Tafsir Surah al-A’raf Ayat 13 – 19 (Kisah Iblis dihalau dari syurga)

A’raf Ayat 13:

قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend from it [i.e., Paradise], for it is not for you to be arrogant therein. So get out; indeed, you are of the debased.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

 

قالَ فَاهبِط مِنها

Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu;

Allah ‎ﷻ telah menghalau Iblis dari syurga itu. Ini memberi indikasi yang iblis juga waktu itu duduk di dalam syurga. Akan tetapi khilaf syurga apakah itu. Adakah memang syurga yang manusia mukmin akan masuk nanti atau syurga yang lain? Ini tidak dapat dikenalpasti. Yang pasti dia telah dikeluarkan. Atau, ia mungkin juga dari langit, bukan dari syurga.

Yang penting kita kena tahu adalah kerana apa iblis dihalau?

 

فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها

kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya,

Maksudnya, disebabkan oleh sikap sombongnya itulah, dia telah diturunkan dari kedudukannya yang tinggi di langit.

Allah ‎ﷻ beritahu iblis yang dia tidak layak di dalam syurga. Ini juga memberi pengajaran kepada kita. Tidak ada sesiapa yang layak untuk menjadi sombong. Kalau kita pandai bagaimana sekalipun, dimuliakan oleh orang seramai mana pun, hendaklah kita ingat perkara ini: kita tidak layak sombong. Orang yang sombong tidak dapat masuk ke dalam syurga. Tidak kiralah sombong kerana apa: mungkin kerana kita lebih hebat, lebih pandai, lebih cantik, daripada keturunan yang baik-baik. Asalkan ada sifat sombong sahaja, maka tidak boleh masuk syurga.

 

فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ

maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Ini penekanan suruh keluar. Sesungguhnya iblis daripada golongan yang sangat-sangat rendah dan hina. Dia berkehendakkan kedudukan yang tinggi, dia rasa sombong dan bangga, maka Allah ‎ﷻ menjatuhkan dia. Begitulah, kalau berasa diri mulia sangat, Allah ‎ﷻ akan tukar seseorang itu menjadi sehina-hinanya. Maka, jangan rasa sombong takbur. Kena jaga hati kita. Kena ingat yang apa-apa sahaja kelebihan yang kita ada, ia bukanlah kerana diri kita, tetapi Allah ‎ﷻ juga yang beri. Hendak sombong kenapa pula?


 

A’raf Ayat 14:

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Satan] said, “Reprieve me until the Day they are resurrected.”

(MALAY)

Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

 

Iblis meminta tempoh supaya dia tidak dimatikan sehingga ke hari kebangkitan semula. Dia minta supaya jangan matikan dia lagi dan jangan terus mengazab dirinya. Ini adalah supaya dia ada kuasa bebas untuk menyesatkan manusia.

Lihatlah dalam dia sombong, tetap dia kena minta kepada Allah ‎ﷻ juga. Maka kita tahu dari sini yang iblis ini kenal Allah ‎ﷻ dan sedar Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri apa-apa.

Perhatikan permintaan iblis ini. Dia bukannya meminta dilanjutkan usia sehingga Hari Kiamat, tetapi sehingga Hari Kebangkitan semula! Maknanya bila semua makhluk sudah mati nanti, dia nak dia seorang sahaja hidup. Namun begitu, permintaan ini tidaklah dimakbulkan kerana apabila Kiamat nanti, dia pun mati sekali. Tidak ada guna pun umur dia dipanjangkan kerana tidak ada apa-apa kebaikan pun.

Ini mengajar kita umur yang panjang, bukanlah ada kelebihan dari segi agama. Sebab itu Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kepada iblis umur yang panjang. Kalau umur kita panjang tetapi banyak dosa, lagi bahaya kerana mengumpul dosa menjadi semakin banyak dan menyebabkan kita diazab lebih teruk di dalam neraka. Maka jangan berdoa minta umur panjang, tetapi doalah supaya dimatikan dalam keadaan beriman.


 

A’raf Ayat 15:

قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Indeed, you are of those reprieved.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh”.

 

Allah ‎ﷻ beritahu yang Iblis adalah daripada golongan yang diberi penangguhan. Namun bukanlah seperti yang dia minta, kerana dia minta hingga ke hari kebangkitan. Allah ‎ﷻ beri setakat hari dia mati sahaja. Apabila Iblis mati sahaja, dia akan dikenakan azab.

Kalau dilihat jawapan Allah ‎ﷻ yang ringkas ini nampak seperti penangguhan itu diberi seperti yang iblis minta. Namun jika kita rujuk Hijr: 38 ada disebut

إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ

sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan,

‘Hari yang telah ditentukan’ atau ‘Hari yang telah diketahui’ merujuk kepada Hari Kiamat. Maka penangguhan yang diberi kepada iblis adalah sampai Kiamat sahaja. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan itu pun tidak pasti. Pendapat itu mengatakan masa yang diberi itu adalah dalam rahsia Allah ‎ﷻ, tidak diketahui bila. Mungkin lebih awal dari Hari Kiamat. Disebut di dalam Tafsir Tabari yang masa itu sehingga tiupan sangkakala pertama sahaja. Mana mungkin iblis dibenarkan hidup sehingga Hari Kebangkitan kerana apabila semua makhluk dimatikan, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang hidup. Allah ‎ﷻ telah sebut di dalam Rahman: 26

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa

Benar, iblis diberi tangguh dan panjang umur. Selagi dia tidak mati, dia boleh cuba sesatkan manusia. Oleh itu, iblis telah diberi tempoh untuk usahakan apa sahaja yang dia inginkan selagi boleh. Semua itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ membenarkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan Allah ‎ﷻ.

Lafaz المُنظَرينَ dalam bentuk jamak, maka ia bermaksud dia telah diberikan bala tentera untuk membantu dia menjalankan kerja jahatnya itu.

Lihatlah yang Allah ‎ﷻ terus makbulkan doa iblis. Ini bukanlah bermakna yang Allah ‎ﷻ sayang kepada iblis. Oleh sebab itu, pemakbulan doa dengan segera bukan tanda sayangnya Allah ‎ﷻ. Ada orang yang beriman Allah ‎ﷻ tidak terus pula memakbulkan doanya. Kenapa pula? Kerana Allah ‎ﷻ suka mendengar permintaan doa orang itu. Lihatlah contoh doa Nabi Zakariya yang sudah lama meminta anak tetapi tidak terus diberikan dengan anak.

Timbul pula persoalan: bagaimana pula doa iblis diperkenankan? Adakah doa orang kafir juga diterima? Bagaimana dengan ayat Ra’d:14?

وَما دُعاءُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

Dan doa orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.

Oleh itu, hendaklah dibezakan antara dua doa ini. Doa orang kafir itu tidak laku di akhirat sahaja. Akan tetapi boleh sahaja Allah ‎ﷻ perkenankan doa orang kafir di dunia ini. Lihatlah doa yang paling kafir sekali iaitu iblis pun diterima dan diperkenankan. Oleh sebab itu, jangan sangka yang doa yang diperkenankan itu tanda Allah ‎ﷻ sayang kerana doa orang kafir pun Allah ‎ﷻ boleh makbulkan.


 

A’raf Ayat 16: Ini adalah sumpah iblis tentang apa yang akan dilakukannya. Ini menjawab kenapa iblis hendak dipanjangkan usianya.

قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Satan] said, “Because You have put me in error, I will surely sit in wait for them [i.e., mankind] on Your straight path.

(MALAY)

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

 

قالَ فَبِما أَغوَيتَني

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, 

Iblis salahkan Allah ‎ﷻ kerana telah menyesatkan dia. Sudah taqdir Allah ‎ﷻ akan memasukkan iblis ke dalam neraka, tetapi usaha dia juga yang menyebabkan dia sesat dan ingkar. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Iblis menggunakan lafaz أَغوَيتَني (Kau menyesatkan aku) menunjukkan dia menyalahkan Allah ‎ﷻ kerana dia sesat.

Orang yang baik akan salahkan diri sendiri sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Adam عليه السلام. Apabila Nabi Adam عليه السلام sedar yang baginda telah berbuat salah, baginda mengaku kesalahan baginda dan terus meminta ampun. Sebaliknya, iblis menyalahkan Allah ‎ﷻ pula.

Begitulah ketaranya perbezaan antara Iblis dan Adam عليه السلام. Maka kita hendak ikut perangai Iblis atau perangai Nabi Adam عليه السلام? Janganlah kita asyik mahu menyalahkan orang lain pula kalau kita ada masalah dan kita sudah sedar yang kit memang ada berbuat salah. Terdapat ramai orang yang apabila ada dosa, mereka akan sibuk benar mencari salah orang lain, tetapi tidak nampak kesalahan itu pada dirinya.

Kalau kita menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, menyalahkan cuaca atau apa sahaja, itu adalah ‘keturunan’ iblis sebenarnya.

Begitu kurang ajarnya iblis di hadapan Allah ‎ﷻ. Berani dia berkata begini, di hadapan Allah ‎ﷻ di langit yang hebat itu? Kita diajar yang kalau di Mahsyar nanti di hadapan Allah ‎ﷻ, tidak ada sesiapa yang berani berkata-kata termasuklah para malaikat pun. Bagaimanakah pula iblis boleh sanggup berkata-kata begini? Ulama’ membincangkan iblis sanggup buat begini kerana tinggi sangat kufurnya itu sehingga terhijab kepadanya kehebatan Allah ‎ﷻ dan kerana itulah dia sanggup berkata-kata seumpama ini.

 

لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ

aku benar-benar akan (menghalang-halangi) duduk mereka dari jalan Engkau yang lurus,

Ini adalah sumpah iblis kerana ada taukid (penekanan) di dalam ayat ini.  Iblis kata, dengan sebab Allah ‎ﷻ telah menyesatkan dia, maka dia akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menghalang manusia dari jalan yang lurus. Dia meminta agar dipanjangkan umur itu supaya dia lagi banyak masa hendak menyesatkan manusia.

Kita boleh lihat akan salah faham iblis di sini. Tadi dia berkata Allah yang sesatkan dia, jadi dia marah kepada Allah lah kiranya. Seolah-olah bukan salah dia yang menjadi sesat, tetapi Allah . Namun sekarang dia kata dia akan berusaha untuk menyesatkan makhluk lain pula. Maka bukanlah salah Allah , bukan? Kerja untuk menyesatkan itu kena ada usaha daripada makhluklah juga.

Lihatlah bagaimana dia kata dia akan قعُدَ (duduk) menunggu. Lafaz قعُدَ bermaksud duduk dalam jangka masa yang lama, tidak sama dengan lafaz duduk جلس. Maknanya, dia akan duduk memantau apa yang terjadi, dalam masa yang lama pun tidak mengapa padanya. Sangat tekun dia melakukan kerja itu. Tidak pernah ambil cuti atau MC semenjak dari dulu lagi. Di manakah dia akan duduk tunggu itu?

Dia kata dia akan duduk tunggu di jalan yang lurus. Lihatlah dia pun tahu jalan Allah ‎ﷻ adalah jalan yang lurus. Bukannya dia tidak tahu, namun disebabkan kedegilannya sahaja. Oleh sebab itu jikalau seseorang itu sudah tahu tetapi masih berdegil, maka dia pun adalah keturunan iblis juga.

Dia duduk di situ supaya dia boleh menghalang orang daripada melalui jalan itu dan menyimpang pergi ke jalan yang lain. Dia akan menyusahkan manusia untuk lalu di jalan yang lurus itu. Dia akan tunggu di situ, tidak pergi ke mana-mana. Maknanya apakah itu?

Maknanya sekiranya ada manusia yang hendak menuju jalan yang lurus, iblis dan pengikutnya dalam kalangan syaitan akan mengganggu dan menghasut serta menghalang. Jika ada keinginan dan usaha sahaja, maka bersedialah untuk menemui halangan. Ini kerana jalan menuju kebaikan bukannya mudah, kerana syaitan adalah penghalang.

Bagaimanakah pula jika seorang manusia itu membuat dosa dan kesalahan? Tidak ada syaitan yang akan ganggu. Sebab itulah kita boleh bandingkan di antara mereka yang ingin membaca Al-Qur’an, kelas agama dan dengan mereka yang ingin pergi ke kelab malam atau bersukaria. Syaitan tidak mengganggu pun kalau hendak bersukaria sebab dia memang suka pun manusia lalai. Kalau kita menonton filem pun boleh sahaja berjam-jam tetapi untuk membaca Al-Qur’an 5 minit pun sudah mengantuk dan penat, bukan?

Syaitan tidak mengganggu manusia membuat dosa. Sebab itu orang yang mengamalkan zikir sesat dan bid’ah seperti golongan sufi tarekat itu boleh sahaja berzikir berjam-jam. Mereka berasa tenang, sedap sahaja hati dan fikiran semasa melakukannya. Mereka sangka ia adalah bagus dan Allah ‎ﷻ bantu. Namun sebenarnya, mereka boleh duduk lama dan bersemangat itu kerana iblis syaitan tidak ganggu. Tiada apapun mereka mahu ganggu kerana apa yang sedang dilakukan itu adalah perbuatan dosa. Boleh faham sekarang?


 

A’raf Ayat 17: Bagaimanakah caranya dia menghalang manusia itu? Kalau sebelum ini iblis sebut apa yang dia hendak buat, sekarang diberitahu pula caranya. Maka Allah ‎ﷻ sudah membongkar rancangan iblis sebenarnya. Kita sahaja yang mungkin tidak perasan kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم ۖ وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then I will come to them from before them and from behind them and on their right and on their left, and You will not find most of them grateful [to You].”

(MALAY)

kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

 

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم

kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, 

Selepas syaitan kata dia akan duduk di jalan yang lurus, dia kata dia akan datang kepada mereka dengan menggugat mereka dengan urusan akhirat. Itulah maksud مِن بَينِ أَيديهِم. Dari segi literal, maksudnya ‘dari depan’, iaitu dia akan tipu berkenaan Hari Akhirat. Syaitan akan datang lalu membisikkan kepada manusia bahawa tidak ada hari berbangkit, tidak ada syurga, dan tidak ada neraka.

Satu lagi maksud, mereka akan serang secara berhadapan.

Lafaz مِن خَلفِهِم bermaksud mereka akan merosakkan manusia daripada urusan dunia pula. Syaitan datang lalu syaitan menghiasi dunia dengan hiasan yang indah dan menganjurkan manusia untuk memakainya dan leka dengannya. Dari segi literal, bermaksud ‘dari belakang’.

Maknanya, sekarang mereka akan serang secara lembut dari arah belakang, kita tidak perasan. Maknanya, sudahlah dari depan mereka serang, dari belakang pun mereka serang supaya kita tidak perasan.

 

وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم

dari kanan-kanan dan dari kiri-kiri mereka.

Syaitan akan datang dari arah kanan – maksudnya akan sesatkan manusia supaya tidak melakukan kebaikan. Bukannya mereka tidak berbuat apa-apa, mereka buat, tetapi mereka sangka mereka melakukan sesuatu yang baik, padahal tidak. Seperti membuat amalan bid’ah.

Atau mereka suruh buat satu perkara, tinggalkan perkara lain. Seperti ramai yang puasa, tetapi tidak pula salat. Kanan adalah arah kebaikan, tetapi syaitan akan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan itu.

Syaitan juga akan datang dari arah kiri, maksudnya mereka akan cuba menyesatkan manusia supaya manusia melakukan kejahatan. Mereka akan menampakkan perkara yang buruk sebagai indah dan menghasut kita untuk melakukannya.

Syaitan akan datang dari arah kanan dan kiri. Maka ini menolak golongan sesat yang kononnya dapat maklumat daripada malaikat. Mereka kata kalau yang datang itu dari arah kiri, ya memang syaitan; tetapi mereka mendakwa kalau datang dari arah kanan, itu adalah malaikat. Padahal dalam Al-Qur’an Allah ‎ﷻ sudah sebut janji syaitan akan datang dari segala arah. Namun golongan sesat seperti golongan sufi tarekat dan silat itu memanglah tidak belajar tafsir Al-Qur’an, sebab itu senang tertipu.

Oleh sebab itu, kalau yang datang dari arah kanan itu akan berlakon mereka itu golongan Nabi, para malaikat, golongan wali yang telah lama mati. Kononnya mereka datang hendak mengajar agama kepada golongan sesat itu. Mereka akan bisikkan dengan amalan-amalan yang jauh daripada sunnah.

Maka, ini adalah empat cara Iblis menyesatkan manusia. Terdapat banyak pendapat tentang apakah maksud depan, belakang, kiri dan kanan namun tidak ada kesepakatan antara ulama’ tafsir, oleh itu cukuplah kita katakan bahawa syaitan akan menggunakan berbagai cara untuk menyesatkan manusia. Boleh baca penerangan lanjut tentang hal ini di penulisan lain. Kalau benda yang baik, syaitan akan cuba untuk menghalang kita daripada melakukannya; kalau benda yang buruk, syaitan akan cuba hasut kita untuk melakukannya.

Walau bagaimanapun ada satu arah yang tidak disebut – dari arah atas. Ini adalah kerana atas adalah tempat datangnya hidayah daripada Allah ‎ﷻ, maka mereka tidak boleh mengganggu dari arah itu.

 

وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ

Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.

Iblis yakin yang kebanyakan manusia tidak akan bersyukur, malah banyak yang kufur. Namun apakah maksud ‘syukur’ itu? Ia bukan sahaja mengucapkan Alhamdulillah (berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ) akan tetapi ia membawa maksud ‘taat’. Setelah menerima segala nikmat daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita taat kepada Allah ‎ﷻ, bukan? Yang paling penting adalah taat dalam mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Ia sama dengan kita makan gaji di satu tempat, maka hendaklah kita mengikut arahan ketua syarikat, bukan?

Sememangnya terlalu ramai yang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Iblis sudah dapat mengagak yang memang ramai manusia yang tidak akan taat kepada suruhan Allah ‎ﷻ. Dalam hadith juga ada disebut bagaimana hanya satu daripada seribu manusia sahaja yang akan masuk syurga.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا

Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ  bersabda: “Allah Ta’ala berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan Mu. Lalu Allah ‎ﷻ berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah ‎ﷻ menjawab: UNTUK SETIAP SERIBU ORANG ADA SEMBILAN RATUS SEMBILAN PULUH SEMBILAN. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.

(HR Bukhari No. 3121)

Ayat ini juga mengajar kita apa yang syaitan akan lakukan terhadap kita. Mereka akan hasut dan sesatkan manusia sehingga manusia tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita akan taat kepada segala suruhan-Nya. Kalau sudah tidak bersyukur, tidak ada ketaatan lagi. Maka kerana itu kita lihat ramai yang mengeluh sepanjang masa, sedangkan sudah banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka tidak nampak segala nikmat itu, tetapi nampak masalah sahaja sepanjang masa.


 

A’raf Ayat 18:

قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا ۖ لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Depart from it [i.e., Paradise], reproached and expelled. Whoever follows you among them – I will surely fill Hell with you, all together.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

 

قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا

Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. 

Allah ‎ﷻ mengarahkan supaya syaitan keluar dari syurga, dengan keadaan terkutuk lagi terusir daripada rahmat. Dia dikeluarkan dengan keadaan hina sekali kerana memang dia seorang yang bersalah sangat.

Dalam ayat 13 bukankah telah dihalau Iblis itu? Jadi kenapa ada pengulangan di sini? Ulama’ ada mengatakan di dalam ayat 13 itu adalah cadangan sahaja dan di ayat 18 ini ia sudah menjadi arahan tegas.

Lafaz مَدحورًا juga bermaksud dia dikeluarkan secara hina, dengan dijaga untuk memastikan dia benar-benar keluar. Seperti kalau ada orang yang tidak mahu masuk dalam pejabat kita, kita panggil sekuriti dan sekuriti itu akan menemani orang itu sehingga ke pintu untuk memastikan dia benar-benar keluar.

Atau kalau zaman dulu, kalau ada orang yang dibuang daerah, mereka akan dibawa ke pintu kota dan dihalau keluar dan diingatkan supaya tidak datang lagi ke bandar itu.

 

لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ

Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu kepada Iblis, sesiapa sahaja yang mengikutinya dan kuncu-kuncunya, Allah ‎ﷻ akan penuhkan neraka dengan mereka semua sekali – iblis, syaitan dan mereka yang mengikuti mereka akan duduk bersama-sama dalam Jahannam.

Ini adalah sumpah dan keputusan daripada Allah ‎ﷻ. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan rancangan iblis dan syaitan. Kena tahu perangkap mereka supaya kita boleh mengelak daripada mereka. Ini kena baca dan belajar melalui kitab Talbis Iblis yang menceritakan cara tipu helah iblis dan syaitan.


 

KISAH ADAM DAN HAWWA’: GODAAN DAN KEJATUHAN MEREKA

A’raf Ayat 19: Ini adalah penyempurnaan kisah tentang iblis dan bagaimana permulaan dia hendak menyesatkan manusia. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu tentang nasihat kepada Nabi Adam عليه السلام supaya mendengar nasihat-Nya dan jangan dengar nasihat selain daripada-Nya.

وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat from wherever you will but do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

(MALAY)

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

 

وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga

Setelah Allah ‎ﷻ menjadikan Nabi Adam عليه السلام, dan kemudian menjadikan Hawaa’, mereka telah ditetapkan untuk tinggal di dalam syurga. Maka, ini adalah kebenaran untuk mereka duduk dalam syurga. Kisah ini juga sudah disebut di dalam Surah Baqarah. Sila rujuk ayat Baqarah: 35 juga.

Syurga apakah ini? Ini menjadi khilaf dalam kalangan agamawan. Ada yang kata inilah syurga yang sekarang ini menunggu kita memasukinya; ada yang kata ini syurga lain sebab kalau syurga sebenar, tidak ada larangan; ada yang kata ini adalah taman yang Allah ‎ﷻ jadikan kerana kalimah jannah itu asalnya bermaksud taman.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada Nabi Adam عليه السلام kerana baginda adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab kepada keluarga baginda itu. Bagindalah yang sebenarnya membuat keputusan keluarga.

Maka, ternyata ini adalah berlawanan dengan pendapat sesat Kristian yang mengatakan Hawwa’ lah yang telah buat keputusan untuk memakan pokok larangan itu dan telah menghasut Nabi Adam عليه السلام. Pandangan ini adalah tidak benar sama sekali.

 

فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما

serta makanlah olehmu berdua di mana saja yang kamu sukai,

Allah ﷻ kata mereka boleh makan di mana sahaja yang mereka ingin. Boleh makan apa sahaja yang mereka ingini di syurga itu, di mana sahaja. Itulah maksud حيث yang nisbah kepada tempat dan masa. Begitu banyaklah nikmat yang sudah ada di dalam syurga itu, mereka boleh nikmati semuanya. Tidak ada halangan bagi mereka. Makanlah sepuas-puasnya.

Lihatlah bagaimana kali ini Allah ‎ﷻ berkata kepada kedua-dua Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ kerana kali ini bukan tentang tanggungjawab, tetapi tentang menikmati kehidupan. Allah ‎ﷻ suruh mereka menikmati kehidupan dalam syurga itu.

 

وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ

dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini,

Namun begitu ada satu syarat. Boleh buat apa sahaja, makan apa sahaja yang ada di syurga itu, cuma ada satu syarat sahaja: jangan hampiri pokok ini. Oleh itu, semua perkara dibenarkan kecuali satu ini sahaja tidak boleh.

Sepatutnya tidaklah ada masalah sebab ada banyak benda boleh dimakan, cuma satu sahaja tidak boleh makan, bukan? Kali ini Allah ‎ﷻ berkata kepada kedua-dua mereka, kerana ini adalah perkara yang amat penting, maka kena sampaikan kepada keduanya sekali. Adam ‎ عليه السلام dan Hawaa’ kena tahu ada larangan tentang hal ini.

Pokok apa? Tidak ada penjelasan. Pendapat yang mengatakan pokok epal, gandum dan sebagainya adalah daripada kisah Israeliyyat sahaja, maka tidak boleh digunapakai. Apabila Allah ‎ﷻ senyapkan, maka kita tidak perlu membuat andaian. Yang disebut pun adalah ‘pokok’, bukannya ‘buah’ pun. Cuma ada juga pendapat yang mengatakan kalau disebut pokok, ia tentu membawa maksud buah. Akan tetapi, ada juga pendapat lain yang kata, ada juga pokok yang dimakan, tidak semestinya buah.

 

فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

Namun kalau mereka hampiri juga, Allah ‎ﷻ berikan amaran awal-awal yang mereka berdua akan menjadi golongan zalim, kerana melanggar larangan. Arahan sudah diberi, bukan? Nanti kita akan lihat apa yang terjadi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 8 – 12 (Timbangan amal)

TIMBANGAN AMAL DI HARI KEBANGKITAN

A’raf Ayat 8: Apabila diceritakan tentang amal, kita diberitahu yang amal itu akan ditimbang. Ini adalah ayat tabshir (berita gembira).

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the weighing [of deeds] that Day will be the truth. So those whose scales are heavy – it is they who will be the successful.

(MALAY)

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ

Timbangan pada hari itu adalah benar

Timbangan amal memang benar-benar akan berlaku. Satu lagi maksud, ia pasti adil/tepat. Amal yang baik akan ditimbang dan akan ditimbang juga amal yang buruk dibandingkan dengan amal yang baik itu. Cara bagaimana timbangan amal itu adalah khilaf di antara ulama’.

Ada yang kata yang ditimbang itu adalah buku amal. Sedangkan ada yang kata amalan itu sendiri yang akan ditimbang. Bagaimanakah caranya amal boleh ditimbang? Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kita pun tahu, sesuatu elemen itu boleh disukat bagi memastikan ukurannya tinggi ataupun rendah, seperti suhu, tekanan, jisim, isipadu dan sebagainya. Di dunia ini, manusia menggunakan alatan bersesuaian untuk mengukur sesuatu elemen contohnya termometer digunakan untuk mengukur suhu, barometer digunakan untuk menyukat tekanan manakala skala atau neraca digunakan untuk mengukur berat.

Maka, sudah tentu Allah ‎ﷻ ada cara hebatnya yang tersendiri bagaimana untuk menyukat amalan itu walaupun amalan itu tidak nampak semasa di dunia ini sekarang. Kita jangan bandingkan cara sukatan Allah ‎ﷻ dengan cara kita. Di zaman moden sekarang pun sudah banyak perkara yang dahulu dirasakan agak mustahil untuk diukur tetapi sekarang sudah berubah, bukan? Dahulu kita tidak boleh mengukur suhu panas atau sejuk, ketinggian, kelajuan udara dan sebagainya. Maka tentulah teknologi Allah ‎ﷻ lebih hebat lagi.

Bukan sahaja amalan, tetapi kekuatan keimanan pun akan ditimbang juga. Ini kerana setiap individu adalah berbeza, ada yang banyak amalan tetapi kadar keimanannya adalah lemah manakala ada pula yang sedikit amalannya tetapi kekuatan iman mereka lagi kuat. Semua berbeza nilainya. Allah ‎ﷻ sahajalah yang tahu bagaimana untuk menilainya dan Dia akan menzahirkan keadilan-Nya.

Allah ‎ﷻ boleh mengubah amalan kebaikan di dunia menjadi sesuatu yang fizikal. Di dalam hadith Al-Barra mengenai kisah pertanyaan kubur disebutkan:

“فَيَأْتِي الْمُؤْمِنَ شابٌّ حَسَنُ اللَّوْنِ طَيِّبُ الرِّيحِ، فَيَقُولُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا عَمَلُكَ الصَّالِحُ”

Maka orang mukmin didatangi oleh seorang pemuda yang bagus warna kulitnya lagi harum baunya. Maka orang mukmin itu bertanya, “Siapakah kamu?” Dia menjawab, “Saya adalah amal solehmu.”

أحمد شاكر (ت ١٣٧٧)، عمدة التفسير ٢‏/٧ • [أشار في المقدمة إلى صحته] • أخرجه أحمد (١٨٥٣٤)، والطيالسي (٧٥٣) مطولا باختلاف يسير

Satu lagi kebenaran adalah Allah ‎ﷻ tidak akan menganiaya sesiapa pun. Allah ‎ﷻ tidak sesekali akan melakukan kezaliman. Tidak ada amal kebaikan yang tidak akan dibalas. Dan manusia hanya akan dihukum di atas perbuatan yang mereka lakukan dan yang mereka bertanggungjawab sahaja. Berbeza dengan mahkamah di dunia, entah ada orang yang dipersalahkan bukan kerana kesalahan mereka. Biasa sahaja berlaku ketidakadilan dan kesilapan di dunia ini. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan melakukan kesilapan.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Sesiapa yang berat timbang amalannya, maka mereka itu berjaya dunia dan akhirat. Berat timbangan itu bermaksud terdapat banyak amal kebaikan soleh yang dia telah lakukan.

Daripada lafaz مَوازينُ kita dapat tahu yang timbangan itu bukan satu, tetapi ada banyak. Maka, ada timbangan berbeza untuk amal yang berbeza. Contohnya untuk sedekah ada satu timbangan, untuk salat ada timbangan lain, untuk puasa ada timbangan lain pula.

Keuntungan yang utama adalah di akhirat kelak di mana kita akan dibalas di atas segala amal kebaikan kita. Bukannya di dunia yang kadangkala kita tidak mendapat hak kita dan kita tidak mendapat keadilan. Oleh sebab itu, kejayaan yang sebenar dicari adalah kejayaan di akhirat kelak. Jangan kita rasa sedih sangat jikalau kita tidak mendapat hak kita di dunia kerana yakinlah yang kita akan mendapat hak kita dengan penuh di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 9: Ini pula merupakan  ayat takhwif.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are light – they are the ones who will lose themselves for what injustice they were doing toward Our verses.

(MALAY)

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya,

Sebelum ini disebut tentang mereka yang berat timbangan amal mereka, banyak amal yang boleh dikira tetapi ada juga mereka yang ringan timbangan amalannya. Ini kerana tidak banyak amal kebaikan yang mereka buat atau tidak ada benda untuk timbang pun.

Contohnya, apabila amal dibuat tetapi iman tidak ada, maka tidak ada yang boleh ditimbang. Atau amalnya banyak, tetapi amal bid’ah sahaja yang mereka banyak buang masa membuatnya, dan tidak boleh menjadi pahala pun. Maka, apa akan jadi kepada mereka?

 

فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Maka, mereka itulah golongan yang merugikan diri mereka sendiri. Ada peluang untuk selamat di akhirat, mereka tidak ambil. Peluang Allah ‎ﷻ telah banyak berikan di dunia tetapi mereka buat benda lain. Mereka tidak ambil peluang untuk bekalan di akhirat kelak.

 

بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

Mereka itu rugi kerana mereka menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu? Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka sepatutnya menjadikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ sebagai panduan hidup, tetapi mereka tidak melakukannya.

Mereka yang sanggup melakukan amalan baik itu adalah kerana mereka mengikut wahyu yang memberitahu kita yang ia adalah baik untuk kita. Namun begitu, jika menzalimi ayat Allah ‎ﷻ dan tidak percaya kepada wahyu, maka amalan baik yang dilakukan tidak ada harga.

Begitu juga, mereka tidak dapat membezakan dia antara perbuatan amalan sunnah dan amalan bid’ah. Maka mereka mengikut sahaja apa amalan yang mereka belajar dengan ustaz atau ulama’, walaupun yang mengajar itu tidak membawakan dalil untuk amalan-amalan itu.


 

KESOMBONGAN iblis

A’raf Ayat 10: Ayat targhib (ajakan) kepada melakukan ibadat. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan jasa-Nya yang telah memberikan kehidupan kepada kita.

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ ۗ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly established you upon the earth and made for you therein ways of livelihood. Little are you grateful.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.

 

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi 

Apabila ada kalimah ولقد ia bermaksud ada sumpah di sini. Maknanya ada kalimah ‘demi Allah’ yang telah dihazafkan (dihilangkan).

Allah ‎ﷻ telah memberi kedudukan kepada manusia di muka bumi dahulu. Allah ‎ﷻ telah menjadikan gunung ganang, lembah, lautan, tasik dan sebagainya sebagai tempat kita tinggal di bumi yang indah ini. Jika hendak dihitung segala nikmat itu, kita tidak akan mampu seperti yang telah disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ}

Dan jika kalian menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kalian menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). [Ibrahim: 34]

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ

dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan.

Dan selepas Allah ‎ﷻ meletakkan kita di muka bumi, Dia telah menyediakan segala sumber kehidupan untuk kita. Ini termasuklah pakaian dan tempat tinggal.

Allah ‎ﷻ memberikan kehidupan yang senang kepada kita. Bandingkan kehidupan kita dengan haiwan – sama-sama hidup, tetapi hidup tidaklah sama. Lihatlah apa yang kita makan, apa yang kita pakai dan sebagainya. Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberikan kehidupan kepada kita, tetapi kehidupan yang bagus.

Begitulah juga yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka diingatkan yang mereka telah diberikan nikmat kehidupan yang bagus, berbanding dengan manusia lain. Lihatlah bagaimana kelebihan mereka telah disebut dalam Surah Quraish. Mereka ditempatkan di Mekah, satu tempat yang amat-amat hebat.

 

قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Apabila Allah ‎ﷻ telah berikan terlalu banyak nikmat itu, maka  hendaklah kita bersyukur. Dan bersyukur itu bukan cuma dengan ucapan ‘alhamdulillah’ sahaja, namun kenalah taat dan buat ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu cuma sedikit benar manusia yang bersyukur. Malangnya, yang Allah suruh ‎ﷻ buat, mereka tidak buat. Maka, janganlah kita tergolong dalam manusia seperti itu. Jangan kita gunakan sahaja nikmat Allah ‎ﷻ, tetapi segala suruhan-Nya kita abaikan.

Habis Ruku’ 1 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 11: Sekarang Allah ‎ﷻ sebut satu persatu nikmat-nikmat yang telah diberikan. Allah ‎ﷻ memulakan kisah dalam surah ini dengan kisah asal kejadian kita lagi, iaitu Nabi Adam عليه السلام. Kemudian akan disebut kisah Nabi-nabi yang lain sehingga akhirnya kita akan sampai kepada penghujung alam ini iaitu Hari Kiamat.

وَلَقَد خَلَقنٰكُم ثُمَّ صَوَّرنٰكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly created you, [O mankind], and given you [human] form. Then We said to the angels, “Prostrate to Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He was not of those who prostrated.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

 

وَلَقَد خَلَقنٰكُم

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Dia telah menciptakan kita dengan pertama sekali dicipta adalah datuk kita Nabi Adam عليه السلام. Lafaz خَلَقناكُم dalam bentuk jamak walaupun Nabi Adam عليه السلام itu seorang sahaja, kerana mengingatkan yang Nabi Adam عليه السلام adalah datuk kita semua. Daripada benih bagindalah kita semua dijadikan.

 

ثُمَّ صَوَّرنٰكُم

lalu Kami bentuk tubuhmu, 

Selepas kita dijadikan dalam bentuk benih, kemudian Allah ‎ﷻ membentukkan rupa kita dalam perut ibu kita. Allah ‎ﷻlah yang menentukan bagaimana rupa kita; ada yang pendek ada yang tinggi, ada yang comel ada yang tidak, ada yang gelap dan ada yang cerah. Namun ketahuilah yang Allah ‎ﷻ telah menjadikan kita dalam sebaik-baik rupa semisal dengan ayat lain yang disebutkan melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ [فَسَجَدَ الْمَلائِكَةُ] }

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kalian kepadanya dengan bersujud.” [Al-Hijr: 28-29]

Daripada ayat Surah Hijr ini kita dapat tahu yang sebelum diciptakan Nabi Adam عليه السلام lagi, Allah ‎ﷻ sudah memberitahu malaikat yang mereka nanti akan dikehendaki untuk sujud kepadanya. Maka, ia bukanlah berita baru.

 

ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ

kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, 

Kemudian Allah ‎ﷻ telah menitahkan para malaikat untuk sujud penghormatan kepada Nabi Adam عليه السلام. Ini telah dibincangkan dalam Baqarah: 30 dan seterusnya. 

 

فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

Semua malaikat telah sujud kecuali Iblis. Sujud ini bukanlah sujud ibadah tetapi sujud sebagai taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Apabila Allah ‎ﷻ telah melakukan perkara yang menakjubkan, maka makhluk-Nya mestilah sujud sebagai tanda kagum dengan kehebatan-Nya.

Ada pula yang takwil ini bukanlah sujud, tetapi rukuk sahaja. Ini pun tidak perlu dilakukan kerana ia memang sujud. Kalau hendak dikirakan, rukuk pun tidak boleh kepada makhluk lain dalam bentuk ibadah. Dan bukanlah malaikat itu sujud kepada Adam عليه السلام di waktu lain pula.

Dalam ayat ini disebut Allah ‎ﷻ telah memberikan arahan kepada para malaikat. Tetapi kemudian disebut Iblis. Perlu diingatkan yang Iblis bukanlah dalam kalangan malaikat kerana iblis dijadikan daripada api manakala malaikat pula daripada cahaya. Namun begitu, oleh kerana dia telah banyak beribadat, maka kedudukannya telah dinaikkan supaya berada bersama-sama dengan para malaikat.

Timbul pula soalan: kalau dia bukan malaikat dan arahan itu diberikan kepada malaikat, kenapa dia kena ikut pula? Soalan ini tidaklah berapa bijak. Kita buat analogi: ada orang Indonesia di negara kita dan tiba-tiba di jalan terdapat polis membawa Sultan lalu dan suruh ke tepi. Adakah orang Indonesia kena ikut arahan itu atau tidak? Bukankah dia bukan rakyat Malaysia dan tidak tertakluk dengan undang-undang negara kita? Tentulah dia kena ikut juga kerana dia sedang berada di Malaysia, bukan? Maka begitu jugalah iblis kena ikut arahan Allah ‎ﷻ kerana dia ada di situ.

Dan kita pun tahu yang para malaikat adalah makhluk yang taat. Maka mereka akan ikut sahaja arahan Allah ‎ﷻ. Oleh itu, suruhan untuk sujud kepada Nabi Adam عليه السلام itu adalah ujian bagi iblis sebenarnya. Allah ‎ﷻ sudah tahu yang dia itu tidak ikhlas dalam amalan dia, maka Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan sifat dirinya yang sebenar kepada para malaikat.

Lafaz ‘iblis’ berasal daripada lafaz ablasa yang bermaksud hilang segala harap. Memang dia telah hilang segala harapan untuk mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Penerangan tentang apa yang terjadi ada dijelaskan di dalam nota yang lain.

Timbul pula perbincangan lain. Ada pula orang jahil yang kata iblis tidak sujud itu kerana kononnya tinggi sangat nilai tauhid dia sampaikan tidak mahu sujud kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini amat mengarut sekali. Sekarang siapa yang suruh sujud? Bukankah Allah ‎ﷻ yang memerintahkannya untuk sujud? Kalau Allah ‎ﷻ yang perintahkan, maka kenalah taat. Hendak dibincangkan isu tauhid apa lagi?


 

A’raf Ayat 12: Allah ‎ﷻ tanya iblis:

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “What prevented you from prostrating when I commanded you?” [Satan] said, “I am better than him. You created me from fire and created him from clay [i.e., earth].”

(MALAY)

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

 

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?”

Allah ‎ﷻ bawakan soalan ini dalam Al-Qur’an untuk memberitahu kita yang arahan Allah ‎ﷻ itu penting, wajib ditaati. Tidak ada pilihan untuk tidak melakukannya. Akan tetapi kenapakah dilanggar arahan itu? Allah ‎ﷻ memberi peluang kepada iblis untuk menjawabnya, untuk kita belajar sesuatu daripada hal ini.

 

قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ

Iblis jawab: “aku lebih baik daripadanya: 

Iblis jawab soalan itu dengan menggunakan akalnya sahaja. Dia rasa akal dia lebih bagus daripada arahan Tuhan. Allah ‎ﷻ sudah beri arahan yang jelas, tetapi dia menggunakan akal untuk menilai pula arahan itu. Inilah bahayanya kalau guna akal dalam menilai perintah Allah‎ ﷻ.

Oleh sebab itulah, perbezaan ahli sunnah dengan Muktazilah yang sesat itu adalah dari segi penggunaan akal. Kita sepatutnya kena dahulukan arahan Tuhan daripada hujah menggunakan akal. Malangny puak Muktazilah dan orang lain yang sefahaman dengan mereka, mengutamakan akal kerana mereka kata Allah ‎ﷻ sudah berikan akal untuk kita guna, maka tidak salah kalau kita gunakan akal untuk menilai arahan Allah ‎ﷻ. Mereka kata, kalau ada arahan Tuhan, kena selaraskan dengan akal. Sekiranya arahan Allah ‎ﷻ itu tidak kena dengan akal mereka, mereka akan takwil arahan Tuhan itu. Ini adalah fahaman yang amat-amat salah.

Oleh itu banyak pemahaman perkara dalam Al-Qur’an yang amat berbeza antara kita dan mereka. Sebagai contoh, dalam perkara melihat Allah ‎ﷻ, mereka kata tidak mungkin boleh lihat Allah ﷻ di akhirat kelak. Sedangkan iktikad ahli sunnah, ahli syurga boleh melihat Allah ‎ﷻ di syurga nanti. Namun mereka menggunakan akal mereka untuk mentafsir ayat Al-Qur’an.

Ini amat bahaya sekali. Kita sepatutnya memastikan yang akal kita kena terima apa yang Allah ‎ﷻ telah kata dalam Al-Qur’an. Oleh itu, kita katakan mereka sesat kerana mereka ikut prinsip iblis yang hanya menggunakan akal untuk menolak arahan Allah ‎ﷻ. Prinsip kita ikut Nabi Adam عليه السلام, mengutamakan arahan Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi Adam عليه السلام terlupa arahan Allah ‎ﷻ dan kalau terlupa, tidaklah berat sangat.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa kesalahan makhluk itu bukan hanya dilihat pada perbuatannya sahaja, tetapi harus dilihat pada niat mereka. Niat yang salah akan mendatangkan sikap yang salah juga.

Apakah alasan dan hujah iblis?

 

خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.

Iblis menjawab yang dia rasa dia lebih baik daripada Nabi Adam عليه السلام. Dia menggunakan hujah akalnya sahaja: Allah ‎ﷻ menjadikan dia daripada api, manakala Allah ‎ﷻ telah menciptakan Nabi Adam عليه السلام daripada tanah. Dan tanah itu duduknya di bawah sedangkan api naik ke atas. Pada pendapatnya, bagaimana mungkin sesuatu yang naik ke atas, boleh sujud sesuatu yang berada di bawah?

Itulah cara iblis menggunakan akalnya. Itu adalah fahamannya sahaja, ikut pendapat akal dia sahaja, tidaklah boleh dikatakan benar. Iblis keliru dalam analogi dan pengakuannya yang mengatakan bahawa api lebih mulia daripada tanah.

Padahal sesungguhnya tabiat tanah liat itu ialah kuat, sabar, tenang, dan kukuh. Tanah merupakan tempat bagi tumbuhan, pengembangan, penambahan, dan pembaikan; sedangkan api mempunyai watak membakar, liar, dan cepat. Tidaklah hebat api berbanding tanah. Sebagai contoh, api tidak boleh membakar tanah, tetapi tanah boleh memadamkan api, bukan? Jika api dikenakan kepada tanah, tanah itu pula yang menjadi tembikar, dan bukankah ia menunjukkan tanah mampu menjadi lebih kuat?

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita yang akal tidak akan dapat mendahului arahan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mengajar dalam ayat ini, mana-mana manusia yang menggunakan akal dahulu dan kemudian baru hendak mencari ayat Al-Qur’an untuk menyokong pendapatnya, maka itu adalah perangai Iblis. Takkan kita hendak menjadi seperti iblis pula, bukan?

Ayat ini menceritakan apakah masalah asal iblis. Masalah iblis adalah kibr (rasa besar dan mulia). Kita kena ingat, iblis bukannya menolak kewujudan Allah ‎ﷻ dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Dia sedar dan mengaku yang Allah ‎ﷻlah yang menciptakannya.

Namun, dia tidak taat kepada Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ memerintahkannya menerima kemuliaan manusia. Dia tidak dapat terima perkara itu sedangkan Allah ‎ﷻ suruh ‘sujud’ sebagai isyarat hormat sahaja, bukannya menjadikan Nabi Adam عليه السلام sebagai ilah – kalau dalam istilah zaman moden, seumpama ‘tabik hormat’ sahaja.

Begitulah juga, ada manusia yang tidak dapat menerima kedudukan para Rasul lebih tinggi daripada kedudukan mereka, mereka tidak dapat terima ada orang yang lagi tinggi daripada mereka. Ada juga yang kononnya sangka mereka boleh terus berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ, tidak memerlukan para Nabi.

Ada yang menjadi golongan anti-Hadith kononnya boleh terus mendapat hidayah daripada Al-Qur’an secara langsung. Sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri suruh kita terima dan belajar dengan para Rasul. Memang kita memerlukan pengajaran daripada Rasul kerana Allah ‎ﷻ itu ghaib dan kita tidak boleh berkomunikasi terus dengan Allah ‎ﷻ.

Maka, kesalahan yang dialami oleh iblis ini juga masih ada sampai ke hari ini.  Ada yang rasa tidak perlu kepada agama dalam dunia ini dan boleh terus bercakap dengan Allah ‎ﷻ; dan berbagai lagi fahaman yang sesat dalam dunia kerana tidak belajar ilmu wahyu. Sifat sombong adalah sifat yang amat bahaya. Sombong untuk terima kebenaran dalam agama.

Begitulah masalah yang dialami oleh ramai daripada golongan yang ada ilmu agama pun. Mereka rasa semua orang kena belajar dengan mereka, tidak boleh belajar dengan orang lain. Mereka rasa mereka sahaja yang benar. Maka, kita kena berhati-hati dengan orang seperti ini.

Terdapat juga guru agama yang tidak suka kalau kita kata kita ada pergi belajar dengan orang lain. Larilah segera daripada guru yang seperti itu kerana kalau kita belajar dengan satu guru sahaja, ditakuti kita akan jadi taksub dengan guru pula; dan kita tidak dapat memastikan mana satu ajaran yang benar.

Ayat ini mengajar satu perkara yang amat penting tentang menjaga hati. Iblis dan syaitan akan mencari peluang untuk membisikkan perkara yang salah kepada kita. Dia akan bisikkan kepada kita supaya rasa besar (kibr). Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (penipuan Iblis).

Maka, kita kena berhati-hati dengan hal ini. Jangan kita rasa kita lebih hebat daripada orang lain. Walaupun kita pandai agama, kuat ibadat, tidak buat dosa dan taat kepada Allah ‎ﷻ, tetap jangan rasa sombong. Kita kena sedar yang apa-apa sahaja kebaikan yang kita ada, itu adalah daripada Allah ‎ﷻ. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mendorong kita menjadi baik, kita pun tidak mungkin akan menjadi baik.

Ubat untuk melawan kibr adalah jangan memandang diri lebih tinggi daripada orang lain, tetapi pandanglah diri kita lebih rendah daripada orang lain. Kalau kita lihat orang tua, maka cakap dalam hati kita: “Dia lebih tua daripada aku, tentu dia telah lama buat ibadah dan lebih banyak pahala daripada aku.” Jikalau melihat orang muda pula, cakap dalam hati: “Dia masih muda lagi. Dia tentu lagi kurang dosa daripada aku yang telah lama hidup ini.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 1 – 7 (Pengakuan mereka yang syirik)

Pengenalan dan Ringkasan surah:

Dakwa (poin terpenting) surah ini berlainan daripada surah-surah yang sebelum ini. Dalam surah-surah sebelum ini, bermula Surah Baqarah sehingga Surah al-An’am, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan dan memperjelaskan tentang empat jenis golongan (Yahudi, Nasara, Musyrikin dan Munafikin); iaitu golongan yang mempunyai akidah yang rosak. Surah ini membawa maksud yang lain kerana golongan yang sesat telah dijelaskan. Oleh itu, kesimpulan surah ini adalah:

Ada perkaitan dengan Surah al-An’am kerana ia berkesinambungan daripada Surah al-An’am. Dalam Surah al-An’am, telah diperjelaskan tentang golongan musyrik. Maksud a’raf adalah satu tempat di tengah-tengah. Oleh itu maksud al-A’raf di dalam surah ini adalah satu tempat yang bukan di dalam syurga dan bukan juga di dalam neraka. Ia berada di tengah-tengah antara keduanya.

Walaupun seseorang itu tidak masuk neraka lagi, tetapi dia masih belum dikira selamat (kerana tidak masuk dalam neraka). Namun begitu, dia masih belum dikira sebagai beruntung lagi kerana masih tidak dapat masuk ke dalam syurga. Di dalam surah ini, Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita, apabila seorang yang dapat menjaga dirinya daripada melakukan syirik seperti yang telah diperjelaskan dalam Surah al-An’am, maka dia bukan sahaja selamat daripada al-A’raf, tetapi dia juga selamat daripada neraka dan dapat masuk syurga. Inilah yang kita dambakan dalam kehidupan kita ini, bukan?

Oleh itu, apabila telah disebut tentang golongan sesat dalam surah-surah sebelum ini, maka sekarang bermula penyampaian tentang mereka yang berpegang dengan tauhid. Kita mestilah belajar tauhid, mengamalkannya dan kemudian hendaklah usahakan dakwah kepada golongan lain.

Melihat kepada keseluruhan surah ini, ia banyak menyebut tentang akhirat dan tentang Risalah Kenabian. Permulaan awal surah ini adalah mengenai akhirat dan selepasnya disebut tentang para Nabi dan Rasul di mana ada disebut tentang mereka dan umat mereka dan balasan yang diberikan kepada mereka.

Surah ini adalah Surah Makkiah dan diturunkan pada tahun 11 – 13 Kenabian Rasulullah ﷺ. Ia diturunkan selepas Surah An’am ketika Musyrikin Mekah sudah mula merancang untuk membunuh baginda. Ini adalah ketika saat-saat akhir baginda di Mekah (sebelum Hijrah) dan puak Musyrikin Mekah sudah kehabisan idea dengan cara untuk menolak dakwah baginda. Maka mereka telah membuat keputusan untuk membunuh sahaja baginda.

Ada tiga Dakwa penting dalam surah ini: 

Dakwa yang pertama ada terdapat dalam ayat ke-2. Ayat ini mengajar kita, hendaklah berani menyampaikan wahyu ilahi walau apa sahaja dugaan yang akan ditempuhi. Sebagai seorang mukmin sejati, hendaklah disampaikan wahyu kerana itulah neraca kejayaan manusia. Oleh itu, kita kena belajar, hayati dan kemudian sebarkan wahyu. Jangan simpan untuk diri sendiri sahaja.

Dakwa yang kedua, terdapat dalam ayat ke 3. Ikutlah apa yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ, dan jangan ikut hawa nafsu manusia. Mestilah ditinggalkan semua sekali, termasuk segala fahaman, amalan dan cara yang direka daripada hasil bisikan syaitan. Hendaklah ditinggalkan semua itu dan menggunakan ajaran daripada agama Islam. Topik ini berterusan sehingga ke ayat 53.

Dakwa ke 3, ada di dalam ayat 54 – 58: Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki sifat sempurna dari segi sifat dan dzat. Oleh itu, Dia sahaja berhak diseru dan dilakukan ibadat dan ditaati.

Kemudian ada 6 kisah dalam surah ini yang menjelaskan dakwa-dakwa itu. Terdapat tiga kisah semua sekali:

      1. Kisah Nabi Nuh عليه السلام adalah untuk dakwa ketiga dalam ayat 59 – 64.
      2. Kisah kedua dalam ayat 65 – 72 iaitu kisah Nabi Huh عليه السلام.
      3. Kisah ketiga dalam ayat 73 – 79 iaitu kisah Nabi Saleh عليه السلام.

Ketiga-tiga kisah Nabi di atas adalah untuk memberi penjelasan tentang dakwa ketiga.

4. Kisah ke 4 adalah tentang Nabi Luth عليه السلام dalam ayat 80 – 84 sebagai penjelasan kepada Dakwa kedua

5. Kisah ke 5 dalam ayat 85 – 93 iaitu kisah Nabi Syuaib عليه السلام tentang Dakwa kedua dan ketiga.

6. Kisah ke 6 dalam ayat 103 – 162 iaitu kisah Nabi Musa عليه السلام untuk menjelaskan Dakwa pertama. Cuma kisah Nabi Musa عليه السلام ini didapati di dalam lapan bahagian:

          1. Ayat 103 – 126
          2. Ayat 127 – 129
          3. Ayat 130 – 137
          4. Ayat 138 – 141
          5. Ayat 142 – 149
          6. Ayat 150 – 154
          7. Ayat 155 – 159 (dalam ayat 158 ada ayat jumlah mu’taridhah iaitu kisah Nabi Muhammad ﷺ)
          8. Ayat 160 – 162

Selepas kisah Nabi Musa عليه السلام itu, ayat 163 – 168 adalah takhwif khas.

Ayat 169 pula tentang pewaris kitab Taurat yang tidak jujur dalam kalangan anak-anak ulama’ mereka. Dan diceritakan tentang diayah bathil daripada mereka. Allah ‎ﷻ tolak diayah itu dengan 4 cara:

      1. 169 cara pertama
      2. 171 cara kedua
      3. 172 cara ketiga
      4. 175-177 cara keempat

Ayat 178-198 menjelaskan ketiga-tiga Dakwa surah ini:

    • Dalam 178, cerita tentang Dakwa pertama.
    • Ayat 179 Dakwa kedua.
    • Ayat 180-181 Dakwa ketiga.
    • 182-188 Dakwa pertama kembali. Ia adalah mengenai keberanian Nabi Musa عليه السلام dan dugaan yang diterimanya dengan berbagai cara. Diceritakan kepada kita untuk digunakan sebagai panduan. Ini adalah penting kerana keadaan yang dialami oleh Nabi Musa عليه السلام itu dialami oleh umat Nabi zaman.
    • 189 – 193 Dakwa kedua.
    • 194 – 198 Dakwa ketiga.

203: Ayat syikayah dan targhib kepada Qur’an.

205: Peringatan tentang tauhid. Zikir yang bermakna tauhid.

206: Zikir tauhid itu adalah zikir para malaikat. Ada ayat sujud sajdah yang pertama dalam Al-Qur’an. Sujud Sajdah adalah hukumnya sunat dalam Mazhab Syafi’iy. Ada dalam mazhab lain yang mengatakannya adalah wajib.

Oleh itu, surah al-A’raf ini banyak menceritakan tentang kisah-kisah umat terdahulu. Dan bagaimana interaksi para Nabi mereka dengan umat mereka. Kisahnya bermula dengan sejarah manusia, iaitu manusia pertama Nabi Adam عليه السلام sendiri dan kisah baginda dengan iblis. Dan di akhirnya nanti, tentang Kiamat. Dan di antara dua kisah awal dan akhir itu, mengandungi banyak peringatan.


NASIHAT KEPADA RASULULLAH

A’raf Ayat 1: Kita masuk ke Perenggan Makro Pertama iaitu tentang Tauhid. Allah ‎ﷻ memberitahu yang menolak ajaran tauhid akan menyebabkan kebinasaan.

المص

Ini adalah jenis Ayat Muqat’taah. Allah ‎ﷻ lebih mengetahui maknanya. Telah dijelaskan dalam surah-surah yang lain mengenainya. Lawan kepada huruf muqat’ta’ah adalah muttasilah (huruf yang bersambung). Huruf muttasilah memberi makna, akan tetapi huruf-huruf muqat’ta’ah tidak diketahui maknanya.

Akal kita tidak mampu untuk mencapai maknanya. Ada perkara yang akal kita mampu untuk memikirkan, akan tetapi ada perkara yang memang kita tidak ada kemampuan. Oleh sebab itu dalam hal agama, mestilah ada dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Kita yang tidak tahu, kenalah rujuk kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu.

Ayat ini adalah sebagai penarik perhatian untuk membaca Al-Qur’an. Dan ia juga sebagai tanda mukjizat Al-Qur’an. Tanda yang ia adalah daripada Allah ‎ﷻ. Kerana itulah kita tidak akan mampu untuk menghasilkan walaupun satu ayat yang dapat menyamai kehebatan ayat Al-Qur’an.


 

A’raf Ayat 2: Ini adalah Dakwa pertama di mana Allah ‎ﷻ mengajar kita hendaklah berani menyampaikan wahyu.

كِتٰبٌ أُنزِلَ إِلَيكَ فَلا يَكُن في صَدرِكَ حَرَجٌ مِّنهُ لِتُنذِرَ بِهِ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] a Book revealed to you, [O Muḥammad] – so let there not be in your breast distress therefrom – that you may warn thereby and as a reminder to the believers.

(MALAY)

Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

 

كِتٰبٌ أُنزِلَ إِلَيكَ

Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, 

Selalunya, selepas diletakkan ayat muqatta’ah (huruf-huruf yang terputus-putus), Allah ‎ﷻ terus menyebut tentang kitab Al-Qur’an  yang mulia ini. Bukanlah semua, tetapi majoriti daripadanya.

Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat ini yang Al-Qur’an itu diturunkan kerana ia datang daripada Allah ‎ﷻ, maka ia diturunkan. Ini menguatkan hujah yang mengatakan yang Allah ‎ﷻ di atas iaitu di langit.

Dan ia diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana Al-Qur’an ini adalah kitab yang mulia, maka ia diturunkan kepada Rasul yang mulia iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

 

فَلا يَكُن في صَدرِكَ حَرَجٌ مِّنهُ

maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, 

Walaupun khitab (penyampaian) asal ayat ini adalah kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi kita sebagai penyambung tugas Nabi ﷺ hendaklah menerima ayat ini juga. Maka, tidak sepatutnya ada dalam hati kita, perasaan susah dan sukar dengan ajaran di dalam Al-Qur’an ini. Walaupun matan menyebut ‘dada’ akan tetapi yang dimaksudkan adalah ‘hati’ kerana hati di dalam dada.

Maknanya, jangan rasa susah untuk menyampaikan dakwah tentang Al-Qur’an ini kepada orang lain. Jangan takut sampaikan wahyu ini kepada manusia. Kita mesti beritahu dan sampaikan dan mesti berani semasa menyampaikannya. Kita kena mula sahaja, terus lakukan kerana Allah ‎ﷻ akan memberi kekuatan kepada mereka yang mempelajari dan menyebarkan.

Kenapakah terdapatnya nasihat ini kepada Nabi ﷺ? Kerana Nabi ﷺ memang berasa berat untuk menyampaikan disebabkan apa yang disampaikan itu berlawanan dengan amalan masyarakat. Maka, Allah ‎ﷻ memberikan semangat kepada baginda supaya jangan risau. Jangan rasa berat tetapi terus sampaikan kepada manusia. Apabila Allah ‎ﷻ suruh sampaikan, maka Allah ‎ﷻ berjanji akan menjaga dan mempertahankan baginda daripada diganggu dan disakiti.

Keadaan yang sema juga berlaku di negara kita, di mana  ada yang tidak menyukai pengajaran tafsir Al-Qur’an kerana ia menegur amalan dan fahaman masyarakat yang sudah jauh daripada wahyu. Maka, kepada mereka yang belajar, sudah tentu ada berasa berat untuk menyampaikan kepada masyarakat kerana takut dituduh dengan pelbagai label (antaranya dituduh sebagai ‘Wahabi’). Namun di sini,  Allah ‎ﷻ sedang memberi semangat kepada kita supaya jangan takut tetapi hendaklah berani. Sampaikan sahaja. Selebihnya serah sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Mestilah ada sifat tawakal dalam diri kita. Kenalah ingat yang kita berada di pihak yang benar, maka jangan takut hendak berdakwah. Memang tentangan yang ada sangat kuat, namun kita hendaklah lebih kuat. Antara penentang adalah pembesar dalam masyarakat, tetapi jangan kita terkesan. Kita bergantung kepada perlindungan daripada Allah ‎ﷻ.

Satu lagi tafsir kesempitan adalah di dalam hati Rasulullah ﷺ setelah baginda sampaikan. Baginda seorang yang berhati mulia dan risaukan umat baginda. Baginda berasa begitu bimbang sekali jika umat baginda menolak dan kesan yang akan dikenakan kepada mereka. Untuk perasaan ini, Allah ‎ﷻ beritahu yang tugas baginda adalah menyampaikan sahaja. Setelah baginda sampaikan, maka sama ada mereka terima atau tidak, bukanlah lagi urusan baginda.

Satu lagi tafsir adalah kita jangan sempit untuk menerima apa sahaja yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Kita hendaklah melapangkan dada kita. Memang kadangkala keras sekali tusukan daripada Al-Qur’an yang menegur perbuatan kita selama ini, akan tetapi hendaklah diterima dan mesti ikut. Jangan pula lawan apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Disebabkan tidak dapat menerima perkara inilah yang mengakibatkan ramai yang tidak suka dengan pengajian tafsir Al-Qur’an. Ini kerana kebanyakan  manusia tidak suka ditegur amalan mereka.

 

لِتُنذِرَ بِهِ

supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu,

Ia diturunkan untuk Nabi ﷺ dan kita memberikan peringatan kepada manusia dengan menggunakan mesej yang ada dalam Al-Qur’an ini. Hendaklah disampaikan kepada sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada mereka itu Muslim atau pun tidak, pelajar atau tidak, condong kepada agama ataupun tidak.

Ini juga mengajar kita yang dakwah hendaklah mengandungi rujukan kepada Al-Qur’an. Ia adalah sumber utama yang digunakan di dalam dakwah. Hendaklah disebut ayat-ayat Al-Qur’an, ajakan kepada Al-Qur’an dan ajaklah mereka untuk faham apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an.

Jika dakwah itu tidak mempunyai langsung elemen Al-Qur’an, maka itu bukan dakwahlah sebenarnya. Sebagai contoh, dakwah dengan lagu nasyid. Ini bukan dakwah, ini hendak berseronok sahaja.

Syarat untuk berdakwah dengan Al-Qur’an, hendaklah difahami dahulu Al-Qur’an itu. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an sehingga habis. Sekiranya dibaca Al-Qur’an tetapi tidak faham apa yang dibaca, maka manfaat tidaklah banyak mana kerana Al-Qur’an itu adalah sebagai peringatan, bukan? Kalau tidak faham, bagaimana ia mampu menjadi peringatan bagi kita? Oleh sebab itu, kenalah usaha untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini.

 

وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

dan menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Apabila Al-Qur’an dipelajari, difahami dan selalu dibaca, ia akan memberi peringatan kepada para mukmin, iaitu mereka yang ingin beriman. Mungkin yang mula belajar belum sampai ke tahap mukmin lagi, tetapi untuk sampai ke tahap mukmin, kenalah mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an ini. Maknanya juga, kalau tidak faham Al-Qur’an, tidaklah beriman. Nampak, bukan?

Ini juga mengajar kita supaya kena ingatkan manusia dengan Al-Qur’an kerana manusia mudah lupa. Maka, mesti selalu diulang-ulang. Sebab itu kita tidak boleh hanya baca Al-Qur’an sekali seumur hidup, tetapi setiap hari hendaklah dibaca. Jika selepas khatam Al-Qur’an dan selepas itu tidak buka Al-Qur’an langsung, ini menunjukkan ada masalah dengan adat dalam masyarakat kita ini.

Kepada orang beriman, ayat-ayat Al-Qur’an menjadi peringatan kepada mereka. Mereka yang sebegini tidak perlu sangat diberikan ancaman-ancaman yang ada di dalam Al-Qur’an kerana mereka memang sudah beriman. Sebaliknya perbanyakkanlah diberikan ayat-ayat yang memberi semangat kepada mereka.


 

NASIHAT KEPADA MANUSIA

A’raf Ayat 3: Ini adalah permulaan kepada Dakwa Kedua surah ini: ikutlah apa yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ dan jangan mengikut hawa nafsu.

اتَّبِعوا ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَّبِّكُم وَلا تَتَّبِعوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ۗ قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Follow, [O mankind], what has been revealed to you from your Lord and do not follow other than Him any allies. Little do you remember.

(MALAY)

Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti aulia’ selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).

 

اتَّبِعوا ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَّبِّكُم

Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu

Sekarang khitab (penyampaian) berpindah kepada semua orang, sama ada Muslim atau tidak. Kamu semua mestilah ikut wahyu yang diturunkan itu. Mesti diikuti dengan sehabis baik. Allah ‎ﷻ tidak pula sebut suruh ‘baca’, tetapi Allah ‎ﷻ suruh ‘ikut’. Oleh hal yang demikian, Al-Qur’an itu bukanlah setakat dibaca sahaja sebagaimana kebanyakan daripada masyarakat kita lakukan. Baca itu sunat, mengikuti itu yang wajib.

Lafaz ittiba’ bermaksud ikut betul-betul, satu persatu kerana ia adalah daripada Tuhan, maka kenalah ikut. Itulah sebabnya kena belajar ilmu wahyu, baru senang hendak ikut apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Dan wahyu itu sama ada dengan Al-Qur’an, ataupun dengan Sunnah Nabi.

Allah ‎ﷻ suruh ikut apa yang diturunkan oleh Rabb, bukan disebut nama Allah ‎ﷻ. Ada penekanan tentang sifat Rabb di sini. Apakah maksud rabb? Ia bermaksud khaliq (pencipta), maalik (pemilik) dan mudabbir (pentadbir). Kenapakah Allah ‎ﷻ menekankan tentang Rabb di sini? Kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dia yang menciptakan kamu, memiliki kamu dan menguruskan kamu. Maka, kenalah ikut apa yang Dia sampaikan.

 

وَلا تَتَّبِعوا مِن دونِهِ أَولِياءَ

dan janganlah kamu mengikuti aulia’ selain-Nya. 

Dan jangan diikut selain daripada-Nya. Lafaz aulia’ (jamak kepada wali) bermaksud segala syaitan dan jin dan apa-apa sahaja yang menyesatkan, sama ada daripada manusia atau jin. Mereka dipanggil aulia’/wali kerana mereka itu yang diikuti dan ditaati dan menjadi kawan karib; yang menjadi tempat pengharapan kita. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja sepatutnya kita berharap.

Jika diikut selain daripada ajaran wahyu, maka itu adalah mengikut hawa nafsu namanya. Dan jika diikut hawa nafsu, maka akan sesat bangat. Malangnya, inilah yang manusia ikut. Mereka tidak ikut wahyu, tetapi mereka ikut selain wahyu. Belajar pelbagai perkara daripada berbagai guru, namun tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi tidak dipelajari pula.  Akhirnya tertipu belaka dengan ajaran-ajaran karut.

 

قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ

Amat sedikitlah kamu mengambil peringatan

Sedikit benar yang mendengar nasihat itu. Memang tidak ramai pun dalam kalangan manusia yang hendak mengambil pengajaran daripada wahyu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana kebanyakan orang kita, ramai yang membacanya sahaja tetapi tidak faham pun apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Atau, sedikit sahaja yang kamu ingat – ingat juga tetapi sedikit sahaja. Kamu tidak usaha pun untuk mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Sekali sekala sahaja kamu baca Al-Qur’an, itu pun bahagian tertentu sahaja. Kebanyakannya faham pun tidak. Setakat baca begitu sahaja tanpa faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Amatlah merugikan.

Ini amat menyedihkan kerana Al-Qur’an itu memberi peringatan kepada kita tentang perjanjian untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ dari sebelum kita dilahirkan lagi. Kita telah lupa perjanjian itu (kerana kita berada di alam roh), maka Allah ‎ﷻ turunkan Al-Qur’an untuk mengingatkan kita tentang perkara itu. Namun jikalau Al-Qur’an itu tidak dipelajari, bagaimana kita hendak mengambil pengajaran?


 

A’raf Ayat 4: Ayat takhwif duniawi.

وَكَم مِن قَريَةٍ أَهلَكنٰها فَجاءَها بَأسُنا بَيٰتًا أَو هُم قائِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many cities have We destroyed, and Our punishment came to them at night or while they were sleeping at noon.

(MALAY)

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah siksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari.

 

وَكَم مِن قَريَةٍ أَهلَكنٰها

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan entah berapa banyak daerah yang telah dibinasakan. Ada yang disebut di dalam Al-Qur’an akan tetapi lebih banyak yang tidak disebut. Semua ini menjadi pengajaran kepada kita yang mahu memikirkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh berikan azab, tidak perlu tunggu akhirat.

 

فَجاءَها بَأسُنا بَيٰتًا أَو هُم قائِلونَ

maka datanglah seksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari.

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana azab itu datang menimpa mereka semasa mereka sedang berehat di malam hari (kerana itu mabit adalah ibadah bermalam di Mina) atau mereka tidur siang hari (dipanggil tidur qailulah). Mereka yang berada di negara yang bercuaca panas, kebiasaannya akan berehat dan tidur di waktu tengahari kerana tidak boleh membuat sebarang aktiviti di luar kerana keadaan terlalu panas.

Maklumat menarik: tidur qailulah amat bagus bagi kesihatan tubuh dan mental kita. Jika ada peluang, maka amalkanlah tidur qailulah.

Maksudnya azab itu datang ketika mereka tidak bersedia, tidak dapat bersedia untuk bertaubat atau meminta ampun. Ketika sedang leka dengan rehat itu, azab datang. Ketika senang, Allah ‎ﷻ turunkan azab. Inilah ancaman yang menakutkan. Kenapa pula Allah ‎ﷻ kenakan azab semasa mereka sedang leka? Tujuannya adalah untuk menambahkan azab itu, memberikan lebih kejutan lagi kepada mereka.

Balaghah: hazf wa zikru. Dalam ayat ini ada hazf perkataan yang berlawanan. Maksudnya, ayat ini tidak penuh kerana ada perkataan yang tidak diletakkan. Ini adalah kerana telah disebut tentang malam بَياتًا, kemudian disebut tentang istirehat siang قائِلونَ pula. Ini seperti ada yang tidak kena. Ini adalah kerana perkataan itu boleh diketahui dengan melihat kepada lawannya, maka Allah ‎ﷻ ringkaskan dan tidak disebut.

    1. Lawan kepada malam بَياتًا, iaitu siang, tidak disebut.
    2. Lawan kepada istirehat siang قائِلونَ, iaitu tidur malam, tidak disebut.

Oleh itu, ayat yang lengkap adalah:

فَجَاءَهَا بَأْسُنَا بَيَاتًا (وهم نائمون) أَوْ (نهاراً) (و)هُمْ قَائِلُونَ

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah seksaan Kami di waktu malam hari (ketika mereka sedang tidur), atau (di waktu siang) ketika mereka beristirahat di tengah hari.


 

A’raf Ayat 5: Ini adalah kata-kata mereka apabila mereka ditimpa azab

فَما كانَ دَعوىٰهُم إِذ جاءَهُم بَأسُنا إِلّا أَن قالوا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And their declaration when Our punishment came to them was only that they said, “Indeed, we were wrongdoers!”

(MALAY)

Maka tidak adalah keluhan mereka di waktu datang kepada mereka seksaan Kami, kecuali mengatakan: “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

Tidak ada seruan mereka ketika sampai azab Allah ‎ﷻ kepada mereka, melainkan mereka kata: memang kami zalim pun. Yang dimaksudkan adalah mereka memang musyrikin. Itulah yang dimaksudkan dengan zalim sebab bencana alam itu terjadi selalunya berpunca daripada akidah yang rosak dan zalim yang terbesar adalah zalim syirik.

Maknanya, mereka memang akan mengaku yang mereka telah melakukan syirik semasa hidup di dunia. Ini juga ada disebut di dalam ayat lain dalam Anbiya’:12-14

فَلَمّا أَحَسّوا بَأسَنا إِذا هُم مِنها يَركُضونَ

Maka tatkala mereka merasakan azab Kami, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya.

لا تَركُضوا وَارجِعوا إِلىٰ ما أُترِفتُم فيهِ وَمَسٰكِنِكُم لَعَلَّكُم تُسئَلونَ

Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya.

قالوا يا وَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

Mereka berkata: “Aduhai, celaka kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

Ibnu Kathir رحمه الله memasukkan hadith di bawah di dalam kitab tafsirnya,

 

قَالَ سُلَيْمَانُ حَدَّثَنِي رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَنْ يَهْلَكَ النَّاسُ حَتَّى يَعْذِرُوا أَوْ يُعْذِرُوا مِنْ أَنْفُسِهِمْ

Sulaiman menyebutkan, “Telah menceritakan kepadaku seorang laki-laki sahabat Nabi ﷺ, bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Sekali-kali manusia tidak akan binasa hingga mereka banyak melakukan kesalahan, atau baginda mengatakan, “hingga mereka mencari dalih daripada kesalahan mereka.”

(Sunan Abu Dawud (4347))

Disahihkan oleh Albani رحمه الله.

Maknanya mereka yang bersalah itu akan mengaku juga kesalahan mereka apabila dikenakan dengan azab itu. Cuma mereka mencari-cari alasan untuk menyelamatkan diri mereka. Sudahlah salah, cari alasan pula. Ini bukanlah cara orang beriman. Orang beriman mengaku salah awal-awal lagi dan meminta ampun. Bukannya setelah dikenakan azab baru hendak mengaku kerana mengaku pada waktu itu tidak bermanfaat lagi. Sekiranya mereka mahu beri alasan pun tidak berguna kerana mana mungkin berjaya berhujah dengan Allah ﷻ?


 

TINDAK BALAS KEPADA DAKWAH PARA NABI

A’raf Ayat 6: Ini adalah ayat jenis takhwif ukhrawi.

فَلَنَسأَلَنَّ الَّذينَ أُرسِلَ إِلَيهِم وَلَنَسأَلَنَّ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will surely question those to whom [a message] was sent, and We will surely question the messengers.

(MALAY)

Maka sesungguhnya Kami akan menanyai umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (Kami),

 

فَلَنَسأَلَنَّ الَّذينَ أُرسِلَ إِلَيهِم

Maka sesungguhnya Kami akan menanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka

Ini adalah soalan  yang menakutkan kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang akan tanya. Jika disoal oleh polis pun kita sudah kecut perut, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang tanya kita, bukan? Namun begitu, ia tetap pasti akan berlaku. Maka, Allah ‎ﷻ pasti akan tanyakan umat yang telah diutuskan Rasul kepada mereka. Mereka akan ditanya: adakah sampai wahyu kepada mereka ataupun tidak. Inilah soalan yang akan ditanya kepada umat yang derhaka dan mereka akan ditanya dengan keras.

Mereka bukan sahaja ditanya adakah telah sampai seruan wahyu, tetapi ditanya juga cara penerimaan mereka terhadap wahyu tersebut. Adakah mereka terima dan ikut? Jika kita yang sudah terima Al-Qur’an ini pun tidak ikut, maka kita pun akan ada masalah nanti di akhirat.

Ada antara mereka yang akan cuba menipu dengan mengatakan bahawa mesej wahyu tidak sampai kepada mereka. Namun itu semua adalah cubaan kosong sahaja kerana ia tidak akan diterima. Umat Islam akan menjadi saksi yang para Rasul mereka sudah menyampaikan ajaran wahyu. Kenapakah pula umat Islam yang menjadi saksi? Dan bagaimana pula kita menjadi saksi sedangkan kita tidak ada di zaman mereka? Kita umat Islam boleh menjadi saksi kerana kita tahu dalam Al-Qur’an sudah disebut yang para Rasul mereka sudah sampaikan ajaran kepada mereka.

 

وَلَنَسأَلَنَّ المُرسَلينَ

dan sesungguhnya Kami akan menanyakan (pula) rasul-rasul

Bukan sahaja umat yang mendapat rasul itu yang akan ditanya, tetapi pertanyaan itu turut ditujukan kepada rasul-rasul yang telah diutus. Walau bagaimanapun, mereka itu akan ditanya dengan lembut. Berbeza pula jika ditanya kepada umat yang degil di mana mereka akan ditanya dengan keras.

Kepada para Rasul itu, akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan wahyu ataupun tidak kepada umat mereka. Allah ‎ﷻ akan tanya kerana ia adalah amat penting sekali. Jika telah sampai wahyu kepada mereka dan mereka masih berdegil, maka tidak ada maaf bagi mereka. Namun begitu, jika wahyu tidak sampai kepada mereka, maka masih ada harapan lagi.

Namun sudah tentulah mereka telah sampaikan dan apabila kaum mereka menolak dan cuba menidakkan mesej wahyu yang telah disampaikan, maka kita umat Nabi Muhammad ﷺ yang akan bangkit menjadi saksi bagi para Rasul itu.

Para Rasul itu juga akan ditanya tentang penerimaan kaum mereka. Mereka jawab yang mereka tidak tahu. Ini bersamaan dengan firman Allah ‎ﷻ:

{يَوْمَ يَجْمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَا أُجِبْتُمْ قَالُوا لَا عِلْمَ لَنَا إِنَّكَ أَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ}

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka), “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?” Para rasul menjawab, “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu); sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui perkara yang ghaib.” [Al-Maidah: 109 ]

Soalan ini menunjukkan betapa pentingnya para Rasul itu menyampaikan wahyu kepada umat mereka. Itu adalah tugas yang perlu mereka jalankan, bukannya suka-suka sahaja untuk sampaikan atau tidak, bukan sebagai hobi, bukan sebagai pengisi masa lapang. Mereka mesti menyampaikan kerana mereka akan ditanya. Mereka pun ada masalah kalau mereka tidak sampaikan dan sudah pasti mereka telah sampaikan.


 

A’raf Ayat 7:

فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيهِم بِعِلمٍ ۖ وَما كُنّا غائِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will surely relate [their deeds] to them with knowledge, and We were not [at all] absent.

(MALAY)

maka sesungguhnya akan Kami khabarkan kepada mereka (apa-apa yang telah mereka perbuat), sedang (Kami) mengetahui (keadaan mereka), dan Kami sekali-kali tidak jauh (dari mereka).

 

فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيهِم بِعِلمٍ

maka sesungguhnya akan Kami khabarkan kepada mereka, sedang (Kami) mengetahui, 

Sebelum ini disebut pertanyaan daripada Allah ‎ﷻ, sekarang disebut Allah ‎ﷻ pula yang akan beritahu. Maknanya, bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang berlaku. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan menceritakan amal-amal mereka semasa di dunia dengan penuh dalil dan bukti kerana Allah ‎ﷻ ada ilmu tentang apakah yang mereka telah lakukan dengan terperinci sekali. Dan akan diceritakan satu persatu dengan terperinci sekali. Allah ‎ﷻ tidak akan menipu, tidak akan menambah atau mengurangkan.

 

وَما كُنّا غائِبينَ

dan Kami sekali-kali tidak jauh

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia tidak pernah menghilangkan diri daripada menghitung amalan mereka semasa di dunia walaupun mereka tidak nampak. Memang Allah ‎ﷻ itu ghaib, kita tidak nampak, tetapi maksud ‘ghaib’ dalam ayat ini, ‘tidak hadir’. Umpamanya di sekolah, jika seorang murid tidak hadir ke kelas, guru kelas akan berkata dia ‘ghaib’. Bukanlah budak itu ghaib tidak nampak, tetapi dia tidak hadir. Maknanya tidak ada satu pun perbuatan kita yang tercicir yang Allah ‎ﷻ tidak nilaikan.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu semula itu bukanlah saja-saja tetapi untuk menghukum dan membalas balasan mereka. Maka, ini mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati di atas segala perbuatan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 115 – 120 (Allah tidak ampunkan dosa syirik)

Maidah Ayat 115: Ini adalah jawapan daripada Allah ‎ﷻ kepada doa Nabi Isa عليه السلام itu.

قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم ۖ فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh said, “Indeed, I will send it down to you, but whoever disbelieves afterwards from among you – then indeed will I punish him with a punishment by which I have not punished anyone among the worlds.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.

 

قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, 

Lafaz مُنَزِّلُ bermaksud Allah ‎ﷻ boleh bawa turun selalu hidangan dari langit, bukan sekali sahaja tetapi banyak kali pun boleh. Ia bukanlah susah untuk Allah ‎ﷻ. Juga bermaksud: Allah ‎ﷻ pasti akan turunkan hidangan itu.

 

فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ

barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.

Tetapi Allah ‎ﷻ beri peringatan. Jangan main-main dan kena fikirkan balik. Jika Allah ‎ﷻ sudah bawa turun makanan itu dan ada juga yang menolak agama selepas itu, mereka akan diberikan dengan azab yang amat berat. Akan diberikan seksaan dengan sejenis azab yang Allah ‎ﷻ tidak pernah azab seperti itu terhadap penduduk alam yang lain.

Maknanya, azab yang amat-amat berat, bukan azab yang biasa. Azab yang biasa pun sudah teruk, tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz yang amat menakutkan sekali. Dia sendiri yang akan seksa! Maka ini azab yang lain daripada biasa, kerana selalunya yang akan beri seksaan itu adalah malaikat.

Jadi, ada peringatan dalam ayat ini supaya jangan minta perkara yang akan menyusahkan diri sendiri. Azab itu tidak disebut pun, tetapi Dia cuma kata Dia sendiri yang akan seksa. Dia boleh beri, tetapi ada ancaman dalam pemberian itu.

Para ulama’ tafsir khilaf tentang penurunan maidah ini. Ada yang kata memang Allah ‎ﷻ bawa turun hidangan itu dan ada juga yang kata Allah ‎ﷻ tidak bawa turun pun. Ini kerana mereka takut dengan syarat ketat yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka tidak jadi diturunkan. Allahu a’lam. Pendapat jumhur mengatakan, memang bawa turun sungguh. Ada yang mengatakan ia diturunkan pada pagi atau petang hari Ahad, maka kerana itu Ahad menjadi hari yang mulia bagi Kristian.

Namun selepas itu ada yang menerima kebenaran dan ada juga yang ingkar. Dan sesiapa yang ingkar itu terus menjadi khinzir semasa di dunia lagi kerana mereka yang minta diturunkan makanan dari langit, tetapi kemudian mereka bertanya pelbagai perkara pula: dari mana datangnya dari langitkah atau dari dunia, betulkah Allah ‎ﷻ yang menurunkannya dan sebagainya. Allahu a’lam.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan melalui jalur Auf Al-A’rabi, daripada Abul Mugirah Al-Qawwas, daripada Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa manusia yang paling keras azabnya kelak di hari kiamat ada tiga jenis, iaitu orang-orang munafik, orang-orang yang kafir dalam kalangan mereka yang menerima hidangan dari langit, dan Fir’aun berserta para pendukungnya.

Ada banyak kisah tentang makanan ini tetapi kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya lagi, maka tidak dimasukkan ke dalam penulisan ini. Ada menyebut mereka minta setelah mereka disuruh berpuasa, maka mereka minta ‘hadiah’ selepas 30 hari berpuasa; ada yang menyebut tentang jenis-jenis makanan; ada yang menyebut tentang kesan hebat selepas memakan makanan itu; ada yang menyebut berapa ramai yang makan sampai 4 ribu orang; ada yang menyebut hal-hal yang terjadi selepas makanan itu diturunkan.

Sekian Ruku’ 15 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 116: Ini adalah ayat jenis i’adah: pengulangan semula, kembali memperkatakan tajuk asal yang pernah disebut sebelum ini: kenapa ramai makhluk memuja Nabi Isa عليه السلام.

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ قالَ سُبحٰنَكَ ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ ۚ إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ ۚ تَعلَمُ ما في نَفسي وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [beware the Day] when Allāh will say, “O Jesus, Son of Mary, did you say to the people, ‘Take me and my mother as deities besides Allāh?’ ” He will say, “Exalted are You! It was not for me to say that to which I have no right. If I had said it, You would have known it. You know what is within myself, and I do not know what is within Yourself. Indeed, it is You who is Knower of the unseen.

(MALAY)

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang ilah selain Allah?”. Isa menjawab: “Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib”.

 

وَإِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa putera Maryam, 

Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام adalah ilah (yang dilantik manusia) yang paling banyak dipuja kalau dibandingkan dengan nabi-nabi lain, maka Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Nabi Isa عليه السلام panjang sikit. Allah ‎ﷻ menceritakan soalan yang akan ditanyakan kepada baginda di akhirat kelak.

 

ءأَنتَ قُلتَ لِلنّاسِ اتَّخِذوني وَأُمِّيَ إِلٰهَينِ مِن دونِ اللَّهِ ۖ

adakah engkau mengatakan kepada manusia: “Jadikanlah aku dan ibuku dua ilah selain Allah?”. 

Soalan Allah ‎ﷻ: adakah kamu telah ajar kepada orang ramai untuk menjadikan dirimu dan ibumu sebagai ilah selain Allah ‎ﷻ? Adakah kamu ajar begitu kerana ramai pengikut Kristian sekarang ini…. wahai penganut Kristian, bacalah ayat ini betul-betul. Kamu sekarang yang menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها sebagai pujaan bukan?

Soalan ini akan Allah ‎ﷻ tanyakan di hadapan mereka yang telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام dan ibunya Maryam رضي الله عنها sebagai sembahan ilah.

 

قالَ سُبحٰنَكَ

Isa menjawab: “Maha Suci Engkau,

Jawapan Nabi Isa عليه السلام: Maha Suci Engkau daripada ada ilah selain Engkau. Kalimah tasbih adalah menolak syirik. Maka Nabi Isa عليه السلام sendiri membersihkan fahaman yang salah itu. Memang tidak ada dalam fahaman baginda adanya ilah yang lain selain Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak mengaku sebagai tuhan. Jadi kenapa umat Kristian senang sahaja mengaku baginda sebagai tuhan?

 

ما يَكونُ لي أَن أَقولَ ما لَيسَ لي بِحَقٍّ

tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku

Sambung Nabi Isa عليه السلام lagi dalam jawapan baginda: tidaklah layak untuk aku bercakap yang bukan hak aku. Aku tidak ada hak berkata begitu.

Nabi Isa عليه السلام tidak akan membuat benda yang salah dari segi agama. Baginda tidak pernah suruh dan tidak pernah kata sesiapa pun boleh puja baginda sebagai ilah. Yang menjadi masalah adalah umat manusia yang salah faham dan tidak menjauhkan diri daripada syirik.

 

إِن كُنتُ قُلتُهُ فَقَد عَلِمتَهُ

Jika aku pernah mengatakan, maka tentulah Engkau mengetahuinya. 

Nabi Isa عليه السلام sambung: kalau aku pernah cakap begitu dahulu, tentu Kamu pun tahu. Kamu tahu setiap kalimah yang aku sebutkan.

Jadi ayat ini bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ tidak tahu. Allah ‎ﷻ memang tahu apa yang terjadi. Tetapi kerana Allah ‎ﷻ hendak mengajar dan menegur golongan yang menjadikan baginda sebagai ilah.

 

تَعلَمُ ما في نَفسي

Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku

Nabi Isa عليه السلام menyebut bahawa tentu Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati baginda. Segala-galanya tentang baginda, Allah ‎ﷻ tentu tahu.

 

وَلا أَعلَمُ ما في نَفسِكَ

dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. 

Dan baginda mengaku yang baginda tidak tahu apa yang ada pada Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini, baginda membezakan diri baginda daripada Allah ‎ﷻ. Tidaklah baginda satu daripada tiga – triniti. Amat sesat sekali apa yang difahami oleh orang Kristian sekarang.

 

إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib”.

Sekarang diberikan satu penekanan yang amat penting: Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui segala perkara yang ghaib. Manusia lain, termasuk para Nabi, termasuk Nabi Isa عليه السلام, tidak tahu alam ghaib melainkan apa yang Allah ‎ﷻ khabarkan sahaja.

Inilah akidah yang kita kena pegang. Yang tahu ilmu ghaib hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak ada makhluk lain yang tahu. Maka jangan kita buat syirik dengan mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib, sama ada jin, malaikat, manusia seperti Nabi, wali, guru, ustaz dan sesiapa sahaja. Memang ada salah faham begini dalam kalangan masyarakat Muslim maka kena tolak fahaman yang sebegini.


 

Maidah Ayat 117: 

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۚ وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم ۖ فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم ۚ وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I said not to them except what You commanded me – to worship Allāh, my Lord and your Lord. And I was a witness over them as long as I was among them; but when You took me up, You were the Observer over them, and You are, over all things, Witness.

(MALAY)

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

 

ما قُلتُ لَهُم إِلّا ما أَمَرتَني بِهِ

Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku

Nabi Isa عليه السلام kata tidaklah baginda bercakap kepada mereka melainkan apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan baginda cakap sahaja. Baginda tidak memandai cakap ikut nafsu sendiri.

 

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ رَبّي وَرَبَّكُم

iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, 

Ini yang baginda perintahkan kepada umatnya: hendaklah mereka semua sembah dan seru Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia yang mencipta dan memelihara baginda dan mereka semua. Inilah yang penting sekali baginda telah beritahu kepada mereka, iaitu tentang tauhid.

Lihatlah bagaimana Nabi Isa عليه السلام mengaku yang baginda adalah hamba dan Allah‎ ﷻ itu Tuhan. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh penganut Kristian sekarang.

 

وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا مّا دُمتُ فيهِم

dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. 

Dan baginda hanya berhak menjadi saksi ke atas mereka selama mana baginda hidup bersama mereka; iaitu semasa baginda belum diangkat ke langit. Waktu itu baginda tinggal bersama dengan mereka, maka bolehlah baginda tahu apa yang mereka cakap dan fahaman mereka, setakat yang zahir sahaja.

 

فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم

Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka.

Dan apabila Allah ‎ﷻ telah mematikan baginda, Allah ‎ﷻlah yang menguasai penuh ke atas mereka. Baginda tidak tahu menahu termasuk yang mereka puja baginda. Soal jawab ini terjadi selepas Hari Kiamat kelak. Bukannya semasa baginda diangkat ke langit. Maknanya, selepas baginda diangkat ke langit, baginda akan diturunkan kembali ke dunia dan akan diwafatkan seperti orang lain juga.

Selepas baginda wafat, baginda tidak tahu apa yang terjadi di dunia. Ini menunjukkan bahawa apabila baginda diangkat ke langit, baginda tidak tahu perbuatan umat baginda. Sama juga kalau seseorang itu telah mati, telah putus hubungan dengan dunia.

Jadi, ini adalah sebagaimana wali dan Nabi yang tidak tahu ada manusia yang memuja dan menyeru mereka. Maka sia-sialah harapan puak musyrik terhadap wali dan Nabi mereka. Termasuk jugalah kalangan masyarakat Islam yang memuja wali dan Nabi-nabi, yang pergi ke kubur dan minta macam-macam itu.

 

وَأَنتَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ maha menyaksikan atas segala perkara. Jadi, segala perbuatan manusia, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ suruh malaikat catit. Nanti akan dibentang di akhirat kelak dan akan dibalas sesuai dengan perbuatan itu. Jika perbuatan itu adalah perbuatan syirik, maka yang akan dibalas adalah neraka selama-lamanya.


 

Maidah Ayat 118: Allah‎ ﷻ hendak mengajar bahawa syafaat bukanlah datang daripada Nabi Isa عليه السلام juga. Ini penting kerana ramai yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام akan memberi syafaat kepada mereka. Mereka berharap kepada Nabi Isa عليه السلام sehinggakan mereka berasa bebas membuat dosa sepanjang minggu dan sehingga hari Ahad, atau sekali sekala, mereka akan ‘cuci dosa’ di gereja.

Mereka telah reka satu akidah di mana para paderi menjadi wakil kepada Nabi Isa عليه السلام untuk mengampunkan segala dosa mereka. Padahal, paderi itu pun tidak tahu sama ada Nabi Isa عليه السلام terima atau tidak taubat mereka. Jadi pening habis agama mereka, jadi rosak terus. Inilah kebodohan yang berlaku dalam agama Kristian. Maka kita kena beritahu kepada mereka tentang kesesatan mereka.

Jika tidak diberitahu, begitulah mereka akan jadi, masuk neraka buat selama-lamanya; tiada peluang langsung untuk keluar. Sedangkan ramai antara mereka memang orang yang baik-baik dari segi akhlak dan hati mereka.

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ ۖ وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If You should punish them – indeed they are Your servants; but if You forgive them – indeed it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MALAY)

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau,

Nabi Isa عليه السلام sambung lagi kata-kata baginda: jika Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk mengazab mereka yang telah berbuat dosa itu, maka tiada bangkangan daripada sesiapa pun. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang, kerana kuasa penuh adalah pada Allah ‎ﷻ.

Ini adalah jumlah ta’liliyah (sebab): Allah ‎ﷻ boleh membuat apa sahaja dengan hamba-Nya, sebabnya kerana mereka itu semua hamba Allah ‎ﷻ. Oleh itu, Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk beri keampunan kepada mereka. Jadi apa yang penganut Kristian lakukan setiap minggu hari Ahad itu adalah sia-sia sahaja.

 

وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Namun begitu, sekiranya Engkau mengampuni mereka di atas kesalahan syirik mereka, itu bukan sifat ketuhanan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ telah berjanji tidak akan mengampuni dosa syirik. Dan kerana sifat rahmat tidak ada pada orang kafir syirik. Engkau maha gagah perkasa dan maha bijaksana, engkau boleh hukum mereka.

Allah‎ ﷻ telah memberi peluang untuk menguji mereka dan mereka telah terkandas. Maka tidak ada maaf untuk mereka. Memang Allah ‎ﷻ boleh beri keampunan tetapi tidak dalam perkara syirik.

Jadi, ayat ini kena faham sebaik-baiknya, kerana kalau kita salah tafsir, ia akan menjadi berlawanan dengan ayat-ayat lain. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak menggunakan pun lafaz Sifat Dia al-Ghafur dan al-Affuw kerana itu adalah tentang sifat memberi ampun dan ayat ini bukan tentang memberi keampunan kepada mereka yang telah melakukan syirik.

Maka sekian sahaja cerita mengenai orang Kristian. Mereka itu semenjak kecil sehingga mati memuja Nabi Isa عليه السلام kerana salah faham dalam agama. Ini kerana agama mereka telah dirosakkan oleh agamawan mereka, dan kitab wahyu yang mereka patut ada pun telah dirosakkan oleh ahli agama yang terdahulu. Malangnya, orang kita yang patutnya ada Al-Qur’an, tetapi buat sama sahaja seperti mereka, itu yang pelik.

Al-Qur’an tidak pernah dapat diubah dan tetap begitu juga. Namun ramai yang tidak faham dan keliru tentang agama kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi, kalau ada Al-Qur’an pun, tetapi tidak faham isi kandungannya, tidak menjadi juga, boleh menjadi sesat juga.

Nabi Muhammad ﷺ akan memberikan jawapan yang sama juga nanti di akhirat seperti yang disebut dalam satu hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَوْعِظَةٍ، فَقَالَ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ، حُفَاةً عُرَاةً غُرْلا كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ، وَإِنَّ أَوَّلَ الْخَلَائِقِ يُكْسى إِبْرَاهِيمُ، أَلَا وَإِنَّهُ يُجَاءُ بِرِجَالٍ مِنْ أُمَّتِي فَيُؤْخَذُ بِهِمْ ذَاتَ الشِّمَالِ فَأَقُولُ: أَصْحَابِي. فَيُقَالُ: إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ. فَأَقُولُ كَمَا قَالَ الْعَبْدُ الصَّالِحُ: {وَكُنْتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَا دُمْتُ فِيهِمْ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنْتَ أَنْتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ * إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَيُقَالُ: إِنَّ هَؤُلَاءِ لَمْ يَزَالُوا مُرْتَدِّينَ عَلَى أَعْقَابِهِمْ مُنْذُ فَارَقْتَهُمْ”.

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan kami untuk mengemukakan suatu nasihat. Baginda bersabda: Hai manusia, sesungguhnya kalian kelak akan dihimpunkan oleh Allah ‎ﷻ dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang lagi belum dikhitan. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. (Al-Anbiya: 104) Dan sesungguhnya manusia yang mula-mula diberi pakaian kelak di hari kiamat ialah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ingatlah, sesungguhnya kelak akan didatangkan banyak orang laki-laki dalam kalangan umatku, lalu mereka digiring ke sebelah kiri, maka aku berkata, “Sahabat-sahabatku! ” Tetapi dijawab, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang dibuat-buat oleh mereka sesudahmu.” Maka aku katakan seperti apa yang dikatakan oleh seorang hamba yang soleh, iaitu: Dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguh­nya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau meng­ampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 117-118) Maka dikatakan, “Sesungguhnya mereka terus-menerus dalam keadaan mundur ke belakang mereka sejak engkau berpisah dengan mereka.”
Imam Bukhari telah meriwayatkannya ketika membahas tafsir ayat ini.

Lafaz ‘hamba yang soleh’ yang digunakan dalam hadith ini tentunya merujuk kepada Nabi Isa عليه السلام.

Begitu pentingnya ayat ini, sampaikan Nabi Muhammad ﷺ pernah mengulang-ngulang ayat ini dalam salat baginda. Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Nabi ﷺ membacanya di malam hari hingga subuh, yakni dengan mengulang-ulang bacaan ayat ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْل، حَدَّثَنِي فُليَت الْعَامِرِيُّ، عَنْ جَسْرة الْعَامِرِيَّةِ، عَنْ أَبِي ذَرٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-لَيْلَةً فَقَرَأَ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ، يَرْكَعُ بِهَا وَيَسْجُدُ بِهَا: {إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ} فَلَمَّا أَصْبَحَ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا زِلْتَ تَقْرَأُ هَذِهِ الْآيَةَ حَتَّى أَصْبَحْتَ تَرْكَعُ بِهَا وَتَسْجُدُ بِهَا؟ قَالَ: “إِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي، عَزَّ وَجَلَّ، الشَّفَاعَةَ لِأُمَّتِي، فَأَعْطَانِيهَا، وَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لِمَنْ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, telah menceritakan kepadaku Fulait Al-Amiri, dari Jisrah Al-Amiriyah, dari Abu Zar رضي الله عنه yang menceritakan bahawa di suatu malam Nabi ﷺ melakukan salat, lalu baginda membaca satu ayat yang hingga subuh baginda tetap membacanya dalam rukuk dan sujudnya, iaitu firman-Nya: Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau; dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Maidah: 118) Ketika waktu subuh Abu Hurairah bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau terus-menerus membaca ayat ini hingga subuh, sedangkan engkau tetap membacanya dalam rukuk dan sujudmu?” Rasulullah ﷺ menjawab: Sesungguhnya aku memohon kepada Tuhanku akan syafaat bagi umatku, maka Dia memberikannya kepadaku; dan syafaat itu dapat diperoleh —Insya Allah— oleh orang yang tidak pernah mem­persekutukan Allah dengan sesuatu pun (dalam kalangan umatku).

(HR. Ahmad No. 21238, sanadnya hasan menurut Syeikh al-Arnauth)

Daripada hadith ini ada satu pengajaran penting bagi kita semua: iaitu tidak ada syafaat bagi orang yang melakukan syirik. Jadi kena jaga baik-baik supaya kita jangan langsung ada fahaman dan amalan syirik. Dan kalau tidak ada syirik dan mati dengan tidak mensyirikkan Allah ‎ﷻ, syafaat itu sudah pasti, akan dapat secara automatik. Tidak perlu hendak seru Nabi Muhammad ﷺ untuk memminta syafaat daripada baginda lagi kerana ia pasti akan diberikan kepada mereka yang tidak mempersekutukan Allah ‎ﷻ.


 

Maidah Ayat 119: 

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم ۚ لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will say, “This is the Day when the truthful will benefit from their truthfulness.” For them are gardens [in Paradise] beneath which rivers flow, wherein they will abide forever, Allāh being pleased with them, and they with Him. That is the great attainment.

(MALAY)

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.

 

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka.

Ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan nikmat di akhirat). Allah ‎ﷻ hendak menceritakan tentang hari akhirat. Inilah hari yang golongan yang benar akidah dan amalan akan mendapat faedah daripada kebenaran yang ada pada mereka semasa di dunia.

Ini adalah kerana mereka telah mengikut dan amal wahyu yang disampaikan kepada mereka. Usaha mereka sekian lama semasa di dunia telah berbaloi. Pada hari akhirat nanti, ada orang yang mendapat susah, tetapi mereka akan mendapat kesenangan.

 

لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai;

Mereka dijanjikan dengan syurga dan kemudian Allah ‎ﷻ menceritakan keindahan dalam syurga. Syurga tidak dapat dibayangkan dengan mata, maka Allah ‎ﷻ hanya sebut tentang sungai-sungai yang mengalir dalam syurga. Itu sebagai isyarat kepada kemewahan yang akan didapati oleh ahli syurga.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;

Kalau duduk sebentar sahaja tentulah tidak bagus. Jadi Allah ‎ﷻ menjanjikan yang mereka akan kekal selama-lamanya di sana. Semua yang diterangkan ini adalah nikmat jasmani yang dijanjikan.

 

رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ

Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya.

Ini pula tentang nikmat rohani. Dan nikmat rohani pula lebih lagi daripada nikmat jasmani. Jika kita pergi ke mana-mana rumah yang indah, tentu kita hendak bertemu dengan tuan rumah, bukan? Begitulah kita dengan syurga, tentu setelah melihat keindahan syurga, keindahan yang seterusnya kita mahu lihat adalah keindahan Allah ‎ﷻ. Kita hendak sangat jumpa Allah ‎ﷻ, Tuhan kita.

Kita hendak jumpa Allah ‎ﷻ dalam keadaan Allah ‎ﷻ redha dengan kita. Dan redha Allah ‎ﷻ itulah yang lebih tinggi lagi sebagai nikmat. Maksudnya Allah ‎ﷻ redha kita sebagai hamba. Ini adalah kerana kita telah mengikut apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan. Allah‎ ﷻ puas hati dengan kita, kerana kita tidak degil.

Jika ibubapa kita redha kita sebagai anak mereka pun kita sudah suka, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang redha kita sebagai hamba Dia, tentu lebih lagi kenikmatan itu.

Dan kita pula puas hati di atas pemberian Allah ‎ﷻ. Mana mungkin tidak puas hati, sedangkan pemberian yang diberi itu lebih lagi daripada apa yang kita telah lakukan. Bayangkan hidup di dunia sekejap sahaja, beramal pun sekejap sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ beri balasan berlebih-lebih lagi, dan kekal abadi selama-lamanya. Takkan tidak redha lagi?

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang paling besar”.

Inilah keberuntungan yang paling besar, tiada suatu keberuntungan pun yang lebih besar daripada itu. Mereka beruntung itu kerana mereka telah berusaha semasa di dunia.


 

Maidah Ayat 120: Ini adalah khulasah (kesimpulan) surah ini.

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ ۚ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth and whatever is within them. And He is over all things competent.

(MALAY)

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما فيهِنَّ

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya;

Segala alam dan apa yang ada di dalamnya adalah milik Allah ‎ﷻ. Tidak ada apa pun yang Allah ‎ﷻ berkongsi dengan sesiapa. Tidak dengan Nabi Isa عليه السلام, tidak dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh kerana alam ini Allah ‎ﷻ yang punya, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang menguruskannya. Tidak diserahkan kuasa pengurusan itu kepada sesiapa pun.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak buat, Dia boleh buat kerana kekuasaan dan penguasaan Allah ‎ﷻ adalah lengkap dan mutlaq.

Allahu a’lam. Tamat sudah terjemah surah Maidah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-An’am.

 

Kemaskini: 26 September 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 110 – 114 (Mukjizat-mukjizat Nabi Isa)

Maidah Ayat 110: Dalam ramai-ramai Nabi yang ditanya, paling banyak ditanya adalah Nabi Isa عليه السلام. Ini adalah kerana umat baginda yang banyak sesat menggunakan nama baginda. Amat ramai yang seru baginda dan menjadikan baginda sebagai tuhan.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada baginda.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا ۖ وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ ۖ وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني ۖ وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني ۖ وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني ۖ وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The Day] when Allāh will say, “O Jesus, Son of Mary, remember My favor upon you and upon your mother when I supported you with the Pure Spirit [i.e., the angel Gabriel] and you spoke to the people in the cradle and in maturity; and [remember] when I taught you writing and wisdom and the Torah and the Gospel; and when you designed from clay [what was] like the form of a bird with My permission, then you breathed into it, and it became a bird with My permission; and you healed the blind [from birth] and the leper with My permission; and when you brought forth the dead with My permission; and when I restrained the Children of Israel from [killing] you when you came to them with clear proofs and those who disbelieved among them said, “This is not but obvious magic.”

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam, ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu menulis, hikmah, Taurat dan Injil, dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku, kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku. Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israil (dari keinginan mereka membunuh kamu) di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, lalu orang-orang kafir diantara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ

(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam,

Oleh itu, semua yang dijadikan sebagai sembahan akan ditanya tetapi disebut kisah Nabi Isa عليه السلام sebagai contoh.

اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ

ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu

Allah ‎ﷻ tolak kefahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام yang banyak terjadi, dari dahulu sampai sekarang, apabila manusia terlalu mengangkat kedudukan baginda sehingga ke tahap yang tidak sepatutnya.

Bukan Nabi Isa عليه السلام sahaja yang diangkat terlalu tinggi melebihi kedudukan sebagai manusia, tetapi ibunya Maryam رضي الله عنها juga telah diangkat terlalu tinggi. Sampaikan ada yang menjadikan Maryam رضي الله عنها sebagai salah satu daripada triniti (Tiga Tuhan dalam Satu, iaitu fahaman sesat Kristian).

Ini adalah titah Allah ‎ﷻ kepada Nabi Isa عليه السلام di akhirat kelak. Namun sekarang kita yang membacanya. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menyeru manusia agar mengingati nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Nabi Isa عليه السلام dan kepada ibu baginda. Antara nikmat itu adalah: Allah ‎ﷻ telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام tanpa bapa. Allah ‎ﷻ menjadikan baginda sebagai tanda kekuasaan-Nya di alam ini, dan tanda bahawa Dia boleh menjadikan apa sahaja. Dan kemudian Allah ‎ﷻ telah menaikkan baginda menjadi Rasul.

Maryam رضي الله عنها juga telah mendapat nikmat seorang anak yang amat hebat, iaitu seorang Rasul. Anaknya itu dijadikan sebagai tanda kesuciannya, menolak cemuhan kaumnya yang mengatakan beliau telah melakukan zina.

Semasa anaknya masih kecil beberapa waktu sahaja (mungkin beberapa jam atau beberapa hari sahaja), baginda telah bercakap mempertahankan kesucian ibunya itu daripada kesalahan zina.

Maknanya, semua yang mereka dapat itu, Allah ‎ﷻ yang berikan. Semua itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ, bukan mereka sendiri. Oleh itu, mereka berdua bukan Tuhan, juga bukanlah sebahagian daripada Tuhan kerana jika mereka itu Tuhan, tentu mereka mempunyai kuasa sendiri. Sedangkan apa sahaja yang mereka ada, adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ.

إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ

di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus.

‘Ruhul Qudus’ yang dimaksudkan adalah malaikat Jibril عليه السلام. Maksud Ruhul Qudus adalah ‘Roh yang Suci’. Di dalam agama Kristian, mereka menggelarkan ‘The Holy Spirit’ atau ‘The Holy Ghost’.

Allah ‎ﷻ mengingatkan baginda ketika Dia telah bantu dan menguatkan baginda dengan malaikat Jibril عليه السلام yang sentiasa bersama dengan baginda. Setiap kali baginda berdakwah, malaikat Jibril عليه السلام ada di sisi baginda. Nabi lain tidak ada mendapat pertolongan sebegini.

تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا

Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa;

Dan Allah ‎ﷻ mengingatkan bagaimana Nabi Isa عليه السلام boleh bercakap-cakap dengan manusia walaupun baginda waktu itu masih dalam buaian lagi. Ini juga seperti yang disebut dalam Surah Taha. Bicara baginda pula bukanlah bicara kosong tetapi dakwah mengajak kaumnya kembali kepada dakwah tauhid dan agama yang lurus.

Dan bukan sahaja semasa baginda kecil dapat bercakap, tetapi selepas baginda dewasa juga. Namun apa hebatnya boleh berkata-kata waktu dewasa? Yang menariknya tentang ayat ini, lafaz كَهلً dari segi bahasa bermaksud sesorang yang berumur 40 ke atas. Tetapi dari riwayat, semua tahu bahawa baginda telah dinaikkan ke langit semasa baginda berumur awal 30-an.

Jadi, ini adalah antara dalil bahawa baginda akan diturunkan kembali ke bumi sekali lagi dan waktu itulah baginda akan terus berkata-kata dengan manusia, iaitu ketika baginda turun dari langit dan dapat bercakap dengan orang lain.

Baginda akan berkahwin dan mendapat anak dan akan mati dan akan dikebumikan. Sekali baca, memang tidak nampak tentang perkara ini kerana itulah ada juga yang tidak percaya bahawa Nabi Isa عليه السلام akan dibangkitkan semula, kerana mereka kata tiada dalil. Jadi, salah satu dalilnya terdapat dalam ayat ini. Namun dalilnya tidaklah jelas melainkan ada kefahaman daripada bahasa yang digunakan.

وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu tentang al-Kitab dan hikmah, 

Dan sekarang Allah‎ ﷻ mengingatkan baginda tentang nikmat ilmu yang diberikan kepada baginda. Allah ‎ﷻ telah mengajar ‘al-Kitab’ yang bermaksud Al-Qur’an dan ‘al-Hikmah’ yang bermaksud hadith Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah ketika baginda diturunkan pada kali kedua. Baginda kena mengamalkan syariat Nabi Muhammad ﷺ pada kali kedua baginda dibangkitkan jadi baginda kena mendapatkan ilmu Al-Qur’an dan Hadith Nabi.

 

وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Taurat dan Injil,

Dan tentunya baginda telah diajar dengan kitab Taurat dan Injil semasa hayat pertama baginda di dunia lagi. Baginda lebih mahir tentang Taurat daripada para pendita di zamannya, sampaikan baginda telah membongkar penipuan yang dilakukan oleh mereka. Maka kerana itulah mereka benci sangat dengan baginda dan membuat rancangan untuk membunuh baginda.

وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني

dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk daripada tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku, 

Sekarang masuk tentang mukjizat yang telah diberikan kepada baginda pula. Baginda telah membuat bentuk burung daripada tanah liat, dengan izin Allah ‎ﷻ. Buat bentuk burung itu pun sudah memerlukan izin Allah ‎ﷻ. Belum dijadikan hidup lagi pun.

فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني

kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku.

Dan kemudian baginda meniup pada bentuk burung itu dan ia telah menjadi burung sebenar yang hidup. Asalnya daripada bentuk burung sahaja, tetapi sudah menjadi burung sebenar. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan yang itu adalah dengan izin Allah ‎ﷻ, bukannya dengan kudrat baginda sendiri.

Orang Kristian menggunakan ayat ini dan mereka kata: lihatlah Al-Qur’an pun memperakui ketuhanan Jesus!

Tidakkah mereka sedar bahawa semua itu dengan izin Allah ‎ﷻ semata-mata? Memang mereka telah sesat sampaikan mata mereka tidak nampak kebenaran di depan mata. Mereka baca pun tidak sampai habis tetapi mereka tebuk dan mengambil apa yang mereka hendak sahaja. Malangnya, umat Islam pun ada juga menebuk ayat-ayat tertentu untuk membenarkan kesalahan akidah mereka. Ini kerana tidak belajar dan mengambil keseluruhan fahaman ayat-ayat Al-Qur’an.

وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني

Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku, 

Mukjizat yang seterusnya diberitahu dalam ayat ini adalah Nabi Isa عليه السلام telah menyembuhkan orang buta asli semenjak lahir menjadi celik. Jika menyembuhkan orang yang celik kemudian buta, itu pun sudah hebat, apatah lagi jikz orang itu buta semenjak lahir lagi, tentu lebih hebat.

Dan baginda juga telah menyembuhkan orang berpenyakit sopak atau ada juga yang memanggilnya kusta. Ini adalah penyakit yang tidak dapat diubati zaman sekarang pun, tetapi Nabi Isaعليه السلام  dapat mengubatinya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan lagi yang semua itu bukan daripada kudrat baginda tetapi dengan izin Allah ‎ﷻ. Jika bukan Allah‎ ﷻ yang mengizinkan, maka, ia tidak akan terjadi kerana yang menyembuhkan hanya Allah ‎ﷻ sahaja.

وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني

dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur dengan seizin-Ku, 

Maksud ‘mengeluarkan’ itu adalah mengeluarkan dari kubur, iaitu menjadikan orang itu hidup kembali. Maknanya, Nabi Isa عليه السلام pernah menghidupkan orang yang telah mati, tetapi itu pun dengan izin Allah ‎ﷻ.

Kita kena ingat yang semuanya itu dengan izin Allah ‎ﷻ. Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak ada kuasa, semua itu adalah kuasa daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang izinkan.

وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ

dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israel daripada engkau di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan ketika Dia menghalangi Bani Israel daripada membunuh Nabi Isa عليه السلام, iaitu dengan mengangkat baginda dari dunia dan puak Rom telah membunuh orang lain yang disangka sebagai Nabi Isa عليه السلام.

Nabi Isa عليه السلام telah dirancang untuk dibunuh oleh puak Yahudi kerana baginda telah membuka kesalahan yang mereka telah lakukan selama hari ini. Oleh kerana marahkan Nabi Isa عليه السلام, mereka telah menghasut kerajaan Rom sebagai pemerintah pada waktu itu untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام. Mereka menuduh Nabi Isa عليه السلام telah mengaku sebagai Raja Bani Israel dan itu telah menyebabkan kerajaan Rom bertindak.

Oleh itu, rancangan untuk membunuh baginda itu adalah kerana baginda memberitahu mereka kebenaran dengan bawa dalil bukti. Bukannya baginda datang dengan tangan kosong dan cakap kosong pun, tetapi baginda datang dengan bukti yang nyata.

Bukti-bukti yang nyata itu adalah mukjizat-mukjizat yang telah ditunjukkan oleh baginda. Mereka telah meminta dalil yang menunjukkan yang baginda adalah seorang Rasul. Jadi, baginda telah menunjukkan semua mukjizat-mukjizat itu dan mereka telah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Tetapi apa kata mereka?

فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

lalu orang-orang kafir di antara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”

Orang kafir itu kata: tidaklah mukjizat-mukjizat ini melainkan sihir belaka. Mereka tidak dapat terima itu semua sebagai mukjizat. Mereka tidak tahu hendak berkata apa lagi, mereka hanya cakap ia adalah sihir. Itulah cara mereka tolak. Tolak tetap kena tolak, tetapi apakah alasannya? Mereka pilih dengan menuduh baginda sebagai ahli sihir kerana dapat buat itu dan ini. Padahal semua itu adalah mukjizat, bukannya sihir.

Dan begitulah cara Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ. Kerana itulah banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang tuduhan musuh terhadap Nabi Muhammad ﷺ sebagai ahli sihir. Jadi dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Rasulullah ﷺ bahawa bukan baginda sahaja yang dituduh sebagai ahli sihir, tetapi Nabi Isa عليه السلام pun juga telah dituduh dengan tuduhan yang sama.


Maidah Ayat 111: Ini satu lagi kelebihan kepada baginda.

وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي قالوا ءآمَنّا وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when I inspired to the disciples, “Believe in Me and in My messenger [i.e., Jesus].” They said, “We have believed, so bear witness that indeed we are Muslims [in submission to Allāh].”

(MALAY)

Dan (ingatlah), ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia: “Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”. Mereka menjawab: Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)”.

وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ

Dan (ingatlah), ketika Aku ‘ilhamkan’ kepada Hawariyyun (pengikut Isa yang setia):

Ini adalah salah satu daripada anugerah Allah ‎ﷻ kepada Nabi عليه السلام Isa juga – baginda diberikan dengan pembantu dalam dakwahnya dan mereka dikenali sebagai Hawariyyun.

Dalam ayat ini digunakan lafaz ‘wahyu’ tetapi kita kena faham yang tentunya ia bukanlah wahyu seperti yang kita faham, kerana wahyu untuk Nabi sahaja. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ilham’. Sama juga Allah ‎ﷻ gunakan lafaz ‘wahyu’ untuk Maryam (Al-Qashash:7), untuk lebah (An-Nahl: 68-69) dalam ayat yang lain. Semua itu adalah ilham.

Sama ada mereka terus mendapat ilham itu ke dalam hati mereka, atau mungkin bermaksud Allah ‎ﷻ mengwahyukan kepada Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام sampaikan kepada mereka dan mereka terima apa yang disampaikan oleh Nabi Isa itu. Allahu a’lam.

Hawariyyun adalah pengikut setia Nabi Isa عليه السلام. Dalam bahasa Inggeris, digunakan lafaz ‘disciples’.

أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي

“Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”.

Apakah yang telah diilhamkan kepada mereka? Iaitu mereka diilhamkan untuk hendaklah yakin sungguh kepada Allah‎ ﷻ dan Rasul Allah.

قالوا ءآمَنّا

Mereka menjawab: Kami telah beriman

Mereka menyambut ilham itu dan telah berkata seperti yang telah diilhamkan kepada mereka. Maknanya, keimanan mereka datang daripada Allah ‎ﷻ. Mereka beriman dengan akidah tauhid dan mereka taat kepada Nabi Isa عليه السلام.

وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ

dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh

Mereka kata kepada Nabi Isa عليه السلام bahawa mereka semua telah beriman. Mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka tunduk kepada segala hukum – itulah maksud ‘Islam’ iaitu tunduk patuh 100% kepada Allah ‎ﷻ dan menerima agama Islam sepenuhnya.

Adakah anda dapat lihat bagaimana mereka telah mengaku yang mereka sebagai Muslim? Apa lagi kata orang Kristian setelah melihat ayat ini? Golongan yang mereka pandang tinggi, yang telah membantu Nabi Isa عليه السلام sendiri telah mengaku sebagai Muslim? Sepatutnya mereka pun ikutlah untuk jadi Muslim sekali, janganlah lawan.

Hanya ada agama Islam sahaja. Kita tidak perlu iktiraf agama lain. Ya, mereka ada kebebasan untuk mengamalkan agama mereka. Akan tetapi tidaklah kebebasan itu sehinggakan kita mengatakan agama mereka pun benar juga. Jangan kita terlibat dalam golongan yang liberal yang mengiktiraf agama lain.

Dan jangan kita tertipu dengan golongan yang hendak menggabungkan dua agama ini. Memang ada pergerakan ini menggabungkan agama ini. Contohnya gabungkan Islam dan Kristian jadi ‘Chrislam’.


Maidah Ayat 112: Ini kisah turunnya Maidah (makanan dari langit). Daripada nama inilah diambil nama surah ini.

إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ ۖ قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And remember] when the disciples said, “O Jesus, Son of Mary, can your Lord¹ send down to us a table [spread with food] from the heaven?” [Jesus] said, “Fear Allāh, if you should be believers.”

  • i.e., will Allāh consent to. (His ability is undoubted.)

(MALAY)

(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam, bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?”. Isa menjawab: “Bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.

إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ

(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam,

Ini adalah satu permintaan golongan Hawariyyuun kepada Nabi Isa عليه السلام. Sekarang kita akan belajar tentang maksud ‘maidah’. Sebahagian para imam ada yang menyebutkan bahawa kisah hidangan ini tidak disebutkan di dalam kitab Injil, dan orang-orang Nasrani tidak mengetahuinya kecuali melalui kaum Muslim.

هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ

bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?”. 

Seolah-olah mereka berkata: “Bolehkah sekarang ni, Tuhan turunkan kepada kami hidangan yang lengkap dari langit? Kalau di akhirat, kami tahu yang ahli syurga memang akan dapat makanan yang lazat, tapi kalau sekarang, bagaimana? Boleh tak Allah turunkan untuk kami?”

Ini adalah satu permintaan yang pelik. Beberapa ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah menegur tentang permintaan tidak berfaedah daripada umat kepada Rasul mereka. Sekarang ada permintaan seperti ini pula.

Tentu sahaja Allah ‎ﷻ mampu menurunkan hidangan itu. Ini tidak dapat disangkal lagi. Kita pun tahu yang Maryam رضي الله عنها pernah diberi makan dengan makanan terus daripada Allah ‎ﷻ seperti yang disebut dalam surah Ali Imran. Maka ada yang mentafsirkan ayat ini: “Sanggupkah engkau (Nabi Isa) minta kepada Allah?”.

قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Isa menjawab: “Bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.

Nabi Isa عليه السلام memberi jawapan balas kepada permintaan mereka begini: “Takutlah kepada Tuhan, kenapa nak minta begitu? Kamu pun tahu yang benda itu akan dapat di akhirat kelak, kenapa minta sekarang? Hendaklah kamu takut kepada Allah, nak minta pun kena fikir-fikirlah. Kalau kamu minta taqwa, moleklah. Tapi permintaan kamu ini tidak patut. Kalau kamu beriman dengan Allah, benda sebegini tidak patut kamu minta”.

Jika Allah ‎ﷻ turunkan perkara seperti ini, ia adalah satu mukjizat. Dan amat bahaya kalau minta mukjizat daripada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ memberikannya, tetapi mereka menolak kebenaran juga selepas itu, dan ia akan menyebabkan azab diberikan terus kepada mereka.

Nabi Isa عليه السلام mengingatkan begitu kerana ramai yang sudah meminta mukjizat sebelum itu tetapi setelah diberi mukjizat mereka tetap tolak juga untuk beriman, maka azab yang amat berat telah diberikan kepada mereka. Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi terakhir daripada Bani Israel dan telah banyak kisah-kisah tentang permintaan daripada umat-umat yang terdahulu yang telah menolak kebenaran walaupun mereka telah ditunjukkan dengan pelbagai mukjizat. Mereka pun tahu kisah itu semua, jadi kenapa minta lagi?


Maidah Ayat 113: Ini adalah jawapan mereka kenapa mereka mahukan hidangan dari langit itu. Ada tiga alasan yang diberikan.

قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We wish to eat from it and let our hearts be reassured and know that you have been truthful to us and be among its witnesses.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan”.

قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها

Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu

Seolah-olah mereka berkata: “Kerana kami mahu makan hidangan dari langit sebelum ke syurga. Memanglah di syurga nanti kami akan dapat makanan itu, tapi kami nak rasa semasa kami di dunia ini lagi.”

Sebahagian ulama’ mengatakan, sesungguhnya mereka meminta hidangan ini kerana mereka sangat memerlukannya dan kerana kemiskinan mereka. Lalu mereka meminta kepada nabi mereka agar menurunkan hidangan dari langit setiap harinya untuk makanan mereka hingga mereka kuat menjalankan ibadahnya.

وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا

dan supaya tenteram hati kami 

Yang kedua, mereka kata supaya hati mereka menjadi tenang. Maka tenang dan teguh iman mereka kerana setelah mendengar segala dakwah dan ajaran daripada Nabi Isa عليه السلام, mereka dapat melihat pula mukjizat di hadapan mata mereka, supaya bertambah keyakinan.

Ini sama seperti permintaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ‎ﷻ untuk melihat bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang telah mati, seperti yang disebut dalam Baqarah:260.

Jadi nampaknya tujuan mereka itu baik iaitu untuk mengukuhkan iman. Zaman sekarang, tidak adalah kelebihan sebegini. Iman kita hendaklah dikukuhkan dengan ilmu. Dan mungkin kadang-kadang Allah ‎ﷻ menunjukkan kekuasaan-Nya kepada kita dengan perkara-perkara yang ajaib, tetapi tidak semua orang akan dapat. Maka kita jangan tunggu perkara sebegitu. Iman kita hendaklah dinaikkan dan diteguhkan dengan ilmu berlandaskan wahyu.

وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا

dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami,

Dan mereka meminta hidangan itu supaya mereka menjadi benar-benar yakin yang Nabi Isa عليه السلام itu benar dalam dakwaan baginda sebagai rasul dan benar yang baginda sampaikan adalah wahyu.

وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ

dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan”

Dan supaya mereka semua yang telah jadi pengikut Nabi Isa عليه السلام itu dapat menjadi saksi bagi orang lain, bahawa inilah Nabi Isa عليه السلام yang dapat menurunkan hidangan dari langit dengan doanya. Mereka yang akan menjadi saksi kepada orang lain. Mereka akan sampaikan kepada umat yang lain.


Maidah Ayat 114: Setelah mendengar alasan-alasan mereka, maka Nabi Isa عليه السلام telah berdoa juga kepada Allah ‎ﷻ.

قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا وَءآيَةً مِّنكَ ۖ وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said Jesus, the son of Mary, “O Allāh, our Lord, send down to us a table [spread with food] from the heaven to be for us a festival for the first of us and the last of us and a sign from You. And provide for us, and You are the best of providers.”

(MALAY)

Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit supaya menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama”.

قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ

Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit

Dalam ayat ini, antara lain, Allah ‎ﷻ hendak tsabitkan yang Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan kerana jika baginda itu tuhan, kenapa baginda perlu berdoa kepada Allah ‎ﷻ pula, kenapa tidak dibawa sendiri sahaja hidangan itu?

‘Maidah’ itu bermaksud hidangan yang lengkap dari langit.

تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا

akan menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami,

Supaya hidangan itu menjadi nikmat untuk mereka bergembira bagi orang pada zaman mereka dan nikmat untuk diketahui oleh orang-orang selepas mereka. Maka kerana ia peristiwa penting, maka boleh diperingati sebagai salah satu dari hari raya mereka (eid).

Inilah kisah yang selalu kita dengar dan lihat gambarnya dalam filem – The Last Supper.

وَءآيَةً مِّنكَ

dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; 

Dan sebagai satu bukti daripada Allah ‎ﷻ, iaitu Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh memberikan hidangan seperti ini dan yang memintanya tentulah seorang Nabi yang benar. Ia juga bertujuan agar manusia percaya kepada Allah ‎ﷻ dan kepada baginda.

وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama”.

Dan akhir sekali doa Nabi Isa عليه السلام itu adalah memohon rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Kemudian baginda memuji Allah ‎ﷻ kerana jika bukan Allah ‎ﷻ yang berikan, tentu tidak ada rezeki langsung. Allah ‎ﷻlah yang sebaik-baik pemberi rezeki. Tidak ada lagi selain Allah ‎ﷻ yang boleh memberi rezeki. Maka ini adalah salah satu daripada adab dalam berdoa. Hendaklah memuji Allah ‎ﷻ dalam doa kita.

Soalan: bolehkah amalkan doa ini? Ada juga yang bertanya sebegini.

Memang secara umum doa-doa di dalam Al-Qur’an adalah yang terbaik. Akan tetapi kena tengok juga konteks ayat itu. Setelah kita belajar maksud surah ini, tahulah kita kisah penurunan surah ini. Maka ini adalah permintaan khusus daripada Nabi Isa عليه السلام di atas permintaan umat baginda. Dan yang diminta adalah makanan yang turun terus dari langit. Terus siap boleh dimakan. Maka ia adalah mukjizat dan kita manusia biasa memang tidak akan dapat mukjizat seperti ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 September 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an