Bab 1: Kedudukan Ilmu Tentang Asma’ Allah dan Sifat-Nya

Mukaddimah dari Penulis:

Kitab ini adalah kumpulan tulisan yang bermanfaat – dengan seizin Allah – dalam membahas fikih yang paling mulia dan yang paling bermanfaat iaitu fiqih Asmaullah Al-Husna (nama-nama Allah yang terbaik). Di dalamnya saya jelaskan lebih dari seratus nama dari nama-nama Allah yang baik, yang didahului dengan mukaddimah tentang dasar-dasar ilmu dalam pembahasan ini.

Saya pun telah berusaha dalam menyusun kitab ini menggunakan kata-kata yang jelas dan metode yang mudah disertai dengan penyebutan dalil-dalil serta bukti-bukti dari Al-Qur’an dan hadits Rasul dan sekaligus penjelasan dari sisi ibadah serta pengaruh keimanan yang merupakan perwujudan iman terhadap nama-nama Allah.

Saya banyak mengambil manfaat dari ucapan para ulama, khususnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan murid beliau, Imam Ibnu Al-Qayyim serta Syaikh Abdurrahman As-Sa’di – semoga Allah merahmati mereka semua.

Nabi SAW bersabda :

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari

Semoga Allah Ta’ala mengampuni kesalahan, kejahilan, dan berlebih-lebihanku dalam segala urusanku serta memberi hidayah kepadaku ke jalan yang lurus, sesungguhnya Dia merupakan sebaik-baiknya tempat meminta dan semulia-mulianya tempat berharap, cukuplah Dia bagi kita dan Dialah sebaik-baiknya pelindung.

👁‍🗨 Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin Al-Badr


 

Bab 1: KEDUDUKAN ILMU TENTANG ASMA’ ALLAH DAN SIFAT-NYA

Sesungguhnya memahami nama Allah ‎ﷻ yang terbaik (Asma’ul Husna) merupakan pintu ilmu yang mulia, bahkan ini termasuk Al-Fiqh Al-Akbar (fiqh yang paling agung) dan paling utama serta pertama kali yang masuk dalam sabda Rasulullah ﷺ,

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan atasnya, maka Dia akan memberikan kefahaman kepadanya dalam masalah agama”. (Muttafaq Alaih)

Mempelajari ilmu ini merupakan usaha termulia yang dilakukan oleh setiap jiwa dan sebaik-baiknya apa yang diraih oleh orang-orang yang memiliki kecerdasan akal dan petunjuk. Bahkan ini merupakan puncak yang direbut oleh manusia.

[Maka fiqh Asma’ul Husna ini amat penting untuk dipelajari oleh umat Islam. Amat tidak patut kalau tidak diambil perhatian. Untuk kenal Allah ‎ﷻ, kenalah belajar Asma’ul Husna.]

Ilmu ini merupakan asas jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ dan jalan masuk yang lurus dalam meraih kecintaan dan keredhaan-Nya serta jalan yang lurus bagi setiap orang yang dicintai dan dipilih-Nya.

Sebagaimana bangunan memiliki asas, maka fondasi agama ini adalah iman kepada Allah ‎ﷻ dan kepada nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Jika asas ini kuat, maka dia akan dapat memikul bangunannya dengan kuat dan kukuh serta selamat daripada goncangan dan kerobohan.

[Ilmu fiqh Asma’ul Husna ini adalah asas. Maka kenalah ada asas yang kukuh sebelum melonjak kepada ilmu-ilmu yang lain. Kita selalu dengar: Kenal Allah ‎ﷻ. Namun bagaimana hendak kenal Allah ‎ﷻ melainkan dengan Asma’-Nya?]

Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Barangsiapa yang menghendaki bangunan yang tinggi, maka diharuskan baginya untuk menguatkan asas dan benar-benar memperhatikannya kerana ketinggian bangunan tergantung pada kukuh dan kuatnya asas. Amal dan darjat adalah bangunan, sedangkan fondasinya adalah iman.

[Semoga ilmu ini dikejar dan cuba difahami oleh semua umat Islam kerana amat penting. Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang mengupas tajuk ini supaya kita dapat memahaminya dengan agak mudah. Asalkan mahu belajar. Tentunya kena belajar ikut jalan Sunnah dan bukan ikut nafsu dan ilmu khayalan.]

Apabila asasnya kuat, maka ia akan dapat memikul bangunan dan meninggikannya. Kalau roboh sebahagian daripada bangunan itu, maka mudah untuk memperbaikinya. Jika asas tidak kuat, maka tidak akan tinggi bangunannya dan tidak akan kukuh. Jika roboh sebahagian daripada asas, maka akan jatuh bangunannya atau hampir jatuh.

[Maka untuk belajar dengan lebih tinggi lagi, kena kemaskan dahulu kefahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Orang bijak akan memiliki target iaitu membenarkan asas dan menguatkannya, sedangkan orang jahil adalah orang yang meninggikan bangunan tanpa asas, maka tidak lama kemudian, bangunannya pun akan roboh.

Allah ‎ﷻ berfirman dalam [Tawbah: 109]

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

[Asas untuk belajar ilmu agama adalah dengan mengenali Allah ‎ﷻ. Mengenali Allah ‎ﷻ dengan mempelajari Asma’-Nya. Bukannya setakat hafal dan dinyanyikan di kelas-kelas pengajian. Bukan juga diseru-seru berkali-kali tanpa memahami maksudnya.]

Asas bagi bangunan amal seperti kekuatan bagi tubuh manusia. Jika kuat, maka dia dapat membawa badan dengan baik dan menolak segala penyakit. Jika lemah kekuatannya, maka lemah pula dia dalam membawa badannya serta cepat diserang penyakit. Jadikan bangunanmu di atas asas iman yang kuat dan jika ada bahagian atas atau atapnya yang rosak, maka mudah untuk memperbaikinya daripada kerosakan asasnya.

[Kalau ada asas ilmu tentang Asma’, maka tidaklah senang ditipu orang. Tidaklah senang percaya amal-amal yang datang entah dari mana. Tidaklah senang syaitan tipu dengan pemahaman yang salah tentang Allah ‎ﷻ. Apabila tidak belajar, itulah sebabnya bila syaitan bisikkan Allah ‎ﷻ begitu dan begini, senang sahaja diterima. Memang salah satu cara yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia adalah membisikkan fahaman salah tentang Allah ‎ﷻ.]

🏛 Asas ini ada dua:

Pertama, mengenal Allah ‎ﷻ, perintah, nama, serta sifat-Nya dengan baik.

Kedua, tunduk dan patuh kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Inilah sekuat-kuatnya asas agama yang dibangunkan oleh seorang hamba bagi bangunannya dan sesuai dengan kekuatan asas agama itulah ketinggian suatu bangunan yang dia inginkan.

[Asas pertama perlu didapati dengan belajar Asma’-Nya. Setelah kenal, maka kenalah aplikasikan asas kedua, iaitu taat. Tidaklah kita kata kita taat, tetapi tidak tahu ‘APA yang perlu ditaati’. Ramai yang kata dia beriman, dia seorang yang taat. Namun apabila soal kepadanya: “Apa yang kamu kena taat?” Atau Kamu perasan sahaja kamu taat?”]

Oleh kerana itu, banyak sekali dalil di dalam Al-Qur’an yang menguatkan asas ini, bahkan hampir-hampir semua ayat tidak pernah lepas daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya. Ini semua menunjukkan dengan jelas tentang pentingnya ilmu yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ serta keperluan yang mendesak untuk mengenalnya. Bagaimana ia tidak menempati kedudukan yang tinggi, sedangkan ia adalah tujuan utama diciptakan semua manusia.

[Kalau kita perasan, banyak sangat ayat Al-Qur’an diakhiri dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ. Kalau kita tidak belajar ilmu Asma’ul Husna, maka nama-nama itu setakat kita baca sahaja. Maka ilmu tafsir Al-Qur’an tidak lengkap tanpa kita juga belajar Asma’ul Husna itu.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang terpenting dalam kehidupan kita, maka tidakkah ilmu kenal Allah ‎ﷻ ini penting? Tidak kenal maka tidak cinta. Lalu bagaimana kita dapat mencintai Allah ‎ﷻ kalau kita tidak kenal Dia? Bagaimana hendak kenal Dia kalau tidak melalui sifat-sifat-Nya?]

Tauhid yang merupakan tujuan utama diciptakannya manusia terbahagi menjadi dua:

1⃣ Tauhid Ma’rifah (kenal) dan Ithbat (penetapan); ini mencakupi iman kepada rububiyah, nama, dan sifat-Nya.

2⃣ Tauhid Iradah (kehendak) dan Thalab (tuntutan); ini adalah Tauhid ibadat.

[Ini adalah pembahagian ilmu Tauhid kepada dua (berlainan sedikit dengan tauhid 3). Akan tetapi ia tetap sama sahaja kerana Tauhid Rububiyah dan Asma wa Sifat dimasukkan sekali dalam Tauhid Ma’rifah.

Tauhid Iradah dan Thalab itu kalau dalam Tauhid 3 dipanggil Tauhid Uluhiyyah.

Jadi ilmu tentang Asma’ul Husna ini memang berkait dengan ilmu Tauhid. Maka ia amat penting sekali. Kalau belajar Tauhid 3, Tauhid ke 3 itu adalah Asma’ wa Sifat. Tauhid ini memang berkenaan Asma’ul Husna. Jadi ilmu Tauhid tidak lengkap kalau tidak ada ilmu Asma’ul Husna ini]

Adapun dalil yang pertama [Tauhid Ma’rifah & Ithbat] adalah Firman Allah ‎ﷻ:

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا

“Allah lah yang menciptakan tujuh langit dan sebagaimana itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu. ” At-Thalaq:12

[Allah ‎ﷻ yang mencipta alam ini. Maka Dialah Al-Khaaliq. Kita kena kenal Dia dan tetapkan Dia sebagai Pencipta kita dan alam ini]

Dan dalil yang kedua [Tauhid Iradah dan Thalab] adalah Firman Allah ‎ﷻ,

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” Dzariyat: 56.

Yang pertama, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ‎ﷻ) dan yang kedua, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian beribadah (kepada-Nya). Oleh kerana itu, Tauhid adalah ilmu dan amal. Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.

[Maka kita kenal belajar Asma’ul Husna untuk kenal Allah ‎ﷻ. Selepas kenal, kenalah buat amal kerana apabila kita sudah kenal Dia, maka kita hendak mengagungkan Dia. Macam kita kenal ayah kita, takkan setakat kenal sahaja. Kenalah kita hormat dia, tolong dia, mengaku menjadi anak dia, bukan? Maka dengan Allah ‎ﷻ pun, ada hak Dia.

Bila kita rasa takjub dengan Allah ‎ﷻ, tentu kita ingin melakukan ibadat kepada-Nya. Kita hendak berkomunikasi dengan Dia, hendak minta tolong kepada-Nya, dan macam-macam lagi. Namun hendaklah dimulai dengan kenal terlebih dahulu. Ini kerana: Tidak kenal maka tidak cinta, bukan?]

Yang pertama, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ‎ﷻ) dan yang kedua, Allah ‎ﷻ mencipta agar kalian beribadah kepada-Nya.

Oleh kerana itu tauhid adalah ilmu dan amal.

[Maka ini adalah dua tujuan asas manusia dan alam diciptakan. Maka kalau tanya apa tujuan kita ini dijadikan, kita sudah ada jawapannya:

☝️ Kenal Allah ‎ﷻ
✌️ Beribadah kepada Allah ‎ﷻ. Atau, dalam terjemahan yang lain, menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Juga ia mengajar kita yang tauhid ini bukan di akal sahaja. Apabila sudah faham tauhid, maka haruslah dilaksanakan dalam bentuk amal perbuatan. Kena lakukan ibadah. Jangan kata faham, tetapi tidak beramal.]

Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.

[Baqarah: 231]

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬
serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu

[Baqarah: 233]

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan

[Baqarah: 209]

فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ
ketahuilah, bahawa Allah Maha Perkasa, Maha bijaksana

Ayat-ayat semisal ini kurang lebih berjumlah 30 ayat.

[Ayat-ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat yang ada ٱعۡلَمُوٓاْ di dalamnya menyebut tentang sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Kalimah ٱعۡلَمُوٓاْ bermaksud ‘ketahuilah’. Maka ia adalah arahan dari Allah ‎ﷻ untuk kita tahu, maka kena belajar. Maka kita kena kenal Allah ‎ﷻ melalui nama-nama-Nya yang disebut dalam Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Maka mahu tidak mahu kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kaitkan dengan Asma’-Nya]

Adapun apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ tentang nama dan sifat-Nya dalam Al-Qur’an, maka sangat banyak dan tidak boleh dibandingkan dengan yang lainnya, kerana nama dan sifat Allah ﷻ merupakan seagung-agungnya dan semulia-mulianya serta seutama utamanya hal yang disebut dalam Al-Qur’an.

[Oleh kerana itu, kita kenalah memandang tinggi ilmu fiqih Asma’ul Husna ini dan meluangkan masa untuk memahaminya].

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata, “Di dalam Al-Qur’an, penyebutan tentang nama, sifat, dan perbuatan Allah ﷻ lebih banyak daripada penyebutan tentang makanan, minuman, serta pernikahan di syurga. Ayat-ayat yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ lebih mulia daripada ayat yang berkaitan dengan hari Kiamat.

Semulia-mulia ayat di dalam Al-Qur’an adalah ayat Kursi yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ.

Ini sebagaimana yang disebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Nabi ﷺ. Sebagaimana yang ada pada pertanyaan yang diajukan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ubay bin Ka’ab, “Ayat mana yang paling agung dalam kitabullah?” Ubay menjawab, “Ayat kursi.” Maka baginda ﷺ menepuk dada Ubay kemudian berkata, “Wahai Abu Mundzir, semoga engkau berbahagia dengan ilmu yang engkau miliki.” (HR. Muslim).

[Kalau kita baca ayat Kursi itu, ia memang banyak mengandungi nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya].

Semulia-mulianya surat dalam Al-Qur’an adalah Ummul Qur’an (yakni Surah Fatihah) sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith:

Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah tidak pernah menurunkan dalam Taurat ataupun Injil ataupun surah, sepertimana Ummul Quran, ia adalah sab’ul matsani…” (Hadith riwayat Nasa-i)

Di dalamnya terdapat penyebutan nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya yang lebih banyak berbanding hari Kiamat.

Ini semuanya membuktikan akan ketinggian ilmu yang mulia ini dan keagungannya serta banyaknya pelajaran yang boleh dipetik dan bahwasanya ia adalah salah satu dasar keimanan serta salah satu rukun agama yang di atasnya dibangunkan kedudukan agama yang tinggi.

Bagaimana mungkin perkara syariat akan lurus dan keadaan manusia akan baik tanpa mereka mengenal Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki mereka dan tanpa mengenal nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia lagi sempurna yang menunjukkan akan kesempurnaan dan kemuliaan serta keagungan-Nya, dan bahawasanya Dia adalah sesembahan yang haq dan tidak ada sesembahan yang haq selain-Nya.

[Amatlah penting ilmu ini tetapi malangnya kebanyakan daripada kita tidak mempelajarinya. Kalau baca Al-Qur’an dan terjumpa tentang Nama-nama Allah ‎ﷻ, kita baca sahaja tanpa mengerti apakah maksudnya. Lebih malang lagi, kita sangka beramal dengan Asma’ Allah ‎ﷻ ini adalah dengan menyanyikan nasyid Asma’ul Husna di sekolah-sekolah dan kelas-kelas pengajian sahaja.

Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan Asma’ul Husna sebagai zikir untuk mendapatkan sesuatu. Ini kita akan terangkan nanti di bahagian penyalahgunaan Asma’ul Husna. Namun sebelum itu kita terangkan kepentingan mempelajari Asma’ul Husna terlebih dahulu.]

Akan tetapi, kebanyakan manusia terlalaikan dengan dunia daripada menyembah-Nya, padahal Allah ‎ﷻ telah memperingatkan mereka dengan firman-Nya,

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Munafiqun:9

[Kita terlalai dengan keindahan dunia sampaikan kita lupa tentang Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana kita sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ sebagaimana yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ kenalkan Diri-Nya dengan memperkenalkan Asm’aul Husna kepada kita supaya kita kaji, tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu. Semoga dengan pengajian ini akan memberi pengenalan yang lebih baik tentang Allah ‎ﷻ kepada kita.]

Allah sahajalah tempat kita memohon pertolongan dan Dialah yang dapat memberi petunjuk kepada setiap kebaikan.

Sambung ke bab yang seterusnya


Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Tafsir Surah Mulk Ayat 23 – 25 (Hanya Allah ‎ﷻ tahu bila Kiamat)

SOALAN 6: SIAPAKAH YANG MENCIPTAKAN KALIAN?

Mulk Ayat 23: Sekarang diberikan Dalil Aqli (dalil akal) untuk kita berfikir.

قُل هُوَ الَّذي أَنشَأَكُم وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۖ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Sahih International

Say, “It is He who has produced you and made for you hearing and vision and hearts; little are you grateful.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

 

قُلْ

Katakanlah

Apabila Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang memberitahu kepada mereka, ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ amat marah dan murka dengan mereka yang degil itu. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak mahu lagi bercakap terus dengan mereka. Kalau kita pun, kalau terlalu marah dengan seseorang sampaikan ada ketikanya hendak bercakap dengan dia pun kita tidak sudi lagi. Kita akan gunakan perantara untuk menyampaikan apa yang kita hendak cakap. Selepas kita ini adalah lihat hampir kesemua ayat dimulai dengan قُلْ belaka.

Keduanya, ini menunjukkan kepentingan Nabi Muhammad ﷺ dalam menyampaikan dakwah. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah calang-calang manusia. Baginda telah diberikan tugas menyampaikan mesej daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah baginda yang kena sampaikan. Secara umumnya, semua ayat baginda kena sampaikan, akan tetapi apabila kalimah arahan قُلْ, maka ada penekanan. Maknanya ia adalah sesuatu yang amat penting sampaikan Allah ‎ﷻ berikan arahan khusus untuk sampaikan.

Ternyata Nabi ﷺ mempunyai cara dakwah yang paling berhemah. Sememangnya lebih baik untuk seorang manusia sendiri yang bercakap dengan manusia lainnya. Kerana umat lebih senang terima. Kalaulah Allah ‎ﷻ turunkan malaikat untuk menyampaikan dakwah kepada manusia, manusia tentu akan beralasan untuk tidak mengikutinya, kerana mereka kata mereka tidak sama dengan para malaikat itu.

Lihatlah rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun Allah ‎ﷻ telah murka, dan tidak mahu berkata-kata secara terus dengan orang kafir, tetapi Allah ‎ﷻ masih lagi mengambil jalan untuk menyampaikan peringatan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak membiarkan terus. Begitulah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada makhluk-Nya.

 

هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ

Dialah yang mencipta kamu; 

Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita daripada tiada kepada ada. Dulunya, kita pun tidak pernah disebut pun sebab tidak wujud lagi. Proses ini bertahap daripada sperma yang bertemu dengan telur ibu, lalu menjadi alaqah, kemudian mudghah dan seterusnya sampai fizikal lengkap dan ditiupkan roh kepada tubuh itu dan dilahirkan ke dunia. Rasulullah ﷺ telah bersabda tentang proses ini,

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ : إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ   ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ      أَوْ سَعِيْدٌ.    فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ  الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
[رواه البخاري ومسلم]
“Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya Rasulullah ﷺ telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: ‘ Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya.
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.”
(HR. Bukhari No. 6594 dan Muslim No. 2643)

Ada pendapat yang mengatakan kalimah أَنْشَأَ di sini bermaksud خَلَقَ. Akan tetapi kalau Allah ‎ﷻ hendak maksudkan خَلَقَ, tentu sahaja Allah ‎ﷻ boleh letak خَلَقَ di sini tetapi Allah ‎ﷻ gunakan أَنْشَأَ. Ia daripada kata dasar ن ش ا yang bermaksud membesar (kanak-kanak); berlaku; dihasilkan; hidup; naik (awan); mencipta; menghasilkan; menaikkan; pengeluaran; pertumbuhan; dibiakkan. Jadi perkataan أَنْشَأَ bukan sahaja bermaksud menjadikan sahaja tetapi ia juga ada maksud tambahan: iaitu menjadikan dan membangunkan makhluk itu, daripada kecil sampai menjadi besar, daripada sedikit sampai menjadi banyak. Allah‎ ﷻlah yang melakukannya.

Surah Mulk ini pertama kalinya diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka juga diingatkan di sini kedudukan mereka di Mekah itu pun kerana Allah ‎ﷻ yang membiakkan mereka dan menjadikan tempat itu subur dan ramai penduduk. Asalnya adalah tanah gersang sahaja. Kemudian datang Hajar dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarnya air zam-zam. Daripada air yang satu itu semakin ramai orang duduk di situ sehinggalah Ka’bah dibina kembali di situ. Kemudian semakin ramai orang duduk di situ dan menjadi maju. Maka kenanglah jasa Allah ‎ﷻ yang telah beri segala nikmat itu kepada mereka.

 

وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ

dan yang menjadikan untuk kamu pendengaran;

Ayat ini menunjukkan bahawa ugama ini boleh kita dapat dengan cara mendengar. Maka gunakanlah ia.

Selalunya Allah ‎ﷻ menyebut ‘pendengaran’ sebelum penglihatan kerana ia adalah lebih penting daripada penglihatan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Ini kita boleh bandingkan antara orang yang cacat pendengaran dan orang yang cacat penglihatan. Mereka yang cacat penglihatan lebih berakal daripada orang yang cacat pendengaran. Kerana maklumat lebih banyak masuk melalui telinga dan kerana itulah kalau ada masalah pendengaran, maka akan susah untuk mendapat ilmu pengetahuan. Lagi satu, dalam banyak-banyak deria, deria pendengaran tidak berhenti daripada berfungsi. Sebab itu, walaupun seseorang itu tidur, kalau bunyi bising, dia boleh terjaga lagi kerana pendengarannya berfungsi. Kalau mata, kita boleh tutup lagi sampai tidak dapat terangnya cahaya.

Sebab itu, dalam ayat Kahfi: 11, apabila Allah ‎ﷻ hendak menidurkan pemuda-pemuda Gua itu, Allah ‎ﷻ menutup pendengaran mereka supaya mereka boleh tidur lama.

فَضَرَبنا عَلىٰ ءآذانِهِم فِي الكَهفِ سِنينَ عَدَدًا
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

 

وَالْأَبْصٰرَ

dan penglihatan;

Ilmu agama boleh juga didapati dengan cara lihat. Lihatlah kebenaran yang ada di hadapan mata kita. Perhatikan dengan pandangan mata hati, bukan pandangan kosong sahaja. Manusia ada banyak lagi pancaindera akan tetapi hanya dua sahaja disebut di dalam ayat ini kerana dua pancaindera inilah yang manusia banyak digunakan untuk mendapat ilmu dan maklumat.

Allah ‎ﷻ menyebut pendengaran menggunakan ayat yang melambangkan ia satu sahaja (singular) tetapi kepada penglihatan dalam bentuk jamak (plural) kerana hanya ada satu pendengaran tetapi penglihatan ada banyak. Setiap orang mempunyai penglihatan yang berbeza-beza. Semua orang mungkin mendengar perkara yang sama tetapi pandangan mereka mungkin berbeza-beza bergantung kepada ilmu dan minda mereka. Begitu juga kita boleh pilih bahagian mana yang mahu lihat dan kita boleh larikan pandangan kita daripada sesuatu yang kita tidak mahu lihat. Ini kerana kita boleh kawal penglihatan kita. Kita boleh alihkan pandangan atau kita tutup mata kita.

 

وَالْأَفْئِدَةَ

dan hati-hati;

Agama boleh juga didapati dengan cara berfikir dengan hati yang suci murni dan jelas. Iaitu dengan memikirkan kejadian alam ini yang akhirnya akan membawa kita kepada satu keputusan bahawa tentunya ada Tuhan yang menjadikan alam ini. Allah ‎ﷻlah yang telah memberikan akal fikiran kepada kita dan hendaklah kita gunakan dengan sebaik mungkin. Maka, hendaklah kita menggunakan akal fikiran kita untuk mendapatkan kebenaran. Tema surah Mulk ini memang menyuruh kita menggunakan pemikiran kita yang jelas untuk mendapatkan kebenaran.

Ada pendapat yang mengatakan kalimah الْأَفْئِدَةَ di sini bermaksud (akal) عُقولٌ. Akan tetapi jikalau Allah ‎ﷻ maksudkan عُقولٌ, boleh sahaja Allah ‎ﷻ gunakan kalimah itu dan bukannya الْأَفْئِدَةَ di sini, bukan? Ada penekanan di sini iaitu melalui pendengaran dan penglihatan, ya memang boleh membawa kepada akal yang sihat. Akan tetapi ia bukan setakat tahu sahaja, namun hendaklah memberi kesan kepada hati. Kerana perbuatan kita dipandu oleh hati yang baik. Berapa orang yang tahu, tetapi pengetahuan mereka itu setakat di otak sahaja dan tidak memberi kesan kepada hati.

Malah bukan itu sahaja. Perkataan الْأَفْئِدَةَ adalah jamak bagi perkataan فُؤادٌ. Ia bukan hanya bermaksud ‘hati’ kerana kalau hati sahaja, perkataan قَلبٌ akan digunakan. Kalimah bermaksud hati yang sedang bekerja dan ada emosi sedangkan kalau قَلبٌ, ia adalah hati yang normal atau digunakan di dalam bentuk umum sahaja. Daripada hati sebeginilah akan ada keputusan yang dicapai oleh manusia. Hati sebeginilah yang akan bertindak melakukan sesuatu yang penting. Ia dalam bentuk jamak kerana hati manusia mempunyai emosi yang lain antara seorang dan seorang yang lain.

Imam Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan الْأَبْصٰرَ bermaksud akal dan الْأَفْئِدَةَ bermaksud pemahaman. Elemen الْأَفْئِدَةَ inilah yang membezakan manusia dengan haiwan kerana haiwan pun ada pendengaran dan penglihatan juga. Jadi kalau kita tidak gunakan untuk kebaikan, maka tidak ada bezanya pun dengan haiwan.

Ketiga-tiga perkara atau pancaindera inilah yang menjadikan kita unik. Tiga perkara inilah yang menjadikan kita sebagai manusia. Memang ada lagi pancaindera lain dalam tubuh badan manusia, tetapi ia tidaklah sepenting tiga perkara ini. Maka, kita sepatutnya menggunakan ketiga-tiga kurniaan Allah ‎ﷻ ini untuk membuat keputusan yang baik. Kalau tidak digunakan, maka jadilah seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam A’raf: 179

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Maka الْأَفْئِدَةَ kita kena selari dengan pemahaman Islam. Kita kena ada ilmu pengetahuan tentang Islam supaya iman kita mantap dan stabil. Kalau kita tidak ada ilmu tentang Islam, maka senang sahaja musuh-musuh Islam mempermainkan agama kita. Mereka boleh sahaja timbulkan sesuatu isu yang menyebabkan ramai orang Islam menjadi goyah; mereka goyah kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka bukan sahaja tidak dapat mempertahankan Islam malah iman mereka sendiri pun susah hendak mereka kekalkan. Jadi iman kita bukannya setakat pegang teguh sahaja, tetapi kena ada pengetahuan. Begitulah pembelajaran agama yang berterusan amat perlu. Jangan kita hanya Islam kerana kita lahir di dalam negara Islam dan ibubapa kita Muslim. Itu adalah Islam yang lemah dan rapuh dan senang sahaja dijatuhkan oleh musuh Islam. Kita pun tahu dengan media massa dan capaian internet yang terbuka kepada semua orang, senang sahaja musuh Islam menyampaikan diayah palsu. Bagaimana kalau anak-anak kita tidak faham tentang Islam dan mereka terbaca? Mereka mungkin bertanya kepada kita, jadi apa yang kita hendak jawab kepada mereka kalau soalan itu datang kepada kita nanti? Jangan kita sangka iman anak-anak kita terjaga sentiasa.

 

قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

amatlah sedikit kamu bersyukur;

Namun begitu, walaupun manusia telah diberikan dengan segala keperluan mereka untuk hidup, manusia tidak banyak bersyukur. Atau tidak banyak manusia bersyukur. Sebenarnya kalau ayat ini berbunyi قَلِيلًا تَشْكُرُونَ, sudah cukup, akan tetapi kalimah مَّا itu sebagai kalimah ta’jub. Teruknya manusia ini, sudah banyak diberi, tetapi tidak banyak mereka bersyukur. Bayangkan nikmat mata sebegitu hebat pun kita anggap biasa sahaja.

Kalimah قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ bermaksud ramai orang tidak bersyukur atau manusia tidak banyak bersyukur (bersyukur juga tetapi tidak banyak seperti yang sepatutnya). Ada pendapat yang mengatakan kalau ramai yang tidak bersyukur, ayatnya adalah وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ seperti disebut di dalam Baqarah: 243.

Perkataan قَلِيلًا bermaksud sedikit sangat sampaikan boleh dikatakan tidak ada langsung. Ia lebih sedikit daripada ‘sedikit’. Kerana kalau ‘sedikit’ sahaja, perkataan qalla digunakan. Maksudnya mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, hampir-hampir tidak bersyukur dengan segala pemberian Allah ‎ﷻ. Kalau ada pun, ia terlalu sedikit sampaikan tidak layak untuk dikira.

Manusia yang baik akan mensyukuri nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam banyak-banyak nikmat, nikmat apa yang dikhususkan di dalam ayat ini? Itulah nikmat السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ kerana inilah yang disebut sebelumnya.

Bagaimana cara bersyukur dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan? Kalau kita terima pemberian seseorang, tanpa kita berterima kasih adalah dengan menggunakan pemberian itu, bukan? Katakanlah kita beri buku kepada anak ita untuk dia baca, tetapi dia pergi conteng buku itu? Adakah dia mensyukurinya? Tentu tidak! Jadi setelah mendapat السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ, seorang manusia hendaklah menggunakannya pada perkara yang baik. Namun sebaliknya kebanyakan manusia tidak menggunakan segala kelebihan yang Allah ‎ﷻ berikan itu untuk mengenal Allah ‎ﷻ dan agama Islam. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’raf: 179 tentang kesan mereka yang tidak mempergunakan pemberian Allah ‎ﷻ ini.

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ulama’ membincangkan manakah yang lebih utama: seorang miskin yang sabar atau seorang kaya yang bersyukur? Mereka mengatakan seorang kaya yang bersyukur lebih utama. Kerana ramai orang miskin yang bersabar namun jarang ada orang kaya yang bersyukur. Padahal Allah ‎ﷻ juga pernah mengatakan jikalau kita bersyukur, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat kepada kita. Ini disebut di dalam Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu

Maka janganlah kita tidak bersyukur dengan nikmat Allah ‎ﷻ. Kenanglah selalu banyak sekali nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Syukur itu perlu dirasa oleh hati, disebut dengan mulut dan dilakukan oleh badan kita. Jikalau kita bersyukur, kita perlu zahirkan dalam perbuatan kita dengan melakukan suruhan Allah ‎ﷻ. Yang paling utama sekali adalah dengan melakukan ibadat solat. Maknanya, syukur itu bukanlah dengan hanya sebut ‘alhamdulillah’, ‘alhamdulillah’ sahaja, tetapi kenalah ditunjukkan dengan perbuatan kita. Iaitu kita hendaklah akur dengan segala arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Ada kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Ayat ini Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dia yang menjadikan kita dan kehidupan kita dengan diberikan segala nikmat yang kita perlukan. Allah ‎ﷻ juga mengajar kita di pertengahan hidup kita untuk mensyukuri nikmat kehidupan ini seperti disebut di dalam Ahqaf: 15

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ
Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku


 

Mulk Ayat 24: Ayat 24 – 28 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi ancaman azab di akhirat. Penghuni neraka ditempelak tentang azab yang dahulu mereka dustakan. Kalau di dalam ayat 23 tadi kita diajar untuk mensyukuri nikmat hidup yang Allah ‎ﷻ telah berikan, sekarang kita diingatkan yang di pertengahan kedua hidup kita, yang kita akan menuju kematian pula.

Ayat 24 ini adalah Dalil Aqli lagi. Apa lagi nikmat Allah ‎ﷻ kepada kita?

قُل هُوَ الَّذي ذَرَأَكُم فِي الأَرضِ وَإِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

Say, ” It is He who has multiplied you throughout the earth, and to Him you will be gathered.”

Malay

Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan”.

 

قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ

Katakanlah: Dialah Tuhan yang menjadikan kamu mengembang biakkan kalian di atas muka bumi; 

Perkataan ذَرَأَ bermaksud mengembang biakkan makhluk di muka bumi ini. Daripada perkataan inilah kita biasa lihat perkataan ‘zuriat’ digunakan. Manusia telah berkembang biak daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawa. Di zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibinasakan kebanyakan manusia kerana kederhakaan mereka. Yang tinggal hanya beberapa kerat sahaja di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Anak keturunan merekalah yang berkembang biak dan bertebaran ke seluruh benua yang ada. Berbagai-bagai jenis bahasa, warna kulit, bentuk dan keadaan.

Pengaruh daripada iklim dan udara menyebabkan lama kelamaan menimbulkan perbezaan kulit; ada yang putih, hitam, kuning, merah dan sawo matang. Menimbulkan pula beratus-ratus bahkan beribu-ribu bahasa yang tumbuh menurut kecerdasan masing-masing kelompok. Maka di sini Allah ‎ﷻ memberitahu yang memperkembangkan itu ialah Tuhan sendiri. Tuhanlah yang memberikan ilham bagi manusia bertebaran di muka bumi mencari kediaman yang sesuai untuk mereka.

Di bumi inilah Allah ‎ﷻ jadikan tempat kita hidup dan berkembang biak. Untuk apa? Untuk diuji kita ini adakah kita beriman atau tidak. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf: 7

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

 

وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan; 

Walaupun kita bertebaran di muka bumi, duduk jauh antara satu sama lain, tetapi nanti apabila tiba masanya, kita akan dihimpunkan pada satu tempat. Iaitu di Mahsyar. Pengumpulan ini bukan kerana hendak buat kenduri akan tetapi makhluk semuanya akan dipertanggungjawabkan dengan amal-amal mereka semasa hidup di dunia.

Struktur ayat ini tidak normal. Sepatutnya dalam bahasa yang biasa, perkataan itu sepatutnya begini: تُحْشَرُونَ إِلَيْهِ. Apabila Allah ‎ﷻ mengubah struktur ayat, ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Allah ‎ﷻ menekankan perkataan ini kerana hendak menolak pemahaman Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai bahawa mereka akan hidup semula dan dikumpulkan di hadapan Allah ‎ﷻ. Bukan mereka sahaja yang tidak percaya begitu. Ada agama dunia sekarang ini pun tidak percaya kepada kehidupan setelah mati. Mereka sangka mereka akan dihidupkan kembali ke dunia sebagai binatang. Ini adalah fahaman sesat ‘reinkarnasi’.

Kita orang Islam pun seperti tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Memang kita kata kita percaya. Namun cara kita hidup di dunia ini, seperti kita tidak percaya pun dengan adanya kehidupan akhirat. Kita macam tidak takut yang kita akan dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ nanti dan akan dibicarakan atas segala perbuatan kita. Kita engkar dengan arahan-Nya dan kita buat selamba sahaja dengan larangan-larangan-Nya. Walaupun kita mengaku kita orang Islam.

Jadi, Allah ‎ﷻ mengingatkan orang kafir dan kita juga bahawa kita akan dihadapkan di hadapan-Nya nanti. Kerana itu diawalkan kalimah إِلَيْهِ sebagai penekanan. Jangan kita lupa tentang perkara ini. Hendaklah kita ingat sentiasa dan kerana itu banyak sekali ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita. Setiap helaian kita diingatkan akan perkara ini sampaikan rasanya tidak ada mukasurat dalam Al-Qur’an yang tidak ada memberi peringatan kepada mati.

Maka sebelum kita buat sesuatu, hendaklah kita memikirkan apakah kesannya nanti kepada kita di akhirat kelak. Sanggupkah kita ditanya tentang perkara dosa yang kita lakukan itu? Kita bukan hidup di dunia ini sahaja. Setiap makhluk akan merasai mati. Jadi apa yang kita hendak bawa ke akhirat kelak? Dosa atau pahala?

Kenapa Allah ‎ﷻ gunakan perkataan تُحْشَرُونَ dalam ayat ini? Kadangkala Allah ‎ﷻ akan menggunakan perkataan turja’un yang mempunyai maksud kembali juga. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ gunakan di dalam Baqarah: 28 

ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya

Allah ‎ﷻ gunakan perkataan تُحْشَرُونَ kerana bersesuaian dengan perkataan ذَرَأَ sebelumnya. ذَرَأَ bermaksud kita akan berkembang biak. Namun begitu, walau di mana pun kita berada, kita akan dikumpulkan di hadapan-Nya juga nanti. Lagi pun kalimah تُحْشَرُونَ agak keras dan ia ditujukan kepada orang-orang kafir kerana kalimah تُحْشَرُونَ dari segi penggunaan adalah untuk mengumpulkan binatang ternak. Jadi Allah ‎ﷻ bayangkan kepada kita yang orang kafir nanti akan dikumpulkan seperti dikumpulkan binatang sahaja.


 

SOALAN 7: ADAKAH ENGKAU HENDAK MENIDAKKAN HARI KEBANGKITAN?

Mulk Ayat 25: Ayat jenis syikayah (rungutan daripada Allah ‎ﷻ tentang kata-kata orang kafir). Apabila telah disampaikan segala bentuk hujjah kepada manusia yang degil, mereka masih tidak mahu terima. Mereka tidak dapat menolak hujjah-hujjah itu kerana ia adalah hujjah-hujjah yang padat. Oleh itu, mereka hanya boleh menyebut perkara yang karut sahaja. Inilah sahaja yang mereka boleh katakan:

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”

Malay

Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”

 

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

Dan orang-orang yang ingkar itu berkata: Bilakah akan datang janji itu;

Mereka sanggup kata begini: Bilakah akan datang azab api neraka itu, yang kau katakan itu? Ini memang soalan yang amat karut. Soalan ini mereka tanya kerana kerana mereka memang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Jadi soalan ini adalah soalan mengejek. Ini seperti ejekan mereka kepada Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam Yaasin: 78

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Perkataan الْوَعْدُ bermaksud ‘janji’. Iaitu telah disampaikan kepada mereka janji Allah ‎ﷻ bahawa sesuatu akan berlaku kalau mereka tidak mahu beriman. Akan tetapi dari segi penggunaan bahasa, kalimah الْوَعْدُ bermaksud janji yang menggembirakan, sedangkan kalau kalimah الْوَعيدُ bermaksud janji yang mengandungi ancaman. Akan tetapi daripada konteks ayat ini, ia adalah ancaman kepada orang kafir, jadi kenapa digunakan kalimah الْوَعْدُ yang bermaksud janji baik? Jadi ini adalah ejekan buat mereka sebenarnya. ‘Janji baik’ tetapi sebenarnya buruk bagi mereka.

Ada juga penafsir berkata, ‘janji’ yang mereka maksudkan itu adalah janji kemenangan orang Islam atau janji mereka akan dikenakan azab di dunia ini. Mereka mengejek dengan mengatakan kalau benarlah orang Islam akan menang, atau mereka akan kena azab di dunia atau azab di akhirat, mereka tanya bilakah akan datangnya hari itu?

Mereka sudah tidak ada hujah lagi sebenarnya tetapi mereka tidak mahu kalah. Mereka menggunakan hujah bodoh mereka ini. Mereka kata kalau betul apa yang kamu katakan itu, bila akan datangnya?

Banyak orang sebegini dalam dunia ini. Kalau kita beri nasihat kepada mereka, mereka akan beri hujah-hujah bodoh. Antaranya mereka kata: “Kubur masing-masing.” Atau mereka kata: “Mana dia larangan Allah dalam Qur’an?”, atau mereka kata mereka sudah buat dosa itu, tetapi tidak ada apa-apa azab pun mereka dapat?

Itu semua adalah hujah-hujah bodoh sahaja. Mereka hendak mengelirukan masyarakat sahaja. Mereka cuma hendak buat bising sahaja.

Ayat ini adalah tentang orang-orang kafir zaman Nabi ﷺ. Akan tetapi dari segi nahu, perkataan يَقُولُونَ itu adalah dalam bentuk present tense. Maknanya, dulu pun orang bertanya begitu, sekarang pun dan di masa hadapan, ada orang yang masih lagi bertanya begitu. Bukan waktu ayat ini diturunkan sahaja. Inilah kepentingan kita tahu nahu bahasa Arab supaya boleh faham perkara-perkara sebegini.

Perkataan مَتَىٰ itu bermaksud ‘bila’? Kadang-kadang kita pun menggunakan perkataan yang sama. Contohnya kita hendak tanya bilakah pegawai kerajaan itu akan sampai? Itu adalah soalan yang ikhlas. Namun soalan mereka dalam ayat ini adalah soalan yang mengejek. Mereka kata: “Bila tu? Bila lagi?”

 

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu;

Mereka bukan sahaja mengejek janji itu, tetapi mereka juga cuba hendak menjatuhkan kedudukan Nabi ﷺ. Mereka menyoal kebenaran Nabi ﷺ kerana mereka tanya: “Sekiranya kamu benar”. Maknanya, mereka tidak percaya yang Nabi ﷺ itu bawa kebenaran.

Itu adalah satu tindakan yang bodoh. Kerana mereka sendiri tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah menipu sampaikan baginda diberikan gelaran al-amin. Walaupun selepas baginda menjadi Nabi, mereka masih mempercayai baginda. Sampaikan ada yang meninggalkan barang mereka dengan Nabi ﷺ sebagai amanah kerana mereka tahu bahawa baginda adalah orang yang boleh dipercayai kalau dibandingkan dengan orang lain. Jadi, takkanlah Nabi ﷺ hendak menipu kali ini pula?

Soalan itu bukan sahaja mereka tujukan kepada Nabi ﷺ kerana perkataan yang digunakan adalah كُنْتُمْ – kamu semua. Bermakna, ia merujuk kepada Nabi ﷺ dan juga para sahabat رضي الله عنهم. Ini menunjukkan bahawa sahabat-sahabat رضي الله عنهم juga telah menyampaikan janji yang sama. Ini bermaksud sahabat رضي الله عنهم juga menjalankan dakwah dan tabligh kepada orang musyrikin. Kita pun kena ambil tugas mereka itu dengan menyampaikan dakwah juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 20 Mac 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Tafsir Surah Mulk Ayat 21 – 22 (Berjalan di atas muka)

Mulk Ayat 21: Kalau sebelum ini bab keselamatan, sekarang bab rezeki pula. Ini kerana dua perkara inilah yang paling utama bagi manusia. 

أَمَّن هٰذَا الَّذي يَرزُقُكُم إِن أَمسَكَ رِزقَهُ ۚ بَل لَّجّوا في عُتُوٍّ وَنُفورٍ

Sahih International

Or who is it that could provide for you if He withheld His provision? But they have persisted in insolence and aversion.

Malay

Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezeki-Nya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (daripada kebenaran).

 

أَمَّن هٰذَا الَّذي يَرزُقُكُم

Adakah (roh-roh yang kamu seru) ini yang dapat memberi rezeki kepada kamu?;

Siapakah roh-roh yang kamu seru itu? Iaitu roh-roh Nabi, wali dan malaikat. Adakah roh-roh itu memiliki kuasa? Bolehkah mereka memberi rezeki kepada kamu sekiranya Allah ‎ﷻ menahan rezeki-Nya? Padahal, Allah ‎ﷻlah yang memberi rezeki kepada manusia.

Yakinlah yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri rezeki. Maka jangan risau sangat pasal rezeki. Allah ‎ﷻ telah tentukan rezeki kepada kita. Ulama’ mengatakan yang jikalau kita bergantung harap dengan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan pastikan kita akan mendapat rezeki. Seperti burung yang keluar di pagi hari, tidak tahu mereka ke mana. Akan tetapi mereka pulang ke sarang mereka dengan ada makanan untuk mereka.

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
[Umar Bin Al Khaththab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ bersabda: “Jika kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”
(Sunan Ibn Majah No. 200). Status: Hasan

Jangan kita risaukan rezeki anak-anak kita yang ramai. Kita cuma berusaha dan Allah ‎ﷻ akan pastikan rezeki mereka akan ada. Allah ‎ﷻ menekankan bahawa rezeki itu datang daripada-Nya. Dalam ayat ke-15, Allah ‎ﷻ menyuruh kita mencari rezeki di bumi ini, tetapi bukanlah bumi itu yang memberi rezeki kepada kita, Allah ‎ﷻ jua yang beri مِنْ رِزْقِهِ (daripada rezeki-Nya).

Apakah maksud رزق rizq itu? Kita selalu memahaminya sebagai rezeki dalam bentuk wang, pakaian, makanan serta segala material yang kita boleh nampak dengan mata kita sahaja. Akan tetapi kita hendaklah meluaskan pemahaman kita berkenaan ‘rezeki’ itu. Ia adalah apa sahaja yang memberi faedah kepada kita – termasuklah makanan, udara yang kita hidu, ketenangan fikiran, anak, isteri yang baik, jiran, teman serta sahabat yang baik dan sebagainya. Banyak yang boleh dikategorikan sebagai ‘rezeki’.

Dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ selalu menyamakan rezeki dengan ‘hujan’. Kenapakah begitu? Mufassir mengatakan kerana ada persamaan antara ‘rezeki’ dan ‘hujan’. Antaranya, kita tidak tahu bilakah hujan akan terjadi. Kalau kita ramalkan bila hujan hendak turun, itu adalah hanya tekaan sahaja, tidak semestinya tepat. Begitu juga tidak boleh ramal bilakah hujan akan turun, kita juga tidak boleh menjangkakan bilakah kita akan mendapat rezeki. Kita tidak tahu berapa banyak hujan itu akan turun dan adakah ia baik untuk kita atau buruk untuk kita (sebagai contoh jadi banjir kilat pula). Semua ini Allah ‎ﷻ yang tentukan. Satu lagi, kita tidak boleh kawal hujan. Kita tidak boleh tentukan berapa lebat hujan itu akan turun, di manakah ia akan turun dan berapa lama ia akan turun. Begitulah juga dengan rezeki, kita tidak boleh kawal berapa banyak ia akan turun, dan bagaimanakah caranya ia akan diberikan kepada kita. Semuanya dalam tangan Allah ‎ﷻ. Bukan kita yang boleh tentukan. Oleh itu, kalau hendak rezeki, berdoalah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

 

إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ

sekiranya Dia mahu menghalang rezeki-Nya?

Sekali lagi kalimah مسك digunakan setelah kita lihat ayat ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحمٰنُ sebelum ini. Kita semua tahu bahawa Allah‎ ﷻlah yang memberikan rezeki kepada kita. Namun kalau Allah ‎ﷻ menghentikan daripada memberi rezeki kepada kita, adalah sembahan-sembahan lain itu boleh beri rezeki kepada kita? Bolehkah Jesus beri rezeki, Siva, Vishu, berhala-berhala dan tuhan-tuhan lain beri rezeki kepada kamu? Allah ‎ﷻ suruh kita berfikir dengan mendalam dalam hal ini.

Memang Malaikat Mikail yang turunkan rezeki tetapi bolehkah Malaikat Mikail berikan rezeki kepada kita? Jadi, minta rezeki bukan dengan Mikail tetapi dengan Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan wali-wali yang kita puja itu. Termasuklah dengan Nabi Muhammad ﷺ‎ sendiri, bolehkah baginda berikan rezeki kepada kita? Tidak mungkin sama sekali. Yang boleh beri rezeki hanya Allah ‎ﷻ. Maka sembah Allah ‎ﷻlah sahaja.

 

بَلْ لَّجُّوا فِي عُتُوٍّ

Bahkan, mereka terus menerus dalam kesombongan

Perkataan لَجُّوا pada dasarnya bermaksud berterusan dalam sesuatu. Bayangkan kalau seorang dalam mahkamah mengaku tidak bersalah dan sampai ke sudah dia tidak mengaku salah. Maknanya, mereka berterusan mengatakan ketidaksalahannya.

Namun لَجُّ bukan setakat itu sahaja. Ia bermaksud seseorang itu tetap dalam keadaannya walaupun dia tahu dia salah dan dia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk terus dalam keadaan itu. Jenis orang yang sudah tahu salah tetapi tidak mahu mengaku. Masih tetap hendak menegakkan benang yang basah. Sudah diberitahu yang amalan itu salah, tetapi dia tetap juga hendak buat. Berilah apa-apa hujah pun, mereka bodoh macam itulah juga.  Perkataan فِي bermaksud dia berada di dalam keadaannya itu sampai dia tidak nampak lagi benda lain. Dia seolah-olah tidak boleh keluar daripada pemikiran salahnya itu. Mereka tidak akan berubah kerana mereka telah menutup akal fikiran mereka kepada argumen yang ilmiah.

Perkataan عُتُوٍّ bermaksud ‘sombong’ dan juga melampau batas. Bermakna mereka itu tidak mahu mengikut kebenaran itu hanya kerana sombong sahaja. Mereka berterusan dalam kesombongan mereka. Sombong kerana mereka rasa lebih tinggi daripada kebenaran itu. Maka, jikalau mereka itu diberi peringatan pun, mereka tidak mahu dengar kerana mereka berlebihan sangka mereka sudah pandai. Ramai dalam kalangan kita yang sangka, asalkan mereka telah pernah belajar agama, maknanya mereka sudah pandai habis.

 

وَنُفُورٍ

dan lari daripada kebenaran; 

Mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Perkataan نُفُورٍ datang daripada maksud asal yang bermakna ‘berkembang’. Ia menjadi maksud melarikan diri seperti bertempiaran lari daripada sesuatu. Macam kalau kita tidak suka sangat kepada sesuatu, kita tidak mahu berada di situ lagi dan kita akan melarikan diri. Begitulah yang terjadi kepada masyarakat kita. Kalau kita hendak bercerita tentang tauhid, tentang sunnah dan kesalahan amalan bid’ah yang mereka lakukan, mereka tidak mahu dengar. Mereka akan melarikan diri seperti kita pula orang yang sesat. Padahal, apa yang kita bawa adalah kebenaran. Apakah ada kebenaran yang lebih benar lagi daripada Al-Qur’an dan Hadith Sahih?

Begitulah mereka itu melarikan diri kerana mereka sombong. Mereka merasakan apa yang mereka buat selama ini sudah betul, maka mereka tidak mahu mendengar hujjah kita. Mereka rasa mereka sudah berilmu, sudah pandai kerana mereka juga kononnya telah bertahun-tahun belajar agama. Mereka kata mereka selalu mendengar ustaz mengajar di masjid dan surau, mereka juga ada yang telah belajar di pondok, di madrasah itu ini, malah universiti, maka mereka sangka mereka sudah pandai. Mereka sangka mereka sudah cukup bagus, itulah sebabnya mereka sombong.

Mereka juga takut kedudukan mereka dalam masyarakat akan terjejas sekiranya beralih kepada ajaran dan amalan sunnah. Ini kerana merekalah yang mengajar di surau-surau dan masjid-masjid sekarang ini. Merekalah yang menjadi tekong apabila doa selamat dibaca, apabila kenduri arwah dan Majlis Tahlil diadakan. Merekalah yang membacakan talqin kepada orang mati. Merekalah imam apabila Solat Hajat berjemaah dibuat. Merekalah yang dipanggil untuk buat tahnik, cukur jambul budak baru lahir dan sebagainya. Kemudian mereka mengambil upah atas ‘khidmat’ mereka itu.

Jika dibawa hujjah sunnah, maka akan jelaslah bahawa amalan mereka yang menaikkan darjat mereka di mata masyarakat itu akan jatuh. Tentulah punca pendapatan mereka akan terjejas. Kerana itulah mereka tidak mahu mendengarnya, dan malah mereka akan kata semua ajaran sunnah itu adalah ajaran yang salah. Maka jikalau ditanya kenapa mereka menentang sangat, maka jawapannya adalah: mereka tidak suka ajaran sunnah kerana mereka akan hilang punca pendapatan. Mereka tidak mendapat upah lagi menjadi imam solat Hajat, baca doa selamat, mandi air jampi, buang sial dan sebagainya. Semua itu adalah punca pendapatan mereka.

Masyarakat yang jahil akan mencari mereka untuk membaca doa yang menggunakan tawasul, ambil berkat daripada mereka, dan selepas itu masyarakat jahil itu akan beri upah kepada mereka. Hilanglah pendapatan mereka kalau masyarakat sudah mengamalkan sunnah. Ini kerana dalam sunnah, semuanya percuma kerana kita tidak boleh ambil upah dalam perkara ibadat. Malah dalam mengajar agama pun hendaklah percuma. Mereka sudah biasa dan sudah sebati dengan amalan bid’ah dan syirik mereka selama ini. Mereka sudah berada dalam kedudukan yang selesa. Mereka rasa mereka orang yang sudah mengamalkan agama. Mereka sangka mereka sudah selamat apabila berjumpa Tuhan nanti. Jadi, mereka tidak mahu menddengar lagi hujah-hujah lain. Walaupun hujah-hujah itu daripada Al-Qur’an dan sunnah.

Kalimah نُفُورٍ juga bermaksud benci dan benci sangat. Mereka itu benci sangat kepada golongan Sunnah kerana telah menentang mereka, membuka pekung mereka. Mereka marah kerana golongan sunnah ada hujah, tetapi mereka tidak ada. Mereka hanya ada cacian dan makian sahaja. Lihatlah hujah-hujah mereka yang amat rapuh tetapi kata-kata mereka sangatlah buruk. Mereka maki, hina, caci, kutuk tak ingat akhirat langsung. Yang peliknya golongan yang mengaku belajar tasawuf pun begitu juga! Kononnya orang yang mendidik hatilah konon!

Ayat ini asalnya diturunkan kepada Musyrikin Mekah tetapi perbuatan dan fahaman mereka itu bukanlah hanya kepada mereka sahaja. Jangan kita sangka itu hanyalah untuk mereka sahaja kerana perangai itu masih ada lagi dalam masyarakat kita. Kita takut kalau-kalau kita pun termasuk dalam golongan itu juga. Kita kena sentiasa periksa apakah perbuatan yang kita buat selama ini benar ataupun tidak. Walaupun kita sangka kita sudah mengamalkan sunnah, tetapi teruslah belajar untuk memastikan kesahihannya. Jangan kita berhenti daripada mencari ilmu. Walaupun pada permulaannya, mungkin kita tidak biasa, tetapi teruskan belajar dan dapatkan hujah dan dalil yang kuat supaya kita sampai kepada tahap kebenaran.

Semoga Allah ‎ﷻ membantu kita dalam usaha kita ini. Berdoalah kepada Allah ‎ﷻ supaya menunjukkan manakah pendapat yang benar. Jikalau ada keinginan, maka Allah ‎ﷻ akan tarik seseorang itu kepada kebenaran.


 

SOALAN: ADAKAH YANG BERIMAN DAN KUFUR ITU SAMA?

Mulk Ayat 22: Bandingan mereka yang tidak mahu terima hujah daripada wahyu.

أَفَمَن يَمشي مُكِبًّا عَلىٰ وَجهِهِ أَهدىٰ أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

Then is one who walks fallen on his face better guided or one who walks erect on a straight path?

Malay

Maka adakah orang yang berjalan tersungkur di atas mukanya boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak melalui jalan yang lurus rata?

 

أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِ

Apakah satu orang yang berjalan dengan mukanya tersembam di bumi;

Maknanya, orang yang berjalan begitu tidak boleh lihat di hadapannya kerana mukanya di bawah sahaja. Ini adalah orang yang semasa hidupnya tidak memandang Al-Qur’an sebagai pedoman hidupnya maka Allah ‎ﷻ balas di akhirat nanti tidak melihat di hadapannya. Mereka buta hati di dunia maka Allah ‎ﷻ akan butakan penglihatan mereka di akhirat kelak.

Ada huruf فَ dalam perkataan أَفَمَنْ itu. Ia digunakan untuk menunjukkan bahawa ini adalah sebagai konklusi perbincangan sebelum ini. Setelah diberikan segala hujah dan disuruh manusia melihat segala bukti yang ada, maka apakah balasan yang manusia akan terima? Mereka telah diberikan dua pilihan: sama ada mengikuti jalan kebenaran atau jalan kesesatan. Mana satukah yang mereka hendak pilih? Kepada mereka yang mengikut jalan kesesatan semasa di dunia, di akhirat nanti mereka akan berjalan menggunakan muka mereka.

Perkataan مُكِبًّا asalnya adalah كَبَّ yang bermaksud ‘jatuh’. Oleh itu مُكِبًّا bermaksud orang yang jatuh. Yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah berjalan dalam keadaan terjatuh atas muka. Tentulah yang berjalan itu sukar bergerak, malah tidak nampak jalan ke hadapan kerana tidak nampak arah. Begitulah nanti manusia akan diterbalikkan di akhirat kelak. Semasa mereka di dunia, muka mereka berada di atas, sebaliknya di akhirat nanti muka mereka akan tersembam di tanah. Inilah balasan yang diberikan kepada orang yang degil. Malah disebut di dalam Isra’: 97 bahawa orang yang sesat itu akan diseret di atas muka mereka,

وَمَن يَہدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلمُهتَدِ‌ۖ وَمَن يُضلِل فَلَن تَجِدَ لَهُم أَولِيَآءَ مِن دُونِهِۦ‌ۖ وَنَحشُرُهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِم عُميًا وَبُكمًا وَصُمًّا‌ۖ مَّأوَٮٰهُم جَهَنَّمُ‌ۖ ڪُلَّمَا خَبَت زِدنَـٰهُم سَعِيرًا
Dan barangsiapa yang ditunjuki Allah, dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang Dia sesatkan maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penolong-penolong bagi mereka selain daripada Dia. Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

Bolehkah Allah ‎ﷻ membuat manusia berjalan dengan mukanya? Bagaimanakah Allah ‎ﷻ memperjalankan manusia dengan mukanya? Ini tidak menghairankan kerana Allah ‎ﷻ boleh memperjalankan ular yang tidak mempunyai kaki, maka adakah Allah ‎ﷻ tidak mampu menjalankan manusia menggunakan mukanya?

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَير، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ نُفَيع قَالَ: سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى وُجُوهِهِمْ؟ فَقَالَ: “أَلَيْسَ الَّذِي أَمْشَاهُمْ عَلَى أَرْجُلِهِمْ قَادِرًا عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُمْ عَلَى وُجُوهِهِمْ”
Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Ismail, daripada Nafi’ yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Anas ibnu Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan bahawa pernah ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah ada orang-orang yang digiring dengan muka di bawah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Tuhan yang membuat mereka dapat berjalan dengan kaki mereka mampu membuat mereka berjalan dengan muka di bawah.”
(Musnad Ahmad No. 11367), disahihkan oleh Arnauth رَحِمَهُ اللَّهُ

Di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh jadikan makhluk berjalan di atas perutnya seperti disebut di dalam Nur: 45

وَاللهُ خَلَقَ كُلَّ دابَّةٍ مِن مّاءٍ ۖ فَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ بَطنِهِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ رِجلَينِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ أَربَعٍ
Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian daripada haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki.

Maka, kita tidak pasti bagaimanakah nanti Allah ‎ﷻ akan memperjalankan mereka dengan muka mereka, tetapi kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ mampu untuk buat apa sahaja. Kita mungkin tidak boleh bayangkan, namun terimalah dengan bulat hati bahawa ia pasti akan terjadi.

Ada pendapat yang mengatakan bukanlah dimaksudkan berjalan atas muka kerana  apabila Allah ‎ﷻ memberi contoh, Dia tidak berikan sesuatu yang kita tidak boleh bayangkan. Kalau berjalan dengan muka, bagaimana kita boleh bayangkan? Maka di sini ia mungkin bermaksud berjalan dan terjatuh, bangkit dan berjalan terjatuh lagi. Dia jenis lagi banyak jatuh daripada banyak berjalan, menyebabkan mukanya asyik jatuh tersembam ke tanah. Mungkin kerana keadaan yang gelap, jalan yang tidak seimbang atau dia sendiri buta. Gelap kerana dia tidak ada panduan hidup semasa di dunia, jalan tidak seimbang kerana dia tidak menggunakan wahyu sebagai panduan hidupnya, dan buta kerana semasa di dunia dia sendiri buta daripada kebenaran.

Mereka ini adalah jenis orang yang memandang ke bawah iaitu memandang kepada dunia sahaja. Mereka tidak fikirkan tentang balasan di akhirat tetapi hanya mengejar habuan di dunia sahaja. Allah ‎ﷻ mengibaratkan mereka ini seperti anjing seperti disebut di dalam A’raf: 176

وَلَو شِئنا لَرَفَعنٰهُ بِها وَلٰكِنَّهُ أَخلَدَ إِلَى الأَرضِ وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الكَلبِ إِن تَحمِل عَلَيهِ يَلهَث أَو تَترُكهُ يَلهَث ۚ ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

 

أَهْدَىٰ

lebih terpimpin?; 

Sekarang Allah ‎ﷻ memberi perbandingan antara orang kafir dan orang mukmin. Adakah orang yang berjalan atas mukanya itu lebih terpimpin? Allah ‎ﷻ tidak menjawab di sini, tetapi dalam sambungan ayat seterusnya, Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa bandingannya adalah orang yang berada di atas jalan yang lurus. Malah disebut di dalam Hadid: 13 yang orang beriman akan diberi cahaya di akhirat kelak, maka senanglah untuk mereka berjalan

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahaya kalian”.

Maka, ini bermaksud orang yang berjalan atas mukanya itu bukanlah orang yang terpimpin. Allah ‎ﷻ tidak beri jawapan terus kerana Allah ‎ﷻ hendak kita menggunakan akal kita; inilah tema surah ini yang suruh kita berfikir sendiri.

 

أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

daripada seorang yang berjalan tegak di atas jalan yang lurus;

Bandingkan orang yang berjalan atas mukanya dengan orang yang berjalan tegak dengan dua kaki? Perkataan سَوِيًّا bermaksud yang tegak, lurus yang sama rata. Tidak bengkang bengkok. Adakah sama dengan orang yang sebelum ini? Mereka ini seumpama orang yang berjalan di atas jalan raya, iaitu jalan yang jelas jika dibandingkan dengan orang yang berjalan mukanya dalam lumpur. Mereka inilah yang mengambil agama mereka daripada sumber yang jelas dan sahih – Al-Qur’an dan sunnah.

Maka, dua jenis golongan ini adalah sama seperti tema Surah Mulk ini: golongan yang benar dan golongan yang salah. Mereka akan diberikan pilihan dan pilihan mereka itu akan menentukan nasib mereka di akhirat kelak. Jadi, jalan manakah yang kita hendak pilih? Jalan selamat atau jalan yang sesat? Mahu jalan tegak atau jalan atas muka? Begitulah Allah ‎ﷻ membuat perumpamaan untuk memberi kita faham sebagaimana juga terdapat di dalam Zumar: 29 tentang golongan musyrik,

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا رَّجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشٰكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلً
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama)

Untuk lebih memahami ayat ini, kita perlu lihat ayat selepasnya ini nanti. Allah ‎ﷻ telah memberikan pendengaran, penglihatan dan hati kepada manusia. Itulah sumber pancaindera kita untuk membuat keputusan. Kita akan dengar, lihat dan kita akan nilai. Namun bukan itulah sahaja pancaindera kita. Kita juga ada deria rasa, sentuh dan sebagainya. Namun begitu deria-deria lain itu tidak digunakan oleh Allah ‎ﷻ dalam surah ini kerana deria-deria itu bukan digunakan untuk membuat keputusan dalam agama. Akan tetapi mereka yang membuat pilihan dalam agama berdasarkan kepada deria selain pendengaran, penglihatan dan hati, maka mereka akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan. Sebagai contoh, lihatlah seekor anjing yang mencari makanan. Bukankah anjing itu akan meletakkan mukanya ke tanah sahaja semasa mencari makan? Anjing itu akan menggunakan deria hidu dan rasanya untuk mencari makanan – mana makanan yang dia boleh makan atau tidak. Dia tidak pedulikan pendengaran dan penglihatannya lagi. Begitulah manusia yang hanya menggunakan deria mereka dengan cara yang salah. Mereka akan hanya fikirkan tentang perut mereka sahaja. Mereka fikir apa hendak makan sahaja. Mereka akan membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka akan dapat di dunia sahaja dan apakah yang boleh memenuhkan perut mereka.

Maka kerana itulah ada mufti yang akan membuat keputusan agama atas arahan pemerintah, kerana sekiranya mereka membantah, mereka akan diturunkan pangkat dan mereka hilang punca pendapatan. Ada juga ustaz dan guru agama yang sanggup mengatakan sesuatu amalan bid’ah itu baik dalam agama kerana amalan bid’ah itulah yang memberi punca pendapatan kepada mereka. Kalau mereka kata salah, maka mereka hilang punca pendapatan.

Sekarang kita hendak tunjukkan sesuatu yang menakjubkan dan amat menarik. Perhatikan hujung ayat-ayat sebelum ini:

1. قَدِيرٌ
2. ٱلغَفُورُ
3. فُطُورٍ
4. حَسِيرٌ
5. ٱلسَّعِيرِ
6. ٱلمَصِيرُ
7. تَفُورُ
8. نَذِيرٌ
9. كَبِيرٍ
10. ٱلسَّعِيرِ
11. ٱلسَّعِيرِ
12. كَبِيرٌ
13. ٱلصُّدُورِ
14. ٱلخَبِيرُ
15. ٱلنُّشُورُ
16. تَمُورُ
17. نَذِيرِ
18. نَكِيرِ
19. بَصِيرٌ
20. غُرُورٍ
21. نُفُورٍ

Nampak atau tidak persamaan pada semua kalimat itu? Sedang kita sedap-sedap baca surah ini dibuai dengan hujung yang sama yang mempunyai huruf ر padanya, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kalimah hujung yang berlainan pula iaitu مُستَقيمٍ pula. Eh kenapa pula tiba-tiba berlainan? Tentu ada penekanan yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan di sini. Siapakah yang يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ itu? Tidak lain dan tidak bukan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Bagindalah yang menjadi rujukan bagi kita dan selepas ini Allah ‎ﷻ hanya bercakap dengan baginda sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 10 Mac 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Story Night: ‘Jatuh’ Bahagian 2

JATUH
OLEH NOUMAN ALI KHAN

BAHAGIAN 2

Bahagian seterusnya ini adalah mengenai: Adam dan malaikat diajar

Allah berfirman dalam (Al-Baqarah: 31)

وَعَلَّمَ اٰدَمَ الْاَسْمَاۤءَ كُلَّهَا

Dan Dia ajarkan kepada Adam nama-nama semuanya,

Allah telah ajarkan Adam nama-nama segala benda semuanya sekali tanpa satu pun yang ditinggalkan. Kalimah الْاَسْمَاۤءَ boleh diterjemahkan sebagai nama-nama, dan juga kualiti (kelebihan). Sebab itulah nama-nama Allah dipanggil الْاَسْمَاۤءَ الحسني. Ia bukanlah sekadar nama tetapi merangkumi kualiti Allah sekali.

Adam telah diajarkan nama dan kualiti segala benda, dan ini bermakna Adam telah diajar segala jenis bahasa. Ini kerana semua bahasa akan memperkenalkan kata nama (noun) sesuatu benda itu. Sebagaimana seorang anak kecil yang baru belajar, dia akan belajar mengenali nama sesuatu benda terlebih dahulu. Maka, kata nama adalah asas sesuatu bahasa, malah semua bahasa yang wujud di dunia ini. Oleh itu sekarang kita tahu yang manusia pertama yang diajar kosa kata secara keseluruhan adalah Nabi Adam.

Kita pula sebagai anak cucu Adam diajar hanya sebahagian bahasa dan ia adalah ‘anak’ kepada induk bahasa yang telah diajar kepada Nabi Adam. Dan kita kena ingat yang Nabi Adam telah diajar secara langsung oleh Allah sendiri. Maka, ini bermaksud yang semua bahasa telah diajar oleh Allah melalui wahyu. Tidak ada satu bahasa pun yang wujud di bumi ini yang bukan datang daripada-Nya. Ini kerana semua bahasa berasal daripada nenek moyang kita, dan nenek moyang itu berasal daripada moyang di atasnya sehinggalah sampai kepada Nabi Adam. Dan Nabi Adam telah diajar oleh Allah. Maka, di sini juga mengajar kita bahawa semua bahasa haruslah dimuliakan kerana semuanya telah diajar oleh Allah. Kita tidak sepatutnya mengejek-ejek sesuatu bahasa atau dialek. Kerana ia seumpama mengejek Allah, bukan?

Satu lagi implikasi daripada pelbagai bahasa ini adalah penggunaan istilah di dalam ilmu. Setiap pengetahuan ilmu dan sains ada istilahnya tersendiri. Bidang kedoktoran ada istilahnya, bidang kepeguaman ada istilahnya dan seterusnya dalam semua bidang lain. Dengan erti kata lain, segala ilmu yang telah diberikan kepada Nabi Adam adalah asas kepada seluruh kemajuan intelektual manusia. Segala-galanya telah diajar kepada manusia pertama ini agar baginda dapat menurunkan ilmunya ini kepada generasi seterusnya.

Nenek moyang kita telah mencatat semua ilmu-ilmu ini dan diberikan terma-terma (istilah-istilah) yang bersesuaian. Manusia kemudiannya selepas itu menambah baik terma-terma tersebut. Dengan ini, bidang ilmu dapat berkembang menjadi semakin canggih. Ini bermakna, manusia tidak dapat bergerak maju ke hadapan tanpa ilmu-ilmu asas ini. Kemajuan dan pembangunan ilmu manusia di dalam semua bidang merupakan perancangan Allah sejak awal lagi dan ia bermula dengan Adam.

Oleh sebab itu, apabila anda belajar ilmu fizik, biologi, perubatan, kewangan dan apa sahaja bidang pun, anda sebenarnya menyambung pembelajaran dan ilmu yang berasal daripada Adam. Maka, jangan kata yang belajar pengajian agama sahaja yang berkait rapat dengan Allah, sedangkan semua bidang pengajian berkait rapat dengan Allah! Anda sendiri yang membuat pengasingan itu, bukannya Allah.

Kitab Allah mahukan kita mendalami segala ilmu-ilmu di alam ini dan mengajak kita mempelajari tentang segala-galanya yang bermanfaat. Allah berfirman di dalam (Hud: 61)

هُوَ اَنْشَاَكُمْ مِّنَ الْاَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيْهَا

Dia telah menciptakanmu dari bumi (tanah) dan menjadikanmu pemakmurnya,

Dalam Bahasa Arab moden kalimah اسْتَعْمَر bermaksud menjajah. Manakala dalam Bahasa Arab lama pula ia bermaksud Allah meletakkan kita di bumi dan Dia mahukan kita membangunkan dan memajukan bumi. Bagaimanakah kita boleh memajukan dan memakmurkan bumi jika kita tidak belajar sains?

Sebagai contoh, pertanian dapat dilakukan apabila manusia belajar cara pengairan yang betul. Dari situ, bandar-bandar dapat berkembang maju. Ini tidak akan dapat berlaku tanpa ilmu sains. Tahukah anda dari mana asalnya tamadun Islam? Ia berasal dari ilmu sains juga. Malangnya, kita telah lama dipengaruhi oleh pemikiran sekular yang mengasingkan agama dan sains sehingga kita menganggap ilmu sekular ini tidak penting. Sedangkan kita belajar di sini yang Allah telah mewahyukan ilmu sekular terlebih dahulu kepada manusia. Allah tidak pun menyebut lagi tentang ibadah kepada Adam, bukan?

Amat malang sekali umat Islam telah berada dalam kebekuan intelektual sehingga kita telah mengasingkan dan membezakan pengetahuan ilmu agama dengan ilmu sains. Atau kita boleh katakan di antara ‘ilmu wahyu’ dan ‘ilmu penciptaan’. Di sini kita telah belajar bahawa Nabi Adam telah diberikan kemuliaan untuk mempelajari ilmu ciptaan. Dan itu merangkumi segala jenis ilmu. Allah tidak menghadkan ilmu ciptaan kerana Dia telah berfirman وَعَلَّمَ اٰدَمَ الْاَسْمَاۤءَ كُلَّهَا  di mana kalimah كُلَّهَا bermaksud  segala-galanya, termasuk segala idea dan konsep yang abstrak. Jadi ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam adalah amat luas.

Apa yang telah dikurniakan kepada Adam tentulah amatlah mengagumkan. Malah ada di antara kita telah dikurniakan sebahagian daripada ilmu yang istimewa ini. Ada di antara kita diberikan ilmu sastera dan puisi, ada pula yang berseni dan ada pula yang hebat dalam bidang sejarah dan bahasa, dan ada pula yang mahir dalam bidang sains dan perubatan.

Maka, walau dalam bidang apapun kehebatan anda itu, ia merupakan sebahagian kecil pecahan daripada ilmu yang telah dikurniakan kepada Adam. Ilmu itu telah diberikan kepada Adam untuk diturunkan kepada kita semua. Oleh sebab itu juga, janganlah berasa bersalah pula jika kita mahir ilmu keduniaan ini. Jika anda hebat dalam ilmu apa sekalipun, ingatlah bahawa ia merupakan anugerah daripada Allah yang telah diturunkan dari generasi ke generasi sehingga sampai kepada anda.

Maka, maksud pertama الْاَسْمَاۤءَ adalah nama-nama. Maksud kedua boleh diambil daripada hadith berikut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ مَسَحَ ظَهْرَهُ فَسَقَطَ مِنْ ظَهْرِهِ كُلُّ نَسَمَةٍ هُوَ خَالِقُهَا مِنْ ذُرِّيَّتِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَجَعَلَ بَيْنَ عَيْنَىْ كُلِّ إِنْسَانٍ مِنْهُمْ وَبِيصًا مِنْ نُورٍ ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى آدَمَ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَؤُلاَءِ قَالَ هَؤُلاَءِ ذُرِّيَّتُكَ فَرَأَى رَجُلاً مِنْهُمْ فَأَعْجَبَهُ وَبِيصُ مَا بَيْنَ عَيْنَيْهِ فَقَالَ أَىْ رَبِّ مَنْ هَذَا فَقَالَ هَذَا رَجُلٌ مِنْ آخِرِ الأُمَمِ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ يُقَالُ لَهُ دَاوُدُ ‏.‏ فَقَالَ رَبِّ كَمْ جَعَلْتَ عُمْرَهُ قَالَ سِتِّينَ سَنَةً قَالَ أَىْ رَبِّ زِدْهُ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعِينَ سَنَةً ‏.‏ فَلَمَّا انْقَضَى عُمْرُ آدَمَ جَاءَهُ مَلَكُ الْمَوْتِ فَقَالَ أَوَلَمْ يَبْقَ مِنْ عُمْرِي أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَوَلَمْ تُعْطِهَا ابْنَكَ دَاوُدَ قَالَ فَجَحَدَ آدَمُ فَجَحَدَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَنَسِيَ آدَمُ فَنَسِيَتْ ذُرِّيَّتُهُ وَخَطِئَ آدَمُ فَخَطِئَتْ ذُرِّيَّتُهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ‏.‏ وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏.‏

Daripada Abu Hurairah -raḍiyallāhu ‘anhu-, dia berkata, Rasulullah -ṣallallāhu ‘alaihi wa sallam- bersabda, “Tatkala Allah menciptakan Adam, Dia mengusap punggungnya, maka berjatuhanlah semua roh yang bakal Dia ciptakan daripada anak keturunannya sampai hari kiamat. Dan Dia letakkan di antara kedua mata setiap orang daripada mereka seberkas cahaya, kemudian Dia tunjukkan kepada Adam. Adam pun bertanya, “Duhai Rabb-ku, siapakah mereka ini?” Allah berfirman, “Mereka ini adalah keturunanmu.” Lalu dia melihat salah seorang daripada mereka yang cahaya di antara kedua matanya menakjubkannya, lantas dia berkata, “Duhai Rabb-ku, siapakah dia ini?” Kata Allah, “Dia salah seorang keturunanmu dalam kalangan umat belakangan, namanya Dawud.” Lalu dia berkata, “Duhai Rabb-ku, berapakah Engkau jadikan umurnya?” Kata Allah, “Enam puluh tahun.” Adam berkata, “Duhai Rabb-ku, tambahkanlah untuknya daripada umurku sebanyak empat puluh tahun.” Ketika umur Adam telah habis, Malaikat Maut mendatanginya. Beliau pun berkata, “Bukankah usiaku ini masih tersisa empat puluh tahun lagi?” Malaikat berkata, “Bukankah telah engkau berikan untuk putramu Dawud?” Beliau (Rasulullah) bersabda, “Adam melakukan pengingkaran, maka anak cucunya juga melakukan pengingkaran, Adam lupa, maka anak cucunya juga lupa, dan Adam bersalah, maka anak cucunya juga bersalah.” Jami’  At-Tirmidzi 3076. Status: Hasan (Darussalam).

Setiap seorang daripada kita berada di situ ketika kejadian itu dan ini bermakna roh kita semua telah ditunjukkan kepada Nabi Adam. Sebelum ini, apa yang kita tahu adalah Nabi Adam telah diberitahu tentang nama-nama kita, bukan? Jangan lupa yang Nabi Adam juga diberitahu mengenai kualiti kita juga. Sebagaimana seorang bapa yang seharusnya mengenali anak-anaknya.

Maka, di sini kita boleh lihat maksud kalimah الْاَسْمَاۤءَ juga membawa maksud nama-nama kita. Ia bukan bermaksud ‘benda’ sahaja. Pelajar bahasa Arab boleh menghargai fakta ini kerana Allah telah menyambung firman-Nya dengan  ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰۤىِٕكَةِ kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat,. Dhomir (kata ganti) هم bukan digunakan untuk benda yang tidak bernyawa tetapi untuk manusia. Ini kerana Nabi Adam telah diajar nama-nama manusia terlebih dahulu dan kemudian barulah ditunjukkan kita kepada para malaikat.

Kemudian Allah telah bertanya kepada mereka (para malaikat): فَقَالَ اَنْۢبِـُٔوْنِيْ بِاَسْمَاۤءِ هٰٓؤُلَاۤءِ “Sebutkan kepada-Ku nama semua ini. “Bolehkah kamu namakan kesemua manusia ini dan kualiti yang ada pada mereka?” Malaikat tidak dapat menjawabnya. Allah tanyakan soalan ini kepada mereka kerana mereka yang terlebih dahulu bertanyakan soalan kepada Allah. Iaitu soalan mereka yang bertanyakan mengapa Allah mahu menjadikan khalifah baru di bumi. Maka, sekarang Allah memberitahu mereka jenis khalifah apakah yang akan diletakkan di bumi ini. “Adakah kamu tahu nama-nama mereka, kualiti dan kelebihan yang ada pada diri mereka, wahai malaikat?” “Tidak”, jawab mereka. Mereka tidak tahu.

Maksudnya Allah sedang menegaskan yang malaikat tidak boleh menuduh yang manusia akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh jin sebelum ini. Itu adalah pemikiran yang pra matang. Kamu tidak boleh menghukum manusia berdasarkan apa yang makhluk sebelumnya telah lakukan.

Apakah pengajarannya di sini? Prinsip ini bukan sahaja ditujukan kepada malaikat tetapi untuk anda dan saya. Jika seseorang telah melakukan kesilapan di masa silam, ini tidaklah bermakna yang anak cucunya akan terus melakukan kesilapan yang sama.

Jika seorang Muslim telah melakukan dosa di masa silamnya, tidaklah bermakna generasi seterusnya akan melakukan dosa yang sama. Malang sekali, kita telah membina satu perasaan yang merisaukan tentang masa depan kita berdasarkan sejarah silam kita. Sama ada tentang diri kita sendiri ataupun ummah. Kaum Muslim suka melakukan perkara ini, bukan? Dan bukan hanya untuk Muslim sahaja, malah untuk bukan Islam juga. Kita biasa dengar, “Ah, puak kafir ni sudah sebati perangai macam ni, takkan berubah dah!” Adakah anda mendapat jaminan daripada Allah yang mereka akan berterusan berperangai dan bersikap begitu sampai bila-bila?

Lihatlah perangai puak Quraisy. Ya, pada masa silam merekalah yang paling kuat menentang Rasulullah. Namun begitu, daripada puak yang samalah lahirnya manusia seperti Khalid ibn Walid dan ramai lagi para sahabat lain yang hebat. Oleh sebab itu, janganlah kita menghakimi manusia berdasarkan masa silam mereka. Para malaikat telah diajar yang cara pemikiran sebegini adalah tidak betul. Maka, kita juga harus mengambil pengajaran yang sama di sini.

Adakah jin sebelum kita itu telah diajar ilmu sains dan teknologi? Tidak, hanya manusia diberikan ilmu tersebut. Maka, apabila manusia  menjadi khalifah di bumi, mereka akan melakukan perkara yang hebat. Daripada bahan-bahan mentah di bumi ini, manusia akan mencipta, mereka bentuk benda-benda baru. Anda sendiri boleh melihatnya sedang berlaku, bukan? Lihatlah tahap mana kita berada sekarang. Ia telah terbukti sejak zaman berzaman.

Setelah Allah tanyakan kepada mereka, kemudian di penghujungnya Allah telah berfirman, اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ jika kamu yang benar!”  Ini boleh membawa dua maksud. Pertama, Allah sedang mencabar para malaikat dengan mengatakan yang kebimbangan mereka adalah tidak berasas. Kedua, ia merujuk kepada tasbih dan taqdis. Dan Allah sedang memberitahu malaikat bahawa di antara manusia ini, akan ada yang mengisytihar kesempurnaan dan kesucian Allah di tahap yang tidak mampu dicapai oleh para malaikat.

Sebagai contoh, pada Hari Pembalasan nanti, ketika semua didiamkan, hanya Rasulullah yang diberikan kebenaran untuk berkata-kata. Rasul kita akan memuji Allah dengan cara yang tidak pernah diajar kepada sesiapapun, malah kepada para malaikat pun. Maka, tasbih, tahmid dan taqdis baginda nanti adalah lebih baik daripada para malaikat. Maka, di sini Allah sedang memberitahu para malaikat agar tidak memandang rendah manusia ini kerana dalam kalangan mereka akan ada para nabi dan rasul.

Lihat hadis di atas mengenai Nabi Dawud. Nabi Dawud telah menarik perhatian Adam sehingga baginda telah menghadiahkan 40 tahun daripada jangka hayat hidupnya kepada Nabi Dawud. Jika anda mempelajari mengenai Dawud dalam Qur’an apakah  yang akan anda temui? Agaknya apakah yang telah menjadikannya begitu istimewa sekali? Baginda telah diberikan kelebihan untuk mengharmonikan alam. Apabila baginda memuji-muji Allah, gunung-ganang dan unggas menyertai baginda. Baginda telah mencipta baju besi yang menunjukkan ilmu pengetahuannya yang tinggi. Baginda juga telah diberikan kelebihan mentadbir urus yang hebat yang tidak diberikan kepada rasul-rasul yang lain.

Dalam erti kata yang lain, baginda telah benar-benar menjaga bumi dan menjadi khalifah yang sebenar. Dan baginda merupakan seorang khalifah yang benar-benar istimewa sekali. Dan oleh sebab itulah, Nabi Dawud telah menarik perhatian Adam dan baginda mengaguminya dan berasakan beliau layak untuk tinggal lebih lama lagi di atas bumi ini. Ini kerana Nabi Adam sudah mengenali ciri-ciri kelebihan dan kualiti setiap daripada anak-anaknya.

Kembali semula kepada ketika Allah bertanyakan kepada malaikat itu dan mereka menjawab, قَالُوْا سُبْحٰنَكَ Mereka menjawab, “Maha Suci Engkau. Malaikat menjawab Allah terlalu sempurna. Tapi, bilakah kita ucapkan tasbih? Ketika kita mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya. Ini bermaksud yang mereka sedang menarik semula kata-kata mereka yang melampau apabila mereka telah mempersoalkan keputusan Allah.

Dan mereka telah menyambung لَا عِلْمَ لَنَآ اِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. “Engkau telah ajarkan kami tentang jin. Kami hanya tahu tentang jin, tetapi kami tidak tahu tentang manusia. Kami tidak akan mempersoalkan lagi sebarang keputusan-Mu”. اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْمُ Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.”

Walaupun kedudukan mereka begitu rapat dengan Allah, mereka masih sedar akan batas dan sentiasa merendah diri. Tapi, bagaimana dengan kita? Mungkin kita sebagai pelajar agama yang telah belajar peringkat demi peringkat, menghadiri kursus demi kursus, seminar demi seminar dan seterusnya telah berjaya menjadi pelajar yang penuh dengan ilmu di dada dan paling cemerlang di antara pelajar lain. Bagaimana dengan sikap kita? Malangnya ramai yang kita lihat semakin tinggi ilmunya, semakin bongkak pula malah suka memandang rendah orang lain.

Sepatutnya lagi tinggi ilmu seseorang itu, makin rendah dia tunduk ke bumi. Itulah tanda keilmuan, dan para malaikat sedar akan hakikat ini. Malaikat telah diajar agar tidak menghakimi sesuatu perkara terlalu awal.  Begitu juga dengan kita, apabila kita bertemu seseorang buat pertama kali dan langsung tidak tahu apa-apa mengenai diri mereka, janganlah kita tergesa-gesa membuat penghakiman ke atas diri mereka.

Sekarang Allah berpaling pula kepada Adam.  قَالَ يٰٓاٰدَمُ اَنْۢبِئْهُمْ بِاَسْمَاۤىِٕهِمْ Dia (Allah) berfirman, “Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu!” Allah telah memerintahkan Nabi Adam untuk memberitahu malaikat nama-nama kita semua. Maka, bukan sahaja Nabi Adam yang tahu nama-nama kita, tetapi para malaikat juga. Seterusnya, nanti Allah akan mengirimkan penjaga dari kalangan para malaikat untuk kita semua, berdasarkan masalah yang kita hadapi kerana merekalah yang menjaga kita. Oleh sebab itulah mereka kena kenal kita dan segala kelebihan dan masalah kita.

Selepas Nabi Adam memberitahu para malaikat nama-nama kita, Allah telah berfirman, قَالَ اَلَمْ اَقُلْ لَّكُمْ اِنِّيْٓ اَعْلَمُ غَيْبَ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ Dia berfirman, “Bukankah telah Aku katakan kepadamu, bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi. Allah menyebut tentang bumi kerana soalan malaikat adalah tentang bumi dan khalifahnya. Dan ayat ini begitu indah sekali apabila Allah menyebut kedua-duanya sekali langit dan bumi kerana Adam telah dijadikan daripada dua bahagian ini: tubuh badan fizikalnya adalah dari bumi, manakala roh pula dari langit.

Maka, kelebihannya bukan sahaja dijadikan daripada tanah dan roh, tetapi sesuatu yang begitu luar biasa sekali. Oleh hal yang demikian, jangan sesekali merendah-rendahkan manusia. Manusia bukanlah haiwan tetapi mereka adalah makhluk yang begitu istimewa sekali. Haiwan hanya tahu beranak pinak dan makan minum untuk hidup sahaja. Tetapi manusia tidak begitu, mereka mempunyai begitu banyak potensi. Kita mampu untuk mencipta, berkasih sayang, mencari keadilan, bersyukur, berfikiran tinggi, mencipta keindahan, memiliki nilai-nilai tinggi dan sebagainya.

Namun, amat malang sekali, dalam industri hiburan kita telah digalakkan dengan pemikiran untuk meraikan perubahan manusia menjadi haiwan pula. Lihatlah lirik-lirik lagu yang mengandungi kata-kata kotor dan jijik. Siapakah yang menggemari kata-kata begini jika tidak anjing atau haiwan lain? Ini amat menyedihkan sekali kerana Allah telah tunjukkan betapa hebatnya manusia ini, tetapi terdapat segolongan manusia yang telah berubah menjadi buruk. Kita sekarang hidup pada zaman di mana perangai buruk umpama haiwan diraikan dengan hebat sekali. Ini merupakan sebuah tragedi dek kerana kehancuran jiwa-jiwa roh manusia.

Dan lihatlah juga kepada karya seni pada hari ini. Ia bagaikan telah hilang nilai-nilai kemanusiaannya. Cuba bandingkan karya seni Islam di masa silam. Karya ahli seni dahulu adalah tentang simetri kerana ia diilhamkan daripada ayat-ayat Allah yang mengatakan bahawa Dia telah mencipta segala-galanya dalam penuh kesempurnaan dan tersusun. Maka seni Islam terdahulu cuba mencontohi kesempurnaan ini dengan menghasilkan konsep simetri dalam seni lukisan mereka. Cuba lihat karya seni pada hari ini pula, penuh dengan kelucahan yang amat mengganggu sekali apabila melihatnya.

Allah telah mengatakan yang Dia tahu apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Dan tentang manusia pula, Dia telah kurniakan potensi yang pelbagai kepada kita. Ini amatlah indah sekali kerana manusia sememangnya mempunyai kebaikan di dalam diri mereka.

Allah sambung وَاَعْلَمُ مَا تُبْدُوْنَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُوْنَ dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?” Para malaikat tentunya keliru kerana mereka tidak pernah menyembunyikan apa-apa pun daripada Allah. Kenapakah Allah berkata sedemikian? Mereka tidak sedar yang di antara mereka terdapat satu jin yang telah dimuliakan sedang menyembunyikan perasaannya selama ini. Allah telah menyentuh tentangnya. Ia belum berlaku lagi, tetapi Allah sedang memberi sedikit tanda dan petunjuk tentang jin ini. Keengganan untuk sujud belum lagi terjadi tetapi Allah sudah tahu akan perkara ini.

Iblis ragu-ragu terhadap Nabi Adam tetapi dia simpan sahaja perasaannya itu. Walhal dia sudah berasa sangat cemburu terhadap Nabi Adam. Terdapat sebahagian manusia yang kadangkala cemburukan anda walaupun mereka belum mengenali anda. Kenapa? Mereka rasa tergugat dengan kewujudan anda. Hanya dengan kewujudan anda seolah-olah telah merampas kedudukan hebat mereka itu.

Malangnya, dalam dunia Islam pun berlaku cemburu sesama ahli agama. Mereka yang sepatutnya yang membantu untuk memajukan ummah tetapi mereka pula yang telah jatuh ke dalam perangkap syaitan. Ini terjadi apabila terdapat puak-puak yang datang daripada kumpulan masjid atau mazhab yang berbeza. Mereka bersengketa sesama sendiri. Masing-masing merasakan diri mereka sahaja yang benar kerana mereka sedang menjalankan kerja Allah.

Apabila ini terjadi, mereka tidak ubah seperti Iblis saja. Ingatlah, Iblis juga telah menjalankan kerja Allah. Kebanggaannya adalah mendapat pengiktirafan daripada Allah di atas segala khidmatnya kepada Allah. Oleh itu, jika anda juga tersasar dalam perangkap mahukan kebanggaan begini, maka anda sebenarnya mempunyai sikap seperti Iblis juga.

Terdapat pengajaran yang amat penting di sini. Mengapakah dalam Qur’an Allah telah menekankan segala perkara buruk yang telah dilakukan oleh para ulama Yahudi? Kerana mereka telah berbangga dan sombong dengan status mereka. Oleh itu, kita juga harus berwaspada agar tidak menjadi begitu. Jika kita inginkan penghargaan untuk kerja-kerja kita hanya dengan menjatuhkan orang lain, maka kita sedang menghadapi masalah yang amat besar kerana tidak ada bezanya kita dengan Iblis.

Amat malang sekali, dalam masyarakat Islam kita ini, terdapat terlalu banyak yang mempunyai sikap suka menjatuhkan orang lain. Adakah sikap begini dapat memajukan ummah? Tentu tidak, dan kerana itu sikap begini harus dihentikan. Jangan hiraukan perkara yang remeh temeh. Dan mereka yang suka menyebarkan perkara remeh begini hanya membuang masa sahaja dan ini juga adalah perangai syaitan. Maka, janganlah diikuti jejak langkah syaitan.

Kemudian Allah menyambung, وَاِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam! Maka mereka pun sujud,. Terdapat 2 pendapat popular tentang perbuatan sujud ini. Pertama, ia sebagai tanda hormat kepada Adam, dan ia dibenarkan dalam syariat terdahulu.

Tetapi terdapat pendapat yang lain yang tidak bertentangan dengan syariat. Jika kita belajar makna sujud, ia hanya dilakukan jika suatu yang hebat berlaku. Jika Allah melakukan sesuatu yang hebat, kita sujud. Contohnya, ketika tongkat Musa yang memakan ular-ular ahli sihir, mereka terus sujud; ketika golongan Nasrani mendengar ayat-ayat Qur’an dibacakan, mereka juga sujud; begitu juga ketika kaum Quraisy datang untuk berdebat dengan Rasulullah dan mereka mendengar ayat-ayat Qur’an dibacakan, mereka yang Musyrikin juga turun sujud (tanpa sedar). Begitu juga ketika abang-abang Yusuf melihat adik yang mereka telah tinggalkan di dalam perigi buta sekarang telah menjadi seorang yang hebat dan berpengaruh, mereka terlalu kagum dengan perancangan Allah sehingga mereka terus turun sujud.

Sekarang, ketika Nabi Adam dijadikan, walaupun pada awalnya para malaikat ada mempunyai persoalan tentang kejadian baginda, tetapi setelah memahami penjelasan daripada Allah, maka mereka juga terus sujud kepada Adam. Sujud ini berlaku setelah roh dimasukkan ke dalam jasad Nabi Adam. Ia merupakan sebuah keajaiban dari Allah sehingga mereka terlalu kagum dan terus sujud.

Namun begitu, Iblis mempunyai masalah dengan arahan dari Allah ini. اِلَّآ اِبْلِيْسَۗ kecuali Iblis. Dia telah melihat Nabi Adam dijadikan daripada tanah dan dia tidak memperakui roh yang telah ditiup ke dalam jasad Nabi Adam. Maka, dia enggan sujud kepada Nabi Adam walaupun diperintahkan oleh Allah.

Terdapat sedikit masalah di dalam terjemahan ini. Lihat ayat ini: ‘Semua pelajar datang kecuali Kareem.’ Bukankah ini bermaksud Kareem juga merupakan seorang pelajar? Maka, jika Allah berfirman yang semua malaikat sujud kecuali Iblis, adakah ia seolah-olah bermaksud Iblis itu adalah malaikat? Tapi bukankah ia adalah jin?

Di sinilah indahnya Bahasa Arab. Kalimah فَسَجَدُوْٓا bermaksud mereka (para malaikat) sujud. Dan jika Iblis adalah sebahagian daripada malaikat itu, maka ayat yang sepatutnya adalah begini: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسُ  (Iblisu، bukannya Iblisa) di mana dhommah diletakkan pada kalimah اِبْلِيْسَۗ. Tetapi, jika sesuatu itu tidak termasuk dalam kumpulan  yang sama, maka kita meletakkan nasb (harakat fathah) ke atas kata nama itu dan kerana itulah ayat itu berbunyi: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَ.

Sekarang mari kita berikan contoh dalam ayat yang lebih mudah: ‘Semua pelajar hadir kecuali Ustaz Nouman.’  Sekarang, adakah ini bermaksud Ustaz Nouman ini adalah di antara pelajar? Tidak, bukan? Ya, dia termasuk sebahagian dari ahli di dalam kelas tetapi dia tidak diletakkan dalam kumpulan yang sama. Dan anda tahu tentang perkara ini kerana kita telah menambah perkataan ‘ustaz’. Tetapi dalam Bahasa Arab kita tidak perlu berbuat demikian. Kita hanya perlu ubah harakahnya dan kita akan tahu yang ia bukanlah di dalam kumpulan yang sama. Dan sebab itulah untuk mereka yang pandai berbahasa Arab, ayat ini tidak mengelirukan mereka. Dan sebab itulah juga anda perlu belajar Bahasa Arab untuk mengetahui maksud rafa’, nasb dan jarr.

Untuk segelintir orang, mempelajari Bahasa Arab adalah susah dan boleh menjadi agak membosankan. Sesetengah daripada mereka hanya mahu terus belajar ke bahagian yang penting dan menarik sahaja dari Qur’an. Tetapi untuk sampai ke situ, anda perlulah belajar langkah demi langkah.

Dan Allah telah berfirman bahawa Iblis اَبٰى وَاسْتَكْبَرَۖ وَكَانَ مِنَ الْكٰفِرِيْنَ Ia menolak dan menyombongkan diri, dan ia termasuk golongan yang kafir. Kita telah pelajari yang kadangkala, manusia enggan untuk taat disebabkan oleh keangkuhannya. Adan kadangkala ada pula yang enggan kerana disebabkan oleh kejahilan. Ada kalanya pula yang enggan itu kerana marah. Dan ada juga yang enggan kerana sedih atau takut. Jadi ada beberapa sebab kerana manusia enggan melakukan sesuatu.

Namun begitu, jika seseorang itu enggan disebabkan keangkuhannya, maka sudah tidak ada harapan buat dirinya. Dan disebabkan itulah Iblis dihukum kufur dan sudah tidak ada harapan lagi buat dirinya untuk selama-lamanya. Kalimah كَانَ مِنَ الْكٰفِرِيْنَ bermaksud dia telah dari sebelum itu pun sudah termasuk di dalam golongan kafir. Bukannya selepas dia tidak mahu sujud baru dikira kafir, tidak. Sebelum itu lagi dia sudah kafir sebenarnya.

Sekarang Iblis enggan sujud. Di dalam Surah Al-A’raf Allah telah menjelaskan dengan terperinci mengapa ia berlaku. Tetapi Allah mahu kita fokus kepada perkara lain dalam Surah Al-Baqarah. Di sini perhatian diberikan kepada Nabi Adam, manakala dalam Surah Al-A’raf fokus utama adalah tentang Iblis.

Maka, sekarang Allah berpaling kepada Adam وَقُلْنَا يٰٓاٰدَمُ اسْكُنْ اَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ Dan Kami berfirman, “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga,. Kalimah اسْكُنْ bermaksud hidup dalam harmoni. Kamu dan isteri kamu. Dan tidak dinyatakan في الْجَنَّةَ (dalam syurga) tetapi hanya الْجَنَّةَ tanpa harf في di sini. Kebiasaannya apabila kita katakan kita tinggal di sesuatu tempat, kita akan katakan ‘di’ Dallas, Johor dan sebagainya. Tetapi di sini tiada ‘di’. Kenapa?

Ini kerana kalimah في (di dalam) akan menghilangkan sifat luas terbentangnya Jannah itu. Adam tidak diberitahu untuk tinggal di dalam Jannah kerana baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di Jannah itu. Baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di seluruh Jannah yang tidak berpenghujung itu.

Kalimah سكن bermaksud seseorang yang sedang bergerak dan dia berhenti. Dan kemudian dia akan bergerak semula. Dan kemudian dia berhenti lagi. Maksudnya tidak tetap di satu-satu tempat. Kerana itu sesuai digunakan kalimah سكن untuk Nabi Adam di dalam ayat ini. Memang terdapat kalimah lain untuk seseorang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada perancangan untuk bergerak (pindah).

Maka kita telah tahu bahawa Nabi Adam tidak akan tinggal selamanya di Jannah dan sekarang kita tahu yang Nabi Adam akan menerokai keindahan dan kenikmatan Jannah keseluruhannya. Keindahannya ada diisyaratkan di dalam kalimah اسْكُنْ ini.

Siapakah bersama Nabi Adam? Isterinya Hawa, bukan? Tetapi tidak pula Allah menyebut اسكنا (tinggallah kedua-dua kamu) tetapi Dia hanya memberikan perintah-Nya kepada Nabi Adam. Dalam erti kata lain, Allah hanya memerintahkan kepada Nabi Adam, bukan isterinya. Ini kerana hanya ketua keluarga akan diberikan tanggungjawab. Hanya dia yang mewakili seluruh ahli keluarganya yang lain.

Selain itu, terdapat juga makna lain untuk اسْكُنْ. Di dalam ayat lain, Allah berfirman وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا  Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Agar kamu mendapat ketenteraman daripadanya. Maka, daripada اسْكُنْAdam, Hawa telah diciptakan.

Di sini mengajar juga kepada kita, bahawa kunci ketenangan dan ketenteraman sesebuah rumahtangga terletak di tangan suami. Kadangkala, si isteri mungkin terlalu marah sehingga mengeluarkan kata-kata yang sangat buruk, tetapi ketika inilah si suami harus mewujudkan ketenangan itu. Suami haruslah bertenang, dengar sahaja apa yang isteri ingin katakan dan jangan terus mengambil hati dengan kata-katanya. Suami harus sahaja berkata: Ya. Jangan sesekali berpaling dan menjawab. Jangan. Biarkan sahaja. Lepaskan sahaja. Biarkan si isteri meluahkan perasaannya sehingga lega. Ini kerana menjaga ketenteraman adalah tanggungjawab si suami. Jangan harapkan perkara ini daripada isteri kerana dia tidak  mampu sebenarnya.

Tidak dinafikan, kadangkala ia adalah amat sukar sekali. Tetapi ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai suami. Jadi, kalimat لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا bermaksud: agar kamu merasa tenteram terhadapnya. Ini bermakna ketenangan anda ditujukan langsung kepada isteri anda.

Dan ayat seterusnya bersambung وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَاۖ dan makanlah dengan nikmat (berbagai makanan) yang ada di sana sesukamu berdua. Di sini Allah perintahkan pula kepada kedua-dua mereka. Untuk perintah tanggungjawab, Allah tujukan kepada Nabi Adam sahaja kerana baginda merupakan ketua keluarga. Manakala untuk perintah hak dan nikmat makan, Allah perintahkan kepada kedua-duanya sekali.

Dan untuk larangan, Allah berfirman وَلَا تَقْرَبَا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ (Tetapi) janganlah kamu berdua dekati pohon ini. Sekali lagi, Allah tujukan kepada kedua-dua mereka. Ini kerana hal ini adalah di antara mereka dengan Allah dan si suami tidak boleh menghalang, begitu juga si isteri. Ini kerana perbuatan ini dilakukan kerana Allah. Malangnya terdapat segolongan suami yang menghalang isteri dari taat kepada Allah seperti melarang isterinya memakai hijab; terdapat pula segolongan isteri yang melarang suaminya solat di masjid. Semua ini adalah salah. Jika hal yang melibatkan antara kita dan Allah, tiada sesiapa ada hak untuk menghalangnya, tidak kira apa saja.

Keseimbangan ini, adakalanya sukar untuk dicapai. Adakalanya kita mahu taat perintah Allah, tetapi terpaksa pula melawan kehendak suami. Namun di antara Allah dan suami, kita mesti mencapai redha Allah dahulu.

Perintah Allah adalah: ‘Jangan hampiri pohon ini.’ Bukan: ‘Jangan makan daripada pohon ini.’ Terdapat sesetengah larangan di dalam Islam yang menyatakan jangan hampiri perbuatan itu, apatah lagi melakukannya. Allah tidak berkata: ‘Jangan hampiri babi.’ Cuma jangan memakannya. Tetapi terdapat sesetengah larangan yang Allah tidak mahu kita menghampirinya, contohnya jangan hampiri zina; jangan hampiri harta anak yatim; jangan hampiri perbuatan keji.

Oleh itu, terdapat sesetengah tempat yang kita tidak sepatutnya pergi pun, contohnya seperti kelab-kelab malam kerana kita sudah tahu apa yang berlaku di sana. Jangan pergi menonton wayang kalau sudah tahu rating buruk mengenainya. Jangan pergi ke perlawanan bola keranjang kerana kita tahu di sana ada pasukan tarian sorak yang berpakaian menjolok mata.

Allah kemudiannya menasihati فَتَكُوْنَا مِنَ الظّٰلِمِيْنَ nanti kamu termasuk orang-orang yang zalim!” Bahaya mendekati pohon itu kerana kalau dekati juga, maka akan terjerumus melawan larangan Allah.

Di penghujungnya nanti, adakah mereka pergi berseorangan atau bersama-sama? Bersama-sama, bukan? Ini kerana suami isteri biasanya akan membuat persetujuan bersama-sama dan kadangkala keputusan itu tidak semestinya baik. Contohnya mereka bersetuju menceburi perniagaan yang berisiko tinggi, atau mengambil pinjaman daripada along atau yang melibatkan. Mereka tidak boleh saling menyalahkan di antara satu sama lain kerana mereka telah sama-sama bersetuju ketika membuat keputusan itu dan mereka sama-sama kena bertanggungjawab.

Jika mereka menghampiri pohon itu, maka mereka akan menjadi golongan yang zalim. Tetapi, adakah terdapat manusia lain di situ? Siapakah golongan zalim itu? Ini merupakan sebuah persoalan yang pelik, bukan? Di sini Allah sedang memberitahu bahawa anak cucu Adam itu akan membuat kezaliman dan mereka tidak sepatutnya menjadi seperti mereka. Semua ini menjadi pengajaran kepada kita.

Sambung ke bahagian yang seterusnya

Story Night: ‘Jatuh’

JATUH

OLEH NOUMAN ALI KHAN

BAHAGIAN 1

Ini adalah kerangka untuk penulisan ini. Ia merupakan sebuah topik yang besar maka kita memerlukan peta minda. Kita akan menceritakan kisah Nabi Adam. Kisah Adam ada diceritakan sebanyak 7 kali di dalam Qur’an tetapi diceritakan secara terperinci di dalam Surah Baqarah dan Surah A’raf. Namun kisah di dalam kedua surah itu tidak serupa walaupun sama. Apa yang Allah rincikan dalam Surah A’raf tidak dirincikan dalam Surah Baqarah. Di sini kita akan lihat kisah Nabi Adam di dalam Surah Baqarah secara terperinci.

Kita akan lihat kisah baginda dengan membiarkan Allah menceritakannya kepada kita. Ia mungkin berbeza berbanding dengan kisah daripada sumber-sumber yang lain yang kita biasa dengar. Mungkin juga kisah-kisah itu telah dicampuradukkan daripada pelbagai sumber. Sekarang, kita hanya akan melihat penceritaan daripada Allah sahaja.

Allah memulakan kisah ini di tempat yang paling tidak diduga di dalam (Al-Baqarah: 29)

هُوَ الَّذِيْ خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِى الْاَرْضِ جَمِيْعًا

Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu

Ini bermaksud dua perkara: apa sahaja yang Allah ciptakan di dunia ini adalah hanya untuk kamu. Segala-gala sumber yang Dia jadikan adalah untuk kegunaan manusia.

Maksud kedua pula adalah sumber yang dijadikan itu adalah untuk kamu semua. Untuk semua orang, bukannya sebahagian sahaja. Sumber alam ini sepatutnya dikongsi bersama oleh semua manusia. Malangnya fitrah manusia mudah menjadi tamak, ramai yang mengaut lebih dari yang sepatutnya. Sedangkan sepatutnya semua negara mendapat sumber dengan selayaknya. Allah sudah beri kecukupan sebenarnya untuk kegunaan manusia seluruhnya, tiada yang dapat lebih daripada yang lain. Maka ayat ini mengajar kita cara-cara untuk menggunakan sumber tersebut yang telah Allah sediakan. Kita harus belajar bagaimana untuk hidup bersama-sama dengan semua orang di atas muka bumi ini. Dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja.

Kemudian Allah sambung:

ثُمَّ اسْتَوٰٓى اِلَى السَّمَاۤءِ فَسَوّٰىهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ ۗ

lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit.

Sebelum ini telah disebut yang Allah telah menjadikan bumi, sekarang Dia bercerita tentang langit pula. Allah telah membahagikan langit kepada tujuh lapis. Dan di akhir ayat ini Dia menyatakan yang Dia Maha Mengetahui.

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ

Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Jadi kita sudah tahu yang Allah mula mencipta bumi, kemudian langit. Kita mungkin merasakan bahawa kita tiada kaitan dengan langit ini kerana kita tinggalnya di bumi, tetapi sebenarnya kedua-dua tempat ini amat berkait rapat dengan manusia. Dan kita akan jelaskan lagi nanti.

Walaupun Allah telah menjadikan bumi untuk kita, kemudian apabila Dia menyebut pula tentang langit, kerana Dia sebenarnya mahu menyatakan tentang Jannah, yang berada di langit. (An-Najm: 15)

عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوٰىۗ

di dekatnya ada syurga tempat tinggal,

Ayat ini adalah tentang peristiwa mikraj Rasulullah ke langit. Jadi kita sekarang sudah tahu yang Jannah itu letaknya di langit. Dan kita semua tahu tentang kisah Adam yang bermula di syurga. Maka, inilah bahagian pertama kisah ini:

Tajuk: ‘Langit atau Bumi?’

Allah telah berfirman di dalam (Al-Baqarah: 30)

وَاِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اِنِّيْ جَاعِلٌ فِى الْاَرْضِ خَلِيْفَةً ۗ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”

Allah memberitahu kepada malaikat tentang manusia. Manusia belum dijadikan lagi ketika itu, tetapi Dia sudah menceritakan kepada mereka tentang manusia. Dia akan menjadikan makhluk yang digelar manusia yang akan menetap di bumi. Maka, ini memberitahu kita yang sebelum Nabi Adam dijadikan lagi, sudah ada perancangan yang manusia akan diletakkan di bumi.

Ini penting kerana terdapat di antara kita yang menyangka Adam dan Hawa diturunkan ke bumi sebagai hukuman setelah melanggar perintah Allah kerana telah terpedaya dengan bisikan Iblis. Di sini kita jelas bahawa Adam dan Hawa dari awal lagi telah dirancang untuk turun ke bumi. Maka, penurunan mereka ke bumi bukanlah satu bentuk hukuman. Kita memang sudah dirancang untuk diletakkan di bumi. Dalam ayat (Al-Baqarah: 29), Allah telah menyebut bahawa bumi telah dijadikan untuk kita, bukan? Oleh sebab itu, kita sebagai Muslim sepatutnya sudah jelas mengenai perkara ini: Dunia ini bukanlah hukuman buat kita.

Bagaimana kita dapat lebih memahami perkara ini? Perhatikan analogi berikut. Bayangkan seorang lelaki yang bekerja di sebuah syarikat. Majikannya telah menghantar email ke seluruh kakitangan mengatakan lelaki ini akan dihantar ke negeri lain. Semua kakitangan lain mendapat email ini, kecuali lelaki itu sendiri. Pada minggu berikutnya, lelaki itu datang ke pejabat lewat 30 saat sahaja. Majikannya memanggilnya dan memberitahu yang disebabkan kelewatannya itu, dia akan dihantar ke negeri lain.

Soalan: Adakah adil dia dihukum begitu teruk hanya kerana kelewatan 30 saat sahaja? Padahal kakitangan lain sudah sedia maklum dari awal lagi yang lelaki itu akan dihantar ke negeri lain. Maka, kita tahu yang dia dihantar ke negeri lain itu bukanlah kerana kelewatan 30 saat itu, tetapi ia merupakan perancangan majikannya dari awal lagi. Tapi digunakan insiden lewat itu sebagai penyebab dia mula dihantar sahaja.

Nabi Adam juga sudah tahu sebenarnya dari awal lagi yang baginda akan diturunkan ke bumi. Ini kerana Iblis sudah datang dan mengkhabarkan berita tersebut kepadanya. Kemudian Iblis memperdaya baginda dengan mengatakan jika baginda ingin kekal tinggal di Jannah, maka baginda harus memakan buah daripada pohon terlarang itu. Ini kerana Iblis telah mendakwa yang hanya malaikat dan penduduk tetap hanya layak tinggal di Jannah selama-lamanya. Dan Nabi Adam bukanlah tergolong daripada golongan yang layak itu. Maka, tujuan Adam makan buah itu kerana baginda percaya yang baginda akan menjadi malaikat atau penduduk tetap Jannah.

Ramai yang mempersoalkan perkara ini: Sekiranya Allah telah memutuskan apa yang akan terjadi kepada kita dan apakah pengakhiran kita, maka bagaimana pula kita dipersalahkan? Adakah ini semua satu ‘muslihat’?

Persoalan tentang takdir adalah persoalan paling lama dalam dunia falsafah. Ia dibincangkan zaman berzaman oleh sangat ramai orang. Persoalan ini boleh saja ditanyakan terus oleh manusia pertama iaitu Adam, bukan?

Mari kita lihat satu lagi analogi untuk cuba menjelaskan perkara ini. Bayangkan seorang pemuda yang bekerja di sebuah syarikat dan dia bermula bekerja dengan memegang jawatan paling rendah, katakanlah tukang sapu. Kemudian dia dinaikkan menjadi pengawal keselamatan, kemudian penjaga kaunter hadapan. Seterusnya dia dinaikkan pula menjadi pengurus pejabat. Begitulah dia terus dinaikkan pangkat selama 40 tahun bekerja di syarikat itu. Sampailah dia sudah menjadi Naib Presiden syarikat. Hanya tinggal satu jawatan sahaja yang lebih tinggi daripadanya iaitu Presiden.

Pada suatu hari, Presiden itu masuk ke dalam pejabatnya dengan seorang pemuda berusia 16 tahun. Pemuda itu adalah anak saudaranya. Presiden itu mengarahkan Nabi Presiden itu untuk memberikan jawatan Naib Presiden itu kepada budak itu. Siap beri arahan lagi: “Sekarang pergi ambilkan kopi untuk kami”.

Bolehkah anda bayangkan apa yang berlaku selepas itu? Sudah tentu Naib Presiden itu naik marah, bukan? Mungkin dia menjerit-jerit dalam kemarahannya kerana sudah tidak dapat dibendung lagi. Dan jika kita yang mendengar kisah sebegini, sudah pasti kita merasa simpati dengannya, bukan? Kerana tidak masuk akal perkara sebegini boleh terjadi, bukan?

Tetapi kita bukan hendak menceritakan kisah malang Naib Presiden itu di sini sebenarnya. Ia hanya analogi sahaja. Kita sebenarnya sedang bercakap tentang kisah Iblis laknatullah. Dia telah berusaha keras sepanjang hidupnya untuk menaikkan darjatnya sehingga hampir setaraf malaikat. Dia telah membantu menghalau jin yang membuat kerosakan di bumi. Namun, tiba-tiba Allah telah membuat pengumuman yang para malaikat mesti sujud kepada Nabi Adam. Adakah ini kedengaran adil? Iblis mesti telah berkata: “Selama ini aku yang bersusah payah bekerja keras berkhidmat sepanjang hidupku. Tiba-tiba orang lain yang dinaikkan?”

Adakah Adam dimuliakan Allah? Ya. Pada suatu ketika, Iblis juga telah mendapat kemuliaan itu. Adam telah diberikan kedudukan yang tinggi, begitu juga Iblis. Adam telah melanggar perintah Allah, begitu juga Iblis. Maka, sehingga saat itu, mereka masing-masing mempunyai persamaan, bukan? Kerana dua-dua pernah buat kesalahan.  Cuma ada satu perbezaan. Ketika Adam diturunkan ke dunia, baginda boleh sahaja bertanya kepada Allah: “Ya Allah, Kau sejak awal lagi sudah merancang aku turun ke bumi, maka bagaimana pula perkara yang berlaku ini adalah salahku?” Namun adakah baginda bertanyakan soalan itu? Tidak.

Iblis boleh juga bertanyakan satu soalan yang logik: “Engkau telah jadikan aku daripada api, dan Engkau jadikan dia daripada tanah. Jadi apakah hebatnya dia?”

Kedua mereka boleh sahaja bertanyakan soalan begitu kepada Allah. Namun salah seorang daripada mereka telah dilaknat selamanya, manakala seorang lagi pintu harapan sentiasa terbuka untuknya. Kenapa? Kerana dia sedar, walaupun apa sahaja keputusan Allah bagaikan tidak logik di akalnya, tetapi dia mesti yakin dengan kebijaksanaan Allah. Jika terdapat kepincangan, semua itu salah dirinya dan dia yang harus bertanggungjawab di atasnya.

Berlainan dengan Iblis. Apabila dia melakukan kesilapan, dia terus menyalahkan Allah. Oleh sebab itu, jika kita suka menyalahkan Allah di atas sesuatu perkara, maknanya kita telah mengikut sunnah Iblis. Tetapi jika kita sanggup mengambil tanggungjawab di atas kesilapan kita, maka kita telah mengikut sunnah Nabi Adam. Itulah perbezaan di antara Adam dan Iblis.

Mari kita sambung. Kita kena ingat yang kita berada di bumi bukanlah sebagai hukuman atau sumpahan daripada Allah. Kepercayaan Kristian mengatakan yang bumi ini adalah hukuman dan  manusia dilahirkan dalam dosa (Konsep ‘Dosa Asal’). Ini bukanlah konsep dalam Islam. Allah sebenarnya mahu memuliakan kita dengan meletakkan kita di bumi ini. Dia mahu kita hidup dengan aman di bumi dan bukakan jalan kita ke Jannah.

Akan tetapi ramai yang mempunyai persoalan mengenai takdir. Mereka berhujah yang jikalau semua perkara telah ditakdirkan oleh Tuhan, maka kita sebenarnya tidak bersalahlah, bukan? Jikalah kita boleh mengambil kasut dan melemparkan kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan persoalan takdir ini, adakah dia akan berasa marah? Sudah pasti dia marahkan kita yang melempar kasut itu kepadanya. Tetapi, katakanlah kita jawab: “Itu adalah qadr Allah. Allah telah menetapkan bahawa kamu akan dibaling dengan kasut, bukannya salah aku!”

Sudah pasti orang itu masih marahkan kita. Dia mahukan kita memikul tanggungjawab kesalahan kita itu. Apa yang kita buat itu tetap salah, walaupun itu adalah takdir Allah.

Adam yang telah membuat keputusan untuk memakan buah daripada pohon terlarang itu, dan baginda mengambil tanggungjawab di atas kesalahannya itu dan bertaubat kepada Allah. Bandingkan perbuatan ini dengan Iblis yang membuat kesalahan tetapi kemudian telah menyalahkan Allah di atas kesalahannya itu.

Sekarang, mari kita beralih ke bahagian kedua topik ini: Apakah maksud ‘Khalifah’?

Oleh kerana Allah meletakkan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini, maka kita seharusnya memahami apakah sebenarnya maksud khalifah ini. Terdapat banyak maksud khalifah, tetapi kita akan tekankan 3 maksud sahaja di sini.

Maksud pertama adalah ‘pengganti’. Sebagai contoh, sekiranya seorang guru besar sebuah sekolah bersara dan ada guru besar mengambil alih tempatnya, maka guru besar yang baru itulah pengganti kepada yang lama. Contoh yang lain pula adalah jika seorang datuk meninggal dunia dan anaknya yang paling tua mengambil tempat sebagai ketua keluarga. Ini juga maksud khalifah. Dia akan mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab ketua keluarga.

Maksudnya di sini, Allah meletakkan manusia bertanggungjawab menjaga dunia. Kita mengambil alih tugas ini daripada orang sebelum kita dan apabila kita meninggal dunia, orang yang selepas kita pula yang akan memikul tanggungjawab itu. Lihat contoh Allah berfirman di dalam (Al-An’am: 133) menggunakan kalimah khalifah:

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ ۗاِنْ يَّشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنْۢ بَعْدِكُمْ مَّا يَشَاۤءُ كَمَآ اَنْشَاَكُمْ مِّنْ ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ اٰخَرِيْنَ

Dan Tuhanmu Mahakaya, penuh rahmat. Jika Dia menghendaki, Dia akan memusnahkan kamu dan setelah kamu (musnah) akan Dia ganti dengan yang Dia kehendaki, sebagaimana Dia menjadikan kamu daripada keturunan golongan lain.

Maksud kedua khalifah adalah seseorang yang dibiarkan membuat keputusan sendiri tanpa dipantau. Katakan kita akan meninggalkan rumah kita, dan kita memberi tanggungjawab kepada anak kita untuk menjaganya. Maksudnya anak kita pada waktu itu menjadi khalifah. Ketika itu dia ada kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang dia inginkan kerana kita sebagai ketua rumah tidak ada. Kita mungkin telah menggariskan peraturan dan larangan yang dia boleh dan tidak boleh buat, tetapi kita tiada di rumah untuk memantaunya.

Maka, khalifah di sini bermaksud, seseorang yang mempunyai pilihan untuk melakukan apa sahaja. Mereka boleh melakukan apa yang sepatutnya dilakukan tetapi mereka boleh melakukan yang sebaliknya. Keputusan di tangan mereka. Oleh yang demikian, inilah yang diberikan oleh Allah kepada kita. Dia telah memberikan kita kebebasan untuk membuat pilihan. Allah tidak memaksa kita. Dia tidak memaksa kita untuk solat. Dia tidak memaksa kita untuk berbuat baik, atau bercakap benar sepanjang masa. Semua terpulang ke atas diri kita sama ada kita mahu atau tidak.

Maksud yang ketiga adalah seseorang yang diberi tanggungawab bagi pihak orang lain. Dan ini adalah berbeza dengan pemilikan. Ini kerana kita diberikan tanggungjawab mengurus bumi ini di mana seterusnya kita akan menyerahkan tanggungjawab itu kepada yang lain pula. Maka kita tidak memiliki sepenuhnya tanggungjawab itu selamanya, tetapi sementara sahaja.

Begitulah manusia yang diletakkan di dunia ini seharusnya memahami yang mereka tidak memiliki apa-apa. Allahlah pemilik sepenuhnya langit dan bumi. Kita mungkin rasakan yang kita memiliki baju dan kasut yang kita pakai ini, tetapi akhirnya kita sedar yang kita harus mengembalikan semua barang itu. Ini kerana kita akan mati dan kita tidak akan membawa semua itu ke akhirat. Begitu juga dengan tubuh badan kita ini. Kita tidak memilikinya sepenuhnya. Semua anggota tubuh badan ini akan menjadi saksi dan akan bercakap bagi pihak kita akhirat kelak.

Oleh hal yang demikian, ketiga-tiga maksud di atas dapat menjelaskan maksud khalifah. Ia adalah sebuah tanggungjawab yang begitu besar sekali dan telah diumumkan kepada malaikat di langit. Kerana itulah para malaikat amat terkejut dengan pengumuman tersebut.

Dan ini membawa kita kepada bahagian ketiga perbincangan kita ini: Malaikat yang mengadu.

Sebelum manusia hidup di dunia ini, jin yang telah dulu dijadikan khalifah. Sepertimana kita, mereka juga telah diberikan pilihan untuk membuat keputusan dan mereka telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi. Akhirnya, Allah memutuskan untuk menghantar tentera malaikat-Nya untuk melenyapkan terus jin dari muka bumi ini. Terdapat satu jin yang melakukan kebaikan sepanjang hidupnya sehingga dia dinaikkan setaraf dengan malaikat dan dapat bersama-sama malaikat untuk membanteras jin-jin perosak. Mereka telah menghantar jin-jin ke dalam lautan dan keamanan bumi akhirnya dapat dipulihkan.

Sekarang, Allah mengatakan yang Dia akan meletakkan khalifah yang lain pula di dunia ini. Ini bermaksud tanggungjawab serta kebebasan untuk memilih dan ini telah mengejutkan para malaikat. Mereka baru sahaja melalui peperangan yang dahsyat untuk melenyapkan jin-jin perosak itu dan mereka dikejutkan dengan berita ada khalifah baru pula akan diletakkan di bumi? Dan kerana itu mereka bertanyakan soalan kepada Allah (Al-Baqarah: 30)

اَتَجْعَلُ فِيْهَا مَنْ يُّفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاۤءَۚ

Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana?,

Dan inilah apa yang sedang berlaku sekarang, bukan?

Tetapi, ketika itu, mereka masih belum kenal pun siapa kita ini. Nabi Adam pun belum dicipta lagi. Bagaimana pula mereka boleh tahu yang kita akan melakukan perkara tersebut? Ini adalah berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini dengan jin. Ini kerana mereka tahu, apabila Allah menjadikan makhluk yang bebas membuat pilihan, kesudahannya nanti makhluk itu akan melakukan pilihan yang salah.

Mereka juga menambah:

وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۗ

sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?”

Malaikat mengatakan yang mereka sahajalah yang tidak akan melakukan kesalahan dan sentiasa tunduk patuh kepada segala perintah Allah. Jadi mengapa perlunya diciptakan makhluk lain pula?

Kejadian ini menimbulkan persoalan lain pula. Soalan malaikat ini berbunyi yang malaikat seolah-olah sedang memuji diri mereka sendiri, bukan? Adakah mereka meletakkan kedudukan mereka lebih tinggi daripada manusia? Adakah ini satu keangkuhan? Tetapi, bukankah yang mempunyai masalah keangkuhan ini adalah si Iblis? Menarik bukan jika difikir-fikirkan?

Sekarang kita lihat situasi yang berbeza ini:

Adam mempunyai persoalan tetapi baginda tidak bertanya;

Begitu juga Iblis, ada persoalan tetapi dia juga tidak bertanya;

Malaikat sahaja yang menyuarakan persoalan mereka.

Kita jelas mengapa malaikat bertanyakan soalan tersebut, tetapi bagaimana pula dengan tindakan seolah-olah seperti memuji diri sendiri itu? Kita cuba jelaskan di sini.

Apakah maksud ‘tasbih’? Di dalam bahasa Arab kata-kata tasbih diucapkan apabila terdengar sesuatu celaan terhadap tuhan. Contohnya sekiranya seseorang mengatakan yang Allah ada anak, ucapan yang harus diberikan adalah subhanallah. Ini bermaksud apabila seseorang melakukan sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan Allah, maka kita harus mengucapkan subhanallah. Iaitu untuk menyingkirkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikatakan tentang Allah. Inilah perbuatan yang dinamakan ‘tasbih’. Ringkasnya ia bermaksud mensucikan apa yang telah dicemar.

Sebenarnya ketika malaikat tidak faham tujuan Allah meletakkan manusia sebagai khalifah di bumi, dan mereka terus bertanya Allah, kemudiannya mereka berasa yang mereka telah bertindak melampaui batas. Kerana bukankah mereka sedang mempersoalkan tindakan Allah? Maka, di sini bukanlah mereka sedang memuji diri mereka sendiri, tetapi mereka sedang mengisytiharkan kepada Allah yang walaupun mereka bertanyakan soalan tersebut, bukanlah mereka bermaksud mereka mempersoalkan kesempurnaan Allah itu. ‘Engkau Maha Sempurna, walaupun kami tidak mampu memahami keputusan-Mu itu.’

Mereka sebenarnya di dalam ketakutan ketika bertanyakan soalan tersebut. Namun, mereka tetap tanyakan juga.

Dan apakah maksud ‘taqdis’ pula? Adakah ia bermaksud mengisytiharkan kesucian Allah? Apakah perbezaan di antara ‘taqdis’ dan ‘tasbih’ (mengisytiharkan kesempurnaan Allah)? Apakah pula perbezaan di antara kesempurnaan dan kesucian?

Kesempurnaan adalah tentang segala sifat Allah. Rahmat Allah adalah sempurna, keadilan-Nya, kebijaksanaan-Nya, kesemuanya dan banyak lagi dapat diungkap dengan tasbih.

Manakala kesucian pula berkait rapat dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, keadilan adalah sebahagian daripada kebaikan, rahmat juga sebahagian daripada kebaikan, menghapuskan kejahatan juga adalah sebahagian daripada kebaikan. Maka, apabila malaikat melakukan taqdis kepada Allah, mereka tidak menyifatkan kejahatan kepada Allah kerana Allah terlalu sempurna dan suci untuk mereka mengatakan yang Allah telah melakukan sesuatu yang jahat. Mereka hanyalah keliru, itu sahaja.

Malaikat tidak pernah ingkar segala perintah Allah. Mereka tidak pernah melakukan apa-apa pun yang di luar daripada apa sahaja yang Allah perintahkan. Tetapi mereka ada persoalan dan mereka tanya kepada Allah. Maka, di sini kita faham bahawa bertanya kepada Allah bukanlah satu perbuatan yang mengingkari Allah. Jadi, tidak salah untuk bertanya.

Malangnya, di seluruh dunia ini, kadangkala seolah-olah ada guru yang berkedudukan terlalu tinggi sampaikan sudah tidak boleh dipersoalkan lagi oleh pelajarnya. Mereka yang bertanya akan dijatuhkan, seolah-olah perbuatan bertanya itu seperti mencela guru mereka pula. Adakah benar pemahaman sebegini?

Iblis telah mempersoalkan Allah, begitu juga malaikat telah memberi soalan kepada Allah. Tetapi terdapat perbezaan yang besar di antara mereka. Cara pertanyaan mereka itu yang membezakannya. Apabila kita bertanyakan soalan kerana benar-benar mahu memahami, dan bukan untuk mempersoalkan kedudukan Allah, maka pertanyaan sebegini dibenarkan sebagaimana yang malaikat lakukan. Namun sebaliknya apabila kita bertanyakan soalan yang mempersoalkan tujuan Allah, mempersoalkan kesempurnaan-Nya, maka di sinilah pertanyaan yang ternyata salah dan tidak dibenarkan. Malah dengan cara nada suara bertanya juga boleh menzahirkan sama ada seseorang itu mempersoalkan Allah atau tidak.

Bukanlah tidak digalakkan untuk bertanya pula, tetapi kita tidak digalakkan untuk bertanya dengan sikap yang salah. Di akhirnya nanti, inilah yang menyebabkan kita menjadi seperti sikap Iblis. Golongan muda seharusnya dibenarkan untuk bertanyakan soalan yang mereka tidak jelas, tetapi harus diingatkan jika mereka mempunyai sikap yang salah di dalam persoalan itu, maka mereka bukan sahaja menyakiti guru mereka, malah menyakiti Allah juga.

Dan di sini telah memberi pengajaran kepada kita, yang sekiranya malaikat pun dibenarkan bertanya kepada Allah, maka sesiapa sahaja juga boleh bertanyakan soalan kepada sesiapa sahaja dan bersedia untuk dipersoalkan oleh sesiapa juga. Malangnya, ini jarang berlaku di dunia kita hari ini.

Oleh sebab itu, ketika malaikat bertanya kepada Allah, apakah pula jawapan Allah kepada mereka?

قَالَ اِنِّيْٓ اَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ

Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Allah mengetahui apa yang para malaikat itu tidak tahu. Seolah-olah Allah memberitahu kepada para malaikat: Kamu mungkin fikir perkara yang sama akan berlaku jika meletakkan manusia di bumi, bukan? Tetapi ada suatu yang berbeza pada kali ini.

Dan Allah akan memberitahu mereka apakah itu.

Sekian. Sambung ke Bahagian 2