Tafsir Surah Zukhruf Ayat 11-16 (Tentang hujan dan Doa naik kenderaan)

Doa ketika hujan dan zikir lepas hujan
Doa dan zikir tentang hujan.

Ayat 11:

وَالَّذي نَزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرنا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا ۚ كَذٰلِكَ تُخرَجونَ

Sahih International

And who sends down rain from the sky in measured amounts, and We revive thereby a dead land – thus will you be brought forth –

 

Malay

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

 

وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan menurut sukatan,

Allah lah yang menurunkan hujan sebagai rahmat untuk kita. Dan Dia yang menentukan berapa banyak air hujan yang patut turun. Ada yang turun banyak, dan kadang-kadang turun sedikit sahaja. Semuanya dalam perintah Allah ﷻ. Dia menurunkan hujan mengikut keperluan tempat itu.

Pernahkah kita terfikir, kalau air hujan itu turun banyak, dari manakah datangnya air hujan yang banyak itu? Jika kita melihat awan, tidak nampak pun airnya. Tetapi apabila hujan turun,  tidak pula berhenti beberapa hari, sampai boleh banjir sesuatu kawasan itu. Akan tetapi, sumber air itu masih ada lagi. Allah ﷻ sahajalah yang Maha Mengetahui berapa banyak air yang ada di dalam awan.

Apabila kita melihat bagaimana turunnya air itu, maka tahulah kita bahawa semuanya itu mengikut ketetapan Allah ﷻ. Kita tidak dapat menentukannya. Air banyak lagi, tetapi Allah ﷻ tidak menurunkan semuanya. Allah ﷻ menurunkan hujan mengikut kadar keperluan makhluk sahaja. Kerana Allah ﷻ berikan air itu sebagai rahmat. Kalau ianya sebagai rahmat, ia tentunya memberikan kebaikan. Jadi, hendaklah kita bersyukur di atas nikmat itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ﷻ menurunkan air hujan sedikit demi sedikit supaya ianya dapat dimanfaatkan oleh makhlukNya. Kalaulah Allah ﷻ menurunkan hujan banyak sekaligus, itu sudah tentu tidak bagus kerana akan menjadi banjir. Kita pun susah untuk hidup dan tanaman juga boleh mati.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ menurunkan hujan sedikit demi sedikit sahaja. Umpamanya kita menyiram air untuk tanaman, kita beri air sedikit sahaja. Kalau kita beri banyak, tentulah pokok yang kita tanam itu akan mati. Maka begitu jugalah dengan dunia ini disirami air sedikit demi sedikit. Sesekali sahaja diberikan banyak air hujan sehingga banjir. Dan banjir itu tentunya adalah kerana keperluan tempat itu, kita sahaja tidak nampak rahmatnya.

Tetapi, itu tidak selalu berlaku dan kita juga kena terima bahawa itu ada kebaikan untuk tempat itu. Kalau ada tempat lain yang terkena banjir, maka bersyukurlah kerana di tempat kita tidak terkena banjir. Mungkin Allah ﷻ hendak membersihkan tempat itu dari wabak penyakit dan sebagainya. Kita serahkan hal ini kepada kebijaksanaan Allah ﷻ.

 

فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا

lalu Kami hidupkan dengan air hujan itu negeri yang mati.

Allah ﷻ memberitahu di dalam ayat ini yang dengan air hujan dari langit itulah yang menghidupkan kawasan yang tidak subur itu. Adakah ada Tuhan lain yang membuatnya? Tentulah tidak.

‘Mati’ itu bermaksud bumi itu kering tandus tanahnya sebab telah lama kemarau. Tidak ada tumbuhan yang dapat hidup kalau tidak ada air. Apabila tumbuhan tidak dapat hidup, haiwan dan manusia pun tidak dapat tinggal di situ. Apabila Allah ﷻ memberikan air hujan kepada tanah itu, tanah itu kembali subur dan tanaman pun dapat hidup subur. Barulah hidup kembali tanah itu. Binatang dan manusia pun kembali tinggal di situ.

 

كَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan

Begitulah juga kita dihidupkan semula dan dikeluarkan dari kubur. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akan dihidupkan selepas kita mati. Sebagaimana Allah ﷻ boleh menghidupkan tanah yang mati, maka Allah ﷻ juga boleh menghidupkan kita selepas kita mati. Sebagaimana tumbuhan dikeluarkan dari tanah, begitu jugalah kita akan dikeluarkan dari tanah kubur kita nanti.

Dan kita kena yakin bahawa mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya. Kerana Qudrat yang sama sahaja untuk menghidupkan tanah yang tandus dan untuk menghidupkan manusia yang sudah mati.


 

Ayat 12: Allah menceritakan lagi jasaNya.

وَالَّذي خَلَقَ الأَزوٰجَ كُلَّها وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الفُلكِ وَالأَنعٰمِ ما تَركَبونَ

Sahih International

And who created the species, all of them, and has made for you of ships and animals those which you mount.

Malay

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Dia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

 

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوٰجَ كُلَّهَا

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya;

Kalimah الْأَزْوَاجَ bermaksud ‘pasangan’. Allah menciptakan makhluk dengan berpasangan dan berjenis-jenis. Kalau kepada binatang, ada jantan betina. Kepada tanaman, ada pasangannya atau lawannya. Begitu jugalah kita ada lelaki dan wanitanya.

Perkara yang berlawanan pun termasuk dalam maksud ‘pasangan’ juga. Macam tangan kita, ada tangan kiri dan kanan. Dalam alam juga sentiasa ada pasangan. Malam dan siang; panas dan sejuk. Dan macam-macam lagi. Ini seperti yang disebut dalam ayat Yassin:36

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Hanya Allah sahaja yang tidak ada pasangan atau lawanNya.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ

dan Dia mengadakan bagi kamu kapal-kapal

Allah lah juga yang menjadikan alat pengangkutan untuk kita. Kapal adalah contoh pengangkutan di lautan untuk kita.

Allah kata dalam ayat ini, Dia lah yang menjadikan kapal-kapal itu. Kenapa pula? Bukankah manusia yang merekacipta kapal itu? Tidak sebenarnya. Allah lah yang bertanggungjawap memberi ilham kepada manusia bagaimana membuat kapal. Lihatlah bagaimana Allah telah memberi ilham kepada Nabi Nuh untuk membuat kapal sebelum terjadinya Banjir Besar.

 

وَالْأَنْعٰمِ مَا تَرْكَبُونَ

dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

Sebelum ini disebut pengangkutan di lautan dan sekarang Allah menceritakan dari rahmatNya, Dia telah memberikan pengangkutan di daratan juga untuk kita.

Kapal mewakili kenderaan yang kita buat dan binatang mewakili kenderaan yang Allah jadikan.

Dalam ayat ini tidak disebut pengangkutan di udara, tapi ia juga termasuk di dalam jenis-jenis pengangkutan. Cuma Allah tidak sebut kerana kalau disebut, terkejut pula masyarakat Arab waktu itu.


Doa naik kenderaan
Dalil Doa Naik Kenderaan daripada Quran dan Hadis.

Ayat 13: Kenapakah Allah menjadikan alat pengangkutan untuk kita?

لِتَستَووا عَلىٰ ظُهورِهِ ثُمَّ تَذكُروا نِعمَةَ رَبِّكُم إِذَا استَوَيتُم عَلَيهِ وَتَقولوا سُبحٰنَ الَّذي سَخَّرَ لَنا هٰذا وَما كُنّا لَهُ مُقرِنينَ

Sahih International

That you may settle yourselves upon their backs and then remember the favor of your Lord when you have settled upon them and say. “Exalted is He who has subjected this to us, and we could not have [otherwise] subdued it.

Malay

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;  kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya –

 

لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;

Kalimah لِتَسْتَوُوا dari katadasar س و ي yang bermaksud ‘naik dan duduk dengan tetap’. Iaitu kalau naik kuda, semasa naik itu kena panjat, dan kemudian kita betulkan kedudukan atas kuda itu. Apabila sudah selesa, sudah tetap, barulah dinamakan سوي.

Kalimah istiwa’ juga berasal daripada kata dasar yang sama. Dalam ayat ini bermaksud Allah telah memberikan kita dapat duduk di dalam kenderaan kita dengan kukuh dan selesa. Kalau dulu, duduk atas kuda atau unta, tapi zaman sekarang, ianya adalah kereta, motosikal, bas dan macam-macam lagi.

Allah lah yang telah menjadikan kita dapat menguasai binatang-binatang sebagai kenderaan itu. Bayangkan, seekor gajah besar tapi seorang budak boleh duduk atas dia dan kawal dia. Allah yang buat begitu untuk memudahkan kita. Tapi malangnya manusia tak patuh pada Tuhan.

Kalau zaman sekarang, kita duduk atas motor dan dalam kereta dan pengangkutan yang lain. Sama sahaja – Allah juga yang berikan nikmat itu.

 

ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ

kemudian hendaklah kamu mengingati nikmat Tuhan kamu

Bila kita duduk di atas dan dalam kenderaan yang Allah telah jadikan untuk kita, hendaklah waktu itu kita ingat yang itu adalah nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Tidak kira sama ada ianya basikal, motosikal, keretapi atau kapal terbang atau apa-apa sahaja pengangkutan yang lain.

Dengan kenderaan itu dapat memudahkan kita untuk bergerak ke mana-mana. Kalau tidak, kita kena jalan kaki sahaja dan itu amat memenatkan.

Maksudnya, Allah jadikan segala kenderaan itu adalah supaya kita boleh mengingatiNya. Dan bila sudah ingat itu, hendaklah kita bersyukur kepada Allah kerana Allah telah beri nikmat itu kepada kita. Dan hendaklah kita membacakan doa naik kenderaan yang kita akan sebutkan selepas ini.

 

إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ

apabila kamu duduk tetap di atasnya,

Ingatlah kepada nikmat Allah ketika telah duduk di atas kenderaan itu. Jangan kita rasa bangga dengan alat pengangkutan yang kita ada. Memang dari dahulu lagi, kenderaan adalah suatu perkara yang boleh menyebabkan manusia berbangga dengan kedudukan mereka. Memang itu kenderaan kita, tapi siapa yang bagi?

Kalau dulu, orang yang naik kuda lebih bangga dari yang naik keldai. Zaman sekarang, kalau naik BMW, lebih berbangga dari naik kereta Proton. Kalau naik motor Harley, lebih berbangga dari naik motor kapcai sahaja. Tapi ingatlah Siapa yang beri kepada kita. Bukan kita dapatkan sendiri tapi Allah yang beri kepada kita sebagai nikmat.

 

وَتَقُولُوا سُبْحٰنَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا

serta kamu mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami,

Allahlah yang memudahkan kita untuk menjinakkan binatang yang dijadikan sebagai binatang tunggangan. سَخَّرَ bermaksud ‘meletakkan sesuatu di bawah kawalan’ kita. Seperti Allah membenarkan kita mengawal kuda, unta, dan sebagainya.

Dan dalam zaman sekarang, kita mengawal kereta, motor dan sebagainya. Maka kita bukan sahaja disuruh untuk mempercayainya, tapi kita juga disuruh untuk menyebutnya dengan lisan seperti yang diajar dalam ayat ini. Dengan membaca doa ini, maka kita menaiki kenderaan itu bukan perbuatan kosong sahaja, tapi sudah dikira sebagai ‘ibadah’.

 

وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ

sedang kami tidak terdaya menguasainya –

Perkataan مُقْرِنِينَ dari kata dasar ق ر ن yang bermaksud ‘mengikat sesuatu bersama’, seperti mengikat dua unta bersama. Boleh juga bermaksud, ‘berkuasa ke atas sesuatu’, seperti kenderaan.

Tapi kita tidak ada kuasa penuh sebenarnya. Kalau kuda tidak bergerak, macam mana? Kalau kereta yang kita sedang naik itu breknya rosak, atau tayar pecah, apa yang kita boleh lakukan? Kita tidak ada daya upaya nak menyelamatkan diri kita. Waktu itu, kita hanya bergantung kepada rahmatNya sahaja untuk menyelamatkan diri kita.

Nak hidupkan kereta itu sendiri kita tidak ada daya upaya. Tidak pernahkah anda hendak pergi kerja pada pagi hari, pusing-pusing kunci kereta, tapi ianya tidak hidup? Waktu itu, bagaimana?

Maksud ayat ini adalah Allah hendak memberitahu yang kita tidak akan mampu untuk menguasai kenderaan itu kalau tanpa izin Allah. Bayangkan, kuda dan unta itu sebenarnya lebih besar dan lebih kuat dari kita, bukan? Kalau bukan Allah yang benarkan kita menguasainya, kita tidak akan mampu.

Jadi kena ingat dan bersyukur kepada Allah semasa naik kenderaan itu. Ingatlah betapa besarnya nikmat yang Allah telah berikan. Allah telah mudahkan kita untuk berurusan dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Jangan kita berbangga sangat dengan kenderaan hebat dan mewah yang kita ada. Kerana Allahlah yang memberikannya kepada kita. Ingatlah juga bagaimana kemajuan kenderaan telah memudahkan kita. Kalau dulu, kena jinakkan binatang baru boleh menaikinya. Ianya bukan laju sangat pun. Tapi sekarang, dengan segala kemudahan yang ada, amat mudah untuk kita ke mana-mana. Entah apalah lagi nanti kenderaan di masa hadapan.


 

Ayat 14: Allah bawa peringatan tentang kenderaan kerana nak bawa kepada perjalanan ke akhirat. Jangan lupa yang kita menuju akhirat sebenarnya.

وَإِنّا إِلىٰ رَبِّنا لَمُنقَلِبونَ

Sahih International

And indeed we, to our Lord, will [surely] return.”

Malay

“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akhirnya akan kembali menemui Allah. Padahal, baru tadi bercakap tentang pengangkutan dan perjalanan. Apakah kaitannya?

Maksudnya, setiap perjalanan sepatutnya mengingatkan kita kepada perjalanan menemui Allah. Kerana apabila kita dalam perjalanan, akhirnya kita mesti akan berhenti juga akhirnya, bukan? Samada kita sampai ke destinasi kita atau tidak. Samalah juga dengan perjalanan hidup ini, ianya akan berakhir juga. Kerana kehidupan kita ini juga adalah perjalanan yang besar sebenarnya.

Memang kena baca dan fahami doa ini. Kerana entah kita akan kemalangan dengan kenderaan itu dan mati semasa dalam kenderaan itu. Maka kenalah ada zikir kepada Allah dan jangan kita lupa tentang kematian yang bakal menjelang. Jadi ayat ini memang mengingatkan kita sangat kepada kematian.

Ayat 13 dan ayat 14 ini adalah sebahagian dari doa yang diajar oleh Nabi apabila kita menaiki kenderaan ini. Sebagaimana yang tersebut dalam hadis:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ شَهِدْتُ عَلِيًّا أُتِيَ بِدَابَّةٍ لِيَرْكَبَهَا فَلَمَّا وَضَعَ رِجْلَهُ فِي الرِّكَابِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى ظَهْرِهَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثُمَّ قَالَ { سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ } ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثَلَاثًا وَاللَّهُ أَكْبَرُ ثَلَاثًا سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ثُمَّ ضَحِكَ قُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ ثُمَّ ضَحِكَ فَقُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu Al Ahwash dari Abu Ishaq dari Ali bin Rabi’ah, dia berkata; aku menyaksikan Ali diberi haiwan untuk dia tunggangi, kemudian tatkala dia telah meletakkan kakinya di dalam sanggurdi, dia mengucapkan; BISMILLAAH tiga kali, dan ketika telah berada di atas punggungnya dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH, kemudian dia mengucapkan; SUBHAANALLADZII SAKHKHARA LANAA HAADZAA WA MAA KUNNAA LAHUU MUQRINIIN, WA INNAA ILAA RABBINAA LAMUNQALIBUUN (Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami haiwan ini, dan tidaklah kami dapat memaksakannya, dan kepada Tuhan kami niscaya kami akan kembali). Kemudian dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH tiga kali, WALLAAHU AKBAR tiga kali, SUBHAANAKA INNII QAD ZHALAMTU NAFSII FAGHFIR LII, FAINNAHU LAA YAGHFIRUDZ DZUNUUBA ILLAA ANTA (Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzhalimi diriku maka ampunilah aku. Kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali engkau). Kemudian dia tertawa. Aku katakan; kerana apakah engkau tertawa wahai Amirul mukminin? Dia berkata; aku melihat Rasulullah shallallahu wa’alaihi wa sallam melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian beliau tertawa dan aku katakakan; kerana apakah anda tertawa wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu sungguh merasa kagum kepada hambaNya apabila mengucapkan; ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selainMu. “Dalam bab ini terdapat riwayat dari Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma. Abu Isa berkata; hadits ini adalah dari Sunan at-Tirmidzi dan dinilai hadits hasan shahih.

Doa ini adalah doa apabila kita menaiki kenderaan darat dan kenderaan lain (kerana tidak ada doa khusus untuk kenderaan lain maka pakai doa yang ini juga). Lebih spesifik lagi, apabila mula masukkan kaki ke dalam kereta, sebutlah bismillah. Dan apabila sudah duduk kemas dalam kereta maka sebutlah alhamdulillah dan diikuti dengan doa seterusnya yang diambil dari ayat Surah Zukhruf ini.

Berdoalah dengan yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyempurnakan hajat kita. Jangan kita ada perasaan yang Allah tak dengar dan tak makbulkan doa kita.

Kalau kita berdoa, tapi waktu itu sendiri kita sudah rasa yang Allah tidak akan makbulkan, doa itu tentunya tidak makbul.


 

Ayat 15: Sebelum ini, apabila ditanya kepada Musyrikin Mekah, siapakah yang menjadikan alam ini, mereka akan menjawab: Allah. Tapi apabila dalam hal ibadat dan dalam doa, mereka berkongsi pula doa kepada ilah yang lain: ada yang diberi kepada Allah dan ada yang diberikan kepada entiti yang lain; ada yang mereka hadapkan doa kepada selain dari Allah.

Ayat ini sampai ayat ke 25 adalah teguran kepada akidah Musyrikin Mekah. Nikmat Allah sudah beri dan kalau dah pakai segala nikmat itu, maka sepatutnya kena taatlah kepada Allah.

Kalau taat, segala nikmat itu dikira sebagai percuma sahaja, tidak akan ditanya lagi. Tapi kalau tak taat, maka mereka akan kena tanya dengan segala nikmat yang mereka pakai itu. Waktu itu, macam mana nak jawap?

وَجَعَلوا لَهُ مِن عِبادِهِ جُزءًا ۚ إِنَّ الإِنسٰنَ لَكَفورٌ مُّبينٌ

Sahih International

But they have attributed to Him from His servants a portion. Indeed, man is clearly ungrateful.

Malay

Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya. Sesungguhnya manusia (yang demikian sesatnya) sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya.

 

وَجَعَلُوا لَهُ مِنْ عِبَادِهِ جُزْءًا

Dan mereka menjadikan untuk Allah, dari hamba-hambaNya, bahagian-bahagian.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘bahagian’? Musyrikin Mekah mengatakan para malaikat itu adalah ‘sebahagian’ dari Allah, iaitu mereka kata para malaikat itu adalah anak perempuan Allah. Kerana anak adalah ‘sebahagian’ dari ibubapanya. Sebagaimana Nabi pernah bersabda yang Fatimah adalah sebahagian dari baginda.

Oleh kerana salah faham mereka, mereka puja malaikat. Mereka tahu tentang malaikat dari maklumat mulut ke mulut dari tok nenek mereka kerana mereka tidak ada maklumat jelas dari kitab wahyu.

Oleh kerana mereka tidak ada kitab dan ilmu yang benar, mereka ditipu syaitan untuk terima bahawa malaikat itu jantinanya perempuan dan mereka itu ‘anak Allah’. Dan datangnya dari hubungan kelamin Allah dengan jin (ma sha Allah!). Dan berbagai-bagai sangkaan yang salah dan buruk. Itu semua adalah penipuan dari syaitan.

Atau, ia juga boleh juga bermaksud bahagian-bahagian sembahan korban yang diberikan. Musyrikin Mekah menetapkan ada bahagian untuk Allah dan ada bahagian lain untuk berhala-berhala. Ini sudah banyak disentuh dalam surah al-An’am.

Konteks ayat ini lebih menjurus kepada perbuatan Musyrikin melantik ‘bahagian’ kepada Allah. Iaitu mereka yang syirik itu menjadikan makhluk sebagai ‘wakil’ kepada Allah. Ada yang sampai menjadikan makhluk sebagai ‘Anak Tuhan’. Kalau Musyrikin Mekah, mereka menjadikan para malaikat sebagai anak perempuan Tuhan; Yahudi pula menjadikan Nabi Uzair sebagai Anak Tuhan. Penganut Kristian pula menjadikan Nabi Isa sebagai Anak Tuhan.

Ini adalah fahaman yang salah dan amat keliru sekali. Kalau tanya kepada penganut Kristian yang pandai sikit, adakah benar-benar Nabi Isa itu ‘Anak Tuhan’, mereka akan jawap, bukanlah baginda anak sebenar tapi ‘Anak Angkat’.

‘Anak Angkat’ kita pun tahu, bukanlah anak sebenar. Ianya sebagai satu kedudukan yang rapat dengan seseorang sahaja. Kalau dikatakan seseorang itu anak angkat kepada seorang menteri, tentulah dia amat rapat dengan menteri itu dan dapat meminta macam-macam kepada menteri itu. Maka, masyarakat akan pergi kepada anak angkat itu kalau mereka ada hajat dengan menteri itu.

Jadi meminta tolongan kepada ‘anak angkat’ Allah adalah syirik. Ini macam juga masyarakat Islam kita sekarang yang memuja Nabi Muhammad hanya kerana hendakkan Syafaat dari baginda. Atau untuk menyempurnakan hajat mereka. Kerana mereka anggap Nabi itu rapat dengan Allah, maka tentulah Nabi akan membantu mereka dalam hajat mereka. Mereka anggap Nabi Muhammad rapat dengan Allah, seolah-olah baginda ‘anak angkat’ kepada Allah pula.

Sebab itu kalau kita pergi ke Masjid Nabawi di Madinah, kita akan lihat ramai yang beratur untuk melihat kubur Nabi Muhammad. Kita akan dapat lihat antaranya orang-orang Melayu akan banyak ada di situ. Mereka akan beri salam kepada baginda dan berkata lebih kurang begini: “Wahai Rasulullah, kita tak pernah berjumpa, tapi kami dah datang dari jauh ni. Janganlah lupa kami apabila beri Syafaat nanti. Kami datang dari jauh ni…”

Mereka cakap dengan kubur Nabi macamlah Nabi hidup lagi. Dan ada yang baling kertas yang tertulis permintaan mereka kepada baginda. Kalaulah bukan kerana ada petugas yang menjaga di kubur baginda, tak tahulah apa yang terjadi. Ini bukanlah cara Allah menyempurnakan hajat manusia. Ini adalah cara yang amat salah sekali yang tidak pernah diajar oleh Allah dan Nabi sendiri. Oleh kerana itu kalau petugas di kubur Nabi itu nampak ada orang tadah tangan, mereka akan halang.

Perbuatan meminta kepada Nabi Muhammad adalah perbuatan orang jahil. Dan mereka sampai jahil tentang Syafaat, sampaikan mereka sangka baginda boleh beri syafaat dengan kehendak baginda sendiri. Padahal dalam ayat-ayat lain telah menegaskan bahawa bukan Nabi yang buat keputusan untuk menentukan penerima syafaat, tapi Allah sahaja yang menentukan. Nabi hanya ‘menyampaikan’ Syafaat sahaja. Ini banyak dibincangkan dalam perbahasan ayat-ayat yang lain.

Bila ditegur dengan penjaga Masjid Nabawi itu supaya mereka doa mengadap kiblat, bukan mengadap Nabi, mereka kata penjaga masjid itu pula yang sesat. Sebab guru mereka sudah ajar macam tu. Guru mereka kata, jangan hiraukan penjaga-penjaga Masjid itu. Itu belum kira yang jamah grill kubur Nabi dan sapu ke muka. Sungguh jahil sekali mereka itu.

 

إِنَّ الْإِنسٰنَ لَكَفُورٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya manusia sangat nyata kufurnya.

Maka apa yang mereka lakukan adalah kufur yang amat jelas. Semuanya yang mereka ada, Allah yang beri, tapi mereka sembah selain Allah juga, seru selain Allah juga.

Allah tidak pernah mengajar manusia untuk menggunakan ‘anak angkat’ atau mereka yang rapat dengan Allah untuk menyempurnakan hajat mereka. Tapi mereka sahaja yang memandai-mandai menambah dalam hal agama.

Memang kecenderungan manusia menuju kepada kekafiran dan kesyirikan. Kalau dibiarkan sahaja manusia tanpa didikan dan teguran, kita pun tak tahulah apa yang akan terjadi. Kerana itulah kita lihat banyak amalan kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini adalah kerana mereka jauh dari ajaran agama dan banyak ajaran sesat diajar oleh guru-guru yang salah pegangan agama mereka.


 

Ayat 16: Allah beri hujah menolak fahaman Musyrikin Mekah yang mengatakan para malaikat adalah anak perempuan Allah.

أَمِ اتَّخَذَ مِمّا يَخلُقُ بَناتٍ وَأَصفٰكُم بِالبَنينَ

Sahih International

Or has He taken, out of what He has created, daughters and chosen you for [having] sons?

Malay

Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya, dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

 

أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ

Patutkah Dia mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya,

Adakah patut Musyrikin Mekah mengatakan yang Allah mengambil malaikat sebagai anak perempuanNya? Tidak pernah Allah berkata begitu. Ini hanyalah kerana kesesatan mereka sahaja. Mereka sahaja yang memandai-mandai setelah dibisikkan oleh syaitan untuk menyesatkan mereka. Mereka kata, anak perempuan Allah itu (para malaikat) lahir kerana Allah kahwin dengan jin. Ma sha Allah!

Teruk sekali fahaman mereka. Adakah patut Allah yang maha berkuasa menjadikan para malaikat sebagai anak perempuanNya sedangkan Dia yang menjadikan mereka? Memang tidak patut.

 

وَأَصْفٰكُم بِالْبَنِينَ

dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Takkan Allah ambil anak perempuan dan berikan anak lelaki kepada Musyrikin Mekah? Itu adalah pembahagian yang tidak patut. Allah telah firmankan tentang perkara ini dalam Najm:21-22

 

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

Dan Allah berfirman lagi dalam Nahl:62

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ الْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Maksud ayat ini adalah: mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan, tapi mereka berikan pula anak perempuan untuk Allah. Ini amat tidak patut.

Dan Allah berfirman lagi dalam Isra’:40

أَفَأَصفاكُم رَبُّكُم بِالبَنينَ وَاتَّخَذَ مِنَ المَلائِكَةِ إِناثًا ۚ إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

Untuk diri mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tetapi untuk Allah, mereka beri anak perempuan pula. Padahal kepada mereka, anak perempuan itu tidak bagus sampaikan ada yang menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada mereka, anak lelaki menguntungkan kerana boleh membantu dalam kehidupan mereka, sedangkan anak perempuan akan menghabiskan harta mereka kerana perlu dijaga. Sudahlah dijaga sampai besar, nanti selepas kahwin terus mengikuti dan berkhidmat dengan suaminya sahaja. Begitulah anggapan mereka.

Lihatlah bagaimana mereka memberikan apa yang mereka tidak suka kepada Allah. Mereka tidak menilai Allah dengan yang sepatutnya. Mereka tidak menghargai Allah dengan sebenarnya.

Mereka tidak suka anak perempuan, tapi mereka beri anak perempuan kepada Allah. Tidaklah Allah memerlukan anak, walaupun anak lelaki. Tapi Allah menceritakan bagaimana salahnya pemahaman Musyrikin Mekah itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Updated: 28 Julai 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s