Penutup & Konklusi Surah Baqarah

Penutup dan Konklusi

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Ketujuh dan terakhir Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Ketujuh ini (ayat 178 – 242). Di dalam Bahagian ini dijelaskan tentang perbezaan antara iman dan kufur, dengan fokus kepada tugas memerdekakan Ka’bah daripada pegangan orang kafir. Allah ‎ﷻ juga menyebut tentang Kuasa-Nya ke atas makhluk termasuk menghidupkan yang telah mati. Selepas itu Allah ‎ﷻ menekankan tentang Hari Akhirat dan kepentingannya. Selain daripada itu terdapat juga hukum hakam tentang muamalat. Walaupun nampak banyak sekali topik yang dimuatkan di dalam Bahagian ini tetapi nanti kita akan tunjukkan bagaimana semuanya ada kaitan antara satu sama lain. Pertama, kita lihat di dalam bentuk yang besar dahulu.

Makro ini boleh dipecahkan lagi kepada yang lebih kecil.

Penjelasan:

[A6]/[A6′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ mengajak untuk kembali kepada-Nya; ia juga mengandungi doa para Mujahideen kepada Allah ‎ﷻ untuk membantu mereka memerangi orang kafir; dan ada ajakan untuk beriman dengan Rasulullah ﷺ.

[A7]/[A7′] – Di dalam dua Bahagian ini mengandungi anjuran infak sebelum datangnya Hari Akhirat.

[A8]/[A8′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini mengandungi penerangan tentang Allah ‎ﷻ dan kuasa-Nya yang amat luas.

[A9] – Di Bahagian tengah ini Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Dia membantu sesiapa yang Dia kehendaki. Kemudian Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia adalah Wali kepada orang beriman. Di sini Allah ‎ﷻ memberi jaminan bahawa walaupun umat Islam ketika itu lemah dan sedikit sahaja jumlahnya, jangan risau kerana Allah ‎ﷻ akan beri bantuan dan kemenangan kepada mereka.

Yang lebih menarik, Bahagian A’ ini kalau diperhatikan, ia berulang-ulang topik di antara menyebut kuasa Allah ‎ﷻ di dalam menghidupkan dan mematikan dengan infak. Ini menunjukkan kaitan antara dua perkara ini. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang kita semua pasti mati dan akan dihidupkan kembali; dan perkara yang akan menyelamatkan kita setelah kita dihidupkan semula di akhirat adalah infak. Perhatikan susunan ini:

Bukan itu sahaja. Allah ‎ﷻ juga mengulang tema adalah iman dan amal. Ia mengajar kita yang iman ini bukan hanya di hati sahaja akan tetapi ia perlulah dibuktikan dengan perbuatan kita. Perhatikan susunan ini:

Akhir sekali, Allah ‎ﷻ mengulang-ngulang antara kisah dan hukum. Ini kerana manusia suka dengan kisah dan tidaklah kita bosan hanya membaca tentang hukum hakam sahaja. Perhatikan:

Di dalam Komposisi Cincin di atas, boleh dilihat ada lagi 4 cincin yang lebih kecil. Yang Pertama adalah ayat 243 – 251.

Yang Kedua adalah Komposisi Cincin Ayat Kursi. Boleh rujuk penjelasan tentang ayat itu.

Yang Ketiga adalah tentang infak dan telah dimasukkan di hujung ayat 274.

Dan yang Keempat adalah Komposisi Cincin tentang Riba di dalam ayat 275 – 281.

 

Penambahan Fadhilat Surah

Di awal surah ini telah disebut tentang hadith-hadith kelebihan Surah Baqarah. Sekarang kita tambahkan lagi beberapa hadith yang lain.

Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Aku bersama Nabi ﷺ duduk di masjid, dan seorang laki-laki sedang solat, kemudian dia berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْمَنَّانُ، بَدِيعُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ
‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, bahwa segala puji hanya bagi-Mu, tidak ada ilah (yang berhak disembah) kecuali Engkau semata, Maha Pemberi Karunia, Pencipta langit dan bumi, Wahai Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan, Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri.’

Maka Nabi ﷺ bersabda:

لَقَدْ دَعَا اللَّهَ بِاسْمِهِ الْأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ، وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى
‘Sungguh dia telah berdoa kepada Allah dengan Nama-Nya yang paling agung (Ism Al-A’zham), yang apabila Dia diseru dengannya, Dia pasti mengabulkan, dan apabila Dia dimintai dengannya, Dia pasti memberi’.”

Sunan Abu Daud: Kitab Ash-Shalat (No. Hadith 1495). Juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (No. 3475) yang menghasan sahihkan, serta An-Nasa’i dan Ibnu Majah. Hadith ini dinilai sahih oleh Syekh Al-Albani.

Penjelasan: Hadith ini menunjukkan keutamaan besar doa yang mengandungi nama-nama Allah ‎ﷻ yang mulia ini. Lafaz “يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ” (Ya Hayyu Ya Qayyum) adalah sebagian daripada Ayat Kursi (Baqarah:255), yang menunjukkan kaitan antara doa ini dan keutamaan Ayat Kursi sebagai sebahagian daripada Surah Al-Baqarah.

Kita selalu memikirkan tentang syaitan dan bagaimana untuk mengelak syaitan dari mengganggu kita. Nah, dengan membaca Surah Baqarah di rumah ia dapat menghalau syaitan dari rumah kita. Maklumat ini kita dapat daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

“إِنَّ الشَّيْطَانَ يَخْرُجُ مِنَ الْبَيْتِ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِيهِ”
“Sesungguhnya syaitan akan keluar dari rumah apabila ia mendengar Surah Al-Baqarah dibacakan di dalamnya.”

  • Penjelasan: Riwayat ini disebutkan oleh Ad-Darimi dalam Sunannya dan juga diriwayatkan dari jalur lain oleh Ath-Thabarani dalam Al-Kabir. Para ulama hadith menilai sanadnya sahih. Ini adalah riwayat ma’ruf (dikenal) meskipun bukan daripada sabda Nabi ﷺ secara langsung, namun daripada perkataan sahabat besar seperti Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tidak mungkin berbicara tentang hal ghaib kecuali daripada Nabi ﷺ. Hadis ini menguatkan hadith yang telah pernah dikongsikan sebelum ini tentang Surah Al-Baqarah mengusir syaitan. Konsistensi membaca Surah Al-Baqarah di rumah akan menciptakan lingkungan yang lebih damai dan terlindungi daripada gangguan syaitan.

Namun mungkin timbul beberapa soalan? Hendak dibaca semua ayatkah? Soalan ini penulis pernah tanya kepada ustaznya dan jawapan yang diterima amat menyayat hati sampai sekarang: “Para sahabat apabila diberitahu tentang hal ini, mereka tidak pun kena tanya baca semua sekali atau tidak…”

Baik, soalan kedua mungkin kena baca setiap hari kah? Adakah baca sekali seumur hidup atau setiap kali pindah? Untuk menjawab soalan ini, ada hadith yang boleh dijadikan sandaran,

Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامًا وَسَنَامُ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ خَرَجَ مِنْهُ، وَإِنَّهَا لَا تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ فَيَدْخُلُهُ الشَّيْطَانُ ثَلَاثَ لَيَالٍ”
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada puncaknya, dan puncak Al-Qur’an adalah Surah Al-Baqarah. Sesungguhnya syaitan, apabila ia mendengar Surah Al-Baqarah dibacakan di suatu rumah, ia akan keluar dari rumah tersebut. Dan sesungguhnya ia tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya dibacakan (seluruh) Surah Al-Baqarah selama tiga malam.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi (No. 2877) dan dia berkata hadith ini hasan gharib; Diriwayatkan juga oleh Ad-Darimi dalam Sunan-nya; Sanad hadith ini terdapat beberapa perbincangan dalam kalangan ulama hadith, namun banyak yang cenderung menguatkannya atau menganggapnya hasan lighairihi (hasan kerana adanya riwayat-riwayat pendukung lain), terutama bagian tentang pengusiran syaitan.

Akhir sekali, kita sebagai orang yang sudah hampir dengan Al-Qur’an mestilah hendak selalu membacanya, bukan? Maka bagaimana cara untuk sentiasa mudah membaca Al-Qur’an? Dengan menghafalnya! Maka sekarang ada satu kelebihan kepada penghafal Surah Baqarah (dan Ali Imran).

Perhatikan juga hadith berikut:

يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ تُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا
Daripada An-Nawwas bin Sam’an Al-Kilabi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Al-Qur’an akan didatangkan pada Hari Kiamat, dan orang-orang yang mengamalkannya. Yang paling depan adalah Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, keduanya akan membela (menjadi hujjah bagi) orang yang mengamalkannya (atau membacanya/menghafalnya)’.”
(Sahih Muslim No. 805)

Penjelasan: Frasa “orang-orang yang mengamalkannya” (الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ) sangat penting untuk kita perhatikan. Ini menunjukkan bahawa keutamaan ini bukan hanya bagi mereka yang membaca atau menghafal semata, tetapi juga bagi mereka yang berusaha memahami dan menerapkan ajaran Al-Qur’an dalam kehidupan mereka.

Penghafal Surah Baqarah semenjak zaman Nabi ﷺ sendiri sudah ada kedudukan yang tinggi dalam kalangan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ. Buktinya dalam Perang Hunain, kaum Muslimin awalnya terpukul mundur dan keadaan mereka kucar-kacir dan pecah belah malah ada yang sudah bertempiaran lari. Melihat situasi kritikal ini, Nabi Muhammad ﷺ tetap teguh di posisinya. Baginda kemudian berseru dengan suara lantang:

أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ، أَنَا ابْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبْ

اللَّهُمَّ نَزِّلْ نَصْرَكَ!

يَا أَصْحَابَ السَّمُرَةِ!

(atau riwayat lain: يَا أَهْلَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ!)

“Aku adalah Nabi, tidak ada dusta. Aku adalah putera Abdul Muthalib.”

“Ya Allah, turunkanlah pertolongan-Mu!”

“Wahai para sahabat As-Samurah (para sahabat yang berjanji setia di bawah pohon, merujuk kepada Ahli Bai’atur Ridhwan)! (Atau riwayat lain: Wahai penghafal Surah Al-Baqarah!)”

Peristiwa ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Kitab Al-Jihad wa As-Siyar, No. 1776) dan Sahih Bukhari (Kitab Al-Maghazi, Bab Ghazwat Hunain, No. 4315) daripada Al-Bara’ bin ‘Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Penjelasan: Panggilan khusus kepada “penghafal Surah Al-Baqarah” menunjukkan kedudukan istimewa mereka. Surah Al-Baqarah adalah surah terpanjang dalam Al-Qur’an, mengandung banyak hukum, ajaran, dan kisah-kisah penting. Menghafal seluruh surah ini menunjukkan tingkat keilmuan, kesabaran, dan komitmen yang tinggi terhadap agama. Pada masa itu, para penghafal Al-Qur’an (termasuk Al-Baqarah) adalah para ulama, fuqaha, dan pemimpin spiritual umat. Mereka adalah orang-orang yang paling memahami ajaran Islam, paling teguh imannya, dan paling berani dalam membela agama. Nabi ﷺ memanggil mereka kerana baginda tahu bahawa mereka adalah orang-orang yang memiliki keberanian iman yang luar biasa, tidak mudah goyah, dan akan menjadi tulang belakang dalam mengembalikan semangat pasukan. Mereka adalah orang-orang yang hatinya dipenuhi dengan Kalamullah dan siap berkorban demi agama.

Sebagai penutup, sekarang diberikan ringkasan topik yang telah dibincangkan di dalam keseluruhan Surah Baqarah ini sebagai rujukan.

Mari kita lihat kembali keseluruhan Komposisi Cincin Surah Baqarah dan kita berikan penjelasan kaitan antara keseluruhan Makro itu.

Surah ini boleh dipecahkan kepada dua panel, [ABC] dan [C’B’A’], yang menjadi ‘cermin’ kepada panel yang lain. Kedua-dua panel ini disatukan dengan tema yang di tengah-tengah, [D]. Panel yang pertama, [ABC], kebanyakannya menyentuh tentang Bani Israil, memperkenalkan tema iman dan kufur. Namun yang banyaknya mengandungi contoh-contoh kekufuran mereka yang menjadi pengajaran kepada umat Islam, supaya kita jangan jadi seperti mereka.

Di dalam Bahagian [A] – Mukmin & Musyrik, kita telah diperkenalkan dengan kriteria orang beriman (Ayat 2-5). Kemudian topik berpindah kepada penjelasan tentang orang kafir terutama sekali tentang golongan Munafik (Ayat 6-20). Selepas ini kita akan melihat contoh-contoh perbuatan golongan Bani Israil, yang memberi isyarat sifat-sifat Munafik yang ada pada mereka.

Di dalam Bahagian [B] – Kritikan ke atas Bani Israil, Allah ‎ﷻ dengan panjang lebar menyentuh tentang satu kumpulan yang sepatutnya kumpulan Muslim, akan tetapi mereka tidak bertindak sebagai Muslim yang sepatutnya. Maka banyak disentuh tentang sejarah mereka dan penekanan tentang bagaimana mereka telah diberi wahyu akan tetapi mereka tidak mengamalkan seperti yang sepatutnya.

Di dalam Bahagian [C] – Legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar tentang agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengajak Bani Israil untuk berpegang dengan agama baginda kerana baginda pun adalah Nabi dan Datuk mereka juga.

Di dalam panel kedua, [C’B’A’] yang menjadi cermin kepada panel sebelumnya, fokus bertukar kepada umat Islam yang baru iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam panel sebelum ini ayat-ayat banyaknya khitab kepada Bani Israil dan sekarang khitab ditujukan kepada orang-orang beriman. Kalau panel sebelum ini disebut kegagalan Bani Israil berpegang dengan agama Datuk mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang disebut umat Islam iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ ini berpegang dengan ajaran dan fahaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Surah Baqarah ini berkisar tentang Ka’bah yang menjadi tema di tengah-tengah iatu Bahagian [D] (Penukaran Kiblat ke arah Kaʿbah). Ia fokus kepada perubahan besar arah kiblat dari Jerusalem ke arah Kaʿbah, dan ini menjadi satu perkara penting bagi orang beriman yang mengadap ke arahnya setiap kali solat, dan itulah tempat Umrah dan Haji. Bahagian ini juga menjadi titik pertukaran rasmi umat Islam dari Bani Israil kepada Bani Ismail dengan penubuhan komuniti Muslim yang baru. Dengan ini umat Islam yang baru ini telah mengambil tempat kedudukan mulia sebagai umat Islam daripada Bani Israil. Dengan ini kita mempunyai tanggungjawab penting dan berat iaitu meneruskan legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka kita belajar tentang apakah yang kita perlu lakukan sebagai umat Islam yang baru.

 

Pemilihan, Arahan & Ujian

Yang menariknya, kita boleh perhatikan tema-tema yang berulang-ulang sepanjang surah ini. Kita bahagikan kepada tiga: Tanggungjawab, Arahan dan Ujian. Semua ini diberi oleh Allah ‎ﷻ dan kita boleh lihat ia disebut berkali-kali di dalam surah ini.

Pemilihan, merujuk kepada kedudukan yang telah diberikan kepada satu-satu kumpulan. Pemilihan ini ditentukan oleh Allah ‎ﷻ.

Ujian, merujuk kepada berbagai-bagai ujian yang diberikan kepada kumpulan yang telah menerima tanggungjawab itu.

Arahan, merujuk kepada hukum hakam yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada umat Islam.

Perhatikan, di dalam Bahagian [A], Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (mewakili keseluruhan manusia), telah dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk memikul tanggungjawab sebagai Khalifah di dumi. Baginda kemudian telah diuji dengan pohon larangan. Maka baginda telah dihantar ke bumi dan baginda telah diberi dengan arahan hukum hakam yang perlu dipenuhi untuk mendapat keampunan daripada Allah ﷻ.

Di dalam Bahagian [B] pula kita telah melihat Bani Israil telah dipilih oleh Allah ﷻ sebagai Umat Pilihan di bumi. Mereka telah diberi dengan arahan yang terdapat di dalam Kitab Taurat dan mereka telah berkali-kali diuji dan yang mereka berkali-kali juga gagal, yang menyebabkan kedudukan mereka sebagai Umat Pilihan telah ditarik dan diganti dengan umat Nabi Muhammad ﷺ.

Di dalam Bahagian [C], kita diberitahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah diuji. Setelah baginda berjaya melepasi ujian itu, maka baginda telah dipilih oleh Allah ‎ﷻ sebagai imam bagi manusia. Dengan pemilihan itu, baginda telah diberikan dengan beberapa arahan, antaranya untuk membina Ka’bah dan membersihkannya.

Di dalam Bahagian [D], penduduk Madinah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ – meliputi umat Islam dan Yahudi telah diuji dengan pertukaran kiblat dari Jurusalem ke Mekah. Dari semenjak itu, mereka diberi arahan untuk solat mengadap ke arah Kiblat yang baru. Para sahabat telah taat kepada arahan itu maka mereka telah dipilih sebagai umat Islam terbaru, mengambil kedudukan Bani Israil sebelum itu.

Di dalam Bahagian [C’], umat Islam yang baru ini telah diingatkan bahawa telah pemilihan itu, mereka akan berhadapan dengan banyak ujian, termasuk ujian dari segi harta dan nyawa. Untuk menghadapinya, mereka telah diberikan dengan berbagai arahan hukum hakam yang terhadap di dalam Bahagian [B’] dan [A’].

Jikalau kita susun, kita akan nampak satu pola susunan yang menarik:

Perhatikan, bagi Bahagian A dan A’ (Kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan khitab kepada umat Islam), ia menggunakan pola yang sama (PUA) Pemilihan – Ujian – Arahan. Kemudian kalau diperhatikan pada Bahagian B dan B’ (Kisah Bani Israil dan Penukaran Arah Kiblat), pola yang digunakan adalah terbalik. Akhir sekali digunakan susuan pola yang berlainan pula bagi Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sama dengan pola-pola di sekelilingnya.

 

Kesimpulan

Begitulah kita telah belajar Surah Baqarah yang menjadi surah yang terpanjang di dalam Al-Qur’an. Kita telah tunjukkan bahawa susunan di dalam Surah ini mempunyai tujuan tertentu yang tersusun dan mempunyai simetri, walaupun ia adalah surah yang panjang. Kalau kita tidak belajar hal ini, kita akan jadi keliru dan sangka surah ini kelam kabut susunannya, sekejap tentang ini dan sekejap tentang hal lain pula. Oleh kerana ia surah yang panjang, maka kita akan menemui lagi kehebatan susunan yang Allah ‎ﷻ telah adakan di dalam surah ini. Namun cukuplah di sini menjadi bukti bahawa susunan Surah Baqarah ini amat hebat! Semoga rahsia susunan ini akan terbongkar lebih lagi apabila ada kajian lain yang dibuat tentangnya. Tidak akan habis ayat-ayat Al-Qur’an kalau kita terus menggalinya.

 

Allahu a’lam. Habislah sudah tafsir Surah Baqarah ini, alhamdulillah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.

Kemaskini: 27 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Yaasin: Ringkasan Makro

RINGKASAN KESELURUHAN SURAH

Setelah melihat kesemua 6 bahagian makro struktur cincin itu semua, sekarang kita boleh melihat struktur cincin keseluruhan surah; jadi ini bentuk cincin yang lebih besar merangkumi keseluruhan surah pula. Kita boleh melihat kaitan di antara satu bahagian dengan bahagian yang lain, menunjukkan keindahan susunan surah ini.

Penjelasan Kaitan:

[U]/[U’] – Surah Yaasin bermula dengan menyebut tentang Kalamullah (Al-Qur’an dan berakhir dengan Kalamullah dalam bentuk takdirNya.

[V]/[V’] – Belajar tentang sejarah hidup manusia dikaitkan dengan keselamatan di masa hadapan (Akhirat).

[W]/[W’] – Allah mengajar kita melihat dunia di sekeliling kita dan orang yang buta (buta mata hati) tidak mampu melakukannya.

 

Sekarang kita boleh melihat keseluruhan ayat-ayat yang ada di dalam Surah Yaasin ini dan melihat kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain yang mempunyai pasangan di permulaan dan pengakhiran. Dari sini kita boleh melihat hebatnya susunan surah ini yang bukanlah kelam kabut seperti pandangan sesetengah orang yang tidak mempelajarinya. Susunan sebegini punya hebat tidak mungkin dibuat oleh seorang manusia yang bernama Muhammad yang tidak komputer dan tidak pandai syair. Ia menjadi salah satu bukti (Mukjizat) bahawa Al-Qur’an ini memang dari Allah kerana tidak mungkin mana-mana manusia membuatnya.

Memang kalau tidak mahir tentang hal ini, seorang yang jahil akan berkata bahawa susunan Al-Qur’an bercelaru. Ini seperti kata Richard Bell (1876-1952), seorang orientalis asal Skotlandia yang terkenal dengan terjemahan Al-Qur’annya. Bell mengemukakan teori tentang “critical re-arrangement of the Surahs” (penyusunan semula surah-surah) dalam terjemahannya, “The Qur’an, Translated, with a critical re-arrangement of the Surahs” (1937-1939). Dia berpendapat bahawa Al-Qur’an dalam bentuk mushaf yang ada saat ini tidak tersusun secara kronologi berdasarkan waktu turunnya wahyu, dan dia mencuba menyusunnya kembali berdasarkan analisis linguistik dan sejarahnya. Bell juga mengemukakan adanya kemaskini atau kemasukan pada unit-unit wahyu tertentu yang diduga dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Pandangannya ini memberi implikasi bahawa ada unsur “penyuntingan” atau “perubahan” dalam proses kodifikasi Al-Qur’an yang menghasilkan susunan saat ini, yang tentu sahaja sangat berbeza dengan pandangan Islam tradisional tentang tauqifi.

Jangan katakan orang kafir, kita kalau tidak belajar pun kadang-kadang jadi keliru kenapa cerita itu di sini dan ini di situ? Sebenarnya susunan Al-Qur’an amat hebat kalau kita mempelajarinya.

 

Penjelasan: 

[A]/[A’] – Di awal surah, Allah bersumpah dengan Al-Qur’an untuk menekankan siapa yang dia hantar iaitu Rasulullah. Di hujung surah disebut kita pula yang akan dihantar kepadaNya.

[B]/[B’] – Kemudian Allah menyebut tentang KalamNya, termasuklah ketetapanNya حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ bahawa kebanyakan manusia tidak akan beriman. Akan tetapi manusia tetap tidak mahu beriman dengan ajaran wahyu. Di Bahagian [B’] disebut salah satu dari contoh hebatnya Kalam Allah iaitu كُن فَيَكُونُ.

[C]/[C’] – Di Bahagian Allah ﷻ [C] tentang keadaan ahli-ahli neraka di mana mereka akan diikat dengan rantai dan tidak dapat bergerak ke hadapan atau ke belakang. Di Bahagian [C’] pula menyebut tentang api, yang memberi isyarat kepada salah satu azab utama di dalam neraka.

[D]/[D’] – Di dalam [D] ada isyarat kepada syurga apabila Allah menyebut ‘berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia‘. Kemudian di dalam Bahagian [D’] juga mengandungi isyarat kepada syurga apabila menyebut tentang pepohon hijau kerana syurga itu penuh dengan tumbuh-tumbuhan hijau.

[E]/[E’] – Di dalam[E] Allah ﷻ memaklumkan kepada kita yang Dialah yang akan menghidupkan yang mati dan Dia menulis semua rekod amalan makhluk. Di dalam Bahagian  [E’] pula ada orang kafir yang bertanya siapakah yang akan menghidupkan tulang yang telah hancur reput? Allah menjawap Yang menghidupkan pertama kali itulah juga yang akan menghidupkan kembali tulang-tulang yang hancur reput. Ini kerana Allah mempunyai ilmu tentang segala perbuatan dan keadaan makhlukNya di mana sahaja mereka berada. Jadi kedua-dua Bahagian ini menyebut tentang ilmu Allah yang Maha Luas.

[F]/[F’] – Di dalam bahagian ini, terdapat perbandingan (ضَرَبَ). Jadi ada dua ضَرَبَ di dalam surah ini. Mulanya di dalam Bahagian [F] Allah ﷻ membuat perbandingan tentang kisah satu pekan وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلاً أَصۡحَـٰبَ ٱلۡقَرۡيَةِ. Kemudian di dalam Bahagian [F’] kita melihat pula perbandingan yang dibuat oleh orang kafir وَضَرَبَ لَنَا مَثَلاً۬ وَنَسِىَ خَلۡقَهُ. Perbandingan Allah adalah untuk mengajar, tapi perbandingan mereka hendak mengejek, sedangkan mereka lupa asal usul mereka sendiri. Jadi pada mula Allah membuat perbandingan bagi manusia dan kemudian mereka pula dengan kurang ajarnya membuat perbandingan bagi Allah pula.

[G]/[G’] – Di dalam[G] disebut penolakan orang kafir adalah kerana para Rasul itu hanya “manusia seperti kami” sahaja. Di dalam[G’] Allah mengingatkan asal kejadian mereka yang berasal dari air mani yang tidak ada apa-apa nilai. Jadi mereka tidak patut merendahkan kedudukan para Rasul itu kerana mereka pun manusia juga dan tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah yang telah memilih para Rasul itu.

[H]/[H’] – Di dalam [H] kita sambung membaca kisah penduduk pekan itu mengutuk para Rasul itu dan para Rasul itu telah menjawab tuduhan mereka. Di dalam [H’] pula Allah memujuk Rasulullah supaya jangan bersedih dengan kutukan, ejekan dan tuduhan Musyrikin terhadap baginda. Bezanya baginda tidak disuruh menjawab sebaliknya Allah maklumkan yang Dia tahu apa yang  mereka lakukan dan Allah pasti akan membalas perbuatan mereka itu.

[I]/[I’]Di dalam [I] telah disambung dakwah kepada penduduk pekan itu boleh seorang lelaki beriman dengan berbagai hujah-hujah beliau. Penduduk pekan itu tetap berdegil dan membunuh lelaki itu. Akhirnya disebut bagaimana Allah telah membinasakan mereka. Di dalam [I’] kita melihat keadaan orang kafir di dalam neraka kerana menolak kebenaran. Kemudian disebut hujah-hujah dari Allah kepada orang kafir untuk beriman dan disebut tentang kesan azab yang mereka terima kerana mereka enggan dan degil.

Dua-dua bahagian ini ada menggunakan kalimah جُندٌ. Di dalam [I] Allah beritahu yang Dia tidak perlu hantar جُندٌ (tentera) pun untuk musnahkan mereka yang kufur zalim itu. Allah tempik sekali sahaja terus mereka mati katak. Kemudian di dalam [I’] Allah menyebut orang kafir itu yang menjadi جُندٌ (tentera) kerana berhala sembahan mereka bukannya boleh mempertahankan diri sendiri.

[J]/[J’] – Di dalam [J] Allah ﷻ mengeluh tentang penolakan manusia kepada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Allah suruh mereka kenangkanlah berapa banyak umat terdahulu yang telah dimusnahkan kerana penolakan mereka. Di dalam  [J’] Allah ﷻ memberitahu jangan sembah syaitan kerana ramai manusia yang telah ditipu oleh syaitan.

[K]/[K’] – Di dalam [K] kita diberitahu yang semua makhluk akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk menerima pengadilan. Di dalam [K’] kita diberi maklumat tambahan tentang peristiwa itu di mana orang yang berdosa akan dipisahkan sebagai penghinaan kepada mereka.

[L]/[L’] – Tiga perkara disebut di dalam bahagian ini: Kebun, buah-buahan dan pasangan. Di dalam [L] Allah menyebut tentang nikmat kebun di dunia dan buah-buahan yang Dia jadikan untuk kita makan. Dan kemudian Allah menyebut tentang pasangan di dunia. Di dalam [L’] Allah menyebut tentang kebun di syurga dengan segala jenis buah-buahan yang diberikan sebagai nikmat kepada kita. Ahli syurga pula duduk di syurga itu bertelekan dengan pasangan mereka masing-masing.

[M]/[M’] – Di dalam [M] Allah menyebut tentang proses masa yang berjalan di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia kita ada malam dan siang yang berganti termasuk perubahan antara matahari dan bulan yang menjadi tanda masa bagi kita. Masa itu berjalan sehinggalah disebut di dalam [M’] apa yang akan berlaku di akhirat kelak. Penandanya adalah Sangkala pula yang akan menghidupkan kita dari tidur yang lama. Kemudian kita akan dibawa ke hadapan Allah. Di akhirat tidak ada lagi matahari dan bulan, cuma ada Sangkala sahaja yang menjadi penanda bagi kita di sana.

[N]/[N’] – Ini pula tentang keluarga. Allah ﷻ mengingatkan tentang keluarga di dalam [N] di mana keturunan kita dibawa dengan kapal, mulanya bahtera Nabi Nuh dan berterusan sehingga ke zaman sekarang di mana kita kadang-kadang menghantar anak cuuc kita menaiki kapal ke tempat yang lain. Tapi apabila Kiamat berlaku nanti, disebut di dalam [N’] yang kita tidak sempat memberi pesan pun kepada keluarga kita nanti. Tidak sempat pulang kepada keluarga dan malah tidak sempat beri pesan pun kepada mereka.

[O]/[O’] – Ini tentang pekikan dan tiadanya bantuan. Di dalam [O] Allah beritahu yang kalau Allah mahu, Dia boleh sahaja menenggelamkan manusia di lautan dan ketika itu tidak ada sesiapa pun yang dengar pekikan mereka dan membantu mereka. Kemudian Allah suruh bayangkan keadaan akhirat nanti di dalam [O’] di mana semua akan dimatikan dengan sekali pekikan sahaja dan pada ketika itu pun tidak ada sesiapa yang boleh membantu.

[P]/[P’] – Di dalam dua-dua bahagian ini mengandungi kalimat وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ sebagai nasihat kepada orang kafir. Di dalam [P] disebut nasihat kepada mereka untuk memerhatikan perbuatan mereka dan apa yang mereka telah lakukan sebagai bekal kepada akhirat. Kemudian di dalam [P’] pula mereka juga dinasihatkan untuk infak kepada yang memerlukan tapi mereka beri hujah bodoh pula.

[Q] – Di pertengahan surah ini menjadi ringkasan bagi semua bahagian di dalam surah ini. Iaitu apabila datang sahaja tanda-tanda kepada orang kafir itu, semua mereka berpaling darinya. Berkali-kali Allah beri nasihat dan tanda supaya mereka ikut tapi berkali-kali juga mereka tolak dan berpaling. Menarik apabila digunakan perkataan berpaling atau berpusing di sini kerana apabila kita duduk di tengah, kita boleh berpaling atau berpusing dari mengadap ke sini dan ke sebelahnya. Orang kafir itu ada peluang untuk mengadap ke arah kebenaran, tapi mereka buat keputusan untuk mengadap ke arah kesesatan.

 

Dan kalau kita melihat topik yang disentuh di dalam Surah Yaasin ini, kita boleh melihat topik-topik utama yang bertukar-tukar dan bermula dengan Al-Qur’an dan berakhir dengan Al-Qur’an kembali.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Yaasin. Sambung ke surah seterusnya, Surah Saffat.

Kemaskini: 3 Julai 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Heavenly Order

Ayat-ayat Al-Qur’an Tentang Azab di Neraka

Berikut adalah senarai ayat-ayat yang menyebut tentang azab-azab di dalam Neraka

1. Baqarah (2): 39 (Kekal di dalam Neraka)

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَكَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (٣٩)
Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

2. Baqarah (2): 81 (Kekal di dalam Neraka)

بَلَىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً۬ وَأَحَـٰطَتۡ بِهِۦ خَطِيٓـَٔتُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ (٨١)
Sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

3. Baqarah (2): 174 (Makan api neraka, azab tidak terperi)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِى بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١٧٤)
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

4. Ali ‘Imran (3): 4 (Azab seksa amat berat)

مِن قَبۡلُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلۡفُرۡقَانَ‌ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ شَدِيدٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ ذُو ٱنتِقَامٍ (٤)
Sebelum (Al-Qu’ran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

5. Ali ‘Imran (3): 10 (Harta benda dan anak pinak menjadi bahan api neraka)

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَن تُغۡنِىَ عَنۡهُمۡ أَمۡوَٲلُهُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ وَقُودُ ٱلنَّارِ ١٠
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka daripada (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

 

6. Ali ‘Imran (3): 21 (Azab seksa sakit tidak terperi)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقٍّ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (٢١)
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

7. Ali ‘Imran (3): 77 (Allah tidak sudi berkata-kata dengan ahli neraka apatah lagi memandang mereka, Azab seksa tidak terperi sakitnya)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَشۡتَرُونَ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ وَأَيۡمَـٰنِہِمۡ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَا خَلَـٰقَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيۡہِمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٧٧)
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

8. Ali ‘Imran (3): 116 (Kekal di dalam Neraka)

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَن تُغۡنِىَ عَنۡهُمۡ أَمۡوَٲلُهُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۚ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ ١١٦
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada (azab) Allah sedikit pun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.

9. An-Nisa’ (4): 10 (Menelan api neraka & masuk api neraka menyala-nyala)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأۡڪُلُونَ أَمۡوَٲلَ ٱلۡيَتَـٰمَىٰ ظُلۡمًا إِنَّمَا يَأۡڪُلُونَ فِى بُطُونِهِمۡ نَارًا‌ۖ وَسَيَصۡلَوۡنَ سَعِيرًا (١٠)
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

10. An-Nisa’ (4): 14 (Kekal di dalam Neraka dengan azab menghinakan)

وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ ۥ يُدۡخِلۡهُ نَارًا خَـٰلِدً۬ا فِيهَا وَلَهُ ۥ عَذَابٌ مُّهِينٌ (١٤)
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

11. An-Nisa’ (4): 56 (Kulit hangus diganti dengan kulit lain)

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا سَوۡفَ نُصۡلِيہِمۡ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتۡ جُلُودُهُم بَدَّلۡنَـٰهُمۡ جُلُودًا غَيۡرَهَا لِيَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا (٥٦)
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

12. An-Nisa’ (4): 93 (Kekal di dalam Jahanam)

وَمَن يَقۡتُلۡ مُؤۡمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَآؤُهُ ۥ جَهَنَّمُ خَـٰلِدًا فِيہَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَلَعَنَهُ ۥ وَأَعَدَّ لَهُ ۥ عَذَابًا عَظِيمًا (٩٣)
Dan barangsiapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.

13. An-Nisa’ (4): 138 (Azab yang sangat pedih tidak terperi sakitnya)

بَشِّرِ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا (١٣٨)
Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

14. An-Nisa’ (4): 145 (Munafik tingkatan paling bawah)

إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِيرًا (١٤٥)
Sungguh, orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.

15. An-Nisa’ (4): 161 (Azab yang sangat pedih)

وَأَخۡذِهِمُ ٱلرِّبَوٰاْ وَقَدۡ نُہُواْ عَنۡهُ وَأَكۡلِهِمۡ أَمۡوَٲلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ‌ۚ وَأَعۡتَدۡنَا لِلۡكَـٰفِرِينَ مِنۡہُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا (١٦١)
Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah. Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

16. Al-A‘raf (7): 41 (Tikar tidur dan selimut daripada api neraka)

لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهَادٌ وَمِن فَوۡقِهِمۡ غَوَاشٍ‌ۚ وَكَذَٲلِكَ نَجۡزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ (٤١)
Bagi mereka tikar tidur daripada api neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka). Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang zalim.

17. Al-A‘raf (7): 50 (Ahli neraka minta air daripada ahli syurga)

وَنَادَىٰٓ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ أَصۡحَـٰبَ ٱلۡجَنَّةِ أَنۡ أَفِيضُواْ عَلَيۡنَا مِنَ ٱلۡمَآءِ أَوۡ مِمَّا رَزَقَڪُمُ ٱللَّهُ‌ۚ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ (٥٠)
Para penghuni neraka menyeru para penghuni syurga, “Tuangkanlah (sedikit) air kepada kami atau rezeki apa saja yang telah dikurniakan Allah kepadamu.” Mereka menjawab, “Sungguh, Allah telah mengharamkan keduanya bagi orang-orang kafir,”

18. Tawbah (9): 34 (Azab seksa yang pedih)

۞ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ ڪَثِيرًا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَيَأۡكُلُونَ أَمۡوَٲلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَہَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (٣٤)
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih,

19. Ibrahim (14): 2 (Seksaan yang sangat pedih)

ٱللَّهِ ٱلَّذِى لَهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ وَوَيۡلٌ لِّلۡكَـٰفِرِينَ مِنۡ عَذَابٍ شَدِيدٍ (٢)
Allah-lah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan kecelakaanlah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih,

20. Ibrahim (14): 16–17 (Ahli Jahanam diberi air minuman nanah & tidak mati-mati)

مِّن وَرَآٮِٕهِۦ جَهَنَّمُ وَيُسۡقَىٰ مِن مَّآءٍ صَدِيدٍ (١٦) يَتَجَرَّعُهُ ۥ وَلَا يَڪَادُ يُسِيغُهُ ۥ وَيَأۡتِيهِ ٱلۡمَوۡتُ مِن ڪُلِّ مَكَانٍ۬ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ‌ۖ وَمِن وَرَآٮِٕهِۦ عَذَابٌ غَلِيظٌ (١٧)
di hadapannya ada neraka Jahanam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah (16) diteguk-teguknya (air nanah itu) dan dia hampir tidak dapat menelannya dan datanglah (bahaya) maut kepadanya dari segenap penjuru, tetapi dia tidak juga mati; dan di hadapannya (masih ada) azab yang berat. (17)

21. Al-Hijr (15): 43–44 (Jahanam ada 7 pintu)

إِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوۡعِدُهُمۡ أَجۡمَعِينَ (٤٣) لَهَا سَبۡعَةُ أَبۡوَٲبٍ لِّكُلِّ بَابٍ مِّنۡہُمۡ جُزۡءٌ مَّقۡسُومٌ (٤٤)
Dan sungguh, Jahanam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka (pengikut syaitan) semuanya. (43) (Jahanam) itu mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu dari mereka. (44)

22. An-Nahl (16): 29 (Kekal di dalam Jahanam)

فَٱدۡخُلُوٓاْ أَبۡوَٲبَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيہَا‌ۖ فَلَبِئۡسَ مَثۡوَى ٱلۡمُتَكَبِّرِينَ (٢٩)
Maka masukilah pintu-pintu neraka Jahanam, kamu kekal di dalamnya. Pasti itu seburuk-buruk tempat orang yang menyombongkan diri.

23. An-Nahl (16): 88 (Azab di atas azab)

ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ زِدۡنَـٰهُمۡ عَذَابًا فَوۡقَ ٱلۡعَذَابِ بِمَا ڪَانُواْ يُفۡسِدُونَ (٨٨)
Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka azab di atas azab disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan.

24. Kahf: (18): 29 (Api neraka melitupi mereka laksana khemah, diberi minuman air seperti tembaga cair yang membakar muka)

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِہِمۡ سُرَادِقُهَا‌ۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٍ۬ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِى ٱلۡوُجُوهَ‌ۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا (٢٩)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

25. Maryam (19): 68–72

فَوَرَبِّكَ لَنَحۡشُرَنَّهُمۡ وَٱلشَّيَـٰطِينَ ثُمَّ لَنُحۡضِرَنَّهُمۡ حَوۡلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا (٦٨) ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّہُمۡ أَشَدُّ عَلَى ٱلرَّحۡمَـٰنِ عِتِيًّا (٦٩) ثُمَّ لَنَحۡنُ أَعۡلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمۡ أَوۡلَىٰ بِہَا صِلِيًّا (٧٠) وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَا‌ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمً۬ا مَّقۡضِيًّا (٧١)ثُمَّ نُنَجِّى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّنَذَرُ ٱلظَّـٰلِمِينَ فِيہَا جِثِيًّا (٧٢)
Maka demi Tuhanmu, sungguh, pasti akan Kami kumpulkan mereka bersama syaitan, kemudian pasti akan Kami datangkan mereka ke sekeliling Jahanam dengan berlutut. (68) Kemudian pasti akan Kami tarik daripada setiap golongan siapa di antara mereka yang sangat derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pengasih. (69) Selanjutnya Kami sungguh lebih mengetahui orang yang seharusnya (dimasukkan) ke dalam neraka. (70) Dan tidak ada seorang pun di antara kamu yang tidak mendatanginya (neraka). Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu ketentuan yang sudah ditetapkan. (71) Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam (neraka) dalam keadaan berlutut. (72)

26. Hajj (22): 19 – 22

هَـٰذَانِ خَصۡمَانِ ٱخۡتَصَمُواْ فِى رَبِّہِمۡ‌ۖ فَٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ قُطِّعَتۡ لَهُمۡ ثِيَابٌ مِّن نَّارٍ يُصَبُّ مِن فَوۡقِ رُءُوسِہِمُ ٱلۡحَمِيمُ (١٩) يُصۡهَرُ بِهِۦ مَا فِى بُطُونِہِمۡ وَٱلۡجُلُودُ (٢٠) وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنۡ حَدِيدٍ (٢١) ڪُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡہَا مِنۡ غَمٍّ أُعِيدُواْ فِيہَا وَذُوقُواْ عَذَابَ ٱلۡحَرِيقِ (٢٢)
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak, (19) Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka (20)
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. (21) Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab seksa yang membakar!” (22)

27. Mukminoon (23): 103 – 104 (Kekal dalam Jahanam dan cacat muka)

وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ فِى جَهَنَّمَ خَـٰلِدُونَ (١٠٣) تَلۡفَحُ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ وَهُمۡ فِيہَا كَـٰلِحُونَ (١٠٤)
Dan barang siapa ringan timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam. (103) Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat. (104)

 

28. Nur (24): 19 (Azab yang pedih)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (١٩)
Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

29. Al-Furqan (25): 11–14 (Neraka menyala-nyala, Neraka Marah, Ahli neraka dilempar ke tempat sempit dan dibelenggu, Azab emosi sindirian mengharapkan kebinasaan yang banyak)

بَلۡ كَذَّبُواْ بِٱلسَّاعَةِ‌ۖ وَأَعۡتَدۡنَا لِمَن ڪَذَّبَ بِٱلسَّاعَةِ سَعِيرًا (١١) إِذَا رَأَتۡهُم مِّن مَّكَانِۭ بَعِيدٍ سَمِعُواْ لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا (١٢) وَإِذَآ أُلۡقُواْ مِنۡہَا مَكَانً۬ا ضَيِّقً۬ا مُّقَرَّنِينَ دَعَوۡاْ هُنَالِكَ ثُبُورًا (١٣) لَّا تَدۡعُواْ ٱلۡيَوۡمَ ثُبُورًا وَٲحِدًا وَٱدۡعُواْ ثُبُورًا ڪَثِيرًا (١٤)
Bahkan mereka mendustakan hari kiamat. Dan Kami menyediakan neraka yang menyala-nyala bagi siapa yang mendustakan hari kiamat. (11) Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar kegeramannya dan suara nyalanya. (12) Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan. (13) (Akan dikatakan kepada mereka): “Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak”. (14)

30. Al-Furqan (25): 19 (Azab yang besar)

فَقَدۡ ڪَذَّبُوكُم بِمَا تَقُولُونَ فَمَا تَسۡتَطِيعُونَ صَرۡفً۬ا وَلَا نَصۡرًا‌ۚ وَمَن يَظۡلِم مِّنڪُمۡ نُذِقۡهُ عَذَابًا ڪَبِيرًا (١٩)
maka sesungguhnya mereka (yang disembah itu) telah mendustakan kamu tentang apa yang kamu katakan maka kamu tidak akan dapat menolak (azab) dan tidak (pula) menolong (dirimu), dan barang siapa di antara kamu yang berbuat zalim, nescaya Kami rasakan kepadanya azab yang besar.

31. Al-Furqan (25): 65 — 66 (Azab kekal, tempat tinggal paling buruk)

وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ اِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًاۖ ۝٦٥ اِنَّهَا سَاۤءَتْ مُسْتَقَرًّا وَّمُقَامًا ۝٦٦
Dan, orang-orang yang berkata, “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam daripada kami (kerana) sesungguhnya azabnya itu kekal.” (65) Sesungguhnya ia (Jahanam itu) adalah tempat menetap dan kediaman yang paling buruk. (66)

32. Al-Furqan (25): 34 (Wajah ahli neraka diseret)

ٱلَّذِينَ يُحۡشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمۡ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ شَرٌّ مَّكَانً۬ا وَأَضَلُّ سَبِيلاً (٣٤)
Orang-orang yang dikumpulkan ke neraka Jahanam dengan diseret wajahnya, mereka itulah yang paling buruk tempatnya dan paling sesat jalannya.

33. As-Shu’araa (26): 94 (Berhala diterbalikkan bersama-sama ahli neraka)

فَكُبۡكِبُواْ فِيہَا هُمۡ وَٱلۡغَاوُ ۥنَ (٩٤)
Maka mereka (sesembahan itu) dijungkirkan ke dalam neraka bersama orang-orang yang sesat,

34. As-Sajdah (32): 20 (Ahli neraka tidak dapat keluar dari neraka)

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأۡوَٮٰهُمُ ٱلنَّارُ‌ۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡہَآ أُعِيدُواْ فِيہَا وَقِيلَ لَهُمۡ ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ (٢٠)
Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir), maka tempat kediaman mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar darinya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka, “Rasakanlah azab neraka yang dahulu kamu dustakan.”

35. As-Saffat (37): 55 (Neraka menyala-nyala)

فَٱطَّلَعَ فَرَءَاهُ فِى سَوَآءِ ٱلۡجَحِيمِ (٥٥)
Maka dia meninjaunya, lalu dia melihat (teman)nya itu di tengah-tengah neraka yang menyala-nyala.

 

36. As-Saffat (37): 62 – 68 (Hidangan pohon Zaqqum untuk ahli neraka)

أَذَٲلِكَ خَيۡرٌ نُّزُلاً أَمۡ شَجَرَةُ ٱلزَّقُّومِ (٦٢) إِنَّا جَعَلۡنَـٰهَا فِتۡنَةً۬ لِّلظَّـٰلِمِينَ (٦٣) إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخۡرُجُ فِىٓ أَصۡلِ ٱلۡجَحِيمِ (٦٤) طَلۡعُهَا كَأَنَّهُ ۥ رُءُوسُ ٱلشَّيَـٰطِينِ (٦٥) فَإِنَّہُمۡ لَأَكِلُونَ مِنۡہَا فَمَالِـُٔونَ مِنۡہَا ٱلۡبُطُونَ (٦٦) ثُمَّ إِنَّ لَهُمۡ عَلَيۡہَا لَشَوۡبً۬ا مِّنۡ حَمِيمٍ (٦٧) ثُمَّ إِنَّ مَرۡجِعَهُمۡ لَإِلَى ٱلۡجَحِيمِ (٦٨)
Apakah (makanan syurga) itu hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum. (62) Sungguh, Kami menjadikannya (pohon zaqqum itu) sebagai azab bagi orang-orang zalim. (63) Sungguh, itu adalah pohon yang keluar dari dasar neraka Jahim, (64) Mayangnya seperti kepala-kepala syaitan. (65) Maka sungguh, mereka benar-benar memakan sebagian darinya (buah pohon itu), dan mereka memenuhi perutnya dengan buahnya (zaqqum). (66) Kemudian sungguh, setelah makan (buah zaqqum) mereka mendapat minuman yang dicampur dengan air yang sangat panas. (67) Kemudian pasti tempat kembali mereka ke neraka Jahim. (68)

 

37. As-Sad (38): 56 – 57 (Azab neraka air sangat dingin)

هَنَّمَ يَصۡلَوۡنَہَا فَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ (٥٦) هَـٰذَا فَلۡيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ (٥٧)
(iaitu) neraka Jahanam yang mereka masuki; maka itulah seburuk-buruk tempat tinggal. (56) Inilah (azab neraka), maka biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin, (57)

38. Az-Zumar (39): 16 (Lapisan-lapisan api di bawah dan atas ahli neraka)

لَهُم مِّن فَوۡقِهِمۡ ظُلَلٌ مِّنَ ٱلنَّارِ وَمِن تَحۡتِہِمۡ ظُلَلٌ ذَٲلِكَ يُخَوِّفُ ٱللَّهُ بِهِۦ عِبَادَهُ ۥ‌ۚ يَـٰعِبَادِ فَٱتَّقُونِ (١٦)
Di atas mereka ada lapisan-lapisan daripada api dan di bawahnya juga ada lapisan-lapisan yang disediakan bagi mereka. Demikianlah Allah mengancam hamba-hamba-Nya (dengan azab itu). “Wahai hamba-hamba-Ku, maka bertaqwalah kepada-Ku.”

39. Az-Zumar (39): 71 – 72 (Ahli neraka digiring ke Jahanam dan kekal di dalamnya)

وَسِيقَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُوٓاْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا فُتِحَتۡ أَبۡوَٲبُهَا وَقَالَ لَهُمۡ خَزَنَتُہَآ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ رُسُلٌ مِّنكُمۡ يَتۡلُونَ عَلَيۡكُمۡ ءَايَـٰتِ رَبِّكُمۡ وَيُنذِرُونَكُمۡ لِقَآءَ يَوۡمِكُمۡ هَـٰذَا‌ۚ قَالُواْ بَلَىٰ وَلَـٰكِنۡ حَقَّتۡ كَلِمَةُ ٱلۡعَذَابِ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ (٧١) قِيلَ ٱدۡخُلُوٓاْ أَبۡوَٲبَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۖ فَبِئۡسَ مَثۡوَى ٱلۡمُتَڪَبِّرِينَ (٧٢)
Orang-orang yang kafir digiring ke neraka Jahanam secara berombongan. Sehingga apabila mereka sampai kepadanya (neraka) pintu-pintunya dibukakan dan penjaga-penjaga berkata kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepadamu rasul-rasul dalam kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat Tuhanmu dan memperingatkan kepadamu akan pertemuan (dengan) harimu ini?” Mereka menjawab, “Benar, ada,” tetapi ketetapan azab pasti berlaku terhadap orang-orang kafir. (71) Dikatakan (kepada mereka), “Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam itu, (kamu) kekal di dalamnya.” Maka (neraka Jahanam) itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang menyombongkan diri. (72)

40. Ghafir (40): 46–50 (Azab emosi dengan diperlihatkan neraka pagi & petang; Doa sia-sia)

ٱلنَّارُ يُعۡرَضُونَ عَلَيۡہَا غُدُوًّا وَعَشِيًّ۬اۖ وَيَوۡمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدۡخِلُوٓاْ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ أَشَدَّ ٱلۡعَذَابِ (٤٦) وَإِذۡ يَتَحَآجُّونَ فِى ٱلنَّارِ فَيَقُولُ ٱلضُّعَفَـٰٓؤُاْ لِلَّذِينَ ٱسۡتَڪۡبَرُوٓاْ إِنَّا كُنَّا لَكُمۡ تَبَعًا فَهَلۡ أَنتُم مُّغۡنُونَ عَنَّا نَصِيبً۬ا مِّنَ ٱلنَّارِ (٤٧) قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسۡتَڪۡبَرُوٓاْ إِنَّا كُلٌّ فِيهَآ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ حَكَمَ بَيۡنَ ٱلۡعِبَادِ (٤٨) وَقَالَ ٱلَّذِينَ فِى ٱلنَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ٱدۡعُواْ رَبَّكُمۡ يُخَفِّفۡ عَنَّا يَوۡمًا مِّنَ ٱلۡعَذَابِ (٤٩) قَالُوٓاْ أَوَلَمۡ تَكُ تَأۡتِيكُمۡ رُسُلُڪُم بِٱلۡبَيِّنَـٰتِۖ قَالُواْ بَلَىٰۚ قَالُواْ فَٱدۡعُواْۗ وَمَا دُعَـٰٓؤُاْ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ (٥٠)
Kepada mereka diperlihatkan neraka, pada pagi dan petang, dan pada hari terjadinya Kiamat. (Lalu kepada malaikat diperintahkan), “Masukkanlah Fir‘aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras!” (46) Dan (Ingatlah), ketika mereka berbantah-bantahan dalam neraka, maka orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, “Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu melepaskan sebagian (azab) api neraka yang menimpa kami?” (47) Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab, “Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka kerana Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya).” (48) Dan orang-orang yang berada dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga neraka Jahanam, “Mohonkanlah kepada Tuhanmu agar Dia meringankan azab atas kami sehari saja.” (49) Maka (penjaga-penjaga Jahanam) berkata, “Apakah rasul-rasul belum datang kepadamu dengan membawa bukti-bukti yang nyata?” Mereka menjawab, “Benar, sudah datang.” (Penjaga-penjaga Jahanam) berkata, “Berdoalah kamu (sendiri!)” Namun doa orang-orang kafir itu sia-sia belaka. (50)

41. Ghafir (40): 71 – 72 (Ahli neraka dibelenggu dan dipasung di leher dan diseret ke dalam air panas menggelegak, kemudian dibakar)

إِذِ ٱلۡأَغۡلَـٰلُ فِىٓ أَعۡنَـٰقِهِمۡ وَٱلسَّلَـٰسِلُ يُسۡحَبُونَ (٧١) فِى ٱلۡحَمِيمِ ثُمَّ فِى ٱلنَّارِ يُسۡجَرُونَ (٧٢)
Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret (71) Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka; (72)

42. Ad-Dukhan (44): 43–48 (Pohon zaqqum cairan tembaga mendidih, ahli neraka diseret, dituang air panas di atas kepala)

إِنَّ شَجَرَتَ ٱلزَّقُّومِ (٤٣) طَعَامُ ٱلۡأَثِيمِ (٤٤) كَٱلۡمُهۡلِ يَغۡلِى فِى ٱلۡبُطُونِ (٤٥) كَغَلۡىِ ٱلۡحَمِيمِ (٤٦) خُذُوهُ فَٱعۡتِلُوهُ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلۡجَحِيمِ (٤٧) ثُمَّ صُبُّواْ فَوۡقَ رَأۡسِهِۦ مِنۡ عَذَابِ ٱلۡحَمِيمِ (٤٨)
Sungguh pohon zaqqum itu, (43) makanan bagi orang yang banyak dosa. (44) Seperti cairan tembaga yang mendidih di dalam perut, (45) seperti mendidihnya air yang sangat panas. (46) “Peganglah dia kemudian seretlah dia sampai ke tengah-tengah neraka, (47) kemudian tuangkanlah di atas kepalanya azab (daripada) air yang sangat panas.” (48)

43. Al-Jathiya (45): 11

هَـٰذَا هُدًى‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّہِمۡ لَهُمۡ عَذَابٌ مِّن رِّجۡزٍ أَلِيمٌ (١١)
Al-Qur’an ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab daripada jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

44. Ar-Rahman (55): 41 (Direnggut ubun-ubun dan kaki)

يُعۡرَفُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ بِسِيمَـٰهُمۡ فَيُؤۡخَذُ بِٱلنَّوَٲصِى وَٱلۡأَقۡدَامِ (٤١)
Orang-orang yang berdosa itu diketahui dengan tanda-tandanya, lalu direnggut ubun-ubun dan kakinya.

45. Ar-Rahman (55): 43 – 44

هَـٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِى يُكَذِّبُ بِہَا ٱلۡمُجۡرِمُونَ (٤٣) يَطُوفُونَ بَيۡنَہَا وَبَيۡنَ حَمِيمٍ ءَانٍ (٤٤)
Inilah neraka Jahanam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa. (43) Mereka berkeliling di sana dan di antara air yang mendidih. (44)

46. Al-Waqi’ah (56): 42–44

فِى سَمُومٍ۬ وَحَمِيمٍ (٤٢) وَظِلٍّ مِّن يَحۡمُومٍ (٤٣) لَّا بَارِدٍ وَلَا كَرِيمٍ (٤٤)
(Mereka) dalam siksaan angin yang sangat panas dan air yang mendidih, (42) dan naungan asap yang hitam, (43) tidak sejuk dan tidak menyenangkan. (44)

47. Al-Waqi’ah (56): 52–55

لَأَكِلُونَ مِن شَجَرٍ مِّن زَقُّومٍ (٥٢) فَمَالِـُٔونَ مِنۡہَا ٱلۡبُطُونَ (٥٣) فَشَـٰرِبُونَ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡحَمِيمِ (٥٤) فَشَـٰرِبُونَ شُرۡبَ ٱلۡهِيمِ (٥٥)
pasti akan memakan pohon zaqqum, (52) maka akan penuh perutmu dengannya. (53) Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas. (54) Maka kamu minum seperti unta (yang sangat haus) minum. (55)

48. Al-Waqi’ah (56): 93–94 (Ahli neraka disiram air mendidih dan dibakar dalam neraka)

فَنُزُلٌ مِّنۡ حَمِيمٍ (٩٣) وَتَصۡلِيَةُ جَحِيمٍ (٩٤)
maka dia disambut siraman air yang mendidih, (93) dan dibakar di dalam neraka. (94)

49. Al-Mulk (67): 5 (Azab neraka menyala-nyala)

(٥) وَلَقَدۡ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنۡيَا بِمَصَـٰبِيحَ وَجَعَلۡنَـٰهَا رُجُومً۬ا لِّلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَأَعۡتَدۡنَا لَهُمۡ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ
Dan sungguh, telah Kami hiasi langit yang dekat, dengan bintang-bintang dan Kami jadikannya (bintang-bintang itu) sebagai alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menyala-nyala.

50. Al-Muddaththir (74): 26 –29

سَأُصۡلِيهِ سَقَرَ (٢٦) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا سَقَرُ (٢٧) لَا تُبۡقِى وَلَا تَذَرُ (٢٨) لَوَّاحَةٌ لِّلۡبَشَرِ (٢٩) عَلَيۡہَا تِسۡعَةَ عَشَرَ (٣٠) وَمَا جَعَلۡنَآ أَصۡحَـٰبَ ٱلنَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً۬‌ۙ وَمَا جَعَلۡنَا عِدَّتَہُمۡ إِلَّا فِتۡنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ لِيَسۡتَيۡقِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ وَيَزۡدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِيمَـٰنً۬ا‌ۙ وَلَا يَرۡتَابَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۙ وَلِيَقُولَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِہِم مَّرَضٌ وَٱلۡكَـٰفِرُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِہَـٰذَا مَثَلاً كَذَٲلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَہۡدِى مَن يَشَآءُ‌ۚ وَمَا يَعۡلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ‌ۚ وَمَا هِىَ إِلَّا ذِكۡرَىٰ لِلۡبَشَرِ (٣١)
Kelak, Aku akan memasukkannya ke dalam (neraka) Saqar, (26) dan tahukah kamu apa (neraka) Saqar itu? (27) Ia (Saqar itu) tidak meninggalkan dan tidak membiarkan, (28) yang menghanguskan kulit manusia. (29) Di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga). (30) Dan yang Kami jadikan penjaga neraka itu hanya daripada malaikat; dan Kami menentukan bilangan mereka itu hanya sebagai ujian bagi orang-orang kafir, agar orang-orang yang diberi kitab menjadi yakin, agar orang yang beriman bertambah imannya, agar orang-orang yang diberi kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu; dan agar orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (berkata), “Apakah yang dikehendaki Allah dengan (bilangan) ini sebagai suatu perumpamaan?” Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada orang-orang yang Dia kehendaki. Dan tidak ada yang mengetahui bala tentara Tuhanmu kecuali Dia sendiri. Dan Saqar itu tidak lain hanyalah peringatan bagi manusia. (31)

51. Al-Insan (76): 4 (Ahli neraka dibelenggu dengan rantai dalam neraka menyala-nyala)

إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلۡكَـٰفِرِينَ سَلَـٰسِلَاْ وَأَغۡلَـٰلاً وَسَعِيرًا (٤)
Sesungguhnya Kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.

52. Al-Ma’arij (70): 15 (Api neraka bergejolak)

كَلَّآ‌ۖ إِنَّہَا لَظَىٰ (١٥)
Sama sekali tidak! Sungguh, neraka itu api yang bergejolak,

53. Al-Infitar (82): 14–19 (Ahli neraka tidak mungkin keluar dari neraka dan tidak berdaya menolong orang lain)

وَإِنَّ ٱلۡفُجَّارَ لَفِى جَحِيمٍ (١٤) يَصۡلَوۡنَہَا يَوۡمَ ٱلدِّينِ (١٥) وَمَا هُمۡ عَنۡہَا بِغَآٮِٕبِينَ (١٦) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا يَوۡمُ ٱلدِّينِ (١٧) ثُمَّ مَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا يَوۡمُ ٱلدِّينِ (١٨) يَوۡمَ لَا تَمۡلِكُ نَفۡسٌ لِّنَفۡسٍ شَيۡـٴً۬ـا‌ۖ وَٱلۡأَمۡرُ يَوۡمَٮِٕذٍ لِّلَّهِ (١٩)
dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka. (14) Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan. (15) Dan mereka tidak mungkin keluar dari neraka itu. (16) Dan tahukah kamu apakah hari pembalasan itu? (17) Sekali lagi, tahukah kamu apakah hari pembalasan itu? (18) (Iaitu) pada hari (ketika) seseorang sama sekali tidak berdaya (menolong) orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah. (19)

54. Al-Buruj (85): 10 (Azab Jahanam azab yang membakar)

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ (١٠)
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.

55. Al-Ghashiyah (88): 2–7 (muka tunduk hina, minum air sangat panas, makan pohon berduri tidak menghilangkan lapar)

وُجُوهٌ۬ يَوۡمَٮِٕذٍ خَـٰشِعَةٌ (٢) عَامِلَةٌ۬ نَّاصِبَةٌ (٣) تَصۡلَىٰ نَارًا حَامِيَةً (٤) تُسۡقَىٰ مِنۡ عَيۡنٍ ءَانِيَةٍ (٥) لَّيۡسَ لَهُمۡ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍ (٦) لَّا يُسۡمِنُ وَلَا يُغۡنِى مِن جُوعٍ (٧)
Banyak muka pada hari itu tunduk terhina, (2) bekerja keras lagi kepayahan, (3) memasuki api yang sangat panas (neraka), (4) diberi minum (dengan air) dari sumber yang sangat panas. (5) Mereka tiada memperoleh makanan selain daripada pohon yang berduri, (6) yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. (8)

56. Al-Layl (92): 14 (Neraka yang menyala-nyala)

فَأَنذَرۡتُكُمۡ نَارًا تَلَظَّىٰ (١٤)
Maka, Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.

57. Al-Qari’ah (101): 9 – 11 (Keadaan Neraka Hawiyah iaitu api sangat panas)

فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ (٩) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا هِيَهۡ (١٠) نَارٌ حَامِيَةُۢ (١١)
maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. (9) Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (10) (Iaitu) api yang sangat panas. (11)

58. Al-Humazah (104): 4 – 9 (Hutamah, api Allah yang membakar hingga ke hati, sambil diikat tiang)

كَلَّا‌ۖ لَيُنۢبَذَنَّ فِى ٱلۡحُطَمَةِ (٤) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡحُطَمَةُ (٥) نَارُ ٱللَّهِ ٱلۡمُوقَدَةُ (٦) ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلۡأَفۡـِٔدَةِ (٧) إِنَّہَا عَلَيۡہِم مُّؤۡصَدَةٌ (٨) فِى عَمَدٍ مُّمَدَّدَةِۭ (٩)
Sekali-kali tidak! Pasti dia akan dilemparkan ke dalam (neraka) Hutamah. (4) Dan tahukah kamu apakah (neraka) Hutamah itu? (5) (iaitu) api (azab) Allah yang dinyalakan, (6) yang (membakar) sampai ke hati. (7) Sungguh, api itu ditutup rapat atas (diri) mereka, (8) (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. (9)

Tafsir Surah Yaasin Ayat 80 – 83 (Kun fayakun)

Yaasin Ayat 80: Allah ‎ﷻ sambung dengan menceritakan apakah lagi sifat-Nya. Allah ‎ﷻ menceritakan lagi kekuasaan-Nya. Ini adalah satu bukti kekuasaan Allah ‎ﷻ yang boleh menghidupkan semula makhluk yang telah mati.

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِّنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذآ أَنتُم مِّنهُ توقِدونَ

 
Sahih International

[It is] He who made for you from the green tree, fire, and then from it you ignite.

Malay

“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِّنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا

Dialah juga yang menjadikan untuk faedah kamu, pokok-pokok yang hijau yang boleh mengeluarkan api;

Selalunya apabila dijemurkan pokok dan setelah ia menjadi kering, kita boleh nyalakan kayu itu dengan api dan boleh menggunakan api itu. Asalnya pokok itu telah hidup daripada air, hingga menjadi hijau indah, berbuah dan berbunga, kemudian Allah ‎ﷻ menjadikannya kayu-kayu kering untuk menyalakan api. Akan tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu yang pokok yang basah pun Dia boleh jadikan terbakar. Allah ‎ﷻ menunjukkan bagaimana Dia boleh mengeluarkan api daripada pokok yang hijau dan basah, yang secara logiknya tidak mungkin terbakar. Ini adalah sesuatu yang pelik dan ajaib kerana pokok yang hijau itu ada air dan selalunya air itu yang memadam api. Namun ada ketikanya Allah ‎ﷻ terbalikkan hukum alam itu. Ini adalah bukti kekuasaan-Nya untuk menghidupkan kembali manusia daripada tulang belulang yang telah hancur, walaupun pada pandangan akal manusia ia mustahil.

Sebagai bukti, Allah ‎ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah itu kepada dua jenis pokok kayu yang apabila digesek bersama akan mengeluarkan api. Iaitu pokok markh المرخ dan ‘afaar العفار. Orang Arab dahulu sering mengambil ranting daripada pokok markh dan pokok ‘afaar, lalu menggeserkan salah satu ke atas yang lain untuk menghasilkan api. Mereka menggunakan “ranting” markh sebagai zind (alat penggesel) dan “ranting” ‘afaar sebagai zanad (alas yang digesel). Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan kemudahan-kemudahan dalam dunia ini kepada kita. Siapakah yang mengajar kita bahawa dua pokok itu dapat mengeluarkan api? Tentulah Allah ‎ﷻ yang beri ilham kepada manusia untuk menggunakannya. Maknanya, Allah ‎ﷻ bukan sahaja mengajar manusia tentang ilmu syariat, tetapi Allah ‎ﷻ juga memberi ilham kepada kita untuk menjalani kehidupan dalam alam ini. Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam ayat Waqiah: 71&72.

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ (٧١) ءَأَنتُمۡ أَنشَأۡتُمۡ شَجَرَتَہَآ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنشِـُٔونَ (٧٢)
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (71) Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (72)

Di alam Melayu pun ada kayu hijau yang boleh menghasilkan api untuk manusia. Dikatakan dapat ada jenis pohon kayu tusam atau pinus. Kayu pinus atau kayu tusam betul-betul pohon yang hijau berdaun rendang lurus, namun ia mengandungi minyak yang dapat dinyalakan. Zaman sekarang mungkin kita tidak tahu lagi kerana semua api dihidupkan dengan menggunakan ‘lighter’.

Kalau bukan pokok hijau pun, kita boleh katakan yang setiap pokok hijau akhirnya akan menjadi kering juga dan boleh dijadikan sebagai pembakar. Masyarakat pribumi di Asia Tenggara, termasuk Melayu, telah lama mengenal pasti pelbagai jenis kayu yang sesuai untuk tujuan ini, berdasarkan sifatnya seperti kekerasan, kandungan resin, dan kemampuan menghasilkan haba melalui geseran. Contohnya:

    1. Rotan: Meskipun tidak langsung untuk menghasilkan percikan awal, serabut rotan kering sering digunakan sebagai tinder (bahan penyala api) yang sangat baik.
    2. Bambu (Buluh): Geseran buluh kering boleh menghasilkan haba. Serpihan buluh juga boleh digunakan sebagai penyala api.
    3. Pohon Ara (Ficus spp.): Sesetengah jenis kayu dari keluarga Ara boleh digunakan.
    4. Kayu Kering daripada Pelbagai Pokok Hutan: Hampir semua jenis kayu, apabila kering sepenuhnya, boleh digunakan sebagai bahan bakar. Untuk geseran api, kualiti dan kekerasan kayu adalah penting. Kayu yang lebih lembut atau berhabuk sering digunakan untuk papan dasar, manakala kayu yang lebih keras digunakan sebagai rod pemutar.

Maka semua pokok kayu berpotensi untuk mengeluarkan api. Lihatlah kebakaran hutan yang selalu terjadi apabila datang musim kering dan kemarau. Walaupun zaman sekarang kita duduk di hutan batu, namun begitulah yang terjadi dahulu sampai sekarang. Allah ‎ﷻ menyebut tentang pokok dan api di dalam Waqiah: 71&72

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ (٧١) ءَأَنتُمۡ أَنشَأۡتُمۡ شَجَرَتَہَآ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنشِـُٔونَ (٧٢)
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (71) Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (72)

Di sini Allah ‎ﷻ hendak membantah hujah Musyrikin Mekah yang tidak dapat menerima kehidupan akan datang daripada tulang belulang yang telah mati. Seolah-olah Allah ‎ﷻ tidak berkuasa untuk menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Namun ‎Allah ‎ﷻ kata bagaimana dengan pokok-pokok itu yang telah mati, tetapi masih lagi boleh mengeluarkan api? Allah ‎ﷻ boleh menjadikan api daripada pokok yang mati, maka Allah ‎ﷻ juga boleh menghidupkan manusia yang telah mati. Malah yang lebih hebatnya pokok yang masih hijau lagi pun Allah ‎ﷻ boleh keluarkan api daripadanya. Maka ini adalah perumpamaan kepada Kebangkitan: Sebagaimana api (sifatnya panas dan kering) boleh keluar daripada pokok hijau (sifatnya sejuk dan basah), begitu juga kehidupan (roh) boleh dikembalikan kepada jasad yang telah mati dan hancur.

Namun ini bukan kali pertama Allah ‎ﷻ sebut pokok dalam surah ini, bukan? Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang tanaman dan buah-buahan di dalam ayat 34 & 35

وَجَعَلۡنَا فِيهَا جَنَّـٰتٍ۬ مِّن نَّخِيلٍ۬ وَأَعۡنَـٰبٍ۬ وَفَجَّرۡنَا فِيہَا مِنَ ٱلۡعُيُونِ (٣٤) لِيَأۡڪُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦ وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡ‌ۖ أَفَلَا يَشۡڪُرُونَ
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, (34) Supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan daripada apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur? (35)

Kita telah katakan bahawa ayat-ayat itu memberi gambaran kepada SYURGA kerana di syurga ada banyak pokok dan buah-buahan. Akan tetapi kali ini disebut pokok dan dikaitkan pula dengan api الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا (pokok hijau yang boleh mengeluarkan api). Maka ini mengingatkan kita kepada NERAKA pula. Jadi Allah ‎ﷻ menaikkan semangat kita dengan syurga dan menakutkan kita dengan neraka pula di sini.

 

فَإِذآ أَنْتُمْ مِّنْهُ تُوقِدُونَ

Maka kamu daripadanya nyalakan api

Pokok adalah satu kehidupan yang asalnya menghijau, kemudian menjadi kering dan reput. Ia memberi isyarat kepada kehidupan – manusia daripada kecil menjadi dewasa dan di hujung usia akan menjadi tua dan berkedut juga. Jadi pokok itu boleh menghijau tetapi dalam masa yang sama juga, ia juga boleh mengeluarkan api – isyarat kepada kematian. Kehidupan dan kematian ada dua perkara yang berdekatan sahaja. Hendaklah kita sentiasa mengingati mati. Dari hidup ke mati, bukannya jauh pun. Sekelip mata sahaja ia boleh terjadi.

Tadi kita telah sebut disebut pokok di dalam ayat ini mengingatkan kita kepada neraka. Akan tetapi bukan itu sahaja. Apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang pokok di dalam ayat 35 sebelum, Allah ‎ﷻ sebut Allah ‎ﷻ yang buat pokok-pokok itu وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡ‌ۖ (dan tidaklah mereka membuatnya dengan tangan mereka). Di dalam ayat 80 ini, Allah ‎ﷻ sebut kita yang nyalakan api itu أَنْتُمْ مِّنْهُ تُوقِدُونَ (kalian daripadanya menyalakan api). Ada pengajaran di sini, iaitu yang memasukkan kita ke dalam neraka adalah diri kita sendiri dengan perbuatan kita. Sedangkan untuk masuk ke dalam syurga itu mudah kerana memang Allah ‎ﷻ hendak memasukkan kita ke dalam syurga. Namun dengan tangan kita dan usaha kita sendiri, menyebabkan kita dimasukkan ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Qasas: 84 

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Barangsiapa datang dengan membawa kebaikan, maka baginya (balasan) yang lebih baik daripada itu; dan barangsiapa datang dengan membawa kejahatan, maka tidaklah dibalaskan kepada orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu melainkan (setimpal) dengan apa yang selalu mereka kerjakan.”


 

Yaasin Ayat 81: Ini satu lagi dalil untuk manusia untuk mengatakan Allah ‎ﷻ berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia selepas matinya. 

أَوَلَيسَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم ۚ بَلىٰ وَهُوَ الخَلّٰقُ العَليمُ

Sahih International

Is not He who created the heavens and the earth able to create the likes of them? Yes, [it is so]; and He is the Knowing Creator.

Malay

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Dia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Tidakkah Dia Dzat yang menciptakan tujuh langit dan bumi

Allah ‎ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Mereka pun terima yang Allah ‎ﷻ adalah Pencipta alam, bukan? Maka kalau alam yang sebegini besar pun Allah ‎ﷻ boleh cipta, tentulah Allah ‎ﷻ berkemampuan untuk menghidupkan kembali manusia. Apalah sangat kalau dibandingkan penciptaan manusia itu dengan penciptaan langit dan bumi? Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ghafir: 57

لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ
Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. 

 

بِقٰدِرٍ

dengan kuasa-Nya

Allah ‎ﷻ boleh buat kerana Allah ‎ﷻ memiliki Qudrat yang Maha Berkuasa. Manusia memang tidak boleh cipta seperti Allah ‎ﷻ. Jadi jangan bandingkan kelemahan manusia dengan qudrat Allah. Kita tidak berkuasa tetapi Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa.

 

عَلَىٰ أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ

boleh menciptakan seperti mereka? 

Kalau Allah ‎ﷻ boleh mencipta alam yang maha luas ini, takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh mencipta semula manusia sebagaimana Dia telah menciptakan manusia pertama kali dahulu? Tentulah Dia berkebolehan menghidupkan kembali manusia. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Ahqaf: 33

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya (bahkan) sesungguhnya Dia Maha kuasa atas segala sesuatu.

 

بَلَىٰ وَهُوَ الْخَلَٰقُ الْعَلِيمُ

Bahkan benar, dan Dialah yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ mampu untuk mengumpulkan kembali tulang belulang mereka dan menghidupkan kembali mereka, tetapi yang lagi susah daripada itu pun Allah ‎ﷻ mampu. Allah ‎ﷻ mampu mengembalikan cap jari mereka. Setiap manusia daripada mula kehidupan sampai kiamat nanti, mempunyai cap jari yang berbeza. Namun Allah ‎ﷻ mampu mengembalikannya seperti disebut di dalam Qiyamah: 3-4

أَيَحۡسَبُ ٱلۡإِنسَـٰنُ أَلَّن نَّجۡمَعَ عِظَامَهُ ۥ (٣) بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُ ۥ (٤)
Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus daripada yang lain). (4)

Allah ‎ﷻ mampu melakukan semua ini kerana Dia adalah الْخَلَّاقُ – Maha Pencipta. Kalimah الْخَلَّاقُ adalah di dalam bentuk mubalaghah sebab kalau pencipta biasa sahaja disebut الخالق. Kalimah الْخَلَّاقُ bermaksud mencipta dengan banyak dan berkali-kali. Begitulah Allah ‎ﷻ telah mencipta dari dulu sampai sekarang. Sama ada benda yang kita tahu atau benda yang tidak tercapai oleh daya imaginasi kita. Allah ‎ﷻ pula bukannya mencipta satu persatu tetapi Dia boleh buat banyak sekaligus entah berjuta benda sekali buat.

Bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ juga menyebutkan Sifat-Nya الْعَلِيمُ – Maha Mengetahui. Selepas Dia cipta kita, Dia tahu apa yang kita perlukan. Maka Dia telah memberikan apa-apa sahaja keperluan kita untuk hidup di dunia ini kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu keperluan hidup kita. Kemudian, selepas mencipta kita, Dia tahu kita di mana dan buat apa. Maka sifat الْعَلِيمُ ini perlu untuk mencipta semula makhluk yang telah lama mati.

Mungkin ada yang rasa ayat-ayat ini tidak penting. Kerana bukankah ia hendak menegur Musyrikin Mekah? Jadi kenapa kita perlu mentadabburi ayat-ayat ini? Kita sudah terima bukan yang memang Allah ‎ﷻ mampu menghidupkan yang telah mati? Jangan kita sangka ia tidak bermakna kepada kita. Kita pun kena selalu baca ayat-ayat ini kerana ia mengingatkan kita kepada kematian. Kerana walaupun kita kononnya telah yakin yang Allah ‎ﷻ pasti akan menghidupkan kita yang telah mati, tetapi bukankah di dalam kehidupan kita, kita seolah-olah lupa yang kita akan hidup kembali dan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan kita semasa di dunia? Bukankah kita sekarang tidak takut pun untuk membuat dosa?


 

Yaasin Ayat 82: Adakah susah bagi Allah ‎ﷻ untuk mencipta? Tidak. Ini adalah salah satu cara penciptaan yang Allah ‎ﷻ gunakan.

إِنَّمآ أَمرُهُ إِذآ أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

 
Sahih International

His command is only when He intends a thing that He says to it, “Be,” and it is.

Malay

Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.

 

إِنَّمَآ أَمْرُهُ إِذَآ أَرَادَ شَيْئًا

Sesungguhnya apabila Allah sudah buat keputusan berkehendak sesuatu

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak (iradah) sepertimana kita juga ada kehendak. Akan tetapi kehendak kita dan kehendak Allah ‎ﷻ tidak sama.

 

أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ

hanya Dia perlu kata kepada benda yang Dia hendak cipta itu: Jadi!

Bila kita berkehendak, tidak semestinya kehendak kita itu akan dipenuhi. Namun kehendak Allah ‎ﷻ akan dipenuhi dengan sempurna. Allah ‎ﷻ cakap ‘kun’ sahaja, maka terjadilah perkara itu. Kalau begini mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menjadikan sesuatu apa pun, tentulah mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula manusia.

 

فَيَكُونُ

maka jadilah ia. 

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ hanya Dia memerintahkan sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu kepada pengulangan dan bantuan daripada apa-apa pun. Juga tidak memerlukan satu proses kejadian yang susah. Kalau kita yang mencipta sesuatu, kita kena cari bahan mentah, kena adun bahan-bahan itu, kena menggunakan peralatan lain, kena guna tenaga dan perah otak untuk menjadikan sesuatu. Akan tetapi senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ kalau hendak jadikan sesuatu, Dia hanya berkehendak sahaja.

Maka di sini Allah ‎ﷻ beritahu kita yang mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah dimatikan. Sebagaimana mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk mematikan kita semua seperti disebut di dalam ayat 49 sebelum ini,

ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ
Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

Namun begitu, kena ada penjelasan sedikit tentang ayat ini. Kalau silap tafsir ayat ini, akan jadi salah faham. Apabila Allah ‎ﷻ mahukan sesuatu, adakah perlu Dia berkata ‘kun’, baru terjadi benda itu? Sebenarnya, apabila Dia berkehendak/ingin sahaja, terus jadi. Tidak perlu Dia berkata ‘kun’. Maknanya, tujuan ayat ini hendak memberitahu mudahnya Allah ‎ﷻ menjadikan sesuatu. Bukanlah kalau Allah ‎ﷻ mahu menjadikan janin manusia, Dia kena berkata ‘kun’, untuk besarkan sikit, kena kata ‘kun’ dan seterusnya; Allah ‎ﷻ tidak perlu buat begitu. Kejadian itu boleh jadi dalam bentuk serta merta atau mengambil masa, ikut kehendak Allah ‎ﷻ. Sepertimana Allah ‎ﷻ menjadikan malaikat dengan serta merta, tidak perlu ibu bapa.

Sebaliknya dalam penciptaan manusia, sembilan bulan barulah beranak. Tidak sempurna lagi seseorang manusia masa itu. Itu baru lahir sahaja dan selepas itu baru boleh meniarap, berjalan dan sebagainya. Maknanya, itu adalah jenis penciptaan yang mengambil masa. Maka Allah ‎ﷻ menceritakan tentang ‘kun fayakun’ ini kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kekuasaan-Nya. Ia sebagai perumpamaan mudahnya Allah ‎ﷻ menciptakan sesuatu. Kalau Allah ‎ﷻ mahu menjadikan manusia serta-merta pun boleh, sepertimana Allah ‎ﷻ menjadikan malaikat. Begitulah nanti Allah ‎ﷻ akan bangkitkan semula makhluk di Mahsyar kelak – terus bangkit sahaja, tidak perlu dilahirkan semula dan melalui proses bermula daripada bayi pula. Keluar sahaja dari kubur terus sudah dewasa.

Keseluruhan Bukti-bukti yang disebut di dalam Surah Yaasin

 

Yaasin Ayat 83: Allah ‎ﷻ simpulkan semua sekali dalam ayat ini. Jadi ini adalah khulasah surah ini.

فَسُبحٰنَ الَّذي بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

So exalted is He in whose hand is the realm of all things, and to Him you will be returned.

Malay

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

 

فَسُبْحٰنَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ

Maha Suci Tuhan, Dzat yang di Tangan-Nya sahaja kekuasaan segala sesuatu; 

Subhanallah – Allah ‎ﷻ itu suci dan bebas daripada segala sifat kekurangan dan keburukan. Suci daripada kata-kata tuduhan buruk dan keji daripada golongan yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak mampu membangkitkan makhluk yang telah lama mati. Hanya kepada-Nya kembali segala urusan. Hak-Nya menciptakan dan memerintah alam ini.

Oleh itu, kesimpulan daripada Surah Yaasin ini, kita hendaklah bertasbih dan memuji Allah ‎ﷻ di atas segala kehebatan-Nya dan kemurahan-Nya kepada kita. Kita kena mengagungkan Allah ‎ﷻ dalam segenap hal. Jangan kita ada sedikit pun rasa sangsi dengan kemampuan Allah ‎ﷻ untuk mencipta atau melakukan apa sahaja.

Juga hendaklah kita beriktikad yang segala kerajaan adalah بِيَدِهِ (dalam tangan-Nya). Sekali lagi kita jumpa perkataan ‘tangan Allah’ seperti yang telah disebut di dalam ayat 71 sebelum ini. Kita telah bincangkan tentang apakah maksudnya. Penggunaan perkataan بِيَدِهِ menunjukkan Dia berkuasa penuh. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Ini seperti kita ada memegang kunci di tangan kita, maka kita boleh buat apa-apa sahaja dengan kunci itu. Maka Allah ‎ﷻ boleh buat apa-apa sahaja dengan alam ini ikut apa yang Dia suka.

Ia juga bermakna Allah ‎ﷻ berkuasa penuh kerana kerajaan itu di tangan-Nya. Kalau benda di tangan kita, ia tidak di tangan orang lain. Ini bermakna Allah ‎ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya itu dengan sesiapa pun. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan wakil untuk mentadbir alam ini. Allah ‎ﷻ sendiri yang mengurus alam ini. Jadi kalau ada kefahaman yang Allah ‎ﷻ lantik para wali atau malaikat untuk menjadi wakil dalam mentadbir alam ini, itu adalah fahaman syirik (Syirk fi tasarruf – pengurusan).

Apakah yang Allah ‎ﷻ kuasai? Semua Allah ‎ﷻ miliki di dalam alam ini dengan penggunaan istilah مَلَكُوتُ. Sama ada kecil atau besar, semuanya di dalam kerajaan Allah. Kalimah مَلَكُوتُ adalah di dalam isim mubalaghah dan kerana itu kalimah مَلَكُوتُ lebih kuat daripada kalimah مُلكُ yang biasa digunakan di dalam ayat lain seperti Baqarah: 107

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?

Dalam konteks Al-Qur’an dan bahasa Arab, kalimah مَلَكُوتُ (Malakut) sering dianggap memiliki makna yang lebih luas, lebih mendalam, dan lebih besar daripada kalimah مُلْكٌ (Mulk) atau مَلِكٌ (Malik). Meskipun ketiga kata ini berasal daripada akar kata yang sama (م ل ك), perbezaan pada wazannya (bentuk morfologi) memberikan nuansa makna yang berbeza. Mari kita kupas perbezaannya:

Perbandingan Makna Kalimah

1. مُلْكٌ (Mulk):

    • Makna Asas: Bermaksud kerajaan, kekuasaan, pemerintahan, atau kepemilikan yang bersifat zahir (tampak) dan nyata.
    • Fokus: Lebih kepada aspek kekuasaan dan kepemilikan duniawi yang terlihat dan dipegang oleh makhluk, meskipun pada hakikatnya semua adalah milik Allah ‎ﷻ.

2. مَلِكٌ (Malik):

    • Makna Asas: Bermaksud raja, penguasa, atau pemilik. Ia adalah sifat bagi seseorang yang memiliki “mulk”.
    • Fokus: Lebih kepada personaliti atau entiti yang memiliki kekuasaan.
    • Contoh: “Maliki Yawm al-Din” (Raja Hari Pembalasan). Ini merujuk kepada Allah ‎ﷻ sebagai Raja dan Pemilik mutlak pada Hari Kiamat.

3. مَلَكُوتُ (Malakut):

    • Makna Asas: Ini adalah bentuk mubalaghah (hiperbola) atau penambahan makna daripada mulk. Ia bermaksud kekuasaan yang sangat besar, kekuasaan mutlak, kerajaan yang meliputi segala-galanya, baik yang zahir mahupun yang ghaib, yang tampak mahupun yang tidak tampak. Ia menunjukkan kekuasaan ilahiah yang meliputi seluruh alam semesta.
    • Fokus: Meliputi aspek kekuasaan dan kepemilikan yang sempurna, mendalam, dan menyeluruh, termasuk dimensi alam ghaib yang tidak terjangkau oleh panca indera manusia. Ia adalah kekuasaan yang sejati, hakiki, dan mutlak milik Allah ‎ﷻ.

Kalau kerajaan di dunia, manusia boleh lagi merampasnya daripada seorang raja atau presiden itu. Nampak macam raja atau presiden itu berkuasa ketika itu (walaupun pada hakikatnya tidaklah dia berkuasa sebenarnya). Namun kalau مَلَكُوتُ Allah, tidak ada sesiapa yang boleh buat apa-apa. Itu adalah hak mutlaq Allah . مَلَكُوتُ Allah ‎ﷻ itu meliputi seluruh alam ini kerana semua kerajaan dalam alam ini adalah hak Allah ‎ﷻ.

Perkataan مَلَكُوتُ juga bermakna penguasaan Allah ‎ﷻ itu bukan hanya penguasaan fizikal sahaja. Sebagai contoh, seorang tuan boleh menguasai hambanya; dia boleh suruh hamba itu buat kerja dan sebagainya. Namun dia tidak dapat mengawal perasaan hamba itu. Dia tidak boleh arahkan hamba itu untuk suka atau duka. Sebaliknya penguasaan Allah ‎ﷻ berbeza; penguasaan Allah ‎ﷻ adalah menyeluruh. Dia boleh memberi kita kesihatan dan sakit, suka atau gembira, tenang atau risau dan sebagainya. Tidak tercapai dalam pemikiran kita setakat mana penguasaan Allah ‎ﷻ atas kita.

Ini bukan pertama kali Allah ‎ﷻ sebut pemilihan di dalam surah ini. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam ayat 71

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينآ أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

Pemilikan makhluk ke atas makhluk yang lain memang ada, namun terhad. Kerana itu sekarang Allah ‎ﷻ gunakan kalimah مَلَكُوتُ untuk memberitahu segala apa yang ada dalam alam ini sebenarnya milik Allah ‎ﷻ sepenuhnya.

Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan istilah kekuasaan di sini? Kita suka kalau dapat berkawan dengan orang yang berkuasa, bukan? Maka, siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi yang lebih berkuasa daripada-Nya. Orang-orang yang beriman dahulu seperti para Nabi dan para sahabat telah merapatkan diri mereka dengan Allah ‎ﷻ. Mereka dapat rasa bagaimana Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan mereka. Mereka tahu bahawa segalanya ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Kerana itulah mereka tidak takut apa-apa daripada makhluk kerana mereka telah berdamping yang paling berkuasa di dalam alam ini. Kalau ada masalah apa-apa, mereka akan terus melakukan solat dan mengangkat tangan untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka rasa cukup dengan ada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka telah menyerahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka telah redha Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan mereka seperti yang disebut di dalam hadith daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «مَنْ قَالَ: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ»
“Barangsiapa yang mengucapkan: ‘Aku redha Allah sebagai Rabbku, Islam sebagai agamaku, dan Muhammad sebagai Nabi (dan Rasul)ku,’ maka wajib baginya syurga.”
Imam Muslim dalam Sahihnya (Kitab Adz-Dzikr wa Ad-Du’a wa At-Taubah wal Istighfar), Nombor 1884.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kamu semua akan dikembalikan kepada-Nya;

Sama ada kamu taat kepada-Nya atau tidak, kepada Dia juga kamu akan dikembalikan. ِPerhatikan kalimah إِلَيْهِ ditaqdimkan (diawalkan). Susunan biasa adalah تُرْجَعُون إِلَيْهِ. Apabila ditaqdimkan begitu, ia membawa isyarat eksklusif yang bermaksud *hanya* kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita semua akan dikembalikan. Kita akan mengadap Allah ‎ﷻ dan tidak ada sesiapa yang boleh menjadi penghalang dan peguam bagi kita. Tidak ada Nabi, tidak ada wali yang akan menyelamatkan kita. Sebagai contoh, kalau penganut Kristian, mereka sangka mereka akan bertemu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda akan menyelamatkan mereka. Kalau pengikut tarekat pula, mereka sangka Tok Sheikh mereka akan menunggu mereka di akhirat dan akan menjadi penaung mereka nanti. Ia tidak jadi begitu. Terkejutlah nanti puak-puak tarekat itu.

Apabila kalimah تُرْجَعُون digunakan dan bukan تَرْجِعُون, ia bermaksud mereka itu dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ sama ada mereka suka atau tidak. Ini kerana kalimah تُرْجَعُون adalah di dalam bentuk pasif. Mereka tidak ada daya untuk mengelak daripada dibawa mengadap Allah ‎ﷻ. Orang kafir memang amat menyesal dan kalau boleh, mereka tidak mahu dihadapkan. Kerana itu disebut di dalam Naba’: 40, mereka berharap mereka untuk menjadi tanah sahaja.

إِنَّا أَنذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu azab yang dekat, pada hari (ketika) manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: ‘Alangkah baiknya kiranya aku dahulu adalah tanah’.”

Apabila kembali kepada Allah ‎ﷻ, Dia akan membalas makhluk sesuai dengan amalan dan iman mereka. Inilah yang amat penting untuk kita ingat sentiasa. Kita semua akan kembali kepada-Nya. Sama ada hari ini atau esok, kita tidak tahu, tetapi ia pasti akan terjadi. Tidak ada manusia yang tidak mati. Semuanya akan mati nanti akhirnya dan akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan daripada-Nya. Maka kita perbaikilah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dan amalan kita semasa kita masih hidup lagi ini.

Begitulah Allah ‎ﷻ menutup surah ini dengan mengingatkan kita semua yang kita akan dikembalikan kepada-Nya nanti. Dulu kita sudah baca dakwah dan peringatan daripada Lelaki Beriman yang mengingatkan perkara ini di dalam ayat 22

وَما لِىَ لا أَعبُدُ الَّذى فَطَرَنى وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan?

Namun apabila Lelaki itu beri peringatan, kaumnya yang kufur itu tidak boleh terima dan akhirnya mereka telah membunuh beliau. Nah, sekarang Allah ‎ﷻ pula beri peringatan. Hendak lihat apa yang golongan penentang boleh buat?

 

Mari kita lihat Struktur Cincin bagi ayat 69 – 83 ini. Ia bercakap tentang Al-Qur’an dan Takdir Allah.

Kaitan antara bahagian: 

[Q]/[Q’] – Bahagian [Q] menyebut tentang Kalamullah (Al-Qur’an) dan Bahagian [Q’] menyebut arahan Allah ‎ﷻ (Qadarullah). Al-Qur’an adalah cara utama bagi kita mengetahui Qadarullah.

[R]/[R’] – Di Bahagian [R] Allah ‎ﷻ menyebut jasa-Nya di dalam penciptaan iaitu Allah ‎ﷻ telah memberi kita dengan binatang ternak. Di Bahagian [R’] sekali lagi Allah ‎ﷻ menyebut jasa-Nya di dalam penciptaan dan kali ini disebut penciptaan pohon yang boleh dijadikan api dan bermanfaat bagi manusia.

[S]/[S’] – Di dalam Bahagian [S] Allah ‎ﷻ menyebut tentang bodohnya manusia yang mengambil ilah selain Allah ‎ﷻ sedangkan ilah-ilah itu semua bukannya boleh membantu mereka pun. Sekali lagi disebut kebodohan manusia di dalam [S’] apabila mereka lupa kejadian mereka sendiri (yang dicipta daripada tiada kepada ada) dan sekarang mempersoalkan siapa yang boleh menghidupkan kembali tulang belulang yang telah hancur.

[T] – Di Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang kata-kata manusia. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan hiraukan kata-kata mereka sebaliknya beri perhatian kepada Kalamullah yang disebut di dalam [Q]/[Q’].

 

Allahu a’lam. Sambung ke penutup tafsir surah ini.

Kemaskini: 2 Julai 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Yaasin Ayat 77 – 79 (Mudah sahaja Allah ‎ﷻ cipta kembali)

KUASA ALLAH ‎ﷻ UNTUK MEMBANGKITKAN MAKHLUK YANG TELAH MATI

Yaasin Ayat 77: Sebelum ini telah disebut golongan penentang itu cakap di luar lain daripada apa yang di dalam hati mereka. Kenapa mereka begitu? Kerana kesombongan yang ada dalam diri mereka. Maka sekarang Allah ‎ﷻ mahu mengingatkan mereka asal kejadian mereka. Jadi jangan hendak sombong sangat lah.

أَوَلَم يَرَ الإِنسٰنُ أَنّا خَلَقنٰهُ مِن نُّطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُّبينٌ

Sahih International

Does man not consider that We created him from a [mere] sperm-drop – then at once he is a clear adversary?

Malay

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia daripada (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

 

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسٰنُ أَنَّا خَلَقْنٰهُ

Tidakkah seorang insan itu melihat bahawasanya Kami telah menciptakannya; 

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dialah yang mencipta manusia. Maka tentu sekali Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya tentang mereka. Adakah mereka lupa yang mereka itu dicipta oleh Siapa?

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan iltifat (pertukaran) kata ganti nama di sini. Di awal surah ini, Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada mereka untuk memberikan peringatan kepada mereka. Akan tetapi, apabila mereka berdegil, Allah ‎ﷻ membahasakan mereka dalam pihak ketiga – هم (mereka). Namun ini sudah sampai kepada tahap Allah ‎ﷻ tidak membahasakan mereka dalam pihak ketiga pun – Allah ‎ﷻ hanya sebut ‘manusia’ sahaja. Itu menunjukkan Allah ‎ﷻ sudah murka sangat.

Kalau dilihat asbabun nuzul ayat ini, ia ditujukan kepada pemuka-pemuka Quraish yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Akan tetapi dalam zaman sekarang, ia digunakan untuk mereka yang mempunyai sifat seperti mereka.

Insan

Di dalam ayat 15, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah بَشَرٌ untuk merujuk kepada manusia,

قالوا ما أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِّثلُنا
Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga

Akan tetapi di dalam ayat ini digunakan istilah الْإِنْسٰنُ pula yang juga merujuk kepada manusia. Kemudian di tempat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah النّاسِ pula yang juga merujuk kepada manusia. Kenapa ada perbezaan itu? Seperti yang kita tahu, penggunaan istilah oleh Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an mesti tepat dan mengandungi maksud yang tersirat. Ringkasnya, الْإِنْسٰنُ dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah. Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia. Sedangkan النّاسِ digunakan apabila menyebut manusia sebagai makhluk sosial. Manakala بَشَرٌ memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi.

Istilah الْإِنْسٰنُ disebut sebanyak 65 kali dalam Al-Qur’an. Kita boleh mengelompokkan konteks الْإِنْسٰنُ dalam tiga kategori, iaitu:

    • Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.
    • Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.
    • Ketiga, insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.

Kecuali kategori ketiga yang akan kita jelaskan kemudian, semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual. Pada kategori pertama, kita melihat keistimewaan manusia sebagai wujud yang berbeza dengan haiwani. Menurut Al-Qur’an, manusia adalah makhluk yang diberi ilmu. Perhatikan ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥) (Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)) [Alaq: 4-5] dan خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣) عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ (٤) (Dialah yang telah menciptakan manusia. (3) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (4)) [Rahmaan: 3-4]. Manusia diberi kemampuan mengembangkan ilmu dan daya fikirnya. Kerana itu juga, kata الْإِنْسٰنُ berkali-kali dihubungkan dengan kata نظر nazhar. Insan disuruh menazhar (merenungkan, memikirkan, menganalisis, meneliti) perbuatannya: يَوْمَ يَتَذَكَّرُ الْإِنسَانُ مَا سَعَىٰ (Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya) [Nazi’at: 35]

Kedua, manusia adalah makhluk yang memikul amanah: إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ (Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia) [Ahzab: 72]. Di dalamnya terkandung makna khilafah, manusia sebagai pemikul al-wilayah al-ilahiyyah. Amanah inilah yang dalam ayat-ayat lain disebutkan sebagai perjanjian (مِيثَاقَ). Contoh مِيثَاقَ adalah seperti disebut di dalam Maidah: 7: وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثَاقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taati.’ Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati (mu).)

Ketiga, kerana manusia memikul amanah, maka insan di dalam Al-Qur’an juga dihubungkan dengan konsep tanggungjawab (taklif). Rujuk Qiyamah: 36 أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى (Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan?) Manusia diperintah untuk berbuat baik; amalnya dicatat dengan teliti untuk diberi balasan, sesuai dengan apa yang dikerjakannya.

Keempat, dalam menyembah Allah ‎ﷻ, insan sangat dipengaruhi oleh lingkungannya. Apabila dia ditimpa musibah, dia cenderung menyembah Allah ‎ﷻ dengan ikhlas; apabila dia memperoleh keuntungan, dia cenderung sombong, takbur, bahkan musyrik. Lihat Yunus: 12 وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ (Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya)

Dalam kategori kedua, kata الْإِنْسٰنُ dihubungkan dengan ciri negatif pada diri manusia. Menurut Al-Qur’an, manusia itu,

a. cenderung zalim dan kafir seperti disebut di dalam Ibrahim: 34 إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari;

b. tergesa-gesa, terburu-buru seperti disebut di dalam Isra‘: 11 وَيَدعُ الإِنسٰنُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa;

c. bakhil seperti disebut dalam Isra‘: 100 قُل لَّو أَنتُم تَملِكُونَ خَزَآٮِٕنَ رَحمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمسَكتُم خَشيَةَ ٱلإِنفَاقِ‌ۚ وَكَانَ ٱلإِنسَـٰنُ قَتُورًا Katakanlah: “Kalau seandainya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya perbendaharaan itu kamu tahan, kerana takut membelanjakannya”. Dan adalah manusia itu sangat kikir;

d. bodoh seperti disebut di dalam Ahzab: 72 إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh;

e. banyak menafikan atau membantah seperti disebut di dalam Kahfi: 54 وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya;

f. resah, gelisah, dan enggan membantu seperti disebut di dalam Ma‘aarij: 19 إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).

g. ditakdirkan untuk bersusah payah dan menderita seperti disebut di dalam Insyiqaaq: 6 يا أَيُّهَا الإِنسانُ إِنَّكَ كادِحٌ إِلىٰ رَبِّكَ كَدحًا فَمُلاقيهِ Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya;

h. tidak berterima kasih seperti disebut di dalam ’Aadiyaat: 6 إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya;

i. berbuat dosa seperti disebut di dalam ’Alaq: 6 كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas;

j. meragukan hari akhirat seperti disebut di dalam Maryam: 66 وَيَقولُ الإِنسٰنُ أَءذا ما مِتُّ لَسَوفَ أُخرَجُ حَيًّا Dan manusia (yang kafir) berkata: “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”; 

Apabila dihubungkan dengan sifat-sifat manusia pada kategori pertama, insan menjadi makhluk paradoks, yang berjuang mengatasi konflik dua kekuatan yang saling bertentangan: kekuatan mengikuti fitrah (memikul amanah Allah ‎ﷻ) dan kekuatan mengikut ciri negatif.

Kedua-dua kekuatan ini digambarkan dengan kategori ketiga. Menariknya, proses penciptaan manusia atau asal kejadian manusia dinisbahkan kepada konsep insan dan basyar sekaligus. Sebagai insan, manusia diciptakan daripada tanah liat, intipati tanah, tanah (Hijr: 26; Rahman: 14; Mukminun: 12; Sajdah: 7). Demikian juga basyar berasal daripada tanah liat, tanah (Hijr: 28; Sad: 71; Rum: 20) dan air (Furqan: 54). Ini dapat disimpulkan bahawa proses penciptaan manusia menggambarkan secara simbolik perwatakan basyari dan perwatakan insani. Yang pertama, unsur material dan yang kedua, unsur rohani. Yang pertama, unsur basyari, yang kedua unsur insani. Kedua-duanya harus bergabung dalam keseimbangan. “Tidak boleh (seorang mukmin) mengurangi hak-hak tubuh untuk memenuhi hak roh, dan tidak boleh dia mengurangi hak-hak roh untuk memenuhi hak tubuh,” kata Abbas Mahmud al-’Aqqad.

مِن نُّطْفَةٍ

daripada sperma;

Inilah asal kejadian manusia, iaitu daripada air mani sahaja. Manusia sebenarnya dijadikan bukan daripada air mani, tetapi daripada sperma yang satu daripada banyak-banyak sperma yang ada dalam air mani itu. Namun secara umumnya sperma itu ada di dalam air mani itulah, maka selalunya terjemahan akan sebut ‘air mani’ sahaja. Maka di sini Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia yang Dia telah menjadikan manusia daripada sesuatu yang hina iaitu air mani. Kalau air mani itu jatuh menitik ke bumi, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Kalau terkena pada pakaian kita pun cepat-cepat isteri kita basuh kerana ia dikira sebagai kotor. Keluar pula air mani itu dari tempat keluar air kencing sahaja.

Namun begitu Allah ‎ﷻ telah menjadikan daripada air manilah itu janin yang membesar di dalam rahim ibunya sehingga sampai masa ia boleh keluar. Keluar daripada ibu pun dari tempat keluar darah haid ibu itulah juga. Allah ‎ﷻ beri segala keperluan manusia itu sehingga dia bersifat sempurna. Sewaktu baru lahir itu apa pun tidak tahu, tidak boleh buat. Hendak makan minum kena disuap. Berak merata-rata sampaikan bersusah payah ibu bapa untuk menjaganya dan dipakaikan lampin. Nasib baik comel sahaja  yang menyebabkan ibubapa sanggup menjaganya walaupun menghabiskan duit sahaja tanpa membuat kerja apa-apa. Dari kaki dan tangan yang pendek, akhirnya manusia itu mempunyai rupa yang elok dan Allah ‎ﷻ telah memberikan akal kepada mereka. Asalnya tidak tahu apa-apa tetapi Allah ‎ﷻ yang mengajarnya bermacam-macam perkara boleh faham sehingga bermacam-macam perkara mampu buat. Manusia itu rasa dia hebat sampaikan dia lupa dia dulu berasal daripada air mani sahaja.

 

فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ

Maka mereka tiba-tiba bila sudah jadi manusia, mereka menjadi pembantah yang jelas;

Mereka dijadikan daripada air mani sahaja, tetapi apabila sudah besar sikit, mereka boleh berkata-kata, boleh berbicara. Hebat sekali penciptaan Allah ‎ﷻ dan bagaimana Allah ‎ﷻ membentuk dan membesarkan manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Insan: 2

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

Akan tetapi kemudian mereka membantah Allah ‎ﷻ dengan mengatakan perkara yang salah tentang Allah ‎ﷻ. Antaranya, mereka kata Allah ‎ﷻ memerlukan perantaraan dalam berdoa, atau mereka berkata kalau orang yang banyak dosa, Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa hamba itu; dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka amat jauh daripada wahyu dan kerana itu mereka reka pemahaman sendiri tentang Allah ‎ﷻ. Padahal Allah ‎ﷻ tidak sebut tentang itu dalam mana-mana wahyu.

Perkataan خَصِيمٌ itu digunakan untuk merujuk kepada orang yang menentang dengan keras. Mereka amat sombong sampaikan mereka sanggup melawan dengan kuat, dengan jeritan dan sifat yang degil. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan itu. Ini jenis yang kalau kita minta dia sabar, dia akan jerit balik kepada kita: “Apa sabar sabar?!” Berani sungguh dia buat begitu sedangkan yang dia lawan itu adalah kebenaran. Namun fikirannya telah dikelabui oleh kesombongan dirinya. Dia lupa asal kejadiannya dulu yang dijadikan daripada air mani yang hina.

Diriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ashi bin Wa’il As-Sahmi (ayah daripada Amr bin Ash, yang kemudian masuk Islam). Ashi bin Wa’il pernah mendatangi Rasulullah ﷺ dengan membawa tulang belulang yang sudah lapuk dan hancur, lalu dia meremukkannya di hadapan Nabi ﷺ dan menaburkan serpihannya di udara. Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau mendakwa bahawa Rabbmu akan menghidupkan kembali ini setelah ia lapuk dan hancur?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Ya, Allah akan menghidupkan kembali ini, dan Dia akan mematikanmu, kemudian menghidupkanmu, dan kemudian memasukkanmu ke dalam neraka.”

Riwayat ini disebutkan oleh para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir Ath-Thabari, Ibnu Katsir, dan lainnya dalam tafsir mereka, merujuk pada beberapa jalur periwayatan meskipun mungkin ada perbezaan darjat kesahihannya, namun kisah ini sangat masyhur. Ada juga yang mengatakan bukan Ashi bin Wa’il yang dimaksudkan akan tetapi Ubai bin Khalaf. Maka, setelah peristiwa ini, turunlah ayat 77 hingga akhir surah, yang berbicara tentang penciptaan manusia, kemampuan Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali yang telah mati, dan tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ di alam semesta.

Sekali lagi kita lihat sifat خَصِيمٌ manusia disebut. Sebelum ini telah disebut di dalam kisah kejadian Kiamat di dalam ayat 49,

مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ
“Mereka tidaklah menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar/berbantah.”

Walaupun kedua-dua kalimah خَصِيمٌ dan يَخِصِّمُونَ itu disebut di dalam konteks yang berbeza, akan tetapi ada persamaan antara keduanya, iaitu menceritakan sifat manusia yang suka bertengkar,

    • Mereka bertengkar tentang kebenaran risalah.
    • Mereka bertengkar tentang Hari Kiamat.
    • Mereka bertengkar antara sesama mereka.

Kaitan antara kedua-dua penggunaan kalimah “خَصِيمٌ” ini adalah seperti berikut:

1. Sifat Manusiawi: Kedua-duanya menyebut sifat membantah atau berdebat yang melekat pada manusia, terutamanya mereka yang mengingkari kebenaran.

2. Dari Awal Penciptaan Hingga Akhir Hayat:

    • Ayat 77 (“maka tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata“) menyebut bagaimana sifat membantah ini muncul setelah manusia diciptakan daripada ketiadaan dan diberikan akal. Ini adalah gambaran sifat dasar manusia yang cenderung membantah kebenaran, bahkan tentang asal-usul dan Penciptanya.
    • Ayat 49 (“ketika mereka sedang bertengkar/berbantah“) menunjukkan kelanjutan sifat ini hingga saat-saat terakhir kehidupan mereka di dunia, di mana mereka tetap dalam perdebatan dan penolakan terhadap kebenaran hingga azab datang mengejut.

Kedua-dua ayat ini secara kolektif menggambarkan sikap ingkar dan membantah yang ada pada sebahagian manusia terhadap kebenaran Allah ‎ﷻ, baik tentang kekuasaan-Nya dalam penciptaan dan kebangkitan, mahupun tentang peringatan akan Hari Kiamat. Ini adalah teguran daripada Allah ‎ﷻ kepada manusia agar merenungkan asal-usul dan tujuan hidup mereka, serta tidak terus-menerus membantah kebenaran yang nyata.


 

Yaasin Ayat 78: Ini adalah kata-kata mereka yang membantah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak percaya kepada kehidupan semula dan mereka berhujah dengan Rasulullah ﷺ dengan hujah yang bodoh.

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ

Sahih International

And he presents for Us an example and forgets his [own] creation. He says, “Who will give life to bones while they are disintegrated?”

Malay

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

 

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا

Dan dia membuat contoh bandingan kepada Kami;

Allah ‎ﷻ yang menjadikan mereka, tetapi mereka berani pula buat contoh misalan untuk Allah ‎ﷻ. Mereka reka sifat Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka kata Allah ‎ﷻ begini dan begitu (daripada pemahaman mereka sahaja). Mereka kata Allah ‎ﷻ memerlukan wakil dalam menerima doa daripada manusia. Mereka samakan kerajaan Allah ‎ﷻ dengan kerajaan manusia pula. Mereka kata kalau hendak jumpa Menteri terus, kita tidak boleh dan kenalah melalui orang tengah; jadi dengan Allah ‎ﷻ pun kenalah melalui ‘orang tengah’ juga (sebagai wasilah). Mereka tidak sedarkah yang ini adalah kerajaan Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ tidak pernah ajar pun kena melalui orang tengah untuk berdoa kepada-Nya. Yang Allah ‎ﷻ ajar kita dalam berdoa adalah berdoa terus kepada-Nya.

Tafsiran kedua: Kisah ini terjadi semasa zaman Rasulullah ﷺ. Mereka bawa tulang yang telah reput ke hadapan baginda dan mereka berhujah: “Siapa yang dapat menghidupkan tulang-tulang itu semula?” Ini seperti yang kita telah kongsikan kisah Ashi bin Wa’il di atas tadi. Ini adalah hujah bodoh kedua yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam surah ini yang datang daripada penentang kebenaran. Hujah bodoh sebelum ini telah disebut di dalam ayat 47

قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا أَنُطعِمُ مَن لَّو يَشاءُ اللهُ أَطعَمَهُ
maka orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman: “Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan?”

Mereka sangka mereka pandai dengan hujah mereka itu. Mereka sangka hujah mereka sudah kuat tetapi sebenarnya hujah mereka bodoh sekali kerana akal fikiran mereka telah dikelabui oleh kesombongan mereka. Hujah-hujah bodoh memang akan sentiasa sahaja ada. Contohnya golongan yang tidak kisah dengan bid’ah ada beri contoh: “Kalau tak boleh buat benda baru, puak-puak Wahabi tu kena naik unta lah… sebab Nabi tak pernah naik kereta!” Jawapan kita: ‘Kalau bodoh itu sikit-sikit tidak mengapa, tapi jangan bodoh sangat’. Yang menjadi bid’ah dan dilarang dalam agama adalah bid’ah dalam hal agama, bukan dalam hal kehidupan.

 

وَنَسِيَ خَلْقَهُ

Dan dia lupa penciptaan dia;

Mereka beri hujah bodoh itu dalam keadaan mereka lupa asal kejadian mereka daripada air mani yang hina. Mereka lupa bahawa Allah ‎ﷻlah yang menciptakan mereka mula-mula dahulu daripada tiada kepada ada. Dulu manusia tidak sebut pun nama mereka sebab tidak ada lagi seperti Insan: 1

هَل أَتىٰ عَلَى الإِنسٰنِ حينٌ مِّنَ الدَّهرِ لَم يَكُن شَيئًا مَّذكورًا
Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?

Allah ‎ﷻ sudah pernah menjadikan mereka daripada tidak ada kepada ada, daripada kecil sampai besar; daripada tidak tahu apa-apa sampai boleh bercakap dan sepatutnya boleh berfikir. Akan tetapi mereka tidak mahu berfikir untuk menerima kebenaran? Mereka beri hujah yang bodoh dan tidak masuk akal? Tidakkah mereka fikir, kalau Allah ‎ﷻ sudah pernah jadikan mereka, jadi adakah susah untuk Allah ‎ﷻ jadikan mereka semula? Tentu tidak, kerana senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ. Mereka sahaja yang sangka Allah ‎ﷻ tidak mampu untuk hidupkan mereka semula.

 

قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظٰمَ وَهِيَ رَمِيمٌ

Dia berkata: siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang ini yang telah hancur?

Iaitu kisah Ashi bin Wa’il yang telah datang kepada Nabi ﷺ membawa satu tulang yang hancur di tangannya. Dia menghancurkan tulang reput itu dan menaburkannya ke udara dan berkata: “Hai Muhammad! Apakah engkau mengira bahawa Allah akan membangkitkan ini kembali?” Dia hendak kata kalau orang baru mati, bolehlah juga hendak fikir dia boleh dihidupkan semula sebab baru sahaja mati tetapi yang sudah lama mati dan tulang pun sudah reput, macam mana? Yang dia tengok tulang-tulang yang hancur itu tetapi dia lupa tengok kepada alam yang begini punya besar, begini punya hebat.


 

Yaasin Ayat 79: Dalam ayat sebelum ini, diceritakan bagaimana ada golongan Musyrikin Mekah tanya kepada Rasulullah ﷺ dengan cara mengejek, siapakah yang akan membangkitkan semula tulang yang sudah hancur? Maka Allah ‎ﷻ suruh baginda jawab kepada mereka dengan jawapan ini:

قُل يُحييهَا الَّذيٓ أَنشَأَهآ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Sahih International

Say, “He will give them life who produced them the first time; and He is, of all creation, Knowing.”

Malay

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

 

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِيٓ أَنْشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Katakanlah: yang dapat menghidupkan tulang-tulang itu ialah Tuhan yang telah menciptakannya pertama kali dahulu

Allah ‎ﷻ jawab soalan mereka di sini tanpa menyebut nama-Nya. Soalan mereka adalah: siapa yang hidupkan semula tulang belulang ini kembali? Kalau jawapan pendek: Allah ‎ﷻ. Sebaliknya Allah ‎ﷻ tidak sebut nama-Nya tetapi Allah ‎ﷻ beri hujah dan bukti sekali di sini. Kalau dahulu Allah ‎ﷻ yang buat, takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh hendak buat semula? Buat semula adalah lebih mudah daripada buat yang mula-mula, bukan? Walaupun bagi Allah ‎ﷻ, tidak ada istilah ‘lebih mudah’, kerana sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ.

Ini adalah pengulangan dan tambahan hujah kepada pemberitahuan Allah ‎ﷻ di dalam ayat 12 sebelum ini

إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ
Sesungguhnya Kami menghidupkan yang mati

Di dalam ayat 79 ini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah أَنْشَأَ – iaitu ia bermaksud bukan hanya menghidupkan tetapi membesarkannya sekali. Tulang yang mereka pegang itu asalnya bukan sebesar itu, tetapi kecil sahaja, bukan? Itulah Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia, kemudian membesarkan mereka sesuai dengan tumbesaran tulang-tulang itu. Kalau Allah ‎ﷻ boleh mengadakan tulang itu daripada tiada kepada ada, kemudian membesarkannya, apalah yang hendak dihairankan dengan kuasa Allah ‎ﷻ untuk menghidupkannya semula? Tentulah lebih mudah lagi bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkannya semula.

 

وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala penciptaan-Nya itu, Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻlah yang mengetahui kejadian kita dan apa yang kita perlukan dan segala-galanya tentang kita. Tentulah Dia tahu, sebab Dialah yang menjadikan kita dan makhluk-makhluk yang lain. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui tulang-tulang di seluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya dan di mana hancur luluhnya.

Ini tidak sama dengan cara manusia mencipta. Katakanlah kalau sebuah kilang sudah mengeluarkan satu kereta, sebagai contohnya. Kilang itu tidak tahu pun ke mana kereta itu akan pergi selepas dibeli. Akan tetapi apabila Allah ‎ﷻ telah menciptakan makhluk-Nya, Dia tahu ke mana makhluk itu pergi, apa makhluk itu buat, apa makhluk itu cakap, apa makhluk itu fikirkan dan rasa dalam hatinya. Segala-galanya Allah ‎ﷻ tahu. Dari mula lahir sampai mati, sampai dihidupkan kembali.

Jadi walaupun makhluk itu telah mati lama, entah di mana kuburnya, sudah bersatu dengan tanah, walaupun telah dibakar hancur. Maknanya apa yang terjadi kepada tulang belulang itu juga Allah ‎ﷻ tahu. Jadi tidak perlu dipersoalkan bolehkah Allah ‎ﷻ menjadikan kembali makhluk itu. Contohnya disebut di dalam sebuah hadith ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: «أَسْرَفَ رَجُلٌ عَلَى نَفْسِهِ فَلَمَّا حَضَرَهُ الْمَوْتُ أَوْصَى بَنِيهِ فَقَالَ: إِذَا أَنَا مِتُّ فَأَحْرِقُونِي ثُمَّ اسْحَقُونِي ثُمَّ اذْرُونِي فِي الْبَحْرِ، فَوَاللَّهِ لَئِنْ قَدَرَ اللَّهُ عَلَيَّ لَيُعَذِّبَنِّي عَذَابًا مَا عَذَّبَهُ أَحَدًا مِنْ الْعَالَمِينَ. فَفَعَلُوا ذَلِكَ، فَقَالَ اللَّهُ لِلْأَرْضِ: أَدِّي مَا أَخَذْتِ. فَإِذَا هُوَ قَائِمٌ. فَقَالَ لَهُ: مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ؟ قَالَ: خَشْيَتُكَ يَا رَبِّ – أَوْ مَخَافَتُكَ -. فَغَفَرَ لَهُ بِذَلِكَ.»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Seorang laki-laki telah berbuat melampaui batas (berbuat dosa) terhadap dirinya sendiri. Tatkala kematian menjemputnya, dia berwasiat kepada anak-anaknya, dia berkata: ‘Apabila aku mati, bakarlah aku, kemudian hancurkanlah (remukkanlah) aku, lalu taburkanlah (abuku) di laut. Demi Allah, jika sekiranya Allah mampu (kuasa) atas diriku, nescaya Dia akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah Dia azabkan kepada seorang pun dari alam semesta.’ Maka anak-anaknya melakukan hal itu (setelah dia meninggal). Lalu Allah berfirman kepada bumi: ‘Kembalikanlah apa yang telah engkau ambil!’ Maka tiba-tiba dia (laki-laki itu) berdiri (hidup kembali). Lalu Allah bertanya kepadanya: ‘Apakah yang mendorongmu melakukan apa yang telah engkau perbuat (wasiat itu)?’ Dia menjawab: ‘Ketakutanku kepada-Mu, wahai Rabbku – atau kekhuatiranku kepada-Mu –.’ Maka Allah mengampuninya kerana itu (ketakutan itu).”
Sahih Bukhari: Hadith No. 3481, 6481, 7506. Sahih Muslim: Hadith No. 2756

Lihatlah bagaimana berkuasanya Allah ‎ﷻ. Kalau sudah hancur terbakar dan abu ditiup angin pun Allah ‎ﷻ masih boleh kumpulkan lagi. Maka, siapakah kamu wahai orang-orang kafir untuk mempersoalkan tentang apa yang Allah ‎ﷻ telah jadikan dan apa yang Allah ‎ﷻ mampu dan tidak mampu lakukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 24 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre