Tafsir Surah Sad Ayat 17 – 23 (Kisah Nabi Daud dan malaikat yang menguji)

Ayat 17: Apabila Nabi Muhammad menyampaikan ajaran tauhid, baginda ditentang dengan hebat sekali. Maka tentunya baginda amat bersedih kerana ditolak oleh kaum baginda sendiri. Tambahan pula tuduhan yang amat tidak patut dikenakan kepada baginda.

Maka ayat ini adalah Ayat Tasliah (pujukan) di mana Allah memujuk hati baginda dan para sahabat yang menjalankan dakwah.

Ayat 17 – 29 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi kisah Nabi Dawud. Nabi Dawud adalah seorang Raja, mempunyai kekuatan tetapi sentiasa bersikap rujuk kembali kepada Tuhan.

اصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاذكُر عَبدَنا داوودَ ذَا الأَيدِ ۖ إِنَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Be patient over what they say and remember Our servant, David, the possessor of strength; indeed, he was one who repeatedly turned back [to Allāh].

(MELAYU)

Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan; dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan).

 

اصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ

Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan;

Sabar sahajalah menerima dugaan dalam dakwah. Memang akan ada sahaja penentang wahyu yang akan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghalang dakwah tauhid. Kena bersabar kerana itu adalah ujian dalam dakwah dan menegakkan kebenaran.

Kata-kata Musyrikin Mekah itu merujuk kepada tohmahan mereka yang mengatakan Nabi adalah seorang ahli sihir dan penipu besar. Dan juga ejekan mereka yang mengatakan Nabi Muhammad tidak layak untuk menjadi Nabi dan menerima wahyu. Dan macam-macam lagi kata-kata mereka yang menyedihkan hati baginda. Allah pujuk Nabi supaya bersabarlah dengan kata-kata mereka itu.

Bukan Nabi dan sahabat sahaja yang terpaksa melalui ujian ini. Kita pun kena tengok juga ayat ini kerana apabila kita nak dakwah kepada manusia, akan ada sahaja yang menentang. Tapi ingatlah yang kalau kita dapat bersabar, maka pahala buat kita. Paling kurang kita kena tuduh ‘Wahabi’. Sabarlah dengan kata-kata mereka yang jahil itu.

 

وَاذكُر عَبدَنا داوودَ

dan ingatlah hamba Kami Daud

Jangan fikirkan tentang mereka yang menentang itu. Dan untuk mengalih pandangan kepada perkara yang menyesakkan otak, Allah ajak tengok kisah Nabi Daud.

Allah suruh Nabi Muhammad kenangkan kisah Nabi Daud itu kerana:

  1. Kisah Nabi Daud itu dapat menjadi pengajaran kepada Arab Mekah waktu itu. Jadi makna وَاذكُر dalam ayat ini adalah: berilah peringatan kepada mereka.
  2. Allah suruh Nabi ingat kisah Nabi Daud ini kerana dengan kisahnya dapat membantu baginda menjadi sabar. Bukan baginda sahaja, tapi kita juga yang menjalankan kerja dakwah.

Allah tukar kepada subjek yang baru. Kerana kalau kita fikirkan perkara lain yang lebih menarik, kita akan lupa perkara yang menyedihkan kita, bukan? Jadi ini adalah alih pandangan.

 

ذَا الأَيدِ

yang mempunyai kekuatan;

Allah mula menceritakan tentang Nabi Daud. Nabi Daud ada banyak kekuatan. Pertamanya baginda sendiri memang kuat dan ini kita tahu semasa baginda bertarung dengan Jalut di usia muda baginda.

Baginda juga ada ramai pembantu dan kekuatan kerana baginda adalah raja yang memerintah. Baginda juga menggunakan kekuatan tentera baginda untuk menakluk negara jiran yang mengamalkan syirik dan memasukkan mereka ke dalam agama Islam.

Dan baginda juga mempunyai kekuatan dalaman kerana baginda adalah seorang Nabi. Baginda tidak terkesan dengan kekuasaan baginda dan baginda seorang hamba yang taat kepada Allah. Kerana itu Mujahid mengatakan bahawa al-aid ertinya kekuatan dalam ketaatan. Kerana ramai yang kuat, tapi mereka tidak taat.

Dan akhir sekali yang kita tahu, baginda mempunyai kekuatan ibadah. Baginda adalah seorang yang amat kuat beribadat. Baginda berpuasa selang sehari (kerana itu puasa jenis ini dinamakan Puasa Nabi Daud) dan baginda mendirikan solat tahajud sepertiga malam setiap hati. Kerana itu Qatadah mengatakan bahawa Nabi Daud a.s., dianugerahi kekuatan dalam mengerjakan ibadah dan memberinya pengetahuan tentang Islam. Jadi pengetahuan agama baginda pun kuat juga.

Hal ini telah disebutkan di dalam kitab Sahihain melalui salah satu hadisnya dari Rasulullah Saw. yang menyebutkan bahawa beliau Saw. telah bersabda:

“أَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَلَا يَفِرُّ إِذَا لَاقَى”

Solat yang paling disukai Allah ialah solatnya Daud, dan puasa yang paling disukai Allah adalah puasanya Daud. Dia tidur sampai tengah malam, lalu bangun sepertiganya (mengerjakan solat), dan tidur seperenamnya. Dan dia puasa sehari dan buka sehari, dia tidak pernah lari bila bersua dengan musuh (dalam peperangan) dan dia adalah seorang yang amat taat kepada Allah.

 

إِنَّهُ أَوّابٌ

sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan).

Allah memuji baginda dengan memberitahu sifat baginda yang selalu bertaubat dan kembali kepada Allah. Kerana maksud ‘awwab’ adalah ‘selalu kembali’.

Atau ia bermaksud baginda sangat taat dalam mengingati Allah dalam semua keadaan. Baginda banyak ingat kepada Allah dan sentiasa ingat kepada akhirat.

Inilah sifat para Nabi yang kita kena ikut. Kerana kita semua sedang menuju kepada akhirat maka kenalah buat persediaan. Dan kalau sentiasa ingat kepada akhirat maka akan menahan dan menghalang diri kita dari melakukan dosa dengan sengaja.

Maka kalau manusia dapat sifat ini, maka ia sangat istimewa. Dan untuk dapat sifat ini, kena belajar tafsir dan selalu baca Al-Qur’an kerana akhirat banyak diperkatakan dalam Al-Qur’an. Bila selalu baca, maka kita selalu diperingatkan dengan akhirat. Setiap muka surat Al-Qur’an itu akan ada sahaja peringatan kepada akhirat.


 

Ayat 18: Sekarang diberitahu lagi tentang kelebihan yang diberikan kepada Nabi Daud.

Diberitahu kepada Rasulullah supaya baginda pun ingat balik kepada pemberian Allah kepada baginda juga. Bila kita ingat sudah banyak nikmat kita dapat, maka hilanglah sedikit kesedihan dan keresahan dalam jiwa.

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We subjected the mountains [to praise] with him, exalting [Allāh] in the [late] afternoon and [after] sunrise.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

 

إِنّا سَخَّرنَا الجِبالَ مَعَهُ

Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung

Gunung ganang selalu dijadikan sebagai contoh dalam Al-Qur’an kerana masyarakat Arab juga terpesona dengan gunung ganang. Kerana mereka lihat gunung itu amat gagah dan kukuh. Kita pun suka juga dan kerana itu tempat seperti Gunung Kinabalu amat terkenal dan manusia suka datang.

Allah yang menjadikan gunung ganang dan Allah berkuasa untuk menundukkannya. Apakah yang dimaksudkan?

 

يُسَبِّحنَ بِالعَشِيِّ وَالإِشراقِ

untuk bertasbih bersama dia (Daud) di waktu petang dan pagi,

Allah menjadikan gunung bertasbih dan berzikir bersama dengan Nabi Daud. Nabi Daud banyak bertasbih dan gunung ganang juga ikut bertasbih bersama dengan baginda. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ}

Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah ber­ulang-ulang bersama Daud. (Saba: 10)

Demikian burung-burung ikut bertasbih bersama Nabi Daud bila baginda bertasbih, dan menjawab tasbih yang diucapkannya bila burung-burung itu sedang terbang di atasnya. Lalu apabila mendengar Nabi Daud sedang membaca kitab Zabur, maka burung-burung itu berhenti di angkasa, tidak mahu pergi, bahkan diam dan ikut bertasbih bersamanya. Gunung-gunung yang tinggi-tinggi pun membalas tasbihnya dan mengikuti tasbih yang diucapkannya.

Tapi tentu manusia tidak dapat faham tasbih mereka. Ini adalah kerana makhluk yang berbeza akan bertasbih dalam bahasa mereka yang kita tidak faham.

Nabi Daud bertasbih antara waktu Zuhur dan Asar. Jadi ini boleh dikatakan yang inilah waktu solat bagi Nabi Daud as. Syariat para Nabi tidak sama. Syariat Nabi Muhammad sahaja yang pasti kena solat lima waktu tapi para Nabi lain tidak sama syariat dan cara ibadah. Dan baginda juga bertasbih waktu Isyra’ iaitu waktu selepas Subuh.


 

Ayat 19:

وَالطَّيرَ مَحشورَةً ۖ كُلٌّ لَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the birds were assembled, all with him repeating [praises].

(MELAYU)

dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah.

 

وَالطَّيرَ مَحشورَةً

dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul.

Bukan gunung ganang sahaja bertasbih bersama Nabi Daud tapi burung juga. Berbagai jenis burung datang ramai-ramai berkumpul kepada baginda.

 

كُلٌّ لَّهُ أَوّابٌ

Masing-masingnya amat taat kepada Allah.

Semuanya kembali datang untuk bertasbih bersama baginda. Semua taat kepada Allah.

Juga kalimah ‘awwab’ bermaksud mereka mengulangi apa yang disebut dan dizikirkan oleh Nabi Daud as. Mereka bertasbih bersama-sama dengan Nabi Daud.


 

Ayat 20:

وَشَدَدنا مُلكَهُ وَءآتَينٰهُ الحِكمَةَ وَفَصلَ الخِطابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We strengthened his kingdom and gave him wisdom and discernment in speech.

(MELAYU)

Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.

 

وَشَدَدنا مُلكَهُ

Dan Kami kuatkan kerajaannya

Allah beri keteguhan kerajaan kepada Nabi Daud. Baginda adalah salah seorang dari tiga Nabi yang ada kuasa pemerintahan selain dari Nabi Muhammad SAW dan Nabi Sulaiman as.

 

وَءآتَينٰهُ الحِكمَةَ

dan Kami berikan kepadanya hikmah

‘Hikmah’ adalah apabila berhimpun ilmu dan amal. Kerana kalau setakat ada ilmu sahaja tanpa amal, itu bukan hikmah. Kerana ramai orang ada ilmu tapi mereka tidak amalkan apa yang mereka tahu. Begitu juga kalau banyak amal tanpa ilmu, ini juga bukan hikmah.

Maka kita kena amalkan apa yang kita sudah tahu. Kadang-kadang kita sudah tahu apa yang kita perlu lakukan dalam agama tapi kita tak mampu nak lakukan lagi. Ini adalah kerana Allah tidak beri lagi taufik iaitu kekuatan untuk mengamalkan apa yang sudah tahu.

Maka kita bukan sahaja kena minta hidayah, tapi kita kena minta taufik juga. Kerana kekuatan itu bukan dari kita, tapi dari Allah. Cuma kita kena ada keinginan dan usaha dari kita pada mulanya. Jangan berharap dan berdoa sahaja tanpa ada usaha.

Maka Allah beritahu yang Nabi Daud ada ‘hikmah’. Maksudnya baginda bukan sahaja ada ilmu tapi baginda juga mengamalkan apa yang baginda tahu.

 

وَفَصلَ الخِطابِ

dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan.

Nabi Daud juga pandai buat keputusan. Kalimah فصل dari katadasar ف ص ل yang bermaksud memisahkan antara dua perkara dan ini memberi penjelasan. Maka keputusan pun dapat dibuat dengan tepat kalau dapat penjelasan dengan baik. Ini penting kerana baginda adalah seorang raja dan baginda selalu kena mengadili masalah rakyat baginda. Maknanya baginda juga adalah seorang hakim.

Dan Allah beritahu apabila baginda buat keputusan, tidak ada yang komen atau kritik keputusan baginda. Maknanya semua setuju kerana keputusan baginda itu adil.

Atau ia juga bermaksud baginda diberi dengan kefasihan dalam menyampaikan wahyu. Umat baginda faham dengan apa yang disampaikan oleh baginda. Ini adalah kerana خطاب adalah dari katadasar خ ط ب yang bermaksud menyampaikan seperti khatib menyampaikan khutbah Hari Jumaat.


 

Ayat 21: Sekarang masuk kepada satu kisah kejadian yang melibatkan Nabi Daud.

۞ وَهَل أَتٰكَ نَبَأُ الخَصمِ إِذ تَسَوَّرُوا المِحرابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And has there come to you the news of the adversaries, when they climbed over the wall of [his] prayer chamber –

(MELAYU)

Dan adakah sampai kepadamu berita orang-orang yang bertelagah ketika mereka memanjat pagar?

 

وَهَل أَتٰكَ نَبَأُ الخَصمِ

Dan adakah sampai kepadamu berita orang-orang yang bertelagah

Seperti yang kita tahu, Nabi Daud a.s. adalah seorang raja dan baginda tinggal di istana. Ada satu kisah menarik bagaimana ada sekumpulan ‘manusia’ yang hendak berjumpa dengan Nabi Daud kerana mereka memerlukan penghakiman dari baginda.

Waktu itu Nabi Daud di tempat peribadi baginda bersendirian kerana baginda sedang beribadat. Itu adalah tempat peribadi baginda yang dijadikan sebagai tempat ibadat baginda. Kerana itu ia dinamakan محراب yang diambil dari katadasar ح ر ب yang bermaksud perang, kerana waktu itu sedang berperang dengan nafsu untuk melakukan ibadah.

Kalimah الخَصمِ dalam bentuk jamak maka dari ini kita tahu yang datang panjat dan mencari Nabi Daud itu ramai dan bukan dua orang sahaja. Bayangkan, tentu Nabi Daud pun terkejut juga walaupun baginda bukanlah seorang yang penakut kerana baginda juga seorang pejuang. Tapi kalau sudah ramai, tentu ada masalah juga kalau baginda nak lawan.

Tambahan pula mereka itu datang ke tempat ibadat baginda. Baginda tidak sangka akan ada orang yang dapat masuk ke situ kerana tentulah tempat itu dijaga rapi oleh pengawal. Tentu baginda kehairanan sangat bagaimana mereka boleh lepas masuk?

Kebiasaan bagi baginda adalah untuk membahagikan masa antara ibadat dan juga urusan kerajaan; dimana dari pagi sampai ke waktu Zuhur, baginda akan bersama rakyat dan selepas itu baginda akan tidur sebentar dan kemudian baginda akan sambung waktu seterusnya dengan beribadat kepada Allah.

 

إِذ تَسَوَّرُوا المِحرابَ

ketika mereka memanjat pagar?

Mereka sampai panjat pagar istana untuk berjumpa dengan baginda. Kalimah تَسَوَّرُوا dari katadasar س و ر yang bermaksud melompat, mengalahkan, dinding, bahagian yang tinggi. Maka ia bermaksud mereka telah melompat dinding/pagar istana untuk sampai kepada Nabi Daud.

Mereka telah panjat pagar yang paling tinggi yang tak mungkin boleh dipanjat oleh manusia biasa. Sebenarnya mereka itu bukanlah manusia tapi para malaikat.

Dalam kisah ini, Allah telah menghantar beberapa malaikat untuk menguji Nabi Daud dalam mentadbir kerajaan. Malaikat itu datang dengan menyerupai fizikal manusia dan mereka telah memanjat pagar. Mereka tidak datang kepada Nabi Daud dengan cara yang biasa (minta izin) kerana waktu itu adalah waktu ibadat Nabi Daud dan jikalau mereka meminta kebenaran untuk berjumpa baginda pun, tidak akan dibenarkan oleh pengawal istana. Baginda sudah pesan yang waktu itu baginda tidak mahu diganggu.


 

Ayat 22:

إِذ دَخَلوا عَلىٰ داوودَ فَفَزِعَ مِنهُم ۖ قالوا لا تَخَف ۖ خَصمانِ بَغىٰ بَعضُنا عَلىٰ بَعضٍ فَاحكُم بَينَنا بِالحَقِّ وَلا تُشطِط وَاهدِنا إِلىٰ سَواءِ الصِّرٰطِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they entered upon David and he was alarmed by them? They said, “Fear not. [We are] two adversaries, one of whom has wronged the other, so judge between us with truth and do not exceed [it] and guide us to the sound path.

(MELAYU)

Ketika mereka masuk (menemui) Daud lalu dia terkejut kerana kedatangan) mereka. Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut; (kami) adalah dua orang yang bertelagah yang salah seorang dari kami berbuat zalim kepada yang lain; maka berilah keputusan antara kami dengan adil dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus.

 

إِذ دَخَلوا عَلىٰ داوودَ فَفَزِعَ مِنهُم

Ketika mereka masuk (menemui) Daud lalu dia terkejut kerana kedatangan mereka.

Kalimah فزع bermaksud terkejut sampai akal terganggu, tak boleh fikir dengan jelas lagi. Nabi Daud amat terkejut dengan kedatangan ‘manusia’ yang tiba-tiba sahaja sudah ada di dalam ruang peribadi baginda.

Ini kerana baginda tidak tahu yang mereka itu adalah para malaikat. Ini adalah dalil lagi bahawa para Nabi tidak tahu perkara ghaib; dan kerana itu Nabi Daud takut kepada mereka; sepertimana Nabi Ibrahim juga takut kepada malaikat yang datang kepada baginda semasa memberitahu baginda akan mendapat anak. Ini semua kerana para Nabi memang tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu oleh Allah. Maka kerana itu Nabi Daud takut dengan kedatangan mereka.

Dan baginda takut kerana mereka itu berjaya panjat pagar yang tinggi di istana dan cara mereka datang kepada baginda itu dengan cara begitu dan ini adalah tanda-tanda orang yang tidak berniat baik. Baginda tentu takut yang mereka hendak mencederakan baginda atau pun membunuh baginda. Maka tidak salahlah kalau Nabi Daud takut dengan kedatangan manusia/malaikat itu.

 

قالوا لا تَخَف

Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut; 

Para malaikat itu nampak yang Nabi Daud takut dan mereka cepat-cepat beritahu kepada baginda supaya jangan takut. Mereka beritahu yang kedatangan mereka itu bukannya untuk membunuh baginda.

 

خَصمانِ بَغىٰ بَعضُنا عَلىٰ بَعضٍ

(kami) adalah dua orang yang menyalahi yang salah seorang dari kami berbuat zalim kepada yang lain; 

Salah seorang dari kumpulan malaikat itu bercakap bagi pihak semua orang. Dia mengatakan yang mereka itu adalah dua kumpulan yang telah bertengkar dan salah seorang daripada mereka telah menzalimi seorang yang lain.

Ini adalah kerana kalimah بغى dari katadasar ب غ ي yang bermaksud mengejar sesuatu, mengambil sesuatu dengan cara salah dan kejam, melebihi batas.

 

فَاحكُم بَينَنا بِالحَقِّ

maka berilah keputusan antara kami dengan adil 

Dia juga beritahu yang sebenarnya kedatangan mereka adalah kerana nak dapatkan keputusan yang segera dari baginda dan kerana itu mereka telah sanggup memanjat pagar yang tinggi. Dan yang paling penting, mereka hendak kes mereka itu diadili dengan cara benar dan adil.

 

وَلا تُشطِط

dan janganlah kamu menyimpang dari kebenaran

Mereka minta baginda jangan buat keputusan yang lari dari syariat. Kalimah تُشطِط dari katadasar ش ط ط yang bermaksud jauh, menyalahi seseorang, melayan dengan tidak adil, melebihi batasan. Mereka hendak keputusan mereka itu diadili dengan keputusan yang adil. Dan keputusan yang adil tentunya penghakiman yang ikut syariat.

 

وَاهدِنا إِلىٰ سَواءِ الصِّرٰطِ

dan tunjukilah kami ke jalan yang benar.

Dan mereka berharap supaya baginda dapat membawa mereka kepada jalan yang lurus yang ikut syariat.


 

Ayat 23:

إِنَّ هٰذا أَخي لَهُ تِسعٌ وَتِسعونَ نَعجَةً وَلِيَ نَعجَةٌ وٰحِدَةٌ فَقالَ أَكفِلنيها وَعَزَّني فِي الخِطابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed this, my brother, has ninety-nine ewes, and I have one ewe; so he said, ‘Entrust her to me,’ and he overpowered me in speech.”

(MELAYU)

Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor saja. Maka dia berkata: “Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia mengalahkan aku dalam perdebatan”.

 

إِنَّ هٰذا أَخي

Sesungguhnya saudaraku ini

Walaupun mereka itu nampak ramai tapi mereka itu dari dua kumpulan sebenarnya. Tidaklah semua bercakap kerana setiap kumpulan ada wakil. Dia memperkenalkan yang lawannya itu adalah saudaranya sendiri. Maknanya perkelahian itu adalah dengan saudara sendiri.

Atau, mungkin bukan saudara kandung kerana ia boleh jadi saudara seagama atau saudara dalam kabilah.

 

لَهُ تِسعٌ وَتِسعونَ نَعجَةً وَلِيَ نَعجَةٌ وٰحِدَةٌ

mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor saja.

Sekarang kita semakin tahu fakta kisah ini. Yang berkata itu ‘kononnya’ yang miskin kerana dia ada seekor kambing sahaja sedangkan saudaranya itu ada 99 ekor kambing.

 

فَقالَ أَكفِلنيها

Maka dia berkata: “Serahkanlah kambingmu itu kepadaku

Abangnya yang ada banyak kambing itu meminta seekor kambing adiknya itu. Walaupun dia sudah ada 99 ekor kambing tapi dia minta supaya diberi kambing adiknya yang satu itu supaya dia yang jaga. Kalimah أكفل bermaksud menjaga, membesarkan, bertanggungjawab.

 

وَعَزَّني فِي الخِطابِ

dan dia mengalahkan aku dalam perdebatan”.

Abangnya itu berhujah dalam meminta kambing adiknya itu. Kerana jikalau ada seekor sahaja kambing tidak akan pergi ke mana kerana kambing-kambing itu tidak dapat membiak kerana tidak ada pasangan. Dan kerana itu dia hendak mencukupkan kambingnya supaya cukup jadi 100 ekor.

Kemudian abangnya itu telah berkata dengan kasar. Maknanya abangnya itu telah membuli adiknya itu dan kerana itu masing-masing telah memanggil penyokong masing-masing. Kerana itu mereka ramai yang datang berjumpa dengan Nabi Daud pada malam itu.

Dia telah mengalahkan adiknya di dalam perdebatan itu kerana hujah dia kuat juga. Dan kerana dia kaya dan mungkin berpengaruh, maka susah untuk seorang yang miskin dan lemah menolak begitu sahaja. Setakat ini, abang yang ada 99 ekor kambing itu belum lagi ambil kambing yang seekor itu, tapi setakat minta sahaja. Tapi susah untuk menolaknya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 9 – 16 (Siapa engkau?)

Sad Ayat 9: Allah yang pilih siapa jadi Nabi. Ini adalah haq Allah dan manusia tak payah soalkan.

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَحمَةِ رَبِّكَ العَزيزِ الوَهّابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they have the depositories of the mercy of your Lord, the Exalted in Might, the Bestower?

(MELAYU)

Atau apakah mereka itu mempunyai perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi?

 

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَحمَةِ رَبِّكَ

Atau apakah mereka itu mempunyai perbendaharaan rahmat Tuhanmu

Sebelum ini telah disebut yang Musyrikin Mekah kata tak munasabah bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Maka Allah tempelak mereka dalam ayat ini. Apakah mereka yang jaga khazanah Allah sampai Allah kena dapat kelulusan mereka? Adakah mereka yang ada haq menentukan siapa dapat rezeki, siapa dapat pemberian dari Allah? Siapa mereka untuk kata begitu?

 

العَزيزِ الوَهّابِ

Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi?

Allah Maha Berkuasa untuk memilih siapa yang layak untuk dapat apa-apa sahaja. Segala perbuatan Allah tidak boleh dipersoalkan. Kerana Dialah al-Aziz yang tidak tidak dapat dikalahkan. Jadi kena tahulah kedudukan kita sebagai hamba Allah.

Allah al-Wahhab iaitu yang Maha Pemberi nikmat yang hendak diberikanNya. Dan amat banyak sekali pemberian Allah kepada makhluk. Antaranya Allah beri nikmat kerasulan kepada Nabi Muhammad.


 

Sad Ayat 10:

أَم لَهُم مُّلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما ۖ فَليَرتَقوا فِي الأَسبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or is theirs the dominion of the heavens and the earth and what is between them? Then let them ascend through [any] ways of access.¹

  • To oversee the affairs of their dominion.

(MELAYU)

Atau apakah bagi mereka kerajaan langit dan bumi dan yang ada di antara keduanya? (Jika ada), maka hendaklah mereka menaiki tangga-tangga (ke langit).

 

أَم لَهُم مُّلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما

Atau apakah kepunyaan mereka kerajaan langit dan bumi dan yang ada di antara keduanya?

Allah perli mereka lagi: Atau mereka miliki kerajaan langit dan bumi? Kerana kalau mereka ada kerajaan langit dan bumi, bolehlah nak mempersoalkan keputusan yang Allah lakukan. Kalau tidak ada, jangan memandai nak mempersoalkan. Kerana kerajaan langit dan bumi milik Allah taala sahaja.

Kita sebagai manusia yang menetap atas alam ini kena taat kepada Allah. Kerana kita pun duduk di dalam alam Dia. Kalau tidak setuju dengan keputusan Allah, maka boleh cari alam lain yang Allah tidak buat.

 

فَليَرتَقوا فِي الأَسبٰبِ

(Jika ada), maka hendaklah mereka menaiki tangga-tangga (ke langit).

Kalau mereka ada kerajaan langit dan bumi, maka naiklah ke langit kalau mereka mampu. Naiklah ke langit dan bawa turun sendiri wahyu. Maksudnya, mereka sendirilah yang jadi tuhan dan pilih sendiri siapa yang mereka nak beri wahyu. Ini memang kata-kata yang amat sinis dari Allah.

Hal ini selalu disentuh di dalam ayat-ayat yang lain, antaranya Zukhruf:31-32.


 

Sad Ayat 11:

جُندٌ مّا هُنالِكَ مَهزومٌ مِّنَ الأَحزابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are but] soldiers [who will be] defeated there among the companies [of disbelievers].

(MELAYU)

Suatu tentera yang besar yang berada di sana dari golongan-golongan yang bersyarikat, pasti akan dikalahkan.

 

Allah beri ancaman. Mereka itu adalah satu kumpulan macam kumpulan-kumpulan yang Allah sudah pernah musnahkan dahulu. Kalimah مَهزومٌ dari katadasar ه ز م yang bermaksud diperangi, kalah.

Amat mudah sahaja Allah musnahkan kumpulan-kumpulan itu dahulu. Yang dimusnahkan dahulu itu adalah tentera yang lebih besar dari Arab Mekah itu. Arab Mekah itu kecil sahaja dan mereka itu hanya duduk di Mekah dan tidak ada apa-apa pun kalau dibandingkan dengan golongan terdahulu.

Mereka itu sangka mereka kuat kerana mereka ramai. Tapi Allah nak kata yang mereka itu kecil sahaja walau pun mereka bergabung. Bila-bila masa pun Allah boleh musnahkan mereka. Ada tentera yang lebih besar dan hebat dari mereka pun Allah sudah pernah musnahkan.

Kalimah هُنالِكَ bermaksud ‘di sini’ dan ia berkemungkinan besar merujuk kepada Mekah itu sendiri. Di mana mereka yang menentang Nabi Muhammad akan dikalahkan di Mekah sendiri apabila Nabi Muhammad dan para sahabat akan memasukinya nanti dan menakluk Mekah itu.


 

Sad Ayat 12: Allah bagi contoh apa yang terjadi dahulu sebagai Takhwif duniawi.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ وَفِرعَونُ ذُو الأَوتادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The people of Noah denied before them, and [the tribe of] ‘Aad and Pharaoh, the owner of stakes,¹

  • By which he tortured people.

(MELAYU)

Telah mendustakan (rasul-rasul pula) sebelum mereka itu kaum Nuh, ‘Aad, Fir’aun yang mempunyai pasak yang banyak,

 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَعادٌ

Telah mendustakan (rasul-rasul pula) sebelum mereka itu kaum Nuh, ‘Aad,

Allah nak beritahu yang bukan Musyrikin Mekah ini sahaja yang pertama mendustakan Rasul mereka. Sebelum itu zaman berzaman telah ada kaum yang mendustakan Rasul mereka dan lihatlah apa yang terjadi kepada mereka.

Musyrikin Mekah tahu apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh dan juga Kaum Aad. Kerana kisah ini masyhur, maka Allah ingatkan mereka balik. Adakah kamu mahu jadi seperti mereka yang telah dimusnahkan itu kerana tidak taat kepada Rasul mereka?

 

وَفِرعَونُ ذُو الأَوتادِ

Fir’aun yang mempunyai pasak yang banyak,

Mereka juga mungkin tahu tentang Firaun kerana kisah ini juga masyhur. Allah memberitahu kehebatan kerajaan Firaun dalam ayat ini. Kerana itu digunakan kalimah الأَوتادِ yang ditafsirkan sebagai pasak khemah, iaitu khemah tentera.

1. Ramai mufassir mengatakan ini adalah isyarat untuk menunjukkan tentera dia ramai sampai memerlukan khemah yang banyak apabila mereka berhenti dalam misi mereka. Tentera dia ramai pun tapi tidak dapat menyelamatkan dia dari dimatikan oleh Allah dalam laut. Maka apa yang Musyrikin Mekah itu ada untuk menyelamatkan mereka?

2. Atau, ada juga yang menafsirkan pasak itu sebagai menceritakan cara Firaun menyeksa manusia. Iaitu dia seksa mereka dengan tambat mereka dengan pasak ke tanah atau tiang. Ini adalah cara yang amat kejam dan seperti yang kita tentu sudah tahu, Firaun amat kejam. Memang cara dia seksa amat menggerunkan dan di luar kebiasaan manusia.

3. Atau, ia bermaksud kerajaan Mesir zaman Firaun yang teguh seperti teguhnya khemah apabila dipasak. Tapi teguh macam mana pun, tidak dapat nak melawan kehendak Allah.

4. Atau, satu pendapat lagi mengatakan ia mungkin merujuk kepada Piramid di Mesir yang seumpama sesuatu yang dipasak ke dalam bumi kerana teguhnya ia. Jadi ada banyak pendapat yang diberikan oleh para mufassir. Semua ini menarik untuk kita fikir-fikirkan.

5. Satu lagi pendapat adalah ia merujuk kepada obelisk (tugu) yang tinggi. Ia dikenali sebagai Kuil Karnak. Ini kerana kerajaan Firaun lah yang menaikkan obelisk ini. Kuil itu telah ada sebelum kerajaan Firaun, tapi pada zaman Firaun telah ditambah. Dan kerana itulah الأَوتادِ itu dikaitkan dengan mereka. Ini adalah mukjizat sejarah Al-Qur’an yang menjadi bukti bahawa ia adalah Kalamullah. Ini adalah maklumat baru setelah kajian tentang sejarah Mesir diperhebatkan.


 

Sad Ayat 13: Allah sambung dengan sebut kaum-kaum yang lain.

وَثَمودُ وَقَومُ لوطٍ وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ ۚ أُولٰئِكَ الأَحزابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [the tribe of] Thamūd and the people of Lot and the companions of the thicket [i.e., people of Madyan]. Those are the companies.¹

  • That were defeated, among whom will be the disbelievers of Quraysh and others.

(MELAYU)

dan Tsamud, kaum Luth dan penduduk Aikah. Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu (menentang rasul-rasul).

 

وَثَمودُ وَقَومُ لوطٍ

dan Tsamud, kaum Luth

Kaum Tsamud juga dikenali oleh Musyrikin Mekah kerana mereka melalui kawasan bekas penempatan kaum Tsamud dalam musafir mereka. Maka Allah ingatkan mereka. Dan Allah ingatkan juga tentang Kaum Luth kerana Arab Mekah juga ada melalui bekas penempatan mereka iaitu di Laut Mati, Jordan.

 

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ

dan penduduk Aikah.

Penduduk Aikah yang dimaksudkan adalah Madyan, iaitu kaum Nabi Syuaib a.s. Mereka juga telah dimusnahkan kerana penolakan mereka terhadap Rasul mereka. Wahai Musyrikin Mekah, kamu nak jadi seperti mereka jugakah?

 

أُولٰئِكَ الأَحزابُ

Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu. 

Iaitu mereka bersekutu dan bersatu menentang Rasul mereka. Itulah kumpulan yang Allah sudah musnahkan itu ramai-ramai bersekongkol untuk menentang Rasul mereka. Mereka bukannya buat kerja sendirian berhad tapi dalam berkumpulan.

Ini adalah kerana kumpulan jahat selalunya rasa bersemangat apabila mereka ramai. Semangat memang lain macam apabila ramai. Tapi Allah beritahu yang walaupun mereka sangka mereka sudah ramai, tapi senang sahaja Allah musnahkan mereka. Maka Allah beri peringatan kepada Musyrikin Mekah dan mana-mana kumpulan yang hendak menentang ajaran tauhid.


 

Sad Ayat 14:

إِن كُلٌّ إِلّا كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ عِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Each of them denied the messengers, so My penalty was justified.

(MELAYU)

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul, maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku.

 

إِن كُلٌّ إِلّا كَذَّبَ الرُّسُلَ

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul,

Allah beritahu kenapa mereka itu semua dimusnahkan. Ia adalah kerana mereka mengatakan Rasul mereka berdusta dan tidak mahu menerima ajaran Rasul mereka.

 

فَحَقَّ عِقابِ

maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku.

Maka balasan kepada mereka adalah kehancuran total. Apabila Allah buat keputusan untuk beri azab, maka tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya. Maka Allah beri peringatan kepada Musyrikin Mekah waktu itu kerana mereka masih lagi ada peluang untuk menyelamatkan diri mereka. Janganlah jadi seperti kaum-kaum terdahulu.

Habis Ruku’ 1 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Sad Ayat 15:

وَما يَنظُرُ هٰؤُلاءِ إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً مّا لَها مِن فَواقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And these [disbelievers] await not but one blast [of the Horn]; for it there will be no delay.¹

  • Or “respite.” More literally, “a period between two milkings of a she-camel,” which also alludes to the meanings of “return” or “repetition.”

(MELAYU)

Tidaklah yang mereka tunggu melainkan hanya satu teriakan saja yang tidak ada baginya waktu tangguh.

 

وَما يَنظُرُ هٰؤُلاءِ إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً

Tidaklah yang mereka tunggu melainkan hanya satu teriakan sahaja

Mereka itu degil sangat dan tidak mahu nak buka minda mereka kepada kebenaran. Yang mereka tunggu hanyalah sangkakala kedua sahaja iaitu apabila dibangkitkan dari mati mereka. Waktu itulah mereka baru nak terima kebenaran.

 

مّا لَها مِن فَواقٍ

yang tidak ada baginya saat berselang.

Waktu itu sudah terlambat. Kerana tidak ada tangguh lagi bagi mereka. Apabila mereka dikenakan dengan azab nanti, tidak ada rehat untuk mereka.


 

Sad Ayat 16: Ayat syikayah. Allah menceritakan kedegilan mereka dan kata-kata mereka yang menunjukkan kedegilan mereka itu dan betapa kurang ajarnya mereka.

وَقالوا رَبَّنا عَجِّل لَّنا قِطَّنا قَبلَ يَومِ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Our Lord, hasten for us our share [of the punishment] before the Day of Account.”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami sebelum hari berhisab”.

 

وَقالوا رَبَّنا عَجِّل لَّنا قِطَّنا

Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami cepatkanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami

Mereka mengejek Rasulullah. Nabi telah beritahu yang mereka akan kena azab kalau mereka menentang kebenaran. Mereka ejek dengan minta dicepatkan azab itu kalau memang benar ada. Mereka berani kata begitu kerana mereka tidak percaya mereka akan kena azab.

Kalimah قِطَّنا dari katadasar ق ط ط yang bermaksud potong. Apabila dipotong, ada bahagian, bukan? Maka mereka nak kata bagilah kepada mereka segera ‘bahagian’ dari azab yang patut dikenakan kepada mereka itu. Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka.

 

قَبلَ يَومِ الحِسابِ

sebelum hari berhisab”.

Mereka angkuh sungguh. Mereka kata tak payah tunggu hari Kiamatlah… beri sekarang sahaja bahagian azab mereka.

Qatadah menambahkan, bahawa ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya.

{اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}

Ya Allah, jika betul (Al-Qur’an) ini yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah azab yang pedih. (Al-Anfal: 32)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 1 – 8 (Quraisy yang sombong)

Pengenalan kepada Surah Sad

Di dalam surah ini Allah hendak memberitahu golongan Nabi dan Wali itu yang disembah dan diseru oleh manusia musyrik itu juga ada dikenakan dengan ujian dan masalah dan mereka pun diuji oleh Allah. Maka kalau mereka juga diuji dan tertakluk kepada kehendak Allah, maka tidak patut mereka itu disembah dan diseru.

Dalam surah ini nanti kita akan belajar bagaimana ada para Nabi yang mengalami masalah seperti sakit dan selepas itu mereka semua berdoa terus kepada Allah mengharapkan bantuan Allah. Ini mengajar kita, kalau para Nabi pun begitu juga, maka tentulah para wali pun lebih-lebih lagi. Maka mereka sendiri tidak ada kuasa, maka kenapa nak minta tolong kepada mereka?

Kekeliruan manusia adalah kerana mereka dengar bahawa para Nabi itu ada mukjizat dan para wali itu mendapat karamah, dan mereka sangka ada kelebihan kepada para Nabi dan Wali itu kerana ada mukjizat dan karamah itu. Sedangkan kita kena faham bahawa kelebihan mukjizat dan karamah itu hanya terjadi apabila Allah hendak ia berlaku dan bukan apabila ada kehendak dari Nabi dan wali itu. Maknanya, Nabi dan wali tidak ada kuasa untuk menjadikan mukjizat dan karamah.

Orang yang jahil dari wahyu sangka bahawa kalau para Nabi dan wali itu ada kelebihan semasa hidup, maka tentu apabila mereka mati, kelebihan itu bertambah lagi. Oleh kerana salah faham ini, maka golongan musyrik itu telah seru Nabi dan wali tanpa bukti dan dalil yang membenarkan.

Fahaman dan perbuatan mereka itu berdasarkan sangkaan sahaja kerana mereka jauh dari wahyu. Allah nafikan salah faham mereka. Mana boleh gunakan konsep ‘agak-agak’ dalam agama. Amalan agama tentu memerlukan dalil.

Oleh itu, kita tahu bahawa masalah ini terjadi kerana mereka itu jauh dari wahyu. Kerana itu mereka senang tertipu oleh syaitan yang sentiasa mengambil peluang terhadap orang yang jahil. Yang faham wahyu Al-Qur’an tidak senang ditipu dan kerana itu kita mengajak sangat orang belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Asal surah ini diturunkan kepada Arab Mekah. Kerana itulah bahasa yang digunakan pun tinggi kerana layak untuk mereka. Ini adalah kerana mereka adalah orang sastera.  Oleh kerana mereka sepatutnya faham, maka mereka sepatutnya senang fikir dan terima ajaran Al-Qur’an ini.

Allah juga gunakan bahasa yang indah-indah supaya mereka tertarik untuk mendengar apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Ini kerana mereka orang bahasa dan tentu boleh menghargai Al-Qur’an yang menggunakan bahasa yang tinggi ini.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Ayat 1 – 16 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah pendahuluan bagi surah ini.

Ia mengandungi Dalil Tauhid Tuhan Yang Satu.
Peringatan tentang kaum-kaum terdahulu yang sombong dan mendustakan para Rasul telah pupus binasa.
Nabi Muhammad ditentang keras oleh Musyrikin Makkah.
ALLAH berikan beberapa kisah Nabi-nabi terpuji yang terdahulu sebagai penguat semangat Rasulullah.

ص ۚ وَالقُرءآنِ ذِي الذِّكرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ṣād: (the letter) ṣād.

Ṣād.¹ By the Qur’ān containing reminder…²

  • See footnote to 2:1.
  • The completion of the oath is understood to be that the Qur’ān is inimitable and thus a miracle from Allāh.

(MELAYU)

Shaad, demi Al-Qur’an yang mempunyai peringatan.

 

Surah ini dimulai dengan Huruf Muqattaah yang kita telah banyak kali tafsirkan dalam surah-surah yang lain. Ringkasnya kita tidak tahu apakah maksudnya dan kerana itu kita tidak boleh menafsirnya. Kita biarkan sahaja ia begitu kerana kita tidak cukup ilmu untuk menafsirkan.

Ayat ini adalah ayat Qosam (sumpah) dimana Allah bersumpah dengan Al-Qur’an.

Allah memberitahu kepada kita yang Al-Qur’an ini mengandungi peringatan. Nama Al-Qur’an itu sendiri adalah الذكر (peringatan) dan di dalamnya pun memang ada peringatan. Maka memang Al-Qur’an ini sesuatu yang hebat kerana namanya tepat sebagai sifatnya. Bandingkan orang yang bernama Rahman tapi belum tentu lagi dia seorang yang pemurah.

Orang yang mahu mengambil peringatan daripada Al-Qur’an ini akan menjadi orang yang mulia dan orang yang tinggi kedudukannya. Dan mereka akan dikenang dan diingati sebagai orang  yang mulia kerana mengamalkan Al-Qur’an dan menyebar Al-Qur’an dalam hidupnya.

Begitulah yang terjadi kepada golongan sahabat yang bertungkus lumus mempelajari Al-Qur’an, menegakkan Al-Qur’an dalam kehidupan mereka dan menyebarkan Al-Qur’an ke serata dunia. Sampai sekarang kita masih lagi menyebut-nyebut nama mereka.

Oleh itu, oleh kerana mereka ingat kepada Al-Qur’an, maka mereka juga diingati.


 

Ayat 2: 

بَلِ الَّذينَ كَفَروا في عِزَّةٍ وَشِقاقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve are in pride and dissension.

(MELAYU)

Sebenarnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit.

 

Ada yang mengatakan yang ayat ini bukanlah jawab kepada qosam dalam ayat pertama. Selalunya apabila ada sumpah, maka ada jawab kepada sumpah itu. Iaitu apa yang Allah hendak sampaikan sampai Allah bersumpah. Tapi ada keadaan dimana Allah sudah bersumpah tapi tak jawab sumpahnya itu. Ini adalah kerana Allah nak pembaca Al-Qur’an fikirkan sendiri apakah yang Allah hendak tekankan.

Sedikit perbincangan tentang Jawabul Qosam ayat ini: Para ulama tafsir berbeza pendapat sehubungan dengan jawab dari qasam-nya;

1. Sebahagian di antara mereka mengatakan bahawa jawab qasam-nya adalah firman Allah Swt.:

{إِنْ كُلٌّ إِلا كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ عِقَابِ}

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan rasul-rasul, maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku. (Shad: 14)

2. Menurut pendapat lain, jawab qasam-nya adalah firman Allah Swt.:

{إِنَّ ذَلِكَ لَحَقٌّ تَخَاصُمُ أَهْلِ النَّارِ}

Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran penghuni neraka. (Shad: 64)

Kedua pendapat ini diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, dan pendapat yang kedua ini jauh dari kebenaran, dan dinilai da’if oIeh Ibnu jarir.

3. Qatadah mengatakan bahawa jawab qasam-nya ialah:

{بَلِ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي عِزَّةٍ وَشِقَاقٍ}

Sebenarnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit. (Shad: 2)

Ibnu Jarir memilih pendapat ini.

Kemudian Ibnu Jarir meriwayatkan dari sebahagian ahli bahasa yang telah mengatakan sehubungan dengan jawab qasam ini, bahawa jawab-nya adalah Shad yang artinya ‘benar lagi hak’.

4. Menurut pendapat yang lainnya lagi, jawab-nya adalah apa yang terkandung di dalam surah ini secara keseluruhan; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Sekian tentang jawaabul qosam ayat ini.

Allah hendak memberitahu bahawa bukanlah Al-Qur’an itu ada masalah, atau Nabi Muhammad tidak pandai hendak berdakwah, tapi mereka tidak terima ajaran Al-Qur’an kerana kedegilan mereka sahaja. Kalau mereka buka hati mereka kepada kebenaran, maka tentu mereka akan nampak kebenaran yang disampaikan oleh baginda.

Jadi Allah hendak memberitahu bahawa orang kafir tidak terima kebenaran kerana mereka berpegang kepada kemuliaan mereka. Mereka pandang Nabi sebagai salah seorang dari golongan yang rendah dan mereka tidak boleh bercampur dengan Nabi dan juga golongan sahabat yang miskin itu. Mereka sangka mereka tinggi sangat dalam masyarakat dan kalau mereka bercampur gaul dengan golongan rendah, kedudukan mereka pun jadi rendah juga.

Kalimah شِقاقٍ pula bermaksud perbezaan antara dua benda. Iaitu perkara yang jauh bezanya, sampai takkan berjumpa. Seperti persimpangan yang berlainan arah dan takkan bertemu. Ia sesuatu yang takkan boleh duduk sekali. Macam batu yang sudah pecah takkan dapat disambung balik.

Apa yang orang kafir tidak boleh sambung? Iaitu orang kafir yang tak mahu sambung antara dalil dan natijah yang sudah diberi. Mereka takkan benarkan antara dua perkara itu duduk bersama. Mereka tetap akan tolak antara dalil dan natijah itu. Mereka tidak akan terima kebenaran.


 

Ayat 3: Ayat takhwif duniawi. Allah beritahu kesan menolak kebenaran seperti yang telah dikenakan kepada umat lalu.

كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ فَنادَوا وَلاتَ حينَ مَناصٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How many a generation have We destroyed before them, and they [then] called out; but it was not a time for escape.

(MELAYU)

Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri.

 

كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ

Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan,

Sudah banyak umat-umat sebelum mereka yang juga telah menolak kebenaran. Mereka sama macam kamu Musyrikin Mekah sahaja. Dan kerana penolakan mereka itu, Allah telah musnahkan mereka. Adakah kamu nak jadi seperti mereka?

 

فَنادَوا وَلاتَ حينَ مَناصٍ

lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri.

Semasa mereka dikenakan dengan azab dunia itu, mereka telah menyeru minta tolong. Kepada siapa tempat mereka minta tolong waktu itu? Tak disebut kepada siapa mereka minta pertolongan kerana tidak penting kerana tiada siapa yang boleh tolong pun.

Sesiapa sahaja mereka minta tolong, mereka tidak akan dapat menolong. Dan kalau waktu itu baru mereka hendak meminta tolong kepada Allah, Allah tidak beri pertolongan kepada mereka waktu itu kerana sudah terlambat.

Kalimah لاتَ jarang digunakan dan ulama mengatakan yang ianya adalah la nafiah (la tidak). Dalam kalimah ini, telah ditambah huruf ت kepada لا, maksudnya ‘takkan’ pada masa itu. Bukan masa itu untuk minta tolong. Dulu semasa mereka didakwah, mereka tidak minta tolong. Sepatutnya waktu mereka didakwah itulah mereka minta dosa mereka dihapuskan dan minta rahmat dari Allah.

Tapi sekarang bukan masa untuk minta tolong lagi kerana sudah terlepas masa. Maknanya, boleh minta tolong, tapi bukan masa itu. Sudah terlambat untuk mereka meminta tolong. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَلَمَّا أَحَسُّوا بَأْسَنَا إِذَا هُمْ مِنْهَا يَرْكُضُونَ}

Maka tatkala mereka merasakan azab Kami, tiba-tiba mereka lari tergesa-gesa darinya. (Al-Anbiya: 12)

Yakni melarikan diri dari azab itu. Maka apa yang dikatakan kepada mereka waktu itu?

{لَا تَرْكُضُوا وَارْجِعُوا إِلَى مَا أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَاكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْأَلُونَ}

Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya (Al-Anbiya: 13)


 

Ayat 4: Ayat zajrun. Allah menceritakan apakah fahaman mereka terhadap Nabi Muhammad apabila baginda diangkat menjadi Rasul.

وَعَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم ۖ وَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا سٰحِرٌ كَذّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they wonder that there has come to them a warner [i.e., Prophet Muḥammad (ṣ)] from among themselves. And the disbelievers say, “This is a magician and a liar.

(MELAYU)

Dan mereka hairan kerana mereka kedatangan seorang pemberi peringatan (rasul) dari kalangan mereka; dan orang-orang kafir berkata: “Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta”.

 

وَعَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم

Dan mereka hairan kerana mereka kedatangan seorang pemberi peringatan (rasul) dari kalangan mereka; 

Mereka tak dapat terima ada manusia dari kalangan mereka pula yang jadi Rasul. Kerana selalunya maklumat datang dari tempat lain, dari tempat yang jauh. Mereka rasa kalau orang yang sama tempat dengan mereka, takkan tahu perkara-perkara ghaib ini?

Dan mereka sangsi kerana kalau orang ada yang sentiasa bersama dengan mereka, takkan dia dapat tahu sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu?

Sepatutnya mereka pelik kalau ada makhluk lain yang turun beri peringatan kepada mereka. Sebagai contoh, kalaulah malaikat yang turun beri peringatan dan ajaran, tentu mereka akan kata: takkan malaikat ini tahu masalah kita.. sedangkan dia tidak makan dan tidak ada nafsu.

Dan sepatutnya mereka pelik kalau orang dari luar yang datang beri peringatan kepada mereka. Kerana kalau orang itu orang luar, tentu mereka tidak kenal perangai dan sifat dia, boleh dipercayai atau tidak. Sedangkan sekarang yang beri peringatan kepada mereka adalah Muhammad, seorang insan yang mereka kenal dari kecil yang tidak pernah menipu, boleh dipercayai dan mereka sendiri beri gelaran al-Amin kepada baginda.

Tentulah Nabi Muhammad insan yang paling layak untuk beri peringatan kepada mereka. Kerana baginda kenal mereka dan tahu apakah sikap dan masalah dalam kehidupan mereka. Kalau orang yang datang dari luar, tentu tidak apa hal keadaan mereka, bukan?

 

وَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا سٰحِرٌ كَذّابٌ

dan orang-orang kafir berkata: “Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta”.

Jadi kerana akal mereka tidak dapat terima kerasulan Nabi Muhammad, maka mereka kena tolak. Tapi apakah alasan yang mereka gunakan? Dalam ayat ini diberitahu yang mereka tolak kerasulan baginda dan menuduh wahyu yang baginda sampaikan itu sebagai sihir. Mereka kata baginda itu tidak lain dan tidak bukan adalah seorang ahli sihir.

Bukan sahaja mereka kata baginda ahli sihir, mereka kata baginda seorang penipu pula. Kalimah كَذّابٌ adalah dalam bentuk mubalaghah (ekstrem). Maksudnya mereka hendak mengatakan yang Nabi Muhammad itu sentiasa menipu. Asyik-asyik menipu sampai semua orang sudah kenal sebagai seorang yang penipu.

Antara ‘ahli sihir’ dan ‘penipu’ adalah dua tuduhan yang tidak sama. Mereka pun sudah keliru nak guna alasan dan tuduhan yang mana satu.

Apabila mereka menuduh Nabi Muhammad seorang ahli sihir, maka bermakna mereka kata Nabi ada buat magis. Tapi magis apakah yang baginda pernah lakukan? Sebab magis ini adalah sesuatu yang boleh dilihat. Apa yang Nabi sudah buat perkara luar biasa yang boleh dilihat?

Sepatutnya magis bukan jenis kata-kata. Sedangkan pada mulanya Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Ini menunjukkan yang pada mereka walaupun wahyu Al-Qur’an itu adalah jenis ‘perkataan’, tapi mereka tak dapat nak labelkan. Maka ini menunjukkan mereka pun sudah takjub dengan Al-Qur’an. Jadi mereka kata ianya adalah ‘sihir’ sahaja. Kerana mereka tak tahu nak label apa kepada Al-Qur’an itu.

Satu lagi sebab mereka tuduh Nabi Muhammad itu sebagai seorang ahli sihir kerana kesan pengajaran dari baginda itu seperti sihir kepada manusia. Ada orang yang apabila dengar ajaran Al-Qur’an dari baginda, terus sanggup tinggalkan kesenangan, tinggalkan keluarga, tinggalkan suami atau isteri, sanggup tinggalkan harta, sanggup menerima dugaan dan seksaan; seolah-olah mereka itu kena sihir oleh Muhammad ini. Kerana kalau orang biasa, takkan sanggup nak buat semua itu.

Mereka juga kata baginda seorang penipu yang sentiasa menipu. Tapi orang yang selalu menipu, takkan nak duduk di situ lagi. Mereka takkan duduk di satu tempat kerana mereka sudah tidak boleh nak ‘cari makan’ kalau semua orang sudah tahu dan kenal sebagai penipu. Selalunya mereka akan tipu di satu-satu tempat dan setelah sekian lama, mereka akan cari tempat lain. Tapi Nabi ada sahaja di situ tidak pergi ke mana-mana.


 

Ayat 5: Kerana sebab inilah yang sebenarnya menyebabkan Musyrikin Mekah pelik dan tidak dapat terima kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kerana ianya berlawanan dengan fahaman mereka pada masa itu yang mereka telah pegang lama.

 أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has he made the gods [only] one God? Indeed, this is a curious thing.”

(MELAYU)

Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

 

أَجَعَلَ الآلِهَةَ إِلٰهًا واحِدًا

Adakah dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah Yang Satu saja?

Yang musyrikin hairan dan marah kepada Nabi Muhammad itu adalah kerana baginda mengatakan ilah hanyalah Allah sahaja, tidak ada yang lain.

Sedangkan mereka berfahaman yang banyak ilah selain daripada Allah. Mereka terima juga Allah sebagai ilah, tapi tidaklah Allah sahaja ilah yang tunggal. Di mana mereka kata, ilah-ilah selain Allah itu seperti berhala dan para malaikat adalah ‘wakil’ kepada Allah.

Kerana itulah mereka telah mengadakan berbagai-bagai sembahan selain Allah, seperti berhala dan sebagainya; dan mereka letak pula di Kaabah. Mereka kata, mereka letak berhala itu di Kaabah dan Allah tetap benarkan pun. Maka kerana itu mereka rasa tidak bersalah. Ini adalah andaian yang salah. Tidaklah kerana Allah benarkan mereka buat syirik, bermakna syirik itu benar. Kerana yang salah tetap salah.

Lihatlah bagaimana Allah biarkan sahaja berhala sembahan Musyrikin Mekah itu di Kaabah. Tidaklah berhala itu kena panah petir sampai hancur, atau rosak kena gangguan. Maka jikalau masjid kecil-kecil sekarang pun ada orang menyeru Nabi dan wali, buat Qasidah dan sebagainya, maka tidaklah menghairankan kerana Kaabah pun pernah ada berhala di sekelilingnya.

 

إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ عُجابٌ

Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.

Mereka hairan dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad. Mereka hairan kenapa Allah tidak ada wakil, kerana mereka bandingkan dengan Raja-raja di dunia yang tentunya ada wakil untuk sampai kepada mereka. Kalau raja di dunia, kita tidak boleh terus jumpa dia dan terus minta kepada dia melainkan melalui wakil-wakil raja itu.

Maka mereka telah buat perumpamaan seolah-olah kerajaan Allah taala sama pula dengan kerajaan manusia di dunia. Siapa pula yang kata begitu? Ada dalilkah? Tidak lain dan tidak bukan adalah andaian akal mereka yang cetek sahaja.

Jadi dari dulu lagi ajaran yang benar itu kadangkala pelik kepada kebanyakan manusia. Memang ajaran tauhid ini pelik kepada mereka yang tidak belajar wahyu. Kerana itu terdapat banyak tentangan dari manusia, termasuk orang yang mengaku beragama Islam pun. Puncanya adalah kerana jahil dari wahyu, dan mengamalkan agama hanya ikut-ikutan – sama juga seperti Musyrikin Mekah dahulu.

Kerana itu ramai yang pelik apabila kita kata tidak boleh bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat; pelik sangat mereka apabila kita kata tidak boleh minta syafaat kepada Rasulullah; pelik benar mereka apabila kita kata tidak ada Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Doa Selamatan dan lain-lain lagi amalan bidaah.

Ini semua kerana jahil wahyu dan jahil agama sahaja. Kalau dapat meluangkan masa untuk belajar, in sha Allah mereka akan faham.


 

Ayat 6: Apakah kata pemuka-pemuka Quraish kepada anak buah mereka yang berminat kepada ajaran Nabi Muhammad?

وَانطَلَقَ المَلَأُ مِنهُم أَنِ امشوا وَاصبِروا عَلىٰ ءآلِهَتِكُم ۖ إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ يُرادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the eminent among them went forth, [saying], “Continue, and be patient over [the defense of] your gods. Indeed, this is a thing intended.¹

  • Planned by Prophet Muḥammad (ṣ) in order to gain influence and prestige for himself.

(MELAYU)

Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata): “Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki.

 

وَانطَلَقَ المَلَأُ مِنهُم

Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata): 

Kalimah المَلَأُ boleh diterjemahkan sebagai ‘Ahli Majlis’ Macam ahli majlis syura atau barisan pemimpin sesuatu masyarakat. Mereka inilah yang dikatakan sebagai ‘orang tua’ dan menjadi rujukan masyarakat setempat. Mereka itu adalah pemuka-pemuka Quraish yang ada kedudukan.

Ini adalah situasi di mana mereka semua duduk dengar depan Nabi. Ini jarang sekali berlaku. Mereka datang dengar apa yang Nabi Muhammad cakap kerana mereka sudah tahu sudah kecoh tentang Nabi Muhammad dan mereka hendak tahu apakah yang disampaikan oleh baginda. Mereka dengarlah sekejap.

Tapi mereka tidak setuju dan tidak lama kemudian mereka bangkit dan berkata seperti dalam ayat ini. Mereka cakap kepada orang lain yang ada di situ dan dengar juga ajaran Nabi. Maknanya, mereka tinggalkan pesanan sebelum mereka meninggalkan tempat itu.

 

أَنِ امشوا وَاصبِروا عَلىٰ ءآلِهَتِكُم

“Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, 

Mereka suruh anak buah mereka untuk pergi dari mendengar ajaran Nabi Muhammad itu. Mereka halau kononnya untuk menyelamatkan ‘akidah’ para pemuda itu semua. Mereka suruh masyarakat terus sabar berpegang dengan amalan-amalan dan fahaman ‘lama’ mereka.

Ini sama macam golongan yang halang manusia datang belajar dengan guru yang ajar tauhid. Ini sama dengan golongan agamawan yang halang ustaz-ustaz Sunnah dari mengajar. Mereka suruh anak-anak murid mereka halang para ustaz Sunnah dari mengajar dan tetap berpegang dengan amalan tok nenek yang telah lama diamalkan. Seolah-olah ustaz Sunnah ini bawa ajaran baru yang menghapuskan amalan adat tok nenek yang telah lama dipegang.

Sedangkan apa yang diajar oleh asatizah Sunnah adalah pembersihan amalan masyarakat. Mana amalan yang salah, kita cuba betulkan dengan beritahu yang amalan-amalan itu tidak sunnah dan hendaklah ditinggalkan. Kerana ianya tidak ada dalil, dan ada banyak lagi amalan yang sahih ada dalil.

Maka apakah salahnya ustaz-ustaz Sunnah itu? Kenapa dihalang? Kenapa pula ada yang nak menjadi seperti المَلَأُ Quraish Mekah itu?

 

إِنَّ هٰذا لَشَيءٌ يُرادُ

sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki.

Kalimah يُرادُ bermaksud ‘dikehendaki’. Tapi apakah maksudnya dalam ayat ini? Boleh dinisbahkan kepada dua perkara.

  1. Dinisbahkan kepada penyembahan Musyrikin Mekah waktu itu. Pemuka Quraish itu hendak mengatakan yang amalan mereka menyeru banyak ilah itulah yang dikehendaki oleh Allah dan Allah suka begitu.
  1. Dinisbahkan kepada kehendak Nabi Muhammad. Pemuka Quraish hendak mengatakan yang perbuatan Nabi Muhammad itu ‘ada udang di sebalik batu’. Mereka nak kata yang Nabi Muhammad ada niat lain. Mereka nak kata yang kononnya mereka dapat rasa sebab mereka itu orang lama dan ada banyak pengamalan. Antaranya mereka nak kata yang Nabi Muhammad berkehendak kepada kedudukan dalam masyarakat. Baginda hendak disanjung-sanjung oleh orang ramai.

Asbabun Nuzul ayat ini: 

As-Saddi menceritakan bahawa sesungguhnya sejumlah orang Quraisy mengadakan suatu pertemuan, yang antara lain dihadiri oleh Abu Jahal ibnu Hisyam, Al-As ibnu Wa’il, Al-Aswad ibnu Muttalib, dan Al-Aswad ibnu Abdu Yagus bersama sejumlah pemuka kabilah Quraisy.

Sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain.”Marilah kita berangkat menuju tempat Abu Talib, kita harus berbicara kepadanya tentang anak saudaranya itu, mudah-mudahan kita terbebas dari gangguannya dan dia tidak lagi mencaci maki sembahan-sembahan kita, maka kita akan membiarkan dia dan Tuhan yang disembahnya.

Kerana sesungguhnya kita khuatir bila syeikh (Abu Talib) ini mati, lalu dia (Nabi Saw.) harus kita tangkap, maka orang-orang Arab akan mencela kita semua. Mereka akan mengatakan bahawa kita membiarkannya. Dan manakala Abu Talib mati meninggalkannya, baru kita berani menangkapnya.

Maka mereka mengutus seorang lelaki dari kalangan mereka yang dikenal dengan nama Al-Muttalib, lalu Al-Muttalib meminta izin masuk kepada Abu Talib untuk mereka, seraya mengatakan, “Mereka adalah para tetua kaummu dan para hartawannya ingin bertemu denganmu.” Abu Talib menjawab, “Persilakanlah mereka masuk.”

Setelah menemui Abu Talib, mereka berkata, “Hai Abu Talib, engkau adalah pemimpin dan penghulu kami, bebaskanlah kami dari anak saudaramu itu, perintahkanlah kepadanya agar dia menahan diri dan tidak lagi mencaci maki sembahan-sembahan kami, maka kami akan membiarkan dia bebas bersama Tuhan yang disembahnya.”

Abu Talib memanggil Nabi Saw. Ketika Rasulullah Saw. telah masuk menemuinya, maka Abu Talib berkata, “Hai anak saudaraku, mereka adalah orang tua kaummu dan orang-orang terhormatnya. Mereka telah meminta agar kamu menahan diri dan menghentikan caci makimu terhadap sembahan-sembahan mereka, maka mereka akan membiarkanmu dan sembahanmu.”

Rasulullah Saw menjawab, “Hai Paman, apakah tidak boleh aku menyeru mereka kepada sesuatu yang lebih baik bagi mereka?”

Abu Talib bertanya, “Apakah yang engkau serukan kepada mereka (untuk mengikutinya)?”

Rasulullah Saw. menjawab, “Aku ajak mereka untuk mengucapkan suatu kalimah, yang dengan kalimah itu semua orang Arab akan tunduk kepada mereka dan mereka dapat menguasai orang-orang Ajam (non-Arab).”

Abu Jahal laknatullah yang ada di antara kaum berkata, Demi ayahmu, katakanlah apakah kalimah itu, sungguh kami akan memberikannya kepadamu dan sepuluh kali lipatnya.”

Rasulullah Saw. bersabda:

تَقُولُونَ: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ”

Kalian ucapkan, “Tidak ada Tuhan melainkan Allah.”

Mereka menolak dan mereka berkata, “Mintalah kepada kami selainnya!” Rasulullah Saw. bersabda:

“لَوْ جِئْتُمُونِي بِالشَّمْسِ حَتَّى تَضَعُوهَا فِي يَدِي مَا سَأَلْتُكُمْ غَيْرَهَا”

Sekiranya kalian dapat mendatangkan matahari kepadaku, lalu kalian letakkan di tanganku, aku tidak akan meminta kepada kalian selain darinya (kalimah tauhid itu)

Maka mereka pergi darinya dalam keadaan marah seraya berkata, “Demi Tuhan, kami benar-benar akan mencaci maki kamu dan Tuhanmu yang telah memerintahkanmu menyampaikan hal ini.”

{وَانْطَلَقَ الْمَلأ مِنْهُمْ أَنِ امْشُوا وَاصْبِرُوا عَلَى آلِهَتِكُمْ إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ يُرَادُ}

Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata), “Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki” (Shad: 6)

Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir telah meriwayatkan hadis ini, dan Ibnu Jarir dalam riwayatnya menambahkan, bahawa setelah para pemimpin Quraisy keluar, Rasulullah Saw. menyeru bapa saudaranya untuk mengucapkan kalimah, “Tidak ada Tuhan melainkan Allah Swt.” Tetapi Abu Talib menolak, bahkan berkata, “Tidak, bahkan tetap pada agama para tetua.” Lalu turunlah firman-Nya:

{إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ}

Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau sukai (Al-Qasas: 56)


 

Ayat 7: Hujah Pemuka Quraish yang seterusnya.

ما سَمِعنا بِهٰذا فِي المِلَّةِ الآخِرَةِ إِن هٰذا إِلَّا اختِلٰقٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have not heard of this in the latest religion.¹ This is not but a fabrication.

  • Referring to Christianity or possibly the pagan religion of the Quraysh.

(MELAYU)

Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir; ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan,

 

ما سَمِعنا بِهٰذا فِي المِلَّةِ الآخِرَةِ

Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir;

Mereka rasa yang mereka tahu semua perkara dan kerana itu mereka tidak boleh ditipu. Memang ada orang yang sangka mereka sudah cukup pandai dan orang yang jenis begini memang susah nak mengajar dan memperbetulkan mereka. Kerana mereka sangka mereka lebih pandai dari orang lain.

Mereka kata mereka tak pernah dengar ajaran yang Nabi Muhammad bawa dan kerana itu mereka kata ia tentu ajaran yang tak benar. Lihatlah betapa sombongnya mereka dalam berkata-kata. Macamlah mereka patut tahu semua perkara. Sampaikan mereka sangka, kalau ada benda yang mereka tidak tahu, tentu tidak ada benda itu.

Atau mereka kata ajaran ini pun bukan dari agama terkini iaitu agama Yahudi dan Nasrani. Kerana apabila mereka berjumpa dengan golongan Yahudi dan Nasrai pun, mereka seru selain Allah juga.

Mereka sekarang menggunakan dalil ‘persekitaran’. Dalil sebenarnya tiada tapi guna hujah ‘orang lain tak buat begini’. Macam sekarang orang kita ada yang kata orang sana, kampung sana boleh sahaja buat begini dan begitu. Takkan salah kalau ada orang lain buat juga? Jadi kalau Yahudi dan Nasrani pun ada menyembah selain Allah, takkan salah ajaran mereka yang menyembah berhala pula?

Maka ini adalah antara hujah-hujah untuk menegakkan benang yang basah. Allah sudah sebut hujah-hujah golongan penentang dalam Al-Qur’an. Kerana itu kita lihat hebat sangat Al-Qur’an ini – sebelum mereka buka mulut pun Allah sudah beritahu apakah hujah-hujah mereka. Mereka pun tidak perasan apa yang mereka kata itu sebenarnya ada dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka sendiri jahil dengan Al-Qur’an.

 

إِن هٰذا إِلَّا اختِلٰقٌ

ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan,

Kalimah اختِلٰقٌ adalah dari katadasar خ ل ق yang bermaksud menjadikan dari tidak ada kepada ada tanpa menggunakan contoh apa-apa. Seperti Allah menjadikan alam ini tanpa contoh kepada alam yang lain.

Maknanya Pemuka Quraish itu hendak mengatakan yang ajaran Nabi Muhammad bawa itu adalah ajaran yang direka tanpa dasar. Nabi Muhammad sahaja yang memandai buat ajaran baru.


 

Ayat 8: Hujah mereka seterusnya.

أَءُنزِلَ عَلَيهِ الذِّكرُ مِن بَينِنا ۚ بَل هُم في شَكٍّ مِّن ذِكري ۖ بَل لَمّا يَذوقوا عَذابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has the message been revealed to him out of [all of] us?” Rather, they are in doubt about My message. Rather, they have not yet tasted My punishment.

(MELAYU)

mengapa Al Qur’an itu diturunkan kepadanya di antara kita?” Sebenarnya mereka ragu-ragu terhadap Al Qur’an-Ku, dan sebenarnya mereka belum merasa azab-Ku.

 

أَءُنزِلَ عَلَيهِ الذِّكرُ مِن بَينِنا

mengapa Al Qur’an itu diturunkan kepadanya di antara kita?”

Mereka itu adalah orang yang hebat-hebat dalam masyarakat. Mereka kaya dan ada pengaruh. Maka mereka kata: Kenapa pula Muhammad boleh dapat wahyu sedangkan mereka sendiri tidak dapat? Takkan Muhammad lebih baik dan bagus dari mereka pula? Sudah tidak ada orang lainkah yang patut diberikan wahyu sampai Muhammad pula yang dapat?

Mereka memandang rendah Nabi Muhammad kerana baginda adalah anak yatim dan miskin pula. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

{لَوْلا نزلَ هَذَا الْقُرْآنُ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ}
Mengapa Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Mekah dan Thaif) ini (Az-Zukhruf: 3)

 

بَل هُم في شَكٍّ مِّن ذِكري

Sebenarnya mereka ragu-ragu terhadap Al Qur’an-Ku, 

Allah menyelit dengan menjelaskan apakah sebabnya mereka berkata begitu. Mereka menolak dan beri berbagai-bagai hujah kerana mereka ragu-ragu. Ini adalah kerana mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran.

Allah memujuk Nabi Muhammad juga di dalam ayat ini. Allah hendak memberitahu baginda: mereka itu bukan menentang kamu, tapi mereka menentang Aku! Kerana kamu hanya sampaikan apa yang Aku suruh kamu sampaikan, bukannya kata-kata kamu sendiri. Kerana dulu mereka tidak meragui kamu, tapi sekarang apabila kamu menyampaikan ayat-ayat Aku, tiba-tiba mereka menolak. Maka mereka sebenarnya menolak Aku, bukan kamu!

Begitulah orang kita yang menentang ajaran tauhid kerana tak belajar wahyu. Apabila jahil wahyu dan disampaikan ajaran yang sebenar, mereka jadi ragu-ragu pula. Mereka ragu kerana tidak pernah dengar. Dari kecil sudah ada fahaman yang salah dan bila dibawakan ajaran yang sebenar, mereka susah nak terima.

 

بَل لَمّا يَذوقوا عَذابِ

dan sebenarnya mereka belum merasa azab-Ku.

Allah kata mereka itu berani cakap begitu sebab mereka belum kena azab lagi. Ini adalah ancaman dari Allah. Allah kata mereka itu degil dan ubatnya adalah azab sahaja dariNya. Ini macam budak-budak nakal yang kita tahu mereka ini jenis kena rotan sahaja baru nak dengar apa yang kita hendak sampaikan.

Jadi Allah sudah beri ancaman dalam ayat ini: adakah kamu sudah dikenakan dengan azab baru kamu nak percaya dan tidak ragu-ragu lagi?

Balaghah: Hazfu wa zikru. Hazaf ya mutakallim yang membawa maksud istimrar (berterusan) dan dawam (kebiasaan).

Kalau kita lihat kalimah terakhir dalam ayat ini, عَذَابِ (azabKu) tidak ada huruf ya mutakallim kerana ya’nya telah dihazafkan. Ini adalah kerana ayat ini ditujukan kepada orang kafir, terutama sekali Kafir Quraisy. Mereka telah menolak wahyu kerana mereka belum rasa azab lagi.

Kalimah عَذَابِ ini sepatutnya ada ya mutakallim عَذَابِي kerana ia merujuk kepada azab Allah (azabKu). Dan kalau lihat nahu, ianya adalah dalam i’rab mansub maka patutnya kenalah fathah tapi tidak pula begitu. Ini adalah kerana ada maksud balaghah yang Allah hendak sampaikan.

Oleh itu makna ayat ini dari segi balaghah adalah ia azab yang berterusan dan kekal. Maknanya azab akhirat dan bukannya azab dunia. Azab mereka akan kekal dalam neraka. Maka kerana itulah ya mutakallim dihazafkan dalam kalimah عَذَابِ.

Dan ini boleh dibandingkan dengan A’raf:156 dimana huruf ya’ mutakallim dikekalkan. Kalimah azab dalam ayat itu adalah عَذَابِي dan ya’ mutakallim dikekalkan.

وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ

“Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,

Ini adalah kerana ayat itu tentang orang yang telah insaf pada zaman Nabi Musa a.s. Ia kisah 70 orang pemimpin Bani Israil yang naik ke Thursina dan Allah telah matikan mereka kerana kesalahan mereka hendak melihat Allah secara nyata. Maka ayat itu adalah apabila mereka merayu kepada Allah. Maknanya mereka telah bertaubat.

Jadi dikekalkan ya mutakallim kerana azab itu adalah azab dunia sahaja dan azab dunia tidak berkekalan. Gempa bumi yang dikenakan kepada mereka itu sekejap sahaja. Allah nak beri teguran sahaja.

Atau, jikalau mereka tidak bertaubat pun, bila mereka mati, azab yang disebut dalam ayat itu akan ditukar kepada azab akhirat pula. Oleh kerana itu ia merujuk kepada azab yang tidak kekal dan kerana tidak kekal, maka Allah gunakan kalimah عَذَابِي dengan mengekalkan ya mutakallim.

Boleh juga rujuk Ibrahim:7 di mana ya’ mutakallim dikekalkan:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Ini adalah ayat yang popular. Tapi mungkin ramai yang kurang faham dari sudut balaghah seperti yang sepatutnya. Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah عَذَابِي dengan zikru (dikekalkan) ya’ mutakallim.

Ramai yang kata azab yang dimaksudkan dalam itu adalah azab neraka. Tapi sebenarnya azab dunia yang dimaksudkan. Kita dapat tahu kerana ya mutakallim dikekalkan. Maksudnya azab yang tidak kekal, jadi ianya adalah azab dunia.

Dalilnya kita boleh lihat ayat Nahl:112

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Mereka telah dikenakan dengan pakaian kelaparan dan ketakutan. Ini adalah kisah Negeri Saba’. Selepas Ratu Balqis sudah tiada, penduduk tempat itu tidak mengamalkan tauhid lagi. Mereka telah menjadi terlalu mewah dan akhirnya mereka telah menjadi malas. Mereka banyak menghabiskan masa dengan temasya dan berjalan melancong sahaja.

Akhirnya Allah kenakan bala kepada mereka dimana empangan mereka yang hebat itu Allah telah pecahkan. Maka negeri mereka jadi mundur dan berada dalam kelaparan. Bukankah kelaparan dan ketakutan ini azab dunia?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saffat Ayat 169 – 182 (Kemenangan untuk kebenaran)

Ayat 169: Sambung kata-kata Musyrikin Mekah yang kalaulah mereka dapat wahyu dari Allah.

لَكُنّا عِبادَ اللهِ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We would have been the chosen servants of Allāh.”

(MELAYU)

benar-benar kami akan jadi hamba Allah yang dibersihkan (dari dosa)”.

 

Mereka kata jikalau mereka dapat wahyu dari Allah, maka mereka akan menjadi orang yang beriman. Mereka kata yang mereka akan taat dan mereka akan betul-betul selamat.

Ini adalah kata-kata mereka sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul. Kononnya mereka kata mereka akan ikut wahyu itu. Kata-kata mereka ini juga ada disebut dalam Fatir:42

وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم لَئِن جاءَهُم نَذيرٌ لَّيَكونُنَّ أَهدىٰ مِن إِحدَى الأُمَمِ ۖ فَلَمّا جاءَهُم نَذيرٌ مّا زادَهُم إِلّا نُفورًا

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat sumpah; sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang pemberi peringatan, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk dari salah satu umat-umat (yang lain). Tatkala datang kepada mereka pemberi peringatan, maka kedatangannya itu tidak menambah kepada mereka, kecuali jauhnya mereka dari (kebenaran),


 

Ayat 170: Tapi apa yang terjadi apabila Nabi Muhammad telah diangkat dan benar-benar wahyu disampaikan kepada mereka?

فَكَفَروا بِهِ ۖ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they disbelieved in it,¹ so they are going to know.

  • i.e., in their own message, the Qur’ān.

(MELAYU)

Tetapi mereka mengingkarinya (Al Qur’an); maka kelak mereka akan mengetahui (akibat keingkarannya itu).

 

Kata-kata mereka itu kosong sahaja kerana apabila Allah lantik Nabi Muhammad, mereka tolak baginda dan wahyu yang baginda bawa. Maknanya, kata-kata mereka sebelum itu yang hendak taat kepada wahyu itu adalah bohong sahaja.


 

Ayat 171: Ayat tabshir. Allah nak pujuk Nabi Muhammad yang telah ditolak dan ditentang oleh umat baginda sendiri.

وَلَقَد سَبَقَت كَلِمَتُنا لِعِبادِنَا المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Our word [i.e., decree] has already preceded for Our servants, the messengers,

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul,

 

Allah telah meletakkan takdir dari Lauh Mahfuz lagi kepada para rasul. Maka ia menjadi sunnatullah yang akan berulang zaman berzaman. Apakah takdir itu?


 

Ayat 172: 

إِنَّهُم لَهُمُ المَنصورونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That] indeed, they would be those given victory

(MELAYU)

(iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.

 

Allah beritahu yang pasti para Rasul akan berjaya mengatasi kaum mereka yang menentang mereka. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{كَتَبَ اللهُ لأغْلِبَنَّ أَنَا وَرُسُلِي إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ}

Allah telah menetapkan, “Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang.” Sesungguhnya Allah Mahakuat lagi Mahaperkasa. (Al-Mujadilah: 21)

Ayat ini memberitahu kita satu perbezaan di antara ‘nabi’ dan juga ‘Rasul’. Nabi ada juga yang dibunuh tetapi para Rasul akan sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Sebagai contoh, Nabi Yahya telah dibunuh. Dan ramai juga Nabi dari kalangan Bani Israil yang dibunuh oleh bangsa mereka sendiri.

Jadi, janji Allah dalam ayat ini adalah kepada ‘Rasul’, dan bukan kepada semua Nabi. Maka kalau ada yang berhujah, ada juga para Nabi yang dibunuh, ini adalah kerana mereka itu Nabi, bukan Rasul.


 

Ayat 173:

وَإِنَّ جُندَنا لَهُمُ الغٰلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [that] indeed, Our soldiers [i.e., the believers] will be those who overcome.¹

  • If not in this world, then definitely in the Hereafter.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang,

 

Tentera Allah yang dimaksudkan ada banyak, termasuk para malaikat, anbiya’ dan para pengikut mereka.

Walaupun kadangkala para pengikut kebenaran itu dalam keadaan lemah dari segi fizikal, tapi Allah hendak memberitahu yang akhirnya mereka akan menang. Kebenaran yang mereka sampaikan itu akhirnya akan tertegak. Mungkin bukan pada hayat mereka, tapi pada hayat anak-anak mereka.

Dan kalau mereka tidak menang di dunia, mereka tetap akan menang di akhirat kelak. Ini seperti yang Allah sebut di tempat yang lain:

{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأشْهَادُ}
Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat) (Al-Mu-min: 51)

Maka jangan sedih kalau perjuangan kita tidak berjaya di dunia. Kerana kejayaan di akhirat yang kita lebih dambakan.


 

Ayat 174: Ayat zajrun dan takhwif duniawi.

فَتَوَلَّ عَنهُم حَتّىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So, [O Muḥammad], leave them for a time.

(MELAYU)

Maka berpalinglah kamu (Muhammad) dari mereka sampai suatu ketika.

 

Maka Allah memberitahu kepada Rasulullah dan para sahabat supaya jangan risau dengan gangguan dan kezaliman golongan Musyrikin Mekah itu. Waktu itu mereka memang dalam keadaan lemah dan pemuka Quraish yang berkuasa. Maka Allah memberitahu baginda supaya jangan bersedih dengan penolakan mereka. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang para Rasul akan dibantu.

Ertinya, bersabarlah kamu dalam menghadapi gangguan mereka yang menyakitkan terhadap dirimu, tunggulah sampai batas waktu yang ditetapkan; kerana sesungguhnya Kami akan menjadikan bagimu kesudahan yang baik, pertolongan dari Kami dan kemenangan.


 

Ayat 175:

وَأَبصِرهُم فَسَوفَ يُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And see [what will befall] them, for they are going to see.

(MELAYU)

Dan lihatlah mereka, maka kelak mereka akan melihat (azab itu).

 

Kalau mereka tetap degil juga, maka nanti tengoklah apa yang akan terjadi kepada mereka. Kamu akan lihat mereka dimasukkan ke dalam neraka dan mereka sendiri akan melihat suasana dalam neraka itu! Ungkapan ini mengandung ancaman dan peringatan terhadap mereka.

Ketika ayat ini diturunkan, umat Islam waktu itu amat lemah di Mekah. Tapi dalam masa lebih kurang dari 15 tahun, penduduk Arab dapat melihat bagaimana Nabi Muhammad bersama dengan para sahabat telah dapat memasuki Mekah dan menakluki Mekah.

Dan setelah Islam semakin kuat, golongan Arab yang dipandang sepi sahaja oleh penduduk dunia yang lain telah dapat menakluki sebahagian besar dunia ini apabila mereka berpegang kepada wahyu Allah. Semua ini tidak dapat dinafikan kerana ianya sudah ada dalam lipatan sejarah.


 

Ayat 176:

أَفَبِعَذابِنا يَستَعجِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then for Our punishment are they impatient?

(MELAYU)

Maka apakah mereka meminta supaya seksa Kami disegerakan?

 

Azab yang dijanjikan dalam neraka itu amatlah teruk sekali. Tapi ada orang kafir yang menentang ajaran tauhid telah mengejek orang yang berdakwah kepada mereka dengan berkata: “kalau benar kami akan masuk neraka, maka berilah azab itu sekarang! Mana dia azab itu?”

Maka Allah menegur mereka: adakah patut mereka minta azab disegerakan? Sepatutnya mereka minta diselamatkan dari azab tapi mereka minta disegerakan. Orang jenis apa itu?


 

Ayat 177: Oleh kerana mereka minta azab, maka Allah beri azab kepada mereka.

فَإِذا نَزَلَ بِساحَتِهِم فَساءَ صَباحُ المُنذَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when it descends in their territory, then evil is the morning of those who were warned.

(MELAYU)

Maka apabila seksaan itu turun di halaman mereka, maka amat buruklah pagi hari yang dialami oleh orang-orang yang diperingatkan itu.

 

Ini adalah apabila azab turun di halaman rumah mereka. Azab yang mereka minta-minta dahulu, sekarang sudah sampai. Dulu telah diancamkan kepada mereka, tapi mereka tidak percaya. Maka, rasalah sekarang. Maka ini adalah takhwif ukhrawi. Allah hendak memberitahu yang Dia boleh sahaja kenakan azab itu semasa para penentang kebenaran itu di dunia lagi.

Allah tidak perlu tunggu di akhirat untuk mengenakan azab kepada mereka. Azab di akhirat pun mereka akan kena juga, tapi Allah telah mulakan dengan azab di dunia lagi. Allah beri ancaman ini kerana ada yang tidak takut dengan ancaman azab di akhirat kerana tidak nampak, maka sekali sekala Allah berikan azab di dunia supaya manusia boleh mengambil pengajaran darinya.


 

Ayat 178:

وَتَوَلَّ عَنهُم حَتّىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And leave them for a time.

(MELAYU)

Dan berpalinglah kamu dari mereka hingga suatu ketika.

 

Ini kali kedua Allah beri nasihat kepada Nabi untuk tidak pedulikan mereka yang menentang. Allah nasihat supaya jangan peduli apa yang mereka kata dan jangan bersedih dengan keadaan mereka itu. Kerana kalau fikirkan sangat kata-kata dan penentangan mereka, maka itu akan menyesakkan fikiran sahaja.


 

Ayat 179:

وَأَبصِر فَسَوفَ يُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And see, for they are going to see.

(MELAYU)

Dan lihatlah, maka kelak mereka juga akan melihat.

 

Kamu tengoklah nanti apa yang akan terjadi kepada mereka dan mereka juga akan melihat. Waktu itu sudah terlambat bagi mereka untuk membaiki keadaan diri mereka.


 

Ayat 180: Ayat 180 – 182 adalah Perenggan Makro Kelima dan menjadi rumusan bagi surah ini. Ia mengandungi Dalil Tauhid Rubbubiyah dan ucapan Salam ke atas sekalian Rasul.

سُبحٰنَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمّا يَصِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted is your Lord, the Lord of might, above what they describe.

(MELAYU)

Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan.

 

Allah maha suci dari apa yang mereka katakan itu. Apa yang mereka sifatkan tentang Allah tidak benar sama sekali.

Allah tidak memerlukan pasangan, tidak memerlukan anak dan tidak memerlukan perantaraan dalam berdoa. Kerana Allah Maha Perkasa. Allah bukan seperti manusia yang memerlukan semua itu.


 

Ayat 181:

وَسَلٰمٌ عَلَى المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And peace upon the messengers.

(MELAYU)

Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.

 

Sekali lagi Allah memberi kesejahteraan kepada para Rasul yang telah menjalankan tugas mereka. Ini adalah berita baik kepada mereka. Dan juga kepada manusia lain yang mengikut jejak langkah mereka.


 

Ayat 182: 

وَالحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And praise to Allāh, Lord of the worlds.

(MELAYU)

Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

 

Dan akhir sekali Allah memuji DiriNya sendiri. Kerana Allah memang layak dipuji. Segala pujian yang khas adalah milik Allah. Ini adalah kerana hanya Allah sahaja ilah.

Musyrikin Mekah kenal Allah sebagai Tuhan dan Pencipta alam ini. Mereka juga memberi pujian حمد kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka juga beri pujian itu kepada selain Allah, iaitu ilah-ilah mereka seperti berhala, wali dan malaikat. Maka Allah tegaskan di sini dan banyak di tempat lain, pujian yang khusus (kerana ada ال bersama kalimah حمد itu), hanyalah untuk Allah sahaja.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Saffat ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Sad.

Tarikh: 10 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saffat Ayat 154 – 168 (Salah faham tentang malaikat)

Ayat 154:

ما لَكُم كَيفَ تَحكُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What is with you? How do you make judgement?

(MELAYU)

Apakah yang terjadi padamu? Bagaimana (caranya) kamu menetapkan?

 

Kalimah ما لَكُم bermaksud lebih kurang begini: “Apa yang tidak kena dengan kamu ini?”

Ini sambungan tempelak Allah kepada pemahaman salah Musyrikin Mekah yang sampai mengatakan para malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Allah kutuk mereka: Bagaimana mereka boleh sampai mencapai kepada pemahaman yang amat jauh dari kebenaran ini? Bagaimana boleh jadi teruk sampai begitu sekali?


 

Ayat 155:

أَفَلا تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then will you not be reminded?

(MELAYU)

Maka apakah kamu tidak memikirkan?

 

Kenapa kamu tidak menggunakan intelek kamu untuk berfikir? Tidakkah pakai dalil aqli? Tidakkah pakai otak dan akal yang Allah telah berikan? Kenapa sampai boleh tertipu dengan hujah yang tidak ada bukti?


 

Ayat 156:

أَم لَكُم سُلطٰنٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you have a clear authority?

(MELAYU)

Atau apakah kamu mempunyai bukti yang nyata?

 

Kalau ‘dalil aqli’ kamu tidak mahu gunakan, maka adakah pada kamu ‘dalil naqli’? Adakah wahyu dalam bentuk kitab yang kamu ada yang mengatakan memang para malaikat itu anak-anak perempuan Allah?

Tentulah mereka tidak ada kerana Arab Mekah tidak ada kitab wahyu di tangan mereka. Kalau ada Suhuf Nabi Ibrahim pun, ianya sudah terlalu lama dan tidak ada di tangan mereka lagi.


 

Ayat 157:

فَأتوا بِكِتٰبِكُم إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then produce your scripture, if you should be truthful.

(MELAYU)

Maka bawalah kitabmu jika kamu memang orang-orang yang benar.

 

Allah cabar mereka, kalau ada kitab wahyu, maka bawalah kitab itu kalau mereka ada. Tentu sekali mereka tidak ada kitab itu. Jadi ini adalah tempelak sahaja.


 

Ayat 158:

وَجَعَلوا بَينَهُ وَبَينَ الجِنَّةِ نَسَبًا ۚ وَلَقَد عَلِمَتِ الجِنَّةُ إِنَّهُم لَمُحضَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they have made [i.e., claimed] between Him and the jinn a lineage, but the jinn have already known that they [who made such claims] will be brought [to punishment].

(MELAYU)

Dan mereka adakan (hubungan) nasab antara Allah dan antara jin. Dan sesungguhnya jin mengetahui bahawa mereka benar-benar akan diseret (ke neraka),

 

وَجَعَلوا بَينَهُ وَبَينَ الجِنَّةِ نَسَبًا

Dan mereka adakan (hubungan) nasab antara Allah dan antara jin.

Ada juga golongan Musyrikin Mekah yang kata bahawa jin itu juga adalah anak-anak Allah. Bukan semua tapi ada sesetengah kabilah Arab Mekah itu kata Allah berkahwin dengan anak perempuan jin dan lahirlah malaikat.

Mujahid mengatakan bahawa orang-orang musyrik menganggap malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah Swt. Maka Abu Bakar r.a. bertanya kepada mereka, “Lalu siapakah ibunya?” Mereka (orang-orang musyrik) menjawab, “Anak-anak perempuan jin yang terkemuka.” Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Qatadah dan Ibnu Zaid.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan mereka adakan (hubungan) nasab antara Allah dan antara jin. (Ash-Shaffat: 158) Musuh-musuh Allah mengatakan bahawa Dia dan iblis adalah dua bersaudara, Mahasuci lagi Mahatinggi Allah dari hal tersebut dengan ketinggian yang setinggi-tingginya. Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

 

وَلَقَد عَلِمَتِ الجِنَّةُ إِنَّهُم لَمُحضَرونَ

Dan sesungguhnya jin mengetahui bahawa mereka benar-benar akan diseret (ke neraka),

Ini tidak benar, dan nanti di akhirat kelak, semua jin kafir itu tahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam azab Allah.


 

Ayat 159:

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted is Allāh above what they describe,

(MELAYU)

Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan,

 

Allah maha suci dari apa yang mereka perkatakan itu. Mereka hanya berbohong sahaja dan memperkatakan perkara yang amat jauh dari kebenaran.


 

Ayat 160:

إِلّا عِبادَ اللهِ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except the chosen servants of Allāh [who do not share in that sin].

(MELAYU)

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari (dosa).

 

Yang diselamatkan dari tertipu ini adalah hamba Allah yang ikhlas sahaja. Mereka ini adalah orang yang dibersihkan oleh Allah. Maka kita kena minta supaya Allah beri kelebihan ini kepada kita.


 

Ayat 161:

فَإِنَّكُم وَما تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So indeed, you [disbelievers] and whatever you worship,

(MELAYU)

Maka sesungguhnya kamu dan apa-apa yang kamu sembah itu,

 

Allah menegaskan yang mereka dan sembahan-sembahan selain Allah itu tidak akan memberi kesan.


 

Ayat 162:

ما أَنتُم عَلَيهِ بِفٰتِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You cannot tempt [anyone] away from Him

(MELAYU)

Sekali-kali tidak dapat menyesatkan (seseorang) terhadap Allah,

 

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad. Mereka tidak akan dapat sesatkan Nabi Muhammad. Mereka tidak boleh juga menjerumuskan sesiapa ke dalam kesesatan, kalau Allah tidak benarkan.


 

Ayat 163: Tapi bukan semua akan terselamat. Siapakah yang akan terkesan?

إِلّا مَن هُوَ صالِ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except he who is to [enter and] burn in the Hellfire.¹

  • Due to his disbelief and evil deeds.

(MELAYU)

kecuali orang-orang yang akan masuk neraka yang menyala.

 

Kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak akan dapat memasukkan sesiapa pun ke dalam neraka kecuali mereka yang memang telah ditetapkan akan masuk ke dalam neraka.

Siapa yang masuk ke dalam neraka sudah ada dalam taqdir Allah, mereka itu pasti akan masuk neraka. Ini adalah kerana mereka sendiri yang menentang kebenaran apabila sampai kepada mereka.


 

Ayat 164: Allah menaqalkan kata-kata para malaikat.

وَما مِنّا إِلّا لَهُ مَقامٌ مَّعلومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The angels say],¹ “There is not among us any except that he has a known position.²

  • Refuting what the disbelievers had said about them.
  • For worship. Or “an assigned task” to perform.

(MELAYU)

Tiada seorang pun di antara kami (malaikat) melainkan mempunyai kedudukan yang tertentu,

 

Sekarang para malaikat yang beratur menunggu arahan Allah berkata. Mereka tahu kedudukan mereka di dalam barisan Allah dan mereka sedang bersiap sedia. Mereka itu tentera Allah, bukannya anak-anak perempuan Allah.

Ketaatan mereka sepenuhnya kepada Allah taala dan mereka tidak boleh lebih dari itu. Jadi janganlah nak kata para malaikat itu boleh tolong manusia pula kalau diminta tolong kepada mereka, kerana mereka hanya taat kepada Allah sahaja.

Jadi, apabila ada yang kata mereka berkawan dengan malaikat dan malaikat tolong macam-macam, itu adalah kata-kata bohong sahaja. Sama ada yang bercakap itu berbohong, atau mereka sendiri kena tipu oleh syaitan.

Jadi amalan pengamal-pengamal silat yang karut yang baca mentera “Jibrail di kananku, Mikail di kiriku, Israfil di depanku, Izrail di belakangku….” adalah amat karut sekali. Begitulah kalau sudah jauh dari ilmu wahyu, ilmu syaitan yang akan digunakan oleh manusia.


 

Ayat 165:

وَإِنّا لَنَحنُ الصّافّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, we are those who line up [for prayer].

(MELAYU)

dan sesungguhnya kami benar-benar bershaf-shaf (dalam menunaikan perintah Allah).

 

Para malaikat itu seperti tentera dalam barisan saf yang menunggu arahan dari Allah. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat pertama surah ini. Mereka menunggu arahan dari Allah, bukannya dari manusia.


 

Ayat 166:

وَإِنّا لَنَحنُ المُسَبِّحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, we are those who exalt Allāh.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kami benar-benar bertasbih (kepada Allah).

 

Mereka kata mereka banyak melakukan Tasbih kepada Allah. Mereka sentiasa tolak kata-kata mereka yang melakukan syirik. Para malaikat itu kata: Allah tidak seperti yang dikatakan oleh golongan musyrik itu.

Sebelum ini pernah disebut Nabi Yunus rajin bertasbih, kali ini disebut para malaikat pula. Maka amalan tasbih ini amat hebat. Cuma kenalah faham apakah maksud tasbih itu. Janganlah pula mulut rajin tasbih, tapi ada fahaman syirik pula lagi. Ini memang tidak patut langsung kerana tasbih adalah lawan kepada syirik.

Balaghah: selalunya digunakan kalimah ‘tasbih’ di dalam Al-Qur’an. Iaitu ia di dalam bentuk kata kerja, bukan kata nama.  Ini adalah kerana kita tidak mungkin sentiasa melakukan tasbih. Akan tetapi, dalam ayat ini digunakan kalimah المُسَبِّحينَ iaitu dalam bentuk kata nama yang memberi isyarat bahawa ianya lebih kuat, sudah tetap, sentiasa. Kenapa?

Kita telah jelaskan dalam ayat 143 tentang balaghah ini. Ini adalah kerana para malaikat memang sentiasa melakukan tasbih kepada Allah. Ini telah disebut dalam Fussilat:38. Allah boleh jadikan malaikat sentiasa bertasbih kepada Allah. Tidak sama dengan kita yang disibukkan dengan kehidupan dan kerja.


 

Ayat 167: Sekarang Allah menaqalkan pula kata-kata golongan musyrik. Ayat 167 – 179 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia mengandungi panduan, tabsyir untuk Rasulullah.

وَإِن كانوا لَيَقولونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they [i.e., the disbelievers] used to say,¹

  • Before the revelation of the Qur’ān.

(MELAYU)

Sesungguhnya mereka benar-benar akan berkata:

 

Allah memberitahu yang orang Mekah pernah berkata sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi. Apakah kata-kata mereka itu?


 

Ayat 168:

لَو أَنَّ عِندَنا ذِكرًا مِّنَ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“If we had a message from [those of] the former peoples,

(MELAYU)

“Kalau sekiranya di sisi kami ada sebuah kitab dari (kitab-kitab yang diturunkan) kepada orang-orang dahulu,

 

Orang-orang kafir Mekah itu telah pernah berkata yang jikalau mereka mendapat wahyu seperti orang-orang yang terdahulu. Ini adalah janji-janji kosong mereka sahaja. Mereka nak kata, kalau mereka dapat wahyu, tentu mereka akan beriman.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi