramai orang di kalangan kita sekarang. Mereka tidak mahu menerima Islam yang sebenar. Sampailah mereka mati tidak beriman dengan ajaran tauhid. Kalau dalil dari Al-Qur’an pun mereka tidak terima, maka tidak ada dalil lain lagi. Mereka hanya menunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

Bagaimana dengan kalangan kita yang sudah Islam? Ada ramai dari kalangan mereka yang hanya Islam pada nama sahaja. Tidak ambil kisah pun tentang agama, tentang amalan dan ilmu tentang agama. Mereka tidak kisah tentang Al-Qur’an pun.

Kalau diajak untuk belajar agama, belajar tafsir, mereka akan ada sahaja alasan – sibuk, anak sakit, anak nak kena dihantar ke tuisyen. Mereka kata bila mereka senang, mereka akan datang. Sampai bila? Sampai mereka mati tidak belajar.

 

أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً

yang akan datang kepada mereka secara mengejut,

Sampai mereka mati, mereka masih tidak beriman dan tidak belajar. Kerana mati itu adalah ‘Kiamat Kecil’. Setiap manusia akan mati. Dan mati itu akan datang mengejut. Mati datang tanpa memberitahu kepada kita bilakah ianya akan datang. Ianya mengejut kerana tidak sempat nak perbaiki akidah dan amalan. Sedar-sedar sudah dalam kubur dan sudah terlambat untuk buat apa-apa lagi. Sedar-sedar, malaikat sedang tanya soalan dalam kubur.

 

وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

dan mereka tidak menyedarinya.

Mereka tidak sedar bilakah kematian mereka akan datang. Kita pun tidak tahu. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bila mereka akan mati. Keluar dari rumah, entah-entah dilanggar motor atau kereta, terus mati. Sedar-sedar sahaja Malaikat Maut sudah hadhir dan kita sudah berada di dalam alam barzakh.

Maka kenalah kita sentiasa beringat-ingat tentang kematian. Apabila kita lihat orang lain setiap hari ada sahaja yang mati, ingatlah bahawa kita pun akan sampai masa kita. Jangan kita buat perkara yang berdosa, jangan kita tidak hirau tentang agama. Jangan tangguh nak belajar agama kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Jangan tangguh beramal. Jangan juga tangguh untuk bertaubat kerana Malaikat Maut boleh menjemput bila-bila masa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani