Tafsir Surah Tawbah Ayat 12 – 17 (Seranglah penjaga Kaabah itu)

Tawbah Ayat 12:

وَإِن نَّكَثوا أَيمٰنَهُم مِّن بَعدِ عَهدِهِم وَطَعَنوا في دينِكُم فَقٰتِلوا أَئِمَّةَ الكُفرِ ۙ إِنَّهُم لا أَيمٰنَ لَهُم لَعَلَّهُم يَنتَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they break their oaths after their treaty and defame your religion, then fight the leaders of disbelief, for indeed, there are no oaths [sacred] to them; [fight them that] they might cease.

(MALAY)

Jika mereka memutuskan sumpah (janji) sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya, agar supaya mereka berhenti.

 

وَإِن نَّكَثوا أَيمٰنَهُم مِّن بَعدِ عَهدِهِم

Jika mereka memutuskan sumpah (janji) sesudah mereka berjanji, 

Inilah yang perlu dilakukan sekiranya puak Musyrikin itu memungkiri perjanjian mereka dengan pihak Muslim. Kalimah نَّكَثوا dari katadasar ن ك ث yang bermaksud memecah perjanjian, melanggar perjanjian, menguraikan ikatan. Ini jikalau ada terma-terma dalam perjanjian yang tidak dipenuhi atau mereka belot dalam perjanjian itu.

 

وَطَعَنوا في دينِكُم

dan mereka mencerca agamamu, 

Apabila mereka sanggup mencela agama Islam. Kalimah طَعَنوا dari katadasar ط ع ن yang bermaksud mengatakan buruk tentang sesuatu, memfitnah, mencemarkan, menebuk, melukakan, mencederakan, lembing. Orang kafir itu telah mengatakan sesuatu yang menyakiti agama Islam atau umat Islam. Padahal mereka sepatutnya telah membuat perjanjian dengan umat Islam tetapi mereka berkata buruk pula tentang Islam. Ini tidak patut.

Namun adakah non-Muslim tidak boleh mengkritik Islam? Ada pendapat yang mengatakan ini normal sahaja, terutama sekali jika ada yang membuat kajian, maka mungkin dia mendapati ada perkara yang mereka tidak setuju dan mereka kritik. Akan tetapi yang menjadi penyebab pemutusan perjanjian dengan mereka adalah kalau mereka ‘fitnah’ Islam. Iaitu mengatakan sesuatu yang tidak ada dalam Islam dan mereka kutuk. Ini yang tidak dibenarkan dan tidak dapat diterima.

Sekiranya mereka membuat dua perkara ini, apa yang perlu kita sebagai umat Islam lakukan?

 

فَقٰتِلوا أَئِمَّةَ الكُفرِ

maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, 

Allah kata maka hendaklah umat Islam memerangi ketua-ketua kafir itu. Kalimah أَئِمَّةَ adalah jamak bagi أمم atau imam/pemimpin kerana  mereka itu di depan dan diikuti oleh orang di belakang mereka. Mereka itu perlu diperangi kerana yang membuat onar itu adalah ketua-ketua mereka yang membuat perjanjian itu. Sedangkan orang-orang bawahan selalunya mengikut sahaja.

Kerana itulah Nabi Muhammad telah menyerang Mekah. Misi Nabi Muhammad adalah untuk membasmi kesyirikan. Kepala syirik waktu itu ada di Mekah kerana di situlah diletakkan segala jenis berhala dan dijaga oleh puak Quraish. Maka memang patutlah mereka diserang.

Qatadah dan lain-lainnya mengatakan, yang dimaksudkan dengan أَئِمَّةَ الكُفرِ (aimmatal kufri) atau ‘para pemimpin orang-orang kafir’ ialah seperti Abu Jahal, Atabah, Syaibah, Umayyah ibnu Khalaf, serta sejumlah pemuka Quraisy lainnya.

Disebutkan daripada Mus’ab ibnu Sa’d ibnu Abu Waqqas, bahawa Sa’d ibnu Abu Waqqas bersua dengan seorang lelaki dalam kalangan Khawarij. Maka orang Khawarij itu berkata, “”Orang ini termasuk aimmatul kufri.” Sa’d menjawab, “Kamu dusta, bahkan aku telah memerangi aimmatal kufri.” Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Murdawaih.

Akan tetapi pendapat yang sahih ialah yang mengatakan bahawa makna ayat ini adalah umum, sekalipun penyebab turunnya (asbabun nuzul) berkaitan dengan orang-orang musyrik dalam kalangan Quraisy, namun tidaklah terhad untuk mereka sahaja. Untuk itu, makna ayat ini mencakupi orang-orang kafir Quraisy dan lain-lainnya.

Abdur Rahman ibnu Jubair ibnu Nafir berkata, ketika beliau di masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, Khalifah Abu Bakar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ telah mengirimkan pasukannya ke negeri Syam dan berpesan kepada pasukannya, “Sesungguhnya kalian akan menjumpai suatu kaum yang kepalanya berlubang. Maka pukullah dengan pedang tempat berakal umbinya syaitan pada mereka. Demi Allah, sesungguhnya membunuh seseorang daripada mereka lebih aku sukai daripada membunuh tujuh puluh orang dalam kalangan selain mereka. Demikian itu kerana Allah berfirman: maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir. (At-Tawbah: 12).” Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim.

Oleh itu, sekiranya ada kriteria yang sama seperti yang ada para kafir Quraish itu, maka bolehlah mereka itu diperangi.

 

إِنَّهُم لا أَيمٰنَ لَهُم

kerana sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya,

Mereka itu mesti diserang dan dikalahkan kerana sesungguhnya mereka itu golongan yang tidak boleh berpegang pada janji. Mereka tidak menghargai janji yang mereka telah bersumpah padanya. Kata-kata mereka sebenarnya tidak ada nilai kerana mereka tidak ada etika. Mereka jenis yang suka memutuskan perjanjian.

Namun di dalam ayat ini digunakan kalimah jamak iaitu أَيمٰنَ (perjanjian-perjanjian). Ia dari katadasar ي م ن yang bermaksud sebelah kanan, berkati, tangan kanan, diberkati, sumpah, ikrar. Ia merujuk kepada janji mereka dan juga janji kita juga. Ia bermaksud jikalau mereka memutuskan perjanjian, maka kita pun berhak memutuskan perjanjian dengan mereka juga. Tidak ada lagi gencatan senjata dengan mereka lagi. Mereka tidak berpegang dengan janji, maka kita pun tidak perlu memenuhi janji kita dengan mereka.

 

لَعَلَّهُم يَنتَهونَ

agar supaya mereka berhenti.

Mudah-mudahan dengan diserang mereka itu, mereka berhenti daripada melakukan kejahatan lagi. Mereka itu jenis yang tidak faham bahasa dan kalau tidak ditunjukkan dengan cara perang, ditundukkan dengan pedang, mereka tidak akan berhenti. Inilah sahaja cara untuk memberhentikan mereka.

Maka ini mengajar kita yang tujuan jihad bukanlah untuk membunuh, merampas tanah orang lain. Akan tetapi tujuan jihad adalah untuk memberi kesedaran. Yang mana kita boleh selamatkan, kita selamatkan. Mungkin para pemimpin mereka tidak akan terima Islam, tetapi rakyatnya masih ada harapan lagi.


 

ARAHAN JIHAD

Tawbah Ayat 13: Ayat targhib (ajakan) kepada jihad qital.

‎أَلا تُقٰتِلونَ قَومًا نَّكَثوا أَيمٰنَهُم وَهَمّوا بِإِخراجِ الرَّسولِ وَهُم بَدَءوكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ أَتَخشَونَهُم ۚ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشَوهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Would you not fight a people who broke their oaths and determined to expel the Messenger, and they had begun [the attack upon] you the first time? Do you fear them? But Allāh has more right that you should fear Him, if you are [truly] believers.

(MALAY)

Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah, dan mereka telah keras berkemahuan untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama memulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

 

أَلا تُقٰتِلونَ قَومًا نَّكَثوا أَيمٰنَهُم

Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah,

Allah tanya kepada umat Islam, kenapakah mereka tidak berperang dengan golongan yang  telah memungkiri janji perdamaian? Kenapa masih lagi hendak memberi peluang kepada mereka? Belot kepada perjanjian itu adalah perkara yang amat berat.

 

وَهَمّوا بِإِخراجِ الرَّسولِ

dan mereka telah keras berkemahuan untuk mengusir Rasul

Allah mengingatkan puak mukmin bahawa puak Musyrikin Mekah itulah berkeinginan sungguh (هَمّوا) dan telah merancang untuk menghalau keluar Nabi Muhammad dari bumi Mekah dulu. Adakah mereka sudah lupa?

Bukan mereka sahaja akan tetapi puak Yahudi pun telah membuat rancangan untuk mengeluarkan Rasulullah dari Madinah.

Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah usaha pihak Musyrikin Mekah setelah Islam menakluk Mekah. Ada yang telah lari ke Taif dan membuat rancangan untuk mengeluarkan baginda untuk kali kedua. Kerana itulah ada Perang Hunain.

Maka apabila mereka membuat rancangan sahaja mereka sudah mendapat dosa kerana mereka sudah ada kehendak itu. Ini seperti golongan ashabul jannah (pemilik kebun) di dalam Surah Qalam. Mereka itu baru sahaja membuat perancangan tidak mahu sedekah kepada golongan miskin dan kerana itu Allah telah memusnahkan kebun mereka. Kisah mereka boleh dilihat dari ayat 17 dan seterusnya daripada surah itu.

 

وَهُم بَدَءوكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ

dan merekalah yang pertama memulai memerangi kamu? 

Allah mengingatkan mereka yang Musyrikin Mekah itulah yang telah memulakan memerangi Rasulullah dan umat Muslim semasa mula-mula dahulu lagi masa di Mekah. Padahal waktu itu para sahabat hanya hendak mengamalkan Islam dengan aman. Namun pihak Quraisy telah menindas dan menyeksa mereka.

Juga merekalah yang mula hendak berperang dengan pihak Muslim di Badr dahulu. Ini kerana asalnya pihak Muslim hanya hendak menangkap kafilah Abu Sufyan, bukannya hendak berperang. Namun Musyrikin Mekah yang membuat keputusan untuk datang ke Badr dengan ketumbukan tentera yang ramai untuk memusnahkan umat Islam. Mereka lihat ini adalah peluang untuk memusnahkan terus ancaman daripada Nabi Muhammad dan pengikutnya.

Lihatlah bagaimana Allah senaraikan satu persatu kesalahan Musyrikin Mekah itu. Itulah sebabnya susah sekiranya kita hanya membaca ayat-ayat ini secara umum. Ini kerana jika hendak menyerang puak kafir, itu hanya boleh dilakukan sekiranya mereka telah membuat kesalahan seperti yang telah disebutkan ini.

Maka jikalau ada pelampau Muslim yang hendak menggunakan ayat-ayat ini untuk bom, membunuh orang kafir tanpa usul periksa, bagaimana agaknya mereka terjemah ayat-ayat ini? Apakah mereka nampak perkataan ‘bunuh’ sahaja tanpa nampak syarat-syarat yang telah disenaraikan?

 

أَتَخشَونَهُم

Adakah kamu takut kepada mereka?

Allah soal mereka: sama ada mereka masih takut kepada puak Musyrikin itu? Adakah takut sampai tidak berani untuk menyerang mereka?

 

فَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشَوهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

Allah kata jika benarlah mereka ada rasa takut kepada musyrikin itu, itu tidak patut. Ini kerana Allah lah yang berhak ditakuti. Itu pun sekiranya mereka benar-benar beriman. Jika mereka mengaku beriman, maka mereka mestilah takut lebih kepada Allah . Jangan kerana takut kepada selain Allah menghalang kita daripada menjalankan apa yang kita patut lakukan.


 

Tawbah Ayat 14: Sekarang Allah memberikan semangat kepada orang-orang mukmin sambil menjelaskan hikmah yang terkandung di dalam perintah-Nya yang mensyariatkan mereka untuk berjihad, padahal Allah sendiri mampu menghancurkan musuh-musuh-Nya dengan perintah dari sisi-Nya. Akan tetapi Allah beri peluang berjihad kepada umat Islam.

قٰتِلوهُم يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ بِأَيديكُم وَيُخزِهِم وَيَنصُركُم عَلَيهِم وَيَشفِ صُدورَ قَومٍ مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Fight them; Allāh will punish them by your hands and will disgrace them and give you victory over them and satisfy the breasts [i.e., desires] of a believing people

(MALAY)

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman.

 

قٰتِلوهُم

Perangilah mereka,

Oleh kerana hujah-hujah yang telah disampaikan dalam ayat-ayat sebelum ini, maka hendaklah umat Islam memerangi puak musyrikin itu. Jangan fikir banyak lagi kerana ada kelebihan dalam peperangan itu yang akan disebut selepas ini.

 

يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ بِأَيديكُم

nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan tangan-tanganmu

1. Ini adalah kelebihan pertama. Allah akan mengazab orang-orang kafir itu dengan tangan umat Islam sendiri. Allah memang boleh mengazab mereka dengan cara-cara lain seperti gempa bumi, taufan dan sebagainya. Mudah sahaja bagi Allah untuk memusnahkan mereka.

Akan tetapi Allah telah memilih untuk mengazab mereka dengan pedang umat Islam sendiri. Dengan memberi kelebihan itu, umat Islam yang selama itu telah ditindas oleh Musyrikin Mekah itu dapat membalas dendam kepada mereka. Ada kelebihan dan kepuasan bila dapat membalas dengan tangan sendiri.

 

وَيُخزِهِم

dan Allah akan menghinakan mereka

2. Ini pula adalah kelebihan kedua: Allah akan hinakan mereka, kerana mereka tidak akan menang apabila berlawan dengan puak Islam dan kerana itu mereka akan dihinakan semasa di dunia lagi. Kemudian sudah tentu mereka akan dihinakan di akhirat kelak.

 

وَيَنصُركُم عَلَيهِم

dan menolong kamu terhadap mereka, 

3. Kelebihan ketiga. Jika berperang dengan musyrikin itu, Allah akan memberi bantuan kepada umat Islam dan dengannya akan memberi kemenangan kepada umat Islam.

 

وَيَشفِ صُدورَ قَومٍ مُّؤمِنينَ

serta melegakan hati orang-orang yang beriman.

4. Kelebihan keempat. Dengan perang itu, Allah akan melegakan hati-hati yang panas daripada golongan mukmin. Ini adalah kerana dulu umat Islam diganggu, ditindas, diseksa, dicaci dan sebagainya. Ini tentunya menyebabkan umat Islam panas hati dan jika tidak boleh buat sendiri, bunuh sendiri pihak yang telah menyakiti mereka dulu, mereka akan terus bengkak hati mengenangkan semua kejadian itu.

Maka Allah berikan kesenangan hati itu kepada orang mukmin sebab dapat membalas sendiri dengan tangan mereka. Ada kepuasan dan kelegaan hati kalau begitu.


 

Tawbah Ayat 15:

وَيُذهِب غَيظَ قُلوبِهِم ۗ وَيَتوبُ اللَّهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remove the fury in their [i.e., the believers’] hearts. And Allāh turns in forgiveness to whom He wills; and Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

dan menghilangkan panas hati orang-orang mukmin. Dan Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَيُذهِب غَيظَ قُلوبِهِم

dan menghilangkan panas hati orang-orang mukmin.

5. Dan ini pula adalah kelebihan kelima. Dengan perang itu juga Allah menghilangkan kemarahan dan panas hati puak Islam yang telah ditindas dahulu. Ini kerana mereka dapat membunuh sendiri orang yang menentang dan menindas mereka dahulu.

 

وَيَتوبُ اللَّهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ

Dan Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya.

6. Akhir sekali adalah kelebihan keenam. Walaupun Musyrikin Mekah itu telah banyak melakukan kesalahan, tetapi Allah boleh memberi taufik kepada mereka untuk masuk Islam dan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini boleh berlaku setelah mereka yang bukan Islam itu melihat umat Islam di pihak yang benar kerana menang dalam peperangan.

Sebagai contoh mereka yang dibukakan hati adalah Abu Sufyan sendiri, ketua puak Quraish. Beliau telah masuk Islam kerana melihat kebenaran yang ada pada Islam dan beliau telah menjadi Muslim yang baik. Manakala ada banyak lagi Musyrikin Mekah yang masuk Islam. Hanya beberapa orang sahaja yang keras hati tidak mahu.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Allah maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahui apa yang ada dalam hati manusia; dan Allah penuh hikmah. Antara hikmah Allah adalah Allah menangguh beri azab kepada manusia yang ingkar – Allah tidak terus membunuh mereka kerana Allah memberi kesempatan kepada mereka untuk beriman.

Kalaulah Allah terus memberi azab dengan mematikan mereka, tentulah mereka tidak ada peluang begitu. Akan tetapi Allah telah banyak memberi peluang kepada manusia. Sebagaimana Allah juga telah memberi kesempatan kepada kita untuk beriman walaupun dulu kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa.


 

KEPENTINGAN JIHAD

Tawbah Ayat 16: Ayat zajrun (teguran). Apabila umat Islam diganggu oleh kafir harbi dan kita tidak membuat apa-apa, jangan sangka yang kita bebas daripada tuntutan Allah .

أَم حَسِبتُم أَن تُترَكوا وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَلَم يَتَّخِذوا مِن دونِ اللَّهِ وَلا رَسولِهِ وَلَا المُؤمِنينَ وَليجَةً ۚ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you think that you will be left [as you are] while Allāh has not yet made evident those among you who strive [for His cause] and do not take other than Allāh, His Messenger and the believers as intimates? And Allāh is Acquainted with what you do.

(MALAY)

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

أَم حَسِبتُم أَن تُترَكوا

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan,

Ini adalah khitab kepada orang mukmin. Adakah kamu sangka kamu dibiarkan begitu sahaja, tidak disyariatkan jihad perang? Adakah kamu sangka kamu boleh duduk goyang kaki sahaja atas muka bumi dan tidak diuji dengan jihad? Adakah kamu sangka mudah-mudah sahaja masuk syurga?

 

وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم

sedang Allah belum mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu

Bagaimana kamu tidak disyariatkan dengan jihad qital, sedangkan belum nyata kepada Allah siapakah di antara kamu yang berjuang dalam peperangan. Jihad dalam ayat ini adalah jihad perang, kerana ada jenis jihad lisan sahaja.

Allah bukanlah tidak tahu hati manusia mana yang beriman. Maka dalam ayat ini, bukanlah Allah tidak tahu, tetapi Allah hendak menzahirkan kepada manusia lain siapakah orang yang benar-benar beriman. Untuk menyatakan siapakah yang sanggup berjuang, maka kenalah ada ujian dalam peperangan. Ini adalah keadilan daripada Allah . Allah memberi peluang kepada manusia untuk menzahirkan iman mereka.

Begitulah para sahabat telah diuji di Mekah semasa mereka lemah dan tidak boleh membalas serangan musyrikin, dan sekarang mereka diuji setelah berhijrah ke Madinah, dengan arahan perang. Inilah ujian yang mereka kena lalui, sama ada mereka taat atau tidak kepada Allah .

 

وَلَم يَتَّخِذوا مِن دونِ اللَّهِ وَلا رَسولِهِ وَلَا المُؤمِنينَ وَليجَةً

dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.

Bagaimana mungkin mereka tidak diuji, selagi belum benar-benar nyata, siapakah umat Islam yang hanya menjadikan Allah dan rasul dan orang mukmin sebagai teman rapat. Orang mukmin tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat. Kena jadikan teman rapat itu hanya Allah , Rasulullah dan orang mukmin yang lain.

Hanya apabila ada perang baru tahu yang dalam kalangan umat Islam itu tidak ada teman rapat dengan orang kafir. Bila ada perang baru tahu siapakah umat Islam yang setia kepada Allah , Rasul dan orang mukmin sahaja.

Ini kerana jika tidak ada perang, ada golongan munafik dalam lingkungan orang Muslim yang menyembunyikan kekufuran mereka. Mereka nampak sahaja hidup dalam suasana Islam, tetapi mereka menjadikan orang kafir sebagai teman rapat mereka. Dengan adanya syariat perang, barulah jelas siapa yang munafik. Barulah belang mereka dinampakkan. Akan nampak bagaimana golongan munafik sebenarnya berpihak kepada orang kafir.

Lafaz وَليجَةً berasal daripada katadasar و ل ج yang bermaksud ‘memasuki’. Ia adalah salah satu lafaz yang digunakan untuk bermaksud ‘kawan’. Mereka itu adalah jenis kawan yang amat rapat, sampaikan hal-hal peribadi kawan mereka itu pun mereka boleh masuk, iaitu masuk ke dalam hati mereka.

Maka daripada ayat ini kita dapat tahu yang kita masuk syurga bukanlah dengan menyempurnakan ibadat-ibadat sahaja. Akan tetapi kita perlu menerima ujian daripada Allah dan sabar dengan segala ujian itu.

 

وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu segala perbuatan manusia. Sama ada mereka lakukan secara sembunyi atau secara zahir. Allah ﷻ tahu siapakah yang mukmin dan siapakah yang munafik. Namun manusia tidak tahu – oleh itu untuk menzahirkan siapakah yang mukmin dan siapa yang tidak, maka kenalah ada syariat perang.

Habis Ruku’ 2 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

PENJAGAAN MASJID

Tawbah Ayat 17: Perkara kedua yang dikatakan menghalang berperang adalah amalan orang kafir Mekah itu. Kita pun tahu yang mereka pun ada buat ibadat juga, mereka mengimarahkan MasjidilHaram, menjaga Kaabah, mereka selalu tawaf Kaabah, memberi makan orang yang datang ke Kaabah dan sebagainya.

Oleh kerana itu ada yang berhujah, kenapa mahu memerangi mereka sedangkan mereka juga ada buat perkara yang baik? Allah kata amalan mereka itu tidak diterima kerana amalan mereka adalah amalan syirik belaka.

ما كانَ لِلمُشرِكينَ أَن يَعمُروا مَسٰجِدَ اللَّهِ شٰهِدينَ عَلىٰ أَنفُسِهِم بِالكُفرِ ۚ أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم وَفِي النّارِ هُم خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for the polytheists to maintain the mosques of Allāh [while] witnessing against themselves with disbelief. [For] those, their deeds have become worthless, and in the Fire they will abide eternally.

(MALAY)

Tidaklah layak orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia amal mereka, dan mereka kekal di dalam neraka.

 

ما كانَ لِلمُشرِكينَ أَن يَعمُروا مَسٰجِدَ اللَّهِ

Tidaklah layak orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah,

Walaupun ayat ini dalam bentuk jamak (masjid-masjid), namun yang utama dimaksudkan adalah MasjidilHaram. Secara umumnya pula ia merujuk kepada mana-mana masjid di dunia ini.

Memang orang kafir Mekah itu ada beribadat dan menjaga MasjidilHaram. Akan tetapi tidak layak bagi orang yang berakidah syirik mengimarahkan masjid Allah sebab masjid Allah adalah untuk orang tauhid sahaja.

Tujuan umat Islam menakluk Mekah adalah untuk membersihkan Kaabah dan sekitarnya daripada amalan kesyirikan yang telah diamalkan sekian lama. Bukan MasjidilHaram sahaja, malah mana-mana masjid di dunia ini juga perlu dibersihkan daripada perbuatan syirik.

Namun begitu, ia tidaklah terus dijalankan. Apabila umat Islam menakluk Mekah, segala berhala di sekitarnya telah dimusnahkan. Akan tetapi masih terdapat lagi golongan musyrik yang dibenarkan untuk melakukan ibadah mereka di Kaabah. Tentunya mereka melakukan ibadah tawaf itu dengan cara mereka yang salah.

Maka pembersihan Kaabah belum lengkap lagi dengan hanya membuang berhala-berhala itu. Ia hanya lengkap apabila golongan musyrik dihalang daripada mengerjakan tawaf di Kaabah. Akan tetapi ini tidak dijalankan dengan segera kerana sudah ada perjanjian damai dengan sebahagian daripada golongan musyrik itu. Larangan itu hanya diberikan setahun selepas penaklukan Mekah. Ia dilakukan semasa pengumuman yang telah disebut di dalam permulaan surah ini.

Di dalam pengumuman itu, manusia diberitahu yang selepas itu, amalan syirik dalam ibadah, tawaf dan Haji tidak dibenarkan lagi. Mereka juga tidak dibenarkan lagi untuk tawaf telanjang. Ini seperti disebut dalam hadith:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ قَالَ يُونُسُ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ حَدَّثَنِي حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ أَخْبَرَهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَعَثَهُ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي أَمَّرَهُ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ يَوْمَ النَّحْرِ فِي رَهْطٍ يُؤَذِّنُ فِي النَّاسِ أَلَا لَا يَحُجُّ بَعْدَ الْعَامِ مُشْرِكٌ وَلَا يَطُوفُ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ

Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair telah menceritakan kepada kami Al Laits berkata, Yunus berkata, Ibnu Syihab telah menceritakan kepada saya Humaid bin ‘Abdurrahman bahawa Abu Hurairah رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ mengabarkan kepadanya bahawa Abu Bakar As-Sidiq رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ mengutusnya dalam urusan yang beliau diperintahkan oleh Rasulullah sebelum haji wada’ pada hari Nahar dalam satu rombongan kecil untuk mengumumkan kepada manusia bahawa; “Setelah tahun ini tidak boleh seorang musyrik pun yang melaksanakan haji dan tidak boleh tawaf di Kaabah dengan telanjang”.

(Sahih Bukhari (1517))

Golongan Musyrikin itu sangka perbuatan mereka yang salah itu adalah benar. Mereka sangka itulah agama. Begitulah juga fahaman golongan bid’ah di negara ini. Mereka sangka amalan mereka itu benar sedangkan tidak. Syaitan telah menampakkan cantik sahaja amalan mereka itu.

Golongan Musyrikin juga sangka yang mereka itu telah melakukan khidmat yang besar di MasjidilHaram dengan menjaganya, meramaikan pendatang Kaabah dan menyambut orang-orang luar yang datang dengan memberi minum. Maka di dalam ayat ini Allah menegaskan yang orang yang musyrik tidak layak memakmurkan mana-mana masjid Allah . Ini adalah kerana masjid adalah tempat untuk mentauhidkan Allah , maka memang tidak patut langsung sekiranya di situ juga Allah disyirikkan.

Kalimah imarah berasal daripada katadasar  ع م ر yang bermaksud menghuni, membaiki, bina, mempromosi, menjadikan sesuatu tempat itu boleh didiami, melawat di dalam rangka ibadah, meramaikan, kehidupan, umur, selalu mendatangi sesuatu tempat. Daripada katadasar inilah kita menggunakannya untuk umur dan juga Umrah.

Maka, apakah yang dimaksudkan ‘imarah’? Ia mempunyai banyak maksud. Dari segi tempat/bangunan itu, membina dan menyiapkan tempat itu secara fizikal supaya orang lain boleh datang kepadanya. Kemudian apabila ia sudah ada, maka ini meliputi penjagaan tempat itu, membersihkan dan membekalkan apa yang perlu. Kemudian ia meliputi juga elemen manusia untuk merujuk kepada golongan manusia yang datang kepadanya dalam rangka ibadah. Kerana itulah Umrah dinamakan begitu kerana kita datang ke Kaabah dan sekitarnya untuk melakukan ibadah.

Oleh sebab itu, imarah mengandungi elemen tempat, penjagaan dan meramaikan tempat itu. Musyrikin Mekah sangka mereka telah membuat ketiga-tiganya dan mereka telah berjasa besar. Sebab itu mereka merasakan yang mereka mendapat pertolongan dan perlindungan Allah ﷻ dan disayangi oleh Allah ﷻ kerana ‘khidmat’ mereka ini. Allah ﷻ kata di sini dan di banyak tempat bahawa khidmat mereka itu tidak bernilai langsung di sisi Allah ﷻ.

 

شٰهِدينَ عَلىٰ أَنفُسِهِم بِالكُفرِ

sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir.

Mereka tidak layak, dan mereka pun mengaku yang mereka kufur kepada Allah . Mereka tahu mereka membuat syirik kepada Allah kerana dengan jelas mereka menyeru dan menyembah selain Allah . Cuma pada mereka, apa yang mereka lakukan itu tidak salah pada mata mereka.

Memang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir, yakni keadaan dan ucapan mereka mengungkapkan kekafiran mereka.

As-Saddi telah mengatakan, “Seandainya anda tanyakan kepada seorang Nasrani, ‘Apakah agamamu?’ Nescaya dia menjawab, ‘Nasrani.’ Dan seandainya anda tanyakan kepada seorang Yahudi, ‘Apakah agamamu?’ Nescaya dia menjawab. ‘Yahudi.’ Manakala terhadap orang Sabiin, nescaya dia menjawab bahawa dia adalah pemeluk agama sabiah, dan terhadap orang musyrik dia akan menjawab sebagai seorang musyrik.”

Begitulah juga ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku beriman, tetapi membuat perkara syirik, termasuk di masjid Allah . Mereka menyeru-nyeru selain Allah , melakukan tawasul, minta berkat daripada Nabi dan wali yang telah mati dan sebagainya. Dengan jelas mereka melakukan perkara itu. Kalau kita tegur mereka dan kata itu adalah amalan syirik, mereka tidak mengaku.

 

أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم

Itulah orang-orang yang sia-sia amal mereka,

Segala amalan baik Musyrikin Mekah itu gugur, tidak sah untuk diangkat ke langit. Walaupun mereka membuat kebaikan seperti menjaga Kaabah, mengerjakan Haji dan sebagainya, namun semua amalan itu tidak laku untuk dinilai. Oleh kerana itu, tidak salah jika puak mukmin memerangi mereka. Maka, jangan jadikan alasan yang Musyrikin Mekah itu adalah penjaga Kaabah sebagai penghalang untuk menyerang mereka.

Begitulah juga dengan umat Islam kita sekarang. Jika mereka ada fahaman dan amalan syirik, segala amalan baik mereka tidak ada nilai, hilang begitu sahaja. Ini kerana untuk amalan baik dikira pahalanya, kenalah beriman sempurna, tanpa melakukan syirik.

 

وَفِي النّارِ هُم خٰلِدونَ

dan mereka kekal di dalam neraka.

Puak musyrikin itu akan kekal dalam neraka. Amat rugi sekali bagi mereka, sudah susah-susah buat amalan kebaikan, tetapi akhirnya kekal dalam neraka. Oleh itu, jangan rasa bersalah untuk memerangi dan membunuh mereka, kerana mereka akan dibakar dalam neraka pun. Memang itulah tempat tujuan mereka.

Inilah balasan kepada orang yang mengamalkan syirik. Walaupun namanya Islam, memakai jubah, serban dan sebagainya, tetapi jikalau ada amalan syirik, akan kekal dalam neraka. Walaupun mereka itu mengaku Islam, namun mereka bukan muslim sejati.

Ramai yang berkata, orang Islam akan masuk syurga akhirnya. Akan tetapi sekiranya ada fahaman dan amalan syirik, tidak ada harapan untuk keluar dari neraka. Maka mestilah beringat sungguh dengan hal ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Januari 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Naba’ Ayat 1 – 16 (Qudrat Allah)

Pengenalan:

Ada pertalian antara surah ini dengan surah sebelum an-Naba’ ini. Memang begitulah cara Al-Qur’an. Ada pertalian antara hujung surah sebelum itu dan permulaan surah yang selepasnya.

Sebelum ini adalah Surah Mursalat. Surah itu ada mengatakan tentang orang yang menipu dalam agama. Mereka bukan sahaja menipu tetapi mereka mengatakan orang yang menyebar agama itu menipu. Mereka menidakkan ajaran yang dibawa oleh orang yang menyebar agama itu. Maka dalam ayat ini dibawakan juga tentang hal mereka. Iaitu bagaimanakah cara mereka menidakkan ajaran penyebar agama itu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia memberitahu kita yang Musyrikin Mekah berbantah-bantah kerana ragu kepada Hari Akhirat.

عَمَّ يَتَساءَلونَ

Sahih International

About what are they asking one another?

Malay

Tentang apakah mereka bertanya-tanya?

 

Salah satu yang terjadi kepada orang Mekah zaman Nabi Muhammad ﷺ, apabila mereka mendengar daripada Nabi ﷺ kisah-kisah tentang akhirat, perkara-perkara ghaib dan tentang agama secara keseluruhannya, ianya asing sekali bagi mereka kerana  baru pertama kali mereka mendengar perkara itu. Mereka telah lama tidak ada Rasul dan mereka tidak ada Kitab untuk menjadi rujukan mereka.

Oleh itu, mereka tidak ada maklumat tentang agama melainkan andaian dan rekaan mereka sahaja. Mereka itu jahil tentang agama, dan kerana itulah mereka telah melakukan banyak kesalahan dalam agama, walaupun mereka mengaku bahawa mereka itu pengikut Nabi Ibrahim عليه السلام.

Sepatutnya, jika mereka tidak pernah dengar, tidak ada maklumat, kenalah mereka dengar dulu. Tetapi tidak, mereka sebaliknya menentang terus apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Begitulah, kalau jahil tetapi sedar diri itu jahil, maka masih boleh diajar lagi; akan tetapi jika jahil dan sombong pula untuk terima nasihat dari orang lain, itu yang susah.

Begitulah sifat kebanyakan orang Mekah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Sepatutnya mereka sedarlah diri itu jahil, apabila ada yang memberitahu, maka terimalah. Malangnya, begitu jugalah dengan kebanyakan dari masyarakat Muslim negara kita – ilmu tidak ada, tetapi apabila disampaikan dengan perkara yang mereka tidak pernah dengar, lain dengan apa yang mereka biasa dengar, mereka melenting. Sepatutnya dengarlah dahulu dan lihatlah apakah hujah yang disampaikan oleh pendakwah dan guru yang mengajar.

Oleh itu, surah ini dimulai tentang apa yang kaum kafir Quraish itu bertanya-tanya sesama sendiri tentang dakwah Nabi ﷺ. Mereka itu bertanya bukan kerana hendak tahu, tetapi hendak merendahkan apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka merendahkan dakwah Nabi  ﷺ dengan cara soalan bodoh.  Mereka mengejek-ngejek ajaran Nabi ﷺ yang pada penilaian mereka, tidak masuk akal. Walhal akal merekalah sebenarnya yang cetek. Mereka omokkan Allah ﷻ dan Al-Qur’an.

Lain caranya bertanya sekiranya benar hendak mengetahui kebenaran berbanding cara bertanya dengan cara bertujuan mengejek. Cara mereka bertanya itu contohnya adalah semacam ini: “eh, kau ada dengar tak apa yang mereka cakapkan itu? Apa maksud mereka agaknya ha? Dari mana agaknya mereka dapat? Ajaran salah manalah mereka dapat ni? Kau boleh percayakah cerita macam itu?”. Mereka berkata begitu kerana hendak mengejek apa yang dibawa oleh Nabi  ﷺ dan begitulah cara orang-orang jahil mengejek ajaran yang dibawa oleh pendakwah tauhid.

Soalan dan cemuhan itu didengar juga oleh Nabi ﷺ dan para sahabat. Tetapi lihatlah, Allah ﷻ sendiri telah menjawab kata-kata mereka itu. Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia ﷻ juga mendengar dan Dia tidak suka dengan kata-kata mereka itu. Antara persoalan yang mereka tanyakan sesama mereka adalah hal ‘kebangkitan semula’, iaitu tentang Kiamat. Kerana itulah dalam ayat ini akan dijelaskan kepada mereka satu persatu hujah tentang Hari Kiamat itu.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah, tetapi pada zaman sekarang pun terjadi juga perkara ini setiap hari di laman web dan merata-rata tempat: kita boleh lihat persoalan tentang agama ditanya dengan cara ejekan oleh ramai orang dan kadangkala kita cuba hendak menjawab tohmahan orang kafir itu (dan orang Islam juga).

Adakalanya mungkin membuang masa untuk menjawab mereka kerana bukan sekarang sahaja mereka bertanya. Dari dahulu lagi sudah ada orang kafir yang berbuat seperti ini. Mereka sentiasa akan cuba menimbulkan isu yang hendak merendahkan ajaran Islam. Kalau kita beritahu pun, mereka bukannya hendak mendengar.

Oleh itu, kenalah kita pandai memilih manakah soalan yang hendak dilayan. Kerana kalau kita pakai layan sahaja, kita akan membuang masa kita sahaja.


 

Ayat 2: Berita apakah yang mereka tertanya-tanyakan sangat itu?

عَنِ النَّبَإِ العَظيمِ

Sahih International

About the great news –

Malay

Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).

 

Lafaz النَّبَإِ bermaksud ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘khabar’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tengok setiap hari dalam berita di TV.

Tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Jadi, berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ianya salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil dari kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka.

Kemudian Allah ﷻ tambah lafaz العَظيمِ pula untuk menambah kekuatan tentang berita itu. Lafaz النَّبَإِ itu sendiri sudah satu tanda yang ianya adalah berita besar, ditambah lagi dengan lafaz penguat, العَظيمِ. Maka ini adalah satu perkara yang amat-amat besar dan perlu diberi perhatian oleh manusia.

Ia juga memberi satu lagi kesan kepada kita, apabila kita mendengar berita jenis النَّبَإِ, ianya memerlukan kita untuk berbuat sesuatu. Bukanlah selepas mendengar itu, kita buat biasa seolah-olah tiada apa-apa yang perlu kita buat, seperti yang kita tengok dalam berita jam 8 itu.

Sebagai contohnya, andainya ada berita yang memberitahu bangunan kita sedang terbakar, tempat kita tinggal akan dilanda tsunami, takkan kita hendak duduk diam sahaja, bukan?

Dan ia juga bermaksud perkara yang disebutkan itu benar-benar akan terjadi, bukan kejadian abstrak. Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula adalah suatu perkara yang benar-benar akan berlaku secara nyata, bukan secara spiritual. Syurga dan neraka itu nyata benar, bukan dalam fikiran sahaja.

Ini kita sebut kerana ada agama yang tidak terima kejadian kebangkitan semula, syurga dan neraka. Mereka kata itu semua dalam minda sahaja. Itu adalah pandangan yang salah kerana memang kiamat, syurga dan neraka akan terjadi, tidak syak lagi. Kalau kita berdegil dari menerimanya, kita akan ada masalah besar nanti dan akan rugi dengan sebesar-besar kerugian.


 

Ayat 3: Hingga ke hari ini puak kafir masih lagi berselisih, masih lagi tertanya-tanya.

الَّذي هُم فيهِ مُختَلِفونَ

Sahih International

That over which they are in disagreement.

Malay

Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.

 

Mereka yang kufur tidak bersetuju sesama mereka. Lafaz مُختَلِفونَ  dalam bentuk isim (kata kerja) itu memberi isyarat yang mereka ‘sentiasa’ tidak bersetuju. Bukan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Arab yang memberi isyarat dengan cara yang unik.

Mereka sendiri tidak pasti sama ada berita itu benar atau tidak. Ada yang rasa ianya benar, dan ada yang tidak percaya langsung. Mereka tidak yakin. Yang menolak pun tidak pasti yang ia tidak akan terjadi. Jadi mereka terus dalam keraguan.

Ataupun maksud ikhtilaf itu, selain tidak bersetuju, mereka ada idea mereka sendiri tentang apakah yang akan terjadi. Mereka reka fahaman mereka sendiri, walaupun tidak ada dalil. Oleh itu, ada yang kata mereka boleh menggunakan perantaraan (tawassul) atau mendapat syafaat untuk menyelamatkan mereka di hari kebangkitan nanti.

Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka akan ada yang akan menyelamatkan mereka. Penyelamat mereka itu mereka sangka boleh jadi wali, Nabi atau malaikat. Sebab itulah, mereka selalu sembah dan buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Malangnya, hingga sekarang fahaman ini masih ada di kalangan masyarakat Islam yang jahil tentang tauhid dan agama.

Kerana itu, ramai dari kalangan orang Islam sendiri yang pergi ke kubur wali dan malaikat; untuk memberi salam kepada Nabi, wali dan malaikat; mengirim bacaan al-Fatihah kepada Nabi dan wali. Itu adalah amalan-amalan yang salah dan syirik. Mereka buat semua itu, antara lain adalah untuk mendapat syafaat (pertolongan) dari Nabi, wali dan malaikat itu.

Selain itu, ada juga yang membawa fahaman bahawa semua makhluk akan pergi ke syurga. Asalkan mereka itu orang yang ‘baik’. Tidak kisah kalau tidak ikut amalan agama pun, asalkan ‘baik’. Definisi ‘baik’ pun mereka reka sendiri.

Ada yang kata mereka ramai dan Allah ﷻ tidak akan sempat hendak menghukum semua makhluk. Dan macam-macam lagi fahaman yang mengarut-ngarut. Semuanya adalah atas andaian mereka sendiri.


 

Ayat 4:

كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

No! They are going to know.

Malay

Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).

 

كَلّا

Jangan!

Allah ﷻ berkata dengan tegas: jangan lagilah berselisih. Ini adalah kerana maklumat itu datangnya dari Allah ﷻ dan disampaikan oleh RasulNya. Sekiranya tidak tahu, hendaklah belajar dan fahamkan apakah yang disampaikan dalam wahyu Allah ﷻ.

Penggunaan lafaz كَلّا juga boleh difahamkan sebagai ‘berhentilah’ atau ‘janganlah’. Arahan ‘berhentilah’ itu adalah untuk menyuruh kaum kafir ini berhenti dari bercakap benda-benda yang mengarut lagi. Contohnya mereka kata Allah ﷻ ada anak; takkan Allah ﷻ ada masa hendak kawal manusia dan sebagainya lagi fahaman yang karut tanpa dalil.

Juga Allah ﷻ menidakkan fahaman salah mereka itu. Fahaman-fahaman salah itu jangan digunakan lagi. Itu semua adalah fahaman mengarut sahaja yang direka-reka yang entah datang dari mana.

Ataupun lafaz كَلّا itu sebagai penekanan. Allah ﷻ hendak tekankan apa yang hendak disampaikan selepas itu: *pasti* kamu akan mengetahui. Macam kita kalau bercakap dengan orang lain dan kita hendak tekankan sesuatu, kita cakap, “tak, kau kena buat juga…”. Padahal, penggunaan kata ‘tak’ itu, tidak ada makna dalam ayat itu. Cuma digunakan sebagai penekanan sahaja.

 

سَيَعلَمونَ

Mereka akan mengetahui 

Berhentilah buat bising lagi menolak kebenaran, kerana pasti mereka akan tahu juga akhirnya nanti. Jika tidak terima sekarang, mereka akan tahu apabila sudah mati nanti. Bila mati sahaja, baru akan tahu yang kehidupan selepas mati itu ada, dan kalau waktu itu baru hendak terima, maka sudah terlambat.

Huruf س dalam lafaz سَيَعلَمونَ itu menunjukkan yang ianya sudah sangat dekat. Jangan kita sangka ianya lama lagi. Kita sangka kita hidup lama lagi? Sedarlah, dalam kita sibuk ke sana dan ke mari, tiba-tiba sudah sampai masa untuk mati.


 

Ayat 5:

ثُمَّ كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

Then, no! They are going to know.

Malay

Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).

 

Allah ﷻ ulang sekali lagi ayat yang sama. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama juga ada dua pengertian:

1. Ianya bermaksud penekanan dari Allah ﷻ. Iaitu mubalaghah (bersangatan). Allah ﷻ hendak tekankan kemarahanNya kerana mereka tidak percaya. Kalau orang tidak percaya kepada kita, kadang-kadang kita akan cakap lagi dan lagi untuk tekankan kepada dia.

2. Kaum kafir akan tahu dua kali. Satu, pada kebangkitan semula (Kiamat) dan kedua, pada hari mereka melihat neraka. Maknanya, dua kali akan ditunjukkan kepada mereka tentang kebenaran yang telah dibawa oleh Nabi ﷺ itu. Kedua-dua waktu itu akan menyebabkan mereka menyesal sangat.

3. Atau, dua kali yang dimaksudkan adalah: ‘kiamat kecil’ dan ‘kiamat besar’. Kerana mati kita adalah ‘kiamat kecil’. Waktu itu sudah tahu bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar. Dan sekali lagi mereka akan tahu, apabila dibangkitkan semula pada hari kiamat besar.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi dalil-dalil afaqi adanya Kiamat. Di sini juga kita boleh melihat bagaimana Al-Qur’an membahagikan bahagian-bahagian dalam Al-Qur’an. Dalam Al-Qur’an, tidak ada perenggan. Kita boleh tahu sesuatu kisah itu berpindah ke topik yang baharu dengan perbezaan ritma di hujung ayat.

Kalau kita lihat dari ayat 1 sampai ayat 5, hujungnya sama sahaja semua ada ون di hujung ayat. Kecuali pada ayat ke 2, hujungnya lain sedikit. Itu pun kita boleh lihat kesinambungan antara ayat 2 dan ayat 3. Kedua ayat itu bersambung sebenarnya.

Dan sekarang, dalam ayat 6, kita akan lihat ritma yang digunakan akan berubah. Menunjukkan masuk ke bahagian perbincangan yang baru.

 

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا

Sahih International

Have We not made the earth a resting place?

Malay

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

 

Akhirat itu akan terjadi dari Qudrat Allah ﷻ. Allah ﷻ berkuasa untuk buat, sebab Dia memang berkuasa. Dia boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Tetapi puak Musyrikin Mekah tidak percaya ada entiti yang boleh buat semua itu. Nabi ﷺ kata semua akan dibangkitkan sekali, semua akan dibuat perkiraan hisab, syurga begitu besar, neraka begitu besar. Tetapi Musyrikin Mekah rasa takkanlah ada yang boleh buat begitu.

Maka Allah ﷻ memberitahu mereka, QudratNya yang telah melakukan macam-macam sebelum ini pun. Pertama sekali Allah ﷻ memberitahu yang Dialah yang menjadikan bumi yang besar ini. Bumi bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan. Allah ﷻ memberitahu yang bumi begini punya besar pun Dia boleh jadikan.

Tidakkah Allah ﷻ telah menjadikan keseluruhan bumi ini sebagai hamparan? Lafaz مِهادًا ada persamaan dengan مهد iaitu ‘buaian’. Buaian itu jadi tempat istirehat dan rasa senang kita tidur di atasnya (tidak kira kecil atau besar). Allah beri isyarat yang Dia telah jadikan bumi ini selesa, mudah supaya senanglah kita hidup atas dunia ini. Maka sekarang Allah  ﷻ beritahu sifat dunia ini yang selesa buat kita.

Ayat-ayat sebelumnya dalam surah-surah yang lain menceritakan tentang kejadian hari Kiamat seperti bumi terbelah dan sebagainya. Orang kafir (terutama yang tidak percaya kepada Tuhan) mengatakan Tuhan jenis apa ini, kenapa ganas sangat? Tetapi Allah ﷻ menjawab dengan mengatakan Allah ﷻ telah memberikan segalanya kepada manusia. Kesenangan Allah ﷻ telah beri pun kepada manusia di dunia ini. Lihatlah dunia ini yang menjadi buaian untuk kita, selesa untuk kita.

Mungkin kita tidak nampak pertalian antara topik ini dengan topik sebelum ini. Tetapi sebenarnya ada. Topik yang baru dimasuki ini adalah juga untuk menjelaskan tentang apakah yang telah disebutkan sebelum ini.

Allah ﷻ menceritakan tentang perbuatanNya dan jasaNya kepada manusia. Antara sebab orang kafir tidak boleh percaya tentang hari Kiamat adalah kerana akal fikiran mereka tidak dapat terima akan kejadian semacam itu. Mereka tidak dapat terima ada satu kuasa yang cukup besar sampai boleh menjadikan hari kiamat itu satu kenyataan. Kerana benda semua itu besar-besar belaka – langit hancur, bumi terbelah, gunung menjadi debu dan sebagainya.

Semua itu menyebabkan mereka tidak dapat hendak terima. Itu adalah kerana mereka menggunakan akal mereka yang cetek. Dan mereka lihat kepada diri mereka sendiri, yang memangnya tidak akan mampu hendak buat semua itu. Tentulah mereka dan Allah ﷻ tidak sama. Kalau mereka tidak mampu buat, tidaklah boleh kata Allah ﷻ tidak mampu buat pula sebab Allah ﷻ itu lain dari manusia.

Jadi dalam ayat ini dan ayat-ayat seterusnya, Allah ﷻ membandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah ﷻ. Pertama, tentang bumi. Bandingkan bumi ini dengan rumah kita. Manusia boleh membuat rumah untuk didiami, bukan? Macam-macam jenis rumah kita boleh buat.

Tetapi Allah ﷻ hendak bandingkan, kalau manusia buat rumah sebagai tempat istirehat, Allah ﷻ jadikan seluruh bumi ini sebagai tempat istirehat! Rumah kita mungkin ramai boleh duduk, tetapi bumi ini seluruh makhluk bumi boleh duduk! Sekarang bandingkan usaha manusia dan perbuatan Allah ﷻ. Tentu tidak sama langsung.


 

Ayat 7:

وَالجِبالَ أَوتادًا

Sahih International

And the mountains as stakes?

Malay

Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

 

Sekarang Allah ﷻ gunakan perbandingan gunung ganang pula. Bangsa Arab pun biasa tengok bukit dan gunung dan mereka terpesona dengan kebesaran dan kekuatan gunung ganang itu. Sekarang Allah ﷻ bandingkan gunung ganang dengan pasak pula.

Pasak itu adalah bahagian terpenting dalam khemah, bukan? Allah ﷻ menjadikan perumpamaan khemah kepada manusia Arab kerana mereka biasa pakai khemah dalam kehidupan mereka kerana mereka duduk di padang pasir. Mereka selalu pasang khemah dan mereka pun tahu yang pasak itu amat penting kepada khemah itu.

Kalau khemah memerlukan peg (pasak), maka bumi juga memerlukan pasak. Dan pasak untuk bumi adalah gunung ganang! Ini boleh melihat proses alam yang dinamakan ‘isostasi‘ dan boleh dijelaskan dalam bentuk sains. Apabila kerak bumi ada pasak, maka tegaplah kedudukan hamparan bumi dan bolehlah kita hidup di atasnya. Kalau tidak, tentulah pasak bumi ini sentiasa bergerak dan apabila bergerak sahaja, tentu kita susah.

Proses Isostasi

Bandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah ﷻ, tentu tidak sama. Manusia pasakkan kayu pada khemah kecil sahaja, sedangkan Allah pasakkan gunung pada bumi! Jadi macam mana mereka hendak kata Allah ﷻ tidak mampu hendak buat semua apa yang telah disebut dalam Al-Qur’an itu?


 

Ayat 8:

وَخَلَقناكُم أَزواجًا

Sahih International

And We created you in pairs

Malay

Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?

 

Dan Allahﷻlah yang menjadikan semua makhlukNya berpasangan. Termasuklah manusia ada pasangannya – ada lelaki dan perempuan. Kita semua ada pasangan kita masing-masing. Sekarang kenangkan: siapakah yang menjadikan pasangan itu buat kita? Memang kita cari pasangan kita, kemudian berkahwin, tetapi siapakah yang jadikan pasangan itu untuk kita? Tentulah Allah ﷻ, bukan?

Dalam alam juga begitu – ada matahari dan ada bulan; ada atas dan bawah; kiri dan kanan; dan semuanya sekali ada pasangan. Kita tidak mampu hendak buat apa-apa dalam hal ini. Kalau kita telah dijadikan sebagai lelaki oleh Allah ﷻ, kita tidak boleh hendak ubah apa yang telah ditakdirkan. Allah ﷻ yang jadikan kita berpasangan. Kita tidak mampu hendak buat sendiri.

Jantina kita pun kita tidak dapat hendak tentukan kerana kita makhluk yang lemah. Allah ﷻ yang jadikan kita, dan pasangan buat kita, tentulah Dia mampu untuk menjadikan hari pembalasan, bangunkan kembali semua makhlukNya. Kalau Dia boleh jadikan dari tidak ada kepada ada, kemudian matikan makhluk itu, tentulah Dia ﷻ juga boleh jadikan semula.


 

Ayat 9:

وَجَعَلنا نَومَكُم سُباتًا

Sahih International

And made your sleep [a means for] rest

Malay

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?

 

Dan Allah ﷻ telah menjadikan malam untuk kita berehat. Lafaz سُباتًا asalnya bermaksud ‘memotong’. Maksudnya kita ‘dipotong’ dari nyawa kita semasa kita tidur. Waktu kita tidur, roh kita keluar dan kita sudah tidak dapat kawal lagi kerana telah ‘terputus’ dari kita. Sebab itu merata roh kita pergi dalam mimpi. Dan terputus antara otak dan tubuh kita – kerana itu kalau kita mimpi berlari, tidaklah kita berlari waktu kita tidur!

Ia juga bermaksud seseorang yang tidur itu ‘terputus’ dari kehidupan pada ketika itu. Seolah-olah kita sudah mati. Orang panggil kita pun mungkin kita tidak dengar lagi kerana roh kita sudah keluar dari tubuh kita. Orang melompat dan buat muka lawak depan kita pun kita tak perasan.

Nanti apabila kita mati, kita pun akan jadi begitu juga. Tetapi pemotongan roh dari tubuh itu kekal selepas mati. Masa tidur bolehlah roh itu masuk balik. Maka kerana itu Allah ﷻ selalu gunakan contoh tidur sebagai perbandingan bagi mati. Setiap hari Allah ﷻ beri peringatan kepada kita tentang mati. Kerana setiap kali kita tidur, itu pun satu tahap ‘mati’ juga sebenarnya.

Tiada siapa yang dapat kawal roh kita hendak keluar atau tidak. Kita tidak ada kuasa apabila sudah sampai masa roh kita keluar. Kalau orang kafir pun kena terima perkara ini. Mereka pun tahu yang mereka tidak boleh kawal perkara itu dan apabila mereka mati, malah mereka tidak boleh kawal tidur pun.

Berapa ramai yang tahan tidur, sengkang mata, tetapi kalau sudah penat sangat, dia tertidur juga? Ini dinamakan ‘micro sleep’. Perkara ini selalu terjadi semasa memandu di lebuhraya (highway effect). Semasa memandu dan kalau mengantuk sangat, kita selalunya cuba untuk tahan dari tidur. Tetapi otak kita akan ambil keputusan untuk tidur sendiri kerana badan sudah sangat penat. Maka kerana itulah kalau sedang memandu dan penat, dinasihatkan untuk berhenti dahulu dan rehat kerana ia amat merbahaya bagi kita dan keluarga kita.


 

Ayat 10: 

وَجَعَلنَا اللَّيلَ لِباسًا

Sahih International

And made the night as clothing

Malay

Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?

 

Allah ﷻ menjadikan malam itu dan tutup pandangan mata kita untuk kita rehat. Malam seperti ‘pakaian’ yang menyeliputi manusia. Banyak kejadian berlaku di malam hari dan kita tidak nampak. Ramai yang mengambil peluang untuk menyorok di malam hari kerana pandangan mata sedang dilindungi, susah orang hendak nampak. Kerana kegelapan itulah juga penyamun dan kecurian bermaharajalela dengan banyak kalau dibandingkan dengan siang.

Allah ﷻ menjadikan gelap malam itu sebagai satu suasana di mana manusia berasa tenang semasa malam. Dengan ini membolehkan kita tidur dengan tenang, bukan? Apabila cahaya tidak ada, maka badan akan merembeskan melatonin yang menyebabkan kita senang tidur

Dan seperti juga siang, kita tidak dapat kawal bila datangnya malam. Allah ﷻ yang kawal. Malam itu bukannya terjadi sendiri, bukan bergerak sendiri kerana tiadanya matahari. Buktinya, nanti ada masa apabila hari lebih panjang dari biasa. Kerana Allah ﷻ kawal siang itu supaya malam tidak datang seperti yang biasa. Maknanya, memang kita boleh jelaskan kedatangan malam dan siang itu kerana peredaran matahari, tetapi kalau Allah ﷻ tahan, bagaimana?


 

Ayat 11: Tadi cerita tentang malam, sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang siang pula. Ayat sebelum itu telah disebut tentang ‘pasangan’. Dan pasangan bagi malam adalah siang, bukan?

وَجَعَلنَا النَّهارَ مَعاشًا

Sahih International

And made the day for livelihood

Malay

Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?

 

Sebelum ini Allah ﷻ sebut gunanya malam – untuk berehat. Dan siang pula secara umumnya masa untuk manusia mencari rezeki untuk kehidupan. Petani memang perlukan matahari untuk tanaman mereka tumbuh subur. Dan mereka yang bekerja pun selalunya bekerja di siang hari kerana senang nampak apa yang dilakukan. Walaupun memang ada orang yang kerja malam, tetapi Allah ﷻ menyebut kebiasaan yang dilakukan oleh manusia.


 

Ayat 12: Ayat-ayat sebelum ini tentang benda-benda yang Allah ﷻ jadikan untuk kita gunakan. Sekarang Allah ﷻ sebut tentang alam atas pula.

وَبَنَينا فَوقَكُم سَبعًا شِدادًا

Sahih International

And constructed above you seven strong [heavens]

Malay

Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?

 

Dan Allah ﷻ menjadikan di atas manusia tujuh langit yang kukuh. Allah ﷻ suruh kita tengok alam langit, tengok bintang, tengok matahari, dan cari jika ada kerosakan padanya. Tentu tidak ada. Begitu kukuh sekali binaan yang Allah ﷻ buat.

Bandingkan dengan binaan kita. Kita pun ada bina seperti bangunan, rumah dan sebagainya, tetapi tidak sama macam binaan yang Allah ﷻ jadikan. Binaan kita tidak sempurna dan tentu ada kerosakan di mana-mana, retak di sana sini. Tetapi binaan Allah ﷻ langsung tidak ada perkara itu. Maka sedarlah beza kita dengan Allah ﷻ.

Allah ﷻ boleh jadikan langit itu dengan sebegitu benar dan indah, dan tentu juga Allah ﷻ mampu untuk menjadikan alam kiamat nanti. Allah ﷻ boleh jadikan Mahsyar sebagai tempat untuk semua makhlukNya dari yang mula dicipta sampai yang terakhir sekali dimatikan untuk berkumpul. Tidak ada masalah untuk Allah ﷻ.


 

Ayat 13: Selepas disebutkan tentang langit, Allah ﷻ terus menyebut antara benda yang ada di langit itu. Pertamanya adalah matahari.

وَجَعَلنا سِراجًا وَهّاجًا

Sahih International

And made [therein] a burning lamp

Malay

Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?

 

Lafaz سِراجًا asalnya adalah apa sahaja yang mengeluarkan cahaya termasuk lampu pelita. Lafaz وَهّاجًا pula bermaksud sesuatu yang membakar. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah matahari. Allah ﷻlah yang menjadikan matahari yang bersinar itu.

Bandingkan dengan api yang kita nyalakan. Kita pun ada juga nyalakan api tetapi tidak sama dengan matahari. Api pada matahari itu telah lama menyala dan entah bila akan padam. Dan matahari itu memberi sinaran kepada semua makhlukNya yang memerlukan.

Terlalu banyak gunanya sinaran matahari itu. Siang hari yang disebut dalam ayat sebelum ini memerlukan matahari untuk membolehkan kita nampak di siang hari itu. Kalau tidak ada matahari, susah kita hendak buat kerja. Nanti akan disebutkan tentang tumbuh-tumbuhan, yang tidak dapat hidup kalau tidak mendapat pancaran sinar matahari.


 

Ayat 14: Dari atas juga, ada awan yang darinya diturunkan air, yang juga diperlukan oleh kita untuk hidup.

وَأَنزَلنا مِنَ المُعصِراتِ ماءً ثَجّاجًا

Sahih International

And sent down, from the rain clouds, pouring water

Malay

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, –

 

Lafaz المُعصِراتِ diambil dari katadasar ع ص ر yang bermaksud ‘perah’. Jadi lafaz المُعصِراتِ bermaksud ‘yang diperah’. Macam kita perah baju basah untuk mengeluarkan air dari baju. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa awan itu seolah-olah diperah untuk mengeluarkan air.

Kalau awan dalam bahasa Arab adalah سحابة. Allah ﷻ hendak memberitahu, bahawa Dia lah yang menjadikan awan yang mengandungi air. Awan itu Allah ﷻ juga yang kawal. Dia lah yang menentukan manakah tempat air hujan akan diturunkan dan berapa banyak.

Allah ﷻ memberi air yang berlimpah ruah untuk manusia. Air itu untuk kebaikan manusia dan kadangkala boleh juga menyusahkan manusia. Kerana kalau banyak sangat, sampai boleh banjir dan merosakkan tanaman dan kehidupan di dunia.

Ini menunjukkan yang kita bergantung kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak beri air kita susah, dan kalau Dia beri banyak sangat pun susah. Tetapi sebagai hamba, memang kita bergantung kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.


 

Ayat 15:

لِنُخرِجَ بِهِ حَبًّا وَنَباتًا

Sahih International

That We may bring forth thereby grain and vegetation

Malay

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, –

 

Dengan air itu dapat mengeluarkan segala bentuk tanaman. Lafaz حَبًّا digunakan untuk segala bentuk tanaman yang bijirin. Sedangkan lafaz نَباتًا pula untuk segala jenis tanaman yang jenis lain seperti rumput dan sayur-sayuran. Kedua-duanya menjadi sumber makanan kita.


 

Ayat 16:

وَجَنّاتٍ أَلفافًا

Sahih International

And gardens of entwined growth.

Malay

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?

 

Dengan air hujan itu juga dapat menumbuhkan taman-taman dan kebun dengan segala jenis tumbuhan yang lebat. Lafaz أَلفافًا bermaksud ‘menyeliputi sekelilingnya’. Kalau kita lihat tanaman dan kebun yang lebat, memang tanaman itu bertaut antara satu sama lain.

Allah ﷻlah yang boleh menjadikan semua itu dengan QudratNya. Dengan Qudrat yang sama akan menghidupkan yang telah mati. Dan dengan Qudrat yang sama juga akan buat hari perhitungan. Kalau Allah ﷻ boleh jadikan segala itu untuk keperluan kita, takkan Allah ﷻ tidak boleh jadikan Hari Pembalasan itu?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 6 – 11 (Kenapa tiada perjanjian dengan musyrikin)

GOLONGAN MUSYRIK MEMINTA PERLINDUNGAN

Tawbah Ayat 6:

وَإِن أَحَدٌ مِّنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if any one of the polytheists seeks your protection, then grant him protection so that he may hear the words of Allāh [i.e., the Qur’ān]. Then deliver him to his place of safety. That is because they are a people who do not know.

(MALAY)

Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.

 

وَإِن أَحَدٌ مِّنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ

Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, 

Dalam ayat sebelum ini, umat Islam telah diperintahkan untuk menangkap puak musyrikin itu di mana sahaja dijumpai mereka itu. Akan tetapi kalau ada yang hendak belajar tentang agama Islam, bagaimanakah Islam diamalkan, dengan tujuan untuk mendengar Al-Qur’an dan belajar Al-Qur’an? Ini adalah kerana mereka itu meminta jaminan keamanan daripada pihak Muslim. Mereka ini sebenarnya sedang meminta suaka (perlindungan) politik.

 

فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ

maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah,

Dalam keadaan begitu, berilah visa kepada mereka. Lindungilah mereka untuk sementara waktu, biar mereka boleh datang mendengar ayat-ayat Allah ‎. Ini dibenarkan sehingga dia boleh mendengar sendiri kalam Allah ‎ dibacakan kepadanya supaya dia boleh tahu apakah Islam itu sebenarnya.

Oleh itu, ia bukan setakat ‘dengar’ sahaja tetapi hendaklah difahami. Maka kena jelaskan maksud ayat-ayat Al-Qur’an. Jika setakat mendengar sahaja, ramai orang kita selalu dengar Al-Qur’an, tetapi apabila mereka tidak faham apa yang dibaca, mereka tidak dapat mengikuti apa yang disampaikan oleh Allah ‎ di dalam Al-Qur’an.

Apabila sudah faham, maka hendaklah diikuti ajaran di dalam Al-Qur’an itu. Maka kenalah dengar betul-betul dan kena faham apa yang disebut kerana ia tidak mencukupi jika tidak faham dengan hanya sekadar mendengar sahaja. Inilah beza antara “hearing” dan “listening”. Ia tidak sama sebenarnya. Kalau setakat “hearing”, kambing lembu pun boleh dengar juga, tetapi mereka tidak faham dan tidak “listen”. Jangan jadi seperti orang yang ditegur Allah ‎ﷻ di dalam [Anfal: 21]

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengar.

Itulah perangai orang munafik. Untuk orang kafir pun Allah ‎ ada tegur juga di dalam [Baqarah: 18]

صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

Itu untuk munafik dan orang kafir. Bagaimana pula dengan Islam? Terutama sekali masyarakat kita? Masalah utama adalah tidak faham apa yang mereka baca dan mereka dengar. Ini tidak jauh beza pun dengan golongan Yahudi yang tidak faham Taurat. Ini telah Allah ‎ tegur di dalam [Baqarah: 78]

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Waktu ayat ini diturunkan, masih ada dalam kalangan orang musyrik Tanah Arab yang tidak tahu apakah Islam itu sebenarnya. Mungkin selepas pengumuman dibacakan kepada mereka, mereka teringin hendak tahu tentang Islam. Kalau mereka benar datang dengan baik, maka layanlah juga dengan baik. Berilah masa kepada mereka.

Ayat ini menjadi dalil bahawa ayat-ayat Al-Qur’an yang kita baca adalah Kalamullah. Ia bukanlah kalam makhluk. Mungkin kita sudah tahu bahawa Al-Qur’an adalah Kalamullah. Manakala mushaf Al-Qur’an yang ada di tangan kita yang dibuat daripada pen, kertas, cetakan itu adalah makhluk kerana ia dibuat oleh kita.

Ayat ini memerintahkan untuk memberikan golongan bukan Islam mendengar ‘Kalam Allah’. Kalam itu sama ada dibaca oleh Rasul atau para sahabat, bukanlah daripada sebutan Allah ‎. Namun Allah ‎ tetap mengatakan ia adalah ‘Kalam Allah’. Maka ini menjadi dalil yang ayat Al-Qur’an walaupun dibaca oleh manusia, ia tetap adalah Kalamullah.

Daripada ayat ini kita diajar yang jikalau orang bukan Islam (belum Muslim) meminta bukti daripada ayat-ayat Al-Qur’an, maka kita hendaklah memberikan kepadanya. Namun untuk beri itu, kita kenalah faham terlebih dahulu, bukan? Maka kita hendaklah belajar kalam Allah ‎ ini dahulu. Akan tetapi agak-agaklah orang Melayu kita ini bolehkah menceritakan tentang Al-Qur’an kepada Non-Muslim? Amat memalukan apabila orang mengaku beragama Islam pun tidak tahu kitab agama sendiri, bukan?

Ini menunjukkan kelebihan mendengar Al-Qur’an. Ia bukan sahaja sesuai dibaca, akan tetapi ia sedap didengari. Maka kena selalu cari peluang untuk mendengar bacaan Al-Qur’an. Bagi orang yang hendak menghafalnya, maka mestilah sentiasa mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibacakan oleh orang lain.

 

ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ

kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya.

Kemudian selepas dia dapat mendengar ayat-ayat Allah ‎ dibacakan dan dia telah faham, maka lepaskan dia ke sempadan, atau mana-mana tempat yang dia rasa aman. Maknanya, hendaklah memulangkan dia di tempat yang dia rasa aman dan selamat. Kita bukan setakat diajar untuk memberi mereka dengar tentang agama, tetapi Allah ‎ suruh kita bawa mereka ke tempat yang mereka rasa mereka selamat. Sampai ke situ kita hantar mereka.

Lihatlah bagaimana baik sekali layanan yang Allah ‎ suruh kita berikan kepada manusia. Tidak pernah ada lagi perkara ini sebelum itu. Biarlah dia buat keputusan selepas itu kerana dia pun sudah dengar firman Allah ‎ dibacakan kepadanya. Sekiranya dia tidak masuk Islam juga, dan kemudian jumpa dia di mana-mana, barulah kita kena bunuh dia nanti kerana pada waktu itu sudah tidak ada perlindungan lagi untuk dirinya.

Untuk zaman sekarang, ini termasuk permintaan perlindungan untuk masuk negara Islam. Ini boleh dibenarkan. Cuma, kalau dia datang itu kerana hendak belajar agama, maka tanggungjawab kerajaan Islam untuk memberikan perlindungan kepada mereka. Namun begitu jikalau dia datang kerana hendak berniaga atau sebab-sebab lain, maka tidak ada kewajipan untuk melindungi mereka. Ia terpulang kepada keputusan kerajaan untuk memberi perlindungan kepada mereka atau tidak.

Kesimpulannya, ini berkenaan barang siapa yang datang dari kawasan musuh ke dalam kawasan Islam untuk menyampaikan suatu pesan sebagai seorang delegasi, untuk keperluan berniaga, untuk meminta perdamaian, gencatan senjata, membawa jizyah, atau untuk keperluan lainnya. Lalu jika dia meminta jaminan keamanan kepada imam atau wakilnya, maka dia boleh diberi jaminan keamanan selagi masih bertugas di kawasan Islam dan hingga dia sampai ke tempat yang aman baginya. Kerajaan Islam boleh membuat keputusan berdasarkan kepada keadaan semasa.

Akan tetapi ulama’ mengatakan bahawa dia tidak diizinkan tinggal di negeri Islam dalam masa satu tahun, namun diperbolehkan untuk tinggal dalam batas maksimum empat bulan. Adapun mengenai masa tinggal yang lebih daripada empat bulan, tetapi kurang daripada satu tahun, menurut Imam Syafi’iy dan lain-lainnya ada dua pendapat mengenainya. Maknanya, ada perbezaan pendapat dalam hal ini.

Cuma memang ia ada had, bukan selama-lamanya mereka boleh duduk di negara Islam. Dalam ayat ini pun disebut حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ (hingga dia mendengar kalam Allah). Selepas mendengar dan faham sedikit sebanyak, mereka kenalah buat keputusan. Cuma ulama’ khilaf mengenai tempoh masa itu.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعلَمونَ

Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.

Perkara itu dibenarkan, walaupun mereka kafir harbi (orang kafir yang diperangi) kerana mereka tidak tahu lagi mengenai kalam Allah‎ . Mereka tidak kenal lagi agama Islam maka kena diajar kepada mereka. Mungkin sebelum itu mereka asyik mendengar kata-kata orang sahaja. Mereka belum mendapat maklumat yang lengkap lagi dan kerana itulah mereka tidak tahu tentang Islam.

Begitulah juga kebanyakan daripada masyarakat dunia sekarang pun. Mereka tidak mendapat maklumat penuh tentang Islam. Apa yang mereka lihat dan tahu, kadang-kadang tidak benar disebabkan media massa telah memaparkan perkara yang buruk tentang Islam. Ini berlaku kerana musuh Islam yang menguasai media massa, mereka boleh pusing maklumat supaya nampak Islam ini agama yang jahat.

Amat malang sekali, perangai orang Islam pun memang banyak yang buruk. Oleh itu, jika dilihat kepada sikap dan perangai buruk orang Islam semata-mata, maka tidak nampak keindahan Islam. Ini adalah berpunca daripada kesalahan kita juga. Oleh itu, berilah mereka peluang untuk mengenali Islam dan mengenali Islam itu adalah melalui mendengar ayat-ayat Al-Qur’an disampaikan kepada mereka.

Maka ini juga mengajar kepada kita yang kita sampaikan ajaran Islam ini kepada umat manusia keseluruhannya. Kena tunjuk imej yang baik kepada non-Muslim. Kena naikkan minat mereka untuk mengetahui Islam yang sebenar. Islam yang sebenarnya mestilah diambil daripada Al-Qur’an. Selepas itu sama ada mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka dan Allah ‎.

Oleh hal yang demikian, untuk faham agama ini kenalah diambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Itulah agama sebenar. Janganlah pula menilai agama ini daripada golongan sesat seperti golongan Habib itu pula. Nanti nampak agama ini adalah agama yang suka menyanyi dan berjoget dan sembah kubur. Nanti dianggap bahawa agama kafir sama sahaja dengan agama Islam.

Habis Ruku’ 1 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

MUSYRIKIN YANG KHIANAT

Tawbah Ayat 7: Sekarang kita masuk ke bahagian yang baru. Selepas ini akan disebut perkara-perkara yang dianggap sebagai halangan untuk memerangi musuh, yang diutarakan oleh pihak kafir, namun ia bukanlah halangan sebenarnya. Allah memperjelaskan satu persatu dalam ayat-ayat selepas ini. Allah akan beritahu bagaimana semua itu bukanlah halangan, itu hujah mereka sahaja dan Allah akan patahkan.

Dalam ayat ini adalah kesamaran yang pertama. Hujah ini dikeluarkan oleh pihak musuh Islam apabila keluar iklan untuk membatalkan perjanjian dengan orang kafir, dengan tujuan untuk berperang selepas itu. Orang kafir berhujah, kenapa batalkan perjanjian hanya kerana hendak melawan mereka?

Allah jawab dalam ayat ini, keputusan untuk memerangi mereka akan diteruskan kerana mereka sendiri yang tidak pandai menjaga perjanjian. Oleh kerana sikap mereka itu, maka dibatalkan perjanjian. Maka ayat 7 – 10 ini Allah memberitahu kenapa perjanjian dengan orang kafir itu mesti dibatalkan.

كَيفَ يَكونُ لِلمُشرِكينَ عَهدٌ عِندَ اللَّهِ وَعِندَ رَسولِهِ إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ فَمَا استَقٰموا لَكُم فَاستَقيموا لَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How can there be for the polytheists a treaty in the sight of Allāh and with His Messenger, except for those with whom you made a treaty at al-Masjid al-Ḥarām? So as long as they are upright toward you,¹ be upright toward them. Indeed, Allāh loves the righteous [who fear Him].

  • i.e., maintain the terms of the treaty.

(MALAY)

Bagaimana boleh ada perjanjian (aman) dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin, kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dekat Masjidil Haraam? Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.

 

كَيفَ يَكونُ لِلمُشرِكينَ عَهدٌ عِندَ اللَّهِ وَعِندَ رَسولِهِ

Bagaimana boleh ada perjanjian (aman) dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin,

Bagaimana boleh dikekalkan perjanjian dengan orang kafir itu di sisi Allah dan Rasul? Tidak mungkin. Tidaklah patut untuk mengekalkan perjanjian dengan mereka lagi. Perjanjian dengan mereka memang patut dibubarkan kerana kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Mereka dari dahulu lagi tidak boleh dipercayai di dalam perjanjian. Telah banyak perjanjian dengan kerajaan Islam yang telah dilanggar.

 

إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ

kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dekat Masjidil Haraam

Perjanjian dengan puak musyrikin tidak patut ada, kecuali perjanjian dengan orang-orang musyrikin yang tidak memungkiri janji. Ini mengajar kita yang kita tidak boleh pukul rata semua orang kafir yang membuat perjanjian dengan kita. Jika orang lain membuat salah dan melanggar perjanjian, jangan kita samakan mereka dengan orang lain. Sekiranya mereka adil, kita pun kena adil dengan mereka.

Allah telah berfirman di dalam Maidah: 8

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.

Allah menyebut perjanjian itu diadakan di Masjidil Haram. Maka perjanjian itu menjadi mulia kerana ia dimeterai di tempat yang mulia.

 

فَمَا استَقٰموا لَكُم فَاستَقيموا لَهُم

Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka. 

Selagi mereka menjaga syarat perjanjian itu, maka umat Islam pun kenalah menjaga juga syarat-syarat dalam perjanjian itu. Ini seperti perjanjian yang diteruskan dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj.

Itu tidak terjadi dalam PH (Perjanjian Hudaibiyyah). Perjanjian itu sepatutnya selama sepuluh tahun, tetapi ditamatkan lebih awal kerana pihak kufur telah belot kepada perjanjian itu sebelum ia tamat.

Rasulullah berserta kaum Muslim menepati perjanjian damai  tersebut. Perjanjian perdamaian dan gencatan senjata dengan penduduk Mekah ini ber­langsung bermula dari bulan Zul Qa’dah tahun enam Hijrah hingga orang-orang Quraisy merosakkan perjanjian tersebut. Mereka dan para hulafa-nya (teman-teman mereka) —iaitu Bani Bakar— bersekong­kol untuk memerangi Bani Khuza’ah, yang telah mengadakan perjanjian dengan Rasulullah ﷺ. Lalu mereka bersama teman mereka telah  membunuh orang-orang Bani Khuza’ah di Tanah Suci.

Maka kerana itu Rasulullah berangkat memerangi mereka pada tahun 8 Hijriah, hingga Allah memberikan kemenangan kepada Rasulullah atas Tanah Suci dan menguasai seluruhnya. Kemudian Rasulullah melepaskan orang-orang dalam kalangan mereka yang mahu masuk Islam sesudah kalah dan tidak berdaya, lalu mereka diberi nama julukan Tulaqa (orang-orang yang dibebaskan); jumlah mereka kurang lebih ada dua ribu orang.

Sedangkan orang-orang yang masih tetap pada kekafirannya melarikan diri daripada Rasulullah dan baginda memerintahkan agar memberikan jaminan keamanan dan kemudahan bagi mereka di muka bumi selama empat bulan; dalam masa itu mereka yang lari boleh pergi ke mana pun yang mereka sukai dengan bebas dan aman.

Di antara mereka adalah Safwan ibnu Umayyah, Ikrimah ibnu Abu Jahal, dan lain-lainnya. Akan tetapi pada akhirnya Allah memberikan hidayah kepada mereka, lalu mereka masuk Islam dengan sempurna.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.

Allah suka hamba-Nya yang bertaqwa – dalam konteks ayat ini, yang dimaksudkan adalah mereka yang menjaga dan memegang perjanjian, tidak belot dalam perjanjian itu. Allah berkata orang bertaqwa akan jaga dan tidak belot dengan perjanjian. Akhirnya umat Islam memutuskan PH itu kerana pihak sebelah sana yang membelot dahulu.

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita untuk memegang kepada perjanjian. Untuk zaman sekarang, banyak kontrak yang kita tandatangani – kita berjanji untuk melakukan sesuatu dan sebagainya. Kita mestilah memegang dan mengotakan perjanjian itu.

Itu adalah tanda taqwanya seseorang. Walaupun perjanjian itu kita lakukan dengan orang kafir sekali pun. Lihatlah dalam ayat ini, ada perjanjian dengan orang kafir tetapi Allah tetap suruh kita menepati perjanjian itu.


 

Tawbah Ayat 8: Pengulangan hujah kenapa tidak perlu memegang perjanjian damai dengan orang Kafir.

كَيفَ وَإِن يَظهَروا عَلَيكُم لا يَرقُبوا فيكُم إِلًّا وَلا ذِمَّةً ۚ يُرضونَكُم بِأَفوٰهِهِم وَتَأبىٰ قُلوبُهُم وَأَكثَرُهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How [can there be a treaty] while, if they gain dominance over you, they do not observe concerning you any pact of kinship or covenant of protection? They satisfy you with their mouths, but their hearts refuse [compliance], and most of them are defiantly disobedient.

(MALAY)

Bagaimana mungkin (ada perjanjian dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin), padahal jika mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kerabat terhadap kamu dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian. Mereka menyenangkan hatimu dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolak. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik (tidak menepati perjanjian).

 

كَيفَ

Bagaimana mungkin

Bagaimana mungkin ada perjanjian dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin? Mereka itu tidak boleh dipercayai. Allah sebut tentang mereka di sini.

 

وَإِن يَظهَروا عَلَيكُم لا يَرقُبوا فيكُم إِلًّا

padahal jika mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kekerabatan terhadap kamu

Kalimah إِلًّا berasal daripada katadasar  ا ل ل dan ia bermaksud perjanjian, hubungan kekeluargaan, kedudukan yang rapat kerana pertalian darah, janji, kejiranan.

Allah memberitahu apa yang dalam hati orang itu: jika mereka dapat menguasai umat Islam, apabila zahir yang mereka menang, mereka sudah tidak mengambil peduli langsung  pertalian kerabat dengan umat Islam. Mereka bukan kisah pun yang Nabi Muhammad itu daripada puak Quraish juga. Ini kerana mereka amat benci kepada baginda. Mereka juga sudah tidak menghiraukan tali persaudaraan mereka dengan orang Mukmin yang lain. Mereka lawan sahaja walaupun daripada keluarga sendiri.

 

وَلا ذِمَّةً

dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian.

Sekiranya jelas yang merekalah yang berkuasa ke atas puak Islam, mereka bukan endah tentang perjanjian pun. Sebaliknya mereka akan serang dan bunuh umat Islam kalau mereka ada peluang. Maka, kenapa hendak dijaga sangat perjanjian damai dengan mereka?

Kalimah ذِمَّةً dari katadasar Kalimah مَذمومًا dari katadasar ذ م م yang bermaksud menghina; menyalahkan; tidak bersetuju; perjanjian; niat baik; perjanjian; perlindungan; kewajipan; tanggungjawab. Di sini diambil maksud perjanjian. Mungkin anda biasa dengar kalimah ‘Kafir Dzimmi’ iaitu orang bukan Muslim yang tinggal di negara Islam dan sudah mendapat perjanjian keamanan bersama mereka.

 

يُرضونَكُم بِأَفوٰهِهِم وَتَأبىٰ قُلوبُهُم

Mereka hendak menyenangkan hatimu dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolak.

Allah beritahu apa yang ada dalam hati mereka: mereka itu bersetuju dengan puak Islam itu hanya pada lidah mereka, pada bibir sahaja. Mereka mahukan umat Islam berasa redha sahaja. Mereka bersetuju membuat perjanjian itu kerana hendak kita senang (redha) dengan mereka sahaja. Mereka hendak kita sangka mereka sudah berbaik-baik dengan kita. Padahal di dalam hati mereka bukan mahu perjanjian itu pun.

Dari segi sejarah, apabila ada puak yang berpihak kepada Quraish belot kepada Perjanjian Hudaibiyyah, puak Quraish sudah takut. Mereka takut jika puak Islam datang menyerang mereka. Maka, Abu Sufyan telah terus datang ke Madinah untuk memujuk Nabi . Namun itu hanya pada mulut mereka sahaja. Sedangkan hati mereka lain. Hati mereka tidak redha dengan puak Islam, mereka sebenarnya jika boleh, enggan berdamai.

 

وَأَكثَرُهُم فٰسِقونَ

Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik

Akhirnya Allah beritahu yang kebanyakan mereka itu adalah fasik, tidak tahu menjaga perjanjian. Mereka akan belot kepada perjanjian itu jika mereka ada peluang. Mereka puak yang tidak ada moral dan etika.

Namun apabila dikatakan ‘kebanyakan mereka’ ia bermaksud bukan semua orang kafir begitu. Ada yang boleh menjaga perjanjian mereka dan mereka adil dalam hal itu. Maka jika mereka adil, maka perjanjian boleh diteruskan dengan mereka.


 

MUSYRIKIN ARAB

Tawbah Ayat 9:

اشتَرَوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَليلًا فَصَدّوا عَن سَبيلِهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have exchanged the signs of Allāh for a small price and averted [people] from His way. Indeed, it was evil that they were doing.

(MALAY)

Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu.

 

اشتَرَوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَليلًا

Mereka menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit,

Puak Musyrikin itu telah menjual ayat-ayat Allah untuk mendapatkan kelebihan dunia yang sedikit. Mereka sangka mereka mendapat pulangan keduniaan yang banyak dengan menolak Islam dan menentang umat Islam. Namun mereka tidak sedar yang apa yang mereka buang itu lebih berharga. Allah mengutuk mereka kerana menjual perkara yang paling baik untuk membeli perkara yang paling buruk dengannya.

Maknanya, mereka tidak akan menjaga perjanjian dengan puak Islam kerana  yang mereka mahukan adalah untuk mendapatkan kepentingan keduniaan sahaja. Ini mengajar kita kenapa manusia melanggar perjanjian dan menolak agama yang benar: dunia. Dunia telah menipu mereka. Mereka mahukan kelebihan keduniaan sampaikan mereka sanggup menolak agama dan menolak kebenaran.

Kenapa Allah menggunakan kalimah ‘jual’ di sini? Ia digunakan kerana hendak memberi isyarat yang mereka lakukan itu dengan kehendak mereka sendiri. Tidak ada sesiapa yang paksa mereka. Mereka sendiri yang membuat perniagaan yang paling merugikan.

 

فَصَدّوا عَن سَبيلِهِ

dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. 

Mereka menghalang orang lain daripada masuk Islam dengan menyokong kafir-kafir lain yang ingin berperang dengan umat Islam. Mereka tidak suka kepada Islam dan mereka akan berusaha untuk menghancurkan Islam.

 

إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu.

Tentunya amat buruk sekali apa yang mereka lakukan. Maka tidak perlu meneruskan perjanjian damai dengan mereka lagi. Maka tidaklah salah kalau menamatkan perjanjian dengan golongan musyrikin itu.

Ayat ini juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan dunia. Jangan kita terjebak seperti orang-orang kafir itu yang kalah dengan dunia.


 

Tawbah Ayat 10: Allah tambah lagi alasan kenapa perjanjian damai dengan musyrikin patut ditamatkan.

لا يَرقُبونَ في مُؤمِنٍ إِلًّا وَلا ذِمَّةً ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُعتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They do not observe toward a believer any pact of kinship or covenant of protection. And it is they who are the transgressors.

(MALAY)

Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian. Dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

 

لا يَرقُبونَ في مُؤمِنٍ إِلًّا

Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin 

Orang kafir itu tidak memelihara mana-mana hubungan baik dengan orang Islam. Jika ada hubungan kekerabatan pun mereka tidak akan jaga kalau kerabat mereka itu Muslim. Mereka tetap akan menentang walaupun dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri.

 

وَلا ذِمَّةً

dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian

Oleh kerana mereka itu jenis tidak ada agama dan moral, mereka juga tidak menjaga perjanjian damai yang telah dimeterai. Mereka tidak kisah dan endah pun kalau berkenaan perjanjian itu dengan umat Islam.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُعتَدونَ

Dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

Allah beritahu yang mereka itu golongan yang melampaui batas. Oleh kerana itu, maka hendaklah memutuskan perjanjian dengan mereka dan mereka mesti diserang. Jangan biarkan mereka terus berleluasa dan menyebarkan kekafiran mereka. Pernyataan peperangan dengan mereka sudah dinyatakan dengan turunnya Surah Bara’ah (nama lain Surah Tawbah) ini.

Ada persamaan di antara ayat 10 ini dengan ayat 8 sebelum ini. Ada pendapat yang mengatakan ayat 8 itu memperkatakan tentang Musyrikin Mekah manakala ayat 10 ini tentang orang Yahudi.


 

Tawbah Ayat 11:

‎فَإِن تابوا وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكوٰةَ فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ ۗ وَنُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they repent, establish prayer, and give zakāh, then they are your brothers in religion; and We detail the verses for a people who know.

(MALAY)

Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.

 

فَإِن تابوا

Jika mereka bertaubat,

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah telah menceritakan tentang keburukan puak Musyrikin. Namun Allah mengingatkan yang manusia boleh berubah. Ada kemungkinan mereka bertaubat dan masuk Islam. Maknanya mereka masih ada harapan berhenti daripada akidah syirik dan menerima ajaran Islam.

 

وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكوٰةَ

mendirikan salat dan menunaikan zakat, 

Sekiranya mereka bertaubat, mereka tidak boleh mengaku masuk Islam sahaja, tetapi mereka juga kenalah tunjuk keislaman mereka dengan beramal dengan amalan Islam. Ini adalah kerana iman dan taubat adalah perkara dalam hati dan kita tidak boleh pastikan. Kita cuma boleh lihat kepada amalan luaran mereka sahaja.

Dua contoh yang diberikan dalam ayat ini adalah mendirikan salat dan menunaikan zakat. Ini adalah dua ibadah yang terpenting. Bukanlah kena buat dua perkara ini sahaja. Ada banyak lagi amalan lain. Disebut dua contoh ibadat ini untuk mewakili ibadat-ibadat yang lain.

Maka jikalau orang kafir itu telah kata mereka masuk Islam dan mendirikan salat dan mengeluarkan zakat, kita kenalah anggap dan terima sebagai Muslim kerana perkara lain kita tidak dapat tentukan.

Dua amalan ini yang utama. Kalau ada yang ditinggalkan, maka tidak dianggap Muslim. Kerana itulah ayat ini digunakan sebagai dalil bagi ulama’ yang mengatakan orang yang tidak salat adalah kafir seperti Mazhab Hambali. Walaupun di dalam Mazhab Syafie, orang yang tidak menunaikan solat itu tidaklah dikira jatuh kafir, tapi pemerintah wajib membunuh mereka. Ini kerana pemerintah kena bertindak sebagai ayah kepada anak-anak. Kalau anak-anak buat salah, maka kena hukum. Kalau tidak, anak-anak lain akan rasa tidak mengapa kalau buat salah.

Kita pun tahu yang salat adalah ibadah yang paling utama. Punca manusia masuk neraka adalah kerana tidak salat seperti yang disebut di dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ

Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Begitu juga dengan zakat juga adalah tanda yang orang itu Muslim. Kerana itulah Saidina Abu Bakr رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ membacakan ayat ini sebagai dalil untuk menyerang kaum yang mengaku Muslim tetapi enggan membayar zakat. Para sahabat yang lain pun menerima keputusan beliau apabila dibacakan ayat ini, walaupun pada mulanya ada yang sangsi dengan keputusan itu termasuklah Saidina Umar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ.

Zakat ini penting di dalam masyarakat, kerana ia diperlukan oleh orang yang miskin. Tidak menolong orang miskin juga disebut dalam Surah Muddaththir selepas disebut tentang salat tadi. Ia juga penyebab dimasukkan ke dalam Neraka Saqar.

وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ

Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

 

فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ

maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. 

Jika mereka boleh buat begitu, maka mereka itu saudara kamu dari segi agama. Jangan lagi bermusuhan dengan mereka. Kita telah diajar tidak boleh menyakiti sesama Muslim. Maka mereka sudah mendapat perlindungan kita orang Muslim.

Maka kenalah lupakan kesalahan yang mereka telah lakukan dahulu. Mulakan dengan nafas yang baru. Tidak kiralah sekiranya mereka dulu musuh kamu yang paling ketat. Inilah kehebatan agama Islam yang tidak menyimpan dendam. Masuk Islam sahaja, maka segala kesalahan dahulu dilupakan.

 

وَنُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.

Allah memberi penjelasan bagi mereka yang ingin memahami dan mencari kebenaran. Mereka yang mahu tahu apakah itu agama, sanggup meluangkan waktu untuk belajar. Tidaklah mereka rasa senang sahaja dengan ilmu yang ada. Mereka akan terus mencari kebenaran.

Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak kisah pun tentang agama. Yang mereka hiraukan adalah tentang keduniaan sahaja. Maka itu adalah kesalahan orang itu sendiri kerana Allah sendiri telah jelaskan Al-Qur’an ini kepada manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 1 – 5 (Pemutusan Perjanjian)

PENGUMUMAN KEPADA MUSYRIKIN ARAB

Tawbah Ayat 1: Ayat 1 hingga ayat 28 adalah termasuk di dalam Makro 1. Ia mengandungi perintah memerangi kafir Bani Ismail di sekitar Tanah Arab (Bani Ismail). Notis 4 bulan diberikan kepada mereka kerana mengkhianati Perjanjian Hudaibiyah (yang dimeterai pada tahun 6H) dan notis ini adalah langkah awal membersihkan Kaabah daripada berhala dan amalan tawaf secara telanjang.

بَراءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ إِلَى الَّذينَ عٰهَدتُم مِّنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Tawbah: Repentance. This sūrah is also known as Barā’ah, meaning disassociation, freedom, release or immunity. The words Bismillāhir¬Raḥmānir-Raḥeem were not revealed at the beginning of this sūrah.

[This is a declaration of] disassociation, from Allāh and His Messenger, to those with whom you had made a treaty among the polytheists.¹

  • But who had violated it.

(MALAY)

(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan dari Allah dan Rasul-Nya (yang dihadapkan) kepada orang-orang musyrikin yang kamu (kaum muslimin) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka).

 

بَراءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

Perlepasan daripada Allah dan Rasul-Nya

Lafaz ‘bara’ah’ bermaksud membebaskan diri, tidak mahu ada kena mengena lagi, putus hubungan dengan seseorang. Lafaz asalnya bermaksud menghilangkan kesakitan, kesusahan, beban, membersihkan diri kita daripada sesuatu.

‘Bara’ah’ juga adalah nama lain bagi Surah Tawbah ini kerana kalimah ini terdapat di permulaan surah ini.

Ayat ini tentang pernyataan bebas daripada perjanjian daripada Allah dan Rasul-Nya dengan golongan musyrikin. Dahulu ada perjanjian dengan Rasulullah ﷺ, tetapi sekarang tidak ada lagi. Putus hubungan, putus perjanjian.

Kepada siapakah pemberitahuan dan pemutusan perjanjian ini?

 

إِلَى الَّذينَ عٰهَدتُم مِّنَ المُشرِكينَ

kepada orang musyrikin yang kamu (kaum muslimin) telah mengadakan perjanjian

Ia ditujukan kepada orang kafir Musyrikin. Mereka ini dahulu ada perjanjian dengan pihak Muslim. Ini adalah jenis perjanjian yang tidak tetap tarikh tamat perjanjian. Allah iklankan siap-siap pemutusan perjanjian itu. Allah tidak terus putuskan tanpa diberikan tempoh kepada mereka. Nanti akan diceritakan kenapa diputuskan perjanjian itu.


 

Tawbah Ayat 2: Memang umat Islam ada mengadakan perjanjian dengan puak-puak tertentu. Ada jenis perjanjian yang tidak ada tempoh tarikh tamat dan ada yang jenis ada tempoh tarikh tamat. Yang mana tidak ada tempoh tarikh tamat, Allah iklankan yang jangka hayat perjanjian itu hanya tinggal empat bulan sahaja.

فَسيحوا فِي الأَرضِ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ مُخزِي الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So travel freely, [O disbelievers], throughout the land [during] four months but know that you cannot cause failure to Allāh and that Allāh will disgrace the disbelievers.

(MALAY)

Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di muka bumi selama empat bulan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat melemahkan Allah, dan sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir.

 

فَسيحوا فِي الأَرضِ أَربَعَةَ أَشهُرٍ

Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di muka bumi selama empat bulan

Mereka yang ada perjanjian sebelum ini dengan puak Islam sekarang diberi tempoh kepada mereka selama 4 bulan sahaja. Buatlah apa yang mereka hendak buat dalam masa empat bulan itu. Buatlah keputusan bagaimana mereka akan berhubungan dengan puak Islam selepas empat bulan itu. Sekiranya hendak lari, mereka diberi kebenaran sekarang untuk larilah jauh-jauh, cepat-cepat. Dalam masa empat bulan ini mereka masih bebas lagi bergerak ke mana-mana.

Iklan dan pengumuman ini diberikan ketika waktu Haji pertama umat Islam. Masa itu masih ada lagi orang Islam dan orang bukan Islam di Mekah dan Kaabah itu. Maka itu adalah tempat yang sesuai untuk diberikan pengumuman itu kerana ia merupakan tempat berkumpulnya manusia yang ramai.

Lihatlah bagaimana mereka diberikan masa lagi untuk menangguh bagi berfikir membuat keputusan. Perkara ini tidak diberikan kepada umat-umat terdahulu yang dimusnahkan. Adakah umat Nabi Nuh عليه السلام diberi masa 4 bulan untuk membuat keputusan? Tidak. Adakah umat lain diberi tangguh begitu lama? Tidak, kalau ada pun tiga hari sahaja.

Kepada umat terdahulu, azab yang menghancurkan mereka itu diberikan dengan serta merta, tidak ada masa untuk berfikir lagi. Azab dikenakan kepada mereka semasa mereka tidak sangka yang akan datang azab kepada mereka.

Namun begitu kepada Musyrikin di Tanah Arab, mereka dikira sebagai istimewa kerana diberikan masa lagi untuk berfikir. Ini adalah kerana mereka telah melihat bagaimana kuasa pihak Islam semakin bertambah dan mereka sendiri boleh fikirkan dengan akal mereka. Mereka sendiri boleh fikir yang kalau mereka tidak endahkan pengumuman itu, mereka akan ada masalah nanti.

 

وَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ

ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat melemahkan Allah,

Ini adalah targhib (ajakan) untuk mereka bertaubat. Allah beritahu mereka di sini yang mereka memang boleh cuba untuk lari, tetapi mereka tidak boleh melemahkan Allah daripada menangkap mereka. Mereka kena tahu yang mereka tidak ada harapan lagi.

Ke mana lagi mereka hendak lari, sedangkan bumi ini Allah yang punya? Sekiranya Allah sudah kata mereka tidak akan selamat, memanglah mereka tidak akan selamat langsung.

 

وَأَنَّ اللَّهَ مُخزِي الكٰفِرينَ

dan sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir.

Allah beritahu lagi, Dia akan tetap menghinakan orang kafir. Di dunia mereka akan ditangkap, ditawan atau dibunuh. Lihatlah firman Allah ini dan bandingkan dengan sirah yang kita tahu tentang Nabi Muhammad. Ingatkah lagi kita bagaimana mereka dulu telah menghina dan merendah-rendahkan baginda? Pernah mereka meletakkan isi perut unta di atas belakang Nabi ﷺ ketika baginda salat di Kaabah.

Akan tetapi keadaan sudah berubah sekarang; dan kenangkan siapakah Saidina Ali رضي الله عنه semasa beliau mula masuk Islam? Beliau hanyalah seorang budak sahaja pada waktu itu. Namun sekarang, beliau sedang menyampaikan mesej yang amat keras ini kepada puak-puak Musyrik itu. Ma sha Allah!

Oleh itu, dalam ayat ini ada pilihan yang diberikan kepada puak musyrikin:

1. Masuk Islam dan mereka akan selamat.

2. Bersiaplah dengan segala kelengkapan perang mereka, kerana selepas empat bulan itu, pihak Islam akan menyerang mereka.

3. Larilah jika mereka mampu tetapi mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana lagi. Mereka akan tetap dikenakan balasan daripada Allah .


 

Tawbah Ayat 3:

وَأَذٰنٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ إِلَى النّاسِ يَومَ الحَجِّ الأَكبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَريءٌ مِّنَ المُشرِكينَ ۙ وَرَسولُهُ ۚ فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ الَّذينَ كَفَروا بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [it is] an announcement from Allāh and His Messenger to the people on the day of the greater pilgrimage¹ that Allāh is disassociated from the disbelievers, and [so is] His Messenger. So if you repent, that is best for you; but if you turn away – then know that you will not cause failure to Allāh.² And give tidings to those who disbelieve of a painful punishment.

  • Ḥajj. ‘Umrah is the lesser pilgrimage.
  • i.e., you cannot escape His punishment.

(MALAY)

Dan (inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih.

 

وَأَذٰنٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ إِلَى النّاسِ يَومَ الحَجِّ الأَكبَرِ

Dan (inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar

Ini adalah pengumuman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada semua manusia pada Haji Akbar pada tahun 9 H yang dihadiri oleh Abu Bakr dan Ali رضي الله عنهما  (dihantar oleh Rasulullah ﷺ mewakili baginda). Pengumuman ini adalah penting, maka ia mesti dilakukan di Ka’bah terutamanya supaya diketahui oleh semua orang. Ini adalah adil supaya tiada alasan yang mengatakan ada yang tidak tahu. Ini kerana sesiapa yang mendengar pengumuman itu pastinya mereka akan sampaikan kepada orang lain. Maka iklan ini akan sampai ke serata Tanah Arab. .

Namun apakah yang dimaksudkan dengan ‘Haji Akbar’ الحج الأكبر itu? Banyaklah pendapat tentang hal ini. Kita cuba lihat beberapa pendapat yang ada tetapi yang pasti, fahaman orang Melayu yang kata haji akbar itu jikalau hari Haji jatuh pada hari Jumaat, adalah tidak benar kerana langsung tidak ada sandaran.

Syeikh al-Mubarakfuri رحمه الله memberi peringatan serta menyanggah pemahaman sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ini adalah apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat. Beliau berkata:

قَدْ اشْتَهَرَ بَيْنَ الْعَوَّامِ أَنَّ يَوْمَ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ الْحَجُّ حَجًّا أَكْبَرَ وَلَا أَصْلَ لَهُ

“Telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali”.

[Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 27/4]

 

Pendapat Pertama: Haji Akbar adalah hari Arafah. Hujahnya adalah hadith riwayat Ikrimah yang berkata:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، يَوْمُ عَرَفَة

Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah”.

[Lihat: Tafsir al-Thabari, 116/14]

 

 

Pendapat Kedua: Haji Akbar adalah hari al-Nahr (10 Zulhijjah). Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

“Bahawa Rasulullah ﷺ berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu baginda ﷺ menunaikan Haji, lalu baginda ﷺ bertanya: “Hari apakah ini?”.  Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi ﷺ bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”.

(Riwayat Abu Daud (1945)) [Sanadnya adalah sahih menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth رحمه الله]

Ia dinamakan Haji Akbar kerana kebanyakan manasik haji dilakukan pada hari ini. Ini kerana, pada hari tersebut akan dilaksanakan manasik-manasik haji seperti tawaf, bersa’ie (antara safa dan marwah), melontar, berkorban, bercukur dan lain-lain perkara lagi. Ini adalah pendapat yang terkuat kerana ia adalah daripada kata-kata Rasulullah sendiri.

 

Pendapat Ketiga: Haji Akbar adalah hari-hari haji keseluruhannya. Daripada Ibn Abi Najih, bahawa Mujahid berkata:

عَنْ مُجَاهِد: يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، حِيْنَ الحَجّ، أَيَّامُهُ كُلّهَا

“Hari Haji Akbar adalah ketika waktu haji serta kesemua harinya”.

[Lihat: Tafsir al-Thabari, 127/14]

Oleh itu mengikut pendapat ini, ‘haji akbar’ adalah apa yang kita panggil ‘Haji’ sekarang. Manakala ‘Haji Kecil’ adalah Umrah kerana kedua-dua ibadat itu dipanggil ‘haji’, cuma Umrah adalah Haji Kecil dan Haji adalah Haji Akbar (Haji Besar).

Maka Allah suruh sampaikan pernyataan itu waktu musim Haji kerana waktu itu ramai orang yang datang. Kalau waktu-waklu lain, ia tidak seramai waktu ibadah Haji.

Apakah yang hendak disampaikan?

 

أَنَّ اللَّهَ بَريءٌ مِّنَ المُشرِكينَ ۙ وَرَسولُهُ

bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang-orang musyrikin.

Allah mengumumkan kepada manusia bahawa Dia berlepas diri daripada perjanjian dengan golongan musyrik. Rasul juga berlepas diri daripada perjanjian itu. Allah dan Rasul-Nya tidak ada kena mengena dengan golongan musyrik lagi. Sudah tidak ada perjanjian lagi (kecuali yang akan disebutkan nanti).

Sebelum ini banyak ayat-ayat yang menyuruh umat Islam bersabar dengan puak kufur, untuk teruskan berdakwah kepada mereka, tetapi sekarang sudah sampai masa perkara itu dihentikan.

 

فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu;

Ini adalah targhib (ajakan) kepada taubat. Allah kata bahawa taubat itulah yang baik; itu lebih baik daripada lari tidak mahu beriman. Cukup-cukuplah jadi musyrik, sekarang masa untuk menerima Islam yang suci ini. Kamu pun sudah lihat Islam ini agama yang benar. Kamu pun sudah lihat yang umat Islam semakin ramai dan semakin kuat, maka berhentilah daripada menentang umat Islam.

 

وَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ

dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah.

Akan tetapi sekiranya hendak lari dan tidak masuk Islam juga, serta mereka hendak melawan juga umat Islam, mereka kena faham yang mereka tidak mungkin boleh melemahkan Allah daripada menangkap mereka. Mereka tidak dapat lari daripada umat yang dikuatkan oleh Allah , iaitu umat Islam. Mereka pun sudah melihat bagaimana Islam sudah kuat kerana mereka pun sudah berkali-kali berperang dengan umat Islam.

 

وَبَشِّرِ الَّذينَ كَفَروا بِعَذابٍ أَليمٍ

Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir dengan seksa yang pedih.

Sekiranya masih tidak mahu beriman, maka berilah ‘berita gembira’ kepada mereka: mereka akan mendapat azab yang pedih. Disebut itu adalah ‘berita gembira’, tetapi berita tidak gembira yang diberikan sebenarnya. Maknanya, ini adalah kata-kata sinis daripada Allah . Ia adalah ancaman daripada Allah .


 

PENGECUALIAN KEPADA PENGUMUMAN

Tawbah Ayat 4: Ini adalah pengecualian daripada batas masa maksimum 4 bulan dalam ayat-ayat sebelum ini.

إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم مِّنَ المُشرِكينَ ثُمَّ لَم يَنقُصوكُم شَيئًا وَلَم يُظٰهِروا عَلَيكُم أَحَدًا فَأَتِمّوا إِلَيهِم عَهدَهُم إِلىٰ مُدَّتِهِم ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Excepted are those with whom you made a treaty among the polytheists and then they have not been deficient toward you in anything or supported anyone against you; so complete for them their treaty until their term [has ended]. Indeed, Allāh loves the righteous [who fear Him].

(MALAY)

kecuali orang-orang musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian)mu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.

 

إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم مِّنَ المُشرِكينَ

kecuali orang-orang musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian

Sebelum ini telah disebut pemutusan perjanjian dengan mana-mana puak musyrik. Itu adalah perjanjian yang tidak ada tamat tempoh – tiada had. Yang mana tiada had tempoh itu, akan tamatlah perjanjian dengan mereka selepas empat bulan.

Sementara ayat 4 ini menyebut tentang perjanjian yang lain kerana ada puak daripada musyrikin yang ada perjanjian dengan puak Muslim, tetapi yang ada had masa tamatnya.

Semua perjanjian ini asalnya daripada Perjanjian Hudaibiyah yang rasanya semua kita sudah tahu tentangnya tetapi ia bukan hanya di antara Kerajaan Islam dan Musyrikin Quraisy sahaja. Semasa perjanjian itu ada dua puak, satu sebelah umat Islam dan satu lagi duduk sebelah puak kafir Mekah. Yang duduk sebelah Islam, namanya Bani Quda’ah. Sementara yang sebelah musyrikin, namanya Bani Bahar.

Perjanjian yang ini adalah jenis perjanjian yang ada had tempoh tamat. Keduanya kafir tetapi duduk luar dari Mekah. Apabila perjanjian Hudaibiyah ditamatkan, perjanjian dengan dua puak itu tidak tamat tempoh lagi. Ini adalah kerana Perjanjian Hudaibiyah iaitu dengan Musyrikin Mekah telah ditamatkan awal dari masa yang sepatutnya.

Ketika Pembukaan Mekah oleh Kerajaan Islam, semua orang Mekah telah masuk Islam. Akan tetapi dua puak itu tidak masuk Islam. Oleh kerana telah dibuat perjanjian dengan mereka, maka kena jaga perjanjian tetapi setakat masa yang telah ditetapkan tempoh sahaja. Apabila tamat tempoh, mereka hendaklah membuat keputusan sama ada hendak lari, berperang dengan Kerajaan Islam atau masuk Islam.

 

ثُمَّ لَم يَنقُصوكُم شَيئًا

dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun denganmu

Syaratnya adalah mereka tidak belot perjanjian itu. Asalkan mereka tidak mengurangi syarat perjanjian walau sedikit dan dua puak yang disebut tadi, mereka ikut perjanjian itu dan tidak belot.

 

وَلَم يُظٰهِروا عَلَيكُم أَحَدًا

dan tidak (pula) mereka membantu sesiapapun yang memusuhi kamu,

Bukan sahaja mereka tidak belot perjanjian secara terus, mereka juga tidak menyokong dan membantu orang kafir lain menentang Islam di mana mereka tidak menyokong mana-mana pihak, sama ada sokong secara nyata atau secara rahsia pun. Jika didapati yang mereka ada menyokong mana-mana pihak yang menentang Islam, perjanjian dengan mereka juga ditamatkan.

 

فَأَتِمّوا إِلَيهِم عَهدَهُم إِلىٰ مُدَّتِهِم

maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. 

Sekiranya lengkap syarat-syarat seperti di atas, maka hendaklah disempurnakan perjanjian itu. Akan tetapi setakat hingga tempoh perjanjian asal itu selesai sahaja. Maknanya, bukan empat bulan sahaja. Untuk perjanjian yang lain, setakat empat bulan sahaja diberi.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.

Allah sebut tentang taqwa dalam ayat ini kerana hendak memberitahu umat Islam, walaupun waktu itu mereka ada kuasa, mereka tetap kena takut kepada Allah . Ini adalah kerana ayat ini diturunkan ketika umat Islam sedang kuat. Maka, Allah mengingatkan umat Islam jangan menyalahgunakan kuasa yang Allah telah berikan.

Hendaklah bertaqwa kepada Allah dan menjaga hukum yang Allah telah sampaikan. Ini kerana Allah suka orang yang menjaga perjanjian. Menjaga perjanjian adalah sifat orang bertaqwa.


 

SELEPAS TEMPOH PENANGGUHAN

Tawbah Ayat 5:

فَإِذَا انسَلَخَ الأَشهُرُ الحُرُمُ فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُّموهُم وَخُذوهُم وَاحصُروهُم وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ ۚ فَإِن تابوا وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكَوٰةَ فَخَلّوا سَبيلَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the sacred months¹ have passed, then kill the polytheists wherever you find them and capture them and besiege them and sit in wait for them at every place of ambush. But if they should repent, establish prayer, and give zakāh, let them [go] on their way. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • The four months mentioned in verse 2, i.e., Muḥarram, Rajab, Dhul-Qa‘dah and Dhul-Ḥijjah.

(MALAY)

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

فَإِذَا انسَلَخَ الأَشهُرُ الحُرُمُ

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu,

Ini selepas berlalunya bulan-bulan haram sebagai tempoh untuk mereka iaitu yang dimaksudkan adalah tempoh 4 bulan yang disebut-sebut tadi. Ia dimulai sejak dipermaklumatkan surat Bara’ah di Mekah sehingga hari ke sepuluh dari bulan Rabi’ul Akhir.

 

فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُّموهُم

maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana sahaja kamu jumpai mereka,

Selepas tamat tempoh, maka seranglah puak musyrik itu di mana sahaja umat Islam bertemu dengan mereka. Kenalah tunggu sehingga habis Bulan Haram, maknanya tidak boleh serang dalam Bulan Haram juga. Itulah yang kena tunggu sampai habis empat bulan selepas pengumuman itu. 4 bulan itu adalah tempoh habis bulan-bulan Haram.

Walaupun lafaz ayat ini umum, tetapi tidaklah boleh bunuh mereka di mana-mana sahaja. Ini kerana telah ada larangan untuk membunuh di Tanah Haram.

 

وَخُذوهُم

dan tangkaplah mereka.

Iaitu tangkap mereka sebagai orang tawanan. Dengan kata lain, jika kalian ingin membunuh mereka, kalian boleh membunuhnya; dan jika kalian ingin menahan mereka, kalian boleh menahan mereka.

 

وَاحصُروهُم

dan kepunglah mereka

Kena kepung mereka di mana-mana daerah. Maknanya, jangan benarkan mereka lari. Sekiranya mereka hendak lari, mestilah tangkap mereka.

 

وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ

dan intailah mereka di tempat serangan hendap.

Duduklah intip mereka di tempat pengintipan, untuk serang hendap mereka. Maknanya, jangan biarkan seorang pun terlepas. Kenalah ada usaha untuk mencari mereka.

Maksudnya, janganlah umat Islam merasa puas hanya dengan jumpa orang musyrik itu di tempat orang Islam sahaja, tetapi kepunglah mereka di benteng-benteng dan tempat-tempat perlindungan mereka, dan intailah mereka di jalan-jalan yang biasa mereka lalui, hingga bumi yang luas ini terasa sempit bagi mereka, dan akhirnya mereka terpaksa harus berperang melawan puak Muslim atau masuk Islam.

Lihatlah bagaimana hebat sekali Allah suruh umat Islam buat terhadap golongan musyrik. Allah tidak beri peluang langsung. Ini kerana peluang telah lama dan terlalu banyak kali diberikan kepada mereka dan sekarang peluang mereka sudah tamat.

 

فَإِن تابوا وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكَوٰةَ

Jika mereka bertaubat dan mendirikan salat dan menunaikan zakat,

Namun begitu, ada satu lagi peluang untuk mereka jika mereka mahu bertaubat dan masuk Islam dan juga jika mereka membuat amalan sebagai orang Islam di mana telah disebut dua contoh ibadah dalam ayat ini: Ini adalah kerana mengerjakan salat dan mengeluarkan zakat adalah alamat tanda seseorang itu Muslim. Maknanya, mereka tidak boleh dengan melafazkan syahadah sahaja.  Mereka mesti membuktikan yang mereka itu beramal sebagai seorang Muslim.

 

فَخَلّوا سَبيلَهُم

maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan.

Sekiranya mereka sudah melakukan seperti yang telah disebut itu, maka berilah kebebasan kepada mereka. Mereka bebas bergerak ke mana yang mereka kehendaki jikalau mereka telah mengaku sebagai Muslim dan mengamalkan cara hidup Muslim.

Terdapat sebuah hadith yang biasa kita dengar dan ramai juga yang salah faham dengan hadith ini:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

Daripada [Ibnu Umar], bahawa Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi; tidak ada ilah kecuali Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka lakukan yang demikian maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku kecuali dengan haq Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah”

(Sahih Bukhari (24))

Syarah: Hadith ini menjadi polemik dalam kalangan penentang-penentang Islam dan juga orang Islam yang terkeliru dengan agama sendiri. Ini adalah kerana terjemahan kalimah أُقَاتِلَ yang selalunya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai ‘memerangi’. Seolah-olah kerja Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk berperang dan berperang sahaja dan memaksa orang lain untuk masuk agama Islam.

Pertamanya, daripada sejarah pun kita tahu yang pernyataan ini adalah tidak tepat sama sekali. Baginda banyak melakukan dakwah secara bertulis kepada negara-negara lain tanpa mereka diperangi. Malah puak Yahudi yang kafir pun boleh duduk aman damai di Madinah tanpa mereka itu diganggu walaupun mereka itu orang kafir.

Punca kekeliruan ini adalah pada kalimah أُقَاتِلَ yang tidak diterjemahkan dengan betul (“lost in translation”) kerana bahasa Arab yang mempunyai kaedah bahasa yang tinggi. Pertambahan huruf menyebabkan makna yang berlainan.

Lafaz hadith adalah uqatil (أُقاتِل) dan bukan uqtul (أقْتُل). Uqatil adalah daripada kalimah qatala (قاتل) dan ia merujuk kepada muqaatalah yang berasal daripada wazan mufa’alah yang memberi kefahaman wujudnya kesalingan sama ada melibatkan dua pihak atau lebih. Sama-sama melakukan. Itu adalah asas dalam kaedah Bahasa Arab. Maknanya ini adalah situasi sama-sama sedang berperang sama ada antara dua pihak atau lebih. Kalau masing-masing berperang, memanglah akan saling berbunuhan. Oleh itu, jelas di sini, bukanlah Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk membunuh semua orang kafir akan tetapi ia bermaksud baginda disuruh untuk memerangi puak yang memerangi Muslim.

Yang kedua, siapakah النَّاسَ yang dimaksudkan di dalam hadith ini? Adakah semua manusia? Tentu tidak! Yang dimaksudkan dengan النَّاسَ di dalam hadith ini adalah orang Musyrik yang memerangi orang Muslim, bukan Ahli Kitab. Ibn Taimiyyah رحمه الله menjelaskan bahawa ia merujuk kepada mereka yang diizinkan oleh Allah ‎ﷻ untuk diperangi dalam kalangan orang kafir. Ia tidak bermaksud golongan kafir mu’ahad [ada perjanjian dengan Muslim] yang diperintahkan Allah ‎ﷻ untuk memenuhi perjanjian mereka. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/20).

Lihatlah firman Allah ‎ﷻ:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

[Surah al-Baqarah; 190]

Maksudnya, kalimah النَّاسَ  bukanlah merujuk kepada semua manusia.

Di dalam Al-Qur’an ketika disebutkan kata النَّاسَ, maka yang dimaksud adalah sebahagian manusia, baik dalam jumlah kecil, maupun dalam jumlah besar. Bahkan kadangkala ada yang dikehendaki hanyalah satu orang saja. Bukan semua manusia. Sebagai contoh, lihat Hajj:27

وَأَذِّن فِي النّاسِ بِالحَجِّ

Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji

Di dalam ayat di atas, walaupun disebut النّاسِ, tetapi kita tahu yang diajak adalah umat Islam kerana orang kafir tidak mengerjakan Haji. Satu lagi contoh boleh lihat Ali Imran:46

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ

Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil dalam buaian

Nabi Isa عليه السلام bukanlah bercakap dengan semua manusia, tetapi manusia yang ada di sekeliling baginda sahaja pada waktu itu. Maka di sini kita dapat tahu bahawa kalimah النّاسَ bukanlah merujuk kepada kesemua manusia tetapi sebilangan sahaja, orang tertentu sahaja. Iaitu manusia yang berperang dengan umat Islam.

Diharap penjelasan ini dapat menguraikan kesalahfahaman ramai orang. Meletakkan Islam sebagai agama peperangan, tersebar dengan pedang, menyalah tafsirkan istilah jihad dan pelbagai konotasi negatif adalah momokan klasik yang sudah tidak terpakai. Ya, memang terbukti dalam sejarah Islam, terdapat banyak peperangan yang disertai namun sejarah juga membuktikan yang sebahagian besarnya adalah bersifat defensif. Contohnya Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Pembukaan Makkah dan lain-lain.

Hanya sebahagian kecil sahaja perang yang dimulakan oleh tentera Islam terutamanya sekitar 9-10 Hijrah, dengan etika peperangan yang amat ketat. Fakta ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh ramai tokoh termasuk orientalis Barat seperti Thomas Walker Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Allah boleh sahaja memberikan keampunan kepada mereka, membiarkan mereka bebas walaupun apa yang telah mereka lakukan sebelum itu amat teruk sekali. Ini adalah kerana Allah Maha Pengampun dan Amat Penyayang terhadap hamba-Nya. Setelah apa yang mereka lakukan, mereka masih lagi diberikan peluang.

Dua nama Allah ini selalu digandingkan bersama. Ia adalah kehebatan Allah di mana bukan sahaja Dia bersifat pengampun, malah Dia juga bersifat penyayang. Kedua-dua sifat ini amat-amat penting. Bagi orang Islam, yang mereka mahukan sangat-sangat adalah diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, bukan? Untuk selamat dari neraka, memerlukan pengampunan daripada Allah ; dan untuk masuk ke dalam syurga memerlukan sifat raheem Allah kerana kita hanya masuk syurga dengan sifat rahmat Allah .

Maka kita hendaklah berharap pengampunan daripada Allah dan berharap syurga Allah . Dengan mengetahui makna dua sifat ini, memberi motivasi kepada kita.

 

Pengajaran daripada 5 ayat pertama:

1. Pengajaran yang kita dapat daripada 5 ayat pertama ini adalah, kalau kita berjaya mengalahkan musuh dan mereka sudah lemah di hadapan kita, jangan balas dendam di atas kesalahan yang pernah mereka lakukan. Beginilah sunnah yang ditunjuk oleh Rasulullah ﷺ.

A. Namun begitu tentulah ini bukan perkara yang senang tetapi cuba fikirkan: jika kita dapat membalas dendam pun, apa yang kita akan dapat? Ya, kita rasa puas. Namun untuk berapa lama? Sekejap sahaja, bukan? Sedangkan kalau kita berbuat baik dengan mereka, maka pahala yang Allah berikan kepada kita jauh lebih hebat.

B. Kemudian haruslah ditanya semula tujuan kita berperang. Adakah kerana hendak membalas dendam, atau hendak menegakkan agama Allah ? Sekiranya balas dendam yang kita hendak, maka itu bukanlah jihad, dan jika bukan jihad, maka tidaklah mendapat pahala jihad.

C. Dengan berbuat baik dengan musuh dan tidak membalas dendam, ia juga adalah dakwah. Bayangkan mereka di dalam keadaan yang lemah dan mungkin sudah menunggu balasan daripada kita (kerana begitulah yang selalu terjadi zaman berzaman), tetapi kita tidak mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam.

Tentu mereka terkejut dan tentu mereka akan terkesan dengan hebatnya Islam ini. Berkemungkinan besar mereka akan masuk Islam sepertimana yang terjadi zaman berzaman apabila Muslim menjalankan jihad. Bayangkan, golongan yang diperangi itu pula yang masuk Islam dengan rela.

2. Walaupun kita dikehendaki bersikap baik dengan orang lain, akan tetapi janganlah sampai kita pula dalam keadaan bahaya. Kita kena belajar daripada kejadian yang telah berlaku. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

لاَ يُلْدَغُ المُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
“Mukmin tidak dipatuk dua kali pada lubang yang sama.”
(Hadith Riwayat Bukhari (6133) dan Muslim (2998))

Begitulah Rasulullah ﷺ telah belajar bagaimana perjanjian dengan orang kafir selalunya dirosakkan oleh mereka. Maka langkah memutuskan perjanjian dengan Musyrikin Mekah adalah baik dan bijak kerana mereka tidak boleh dipercayai.

3. Perbuatan menghalau orang yang lemah, atau menyerang tanpa memberi makluman atau amaran terlebih dahulu adalah tidak mulia. Maka kerana itulah kita hendaklah memberikan masa yang cukup kepada mereka untuk membuat persediaan. Tempoh masa 4 bulan telah diberikan kepada golongan Musyrikin untuk memilih sama ada perang, lari atau masuk Islam.

4. Jikalau ada keadaan yang memerlukan Muslim memutuskan perjanjian dengan orang kafir, ini dibolehkan oleh syarak. Akan tetapi jika boleh dan sesuai, seeloknya tunggu dan biarkan perjanjian yang ada tempoh itu sampai waktunya. Ini seperti yang terjadi dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj. Ini kerana masa matang perjanjian itu pun hanya 9 bulan sahaja lagi.

5. Kita bermusuh dengan orang kafir adalah kerana agama, bukan kerana isu peribadi. Kerana itulah dalam berperang dan bermusuh pun, tetap dijalankan dakwah. Kita boleh lihat ayat-ayat di atas mengandungi dakwah dan ajakan kepada Islam. Mereka walaupun bermusuh dengan umat Islam, tetapi peluang bertaubat masih terbuka kepada mereka.

6. Di dalam ayat 4, kita diajar untuk memenuhi perjanjian. Jangan cari peluang untuk memutuskannya melainkan jika terpaksa.

7. Ayat kelima ini mengajar kita jikalau diperlukan, seluruh tenaga mestilah dikerah untuk menentang musuh.

8. Di dalam ayat kelima ini juga kita tahu cara menilai seseorang itu Muslim adalah dengan taubat, salat dan tunaikan zakat. Setakat mengucap dua kalimah syahadah sahaja belum cukup. Begitulah terjadi ketika pemerintahan Abu Bakr رضي الله عنه di mana beliau telah menyerang golongan yang tidak mahu membayar zakat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah: Pengenalan kepada surah

Pengenalan:

Ini adalah surah terakhir yang Allah turunkan. Ia diturunkan di penghujung hayat Nabi ﷺ di Madinah. Namun begitu ada ayat yang diturunkan lebih awal, maksudnya ia mengambil masa yang lama untuk melengkapkan surah ini. Surah yang mulia ini merupakan pengakhiran daripada wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ seperti yang dikatakan oleh Imam Bukhari رحمه الله:

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، سَمِعْتُ الْبَرَاءَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ بَرَاءَةَ، وَآخِرُ آيَةٍ نَزَلَتْ ‏{‏يَسْتَفْتُونَكَ ‏}‏

Daripada Abu Ishaq yang beliau pernah mendengar Al-Barra رضى الله عنه mengatakan bahawa surah Al-Bara’ah (yakni surat At-Tawbah) dan ayat terakhir yang diturunkan adalah firman Allah yang mengatakan: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, “Allah memberi fatwa kepada kalian tentang kalalah.” [An-Nisa: 176]

(Sahih Bukhari (4605))

Ini adalah salah satu surah yang memang susah untuk ditafsirkan. Untuk menafsirnya kita perlu lihat kepada keseluruhan konteks ayat, waktu ia diturunkan dan situasi semasa dan selepas itu. Mesti dilihat akan semua perkara itu, barulah boleh difahami dengan jelas apakah yang hendak disampaikan. Jika dilihat kepada ayatnya sahaja, tetapi tidak merujuk kepada perkara-perkara lain yang terlibat, maka boleh tersilap faham pula.

Amat malang sekali apabila ramai yang membaca ayat-ayat daripada surah ini tanpa merujuk kepada segala perkara itu dan seterusnya mengakibatkan mereka telah mencapai kepada fahaman yang salah dan merbahaya. Ini kerana memang surah ini adalah surah yang keras memperkatakan tentang perang. Lebih menyedihkan lagi apabila orang yang bukan Islam menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk mengatakan Islam adalah agama yang ganas pula.

Bukan hanya itu, malah orang Islam yang ganas juga menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk menghalalkan tindakan mereka merosakkan manusia lain. Ini juga adalah perbuatan yang amat salah sekali. Yang menyedihkan pula, mereka yang mengetahui dan memahami perkara yang sebenar, tidak pula menjelaskan tentang kedudukan yang benar, maka semakin ramailah yang terus salah faham dengan surah ini.

Surah ini dinamakan Surah Tawbah kerana banyak diulang kalimah tawbah di dalamnya (sebanyak 17 kali). Sedangkan di Surah Baqarah yang lagi panjang itu, hanya disebut 13 kali sahaja tentang taubat.

Dalam ayat terakhir Surah Anfal, ia mengandungi konsep wala’ manakala di dalam ayat pertama Surah Tawbah ini pula, ia terus disebut tentang konsep bara’. Ini kerana ia merujuk konsep wala’ wal bara’ di dalam Islam.

Tiada lafaz Bismillah

Satu perbezaan nyata surah ini dengan surah yang lain adalah ia tidak mempunyai lafaz bismillah di awalnya kerana surah ini adalah tentang perang. Maka tidaklah sesuai diletakkan basmalah disebabkan dalam basmalah itu ada disebut sifat Rahmah Allah . Ini kerana perang melibatkan keganasan dan pembunuhan, sedangkan basmalah itu adalah tentang keselamatan.

حَدَّثَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ قَالَ
قُلْتُ لِعُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ مَا حَمَلَكُمْ أَنْ عَمَدْتُمْ إِلَى الْأَنْفَالِ وَهِيَ مِنْ الْمَثَانِي وَإِلَى بَرَاءَةٌ وَهِيَ مِنْ الْمِئِينَ فَقَرَنْتُمْ بَيْنَهُمَا وَلَمْ تَكْتُبُوا بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَوَضَعْتُمُوهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ فَقَالَ عُثْمَانُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا يَأْتِي عَلَيْهِ الزَّمَانُ وَهُوَ تَنْزِلُ عَلَيْهِ السُّوَرُ ذَوَاتُ الْعَدَدِ فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الشَّيْءُ دَعَا بَعْضَ مَنْ كَانَ يَكْتُبُ فَيَقُولُ ضَعُوا هَؤُلَاءِ الْآيَاتِ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَإِذَا نَزَلَتْ عَلَيْهِ الْآيَةَ فَيَقُولُ ضَعُوا هَذِهِ الْآيَةَ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَكَانَتْ الْأَنْفَالُ مِنْ أَوَائِلِ مَا أُنْزِلَتْ بِالْمَدِينَةِ وَكَانَتْ بَرَاءَةٌ مِنْ آخِرِ الْقُرْآنِ وَكَانَتْ قِصَّتُهَا شَبِيهَةً بِقِصَّتِهَا فَظَنَنْتُ أَنَّهَا مِنْهَا فَقُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَنَا أَنَّهَا مِنْهَا فَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ قَرَنْتُ بَيْنَهُمَا وَلَمْ أَكْتُبْ بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَوَضَعْتُهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, Aku pernah bertanya kepada Uthman bin Affan رضي الله عنه: Apa yang menyebabkan engkau cenderung (menggolongkan) Al-Anfal ke dalam al Matsani (surat yang berjumlah lebih daripada seratus), memasukkan Al Baraa`ah ke dalam al Mi`in (yang kurang daripada seratus), engkau meletakkan keduanya berdekatan tanpa ditulis basmalah sebagai pemisah, serta memasukkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal (tujuh surat terpanjang) apa sebetulnya yang melatar belakanginya?

Uthman رضي الله عنه menjawab: Rasulullah ﷺ terkadang dalam satu waktu diturunkan kepadanya surah yang memiliki banyak ayat, kerana itu jika turun sesuatu padanya baginda memanggil sebahagian juru tulisnya lalu bersabda, “Tulis semua ayat ini pada surah yang terdapat di dalamnya begini dan begitu, ” sedang jika turun padanya satu ayat baginda katakan, “Tulis ayat ini di surah yang disebut di dalamnya begini dan begitu, ” sedangkan Al-Anfal adalah salah satu surah yang pertama kali diturunkan di Madinah sedangkan Al Baraa`ah adalah sebahagian surah Al-Qur’an yang terakhir tetapi isinya mirip dengan isinya (surah Al-Anfal) sehingga aku menganggapnya sebagai sebahagian daripadanya.

Setelah itu Rasulullah ﷺ wafat tetapi baginda tidak menjelaskan kepada kami bahawa ia sebahagian daripadanya, kerana itulah aku meletakkan kedua-duanya secara berdekatan dan tidak menulis basmalah sebagai pemisah serta menggolongkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal.

(Sunan Tirmidzi (3011) Abu Isa (Imam Tirmidzi) mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih. Akan tetapi hadith ini didhaifkan oleh Syeikh Albani رحمه الله)

Terminologi:

mi’in (surah yang lebih daripada seratus ayat)

mathani (surah yang khabar dan kisahnya diulang-ulang dan kurang daripada seratus ayat)

mufassalat (surah yang pendek-pendek bermula daripada Surah Qaf hingga akhir Al-Qur’an)

sab’ul tiwal (7 surah awal yang panjang-panjang)

Al-Qur’an disusun dengan surah-surah yang panjang terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan surah yang lebih pendek. Soalan Saidina Ibn Abbas رضي الله عنهما di dalam hadith di atas yang bertanyakan Saidina Uthman رضي الله عنه kenapakah beliau menyusunkan Surah Tawbah selepas Anfal sedangkan ia lebih panjang daripada Surah Anfal? Dan kenapakah diletakkan di dalam golongan Sab’ul Tiwal sedangkan ia surah panjang ke lapan?

Untuk pengetahuan semua, apabila satu-satu ayat itu diturunkan dan disampaikan oleh Jibril عليه السلام, Jibril عليه السلام akan memberitahu Nabi ﷺ di mana ayat itu harus diletakkan (dalam surah mana dan selepas ayat sekian-sekian). Maka selepas itu Rasulullah ﷺ akan memaklumkan kepada penulis-penulis wahyu dalam kalangan sahabat tentang perkara itu.

Ketika memulakan sesuatu surah, baginda akan memaklumkan untuk meletakkan Basmalah di awalnya. Akan tetapi di dalam surah ini, Rasulullah ﷺ tidak beritahu untuk meletakkan Basmalah. Maka ada kemungkinan ia adalah surah yang berdiri sendiri, atau ia boleh juga sebagai sambungan kepada Surah Anfal.

Menjawab soalan Ibn Abbas رضي الله عنهما, Uthman رضي الله عنه memberitahu kekeliruan yang ada dalam kalangan penyusun Al-Qur’an. Maka sebagai langkah berhati-hati, Surah Tawbah dan Anfal diletakkan berdekatan dan hanya dipisahkan dengan sedikit ruang (bukan dipisahkan dengan Basmalah) kerana entah ada kemungkinan ia adalah satu surah sama. Surah Anfal didahulukan kerana ia diturunkan sebelum surah Tawbah.

Oleh kerana itu, jikalau kita sedang membaca Al-Qur’an dan selesai dibacakan Surah Anfal dan hendak sambung Surah Tawbah, tidaklah dibaca Basmalah. Namun begitu, jikalau hendak memulakan bacaan dan kebetulan hendak membaca Surah Tawbah, maka bolehlah dibaca Basmalah. Ini kerana kita membaca Basmalah untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang baik.

Cuma memang ada pendapat yang mengatakan untuk memulakan membaca Surah Tawbah, maka cukup dengan membaca Ta’awudz sahaja (tanpa Basmalah). Ini adalah kerana mereka berpegang langsung tidak boleh baca Basmalah di awal Surah Tawbah. Ini adalah khilaf dalam pendapat-pendapat yang ada.

Terdapat satu lagi pendapat dinaqalkan daripada Saidina Ali رضي الله عنه. Beliau mengatakan Basmalah tidak ditulis di awal Surah Tawbah kerana Basmalah adalah janji keselamatan. Akan tetapi surah ini menarik perjanjian untuk memberikan keselamatan kepada orang kafir. Maka kerana itu tidak sesuai diletakkan di awal surah ini. Allahu a’lam.

Asbabun Nuzul surah ini:

Surah ini turunnya selepas Nabi ﷺ membuka Kota Mekah (pada bulan Ramadhan tahun 8 H). Ia turun setelah Musyrikin Mekah sudah mula masuk Islam. Perang Hunain juga berlaku pada tahun 8 H. Perang Tabuk pula berlaku pada tahun 9 H pada bulan Rejab. Pada DzulHijjah 9 H itulah ditarik perjanjian dengan orang kafir seperti yang disebut pada awal Surah Tawbah ini.

Ketika itu, Nabi ﷺ telah menghantar Saidina Abu Bakr dan Ali رضي الله عنهما sebagai wakil baginda untuk beritahu kepada golongan musyrikin dalam kalangan Arab yang berada di Mekah, bahawa pada tahun berikutnya tidak boleh lagi mengerjakan Haji dengan cara telanjang atau dengan cara yang salah/syirik.

Abu Bakr رضي الله عنه telah pergi sebagai ketua wakil kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Ali رضي الله عنه datang sebagai orang yang rapat dengan Nabi ﷺ. Ali رضي الله عنه disuruh untuk menyertai Abu Bakr رضي الله عنه kerana dalam cara Arab, maklumat yang penting mestilah disampaikan oleh orang yang rapat dengan seseorang (ahli keluarga), bimbang sekiranya diberikan kepada orang lain, maka mereka boleh dikata menipu.

Oleh kerana kebiasaan Arab itu, baginda menghantar juga sepupu baginda sendiri sebagai penguat kepada mesej yang hendak disampaikan. Ini kerana mereka itu kafir, maka mereka tidak faham bahawa wakil baginda yang sebenarnya adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Namun begitu orang Islam faham, yang layak menggantikan Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Kerana itulah ketua rombongan Haji itu sebagai pengganti Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 10 H, Nabi ﷺ sendiri mengerjakan Haji. Seterusnya dalam tahun 11 H, baginda telah wafat.

Selain itu, diberitahu juga kepada mereka bahawa mana-mana perjanjian damai dengan pihak Islam yang tidak mempunyai tarikh luput, perjanjian itu akan diputuskan dengan mereka. Selepas ini yang akan berlaku adalah perang dengan mereka.

Oleh itu pihak kafir dikehendaki membuat keputusan: Jika ingin masuk Islam, masuklah segera; jika hendak lari, silalah lari jauh-jauh. Jika tidak, buatlah persediaan untuk berperang. Waktu yang diberikan kepada mereka untuk membuat keputusan adalah 4 bulan.

Cuma, memang ada golongan orang kafir yang membuat perjanjian dengan pihak Islam dan perjanjian itu mempunyai tarikh pembatalan. Maka mereka boleh menunggu sehingga tempoh perjanjian itu selesai. Ini dibenarkan asalkan mereka jenis tidak belot perjanjian.

Kita kenalah jelaskan kepada manusia yang selepas Kerajaan Islam dibangkitkan di Madinah, tugas penting yang perlu dilakukan adalah membersihkan Mekah dan Kaabah daripada kesyirikan. Umat Islam tidak pernah meninggalkan Mekah begitu sahaja. Hati para sahabat masih lagi pada Mekah; manakan tidak, itulah Kiblat umat Islam. Setiap hari mereka mengadap ke arah Mekah, lalu bagaimana mereka boleh melupakan Kaabah yang ketika itu dipenuhi dengan berhala? Maka, Mekah perlu dibersihkan daripada kesyirikan. Oleh itu, ayat-ayat surah ini adalah tentang pembersihan Mekah.

Misi seterusnya adalah meluaskan dakwah ke tempat-tempat lain. Dengan termaktubnya Perjanjian Hudaybiyah, adanya gencatan senjata antara Muslim dan Musyrikin Mekah, memberikan peluang kepada Kerajaan Islam untuk berdakwah ke tempat-tempat lain. Itu juga ada disebut dalam surah ini.

Perjanjian Hudaybiah

Bagaimanakah Perjanjian Hudaybiah ini berlaku? Pada tahun 6 H, Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Mereka telah ditahan oleh Musyrikin Mekah. Ringkasnya daripada peristiwa itu, Perjanjian Hudaybiah telah dijalankan antara kedua pihak Muslim dan Musyrikin. Penerangan tentang peristiwa ini banyak disebut di dalam Surah Fath.

Perjanjian itu sepatutnya selama 10 tahun. Di Mekah, bukan hanya ada puak Quraisy sahaja tetapi ada puak-puak lain juga. Mereka telah diberikan peluang sama ada untuk bersama dengan Quraisy atau bersama dengan Rasulullah ﷺ. Maka Bani Khuza’ah memilih untuk bersama dengan Rasulullah ﷺ dan Bani Bakar membuat keputusan untuk bersama dengan Quraisy. Oleh itu, Perjanjian Hudaybiah ini melibatkan  mereka juga. Tidak ada peperangan sepanjang tempoh itu. Jikalau mana-mana pihak melancarkan peperangan, maka itu dikira sebagai melanggar perjanjian yang telah dimeterai.

Pada tahun berikutnya (Tahun 7 H), Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah menjalankan Umrah menggantikan umrah tahun lepasnya (dinamakan Umrah al-Qada’). Baginda berada di sana selama tiga hari dan tidak ada kejadian tidak diingini yang berlaku.

Lima atau enam bulan selepas itu, Bani Bakar telah menyerang Bani Khuza’ah. Quraisy juga telah membantu mereka memberikan bantuan kepada mereka dalam bentuk senjata dan tentera. Mereka sangka Rasulullah ﷺ duduk jauh di Madinah dan kejadian itu pula berlaku pada waktu malam, maka tentu kejadian ini tidak diketahui oleh baginda. Akan tetapi Bani Khuza’ah telah memaklumkan kepada baginda.

Quraisy dan Muslim telah beberapa kali berperang. Telah ada Perang Badr, Uhud dan Ahzab sebelum itu. Maka mereka telah mempunyai pengalaman berperang dengan Muslim dan mereka sedar yang umat Islam bukan boleh dipandang enteng lagi. Mereka sedar ada bantuan yang diberikan kepada umat Islam oleh Allah .

Maka selepas kejadian serangan Bani Bakar itu, mereka mendapati yang Rasulullah ﷺ senyap sahaja. Sebenarnya Rasulullah ﷺ sudah membuat perancangan untuk menyerang Mekah. Namun dek kerana baginda senyap, maka pihak Musyrikin Mekah dalam kerisauan kerana takut nanti ada serangan. Maka Abu Sufyan diminta untuk pergi ke Madinah dan bertemu dengan Rasulullah ﷺ. Jikalau Abu Sufyan nampak ada kemungkinan baginda akan menyerang, maka Abu Sufyan hendaklah meminta maaf kepada baginda dan meneruskan perjanjian itu.

Apabila Abu Sufyan sampai di Madinah, beliau memang nampak ada persediaan untuk menyerang Mekah. Beliau menemui para sahabat satu persatu untuk memujuk mereka namun tidak dilayan. Akhirnya pada 10 Ramadhan 8 Hijrah, pasukan Muslim telah bergerak ke Mekah dan akhirnya telah menakluk Mekah.

Apabila Rasulullah ﷺ mendapat kuasa, baginda tidaklah membunuh semua musuh baginda. Baginda menunjukkan rahmah yang amat tinggi. Sekiranya dibandingkan dengan manusia lain, entah dibunuh semua mereka yang pernah menentang Islam dahulu. Sebaliknya mereka tidak dihukum dan mereka tidak dipaksa pun untuk masuk Islam. Keselamatan mereka terjamin.

Oleh sebab itu, Perjanjian Hudaybiah itu adalah kemenangan sebenarnya. Memang tidak nampak pada mulanya tetapi ia telah membuka ruang kepada umat Islam untuk mengadakan perjanjian dengan pihak-pihak dan kabilah Arab yang lain. Musyrikin Mekah mahu mengadakan perjanjian dengan umat Islam pun sudah boleh dikira sebagai kemenangan kerana mereka telah mengiktiraf Islam sebagai satu entiti yang ada kuasa. Kalau sebelum itu, mereka hanya mahu menghancurkan sahaja umat Islam itu dan langsung tidak diiktiraf.

Jenis-jenis perjanjian

Untuk memahami latar belakang surah ini, kita kena tahu bahawa dalam kalangan orang Arab di sekitar Mekah pada waktu itu. Terdapat 4 jenis golongan:

1. Kita telah sebut tentang Perjanjian Hudaybiah dengan Musyrikin Mekah. Jangka hayat Perjanjian Hudaybiah itu tidak sampai ke penghujungnya (10 tahun asalnya) kerana ada pihak yang bersekongkol dengan Quraisy telah menyerang pihak yang telah ada perjanjian dengan Muslim seperti yang telah disebut di atas. Ia hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Itu telah memberi ruang kepada pihak Islam untuk membatalkan perjanjian itu.

2. Ada perjanjian damai lain yang dimeterai yang mempunyai tempoh terhad. Mereka tidak melanggarnya. Antaranya adalah perjanjian dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj. Semasa Surah Tawbah diturunkan tentang perjanjian itu, masih berbaki 9 bulan lagi dalam perjanjian damai itu.

3. Ada juga perjanjian yang tidak ada tempoh.

4. Ada juga puak yang tidak ada perjanjian dengan mereka.

Rasulullah ﷺ sudah pernah membuat perjanjian dengan orang kafir lain seperti Yahudi di Madinah dan orang kafir telah merosakkan perjanjian itu dengan melanggarnya secara terbuka atau rahsia apabila bersekongkol dengan pihak musuh. Kali ini setelah Mekah dimiliki oleh Muslim, ia telah dijadikan sebagai pusat Islam dan orang kafir tidak boleh lagi berada di Mekah. Tentang perjanjian yang dimeterai dan pemutusannya telah disebut dalam [Anfal: 58]

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ

Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.

Akan tetapi langkah ini tidaklah boleh dilakukan secara mengejut. Itu bukanlah keadilan yang dibawa oleh Islam. Kerana itulah permulaan Surah Tawbah ini menyentuh secara khusus tentang bagaimana berurusan dengan 4 golongan di atas.

1. Bagi Musyrikin Mekah, mereka diberi 4 bulan untuk membuat keputusan (lari, perang atau masuk Islam). Ini adalah kerana pada waktu itu adalah Bulan Haram yang mana tidak boleh ada peperangan. Ini disebut dalam ayat 5.

2. Bagi yang masih ada lagi tempoh perjanjian, ia diteruskan hingga tamat tempoh itu. Ini disebut dalam ayat 4.

3. Golongan Musyrik yang ada perjanjian tanpa tarikh tamat juga diberi tempoh 4 bulan untuk membuat keputusan. Ini disebut dalam ayat 1 dan 2.

4. Golongan yang tidak ada perjanjian dengan mereka juga diberikan tempoh 4 bulan sama seperti golongan 3.

Sikap Islam terhadap peperangan

Seperti yang kita tahu, Allah telah mengutus ramai Rasul untuk setiap zaman. Ada satu perkara yang kerap diulang-ulang dalam Al-Qur’an – Allah memusnahkan umat yang tidak mengikut ajakan tauhid Rasul mereka. Itu adalah sunnatullah. Sekiranya kita belajar sejarah Nabi Muhammad ﷺ berdakwah di Mekah, apa yang baginda dan para sahabat lalui itu sama sahaja dengan apa yang telah dialami oleh para Rasul sebelum itu – dan Allah ﷻ telah membalas penolakan dan layanan mereka kepada Rasul mereka dengan azab di dunia lagi.

Kita dapati ayat-ayat yang diturunkan di Mekah, Allah banyak menceritakan tentang azab-azab yang dikenakan kepada umat terdahulu kerana menolak Rasul mereka (ayat-ayat jenis Takhwif Duniawi). Ayat-ayat itu sebenarnya adalah ancaman kepada mereka; maknanya, ancaman memang sudah diberikan berkali-kali kepada mereka. Memang banyak pun ayat-ayat ancaman itu. Namun mereka masih juga tidak taat dan mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Jika mengikut sunnatullah, mereka itu memang sudah layak untuk dikenakan dengan azab, tetapi tidak dikenakan seperti yang dikenakan kepada umat terdahulu – umat terdahulu dikenakan dengan azab seksaan yang dahsyat sekali – pekikan kuat, petir, angin sejuk, puting beliung, dilontar dengan batu dari neraka dan sebagainya – kesemuanya adalah azab yang berat.

Namun di manakah azab untuk Kafir Mekah? Allah bukan tidak mengazab mereka, tetapi azab mereka lain daripada yang lain. Mereka tidak dikenakan dengan azab bencana alam tetapi mereka diazab dengan tangan para sahabat sendiri. Allah menjadikan peperangan antara para sahabat dan Musyrikin Mekah itu dan Allah beri tangan para sahabat untuk menghukum mereka.

Cara azab sedemikian adalah lebih memuaskan hati, bukan? Mereka yang tertindas, kemudian mereka sendiri yang balas dengan tangan mereka. Allah tidak mengenakan azab di tempat mereka tinggal, tetapi Allah mengeluarkan mereka dan mengenakan azab di luar dari Kota Mekah (seperti peperangan di Badr). Seperti juga Allah tidak mengenakan azab kepada Firaun di Mesir tetapi membawa mereka keluar kerana Allah hendak berikan Mesir kepada Bani Israel. Ini adalah sebagaimana sampah yang tidak dibakar dalam rumah tetapi dibakar di luar rumah, bukan?

Selain itu, Allah juga hendak berikan Mekah kepada umat Islam. Maka tidak ada peperangan di Mekah pun. Allah tahu yang tidak akan ada pertempuran yang akan berlaku di Mekah, akan tetapi Allah tetap memerintahkan para sahabat untuk bersedia. Ini kita boleh lihat dalam ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam Surah Baqarah.

Arahan perang yang pertama diberikan dalam sejarah Islam adalah kepada Nabi Musa عليه السلام. Pada waktu itu mereka disuruh untuk masuk ke dalam Kota BaitulMaqdis dan untuk mereka memasukinya, mereka perlu mengalahkan Puak Amaliqah yang tinggal di dalamnya.

Namun begitu, datang persoalan kenapakah Rasul-rasul yang lain tidak disuruh berperang? Untuk menjawabnya, kita kena faham tentang undang-undang dan akhlak. Semua Nabi diberikan dengan ilmu akhlak dan mereka mesti sampaikan kepada umat mereka. Ia adalah perkara individu dan semua manusia kenalah mengamalkannya sendiri. Tidak ada kesan hukuman di dunia jika tidak diikuti. Sebagai contoh, kalau ada orang yang berperangai buruk, kerajaan tidak boleh menghukumnya kerana dia tidak melanggar undang-undang;

Akan tetapi Nabi Musa عليه السلام diberikan dengan ilmu undang-undang (syariat) selain daripada ilmu tentang akhlak. Undang-undang yang juga dikenali sebagai syariat tidak dapat tertegak tanpa kuasa. Mesti memiliki kerajaan baru yang boleh menegakkan undang-undang itu dan untuk mendapat kerajaan, hendaklah mendapatkan kuasa. Kemudian untuk mendapatkan kuasa pula, ada kemungkinan perlu untuk berperang. Inilah persamaan antara Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Kedua mereka yang mulia itu mesti menegakkan undang-undang dan hendaklah ada kerajaan.

Kita pun sedar yang peperangan ada keganasan di dalamnya. Secara dasarnya, ada tiga jenis perang:

      1. mempertahankan diri
      2. balas serangan
      3. serangan awal

Di dalam Islam, begitu juga di dalam mana-mana undang-undang dunia pun, mempertahankan diri dibenarkan dan semua mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Ia adalah hak sejagat manusia.

Sedangkan serangan balas dan serangan awal adalah hak kerajaan dan Islam tidak membenarkan individu untuk menjalankannya. Sebab itulah tidak ada perang tanpa khalifah dan arahan daripada kerajaan. Kita tidak boleh senang-senang sahaja menyerang orang lain, atau membuat serangan kepada orang lain – walaupun untuk balas perbuatan yang dilakukan terhadap kita. Kita mestilah melaporkan kepada kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab.

Walaupun surah ini berkenaan perang, tetapi kita boleh lihat nanti bagaimana ia dilakukan sebagai balasan terhadap penindasan yang telah dilakukan oleh pihak Kafir Mekah terhadap para sahabat. Ia adalah untuk membalas serangan yang telah dikenakan kepada pihak Islam sebelum itu.

Serangan itu pula perlu diarahkan oleh kerajaan. Kerajaan Islam pada waktu itu adalah di Madinah. Oleh itu, kita kena faham apakah yang telah dilakukan. Kalau tidak faham, begitulah ayat-ayat ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalalkan perbuatan mereka untuk menyerang orang lain, walaupun pihak itu adalah pihak kafir.

Pada zaman sekarang kita boleh lihat bagaimana IS (Islamic State) dan ISIS telah menyalahgunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk menjalankan kerosakan di muka bumi. Mereka telah memburukkan nama Islam di mata manusia. Padahal ini bukanlah apa ajaran Islam. Malangnya, ramai yang jahil dan percaya dengan apa yang mereka sampaikan.

Dalam konteks surah ini, kita pun tahu bagaimana penindasan dan kekejaman telah banyak dilakukan oleh Quraisy Mekah. Merekalah yang mula-mula melakukan serangan dengan menindas umat Islam di Mekah. Walaupun begitu, ketika Nabi Muhammad ﷺ berada di Mekah, umat Islam tidak dibenarkan untuk menyerang balas. Mereka disuruh untuk menahan tangan mereka daripada menyerang.

Hanya apabila pihak Islam sudah berhijrah ke Madinah, sudah memiliki kerajaan, barulah Allah berikan arahan untuk menyerang pihak Quraisy. Kita akan belajar tentang perkara ini dengan lebih lanjut lagi nanti.

Kesimpulan Surah

Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1. Ayat 1 – 37: Bahagian Pertama — Ia dipecahkan kepada tiga bahagian pula:

a. Iklan pemutusan perjanjian; sekiranya ada mana-mana pihak kafir yang pernah berjanji dengan Nabi Muhammad ﷺ, perjanjian itu akan ditamatkan. Tidak perlu lagi kepada perjanjian damai itu kerana Islam telah kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan pihak luar.

Selepas perjanjian ditamatkan, yang ada adalah peperangan kalau mereka tidak mahu masuk Islam. Sebab itulah surah ini tidak ada basmalah di awalnya kerana Islam akan meneruskan peperangan.

b. Disebutkan satu persatu perkara-perkara yang dikatakan sebagai penghalang perang. Semuanya ada 4 perkara. Allah hendak menjelaskan bahawa perkara-perkara itu sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai penghalang kepada perang.

Hanya orang kafir sahaja yang menganggapnya sebagai penghalang, tetapi tidak sebenarnya. Secara ringkasnya, ‘penghalang-penghalang’ (hujah orang kafir) itu:

i. Mereka berkata perang itu telah melanggar perjanjian yang telah ada. Allah jawab: umat Islam diarahkan untuk memerangi orang kafir kerana orang kafir yang memulai pelanggaran perjanjian.

ii. Mereka berhujah yang orang Arab pun ada juga membuat amalan baik seperti menjaga Kaabah, menolong jama’ah Haji dan Umrah dan sebagainya. Maka kenapa harus memerangi mereka?

Allah menjawab: kerana orang kafir itu tidak ada iman. Orang yang beramal dengan amalan yang baik namun tanpa iman, maka amal mereka itu tidak sah. Orang sebegitu tidak perlu dihormati. Telah jelas yang golongan Musyrikin telah melakukan syirik kepada Allah , maka umat Islam tidak boleh membiarkan mereka dan mesti memerangi mereka.

Kita bukan lihat pada amalan sahaja, tetapi kena lihat pada akidah mereka. Oleh itu, amalan Musyrikin yang baik tidak boleh menghalang umat Islam daripada menyerang mereka.

iii. Mereka berhujah yang peperangan itu adalah perlakuan zalim kepada kaum kerabat kerana memang ramai saudara mara para sahabat yang masih syirik lagi dan duduk di Mekah. Zalim kepada kaum kerabat memang salah pun.

Allah menjawab: memutuskan hubungan dengan orang kafir itu wajib sekiranya mereka itu kafir harbi. Pertalian kerabat tidak ada lagi apabila terdapat perbezaan akidah di antara kita dan mereka. Mereka telah melawan akidah yang benar, sebab itu mereka menjadi ‘Kafir Harbi’. Maka umat Islam mesti berperang dan menghancurkan mereka, kerana jika tidak perangi mereka, umat Islam pula yang akan diseksa oleh Allah .

iv. Ada hujah yang mengatakan kalau memutuskan hubungan dengan orang kafir, ekonomi umat Islam akan tergendala kerana umat Islam bergantung kepada mereka sedikit sebanyak.

Allah menjawab: Allah akan memberikan bantuan kepada umat Islam, jangan takut rezeki berhenti. Mesti ingat yang Allah yang memberi rezeki. Allah yang menjaga hamba-Nya walaupun telah putus hubungan dengan kafir harbi.

c. Dijelaskan tentang 6 golongan kafir yang umat Islam mesti perangi. Yang disebut adalah jenis-jenis kesalahan mereka. Oleh itu, ada 6 jenis perangai orang kafir yang menyebabkan mereka patut diperangi. Di dalam Surah Anfal hanya disebut cara berperang dan pembahagian harta rampasan, tetapi tidak disebut siapa yang perlu diperangi. 6 jenis sifat mereka itu adalah:

i. Mereka yang menolak kerasulan dan menolak akhirat. Mereka itu kafir walau pun mereka berakidah tauhid pada Allah . Masih tetap kena perangi mereka.

ii. Mereka yang menghalalkan perkara yang haram; atau mengharamkan yang halal. Mereka itu termasuk kafir kerana mereka telah mengambil haq Allah , kerana menghalalkan dan mengharamkan adalah haq Allah sahaja. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Hukum terletak di tangan Allah .

iii. Mereka yang mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu ‘Anak Allah’. Begitu juga, mereka yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام juga ‘Anak Allah’. Itulah golongan Yahudi dan Nasara.

iv. Mana-mana ulama’ dan pendeta Yahudi dan Nasara yang dijadikan tuhan kepada pengikut mereka. Memang ada dalam kalangan pengikut agama itu yang menjadikan ulama’/pendeta/rahib/rabbi mereka sebagai tuhan.

Ini adalah kerana hukum halal dan haram mereka ambil dan taat berasal daripada ulama’ sesat itu, sedangkan halal dan haram sepatutnya datang daripada Allah . Oleh kerana sifat mereka itu, umat Islam mesti perangi mereka.

v. Ulama’ yang mengambil duit pengikut mereka dengan menghalalkan syirik. Mereka mengajar fahaman yang syirik kepada pengikut mereka dan mereka mengambil duit upah untuk mengajar ajaran syirik.

vi. Mereka yang mengubah ciptaan Allah . Di dalam surah ini disebut tentang golongan musyrik yang mengubah kedudukan bulan-bulan Haram yang diharamkan berperang di dalamnya. Semasa hendak berperang, puak Musyrikin itu telah mengubah kedudukan bulan-bulan itu untuk menghalalkan peperangan mereka. Mereka telah ubah sampai sudah tidak tahu manakah bulan yang benar.

2. Ayat 38 – 122: Bahagian Kedua — Allah beritahu kelebihan perang. Allah juga sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.

a. Golongan Mukmin:

i. Allah sebut tentang kelebihan Puak Muhajirin dan Ansar. Mereka amat taat setia kepada Allah dan majoriti daripada para sahabat terdiri daripada mereka.

ii. Allah sebutkan 5 sahabat yang tidak pergi Perang Tabuk kerana kesilapan mereka. Akan tetapi oleh kerana hati mereka benar dan mereka jujur, Allah telah menerima taubat mereka.

iii. Ada pula golongan sahabat yang juga tidak berjihad ke Tabuk kerana menangguh-nangguh persediaan untuk peperangan itu, sehingga terlambat dan tidak dapat menyertai mereka yang pergi ke Tabuk. Oleh kerana kelalaian mereka itu, mereka telah dipulaukan selama 50 hari. Mereka ini juga diterima taubat mereka kerana mereka jujur. Kerana itulah surah ini dinamakan Surah at-Tawbah. Ada disebut kalimah taubah sebanyak 17 kali di dalam surah ini.

b. Golongan munafik: ada 4 pecahan pula: 2 jenis yang pergi juga berjihad dengan golongan mukmin dan ada 2 jenis yang langsung tidak pergi berjihad.

i. Ada Munafik yang pergi berjihad tetapi semasa jihad itu mereka mengkucar-kacirkan kesatuan umat Islam dengan berbagai dialog yang menyakiti dan menimbulkan perkara buruk.

ii. Ada Munafik yang pergi berjihad, tetapi semasa pulang jihad, mereka telah membuat keputusan untuk membunuh Nabi ﷺ.

iii. Ada puak Munafik yang apabila mendengar sahaja Nabi ﷺ pulang daripada jihad, mereka menemui Nabi ﷺ dan memberikan alasan-alasan bohong kenapa mereka tidak pergi jihad.

iv. Ada Munafik yang mereka bukan sahaja tidak pergi berjihad, tetapi mereka juga membuat rancangan jahat untuk melawan Islam dari dalam. Mereka telah membuat masjid tetapi dengan tujuan memanggil Nasara untuk membuat rancangan persediaan untuk menyerang Madinah.

3. Ayat 123 – 127: Bahagian Ketiga — Allah mengulangi semula tentang hukum qital (perang).

4. Ayat 128 – 129: Bahagian Keempat — Allah mengulangi semula tentang kepentingan mengikut Rasul dan maksud melakukan jihad adalah untuk menegakkan tauhid. Jika tidak kerana tauhid, tidaklah ada jihad.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien