Tafsir Surah Baqarah Ayat 86 – 87 (Yahudi bunuh Nabi-nabi mereka)

Baqarah Ayat 86: Ini adalah penutup kepada kisah Yahudi jenis ketiga ini. Allah jelaskan kenapa mereka jadi begitu punya teruk.

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

Those are the ones who have bought the life of this world [in exchange] for the Hereafter, so the punishment will not be lightened for them, nor will they be aided.

Malay

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ

Mereka yang bersifat seperti itu, mereka membeli kehidupan dunia ini dengan menjual akhirat;

Iaitu mereka yang tidak mengambil keseluruhan ajaran dari kitab wahyu, sama ada Kitab Taurat atau Al-Qur’an. Ia adalah mereka yang memilih-milih manakah hukum yang mereka hendak pakai dan tinggalkan mana yang tidak suka. Ini kerana mereka mementingkan keduniaan daripada akhirat.

Kalimah الدُّنيا dari kata dasar د ن و yang bermaksud dekat, datang dekat, rendah, merendahkan, lebih kurang. Dari maksud ini kita boleh tahu yang dunia ini memang orang suka kerana dekat dengan mata dan kelihatan bergemerlapan; akan tetapi ia adalah rendah dan hina kalau dibandingkan dengan akhirat.

Maknanya, mereka beli neraka sebenarnya. Mereka hendakkan dunia sahaja dan tidak kisah dengan nasib mereka di akhirat. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka sebagai ketua masyarakat Arab dan harta benda mereka yang ada pada masyarakat Arab. Ini adalah kerana masyarakat Arab itu adalah kawan mereka dan mempunyai kepentingan dalam urusan keduniaan mereka. Mereka sayangkan kedudukan dan kewangan mereka, sampaikan ada undang-undang dalam Taurat yang mereka sanggup tolak.

Ayat ini selalunya digunakan berkenaan orang kafir – mereka menjual akhirat untuk membeli dunia. Namun dalam ayat ini, ia adalah tentang mereka yang telah diberikan kitab, tetapi tidak mengikut ajaran dalam kitab itu. Maknanya, sama sahaja kita dengan mereka kalau tidak mengikuti keseluruhan kitab Al-Qur’an yang telah diberikan kepada kita.

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia sampai lupakan akhirat. Bukanlah salah kalau kita hendak mencari dan menggunakan dunia, namun janganlah bangga sangat dengan kehidupan dunia sahaja sampai tidak hiraukan akhirat. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja – maka gunakanlah sekadar yang cukup itu sudah memadai. Janganlah kerana hendakkan dunia, sanggup membuat perkara-perkara bid’ah seperti mengambil upah menjadi tekong Tahlilah, Selamatan, Solat Hajat berjemaah dan lain-lain lagi.

Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?

Perhatikan di dalam ayat ini Allah menggunakan perumpamaan ‘beli’ sedangkan sebenarnya yang mereka lakukan adalah ‘tukar’. Ini adalah kerana apabila seseorang itu membeli, tentulah dia buat dengan sengaja dan dia beli barang yang dia suka hendak beli, bukan? Jadi Allah tekankan di sini yang mereka itu memang sengaja buat apa yang mereka tanpa ada paksaan dari sesiapa (kerana tiada orang beli kerana terpaksa) dan memang mereka suka apa yang mereka lakukan.

Akan tetapi pembelian mereka itu adalah satu pembelian yang sangat bodoh. Mereka bayar dengan harga yang mahal (akhirat) untuk beli barang yang sangat buruk (dunia). Ini macam beli kereta yang sudah rosak tidak ada pintu dan tidak boleh jalan tapi bayar beratus ribu ringgit. Tentulah ia perbuatan  yang bodoh, bukan?

 

فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

Maka tidak diringankan sedikit pun azab daripada mereka;

Azab yang akan dikenakan kepada mereka tidak diringankan, walaupun satu hari, satu jam atau satu saat. Tidak akan dikurangkan kekuatan api yang membakar mereka nanti.

Nanti akan disebut dalam ayat-ayat lain ada ahli neraka yang cuba memohon supaya dikurangkan azab neraka, minta ditangguhkan, tetapi semua permintaan mereka tidak dilayan oleh Malaikat Penjaga Neraka nanti. Lihat Ghafir:49-50 untuk mendapat gambaran apa yang akan terjadi di akhirat nanti,

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ

Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنٰتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعٰؤا الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ

Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

Azab di neraka memang tidak akan berkurangan, malah ia akan bertambah. Kalau api yang membakar itu hendak malap, akan ditambah lagi kepanasannya. Ini disebut di dalam Isra’:97

مَّأوَٮٰهُم جَهَنَّمُ‌ۖ ڪُلَّمَا خَبَت زِدنَـٰهُم سَعِيرًا

Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

Dan ini dikuatkan lagi dalam ayat Naba’:30

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا

(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

 

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan;

Tidak diberi pertolongan dari sesiapa pun. Adakah sesiapa yang berani hendak menolong mereka yang duduk dalam neraka? Tidak akan ada yang berani. Yang sudah memasuki syurga pula tidak akan ingat sesiapa pun yang pernah mereka kenal dahulu semasa di dunia. Sama ada emak atau ayah, adik atau abang, isteri atau suami – mereka tidak akan ingat lagi.

Sebab kalau mereka teringat, mereka akan berasa sedih. Dan syurga bukanlah tempat untuk bersedih lagi. Oleh itu, tidak ada orang yang akan mendoakan untuk mereka nanti selepas mereka yang telah melakukan kejahatan itu memasuki neraka.

Maka, kita hanya boleh mengharapkan diri kita sahaja untuk melepaskan diri kita. Sebab kalau kita ada orang yang kita kenal memasuki syurga, mereka pun sudah tidak ingatkan kita lagi.

Tidak ada sesiapa yang akan menolong kita nanti. Apabila kita mengadap Allah ‎ﷻ di Hari Pengadilan, kita akan berseorangan. Kita akan menghadap Allah ‎ﷻ seorang diri. Tidak akan sesiapa yang akan bersama kita yang boleh menolong.

Habis Ruku’ 10 dari 40 surah ini


 

BANI ISRAIL MENOLAK NABI-NABI MEREKA

Baqarah Ayat 87: Ini adalah tentang golongan Yahudi yang keempat. Bukan setakat mereka tolak kitab, tetapi Nabi mereka sendiri pun mereka boleh bunuh. Maknanya orang yang mengajar kitab itu sendiri mereka dustai dan ada yang mereka bunuh. Orang beriman yang mengikuti para Nabi pun mereka bunuh. Maknanya mereka ini adalah jenis yang lebih teruk.

وَلَقَد ءَاتَينَا موسَى ٱلكِتَـٰبَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَءَاتَينَا عيسَى ابنَ مَريَمَ ٱلبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدنَـٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ

Sahih International

And We did certainly gave Moses the Torah and followed up after him with messengers. And We gave Jesus, the son of Mary, clear proofs and supported him with the Pure Spirit. But is it [not] that every time a messenger came to you, [O Children of Israel], with what your souls did not desire, you were arrogant? And a party [of messengers] you denied and another party you killed.

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

 

وَلَقَدْ ءَاتَينَا مُوسَى ٱلكِتَـٰبَ

Dan sesungguhnya Kami kurniakan kepada Musa kitab;

Di sini Allah sebut Nabi dan Rasul utama mereka iaitu Nabi Musa. Baginda telah dikurniakan dengan Kitab Taurat untuk mengajar agama kepada Bani Israil. Nabi-nabi selepas baginda juga menggunakan Kitab Taurat juga sebagai panduan agama. Ini adalah kerana Kitab Taurat adalah panduan syariat bagi Bani Israil. Ini adalah rahmat dari Allah berkenan memberi ilmu wahyu kepada mereka untuk membimbing mereka.

 

وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ

dan Kami susuli selepas dia, rasul demi rasul;

Selepas Nabi Musa عليه السلام, tugas telah disambung oleh Nabi-nabi yang lain. Lafaz perkataan قَفَّ bermaksud ‘bertali arus’ – seperti biji butir tasbih dan bersambung-sambung satu demi satu. Keturunan Bani Israil memang dikurniakan dengan banyak sekali Nabi dari kalangan keturunan mereka. Tidak putus Rasul dari kalangan mereka sampailah kepada Nabi Isa عليه السلام.

Ini adalah lokasi tempat tinggal mereka adalah tempat yang strategik kerana ramai manusia hidup di situ. Juga kerana mereka bangsa yang degil yang kena diperingatkan selalu dengan nasihat dan ajaran. Tapi mereka pula yang salah faham, perasan mereka umat pilihan kerana banyak Nabi dari kalangan mereka. Kalau kita buat perbandingan, seorang pelajar yang kena banyak cikgu tuisyen dan pelajar yang tidak perlu cikgu tuisyen, mana lagi bagus dan pandai? Yang tak perlu cikgu tuisyen lah sebab dia pandai sendiri. Tapi pelajar yang kena banyak cikgu tuisyen itu sebab banyak subjek dia bermasalah!

 

وَءَاتَينَاعِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ

Dan Kami berikan kepada Isa bin Maryam;

Salah seorang Nabi yang datang selepas Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi Isa عليه السلام anak kepada Maryam. Ini adalah Nabi terakhir Bani Israil tapi baginda telah ditolak oleh Yahudi. Maknanya sampai Nabi terakhir mereka pun mereka tolak.

Di sini kita boleh baca عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ (Isa anak Maryam). Hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang berbinkan ibunya. Manusia yang lain semuanya akan dipanggil berbinkan nama ayah mereka. Tidak akan dipanggil manusia nanti dengan nama ibu mereka di Mahsyar kelak melainkan Nabi Isa عليه السلام sahaja. Ini adalah kerana Nabi Isa tidak mempunyai ayah dan baginda sahaja satu-satu manusia yang tidak ada ayah (selain Nabi Adam). Di sini juga Allah hendak menekankan yang Nabi Isa itu anak emaknya Maryam, bukan anak Tuhan.

Jadi Nabi Isa sahaja dinasabkan dengan ibunya. Tetapi puak ajaran sesat yang mengamalkan sihir, apabila hendak menyihir, mereka mesti akan menggunakan nama emak kepada seseorang itu. Termasuk juga golongan bomoh, pawang dan Uskun (Ustaz Dukun). Sebab itulah kita selalu dengar orang akan bertanya: apa nama emak?Kalau ada orang yang seperti itu, maka beredarlah dari bersamanya lagi. Ini kerana mereka sebenarnya pakai jin dan jin hendak tahu nama emak seseorang, baru dia boleh cari. Kalau bagi nama bapanya, belum tentu lagi itu benih bapanya yang sebenar, tapi kalau emak, itu pasti emaknya dan tidak ada orang lain.

Dan lihatlah bagaimana pada waktu membacakan talqin, tekong yang membacakan talqin itu akan membacakan nama ibu si mati itu juga. Datang dari manakah ajaran itu? Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana hadith-hadith talqin semuanya tidak sahih. Tapi begitulah orang kita amalkan sesuatu tanpa tahu punca asal, mereka pakai ikut dan amalkan sahaja.

Ayat ini dibacakan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام, sedangkan baginda tidak diterima sebagai Nabi oleh mereka. Kenapa begitu? Allah ‎ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام dalam ayat ini sebagai teguran kepada mereka kerana mereka tidak menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Nabi mereka. Maka Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka sebenarnya kerana baginda juga dari keturunan Bani Israil. Mereka sahaja yang tidak  menerimanya dan terdapat kecaman Allah di dalam ayat ini.

 

ٱلبَيِّنَـٰتِ

dengan bukti-bukti kebenaran;

Baginda diberikan dengan Kitab Injil dan juga mukjizat atau tanda-tanda lain yang jelas. Antaranya baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan penyakit, menghidupkan orang yang mati dan banyak lagi. Akan tetapi Allah tidak sebut kitab Injil dan mukjizat-mukjizat baginda melainkan menggunakan istilah ٱلبَيِّنَـٰتِ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan bahawa sifat tanda-tanda itu adalah jelas nyata; yang menolaknya hanyalah yang degil keras kepala dan menidakkan naluri insani sendiri. Begitu jugalah Al-Qur’an pun jelas juga dan sepatutnya diambil pengajaran darinya. Ia boleh difahami seperti disebut di dalam Qamar:17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Maka salahlah pegangan ramai orang yang mengatakan Al-Qur’an itu susah untuk difahami dan hanya boleh difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Kerana ada fahaman salah beginilah yang menyebabkan sunyinya pembelajaran tafsir Al-Qur’an di sebelah Nusantara kita.

Apabila sampai kepada Nabi Isa عليه السلام, baginda masih lagi memakai Kitab Taurat sebagai sumber syariat. Ini adalah kerana Nabi Isa عليه السلام tetap dari Bani Israil dan baginda tetap menegakkan syariat Kitab Taurat. Walaupun baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Ini adalah kerana syariat masih lagi menggunakan Kitab Taurat pada waktu itu.

 

وَأَيَّدنَـٰهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ

dan Kami kuatkan baginda dengan Ruh Qudus;

Ruh Qudus (Roh yang disucikan) yang dimaksudkan adalah Malaikat Jibril عليه السلام. Ada juga pendapat yang mengatakan roh Nabi Isa sendiri yang disucikan. Akan tetapi pendapat yang lebih kuat adalah ia merujuk kepada Jibril. Ini seperti firman Allah di dalam Nahl:102

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ

Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar

Allah ‎ﷻ bantu Nabi Isa عليه السلام dengan Jibril عليه السلام sebagai kekuatan semangat. Ini kerana baginda tidak ada ayah. Ini menandakan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu lemah dari segi kedudukan baginda dalam masyarakat. Pengikut baginda pun tidak ramai. Ini menunjukkan yang baginda bukanlah ‘Anak Tuhan’, kerana baginda masih memerlukan sokongan. Kalau baginda Anak Tuhan, tidaklah perlu pertolongan sampai begitu. Antara pertolongan Jibril kepada Nabi Isa:

1. Baginda dilahirkan dengan tiupan dari Jibril
2. Jibril memelihara baginda daripada diganggu syaitan ketika kelahiran baginda
3. Jibril sentiasa mendampingi baginda untuk mempertahankan baginda dari kejahatan golongan Yahudi
4. Jibril yang mengangkat Nabi Isa ke langit.

Jibril عليه السلام sentiasa mendampingi Nabi Isa عليه السلام seperti yang disebut dalam hadith. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام sahaja. Kepada Nabi Muhammad ﷺ, Jibril عليه السلام hanya datang semasa membawa wahyu dan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Nabi Muhammad ﷺ pernah mengajak Jibril عليه السلام untuk datang berjumpa baginda walaupun tanpa membawa wahyu. Jibril عليه السلام menjawab bahawa malaikat hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka hanya turun selepas diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ. Tetapi, puak-puak silat boleh pula berkata Jibrail عليه السلام menjaga mereka kerana mereka selalu seru Jibril عليه السلام.

Ingatlah bahawa hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang Jibril عليه السلام sentiasa dampingi. Dan Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit ketika baginda berumur 33 tahun. Nabi Isa عليه السلام tidak ada rumah kerana baginda sentiasa tabligh menyampaikan dakwah kepada umatnya. Dan baginda hanya berjaya mendapatkan 12 orang pengikut sahaja. Nabi Nuh عليه السلام berdakwah selama 950 tahun, cuma dapat 83 orang sahaja yang mengikutinya semasa dalam bahtera.

Dan Nabi-nabi lain, ada yang langsung tidak ada pengikut. Ada yang ada hanya seorang sahaja pengikut. Dalam Surah Yaasin, disebutkan kisah tiga orang Nabi yang diutus kepada satu bandar dan tiga orang itu hanya dapat seorang pengikut sahaja yang bernama Habib bin Najar. Jadi kalau kita berdakwah tetapi tidak mendapat pengikut, maka janganlah rasa terkilan. Sedangkan ada Nabi yang tidak ada pengikut. Adakah mereka tidak benar kalau tidak ada pengikut?

 

أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ

Apakah setiap kali rasul-rasul datang kepada kamu yang membawa ajaran yang tidak mengikut nafsu kamu;

Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ untuk bertanya kepada golongan Yahudi itu untuk berdakwah kepada mereka dan untuk membongkar keburukan mereka dahulu. Apa yang mereka telah lakukan terhadap para Nabi mereka?

Ajaran yang benar selalunya akan berlawanan dengan kehendak nafsu, iaitu nafsu mereka yang hendak membuat tawasul, membuat syirik dan buat itu dan ini yang tidak mengikut ajaran agama. Rasul-rasul itu datang melawan kehendak mereka. Maka apakah mereka buat?

 

اسْتَكْبَرْتُمْ

Kamu semua sombong;

Maksud ‘sombong’ adalah tidak mahu mengikut jalan yang benar. Kerana rasa diri lebih besar dari yang sepatutnya. Sombong adalah satu penyakit yang akan menyebabkan tidak boleh menerima dakwah agama. Kalau kita sombong, maka kita tidak akan dapat menerima ajaran agama. Begitulah apa yang terjadi kepada golongan Yahudi itu. Apabila ada Nabi yang datang kepada Bani Israil, mereka sombong tidak mahu ikut. Mereka rasa mereka lagi baik dari nabi-nabi mereka itu.

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti golongan Yahudi ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Muhammad menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulu pun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong. Ini penting kerana Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
Sahih Muslim (51)

Ini amat menakutkan kerana kalau tidak masuk syurga, maka tentulah masuk neraka! Tapi apakah sombong itu? Rasulullah sendiri menjelaskan maksud sombong di dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dari Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Sahih Muslim no. 91)

 

فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ

Maka sebahagian dari rasul itu kamu dustakan mereka;

Kenapa Allah ‎ﷻ kata mereka dustakan nabi-nabi mereka, padahal mereka kata mereka terima nabi Musa عليه السلام dan nabi-nabi yang lain? Ini kerana walaupun mereka kata mereka terima, tetapi mereka tidak mengikut cakap nabi-nabi mereka. Mereka persoal kata-kata Nabi-nabi mereka sendiri. Mereka tuduh apa yang Nabi bawa itu adalah dusta sahaja, sedangkan apa yang mereka bawa itu adalah wahyu. 

 

وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

dan sebahagian dari rasul-rasul itu, kamu bunuh;

Ini lebih lagi iaitu mereka bunuh terus para Nabi mereka. Mereka rasa lebih baik nabi-nabi itu dibunuh kerana mereka kata nabi-nabi itu menipu. Ini kerana walaupun selepas mereka kata yang Nabi itu penipu, masih ada lagi yang mengikuti ajaran Nabi itu, maka mereka mengambil keputusan baik dibunuh sahaja Nabi itu. Itu sudah sampai tahap yang paling buruk. Sudahlah mereka tidak mahu mengikut ajaran Kitab, kemudian mereka tuduh pula yang Nabi-Nabi yang membawa ajaran Kitab itu menipu, akhirnya mereka sanggup bunuh Nabi-Nabi itu. Antara yang kita tahu dibunuh adalah Nabi Zakariya, Nabi Yahya. Malah Nabi Isa pun Yahudi buat tohmahan supaya baginda dibunuh oleh kerajaan Rom.

Perkataan تَقْتُلُونَ yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk “present continous tense” sedangkan kalimah كَذَّبْتُمْ sebelum ini di dalam bentuk fi’il madhi. Ini memberi bayangan perkara itu masih segar dalam ingatan kerana buruknya perbuatan mereka itu. Allah suruh kita bayangkan perkara itu seorang-olah ia sedang berlaku. Lagi satu tafsir, kerana perbuatan membunuh itu masih lagi akan berlaku. Iaitu orang-orang alim dan para ulama’ dibunuh oleh kuasa yang tidak suka dengan teguran. Oleh kerana itu, kita pun boleh perasan bagaimana perangai ini pun masih ada dalam masyarakat Islam juga. Kita tidaklah bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun berapa banyak ulama’-ulama’ dari kalangan kita yang telah dibunuh oleh kerajaan yang tidak dapat menerima mereka? Hanya kerana para ulama’ itu menyampaikan kebenaran?

Maknanya orang Islam pun ada juga mengikut perbuatan buruk Bani Israil. Kita juga tahu bahawa nabi-nabi dari kalangan Bani Israil telah pernah ditangkap, diseksa dan dibuat macam-macam, bukan? Begitu juga dengan ulama’-ulama’ kita. Berapa banyak ulama’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah رحمه الله dan banyak lagi telah dilayan dengan buruk oleh ketua negara mereka? Bagaimana pula dengan ulama’-ulama’ zaman moden ini? Tidakkah banyak kisah kita dengar mereka juga telah diperlakukan sebegitu? Kadangkala kerana tidak ada tauliah sahaja sudah ditangkap dan dipenjarakan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 84 – 85 (Ikut Qur’an separuh-separuh)

Baqarah Ayat 84: Sekarang dibuka lagi perjanjian yang telah dilanggar oleh Bani Israil. Kalau sebelum ini tentang perkara yang mereka kena lakukan, sekarang tentang perkara yang mereka sepatutnya tinggalkan. Untuk memahami ayat ini, kena tahu Asbabun Nuzul ayat ini. Puak Yahudi di Madinah ada beberapa kumpulan dan ada dua kumpulan yang besar: Bani Nadhir dan Bani Quraizah (selain dari puak-puak yang lain). Di sini disebutkan kisah mereka secara ringkas kerana akan ada lagi kisah mereka dalam surah lain nanti.

Kedua-dua puak Yahudi itu menganut agama yang sama tetapi jadi berpuak kerana kawan mereka dari kalangan Arab juga berpuak dan berbalah. Kawan mereka itu adalah dari puak Arab Madinah dan mereka pula tidak mempunyai asas agama. Dua puak yang dimaksudkan itu adalah puak Aus dan puak Khazraj. Bani Nadhir berkawan dengan puak Khazraj dan bani Quraizah berkawan dengan puak Aus.

Puak Aus dipimpin oleh Sa’ad bin Muaz dan puak Khazraj pula dipimpin oleh Sa’ad bin Ubaadah (dua-dua nama Sa’ad). Mereka itu sentiasa berbalah dan berperang sesama sendiri dan dikatakan mereka telah 40 tahun berperang tanpa henti. Ini adalah kerana keturunan mereka akan mengingatkan (mewasiatkan) kepada anak-anak mereka untuk terus bermusuhan dengan puak musuh mereka. Apabila mereka berperang, penaung-penaung mereka dari bani Nadhir dan bani Quraizah itu juga turut sama berperang kerana membantu kawan mereka.

Ada syariat dalam Kitab Taurat yang menyebut, kalau ada bangsa Yahudi ditawan, mereka yang tidak ditawan mesti mengumpulkan duit dan menebus mereka yang telah ditawan. Dan diarahkan supaya jangan berperang sesama sendiri. Dan jangan sekali-kali menghalau bangsa mereka dari daerah tempat mereka tinggal. Inilah tiga undang-undang dalam Taurat:

1. Jangan berperang sesama sendiri.
2. Kalau ada yang ditawan dari kalangan mereka, maka mesti ditebus.
3. Jangan halau keluar dari daerah.

Malangnya mereka telah melanggar undang-undang ini apabila mereka berperang sesama sendiri dan ikut berperang bersama bangsa Arab Yathrib. Dan apabila pihak Yahudi yang lawan itu kalah, mereka menghalau puak yang kalah itu dari tempat tinggal mereka.

Tetapi dalam masa yang sama, apabila ada orang Yahudi yang ditawan oleh pihak lawan bangsa Arab, puak-puak Yahudi yang menjadi musuh, sanggup pula ditebus. Jadi mereka ikut mana yang mereka mahu ikut sahaja. Ada syariat yang mereka ikut dan ada yang mereka tolak begitu sahaja.

Apabila sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang telah lama tinggal di Madinah membaca ayat-ayat ini, barulah mereka tahu perkara ini. Dan mereka boleh faham apa yang dimaksudkan kerana mereka sudah lama kenal dengan Yahudi itu dan mereka tahu bahawa apa yang disebutkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah benar seperti yang terjadi.

Jadi Allah ‎ﷻ ulang sebut apakah undang-undang yang ada dalam Taurat.

وَإِذ أَخَذنا ميثٰقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيَـٰرِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدونَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [saying], “Do not shed each other’s blood or evict one another from your homes.” Then you acknowledged [this] while you were witnessing.

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثٰقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian dengan kamu semua;

Kalimah مِيثَاقَ bermaksud satu perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Dua-dua pihak tahu ia adalah perjanjian yang besar dan perlu dijaga (seperti akad nikah suami isteri). Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ ‎tentang perjanjian yang telah diikat antara Allah ‎ﷻ dan Bani Israil.

 

لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءَكُمْ

Janganlah kamu menumpahkan darah sesama kamu;

Kita lihat di sini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat لَا تَسْفِكُونَ dan memang selalu diterjemahkan sebagai kalimah nahi (larangan) supaya jangan berbunuhan. Akan tetapi kalau di dalam format larangan, kalimat yang biasa digunakan adalah لَا تَسْفِكُوا di dalam bentuk fi’il amar dan bukannya لَا تَسْفِكُونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’. Kalau لَا تَسْفِكُونَ, ia adalah di dalam bentuk khabar (pemberitahuan). Akan tetapi apabila digunakan kalimat لَا تَسْفِكُونَ ia mengandung penekanan yang lebih dalam, kerana suatu larangan yang dikemukakan dalam bentuk berita, lebih tinggi penekanannya daripada yang secara tegas berbentuk larangan. Yang berbentuk berita menunjukkan bahawa ia memang telah dilaksanakan, sedang yang berbentuk perintah boleh jadi tidak dilaksanakan. Jadi di sini ia mengandungi larangan dan juga teguran kerana mereka memang telah melakukannya. Oleh itu ayat ini walaupun ia berbentuk khabar tapi ia membawa maksud larangan.

Oleh itu Bani Israil telah diperingatkan supaya jangan berbunuhan sesama mereka kerana mereka semua adalah umat yang dalam satu agama. Ajaran ini juga ada dalam Islam. Nabi ﷺ telah bersabda yang mafhumnya, membunuh seorang Muslim adalah seperti membunuh semua Muslim. Tetapi tidakkah kita lihat bagaimana dari dahulu sampai sekarang, banyak sekali Muslim berbunuhan sesama sendiri? Ini adalah kerana kita pun seperti juga Bani Israil, telah banyak meninggalkan ajaran agama kita sendiri.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah disuruh berbaik-baik dengan semua orang. Kalau tidak berbaik itulah yang sampai menumpahkan darah. Apabila hak-hak sesama Muslim tidak dijaga, maka hasilnya tidak baik. Mula-mula mereka hanya tidak suka antara satu sama lain. Kemudian telah mula berbantah-bantah. Lama-kelamaan akan ada perang yang kecil. Kemudian, perang yang besar akan berlaku kalau ia tidak dikawal. Kadangkala sampai bertahun-tahun (buang masa, harta dan nyawa). Kerana itu kena dijaga hubungan dari awal lagi. Oleh itu kita kena tahu bagaimana cara berkomunikasi, hormat menghormati sesama lain.

 

وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيَـٰرِكُم

Dan janganlah kamu keluarkan diri-diri kamu dari kampung halaman kamu;

Maksudnya, jangan menghalau. Iaitu ‘buang negeri’. Tidak mungkin kita hendak keluarkan ‘diri kita’ pula. Maksudnya, jangan keluarkan sebahagian dari orang Yahudi dari kampung halaman mereka. Ini adalah kerana mereka itu sebahagian dari diri mereka juga. Allah ‎ﷻ telah melarang mengeluarkan orang Yahudi lain dari kampung halaman mereka.

Dalam Islam juga perkara yang sama telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Tetapi malangnya, dalam banyak kejadian, ada ulama’-ulama’ yang dikeluarkan dari negara mereka kerana tidak sama pendapat dengan pemimpin yang tidak mahu mengikuti nasihat mereka.

Sama ada dikeluarkan dari negara, atau mereka dilayan dengan teruk sampai mereka sendiri terpaksa meninggalkan negara itu. Ada yang dikeluarkan kerana desakan dari negara bukan Islam. Hanya kerana takut kepada orang kafir, ada negara Islam yang mengikut telunjuk orang kafir.

Lihatlah bagaimana apa yang terjadi dahulu masih lagi berlaku sekarang. Dan akan berlaku di masa hadapan nanti. Al-Qur’an bukanlah kitab untuk bacaan zaman dahulu sahaja. Apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an akan sentiasa berlaku sampailah ke hari Kiamat nanti. Ia terus menjadi peringatan bagi kita kerana manusia memang mudah lupa.

 

ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ

Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian itu;

Puak Yahudi dan datuk nenek mereka telah berikrar untuk mengikuti ajaran-ajaran yang ada dalam Taurat itu. Maknanya mereka telah mengaku. Allah ﷻ perli mereka: ‘apakah kamu sudah lupa?”

 

وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan kamu sendiri menjadi saksi

Orang Yahudi di zaman Nabi Muhammad pun tahu tentang perkara ini dan mereka bersaksi akannya. Mereka sendiri tahu bahawa perjanjian ini ada terdapat dalam Kitab Taurat mereka. Bukannya mereka tidak baca Taurat itu. Kalau bukan semua tahu apa yang ada dalam Taurat, tetapi ahli agama mereka sepatutnya tahu.

Sama juga dengan ajaran dalam Al-Qur’an, walaupun bukan semua orang awam tahu, tetapi ada ulama’ dan ahli agama yang tahu. Kenapa mereka tidak mengingatkan umat? Kenapa mereka berdiam diri sahaja kalau ada kemungkaran yang dilakukan oleh manusia?


 

Baqarah Ayat 85: Selepas perjanjian yang mereka ambil dengan Allah, lihatlah apa yang mereka telah lakukan.

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ تَقتُلونَ أَنفُسَكُم وَتُخرِجونَ فَريقًا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِم تَظَـٰهَرُونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَٱلعُدوٰنِ وَإِن يَأتوكُم أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُم وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيكُم إِخراجُهُم ۚ أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Then, you are those [same ones who are] killing one another and evicting a party of your people from their homes, cooperating against them in sin and aggression. And if they come to you as captives, you ransom them, although their eviction was forbidden to you. So do you believe in part of the Scripture and disbelieve in part? Then what is the recompense for those who do that among you except disgrace in worldly life; and on the Day of Resurrection they will be sent back to the severest of punishment. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

 

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ

Kemudian kamu ini, (bangsa Yahudi);

Iaitu Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ terus bercakap dengan mereka. Ini kerana ada kalimah هٰؤُلاءِ yang bermaksud dekat di sini iaitu digunakan apabila orang yang kita bercakap dengannya itu dekat dengan kita dan boleh dengar kita. Jadi ini adalah sesuatu yang agak keras bila Allah ‎ﷻ terus bercakap kepada mereka. Allah menggunakan kalimah ثُمَّ yang mengandungi maksud kemudian yang jauh kerana apa yang mereka lakukan itu jauh dari pemikiran akal yang sihat.

Penggunaan perkataan Allah ‎ﷻ ini menunjukkan ketakjuban dan kehairanan Allah ‎ﷻ terhadap mereka. Seolah-olah orang yang marah dengan berkata: “Kamu ini…….kenapa dengan kamu ini…..?” Orang-orang yang sama juga yang telah mengambil perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi masih lagi tidak mahu ikut perjanjian yang mereka telah berjanji untuk pegang.

 

تَقْتُلُونَ أَنْفُسَكُمْ

kamu berbunuhan sesama kamu;

Yang berperang sebenarnya adalah puak Aus dan Khazraj (Bangsa Arab Madinah waktu itu). Kaum Yahudi yang menyokong salah satu dari puak Aus dan Khazraj itu juga turut berperang bersama mereka, kerana menyebelahi puak yang mereka sokong. Oleh kerana itu, mereka juga berbunuhan dengan puak Yahudi yang lain.

Ayat ini menyebut mereka berbunuhan dengan diri sendiri. Akan tetapi mereka tidak membunuh diri mereka, bukan? Ini kerana Muslim adalah sebahagian Muslim yang lain, maka kalau bunuh Muslim yang lain, seperti membunuh diri sendiri. Allah berfirman di dalam Hujurat:10

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Lagi satu, jikalau kita bertindak membunuh orang lain, maka itu mengundang orang juga menyerang untuk membunuh kita, Maka kita telah menyebabkan diri kita dibunuh pula nanti.

 

وَتُخرِجونَ فَريقًا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِم

Dan kamu mengeluarkan satu puak Yahudi dari kalangan kamu dari kampung halaman mereka;

Perkataan فَرِيقًا yang digunakan bermaksud ‘kumpulan yang lain’. Kita sangka mereka kumpulan yang lain. Puak Yahudi itu juga melihat itu adalah puak yang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa mereka itu adalah sebahagian dari mereka juga. Mereka telah keluarkan sebahagian dari ‘diri’ mereka sendiri.

 

تَظَـٰهَرُونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَٱلعُدوٰنِ

kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan

Kalimah تَظَـٰهَرُونَ dari kata dasar: ظ ه ر yang bermaksud zahir, menjadi jelas, keluar ke hadapan, menaiki tempat tinggi, mengetahui, membezakan dengan lain, jadi jelas, masuk waktu tengahari (Dzuhur), tidak ambil kisah, membantu, belakang, menyokong, zihar isteri. Iaitu mereka telah menolong Kaum Aus dan Khazraj dalam peperangan mereka. Puak Yahudi itu sanggup bantu puak Arab yang berkawan dengan mereka sampai mereka sanggup tinggalkan ajaran dari Kitab Taurat, kitab mereka sendiri.

Mereka bantu membantu dalam melakukan dosa, dan ini adalah amat buruk sekali. Kalau bantu membantu dalam melakukan kebaikan, memanglah elok, tapi kali ini bantu membantu dalam keburukan. Allah telah berfirman di dalam Maidah:2

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ

Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran

Kalimah الإِثمِ merujuk kepada dosa yang melibatkan perlanggaran hak Allah; sedangkan kalimah ٱلعُدوٰنِ melibatkan dosa yang melibatkan perlanggaran hak manusia atau dosa dengan manusia seperti ambil hak mereka, bunuh, seksa, ganggu dan sebagainya.

 

وَإِن يَأتوكُم أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُم

Dan sekiranya mereka (Yahudi lawan kamu itu) datang sebagai tawanan, kamu tebus mereka;

Jadi semasa berlaku peperangan antara mereka, ada orang-orang dari Kaum Yahudi yang terlibat dengan peperangan itu yang terbunuh dan ada yang tertawan. Apabila berlaku tawanan, lawan mereka dari golongan Yahudi yang ditawan akan meminta tebusan. Kalimah تُفَـٰدُوهُم dari kata dasar: ف د ي yang bermaksud memberi sesuatu, tebusan, beli, membebaskan seseorang, tukar dengan orang lain sebagai ganti, koleksi. Yang kita biasa dengar adalah istilah fidyah jikalau memerlukan ganti puasa.

Di sini Allah perli dan tegur mereka: “Walaupun yang ditawan itu adalah dari pihak lawan, tetapi kamu sanggup pula tebus mereka.” Ini kerana mereka masih ingat yang itu adalah ajaran dari Taurat. Dan mereka sanggup pula melakukan perkara ini kerana ia lebih senang untuk diamalkan.

Mereka sangka mereka telah berbuat baik dengan membayar tebusan mereka itu. Mereka rasa mereka sudah mengikut ajaran Taurat. Tetapi mereka lupa bahawa itu hanyalah sebahagian sahaja dari arahan Allah ‎ﷻ dalam kitab mereka.

Macam itu jugalah kita orang Islam sekarang. Kadang-kadang memang kita ada buat ibadat yang baik dan mengikut ajaran Al-Qur’an. Kita sangka itu sudah cukup. Kita buat supaya kita adalah juga buat amalan seorang ‘Muslim’. Tapi kita lupa bahawa banyak lagi yang kita tinggalkan atau kita langgar arahan dari Allah ‎ﷻ. Macam artis-artis kita yang setahun sekali akan pergi buat Umrah sebab mereka hendak ‘cuci’ dosa mereka. Mereka rasa mereka sudah selamat sebab mereka sudah pergi Umrah. Mereka hendak sedapkan hati mereka sahaja. Lepas balik dari Umrah, sambung balik buat ‘show’ dan terus buat perancangan untuk membuat album nyanyian yang baru.

Orang kebanyakan pun macam itu juga. Mereka rasa apabila mereka sudah gantung ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan di rumah dan pejabat, itu sudah cukup Islam. Adakah Al-Qur’an itu layak dijadikan perhiasan sahaja? Mereka sangka, apabila khitan, sudah jadi Muslim sejati. Kalau salat tidak pernah tinggal, sudah pasti menjadi ahli syurga. Adakah begitu sahaja sudah cukup? Tentu tidak.

 

وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ

sedangkan mengeluarkan mereka itu adalah haram atas kamu;

“Ingatlah kembali perjanjian kamu dahulu dengan Allah ‎ﷻ.” Pertama, jangan berperang sesama sendiri. Kedua, jangan keluarkan kaum kamu dari kampung halaman. Dan ketiga, kalau ada yang ditawan, mereka mesti ditebus.

Mereka hanya amalkan undang-undang yang ketiga, tetapi mereka lupakan perjanjian yang pertama dan kedua itu.

Kalau ditanya kepada mereka: “Kenapa kamu tebus mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami disuruh untuk berbuat begitu”.

Dan kalau ditanya: “Kenapa perangi mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami tidak sanggup sekutu kami menderita kekalahan!”

 

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ

Apakah patut kamu percaya setengah daripada Kitab Taurat;

Sekarang Allah ‎ﷻ tegur mereka dengan keras. Adakah kamu beriman separuh-separuh dari kitab wahyu kamu?

Ada sebahagian dari ajaran dari Taurat yang mereka ikut, tetapi ada yang mereka tinggalkan begitu sahaja. Mereka keluarkan kaum mereka dari kampung halaman, tetapi mereka tebus pula golongan mereka yang ditawan. Mereka pilih-pilih mana yang mereka rasa mereka hendak buat.

Dalam agama, bukan seperti itu. Kena buat semua sekali (jadi kena belajar semua sekali). Maka kita umat Islam sekarang kena ingat kesalahan yang telah dilakukan oleh Yahudi ini. Jangan kita pula ikut mereka.

 

وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

dan kamu kufur dengan setengah yang lain?

Mereka memang beriman dengan sebahagian ajaran dalam Kitab Taurat itu, tetapi tentang hal bunuh membunuh itu, mereka tidak ikut. Mereka tebus kalau ada kaum mereka yang ditawan, tetapi mereka buat-buat lupa tentang larangan menghalau kaum mereka dari kampung halaman. Lihatlah bagaimana mereka amal separuh dan tinggalkan separuh dari ajaran Kitab Taurat mereka.

Adakah kita buat macam itu juga? Memang ada. Masyarakat kita pun ada buat begitu juga. Kita beriman dalam perkara yang menguntungkan kita, tetapi kalau tidak menguntungkan kita, kita tidak ikut. Sebagai contoh, Hukum Hudud itu adalah sebahagian dari Islam, tetapi kita tidak ikut. Kita tolak begitu sahaja arahan yang jelas yang ada dalam Al-Qur’an. Kalau bab zakat, faraid, kelam kabut kita hendak pastikan kita dapat bahagian kita pula. Itulah memilih namanya.

Padahal, kalau kita hanya beriman separuh sahaja Al-Qur’an itu, kita sudah tidak dikira beriman penuh sebenarnya. Al-Qur’an itu kita kena terima semua sekali, tidak boleh pilih-pilih mana yang kita hendak. Kerana itu lihat susunan ayat yang Allah gunakan. Allah berfirman أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ dan bukanlah أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ ولا تُؤمِنونَ بِبَعضٍ (adakah kamu beriman dengan sebahagian dari kitab dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain). Ini kerana bukankah beriman lawannya tidak beriman? Akan tetapi Allah tekankan yang jikalau beriman separuh-separuh dengan wahyu menjadikan seseorang itu kufur. Jadi ini amat bahaya.

Yang menyedihkan, ada kalangan orang yang belajar agama pun buat begitu juga. Bila ditanyakan kepada mereka kenapa tidak buat semua sekali yang Allah ‎ﷻ suruh, mereka akan berikan pelbagai alasan. Alasan-alasan itu semua dari pemikiran intelek mereka, bukan dari nas agama. Mereka cuma beralasan. Kemudiannya, orang awam yang lagi tidak tahu tentang agama, akan terima alasan intelek mereka itu sebagai dalil agama. Maka, akan rosaklah agama mereka.

Kita ini sebagai Muslim dan Mukmin, hendaklah ikut taat apa sahaja suruhan larangan Allah dan juga RasulNya. Allah telah berfirman di dalam Ahzab:36

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Jangan pilih separuh-separuh tapi turunlah segala arahan wahyu. Allah telah berfirman di dalam Baqarah:208

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Dari Baqarah:208 ini kita dapat tahu yang mengajar ikut separuh-separuh ini adalah syaitan. Syaitan tak suka kita ikut wahyu. Jadi dia akan pandu kita untuk ikut separuh supaya kita rasa ada ala-ala Muslim, tapi di dalam masa yang sama dia bisikkan supaya kita tinggalkan separuh lagi. Kerana itu ramailah yang solat tapi tak puasa, puasa tapi tak solat, solat tapi tak tutup aurat, jaga ibadah tapi zalim pada orang, doa kepada Allah dan doa juga kepada batu dan kayu dan macam-macam lagi yang dilakukan oleh manusia yang menolak sebahagian dari wahyu.

 

فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ

Maka tiada lagi balasan atas sesiapa yang melakukan demikian dari kalangan kamu;

Pasti Allah akan balasan kesalahan yang telah dilakukan (beriman separuh-separuh) itu. Takhwif (penakutan) dalam ayat ini diberikan juga kepada semua agama, sama ada dari kalangan Yahudi, atau dari golongan kita yang beragama Islam ini.

 

إِلّا خِزيٌ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا

melainkan penghinaan dalam kehidupan dunia ini lagi;

Allah ‎ﷻ memberi kehinaan kepada mereka semasa di dunia lagi. Nanti Bani Quraizhah akan dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali (disebut di dalam Surah Ahzab); Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti (disebut di dalam Surah Hasyr). Dan di zaman Saidina Umar mereka semuanya diusir terus dari Tanah Arab.

Lihatlah bagaimana manusia tidak memandang mereka dalam hal agama. Hanya hal dunia sahaja yang mereka dipandang tinggi kerana orang-orang Yahudi memang jenis kaya-raya dan bijak otak mereka. Tetapi, walaupun mereka kaya, namun mereka tidak mulia dan dibenci oleh semua orang.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan memberikan kehinaan kepada mereka yang buat seperti itu. Kalau kaum juga Muslim berbuat begitu, maka mereka pun akan dikenakan dengan balasan yang sama. Seperti orang Iraq dahulu yang telah menyerang dan memasuki Kuwait. Sampai sekarang, Negara Iraq telah dihina kerana negara mereka telah dimasuki dan dihuni oleh tentera Amerika.

 

وَيَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ

Dan pada hari Akhirat nanti, kamu akan dihumban ke dalam azab yang amat dahsyat;

Ini lagi teruk, terus masuk neraka apabila Kiamat kelak. Lihatlah penggunaan kata-kata oleh Allah ‎ﷻ ini. Banyak jenis azab Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ gunakan perkataan: أَشَدِّ الْعَذَابِ – azab yang paling teruk! Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat-amat teruk, tidak dapat dibayangkan!

Inilah yang akan dikenakan kepada mereka yang tahu tentang agama, tetapi mereka pilih-pilih mana yang mereka hendak ikut. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini hendaknya. Semoga kita belajar semua sekali arahan Allah ‎ﷻ dan kita ikut semua sekali arahan-Nya.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai terhadap apa yang kamu lakukan;

Maknanya, Allah ‎ﷻ akan membalas kesalahan yang dilakukan itu. Allah ‎ﷻ tidak akan biarkan sahaja. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia melihat apa yang kita buat semuanya. Malangnya, kita tidak perasan ayat ini. Kita berani buat macam-macam kesalahan sebab kita tidak rasa Allah ‎ﷻ melihat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 83 (Perjanjian dengan Bani Israil)

KEGAGALAN BANI ISRAIL MENEPATI PERJANJIAN DENGAN ALLAH ‎ﷻ

Baqarah Ayat 83: Ini jenis Yahudi ketiga, iaitu Yahudi yang hidup pada zaman Nabi Muhammad ﷺ dan sekarang akan disebut apakah perangai buruk mereka. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka telah diliputi oleh dosa dan sekarang disebut apakah perlanggaran dosa yang mereka telah lakukan. Mereka masih mengikut perangai buruk datuk nenek mereka dahulu. Perangai tersebut masih ada lagi walaupun mereka itu keturunan yang jauh daripada keturunan zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada para sahabat Nabi ﷺ tentang perangai buruk golongan Yahudi itu. Jangan mereka ada tanggapan yang Yahudi zaman mereka sudah tidak mengikut perangai datuk nenek mereka. Ini kerana mungkin ada para sahabat yang menyangka, perangai buruk itu hanya ada pada golongan datuk nenek Yahudi sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

Mereka juga ada perangai buruk seperti golongan terdahulu. Maka Allah ‎ﷻ beritahu keburukan Yahudi yang duduk di Madinah. Allah ‎ﷻ mahu para sahabat berhenti menjadikan golongan Yahudi itu sebagai tempat rujukan. Jangan lagi pandang Yahudi itu sebagai golongan yang mulia. Allah ‎ﷻ bongkar perangai mereka supaya hilang anggapan mulia sahabat terhadap puak Yahudi itu.

Ayat ini mengingatkan para sahabat untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ dengan sepenuhnya. Ini adalah amat penting kerana ia terdapat di dalam Syahadah. Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, bermakna kita mesti menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita kena ingat bahawa hanya dengan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja yang boleh mendapat pahala.

Kita kena rasa cukup dengan ajaran Nabi ﷺ. Tidak perlu campur dengan ajaran lain. Kita mestilah bersikap tegas dalam hal ini. Kita kena ada dalil untuk melakukan mana-mana amalan ibadat kita. Jangan gunakan yang luar daripada wahyu. Jangan amal amalan ibadat yang kita tidak ada dalil. Ini menolak perbuatan amal bid’ah kerana amalan bid’ah tidak ada dalil.

Latar belakang ayat ini: Para sahabat ada yang pernah belajar dengan golongan Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah. Apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah berada bersama mereka, ada dalam kalangan mereka yang tidak menerima Nabi ﷺ sepenuhnya kerana mereka masih lagi terkesan dengan apa yang mereka belajar daripada golongan Yahudi.

Maka ada yang selepas mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, mereka pergi rujuk kepada orang Yahudi. Di sinilah Allah ‎ﷻ telah membongkar perangai Yahudi di dalam ayat-ayat ini. Tidak patut Yahudi itu dijadikan rujukan kerana ajaran mereka sendiri pun mereka tolak.

Ayat ini juga ditujukan kepada kita juga. Jangan kita sangka Bani Israil sahaja yang ada membuat kesalahan ini. Kalau kita juga ada perangai sebegini, kita pun ada masalah macam mereka juga. Oleh itu, kita kena periksa sifat-sifat buruk ini, takut-takut kita ada sifat-sifat itu.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَ بَني إِسرٰءِيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰڪِينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِّنكُم وَأَنتُم مُّعرِضونَ

Sahih International

And [recall] when We took the covenant from the Children of Israel, [enjoining upon them], “Do not worship except Allah ; and to parents do good and to relatives, orphans, and the needy. And speak to people good [words] and establish prayer and give zakah.” Then you turned away, except a few of you, and you were refusing.

Malay

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِي إِسرٰءِيلَ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Bani Israil;

Ayat-ayat selepas ini menyebut tentang ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Taurat dan Bani Israil yang sudah bersetuju untuk mengikutinya. Ia adalah ringkasan kepada ajaran-ajaran yang paling penting. Ia memang ada di dalam Taurat tetapi mereka tidak gunakan. Oleh sebab itu, Allah  meletakkannya kembali di dalam Al-Qur’an. Allah  hendak mengingatkan bahawa mereka dahulu sudah berjanji untuk beramal dengan Kitab Taurat dan sekarang Allah ‎ﷻ bentangkan kembali apakah ajaran-ajaran itu. Allah ‎ﷻ gunakan kalimat بَنِي إِسرٰءِيلَ dan إِسرٰءِيلَ adalah nama laqab Nabi Ya’kob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka adalah anak keturunan baginda. Maka ingatlah yang mereka mestilah menjadi baik seperti baginda juga kerana itulah tok mereka.

Sebelum ayat ini, telah disebutkan bahawa kita perlu beriman dan beramal dengan amalan yang soleh. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ terangkan sebahagian daripada amal soleh itu. Ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Ia bukanlah perkara senang dilakukan melainkan bagi mereka yang ada iman. Maka, kita haruslah berusaha untuk mengamalkannya. Yang penting, kena tahu dahulu apakah yang kita perlu buat.

 

لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ

Jangan sekali-kali kamu sembah melainkan kepada Allah jua;

Lafaz ‘sembah’ itu maksudnya ibadat, adat dan doa. Ibadat adalah perhubungan antara Allah ‎ﷻ dan hamba (habluminallah). Sedangkan adat pula adalah syariat tentang hubungan sesama makhluk (habluminannas).

Apabila dikatakan sembah Allah ‎ﷻ sahaja, maka jangan buat amalan syirik atau ada fahaman syirik. Oleh itu, doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadat pun hanya serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mesti tolak amalan-amalan syirik. Kalau kita buat begitu, barulah sempurna penyembahan kita kepada Allah ‎ﷻ. Malangnya ramai yang tidak tahu mereka ada sembah selain Allah ‎ﷻ. Selalunya mereka tidak sedar mereka sedang berbuat syirik kerana mereka jahil tentang Tauhid dan Syirik. Ini semua berpunca daripada mereka yang tidak belajar wahyu Al-Qur’an.

Arahan untuk hanya sembah Allah ‎ﷻ juga dibawa oleh Nabi-nabi yang lain kepada umat mereka. Ini kerana ajaran tauhid ini sama sahaja kepada mana-mana Nabi pun. Oleh kerana itu walaupun di dalam ayat ini adalah tentang perjanjian dengan Bani Israil, tetapi ia juga tertakluk kepada kita juga. Jangan sangka teguran yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Bani Israil dan arahan kepada mereka adalah untuk mereka sahaja.

Mari kita bincangkan tentang penggunaan bahasa pula. Kita lihat di sini Allah ‎ﷻ gunakan kalimat لَا تَعْبُدُونَ dan memang selalu diterjemahkan sebagai kalimah nahi (larangan) supaya jangan sembah selain Allah ‎ﷻ. Akan tetapi kalau di dalam format larangan, kalimat yang biasa digunakan adalah لَا تَعْبُدُوا di dalam bentuk fi’il amar (arahan) dan bukannya لَا تَعْبُدُونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense). Untuk لَا تَعْبُدُونَ, ia adalah di dalam bentuk khabar. Akan tetapi kalimat لَا تَعْبُدُونَ mengandungi penekanan yang lebih dalam, kerana suatu larangan yang dikemukakan dalam bentuk berita, lebih tinggi penekanannya daripada yang secara tegas berbentuk larangan. Yang berbentuk berita menunjukkan bahawa ia memang telah dilaksanakan, sedang yang berbentuk perintah boleh jadi tidak dilaksanakan. Maka di sini ia mengandungi larangan dan juga teguran kerana mereka memang telah melakukannya. Walaupun ia berbentuk khabar tetapi ia membawa maksud larangan.

 

وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحْسَانًا

Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu;

Kalau tadi tentang ibadat, sekarang tentang ‘adat’ pula. ‘Adat’ adalah syariat yang mengajar bagaimana berhubungan sesama makhluk. Manakala hubungan dengan makhluk lain yang paling penting adalah dengan ibu bapa kita. Potongan ayat ini adalah dalam lafaz ‘mafhum mutlak ‘– satu ayat yang lengkap – Allah ‎ﷻ tidak memasukkan sekali dengan potongan ayat yang lain.

Iaitu, Allah ‎ﷻ tidak pula berkata begini: “Berbuat baiklah dengan ibubapa kamu, kaum kerabat kamu, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Akan tetapi Allah ‎ﷻ berkata “Berbuat baiklah dengan ibubapa kamu”. Kemudian, baru Allah ‎‎ﷻ menambah kumpulan-kumpulan yang lain. Ini meletakkan kelebihan dan kepentingan berbuat baik dengan ibubapa kita. Maknanya, ia amat penting dan mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Lihatlah Allah ‎ﷻ sebut berbuat baik dengan ibubapa sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang Tauhid. Maka ia sudah jatuh nombor 2 selepas ajaran Tauhid. Ini memberi isyarat tentang kepentingan berbuat baik dengan ibubapa. Ini kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita, akan tetapi ibubapa lah penyebab kita boleh lahir ke dunia ini. Di dalam hadith juga telah memberi isyarat kepada hal ini,

عن عبدالله إبن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبى صلى الله عليه وسلّم : أيّ الأعمال أحبّ إلى الله ؟ قال : الصلاة على وقتها. قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : برّ الوالدين . قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله
“Daripada Abdillah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi ﷺ; Amalan manakah yang lebih Allah suka? Rasulullah ﷺ menjawab: Sembahyang pada waktunya. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa. Aku berkata: Kemudian apa? Rasulullah ﷺ menjawab: Berjuang di jalan Allah”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i dan Ahmad)

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِهِ
“Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah berasal daripada usahanya dan sesungguhnya anak seseorang adalah berasal daripada usahanya.”
(Riwayat al-Nasa’i No. 4449)

Maka Allah ‎ﷻ memberi penghargaan kepada mereka di dalam ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain kerana manusia memang perlu diingatkan dengan hal ini. Perkara ini telah disebutkan di dalam banyak hadith juga, antaranya,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏
“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
(Riwayat Muslim No. 2551)

Perkataan إِحْسَانًا itu bermaksud ‘berbuat baik lebih daripada yang sepatutnya’. Kalimah ihsan digunakan untuk dua hal; pertama, memberi nikmat kepada pihak lain, dan kedua, perbuatan baik. Kerana itulah, kata ihsan lebih luas daripada sekadar “memberi nikmat atau nafkah.” Maknanya bahkan lebih tinggi daripada kandungan makna “adil”, kerana adil adalah memperlakukan orang lain sama dengan perlakuannya kepada diri anda. Sedangkan ihsan adalah memperlakukannya lebih baik daripada perlakuannya terhadap anda. Adil adalah mengambil semua hak anda atau memberi semua hak orang lain, sedangkan ihsan adalah memberi lebih banyak daripada yang harus anda beri dan mengambil lebih sedikit daripada yang seharusnya anda ambil.

Oleh itu mungkin ada yang berkata lawan kepada إِحْسَانًا adalah berbuat buruk, tetapi tidak sebenarnya di dalam kes ini. Berbuat buruk adalah seperti pukul, ambil hak seseorang, menzalimi seseorang, bukan? Kalau dengan ibubapa kita bukan sahaja kita tidak berbuat buruk, tetapi kalau kita buat tidak endah kepada mereka pun sudah salah. Kita tidak boleh kata “Eh, aku tak pukul pun emak aku, aku tak hantar pun dia ke rumah orang tua!” Sebenarnya kalau buat tidak endah kepada mereka, tidak telefon mereka, tidak bertanya khabar pun sudah salah walaupun kita tidak berbuat buruk kepada mereka. Ramai bukan yang telah membuat kesalahan dengan tidak menghiraukan emak ayah mereka? Berbulan-bulan tidak telefon dan tidak balik kampung. Ini sebenarnya sudah tidak إِحْسَانًا kepada mereka dan tidak menjalankan suruhan daripada Allah c yang terdapat di dalam ayat ini.

Oleh kerana itu di sini kita belajar yang kita mesti memberikan layanan yang amat baik kepada ibubapa kita. Kalau mereka layak menerima RM200 sebulan, maka, kita kena berikan lebih lagi daripada itu kepada mereka. Malah, kalau mereka zalim dengan kita pun, atau mereka bukan orang yang baik-baik, masih kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Kita bukan berbuat baik dengan mereka kerana mereka baik, tetapi kita berbuat baik dengan mereka kerana itu adalah perintah Allah ‎ﷻ.

Malah yang lebih penting lagi, jangan kita sakitkan hati mereka. Jangan kita buat apa yang boleh menyebabkan mereka terasa hati. Kita hendaklah sentiasa menggembirakan hati mereka sebaik mungkin. Kadangkala kita tidak boleh memberikan wang kepada ibubapa kita kerana kita pun serba kekurangan. Namun janganlah kita ada menyakiti hati mereka pula. Jangan sekali-kali derhaka kepada mereka kerana balasannya sangatlah buruk! Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
(Riwayat al-Hakim No. 7263)

 

Bagaimana tindakan kita dengan mereka? Allah ‎ﷻ telah ajar di dalam banyak ayat Al-Qur’an, antaranya di dalam Isra’:23 – 24

۞ وَقَضٰى رَبُّكَ اَلَّا تَعْبُدُوْٓا اِلَّآ اِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسٰنًاۗ اِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ اَحَدُهُمَآ اَوْ كِلٰهُمَا فَلَا تَقُلْ لَّهُمَآ اُفٍّ وَّلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيْمًا
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

Masalah dalam masyarakat adalah, mereka tidak ada hubungan yang baik dengan ibu dan bapa mereka. Ada juga antara mereka yang sampai langsung tidak bertegur sapa. Kalau balik kampung pun, buat tidak endah sahaja terhadap ibubapa mereka. Kalau dengan orang lain, mereka boleh berbaik-baik pula, boleh bersembang dan sebagainya. Akan tetapi kalau dengan ibubapa, macam ada sahaja perasaan marah kepada mereka.

Sampai kadang-kadang, ada yang hendak lihat ibubapa mereka pun tidak mahu. Mungkinlah suatu waktu dahulu, ada perkara yang menyebabkan mereka berkecil hati dengan ibu atau bapa mereka dahulu. Namun, sebagai anak, kenalah kita lupakan perkara itu dan berbaik semula dengan ibubapa kita. Siapalah kita untuk menyalahkan mereka pula?

Kita disuruh berbuat baik kepada ibubapa kita bukan sahaja setakat mereka masih hidup, tetapi setelah mereka tiada seperti disebut di dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ‎ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Begitulah tingginya kedudukan ibubapa, sampaikan kepada ibubapa yang masih belum masuk Islam pun kita diajar untuk berbuat baik kepada mereka seperti disebut di dalam Luqman:15

وَإِن جٰهَداكَ عَلىٰ أَن تُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما ۖ وَصاحِبهُما فِي الدُّنيا مَعروفًا
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik,

 

وَذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat;

Bukan sahaja kita kena berbuat baik kepada ibubapa sahaja, tetapi kita kena juga berbuat baik dengan ahli keluarga kita yang terdekat. Ini adalah lanjutan daripada berbuat baik kepada ibu bapa kerana sanak saudara berhubungan rapat dengan kedua orang tua. Nabi ﷺ pernah bersabda:

إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ
“Apabila Allah memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.”
(Riwayat Muslim No. 1822)

Ini pun satu masalah juga kepada sesetengah orang. Kadang-kadang, apabila tidak ada iman dan ilmu, ahli keluarga berpecah belah. Sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun. Dengan orang lain mereka boleh bersahabat dengan baik, tetapi tidak pula dengan adik beradik sendiri. Mungkin salah faham itu hanya perkara kecil sahaja yang kalau kita ceritakan kepada orang lain pun, orang lain akan gelakkan sahaja.

Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berbuat baik dengan orang yang dekat dengan kita terlebih dahulu. Kalau keluarga kita harmoni, in sha Allah kita akan mengembangkan keharmonian itu kepada orang luar juga. Akan tetapi, kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita ada masalah, bagaimana lagi kita hendak berbuat baik kepada orang lain pula? Oleh sebab itu kenalah jaga hubungan dengan kaum kerabat dan ini juga telah dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ,

Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat al-Bukhari No. 5986)

 

وَٱليَتَـٰمَىٰ

dan anak-anak yatim;

Kita juga disuruh berbuat baik dengan anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada pelindung dan selalunya mereka itu miskin. Amat mulia sekali kalau kita membantu mereka dalam apa hal pun. Rasulullah ﷺ juga seorang anak yatim dan baginda memberitahu kepada kita kelebihan menjaga anak yatim di dalam sebuah hadith, riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ
“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda) di syurga”.
(Riwayat Muslim No. 2983)

Anak yatim adalah anak-anak belum baligh yang kehilangan ayah mereka. Sekiranya kematian ibu sahaja, dipanggil anak itu dipanggil ‘ajiy (dalam Bahasa Melayu digelar piatu). Kalau kedua-duanya tiada, maka digelar latim (dalam Bahasa Melayu digelar yatim piatu). Bukanlah anak yatim itu anak yang ayahnya telah hilang ke mana kerana lari daripada ibunya; dan juga bukanlah anak-anak kecil yang diletakkan di rumah amal anak yatim GISB. Itu adalah penipuan dan cara menunggang agama yang dilakukan oleh kultus yang sesat. Maka kena faham benar-benar siapakah yang termasuk di dalam istilah ‘anak yatim’.

Anak yatim memerlukan bantuan kerana tentunya mereka hidup dalam kesusahan kerana selalunya ayahlah yang mencari rezeki bagi keluarga. Namun, adakah kita kenal siapakah anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau tidak kenal, bagaimana kita hendak menolong mereka? Maka, selepas ini kenalah kita ambil tahu siapakah mereka dalam kalangan kita. Mungkin boleh lawat rumah-rumah Anak Yatim selepas ini. Lihatlah apa yang kita boleh bantu mereka.

Jangan kita sakiti anak yatim kerana terdapat ancaman daripada Allah ‎ﷻ di dalam Dhuha:9

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadap mereka”.

Jangan juga ambil hak mereka seperti disebut di dalam hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
“Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah ﷺ? Rasulullah ﷺ bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”.
(Riwayat al-Bukhari No. 2766 dan 6857 dan Muslim No. 145)

 

وَٱلمَسَـٰڪِينِ

dan orang-orang miskin;

Entah berapa ramai orang miskin kita jumpa setiap hari. Namun adakah kita tolong mereka? Soalan yang lebih penting lagi: adakah kita kenal mereka? Kalau tidak kenal, bagaimana hendak membantu mereka? Kerana itulah kita kena bermasyarakat. Jangan duduk di dalam rumah tidak berkenalan dengan orang luar.

 

 

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

dan berkatalah kepada manusia dengan ucapan-ucapan yang baik;

Kalimah حُسْنًا mencakupi “segala sesuatu yang menggembirakan dan disenangi.” Ucapan yang disifatkan seperti itu adalah ucapan yang kandungannya benar, sesuai dengan pesan yang akan disampaikan yang indah, bukan saja cara sebutannya tetapi juga kandungannya. Kata ini dapat mencakupi perintah berbuat baik dan larangan berbuat munkar.

‘Ucapan yang baik’ adalah ucapan yang membawa manusia dekat dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Bukan yang sebaliknya menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita melakukan perkara ini, barulah masyarakat menjadi betul. Oleh kerana itu ada pendapat yang mengatakan ucapan yang baik bermaksud memberi ilmu kepada masyarakat. Memang ini adalah ucapan yang terbaik kerana memberi ilmu itu amat penting kerana masyarakat memerlukan ilmu yang benar, terutama sekali ilmu wahyu.

Selain daripada itu, hendaklah kita berbuat baik dengan orang lain dalam masyarakat kita. Ini dimulakan dengan bercakap baik dengan mereka. Sekiranya tidak mampu hendak tolong orang miskin dan anak yatim kerana kekurangan yang ada pada kita, maka sekurang-kurangnya bercakaplah baik dengan mereka dan sesama manusia yang lain. Akan tetapi kita merasa bagaikan ramai manusia yang tidak begitu. Ramai yang kita lihat bercakap kasar dengan orang lain. Ini terjadi biasanya kerana ada masalah komunikasi dalam kalangan orang kita.

Yang lebih sedihnya, kadang-kadang jika dilihat selalunya orang yang membawa imej agama inilah yang bermuka garang. Lagaknya bagaikan hanya hendak menegur salah orang sahaja. Nampak salah sahaja, mereka akan terus mengherdik orang lain. Apalah salahnya kalau kita bermuka manis dengan orang dan kalau perlu tegur pun, tegurlah dengan baik, bukankah lebih elok begitu?

Dalam hal agama pun kita selalu tidak sependapat. Yang tidak manisnya, kalau kita berdebat dengan orang yang tidak sefahaman dengan kita, kadang-kadang kita gunakan bahasa yang kasar kepada mereka. Kadangkala kita perli mereka sehingga menyebabkan mereka terasa hati dan benci pula dengan adab kita. Lebih teruk lagi kalau kita mengata tentang peribadi orang itu, bukan pula dibawakan hujah. Bagaikan susah pula kebanyakan daripada kita hendak menggunakan bahasa yang baik-baik. Ini mungkin kerana kaedah komunikasi tidak diajar di sekolah, lalu orang kita tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan kehendak mereka dengan efektif. Maka ini adalah peringatan kepada kita supaya berdebat dan berhujah dengan cara yang baik walaupun dengan mereka yang mengamalkan syirik dan bid’ah. Lihatlah kepada Firaun pun Allah ‎ﷻ suruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap berlembut seperti disebut di dalam Taha: 44

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Bercakap yang baik bukanlah bererti bermulut manis saja. Itu hanya sebahagian daripada yang baik. Akan tetapi yang baik adalah lebih luas daripada itu. Hendaklah menanam jasa kepada sesama manusia, memberi nasihat dan pengajaran; amar ma’ruf, nahi munkar. Menyuruh berbuat baik, melarang berbuat munkar, menegur mana yang salah. Kalau sudah nampak perbuatan yang salah, jangan didiamkan saja, tetapi tegurlah dengan segera dengan berhemah. Yang berpengalaman hendaklah mengajar yang belum tahu. Yang kurang ilmu hendaklah menuntut kepada yang pandai. Sehingga bersama-sama mencapai masyarakat yang lebih baik.

Kepada semua orang diperintahkan untuk mengucapkan yang baik, kerana dengan mengucapkan yang baik akan terjalin hubungan yang harmonis. Apalagi bila disedari bahawa Al-Qur’an memerintahkan manusia untuk berucap yang benar. Bila suatu ucapan itu baik dan benar, maka ini petanda ketulusan dan kejujuran, sehingga seandainya ucapan itu pun merupakan kebenaran yang pahit, namun kerana disampaikan dengan baik dan bijaksana, maka diharapkan pesan tersebut akan diterima dengan baik pula oleh penerima nasihat dan pendengarnya.

وَأَقِيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Solat adalah amalan ibadat paling utama antara hamba dan Allah ‎‎ﷻ. Namun sekarang baru disebut tentang solat setelah disebut tentang amalan kebaikan yang lain. Kalau dari segi susunan, nampak seperti ia tidak penting pula. Kenapa? Kerana amalan ibadah sahaja tanpa perbuatan baik yang disebut sebelum ini tidak bermakna. Kita juga tahu solat yang dilakukan dengan benar dapat menghalang daripada perbuatan munkar seperti di dalam Ankabut:45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Di sini kita baca yang Bani Israil disuruh untuk mendirikan solat. Oleh itu tahulah kita sekarang bahawa ia bukan hanya syariat umat Nabi Muhammad ﷺ akan tetapi di sini kita tahu yang umat para Nabi sebelum baginda pun telah diarahkan untuk mengerjakan solat. Mereka sahaja yang meninggalkannya sampai sekarang kita pun tidak nampak mereka solat. Hendaklah kita menjaga segala perkara yang berkaitan dengan solat, iaitu bermula daripada mandi junub lagi. Ini semua mesti dijaga supaya kita mendapat khusyuk dalam sembahyang.

Dalam hal wudhu’, kita juga mesti mengikut cara wudhu’ sebagaimana yang Nabi ﷺ ajar. Akan tetapi, sudahkah kita belajar cara wudhu’ Nabi ﷺ, atau kita hanya menggunapakai apa yang kita belajar semasa sekolah rendah sahaja? Kemudian, bagaimanakah cara kita mengambil wudhu’ itu? Adakah kita gunakan air yang sedikit atau kita pasang pili air itu sekuat-kuatnya? Tahukah kita ada larangan Nabi ﷺ jangan membazir air, walaupun semasa mengambil wudhu’? Walaupun kita mengambil wudhu’ di air sungai yang mengalir? Namun begitu, jika kita lihat kebanyakan orang kita, kalau ambil wudhu’, selalunya air paip dibuka deras sekali macam hendak basuh kereta pun ada.

Bukan itu sahaja, kita juga kena jaga pakaian daripada kotoran najis. Memang kena jaga pakaian kita, tetapi malangnya ada yang ghuluw (berlebihan) pula sampai tidak jadi solat kerana mereka kata seluar mereka kotor. Ini adalah mereka tidak tahu bagaimana hendak buat kalau mereka rasa pakaian mereka tidak bersih. Puncanya kerana mereka tidak belajar ilmu fiqh dengan cara Sunnah.

Banyak ilmu fiqh yang ditokok tambah sehingga menyusahkan umat. Pelbagai cara yang pelik diajar untuk membersihkan diri. Sebagai contoh, ada ajaran karut yang diajar kena jolok lubang dubur apabila bersihkan diri selepas membuang air besar. Padahal, Nabi ﷺ dahulu beristinjak dengan batu sahaja (maka bagaimana hendak dijolok lubang dubur, kalau begitu?). Kemudian, selepas itu baginda solat. Begitu juga yang dilakukan oleh para sahabat. Adakah perbuatan mereka itu tidak cukup? Padahal, mereka itu dijamin ahli syurga.

Akan tetapi, dek kerana tidak faham hukum istinjak, menyebabkan kita menyusahkan diri pula dalam hal beristinjak. Hukum yang sepatutnya mudah dan sunnah menjadi susah. Banyak perkara agama kita tidak tahu lagi, maka hendaklah kita belajar kalau kita tidak tahu, bukan? Malangnya, amalan-amalan rekaan ini diajar kepada masyarakat kita oleh para asatizah yang bukan Sunnah. Akibatnya ia telah menyusahkan masyarakat awam sebenarnya (dan kerana itu ramai dalam kalangan orang kita yang ada penyakit yang dinamakan was-was atau OCD).

 

وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ

Dan keluarkanlah zakat;

Zakat pula adalah amalan paling baik yang menghubungkan masyarakat. Ini kerana apabila kita menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan, sudah tentu mereka akan suka dan dapat mengeratkan hubungan antara yang kaya dengan yang miskin. Masyarakat akan menjadi lebih harmoni.

Walau bagaimanapun, tentang zakat ini pun ada masalah juga dalam kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak memenuhi kewajipan ini. Kita sebenarnya kena belajar cara-cara untuk membayar zakat. Kita bukan cakap berkenaan zakat fitrah semasa Hari Raya sahaja, tetapi zakat-zakat yang lain.

Sebagai contoh, kita kena bayar zakat pendapatan. Kita kena kira pendapatan kita dalam setahun yang kita dapat dan tolak dengan belanja kasar. Memang ada pendapat yang mengatakan tiada zakat pendapatan, tetapi yang pendapat lebih kuat, eloklah kita bayar zakat pendapatan juga. Kerana takkan para petani yang susah itu kena bayar zakat pertanian, sebaliknya kita yang kerja di pejabat dengan gaji beribu-ribu tidak bayar zakat?

Ini belum dikira zakat-zakat yang lain seperti zakat harta. Ramai yang tidak menjalankan tanggungjawab membayar zakat. Oleh kerana itu, harta yang mereka makan haram bagi mereka kerana belum disucikan lagi dengan zakat.

 

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ

Kemudian kamu berpaling juga;

Semua arahan yang disebut di atas telah diberikan kepada golongan Yahudi itu. Mereka juga telah berjanji akan menjaganya. Pada peringkat awal mereka juga telah mengamalkannya. Namun begitu, walaupun perjanjian telah diambil dengan bani Israil, mereka telah berpaling daripada beramal dengan yang betul. Ini adalah kerana mereka memang suka menggunakan akal sahaja bagi menolak teks agama mereka. Kalau ada perkara yang mereka tidak suka, mereka akan tukar.

 

إِلَّا قَلِيلًا مِّنْكُمْ

Melainkan sedikit sahaja dalam kalangan kamu;

Ada juga yang beramal dengan betul, tetapi tidak ramai. Maka jangan kita pukul rata golongan Yahudi itu semuanya buruk sahaja. Memang ada yang baik namun majoritinya tidak beramal dengan sebetulnya. Begitulah Al-Qur’an tidak mengecam Bani Israil secara pukal akan tetapi mengiktiraf sebahagian kecil daripada mereka memang ikut perjanjian ini – sama ada di zaman Nabi Muhammad ﷺ, ketika turunnya Al-Qur’an di zaman Nabi Muhammad ﷺ dan malah hingga ke hari ini pun ada sebahagian daripada mereka yang menurutinya.

 

وَأَنْتُمْ مُّعْرِضُونَ

Dan kamu semua ini adalah jenis orang tidak mentaati.

Maksud ayat ini adalah mereka terus menerus mengikut perangai datuk nenek mereka yang tidak menggunakan ajaran Kitab Taurat dalam kehidupan mereka. Hati mereka enggan. Kalau dahulu datuk nenek mereka tidak ikut, lalu mereka pada zaman Nabi Muhammad ﷺ juga tidak mengikutnya.

Ada tiga kali penggunaan kata ‘kamu’ di dalam hujung ayat ini. Sebahagian ulama mengatakan dua yang pertama (تَوَلَّيْتُمْ dan مِّنْكُمْ) ditujukan kepada tok nenek Bani Israil dan kalimah أَنْتُمْ merujuk kepada Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 81 – 82 (Apabila diliputi oleh dosa)

Baqarah Ayat 81: Ayat sebelum ini disebut tentang sangkaan salah golongan Yahudi. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberitahu perkara yang sebenar. Iaitu menidakkan sangkaan mereka yang salah itu. Ini adalah ayat Takhwif – ayat-ayat Al-Qur’an yang menakutkan.

بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

Sahih International

Yes, whoever earns evil and his sin has encompassed him – those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

Malay

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

بَلَىٰ مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً

Bahkan sebenarnya sesiapa yang melakukan dosa kejahatan;

Allah memulakan dengan sebut بَلَىٰ yang bermaksud menidakkan fahaman dan sangkaan mereka yang salah dan meleset itu. Ia adalah athaf (kata sambung) yang digunakan sebagai إضراب إبطال iaitu mengalihkan dan membatalkan kalimat sebelumnya. Memang tidak ada janji dari Allah yang mengatakan mereka itu akan masuk sekejap sahaja di dalam neraka. Mereka sebenarnya akan kekal dalam kerana kerana dosa kejahatan yang mereka lakukan adalah amat besar dan antaranya adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Kalimah مَنْ di sini bermaksud sesiapa iaitu sesiapa sahaja. Jadi ayat ini bukanlah berkenaan Yahudi atau Nasrani malah ia termasuk semua manusia sekali termasuklah umat Islam. Maka jangan sangka kita telah selamat kerana kita telah Muslim. Belum tentu lagi jikalau kita tidak berhati-hati dengan amalan kita.

Kalimah كَسَبَ selalunya digunakan untuk perbuatan yang akan menghasilkan keuntungan, atau sesuatu yang bermanfaat bagi pelakunya. Digunakan kalimah كَسَبَ di sini kerana hendak mengisyaratkan yang mereka melakukan perbuatan mereka itu dengan mudah dan selamba dengan menganggapnya ia akan memberi keuntungan kepada mereka. Ini adalah kerana syaitan telah mencantikkan perbuatan buruk yang mereka lakukan maka mereka nampak ianya baik belaka.

Perkataan سَيِّئَةً juga bermaksud ‘dosa besar’. Ada orang yang terus melakukan satu dosa besar. Yang lain dia tidak buat. Contohnya dia seorang peminum arak. Dia tidak membuat dosa lain. Namun bahagian minum arak itu, dia tidak boleh tinggalkan. Dia sangka sebab dia tidak berbuat dosa lain, dan sebab dia ada membuat amalan baik yang lain, pahala itu semua dapat menampung kesalahannya itu. Malangnya, bukan begitu.

 

وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطِيئَتُهُ

dan dosa itu meliputinya sehingga dia mati;

Mereka kekal dalam amalan syirik mereka itu sampai mereka mati. Dosa itu meliputinya kerana dia tidak bertaubat. Maksud diliputi itu adalah mereka telah dicengkam dengan dosa itu sampaikan mereka tidak boleh keluar dari dosa itu. Dan mereka tidak sempat untuk bertaubat sebelum mereka mati. Yang takutnya, sampai mati mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu adalah syirik.

Kalau tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah syirik, bagaimana mereka hendak bertaubat? Mereka tidak tahu itu pula adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Ini kerana perkara syirik ini telah dijelaskan dengan panjang lebar di dalam Al-Qur’an.

Atau jika seseorang itu kekal melakukan satu atau lebih dosa besar, seperti minum arak, berzina dan sebagainya itu sampai dia tidak boleh berhenti. Itulah maknanya ‘meliputinya’. Dia seolah-olah tidak dapat keluar darinya. Yang membahayakan lagi, jikalau seseorang itu sudah biasa membuat satu dosa besar, dia sudah tidak merasa bersalah sangat bila buat dosa itu. Maka, lama kelamaan dia akan membuat dosa yang lain pula.

Sebelum ini digunakan kalimah سَيِّئَةً dan sekarang digunakan kalimah خَطِيئَة jadi apakah bezanya? Ada yang mengatakan ia sama sahaja akan tetapi ada yang mengatakan سَيِّئَةً adalah dosa besar dan خَطِيئَة adalah dosa kecil. Kerana kalau dosa kecil pun dilakukan berterusan, maka ia akan menjadi dosa besar juga. Kerana kalau setakat dosa kecil sahaja, mudah sahaja Allah ampunkan seperti disebut di dalam Najm:32

الَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبائِرَ الإِثمِ وَالفَواحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ واسِعُ المَغفِرَةِ

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya.

Ini kerana dosa-dosa kecil boleh terus diampunkan dengan amalan kebaikan sebagaimana firman Allah di dalam Hud:114

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

Jadi kita kena faham yang orang Mukmin bukanlah tidak ada dosa langsung kerana selama namanya anak Adam, tentulah ada dosa. Ini jelas disebut di dalam satu hadis,

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
Riwayat Ibn Majah (4392) Status: Hasan

Akan tetapi bezanya orang Mukmin tidak diliputi oleh dosa mereka. Apabila mereka melakukan dosa, mereka akan sedar dan minta ampun dari kesalahan mereka seperti disebut di dalam Ali Imran:135

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Jadi kalau mereka melakukan dosa, mereka akan ingat Allah ذَكَرُوا اللَّهَ kerana mereka sentiasa ingat Allah dan malu dengan perbuatan mereka itu; kemudian mereka akan bersegera minta ampun فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم tanpa lengah lagi. Dan apabila mereka bertaubat, mereka akan tinggalkan terus dan berazam tidak melakukannya lagi. Kerana kalau bertaubat kena terus tinggalkan, bukannya tinggalkan sikit-sikit.

Jadi mereka tidak berterusan melakukan dosa itu وَلَم يُصِرّوا dan ini bermakna dosa itu tidak meliputi mereka. Tapi adakah kemungkinan mereka mengulang dosa itu? Ya ada kerana kita manusia ini sifatnya lemah. Memang mungkin berulang, akan tetapi tidaklah يُصِرّوا iaitu berterusan. Sudah bertaubat, kemudian mungkin buat lagi. Alhamdulillah Allah gunakan kalimah يُصِرّوا dan bukannya رجعوا (mereka mengulangnya). Kerana Allah sebut رجعوا, maka habislah kita semua. Allah masih lagi boleh menerima dosa yang berulang, dalilnya adalah satu hadis,

أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

فَأُولَٰئِكَ أَصحَـٰبُ النَّارِ

Maka orang-orang yang bersifat seperti itu adalah pemilik sebenar neraka;

Orang Islam yang tidak membuat syirik tetapi ada membuat dosa, mereka akan masuk neraka juga, namun mereka tidak kekal dalam neraka. Akhirnya mereka akan keluar dari neraka dan masuk ke dalam syurga. Tetapi orang yang buat syirik, walaupun orang Islam, akan kekal dalam neraka. Ini adalah kerana digunakan di sini kalimah أَصحَـٰبُ iaitu sahabat. Kalau sahabat kita, tentulah dia akan sentiasa bersama dengan kita, bukan? Maka inilah isyarat yang digunakan di sini iaitu أَصحَـٰبُ النَّارِ adalah sentiasa dalam neraka iaitu mereka akan kekal di dalamnya. Dan dikuatkan lagi dengan kalimat selepas ini.

 

هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan keluar langsung, sampai bila-bila. Allah ‎ﷻ ingin menekankan sebab dalam ayat sebelum ini, ada manusia yang sangka mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, tidak kira kamu anak siapa, keturunan siapa pun, tidak kira siapa yang kamu berhubungan semasa kamu di dunia, kalau kamu buat dosa syirik, kamu akan kekal di dalam neraka.


 

Baqarah Ayat 82: Selepas diberikan dengan ayat Takhwif dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sekarang memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula.

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

Sahih International

But they who believe and do righteous deeds – those are the companions of Paradise; they will abide therein eternally.

Malay

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman sempurna;

Kita kena tambah maksud ‘iman’ itu dengan kalimat ‘iman sempurna’. Iaitu mereka yang tidak membuat syirik. Mereka bukan setakat beriman sahaja, tetapi mereka juga meninggalkan perkara syirik. Ini barulah dikira sebagai benar-benar beriman.

Dan ia juga bermaksud mereka yang mengamalkan sesuatu ibadat itu dengan ikhlas, dilakukan kerana Allah ‎ ﷻ semata-mata. Bukan sebab dipaksa, bukan sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Bukan kerana mahukan upah atau kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Ayat ini hendak membandingkan dengan mereka yang disebut dalam ayat sebelum ayat ini. Allah ‎ﷻ menceritakan tentang apakah yang sebenarnya Allah ‎ﷻ mahu.

 

وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ

dan mereka berbuat amal soleh;

Kita kena tahu yang amalan soleh adalah amalan sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Orang-orang yang beriman sepatutnya tidak beramal dengan mana-mana ibadat tanpa memastikan dahulu bahawa amalan itu ada dalil yang sahih. Selagi dia tidak menjumpai dalil, dia tidak akan mengamalkannya. Sesiapa yang membuat amal bukan dari amalan Nabi ﷺ, amalan itu ditolak. Itu adalah dinamakan amalan ‘bidaah’.

Tidak cukup kalau kita membuat sesuatu amalan itu dengan mengharapkan pahala hanya kerana ‘ikhlas’. Ada orang yang berkata, Allah ‎ﷻ akan berikan juga pahala kalau kita membuat amalan itu secara ikhlas. Tetapi dalam ayat ini, seperti juga banyak ayat-ayat yang lain, memberi isyarat bahawa sesuatu amalan itu mestilah berdasarkan dalil yang sahih dari Nabi ﷺ. Barulah amalan itu dipanggil ‘amalan yang soleh’.

 

أُولَٰئِكَ أَصحَـٰبُ الْجَنَّةِ

Orang-orang yang bersifat seperti itu, adalah pemilik syurga;

Mereka yang ada iman sempurna dan ditunjukkan iman itu dengan melakukan amal yang soleh, mereka inilah yang ada peluang dan harapan untuk masuk syurga. Jangan kata beriman sahaja, tapi tidak beramal dengan kebaikan.

 

هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya.

Kalau lengkap dua syarat itu, barulah dapat kekal dalam syurga. Kalau orang sebelum ayat ini, mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini memberikan susunan cara untuk masuk ke dalam syurga.

1. Beriman dengan Allah ‎ﷻ dan perkara-perkara yang perlu diimani seperti malaikat, Rasul dan sebagainya. Dan mereka tidak mengamalkan amalan syirik.

2. Orang yang beriman, akan berusaha untuk mengamalkan amalan yang soleh yang diambil dari dalil yang sahih.

3. Barulah dapat kekal dalam syurga.

Langkah pertama dan kedua adalah penting. Kalau tidak ada salah satu, maka kita tidak akan dapat masuk ke syurga. Malangnya, berapa ramai di kalangan orang Islam yang beramal dengan amalan yang bidaah, bukan amalan yang soleh. Ramai juga yang ada fahaman syirik dan beramal dengan amalan syirik kerana mereka tidak sedar yang amalan itu amalan syirik.

Habis Ruku’ 9 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 79 – 80 (Perasan takkan masuk neraka)

Baqarah Ayat 79: Ayat ini adalah berkenaan dengan Pendeta Yahudi yang mempersendakan ugamanya sendiri. Inilah adalah sebab besar kerosakan mereka dan umat mereka yang percaya membuta tuli kepada ahli agama mereka itu. Jadi teguran ini adalah kepada golongan agamawan mereka. Kalau ayat 78 tentang golongan yang jahil, sekarang ayat kembali menyebut golongan yang ada ilmu kerana dosa mereka lebih besar kerana mereka ada ilmu tapi menyeleweng.

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ

Sahih International

So woe to those who write the “scripture” with their own hands, then say, “This is from Allah ,” in order to exchange it for a small price. Woe to them for what their hands have written and woe to them for what they earn.

Malay

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

 

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم

Dan celaka besarlah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka sendiri;

Iaitu pendeta-pendeta Yahudi itu dan mereka yang bersifat seperti mereka. Kalimah وَيلٌ dari kata dasar: و ي ل yang bermaksud penderitaan, kesusahan, celaka. Kalimah ‘celaka’ itu bermaksud kebinasaan dan kehancuran. Ia adalah himpunan dari segala macam seksa, atau lembah di neraka yang disediakan kepada mereka. Dan ancaman ini datang dari Allah sendiri, maka ia amat besar. Ia juga bermaksud azab yang keras dan kerugian yang amat besar.

Iaitu mereka mengubah isi dalam Kitab Taurat. Atau menulis tafsir Kitab Taurat (yang lari dari maksud asal). Atau mereka menulis kitab-kitab agama (yang juga lari dari maksud asal agama). Allah mencela dan mencelakan mereka kerana perbuatan mereka ini.

Di sini Allah tambah بِأَيديهِم iaitu mereka menulis dengan tangan mereka. Akan tetapi kalau difikirkan, kalimah بِأَيديهِم tidak perlu pun kerana memang menulis dengan tangan pun. Macam kita tidak perlu kata berjalan dengan kaki kerana memang berjalan pakai kaki pun. Jadi kenapa Allah tambah? Ini mengisyaratkan bahawa perubahan kitab Taurat itu dilakukan oleh para pemuka agama Yahudi dengan amat sengaja, bersungguh-sungguh, dan tidak menugaskan orang lain melakukannya, agar benar-benar sesuai apa yang tertulis dengan keinginan nafsu mereka.

Orang agama kita pun ada yang buat macam ini. Menulis tentang cerita-cerita dari ayat-ayat Al-Qur’an atau kitab-kitab tentang agama. Iaitu mereka menulis maklumat yang salah dari akidah dan kefahaman Islam. Maka mereka telah menipu. Dan memang dari zaman dahulu lagi yang boleh menipu hal agama adalah orang yang dipandang sebagai ahli agama. Mereka itu memang tahu agama sedikit sebanyak dan kerana itu mereka boleh menipu kerana mereka tahu selok belok mana yang boleh ditipu.

Ulama’ Yahudi telah menukar kitab mereka. Memang mereka tukar betul dari teks yang ada. Mereka boleh buat kerana Taurat bukan macam Al-Qur’an. Ia tidak ada pada tangan seluruh umat Yahudi pada waktu itu. Dan Allah tidak pernah beri jaminan yang Taurat tidak boleh ditukar. Dan orang awam mereka memang tidak dapat melihat keseluruhan Kitab Taurat kerana ianya disimpan oleh pendeta mereka.

Pendeta mereka hanya akan tunjukkan sebahagian sahaja. Ini supaya senang mereka nak dakwa: “ya ini memang ada dalam Taurat”. Dan kerana orang awam mereka tidak dapat tengok kitab Taurat yang asli, mereka senang ditipu.

Itulah kisah Kitab Taurat dan ia tidak sama dengan Al-Qur’an kerana Allah telah jamin Al-Qur’an tak boleh ditukar. Tapi walaupun orang kita tak tukar perkataan yang dalam Al-Qur’an, tapi ada orang yang menukar maksud hukum-hukum dalam Al-Qur’an. Mereka telah terjemah hukum-hukum dalam Al-Qur’an ikut agenda mereka. Mereka ubah hukum yang Allah telah jelaskan dalam Al-Qur’an dengan hukum yang lain. Sebab mereka kata hukum dalam Al-Qur’an itu ketat sangat. Mereka ini jenis orang yang ikut hawa nafsu mereka.

Kalaulah pendita Yahudi itu jumpa agamawan kita yang seleweng agama ini, agaknya mereka akan minta autograph. Kerana mereka Yahudi susah payah berusaha untuk tipu masyarakat mereka dengan sorok Taurat, tapi agamawan kita senang-senang sahaja tipu masyarakat walaupun Al-Qur’an ada di setiap rumah!

 

ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Kemudian mereka berkata, “Ini adalah dari Allah”;

Mereka kata bahawa apa yang mereka buat itu adalah dari Allah. Atau mereka kata itu adalah sebahagian dari agama, padahal ianya tidak berpandukan nas yang sahih.

Sebagai contoh, ada kitab yang mengajar amalan-amalan wirid. Macam-macam jenis wirid yang mereka reka dan mereka kata ianya dari Allah atau mereka kata ianya adalah baik. Mereka kata kalau amalkan begitu begini akan dapat pahala begitu begini. Mereka tidak membawa dalil pun sebagai hujah mereka.

Banyak buku-buku amalan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang bersepah. Sesiapa sahaja boleh beli dan mereka memang sangka ianya adalah amalan yang baik. Padahal, ianya adalah amalan yang salah. Ada dari amalan-amalan itu yang mensyirikkan Allah pun ada.

Mereka yang buat buku-buku itu adalah kerana nak mendapatkan duit dan pengaruh. Padahal sebenarnya kalau mereka menceritakan tentang amalan-amalan ibadat, mereka kena bawa dalil hadis, sumber dari mana datangnya amalan itu. Kena beritahu juga nama kitab hadith yang mana dia ambil. Supaya senang kita nak periksa benar atau tidak. Sebab ada sekarang yang senang-senang sahaja kata ianya dari kitab Bukhari dan sebagainya, tapi bila diperiksa, tidak ada pun.

Dan kalau nak ambil dari kitab, kena ambil dari kitab yang muktabar. Tapi yang mereka bawa sumber adalah dari kitab yang bukan dari kitab yang muktabar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bukan semua kitab karangan manusia boleh dipercayai. Memang kita kena berhati-hati dalam perkara ini.

Hadith-hadith yang di dalam kitab-kitab hadith tidaklah sama antara mereka. Ada yang sahih dan ada yang tidak. Mana-mana hadith yang sahih telah dimasukkan di dalam dua Kitab Hadis yang utama (Bukhari dan Muslim). Yang selain dari itu, kena diperiksa sama ada hadis itu adalah betul ataupun tidak.

Banyak sekali hadith yang dhaif dan palsu disampaikan dalam masyarakat. Antara hadith yang palsu adalah hadith tentang ‘Nur Muhammad’. Fahaman ini banyak di kalangan masyarakat kita, terutama golongan tarekat, iaitu mereka percaya bahawa segala kejadian alam ini adalah dari Nur Muhammad (dijadikan dari Nur Muhammad). Sumber mereka adalah hadith palsu. Tapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar hadith.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an ini, iaitu mereka memalsukan hadith dan mengatakan ianya adalah dari Allah. Maka, berhati-hatilah dengan amalan-amalan yang tidak diambil dari amalan yang sahih dari Nabi Muhammad. Ada amalan yang mengandungi elemen syirik. Sia-sia sahaja kita amalkan. Bukan memberi pahala kepada kita, tapi memasukkan kita ke dalam neraka pula. Contohnya, amalan Selawat Syifa’. Amalan itu bukan dari Nabi. Dan dari lafaz Selawat Syifa’ itu, meletakkan kuasa menyembuh pada Nabi dan ini tentunya syirik dengan jelas.

Padahal cara selawat telah diajar dalam kitab-kitab hadith. Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam selawat-selawat yang diajar Nabi itu, tidak ada perkataan ‘Sayyidina’ sebelum nama Nabi Muhammad. Tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith yang muktabar yang menggunakan lafaz ‘sayyidina’ sedemikian.

Perkataan ‘Sayyidina’ itu maknanya adalah ‘penghulu’. Panggilan itu tidak sesuai digunakan kepada Nabi Muhammad. Bayangkan kalau sultan melawat rumah kita, kita panggil dia dengan gelaran ‘penghulu’. Itu pun sudah tidak sesuai. Tapi ramai dari kalangan kita yang meletakkan gelaran yang tidak sesuai itu kepada Nabi kita sendiri. Padahal gelaran yang diberi Allah di dalam Al-Qur’an kepada Nabi adalah ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ sahaja.

Kenapa mereka menulis kitab yang tidak benar dan mengatakan pula ianya adalah dari Allah?

 

لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Supaya mereka dapat tukar yang mereka tulis itu dengan upah yang sedikit;

Mereka jual benda yang salah itu untuk mendapat upah dan habuan keduniaan. Juga kerana mereka mahukan pengaruh dan jadi tersohor dalam masyarakat dan disebut-sebut sebagai hebat. Dan ini adalah mudah kerana pengikut-pengikut yang jahil memang nakkan perkara yang mudah sahaja. Pendeta Yahudi dulu memang tukar Taurat untuk ubah fatwa agama mereka. Supaya mereka mendapat bayaran. Kalau ada yang datang kepada mereka dengan meminta hukum, mereka akan beri hukum ikut kehendak orang yang bertanya. Dan kemudian mereka diberi upah.

Mereka lebih mementingkan dunia dari akhirat sedangkan akhirat lebih menguntungkan seperti firman Allah di dalam Nisa’:77

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.

Kalimah ثَمَنًا itu boleh jadi kepentingan duniawi berupa pangkat, kedudukan, pengaruh dan material. Semua itu dinilai sedikit kerana betapapun besarnya gemerlap duniawi yang mereka perolehi, ia pada hakikatnya sedikit jika dibandingkan dengan kerugian dan kebinasaan yang akan menimpa mereka kelak.

Begitulah kita lihat kezaliman dan kesesatan di hadapan mata pun dibiarkan oleh majoriti ahli agama negara ini. Sebagai contoh telah bertahun-tahun GISB mengamalkan ajaran sesat mereka, kemudian mereka menzalimi pengikut-pengikut mereka yang jahil itu. Tapi pihak berkuasa agama buat tidak tahu sahaja. Malah apabila dilaporkan kepada mereka, mereka menolak untuk bertindak. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka supaya tidak tergugat sampaikan menyebabkan ramai orang sesat dan ramai orang dizalimi.

 

فَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ

Maka celaka besarlah bagi mereka daripada apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka;

Ini adalah celaka yang kedua. Maka ini adalah penekanan dari Allah kerana teruk sangat apa yang mereka telah lakukan itu. Celaka yang pertama itu kerana mereka يَكتُبونَ iaitu di dalam bentuk mudhari’ kerana mereka masih melakukannya. Dan sekarang mereka dicelakakan lagi kerana كَتَبَتْ iaitu di dalam bentuk madhi iaitu perbuatan mereka yang telah laku.

 

وَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Dan celakalah bagi mereka dari hasil yang mereka dapat;

Kalimah يَكْسِبُونَ dari kata dasar: ك س ب yang bermaksud mendapat hasil, mengejar, mengumpul, melakukan, hasil. Ini kerana mereka menggunakan apa yang mereka tulis itu untuk dapat upah. Dan kemudian mereka mengajar pula untuk mendapat rezeki. Dan rezeki yang mereka dapat itu adalah haram. Ianya lebih haram lagi daripada riba. Dalam Al-Qur’an, ianya dipanggil ‘suhtun‘.

Di dalam ayat ini adalah celaka yang ketiga pula. Ini tentang hasil yang mereka dapat pula. Ini bermakna perbuatan mereka adalah haram dan hasil yang mereka dapat juga haram. Maka kalau kita jual benda yang haram itu kita telah berdosa, dan hasil yang kita dapat itu juga haram untuk kita makan.

Ada golongan ustaz yang tak berani nak cakap perkara yang benar semasa mengajar. Mereka tidak berani tegur kesalahan yang dilakukan oleh anak murid mereka. Ini kerana takut nanti mereka tidak dipanggil mengajar lagi di masjid/surau itu. Kerana takut mereka tidak dapat bayaran mengajar lagi. Maka mereka sembunyikan kebenaran. Ini adalah kerana mereka takut periuk nasi mereka terganggu. Ini juga adalah salah.


 

SANGKAAN DAN PENOLAKAN KEPADA SANGKAAN ITU

Baqarah Ayat 80: Ayat 80 – 89 adalah celaan ke atas Bani Israil kerana berbangga dan fanatik kepada bangsa keturunan. Allah menyebut janji-janji yang telah didustai kaum Yahudi:

1. Sembah Allah sahaja.
2. Berbuat baik kepada ibubapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dirikan solat, zakat.
3. Jangan membunuh, mengusir orang dari kampungnya.

Ayat 80 ini adalah kata-kata anak-anak orang Pendeta, ulama atau pembesar golongan Yahudi. Mereka sangka kerana kedudukan mereka itu, mereka telah selamat dari azab Allah. Maka sekarang Allah memperlihatkan kesombongan mereka di dalam ayat ini.

Kita kena tahu yang banyak para Nabi adalah dari kalangan bani Israil. Selain dari Nabi, tentulah ramai tok guru dari kalangan mereka. Maknanya, mereka adalah keturunan Nabi dan orang alim yang banyak. Ini adalah suasana biasa dalam masyarakat mereka. Kerana mereka banyak Rasul, Nabi dan ulama’, mereka rasa mereka manusia terpilih. Ini adalah tentang anak-anak mereka dan mereka sendiri yang ada sangkut paut dengan golongan ulama mereka. Mereka berbangga dengan keadaan itu. Mereka rasa mereka akan selamat.

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

And they say, “Never will the Fire touch us, except for a few days.” Say, “Have you taken a covenant with Allah ? For Allah will never break His covenant. Or do you say about Allah that which you do not know?”

Malay

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

 

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ

Mereka berkata: “Kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka”;

Mereka sangka kerana mereka dari golongan orang yang baik-baik, maka mereka akan terselamat dari api neraka. Mereka perasan sahaja. Mereka sangka mereka ‘umat pilihan’, ‘kekasih Allah’, sampaikan mereka tidak akan diazab dalam neraka.

Orang Islam pun sudah rasa macam ini. Mereka sangka kalau mereka anak ustaz, anak tok imam, anak guru tarekat, mereka sudah selamat. Mereka juga sangka yang apabila mereka sudah solat, sudah puasa, baca Al-Qur’an, tak minum arak dan makan babi, mereka sudah selamat dari neraka. Atau rasa sudah banyak amal ibadah yang telah dilakukan seperti zikir banyak, solat sunat banyak dan sebagainya. Semua itu bukanlah jaminan yang kita pasti selamat. Siapakah yang boleh kata dirinya selamat dari neraka? Tidak ada! Allah telah berfirman di dalam Najm:32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم

maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)

Mereka sangka begitu sebab mereka ada sedekah sedikit duit kepada masjid atau kepada orang miskin, mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tak belajar isi kandungan Al-Qur’an, maka mereka tak tahu berapa banyak lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini semua hasil dari tidak belajar kandungan Al-Qur’an dan agama dengan benar.

 

إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً

“melainkan hanya beberapa hari sahaja”;

Iaitu mereka kata mereka kalau mereka kena masuk neraka pun, ianya sekejap sahaja, dan ada yang kata selama 40 hari sahaja, iaitu selama Nabi Musa naik ke Bukit Thursina dan mereka menyembah patung anak lembu. Ada juga yang kata 7 hari sahaja. Ini kerana bagi mereka, dunia ini 7,000 tahun dan setiap seribu tahun, mereka hanya diazab sehari sahaja. Atau, kerana dalam seminggu ada 7 hari. Setelah kena azab sekejap itu, mereka perasan mereka akan dipindahkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Ini adalah kerana mereka sangka mereka itu anak Tuhan, atau kekasih Tuhan dan Allah tidak akan mengazab anakNya berterusan. Mereka sangka agama mereka masih sah walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Isa dan juga Nabi Muhammad. Tapi pada hakikatnya agama mereka telah dimansukhkan dengan kedatangan Nabi Muhammad. Dan mereka sepatutnya mengiktiraf Nabi Isa juga. Dan apabila mereka menolak Nabi Isa, mereka telah kufur.

Maknanya mereka itu perasan mereka masih lagi beragama. Di kalangan kita pun ada juga yang berfikiran macam ini. Ada yang berbangga dan merasa selamat kerana mereka keturunan yang baik-baik dari kalangan ahli agama. Mereka rasa mereka tidak akan masuk neraka kerana mereka itu umat Islam, nama pun nama Islam dari lahir lagi. Masyarakat kita sekarang sudah jadi seperti masyarakat Yahudi yang diceritakan dalam ayat ini. Mereka merasa selamat dari api neraka hanya kerana mereka ada sangkut paut dengan ahli agama.

Kerana itulah kita tidak memandang hebat pun keturunan Habib, keturunan ulama’, keturunan Syed Syarifah dan sebagainya. Mereka sahaja yang perasan mereka lebih baik dari umat manusia yang lain semata-mata kerana nasab mereka. Ia tidak ada kelebihan apa-apa pun kerana kita dinilai dari amalan kita, bukannya dari nasab. Itu pun kalau sahih mereka keturunan Nabi, kerana ia belum tentu lagi selagi tak buat ujian DNA.

Orang Islam pun ada yang kata, “kalau masuk neraka pun, akhirnya kita akan masuk syurga juga”. Mereka macam tak kenal neraka. Mereka sangka senang sahaja kalau masuk neraka sekejap. Padahal, neraka itu tidak dapat dibayangkan azab di dalamnya. Kalau tak masuk tapi kena angin neraka sahaja sudah tak tahan. Sila rujuk Anbiya:46.

وَلَئِن مَّسَّتهُم نَفحَةٌ مِّن عَذابِ رَبِّكَ لَيَقولُنَّ يٰوَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ
Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit saja dari azab Tuhan-mu, pastilah mereka berkata: “Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri”.

Adakah mereka rasa mereka kuat untuk menahan azab neraka walaupun hanya sesaat sahaja di dalamnya? Ini semua adalah kerana mereka tak belajar apakah yang Allah telah sebut tentang neraka di dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Mereka memang baca Al-Qur’an, tapi mereka baca sahaja, tapi tidak memahami azab neraka (sama seperti orang Yahudi awam).

Kenapa fahaman ini bahaya? Kerana kalau perasan akan masuk syurga, maka hal-hal agama akan diringankan oleh manusia. Kerana tidak takut sangat dengan neraka kerana mereka sangka sekejap sahaja di dalamnya.

 

قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا

Kata kepada mereka: “Adakah kamu ambil perjanjian yang kukuh dengan Allah?”

Allah suruh tanya: “Ada tak kamu buat perjanjian dengan Allah yang kamu takkan masuk neraka, atau kamu hanya masuk neraka sekejap sahaja? Kalau ada, kena berikan bukti dan dalil.”

Perhatikan cara Allah suruh Nabi tanya, bukannya menuduh mereka berbohong. Memang mereka berbohong akan tetapi cara bertanya itu tidak terus menuduh dan memberi peluang kepada mereka untuk mengeluarkan bukti kalau mereka ada. Cara ini lebih sopan, bukan?

Sudah tentulah mereka tidak akan dapat keluarkan bukti. Sebenarnya kita tak akan tahu adakah kita akan masuk syurga atau neraka. Kita takkan tahu adakah kita akan duduk lama atau tidak dalam neraka kalau kita masuk neraka. Semoga Allah selamatkan kita dari neraka.

Allah suruh Nabi yang cakap (قُلْ) dengan mereka yang berpandangan salah ini kerana Allah marah sangat dengan mereka. Allah tak nak bercakap dengan mereka terus. Allah wakilkan Nabi sahaja untuk cakapkan. Allah juga ajar baginda bagaimana untuk berhujah dengan mereka itu.

Rasulullah pernah bertanya kepada Yahudi siapakah ahli neraka. Mereka kata mereka akan masuk sekejap sahaja dan akan diganti oleh umat Islam. Kejadian ini berlaku di Khaibar seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا فُتِحَتْ خَيْبَرُ أُهْدِيَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةٌ فِيهَا سُمٌّ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا إِلَيَّ مَنْ كَانَ هَا هُنَا مِنْ يَهُودَ فَجُمِعُوا لَهُ فَقَالَ إِنِّي سَائِلُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَهَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ قَالَ لَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَبُوكُمْ قَالُوا فُلَانٌ فَقَالَ كَذَبْتُمْ بَلْ أَبُوكُمْ فُلَانٌ قَالُوا صَدَقْتَ قَالَ فَهَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْ شَيْءٍ إِنْ سَأَلْتُ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ يَا أَبَا الْقَاسِمِ وَإِنْ كَذَبْنَا عَرَفْتَ كَذِبَنَا كَمَا عَرَفْتَهُ فِي أَبِينَا فَقَالَ لَهُمْ مَنْ أَهْلُ النَّارِ قَالُوا نَكُونُ فِيهَا يَسِيرًا ثُمَّ تَخْلُفُونَا فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اخْسَئُوا فِيهَا وَاللَّهِ لَا نَخْلُفُكُمْ فِيهَا أَبَدًا ثُمَّ قَالَ هَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْ شَيْءٍ إِنْ سَأَلْتُكُمْ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ يَا أَبَا الْقَاسِمِ قَالَ هَلْ جَعَلْتُمْ فِي هَذِهِ الشَّاةِ سُمًّا قَالُوا نَعَمْ قَالَ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ قَالُوا أَرَدْنَا إِنْ كُنْتَ كَاذِبًا نَسْتَرِيحُ وَإِنْ كُنْتَ نَبِيًّا لَمْ يَضُرَّكَ
Dari [Abu Hurairah radiallahuanhu] berkata; “Ketika Khaibar ditakluk, Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah diberi hadiah seekor kambing yang di dalamnya ditaruh racun. Maka Nabi SAW berkata: “Kumpulkan di hadapanku orang-orang yang ada di sini dari kalangan Yahudi”. Maka mereka berkumpul di hadapan baginda lalu baginda berkata: “Aku akan bertanya satu hal kepada kalian, apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah?”. Mereka menjawab; “Ya”. Nabi SAW bertanya kepada mereka: “Siapa orang tua kalian”. Mereka menjawab; “Si fulan”. Baginda berkata: “Kalian berdusta. Yang sebenarnya orang tua kalian adalah si anu”. Mereka berkata; “Anda benar”. Lalu baginda bertanya lagi: “Apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah yang akan aku tanyakan?”. Mereka menjawab; “Ya, wahai Abu Al Qasim. Seandainya kami berdusta, engkau pasti mengetahui kedustaan kami sebagaimana engkau mengetahui orang tua kami”. Baginda bertanya: “Siapakah yang menjadi penduduk neraka?”. Mereka menjawab; “Kami akan berada di dalamnya sebentar lalu kalian (kaum Muslimin) akan mengiringi masuk ke dalamnya“. Nabi SAW berkata: “Tinggallah kalian dengan hina di dalamnya. Demi Allah, sungguh kami tidak akan mengikuti kalian ke dalamnya selama-lamanya”. Kemudian baginda bertanya lagi: “Apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah yang akan aku tanyakan?”. Mereka menjawab; “Ya, wahai Abu Al Qasim”. Baginda bertanya: “Apakah kalian telah memasukkan racun ke dalam kambing ini?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Apa yang mendorong kalian berbuat begitu?”. Mereka menjawab; “Kami hanya ingin menguji, seandainya anda berdusta (mengaku sebagai Nabi) kami dapat beristirehat dari anda. Dan seandainya anda benar seorang Nabi maka racun itu tidak akan dapat mendatangkan bahaya buat anda”.
Sahih Bukhari (2933)

 

فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ

Allah tidak akan mungkin mungkir dengan janjiNya;

Tidak sekali-kali Allah akan mungkir janjiNya. “Kalau kamu memang ada surat perjanjian dengan Allah, Allah takkan mungkir janji itu.” Tapi malangnya, tidak ada perjanjian sebegini antara manusia dan Allah.

Tidak ada orang yang Allah kata Dia akan selamatkan orang itu hanya kerana dia keturunan orang yang baik-baik. Kepada Fatimah sendiri Nabi kata baginda tak dapat tolong kalau anaknya itu ada buat salah. Kalau anak sendiri Nabi tidak dapat tolong, apatah lagi kita.

 

أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Atau kamu mengatakan terhadap Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu?

“Atau kamu memandai sahaja? Kamu memandai-mandai sahaja kata begini dan begitu tanpa sandaran dalil?” Ini adalah satu contoh sangkaan-sangkaan yang manusia buat seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Apabila tak faham agama, mereka akan buat sangkaan-sangkaan ikut kepala sendiri yang tentunya meleset jauh. Inilah bahayanya apabila bercakap tanpa ilmu yang bersandarkan kepada wahyu. Allah telah ingatkan kita di dalam Isra’:36

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Bila tidak ada ilmu wahyulah yang sampai pakai capal pada kepala, sanjung capal, ambil berkat dari capal dan sebagainya. Kononnya kerana Nabi naik Isra’ Mi’raj dengan capal dan capal itu mulia. Masalahnya para sahabat dulu tidak buat pun, tak simpan pun capal Nabi yang original itu pun; tapi puak-puak sesat dengan logo, gambar, replika capal pun mereka cium bagai.

Bercakap tentang agama tanpa ilmu ini adalah ajaran dari syaitan. Mereka yang suruh kita memandai-mandai cakap tanpa ilmu seperti disebut di dalam Baqarah:168-169

وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah