Tafsir Surah an-Nisa Ayat 11 (Kiraan Pembahagian Pusaka Anak dan Ibubapa)

Ayat 11: Ayat ini adalah hukum ketujuh, iaitu tentang pembahagian harta pusaka (Hukum Faraid).

Faraidh adalah bentuk jamak dari al-faridhah yang bermakna sesuatu yang diwajibkan, atau pembahagian yang telah ditentukan sesuai dengan kadarnya masing-masing. Jadi ini adalah ilmu fardhu yang wajib diketahui oleh semua orang. 

Ilmu faraidh adalah ilmu yang mempelajari tentang perhitungan dan tata cara pembahagian harta warisan untuk setiap ahli warits berdasarkan syariat Islam. Ini adalah penting kerana ia melibatkan harta dan seperti kita tahu, bab harta ini memang sensitif dan manusia boleh berperang kerananya. 

Selain itu, ilmu faraidh juga disebut dengan ilmu warits, kerana ilmu faraidh berkenaan dengan pembagian harta warisan. Adapun definisi ilmu warits adalah:

“Berpindahnya hak kepemilikan dari orang yang meninggal kepada ahli waritsnya yang masih hidup, baik yang ditinggalkan itu berupa harta (wang), tanah, atau apa sahaja yang berupa hak milik secara syari’i. (Pembagian Warits Menurut Islam, Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni, hal. 5)

Pembahagian harta faraid dimulakan dengan anak-anak dan ibubapa. Ini adalah kerana konsep pemberian harta pusaka ini berdasarkan kepada kedekatan penerima dengan simati. Oleh kerana anak-anak dan ibubapa yang rapat dengan simati, maka urusan mereka dahulu disebut sebelum orang lain.

يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ وَإِن كَانَتْ وٰحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ءآبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh instructs you concerning your children [i.e., their portions of inheritance]: for the male, what is equal to the share of two females. But if there are [only] daughters, two or more, for them is two thirds of one’s estate.¹ And if there is only one, for her is half. And for one’s parents, to each one of them is a sixth of his estate if he left children. But if he had no children and the parents [alone] inherit from him, then for his mother is one third. And if he had brothers [and/or sisters], for his mother is a sixth,² after any bequest he [may have] made or debt.³ Your parents or your children – you know not which of them are nearest to you in benefit. [These shares are] an obligation [imposed] by Allāh. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

  • Literally, “that which he left.”
  • Although the siblings themselves do not inherit in this case.
  • Based upon prophetic ḥadīths, scholars have ruled that debt takes precedent over a bequest, that a bequest may not include any who inherit by law, and that the total bequest may not be more than one third of one’s estate. After the fulfillment of debts and bequests (if any), the remainder of the estate is to be divided according to the ordinances in this sūrah.

MALAY

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu dua atau lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Ini adalah kalau seseorang itu meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan. Seorang anak lelaki mendapat seperti dua bahagian perempuan. Kalau perempuan dapat seribu ringgit, anak lelaki akan dapat dua ribu.

Contoh Formula: kalau ada seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, maka harta itu dibahagikan kepada empat bahagian – lelaki ambil dua bahagian dan setiap seorang anak perempuan akan ambil satu bahagian. Maka boleh digunakan cara ini untuk pembahagian yang lain.

Lihatlah dalam ayat ini, Allah kata: lelaki dapat dua bahagian wanita. Ini menunjukkan wanita juga dapat bahagian dari harta pusaka itu. Arab Jahiliyah hanya memberi pusaka kepada anak lelaki sahaja. Cuma kenapa bahagian perempuan itu separuh sahaja dari bahagian lelaki akan dijelaskan kemudian.

Balaghah: Al-Qur’an menggunakan perkataan yang tepat setiap kali dan kalau kita tahu bahasa Arab sedikit, kita akan dapat memahami bagaimana penggunaan itu amat tepat sekali.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah يُوصِيكُمُ iaitu dari kalimah أَوصَ iaitu dari kata dasar و ص ي (darinya jadi kalimah wasiat). Ia digunakan di dalam Al-Qur’an apabila diberikan pesanan yang penting. Tapi kata dasar ini boleh digunakan di dalam beberapa bentuk. Kalimah أَوصَ di dalam ayat ini dalam bentuk wazan IV (wazan أفعل) sedangkan ada penggunaan dalam bentuk wazan lain di dalam ayat-ayat yang lain.

Sebagai contoh, ada kalimah وَصّىٰ iaitu kata dasar و ص ي di dalam bentuk wazan II (wazan فعّل) yang juga kalau diterjamahkan ke dalam Bahasa Melayu, ia sama sahaja. Tapi kalau dalam Bahasa Arab, perbezaan wazan membawa maksud yang berbeza. Begitulah hebatnya Bahasa Arab.

Iaitu kalau dalam wazan فعّل, ia berbentuk sesuatu yang selalu, berterusan, sedikit demi sedikit dan berulang. Sedangkan kalau dalam wazan أفعل, ia merujuk kepada perbuatan yang sekali sahaja.

Jadi penggunaan kalimah أَوصَ (kemudian menjadi يُوصِيكُمُ kerana dalam bentuk majhul) adalah tepat kerana arahan untuk membahagikan harta bukanlah selalu. Ia berlaku sekali sekala sahaja.

Sedangkan penggunaan kalimah وَصّىٰ lebih banyak seperti di dalam Baqarah:132, Ali Imran:131, An’am:144, An’am:151, Ankabut:8, Luqman:14, Shura:13, Ahqaf:15. Ini kerana ayat-ayat ini adalah arahan tentang arahan agama tentang perkara yang berulang-ulang dan selalu.

Yang menjadi agak pelik sedikit adalah ayat Maryam:31 apabila Nabi Isa mengatakan tentang arahan Allah dalam bab solat. Digunakan kalimah أَوصَ pula dalam ayat ini walaupun ia arahan solat (dan tentunya arahan yang berterusan dan selalu, bukan?) Tapi kalau kita melihat konteks ayat ini, ia arahan kepada Nabi Isa ketika baginda masih bayi lagi (baginda berkata ketika masih bayi). Maka tentulah taklif solat belum dikenakan kepada baginda lagi.

Sekian perbincangan balaghah.

Jadi ayat ini adalah kalau ada anak lelaki dan juga ada anak perempuan. Bagaimana pula kalau ada anak-anak perempuan sahaja? Lihat seterusnya:

 

فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Sekarang penekanan diberikan jikalau ada anak perempuan sahaja. Tidak disebut kalau ada anak lelaki sahaja kerana sudah tahu dia memang akan dapat harta itu. Tapi Allah hendak tekankan anak perempuan mesti diberi hak mereka.

Sekiranya anak itu perempuan belaka, dua atau lebih, mereka akan mendapat dua pertiga dari harta keseluruhan harta yang ditinggalkan. Iaitu bahagikan 2/3 dari keseluruhan harta itu dan dibahagikan sama rata diantara anak-anak perempuan itu.

Dan 1/3 lagi dari bahagian itu akan diberikan kepada penerima yang lain, seperti ibubapa, isteri atau suami simati.

Ayat ini menyebut kalau ‘lebih dua’ anak perempuan. Tapi kalau dua pun mengambil formula yang sama juga. Ini berdasarkan hadis tentang anak-anak Thabit ibn Qais. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia sedang bersama Rasulullah s.a.w. apabila seorang perempuan Ansar datang bersama dua orang anak perempuannya. Perempuan itu berkata “Ya Rasulullah, ini adalah anak Thabit bin Qais yang telah mati syahid dalam perang Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil semua harta pusaka mereka dan tiada apa yang tinggal lagi untuk mereka.” Maka turunlah ayat yang menentukan bahagian-bahagian yang berhak diterima oleh ahli waris daripada harta pusaka.

 

وَإِن كَانَتْ وٰحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.

Potongan ayat tadi kalau anak lebih dari seorang, tapi jika anak itu perempuan seorang sahaja, dia akan dapat separuh dari keseluruhan harta. Yang selebihnya akan diberikan kepada penerima pusaka yang lain.

Tidak disebut tentang kalau ada anak lelaki sahaja. Maka ulama feqah telah bersetuju yang kalau hanya ada anak lelaki sahaja, maka keseluruhan harta itu diberikan kepada anak lelaki itu sahaja.

Dan kalau ada penerima pusaka yang lain, maka mereka boleh menerimanya, tapi apabila ada lebihan, maka lebihan itu diberikan kepada anak lelaki itu.

Sekian tentang bahagian anak. Selepas ini kita akan masuk kepada pembahagian ibu dan bapa pula.

 

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. 

Sekarang Allah menyebut tentang bahagian ibubapa pula. Ada tiga jenis bahagian yang telah telah ditetapkan. Pertama, jikalau simati itu (anak mereka) ada anak. Ibu dan bapa masing-masing akan dapat 1/6 dari pusaka sekiranya simati itu ada anak. Jadi 1/6 + 1/6 = 2/6 atau 1/3. Jadi 2/3 dari bahagian harta akan dibahagikan kepada anak-anak pula.

Ini yang pertama – kalau simati ada anak. Maknanya, anak dapat bahagian mereka dan ibubapa pun dapat bahagian mereka juga.

 

فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ

Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. 

Ini adalah situasi kedua pembahagian faraid yang melibatkan ibubapa. Kalau anak yang mati itu tidak ada anak, maknanya cucu tiada, emak dapat 1/3 dan selebihnya diberikan kepada ayah – maknanya, bapa akan dapat dua kali ganda dari bahagian ibu – sama dengan hukum lelaki akan dapat dua bahagian perempuan.

Ini pun sekiranya yang mati itu tiada adik beradik. Maknanya, ini adalah situasi dimana hanya ibubapa sahaja yang layak mewarisi harta itu.

 

فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ

Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Kalau yang mati itu ada adik beradik, anak tiada, emaknya dapat 1/6 dan dan ayah akan dapat 2/3 dari harta itu. Dan bahagian yang berkurang dari emak itu akan diberikan kepada bapa kerana tanggungjawab bapa menjadi semakin tinggi kerana nak jaga anak-anaknya yang lain.

Maknanya kalau ada adik beradik, bahagian ayah tidak berkurang, tapi bahagian ibu yang berkurang. Kerana kalau tiada adik beradik, ibu itu patut dapat 1/3 tapi apabila ada adik beradik, tukar jadi 1/6 bahagian pula.

Perlu ditambah bahawa jika ibubapa si-mati masih hidup, maka adik beradik tidak mendapat bahagian dari harta pusaka itu. Kerana bapa itu yang akan dapat harta itu dan dia yang akan gunakan untuk menjaga anak-anaknya.

Adik beradik itu tidak kira adik beradik sama emak dan ayah atau adik beradik tiri – datang dari lain emak atau lain ayah.

Maka, kalau kita ringkaskan bahagian ibubapa ini kepada tiga jenis:

      1. Bahagian ibubapa kalau ada cucu.
      2. Bahagian ibubapa kalau tiada cucu
      3. Bahagian ibubapa kalau ada anak-anak yang lain.

 

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Pembahagian yang telah ditetapkan di atas, akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing selepas diberikan wasiat kalau ada, ataupun bayar hutang dahulu.

Balaghah: Qur’an sebut (ditakdimkan) ‘wasiat’ dahulu. Kerana wasiat pun kena jaga juga. Kerana tidak ada orang yang tuntut wasiat itu. Tapi sebenarnya hutang lebih penting lagi kerana pemiutang ada hak atas harta itu.

Qur’an sebut wasiat dahulu kerana wasiat itu yang selalu dilupa oleh manusia. Maka Allah letak awal supaya memberi ingat kepada manusia. Allah beri penekanan kerana ia selalu diletak di tepi sahaja kerana kalau hutang, tentu ada orang yang akan menuntutnya; tapi apabila melibatkan wasiat, kadangkala orang yang diwasiatkan itu tidak tahu pun yang dia ada mendapat wasiat, jadi dia tidak tahu yang dia kena tuntut.

Maknanya kena bayar hutang dulu, kemudian berikan wasiat, dan kemudian baru dibahagikan mengikut bahagian. Walaupun dalam ayat ini dan ayat-ayat lain, disebut ‘wasiat’ dahulu, tapi dari segi amalan, kena bayar ‘hutang’ dahulu.

Perlu diingat juga bahawa wasiat itu maksimal setakat 1/3 dari harta simati sahaja. Kalau lebih itu melanggar syarak dan tidak boleh dijalankan.

Satu lagi perkara yang perlu difikirkan adalah urusan pengebumian jenazah. Wang itu hendaklah diambil dari hartanya juga. Tapi kena jagalah supaya pembaziran tidak dilakukan. Jangan ikut cara orang Melayu yang berlebihan dalam perkara ini tapi ikutlah cara syarak.

Selepas urusan pengkebumian, barulah wang yang lebih itu digunakan untuk bayar hutang dan kalau ada lebih, bayar wasiat. Dan kalau ada lebih, barulah digunakan untuk dibahagian mengikut faraid.

 

ءآبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا

lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu

Antara ibubapa atau anak-anak, kita tidak tahu siapakah yang akan memberi untung kepada kita selepas kita mati nanti. Allah lebih tahu tentang perkara itu. Sebab itu Allah sudah beri pembahagian termasuk kepada ibubapa sekali. Allah tahu siapa yang lebih layak terima maka kita kenalah terima sahaja. Kerana akal kita tidak dapat memikirkan perkara ini.

Kalau ikut diri kita sendiri, mungkin nak beri hanya kepada anak-anak sahaja atau ada yang nak beri kepada ibubapa sahaja. Allah ada hikmah kenapa diberikan pembahagian sebegitu rupa. Allah tahu apa yang manusia perlukan maka Allah telah mengubah amalan jahiliyah dimana harta hanya diberikan kepada anak-anak ke bawah, dan hanya diberikan kepada ibubapa jikalau ada wasiat.

Allah ubah perbuatan itu dengan menetapkan bahagian khusus untuk ibubapa juga. Jadi ada bahagian untuk anak dan ada bahagian untuk ibubapa juga.

 

فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pembahagian ini adalah ketetapan dari Allah dan tidak boleh ubahsuai. Lihatlah kalimah فَرِيضَةً (fardhu) yang digunakan dalam ayat ini. Dari kalimah فَرِيضَةً ini menjadi ‘faraid’ iaitu jamak (plural) bagi kalimah فَرِيضَةً.

Maka, jangan kita memandai nak ubah. Allah telah beri pembahagian ini kerana Allah yang Maha Mengetahui siapa yang patut dapat, dan Allah Maha Bijaksana dalam menentukan pembahagian itu.

Lalu, kalau ada manusia yang mengubah ketetapan ini, sengaja nak pakai formula yang baru, kononnya nak bagi sama rata, maka mereka sebenarnya telah telah mengubah ketetapan dari Allah dan itu samada jadi murtad, atau boleh jadi dosa besar.

Dia telah terkeluar dari Islam kalau dia ada iktikad pembahagian Allah ini tidak adil dan dia nak pakai pembahagian dia sendiri. Kerana dia telah menolak ayat-ayat Qur’an dan tidak percaya kepada sifat Adil Allah taala.

Kalau dia sedar tentang keadilan Allah ini tapi dia terpaksa bahagikan ikut cara pembahagian yang lain, maka ia menjadi dosa besar sahaja dan tidaklah terkeluar dari Islam.

Cara pembahagian harta ikut faraid adalah satu pelajaran yang agak kompleks yang memerlukan masa juga untuk memahaminya. Kita bolehlah berikan contoh Pembahagian Harta ini berdasarkan ayat-ayat yang ada di dalam Al-Qur’an:

Jika LELAKI mati dan dia meninggalkan waris,

🔷 Ibubapa (tiada isteri/anak)
🔸Ibunya mendapat 1/3 bahagian dari hartanya
🔸Bapa mendapat 2/3

🔷 Ibubapa dan adik-beradik (tiada isteri/anak)
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat selebihnya (5/6)

🔷 Ibubapa, adik-beradik, isteri (tiada anak)
🔸Isteri mendapat 1/4
🔸Ibu mendapat 1/6
🔸Bapa mendapat 1/8 + baki

🔷 Ibubapa, adik-beradik, isteri, anak
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat 1/6
🔸 Isteri mendapat 1/8
🔸 Anak mendapat selebihnya dengan nisbah (Lelaki : Perempuan) = (2 : 1)

Jika PEREMPUAN yang mati dan dia meninggalkan waris,

🔷 Ibubapa (tiada suami/anak)
🔸Ibu mendapat 1/3
🔸Bapa mendapat 2/3

🔷 Ibubapa dan adik-beradik (tiada suami/anak)
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat selebihnya (5/6)

🔷 Ibubapa, adik-beradik, suami (tiada anak)
🔸Suami mendapat 1/2
🔸Ibu mendapat 1/8
🔸Bapa mendapat 1/6 + baki

🔷 Ibubapa, adik-beradik, suami, anak
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat 1/6
🔸 Suami mendapat 1/4
🔸 Anak mendapat selebihnya dengan nisbah: (Lelaki : Perempuan) = (2 : 1)

Memang terdapat senario kedudukan ahli waris yang lebih kompleks dari ini dan ini memerlukan anda menemui sesiapa yang tahu tentang hal ini untuk mengirakan untuk anda. Kita tidak dapat selesaikan di sini kerana ianya adalah satu pembelajaran yang amat panjang.

Bahaya sekali kalau tidak tahu tentang cara pembahagian ini kerana ia berkait rapat dengan agama kita. Tapi memang ramai yang tidak tahu kerana tidak belajar. Dan memang Rasulullah ﷺ pun sudah beritahu yang ilmu faraid ini yang mula-mula akan diangkat (ramai orang tidak tahu). Ini seperti hadis-hadis dan atsar seperti di bawah tentang perkara ini:

1. Abdullah bin Amr bin Al-Ash –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanya bersifat tambahan (sekunder), yaitu ayat-ayat muhakkamah (yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang dilaksanakan, dan ilmu faraid.” (HR Ibnu Majah)

2. Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, kerana aku adalah orang yang akan direnggut (wafat), sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembagian hak waris) mereka.” (HR Imam Ahmad, At-Tirmidzi, dan Al-Hakim)

3. Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengah ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku.” (HR Ibnu Majah dan Ad-Darquthni)

4. Dalam riwayat lain disebutkan, “Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku.” (HR Ibnu Majah, Al-Hakim, dan Al-Baihaqi)

Kerana pentingnya ilmu faraid, para ulama sangat memperhatikan ilmu ini, sehingga mereka seringkali menghabiskan sebahagian waktu mereka untuk menelaah, mengajarkan, menuliskan kaedah-kaedah ilmu faraid, serta mengarang beberapa buku tentang faraid. Mereka melakukan hal ini kerana anjuran Rasulullah ﷺ di atas.

Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhu- berkomentar tentang ayat Al-Qur`an yang berbunyi, “…Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (QS. Al-Anfaal: 73), menurut beliau makna ayat di atas adalah jika kita tidak melaksanakan pembagian harta warits sesuai yang diperintahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar.

Abu Musa Al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- berkata, “Perumpamaan orang yang membaca Al-Qur`an dan tidak cekap (pandai) di dalam ilmu faraid, adalah seperti mantel yang tidak bertudung kepala.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2020

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 7 – 10 (Hukum Faraid)

Ayat 7: Ini adalah hukum kelima. Ianya tentang harta peninggalan orang yang mati. Sikit atau banyak, harga itu ada penerimanya. Maka kena dijalankan pembahagian harta itu mengikut hukum yang Allah telah tetapkan. Jangan lakukan kezaliman dengan tidak memberikan kepada mereka yang berhak.

Ianya adalah zalim sebab tuan asal dah mati dah untuk memberikannya sendiri dan memastikan harta itu sampai kepada warisnya. Kita yang masih hidup inilah yang kena pastikan ianya sampai kepada mereka yang patut disampaikan.

Ayat ini adalah penting kerana ia memberitahu kepada umat Islam bahawa wanita juga layak untuk mendapat bahagian dari harta pusaka. Ini tidak pernah diberikan dalam masyarakat Arab sebelum itu.

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For men is a share of what the parents and close relatives leave, and for women is a share of what the parents and close relatives leave, be it little or much – an obligatory share.

MALAY

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Untuk orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Bagi lelaki ada bahagian dari harta pusaka dari yang ditinggalkan oleh ibubapanya dan kaum kerabatnya. Yang jelas, seorang anak akan mendapat harta peninggalan dari ibu dan bapanya.

Tapi dalam ayat ini disebut juga dari ‘kaum kerabat’. Ianya adalah keluarga dekat yang termasuk dalam ashabul furud – mereka yang layak menerima faraid. Bukanlah semua ahli keluarga layak mendapat harta faraid itu. Kena tengok senarai yang akan diberikan nanti.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Orang perempuan pun layak dapat harta pusaka dari ibubapa mereka dan dari kaum kerabat mereka. Ini adalah benda baru dalam masyarakat Arab. Sa’id ibnu Jubair dan Qatadah mengatakan bahwa dahulu orang-orang musyrik memberikan hartanya kepada anak-anaknya yang besar-besar saja, dan mereka tidak mewariskannya kepada wanita dan anak-anak.

Dulu para wanita tidak layak dapat bahagian apa pun, malah mereka itu sendiri jadi harta. Mereka sendiri diserahkan kepada orang lain macam mereka barang sahaja. Sampai anak pun boleh warisi isteri bapanya. Mereka tidak dipandang sebagai layak menerima harta pusaka kerana sumbangan mereka kepada keluarga tidak banyak.

Mereka tidak dapat bekerja kuat, tidak dapat berperang untuk mempertahankan keluarga, maka kerana itu mereka tidak mendapat bahagian. Kanak-kanak pun begitu juga kerana tidak memberi sumbangan pun. Begitulah yang terjadi apabila seorang sahabat bernama Aus bin Tsabit meninggal dan isterinya dan anak-anak yang muda tidak mendapat bahagian hartanya tapi sepupu anak-anaknya yang datang ambil semua harta. Isteri Aus telah mengadu kepada Rasulullah dan Allah telah menurunkan ayat ini.

Tapi lihatlah bagaimana Islam dah mulakan dulu untuk menjaga hak-hak wanita. Kalau sekarang kita lihat orang Barat pun hendak menjaga hak-hak wanita, mereka pun baru sahaja memulakannya sedangkan Islam sudah lama buat pun.

Lihatlah bagaimana Allah telah mengkhususkan hak wanita kepada harta pusaka dalam ayat ini. Allah boleh sahaja berfirman: “lelaki dan perempuan ada hak ke atas harta pusaka….”. Tapi Allah telah pecahkan ayat itu: mulanya Allah sebut tentang hak lelaki dan kemudian Allah sebut tentang hak perempuan. Ini supaya nampak jelas ada hak wanita. Kalau digabungkan sekali dalam satu ayat, mungkin tidak jelas.

Jadi secara efektif, Allah telah meletakkan hak wanita sama sahaja dengan hak lelaki. Islam telah lama mempertahankan hak-hak wanita.

Malangnya, sekarang ada orang yang mentohmah mengatakan agama Islam menindas wanita dan tidak adil kepada mereka. Ini terjadi kerana mereka tidak belajar tentang Islam dan mereka telah ada bias terhadap agama Islam. Oleh kerana ada bias, semua yang dari Islam mereka kata buruk sahaja.

 

مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ

sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu;

Sama ada harta itu sedikit atau banyak, ianya perlu dibahagikan mengikut ketetapan yang Allah telah tetapkan – bukan sama rata. Harta yang sedikit, buat cara sedikit dan harta yang banyak, buat cara banyak.

Janganlah kalau harta itu sedikit, maka ahli keluarga buat cara senang sahaja, sampai sudah tidak ikut cara faraid pula. Ini tidak boleh. Dalam setiap pembahagian harta pusaka, kena diberikan mengikut ketetapan yang Allah telah letakkan.

Sila perhatikan ayat ke 7 ini mengatakan lelaki dan wanita ada hak masing-masing. Ia tidak meletakkan asas keperluan sebagai penentu. Maka setiap orang ada bahagiannya, walaupun dia mungkin orang yang kaya dan tidak memerlukan. Jadi pembahagian itu sama rata sahaja.

Sebaliknya, kedudukan antara si mati dan penerima itu yang menjadi penentunya. Mereka yang lebih rapat dengan si mati akan mendapat bahagian yang lebih banyak. Walaupun mungkin orang yang jauh kedudukannya dari si mati mungkin lebih memerlukan. Hikmahnya kerana ‘keperluan’ itu amat subjektif dan sukar ditentukan. Nanti akan berhujah banyak pula siapa yang lebih layak dan tidak habis-habis berkelahi pula.

Ayat ini juga menolak amalan sesetengah orang yang memberikan barangan tertentu kepada orang tertentu. Sebagai contoh, kalau si mati meninggalkan kuda, maka kuda itu automatik diberikan kepada lelaki kerana dia yang menggunakan kuda itu untuk berperang, contohnya. Logik ini tidak terpakai dalam pembahagian harta pusaka. Semua orang tidak kira lelaki atau wanita, ada hak ke atas kuda itu.

Sikit atau banyak barang peninggalan dari si mati hendaklah diberikan kepada penerima harta pusaka. Ini termasuklah pinggan mangkuk, baju dan benda-benda lain yang ramai anggap sebagai kecil dan ringan. Maka ada yang siap-siap sudah disedekahkan kepada orang lain. Sedangkan mereka yang layak menerimanya dahulu adalah penerima harta pusaka.

Berikan dulu kepada penerima pusaka dan kalau mereka mahu berikan kepada orang lain, maka biarlah mereka sahaja yang buat keputusan itu. Dan pastikan yang memberi itu adalah orang dewasa, kerana kalau kanak-kanak belum baligh, mereka tidak layak untuk buat keputusan itu kerana akal mereka masih lemah untuk buat keputusan.

Bagaimana dengan pengurusan jenazah si mati? Adakah boleh diambil dari harta peninggalannya? Boleh diambil sebelum harta itu sudah dibahagikan sebagai harta pusaka.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhajal Talibin, meringkaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pembahagian harta pusaka adalah seperti berikut:

‘‘Belanja pengebumian ialah tanggungan pertama daripada jumlah harta pusaka si mati, kemudian hutang piutangnya hendaklah dibayar, kemudian pemberian wasiat yang diwasiatkan olehnya hendaklah diselesaikan, akan tetapi hanya setakat satu pertiga daripada harta pusaka selepas menolak hutang piutang. Yang tinggal dua pertiga ialah hak ahli waris.’’

Ini bermakna, bukan semua harta yang ditinggalkan oleh si mati dikira harta pusaka yang boleh terus dibahagikan kepada waris. Para waris hendaklah menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris secara faraid.

Antara yang perlu diambil kira dalam pembahagian harta pusaka ialah:

    • Belanja menguruskan jenazah.
    • Menjelaskan hutang si mati.
    • Wasiat amal jariah.
    • Harta sepencarian.
    • Faraidkan bahagian waris.

Sekiranya waris tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kos pengurusan jenazah dan kebetulan si mati ada meninggalkan wang tunai, maka hukum syarak membenarkan waris menggunakan wang si mati atau harta yang ditinggalkan oleh si mati untuk membiayai kos pengurusan jenazah. Tetapi jangan sampai melampau atau berlebih-lebihan.

Ini bermakna harta si mati hanya boleh di gunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah yang perlu sahaja. Iaitu digunakan untuk:

      • Membeli kain kapan.
      • Membeli peralatan mandi jenazah seperti kapur barus, air mawar dan lain-lain.
      • Memberi sagu hati kepada tukang mandi jenazah.
      • Memberi sagu hati kepada tukang gali kubur.

Jumlahnya hendak berpatutan terutamanya sagu hati kepada tukang mandi dan tukang gali kubur.

Kadarnya janganlah terlalu rendah, kerana mereka melakukan tugas tersebut secara suka rela. Andainya kita beri terlalu rendah, ditakuti kita menganiaya mereka. Oleh sebab itu, kita boleh tanyakan kepada orang masjid, berapakah kadar kebiasaannya.

Semoga tidaklah urusan pengurusan jenazah ini diambil kesempatan oleh orang. Kita sudah perasan ada yang nampak seperti mengambil kesempatan di atas kesedihan dan kejahilan orang. Ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah keluarga, maka ramai yang menawarkan perkhidmatan pengurusan tapi upah yang dikenakan amat tinggi. Sudahlah keluarga itu dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga, mereka kena mencari wang pula untuk menguruskan jenazah si mati.

 

نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

iaitu bahagian yang telah difardhukan

Apabila dikatakan pembahagian itu fardhu, maka kenalah kita ikut dengan tepat. Pembahagian itu telah ditentukan oleh Allah maka kena ikut dan tidak boleh gunakan akal untuk mengubahnya.

Oleh kerana itu, cara pembahagian itu tidak boleh kita buat sendiri kerana telah ditetapkan oleh Allah.  Malangnya masyarakat kita ada buat kesalahan ini. Mereka telah membahagikan harta itu sama rata, dengan alasan kononnya semua setuju. Tapi tidak sebenarnya.

Kita sahaja yang kata semua setuju, tapi dalam hati siapa yang tahu? Mungkin di mulutnya dia kata dia setuju, kerana dia malu hendak kata ‘tidak setuju’ pula kerana orang lain semua sudah setuju. Dia takut kalau dia seorang sahaja kata tidak setuju, nanti dikatakan dia tamak harta pula. Maka, dia pun cakaplah di mulutnya yang dia setuju, tapi dalam hatinya dia tidak setuju.

Tiada keberkatan dalam harta yang tidak dibahagikan dengan cara faraid. Mungkin ada yang dapat lebih banyak dari yang sepatutnya, tapi kerana tidak ada keberkatan, harta yang banyak itu akan hancur sendiri.

Apakah hukumnya menukar ketetapan Allah itu? Kalau ada yang tukar pembahagian itu kerana dia rasa pembahagian cara Allah itu tidak adil, itu sudah murtad. Murtad bukan perkara main-main. Itu sebab kita kata, untuk keluar dari Islam, bukan kena tolak semua ayat Quran, tolak satu ayat Qur’an pun dah boleh murtad dah.

Kalau dia bahagi harta itu tidak ikut cara faraid, tapi dalam masa yang sama dia kata Allah buat dah elok dah, tapi kerana semua penerima telah bersetuju itu adalah cara yang mereka kehendaki dan dia ikut sahaja, itu berdosa besar.

Kalau nak beri sama rata juga, mungkin kita kasihan kepada adik perempuan kita yang dapat kurang dari kita, ada caranya. Mulanya bahagikan harta itu ikut cara faraid dulu, dan apabila kemudian harta itu telah jadi hak masing-masing dengan bahagian yang mereka patut terima, maka kepada mereka yang nak beri kepada sesiapa sahaja, berilah.

Sebab harta itu sudah jadi hak dia, dan kalau dia nak beri semua pun boleh. Kalau dia buat begitu, dia akan dapat pahala kerana telah mengamalkan hukum Allah, dan dia akan dapat pahala sedekah kerana telah mengeluarkan hartanya untuk diberikan kepada orang lain – ahli keluarga sendiri adalah orang yang paling layak terima pemberian dari kita dahulu.

Kalau dia beri sesudah dia mendapat bahagiannya, barulah ada ikhlas. Iaitu setelah harta itu jadi dia punya. Kerana kita kena ingat, disebabkan oleh harta, adik beradik boleh berkelahi, suami isteri boleh bercerai. Jadi, Allah telah mudahkan dengan memberi jalan ketetapan apakah yang perlu dilakukan. Iaitu tidak perlu kita berkelahi siapa dapat banyak mana, kerana Allah telah tetapkan siap-siap.

Jadi dalam ayat ini ada mengandungi lima hukum utama:

  1. Lelaki dan wanita dua-dua ada hak kepada harta peninggalan si mati.
  2. Harta sikit atau banyak kena dibahagikan. Kalau pun ia sehelai kain, maka itu pun tetap kena dibahagikan. Kalau sedikit dan tidak mahu dibahagikan, maka pihak yang lain boleh membeli bahagian dari orang lain.
  3. Harta peninggalan itu termasuk dalam semua harta, sama ada harta itu pakaian atau tanah. Semua kena dibahagikan.
  4. Harta faraid ini berkuatkuasa selepas tuan harta itu meninggal.
  5. Kaum kerabat juga berhak dapat harta pusaka.

 

Ayat 8: Hukum keenam. Ini adalah berkenaan kaum kerabat yang bukan termasuk dalam golongan ashabul furud. Ini adalah apa yang perlu dilakukan jikalau semasa membahagikan harta pusaka kepada yang layak menerimanya, ada golongan lain yang datang.

Sama ada yang datang itu adalah kaum kerabat yang jauh sikit atau anak yatim.

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when [other] relatives and orphans and the needy are present at the [time of] division, then provide for them [something] out of it [i.e., the estate] and speak to them words of appropriate kindness.

MALAY

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, 

Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: Kaum keluarga, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Ayat ini mengajar kita apa yang perlu kita lakukan jikalau mereka ada yang datang semasa الْقِسْمَةَ – majlis pembahagian harta pusaka. Mungkin mereka dengar yang harta pusaka akan dibahagikan pada hari itu dan mereka datang mungkin mengharap jikalau ada bahagian untuk mereka.

Kalimah الْقُرْبَىٰ dalam ayat ini bermaksud kaum kerabat yang jauh sikit. Kerana kaum kerabat adik beradik yang dekat, memang sudah termasuk dalam bahagian penerima harta pusaka.

Maka, apakah yang patut kita lakukan untuk mereka?

 

فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ

maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, 

Berilah sedikit rezeki kepada mereka. Tapi, bukanlah beri dari bahagian harta yang dibahagikan itu. Iaitu cuma jamu mereka makan dari harta yang lain. Itu sebagai tanda kita syukur kita dapat harta percuma. Kerana harta yang kita dapat itu bukan harta dari usaha kita pun, dapat percuma sahaja.

 

وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Berilah mereka jamuan makanan dan bercakap baiklah dengan mereka. Jangan halau atau malukan mereka. Jangan hampakan mereka. Kata kepada mereka, harta pembahagian itu baru sahaja dapat, tapi kita akan beri mereka makan dan jamuan sebagai tanda syukur.

Kita katakan bahawa pemberian rezeki itu dari harta yang lain, bukan dari harta pusaka yang baru dibahagikan itu. Ditafsir begini supaya ayat ini tidak termasuk dalam ayat yang mansukh. Kerana memang ada pendapat yang mengatakan yang ayat ini sudah mansukh. Begitu pun, ada juga yang kata ayat ini tidak mansukh.

Orang kata ayat ini telah mansukh, mereka mengatakan lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ adalah kaum kerabat yang bukan ahlul furud, iaitu kerabat jauh. Mereka kata kalau dulu, boleh diberikan bahagian dari harta pusaka itu dan ayat itu telah dimansukhkan.

Oleh itu, pada mereka, kalau beri sebahagian dari harta pusaka, ianya atas dasar sunat sahaja, kerana kalau beri atas dasar fardhu, tidak ada kerana telah dimansukhkan.

Ada juga ulama yang kata tidak mansukh. Mereka meletakkan makna yang sesuai. Mereka mengatakan yang lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ bermaksud kerabat yang boleh terima pusaka. Dan anak-anak yatim yang datang pun adalah mereka yang boleh terima pusaka. Dan mereka datang pun untuk ambil bahagian mereka.

Kepada mereka, kita beri makan dulu dan kata kepada mereka bahawa harta yang banyak tu kena tunggu apabila mereka dah besar nanti. Oleh itu, maksud beri rezeki itu adalah jamu mereka dengan harta pusaka yang ada hak dia.

Oleh itu, kita boleh lihat ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Kalau zaman sekarang, mungkin tidak ada. Sebab sekarang pemberian harta pusaka selalunya tertutup. Dan mereka yang patut terima harta pusaka itu telah tahu yang mereka akan dapat harta pusaka. Allahu a’lam.


 

Ayat 9: Allah beri motivasi kepada kita untuk menjaga kepentingan anak-anak yatim itu. Kerana kita pun ada anak juga, maka kita kena fikirkan.

Allah beri perumpamaan: apa kata kalau kamu yang mati dan anak-anak kamu kecil lagi? Tentu kamu mahu hak mereka dijaga, bukan? Maka kita kenalah jaga hak anak orang lain dengan baik. Kerana kalau anak kita jadi macam itu, kita pun mahu anak kita dijaga haknya.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let those [executors and guardians] fear [injustice] as if they [themselves] had left weak offspring behind and feared for them. So let them fear Allāh and speak words of appropriate justice.

MALAY

Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

 

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ

Dan hendaklah takut orang-orang, yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; 

Kita hendaklah bimbang memikirkan siapa yang akan jaga anak kita yang lemah kalau kita sudah tiada nanti. Kalau kita tidak jaga hak anak orang lain, siapa pula yang akan jaga hak anak kita kalau kita tiada nanti?

Oleh itu, penjagaan harta anak-anak yatim mestilah dijaga oleh semua orang. Kerana semua orang ada anak juga, dan ada kemungkinan kita mati sebelum anak-anak itu membesar dan belum mampu untuk menjaga diri mereka. Ini adalah pengajaran pertama.

Pengajaran kedua, kita hendaklah risaukan keadaan anak-anak kita selepas kita tiada nanti. Kalau mereka kecil dan tidak mampu mencari rezeki sendiri, apakah nanti nasib mereka? Maka, tinggalkanlah sesuatu dalam bentuk harta kepada mereka, jangan biarkan mereka tidak ada harta langsung.

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mahu infak harta mereka lebih dari 1/3. Sedangkan mereka ada anak-anak kecil yang memerlukan keperluan. Dikatakan bahawa asbabun nuzul ayat ini adalah kisah Sa’ad bin Abi Waqas yang mahu memberikan keseluruhan hartanya dalam wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini juga menjadi dalil bahawa kalau kita tahu ada orang yang melakukan wasiat yang tidak patut, maka kita kena tegur dia. Dan kalau ada pembahagian harta pusaka yang tidak patuh syariah, pun kita kena tegur.

 

فَلْيَتَّقُوا اللهَ

oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,

Maksudnya, kenalah lihat ketetapan yang Allah telah letakkan kepada kita. Kita kena pastikan hak-hak penerima harta itu sampai kepada mereka. Kalau kita lihat ada kekurangan di mana-mana, hendaklah kita tegur.

Sama ada kita lihat seseorang tidak menjalankan tugasnya menjaga harta, membahagikan harta, malah kalau kita nampak seseorang memberi hartanya terlalu banyak sampaikan boleh menyebabkan warisnya tidak tinggal apa-apa. Kita kena ambil tindakan kalau perkara itu berlaku di depan mata kita.

 

وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul 

Kalimah قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada mereka.

Ini adalah hukum kepada mereka yang menjaga anak-anak yatim. Kerana apabila ibubapa meninggal, maka hartanya itu akan diuruskan oleh walinya atau mereka yang telah diamanahkan oleh mahkamah untuk menjaga harta itu. Mereka yang memegang amanah itu, kena urus harta itu dengan baik.

Yang penting, kena takut kepada Allah. Kerana Allah melihat apa yang kita lakukan. Dan dalam masa yang sama, wali kena jelaskan kepada anak-anak yatim bahawa mereka hanya menjaga harta itu sahaja dan akan memulangkan harta itu kepada anak yatim itu apabila sudah sampai masanya. Sekarang tidak boleh lagi kerana belum sesuai. Kata-kata ini adalah contoh kata-kata yang menepati syariat.

Kata سَدِيدًا berasal dari katadasar yang bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan tidak ada lubang padanya.

Ayat ini boleh juga bermaksud, kalau ada anak yatim yang tanya kita: adakah kita dapat harta pusaka, jangan pusing kata tak dapat pula. Beritahulah dengan benar. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kadang-kadang anak-anak yatim dan keluarga ada datang apabila mereka tahu yang ada majlis pembahagian harta pusaka.

Beritahulah yang kita memang ada dapat harta pusaka, nanti kita beri kepadanya sedikit, kalau dia tidak layak dapat harta itu. Kerana anak yatim selalunya orang susah dan mengharap bantuan dari kita. Mungkin dia ada dengar kita dapat harta percuma, maka dia mengharap kalau dapat sedikit infak dari kita.

Persoalan sekarang, adakah kita tahu anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau masyarakat kita tidak rapat dan tidak bersuai kenal dengan orang dalam qariyahnya, macam mana nak tahu mana satu anak yatim?

Sebab itu kena bercakap-cakap dan bertanya khabar dengan masyarakat sekeliling kita. Tanya khabar mereka, ambil tahu keperluan mereka. Bantulah mereka dimana kita boleh bantu. Jangan takat angkat tangan sahaja bagi salam sahaja. Jangan tunggu mereka datang meminta-minta kepada kita kerana mereka pun tentu malu nak cakap dan meminta-minta kepada kita.

Kita yang kena mulakan beri pertolongan. Macam dalam ayat sebelum ini, tidak disebut pun mereka minta, cuma disebut mereka hadir sahaja semasa majlis pemberian harta pusaka itu. Kitalah yang kena faham sendiri.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa:5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat ini. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’:23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha:44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha:44 ini arahan Allah kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.


Ayat 10: Takhwif ukhrawi kepada mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim.

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who devour the property of orphans unjustly are only consuming into their bellies fire. And they will be burned in a Blaze [i.e., Hellfire].

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, 

Mereka dikatakan makan dengan cara yang zalim sebab mengambil dengan cara salah. Bukanlah langsung tidak boleh makan harta itu sebab ada cara yang adil. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا

sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka;

Mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim itu diibaratkan dalam ayat ini seperti menelan api neraka. Kita kena ingat, apabila disebut ‘makan api’, ianya lebih teruk kalau dibandingkan dengan dikenakan dengan api yang di luar. Kerana apabila makan, bermaksud ia masuk ke dalam perut.

Mereka ini akan dibangkitkan kelak di akhirat dengan api keluar dari mulut dan perut mereka! Bahkan telinga dan mata mereka juga akan mengeluarkan api. Ini adalah kerana memang mereka telah makan api yang sebenarnya. Di dunia memang mereka tidak perasan tapi mereka akan mengalaminya di akhirat kelak.

Mereka yang memakan yang mengambil harta anak yatim dengan cara yang salah, tidak akan berkat harta itu.

Di dalam kitab Sahihain melalui hadis Sulaiman ibnu Bilal.dari Saur ibnu Zaid, dari Salim Abul Gais, dari Abu Hurairah, disebutkan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

«اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ»

“Jauhilah oleh kalian tujuh macam dosa yang membinasakan.” Ditanyakan, “Apa sajakah dosa-dosa itu, wahai Rasulullah?” Beliau Saw. menjawab, “Mempersekutukan Allah. Sihir,  membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh berzina wanita-wanita mukmin yang memelihara kehormatannya yang sedang lalai.”

 

وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Mereka pasti akan masuk neraka kerana kalau dah makan api neraka, tentulah makan api neraka itu di dalam neraka.

Habis Ruku’ 1 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 21 November 2019

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 4 – 6 (Pemberian Mahr)

Ayat 4: Ini adalah hukum ketiga. Tentang hukum perkahwinan. Seorang wanita yang dikahwini, walau bukan anak yatim, kena diberikan mahr (maskahwin) kepada mereka.

Ini adalah hak mereka dan Islam mengembalikan hak itu kepada mereka. Pada zaman Jahiliah telah banyak kezaliman yang telah dilakukan tentang hal ini:

1. Mahr tidak diberikan kepada isteri. Walinya yang ambil terus dari suami dan dibuat harta sendiri. Maka suami diajar untuk berikan terus kepada isteri. Atau kalau wali yang terima bagi pihak, maka dia kena terus beri kepada wanita itu.

2. Ada bakal suami yang rasa terpaksa beri mahr jadi dia beri juga, tapi dengan marah-marah dan tunjukkan ketidakpuasan hatinya.

3. Ada suami yang buat-buat tidak tahu tentang mahr yang mereka patut mereka. Mereka buat-buat lupa dan paksa isterinya lupa. Maka Islam ajar ia adalah hak isteri. Kalau isteri beri sendiri, baru boleh ambil.

Ini adalah perbuatan buruk zaman jahiliah, tapi tidak mustahil ianya masih lagi diamalkan sekarang. Maka dengan ayat-ayat ini, kita tahulah mana yang patut dilakukan.

وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِّنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give the women [upon marriage] their [bridal] gifts¹ graciously. But if they give up willingly to you anything of it, then take it in satisfaction and ease.²

  • The obligatory bridal gift (mahr).
  • Knowing that it is lawful.

MALAY

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang penuh kerelaan. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

 

وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian.

Lafaz صَدُقاتِهِنَّ diambil dari kalimah ص د ق yang bermaksud ‘benar’. Pemberian mahr itu menjadikan pernikahan itu benar. Menjadikan pernikahan itu sah dan halal di sisi syarak. Dalam bahasa Melayu kita, mahr itu dipanggil ‘maskahwin’.

Atau, sebagaimana sedekah itu dari keikhlasan hati, maka pemberian mahr itu juga hendaklah ikhlas dan sukarela dari suami itu kepada isterinya.

Perkataan نِحلَةً digunakan apabila memberikan hadiah atau pemberian kepada perempuan. Ianya adalah ‘hadiah kasih sayang’. Selalunya orang lelaki beri hadiah sebagai tanda kita kasih kepada mereka. Oleh kerana itu, pemberian mahr itu mestilah diberikan dengan mesra. Tidaklah diberikan dengan perasaan kedekut dan benci atau kerana terpaksa.

Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan istilah نِحلَةً dalam ayat ini adalah mahar.
Muhammad ibnu Ishaq meriwayatkan dari Az-Zuhri. dari Urwah, dari Siti Aisyah, bahawa نِحلَةً adalah maskahwin yang wajib.
Muqatil, Qatadah, dan Ibnu Juraij mengatakan bahawa nihlah ertinya faridah (maskahwin yang wajib), sedangkan Ibnu Juraij menambahkan bahawa maskahwin tersebut adalah maskahwin yang disebutkan.

Yang utama dalam perkataan mereka itu hendak menyatakan bahawa seorang lelaki diwajibkan membayar maskahwin kepada calon isterinya sebagai suatu keharusan. Hendaknya hal tersebut dilakukannya dengan senang hati. Sebagaimana seseorang memberikan hadiahnya secara suka rela, maka seseorang bakal suami diharuskan memberikan maskahwin kepada isterinya secara senang hati juga.

Pemberian mahr itu penting kerana ianya adalah hak seorang isteri, bukan hak wali. Ianya untuk mereka gunakan, terutama jikalau perlu. Kalau apa-apa terjadi, itulah harta yang mereka boleh gunakan sebagai sara hidup mereka.

Jadi seorang perempuan kena pandai dalam perkara ini. Janganlah ‘tidak kisah’ sangat. Kalau tidak kisah, tentulah lelaki suka. Tapi apa kata kalau terjadi apa-apa, kepada siapa kamu nak bergantung?

Malangnya orang kita letak mahr yang tinggi sangat. Selalunya ini dilakukan oleh para wali. Itu dah macam nak jual anak pula. Maka lelaki yang hendak berkahwin itu terpaksalah setuju juga. Tapi kadang-kadang mereka beri dalam keadaan paksa rela. Maka kita kenalah letakkan mahr yang sesuai kepada pasangan. Maknanya, kalau sudah beri tanpa kerelaan hati, tidaklah diberi dengan ‘mesra’.

Dan yang malangnya, itu bukanlah ‘mahr’, tapi ‘belanja hangus’. Iaitu wang itu digunakan untuk membayar perbelanjaan kenduri perkahwinan yang tinggi, bukannya diberikan kepada bakal isteri. Kalau hendak ditegur tentang majlis perkahwinan orang kita, terlalu banyak yang hendak ditegur, dan saya rasa, sudah banyak ditulis oleh orang-orang lain.

Hasyim meriwayatkan dari Sayyar, dari Abu Saleh, bahawa seorang lelaki apabila menikahkan anak perempuannya, maka dialah yang menerima maskahwinnya, bukan anak perempuannya. Lalu Allah Swt. melarang mereka melakukan hal tersebut dan turunlah firman-Nya: Berikanlah maskahwin (mahr) kepada wanita (yang kalian nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. (An-Nisa: 4)

Mahr itu sepatutnya menjadi hak seorang isteri. Oleh itu, sepatutnya wang itu disimpan oleh wanita itu sebagai hartanya. Bolehlah digunakan sebagai belanja atau digunakan sebagai kegunaan kecemasan jikalau ada apa-apa yang terjadi kepada suaminya. Tapi kalau mahr itu 12.50 sahaja, apalah gunanya?

 

فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِّنهُ نَفسًا

Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya

Kalau si isteri buat keputusan untuk beri mahr itu kepada suami itu balik, itu hak dia. Kerana mahr itu adalah hartanya dan dia boleh buat apa yang dia suka dengan pemberian mahr itu.

Salah satunya dia boleh beri balik kepada suaminya yang asalnya telah memberikan mahr itu kepadanya. Mungkin kerana dia hendak membantu suami yang dalam kesempitan wang. Jadi Allah hendak memberitahu yang seorang suami boleh ambil pemberian isterinya itu asalkan dia memberi dari kerelaan hatinya dan bukan kerana paksaan.

Tapi yang hendak ditekankan, hendaklah isteri itu beri sendiri ikhlas dari kehendak hatinya. Bukanlah kerana dia dipaksa atau dia dihasut untuk memberikannya. Kena ada kerelaan hati dalam hal ini.

Ini juga termasuk dalam hal lain: kalau beri sumbangan atau derma, kenalah orang yang beri itu memang hendak beri secara ikhlas. Jangan dipaksa-paksa, walaupun permintaan derma itu untuk bina masjid sekali pun.

 

فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, senang hati.

Kalau si isteri dengan rela hati hendak memberi kepada suaminya, maka seorang suami boleh ambil balik pemberiannya itu. Ini tidak dikira ‘buruk siku’ – tidak termasuk larangan mengambil balik hadiah yang telah diberi.

Kalimah هَنيئًا dikenakan untuk sesuatu yang kita dapat tanpa usaha dari kita. Macam hadiah, ia bukanlah dari usaha kita tapi orang hendak beri. Oleh itu terimalah hadiah pemberian si isteri itu dengan senang hati, jangan jual mahal.

Kalimah مَريئًا pula adalah rongga tenggorokan dari tekak ke perut. Selalunya digunakan untuk makanan atau minuman yang senang dimakan kerana senang sahaja turun dari tekak ke perut.

Maksudnya, ambillah pemberian itu dengan berselera dan gembira. Senang hati kerana tidak ada tegahan syariat.


 

Ayat 5: Ini hukum ke empat. Sekarang kembali kepada pengurusan harta anak yatim.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut pemberian hak kepada anak yatim dan isteri. Maka janganlah kita sangka semua harta perlu diberikan kepada mereka. Ini kerana kenalah ada pemeriksaan sama ada mereka layak menerimanya atau tidak.

Allah ‎ﷻ mengajar supaya jangan menyerahkan harta anak yatim kepada anak yatim itu sehingga dia sudah boleh menguruskan hartanya sendiri. Mungkin kita diamanahkan dengan harta anak yatim yang kecil lagi atau dia sudah besar tetapi tidak pandai menguruskannya sendiri. Ini seperti orang yang apabila diberikan duit yang lebih banyak dari kebiasaannya, maka dia akan menghabiskannya begitu sahaja.

Orang sebegini tidak boleh diberikan hartanya lagi walaupun itu memang haknya. Hanya apabila dia sudah bersedia dan pandai menjaga hartanya itu, maka barulah boleh diserahkan kepadanya.

Dan semasa menyerahkan harta itu kenalah carikan saksi supaya mereka berpuas hati yang kita telah berlaku adil agar tidak ada ketidakpuasan selepas itu.

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not give the weak-minded your property,¹ which Allāh has made a means of sustenance for you, but provide for them with it and clothe them and speak to them words of appropriate kindness.

  • Although it is their property, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) refers to it in the collective sense, reminding us that all wealth is provided by Him for the maintenance of the community as well as of individual members.

MALAY

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta kamu, (harta) yang menjadi kehidupan; 

Peliharalah harta yang kamu telah lantik menjadi penjaga. Selalunya penjaga anak yatim ini dilantik oleh mahkamah. Ini kerana kadang-kadang seorang anak yatim mempunyai harta yang ditinggalkan oleh walinya, tetapi oleh kerana dia tidak cukup umur dan tidak cukup akal lagi untuk menjaganya, maka mahkamah akan melantik seorang penjaga untuk menguruskan harta tersebut.

Sebagai penjaga amanah, hendaklah dijalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Jangan kerana sayang atau kasihankan anak yatim itu, maka terus diberikan kepada mereka. Penjaga amanah telah ditugaskan untuk menjaga harta dan kadangkala dengan tidak memberikan harta itulah yang termasuk sebagai ‘menjaga’ harta itu. Apabila Allah ‎ﷻ telah menjadikan kamu sebagai penjaga harta itu, maka jagalah sepertimana kamu menjaga harta kamu sendiri. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat أَموٰلَكُمُ (harta kamu).

Maka, walaupun harta itu adalah hak mereka, tetapi Allah ‎ﷻ sebutkan ‘harta kamu’ merujuk kepada harta semua yang terlibat. Segala harta itu merupakan pemberian dari Allah ‎ﷻ kepada manusia untuk digunakan sebagai kelangsungan hidup dan kegunaan oleh masyarakat. Oleh sebab itulah tidak boleh diberikan begitu sahaja kepada  mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar yang harta itu bukan kepunyaan individu maka dia boleh berbuat sesuka hati nya sahaja. Harta itu telah menjadi tanggungjawabnya, tetapi dia kenalah menggunakannya dengan hemah. Kalau dia mempunyai harta dan dia tidak menggunakannya dengan baik, ada kemungkinan dia boleh merosakkan masyarakat. Berapa banyak kita tengok masyarakat yang rosak kerana dilambakkan kekayaan kepada mereka?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar supaya jangan serahkan harta anak-anak yatim itu kalau mereka belum bersedia lagi. Kerana kalau diberikan juga, tentu mereka akan menghabiskan harta itu begitu sahaja, kerana akal mereka tidak dapat menjaganya.

Harta itu mungkin habis begitu sahaja sama ada mereka ditipu kerana mereka bodoh ataupun mereka akan kehabisan harta mereka kerana mereka boros dan tidak tahu menilai harta.

Lafaz قِيامًا bermaksud ‘asas kehidupan’. Jikalau diberikan kepada yang tidak tahu menjaganya, maka harta itu akan habis dan tidak dapat digunakan untuk menyambung kehidupan.

Islam amat menjaga kepentingan harta. Harta itu sendiri bukanlah buruk kerana ia diperlukan untuk kehidupan. Yang menjadi masalah kalau harta itu digunakan untuk benda yang salah; atau kalau seseorang itu lupa diri dan lupa agama kalau diberikan dengan harta yang banyak.

Maka tidak salah kalau ada harta yang banyak, tetapi janganlah kerana harta itu menyebabkan terkandasnya agama.

 

وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم

dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya

Janganlah tidak diberi langsung dari harta yang ditinggalkan oleh wali mereka itu kepada mereka. Gunakanlah sedikit dari harta itu untuk makan dan pakaian mereka. Harus diberikan untuk keperluan sahaja. Mestilah bersikap amanah sebagai penjaga amanah.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah فيها (darinya). Ini bermaksud, bukan diambil dari harta itu kerana kalau diambil dari harta itu, lama-kelamaan harta tersebut akan habis dan nanti apabila anak-anak yatim itu sudah dewasa, sudah tidak ada apa yang boleh diberikan kepada mereka.

Maka belanja yang diberikan kepada anak yatim itu diambil dari ‘keuntungan’ dari harta mereka. Maknanya harta mereka itu diniagakan atau dilaburkan supaya ia berkembang.

 

وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Kita haruslah berkomunikasi dengan baik apabila bercakap dengan mereka. Jika anak itu meminta supaya diberikan hartanya kepadanya, kenalah jawab dengan ucapan yang baik yang senang untuk didengar.

Beritahulah yang harta itu sememangnya hak mereka, tetapi belum sesuai lagi untuk diberikan kepada mereka. Janganlah berkata dengan kasar pula kepada mereka.

Juga bermaksud, layanlah mereka dengan baik di dalam segenap hal. Mereka itu adalah anak yatim dan memerlukan kasih sayang seorang wali. Mereka telah kehilangan wali mereka dan mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar untuk masa hadapan mereka. Maka bergaullah dengan baik dengan mereka.

Kita diajar dalam ayat ini dan ayat-ayat lain supaya berkata-kata dengan baik terhadap mereka. Bukan kepada mereka sahaja akan tetapi kepada manusia lain pun kita kenalah menggunakan kata-kata yang baik. Ini kerana kata-kata yang buruk, akan menyebabkan orang pecah hati dan boleh menyebabkan kesedihan atau berkelahi. Ini kita boleh lihat dalam Isra’:53

وَقُل لِعِبادي يَقولُوا الَّتي هِيَ أَحسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيطانَ يَنزَغُ بَينَهُم ۚ إِنَّ الشَّيطانَ كانَ لِلإِنسانِ عَدُوًّا مُبينًا

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

a. Qawlan Ma’roofan: kata-kata yang senang difahami.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam Nisa:9. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas kepada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’:23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh ditegur tetapi kenalah menggunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang mesti bersesuaian dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tetapi tidak mampu untuk membantu pada waktu itu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan makin terseksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebutkan di dalam Taha:44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutamanya kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kenalah cuba kerana ayat Taha:44 ini adalah arahan dari  Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.


 

Ayat 6: Sebelum beri harta itu, kena uji mereka sama ada mereka sudah layak untuk mengurusnya.

وَابتَلُوا اليَتٰمىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ فَإِن ءآنَستُم مِّنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموٰلَهُم ۖ وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا ۚ وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف ۖ وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ ۚ فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموٰلَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And test the orphans [in their abilities] until they reach marriageable age. Then if you perceive in them sound judgement, release their property to them. And do not consume it excessively and quickly, [anticipating] that they will grow up. And whoever, [when acting as guardian], is self-sufficient should refrain [from taking a fee]; and whoever is poor – let him take according to what is acceptable. Then when you release their property to them, bring witnesses upon them. And sufficient is Allāh as Accountant.

MALAY

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

 

وَابتَلُوا اليَتٰمىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa) sampai boleh menikah. 

Anak-anak yatim itu kena diuji dulu dalam urusan harta. Cuba beri lebih sikit perbelanjaan kepada mereka dan lihat sama ada mereka habiskan atau tidak. Ini akan menunjukkan sama ada mereka boros atau tidak. Kalau dia tidak pandai lagi nak hargai dan jaga harta, tentu apabila diberi sedikit akan habis, diberi banyak pun habis juga.

Kemudian uji sama ada mereka boleh bekerja atau tidak. Berikan sedikit tanggungjawab pekerjaan dan lihat sama ada dia boleh buat atau tidak. Ujilah dia dari masa ke semasa sehingga cukup umur nak kahwin. Itu adalah satu tanda umur yang seseorang itu sudah dewasa.

 

فَإِن ءآنَستُم مِّنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموٰلَهُم

Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; 

Kata آنَستُم bermaksud sesuatu perkara yang kita boleh nampak di luar sahaja. Kerana kita tidak tahu hati manusia. Oleh itu kita hanya boleh uji kecerdikan anak-anak yatim itu setakat yang boleh sahaja, iaitu secara luaran sahaja.

Lafaz رُشدًا maksudnya bijak, termasuklah antaranya bijak mengurus harta. Kita boleh lihat dari pengamatan kita. Islam tidak meletakkan had masa kerana ini adalah tentang akal: ada yang cepat pencapaian akalnya dan ada yang lambat.

Akan tetapi kalau umurnya sudah 25 tahun, terpaksa jugalah beri kepadanya hartanya. Kerana ada orang yang sampai bila-bila pun tidak akan pandai nak jaga hartanya. Maka takkan tidak diberi langsung hartanya sendiri?

 

وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا

dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. 

Jangan ambil dari harta itu lebih dari yang patut. Islam membenarkan mereka yang diamanahkan untuk menjaga harta anak yatim untuk mengambil dari harta itu kerana ada yang penjaga amanah pun miskin juga.

Kerana mungkin apabila dia sudah diamanahkan untuk menjaga harta itu, dia sudah tidak boleh bekerja seperti biasa kerana dia kena menguruskan harta itu pula.

Maka, dalam keadaan itu, Allah izinkan untuk mengambil dari harta itu untuk keperluan hidup, tapi kenalah patut-patut. Lebih kurang tidak apa kalau nak ambil untuk kegunaan sendiri. Cuma jangan berlebihan (israaf). Jangan kita bermewah pula dengan harta yang asalnya bukan hak kita pun, tapi hak anak yatim.

Ingatlah yang itu adalah harta anak yatim dan telah disebut bahawa mengambil darinya adalah dosa besar. Cuma Islam membenarkan mengambil yang sekadar patut sahaja. Maka yang pertama, jangan israaf.

Yang kedua, janganlah kamu ambil harta itu cepat-cepat sebelum serah harta itu kepada mereka. Jangan ada yang fikir nak ambil peluang sementara boleh. Iaitu sebelum anak yatim itu dewasa. Ini kerana ada yang teringat yang setahun lagi anak itu akan dewasa, maka nak kena cepat-cepat ambil harta itu dalam masa setahun ini. Ini adalah satu kesalahan. Allah tahu apa yang ada dalam hati kita.

 

وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف

Dan sesiapa yang kaya, maka hendaklah dia menahan diri

Kalau penjaga harta anak yatim itu sendiri sudah kaya, tidaklah perlu ambil dari harta anak yatim itu untuk kehidupan dia. Maknanya, biarkan supaya semua harta anak yatim itu untuk dia sahaja, jangan ambil sedikit pun.

Kenapa perlu nak ambil lagi kalau kaya, kerana sudah ada harta sendiri, bukan? Bagaimana nak tahu sudah kaya? Iaitu dia sendiri kena keluarkan zakat. Kalau diri sendiri pun keluarkan zakat, itu sudah dikira orang kaya.

Lagi pun dia sedang melakukan tanggungjawab dia sebagai pemegang amanah. Dan kalau menjalankan tanggungjawab, tidak boleh ambil upah atas tanggungjawab itu.

 

وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ

dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya.

Kalau penjaga amanah itu seorang yang miskin, maka bolehlah dia ambil tapi dengan cara yang baik dan yang patut sahaja. Bukanlah dia ambil dengan sorok-sorok tetapi dengan terbuka. Dan dia kena rekodkan berapakah yang dia ambil kerana kena bentangkan nanti semasa pulangkan balik baki harta itu nanti.

Allah tidak menyebut berapa jumlah boleh ambil. Tidak ditetapkan, cuma Allah sebut بِالمَعروفِ – maksudnya yang telah ‘diketahui’. Maknanya, diri sendiri pun sudah tahu yang itulah jumlah yang sesuai. Mengikut keadaan tempat dan keperluan. Orang yang baik akan tahu berapa banyak yang patut-patut.

Ibnu Abu Hatim mengatakan. telah menceritakan kepada kami Abu Said Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Khalid Al-Ahmar, telah menceritakan kepada kami Husain Al-Mukattab, dari Amr ibnu Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya yang telah menceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Nabi Saw., lalu lelaki itu berkata, “Sesungguhnya aku mempunyai seorang anak yatim yang mempunyai harta, sedangkan aku sendiri tidak berharta, bolehkah aku ikut makan dari sebahagian hartanya?” Rasulullah Saw. menjawab:

«بِالْمَعْرُوفِ غَيْرَ مُسْرِفٍ»

Makanlah dengan cara yang makruf tanpa berlebih-lebihan!

Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah meriwayatkannya melalui hadis Husain Al-Mu’allim.

Kita sendiri kena tanya diri kita. Kalau nak ambil banyak dan terlebih, bolehkah kita jawab depan Allah taala nanti, kenapa kita ambil banyak itu? Kerana tidak ada orang yang jaga dan kawal diri kita, kita yang kena kawal diri kita sendiri. Dan kita kena ingat yang kita akan menjawab di hadapan Allah taala nanti.

Jadi pengertian ayat ini seperti yang disebutkan di dalam ayat lainnya. Iaitu firman-Nya:

وَلا تَقْرَبُوا مالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Dan janganlah kalian dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga ia dewasa. (Al-An’am: 152 dan Al-Isra’: 34)

Dengan kata lain, janganlah mendekati harta anak yatim kecuali dengan maksud untuk berbuat yang bermanfaat terhadapnya; jika kamu memerlukannya, kamu boleh memakan sebahagian darinya menurut cara yang patut.

 

فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموٰلَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم

Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka.

Bila tiba waktu untuk serahkan harta itu kepada anak yatim itu, hendaklah dicari dua saksi. Ini adalah sunat. Supaya anak-anak yatim itu puas hati dan tidak ada sangka buruk terhadap penjaga harta.

Jangan nanti budak itu kata kita tidak beri harta dia pula. Boleh dibentangkan berapa banyak yang telah digunakan, berapa banyak yang tinggal, berapa banyak yang telah dilaburkan dan maklumat-maklumat lain.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas

Allah melihat segala apa yang kita lakukan. Allah sudah cukup untuk menghitung berapa yang patut dipulangkan. Allah lah sebaik-baik saksi. Ambil saksi dari manusia itu sebagai syarat sahaja. Kerana saksi itu tidak tahu sebenarnya apa yang kita lakukan, tapi Allah tahu segala-galanya, kecil dan besar.

Allah nak beritahu bahawa sebagai penjaga, kita kena jujur dan ikhlas. Kerana Allah sentiasa mengawasi apa yang kita lakukan dengan harta itu. Allah lebih hebat dari akauntan atau auditor kerana semua dalam pengiraanNya. Jangan kita sangka yang kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengan harta anak-anak yatim itu.

Maka ini adalah tugas yang amat berat. Kalau rasa tidak mampu, janganlah ambil tugas ini. Kerana itulah maka disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي، لَا تَأَمَّرَن على اثنين، ولا تَلِيَنَّ مال يتيم”

Hai Abu Zar, sesungguhnya aku melihatmu orang yang lemah, dan sesungguhnya aku menyukai bagimu sebagaimana aku menyukai buat diriku sendiri. Jangan sekali-kali kamu memerintah atas dua orang, dan jangan sekali-kali kamu menjadi wali harta anak yatim.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Oktober 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 1 – 3 (Hak anak yatim)

Pengenalan:

Surah an-Nisa ini banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah. Ianya tentang ayat-ayat yang mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan kita dengan masyarakat. Ianya adalah ayat-ayat asas tentang masyarakat Islam yang perlu dijaga.

Sepertimana Surah Baqarah berpasangan dengan Surah Ali Imran, Surah an-Nisa ini berpasangan dengan surah al-Maidah.

Ayat akhir surah Fatihah telah menyebut tentang empat golongan yang sesat. Surah Baqarah sebut tentang Yahudi, surah Ali Imran tentang Kristian dan surah Nisa ini tentang Munafiqin. Kerana merekalah yang merosakkan masyarakat Islam. Dan golongan musyrikin pula nanti akan disebut dalam surah An’am.

Ayat-ayat Umur Munazimah dalam Surah an-Nisa itu banyaknya tentang wanita dan kanak-kanak. Banyak nanti akan disebut tentang mereka dan penjagaan hak-hak mereka (huququl ibaad).

Ini adalah penting kerana golongan itu selalunya tidak mendapat hak mereka sampai mereka dijadikan barang harta yang boleh ditukar-tukar dan dipusakai. Mereka juga golongan yang paling teruk ditindas. Lebih-lebih lagi anak yatim kerana mereka kecil, lemah tubuh badan dan akal mereka. Oleh itu, banyak ayat-ayat tentang menjaga mereka.

Haq-haq orang lain terjaga dalam perundangan agama, masyarakat dan juga mereka sendiri boleh meminta hak mereka. Tapi golongan kanak-kanak dan wanita ini lemah dan kerana itu memerlukan perlindungan. Kerana itu Allah sebut khusus tentang hak mereka dalam surah ini.

Dalam Surah Ali Imran sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan sekarang disebut mereka yang bertaqwa akan jaga semua perkara-perkara yang akan disebut dalam surah ini. Hanya orang bertaqwa sahaja yang akan menjaga tindak tanduk mereka mengikut kehendak Allah.

Juga terdapat ayat-ayat Umur Munazimah mengenai rakyat dan pemimpin. Ini penting kerana banyak rakyat yang ditindas oleh pemimpin mereka. Maka dalam surah ini, para pemimpin diajar supaya jangan zalim dan jangan negara mereka ada kezaliman.

Maknanya mereka sendiri jangan berlaku zalim dan pastikan rakyatnya sendiri tidak menzalimi sesiapa. Baru umat jadi baik dan boleh dakwah kepada manusia. Kerana kalau keamanan dan keadaan pemerintahan kita sendiri kacau bilau, tentu tidak boleh nak menjalankan kerja dakwah dan jihad menentang negara-negara kufar untuk menyebarkan Islam.

Hebat sekali bagaimana Allah menyusun ajaran-ajaran dalam surah an-Nisa ini. Ianya tidak ada dalam ajaran agama lain. Maka amat malang kalau orang Islam sendiri tidak tahu mengenainya. Dan memang ramai yang tidak tahu menahu bagaimana Islam mempunyai hukum dan undang-undang bermasyarakat yang amat hebat. Kebanyakan umat Islam memang tahu yang agama Islam ini adil, bagus, baik, tapi tidak tahu dengan pasti.

Mereka tidak boleh beri contoh kenapa Islam dikatakan adil. Oleh kerana tidak tahu, mereka sampaikan terpaksa ambil ilmu dari tempat lain, dan tidak rujuk Qur’an pun. Maknanya, mereka belajar dengan orang kafir pula. Sampai ada yang kritik Islam dengan dengan kata Islam tidak adil sedangkan mereka tidak belajar pun apakah yang Islam kata.

Sebelum kita memulakan tafsir Surah ini, ada baiknya kita senaraikan dahulu susunan ayat-ayat dalam surah ini:

Ayat 1 – 57: menyebut 14 undang-undang Umur Munazimah tentang hak-hak asas manusia. Kebanyakannya untuk wanita dan anak yatim. Allah selit juga tentang tauhid secara ringkas.

Ayat 58 – 115: ayat-ayat Umur Munazimah juga tapi undang-undang kepada pemerintah. Ada juga dimasukkan tentang tauhid tapi lebih panjang. Ada ayat ‘Amalan Tiga Serangkai‘ untuk tolak bencana. Terdapat juga huraian tambahan hak rakyat dan pemerintah.

Ayat-ayat seterusnya pula adalah tentang Yahudi Nasara dan banyak lagi ayat tentang Munafikin.

Ringkasan dari Daurah Maulana Asri:

📚 04: Surah An-Nisa
🔸Tertib dlm Mushaf: 4
🔹Tertib diturunkan: 92
🔹Surah Madaniyyah.
🔸Bil Ayat: 176.
🔹Bil Ruku’: 24
🔸Bilangan Perenggan: 9

P1⃣: [4:1-43] MUKADIMAH. SYARIAT KEKELUARGAAN. Syarat utk membentuk Ummat Wasato dan Khaira Ummah.
Selepas perang Uhud ramai juga umat Islam terkorban syahid hingga meninggalkan balu dan anak yatim. Maka turunlah an-Nisa menjelaskan bbrp syariat tentang:
▪️Penjagaan harta anak yatim
▪️Mas kahwin perempuan yg dinikahi
▪️Perempuan yg haram dinikahi
▪️Harta pusaka dan kiraan pembahagiannya.

P2⃣: [4:44-57] PERINGATAN KPD AHLI KITAB. Allah menjawab dakwaan Ahli kitab yg mengatakan orang Arab musyrik lebih benar jalannya drp para sahabat.
P3⃣: [4:58-59] HAK RAKYAT DAN PENGUASA. Berikan Amanah kpd mereka yg berhak. Tegakkan hukuman dgn adil.

P4⃣: [4:60-104] MUNAFIK DAN JIHAD.
Sikap kaum munafik membahayakan keselamatan negara Islam. Mereka sering memberi alasan utk tidak berjihad.
P5⃣: [4:105-115] HIKMAH TURUNNYA AL-QURAN.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah… [4:105]

P6⃣: [4:116-134] Perselisihan Bani Israil dgn Bani Ismail
P7⃣: [4:135-152] Bersihkan diri drp Sikap Nifak dan Berlaku Adil.

P8⃣: [153-175] KRITIKAN ATAS AHLI KITAB. Antara pendustaan dan kejahatan mereka:
▪️menuduh Maryam melalukan perbuatan keji
▪️menyengutukan Isa, Jibril dgn Allah
▪️membunuh Nabi-nabi terdahulu
▪️cuba membunuh Isa.
▪️Orang Yahudi mengambil riba, menghalang orang drp beriman.
▪️Menolak kerasulan Muhammad.

P9⃣: [176] HUKUM TENTANG HARTA PUSAKA KALALAH. Orang yg meninggal tetapi tidak punya anak.


 

Ayat 1: Ayat takhwif.

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Nisā’: The Women.

O mankind, fear your Lord, who created you from one soul and created from it its mate and dispersed from both of them many men and women. And fear Allāh, through whom¹ you ask one another,² and the wombs.³ Indeed Allāh is ever, over you, an Observer.

  • In whose name.
  • i.e., request favors and demand rights.
  • i.e., fear Allāh in regard to relations of kinship.

MALAY

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ

Wahai sekalian manusia! 

Allah bercakap kepada manusia seluruhnya. Maknanya, Qur’an ini adalah untuk seluruh umat manusia. Samada mereka yang dapat surah ini semasa ianya diturunkan, atau pada bila-bila zaman pun selepasnya.

Tapi kita pun tahu yang orang bukan Islam bukan baca Qur’an pun. Maka ini mengajar kita yang kita sebagai orang Islam ini kenalah sampaikan kepada mereka. Kena jalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.

Kerana ramai yang tidak dilahirkan dalam agama Islam dan mereka perlu ada orang yang menyampaikan dakwah kepada mereka. Kerana kalau bukan kita yang sampaikan, siapa lagi?

 

اتَّقوا رَبَّكُمُ

Bertaqwalah kepada Tuhan kamu

Ini adalah suruhan pertama yang kena disampaikan kepada manusia. Hendaklah umat manusia bertaqwa kepada Allah dengan menjaga hukum-hukum yang telah diberikanNya. Antaranya, kenalah takut kepada Allah. Kerana kita takut kepada Allah, maka kita jaga hukum-hukum yang telah ditetapkanNya.

Antara ajaran dan hukum yang penting disebut dalam surah ini yang akan diajar nanti adalah cara berurusan dengan manusia. Cara kita berusan dengan manusia juga memerlukan taqwa. Allah akan ajar kita bagaimana untuk berurusan dengan manusia. Allah sampaikan hukumNya kepada kita sebagai panduan hidup kita.

Allah menggunakan namaNya Rabb dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang Dialah yang mengurus kehidupan kita dari kita lahir sampai bila-bila Maka kenalah bertaqwa kepadaNya.

Kena taqwa kepada Rabb. Tapi siapakah Rabb itu?

 

الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ

yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), 

Dalil kenapa kita kena bertaqwa dengan Allah adalah kerana Dia yang menjadikan kita dari tidak ada kepada ada. Kalau Allah yang jadikan kita tapi kita tidak taat kepadaNya, memang tidak patut. Lebih-lebih lagi kalau Allah yang jadikan kita, tapi kita taat kepada selain Allah seperti syaitan dan nafsu, tentulah lagi tidak patut.

Allah juga memberitahu kita yang asal kita semua sama sahaja, iaitu dari Nabi Adam عليه السلام. Allah hendak menceritakan tentang asal kejadian kita. Kita semua ini asalnya dari satu orang sahaja, jadi ada kaitan yang kuat antara kita semua.

Jadi bukan sahaja kerana taqwa kepada Allah kita kena berbaik dan tidak zalim kepada orang lain, tetapi kerana kita ini asalnya satu. Memang sekarang berbangsa-bangsa dan berjenis-jenis kedudukan, tapi asalnya satu sahaja. Kenalah ada kasih sayang sesama manusia.

 

وَخَلَقَ مِنها زَوجَها

dan yang menjadikan daripada (jenis Adam) itu pasangannya

Dan dari jenis Nabi Adam itu, dijadikan ibu kita, Hawa. Oleh itu, asal kita semuanya dari pasangan ini.

Apabila digunakan kalimah من (dari) itu, bukanlah bermaksud Hawa dijadikan dari Nabi Adam عليه السلام, tapi dijadikan ‘dari jenis’ Nabi Adam. Iaitu golongan manusia juga. Maka pasangan hidup kita adalah dari manusia juga. Maka tidaklah kita berkahwin dengan jin pula (walaupun ada juga pendapat boleh kahwin tapi pada saya ini agak pelik).

Riwayat yang mengatakan Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam عليه السلام itu ada masalah sikit. Ianya tidak ada dalam penulisan Islam tapi ianya ada dalam artikel Kristian dan Yahudi terutama dalam Kitab Talmud mereka. Jadi kita tidak perlulah nak sibuk kata Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam عليه السلام pula.

Kekeliruan ini juga timbul kerana ada disebut di dalam sebuah hadis sahih berkenaan kejadian sifat wanita:

«إِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنِ اسْتَمْتَعْتَ بِهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا وَفِيهَا عِوَجٌ»

Sesungguhnya wanita itu dijadikan seperti tulang rusuk, dan sesungguhnya rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Maka jika kamu bertindak untuk meluruskannya, nescaya kamu akan membuatnya patah. Tetapi jika kamu bersenang-senang dengannya, bererti kamu bersenang-senang dengannya, sedangkan padanya terdapat kebengkokan.

Kita kena tahu bahawa bukanlah wanita ini dijadikan ‘dari’ tulang rusuk, tapi ‘seperti’ tulang rusuk. Ini adalah kerana kalimah من itu tidak semestinya bermaksud ‘dari’ sahaja, tapi boleh juga bermaksud ‘seperti’.

 

وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً

dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.

Dari dua pasangan itu, manusia berkembang biak sampailah sekarang. Kita semua asalnya sama sahaja. Maknanya semua manusia asal daripada dua ini sahaja, jadi kenapa zalim sesama sendiri? Semua kita anak beranak belaka.

Tapi manusia jadi ada rasa benci kepada orang lain kerana bisikan syaitan. Syaitan yang membisikkan kebencian kepada golongan lain, kepada bangsa lain, keturunan lain.

Oleh itu, jangan bezakan antara kaum. Asal sahaja kita digelar ‘manusia’, asal kita semuanya satu. Oleh itu, jangan tengok ras dan warna kulit. Inilah masalah besar yang dihadapi oleh dunia sekarang. Banyak yang membanding-bandingkan keturunan, warna kulit, asal dari mana dan sebagainya.

Manusia selalunya akan mencari apakah perbezaan sesama mereka, tapi tidak mahu melihat apakah persamaan antara mereka. Oleh itu kita kena ubah paradigma kita: bila tengok orang, carilah persamaan kita dan dia, bukannya cari perbezaaan.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, 

Lagi satu dalil kenapa kita kena bertaqwa kepada Allah. Kerana kepada Allah lah tempat kita meminta segala hajat. Apa-apa hal kita minta kepada Allah samada kecil atau besar. Tidak boleh meminta kepada selain dariNya. Kalau kepada Dia sahaja kamu meminta, maka taqwalah kepadaNya, ikutlah segala hukum yang diberikanNya.

Tafsir lain: Ibrahim, Mujahid, dan Al-Hasan mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kalian saling meminta satu sama lain, (An-Nisa: 1) Yakni seperti dikatakan, “Aku meminta kepadamu dengan nama Allah dan hubungan silaturahmi.”

Oleh kerana itu, maka kita kenalah jaga hak orang lain. Kita selalu minta hak kita dan kata “atas ayat sekian-sekian dan hadis sekian-sekian, aku ada hak ini”. Jadi hak orang lain pun kita kenalah jaga juga. Jangan pandai quote ayat Qur’an sebab nak hak kita sahaja.

 

وَالأَرحامَ

dan rahim-rahim

Pendek sahaja potongan ayat ini. Allah merujuk kepada rahim wanita dalam ayat ini. Ia memberi isyarat kepada kita untuk menghormati emak kita. Masa kecil kita memerlukan emak, bukan? Sikit-sikit, “emak… emak…” Tapi kenapa kita lupa dia bila dah tua? Kenapa tidak telefon dia? Kenapa kena tunggu dia telefon kita, baru kita nak bercakap? Kenapa kalau kita sibuk, kita tidak luangkan masa untuk bercakap dengan dia?

Dan bukan itu sahaja, kena hormati dan jaga hubungan dengan mereka yang ada kaitan dengan ‘rahim’. Maksud yang pertama adalah: jagalah dari memutuskan silaturrahim yang paling dekat sekali, iaitu keluarga adik beradik. Kena jaga kerana semuanya berasal dari rahim yang satu. Inilah maksud ‘silaturrahim’.

Oleh itu, jangan ada permusuhan sesama adik beradik, ahli keluarga yang terdekat. Ini yang penting kena jaga dahulu. Ini memang ada masalah yang besar dalam masyarakat. Kadang-kadang dengan orang lain boleh berbaik, cakap baik-baik, tolong menolong, tapi dengan adik beradik sendiri sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya. Kita pun selalu dengar cerita begini, bukan? Ini amat buruk sekali. Ini adalah qat’al rahim (memutuskan hubungan silaturrahim).

Ini adalah perbuatan yang teruk sekali dan melawan suruhan Allah dalam ayat ini. Allah suruh berbaik dengan ahli keluarga, tapi ada yang berkelahi bertahun-tahun. Kenduri kendara tidak datang, tidak jenguk kalau dia sakit, nak hulur duit lagilah jauh sekali. Ini ikut ajaran mana?

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”Hadis Riwayat Bukhari

Kita sebagai manusia ada hubungan yang jauh dan ada yang dekat seperti adik beradik dan keluarga terdekat. Kalau boleh jaga hubungan yang dekat, semoga boleh jaga hubungan yang jauh sikit. Tapi kalau adik beradik pun dah tak baik, apakah maksudnya?

Jagalah silaturrahim kerana banyak rahmat padanya:

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”Hadis Riwayat Bukhari.

Dalam konteks yang lebih besar, kita semuanya berasal dari rahim yang satu – Hawa. Maka, hubungan dengan manusia lain pun kena jaga juga. Jangan nak benci tidak tentu fasal dengan orang lain. Jangan menzalimi orang lain seperti kita tidak boleh menzalimi adik beradik sendiri. Kalau ini boleh difahami, tentulah aman dunia ini, bukan?

Kalau sedekah kita pun tahu dianjurkan dalam Islam; tapi tahukah anda, sedekah kepada ahli keluarga akan lebih banyak pahala lagi?

حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة وعلي بن محمد . قالا حدثنا وكيع عن ابن عون عن حفصة بنت سيرين عن الرباب أم الرائح بنت صليع . عن سلمان بن عامر الضبي قال : – قال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( الصدقة على المسكين صدقة وعلى ذي القرابة اثنتان صدقة وصلة )  

Artinya : telah menceritakan kepada kami abu bakar bin abu syaibah, dan ‘ali bin muhammad, mereka berkata, telah menceritakan kepada kami waki’, dari ibnu ‘aun, dari hafsahah bintin sirin, dari rubab ummur raih binti shali’, dari Salman bin Amir Adh-Dhabbi, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Sedekah kepada orang miskin mendapatkan satu pahala sedekah, dan kepada kerabat mendapatkan dua pahala, (pahala) sedekah dan menyambung silaturahim. (HR. Ibnu Majah No. 1844 Juz 1 Halaman 591)

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا

sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi. Maksud رَقيبًا asalnya adalah ‘belakang leher’. Macam kalau kita pegang belakang leher binatang untuk  mengawasi dan mengawalnya. Dan anak-anak kita pun kita buat begitu juga, terutama kalau berjalan di kedai mainan, kita pegang kepala dia supaya dia tidak nampak mainan di kedai itu. Kita sedar apa yang dia sedang tengok.

Allah gunakan lafaz رَقيبًا untuk memberi maksud yang Allah mengawasi kita sentiasa. Dia tahu apa yang kita sedang lakukan. Dia boleh hukum kita kalau kita buat silap kerana Dia tahu sahaja apa yang kita telah lakukan. Maka jangan sangka kita bebas. Maka hukum-hukum Allah ini kenalah diperhatikan dan ditaati.

Kalaulah kita dapat menyedarkan diri kita yang kita sentiasa dalam perhatian Allah, tentu kita akan menjaga segala tindak tanduk kita. Bayangkan, kalau kita tahu ayah kita sedang melihat kita, tentu kita tidak berani nak buat dosa, bukan?

Begitu juga kalau kita tahu polis sedang memerhatikan kita, tentu kita tidak berani hendak mencuri, bukan? Maka cuba sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan:

«اعْبُدِ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ، فَإِنَّهُ يَرَاكَ»

Sembahlah Tuhanmu seakan-akan kamu melihat-Nya; jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.

Ada hukum dan undang-undang telah diberikan dalam Qur’an dan itu semua boleh dijalankan di mahkamah. Sesiapa yang haknya telah dilanggar, boleh mengadu di mahkamah. Tapi bagaimana dengan kanak-kanak dan wanita? Bagaimana dengan orang yang tertindas dan tidak ada peluang untuk mengadu kepada mahkamah? Maka kerana itu Allah ingatkan yang Dia sentiasa mengawasi segala perbuatan manusia.

Memang ahli keluarga tidak boleh mengadu kepada mahkamah kalau silaturrahim telah diputuskan, tapi Allah sentiasa melihat. Memang tidak boleh nak mengadu kalau manusia ada yang rasis, tapi Allah sentiasa melihat.


 

Ayat 2: Ayat pertama tadi adalah anjuran dalam bentuk umum untuk berbuat baik kepada semua manusia, kemudian kepada kaum kerabat. Sekarang kita masuk kepada lebih khusus lagi.

Undang-undang yang pertama adalah tentang anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang hilang sokongan keluarga mereka, kerana mereka kehilangan ayah atau kehilangan ayah dan ibu.

Oleh kerana mereka telah hilang tempat bergantung, maka Islam mengajar kita untuk menjaga mereka yang hilang sokongan. Kerana itu ada ahli keluarga yang ditugaskan untuk menjaga anak yatim itu. Mungkin pakcik dia ataupun orang lain yang tidak ada kena mengena dari segi pertalian darah. Allah menggalakkan perkara ini dengan memberitahu yang menjaga anak yatim ini adalah tugas yang mulia.

Tapi jangan salah gunakan kedudukan kita sebagai penjaga anak yatim itu. Ada tiga kezaliman yang biasa dikaitkan dengan anak yatim:

  1. pada harta mereka
  2. masa perkahwinan mereka
  3. pembahagian harta pusaka mereka

Hukum yang pertama ini memberitahu kita supaya jangan makan harta anak yatim. Memakan harta anak yatim adalah dosa yang amat besar. Sepatutnya kena jaga mereka dan harta mereka, bukannya ambil harta mereka.

وَءآتُوا اليَتٰمىٰ أَموٰلَهُم ۖ وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلا تَأكُلوا أَموٰلَهُم إِلىٰ أَموٰلِكُم ۚ إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give to the orphans their properties and do not substitute the defective [of your own] for the good [of theirs]. And do not consume their properties into your own. Indeed, that is ever a great sin.

MALAY

Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

 

وَءآتُوا اليَتٰمىٰ أَموٰلَهُم

Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu harta mereka,

Anak yatim adalah mereka yang telah kehilangan bapanya. Syaratnya mereka belum baligh lagi. Mungkin bapa kanak-kanak itu ada harta dan apabila bapa itu meninggal, ada orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga harta itu, bagi pihak anak yatim itu.

Penjaga itu mungkin dilantik oleh ayah sebelum dia meninggal, atau dipilih sendiri oleh anak yatim itu, atau dilantik oleh mahkamah.

Semasa anak yatim dalam jagaan orang yang diamanahkan untuk menjaganya, maka gunakan harta peninggalan emak ayah dia untuk membesarkan dia. Apabilan nak pakai untuk makan pakai dia, persekolahan dia, boleh ambil dari peninggalan harta wali dia.

Dan apabila anak yatim itu sudah cukup matang, dah boleh jaga harta mereka sendiri, kita yang telah diamanahkan untuk menjaga harta mereka (semasa mereka kecil dan tidak mampu untuk menjaga sendiri harta itu), kena serahkan balik harta mereka yang masih berbaki. Maka ayat 3 ini merujuk kepada ayat 5 nanti dimana apabila anak yatim itu sudah baligh dan boleh jaga harta, maka kena kembalikan hartanya.

Sebelum kita berikan harta mereka semula, kita kena ajar mereka cara jaga dan urus harta dan kalau sudah nampak mereka pandai jaga harta, kena serahkan balik harta mereka. Ini penting, kerana tentulah ada penjaga amanah yang jahat yang tidak menyerahkan balik harta anak yatim yang telah diamanahkan. Kerana selalunya manusia apabila dah nampak harta mulakan gelap mata dia.

Maka tersirat dalam ayat ini, bukan sahaja penjaga amanah itu jangan makan harta anak yatim itu, tapi dia kena berusaha sedaya mungkin untuk menjaga harta itu supaya terjaga, tidak berkurang dan tidak hilang sehinggalah anak yatim itu cukup dewasa untuk menjaganya sendiri. Kerana kalau tak dijaga, apakah nanti yang dia akan pulangkan kepada anak itu?

 

وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ

dan janganlah kamu tukar-gantikan yang buruk dengan yang baik;

Jangan sesekali tukar harta itu. Jangan beri harta yang buruk kepada mereka dan ambil yang molek untuk kita. Semua hak mereka kena diberikan kepada mereka. Berikan yang mana hak mereka dan jangan ditukarganti.

Sebagai contoh, janganlah sebab mendiang ayah budak itu ada kereta yang cantik, kita berikan kereta yang buruk kepada budak itu, dan ambil kereta yang cantik itu. Jangan buat begitu. Kerana ada yang boleh bagi alasan: “eh.. aku bagi kereta juga lah!”.

As-Saddi mengatakan, “Seseorang di antara mereka mengambil kambing yang gemuk dari ternak kambing milik anak yatim, lalu menggantikannya dengan kambing yang kurus, kemudian kamu katakan, ‘Kambing dengan kambing. Janganlah kamu mengambil dirham yang baik, lalu menggantikannya dengan dirham yang palsu, kemudian kamu katakan, ‘Dirham ditukar dengan dirham lagi’.”

Kerana itulah semasa serahkan harta itu kepada anak yatim apabila dia dewasa, kena ada saksi supaya dia puas hati dan rasa tenang dengan pemberian kita itu. Supaya boleh dijelaskan manakah harta dia sendiri dan supaya dia boleh pastikan yang penjaga tidak ambil hak dia. Jangan ada pertelingkahan selepas itu.

Bab harta ini memang kena jaga betul-betul. Kerana dengan harta inilah yang menyebabkan bermasam muka, berkelahi tujuh keturunan. Malah ada yang sampai berperang kerana tak puas hati bab harta. Maka untuk menjaga keharmonian masyarakat, Allah dah ajar siap-siap apa yang perlu dilakukan.

Tafsir ayat ini secara umum (kalau tidak berkenaan anak yatim):

Sufyan As-Sauri meriwayatkan dari Abu Saleh, “Janganlah kamu tergesa-gesa dengan rezeki yang haram sebelum datang kepadamu rezeki halal yang telah ditakdirkan buatmu.”

Maknanya, bersabarlah berusaha dan menunggu untuk dapat rezeki yang halal. Jangan kalau ada peluang dapat rezeki cara haram, terus ambil pula. Allah akan berikan rezeki yang halal nanti kepada kamu.

 

وَلا تَأكُلوا أَموٰلَهُم إِلىٰ أَموٰلِكُم

dan janganlah kamu makan harta mereka dengan harta kamu;

‘Makan’ dalam ayat ini, maksudnya ‘ambil’. Maksudnya, jangan campur harta anak yatim dengan harta penjaga. Ini penting kerana mungkin semasa ambil belanja untuk kegunaan sendiri, ada yang terambil sekali dengan hak anak yatim itu.

Lafaz إِلىٰ dalam ayat ini bermaksud مع (bersama). Kalau harta sendiri dan harta anak yatim dicampur sekali, ada kemungkinan boleh termakan harta anak yatim itu. Oleh itu, kita boleh halang perkara ini dari terjadi dari awal-awal lagi. Sebagai contoh, jangan masukkan wang amanah itu ke dalam akaun kita. Nanti takut kita terambil duit dia pula. Letaklah dalam akaun yang lain.

Amat bahaya sekali kalau dicampur kerana kalau tidak berhati-hati mungkin kita terambil walaupun tidak ada niat. Kita kena cuba bezakan manakah harta dia dan mana harta kita supaya tidak bercampur.

 

إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا

kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

Makan harta anak yatim adalah dosa yang sangat besar. Allah gunakan kalimah حوب dalam ini dan Ibn Abbas mengatakan ia diambil dari bahasa Habashah. Dan maksudnya ‘dosa besar’. Allah hendak memberitahu yang harta anak yatim kalau tidak dijaga, kalau diambil, kalau dicampurkan dengan harta penjaga, kalau dimakan, itu semua adalah dosa yang besar.

Maka kena jaga bersungguh-sungguh dan jaga sistem kewangan kita supaya perkara ini tidak berlaku. Kalau terambil pun sudah ada masalah, apatah lagi kalau sengaja ambil? Ini nanti akan disebut dalam ayat 10.

Tapi nanti ada lagi penerangan dalam ayat-ayat yang lain yang menjelaskan lagi penggunaan wang amanah anak yatim itu. Kerana ada masanya, penjaga boleh juga ambil harta anak-anak itu. Ayat 2 ini berkenaan penjaga yang ada harta sendiri. Kalau sudah ada harta sendiri, janganlah makan anak yatim yang di dalam jagaannya.

Dan hukum ini amat ditakuti oleh para sahabat yang menjaga amanah anak yatim sampaikan mereka nak makan sekali di meja makan pun tak berani. Mereka takut termakan sekali makanan anak yatim itu. Maka Allah beri penerangan tambahan dalam ayat yang lain iaitu Baqarah:220.


 

Ayat 3: Undang-undang kedua masih ada kaitan tentang anak yatim. Dalam Islam, dibolehkan kahwin dengan anak yatim yang kita jaga. Ada kebaikan juga kalau berkahwin dengan mereka. Iaitu supaya mereka ada wali untuk menjaga mereka.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut jangan ambil harta anak  yatim. Salah satu cara yang digunakan oleh penjaga yang tidak amanah adalah dengan mengahwini anak yatim itu dan kemudian mengambil terus harta anak yatim itu. Maka Allah melarang perlakuan itu dalam ayat ini.

‘Wali’ adalah mereka yang bertanggungjawab dan yang menjaga seseorang. Asalnya, wali mereka adalah ayah mereka sendiri. Tapi, kalau mereka telah kehilangan ayah mereka, mereka tidak ada lagi wali yang sah (jika tiada adik beradik lelaki yang lain).

Kalau orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak  yatim (perempuan) itu rasa lebih senang untuk menjaga mereka kalau berkahwin dengan mereka, maka kahwinilah mereka. Kerana kalau mereka sudah jadi isteri, maka sudah ada kewajipan atas suami yang suami kena penuhi (kewajiban menjaga isteri). Maka, tujuan berkahwin dengan mereka itu adalah kerana nak jaga mereka dengan lebih baik.

Tapi ingat, apabila nak kahwin dengan anak yatim, jangan abaikan hak mereka sebagai isteri pula. Kena beri mahr dan hak-hak lain. Kena beri semua itu, sekalipun wali sebenar mereka tidak ada. Jangan kita ambil kesempatan pula ke atas mereka. Oleh itu, kalau rasa tidak dapat menjaga hak mereka, maka elakkan dari berkahwin dengan anak yatim.

وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you fear that you will not deal justly with the orphan girls, then marry those that please you of [other] women, two or three or four. But if you fear that you will not be just, then [marry only] one or those your right hands possess [i.e., slaves]. That is more suitable that you may not incline [to injustice].

MALAY

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

 

وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim

Orang lelaki yang diberikan amanah menjaga anak yatim perempuan boleh berkahwin dengan mereka jika mahu. Apabila berkahwin dengan mereka, kenalah jaga mereka sebagai isteri dan kena penuhi syarat-syarat sebagai suami. Maknanya ada tanggungjawab suami ke atas isteri.

Tapi ayat ini memberitahu kita, kalau bimbang tidak boleh berlaku adil terhadap anak yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, peliharalah sahaja sebagai amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Kahwinlah dengan orang lain (selain dari anak yatim itu) yang akan disebut selepas ini nanti.

Persoalan: bukankah ‘anak yatim’ anak yang belum baligh? Bagaimana pula dia dikahwini? Maka ada hukum di sini yang kita perlu tahu: boleh mengahwini wanita yang belum baligh.

Juga memberitahu kita yang penjaga anak yatim berkuasa untuk memberi kebenaran untuk anak yatim dikahwinkan. Maknanya mereka itu adalah wali kepada anak yatim itu. Tapi mereka kenalah tengok siapakah yang akan berkahwin dengan anak yatim itu. Janganlah diberikan kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kenalah periksa kedudukan dan laterbelakang lelaki itu.

Asalkan perkahwinan itu kenalah mengikut adat yang benar. Jangan gunakan cara ini untuk mengambil harta anak yatim itu pula. Kerana ada yang mengahwinkan anak yatim jagaannya dengan anaknya sendiri supaya harta tidak berpindah. Kadangkala anak lelakinya itu budak kecil lagi tapi dikahwinkan dengan anak yatim yang lebih tua.

Anak yatim wanita yang telah baligh, tentulah mempunyai hak untuk menentukan siapakah pasangan hidupnya. Tapi selalunya mereka akan ikut sahaja kata-kata penjaga mereka. Maka penjaga kenalah tengok kemaslahatan anak perempuan itu. Carilah lelaki yang baik untuknya.

 

فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ

maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan

Kalau kamu takut tidak dapat berlaku adil kalau kahwin dengan anak perempuan yang yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, boleh kahwin mana-mana wanita yang sesuai yang bukan anak yatim. Banyak lagi wanita lain di luar sana.

Kalimah طاب dari katadasar ط ي ب yang bermaksud ‘baik’, ‘suka’. Maka pilihlah mana yang berkenan di hati. Boleh kahwin lebih dari seorang pun. Ada ulama mengatakan maksud juga bermaksud ‘yang halal’ bagi kamu.

Jadi ada beberapa cara bagaimana mufassir memberi komentar mereka tentang ayat ini:

1. Menurut Aisyah, pada zaman dahulu, ramai lelaki yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim telah buat keputusan untuk mengahwini anak yatim itu kerana harta anak yatim itu, atau kerana kecantikan mereka atau kerana rasa yang mereka boleh buat apa sahaja terhadap anak-anak yatim itu kerana tidak ada wali lagi untuk memberi perlindungan kepada mereka.

Maka mereka akan tetapkan sendiri mahr (yang rendah) dan kemudian harta anak itu mereka ambil. Mereka boleh buat begitu kerana anak yatim itu tidak ada wali lagi untuk mempertahankan haknya.

Maka Allah beri peringatan dalam ayat ini: kalau tidak boleh berlaku adil, baik kahwin dengan orang lain sahaja. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan ayat 127 surah ini juga.

2. Pendapat Ibn Abbas pula mengatakan yang pada zaman Jahiliah dulu, para lelaki memang berkahwin ramai, sampai ada yang kahwin sepuluh isteri. Dan apabila terlalu banyak isteri, maka mereka tidak dapat memberikan nafkah kepada para isteri dan kerana itu mereka makan harta anak yatim di bawah jagaan mereka.

Maka kerana itu Allah menghadkan bilangan isteri kepada isteri 4 orang sahaja.

3. Allah hendak mengajar para lelaki untuk berlaku adil kepada para isteri dan kerana itu jangan berkahwin lebih kerana kalau berkahwin lebih, ada kemungkinan mereka akan berlaku zalim kepada para isteri itu.

Kerana apabila sudah ada ramai isteri, tentu tidak dapat memberi keadilan kepada semua sekali kerana ramai sangat.

 

مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ

dua, tiga atau empat.

Ayat ini yang banyak orang lelaki hafal. Memang ayat ini memberitahu bahawa seorang lelaki boleh kahwin sampai empat. Dan orang perempuan tidak boleh menentangnya, kerana ianya memang ada dalam hukum yang ditetapkan oleh Allah. Kena redha sahajalah, jangan lawan ayat Qur’an pula.

Dan jangan ditafsir dengan macam-macam alasan yang lain. Memang orang lelaki boleh kahwin sampai empat, tidak syak lagi.

Tapi ada penekanan di sini iaitu hanya setakat empat isteri sahaja. Bukannya campur semua. Sebab ada yang buat matematik 2+3+4+1=10. Jadi, mereka kata boleh kahwin sampai sepuluh! Dan memang ada yang buat begitu pun. Itu adalah ajaran sesat yang tafsir ayat Qur’an ikut sedap hati sendiri sahaja.

Perbincangan tentang poligami

Zaman Jahiliyah dulu memang para lelaki biasa kahwin lebih dan mereka kahwin lebih dari empat malah ada yang sampai sepuluh isteri pun ada. Tapi apabila kahwin banyak sangat, maka tentulah tidak terjaga para isteri itu sampai tidak berlaku adil, maka Allah tetapkan hanya setakat empat orang sahaja.

Perkahwinan lebih dari satu bukanlah dimulakan oleh agama Islam. Ianya telah lama ada dalam tamadun Arab, India, Iran, Mesir, Babylon dan lain-lain lagi. Ianya juga sudah ada dalam agama lain sebelum Islam lagi. Pengkaji Bible pun mengatakan pengkajian dari Bible mengatakan yang poligami bukan sahaja dibenarkan, tapi ianya memang molek untuk diamalkan. Malangnya, umat mereka sekarang pula yang cuba mengharamkan poligami (nak lawan teks Kitab mereka sendiri!).

Tapi ingatlah, ayat ini bukanlah ayat ‘suruhan’ untuk lelaki kahwin sampai empat pula. Ianya hanya ‘membenarkan’ sahaja seorang lelaki mengamalkan poligami. Dan sebenarnya, Islam telah menghadkan bilangan kepada empat sahaja. Kerana zaman sebelum itu, seorang lelaki tidak ada had untuk kahwin berapa banyak perempuan pun. Cuma Islam sahaja yang hadkan.

Dalam masa yang sama, ada orang yang mungkin terpengaruh dengan idea Barat yang menghalang poligami. Mereka kata sebenarnya Islam tidak suka kepada poligami dan mahu membasmi terus poligami. Tapi kerana ianya sangat banyak diamalkan pada masa Qur’an diturunkan, maka Allah mengambil jalan tengah dengan meletakkan had sahaja (dengan tidak mengharamkan terus).

Apabila ada tamadun yang mengharamkan poligami, maka ia menyebabkan seks bebas berleluasa. Mereka tidak benarkan perkahwinan poligami yang sah, tapi mereka benarkan pula perempuan simpanan, bersekududukan tanpa perkahwinan. Wanita memerlukan lelaki dan apabila lelaki tidak ramai, maka begitulah yang terjadi dalam masyarakat itu.

Tapi tidaklah Islam hadkan sampai satu sahaja, kerana ada keperluan untuk lelaki kahwin lebih dari satu. Cuma Islam tidak benarkan kahwin sampai banyak sangat. Kerana kalau poligami ini dihapuskan langsung, maka tentu ada suami yang tidak cukup dengan satu isteri akan menggunakan cara lain untuk mendapatkan kehendak mereka. Maka mereka mungkin akan simpan wanita simpanan atau pergi memuaskan nafsu mereka dengan pelacur. Maka ini tentu lebih teruk lagi kesannya.

Jadi, kalau kita lihat dari sejarah, sebenarnya Islam yang mengurangkan bilangan isteri, bukannya menambah. Jangan kita baca ayat ini sahaja, tapi kenalah lihat kepada sejarah tamadun manusia juga. Ini kerana ramai tuduh Islam tidak menjaga hak wanita sampai bagi kahwin sampai empat sedangkan wanita boleh kahwin satu sahaja. Mereka kata ini tidak adil. Dan ini adalah pandangan yang salah.

Sebagai tambahan, kita boleh lihat bagaimana kebenaran berkahwin lebih dari satu ini dapat menjadi jalan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat sekarang. Sepertimana yang kita tahu, ramai kalangan wanita yang tidak berkahwin kerana bilangan wanita sudah lebih ramai dari bilangan lelaki.

Kalau seorang lelaki hanya boleh kahwin satu wanita sahaja, tentu dari segi matematik, ramai wanita yang tidak akan ada peluang langsung untuk menikmati nikmat kehidupan berumahtangga.

Sedangkan semua wanita tentunya hendak kepada kehidupan berkeluarga, bukan? Kalau kita tolak kebenaran yang Allah berikan dalam ayat ini, bagaimana lagi cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan suami untuk menjadi suami kepada wanita? Adakah kita biarkan sahaja wanita-wanita itu tanpa suami? Ini adalah perkara yang kita perlu fikirkan dengan hati yang tenang.

 

فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً

Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,

Cuma kalau bimbang tidak boleh berlaku adil, tidak dapat menyempurnakan hak yang wajib, maka pilih satu sahaja. Ini lebih baik. Kerana kalau nak kahwin lebih dari satu tapi tidak tahu hendak berlaku adil, janganlah tambah isteri. Jangan pandang agama membenarkan kahwin lebih, tapi tutup mata tentang bab ‘keadilan’ kepada para isteri itu.

Lihatlah bagaimana agama mengajar berlaku adil kepada seorang lelaki. Sebenarnya, kalau kita lihat, Islam menyuruh kita kahwin dengan seorang sahaja. Kerana memang payah nak berlaku adil sebenarnya. Kerana kadang-kadang dengan seorang sahaja sudah tidak mampu berlaku adil, apatah lagi kalau sampai empat!

Tapi dalam masa yang sama, kita tidak nafikan ada lelaki yang memang boleh berlaku adil kepada kesemua isteri-isteri mereka. Maka, kita kenalah ukur kehendak keadilan ini dengan diri kita dahulu. Jangan nak sedap badan sahaja untuk merasa kahwin lebih dari satu, tapi tidak mampu berlaku adil. Kena belajar apa yang perlu dilakukan sebagai seorang suami yang beristeri lebih dari satu. Kepada lelaki, cuba fikirkan dahulu, apakah kamu sanggup berlaku adil atau tidak?

Sikap adil yang dituntut dari seorang suami adalah adil dalam:

  1. jadual bermalam, iaitu giliran isteri
  2. adil dalam memberi nafkah makanan, minuman dan pakaian.
  3. tempat tinggal

Di sini yang dituntut bukanlah adil dalam kecenderungan hati, sebab manusia tidak mampu menyamakan kecenderungan hatinya. Ada isteri yang kita lebih sayang dari isteri yang lain. Sebagai contoh, Nabi Muhammad pun lebih sayang kepada isterinya Aisyah kalau dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain. Perkara ini disentuh lagi dalam ayat 129 nanti.

Lafaz عدل juga bermaksud membuat keputusan dengan betul. Malangnya, ramai para suami yang kahwin lebih dari satu isteri tidak menjaga keadilan syarak yang dituntut oleh agama. Mereka tidak ikut ketetapan syarak, sebagai contoh, mereka tinggal lebih lama di rumah isteri yang mereka suka, nafkah pun tidak diberi sama rata dan sebagainya. Ini dilarang oleh syarak. Ini yang menyebabkan para wanita marah dengan lelaki yang berpoligami.

Mereka kena ingat kepada sabda Nabi: Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Siapa yang memiliki dua orang isteri lalu dia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka dia datang pada hari kiamat dalam keadaan badannya miring.

(HR. Abu Daud no. 2133, Ibnu Majah no. 1969, An Nasai no. 3394. Syaikh Al Albani menyatakan hadits tersebut shahih sebagaimana dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 1949)

Maknanya, lelaki yang tidak adil dengan isteri-isterinya, mereka akan bangkit di akhirat kelak dengan tubuh mereka senget sebelah. Kalau orang tengok ada lelaki yang sebegitu di akhirat kelak, maka tahulah yang lelaki itu tidak adil kepada isteri-isterinya.

 

أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم

atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.

Kalau satu isteri pun tidak mampu berlaku adil, maka tidak perlu kahwin dengan wanita merdeka, tapi kahwinlah dengan hamba sahaya. Kerana kalau kahwin dengan wanita yang berstatus hamba, hukum kewajipan terhadap mereka berlainan. Tidak sama dengan kahwin dengan wanita biasa. Banyak perkara bebas sedikit. Kita akan belajar tentang perkara ini nanti dalam ayat 25.

Dibenarkan mengadakan hubungan seksual dengan hamba perempuan yang dimiliki dengan syarat-syarat tertentu. Hamba yang dibenarkan miliki adalah mereka yang ditangkap dalam peperangan (jihad) dan dibahagikan kepada mujahidin. Selain dari itu, seseorang tidak boleh dijadikan hamba.

Hukum berkenaan hamba tidak pernah dimansukhkan dalam agama Islam. Muslim sekarang tidak memiliki hamba kerana kita sekarang tidak lagi terlibat dalam jihad. Dan kalau berperang pun, tidak adalah kita ambil tawanan perang jadi hamba kerana orang kafir pun tidak ambil orang kita jadi hamba lagi. Kerana perhambaan dalam dunia boleh dikatakan sudah pupus.

Tapi kalau mereka mula ambil hamba kembali, maka kita pun boleh jadikan tawanan perang mereka sebagai hamba. Jadi sekarang tidak adalah lagi hamba yang boleh dijadikan sebagai isteri lagi. Oleh itu, jangan gunakan alasan bersekududukan dengan wanita dan kata dia itu ‘hamba’ pula.

Mungkin ada yang rasa hairan kenapa ada hukum hamba dalam Islam. Kita kena sedar yang bukan agama Islam yang memulakan sistem hamba. Islam cuma mengawal dan menguruskan untuk menjaga hak-hak hamba itu sebagai manusia.

Pertamanya, tidak mudah untuk memiliki hamba dalam Islam. Kita telah sebutkan yang  hanya melalui peperangan sahaja kita boleh dapat hamba. Dan bukanlah Islam juga yang memulakan perkara ini. Kalau berperang dengan agama lain dan mereka ambil orang kita sebagai hamba, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?

Dan kita jangan lupa yang Islam menggalakkan supaya hamba itu dibebaskan. Ada banyak keadaan dimana hamba yang dimiliki dibebaskan kerana kesalahan dalam agama. Sebagai contoh, kalau mengadakan hubungan seks semasa berpuasa, maka kafarahnya adalah membebaskan hamba. Dan ada banyak lagi hukum-hukum lain yang menyuruh membebaskan hamba.

Dan kalau seorang tuan itu mengadakan hubungan seks dengan hambanya dan hamba itu melahirkan anak, maka wanita itu secara otomatik akan dibebaskan kerana anaknya itu seorang yang bebas. Jadi ada banyak hukum yang perlu diketahui tentang hamba ini dan walaupun sistem perhambaan tidak ada lagi sekarang, ia tetap diajar kerana kita tidak tahu bila ia akan ada balik.

 

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا

Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Kahwin seorang sahaja atau kahwin dengan wanita hamba, adalah cara paling mudah untuk tidak berlaku zalim. Kerana kalau kahwin lebih dari satu, telah membuka ruang untuk tidak adil. Jadi ianya menyusahkan sahaja.

Ianya أَدنىٰ (lebih rapat) sahaja kepada keadilan. Kerana ada juga suami yang walaupun ada satu isteri sahaja, pun tidak dapat nak berlaku adil kepada isteri itu. Jadi janganlah kita sangka kalau satu isteri sahaja sudah selamat dari kezaliman. Seorang suami masih tetap kena berhati-hati.

Yang Allah mahu adalah kita tidak zalim kepada orang lain. Kalau kahwin ramai, tapi berlaku zalim, baik tidak payah kahwin kalau begitu. Kerana zalim itu dosa dalam keadaan mana pun.

Oleh kerana itulah ada yang berpendapat, Islam sebenarnya menjurus kepada seorang lelaki hanya memperisterikan seorang wanita sahaja. Tetapi jangan kita larang pula orang lelaki nak kahwin lebih. Kalau mereka berani, silakan. Kita lihat para sahabat Nabi pun ramai yang berkahwin lebih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 189 – 194 (Zikir Menari?)

Ali Imran Ayat 189: Ini adalah ayat jenis i’adah (kembali) kepada tajuk tauhid iaitu kembali kepada kesimpulan surah ini. Inilah perkara yang paling penting, dan kerana itu Al-Qur’an akan selalu kembali kepada topik ini. Memang Al-Qur’an selalu menyebut tentang tauhid maka, oleh sebab itulah kita kena mahir bab tauhid ini.

Oleh itu, tidak ada alasan untuk kita kata tidak tahu, kerana Allah ‎ﷻ telah banyak kali mengulang dan mengingatkan di dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, ini adalah kerana jahil tidak belajar sahaja dan alasan ini tidak diterima. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan nyawa yang panjang kepada kita. Takkan Al-Qur’an yang 30 juzuk sahaja ini tidak dapat habis belajar?

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth, and Allāh is over all things competent.

MALAY

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi,

Alam ini Allah ‎ﷻ yang punya. Oleh kerana itu Dia sahaja yang wajib dipuja dan disembah. Tidak boleh sembah yang lain selain Allah ‎ﷻ. Kenapa hendak sembah dan beribadat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi? Memang tidak patut kalau sembah dan puja yang tidak mempunyai apa-apa.

 

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Oleh kerana kekuasaan dan kepunyaan alam ini adalah hak-Nya semata-mata, maka Dia boleh membuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Kita tidak boleh persoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan kerana alam ini (termasuk kita juga) adalah milik-Nya. Sebagaimana kita juga, jika kita mempunyai harta, maka kita berhak untuk berbuat apa sahaja dengan harta kita itu, bukan?

Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Ayat sebelum ini tentang pujian, bukan? Telah diberi contoh bagaimana puak Yahudi suka dipuji. Oleh itu, Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau nak puji, pujilah Allah ‎ﷻ banyak-banyak kerana Dia yang paling layak dipuji.

Ini juga mengingatkan kita tentang hakikah pujian. Cuba fikirkan: Siapalah kita yang suka dipuji? Kita tidak ada apa-apa. Apa sahaja kelebihan yang kita ada, semua datang daripada Allah ‎ﷻ, bukan? Maka kalau kita berharap orang puji kita, maka ada masalah dengan hati kita sebenarnya.

Sekian Ruku’ 19 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ali Imran Ayat 190: Ini adalah dalil lagi kenapa Dia sahaja layak disembah.

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, in the creation of the heavens and the earth and the alternation of the night and the day are signs for those of understanding –

MALAY

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

 

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,

Segala apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ. Alam ini adalah termasuk kehendak Allah ‎ﷻ dan kita boleh lihat betapa hebatnya alam ini. Kalau tidak percaya, boleh cuba-cubalah luangkan masa menonton rancangan dokumentari seperti National Geographic Special atau dokumentari lain seumpama itu.

 

وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

dan pada pertukaran malam dan siang,

Setiap hari kita dapat melihat siang berganti malam dan malam berganti siang. Dengan ada siang kita boleh bekerja; dengan malam kita boleh rehat. Dengan bertukarnya siang malam itu, kita boleh membuat kalendar dan menyusun kehidupan kita juga. Juga terdapat banyak lagi kelebihan pertukaran siang dan malam itu.

Itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ dan kita tidak boleh membuat apa-apa pun. Kita tidak boleh hendak halang malam atau siang daripada terjadi.

 

لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ

adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal;

Semua itu adalah tanda-tanda yang boleh difahami oleh mereka berfikiran waras. Kita melihat perkara ini setiap hari tetapi mungkin tidak terfikir bahawa itu adalah tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ. Ini kerana kita sudah biasa melihatnya dan fikiran kita tidak jernih serta kurang kesedaran. Jadi kita tidak nampak kehebatan Allah ‎ﷻ dalam perkara yang kita lihat setiap hari.

Yang boleh nampak adalah mereka yang fikiran mereka bebas daripada benda yang remeh temeh. Masalahnya zaman sekarang, pelbagai benda yang kita fikirkan dan kebanyakannya adalah benda yang remeh. Maka otak dan minda kita telah disibukkan dengan perkara yang tidak penting sampaikan dalil di hadapan mata pun kita tidak nampak.

Dalam fikiran kita terlalu banyak benda kosong yang kita isikan sehinggakan benda yang bagus susah hendak masuk. Sebagai contoh, kita selalu sangat menonton filem-filem dan rancangan TV yang entah apa-apa. Seumpama orang sudah biasa dengan makanan “junk”, maka dia tidak dapat lagi hendak menghargai makanan berkhasiat seperti sayuran atau buah-buahan.

Ayat yang lebih panjang tentang perkara ini terdapat dalam Surah Baqarah. Dalam ayat di hadapan kita ini pendek sahaja kerana akal yang bersih akan dapat berfikir panjang. Ini hanya mengingatkan kembali kepada ayat yang kita sudah belajar dalam Surah Baqarah, maka sepatutnya tidak perlu disebut dengan panjang lagi.


 

Ali Imran Ayat 191: Ayat sebelum ini tentang mereka yang berfikiran waras. Maka, siapakah yang berfikiran waras? Apakah ciri-ciri mereka? Apakah yang mereka fikirkan? Mari kita lihat dan kita cuba ikuti mereka.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who remember Allāh while standing or sitting or [lying] on their sides and give thought to the creation of the heavens and the earth, [saying], “Our Lord, You did not create this aimlessly; exalted are You [above such a thing]; then protect us from the punishment of the Fire.

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

 

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,

Maknanya, mereka ingat kepada Allah ‎ﷻ dalam semua keadaan. Maksud ‘ingat Allah’ adalah dengan menjaga hukum iaitu mereka akan sentiasa ingat untuk menjaga hukum syari’at dalam semua keadaan. Setiap ketaatan yang kita buat, adalah dikira ‘zikir’ kepada Allah . Seperti kalau kita sedang puasa, kita tidak buat apa pun, namun pada waktu itu kita dikira zikir kepada Allah ‎ﷻ kerana kita sedang menunaikan hukum Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan Allah ‎ﷻ pada waktu itu adalah ‘tidak makan’.

Maknanya, bukanlah berzikir itu adalah zikir meratib sahaja. Zikru dalam Al-Qur’an disebut sebagai amalan hati. Yang penting, kita ingat siapa Allah ‎ﷻ dan kita taat kepadanya. Ini penting, kerana ada pihak-pihak yang salah faham, hanya menghadkan zikir kepada ‘ratiban’.

Mereka menyangka ayat ini adalah dalil bahawa boleh membuat amalan zikir ketika duduk, baring dan berdiri. Sampaikan digunakan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk membolehkan zikir menari! Kita pun tidak tahulah dari mana mereka boleh mendapat dalil tafsir yang mengarut sebegini. Sudahlah amalan itu adalah amalan yang bid’ah, mereka menggunakan dalil yang tidak kena mengena langsung.

Begitulah kalau ada puak yang jahil, tidak belajar tafsir, maka mereka akan mengambil sahaja sebarang ayat yang ‘agak-agak’ kena. Mereka tidak ada dalil sebenarnya untuk amalan mereka, tetapi apabila kita desak mereka untuk diberiksn dalil, maka mereka tangkap muat sahaja apa yang ada. Padahal, beratus tahun umat baca ayat ini, tidaklah terfikir untuk zikir sambil menari.

Oleh itu, tinggalkan mereka dan jangan buang masa lagi dengan mereka. Kalau ada kesempatan, ajak mereka belajar agama dengan benar. Masalahnya, mereka itu telah disibukkan oleh syaitan dengan amalan-amalan salah, sampaikan tidak ada masa hendak belajar. Jadi, mereka terus melakukan amalan salah tanpa ilmu. Mereka sangka mereka ada banyak ilmu, padahal, mereka itu mendapat ilmu khayalan sahaja.

Makna lafaz ‘Zikr’ adalah ‘ingat’, dan ingat itu adalah perkara yang kita sudah tahu. Bukan benda baru yang diperkenalkan kepada kita tetapi benda yang kita memang sudah tahu. Sebab itu kita selalu melakukan tazkirah, iaitu mengingatkan perkara yang kita sudah tahu pun. Oleh itu, janganlah bosan kalau kita diberitahu perkara yang sama berulang-ulang kerana itu adalah untuk mengingatkan kita dengan perkara yang kita memang sudah tahu. Ini kerana kita manusia adalah jenis pelupa, maka kita kena diingatkan selalu.

Amalan zikir paling baik dilakukan adalah cara yang Nabi ﷺ ajar. Yang pertama, salat itu pun adalah zikir. Begitu juga dengan membaca Al-Qur’an. Kedua-dua zikir inilah yang paling baik. Selain daripada itu, kita boleh mengamalkan zikir masnun, iaitu lafaz-lafaz zikir dan doa yang Nabi Muhammad ﷺ sendiri sudah ajar kita. Boleh dikatakan ada lafaz-lafaz doa untuk setiap keadaan. Ini akan mendekatkan diri kita dengan Allah ﷺ. Ini kerana dalam setiap keadaan, ada doa yang tertentu dan zikir-zikir itu mempunyai elemen tauhid maka ia selalu mengingatkan kita kepada tauhid.

Jangan amalkan zikir yang tidak datang daripada Nabi ﷺ atau dengan cara yang bukan ajaran daripada Nabi ﷺ. Pertamanya, janganlah cuba untuk menyertai pergerakan tarekat langsung. Kalau ada saudara mara kita yang baru hendak belajar pun, larang mereka dan tegah mereka kerana kalau sudah masuk dalam tarekat, sudah pasti akan ada amalan zikir yang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau sudah mula belajar, akan terbelenggu dengan amalan-amalan yang salah.

 

وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi

Mereka juga sentiasa berfikir menggunakan panduan daripada kitab Allah ‎ﷻ, dengan melihat kepada kejadian langit dan bumi. Pemikiran ini pula mestilah berpandukan daripada Al-Qur’an, kerana kalau kita cari sendiri, jarang seseorang akan capai kepada Allah ‎ﷻ. Namun apabila kita diberitahu yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini, maka kita terpimpin membawa kepada terfikir kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila melihat alam, kita teringat bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikannya. Apa-apa terjadi kita akan teringat ayat-ayat Al-Qur’an kerana akan ada sahaja perkara yang berkenaan dengan Al-Qur’an. Lihat pada gunung, ada ayat tentang gunung. Lihat pada langit, ada ayat tentang langit; hujan; orang sedang marah; dan macam-macam lagi. Al-Qur’an telah sentuh semua perkara.

 

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, 

Apabila kita sudah memikirkan tentang alam dan kaitannya dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berkata seperti dalam ayat ini. Kita sedar yang tidaklah Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini sia-sia kerana langit dan bumi adalah bekas atau tempat untuk menguji kita semua.

Maknanya, ada tujuan alam ini dijadikan. Allah ‎ﷻ yang mempunyai sifat yang Maha Mulia tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia. Kita akan dapat pemahaman ini apabila kita telah kenal Allah ‎ﷻ daripada apa yang kita belajar dalam Al-Qur’an.

Lihatlah bagaimana Islam mengimbangkan antara ‘zikir’ dan ‘fikir’. Tidaklah kita disuruh terlalu banyak berzikir sampai menjadi seperti golongan tarekat. Tidaklah juga disuruh hanya berfikir sahaja tanpa ada zikir seperti golongan intelektual yang tidak mempunyai roh agama. Itulah antara maksud Islam itu adalah ‘umat pertengahan’. Maknanya, tidaklah kita disuruh menolak terus daripada menggunakan akal. Memang Al-Qur’an sentiasa menyebut gunakan akal yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

 

سُبْحَٰنَكَ

Maha Suci Engkau,

Orang itu membenarkan yang Allah ‎ﷻ suci daripada segala cacat cela dan suci daripada memerlukan kepada perantara dalam permohonan doa. Maknanya, dia menolak fahaman syirik. Dia menolak kata-kata manusia yang mengarah kepada syirik. Dia belajar apakah tauhid dan apakah syirik supaya dia tidak terjerumus melakukan perkara syirik.

 

فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

maka peliharalah kami daripada azab neraka.

Akhir sekali dia akan meminta supaya dijauhkan daripada neraka. Ini kerana apabila sudah belajar dan tahu apakah sifat neraka itu, tidak ada sesiapa yang mahu untuk masuk neraka. Langsung tidak mahu dengar, lihat atau dengar bunyi neraka pun. Dia berharap betul-betul dengan Allah ‎ﷻ kerana dia tahu yang Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh menyelamatkannya dari neraka.

Di dalam ayat ini kita boleh lihat ada dua elemen di sini iaitu zikir يَذْكُرُونَ dan fikir وَيَتَفَكَّرُونَ. Ia bukan setakat sebut-sebut sahaja ya. Jadi zikir terbaik adalah ingat di minda dan hati dan sebut di mulut juga seperti di dalam ayat Ali Imran ini. Dan dari sini juga kita boleh lihat tingkatan zikir.

1. Yang paling afdhal adalah kita sudah ingat kepada Allah dan kemudian baru kita sebut mengagungkan dan memuji Allah. Ini adalah kerana sebutan yang terpacul dari mulut kita adalah kerana kefahaman kita tentang Allah. Ini seperti ayat Ali Imran:191 ini.

2. Tingkatan bawah sikit adalah kita sebut dulu zikir seperti الحمد لله، الله أكبرر dan sebagainya, dan ia diikuti dengan hati kita yang membesarkan Allah dan bersyukur kepadanya. Maknanya mulut dahulu dan baru diikuti dengan hati dan minda.

3. Tingkatan paling bawah adalah sebut sahaja tapi hati tidak ikut serta. Ini zikir yang paling rendah akan tetapi sekurang-kurangnya mulutnya berzikir dan waktu berzikir tidaklah buat benda buruk, bukan?


 

Ali Imran Ayat 192: Sekarang diberitahu kenapa kita tidak mahu masuk ke dalam neraka. Tujuannya adalah untuk memberikan kita rasa takut yang amat sangat kepada neraka supaya kita ubah sikap kita dan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed whoever You admit to the Fire – You have disgraced him, and for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

 

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, 

Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka adalah dihina. Kalimah أَخْزَيْتَهُ berasal daripada kalimah أخزي yang membawa maksud buka kesalahan seseorang di hadapan orang lain (memalukan orang). Ahli neraka akan terserlah segala kesalahan mereka semasa di dunia dan ini amat memalukan. Walaupun mereka mulia ketika berada di dunia, namun di neraka nanti, mereka akan dihinakan dengan teruk sekali.

 

وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

dan bagi orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

Ayat ini memberitahu kepada kita yang tidak ada syafa’at yang akan membantu mereka yang zalim. Banyak agama salah faham tentang perkara ini. Mereka menyangka tuhan-tuhan selain Allah ‎ﷻ yang mereka sembah itu akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ menolak pemahaman mereka itu dalam terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menekankan tentang perkara penting ini termasuk ayat ini.

Begitu juga, orang Islam pun ada salah faham ini. Ramai yang bergantung dengan sembahan-sembahan kepada ilah-ilah yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo, wali-wali yang pelbagai, golongan Nabi dan sebagainya. Mereka itu sangka dengan memuja-muja para wali, Nabi dan malaikat, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak, tetapi tidak sebenarnya.

Ada pemahaman salah mereka tentang ilah menyebabkan mereka yang cenderung kepada fahaman syirik ini selamba sahaja dengan tanpa rasa bersalah memuja-muja manusia. Mereka sangka ia sebahagian daripada agama tetapi tidak sebenarnya. Mereka sangka itu perkara kecil sahaja, namun ia sudah masuk ke lembah syirik. Mereka sahaja tidak tahu kerana mereka jauh daripada wahyu.


 

Ali Imran Ayat 193: Ini adalah sambungan kata-kata mereka. Ayat ini tentang risalah (kenabian) supaya kita faham tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Ingatlah bahawa kita hanya dapat faham agama melalui Nabi ﷺ dan ajaran yang disampaikan olehnya.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed we have heard a caller [i.e., Prophet Muḥammad ()] calling to faith, [saying], ‘Believe in your Lord,’ and we have believed. Our Lord, so forgive us our sins and remove from us our misdeeds and cause us to die among the righteous.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

 

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru yang menyeru kepada iman, 

Mereka mengaku yang telah sampai penyeru tauhid kepada mereka. Penyeru tauhid itu adalah Nabi ﷺ dan para pengikut baginda. Kalimah مُنَادِيًا bermaksud seseorang yang menyeru dari jauh. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu jauh daripada kita kerana baginda bukan lagi ada bersama-sama kita.

Namun begitu, kita masih mendengar seruan Nabi ﷺ kerana disampaikan oleh penyeru tauhid yang meneruskan dakwah baginda. Maka, kena dengarlah orang-orang yang ajar tentang tauhid kepada kita.

 

أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ

katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’,

Inilah apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ dan penyeru tauhid itu – mengajak kepada beriman dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah ringkasan dakwah mereka. Tentunya banyak lagi seruan dan ajaran daripada mereka, tetapi diringkaskan keseluruhan ajakan itu terletak dalam beriman kepada Allah ‎ﷻ kerana inilah ajaran yang paling penting dan perlu dikemaskan.

 

فَـَٔامَنَّا

maka kami pun beriman. 

Mereka mengaku telah beriman dan mengikuti seruan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Apabila seruan tauhid telah sampai kepada kita hendaklah kita beriman kepadanya. Bukannya mementang dan hendak berhujah menegakkan fahaman yang salah (contoh hujah: “Ini bukan syirik… ini penghormatan sahaja”… “Kami tak sembah wali dalam kubur itu, kami nak jadikan dia sebagai wasilah sahaja”, “Walaupun wali itu sudah mati, tapi dia masih dengar lagi seruan kita….”).

 

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami,

Walaupun mereka telah mengaku beriman, tetapi mereka masih lagi memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ. Orang yang beriman memang mesti sentiasa risau tentang dosa-dosa mereka dan sentiasa meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Ini kerana kalau namanya manusia, tentulah ada sahaja dosanya. Kita amat takut kalau dosa kita harus dicuci dalam neraka pula. Kerana itulah kita mestilah meminta sangat semua dosa kita diampunkan.

 

وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا

dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,

Dan mereka meminta Allah ‎ﷻ menutup segala kesalahan mereka supaya hilang, jangan ditunjukkan kepada sesiapa pun kerana amat memalukan sekali jikalau segala kesalahan itu dipertontonkan di khalayak ramai di akhirat kelak.

 

وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Mereka meminta supaya dimatikan mereka bersama orang-orang yang baik iaitu ahli syurga. Ia juga juga bermaksud mereka meminta supaya mereka dimasukkan bersama-sama golongan mereka yang baik dan berbakti itu. Ataupun ia bermaksud supaya mereka diambil nyawa mereka semasa mereka bersama dengan golongan itu.


 

Ali Imran Ayat 194:

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, and grant us what You promised us through Your messengers and do not disgrace us on the Day of Resurrection. Indeed, You do not fail in [Your] promise.”

MALAY

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

 

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu,

Mereka memohon supaya diberikan mereka dengan apa yang dijanjikan oleh-Nya melalui Rasul-rasul-Nya. Ia bermaksud syurga yang dijanjikan. Janji itu adalah, bagi sesiapa yang mengikut ajaran kitab akan diberi syurga manakala bagi sesiapa yang melanggar ajaran kitab pula, akan diberi neraka.

Ini mengajar kita, tidak salah kalau mengharap syurga kerana syurga itu sendiri dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ dan disampaikan janji itu oleh Nabi Muhammad ﷺ. Janganlah jadi seperti golongan tarekat yang kononnya buat ibadah bukan kerana syurga. Kononnya mereka ikhlas sehinggakan tidak mengharapkan syurga. Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ masukkan mereka ke dalam neraka pun, mereka redha.

Itu semua adalah kata-kata khayalan sahaja daripada guru mereka yang khayal juga. Mereka itu golongan yang jauh daripada ilmu wahyu dan banyak ajaran dan fahaman mereka adalah rekaan dan khayalan sahaja. Semoga kita dan ahli keluarga kita diselamatkan daripada terjebak dengan golongan ini. Mereka memang berniat baik, namun sayangnya telah tertipu dengan perawakan golongan yang menamakan diri mereka sebagai ‘ahli sufi’.

Jadi kita tidak marah mereka dan benci kepada mereka. Kita kasihan kepada mereka dan kita hendaklah berusaha untuk menarik mereka kembali ke jalan yang benar. Mereka bukannya berniat hendak menentang Allah ‎ﷻ dan wahyu tetapi mereka telah tersilap memilih jalan.

 

وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; 

Jangan malukan kami. Kami tidak mahu dosa-dosa kami ditunjukkan kepada khalayak ramai. Di manakah hendak diletakkan muka masa itu?

 

إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Allah ‎ﷻ pasti tidak memungkiri janji-Nya. Maka kita berharap supaya Allah ‎ﷻ menetapkan janji-Nya dan dijamin Allah ‎ﷻ akan menepati janji-Nya itu. Maka ini adalah doa yang amat bagus sekali untuk diamalkan oleh kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Ogos 2023

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan