Tawbah Ayat 6:
وَإِن أَحَدٌ مِّنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if any one of the polytheists seeks your protection, then grant him protection so that he may hear the words of Allāh [i.e., the Qur’ān]. Then deliver him to his place of safety. That is because they are a people who do not know.
(MALAY)
Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.
وَإِن أَحَدٌ مِّنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ
Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu,
Dalam ayat sebelum ini, umat Islam telah diperintahkan untuk menangkap puak musyrikin itu di mana sahaja dijumpai mereka itu. Akan tetapi kalau ada yang hendak belajar tentang agama Islam, bagaimanakah Islam diamalkan, dengan tujuan untuk mendengar Al-Qur’an dan belajar Al-Qur’an? Ini adalah kerana mereka itu meminta jaminan keamanan daripada pihak Muslim. Mereka ini sebenarnya sedang meminta suaka (perlindungan) politik.
فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ
maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah,
Dalam keadaan begitu, berilah visa kepada mereka. Lindungilah mereka untuk sementara waktu, biar mereka boleh datang mendengar ayat-ayat Allah ﷻ. Ini dibenarkan sehingga dia boleh mendengar sendiri kalam Allah ﷻ dibacakan kepadanya supaya dia boleh tahu apakah Islam itu sebenarnya.
Oleh itu, ia bukan setakat ‘dengar’ sahaja tetapi hendaklah difahami. Maka kena jelaskan maksud ayat-ayat Al-Qur’an. Jika setakat mendengar sahaja, ramai orang kita selalu dengar Al-Qur’an, tetapi apabila mereka tidak faham apa yang dibaca, mereka tidak dapat mengikuti apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an.
Apabila sudah faham, maka hendaklah diikuti ajaran di dalam Al-Qur’an itu. Maka kenalah dengar betul-betul dan kena faham apa yang disebut kerana ia tidak mencukupi jika tidak faham dengan hanya sekadar mendengar sahaja. Inilah beza antara “hearing” dan “listening”. Ia tidak sama sebenarnya. Kalau setakat “hearing”, kambing lembu pun boleh dengar juga, tetapi mereka tidak faham dan tidak “listen”. Jangan jadi seperti orang yang ditegur Allah ﷻ di dalam [Anfal: 21]
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengar.
Itulah perangai orang munafik. Untuk orang kafir pun Allah ﷻ ada tegur juga di dalam [Baqarah: 18]
صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
Itu untuk munafik dan orang kafir. Bagaimana pula dengan Islam? Terutama sekali masyarakat kita? Masalah utama adalah tidak faham apa yang mereka baca dan mereka dengar. Ini tidak jauh beza pun dengan golongan Yahudi yang tidak faham Taurat. Ini telah Allah ﷻ tegur di dalam [Baqarah: 78]
وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
Waktu ayat ini diturunkan, masih ada dalam kalangan orang musyrik Tanah Arab yang tidak tahu apakah Islam itu sebenarnya. Mungkin selepas pengumuman dibacakan kepada mereka, mereka teringin hendak tahu tentang Islam. Kalau mereka benar datang dengan baik, maka layanlah juga dengan baik. Berilah masa kepada mereka.
Ayat ini menjadi dalil bahawa ayat-ayat Al-Qur’an yang kita baca adalah Kalamullah. Ia bukanlah kalam makhluk. Mungkin kita sudah tahu bahawa Al-Qur’an adalah Kalamullah. Manakala mushaf Al-Qur’an yang ada di tangan kita yang dibuat daripada pen, kertas, cetakan itu adalah makhluk kerana ia dibuat oleh kita.
Ayat ini memerintahkan untuk memberikan golongan bukan Islam mendengar ‘Kalam Allah’. Kalam itu sama ada dibaca oleh Rasul atau para sahabat, bukanlah daripada sebutan Allah ﷻ. Namun Allah ﷻ tetap mengatakan ia adalah ‘Kalam Allah’. Maka ini menjadi dalil yang ayat Al-Qur’an walaupun dibaca oleh manusia, ia tetap adalah Kalamullah.
Daripada ayat ini kita diajar yang jikalau orang bukan Islam (belum Muslim) meminta bukti daripada ayat-ayat Al-Qur’an, maka kita hendaklah memberikan kepadanya. Namun untuk beri itu, kita kenalah faham terlebih dahulu, bukan? Maka kita hendaklah belajar kalam Allah ﷻ ini dahulu. Akan tetapi agak-agaklah orang Melayu kita ini bolehkah menceritakan tentang Al-Qur’an kepada Non-Muslim? Amat memalukan apabila orang mengaku beragama Islam pun tidak tahu kitab agama sendiri, bukan?
Ini menunjukkan kelebihan mendengar Al-Qur’an. Ia bukan sahaja sesuai dibaca, akan tetapi ia sedap didengari. Maka kena selalu cari peluang untuk mendengar bacaan Al-Qur’an. Bagi orang yang hendak menghafalnya, maka mestilah sentiasa mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibacakan oleh orang lain.
ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ
kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya.
Kemudian selepas dia dapat mendengar ayat-ayat Allah ﷻ dibacakan dan dia telah faham, maka lepaskan dia ke sempadan, atau mana-mana tempat yang dia rasa aman. Maknanya, hendaklah memulangkan dia di tempat yang dia rasa aman dan selamat. Kita bukan setakat diajar untuk memberi mereka dengar tentang agama, tetapi Allah ﷻ suruh kita bawa mereka ke tempat yang mereka rasa mereka selamat. Sampai ke situ kita hantar mereka.
Lihatlah bagaimana baik sekali layanan yang Allah ﷻ suruh kita berikan kepada manusia. Tidak pernah ada lagi perkara ini sebelum itu. Biarlah dia buat keputusan selepas itu kerana dia pun sudah dengar firman Allah ﷻ dibacakan kepadanya. Sekiranya dia tidak masuk Islam juga, dan kemudian jumpa dia di mana-mana, barulah kita kena bunuh dia nanti kerana pada waktu itu sudah tidak ada perlindungan lagi untuk dirinya.
Untuk zaman sekarang, ini termasuk permintaan perlindungan untuk masuk negara Islam. Ini boleh dibenarkan. Cuma, kalau dia datang itu kerana hendak belajar agama, maka tanggungjawab kerajaan Islam untuk memberikan perlindungan kepada mereka. Namun begitu jikalau dia datang kerana hendak berniaga atau sebab-sebab lain, maka tidak ada kewajipan untuk melindungi mereka. Ia terpulang kepada keputusan kerajaan untuk memberi perlindungan kepada mereka atau tidak.
Kesimpulannya, ini berkenaan barang siapa yang datang dari kawasan musuh ke dalam kawasan Islam untuk menyampaikan suatu pesan sebagai seorang delegasi, untuk keperluan berniaga, untuk meminta perdamaian, gencatan senjata, membawa jizyah, atau untuk keperluan lainnya. Lalu jika dia meminta jaminan keamanan kepada imam atau wakilnya, maka dia boleh diberi jaminan keamanan selagi masih bertugas di kawasan Islam dan hingga dia sampai ke tempat yang aman baginya. Kerajaan Islam boleh membuat keputusan berdasarkan kepada keadaan semasa.
Akan tetapi ulama’ mengatakan bahawa dia tidak diizinkan tinggal di negeri Islam dalam masa satu tahun, namun diperbolehkan untuk tinggal dalam batas maksimum empat bulan. Adapun mengenai masa tinggal yang lebih daripada empat bulan, tetapi kurang daripada satu tahun, menurut Imam Syafi’iy dan lain-lainnya ada dua pendapat mengenainya. Maknanya, ada perbezaan pendapat dalam hal ini.
Cuma memang ia ada had, bukan selama-lamanya mereka boleh duduk di negara Islam. Dalam ayat ini pun disebut حَتّىٰ يَسمَعَ كَلٰمَ اللَّهِ (hingga dia mendengar kalam Allah). Selepas mendengar dan faham sedikit sebanyak, mereka kenalah buat keputusan. Cuma ulama’ khilaf mengenai tempoh masa itu.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعلَمونَ
Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.
Perkara itu dibenarkan, walaupun mereka kafir harbi (orang kafir yang diperangi) kerana mereka tidak tahu lagi mengenai kalam Allah ﷻ. Mereka tidak kenal lagi agama Islam maka kena diajar kepada mereka. Mungkin sebelum itu mereka asyik mendengar kata-kata orang sahaja. Mereka belum mendapat maklumat yang lengkap lagi dan kerana itulah mereka tidak tahu tentang Islam.
Begitulah juga kebanyakan daripada masyarakat dunia sekarang pun. Mereka tidak mendapat maklumat penuh tentang Islam. Apa yang mereka lihat dan tahu, kadang-kadang tidak benar disebabkan media massa telah memaparkan perkara yang buruk tentang Islam. Ini berlaku kerana musuh Islam yang menguasai media massa, mereka boleh pusing maklumat supaya nampak Islam ini agama yang jahat.
Amat malang sekali, perangai orang Islam pun memang banyak yang buruk. Oleh itu, jika dilihat kepada sikap dan perangai buruk orang Islam semata-mata, maka tidak nampak keindahan Islam. Ini adalah berpunca daripada kesalahan kita juga. Oleh itu, berilah mereka peluang untuk mengenali Islam dan mengenali Islam itu adalah melalui mendengar ayat-ayat Al-Qur’an disampaikan kepada mereka.
Maka ini juga mengajar kepada kita yang kita sampaikan ajaran Islam ini kepada umat manusia keseluruhannya. Kena tunjuk imej yang baik kepada non-Muslim. Kena naikkan minat mereka untuk mengetahui Islam yang sebenar. Islam yang sebenarnya mestilah diambil daripada Al-Qur’an. Selepas itu sama ada mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka dan Allah ﷻ.
Oleh hal yang demikian, untuk faham agama ini kenalah diambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Itulah agama sebenar. Janganlah pula menilai agama ini daripada golongan sesat seperti golongan Habib itu pula. Nanti nampak agama ini adalah agama yang suka menyanyi dan berjoget dan sembah kubur. Nanti dianggap bahawa agama kafir sama sahaja dengan agama Islam.
Tawbah Ayat 7: Sekarang kita masuk ke bahagian yang baru. Selepas ini akan disebut perkara-perkara yang dianggap sebagai halangan untuk memerangi musuh, yang diutarakan oleh pihak kafir, namun ia bukanlah halangan sebenarnya. Allah ﷻ memperjelaskan satu persatu dalam ayat-ayat selepas ini. Allah ﷻ akan beritahu bagaimana semua itu bukanlah halangan, itu hujah mereka sahaja dan Allah ﷻ akan patahkan.
Dalam ayat ini adalah kesamaran yang pertama. Hujah ini dikeluarkan oleh pihak musuh Islam apabila keluar iklan untuk membatalkan perjanjian dengan orang kafir, dengan tujuan untuk berperang selepas itu. Orang kafir berhujah, kenapa batalkan perjanjian hanya kerana hendak melawan mereka?
Allah ﷻ jawab dalam ayat ini, keputusan untuk memerangi mereka akan diteruskan kerana mereka sendiri yang tidak pandai menjaga perjanjian. Oleh kerana sikap mereka itu, maka dibatalkan perjanjian. Maka ayat 7 – 10 ini Allah ﷻ memberitahu kenapa perjanjian dengan orang kafir itu mesti dibatalkan.
كَيفَ يَكونُ لِلمُشرِكينَ عَهدٌ عِندَ اللَّهِ وَعِندَ رَسولِهِ إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ فَمَا استَقٰموا لَكُم فَاستَقيموا لَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
How can there be for the polytheists a treaty in the sight of Allāh and with His Messenger, except for those with whom you made a treaty at al-Masjid al-Ḥarām? So as long as they are upright toward you,¹ be upright toward them. Indeed, Allāh loves the righteous [who fear Him].
- i.e., maintain the terms of the treaty.
(MALAY)
Bagaimana boleh ada perjanjian (aman) dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin, kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dekat Masjidil Haraam? Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.
كَيفَ يَكونُ لِلمُشرِكينَ عَهدٌ عِندَ اللَّهِ وَعِندَ رَسولِهِ
Bagaimana boleh ada perjanjian (aman) dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin,
Bagaimana boleh dikekalkan perjanjian dengan orang kafir itu di sisi Allah ﷻ dan Rasul? Tidak mungkin. Tidaklah patut untuk mengekalkan perjanjian dengan mereka lagi. Perjanjian dengan mereka memang patut dibubarkan kerana kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Mereka dari dahulu lagi tidak boleh dipercayai di dalam perjanjian. Telah banyak perjanjian dengan kerajaan Islam yang telah dilanggar.
إِلَّا الَّذينَ عٰهَدتُّم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ
kecuali orang-orang yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dekat Masjidil Haraam
Perjanjian dengan puak musyrikin tidak patut ada, kecuali perjanjian dengan orang-orang musyrikin yang tidak memungkiri janji. Ini mengajar kita yang kita tidak boleh pukul rata semua orang kafir yang membuat perjanjian dengan kita. Jika orang lain membuat salah dan melanggar perjanjian, jangan kita samakan mereka dengan orang lain. Sekiranya mereka adil, kita pun kena adil dengan mereka.
Allah ﷻ telah berfirman di dalam Maidah: 8
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا
Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.
Allah ﷻ menyebut perjanjian itu diadakan di Masjidil Haram. Maka perjanjian itu menjadi mulia kerana ia dimeterai di tempat yang mulia.
فَمَا استَقٰموا لَكُم فَاستَقيموا لَهُم
Maka selama mereka berlaku lurus terhadapmu, hendaklah kamu berlaku lurus (pula) terhadap mereka.
Selagi mereka menjaga syarat perjanjian itu, maka umat Islam pun kenalah menjaga juga syarat-syarat dalam perjanjian itu. Ini seperti perjanjian yang diteruskan dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj.
Itu tidak terjadi dalam PH (Perjanjian Hudaibiyyah). Perjanjian itu sepatutnya selama sepuluh tahun, tetapi ditamatkan lebih awal kerana pihak kufur telah belot kepada perjanjian itu sebelum ia tamat.
Rasulullah ﷺ berserta kaum Muslim menepati perjanjian damai tersebut. Perjanjian perdamaian dan gencatan senjata dengan penduduk Mekah ini berlangsung bermula dari bulan Zul Qa’dah tahun enam Hijrah hingga orang-orang Quraisy merosakkan perjanjian tersebut. Mereka dan para hulafa-nya (teman-teman mereka) —iaitu Bani Bakar— bersekongkol untuk memerangi Bani Khuza’ah, yang telah mengadakan perjanjian dengan Rasulullah ﷺ. Lalu mereka bersama teman mereka telah membunuh orang-orang Bani Khuza’ah di Tanah Suci.
Maka kerana itu Rasulullah ﷺ berangkat memerangi mereka pada tahun 8 Hijriah, hingga Allah ﷻ memberikan kemenangan kepada Rasulullah ﷺ atas Tanah Suci dan menguasai seluruhnya. Kemudian Rasulullah ﷺ melepaskan orang-orang dalam kalangan mereka yang mahu masuk Islam sesudah kalah dan tidak berdaya, lalu mereka diberi nama julukan Tulaqa (orang-orang yang dibebaskan); jumlah mereka kurang lebih ada dua ribu orang.
Sedangkan orang-orang yang masih tetap pada kekafirannya melarikan diri daripada Rasulullah ﷺ dan baginda memerintahkan agar memberikan jaminan keamanan dan kemudahan bagi mereka di muka bumi selama empat bulan; dalam masa itu mereka yang lari boleh pergi ke mana pun yang mereka sukai dengan bebas dan aman.
Di antara mereka adalah Safwan ibnu Umayyah, Ikrimah ibnu Abu Jahal, dan lain-lainnya. Akan tetapi pada akhirnya Allah ﷻ memberikan hidayah kepada mereka, lalu mereka masuk Islam dengan sempurna.
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَّقينَ
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.
Allah ﷻ suka hamba-Nya yang bertaqwa – dalam konteks ayat ini, yang dimaksudkan adalah mereka yang menjaga dan memegang perjanjian, tidak belot dalam perjanjian itu. Allah ﷻ berkata orang bertaqwa akan jaga dan tidak belot dengan perjanjian. Akhirnya umat Islam memutuskan PH itu kerana pihak sebelah sana yang membelot dahulu.
Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita untuk memegang kepada perjanjian. Untuk zaman sekarang, banyak kontrak yang kita tandatangani – kita berjanji untuk melakukan sesuatu dan sebagainya. Kita mestilah memegang dan mengotakan perjanjian itu.
Itu adalah tanda taqwanya seseorang. Walaupun perjanjian itu kita lakukan dengan orang kafir sekali pun. Lihatlah dalam ayat ini, ada perjanjian dengan orang kafir tetapi Allah ﷻ tetap suruh kita menepati perjanjian itu.
Tawbah Ayat 8: Pengulangan hujah kenapa tidak perlu memegang perjanjian damai dengan orang Kafir.
كَيفَ وَإِن يَظهَروا عَلَيكُم لا يَرقُبوا فيكُم إِلًّا وَلا ذِمَّةً ۚ يُرضونَكُم بِأَفوٰهِهِم وَتَأبىٰ قُلوبُهُم وَأَكثَرُهُم فٰسِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
How [can there be a treaty] while, if they gain dominance over you, they do not observe concerning you any pact of kinship or covenant of protection? They satisfy you with their mouths, but their hearts refuse [compliance], and most of them are defiantly disobedient.
(MALAY)
Bagaimana mungkin (ada perjanjian dari sisi Allah dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin), padahal jika mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kerabat terhadap kamu dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian. Mereka menyenangkan hatimu dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolak. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik (tidak menepati perjanjian).
كَيفَ
Bagaimana mungkin
Bagaimana mungkin ada perjanjian dari sisi Allah ﷻ dan Rasul-Nya dengan orang-orang musyrikin? Mereka itu tidak boleh dipercayai. Allah ﷻ sebut tentang mereka di sini.
وَإِن يَظهَروا عَلَيكُم لا يَرقُبوا فيكُم إِلًّا
padahal jika mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kekerabatan terhadap kamu
Kalimah إِلًّا berasal daripada katadasar ا ل ل dan ia bermaksud perjanjian, hubungan kekeluargaan, kedudukan yang rapat kerana pertalian darah, janji, kejiranan.
Allah ﷻ memberitahu apa yang dalam hati orang itu: jika mereka dapat menguasai umat Islam, apabila zahir yang mereka menang, mereka sudah tidak mengambil peduli langsung pertalian kerabat dengan umat Islam. Mereka bukan kisah pun yang Nabi Muhammad ﷺ itu daripada puak Quraish juga. Ini kerana mereka amat benci kepada baginda. Mereka juga sudah tidak menghiraukan tali persaudaraan mereka dengan orang Mukmin yang lain. Mereka lawan sahaja walaupun daripada keluarga sendiri.
وَلا ذِمَّةً
dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian.
Sekiranya jelas yang merekalah yang berkuasa ke atas puak Islam, mereka bukan endah tentang perjanjian pun. Sebaliknya mereka akan serang dan bunuh umat Islam kalau mereka ada peluang. Maka, kenapa hendak dijaga sangat perjanjian damai dengan mereka?
Kalimah ذِمَّةً bermaksud perjanjian. Mungkin anda biasa dengar kalimah ‘Kafir Dzimmi’ iaitu orang bukan Muslim yang tinggal di negara Islam dan sudah mendapat perjanjian keamanan bersama mereka.
يُرضونَكُم بِأَفوٰهِهِم وَتَأبىٰ قُلوبُهُم
Mereka hendak menyenangkan hatimu dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolak.
Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam hati mereka: mereka itu bersetuju dengan puak Islam itu hanya pada lidah mereka, pada bibir sahaja. Mereka mahukan umat Islam berasa redha sahaja. Mereka bersetuju membuat perjanjian itu kerana hendak kita senang (redha) dengan mereka sahaja. Mereka hendak kita sangka mereka sudah berbaik-baik dengan kita. Padahal di dalam hati mereka bukan mahu perjanjian itu pun.
Dari segi sejarah, apabila ada puak yang berpihak kepada Quraish belot kepada Perjanjian Hudaibiyyah, puak Quraish sudah takut. Mereka takut jika puak Islam datang menyerang mereka. Maka, Abu Sufyan telah terus datang ke Madinah untuk memujuk Nabi ﷺ. Namun itu hanya pada mulut mereka sahaja. Sedangkan hati mereka lain. Hati mereka tidak redha dengan puak Islam, mereka sebenarnya jika boleh, enggan berdamai.
وَأَكثَرُهُم فٰسِقونَ
Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik
Akhirnya Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan mereka itu adalah fasik, tidak tahu menjaga perjanjian. Mereka akan belot kepada perjanjian itu jika mereka ada peluang. Mereka puak yang tidak ada moral dan etika.
Namun apabila dikatakan ‘kebanyakan mereka’ ia bermaksud bukan semua orang kafir begitu. Ada yang boleh menjaga perjanjian mereka dan mereka adil dalam hal itu. Maka jika mereka adil, maka perjanjian boleh diteruskan dengan mereka.
Tawbah Ayat 9:
اشتَرَوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَليلًا فَصَدّوا عَن سَبيلِهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have exchanged the signs of Allāh for a small price and averted [people] from His way. Indeed, it was evil that they were doing.
(MALAY)
Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu.
اشتَرَوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَليلًا
Mereka menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit,
Puak Musyrikin itu telah menjual ayat-ayat Allah ﷻ untuk mendapatkan kelebihan dunia yang sedikit. Mereka sangka mereka mendapat pulangan keduniaan yang banyak dengan menolak Islam dan menentang umat Islam. Namun mereka tidak sedar yang apa yang mereka buang itu lebih berharga. Allah ﷻ mengutuk mereka kerana menjual perkara yang paling baik untuk membeli perkara yang paling buruk dengannya.
Maknanya, mereka tidak akan menjaga perjanjian dengan puak Islam kerana yang mereka mahukan adalah untuk mendapatkan kepentingan keduniaan sahaja. Ini mengajar kita kenapa manusia melanggar perjanjian dan menolak agama yang benar: dunia. Dunia telah menipu mereka. Mereka mahukan kelebihan keduniaan sampaikan mereka sanggup menolak agama dan menolak kebenaran.
Kenapa Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘jual’ di sini? Ia digunakan kerana hendak memberi isyarat yang mereka lakukan itu dengan kehendak mereka sendiri. Tidak ada sesiapa yang paksa mereka. Mereka sendiri yang membuat perniagaan yang paling merugikan.
فَصَدّوا عَن سَبيلِهِ
dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah.
Mereka menghalang orang lain daripada masuk Islam dengan menyokong kafir-kafir lain yang ingin berperang dengan umat Islam. Mereka tidak suka kepada Islam dan mereka akan berusaha untuk menghancurkan Islam.
إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu.
Tentunya amat buruk sekali apa yang mereka lakukan. Maka tidak perlu meneruskan perjanjian damai dengan mereka lagi. Maka tidaklah salah kalau menamatkan perjanjian dengan golongan musyrikin itu.
Ayat ini juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan dunia. Jangan kita terjebak seperti orang-orang kafir itu yang kalah dengan dunia.
Tawbah Ayat 10: Allah ﷻ tambah lagi alasan kenapa perjanjian damai dengan musyrikin patut ditamatkan.
لا يَرقُبونَ في مُؤمِنٍ إِلًّا وَلا ذِمَّةً ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُعتَدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They do not observe toward a believer any pact of kinship or covenant of protection. And it is they who are the transgressors.
(MALAY)
Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian. Dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
لا يَرقُبونَ في مُؤمِنٍ إِلًّا
Mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin
Orang kafir itu tidak memelihara mana-mana hubungan baik dengan orang Islam. Jika ada hubungan kekerabatan pun mereka tidak akan jaga kalau kerabat mereka itu Muslim. Mereka tetap akan menentang walaupun dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri.
وَلا ذِمَّةً
dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian
Oleh kerana mereka itu jenis tidak ada agama dan moral, mereka juga tidak menjaga perjanjian damai yang telah dimeterai. Mereka tidak kisah dan endah pun kalau berkenaan perjanjian itu dengan umat Islam.
وَأُولٰئِكَ هُمُ المُعتَدونَ
Dan mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
Allah ﷻ beritahu yang mereka itu golongan yang melampaui batas. Oleh kerana itu, maka hendaklah memutuskan perjanjian dengan mereka dan mereka mesti diserang. Jangan biarkan mereka terus berleluasa dan menyebarkan kekafiran mereka. Pernyataan peperangan dengan mereka sudah dinyatakan dengan turunnya Surah Bara’ah (nama lain Surah Tawbah) ini.
Ada persamaan di antara ayat 10 ini dengan ayat 8 sebelum ini. Ada pendapat yang mengatakan ayat 8 itu memperkatakan tentang Musyrikin Mekah manakala ayat 10 ini tentang orang Yahudi.
Tawbah Ayat 11:
فَإِن تابوا وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكوٰةَ فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ ۗ وَنُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But if they repent, establish prayer, and give zakāh, then they are your brothers in religion; and We detail the verses for a people who know.
(MALAY)
Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.
فَإِن تابوا
Jika mereka bertaubat,
Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah menceritakan tentang keburukan puak Musyrikin. Namun Allah ﷻ mengingatkan yang manusia boleh berubah. Ada kemungkinan mereka bertaubat dan masuk Islam. Maknanya mereka masih ada harapan berhenti daripada akidah syirik dan menerima ajaran Islam.
وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ وَءآتَوُا الزَّكوٰةَ
mendirikan salat dan menunaikan zakat,
Sekiranya mereka bertaubat, mereka tidak boleh mengaku masuk Islam sahaja, tetapi mereka juga kenalah tunjuk keislaman mereka dengan beramal dengan amalan Islam. Ini adalah kerana iman dan taubat adalah perkara dalam hati dan kita tidak boleh pastikan. Kita cuma boleh lihat kepada amalan luaran mereka sahaja.
Dua contoh yang diberikan dalam ayat ini adalah mendirikan salat dan menunaikan zakat. Ini adalah dua ibadah yang terpenting. Bukanlah kena buat dua perkara ini sahaja. Ada banyak lagi amalan lain. Disebut dua contoh ibadat ini untuk mewakili ibadat-ibadat yang lain.
Maka jikalau orang kafir itu telah kata mereka masuk Islam dan mendirikan salat dan mengeluarkan zakat, kita kenalah anggap dan terima sebagai Muslim kerana perkara lain kita tidak dapat tentukan.
Dua amalan ini yang utama. Kalau ada yang ditinggalkan, maka tidak dianggap Muslim. Kerana itulah ayat ini digunakan sebagai dalil bagi ulama’ yang mengatakan orang yang tidak salat adalah kafir seperti Mazhab Hambali.
Kita pun tahu yang salat adalah ibadah yang paling utama. Punca manusia masuk neraka adalah kerana tidak salat seperti yang disebut di dalam Muddaththir: 42-43
ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”
قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
Begitu juga dengan zakat juga adalah tanda yang orang itu Muslim. Kerana itulah Saidina Abu Bakr رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ membacakan ayat ini sebagai dalil untuk menyerang kaum yang mengaku Muslim tetapi enggan membayar zakat. Para sahabat yang lain pun menerima keputusan beliau apabila dibacakan ayat ini, walaupun pada mulanya ada yang sangsi dengan keputusan itu termasuklah Saidina Umar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ.
Zakat ini penting di dalam masyarakat, kerana ia diperlukan oleh orang yang miskin. Tidak menolong orang miskin juga disebut dalam Surah Muddaththir selepas disebut tentang salat tadi. Ia juga penyebab dimasukkan ke dalam Neraka Saqar.
وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ
“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ
maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama.
Jika mereka boleh buat begitu, maka mereka itu saudara kamu dari segi agama. Jangan lagi bermusuhan dengan mereka. Kita telah diajar tidak boleh menyakiti sesama Muslim. Maka mereka sudah mendapat perlindungan kita orang Muslim.
Maka kenalah lupakan kesalahan yang mereka telah lakukan dahulu. Mulakan dengan nafas yang baru. Tidak kiralah sekiranya mereka dulu musuh kamu yang paling ketat. Inilah kehebatan agama Islam yang tidak menyimpan dendam. Masuk Islam sahaja, maka segala kesalahan dahulu dilupakan.
وَنُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ
Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.
Allah ﷻ memberi penjelasan bagi mereka yang ingin memahami dan mencari kebenaran. Mereka yang mahu tahu apakah itu agama, sanggup meluangkan waktu untuk belajar. Tidaklah mereka rasa senang sahaja dengan ilmu yang ada. Mereka akan terus mencari kebenaran.
Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak kisah pun tentang agama. Yang mereka hiraukan adalah tentang keduniaan sahaja. Maka itu adalah kesalahan orang itu sendiri kerana Allah ﷻ sendiri telah jelaskan Al-Qur’an ini kepada manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 25 Disember 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir