Ayat 65: Allah beri dalil aqli.
وَاللهُ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَسمَعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh has sent down rain from the sky and given life thereby to the earth after its lifelessness. Indeed in that is a sign for a people who listen.
(MELAYU)
Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).
وَاللهُ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً
Dan Allah menurunkan dari langit air
Air yang dimaksudkan adalah air hujan. Kehidupan di dunia amat memerlukan air ini untuk melangsungkan hidupnya. Allah selalu menyebut tentang air hujan ini dalam Qur’an. Ini menunjukkan kepentingannya. Jadi apabila kita lihat air hujan turun, maka kita kena ingat kepada Qur’an. Dan semasa kita lihat air hujan itu turun, kita kena ingat bahawa Allah yang menurunkannya.
فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها
dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya.
Kalau sesuatu tempat itu sudah lama tidak menerima air hujan, tentu kehidupan di situ sudah mati – sama ada tumbuhan ataupun hidupan lain. Qur’an beri perumpamaan tanah yang sebegitu sebagai ‘mati’. Dengan Allah turunkan hujan itu, maka tanah yang mati itu akan hidup subur semula.
‘Tanah’ yang mati itu adalah perumpamaan kepada ‘hati’ yang mati. Mati dari wahyu dan dari agama. Dan ‘air’ itu pula merujuk kepada ‘wahyu’. Seperti mana air harus masuk dalam tanah untuk menghidupkan tanah itu semula, maka wahyu ini harus masuk dalam hati manusia. Selepas dimasuki wahyu Qur’an, barulah hati boleh hidup seperti tanah mati yang hidup kerana air itu.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَسمَعونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan
Inilah tanda-tanda kebesaran Allah. Orang yang membuka telinganya untuk mendengar ayat-ayat wahyu dibacakan yang akan dapat pemahaman ini. Bukan setakat dengar sahaja, tapi harus dengar dengan pemahaman. Ramai orang yang dengar ayat Qur’an dibacakan, tetapi mereka tidak dengar dengan hati yang mahu mendapatkan kebenaran.
Ayat 66: Dari ayat ini ke ayat 83 adalah Perenggan Makro ke 3 (Bahagian 6) Ia berkenaan Dalil Tauhid Rububiyyah dan Hari Akhirat.
Allah suruh kita lihat alam ini sebagai pengajaran untuk kita. Oleh itu, orang yang rapat dengan Qur’an, mereka lihat dunia ini tidak sama dengan orang lain. Walaupun orang lain nampak biasa sahaja alam ini, tetapi orang yang baca Qur’an, yang memikirkan ayat-ayat Qur’an, mereka lihat dengan pandangan yang lain. Pandangan mereka lebih mendalam dan meningkat iman mereka.
وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعامِ لَعِبرَةً ۖ نُسقيكُم مِمّا في بُطونِهِ مِن بَينِ فَرثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خالِصًا سائِغًا لِلشّارِبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, for you in grazing livestock is a lesson. We give you drink from what is in their bellies – between excretion and blood – pure milk, palatable to drinkers.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum dari pada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.
وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعامِ لَعِبرَةً
Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu.
Sekarang Allah suruh tengok binatang ternak seperti unta, sapi, dan kambing pula kerana padanya juga ada pengajaran. ‘Ibrah’ adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita menangis kerana ia pelajaran yang sangat kuat. Ianya adalah sesuatu yang menusuk ke dalam kalbu.
Allah suruh orang Arab (penerima wahyu Qur’an yang awal) untuk lihat binatang ternak. Zaman mereka binatang ternak itu ada di mana-mana (macam kita harus cari dahulu baru jumpa). Maka senang untuk mereka memikirkannya. Zaman sekarang mungkin susah kita hendak nampak binatang ternak, maka kena ingat bila ayat-ayat Qur’an ini diturunkan.
Macam mana dengan melihat haiwan ternakan itu kita hingga boleh menangis? Kalau kita perhatikan dengan hati yang tulus, kita boleh lihat yang binatang ternak itu hidup di padang pasir tandus yang dikelilingi kematian. Dan kalau di padang pasir tentunya air susah didapati. Tetapi Allah beri juga air kepada binatang-binatang itu untuk hidup.
Dan kalau orang Arab tengok dan memikirkan perkara ini, mereka akan terkesan dan boleh menangis kerana sumber pendapatan mereka adalah dari susu binatang ternak itu. Mereka sepatutnya terkenangkan betapa tinggi nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka sampaikan mereka boleh menangis.
نُسقيكُم مِمّا في بُطونِهِ
Kami memberimu minum dari pada apa yang berada dalam perutnya
Bukan sahaja Allah turunkan air dari langit, tapi Allah beri kita minuman dari binatang ternak itu yang datang dari dalam perut mereka.
مِن بَينِ فَرثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خالِصًا
susu yang bersih antara tahi dan darah,
Apa yang datang dari perut binatang itu adalah susu segar. Dan ianya bersih kerana warnanya putih elok sahaja.
Dan Allah beritahu yang susu segar itu terbit dari bahagian dalam perut binatang itu yang duduknya antara tahi dan darah. Itulah payudara binatang itu. Walaupun ia datang dari tempat yang dekat dengan darah dan tahi, tapi bila kita minum susu itu, tidak ada rasa tahi dan darah pun, bukan? Tahi, darah dan susu berjalan ke tempat salurannya masing-masing bila makanan yang ada di dalam perut haiwan itu telah diproses.
Darah mengalir ke arah urat-urat, air susu mengalir ke arah payudara, sedangkan air kencing mengalir ke arah kemaluan, dan tahi disalurkan ke tempat pembuangannya. Dengan kata lain, masing-masing dari ketiga-tiga benda itu tidak bercampur dengan yang lain setelah terpisah (teruraikan), tidak pula berubah.
Dan yang ajaibnya, kalau kita tebuk perut binatang itu di kawasan itu, kita tidak akan jumpa susu. Ia harus keluar dari payudara itu baru ada susu. Dan ini adalah kehebatan yang Allah jadikan untuk kita lihat. Cara Allah proses dalam tubuh binatang itu memang amat hebat.
سائِغًا لِلشّارِبينَ
yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.
Susu yang segar bersih itu Allah jadikan sebagai minuman yang senang dan sedap diminum. Ianya adalah minuman yang berzat untuk kita. Ada kebaikan dari segi kesihatan, bukan setakat menghilangkan dahaga sahaja.
Ayat 67: Selepas sebut tentang minuman dari binatang ternak, sekarang disebut minuman dari tumbuhan pula.
وَمِن ثَمَراتِ النَّخيلِ وَالأَعنابِ تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا وَرِزقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَعقِلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And from the fruits of the palm trees and grapevines you take intoxicant and good provision.¹ Indeed in that is a sign for a people who reason.
- This verse was revealed before the prohibition of intoxicants. It alludes to the fact that there are both evil and good possibilities in certain things.
(MELAYU)
Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.
وَمِن ثَمَراتِ النَّخيلِ وَالأَعنابِ
Dan dari buah kurma dan anggur,
Minuman juga boleh datang dari tamar dan anggur. Sehubungan dengan buah kurma dan anggur ini, Allah s.w.t. menyebutkannya pula dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلا يَشْكُرُونَ سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الأزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الأرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ}
Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur? Maha suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahu pun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Yaasin: 34-36)
تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا
kamu buat minuman yang memabukkan
Manusia jadikan arak dari kurma dan anggur itu. Ianya diperah dan diperam untuk sekian lama. Apabila sudah cukup masa dan ragi telah dicampur, lama kelamaan tamar dan anggur itu akan jadi arak yang memabukkan. Allah sebut arak dalam ayat ini kerana ini adalah Surah Makkiah dan arak tidak diharamkan lagi waktu itu.
وَرِزقًا حَسَنًا
dan rezeki yang baik.
Kurma dan anggur itu adalah rezeki yang baik, bukan setakat jadi arak sahaja. Maknanya, ini memberi isyarat bahawa kalau dijadikan sebagai arak, ia adalah buruk dan kalau dijadikan perkara lain, ia tidaklah buruk. Jadi dari satu benda yang sama, boleh jadi baik dan boleh jadi buruk.
Dari kurma boleh dijadikan tamar kering dan nabiz sebagai minuman, cuka dan sebagainya. Dari anggur itu pula boleh jadi minuman anggur yang sedap. Semuanya bergantung kepada kepandaian manusia untuk menggunakan apa yang ada.
Kalau kita lihat, kadang-kadang dari benda yang sikit sahaja, tapi manusia gunakan daya kreativiti dan pengalaman untuk jadikan macam-macam perkara yang hebat-hebat. Semua ini adalah dari apa yang Allah ajar kepada manusia. Ini kerana kalau ikut akal kita sendiri sahaja, tidak sampai nak buat benda-benda itu.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَعقِلونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang menggunakan akal.
Itulah tanda Qudrat Allah bagi mereka yang cuba memikirkan untuk memahami. Lihatlah betapa besarnya jasa Allah kepada kita.
Allah gunakan kalimah ‘akal’ dalam ayat ini, memberi isyarat yang kita kena jaga akal kita. Dan kalau kita minum arak, kita tidak menjaga akal kita kerana akal akan hilang sementara kalau sudah mabuk dengan minum arak dari kurma dan anggur itu. Maka orang yang guna akal akan jaga akal mereka dengan tidak minum minuman yang memabukkan.
Ayat 68: Sekarang disebut minuman jenis lain pula.
وَأَوحىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحلِ أَنِ اتَّخِذي مِنَ الجِبالِ بُيوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمّا يَعرِشونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And your Lord inspired to the bee, “Take for yourself among the mountains, houses [i.e., hives], and among the trees and [in] that which they construct.
(MELAYU)
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia”,
وَأَوحىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحلِ
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah:
Allah beri ‘ilham’ kepada lebah. Kalimah ‘wahyu’ dalam ayat ini bermaksud ‘ilham’ dan bukanlah wahyu seperti yang diberikan kepada para Nabi pula.
Lebah adalah nama surah ini. Dan memang ada kehebatan lebah yang kita boleh belajar. Kerana itu sudah ini dinamakan Surah Lebah. Maklumat yang kita dapat di zaman moden ini membuktikan bahawa Qur’an ini adalah mukjizat.
Apabila Allah gunakan kalimah أَوحىٰ, ia bukan bermaksud diberikan wahyu kepada lebah itu. Lebah tidak dapat wahyu kerana lebah bukan Nabi. Jadi yang dimaksudkan adalah ‘ilham’.
أَنِ اتَّخِذي مِنَ الجِبالِ بُيوتًا
“Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit,
Allah ilhamkan kepada lebah untuk buat rumah dari bukit. Ini kelebihan yang ada pada lebah kerana manusia juga susah untuk buat rumah di bukit bukau. Tetapi lebah boleh duduk di situ.

Ini adalah salah satu mukjizat Qur’an. Oleh kerana Qur’an adalah kalam Allah, maka maklumat yang disampaikan adalah tepat. Zaman dahulu semasa Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad, bidang zoologi boleh ada lagi. Maka tentu orang Arab tidak tahu bahawa ada jenis lebah yang boleh gerudi bukit batu dan buat rumah di situ. Mana mungkin Nabi Muhammad tahu perkara ini dan mana mungkin baginda yang tulis sendiri Qur’an ini?
وَمِنَ الشَّجَرِ
dan di pohon-pohon kayu,
Selain dari bukit, lebah boleh buat rumah (sarang) mereka di pokok-pokok. Ini adalah kerana ada spesis lebah yang boleh gerudi pokok-pokok dan buat rumah di situ.

وَمِمّا يَعرِشونَ
dan di tempat-tempat yang dibikin manusia”,
Dan juga di tempat tinggi di rumah manusia. Ini juga banyak kita lihat di bangunan-bangunan yang ditinggalkan oleh manusia.
Jadi lebah boleh buat sarang di tiga tempat itu (bukit, pokok dan rumah manusia). Dengan berkat adanya ilham dan tunjuk ajar dari Allah ini, lebah membangun rumah (sarang)nya dengan sangat rapi struktur dan susunannya, sehingga tidak ada cela padanya. Banyak kajian telah dilakukan saintis tentang sarang lebah ini.
Ayat 69:
ثُمَّ كُلي مِن كُلِّ الثَّمَراتِ فَاسلُكي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ مُختَلِفٌ أَلوانُهُ فيهِ شِفاءٌ لِلنّاسِ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then eat from all the fruits¹ and follow the ways of your Lord laid down [for you].” There emerges from their bellies a drink, varying in colors, in which there is healing for people. Indeed in that is a sign for a people who give thought.
- i.e., delicious substances found by the bee.
(MELAYU)
kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.
ثُمَّ كُلي مِن كُلِّ الثَّمَراتِ
kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan
Allah ilhamkan kepada lebah itu untuk makan, sedutlah dari semua jenis tumbuhan bunga. Lebah akan ambil makanan dari bunga-bunga dan darinya dijadikan madu.
Dan semasa lebah bergerak dari satu bunga ke bunga yang lain, ia memindahkan debunga dari bunga ini dan bawa ke bunga yang lain, dalam masa yang sama mencantumkan dua debunga itu dan menumbuhkan bunga yang lagi banyak.
Kalimah كُلي (makanlah) adalah fi’il amar (kata arahan) untuk jantina betina. Ini adalah satu ketepatan Qur’an kerana penemuan moden baru tahu yang lebah yang bekerja mencari makanan dan membuat madu adalah semuanya betina. Mungkin sangkaan umum, lebah pekerja itu semuanya jantan, bukan? Ini adalah penemuan baru tapi Allah sudah beri maklumat yang tepat 1,400 tahun dahulu!
فَاسلُكي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا
dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan
Dan Allah beri ilham kepada lebah untuk mencari jalan yang diajar oleh Tuhan, untuk mencari bunga-bunga itu. Sekali lagi kalimah فَاسلُكي digunakan sebagai arahan kepada jantina betina kerana lebah pekerja semuanya adalah betina.
Allah yang ajar mereka bergerak macam mana. Lebah-lebah itu menempuh jalan udara yang luas, padang pasir yang membentang luas, lembah-lembah, dan gunung-gunung yang tinggi menurut apa yang disukainya. Lalu masing-masing lebah dapat kembali ke sarangnya tanpa menyimpang ke arah kanan atau ke arah kiri, melainkan langsung menuju sarangnya, tempat ia meletakkan telur-telurnya dan madu yang dibuatnya.
Sekarang kajian sains telah dapat tahu bahawa ada sebab kenapa lebah bergerak dengan cara mereka bergerak itu – senang untuk mereka terbang. Tapi indikasi bagaimana mereka bergerak telah disentuh oleh Allah 1,400 tahun dahulu lagi.
Kalimah ذُلُلًا dari katadasar ذ ل ل yang antara lain, bermaksud taat dan ikut sahaja. Maka lebah diperintahkan untuk ikut sahaja ilham yang Allah telah beerikan kepada mereka. Dan memang lebah ikut sahaja arahan dan ilham dari Allah itu. Maka setiap kali kita lihat lebah bergerak ke sana sini, kita tahu yang mereka taat dan ikut apa yang Allah suruh.
Maka ini mengajar kita juga haruslah taat kepada Allah seperti mana lebah itu. Binatang yang tidak sehebat manusia pun taat kepada Allah, apatah lagi kita yang dapat lebih banyak nikmat dari mereka.
يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ
Dari perut lebah itu ke luar minuman
Sekarang iltifad (perubahan) dari bercakap kepada lebah terus (mukhattab) dan sekarang bercakap tentang mereka (ghaibah). Allah beritahu kita yang keluar minuman dari perut lebah itu. Penemuan sains moden baru mendapat yang memang ada perut khas dalam tubuh lebah itu yang menempatkan madu.

Sekali lagi kita lihat dhomir ها digunakan dalam kalimah بُطونِها adalah dhomir kepada betina kerana lebah pekerja adalah betina belaka.
Tapi kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah بطون (perut-perut) dan bukan بطن (satu perut) sedang dhomir ها itu merujuk kepada satu lebah sahaja. Ini satu lagi penemuan moden yang mendapati di dalam perut lebah bukan ada satu perut sahaja tapi banyak. Tempat proses dan penyimpanan madu itu di dalam satu bahagian perut yang dinamakan ‘honey stomach’ (perut madu).
Kita sekarang tahu yang keluar dari perut lebah itu adalah madu lebah yang kita suka makan itu. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut keluar minuman dari perut lembu, iaitu susu. Kemudian disebut minuman dari kurma dan anggur. Dan sekarang disebut minuman lain pula yang sekarang dari perut lebah pula, iaitu madu. Begitu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Di dalam kitab Sahihain disebutkan sebuah hadis melalui Hisyam ibnu Urwah, dari ayahnya, dari Siti Aisyah r.a. yang telah mengatakan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ الْحَلْوَاءُ وَالْعَسَلُ
Bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. suka makanan yang manis dan madu.
مُختَلِفٌ أَلوانُهُ
yang bermacam-macam warnanya,
Madu itu ada banyak jenis tekstur dan warnanya. Oleh itu, kita tahu yang ada banyak jenis madu. Kerana itu kalau kita pergi kedai yang jual madu, kita akan tengok ada banyak jenis warna. Ianya bergantung kepada jenis lebah dan jenis bunga yang mereka makan. Kerana bunga-bunga itu tidak sama sifatnya.

فيهِ شِفاءٌ لِلنّاسِ
di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.
Ini yang penting sekali yang disampaikan dalam ayat ini. Allah beritahu yang di dalam madu itu ada penawar untuk manusia. Kerana itu madu ini boleh dijadikan sebagai ubat untuk kesihatan. Ada banyak kajian yang telah dibuat oleh pakar tentang madu lebah ini dari sudut kesihatan dan kita boleh ambil manfaat darinya. Oleh itu, bukan sahaja susu elok diminum, tapi madu juga.
Dalil yang menunjukkan bahawa madu merupakan penyembuh adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing melalui riwayat Qatadah:
عَنْ أَبِي الْمُتَوَكِّلِ عَلِيِّ بْنِ دَاوُدَ النَّاجِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنَّ أَخِي استَطْلَق بطنُه. فَقَالَ: “اسْقِهِ عَسَلًا”. فَسَقَاهُ عَسَلًا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، سَقَيْتُهُ عَسَلًا فَمَا زَادَهُ إِلَّا اسْتِطْلَاقًا! قَالَ: “اذْهَبْ فَاسْقِهِ عَسَلًا”. فَذَهَبَ فَسَقَاهُ، ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا زَادَهُ إِلَّا اسْتِطْلَاقًا! فقال رسول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “صَدَقَ اللَّهُ، وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ! اذْهَبْ فَاسْقِهِ عَسَلًا”. فَذَهَبَ فَسَقَاهُ فَبَرِئَ
dari Abul Mutawakkil Ali ibnu Daud An-Naji, dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a. yang menceritakan bahawa pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah Saw., lalu berkata, “Sesungguhnya saudara laki-lakiku terkena penyakit buang air.” Maka Nabi Saw. bersabda, “Berilah minum madu.” Lelaki itu pulang dan memberi minum madu kepada saudaranya. Kemudian dia kembali dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya telah memberinya minum madu, tetapi tiada membawa kebaikan melainkan bertambah parah buang airnya.” Rasulullah Saw. bersabda, “Pergilah dan berilah dia minum madu.” Lelaki itu pulang dan memberi minum madu kepada saudaranya yang sakit itu. Tetapi dia kembali lagi dan berkata, “Wahai Rasulullah, tiada kemajuan, melainkan makin parah.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: “Maha benar Allah dan dustalah perut saudaramu itu. Pulanglah dan berilah dia minum madu lagi!” Maka lelaki itu pergi dan memberi minum madu saudaranya, maka sembuhlah saudaranya itu.
Maksud hadith ini adalah, memang madu itu berkesan. Tetapi kadang-kadang apabila kita makan ubat, seseorang yang sakit akan mengalami ‘healing crisis’ dimana ada kesan teruk sedikit sebelum ia sembuh. Maka kerana itu sebelum saudara lelaki itu sembuh, dia nampak semakin teruk sakitnya. Cuma kena sabar sahaja sementara menghadapi ‘healing crisis ‘ itu.
Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan pula sebuah hadith melalui Salim Al-Aftas, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda:
“الشِّفَاءُ فِي ثَلَاثَةٍ: فِي شَرْطةِ مِحْجَم، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَيِّ”
Penyembuhan itu dengan tiga macam cara, iaitu melalui bekam, atau minuman madu, atau seterika dengan api; tetapi aku larang umatku berubat memakai cara setrika.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.
Ini semua adalah tanda bagi mereka yang mahu berfikir secara mendalam. Allah gunakan kalimah يَتَفَكَّرونَ, dalam wazan yang lebih banyak hurufnya, menunjukkan lebih susah untuk mendapatkan madu dari mendapatkan susu. Susu senang sahaja mahu perah, tetapi kalau madu, susah sikit, bukan? Susu senang dapat banyak, tetapi madu susah untuk dapat banyak. Mahu ambil juga susah, kerana kalau silap cara, boleh kena sengat dengan lebah itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 19 April 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Perenggan terakhir Mahu diubahkan kpd Madu …!!
LikeLike
yang mana?
Kalau ini: Mahu ambil juga susah, kerana kalau silap cara, boleh kena sengat dengan lebah itu.
Memang tidak silap. maksud saya, mahu diambil madu itu….
LikeLike
Assalamualaikum ustaz/ustazah…
Kenapa Allah guna kalimah jamak بطون ? Kenapa tidak guna kalimah mufrad بطن ?
Adakah kesemua perut di dalam lebah betina mengeluarkan madu? Atau sebahagian sahaja perut yang mengeluarkan madu?
Kalimah من membawa maksud “keluar semua dari perutnya minuman” atau “keluar sebahagian dari perutnya minuman” ….
Mohon penjelasan ustaz/ustazah
Terima kasih 🙂
LikeLike
Kerana memang penemuan sains mendapati perut lebah itu ada banyak bahagian. madu disimpan di dalam honey stomach. saya sudah tambah di dalam blog ini.
tentang proses pembuatan madu saya tidak tahu lagi. tapi penggunaan من kalau merujuk kepada satu perut pun boleh diterima. maksudnya dari banyak-banyak perut itu, diambil salah satunya (من) untuk urusan madu.
LikeLike