Tafsir Surah Yaasin Ayat 48 – 50 (Bilakah Kiamat?)

SUDAH TERLAMBAT BAGI PARA PENENTANG

Yaasin Ayat 48: Ayat Syikayah lagi. Ayat Syikayah adalah apabila Allah ‎ﷻ merungut dengan menyebut kata-kata golongan penentang kebenaran. Sekarang disambung lagi menceritakan mereka yang musyrik dan menolak wahyu Allah ini. Apakah lagi yang mereka kata?

Atau, kalau kita lihat di dalam cara yang lain, sekarang masuk kepada topik yang baru iaitu tentang Kiamat dan Akhirat.

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?”.

 

وَيَقُولُونَ

Dan mereka berkata;

Yang berkata itu adalah orang-orang orang musyrik. Mereka akan berkata begini apabila mereka bertambah kufur. Mereka berkata dengan sombongnya kepada Nabi ﷺ dan pendakwah.

Perkataan يَقُولُونَ adalah dalam ‘present tense’, bermaksud ia akan berlaku dan sedang berlaku. Memang ada orang yang bercakap sebegini lagi pun sekarang. Begitulah jikalau ada yang berkata begini zaman sekarang pun maka tidak perlu hairanlah kerana Al-Qur’an sudah sentuh tentang perkara ini. Sebelum mereka cakap pun Allah ‎ﷻ sudah beritahu kita.

 

مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

bilakah akan berlaku janji ini?;

Kalimah الْوَعْدُ daripada kata dasar و ع د yang bermaksud berjanji; mengancam; amaran; dilantik; temujanji; masa; tempat atau masa pemenuhan janji atau amaran. Yang dimaksudkan dengan الْوَعْدُ di dalam Al-Qur’an adalah salah satu daripada 3 jenis:

1. Kemusnahan umat besar-besaran (contohnya kepada Kaum Aad dan Tsamud)
2. Hari Kiamat
3. Akhirat

Mereka bertanya dalam nada mengejek: “Bilakah janji yang dimaksudkan itu?” Ia adalah janji bahawa mereka yang ingkar dengan wahyu dan agama itu akan dikenakan azab di akhirat. Atau mereka yang menyembah berhala itu akan masuk neraka. Mereka mengejek dengan mengatakan tidak ada pun bala datang kepada mereka yang menyembah berhala itu atau semasa mereka berbuat perkara syirik itu. Seolah-olah mereka berkata: sudah lama mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tiada apa-apa pun berlaku? Mana dia, mana dia janji itu?

Sebenarnya kalau pertanyaan yang ikhlas kerana hendak tahu, maka ia tidaklah salah kerana ada sahaja sahabat yang pernah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Akan tetapi perhatikan jawapan Nabi ﷺ yang paling bagus,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ kembali bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’ 
(Sahih Muslim No. 4777)

Syarah: Perhatikan jawapan baginda. Ternyata persediaan menghadapi akhirat adalah lebih penting daripada mengetahui bilakah Kiamat akan tiba.

 

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

Jika benar kamu orang-orang yang benar?

Mereka kata sekiranya para pendakwah itu benar dalam dakwaan mereka yang mengatakan orang yang ingkar akan masuk neraka dan dikenakan azab, manakah azab itu? – itulah kata-kata nista mereka. Memang berlagak sungguh mereka dan berani sungguh mereka cakap begitu. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya di dalam Syura: 18:

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan.

Mereka berkata: “Kami dah lama ingkar dah ni, tapi tak datang pun azab.” Seperti apa yang dilakukan oleh orang Musyrikin Mekah, di mana mereka tawaf Ka’bah dalam keadaan telanjang tetapi tiada apa pun berlaku. Mereka sembah berhala tetapi tiada pula sakit perut, diserang penyakit atau apa-apa bala pun. Jadi mereka sangka, benarlah apa yang mereka lakukan itu. Kalau semua itu salah kata mereka, takkan Allah ‎ﷻ biarkan tanpa lakukan apa-apa kepada mereka. Mereka letak berhala di kawasan Ka’bah, pun selamat sahaja tiada apa-apa bala berlaku. Maka apabila tiada apa-apa balasan, mereka sangka Tuhan membenarkan apa yang mereka lakukan itu.

Di zaman sekarang ini, orang Islam menggunakan dalil yang sama. “Semua guru buat, takkanlah semua nak masuk neraka kot”, begitu yakin mereka berkata. Begitu juga ada yang berkata, “Tengoklah, orang Hindu pun boleh berjalan atas api, takkan mereka salah”.

Begitulah golongan Musyrikin Mekah itu mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan bala kepada mereka. Inilah perangai kaum Musyrikin. Jadi kalau ada yang berani mencabar penyebar agama untuk menurunkan bala, bermakna mereka itu tidak ubah sama sahaja seperti Musyrikin Mekah itu.

Ayat sebegini selalu ditanya oleh orang-orang kafir seperti yang disebut dalam Al-Qur’an sejak zaman berzaman. Kaum yang ingkar seperti Kaum Aad dan Tsamud juga bertanya sebegitu juga. Mereka berani minta kerana mereka tidak percaya dengan ancaman. Bila tidak percayalah yang menyebabkan mereka berani minta ditunjukkan azab itu. Akan tetapi, kenapakah orang yang ingkar dan berbuat zalim di dunia tidak dikenakan hukuman semasa di dunia? Jawapan itu ada dalam ayat yang lain. Kita semua ini dalam peringkat ujian semasa di dunia ini. Dalam tempoh ujian ini, kita boleh berbuat apa sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ tidak terus beri azab kepada kita semasa di dunia ini kerana kita diberi peluang untuk bertaubat. Sebagaimana dalam proses pembelajaran di sekolah, guru berikan peluang kepada para pelajar untuk membuat kesalahan dan belajar daripada kesilapan mereka.

Maknanya Allah ‎ﷻ sanggup beri tangguh. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah berjanji pada Diri-Nya untuk melewat-lewatkan azab. Allah ‎ﷻ sebut hal ini di dalam An’am: 12

قُل لِّمَن مَّا فِي ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ ۖ قُل لِّلَّهِ ۚ كَتَبَ عَلَىٰ نَفۡسِهِ ٱلرَّحۡمَةَ ۚ لَيَجۡمَعَنَّكُمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ لَا رَيۡبَ فِيهِ ۚ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?’ Katakanlah: ‘Milik Allahlah.’ Dia telah menetapkan rahmat atas Diri-Nya. Sesungguhnya Dia akan mengumpulkan kamu pada hari Kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri, mereka itu tidak beriman.”

Selagi dalam ujian, mereka boleh berbuat apa sahaja mereka hendak. Seperti kita juga semasa dalam ujian di sekolah. Hanya apabila sudah selesai peperiksaan Akhir Tahun barulah dikenakan hukuman sebab gagal dalam peperiksaan. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Ibrahim: 42

وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعۡمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمۡ لِيَوۡمٍ تَشۡخَصُ فِيهِ ٱلۡأَبۡصَـٰرُ
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak.”

Namun begitu, ada pengecualian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada umat-umat yang terdahulu seperti Kaum Nabi Musa, Saleh, Syuaib, Nuh dan lain-lain. Mereka terus dikenakan azab semasa di dunia lagi. Itu adalah kerana mereka hendak mencederakan atau membunuh Rasul mereka. Apabila terjadi begitu, Nabi-Nabi telah mengangkat doa supaya Allah ‎ﷻ menolong mereka dan Allah ‎ﷻ terus menurunkan bala kepada kaum mereka.

Bala yang diturunkan semasa di dunia itu akan menghancurkan seluruh baka kaum itu, tidak tertinggal sedikit pun, kecuali orang yang beriman yang Allah ‎ﷻ selamatkan dengan mengeluarkan mereka terlebih dahulu sebelum azab diturunkan. Selagi umat mereka belum mengancam bunuh, mereka akan selamat selama di dunia. Allah ‎ﷻ hanya akan mengazab mereka apabila mereka mati nanti.

Begitu juga kalau ada yang mengancam hendak membunuh penyebar ugama, Allah ‎ﷻ akan turunkan azab terus. Ini boleh berlaku sekiranya penyebar tauhid itu mengangkat tangan untuk berdoa agar diselamatkan. Ini kerana senjata orang mukmin adalah doa.


 

Yaasin Ayat 49: Jawapan syikayah dalam ayat sebelum ini. Tadi disebut tentang mereka yang tidak percaya, mereka minta ditunjukkan azab itu. Maka sekarang Allah ‎ﷻ ceritakan tentang Hari Kiamat itu.

ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They do not await except one blast1 which will seize them while they are disputing.

  • Literally, “cry” or “shriek,” meaning the first blast of the Horn which will strike dead every living thing on the earth without warning.

(MELAYU)

Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

 

مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Tidaklah mereka tunggu melainkan satu tempikan sahaja;

Iaitu tempikan tiupan sangkakala daripada Israfil. Malaikat Israfil akan tiup sekali sahaja, bukan ‘pet pet pet’ banyak kali. Langit akan pecah dan apabila nampak sahaja langit menjadi merah, maka matilah semua orang. Tidak sempat berbuat apa-apa. Daripada hadith Nabi, Israfil itu sudah bersedia dengan sangkakala itu di mulutnya, menunggu arahan Allah ‎ﷻ sahaja untuk meniupnya.

Lihatlah perkataan صَيْحَةً pernah digunakan dalam Surah Yaasin sebelum ini. Lihat ayat 29,

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وّاحِدَةً فَإِذا هُم خامِدونَ
Tidak ada seksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya dipadamkan.

Asalnya ia adalah suara keras yang keluar daripada kerongkongan untuk meminta pertolongan atau mengherdik. Di dalam ayat ini ia adalah satu suara pekikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepala mereka yang mendengarnya. Jadi Allah ‎ﷻ hendak memberi ancaman kepada Musyrikin Mekah itu; bukan kaum dahulu sahaja boleh terkena tempikan itu kerana mereka pun boleh terkena juga. Allah ‎ﷻ boleh ulang sejarah dan kenakan tempikan yang menghancurkan itu kepada Musyrikin Mekah.

Akan tetapi tempikan apakah itu? Kalau di dalam ayat 29, pendapat mengatakan itu adalah tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sesetengah ulama’ berpendapat tempikan di dalam ayat 49 adalah tiupan Sangkakala Israfil. Tiupan Sangkakala itu pun memang akan mengejutkan satu dunia nanti dan keadaan akan menjadi kecoh.

Sebenarnya kalau digunakan kalimah صَيْحَةً pun sudah bermaksud ‘satu pekikan’. Namun perhatikan Allah ‎ﷻ tambah penjelasan lagi dengan meletakkan kalimah وَاحِدَةً (satu). Ini sebagai penekanan memang satu tempikan sahaja, bukan banyak kali. Kalau kita tafsirkan sebagai bunyi trompet atau sangkakala itu, bunyinya sekali sahaja, bukannya pot-pot-pot-pretttt. Ini sebagai tanda hebatnya Allah ‎ﷻ boleh mematikan dengan sekali bunyi sahaja. Bandingkan kalau kita bertempik kepada sekumpulan semut yang hurung makanan kita, seekor semut pun tidak mati, bukan?

 

تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ

yang akan menimpa mereka sedang mereka sedang bertengkar-tengkar;

Tempikan yang akan menyebabkan kematian mereka. Keadaan dunia akan menjadi kecoh sangat ketika itu dan ini telah diberi penerangan dalam ayat-ayat pada surah yang lain. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru akan dapat gambaran yang lebih jelas.

Namun apakah yang mereka bertengkar pada waktu itu? Mungkin waktu itu mereka sedang bertengkar tentang bilakah akan terjadinya kiamat. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Kalau zaman sekarang, memang ada yang mengkaji tentang bumi dan para saintis sedang bertengkar tentang bilakah kehancuran dunia akan berlaku. Waktu mereka bertengkar itu, mereka sudah tahu bahawa kiamat akan berlaku dan mereka sudah yakin ia sudah terlalu hampir tetapi mereka tidak tahu bilakah akan terjadinya dengan tepat.

Atau mereka sedang bertengkar tentang kehidupan masing-masing. Tentang perniagaan dan sebagainya. Mereka sibuk dengan hal dunia dan perkara remeh temeh. Waktu itulah Kiamat datang tanpa mereka sedar dan bersedia.

Kalimah يَخِصِّمونَ juga memberi isyarat yang manusia pada waktu itu sibuk bertengkaran sahaja. Keadaan tidak aman malah penuh dengan keburukan dan ini bersesuaian dengan hadith Nabi yang mengatakan Kiamat itu berlaku kepada orang kafir sahaja, seperti disebut di dalam hadith daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim):

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا عَلَى شِرَارِ النَّاسِ
“Kiamat tidak akan terjadi kecuali pada seburuk-buruk manusia.”

Keterangan: Hadith ini secara langsung dan jelas menyatakan bahawa hari Kiamat tidak akan menimpa orang-orang yang beriman atau orang-orang yang masih mengucapkan nama Allah. Sebelum Kiamat datang, Allah ‎ﷻ akan mencabut nyawa orang-orang beriman melalui angin yang lembut, sehingga yang tersisa hanyalah orang-orang yang paling jahat.

Juga daripada hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim):

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لاَ يُقَالَ فِى الأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ
“Kiamat tidak akan terjadi hingga di bumi tidak ada lagi yang mengucapkan: Allah, Allah.”

Keterangan: Hadith ini menguatkan hadith sebelumnya. Kiamat tidak akan datang selagi masih ada orang yang mengesakan Allah ‎ﷻ dan menyebut nama-Nya. Ini menunjukkan bahawa ketika Kiamat terjadi, tingkat keburukan dan kekufuran manusia telah mencapai puncaknya, sehingga tidak ada lagi yang beribadah kepada Allah ‎ﷻ.

Sebuah lagi hadith daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Muslim) menyebut: Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ الْخَلْقِ هُمْ شَرٌّ مِنْ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ لاَ يَدْعُونَ اللَّهَ بِشَىْءٍ إِلاَّ رَدَّهُ عَلَيْهِمْ
“Kiamat tidak akan terjadi kecuali kepada makhluk yang paling buruk. Mereka lebih buruk daripada penduduk jahiliyah (pra-Islam), mereka tidak berdoa kepada Allah dengan sesuatu pun melainkan Allah menolaknya atas mereka.”

Keterangan: Hadith ini menjelaskan ciri-ciri “seburuk-buruk manusia” yang akan menghadapi Kiamat: mereka lebih buruk daripada orang Jahiliyah (yang masih mengakui Tuhan meskipun menyekutukan-Nya), dan doa mereka tidak lagi diterima oleh Allah ‎ﷻ kerana kekufuran dan kejahatan mereka yang amat sangat.

Jadi daripada hadith-hadith ini, kita berharap ia tidaklah terjadi semasa kita hidup ini kerana keadaan Kiamat itu amatlah teruk. Kita berharap ia tidak berlaku kerana kita masih lagi kenal Allah ‎ﷻ dan masih lagi menyembah Allah ‎ﷻ. Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ ajar kita tentang ayat-ayat Kiamat ini sedangkan kita berkemungkinan besar tidak akan melaluinya?

Pertamanya untuk menguji kita sama ada kita beriman dengan ayat-ayat sebegini atau tidak. Ia adalah perkara ghaib yang Allah ‎ﷻ sampaikan kepada kita dan kita wajib beriman dengannya. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 3 tentang sifat orang-orang bertaqwa:

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib

Keduanya, kita dapat kenal Allah ‎ﷻ dan kehebatan-Nya. Kita boleh tahu betapa mudahnya Allah ‎ﷻ mematikan semua makhluk, menghancurkan alam ini dan kemudian menghidupkan semua sekali. Apabila kita sedar yang Allah itu Maha Hebat, maka lebih mudah untuk kita berserah kepada-Nya.

Ketiganya hendak mengingatkan kita. Kalau engkau baca tentang kejadian Hari Kiamat yang menakutkan ini, apa yang akan berlaku selepasnya itu lebih teruk lagi dan ini kita pasti melaluinya. Iaitu kejadian di Mahsyar, timbangan amal, ketakutan kerana tidak tahu dimasukkan ke syurga ataupun neraka. Semua itu kita pasti lalui dan ia pasti menakutkan kita. Ia mengingatkan kita untuk membuat persediaan bagi menghadapinya. Semoga kita semua selamat akhirnya kerana kalau kita tahu, semua ini menyebabkan kita amat-amat takut sebenarnya.

Begitulah kesannya kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana disebut di dalam hadith dari Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, dihasankan oleh Al-Albani):

كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَحَنَى جَبْهَتَهُ يَسْتَمِعُ مَتَى يُؤْمَرُ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: قُولُوا: حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Bagaimana mungkin aku boleh bersenang-senang, sedangkan malaikat sangkakala telah meletakkan sangkakala di mulutnya dan mencondongkan dahinya (telinganya), menunggu bila dia diperintahkan (untuk meniupnya)?” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perintahkan kepada kami?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah: ‘Hasbunallah wa Ni’mal Wakil (Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik Pelindung).'”


 

Yaasin Ayat 50: Gambaran orang yang akan mati su’ul khotimah (penutup yang buruk). Ini adalah mereka yang tidak buat persiapan untuk akhirat.

فَلا يَستَطيعونَ تَوصِيَةً وَلا إِلىٰ أَهلِهِم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will not be able [to give] any instruction, nor to their people can they return.

(MELAYU)

lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiat pun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya.

 

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً

Tidaklah mereka mampu untuk berpesan;

Kejadian kiamat itu tiba-tiba sampaikan tidak sempat untuk beri apa-apa pesanan lagi – untuk hantar Whatsapp kepada sesiapa pun tidak boleh. Tidak sempat untuk beritahu kepada sesiapa pun waktu itu. Mereka akan mati dengan serta merta apabila tiupan sangkakala berbunyi. Kepada siapa yang kita selalu berpesan? Kepada anak-anak kita, bukan? Allah ‎ﷻ telah sentuh tentang zuriat di dalam ayat 41 sebelum ini. Allah ‎ﷻ beritahu yang apabila Kiamat berlaku, tidak sempat pun untuk berpesan kepada anak-anak yang disayangi kerana cepat sekali ia berlaku.

Keadaan pula amat mengejutkan dan menakutkan. Ada ibu yang mengandung terkeluar anaknya daripada kandungan kerana terkejut dengan suasana itu. Ada ibu yang mengendong anak akan membuang anaknya kerana takutkan kejadian kiamat. Allah ‎ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Hajj: 1-2

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡ‌ۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١) يَوۡمَ تَرَوۡنَهَا تَذۡهَلُ ڪُلُّ مُرۡضِعَةٍ عَمَّآ أَرۡضَعَتۡ وَتَضَعُ ڪُلُّ ذَاتِ حَمۡلٍ حَمۡلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ۬ (٢)
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (1) Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. (2)

Ini kerana langit akan terbelah dan nampak api yang merah menyala turun dari langit. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Rahman: 37

فَإِذَا ٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتۡ وَرۡدَةًۭ كَٱلدِّهَانِ
“Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilauan) minyak.”

Dalam Zumar: 68 ada menyebut apa yang akan terjadi apabila ditiup Sangkakala ini dan bagaimana semua makhluk akan mati kecuali sesiapa yang Allah tentukan sahaja.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ
Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

Pada hari ditiupkan sangkakala, mati semua makhluk di tujuh langit dan tujuh bumi, melainkan sesiapa yang Allah ‎ﷻ kehendaki; maknanya, ada yang tidak mati.  Mengenai “siapakah yang dikehendaki Allah” untuk tidak mati pada tiupan sangkakala yang pertama (tiupan kematian), terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama tafsir. Al-Qur’an sendiri tidak menyebutkan secara spesifik siapa golongan yang dikecualikan ini. Berikut adalah beberapa pandangan yang masyhur:

1. Malaikat-malaikat Tertentu:

    • Jibril, Mikail, Israfil, dan Malaikat Maut: Ini adalah pendapat yang paling banyak disebut. Logiknya, Malaikat Israfil adalah peniup sangkakala itu sendiri, jadi beliau tidak mungkin mati sebelum tiupan itu selesai. Malaikat Maut adalah yang bertugas mencabut nyawa, jadi beliau akan menjadi makhluk terakhir yang mati setelah mencabut nyawa semua makhluk lain, termasuk malaikat-malaikat yang lain. Jibril dan Mikail juga sering disebut kerana kedudukan mereka yang sangat tinggi di sisi Allah ‎ﷻ.
    • Malaikat Hamalatul ‘Arsy (Pembawa Arasy): Sebahagian ulama juga memasukkan mereka dalam golongan yang dikecualikan. Terdapat sejumlah 8 Malaikat Hamalatul ‘Arsy.

2. Hanya Allah ‎ﷻ Yang Kekal:

    • Ada pandangan yang mengatakan bahawa pada akhirnya, semua makhluk akan mati, termasuk malaikat-malaikat yang dikecualikan ini. Pengecualian “kecuali siapa yang dikehendaki Allah” hanyalah untuk menunjukkan bahawa ada makhluk yang akan mati paling akhir, setelah yang lain mati. Pada akhirnya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Kekal, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Qasas (28): Ayat 88: “كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ” (“Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.”)

3. Para Nabi dan Syuhada:

    • Sebahagian kecil ulama berpendapat bahawa Nabi dan Syuhada (orang-orang yang mati syahid) mungkin tidak mati dalam erti kata kematian biasa (pengsan atau tertidur daripada kesedaran) kerana mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan diberi rezeki. Namun, pandangan majoriti adalah mereka juga akan mengalami kematian atau ‘ketidaksedaran’ seperti makhluk lain, walaupun hidup mereka di barzakh adalah istimewa.

4. Sikap Tafwid (Menyerahkan kepada Allah ‎ﷻ):

    • Beberapa ulama berpendapat bahawa oleh kerana Al-Quran dan hadith tidak menyebut secara pasti siapa yang dikecualikan, maka yang terbaik adalah untuk menyerahkan pengetahuan ini kepada Allah ‎ﷻ. Kita hanya perlu menyakini bahawa memang ada makhluk yang dikecualikan pada tiupan pertama itu, tanpa perlu berspekulasi tentang identiti mereka.

Di dalam ayat ini juga ada disebut mereka قِيامٌ يَنظُرونَ (mereka berdiri menunggu). Nanti selepas ini يَنسِلونَ (mereka bergerak dengan cepat). Ini tidak bercanggah kerana pada permulaan mereka kebingungan tidak tahu berbuat apa-apa kemudian barulah para malaikat menghalau mereka bergerak dengan cepat. Allah ‎ﷻ sebut di dalam Fussilat: 19

وَيَوْمَ يُحْشَرُ أَعْدَاءُ اللَّهِ إِلَى النَّارِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) musuh-musuh Allah digiring ke neraka, lalu mereka dikumpulkan (secara paksa).”

 

وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ

Dan tidak sempat kembali kepada keluarga masing masing;

Kejadian itu berlaku dengan teramat cepat sampaikan kalau duduk luar rumah untuk kembali masuk rumah pun tidak sempat. Jadi tidak sempat hendak berpesan kepada ahli keluarga sendiri. Ini adalah gambaran orang yang tidak membuat persiapan tentang akhirat. Bukan orang yang menghadapi Kiamat sahaja mengalami hal ini. Orang yang lalai leka dengan dunia pun tidak sempat untuk beri apa-apa pesanan kepada keluarga mereka. Kalau orang yang rapat dengan wahyu, mereka telah membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Ini kerana kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Terutama zaman sekarang yang selalu sahaja kita dengar kejadian orang yang mati sekelip mata secara tiba-tiba sahaja. Ini telah disebut di dalam hadith riwayat At-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir

إِنَّ مِنْ أَمَارَاتِ السَّاعَةِ … وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفَجْأَةِ
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda Kiamat adalah… akan banyak berlakunya kematian secara mengejut.”

Orang yang mukmin akan selalu beringat tentang hal ini dan membuat persediaan bagi menghadapinya, seperti disebut di dalam hadith riwayat Imam Ahmad (25556) dan riwayat lain daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bertanya kepada Rasulullah ﷺ mengenai kematian mengejut, lalu Baginda bersabda: رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ
“(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka (fajir).”

Apabila kiamat berlaku nanti, tidak sempat untuk berbuat apa-apa lagi kerana langit dan bumi semuanya dihancurkan dengan serta merta. Kenapakah segalanya dihancurkan? Kerana dunia adalah ibarat tiang-tiang sokongan yang digunakan untuk membina rumah. Apabila rumah sudah siap, maka tiang-tiang itu akan dibuang kerana tidak perlu lagi. Begitu juga dunia adalah sebagai tempat ujian kepada makhluk dan apabila Kiamat datang, ia telah habis gunanya. Waktu itu akan dibicarakan makhluk semua sekali dan akan dimasukkan makhluk sama ada ke neraka atau ke syurga.

Ayat ini mengajar kita hendaklah sentiasa mengingati mati. Di dalam setiap mukasurat Al-Qur’an pasti menyebut tentang kematian, tentang Kiamat. Ini adalah untuk mengingatkan kita kepada kematian atau sering disebut zikrul mawt. Antaranya ayat seperti Nisa’: 78

اَيْنَ مَا تَكُوْنُوْا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِيْ بُرُوْوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau pun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.”

Malah Rasulullah ﷺ juga mengingatkan kita akan hal ini. Di dalam hadith riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan An-Nasa’i (dihasankan oleh Al-Albani), baginda bersabda

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan, iaitu kematian.”

Juga di dalam hadith  riwayat Ibnu Majah (dihasankan oleh Al-Albani) daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ:

“Wahai Rasulullah, siapakah di antara orang-orang mukmin yang paling utama?” Nabi ﷺ menjawab: “Yang paling baik akhlaknya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Siapakah di antara orang-orang mukmin yang paling cerdik?” Nabi ﷺ menjawab: أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا، وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا، أُولَئِكَ هُمُ الأَكْيَاسُ
“Orang yang paling banyak mengingat kematian, dan yang paling baik persiapannya setelah kematian. Merekalah orang-orang yang cerdik.”

Sentiasa memikirkan bahawa ada kemungkinan esok kita boleh sahaja mati. Jangan kita terus sangka yang umur kita panjang. Kerana kita tidak tahu bilakah ‘expiry date’ (tarikh luput) kita. Nescaya kalau kita ada ingatan sebegitu, iman kita akan meningkat. Kita pun tidak berani untuk membuat benda-benda yang salah dan berdosa. Kita juga akan sentiasa berhati-hati dalam amalan dan perbuatan kita. Kita akan beringat untuk memesan tentang kebaikan kepada anak isteri kita.

Jauhkan diri daripada melakukan dosa walau kecil mahupun besar kerana kita takut kalau kita ditanya tentangnya. Jikalau tidak bersedia, maka kita akan jadi seperti orang yang disebut dalam ayat ini. Oleh itu, tinggalkan apa yang perlu tinggal, buat apa yang perlu buat. Jikalaulah tidak mampu untuk buat lagi, maka teruslah minta ampun siap-siap.

Sekian Ruku’ 3 daripada 5 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 46 – 47 (Kepentingan Infak)

Yaasin Ayat 46: Ini adalah jawapan kepada nasihat yang diberikan di dalam ayat sebelum ini. Perhatikan di dalam ayat 45 sebelum ini adalah anjuran yang diberikan kepada mereka (untuk bertaqwa). Akan tetapi tidak disebut balasan daripada mereka. Maka perhatikan apakah tindakan daripada orang yang degil dan tidak mahu berfikir.

وَما تَأتيهِم مِّن ءآيَةٍ مِّن ءآيٰتِ رَبِّهِم إِلّا كانوا عَنها مُعرِضينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no sign comes to them from the signs of their Lord except that they are from it turning away.

(MELAYU)

Dan sekali-kali tiada datang kepada mereka suatu tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.

 

وَما تَأتيهِم مِّن ءآيَةٍ مِّن ءآيٰتِ رَبِّهِم

Tidaklah datang kepada mereka daripada tanda-tanda daripada ayat-ayat Tuhan mereka; 

Perkataan آيَةٍ bukan sahaja bermakna ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi ia juga bermaksud ‘tanda’. Tanda daripada Allah ‎ﷻ bukan sahaja di dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an tetapi ia juga ada pada alam. Allah ‎ﷻ telah memberikan banyak tanda-tanda dalam alam ini tentang kewujudan-Nya. Kita yang diberikan akal seharusnya akan memerhatikan segala perkara ini dan ini telah disentuh di dalam ayat 9 sebelum ini,

وَجَعَلنا مِن بَينِ أَيديهِم سَدًّا وَمِن خَلفِهِم سَدًّا فَأَغشَينٰهُم فَهُم لا يُبصِرونَ
Allah akan jadikan hijab di hadapan mereka dan hijab di belakang mereka. Dan akan ditutupkan pandangan mereka. Bagaimana lagi mereka boleh melihat?

Begitu juga Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita berbagai-bagai perumpamaan dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Berkali-kali dan dalam berbagai-bagai cara. Kalau dipelajari maksud ayat-ayat Al-Qur’an ini, dan diperhatikan alam ini, maka kita akan dapat faham apakah tanda-tanda yang banyak itu. Manusia yang lalai sahaja yang memerhatikan tanda-tanda dan nasihat yang diberikan kepada mereka.

 

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berpaling daripadanya;

Kalimah ‘berpaling’ itu bermaksud mereka menolak, tidak mahu terima. Kalau tanda-tanda pada alam, mereka buat tidak endah sahaja. Kalau ayat Al-Qur’an, mereka tidak mempelajarinya. Bila tidak mahu terima, bermakna mereka kufur dengan ayat-ayat itu. Apabila kufur dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, bermakna mereka kufur dengan Allah ‎ﷻ. Maka ini adalah perkara yang besar, bukan perkara main-main. Padahal, ramai yang tahu bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ‎ﷻ untuk kita. Mereka tahu bahawa Al-Qur’an itu adalah panduan hidup untuk kita di dunia ini.

Namun, apabila diajak untuk belajar tafsir Al-Qur’an, ramai yang tidak mahu belajar. Mungkin mereka tidak nampak kepentingan Al-Qur’an di dalam kehidupan mereka. Paling teruk adalah mereka yang apabila dibacakan dalil-dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima. Malah mereka memusuhi pula orang-orang yang bawakan ayat Al-Qur’an itu kepada mereka. Mereka tidak mahu terima itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir. Bila tidak belajar tafsir, maka mereka tidak nampak kepentingan ayat-ayat Al-Qur’an itu.  Sedangkan ada hadith daripada Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”. (Riwayat al-Bukhari No. 5027)

Oleh kerana tidak belajar, mereka tidak faham Al-Qur’an. Apabila kita membacakan dalil kepada mereka, mereka kata kita pandai-pandai sahaja tafsir sendiri. Padahal, mereka sendiri yang tidak belajar. Sedangkan kita tidak berani untuk tafsir sendiri, cuma kita sampaikan apa yang ditafsirkan oleh para ulama. Kita takut kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Nabi ﷺ bersabda:

وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesiapa yang berkata sesuatu pada Al-Qur’an dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka.
(Riwayat At-Tirmidzi No. 2951) Dhaif (Darussalam)

Walaupun dhaif, namun ia adalah sebuah peringatan yang amat penting kerana kalau kita tersalah tafsir, maka tentulah malang nasib kita.

Ada pula yang sudah faham pun kepentingan belajar tafsir tetapi masih tidak mahu belajar juga. Kerana mereka beralasan yang keadaan tidak mengizinkan. Ini dipanggil dugaan dalam bentuk keadaan atau dipanggil ‘takwiniah‘. Apabila diuji dengan keadaan, maka mereka kalah dengan keadaan itu. Seperti sibuk dengan kerja, dengan keluarga dan sebagainya.  Begitulah, sepatutnya dalam keadaan apa pun, kita kena buat ibadah. Namun banyak antara kita kalah dengan keadaan. Contohnya berapa ramai yang sakit, sudah tidak solat. Mereka seolah-olah sudah mendapat lesen untuk tidak perlu solat. Yang datang melawat pun bagaikan sudah menerima yang orang sakit itu tidak perlu solat. Padahal, solat tidak boleh ditinggalkan dalam keadaan apa pun.

Mungkin salah satu sebabnya adalah mereka tidak tahu yang mereka boleh menggunakan tayamum apabila mereka sakit atau jika tidak boleh ambil wudhu’ seperti biasa. Malangnya yang diajar kepada mereka adalah cara-cara mengambil tayamum yang salah. Mereka diajar bertayamum kemudian kena ambil wudhu’ sekali. Padahal, kalau orang sihat pun disuruh ambil wudhu’ sahaja, tetapi kenapa pula kalau orang yang sakit, yang lebih memerlukan kemudahan dalam beragama, disuruh buat kedua-duanya pula? Ini adalah kerana mereka tidak belajar bahagian fiqh yang memudahkan manusia.

Ada pula yang sudah belajar tafsir Al-Qur’an tetapi mereka tidak amalkan apa yang mereka belajar. Ini pun ada masalahnya sendiri. Mungkin belum mampu, terkesan dengan suasana dan sebagainya. Namun ingatlah yang kita ini bukan setakat belajar sahaja, tetapi kenalah amalkan. Daripada Abu Musa Al Asy’ariy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda,

الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari No. 5059)


 

Yaasin Ayat 47: Ini satu lagi kedegilan mereka untuk menerima nasihat dan menggunakan akal mereka. Ayat ini jenis ‘Syikayah’ (Rungutan Allah ‎ﷻ). Allah ‎ﷻ menceritakan perangai orang yang tidak beriman, iaitu orang musyrik dalam nada merungut tentang mereka. Maknanya, kalau Allah ‎ﷻ pun sudah merungut tentang mereka, kita kena lihat apakah kesalahan mereka itu dan janganlah kita buat pula.

وَإِذا قيلَ لَهُم أَنفِقوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا أَنُطعِمُ مَن لَّو يَشاءُ اللهُ أَطعَمَهُ إِن أَنتُم إِلّا في ضَلٰلٍ مُبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Spend from that which Allāh has provided for you,” those who disbelieve say to those who believe, “Should we feed one whom, if Allāh had willed, He would have fed? You are not but in clear error.”

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang diberikan Allah kepadamu”, maka orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman: “Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan, tiadalah kamu melainkan dalam kesesatan yang nyata”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan bila dikatakan kepada mereka

Yang dimaksudkan adalah orang-orang ingkar (sama ada musyrik, kufur atau munafik). Salah satu sifat orang-orang Munafik itu adalah mereka amat susah untuk sedekah kepada agama dan kepada orang yang memerlukan. Kalau mahu tahu kita ini orang munafik ataupun tidak, apabila datang orang meminta sedekah kepada kita, dan kita payah untuk memberi sedekah, maksudnya ada ciri-ciri munafik dalam diri kita.

Ini berlaku kerana kita tidak yakin penuh dengan janji Allah ‎ﷻ yang Dia akan balas infak kita itu. Memang Bangsa Melayu ini berat sedikit hendak memberi sedekah jikalau dibandingkan dengan orang Arab. Kalau kita lihat orang Arab, mereka beri sedekah macam mereka tidak takut mereka akan jatuh miskin.

Sesetengah ulama berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan dengan masa sulit yang dihadapi masyarakat Mekah. Ketika itu Nabi Muhammad ﷺ menganjurkan kepada semua pihak — termasuk kaum musyrikin — agar membantu fakir miskin, namun mereka enggan. Boleh jadi juga sebahagian fakir miskin telah memeluk Islam yang sebelum itu dibantu oleh orang orang kafir, tidak lagi diberi bantuan yang selama ini mereka peroleh, kerana keislaman mereka. Ketika itulah kaum musyrikin mengucapkan kalimat bodoh itu.

 

أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللهُ

infaklah daripada rezeki yang Allah telah beri kepada kamu;

Allah ‎ﷻ nasihatkan kita infak kepada fakir miskin. Ini sahaja ayat suruhan yang disebut di dalam Surah Yaasin ini. Kalau sebelum ini hanya ada suruhan beriman sahaja. Infak ini bukan disuruh beri semua pun, tetapi sebahagian sahaja. Allah ‎ﷻ juga ingatkan yang Dialah yang sebenarnya beri rezeki kepada kita. Asalnya kita tidak ada rezeki tetapi Allah ‎ﷻ telah berikan rezeki yang banyak kepada kita. Malangnya, ramai yang berat tangan untuk bersedekah atau infak kepada orang lain. Macamlah harta itu memang dia yang punya, padahal Allah ‎ﷻ yang beri. Mereka sangka mereka dapat harta itu hasil daripada usaha mereka sahaja. Padahal, yang Allah ‎ﷻ suruh beri itu pun daripada rezeki yang Allah ‎ﷻ beri. Bukan kita yang dapat sendiri rezeki itu sendiri. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri rezeki kepada kita, kita pun tidak ada apa-apa.

Apabila telah ada iman dan kesedaran agama dalam diri kita, secara automatik kita akan senang untuk berbuat amal kebaikan. Iman bukan hanya dalam perkara ibadah sahaja, solat, puasa, haji dan sebagainya tetapi iman juga menyuruh kita untuk berbuat kebaikan untuk manusia lain. Islam tidak memisahkan amal ibadat untuk diri kita dan juga menolong orang lain juga. Konsep kebajikan dalam Islam diterangkan dengan jelas dalam ayat Baqarah: 177

لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلبِرَّ مَن ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱليَومِ ٱلأَخِرِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ وَٱلكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلمُوفُونَ بِعَهدِهِم إِذَا عَـٰهَدُواْ‌ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلبَأسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلبَأسِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلمُتَّقُونَ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Di dalam Surah Yaasin ini tidak disebut kena infak kepada siapa. Maka ia adalah secara umum sahaja iaitu beri kepada yang memerlukan. Ayat ini diturunkan di Mekah dan ramainya orang apa pada waktu itu? Yang beriman atau yang musyrik? Tentu yang musyrik lebih ramai ketika itu. Jadi kepada mereka pun dianjurkan untuk memberi kerana mereka memerlukan. Ini kerana Islam memang menganjurkan untuk berbuat baik walaupun kepada orang kafir. Akan tetapi bagaimana pula balasan mereka?

 

قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

berkata orang-orang kafir itu;

Yang dimaksudkan adalah orang yang tidak beriman seperti orang kafir, orang musyrikin, orang munafik. Maka mereka boleh jadi orang Islam juga. Mereka dipanggil ‘kafir’ kerana walaupun mereka mengucap Syahadah depan Nabi ﷺ, namun sebenarnya hati mereka dalam kekafiran. Mereka mengaku sahaja Muslim akan tetapi jiwa Muslim tidak ada dalam diri mereka. Mereka tidak mahu masuk Islam atau kalau yang Muslim, mereka tidak mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya kerana ada banyak pengorbanan dan larangan dan juga suruhan. Jadi apabila ada suruhan seperti suruh infak ini, mereka mula hendak menolak dengan memberikan alasan.

Bandingkan dengan anjuran di dalam ayat 45 sebelum ini (tentang ajakan untuk bertaqwa) tidak disebut jawapan daripada mereka. Namun sekarang ada jawapan pula. Ini kerana kebanyakan manusia, apabila kita ajak mereka untuk beriman, mereka buat tidak tahu sahaja; masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Akan tetapi apabila disebut amalan mereka, maka mereka melenting dan menjawab. Ini seperti juga kalau kita ajak masyarakat kita supaya beriman dan bertaqwa, mereka dengar tanpa cakap apa-apa. Namun apabila kita tegur amalan bid’ah mereka, mereka akan melenting.

 

لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

kepada orang-orang yang beriman,

Mereka katakan hujah yang akan disebut ini kepada orang beriman setelah orang beriman itu mengajak mereka infak kepada yang memerlukan. Orang beriman memang kerjanya akan berdakwah dan ajak kepada kebaikan. Ini kita kena selalu lakukan dalam apa sahaja cara dan kemampuan kita. Akan tetapi adakah ia senang diterima manusia? Tentu tidak. Akan ada sahaja yang menentang dan banyak songeh, menjawab macam-macam. Di dalam ayat ini diberikan salah satu daripada alasan golongan kafir itu (atau orang yang fikiran seperti orang kafir).

Ayat ini mengajar kita yang apabila kita berdakwah atau mengajak ke arah kebaikan, ada ketika orang yang diajak itu buat tidak tahu sahaja; dan ada pula yang menolak dengan memberi hujah-hujah yang bodoh dan tidak wajar. Jadi sebagai pendakwah dan guru agama, kena banyak bersabar apabila menerima hujah-hujah sebegini.

 

أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللهُ أَطْعَمَهُ

adakah kami kena beri makan kepada orang yang kalau Allah ingin, Allah sendirilah yang beri makan kepadanya?;

Mereka kata mereka pun dapat rezeki daripada Allah ‎ﷻ juga, patutnya Allah ‎ﷻ juga yang beri rezeki kepada orang itu. Jadi mereka akan kata kepada orang yang meminta itu untuk minta sendiri kepada Tuhan, bukan kepada mereka. Lagi pun Allah ‎ﷻ yang beri rezeki, jadi kalau mereka itu (orang beriman) sembah Allah ‎ﷻ, kenapa Allah ‎ﷻ tidak beri rezeki kepada orang itu? Mereka juga kata Allah ‎ﷻ yang jadikan orang miskin itu begitu, jadi takkan kami pula yang kena beri rezeki kepada orang miskin itu? Kerana bukankah itu kehendak Allah ‎ﷻ sendiri yang menjadikan mereka begitu? Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka terhadap Allah ‎ﷻ. Jadi ayat ini bukan hanya ditujukan kepada orang dulu sahaja, malah kepada orang zaman sekarang sekali.

Perhatikan hujah mereka. Mereka menggunakan logik akal. Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ telah memberi rezeki kepada mereka, tentulah Allah ‎ﷻ pun boleh juga untuk memberi rezeki kepada orang yang susah itu. Mereka lupa yang Allah ‎ﷻ suruh beri infak itu untuk kebaikan mereka juga kerana mereka akan dapat pahala yang kekal.

Begitulah tanda orang-orang munafik. Mereka akan memberikan hujah akal untuk menolak daripada melakukan kebaikan. Mereka sangka otak mereka pandai, tetapi sebenarnya iman mereka yang kurang. Kita akan berjumpa dengan ramai orang yang bersifat begini. Mereka pandai berhujah, tetapi hujah mereka itu adalah hujah-hujah akal yang mengikut hawa nafsu mereka sahaja.

Kepada orang-orang sebegini, kita kena berikan hujah-hujah Al-Qur’an kepada mereka. Kalau mereka tidak mahu terima, ingatkan mereka tentang bala yang mereka akan terima seperti apa yang telah disebut dalam surah ini. Kalau mereka tidak mahu terima, bermakna Allah ‎ﷻ masih tidak memberi hidayah kepada mereka. Memang dari zaman dahulu sampai sekarang, akan ada manusia yang bersifat sebegini.

Memang sebenarnya kalau kita perhatikan, hujah lelaki kafir itu logik sahaja. Jadi di dalam dunia ini, memang kadangkala kita berhadapan dengan hujah-hujah yang logik pada akal. Kerana itu akal kita mestilah dipandu oleh wahyu. Kalau setakat pakai akal sahaja, maka akan rosaklah kita kerana akal kita tidaklah hebat mana pun. Ada yang menyifatkannya seperti neraca emas; ini kerana kalau objek ringan seperti emas, bolehlah neraca itu menimbangnya; akan tetapi kalau objek berat seperti seguni beras, ia tidak akan mampu. Jadi akal kita mesti dipandu oleh wahyu Ilahi.

Jikalau kita tidak dapat beri sumbangan kepada peminta sedekah, hendaklah kita minta maaf kepada mereka, jangan hina dan halau dia. Walaupun mungkin kita tahu dia jenis orang yang ambil kesempatan. Kita dilarang untuk berkata hina kepada orang yang meminta. Maka kena jaga mulut kita. Memanglah orang-orang yang meminta sedekah itu ada masalah pada diri mereka sendiri, tetapi bukanlah kerja kita untuk menilai mereka.

Dalam hadith dikatakan bahawa di Mahsyar nanti, akan luruh muka mereka kerana mereka semasa di dunia meminta sedekah. Namun walaupun begitu, kita tetap kena bercakap kepada mereka dengan lembut. Mungkin ada penyakit putus asa pada diri mereka.

Ataupun mereka itu mungkin tahi judi atau penagih dadah dan sebagainya. Tidak perlulah kita buka rahsia mereka. Tidak perlu kita cari apa salah mereka. Itu bukan tugas kita. Kita sebagai orang yang sudah belajar agama, janganlah kita buat begitu.

Allah ‎ﷻlah yang menentukan rezeki kepada kita. Ada yang hanya usaha sedikit, tetapi dikurniakan rezeki yang banyak. Ada yang susah bekerja, berhempas pulas setiap hari, namun sedikit sahaja mereka dapat. Itu semua adalah anugerah daripada Tuhan. Terpulang sahaja kepada Allah ‎ﷻ mahu beri berapa banyak kepada seseorang itu. Kita tidak boleh persoalkan. Memang sudah begitu lumrahnya.

Tidak boleh kita menghina orang yang miskin dan tidak boleh pula kita berbangga kalau kita orang yang berharta. Ada yang memang Allah ‎ﷻ beri rezeki yang sedikit kepada mereka. Mungkin ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ buat begitu. Mungkin kita orang yang tidak berharta kerana Allah ‎ﷻ tahu jikalau diberikan harta yang banyak kepada kita, kita akan menjadi orang yang tidak baik. Maka bersyukurlah dengan apa sahaja yang kita ada.

Bukan banyak pun yang Allah ‎ﷻ suruh kita infakkan. Kalau kita lihat zakat harta atau zakat perniagaan, kita hanya disuruh memberi 2.5% daripada harta atau hasil perniagaan kita sahaja. Tidaklah Allah ‎ﷻ suruh beri sedekah sampai habis duit dalam tangan kita kerana kita juga ada tanggungjawab kepada keluarga kita.

Ayat ini juga boleh kita bincangkan tentang rezeki yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia. Ada yang Allah ‎ﷻ beri banyak dan ada yang Allah ‎ﷻ beri sedikit. Yang menjadi persoalannya, kenapa Allah ‎ﷻ beri lebih rezeki dunia ini kepada orang kafir sedangkan mereka menentang kebenaran? Kepada orang Mukmin pula, banyak yang hidup melarat dan dalam kesusahan sepanjang hidup dia. Ini kerana dunia ini bukan tempat balasan, tetapi tempat ujian. Kerana itulah ada hadith yang menyebut,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.”
(Hadith Sahih Muslim No. 5256)

Ada kisah yang menarik tentang Imam Ibnu Hajar al-Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ dengan hadith ini. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ adalah seorang ulama besar Mazhab Syafi’i dan seorang pakar hadith yang terkemuka. Beliau juga memegang jawatan sebagai Qadhi al-Qudhah (Ketua Hakim) di Mesir. Dengan kedudukannya itu, beliau memiliki kehidupan yang boleh dikatakan mewah dan dihormati. Beliau berpakaian indah dan menaiki kenderaan yang baik. Pada suatu hari, ketika Imam Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ sedang dalam perjalanannya dengan segala kemegahan tersebut, beliau terserempak dengan seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi ini miskin, berpakaian compang-camping, dan berbau busuk kerana pekerjaannya menjual minyak panas.

Lelaki Yahudi itu memberhentikan Imam Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ dan bertanya, “Nabimu berkata, ‘Dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.’ Sekarang, engkau (seorang Muslim yang dikatakan mukmin) berada dalam kenikmatan dunia seperti ini (seolah-olah syurga), sedangkan aku (seorang kafir) berada dalam keadaan sengsara begini (seolah-olah penjara). Bagaimana ini boleh berlaku?” Imam Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ dengan bijaksana menjawab, “Benar apa yang disabdakan oleh Nabi kami. Adapun kenikmatan yang aku rasakan di dunia ini, jika dibandingkan dengan kenikmatan syurga yang Allah sediakan untuk orang mukmin di akhirat kelak, maka ia tidak ubah seperti sebuah penjara. Manakala kesengsaraan yang engkau alami di dunia ini, jika dibandingkan dengan azab neraka yang Allah sediakan untuk orang kafir di akhirat kelak, maka ia adalah umpama syurga bagimu.”

Mendengar jawapan yang penuh hikmah dan menusuk kalbu itu, lelaki Yahudi tersebut dikatakan terdiam dan akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah serta memeluk Islam.

Makna dan Pengajaran Hadith:

Penjelasan para ulama mengenai hadith ini adalah seperti berikut:

Bagi Orang Mukmin:

    • Dunia ini diibaratkan sebagai penjara kerana orang mukmin terikat dengan hukum-hakam syariat Allah ‎ﷻ. Mereka perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang, serta bersabar dalam melaksanakan ketaatan.
    • Kenikmatan dunia yang dirasai oleh orang mukmin, sebesar mana pun ia, adalah sangat kecil dan tidak ada bandingan jika dibandingkan dengan nikmat abadi yang Allah ‎ﷻ janjikan di syurga kelak. Oleh itu, walaupun mereka hidup senang di dunia, ia tetap dianggap “penjara” berbanding kebebasan dan keluasan nikmat syurga.
    • Orang mukmin sentiasa merindui akhirat dan menganggap dunia sebagai tempat persinggahan sementara untuk mengumpul bekalan.

Bagi Orang Kafir:

    • Dunia ini diibaratkan sebagai syurga kerana mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka inginkan tanpa mempedulikan batasan halal dan haram (menurut neraca agama Islam).
    • Kenikmatan dunia yang mereka kecapi, walaupun nampak hebat, adalah kemuncak segala-galanya bagi mereka kerana mereka tidak beriman kepada hari akhirat atau tidak mengharapkan nikmat selepas mati. Apa yang mereka peroleh di dunia inilah “syurga” mereka.
    • Kesengsaraan atau nikmat yang mereka rasai di dunia adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan azab pedih yang menanti mereka di neraka kelak (jika mereka mati dalam kekufuran). Oleh itu, sebarang kesenangan sementara di dunia ini adalah umpama “syurga” berbanding balasan di akhirat.

Kisah Imam Ibnu Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ bersama lelaki Yahudi tersebut menjadi contoh bagaimana seorang ulama yang mendalam ilmunya mampu menjelaskan makna hadith dengan cara yang mudah difahami dan memberi kesan, sekaligus menunjukkan kebenaran ajaran Islam. Kisah yang masyhur melibatkan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ dengan hadith “الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ” (Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir), merupakan sebuah kisah yang sering diceritakan untuk memberi kefahaman mendalam tentang maksud hadith tersebut.

Ada kala Allah ‎ﷻ menjaga iman orang Mukmin dengan tidak memberikan kekayaan kepadanya kerana Allah ‎ﷻ tahu, seandainya diberi kekayaan kepada orang itu, dia tidak dapat menanganinya dan akan menjerumuskan dirinya ke arah keburukan. Kerana itu kadangkala kekayaan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia, menjadi istidraj baginya. Istidraj adalah suatu keadaan di mana seseorang mendapatkan kenikmatan, kemudahan, dan kejayaan duniawi secara terus-menerus, padahal ia sering melakukan maksiat dan jauh daripada ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah bentuk ujian atau perangkap halus daripada Allah ‎ﷻ, bukan sebagai tanda keredhaan atau keberkahan. Ramai yang kalah dengan perangkap ini.

 

إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya kamu tidak lain dan tidak bukan, termasuk orang yang sesat yang nyata;

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Ada dua pentafsiran. Sama ada yang berkata itu adalah orang-orang munafik/kafir/musyrik itu sebagai menguatkan hujah mereka, atau ia adalah jawapan Allah ‎ﷻ kepada orang-orang yang bersifat munafik seperti mereka itu:

Tafsiran 1. Ayat ini dulu dikatakan oleh orang Munafik/kafir/musyrik kepada Nabi Muhammad ﷺ dan pengikutnya. Mereka tuduh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat yang sesat. Mereka berhujah takkan mereka pula dijadikan ar-Razzaq sedangkan pemberi rezeki adalah Allah ‎ﷻ.

Mereka ini keliru tentang pemberian rezeki. Memang Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri terus rezeki kepada makhluk-Nya seperti yang Allah ﷻ telah lakukan kepada binatang. Akan tetapi Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk infak kepada yang memerlukan sebagai peluang untuk kita dapat pahala. Pemberi rezeki yang sebenarnya adalah Allah ﷻ, tetapi dalam rezeki kita itu, ada bahagian orang lain sebenarnya. Dalam hal ini Rasulullah ﷺ telah ajar kita,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Tidakkah engkau tahu wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari No. 1411)

Di dalam hadith yang lain,

أَبَا الدَّرْدَاءِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ابْغُونِي الضُّعَفَاءَ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
Abu Ad Darda` رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ berkata: “Carikan orang-orang lemah untukku, sesungguhnya kalian diberi rezeki dan diberi kemenangan kerana orang-orang lemah kalian.”
(Sunan Nasa’i No. 2227) disahihkan oleh Darussalam

Memang Allah ‎ﷻ tidak menjadikan semua orang kaya raya kerana dunia memang memerlukan orang yang miskin supaya mereka berkhidmat kepada orang yang kaya. Kalau semua orang kaya, siapa yang akan buat kerja-kerja rencam? Begitulah Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Zukhruf: 32

“Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kamilah yang membahagi-bahagikan di antara mereka rezeki penghidupan mereka dalam kehidupan dunia ini, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan (mempekerjakan) sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

Mereka yang tidak faham, tetapi mereka yang tuduh orang lain sesat. Begitulah kebiasaan orang sesat akan menyesatkan orang yang beriman pula. Laju sahaja mereka menuduh orang lain sesat. Begitulah sekarang tuduhan sebegini dikatakan kepada orang-orang yang mengikut sunnah. Antara yang mereka katakan sekarang kepada orang yang bawa Sunnah ini adalah panggilan ‘Wahabi’. Padahal ini adalah gelaran rekaan sahaja. Wahabi ini, pengikut tidak diketahui, ketua pun tidak diketahui. Jadi ia seperti momok yang tidak ada, tidak tahu siapa. Ia hanyalah gelaran rekaan sahaja yang digunakan untuk mengejek golongan yang hendak ikut sunnah sahaja. Kita kena lihat siapakah yang mula-mula menggunakan istilah ini.

Jadi kalimat إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ bukanlah datang daripada orang beriman kerana orang beriman tidak akan melabel orang kafir sebagai sesat. Ini kerana orang Mukmin bertindak sebagai pendakwah, bukan penghukum/hakim.

Tafsiran 2: Allah ‎ﷻ yang kata mereka yang tidak infak itu sesat dan guna hujah akal untuk menolak saranan infak. Mereka yang bersifat seperti yang disebut dalam ayat ini adalah orang yang dalam kesesatan yang nyata. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فِي (di dalam) untuk menunjukkan bahawa mereka bergelumang di dalam kesesatan mereka itu. Bukan hanya dalam perkara ini sahaja mereka tetapi dalam perkara lain pun mereka sesat juga.

Ayat ini mengandungi pengajaran kepada kita, hendaklah kita infakkan harta kepada orang yang memerlukan. Berilah infak kepada masjid, fakir miskin, anak yatim, pelajar agama dan orang yang mengajar agama. Pahala yang paling besar adalah kepada mereka yang mengajar dan menyebar agama kerana tanpa mereka, tidak ada orang akan datang ke masjid, tidak ada pelajar agama dan merekalah yang menganjurkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim.

Begitulah apabila ada ayat-ayat yang menyuruh kita infak kepada yang memerlukan, manusia terbahagi kepada 3 kumpulan/jenis:

1. Jenis yang pertama, mengutuk Allah ‎ﷻ kononnya Allah ‎ﷻ miskin. Ini seperti kata-kata golongan Yahudi yang disebut di dalam Ali Imran: 181

لَّقَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَاءُ سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu

Kita kena faham bahawa apabila Allah ‎ﷻ minta pinjaman daripada kita, bukannya Dia yang perlukan pemberian daripada kita. Takkanlah Allah ‎ﷻ perlukan bantuan daripada kita sedangkan Dia Maha Kaya! Dia juga boleh bantu sendiri sesiapa yang Dia kehendaki. Sebaliknya Dia minta pinjaman daripada kita adalah kerana hendak beri peluang kepada kita untuk buat pahala sahaja. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Maidah: 64

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ ۚ غُلَّت أَيديهِم وَلُعِنوا بِما قالوا ۘ بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ
Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.

2. Golongan kedua pula adalah jenis yang baca ayat-ayat ini tetapi tidak memberi kesan apa-apa. Ini agaknya kitalah yang tidak buat apa-apa langsung setelah faham apa yang disampaikan di dalam ayat ini.

3. Ini pula adalah golongan yang terbaik. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang ini. Mereka ambil peluang kerana mereka sangat yakin dengan apa yang Allah ‎ﷻ janjikan di dalam ayat-ayat-Nya. Ini seperti kisah Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

لما نزلت: (مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً) قال أبو الدحداح الأنصاري: يا رسول الله، وإن الله ليريد منا القرض؟ قال: “نعم يا أبا الدحداح”. قال: أرني يدك يا رسول الله. فناوله يده، قال: فإني قد أقرضت ربي حائطي. وحائط له فيه ستمائة نخلة، وأم الدحداح فيه وعيالها. قال: فجاء أبو الدحداح فنادى أم الدحداح: يا أم الدحداح، اخرجي من الحائط، فإني قد أقرضته ربي عز وجل

وفي رواية: فكانت أم الدحداح معه، فقالت: ربح البيع يا أبا الدحداح.

وفي رواية أخرى: وكانت أم الدحداح في الحائط مع عيالها، فجاءها أبو الدحداح وناداها: اخرجي يا أم الدحداح، فإني بعت الجنة. فقالت: “ربح بيعك أبا الدحداح”. فقال النبي صلى الله عليه وسلم: “كم من عذق رداح في الجنة لأبي الدحداح” أو “كم من عذق ذلاح في الجنة لأبي الدحداح”

Ketika turun ayat: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik (qardhan hasanan), maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.” (Surah Al-Baqarah: 245), berkata Abu Dahdah Al-Ansari: “Wahai Rasulullah, apakah Allah benar-benar menginginkan pinjaman daripada kita?” Nabi ﷺ bersabda: “Ya, wahai Abu Dahdah.” Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Tunjukkanlah tanganmu wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah ﷺ menghulurkan tangannya. Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Sesungguhnya aku telah meminjamkan kebun kurma milikku kepada Tuhanku.” Kebun kurma itu memiliki enam ratus pohon kurma, dan Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (isterinya) berada di dalamnya bersama anak-anaknya. Kemudian Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan memanggil Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: “Wahai Ummud Dahdah, keluarlah dari kebun ini, sesungguhnya aku telah meminjamkannya kepada Tuhanku ‘Azza wa Jalla.”

Dalam satu riwayat lain: Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bersamanya, lalu dia berkata: “Beruntunglah jualanmu wahai Abu Dahdah!”

Dalam riwayat lain: Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berada di kebun itu bersama anak-anaknya, lalu Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan memanggilnya: “Keluarlah wahai Ummud Dahdah, sesungguhnya aku telah menjual (ini) untuk syurga.” Maka Ummud Dahdah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata: “Beruntunglah jualanmu wahai Abu Dahdah.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Betapa banyak (pokok) kurma yang berbuah lebat di syurga untuk Abu Dahdah!” atau “Betapa banyak (pokok) kurma yang sarat buahnya di syurga untuk Abu Dahdah!”

Status Hadith: Kisah Abu Dahdah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ini diriwayatkan oleh beberapa ulama hadith dengan sedikit perbezaan lafaz, termasuk:

    • Imam Muslim dalam Kitab Al-Jana’iz (namun dalam riwayat yang lain sedikit).
    • Imam Ahmad dalam Musnadnya.
    • Imam Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
    • Imam At-Tirmidzi dalam Sunannya.
    • Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak.

 

Mari kita lihat Struktur Cincin bagi ayat 45 – 47 ini. Ia bercakap tentang orang yang buta mata hatinya.

Kaitan antara bahagian: 

[K]/[K’] – Kedua-dua bahagian ini bermula dengan kalimat: وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ (Dan apabila dikatakan kepada mereka:) dan kemudian disebut kesalahan mereka. [K] menyebut tentang butanya mata mereka tentang Allah ‎ﷻ (hablu minallah) dan [K’] pula menyebut tentang butanya mata mereka tentang manusia (hablu minannas).

[L] – Orang-orang kafir lalai leka dengan tanda-tanda daripada Allah ‎ﷻ yang datang tentunya dari ‘atas’. Di bahagian sebelum ini telah disebut depan dan belakang, sekarang disebut tentang hidayah yang datang dari atas pula. Akhirnya mereka telah menjadi buta mata hati mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Julai 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Yaasin Ayat 44 – 45 (Kedegilan Manusia)

Yaasin Ayat 44:

إِلّا رَحمَةً مِّنّا وَمَتاعًا إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except as a mercy from Us and provision for a time.

(MELAYU)

Tetapi (Kami selamatkan mereka) kerana rahmat yang besar daripada Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai kepada suatu ketika.

 

إِلَّا رَحْمَةً مِنَّا

Melainkan semua itu adalah rahmat daripada Kami;

Ini semua pelaut sedar sangat; waktu sedang dihentam ombak yang kuat, tidak ada sesiapa yang boleh bantu melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja karamkan kapal itu tetapi Allah ‎ﷻ tidak lakukan. Padahal kapal itu tidak ada GPS, tidak ada perahu keselamatan, jaket keselamatan pun tidak ada; air tinggi sungguh sehingga tenggelam habis semua gunung di dunia pada waktu itu. Namun begitu Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baka manusia yang berada dalam kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Allah ﷻ selamatkan kerana mereka itu beriman. Yang turun dari kapal itu semuanya Muslim beriman belaka. Namun begitu, lama kelamaan, keturunan mereka itu pun sebahagiannya telah menjadi sesat juga. Daripada merekalah keturunan kita sekarang. Ada antara kita yang mukmin, dan ada antara kita yang sesat.

Allah ﷻ selamatkan perjalanan kapal bagi manusia. Jika bukan kerana rahmat Allah ﷻ, sepatutnya kapal itu tenggelam. Kapal tidak sepatutnya timbul, tetapi Allah ﷻ yang timbulkan. Ini seperti burung yang disebut di dalam Mulk: 19. Burung itu jika bukan Allah ﷻ yang pegang di langit, tentu tidak terbang seperti kita. Kalau setakat ada sayap, ayam pun ada sayap juga tetapi tidak mampu terbang sampai bila-bila. Setakat berkokok sahaja lebih ayam itu tetapi tidak boleh terbang pun.

أَوَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ فَوقَهُم صٰفّٰتٍ وَيَقبِضنَ ۚ ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحمٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ بَصيرٌ
Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Begitu juga, Allah ﷻ beri kemudahan menggunakan pengangkutan tanpa berlaku kemalangan adalah atas rahmat Allah ﷻ jua. Maka jangan kita kata kita selamat sebab pemandu cekap memandu kereta dan sebagainya, tetapi kerana Allah ﷻ yang selamatkan perjalanan kita. Oleh itu, apabila kita telah menggunakan kenderaan dan kita telah selamat dalam musafir dan perjalanan kita, maka bersyukurlah kepada Allah ﷻ atas rahmat-Nya. Kerana, ingatlah berapa ramai manusia yang menggunakan kenderaan tetapi Allah ﷻ tidak selamatkan mereka. Hari-hari kita lihat berita kemalangan di dalam media. Semua sangka mereka akan selamat sampai tetapi rupanya mereka keluar rumah buat kali yang terakhir pada hari itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan perkataan رَحْمَةً مِنَّا (rahmat daripada Kami) dalam bentuk yang biasa sahaja. Kerana ini adalah rahmat biasa yang Allah ﷻ berikan kepada semua makhlukNya. Namun begitu, apabila Allah ﷻ memberikan rahmat yang khas, Allah ﷻ akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا (rahmat dari ‘sisi’ Kami), contohnya seperti yang Allah ﷻ telah berikan kepada Khidr dalam ayat Kahf: 65

فَوَجَدا عَبدًا مِّن عِبادِنا ءآتَينٰهُ رَحمَةً مِّن عِندِنا وَعَلَّمنٰهُ مِن لَّدُنّا عِلمًا
Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

Oleh itu, apabila Allah ﷻ menceritakan rahmat yang khusus yang diberikan kepada para Nabi atau orang-orang yang mulia dan baik-baik, Allah ﷻ akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا. Akan tetapi di dalam ayat ini digunakan kalimah bagi rahmat biasa sahaja kerana hari-hari kita memperolehi rahmat daripada Allah ﷻ, cuma kita sahaja tidak perasan rahmat itu kerana kita sudah biasa dapat. Namun kalaulah kita boleh berfikir sejenak, berhenti sahaja kereta kita ucap syukur kepada Allah ﷻ, maka ini amat bagus.

 

وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ

Dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Allah ﷻ beri keselamatan dalam perjalanan itu, tetapi bukan selamanya manusia akan selamat. Sampai masanya, manusia akan mati juga. Salah satunya dengan cara kemalangan. Tidak mati dalam perjalanan, mati di atas katil.

Maknanya kita kena ingat yang keselamatan itu datangnya daripada Allah ﷻ. Maka kita kena berharap dan berdoa kepada Allah ﷻ. Akan tetapi kita ada juga minta doa kepada Nabi dan ini adalah satu kesalahan besar. Sepatutnya kita berdoa minta tolong kepada Allah ﷻ sahaja, namun entah di mana silapnya, setelah diajar oleh guru yang sesat, ada antara umat Islam yang meminta tolong kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Berbagai hujah diberikan semata-mata untuk membenarkan perbuatan tersebut.

Bagi golongan Syiah yang sesat itu, mereka meminta tolong kepada Saidina Hussein. Kalau kita buat begitu, kita pun akan menjadi kafir. Memang dalam banyak keadaan manusia akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ, namun ada juga mereka yang berdoa kepada Nabi. Contohnya, orang bersilat akan menyeru nama Nabi sekian-sekian untuk memberi keselamatan kepada mereka. Mereka akan kata itu adalah ajaran daripada tok nenek kita.

Ketahuilah yang itu semua adalah hasil daripada ajaran syaitan yang hendak menyesatkan kita. Mereka telah ajar kepada manusia yang tidak berilmu, bahawa Nabi-nabi itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ. Padahal, sepatutnya kita meminta terus kepada Allah ‎ﷻ sahaja, tidak perlu melalui perantaraan.

Ingatlah bahawa niat yang murni bukan dalil untuk menghalalkan sesuatu perkara. Kalau setakat hanya dinilai dengan niat murni itu, Kristian pun ada niat murni juga. Akan tetapi kita mesti sertakan amalan yang kita buat dengan dalil daripada Al-Qur’an dan sunnah.

Ingatlah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kita hanya seronok menggunakan segala kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dalam dunia ini, akan tetapi kita lupa bahawa akhirnya kita akan kembali bertemu-Nya. Ingatlah, kita akan disoal tentang perbuatan kita di dunia ini.

Kita dibenarkan menggunakan kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita, tetapi hanya untuk tempoh yang singkat sahaja. Tidak lama pun kehidupan dan kemudahan kita di dunia ini. Kita sahaja yang sangka ia lama, namun hakikatnya, tidak. Kita tidak tahu bilakah masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

Oleh itu, gunakanlah masa yang ada ini untuk melakukan kebaikan. Jangan kita sia-siakan masa yang ada ini dengan buat perkara maksiat dan perkara yang membuang masa sahaja.

Mari kita lihat Struktur Cincin bagi ayat 33 – 44 ini. Ia berkenaan alam di sekeliling kita yang kita kena perhatikan untuk meningkat iman kita. Ia menjadi tafsir bagi ayat بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ di dalam ayat 9.

Kaitan antara bahagian: 

[H]/[H’] – Antara tanda-tanda Allah ‎ﷻ [H] adalah Dia menghidupkan yang mati dan Allah ‎ﷻ beri perumpamaan bumi yang mati dihidupkan. Di bahagian lawannya [H’] Allah ‎ﷻ menerangkan keadaan ketika manusia di tengah laut yang ketika itu mereka boleh hidup atau mati, tetapi Allah ‎ﷻ terus menghidupkan mereka dengan menyelamatkan mereka di dalam perjalanan di lautan. Di dalam [H] Allah ‎ﷻ menyebut tentang buah-buahan sebagai rezeki dan di dalam [H’] Allah ‎ﷻ menyebut tentang perkapalan iaitu salah satu cara untuk mencari rezeki. Di dalam [H] Allah ‎ﷻ menyebut Dia memberikan air untuk menghidupkan tanah dengan tumbuh-tumbuhan; sedangkan di dalam [H’] Dia memberitahu yang boleh sahaja Dia menjadikan air sebagai asbab matinya mereka. Akhir sekali di dalam [H], Allah ﷻ Dia telah menjadikan makhluk berpasangan; Di dalam bahagian [H’] pula keturunan iaitu hasil daripada pasangan yang Allah ‎ﷻ jadikan di antara makhluk.

[I]/[I’] – Kedua-dua bahagian menyebut tentang malam dan siang silih berganti.

[J]/[J’] – Kedua-dua bahagian menyebut tentang matahari dan bulan silih berganti.


 

KEDEGILAN GOLONGAN MUSYRIK

Yaasin Ayat 45: Setelah diberikan contoh-contoh dalam alam ini sebagai menunjukkan kepada tauhid kepada Allah ‎ﷻ, seterusnya manusia disuruh untuk memikirkan tentang-Nya. Seharusnya setelah diberikan dengan dalil-dalil yang jelas itu, maka sepatutnya mereka terima sahajalah tanpa perlu berfikir panjang lagi. Namun begitulah, ternyata kebanyakan manusia itu degil. Maka ayat-ayat selepas ini adalah tentang mereka yang tidak mahu menggunakan akal mereka untuk berfikir yang sihat.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّقوا ما بَينَ أَيديكُم وَما خَلفَكُم لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when it is said to them, “Beware of what is before you and what is behind you;1 perhaps you will receive mercy…”2

  • Of sins or of life in this world and the Hereafter.
  • The conclusion of this sentence is understood to be “…they ignored the warning.”

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Takutlah kamu akan seksa yang di hadapanmu dan seksa yang akan datang supaya kamu mendapat rahmat”, (nescaya mereka berpaling).

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka;

Kalimah ‘mereka’ di sini adalah orang-orang musyrikin. Ini termasuk juga orang-orang yang degil.

‘Apabila dikatakan kepada mereka’ – ini adalah ayat dalam bentuk pasif. Bentuk aktif adalah begini – Apabila A berkata kepada B. Allah ‎ﷻ menggunakan ayat ini dalam bentuk pasif kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan tujuan ayat ini adalah untuk memperkatakan tentang mereka, bukan tentang siapakah yang berkata itu. Ayat ini tidak menyatakan siapakah yang mengatakan kepada mereka, kerana banyak yang telah ‘berkata-kata’ kepada mereka – Allah ‎ﷻ, Nabi, alam ini, Kitab-kitab, orang-orang mukmin dan lain-lain. Mereka diberitahu dalam berbagai-bagai cara, dalam berbagai-bagai keadaan.

 

اتَّقُوا مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ

berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di depan kamu;

Perkataan اتَّقُوا (bertaqwalah kamu) bukan hanya bermaksud ‘takut’ seperti yang selalu diterjemahkan. Maksud ‘taqwa’ adalah luas. Antaranya ia bermaksud berjaga-jaga, dan berhati-hati. Memang ‘takut’ pun termasuk di dalam taqwa juga, tetapi bukanlah itu sahaja. Yang paling menarik adalah takrifan taqwa oleh Talq bin Habib رَحِمَهُ اللَّهُ:

أن تعمل بطاعة الله على نور من الله، ترجو ثواب الله، وأن تترك معصية الله على نور من الله، تخاف عقاب الله.”
“Engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah di atas cahaya (petunjuk) daripada Allah, mengharapkan pahala daripada Allah, dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah di atas cahaya (petunjuk) daripada Allah, kerana takut akan azab Allah.”

Talq bin Habib Al-Anazi رَحِمَهُ اللَّهُ merupakan seorang Tabi’in (generasi setelah Sahabat Nabi) yang terkenal dengan ilmu, kesolehan, dan bacaannya terhadap Al-Qur’an. Beliau wafat sebelum tahun 100 Hijriyah. Beliau terkenal dengan definisinya yang sangat baik tentang taqwa, yang telah kita kongsi di atas. Definisi ini sering dikutip oleh para ulama kerana kelengkapan dan kejelasannya dalam menggambarkan esensi taqwa. Oleh itu kita sebagai seorang Mukmin hendaklah menerima segala akidah tauhid yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan.

Secara umumnya المُتَّقينَ (orang yang bertaqwa) itu adalah mereka yang taat kepada hukum Allah ﷻ dan berhati-hati dalam segala perbuatannya. Dia sentiasa memikirkan apakah perbuatannya itu halal atau haram. Dia sentiasa sedar keberadaan Allah ﷻ yang sentiasa memerhatikan apa yang dilakukannya dan kerana itu dia amat berhati-hati. Maka dia takut sekali berbuat dosa kerana dia tahu dan sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikannya. Kalau ayah kita berada di depan kita, tentu kita tidak berani berbuat salah, bukan?

Maka apakah erti taqwa? Kalimat taqwa diambil daripada rumpun kata wiqayah ertinya ‘memelihara’. Memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan. Memelihara diri jangan sampai terperosok kepada suatu perbuatan yang tidak diredhai oleh Tuhan. Memelihara segala perintah-Nya supaya dapat dijalankan. Memelihara kaki jangan terperosok ke dalam lubang atau tempat yang berlumpur atau berduri.

سَأَلَ عُمَرُ أُبَيّ بْنَ كَعْبٍ عَنِ التَّقْوَى، فَقَالَ:
هَلْ سَلَكْتَ طَرِيقًا ذَا شَوْكٍ؟
قَالَ: نَعَمْ.
قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ؟
قَالَ: شَمَّرْتُ وَاجْتَهَدْتُ أَنْ لَا أُصِيبَهُ.
قَالَ: فَذَاكَ التَّقْوَى.
Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang taqwa. Ubay رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Pernahkah engkau melalui jalan yang penuh duri?” Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Pernah.” Ubay رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Apa yang engkau lakukan ketika melalui jalan itu?”
Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Aku menggulung pakaianku dan berjalan hati-hati agar tidak terkena duri.” Ubay رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Itulah taqwa.”
(Diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak, Kitab az-Zuhd wa ar-Raqā’iq, No. 360, Status: Mauquf (perkataan sahabat, bukan hadith marfu’ daripada Nabi ﷺ))

Maka taqwa ertinya menghindar. Orang bertaqwa adalah orang yang menghindar. Yang dimaksudkan oleh ayat ini mencakupi tiga tingkat penghindaran. Pertama, menghindar daripada kekufuran dengan jalan beriman kepada Allah ﷻ. Kedua, berupaya melaksanakan perintah Allah ﷻ sepanjang kemampuan yang dimiliki dan menjauhi larangan-Nya. Ketiga, dan yang tertinggi, adalah menghindar daripada segala aktiviti yang menjauhkan fikiran daripada Allah ﷻ.

Ramai yang hanya menterjemahkan taqwa kepada ‘takut’ sahaja. Akan tetapi ini tidak tepat. Sebab takut hanyalah sebahagian kecil daripada taqwa. Dalam taqwa terkandung cinta, kasih, harap, cemas, tawakal, redha, sabar dan lain-lain sebagainya. Taqwa adalah pelaksanaan daripada iman dan amal soleh. Meskipun di satu-satu waktu ada juga diertikan dengan takut, tetapi terjadi yang demikian ialah pada susunan ayat yang cenderung kepada erti yang terbatas itu saja. Padahal erti taqwa lebih luas dan merangkumi banyak hal. Bahkan dalam taqwa terdapat juga berani! Memelihara hubungan dengan Tuhan, bukan sahaja kerana takut, tetapi lebih lagi kerana ada kesedaran diri, sebagai hamba.

Orang yang ada taqwa sanggup meninggalkan perkara yang merugikan akhiratnya kerana mereka yakin akan mendapat balasan baik di akhirat kelak. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith berikut:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ وَأَبِي الدَّهْمَاءِ قَالَا كَانَا يُكْثِرَانِ السَّفَرَ نَحْوَ هَذَا الْبَيْتِ قَالَا أَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ فَقَالَ الْبَدَوِيُّ أَخَذَ بِيَدِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يُعَلِّمُنِي مِمَّا عَلَّمَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَقَالَ إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا اتِّقَاءَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا أَعْطَاكَ اللَّهُ خَيْرًا مِنْهُ
Daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, mereka berdua sering bermusafir menuju ke rumah ini (Baitullah – Mekah). Mereka berdua berkata: Kami mendatangi seorang lelaki dalam kalangan Arab Badwi, lalu berkata orang Badwi itu: Rasulullah ﷺ memegang tangan aku lalu mengajar aku sesuatu yang Allah ajarkan kepada baginda, iaitu: Sesungguhnya, tidak sekali-kali kamu meninggalkan sesuatu (yang dilarang)
kerana (perasaan) taqwa kepada Allah melainkan Allah akan memberi kepada kamu sesuatu yang lebih baik berbandingnya.”
(Musnad Ahmad, No. 19813/20739 dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syu’aib alArna’uth dan rakan-rakan)

Arahan tentang bertaqwa ini amatlah banyak. Antara hadith yang menyebut perkara ini:

عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ جُنْدُبِ بنِ جُنَادَةَ وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ) رَوَاهُ التِّرْمِذِي وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ. وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيْحٌ.
Daripada Abu Dzarr Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdirrahman Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.”
[Jami’ Tirmidzi, No. 1987 dan Ahmad, 5:153. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadith ini hasan]

Ada banyak pentafsiran tentang ayat ini kerana بَيْنَ أَيْدِيكُمْ secara literal bermaksud di antara dua tangan kalian. Di antara dua tangan tentulah di hadapan kita kerana tangan kita terletak di hadapan. Jadi ia selalu bermaksud sesuatu yang di depan. Akan tetapi apakah maksud yang di hadapan itu?

1. Yang dimaksudkan dengan di hadapan kita adalah perbuatan kita dan kesannya.

2. Di hadapan itu maksudnya adalah akhirat kerana ia ada di hadapan kita dan kita akan bertemu dengannya. Maka kenalah bersedia untuk melaluinya.

3. Di hadapan kita adalah zaman kita sekarang ini. Yang kita sedang hadapi sekarang di dunia.

4. Ini adalah baki umur kita yang entah ada berapa lama lagi.

5. Yang di hadapan juga adalah surah-surah selepas Surah Yaasin ini, iaitu surah Sad dan Saffat. Memang ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

6. Takutlah dan selamatkanlah diri daripada azab di dunia ini. Allah ‎ﷻ boleh sahaja kenakan azab semasa di dunia ini lagi, tidak payah tunggu akhirat.

 

وَمَا خَلْفَكُمْ

dan belakang kamu;

Begitu juga sepertimana maksud di hadapan kita, perkataan ‘di belakang’ kita pun ada banyak makna:

1. Kalau di hadapan kita adalah perbuatan kita sekarang dan kesannya, ‘di belakang’ pula bermaksud: perbuatan-perbuatan kita yang telah lalu.

2. Kalau di hadapan adalah akhirat, di belakang adalah tentang dunia dan kesan perbuatan kita di dunia ini. Segala perbuatan kita di dunia ini akan ada kesannya. Semuanya direkod.

3. Kalau di hadapan adalah bermaksud zaman kita sekarang, maka di belakang bermaksud kaum-kaum yang terdahulu. Kita kena mengambil pengajaran daripada apa yang telah terjadi kepada mereka. Surah Yaasin ini awalnya dibaca kepada Musyrikin Mekah. Mereka kenal kaum-kaum terdahulu sebelum mereka seperti kaum Aad dan Tsamud. Manakala kita yang berada pada zaman ini pun, telah diberitahu dengan kisah-kisah mereka. Maka kita kena ambil pengajaran daripada kisah mereka.

4. Yang di belakang kita ialah sejarah hidup yang telah kita lalui, manakah yang lebih banyak kita kerjakan, yang baikkah atau yang buruk. Padahal yang telah terletak di belakang kita itu tidak dapat kita ulangi lagi. Ada yang kita boleh perbaiki, ada yang tidak boleh dibaiki lagi.

5. Yang di belakang adalah surah-surah sebelum surah Yaasin ini iaitu surah Fatir dan Saba’. Ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

6. Takutlah kepada azab di akhirat nanti yang lebih teruk lagi dan berkekalan sampai bila-bila tanpa hentinya. Berusahalah untuk menyelamatkan diri kita daripada azab itu dengan memerhatikan perlakuan kita semasa di dunia.

Ayat-ayat Al-Qur’an mempunyai beberapa lapis makna. Jadi tafsir-tafsir di atas semuanya boleh dipakai. Itulah kehebatan Al-Qur’an. Tidak akan habis kalau kita mentadabburi ayat-ayat Al-Qur’an ini. Akan ada sahaja pendapat yang lain apabila kita semakin menggali pemahaman Al-Qur’an ini. Kerana itu kita tidak boleh berhenti belajar dan membaca.

Secara umumnya kita kena berhati-hati supaya kita selamat di dunia dan di akhirat. Kerana itu Nabi ﷺ ada mengajar doa kepada kita untuk mengingatkan perkara ini,

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: “كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَعَوَّذُ فِي صَلاَتِهِ مِنْ أَرْبَعٍ قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.”
“Daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: ‘Rasulullah ﷺ biasa berlindung dalam solatnya daripada empat perkara: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah Dajjal.'”
(Sahih Muslim No. 588)

Ia juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan amalan yang boleh menyebabkan dosa. Memang kita manusia yang tidak sunyi daripada dosa namun jangan anggap dosa-dosa itu kecil sahaja. Kena risau apabila kita banyak dosa kerana itulah sikap seorang mukmin seperti kata Abdullah ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

‎إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ
“Seorang Mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sedangkan orang fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti melihat lalat hinggap di hidungnya.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 2497) Sahih (Darussalam)

 

لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

mudah-mudahan kamu dirahmati;

Bila Tuhan kata ‘mudah-mudahan’, maka pasti kamu akan mendapat rahmat sekiranya kamu buat seperti apa yang disuruh. Kalau kamu mentauhidkan Allah ‎ﷻ, kamu akan diberi rahmat. Ini amat penting kerana kita semua amat mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Akan tetapi kita hanya dapat memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ini jelas daripada hadith Rasulullah ﷺ,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim No. 5042)

Untuk kita mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ, maka kita kena اتَّقوا ما بَينَ أَيديكُم وَما خَلفَكُم seperti yang telah disebut sebelum ini. Selain itu ada banyak lagi cara disebut untuk mendapatkan rahmat, antaranya dengan mendengar dan belajar maksud Al-Qur’an seperti disebut di dalam A’raf: 204

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Begitulah pentingnya pelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana ia mengandungi banyak sekali rahmat yang tidak terkira. Allah ‎ﷻ sendiri telah beritahu di dalam Isra’: 82

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Sekali lagi disebut di dalam Yunus: 57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang perjalanan di lautan atau di mana-mana perjalanan. Semua itu di dalam tangan Allah ‎ﷻ, entah selamat entah tidak, entah sampai ke destinasi atau tidak, entah kemalangan menyebabkan kecacatan atau kematian. Namun jikalau kita menjaga taqwa kita, maka apa pun terjadi, tidak kisah kerana mati semua orang tetap mati, asalkan mati dalam iman dan taqwa.

Tidak disebut di dalam ayat ini apakah respons daripada orang yang diberikan peringatan itu. Akan tetapi ulama’ banyak menyebut yang orang musyrik, kafir, munafik dan degil akan menolak peringatan yang diberikan kepada mereka. Ini banyak disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an, antaranya seperti di dalam Baqarah: 206

وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ
Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Kerana itu kita boleh perhatikan di dalam dakwah kita, ramai yang marah apabila ditegur dan disuruh bertaqwa. Mereka akan tegur balik siapa kita hendak tegur dia, dia lagi pandai, dia lagi hebat dan sebagainya. Memang susah orang kita hendak menerima teguran sebenarnya. Sebaliknya cara orang mukmin menerima teguran adalah dengan kerendahan hati, keterbukaan, dan sikap positif. Dalam Islam, menerima teguran adalah satu amalan yang sangat dianjurkan, kerana teguran sering kali membawa kepada kebaikan dan pembetulan diri. Memang manusia yang menegur kita, tetapi kita kena anggap yang ia adalah teguran daripada Allah ‎ﷻ. Janganlah kita sombong sangat dan rasa tinggi sangat sampaikan tidak boleh menerima teguran. Terimalah teguran walaupun datangnya daripada kawan kita, waima seorang anak kecil sekali pun atau sesiapa yang kita nampak kurang daripada kita. Takkan kita hendak tunggu Rasulullah ﷺ hidup balik dan tegur kita sendiri baru kita hendak terima? Sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri pun ditegur oleh Allah ‎ﷻ, apatah lagi kita? Apa hebat sangat kita sampai tidak boleh ditegur?

Dalam hal ini, ahli agama seperti ustaz pun harus memperbaiki diri. Kadangkala dalam kita menyampaikan sesuatu, tentu ada salah dan silap. Kadangkala ada teguran daripada pelajar, pihak lawan, netizen sekali pun. Ini semua para ustaz kena terima. Kena perbaiki hati dan jangan sangka sudah digelar ustaz, langsung tidak boleh ditegur? Setakat mana sangat ilmu yang kita ada sampaikan segala yang kita sampaikan itu kita rasa ia 100% benar? Janganlah rasa hebat sangat kedudukan ‘ustaz’ itu sedangkan tidak ada majlis pelantikan ustaz pun semasa awak digelar ustaz dulu. Jangan jadi seperti seorang sahabat yang ditegur Rasulullah ﷺ tetapi melawan pula,

أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.
Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah ﷺ dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu.’ Baginda bersabda, Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.’ Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya.
(Sahih Muslim No. 2021)

Perhatikan kerana kesombongannya untuk menerima teguran daripada Rasulullah ﷺ, langsung tangan kanannya tidak boleh digunakan selepas itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Heavenly Order

Tafsir Surah Yaasin Ayat 41 – 43 (Nikmat kenderaan)

TANDA-TANDA ALLAH. 4) RAHMAT DI LAUTAN

Yaasin Ayat 41: Dalil aqli yang seterusnya. Sebelum ini disebut berenangnya (يَسْبَحُونَ) matahari dan bulan di dalam lautan angkasa, sekarang disebut berenangnya kapal-kapal di lautan pula sebagai alat pengangkutan bagi manusia. Pergerakan matahari dan bulan mungkin susah untuk dibayangkan oleh manusia terutama orang zaman dahulu, tetapi pelayaran di lautan lebih dekat dengan kita.

وَءآيَةٌ لَّهُم أَنّا حَمَلنا ذُرِّيَّتَهُم فِي الفُلكِ المَشحونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is that We carried their forefathers1 in a laden ship.

  • Usually meaning “descendants” or “offspring,” the word “dhurriyyah” is used here to denote forefathers (their being the offspring of Noah), who were saved from the flood.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kebesaran Allah yang besar) bagi mereka adalah bahawa Kami angkut keturunan mereka dalam bahtera yang penuh muatan.

 

وَءآيَةٌ لَهُمْ

Dan di antara dalil lagi bagi manusia adalah, 

Allah ‎ﷻ beri lagi dalil untuk menyokong pemberitahuan yang Allah ‎ﷻ itu Maha Berkuasa. Allah ‎ﷻ boleh melakukan apa sahaja.

 

أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ

Kami angkat bawa zuriat-zuriat mereka dalam kapal yang sarat.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah suruh kita melihat kepada bumi. Dengan tanaman dan binatang yang melata. Kemudian Allah ‎ﷻ suruh kita melihat kepada langit pula – matahari dan bulan. Sekarang Allah ‎ﷻ suruh kita lihat kepada lautan. Disuruh kita memandang kepada kapal (الْفُلْكِ) pula. Sebelum ini kita dikenalkan dengan فَلَكٍ yang bermaksud orbit. Keduanya daripada kata dasar yang sama yang berkongsi maksud round-trip. Sebagaimana orbit adalah round-trip, begitu juga apabila kapal mula belayar, bukankah kita berharap dan berdoa yang ia bukan sahaja pergi tetapi akan kembali (round-trip)? Sebagaimana matahari يَسْبَحُونَ, begitu juga الْفُلْكِ dan kali ini di lautan pula.

Kenapa Allah ‎ﷻ suruh melihat kapal? Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia telah memberi kita kemudahan untuk bermusafir di alam ini. Musafir yang paling susah adalah di lautan kerana laut yang bergelora dan kita bergantung kepada angin untuk meneruskan perjalanan. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tundukkan lautan untuk manusia menggunakannya. Walaupun susah, tetapi Allah ‎ﷻ telah beri nikmat kepada kita untuk bermusafir menggunakan pengangkutan lautan. Allah ‎ﷻ memberi contoh pengangkutan laut, kerana ia adalah jenis pengangkutan yang sukar tetapi sering dilakukan oleh manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ibrahim: 32

وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ
dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

Kenapa kapal ini menjadi salah satu daripada ءآيَةٌ? Sekiranya kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.

Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita. Kapal yang diperbuat daripada besi atau bahan lain yang berat, boleh pula ia timbul dan berjalan sekian jauh. Ini semua adalah kerana rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan. Allah ‎ﷻ kata Dia yang bawa kita di atas kapal itu.

Jadi kapal adalah salah satu daripada tanda-tanda Allah ‎ﷻ yang kita boleh perhatikan dan fikirkan. Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.

Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

Pendapat yang kuat mengatakan bahawa الْفُلْكِ (kapal) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana dalam Syuara’: 119 telah digunakan perkataan yang sama – الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ – di dalam ayat itu memang menceritakan tentang bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَأَنجَينٰهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الفُلكِ المَشحونِ
Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang bersertanya di dalam kapal yang penuh muatan.

Adh-Dhahhak, Qatadah dan Ibnu Zaid menjelaskan erti ذُرِّيَّتَهُمْ (keturunan mereka) di sini ialah nenek-moyang kita. Iaitu nenek-moyang manusia yang dibawa berlayar dengan bahtera oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu datuk manusia yang kedua sesudah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita mungkin sangka istilah zuriat untuk keturunan di bawah sahaja, tetapi ia juga boleh merujuk kepada keturunan di atas. Nenek-moyang yang dibawa menumpang di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itulah yang menurunkan manusia yang ada di muka bumi yang sekarang.

Namun begitu dalam masa yang sama, ia juga boleh juga digunakan untuk menceritakan tentang pengangkutan laut yang digunakan sekarang. Tidak semestinya hanya merujuk kepada bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Kalimah ذُرِّيَّتَهُمْ juga bermaksud zuriat keturunan di bawah. Ini bermaksud, penghuni bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan sahaja naik dengan diri mereka sahaja, tetapi mereka bawa bersama mereka ‘zuriat’ mereka. Kerana nanti daripada merekalah yang akan berkembang biak keturunan manusia yang seterusnya.

Malah secara umumnya, kalimah ذُرِّيَّتَهُمْ boleh digunakan pada mana-mana pelayar terutama zaman dahulu kerana perjalanan kapal zaman dulu amat jauh. Seringkali perjalanan kapal itu satu hala sahaja kerana apabila sampai ke destinasi yang jauh dan mereka menilai tempat yang baru itu bagus untuk penempatan, mereka akan terus tinggal di situ. Ini bermakna mereka membawa ‘zuriat’ mereka juga kerana keturunan mereka akan berkembang biak di tempat yang baru itu. Sebelum ini telah disebut tentang perjalanan matahari dan bulan. Perjalanan itu isyarat kepada masa yang berlalu kerana matahari dan bulan digunakan untuk menunjukkan masa. Selari dengan perjalanan masa, berkembang biaklah keturunan di atas muka bumi ini zaman berzaman.

Ada juga keadaan di mana ibubapa menghantar ذُرِّيَّتَهُمْ iaitu anak-anak mereka menaiki kapal laut, atau kapal terbang untuk merantau ke tempat yang jauh. Sama ada untuk belajar di tempat yang jauh atau untuk mencari rezeki di benua yang lain. Kenapa? Untuk mencari kehidupan yang lebih baik, bukan? Musyrikin Mekah juga buat begitu, begitu jugalah kita sekarang. Namun begitu ada peringatan di sini, jangan kita hanya memikirkan tentang kehidupan dunia mereka sahaja. Kadangkala ibubapa hanya pentingkan anak mereka mendapat pendidikan hebat di universiti luar negara, supaya dapat kerja yang hebat apabila balik nanti. Akan tetapi adakah ia berbaloi? Bagaimana kalau mereka itu pergi dan bawa balik budaya Barat, pandangan Barat tentang agama yang mereka tidak endahkan? Memang anak-anak itu mendapat kerja baik, tetapi bagaimana dengan agama mereka? Kita perhatikan ramai yang berpendidikan tinggi tetapi tidak menghiraukan agama (bukan semua, ramai sahaja yang jadi lebih pandai dalam bidang agama). Maka di sini diingatkan kepada ibubapa untuk memikirkan pendidikan agama juga, jangan melebihkan pendidikan dunia sahaja. Allah ‎ﷻ menegur manusia yang hanya memandang dunia di dalam Rum: 7

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًۭا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَهُمْ عَنِ ٱلْءَاخِرَةِ هُمْ غَـٰفِلُونَ
“Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir sahaja daripada kehidupan dunia; sedangkan mereka lalai terhadap (kehidupan) akhirat.”

Akan tetapi sebaliknya terdapat juga yang berpandangan ekstrem pula. Iaitu ibubapa yang terlalu menjaga anaknya sampaikan anaknya tidak terdedah langsung tentang realiti dunia luar (dan keburukan-keburukan yang banyak). Anak itu terpelihara sungguh sampai tidak tahu pun ada bermacam-macam jenis manusia. Namun setakat mana ibubapa boleh mengawal anaknya? Sampai satu ketika, anak itu akan terpaksa juga menghadapi dunia luar. Adakah mereka mampu menghadapinya? Selama ini mereka terkawal langsung tidak tahu adanya orang jahat, ada penipu, ada hiburan yang berbagai-bagai. Tiba-tiba mereka terdedah tetapi tanpa pengajaran awal tentang benda itu semua. Jadi kita janganlah kawal sangat anak-anak. Mereka kena tahu tentang dunia luar dan tahu apakah keburukan yang ada di dalamnya. Kalau kita halang mereka, ini juga tidak baik bagi mereka. Memang susah menjaga anak lebih-lebih lagi zaman sekarang kerana ada banyak sangat benda yang tidak elok dalam dunia ini.

Rentetan ayat-ayat Surah Yaasin ini tentang pasangan. Sekarang disebut pasangan bagi pasangan itu iaitu zuriat. Apabila ada pasangan, selalunya ada zuriat, bukan? Bukan sahaja manusia akan tetapi binatang juga. Memang binatang yang dibawa di dalam kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berpasang-pasangan termasuk juga pokok-pokok. Kerana itu digunakan kalimah الْمَشْحُونِ (penuh sarat). Ini kerana selain manusia, iaitu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anak baginda dan beberapa orang yang beriman laki-laki dan perempuan, dimasukkan juga ke dalam bahtera itu binatang-binatang berpasang-pasangan, jantan dan betina. Ada gajah, ada singa, ada harimau, ada buaya, ada babi, ada kambing, ada sapi dan lain-lain binatang, baik yang liar ataupun yang jinak. Binatang-binatang itu yang menurunkan binatang-binatang yang ada sekarang.

Lebar bahtera itu dikatakan sepanjang 300 kaki. Bahtera tersebut dibina mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Tuhan mengajar Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melalui Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengajar kepada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cara untuk membina bahtera tersebut. Atau Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan orang lain membina bahtera itu berdasarkan spesifikasi yang telah disampaikan oleh Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Hud: 37

وَٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
“Dan buatlah kapal itu dengan pengawasan Kami dan menurut wahyu Kami

Begitu juga Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mukminoon: 27

فَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ أَنِ ٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
“Maka Kami wahyukan kepadanya: Buatlah kapal di bawah pengawasan dan petunjuk wahyu Kami”

Malah Allah ‎ﷻ beritahu daripada bahan apakah bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dijadikan dan disebut di dalam Qamar: 13

وَحَمَلنٰهُ عَلىٰ ذاتِ أَلوٰحٍ وَدُسُرٍ
Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) daripada keping-keping papan dan paku;

Hanya mereka yang berada dalam kapal itu sahaja yang selamat. Kalaulah manusia dalam kapal itu tenggelam masa itu, kita ini takkan ada. Kita ini adalah keturunan kedua Islam. Keturunan pertama adalah daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kemudian mereka telah mula kafir. Mereka telah melakukan syirik dengan memuja guru-guru agama mereka. Kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memuja lima orang guru sebagai wakil Tuhan. Bermakna, mereka juga telah membuat amalan tawasul. Ditenggelamkan mereka semua sekali.

Untuk bayangkan betapa dalamnya banjir itu, apabila bahagian bawah kapal tidak langsung mencecah gunung yang yang paling tinggi yang sudah tenggelam itu! Hanya apabila Tuhan berkata “Wahai langit, berhenti!”, barulah air hujan berhenti turun dan air mata air berhenti naik dari bumi. Berapa banyak air yang berada di langit sekarang ini? Bayangkan, bila hujan beberapa jam sahaja, sudah berlaku banjir kilat. Boleh tenggelam seluruh bandaraya KL kalau hujan berterusan.

Sebenarnya air banyak lagi ada di awan dan banyak lagi yang berada dalam bumi dan sekarang ini disimpan di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Kemudian Allah ‎ﷻ berkata “Wahai bumi, telan air kamu”. Maka surutlah air. Kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendarat atas Bukit Judi di Turki (salah satu pendapat). Dalam surah Hud diceritakan perkara ini. Telah turun dari kapal itu seramai 83 orang Islam. Bukannya ramai pun. Perhatikan Hud: 44

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
“Dan difirmankan: ‘Wahai bumi! Telanlah airmu, dan wahai langit! Berhentilah (daripada mencurahkan hujan).’ Maka air pun disurutkan, dan perintah pun diselesaikan, dan kapal itu pun berlabuh di atas (gunung) al-Jūdī. Dan dikatakan: ‘Binasalah kaum yang zalim.'”

Selalunya umat akan melakukan bid’ah dahulu sebelum mereka menjadi kafir. Mula-mula mereka akan amalkan bid’ah, bermula dengan bid’ah dalam amalan, kemudian menjadi bid’ah dalam akidah pula. Kemudian lama-kelamaan mereka akan sembah berhala. Banjir itu berlaku kerana Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya membantunya. Sudah 950 tahun baginda tabligh (menyampaikan dakwah) kepada kaumnya tetapi mereka ingkar. Lama sungguh baginda telah tabligh. Dalam dia berdakwah itu, tidak pernah baginda meminta upah sedikit pun. “Upahku hanya daripada Allah” katanya. Maknanya tidak ada alasan bagi umat itu untuk menolak ajakan dakwah kerana bukan kena bayar pun. Maknanya kita kena sampaikan dakwah dengan percuma kerana ia amat penting. Sekiranya kita tidak mengajar Islam yang sebenar mulai sekarang, anak cucu kita akan kembali menjadi kafir sebagaimana juga umat Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu!

Antaranya, kita kena ajar mereka supaya jangan membuat amalan bid’ah. Banyak sudah ahli bid’ah sekarang jadi tidak perlu kita menambahkan bilangan mereka itu. Kalaulah kita dibangkitkan kembali setelah kita meninggal nanti, anak cucu tidak tahu akan jadi apa. Kita pun sudah tidak kenal mereka itu agama apa nanti. Mereka kata mereka Muslim, tetapi kita pun kata: “Eh, ini tak sama dengan Islam aku dulu….” Kita minta jauh daripada perkara ini terjadi. Kerana itulah, kita kena perlu menentang amalan bid’ah daripada dilakukan bermula daripada sekecil-kecil amalan. Ini kerana kalau tidak ditentang semasa ia masih kecil, ia akan menjadi besar dan lama-kelamaan akan menjadi amalan syirik. Kadang-kadang kita sangka amalan itu tidak ada masalah sangat, tetapi ketahuilah, bermula dengan hanya amalan kecil sahaja ia boleh berubah menjadi besar. Apabila sudah menjadi amalan masyarakat, sudah menjadi besar dan sebati, maka pada peringkat itu, ia sudah menjadi amat payah untuk ditegah lagi.

Maka memang ia merupakan sebuah pengajaran yang amat penting. Namun malangnya, bagi orang kita, pengajaran yang sampai pada mereka hanyalah bubur Asyura pula. Itu sahaja yang mereka dapat. Sedangkan hari itu patutnya sunat berpuasa, mereka mengajar buat bubur pula. Begitulah yang menjadi masalah, apabila amalan-amalan bid’ah ini dibawa dan diajar oleh guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang juga tidak mengamalkan sunnah. Masyarakat sangka, kalau sesuatu amalan itu diajar oleh mereka, tentulah amalan itu betul. Namun tidak sebenarnya. Kerana itu bukan semua ustaz kita boleh terima ajaran dan amalan mereka. Ramai yang hanya mengikut sahaja amalan tanpa disandarkan kepada dalil, walaupun mereka bergelar ‘ustaz’.


 

Yaasin Ayat 42: Bagaimana pula dengan kenderaan lain? 

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ ما يَركَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We created for them from the likes of it that which they ride.

(MELAYU)

dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kenderaan seperti bahtera itu.

 

وَخَلَقنا لَهُم مِّن مِّثلِهِ

Dan Kami ciptakan bagi mereka, kenderaan seperti bahtera itu juga

Sekiranya ayat 41 tadi berkenaan kapal Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ayat 42 ini bermaksud kenderaan pengangkutan laut seperti sampan, bot, feri dan sebagainya. Daripada bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dijadikan contoh untuk kenderaan laut yang lain.

Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kenderaan semisal dengan bahtera itu. (Yasin: 42) Dia mengatakan, ‘Tahukah kalian, apakah yang dimaksudkan oleh firman tadi?” Kami (murid-muridnya) menjawab, “Tidak tahu.” Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa yang dimaksudkan adalah perahu-perahu yang dibuat sesudah perahu Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Begitulah manusia meneruskan melayari lautan dengan menggunakan alat pelayar yang sedemikian. Semenjak zaman purbakala manusia sudah belayar jauh. Menurut hasil penyelidikan ahli-ahli antropologi, didapati sejak ribuan tahun yang lampau manusia telah bersilang siur belayar di lautan lepas dengan bahtera-bahtera yang sesuai dengan kemajuan manusia di zaman itu. Dalam tulisan-tulisan huruf paku atau hyroglife di batu-batu bersurat di Mesir sudah didapati ada gambaran kapal. Ada orang yang menyatakan bahawa bangsa Red Indian sebagai penduduk asli Benua Amerika adalah suku bangsa yang berasal dari Timur Jauh ini. Bangsa Melayu sudah lama belayar menuju Pulau Madagaskar, sehingga bangsa Malagasi yang berada di sana sekarang dikatakan adalah bangsa Melayu juga. Kalau dikaji begitulah asal usul penduduk satu-satu benua atau negara.

Ilustrasi dan dokumentasi tentang rekabentuk dan senibina kapal dari Alam Melayu oleh Rafael Monleón (1840-1900), dalam Historia De La Navigación, sumber dari Muzium Ketenteraan Sepanyol, Barcelona ini membuktikan telah lama manusia diberi kemudahan oleh Allah untuk kegunaan mereka.

 

Ia juga boleh merujuk kepada pengangkutan apa sahaja, jadi ia boleh jadi kereta, bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya. Kerana itu orang Arab menggelar unta mereka sebagai سَفِينَةُ ٱلصَّحْرَاءِ (Kapal padang pasir). Semua sekali kenderaan itu kita boleh digunakan dan ia merupakan nikmat besar daripada Allah ‎ﷻ. Ini sepertimana firman Allah ‎ﷻ di dalam Nahl: 8

وَالخَيلَ وَالبِغالَ وَالحَميرَ لِتَركَبوها وَزينَةً ۚ وَيَخلُقُ ما لا تَعلَمونَ
dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Ini kerana waktu ayat ini diturunkan, manusia tidak akan dapat membayangkan jenis-jenis kenderaan di masa hadapan. Maka Allah ‎ﷻ cuma menerangkan ada jenis-jenis kenderaan yang kamu tidak tahu pun akan ada.

Di sini Allah ‎ﷻ beritahu, Dia yang mencipta kenderaan itu tetapi bukankah manusia yang mencipta kenderaan-kenderaan yang baru seperti Wright Brothers (mereka tidak wrong pun) mencipta kapalterbang? Ya benar, akan tetapi bahan dan idea untuk mencipta kenderaan itu semua daripada Allah ‎ﷻ juga.

 

مَا يَرْكَبُونَ

yang mereka boleh menungganginya;

Allah ‎ﷻ mencipta binatang seperti kapal, iaitu unta untuk digunakan di atas daratan. Di laut guna kapal dan di daratan ada tunggangan lain. Allah ‎ﷻ lah juga yang memberi ilham untuk manusia mencipta kenderaan zaman moden seperti kereta, bas, keretapi, kapal terbang dan lain-lain. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memudahkan kita untuk bermusafir di muka bumi ini.

Maka, oleh itu, hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah ajar kita bagaimana untuk berdoa apabila kita naik kenderaan. Ini ada dalam ayat Zukhruf: 13&14

لِتَسۡتَوُ ۥاْ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ رَبِّكُمۡ إِذَا ٱسۡتَوَيۡتُمۡ عَلَيۡهِ وَتَقُولُواْ سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا ڪُنَّا لَهُ ۥ مُقۡرِنِينَ (١٣) وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (١٤)
Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. (13) Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali! (14)

Doa ini diajar oleh Rasulullah ﷺ,

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ شَهِدْتُ عَلِيًّا أُتِيَ بِدَابَّةٍ لِيَرْكَبَهَا فَلَمَّا وَضَعَ رِجْلَهُ فِي الرِّكَابِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى ظَهْرِهَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثُمَّ قَالَ { سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ } ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثَلَاثًا وَاللَّهُ أَكْبَرُ ثَلَاثًا سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ثُمَّ ضَحِكَ قُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ ثُمَّ ضَحِكَ فَقُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu Al Ahwash daripada Abu Ishaq daripada Ali bin Rabi’ah, dia berkata; aku menyaksikan Ali diberi haiwan untuk dia tunggangi, kemudian tatkala dia telah meletakkan kakinya di dalam sanggurdi, dia mengucapkan; BISMILLAAH tiga kali, dan ketika telah berada di atas punggungnya dia mengucapkan; ALHAMDULILLAAH, kemudian dia mengucapkan; SUBHAANALLADZII SAKHKHARA LANAA HAADZAA WA MAA KUNNAA LAHUU MUQRINIIN, WA INNAA ILAA RABBINAA LAMUNQALIBUUN (Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami haiwan ini, dan tidaklah kami dapat memaksakannya, dan kepada Tuhan kami nescaya kami akan kembali). Kemudian dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH tiga kali, WALLAAHU AKBAR tiga kali, SUBHAANAKA INNII QAD ZHALAMTU NAFSII FAGHFIR LII, FAINNAHU LAA YAGHFIRUDZ DZUNUUBA ILLAA ANTA (Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku maka ampunilah aku. Kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali engkau). Kemudian dia tertawa. Aku katakan; kerana apakah engkau tertawa wahai Amirul mukminin? Dia berkata; aku melihat Rasulullah ﷺ melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian beliau tertawa dan aku katakakan; kerana apakah anda tertawa wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu sungguh merasa kagum kepada hamba-Nya apabila mengucapkan; ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selain-Mu. “
Dalam bab ini terdapat riwayat daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Abu Isa berkata; hadith ini adalah daripada Sunan at-Tirmidzi dan dinilai hadith hasan sahih.

Maknanya di dalam perbuatan seharian kita, mesti ada doa-doa yang ingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Ia juga mengajar kita untuk menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ kerana memang kita tidak ada kekuatan apa-apa. Jadi ia mengingatkan betapa lemahnya kita dan betapa berharapnya kita kepada Allah ‎ﷻ.


 

Yaasin Ayat 43:

وَإِن نَّشَأ نُغرِقهُم فَلا صَريخَ لَهُم وَلا هُم يُنقَذونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We should will, We could drown them; then no one responding to a cry would there be for them, nor would they be saved

(MELAYU)

Dan jika Kami menghendaki nescaya Kami tenggelamkan mereka, maka tiadalah bagi mereka penolong dan tidak pula mereka diselamatkan.

 

وَإِنْ نَشَأْ نُغْرِقْهُمْ

Sekiranya Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka;

Seandainya Allah ‎ﷻ mahu, Allah ‎ﷻ boleh tenggelamkan manusia yang di atas kapal, atau atas kenderaan berjenis-jenis itu. Banyak sangat kejadian begini terjadi dalam sejarah. Bayangkan sebuah kapal kecil sahaja (walau besar mana pun) kalau dibandingkan dengan lautan yang luas itu. Terkontang kanting sahaja dibuai badai lautan yang kadangkala bergelora tidak menentu kuatnya. Yang paling terkenal adalah kapal Titanic. Mereka yang menciptanya dengan sombong berkata yang kapal itu tidak akan tenggelam. Mereka sampai kata, Tuhan pun tidak boleh tenggelamkan Titanic itu. Maka, Allah ‎ﷻ telah tunjukkan bagaimana ia tenggelam juga akhirnya. Malah tidak sempat menghabiskan perjalanannya yang pertama pun. Sekarang kita baca ayat ini sambil duduk-duduk minum kopi, tidaklah terasa sangat, bukan? Tetapi cuba bayangkan kalau anda sekarang berada di dalam kapal?

Kapal Titanic yang tenggelam begitu popular dalam sejarah membuktikan betapa lemahnya manusia walau sehebat mana kapal itu dicipta.

 

Begitu juga dengan kenderaan lain, seperti kereta, bas dan sebagainya. Berapa banyak yang telah kemalangan? Tidak terkira banyaknya. Itu semua adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ belaka. Kita tidak ada kuasa kalau Allah ‎ﷻ tentukan akan kemalangan atau karam dalam lautan. Maka ingatlah yang semasa kita menaiki kenderaan itu, Allah ‎ﷻ boleh sahaja mendatangkan  kemalangan dan sebagainya. Maka mestilah sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan ingat kepada Allah ‎ﷻ semasa berada di atas kenderaan itu.

 

فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ

Maka tiada siapa boleh beri pertolongan.

Perkataan صَرِيخَ asalnya bermaksud ‘menjerit meminta pertolongan’. Kemudian, ia menjadi makna ‘yang mendengar jeritan meminta pertolongan’. Maknanya, tidak ada yang mendengar pun mereka menjerit meminta pertolongan jikalau Allah ‎ﷻ sudah takdirkan mereka akan ditenggelamkan. Kalau sedang dalam lautan yang luas, siapa yang boleh dengar? Apabila tidak ada orang yang mendengar, maknanya, tidak ada yang akan datang menolong mereka. Sekiranya sempat menggunakan radio untuk memanggil kapal-kapal lain, atau menghantar mesej SOS, berapa lamakah mereka boleh datang?

 

وَلَا هُمْ يُنْقَذُونَ

Dan mereka tidak dapat diselamatkan.

Perkataan نقذُ bermaksud seseorang yang menyelamatkan seseorang yang hampir kemalangan. Contohnya, orang itu hampir jatuh gaung, jadi kita pun berusaha untuk menyelamatkan dia daripada jatuh ke dalam gaung. Maksud ayat ini, tidak ada yang akan datang menolong mereka yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan akan menemui kemalangan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Tafsir Surah Yaasin Ayat 39 – 40 (Jangan lengahkan hidup kita)

Yaasin Ayat 39: Selepas matahari, sekarang disebut pasangannya pula iaitu bulan.

وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the moon – We have determined for it phases, until it returns [appearing] like the old date stalk.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

 

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَٰهُ

Dan bulan, Kami telah tetapkan baginya,

Selain matahari, satu lagi makhluk yang besar dan manusia kenal adalah bulan. Semasa siang, matahari kelihatan; semasa malam, bulan pula yang muncul. Jadi bolehlah dikatakan yang bulan adalah pasangan matahari, bukan?

Seperti matahari, bulan juga Allah ‎ﷻ telah menentukan sifat dan pergerakannya. Bulan juga ada orbitnya. Ia bergerak mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah gagal. Pergerakannya pun ada kadar yang Allah ‎ﷻ tentukan. Tidaklah bulan berjalan mengikut kehendaknya sendiri.

Allah ‎ﷻ banyak jadikan matahari dan bulan sebagai contoh kehebatan-Nya. Ingatkah lagi kita telah pernah memberi bandingan matahari dan bulan? Ingat kembali kisah tiga Rasul dan seorang Lelaki Beriman. Rasul boleh diibaratkan sebagai matahari dan pengikut mereka boleh diibaratkan sebagai bulan. Ini kerana pengikut mendapat ilmu daripada para Rasul sebagaimana bulan mendapat cahaya daripada matahari. Cahaya matahari kekal sedangkan cahaya bulan sekejap ada sekejap hilang. Begitulah para pengikut, kadang iman tinggi, kadang turun dan naik.

Akan tetapi matahari dan bulan menarik dijadikan contoh peringatan kepada kita. Matahari ada tugasnya dan bulan ada tugasnya. Begitulah juga para Rasul ada tugas mereka yang Allah ‎ﷻ telah bebankan ke atas mereka. Begitulah juga dengan umat. Ambillah contoh Lelaki Beriman itu yang menjalankan juga dakwah kepada kaumnya walaupun kaum itu telah menolak dakwah daripada tiga orang Rasul! Beliau tidak pula memberi alasan: “Apa lagi aku nak cakap, tu tiga Rasul dah cakap kena tolak jer!” Maka setiap orang Islam sebenarnya ada tanggungjawab untuk menjalankan dakwah dalam apa cara sahaja yang mereka mampu. Dakwah bukan kerja kerajaan sahaja, bukan kerja pejabat agama dan bukan kerja para ustaz sahaja. Masing-masing ada tugas masing-masing sebagaimana matahari ada tugas dan bulan juga ada tugas!

 

مَنَازِلَ

beberapa fasa;

Kita boleh lihat bulan itu ada peringkatnya. Kalimah مَنَازِلَ daripada kata dasar ن ز ل yang bermaksud untuk turun; berlaku; menetap di satu tempat; hantar ke bawah; memberi; yang disediakan untuk hiburan tetamu; tempat tinggal; hadiah; stesen; rumah agam; menyebabkan sesuatu turun; wahyu ilahi; wahyu yang beransur-ansur; susunan yang teratur dan penyusunan yang sahih. Ia bermaksud tempat berhenti kerana apabila kita sampai ke destinasi kita, kita akan turun dari kenderaan.

Kita boleh lihat kedudukan (stesen) bulan tidak sama setiap malam. Malam ini satu tempat, kalau esok sudah berubah sedikit. Ada 28 ‘stesen’ atau fasa bulan ini (kerana satu hari bulan tidak kelihatan langsung). Setiap stesen ini telah dikenalpasti oleh orang Arab (dan diberi nama setiap satunya) yang memerhatikan perjalanan bulan dan menentukan tarikh. Kerana itu Allah ‎ﷻ menyebut tentangnya di dalam Yunus: 5

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempatnya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Bulan mengambil masa lebih kurang 29 hari 12 jam 44 minit untuk melengkapkan satu orbit lengkap mengelilingi bumi. Oleh itu kiraan sebulan dalam bulan Qamariah adalah 29 hari atau 30 hari. Dengan cara ini, kita dapat menentukan waktu dalam sebulan. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah menentukan kadar pergerakan bulan dan dengan itu kita dapat menentukan tarikh dalam setahun.

Fasa pergerakan bulan yang berubah-ubah ditetapkan oleh Allah.

Fasa-fasa ini juga menggambarkan iman para pengikut Rasul yang tidak sama seperti iman para pengikut. Ini biasa sahaja bagi manusia. Malah begitulah nasihat Rasulullah ﷺ kepada Abu Bakr dan Hanzalah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عن حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِيِّ، وكان من كتَّاب رسولِ اللهِ ﷺ قال: لقيني أبو بكرٍ، فقال: كيفَ أنتَ يا حَنْظَلَةُ؟ قال: قلتُ: نافقَ حَنْظَلَةُ. قال: سبحانَ اللهِ ما تقولُ؟! قال: قلتُ: نكونُ عند رسولِ اللهِ ﷺ يُذكِّرُنا بالنارِ والجنةِ حتى كأنَّا رأيُ عينٍ، فإذا خرجنا من عند رسولِ اللهِ ﷺ عافَسْنا الأزواجَ والأولادَ والضَّيْعاتِ فنسينا كثيرًا. قال أبو بكرٍ: فواللهِ إنَّا لنلقى مثلَ هذا. فانطلقتُ أنا وأبو بكرٍ حتى دخلنا على رسولِ اللهِ ﷺ، قلتُ: نافقَ حَنْظَلَةُ يا رسولَ اللهِ. فقال رسولُ اللهِ ﷺ: وما ذاك؟ قلتُ: يا رسولَ اللهِ نكونُ عندك تُذكِّرُنا بالنارِ والجنةِ حتى كأنَّا رأيُ عينٍ، فإذا خرجنا من عندك عافَسْنا الأزواجَ والأولادَ والضَّيْعاتِ فنسينا كثيرًا. فقال رسولُ اللهِ ﷺ: والذي نفسي بيدِه لو تدومون على ما تكونون عندي وفي الذِّكرِ لصافحتْكم الملائكةُ على فُرُشِكم وفي طُرُقِكم، ولكن يا حَنْظَلَةُ ساعةً وساعةً (ثلاثَ مراتٍ).
Diriwayatkan oleh Hanzalah al-Usayyidi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Aku bertemu Abu Bakr, lalu dia bertanya kepadaku, ‘Bagaimana keadaanmu, wahai Hanzalah?’ Aku menjawab, ‘Hanzalah telah menjadi munafiq.’ Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Subhanallah! Apa yang kamu katakan?’ Aku menjelaskan, ‘Ketika kami berada di sisi Rasulullah ﷺ dan baginda mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala kami sendiri. Tetapi apabila kami kembali kepada keluarga, anak-anak, dan urusan dunia, kami melupakan banyak perkara tersebut.’ Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Demi Allah, aku juga mengalami hal yang sama.’ Maka kami pergi menemui Rasulullah ﷺ, dan aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafiq.’ Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Apa yang terjadi padamu?’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, ketika kami berada di sisimu, engkau mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala kami sendiri. Tetapi apabila kami kembali kepada keluarga, anak-anak, dan urusan dunia, kami melupakan banyak perkara tersebut.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu tetap berada dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan sentiasa dalam zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan denganmu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi wahai Hanzalah, sesaat begini dan sesaat begitu.’”
(Sahih Muslim No. 2750)

Fasa-fasa bulan ini juga mengingatkan kita kepada kekuatan agama umat Islam. Di zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم, Islam amat kuat. Namun apabila umat Islam semakin ramai dan mereka jauh daripada wahyu, maka kekuatan agama umat Islam mulai menjadi lemah. Semakin lama semakin lemah. Akan tetapi jangan kita berputus harap dengan umat Islam. Sebagaimana bulan akan kembali kelihatan penuh, maka begitu jugalah umat Islam. Apabila ia lemah, akan sampai masanya Allah ‎ﷻ akan memberi bantuan dan memberi kekuatan kepada umat Islam kembali.

 

حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ

Sehingga kembali menjadi seperti tandan pohon kurma yang tua yang melengkung;

Kita boleh lihat perubahan bulan dalam sebulan dan bila sampai hujung bulan, bulan itu akan berbentuk melengkung (bulan sabit). Kalimah الْعُرْجُونِ daripada kata dasar ع ر ج و (juga ditulis ع ر ج ن) yang bermaksud memukul dengan kayu, cap atau cop dengan buah ara atau batang kurma; dahan pokok. Kalimah urjun digunakan untuk tangkai kurma kering, atau mayang dalam bahasa kita, dan menarik apabila ada persamaan dengan bentuk bulan sabit.

Juga ada persamaan dengan fasa-fasa bulan. Perhatikan,

Kemudian akan menjadi penuh semula dan akan kembali menjadi melengkung. Begitulah juga kitaran hidupnya. Ini adalah isyarat kepada manusia bahawa kita juga melalui proses yang sama. Mula-mula kita kecil dan membesar sampai dewasa. Apabila kita tua, badan kita akan membongkok melengkung seperti tandan tua itu juga. Kalau dulu kita pakaikan pampers kepada anak kita, sudah tua nanti anak kita pula pakaikan pampers untuk kita. Maka beringatlah untuk menggunakan masa yang telah diberikan kepada kita dengan baik. Jangan kita sia-siakan masa kita semasa di dunia ini dengan berbuat maksiat.

Juga peringatan buat kita supaya jangan menangguh untuk beramal dan belajar. Ramai yang tertipu dalam hal ini. Ia adalah salah satu senjata iblis yang dinamakan taswif. Taswif (التسويف) berasal daripada kata Arab “سَوْفَ” (sawfa) yang bermaksud “nanti” atau “akan datang”. Dalam konteks ilmu akhlak dan tazkiyah (penyucian jiwa), taswif merujuk kepada sikap menangguh-nangguhkan amal kebaikan atau menunda taubat, dengan berkata:

“Nanti aku bertaubat…”
“Akan datang aku berubah…”
“Bila dah pencen nanti barulah aku solat berjemaah di masjid…”
“Nantilah bila aku dah pencen, aku belajarlah agama…”
“Tunggulah, sekarang susah… nak hantar tuisyen, kelas silat, kelas piano…takde masa lah ustaz….”

Begitulah kebanyakan kita, tangguh punya tangguh tiba-tiba buka mata sudah dalam kubur. Atau tangguh sampai ke tua baru hendak belajar, baru hendak beramal tetapi badan dan otak sudah tidak mampu lagi. Apa yang dibaca dan dipelajari bagaikan susah pula hendak faham dan ingat. Apabila tidak mampu, maka banyaklah perkara tidak tahu. Maka kerana itu mereka menggunakan sahaja mana-mana amalan yang telah biasa diamalkan oleh masyarakat walaupun ia tidak berlandaskan kepada wahyu. Begitulah sedihnya kalau sudah tua baru mahu kembali kepada agama sebab sudah teringat tidak lama akan masuk ke dalam kubur. Barulah hendak belajar membaca Al-Qur’an. Membaca?! Tidak perlulah lagi belajar membaca. Belajar membaca itu ketika muda, kalau sudah tua sudah terlambat. Waktu tua yang singkat itu lebih baik diberikan masanya untuk belajar makna Al-Qur’an. Kalau belajar membaca entah berapa tahun pula baru habis, jadi bilalah pula dapat faham arahan Allah ‎ﷻ itu? Daripada boleh membaca tetapi tidak tahu apa-apa, baik terus belajar maksud Al-Qur’an. Bukanlah membaca itu tidak penting, tetapi kerana masa sudah singkat, perlu diberikan perhatian kepada perkara yang lebih penting.


Yaasin Ayat 40: Sekarang digabungkan sebutan dan matahari di dalam satu ayat. 

لَا الشَّمسُ يَنبَغي لَها أَن تُدرِكَ القَمَرَ وَلَا اللَّيلُ سابِقُ النَّهارِ ۚ وَكُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not allowable [i.e., possible] for the sun to reach the moon, nor does the night overtake the day, but each, in an orbit, is swimming.

(MELAYU)

Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.

 

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ

Tidak mampu bagi matahari itu mengejar bulan;

Bulan dan matahari tidak akan dapat duduk di tempat yang sama. Matahari tidak boleh melepasi bulan. Ia tidak boleh mengejar sampai memotong bulan walaupun ia lebih besar. Kalimah يَنْبَغِي daripada kata dasar ب غ ي yang bermaksud untuk melanggar; melepasi sempadan; bertindak tidak adil atau kurang ajar; berbohong; menindas seseorang; memperlakukan secara tidak adil; benci; mencari; keinginan; teringin; mahu; tidak suci; penzinaan; zina; pelacuran. Kalimah بغى asalnya bermaksud ‘meminta sesuatu lalu memperolehinya’ dan dari sini ia mengambil maksud ‘dapat’. Jadi kalimah لا ينغي bermaksud ‘tidak dapat’.

Manakala kalimah تُدْرِكَ daripada kata dasar د ر ك yang bermaksud untuk memintas; mencapai umur yang ada akal; mencapai kematangan; bahagian bawah; jurang; mencari had sesuatu perkara; memahami. Jadi kalimah لَا يَنْبَغِي أَنْ تُدْرِكَ bermaksud ‘tidak boleh memintas’. Tidak dapat atau tidak boleh matahari mengejar bulan kerana matahari ada masanya dan bulan ada masanya. Tidak boleh mendahului antara satu sama lain. Walaupun matahari dari segi saiznya, ia lebih besar daripada bulan; tetapi masih tidak dapat mendahului bulan.

Sebenarnya matahari tidak perlu pun mengejar bulan. Buat apa ia perlu kejar? Masing-masing sudah mempunyai tempat peredarannya dan tugas sendiri. Maka begitulah dengan umat Islam, tidak perlu menjadi Nabi asalkan menjalankan tugas masing-masing sebagai seorang Muslim yang mementingkan agama dan menjalankan kerja dakwah. Masing-masing melakukan tugas dalam bidang dan kemampuan masing-masing. Begitulah umat memerlukan ilmu daripada Rasul dan Rasul memerlukan umat untuk membantu baginda membantu baginda menjalankan kerja dakwah dan menyampaikan kepada orang lain kerana baginda seorang tidak mampu melakukannya sendirian.

Lihatlah bagaimana matahari yang besar pun mengikut perintah dan hukum Allah. Namun bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini? Bagaimana kita berani hendak menolak hukum Allah yang Dia telah tetapkan untuk kita?

 

وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ

Dan tidak boleh malam itu boleh mendahului siang hari.

Siang dan malam ada turutannya masing-masing. Tidak boleh salah satu mendahului yang lain. Itulah susunan yang Allah ‎ﷻ telah buat. Akan tetapi Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan malam berterusan tanpa siang seperti Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Qasas: 71

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ
Katakanlah: “Adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

Atau siang berterusan tanpa malam. Ini Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Qasas: 72.

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Katakanlah: “Adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”

Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak jadikan begitu kerana kalau jadi begitu, pening kita jadinya. Ini menunjukkan perancangan dan pengurusan Allah ‎ﷻ terhadap alam ini yang begitu hebat sekali. Kita hendak urus keluarga dan satu syarikat pun sudah payah dan pening kepala, bukan? Ia juga menunjukkan ketaatan alam langit dan bumi terhadap ketentuan dan arahan Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Fussilat: 11

ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ وَهِيَ دُخانٌ فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ
Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

 

وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Dan masing-masing beredar pada orbitnya.

Kalimah فَلَكٍ daripada kata dasar ف ل ك yang bermaksud bulat; kapal; bahtera; orbit badan angkasa; paksi. Bulat itu pula lebih kepada bujur (oblong) iaitu sama seperti bentuk orbit. Oleh itu di dalam ayat kalimah فَلَكٍ itu kita ditafsirkan sebagai ‘orbit’. Iaitu bulan dan matahari berada dalam orbitnya sendiri. Apa yang mereka buat dalam orbit itu?

Kata يَسْبَحُونَ bermakna ‘mereka berenang’ dari segi bahasa. Kiranya terapung lah. Bermakna mereka sentiasa bergerak dalam orbit mereka. Seperti juga kalau orang yang berenang, mereka kena sentiasa bergerak. Kalau tidak, mereka akan tenggelam. Pergerakan mereka itu adalah atas arahan Allah ‎ﷻ – mereka menurut arahan Allah ‎ﷻ – bermakna mereka ‘sujud’ kepada arahan Allah ‎ﷻ. Pergerakan itu adalah di dalam orbit yang menjadi laluan pergi-balik (round trip). Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Anbiya’: 33

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ في فَلَكٍ يَسبَحونَ
Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing daripada keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.

Semua ini adalah ketentuan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Dia boleh kalau hendak mengubah perjalanan matahari dan bulan itu. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan mengubahnya, kerana Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Fath: 23 bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan mengubah ‘sunnatullah’, iaitu perjalanan alam ini. Kalau matahari keluar waktu siang, bulan akan keluar waktu malam dan sebagainya.

سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.

Allah ‎ﷻ telah beri beberapa contoh pasangan: malam/siang dan matahari/bulan. Maka, pasangan bagi kehidupan di dunia ini adalah kehidupan di akhirat. Manakah yang lebih penting? Tentunya kehidupan di akhirat kelak. Ini disentuh dalam A’la: 17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Maka, kita kenalah jadikan kehidupan di dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam untuk kita menuainya di akhirat kelak.

Begitulah jikalau kehidupan dunia ini ada pasangannya, maka janganlah kita bersedia dan berusaha untuk kehidupan dunia sahaja. Janganlah kita lupa pasangannya, iaitu akhirat yang pasti ada. Jangan kita ragukan yang akhirat pasti akan datang. Ingatlah bahawa sebagaimana kitaran tandan tamar dan juga bulan, kehidupan kita pun ada kitarannya. Akan datang masanya nanti apabila kita menjadi tua dan tidak dapat hendak beribadat banyak lagi dan akhirnya kita akan mati. Maka, ambillah peluang semasa kita hidup dan semasa kita masih berupaya untuk beribadat, untuk menanam sebanyak mungkin amal-amal yang soleh.

Sebagaimana matahari dan bulan ada tugas masing-masing, kita pun ada tugas kita. Kita menjalankan kerja agama dan kerja dakwah mengikut kadar kemampuan kita, sama ada kadar matahari ataupun kadar bulan. Kalau ada ilmu banyak dan pandai, maka banyaklah yang kita boleh ajar dan sampaikan kepada masyarakat; tetapi kalau kurang, usahakanlah setakat kemampuan kita sahaja. Jadi tugas dakwah bukan tugas para ustaz semata-mata, akan tetapi semua orang. Saya terharu dan kagum dengan mereka yang baru belajar sahaja boleh terus mengajak masyarakat ke arah kebaikan, dengan cara mereka sendiri. Ada yang mula mengajar, ada yang membuat kumpulan kecil untuk mempelajari maksud ayat-ayat Al-Qur’an, ada yang buat posting-posting di media sosial mereka untuk menyampaikan ilmu. Ikut kadar dan ikut kemampuan, asalkan kita jalan terus!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre