Mukaddimah dari Penulis:
Kitab ini adalah kumpulan tulisan yang bermanfaat – dengan seizin Allah – dalam membahas fikih yang paling mulia dan yang paling bermanfaat iaitu fiqih Asmaullah Al-Husna (nama-nama Allah yang terbaik). Di dalamnya saya jelaskan lebih dari seratus nama dari nama-nama Allah yang baik, yang didahului dengan mukaddimah tentang dasar-dasar ilmu dalam pembahasan ini.
Saya pun telah berusaha dalam menyusun kitab ini menggunakan kata-kata yang jelas dan metode yang mudah disertai dengan penyebutan dalil-dalil serta bukti-bukti dari Al-Qur’an dan hadits Rasul dan sekaligus penjelasan dari sisi ibadah serta pengaruh keimanan yang merupakan perwujudan iman terhadap nama-nama Allah.
Saya banyak mengambil manfaat dari ucapan para ulama, khususnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan murid beliau, Imam Ibnu Al-Qayyim serta Syaikh Abdurrahman As-Sa’di – semoga Allah merahmati mereka semua.
Nabi SAW bersabda :
إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari
Semoga Allah Ta’ala mengampuni kesalahan, kejahilan, dan berlebih-lebihanku dalam segala urusanku serta memberi hidayah kepadaku ke jalan yang lurus, sesungguhnya Dia merupakan sebaik-baiknya tempat meminta dan semulia-mulianya tempat berharap, cukuplah Dia bagi kita dan Dialah sebaik-baiknya pelindung.
👁🗨 Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin Al-Badr
Bab 1: KEDUDUKAN ILMU TENTANG ASMA’ ALLAH DAN SIFAT-NYA
Sesungguhnya memahami nama Allah ﷻ yang terbaik (Asma’ul Husna) merupakan pintu ilmu yang mulia, bahkan ini termasuk Al-Fiqh Al-Akbar (fiqh yang paling agung) dan paling utama serta pertama kali yang masuk dalam sabda Rasulullah ﷺ,
“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan atasnya, maka Dia akan memberikan kefahaman kepadanya dalam masalah agama”. (Muttafaq Alaih)
Mempelajari ilmu ini merupakan usaha termulia yang dilakukan oleh setiap jiwa dan sebaik-baiknya apa yang diraih oleh orang-orang yang memiliki kecerdasan akal dan petunjuk. Bahkan ini merupakan puncak yang direbut oleh manusia.
[Maka fiqh Asma’ul Husna ini amat penting untuk dipelajari oleh umat Islam. Amat tidak patut kalau tidak diambil perhatian. Untuk kenal Allah ﷻ, kenalah belajar Asma’ul Husna.]
Ilmu ini merupakan asas jalan menuju kepada Allah ﷻ dan jalan masuk yang lurus dalam meraih kecintaan dan keredhaan-Nya serta jalan yang lurus bagi setiap orang yang dicintai dan dipilih-Nya.
Sebagaimana bangunan memiliki asas, maka fondasi agama ini adalah iman kepada Allah ﷻ dan kepada nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Jika asas ini kuat, maka dia akan dapat memikul bangunannya dengan kuat dan kukuh serta selamat daripada goncangan dan kerobohan.
[Ilmu fiqh Asma’ul Husna ini adalah asas. Maka kenalah ada asas yang kukuh sebelum melonjak kepada ilmu-ilmu yang lain. Kita selalu dengar: Kenal Allah ﷻ. Namun bagaimana hendak kenal Allah ﷻ melainkan dengan Asma’-Nya?]
Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Barangsiapa yang menghendaki bangunan yang tinggi, maka diharuskan baginya untuk menguatkan asas dan benar-benar memperhatikannya kerana ketinggian bangunan tergantung pada kukuh dan kuatnya asas. Amal dan darjat adalah bangunan, sedangkan fondasinya adalah iman.
[Semoga ilmu ini dikejar dan cuba difahami oleh semua umat Islam kerana amat penting. Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang mengupas tajuk ini supaya kita dapat memahaminya dengan agak mudah. Asalkan mahu belajar. Tentunya kena belajar ikut jalan Sunnah dan bukan ikut nafsu dan ilmu khayalan.]
Apabila asasnya kuat, maka ia akan dapat memikul bangunan dan meninggikannya. Kalau roboh sebahagian daripada bangunan itu, maka mudah untuk memperbaikinya. Jika asas tidak kuat, maka tidak akan tinggi bangunannya dan tidak akan kukuh. Jika roboh sebahagian daripada asas, maka akan jatuh bangunannya atau hampir jatuh.
[Maka untuk belajar dengan lebih tinggi lagi, kena kemaskan dahulu kefahaman tentang Allah ﷻ.]
Orang bijak akan memiliki target iaitu membenarkan asas dan menguatkannya, sedangkan orang jahil adalah orang yang meninggikan bangunan tanpa asas, maka tidak lama kemudian, bangunannya pun akan roboh.
Allah ﷻ berfirman dalam [Tawbah: 109]
أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ
Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
[Asas untuk belajar ilmu agama adalah dengan mengenali Allah ﷻ. Mengenali Allah ﷻ dengan mempelajari Asma’-Nya. Bukannya setakat hafal dan dinyanyikan di kelas-kelas pengajian. Bukan juga diseru-seru berkali-kali tanpa memahami maksudnya.]
Asas bagi bangunan amal seperti kekuatan bagi tubuh manusia. Jika kuat, maka dia dapat membawa badan dengan baik dan menolak segala penyakit. Jika lemah kekuatannya, maka lemah pula dia dalam membawa badannya serta cepat diserang penyakit. Jadikan bangunanmu di atas asas iman yang kuat dan jika ada bahagian atas atau atapnya yang rosak, maka mudah untuk memperbaikinya daripada kerosakan asasnya.
[Kalau ada asas ilmu tentang Asma’, maka tidaklah senang ditipu orang. Tidaklah senang percaya amal-amal yang datang entah dari mana. Tidaklah senang syaitan tipu dengan pemahaman yang salah tentang Allah ﷻ. Apabila tidak belajar, itulah sebabnya bila syaitan bisikkan Allah ﷻ begitu dan begini, senang sahaja diterima. Memang salah satu cara yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia adalah membisikkan fahaman salah tentang Allah ﷻ.]
🏛 Asas ini ada dua:
Pertama, mengenal Allah ﷻ, perintah, nama, serta sifat-Nya dengan baik.
Kedua, tunduk dan patuh kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya.
Inilah sekuat-kuatnya asas agama yang dibangunkan oleh seorang hamba bagi bangunannya dan sesuai dengan kekuatan asas agama itulah ketinggian suatu bangunan yang dia inginkan.
[Asas pertama perlu didapati dengan belajar Asma’-Nya. Setelah kenal, maka kenalah aplikasikan asas kedua, iaitu taat. Tidaklah kita kata kita taat, tetapi tidak tahu ‘APA yang perlu ditaati’. Ramai yang kata dia beriman, dia seorang yang taat. Namun apabila soal kepadanya: “Apa yang kamu kena taat?” Atau Kamu perasan sahaja kamu taat?”]
Oleh kerana itu, banyak sekali dalil di dalam Al-Qur’an yang menguatkan asas ini, bahkan hampir-hampir semua ayat tidak pernah lepas daripada menyebut nama Allah ﷻ dan sifat-Nya. Ini semua menunjukkan dengan jelas tentang pentingnya ilmu yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ serta keperluan yang mendesak untuk mengenalnya. Bagaimana ia tidak menempati kedudukan yang tinggi, sedangkan ia adalah tujuan utama diciptakan semua manusia.
[Kalau kita perasan, banyak sangat ayat Al-Qur’an diakhiri dengan nama dan sifat Allah ﷻ. Kalau kita tidak belajar ilmu Asma’ul Husna, maka nama-nama itu setakat kita baca sahaja. Maka ilmu tafsir Al-Qur’an tidak lengkap tanpa kita juga belajar Asma’ul Husna itu.
Oleh kerana Allah ﷻ yang terpenting dalam kehidupan kita, maka tidakkah ilmu kenal Allah ﷻ ini penting? Tidak kenal maka tidak cinta. Lalu bagaimana kita dapat mencintai Allah ﷻ kalau kita tidak kenal Dia? Bagaimana hendak kenal Dia kalau tidak melalui sifat-sifat-Nya?]
Tauhid yang merupakan tujuan utama diciptakannya manusia terbahagi menjadi dua:
1⃣ Tauhid Ma’rifah (kenal) dan Ithbat (penetapan); ini mencakupi iman kepada rububiyah, nama, dan sifat-Nya.
2⃣ Tauhid Iradah (kehendak) dan Thalab (tuntutan); ini adalah Tauhid ibadat.
[Ini adalah pembahagian ilmu Tauhid kepada dua (berlainan sedikit dengan tauhid 3). Akan tetapi ia tetap sama sahaja kerana Tauhid Rububiyah dan Asma wa Sifat dimasukkan sekali dalam Tauhid Ma’rifah.
Tauhid Iradah dan Thalab itu kalau dalam Tauhid 3 dipanggil Tauhid Uluhiyyah.
Jadi ilmu tentang Asma’ul Husna ini memang berkait dengan ilmu Tauhid. Maka ia amat penting sekali. Kalau belajar Tauhid 3, Tauhid ke 3 itu adalah Asma’ wa Sifat. Tauhid ini memang berkenaan Asma’ul Husna. Jadi ilmu Tauhid tidak lengkap kalau tidak ada ilmu Asma’ul Husna ini]
Adapun dalil yang pertama [Tauhid Ma’rifah & Ithbat] adalah Firman Allah ﷻ:
اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا
“Allah lah yang menciptakan tujuh langit dan sebagaimana itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu. ” At-Thalaq:12
[Allah ﷻ yang mencipta alam ini. Maka Dialah Al-Khaaliq. Kita kena kenal Dia dan tetapkan Dia sebagai Pencipta kita dan alam ini]
Dan dalil yang kedua [Tauhid Iradah dan Thalab] adalah Firman Allah ﷻ,
وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” Dzariyat: 56.
Yang pertama, Allah ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ﷻ) dan yang kedua, Allah ﷻ menciptakan agar kalian beribadah (kepada-Nya). Oleh kerana itu, Tauhid adalah ilmu dan amal. Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.
[Maka kita kenal belajar Asma’ul Husna untuk kenal Allah ﷻ. Selepas kenal, kenalah buat amal kerana apabila kita sudah kenal Dia, maka kita hendak mengagungkan Dia. Macam kita kenal ayah kita, takkan setakat kenal sahaja. Kenalah kita hormat dia, tolong dia, mengaku menjadi anak dia, bukan? Maka dengan Allah ﷻ pun, ada hak Dia.
Bila kita rasa takjub dengan Allah ﷻ, tentu kita ingin melakukan ibadat kepada-Nya. Kita hendak berkomunikasi dengan Dia, hendak minta tolong kepada-Nya, dan macam-macam lagi. Namun hendaklah dimulai dengan kenal terlebih dahulu. Ini kerana: Tidak kenal maka tidak cinta, bukan?]
Yang pertama, Allah ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ﷻ) dan yang kedua, Allah ﷻ mencipta agar kalian beribadah kepada-Nya.
Oleh kerana itu tauhid adalah ilmu dan amal.
[Maka ini adalah dua tujuan asas manusia dan alam diciptakan. Maka kalau tanya apa tujuan kita ini dijadikan, kita sudah ada jawapannya:
☝️ Kenal Allah ﷻ
✌️ Beribadah kepada Allah ﷻ. Atau, dalam terjemahan yang lain, menghambakan diri kepada Allah ﷻ.
Juga ia mengajar kita yang tauhid ini bukan di akal sahaja. Apabila sudah faham tauhid, maka haruslah dilaksanakan dalam bentuk amal perbuatan. Kena lakukan ibadah. Jangan kata faham, tetapi tidak beramal.]
Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.
وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬
serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu
وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan
فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ
ketahuilah, bahawa Allah Maha Perkasa, Maha bijaksana
Ayat-ayat semisal ini kurang lebih berjumlah 30 ayat.
[Ayat-ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat yang ada ٱعۡلَمُوٓاْ di dalamnya menyebut tentang sifat-sifat Allah ﷻ. Kalimah ٱعۡلَمُوٓاْ bermaksud ‘ketahuilah’. Maka ia adalah arahan dari Allah ﷻ untuk kita tahu, maka kena belajar. Maka kita kena kenal Allah ﷻ melalui nama-nama-Nya yang disebut dalam Al-Qur’an kerana Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Maka mahu tidak mahu kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kaitkan dengan Asma’-Nya]
Adapun apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ tentang nama dan sifat-Nya dalam Al-Qur’an, maka sangat banyak dan tidak boleh dibandingkan dengan yang lainnya, kerana nama dan sifat Allah ﷻ merupakan seagung-agungnya dan semulia-mulianya serta seutama utamanya hal yang disebut dalam Al-Qur’an.
[Oleh kerana itu, kita kenalah memandang tinggi ilmu fiqih Asma’ul Husna ini dan meluangkan masa untuk memahaminya].
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata, “Di dalam Al-Qur’an, penyebutan tentang nama, sifat, dan perbuatan Allah ﷻ lebih banyak daripada penyebutan tentang makanan, minuman, serta pernikahan di syurga. Ayat-ayat yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ lebih mulia daripada ayat yang berkaitan dengan hari Kiamat.
Semulia-mulia ayat di dalam Al-Qur’an adalah ayat Kursi yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ.
Ini sebagaimana yang disebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Nabi ﷺ. Sebagaimana yang ada pada pertanyaan yang diajukan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ubay bin Ka’ab, “Ayat mana yang paling agung dalam kitabullah?” Ubay menjawab, “Ayat kursi.” Maka baginda ﷺ menepuk dada Ubay kemudian berkata, “Wahai Abu Mundzir, semoga engkau berbahagia dengan ilmu yang engkau miliki.” (HR. Muslim).
[Kalau kita baca ayat Kursi itu, ia memang banyak mengandungi nama-nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya].
Semulia-mulianya surat dalam Al-Qur’an adalah Ummul Qur’an (yakni Surah Fatihah) sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith
Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah tidak pernah menurunkan dalam Taurat ataupun Injil ataupun surah, sepertimana Ummul Quran, ia adalah sab’ul matsani…” (Hadith riwayat Nasa-i)
Di dalamnya terdapat penyebutan nama Allah ﷻ dan sifat-Nya yang lebih banyak berbanding hari Kiamat.
Ini semuanya membuktikan akan ketinggian ilmu yang mulia ini dan keagungannya serta banyaknya pelajaran yang boleh dipetik dan bahwasanya ia adalah salah satu dasar keimanan serta salah satu rukun agama yang di atasnya dibangunkan kedudukan agama yang tinggi.
Bagaimana mungkin perkara syariat akan lurus dan keadaan manusia akan baik tanpa mereka mengenal Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki mereka dan tanpa mengenal nama-nama Allah ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia lagi sempurna yang menunjukkan akan kesempurnaan dan kemuliaan serta keagungan-Nya, dan bahawasanya Dia adalah sesembahan yang haq dan tidak ada sesembahan yang haq selain-Nya.
[Amatlah penting ilmu ini tetapi malangnya kebanyakan daripada kita tidak mempelajarinya. Kalau baca Al-Qur’an dan terjumpa tentang Nama-nama Allah ﷻ, kita baca sahaja tanpa mengerti apakah maksudnya. Lebih malang lagi, kita sangka beramal dengan Asma’ Allah ﷻ ini adalah dengan menyanyikan nasyid Asma’ul Husna di sekolah-sekolah dan kelas-kelas pengajian sahaja.
Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan Asma’ul Husna sebagai zikir untuk mendapatkan sesuatu. Ini kita akan terangkan nanti di bahagian penyalahgunaan Asma’ul Husna. Namun sebelum itu kita terangkan kepentingan mempelajari Asma’ul Husna terlebih dahulu.]
Akan tetapi, kebanyakan manusia terlalaikan dengan dunia daripada menyembah-Nya, padahal Allah ﷻ telah memperingatkan mereka dengan firman-Nya,
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ
Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.
[Kita terlalai dengan keindahan dunia sampaikan kita lupa tentang Allah ﷻ. Ini adalah kerana kita sendiri tidak kenal Allah ﷻ sebagaimana yang sepatutnya. Allah ﷻ kenalkan Diri-Nya dengan memperkenalkan Asm’aul Husna kepada kita supaya kita kaji, tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu. Semoga dengan pengajian ini akan memberi pengenalan yang lebih baik tentang Allah ﷻ kepada kita.]
Sambung ke bab yang seterusnya
Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad