Ayat 8: Mari kita lihat apakah kata kutukan dan tuduhan puak musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad.
أَفتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا أَم بِهِ جِنَّةٌ ۗ بَلِ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ فِي العَذابِ وَالضَّلٰلِ البَعيدِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Has he invented about Allāh a lie or is there in him madness?” Rather, they who do not believe in the Hereafter will be in the punishment and [are in] extreme error.
(MELAYU)
Apakah dia mengada-adakan kebohongan terhadap Allah ataukah ada padanya penyakit gila?” (Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam azab dan kesesatan yang jauh.
أَفتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا
Apakah dia mengada-adakan kebohongan terhadap Allah
Berita kebangkitan semula manusia selepas tubuh badan telah hancur dalam kubur itu amat-amat susah untuk dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Memang ianya sesuatu yang amat pelik bagi mereka hendak menerimanya.
Tetapi apabila mereka tahu yang ianya disampaikan oleh Muhammad yang mereka kenali sebagai seorang yang bijak dan tidak pernah menipu, maka mereka pun pening juga. Kalau orang lain yang cakap, senang sahaja mereka tolak. Tapi apabila ianya dikatakan oleh insan bernama Muhammad, mereka kena hati-hati juga nak tolak. Kalau tidak, mereka pula yang digelakkan oleh masyarakat.
Maka pemuka Quraisy kena terus beri tuduhan yang boleh diterima oleh masyarakat waktu itu. Kerana kalau mereka kata baginda menipu, susah untuk tuduh baginda begitu kerana mereka tidak pernah dengar baginda menipu.
أَم بِهِ جِنَّةٌ
ataukah ada padanya penyakit gila?”
Jadi mereka kata ada kemungkinan lain yang sampai menyebabkan Nabi Muhammad berkata begitu. Jadi mereka kata mungkin baginda tidaklah menipu, tapi baginda kena rasuk oleh jin sampai baginda jadi gila. Jadi bukanlah baginda berniat nak menipu tapi kerana gila.
Mereka kata begitu kerana mereka langsung tidak dapat menerima kemungkinan yang manusia akan dihidupkan kembali. Tapi bila nak kata baginda menipu, mereka tak sampai hati pula kerana kerana ramai yang hormat baginda.
Tuduhan yang mengatakan baginda gila pun karut juga kerana semua tahu yang Nabi Muhammad adakah seorang yang bijak. Tidak ada sesiapa yang boleh terima baginda seorang yang gila kerana perawakan baginda amat baik. Maka tuduhan bodoh sebegini tidak perlu Allah jawab. Kerana itu tiada ayat di mana Allah jawab tuduhan mereka yang mengatakan baginda gila. Allah hanya sebut sahaja tuduhan mereka untuk tunjukkan bagaimana teruknya kebodohan mereka buat tuduhan yang tidak masuk akal.
بَلِ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ فِي العَذابِ
(Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam azab
Allah memberitahu yang mereka yang tidak percaya kepada kebangkitan semula itu sudah berada di ‘dalam’ azab. Bukan mereka ‘akan’ dimasukkan ke dalam azab, tapi mereka sudah pun berada ‘dalam’ azab. Kenapa pula dikatakan mereka sudah berada di dalam azab? Mari kita cuba selami.
Seperti yang kita telah beritahu, surah ini adalah tentang rahmat Allah kepada makhlukNya. Dan sukar untuk kita memahami rahmat Allah ini jikalau kita tidak faham dan terima konsep ‘kebangkitan semula’ di akhirat. Kenapa penting untuk kita terima konsep kebangkitan semula itu?
Untuk memahaminya, mari kita bayangkan kehidupan seorang manusia yang lahir dalam keluarga yang tidak ada kasih sayang langsung. Dari kecil lagi dia telah dikenakan dengan berbagai hukuman dan juga seksaan oleh ibu bapa dia. Kemudian apabila dia telah dewasa, kehidupan dia pun tidak baik kerana dia selalu diganggu oleh orang lain, dizalimi dan sebagainya. Kerja pun susah, badan pula sakit, masalah sentiasa menimpa tidak berhenti-henti. Kita bolehlah katakan kehidupannya di dunia ini tidak ada yang senang.
Jadi jikalau seorang manusia yang menghadapi kehidupan seperti itu dan jika dia rasa yang kehidupan ini hanya kehidupan dunia sahaja, maka tentu dia akan tertanya-tanya: “di manakah kasih sayang Allah?”; “Takkan aku kena seksa begini sahaja sepanjang hidup aku?” Kerana dia memang tidak rasa langsung kasih sayang itu semasa dia hidup di dunia.
Tetapi jikalau dia boleh terima yang kehidupan dunia ini bukanlah kehidupan yang sebenar dan kehidupan di dunia ini hanyalah sebagai cubaan dan dugaan sahaja, sebagai permainan sahaja dan kasih sayang Allah itu akan ditunjukkan dengan sepenuhnya di akhirat kelak, maka barulah dia boleh menerima yang Allah itu seorang Pengasih dan Penyayang. Bolehlah dia terima kesusahan hidup di dunianya ini sebagai cubaan sahaja. Barulah dia boleh berharap kepada kebaikan dalam kehidupan di akhirat. Tidaklah jiwanya sesak sahaja kerana sekarang dia ada harapan.
Maka orang-orang yang tidak berharap kepada kehidupan di akhirat kelak dan hanya memandang kehidupan dunia ini sahaja, maka mereka sebenarnya hidup di dalam kesengsaraan sahaja. Kerana kehidupan dunia ini bukan sentiasa senang dan mudah. Ada sahaja masalah dan kekurangan.
Kerana itulah ada orang yang kaya raya dan ada banyak kuasa tetapi mereka tidak tenang langsung di dalam kehidupan mereka. Mereka sampai tidak boleh tidur di malam hari kerana ada saja masalah mereka. Sampai ada di antara mereka yang tidak sanggup menanggung kehidupan dunia ini dan mereka telah membunuh diri mereka.
Sampai kita pun hairan kenapa mereka bunuh diri sedangkan hidup mereka senang sahaja. Ramai juga dari kalangan artis yang bunuh diri walaupun mereka terkenal dan disanjungi oleh peminat mereka yang entah berjuta. Sebenarnya kita pun tidak tahu apa masalah yang mereka tanggung. Kita tengok mereka hidup senang lenang sahaja, tapi entah mungkin masalah yang mereka hadapi itu lebih teruk dari apa yang kita boleh bayangkan. Kita tidak duduk dalam diri mereka, maka kita pun tidak tahu.
Tapi begitulah mereka itu walaupun hidup senang sahaja, tapi kalau mereka tidak menerima adanya kehidupan setelah mati, maka mereka sudah pun berada dalam azab di dunia ini lagi. Hidup tidak tenang sahaja. Jadi itulah maksudnya mereka sudah duduk di dalam azab. Itu belum dapat azab di akhirat lagi.
وَالضَّلٰلِ البَعيدِ
dan kesesatan yang jauh.
Sudahlah mereka sudah di dalam azab, mereka dalam sesat pula. Kerana fahaman mereka adalah fahaman yang salah dan sesat. Dan bukan salah yang biasa tapi salah yang amat jauh. Mereka jauh dalam kesesatan.
Apabila sesat itu jauh, ini menunjukkan susah untuk mereka dibawa kepada kebenaran kerana mereka sudah jauh. Macam kita nak laung panggil orang yang jauh di hadapan. Agak susah nak panggil dia. Mungkin dia boleh dengar dan kembali, dan mungkin tidak. Kena usaha lebih sedikit untuk bawa mereka ke pangkal jalan.
Ayat 9: Ayat takhwif duniawi.
أَفَلَم يَرَوا إِلىٰ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ إِن نَّشَأ نَخسِف بِهِمُ الأَرضَ أَو نُسقِط عَلَيهِم كِسَفًا مِّنَ السَّماءِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then, do they not look at what is before them and what is behind them of the heaven and earth? If We should will, We could cause the earth to swallow them or [could] let fall upon them fragments from the sky. Indeed in that is a sign for every servant turning back [to Allāh].
(MELAYU)
Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).
أَفَلَم يَرَوا إِلىٰ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ
Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka?
Ini adalah jawapan kepada penolakan Musyrikin Mekah kepada kebangkitan semula. Kita kena tahu dulu apakah sebab mereka tidak dapat menerima yang mereka akan dibangkitkan semula?:
- Kalau mereka terima ada kebangkitan semula dan mereka kena bertanggungjawab dengan perbuatan mereka, maka mereka kena ubahlah cara hidup mereka; dan mereka tidak mahu ubah cara hidup mereka.
- Mereka tidak dapat terima yang bumi dan alam yang kita diami ini akan hancur dan diubah dengan sistem yang baru.
- Mereka tidak dapat terima yang tulang dan tubuh manusia yang hancur berkecai dan berselerak ini selama beribu-ribu tahun akan dapat dibangkitkan semula.
Maka Allah jawab ketiga-tiga perkara ini dengan ayat ini: tidakkah mereka tengok alam ini?
- Alam ini yang begitu hebat dijadikan untuk kita diami ini takkan dijadikan begitu sahaja? Alam yang hebat ini tentu dijadikan oleh satu Tuhan yang hebat dan tentu Dia tidak beri kita segala kehebatan dalam alam dan dalam diri kita, tapi kemudian mati begitu sahaja? Memang tidak kena kalau begitu. Tidak hebat Tuhan itu kalau dia jadikan kita dan kemudian matikan kita begitu sahaja.
- Alam yang begini hebat ini tidak terjadi sendiri, bukan? Maka yang menjadikannya pertama kali boleh sahaja menjadikan alam yang lain untuk menggantikannya.
- Kalau kamu sangka Allah tidak mampu mengumpulkan semua tulang manusia dan menghidupkannya semula, bagaimana kamu fikirkan Dia buat semua ini pertama kali? Kalau Dia sudah boleh jadikan kita pertama kali, maka apa susahnya Dia nak jadikan kita untuk kali yang kedua?
Satu lagi tafsir bagi ayat ini: Ayat ini adalah Ayat Takhwif Duniawi. Tidakkah mereka melihat alam yang begini luas ini di mana Allah boleh melakukan apa-apa sahaja kepada mereka? Mereka sudahlah tolak berita yang disampaikan oleh Rasulullah itu, tapi mereka sanggup pula tuduh baginda seorang yang gila? Apa mereka tidak takut dengan Allahkah? Mereka tidak tahukah yang Allah boleh buat apa-apa sahaja kepada mereka?
إِن نَّشَأ نَخسِف بِهِمُ الأَرضَ
Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi
Tidakkah mereka takut Allah benamkan mereka dalam tanah? Allah boleh sahaja lakukan seperti yang Allah telah janjikan terhadap Qarun. Tapi Allah tidak terus berikan mereka dengan azab di dunia kerana Allah beri peluang kepada mereka untuk membaiki diri mereka.
Ini azab dari bawah. Kamu sekarang berdiri di atas bumi yang kamu rasa tenang dan mudah untuk bergerak. Tapi bagaimana kalau Allah jadikan ianya lembut dan menelan kamu dari bawah?
أَو نُسقِط عَلَيهِم كِسَفًا مِّنَ السَّماءِ
atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit.
Azab dari langit pun Allah boleh beri. Langit yang mereka lihat amat teguh itu Allah boleh pecah dan jatuhkan atas mereka kalau Allah mahu. Mudah sahaja kalau Allah mahu lakukan. Sekarang kamu lihat langit itu sebagai siling di rumah kamu sahaja yang takkan jatuh, tapi bagaimana kalau Allah takdirkan ia jatuh atas kamu?
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali.
Semua tanda di dalam alam ini menjadi tanda bagi mereka yang mahu kembali dalam bentuk spritual kepada Allah. Inilah maksud ‘inabah’ iaitu condong kepada Allah, mahu kembali kepada Allah, mahu kepada kebenaran. Mereka yang ada ‘inabah’ dalam hati mereka akan diseret ke arah kebenaran.
Habis Ruku’ 1 dari 6 ruku’ yang ada dalam surah ini.
Ayat 10: Sekarang masuk ke kisah Nabi Daud a.s. Ini adalah jawab syubhah yang pertama. Manusia sangka para Nabi dapat buat perkara-perkara yang hebat maka manusia sangka para Nabi itu ada kuasa. Maka ada manusia yang minta syafaat dari para Nabi.
Maka Allah jelaskan dalam ayat ini untuk menjernihkan kekeliruan ini. Walaupun terjadi perkara yang pelik dan hebat kepada para Nabi, tetapi tetap tidak boleh minta syafaat kepada mereka.
Kena minta syafaat kepada Allah kerana apa yang terjadi kepada Nabi Daud itu adalah pemberian daripada Allah.
Ayat 10 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua di mana Allah memberitahu yang sedikit sekali manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberikan. Maka untuk mengajar manusia, maka Allah memberikan kisah dua orang Nabi yang menerima nikmat dan mereka bersyukur kepada Allah.
Ayat 10 – 11 adalah kisah syukur Nabi Daud a.s.
Ayat 12 – 14 adalah kisah syukur Nabi Sulaiman a.s.
۞ وَلَقَد ءآتَينا داوودَ مِنّا فَضلًا ۖ يٰجِبالُ أَوِّبي مَعَهُ وَالطَّيرَ ۖ وَأَلَنّا لَهُ الحَديدَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We certainly gave David from Us bounty. [We said], “O mountains, repeat [Our] praises with him, and the birds [as well].” And We made pliable for him iron,
(MELAYU)
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): “Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, dan Kami telah melunakkan besi untuknya,
وَلَقَد ءآتَينا داوودَ مِنّا فَضلًا
Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami.
Maka ayat ini menerangkan bahawa kelebihan yang ada pada Nabi Daud itu adalah pemberian dari Allah. Bukannya baginda ada kelebihan sendiri. Ada banyak kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi Daud a.s. Kerajaan baginda pun hebat. Asalnya baginda anak biasa sahaja, tapi baginda yang telah membunuh Jalut dalam peperangan.
Maka baginda telah menjadi terkenal dan kemudian diangkat menjadi Raja Judah apabila Talut meninggal. Dan kemudian baginda menjadi Raja kepada seluruh Bani Israil. Pada zaman pemerintahan bagindalah pertama kalinya ada kerajaan yang berteraskan syariat agama ditegakkan. Ianya adalah kerajaan yang amat besar.
يٰجِبالُ أَوِّبي مَعَهُ وَالطَّيرَ
“Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”,
Kalimah أوّب selalunya bermaksud mereka yang kembali berkali-kali. Ia juga bermaksud bernyanyi bersama, kerana selalunya penyanyi utama akan diikuti oleh penyanyi-penyanyi latar di belakang.
Allah memberitahu yang gunung ganang dan juga burung-burung pun bertasbih bersama dengan Nabi Daud. Mereka ikut tasbih yang dilafazkan oleh baginda. Allah memberinya suara yang indah apabila baginda bertasbih, maka ikut bertasbih pula bersamanya gunung-gunung yang terpancang dengan kukuhnya lagi tinggi itu, dan semua burung yang terbang terhenti kerananya, lalu menjawab tasbihnya dengan berbagai bahasa.
Di dalam kitab sahih disebutkan bahwa Rasulullah Saw. mendengar suara Abu Musa Al-Asy’ari r.a. di malam hari sedang membaca Al-Qur’an. Maka baginda berhenti dan mendengarkan bacaannya, kemudian bersabda:
” لَقَدْ أُوتِيَ هَذَا مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ”
Sesungguhnya orang ini benar-benar telah dianugerahi sebahagian dari suara merdunya keluarga Daud.
Abu Usman An-Nahdi mengatakan bahawa dia belum pernah mendengar suara alat musik apa pun (di masanya) yang lebih indah dan lebih merdu daripada suara Abu Musa Al-Asy’ari r a. Maknanya ini juga mengajar kita bahawa hiburan untuk kita adalah bacaan Al-Qur’an, bukannya alat musik dan nyanyian.
وَأَلَنّا لَهُ الحَديدَ
dan Kami telah melunakkan besi untuknya,
Nabi Daud diberi kelebihan boleh melembutkan besi dengan tangannya.
Ada pendapat yang mengatakan baginda diajar bagaimana untuk membentuk besi. Iaitu besi itu dipanaskan dan dibentuk dengan mengetuknya (dengan tukul dan sebagainya macam tukang besi). Tetapi kalau begitu ia tidak hebat kerana semua orang boleh buat begitu. Jadi yang dimaksudkan adalah baginda memang boleh melembutkan besi dengan tangannya. Iaitu dengan tangan kosong sahaja.
Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, Al-A’masy, dan lain-lainnya mengatakan bahawa untuk melunakkan besi bagi Nabi Daud, baginda tidak perlu memasukkannya ke dalam tungku api, dan tidak perlu palu (pukul) untuk membentuknya, tetapi Nabi Daud dapat memintalnya dengan tangannya seperti memintal kapas untuk menjadi benang.
Nabi Daud diberi kelebihan untuk membentuk besi dan anaknya Nabi Sulaiman nanti akan diberi kelebihan membentuk tembaga pula. Jadi anak beranak ada kelebihan dengan logam.
Nota: Pengamal-pengamal sihir tukang besi, selalu menggunakan ayat ini untuk bekerja dengan besi. Contohnya pembuat pedang dan pisau akan membaca ayat ini berulang-ulang. Ini termasuk dalam sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an) kerana membaca ayat dengan niat untuk mendapatkan sesuatu. Ini tidak boleh diamalkan.
Ayat 11: Apakah yang baginda kena lakukan dengan kelebihan itu?
أَنِ اعمَل سٰبِغٰتٍ وَقَدِّر فِي السَّردِ ۖ وَاعمَلوا صٰلِحًا ۖ إِنّي بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Commanding him], “Make full coats of mail and calculate [precisely] the links, and work [all of you] righteousness. Indeed I, of what you do, am Seeing.”
(MELAYU)
(iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.
أَنِ اعمَل سٰبِغٰتٍ
buatlah baju besi yang besar-besar
Kalimah سابِغاتٍ adalah baju besi yang besar.
Al-Hafiz Ibnu Asakir mengatakan dalam biografi Daud a.s. melalui jalur Ishaq ibnu Bisyr yang di dalamnya terdapat kisah dari Abul Yas, dari Wahb ibnu Munabbih, yang kesimpulannya seperti berikut:
Bahawa Daud a.s. keluar dengan menyamar, lalu dia menanyakan tentang dirinya kepada kafilah-kafilah yang datang. Maka tidaklah dia menanyai seseorang, melainkan orang tersebut memujinya dalam hal ibadah dan sepak terajangnya.
Wahb ibnu Munabbih melanjutkan, bahawa pada akhirnya Allah mengutus malaikat dalam rupa seorang lelaki. Kemudian lelaki itu dijumpai oleh Daud a.s., lalu Daud menanyakan kepadanya dengan pertanyaan yang biasa dia kemukakan kepada orang lain. Maka malaikat itu menjawab, “Dia adalah seorang yang paling baik buat dirinya sendiri dan buat orang lain, hanya saja di dalam dirinya terdapat suatu pekerti yang seandainya pekerti itu tidak ada pada dirinya, tentulah dia adalah seorang yang kamil.” Daud bertanya, “Pekerti apakah itu?” Malaikat menjawab, “Dia makan dan menafkahi anak-anaknya dari harta kaum muslim.’ yakni baitul mal.
Maka pada saat itu juga Nabi Daud a.s. menghadapkan diri kepada Tuhannya seraya berdoa, semoga Dia mengajarkan kepadanya suatu pekerjaan yang dilakukan tangannya sendiri sehingga menjadi orang yang berkecukupan dan dapat membiayai anak-anak dan keluarganya. Lalu Allah melunakkan besi baginya dan mengajarkan kepadanya cara membuat baju besi. lalu Daud dikenal sebagai pembuat baju besi; dia adalah orang yang mula-mula membuat baju besi.
Wahb ibnu Munabbih mengatakan bahawa Daud bekerja sebagai pembuat baju besi. Apabila telah selesai, maka dia jual; sepertiga dari hasil penjualan itu dia sedekahkan, sepertiganya lagi dia belikan keperluan hidup untuk mencukupi keluarga dan anak-anaknya, sedangkan yang sepertiganya lagi dia pegang untuk dia sedekahkan setiap harinya, hingga selesai dari membuat baju besi lainnya.
Sebelum Nabi Daud, Nabi Nuh telah diajar bagaimana untuk membuat kapal. Dan sekarang kita dapat tahu yang Nabi Daud telah diajar bagaimana untuk buat baju besi untuk digunakan di dalam peperangan.
Kalau sebelum itu, manusia pakai besi juga dalam baju perang, tapi mereka pakai kepingan besi yang tebal. Dan tentulah itu berat dan tidak sesuai dalam peperangan. Jadi, apabila Nabi Daud diajar untuk anyam baju besi tapi dijadikan seperti rantai, maka ia menggunakan besi yang kurang dan tidaklah berat sangat.
Qatadah mengatakan bahawa Daud adalah orang yang mula-mula membuat baju besi dengan dianyam. Dan sebelum itu baju besi berupa lempengan-lempengan.
Maka kita dapat tahu bahawa perkara-perkara ini diajar oleh Allah kepada para NabiNya. Ada gunanya untuk kemanusiaan dan kepentingan agama. Bukan untuk suka-suka sahaja mereka diberikan dengan kelebihan itu.
وَقَدِّر فِي السَّردِ
dan ukurlah anyamannya;
Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan as-sard ialah lingkaran besi. Baginda disuruh untuk anyam besi itu supaya boleh tutup bahagian leher sekali. Supaya musuh tak boleh tetak leher pula.
Atau anyam bulatan besi itu dengan saiz yang sesuai. Mujahid telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: dan ukurlah anyamannya. (Saba: 11) Janganlah kamu menjadikan pakunya kecil kerana akan membuatnya longgar pada lingkaran. Jangan pula kamu menjadikannya besar kerana mengalami kehausan, tetapi pakailah paku yang berukuran sederhana.
Atau ia bermaksud jangan buat banyak sangat baju besi. Berkadar atau berpadalah sikit. Sebab baginda senang sangat buat baju besi itu tapi kena tengok juga. Jangan nak terus buat benda itu sahaja. Kena buat benda lain juga. Ini mengajar kita supaya berusaha tapi jangan berlebihan.
وَاعمَلوا صٰلِحًا
dan kerjakanlah amalan yang soleh.
Ini adalah nasihat kepada tentera baginda. Kena buat amalan soleh. Jangan rasa bangga dan rasa nak menang perang sahaja kerana ada kelebihan pada mereka. Maksudnya, jangan jadi ganas.
Juga bermaksud jangan buat kerosakan dalam dunia. Ini nasihat penting kerana tentera yang kuat selalu bunuh berlebihan. Mereka hancurkan kawasan, bunuh semua orang, rogol wanita dan lain-lain lagi kerosakan yang selalu dilakukan tentera yang ganas dan tidak ada akhlak.
Maka ayat ini menyebut kelebihan yang diberikan kepada Nabi Daud. Baginda dapat kuasa pemerintahan dalam kerajaan yang besar dan kekuatan tentera yang kuat. Masa baginda kecil lagi sudah pandai pakai lastik. Bagindalah yang bunuh Jalut dalam peperangan antara Talut dan Jalut dengan menggunakan lastik sahaja. Kisah ini ada disebut dalam Surah Baqarah ayat 246 hingga 252.
إِنّي بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.
Allah ingatkan yang Dia sentiasa melihat apa yang manusia lakukan. Maka kalau buat kerosakan atas muka bumi, Dia tahu segalanya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 1 July 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi