Keindahan Susunan Ayat-ayat Surah Yusuf

Pengenalan

Kenapa kita perlu meneliti kaitan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an?

Allah adalah sebaik-baik daripada semua penutur. Dan semua ucapan tertakluk kepada organisasi. Semua ucapan, walaupun satu perkataan, adalah sebuah organisasi daripada beberapa huruf. Dari beberapa huruf itu membentuk satu perkataan. Dan setiap ayat ialah susunan kata-kata yang memberi makna apabila diletak bersama-sama. Setiap perenggan ialah organisasi beberapa ayat. Dan setiap bab adalah sebuah organisasi daripada perenggan. Setiap buku merupakan sebuah organisasi daripada beberapa bab yang disusun satu persatu. Dan setiap buku adalah sebahagian dari subjek yang merupakan sebuah organisasi dari pelbagai buku-buku yang membincangkan satu topik yang sama. Buku satu, buku dua, buku tiga, buku empat dan seterunya. Dan dari banyak subjek ia boleh menjadi perpustakaan supaya semua pengetahuan manusia dapat dikongsikan bersama. Perhatikan semua ini bermula dengan susunan secara harfiah satu huruf selepas huruf yang lain, bukan? Dan ini merupakan sesuatu yang diilhamkan oleh Ilahi.

Kita tidak mampu mereka sendiri bahasa. Allah telah beritahu kita yang Dia lah yang telah mengajarkan manusia dengan bahasa. Allah berfirman di dalam Rahman:4

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.

Dan sudah tentu anda pernah lalui di dalam mana-mana pendidikan, guru yang paling berkesan yang pernah anda belajar darinya adalah yang paling teratur dalam ucapan mereka. Kalau dapat guru yang merapu, anda pun tidak boleh faham apa yang dia sampaikan. Apabila seseorang bercakap dengan anda dan anda boleh kesan kata-kata mereka yang terdapat permulaan, pertengahan, dan akhir. Apabila anda mendengar seseorang bercakap, mereka mempunyai cara yang jelas untuk menyampaikan semua idea mereka, tentu anda senang faham. Jadi sesuatu penceritaan melibatkan organisasi kata dan ayat-ayat yang baik, tersusun cantik. Ini kerana struktur dan organisasi perkataan dalam ucapan merupakan komponen yang diperlukan berkomunikasi dengan baik. Tetapi jika ucapan tidak mempunyai organisasi, sekejap cakap A kemudian melompat ke D, tentu kita lelah untuk memahaminya, bukan?

Sebaik mana pun kata-kata manusia yang puitis, sehebat mana pun buku yang ditulis, tidaklah dapat menandingi kehebatan Kalam Allah. Imam al-Baihaqi pernah berkata:

“Kelebihan kalamullah (ucapan Allah) berbanding kalam makhluk adalah seperti kelebihan (perbezaan) Allah di atas makhluk-Nya.”

Hamiduddin Farahi (seorang ulama besar dari India, m. 1930) membawa revolusi dalam cara kita melihat struktur teks Al-Qur’an. Beliau terkenal dengan teori Nazm al-Qur’an (Keserasian/Susunan al-Qur’an). Sebelum Farahi, ramai sarjana beranggapan bahawa ayat-ayat al-Quran kadangkala melompat-lompat topiknya tanpa kaitan yang jelas. Farahi menolak pandangan ini sekeras-kerasnya. Kata Farahi:

“Bagaimana mungkin Allah yang telah menyusun tulang-temulang di dalam tubuh manusia dengan begitu teliti, dan menyusun bintang-bintang di langit dengan perkiraan yang tepat, akan membiarkan firman-Nya (al-Qur’an) turun tanpa susunan dan kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain?”

Kalau kita membaca terjemahan Al-Qur’an, memang kita tidak akan nampak susunan yang indah di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an mempunyai susunannya yang tersendiri, bukan seperti susunan manusia yang kita boleh nampak dengan mudah. Kalau kita ada satu pandangan yang susunan ayat kena begini dan begitu, ia tidak boleh dipakai pada Al-Qur’an, kerana susunan ayat-ayat di dalam Al-Qur’an adalah susunan tuan punya perkataan, iaitu Allah sendiri.

Jadi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkait antara satu sama lain. Kadang-kadang ia tidak jelas kelihatan kerana ia bukan duduk di dalam satu ayat yang sama. Sebagai contoh, Allah sebut Nabi Musa di dalam satu surah, kemudian memberi penjelasan lain tentang baginda di dalam surah yang lain. Maka kita kena baca kesemua ayat tentang Nabi Musa untuk memahami apa yang terjadi. Contoh lain Allah sebut syirik di satu tempat dan kemudian menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan syirik di tempat yang lain. Jadi kita tidak boleh faham ayat Al-Qur’an dengan hanya melihat satu tempat sahaja.

 

Kaitan Antara Permulaan dan Penutup Surah

Sekarang mari kita lihat kaitan antara pembukaan Surah Yusuf (prolog) dan penutupnya (epilog). Prolog Surah Yusuf adalah Ayat 1 – 3 dan Epilog Surah Yusuf adalah Ayat 102 – 111. Selain darinya (Ayat 4 – 110) adalah kisah baginda.


 

Dan kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa bahagian lagi supaya kita nampak keindahan kaitan antara dua bahagian ini. Pertamanya kita kaitkan antara Ayat 1 – 2 dengan Ayat 111.

Di dalam Ayat 1, Allah menyebut tentang Al-Qur’an dengan menekankan bahawa ia adalah wahyu Ilahi. Digunakan kalimah تِلكَ (itu) sebagai isyarat ketinggian Al-Qur’an itu. Ia ada di Lauh Mahfuz dan kerana itu digunakan istilah ٱلكِتَـٰبِ yang merujuk kepada kitab yang di langit itu. Ia menekankan kemuliaan Al-Qur’an. Dan kemudian disebut sifat Al-Qur’an iaitu ia adalah ٱلمُبِينِ. Kalimah ٱلۡمُبِينِ ini di dalam bentuk Lazim (Intransitif) dan Muta’addi (Transitif). Ini bermaksud bahawa ia adalah kitab yang jelas. Mesejnya jelas, arahannya jelas, panduannya jelas. Tetapi ia bukan sahaja jelas, ia juga menjelaskan. Menjelaskan. Apakah perbezaan antara jelas dan menjelaskan?

Jikalau kita baca sesuatu dan apa yang kita baca itu jelas, kita akan senang faham. Maksudnya ia jelas. Kemudian apa yang kita baca itu pula menjelaskan sesuatu perkara. Ini bermaksud ia menjelaskan. Jika ia menjelaskan, ia memberi cahaya pada perkara-perkara lain. Ia beza antara terang dan menerangi. Apabila sesuatu bilik terang, maknanya saya boleh nampak apa yang berlaku di dalam bilik itu. Maksud bilik itu menerangi bermakna ruang tamu pun dinyalakan oleh bilik ini. Oleh itu, Al-Quran itu jelas pada dirinya sendiri dan ia juga menjelaskan. Al-Qur’an menjelaskan apa yang perlu hamba lakukan dalam pelbagai situasi. Ia menjelaskan bagaimana emosi anda perlu dikawal. Ia juga menjelaskan bahawa ia adalah Kalam Allah. Ia terus menjelaskan bahawa ia bukan tulisan manusia tapi datang dari Ilahi.

Di dalam Ayat 2, Allah menyebut Al-Qur’an itu adalah قُرءٰنًا (bacaan). Kalau di dalam Ayat 1 tadi disebut ia adalah ٱلكِتَـٰبِ (tulisan). Bacaan tidak sama kesannya dengan tulisan, bukan? Jadi dalam tulisan pun ada, dalam bacaan pun ada. Dan Allah tambah dengan kata ia adalah bacaan عَرَبِيًّا (di dalam Bahasa Arab). Dan kemudian Allah sebut tujuannya adalah لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ (agar kamu memahaminya). Digunakan bahasa yang mudah difahami, bahasa yang indah. Tujuannya supaya kita boleh faham menggunakan apa? Menggunakan akal.

Sekarang kita lihat pula Ayat 111. Tapi bukanlah keseluruhan ayat tapi bahagian kedua dari ayat itu. Allah kata Al-Qur’an itu مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ (bukanlah cerita yang direka) dan ini menguatkan firmanNya di dalam Ayat 1 تِلكَ yang memberi isyarat bahawa Al-Qur’an adalah kalam Ilahi dan sekarang di dalam Ayat 111 Allah memberitahu lagi yang ia bukan rekaan.

Di dalam Ayat 111, Allah memberitahu تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) dan bukankah di dalam Ayat 1 Allah telah memberitahu yang Al-Qur’an adalah kitab yang المُبينِ (yang menjelaskan)? Ia dilakukan dengan memperbetulkan kisah-kisah yang telah diubahsuai di dalam kitab-kitab yang ada pada Ahli Kitab. Yang mana benar, disabitkan dan yang mana tidak benar, telah diperbetulkan oleh Al-Qur’an yang bersifat المُبينِ.

Ayat 1 menggunakan kalimah المُبينِ dan Ayat 111 menggunakan kalimah تَفصِيلَ. Kedua-dua kalimah ini mengandungi makna ‘menjelaskan’. Dan kedua-duanya memberi makna pemisahan dan penyambungan. Iaitu untuk menjelaskan sesuatu, kena dibezakan dan diletakkan kaitan antara perkara yang berbeza untuk memberi penjelasan.

Di dalam Ayat 111 Allah menyebut tentang هُدًى (petunjuk). Bagaimana untuk mendapat هُدًى ini? Allah telah berikan syaratnya di dalam Ayat 2 iaitu تَعقِلونَ (kalian berfikir). Kerana hanya dengan berfikirlah baru seseorang dapat mengambil petunjuk yang Allah telah sediakan di dalam Al-Qur’an. Dan apabila mendapat petunjuk itu, apa yang pemikir Al-Qur’an akan dapat? Itulah telah diberitahu رَحمَةً yang akan diberikan kepada mereka yang mahu. Syarat utamanya adalah kena menggunakan akal.

Tapi bagi siapa? Di dalam Ayat 111 disebut لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dan mereka ini adalah golongan yang sama juga disebut di dalam Ayat 2 iaitu mereka yang mahu berfikir تَعقِلونَ. Mereka yang mahu mengukuhkan iman mereka hendaklah berfikir kerana iman itu turun dan naik. Dan cara untuk menaikkan iman adalah dengan ilmu. Semakin banyak ilmu seseorang, semakin tinggi imannya.


 

Sekarang kita perhatikan bahagian awal dari Ayat 3. Allah berfirman نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ (Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik). Frasa ini memberikan pelbagai makna. Ini bermakna yang terbaik daripada semua cerita. Ini bermaksud kaedah terbaik untuk menceritakan kisah. Ia bermaksud bahagian-bahagian yang paling indah dalam cerita dan versi cerita yang paling indah, kerana terdapat juga versi yang hodoh, yang ada di luar sana, yang beredar di dunia.

Kemudian perhatikan bahagian pertama dari Ayat 111 لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal). Perhatikan kaitan di antara dua bahagian ini kerana kedua-duanya ada kalimah قَصَصِ, bukan? Di dalam Ayat 3, Allah mengatakan kisah itu kisah yang paling indah, dan di hujungnya, Allah beritahu kenapa ia paling indah, kerana ia ada عِبرَةٌ. Di permulaan surah, Allah sudah beritahu bahawa kisah inilah kisah yang paling indah dan akhirnya setelah kisah itu siap disampaikan, barulah sekarang Allah jelaskan kenapa ia indah.


 

Sekarang perhatikan bahagian terakhir Ayat 3 بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui).

Dan perhatikan permulaan Ayat 102 ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka). Di dalam kedua-dua bahagian ini kalimah wahyu iaitu أَوۡحَيۡنَآ dan نُوحِيهِ. Di dalam kedua-dua bahagian ini juga Allah menyebut ketidaktahuan Nabi Muhammad iaitu وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ dan وَمَا كُنتَ لَدَيهِم.

Di permulaan surah Allah gunakan ismul isyarah هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ yang bermaksud dekat, dan di hujung Allah gunakan ismul isyarah yang bermaksud jauh ذٰلِكَ. Ini adalah kerana walaupun Nabi Muhammad sudah diwahyukan dengan Al-Qur’an itu, tapi jangan lupa yang ia datangnya dari jauh, dari Allah yang di langit tinggi.

Dan perhatikan di setiap bahagian itu ada ditambah dengan kalimah إِذ (ketika). Pertamanya, Nabi Muhammad pasti tidak tahu ketika Nabi Yusuf bercakap dengan bapanya Nabi Ya’qub. Dan di hujung Allah sebut Nabi Muhammad tidak ada ketika abang-abang Nabi Yusuf bersepakat di dalam rancangan mereka.

Yang hebatnya adalah di dalam dua-dua bahagian ini ada kalimah yang sama. Yang menambahkan keindahan penceritaan ini. Kalau kita bercakap, kita tidak boleh susun pun kata-kata kita kalau tidak ada skrip. Tapi Allah bukanlah macam kita. Dan para sahabat sendiri mungkin tidak perasan perkara ini. Kerana mereka menerima Al-Qur’an secara auditori (قُرۡءَٲنًا) tetapi kita sekarang menerima Al-Qur’an lebih kepada bentuk pembacaan (ٱلۡكِتَـٰبِ). Mendengar dan membaca memberi kesan berbeza kepada pelajar. Jadi kerana itu bagus kalau kita sekali sekala membaca, tapi jangan lupa juga untuk mendengar bacaan Al-Qur’an.


 

Ayat 103 – 110

Kita telah bincangkan tentang kaitan antara permulaan dan pengakhiran surah ini. Di tengah-tengahnya Allah selitkan Ayat 103 – 110 sebagai pengajaran. Seolah-olah Ayat 102 terus bersambung dengan Ayat 111.

ذٰلِكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلۡغَيۡبِ نُوحِيهِ إِلَيۡكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (١٠٢) لَقَدۡ كَانَ فِى قَصَصِہِمۡ عِبۡرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصۡدِيقَ ٱلَّذِى بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَتَفۡصِيلَ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدًى وَرَحۡمَةً لِّقَوۡمٍ يُؤۡمِنُونَ (١١١)

Dan di tengah-tengahnya ada Ayat 103 – 110. Kenapa Allah selit ayat-ayat itu di sini? Ia datang selepas sahaja Allah sebut perancangan abang-abang Nabi Yusuf وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.) Dan kemudian Allah terus bercakap tentang golongan Quraisy Mekah. Seolah-olah Allah hendak memberitahu Nabi Muhammad, bukan sahaja abang-abang Nabi Yusuf sahaja yang membuat rancangan, tapi ‘abang-abang’ Rasulullah dari kalangan Quraisy juga sedang membuat membuat rancangan terhadap baginda termasuk rancangan untuk membunuh baginda. Bukan sahaja keluarga baginda dari kalangan Bani Ismail (orang Arab) tapi keluarga baginda dari jalur Nabi Ibrahim iaitu Bani Israil juga sedang membuat rancangan terhadap baginda. Allah memberitahu yang golongan Quraisy dan juga Bani Israil itu tidak akan beriman, walaupun baginda hendak sangat mereka beriman.

Kalau kita perhatikan ayat-ayat ini, ia di dalam bentuk khitab kepada seorang. Ini adalah kerana Allah sebenarnya mula-mula bercakap kepada Nabi Muhammad. Akan tetapi ia juga dipanjangkan kepada kita juga, sebagai pembaca Al-Qur’an. Ayat-ayat itu kita telah tafsirkan sebelum ini jadi kita beri ringkasan sahaja di sini. Kalau perasan, ayat-ayat di dalam gugusan ini adalah teguran dari Allah kepada Musyrikin Mekah ketika itu, tentang betapa degilnya mereka.

Ayat 103: Segala banyak tanda-tanda yang Allah telah berikan di dalam alam ini, mereka tetap juga tidak mahu beriman.

Ayat 104: Teruknya mereka itu menolak dakwah Nabi Muhammad, sedangkan bukan baginda minta duit mereka pun.

Ayat 105: Penolakan kepada Nabi Muhammad, bukanlah perkara baru, kerana Allah sendiri mereka telah pernah tolak.

Ayat 106: Dan kalau pun ada yang beriman, iman mereka tidak sempurna, kerana tetap mereka mensyirikkan Allah. Mereka kenal Allah, tahu Allah itu Tuhan, akan tetapi mereka sembah dan berdoa kepada berhala, kepada para Malaikat, kepada orang mati yang mereka anggap sebagai wali.

Ayat 107: Walaupun mereka telah melakukan syirik, akan tetapi mereka rasa selamat sahaja. Ini kerana mereka berharap bantuan dari entiti-entiti yang mereka sembah dan minta tolong seperti para malaikat yang mereka anggap sebagai anak Tuhan, para wali yang telah mati yang mereka anggap boleh membantu mereka. Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka para malaikat, berhala dan wali itu semua akan ‘payung’ mereka. Kesannya, mereka tidak takut melakukan dosa kerana mereka sangkap mereka akan selamat.

Ayat 108: Oleh kerana mereka itu sangka yang mereka juga melakukan kebaikan atas amalan-amalan mereka, maka Nabi Muhammad disuruh memberitahu manakah jalan yang benar, iaitu jalan yang baginda ikuti. Dan Nabi Muhammad disuruh untuk menekankan yang baginda tidak akan melakukan syirik.

Ayat 109: Apa yang Nabi Muhammad sampaikan itu bukanlah perkara baru tapi itulah juga yang telah disampaikan oleh para Rasul zaman berzaman sebelum baginda. Jadi boleh rujuk sejarah dan perhatikan kesan akibat bagi kaum yang menolak Rasul mereka, apabila mereka dimusnahkan. Umat-umat terdahulu lagi hebat rumah-rumah mereka dari penduduk Mekah itu, tapi mudah sahaja Allah hancurkan. Lihatlah piramid yang sampai sekarang teguh berdiri, tapi penduduknya telah dimusnahkan lama dahulu. Jadi kalau mahu rumah yang kekal abadi, kejarlah rumah di syurga.

Ayat 110: Yang manusia perlukan adalah keselamatan. Sebab itu kita ada rumah, bukan? Akan tetapi keselamatan yang sebenarnya adalah dari Allah. Dan keselamatan itu adalah di akhirat. Allah yang menentukan siapa yang akan diselamatkan. Yang pasti, yang penjenayah tidak akan selamat.


 

Komposisi Cincin

Di dalam Ayat 3, kita telah jelaskan apakah Komposisi Cincin itu. Dan sepanjang tafsir surah ini, kita telah senaraikan Komposisi tersebut. Sebenarnya ada cincin di dalam cincin. Iaitu kita akan buatkan pula cincin untuk Ayat 103 – 110 ini. Tak tahulah pembaca boleh faham ke tidak dengan cincin-cincin ini semua. Kalau tidak faham, boleh skip sahaja. Ia lebih kepada menjadi nota buat saya kerana setiap posting saya akan baca semula sekurang-kurangnya 7 kali (spaced repitition) dalam masa 6 bulan. Dan saya akan rujuk semula setiap kali saya mengajar.

Kaitan antara Ayat 103 & 110. Kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun kita bersungguh-sungguh dakwah kepada mereka. Begitulah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Apakah kesan emosi kepada para Rasul? Sehingga para Rasul itu rasa mereka didustakan, nampak seperti tidak ada harapan. Akan tetapi Allah akan beri kemenangan kepada para Rasul itu. Yang selamat akan diselamatkan, dan yang tetap degil akan diberikan dengan azab, dan mereka tidak dapat menolak azab itu.

Kaitan antara Ayat 104 & 109. Para Rasul dan pendakwah tidak meminta upah atau bayaran pun di dalam dakwah mereka mengajak orang beriman kepada Tauhid. Yang mereka mahukan adalah balasan pahala dan ‘upah’ di akhirat kelak dan itulah yang lebih baik. Jadi di sini ia mengajar kita tentang apakah yang lebih penting dan berharga, balasan di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Kaitan antara Ayat 105 & 109. Allah menyebut tentang kebanyakan manusia yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada langit dan bumi. Oleh kerana itu mereka telah mensyirikkan Allah. Dan bukan sahaja mereka tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam, mereka juga mengendahkan para Rasul yang diutuskan kepada mereka. Dan kesan dari penolakan mereka itu apa? Ramai yang telah dikenakan azab pada tempat tinggal mereka, yang orang kemudian boleh perhatikan. Ia sebagai peringatan kepada orang yang datang kemudian.

Kaitan antara Ayat 106 & 108. Allah memberitahu bahawa kebanyakan manusia yang beriman itu, mereka beriman dalam melakukan syirik. Maknanya bukanlah mereka tidak kenal Allah, tidak sembah Allah. Mereka kenal dan mereka beriman dengan Allah. Tapi iman mereka tidak sempurna. Mereka tidak beriman dalam Tauhid kerana mereka masih juga melakukan syirik. Ini sama sahaja dengan Musyrikin Mekah yang kenal Allah tapi di dalam masa yang sama, menyembah berhala. Jadi Iman dan Tauhid tidak semestinya seiring. Ramai yang keliru tentang hal ini sampaikan ada yang melakukan syirik tanpa sedar. Maka Nabi Muhammad disuruh menegaskan tentang jalan baginda iaitu jalan Tauhid yang tidak melakukan syirik.

Ayat 107 pula boleh dibahagikan kepada dua jenis kejadian: azab dan Hari Kiamat. Ada dua Takhwif yang Allah sebut, sama ada Takhwif Dunawi atau Takhwif Ukhrawi. Inilah dua perkara yang Allah selalu ancam kepada pembaca Al-Qur’an supaya beringat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.

Kemaskini: 31 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 18 – 21 (Allah ‎ﷻ Pemberi Rezeki)

Hijr Ayat 18: Namun ada yang terselamat daripada lemparan api itu.

إِلّا مَنِ استَرَقَ السَّمعَ فَأَتبَعَهُ شِهابٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except one who steals a hearing and is pursued by a clear burning flame.

(MELAYU)

kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.

 

إِلّا مَنِ استَرَقَ السَّمعَ

kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar

Kalimah استَرَقَ daripada katadasar س ر ق yang bermaksud ‘curi’. Maksud استَرَقَ adalah percubaan mencuri. Ada dalam kalangan jin yang cuba mencuri dengar percakapan malaikat di langit. Ini kerana para malaikat akan bercakap-cakap tentang arahan daripada Allah ﷻ tentang apa yang akan berlaku hari itu. Berita itu turun dari Lauh Mahfuz dan turun ke langit ke tujuh, seterusnya turun ke langit ke enam dan seterusnya ke bawah hinggalah ke langit yang pertama. Di langit pertama inilah para jin akan menunggu untuk mencuri dengar berita dari langit itu.

Walaupun langit itu ada penjaga, tetapi ada yang berani juga untuk mencuri-curi dengar. Mereka bukannya dapat tembus pun langit itu kerana memang tidak boleh tembus seperti disebut dalam Rahman: 33

يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطٰنٍ
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri daripada kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

Maksudnya mereka tidak mampu untuk menembus langit itu (لا تَنفُذونَ), tetapi mereka boleh mencuri dengar dari bawah sahaja. Sebab itulah kalimah yang digunakan adalah استَرَقَ (curi-curi) dengar. Oleh itu, ada yang mungkin dapat dengar sedikit perbualan antara para malaikat. Atau jin syaitan itu sempat beritahu kepada jin yang di bawahnya selepas mati dilempar api, maka maklumat itu sampai juga ke bawah.

Mereka inilah yang bawa maklumat dan beri kepada kaahin (tukar tenung). Mereka inilah yang mengamalkan ilmu astrologi (ilmu tilik bintang). Mereka sebenarnya mendapat maklumat daripada para jin yang telah naik ke langit. Maka kalau kita percaya kepada orang yang mengamalkan astrologi, boleh baca tarikh lahir dan sebagainya, ini adalah haram kerana mereka mendapat maklumat daripada jin.

Perkara ini ada diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِى السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ، قَالُوا لِلَّذِى قَالَ الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيرُ فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ – وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِكَفِّهِ فَحَرَفَهَا وَبَدَّدَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ – فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ، حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا ، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِى سَمِعَ مِنَ السَّمَاءِ
Ketika Allah ﷻ menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah ﷻ yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan daripada hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan – Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 4800)

Syarah: Melalui hadith ini kita dapat satu penerangan kenapa ada manusia yang boleh mengaku kononnya mereka tahu perkara ghaib seperti perkara yang akan berlaku. Ini adalah kerana mereka mendapat pertolongan daripada jin yang menyampaikan berita itu kepada mereka. Memang ada yang benar, akan tetapi yang banyaknya tidak benar. Namun manusia selalunya akan percaya kesemuanya hanya kerana satu sahaja yang tepat.

Kita di Malaysia tidaklah menggunakan istilah ‘kaahin’ lagi. Akan tetapi mereka itulah bomoh, pawang, uskun (Ustaz Dukun). Sebenarnya dukun, tetapi berselindung di sebalik gelaran ustaz supaya masyarakat Melayu yang jahil senang percaya kepada mereka. Mereka inilah yang tukang cari barang, tukang sembuhkan penyakit orang yang kononnya terkena santau, terkena sihir dan sebagainya. Mereka ini juga yang kononnya boleh tilik nasib dan macam-macam lagi. Malang sekali ramai orang kita yang pergi jumpa mereka ini sedangkan Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.”
(Riwayat Ahmad (9171) )
Disahihkan oleh Albani dan Arnauth

Itu kalau percaya, maka hukumnya adalah kufur. Bagaimana pula kalau setakat pergi dan bertanya sahaja? Itu pun sudah berdosa kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda,

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”
(Riwayat Muslim (5957))

 

فَأَتبَعَهُ شِهابٌ مُّبينٌ

lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.

Allah ﷻ kawal langit dan Allah ﷻ tahu apa yang berlaku. Jin yang berani juga untuk curi dengar maklumat langit itu akan dilemparkan dengan api. Mereka yang terkena api dengan tepat akan mati dan kalau kena sipi-sipi, mereka akan tercedera.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَضَى اللَّهُ الْأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتْ الْمَلَائِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَالسِّلْسِلَةِ عَلَى صَفْوَانٍ قَالَ عَلِيٌّ وَقَالَ غَيْرُهُ صَفْوَانٍ يَنْفُذُهُمْ ذَلِكَ فَإِذَا { فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا } لِلَّذِي قَالَ { الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ } فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُو السَّمْعِ وَمُسْتَرِقُو السَّمْعِ هَكَذَا وَاحِدٌ فَوْقَ آخَرَ وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِيَدِهِ وَفَرَّجَ بَيْنَ أَصَابِعِ يَدِهِ الْيُمْنَى نَصَبَهَا بَعْضَهَا فَوْقَ بَعْضٍ فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ الْمُسْتَمِعَ قَبْلَ أَنْ يَرْمِيَ بِهَا إِلَى صَاحِبِهِ فَيُحْرِقَهُ وَرُبَّمَا لَمْ يُدْرِكْهُ حَتَّى يَرْمِيَ بِهَا إِلَى الَّذِي يَلِيهِ إِلَى الَّذِي هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ حَتَّى يُلْقُوهَا إِلَى الْأَرْضِ وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى الْأَرْضِ فَتُلْقَى عَلَى فَمْ السَّاحِرِ فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ فَيُصَدَّقُ فَيَقُولُونَ أَلَمْ يُخْبِرْنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا يَكُونُ كَذَا وَكَذَا فَوَجَدْنَاهُ حَقًّا لِلْكَلِمَةِ الَّتِي سُمِعَتْ مِنْ السَّمَاءِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Apabila Allah menetapkan satu perkara di atas langit maka para malaikat mengepakkan sayap-sayap mereka kerana tunduk kepada firman-Nya, seakan-akan rantai yang berada di atas batu besar. Ali dan yang lainnya berkata; hal itu sebagaimana firman Allah: “Apabila hati mereka telah menjadi stabil, mereka berkata; ‘Apa yang difirmankan Rabb kita? ‘ mereka menjawab; ‘Al Haq, dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.’ Dan para pencuri berita langit (jin) mendengarkannya, (mereka bersusun) sebahagian di atas sebahagian yang lainnya. -Sufyan seraya memberikan isyarat dengan telunjuknya.- Para pencuri berita langit itu mencuri dengar kalimat lalu menyampaikannya kepada yang berada di bawahnya. Boleh jadi jin itu diterjang bintang sebelum menyampaikannya kepada yang di bawahnya hingga ia terbakar, kemudian mereka menyampaikannya kepada lisan dukun atau tukang sihir. Boleh jadi mereka tidak diterjang oleh bintang sehingga dapat menyampaikannya, kemudian dicampur dengan seratus kebohongan. Maka kalimat yang didengar boleh sesuai dengan yang dari langit.”
(Sahih Bukhari (4332))

Maka ada yang selamat daripada mati. Mereka yang tercedera inilah yang menjadi gila dan menjadi hantu mengganggu manusia. Mereka cedera terkena lemparan api itu, telah bertukar menjadi hodoh dan buruk sekali. Mereka jadikan peluang ini untuk tunjukkan rupa buruk mereka sahaja untuk menakutkan manusia yang lemah semangat.

Ada mereka yang bodoh bertanya, bolehkah jin-jin itu sakit kalau terkena lemparan api, kerana jin itu dijadikan daripada api juga? Kalau mereka tanya begini, bolehlah sahaja kita tampar muka mereka dengan tangan atau lempar sahaja dengan tembikar keras. Agak-agak mereka terasa sakitkah? Kita berikan hujah bodoh yang sama: bukankah tangan dan tembikar itu dijadikan daripada tanah juga?

Ada yang mengatakan شِهابٌ مُّبينٌ itu adalah meteor atau ‘tahi bintang’. Ini kerana kalimah مُّبينٌ bermaksud bola api atau kilat itu terang bercahaya dan boleh nampak. Cuma ada yang menolaknya kerana kalau dikatakan meteor itu merejam syaitan, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad ﷺ pun sudah ada. Maka meteor itu perkara biasa sahaja, bukannya kerana menghalang syaitan mencuri dengar wahyu yang akan disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Perkara ini pernah ditanya kepada Imam Zuhri رَحِمَهُ اللَّهُ dan beliau menjawab, benar meteor sudah ada sebelum Nabi Muhammad ﷺ, tetapi setelah mula penurunan wahyu, ia telah digunakan untuk merejam syaitan. Hujah ini dikuatkan dengan hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ فِي نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ إِذْ رُمِيَ بِنَجْمٍ فَاسْتَنَارَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كُنْتُمْ تَقُولُونَ لِمِثْلِ هَذَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ إِذَا رَأَيْتُمُوهُ قَالُوا كُنَّا نَقُولُ يَمُوتُ عَظِيمٌ أَوْ يُولَدُ عَظِيمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُ لَا يُرْمَى بِهِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ رَبَّنَا عَزَّ وَجَلَّ إِذَا قَضَى أَمْرًا سَبَّحَ لَهُ حَمَلَةُ الْعَرْشِ ثُمَّ سَبَّحَ أَهْلُ السَّمَاءِ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ التَّسْبِيحُ إِلَى هَذِهِ السَّمَاءِ ثُمَّ سَأَلَ أَهْلُ السَّمَاءِ السَّادِسَةِ أَهْلَ السَّمَاءِ السَّابِعَةِ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالَ فَيُخْبِرُونَهُمْ ثُمَّ يَسْتَخْبِرُ أَهْلُ كُلِّ سَمَاءٍ حَتَّى يَبْلُغَ الْخَبَرُ أَهْلَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَتَخْتَطِفُ الشَّيَاطِينُ السَّمْعَ فَيُرْمَوْنَ فَيَقْذِفُونَهُ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ فَمَا جَاءُوا بِهِ عَلَى وَجْهِهِ فَهُوَ حَقٌّ وَلَكِنَّهُمْ يُحَرِّفُونَهُ وَيَزِيدُونَ
Daripada [Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata: Suatu ketika Rasulullah ﷺ duduk bersama beberapa sahabat baginda, ada bintang dilemparkan lalu bersinar, Rasulullah ﷺ bertanya: “Apa pandangan kalian untuk (hal) seperti ini di masa jahiliyah saat kalian melihatnya?” Mereka menjawab: “Dulu kami mengatakan ada orang besar meninggal atau calon orang besar lahir. Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebenarnya ia tidak dilemparkan kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, tapi Rabb kita عَزَّ وَجَلَّ bila memutuskan suatu hal, para malaikat pemikul ‘arsy bertasbih lalu penghuni langit setelah mereka bertasbih lalu para penghuni langit setelah mereka bertasbih hingga tasbih sampai ke langit ini, penghuni langit keenam bertanya kepada penghuni langit ketujuh: Apa yang difirmankan Rabb kalian? Lalu mereka memberitahukannya, setelah itu penghuni setiap langit bertanya hingga khabar sampai ke penghuni langit terendah. Syaitan-syaitan mencuri dengar lalu mereka dilempari, lantas mereka menyampaikannya kepada wali-wali mereka. Yang mereka bawa itu benar, tetapi mereka merubah dan menambah-nambahi.”
(Sahih Bukhari (3148))

Syarah: Maka benar meteor telah ada sebelum Rasulullah ﷺ, akan tetapi ia kemudian telah digunakan untuk melempar syaitan yang cuba mendengar maklumat langit. Saintis mungkin memberitahu kita itu dan ini tentang punca meteor itu, akan tetapi ilmu mereka terhad setakat perkara fizikal sahaja sedangkan ada banyak lagi perkara ghaib yang mereka tidak dapat lihat.

Kesimpulan isi-isi penting adalah seperti berikut:

I. Satu ketika dahulu, para syaitan dalam kalangan jin mempunyai tempat di langit bagi mencuri dengar perkhabaran-perkhabaran langit yang dibawa oleh para malaikat, untuk disampaikan kepada tukang sihir dan dukun dengan tujuan untuk mengelirukan dan menyesatkan manusia dengannya.

II. Maka Allah ‎ﷻ menghalau dan melemparkan para syaitan tersebut ke bumi serta menjadikan bintang-bintang sebagai penjaga di langit dengan direjamkan menggunakan cahaya-cahayanya apabila mereka ingin mencuri dengar perkhabaran langit. Ia merupakan salah satu daripada tujuan Allah ‎ﷻ menciptakan bintang-bintang, selain menjadi perhiasan di langit dan petunjuk jalan kepada orang yang mengembara.

III. Ini merupakan kelembutan dan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya supaya dapat menjaga perkhabaran Al-Qur’an daripada diselewengkan oleh ahli sihir dan para dukun yang akan menyebabkan segala yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ tidak jelas dan akan berlakulah kekeliruan sehingga tidak dapat dipastikan siapakah yang benar!


 

Hijr Ayat 19: Ayat sebelum ini menceritakan tentang keadaan di langit, sekarang Allah ﷻ menceritakan keadaan di bumi pula.

وَالأَرضَ مَدَدنٰها وَأَلقَينا فيها رَواسِيَ وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوزونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth – We have spread it and cast therein firmly set mountains and caused to grow therein [something] of every well-balanced thing.

(MELAYU)

Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran.

 

وَالأَرضَ مَدَدنٰها

Dan Kami telah menghamparkan bumi 

Allah ﷻ telah menghamparkan bumi ini untuk kita duduki. Allah ﷻ luaskan dan lebarkan untuk senang kita berjalan di bumi ini dan senang untuk kita buat rumah. Kita boleh lihat lapisan bumi seluas mata memandang. Ini adalah nikmat untuk kita juga.

Allah ﷻ telah menghamparkan bumi ini untuk kita mudah diami. Kalaulah bumi ini berbukit bukau sahaja, tentu susah untuk kita tinggal di bumi ini. Allah ﷻ telah mudahkan kita hidup di bumi ini supaya kita boleh berkembang biak. Allah ﷻ juga berfirman dalam Baqarah: 22

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan

Ayat ini bukanlah dalil yang mengatakan bumi ini datar (flat). Sekarang ini ada kumpulan yang mendakwa bumi ini datar. Ini tidak benar. Memang banyak Allah ﷻ mengatakan bumi ini dihamparkan, namun bukanlah bermaksud bumi ini datar. Bumi ini sfera, cuma kerana ia besar, kita tidak rasa yang ia datar. Bukti-bukti saintifik banyak menunjukkan kepada rupa sfera bumi ini. Akan tetapi kita pun tidaklah mahu berhujah panjang tentang hal ini kerana ia bukan perkara yang penting pun. Kalau ada yang hendak mengatakan bumi ini datar, silakan.

 

وَأَلقَينا فيها رَواسِيَ

dan menjadikan padanya gunung-gunung

Allah ﷻ menjadikan gunung-gunung sebagai pasak. Kalimah رَواسِيَ bermaksud ‘pasak’. Ini adalah kerana bumi yang dihamparkan ini ada kerak tanah yang seperti permaidani. Kalau tidak ada pasak yang menahannya daripada bergerak, maka lapisan kerak kita ini akan bergerak-gerak sentiasa dan menyusahkan kita untuk tinggal di atasnya.

Kalau sentiasa bergerak, hendak buat peta pun payah kerana asyik berubah sahaja. Maka Allah ﷻ letakkan pasak dengan adanya gunung ini. Iaitu di bawah gunung itu, sebenarnya adalah pasak yang memaku kedudukan kerak bumi. Maka kita tetap di atasnya.

‘Pasak’ yang dimaksudkan adalah ‘gunung’ dan ‘banjaran’. Memang Allah ﷻ jadikan bumi ini terbentang tetapi ada juga dijadikan gunung ganang. Ternyata ia adalah untuk kebaikan kita juga. Gunung ganang sebagai ‘pasak’ untuk bumi. Hebatnya Allah ﷻ, sudahlah buat bumi yang luas ini, pasak pun Dia buatkan juga. Kalaulah kita terpaksa pasak bumi ini sendiri, tentu tidak mampu, bukan?

Kalimah رَوٰسِيَ daripada katadasar ر س و yang bermaksud tegas; ditubuhkan; stabil; tidak beralih; kekal; meletakkan sauh; tambatan; ketibaan; akan berlaku. Bumi memerlukan pasak kerana kerak bumi ini terletak seolah-olah sebagai permaidani di atas bumi dan kalau tidak ada pasak, ia akan bergerak-gerak dan kita pun susah untuk hidup di atasnya. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Luqman: 10

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;

Maka kerak bumi yang bertembung antara satu sama lain akan bertindak – yang bahagian keras akan menusuk ke dalam bumi dan yang lembut akan naik menjadi gunung. Ini dipanggil proses isostasi.

Atau kalimah رَواسِيَ itu daripada kalimah ر س و yang bermaksud ‘sauh’ di mana apabila kapal hendak berlabuh ia akan menurunkan sauh supaya kapal itu tetap dan stabil pada satu tempat. Tanpa sauh, ia akan bergerak.

Di dalam Naba’: 6-7 juga Allah ﷻ sebut bagaimana Dia menjadikan bumi ini mudah untuk diduduki dan kemudian meletakkan pasak padanya.

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

وَالجِبالَ أَوتادًا
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

 

وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوزونٍ

dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran.

Allah ﷻ beri kehidupan di atas muka bumi ini. Semuanya dalam kadar ukuran yang Allah ﷻ tentukan. Kalimah مَوزونٍ daripada katadasar و ز ن yang bermaksud menimbang; menghakimi; mengukur; seimbang. Maknanya Allah ﷻ jadikan dunia ini mengikut kadar yang Dia tentukan. Allah ﷻ tentukan kadar jarak dan berat dengan tepat kerana kehidupan flora dan fauna mestilah dikawal.

Kalau tidak dikawal, sampaikan ada yang terlebih daripada sepatutnya, ekologi flora dan dan fauna akan rosak dan kehidupan akan terganggu. Contohnya kalaulah beras itu saiznya besar epal, tentu susah kita hendak makan sampai tidak habis dan buang begitu sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ jadikan cukup-cukup sahaja saiznya. Maka keperluan hidup kita terpelihara. Semua kehidupan flora dan fauna di dunia ini bergantung antara satu sama lain, dan ada simbiosis di antaranya. Kadar ini ditentukan oleh Allah ﷻ yang Maha Bijaksana.

Amat menarik hujung ayat ini yang mengatakan bahawa segala sesuatu dijadikan oleh Tuhan dengan ditimbang. Penghamparan bumi, peletakan gunung-gunung dan penumbuhan segala yang tumbuh itu, semuanya itu adalah dengan timbangan tertentu. Ada timbangan dan ada imbangan. Letak gunung dalam sebuah negeri, menentukan pula banyak hujan yang jatuh setiap tahun. Lalu menentukan pula keadaan udara di sekitarnya. Menentukan pula hal tumbuh-tumbuhan yang lebih subur tumbuhnya di satu daerah dan kurang suburnya di tempat yang lain. Semuanya ini mempengaruhi pula akan hidup manusia, di dalam daerah-daerah yang didiaminya. Oleh itu adanya perbezaan di antara Tanah Arab dengan benua Eropah. Perbezaan lagi dengan daerah yang di Khatulistiwa. Maka semuanya itu berkait rapat dengan penghamparan bumi, penanaman gunung dan penumbuhan tanam-tanaman. Semuanya ditimbang dengan kebijaksanaan Allah ﷻ.


 

Hijr Ayat 20:

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ وَمَن لَّستُم لَهُ بِرٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have made for you therein means of living and [for] those for whom you are not providers.¹

  • Allāh has put at your service other men and animals for which He provides. An additional meaning is that Allāh provides means for your living and for all other creatures as well.

(MELAYU)

Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.

 

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ

Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, 

Allah ﷻ telah memberikan sumber kehidupan kepada kita semua yang hidup di atas muka bumi ini. Kalimah مَعٰيِشَ daripada katadasar ع ي ش yang bermaksud hidup dengan cara tertentu; melewati kehidupan seseorang; mata pencarian; kehidupan; cara hidup; kewujudan; ritual; keperluan hidup. Kita minum dan makan daripada sumber yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Sama ada daripada tumbuh-tumbuhan atau binatang ternak, semuanya daripada Allah ﷻ belaka. Dengannya kita dapat makan dan meneruskan kehidupan kita.

 

وَمَن لَّستُم لَهُ بِرٰزِقينَ

dan makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kepadanya.

Ada hidupan yang kita beri makan seperti binatang ternak, haiwan peliharaan, anak-anak kita dan orang yang bergantung kepada kita. Namun bukan itu sahaja kehidupan kerana ada banyak lagi kehidupan yang hidup bukan kita yang beri makan tetapi Allah ﷻ. Semuanya bergantung kepada Allah ﷻ untuk melangsungkan kehidupan.

Ingatlah yang semua rezeki daripada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita rasa rezeki itu daripada kita seperti rezeki yang kita berikan kepada pekerja kita, anak-anak kita, keluarga kita, orang bawahan kita dan sesiapa sahaja. Namun sebenarnya yang beri rezeki itu adalah Allah ﷻ semata-mata, cuma melalui tangan kita sahaja. Allah ﷻ yang beri rezeki kepada manusia, haiwan, ternakan, serangga dan apa-apa sahaja kehidupan di dunia ini. Tidak ada yang tidak memerlukan rezeki daripada Allah ﷻ kecuali semua makhluk memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ.


 

Hijr Ayat 21: Semuanya daripada pemberian Allah ﷻ kepada kita semua.

وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا خَزآئِنُهُ وَما نُنَزِّلُهُ إِلّا بِقَدَرٍ مَّعلومٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is not a thing but that with Us are its depositories, and We do not send it down except according to a known [i.e., specified] measure.

(MELAYU)

Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.

 

وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا خَزآئِنُهُ

Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; 

Semua keperluan kita diambil daripada khazanah yang Allah ﷻ berikan sedikit kepada kita. Tidak ada daripada sumber lain melainkan daripada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ kata: وَإِن مِّن شَيءٍ إِلّا عِندَنا. Kalimah إِن di sini bermaksud ‘tidak’ dan bukanlah seperti penggunaan yang biasa iaitu ‘jika’. Maka ketahuilah bahawa segala khazanah alam ini ada pada Allah ﷻ dan kuncinya pun ada pada Allah ﷻ. Bukan kita yang pegang kuncinya dan tidak ada entiti lain yang mengawalnya.

Maka kalau kita perlukan apa-apa, maka mintalah kepada Allah ﷻ. Kenapa hendak minta kepada selain Allah ﷻ seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka tidak mengawal kunci khazanah itu? Sepatutnya kita berharap dan minta kepada Allah ﷻ sahaja.

Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kita yang rezeki itu Dia yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapat rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: Adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?

Ayat 1000 Dinar yang popular dijadikan perhiasan dengan kepercayaan untuk murah rezeki

Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.

Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58

إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.

 

وَما نُنَزِّلُهُ إِلّا بِقَدَرٍ مَّعلومٍ

dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.

Daripada khazanah itulah diberikan keperluan kita. Akan tetapi Allah ﷻ tidak beri sekaligus, sebaliknya Allah ﷻ beri mengikut kuantiti yang perlu sahaja. Allah ﷻ yang tentukan ikut keperluan kita. Kita sendiri tidak tahu keperluan kita, tetapi Allah ﷻ yang tahu. Maka berapa kadarnya hanya ada di sisi ilmu Allah ﷻ sahaja.

Maka orang yang beriman benar-benar akan redha dengan apa sahaja bahagian yang Allah ﷻ berikan kepadanya. Tidaklah dia merungut, sibuk sangat dengan apa yang dia dapat. Ramai bukan yang mengadu dan mengeluh kerana pada mereka upah atau rezeki yang mereka dapat itu ciput sahaja? Tidak tahukah dia yang bahagian yang dia dapat itu telah ditentukan oleh Allah ﷻ? Tidak redhakah dia dengan pemberian dan penentuan Allah ﷻ itu?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 12 – 17 (Keindahan langit)

Hijr Ayat 12:

كَذٰلِكَ نَسلُكُهُ في قُلوبِ المُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus do We insert it [i.e., denial] into the hearts of the criminals.

(MELAYU)

Demikianlah, Kami memasukkan (rasa ingkar dan memperolok-olokkan itu) ke dalam hati orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir),

 

Allah ﷻ masukkan apa dalam hati mereka? Sifat olok-olok itu. Ini kerana mereka tidak ada hujah, maka apa yang mereka boleh buat adalah mempersendakan sahaja. Ini adalah kerana hati mereka tidak mahu menerima ajaran yang benar, maka mereka tolak. Mereka juga tidak ada hujah maka apa yang mereka cakap adalah kata-kata nista, kata yang main-main dan mengejek sahaja. Sebab itulah kita lihat cara percakapan penentang Sunnah itu tidak tetap dan tidak ada ilmu tetapi bagaikan kata-kata budak-budak sahaja. Tidak ada hujah dan dalil langsung. Tepuk dahi kita apabila dengar hujah-hujah mereka yang keanak-anakan.

Kenapa mereka berani bersikap olok-olok itu dan mempersendakan Rasul mereka? Kerana mereka tidak percaya wahyu. Mereka ini tidak ubah seperti Musyrikin Mekah yang menolak Al-Qur’an. Asalnya kerana hati mereka telah kotor dan telah menjadi hitam.

Namun kalau kita baca ayat ini, seolah-olah Allah ﷻ yang masukkan sifat itu ke dalam hati mereka. Maka kenapa mereka bersalah pula? Kita kena faham yang Allah ﷻ masukkan sifat itu kerana mereka itu المُجرِمينَ iaitu yang berdosa. Telah banyak dosa yang mereka lakukan dan mereka telah banyak berlaku zalim. Kerana itu Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka seperti firman-Nya di dalam Maidah: 51

إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Pada mulanya mereka tolak dengan hati namun lama kelamaan mereka akan lawan dengan mulut mereka. Apabila mereka melawan, Allah ﷻ akan tutup hati mereka daripada kebenaran dan mereka akan menghina agama dengan mulut mereka. Perbuatan mereka itu akan ditulis dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Kenapakah hati mereka menjadi hitam? Kerana dosa yang dilakukan. Kerana itu kalau kita susah beramal, susah hendak faham pelajaran agama, susah untuk menolak untuk melakukan dosa, ini menandakan hati kita telah gelap kerana banyak dosa yang dilakukan seperti disebut di dalam satu hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin: 14).
Sunan Ibn Majah (4234)
Status: Hasan

Oleh kerana itu kita mestilah selalu istighfar dan bertaubat supaya hati kita kembali bersih. Apabila hati bersih, barulah senang cahaya iman dan ilmu masuk. Juga kita kena bersungguh-sungguh mengelak daripada melakukan apa-apa sahaja dosa. Memanglah kadangkala akan terciduk juga, namun cubalah semampu mungkin menahan diri kita daripada melakukan dosa.

 


 

Hijr Ayat 13: Apa kesannya apabila Allah ‎ﷻ masukkan sifat penolakan mereka itu?

لا يُؤمِنونَ بِهِ ۖ وَقَد خَلَت سُنَّةُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will not believe in it, while there has already occurred the precedent of the former peoples.

(MELAYU)

mereka tidak beriman kepadanya (Al Qur’an) dan sesungguhnya telah berlalu sunnatullah terhadap orang-orang dahulu.

 

لا يُؤمِنونَ بِهِ

mereka tidak beriman kepadanya

Mereka tidak beriman dengan wahyu terutama sekali Al-Qur’an. Apabila mereka teruk sangat menentang dakwah tauhid dan sunnah, maka mereka telah masuk dalam ke lembah kesesatan sampai tidak boleh diselamatkan lagi. Siapa yang masukkan? Allah ﷻ yang masukkan mereka kerana Allah ﷻ telah buat keputusan untuk azab mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati).

Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

 

وَقَد خَلَت سُنَّةُ الأَوَّلينَ

dan sesungguhnya telah berlalu sunnatullah terhadap orang-orang dahulu.

Perkara ini memang sudah biasa berlaku. Ia berlaku zaman berzaman dan kerana itulah ia dikira sebagai sunnatullah. Memang Allah ﷻ jadikan perkara ini berlaku sebagai ujian untuk pendakwah. Kita telah belajar di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an tentang penolakan kaum terhadap Rasul mereka dan bagaimana mereka akhirnya telah dimusnahkan dengan azab yang menghancurkan mereka. Sepatutnya kejadian dan nasib umat-umat terdahulu itu menjadi pengajaran dan sempadan kepada umat selepasnya, namun masih tetap ada manusia yang tidak mengambil pengajaran.


 

Hijr Ayat 14: Ini adalah ayat Syikayah (rungutan Allah ﷻ tentang golongan penentang) Mereka tidak akan beriman apabila Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk tutup pintu hati mereka kepada iman.

وَلَو فَتَحنا عَلَيهِم بابًا مِّنَ السَّماءِ فَظَلّوا فيهِ يَعرُجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [even] if We opened to them a gate from the heaven and they continued therein to ascend,

(MELAYU)

Dan jika seandainya Kami membukakan kepada satu pintu langit, lalu mereka terus menerus naik ke atasnya,

 

وَلَو فَتَحنا عَلَيهِم بابًا مِّنَ السَّماءِ

Dan jika seandainya Kami membukakan kepada satu pintu langit,

Mereka tidak akan beriman walaupun dibukakan pintu di langit. Iaitu mereka nampak dengan mata mereka sendiri pintu langit dibuka.

Melalui ayat ini kita dapat tahu bahawa rupanya langit-langit itu ada pintunya. Ini seperti kita selalu dengar kisah Mi’raj Rasulullah ﷺ ke langit di mana setiap kali baginda melepasi satu langit, akan dibukakan pintunya.

 

فَظَلّوا فيهِ يَعرُجونَ

lalu mereka terus naik ke atasnya,

Bukan sahaja pintu itu dibuka, tetapi mereka dibawa untuk naik ke atas melalui pintu itu. Kalimah ظَلّوا daripada katadasar ظ ل ل yang bermaksud kekal; terakhir; terus melakukan sesuatu; menjadi; tabah; terus melakukan; untuk berteduh; bayangan; tempat perlindungan; awning; gerai; penutup; awan yang memberi naungan; penutup; perlindungan; keadaan senang dan bahagia; tempat teduh.


 

Hijr Ayat 15: Kalau sudah dapat pengalaman sebegitu pun mereka tidak mahu beriman juga.

لَقالوا إِنَّما سُكِّرَت أَبصٰرُنا بَل نَحنُ قَومٌ مَّسحورونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They would say, “Our eyes have only been dazzled. Rather, we are a people affected by magic.”

(MELAYU)

tentulah mereka berkata: “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dikaburkan, bahkan kami adalah orang orang yang kena sihir”.

 

لَقالوا إِنَّما سُكِّرَت أَبصٰرُنا

tentulah mereka berkata: “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dimabukkan,

Walaupun sudah dinaikkan ke langit, Allah ﷻ beritahu yang mereka tetap tidak percaya dengan wahyu. Mereka kata mereka telah dimabukkan atau telah dikaburkan pandangan mata mereka. Kalimah سُكِّرَت daripada katadasar س ك ر yang bermaksud menutup; empangan; menghapuskan; terpesona; keliru; bingung; gagal memahami; hilang akal; gula; wain; yang memabukkan; apa-apa yang menghalang minda; mabuk.

Ibnu Zaid رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: pandangan kamilah yang dikaburkan. (Al-Hijr: 15) As-sakran ertinya orang yang tidak sedar akan akal sihatnya (iaitu mabuk).

 

بَل نَحنُ قَومٌ مَّسحورونَ

bahkan kami adalah orang orang yang kena sihir”.

Mereka kata mereka terkena sihir sahaja sampai mereka menjadi mabuk. Mereka kata yang mereka disihir itu sebab pandangan mereka kabur – nampak benda yang tidak berlaku. Maka kalaupun mereka telah dinampakkan dengan tanda-tanda di langit (kekuasaan Allah ﷻ), mereka tetap juga tidak mahu percaya. Mereka bagi alasan pula.

Maka di sini Allah ﷻ memberitahu kepada kita sifat sebenar mereka itu. Mereka itu walaupun sudah dapat Al-Qur’an, masih lagi memberi bermacam-macam alasan untuk menolak kerana hati mereka telah tertutup. Allah ﷻ tambah dengan beri perumpamaan, kalaulah pintu langit dibuka pun dan mereka dinaikkan ke langit, dan ditunjukkan dengan segala macam tanda-tanda, mereka tetap tidak mahu percaya juga. Mereka tetap berdegil kerana mereka telah dikenakan dengan khatmul qalbi (penutupan hati).

Allah ﷻ sebenarnya hendak memberitahu sikap mereka yang memang tidak mahu beriman walaupun setelah diberikan dengan berbagai-bagai bukti kepada mereka. Walaupun mereka dibawa ke langit dan diberikan mereka melihat bukti-bukti dan tanda-tanda kehebatan Allah ﷻ, mereka tetap tidak akan beriman. Allah ﷻ sudah tahu hati mereka. Sedangkan orang yang mahu beriman akan melihat kepada tanda-tanda yang ada pada dunia sahaja dan tidak perlu sampai pergi ke langit. Akan tetapi manusia yang tidak beriman meminta berbagai bagai bukti namun akhirnya tidak juga mahu beriman. Allah ﷻ perli mereka ini di dalam Kahf: 9

أَم حَسِبتَ أَنَّ أَصحٰبَ الكَهفِ وَالرَّقيمِ كانوا مِن ءآيٰتِنا عَجَبًا
Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

Allah ﷻ perli mereka kerana sibuk dengan kisah pemuda gua yang tidur selama 300 tahun akan tetapi mereka tidak nampak kebesaran Allah ﷻ yang lain seperti bulan, bintang dan matahari yang bergerak dan berfungsi entah berapa juta tahun. Planet-planet itu amat besar, tergantung tanpa tali dan bergerak dengan teratur kerana Allah ﷻ yang menguruskannya.

Ayat 14 hingga 15 ini juga menceritakan fenomena alam yang kita baru tahu setelah kita dapat naik ke langit. Iaitu siang itu selapis sahaja sebenarnya. Namun kalau kita naik lagi ke atas dan keluar dari atmosfera, sebenarnya keadaan adalah gelap seperti malam. Boleh lihat gambar di bawah.

 

Sekian Ruku’ 1 daripada 6 ruku’ surah ini.


 

KEKUASAAN ALLAH ﷻ

Hijr Ayat 16: Ini adalah Dalil aqli tauhid secara tafsili. Sekarang Allah ﷻ memberi hujah kepada kita kenapa kita kena sembah dan doa kepada Dia sahaja.

Mulai ayat ini sehingga ke ayat 25 adalah Perenggan Makro ke 2. Ia adalah jenis Dalil Aqli Afaqi di mana Allah ﷻ suruh kita lihat ayat-ayat (tanda-tanda) Allah ﷻ di alam semesta sebagai bukti adanya Allah ﷻ dan adanya akhirat.

وَلَقَد جَعَلنا فِي السَّماءِ بُروجًا وَزَيَّنّٰها لِلنّٰظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have placed within the heaven great stars and have beautified it for the observers.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang(nya),

 

وَلَقَد جَعَلنا فِي السَّماءِ بُروجًا

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang

Dalam ayat sebelum ini telah disebut kalau orang-orang kafir itu dinaikkan ke langit. Kalaulah mereka dapat naik ke langit pun, mereka tidak akan dapat naik jauh kerana ada ‘buruj’ di langit itu. Namun sebenarnya kehebatan langit itu boleh dilihat tanpa perlu ke langit pun kerana dari bumi pun sudah boleh nampak.

Kalimah بُروجًا boleh bermakna ‘kubu’ kerana ia adalah sesuatu yang jelas nampak sebagaimana kubu itu boleh nampak daripada kejauhan. Ia juga boleh bermakna pergerakan bintang (gugusan bintang). Ini adalah ayat mutashabihah kerana kita tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan tepat kerana ada dua makna yang boleh diambil.

Kalau dilihat pada bintang itu pun kita sudah terpesona dengan kehebatan Allah ﷻ. Bintang-bintang itu amat besar sekali, tetapi bilangannya sampai sekarang pun saintis tidak tahu lagi kerana terlalu banyak. Sentiasa sahaja dijumpai bintang-bintang yang baru. Apabila kita lihat bintang-bintang di malam hari, atau baca penemuan NASA dan sebagainya, maka terkenanglah kita: “Bintang-bintang ini semua Allah yang buat, alangkah hebatnya Allah dan betapa kerdilnya aku!”.

Kerana itulah Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini kerana ia akan menjadikan kita sedar tentang kebesaran dan kehebatan Allah ﷻ dan betapa kerdilnya kita seperti disebut dalam Mulk: 3-4

الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

 

وَزَيَّنّٰها لِلنّٰظِرينَ

dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang

Langit itu telah dicantikkan oleh Allah ﷻ dengan bintang-bintang. Bayangkan dengan langit yang tidak ada bintang, tidak ada apa-apa padanya. Kita hanya mampu menggantung lampu di siling, sedangkan Allah ﷻ menggantung lampu-Nya di langit. Lampu kita kena ada wayar, kena ada tali, sedangkan lampu Allah ﷻ tidak memerlukan semua itu. Lampu kita kalau tidak bayar bil letrik akan padam, sedangkan lampu Allah ﷻ tidak pernah lagi padam-padam (tidak pernah blackout).

Kalau kita lihat ke langit, kita boleh terpesona melihat keindahannya. Masyarakat kita bukan masyarakat yang melihat bintang, sebab itu ayat ini kurang bermakna kepada kita. Ini kerana langit kita tidak cerah dan kita ada banyak lagi benda lain yang mengasyikkan kita. Maknanya kita bukanlah نٰظِرينَ iaitu orang yang melihat dengan lama sambil memikirkan. Kita hanya setakat memandang sahaja.

Namun begitu bangsa Arab dahulukala memang suka melihat bintang, sampaikan selalu mereka meluangkan masa di atas bumbung rumah mereka melihat bintang-bintang di malam hari. Mereka selalu tidur di bawah naungan bintang-bintang itu. Bumbung rumah mereka memang datar dan kerana itu mereka boleh baring dan melihat langit di malam hari. Mudah bagi mereka untuk melihat langit kerana langit mereka cerah maka boleh nampak jelas sekali bintang-bintang itu. Lagi pun orang Arab waktu itu bukannya ada TV, maka hiburan bagi mereka adalah melihat bintang di langit. Mereka pun tidak ada GPS maka mereka memang memerlukan gugusan bintang sebagai panduan arah perjalanan apabila mengembara.

Maka memang sepatutnya mereka itu kagum dan memandang tinggi kepada Allah ﷻ dan mengucapkan kalimah-kalimah memuji Allah ﷻ seperti di dalam Furqan: 61

تَبارَكَ الَّذي جَعَلَ فِي السَّماءِ بُروجًا وَجَعَلَ فيها سِرٰجًا وَقَمَرًا مُّنيرًا
Maha Berkat Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya lampu dan bulan yang bercahaya.


 

Hijr Ayat 17: Apakah lagi kegunaan bintang-bintang itu selain untuk mencantikkan langit?

وَحَفِظنٰها مِن كُلِّ شَيطٰنٍ رَّجيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have protected it from every devil expelled [from the mercy of Allāh]

(MELAYU)

dan Kami menjaganya daripada tiap-tiap syaitan yang terkutuk,

 

Dengan bintang-bintang itu juga, Allah ﷻ memelihara langit itu daripada didatangi oleh Syaitan yang direjam. Di dalam ayat 9 Allah ﷻ beritahu yang Dia menjaga Al-Qur’an, bukan? إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ. Allah ﷻ menjaganya dari mula penurunannya lagi supaya syaitan tidak dapat mendengarnya dan menambah apa-apa ke dalam Al-Qur’an.

Syaitan dalam kalangan jin memang berusaha untuk naik ke langit untuk mencuri dengar berita-berita langit seperti wahyu dan nasib manusia. Lihat ayat Mulk: 5.

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Rejam maksudnya dibaling dengan batu. Ia juga bermaksud mereka itu terusir daripada rahmat. Sekiranya syaitan (daripada golongan jin) hendak naik ke langit untuk mencuri maklumat langit, mereka akan direjam dengan bebola api! Ada malaikat yang menjaga langit-langit itu seperti yang telah disebut di dalam Jin: 8-9

وَأَنّا لَمَسنَا السَّماءَ فَوَجَدنٰها مُلِئَت حَرَسًا شَديدًا وَشُهُبًا
Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقٰعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَّصَدًا
Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

Menurut Tafsir al-Jalalain, ayat di atas merupakan perkataan jin itu sendiri, jin menyatakan, “Kami telah cuba mencuri pendengaran di langit yang penuh dengan malaikat dan bintang-bintang yang membakar”. Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi ﷺ diutus menjadi Rasul kerana jin boleh mencuri dengar berita langit sebelum Nabi ﷺ diutus menjadi Rasul. Selepas Nabi ﷺ menjadi Rasul, sesiapa yang cuba mendengar berita dari langit akan dipanah oleh api (meteor-meteor yang bersedia untuk membunuhnya). Tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa syaitan yang cuba mencuri dengar berita di langit (di antara Allah ﷻ dan malaikat) akan direjam dengan api yang menyala iaitu meteor.

Sesungguhnya jin dihalang mencuri daripada mendengar berita langit ini bermula selepas diutusnya Nabi menjadi Rasul atas alasan tidak dapat mencuri sesuatu pun daripada Al-Qur’an dan mencampuradukkannya supaya tidak tahu mana yang benar. Sehingga kini, jika terdapat jin yang curi-curi dengar berita langit, akan direjam dengan bintang yang terbakar yang akan membinasakan atau memusnahkannya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 4 – 11 (Allah ‎ﷻ berjanji akan memelihara Al-Qur’an)

Hijr Ayat 4: Takhwif duniawi

وَما أَهلَكنا مِن قَريَةٍ إِلّا وَلَها كِتابٌ مَّعلومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not destroy any city but that for it was a known decree.

(MELAYU)

Dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang telah ditetapkan.

 

Sememangnya Allah ﷻ telah membinasakan kaum yang menentang Rasul mereka. Bukanlah قَريَةٍ yang dibinasakan akan tetapi penduduknya kerana penduduknya yang bersalah. Itu semua sudah ada masa yang ditentukan. Tidaklah mereka lawan Rasul mereka, terus mereka dibinasakan. Allah ﷻ tidak buat begitu, malah akan diberikan masa dan peluang untuk mereka bertaubat dan mengubah diri mereka.

Mungkin pada awalnya mereka menentang, tetapi mungkin mereka belum membuka hati mereka. Maka Allah ﷻ beri mereka buat apa yang mereka hendak buat, sampailah kepada satu tahap yang Allah ﷻ tentukan, barulah Allah ﷻ musnahkan mereka. Maknanya, tidaklah mereka buat salah sahaja Allah ﷻ terus musnahkan mereka.

Ini sebagai ancaman kepada Musyrikin Mekah. Mereka kena tahu yang mereka tidak dikenakan azab lagi kerana belum sampai masa sahaja. Kalau sudah sampai masa yang telah ditetapkan, maka akan kenalah mereka. Yang pasti, mereka tidak akan selamat kalau masa itu telah sampai. Maka janganlah mereka tunggu sampai saat itu.

Ia juga bermaksud, mereka itu tidaklah dihancurkan melainkan mereka sudah ada kitab wahyu yang jelas diberikan kepada mereka. Maknanya, dalil dan hujah akan ditegakkan kepada mereka dahulu, barulah mereka dihancurkan. Allah ﷻ tidak zalim dengan menghancurkan mereka yang belum mendapat dalil lagi.

Maka bukanlah mereka masih selamat itu kerana Allah ﷻ tidak sedar apa yang mereka telah lakukan, Allah ﷻ tidak tahu mahu buat apa, Allah ﷻ takut hendak kenakan apa-apa terhadap mereka, bukan dan bukan. Masa kehancuran mereka itu sudah ditentukan, tetapi Allah ﷻ sahaja yang tahu. Kenapa Allah ﷻ tangguhkan itu adalah di dalam kebijaksanaan Allah ﷻ, kita kena redha dan sabar sahaja.

Maka kalau orang zalim dan para penindas di dunia sekarang masih selamat, jangan kita ribut marahkan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah tetapkan masa kehancuran mereka, belum sampai sahaja masanya. Oleh itu bagi Israel, rejim Asad di Syria dan di mana-mana, mereka masih selamat kerana belum masanya sahaja untuk mereka dihancurkan.


 

Hijr Ayat 5: Kalau Allah ﷻ sudah tentukan masa kehancuran mereka, tidak boleh diubah lagi.

مّا تَسبِقُ مِن أُمَّةٍ أَجَلَها وَما يَستَأخِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No nation will precede its term, nor will they remain thereafter.

(MELAYU)

Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan(nya).

 

Kalau mereka buat apa pun, tidak mungkin dapat diubah ketentuan daripada Allah ﷻ untuk menghancurkan mereka nanti. Masa itu telah ditentukan. Kalimah مِن di dalam ayat ini adalah za’idah (penambahan) maka bukanlah ia bermaksud sebahagian sahaja umat, tetapi keseluruhan umat tanpa terkecuali. Tidak ada sesiapa yang dapat mendahului ajal mereka atau memperlewatkannya. Buatlah apa cara sekalipun, tidak mampu mendahului atau memperlewatkan.

Maka tidaklah boleh kita kata: kalau mereka itu banyak buat dosa, akan dicepatkan azab mereka. Tidak, kerana masa dan bila ia akan terjadi, semua itu telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak akan cepatkan dan tidak akan lambatkan masa yang Dia telah tetapkan. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah mereka akan dikenakan dengan azab itu. Kita sebagai manusia tidak akan dapat tahu maka tidaklah perlu kita perlu tunggu waktu-waktu tertentu atau meneka-neka atau meramalkan bila ia bakal terjadi.

Maka bagi orang Mukmin, mereka tidak resah gelisah kerana mereka tahu apa sahaja yang Allah ﷻ tentukan, ia pasti akan terjadi apabila sampai masanya. Kita jalani sahaja kehidupan kita seperti biasa tanpa tertanya-tanya, bilakah agaknya Allah akan hancurkan mereka? Kenapa Allah ﷻ tidak berikan kemenangan kepada umat Islam lagi? Semua ini kita kena redha yang ia adalah di dalam perancangan Allah ﷻ.


 

MUSYRIKIN MENGHINA RASULULLAH ﷺ

Hijr Ayat 6: Ayat Syikayah (pengaduan Allah ﷻ terhadap golongan kafir). Apakah kata-kata kurang ajar mereka yang Allah ﷻ ulang semula di dalam Al-Qur’an?

وَقالوا يٰأَيُّهَا الَّذي نُزِّلَ عَلَيهِ الذِّكرُ إِنَّكَ لَمَجنونٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “O you upon whom the message has been sent down, indeed you are mad.¹

  • Literally, “possessed by jinn.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Hai orang yang diturunkan Al Qur’an kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.

 

Ini adalah kata-kata cemuhan dan ejekan daripada mereka yang menentang ajaran wahyu. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu gila, sudah hilang akal. Atau dari segi bahasanya مَجنونٌ itu bermaksud disampuk jin (sampai menjadi orang gila). Kononnya mereka amat hairan apa yang terjadi kepada baginda. Mereka kata kenapalah Muhammad itu tiba-tiba jadi begini? Dulu baginda tidaklah begitu tetapi tiba-tiba jadi begitu pula. Mereka sampai ada yang tawarkan untuk ubati baginda yang sudah disampuk jin.

Amat teruk sekali apa yang mereka katakan kepada Nabi Muhammad ﷺ sampai Allah ﷻ rekodkan kata-kata mereka itu dalam ayat ini. Tujuan mereka adalah hendak menjatuhkan nama baik Nabi Muhammad ﷺ (character assasination) supaya orang lain takut untuk mendekati baginda dan menerima ajaran baginda. Ini samalah seperti yang dilakukan oleh penentang ajaran Sunnah. Mereka akan tuduh asatizah Sunnah sebagai ‘wahabi’ supaya orang awam takut untuk belajar dengan asatizah Sunnah itu. Mereka akan kata, jangan ambil ilmu daripada ustaz itu dan ini, dia Wahabi! Maka orang awam yang tidak tahu apa-apa akan timbul rasa sangsi dalam diri mereka dan menjauhkan diri.

Kenapa tuduhan gila dikenakan kepada Nabi Muhammad ﷺ? Satu lagi sebab adalah kerana baginda memperkatakan perkara yang tidak pernah disangka oleh masyarakat waktu itu atau pun berlawanan dengan fahaman mereka. Baginda ajak mereka sembah satu Tuhan sahaja, suruh jaga akhlak, beritahu yang apabila sudah mati, nanti akan ada akhirat apabila semua makhluk akan dibangkitkan. Tentulah mereka kata baginda gila! Maka kalau orang tuduh kita berbagai-bagai tuduhan apabila menyampaikan kebenaran, ia tidaklah pelik kerana memang begitulah manusia yang akan pelik dengan perkara yang mereka tidak pernah dengar. Manusia mudah sahaja memusuhi perkara yang mereka tidak tahu.

Lihat bagaimana kalimah الذِّكرُ (peringatan) digunakan untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Semenjak dahulu lagi sudah digunakan kalimah itu untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Apabila ia dikira sebagai ‘peringatan’, ia adalah untuk perkara yang sudah tahu namun diingatkan kembali sahaja, bukan? Berbeza dengan berita baru, kalimah yang digunakan adalah naba’, atau hadith.

Kenapa dari dulu lagi Al-Qur’an dinamakan الذِّكرُ sedangkan bukankah ia perkara baru kepada Musyrikin Mekah? Kerana ia mengingatkan fitrah apa yang telah ada dalam diri manusia. Manusia sudah tahu apa yang benar dan apa yang salah sebenarnya. Kita semua dilahirkan dengan pengetahuan itu. Al-Qur’an hanya mengingatkan sahaja.

Al-Qur’an bukan sahaja mengingatkan perkara yang manusia sudah tahu, tetapi ia juga menegur kesalahan yang manusia sedang lakukan. Maka الذِّكرُ juga bermaksud nasihah. Akan tetapi untuk Al-Qur’an menjadi penasihat kita, kita yang membacanya hendaklah faham, bukan? Kalau setakat baca sahaja serta menghafalnya setiap hari tetapi satu habuk pun tidak tahu apa yang dibaca, peringatan apakah itu? Bukankah itu yang dilakukan oleh kebanyakan Muslim? Ramai yang membacanya tetapi tidak faham. Ini kerana mereka tidak teringin pun untuk mempelajari Tafsir Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 7: Dalam ayat sebelum ini, telah dikatakan bagaimana Musyrikin Mekah itu tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ dan menuduh baginda seorang yang gila. Sekarang disebut satu lagi hujah mereka yang bodoh.

لَو ما تَأتينا بِالمَلٰئِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why do you not bring us the angels, if you should be among the truthful?”

(MELAYU)

Mengapa kamu tidak mendatangkan malaikat kepada kami, jika kamu termasuk orang-orang yang benar?”

 

لَو ما تَأتينا بِالمَلٰئِكَةِ

Mengapa kamu tidak mendatangkan malaikat kepada kami,

Mereka tidak dapat percaya yang Rasulullah ﷺ boleh mendapat wahyu. Mereka kata baginda sahaja cakap ada malaikat yang jumpa baginda dan beri wahyu. Mereka kata kenapa baginda sahaja yang nampak tetapi mereka pula tidak nampak? Hal ini juga telah diulang di dalam Furqan: 7

وَقالوا مالِ هٰذَا الرَّسولِ يَأكُلُ الطَّعامَ وَيَمشي فِي الأَسواقِ ۙ لَّولا أُنزِلَ إِلَيهِ مَلَكٌ فَيَكونَ مَعَهُ نَذيرًا
Dan mereka berkata: “Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?,

Mereka kata itu karut sahaja dan memang benarlah Nabi Muhammad ﷺ itu gila. Mereka kata, kalau betul malaikat itu ada, maka mereka cabar tunjukkanlah malaikat itu pada mereka! Bagilah mereka juga nampak! Sebenarnya bukan mereka sahaja yang pernah membuat persoalan dan cabaran begini. Perihalnya sama dengan ucapan Fir’aun seperti yang ada dalam ayat yang lain:

فَلَوْلا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسَاوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ
Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya?
(Az-Zukhruf: 53)

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika kamu termasuk orang-orang yang benar?”

Mereka cabar baginda, kalaulah benar baginda benar menerima wahyu, maka turunkanlah juga malaikat kepada mereka. Mereka mahu mendengar juga kata-kata malaikat itu. Mereka mahu malaikat sendiri jumpa mereka dan cakap sendiri dengan mereka.

Atau, mereka tidak mahu bangsa manusia yang beri peringatan kepada mereka, tetapi sebaliknya biar malaikat sahaja yang mengajar mereka. Kerana kalau manusia, sama sahaja dengan mereka, maka tidak ada apa-apa kelebihan. Begitulah sombongnya mereka, memilih siapa yang layak berdakwah dan mengajar mereka.

Ini adalah alasan sahaja dan ada alasan-alasan lain daripada mereka untuk menolak Al-Qur’an. Mereka sebenarnya memang tidak mahu belajar, tidak mahu ikut. Orang kita pula, bagaimana? Mereka tidaklah guna alasan yang sama, tetapi tetap ada alasan juga, bukan? Apabila diajak belajar tafsir Al-Qur’an mereka beri alasan tidak tahu bahasa Arab, tidak ada masa, tunggu sudah pencen baru ada masa dan sebagainya. Akhirnya sama sahaja macam Musyrikin Mekah yang buta ajaran daripada Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 8: Ini jawapan Allah ﷻ berkenaan kehendak mereka itu.

ما نُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ إِلّا بِالحَقِّ وَما كانوا إِذًا مُّنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We do not send down the angels except with truth;¹ and they [i.e., the disbelievers] would not then be reprieved.

  • i.e., with a message or, as the conclusion of the verse suggests, to carry out a promised punishment.

(MELAYU)

Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab) dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.

 

ما نُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ إِلّا بِالحَقِّ

Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan kebenaran

Maksud بِالحَقِّ dalam ayat ini adalah ‘kemusnahan’. Untuk menjalankan hukum Allah ﷻ bagi mengazab manusia yang ingkar. Bila malaikat datang turun kepada mereka, itu adalah hanya untuk musnahkan mereka sahaja kerana tugas malaikat adalah untuk turun bawa risalah dan azab. Maka ini menjawab persoalan ramai orang: “Apa Jibril sudah tidak ada kerja kah kerana Rasul sudah tiada?”. Jawapannya: Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada kerja lagi dan tugas beliau adalah untuk bawa azab pula.

Seandainya mereka mahukan malaikat turun kepada mereka, itu adalah untuk membawa azab untuk mereka. Mahukah mereka? Allah ﷻ berfirman dalam ayat yang lain:

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا لَوْلا أُنزلَ عَلَيْنَا الْمَلائِكَةُ أَوْ نَرَى رَبَّنَا لَقَدْ اسْتَكْبَرُوا فِي أَنْفُسِهِمْ وَعَتَوْا عُتُوًّا كَبِيرًا يَوْمَ يَرَوْنَ الْمَلائِكَةَ لَا بُشْرَى يَوْمَئِذٍ لِلْمُجْرِمِينَ وَيَقُولُونَ حِجْرًا مَحْجُورًا
Berkatalah orang-orang yang tidak menanti-nanti pertemuannya dengan Kami, “Mengapakah tidak diturunkan kepada kita malaikat atau (mengapa) kita (tidak) melihat Tuhan kita?” Sesungguhnya mereka memandang besar tentang diri mereka dan mereka benar-benar telah melampaui batas (dalam melakukan) kezaliman. Pada hari mereka melihat malaikat di hari itu tidak ada khabar gembira bagi orang-orang yang berdosa dan mereka berkata, “Hijram Mahjura.”
(Al-Furqan: 21 -22)

Apa maksud ‘tidak ada khabar gembira’ buat mereka itu? Kerana berita buruk yang mereka akan terima iaitu azab seperti disebut dalam An’am: 8

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ
Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

 

وَما كانوا إِذًا مُّنظَرينَ

dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.

Apabila telah sampai waktu kemusnahan mereka, waktu itu tidak ada masa untuk bertaubat lagi. Bila malaikat sudah turun bawa azab kepada manusia, waktu itu sudah terlambat. Tidak akan diberi masa tangguh walau pun sekejap untuk mereka bertaubat, untuk mereka perbetulkan semula akidah mereka. Waktu itu untuk musnahkan mereka sahaja. Mereka hendak cara begitu kah? Maka janganlah memandai minta mahu melihat malaikat pula.


 

Hijr Ayat 9: Walaupun manusia ada yang menolak kebenaran, akan tetapi Allah ﷻ tetap menurunkan Al-Qur’an untuk beri hidayah kepada mereka.

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is We who sent down the message [i.e., the Qur’ān], and indeed, We will be its guardian.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

 

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, 

Sekali lagi Al-Qur’an disebut sebagai الذِّكرَ dalam ayat ini. Musyrikin Mekah kata jin lah sebenarnya yang bercakap kepada Nabi Muhammad ﷺ; maka Allah ﷻ tekankan yang Dia sendiri yang sampaikan Al-Qur’an itu kepada Nabi. Ia tidak datang daripada yang lain. Ia bukan datang daripada jin, bukan daripada manusia dan pastinya bukan daripada buah fikiran Nabi Muhammad ﷺ.

Kerana itu ada penekanan di dalam ayat ini. Sampai tiga kali Allah ﷻ tekan Kami (Allah ﷻ). إِنّا (sesungguhnya Kami) نَحنُ (Kami) dan نَزَّلنَا (Kami telah turunkan). Ini kerana Allah ﷻ hendak beritahu Dia, Dia dan Dia lah juga yang menurunkan Al-Qur’an itu. Maka apa pengajaran kepada kita? Kalau Allah ﷻ yang turunkan, maka berilah perhatian dan fahamilah apa yang Allah ﷻ sampaikan itu. Jangan setakat baca sahaja tanpa memahaminya. Maka kenalah belajar tafsir. Sampai bila asyik baca tetapi tidak faham-faham begini?

 

وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Walau apa pun yang mereka halang Al-Qur’an daripada disampaikan, ia tidak akan berlaku kerana Allah ﷻ yang menjaga Al-Qur’an. Sama ada semasa ia diturunkan kepada Rasulullah ﷺ (supaya tidak dicampur dengan kata-kata makhluk) ataupun setelah ia diturunkan sampai bila-bila.

Di sini ini adalah pengkhususan kerana ada penggunaan taqdim dalam ayat ini (iaitu kalimah لَهُ diawalkan). Maknanya Allah ﷻ sudah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an daripada diubah-ubah dan hanya Al-Qur’an sahaja. Kerana itulah kitab-kitab sebelum Al-Qur’an seperti Taurat, Injil dan Zabur ditukar teksnya oleh umat mereka kerana Allah ﷻ tidak berjanji untuk menjaga kitab-kitab itu.

Namun mungkin terdetik juga persoalan dalam benak kita: kenapakah Allah ﷻ tidak juga menjaga kitab-kitab itu sebagaimana Dia menjaga Al-Qur’an? Kerana Allah ﷻ sudah taqdirkan yang kitab-kitab itu tidak kekal digunakan. Kerana selepas Taurat ada Injil dan selepas Injil digantikan dengan Al-Qur’an. Apabila Al-Qur’an datang maka ia memansukhkan kandungan kitab Taurat dan Injil dan ia tidak berfungsi lagi untuk manusia gunakan sebagai pedoman kerana sudah ada Al-Qur’an. Akan tetapi selepas Al-Qur’an tidak ada lagi kitab wahyu yang lain, maka kerana itu perlu dijaga sampai ke hari Kiamat kerana ia menjadi kitab panduan manusia sehinggalah tidak ada lagi manusia dan alam ini.

Allah ﷻ juga memberitahu yang Dia pasti akan memelihara Al-Qur’an itu kerana ada penekanan dengan penggunaan huruf ل dalam kalimah لَحافِظونَ itu. Maka ada dua penekanan dalam ayat ini tentang penjagaan Al-Qur’an.

Ini adalah dalil bahawa Al-Qur’an ini akan tetap terpelihara sampai bila-bila. Ia tidak akan diubah seperti yang terjadi pada kitab-kitab wahyu sebelum ini di mana ia telah diubah oleh manusia. Kitab-kitab itu dapat diubah oleh manusia kerana Allah ﷻ tidak berjanji akan menjaganya, sepertimana yang Allah ﷻ telah janjikan untuk jaga Al-Qur’an ini. Maka Al-Qur’an ini adalah unik.

Salah satu cara penjagaan Al-Qur’an adalah penghafalan yang dilakukan oleh penganut agama Islam. Kerana cinta mereka kepada Al-Qur’an, amat ramai yang menghafalnya. Maka kerana itulah penghafal Al-Qur’an dipanggil حافط (penjaga) dan itulah yang digunakan pada kalimah لَحافِظونَ itu.

Ternyata hafiz Al-Qur’an itu adalah satu tugas yang mulia. Mereka ada kelebihan yang tinggi kerana mereka selalu baca Al-Qur’an untuk menghafal Al-Qur’an, mereka hendaklah zikir dengan Al-Qur’an selalu. Sewaktu mula hafal mereka mesti selalu baca dan selepas sudah hafal pun, mereka mesti selalu baca untuk menjaga hafalan itu dalam hati mereka. Semoga kita semua dapat menjadi penghafal Al-Qur’an.

Dari mula Al-Qur’an diturunkan sampailah ke hari ini, sentiasa sahaja ada penghafal Al-Qur’an. Oleh kerana itu pada saat ini, ada berjuta-juta manusia yang menghafal Al-Qur’an 30 juzuk itu. Malah mereka yang menghafal Al-Qur’an yang tidak lengkap 30 juzuk, ada lebih ramai lagi.

Memang ada usaha untuk merosakkan Al-Qur’an ini di mana ada yang berniat jahat dengan memasukkan ayat-ayat lain atau menukar kalimah-kalimah yang ada dalam Al-Qur’an dan dicetak. Ataupun ada juga kilang pencetak yang tersilap menulis lembaran Al-Qur’an itu. Namun ia sentiasa sahaja dapat dikesan kerana ramai yang menghafal Al-Qur’an.

Katakanlah semua Al-Qur’an ini dimusnahkan sekarang, kita memang tidak ada masalah untuk menulisnya kembali kerana ada ramai sahaja yang hafal Al-Qur’an dengan tulisannya sekali dan mereka boleh menulis semula Al-Qur’an ini dalam sehari pun. Tidak ada mana-mana kitab dalam dunia lagi yang dihafal sebegini rupa. Memang Allah ﷻ jaga dan melindungi Al-Qur’an ini daripada dicemari.

Maka janganlah kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an ini. Beginilah Al-Qur’an sejak mula ia diturunkan dan sama juga dengan Al-Qur’an yang ada pada kita sekarang. Kalau ada yang berhujah dengan mengatakan Al-Qur’an sekarang ini tidak sama kerana ada lembaran yang tidak dijumpai dan sebagainya, itu adalah mengarut sahaja. Ini tidak benar kerana dari dulu lagi penjagaan Al-Qur’an adalah dengan cara hafalan para sahabat. Malah ia dijaga oleh para huffaz yang ada sekarang.

Mana mungkin hendak dikatakan ada kesilapan. Kalau kita ambil Al-Qur’an yang ada di Malaysia ini dan bandingkan dengan Al-Qur’an yang ada di Pakistan, Russia atau China, ia adalah sama sahaja. Kalau dikatakan ada banyak versi Al-Qur’an, tentulah ada banyak perbezaan antara mushaf yang ada pada tangan kita dan mushaf yang ada di tempat lain, bukan? Namun tidak begitu.

Ada satu kisah yang menarik terjadi semasa zaman Khalifah Ma’mun, khalifah kerajaan Abbasiyyah. Kisah ini disampaikan oleh Imam Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ. Khalifah Ma’mun selalu menyertai majlis-majlis ilmu dan perdebatan di antara para ilmuwan. Pada satu hari, majlis itu disertai oleh seorang lelaki Yahudi dan daripada perawakannya dan cara pakaiannya beliau adalah seorang yang hebat. Apabila beliau bercakap pun telah menarik perhatian Khalifah Ma’mun.

Khalifah bercakap beberapa ketika dengannya dan akhirnya mengajak lelaki Yahudi itu untuk masuk agama Islam akan tetapi lelaki itu tidak mahu meninggalkan agama tok neneknya. Setelah setahun berlalu dan Khalifah Ma’mun telah berjumpa semula lelaki itu semula dan lelaki itu ternyata telah menjadi seorang Muslim dan pada waktu itu sedang memberikan pendapatnya di dalam hal agama dan diperhatikan oleh sang Khalifah. Khalifah Ma’mun bertanya benarkah dia lelaki yang telah berjumpa dengannya tahun lepas dan lelaki itu berkata benar. Khalifah bertanya apa yang menyebabkan dia masuk Islam akhirnya?

Lelaki itu menceritakan bahawa kerjanya adalah penyalin kitab dan dia mendapat rezeki yang banyak dengan cara itu. Pada satu masa dia telah melakukan satu ujian. Pertama dia menulis tiga naskah Taurat dengan cantik dan dia telah menukar teks kitab itu dengan memadam beberapa ayat dan menambah ayatnya sendiri dan kemudian dia telah menjual kepada orang Yahudi di gereja mereka. Orang-orang Yahudi itu dengan senang hati membelinya dan suka dengan naskah-naskah tersebut.

Kemudian dia telah melakukan perkara yang sama dengan kitab Injil dengan mengubah kandungan kitab Injil itu dan kemudian menjual kepada orang Kristian pula. Ternyata mereka juga gembira dan membeli kitab itu dengan senang hati. Selepas itu lelaki itu melakukan perkara yang sama dengan menulis tiga naskah Al-Qur’an dan beliau juga telah memadam beberapa ayat dan menambah beberapa ayat. Kemudian beliau cuba menjualnya kepada orang Islam.

Setiap orang Islam yang dia cuba untuk menjualnya akan memeriksa Al-Qur’an itu dan naskah naskah itu akhirnya dipulangkan kepadanya kerana mereka telah mendapati bahawa naskah-naskah itu ada kesilapan ayat. Daripada ujian itu maka tahulah lelaki itu bahawa Al-Qur’an itu tentunya daripada Allah ﷻ dan dipelihara oleh Allah ﷻ dan akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk memeluk agama Islam.

 

Jelas sekali Allah ﷻ menjaga Al-Qur’an dengan menjadikan ramai penghafal Al-Qur’an. Malah bukan sahaja dihafal akan tetapi ajaran Tauhid Al-Qur’an disampaikan kepada semua manusia. Sesiapa sahaja yang telah mempelajarinya tentu hendak menyampaikan kepada orang lain, bukan? Cuma bezanya ada yang melakukannya dan ada yang tidak. Maka beruntunglah jikalau kita dipilih oleh Allah ﷻ untuk menjaga Al-Qur’an ini. Kita berdoa supaya Allah ﷻ gunakan kita untuk kebaikan dan bukannya untuk keburukan. Contohnya Firaun dijadikan contoh orang yang buruk dan jangan diikuti.

Itu adalah penjagaan dari segi teks Al-Qur’an itu. Selain daripada itu, Allah ﷻ juga menjaga maksud (tafsir) bagi ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ini dijaga oleh para alim ulama’ yang memberikan penafsiran yang sebenar. Seandainya ada yang memberikan penafsiran yang salah, maka mereka akan tampil untuk memberikan penjelasan. Oleh sebab itu kita kena belajar tafsir daripada sumber yang boleh dipercayai. Jangan kita membuta tuli menerima sahaja tafsiran yang kita jumpa di web atau di Tiktok atau medsos itu. Maka kerana itu kena ada pembelajaran yang berterusan dengan guru yang ramai supaya kita dapat memperbetulkan fahaman kita.


 

BERPEGANG TEGUH DENGAN KEKAFIRAN

Hijr Ayat 10:

وَلَقَد أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في شِيَعِ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly sent [messengers] before you, [O Muḥammad], among the sects of the former peoples.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (beberapa rasul) sebelum kamu kepada umat-umat yang terdahulu.

 

Kalimah شِيَعِ adalah jamak untuk ‘golongan-golongan’. Untuk satu kumpulan sahaja, ia adalah شيعة. Ini adalah kalimah lain untuk ‘jemaah’ yang mengikut seseorang atau sesuatu fahaman. Ia merujuk kepada kumpulan manusia yang ada sama pegangan sampaikan kadangkala pakaian mereka pun sama. Apabila disertai, mereka akan mendapat perlindungan daripada kumpulan itu. Persamaan itu sama ada dari segi politik atau agama. Apabila mereka sudah berada di dalam kumpulan yang sama, maka cara mereka berfikir pun sama juga.

Allah ﷻ memberitahu bahawa para Nabi dihantar kepada kumpulan manusia yang mereka sudah biasa kerana lahir dan membesar di tempat itu. Ini akan memudahkan masyarakat itu untuk menerima para Nabi itu kerana datang dalam kalangan mereka.

Ini adalah tasliah kepada Nabi ﷺ. Allah ﷻ hendak memberitahu baginda, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula tolak sebegini kerana mahu menjaga kumpulan dan kepentingan mereka. Dari dulu lagi sudah banyak Nabi-nabi yang menghadapi jenis manusia begini. Begitulah Allah ﷻ memujuk Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Ini kerana sifat manusia ini apabila ada orang lain yang juga mengalami nasib yang sama, maka musibah yang mereka sedang hadapi itu akan terasa ringan. Maka diberitahu kepada baginda bahawa apa yang baginda sedang lalui daripada penentangan kaumnya itu telah pernah dihadapi juga oleh para Nabi dan Rasul sebelum baginda.


 

Hijr Ayat 11: Apa yang mereka lakukan terhadap para Rasul itu?

وَما يَأتيهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no messenger would come to them except that they ridiculed him.

(MELAYU)

Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka, melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.

 

Kumpulan-kumpulan itu sentiasa akan menentang dan mengejek para Rasul dan para pendakwah. Kalimah يَستَهزِءونَ juga di dalam bentuk fi’il istimrar maka ini adalah perbuatan yang selalu dilakukan. Begitu juga dengan kalimah يَأتيهِم di dalam bentuk fi’il istimrar maka ia adalah perkara yang berulang-ulang bagi umat terdahulu. Setiap kali datang Rasul akan ada sahaja yang mempersendakan para Rasul itu. Mereka tidak suka kalau cara hidup mereka dikatakan salah, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghalang dakwah itu daripada berjalan. Antaranya adalah dengan cara mengejek dan mempersenda. Contoh yang terjadi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seperti disebut dalam Baqarah: 67

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

Lihatlah bagaimana arahan daripada Nabi mereka pun mereka boleh permainkan. Degil sungguh mereka sampai berani bercakap begitu. Mereka boleh kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ permainkan mereka?

Ini juga adalah tasliah (pujukan) untuk Rasulullah. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ dipersendakan, begitulah juga para Rasul dahulu. Allah ‎ﷻ mahu beritahu baginda yang perkara ini biasa sahaja. Akan ada sahaja yang akan menentang kebenaran apabila disampaikan kepada mereka. Maka janganlah baginda rasa terkilan sangat. Kalau baginda kena tohmah, kena ejek dan kena hina, itu juga telah pernah dilalui oleh Rasul-rasul terdahulu. Ia pasti berlaku kerana penggunaan kalimah ما dan kemudian ada إِلّا. Maknanya tidak ada pengecualian. Tidak ada Rasul melainkan diperolokkan. Maknanya kalau menjadi Rasul sahaja mesti akan diperolokkan. Maka minda Para Rasul haruslah bersedia untuk diperolokkan dan ditolak dan dipermainkan.

Lihatlah bagaimana orang yang mulia pula diperolokkan oleh masyarakat yang jahil. Maka jangan risau kalau kita ditolak dan dipermainkan kerana itu tanda kita orang yang mulia. Ia juga tanda yang kita bawa kebenaran kerana nafsu kebanyakan manusia memang tidak sukakan kebenaran. Kerana itulah ramai manusia akan menentang. Yang menjadi masalah kalau kita cakap, semua orang setuju. Kalau ini yang terjadi, hendaklah dinilai semula apa yang kita cakap kerana tidak sepatutnya semua orang suka dengan kata-kata kita. Kerana kita tahu sepatutnya kebanyakan manusia akan menolak apa yang kita sampaikan (jika ia benar).

Begitulah juga dengan kita yang menjalankan kerja dakwah. Kita dakwah ajak kepada jalan sunnah, pun akan jadi begitu juga. Akan ada sahaja penentang yang tidak suka dengan kita. Maka kena bersedia dengan minda yang kuat dan tidak kisah apa orang kata. Kerana itulah kita akan dikatakan sebagai Wahabi, Kaum Muda, Golongan tidak habis belajar, pemecah umat, dan bermacam-macam lagi gelaran yang bagaikan tidak berkesudahan. Ada sahaja idea kreatif mereka untuk memberi gelaran agar dapat menimbulkan kemarahan kita. Ini adalah kerana kita menegur amalan masyarakat yang tidak benar, maka tentulah mereka marah. Namun kalau kita tidak buat kerja dakwah, buat senyap sahaja, memang selamatlah daripada kata-kata manusia. Akan tetapi kita akan dikira sebagai tidak menjalankan tugas sebagai Muslim lah. Apakah pula yang patut kita jawab di hadapan Allah ‎ﷻ esok?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (4) Al-Qur’an adalah Rahmat

وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ

dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

Sekarang kita sampai kepada frasa yang terakhir dalam surah ini. Al-Qur’an mengandungi banyak rahmat dari Allah ‎ﷻ. Jadi kalau kita mahu rahmat dari Allah ‎ﷻ, maka kena rujuk Al-Qur’an. Untuk mengambil manfaat darinya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi apa rahmat sebenarnya? Kita selalu sebut-sebut seperti juga kita sebut Al-Qur’an itu petunjuk tapi kita telah jelaskan yang ia bukanlah sesuatu yang mudah disebut sahaja tanpa difahami.

Kita amat mengharapkan rahmat dari Allah. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Akan tetapi kita hanya dapat memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ini jelas daripada hadith Rasulullah ﷺ,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”

(Riwayat Muslim No. 5042)

Ada banyak cara disebut untuk mendapatkan rahmat, antaranya dengan mendengar dan belajar maksud Al-Qur’an seperti disebut di dalam A’raf:204

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Begitulah pentingnya pelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana ia mengandungi banyak sekali rahmat yang tidak terkira. Allah ‎ﷻ sendiri telah beritahu di dalam Isra’:82

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Sekali lagi disebut di dalam Yunus:57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Bagaimana kita boleh cuba memahami rahmah ini? Mari kita bincangkan tentang rahim seorang ibu. Ada kaitan antara Rahmah (kasih sayang) dan Rahim (organ kandungan ibu). Ia adalah salah satu keajaiban bahasa Arab yang paling menyentuh jiwa. Hubungan ini bukan sekadar kebetulan linguistik, tetapi ia adalah satu Tafṣīl (perincian) tentang bagaimana Tuhan memperkenalkan sifat-Nya kepada manusia.

Dari sudut bahasa, perkataan Rahmah (رحمة) dan Rahim (رحم – kandungan) berasal daripada akar kata yang sama, iaitu ر ح م. Dalam satu Hadis Qudsi yang sangat masyhur, Allah SWT berfirman:

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللَّهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ، وَشَقَقْتُ لَهَا اسْمًا مِنِ اسْمِي، فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: ‘Akulah Allah, dan Akulah Ar-Rahman. Aku telah menciptakan Ar-Rahm (rahim/hubungan kekeluargaan), dan Aku telah memecahkan (mengambil) untuknya satu nama yang terbit daripada nama-Ku. Maka sesiapa yang menyambungnya (silaturrahim), Aku akan menyambung (rahmat-Ku) dengannya; dan sesiapa yang memutuskannya, Aku akan memutuskan (rahmat-Ku) daripadanya.'”

Sunan Abu Daud: (Hadis No. 1694); Sunan al-Tirmidzi: (Hadis No. 1907). Imam al-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai Hadis Hasan Sahih; Al-Adab al-Mufrad (Imam al-Bukhari) (Hadis No. 53).

Apakah persamaan sifat Raheem dan rahim seorang ibu?

1. Perlindungan Total. Sebagaimana bayi dalam rahim dilindungi daripada gegaran dan bahaya, Rahmah Allah meliputi hamba-Nya daripada kehancuran. Sebagaimana bayi dalam rahim itu tidak sedar, begitu juga manusia tidak sedar segala rahmah dan kasih sayang Allah menjaga kita. Allah menjaga kita tanpa kita sedari pun. Sekarang ada kemalangan kenderaan yang sedang berlaku tapi anda selamat sahaja. Ada gempa bumi di merata tempat, tapi anda sekarang tenang-tenang sahaja. Ada orang yang dijangkiti penyakit, tapi anda sihat-sihat sahaja. Inilah rahmah Allah kepadamu.

2. Pemberian Tanpa Syarat. Bayi dalam rahim menerima oksigen dan zat di dalam rahim ibunya tanpa perlu meminta atau bekerja. Begitulah Rahmah Allah; Dia memberi nafas dan rezeki kepada semua, termasuk yang belum beriman. Kebanyakan dari manusia tidak minta pun, tapi Allah tetap beri.

3. Kesempitan yang Menghidupkan. Rahim itu sempit, tetapi di situlah kehidupan bermula. Begitu juga ujian hidup; ia mungkin terasa sempit, tetapi di sebaliknya ada Rahmah yang sedang membentuk jiwa kita. Kita mungkin hanya nampak rahmah Allah apabila kita diberi dengan nikmat, kita diberi dengan perlindungan. Akan tetapi rahmah Allah datang kepada kita dalam berbagai bentuk. Ada kalanya, ia datang dalam bentuk ujian dan kesusahan.

4. Hubungan yang Tak Terputus. Tali pusat menghubungkan ibu dan anak. Begitu juga “tali” Rahmah yang menghubungkan hamba dengan Penciptanya.

Semua makhluk mendapat rahmah sebenarnya, manusia atau haiwan, beriman atau kufur, baik atau jahat, berjanggut atau tidak, menutup aurat atau tidak, semuanya dapat rahmah Allah. Kerana kalau tidak dapat rahmah, sudah lama mereka mati. Akan tetapi bagi orang beriman, ada rahmah tambahan yang tidak ada tolok bandingnya. Apakah ia? Allah berfirman di dalam Rahman:1-3

ٱلرَّحۡمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (٢) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣)
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)

Lihat susunan ayat ini. Allah sebut Dia beri Al-Qur’an dulu, kemudian baru sebut nikmat kita dijadikan. Kalau ikut susunan kita, tentulah kita dijadikan – kemudian baru diberikan dengan Al-Qur’an, bukan? Tapi ayat ini bukan ikut susunan kronologi tapi susunan keutamaan. Apabila Allah sebut Dia jadikan kita, segala nikmat kehidupan seperti makan, minum pasangan, keselamatan termasuk di dalam kategori ini. Akan tetapi segala nikmat itu tidak dapat mengatasi nikmat mendapat Al-Qur’an dan diberi kefahaman Al-Qur’an. Kita sedar tentang nikmat kehidupan pun setelah kita mengenal Al-Qur’an, bukan? Kerana di dalam Al-Qur’an barulah kita sedar yang segala pemberian Allah adalah kerana Allah sayang kepada kita. Kalau kita, kita rasa nikmat itu biasa sahaja, kita entitled kepada segala nikmat itu.

Jadi Al-Qur’an ini mengandungi rahmat. Tapi, kalau kita baca Al-Qur’an, adakah jelas rahmat Allah? Sekali baca, tak nampak sangat. Kerana di dalamnya Allah cerita tentang neraka, tentang kaum yang dimusnahkan zaman berzaman. Allah cerita tentang ujian itu dan ini. Mana rahmatnya? Ada yang tidak faham hal ini sampaikan ada yang murtad kerana apabila mereka baca Al-Qur’an, mereka rasa ini Tuhan yang garang, ganas dan tidak sayang makhluk, sebab asyik cerita neraka sahaja, azab sahaja.

Itulah sebabnya tak cukup belajar memahami Al-Qur’an dengan baca terjemahan sahaja. Kalau kita belajar tafsir, kita akan tahu bahawa Allah menceritakan tentang segala azab itu semua adalah sebagai peringatan kepada kita. Dan memberi peringatan itu sendiri adalah Rahmat! Kalau kita tidak tahu, tentulah kita akan langgar sahaja, bukan? Maka dengan RahmatNya, Allah beritahu siap-siap kalau tak buat itu dan ini, maka balasannya adalah neraka yang orang berdosa akan dimasukkan ke dalamnya. Bayangkan kalau ada ribut yang akan datang, adakah kita akan senyapkan sahaja dari orang yang kita sayang? Tentu tidak, bukan? Kita akan beritahu akan ada ribut yang akan datang supaya dia buat persiapan untuk menyelamatkan diri.

Kalau kita jahil dan otak sempit, kita mungkin nampak rahmah itu dalam bentuk yang sedap dan senang sahaja. Tapi bayangkan seorang ibu yang menegur kesalahan anak yang degil, yang tidak mahu belajar. Mungkin ibu itu merotan anak itu, marah anak itu, tak beri dia main lagi di luar rumah. Adakah itu ibu yang tidak sayang anak? Orang otak sempit mungkin fikir begitu. Kerana mereka itu marah kepada Allah yang menghukum hamba yang berdosa. Kerana itu mereka marah Allah yang selalu cerita tentang azab dan tentang neraka. Otak mereka ini otak budak-budak sahaja, kerana budak-budak juga marah ibu mereka yang cuba mendisiplinkan mereka, bukan?

Dunia ini adalah ujian. Dunia ini juga ada undang-undang. Ada hukum alam seperti graviti dan ada hukum tindak balas. Sebagai contoh, kalau tidak jaga alam, maka alam akan rosak, hidup akan susah. Begitu juga kalau buat dosa, ada kesannya kepada diri kita. Allah tidak menghalang kita buat kerosakan, buat dosa; akan tetapi Allah telah beritahu awal-awal yang kalau buat dosa, ada kesannya. Bukannya Allah tidak beritahu dan tiba-tiba ngap Dia belasah kita.

Sayang dan kasih kepada seseorang bukannya beri sahaja segala apa yang orang yang dikasihi itu minta. Kerana ada benda yang tidak sesuai diberikan semua. Kalau kita anggap orang sayang kepada kita itu akan beri apa sahaja yang kita minta, maka itu adalah pemahaman kasih sayang yang salah, yang bengkok. Dan kita telah belajar tentang kasih yang bengkok dalam Surah Yusuf ini, bukan? Tentang abang-abang Nabi Yusuf yang hendak mencuri kasih sayang ayah mereka dari Nabi Yusuf; tentang isteri Al-Aziz yang hendak merosakkan hidup Nabi Yusuf kerana terlalu sayang kepadanya dan mahukan Nabi Yusuf untuk dirinya walaupun dengan cara yang salah. Ini semua adalah pemahaman kasih sayang dan cinta yang bengkok. Yang malangnya dipegang oleh ramai manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak menjadikan wahyu sebagai panduan hidup. Mereka ikut apa yang nafsu mereka cakap sahaja. Mereka sangka apa yang nafsu minta itu tentu bagus, mereka tidak tahu tentang nafsu kerana, kerana apa? Sekali lagi, kerana jauh dari wahyu Allah. Jauh dari wahyu Allah akan menjadikan manusia bodoh sangat.

Kerana itu ramai yang mengeluh hidup mereka susah, ujian mereka tidak berhenti, mereka dizalimi dan berbagai lagi kepayahan hidup. Mereka mula rasa Allah tidak sayang mereka, atau lebih teruk, Tuhan tidak ada! Kerana itu ramai yang jadi atheis. Kerana mereka lihat kesusahan dalam hidup ini dan mereka kata: “takkan ada Tuhan yang sanggup buat begitu, Tuhan mesti tidak ada!” Ini kerana mereka lihat pada mata luaran sahaja. Maka bagi kita orang Muslim, kita ada kisah-kisah seperti kisah Nabi Yusuf ini yang mengajar kita bahawa hidup ini tidak semestinya indah sepanjang masa. Lihatlah ujian yang Nabi Yusuf terima; adakah dengan segala ujian yang baginda terima itu bermakna Allah tidak sayang kepada baginda? Takkan Allah tidak sayang baginda, tapi semua ujian itu adalah untuk mempersediakan baginda.

Sedia untuk apa? Mungkin anda akan jawab, sediakan baginda untuk menjadi Raja Mesir dan menyelamatkan rakyat Mesir dari mati kebuluran, bukan? Ya itu setakat di dunia sahaja. Tapi ada yang lebih penting lagi. Perhatikan apa kata Nabi Yusuf di dalam Ayat 101,

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌ۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Perhatikan Nabi Yusuf sebut: وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌. Bukannya ٱلدُّنيَا sahaja tapi yang lebih penting adalah ٱلأَخِرَةِ‌. Kerana itu sambungan doa baginda adalah تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ. Ini kerana Allah mempersediakan baginda untuk menghadapi kebaikan di akhirat. Dunia ini sementara sahaja, tapi akhiratlah tempat yang lebih penting bagi kita. Yang kita selalu sibuk adalah kesenangan di dunia sahaja, sedangkan sepatutnya kita lebih patut prihatin tentang keadaan dan nasib kita di akhirat kelak.

Kita jarang nampak perkara ini. Tapi yang memberi pencerahan kepada kita adalah Al-Qur’an. Ini seperti kita yang melihat dari tempat yang rendah, tentu kita tidak nampak banyak. Tapi kalau kita naik ke bukit yang tinggi, maka kita akan nampak lebih jauh dan lebih banyak. Maka begitulah Al-Qur’an meninggikan kita dan memberikan pandangan yang berbeza bagi kita. Allah berfirman di dalam Mujadilah:11

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۢ
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Ilmu apa yang diperlukan dan dimaksudkan di dalam ayat ini? Itulah ilmu wahyu dari Allah. Apabila kita selalu meneliti ayat-ayat Al-Qur’an ini, maka ia akan memberi pemahaman tentang bagaimana Allah mendidik dan menjaga kita. Kerana itulah jangan kita lihat Al-Qur’an ini sebagai kitab hukum hakam sahaja, buat itu dan jangan buat ini sahaja, tapi lihatlah Al-Qur’an ini sebagai pemberi pencerahan kepada kita. Yang membimbing kehidupan kita setiap saat.

Tapi siapa yang akan dapat pemahaman ini. Allah kata لِقَومٍ يُؤمِنُونَ. Adakah orang tertentu sahaja? Tidak, kerana Allah gunakan kalimah قَومٍ di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia boleh jadi sesiapa sahaja. Bukannya Allah gunakan kalimah القوم yang bermaksud golongan tertentu sahaja. Jadi anda, saya, sesiapa sahaja boleh mendapat pemahaman ini.

Dan yang lebih cantik lagi, Allah gunakan kalimat لِقَومٍ يُؤمِنونَ dan bukannya لِقَومٍ مؤمِنونَ. Kalimah يُؤمِنونَ adalah di dalam bentuk fi’il mudhari’. Kalimah قَومٍ nakirah dan kalimah يُؤمِنونَ pula mudhari’ jadi ia menjadi satu kalimah yang agak kompleks. Ini kerana fi’il mudhari’ adalah sesuatu yang tidak lengkap. Contohnya fi’il mudhari’ digunakan jikalau saya sedang makan, dan ini bermakna saya belum habis makan lagi. Saya masih lagi makan dan sedang menghabiskan makanan saya, bukan? Jadi kalimat قَومٍ يُؤمِنونَ bermaksud bukanlah orang yang telah lengkap beriman, telah pasti imannya, telah tetap imannya, tapi ia merujuk kepada orang yang mahu beriman, masih lagi bertatih-tatih memperbaiki imannya. Kadang-kadang imannya naik, tetapi kadang-kadang ia turun. Kemudian naikkan balik dengan melakukan amal kebaikan. Ini adalah kita, yang masih lagi tergoda dengan keindahan keduniaan, tapi masih berharap supaya Allah membaiki iman kita, tetapkan iman kita. Maknanya kita yang sedang berusaha, orang yang ‘mahu’ beriman, bukannya telah pasti beriman.

Jadi Al-Qur’an ini bukanlah untuk golongan wali sahaja, golongan yang sudah kuat imannya, tapi Al-Qur’an ini untuk kita. Kita yang masih lagi berusaha untuk memperbaiki iman kita. Maka janganlah ada yang kata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi golongan awam. Memang golongan awamlah yang kena belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi pandai sikit agama ini. Kepada kita inilah Al-Qur’an menjadi  هُدًى dan رَحمَةً. Dan memang kita perlukan dua perkara ini.

Jadi kalimah لِقَومٍ يُؤمِنونَ (bagi orang yang mahu beriman) menjadi satu jemputan, ajakan kepada orang-orang yang mahu beriman. Allah sedang menjemput, marilah baca dan cuba fahami apa yang Dia sampaikan kepada kita. Mungkin asalnya tidak faham, tapi lama kelamaan, Allah akan beri kefahaman itu. Yang penting kita kena ada usaha.

Allah menjemput kepada apa? Kepada keamanan. Kerana kalimah يُؤمِنونَ dari ا م ن yang darinya lahir beberapa pecahan kata:

    • Amn (أمن): Ketenteraman, hilangnya rasa takut, rasa selamat.
    • Amanah (أمانة): Kepercayaan, integriti, sesuatu yang dititipkan untuk dijaga.
    • Iman (إيمان): Membenarkan dengan hati, mengakui kebenaran, memberi keamanan.
    • Mu’min (مؤمن): Orang yang beriman, DAN juga salah satu Nama Allah (Al-Mu’min) yang bermaksud Maha Pemberi Keamanan.

Jadi sebenarnya perbuatan “beriman” membawa maksud “memberi keamanan kepada diri sendiri”. Aman daripada Kegelisahan (Mental): Orang yang beriman meletakkan pergantungan kepada Allah (Tawakal). Apabila dia percaya ada kuasa yang Maha Besar menjaga urusannya, secara automatik rasa takut dan bimbang (khauf) akan terhapus. Dia juga akan rasa aman daripada Azab (Spiritual): Iman menjadi perisai yang menyelamatkan hamba daripada huru-hara hari akhirat. Allah berfirman di dalam An’am:82 tentang hubungan iman dan aman ini

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat Keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Ini membawa kita kepada psikologi kegembiraan. Bolehkah kita rasa gembira tanpa rasa aman? Ada orang yang cuba menutup ketidak-amanan itu dengan main game, berjalan ke sana sini, menonton Netflix dan sebagainya. Dan mereka kata mereka gembira. Tapi benarnya mereka sebenar-benar gembira? Mereka hanya menutup sahaja kesedihan dalaman yang mereka ada. Apa yang mereka tidak ada? Mereka tidak ada iman yang memberi keamanan. Dan dari mana datang iman itu? Allah berfirman di dalam Yunus:57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Perhatikan Allah sebut tentang Al-Qur’an di dalam ayat ini. Perhatikan Allah mengatakan Al-Qur’an adalah مَّوعِظَةٌ (nasihat). Tapi مَّوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Dan kemudian Allah tambah dengan mengatakan Al-Qur’an itu شِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ (penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada). Jadi Al-Qur’an bukanlah kitab yang mengajar sejarah sahaja, hukum hakam sahaja; tapi Al-Qur’an adalah penyembuh penyakit dalam hati kita. Siapa yang tahu tentang hati kita? Allah lah yang menjadikan kita dan hati kita dan Allah tahu apa masalah yang ada di dalam hati kita. Maka Allah juga ada penyembuhnya.

Dan selepas itu Allah sebut dua benda yang sama seperti disebut di dalam Ayat 111 ini, iaitu sifat Al-Qur’an sebagai هُدًى وَرَحمَةٌ. Dan yang lebih menarik lagi adalah ayat selepasnya (Ayat 58) iaitu Allah berfirman,

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan)”.

Perhatikan kalimah فَليَفرَحوا (hendaknya mereka bersukacita). Kita sedang sebut tentang kegembiraan, bukan? Maka inilah sahaja satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah menyebut tentang bergembira. Hanya dengan menggunakan Al-Qur’an yang dapat menyembuhkan hati kita, barulah kita boleh benar-benar mendapat kegembiraan sejati. Dan ini sangat berharga, sangat berharga kerana Allah sambung, هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ (ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan). Manusia himpun bermacam-macam hal seperti kekayaan, pengikut, pingat dan segalanya, akan tetapi itu tidak layak dibandingkan dengan kegembiraan yang Allah beri dengan Al-Qur’an ini.

Manusia menggunakan berbagai-bagai benda untuk hilangkan kegelisahan di dalam hati mereka. Antaranya yang selalu manusia lakukan adalah dengan menonton filem, bukan? Kerana selama sejam dua itu kita menghilangkan diri di dalam kisah-kisah rekaan itu. Akan tetapi apa bezanya dengan kisah di dalam Al-Qur’an ini? Antaranya kisah Nabi Yusuf yang kita baru habiskan. Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja kisah tentang umat terdahulu, akan tetapi ia tentang kita, bukan? Kerana apabila kita baca kisah mereka, kita bandingkan dengan diri kita, kerana ada kaitan antara mereka dan kita. Kita kena ambil pengajaran dari pengalaman mereka. Jadi ini bukan rekaan, kisah main-main yang kita tonton di dalam filem.

Kerana itulah Allah kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini bukan kisah kosong. Pertamanya untuk siapa? لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci) dan kemudian Allah bagi ia untuk siapa lagi? لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dua golongan ini adalah golongan yang sama sahaja. Ini kerana orang yang Ulul-Albab bukanlah bermakna orang yang sudah hebat imannya, mereka masih orang yang sedang memperbaiki iman mereka. Mereka orang yang di dalam perjalanan, masih jauh lagi perjalanan mereka. Tapi mereka sudah mulakan perjalanan itu.

Maka hendaklah kita memberi perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ia adalah pemberian rahmat dari Allah. Bayangkan, bagi umat yang terdahulu yang menentang Nabi mereka, Allah musnahkan mereka. Tapi bagi Quraisy Mekah yang menentang Nabi Muhammad dan umat manusia sekarang, Allah tidak musnahkan lagi. Sebaliknya Allah memberi Al-Qur’an kepada kita untuk mendidik kita. Allah boleh sahaja musnahkan kita, bukan? Sebagaimana guru sekolah menggunakan kekerasan seperti merotan apabila pelajar nakal, Allah juga boleh buat begitu. Tapi ada guru yang tidak merotan anak murid mereka tapi memberi nasihat yang lembut. Maka begitulah juga Allah menasihat kita dengan menggunakan Al-Qur’an ini. Tidakkah itu rahmat?


 

Maka sekarang lengkaplah segala topik dari Surah Yusuf ini. Ayat 111 ini adalah sebagai penutup kepada apa yang telah disebut di awal surah. Allah berfirman di dalam Ayat 1-3:

الٓر‌ۚ تِلۡكَ ءَايَـٰتُ ٱلۡكِتَـٰبِ ٱلۡمُبِينِ (١) إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (٢) نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (٣)
Alif, Laam, Raa`. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Qur’an yang menyatakan kebenaran. (1) Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kalian memahaminya. (2) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Qur’an ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. (3) 

Pada permulaan, Allah sebut نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ (Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah) dan di penghujungnya Allah sebut ia bukan setakat kisah sahaja akan tetapi فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (di dalam kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini penting kerana di dalam kisah-kisah itu kita belajar ujian demi ujian yang diterima oleh Nabi Yusuf. Semua itu membawa kepada pengakhiran yang baik dan indah. Orang yang أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ akan dapat menilai bahawa ujian di dalam kehidupan juga adalah cara Allah menguji kita dan di penghujungnya ada pengajaran. Jadi mereka akan tenang sahaja dengan ujian dan musibah yang mereka terima.

Di permulaan, Allah sebut لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (supaya kalian memahaminya). Di hujung surah, Allah sebut siapa yang akan memikirkannya iaitu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (orang-orang yang mempunyai akal yang suci).

Di permulaan surah, Allah menekankan hal-hal yang menekankan kejelasan iaitu ٱلۡمُبِينِ (menjelaskan kebenaran), قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا (Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab) dan sekarang Allah sebut di penghujungnya yang akan memahaminya adalah أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌.

Kita telah sebut tentang Komposisi Cincin di dalam Ayat 3. Dan sekarang telah lengkap cincin bagi surah ini seperti di bawah.

 

Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat sahaja.

  1. Apakah maksud linguistik bagi kalimah Ibrah (عِبرَةٌ) dan bagaimanakah ia berkaitan dengan air mata?
  2. Mengapakah kalimah Qasas (قَصَصِ) digunakan dalam bentuk mufrad (tunggal) walaupun merujuk kepada banyak kisah nabi?
  3. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Ulul Albab menurut huraian teks?
  4. Jelaskan mengapa Al-Qur’an disebut sebagai Hadith (حَديثًا) walaupun ia merupakan kalam Allah yang sedia kala (Qadim).
  5. Bagaimanakah teks membuktikan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak meniru atau “ciplak” kisah Nabi Yusuf daripada kitab Bani Israil?
  6. Apakah maksud konsep “bercerai tetapi bersambung” dalam konteks kalimah Tafsil (تَفصيلَ)?
  7. Sebutkan dua daripada empat syarat utama untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk (Hudan) dalam kehidupan.
  8. Apakah perkaitan antara sifat Rahmah (kasih sayang) Allah dengan organ kandungan ibu (Rahim)?
  9. Mengapakah peringatan tentang azab dan neraka dalam Al-Qur’an juga dianggap sebagai satu bentuk rahmat?
  10. Bagaimanakah kalimah Yu’minun (يُؤمِنونَ) memberi harapan kepada orang awam yang imannya masih belum sempurna?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Ibrah (عِبرَةٌ)
Pengajaran yang mendalam; secara literal bermaksud menyeberangi atau berpindah dari penglihatan zahir kepada kefahaman batin.
Ulul Albab (أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ)
Golongan yang memiliki akal yang suci dan matang; “Albab” bermaksud isi atau teras buah yang melambangkan hakikat kebenaran.
Hadith (حَديثًا)
Berita, percakapan, atau sesuatu yang baharu; digunakan untuk merujuk kepada Al-Quran dan juga kata-kata serta perbuatan Nabi ﷺ.
Tafsil (تَفصيلَ)
Penjelasan yang terperinci; proses memisahkan bahagian-bahagian ilmu supaya jelas perbezaannya namun tetap saling berhubungan.
Hudan (هُدًى)
Petunjuk; dalam bentuk isim masdar yang menunjukkan Al-Quran itu adalah zat petunjuk itu sendiri secara mutlak.
Rahmah (رَحمَةً)
Kasih sayang dan belas kasihan; sifat Allah yang memberi perlindungan, rezeki, dan pengampunan kepada makhluk-Nya.
Tadabbur (تَدَبُّر)
Perenungan yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk memahami maksud dan mengambil pengajaran bagi tujuan amalan.
Fitrah (فِطْرَة)
Sifat asal manusia yang suci sejak lahir, yang cenderung kepada kebenaran dan ketauhidan sebelum dipengaruhi faktor luar.
If-tara (افترى)
Mengada-adakan dusta atau melakukan rekaan; merujuk kepada perbuatan mengubah kisah benar menjadi palsu.
Amn (أمن)
Ketenteraman atau rasa selamat; akar kata bagi “Iman” yang membawa maksud bahawa beriman itu memberi keamanan kepada jiwa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)