Tafsir Surah Zukhruf Ayat 6 – 10 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah)

Ayat 6: 

وَكَم أَرسَلنا مِن نَّبِيٍّ فِي الأَوَّلينَ

Sahih International

And how many a prophet We sent among the former peoples,

Malay

Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

 

وَكَمْ أَرْسَلْنَا مِن نَّبِيٍّ فِي الْأَوَّلِينَ

Dan berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

Allah tetap memberikan peringatan kepada manusia. Selepas diberikan dengan kitab dariNya, diberikan pula para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Sudah banyak para Nabi dan Rasul yang diangkat oleh Allah di kalangan manusia supaya manusia mendapat peringatan dan ancaman dari mereka.

Begitulah sayang-Nya Allah kepada kita. Dia tidak turunkan wahyu sahaja, tetapi diberikan juga para Nabi untuk menjelaskan maksud wahyu itu. Begitulah juga dengan Al-Qur’an ini. Allah tidak turunkan Al-Qur’an sahaja, tetapi Allah angkat Nabi Muhammad ﷺ  sebagai Rasul untuk mengajar kita tentang Al-Qur’an.

Kerana kalau Nabi ﷺ  tidak mengajar kita, kita tidak faham pun apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkannya. Maka baginda menjadi contoh bagi kita bagaimana nak mempraktikkan Al-Qur’an itu.

Zaman sekarang sudah tidak ada Nabi ﷺ lagi. Tetapi kita ada ulama-ulama penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran yang sama. Carilah mereka yang dapat menyampaikan ajaran yang benar.

Hendaklah mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Itulah ilmu yang perlu dipelajari mula-mula sekali. Sebelum belajar kitab-kitab lain, ilmu-ilmu agama yang lain, belajarlah dua perkara penting ini dahulu.


 

Ayat 7: Allah telah turunkan penyebar tauhid kepada manusia. Tetapi apa yang manusia lakukan kepada mereka?

وَما يَأتيهِم مِّن نَّبِيٍّ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

But there would not come to them a prophet except that they used to ridicule him.

Malay

Dan tidak ada seseorang Nabi pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

 

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن نَّبِيٍّ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka,

Apa yang selalu terjadi apabila seseorang Nabi datang berdakwah kepada kaumnya? Inilah apa yang terjadi kepada setiap Nabi.

 

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

Ini adalah kebiasaan yang terjadi kepada para Rasul yang menyebar ajaran tauhid. Ini adalah kebiasaan orang yang tidak mahu menerima dakwah. Yang menerima adalah sedikit tapi majoriti akan menolak. Mereka akan mengejek dan mereka akan kata macam-macam dalam usaha mereka menolak kebenaran.

Begitulah juga yang terjadi kepada kita yang hendak menyebar ajaran tauhid di kalangan masyarakat kita yang sudah jauh dari tauhid. Mereka kata kita yang sesat. Mereka kata kita tipu. Mereka kata Allah tidak pernah kata begitu, tetapi kita sahaja yang memandai memperkatakan begitu.

Begitulah yang para Nabi terima. Dan inilah juga dugaan yang akan diterima oleh para pendakwah. Memang tidak boleh hendak ditolak lagi kerana Allah memang telah sediakan siap-siap orang-orang sebegini sebagai ujian untuk kita.

Mereka yang lemah imannya, akan gagal dalam cubaan ini. Kena kutuk, kena ejek sikit, sudah tidak berani berdakwah. Mereka takut dengan orang lain. Mereka takut dengan orang yang jahil!


 

Ayat 8: Setelah mereka menolak, apakah kesan kepada mereka?

فَأَهلَكنا أَشَدَّ مِنهُم بَطشًا وَمَضىٰ مَثَلُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And We destroyed greater than them in [striking] power, and the example of the former peoples has preceded.

Malay

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telah pun disebutkan (berulang-ulang di dalam Al-Qur’an) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

 

فَأَهْلَكْنَا أَشَدَّ مِنْهُم بَطْشًا

Lalu Kami binasakan dengan kekerasan, orang-orang yang lebih hebat kekuatan serangan dari mereka;

Allah memberi peringatan kepada Musyrikin Mekah. Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa sebelum mereka, telah ada kaum lain yang lebih kuat dari mereka dan mereka itu telah dimusnahkan dengan teruk. Musyrikin Mekah sangka mereka kuat, tetapi yang lagi kuat dari mereka pun sudah dimusnahkan.

Musyrikin Mekah itu sangka mereka hebat tetapi mereka lemah sebenarnya. Mereka lupa yang mereka itu makanan pun mengharap dari tempat lain. Kerana tempat tinggal mereka itu gersang tidak ada apa-apa. Mereka dapat sumber pun kerana mereka ada keluar berniaga sahaja, kalau tidak, makanan pun mereka tidak ada.

Ada banyak jenis kekuatan, ada banyak peringkat. Ada yang kuat menahan serangan. Tetapi بَطْشًا bermaksud ‘serangan’. Iaitu kekuatan serangan yang boleh mencengkam dan memusnahkan. Bermaksud kaum itu amat kuat sampaikan boleh menyerang kaum yang lain. Tetapi mereka yang kuat begitu pun telah dimusnahkan juga.

 

وَمَضَىٰ مَثَلُ الْأَوَّلِينَ

dan telah pun disebutkan tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

Kisah-kisah umat terdahulu telah banyak disebut dalam Al-Qur’an dan dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang tahu kisah-kisah mereka kerana telah diceritakan zaman berzaman-zaman. Kita sendiri boleh periksa kebenaran kisah-kisah itu. Kerana kisah mereka ada disebut dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang telah mengkaji tamadun-tamadun dahulu.

Ramai kaji kehidupan mereka, apa mereka pakai, apa mereka makan, tetapi tidak ramai yang kaji apa akidah mereka dan sebab apa mereka dimusnahkan. Sebagai contoh, kita belajar dalam sejarah tamadun Inca, tetapi adakah kita tahu kenapakah mereka dimusnahkan? Bagaimana dengan Pompeii dan lain-lain lagi? Ini yang selalunya pengkaji tak tengok pun kerana agama bukanlah kepentingan bagi mereka.

Kisah-kisah umat dahulu dijadikan sebagai pengajaran kepada kita supaya kita beringat. Supaya kita jadikan mereka sebagai sempadan. Jangan kita buat seperti mereka kerana Allah boleh sahaja kenakan azab yang sama.

Jangan kita sangka kita terselamat. Ramai yang sangka apa yang terjadi kepada umat dahulu tidak akan terjadi kepada kita. Macam kita tengok orang kemalangan jalan raya. Kita rasa mereka sahaja yang kena. Kita lupa yang kita pun boleh kena kalau Allah sudah takdirkan. Ingatlah bahawa sejarah berulang kerana manusia tidak mengambil pengajaran. Mahukah kita kehancuran yang sama diberikan kepada kita?

Ayat ini adalah amaran kepada penduduk Mekah dan sekitarnya. Musyrikin Mekah tahu tentang kisah kaum-kaum terdahulu yang telah musnah seperti kaum Aad dan Tsamud. Termasuk juga kita, kena belajar tentang kesalahan yang dilakukan oleh kaum terdahulu.

Memang Allah turunkan Al-Qur’an kepada mereka walaupun mereka engkar, melampau dalam kehidupan mereka. Kemudian Allah beri para Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Tetapi kalau lama kelamaan mereka tetap engkar, tidak mahu mendengar nasihat, masih lagi mengamalkan syirik, mereka akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Kita pun tidak tahu sama ada Allah akan terus memberikan peringatan kepada kita. Amalan syirik dan khurafat memang banyak diamalkan di negara dan dunia sekarang. Bukan sahaja diamalkan oleh orang kafir, orang Islam pun sekali.

Kalau Allah takdirkan azab diturunkan, ke mana lagi kita hendak selamatkan diri kita? Kalau kita tidak amalkan pun, kita pun akan terkena azab itu juga. Semoga kita diselamatkan oleh Allah .


 

Ayat 9: Ayat 9 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil adanya akhirat. Ayat 9 ini adalah dalil aqli i’tirafi. Ada akidah Musyrikin Mekah yang benar. Ada beberapa perkara tauhid yang mereka sudah terima dan ada dalam fahaman mereka.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ خَلَقَهُنَّ العَزيزُ العَليمُ

Sahih International

And if you should ask them, “Who has created the heavens and the earth?” they would surely say, “They were created by the Exalted in Might, the Knowing.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

Nabi Muhammad ﷺ disuruh bertanya kepada Musyrikin Mekah untuk mengeluarkan apakah akidah mereka sebenarnya. Ini adalah salah satu cara berdakwah yang diajar oleh Allah. Iaitu menggunakan cara pertanyaan.

 

مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”

Alam yang begini indah dan hebat ini, siapakah penciptanya? Takkan ianya terjadi dengan sendiri pula? Kita juga boleh tanyakan soalan yang sama kepada orang ramai. Kepada orang kafir, kepada orang atheis, kepada orang Islam sekali pun.

 

لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Musyrikin Mekah pun akan mengaku bahawa Allah lah yang mencipta langit dan bumi. Mereka tidak berdolak dalik. Kerana mereka pun kenal Allah juga. Yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui adalah hanya Allah sahaja. Walaupun tidak disebut dalam ayat ini yang mereka menyebut nama ‘Allah’, tetapi kita tahu bahawa yang mereka maksudkan adalah Allah . Kerana dalam ayat-ayat yang lain, jelas mereka menyebut nama Allah.

Mereka percaya bahawa Allah adalah Tuhan. Mereka tahu bahawa Allah adalah pencipta alam ini. Dari ini, kita tahu mereka ada apa yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka. Iaitu mereka terima bahawa Tuhan itu ada.

Dan Musyrikin Mekah memang terima bahawa Tuhan itu bernama Allah . Dan mereka tahu dan terima bahawa Allah lah sahaja yang boleh mencipta alam ini.

Ramai yang terkejut dengan kenyataan ini. Mereka kehairanan dengan muka yang keliru, berkata: “Apa, Musyrikin Mekah percaya kepada Allah?!” Mereka kata kita pula sesat kerana kata Musyrikin Mekah ada tauhid.

Ya, mereka memang ada sebahagian dari ilmu tauhid iaitu mereka percaya kepada Allah . Ini jelas dalam hadis-hadis dan pembelajaran Sirah. Dan yang paling jelas seperti disebut dalam Al-Qur’an dalam banyak ayat-ayat.

Yang tidak tahu adalah hanya kerana mereka tidak belajar sahaja. Dan tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana memang jelas dalam ayat ini memberitahu bahawa Musyrikin Mekah menerima akidah yang Allah lah yang mencipta alam ini. Maka, hendaklah mereka mempelajari Sirah untuk mengetahui bagaimanakah kepercayaan Musyrikin Mekah terhadap Allah .

Allah ﷻ hendak memberitahu mereka dalam ayat ini: Kalau mereka menerima Allah ﷻ yang menjadikan alam ini, maka hendaklah mereka sembah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Oleh itu, dalam pembelajaran Tauhid Tiga Serangkai (atau digelar juga Tauhid 3T) (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ wa Sifat), kita belajar bagaimana Musyrikin Mekah itu ada pemahaman Tauhid Rububiyyah. Tetapi yang mereka tidak ada, adalah apa yang dinamakan: Tauhid Uluhiyyah.

Inilah kepercayaan hanya Allah ﷻ sahaja yang wajib disembah, diibadati, dipuja, diharap – tidak ada yang lain lagi. Mereka tidak hanya menyembah Allah ﷻ. Mereka memang sembah dan berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi mereka juga sembah dan berdoa kepada selain dari Allah ﷻ.

Sebab itulah mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan mereka. Mereka merasakan yang berhala-berhala itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah . Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai tawasul.

Kenapa ayat ini penting? Kerana begitu juga kepercayaan kebanyakan orang Islam yang jahil dengan wahyu. Orang kita mengaku yang Allah itu Tuhan, Dia yang menjadikan alam ini seluruhnya. Orang kita juga melakukan ibadat kepada Allah . Tetapi dalam masa yang sama, orang Islam kita sembah entiti yang lain, taat kepada yang lain, melakukan ibadat kepada yang selain Allah . Yang paling tidak perasan adalah mereka berdoa kepada selain Allah. Iaitu mereka menggunakan wasilah untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah. Maka, kalau itulah sifat Musyrikin Mekah, apa yang kita hendak panggil orang Islam sebegini? Musyrikin Malaysia? Musyrikin Indonesia?

Ingatlah bahawa mengatakan yang Allah itu Tuhan, tidak cukup lagi. Ianya perlu diikuti dengan amalan yang benar. Iaitu kita mestilah hanya melakukan ibadat kepadaNya sahaja. Hanya sembah Allah sahaja, hanya seru kepada Dia sahaja dalam doa. Inilah ajaran tauhid.

Inilah yang tidak dapat diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka marah dan menentang Nabi Muhammad ﷺ  apabila baginda memberitahu mereka bahawa yang layak disembah hanyalah Allah sahaja. Musyrikin Mekah terima bahawa Allah itu Tuhan tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain sebagai ‘ilah’ mereka – Nabi, wali, malaikat dan jin.

Mereka menganggap Allah sebagai Tuhan Utama dan sembahan-sembahan lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ atau ilah. Apabila Nabi Muhammad ﷺ  datang dengan membawa ajaran la ilaha illallah, mereka tidak dapat terima, itu sebab mereka melawan baginda.

Mereka marah kerana mereka dilarang dari mengamalkan apa yang mereka sudah biasa amalkan. Mereka marah kerana Nabi Muhammad ﷺ  menidakkan ilah-ilah mereka yang lain.

Begitulah juga masyarakat kita yang jahil – mereka marah benar kalau kita kata tidak boleh seru Nabi, wali atau malaikat dalam doa. Kerana perbuatan itu menjadikan entiti-entiti itu sebagai ilah.


 

Ayat 10: Siapakah Allah ? Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa. Iaitu tambahan maklumat yang Musyrikin Mekah tidak tahu.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَجَعَلَ لَكُم فيها سُبُلًا لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

[The one] who has made for you the earth a bed and made for you upon it roads that you might be guided

Malay

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai buaian,

Kalimah مَهْدًا dari segi bahasa bermaksud ‘buaian’. Macam buaian untuk bayi yang bergerak perlahan-lahan, didodoi sampaikan bayi itu sedap sahaja sampai dia tertidur. Buaian itu memang bergerak, tetapi bayi itu tidak tahu. Dia lagi suka dengan pergerakan buaian yang sepoi-sepoi itu.

Maknanya, Allah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang sedap untuk didiami. Bumi ini memang sentiasa bergerak kalau kita belajar sains. Tetapi kita tidak rasa pun pergerakan yang laju itu. Kita rasa tenang sahaja. Padahal, ianya bergerak dengan kelajuan yang amat laju. Ini adalah kerana kita bergerak bersamanya.

Kesenangan hidup di bumi ini dijadikan oleh Allah untuk kita dari sifat RahmanNya. Semua keperluan kita untuk hidup, telah diberikan kepada kita. Apa-apa sahaja kebaikan dan kesenangan yang kita dapat, ingatlah yang ianya dari Allah .

 

وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Dia telah mengadakan bagi kamu di bumi, jalan-jalan,

Allah yang membuat jalan sebenarnya. Kita sangka kita yang buat, tetapi rupanya Allah yang jadikan. Lihatlah bagaimana asal kejadian jalan-jalan itu. Asalnya jalan itu adalah dilalui oleh binatang-binatang sahaja, tetapi lama kelamaan diikuti oleh manusia dan kemudian dibesarkan.

Mulanya sebagai denai sahaja. Kemudian diperbesarkan kerana sudah ramai orang yang lalu. Kemudian dibuatkan jalan tanah merah. Lama kelamaan apabila sudah maju, dijadikan jalan tar. Kemudian naik taraf jadi jalanraya.

Akhir sekali, sampai jadi lebuhraya. Yang kita nampak, kita yang jadikan jalan itu, kita yang letak tar, korek tanah itu untuk dijadikan lebuhraya. Tapi ingatlah bahawa Allah yang memulakan jalan itu, dan kita jadikan jalan itu dengan ilham yang Dia berikan.

Juga bermaksud, Allah yang jadikan tanah bumi itu jadi sesuai untuk dibuat jalan. Dan kemudian Allah lah yang beri manusia itu dengan akal untuk buat jalan. Semakin maju manusia, semakin molek jalan. Kerana Allah juga yang beri akal kepada manusia supaya boleh buat yang lebih baik. Tujuannya supaya kita dapat sampai lagi cepat dan selamat.

 

لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

Supaya kita boleh bergerak dan menuju ke destinasi tujuan kita. Ada banyak jalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, maka kita kena pandai memilih jalan yang senang.

Bukan hanya jalan kepada destinasi sahaja, tetapi mencari jalan kepada Allah ﷻ. Kehidupan dunia ini untuk kita lihat dan fikirkan supaya kita dapat memikirkan tentang siapakah pencipta alam ini? Tentunya ada yang menciptakannya, bukan?

Ada masalah sedikit dengan pemahaman ayat ini. Pihak bidaah dan sesat menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan terdapat banyak jalan menuju kepada Allah . Mereka kata tujuan kita semua adalah untuk bertemu dengan Allah dan boleh dicapai dengan berbagai cara, dengan jalan zikir, dengan jalan lagu, dengan jalan syair, dengan jalan sains, jalan silat, jalan tarekat, jalan sufi dan macam-macam lagi.

Macam kalau hendak pergi ke KLCC, ada jalan melalui Bukit Bintang, dari Jalan Istana, dari Petaling Jaya dan sebagainya. Mereka kata, asalkan boleh sampai ke KLCC, apa salahnya? Mereka kata ilmu Allah ini luas, dan semua jalan-jalan itu benar belaka. Itulah masalahnya. Mereka tidak faham manakah jalan yang benar. Sedangkan Allah dan Nabi ﷺ telah memberitahu kepada kita banyak kali dalam Al-Qur’an dan hadis bahawa jalan dalam Islam adalah menerusi jalan wahyu – Al-Qur’an ataupun Hadis yang sahih.

Bukan tujuan sahaja telah diberitahu kepada, tapi jalan menuju kepada tujuan itu pun sudah diberikan. Maka bahaya kalau pakai jalan yang direka sendiri.  Kerana jalan-jalan lain tidak selamat. Kena ikut jalan yang lurus dan jalan yang lurus itu telah dilalui oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak selamat, maka ikutlah jalan mereka – jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Kerana jalan-jalan yang lain tidak selamat.

Seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ :

عَنْ عَبْدِ اللهِ قَالَ خَطَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلاَّ عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ ( وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ )

Dari Ibnu Mas’ud , Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya, seraya bersabda kepada kami, “Ini jalan Allah yang lurus.” Dan baginda membuat garis-garis banyak sekali di kanan kirinya, seraya bersabda, “Ini jalan-jalan yang tak satu pun terlepas dari pujukan syaitan untuk menyesatkan.”
Kemudian baginda membaca ayat 153 surat Al An’aam, “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Maka ikutilah dia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain.” [HR Ahmad no 4205, Nasa’i; SHAHIH]

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa jalan yang lurus hanya satu sahaja. Jalan-jalan yang lain jangan diikuti kerana ianya boleh menyesatkan kita. Jalan-jalan yang lain itu tidak selamat, walau bagaimana indahnya ia nampak kepada kita. Tetapi bahaya kerana ianya tidak menuju kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s