Tafsir Surah Maryam Ayat 38 – 40 (Berdakwah kepada bapa)

Ayat 38:

أَسمِع بِهِم وَأَبصِر يَومَ يَأتونَنا ۖ لٰكِنِ الظّٰلِمونَ اليَومَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

How [clearly] they will hear and see the Day they come to Us, but the wrongdoers today are in clear error.

Malay

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata

 

أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka (yang kafir itu);

Semasa di akhirat kelak, mereka akan dapat mendengar dengan jelas suasana Hari Kiamat dan keadaan di Mahsyar nanti. Mereka akan lihat sendiri neraka menggelegak nanti. Neraka akan ditarik dan dibawa ke hadapan orang kafir di Mahsyar nanti.

Oleh itu mereka akan dengar dan melihat dengan jelas. Semua yang diajar dan diberitahu kepada mereka (semasa di dunia) akan dinampakkan dengan jelas sangat pada hari itu. Apa yang mereka dustakan, mereka akan lihat sendiri.

Perkataan أَسْمِعْ dan أَبْصِرْ adalah untuk menggambarkan ketakjuban. Takjub dengan kebodohan orang-orang kafir. Sekarang di akhirat baru mereka dengar dan lihat dengan jelas. Tetapi bagaimana semasa mereka di dunia? Kenapa dahulu semasa di dunia itu mereka degil sangat hendak terima? Sungguh takjub dan menghairankan mereka itu.

Untuk mendapat petunjuk, kita memerlukan pendengaran dan penglihatan. Apabila seseorang menunjukkan jalan kepada kita, dia akan beritahu kita dan dia akan tunjuk jalan itu dengan tangannya. Barulah kita tahu mana yang hendak diikuti.

Begitulah juga dengan petunjuk agama. Ia juga memerlukan pendengaran dan penglihatan. Kena bersedia untuk dengar dan melihat dulu apa yang disampaikan oleh pendakwah. Bila buka telinga, mata dan minda, barulah ada harapan hidayah masuk. Tetapi kalau tidak mahu mendengar dan melihat (buka mata hati), maka seseorang itu akan sesat.

 

يَوْمَ يَأْتُونَنَا

semasa mereka datang mengadap Kami

Iaitu pada hari akhirat. Kalimah يَأْتُونَنَا adalah perkataan dalam “present tense” kerana Allah ‎ﷻ suruh kita bayangkan seolah-olah kita ada di sana. Inilah yang disebut juga dalam Sajdah:12

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Allah ‎ﷻ mengejek mereka: sekarang kamu boleh melihat dengan jelas, boleh mendengar dengan jelas… bagaimana dahulu semasa di dunia? Dahulu di dunia kamu semua tidak mahu mendengar. Dahulu kamu degil sangat, bukan? Nah, terimalah sekarang!

Tidaklah berguna lagi kalau hanya di akhirat sahaja baru mendengar dan melihat. Kalau mereka nampak dan dengar semasa di dunia, alangkah baiknya; iaitu melihat dan mendengar hujah-hujah yang diberikan oleh nas-nas dan pendakwah-pendakwah yang membawa nas Al-Qur’an dan Sunnah.

 

لَٰكِنِ الظّٰلِمُونَ الْيَوْمَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) pada masa di dunia, berada dalam kesesatan yang nyata

Apabila digunakan perkataan فِي (dalam) dalam ayat ini bermaksud mereka telah tenggelam bergelumang dalam kesesatan sampaikan mereka tidak nampak kebenaran. Mereka tidak boleh nampak langsung kebenaran walaupun di hadapan mata mereka.

Contohnya kalau seseorang yang berada di dalam tong tahi sudah lama sangat, dia pun sudah tidak tahu bahawa dia sebenarnya berada dalam sesuatu yang jelek. Ini kerana deria baunya pun sudah rosak. Dia menyangkakan yang dirinya adalah normal sahaja. Dia sangka pandangannya sudah benar.

Padahal apa yang dia pegang itu adalah salah. Dia seumpama katak di bawah tempurung. Seperti katak yang sangka dalam tempurung itulah dunia, padahal dunia adalah lebih besar lagi daripada apa yang katak itu sangkakan.


 

Ayat 39:

وَأَنذِرهُم يَومَ الحَسرَةِ إِذ قُضِيَ الأَمرُ وَهُم في غَفلَةٍ وَهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

And warn them, [O Muhammad], of the Day of Regret, when the matter will be concluded; and [yet], they are in [a state of] heedlessness, and they do not believe.

 

Malay

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.

 

وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan;

‘Hari Penyesalan’ itu adalah Hari Mahsyar yang akan penuh dengan penyesalan pada hari itu. Segala keputusan akan dibuat pada hari itu iaitu keputusan balasan amalan manusia dan jin di dunia. Sama ada akan mendapat balasan baik ataupun balasan buruk. Ia adalah hari yang amat ditakuti.

Ayat ini dalam bentuk perintah. Perintahnya adalah: memberi amaran kepada manusia iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah menyampaikan kebenaran. Maka, kalau sudah arahan, maka kita kena ikut. Maka kita pun kenalah berdakwah kepada manusia.

Itu adalah perintah Allah ‎ﷻ dan kerana itu dakwah adalah tugas wajib bagi umat Islam. Yang pertama menerima perintah itu adalah Nabi ﷺ. Sekarang kita yang membaca ayat ini pula yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk memberi peringatan juga kepada manusia.

Kita selalu cerita tentang masalah masyarakat, mereka begitu begini. Kita mengadu mereka tidak beradab, mereka sudah tinggalkan agama, mereka sudah tidak baca Al-Qur’an, tidak salat dan sebagainya. Tetapi apa yang kita buat? Adakah kita sudah dakwah kepada mereka?

Atau adakah kita hanya pandai mengeluh dan mengutuk sahaja? Kalau semua mengutuk sahaja, siapa pula yang ajak dakwah dan ajar mereka? Masyarakat kita ramai pandai kutuk sahaja, tetapi tidak pula memberi nasihat. ‘Kaki bawang’ ramai, tetapi ‘kaki sayang’ tidak ramai.

Kita hendaklah memberi peringatan kepada orang lain tentang bahaya yang mereka akan terima kalau mereka tidak memperbaiki kehidupan mereka terus menerus tersasar daripada landasan agama. Ia seumpama kita nampak seseorang yang sedang berjalan dan akan terjatuh memasuki gaung. Dia sendiri tidak sedar bahawa dia sedang menuju gaung. Maka, tentulah kita tegur dan beri amaran kepadanya kerana kita tidak mahu dia masuk gaung, bukan?

Kita kena ingatkan manusia kepada Hari kejadian di Mahsyar kerana ia memang sesuatu yang pasti terjadi. Kita beri teguran itu kerana kita sayang kepada orang itu. Maka, bukanlah maksud beri peringatan itu hanya untuk menakutkan-nakutkan dia sahaja dengan neraka dan azab. Kita bukan hendak menakutkan tetapi kita beri peringatan dan kadangkala peringatan itu termasuk dengan beri ancaman.

Kita bukan hendak merendahkan orang lain dengan dakwah kita. Bukan kita hendak kata kita pandai dan mereka bodoh. Bukan kita hendak kata kita telah pasti akan masuk syurga. Kita pun belum pasti lagi masuk syurga, tetapi kita hendak sama-sama memberi peringatan. Semoga dengan beri peringatan ini, Allah ‎ﷻ balas dengan memberi kita jalan ke syurga.

Kita juga tidak boleh paksa orang lain beriman. Kita boleh beri amaran dan dakwah sahaja. Maka berilah amaran kepada manusia. Semasa beri peringatan kepada orang lain, dalam masa yang sama, kita pun mengingatkan diri kita sendiri juga, bukan?

Perkataan الْحَسْرَةِ bererti penyesalan yang teruk sangat sampai rasa lagi elok kalau kita tidak pernah wujud langsung di dunia. Waktu itu ramai yang akan berharap semoga mereka tidak dijadikan sebagai manusia, namun sebagai tanah sahaja. Ini kerana sampai begitu teruk sekali hari itu maka kerana itu kita ingatkan manusia supaya mereka beringat tentang hari penyesalan ini supaya mereka tidak menyesal nanti.

Orang yang berdosa akan rasa menyesal di atas perbuatan mereka. Sangat-sangat menyesal pada waktu itu. Dalam riwayat, mereka sampai gigit dan mamah lengan mereka. Bukan gigit jari atau tangan sahaja, tetapi dengan lengan sekali. Bukan gigit sahaja, tetapi sudah mamah! Ma’azaAllah!

Bayangkan, kalau kita terseksa di dunia, kita boleh mengharapkan ia akan berakhir. Paling kurang, ia akan berakhir apabila kita mati. Tetapi, kalau di akhirat nanti, tidak ada kematian lagi. Apa yang kita terima itu tidak ada penghujungnya. Tidak dapat dibayangkan penyesalan yang akan kita tanggung.

Orang yang beriman pun akan menyesal juga. Eh, bagaimana pula orang beriman boleh menyesal juga? Mereka akan menyesal kerana mereka tidak melakukan lebih banyak ibadat. Mereka akan fikir: “Kenapalah aku dulu masa di dunia tak buat ibadat sepanjang waktu, setiap saat?” Ini kerana mereka tahu mereka akan dapat lebih banyak kebaikan. Tingkatan syurga mereka akan lebih tinggi lagi.

Tidak dapat dibayangkan apakah nikmat yang akan mereka dapati. Daripada hadith, kita dapat tahu bahawa manusia terakhir yang masuk syurga akan diberikan sepuluh kali ganda kerajaan kalau dibandingkan dengan dunia ini. Kalau kerajaan paling besar sekarang ini di Amerika, bukan? Maka orang yang ‘terakhir masuk syurga’ akan dapat 10 kali Amerika!

Itulah manusia yang masuk neraka dahulu, kemudian selepas sekian lama di neraka, akan dimasukkan ke dalam syurga kerana dia tidak berbuat syirik. Kalau yang lagi awal masuk, tidak tahulah kerajaan jenis apa yang dia akan dapat. Kisah lelaki itu disebut dalam hadith:

إِنِّى لأَعْلَمُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنْهَا وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولاً الْجَنَّةَ رَجُلٌ يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ حَبْوًا فَيَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلأَى. فَيَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ – قَالَ – فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلأَى فَيَقُولُ اللَّهُ لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَإِنَّ لَكَ مِثْلَ الدُّنْيَا وَعَشَرَةَ أَمْثَالِهَا أَوْ إِنَّ لَكَ عَشَرَةَ أَمْثَالِ الدُّنْيَا – قَالَ – فَيَقُولُ أَتَسْخَرُ بِى – أَوْ أَتَضْحَكُ بِى – وَأَنْتَ الْمَلِكُ » قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ. قَالَ فَكَانَ يُقَالُ ذَاكَ أَدْنَى أَهْلِ الْجَنَّةِ مَنْزِلَةً

Sesungguhnya aku tahu siapa orang yang paling terakhir dikeluarkan dari neraka dan paling terakhir masuk ke syurga; iaitu seorang lelaki yang keluar dari neraka dengan merangkak.

Kemudian Allah ‎ﷻ berfirman kepadanya, “Pergilah engkau, masuklah engkau ke syurga.”

Dia pun mendatangi syurga, tetapi dia membayangkan bahawa syurga itu telah penuh.

Dia kembali dan berkata, “Wahai Rabbku, aku mendatangi syurga tetapi sepertinya telah penuh.”

Allah ‎ﷻ berfirman kepadanya, “Pergilah engkau dan masuklah syurga.”

Dia pun mendatangi syurga, tetapi dia masih membayangkan bahawa syurga itu telah penuh.

Kemudian dia kembali dan berkata, “Wahai Rabbku, aku mendatangi syurga tetapi sepertinya telah penuh.”

Allah ‎ﷻ berfirman kepadanya, “Pergilah engkau dan masuklah syurga, kerana untukmu syurga seperti dunia dan sepuluh kali ganda daripadanya.”

Orang tersebut berkata, “Apakah Engkau memperolok-olokku atau mentertawakanku, sedangkan Engkau adalah Raja Diraja?”

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, “Aku melihat Rasulullah ﷺ tertawa sampai tampak gigi geraham baginda. Kemudian baginda bersabda, “Itulah penghuni syurga yang paling rendah darjatnya.” (HR. Bukhari no. 6571, 7511 dan Muslim no. 186).

Serendah-rendah martabat dia pun akan mendapat sepuluh kali ganda daripada kerajaan dunia. Maka bayangkan kalau manusia yang lebih baik daripada beliau. Lagi banyak amal, maka lagi tinggilah tingkatan mereka akan dapat.

Sebab itulah hari itu dinamakan يَوْمَ الْحَسْرَةِ Hari Penyesalan. Penyesalan yang tidak terhingga. Yang celaka akan menyesal dan yang beruntung pun akan menyesal juga. Menyesal kerana tidak buat lagi banyak ibadat.

 

إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ

hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing.

Semua keputusan baik buruk amalan akan diberikan ketetapan siapakah yang masuk neraka dan siapakah yang masuk syurga.

Tiada lagi kematian dan tiada lagi harapan kerana ‘mati’ akan dibawa ke hadapan semua orang dan akan dimatikan ‘mati’ itu. Mati akan disembelih seperti kambing disembelih.

Sebagaimana diriwayatkan di dalam hadith berikut:

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحٍ فَيُنَادِي بِهِ مُنَادٍ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ ! فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُوْلُ : هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ, وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ, ثُمَّ يُنَادِي مُنَادٍ : يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَشْرَئِبُوْنَ وَيَنْظُرُوْنَ, فَيَقُوْلُ : هَلْ تَعْرِفُوْنَ هَذَا ؟ فَيَقُوْلُوْنَ : نَعَمْ, هَذَا الْمَوْتُ وَكُلُّهْمْ قَدْ رَآهُ فَيُذْبَحُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يَقُوْلُ : يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ, وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُوْدٌ فَلاَ مَوْتَ, ثُمَّ قَرَأَ (وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِيْ غَفْلَةٍ وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُوْنَ) وَأَشَارَ بِيَدِهِ إِلَى الدُّنْيَا

Daripada Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Kematian didatangkan pada bentuk kambing berkulit hitam putih, lalu seorang penyeru memanggil: Wahai penduduk syurga! Mereka mendongak dan melihat, penyeru itu berkata: Apakah kalian mengenali ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah kematian, mereka semua telah melihatnya. Kemudian penyeru memanggil: Wahai penduduk neraka! Mereka mendongak dan melihat, penyeru itu berkata: Apakah kalian mengenali ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah kematian, mereka semua telah melihatnya, lalu disembelih di antara syurga dan neraka, lalu berkata: Wahai penduduk syurga, kekekalan tiada kematian setelahnya, dan hai penduduk neraka, kekekalan dan tiada kematian setelahnya, lalu beliau membaca (Dan berilah mereka peringatan tatkala ditetapkan perkara sedangkan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak beriman). Dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya ke dunia. (HR.  Bukhari 4730, 6549 dan Muslim 2849)

Maka tidak akan ada lagi kematian. Yang beriman akan suka dan yang berdosa akan menyesal. Penghuni syurga akan suka kerana mereka sedar bahawa mereka akan kekal dalam syurga dan tidak mati-mati.

Manakala ahli neraka pula akan menyesal dan putus harapan kerana mereka berharap supaya mereka dimatikan sahaja. Namun itu tidak akan terjadi. Mereka akan diseksa bukan sahaja dengan seksaan fizikal tetapi dengan emosi sekali. Penyesalan yang amat-amat besar. Semoga kita diselamatkan.

 

وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ

mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian;

Ramai yang lalai dalam macam-macam hal agama. Lalai dalam ibadat, dalam berdoa, dalam belajar agama dan macam-macam lagi.

Huruf و dalam ayat ini adalah waw haaliah iaitu menceritakan keadaan mereka di dunia sekarang. Mereka berperangai tidak kisah tentang hal agama dan hal akhirat. Itulah ‘hal’ (keadaan) mereka sekarang.

Perkataan فِي (dalam) digunakan sekali lagi. Ia bermaksud mereka tenggelam ‘dalam’ sifat mereka. Mereka sudah lupa tanggungjawab mereka sebagai manusia dan hamba Allah ‎ﷻ. Mereka ini jenis suka melepak sahaja. Tidak kisah apa akan jadi kepada mereka nanti.

Mereka lalai dalam hal agama. Ini adalah sifat yang amat teruk sekali. Ramai yang kita lihat macam ini. Mereka bersidai sahaja di jalanan atau di kedai makan bersembang. Mereka hanya memikirkan tentang dunia sahaja. Mereka sangka apabila mereka sudah mengucap dan buat amalan agama seperti salat sedikit, mereka akan selamat di akhirat. Kenapa yakin sangat?

Kadang-kadang kita dalam kuliah agama pun kita ada lalai. Itu adalah masalah besar juga. Maknanya kita tidak ambil kisah dengan pelajaran yang disampaikan (padahal sudah sampai ke kedai atau sudah ada dalam group kelas agama). Kita memang sudah sampai ke kelas agama, tetapi kita ambil ringan sahaja.

Padahal sepatutnya kita kena beri perhatian sebab kuliah agama itu adalah penting. Kalau tidur atau mengantuk dalam kuliah sebenarnya tidak boleh diterima langsung. Kalau kita mengantuk, bermakna kita tidak mementingkan agama.

Kita belajar agama bukan kerana hanya kerana hendak tahu sahaja, tetapi untuk diamalkan. Bagaimana kalau perkara yang sedang diajar itu adalah perkara penting yang memang kita perlukan peringatan daripadanya? Apa akan jadi kalau kita tidak menumpukan perhatian? Lebih bahaya lagi, kita dapat pemahaman yang salah kerana tidak menumpukan perhatian.

Atau kalau kita datang untuk suka-suka sahaja, bagaimana? Macam sekarang, berapa banyak kuliah agama dijadikan sebagai bahan santai sahaja? Berdekah-dekah hadirin ketawa kerana jenaka oleh guru/ustaz? Apabila mereka pulang, mereka tidak ada apa yang boleh dibawa balik, hanya keras perut dan lenguh mulut kerana ketawa semasa majlis tadi.

Yang mereka ingat hanyalah lawak jenaka sahaja untuk diceritakan kepada orang lain. Padahal, pengajaran agama adalah perkara yang serius yang bukan boleh diambil sebagai bahan mainan dan bahan jenaka.

 

وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

serta mereka pula tidak mahu beriman.

Perkataan يُؤْمِنُونَ dalam bentuk “present/future” tense. Maka ia bermaksud mereka sedang dan akan berterusan dalam keadaan tidak beriman. Itulah akibatnya kalau mereka terus غَفْلَةٍ (lalai). Ia akan berterusan kalau tidak ambil perhatian untuk membaiki diri kita. Maka hendaklah kita selamatkan diri kita daripada penyakit غَفْلَةٍ.

Bagaimana untuk menyelamatkan diri kita daripada masalah ini? Dengan zikr (ingat) kepada Allah ‎ﷻ. Bukan hanya sebut subhanallah, alhamdulillah dan lain-lain berkali-kali sahaja tetapi dalam masa yang sama, memikirkan juga apakah maksud perkataan zikr itu. Kita kena sedar yang ada elemen ‘fikir‘ dalam zikr kita. Malangnya manusia sekarang hanya zikir di mulut sahaja. Tetapi mereka tidak faham pun apa yang mereka sebutkan dengan mulut mereka.

Mereka sebut Allahu akbar, tetapi dalam kehidupan seharian, mereka tidak membesarkan Allah ‎ﷻ pun. Mereka masih besarkan keluarga mereka, kereta mereka, kerja mereka, kedudukan mereka dan sebagainya. Ini pun kerana guru-guru yang mengajar hanya mementingkan berapa banyak sebutan ‘zikir’ yang perlu disebut dalam sehari. Maka, anak murid akan sebut dengan cepat kerana hendak menghabiskan berapa ribuan zikir harian yang mereka kena baca.

Mereka sangka dengan hanya sebut di mulut sahaja, mereka akan selamat. Tidak semudah itu. Kalau mereka banyak zikir tetapi tidak ada ilmu, mereka akan tersilap melakukan kesalahan-kesalahan yang mereka tidak tahu ia adalah salah.

Sebagai contoh, ramai antara kita sangka Majlis Tahlilan yang selalu diamalkan masyarakat kita itu adalah baik. Namun entah berapa banyak kesalahan yang ada dalam majlis itu yang membuatkan ia adalah satu amalan yang buruk sekali.

Bila disebut ‘zikir’, kenalah sedar yang ayat-ayat Al-Qur’an adalah sebaik-baik zikr. Oleh itu, hendaklah kita baca dan fahamkan tafsir Al-Qur’an. Hendaklah kita tadabbur (mendalami) makna yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ sebagai panduan hidup kita. Kemudian sentiasalah kita baca sepanjang hari kita. Kalau boleh hafal sikit-sikit ayat Al-Qur’an ini dan dizikirkan seharian.

Salat juga adalah zikr kepada Allah ‎ﷻ. Ia akan mengeluarkan kita daripada غَفْلَةٍ. Ia adalah ibadat yang paling penting sekali. Maka kena belajar falsafah salat supaya kita lebih khusyuk dalam salat.


 

Ayat 40:

إِنّا نَحنُ نَرِثُ الأَرضَ وَمَن عَلَيها وَإِلَينا يُرجَعونَ

Sahih International

Indeed, it is We who will inherit the earth and whoever is on it, and to Us they will be returned.

Malay

Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.

 

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ

Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi;

Selepas kiamat, Allah‎ ﷻ akan menguasai semua sekali kerana semua makhluk tidak ada, maka hanya ada Allah ‎ﷻ sahaja. Harta kita dan tanah ladang kita, semuanya Allah ‎ﷻ warisi.

Bukanlah sekarang Allah ‎ﷻ tidak menguasai dunia pula, tetapi pada waktu itu lebih jelas lagi. Bukanlah Allah ‎ﷻ mewarisi itu seperti yang kita faham macam mewarisi harta itu. Ia membawa maksud akhirnya sesuatu perkara itu akan jadi milik siapa? Kalau kita sudah mati nanti, siapakah yang akan mewarisi harta itu? Tentu yang tinggal hidup, bukan? Maka kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Hidup, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang akan memiliki sendiri alam ini.

Hanya ada kerajaan Allah ‎ﷻ sahaja pada waktu itu. Seperti yang Allah ‎ﷻ telah sebut dalam ayat 16 surah Ghafir:

يَوْمَ هُم بَارِزُونَ لَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْهُمْ شَيْءٌ لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatu pun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!

Ada penekanan dalam perkataan yang digunakan dalam ayat ini. Perkataan إِنَّا sudah bermaksud ‘sesungguhnya Kami’. Tetapi ada lagi perkataan نَحْنُ yang bermaksud ‘Kami’. Selepas itu perkataan نَرِثُ pun ada bermaksud yang ‘Kami mewarisi’ juga. Ini membawa maksud bahawa Kami dan *hanya* Kami sahaja yang akan mewarisi bumi. Tidak ada yang lain lagi. Sampai tiga kali Allah ‎ﷻ menekankan bahawa hanya Dia sahaja yang akan mewarisi seluruh alam ini.

Lihatlah juga bagaimana penggunaan kata ‘mewarisi’ ini berulang dalam surah ini. Ini adalah kali kedua ia digunakan. Kali pertama apabila Nabi Zakaria عليه السلام berdoa supaya walinya itu akan mewarisi daripadanya dan daripada keluarga Ya’kub عليه السلام.

Kita manusia berkelahi tentang kuasa dalam dunia ini. Siapa lebih kuat, siapa lebih banyak tanah dan harta dan sebagainya. Tetapi hendaklah kita ingat bahawa ia bukan menjadi hak kita pun apabila kita sudah tiada nanti. Ia akan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Sekarang pun Dia punya juga, cuma Dia beri kita pinjam dan pakai sahaja.

Apabila Allah ‎ﷻ membahasakan diri-Nya dengan menggunakan perkataan ‘Kami’, janganlah kita keliru dengan sangka ini menunjukkan Allah ‎ﷻ ada banyak pula. Tetapi ini adalah hendak menunjukkan kebesaran Allah ‎ﷻ. Ia dipanggil ‘Royal We’. Raja-raja dunia pun pakai macam itu juga. Mereka akan membahasakan diri mereka ‘kami’, walaupun apa yang mereka maksudkan adalah diri mereka sahaja.

Ia adalah penggunaan yang banyak digunakan dalam bahasa Arab. Kalau mereka bercakap dengan orang yang lebih tua dan tinggi kedudukan, mereka akan membahasakan diri yang mereka bercakap itu dalam perkataan أنتم (kamu dalam bentuk ramai) walaupun dia seorang sahaja. Sebagai contoh, seorang anak bercakap dengan bapa.

Apabila Allah ‎ﷻ membahasakan diri-Nya dengan kata ‘Kami’, ia hendak menunjukkan penghormatan kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَمَنْ عَلَيْهَا

dan segala makhluk yang ada di atasnya;

Maknanya, semua sekali, tidak ada yang tinggal. Termasuklah kita sekali. Maka kena ingat selalu yang kita tidak kekal hidup.

 

وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan;

Sama ada beriman atau tidak, percaya atau tidak, semuanya kena mengadap Allah ‎ﷻ semua sekali.  Kita semua akan mengadap Allah ‎ﷻ dan kena jawab atas segala perbuatan kita semasa di dunia. Setiap orang – tidak ada yang terkecuali.

Kita *hanya* mengadap Allah ‎ﷻ sahaja kerana ayat ini dalam bentuk yang abnormal. Kalau struktur yang normal: يُرْجَعُونَ إِلَيْنَا. Apabila struktur ayat dalam bahasa Arab ditukar daripada kebiasaan, ia hendak membawa maksud eksklusif. Bermakna, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita akan mengadap. Tidak akan kita dibawa mengadap yang selain Allah ‎ﷻ.

Tidak ada transit untuk jumpa ‘tuhan-tuhan’ yang lain dahulu. Ini penting hendak ditekankan kerana ada pemahaman dalam agama sesat bahawa sebelum mengadap ‘Tuhan yang satu’ nanti, mereka akan mengadap ‘tuhan kecil’ mereka dahulu.

Sebagai contoh, orang Buddha berfahaman yang mereka akan bertemu dengan Gautama Buddha yang mereka sembah selama ini. Bagi fahaman mereka, Buddha lah yang akan mewakili mereka mengadap Tuhan nanti dan akan menyelamatkan mereka.

Perkataan يُرْجَعُونَ itu dalam bentuk pasif. Kalau bentuk aktif, ia adalah: يَرْجَعُونَ. Ini bermaksud, mereka akan ‘dibawa’. Bukan mereka akan pergi sendiri mengadap Allah ‎ﷻ. Kalau boleh mereka tidak mahu mengadap Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Namun walaupun mereka tidak mahu, mahupun mereka meronta mahu lari, mereka akan dibawa, ditarik untuk mengadap Allah ‎ﷻ. Sama ada mahu atau tidak, kita semua akan kena mengadap Allah ‎ﷻ.

Akan ramai manusia apabila mereka melihat apa yang mereka perlu hadapi, mereka akan meminta untuk dikembalikan ke dunia. namun itu tidak akan terjadi. Sepatutnya mereka kembali kepada Allah ‎ﷻ semasa di dunia – itulah maksud perkataan ‘taubat’ – kembali.

Nota: kita boleh lihat bagaimana ada perubahan daripada segi penghujung ayat-ayat dalam surah Maryam ini. Kalau kita lihat, dari permulaan surah sampai kepada ayat 33, semua ayat diakhiri dengan يا sahaja. Tetapi apabila masuk sahaja kepada ayat 34, kita boleh lihat bagaimana hujung ayat telah lari daripada kebiasaan yang awal. Sehinggalah ke ayat 40 ini. Kenapakah agaknya begitu?

Salah satu dari keindahan Al-Qur’an adalah daripada segi penyusunan dan bunyinya. Tetapi yang lebih penting lagi adalah daripada segi mesej yang disampaikan. Bukanlah Al-Qur’an meninggalkan mesej penting hanya kerana hendak memberikan bunyi yang sama.

Cuma ulama’ membincangkan kenapa ada ayat-ayat yang lari daripada kebiasaan bunyi يا itu? Kalau kita lihat daripada segi apakah yang disampaikan dalam ayat-ayat yang berhujung dengan يا itu, kita boleh lihat bahawa ayat-ayat itu memberikan maklumat tentang kisah-kisah Nabi Zakaria عليه السلام, Nabi Yahya عليه السلام, Maryam dan juga Nabi Isa عليه السلام. Ia adalah maklumat tentang kisah mereka yang diberitahu kepada kita dengan kebenaran. Semuanya disampaikan dengan hujung يا sahaja.

Tetapi apabila disampaikan tentang perbezaan pendapat orang-orang kafir, bunyi ayat telah bertukar. Sehinggalah apabila ayat sampai nanti kepada kisah Nabi Ibrahim عليه السلام pula. Ia kembali kepada bunyi hujung asal yang mempunyai يا kerana ia kembali hendak menyampaikan maklumat kembali. Allahu a’lam.

Habis Ruku’ 2 dari 6 Ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 April 2021


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 32 – 37 (Jalan yang lurus)

Ayat 32:

وَبَرًّا بِوٰلِدَتي وَلَم يَجعَلني جَبّارًا شَقِيًّا

Sahih International

And [made me] dutiful to my mother, and He has not made me a wretched tyrant.

 

Malay

“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

وَبَرًّا بِوٰلِدَتِي

Serta taat dan berbuat baik kepada ibuku;

Allah ‎ﷻ telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام seorang anak yang amat baik dan berbakti kepada ibunya. Dalam ayat ini hanya disebut ‘ibunya’ sahaja kerana baginda tidak ada bapa.

Ayat ini penting kerana dalam tulisan orang Kristian, mereka ada kata bagaimana Nabi Isa عليه السلام telah bercakap kurang ajar dengan ibunya. Maka, Allah ‎ﷻ telah menidakkan perkara ini dengan mengatakan bahawa Nabi Isa عليه السلام berlaku taat dan berbuat baik kepada ibunya. Berkata dengan kasar dengan ibu tentunya bukanlah perbuatan anak yang baik.

Makna بَرًّا telah dijelaskan sebelum ini apabila memperkatakan tentang Nabi Yahya عليه السلام. Maknanya, Nabi Isa عليه السلام telah diarahkan untuk berbuat baik kepada ibubapanya.

Maka pengajaran bagi kita, kita pun wajib berbuat baik kepada ibubapa kita. Contohnya, selalulah hubungi mereka kerana hendak menggembirakan hati mereka. Berbuat baiklah dengan mereka dengan segala hal. Ini adalah kerana apabila ibubapa kita senang dengan kita, kita akan rasa tenang. Kalau kita ada masalah dengan ibu bapa kita, hati kita pun tidak tenang, bukan?

Dalam Al-Qur’an memang selalu disebut tentang ketaatan kepada ibubapa selepas disebut ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan kepentingan ibubapa. Maka jangan kita ambil ringan perkara ini. Jangan disia-siakan usia ibu bapa kita sementara mereka masih hidup lagi.

 

وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا

dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur;

Ini menegaskan yang baginda tidaklah pernah bersikap ganas. Contohnya, tidak mungkin baginda ada menindas orang lain, bertindak kasar dengan orang lain, menzalimi sesiapa pun.

Juga bermaksud baginda tidak sombong dalam beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Memang tidak patut kita ada sifat sombong. Ini kerana sifat sombong itu adalah sifat Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ tidak suka makhluk-Nya sombong.

 

شَقِيًّا

Celaka;

Ia juga bermaksud nasib malang. Ayat ini bermaksud, apabila baginda dibangkitkan nanti, baginda akan mendapat kebaikan yang banyak daripada Allah ‎ﷻ. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh orang Yahudi yang kata Nabi Isa عليه السلام itu telah sesat dan telah melakukan kesalahan. Pada mereka, Nabi Isa عليه السلام akan dibangkitkan dengan nasib malang. Ayat ini menidakkan kata-kata mereka itu.

Perkataan ini juga memberi isyarat secara halus kepada kita, kalau kita tidak berbuat baik dengan ibubapa kita, kurang ajar kepada mereka, kita akan bernasib malang. Maka kerana itu sangatlah kita menggalakkan semua orang berbuat baik dengan ibu bapa masing-masing. Carilah jalan bagaimana boleh menggembirakan hati mereka.


 

Ayat 33:

وَالسَّلٰمُ عَلَيَّ يَومَ وُلِدتُ وَيَومَ أَموتُ وَيَومَ أُبعَثُ حَيًّا

Sahih International

And peace is on me the day I was born and the day I will die and the day I am raised alive.”

 

Malay

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

 

وَالسَّلٰمُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan;

Baginda dikatakan sejahtera pada hari kelahirannya kerana baginda dilahirkan luar biasa tanpa ibubapa.

Kalimah السَّلَامُ boleh membawa maksud ‘penghormatan’. Seperti para malaikat memberi salam kepada penghuni syurga yang masuk ke syurga – sebagai penghormatan kepada penghuni syurga. Atau kalau kita jumpa orang lain, kita akan beri salam kepada mereka sebagai penghormatan dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Ia juga boleh bermaksud kesejahteraan kalau kita ambil daripada makna literal ‘salam’ itu. Bermakna, seperti juga apabila kita memberi salam kepada orang lain, sebenarnya kita mendoakan kesejahteraan kepada mereka, begitu juga Nabi Isa عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya baginda diberi kesejahteraan.

Ayat ini adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan bahawa ada elemen tidak baik dalam kelahiran Nabi Isa عليه السلام. Kerana ada yang kata baginda adalah anak haram.

Tetapi lihatlah penggunaan perkataan السَّلَامُ dalam ayat ini. Kalau dalam ayat ke 15, perkataan سَلَامٌ digunakan tanpa alif lam. Tetapi dalam ayat 33 ini, ada alif lam. Apabila سَلَامٌ dalam bentuk umum, ia boleh dipakai dalam banyak keadaan – maknanya berbagai-bagai cara kesejahteraan diberikan kepada Nabi Yahya ‎عليه السلام.

Tetapi apabila digunakan السَّلَامُ, ada makna tersendiri yang dimaksudkan. Kenapakah kepada Nabi Isa عليه السلام, digunakan السَّلَامُ? Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan سَلَامٌ tanpa alif lam untuk Nabi Yahya عليه السلام, ia adalah salam daripada Allah ‎ﷻ. Tetapi apabila السَّلَامُ digunakan dalam ayat ini, ia adalah doa daripada Nabi Isa عليه السلام sendiri, bukan daripada Allah ‎ﷻ – maka ia ada alif lam.

 

وَيَوْمَ أَمُوتُ

dan pada hari aku mati;

Baginda telah diangkat ke langit, dan baginda akan turun ke bumi semula untuk bunuh Dajjal dan memerintah, kemudian baginda akan wafat dengan cara yang baik. Baginda akan wafat dalam sejahtera. Maknanya, sekarang Nabi Isa‎ عليه السلام belum wafat lagi.

Ini pula adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan baginda telah mati disalib kerana mati disalib bukanlah satu kematian yang mulia. Ayat ini mengatakan bahawa baginda akan wafat dalam keadaan sejahtera.

Ada dua dimensi fahaman salah dalam kematian Nabi Isa عليه السلام ini. Di satu pihak, ada puak seperti Yahudi yang kata baginda mati disalib kerana baginda adalah orang yang jahat, yang baginda lahir di luar perkahwinan. Di satu pihak, seperti Kristian, mengatakan bahawa kematian baginda disalib adalah untuk menebus dosa seluruh manusia.

Dua-dua pemahaman ini tidak benar sama sekali. Ayat ini mengatakan bahawa baginda tidak akan meninggalkan dunia ini dengan cara begitu.

 

وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا

serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula;

Baginda akan dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul. Iaitu baginda akan dibangkitkan dalam kedudukan terhormat di hari Kiamat nanti. Ini menidakkan kata-kata mereka yang mengatakan bahawa Nabi Isa عليه السلام berdosa dan sesat.

Ada satu riwayat yang menceritakan tentang seorang wanita yang melihat Nabi Isa عليه السلام yang telah melakukan mukjizat menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit kusta. Maka, wanita itu telah memuji ibu baginda yang telah melahirkan dan memberi makan kepada baginda.

Maka, Nabi Isa عليه السلام membetulkan kata-kata wanita itu. Nabi Isa عليه السلام memuji Allah ‎ﷻ yang telah mentaqdirkan baginda lahir dan telah memberikan mukjizat-mukjizat itu. Wanita itu memuji manusia, tetapi Nabi Isa عليه السلام telah memperbetulkan wanita itu dengan memuji Allah ‎ﷻ. Kerana Allah ‎ﷻlah yang sebenarnya layak dipuji.

Ayat ini juga sebagai pernyataan daripada Nabi Isa عليه السلام bahawa baginda juga adalah hamba Allah ‎ﷻ juga seperti makhluk-makhluk yang lain. Baginda dihidupkan, dimatikan dan akan dibangkitkan kembali. Makhluk-makhluk lain pun macam itu juga. Tidaklah baginda tuhan dan tidaklah baginda ‘Anak Tuhan’.


 

Ayat 34:

ذٰلِكَ عيسَى ابنُ مَريَمَ ۚ قَولَ الحَقِّ الَّذي فيهِ يَمتَرونَ

Sahih International

That is Jesus, the son of Mary – the word of truth about which they are in dispute.

 

Malay

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

 

ذَٰلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ

Itulah Isa Ibni Maryam;

Kalimah ذَٰلِكَ adalah penunjuk kepada perkara yang jauh. Kerana yang diceritakan dalam Al-Qur’an ini tentang Nabi Isa عليه السلام adalah jauh daripada apa yang orang kafir (Yahudi dan Nasara) katakan tentang baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ sedang menceritakan cerita yang sebenar tentang Nabi Isa عليه السلام.

Apabila digunakan kalimat ابْنُ مَرْيَمَ (Anak Maryam) ia memberitahu kita yang hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang berbinkan Maryam, dengan ibunya. Hanya baginda sahaja dalam dunia ini. Ini adalah kerana baginda tidak ada bapa. Dan ingatlah bahawa kita di hari akhirat nanti kita akan dipanggil dengan nama kita dan nama ayah kita.

Tetapi ada orang yang salah mengajar anak murid mereka memanggil seseorang dengan nama ibu dalam ibadat mereka. Contohnya, apabila dalam talqin mereka akan panggil seseorang itu dengan nama ibu. Atau apabila hendak berubat, para bomoh hendak tahu nama ibu orang yang hendak diubati itu. Ini tidak ada dalam ajaran Islam.

 

قَوْلَ الْحَقِّ

Keterangan yang sebenar-benarnya;

Ia adalah kebenaran kerana ia adalah kata-kata Tuhan. Allah ‎ﷻ sendiri yang beritahu. Tidak boleh kita syak dengan kalam Allah ‎ﷻ.

Juga boleh bermaksud, apa yang dikatakan oleh Nabi Isa عليه السلام itu adalah kata-kata yang benar.

 

الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ

yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya;

Orang kafir bukan hanya ragu-ragu tetapi menyebabkan orang lain pun ragu-ragu dengannya. Mereka akan beri hujah yang lemah untuk bagi orang lain ragu dan keliru. Ramai yang keliru sedangkan hujah mereka sebenarnya lemah sahaja. Ini adalah kerana ramai yang jahil tentang agama sendiri.

Ayat ini digunakan dalam bentuk “present tense”. Maknanya mereka masih melakukannya. Apakah yang mereka ragukan? Iaitu menyentuh tentang golongan Yahudi yang tidak percaya dengan kenabian Nabi Isa عليه السلام dan kelahirannya yang luar biasa. Mereka kata Nabi Isa عليه السلام adalah anak haram. Tetapi orang Kristian pun ada masalah juga.

Orang Kristian melebih-lebih pula dalam mereka memandang Nabi Isa عليه السلام. Mereka sampai mengangkat kedudukan Nabi Isa عليه السلام melebihi kedudukan manusia. Mereka kata baginda adalah Anak Tuhan. Atau mereka kata baginda adalah salah satu daripada tiga elemen Tuhan – inilah yang dinamakan konsep triniti. Mereka pun tidak tahu macam mana hendak jelaskan konsep triniti itu, maka mereka sentiasa berselisih tentangnya.

Berapa banyak orang Kristian keluar daripada agama itu kerana mereka tidak dapat dijelaskan dengan konsep triniti yang tidak masuk akal itu. Akal yang waras tentunya tidak dapat terima apa yang diajar oleh guru agama mereka.

Nota: lihatlah bagaimana hujung ayat ini lain daripada hujung ayat-ayat yang sebelum ini. Ayat-ayat sebelum ini berakhir dengan ‘ya’, ‘ya’. Tentunya ini ada makna yang hendak disampaikan. Ini akan diterangkan selepas ini nanti. Pertamanya, ia untuk mengejutkan kita.


 

Ayat 35:

ما كانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ ۖ سُبحٰنَهُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sahih International

It is not [befitting] for Allah to take a son; exalted is He! When He decrees an affair, He only says to it, “Be,” and it is.

 

Malay

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Dia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah dia.

مَا كَانَ لِلَّهِ أَنْ يَتَّخِذَ مِنْ وَلَدٍ
ۖ

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak.

Allah ‎ﷻ tidak perlu kepada anak sendiri atau anak angkat. ‘Anak angkat’ yang dimaksudkan adalah yang selalu dijadikan perantaraan, iaitu tawassul. Bukanlah anak kandung sebenar pun. Manusia memandang bahawa Allah ‎ﷻ mempunyai ‘anak angkat’ yang Allah ‎ﷻ sayang kepadanya, jadi mereka menggunakan anak-anak angkat itu sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka rasa kalau mereka puja ‘anak-anak angkat’ itu, dan berdoa melalui mereka, anak-anak angkat (terdiri daripada golongan Nabi, wali dan malaikat) akan menyampaikan doa-doa mereka kepada Allah ‎ﷻ dan doa mereka akan dimakbulkan. Itu adalah fahaman yang salah sama sekali.

Memanglah kita tidak menggunakan perkataan ‘anak angkat’ dalam kita memanggil perantara-perantara itu. Kita akan kata mereka adalah orang-orang yang ‘dekat’ dengan Allah ‎ﷻ. Dengan bahasa lain, mereka adalah ‘anak angkat’ Allah ‎ﷻ. Kerana selalunya anak-anak angkat ini adalah orang yang rapat dengan bapa angkat mereka. Kalau kita tahu anak angkat Perdana Menteri, itu bermaksud orang itu amat rapat dengan PM. Kita pun bodeklah mereka.

Adakah Allah ‎ﷻ pun macam itu juga? Tentulah tidak. Kerajaan Allah ‎ﷻ tidak sama dengan kerajaan manusia. Tetapi begitulah pemahaman orang-orang yang jahil dengan ilmu wahyu.

Daripada salah faham inilah timbulnya doa-doa tawassul yang diamalkan oleh orang-orang kita. Mereka akan menggunakan nama-nama para wali, para Nabi dan para malaikat untuk menyampaikan doa mereka.

Kalau orang Kristian sesat kerana menggunakan Nabi Isa عليه السلام sebagai perantaraan mereka kepada Allah ‎ﷻ, jadi kalau orang Islam pun menggunakan perantaraan untuk menyampaikan doa kepada Allah ‎ﷻ, maka orang Islam itu adalah orang Islam yang sesat.

Takkan Allah ‎ﷻ berat sebelah? Kalau agama lain buat tawassul, kita kata mereka sesat; tetapi kalau orang Islam buat tawassul tidak sesat pula? Ini adalah perkara yang penting yang kita kena perhatikan. Banyak dibincangkan dalam penulisan ini berkenaan tawassul. Hendaklah kita tinggalkan kalau kita antara orang yang sedang buat perkara ini.

Apabila ada مِنْ dalam ayat ini, bermaksud ‘sedikit pun’ tidak sesuai untuk kita kata Allah‎ ﷻ ada mengambil anak. Jangan kata besar, sedikit pun tidak.

 

سُبْحٰنَهُ

Maha Sucilah Dia; 

Allah‎ ﷻ maha suci daripada perlu kepada anak angkat dan perantaraan dalam doa. Allah ‎ﷻ maha suci daripada andaian-andaian manusia yang jauh daripada pemahaman wahyu.

Subhan daripada segi bahasa bermaksud berenang dengan kepala atas air. Dalam bahasa Arab, ada kalimah untuk menceritakan berenang ‘dalam’ air, dan ada kalimah untuk merujuk kepada berenang kepala ‘atas’ air. Subhan bermaksud berenang yang kepala di atas air. Ini memberi isyarat, Allah ‎ﷻ lebih tinggi daripada apa yang mereka katakan itu.

 

إِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Apabila Dia menetapkan sesuatu perkara,

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak (dipanggil iradah). Tetapi kehendak Allah ‎ﷻ tentu tidak sama dengan kita. Apabila Allah ‎ﷻ sudah membuat keputusan, ia pasti akan terjadi.

 

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka hanyalah Dia berfirman kepadanya: “Jadilah”, lalu menjadilah ia;

Tidak perlu Allah ‎ﷻ bersusah payah kalau Allah ‎ﷻ berkehendak. Allah ‎ﷻ hanya kata ‘kun’ sahaja. Tetapi tidaklah perlu Allah ‎ﷻ kata ‘kun’ setiap kali. Ayat ini adalah isyarat kepada kehendak Allah ‎ﷻ yang cepat terjadi. Tidak perlu ada usaha apa-apa pada Allah ‎ﷻ. Kalau Dia hendak sahaja, ia terus terjadi.

Apakah maksud ayat ini dalam konteks Nabi Isa عليه السلام? Kalau kita ada rasa takjub dengan kejadian Nabi Isa عليه السلام tanpa bapa, boleh menyembuhkan segala macam penyakit, ketahuilah bahawa ia bukan daripada kuasa dan kehebatan Nabi Isa عليه السلام sendiri, tetapi Allah ‎ﷻ.

Senang sahaja untuk Allah ‎ﷻ buat apa-apa sahaja. Maka termasuklah mudah sahaja untuk Allah ‎ﷻ menjadikan Nabi Isa عليه السلام itu lahir tanpa bapa sebagaimana mudahnya Allah ‎ﷻ menjadikan sebatang pokok yang besar yang tumbuh hanya daripada sebiji benih. Dua-dua senang pada Allah ‎ﷻ. Tiada yang susah bagi-Nya.


 

Ayat 36: Ini berkemungkinan besar adalah daripada kata-kata Nabi Isa عليه السلام. Ia adalah pati ajaran Islam.

Atau ia adalah perkataan yang Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ cakap.

وَإِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Sahih International

[Jesus said], “And indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. That is a straight path.”

 

Malay

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang betul – lurus “.

 

وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu

‘Rabb’ bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ sahaja. Ia bermaksud Tuhan yang mencipta, memiliki, memelihara, mentarbiyah dan banyak lagi maksudnya. Maka Allah ‎ﷻ bukan hanya menjadikan kita tetapi Dia terus menjaga dan memelihara kita.

Dialah yang beri kita makan, beri tempat teduh dan segala keperluan hidup manusia. Kalau kita tangkap burung dan letak dalam sarang, tentulah kita kena beri makan dan minum kepada burung itu. Kalau tidak, burung itu akan mati. Itu baru burung yang kita hanya miliki sahaja, bukan kita yang jadikan dia.Maka ketahuilah yang Allah ‎ﷻ bukan cipta sahaja kita ini, tetapi Dia akan tadbir segenap perjalanan hidup kita.

Dia akan memberikan apa yang kita perlukan. Semua yang Dia buat sudah cantik dan tersusun. Kadang-kadang kita tidak faham kehendak dan urusan Allah  ﷻ kerana akal kita tidak sampai ke tahap untuk memahami. Kadang-kadang kita macam tidak puas hati kalau ada takdir bukan macam yang kita kehendaki. Kadang-kadang kita hairan kenapa Allah ‎ﷻ berikan bala kepada sesuatu kaum atau sesuatu tempat. Maka selalulah mulut kita mengomel, bukan?

Bahaya kalau kita ada perasaan sebegitu. Janganlah kita mengata tidak baik tentang Allah ‎ﷻ. Akal kita yang tidak sampai untuk memahami tindakan Allah ‎ﷻ. Apa yang Dia buat sudah sempurna dan kena pada tempatnya. Yang kita perlu buat adalah redha sahaja.

Apabila Allah ‎ﷻ itu Rabb kita, maka kita adalah hamba-Nya. Inilah pati agama Islam. Iaitu menerima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba Dia. Sebagai hamba, kita terima sahaja apa takdir Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Ingatlah bahawa semua yang kita ada, adalah daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita ada rasa terhutang dengan Allah ‎ﷻ, maka senang untuk kita ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah kamu akan Dia;

Oleh kerana Dia Allah ‎ﷻ yang ada sifat Tuhan, maka hendaklah kita menyembah-Nya sahaja. Jangan kita sembah selain Allah ‎ﷻ. Maka kena puja dan beribadat hanya kepada-Nya sahaja. Terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan hanya doa terus kepada Dia (bukan melalui perantaraan). Kerana Allah ‎ﷻ Maha Mendengar doa hamba-Nya.

Jangan buat perantaraan dalam doa seperti Hindu, Kristian, Buddha buat. Jadi jangan minta tok-tok guru, imam-imam, ustaz-ustaz mendoakan untuk kita. Tetapi hendaklah kita berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Doa sendiri-sendiri sahaja. Jangan kita ada syak wasangka yang Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa kita kalau kita doa sendiri, sampai kita rasa perlukan perantaraan seperti guru, ustaz dan lain-lain.

Agama Islam bukan seperti agama lain yang memerlukan paderi, sami, paisam (orang agama Sikh) dan apa lagi pangkat dalam agama mereka yang mereka kata diperlukan untuk menyampaikan hajat kepada tuhan mereka. Dalam Islam, kita diajar untuk doa terus kepada Allah ‎ﷻ. Yang mengajar supaya jumpa dengan guru, ustaz dan lain-lain itu adalah mereka yang mahukan kedudukan, mahukan imbuhan dari segi pangkat dan harta sahaja.

Mereka menjadikan hal-hal doa dan permintaan ini sebagai punca pendapatan mereka. Yang pergi kepada mereka adalah mereka yang jahil sahaja, yang tidak belajar agama. Dan mereka jadi begitu kerana mereka lalai dalam cara-cara berdoa, mereka lalai dalam mempelajari agama. Mereka juga ada salah sangka dengan Allah ﷻ (entah-entah Allah ﷻ tidak dengar doa mereka).

Kalimah فَاعْبُدُ bukan hanya maksud ‘sembah’ tetapi ia juga bermaksud ‘menghambakan diri’. Kerana ada juga umat Islam yang sembah Allah ﷻ tetapi tidak rasa diri mereka sebagai hamba Allah ﷻ. Jadi, mereka sangka, mereka sudah buat ibadat, sudah cukup beragama. Kesannya mereka tidak ikut keseluruhan ajaran daripada Allah ‎ﷻ. Memang mereka buat ibadat, tetapi mereka buat juga perkara-perkara yang dilarang Allah ‎ﷻ.

Ini kerana mereka tidak terima diri mereka sebagai hamba sepenuhnya. Mereka rasa mereka hamba semasa dalam ibadat sahaja, tetapi di antara ibadah, mereka lupa untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, mereka terima rasuah, mereka zalim kepada anak isteri, mereka menipu orang lain dan lain-lain lagi. Padahal itu semua larangan daripada Allah ‎ﷻ juga, bukan?

Kita kena ikut keseluruhan arahan daripada Allah ‎ﷻ, bukan ketika beribadah sahaja. Kerana itu kita kena tanya diri kita: kenapa kita melakukan ibadat? Kita melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ kerana ia adalah arahan Allah ‎ﷻ, bukan?

Lagi satu soalan: Kenapa kita tinggalkan perkara-perkara maksiat? Kerana ia juga adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Jadi semua yang kita buat dan tinggalkan adalah kerana ada arahan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita sudah terima diri kita sebagai hamba kepada Allah ‎ﷻ, maka senang untuk kita terima arahan daripada Allah ‎ﷻ.

 

هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

inilah jalan yang lurus “;

Inilah tafsir ayat Al-Qur’an dalam Surah al-Fatihah yang kita selalu baca setiap hari. Iaitu اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ yang bermakna “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Maka, tafsir bagi ayat dari Surah al-Fatihah itu terletak dalam ayat ini. Iaitu kita hendaklah hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja.

Kita telah minta kepada Allah ‎ﷻ supaya ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Maka, ayat ini mengajar kita bahawa jalan yang lurus adalah dengan menghambakan diri kepada Allah‎ ﷻ semata-mata.

Perkataan صِرَاطٌ tidak ada jamak/plural daripada segi nahu. Kerana jalan yang lurus hanya satu sahaja. Maka kita kena pegang jalan agama Islam ini dan mengikut cara-cara yang disampaikan oleh Allah ﷻ dan RasulNya.


 

Ayat 37:

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِن مَّشهَدِ يَومٍ عَظيمٍ

Sahih International

Then the factions differed [concerning Jesus] from among them, so woe to those who disbelieved – from the scene of a tremendous Day.

Malay

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.

 

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِنْ بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan itu berselisihan sesama sendiri;

Satu puak kata Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak Tuhan, tetapi ada yang kata tidak. Sampai sekarang, masih ada lagi golongan Kristian yang tidak sembah Nabi Isa عليه السلام (tetapi mereka golongan terpencil). Kristian pun ada mazhab-mazhab mereka. Kalau kita lihat dalam gereja mereka, ada yang tidak meletakkan patung Jesus – mereka cuma ada salib sahaja.

Namun begitu, walaupun mereka tidak ada patung, tetapi mereka masih juga meletakkan Nabi Isa عليه السلام sebagai anak Tuhan. Maka, mereka pun berfahaman syirik juga. Ada juga yang kita tahu golongan Kristian Orthodox yang tidak menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai anak Tuhan dan mereka itu adalah golongan yang minoriti.

Banyaklah pandangan berbeza tentang Nabi Isa عليه السلام. Mereka berselisih antara mereka. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an kedudukan yang sebenarnya iaitu mereka tidak sepakat pun tentang baginda. Maka, hendaklah kita memegang apa yang Allah‎ ﷻ telah sampaikan kepada kita. Janganlah kita menjadi antara orang yang berselisih. Selain itu, kita juga harus mencuba untuk sampaikan kebenaran kepada mereka.

Kalimah الْأَحْزَابُ bermaksud kumpulan-kumpulan yang mempunyai pandangan yang sama. Mereka adalah orang yang berpegang kuat kepada fahaman mereka itu. Kuat sangat sampaikan tidak mahu berganjak dengan mudah apa yang mereka telah pegang itu. Mereka amat serius dalam pegangan mereka itu.

Secara umum, Bani Israil telah berpecah kepada empat kelompok selepas Nabi Isa عليه السلام diangkat. Inilah pendapat dan pegangan mereka masing-masing tentang Nabi Isa عليه السلام:

    1. Baginda adalah Allah ‎ﷻ, yang turun ke muka bumi dalam rupa bentuk manusia. Baginda hidupkan orang mati dan baginda mematikan orang yang hidup. Kemudian baginda naik ke langit. Kelompok ini adalah kelompok Ya’qubiyyah.
    2. Baginda adalah anak Allah ‎ﷻ. Ini adalah kelompok Nasthuriyyah.
    3. Baginda adalah tiga dalam satu (konsep triniti). Mereka ini adalah para Israiliyyat, raja-raja kaum Nasrani. Inilah juga pegangan kebanyakan orang Kristian sekarang.
    4. Baginda adalah hamba Allah ‎ﷻ, Rasul-Nya, roh-Nya dan kalimat-Nya. Mereka inilah golongan Muslim.

Setiap golongan ini ada pengikutnya masing-masing sehingga mereka saling memerangi dan berusaha menindas kaum Muslimin.

 

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu,

Kasihan kepada mereka. Itulah lebih kurang maksud فَوَيْلٌ itu. Atau ia bermaksud ‘kecelakaan’ bagi mereka. Mereka akan mendapat kecelakaan apabila di Mahsyar nanti.

 

مِنْ مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ

dari apa yang disaksikan pada hari yang besar (huru-haranya);

Mereka akan celaka pada hari itu. Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat dan di Mahsyar.

Mereka akan mendapat kecelakaan yang besar pada hari itu. Mereka akan menyaksikan sendiri kebenaran pada hari itu. Nabi-Nabi pun termasuk Nabi Isa ‎عليه السلام sendiri akan menjadi saksi di atas kesalahan yang mereka telah lakukan. Bukan saksi bagi pihak mereka tetapi menentang mereka. Kerana pemahaman mereka tentang siapakah Nabi Isa عليه السلام yang salah.

Walaupun mereka telah melakukan perkara yang syirik dan mengatakan Allah ‎ﷻ mengambil anak, tetapi Allah ‎ﷻ tidak terus memberikan azab-Nya kepada mereka di dunia ini. Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka. Seperti dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hanya akan mengazab mereka pada hari Kiamat nanti. Dalam hadith riwayat Muslim ada disebut:

لَا أَحَدَ أَصْبَرُ عَلَى أَذًى يَسْمَعُهُ مِنْ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّهُ يُشْرَكُ بِهِ وَيُجْعَلُ لَهُ وَلَدٌ وَهُوَ يُعَافِيهِمْ وَيَدْفَعُ عَنْهُمْ وَيَرْزُقُهُمْ

Tidak ada yang lebih sabar atas suatu hinaan daripada Allah ‘azza wajalla. Dia dipersekutukan dan dituduh mempunyai anak, namun dengan kesemuanya Dia yang memberi kecukupan, menolak bala` daripada mereka dan memberi rezeki kepada mereka.” (Riwayat Muslim no. 2804 daripada Abu Musa Al Asy’ari رضي الله عنه. Sahih ijma’).

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mac 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 27 – 31 (Nabi Isa bercakap semasa bayi)

Ayat 27:

فَأَتَت بِهِ قَومَها تَحمِلُهُ ۖ قالوا يَـٰمَريَمُ لَقَد جِئتِ شَيئًا فَرِيًّا

Sahih International

Then she brought him to her people, carrying him. They said, “O Mary, you have certainly done a thing unprecedented.

 

Malay

Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!

 

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ

Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya;

Selepas sahaja Maryam berasa segar, kerana Allah ‎ﷻ telah beri makanan dan minuman kepadanya, lalu beliau membawa balik anaknya Nabi Isa عليه السلام bertemu dengan kaumnya. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Maryam membawa Nabi Isa عليه السلام ini selepas telah berlalu 40 hari.

Kalimah تَحْمِلُهُ (mendukung anaknya) adalah perkataan dalam present tense walaupun ia telah lama berlaku, seolah-olah ia sedang berlaku. Apabila Al-Qur’an menggunakan cara begini, Allah ‎ﷻ hendak kita bayangkan kita sedang berada di sana dan menyaksikan perkara itu sedang berlaku.

Kalimah أتى dan جاء dua-dua bermakna ‘datang’ daripada segi bahasa. Tetapi kenapa perkataan أتى digunakan dalam ayat ini? Kalimah أتى daripada segi bahasa bermaksud datang dengan senang. Maknanya tidak serabut atau datang dengan senang hati.

Ini memberi indikasi kepada kita yang Maryam tidak takut lagi dengan apa yang akan terjadi. Sebelum ini memang beliau risau – kita telah baca bagaimana risaunya beliau dengan apa yang terjadi pada dirinya. Kenapa sekarang beliau sudah tenang?

Ini kerana segala kejadian ajaib itu telah meyakinkan beliau yang Allah ‎ﷻ akan menjaganya. Jadi beliau sudah tidak risau lagi kerana itulah jika kita meletakkan keyakinan pada Allah ‎ﷻ kita akan menjadi tenang, kita tidak takut dengan sesiapa pun.

 

قَالُوا يَـٰمَريَمُ

mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam!;

Apabila kaumnya nampak Maryam membawa bayi, maka mereka terkejut dan memfitnah Maryam. Apakah yang mereka kata?:

 

لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا

Sesungguhnya engkau telah datang dengan suatu perkara yang amat mungkar!

Mereka berkata dengan kasar sekali. Padahal mereka adalah orang-orang alim dan daripada kaum keluarga beliau juga.

Kalimah جاء digunakan dalam ayat ini kerana ia mengandungi nada yang berat. Kesalahan berat yang dilakukan oleh Maryam pada pandangan mereka.

Kalimah فَرِيًّا berasal daripada perkataan yang digunakan tentang kulit yang telah melecur dan kulit itu teruk sangat sampai kena buang lapisan kulit yang sudah rosak itu (kudis). Jadi ia adalah sesuatu yang tidak disukai.

Juga digunakan dalam perkataan iftara – perbuatan melampau. Maknanya ia merujuk kepada sesuatu yang buruk. Digunakan dalam ayat ini kerana mereka mengatakan Maryam telah datang membawa anak haram, anak luar nikah.


 

Ayat 28: Seperti yang ditakuti oleh Maryam, mereka bukan sahaja menuduhnya sahaja tetapi ahli keluarganya juga. Sekarang lihatlah apa tuduhan mereka terhadap Maryam.

يَـٰٓأُختَ هٰرونَ ما كانَ أَبوكِ امرَأَ سَوءٍ وَما كانَت أُمُّكِ بَغِيًّا

Sahih International

O sister of Aaron, your father was not a man of evil, nor was your mother unchaste.”

 

Malay

“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

 

يَـٰٓأُختَ هٰرُونَ

Wahai saudara perempuan Harun

Kenapa digunakan nama Harun di sini? Adakah ia merujuk kepada Nabi Harun عليه السلام? Ini kena dibincangkan kerana Nabi Harun عليه السلام jauh daripada segi masa dengan Maryam – mungkin sudah berlalu beratus tahun dari waktu itu. Jadi tentulah ia bukanlah bermakna ayat ini hendak mengatakan yang Maryam adalah adik atau saudara kepada Nabi Harun عليه السلام.

Salah satu makna adalah: ia disebut dalam isyarat sahaja. Iaitu Maryam adalah keturunan Nabi Harun عليه السلام dan ia adalah sebagai rujukan kepada Nabi Harun عليه السلام yang bersifat mulia. Mereka hendak berkata: takkan keluarga Nabi Harun عليه السلام yang baik itu pun buat perkara begitu. Ini sudah memalukan Nabi Harun عليه السلام!

Banyak penggunaan bahasa yang seperti ini. Nabi ﷺ juga memanggil kita dengan panggilan ‘ikhwan’ walaupun kita tidak ada kaitan kekeluargaan dengan baginda. Oleh itu makna ‘ikhwan’ itu adalah mereka yang beriman dengan baginda walaupun tidak pernah berjumpa dengan baginda.

Kalau orang membazir pun Islam mengatakan orang seperti itu adalah ‘saudara’ syaitan. Bukanlah kita bersanak saudara dengan syaitan tetapi begitulah perkataan yang digunakan dalam Islam untuk menunjukkan pembaziran adalah satu amalan yang buruk.

Kaum Maryam itu berkata begitu kerana sengaja hendak memalukan Maryam. Mereka hendak berkata bahawa Maryam telah memalukan nama Nabi Harun عليه السلام. Mereka hendak kata bahawa Maryam telah melakukan perkara yang amat buruk dan telah terpalit sekali nama orang yang mulia.

Kenapa nama Nabi Harun عليه السلام yang digunakan dan bukan nama Nabi Musa عليه السلام? Bukankah Nabi Musa عليه السلام lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Harun عليه السلام? Ulama’ berpendapat ini adalah kerana sifat Nabi Harun عليه السلام yang lebih lembut daripada Nabi Musa عليه السلام. Kalau kita lihat dalam kisah Nabi Musa عليه السلام, kita boleh lihat bagaimana Nabi Musa عليه السلام sifatnya keras sekali. Maka, apabila mereka menyebut nama Nabi Harun عليه السلام, ia sebenarnya hendak merujuk kepada sifat lembut Nabi Harun عليه السلام. Ini adalah pendapat sahaja.

Daripada sirah, ada disebut bagaimana seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Mughirah رضي الله عنه telah berdakwah kepada penduduk Najran. Mereka juga mempersoalkan kenapa Nabi Harun عليه السلام yang disebut dalam ayat ini dan bukan Nabi Musa عليه السلام. Maka Mughirah رضي الله عنه telah menjawab bahawa beliau tidak tahu. Maka kita pun boleh pakai jawapan begini.

Pertamanya, ini mengajar kita bagaimana kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak tahu jawapannya. Walaupun Mughirah رضي الله عنه belajar sendiri dengan Nabi ﷺ, namun beliau tidak memandai-mandai menjawab dengan menggunakan fikirannya sendiri. Kalau beliau tidak mendapat maklumat daripada Nabi ﷺ, beliau tidak menjawab dengan apa yang beliau tidak tahu. Maka, beliau telah jawab bahawa beliau tidak tahu.

Kita pun kena macam itu juga – kalau tidak tahu, kena cakap tidak tahu. Jangan bercakap tanpa dalil. Tetapi selalunya, kita susah hendak buat macam itu. Susah untuk kita mengaku yang kita tidak tahu. Kita akan cuba jawab juga walaupun kita tidak tahu. Kita akan gunakan akal fikiran kita sendiri untuk beri jawapan, padahal jawapan daripada akal kita mungkin tidak benar.

Ini memang ujian untuk orang berilmu; Maka, hendaklah kita belajar untuk merendahkan diri dan mengaku yang kita tidak tahu apabila kita ditanya dengan soalan yang kita tidak ada kepastian tentangnya.

Apabila Mughirah رضي الله عنه merujuk persoalan itu kepada Nabi ﷺ, baginda menjawab bahawa tidakkah mereka tahu bahawa manusia akan menamakan anak mereka dengan nama para Nabi? – kita pun macam itu juga, menamakan anak kita dengan nama para Nabi. Kerana kita berharap supaya anak-anak kita akan mengikut jejak langkah para Nabi itu.

Maka, ini bermakna, ada kemungkinan bahawa memang Maryam ada seorang abang atau sepupu yang bernama Harun. Jadi ia bukanlah merujuk kepada Nabi Harun عليه السلام yang kita kenali, tetapi seorang lelaki yang bernama Harun. Harun itu seorang yang baik dan dipandang tinggi dalam masyarakat pada waktu itu. Memang ada riwayat yang menceritakan tentang seorang lelaki baik yang dipandang tinggi, sampaikan apabila beliau meninggal, sebanyak 40 ribu orang datang mengunjunginya.

Jadi mereka hendak mengatakan bahawa Maryam telah merosakkan nama baik Harun itu. Jadi, mereka bukan sahaja menuduh Maryam tetapi mereka juga telah memburukkan nama ahli keluarganya juga. Ini tidak jauh beza dengan masyarakat kita, maka senang sahaja untuk kita bayangkan. Selalunya yang suara kuat itulah orang yang jahil. Sebab orang bijak dan baik, selalunya senyap sahaja.

Dalam sejarah Yahudi juga, kita boleh jumpa bagaimana mereka menyalahkan Nabi Harun عليه السلام dalam hal penyembahan anak patung lembu. Padahal, Nabi Harun عليه السلام telah melarang mereka daripada berbuat syirik. Mereka telah menuduh Nabi Harun, عليه السلام begitu juga sekarang mereka menuduh pula Maryam.

 

مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ

bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya;

Mereka hendak menyakitkan hati Maryam lagi. Mereka kata bukanlah bapa Maryam orang jahat, bukan kaki perempuan. Mereka juga mengaitkan nama baik bapa Maryam dalam tuduhan mereka itu. Mereka hendak kata: Bapa kamu tak buat, kenapa kamu buat?

 

وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا

dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!;

Mereka timbulkan ibu Maryam pula. ‘Perempuan jahat’ itu bolehlah kita andaikan sebagai pelacur. Bila mereka kata bukanlah ibu Maryam seorang pelacur, seolah-olah mereka hendak kata yang Maryam itu buat kerja macam pelacur!

Perkataan بَغِيًّا telah pernah kita sebutkan dahulu dan sekarang perkataan yang sama digunakan sekali lagi. Mereka hendak kata bahawa ibubapa Maryam orang yang baik-baik, jadi macam mana Maryam boleh bawa anak luar nikah pula? Begitulah kata-kata mereka kepada Maryam. Ini memang tuduhan yang amat panas di telinga.

Mereka sebenarnya bukan puji ibubapa Maryam. Tetapi mereka telah menjatuhkan martabat mereka. Kita pun tahu anak-anak mencerminkan ibubapa mereka. Jadi, kalau Maryam buat sesuatu yang jahat, maka mereka hendak kata bahawa ibubapa mereka itu bukanlah orang yang baik rupanya, pada pandangan mereka.

Sekarang mereka sedang menuduh dan mengutuk Maryam di hadapan orang ramai. Selalunya, kalau ada orang buat begitu kepada kita, tentu kita akan bertindak mengata balik. Atau mempertahankan diri dengan keras, bukan? Tetapi Maryam tidak berbuat begitu.

Beliau adalah seorang yang taat dan amat baik sekali. Beliau juga seorang yang amat penyabar. Beliau telah mengikut arahan Allah ‎ﷻ supaya tidak berkata apa-apa. Lihatlah apa yang Maryam telah lakukan.


 

Ayat 29:

فَأَشارَت إِلَيهِ ۖ قالوا كَيفَ نُكَلِّمُ مَن كانَ فِي المَهدِ صَبِيًّا

Sahih International

So she pointed to him. They said, “How can we speak to one who is in the cradle a child?”

 

Malay

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

 

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya;

Sebab Maryam sudah bernazar tidak bercakap, maka beliau guna isyarat sahaja. Maryam telah diajar untuk buat begitu, iaitu jangan jawab apa-apa, cuma isyarat sahaja kepada Nabi Isa عليه السلام‎. Allah ‎ﷻ yang mengarahkan Maryam untuk menunjuk kepada Nabi Isa عليه السلام yang masih bayi itu. Sebab kalau beliau hendak jawab pun, beliau tidak tahu hendak jawab macam mana.

Kalau Allah ‎ﷻ tidak spesifik suruh tunjuk kepada bayi itu, Maryam pun sudah tahu yang bayi yang dilahirkannya itu adalah bayi yang ajaib. Maka, beliau hanya tunjuk sahaja kepada Nabi Isa عليه السلام. Beliau sudah agak sesuatu akan terjadi yang akan membersihkan namanya. Beliau pun sudah lihat berbagai-bagai perkara ajaib yang telah berlaku kepada dirinya.

Ataupun, kalau kita terima pendapat bahawa Nabi Isa عليه السلام sudah mula berbicara dari mula lagi semasa baginda telah dilahirkan, maka yang memberitahu kepada Maryam adalah Nabi Isa عليه السلام sendiri. Nabi Isa عليه السلام suruh ibunya diam dan baginda sendiri yang akan berbicara dengan kaum itu.

 

قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا

Mereka berkata: “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak yang masih dalam buaian?”;

Apabila Maryam isyarat begitu, mereka tidak dapat terima. Mereka sangka Maryam mempermain-mainkan mereka. Mereka mengharap Maryam yang jawab, tetapi Maryam hanya tunjuk sahaja kepada anak yang masih bayi itu.

Kalimah الْمَهْدِ bermaksud anak itu masih lagi dalam pelukan ibunya kerana masih lagi menyusu. Kalau normalnya, memang bayi yang sebegitu tidak tahu apa-apa. Masih lagi menyusu, bukan boleh mempertahankan dirinya pun.


 

Ayat 30: Lihatlah apa terjadi apabila kaumnya berkata begitu kepada ibunya. Nabi Isa عليه السلام terus turun daripada dukungan ibunya dan terus berjalan dan kemudian duduk antara dua sujud sambil berkata:

قالَ إِنّي عَبدُ اللَّهِ ءَاتَٮٰنِىَ الكِتٰبَ وَجَعَلَني نَبِيًّا

Sahih International

[Jesus] said, “Indeed, I am the servant of Allah. He has given me the Scripture and made me a prophet.

 

Malay

Dia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.

 

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ

Dia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah;

Kalimah ini menidakkan kata-kata orang Yahudi yang mengatakan ibunya berzina dan melahirkan anak luar nikah, anak haram. Tidaklah ibunya berzina tetapi kelahirannya itu adalah tanda kebesaran Allah ‎ﷻ. Baginda menegaskan yang baginda adalah ‘hamba Allah ‎ﷻ’.

Dan ini juga menafikan kata-kata orang Kristian yang mengatakan baginda adalah ‘anak Tuhan’. Tidak sama sekali. Sebenarnya, baginda adalah hamba Allah ‎ﷻ.

Jadi, dalam ayat ini, menidakkan kedua-dua tuduhan orang Yahudi dan Kristian. Jadi, kata pertama yang keluar daripada mulut Nabi Isa adalah membesarkan Allah ‎ﷻ dan menidakkan fahaman karut Kristian yang mengatakan baginda adalah anak Allah ‎ﷻ. Baginda menegaskan dalam ayat ini bahawa baginda hanyalah ‘hamba Allah ‎ﷻ’.

Ada juga yang mengatakan apabila kaumnya menuduh ibunya, Nabi Isa عليه السلام yang sedang menyusu mencabut mulutnya daripada puting payudara ibunya dan bersandar di atas lambung kirinya dan mula berkata seperti dalam ayat ini.

Nabi Isa عليه السلام hanyalah seorang manusia biasa. Kuasa Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan baginda dilahirkan tanpa bapa. Bukan kerana baginda adalah ‘anak Allah ‎ﷻ’. Kelahiran ajaib baginda adalah atas kuasa Allah ‎ﷻ, bukan kuasa baginda sendiri.

 

ءَاتَٮٰنِىَ الْكِتٰبَ

Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil);

Ada Mufassir yang kata baginda telah diberi terus dengan kitab Injil semasa masih bayi lagi dan ada yang kata selepas itu iaitu apabila apabila sudah dewasa. Yang kata baginda telah diberikan Injil semasa bayi lagi adalah kerana nahu yang digunakan dalam perkataan آتَانِيَ itu dalam dalam bentuk “past tense”. Kalau begitu ia bermaksud, Allah ‎ﷻ telah memberikan Injil kepada baginda.

Dan yang kata baginda akan diberikan itu adalah kerana mereka mengambil kira lenggok bahasa Al-Qur’an. Kadang-kadang apabila Al-Qur’an menggunakan “past tense” untuk perkara yang belum terjadi adalah untuk mengatakan bahawa ia akan pasti terjadi.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengatakan kaum muslimin ‘telah’ menang dalam Fath Makkah. Padahal ia belum terjadi lagi. Itu untuk menunjukkan bahawa mereka pasti akan menang.

Atau, yang dimaksudkan baginda telah diberi itu adalah Kitab Taurat, iaitu Kitab waktu itu. Berbeza dengan Nabi Yahya عليه السلام, di mana Allah ‎ﷻ menyuruh Nabi Yahya عليه السلام memegang Kitab Taurat kuat-kuat. Bermaksud, Nabi Yahya عليه السلام kena belajar Kitab Taurat. Tetapi Nabi Isa عليه السلام telah diberi terus dengan pemahaman Kitab Taurat.

Kalau rabbi-rabbi tidak percaya, mereka boleh sahaja uji baginda. Dan memang Nabi Isa عليه السلام selalu berhujah dengan mereka tentang Kitab Taurat itu.  Nabi Isa عليه السلام telah memberitahu mana bahagian Kitab Taurat yang telah diubah dan telah ditambah oleh para rabbi Yahudi itu. Itulah sebabnya mereka marah kepada baginda kerana baginda telah memecahkan tembelang mereka. Dan kerana itu mereka buat rancangan untuk membunuh baginda.

Kitab Taurat telah ada masa itu dan masih lagi digunakan sebagai sumber hukum syari’at. Ia adalah termasuk dalam “Old Testament” (Perjanjian Lama) yang ada sekarang ini (bukan semuanya). Ia mengandungi hukum-hukum yang masih terpakai lagi pada waktu itu. Nabi Isa عليه السلام sendiri berkata bahawa tugasnya adalah menegakkan Taurat. Bukanlah Kitab Injil itu hendak menggantikan Kitab Taurat. Maka kena sedar yang Kitab Taurat mengandungi hukum-hakam syariat yang masih lagi terpakai waktu itu.

Manakala Injil mengandungi peringatan-peringatan dan perkara-perkara ilmu spiritual. Ia adalah tambahan kepada Kitab Taurat yang telah ada. Injil yang dimaksudkan dalam ayat ini ada dalam sebahagian daripada “New Testament” (Perjanjian Baru) yang ada sekarang. Tetapi sudah ditukar dan sudah jadi caca merba oleh kerana tangan paderi dan ahli agama mereka. Yang mula menukar adalah lelaki yang bernama Paul.

Maka kita kena tahu yang tugas Nabi Isa عليه السلام bukanlah hendak menukar syari’at tetapi meneruskan tugas Nabi dan rasul yang terdahulu.

 

وَجَعَلَنِي نَبِيًّا

dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi;

Allah ‎ﷻ hanya melantik Nabi Isa عليه السلام menjadi Nabi lagi Rasul, bukannya melantik baginda menjadi anak-Nya. Ada yang kata baginda telah dijadikan Nabi semenjak kecil lagi dan ada yang kata apabila telah dewasa.


 

Ayat 31:

وَجَعَلَني مُبارَكًا أَينَ ما كُنتُ وَأَوصٰني بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّڪَوٰةِ ما دُمتُ حَيًّا

Sahih International

And He has made me blessed wherever I am and has enjoined upon me prayer and zakah as long as I remain alive

 

Malay

Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

 

وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ

Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada

Maknanya, baginda memberi manfaat kepada manusia, di mana sahaja baginda berada.

Diberikan berkat kepada baginda kerana baginda buat kerja dakwah. Maka kalau hendak berkat, hendaklah kita pun berdakwah juga – kerana kerja dakwah adalah kerja para Nabi. Hendaklah kita pun menyebarkan agama kepada orang. Barulah dapat berkat.

Bukannya dengan ambil berkat dengan guru. Cium tangan guru, baju guru, peluk kaki guru dan sebagainya. Dan juga tidak boleh minta berkat dengan Nabi Muhammad ﷺ sekali pun. Itu adalah perbuatan-perbuatan syirik – dilakukan oleh mereka yang sesat dan salah faham dengan agama.

Banyak orang ada masalah dengan perkara berkat ini. Kerana mereka salah faham dan kerana mereka telah diajar oleh guru-guru yang salah faham juga. Guru-guru yang sesat memang suka kalau anak murid mereka memuliakan mereka (contohnya ambil berkat dengan mereka) kerana mereka dapat menguasai anak murid mereka dan mendapat imbuhan daripada mereka.

Kalimah مُبَارَكًا diambil daripada kata baraka. Makna baraka daripada segi bahasa bermaksud sesuatu yang sentiasa diisi dan berkekalan. Maka keberkatan yang dimaksudkan adalah keberkatan yang berkekalan. Allah ‎ﷻ adalah punca segala berkat.

Kalimah مُبَارَكًا dalam ayat ini bermaksud sesuatu yang ‘amat-amat berkat’. Ke mana sahaja Nabi Isa عليه السلام pergi, baginda akan membawa berkat itu dan melimpahkan berkat itu. Nabi Isa عليه السلام juga menjadi tanda keberkatan Allah ‎ﷻ.

Kalimah مُبَارَكًا bukan sahaja bermaksud diberkati, tetapi juga bermaksud punca untuk mendapat berkat. Apakah maksudnya? Kerana baginda adalah Nabi dan rasul, bukan sahaja baginda membawa risalah, tetapi baginda juga hendaklah diikuti oleh umat baginda.

Inilah yang dinamakan Ittiba‘. Mengingatkan manusia bahawa untuk mendapat berkat, maka hendaklah kita mengikut cara hidup para rasul. Allah ‎ﷻ adalah sumber berkat dan Nabi dan rasul adalah pintu berkat itu.

Bukanlah maksud cara mendapat berkat dengan mereka itu seperti yang dilakukan oleh mereka yang sesat yang berdoa: ‘dengan berkat Nabi sekian sekian….” Itu adalah tawassul dan tawassul adalah perbuatan orang kafir. Yang dimaksudkan para Nabi adalah laluan untuk mendapatkan berkat itu adalah, kita kena ikut amalan dan cara hidup mereka. Kita kena ikut fahaman agama mereka. Bukan yang kita reka sendiri.

Para Nabi telah diturunkan sebagai panduan ikutan untuk kita. Tidak payah kita hendak mereka-reka ibadat dalam agama. Tidak payah kita memandai kata sesuatu amal ibadat itu baik dan adalah ‘bid’ah hasanah’ kalau tidak ada dalil daripada amalan Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Bukan kerja kita untuk mengatakan sesuatu itu baik dalam perkara ibadat, hanya kerana kita yang kata ia adalah baik. Hendaklah kita ingat, kalau ia adalah perkara baik, tentu Nabi ﷺ dan para sahabat sudah lama buat.

Dalam ayat ini disebut: ‘di mana sahaja’ bermaksud: dalam setiap keadaan dan situasi, kita kena mengikut contoh Nabi. Tidak kira di mana kita berada. Bukan dalam hal ibadat sahaja tetapi dalam semua keadaan kehidupan.

Kita tidak ketemu dalam sirah yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام ada berhijrah jauh. Maka ini boleh bermaksud daripada segi ‘masa’. Iaitu Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan turun semula. Dalam ayat ini telah diberi isyarat tentang hal itu. Iaitu walaupun Nabi Isa عليه السلام tidak berhijrah dalam dunia, tetapi baginda telah naik ke langit.

Ulama’ ada juga mentafsirkan maksud ‘keberkatan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ di mana sahaja baginda berada. Bermakna, Nabi Isa عليه السلام menjalankan kerja dakwah dan memberi nasihat di mana sahaja baginda berada.

 

وَأَوْصَانِي بِٱلصَّلَوٰةِ

dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang

Menjaga solat adalah merangkumi jaga kebersihan, zahir dan batin. Najis zahir adalah pada pakaian dan tempat solat. Najis batin adalah syirik dalam hati. Hendaklah kita membersihkan syirik yang ada dalam hati kita. Dan hendaklah kita solat macam mana Nabi ﷺ ajar. Jangan kita pula tambah mana-mana cara solat.

Antaranya, jangan kita raup muka kita lepas solat kerana ia tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Tak perlu juga kita lafaz niat solat kerana itu juga tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Dan macam-macam lagi perkara yang perlu kita pelajari tentang hal-hal solat. Ia sudah ada dalam kitab-kitab hadith yang sahih. Janganlah kita hanya baca kitab-kitab fiqh karangan manusia. Hendaklah kita belajar terus daripada kitab yang berhujah dengan hadith.

Daripada ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa ibadat solat bukan hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja tetapi kepada umat-umat terdahulu juga. Kita tidak pasti bagaimanakah cara solat itu dijalankan dan berapakah waktu solat itu. Mungkin dengan cara dan syariat yang berlainan dengan kita sekarang – itu kita tidak tahu dan tidak perlu kita tahu.

Yang pasti, mereka juga telah disuruh untuk solat. Banyak disebut tentang solat diarahkan kepada Nabi-Nabi yang lain. Maka jangan sangka hanya kita sahaja yang disuruh untuk solat.

Kalimah أَوْصَانِي diambil daripada kata wasiyyah atau wasiat yang kita biasa gunakan. Kadang-kadang kita beri ‘wasiat terakhir’ sebagai satu arahan akhir untuk diikuti. Ia adalah satu penekanan dalam arahan atau nasihat untuk melakukan sesuatu. Makanya, ia kena dilakukan kerana ia adalah arahan yang kuat.

Balaghah: Al-Qur’an menggunakan perkataan yang tepat setiap kali dan kalau kita tahu bahasa Arab sedikit, kita akan dapat memahami bagaimana penggunaan itu amat tepat sekali.

Kadangkala Allah menggunakan kalimah kalimah أَوصَ iaitu dari kata dasar و ص ي (darinya jadi kalimah wasiat). Ia digunakan di dalam Al-Qur’an apabila diberikan pesanan yang penting. Tapi kata dasar ini boleh digunakan di dalam beberapa bentuk. Kalimah أَوصَ di dalam ayat ini dalam bentuk wazan IV (wazan أفعل) sedangkan ada penggunaan dalam bentuk wazan lain di dalam ayat-ayat yang lain.

Sebagai contoh, ada kalimah وَصّىٰ iaitu kata dasar و ص ي di dalam bentuk wazan II (wazan فعّل) yang juga kalau diterjamahkan ke dalam Bahasa Melayu, ia sama sahaja. Tapi kalau dalam Bahasa Arab, perbezaan wazan membawa maksud yang berbeza. Begitulah hebatnya Bahasa Arab.

Iaitu kalau dalam wazan فعّل, ia berbentuk sesuatu yang selalu, berterusan, sedikit demi sedikit dan berulang. Sedangkan kalau dalam wazan أفعل, ia merujuk kepada perbuatan yang sekali sahaja.

Sebagai contoh, penggunaan kalimah أَوصَ dalam ayat Nisa:11 adalah tepat kerana arahan untuk membahagikan harta bukanlah selalu. Ia berlaku sekali sekala sahaja.

Sedangkan penggunaan kalimah وَصّىٰ lebih banyak seperti di dalam Baqarah:132, Ali Imran:131, An’am:144, An’am:151, Ankabut:8, Luqman:14, Shura:13, Ahqaf:15. Ini kerana ayat-ayat ini adalah arahan tentang arahan agama tentang perkara yang berulang-ulang dan selalu.

Yang menjadi agak pelik sedikit ayat ini apabila Nabi Isa mengatakan tentang arahan Allah dalam bab solat. Digunakan kalimah أَوصَ pula dalam ayat ini walaupun ia arahan solat (dan tentunya arahan yang berterusan dan selalu, bukan?) Tapi kalau kita melihat konteks ayat ini, ia arahan kepada Nabi Isa ketika baginda masih bayi lagi (baginda berkata ketika masih bayi). Maka tentulah taklif solat belum dikenakan kepada baginda lagi.

Sekian perbincangan balaghah.

 

وَٱلزَّڪَوٰةِ

dan memberi zakat

Boleh membawa makna Zakat wang seperti yang kita fahami sekarang ataupun menyucikan diri daripada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Jadi, ia ada dua makna: zahir dan batin.

Oleh kerana ia disebut selepas disebut tentang solat, maka ia juga boleh bermaksud kita membersihkan diri kita semasa solat. Bersih dari segi zahir dan batin. Kalau zahir, membersihkan badan, baju dan tempat solat kita.

Dan makna batin itu bermaksud membersihkan niat kita supaya ikhlas dalam solat itu. Kita solat hanya solat kerana Allah ‎ﷻ sahaja, bukan sebab orang lain. Kadang-kadang kita solat hanya kerana ada orang yang kita malu dengan mereka, maka kita solatlah juga.

Kalau hendak tahu kita solat ikhlas atau tidak, lihatlah cara kita solat di hadapan orang dan kalau kita bersendirian. Kalau kita solat hebat di hadapan orang, tetapi apabila kita bersendirian, kita buat lebih kurang sahaja, maka ada masalah dalam keikhlasan kita.

Dan kita membersihkan hati kita daripada perkara-perkara lain dalam solat supaya kita khusyuk dalam solat. Selesaikan perkara-perkara yang boleh mengganggu kita dalam solat. Kalau kita rasa hendak kencing, kita kencing dahulu. Kalau kita lapar, makan dahulu.

Solatlah di tempat yang sunyi dan tidak ada gangguan. Jangan kita solat berdekatan dengan TV dan radio kerana ia boleh mengganggu kita dalam solat. Matikan terus telefon bimbit kita, jangan “vibrate” sahaja. Sebab kalau “vibrate”, fikiran akan terbayang pula siapakah yang telefon kita waktu itu.

Jadi ada banyak makna yang kita boleh ambil daripada satu perkataan sahaja. Itulah mukjizat dan kelebihan Al-Qur’an. Kita boleh pakai kesemua makna yang ada. Bukan kita hanya perlu pilih satu sahaja.

 

مَا دُمْتُ حَيًّا

selagi aku hidup

Kerana, apabila baginda diturunkan semula ke bumi, baginda masih lagi kena melakukan solat dan zakat.

Begitu pentingnya solat itu sampaikan selagi nyawa kita masih ada, kita kena solat. Kalau tidak sihat pun kena solat. Kalau tidak boleh berdiri, duduk. Kalau tidak boleh duduk, baring. Paling kurang, kita solat dengan mata kita kalau langsung tidak boleh bergerak.

Lihatlah bagaimana Nabi ﷺ di hujung hayatnya. Walaupun baginda sudah lemah sangat sampaikan tidak boleh berjalan sendiri, baginda telah dipapah oleh dua orang sahabat untuk ke masjid. Sampaikan kaki baginda menyeret tanah kerana baginda tinggi sedikit daripada orang lain.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه ditikam, dalam keadaan beliau sedang sakit tenat, beliau terdengar azan. Maka beliau terus mahu bergerak ke masjid untuk solat. Sampaikan orang yang di sekelilingnya kehairanan. Dalam kesakitan pun beliau hendak juga pergi ke masjid untuk solat. Kerana beliau teringat sabda Nabi ﷺ: “Tidak ada agama bagi orang yang tidak solat.”

Malangnya orang kita ambil lewa sahaja hal solat. Mereka solat mahu tak mahu. Kalau solat pun, mereka tidak tenang, tidak khusyuk – fikiran mereka menerawang entah ke mana. Kalau kita sedang menonton TV, kita solat sewaktu iklan keluar. Jadi solat kita tergesa-gesa kerana kita tidak mahu ketinggalan rancangan yang kita sedang tengok itu.

Kalau kita sakit, kita rasa macam kita sudah ada lesen untuk tidak solat. Malangnya ramai dalam kalangan kita ambil mudah dengan solat. Kita sangka kita boleh ganti solat itu. Namun berapa ramai yang sakit, tetapi terus meninggal dan tidak sempat mengganti solat yang mereka tinggalkan? Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang sebegitu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Maryam Ayat 22 – 26 (Maryam mengandung)

Ayat 22:

۞ فَحَمَلَتهُ فَانتَبَذَت بِهِ مَكانًا قَصِيًّا

Sahih International

So she conceived him, and she withdrew with him to a remote place.

 

Malay

Maka Maryam mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

 

فَحَمَلَتْهُ

Maka Maryam mengandungnya;

Apabila Jibril عليه السلام meniup roh kepada Maryam, terus sahaja Maryam mengandung. Jibril عليه السلام tidak sentuh pun Maryam. Jibril عليه السلام telah meniup roh ke dalam lengan baju Maryam dan roh itu turun mengalir ke faraj Maryam. Ini bermakna, Roh ciptaan Allah ‎ﷻ terus dimasukkan ke dalam tubuh Maryam.

Maka Maryam terus mengandung. Mengandung itu terus kepada peringkat hendak beranak. Kalau keadaan biasa, sarat mengandung sembilan bulan. Tetapi, Maryam terus mengandung dan hampir sedia untuk melahirkan anak itu.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan Maryam mengandung selama sembilan bulan seperti manusia biasa juga. Dan ada juga riwayat yang mengatakan beliau mengandung selama 40 hari. Allahu a’lam.

 

فَانْتَبَذَتْ بِهِ

lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya;

Apabila Maryam berasa hendak bersalin, maka Maryam telah pergi ke tempat lain.

Perkataan فَانْتَبَذَتْ ini telah digunakan sebelum ini. Kali ini ditambah بِهِ. Penggunaan ب dalam ayat بِهِ ini adalah penggunaan ‘sebab’. Bermakna, Maryam mengasingkan diri *kerana* kandungannya itu. Kenapa beliau mengasingkan diri?

Untuk memahami sebabnya, kita kena lihat kembali siapakah Maryam itu. Maryam adalah anak yang baik. Sepanjang hidupnya beliau berada atas jalan agama – dia tinggal di masjid, belajar agama dan sebagainya. Dan kita pun sudah tahu yang dia biasa dapat makanan terus dari Allah.

Ibubapanya juga adalah orang yang baik. Kerana itulah ibunya memberikan beliau kepada jalan agama. Beliau pula dijaga oleh bapa saudaranya Nabi Zakaria عليه السلام, seorang Nabi yang mulia. Jadi bayangkan kedudukannya di mata masyarakat.

Tetapi apakah akan terjadi apabila beliau melahirkan anak tanpa seorang bapa? Beliau tahu apa yang akan terjadi. Beliau terima dengan rela apa yang terjadi. Beliau telah percaya bahawa yang datang kepadanya itu adalah seorang malaikat dan apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ. Beliau sanggup untuk menerima kesan dari kejadian yang telah ditentukan oleh Allah ‎ﷻ itu – mendapat anak tanpa ayah. Tetapi bagaimana dengan orang lain?

Maka kerana itulah Maryam terpaksa mengasingkan diri. Beliau hendak menyelamatkan keluarganya dan pengasuhnya (Nabi Zakaria عليه السلام) daripada dicemuh orang. Beliau pun tahu masyarakat macam mana. Manusia akan mengata tentang orang lain tanpa ilmu. Senang sekali mereka hendak menyalahkan orang lain. Manusia bukan sahaja akan mencemuh dirinya sahaja tetapi kepada keluarga dan pengasuhnya juga.

Beliau tidak mahu jadi macam itu nanti. Beliau juga tidak mahu mencemarkan nama agama. Orang akan kata: “Orang agama pun macam itu, tak boleh percaya!” Nanti mereka akan menyalahkan ibubapa dan gurunya Nabi Zakaria عليه السلام. Jadi, Maryam pergi jauh itu kerana hendak menjaga nama baik ahli keluarganya dan juga nama baik agama. Beliau tidak mahu kerananya, nama orang lain (dan juga agama) akan terpalit.

Pengajaran untuk kita adalah jangan kita jangan jadi salah seorang dari kalangan masyarakat yang sebegitu. Jangan kita mengata orang lain tanpa kita usul periksa, tanpa kita tahu kedudukan yang sebenar sesuatu perkara itu. Kita sangka kita sahaja yang baik sampaikan kalau ada orang lain yang buat salah, kita caci mereka dan kutuk mereka tanpa usul periksa.

Ini juga mengajar kita: kalau kita orang agama, kenalah kita jaga nama baik kita. Supaya jangan memburukkan nama Islam. Sebab kita seperti mewakili agama. Ikutlah Sunnah Maryam ini. Jangan kita buat perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang memburuk-burukkan Islam.

Antaranya orang luar akan berkata: “Lihatlah Islam itu bukan agama yang baik, kerana orang-orang Islam tidak baik sama sekali.” Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang: ramai non-Muslim mengatakan mereka tidak teringin hendak masuk Islam kerana melihat perangai buruk Muslim.

 

مَكَانًا قَصِيًّا

ke tempat yang jauh;

Mengikut riwayat, Maryam telah pergi ke BaitulLaham. Beliau pergi jauh ke sebalik bukit. Waktu itu, tempat itu tidak ada orang. Sekarang ia adalah tempat yang terkenal kerana dikenali sebagai tempat kelahiran Nabi Isa عليه السلام.

Namun dalam ayat yang lain, ada disebutkan bagaimana Allah ‎ﷻ telah membawa Maryam ke tempat yang tinggi dan ada air. Ini ada disebut dalam Mu’minoon:50.

وَجَعَلنَا ابنَ مَريَمَ وَأُمَّهُ آيَةً وَآوَيناهُما إِلىٰ رَبوَةٍ ذاتِ قَرارٍ وَمَعينٍ

Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam berserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.

Begitulah Allah ‎ﷻ menjaga Maryam kerana seperti kita tahu, seorang wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anak, emosi mereka tidak boleh tertekan. Kalau tertekan, akan menyebabkan kandungan mereka terganggu. Maka Allah ‎ﷻ telah menyediakan tempat yang selesa dan yang boleh menenangkan beliau.

Kalimah قَصِيًّا bermaksud ‘jauh’, di hujung sesuatu. Dalam Yaasin:20 ada digunakan kata ini. Perkataan yang digunakan dalam ayat itu adalah  أَقْصَى الْمَدِينَةِ. Maksud ayat itu adalah ‘hujung bandar’. Dan kalimah قَصِيًّا dalam surah Maryam ini digunakan dari segi bahasa Arab dalam bentuk ‘sangat’. Maksudnya sangat jauh.

Selalunya apabila seorang wanita hampir hendak bersalin, dia akan bersama keluarganya. Ramai yang akan memberi bantuan dan sokongan. Tetapi lihatlah apa yang Maryam kena hadapi. Beliau terpaksa membawa dirinya keseorangan, dalam keadaan sarat hendak melahirkan anak.

Waktu itu, tentulah beliau dalam kesakitan dan lemah yang amat. Namun beliau meneruskan juga perjalanannya ke tempat yang jauh kerana hendak menjaga nama baik agama dan keluarganya. Lihatlah kekuatan semangatnya. Luluh hati kita apabila membaca kisah beliau.


 

Ayat 23:

فَأَجاءَهَا المَخاضُ إِلىٰ جِذعِ النَّخلَةِ قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا

Sahih International

And the pains of childbirth drove her to the trunk of a palm tree. She said, “Oh, I wish I had died before this and was in oblivion, forgotten.”

 

Malay

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

 

فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ

Maka sakit beranak itu memaksanya pergi;

Apabila sudah sakit, Maryam sudah tidak boleh berdiri sendiri. Waktu itu beliau terpaksa mencari tempat berlindung dan menampung dirinya.

Kalimah أَجَاءَ bermaksud ‘memaksa untuk pergi’. Kalau perkataan جَاءَ, ia bermaksud ‘datang’. Tetapi perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَجَاءَ. Kesakitan untuk bersalin telah memaksa Maryam untuk pergi. Pergi ke mana? Allah ‎ﷻ sebut dalam bahagian seterusnya.

Kalimah الْمَخَاضُ diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘air dalam bekas yang digoncang’. Ayat ini hendak membayangkan pergerakan anak dalam rahim ibu. Iaitu air ketuban dalam perut ibu itu yang terasa goncangannya yang kuat.

Atau untuk menceritakan sakit kontraksi dalam perut apabila hendak bersalin. Jadi, sakit hendak bersalin itu telah memaksanya pergi ke suatu tempat.

 

إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ

ke pangkal sebatang pohon tamar;

Ada riwayat yang kata pohon kurma itu sudah tua dan mati. Tetapi dihidupkan kembali oleh Allah ‎ﷻ.

Ahli tafsir berbeza pendapat tentang kedudukan tempat ini. Ada riwayat yang mengatakan bahawa tempat ini adalah di BaituLaham (Bethelhem). Inilah juga kepercayaan orang Kristian. Oleh itu, tempat itu adalah satu tempat yang mulia untuk mereka.

Kenapa Maryam pergi ke sana? Untuk bersandar kerana beliau sedang sakit perlu mendapatkan sokongan. Bayangkan Maryam dalam keadaan sakit yang amat sangat waktu itu. Dalam berseorangan sahaja, tanpa ada sesiapa yang bersamanya yang boleh menolongnya.

 

قَالَتْ يَـٰلَيتَنِى

dia berkata alangkah baiknya,

Ini adalah kata-kata seorang perempuan yang tidak tahu lagi hendak mencari jalan penyelesaian. Beliau dalam keadaan yang susah, sampaikan mulutnya menyebut perkataan ini.

Beliau rasa terkesan dengan apa yang sedang terjadi padanya. Tetapi kenapa sampai jadi macam begitu sekali? Bukankah beliau redha dengan apa yang terjadi kepadanya? Bukankah kita telah belajar bahawa Maryam adalah orang ahli agama? Bukankah beliau sepatutnya redha dengan apa yang terjadi kepadanya?

Ini mengajar kita supaya jangan cepat menuduh orang lain kalau kita tidak faham apakah situasi yang dihadapi oleh seseorang itu. Kita tidak berada dalam kedudukannya waktu itu.

Kita tahu bahawa beliau adalah manusia yang kuat dan tegar imannya. Namun sekarang beliau sudah hampir sangat melahirkan anaknya itu. Beliau juga adalah manusia biasa yang terkesan dengan kejadian-kejadian yang menimpa dirinya.

 

مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا

kalau aku mati sebelum ini;

Beliau berharap supaya beliau tidak pernah dihidupkan. Kerana beliau sudah dapat agak apa yang orang ramai akan kata kalau mereka tahu tentang perkara ini. Jadi beliau harap beliau mati sebelum beliau jadi macam itu.

Sebab beliau risau yang beliau akan terpaksa menghadapi manusia-manusia yang tentunya akan mengata macam-macam. Kalau beliau tidak pernah dilahirkan, beliau tidak perlu mengadap perkara ini.

 

وَكُنْتُ نَسْيًا

dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang

Kalimah نَسْيًا daripada kata makna yang bermaksud ‘perkara yang senang kita lupa’. Macam barang-barang kecil yang kita lupa hendak bawa. Contohnya, bila sudah dalam perjalanan ke tempat kerja, barulah kita sedar ada dokumen yang kita tertinggal di rumah. Ataupun kita lupa hendak membawa sapu tangan kita. Kerana ia bukanlah perkara yang penting, perkara kecil sahaja, maka kita senang lupa.

 

مَّنْسِيًّا

tidak dikenang-kenang!;

Itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Maryam. Memang kadang-kadang orang yang mengandung akan cakap macam-macam. Ada yang menyumpah dan menyalahkan suaminya pun ada juga. Maka jangan kita pandang serong kepada Maryam.

Kalimah مَنْسِيًّا digunakan untuk menguatkan harapan supaya beliau dilupakan. Memang beliau berharap beliau dilupakan *sungguh*. Beliau berharap supaya tidak ada sesiapa yang akan ingat kepadanya seperti beliau tidak pernah wujud. Kadang-kadang kita lupa sesuatu, kita sampai lupa bahawa ada benda yang kita lupa. Sebab kita tidak kisah sangat perkara itu. Itulah lebih kurang maksud perkataan ini.

Lihatlah kepada sifat kudus Maryam. Beliau sanggup tidak jadi apa-apa, selagi beliau tidak menyebabkan orang lain susah dengan sebab dirinya. Beliau rela berkorban. Beliau sanggup tidak lahir, tidak dikenali, tidak diingati daripada maruahnya tercalar.

Ini mengajar kita bahawa kita kalau kita orang agama, yang dijadikan contoh oleh orang lain, kenalah menjaga nama baik kita, kenalah menjaga maruah kita. Kerana kita bukan sahaja mewakili diri kita sahaja, tetapi mewakili agama juga.

Satu lagi perkara dalam ayat ini adalah tentang hukum minta mati. Adakah boleh? Ia sebenarnya dilarang. Kerana kita minta mati itu kerana kita tidak redha dengan apa yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada kita sampai kita minta mati. Dan tidak redha dengan pemberian Allah ‎ﷻ adalah sesuatu yang salah.

Namun Nabi ﷺ pernah mengajar kita satu doa meminta Allah ‎ﷻ meneruskan hidup kita dan mengambil nyawa kita kalau itu lebih baik. Ulama’ juga membincangkan bagaimana terdapat larangan mengharapkan kematian kecuali ketika terjadi fitnah yang besar.

Rasulullah ﷺ bersabda,

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ المَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الوَفَاةُ خَيْرًا لِي

“Janganlah salah seorang di antara kalian berangan-angan untuk mati kerana musibah yang menimpanya. Kalau memang harus berangan-angan, hendaknya dia mengatakan, “Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.” (HR. Bukhari no. 6351, 5671 dan Muslim no. 2680)

Maknanya, kalau terpaksa berdoa untuk minta mati pun, kenalah berlapik doa itu seperti yang diajar oleh Rasulullah ﷺ ini.

Satu lagi perkara yang kita boleh ambil daripada kata-kata Maryam ni adalah tentang doa. Seperti yang kita tahu, doa beliau makbul. Sampaikan boleh dapat makanan dari langit. Tetapi sekarang beliau berdoa, adakah dimakbulkan? Tentu tidak.

Maka kita kena sedar yang bukannya semua doa dimakbulkan. Kalau Maryam yang makbul doanya pun tidak semua dimakbulkan, apatah lagi kita? Maka kita kena bersabar dalam berdoa. Mungkin Allah ‎ﷻ tidak beri kepada kita kerana Dia tahu ia tidak baik untuk kita. Atau belum sampai masanya lagi untuk ia diberikan kepada kita. Akal kita tidak dapat mencapai maksud Allah ‎ﷻ, tetapi kenalah kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 24:

فَنَادَٮٰهَا مِن تَحتِها أَلّا تَحزَني قَد جَعَلَ رَبُّكِ تَحتَكِ سَرِيًّا

Sahih International

But he called her from below her, “Do not grieve; your Lord has provided beneath you a stream.

 

Malay

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

 

فَنَادَٮٰهَا مِنْ تَحْتِهَا

Maka dia menyerunya dari tempat yang lebih rendah;

Siapakah yang menyeru Maryam dari bawah itu? Ulama’ berbeza pendapat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang menyeru itu adalah Jibril عليه السلام. Maryam ada di atas bukit dan Jibril عليه السلام ada di bawah bukit. Jibril عليه السلام telah mengikut Maryam dari tempat sebelum itu. Jibril عليه السلامlah yang memandunya ke tempat itu. Maka pendapat yang jumhur mengatakan bahawa yang menyeru Maryam itu adalah Jibril عليه السلام.

Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang menyerunya itu adalah Nabi Isa عليه السلام. Ini tidak menghairankan kerana salah satu mukjizat Nabi Isa عليه السلام adalah bercakap dari masa bayi lagi. Ini juga tidak menghairankan kerana Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja. Tetapi, pendapat jumhur adalah Jibril عليه السلام. Kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Isa عليه السلام hanya mula bercakap apabila mereka berdua menemui kaum mereka.

Kata مِنْ تَحْتِهَا menunjukkan bagaimana Jibril عليه السلام menghormati maruah Maryam. Beliau bercakap dari bawah. Begitulah kita kena menghormati orang lain. Kalau orang tidak selesa kita dekat dengan mereka, kita kena hormati. Kena duduk jauh sedikit dan memberi ruang kepada orang lain.

 

أَلَّا تَحْزَنِي

Janganlah kamu bersedih hati;

Jangan sedih kerana kamu adalah orang yang mulia dan telah diberi kelebihan oleh Allah ‎ﷻ. Nama kamu akan disebut-sebut manusia sampai bila-bila.

Dan jangan bersedih kerana Allah ‎ﷻ akan menjaga kamu. Memang kamu merasa tertekan sekarang. Tetapi ketahuilah bahawa Allah‎ ﷻ akan menguruskan supaya kamu akan dijaga. Ini adalah pujukan kepada Maryam.

 

قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا

sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai;

Maryam telah berhenti di padang pasir. Kebanyakan mufassir mengatakan bahawa maksud سَرِيًّا adalah ‘anak sungai’. Memang ada hadith yang mengatakan bahawa ia adalah anak sungai. Walaupun hadith itu tidak kuat, tetapi ia boleh dipakai. Ia lebih baik lagi kalau kita gunakan hadith yang dhaif untuk menafsir ayat Al-Qur’an daripada hanya menggunakan akal sahaja. Dan dikuatkan lagi dengan ayat 50 daripada Surah Mu’minoon.

Bayangkan keadaan Maryam ketika itu. Maryam sudah risau di manakah beliau boleh mendapatkan air. Anak sungai itu tidak ada sebelum itu. Allah ‎ﷻ jadikan anak sungai itu kerana Allah ‎ﷻ akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh Maryam. Kerana Allah ‎ﷻ telah takdirkan bahawa Nabi Isa عليه السلام akan lahir sebegitu dan dalam keadaan itu, maka Allah ‎ﷻ telah memudahkan Maryam.

Atau, anak sungai itu memang sudah ada tetapi telah kering. Allah ‎ﷻ telah mengalirkan semula airnya.

Jadi, kita boleh terima bahawa sama ada sungai itu sudah ada, ataupun sungai itu diadakan apabila Maryam ke tempat itu. Keadaannya lebih kurang sama dengan air Zam-zam yang telah diberikan kepada Hajar, ibu Nabi Ismail عليه السلام di Mekah.

Kalau begitu, bagi manusia yang melihat kejadian sungai itu secara tiba-tiba, sepatutnya mereka mengetahui bahawa itu adalah satu tanda ajaib untuk membuktikan kebenaran kepada apa yang dikatakan Maryam nanti. Maka, ini juga adalah sebagai pujukan dan sesuatu yang dapat menenangkan hati Maryam.


 

Ayat 25: Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah menyediakan minuman untuk Maryam. Sekarang, diberikan pula makanan. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menjaga Maryam.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا

Sahih International

And shake toward you the trunk of the palm tree; it will drop upon you ripe, fresh dates.

 

Malay

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

 

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu;

Sekarang bayangkan orang yang baru beranak disuruh menggoyang pangkal pokok tamar. Kalau kita sendiri yang kuat pun goyang pokok itu tidak jadi apa-apa. Jadi ini sebenarnya adalah isyarat kepada usaha. Allah ‎ﷻ hendak melihat usaha kita dan seterusnya Dia akan bantu.

Perkataan هُزِّي itu bermaksud menggoyang sesuatu yang besar dan kuat. Maknanya, kena gunakan tenaga yang banyak. Kena goyang betul-betul, bukan macam goyang buaian anak-anak. Maknanya, usaha yang perlu Maryam keluarkan bukan usaha yang sedikit tetapi kalau hendak dikirakan ia adalah usaha yang banyak kerana batang pokok tamar itu bukanlah kecil.

Sama ada Maryam diberikan dengan kekuatan luar biasa sehingga boleh menggerakkan batang pokok tamar itu atau beliau hanya disuruh untuk menggoyangnya setakat mampu kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat usaha sahaja. Kerana kalau difikirkan, kalau perempuan yang lemah hendak menggoyangkan pokok itu tidak akan membuahkan hasil.

Ini mengajar kita tentang kepentingan usaha. Memang Allah ‎ﷻlah yang menjadikan sesuatu perkara, tetapi Allah ‎ﷻ mahu melihat usaha kita dahulu.

Perkataan إِلَيْكِ boleh bermaksud ‘ke arah engkau’ atau boleh juga bermaksud ‘untuk engkau’ – iaitu tujuan engkau disuruh menggoyang pokok tamar itu adalah untuk kepentingan engkau sendiri. Supaya beliau tahu bahawa apa yang beliau kena lakukan itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri.

Kalau ikut logik, tidaklah sesuai untuk seorang wanita yang baru melahirkan anak untuk menggoyang sebatang pokok tamar, tetapi ini juga mengajar kita bahawa, kita kena ikuti arahan Allah ‎ﷻ, walaupun kita tidak faham kenapakah Allah ‎ﷻ suruh Maryam buat begitu, tetapi kita kena ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ tanpa soal lagi.

Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada ayat ini adalah, kita kena berusaha untuk mendapatkan rezeki. Kerana apa yang disuruh Maryam lakukan itu adalah usaha untuk mendapatkan rezeki yang Allah ‎ﷻ telah sediakan. Tetapi untuk mendapatkannya, kena usaha. Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja kepada kita, tetapi kenalah kita juga menunjukkan usaha kita. Kena ada sebab musabab. Itu adalah Sunnah para Nabi dan orang yang baik-baik.

Kita tidak diajar untuk bertawakal sahaja tanpa ada usaha. Kita kena berusaha dan kemudian baru kita bertawakal. Itulah makna tawakal. Bukan tidak buat apa-apa, tetapi kata kita bertawakal sahaja. Ada orang yang tidak faham, mereka hanya berdoa sahaja.

Jadi tidak salah kita meluangkan masa untuk pergi ke tempat kerja kita kerana ia adalah satu perbuatan yang benar, kerana itu adalah apa yang Allah‎ ﷻ hendak kita lakukan. Kita pergi keluar kerja untuk mencari rezeki. Rezeki itu pula adalah untuk kelangsungan hidup kita dan keluarga kita. Maka ia adalah perbuatan yang terpuji.

Maka jangan kita rasa bersalah kalau kita bekerja. Kita kena pandai membahagikan waktu antara kerja dan mengerjakan ibadat. Kerana ada waktu untuk buat kerja dan ada waktu untuk beribadat.

 

تُسٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

akan gugur kepadamu buah tamar yang masak ranum;

Maryam diajar untuk makan ‘rutab’. Maka, sesiapa yang baru beranak, seeloknya makan buah tamar untuk menyihatkan diri. رُطَبًا adalah buah kurma yang masak, bukan yang kering.

Ia adalah buah tamar yang segar. Seeloknya yang masih basah lagi. Inilah yang diajar kepada kita dalam Al-Qur’an sendiri. Kalau tamar segar tidak ada, mungkin kita boleh juga gunakan tamar yang kering.

Kalimah جَنِيًّا bermaksud ‘sudah sedia untuk dipetik dan dimakan’. Ia masih lagi di tangkai pokok, bukan yang sudah jatuh ke tanah. Itu adalah buah yang baik sekali. Tinggal hendak ambil sahaja.

Perkataan تُسَاقِطْ bermaksud ‘akan gugur’. Tetapi daripada segi nahu, ia membawa maksud akan gugur berkali-kali. Bukan untuk sekali makan sahaja. Apabila Maryam perlukan makanan lagi, beliau hanya perlu goncang pokok tamar itu sahaja.


 

Ayat 26:

فَكُلي وَاشرَبي وَقَرّي عَينًا ۖ فَإِمّا تَرَيِنَّ مِنَ البَشَرِ أَحَدًا فَقولي إِنّي نَذَرتُ لِلرَّحمٰنِ صَومًا فَلَن أُكَلِّمَ اليَومَ إِنسِيًّا

Sahih International

So eat and drink and be contented. And if you see from among humanity anyone, say, ‘Indeed, I have vowed to the Most Merciful abstention, so I will not speak today to [any] man.’ ”

 

Malay

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

فَكُلِي وَاشْرَبِي

Maka makanlah dan minumlah; 

Makanlah dan minumlah sebanyak mana yang kamu kehendaki wahai Maryam. Nikmatilah pemberian Allah ‎ﷻ kepadamu itu. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah sediakan makanan daripada rutab dan anak sungai  untuk beliau minum airnya.

 

وَقَرِّي عَيْنًا

dan sejuklah mata kamu;

Dan janganlah kamu bersedih. Berhentilah daripada menangis. Seorang ibu akan menangis selepas bersalin selalunya. Sejukkanlah matamu dengan melihat anakmu itu.

Maksud قَرِّي عَيْنًا boleh sahaja bermakna umum. Iaitu senang-senangkan dirimu kerana kamu sekarang makanan sudah ada, minuman sudah ada, tempat rehat pun sudah ada.

Tetapi dalam Al-Qur’an, penggunaan قَرِّي عَيْنًا selalunya dikaitkan dengan anak. Lihatlah bagaimana kata itu digunakan oleh Asiah, isteri Firaun apabila beliau mengatakan tentang Nabi Musa عليه السلام – semasa mereka baru mendapat Nabi Musa عليه السلام yang masih bayi waktu itu. Ini disebut dalam Qasas:9

وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ ۖ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَىٰ أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Kata yang sama juga digunakan dalam Furqan:74

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Ini adalah kerana anak-anak memang menyejukkan mata kita. Kalau kita dalam kepenatan pun, tetapi lihat sahaja anak, kita akan rasa senang dan tenang. Katakanlah kita balik kerja dalam kepenatan, tetapi apabila lihat anak kita, kita rasa bertenaga kembali, boleh lagi hendak bermain-main dengan mereka. Anak-anak memang mempunyai efek sebegitu kepada kita.

Maryam diberitahu dalam ayat ini bahawa beliau akan ditenangkan nanti dengan kelahiran anak beliau. Kita lihatlah sahaja bagaimana ibu-ibu yang bertarung melahirkan anak mereka. Susah payah mereka hendak melahirkan anak itu, namun apabila mereka lihat sahaja anak mereka, terus hilang kepenatan mereka.

Itulah sebab mereka tidak serik untuk mengandung dan melahirkan anak lagi. Kerana mereka tahu betapa gembiranya hati mereka apabila mereka melihat anak mereka.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada Maryam bahawa kesusahan yang beliau sedang alami itu akan dihilangkan dengan rasa gembira apabila melihat anaknya nanti.

 

فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا

jika kamu jumpa mana-mana manusia;

Allah ‎ﷻ ingin memberikan ketenangan kepada Maryam lagi. Fokuskan kepada melahirkan anak itu sahaja dan kemudian menjaganya. Kalau ada sesiapa sahaja yang datang, tidak perlu bercakap-cakap dengan mereka. Mereka yang lalu lalang di situ memang akan sibuk dengan apa yang mereka akan lihat.

Kerana begitulah manusia. Kita lihatlah sendiri bagaimana kalau ada kemalangan, akan ada sahaja yang menyibuk untuk melihat. Mereka bukan hendak tolong pun, tetapi hendak tengok sahaja.

 

فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا

maka kamu kata: sesungguhnya aku bernazar kepada Tuhan at-Rahman untuk menahan diri;

Iaitu puasa tidak bercakap, menahan diri daripada berkata-kata dengan mereka. Tentulah cara Maryam memberitahu mereka itu dengan isyarat sahaja kerana beliau disuruh supaya tidak berkata-kata dengan manusia seorang pun. Atau, selepas cakap nazar itu, beliau tidak bercakap langsung lagi.

Kalimah نذر bermaksud membuat komitmen untuk melakukan sesuatu.

Maryam menggunakan nama ar-Rahman lagi. Walaupun apa yang beliau telah lalui sekarang, beliau masih memandang betapa Allah ‎ﷻ mempunyai rahmat yang banyak dan telah memberi rahmat kepada beliau. Ini kita kena ikut – hendaklah kita ingat dengan segala rahmat yang Allah ‎ﷻ telah beri kepada kita.

Kalimah صَوْمًا boleh juga bermakna seperti yang kita biasa guna – puasa. Tetapi sebelum ini telah diberitahu bahawa Maryam disuruh makan dan minum. Jadi, tidaklah maksud di sini suruh Maryam jangan makan dan minum.

Jadi, perkataan صَوْمًا adalah dalam bentuk literal – menahan diri. Kalau puasa itu memang kita menahan diri pun, iaitu menahan diri daripada makan. Dalam ayat ini, Maryam menahan diri daripada bercakap.

 

فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا

aku tidak akan berkata-kata pada hari ini dengan sesiapapun;

Itulah yang diajar oleh Jibril عليه السلام (atas arahan Allah ‎ﷻ). Tetapi bagaimana Maryam hendak beritahu yang beliau sedang puasa daripada bercakap? Takkan dia hendak berkata pula sedangkan beliau tidak boleh bercakap? Lihatlah bagaimana dalam kisah Nabi Zakaria عليه السلام sebelum ini pun tidak boleh bercakap dahulu, dan baginda hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Maka, keadaan yang sama juga berlaku dalam ayat ini.

Digunakan perkataan إِنسِيًّا kerana Maryam tidak bercakap dengan ‘manusia’ sahaja. Tetapi beliau masih bercakap dengan Malaikat Jibrail عليه السلام (seorang malaikat, bukan manusia). Jadi perkataan yang spesifik digunakan dalam ayat ini. Bukan Maryam tidak bercakap-cakap langsung – beliau cuma disuruh jangan bercakap dengan manusia sahaja.

Kenapa Maryam disuruh senyap? Kerana kalau hendak jawab pun tidak tahu macam mana hendak jawab. Tidak ada hujah apa lagi yang boleh digunakan untuk membolehkan mereka faham dengan apa yang terjadi.

Dan supaya Maryam tidak perlu susah untuk melayan mereka yang akan bertanya-tanya itu. Yang akan bertanya itu nanti bukannya sebab mereka risaukan beliau tetapi mereka hendak menyibuk, mereka hendak menuduh yang bukan-bukan. Maka kepada mereka yang macam ini, tindakan yang sesuai adalah tidak melayan mereka.

Maka ini mengajar kita supaya jangan layan orang yang bodoh. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata setiap kali beliau berdebat dengan orang yang bodoh, beliau akan kalah. Kerana mereka tidak berilmu. Kita berhujah dengan ilmu, namun mereka bukan berhujah dengan ilmu tetapi dengan akal yang cetek.

wp-1580911211517.jpg

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dialah yang akan uruskan urusan Maryam nanti.

Hukum: bolehlah kita amalkan puasa senyap tidak bercakap berdasarkan ayat ini? Ulama’ membincangkan hal ini. Mereka kata ini adalah hanya untuk Maryam sahaja. Atau ia ada dalam syariat zaman dahulu tetapi tidak lagi zaman sekarang. Jadi, ia bukan Sunnah yang perlu dan boleh diikuti sekarang. Bukan semua di dalam Al-Qur’an ini kita kena ikut (kena tengok keadaan).

Dalam amal ibadat jangan tambah-tambah. Macam kisah seorang sahabat yang berpuasa dalam keadaan panas terik. Itu adalah ibadat tambahan, maka Nabi ﷺ melarang beliau buat begitu. Tetapi masyarakat kita yang tidak belajar dengan betul, akan ambil ini sebagai dalil untuk buat perkara-perkara bid’ah kerana mereka tidak faham ilmu asas.

Oleh itu, hendaklah kita tahu bahawa senyap tidak bercakap bukanlah satu ibadat. Mereka tidak tahu manakah yang elok diikuti dan mana yang tidak perlu diikuti. Kalau mereka baca Al-Qur’an sendiri dan buat tafsiran sendiri, mungkin mereka akan kata, eloklah kalau buat amalan tidak bercakap satu hari kerana ia ada dalam Al-Qur’an dan ia adalah suruhan Allah ‎ﷻ pula. Tetapi bukan begitu cara beragama.

Kita hendaklah belajar dengan betul apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ suruh Maryam tidak bercakap dan mendiamkan diri sahaja (seperti yang kita telah jelaskan di atas).

Dalam teks Kristian, tidak banyak maklumat yang bertujuan membersihkan nama Maryam. Memang mereka menerima bahawa Nabi Isa عليه السلام dilahirkan tanpa bapa. Tetapi mereka ada mengeluarkan kisah Joseph tukang kayu yang dikatakan telah bertunang dengan Maryam sebelum Nabi Isa عليه السلام dilahirkan. Apabila Nabi Isa عليه السلام dilahirkan dan nama baik Maryam hampir tercalar, maka Joseph telah mengahwini Maryam untuk menyelamatkan nama baik Maryam.

Jadi, Kristian ada yang mengambil Joseph sebagai bapa kepada Nabi Isa عليه السلام di dunia. Ini bermakna, Kristian tidak membela sangat Maryam. Tetapi dalam Al-Qur’an, kita boleh lihat bagaimana nama Maryam dibersihkan. Betapa Al-Qur’an menekankan bahawa Maryam adalah wanita yang suci yang tidak melakukan dosa apa pun.

Al-Qur’an menceritakan bagaimana apabila Jibril عليه السلام datang dalam bentuk rupa seorang lelaki yang kacak, Maryam menghalau Jibril عليه السلام daripada mendekatinya – kerana waktu itu beliau tidak tahu yang itu adalah malaikat.

Di sebaliknya pula, ramai antara mereka mengangkat kedudukan Maryam terlalu tinggi melebihi manusia biasa. Ada sekte dalam Kristian yang mengatakan Maryam adalah salah satu tiga oknum triniti (beliau digelar: Tuhan Emak). Oleh itu, ada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Emak. Inilah fahaman salah Triniti yang mesti diperbetulkan dalam Kristian.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Januari 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 18 – 21 (Maryam terkejut bakal dikurniakan anak tanpa suami)

Ayat 18: Apabila Maryam nampak seorang lelaki berdekatan dengannya, tentulah timbul perasaan tidak tenang pada dirinya kerana beliau adalah perempuan yang baik.

Tambahan pula beliau tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan lelaki melainkan bapa saudaranya, Nabi Zakaria عليه السلام sahaja. Ini kerana beliau sentiasa beribadat sahaja dalam BaitulMaqdis. Beliau pun tidak kenal lagi bahawa lelaki yang di hadapannya itu adalah sebenarnya seorang malaikat yang mulia.

Jadi, apakah yang beliau katakan kepada Jibril عليه السلام yang beliau nampak sebagai seorang lelaki itu?

قالَت إِنّي أَعوذُ بِالرَّحمٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا

Sahih International

She said, “Indeed, I seek refuge in the Most Merciful from you, [so leave me], if you should be fearing of Allah .”

Malay

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

 

قَالَتْ

Berkata Maryam:

Ini adalah kata-kata Maryam kepada Jibril عليه السلام apabila Jibril عليه السلام datang dekat kepadanya.

 

إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَٰنِ مِنْكَ

Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah daripadamu;

Kalimah أعوذ selalu diterjemahkan ‘aku mencari perlindungan’. Tetapi itu tidak berapa tepat. Kerana kalau kita mencari perlindungan, ada kemungkinan tidak dapat. Sama juga kalau kita minta sesuatu kepada orang lain, ada kemungkinan orang itu tidak beri.

Yang lebih tepat adalah kalau kita kata kita ‘mengambil perlindungan’. Kerana kita minta dalam keadaan kita tidak ada pilihan lain lagi. Kalau kita meminta sesuatu, dan orang itu tidak mahu memberi kepada kita, kita minta juga berkali-kali sampai kita dapat. Kerana kita tidak ada orang lain yang boleh tolong kita pada waktu itu.

Dan itulah yang kita harapkan dengan Allah ‎ﷻ. Kita tidak akan berjaya kalau tanpa pertolongan Allah ‎ﷻ. Kita mengharap sangat kepada pertolongan Allah ‎ﷻ. Kerana kita tidak ada pertolongan lain lagi. Kita tidak ada tempat bergantung dan pengharapan yang lain. Maka kita letakkan diri kita dalam perlindungan Allah ‎ﷻ kerana hendak letak dalam perlindungan siapa lagi?

Kalimah الرَّحْمَٰنِ digunakan dalam ayat ini. Kenapa tidak digunakan nama ‘Allah ‎ﷻ’? Kerana kita memerlukan sifat Rahman Allah ‎ﷻ yang Maha Pemurah itu. Kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak beri, kita tidak akan ada harapan. Kita memanggil Allah ‎ﷻ dengan sifat ar-Rahman itu kerana kita hendak Allah ‎ﷻ menggunakan (berharap) sifat Pemurah-Nya itu.

Kita kenalah tahu tentang nama-nama Allah ‎ﷻ. Dalam berdoa, kita menggunakan nama-nama Allah ‎ﷻ yang sesuai dengan apa yang kita kehendaki. Kita pakai nama-nama yang sesuai untuk masa-masa tertentu. Nama-nama sifat Allah ‎ﷻ itu ada disebut dalam Al-Qur’an dan selalunya ia di hujung ayat.

Ada sebab kenapa nama-nama itu diletakkan di tempatnya. Selalunya kita tidak kisah pun kerana kita tidak faham makna nama-nama itu. Sebenarnya ada kaitan nama Allah ‎ﷻ yang disebut dengan ayat-ayat sebelumnya.

Ini adalah kali pertama sifat ‘Rahman’ Allah ‎ﷻ disebut dalam surah ini. Banyak kali lagi kita akan berjumpa dalam surah ini. Ini adalah surah yang banyak menyebut perkataan ‘Rahman’. Kena pula dengan panggilan orang Kristian kepada Tuhan – mereka akan mengatakan “God of Mercy” – Tuhan Rahmah. Dan memang surah ini ditujukan khas kepada orang Kristian. Bermakna, Allah ‎ﷻ meletakkan sesuatu yang kena dengan pembacanya.

 

إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا

jika kamu seorang yang bertaqwa;

Ini bermaksud Maryam telah menghalau lelaki itu. Kerana Maryam tidak tahu itu adalah malaikat Jibril عليه السلام.

Kalimah تَقِيًّا bermaksud seseorang yang sedar tentang Allah ‎ﷻ. Itulah makna Taqwa. Mereka yang takut kepada Allah ‎ﷻ dan sedar Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita sentiasa.

Maryam menggunakan kata ini untuk mengingatkan ‘lelaki’ yang di hadapannya itu supaya takut kepada Allah ‎ﷻ. Kalau orang itu baik, dia akan teringat tentang Allah ‎ﷻ dan tidak buat perkara yang jahat. Ini adalah cara yang baik sekali untuk mengingatkan orang lain.

Lihatlah bagaimana Maryam menghadapi kedatangan lelaki kepadanya itu. Beliau adalah perempuan yang baik. Beliau tidak mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita bagaimana sifat Maryam dalam ayat ini.

Ia hendak menolak kata-kata kurang ajar sesetengah manusia yang mengatakan Maryam telah melakukan perkara tidak baik sampai mengandung. Allah ‎ﷻ sudah tahu bahawa akan ada orang yang akan kata Maryam telah berzina. Jadi Allah ‎ﷻ membersihkan nama Maryam dengan mengisahkan keadaan ini.

Lihat juga bagaimana cara Maryam menghadapi situasi itu. Beliau tidak minta tolong kepada sesiapa. Beliau terus minta tolong kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan hubungan rapat beliau dengan Allah ‎ﷻ. Beliau pun sudah melihat bagaimana doa-doanya dimakbulkan Allah ﷻ (dapat makanan dari langit). Maka beliau yakin benar dengan doa kepada Allah ﷻ. Begitu jugalah kita kena jadikan ini sebagai Sunnah. Kita kena terus berharap kepada Allah ‎ﷻ.

Maka kita kena terus memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ, bukan melalui perantaraan yang selalu diamalkan oleh manusia sekarang ini. Itulah yang dinamakan tawassul yang tidak dibenarkan.


 

Ayat 19:

قالَ إِنَّما أَناْ رَسولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلٰمًا زَكِيًّا

Sahih International

He said, “I am only the messenger of your Lord to give you [news of] a pure boy.”

Malay

Dia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”.

 

قَالَ إِنَّمَا أَنَاْ رَسُولُ رَبِّكِ

Jibril berkata, “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Tuhanmu,

Dalam ayat ini, Jibril عليه السلام menggunakan perkataan رَسُولُ. Kenapa pula begini? Bukankah rasul itu adalah para Nabi seperti Nabi Muhammad dan sebagainya? Sebenarnya, malaikat pun dipanggil ‘rasul’ juga. Kerana رَسُولُ dari segi bahasa bermaksud ‘yang membawa risalah dari tempat yang tinggi’. Bukankah malaikat turun membawa mesej yang Allah ‎ﷻ sampaikan untuk manusia?

Digunakan kata رَبِّكِ (rabb) dalam ayat ini kerana hendak menekankan sifat rabb – Tuhan. Rabb bermaksud ‘yang mencipta, memelihara dan menjaga’. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ sahaja. Kalau Maryam risau apakah yang akan terjadi selepas itu, ingatlah bahawa Allah ﷻlah yang telah menjaga dan memelihara beliau selama hari ini.

Nanti akan disebutkan tentang beliau akan mendapat anak yang suci. Tentu beliau akan risau dengan macam-macam kerisauan seorang wanita yang tidak mempunyai suami. Allah ﷻ mengingatkan bahawa yang akan menjaga memelihara dan memberi tarbiyah kepada anak itu adalah Allah ﷻ sendiri kerana Allah ﷻ yang mencipta, memelihara dan memberi tarbiyah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Tentu macam-macam kerisauan timbul dalam fikiran Maryam. Antaranya tentang apakah manusia lain akan kata tentangnya. Dan bagaimanakah beliau hendak menjaga dan mendidik anak itu. Jadi, dalam penggunaan perkataan ‘rabb’ itu, Allah ‎ﷻ mengingatkan beliau bahawa Allah ‎ﷻlah yang akan mendidik anak itu.

Sebagaimana juga Nabi Yahya عليه السلام telah dididik oleh Allah ‎ﷻ. Walaupun ibubapa Nabi Yahya عليه السلام adalah sangat tua, tetapi Nabi Yahya عليه السلام menjadi menjadi anak yang baik. Itu adalah kerana hasil didikan dari Allah ‎ﷻ.

 

لِأَهَبَ لَكِ

untuk aku sampaikan satu anugerah kepada kamu;

Jibril عليه السلام beritahu yang tugasnya adalah untuk menyampaikan anugerah yang telah diberi oleh Allah ‎ﷻ. Jibril عليه السلام membahasakan *dirinya* yang membawa berita gembira itu. Padahal berita baik itu bukan dari dirinya tetapi dari Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana beliau sebagai penyampai mesej dari Allah ‎ﷻ sahaja.

Dan juga Jibril عليه السلام mengatakan beliau yang akan menyampaikan anugerah itu, kerana tugasnya adalah untuk meniupkan roh Nabi Isa عليه السلام ke dalam Maryam.

Apabila berita akan diberikan anak kepada Nabi Zakaria عليه السلام, maklumat itu disampaikan terus kepada baginda. Tetapi apabila berita yang sama diberikan kepada Maryam, ia disampaikan oleh Jibril عليه السلام.

Ayat ini dijadikan dalil bahawa perempuan tidak dilantik sebagai Nabi dan rasul. Mereka tidak mendapat wahyu secara terus dari Allah ‎ﷻ tetapi melalui perantara – seperti dalam kes Maryam ini, maklumat tentang beliau akan mendapat anak disampaikan oleh Jibril عليه السلام.

 

غُلٰمًا زَكِيًّا

seorang anak laki-laki yang suci;

Perkataan زَكِيًّا bukan sahaja bermaksud ‘suci’, tetapi ‘sangat-sangat suci’. Ia bermaksud lelaki itu adalah anak lelaki yang amat baik. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa anak itu akan menjadi anak yang baik untuk menenangkan Maryam.

Kerana tentu ada kerisauan dalam hatinya apa akan terjadi selepas itu. Dan beliau risau kerana beliau akan menjadi ibu tunggal pula. Itu adalah satu kehidupan yang susah dan mencabar. Tetapi, apabila diberitahu bahawa anak itu adalah anak yang suci, yang baik, tentu akan menyebabkan hati Maryam akan jadi lembut dan tenang.

Perkataan زَكِيًّا juga bermaksud ‘bijak’. Maknanya Nabi Isa عليه السلام akan menjadi seorang anak lelaki yang bijaksana.


 

Ayat 20: Kehairanan dan takjub Maryam atas berita yang didapatinya itu.

قالَت أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ وَلَم أَكُ بَغِيًّا

Sahih International

She said, “How can I have a boy while no man has touched me and I have not been unchaste?”

Malay

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?”

 

قَالَتْ

Maryam berkata:

Selepas mendengar berita dari Jibril عليه السلام itu, tentulah Maryam kehairanan. Kalau kita di tempat beliau pun, tentu lagi terkejut. Maka jangan hairan sangat dengan kata-kata beliau ini.

 

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلٰمٌ

Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki,

Seperti telah disebut sebelum ini, bukanlah ini bermakna Maryam tidak percaya dengan berita yang telah disampaikan kepadanya itu. Kerana beliau sudah percaya bahawa itu adalah Jibril عليه السلام, seorang malaikat dan beliau pun tahu bahawa seorang malaikat tidak akan menipu. Beliau cuma mahukan maklumat lanjut lagi.

Dan beliau mungkin hendak meneruskan percakapan dengan Jibril عليه السلام. Kerana beliau sedang mendapat peluang bercakap dengan seorang malaikat yang selama ini hanya dengar cerita sahaja.  Macam kita juga, kalau dapat jumpa dengan orang yang kita hormati dan sayangi, kita tentu tidak melepaskan peluang untuk bercakap-cakap lama dengan mereka. Kita akan memanjangkan percakapan dengan mereka. Kita akan tanya mereka macam-macam.

 

وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ

sedangkan tidak pernah seorang lelaki pun menyentuhku;

Maksudnya Maryam tidak ada suami yang ada hubungan badan. Bukanlah tiada lelaki tidak menyentuh dirinya. Sebab tentu beliau ada ayah yang pernah memeluknya. ‘Sentuh’ dalam ayat ini bermaksud ‘bersetubuh’. Tetapi Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘bersetubuh’. Jadi, ayat ini membawa maksud bahawa beliau tidak berkahwin lagi.

Lihatlah bahasa lembut yang digunakan oleh Al-Qur’an. Jadi Al-Qur’an ini tidak malu untuk dibaca di khalayak ramai, boleh juga dibaca oleh kanak-kanak kerana bahasanya yang tidak lucah. Kalau kitab agama lain, kita pun malu hendak baca. Orang bayar kita untuk dibacakan di khalayak ramai pun kita tidak sanggup.

Maka ini mengajar kita, kita pun kenalah cakap berlapik. Tidaklah elok kalau menggunakan bahasa yang terlalu terbuka. Bahasa menunjukkan kebudayaan kita.

 

وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا

dan aku bukan pula seorang perempuan jahat!

Kalimah بَغِيًّا diambil daripada kata dasar yang bermaksud ‘melampau’. Perkataan تغيان digunakan untuk mereka yang melampau dalam hal agama sampaikan mereka melakukan perkara syirik. Iaitu melampau dalam perhubungan dengan Allah ‎ﷻ. Seperti digunakan untuk menjelaskan tentang Firaun.

Perkataan بَغِيًّا pula dalam ayat ini adalah melampau dalam hal sosial, dalam suasana masyarakat. Iaitu tentang perhubungan manusia dengan manusia. Jikalau seseorang berzina, bermakna dia telah melakukan بَغِيًّا. Iaitu suatu perbuatan yang masyarakat biasa pun tidak terima.

Kalimah بَغِيًّا adalah perkataan yang dari segi nahu adalah dalam bentuk lelaki kerana tidak masuk akal untuk perempuan buat perkara ini. Sampaikan tidak ada perkataan untuk menjelaskan perkara ini dalam bentuk perempuan.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَكُ . Perkataan yang sepatutnya dan biasa digunakan adalah أكن. Huruf ن dibuang sebagai isyarat bahawa Maryam langsung tidak buat perkara itu seperti juga huruf ن tidak ada dalam perkataan ini. Ini dari sudut balaghah.


 

Ayat 21:

قالَ كَذٰلِكِ قالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ ۖ وَلِنَجعَلَهُ ءآيَةً لِّلنّاسِ وَرَحمَةً مِّنّا ۚ وَكانَ أَمرًا مَّقضِيًّا

Sahih International

He said, “Thus [it will be]; your Lord says, ‘It is easy for Me, and We will make him a sign to the people and a mercy from Us. And it is a matter [already] decreed.’ ”

Malay

Dia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

 

قَالَ كَذَٰلِكِ

Jibril berkata: Demikianlah;

Jibril عليه السلام berkata Maryam akan dapat anak itu seperti keadaannya sekarang. Tidak perlu Maryam disentuh oleh lelaki untuk mendapatkan anak. Sama juga kepada Nabi Zakaria عليه السلام, tidak perlu diubah keadaan Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya yang tua untuk Allah ‎ﷻ memberi anak kepadanya.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan penyebab (asbab) untuk menjadikan sesuatu apa pun. Allah ‎ﷻ jadikan terus dengan kehendak-Nya. Bukan macam kita yang memerlukan alat, sebab dan sebagainya, barulah sesuatu itu terjadi.

 

قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ

Rabbmu berfirman, “Hal itu adalah mudah bagi-Ku;

Mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak mencipta makhluk tanpa ada bapa. Senang sangat sampai tidak memerlukan usaha pun. Kalau manusia, kita boleh kata: “Senang sangat sampai tak berpeluh pun.” Kerana Dia adalah Allah ‎ﷻ dan Dia maha berkuasa.

Perkataan yang sama telah digunakan sebelum ini dengan kisah Nabi Zakaria عليه السلام. Begitulah ada perkataan yang diulang-ulang dalam Al-Qur’an. Kerana sejarah juga berulang-ulang.

 

وَلِنَجْعَلَهُ ءآيَةً لِّلنَّاسِ

dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia;

Allah ‎ﷻ menjadikan Nabi Isa عليه السلام sebagai tanda kekuasaan-Nya yang boleh mencipta apa sahaja. Ia menjadi hujah kepada setiap manusia setiap zaman. Allah‎ ﷻ telah mencipta Adam عليه السلام tanpa ayah dan ibu; Allah ‎ﷻ telah mencipta kebanyakan manusia dari ayah dan ibu; dan sekarang Allah ‎ﷻ telah menunjukkan contoh bagaimana seorang manusia boleh dilahirkan tanpa ayah.

Kalimah آيَةً bermaksud ‘tanda yang jelas’. Tanda yang kita tidak boleh abaikan. Tidak boleh kata kita tidak nampak sebab jelas sangat. Sebab ia sudah di depan mata kita. Kalau yang tidak nampak itu, maknanya dia sengaja buat tidak nampak sahaja.

Ia juga bermakna tanda yang menunjuk kepada sesuatu. Macam papan tanda jalan yang jelas di jalan raya untuk membantu kita dalam perjalanan kita. Tanda jalan itu besar, siap ada lampu lagi.

Maka آيَةً adalah tanda ‘menuju kepada Allah‎ ﷻ’. Tanda itu bukanlah tujuan kita. Tujuan kita adalah menuju kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita atas jalan raya, tanda jalan adalah sebagai penunjuk kepada destinasi kita sahaja, bukan kita hendak pergi kepada papan tanda itu, bukan? Jadi ingatlah bahawa tujuan kita adalah menuju kepada Allah‎ ﷻ.

Dan آيَةً ini adalah لِلنَّاسِ (untuk seluruh manusia). Bukan untuk orang beriman sahaja. Ditujukan kepada seluruh manusia, sama ada orang Islam atau tidak, beriman atau tidak. Maka kita kena sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada orang lain walaupun mereka itu bukan Muslim (belum Muslim).

Perkataan آيَةً itu dalam bentuk umum. Supaya boleh digunakan dalam banyak keadaan. Ini kerana manusia mendapat tanda dengan cara berbeza-beza. Lain orang lain cara dia mendapat tanda. Dan juga bermakna ia adalah tanda bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada orang yang bukan Muslim juga.

 

وَرَحْمَةً مِّنَّا

dan sebagai rahmat dari Kami;

Perkataan رَحْمَةً ini juga dalam bentuk umum. Kerana rahmat diberikan dalam berbagai-bagai cara. Antara rahmat itu adalah Nabi Isa عليه السلام satu hari nanti akan dibangkitkan dan akan mengajar agama menggunakan Al-Qur’an dan syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Ada orang yang mempercayai kewujudan Allah ‎ﷻ walaupun tiada tanda apa-apa. Kerana mereka begitu rapat dengan fitrah mereka. Kerana fitrah manusia sudah mengenal Allah ‎ﷻ sejak dari alam roh lagi. Mereka tidak memerlukan keajaiban untuk mereka jadi beriman.

Namun ada juga yang memerlukan tanda. Kadang-kadang kerana sesuatu tandalah yang menyebabkan mereka ada yang masuk Islam. Mungkin pernah mereka berdoa minta Tuhan (mereka sebut tuhan dalam bentuk umum) memberikan suatu tanda kepada mereka, dan tidak lama kemudian mereka mendapat tanda yang mereka cari-cari itu. Tanda itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk.

Tetapi kepada yang tidak memerlukan tanda pun, apabila mereka diberi dengan tanda yang membenarkan pemahaman mereka, ia adalah satu rahmat kepada mereka. Kerana kadang-kadang apabila yang beriman diberikan ujian dan dugaan, apabila tanda-tanda Allah ‎ﷻ diberikan, ia akan memberi ketenangan dan menambahkan imam kepada mereka.

Sebagai contoh, untuk kita yakin bahawa Allah ‎ﷻ mengabulkan doa hamba-Nya, kita mungkin boleh berdoa yang ringan-ringan dahulu. Kita mungkin boleh berdoa supaya kita diberikan tempat parkir di tempat kerja kita. Apabila kita sampai ke tempat kerja kita, telah tersedia tempat parkir di tempat yang selalunya tidak ada parkir. Itu adalah sebagai satu tanda bahawa Allah ‎ﷻ mendengar kita dan mengabulkan doa kita. Dan ini menambah iman kita.

Jangan lupa bahawa ia juga adalah rahmat kepada Maryam juga. Mendapat anak adalah satu rahmat yang amat besar. Tambahan pula kalau anak itu adalah seorang Nabi. Tentulah ia adalah rahmat yang amat besar bagi Maryam.

 

وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا

dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan;

Allah ‎ﷻ menekankan yang perkara ini tidak boleh disekat lagi kerana ia adalah satu keputusan dari Allah ‎ﷻ sendiri. Sama ada Maryam suka atau tidak, ia tetap akan terjadi.

Macam juga qadi atau hakim, kalau dia sudah buat keputusan, kita kena ikut. Sebab kalau tidak ikut, kita sudah langgar undang-undang negara. Hakim boleh pakai polis untuk mejalankan keputusannya. Tambahan pula مَقْضِيًّا dalam ayat ini adalah keputusan Allah‎ ﷻ. Kalau keputusan manusia pun ada yang kena ikut tanpa rela, apatah lagi kalau keputusan dari Allah‎ ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ sudah buat keputusan, ia akan terjadi – kun fayakun.

Jadi, ia adalah sebagai satu pujukan kepada Maryam. Beliau tidak boleh menolak kalau pun beliau tidak suka atau tidak sanggup menghadapinya. Beliau kena terima hakikat bahawa beliau akan melahirkan anak. Beliau kena bersedia dengan emosi dan fizikal untuk menghadapinya.

Dari segi emosi, kalau kita sudah tahu yang kita tidak ada pilihan lain, kita akan bersedia untuk menghadapinya. Kerana kalau kita rasa kita ada peluang untuk menghalang ia daripada terjadi, maka kita akan luangkan tenaga dan fikiran untuk menghalangnya. Tetapi kalau memang kita sudah tahu perkara itu tidak boleh dihalang, kita boleh fokus untuk menghadapinya dengan rela.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Januari 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain