Tafsir Surah Yusuf Ayat 39 – 40 (Kritikan terhadap agama syirik)

Yusuf Ayat 39: Maka Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak mereka tolong fikirkanlah apa yang baginda telah sampaikan itu. Gunakan otak dengan berfikir, jangan terus tolak, jangan pajakkan otak itu. Maka diberikan dengan sesuatu yang mereka boleh fikir-fikirkan. Jadi ini adalah salah satu daripada cara tabligh yang Allah ‎ﷻ ajarkan kepada kita.

يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ ءَأَربَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلوَٰحِدُ ٱلقَهَّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O [my] two companions of prison, are separate lords better or Allāh, the One, the Prevailing?

(MALAY)

Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

 

يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ

Hai kedua sahabatku penghuni penjara, 

Ini panggilan baik daripada baginda terhadap kedua-dua mereka. Beginilah kita kalau dalam berdakwah, kena gunakan bahasa yang baik-baik. Kena cakap dengan lembut dengan orang yang kita hendak dakwah. Cari apa persamaan antara kita dengan yang hendak didakwah itu. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, baginda sebut persamaan antara mereka iaitu sama-sama duduk dalam penjara. Ini kerana manusia bukan sahaja melihat apa yang kita kata, tetapi mereka juga melihat perangai dan akhlak kita. Bagaimana cara kita panggil mereka pun penting juga. Yang menjadikan mereka rasa mereka ada kaitan dengan kita adalah apabila kita sebut persamaan antara kita.

 

ءَأَربَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيرٌ

manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itukah,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎menggunakan perumpamaan dalam mengajar. Kalimah أَربَابٌ adalah jamak kepada ربّ. Kalimah ربّ itu boleh membawa beberapa maksud dan kita pun telah lihat penggunaannya yang berbeza di dalam Surah Yusuf ini. Ia boleh jadi:

1. Allah ‎ﷻ atau tuhan selain Allah ‎ﷻ yang disembah
2. Tuan yang memiliki hamba abdi
3. Raja Negeri Mesir.

Baginda suruh mereka fikir, ربّ yang ramai itu baikkah? Mungkin yang dimaksudkan adalah tuhan (ilah) atau tuan kepada seseorang, atau raja. Ini kerana kalau di Mesir itu, keluarga diraja pun dikenal sebagai rabb juga. Di sini baginda suruh mereka fikirkan: kalau ada ramai tuhan, atau ramai tuan, bukankah menyusahkan hidup ini sahaja? Setiap tuan itu pula ada kehendak masing-masing; seorang tuan suruh buat A, tuan yang lain suruh buat B pula? Bukankah pening kepala kerana perlu memenuhi kehendak ramai tuan pula. Bukan di dalam ayat ini sahaja Allah ‎ﷻ membuat perbandingan ini malah ada lagi di tempat lain di dalam Al-Qur’an seperti di dalam Zumar:29 

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا رَّجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشٰكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). 

Kalau ada tuan yang banyak, maka seorang hamba atau pekerja tidak akan dapat memuaskan hati semua tuan itu kerana tuan A mahukan hamba buat begini, tuan B hendak dia buat begitu pula. Sedangkan kalau hanya ada satu tuan sahaja, kita boleh memenuhi kehendak tuan itu, bukan? Maka begitulah dengan Allah ‎ﷻ, kita ikut arahan Dia sahaja.

Satu lagi maksud ربّ adalah yang mendidik, memupuk; atau dalam bahasa kita selalu kita gunakan istilah ‘tarbiyah’. Kita memang memerlukan tarbiyah daripada orang lain seperti ibubapa kita, rakan, guru dan sebagainya. Namun mana-mana pertarbiyahan tidak akan sempurna. Bos kita di tempat kerja hanya boleh tarbiyah dalam hal kerja sahaja; keluarga kita boleh tarbiyah dari segi emosi sahaja; kawan-kawan pun boleh nasihat sedikit sebanyak sahaja. Akan tetapi ربّ manakah yang boleh tarbiyah kita dengan paling sempurna? Itulah Allah ‎ﷻ!

Kalimah مُتَفَرِّقُونَ daripada kata dasar ف ر ق yang bermaksud belahan, bahagi, bezakan, bahagian, bantuan, kejayaan, hujah, bukti, meninggalkan, berbeza, takut. Ia bermaksud tuhan yang berbeza dan berlainan, ada banyak. Malah sifat mereka pun berbeza. Kuasa pun berbeza kerana ada yang lebih kuat dan berkuasa daripada yang lain kononnya. Kalau begitu, memang tidak layak untuk menjadi tuhan kalau begitu kerana sifat Tuhan mestilah mengalahkan semua selain-Nya. Lagipun jikalau ada banyak tuhan, maka berlawananlah mereka kerana hendak mendapat tempat tuhan no. 1 jadi hancur binasalah alam ini seperti disebut di dalam Anbiya’:22

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا ۚ فَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.

Jadi perbezaan tuhan-tuhan rekaan ini boleh dibahagikan kepada 3:

1. Ada banyak tuhan maka tidak ada yang mutlak kuatnya.
2. Bila banyak, mungkin bergantian menjadi tuhan, dan ini menandakan kelemahan kerana Tuhan tidak boleh dikalahkan.
3. Berbeza tugasan. Contohnya ada yang jaga api, ada jaga air dan sebagainya. Ini juga bukti lemahnya tuhan-tuhan itu.

Zaman sekarang kita tidak perlukan tuhan yang banyak untuk merosakkan dunia. Tuhan-tuhan rekaan itu diberi nama (dalam bahasa Arab disebut اسم atau ism). Sekarang dalam dunia ada banyak ism tetapi bukanlah nama tuhan yang disembah sebagai agama tetapi ideologi. Ada communisme, humanisme, pluralisme, feminisme dan entah berbagai-bagai isme lagi. Semua ini tidak akan dapat duduk bersama dan bersetuju antara satu sama lain. Maka penuhi kehendak Allah ‎ﷻ sahajalah.

Di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi contoh tuan atau tuhan yang banyak. Namun bukankah ini boleh menyinggung perasaan orang yang memang menyembah banyak tuhan? Tentu dua orang banduan itu agamanya menyembah tuhan yang banyak dan kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi contoh itu. Maka ini mengajar kita yang tidak salah kalau kita memberi contoh yang boleh menyebabkan orang yang kita dakwah tersinggung. Kerana itulah sahaja cara untuk membuka minda mereka. Kalau tidak boleh langsung cakap begitu, maka bagaimana hendak berdakwah?

 

أَمِ ٱللَّهُ ٱلوَٰحِدُ ٱلقَهَّارُ

ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

Adakah tuhan yang banyak itu bagus atau Allah ‎ﷻ yang satu sahaja? Kalau kita menggunakan akal yang waras, tentulah tuhan yang satu itu lebih bagus. Kalau ada tuhan banyak, apa yang akan jadi? Tentu bercelaru hidup kita kerana hendak penuhi kehendak semua tuhan pula. Begitulah kalau kita lihat agama yang ada tuhan banyak seperti Hindu dan Yunani. Macam-macam perangai tuhan-tuhan mereka itu sampaikan berkelahi antara satu tuhan dengan tuhan yang lain, tidak lari jauh daripada perangai budak-budak pula kita lihat. Beginikah sifat tuhan? Tentu tidak!

Kalau kita kata baginda maksudkan ‘tuan’ dalam bentuk manusia, mana yang lebih bagus? Ada satu tuan atau ramai tuan? Bayangkan kalau seorang hamba ada banyak tuan, dan masing-masing suruh dia buat kerja. Seorang suruh begini dan seorang lagi suruh begitu; pening jadinya hamba itu. Kalau kita sekarang, bayangkan ada bos yang ramai, seorang suruh begini dan seorang lagi suruh begitu, bukankah pening jadinya? Sekiranya seseorang itu tidak bekerja sekalipun, bayangkan dia yang mempunyai emak dan ayah dan kedua-duanya memberikan arahan berbeza; tidakkah pening anak itu? Bukan sahaja pening kepala, malah kita akan rasa tidak keruan kerana tidak dapat memenuhi kehendak semua tuan kita, bukan? Kerana masing-masing akan ada kehendak berlainan dan mungkin berlawanan antara satu sama lain. Maka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak memberi perumpamaan – sembah dan taat kepada satu Tuhan sahaja iaitu Allah ‎ﷻlah yang lebih baik. Senang ikut satu arahan sahaja. Itulah ajaran tauhid.

Bukan sahaja tuan kita hendak puaskan, tetapi ada banyak elemen lagi yang mendesak kita, seperti kehendak keluarga, budaya, kehendak diri sendiri dan masyarakat, parti politik, dan sebagainya. Semua itu kita tidak akan dapat penuhi. Sebagai contoh, kalau kita tumpukan kepada kerja sahaja, keluarga kita akan terasa hati kerana telah diabaikan. Maka kita akan menjadi keluh kesah kerana tidak dapat hendak memenuhi kehendak semua orang. Herbert Bayard Swope (Pemenang pertama Pulitzer Prize for Journalism) pernah berkata: “I cannot give you the formula for success, but I can give you the formula for failure—which is: Try to please everybody.” Jadi kalau kita tumpukan perhatian kita untuk memuaskan kehendak Allah ‎ﷻ, maka kehendak-kehendak yang lain itu jatuh nombor dua sahaja. Yang penting, Allah ‎ﷻ dahulu yang kita utamakan. Kalau kita hendak puaskan hati manusia, tidak ada berjaya seperti kata Pepatah Arab:

رضا الناس غاية لا تدرك
“Keredhaan manusia adalah matlamat yang tidak akan tercapai.”

Maka jangan kita mencari redha manusia kerana kita takkan dapat. Hari ini orang ini redha, orang lain tidak redha. Esok bertukar pula, maka kita fokus ikut kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Kenapa kita tidak boleh puaskan hati manusia? Kerana kita ini lemah dan banyak kekurangan. Ada sahaja perkara yang terlebih atau terkurang yang kita lakukan kerana kita manusia yang tidak sempurna. Akan tetapi Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita, kenal kita dan sayang kita, tetap menerima kita dan boleh redha dengan kita kerana Dia Maha Penyayang.

Maka jelaslah sekarang bahawa memenuhi kehendak Yang Satu ٱلوَٰحِدُ itu lebih mudah. Akan tetapi, kalau satu itu juga ada yang kritik, kerana ia seolah-olah berseorangan, bersendirian. Bagi sesetengah manusia, banyak itu lebih bagus, lebih kuat. Kerana itulah Musyrikin Mekah hairan apabila Nabi Muhammad ﷺ menyeru hanya menyembah Tuhan Allah yang satu sahaja sedangkan bagi mereka, tuhan banyak lagilah bagus. Ini antaranya disebut di dalam Sad:5

أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ
Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

Perhatikan bagaimana selepas Allah ‎ﷻ menyebut Nama-Nya ٱلوَٰحِدُ sebanyak 6 kali di dalam Al-Qur’an, setiap kali itu ia akan digandingkan dengan Nama ٱلقَهَّارُ untuk menutup sangkaan yang Allah ‎ﷻ itu lemah dan tidak berkuasa. Secara bahasa, ٱلقَهَّارُ berasal daripada kata dasar al-qahr (القهر), yang bermaksud:

  • Menguasai dan Menundukkan.
  • Memaksa dan Menundukkan dengan kekuasaan yang mutlak.

Malah Firaun sendiri menggunakan istilah ini seperti disebut di dalam A’raf:127

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ ۚ قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم وَإِنّا فَوقَهُم قٰهِرونَ
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”.

Itu cuma keadaan seorang hamba yang perasan hebat sahaja seperti Firaun kerana dia sangka dia kuat dan boleh menundukkan Bani Israil. Dia lupa yang Allah ‎ﷻ lebih berkuasa daripada dia. Oleh itu, maksud nama Allah ٱلقَهَّارُ adalah Maha Perkasa yang Menguasai dan Menundukkan semua makhluk-Nya. Ia merujuk kepada Zat Allah ‎ﷻ yang memiliki kekuasaan mutlak untuk menguasai, menundukkan, dan memaksa seluruh ciptaan-Nya mengikut kehendak-Nya. Tiada satu pun yang dapat melepaskan diri daripada kekuasaan-Nya. Jadi walaupun Allah ‎ﷻ bersendirian, bukanlah Allah ‎ﷻ lemah tidak berkuasa. Memang Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pembantu pun kerana Allah ‎ﷻ Maha Kuat dan Maha Mengalahkan makhluk mana-mana pun. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hud:56

مّا مِن دابَّةٍ إِلّا هُوَ ءآخِذٌ بِناصِيَتِها
Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan nama Allah ini kerana dalam sistem beraja di Mesir, mereka mungkin hamba yang ada tuan, atau rakyat yang ada raja; dan tuan atau raja itu menguasai mereka dan boleh mencederakan malah boleh membunuh mereka. Namun di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengajar mereka bahawa ada lagi Tuan yang lebih besar daripada tuan-tuan dan raja itu iaitu Allah ‎ﷻ yang paling berkuasa dan mengalahkan semua makhluk. Tuan dan raja itu hanya berkuasa di dunia sahaja sedangkan Allah ‎ﷻ berkuasa di dunia dan di akhirat!

Kalau tuan yang ramai, maka tidak ada yang berkuasa penuh kerana masing-masing tuan itu ada kuasa. Tidak ada satu tuan pun yang berkuasa mutlak, maka itu bukanlah sifat Tuhan, kerana Tuhan itu kuasanya Mutlak seperti Allah ‎ﷻ yang bersifat ٱلقَهَّارُ. Dalam ayat ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan nama Al-Qahhar untuk mematahkan kepercayaan syirik. Baginda menegaskan bahawa tuhan-tuhan yang berbilang itu tidak mempunyai kuasa sebenar. Tuhan yang sebenar dan layak disembah adalah satu-satunya entiti yang memiliki kuasa mutlak, mampu menundukkan segala sesuatu, dan Dialah Allah, Al-Wahid Al-Qahhar. Ini adalah strategi dakwah yang sangat berkesan, memindahkan perbincangan daripada tafsiran mimpi kepada persoalan tauhid yang paling asas.


 

Yusuf Ayat 40: Sekarang kita lihat lagi Dalil Aqli digunakan dalam dakwah.

مَا تَعبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسمَآءً سَمَّيتُمُوهَآ أَنتُم وَءَابَآؤُڪُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلطَـٰنٍ‌ۚ إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ‌ۚ ذٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You worship not besides Him except [mere] names you have named them,1 you and your fathers, for which Allāh has sent down no authority. Legislation is not but for Allāh. He has commanded that you worship not except Him. That is the correct religion, but most of the people do not know.

  • The false objects of worship which you have called “gods.”

(MALAY)

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

 

مَا تَعبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسمَآءً سَمَّيتُمُوهَآ

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu namakan sahaja

Sekarang baginda menegur agama mereka pula. Setelah mereka mula berbicara, mungkin mereka hendak menceritakan dan mempertahankan agama mereka pula dan tuhan-tuhan mereka. Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak ada, tetapi hanyalah rekaan manusia semata-mata. Nama-nama tuhan mereka itu rekaan manusia sahaja ikut sesuka hati sahaja tanpa ada bukti dan dalil. Nama-nama itu tidak ada hakikat, tidak sama dengan sifat yang dinamakan. Ini macam orang yang bernama Bujang tetapi dia tidak bujang pun. Sedangkan nama Allah (Asmaul Husna) adalah Nama Allah dan ia juga adalah hakikat Sifat Allah.

Namun selain daripada nama Allah, manusia banyak yang reka tuhan dan nama tuhan mereka. Begitulah dengan agama-agama selain Islam – mereka ada bermacam-macam jenis tuhan, tetapi itu semua rekaan sahaja. Ada tuhan perang, tuhan cinta, tuhan laut, tuhan itu dan ini. Itu semua karut sahaja. Itu semua ambil daripada angin sahaja kerana tidak ada pun.

 

أَنتُم وَءَابَآؤُڪُم

kamu dan nenek moyangmu

Bukan sahaja mereka yang reka, tetapi diambil daripada rekaan datuk nenek mereka yang terdahulu. Ini kerana antara hujah yang digunakan manusia adalah perkara dan amalan yang mereka pegang itu bukan mereka reka, tetapi sudah lama ada. Ya memang umat kemudian pakai terima sahaja nama-nama rekaan itu. Ini kerana yang bubuh nama dengan sifat-sifat tuhan itu sekali adalah tok nenek yang dahulu yang umat kemudian hanya mengikut membuta tuli sahaja tanpa periksa. Mereka reka ada tuhan yang jaga langit, tuhan jaga bumi, tuhan jaga angin dan bermacam-macam lagi. Kemudian mereka meletakkan pula sifat-sifat mereka begitu dan begini – garang, bengis, lembut, ganas dan sebagainya. Itu semua rekaan sahaja dan selalunya diterima daripada ajaran datuk nenek zaman berzaman. Inilah kesilapan besar manusia dalam agama: selalu sahaja amalkan ajaran datuk nenek tanpa usul periksa.

Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, tetapi kalau dalam bab agama, memang mereka senang meneruskan amalan yang telah lama ada, langsung tidak boleh dipersoalkan.

Sikap sebegini tidak jauh beza dengan golongan melayu kita lah juga, kalau bab agama, mesti meneruskan apa yang telah lama diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka menjadi terlebih sensitif. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar ataupun tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek sebegini. Oleh itu kita kena terus sahaja sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa amalan tok nenek mereka selama ini adalah salah kerana terlalu percaya dan hormatkan tok nenek itu. Ini adalah sebagaimana kita hormatkan apa yang dilakukan oleh bapa kita jugalah. Berat hati kita untuk mengatakan bapa kita salah, bukan? Bagaimana salah sekalipun, mereka tetap bapa kita. Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan maka tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agamawan juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah, masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang ada saki baki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan jadi kenapa hendak tukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah:170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Kalau amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, tetapi kalau ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapa diteruskan? Takkan masih mahu mengikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu orang yang berilmu dan telah membuka mindanya serta telah belajar agama mestilah berani meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu untuk menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia menyelisihi wahyu.

Sekiranya amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama-kelamaan akan dianggap sebagai agama dan benar. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah tegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak tegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Kalaulah kita dapat hidup selama 50 tahun lagi dan lihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi pelik-pelik.

Jadi ini adalah kritikan yang banyak terdapat di dalam Al-Qur’an tentang rekaan nama tuhan-tuhan yang dibuat oleh manusia. Kita boleh lihat juga terhadap di dalam A’raf:71 dakwah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun begini juga,

قالَ قَد وَقَعَ عَلَيكُم مِّن رَّبِّكُم رِجسٌ وَغَضَبٌ ۖ أَتُجٰدِلونَني في أَسماءٍ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا نَزَّلَ اللَّهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ فَانتَظِروا إِنّي مَعَكُم مِّنَ المُنتَظِرينَ
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga daripada orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”.

 

مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلطَـٰنٍ‌

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. 

Semua itu tidak ada سُلطانٍ (dalil) daripada Allah ‎ﷻ pun tentang perkara itu. Jika agama yang benar, mestilah ada dalil, bukan ikut-ikutan sahaja. Seandainya benar adanya pembantu Allah ﷻ, yang setara dengan Allah ﷻ, tentu Allah ﷻ akan suruh kita sembah juga dan minta pertolongan kepada ilah-ilah yang lain itu. Namun tidak. Kerana itulah amalan bertawasul kepada makhluk dalam doa tidak ada dalil langsung. Yang Allah ﷻ suruh kita lakukan adalah berdoa terus kepada-Nya.

Akan tetapi memang kebanyakan manusia (termasuklah orang Islam) tidak mementingkan dalil. Maka ini mengajar kita yang sangat penting untuk memastikan nama-nama Allah ﷻ diambil daripada dalil yang jelas dan sahih. Ini adalah prinsip asas dalam akidah Islam yang dikenali sebagai tauhid al-asma’ wa al-sifat (mengesakan Allah ﷻ dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya). Dengan memastikan nama-nama Allah ﷻ itu daripada dalil yang jelas, ia dapat menjaga kesucian dan keagungan Allah ﷻ. Ini kerana menetapkan nama yang tidak sesuai dengan keagungan Allah ﷻ akan merendahkan zat-Nya, seolah-olah menyamakannya dengan sifat makhluk. Dengan memastikan nama-nama Allah ﷻ berasal daripada dalil yang jelas, umat Islam dapat menjaga kesucian tauhid, mempraktikkan ajaran agama dengan benar, dan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan akidah mereka. Hal ini adalah sebahagian daripada kewajipan seorang Muslim untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang betul, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ.

Salah satu contoh yang paling sering dibincangkan oleh para ulama ialah nama As-Syafi’ (الشفاء), yang bermaksud “Yang Maha Penyembuh”. Ramai umat Islam menggunakan nama ini ketika berdoa, terutamanya ketika memohon kesembuhan daripada penyakit, dengan menyebut “Ya Syafi, sembuhkanlah…” Namun, nama As-Syafi’ ini tidak termasuk dalam senarai 99 Nama-Nama Allah (Asma’ul Husna) yang masyhur, dan tidak ditemukan secara eksplisit sebagai nama Allah di dalam Al-Qur’an. Nama ini sebenarnya diambil daripada sifat Allah ﷻ yang disebut dalam hadith sahih. Dalam doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada pesakit, baginda bersabda:

“اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، أَذْهِبِ الْبَاسَ، اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا”
“Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah kesusahan ini, sembuhkanlah! Engkaulah yang Maha Menyembuhkan (Antash-Syafi), tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.”

(Riwayat Al-Bukhari No. 5675 dan Muslim No. 2191)

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ menggunakan perkataan “As-Syafi” sebagai sifat (adjektif) yang menerangkan bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya entiti yang boleh menyembuhkan. Namun, ini tidak bermakna “As-Syafi” adalah nama formal Allah ‎ﷻ seperti Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) atau Al-Malik (Yang Maha Raja). Contoh lain yang sering diperdebatkan adalah nama seperti Al-Hannan. Walaupun maknanya sangat baik (Yang Maha Penuh Belas Kasihan), statusnya sebagai nama rasmi Allah ‎ﷻ dalam Asma’ul Husna juga diragui oleh sebahagian ulama kerana hadith-hadith yang menukilkannya secara eksplisit dianggap lemah. Oleh itu, ulama berpendapat bahawa walaupun kita boleh memuji dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ dengan sifat-sifat-Nya seperti “Yang Maha Penyembuh”, namun kita harus berhati-hati dalam menetapkan nama-nama rasmi bagi Allah ‎ﷻ hanya berdasarkan dalil yang jelas daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Ini adalah untuk menjaga kesucian dan ketepatan akidah.

 

إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌

Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. 

Ingatlah yang keputusan itu milik Allah ‎ﷻ sahaja sepenuhnya. Hukum agama mesti ikut kehendak Allah ﷻ sahaja. Kalau kamu tidak menyembah Dia sahaja, maka kamu akan dihadapkan kepada-Nya dan akan menerima balasan yang buruk. Kepada mereka yang mengamalkan syirik akan kekal dalam neraka kerana dosa syirik adalah dosa yang besar.

Ada yang menggunakan potongan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan kerajaan dunia mesti menggunakan hukum Allah, syariat Allah di dalam pemerintahan. Cuma, ini bukanlah ayatnya. Kerana kita akan belajar nanti yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kewangan di dalam kerajaan yang bukan kerajaan Islam. Raja Negeri Mesir nanti bukanlah beriman dan kebanyakan rakyat Mesir tidak beriman seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berkhidmat di Mesir sebagai salah seorang Menteri! Maka kalaulah kena duduk di dalam kerajaan yang mengamalkan undang-undang Islam sahaja, maka tentulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bersalah kerana baginda bukan setakat duduk sahaja, tetapi berkhidmat sekali! Maka maksud ٱلحُكمُ di dalam ayat ini adalah tentang agama, iaitu agama ini hanya milik Allah ﷻ sahaja dan agama-agama lain tidak berhak dan tidak sah.

 

أَمَرَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ‌

Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia.

Jadi keputusan dan arahan yang kita kena ikut adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Salah satu arahan dan ketetapan daripada Allah ‎ﷻ adalah Dia telah mengarahkan semua hamba-Nya untuk sembah Dia sahaja. Kalimah تَعبُدُوٓاْ di dalam ayat ini bukan sahaja ditujukan kepada dua banduan itu sahaja akan tetapi kepada semua manusia. Kalau sembah ilah yang lain, itu adalah syirik dan Allah ‎ﷻ tidak akan maafkan. Terlalu banyak ayat-ayat yang melarang menyembah selain daripada menyembah Allah ‎ﷻ.

 

ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ

Itulah agama yang tegak, 

Puja dan seru Allah ‎ﷻ sahaja, dengan tidak digabungkan dengan ilah yang lain itulah agama yang tegak dan lurus. Tegak maksudnya tidak berubah-ubah dan begitulah agama Tauhid yang sama sahaja zaman berzaman. Syariat antara Nabi mungkin berbeza, akan tetapi tauhid tetap sama tidak akan berubah-ubah. Inilah agama yang kita mesti pegang sekuat-kuatnya.

Sekarang bayangkan sebatang pokok yang utuh tegak, yang akarnya menjunam ke dalam tanah. Maka apabila datang banjir dengan air yang mengalir deras, ia tidak akan menumbangkan pokok itu. Itulah pokok tauhid. Bayangkan kalau kita dihanyutkan oleh air banjir dan kita pegang pokok itu, tentu kita akan selamat. Maka Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ibrahim:24

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِي السَّماءِ
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak memahami tuntutan tauhid ini. Dek kerana tidak tahulah, maka mereka reka agama sendiri dan melakukan syirik. Oleh itu, untuk selamat, jangan ikut kebanyakan manusia di dunia ini. Teruskanlah usaha mencari agama yang benar. Kenalah terus mencari dan mengkaji.

Bukan sahaja bukan Muslim kena cari agama yang benar, tetapi umat Islam pun kena juga mengkaji dan memastikan yang amalan mereka tidak ada syirik. Malangnya kita dapat lihat mereka yang Muslim pun kadangkala tidak faham apakah tauhid dan apakah syirik. Maka ramai yang mengamalkan amalan syirik tanpa sedar.

Sekian dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua kawan baginda di dalam penjara itu. Tidak disebut mereka beriman atau tidak selepas itu. Beriman atau tidak, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menjalankan tugas dakwah kepada mereka. Begitu jugalah kepada kita, hanya disuruh sampaikan dakwah sahaja. Orang terima atau tidak, bukan di dalam tanggungan kita.

 

Kuiz (Soalan Jawapan Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2–3 ayat sahaja.

  1. Apakah cara dakwah yang ditekankan oleh Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua sahabatnya di penjara berdasarkan Ayat 39?
  2. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan dakwahnya dengan panggilan mesra, “Hai kedua sahabatku penghuni penjara”?
  3. Jelaskan perumpamaan yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang memiliki ramai rabb (tuan) berbanding hanya satu Tuan.
  4. Selain sebagai Tuhan yang disembah, apakah dua maksud lain bagi kalimah rabb yang disebut dalam tafsiran ini?
  5. Apakah makna nama Allah, Al-Qahhar (ٱلقَهَّارُ), secara bahasa, dan mengapa nama ini digandingkan dengan Al-Wahid (ٱلوَٰحِدُ)?
  6. Menurut Ayat 40, apakah hakikat sebenar tuhan-tuhan yang disembah selain Allah?
  7. Apakah kritikan utama yang disampaikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap amalan menyembah tuhan berdasarkan nama-nama yang diwarisi daripada nenek moyang?
  8. Terangkan konsep tauhid al-asma’ wa al-sifat dan mengapa ia penting dalam akidah Islam.
  9. Bagaimanakah tafsiran ini menjelaskan maksud potongan ayat “Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah” (إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌)?
  10. Apakah maksud Ad-Din Al-Qayyim (ٱلدِّينُ ٱلقَيِّمُ) dan apakah analogi yang digunakan untuk menggambarkannya?

Glosari Istilah Utama

Tabligh: Penyampaian atau penyebaran ajaran agama Islam (dakwah).
Rabb (ربّ): Tuan, pemelihara, pendidik, atau Tuhan; kalimah jamaknya adalah arbāb.
Tarbiyah: Proses mendidik, memupuk, atau membimbing.
Dalil Aqli: Hujah atau bukti yang berasaskan penggunaan akal fikiran dan logik.
Asmā’ (أَسْمَاءً): Nama-nama; dalam Ayat 40 merujuk kepada nama-nama tuhan rekaan yang tidak mempunyai hakikat.
Sultān (سُلۡطَٰنٍ): Keterangan, bukti, atau dalil yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ.
Tauhid al-Asmā’ wa al-Sifāt: Mengesakan Allah ‎ﷻ dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya; prinsip akidah bahawa nama dan sifat Allah ‎ﷻ mesti berasaskan dalil yang sahih.
Syirik: Perbuatan menyekutukan Allah ‎ﷻ dengan sesuatu yang lain dalam peribadatan atau kekuasaan.
Bid’ah: Amalan baharu dalam agama yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 37 – 38 (Dakwah dalam penjara)

DAKWAH KEPADA AGAMA TAUHID

Yusuf Ayat 37: Setelah diminta untuk menta’bir mimpi itu, baginda tidak terus ta’bir mimpi mereka, sebaliknya baginda mengambil peluang itu untuk memujuk hati mereka dahulu kepada agama Islam. Ini kerana mereka memang sudah memasang telinga untuk mendengar kata-kata baginda.

Kerana itu kita akan lihat yang baginda tidak terus menta’bir mimpi mereka sahaja. Maka, kita pun bolehlah mengambil pendekatan sebegini kalau kita ada peluang untuk bercakap dengan orang yang memang sedang memasang telinga untuk mendengar cakap kita. Sebagai contoh, ada yang meminta derma daripada kita. Sebelum kita berikan derma, bolehlah dakwah sedikit kepadanya.

قَالَ لَا يَأتِيكُمَا طَعَامٌ تُرزَقَانِهِۦۤ إِلَّا نَبَّأتُكُمَا بِتَأوِيلِهِۦ قَبلَ أَن يَأتِيَكُمَا‌ۚ ذٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓ‌ۚ إِنِّى تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لَّا يُؤمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلأَخِرَةِ هُم كَـٰفِرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “You will not receive food that is provided to you except that I will inform you of its interpretation before it comes to you. That is from what my Lord has taught me. Indeed, I have left the religion of a people who do not believe in Allāh, and they, in the Hereafter, are disbelievers.

(MALAY)

Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.

 

قَالَ لَا يَأتِيكُمَا طَعَامٌ تُرزَقَانِهِۦۤ

Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua sebarang makanan yang akan diberikan kepadamu 

Apabila mereka di dalam penjara, tentunya mereka akan diberikan dengan makanan. Akan tetapi ini bukanlah penjara zaman moden jadi mungkin ia tidak mengikut jadual tertentu. Mereka pun tidak akan tahu apakah makanan yang mereka akan terima dan kerana itu kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk nakirah (umum) طَعَامٌ. Begitulah keadaan di dalam penjara zaman dahulu, makan pun belum tentu. Ini bukanlah penjara zaman sekarang yang makan ikut jadual masa.

Jadi situasi di dalam penjara ini tentulah menakutkan dan kena ingat yang ini adalah kali kedua Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan setelah kali pertama dibuang ke dalam telaga. Namun baginda tidak disebut pun mengeluh dan mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana baginda ada keyakinan yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ dan redha dengan ketentuan-Nya.

Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang makanan di sini, tetapi mengapa agaknya? Perhatikan baginda menyebut تُرزَقَانِهِۦۤ (yang akan direzekikan kepada kalian berdua). Ia di dalam bentuk pasif iaitu tidak disebut siapakah yang akan memberikan makanan/rezeki itu. Maka mungkin baginda hendak mengingatkan mereka kepada Allah ‎ﷻ kerana apa-apa makanan pun walaupun diberikan oleh warden penjara, akan tetapi ia tetap datang daripada Allah ‎ﷻ. Mereka mungkin tidak nampak kerana yang bawa makanan adalah pekerja di penjara, dan dia dapat daripada tukang masak, tukang masak pula dapat bahan mentah daripada pekebun, pekebun pula dapat tanam dengan air hujan; tetapi siapa yang memberikan hujan? Jadi di sini sudah ada peringatan kepada kita tentang makanan yang kita makan, siapa yang beri? Kerana itu Allah ‎ﷻ ada berfirman di dalam Abasa:24-32

فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَـٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦۤ (٢٤) أَنَّا صَبَبۡنَا ٱلۡمَآءَ صَبًّا (٢٥) ثُمَّ شَقَقۡنَا ٱلۡأَرۡضَ شَقًّا (٢٦) فَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا حَبًّا (٢٧) وَعِنَبًا وَقَضۡبًا (٢٨) وَزَيۡتُونًا وَنَخۡلاً (٢٩) وَحَدَآٮِٕقَ غُلۡبًا (٣٠) وَفَـٰكِهَةً وَأَبًّا (٣١) مَّتَـٰعًا لَّكُمۡ وَلِأَنۡعَـٰمِكُمۡ (٣٢)
Maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya. (24) Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. (25) Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; (26) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30) Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (32)

Ayat ini mengajar kita untuk menghargai rezeki makanan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita setiap kali kita makan. Ini adalah tips untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ, bukan? Setiap kali makan, maka bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ dan ingatlah kepada Allah ‎ﷻ yang telah memberikan makanan kita itu.

 

إِلّا نَبَّأتُكُما بِتَأويلِهِ قَبلَ أَن يَأتِيَكُما

melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepada kamu berdua.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjanji, sebelum makanan itu sampai, baginda akan selesai menta’bir mimpi itu. Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir ه dalam بِتَأويلِهِ bukanlah merujuk kepada mimpi akan tetapi kepada makanan itu. Maknanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menceritakan tentang makanan yang mereka akan terima nanti. Iaitu baginda akan beritahu apa yang mereka akan makan pada hari itu. Ini kerana kita telah sebutkan baginda bukan hanya tahu ta’wil mimpi sahaja akan tetapi kelebihan baginda boleh menta’wil kata-kata dan kejadian juga. Ini adalah sebagai tanda yang baginda memang ada kelebihan dan mereka boleh percaya kepada baginda. Kelebihan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini lebih kurang sama dengan kelebihan yang diberikan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Ali Imran:49

وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم
dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu

Seperti yang telah disebut, baginda hendak mengambil kesempatan itu untuk dakwah agama kepada mereka. Mereka minta baginda ta’wil mimpi sahaja tetapi baginda bagi dakwah pula. Ada benda yang mereka mahukan, tetapi ada benda lebih penting yang mereka perlukan. Ini kerana dakwah ke arah kebenaran itu lebih penting. Kerana itulah kita mesti sentiasa jalankan kerja dakwah. Sekiranya ada orang yang memerlukan sesuatu daripada kita, maka itu adalah peluang untuk dakwah kepada mereka. Sebagai contoh, banyak NGO yang membantu orang susah dengan beri makanan dan pakaian kerana itu yang mereka perlu dan mahukan. Walau bagaimanapun selain daripada itu, mereka juga memerlukan ilmu terutama sekali ilmu agama. Jadi kalau kita hanya setakat beri makanan sahaja, maka itu sudah meninggalkan peluang untuk berdakwah. Begitu juga dengan kita, ketika kita membantu seseorang, kita selitkan sedikit dakwah di dalam pertemuan kita dengan mereka.

Baginda sebut tentang makanan mereka kerana ta’bir mimpi itu sekejap sahaja sebenarnya, jadi baginda hendak diisikan dengan perbincangan agama sedikit. Akan tetapi tidaklah sebut tentang agama memanjang-manjang. Sebab itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bagi jangka waktu di permulaan. Baginda hendak ambil masa sedikit sahaja. Ini penting kerana kadang-kadang kita terkena ‘perangkap’. Ada orang yang kata hendak bagi tazkirah lima minit sahaja, tetapi selepas itu sampai sejam lebih dia bercakap, padahal kita ada kerja lain lagi. Dia kata dia hendak cakap lima minit sahaja, memang kita boleh bagi. Namun apabila dia sudah mula bercakap, kita rasa terperangkap. Begitulah kadang-kadang masalah pendakwah – kata hendak cakap sedikit sahaja, tetapi akhirnya cakap banyak pula. Ini menyebabkan ada orang sudah malas hendak dengar kalau ada orang yang bercakap tentang agama lagi – ada di antara mereka yang tolak awal-awal.

Oleh itu, kita sebagai pendakwah, kenalah pandai menggunakan taktik dan menghormati masa orang lain. Begitu juga kalau kita mengajar – kalau kata sejam sahaja kelas, maka sejam sahajalah. Sebab itulah Nabi  Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjanji yang baginda hendak bercakap sebentar sahaja iaitu sementara makanan belum sampai sahaja. Jadi dua orang itu sudah dapat agak berapa lama masa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan bercakap. Ini mengajar kita untuk menghormati masa orang lain. Kerana itulah kalau kita diberi peluang memberi ceramah, mengajar, kita tanya masa bercakap sampai bila dan jangan cakap lebih daripada masa yang telah dijanjikan. Kalau cakap lama pun, orang bukan dengar sangat pun setelah lebih 20 minit. Jadi kena pandai juga dalam bab ini dan jangan kemaruk sangat bercakap dengan orang. Beginilah yang diajar kepada kita seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي وَائِلٍ قَالَ: كَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُذَكِّرُ النَّاسَ فِي كُلِّ خَمِيسٍ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، لَوَدِدْتُ أَنَّكَ ذَكَّرْتَنَا كُلَّ يَوْمٍ! قَالَ: أَمَا إِنَّهُ يَمْنَعُنِي مِنْ ذَلِكَ أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ أُمِلَّكُمْ، وَإِنِّي أَتَخَوَّلُكُمْ بِالْمَوْعِظَةِ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَخَوَّلُنَا بِهَا، مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا.
“Daripada Abu Wail yang berkata: ‘Adalah Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai pada setiap hari Khamis. Maka seorang lelaki berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Abdurrahman (gelaran Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ), alangkah baiknya jika engkau memberi peringatan (nasihat) kepada kami setiap hari.’ Maka dia menjawab: ‘Sesungguhnya tiada yang menghalangku daripada melakukan itu melainkan aku bimbang kamu akan menjadi jemu. Sesungguhnya aku memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat kepada kamu sepertimana Nabi ﷺ memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat kepada kami, kerana bimbang kami akan berasa jemu’.”

(Sahih Al-Bukhari No. 70)

Maka kita kena ada paradigma yang betul tentang hal ini. Jangan kita rasa yang kita ini hebat sangat sebab dapat mengajar orang tentang agama dan mereka kena duduk dengarlah apa yang kita cakap, dan mereka mesti bersyukur sebab dapat dengar kita mengajar. Sebaliknya kita kena bersyukur dan berterima kasih kepada mereka kerana beri peluang kepada kita untuk mengajar dan berdakwah kepada mereka. Kita harus sedar yang kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari mereka tetapi mereka yang datang kepada kita. Maka janganlah kita buat mereka rasa menyesal datang belajar dengan kita pula, menyesal dengar kita cakap yang berjela-jela dan membosankan. ‘

Situasi tidak sama kalau kita mengajar orang awam dengan mengajar pelajar. Kalau pelajar, memang itu kerja mereka untuk belajar, jadi setiap hari dan panjang kelas mereka. Sebaliknya untuk orang awam, mereka ada kerja, ada keluarga dan hal lain yang mereka hendak uruskan. Maka jangan buang masa mereka. Biar kita cakap dengan ringkas, tetapi padat. Biar santai tetapi sampai.

Melalui ayat-ayat yang digunakan, kita dapat tahu yang banduan berdua itu adalah orang kafir. Namun begitu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berdakwah kepada mereka kerana mereka juga memerlukan dakwah. Maka ini mengajar kita yang kita kena dakwah kepada sahabat dan kenalan kita yang bukan Muslim. Jangan rasa kekok berdakwah kepada mereka kerana memang mereka memerlukan. Entah selama mereka hidup, tidak pernah pun ada orang Islam dakwah kepada mereka. Sedangkan mereka daripada kecil, ada sahaja kawan dalam kalangan Muslim.

Kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan kisah mimpi mereka berdua sedangkan mereka itu orang kafir? Adakah mimpi orang kafir pun benar dan ada petunjuk juga? Perkara ini adalah persoalan yang menarik dan sering dibahaskan dalam kalangan ulama. Mimpi dua banduan dan nanti kita akan jumpa mimpi raja boleh menjadi kenyataan walaupun mereka bukan Muslim. Ini kerana tafsiran mimpi dalam Islam tidak hanya terhad kepada orang-orang beriman semata.

Dalam Islam, mimpi terbahagi kepada beberapa jenis:

  1. Mimpi yang benar (mimpi daripada Allah ‎ﷻ): Mimpi yang membawa petunjuk atau berita gembira. Mimpi jenis ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bukan hanya kepada para nabi atau orang soleh.
  2. Mimpi daripada syaitan: Mimpi buruk yang bertujuan untuk menakut-nakutkan atau mengganggu.
  3. Mimpi daripada bisikan jiwa: Mimpi yang terhasil daripada fikiran, pengalaman, atau keinginan yang terpendam dalam diri seseorang.

Mimpi dua banduan dan raja itu termasuk dalam kategori mimpi yang benar yang datang daripada Allah ‎ﷻ. Walaupun mereka bukan Muslim, Allah ‎ﷻ tetap memberikan mimpi yang benar kepada mereka atas hikmah dan tujuan tertentu, iaitu:

1. Untuk Membuktikan Kebenaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Allah ﷻ menjadikan mimpi-mimpi ini sebagai alat untuk menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada terus berada di dalam penjara. Jika mimpi mereka tidak benar dan tidak dapat ditafsirkan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat membuktikan kebenaran dan keistimewaan dirinya, dan baginda mungkin akan kekal di penjara lebih lama.

    • Mimpi dua banduan menjadi jalan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari penjara.
    • Mimpi raja menjadi sebab utama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijemput ke istana dan diberi kedudukan tinggi.

2. Menunjukkan Kekuasaan Allah ﷻ

Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Dia boleh menyampaikan petunjuk, kebenaran, atau maklumat kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, tanpa mengira latar belakang agama mereka. Keajaiban ini menunjukkan bahawa kekuasaan dan ilmu Allah ﷻ tidak terbatas.

3. Sebagai Jalan Dakwah

Melalui pentafsiran mimpi yang benar ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat menyampaikan dakwah tauhid kepada dua banduan dan juga raja. Ketika dua banduan itu bertanya tentang mimpi mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus menjawab, sebaliknya mengambil peluang untuk mengajak mereka mengenal Allah ﷻ yang Maha Esa terlebih dahulu. Begitu juga dengan raja, yang akhirnya menyaksikan sendiri kebenaran dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, mimpi-mimpi ini adalah sebahagian daripada rancangan Ilahi yang telah diatur dengan sempurna untuk meninggikan darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, membuktikan kebenaran kenabiannya, dan membuka jalan untuk dakwah di peringkat yang lebih tinggi.

 

ذٰلِكُما مِمّا عَلَّمَني رَبّي

Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku.

Pertamanya, baginda memuji Allah ‎ﷻ di atas pemberian-Nya yang mengajar baginda bagaimana menta’bir mimpi. Ia termasuk ilham dan wahyu daripada Allah ﷻ. Baginda ingatkan yang kelebihan itu, Allah ‎ﷻ yang berikan kepada baginda, bukan baginda memandai sahaja ta’bir mimpi orang. Kerana ia pemberian daripada Allah ﷻ, maka baginda dengan yakin boleh memberikan ta’wil mimpi itu dengan segera kepada mereka kerana ia bukanlah daripada fikiran baginda tetapi sebenarnya ia adalah daripada Allah ﷻ.

Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang bercakap dengan dua orang banduan yang bukan beragama Islam. Berkemungkinan besar mereka itu adalah Kristian Koptic. Ia adalah mazhab yang paling lama dalam Kristian. Atau, mereka mungkin mengamalkan agama yang percaya kepada banyak tuhan seperti Ra, Osiris, Isis, Horus, Anubis dan sebagainya. Jadi apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut istilah رَبّي, mereka mungkin tidak tahu yang baginda sedang bercakap tentang Allah ‎ﷻ. Kerana pada mereka, tuan mereka mungkin raja negeri itu, atau tuhan-tuhan yang mereka sembah.

 

إِنِّى تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لَّا يُؤمِنُونَ بِٱللَّهِ

Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah,

Sekarang baginda mula menceritakan tentang dirinya dan agama baginda. Sekarang juga baginda telah menyebut nama Allah ‎ﷻ. Baginda mengatakan yang baginda adalah seorang Muslim. Baginda tidak sama dengan mereka yang mengamalkan agama yang tidak beriman dengan Allah ‎ﷻ. Siapakah yang baginda maksud dan agama apakah yang sedang diperkatakan oleh baginda? Sebelum baginda masuk ke dalam penjara itu, siapa yang baginda tinggalkan? Itulah keluarga dan golongan elit yang tidak beriman kepada Allah ‎ﷻ dan telah menyalahgunakan kuasa mereka. Mereka itu bertuhankan nafsu mereka sahaja, selain daripada agama nenek moyang mereka yang mereka amalkan.

Di sini digunakan kalimah مِلَّةَ bukan دِينٌ. Kalimah مِلَّةَ digunakan apabila manusia di sesuatu tempat atau negara bergabung dalam satu agama atau satu pegangan yang sama. Ia merujuk kepada agama rakyat negeri itu secara kolektif. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan baginda tidak seperti mereka kerana tidak mengamalkan fahaman mereka itu yang berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Dalam bahasa Arab, perkataan millah dan deen (atau din) sering digunakan dalam konteks agama, tetapi keduanya membawa maksud yang berbeza dan spesifik. Deen merujuk kepada sistem kehidupan yang lengkap dan menyeluruh. Ia adalah jalan hidup yang merangkumi Kepercayaan (aqidah), Ibadah (rituals), Perundangan (syariah), Akhlak dan tingkah laku (akhlak). Millah pula merujuk kepada tradisi, jalan, atau mazhab yang spesifik. Jadi ia adalah cara atau metode yang unik bagi sesuatu kaum untuk mengamalkan agama. Ia juga tidak berdiri sendiri dan selalunya dikaitkan dengan seseorang atau sesuatu kaum; sebagai contoh, Al-Qur’an banyak menyebut tentang Millah Ibrahim (tradisi/jalan Ibrahim). Ini merujuk kepada ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang merupakan asal usul kepada agama Yahudi, Nasrani, dan Islam. Meskipun setiap umat mempunyai millah yang berbeza

Baginda hendak menegaskan yang kebolehan baginda untuk menta’bir mimpi adalah kerana mukjizat daripada Allah ‎ﷻ, bukannya kerana sihir atau ajaran daripada agama musyrik. Ini kerana dalam agama selain Islam, ada juga amalan dan cubaan untuk menta’bir mimpi, akan tetapi kesahihannya tidak boleh dipercayai.

 

وَهُم بِٱلأَخِرَةِ هُم كَـٰفِرُونَ

sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.

Dari segi bahasa, ada taqdim (mendahulukan) pada kalimah بِالآخِرَةِ. Ini menunjukkan penekanan pada perkataan itu menunjukkan cara kehidupan kebanyakan manusia tidak takut dengan akhirat. Mereka buat tidak kisah dan tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan dan mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia. Apabila tidak percaya dan tidak takut kepada akhirat, manusia berani berbuat apa sahaja. Itulah perangai kaum kafir. Semasa ayat ini diberikan, penerima pertama adalah Arab Mekah yang kebanyakan daripada mereka tidak percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat. Dek kerana tidak percaya adanya akhiratlah, maka mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja di dalam kehidupan mereka. Mereka sangka mereka tidak akan dipertanggungjawabkan langsung nanti.

Di sini hanya disebut beriman kepada Allah ‎ﷻ dan beriman kepada akhirat sahaja; walaupun sebenarnya kita pun tahu ada banyak lagi perkara yang kita kena imani. Ini adalah kerana dua iman yang disebut inilah yang paling penting.


 

Yusuf Ayat 38: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdakwah kepada mereka berdua dengan memberitahu apakah agama yang benar.

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيءٍ ۚ ذٰلِكَ مِن فَضلِ ٱللَّهِ عَلَينَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشكُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I have followed the religion of my fathers, Abraham, Isaac and Jacob. And it was not for us to associate anything with Allāh. That is from the favor of Allāh upon us and upon the people, but most of the people are not grateful.

(MALAY)

Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. Yang demikian itu adalah daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri (Nya).

 

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌

Dan aku ikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub.

Baginda memberitahu yang baginda mengikut agama keturunan baginda sebelum itu, iaitu agama Islam. Baginda sebut:

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – bapanya
Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – datuknya
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – moyangnya

Jadi, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai satu kelebihan yang tidak ada kelebihan ini pada Nabi-nabi yang lain, iaitu bapanya sampai ke moyangnya adalah Rasul. Jadi empat keturunan para Nabi dalam satu keluarga. Di dalam ayat 6 juga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyebut nama-nama Rasul ini,

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ‌ۚ
dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak.

Baginda sekarang sedang meneruskan legasi keluarganya itu dengan dikurniakan oleh Allah ‎ﷻ menjadi Rasul juga dan menyampaikan dakwah. Mungkin baginda sebut para Nabi leluhur baginda itu kerana mungkin rakan banduannya itu kenal dengan nama-nama itu. Mungkin ada lagi saki baki ajaran daripada para Nabi itu yang mereka pernah dengar.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengikut agama datuk neneknya. Maka tidaklah salah kalau kita hendak ikut ajaran dan agama datuk nenek kalau mereka itu benar. Maka kena selidik juga sama ada mereka itu benar ataupun tidak. Jangan pakai ikut sahaja kerana ramai yang hanya mengikut sahaja amalan datuk nenek tanpa usul periksa. Baginda menyebut leluhur baginda kerana baginda hendak menegaskan yang agama yang baginda anuti dan ikuti adalah agama Tauhid, yang tidak mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Satu lagi kepentingan menyebut nama leluhur baginda adalah kerana salah satu cara Al-Qur’an berdakwah kepada orang yang bukan Islam bukanlah dengan memperkenalkan Nabi Muhammad ﷺ sangat, akan tetapi menggunakan kisah Nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu. Kesannya adalah hendak memberitahu yang agama yang Nabi Muhammad ﷺ (dan juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) bawa ini bukanlah agama yang baru akan tetapi agama yang asal, daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi yang dibawa oleh ramai para Nabi zaman berzaman. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita yang berdakwah kepada manusia lain adalah hanya menyambung sahaja, bukannya cipta agama baru.

 

مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَىءٍ

Tiadalah boleh bagi kami mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memperkenalkan agama tauhid kepada rakan penjaranya itu. Itulah yang paling penting sekali – menceritakan tentang tauhid kepada manusia. Itulah dakwah yang dibawa oleh para Rasul yang dahulu lagi pun. Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang sebenar jadi tidak patut bagi kita untuk mempersekutukan-Nya. Maka agama Tauhid adalah agama yang tidak ada SYIRIK. Jadi kita kena faham apakah yang boleh menyebabkan syirik. Ini penting kerana umat Islam pun tidak mahir tentang apakah yang termasuk di dalam amalan dan fahaman syirik, sampaikan ramai yang terjerumus ke dalamnya tanpa sedar.

Nasihat baginda ini juga bertepatan dengan setiap keadaan, termasuk di dalam penjara kerana asas kebaikan seseorang adalah dengan baik dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau berbuat baik dengan Allah ‎ﷻ, maka seseorang itu akan berbuat baik dengan orang lain. Tidak yakin dengan Allah ‎ﷻ adalah penyebab kepada jenayah kerana kalau seseorang itu tidak kisah dengan Allah ‎ﷻ, maka dia juga akan tidak kisah dengan manusia.

Kita sebagai pendakwah juga kena ingatkan manusia dengan tauhid dan juga dengan syirik. Kena ajak dan ajar manusia tentang tauhid dan jauhi syirik. Kadang-kadang kita selalu sebut tentang tauhid, tetapi tidak disebut pun tentang syirik. Bila tidak disebut, manusia tidak faham apakah syirik itu dan mereka tidak sangka yang mereka sedang melakukan syirik kerana mereka tidak tahu.

 

ذٰلِكَ مِن فَضلِ اللهِ عَلَينا

Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami 

Kurniaan pangkat kenabian itu diberikan kepada keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai kurniaan daripada Allah ‎ﷻ. Yang paling penting, mereka telah diberikan dengan ilmu tauhid dan itulah kelebihan utama yang Allah ‎ﷻ berikan kepada keluarga mereka. Itu adalah kurniaan Allah ‎ﷻ yang amat besar kerana ramai yang tidak mengamalkan tauhid di dalam dunia ini. Alangkah beruntungnya kita yang dilahirkan dalam agama Islam, maka senang untuk kita kenal tauhid.

 

وَعَلَى النّاسِ

dan ke atas manusia

Kurniaan dapat mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik bukan khas untuk keluarga mereka sahaja tetapi kepada manusia seluruhnya. Kalau belajar dan sanggup mengamalkannya, semua akan dapat kelebihan ini kerana agama yang lurus ini adalah kurnia kepada kita di dunia dan di akhirat. Bayangkan kalau kita tidak kenal Allah ‎ﷻ dan tidak kenal agama Islam? Entah kita sedang sembah patung apa dan binatang apa pun kita tidak tahu.

Jadi agama ini bukan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ya memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bapanya akan tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga adalah bapa kita juga. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keturunan darah daging Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari segi darah tetapi dari segi spiritual, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah bapa juga. Perhatikan di dalam Hajj:78

وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا
Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini,

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

akan tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri 

Akan tetapi banyak manusia tidak mensyukuri nikmat tauhid itu. Oleh kerana itu kebanyakan manusia tidak mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Apabila diajak, mereka tidak mahu dengar dan tidak mahu ikut. Ramai yang melakukan syirik terhadap Allah ‎ﷻ dengan menyembah dan meminta kepada selain Allah ‎ﷻ.

Lihat ada permainan bahasa di sini: shirk dan shukr – lebih kurang sahaja bunyinya (antara شرك dan شكر) tetapi makna yang berlainan sekali. Masalah manusia adalah apabila tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ atas segala nikmat yang mereka terima. Mereka sangka mereka dapat itu bukan daripada Allah, tetapi dari entah tuhan mana, entah daripada usaha diri sendiri. Sedangkan makanan malah kehidupan kita ini semuanya daripada Allah ‎ﷻ dan disebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an untuk mengingatkan kita betapa semua yang kita ada adalah daripada Allah ﷻ.

Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih sebut shukr semasa baginda dalam penjara. Baginda tidak putus semangat walaupun sedang diuji oleh Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana baginda sudah masuk dalam penjara pun masih lagi berdakwah, masih lagi beriman. Begitulah bagi pada pendakwah juga. Ada pendakwah yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara kerana tidak ada tauliah mengajar (padahal mereka ada ilmu). Namun mereka terus berdakwah dalam penjara juga. Ramai banduan yang ikut beriman dengan mereka.

Di sini juga mengandungi pengajaran di dalam berdakwah. Apakah konten yang kita sampaikan kepada mad’u kita? Kalau kita perhatikan cara dakwah para Nabi, mereka tidaklah terus cerita berkenaan neraka dan azab, akan tetapi mereka mulakan dengan mengingatkan kepada nikmat yang diberikan kepada manusia. Ini adalah jenis dakwah targheeb (الترغيب). Ia merujuk kepada suatu metodologi atau pendekatan untuk mendorong, menggalakkan, dan memotivasi seseorang agar melakukan kebaikan. Antaranya mengajak manusia untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan. Setelah dapat nikmat, marilah ikut kepada arahan pemberi nikmat itu iaitu Allah ‎ﷻ.

 

Kuiz (10 Soalan Jawapan Ringkas)

Jawab setiap soalan dalam 2–3 ayat.

  1. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk berdakwah kepada dua banduan tersebut sebelum segera mentafsirkan mimpi mereka, seperti yang diminta?
  2. Apakah tujuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang makanan dan rezeki (seperti yang diisyaratkan oleh kalimah تُرزَقَانِهِۦۤ) kepada rakan penjaranya?
  3. Apakah dua pendapat mengenai apa yang dirujuk oleh dhomir ه dalam بِتَأويلِهِ, selain daripada mimpi?
  4. Mengapakah pendakwah dinasihati agar tidak berlama-lama (berjela-jela) dalam ceramah atau pengajaran, dan bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan taktik menghormati masa ini?
  5. Apakah tiga kategori mimpi dalam Islam, dan kategori manakah yang termasuk mimpi dua banduan dan raja Mesir?
  6. Apakah tujuan Ilahi (hikmah) Allah ‎ﷻ memberikan mimpi yang benar kepada orang yang bukan Muslim (seperti dua banduan dan raja)?
  7. Terangkan perbezaan utama antara istilah bahasa Arab millah dan deen dalam konteks agama.
  8. Siapakah yang dimaksudkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai “orang-orang yang tidak beriman kepada Allah” yang agamanya telah ditinggalkan oleh baginda?
  9. Mengapakah iman kepada Allah ‎ﷻ dan iman kepada Akhirat (Hari Kemudian) disebut secara spesifik dalam ayat ini sebagai asas ajaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Bagaimanakah keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Ibrahim, Ishak, Ya’qub, dan Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ) menunjukkan kurniaan kenabian yang unik, dan apakah kepentingan kurniaan ilmu tauhid ini kepada manusia seluruhnya?

Glosari Istilah Utama

Ta’bir: Penjelasan atau interpretasi terhadap makna ayat-ayat al-Qur’an atau dalam konteks ini, pentafsiran makna tersembunyi sesuatu mimpi.
Nakirah: Istilah tatabahasa Arab yang merujuk kepada kata nama umum (indeterminate noun), seperti طَعَامٌ (makanan), menunjukkan ia tidak merujuk kepada makanan yang spesifik.
Dhomir (ه): Kata ganti nama diri ketiga tunggal (he/it) dalam bahasa Arab, yang dalam perbincangan ini merujuk sama ada kepada mimpi atau makanan.
Rancangan Ilahi: Aturan atau perancangan yang sempurna oleh Allah ‎ﷻ yang meliputi segala kejadian, termasuk penggunaan mimpi orang bukan Muslim sebagai jalan untuk dakwah dan menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ.
Rabbī (رَبّي): Tuhanku; istilah yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ untuk merujuk kepada Allah ‎ﷻ, walaupun pendengar baginda mungkin mentafsirkannya sebagai tuhan-tuhan mereka atau raja.
Millah (مِلَّةَ): Jalan, tradisi, atau mazhab spesifik yang dianut oleh sesuatu kaum atau negara secara kolektif. Digunakan untuk merujuk kepada ajaran leluhur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Millah Ibrahim).
Deen / Din (دِينٌ): Sistem kehidupan yang lengkap dan menyeluruh, meliputi akidah, ibadah, perundangan (syariah), dan akhlak.
Taqdim: Istilah retorika Arab yang bermaksud mendahulukan atau meletakkan sesuatu kalimah lebih awal daripada susunan biasa untuk tujuan penekanan (penegasan).
Tauhid Rububiyah: Pengakuan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Pencipta, Penguasa, dan Pemberi Rezeki tunggal bagi seluruh alam semesta.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 36 (Bergaul dengan banduan)

MIMPI DUA ORANG BANDUAN

Yusuf Ayat 36: Ini adalah keadaan ke 7 – kisah di dalam penjara pula. Dugaan dan ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berterusan dan belum berakhir lagi nampaknya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk penjara dengan tidak mengetahui bilakah baginda akan keluar. Ia tidak sama dengan keputusan penjara zaman sekarang yang hakim telah tentukan tempoh duduk dalam penjara. Maka kita akan jumpa kisah ta’bir mimpi yang kedua (yang pertama adalah mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri di awal surah).

وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجنَ فَتَيَانِ‌ۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَعصِرُ خَمرًا‌ۖ وَقَالَ ٱلأَخَرُ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَحمِلُ فَوقَ رَأسِى خُبزًا تَأكُلُ ٱلطَّيرُ مِنهُ‌ۖ نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِۦۤ‌ۖ إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there entered the prison with him two young men. One of them said, “Indeed, I have seen myself [in a dream] pressing wine.” The other said, “Indeed, I have seen myself carrying upon my head [some] bread, from which the birds were eating. Inform us of its interpretation; indeed, we see you to be of those who do good.”

(MALAY)

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras anggur”. Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku membawa roti di atas kepalaku, sebahagiannya dimakan burung”. Berikanlah kepada kami ta’birnya; sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai (mena’birkan mimpi).

 

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجنَ فَتَيانِ

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. 

Ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam penjara. Ada dua orang pemuda yang dimasukkan sekali bersama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita tahu mereka itu orang muda kerana kalimah فَتَيانِ yang digunakan. Apa kepentingan dua pemuda ini? Ar-Razi memberi pendapat bahawa mereka berdua ini dimasukkan bersekali dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya ia tidak menjadi isu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja pemuda yang masuk penjara. Kalau baginda sahaja yang dimasukkan, jadi mungkin ia menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai. Maka mereka yang bertanggungjawab memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara telah mencari orang lain untuk dimasukkan sekali dengan baginda. Kedua-dua banduan ini pula memang ada isu yang boleh dijadikan alasan untuk dimasukkan ke dalam penjara.

Namun begitu di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tidak sebut ‘dua orang penjenayah’ tetapi ‘dua orang pemuda’. Allah ‎ﷻ tidak beritahu pun sama ada mereka itu bersalah atau tidak. Nanti kita akan baca pendapat tentang kisah mereka, akan tetapi itu tidak disebut secara pasti di dalam nas Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Jadi ia mengajar kita yang ada orang yang dimasukkan ke dalam penjara, tetapi mereka tidak bersalah pun. Masuk ke dalam penjara bukanlah sesuatu yang menghinakan kerana mungkin masuk itu kerana salahfaham atau dimasukkan oleh pemerintah yang zalim.

Semasa proses dimasukkan ke dalam penjara atau setelah masuk ke dalam penjara, mereka dapat berkenalan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila digunakan kalimah مَعَهُ ia memberi isyarat bahawa mereka masuk lebih kurang sama waktunya. Memang ramai orang lain lagi di dalam penjara itu, tetapi mereka menjadi rapat kerana masuk sekali atau duduk berdekatan di dalam penjara. Oleh kerana mereka telah berkenalan, maka mereka nampak bagaimana akhlak dan sifat baginda. Mereka tahu yang baginda lain daripada yang lain.

Latar belakang dua lelaki ini: Seorang adalah tukang bawa minuman raja dan seorang lagi adalah tukang pembuat roti raja. Raja itu ada yang tidak suka dan mereka telah merancang untuk membunuh Raja Mesir. Yang merancang telah memujuk dua orang yang rapat dengan raja ini untuk melakukan pembunuhan itu. Jadi ada dua percubaan di sini – dengan menggunakan racun pada makanan dan racun dalam minuman raja. Namun akhirnya tukang bawa minuman itu menjadi takut atau berubah hati dan tidak jadi melakukannya. Lalu dia telah beritahu raja akan hal itu supaya jangan makan makanan itu. Apabila ditanya, tukang pembuat roti itu kata dia tidak meletakkan racun ke dalam makanan raja itu tetapi telah memasukkan racun ke dalam air minuman. Maka raja suruh mereka makan dan minum makanan yang dikatakan ada racun itu. Tiada apa yang berlaku kepada tukang bawa minuman sedangkan tukang pembuat roti tentulah tidak berani memakannya. Setelah diberikan kepada binatang, ternyata binatang itu mati. Namun begitu, oleh kerana mereka telah terlibat dalam perancangan pembunuhan tersebut, maka kedua-dua mereka dimasukkan ke dalam penjara sementara menunggu siasatan.

 

قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَعصِرُ خَمرًا‌

Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras arak”. 

Ini adalah kata-kata daripada si tukang pembawa minuman yang tidak jadi meletakkan racun pada minuman raja. Dia telah dimasukkan ke dalam penjara kerana dia ada terlibat juga dalam percubaan membunuh raja itu. Setelah mengenali Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam penjara, tidak lama kemudian dia boleh nampak bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang yang ada kelebihan, maka dia minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpinya. Jadi tidaklah dia bertanya terus apabila masuk penjara itu. Dia memberitahu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dia telah bermimpi yang dia memeras anggur untuk dijadikan wain. Apabila digunakan kalimah أَراني, bermakna dia selalu melihatnya – mimpi berkali-kali benda yang sama. Ini adalah tanda bahawa mimpi itu ada sesuatu maklumat yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Kalau mimpi sekali sahaja, itu tidak ada apa sangat.

Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa salah seorang daripada keduanya berkata kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, “Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menanam biji buah anggur, lalu tanaman itu tumbuh dan mengeluarkan buah anggur yang sangat banyak, lalu aku memerahnya dan memberikan perahan itu kepada raja.

Ayat ini menyebut أَعصِرُ خَمرًا yang dari segi harfiah bermaksud perah arak. Akan tetapi orang bukannya perah arak tetapi perah buah seperti anggur untuk dijadikan arak. Maka ini adalah ayat yang diringkaskan.

Ayat ini hanya menggambarkan bahawa arak wujud dan diminum oleh masyarakat pada zaman itu, iaitu masyarakat Mesir kuno. Al-Qur’an tidak memberikan hukum (halal atau haram) terhadap arak dalam konteks kisah ini. Setiap nabi memiliki syariat (hukum) tersendiri yang mungkin berbeza dengan syariat nabi lain. Hukum arak pada syariat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diceritakan dalam Al-Qur’an, maka kita tidak dapat memastikannya. Malah pada zaman kenabian Nabi Muhammad ﷺ pun, arak hanya diharamkan setelah sekian lama di Madinah dan bukan dari awal. Kesimpulannya, perbuatan meminum arak pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah satu fakta sejarah yang diceritakan dalam Al-Qur’an, tetapi hukumnya pada zaman itu tidak diketahui. Namun, bagi umat Islam pada hari ini, hukumnya adalah jelas: arak adalah haram berdasarkan dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah yang terang.

 

وَقَالَ ٱلأَخَرُ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَحمِلُ فَوقَ رَأسِى خُبزًا

Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku menjunjung roti di atas kepalaku,

Ini pula adalah mimpi seorang lagi lelaki. Dia adalah lelaki yang meletakkan racun pada makanan raja kerana dia adalah tukang masak jadi dia telah direkrut oleh penentang raja untuk membunuh raja. Dia juga turut bermimpi dan di dalam mimpinya itu, dia menjunjung roti di atas kepalanya. Sebenarnya tidaklah pelik sangat sebab memang dia tukang masak dan tentu selalu buat roti.

 

تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ

sebahagiannya dimakan burung-burung”.

Kerana roti itu berada di atas kepalanya, ada burung yang mematuk dan memakan roti di atas kepalanya itu. Menarik apabila Allah ‎ﷻ menggunakan burung untuk menyampaikan maklumat. Burung memang selalu digunakan di dalam Al-Qur’an berkaitan dengan kehidupan dan kematian. Sebagai contoh, disebut di dalam Hajj:31 yang memakan bangkai mayat

وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَكَأَنَّما خَرَّ مِنَ السَّماءِ فَتَخطَفُهُ الطَّيرُ أَو تَهوي بِهِ الرّيحُ في مَكانٍ سَحيقٍ
Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah dia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.

Contoh tentang kehidupan seperti disebut di dalam Ali Imran:49 tentang mukjizat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menghidupkan burung,

أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ
“Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah;

Juga di dalam Baqarah:260, Allah ‎ﷻ mengajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang kebangkitan semula dengan menggunakan burung,

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Maka di dalam ayat تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ mengandungi isyarat kepada kematian juga kerana tukang masak ini akhirnya nanti akan dihukum bunuh.

 

نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِۦۤ‌

Beritahulah kepada kami takwilnya; 

Setelah berkenalan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka nampak kelebihan yang ada pada baginda. Jadi mereka berharap supaya baginda dapat menta’bir mimpi mereka itu. Ini kerana mereka rasa tentu ada makna yang hendak disampaikan kerana mereka berkali-kali mimpi perkara yang sama.

 

إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

sesungguhnya kami memandang engkau termasuk orang-orang yang suka buat baik

Mereka berharap sangat kepada baginda kerana mereka nampak yang baginda adalah orang yang baik, yang hebat, seorang yang muhsin. Di dalam penjara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikenali sebagai orang yang sopan, mesra, dermawan, dapat dipercayai, jujur bicaranya, berakhlak baik, dan banyak ibadahnya. Baginda sentiasa menolong orang yang susah sehingga baginda dikenali sebagai orang yang baik.  Mereka kira sebagai seorang yang ٱلمُحسِنِينَ maka kerana kesucian hati baginda, maka mereka kira baginda boleh mengetahui perkara yang orang lain tidak tahu. Melihat kebaikan dan keikhlasan ini, mereka berdua secara naluriah percaya bahawa orang yang memiliki akhlak semulia itu pasti mempunyai ilmu dan kebolehan yang istimewa. Ringkasnya, kemampuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mentafsir mimpi bukanlah diketahui daripada penghebahan, tetapi melalui aura keimanan dan kebaikan yang terpancar daripada setiap perbuatan baginda, sehingga membuat orang di sekelilingnya percaya dan menghormati baginda.

Selain dikenali mempunyai pengetahuan tentang ta’bir mimpi, baginda selalu memberi semangat kepada penduduk penjara itu, gemar melawat mereka yang sakit, dan selalu memenuhi hak-hak mereka. Tambahan pula rupa paras baginda yang tidak perlu disebut lagi. Baginda memenuhi masa lapang baginda dengan melakukan ibadah. Semua penduduk penjara suka dan rapat dengan baginda sampaikan warden penjara pun sayangkan baginda. Memang di dalam ayat 22 Allah ‎ﷻ telah mengatakan yang baginda adalah seorang yang muhsin,

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِى ٱلمُحسِنِينَ
Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Maknanya memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang ٱلمُحسِنِ dan sekarang manusia lain pun boleh nampak. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu sebut pun tetapi Allah ‎ﷻ yang campakkan ke dalam hati mereka bahawa baginda itu baik orangnya. Ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan dicatat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim.

“إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ الْعَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ إِنِّي أُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحِبَّهُ، فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ فَيَقُولُ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ”
“Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lantas Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mencintainya. Kemudian Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyeru kepada penduduk langit (para malaikat), ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia!’ Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian diletakkan baginya penerimaan (rasa cinta) di muka bumi.”

(Sahih Bukhari No. 3209 dan Muslim No. 2637)

Kita telah sebutkan contoh bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sifatnya yang ihsan. Pengajaran bagi kita adalah hendaklah kita menjadi orang yang baik. Apa salahnya tolong orang, cakap dengan baik, senyum dengan orang, cakap baik-baik dengan mereka dan tolong mereka kalau mampu? Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk menjadi orang baik antaranya disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبي هُرَيرةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( كُلُّ سُلامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقةٌ ، كُلَّ يَوْمٍ تَطلُعُ فِيْهِ الشَّمْسُ : تَعدِلُ بَينَ الاِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ، فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا ، أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقةٌ ، والكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقةٌ ، وبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمشِيْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقةٌ ، وتُمِيْطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ )) . رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Setiap persendian manusia diwajibkan untuk bersedekah setiap harinya mulai matahari terbit. Memisahkan (menyelesaikan perkara) antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah. Menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah. Berkata yang baik juga termasuk sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah.”

(Sahih Bukhari No. 2989 dan Muslim No. 1009)

Akan tetapi, bukanlah semua orang akan berlaku baik dengan orang yang baik. Ada orang yang tetap jahat akan terus juga buat onar dengan orang yang baik-baik. Kita telah lihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini benci kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda orang yang baik. Sebab baginda baik dan disayangi oleh bapa mereka, mereka jadi benci pula. Oleh itu, menjadi orang baik ini tidaklah menjamin semua orang akan suka, kerana akan ada juga orang yang akan benci.

Selepas ini kita akan baca kata-kata dakwah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua orang banduan dalam penjara. Tentulah bukan dua orang itu sahaja baginda dakwah. Tentu semua orang baginda telah dakwah, bukan? Agaknya jikalau baginda buat sentap, buat hal sendiri, buat keras dan segala apa benda buruk, adakah orang akan dengar dakwah baginda? Begitu jugalah dengan kita, kalau hendak dakwah, kena jadi orang baik dulu. Kena periksa muka kita jangan ketat, suara jangan garang, bahasa sangat buruk. Kalau semua buruk, apa kita cakap pun orang takkan dengar kerana mereka benci kepada kita. Ingatlah yang kadang orang hendak ikut kita bukan dengan kata-kata kita, tetapi dengan akhlak kita.

Inilah Dakwah bil hal yang lebih baik daripada Dakwah bil Lisan. Dakwah bil hal bermaksud berdakwah melalui perbuatan dan contoh teladan yang baik, bukan sekadar kata-kata. Ia merupakan salah satu bentuk dakwah yang paling berkesan dan praktikal dalam menyebarkan ajaran Islam.

  • Dakwah bil lisan adalah dakwah dengan lisan, seperti ceramah, khutbah, atau nasihat. Ia penting untuk menyampaikan ilmu dan hukum.
  • Dakwah bil hal adalah dakwah dengan perbuatan. Ia lebih kepada menunjukkan keindahan Islam melalui akhlak, tingkah laku, dan kualiti peribadi.

Contoh Hidup: Dakwah bil hal menjadikan individu Muslim itu sendiri sebagai “contoh hidup” bagi ajaran Islam. Apabila seseorang melihat seorang Muslim yang jujur, amanah, prihatin, dan berakhlak mulia, ia akan menimbulkan rasa kagum dan tertarik kepada Islam, tanpa perlu disuruh.

 

Kepentingan Dakwah Bil Hal:

  1. Lebih Berkesan dan Menyentuh: Orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar. Perbuatan yang baik mampu menembusi hati dan fikiran, menjadikan mesej Islam lebih mudah diterima.
  2. Membetulkan Persepsi Negatif: Pada masa kini, Islam sering disalahfahami. Dengan menunjukkan akhlak Islam yang sebenar, dakwah bil hal dapat membetulkan persepsi negatif dan menunjukkan Islam sebagai agama yang indah, damai, dan penuh kasih sayang.
  3. Memenuhi Sifat Semulajadi Manusia: Manusia cenderung meniru perbuatan yang mereka lihat baik. Apabila dakwah disampaikan melalui teladan, ia merangsang naluri manusia untuk mencontohi kebaikan.

Contoh-contoh Dakwah Bil Hal dalam Kehidupan Seharian:

  • Bersikap Jujur: Seorang peniaga Muslim yang jujur dalam timbangan, tidak menipu, dan sentiasa menepati janji, akan membuat pelanggannya menghormati Islam.
  • Menjaga Kebersihan: Menjaga kebersihan diri, rumah, dan kawasan awam mencerminkan ajaran Islam yang mementingkan kebersihan. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam adalah agama yang indah.
  • Beradab dan Berbudi Bahasa: Berinteraksi dengan orang lain tanpa mengira latar belakang dengan sopan, menghormati orang tua, dan membantu yang memerlukan adalah contoh dakwah bil hal yang sangat kuat.
  • Menepati Masa: Menepati janji temu atau komitmen menunjukkan disiplin dan integriti, yang merupakan nilai-nilai Islam.

Dakwah bil hal bukanlah pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Ia adalah amalan yang mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Ia membuktikan bahawa Islam tidak hanya teori, tetapi sebuah cara hidup yang sempurna.

Kita perhatikan ramai yang lagaknya seolah-olah tidak sesuai jadi pendakwah. Dengan bahasa yang kasar, perli, memekik, menghina dan sebagainya, memang tidak patut langsung hendak berdakwah kepada orang. Sedangkan di dalam Al-Qur’an banyak diajar cara-cara dakwah. Antaranya dengan bahasa yang lembut seperti disebut di dalam Isra’:53

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ‌ۚ إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

 

Kuiz Pemahaman

Arahan: Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Jelaskan mengapa kehadiran dua pemuda lain bersama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di penjara adalah penting menurut tafsiran.
  2. Huraikan secara ringkas mimpi pertama yang diceritakan oleh salah seorang pemuda kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  3. Apakah maksud kalimah فَتَيانِ yang digunakan untuk merujuk kepada dua banduan tersebut dan apa implikasinya?
  4. Nyatakan dua ciri keperibadian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyebabkan banduan lain mempercayai dan meminta baginda mentafsir mimpi mereka.
  5. Bagaimana Al-Qur’an menggunakan simbol burung dalam konteks lain untuk menyampaikan maklumat berkaitan kehidupan dan kematian?
  6. Terangkan mengapa teks menegaskan bahawa hukum arak pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sama dengan hukum arak dalam Islam hari ini.
  7. Apakah konsep “Dakwah bil Hal” dan mengapa ia dianggap lebih berkesan daripada “Dakwah bil Lisan”?
  8. Berikan dua contoh bagaimana Dakwah bil Hal boleh diamalkan dalam kehidupan seharian seorang Muslim.
  9. Mengapakah penting untuk berdakwah dengan bahasa yang lembut dan perkataan yang baik, seperti yang disebut dalam Surah Isra’:53?
  10. Berdasarkan teks, adakah kebaikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjamin semua orang akan menyukainya? Jelaskan.

Glosari Kata Kunci

  • Ta’bir Mimpi: Mentafsirkan atau menjelaskan makna di sebalik mimpi. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianugerahkan kebolehan ini.
  • Dakwah bil Hal: Berdakwah melalui perbuatan, akhlak, dan teladan yang baik, tanpa perlu banyak berkata-kata.
  • Dakwah bil Lisan: Berdakwah melalui kata-kata, ceramah, nasihat, atau ucapan.
  • Allahu a’lam: “Allah lebih mengetahui” – frasa yang sering digunakan untuk menyatakan kerendahan hati dalam pengetahuan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 34 – 35 (Allah ‎ﷻ menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 34: Masih lagi dalam keadaan ke 6 di mana baginda dipenjarakan kerana mendapat godaan daripada wanita-wanita yang banyak dan baginda tidak mahu ikut kehendak mereka.

فَٱستَجَابَ لَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So his Lord responded to him and averted from him their plan. Indeed, He is the Hearing, the Knowing.

(MALAY)

Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

فَٱستَجَابَ لَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ

Maka Tuhannya memperkenankan doanya

Allah ‎ﷻ makbulkan doa baginda dan Allah ﷻ beritahu yang Dia makbulkan. Padahal boleh sahaja Allah ﷻ terus kata فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ‌. Kalau Allah ﷻ kata begini pun kita akan automatik faham yang Allah ﷻ telah makbulkan. Namun Allah ﷻ tekankan yang Dia hendak perkenankan doa baginda. Allah ﷻ sebut لَهُ yang bermaksud memang ia adalah perkenanan khas kepada baginda. Allah ﷻ menambah kalimah رَبُّهُ kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berserah diri kepada-Nya sebagai Tuhan. Maka sekarang Tuhan perkenankan permintaannya.

Maka bagaimana kita hendak dapat pemakbulan doa seperti yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat ini? Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Baqarah:183

أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul

Jadi Allah ﷻ letak syarat untuk memperkenankan doa manusia: hendaklah dia kena ikut dan taat dulu suruhan dan larangan Allah ﷻ. Bagaimana pula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memenuhi syarat ini? Baginda telah menjaga nafsunya, menyerahkan dirinya kepada Allah ﷻ dan berusaha untuk lari daripada dugaan yang datang kepadanya itu. Maka kerana baginda telah membuat apa yang baginda patut buat, maka Allah ﷻ membalas dengan memperkenankan doa baginda.

Doa baginda adalah: Dia lebih suka masuk penjara, maka Allah ‎ﷻ memasukkan baginda ke dalam penjara. Dimasukkan ke dalam penjara bukanlah sesuatu yang hina bagi seorang Mukmin. Di dalam penjara juga baginda boleh berdakwah nanti. Malah dalam sejarah ulama’ Islam, banyak sahaja mereka dipenjarakan dan mereka berjaya berkhidmat di dalam penjara pula.

Sebagai contoh, kisah Sayyid Qutb. Pada masa kepemimpinan Presiden Gamal Abdel Nasser, Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai ancaman politik, yang menyebabkan penangkapan besar-besaran  terhadap para anggotanya. Sayyid Qutb ditangkap pada tahun 1954 dan dipenjara selama lebih dari 10 tahun. Masa-masa di penjara menjadi produktif bagi Sayyid Qutb untuk melengkapkan karya terbesarnya, iaitu kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an). Beliau sudah memulai projek ini sebelum ditangkap, namun di dalam penjara beliau boleh lebih fokus dan memperdalam pemikirannya. Penulisan ini adalah hasil daripada keteguhan hati, ketekunan, dan tekad yang kuat daripada Sayyid Qutb. Dengan hanya bermodalkan pena, kertas, dan mungkin beberapa buku yang diseludupkan, beliau menulis setiap bab daripada tafsir tersebut. Setelah ditulis, naskah-naskah ini diseludupkan keluar dari penjara oleh orang-orang yang setia kepadanya, dan kemudian diterbitkan. Banyak yang menganggap Fi Zilal al-Qur’an sebagai salah satu karya tafsir Al-Qur’an moden yang paling signifikan. Karya ini tidak hanya membahas makna harfiah ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi juga menggali isu-isu moral, sosial, dan politik yang relevan dengan kondisi umat Islam saat itu. Melalui tafsir ini, Sayyid Qutb ingin menunjukkan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup yang utuh dan komprehensif.

Selain itu Buya Hamka juga menulis kitab tafsirnya, Tafsir Al-Azhar, di dalam penjara. Ia adalah salah satu cerita yang paling monumental dan memberi inspirasi dalam sejarah Islam di Indonesia. Ini adalah kisah tentang bagaimana musibah boleh berubah menjadi sebuah anugerah. Pada tarikh 27 Januari 1964, Buya Hamka ditangkap oleh pemerintah Orde Lama. Beliau dituduh melakukan rancangan subversif terhadap negara. Penahanan ini berlangsung selama lebih kurang 2 tahun 4 bulan, tanpa melalui proses pengadilan yang jelas. Kondisi penjara saat itu sangat berat, penuh dengan tekanan politik dan fizikal. Meskipun menghadapi cubaan berat, Buya Hamka menjadikan waktu di dalam penjara sebagai kesempatan untuk menyelesaikan salah satu projek terbesarnya yang tertunda, iaitu Tafsir Al-Azhar. Projek ini sebenarnya sudah beliau mulai sejak tahun 1959 melalui ceramah dan kuliah Subuh di Masjid Agung Al-Azhar, Jakarta. Namun, kesibukannya sebagai ulama, penulis, dan politikus membuatkan penulisan tersebut berjalan lambat. Di dalam penjara, Buya Hamka baru ada waktu dan fokus yang luar biasa. Beliau sering kali mengatakan bahawa jika tidak dipenjara, beliau mungkin tidak akan memiliki waktu yang cukup untuk menyelesaikan karya sebesar ini. Beliau menghadapi penderitaan fizikal dan mental, bahkan sempat hampir gila. Namun, beliau menjadikan Al-Qur’an sebagai penawar dan pelindung.

Dan tidaklah penjara itu menghina Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidaklah ia mematahkan semangat baginda. Perhatikan surah ini adalah tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keseluruhannya. Akan tetapi kata-kata baginda paling banyak Allah ‎ﷻ nukil ketika baginda di dalam penjara! Di tempat lain, pendek-pendek sahaja. Maka, kata-kata baginda itu menjadi pengajaran kepada kita dan berbilion manusia zaman berzaman membaca kata-kata baginda ketika di dalam penjara inilah. Jadi ini mengajar kita yang kadang-kadang kita mengalami kesusahan, akan tetapi ia menjadi pengajaran dan memberi manfaat kepada orang lain. Begitulah juga contoh yang lain adalah tuduhan zina yang dikenakan kepada Saidatina A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. Tuduhan itu perit bagi beliau, akan tetapi kisah beliau dibaca sampai sekarang dan menjadi pengajaran kepada semua yang mahu mengambil pengajaran. ِAntara pengajarannya adalah, bukan semua banduan itu bersalah. Ada yang telah dizalimi sampai mereka dimasukkan ke dalam penjara oleh orang yang zalim.

Pentakwilan mimpi dua orang banduan ini nampak macam tidak ada apa sangat. Akan tetapi ia tidak berakhir di sini sahaja. Ia adalah permulaan kepada rentetan insiden yang akhirnya membawa mimpi raja dan akhirnya menyelamatkan ribuan rakyat Mesir dan penduduk sekitar daripada kebuluran. Maka ini mengajar kita untuk memberi manfaat kepada manusia. Kadangkala ia tidak memberi manfaat kepada kita sangat, sebaliknya kepada orang lain. Kerana itu Nabi ﷺ mengajar kita untuk menanam pokok buahan,

“مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ”
“Tidaklah seorang Muslim menanam satu pohon atau bercucuk tanam satu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh burung, atau manusia, atau binatang, melainkan dia akan mendapatkan pahala sedekah.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 2320 dan Muslim, No. 1553)

Ternyata ia mengajar kita untuk mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang dapat digunakan oleh orang ramai malah binatang seperti pokok buahan itu. Yang pahalanya dapat mengalir walaupun kita telah tiada. Maka kerana itulah diharapkan penulisan ini menjadi pahala yang terus mengalir buat sesiapa sahaja yang terlibat dengannya.

 

فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ

dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka.

Maka Allah ‎ﷻ menghindarkan baginda daripada tipu daya mereka. Baginda diselamatkan daripada godaan para wanita itu. Iaitu dengan cara memasukkan baginda ke dalam penjara. Begitulah cara Allah ‎ﷻ selamatkan baginda daripada mereka setelah sebelum ini Allah ‎ﷻ telah selamatkan baginda daripada isteri Al-Aziz itu seperti disebut dalam ayat 24

لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ
andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian

Allah ‎ﷻ beritahu yang rancangan mereka dihindarkan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun bukankah dimasukkan ke dalam penjara itu adalah rancangan mereka? Isteri Al-Aziz hendak memasukkan baginda ke dalam penjara, Al-Aziz dan para penasihat juga hendak memasukkan baginda ke dalam penjara. Jadi bagaimana rancangan mereka dihindarkan daripada baginda pula? Jadi ini mengajar kita kadangkala rancangan musuh atau orang jahat itu nampak seperti berjaya, akan tetapi rancangan Allah ‎ﷻ lebih besar lagi daripada rancangan mereka. Mereka mungkin nampak rancangan mereka berjaya tetapi itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya kerana kita tidak ada ilmu ghaib dan kita tidak tahu apa yang Allah ‎ﷻ rancang.

 

إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dia Maha Mendengar doa kita. Maka kerana itulah hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak kita berdoa kepada-Nya kerana Allah ‎ﷻsahaja yang sentiasa mendengar doa kita. Selain daripada Allah ‎ﷻ tidak ada kuasa ini. Allah ‎ﷻ bukan sahaja mendengar suara kita yang zahir, tetapi Allah ‎ﷻ mendengar isi hati kita sekali. Jadi walaupun tidak terlafaz dengar kalimah, Allah ‎ﷻ tetap tahu apa yang berlegar di dalam hati kita. Allah ‎ﷻ boleh dengar terus apa yang kita minta walau di mana pun kita berada. Maka berdoalah kepada Allah ‎ﷻ SAHAJA. Jangan minta kepada selain Allah ‎ﷻ kerana selain Allah ‎ﷻ tidak ada kemampuan mendengar permintaan kita. Jadi buat apa minta kepada yang tidak boleh dengar?

Kerana itu satu perbuatan yang salah dan membawa kepada syirik apabila minta kepada selain Allah ‎ﷻ seperti yang dilakukan oleh manusia termasuk umat Islam sekali pun. Kalau orang kafir kita faham kenapa merata mereka minta, namun yang menjadi masalahnya orang Islam pun tidak boleh terima perkara asas ini. Maka ada yang meminta kepada Nabi, wali, malaikat. Malah ada yang kata boleh minta kepada pokok (asalkan tahu yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menunaikan). Apa punya bodoh punya pendapat, kalau Allah ‎ﷻ juga yang menunaikan, minta kepada Allah ‎ﷻ sahajalah. Buat apa menjatuhkan maruah diri dengan meminta kepada pokok yang tidak boleh membuat apa-apa?

Kesesatan manusia yang utama adalah dalam bab doa. Kalau tidak ada asas yang kukuh kepada wahyu, maka manusia akan tersalah tempat meminta. Oleh kerana itulah Allah ‎ﷻ ajar banyak tentang hal doa di dalam Al-Qur’an di berbagai surah, dan Nabi ﷺ banyak mengajar tentang doa dan cara-cara berdoa. Tidak ada di dalam ajaran Nabi ﷺ itu menganjurkan kita bertawasul kepada makhluk. Allah ﷻ dan Nabi ﷺ ajar terus berdoa kepada Allah ﷻ sahaja berkali-kali disebut di dalam wahyu. Namun begitulah manusia yang sudah jauh daripada wahyu, maka syaitan telah mengambil peluang itu dengan memberi ilham untuk manusia menyampaikan doa kepada makhluk supaya sampaikan kepada Allah ﷻ. Kononnya itu cara terbaik untuk berdoa, tetapi mereka lupa yang itu adalah cara rekaan sahaja. Ini kerana syaitan hendak kita melakukan hal yang syirik.

Maka begitulah amalan para Nabi yang sentiasa berdoa terus kepada Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ sahajalah yang boleh mendengar permintaan kita. Sifat kedua yang penting kenapa kita hanya mesti berdoa kepada Allah ﷻ adalah kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu permintaan kita. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui segala apa yang terjadi, maka Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan. Kita tidak beritahu Allah ﷻ pun Dia tahu apa yang terjadi dan duduk sesuatu perkara itu. Jadi tidak perlu cerita banyak kepada Allah ﷻ apa yang terjadi kerana Allah ﷻ sudah tahu; berbeza dengan kita mengadu kepada manusia, panjang pula cerita kita perlu terangkan.

Yang kedua, Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan. Semua di dalam perancangan Allah ﷻ dan kerana itu Dia tahu apa yang terbaik bagi kita. Kita mungkin ada kehendak kita sendiri supaya sesuatu perkara itu diselesaikan ikut kehendak kita, tetapi kita tidak tahu sama ada ia baik atau tidak. Allah ﷻ juga tahu bagaimana hendak selesaikan sesuatu perkara kerana semuanya di dalam takdir Allah. Maka mintalah kepada Allah ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang tahu yang terbaik buat kita.

Maka kalau kita faham dua sifat Allah ini, maka kita akan minta kepada Allah ﷻ sahaja. Yang ajar meminta kepada selain Allah ﷻ itu adalah kerana mereka tidak tahu ayat ini dan ajaran Allah ﷻ tentang doa. Walaupun mereka itu gelarannya ustaz dan terkenal tidak kira di mana. Kalau dia ajar doa kena minta kepada selain Allah ﷻ, maka dia sudah jahil bab ini. Kita tahu sekarang terlalu ramai ‘ustaz’ yang mengajar begini dan kita jangan ikut. Bukan semua ustaz pandai bab wahyu. Mereka banyaknya belajar dengan guru mereka sahaja dan guru mereka pun sudah tersalah dalam hal ini. Kita sahaja sangka semua ustaz pandai hal agama, tetapi sebenarnya tidak. Ustaz yang tidak pandai, kita tidak perlu ikut. Kita hanya ikut ustaz yang ajar ikut ajaran wahyu sahaja. Kalau ustaz itu sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak ikut pun tidak mengapa. Kerana itu belajar agama adalah kewajipan bagi semua umat manusia, bukan ustaz sahaja. Kerana kalau kita ikut sahaja, belum tentu orang yang kita ikut itu benar. Maka kena ada asas di dalam ilmu agama.

Sekian habis kisah dugaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghadapi golongan wanita elit yang cuba hendak menggoda baginda.


 

Yusuf Ayat 35:

ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعدِ مَا رَأَوُاْ ٱلأَيَـٰتِ لَيَسجُنُنَّهُ ۥ حَتَّىٰ حِينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then it appeared to them after they had seen the signs¹ that he [i.e., al-‘Azeez] should surely imprison him for a time.²

  • Proofs of his innocence.
  • Until the scandal be forgotten.

(MALAY)

Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

 

ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعدِ مَا رَأَوُاْ ٱلأَيَـٰتِ

Kemudian telah zahir kepada mereka setelah melihat tanda-tanda

Dalam ayat ini sekarang digunakan لَهُم (kepada mereka – merujuk kepada semua yang di situ sama ada lelaki atau perempuan) pula. Ini bermaksud sekarang perancangan ini telah melibatkan orang lain selain daripada wanita-wanita itu. Ini adalah kerana perempuan-perempuan itu masing-masing mempunyai suami yang menjadi pemimpin negari Mesir. Suami mereka sudah tahu apa yang terjadi dan mereka kena fikirkan jalan bagaimana untuk selesaikan masalah yang telah timbul ini daripada menjadi semakin melarat. Isteri-isteri mereka sudah terpikat dengan seorang lelaki tampan dan baik. Sudah kecoh berita yang sekarang mereka telah angau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kes ini sudah melibatkan Raja Muda Al-Aziz itu dan ini bukan lagi masalah rumahtangga mereka malah kerajaan kerana dia mewakili kerajaan. Malah isteri-isteri menteri yang lain pun sudah terlibat dan mulut manusia takkan dapat ditutup lama. Kalau dibiarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bebas, entah apa yang akan terjadi. Kalau dibuang daerah, nanti hal yang sama akan terjadi juga nanti dan kes baru akan melibatkan kes di Mesir itu. Jadi ayat ini menceritakan kata-kata mereka selepas mereka bermesyuarat sesama mereka.

Setelah mereka bincang-bincangkan, maka telah zahir kepada mereka akan besarnya isu ini. Ini setelah melihat ٱلأَيَـٰتِ (tanda-tanda). Akan tetapi apakah ٱلأَيَـٰتِ itu? Pertamanya kisah tentang para wanita itu telah memotong jari-jari mereka dan kisah itu telah semakin merebak dalam kalangan para pembantu mereka.

Kedua, telah jelas kepada mereka tanda kebenaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak bersalah. Mereka telah lihat bukti yang ada, penjelasan daripada orang yang ada di tempat kejadian, maka telah jelas bagi mereka yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah, sebaliknya wanita-wanita gatal itu. Isu yang besar bukannya siapa yang tidak bersalah tetapi kalau baginda tidak bersalah, maka akan jelaslah bahawa yang bersalah adalah isteri-isteri gatal mereka. Namun mereka tidak mahu perkara ini tersebar kerana akan mengaibkan mereka dan akan terjejaslah status mereka, maka sudah jelas bagi mereka yang mereka mesti menutup kisah ini.

Maka yang ketiga adalah sudah jelas yang isu ini boleh menyebabkan besar kesannya kepada mereka dan negara. Biasalah kalau ada skandal dalam kalangan para pemimpin, maka rakyat sudah tidak percaya lagi dengan mereka. Maka mereka kena buat penutupan kes daripada tersebar.

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ
bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما
Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah ayat Yusuf:35 yang kita lihat sekarang

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ
Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا
Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا
ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

 

لَيَسجُنُنَّهُ ۥ حَتَّىٰ حِينٍ

bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

Setelah mereka bermesyuarat, mereka rasa patut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan ke dalam penjara buat sementara waktu. Sekali lagi digunakan kalimah لَيَسجُنُنَّهُ di dalam bentuk yang paling kuat sekali sebagai penekanan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti dipenjarakan, tidak boleh tidak. Ia juga adalah kalimah yang digunakan oleh isteri Al-Aziz sebelum ini, bukan? Maka ini memberi isyarat yang mastermind di dalam kisah kemasukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara adalah isterinya itulah. Kalau tidak dipenjarakan, mungkin baginda dibunuh. Biar baginda tidak dapat bercakap dengan orang lain. Biar reda kisah baginda apabila baginda tidak kelihatan lagi di khalayak atau dalam kalangan manusia yang ramai. Mereka rasa ini cara terbaik, bagi isteri-isteri mereka dapat melupakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka nanti akan memasukkan baginda ke dalam penjara tanpa melalui proses kehakiman kerana hendak senyapkan isu itu (dan tidak ada alasan kukuh sebenarnya untuk memasukkan baginda). Kalau ada proses perbicaraan, tentu akan terbongkar segala cerita, bukan? Semua ini mereka lakukan untuk menyelamatkan keadaan yang sudah nampak tidak terkawal. Ini kerana kalau baginda masih duduk di dalam rumah, akan ada masalah yang lebih besar pula nanti.

Lagi satu, apabila Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan ke dalam penjara, masyarakat Mesir yang sudah dengar desas desus kisah itu pun akan sangka yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bersalah, bukan wanita-wanita itu. Maknanya, mereka sanggup menyusahkan orang lain semata-mata kerana hendak menjaga maruah mereka. Kerana itulah nanti, apabila Raja hendak mengeluarkan baginda dari penjara, baginda tidak mahu dikeluarkan selagi namanya tidak dibersihkan. Baginda tidak mahu nanti masih ada rakyat yang sangka baginda yang bersalah.

Asalnya, apabila disebut حَتَّىٰ حِينٍ, ia bermaksud mereka memang hendak memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk sementara waktu sahaja. Mungkin Al-Aziz masih sayang lagi dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan hendak menggunakan baginda untuk kepentingan dirinya. Maka tidaklah dia setuju kalau dibiarkan sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus di dalam penjara. Sudah reda kekecohan ini, nanti keluarkanlah balik. Akan tetapi selepas sudah masuk penjara, mereka sudah lupa kepada baginda kerana bukan penting pun baginda bagi mereka. Entah berapa lama tidak diketahui kerana tidak disebut dalam nas. Di dalam kalimah حَتَّىٰ حِينٍ juga tidak disebut berapa lama jangkamasa itu.

Habis Ruku’ 4 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Soalan Ulang Kaji (10 Soalan Pendek)

  1. Bagaimanakah Allah ﷻ memperkenankan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan menghindarkannya daripada tipu daya wanita-wanita yang menggodanya seperti yang dinyatakan dalam Ayat 34?
  2. Apakah syarat yang Allah ﷻ letakkan untuk memperkenankan doa manusia, seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah:183? Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memenuhi syarat ini?
  3. Berikan dua contoh ulama Islam yang memanfaatkan masa di penjara untuk menghasilkan karya penting, seperti yang disebutkan dalam tafsir.
  4. Mengapakah dimasukkan ke dalam penjara bukan suatu kehinaan bagi seorang Mukmin menurut tafsir ini?
  5. Apakah pengajaran utama yang dapat diambil daripada pengalaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di penjara, terutamanya mengenai kesusahan yang memberi manfaat kepada orang lain?
  6. Terangkan mengapa pemenjaraan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh golongan atasan Mesir, meskipun nampak seperti kejayaan rancangan musuh, sebenarnya adalah sebahagian daripada rancangan Allah ﷻ yang lebih besar.
  7. Mengapakah Allah ﷻ menekankan sifat-Nya sebagai “Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” dalam konteks doa?
  8. Nyatakan dua sifat utama Allah ﷻ yang menjadi sebab mengapa umat Islam seharusnya hanya berdoa kepada-Nya dan bukannya kepada selain-Nya.
  9. Apakah “tanda-tanda” (ٱلأَيَـٰتِ) yang dilihat oleh para pemimpin Mesir sehingga mereka memutuskan untuk memenjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Mengapakah para pemimpin Mesir memutuskan untuk memenjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanpa melalui proses kehakiman?

Glosari Istilah Penting

  • Fahaman Sunnah dan Salafussoleh: Kefahaman Islam yang berdasarkan ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan praktik generasi awal Muslim yang soleh.
  • Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an): Kitab tafsir terkenal yang ditulis oleh Sayyid Qutb.
  • Ghaib: Perkara yang tersembunyi, tidak dapat dilihat atau diketahui oleh manusia melainkan dengan izin Allah ﷻ. Manusia tidak mempunyai ilmu ghaib untuk mengetahui perancangan Allah ﷻ.
  • Harfiah: Makna literal atau makna sebenar perkataan.
  • Ikhwanul Muslimin: Sebuah organisasi pergerakan Islam yang diasaskan di Mesir.
  • Jahil: Bodoh, tidak tahu, atau kurang ilmu terutamanya dalam hal agama.
  • Mukmin: Orang yang beriman kepada Allah ﷻ.
  • Nafs (Nafsu): Diri, jiwa, atau keinginan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjaga nafsunya daripada godaan.
  • Nas: Teks asal daripada Al-Qur’an atau Hadith.
  • Orde Lama: Tempoh pemerintahan Presiden Sukarno di Indonesia.
  • Ruku’: Pembahagian dalam surah-surah Al-Qur’an yang biasanya terdiri daripada beberapa ayat, menandakan satu unit tema.
  • Saidatina A’isyah: Isteri Nabi Muhammad ﷺ yang pernah difitnah melakukan zina. Kisahnya menjadi pengajaran.
  • Tafsir Al-Azhar: Kitab tafsir Al-Qur’an yang ditulis oleh Buya Hamka. Ia adalah salah rujukan blog ini.
  • Tawasul: Perbuatan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ melalui perantaraan makhluk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 32 – 33 (Penjara lebih baik)

Yusuf Ayat 32:

قَالَت فَذٰلِكُنَّ ٱلَّذِى لُمتُنَّنِى فِيهِ‌ۖ وَلَقَد رٰوَدتُّهُ ۥ عَن نَّفسِهِۦ فَٱستَعصَمَ‌ۖ وَلَٮِٕن لَّم يَفعَل مَآ ءَامُرُهُ ۥ لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “That is the one about whom you blamed me. And I certainly sought to seduce him, but he firmly refused; and if he will not do what I order him, he will surely be imprisoned and will be of those debased.”

(MALAY)

Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.

 

قالَت فَذٰلِكُنَّ الَّذي لُمتُنَّني فيهِ

Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, 

Isteri al-Aziz pulangkan balik paku buah keras – itulah dia orang yang kamu kutuk aku dahulu dan kamu hairan bagaimana aku boleh jatuh cinta kepada kuli aku, bukan? Kalimah لُمتُنَّن daripada kata dasar ل م م yang bermaksud menyalahkan seseorang untuk sesuatu perkara; teguran; orang yang mencari kesalahan; seseorang yang sentiasa menyalahkan orang lain atau menyalahkan diri sendiri; mencela diri sendiri;

Setelah kumpulan wanita itu pun tidak keruan dek kerana terpukau dengan ketampanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka puaslah hati isteri Al-Aziz itu. Sekarang mereka pun telah mengerat jari sendir dan memuji melambung tinggi sampai berkata Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah malaikat! Itu pun baru sekali tengok! Bayangkan dia yang sudah memelihara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari kecil lagi dan setiap hari ada dengannya.

Sekarang dia sudah berjaya menjalankan rancangannya. Dia hendak mereka pun terpesona dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan melakukan perkara yang memalukan mereka juga. Kalau sebelum ini mereka mengutuknya, dan mereka pun ada benda untuk kutuk, maka sekarang mereka itu hanya dua kali lima sahaja. Begitulah ahli politik dan yang bermain dengan politik. Kalau orang ada rahsia buruk mereka, mereka di dalam genggaman orang itu. Akan tetapi kalau dia pun dapat rahsia buruk orang lain itu, maka sama-sama akan takut untuk membocorkan rahsia masing-masing kerana kalau aku bocorkan rahsia dia, dia akan bocorkan pula rahsia aku!

 

وَلَقَد رٰوَدتُّهُ ۥ عَن نَّفسِهِۦ فَٱستَعصَمَ‌

dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. 

Apabila dia sudah dapat pegang kesalahan yang dilakukan oleh rakan-rakan kumpulan wanita elit di Mesir itu, maka sekarang kita perhatikan dia sudah berani bercakap tanpa rahsia lagi. Sebab dia tahu yang kumpulan wanita elit itu tidak berani mendedahkan kata-katanya itu kerana dia juga memegang rahsia mereka sekarang. Dia mengaku yang dia memang jatuh hati kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan memang dia sudah cuba menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk melakukan penzinaan dengannya. Sekarang kita boleh lihat yang dia tidak malu pun untuk mengaku begitu.

Kalimah فَاستَعصَمَ daripada عصم yang bererti berlindung untuk menolak bahaya. Penambahan huruf ست adalah isyarat kepada kesungguhan. Jadi ia bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersungguh terus berpegang kuat dengan prinsip dan agama dan berjaya melindungi pegangan agamanya. Orang yang ada tali bergantung. Orang yang ada pegangan hidup dan tidak terumbang-ambing dibuai nafsunya. Jadi walaupun dirayu oleh majikannya sendiri yang cantik jelita pula, tidaklah baginda goyah. Namun tidaklah baginda tunggu di situ, bukan? Kita pun tahu yang baginda menjaga agamanya dan maruah dirinya dengan melarikan diri ke pintu. Maka kita kena lakukan sesuatu untuk mengelak dirinya kita daripada jatuh ke lembah kehinaan, bukannya menunggu sahaja dan perasan diri itu kuat!

 

وَلَٮِٕن لَّم يَفعَل مَآ ءَامُرُهُ ۥ

Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, 

Akan tetapi isteri itu kata dia tidak akan berhenti menggoda Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun dahulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tolak, tetapi dia bertekad akan berusaha lagi. Sekarang dia bukan berkata tentang insiden yang dia telah tertangkap hari itu, tetapi dia bermaksud akan ada lagi ajakan daripadanya. Ini kita dapat tahu melalui kalimah يَفعَل yang digunakan. Kerana dia maksudkan perkara yang telah berlalu, maka kalimah فعل yang digunakan. Kalimah يَفعَل di dalam bentuk present and continuous tense.

Dia masih tidak berputus asa walaupun telah jelas dia bersalah dahulu dan suaminya pun sudah tahu apa yang berlaku. Perhatikan yang dia ini tidak takut dan tidak rasa bersalah dan bertaubat pun. Sedangkan suaminya telah menegurnya di dalam ayat 29,

وَٱستَغفِرِى لِذَنۢبِكِ‌ۖ إِنَّكِ ڪُنتِ مِنَ ٱلخَاطِـِٔينَ
dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah

Ayat ini mengajar kita ada orang yang tidak berhenti mengganggu kita dan hendak menjerumuskan kita ke dalam dosa. Maka kita mestilah terus bersabar dan terus melawan. Kerana itu ada ayat yang bukan setakat sebut sabar sahaja tetapi ada penekanan dalam sabar iaitu Ali Imran:200

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah

Ini kerana ada musuh yang berterusan lagi dan lagi menyerang kita. Kita pula tidak ada pilihan lain daripada terus berpegang dengan agama dan iman kita. Namun sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja diancam dengan melakukan maksiat dengan wanita itu, tetapi sekarang sudah menjadi ancaman kepada fizikal baginda pula.

 

لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ

nescaya dia pasti akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.

Kali ini kalau Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berbuat apa yang dia suruh, dia akan masukkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara. Dia hendak meneruskan kata-katanya seperti yang disebut di dalam ayat 25

مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ
Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?

Perhatikan penekanan pada kalimah لَيُسجَنَنَّ yang ada dua huruf taukid iaitu harf ل – Lam al-Qasam (لام القسم) dan ن ada syaddah – Nun at-Taukid ats-Tsaqilah (نون التوكيد الثقيلة) yang bermaksud dia benar-benar akan buat. Jadi ini adalah tahap penekanan yang paling tinggi.

Tujuan dia hendak memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara adalah kerana hendak menghina baginda. Dia kira yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang hina sebab kena duduk dalam penjara. Kalau sebelum ini suaminya suruh dia muliakan tempat tinggal bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang dia akan pastikan tempat tinggal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi tempat yang susah di dalam penjara.

Perhatikan penekanan paling tinggi pada kalimah لَيُسجَنَنَّ namun pada kalimah وَلَيَكُونًا masih ada penekanan, walaupun sudah kurang sedikit. Hanya ada Lam al-Qasam (لام القسم) sahaja. Ini kerana dia pasti dia boleh memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara dengan pengaruh dan kuasa yang dia ada; walaupun dia kurang pasti sikit yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang terhina apabila dimasukkan ke dalam penjara. Ia cuma harapannya sahaja.

Kalimah ٱلصَّـٰغِرِينَ daripada kalimah صغر yang bermaksud kecil. Dia hendak jadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kecil dan hina kerana sebelum ini golongan wanita itu telah membesarkan baginda di dalam ayat sebelum ini: أَكبَرنَهُ. Juga dia hendak mengecilkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana pada dia, apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menolak permintaannya, baginda telah mengecilkan dan menganggap enteng tidak bernilai sahaja arahannya, maka sekarang dia mahu membalas dendam.

Begitulah jenis perempuan yang sanggup berbuat apa sahaja kalau mereka sudah hendakkan sesuatu dan tidak fikirkan kesannya lagi. Dia hendak membalas dendam dan hendak puaskan hatinya sahaja. Memang ada wanita yang macam itu. Sebab itulah Allah ‎ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an tentang wanita jenis semacam ini. Kita kena berhati-hati dengan wanita yang sebegini kerana mereka sudah tidak mengikut akal yang waras lagi. Apabila manusia ada kuasa, mereka boleh membuat apa-apa sahaja dengan orang bawahan. Sampai boleh dimasukkan ke dalam penjara kerana bukti yang tidak ada pun mereka boleh adakan. Jadi isteri Al-Aziz tentu ada kuasa kerana kita pun tahu, pasangan pemimpin pun ada kuasa juga.

Oleh itu kita boleh lihat bagaimana wanita ini bukanlah wanita yang baik. Oleh kerana itu kita tidak dapat menerima dengan mudah kisah yang mengatakan dia adalah Zulaikha yang akhirnya menjadi orang baik dan kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang terpikat dengannya dan kemudian berkahwin dengannya. Sampai ada orang letak dalam kad undangan nikah,

“Ya Allah,
Satukanlah hati kedua mempelai ini,
seperti mana Engkau satukan hati
Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha,
dan seperti Engkau satukan hati
Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah;

Ini mengarut sahaja kerana tidak ada kisah yang sahih tentang perkara itu. Jadi kita hanya ada kisah dalam Al-Qur’an yang mengatakan dia itu adalah wanita yang teruk. Kalau hendak mengatakan yang dia berubah menjadi baik dan akhirnya berkahwin dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka kenalah ada riwayat yang sahih. Ini kerana kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperlakukan seperti yang disebut dalam ayat ini, tentulah tidak mudah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkannya.

Perhatikan yang wanita ini bercakap di khalayak ramai di hadapan rakan kenalannya. Tidak ada seorang pun yang disebut melawan atau menegurnya. Memang begitulah apabila bersama kawan-kawan yang sealiran. Kalau ada yang rasa tidak selesa pun, mereka tidak berani menegur kerana takut dipandang serong dan dibuang kawan. Jadi ramai akan ikut sahaja. Hanya orang yang kuat dan berani sahaja yang sanggup menegur. Kerana itu Islam mengajar kita untuk menegur kesalahan yang berlaku di hadapan kita, jangan buat senyap sahaja.

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Sahih Muslim: hadith 49; Sunan Abi Dawud: hadith 4340; Sunan At-Tirmidzi: hadith 2169; Sunan An-Nasa’i: hadith 5007.

Kalau kita ada kuasa, maka kita boleh menghalang kemungkaran itu daripada dilakukan. Sekiranya kita tidak ada kuasa, maka sekurang-kurangnya kita menegur mereka. Kalau ini pun tidak mampu, barulah boleh kita tolak dengan hati kita; akan tetapi jangan kita terus tolak dengan hati sedangkan kita ada kemampuan bercakap. Ramai orang senyap membisu sedangkan dia boleh sahaja berkata sesuatu.


 

YANG LEBIH KECIL DARIPADA DUA KEJAHATAN

Yusuf Ayat 33:

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدعُونَنِىٓ إِلَيهِ‌ۖ وَإِلَّا تَصرِف عَنِّى كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلجَـٰهِلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, prison is more to my liking than that to which they invite me. And if You do not avert from me their plan, I might incline toward them and [thus] be of the ignorant.”

(MALAY)

Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.

 

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدعُونَنِىٓ إِلَيهِ‌

Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengar ancaman daripada wanita itu untuk memasukkannya ke dalam penjara (kalau tidak mengikut kehendaknya). Sebenarnya, wanita itu hendakkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memasuki penjara bukan untuk hukum baginda, tetapi mahukan baginda mengalah sahaja dan mengikut cakapnya. Sebab itu tidak ada penghakiman pun bila hendak memasukkan baginda ke dalam penjara (untuk dimasukkan dengan cara yang benar, kenalah ada perbicaraan). Oleh itu, dia dimasukkan dengan cara yang salah iaitu dengan membisikkan sahaja kepada suaminya. Suaminya itu pula kalah dengan isteri sendiri.

Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengar apa yang wanita itu hendak buat, baginda pun mengeluh atau mengadu kepada Allah ‎ﷻ seperti dalam ayat ini. Baginda tidak menjawab pun kepada wanita itu sebaliknya baginda bercakap dengan Allah ﷻ. Inilah yang kita selalu lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi lain buat, iaitu mereka selalu kembali dan mengadu kepada Allah ‎ﷻ, inilah yang kita harus contohi. Kita kena ikut cara mereka dengan berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ kerana kita hamba yang lemah. Apa-apa hal pun mengadu kepada Allah ‎ﷻ, kemudian usaha untuk buat apa yang kita mampu.

Adakah baginda bercakap dengan suara yang boleh didengari atau hanya dalam diri baginda sahaja? Dua-dua ada kemungkinan dan kita tidak pasti dengan jelas bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah suka masuk penjara; akan tetapi kalau dibandingkan dengan berbuat dosa, baginda lebih rela dimasukkan ke dalam penjara sahaja. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lebih rela dipenjarakan daripada terjerumus dalam fitnah isteri Al-‘Aziz adalah satu bentuk “tark al-awla” (meninggalkan pilihan yang lebih utama). Baginda bukannya berdoa supaya dimasukkan ke dalam penjara, tetapi kalau itu sahaja pilihan yang ada, maka baginda lebih rela masuk penjara. Jadi baginda lebih kepada mengadu dan mengeluh kepada Allah ﷻ, bukannya berdoa supaya dimasukkan ke dalam penjara.

Ada pendapat yang mengatakan salah doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Sepatutnya baginda minta afiyah (diselamatkan daripada mara bahaya), maka Allah ﷻ pasti akan selamatkan baginda daripada masuk penjara. Malah ada riwayat yang mengatakan Allah ﷻ menegur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tidak minta afiyah. Salah satu riwayat yang masyhur adalah hadith yang konon diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan lain-lain, yang intinya:

“Allah mewahyukan kepada Yusuf: ‘Engkau telah memilih penjara, padahal jika engkau meminta afiyah (perlindungan) dari tipu daya mereka, sungguh Aku akan melindungimu’.”

Riwayat ini mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah tersalah di dalam meminta. Malah ia digunakan sebagai dalil untuk mengajar kita supaya berhati-hati di dalam menyusun doa supaya tidak tersalah doa. Akan tetapi majoriti ulama tafsir dan hadith, seperti Ibnu Katsir, Ibnu Taimiyyah, dan Al-Qurthubi, menegaskan bahawa riwayat-riwayat ini tidak memiliki sanad (rantai periwayat) yang sahih. Mereka berpendapat bahawa cerita-cerita seperti ini adalah cerita yang berasal daripada sumber-sumber non-Islam dan tidak boleh dipercayai atau dinisbahkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, hujah ini ditolak oleh majoriti ulama kerana ia dilihat tidak mengambil kira konteks unik dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    • Tiada Pilihan Lain: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam keadaan terkepung dan tidak ada jalan keluar lain. Semua pintu telah ditutup. Oleh itu, baginda tidak meminta penjara, tetapi memilih penjara sebagai jalan keluar yang paling munasabah untuk menyelamatkannya daripada dosa.
    • Prioriti Agama: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendahulukan keselamatan agamanya daripada keselamatan fizikalnya. Baginda melihat penjara sebagai suatu ‘afiyah’ jika dibandingkan dengan dosa besar.
    • Perbezaan Ujian: Ujian yang pertama (terjerumus dalam maksiat) adalah ujian iman yang paling besar, manakala ujian yang kedua (penjara) adalah ujian kesabaran. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih ujian yang lebih ringan dari segi agama.

Oleh itu, kalimah “penjara lebih aku sukai” adalah perbandingan antara dua pilihan yang buruk: terjatuh dalam dosa atau dipenjara. Baginda memilih yang paling ringan, iaitu penjara. Lagi pun sukar untuk kita menerima yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersilap di dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ sedangkan baginda diberikan kelebihan memahami mimpi, percakapan dan kejadian yang berlaku. Takkanlah baginda tidak pandai menyusun doa kalau begitu.

Jadi kalimah أَحَبُّ yang disebut oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukanlah kerana baginda cinta atau suka hendak masuk penjara pula, tetapi sebaliknya kerana cinta kepada Allah ﷻ dan agama. Inilah cinta yang terpuji. Namun kadangkala ada cinta yang membawa kepada keburukan. Perhatikan kalimah أَحَبُّ ini telah digunakan di dalam ayat 8 sebelum ini:

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا
ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri

Ketika itu abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam tempat gelap (telaga) kerana hendak mendapat cinta bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cinta mereka itu adalah cinta yang bengkok, sanggup melakukan kesalahan untuk mendapatkan cinta. Sebaliknya perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup memasukkan diri baginda ke dalam tempat yang gelap (penjara) untuk mendapatkan cinta Allah.

Kalau kita lihat pengaduan baginda, kita boleh lihat yang kalimah yang digunakan adalah مِمّا يَدعونَني yang bermaksud ‘mereka’ yang berkehendak (bukan wanita itu seorang sahaja). Namun bukankah isteri al-Aziz itu sahaja yang pujuk baginda? Memang sekarang doa baginda terhadap mereka kerana sekarang mereka beramai-ramai memujuk baginda untuk mengikut kata wanita itu. Atau, setelah mereka semua telah melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara berdepan, mereka pun sudah teringin kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Mereka pun sudah buat rancangan berbagai-bagai untuk mendampingi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bukankah Al-Aziz pun sudah berkata tentang rancangan para wanita di zamannya itu di dalam ayat 28,

إِنَّهُ ۥ مِن ڪَيدِكُنَّ‌ۖ إِنَّ كَيدَكُنَّ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kalian, sesungguhnya tipu daya kalian adalah besar”

Waktu itu terus Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak cakap ‘tentang’ Allah ‎ﷻ, tetapi bercakap ‘dengan’ Allah ‎ﷻ. Ada kemungkinan  yang baginda berdoa itu di hadapan wanita-wanita itu, supaya mereka pun dengar juga keputusan baginda. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengadu kepada Allah ‎ﷻ yang baginda lebih rela duduk dalam penjara daripada kalah dengan ugutan wanita itu.

Pengajaran bagi kita adalah dalam memilih mana yang lebih baik bagi agama kita. Sebagai contoh, kita ada pilihan rumah besar atau rumah kecil. Rumah besar itu di pekan, dekat dengan segala keperluan dan dekat dengan tempat hiburan; sedangkan rumah yang kecil itu jauh dari bandar tetapi dekat dengan masjid; sekarang mana satu pilihan kita? Adakah rumah besar atau rumah kecil? Ini saya serahkan anda untuk membuat pilihan.

Sebenarnya tidak ada masalah pun untuk masuk penjara bagi orang mukmin. Kerana dunia ini sendiri adalah ‘penjara’ bagi kita. Telah disebut hadith tentang hal ini,

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ يَعْنِي الدَّرَاوَرْدِيَّ عَنْ الْعَلَاءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz Ad-Darawardi daripada Al Ala` daripada ayahnya daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.”

(Sahih Muslim No. 5256)

Syarah hadith: Bagi seorang mukmin, kehidupan di dunia ini penuh dengan batasan dan ujian. Seorang mukmin tidak boleh melakukan apa sahaja yang disukainya, kerana dia terikat dengan syariat Allah. Dia tidak boleh menikmati perkara-perkara yang haram seperti arak, zina, atau riba. Ini menjadikan dunia seolah-olah penjara yang membatasi nafsu dan keinginannya. Seorang mukmin yang bertaqwa akan sentiasa berasa tidak selesa dengan kejahatan dan fitnah di dunia. Dia akan sentiasa menantikan kebebasan yang hakiki, iaitu nikmat syurga di akhirat kelak. Walaupun dia berasa gembira di dunia, kegembiraan itu tidak dapat dibandingkan dengan kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ. Jadi kalau hendak menjaga agama itu kena masuk penjara, maka ke penjaralah kita.

Maka pengajaran bagi kita, kadangkala untuk kita menegakkan kebenaran atau menjaga agama kita, kita akan disusahkan di dunia. Para ulama’ dulu pun ada yang dipenjarakan kerana tidak bersetuju dengan pemimpin yang memaksa mereka ikut cakap mereka. Akan tetapi mereka lebih suka dimasukkan ke dalam penjara dan hilang kebebasan mereka dan mungkin disakiti ketika di dalam penjara itu, berbanding mereka menukar pendirian mereka.

Maka kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sangatlah banyak pengajarannya dan kita belum sampai separuh pun lagi kisah baginda ini. Namun berapa ramaikah orang kita tahukah kisah dan pengajaran ini? Kalau ditanya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentu yang mereka cakap hanyalah: ‘Nabi Yusuf hensem kacak!’ Itu sahaja mereka tahu. Ini seperti kita sampaikan sebuah kisah kejayaan seseorang kerana dia baik, belajar rajin-rajin dan mula berniaga kecil-kecilan. Dia jatuh sekejap tetapi kerana dia sabar, dia berjaya melepasi kesusahan dia dan akhirnya berjaya. Habis kita cerita, orang yang kita ceritakan itu tanya: ‘Dia gemuk ke dia kurus, ustaz?’ Adakah patut soalan itu yang ditanya?

 

وَإِلّا تَصرِف عَنّي كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ

Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) 

Baginda terus mengadu: Seandainya Allah ‎ﷻ tidak bantu untuk menghilangkan rancangan mereka, baginda akan أَصبُ (cenderung) kepada kehendak wanita-wanita itu. Ia daripada kata dasar ص ب و yang bermaksud cenderung, mendambakan, merindui, mempunyai kecenderungan seperti kanak-kanak, sabiyyan – budak lelaki/lelaki/lelaki, kanak-kanak, budak lelaki (juga ditulis dengan ص ب ي). Oleh kerana itu kalimah أَصبُ juga digunakan untuk menyebut sifat kebudakan – ini kerana kalau budak-budak, mereka akan buat sesuatu tanpa berfikir panjang. Kalau mahukan sesuatu seperti permainan, cakap macam mana pun, mereka mahu juga kerana mereka budak dan hanya tahu ikut kehendak nafsu mereka sahaja.

Di sini baginda mengaku terus terang dengan Allah ‎ﷻ bahawa keamanan kesuciannya tidaklah terjamin kalau baginda tidak dipisahkan oleh Allah ‎ﷻ daripada mereka. Kerana baginda masih muda dan takut boleh rebah dengan pujukan mereka. Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berlindung daripada menjadi begitu dan baginda mengaku yang Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menjaga hatinya dan menyelamatkannya. Begitulah juga dengan kita, kadang-kadang kita hendak lawan nafsu, tetapi takut akan kalah juga kerana kita tidak kuat melawan kehendak nafsu kita. Mintalah tolong kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ yang jaga hati-hati kita.

Di dalam dunia ini, ada 3 perkara yang hendak menjerumuskan kita ke lembah kehinaan:

1. Nafsu
2. Syaitan yang sentiasa hendak menyesatkan kita
3. Ajakan luaran seperti manusia, suasana atau masyarakat yang hendak menarik kita.

Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita tahu baginda amat hendak menjaga maruah dan agamanya. Akan tetapi 3 perkara itu tetap juga hendak menarik baginda dan baginda akui perkara itu. Apa yang baginda boleh lakukan adalah berpegang teguh tetapi baginda tahu yang baginda juga memerlukan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Tidaklah baginda berlagak dengan kekuatan dirinya. Baginda sedar yang baginda adalah manusia. Maka kalau seorang Nabi pun begitu, apatah lagi kita? Maka hendaklah kita berharap kepada pertolongan dan perlindungan dengan Allah ‎ﷻ.

 

وَأَكُن مِّنَ ٱلجَـٰهِلِينَ

dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.

Baginda mengaku yang kalau baginda mengikut saranan wanita-wanita itu, tentu baginda menjadi orang yang jahil. Kenapa pula jahil ada dalam perkara ini? Oleh itu kita kena faham maksud jahil itu sendiri. Ia mempunyai beberapa maksud.

1. Ia lawan kepada hilm (الحِلْم) iaitu akhlak (sifat) yang sangat terpuji seperti kesabaran, kelembutan, atau kebijaksanaan dalam mengendalikan diri. Mereka akan memikirkan kesan daripada satu-satu tindakan. Orang yang jahil tidak ada sifat-sifat ini, buat ikut suka sahaja.

2. Ia lawan kepada aqal. Akal manusia digunakan untuk berfikir dan orang yang jahil tidak fikir pun apabila buat sesuatu.

3. Aqil juga bermaksud ‘mengikat’ di dalam bahasa Arab seperti tali yang mengikat unta. Jadi kalimah aqal digunakan apabila seseorang menggunakan akalnya untuk ikat dan kawal emosi dan nafsunya. Jadi kalimah ‘jahil’ adalah seseorang yang tidak dapat mengawal emosi dan ikut kehendak hati sahaja (dan tidak mengikut akal). Maka di sini juga mengajar kita yang kalau kita ikut hawa nafsu, maka kita adalah orang yang bodoh. Kerana itulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa di dalam Baqarah:67

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

Apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ untuk menyembelih lembu dan mereka berikan alasan kurang ajar, baginda sudah terasa yang baginda akan hilang kawalan emosi sampai boleh memarahi mereka. Maka cepat-cepat baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya baginda tidak jadi begitu kerana orang yang ikut emosi adalah orang yang jahil.

Maka begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon perlindungan daripada Allah ‎ﷻ supaya baginda diselamatkan. Perhatikan baginda minta perlindungan sebelum ia terjadi lagi, bukannya setelah terjadi. Jadi kita jangan sampai terhantuk baru minta pertolongan Allah ﷻ kerana telah terlambat.

 

Kuiz Surah Yusuf Ayat 32-33

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.

  1. Apakah maksud isteri Al-Aziz apabila dia berkata, “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya”?
  2. Bagaimanakah penolakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap godaan isteri Al-Aziz digambarkan dalam ayat 32, dan apakah maknanya?
  3. Apakah dua ancaman utama yang dilontarkan oleh isteri Al-Aziz kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jika baginda tidak menurut kehendaknya?
  4. Mengapakah penekanan pada kalimah لَيُسجَنَنَّ (pasti dipenjarakan) lebih tinggi berbanding وَلَيَكُونًا (dan dia akan menjadi) dalam ayat 32?
  5. Apakah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan sebaik sahaja mendengar ancaman isteri Al-Aziz, dan mengapa tindakan ini penting untuk dicontohi?
  6. Terangkan mengapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata “penjara lebih aku sukai” daripada berbuat dosa, dan kaitkan dengan konsep cinta yang terpuji.
  7. Mengapakah majoriti ulama menolak riwayat yang menyatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersalah dalam doanya kerana tidak meminta afiyah?
  8. Apakah maksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah أَصبُ إِلَيهِنَّ (cenderung kepada mereka) dalam doanya, dan apakah pengajaran daripadanya?
  9. Dalam konteks ayat ini, apakah maksud “jahil” (ٱلجَـٰهِلِينَ) yang disebutkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Bagaimanakah hadith “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir” relevan dengan pilihan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dipenjarakan?

Glosari Istilah Penting

  • Isteri Al-Aziz: Wanita yang menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengancam untuk memenjarakannya. Gelar suaminya, ‘Al-Aziz’, menandakan kedudukannya yang tinggi di Mesir.
  • ٱلجَـٰهِلِينَ (Al-Jāhilīn): Kalimah Arab yang bermaksud “orang-orang yang bodoh”. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada mereka yang mengikut emosi dan hawa nafsu tanpa menggunakan akal atau sifat hilm.
  • Afiyah: Istilah Arab yang bermaksud perlindungan, keselamatan, atau kesejahteraan daripada mara bahaya.
  • Tark al-awla: Konsep dalam fiqh Islam yang bermaksud “meninggalkan pilihan yang lebih utama” atau “mengambil yang kurang baik untuk menghindari yang lebih buruk”.
  • Hilm (الحِلْم): Akhlak terpuji yang merangkumi kesabaran, kelembutan, dan kebijaksanaan dalam mengendalikan diri. Lawannya adalah “jahil”.
  • Lam al-Qasam (لام القسم): Huruf penekanan dalam bahasa Arab yang berfungsi seperti sumpah atau ikrar, menunjukkan kepastian.
  • Nun at-Taukid ats-Tsaqilah (نون التوكيد الثقيلة): Nun bertasydid (ganda) yang merupakan salah satu bentuk penekanan yang kuat dalam bahasa Arab.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)