Tafsir Surah Tawbah Ayat 25 – 27 (Perang Hunain)

KEJAYAAN HANYA DARI ALLAH ﷻ SAHAJA

Tawbah Ayat 25: Ayat tabshir duniawi (berita baik dengan balasan di dunia). Allah ﷻ kenangkan semula nikmat dunia yang telah diberikan kepada umat Islam.

لَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ في مَواطِنَ كَثيرَةٍ ۙ وَيَومَ حُنَينٍ ۙ إِذ أَعجَبَتكُم كَثرَتُكُم فَلَم تُغنِ عَنكُم شَيئًا وَضاقَت عَلَيكُمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت ثُمَّ وَلَّيتُم مُّدبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has already given you victory in many regions and [even] on the day of Ḥunayn, when your great number pleased you, but it did not avail you at all, and the earth was confining for you with [i.e., in spite of] its vastness; then you turned back, fleeing.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu merasa megah kerana banyaknya jumlah(mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.

 

لَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ في مَواطِنَ كَثيرَةٍ

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, 

Kalimah مَواطِنَ berasal daripada katadasar و ط ن yang bermaksud tempat tinggal. Daripada katadasar inilah membentuk perkataan askar wataniah kerana ia adalah askar negara kita. Di dalam ayat ini Allah ﷻ mengingatkan para mukminin bagaimana Dia telah menolong mereka di berbagai peperangan sebelum itu. Boleh dikatakan setiap kali peperangan berlaku, orang mukmin akan menang sahaja.

Ini adalah penegasan Allah ﷻ dan kerana itu Allah ﷻ menggunakan kalimah لقد di sini yang merupakan lafaz sumpah daripada Allah ﷻ. Ada banyak peperangan yang Allah ﷻ telah tolong seperti:

Perang Badr
Perang Bani Sulaim
Perang Bani Qainuqa’
Perang Uhud (kalah di permulaan tetapi kemudian Allah ﷻ bantu)
Perang Bani Nadhir
Perang Khandak/Ahzab
Perang Khaibar
Perang Muktah

Di sini Allah ﷻ hendak beritahu, itu semua perang-perang yang kamu menang itu adalah kerana Allah ﷻ yang beri kemenangan dengan memberi bantuan kepada umat Islam.

 

وَيَومَ حُنَينٍ

dan peperangan Hunain,

Walau bagaimanapun, memang ada juga peperangan yang nampaknya mereka kalah (termasuk di Uhud). Namun kena ingat yang mereka kalah itu bukannya Allah ﷻ tidak tolong, tetapi kerana tentera Muslim yang telah melakukan kesalahan pada waktu itu. Akan tetapi Allah ﷻ tetap juga bantu umat Islam di Peperangan Hunain.

Boleh rujuk Surah Ali Imran tentang Perang Uhud bagaimana di peringkat awal, tentera Islam telah mengalami kekalahan. Sementara dalam ayat ini, Allah ﷻ mengingatkan tentang Perang Hunain kerana tentera Muslim telah kalah pada peringkat awal kerana tidak ada taqwa pada waktu itu.

Mari kita lihat sejarah Perang Hunain ini supaya kita lebih memahami apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan. Hunain ini terletak lebih kurang 10 batu dari Mekah, terletak di antara Mekah dan Taif. Apabila umat Islam telah menakluk Mekah pada Ramadhan tahun 8 Hijrah, puak Quraisy telah meletak senjata mereka dan hampir keseluruhan mereka telah memeluk Islam.

Kedudukan Hunain

Kedudukan Hunain
Akan tetapi kejayaan umat Islam ini telah merisaukan Suku Thaqif di Taif. Mereka ini adalah sebahagian daripada Suku Hawazin yang memang terkenal di Tanah Arab sebagai ramai, kaya, berani dan tiada masalah berperang. Mereka ini risau dengan kemenangan umat Islam di Mekah. Mereka fikir, kalau sudah menang di Mekah, nanti mereka pula diserang dan ditakluk. Mereka fikir lebih baik jika mereka serang dahulu (pre-emptive strike) terhadap umat Islam sebelum itu terjadi. Maka mereka kumpul ketumbukan tentera mereka.

Watak utama mereka adalah Malik ibn Awf dan dialah yang paling bersemangat mengajak keseluruhan puak mereka berperang dengan Muslim. Ramai yang bersetuju tetapi ada juga puak yang tidak menyokong seperti Bani Ka’b dan Bani Kilab. Dua puak ini sedar yang kalaulah seluruh tentera manusia seluruh dunia bergabung menyerang Rasulullah ﷺ, mereka akan dikalahkan kerana puak Muslim dibantu oleh Allah ﷻ. Maka memang bagus mereka ini, Allah ﷻ beri hidayah kepada mereka. Malik ibn Awf ini pun akhirnya memeluk Islam dan menjadi panglima perang tentera Muslim akhirnya tetapi dalam kisah ini beliau berwatak jahat lah.

Untuk kali ini beliau amat bersemangat. Beliau sampai cadangkan supaya tentera mereka diiringi oleh keluarga dan hartabenda mereka. Ini supaya mereka akan tetap terus berperang kerana memikirkan keluarga dan harta mereka. Ini adalah helah supaya tentera mereka tidak meninggalkan medan perang.

Ulama’ tidak sepakat berkenaan bilangan mereka. Ada yang mengatakan bilangan mereka 4 ribu orang. Ada juga yang mengatakan bilangan mereka adalah 24 atau 28 ribu orang. Kalau kita menjamakkan dua pendapat ini, mungkin kalau tentera sahaja 4 ribu orang, tetapi bila ditambah dengan ahli keluarga maka jumlah mereka seramai 24 atau 28 ribu orang.

Apabila Rasulullah ﷺ dapat tahu tentang rancangan mereka itu, baginda telah membuat perancangan untuk bertembung dengan musuh di luar Mekah. Baginda telah melantik Attab ibn Asid رضي الله عنه sebagai Amir Mekah dan meninggalkan Muaz bin Jabal رضي الله عنه sebagai guru untuk mengajar agama sementara baginda tidak ada. Baginda juga telah meminjam peralatan perang daripada pemimpin Quraisy. Antara yang dipinjam adalah seratus baju besi dan 3 ribu lembing.

Bilangan tentera Muslim adalah seramai 14 ribu orang. 12 ribu itu dari Madinah yang bersama baginda ke Mekah semasa Pembukaan Mekah dan selebihnya 2 ribu itu dalam kalangan penduduk Mekah yang telah masuk Islam. Mereka telah keluar pada 6 Syawal pada hari Sabtu. Ada pula yang mengatakan bermulanya perang itu pada bulan Ramadhan seperti hadith di bawah:

ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ إِلَى حُنَيْنٍ وَالنَّاسُ مُخْتَلِفُونَ فَصَائِمٌ وَمُفْطِرٌ فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى رَاحِلَتِهِ دَعَا بِإِنَاءٍ مِنْ لَبَنٍ أَوْ مَاءٍ فَوَضَعَهُ عَلَى رَاحَتِهِ أَوْ عَلَى رَاحِلَتِهِ ثُمَّ نَظَرَ إِلَى النَّاسِ فَقَالَ الْمُفْطِرُونَ لِلصُّوَّامِ أَفْطِرُوا

Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah berkata, Nabi ﷺ berangkat pada bulan Ramadan menuju Hunain sedang para sahabat ketika itu terpecah menjadi dua kubu, kubu pertama berpuasa sedang kubu kedua tidak puasa.

Ketika baginda sudah siap di atas haiwan tunggangannya, baginda meminta sebekas air dan baginda meletakkannya di atas untanya atau tempat peristirahatannya, kemudian baginda mencermati pasukannya, lalu para sahabat yang tidak puasa berkata kepada para sahabat yang puasa, “Batalkanlah puasa kalian!”

(Sahih Bukhari No. 4278)

Tentera Islam telah berhenti di Hunain dan Rasulullah ﷺ telah menghantar Abdullah ibn Haddad رضي الله عنه untuk mengintip tentera musuh. Beliau duduk selama dua hari dalam kalangan tentera musuh. Di situ beliau telah mendengar akan keangkuhan Malik ibn Awf yang hendak mengalahkan umat Islam. Malik dengan bongkaknya telah berkata umat Islam setakat menyerang orang Quraisy yang tidak pandai berperang, bolehlah mereka menang. Kali ini lihatlah nanti bagaimana umat Islam itu dapat berhadapan dengan puak mereka yang hebat berperang pula.

 

إِذ أَعجَبَتكُم كَثرَتُكُم

di waktu kamu merasa megah kerana banyaknya jumlah(mu),

Allah ﷻ mengingatkan kesalahan puak Islam, ketika ramainya bilangan tentera mereka itu yang telah mempengaruhi hati mereka. Pada waktu itu, mereka tidak berharap kepada Allah ﷻ lagi kerana mereka berasakan apabila mereka ramai, sudah pasti kemenangan berada di dalam genggaman mereka.

Ini adalah kali pertama mereka ada 14 ribu orang tentera dengan peralatan perang yang banyak. Mereka ingat yang dulu mereka sedikit tanpa peralatan perang pun, masih boleh mengalahkan musuh yang lebih ramai. Maka mereka pasti menang kali ini kerana mereka lebih ramai. Sampai ada yang kata kali ini bila mula perang sahaja, tentu musuh akan bertempiaran lari! Padahal bukanlah jumlah yang ramai yang menentukan kemenangan, tetapi Allah ﷻ yang menentukan.

Allah ﷻ tidak suka apa yang mereka rasa itu. Oleh kerana itu Allah ﷻ memberi pengajaran dan kepada kita juga zaman berzaman.

 

فَلَم تُغنِ عَنكُم شَيئًا

jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun,

Allah ﷻ menegaskan yang ramainya bilangan mereka itu tidak dapat menolong mereka walau sedikit pun. Yang utama adalah berharap kepada Allah ﷻ. Kena sedar yang Allah ﷻlah yang memberi kemenangan, bukannya bilangan tentera atau kehebatan alatan peperangan.

Semasa tentera Muslim bergerak untuk berperang, puak Hawazin telah melancarkan serangan secara tiba-tiba dan puak Muslim dikepung oleh tentera musuh yang telah diletakkan secara strategik di kawasan tinggi sekeliling mereka. Ketika itu tidak berguna pun kalau ramainya tentera kalau tidak berharap dan bergantung dengan Allah ﷻ.

Serangan dari semua arah

Jelaslah di sini, masalah mereka ketika Perang Hunain itu adalah masalah akidah sebenarnya. Mereka lupa tentang Allah ﷻ yang memberi kemenangan kepada mereka. Inilah pengajaran daripada Perang Hunain. Manakala ketika Perang Uhud pula, masalah tentera Muslim pada waktu itu adalah kerana tidak taat kepada arahan Rasulullah ﷺ.

Maka ini merupakan peringatan kepada kita supaya jangan bersikap ujub. Ujub itu adalah apabila menyangka diri hebat dan tidak menyandarkan kejayaan kepada Allah ﷻ. Para sahabat ketika itu sangka mereka sudah hebat kerana bilangan mereka lebih ramai daripada musuh dan umat Islam telah banyak kali mengalahkan musuh. Mereka lupa kepada pertolongan Allah ﷻ.

Mereka lupa yang segala kelebihan yang ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, bukan daripada diri mereka sendiri. Maka jangan ada perasaan begini. Kena sentiasa sandarkan kelebihan yang kita ada kepada Allah ﷻ. Kena sedar yang menang atau kalah adalah di tangan Allah ﷻ.

Di dalam perang itu, bukankah Rasulullah ﷺ bersama dengan mereka? Namun begitu tetap Allah ﷻ uji mereka sebagai pengajaran kepada mereka dan kita semua. Lihatlah Allah ﷻ salahkan mereka dan bukannya para musuh. Maka ini mengajar kita, kalau ada musibah terjadi kepada kita, jangan salahkan orang lain tetapi lihatlah apa salah kita sampai menyebabkan Allah ﷻ beri musibah itu kepada kita.

 

وَضاقَت عَلَيكُمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت

dan terasa sempit olehmu bumi yang luas itu,

Oleh kerana kesalahan mereka itu, Allah ﷻ telah menghukum mereka: terasa sempit jadinya bumi Hunain yang luas itu apabila mereka letak harapan pada ramainya bilangan mereka untuk menang. Mereka tidak dapat membalas balik serangan itu. Mereka dikepung dengan teruk pada waktu itu. Mereka rasa sempit sangat kerana diserang dari berbagai arah.

Bumi sebenarnya masih tetap luas, tetapi Allah ﷻ sempitkan hati dan perasaan mereka. Ini juga terjadi kepada tiga para sahabat yang dipulau oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat lain seperti disebut dalam ayat 118 surah ini:

وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذينَ خُلِّفوا حَتّىٰ إِذا ضاقَت عَلَيهِمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت وَضاقَت عَلَيهِم أَنفُسُهُم
dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka

 

ثُمَّ وَلَّيتُم مُّدبِرينَ

kemudian kamu berpusing lari ke belakang.

Kesannya, puak Muslim waktu itu telah lari ke belakang kerana takutkan musuh yang sedikit. Waktu itu, yang tidak lari adalah puak Quraish sahaja. Walaupun mereka lambat masuk Islam, namun mereka berani.

Tentera Muslim telah hilang arah dan mula bertempiaran lari ke belakang. Hanya Rasulullah ﷺ dan sejumlah sahabat sahaja (ada pendapat berkata sekitar 300 orang dan ada disebut di dalam Jami’ Tirmidzi yang lebih kurang 100 orang sahaja) yang terus menuju ke hadapan. Itu pun keadaan amat payah dan para sahabat yang bersama baginda pun berharap sangat baginda berhenti maju ke hadapan.

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُنَا يَوْمَ حُنَيْنٍ وَإِنَّ الْفِئَتَيْنِ لَمُوَلِّيَتَيْنِ وَمَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِائَةُ رَجُلٍ ‏
Daripada Ibnu Umar beliau berkata, “Pada perang Hunain kami melihat ada dua kelompok yang saling melarikan diri, sementara bersama Rasulullah ﷺ hanya ada seratus orang.”
(Jami’ Tirmidzi No. 1689)

Apabila Rasulullah ﷺ sedar keadaan pada waktu itu amat kritikal dan para sahabat telah berpecah belah, baginda telah mengarahkan Saidina Abbas رضي الله عنه untuk menyeru para sahabat lain untuk merapatkan saf. Ini kita tahu daripada hadith riwayat Muslim.

حَدَّثَنِي كَثِيرُ بْنُ عَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، قَالَ قَالَ عَبَّاسٌ شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ يَوْمَ حُنَيْنٍ فَلَزِمْتُ أَنَا وَأَبُو سُفْيَانَ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ نُفَارِقْهُ وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَلَى بَغْلَةٍ لَهُ بَيْضَاءَ أَهْدَاهَا لَهُ فَرْوَةُ بْنُ نُفَاثَةَ الْجُذَامِيُّ فَلَمَّا الْتَقَى الْمُسْلِمُونَ وَالْكُفَّارُ وَلَّى الْمُسْلِمُونَ مُدْبِرِينَ فَطَفِقَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَرْكُضُ بَغْلَتَهُ قِبَلَ الْكُفَّارِ قَالَ عَبَّاسٌ وَ أَنَا آخِذٌ بِلِجَامِ بَغْلَةِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ أَكُفُّهَا إِرَادَةَ أَنْ لاَ تُسْرِعَ وَأَبُو سُفْيَانَ آخِذٌ بِرِكَابِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ ‏”‏ أَىْ عَبَّاسُ نَادِ أَصْحَابَ السَّمُرَةِ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ عَبَّاسٌ وَكَانَ رَجُلاً صَيِّتًا فَقُلْتُ بِأَعْلَى صَوْتِي أَيْنَ أَصْحَابُ السَّمُرَةِ قَالَ فَوَاللَّهِ لَكَأَنَّ عَطْفَتَهُمْ حِينَ سَمِعُوا صَوْتِي عَطْفَةُ الْبَقَرِ عَلَى أَوْلاَدِهَا ‏.‏ فَقَالُوا يَا لَبَّيْكَ يَا لَبَّيْكَ – قَالَ – فَاقْتَتَلُوا وَالْكُفَّارَ وَالدَّعْوَةُ فِي الأَنْصَارِ يَقُولُونَ يَا مَعْشَرَ الأَنْصَارِ يَا مَعْشَرَ الأَنْصَارِ قَالَ ثُمَّ قُصِرَتِ الدَّعْوَةُ عَلَى بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ فَقَالُوا يَا بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ يَا بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ ‏.‏ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهُوَ عَلَى بَغْلَتِهِ كَالْمُتَطَاوِلِ عَلَيْهَا إِلَى قِتَالِهِمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ ‏”‏ هَذَا حِينَ حَمِيَ الْوَطِيسُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ حَصَيَاتٍ فَرَمَى بِهِنَّ وُجُوهَ الْكُفَّارِ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ انْهَزَمُوا وَرَبِّ مُحَمَّدٍ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَذَهَبْتُ أَنْظُرُ فَإِذَا الْقِتَالُ عَلَى هَيْئَتِهِ فِيمَا أَرَى – قَالَ – فَوَاللَّهِ مَا هُوَ إِلاَّ أَنْ رَمَاهُمْ بِحَصَيَاتِهِ فَمَا زِلْتُ أَرَى حَدَّهُمْ كَلِيلاً وَأَمْرَهُمْ مُدْبِرًا ‏.

Katsir bin Abbas bin Abdul Mutthalib beliau berkata, Abbas mengatakan, “Aku pernah mengikut perang Hunain bersama Rasulullah ﷺ, maka aku dan Abu Sufyan bin Harits bin Abdul Mutthalib tidak lekang mendampingi Rasulullah ﷺ dan tidak pernah berpisah dengan baginda. Ketika itu Rasulullah ﷺ mengendarai baghal (kacukan kuda dan keldai) putih miliknya, hadiah daripada Farwah bin Nufatsah Al Judzami. Tatkala kaum Muslimin dan tentera kafir saling berhadapan, kaum muslimin mundur ke belakang, kerana itu Rasulullah ﷺ memacu bighalnya ke arah kaum Kufar.”
Abbas mengatakan, “Namun aku pegang tali kekang baghal baginda, menahannya jangan sampai ia berlari kencang. Sedangkan Abu Sufyan memegang pula pelana Rasulullah ﷺ, maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Wahai Abbas, serulah puak Samurah!” Abbas – beliau adalah orang yang mempunyai suara yang keras- berkata, “Lalu aku panggil mereka dengan suaraku yang lantang, ‘Manakah puak Samurah…!’
Maka demi Allah, alangkah cepatnya mereka datang setelah mendengar panggilanku, bagaikan larinya anak lembu ketika mendengar suara anaknya. Mereka kemudian berkata, “Ya, kami datang, kami datang.”
Abbas berkata, “Lalu mereka berperang melawan kaum kafir. Kemudian panggilan tertuju kepada kaum Ansar, “Wahai kaum Ansar, wahai kaum Ansar!”
Abbas melanjutkan, “Kemudian seruan dialihkan kepada Bani Harits bin Khazraj, “Wahai Bani Al Harits bin Khazraj, Wahai Bani Al Harits bin Khazraj!”
Kemudian Rasulullah ﷺ melihat keadaan pertempuran dari atas bighal baginda, seperti menggelorakan semangat pasukan yang sedang bertempur. Baginda bersabda, “Beginilah kalau pertempuran sedang berkecamuk.”
Abbas berkata, “Lalu baginda mengambil beberapa butir kerikil dan melemparkannya ke arah orang-orang kafir sambil bersabda, “Demi Rabb Muhammad, kalian telah kalah…!”
Abbas berkata, “Demi Allah, aku menyaksikan perjalanan pertempuran, dan tidaklah Rasulullah ﷺ melempar mereka melainkan baginda melempar dengan beberapa kerikil saja, dan aku terus menyaksikan mereka beransur-ansur kalah dan lari kucar kacir.”

(Sahih Muslim No. 1775)

Panggilan daripada Saidina Abbas رضي الله عنه itu telah menggerakkan semua para pejuang yang lain. Mereka telah disuntik dengan semangat semula. Barulah mereka berperang dengan jayanya. Malik ibn Awf ketakutan (walhal yang pada mulanya hebat sangat) dan lari meninggalkan medan peperangan (meninggalkan keluarganya dan hartanya) dan pergi mendapatkan perlindungan di kubu Taif. Pasukannya juga telah kucar kacir dan kalah teruk. Ramai ketua mereka mati dan harta mereka yang banyak telah dirampas umat Islam sebagai harta rampasan perang.

Maka begitulah yang terjadi apabila Nabi Muhammad ﷺ memerintahkan Saidina Abbas رضي الله عنه memanggil para sahabat supaya berkumpul. Abbas رضي الله عنه disuruh kerana beliau memiliki suara yang kuat. Maka yang bergabung kembali hanya ada dalam seratus orang sahaja. Namun oleh kerana mereka itu benar-benar beriman, maka dengan 100 orang itu sahaja dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai.

Dari sini juga kita dapat tahu betapa beraninya Rasul kita ini.

عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ
لَمَّا لَقِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُشْرِكِينَ يَوْمَ حُنَيْنٍ فَانْكَشَفُوا نَزَلَ عَنْ بَغْلَتِهِ فَتَرَجَّلَ
Daripada Al Bara`, beliau berkata, tatkala Rasulullah ﷺ bertemu dengan orang-orang musyrik pada saat perang Hunain kemudian mereka terkalahkan, baginda turun daripada baghalnya dan berjalan kaki.
(Sunan Abi Dawud No. 2285)

Alangkah hebatnya kalau kita dapat melihat Rasulullah ﷺ ketika itu!

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قِيلَ لِلْبَرَاءِ وَأَنَا أَسْمَعُ أَوَلَّيْتُمْ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ فَقَالَ أَمَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَا كَانُوا رُمَاةً فَقَالَ أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ أَنَا ابْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبْ

Daripada Abu Ishaq, ditanyakan kepada Al Barra’ -dan saya mendengar – apakah engkau melarikan diri bersama Nabi ﷺ pada perang Hunain?
Barra’ menjawab, “Adapun Nabi ﷺ, baginda tidak melarikan diri walaupun musuh pandai memanah dan baginda berkata, “Aku Nabi yang tidak pernah berdusta! Aku anak Abdul Muththalib!
(Sahih Bukhari No. 4316)


 

Tawbah Ayat 26: Oleh itu, umat Islam kalah sekejap sahaja.

ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ وَأَنزَلَ جُنودًا لَّم تَرَوها وَعَذَّبَ الَّذينَ كَفَروا ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Allāh sent down His tranquility upon His Messenger and upon the believers and sent down soldiers [i.e., angels] whom you did not see and punished those who disbelieved. And that is the recompense of the disbelievers.

(MALAY)

Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.

 

ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ

Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya

Selepas kedudukan genting yang dialami oleh tentera Muslim di Hunain, Allah ﷻ menurunkan ‘sakinah’ ke atas Rasulullah ﷺ. Ia merupakan alamat kepada kemenangan. Ia datang dalam bentuk bayu yang Allah ﷻ turunkan kepada tentera orang mukmin sehingga mereka berasa mengantuk.

Kalimah سَكينَةٌ berasal daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Rasa mengantuk itu telah menyebabkan mereka rasa tenang. Ini adalah perkara yang ajaib kerana waktu itu mereka sedang dalam peperangan, dan sepatutnya tentulah fikiran para tentera bercelaru. Akan tetapi Allah ﷻ boleh jadikan mereka berasa tenang dengan rasa mengantuk itu.

Selepas ini disebut Allah ﷻ turunkan para malaikat untuk membantu mereka. Namun sebelum itu, Allah ﷻ beri ketenangan kepada mereka. Ini kerana asas kepada kemenangan adalah ketenangan. Kalau tenang, kita dapat berfikir dan bergerak dengan lancar. Apabila kelam kabut keadaan menjadi bahaya sebab kita berada di dalam keadaan tidak tentu arah.

Orang beriman memang tenang dalam semua keadaan. Lihatlah ketika dalam peperangan pun mereka akan tenang kerana mereka berserah kepada Allah ﷻ. Oleh itu, tenang-tenanglah sahaja kerana Allah ﷻ bersama dengan kita.

 

وَعَلَى المُؤمِنينَ

dan kepada orang-orang yang beriman,

Allah ﷻ juga berikan sakinah itu kepada orang mukmin yang lain. Iaitu kepada mereka yang hati mereka betul-betul beriman dan yakin dengan Allah ﷻ. Mereka yakin yang sedikit atau ramai tidaklah memberi kesan kerana mereka tahu yang Allah ﷻ lah yang memberi kemenangan.

Dengan Allah ﷻ berikan sakinah itu telah mengubah keadaan mereka, kerana golongan yang munafik (yang lemah iman) telah lari dan yang tinggal adalah mereka yang benar-benar yakin dengan Allah ﷻ belaka. Kita kena ingat bahawa bukan semua daripada tentera Islam itu yang kata mereka ramai dan pasti akan menang. Yang kata begitu adalah mereka yang munafik atau lemah iman sahaja.

Pada waktu itu tentera Muslim belum cukup mantap kerana ramai yang mualaf dan baru masuk Islam dan mereka belum faham akidah sebenar lagi. Mereka itu tidak yakin kepada Allah ﷻ macam sahabat-sahabat yang lama. Oleh kerana Islam sudah semakin kuat dan semakin ramai yang masuk Islam, ramai yang datang menyertai Perang Hunain adalah orang-orang yang baru.

Oleh itu disebut di sini yang Allah ﷻ berikan ketenangan kepada Rasulullah ﷺ dan orang-orang yang beriman sahaja. Yang beriman sahaja yang layak mendapat sakinah itu.

 

وَأَنزَلَ جُنودًا لَّم تَرَوها

dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya,

Allah ﷻ boleh beri kemenangan dengan cara apa pun dan Allah ﷻ tidak berhajat kepada manusia untuk tolong. Tidak penting sama ada ramai atau tidaknya bilangan tentera Muslim. Dalam Perang Hunain itu, Allah ﷻ mengarahkan malaikat untuk membantu tentera Islam dan mereka tidak nampak para malaikat itu.

 

وَعَذَّبَ الَّذينَ كَفَروا

dan Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang kafir, 

Allah ﷻ mengazab orang kafir dengan mengalahkan mereka di medan perang dan menghinakan mereka. Pada ketika itu tentera Islam telah dapat merampas harta rampasan perang yang sangat banyak. Maka di sini azab yang pihak musuh itu dapat adalah semasa di dunia lagi.

 

وَذٰلِكَ جَزاءُ الكٰفِرينَ

dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.

Memang layak orang kafir dikalahkan dan dikenakan dengan hukuman dunia dan akhirat. Begitulah orang kafir tetap akan dikenakan hukum di mana pun mereka berada. Bukan sahaja di Perang Hunain itu tetapi di perang-perang yang lain juga.

Oleh itu, walaupun pada peringkat awal, umat Islam bertempiaran lari di medan Hunain, tetapi akhirnya Allah ﷻ telah bantu dan memberikan kemenangan kepada umat Islam. Lihat hadith di bawah:

و حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ يُونُسَ الْحَنَفِيُّ حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ حَدَّثَنِي إِيَاسُ بْنُ سَلَمَةَ حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ غَزَوْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حُنَيْنًا فَلَمَّا وَاجَهْنَا الْعَدُوَّ تَقَدَّمْتُ فَأَعْلُو ثَنِيَّةً فَاسْتَقْبَلَنِي رَجُلٌ مِنْ الْعَدُوِّ فَأَرْمِيهِ بِسَهْمٍ فَتَوَارَى عَنِّي فَمَا دَرَيْتُ مَا صَنَعَ وَنَظَرْتُ إِلَى الْقَوْمِ فَإِذَا هُمْ قَدْ طَلَعُوا مِنْ ثَنِيَّةٍ أُخْرَى فَالْتَقَوْا هُمْ وَصَحَابَةُ النَّبِيِّ ﷺ فَوَلَّى صَحَابَةُ النَّبِيِّ ﷺ وَأَرْجِعُ مُنْهَزِمًا وَعَلَيَّ بُرْدَتَانِ مُتَّزِرًا بِإِحْدَاهُمَا مُرْتَدِيًا بِالْأُخْرَى فَاسْتَطْلَقَ إِزَارِي فَجَمَعْتُهُمَا جَمِيعًا وَمَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ مُنْهَزِمًا وَهُوَ عَلَى بَغْلَتِهِ الشَّهْبَاءِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ رَأَى ابْنُ الْأَكْوَعِ فَزَعًا فَلَمَّا غَشُوا رَسُولَ اللَّهِ ﷺ نَزَلَ عَنْ الْبَغْلَةِ ثُمَّ قَبَضَ قَبْضَةً مِنْ تُرَابٍ مِنْ الْأَرْضِ ثُمَّ اسْتَقْبَلَ بِهِ وُجُوهَهُمْ فَقَالَ شَاهَتْ الْوُجُوهُ فَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْهُمْ إِنْسَانًا إِلَّا مَلَأَ عَيْنَيْهِ تُرَابًا بِتِلْكَ الْقَبْضَةِ فَوَلَّوْا مُدْبِرِينَ فَهَزَمَهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَقَسَمَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ غَنَائِمَهُمْ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ

Telah menceritakan kepada kami Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami ‘Umar bin Yunus Al Hanafi telah menceritakan kepada kami Ikrimah bin ‘Ammar telah menceritakan kepadaku Iyas bin Salamah telah menceritakan kepadaku ayahku dia berkata, “Kami pernah ikut perang Hunain bersama Rasulullah ﷺ. Ketika kami telah berhadapan dengan musuh, aku maju lebih dahulu dengan mendaki bukit, tiba-tiba aku bertemu dengan seorang musuh lalu kupanah dia dengan panahku, tetapi dia menghilang seketika sehingga aku tidak tahu apa yang sedang dibuatnya. Ketika aku melihat musuh, ternyata mereka telah berada di atas bukit yang lain. Lalu mereka bertempur dengan para sahabat Nabi ﷺ. Para sahabat mundur dan aku juga ikut mundur dengan kucar kacir. Ketika itu aku mengenakan dua kain burdah, yang satu kupakai sebagai sarung dan yang lain aku selempangkan. Tiba-tiba sarungku terlepas, lalu aku ikatkan dua kain tersebut menjadi satu. Aku lalu di hadapan Rasulullah ﷺ sambil berlari, sedangkan baginda berada di atas baghal putihnya, Rasulullah ﷺ bersabda: “Rupanya Ibnu Akwa’ melihat sesuatu yang menakutkan.” Tatkala Rasulullah ﷺ terkepung, baginda turun dari baghalnya, kemudian baginda mengambil segenggam tanah dan melemparkannya ke arah musuh sambil bersabda: “Muka-muka buruk.” Maka tidaklah Allah membiarkan mereka melainkan wajah-wajah mereka telah dipenuhi dengan segenggam tanah. Lalu mereka lari tunggang langgang. Allah عَزَّ وَجَلَّ telah mengalahkan mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ membahagikan ghanimah kepada kaum Muslimin.”

(Sahih Muslim No. 3328)


 

Tawbah Ayat 27:

ثُمَّ يَتوبُ اللَّهُ مِن بَعدِ ذٰلِكَ عَلىٰ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Allāh will accept repentance after that for whom He wills; and Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Sesudah itu Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ثُمَّ يَتوبُ اللَّهُ مِن بَعدِ ذٰلِكَ عَلىٰ مَن يَشاءُ

Sesudah itu Allah menerima taubat daripada orang-orang yang dikehendaki-Nya.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang azab yang akan dikenakan kepada tentera kuffar. Namun begitu tidaklah mereka semua akan dikenakan dengan azab. Ada antara mereka yang selamat dari medan pertempuran itu dan mereka ada peluang lagi untuk bertaubat.

Malah ramai daripada mereka yang memeluk Islam selepas itu kerana telah mendapat kesedaran. Allah ﷻ masih lagi menerima taubat mereka. Allah ﷻ terima daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Memang surah ini banyak sebut tentang Taubat dan kerana itulah surah ini dinamakan Surah Tawbah.

Umat Islam mendapat banyak harta rampasan perang. Ada 6 ribu orang tawanan, 24 ribu unta, 40 ribu kambing dan sekitar 490 Kg perak. Selepas kekalahan puak Hawazin itu, mereka telah melarikan ke Taif. Puak Muslim telah mengepung kubu itu selama 15 hari atau 20 hari. Pihak musuh hanya berani memanah dari dalam kubu sahaja dan tidak berani berperang dengan puak Mujahideen secara berdepan. Para sahabat telah meminta Rasulullah ﷺ mendoakan azab kepada musuh akan tetapi Rasulullah ﷺ mendoakan supaya mereka diberi hidayah.

Baginda kemudian pulang ke Mekah mengerjakan Umrah dan hendak meninggalkan Mekah menuju Madinah. Waktu itu ramai manusia yang memerhatikan peperangan itu dengan sukarelanya telah memeluk Islam kerana melihat kejayaan Islam. Rasulullah ﷺ juga sudah bersedia untuk membahagikan harta ghanimah kepada para pejuang.

Semasa harta ghanimah sedang dibahagikan itulah puak Hawazin datang bertemu baginda dan menyatakan yang mereka telah memeluk Islam dan memohon supaya tawanan dan harta mereka dikembalikan. Rasulullah dengan sifat rahmahnya telah meminta para sahabat untuk mengembalikan harta itu kepada mereka. Harta itu memang sudah menjadi hak para tentera Muslim, maka baginda suruh mereka berbincang dan akhirnya para sahabat bersetuju untuk memberikan semula.

Begitu juga diterima taubat daripada umat Islam. Apakah kesalahan mereka? Itulah kesalahan mereka yang ujub dengan banyaknya bilangan mereka. Mereka telah sedar kesalahan mereka dan mereka telah bertaubat.

Perhatikan Allah ﷻ berfirman yang penerimaan taubat itu عَلىٰ مَن يَشاءُ atas sesiapa yang Dia kehendaki sahaja. Bukanlah Allah ﷻ pasti ampunkan, bukanlah Allah ﷻ terpaksa ampunkan setiap kali kita minta ampun. Maka jangan sangka yang doa pengampunan kita pasti Allah ﷻ terima kerana ada kemungkinan Allah ﷻ tidak terima dan ini menakutkan. Cuba ingat balik, adakah semua doa permintaan kita Allah ﷻ makbulkan? Tidak, bukan? Maka begitulah juga doa pengampunan ada yang Allah ﷻ makbulkan dan ada yang tidak.

Maka kita kena sentiasa meminta ampun dan kena sentiasa berharap Allah ﷻ ampunkan. Kita kenalah mencari Allah ﷻ dan mendekati Allah ﷻ supaya Allah ﷻ menerima taubat kita. Bukannya seperti orang Kristian yang mencari paderi mereka untuk meminta taubat!

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ sanggup menerima taubat mereka kerana Allah ﷻ itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah ﷻ boleh terima taubat daripada seseorang yang ikhlas dalam taubatnya, walaupun berapa banyak dosanya dan kesalahannya. Termasuklah kalau kesalahannya dulu pernah memerangi agama Islam.

Kenapa Allah ﷻ Maha Pengampun? Kerana Allah ﷻ Maha Penyayang. Kerana sayang kepada seseoranglah yang menyebabkan kita senang memaafkannya. Macam seorang ibu mudah sahaja memaafkan kesalahan anak kerana sayang sangat, bukan? Maka sayang Allah ﷻ kepada hamba-Nya lebih besar daripada sayang sesama makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 21 – 24 (Keluarga bukan penghalang jihad)

Tawbah Ayat 21: Ayat tabshir (berita gembira). Inilah huraian bagi maksud ‘kejayaan’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka yang berhijrah, berjihad di jalan Allah ﷻ dengan harta dan nyawa mereka akan mendapat rahmat khas daripada Allah ﷻ.

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ وَرِضوٰنٍ وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their Lord gives them good tidings of mercy from Him and approval and of gardens for them wherein is enduring pleasure.

(MALAY)

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat dari pada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

 

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, 

Allah ﷻ menjanjikan ‘rahmat khas’ daripada-Nya, kepada mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah ﷻ. Lihatlah Allah ﷻ sendiri yang menjanjikan pemberian rahmat itu. Kalau hadiah daripada boss kita pun kita sudah suka, apatah lagi daripada Allah ﷻ sendiri. Kita sebagai hamba Allah ﷻ, tentulah berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Kerana kalau tanpa rahmat-Nya, apalah kita?

 

وَرِضوٰنٍ

dan keredhaan

Selain daripada rahmat khas, mereka juga akan mendapat keredhaan Allah ﷻ. Ini adalah nikmat yang amat besar, di mana Allah ﷻ sendiri redha kita menjadi hamba-Nya. Kalau emak dan ayah kita redha dengan kita pun kita sudah gembira kerana daripada mereka berdualah kita dijadikan. Akan tetapi sekiranya Allah ﷻ yang sebenar-benarnya pencipta yang menjadikan kita, tentulah kita lebih gembira lagi. Iaitu kita masuk ke dalam syurga dan Allah ﷻ kata Dia redha dengan kita. Wah, alangkah gembiranya hati kita waktu itu. Ini adalah nikmat yang lebih tinggi daripada nikmat-nikmat lain.

Namun begitu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan redha Allah ﷻ? Ini adalah jawapan daripada Imam Syafi’iy رحمه الله.

Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, “Wahai Tuhanku adakah Engkau redha kepadaku?” Kebetulannya di belakangnya, Imam Syafi’iy رحمه الله yang bertanya semula kepada lelaki itu, “Adakah kamu redha dengan segala diberikan Allah ﷻ sehingga Allah ﷻ juga boleh redha kepada engkau?” Lelaki itu menjawab, “Subhanallah, aku redha apa yang datang daripada-Nya dan aku mengharapkan redha-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?” tanya lelaki itu kepada Imam Syafi’iy رحمه الله. Imam Syafi’iy رحمه الله menjawab, “Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu redha sesuatu yang didatangkan oleh Allah ﷻ kepada kamu.”

Oleh itu, telah disebut dua nikmat rohani (rahmat dan redha Allah ﷻ). Selepas ini akan disebut nikmat jasmani pula.

 

وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

Ini adalah nikmat jasmani pula, di mana mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan di sana mereka akan mendapat nikmat berkekalan. Mereka tidak perlu risau apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga nanti kerana tidak ada kematian lagi selepas itu. Kerja tidak perlu buat, malah ibadah pun sudah tidak ada lagi. Yang mereka kena buat hanyalah menikmati segala nikmat dan nikmat itu akan kekal selama-lamanya.

Ini kerana disebut di sini yang di dalam syurga-syurga itu ada نَعيمٌ مُّقيمٌ iaitu nikmat-nikmat yang berkekalan. Di dunia ini juga kita sudah dapat nikmat, tetapi tentulah tidak berkekalan. Kalau sihat pun, tentu sekali sekala datang sakit; kalau kaya, tidaklah pasti selama-lamanya; kalau sekarang gembira, nanti akan datang masa untuk sedih pula. Akan tetapi di syurga nanti adalah نَعيمٌ مُّقيمٌ di mana segala nikmat itu berkekalan dan tidak akan diselangi dengan kesedihan malah sedikit pun.

Malah setiap ahli syurga bukan dapat satu syurga sahaja, tetapi banyak. Kerana kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah جَنّٰتٍ yang bermaksud ‘kebun-kebun’. Allah ﷻ boleh sahaja beri entah berapa banyak syurga kepada hamba-Nya yang disayangi itu.

Ini adalah berita gembira bagi para sahabat yang sedang memperjuangkan Islam kerana sewaktu mereka berjuang itu, mereka tidak tahu sama ada mereka akan menang atau kalah, hidup atau mati. Namun di sini Allah ﷻ beritahu mereka, mereka akan tetap mendapat kebaikan kalau mereka kalah dan mati pun kerana mereka telah berjuang di jalan Allah ﷻ.


 

Tawbah Ayat 22:

‎خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They will be] abiding therein forever. Indeed, Allāh has with Him a great reward.

(MALAY)

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Kalau dapat masuk syurga tetapi ada kemungkinan kena keluar, itu pun tidak seronok. Sebagaimana kita menginap di hotel paling mahal dan selesa di dunia sekalipun, tetapi kita tahu yang kita akan keluar juga akhirnya dari hotel itu, maka ada kekurangan dari segi nikmat yang sedang kita dapat padawaktu itu.

Maka Allah ﷻ beritahu awal-awal yang kalau mereka masuk ke dalam syurga, mereka tidak akan keluar-keluar sampai bila-bila. Ini akan memberi ketenangan kepada penghuni syurga dan mereka boleh menikmati nikmat syurga itu tanpa ada rasa risau langsung. Ini kerana Allah ﷻ tahu manusia suka tempat tinggal yang tetap. Sebab itulah seseorang yang menyewa rumah mengimpikan suatu hari di mana dia dapat memiliki rumah sendiri. Sekiranya dia menyewa rumah sahaja, kebiasaannya hanya untuk tempoh masa tertentu. Lambat laun dia kena keluar juga dari rumah sewa itu dan terpaksa berpindah ke rumah lain pula.

 

 

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah ﷻ mempunyai terlalu banyak pahala dan nikmat yang besar-besar untuk diberikan kepada manusia. Tiada penghujungnya, tinggal tunggu kita untuk berbuat amal kebaikan sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.


 

AMARAN KEPADA ORANG KAFIR

Tawbah Ayat 23: Ini adalah hujah penghalang ketiga yang digunakan oleh mereka yang mempersoalkan peperangan dengan Quraish Mekah itu. Ia nampak seolah-olah seperti penghalang, namun tidak menjadi penghalang sebenarnya.

Ada yang berhujah, perang itu nanti akan memutuskan pertalian kaum kerabat dan sememangnya memutuskan hubungan kaum kerabat itu zalim dalam Islam pun. Memang baik jika menjaga hubungan silaturahim dan tidak memutuskannya, tetapi ia adalah untuk sesama Islam sahaja. Perhubungan baik itu ada had. Kalau mereka itu menentang Islam, maka sudah tidak ada lagi perhubungan baik dengan mereka. Tidak ada hubungan yang lebih hebat daripada hubungan dengan Allah ﷻ dan Rasul-Nya.

Oleh itu, jangan jadikan alasan musuh itu kaum kerabat untuk tidak berperang. Kita belajar daripada sirah bagaimana para sahabat itu berperang dengan adik beradik, anak beranak dan sepupu sepapat pun. Allah ﷻ mengingatkan mereka yang itu adalah keluarga di dunia sahaja dan Allah ﷻ mengingatkan kita yang kita memerangi mereka bukan kerana dunia, tetapi kerana akhirat.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take your fathers or your brothers as allies if they have preferred disbelief over belief. And whoever does so among you – then it is those who are the wrongdoers.

(MALAY)

Hai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Wahai orang-orang yang telah beriman, dengar baik-baik arahan ini kerana ini adalah arahan dari Allah ﷻ kepada anda. Itu pun kalau anda mengaku orang beriman. Memang semua ayat Al-Qur’an adalah untuk kita ikuti. Namun apabila ada panggilan awal sebegini, maka ada penekanan di dalamnya maka perhatian yang lebih diperlukan di sini.

Oleh itu kenalah faham apa yang disampaikan, bukan? Kalau arahan sebegini dibaca sahaja, tetapi kemudian tidak faham, apakah gunanya? Berapa ramai yang selalu baca arahan daripada Allah ﷻ namun malangnya satu habuk pun dia tidak faham? Alangkah ruginya hidup sebagai seorang Muslim!

 

 

لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ

janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan

Apabila kamu sudah beriman, jangan kamu lagi mengambil ayah, adik beradik, atau mana-mana saudara mara kamu sebagai teman rapat taat setia untuk dilindungi dan tidak diperangi sekiranya mereka memilih jalan kafir.

Mereka itu bukan lagi teman rapat kamu, bukan lagi wali yang perlu dilindungi dan tempat untuk berlindung lagi, sekiranya mereka itu lebih minat kepada kufur syirik daripada iman. Jika mereka menentang Islam, maka kita mesti perangi mereka. Mereka itu bukannya tidak sampai dakwah kepada mereka, tetapi mereka sendiri yang telah membuat pilihan mereka – mereka telah memilih kufur dan syirik.

 

 

وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah ﷻ mengingatkan dengan keras, sekiranya berbaik lagi dengan mereka, masih lagi menjadikan mereka sebagai wali, sebagai teman rapat, maka kamu adalah golongan yang zalim.

Ayat ini kenalah dibaca dalam konteks penurunan ayat ini. Islam tidak suruh kita meninggalkan ahli keluarga kita, atau terus membunuh mereka kalau mereka tidak mahu beriman masuk Islam. Ayat ini adalah khitab kepada para sahabat. Mereka itu berlawan dengan saudara mereka yang memang menentang Islam. Kita kena lihat juga ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an.

Lihatlah juga bagaimana Nabi Nuh عليه السلام itu Allah ﷻ memerintahkan untuk meninggalkan anaknya yang kufur hanya apabila azab banjir telah diturunkan. Sepanjang masa itu, Nabi Nuh عليه السلام tidak pun disuruh meninggalkan anaknya walaupun Allah ﷻ tahu yang dia tidak beriman dan tidak akan beriman. Hanya apabila Allah ﷻ suruh baginda tinggalkan anaknya, barulah baginda tinggalkan.

Begitu juga dengan para sahabat, hanya apabila Allah ﷻ memerintahkan untuk memutuskan hubungan, barulah hubungan kekeluargaan diputuskan. Ini adalah apabila mereka terus menentang Islam. Selain daripada itu, hendaklah kita mengekalkan perhubungan kekeluargaan dengan mereka.


 

Tawbah Ayat 24: Ayat takhwif dunia (penakutan tentang azab di dunia). Allah ﷻ memerintahkan kepada Rasul-Nya untuk mengancam orang yang lebih mementingkan keluarga, kerabat, dan sanak saudaranya daripada Allah ﷻ dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya. Ada pendapat yang mengatakan teguran ini diberikan kepada mereka yang telah beriman di Mekah tetapi tidak sanggup berhijrah kerana sayangkan keluarga dan harta.

Akan tetapi ayat ini menyebut tentang ‘jihad’ dan bukannya hijrah. Ini kerana hijrah itu adalah permulaan kepada jihad. Seandainya hijrah pun tidak sanggup, tentulah jihad pun mereka tidak sanggup kerana jihad itu lebih berat lagi kerana bukan sahaja kena sanggup tinggalkan kesenangan dan keluarga, malah nyawa pun boleh melayang.

Kenapa hijrah itu penting? Kerana ia adalah tanda seseorang itu adalah seorang Muslim sejati. Untuk zaman Nabi itu, ia adalah satu kewajipan tetapi untuk di zaman kita ini pun tetap ada hijrah yang wajib jikalau tempat tinggal kita sekarang menghalang kita daripada mengamalkan agama dengan sempurna. Contohnya kalau tempat tinggal kita ini ada undang-undang menghalang kita untuk salat dan berpuasa. Maka dalam kes ini hendaklah berpindah ke tempat lain yang lebih baik.

Ada juga ketikanya ia tidaklah wajib tetapi ia adalah sesuatu yang sebaiknya dilakukan. Iaitu jikalau tempat tinggal kita itu tempat yang teruk di mana maksiat berleluasa dan dosa diamalkan secara terang-terangan. Ini kerana cara hidup begini boleh mempengaruhi kita dan keluarga kita. Sebaiknya kita tinggalkan tempat itu untuk menjaga agama kita walaupun kita mungkin masih boleh lagi menjaga iman kita walaupun duduk di situ lagi.

‎قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “If your fathers, your sons, your brothers, your wives, your relatives, wealth which you have obtained, commerce wherein you fear decline, and dwellings with which you are pleased are more beloved to you than Allāh and His Messenger and jihād [i.e., striving] in His cause, then wait until Allāh executes His command. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.”

(MALAY)

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

 

قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم

Katakanlah: “jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,

Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk menyampaikan kepada umat baginda tentang perkara ini. Ini menunjukkan bahawa ini adalah perkara penting. Ini kerana memang semua ayat dalam Al-Qur’an baginda kena sampaikan, bukan? Namun sekiranya Allah ‎ﷻ ada titah khas untuk baginda sampaikan, itu maknanya ia amat penting sekali.

Tentulah kita amat sayangkan bapa kita dan anak-anak kita. Merekalah yang kita kena jaga dan eratkan silaturahim. Dalam keadaan normal, kita tidak berperang dengan mereka ini. Namun begitu, dalam menegakkan agama Allah ﷻ, mereka ini tidak boleh dijadikan sebagai penghalang dalam jihad. Jihad tetap dijalankan.

Malah, sekiranya mereka yang menentang Islam, maka mereka itu yang mesti diperangi. Kita teringat tentang kisah Saidina Abu Bakr رضي الله عنه dengan putera sulungnya bernama Abdurrahman. Ketika masih bukan Islam, Abdurrahman رضي الله عنه berperang bersama sebelah pihak Quraisy dalam peperangan Badar dan Uhud. Dalam Perang Badar, beliau mempunyai peluang untuk membunuh bapanya, Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi beliau sering mengelak. Beberapa tahun kemudian, selepas menjadi Muslim, beliau memberitahu bapanya mengenai hal ini. Abu Bakar رضي الله عنه menjawab: “Seandainya aku mempunyai peluang itu, aku tidak akan melepaskan kamu.” Begitulah hebatnya seorang manusia yang bernama Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang lebih cintakan agamanya daripada anaknya sendiri!

 

 

وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم

dan saudara-saudara kamu, pasangan-pasangan kamu, kaum keluargamu, 

Selain daripada bapa dan anak, kaum keluarga yang dekat dengan kita adalah adik beradik kita sendiri. Kemudian kaum kerabat kita seperti pakcik makcik dan lain-lain. Kita membesar bersama dengan mereka, kita rapat dengan mereka, takkan kita hendak bunuh mereka pula, bukan? Namun begitu, mereka itu juga tidak boleh menjadi penghalang dalam menegakkan jihad. Sekiranya mereka menentang Islam, maka mereka pun mesti diperangi.

Bukan sahaja adik beradik, malah pasangan kita sekali pun. Jangan kerana takut berpisah dengan mereka, kita tidak pergi berjihad apabila ia diwajibkan kepada kita. Bukan adik beradik dan pasangan sahaja yang boleh menghalang, tetapi ahli keluarga kita yang lebih besar, segala kaum kerabat, pakcik atau sepupu dan sebagainya. Maka ini adalah sebahagian daripada keluarga kita yang selalunya kita rapat dengan mereka. Jangan kerana mereka, kita tidak menjalankan kewajipan berjihad.

 

 

وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها

harta kekayaan yang kamu dapati,

Sekarang berkenaan dengan harta pula. Ada harta yang dicari atau didapati sama ada dengan hasil usaha sendiri atau orang lain. Contohnya ada harta pusaka yang kita dapat tanpa usaha pun. Akan tetapi manusia lebih sayangkan harta yang dia telah usaha sekian lama dan berpenat lelah. Itulah harta yang bertumpuk-tumpuk sama ada simpan di rumah atau dalam bank, yang selalu diperiksa buku akaun untuk dilihat berapa banyak sudah bertambah. Ramai yang akan periksa akaun banknya dari masa ke semasa.

Ada yang takut habis harta dia kalau dia pergi berperang. Dia juga sibuk memikirkan: siapalah nanti yang akan menjaga hartanya kalau dia pergi berjihad? Bagaimana dengan segala harta-harta yang dia telah lama kumpulkan itu?

Bukan sahaja harta boleh menghalang jihad, tetapi menghalang orang kaya daripada beramal dan belajar. Berapa ramai orang kaya yang disibukkan oleh hartanya yang banyak? Bila banyak harta, maka panjanglah langkahnya untuk buat berbagai-bagai aktiviti dan pergi melancong ke sana sini. Maka amal pun menjadi kurang, hendak belajar pun tidak ada masa.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

 

وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها

perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya,

Ada peniaga yang takut untuk meninggalkan perniagaannya. Masanya banyak dihabiskan dengan perniagaan untung ruginya. Dia selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk menaikkan keuntungan perniagaan. Sentiasa sibuk dengan uruasan perniagaan seperti membuat pengiraan inventori kedainya dan sebagainya. Yang dia paling takut adalah kalau jatuh rugi.

Kesibukan ini juga boleh menjadi penghalang kepada usaha jihad. Dia fikir, kalau dia pergi keluar berjihad, siapa yang akan meneruskan perniagaannya? Tentulah dia rugi, bukan? Seperti harta juga, perniagaan seringkali menyibukkan manusia.

 

 

وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها

dan tempat tinggal yang kamu sukai,

Ada orang yang memiliki rumah atau tempat tinggal yang dia amat sayangi. Rumah itu susah payah dia bina hasil daripada titik peluh dia. Dia pun selalu membuat renovasi kepada rumahnya itu untuk memastikan rumahnya sentiasa cantik, sentiasa kemas serta rumput sentiasa dipotong, laman rumah dilengkapi tumbuhan pelbagai jenis. Sekali sekala dia akan pergi ke IKEA untuk melihat apakah perabot atau perhiasan yang dia boleh tambah bagi mencantikkan lagi rumahnya itu. Menyertai kelab dekorasi sana sini semata-mata menambah idea untuk menghias rumah yang sudah sedia cantik itu.

Sudah banyak modal dia telah keluarkan untuk rumah itu dan dia amat selesa duduk di rumah itu. Maka tentu ramai yang rasa ralat untuk meninggalkan keselesaan rumahnya untuk berjihad di medan dakwah. Malah ramai disibukkan dengan hal rumah sampaikan tidak beramal dan tidak belajar agama.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ senaraikan satu persatu perkara yang manusia cintai yang kalau tidak berjaga-jaga, akan menyebabkan jihad terabai, malah agama juga terabai.

 

أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya

Telah disebut tentang ahli keluarga dan jenis keduniaan yang berbagai-bagai. Tentulah kita sayang semuanya itu bukan? Sememangnya tidaklah salah untuk sayang dan cintakan semua itu kerana itu adalah sifat semulajadi manusia yang Allah ﷻ telah letakkan di dalam hati kita dan tidak boleh dihapuskan.

Akan tetapi apa akan berlaku jika kita sayangkan semua itu lebih daripada Allah ﷻ dan Rasul-Nya? Bagaimana kalau semua itu menghalang kita sampai tidak berjihad untuk memperkenalkan Allah ﷻ, mempertahankan nama Rasul-Nya? Maka masalahnya timbul hanya apabila ada pertembungan antara semua cinta itu dengan cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul. Bila bertembung, cinta mana satukah yang akan lebih kuat dan menang?

Oleh itu, kena ada tingkatan yang perlu kita perhatikan seperti yang disebut di dalam hadith ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ، عَنْ زُهْرَةَ بْنِ مَعْبَدٍ، عَنْ جَدِّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ: وَاللَّهِ لَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ”. فَقَالَ عُمَرُ: فَأَنْتَ الْآنَ وَاللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: “الْآنَ يَا عُمَرُ”

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, dari Zahrah ibnu Ma bad, daripada datuknya yang mengatakan bahawa kami bersama Rasulullah ﷺ, pada saat itu baginda ﷺ sedang memegang tangan Umar ibnul Khattab رضي الله عنه. Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku sukai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tidaklah beriman (dengan iman yang sempurna) seseorang di antara kalian sebelum aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri. Lalu Umar ibnul Khattab berkata, “Sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Dan Rasulullah ﷺ bersabda, “Memang begitulah seharusnya, hai Umar.”

(Riwayat Ahmad (18193))
Sahih menurut Syu’aib al-Arnauth

Manakala di dalam hadith yang lain Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”
Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tidaklah beriman seseorang di antara kalian sebelum diriku ini lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anak-anaknya, dan semua orang.

(Sahih Bukhari (14))

Akan tetapi malangnya ada yang kalah dengan keluarga. Ada yang ikut pandangan bapanya dalam hal agama walaupun ia salah. Ada yang hendak solat berjemaah tetapi anak ajak main bola dan dia layan anaknya itu. Ada yang tidak berani tegur kesalahan adik beradik dan kerabat yang lain kerana takut mereka tidak cinta lagi kepada kita. Ada yang melayan isteri sampai terabai agamanya, tidak sempat untuk menghadiri kelas agama kerana sibuk melayan kehendak isteri pergi shopping.

Ada yang sibuk dengan perniagaan yang semakin maju dan maju dan tidak sanggup ditinggalkan untuk beramal dan belajar agama. Ada yang sibuk mengemas rumah di luar dan di dalam, renovate sana dan sini, tetapi bab ilmu agama tidak dikemaskan sedikit pun. Semua ini adalah contoh manusia yang kalah dengan perkara keduniaan yang lebih mereka cintai daripada Allah ﷻ dan Rasul.

Sedangkan kalau mereka mereka dapat memupuk cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul, mereka akan mendapat halawatul iman (kemanisan iman). Kerana iman itu ada manisnya, ada lazatnya. Yang mempunyainya sahaja yang dapat merasakannya. Cara untuk mendapatnya adalah dengan mencintai Allah ﷻ dan Rasul seperti disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, dia akan mendapat manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika dia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke dalam neraka”
(Sahih Bukhari No. 15)

 

وَجِهادٍ في سَبيلِهِ

dan dari berjihad di jalan-Nya,

Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli keluarga dan harta kekayaan dan kesenangan itu lebih kita sayang daripada melakukan jihad di jalan-Nya? Kita mungkin boleh kata yang kita sayang Allah ﷻ dan Rasul-Nya, tetapi bagaimana pula kalau jihad diwajibkan ke atas kita?

Bagaimana keadaan agaknya kalau khalifah sudah kata yang kita wajib untuk keluar berjihad memerangi kuffar? Cakap sayang Allah ﷻ dan Rasul memang senang, tetapi apabila diberikan dengan perintah berjihad, baru tahu siapa yang benar-benar beriman atau tidak.

 

فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ

maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya

Sekiranya kita tidak keluar berjihad setelah diwajibkan ke atas kita, maka tunggulah, sehingga Allah ﷻ datang dengan keputusan-Nya. Hasan al-Basri رحمه الله mengatakan yang dimaksudkan adalah tunggulah Allah ﷻ hukum kamu. Sama ada hukuman itu di dunia ini lagi atau di akhirat yang pasti akan datang.

Mujahid رحمه الله pula mengatakan yang dimaksudkan yang ditunggu itu adalah ketetapan jihad daripada Allah ﷻ untuk menyerang dan menakluk Mekah. Pada waktu itu mereka akan dihinakan dan segala perkara yang mereka sayang seperti keluarga dan harta. Kesemua itu tidak berguna pun kepada mereka.

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah تَرَبَّص – lain dengan lafaz انتظر yang juga bermaksud ‘tunggu’. Lafaz تَرَبَّص bermaksud menunggu-nunggu sambil menunda-nunda: contohnya tunggu selesai kerja dulu, selepas kahwin, selepas dapat anak, setelah anak besar sedikit baru hendak beramal dan belajar agama. Ketahuilah yang segala perkara itu tidak akan pernah selesai.

Ini kerana akan ada sahaja perkara yang akan menyebabkan kita sibuk. Begitu jugalah dengan orang yang tidak datang belajar agama – ada sahaja perkara yang menyebabkan mereka tidak dapat datang kelas – anak ada kelas tambahan yang kena dihantar dan diambil, kerja tidak habis, kerja siang, kerja malam – macam-macam. Akhirnya tidak belajar dan terus menjadi jahil dalam agama.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ cuma kata “kau tunggulah…” tanpa disebut tunggu apa. Ini sebagaimana kita berbuat salah di rumah, dan emak kita kata: “kau tunggulah ayah kau balik nanti..” Bukankah itu menakutkan sekali? Sepanjang masa kita tunggu ayah balik itu, dalam fikiran kita bermacam-macam perkara timbul. Kita memikirkan apakah hukuman yang ayah kita akan kenakan kepada kita bukan? Tetapi tentunya ia adalah berat, cuma kita tidak tahu sahaja.

Begitu jugalah ancaman Allah ﷻ ini – Allah ﷻ tidak beritahu tetapi kalau tidak diberitahu itu, kita sudah tentu tahu yang ia pasti berat. Kita lebih takut sambil tertanya-tanya apalah yang akan dikenakan kepada kita?

Ramai daripada kita tidak terasa pun balasan daripada Allah ﷻ ini semasa di dunia. Kita rasa biasa sahaja, tidak ada apa-apa kesan pun. Maka kita rasa Allah ﷻ tidak marah dengan kita, tidak menghukum kita. Padahal kesan-kesan daripada dosa kita itu sebenarnya telah ada pun.

Ibn Qayyim رحمه الله ada menjelaskan antara kesan dosa dan maksiat di dalam kitabnya Ad-Daa’ wa Dawaa’:

1. Ilmu susah untuk masuk ke dalam benak kita
2. Rezeki terhalang
3. Susah untuk ingat Allah ﷻ
4. Rasa asing untuk duduk dengan orang baik-baik. Akhirnya duduk dengan kutu berahak sahaja
5. Urusan kehidupan menjadi sulit
6. Hati menjadi gelap
7. Lemah hati dan badan
8. Menghalang ketaatan kepada Allah ﷻ
9. Umur pendek dan tiada berkat dalam umur yang pendek itu
10. Dosa menyebabkan dosa lain. Bertambah-tambah dosa yang dia akan buat.
11. Jiwa menjadi lemah
12. Hati tidak memandang dosa itu berat, menjadi biasa sahaja dengan dosa
13. Orang itu menjadi hina
14. Dosa menyebabkan kesialan
15. Kehinaan diwariskan kepada keturunan
16. Akal menjadi lemah
17. Hati terkunci mati
18. Mendapat laknat daripada Allah ﷻ
19. Tidak mendapat doa Nabi dan para malaikat
20. Mendapat hukuman
21. Dosa menyebabkan kerosakan
22. Mematikan kecemburuan hati
23. Menghilangkan rasa malu
24. Tidak berasa agung terhadap Allah ﷻ
25. Allah ﷻ akan abaikan
26. Terkeluar daripada wilayah ihsan
27. Menghilangkan kebaikan
28. Menghalang perjalanan hati menuju kepada Allah ﷻ
29. Menghilangkan nikmat dan mendatang azab
30. Rasa khuatir dan hati menjadi takut sentiasa
31. Memalingkan hati daripada istiqamah
32. Membutakan pandangan hati
33. Mengecilkan dan menghinakan jiwa
34. Menjadi tawanan syaitan dan penjara syahwat
35. Menjatuhkan darjat dan kedudukan di sisi Allah ﷻ dan juga makhluk
36. Hilang gelaran terpuji dan sebaliknya mendapat gelaran kehinaan pula
37. Melemahkan fungsi akal
38. Terputus hubungan dengan Allah ﷻ
39. Hilang keberkahan dalam kehidupan
40. Mendapat kerendahan, kehinaan dan kekurangan
41. Makhluk yang lain senang mengganggu dirinya
42. Dikhianati
43. Hati menjadi buta dan akal jadi lemah
44. Musuh akan dikuatkan terhadapnya
45. Telinga tidak terjaga daripada perkara haram
46. Lidah tidak terjaga daripada perkara haram
47. Lupa diri
48. Menghilangkan nikmat
49. Jauh daripada para malaikat
50. Kebinasaan di dunia dan akhirat
51. Boleh dikenakan hukum syarak

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Orang yang fasik dalam konteks ayat ini adalah mereka yang berhenti jihad untuk menyebarkan agama. Orang yang fasik adalah orang yang berdosa dan dosa mereka adalah melebihkan perkara lain daripada Allah ﷻ dan Rasul sampai mengabaikan jihad. Mereka yang tidak kisah pun sama ada agama Islam ini tersebar atau tidak. Mereka selesa sahaja melihat ramai orang yang kufur, ramai orang yang tidak tahu tentang agama.

Kepada mereka yang sebegini, Allah ﷻ tidak memberikan petunjuk kepada mereka. Kalau mereka tidak mendapat petunjuk, tentu mereka akan membuat kesalahan dalam agama, dan kerana kesalahan mereka itu, mereka akan terpesong daripada kebenaran dan akhirnya mereka akan dihukum.

Oleh itu, ingatlah, kita mesti meluangkan masa untuk menyebarkan agama dengan menjalankan dakwah. Memang sekarang bukanlah masa untuk berperang dengan orang kafir, tetapi kita kena jalankan ‘jihad lisan’ – kena sampaikan tentang tauhid kepada manusia. Supaya mereka pun kenal Allah ﷻ dan beribadat kepada Allah ﷻ dalam rangka tauhid.

Kita hidup di dunia ini sekejap sahaja, untuk membuat amal sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat. Bukannya kita hidup di dunia ini untuk buat anak ramai-ramai, buat duit banyak-banyak dan bina rumah satu persatu. Segala itu semua, yang kita sibukkan siang dan malam itu, semuanya akan hilang daripada kita. Akan tetapi amalan yang baik, akan kekal sehingga ke alam akhirat. Maka kena lebihkan perkara yang kekal abadi.

Kalau anak pun kita tidak didik dengan didikan agama, mereka pun tidak kisah untuk kita. Sepatutnya mereka itu menjadi saham untuk kita supaya dapatlah mengalir pahala daripada mereka kepada kita setelah kita tiada, namun jikalau mereka pun jahil juga, bagaimana? Maka jangan wariskan kejahilan kepada anak beranak.

Habis Ruku’ 3 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Februari 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Naba’ Ayat 17 – 30 (Penerangan tentang Hari Kiamat)

Ayat 17: Ayat 17 – 20 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi gambaran kehancuran pada Hari Kiamat.

Sekarang kembali kepada persoalan asal golongan kafir, tentang perkara yang mereka tidak percaya dan tidak yakin itu. Oleh kerana mereka tidak yakin, maka mereka berbantah-bantah tentangnya. Tentang apa? Ini adalah tentang hari pembalasan.

إِنَّ يَومَ الفَصلِ كانَ ميقاتًا

Sahih International

Indeed, the Day of Judgement is an appointed time –

Malay

Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,

 

Lafaz يَومَ الفَصلِ adalah hari perpisahan. Pada hari itu nanti, akan dipisahkan antara pihak yang benar dan tidak. Pada hari itu mereka tidak boleh bercampur lagi – kalau dalam dunia, orang yang beriman dan tidak beriman, yang baik dan yang jahat, dapat duduk sekali, bukan? Tetapi tidak di akhirat kelak.

Ada banyak pemisahan akan dijalankan. Termasuk antara anak dan ibubapa, rakyat dari pemimpin mereka, idola-idola yang menjadi pujaan masyarakat, guru dan anak murid dan sebagainya. Dahulu semasa di dunia, pengikut ikut sangat apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka.  Dahulu ramai yang hendak jaga sangat hati saudara mara sampai buat syirik dan buat amalan bidaah. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan duduk lain-lain tempat.

Kalimah ميقاتًا adalah sesuatu yang telah ditetapkan, tidak boleh diubah tarikhnya. Bukan ‘akan’ ditentukan tetapi telah Allah ﷻ tentukan bila ianya akan terjadi, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ.

Ingatlah yang Hari Akhirat pasti akan terjadi. Dalam ayat-ayat sebelum ini ada disebut tentang pasangan. Semua ada pasangan: lelaki dan perempuan, siang dan malam. Maka, dunia ini juga ada pasangannya. Pasangan kehidupan dunia adalah kehidupan di akhirat. Allah ﷻ telah sebut dalam ayat-ayat sebelum ini tentang siang dan malam yang datang silih berganti. Maka selepas dunia ini selesai, akan datang waktu akhirat pula.

Allah ﷻ banyak mengingatkan kita tentang Hari Kiamat itu. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengingatkan kita tentang perkara ini. Banyak kali diingatkan supaya kita jangan lupa. Dan kalau kita selalu membaca Al-Qur’an, kita akan akan diingatkan oleh Al-Qur’an. Sampaikan tidak ada muka surat dalam Al-Qur’an yang tidak menyebut tentang kematian atau hari akhirat.

Maka ingatlah sentiasa yang kita semua sedang menuju kepada hari tersebut sama ada kita mahu ataupun tidak. Setiap hari, setiap jam dan setiap saat, kita menghampirinya.

 


Ayat 18: Selepas diperkenalkan apakah hari itu, sekarang diberikan penerangan tentangnya.

يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ فَتَأتونَ أَفواجًا

Sahih International

The Day the Horn is blown and you will come forth in multitudes

Malay

Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);

 

يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ

Iaitu masa ditiup pada sangkakala,

Ini adalah tiupan Sangkakala yang kedua. Tiupan Sangkakala pertama adalah untuk mematikan semua makhluk dan tiupan yang kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk sebagai tanda yang Hari Kebangkitan sudah bermula.

Lafaz الصّورِ itu asalnya bermaksud ‘tanduk’, iaitu tanduk yang dibunyikan. Diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai: Sangkakala. Ini kerana pada zaman dahulu, sangkakala dibuat dari tanduk binatang. Sebenarnya, kita pun tidak pasti apakah rupanya, bagaimanakah ianya berfungsi. Ianya adalah salah satu perkara yang ghaib.

 

فَتَأتونَ أَفواجًا

lalu kamu datang berpuak-puak

Setelah ditiupkan Sangkakala itu, semua makhluk akan bangkit dan keluar dari kubur masing-masing, tidak kira di mana mereka, tidak kira sama ada mereka ada kubur atau tidak, tubuh hancur atau tidak – semua akan bangkit. Dan mereka akan menuju ke Mahsyar dengan berpuak-puak.

Maksud berpuak itu, ada puak beriman dan ada puak kufur; ada puak taat dan ada puak derhaka. Tidak bercampur antara satu sama lain. Cara pergi ke Mahsyar pun tidak sama. Kecepatan mereka mengikut tingkatan amalan masing-masing. Yang beriman dan bertaqwa akan dibawa pergi dengan mudah. Dan yang jahat, akan pergi sama ada berjalan, melutut atau menggelongsor atas muka mereka. Yang pasti, semua akan menuju ke Mahsyar. Sama ada lambat atau tidak, susah atau tidak sahaja.

Lihat kepada lafaz فَتَأتونَ (kamu semua akan datang). Kalau kita perasan, surah ini dimulai dalam ayat-ayat awalnya, Allah ﷻ bercakap dalam pihak ketiga. Allah ﷻ buat begitu kerana hendak tunjukkan kemarahanNya sampai tidak bercakap terus dengan mereka. Tetapi kali ini Allah ﷻ bercakap terus dengan puak yang jahat itu. Ada penukaran dari segi bahasa dan ini dinamakan iltifat.

Kali ini Allah ﷻ terus cakap dengan mereka untuk beri mereka rasa terkejut yang sangat. Macam guru masuk kelas dan dia mula-mula kata: “ada pelajar yang tidak buat kerja rumah. Orang ini memang tidak menghormati kelas ini. Dan dia akan dikenakan dengan hukuman. Hah, Ahmad, apa alasan kamu?”

Lihat bagaimana guru itu mulanya bercakap tentang pelajar yang tidak buat kerja sekolah itu dalam pihak ketiga dan kemudian guru itu terus bercakap dengan pelajar yang dimaksudkan, untuk memberi tekanan perasaan kepada pelajar itu. Begitulah Allah ﷻ bercakap dalam pihak ketiga untuk menunjukkan ketidakpuasan Allah ﷻ dengan manusia yang engkar, tetapi tiba-tiba Allah ﷻ bercakap terus dengan mereka.

Kita akan dipanggil untuk pergi ke Mahsyar secara rela ataupun tidak. Semua akan datang dan bergerak ke sana secara berbondong-bondong. Kita juga akan pergi bersama rasul masing-masing. Ibnu Jarir mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah setiap umat datang bersama dengan rasulnya sendiri, semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

يَوْمَ نَدْعُوا كُلَّ أُناسٍ بِإِمامِهِمْ

(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya. (Al-Isra: 71)

Lihatlah penggunaan lafaz فَتَأتونَ dalam ayat ini yang datang dari katadasar أ ت ى yang bermaksud ‘datang’. Tetapi ada lafaz lain untuk datang, iaitu جاء. Lafaz أتى lain dengan جا. Kalau جا yang digunakan, mungkin boleh bermaksud mereka itu datang sendiri.

Tapi kalau أتى yang digunakan, ianya bermaksud mereka kena datang dan taat. Macam terpaksa datang juga sama ada mahu atau tidak. Kalau mereka dalam dunia degil, di akhirat mereka tidak ada pilihan. Memang kena datang.

 


Ayat 19:

وَفُتِحَتِ السَّماءُ فَكانَت أَبوابًا

Sahih International

And the heaven is opened and will become gateways

Malay

Dan (pada masa itu) langit akan dibuka sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu,

 

Langit dibuka dan ianya akan menjadi seperti ada pintu. Kalau sekarang kita melihat langit sebagai satu makhluk yang kukuh tetapi pada hari pembalasan, Allah ﷻ akan menjadikannya ada pintu.

Kalau pada rumah, pintu adalah bahagian yang paling lemah. Sebelum ini Allah ﷻ ada sebut yang Dia jadikan langit kukuh tetapi Dia juga yang boleh melemahkannya. Kerana masanya telah sampai untuk menghancurkan langit itu.

Pintu-pintu itu akan ada tempat turunnya malaikat-malaikat.

 


Ayat 20:

وَسُيِّرَتِ الجِبالُ فَكانَت سَرابًا

Sahih International

And the mountains are removed and will be [but] a mirage.

Malay

Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

 

Kalimah سيرَ bermaksud ‘bergerak dengan mudah’. Maksudnya gunung ganang itu akan bergerak dengan lancar sahaja. Sedangkan gunung ganang yang sebelum ini, Allah ﷻ kata kukuh tetapi dengan mudahnya akan dihancurkan. Allah ﷻ sahaja yang mampu buat begitu.

Tentu Musyrikin Mekah susah untuk terima kerana mereka melihat gunung ganang itu amat kukuh sekali. Kalau mereka hendak buat apa-apa pada gunung ganang itu, tentu tidak boleh. Tetapi Allah ﷻ telah jelaskan bagaimana Dia mampu untuk buat apa sahaja.

Lafaz سَرابًا pula bermaksud fatamorgana – sesuatu yang tidak ada, tetapi nampak macam ada. Kejadian gunung ganang hancur itu sampai boleh bergerak dengan mudah tidak dapat diterima oleh mata manusia, sampai manusia akan melihat ianya seperti fatamorgana.

Kita rasakan bahawa ianya adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi sebab teramat besarnya ia. Tetapi Allah ﷻ boleh hancurkan gunung ganang itu dan hancur dan hilangkan, sampai tidak berbekas. Macam sudah tidak ada apa-apa lagi. Mata manusia akan melihatnya seperti fatamorgana.

Ini adalah perkara pertama yang manusia akan tengok. Ini adalah bahagian kedua yang manusia akan dapat lihat. Inilah bahagian pertama dari ayat 4: كَلّا سَيَعلَمونَ. Bahagian kedua iaitu ayat ke 5, ثُمَّ كَلّا سَيَعلَمونَ selepas ini. Bahagian pertama manusia akan lihat semasa dunia, dan bahagian kedua adalah keadaan di akhirat kelak.

 


Ayat 21: Ayat 21 – 30 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan balasan buruk bagi pendusta Hari Akhirat.

إِنَّ جَهَنَّمَ كانَت مِرصادًا

Sahih International

Indeed, Hell has been lying in wait

Malay

Sesungguhnya neraka Jahannam telah disediakan –

 

Allah ﷻ memberitahu kita yang Neraka itu telah ada dan ia sekarang sentiasa mengintai ahlinya. Neraka sedang duduk menunggu untuk menyerang dan menangkap sahaja sesiapa yang akan memasukinya. Jangan kita ditangkap olehnya. Ini adalah satu perumpamaan untuk menjelaskan neraka itu.

Ini adalah kerana Neraka itu akan menunggu siapa yang akan kena tangkap. Dalam Maryam:71, kita telah diberitahu bahawa kita semua akan melalui neraka melalui Titian Sirat. Sama ada kita ditakdirkan sebagai ahli syurga atau ahli neraka, pasti kita kena lalui juga. Hanya ahli syurga dapat melepasinya.

 


Ayat 22: Siapakah yang akan kena serang dan kena tangkap semasa cuba melepasi Titian Sirat itu?

لِلطّاغينَ مَآبًا

Sahih International

For the transgressors, a place of return,

Malay

Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.

 

Neraka itu akan mengintai orang yang pemberontak, derhaka, yang banyak buat dosa. Mereka itu yang akan kena tangkap oleh Neraka, dan Neraka akan menjadi tempat tinggal mereka.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ gunakan lafaz طّاغينَ dalam ayat ini. Merekalah yang akan ditangkap oleh Neraka. Allah ﷻ tidak gunakan pun lafaz ‘kufur’ dalam ayat ini. Kerana Allah hendak menggambarkan satu lagi sifat orang yang engkar itu. Mereka itu adalah yang memberontak dengan hati mereka. Walaupun mereka mungkin tahu kebenaran tetapi mereka masih lagi menentang perasaan hati mereka. Itulah yang dimasukkan dengan memberontak.

Mereka hendak buat apa yang mereka hendak buat, tidak kira apa yang sepatutnya mereka lakukan. Mereka mahu ikut nafsu mereka sahaja. Dan ini sudah melawan kehendak jiwa mereka sebenarnya kerana setiap hati manusia sudah ada fitrah dan fitrah kita sudah kenal Allah ﷻ, mahukan kebaikan. Tetapi mereka yang melawan perasaan itu, memberontak terhadap perasaan itu, merekalah yang dimasukkan ke dalam neraka.

Perkataan مَآبًا bermaksud tempat yang kita selalu kembali. Pergi ke mana-mana pun, akan tetap kembali kepada satu tempat. Maksudnya mereka akan cuba untuk keluar dari neraka tetapi mereka akan dikembalikan juga. Mereka cuba hendak lari tetapi tidak boleh, akan direnggut dan dibawa kembali ke tempat penyeksaan.

 


Ayat 23: Apabila sudah masuk ke dalam neraka, berapa lama mereka akan tinggal di dalamnya?

لابِثينَ فيها أَحقابًا

Sahih International

In which they will remain for ages [unending].

Malay

Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.

 

Mereka akan tinggal lama – tidak ada penghujung. Lafaz أَحقابًا adalah jamak (plural) bagi lafaz حقب yang jangkamasanya  adalah 80 tahun. Nampak macam tidak lama, tetapi kita kena ingat yang setiap hari di akhirat adalah darab seribu tahun.

Jadi itu pun sudah jangkamasa yang sangat-sangat lama sampai hendak kira pun sudah tidak sanggup lagi! Oleh itu, walaupun perkataan حقب itu mungkin boleh bermaksud boleh dikira, nampak macam ada penghujungnya, tetapi kerana pengiraannya adalah terlalu banyak, ianya seperti selama-lama.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Ibnu Humaid, dari Mahran, dari Sufyan Ats-Tsauri, dari Ammar Ad-Duhni, darr Salim ibnu Abul Ja’d yang mengatakan bahawa Ali ibnu Abu Talib pernah bertanya sehubungan dengan penanggalan qamariah hijriah, “Apakah yang kalian jumpai dalam Kitabullah tentang makna al-hiqbu? Lalu dijawab, “Kami menjumpainya bererti lapan puluh tahun, tiap tahun mengandung dua belas bulan, dan tiap bulan mengandung tiga puluh hari, dan setiap hari lamanya sama dengan seribu tahun.” Hal yang sama telah diriwayatkan dari Abu Hurairah, Abdullah ibnu Amr, Ibnu Abbas, Sa’id ibnu Jubair, Amr ibnu Maimun, Al-Hasan, Qatadah, Ar-Rabi’ ibnu Anas, dan Ad-Dahhak.

Dan kita jangan lupa, lafaz yang digunakan adalah أَحقابًا iaitu jamak kepada حقب, bukan satu حقب sahaja. Jadi, ia boleh bermaksud, apabila sudah lepas satu حقب, terus sambung حقب seterusnya. Seolah-olah penghuni neraka itu rasa dia sudah habis menjalani azab dalam neraka, diberi satu lagi حقب. Sudah habis حقب itu, diberi lagi!!! Ma sya Allah.

Ini adalah azab emosi kepada mereka sebenarnya. Mereka sangka sudah habis azab mereka di neraka tetapi kena sambung lagi. Bayangkan kalau kita rasa kita sudah selamat, tetapi tidak selamat, tentu kita rasa lagi teruk, bukan? Jadi, tidaklah salah kalau kita kata, memang penghuni neraka itu akan duduk selama-lamanya dalam neraka.

Walaupun ada ulama yang mengatakan kehidupan di neraka itu ada juga penghujungnya, tetapi kehidupan yang bagaimana? Adakah anda sanggup tinggal sebegitu, yang entah berapa lama?

Sa’id telah meriwayatkan dari Qatadah sehubungan dengan makna firman Allah سبحانه وتعالى.: mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. (An-Naba:23) Yang dimaksudkan dengan berabad-abad adalah masa yang tiada habis-habisnya, setiap kali habis satu abad datang lagi abad selanjutnya, tanpa ada batasnya.

Oleh itu, buatlah sesuatu supaya kita selamat dari neraka. Jangan main-main dengan kehidupan kita. Jangan ada harapan yang “kalau duduk dalam neraka pun, aku akan keluar juga akhirnya”. Ini adalah harapan yang bodoh sekali!

 


Ayat 24: Selepas disebut tentang masa di dalam neraka, bagaimana pula keadaan dalam neraka itu? Agaknya selepas disebut ini, adakah sanggup hendak masuk neraka?

لا يَذوقونَ فيها بَردًا وَلا شَرابًا

Sahih International

They will not taste therein [any] coolness or drink

Malay

Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman –

 

Dalam kehidupan bangsa Arab, kesejukan dan minuman adalah istirehat untuk mereka. Ini adalah kerana mereka duduk di kawasan yang panas dan berpasir. Jadi selepas berpanas dan mengembara dalam cuaca yang panas terik, rehat yang mereka mahukan adalah tempat yang teduh dan air sejuk yang menyegarkan tegak.

Tetapi ditekankan di sini yang penghuni neraka tidak akan dapat istirehat tersebut. Angin yang paling sejuk dari neraka pun sudah tidak tahan, kerana ianya panas sangat. Maka ketahuilah yang suasana dalam neraka itu sentiasa sahaja panas. Tetapi penghuninya tidak mati kerana tubuh badan mereka telah dinaiktaraf supaya dapat menerima segala azab itu. Memang tidak akan mati kerana tidak ada kematian di dalam neraka, sebaliknya mereka akan merasai kesakitan yang amat. Cuma mereka tidak mati kerana Allah ﷻ tidak matikan ahli neraka supaya mereka berterusan mendapat azab.

Dan mereka tidak akan mendapat air minuman sejuk yang menyegarkan. Sedangkan mereka sentiasa sahaja dahaga dari mula masuk neraka sampailah selama-lamanya. Akan tetapi kedahagaan mereka itu tidak akan dihilangkan walau sedikit pun.

 


Ayat 25: Apabila mereka dahaga, tentulah mereka akan cuba meminta diberikan air sejuk untuk hilangkan dahaga mereka itu. Mereka akan diberi juga minuman, tetapi lihatlah minuman jenis apa:

إِلّا حَميمًا وَغَسّاقًا

Sahih International

Except scalding water and [foul] purulence –

Malay

Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, –

 

Telah disebut yang penghuni Neraka tidak akan diberikan suasana sejuk dan tidak akan diberi dengan air minuman kecuali mereka boleh minum air panas menggelegak. Panasnya entah berapa ribu juta darjah. Apabila diletakkan dekat dengan muka sahaja, maka punahlah muka mereka kerana panas yang teramat sangat pada air itu. Itu belum minum lagi.

Dan air panas akan dicurahkan ke atas mereka. Dan air itu akan dimasukkan ke dalam mulut (secara paksa) dan perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

Dan mereka juga akan diberi air minuman, tetapi air dari nanah, keringat dan darah yang keluar dari ahli neraka. Semua cecair itu akan dikumpulkan dan diberikan kepada penghuni neraka. Itulah air minuman mereka. Sanggupkah?

Abul Aliyah mengatakan bahawa ini merupakan lawan kata dari sebelumnya; kesejukan diganti dengan air yang mendidih dan minuman yang enak diganti dengan nanah. Yang dimaksudkan dengan hamim ialah air yang panasnya telah mencapai puncak didihnya; dan yang dimaksudkan dengan ghassaq ialah campuran dari nanah, keringat, air mata, dan yang keluar dari luka-luka ahli neraka, dinginnya tidak terperikan, dan baunya yang busuk tidak tertahan.

 


Ayat 26: Alangkah teruknya balasan yang diberikan kepada mereka itu, adakah itu patut?

جَزاءً وِفاقًا


Sahih International

An appropriate recompense.

Malay

Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).

 

Allah ﷻ beritahu walaupun nampak teruk sangat azab yang dikenakan, ganas sangat balasan yang diberikan kepada penghuni neraka itu, tetapi balasan itu setimpal dan munasabah dengan amalan dosa mereka semasa di dunia dahulu.

Mungkin ada manusia yang soal sama ada patutkah azab sebegini? Sedangkan nampak tidaklah jahat sangat amalan mereka semasa di dunia dahulu. Dan bukannya lama mereka lakukan kerana umur mereka pendek sahaja. Tetapi kenapa lama sangat dikenakan dengan azab itu yang entah berapa lama?

Maka Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang segala azab itu sebenarnya patut. Ini kita dapat tahu dari penggunaan lafaz وِفاقًا tersebut. Ianya tepat sekali apa yang mereka akan kena. Tidaklah balasan yang dikenakan kepada mereka itu tidak patut atau terlebih sangat.

 


Ayat 27: Kenapakah balasan yang teruk itu dikenakan kepada mereka? Apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dahulu sampai melayakkan mereka dikenakan azab yang tidak ada penghujungnya ini? Mereka akan tanya kenapalah mereka diazab sampai begitu sekali? Allah ﷻ jawab.

إِنَّهُم كانوا لا يَرجونَ حِسابًا

Sahih International

Indeed, they were not expecting an account

Malay

Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,

 

Mereka dahulu tidak fikir pun akan adanya hari hisab amal. Kerana mereka tidak memikirkan tentangnya, lalu mereka rosak dalam amal. Ini adalah kerana mereka tidak mengharapkan adanya hari perhitungan. Bukan mereka tidak tahu, tetapi mereka tidak berharap. Mereka sudah tahu kerana perkara ini selalu disebut-sebut dan telah sampai ke pengetahuan mereka. Namun, mereka mengharapkan hari itu tidak akan datang.

Ataupun mereka tidak menyakini akan adanya hari pembalasan itu. Mereka harap hari itu tidak akan datang. Ramai manusia rasa macam itu. Termasuk orang Muslim pun. Kalau kita ingatkan mereka tentang hari pembalasan, mereka malas hendak dengar. Mereka tidak mahu tertekan mendengar perkara-perkara sebegitu. Kerana mereka mahu terus hidup dalam kesenangan, boleh buat apa yang mereka hendak. Kalau kena fikir Hari Kiamat dan pembalasan di akhirat, mereka sudah sedih pula, sudah kena ubah cara hidup mereka. Dan mereka tidak mahu buat perkara itu. Mereka sudah selesa dengan cara hidup mereka.

Allah ﷻ menyebutkan apa yang ada dalam hati mereka. Selepas ini akan disebut tentang luaran pula. Kerana jika sudah ada fahaman yang sebegitu dalam hati dan otak mereka, tentu ianya akan membawa apakah yang mereka akan amalkan dalam kehidupan seharian.

 


Ayat 28: Ayat sebelum adalah pengingkaran dalaman. Ayat ini pula adalah tentang pengingkaran luaran. Iaitu apa yang mereka lakukan.

وَكَذَّبوا بِآياتِنا كِذّابًا

Sahih International

And denied Our verses with [emphatic] denial.

Malay

Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;

 

Dalam akidah pula mereka mendustakan ayat-ayat tauhid. Sebab itu mereka bergelumang dalam syirik. Sedangkan sudah jelas dalam wahyu yang Allah ﷻ sampaikan bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah salah.

Dahulu mereka mendustakan hujah-hujah Allah ﷻ dan bukti-bukti kebenaran-Nya terhadap makhluk-Nya, yang Dia turunkan kepada para rasul-Nya, tetapi mereka menyambutnya dengan kedustaan dan keingkaran.

Mereka mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ dengan bersungguh-sungguh, dengan penambahan lafaz كِذّابًا di hujung ayat ini. Apabila ada penambahan lafaz sebegitu, hendak menunjukkan yang mereka bersungguh-sungguh mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ.

Mereka ini jenis orang yang tidak mahu belajar wahyu Allah ﷻ, tidak mahu mendengar, tidak mahu memikirkan langsung tentang ajaran Al-Qur’an dan tentang hadis Nabi ﷺ. Kalau ada yang sampaikan perkara benar dari tauhid dan dari agama, mereka akan kata orang itu menipu.

Begitu jugalah, sekarang ini amatlah susah untuk menyampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an ini kepada mereka yang tidak mahu membuka hati mereka. Mereka tidak mahu dengar pun. Kita pula dituduh sebagai wahabi, dituduh membawa ajaran sesat. Mereka kata kita sengaja memandai tafsir sendiri sedangkan kita bawakan nukilan dari ulama.

Mereka tidak dapat terima hanya sahaja kerana ia berbeza dengan apa yang mereka telah belajar. Apabila berbeza, mereka bukannya hendak dengar dahulu, akan tetapi mereka hendak menolaknya terus. Sepatutnya dengarlah dahulu, fikirkanlah sama ada ianya benar atau tidak.

 


Ayat 29:

وَكُلَّ شَيءٍ أَحصَيناهُ كِتابًا

Sahih International

But all things We have enumerated in writing.

Malay

Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

 

Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang kita lakukan, kerana ianya dicatat dan diambil kira sepanjang masa. Ianya akan dipersembahkan kembali kepada kita di akhirat kelak. Ingatlah yang segala perbuatan kita besar atau kecil, sedang ditulis oleh malaikat. Kerlingan mata kita pun ditulis, apatah lagi apa yang kita tulis, apa yang kita kata dan sebagainya.

Lafaz أحصى dari katadasar ح ص ى yang bermaksud ‘kira’ menggunakan batu. Kalimah أحصى digunakan dalam ayat ini bermaksud, semuanya yang kita lakukan akan dikira dan disimpan di dalam kitab. Ia seperti audit yang banyak dilakukan oleh syarikat pada zaman sekarang. Segala yang diaudit itu akan disimpan dalam Kitab Amalan kita dan akan dipersembahkan kepada kita untuk kita baca nanti dan kena jawab kenapa kita lakukan itu dan ini.

 


Ayat 30:

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا

Sahih International

“So taste [the penalty], and never will We increase you except in torment.”

Malay

(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

 

Allah ﷻ kata, rasailah azab itu. Dan lihatlah bagaimana Allah ﷻ cakap terus dengan ahli neraka. Kita telah sebut sebelum ini bahawa ini menunjukkan kemarahan Allah ﷻ yang amat tinggi sampai Dia sendiri suruh mereka rasa azab itu.

Ma sya Allah, semoga Allah ﷻ lindungi kita dari azab neraka lebih-lebih lagi apabila kita baca ayat ini. Selalulah baca ayat ini kerana ayat ini dikatakan ayat yang paling berat tentang azab.

Qatadah telah meriwayatkan dari Abu Ayyub Al-Azdi, dari Abdullah ibnu Amr ibnul As yang mengatakan bahawa tiada suatu ayat pun yang lebih keras bagi ahli neraka selain dari firman-Nya: Kerana itu, rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kalian selain dari azab. (An-Naba: 30) Bahawa mereka berada dalam tambahan azab selama-lamanya.

Kerana dari ayat ini kita dapat tahu yang Allah ﷻ tidak akan memberi peluang kepada ahli neraka untuk menyelamatkan diri. Mereka takkan dapat rehat, takkan dapat minum dan tidak akan senang walaupun sesaat.

Yang hanya  ditambah adalah azab yang dikenakan kepada mereka. Maknanya, azab itu makin bertambah, bukan berkurang! Kalau kita sudah teruk kena azab, tentulah kita mengharap ianya berkurang, tetapi tidak, lagi bertambah pula! Ma sya Allah!

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 18 – 20 (Perangi penjaga Kaabah)

Tawbah Ayat 18: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang puak Musyrikin Mekah itu tidak layak untuk memakmurkan MasjidilHaram. Oleh itu, siapakah yang layak?

إِنَّما يَعمُرُ مَسٰجِدَ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَأَقامَ الصَّلوٰةَ وَءآتَى الزَّكوٰةَ وَلَم يَخشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسىٰ أُولٰئِكَ أَن يَكونوا مِنَ المُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The mosques of Allah are only to be maintained by those who believe in Allah and the Last Day and establish prayer and give zakah and do not fear except Allah, for it is expected that those will be of the [rightly] guided.

(MALAY)

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

إِنَّما يَعمُرُ مَسٰجِدَ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, 

Masjid adalah tempat solat seperti yang kita tahu. Ia diambil daripada kalimah سجد iaitu sujud. Kenapakah Allah ‎ﷻ mengambil daripada kalimah sujud? Kenapa tidak dinamakan marka’ (tempat ruku’), ataupun musolla (tempat solat) terus?

Ia dinamakan begitu kerana sujud adalah ibadah paling mulia dan paling penting dalam solat hinggakan pernah Rasulullah ﷺ bersabda:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.
(Riwayat Muslim No. 482)

Mereka yang layak untuk mengimarahkan masjid Allah, terutama sekali MasjidilHaram adalah mereka yang beriman dengan Allah ‎ﷻ sahaja, iaitu beriman dengan akidah tauhid. Jika tiada akidah tauhid, iman itu tidak sah, tidak sempurna.

Oleh itu, walaupun Musyrikin Mekah itu kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, namun jikalau mereka juga percaya kepada ilah-ilah yang lain, mereka itu tidak mempunyai iman yang sempurna. Begitu juga, sekiranya masyarakat Islam kita beriman dengan Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, masih lagi bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, masih lagi meminta tolong kepada bomoh dan seumpamanya, maka mereka itu tidak beriman sempurna.

Selain daripada itu, mereka itu hendaklah beriman dengan hari akhirat. Musyrikin Mekah memang tidak layak memakmurkan masjid Allah kerana mereka tidak percaya kepada hari kebangkitan semula. Perkara itu tidak ada dalam fahaman agama mereka, kerana mereka tidak ada kitab dan mereka sudah lama tidak ada Nabi yang memberi peringatan kepada mereka.

Sememangnya banyak kali Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang اليَومِ الآخِرِ di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Ia dipanggil ‘hari akhir’ kerana itulah penghabisan hari, tidak ada hari-hari lain lagi, tidak ada alam lain lagi. Ia datang selepas hari-hari kita di dunia ini dan selepas datangnya hari akhirat, tidak boleh kembali lagi ke dunia dan tidak boleh berharap lagi kepada hari-hari yang lain. Maka kita kena rebut sungguh-sungguh hari-hari kita di dunia ini supaya kita selamat di akhirat. Barulah dikatakan beriman dengan hari akhirat.

Perlu diingatkan yang iman itu melibatkan tiga perkara: dengan hati, lisan dan perbuatan. Ketiga-tiga perkara itu mesti ada. Orang munafik mungkin mengerjakan ibadah, tetapi mereka tidak percaya dengan Islam, maka mereka tidak dikira beriman; orang musyrikin pula mungkin percaya dan kenal Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tidak membuat apa yang Allah ‎ﷻ suruh. Maka begitu juga masyarakat kita yang kononnya beriman, tetapi tidak menunjukkan iman mereka dengan melakukan perkara yang sepatutnya seperti diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ, maka mereka tidak dikira benar-benar beriman sebenarnya.

Disebut dua iman ini mewakili segala iman-iman yang lain. Allah ‎ﷻ tidak sebut beriman dengan kitab-kitab dan juga dengan Rasulullah ﷺ, bukan? Namun begitu, tidaklah dua iman ini sahaja yang perlu dimiliki oleh umat Islam. Yang lain-lain pun kena ada juga, tetapi cukuplah disebut dua yang utama ini. Daripada dua perkara ini ia bercambah kepada iman-iman yang lain dan mempunyai kaitan yang amat rapat. Contohnya untuk percaya kepada Allah ﷻ dan hari akhirat, bukankah kita perlu percaya kepada Rasul dan juga kitab-kitab? Tentu sekali, bukan?

Musyrikin Mekah ada masalah dengan dua iman ini. Ya, mereka kenal dan percaya kepada Allah ﷻ, tetapi mereka tidak percaya kepada hari akhirat. Maka iman mereka tidak ada nilai. Jika percaya separuh-separuh sahaja pun akan membatalkan iman-iman yang lain.

Secara umum pula, dalam ayat ini, Allah ﷻ mempersaksikan keimanan orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid, seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ؛ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ}
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Apabila kalian melihat seorang lelaki biasa pergi ke masjid, maka saksikanlah oleh kalian bahawa dia beriman. Allah ﷻ telah berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (At-Tawbah: 18)
(Riwayat Ahmad, no. Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no. Hadith 802; Imam al-Tirmidzi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib)

Jangan pula sangka masjid itu tempat untuk solat sahaja, tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh dan mesti dilakukan untuk memakmurkan masjid. Ia boleh dijadikan tempat sebar ilmu, tempat perhimpunan masyarakat. Ketika zaman Nabi ﷺ, banyak kegunaannya. Baginda telah menjadikan masjid sebagai tempat tinggal orang miskin, tempat bermesyuarat bersama para sahabat dan lain-lain lagi. Pendek kata, masjid di zaman Nabi ﷺ memang makmur.

Walaupun masjid baginda bersaiz kecil sahaja, bahan binaannya pula adalah daripada pelepah tamar sahaja, manakala lantainya daripada tanah sahaja. Namun ia hidup. Sedangkan masjid kita boleh memuatkan sehingga tiga ribu orang, tetapi 3 orang sahaja solat berjemaah subuh. Memang menyedihkan. Antaranya kerana orang yang menjaga masjid itu pun tidak tahu hendak menggunakannya. Orang sampai tidak suka pergi ke masjid kerana rasa jauh dari masjid kerana ia tidak ‘mesra orang’.

Miniatur Masjid Nabawi

Begitu pentingnya masjid Allah di dalam Islam sampaikan Allah ﷻ mengatakan orang yang menghalang manusia daripada masjid adalah orang yang ‘paling zalim’ seperti disebut dalam Baqarah: 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

Adakah kita menghalang orang daripada pergi ke masjid? Mungkin kita tidak lakukan seperti Musyrikin Mekah yang menghalang para sahabat daripada solat di Ka’bah. Akan tetapi bagaimana dengan orang yang menghalang keluarganya? Contohnya isteri tidak suka suaminya solat berjama’ah di masjid (mungkin kerana rindu atau takut tinggal seorang di rumah) atau tidak membenarkan anaknya ke masjid (takut anaknya diculik, mungkin).

Atau, bagaimana kalau bapa itu sendiri tidak pergi ke masjid? Apabila dia tidak pergi ke masjid, maka anak-anak lelakinya pun tidak kenal masjid dan tidak ada pertalian dengan masjid. Maka ini pun boleh dikira menghalang juga, bukan? Mungkin tidak secara aktif menghalang, tetapi ada kesannya kepada anak-anak.

Maka apa yang perlu dilakukan di masjid? Allah ‎ﷻ sebut dalam Nur: 36

في بُيوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالآصالِ
Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang

Oleh itu, beginilah cara masjid diimarahkan, iaitu dengan cara seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ dan diajar oleh Rasulullah ﷺ. Jangan direka amalan-amalan baru pula seperti bergendang dan berqasidah pula di sana. Yang penting kita kena buat seperti Rasulullah ﷺ lakukan, dan mendekatkan hati kita kepada masjid. Jangan kita dilalaikan oleh dunia. Allah ‎ﷻ memuji orang yang tidak dilalaikan seperti disebut dalam ayat Nur yang seterusnya:

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ ۙ يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ
Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan sembahyang, dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Kita pun tahu yang lelaki solatnya hendaklah berjama’ah di masjid bersama dengan orang lain.

 

وَأَقامَ الصَّلوٰةَ وَءآتَى الزَّكوٰةَ

serta tetap mendirikan solat, dan menunaikan zakat

Mereka bukan sahaja menyatakan iman mereka kepada Allah ‎ﷻ dan akhirat, tetapi mereka juga hendaklah menunjukkan iman mereka itu dengan amal ibadat yang diwajibkan oleh Allah ‎ﷻ iaitu disebut dalam ayat ini, beramal dengan solat dan zakat. Solat adalah ibadah badaniah (badan fizikal) manakala zakat adalah ibadah maaliah (harta).

Disebut dua ibadat utama ini kerana ia mewakili ibadat-ibadat yang lain. Solat mewakili ibadat perhubungan dengan Allah ‎ﷻ; dan zakat adalah ibadat melibatkan hubungan sesama manusia. Oleh itu, kena ada iman yang sempurna dan amalan baik dengan Allah ‎ﷻ dan dengan manusia.

Ayat ini juga menyenaraikan tujuan masjid itu sendiri. Pertama adalah untuk menguatkan iman dengan mengingati Allah ‎ﷻ dan kemudian ia untuk mengingatkan kepada akhirat. Kemudian di masjidlah tempat untuk mendirikan solat di mana lelaki wajib untuk mendirikan solat berjama’ah di masjid.

Apabila kita meluangkan masa di masjid, kita akan dapat mengenali siapakah yang tidak bernasib baik dan fakir miskin, supaya kita dapat menjalankan kewajipan zakat kita. Kalau duduk dengan orang yang kita kenal sahaja, maka kita pun tidak kenal sesiapa yang memerlukan pertolongan.

Oleh itu, masjid itu menjadi tempat perkumpulan masyarakat. Janganlah jadikan ia sebagai tempat yang tidak meningkatkan iman kita. Kadang-kadang kita lihat masjid besar dan cantik, memerlukan duit banyak untuk membinanya, namun tidak ada ‘roh’. Ia dibina dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk sahaja.

Begitulah kita boleh lihat banyaknya masjid, tetapi jika kita berada di dalamnya, kita tidak berasa tenang. Ia tidak mesra dengan manusia yang hati baik, beriman dan beretika. Inilah tanda masjid itu tidak ada roh.

Ayat ini juga memberi isyarat yang tanda orang-orang yang mukmin adalah mereka akan pergi mengimarahkan masjid, sama ada mendirikan solat, menjaganya, mengambil ilmu di situ, berzikir di sana dan lain-lain amalan yang baik. Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepentingan masjid dan kelebihan bagi mereka yang mengimarahkannya. Di antaranya adalah:

Daripada Abu al-Darda’ رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ اَلْمَسْجِدُ بَيتُ كُلِّ تَقِيٍّ وَتَكَفَّلَ اللهُ لِمَن كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوحِ وَالرَّحْمَةِ وَالْجَوَازِ عَلَى صِرَاطٍ إِلَى رِضْوَانِ اللهِ إِلَى الْجَنَّةِ
Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Masjid itu rumah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan roh yang damai, rahmat daripada Allah melimpah-limpah dan melepasi titian sirat menuju redha Allah di dalam syurga.”
(HR Tabrani No. 6020)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.
(Riwayat Abu Daud, No. Hadith 474, al-Tirmidzi, No. Hadith 207 dan Ibn Majah, No. Hadith 773. Al-Albani menghukum hadith ini sahih)

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:
مَن غَدَا إلى المَسْجِدِ ورَاحَ، أعَدَّ اللَّهُ له نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّما غَدَا أوْ رَاحَ
“Siapa yang keluar menuju ke masjid dan pulang, Allah ﷻ akan menyediakan untuknya nuzul dari syurga, setiap kali dia keluar dan pulang dari masjid.” 
(Sahih Bukhari No. 642)

Nota: Kalimah Nuzul (النُزُل) di sini bermaksud apa-apa yang disediakan untuk tetamu ketika mereka sampai. Maksud lengkap hadith ini adalah, Allah ﷻ akan menyediakan tempat dan sambutan di dalam syurga untuk seseorang, setiap kali dia pergi dan pulang dari masjid. Ini bermakna perbuatan pergi ke masjid dan pulang semula ke rumah adalah sebab penyediaan tempat untuk seseorang di dalam syurga.

Namun begitu, yang memakmurkan masjid-masjid Allah ‎ﷻ adalah tugas orang lelaki. Bagaimana dengan para wanita? Tidakkah mereka terlibat? Mereka pun kena prihatin juga kerana mereka ada suami dan anak-anak lelaki. Mereka hendaklah membenarkan suami-suami mereka dan anak-anak mereka untuk meluangkan masa di masjid. Ada para wanita yang tidak suka kalau para suami mereka tidak berada di rumah. Ini menyusahkan para lelaki untuk pergi ke masjid kerana isteri-isteri mereka tidak suka pula.

 

وَلَم يَخشَ إِلَّا اللَّهَ

dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, 

Jika tadi tentang ibadah badan dan sekarang tentang hati mereka pula. Mereka yang beriman sebenar itu tidak takut melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Sebagai contoh, mereka tidak takut untuk menyatakan kebenaran kerana mereka hanya takut dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak takut untuk memberitahu manakah amalan yang salah dan bid’ah dalam masyarakat.

Mereka tidak takut ditohmah atau dipulaukan oleh masyarakat, kerana mereka lebih takut kepada Allah ‎ﷻ. Masyarakat memang akan mengeji dan mengata macam-macam terhadap mereka tetapi orang yang mukmin tidak ambil pusing kata-kata orang yang jahil. Mereka tidak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ‎ﷻ. Maka begitulah yang kita perlu lakukan. Inilah kualiti yang patut ada pada golongan Mukmin seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Maidah: 54

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Malangnya, ramai manusia yang mengikut sahaja amalan masyarakat mereka yang salah kerana takut dipulaukan. Mereka takut dicaci oleh masyarakat. Oleh itu, mereka bukan sahaja tidak menegur kesalahan manusia, tidak memulaukan majlis bid’ah, tetapi mereka pergi juga ke majlis sebegitu. Sebagai contoh, jika ada yang mengadakan Majlis Tahlil, mereka pun ikut serta, kerana mereka takut jika mereka tidak ikut, manusia akan kata macam-macam tentang mereka, antaranya ramai yang akan kata mereka tidak campur dengan masyarakat lain.

Ini adalah perbuatan yang salah. Kita bukan tidak campur dengan masyarakat, tetapi kalau mereka melakukan perkara yang salah, takkan kita kena ikut mereka, bukan?

Takut adalah perasaan yang normal dan tidaklah salah. Contohnya takutkan harimau dan takutkan ular, ini adalah normal. Nabi Musa عليه السلام apabila melihat jelmaan sihir berbentuk ular daripada golongan ahli sihir pun timbul rasa takut dalam diri baginda. Ia tidak menjadi masalah kerana itu biasa sahaja bagi manusia. Nabi Ibrahim عليه السلام pun takut juga apabila para malaikat tidak memakan makanan hidangan yang baginda sediakan. Yang tidak boleh adalah takut kepada selain Allah ﷻ, sehingga tidak menjalankan agama seperti yang sepatutnya.

 

فَعَسىٰ أُولٰئِكَ أَن يَكونوا مِنَ المُهتَدينَ

maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Sekiranya mereka melakukan semua perkara yang di atas ini, mudah-mudahan mereka betul-betul diberi hidayah oleh Allah ‎ﷻ yang membawa kepada tauhid. Begitulah maksud kalimah عَسىٰ iaitu mudah-mudahan. Akan tetapi di sini ia bermaksud ‘pasti’.

Atau kita boleh juga ambil maksud asal عَسىٰ iaitu ‘mudah-mudahan’. Ini kerana orang yang ada sifat-sifat yang disebut di atas tidaklah pasti masuk syurga, maka janganlah yakin sangat. Ia mudah-mudahan sahaja, maknanya bolehlah berharap. Sebaliknya untuk orang yang tidak ada sifat-sifat itu, tidaklah perlu berharap.


 

TIDAKLAH SAMA ANTARA MEREKA

Tawbah Ayat 19:

۞ أَجَعَلتُم سِقايَةَ الحاجِّ وَعِمارَةَ المَسجِدِ الحَرامِ كَمَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَجٰهَدَ في سَبيلِ اللَّهِ ۚ لا يَستَوونَ عِندَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you made the providing of water for the pilgrim and the maintenance of al-Masjid al-Ḥaram equal to [the deeds of] one who believes in Allah and the Last Day and strives in the cause of Allah? They are not equal in the sight of Allah. And Allah does not guide the wrongdoing people.

(MALAY)

Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

أَجَعَلتُم سِقايَةَ الحاجِّ

Apakah kamu menjadikan (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan Haji

Lafaz سِقايَةَ bermaksud ‘memberi minum’ iaitu memberi minum air kepada orang yang datang mengerjakan Haji dan Umrah dari berbagai-bagai tempat. Ini memang tugas yang mulia. Ia dilakukan oleh orang-orang tertentu, iaitu dipegang tugas ini oleh keluarga Abbas.

Pernah Abbas (bapa saudara Nabi ﷺ) diajak untuk masuk Islam. Beliau menolak dengan beralasan yang beliau telah banyak membuat amal kebaikan, antaranya memberi makan mereka yang di Kaabah dan sebagainya. Beliau menyangka beliau sudah membuat amalan baik dan beliau merasakan tentu beliau akan selamat serta tidak perlu lagi untuk menerima Islam.

Maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini untuk membetulkan sangkaan beliau dan Musyrikin Mekah yang lain. Amalannya itu, walaupun sememangnya baik, tetapi tidak dikira langsung pahalanya sekiranya beliau berakidah syirik.

وَعِمارَةَ المَسجِدِ الحَرامِ

dan mengurus Masjidilharam

Satu lagi kebaikan yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah adalah mengimarahkan MasjidilHaram. Lafaz عِمارَةَ bermaksud menjaga, mengurus, jika rosak diperbaiki. Memang Musyrikin Mekah ada membuat perkara itu. Namun seperti yang telah disebut, perbuatan baik itu tidak ada nilai di sisi Allah ‎ﷻ jika mereka beriman dengan akidah syirik dan kufur.

 

كَمَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَجٰهَدَ في سَبيلِ اللَّه

kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah?

Adakah kamu samakan perbuatan memberi minuman dan menjaga Baitullah itu sama dengan orang yang duduk di Madinah dan benar-benar beriman dengan Allah ‎ﷻ dan hari akhirat? Selain itu mereka juga sanggup berjuang di jalan Allah. Kalau begitu, kamu sahaja yang sangka begitu.

Al-Aufi sehubungan dengan tafsir ayat ini telah meriwayatkan di dalam kitab Tafsir-nya melalui Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan, “Sesungguhnya orang-orang musyrik mengatakan bahawa memakmurkan Baitullah dan mengurus air minum untuk orang-orang haji adalah lebih baik daripada orang-orang yang beriman dan berjihad. Mereka membanggakan tanah sucinya dan bersikap angkuh kerananya dengan perasaan bahawa mereka adalah pemilik dan yang memakmurkannya. Maka Allah ‎ﷻ menyebutkan perihal ketakburan mereka dan berpalingnya mereka daripada keimanan.”

Ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Al-Abbas ibnu Abdul Muttalib ketika beliau ditawan dalam Perang Badar. Al-Abbas mengatakan, “Jikalau kalian mendahului kami kerana Islam, hijrah, dan jihad, maka sesungguhnya kami adalah orang-orang yang memakmurkan Masjidil Haram, memberi minum orang-orang haji, dan membebaskan kemiskinan.” Maka Allah ‎ﷻ berfirman: Apakah (orang-orang) yang memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji kalian jadikan…. sampai dengan firman-Nya: dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (At-Taubah: 19) Maksudnya, hal tersebut dilakukannya ketika dia masih dalam keadaan musyrik, kerana Allah ‎ﷻ tidak mahu menerima amal yang dilakukan dalam kemusyrikan.

Di dalam ayat ini, kita boleh melihat kelebihan jihad di jalan Allah. Ia adalah lebih hebat daripada menguruskan minuman orang yang pergi Haji di Baitullah dan juga mengimarahkan MasjidilHaram. Disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ عَبْدِ اللّه بن مَسْعُودٍ رضي اللّه عنه قال: ” سَأَلْتُ رَسُولَ اللّه صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسلَّمَ: أَي الْعَمَلِ أَحَبُّ إلى اللّه؟ قال: ” الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” بِرُّ الْوالِدَيْنِ “. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” الجِهَادُ في سَبِيلِ اللّه ” – رواه البخاري
Daripada Abdullah Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, “Solat pada waktunya”. ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’. Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah.”
(HR Bukhari No. 527)

 

Kenapakah ia dinamakan ‘jalan Allah’? Pertama kerana ia adalah jalan yang dibuat oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menyediakan jalan itu untuk kita ikuti. Kedua, jika diikut jalan itu, ia akan membawa kita kepada Allah ‎ﷻ.

Apakah ‘jalan Allah’ itu? Ini hendaklah merujuk segala ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang sahih yang mengajar kita apa yang kita perlu lakukan. Ada suruhan Allah ‎ﷻ dan ada larangan Allah ‎ﷻ di dalam sumber-sumber itu dan kita kenalah ikut dengan tepat. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah-syarah Hadith. Ringkasnya, kena belajar. Duduk berseorangan main TikTok tidak dapatlah ilmu itu.

 

لا يَستَوونَ عِندَ اللَّهِ

Mereka tidak sama di sisi Allah;

Allah ‎ﷻ menjawab yang mereka itu tidak sama. Musyrikin Mekah itu duduk di Mekah dan dekat dengan Kaabah dan malah berbakti di Kaabah, namun dalam masa yang sama ada akidah syirik, mereka itu tidak sama dengan mereka yang duduk di Madinah tetapi berakidah tauhid. Ia tidak langsung sama di mata Allah ‎ﷻ.

Oleh itu kita kena faham ada beza kebaikan pada sisi kita dan pada sisi Allah ‎ﷻ. Jangan kita lihat dengan mata fizikal sahaja, tetapi lihatlah dengan mata iman. Memang ramai orang yang nampak yang mereka telah melakukan banyak kebaikan di dunia ini.

Sebagai contoh, kalau kita lihat masyarakat Barat, memang banyak kebaikan yang mereka telah lakukan, kita tidak nafikan. Namun jikalau mereka tidak beriman, menentang Islam, bercakap tidak baik tentang Islam dan sebagainya, adakah mereka itu boleh dikira sebagai baik juga? Tentu tidak. Yang Allah ‎ﷻ mahukan adalah baik dari segi perbuatan dan baik dari segi iman.

Begitu juga sekarang kita lihat ada orang yang mengimarahkan masjid. Akan tetapi yang mereka imarahkan adalah dengan cara yang salah di mana ada yang membuat amalan syirik dan bid’ah di situ.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Senang sahaja untuk memahami bahawa iman itu yang paling utama bagi manusia. Selepas ada iman, amal yang terbaik adalah jihad di atas jalan Allah. Akan tetapi orang yang zalim tidak diberikan pemahaman ini oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana mereka telah melakukan perkara yang amat-amat buruk.

Zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah syirik. Orang yang ada fahaman syirik dan melakukan amalan syirik adalah zalim yang paling besar seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia tidak akan beri hidayah kepada musyrikin. Oleh itu, jika ada mengamalkan syirik, ia akan menutup pintu hidayah daripada sampai kepada manusia. Kerana itulah kita kena ajar manusia untuk membersihkan diri mereka daripada akidah syirik terlebih dahulu sebelum diajar benda-benda yang lain.

Ini kerana jika tidak dibersihkan syirik terlebih dahulu, mereka tidak akan mendapat ilmu dan hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Dari sini kita dapat tahu yang hidayah tidak akan masuk dalam hati manusia yang ada fahaman syirik di dalamnya. Punca manusia tidak mendapat hidayah adalah kerana melakukan kesyirikan. Oleh kerana itulah bab tauhid dan syirik ini mestilah dibereskan terlebih dahulu, difahami betul-betul.

Malangnya, pengajaran tentang tauhid dan syirik tidak banyak di negara ini, menyebabkan manusia ramai yang tidak faham dan mengerjakan syirik tanpa mereka sedari. Ini kerana ia hanya dapat difahami melalui memahami ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan tauhid dan syirik. Akan tetapi seperti yang kita ketahui, tidak ramai yang rajin belajar tafsir Al-Qur’an.

Maka ini mengajar kita juga supaya jangan membuat zalim untuk mendapat hidayah. Bukan dengan Allah ‎ﷻ sahaja tetapi dengan sesiapa sahaja. Lawan kepada ‘zalim’ adalah ‘adil’. Maka kita mestilah benar-benar menjaga keadilan itu. Berlaku adillah dalam segala hal.


 

BALASAN KEPADA ORANG BERIMAN

Tawbah Ayat 20: Sebelum ini disebut tentang mereka yang menjaga Kaabah, memberi makan dan minum kepada mereka yang datang untuk melakukan Haji dan Umrah. Mereka sangka mereka sudah bagus sangat. Allah ‎ﷻ membandingkan mereka dengan mereka yang beriman.

Maka ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Ia adalah tentang kelebihan orang yang berjihad di jalan Allah. Inilah kejayaan yang sebenar dan inilah amal kebaikan yang diterima oleh Allah ‎ﷻ.

الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم أَعظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who have believed, emigrated and striven in the cause of Allah with their wealth and their lives are greater in rank in the sight of Allah. And it is those who are the attainers [of success].

(MALAY)

orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

 

الَّذينَ ءآمَنوا

orang-orang yang beriman

Mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Orang-orang kafir Mekah itu percaya bahawa Allah ‎ﷻ itu Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah selain Allah ‎ﷻ, berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ, bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat dan jin dalam doa mereka. Maka mereka itu tidak beriman sempurna.

 

وَهاجَروا

dan berhijrah

Mereka yang sanggup berhijrah untuk menjaga agama dan untuk menyebarkan agama. Hijrah yang asal adalah dari Mekah ke Madinah sebelum Pembukaan Mekah dan itu tidak ada lagi. Namun peluang untuk berhijrah masih ada lagi.

Ini kerana sekiranya Hijrah itu hanya dari Mekah ke Madinah sahaja, maka peluang hijrah itu hanya ada pada orang yang duduk di Mekah sahaja. Namun, apabila ia diperluaskan, mereka yang berasal dari Madinah tetapi bersama-sama dengan Nabi berperang, pergi ke Mekah untuk membebaskan Mekah, mereka juga dikira sebagai telah melakukan hijrah juga.

Kita juga masih boleh melakukan hijrah iaitu daripada keburukan kepada kebaikan. Ini disebut dalam hadith:

لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ
“Tiada lagi hijrah selepas Fath Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.”
(Riwayat Bukhari no. 1834, 2783, 2825, 3077 & 3189 dan Muslim no. 1353 & 1864)

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang.
(Riwayat Bukhari No. 6003)

 

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, 

Mereka juga sanggup berjihad menyebarkan agama Allah ‎ﷻ. Mereka melakukannya dengan pengorbanan: pertamanya dengan harta benda mereka. Ini kerana jihad itu memang memerlukan belanja yang besar, untuk menyediakan perjalanan, senjata dan sebagainya. Perbelanjaan itu pula bukannya dengan duit orang lain tetapi dengan duit sendiri dan ini amat berat. Sudah susah-susah dikumpul, kemudian kena diberi pula.

Mereka bukan sahaja mengorbankan harta mereka, tetapi mereka mengorbankan diri mereka juga – dari segi masa, sakit dan mungkin boleh hilang nyawa. Mereka keluar sendiri berperang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

 

أَعظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ

adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah;

Mereka yang bersifat seperti itu, mendapat sebesar-besar darjat di sisi Allah ‎ﷻ. Mereka tidak layak untuk dibandingkan dengan puak musyrikin yang duduk di Mekah itu. Ini memang antara dua darjat yang tidak sama. Musyrikin Mekah itu amat hina kedudukan mereka. Yang sebenarnya berada di kedudukan yang tinggi adalah seperti yang disebut orang-orang beriman di atas.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. 

Mereka yang bersifat seperti itulah yang mendapat kejayaan yang sebenar. Mereka akan selamat daripada mara bahaya di akhirat nanti. Mereka yang duduk di Mekah itu, walaupun mereka berkhidmat menjaga Kaabah dan sebagainya, tetapi disebabkan mereka itu musyrik, mereka tidak akan selamat dan akan kekal dalam neraka selama-lamanya.

Maka di sini ada penilaian semula tentang maksud kejayaan. Allah ‎ﷻ beritahu apakah kejayaan yang sebenar. Kejayaan yang sebenar adalah berjaya di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ membetulkan fahaman salah manusia tentang apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan sebenar. Kejayaan yang sebenar adalah apabila ia disertai dengan iman.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Binsahak.com (EnsiklopediaHukum)

Pemahaman Maksud Syahadah

Shahadah Part 1- Kalimah Pertama. Apakah maksud lafaz kalimah shahadah?

Kalimah ‘syahadah’ bermaksud ‘penyaksian’. Kita biasa dengar orang yang jadi ‘saksi’ di mahkamah, bukan? Mereka itu boleh jadi saksi kerana mereka nampak atau tahu kejadian yang berlaku, sampai mereka boleh jadi saksi. Tidak bolehlah orang yang tidak ada di tempat kejadian untuk jadi saksi; atau orang yang tidak tahu, tapi ‘agak-agak’ sahaja. Dari sini, kita dapat ambil pengajaran: orang yang mengucapkan syahadah, mesti tahu apa yang dia ucapkan. Kerana kalau dia ‘ucap’ sahaja, tapi dia pun tidak tahu apa yang dia ucapkan, adalah bernilai penyaksiannya itu? Oleh itu, pemahaman maksud syahadah ini perlulah diajar kepada manusia. Semoga kita tidak termasuk orang yang tahu ucap sahaja, tapi tidak tahu maknanya.

Secara ringkasnya, lafaz kalimah shahadah adalah lafaz perjanjian atau ikrar kita kepada ALLAH terhadap dua perkara. Apakah dua perkara yang dimaksudkan?:

Pertama, perkara berkenaan akidah tauhid iaitu lafaz pertama adalah perjanjian kita untuk mengEsakan ALLAH dengan tidak membuat atau mengamalkan apa jua bentuk syirik padaNYA sama ada dalam ibadat mahupun doa:

أشهد أن لا إله إلا الله.

Tafsir atau maksud sebenar kalimah pertama ini adalah: Aku berjanji pada MU ya ALLAH bahawa tidak ada perantaraan, sembahan, pujaan, seruan dalam doa serta ibadat melainkan “hanya” serta “terus” kepada  MU sahaja.

Ini selari dengan maksud surah Al-Fatihah ayat 5:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ

Engkaulah sahaja yang kami sembah.

(bermaksud sembah, puja seru ALLAH hanya dengan cara ibadat yang ALLAH wahyukan saja),

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(bermaksud doa hanya terus pada ALLAH tanpa perantaraan)

Bagaimana untuk menjaga kalimah perjanjian pertama ini daripada rosak atau batal?

Untuk jaga perjanjian pertama ini adalah dengan dimulakan dengan belajar wahyu ALLAH yang paling utama iaitu belajar memahami isi kandung Quran. Hampir keseluruhan isi kandung Quran ini adalah berkenaan tauhid dalam ibadah dan juga doa. Kekufuran manusia terdahulu adalah berkaitan dengan dua perkara ini iaitu kekufuran dalam ibadah dan juga doa.

Contohnya cerita berkenaan puak Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah ini adalah satu kaum yang mengaku menganut syariat Nabi Ibrahim A.S. Namun, ibadat musyrikin Mekah ini bercampur aduk yang haq dengan yang bathil. Mereka tidak lagi beribadat dengan ibadat yang “asal” sepertimana yang Nabi Ibrahim ajar dan mereka (Musyrikin Mekah) ini juga menjadikan makhluk yang mereka puja sebagai patung-patung berhala untuk dijadikan perantaran mereka berdoa kepada ALLAH.

Musyrikin Mekah ini sebenarnya mengaku bahawa ALLAH adalah Tuhan yang Maha Berkuasa serta Maha Mengetahui dalam hal penciptaan langit dan bumi. Dalil antaranya:
Surah Az-Zukhruf, Ayat 9:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin mekah) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Jelas dalam ayat ini dan dalam ayat-ayat yang lain, Musyrikin Mekah itu kenal Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam ini. Akan tetapi, akibat salah faham serta ragu-ragu pada Tuhan, menyebabkan mereka telah dipesong oleh syaitan akidah mereka. Musyrikin Mekah ini mengambil serta melantik pujaan-pujaan mereka sebagai perantaraan dan bukannya niat mereka untuk buat syirik.

Mereka berniat baik dengan sangkaan bahawa makhluk-makhluk pujaan mereka itu menjadi perantara mereka dan Allah, agar dapat membawa mereka (musyrikin mekah) ini mendekatkan diri mereka kepada ALLAH sehampir-hampirnya. Sebahagian ayat 3 dalam surah Az-Zumar adalah dalil kepada tujuan musyrikin Mekah lantik pujaan mereka sebagai perantaraan Allah. Sebahagian ayat 3 surah Az-Zumar:

……..وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ……….
……..Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka dapat mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”……….

Begitulah ringkasan cerita tentang kaum Musyrikin Mekah seperti yang diceritakan dalam Quran sebagai contoh untuk menerangkan kaitannya dengan kalimah perjanjian pertama.

Oleh itu, kalau orang kita pun ada menggunakan entiti-entiti lain sebagai perantara kepada Allah, itu pun adalah perbuatan yang syirik. Sebagai contoh, ada yang bertawasul dengan keberkatan Nabi, dengan Nabi sendiri, dengan para wali, dengan malaikat dan sebagainya. Mereka yang melakukan perkara yang sedemikian, tidak memenuhi tuntutan Shahadah bahagian pertama itu. Mereka hari-hari lafazkan shahadah itu, sekurang-kurangnya dalam solat, tapi mereka langgar apa yang mereka ikrarkan. Hari-hari mereka berjanji tapi hari-hari mereka langgar.

Secara ringkasnya, lafaz kalimah syahadah yang pertama ini adalah berkenaan Allah. Kita berjanji untuk puja dan seru hanya Allah sahaja, dan tidak ilah yang lain. Juga bermaksud kita buat ibadat hanya kepada Allah, dan kita berdoa hanya kepada Allah sahaja.

Maka, kalau ada buat ibadat kepada selain Allah, maka itu adalah syirik. Sebagai contoh, ada yang buat sembelih kambing atau lembu kerana untuk berubat, jin yang suruh. Maka ini adalah syirik; ada juga yang zikir nama selain Allah, sebagai contoh, mereka zikirkan nama Nabi Muhammad – ini juga syirik.

Juga bermaksud kita buat ibadat ‘kerana’ Allah. Kalau kita buat ibadat kerana selain Allah, tidak diterima ibadat itu. Sebagai contoh, kita solat kerana ayah kita suruh, suami/isteri kita suruh dan sebagainya, itu tidak diterima. Juga kalau kita beribadat kerana mengharapkan orang lain nampak, orang lain puji, itu juga tidak diterima kerana buat ibadat tidak ikhlas kerana Allah.

Begitulah serba ringkas perbincangan tentang kalimah syahadah, kalimah yang pertama.


Shahadah Part 2 – Kalimah Kedua.

Kali ini akan dijelaskan pula tafsir bagi kalimah

وأشهد أن محمدا رسول الله

Tafsir atau maksud sebenar kalimah kedua ini pula adalah: “Aku berjanji pada MU ya ALLAH bahawa aku HANYA taat pada ajaran Nabi Muhammad Rasul ALLAH.”

Kalimah kedua ini adalah perjanjian kita pada ALLAH untuk taat pada ajaran Nabi Muhammad yang dilantik ALLAH sebagai pesuruh NYA.

Apakah tugas Nabi Muhammad sebagai pesuruh ALLAH?

Tugas Nabi Muhammad hanyalah menerima, mengamal serta menyebar wahyu ALLAH Ta’ala. Dan dalam shahadah bahagian kedua ini, kita berjanji akan ikut dan taat kepada ajaran yang dibawa Rasulullah sahaja.

Adakah Nabi mempunyai hak untuk mereka-cipta syariat, ibadah atau amalan dalam ugama Islam?

Jawapannya “TIDAK!”. Dalam Yunus ayat 15, Nabi Muhammad membuat pengakuan bahawa Baginda tidak mempunyai hak untuk mereka-cipta syariat, ibadat atau amalan dalam ugama Islam. Baginda “HANYA” menurut terhadap apa yang ALLAH perintahkan (wahyukan) sahaja.

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا ائْتِ بِقُرْآنٍ غَيْرِ هَٰذَا أَوْ بَدِّلْهُ قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِن تِلْقَاءِ نَفْسِي إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia “. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

Kenapa Nabi tidak mempunyai hak berbuat demikian?

Kerana Nabi tahu bahawa ugama Islam ni “HANYA” milik ALLAH sepertimana Firman ALLAH dalam sebahagian ayat 3 surah Az-Zumar.

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Ingatlah! Hanya milik Allah agama yang murni (dari segala penambahan).

Dalil di atas mempunyai dua perkara yang Allah beritahu:

Pertama…ALLAH beritahu pada kita bahawa Ugama Islam ini adalah milik DIA,

dan yang keduanya ALLAH beritahu bahawa segala syariat, ibadat atau amalan dalam ugama Islam milik DIA ini adalah bersih murni dari perkara yang mensyirikkan DIA. Bermakna, jika syariat, ibadat atau amalan yang direka (bidaah)…yang bukan dari wahyu NYA…PASTI ada kesyirikkan di dalamnya. Mudah cakapnya bahawa bidaah ini adalah syirik pada ALLAH.

Jadi…berdasarkan dalil-dalil yang telah diberikan, jelaslah bahawa Nabi Muhammad bukanlah seorang yang boleh reka syariat, ibadat atau amalan dalam ugama Islam milik ALLAH. Segala-gala yang di langit dan di bumi semuanya milik ALLAH termasuklah ugama itu sendiri iaitu Islam. Sila rujuk Yunus, ayat 55:

أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَلَا إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Soalan pada kita…Jika Nabi lagi Rasul pun tidak mempunyai hak untuk reka cipta syariat, ibadat atau amalan dalam ugama milik ALLAH, adakah kita yang bukan Nabi ini mempunyai hak tersebut?

Soalan ni boleh jawap sendiri…

Bagaimana hendak membezakan antara wahyu ALLAH yang menjadi sunnah Nabi Muhammad dengan bidaah syariat, ibadat atau amalan rekaan manusia yang sudah pasti bukan dari wahyu ALLAH?

Jawapannya: perlu belajar memahami isi kandung Quran dan Sunnah (Hadis Sahih) kerana Quran itu sendiri bermaksud pembeza antara yang haq dengan yang bathil….pembeza yang tauhid dengan yang syirik. Manakala Sunnah (Hadis Sahih) adalah pembeza yang Sunnah dengan yang Bidaah….pembeza yang Nabi ajar dengan yang manusia reka.

Adakah batal perjanjian iaitu perjanjian kalimah shahadah yang kedua jika kita melakukakan ibadat yang bukan dari ajaran Nabi Muhammad kerana sesungguhnya apa yang diajar Nabi adalah wahyu dari ALLAH?

Jawapannya “BATAL” perjanjian kita yang kedua kerana kita sudah berjanji untuk taat ajaran Nabi Muhammad sahaja tetapi ajaran yang bukan dari Nabi pun kita taat iaitu ajaran yang direka manusia.

Apakah syariat, ibadat atau amalan dalam ugama yang direka oleh manusia?

Secara ringkasnya apa saja syariat, ibadat atau amalan yang tidak ada dalil Quran mahupun Sunnah Nabi (dalil Hadis), semuanya rekaan.

Macam manalah keadaan orang-orang yang tidak belajar Quran dan Sunnah (Hadis) dapat memastikan bahawa ibadat atau amalan mereka selari dengan Quran dan Sunnah Nabi?

Allahu a’lam.