Tafsir Surah ash-Syams Ayat 8 – 10 (Kesimbangan)

Ayat 8: Apa lagi yang Allah ﷻ telah berikan kepada nafs?

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And inspired it [with discernment of] its wickedness and its righteousness,

(MALAY)

serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

 

Serta mengilhamkan nafs itu (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Maka manusia sebenarnya telah kenal kebenaran. Telah ada dalam diri manusia perasaan tak sedap hati kalau dia buat salah kerana dia sendiri sudah tahu yang perbuatannya itu berdosa.

Jangan salah baca ayat ini pula: Bukanlah Allah ﷻ ilhamkan manusia untuk buat jahat pula, tapi Allah ﷻ ilhamkan bahawa sesuatu perbuatan itu jahat. Allah ﷻ bagi manusia kenal mana perbuatan yang jahat. Dan dia tahu yang dia ada potensi untuk buat jahat kerana Allah ﷻ telah benarkan kita buat apa yang kita mahu. “Buatlah apa sahaja, tapi ingat, di akhirat nanti kamu akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kamu itu.” Manusia sudah tahu hal ini.

Ilham adalah sesuatu perasaan dan pengetahuan yang Allah ﷻ telah letakkan dalam hati manusia – ianya lebih kuat lagi dari fakta. Sesetengah orang mungkin menggelarnya ‘naluri hati’ atau ‘instuisi’. Memang naluri hati ini kadangkala lebih kuat rasanya dari fakta. Kadang-kadang ada orang telah beritahu yang seseorang itu telah melakukan jenayah tapi naluri hati kita ‘tahu’ yang dia sebenarnya tidak lakukan.

Jadi walaupun fakta menunjukkan yang dia telah melakukan jenayah itu, tapi kita tahu yang dia tidak melakukannya, maka kita cari jalan untuk membebaskan orang itu. Ini kerana hati kita nampak perkara yang otak kita tidak nampak kerana ia halus sangat. Begitulah rasanya.

Apakah bezanya dengan wahyu? Istilah ‘wahyu’ digunakan secara umum kerana manusia boleh dapat wahyu dan binatang pun boleh dapat juga (sebagai contoh, lebah dapat wahyu seperti yang disebut dalam ayat Nahl:68). Sedangkan ilham ini khusus kepada makhluk yang ada akal.

Diberikan ilham ini kepada manusia supaya manusia dapat jadi kukuh dalam sesuatu perkara. Sebagaimana kita rasa kukuh dalam hati kita bahawa sesuatu perbuatan itu berdosa dan salah. Sebagai contoh, kita tidak perlukan ayat Al-Qur’an pun untuk beritahu yang mencuri itu bersalah atau memukul orang lain itu salah, bukan?

Orang kafir pun tahu perkara ini. Jadi dari manakah datang perasaan ini? Itulah yang dinamakan ilham. Allah ﷻ telah siap-siap masukkan dalam diri manusia. Inilah hadiah dari Allah ﷻ untuk kita semua.

Kalimah فُجورَ bermaksud mengoyak dan membebaskan diri dari pihak yang berkuasa atas diri kita. Ianya adalah pemberontakan. Dan seperti kita telah katakan, nafs sudah kenal siapakah yang berkuasa (Allah ﷻ) dan mereka melawan kehendak Allah ﷻ itu. Walaupun mereka tahu apa yang mereka lakukan itu salah, mereka tetap lakukan juga.

Maknanya mereka melawan diri mereka sendiri. Memang mereka kenal, sebagaimana kalau orang atheist pun akan kata begini kalau dia buat salah: “aku rasa tak sedap hati”. Ini adalah kerana memang dia telah ada ilham dalam dirinya. Tapi orang فُجورَ itu memendam/menanam/menghapuskan perasaan yang sudah ada diri dia. Lama-lama dia buat begitu, maka perasaan itu sudah hilang terus.

Mereka kenal mana yang salah. Memang telah diprogramkan (guna bahasa moden) untuk kenal mana yang salah dan mana yang tidak. Dan bila dia lakukan juga, dia akan rasa bersalah kerana dia telah melawan rasa hati sendiri. Jadi maksud ayat ini, bukanlah Allah ﷻ yang ajar فُجورَ, tetapi Allah ﷻ bagi perasan supaya manusia tahu kalau mereka telah buat kesalahan.

Ianya seperti alat penggera dalam diri kita. Manusia akan tahu, tak kisah sama ada dia seorang Muslim atau tidak, belajar agama atau tidak, semua orang ada perasaan ini. Sebagai contoh, kalau seseorang nak mencuri pertama kali, dia akan takut sahaja, badan berpeluh-peluh, jantung bergolak kencang. Dan kalau orang itu nak mencuri juga, dia kena tutup naluri yang ada itu, senyapkan, buat-buat tak dengar, matikan perasaan itu.

Oleh itu, lebih-lebih lagi sebagai seorang Islam, dia akan dapat rasa yang dia telah buat salah, walaupun dia tidak tahu apakah hukumnya lagi. Dia belum jumpa dalam hukum, sama ada perkara itu salah atau tidak. Dan kalau dia terus buat sahaja, terus dia sendiri rasa tak sedap.

Jadi sebenarnya, ‘fatwa’ pertama kali diberikan oleh diri kita sendiri. Oleh itu, ada orang yang apabila buat dosa, mulalah dia tanya kepada ustaz yang dia kenal, dia tanya “salahkah perbuatan itu?” (dia tidak kata dia yang buat, cuma nak tahu sahaja, dia kata). Dia mula tanya (selalu tak jumpa ustaz pun) sebab dia sudah rasa tak sedap hati.

Dan bila ustaz itu kata, memang salah pun, dia jadi semakin bersalah. Kemudian dia tanya lagi orang lain (dia akan cari juga orang yang kata boleh buat perkara itu), sampailah dia jumpa ustaz atau orang yang ‘macam’ ustaz, yang kata, ada ‘pendapat’ yang kata boleh. Barulah dia rasa sedap hati sikit. Kemudian dia cari ‘ustaz google’ lagi, sampailah jumpa pendapat yang kata boleh buat, barulah hati dia lega. Tapi sebenarnya, hati dia sudah tahu pun yang apa yang dia buat itu sebenarnya salah.

Ramai orang akan cuba menutup perasaan bersalah dalam diri mereka. Mereka cuba benamkan ilham fitrah yang sudah ada dalam dirinya. Berbagai cara manusia akan lakukan. Sebagai contoh, ramai yang gunakan alasan-alasan bodoh untuk mengurangkan perasaan bersalahnya itu.

Sebagai contoh, kalau dia sudah mencuri, dia kata: “alah, aku bukan bunuh orang pun, curi sikit jer…” Ini adalah teknik membandingkan kesalahan yang telah dilakukannya itu dengan kesalahan yang lebih teruk lagi. Memanglah kalau bandingkan begitu, kesalahannya nampak kurang, namun ia tetap juga bersalah, bukan? Itu semua adalah alasan dan teknik nak sedapkan hati sahaja, tapi dalam diri dia, dia sudah tahu yang dia sudah buat kesalahan.

 

Kemudian وَتَقواها – dan Allah ﷻ beri taqwa kepada nafs itu. Taqwa, seperti yang kita telah selalu sebut banyak kali dalam penulisan di sini, bermaksud menjaga hukum, sedar tentang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita, menjaga segala perbuatan kita, berhati-hati. Termasuk dalam maksud taqwa adalah takut kepada Allah ﷻ.

Maksudnya, nafs telah diberi program untuk menjaga dirinya dari melakukan dosa atau kesalahan. Ini adalah kerana mereka takut kepada azab dari Allah ﷻ. Kerana nafs memang sudah kenal Allah ﷻ (dari alam roh lagi). Oleh itu, Allah ﷻ sudah beri kehendak menjaga diri dari melakukan dosa. Perasaan tidak mahu buat dosa itu kerana takut kepada kesannya nanti.

Ini kerana nafs sudah tahu, kalau buat juga, akan kena balasan dari Allah ﷻ kerana nafs memang sudah kenal Allah ﷻ pun (dan takut dengan Allah ﷻ). Jadi taqwa itu menjaga dua perkara:

a. jaga diri dari diri kita jadi teruk, dan
b. jaga dari dikenakan dengan hukuman.

Kalau kita kaitkan dengan surah sebelum ini, dalam Surah al-Balad Allah ﷻ telah menyebut tentang dua jalan – najdain. Dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa dua jalan itu adalah fujoor dan taqwa.


 

Ayat 9: Ayat 9 – 10 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu yang kejayaan hidup manusia dipengaruhi dengan penjagaan jiwa yang suci.

Ayat 9 ini adalah jawabul qasam kepada beberapa banyak sumpah yang telah disebut sebelum ini. Dalam jawabul qasm inilah terkandung perkara yang amat penting yang Allah ﷻ hendak ingatkan kita.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He has succeeded who purifies it,

(MALAY)

sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

 

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Takwil makna ayat dapat dikatakan bahawa sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan dirinya dengan taat kepada Allah ﷻ dan membersihkannya dari akhlak-akhlak yang hina.

Iaitu orang yang mendidik hatinya. Mereka akan jadi lebih mulia apabila memilih jalan kebaikan. Antara cara nak mencapainya adalah dengan melakukan zikrullah (ingat kepada Allah ﷻ).

Dan dengan memperbanyakkan taubat. Kadang-kadang kita rasa banyak sangat dosa kita sebab kita sudah boleh rasa kalau hati sudah ada titik hitam. Itu kalau hati yang sifatnya bersih, tapi kalau hati yang sudah lama hitam, dia sudah tak rasa ada penambahan titik hitam lagi, sebab kegelapan hati itulah yang normal pada dia.

Maka hendaklah kita banyak bertaubat dan menjaga perbuatan kita supaya kurang dosa kita.  Kita takut sangat kalau kita sudah biasa sangat buat dosa, sampai kita tidak merasa kita sedang membuat dosa (sudah lali dengan dosa). Itulah yang amat bahaya sekali.

Kalimah قَد digunakan apabila sesuatu itu sudah berlaku. Dan di dalam Al-Qur’an, digunakan sebegini untuk menunjukkan kepastian sesuatu perkara itu. Kerana tentunya sesuatu perkara yang telah berlaku itu sudah pasti, bukan? Memang pasti mereka yang membersihkan hatinya akan berjaya.

Kalimah أَفلَحَ bermaksud: dia telah berjaya. Akan tetapi, ada banyak perkataan digunakan untuk makna ‘berjaya’. Jadi kenapa kita juga kalimah أَفلَحَ ini? Mari kita tengok dengan lebih mendalam lagi.

aflaha – digunakan juga untuk petani yang menuai hasil kerjanya setelah sekian lama.

falaah – digunakan untuk kejayaan yang bukan datang sendiri tetapi setelah ada usaha yang terlibat. Jadi ada usaha mereka yang mereka telah jalankan, apakah yang mereka telah lakukan?

Kalimat مَن زَكّاها – ‘sesiapa yang telah menyucikannya’. Kalimah زَكّاها dari masdar tazkiyyah yang merujuk kepada membersihkan ‘nafs’. Kerana kalau ada kekotoran pada nafs itu, kita kena cuba untuk membersihkan kekotoran itu dan mengembalikan keseimbangan seperti yang sepatutnya.

Kita kena cuba sahaja dan kalau ada usaha sahaja pun sudah ada kejayaan kerana itu bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Jadi ini memang perkara yang kita kena lakukan sentiasa, seolah-olah ianya adalah kerja hakiki kita. Kalau kerja di pejabat kita jaga sahaja, tapi bagaimana dengan ‘kerja’ membersihkan jiwa kita?

Banyak perkara yang perlu dilakukan, antaranya sentiasa menjaga diri dari melakukan dosa, perkara yang memalukan, zikrullah, baca Al-Qur’an dan tadabbur Al-Qur’an, jaga hati dan sebagainya. Kena rujuk bab tazkiyatun nafs untuk lebih mendalami perkara ini.

Apabila kita cuba melakukan usaha pembersihan ini, maka Allah ﷻ akan bantu kita dengan menyucikan diri kita. Sungguhpun begitu, kena ada usaha dari kita dulu dan yang membersihkannya adalah Allah ﷻ sendiri. Kena ada usaha yang bermula dari kita kerana Allah ﷻ nak tengok usaha kita dahulu.

Dari bahasa Arab, ada dua jenis kalimah fi’il (kata-kerja) yang kita perlu tahu:

jenis: muta’addi – perbuatan yang melibatkan kena kepada orang lain. Dinamakan juga jenis transitif.

jenis: lazim – melibatkan kepada diri sendiri sahaja. Dinamakan jenis intransitif.

Kalimah زَكّاها dalam bentuk transitif. Ini seolah-olah melihat nafs kita itu di luar dari kita. Maka beginilah yang kita kena fikirkan tentang nafs itu. Iaitu ianya adalah entiti yang di luar dari diri kita walaupun ia duduk di dalam diri kita. Kita kena lakukan sesuatu terhadapnya. Ada kerja yang kena dilakukan.

Sebenarnya, kita semua ada masalah dengan perkara ini dan kita berusaha untuk menanganinya sepanjang masa. Tidak ada orang yang suci dari dosa. Tetapi malangnya, dalam kalangan masyarakat, malah di dunia luar sana, ada yang rasa ada individu yang sudah bersih dan suci. Ini macam anak murid tarekat yang pandang tok guru mereka sudah suci habis.

Ini adalah satu masalah kerana mereka sampaikan dipuja, orang minta doa kepada dia, orang beri duit kepada mereka dan sebagainya. Sama ada mereka diangkat sampai ke tahap itu atau memang ada orang yang perasan dia suci macam itu.

Allah ﷻ tegur mereka yang berperangai macam ini – فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ (Najm:32) “Jangan kamu sangka yang diri kamu suci). Allah ﷻ ingatkan kita semua supaya jangan perasan. Oleh itu hati-hati, jangan kita rasa kita lebih tinggi dari orang lain, lebih beriman dan lebih bersih dari orang lain.

Seperti yang selalu di sebut di sini, perkara ini selalu terjadi dalam pergerakan tarekat dan sufi kerana mereka itu jauh dari ajaran agama yang benar dan mereka jauh dari ilmu wahyu. Mereka cuma banyak belajar dan beramal berdasarkan dari ilmu khayalan guru mereka yang datangnya dari syaitan sahaja. Kerana mereka tidak berilmu, mereka senang kena tipu dan begitulah keadaan mereka.

Mereka tidak pergi belajar kerana mereka selalu disibukkan oleh syaitan untuk buat zikir dan wirid beribu-ribu kali dalam sehari. Syaitan mahu mereka terus duduk dalam kejahilan. Amalan zikir itu pula bukannya amalan sunnah, tetapi hanyalah lafaz-lafaz dan cara rekaan sahaja. Malangnya tentu mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Dan susah ditegur golongan ini kerana mereka sudah perasan mereka itu ‘suci’. Mereka sangka mereka lebih tahu dari kita. Memang susah nak ajar orang yang perasan pandai.

 

Dalam ayat-ayat awal surah ini, Allah ﷻ telah menceritakan tentang cahaya matahari (وَالشَّمسِ وَضُحاها). Cara matahari yang menyinari bumi itu memberi manfaat kepada manusia dan segala kehidupan di dunia. Senang nak cari makan, senang nak kerja, senang untuk tumbuh-tumbuhan hidup subur. Begitu jugalah hati yang bersih suci, akan memberi manfaat kepada manusia dan alam.

Bagaimana pun, dalam keadaan lemah, nafs kita berada dalam keadaan gelap; sebagaimana juga kegelapan malam menutup cahaya (وَاللَّيلِ إِذا يَغشاها). Tetapi, Allah ﷻ tetap membenarkan cahaya matahari datang kembali (وَالنَّهارِ إِذا جَلّاها). Dan ingatlah, walaupun malam menutupi cahaya matahari, tetapi masih ada lagi imbasan cahaya matahari yang dibawa oleh bulan (وَالقَمَرِ إِذا تَلاها) yang masih tetap lagi memberi panduan kepada mereka yang bergerak di malam hari.

Oleh itu, masih ada harapan lagi buat kita walaupun sedang di dalam ujian. Yang penting, kita kena ada keinginan untuk menjadi baik, dan kena ada usaha. Keinginan dan usaha. Usaha tanpa keinginan tidak akan berjaya; keinginan tanpa usaha adalah angan-angan Mat Jenin sahaja.


 

Ayat 10: Beruntunglah mereka yang menyucikan nafsnya. Tapi di sebaliknya pula, bagaimana?

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he has failed who instills it [with corruption].

(MALAY)

dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

 

Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Itu akan terjadi hasil dari perbuatan maksiat yang manusia lakukan.

Sampai akhirnya hati terus gelap ditutupi oleh titik-titik dosa yang banyak sangat. Yakni membenamkannya, menguburnya, dan menghinakannya dengan tidak mengikuti jalan petunjuk, hingga terjerumuslah dia ke dalam perbuatan-perbuatan maksiat dan meninggalkan ketaatan kepada Allah ﷻ.

Kalimah خابَ bermaksud lari untuk mendapatkan sesuatu tapi tidak mendapatkannya; oleh itu, terasa amat kecewa; ia adalah kegagalan setelah berusaha susah payah tapi tidak berjaya. Yang dikejar tidak dapat.

Kalimah دَسَّىٰ adalah perbuatan meninggalkan, tidak menghiraukan langsung akan sesuatu. ها dalam ayat ini adalah dhomir kepada nafs.

Maka yang dimaksudkan adalah perbuatan tidak menghiraukan apa yang diperlukan oleh nafs, apa yang diminta oleh naluri hatinya. Mereka itu seolah-olah membuang nafsnya itu entah ke mana, buat tidak kisah sahaja. Perbuatan mereka itu akan menyebabkan mereka kesusahan, menyesal dan gagal segagal-gagalnya.

Mereka tidak hiraulah nafs mereka kerana mereka rasa ia tidak bermakna. Mereka sudah tidak dengar lagi kata hati mereka. Mereka hendak buat apa yang nafsu mereka suruh mereka buat.

Oleh kerana perbuatan mereka itu, tidak ada keseimbangan dalam nafs mereka antara keduniaan dan spiritual. Mereka akan jadi extreme terhadap salah satu darinya – sama ada mereka melakukan perkara haram (kerana ikutkan kehendak dunia) atau mereka mengharamkan sesuatu yang halal terhadap diri mereka (kerana hendak mengisi spiritual sahaja dan menolak dunia).

Kedua-dua perbuatan ini adalah extreme (yang melampau) dan tidak dibenarkan dalam Islam. Perkara inilah yang terjadi kepada agama lain yang mengharamkan apa yang Allah ﷻ telah halalkan – sebagai contoh, paderi Kristian yang tidak berkahwin. Itu adalah satu kesalahan.

Ini sebagaimana yang dilakukan oleh puak tarekat yang mengharamkan sesetengah makanan terhadap diri mereka, terutama semasa mereka dalam suluk atau semasa hendak mendapatkan wirid khas. Ini semua mengarut sungguh.

Kita kena sentiasa menjaga keseimbangan sebagaimana juga matahari dan bulan juga dalam keadaan seimbang. Apabila manusia melawan fitrah manusia yang mahukan keseimbangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah ﷻ, mereka telah melawan sesuatu yang semulajadi dan mereka akan menyebabkan kerosakan kepada diri mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah ash-Syams Ayat 1 – 7 (Tentang nafs)

Pengenalan:

Surah ini bermaksud ‘matahari’ kerana ada banyak merujuk kepada matahari dalam surah ini.

Dalam Surah al-Balad sebelum ini, Allah ﷻ telah menceritakan tentang dua jalan (وَهَدَيناهُ النَّجدَينِ) yang Allah ﷻ  ilhamkan kepada manusia. Itulah perkara yang paling penting dalam Surah Al-Balad itu. Dalam Surah Asy-Syams ini, Allah ﷻ menceritakan dengan lebih mendalam tentang dua jalan itu.

Surah ini membincangkan tentang perbezaan akidah antara manusia. Sementara surah al-Layl pula selepas ini tentang perbezaan amal.

Surah ini diturunkan di Mekah pada Peringkat Kedua Kenabian. Penurunannya sekitar tahun 4 – 6 selepas Rasulullah ﷺ diangkat menjadi Rasul. Ini bermakna ia diturunkan selepas Rasulullah ﷺ diperintahkan untuk berdakwah secara terbuka.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi dalil adanya Akhirat dengan melihat penciptaan alam dan rasa sanubari manusia.

Allah ﷻ memulakan surah ini bersumpah dengan matahari dan cahayanya.

وَٱلشَّمسِ وَضُحَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ash-Shams: The Sun.

By the sun and its brightness

(MALAY)

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari,

 

Allah ﷻ bersumpah demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang. Kalimah ضُحى ada beberapa terjemahan. Ada yang mengatakan ianya adalah waktu di waktu pagi hari – yang selalu dikenali di tempat kita sebagai waktu dhuha dan ada juga yang kata ianya bermaksud sepanjang hari selagi ada cahaya matahari.

Tapi pendapat yang selalu diterima adalah ianya adalah waktu pagi, tapi waktu pagi yang cahaya matahari belum panas lagi. Keadaan cuaca waktu itu amat nyaman sekali kerana sudah terang jadi senang nampak semua benda, tapi tidak panas terik lagi, jadi suasana aman dan sedap sahaja.

Sebenarnya ada dua sumpah di sini kerana ada huruf وَ di antara dua sumpah itu:

    1. dengan matahari
    2. dengan cahaya dhuha. Dan memang cahaya dhuha itu datang dari matahari juga. Maka ia masih berkait dengan matahari lagi.

Matahari itu besar, maka Allah ﷻ bersumpah dengannya. Ianya amat besar sampaikan ada yang menyembahnya kerana kesesatan mereka dan kerana jauh dari ajaran tauhid.

Sebab itu Allah ﷻ tak benarkan solat waktu matahari terbit dan tenggelam. Kerana itu adalah waktu penyembah matahari sedang menyembah matahari. Allah ﷻ tidak mahu ada yang keliru dengan mengatakan umat Islam pun ada sembah matahari juga. Umat Islam tidaklah melakukan perkara ini kerana kita tahu kebesaran matahari itu dari kebesaran Allah ﷻ.

Dan tentu ada kepentingan waktu Dhuha itu sampaikan Allah ﷻ juga bersumpah dengannya.


 

Ayat 2: Ini sumpah yang kedua.

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the moon when it follows it

(MALAY)

dan bulan apabila mengiringinya,

 

Dan bulan yang mengiringinya, iaitu mengiringi matahari. Apabila matahari jatuh, bulan akan timbul. Bulan sentiasa ikut pergerakan matahari dan bulan tidak akan mendahului matahari.

Bulan dan matahari bergilir keluar dan tidak pernah keluar dalam masa yang sama. Hingga akhirnya akan sampai kepada satu masa, di mana bulan akan bertembung dengan matahari dan keduanya akan hancur berkecai. Masa itu habis semua akan hancur kerana itu adalah Hari Kiamat. Waktu itu sudah tiada lagi Sistem Bimasakti. Dan matahari yang mula-mula akan lari dari paksi apabila ia akan terbit dari barat.

Kalimah تلى bermaksud  ‘mengikuti’, ‘mengiringi’. Dari perkataan ini juga digunakan kalimah tilawah (macam Tilawah Al-Qur’an) kerana semasa seseorang membaca Al-Qur’an, dia sedang mengikuti tulisan pada teks mushaf Al-Qur’an itu.

Kalimah تلى juga boleh bermaksud bulan mengambil cahaya dari matahari, kerana bulan bukannya ada cahaya sendiri. Ini pemahaman dari mufassir salaf yang juga sudah tahu tentang perkara ini. Kalau zaman moden ini, kita semua tahu bahawa bulan tidak ada cahaya tapi kalau ia bercahaya di malam hari, itu adalah pantulan dari cahaya matahari sahaja dan bukanlah cahaya itu dari dirinya sendiri.


 

Ayat 3: Sumpah ketiga.

وَٱلنَّہَارِ إِذَا جَلَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the day when it displays it¹

  • The earth. Also interpreted as the sun. The same applies to the following verse.

(MALAY)

dan siang apabila menampakkannya,

 

Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; iaitu memperlihatkan cahaya matahari. Sebab siang hari menunjukkan kegemilangan cahaya matahari. Oleh itu dhomir ها dalam جَلّاها merujuk kepada matahari.

Kalimah تجَلّا digunakan dalam Bahasa Arab Klasik untuk merujuk kepada seorang isteri yang mencantikkan dirinya untuk pandangan lelakinya. Oleh itu, apabila digunakan kalimah جَلّاها, itu bermaksud Allah ﷻ menjadikan siang untuk menunjukkan keindahan cahaya matahari kerana waktu itulah bersinarnya cahaya matahari dengan cemerlang. Allah ﷻ jadikan siang untuk menjelaskan cahaya matahari.


 

Ayat 4: Sumpah keempat.

وَٱلَّيلِ إِذَا يَغشَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night when it covers [i.e., conceals] it

(MALAY)

dan malam apabila menutupinya,

 

Dan malam apabila ia menyelubunginya, iaitu menyelubungi cahaya matahari. Sekali lagi Allah ﷻ menggunakan perkara yang berlaku setiap hari sebagai sumpah. Allah ﷻ mahu kita lihat perkara yang terjadi setiap hari itu dengan pandangan yang baru. Memang kita setiap hari tengok matahari dan bulan, tapi kita mungkin jarang mengaitkan bulan dan matahari itu dengan kekuasaan Allah ﷻ.

Dari ayat 1 sampai 4 adalah berkenaan dengan matahari (walaupun tentang bulan tapi ia berkenaan cahaya matahari juga). Mufassir berpendapat yang sebenarnya Allah ﷻ hendak mengaitkan matahari itu dengan nafs manusia.


 

Ayat 5: Sumpah kelima.

وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the sky and He who constructed it

(MALAY)

dan langit serta pembinaannya,

 

Allah ﷻ sekarang mengalihkan pandangan kepada langit pula. Menunjukkan ketakjuban terhadap kehebatan langit. Ingatlah yang Allah ﷻlah yang membina langit itu. Tapi Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘من’ dalam ayat ini, tetapi menggunakan perkataan ‘ما’ – yang bermakna ‘apa’.

Ini menghairankan sedikit kerana kalimah ما digunakan untuk sesuatu yang tidak bernyawa juga. Jadi kenapa digunakan kalimah ما juga? Jadi, ia membawa maksud maa masdariyyah iaitu hendak menunjukkan ketakjuban. Takjub kepada kuasa Allah ﷻ yang mampu menjadikan langit itu.

Maknanya menjadi: ‘lihatlah langit dan segala binaannya’. Begitulah, apabila kita lihat kepada langit itu, kita dapat rasakan kekuasaan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ boleh jadikan langit yang amat hebat itu, tentulah Allah ﷻ berkali-kali ganda lagi hebat, sampaikan tidak terbayang kepada kita.

Apabila digunakan بنى, maknanya langit itu tidak sedia ada, tapi dijadikan kemudian, dibina kemudian. Oleh itu langit itu ada asalnya dan ia dijadikan oleh Allah ﷻ. Betapa cantiknya langit itu yang dijadikan oleh Allah ﷻ sampaikan kita tidak nampak langsung ada kecacatan pada langit itu.


 

Ayat 6: Sumpah keenam.

وَٱلأَرضِ وَمَا طَحَٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the earth and He who spread it

(MALAY)

dan bumi serta penghamparannya,

 

Allah ﷻ jadikan bumi itu rata untuk kita senang hidup di atasnya. Tidaklah bumi ini permukaannya berair sentiasa, atau berbukit sahaja di mana-mana. Allah ﷻ hamparkan untuk kita supaya mudah kita hidup di atasnya.

Ayat ini tidaklah sebagai dalil untuk mengatakan bumi ini leper. Bumi tetap berbentuk sfera dan jangan terpedaya dengan perbincangan zaman sekarang tentang bumi ini rata.

Semua sumpah-sumpah yang telah disebutkan adalah makhluk besar dan hebat. Tapi tentunya yang paling hebat adalah Tuhan yang menciptakannya. Kalau kita tengok komputer yang hebat, tentulah orang yang menciptanya lagi hebat, bukan?

Dan siapakah yang membuat manusia? Tentulah Allah ﷻ yang Maha Besar. Komputer dan segalanya kita tengok sudah hebat tetapi siapakah yang boleh buat matahari, bulan langit dan bumi?

Sekali lagi kalimah ما dalam ayat ini adalah maa al mawsoolah – kalimah takjub kepada Dzat yang menjadikan bumi ini dan segala hamparannya, iaitu Allah ﷻ.

Dalam ayat 1 – 6, Allah ﷻ bercerita tentang matahari dan bulan, siang dan malam, langit dan bumi. Allah ﷻ menarik perhatian kita untuk memikirkan kepentingan dan kehebatan ciptaan-ciptaan itu. Itulah gunanya sumpah qasam itu, untuk menarik perhatian kita supaya kita melihat kembali ciptaan-ciptaan Allah ﷻ itu.

Seterusnya, kalau kita perhatikan, keempat-empat perkara itu ada perlawanan antara mereka. Matahari lawannya bulan, siang lawannya malam, langit lawannya bumi. Tapi semuanya dijadikan untuk kita. Siang untuk memudahkan kita bekerja dan hidup. Dan malam menyeliputi kita untuk berehat. Ada masa untuk malam dan ada masa untuk siang.

Semua perkara itu Allah ﷻ jadikan sempurna dan bergerak dengan cantik dan teratur sekali. Tentulah hebat sekali Allah ﷻ kerana dapat menjadikan keharmonian itu.


 

Ayat 7: Sekarang sudah masuk kepada perkara yang baru. Selepas disebut tentang perkara-perkara yang di luar, sekarang Allah ﷻ sebut tentang diri kita pula.

وَنَفسٍ۬ وَمَا سَوَّٮٰهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the soul and He who proportioned it¹

  • i.e., balanced and refined it, creating in it sound tendencies and consciousness.

(MALAY)

dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),

 

Yang dimaksudkan adalah penciptaan nafs yang sempurna dengan dibekali fitrah yang lurus lagi tegak, seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفاً فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْها لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Ar-Rum: 30)

Allah ﷻ telah menjadikan nafs dan yang menjadikannya seimbang. Ini mengajar kita untuk kena ada keseimbangan antara keperluan dunia dan spiritual.

Dari segi bahasa, lihatlah bagaimana dalam sumpah-sumpah sebelum ini, ada ال [i.e. الشَّمسِ, القَمَرِ, النَّهارِ, اللَّيلِ, السَّماءِ, الأَرضِ) yang dinamakan alif lam makrifah. Tapi dalam kalimah نَفسٍ, tidak ada penggunaan ال. Kenapa agaknya?

Ulama’ mufassir membincangkan bahawa ketiadaan ال ini adalah kerana ayat ini adalah kemuncak dalam surah ini. Ada perkara penting yang hendak ditekankan di sini. Kerana itulah ada perbezaan dari segi stail yang digunakan – sebelum ini semua menggunakan ال dan sekarang tidak ada pula. Jadi kita dapat tahu yang apabila ada kelainan, maka ada maksud tertentu yang hendak disampaikan.

Ulama’ membincangkan bagaimana ada ayat-ayat yang macam ‘benih’ dan ada ayat-ayat yang macam ‘bunga’. Sumpah-sumpah sebelum ini adalah ibarat ‘benih’ yang membawa kepada ‘bunga’ di dalam ayat ini. Bunganya adalah tentang nafs kita ini.

Kalimah سوى bermaksud mengambil sesuatu yang tidak seimbang, kemudian menyeimbangkannya. Perbuatan ini dinamakan: taswiyah; atau buat sesuatu bangunan dan jadikan ia dalam bentuk yang seimbang.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan tentang nafs. Allah ﷻ suruh kita memikirkan bagaimana ianya seimbang dan hebatNya Allah ﷻ yang menjadikannya seimbang.

Nafs adalah sesuatu dalam diri kita yang menjadikan kita ingat kepada Allah ﷻ, dan Allah ﷻ yang menjadikan nafs itu, juga sedang melihat bagaimana kita menggunakan nafs itu. Adakah kita menggunakannya dengan cara yang baik atau tidak?

Idea keseimbangan memang dicari-cari oleh manusia dari dulu lagi. Sebab itu adalah perbincangan tentang golongan kiri dan kanan; yin/yang; sifat kemanusian/sifat kebinatangan; tenaga baik/tenaga buruk; fizikal/spiritual; dan macam-macam lagi. Perkara-perkara ini memang dibincangkan oleh ahli pemikir dan ahli falsafah.

Mereka telah merasakan bahawa diri kita ini bukan terdiri dari diri yang fizikal sahaja, tapi ada terdiri juga dari diri yang metafizikal. Maknanya, bukan dalam Islam sahaja yang membincangkan perkara ini.

Kalau zaman moden, pakar psikologi pun mengkaji dan membincangkan tentang perkara ini. Cuma zaman sekarang, mungkin ramai yang tengok perkara yang fizikal sahaja dan tidak memikirkan tentang perkara dalaman seperti perkara ini. Tambahan pula orang sudah banyak tengok sains sahaja sekarang dan sudah tidak melihat perbincangan ahli falsafah  tentang perkara ini. Mereka suka dengan sains kerana sains berurusan dengan perkara fizikal yang boleh dipegang dan dilihat.

Tapi begitu pun ahli psikologi membuat kajian, mereka masih lagi tidak dapat menjawab persoalan: apakah tentang personaliti seseorang dan kenapa seorang berbeza dengan orang lain? Jawapan tentang perkara ini tidak ada kata sepakat dalam ahli falsafah dan ahli psikologi. Dan dalam Al-Qur’an ada disentuh tentang perkara ini. Tapi tidak diberikan penerangan mendalam kerana ini adalah tentang roh dan roh tidak dijelaskan kerana ianya adalah urusan Allah ﷻ.

Akan tetapi, selain dari roh, ada juga disebut tentang qalb, tentang nafs. Jadi ada perkara yang boleh dibincangkan, dikaji dan diperhatikan. Kita kena kaji kerana Allah ﷻlah yang menjadikan diri kita dan roh kita; dan Dia juga yang menjadikan qalb dan nafs kita. Maka Dia juga yang lebih tahu bagaimana hendak menjaganya.

Pertama sekali kita kena tahu yang kita bukan terdiri dari badan fizikal sahaja tapi kita terdiri dari banyak perkara lain: ada benda yang tidak nampak seperti roh, nafs dan qalb.

Apakah maksud Allah ﷻ apabila Allah ﷻ kata yang Dia menyeimbangkan nafs itu? Semasa Allah ﷻ mencipta manusia, Allah ﷻ mengambil tanah liat dan meniup roh ke dalam tanah liat itu dan menjadikannya manusia yang bernafas dan hidup. Jadi, diri kita terdiri dari fizikal (tanah liat) dan metafizikal (roh).

Keperluan fizikal kita datang dari tanah seperti makan dan minuman, pasangan hidup dan lain-lain kerana ianya dijadikan dari tanah. Sedangkan keperluan roh kita tidak dapat diisi dari apa yang datang dari dunia ini kerana ianya bukan terjadi dari dunia. Kerana itu apabila perut kita lapar, kita cari makanan dari bumi dan apabila roh kita lapar, kita perlukan sesuatu yang bukan dari dunia, tetapi terus dari Allah ﷻ – iaitu wahyu.

Kedua-dua makanan itu penting. Maknanya, kita ada dua elemen dan kedua-dua elemen itu kena seimbang. Kita tidak boleh beri makan satu pihak sahaja dan biarkan yang lagi dalam kelaparan. Oleh itu, kalau kita biarkan juga, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan.

Akhirnya kalau extreme sangat, ia akan membunuh salah satu darinya. Kalau kita beri makanan fizikal tanpa mengisi keperluan spiritual langsung, ia akan membunuh diri kita yang spiritual. Begitu juga, kalau kita isi keperluan spiritual sahaja, seperti yang dilakukan oleh rahib-rahib yang menolak terus keperluan fizikal mereka, telah menyebabkan kerosakan juga.

Malangnya, dalam kalangan orang Muslim juga ada yang melakukan kesilapan ini. Mereka itu kononnya memanggil diri mereka ahli sufi. Mereka bercita-cita untuk menolak terus dunia ini, mereka lakukan dengan pakai pakaian yang lusuh dan tidak selesa, makanan yang tidak sedap, menahan diri dari tidur dan makan dan macam-macam lagi.

Semua ini tidak ada dalam Islam tapi diambil dari agama lain, seperti amalan rahib Kristian, Sami Hindu dan monk penganut Buddha. Apa yang mereka amalkan adalah ketidakseimbangan. Jangan lupa bahawa Allah ﷻ telah menjadikan kita dari dua elemen fizikal dan metafizikal dan dua-dua kena diberi makanan masing-masing.

Kita kena juga makan, bersuami isteri, berpakaian dengan cantik (tapi dalam lingkungan syariat yang dibenarkan). Golongan sufi kononnya hendak menolak semua ini dengan alasan ‘zuhud’ kononnya. Bila menolak kehendak fizikal, itu adalah ketidakseimbangan dan ia adalah bahaya.

Tapi malangnya, amalan dan cara hidup kesufian ini terkenal juga di kalangan anak-anak muda yang tertipu dengan gaya ahli sufi itu yang kononnya islamik. Walhal mereka itu amat jauh dari agama Islam yang benar. Akan tetapi mereka tidak tahu amalan agama yang sebenar kerana mereka tidak ada ilmu, dan mereka tidak ada ilmu kerana syaitan akan sibukkan mereka dengan amalan zikir dan lain-lain amalan bidaah yang bukan dari Islam.

Hasilnya, mereka terus hidup dalam kejahilan kerana tidak sempat untuk belajar. Setiap hari dihabiskan masa berjam-jam dengan zikir dan menari (dan menyanyi) dan bergendang.

Jadi, kena sedar yang kita ada elemen fizikal dan kita ada elemen roh. Di tengah-tengahnya adalah qalb. Di dalam qalb inilah emosi kita terletak, penyakit hati, iman, cinta, harap, takut, kegembiraan, cemburu dan sebagainya. Apabila ia berada di tengah-tengah, ia ditarik kepada dua elemen fizikal (jasad) dan metafizikal (roh) itu. Kedua-duanya cuba menarik qalb ke arah mereka.

Jadi, sentiasa sahaja ada kegawatan di dalam qalb seorang manusia. Usaha kita adalah untuk menyeimbangkan antara keduanya dan ini tidak senang. Kalau qalb hanya dengar kepada satu pihak sahaja, maka ketidakseimbangan akan berlaku dan ini akan menyebabkan kerosakan kepada manusia itu.

Kita katakan bahawa roh dan jasad kedua-duanya menarik perhatian qalb, bukan? Bagaimanakah cara mereka melakukannya? Bagaimana mereka menarik perhatian hati itu? Mereka menggunakan pancaindera yang sampai kepada hati itu. Dengan cara lihat dan dengar. Oleh kerana itulah, kalau kita memberi perhatian kepada wahyu, ianya seumpama cahaya memasuki qalb itu.

Kalau kita berikan perhatian kepada cahaya wahyu itu, maka ia akan bertemu dengan fitrah yang sudah ada dalam diri kita dan kita akan mencapai keharmonian. Fitrah itu Allah ﷻ telah berikan kepada kita, semasa kita dilahirkan.  Rasulullah ﷺ telah bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ

Nabi ﷺ bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang ternak yang melahirkan binatang ternak (anaknya) dengan sempurna. Apakah kalian melihat ada cacat padanya?” [Sahih Bukhari no. 1296]

Kita semua telah diberikan oleh fitrah dari Allah ﷻ yang sudah ada dalam diri kita dari sejak kita dilahirkan lagi. Fitrah itu adalah ‘nur’ dalam diri kita. Iman juga adalah ‘nur’. Oleh itu, apabila cahaya iman masuk ke dalam diri kita, cahaya bertambah dalam diri kita. Ditambah lagi dengan cahaya dari wahyu. Maka inilah yang dikatakan ‘cahaya atas cahaya’ seperti yang disebut dalam Surah Nur (Ayat 35). Inilah keharmonian yang kita cari.

Kita telah beritahu bahawa qalb (hati) itu sentiasa ditarik antara kehendak fizikal dan kehendak spiritual. Dalam perkara ini, Allah ﷻ gunakan kalimah nafs yang ditarik ke sana dan ke sini. Sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Kalau terlalu mengikut kehendak fizikal, nafs akan rasa bersalah dan inilah yang dinamakan nafsul lawwamah.

Orang yang memiliki nafsu lawwamah sebegini memiliki jiwa menyesali perbuatan salah lakunya dan berinisiatif untuk kembali ke landasan yang benar. Contohnya semalam dia telah melakukan dosa dan perkara maksiat yang dilarang di sisi agama. Hari ini dia sedar akan kesilapannya kerana terlalu mengikut nafsu, lalu dia insaf dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.

Orang yang banyak dikuasai nafsu lawwamah juga mudah membaiki  diri dan mudah terima teguran orang lain. Nafsu ini disebut dalam Qiyamah:2. Apabila ia sedar dan berusaha untuk memperbaiki dirinya dia kembali kepada keseimbangan dan ia menjadi nafs mutmainnah – jiwa yang tenang. Nafsu ini adalah  nafsu yang membuat pemiliknya tenang dalam ketaatan.

Nafsu ini telah mendapat rahmat Allah ﷻ dan manusia yang mendapatkan nafsu ini akan mendapat redha Allah ﷻ di dunia dan akhirat. Orang ini akan mendapat “Husnul Khatimah”  (penutup yang baik) di akhir hidupnya sebagai pintu menuju syurga Allah ﷻ kalau dia dapat terus mengekalkan dirinya dalam nafs mutma’innah.

Orang yang memiliki nafsu mutmainnah dapat mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan. Juga mereka mudah bersyukur dan qana’ah (rasa cukup) di mana segala kesenangan hidup tidak membuat dia lupa diri. Dia menerima anugerah Ilahi seadanya dan kesusahan yang dialami pula tidak menjadikan dirinya gelisah. Ini disebabkan hatinya ada ikatan yang kuat kepada Allah ﷻ. Mereka juga mudah redha dengan ketetapan dan ujian Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman tentang perkara ini dalam Fajr:27-30.

Akan tetapi, amat sukar untuk mengekalkan nafs kita pada tahap itu. Kerana fizikal dan spiritual sentiasa menarik-narik dan hendakkan perhatian qalb itu. Ianya terpulang kepada mana satu yang kita lebih banyak dengar? Malangnya, ramai yang ikut kehendak fizikal sahaja dan menidakkan terus kehendak spiritual, itulah yang dinamakan nafs ammarah. Allah ﷻ sebut tentang nafsu ammarah bi su’ ini dalam Yusuf:53.

Antara yang menyebabkan mereka jadi begitu adalah kerana syaitan yang membisikkan perkara-perkara yang buruk juga. Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya melalui hadis riwayat Abu Hurairah, sedangkan di dalam Sahih Muslim disebutkan melalui riwayat Iyad ibnu Himar Al-Mujasyi’i, dari Rasulullah ﷺ. Disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pada suatu hari telah bersabda di dalam khutbah baginda:

«  وَإِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ كُلَّهُمْ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمْ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ… »

“… Dan sesungguhnya Aku menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif  (menyimpang dari kebatilan dan cenderung kepada perkara haq) semuanya. Dan mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu mereka dijauhkan dari agama mereka”. [Sahih Muslim no. 5109]

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Balad Ayat 11 – 20 (Kesusahan yang digalakkan)

Ayat 11: Ayat 11 – 18 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu bahawa menjaga, menegakkan keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat adalah amal yang tinggi darjatnya.

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Allah ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia, sama ada memilih jalan yang baik atau jalan yang buruk. Tetapi Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan manusia masih tidak mahu menempuh kesusahan dalam beragama.

Agama ini dikatakan satu kesusahan yang dinisbahkan kepada infak kerana sebelum ini telah disebut tentang pengeluaran harta. Mereka yang tidak sedar tentang tanggungjawab sebagai hamba, amat susah sungguh untuk infak.

فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ

Sahih International

But he has not broken through the difficult pass.

Malay

Dalam pada itu manusia tidak merempuh jalan mendaki yang sukar

 

Perkataan ‘العَقَبَةَ’ dari segi bahasa bermaksud ‘gunung yang susah untuk didaki’. Jalan-jalan di pergunungan amat susah dan amat bahaya untuk dilalui. Ianya adalah jalan yang sempit. Sebab untuk membuat kebaikan tentulah ada kesusahan dan struggle yang perlu dilalui. Bukan senang-senang sahaja.

Maka aqabah adalah jalan yang paling payah untuk naik bukit. Ada jalan mudah untuk naik bukit tapi aqabah adalah jalan yang susah. Jalan yang susah itu adalah jalan yang menuju kepada kebaikan. Kebanyakan manusia tidak mahu merempuh jalan yang susah – mereka mahu senang sahaja. Sedangkan untuk memenuhi tuntutan agama, memerlukan kesabaran dalam menempuh kesusahan dalam memenuhinya.

Kalimah اقتَحَمَ bermaksud melompat ke dalam sesuatu tanpa berfikir panjang lagi. Tetapi bukanlah ini bermaksud kita menjerumuskan diri kita ke dalam bahaya. Itu tidak dibenarkan oleh Allah ﷻ. Tapi kita kena ingat yang jalan ke syurga adalah jalan yang susah tapi kita kena ambil jalan itu. Tidak ada jalan lain yang selamat. Jalan ke syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak disukai oleh nafsu.

Ada sahaja dugaan kalau kita hendak buat perkara baik. Kita kena lawan dugaan itu. Jangan hendak fikir panjang lagi. Sebagai contoh, untuk sedekah (infaq) adalah amat-amat sukar, sebab itulah dipanggil ianya ‘aqabah’. Padahal, terdapat banyak kebaikan dalam infaq harta. Untuk mengubat dan melepaskan kesempitan hati, kita kena keluarkan harta kita untuk infaq.

Maka kita kena terus infaq sahaja. Biasakan diri untuk infaq. Jangan nak kira-kira sangat duit itu kerana amat banyak kepentingan infaq kepada kita dan agama kita. Oleh kerana kepentingan infaq, maka ayat-ayat selepas ayat ini adalah tentang infaq belaka.

Kenapakah manusia tidak mengikut jalan benar (walaupun ianya jalan yang sukar) setelah Dia memberikan segala nikmat kepadanya? Tidakkah dia mahu menerima semua yang Allah ﷻ janjikan itu? Adakah kerana dia takut? Seorang mukmin tidak boleh takut dengan dugaan hidup. Dengan ujian hidup itulah yang akan menaikkan tingkatan kita di mata Allah ﷻ.

Dengan segala dugaan yang dihadapi, iman akan semakin diasah. Kalau kita tidak dicuba dengan dugaan hidup, lagi bahaya kerana kita akan rasa kita sudah selamat di akhirat. Berapa ramai manusia yang hidupnya amat senang di dunia sampaikan mereka tertipu dan terpesona dengan dunia dan tidak ingat langsung kepada akhirat.

Memang payah hendak buat amal soleh sebab nak kena lawan nafsu dan syaitan. Allah ﷻ pun telah pagarkan syurga dengan benda-benda yang payah. Bila Jibril عليه السلام tengok Syurga, dia kata dia rasa tidak ada orang yang boleh masuk syurga. Sebab dia tengok susah sangat untuk masuk. Tapi nak masuk neraka senang pula. Jibril عليه السلام takut semua manusia akan masuk neraka. Ini terdapat dalam satu hadis dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahwa Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْجَنَّةَ قَالَ لِجِبْرِيلَ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَا يَسْمَعُ بِهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَهَا ثُمَّ حَفَّهَا بِالْمَكَارِهِ ثُمَّ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ لَا يَدْخُلَهَا أَحَدٌ قَالَ فَلَمَّا خَلَقَ اللَّهُ النَّارَ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَا يَسْمَعُ بِهَا أَحَدٌ فَيَدْخُلُهَا فَحَفَّهَا بِالشَّهَوَاتِ ثُمَّ قَالَ يَا جِبْرِيلُ اذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ إِلَيْهَا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ وَعِزَّتِكَ لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ لَا يَبْقَى أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَهَا

“Ketika Allah selesai menciptakan syurga, Dia berfirman kepada Jibril: ”Pergi dan lihatlah syurga.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagungan-Mu ya Rabb, tidak seorang pun yang mendengar perihal syurga melainkan pasti ingin memasukinya.” Kemudian Allah lapisi syurga dengan al-makaarih (hal-hal yang tidak disukai manusia) lalu Allah berfirman: ”Hai Jibril, pergi dan lihatlah syurga.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, sungguh aku khawatir tidak seorang pun bakal ingin memasukinya.” Baginda bersabda “Ketika  Allah selesai menciptakan neraka, Dia berfirman kepada Jibril: ”Pergi dan lihatlah neraka.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, tidak seorang pun yang mendengar perihal neraka bakal mahu memasukinya.” Kemudian Allah lapisi neraka dengan asy-syahawaat (hal-hal yang disukai manusia) lalu Allah berfirman: ”Hai Jibril, pergi dan lihatlah neraka.” Maka Jibril pergi dan melihatnya. Kemudian dia datang dan berkata: ”Demi keagunganMu ya Rabb, sungguh aku khawatir tidak akan ada seorang pun yang bakal terselamat (dari api neraka).”

[Abu Daud no. 4119; Hasan Sahih menurut Syaikh al-Albani, Ahmad no. 8294; sanadnya Sahih menurut Syaikh Syuaib al-Arnaut]

Memang jalan ke syurga itu payah, tetapi bukanlah sampai tak boleh nak buat. Kerana Allah ﷻ beri taklif (tanggungjawab) ikut kemampuan manusia. Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah:286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Kalau kita kata tak boleh ikut hukum-hukum kehidupan dan agama yang diberikan oleh Allah ﷻ, itu sudah bertentangan dengan ayat dari Surah Baqarah di atas. Ketahuilah yang kita boleh hidup dengan mengikut hukum yang Allah ﷻ telah berikan, cuma kena mujahadah (berusaha) lawan nafsu.

Macam zaman sekarang, lagi banyak cabaran yang perlu dihadapi – dengan handphone, dengan Facebook dan sebagainya. Tidur pula atas tilam yang empuk-empuk sampai susah hendak bangun malam. Bahan hiburan pula ada di mana-mana dan senang sangat untuk dicari. Semua perkara keduniaan itu kena dilawan supaya tidak melalaikan kita dari akhirat.


 

Ayat 12: Tahukah kamu jalan sukar untuk agama, yang bersangkutan dengan infak itu? Allah ﷻ akan beri contoh beberapa perkara.

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلعَقَبَةُ

Sahih International

And what can make you know what is [breaking through] the difficult pass?

Malay

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

 

Kenapa Allah ﷻ tanya macam ini? Apabila Dia tanya macam ini, sebenarnya Allah ﷻ hendak beritahu apakah yang dimaksudkan. Ianya adalah soalan dalam bentuk retorik. Allah ﷻ tanya begini untuk menarik keinginan kita untuk mengetahui apakah jawapannya.


 

Ayat 13: Allah ﷻ sekarang menjelaskan apakah ‘aqabah’ itu. Ini yang pertama. 

فَكُّ رَقَبَةٍ

Sahih International

It is the freeing of a slave

Malay

Memerdekakan hamba abdi;

 

Agama Islam dari dulu lagi memang telah menyuruh umatnya untuk memerdekakan hamba. Ini adalah jawapan kepada mereka yang mengatakan bahawa ada perhambaan dalam Islam. Islam bukanlah memulakan sistem perhambaan. Apabila Islam ditegakkan semula oleh Nabi Muhammad ﷺ, sistem perhambaan sudah ada.

Islam tidak boleh terus memusnahkan sistem perhambaan itu tetapi ia menghapuskannya sedikit demi sedikit. Antaranya digalakkan umat Islam untuk memerdekakan hamba sahaya. Ayat ini menunjukkan bahawa Allah ﷻ menunjukkan kebaikan di dalam memerdekakan hamba dari zaman Mekah lagi.

Bukanlah Islam yang memulakan perhambaan, tetapi Islamlah yang mula menghabiskan sistem perhambaan. Kerana banyak keadaan di mana hukum Islam menyuruh hamba dibebaskan. Sebagai contoh, kalau melakukan kesalahan dalam bersetubuh di siang Ramadhan, kafarahnya adalah membebaskan hamba. Ada banyak lagi contoh hamba dibebaskan, maka lama kelamaan tidak ada perhambaan lagi.

Islam memberitahu kebaikan membebaskan hamba seperti hadis riwayat Abu Hurairah رضي الله عنه  Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُؤْمِنَةً أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ إِرْبٍ مِنْهُ إِرْبًا مِنْ النَّارِ حَتَّى أَنَّهُ لَيَعْتِقُ بِالْيَدِ الْيَدَ وَبِالرِّجْلِ الرِّجْلَ وَبِالْفَرْجِ الْفَرْجَ

“Barang siapa yang memerdekakan seorang budak yang mukminah, maka Allah memerdekakan setiap anggota tubuhnya dengan tiap anggota tubuh budak itu dari api neraka, sehingga sesungguhnya Allah memerdekakan tangan dengan tangan, kaki dengan kaki, dan kemaluan dengan kemaluan.”

[Musnad Ahmad no. 9072. Sanadnya Sahih sesuai syarat Muslim menurut Syaikh Syuaib al-Arnaut]

Membebaskan hamba memerlukan pengorbanan harta yang tinggi kerana hamba itu dikira sebagai harta yang amat besar waktu itu. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat-ayat bermula dari ayat ini adalah tentang infaq. Walaupun yang disebut adalah pembebasan hamba, namun sebenarnya hamba itu adalah harta sebenarnya.

Jadi, dengan membebaskan hamba, sebenarnya seseorang itu telah mengeluarkan hartanya. Itulah yang dilakukan oleh para sahabat dan yang paling terkenal adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Abu Bakr رضي الله عنه banyak mengeluarkan hartanya untuk membebaskan hamba orang lain. Ianya bukan perkara yang senang kerana ianya memerlukan wang yang banyak.

Selain dari itu, perhambaan itu bukan sahaja hamba dari segi fizikal, tetapi boleh juga termasuk perhambaan dari segi kewangan. Oleh itu, walaupun zaman sekarang, sudah tidak ada lagi perhambaan yang diamalkan oleh dunia, tapi ada juga manusia yang terbelenggu dengan perhambaan harta.

Contohnya, mereka telah terlalu banyak hutang dengan bank atau dengan orang lain, maka mereka langsung tidak boleh bergerak ke mana-mana. Nak buat pinjaman tidak boleh, nak ada rumah dan kereta tidak boleh dan sebagainya kerana mereka telah disenarai sebagai muflis.

Hati mereka sentiasa tidak tenang kerana mereka kena selesaikan hutang mereka itu. Tambahan lagi kalau ada yang berhutang dengan Ah Long. Maka, mereka yang sebegini sepatutnya ditolong untuk dibebaskan dari hutang mereka.


 

Ayat 14: Selain dari membebaskan hamba, apa lagi infaq yang boleh dilakukan?

أَوۡ إِطعَـٰمٌ فِى يَومٍ ذِى مَسغَبَةٍ

Sahih International

Or feeding on a day of severe hunger

Malay

Atau memberi makan pada hari kelaparan –

 

Iaitu memberi makan kepada orang lain semasa makanan kurang, sebagai contoh, semasa kemarau. Ianya bukan sahaja kelaparan biasa, tetapi sudah sampai ke tahap kebuluran. Ini kerana kalimah مَسغَبَةٍ dari katadasar س غ ب yang bermaksud lapar. Jadi مَسغَبَةٍ bermaksud lapar yang sangat, iaitu kebuluran.

Allah ﷻ menyuruh umat Islam untuk berkorban kepada orang lain dalam memberi makan kepada mereka. Di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ mengatakan mereka yang buruk perangainya tidak memberi makan. Dan di ayat ini Allah ﷻ menyuruh umat Islam untuk jadi lain dari mereka.

Hendaklah kita buat yang bertentangan dengan orang yang buruk perangai. Orang yang tidak beriman akan menyimpan makanan mereka dan mereka tidak mengendahkan orang lain tapi sebaliknya kita hendaklah memberi makan kepada orang lain. Lainkan diri kita dari mereka.

Allah ﷻ mengajar kita untuk memikirkan orang lain juga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Kita kena menjadi penolong kepada orang lain. Jangan mementingkan diri sahaja tetapi kena fikirkan orang lain juga.

Memang dugaan yang besar untuk mengeluarkan makanan kepada orang lain waktu kebuluran kerana waktu itu kita pun mungkin lapar juga. Kita takut juga kalau kita beri orang lain makan, entah apa yang akan jadi kepada kita. Akan tetapi mereka yang benar-benar percaya dengan janji Allah ﷻ, akan mengeluarkan hartanya untuk beri makan kepada orang lain yang susah.


 

Ayat 15: Beri makan kepada siapa? Allah ﷻ suruh beri dulu kepada anak yatim yang rapat dari segi kekeluargaan. Kerana anak yatim kena dijaga oleh mereka yang waris dengan dia. Dia yang kena jaga dulu. Maka mereka ini ada dua hak: hak anak yatim dan hak sebagai kaum kerabat.

يَتيمًا ذا مَقرَبَةٍ

Sahih International

An orphan of near relationship

Malay

Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

 

Yang paling dekat dengan kita adalah saudara-mara kita. Akan tetapi ia juga mungkin bermaksud mereka yang dekat dengan kawasan kita. Kita hendaklah kenal dengan mereka untuk kita membantu mereka. Kalau tidak kenal mereka, bagaimana hendak bantu mereka, bukan?

Dalam surah sebelum ini, Allah ﷻ mengatakan mereka yang buruk perangai itu tidak mengendahkan anak yatim. Dalam ayat ini, kita kena memberi pertolongan kepada anak yatim, dan mulakan dengan mereka yang dekat dengan kita dahulu. Rasulullah ﷺ bersabda:

«الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ»

Bersedekah kepada (orang lain) yang miskin berpahala sedekah; dan kepada orang miskin yang ada hubungan kerabat dua pahala, pahala sedekah dan pahala silaturrahmi. 

[Sunan Nasa’i no.2535 dengan lafaz ini. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai. Juga diriwayatkan Imam at-Tirmuzi no. 594 dalam Sunannya dan juga diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya]

Kita kena tolong anak-anak yatim kerana mereka tidak ada bapa untuk memberi makanan kepada mereka. Tambahan pula, anak-anak yatim adalah kanak-kanak lagi dan maknanya mereka tidak boleh hendak mencari sumber makanan sendiri.

Malangnya, mungkin kita sendiri tidak kenal dengan anak-anak yatim dalam kawasan kita pun. Kerana kita tidak mengendahkan mereka. Kita banyak mementingkan diri sendiri sahaja.


 

Ayat 16: Kalau tidak ada anak yatim, boleh juga bantu orang miskin yang ada tanah sahaja sebagai tempat tinggal mereka. Iaitu mereka yang duduk gelandangan.

أَو مِسكينًا ذا مَترَبَةٍ

Sahih International

Or a needy person in misery

Malay

Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

 

Perkataan ‘مَترَبَةٍ’ dari katadasar ت ر ب yang bermaksud ‘debu tanah’. Ia merujuk kepada mereka yang tidak cukup keperluan mereka. Sampai berdebu-debu diri mereka. Atau mereka yang tidak ada apa-apa melainkan debu tanah sahaja. Mungkin juga mereka adalah orang yang berkeliaran tiada tempat tinggal dan tinggal di tanah sahaja.

Sama juga, surah sebelum ini tentang orang jahat yang tidak mengendahkan orang miskin. Sekarang Allah ﷻ menyuruh kita supaya memberi pertolongan kepada mereka. Kerana mereka amat memerlukan pertolongan dan dengan membantu mereka, ia memberi pahala yang amat banyak kepada kita.

Mereka yang perlu ditolong adalah mereka yang miskin dan faqir. Malangnya, kadangkala kita tidak kenal pun siapa yang miskin di kalangan kita kerana kita sentiasa bercampur dengan golongan kita sahaja yang hidup senang atau sederhana. Maka, dengan ayat ini mengajar kita untuk buka mata dan tengok siapakah yang memerlukan pertolongan dalam masyarakat kita.


 

Ayat 17: Selain dari membantu mereka yang susah, ada syarat yang amat penting. Pertama sekali kena beriman. Kerana kalau tolong orang tetapi diri sendiri tidak beriman, tidak berguna juga.

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Sahih International

And then being among those who believed and advised one another to patience and advised one another to compassion.

Malay

Selain dari itu, dia menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

 

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا

Selain dari itu, ia menjadi dari orang-orang yang beriman

Selain daripada membantu mereka yang dalam kesusahan, kita juga sepatutnya mempunyai iman yang kuat. Syarat segala amal kebaikan itu diterima, seseorang itu kenalah beriman. Kerana kalau dia sendiri tidak beriman, pahala untuknya tidak dikira. Ini seperti firman Allah ﷻ.

مَنْ عَمِلَ صالِحاً مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثى وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Dan barang siapa mengerjakan amal yang saleh, baik laki-laki mahupun perempuan, sedangkan dia dalam keadaan beriman. (Al-Mukmin: 40), hingga akhir ayat.

Iman amat penting sekali, kerana jika tidak, kesusahan dalam dunia ini akan bertambah-tambah. Bertambah ramai lagi orang yang kita kena tolong. Padahal kalau semua mempunyai iman, Allah ﷻ akan memberkati negeri kita. Apabila Allah ﷻ memberkati, maka negara itu akan jadi kaya.

Ini seperti yang terjadi pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه, Khalifah Umar Abdul Aziz dan khalifah-khalifah yang baik-baik. Dan nanti pada pemerintahan Imam Mahdi dan Nabi Isa عليه السلام juga keadaan jadi aman sampaikan tidak ada orang yang susah. Ini adalah kerana iman yang tinggi dalam penduduknya, menyebabkan Allah ﷻ bantu mereka.

Kalau ramai tidak beriman, akan penat kita nak tolong orang. Sebab apabila ramai tidak beriman, sistem kerajaan akan jadi korup dan apabila sistem yang korup, akan menyebabkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin akan merempat. Semakin lama, semakin banyak orang miskin.

 

وَتَواصَوا بِالصَّبرِ

dan berpesan-pesan dengan sabar

Kita juga disuruh berpesan dan bantu-membantu rakan masing-masing di dalam perjalanan aqabah ini. Kerana perjalanan itu memang susah. Ia memerlukan kekuatan motivasi dan bantuan dari kawan-kawan.

Ia juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Kalau tidak sabar, tidak boleh kita nak membantu orang lain, lebih-lebih lagi kalau semua berada dalam keadaan yang susah seperti kemarau dan kebuluran. Jadi kita kena sama-sama menasihati orang lain untuk sama-sama sabar. Kalau semua berada dalam keadaan yang sama, maka tentulah semangat lebih kuat lagi untuk jadi baik.

 

وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Dan kita disuruh untuk mempunyai kasih sayang dan juga belas kasihan kepada dunia seluruhnya. Kalau kita beriman, ianya bermakna yang kita akan ada perasaan kasih dan sayang sesama manusia. Mereka yang tidak ada kasih dan sayang sesama manusia yang lain sebenarnya tidak beriman dan mereka akan dibenci oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak suka walau bagaimana kuat pun dia beribadat. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

« مَنْ لَا يَرْحَمْ النَّاسَ لَا يَرْحَمْهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ »

“Siapa yang tidak menyayangi manusia maka tidak disayangi Allah عز و جل”. [Sahih Muslim no. 4283]

Maka, sayangilah manusia lain serta sentiasa bersabar atas gangguan mereka supaya Allah ﷻ menyayangi kita, sebagaimana sabda Nabi ﷺ :

  «  الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ  »

Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Tuhan Yang Maha Penyayang. Sayangilah orang-orang yang ada di bumi, maka orang-orang yang ada di langit akan menyayangimu.

[At-Tirmizi no. 1924; Abu Daud no. 4941; Ahmad no. 6494 dan 2/160 ; al-Hakim no. 4/175. Hadis daripada riwayat عبدالله بن عمرو رضي الله عنهما . Hadis didiamkan oleh Imam Abu Daud,  dinilai Hasan Sahih oleh Imam Abu Isa,  disahihkan oleh Syaikh al-Arifi dalam ((الأربعون العشارية)) (ص: 125) dan dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Ash-Shahihah (922)]


 

Ayat 18: Apa kata Allah ﷻ berkenaan mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang baik dalam ayat-ayat sebelum ini?

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصحَـٰبُ ٱلمَيمَنَةِ

Sahih International

Those are the companions of the right.

Malay

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

 

Mereka akan menerima kitab amalan mereka di tangan kanan mereka. Mereka adalah orang yang akan masuk syurga. Allah ﷻ balas perbuatan baik mereka dengan balasan yang paling baik – syurga di mana mereka akan menikmati kesenangan dan nikmat selama-lamanya.


 

Ayat 19: Sebaliknya, apa kata Allah ﷻ tentang mereka yang tidak mengendahkan suruhanNya itu? Ayat 19 – 20 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu balasan untuk Ashabul Maimanah dan Ashabul Masy’amah.

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا هُم أَصحَـٰبُ ٱلمَشـَٔمَةِ

Sahih International

But they who disbelieved in Our signs – those are the companions of the left.

Malay

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –

 

Orang Arab dari dulu lagi tahu bahawa bahagian kiri dikaitkan dengan perkara tidak baik. Dan ini diteruskan lagi sampai zaman Nabi Muhammad ﷺ kerana ianya adalah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Mereka yang engkar dengan syariat Allah ﷻ akan diberikan kitab amalan mereka di tangan kiri. Ini adalah tanda yang mereka itu adalah ahli neraka. Banyak hal ini disebut dan diterangkan dalam surah-surah yang lain. Antaranya di dalam Surah al-Waqiah yang menjelaskan siapakan golongan kiri itu.


 

Ayat 20:

عَلَيهِم نارٌ مُؤصَدَةٌ

Sahih International

Over them will be fire closed in.

Malay

Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

 

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tidak akan ada peluang untuk keluar daripada neraka lagi. Ini kerana Neraka itu ditutup dengan serapat-rapatnya. Tidak akan dapat keluar untuk lari langsung.

Dan Allah ﷻ hendak kita membayangkan betapa panasnya dalam neraka itu, kerana ianya tertutup. Api yang besar, tetapi tertutup pula. Macam sekarang, kalau kita lihat kepada pressure cooker, ianya amat panas kerana tidak ada lubang langsung, jadi api itu jadi lebih panas dari biasa.

Allah ﷻ memberi peluang kepada mereka untuk susah di dunia ini supaya nanti mereka akan senang di akhirat kelak. Tetapi kalau sekiranya mereka tidak mahu, mereka akan merasai susah yang amat susah di akhirat kelak. Susah di neraka tidak sama dengan susah di dunia. Susah di dunia masih boleh lagi ditahan, namun kita tidak akan mampu untuk melayan susah di neraka kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah ash-Syams.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fajr Ayat 15 – 21 (Jiwa yang tenang)

Fajr Ayat 15: Ayat 15 – 16 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu, jiwa yang tenang itu dapat bersabar dan bersyukur dalam kesusahan dan kesenangan dunia.

Dalam ayat 15 ini Allah ﷻ menceritakan kenapa manusia rosak dalam hal agama.

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for man, when his Lord tries him and [thus] is generous to him and favors him, he says, “My Lord has honored me.”¹

  • He is proud rather than grateful, attributing the favor to his own merit.

(MALAY)

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

 

Apabila ada huruf ف dalam kalimah فَأَمَّا ini, maksudnya ada kaitan dengan ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang melampau dan memberontak dalam agama. Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, sebelum masyarakat itu jadi rosak keseluruhannya, yang rosak dahulu adalah individu dalam masyarakat itu.

Kerana masyarakat tidak terus rosak sekali harung tetapi rosak sedikit demi sedikit bermula dari individu di dalamnya. Sekarang Allah ﷻ hendak menceritakan permulaan kejadian itu. Kenapakah agaknya mereka boleh jadi begitu?

Kalimah ابتَلا bermaksud pengujian dengan ujian yang paling teruk sekali. Kalimah yang sama digunakan untuk ujian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام (Baqarah:124) kerana Nabi Ibrahim عليه السلام telah dikenakan dengan ujian-ujian yang amat berat. Sekarang Allah ﷻ gunakan kalimah yang sama juga dalam ayat ini.

Kalimah مَا dalam مَا ابتَلاهُ pula ditambah dalam ayat ini sebagai ta’jub.

Allah ﷻ hendak menceritakan beberapa jenis manusia, apabila Allah ﷻ menduganya dengan dugaan yang hebat, iaitu apabila Allah ﷻ memuliakannya dan memberinya nikmat yang banyak, dia akan berkata: “Allah memuliakan aku”.

Kalimah أَكرَمَ adalah apabila seseorang itu diberikan kedudukan dalam masyarakat. Kenapakah Allah ﷻ kata ini sebagai ujian yang hebat pula? Kenapa lain dari ujian yang lain (malapetaka, kemiskinan dan sebagainya)?

Sudahlah diberikan dengan أَكرَمَ – kedudukan yang tinggi, kemudian ditambah dengan نَعَّمَ yang bermaksud kesenangan yang besar pula. Kalau begini, sudah nampak macam rahmat yang banyak diberikan kepada orang itu. Tentu kehidupannya sedang amat bagus sekali. Akan tetapi Allah ﷻ kata ini adalah ujian yang berat. Kita mungkin rasa kalau sakit, hilang pekerjaan dan sebagainya, barulah dikira sebagai ujian. Lalu bagaimana ini boleh dikira sebagai ujian yang berat?

Semua itu dikira sebagai ujian yang berat, kerana kalau manusia dikenakan dengan ujian yang sebegini, dia tak sangka dia sekarang sedang diduga. Dia sangka dia sedang mendapat nikmat. Maka kerana itu dia senang lupa diri.

Dan beginilah banyak orang-orang dahulu yang diberikan nikmat dan akhirnya mereka melampau. Ini adalah kerana mereka sangka Tuhan telah memilih mereka untuk diberikan segala kemewahan dan posisi yang ada. Dan mereka sangka, Tuhan memang patut beri kepada mereka. Dan mereka sangka kerana mereka mendapat kedudukan di dunia, mereka sangka Allah ﷻ sudah sayang mereka dan mereka orang yang terpilih dan tentu mendapat kebaikan di sisi Allah ﷻ juga.

Kita pun tahu bagaimana Musyrikin Mekah telah diberikan kedudukan dan kesenangan dalam hidup mereka. Oleh kerana itulah mereka rasa mereka ada kedudukan di sisi Allah ﷻ. Tambahan pula, mereka itu penjaga Kaabah, lagilah mereka rasa mereka itu orang terpilih oleh Tuhan.

Dan mereka juga tidak sangka ini adalah ujian sebenarnya, sebab mereka tidak rasa diuji langsung. Ianya memang adalah ujian sebagaimana yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّما نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مالٍ وَبَنِينَ نُسارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْراتِ بَلْ لَا يَشْعُرُونَ

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sadar. (Al-Mu’minun: 55-56)

Lalu apa yang mereka kata? رَبّي أَكرَمَنِ “Tuhanku telah memuliakanku”. Bukannya mereka cakap begini dalam sifat bersyukur, tidak sangat. Mereka sebenarnya rasa bangga, bukan rasa bersyukur. Memang ada sebut رَبّي (Tuhanku) dalam kata-kata mereka, tetapi bukan dengan rasa rendah diri.

Dan lihatlah bagaimana Allah ﷻ beri kedudukan dan nikmat, tetapi mereka sebut tentang ‘kedudukan’ sahaja. Mereka tidak cakap pun pasal nikmat yang mereka dapat. Inilah yang banyak terjadi dalam kaum-kaum terdahulu, mereka sangka bila mereka mendapat kuasa, mereka sangka mereka layak dan disayangi oleh Tuhan. Mereka sangka Tuhan di sebelah mereka.

Firaun, Hindu, Yahudi, Kristian semua sangka mereka itu pilihan tuhan. Mereka sangka mereka lebih dari orang lain, dan kerana itu mereka sangka mereka layak untuk dapat kedudukan itu. Inilah penyakit yang teruk sekali. Dan penyakit ini pun sampai bila-bila akan ada sahaja.

Balaghah: hazf wa zikru – Allah ﷻ gunakan kalimah أَكرَمَنِ. Allah ﷻ hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang digunakan adalah أَكرَمَنِي. kenapa begitu? Akan diterangkan dalam ayat seterusnya kerana ada elemen hazf juga dalam ayat seterusnya nanti.


 

Fajr Ayat 16: Ini sambungan ayat sebelum ini.

وَأَمّا إِذا مَا ابتَلٰهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ فَيَقولُ رَبّي أَهٰنَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when He tries him and restricts his provision, he says, “My Lord has humiliated me.”

(MALAY)

Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.

 

Dan apabila Allah ﷻ menduganya dengan menyempitkan rezekinya, dia merepek dengan berkata bahawa Allah ﷻ telah menghinanya. Apabila Allah ﷻ memberinya apa yang telah ditetapkan di dalam qadr Allah ﷻ, maka dia rasa Allah ﷻ tidak suka kepadanya dan telah menghinanya.

Mereka kata begini kerana mereka merasakan bahawa kemuliaan hanyalah di dalam mempunyai harta benda. Kalau orang miskin, pada mereka itu adalah satu kehinaan. Itulah sebabnya mereka pandang hina orang-orang yang miskin, dan mereka tidak mahu jadi miskin.

Padahal, tidak ada salahnya menjadi miskin. Mereka meletakkan kemuliaan dan kehinaan pada harta. Jadi apabila harta ada, jadi mulia dan apabila tidak ada, itu hina. Begitulah manusia dan sekarang pun, masyarakat kita sudah rasa macam itu. Ini termasuk anak kita pun. Mereka hendak pakai pakaian yang baru dan ada jenama. Kalau ayah mereka pakai kereta buruk, mereka rasa malu dengan kawan-kawan mereka.

Jangan kata orang kafir, orang Islam pun buat begitu juga. Ini adalah kerana orang kita sendiri tidak mengajar anak-anak kita bahaya kalau hanya melihat nilai seseorang kepada harta dan status seseorang dalam masyarakat.

Apabila Allah ﷻ gunakan lafaz قَدَرَ, itu bermaksud memang itu dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan bahawa dia akan dapat banyak mana sepanjang hidupnya. Itu semua telah ditetapkan 50 ribu tahun sebelum kita dilahirkan pun dalam Lauh Mahfuz. Kita hanya dapat apa yang kita telah ditetapkan akan dapat, bukan? Allah ﷻ mempunyai segalanya dan tidaklah wajib bagi Dia untuk memberi kepada insan. Ikut Allah ﷻlah berapa yang Dia hendak bagi.

Tetapi apabila mereka dapat kurang dari yang biasa mereka dapat, mereka kata Allah ﷻ hina mereka kerana Allah ﷻ benci kepada mereka, tidak suka kepada mereka. Mereka tidak tanya pun kenapa mereka dibenci tetapi mereka kata begitu seolah-olah Allah ﷻ telah buat onar kepada mereka.

Dan kalau insan tidak mendapat dari Allah ﷻ, langkah seterusnya adalah mereka akan memberontak kepada Allah ﷻ. Itulah sebabnya mereka memberontak. Sebagai contoh, mereka kata: “kalau aku cuba dapatkan harta cara halal, Allah tak beri aku, maka aku nak dapatkan harta cara haram pula!”

Balaghah: hazf wa zikru – Allah ﷻ gunakan kalimah أَهانَنِ dalam ayat ini. Allah ﷻ hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini seperti dalam ayat sebelumnya. Selalunya kalimah yang digunakan adalah أَهانَنِي. Persoalannya, kenapa begitu?

Inilah salah satu keindahan bahasa Arab dan bahasa Al-Qur’an yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar balaghah. Kalau tahu bahasa Arab pun tidak nampak. Sebenarnya ya’ dihazafkan dalam ayat ini kerana hendak menceritakan apakah perasaan mereka.

Mereka hendak kata sesuatu dan tidak mahu dengar apa hujah selain darinya. Mereka telah tetap dalam pendapat mereka dan mereka tidak terbuka lagi kepada pendapat orang lain. Kalau ada orang lain beri pendapat apa-apa pun, mereka sudah tidak mahu dengar.

a. “Allah telah muliakan aku, cukup, aku tak mahu dengar lain.”
b. “Allah telah hinakan aku, cukup, aku tak mahu dengar hujah lain.”

Jadi kalau ada orang yang hendak nasihat mereka, mereka tidak mahu dengar hujah-hujah itu. Mereka telah buat keputusan mereka.

Allah ﷻ mengingatkan kita yang inilah sifat ‘insan’. Bukan orang kafir atau Muslim sahaja. Kerana semuanya adalah ‘insan’, bersifat pelupa. Iaitu lupa asal mereka, lupa siapa Allah ﷻ dan lupa tentang agama. Mereka lupa yang Allah ﷻ itu rabb dan Allah ﷻ itu berhak untuk beri berapa banyak kepada hambaNya.

Syaitan yang bisikkan dalam telinga mereka bahawa Allah ﷻ yang hinakan mereka. Dan kerana itu mereka rasa mereka sepatutnya dapatkan harta dengan cara haram kerana Allah ﷻ tidak beri harta dari cara halal – maknanya mereka sudah mula memberontak.

Pengajaran dari dua ayat ini: janganlah kita letakkan kemuliaan dan kekayaan itu sebagai tanda Allah ﷻ sayang kita, dan jangan kita letakkan kemiskinan dan kesusahan itu sebagai tanda yang Allah ﷻ benci kepada kita. Kesenangan dan kesusahan kedua-duanya adalah ujian semata.

Allah ﷻ kadang-kadang beri kesenangan sebagai ujian dan kadang-kadang Allah ﷻ beri kesusahan sebagai ujian. Sebagai seorang mukmin, kalau dapat kesenangan, maka kita bersyukur dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah ﷻ; dan kalau dapat kesusahan, kita bersabar dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah ﷻ.


 

Fajr Ayat 17: Ayat 17 – 20 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang orang yang menzalimi hak-hak anak yatim, orang miskin, orang yang lemah. Mereka yang buat begitu adalah orang yang mempunyai jiwa yang sakit.

كَلّا ۖ بَل لّا تُكرِمونَ اليَتيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No!¹ But you do not honor the orphan

  • It is not like you imagine. Rather, Allāh tries people through prosperity and hardship and rewards both gratitude and patience with honor in the Hereafter.

(MALAY)

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

 

Kalimah كَلّا maksudnya: janganlah kamu berfikir begitu lagi. Ketahuilah yang kemuliaan dan kehinaan bukan kena mengena dengan pangkat dan harta.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sudah mula bercakap terus dengan Musyrikin Mekah kerana sekarang digunakan kalimah تُكرِمونَ dalam bentuk pihak kedua – maknanya Allah ﷻ sedang bercakap dengan mereka (dan mereka yang bersifat seperti Musyrikin Mekah itu dari mana-mana zaman pun). Allah ﷻ beritahu kerana perangai mereka yang tidak memuliakan dan  menghormati orang yatim, maka Allah ﷻ hinakan mereka.

Memang mereka tidak memuliakan anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang tidak mempunyai pembantu di dunia ini. Jadi, ini bukan hanya anak yang tiada ibu bapa tetapi juga boleh termasuk ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan sebab telah masuk Islam. Kerana ada individu yang dibuang oleh keluarga mereka setelah mereka masuk Islam, dan mereka tidak ada tempat untuk ke mana-mana lagi.

Musyrikin Mekah pandang hina anak yatim, tetapi malangnya kita pun tidak kenal siapakah orang yatim dalam kalangan kita. Apabila kita tidak kenal, macam mana hendak tolong mereka?

Mudah untuk kita memuliakan mereka yang mempunyai kedudukan, ada harta, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berada dan lemah? Allah ﷻ menempelak mereka yang tidak memuliakan golongan yatim dan memerlukan bantuan ini. Kadang-kadang kita sendiri pun pandang sebelah mata kepada mereka yang lemah dalam masyarakat.

Sebagai contoh, kita mungkin rasa orang-orang yang buat kerja kasar tidak patut dihormati. Kita layan mereka seolah-olah mereka itu satu kasta bawah kita. Ini merebak dalam masyarakat, sebab itu kita lihat budak-budak kita kurang ajar dengan pekerja kedai, pembantu rumah mereka, tukang sapu dan sebagainya. Kita pun kadang-kadang kalau orang-orang seperti ini lalu sebelah kita, kita buat tidak kenal sahaja, sedangkan mereka itu juga manusia, bukan? Subhanallah!

Dalam ayat ini, yang disentuh adalah tentang perhubungan manusia dan manusia yang lain. Allah ﷻ hendak ajar kita untuk menghormati orang lain dan menjaga serta tolong menolong sesama kita. Agama Islam waktu surah ini diturunkan masih baru lagi di Mekah, maka perkara ibadah belum lagi tertegak seperti zakat, haji dan sebagainya.

Tetapi Islam mengajar supaya berbuat baik dengan orang, jangan zalim, tolong menolong sesama manusia dan sebagainya. Kerana ini adalah perkara yang penting. Kerana tidak faham perkara inilah, maka ramai dari kalangan orang Muslim kita yang kuat buat ibadah seperti solat dan puasa, tetapi tidak menghormati orang lain, berlaku kurang ajar dengan orang lain.

Maka hendaklah kita mencari peluang untuk memuliakan dan membantu anak yatim. Kerana ada banyak sekali kelebihan di dalamnya dan ini adalah tuntutan agama yang amat besar. Seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Aziz bin Abu Hazim – dia berkata; telah bercerita bapaku dari Sahl bahawa Nabi ﷺ bersabda:

 أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ وَقَرَنَ بَيْنَ أُصْبُعَيْهِ الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ

 “Aku dan pemelihara anak yatim di dalam surga seperti ini.” -dan beliau merapatkan antara dua jarinya, jari tengah dan jari telunjuk-

[Sunan Abu Daud no. 4483. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai]

Dalam Riwayat Muslim pula, telah menceritakan kepadaku Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami Ishaq bin Isa telah menceritakan kepada kami Malik dari Tsaur bin Zaid Ad Dili berkata: Aku mendengar Abu Al Ghaits menceritakan dari Abu Hurariah berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

 كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ وَأَشَارَ مَالِكٌ بِالسَّبَّابَةِ

 “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini disurga.” Malik mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah.

[Sahih Muslim no. 5296]

 


 

Fajr Ayat 18: Selepas memuliakan atau menghormati orang lain, baru Allah ﷻ sebut tentang menolong mereka. Sebelum tolong, kenalah hormat dahulu kepada mereka.

وَلا تَحٰضّونَ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not encourage one another to feed the poor.

(MALAY)

dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,

 

Kalimah تَحٰضّونَ dari katadasar ح ض ض yang bermaksud mengajak; menggesa; mendesak; menganjurkan. Kalimah حَضَّ bermaksud memecut tunggangan untuk menggalakkan kepada kebaikan. Allah beri gambaran dalam bentuk menunggang kuda dengan laju.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menegur mereka yang tidak menggalakkan sesama mereka untuk memberi makan kepada fakir miskin. Oleh kerana itu, maka kenapa mereka patut dimuliakan? Sedangkan mereka itu ada harta dan boleh tolong mereka yang miskin, tetapi mereka tidak tolong pun. Bukan sahaja mereka tidak menolong orang lain, mereka juga tidak mengajak orang untuk tolong orang lain.

Kenapa disebut mengajak orang lain menolong? Kerana kadang-kadang seseorang itu tidak ada benda hendak beri, tetapi dia ada jiwa untuk memberi, maka dia boleh ajak orang lain untuk beri. Dia boleh beri motivasi orang lain untuk menolong.

Sebab itulah mulianya hati mereka yang mempromosikan berita-berita kesusahan orang lain ke dalam media dan sebagainya, supaya orang lain boleh tolong sekali. Kerana kita mungkin boleh tolong sedikit sahaja, tetapi kalau kita ajak orang lain, tentulah pertolongan yang diberikan lebih banyak lagi.


 

Fajr Ayat 19: Apalagi sifat Musyrikin Mekah yang ditegur oleh Allah ﷻ? Kita kena tahu sifat mereka supaya kita tidak jadi seperti mereka. Kena belajar kesalahan-kesalahan Musyrikin Mekah kerana takut kalau kita tidak tengok, kita pula ada sifat seperti mereka.

وَتَأكُلونَ التُّراثَ أَكلًا لَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you consume inheritance, devouring [it] altogether,¹

  • Not caring whether it is lawful or unlawful.

(MALAY)

dan kamu memakan harta pusaka dengan cara rakus

 

Dan mereka sentiasa makan harta pusaka secara rakus. التُّراثَ boleh bermaksud harta pusaka atau harta yang tidak perlu ada usaha kepadanya. Iaitu harta yang didapati dengan senang. Macam harta pusaka itu kita dapat dengan percuma sahaja, bukan?

Allah ﷻ tegur mereka yang sudah kaya, tetapi masih lagi mahukan duit lagi dan lagi. Asal nampak peluang untuk dapat duit percuma sahaja, mereka akan terus mengejarnya.

Kalimat أَكلًا لَمًّا maksudnya memakan sambil mengaut, dan dalam masa yang sama tahan dengan tangan supaya orang lain tidak boleh makan sekali. Maksudnya seseorang itu hendak makan dengan banyak dan dalam masa yang sama, tidak mahu orang lain makan sekali. Dia hendak makan habis licin seorang diri dan tidak mahu kongsi dengan orang lain. Begitulah tamaknya orang itu.

Memang ayat ini disebut tentang Kafir Mekah, tetapi dalam zaman sekarang ada mereka yang tidak memberikan hak harta pusaka kepada mereka yang sepatutnya. Mereka akan buat macam-macam untuk menidakkan harta pusaka kepada adik beradik dan keluarga sendiri.

Mereka ini jenis teruk sampai sanggup naik turun mahkamah, burukkan orang itu dan ini kerana hendak bolot harta itu sendiri. Begitulah manusia ini, kalau tentang harta, orang kita sanggup berkelahi, turun naik mahkamah, sampai sanggup membuang keluarga. Mereka hanya nampak kekayaan di dunia sahaja. Padahal itu adalah ‘harta percuma’ sahaja, bukannya mereka ada usaha pun untuk dapatkannya.


 

Fajr Ayat 20: Apa lagi perangai mereka?

وَتُحِبّونَ المالَ حُبًّا جَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you love wealth with immense love.

(MALAY)

dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.

 

Dan mereka pula terlalu sayangkan harta. Iaitu kasih yang berlebihan, lebih dari yang sepatutnya. Kalau setakat suka sahaja tidak mengapa lagi tetapi yang merosakkan diri adalah kalau cinta berlebihan sampai merosakkan diri dan agama. Iaitu sibuk mengumpul-ngumpul harta dan suka melihat hartanya bertambah, dikira-kira setiap hari.

Mereka sibuk mengumpul harta itu sampai tidak bersedia untuk menghadapi akhirat. Dan mereka sayangkan harta sampai mereka tidak menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, dalam Tawbah:24 telah disebut tentang mereka yang terlalu cintakan lapan perkara sampai ianya menghalang mereka dari menjalankan jihad.

‎قُل إِن كانَ آباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوانُكُم وَأَزواجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموالٌ اقتَرَفتُموها وَتِجارَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Kalimah جَمًّا bermaksud ‘isi sampai penuh’, bukan hendak sikit-sikit, tetapi hendak membondong banyaknya. Begitulah sifat manusia yang malang yang terlalu sayangkan harta dan dunia. Mereka terkejar-kejar dunia itu, padahal harta semua akan dimusnahkan nanti akhirnya.


 

Fajr Ayat 21: Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Kelima. Allah ﷻ memberitahu yang jiwa yang sakit akan menyesal dan akan diazab pada Hari Pembalasan.

Maka sekarang baru hendak masuk kepada kisah kiamat. Kalau surah-surah sebelum ini dalam Juz Amma, disebut tentang neraka dahulu, tetapi terbalik di dalam surah ini.

كَلّا إِذا دُكَّتِ الأَرضُ دَكًّا دَكًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! When the earth has been leveled – pounded and crushed –

(MALAY)

Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut,

 

Kalimah كَلّا bermaksud: Janganlah kamu berbuat seperti sifat-sifat yang disebut sebelum ini.

Cuba bayangkan keadaannya apabila bumi dipukul dengan kuat sehingga jadi rata serata ratanya atau jadi habuk kerana hancur segalanya. Apa saja yang ada di dunia akan hancur belaka sehingga tidak tinggal apa-apa pun. Termasuklah harta yang kamu sayang sangat tadi. Kamu sibuk simpan dan kumpul, tetapi segala itu akan hancur sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Makro Surah Fajar


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fajr Ayat 6 – 14 (Jangan perasan hebat)

Fajr Ayat 6: Ayat 6 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia mengandungi dalil sejarah kaum yang telah diberi balasan buruk: Aad, Tsamud dan Firaun.

Dalam Surah Al-Ghasyiyah sebelum ini, Allah ﷻ telah memberi ancaman kepada manusia yang degil dengan apa yang mereka akan dapat di neraka kelak kalau mereka masih menentang tauhid.

Tetapi ramai lagi yang masih tidak mahu mengubah diri mereka. Ini adalah kerana perkara yang diancam kepada mereka itu hanya akan berlaku di neraka kelak (azab api, minuman air panas, buah berduri dan sebagainya), jadi mereka tidak nampak lagi.

Maka, kalau begitu, Allah ﷻ mengajak marilah tengok apa yang kamu sendiri boleh tengok di dunia ini lagi. Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu yang menentang Rasul mereka. Kamu boleh nampak bukan peninggalan-peninggalan mereka?

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered how your Lord dealt with ‘Aad –

(MALAY)

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad?

 

Tidakkah kau melihat bagaimana Allah ﷻ telah melakukan terhadap kaum Aad? Walaupun Allah ﷻ khitab ayat kepada Nabi ﷺ, tetapi semasa Nabi ﷺ membaca, siapa yang mendengar? Tentulah semua orang termasuk Musyrikin Mekah itu.

Kalimah تَرَ digunakan yang diambil dari katadasar ر أ ي (rukya). Kalimah ini lain dengan kalimah نظر yang bermaksud lihat betul-betul dengan mata. Akan tetapi apabila digunakan rukya, ia tidak semestinya dengan mata kepala sahaja, tetapi melihat dengan fikiran sekali.

Sebab itu kadang-kadang kalau orang beritahu sesuatu perkara kepada kita, bila kita faham, kita kata: “baik, aku ‘nampak’ dah apa kau cakap”. Padahal, tidak nampak apa pun dengan mata, tetapi dengan akal. Oleh itu maksud rukya adalah faham. Ianya adalah perbuatan hati, bukan perbuatan fizikal.

Kaum Aad ini adalah kaum yang tak jauh lamanya dari Nabi Nuh عليه السلام. Mereka adalah kaum ‘Ad pertama, iaitu keturunan dari ‘Ad ibnu Iram ibnu ‘ Aus ibnu Sam ibnu Nuh عليه السلام. Nabi yang dihantar kepada mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Aad itu adalah kaum yang kuat tubuh badan mereka sampai orang lain tidak berani hendak lawan mereka. Maka mereka telah melawan hukum Allah ﷻ kerana mereka berlagak sangat.

Tetapi Allah ﷻ akhirnya telah menghancurkan mereka. Kerana mereka tidak menerima dakwah daripada Nabi Hud عليه السلام, maka Allah ﷻ telah memusnahkan mereka. Telah datang angin yang kuat kepada mereka yang kuatnya sampai mengangkat mereka ke udara dan menjatuhkan mereka ke tanah sampai leper.

Dan kaum Quraish Mekah memang dapat melihat peninggalan kaum Aad ini kerana mereka ada melalui kawasan peninggalan mereka dalam safar mereka. Walaupun mereka kuat, senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghancurkan mereka.

Maka Allah ﷻ suruh puak Musyrikin Mekah itu berfikir tentang perkara itu. Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada kaum Quraisy bahawa Allah ﷻ boleh memusnahkan mereka juga seperti Allah ﷻ telah musnahkan Kaum Aad itu. Janganlah mereka menyangka bahawa mereka itu gagah dan dapat melawan Allah ﷻ dan rasulNya. Mereka itu tidak sekuat Kaum Aad pun.

Allah ﷻ juga beritahu kepada Nabi ﷺ, jangan takut dengan kekuatan Quraisy itu. Allah ﷻ menguasai mereka dan kalau Allah ﷻ mahu, senang sahaja Allah ﷻ hendak musnahkan mereka.

Ayat ini juga pengajaran bagi kita: jangan rasa hebat sangat sampai rasa boleh menentang ajaran Rasulullah ﷺ. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan kita. Kalau tidak dimusnahkan di dunia ini, pasti akan diazab di akhirat kelak. Jadi jangan sangka ayat-ayat ini untuk Musyrikin Mekah sahaja.

Kita telah banyak membaca tentang Kaum Aad dalam Al-Qur’an, dan surah ini adalah kali terakhir akan disebut tentang kaum Aad. Jadi Allah ﷻ hendak beri peringatan terakhir tentang mereka.


 

Fajr Ayat 7: Keturunan awal Aad adalah Iram. Ini adalah athaf bayan untuk menambah keterangan tentang Kaum Aad itu.

إِرَمَ ذاتِ العِمادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[With] Iram¹ – who had lofty pillars,²

  • Another name for the first people of ‘Aad, to whom Prophet Hūd was sent.
  • Supporting their tents or buildings.

(MALAY)

(iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi,

 

Ada pendapat yang kata Iram adalah keturunan awal kepada kaum Aad dan Tsamud. Ada yang kata Iram itu nama orang yang mula-mula sekali dari bangsa mereka yang telah membina tamadun mereka. Tetapi tiada kepastian tentang perkara ini kerana ianya adalah kisah lama, jadi macam-macam pendapat yang dikeluarkan.

Mufassirin juga ada mengatakan yang Iram adalah nama tempat di mana kaum Aad ini tinggal. Mereka adalah amat besar sekali tubuh badannya. Setinggi 70-80 kaki tingginya. Mereka amat gagah sampai boleh menebuk dan menjadikan gunung-gunung sebagai rumah tempat tinggal mereka. Jadi apabila mereka gagah dan kuat, mereka telah menjadi sombong. Begitulah manusia, apabila gagah, mereka akan sombong.

Penduduk Iram mempunyai bangunan yang tinggi tiangnya. Mereka boleh buat kerana mereka ada kekuatan dan kepandaian untuk buat tiang yang besar-besar. Hal ini disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِنْ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً فَاذْكُرُوا آلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ } 

Dan ingatlah oleh kamu sekalian di waktu Allah menjadikan kamu sebagai pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah lenyapnya kaum Nuh, dan Tuhan telah melebihkan kekuatan tubuh dan perawakanmu (daripada kaum Nuh itu). Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. (Al-A’raf: 69)

Mereka ini memang hebat dari segi fizikal. Ini adalah satu lagi bangsa yang diketahui oleh Quraisy. Bangsa lain tidak dapat kelebihan boleh melihat bagaimana kaum lain telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ. Kaum lain, apabila mereka diingatkan dengan Nabi mereka, kaumnya kata mereka tidak pernah nampak kemusnahan yang dikenakan kepada kaum sebelum mereka.

Tetapi bangsa Arab ini, apabila Nabi Muhammad ﷺ mengancam mereka, mereka memang boleh lihat kesan apa yang terjadi kepada kaum sebelum mereka. Kerana mereka boleh lihat peninggalan kaum-kaum itu. Ini sepatutnya menguatkan mereka untuk menerima Islam dan takut dengan ancaman yang Allah ﷻ berikan kepada mereka kerana memang boleh nampak.

Dan mereka memang kenal Iram kerana ada puisi tentang Iram dalam puisi lama bangsa Arab. Mereka ini adalah satu lagi bangsa yang kuat yang mempunyai kehidupan yang hebat tetapi mereka juga telah melawan Nabi mereka dan Allah ﷻ telah memusnahkan mereka.


 

Fajr Ayat 8: Hebat sekali apa yang mereka ada.

الَّتي لَم يُخلَق مِثلُها فِي البِلٰدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The likes of whom had never been created in the land?

(MALAY)

yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,

 

Tamadun yang mereka ada itu belum pernah diciptakan sepertinya di seluruh negeri di zaman itu. Sebelum itu tidak pernah ada lagi kekuatan, tamadun seperti yang ada pada mereka. Maknanya, mereka itu hebat sampai ke satu tahap yang tidak pernah dicapai oleh golongan sebelum mereka. Akan tetapi mereka dihancurkan juga.

Kalimah البِلادِ bermaksud negeri yang mempunyai sempadan yang memang adalah satu negeri yang rakyatnya akan mempertahankan negeri itu kalau diserang. Ini lain kalau dibandingkan dengan kalimah ‘madinah’ yang tidak ada sempadan yang jelas. Kalimah مصر pula adalah pekan yang ada pagar/parit di sekelilingnya.


 

Fajr Ayat 9: Kemudian disebut kaum yang selepas Aad, iaitu Tsamud.

وَثَمودَ الَّذينَ جابُوا الصَّخرَ بِالوادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [with] Thamūd, who carved out the rocks in the valley?

(MALAY)

dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah,

 

Dan kaum Thamud yang memahat الصَّخرَ yang bermaksud batu-batu besar di lembah. Ianya adalah batu besar, bukan batu biasa sahaja (حجر).

Kaum Thamud adalah kaum Nabi Salih عليه السلام yang terkenal kisah unta betinanya. Kaum ini juga sangat kuat dan hebat sampaikan mereka boleh memahat batu-batu untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Bukan setakat buat tanda pahat pada batu itu sahaja tetapi mereka جابُوا yang mereka boleh drill dan jadikan satu bentuk binaan yang besar.

Maknanya mereka itu memang hebat. Mereka itu boleh dikatakan sebagai ‘pakar batu’. Memang hebatlah sebab waktu itu bukan ada alat elektrik kan? Tentu tidak ada, jadi bagaimana mereka lakukan? Mereka buat dengan kederat kekuatan mereka kerana mereka itu orang yang kuat-kuat.

Kalimah الوادِ pula adalah tempat yang mempunyai takungan air (kita panggil wadi). Bila ada air, maka mereka adalah kaum yang mewah kerana kalau tinggal dekat dengan sumber air, itu menandakan mereka itu kaum yang mewah kerana tanaman dapat hidup subur.

Mereka sangat kurang ajar dengan Allah ﷻ dan Nabi Saleh عليه السلام sampai mereka mencabar baginda untuk mengeluarkan unta daripada batu.  Maka dengan izin Allah ﷻ, seekor unta betina telah dikeluarkan daripada batu seperti yang mereka sendiri minta. Dan selepas unta dikeluarkan, maka telah ada perjanjian Nabi Saleh عليه السلام dengan penduduk itu.

Iaitu mereka akan berkongsi telaga mata air dengan unta itu. Selang-selang menggunakan air itu, satu hari untuk kaum itu, dan satu hari lagi untuk unta dan mereka tidak boleh kacau kalau itu adalah hari unta itu meminum air itu kerana unta itu besar dan dia akan minum dengan banyak. Tetapi pada suatu hari, orang-orang kaya hendak makan di kedai makan, tetapi air tidak ada kerana itu adalah hari unta itu. Dipendekkan cerita, mereka suruh juga ambil air dan mereka telah membunuh unta itu kerana marah dengan unta itu.


 

Fajr Ayat 10: Selepas disebut tentang Aad dan Tsamud, sekarang adalah kisah kemuncak iaitu kisah tentang Firaun.

وَفِرعَونَ ذِي الأَوتادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [with] Pharaoh, owner of the stakes?¹ –

  • By which he tortured people.

(MALAY)

dan kaum Fir’aun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak),

 

Dalam ayat ini disebut Firaun yang mempunyai pasak-pasak. Apakah yang dimaksudkan dengan pasak ini? Ada tiga pendapat yang kita akan sebut tentang maksud الأَوتادِ ini.

Pertama, ia adalah pasak kepada khemah. Iaitu tentang tentera yang berhenti di sesuatu kawasan dan mereka akan mendirikan khemah dengan banyak sekali. Kalau tengok dari jauh, maka akan nampak banyak sekali tentera, dan tentera Firaun memang banyak sekali. Akan nampaklah kekuatan tentera itu dari jauh.

Dan bahagian khemah yang penting sekali adalah pasak itu. Jadi ‘pasak’ dikatakan sebagai isyarat kepada pasak pada khemah itu dan isyarat kepada kekuatan tentera yang ramai.

Kedua, ia merujuk kepada cara Firaun menyeksa salah satunya adalah dengan memasak mereka yang dihukum pada pokok seperti yang disebut dalam Taha:71 وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ. Firaun memang seorang yang ganas dan paling teruk dalam menyeksa orang ramai.

Ketiga, ia merujuk kepada binaan mereka yang hebat yang boleh dilihat dalam gambar hieroglyphs. Dalam gambar-gambar itu, ada ditunjukkan bangunan-bangunan yang dibina oleh orang Mesir itu di bawah pemerintahan Firaun.

Sebelum ini telah disebut tentang kaum Aad, Tsamud dan sekarang ini Firaun, ketiga-tiga kriteria tentang ketiga-tiga golongan ini adalah binaan. Mereka mempunyai binaan yang besar dan hebat. Dan perkara ini disebut dan diingatkan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka itu sendiri bukan pembina.

Orang Mekah tidak ada bangunan besar, tetapi duduk dalam khemah sahaja dan rumah mereka pun dari tanah liat sahaja. Maknanya dhaif sangat tamadun mereka itu kalau dibandingkan dengan tiga kaum yang telah disebut tadi. Allah ﷻ hendak ingatkan mereka itu yang mereka itu lagi rendah kedudukan dari kaum sebelum mereka. Tengoklah diri kamu wahai orang Arab dan janganlah berlagak sangat. Yang lagi hebat dari kamu pun sudah pernah Allah ﷻ musnahkan.


 

Fajr Ayat 11: Allah ﷻ  jawab kenapa Allah ﷻ musnahkan mereka.

الَّذينَ طَغَوا فِي البِلٰدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[All of] whom oppressed within the lands

(MALAY)

yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,

 

Mereka melakukan tughyan (melampaui batas) di bumi Allah ﷻ. Ada yang melampau batas sahaja, tetapi yang lebih teruk adalah mereka yang sengaja hendak melawan. Iaitu mereka melawan Allah ﷻ dan rasul mereka. Mentang-mentanglah rasul mereka tidak ada tentera, maka mereka buat perkara tidak senonoh terhadap rasul dan Allah ﷻ. Ini menunjukkan yang mereka itu amat sombong dan bongkak sekali.

Akan tetapi Allah ﷻ kata mereka melampau dan memberontak di negara mereka. Ini adalah kerana kesan buruk itu nampak pada tanah itu. Ini kerana hukum Allah ﷻ adalah untuk kebaikan mereka sendiri, dan kalau tidak ikut, negaralah yang kacau bilau. Kesan buruk adalah kepada diri mereka sendiri.

Allah ﷻ tidak ada terkesan apa apa pun. Dan rasul mereka pun tidak terkesan. Jadi, kita kena sedar yang undang-undang dan hukum dari Allah ﷻ adalah untuk kebaikan manusia. Ianya baik kepada orang Islam dan orang bukan Islam pun. Kerana banyak perkara yang baik untuk semua, seperti arahan jangan menipu dalam perniagaan, jangan berlaku zalim, jangan menipu, mencuri dan sebagainya. Itu semua baik untuk negara. Dan kalau tidak ikut undang-undang hudud yang Allah ﷻ berikan untuk mengawal manusia, memang tunggu sahaja kerosakan yang akan melanda.


 

Fajr Ayat 12: Ini pula adalah kesan dari perbuatan mereka itu.

فَأَكثَروا فيهَا الفَسادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And increased therein the corruption.

(MALAY)

lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu,

 

Oleh itu kerana perangai pemimpin mereka yang teruk, maka banyaklah kerosakan di dalam negara dan masyarakat mereka. Amat banyak kerosakan dalam negara walaupun prasarana negara sudah maju dan tamadun sudah gemilang. Kalau negara hebat, tetapi apa gunanya kalau masyarakat rosak? Apabila melampaui batas, maka kesannya adalah begitu.

Kerosakan itu bukan hanya masa itu sahaja, tetapi sekarang pun begitu juga. Kita boleh lihat bagaimana negara cantik dengan bangunan yang besar dan indah, taman-taman yang cantik, kemudahan kemanusiaan yang merata-rata. Akan tetapi dalam masyarakat ada rasis, gelandangan merempat di sana-sini, kezaliman merata-rata, pencurian dan aktiviti rompak merata-rata.

Maknanya keadaan tidak aman langsung. Sampaikan ada tempat yang orang tidak berani hendak masuk kerana masyarakat itu teruk sangat. Orang panggil itu ‘tempat hitam’ kerana kalau pergi ke sana, berkemungkinan besar akan kena rompak.


 

Fajr Ayat 13: Maka apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap mereka? Allah ﷻ hancurkan mereka.

فَصَبَّ عَلَيهِم رَبُّكَ سَوطَ عَذابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So your Lord poured upon them a scourge of punishment.

(MALAY)

kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab,

 

Maka Allah ﷻ mencurahkan atas mereka satu pukulan azab yang amat hebat. صَبَّ dari segi bahasa bermaksud curahan air yang banyak, dan dituang sekali tuang sahaja. Ada satu lagi kalimah untuk ‘tuang’, iaitu فرغ, tetapi ini lain dengan صَبَّ. صَبَّ adalah curahan air yang banyak dan dituang sekali harung, sedangkan فرغ maksudnya tuang sedikit demi sedikit.

Kalimah صَبَّ ini amat sesuai sekali kalau menerangkan apa yang terjadi kepada Firaun kerana dia dan tenteranya telah dikenakan dengan pukulan air laut yang melemaskan mereka. Mereka waktu itu sedang bergerak di antara belahan lautan yang tinggi di sebelah kiri dan kanan, dan kemudian apabila Allah ﷻ sambungkan balik laut itu, air itu menghempap mereka dan mematikan mereka dan akhirnya melemaskan mereka.

Kemudian kalimah سَوطَ pula bermaksud satu pukulan cemeti kulit yang amat kuat. Kalau digunakan kalimah جلد yang bermaksud pukul juga, tetapi pukulan banyak kali. Kalau pukulan banyak kali, kurang sedikit sakitnya. Tetapi kalau dipukul sekali dengan kuat, itu adalah pukulan yang amat menyeksakan.

Allah ﷻ kata Dia beri pukulan sekali harung sahaja kerana ada kalimah صَبَّ tadi dan sekarang digunakan pula kalimah سَوطَ. Pukulan cemeti digunakan sebagai isyarat dalam ayat ini kerana dikatakan ia adalah seksaan yang paling sakit kerana ia sakit pada kulit. Ia tidak menyebabkan luka dalaman, tetapi sakit pada kulit. Dan kulitlah tempat rasa sakit yang kuat sekali kerana deria rasa itu di kulit. Kulit tidak rosak, tetapi sakit yang amat sangat.

Begitulah perumpamaan azab yang Allah ﷻ berikan sebagai peringatan kepada orang Mekah yang menentang Nabi ﷺ. Allah ﷻ ingatkan mereka bagaimana Dia telah memusnahkan kaum yang menentang RasulNya. Allah ﷻ bantu RasulNya dan balas perbuatan salah mereka terhadap rasul mereka dengan beri azab kepada mereka. Kepada kamu, wahai Musyrikin Mekah, Tuhan kamu pun boleh buat begitu juga.

Memang mereka kena sekali pukul sahaja di dunia, sampai menghancurkan mereka, tetapi ingat, bahawa mereka akan kena lagi di akhirat kelak. Azab mereka bukan di dunia sahaja.


 

Fajr Ayat 14: Allah ﷻ telah sebut tentang azab yang dikenakan kepada umat terdahulu. Bagaimana pula tentang Musyrikin Mekah? Allah ﷻ beritahu yang mereka sedang diawasi. Maka mereka kena berhati-hati.

إِنَّ رَبَّكَ لَبِالمِرصادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is in observation.

(MALAY)

sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.

 

Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawasi melihat apa yang mereka sedang lakukan. مِرصادِ maksudnya menunggu untuk menyerang seseorang. Allah ﷻ sedang memberi ancaman dengan memberitahu yang Dia sedang mengawasi apa yang mereka lakukan dan sudah sedia hendak serang mereka.

Dan Allah ﷻ boleh serang mereka bila-bila sahaja. Ayat ini sepatutnya menakutkan mereka yang melakukan pelampauan batas kepada Allah ﷻ dan kepada RasulNya. Ini adalah amaran berat dari Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir