Tafsir Surah Yaasin Ayat 21 (Upah mengajar agama)

Yaasin Ayat 21: Ini adalah kata-kata dakwah daripada Habib an-Najar itu. Beliau memberikan hujah kepada kaumnya itu kenapa mereka perlu ikut para Rasul عليهم السلام itu.

اتَّبِعوا مَن لّا يَسئَلُكُم أَجرًا وَهُم مُّهتَدونَ

Sahih International

Follow those who do not ask of you [any] payment, and they are [rightly] guided.

Malay

“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk”.

 

اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا

“Ikutlah orang yang tidak meminta upah kepada kalian”.

Perkataan أَجْرًا bermaksud upah setelah melakukan kerja yang disuruh. Contohnya, apabila seorang pekerja telah melakukan kerja, dia berhak mendapat upah daripada majikannya. Maknanya, perbuatan para pendakwah itu mengajar agama kepada manusia memang layak untuk menerima upah kerana mereka telah meluangkan masa, tenaga, kepandaian mereka untuk menyampaikan ajaran itu. Tugas yang mereka lakukan adalah mendidik masyarakat dengan ilmu agama dan ini adalah pekerjaan yang terbaik dalam dunia. Akan tetapi, walaupun mereka berhak untuk menerima upah itu, namun mereka tidak meminta upah pun. Ini kerana sebagai pendakwah, upah yang mereka harapkan hanyalah daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

“فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ”
“Demi Allah, jika Allah memberi hidayah kepada satu orang melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik bagimu daripada unta merah.”
(Sahih Bukhari No. 4210, Muslim No. 2406)

Inilah dalil kedua yang diberikan oleh Habib sebagai menguatkan hujahnya untuk penduduk kota itu mengikut para pembawa risalah itu – mereka tidak meminta upah. Para Rasul عليهم السلام itu bukannya mengajar dan menegur kerana hendakkan laba daripada masyarakat itu tetapi semata-mata mahukan kebaikan buat kaum itu. Yang pertama telah disebut sebelum ini, beliau berkata yang mereka itu adalah para Rasul.

Ini mengajar kita cara berdakwah. Kita mestilah ikhlas dalam berdakwah dan juga mengajar. Jangan mengharapkan upah. Jangan letakkan harga (yuran) untuk mengajar kalau boleh. Ini kerana mengajar itu wajib (kalau kita ada ilmu) dan belajar juga wajib. Jadi kalau kita letakkan harga dan kena bayar kalau belajar, maka bagaimana pula dengan orang miskin yang tidak mampu untuk membuat bayaran? Nanti di akhirat kelak mereka beralasan di hadapan Allah ‎ﷻ: “Kami buat kesalahan ini semua kerana kami jahil agama ya Allah. Tapi bagaimana kami boleh belajar ya Allah? Kami tidak mampu kerana semua guru agama meletakkan bayaran untuk belajar dengan mereka!” Jadi guru agama kena fikirkan orang-orang yang tidak ada kemampuan untuk belajar agama kalau semua guru agama letak yuran. Kerana itulah ada guru agama yang tidak letak yuran, malah ada yang tidak terima pun bayaran daripada pelajar. Ini kerana dia takut kalau ada melibatkan bayaran, akan ada sekelumit kurangnya ikhlas dalam ajarannya. Jadi lebih senang kalau tolak terus semua. Ada ustaz yang sampaikan kalau dibayar pun masuk duit dalam sampul, nanti bila dia berjalan ke hadapan dia masukkan sampul ke dalam tabung masjid. Kerana itulah juga penulis ini tidak menerima apa-apa sumbangan daripada orang ramai yang membaca tulisan di sini.

Nota: Ini adalah salah satu tanda orang yang sebar agama dengan cara sebenar, iaitu tidak meminta upah. Bukanlah ini sahaja tandanya, tetapi ia adalah satu tanda yang kuat. Inilah selalu kita lihat orang yang mengajar ilmu tauhid, mereka tidak letak harga pun untuk mengajar. Jadi kita kena belajar dengan orang yang tidak meminta upah atau mengajar tanpa yuran pun. Akan tetapi bukanlah bermakna kalau dia letak  yuran, dia salah pula. Ini memang ayat yang sukar untuk ditafsirkan dan diselarikan dengan kehidupan zaman sekarang. Kerana zaman sekarang memerlukan wang, bukan? Jadi bagaimana hendak jelaskan ayat ini. Ayat ini seolah-olah kata tidak boleh meminta upah, tetapi guru agama hendak makan apa pula nanti? Nanti kita bincangkan lagi.

Situasi terbaik adalah apabila seorang guru itu isytihar yang dia mengajar dengan tidak menambil upah. Kalau diberi tanpa dipinta, mungkin sebagai hadiah, bolehlah dia terima. Ini bagi para guru yang hendak menjaga keikhlasan dalam hatinya dalam mengajar agama. Ini bagi guru yang mampu. Dia mungkin ada perniagaan lain, mungkin dia ada kerjaya lain, bapanya atau isterinya mungkin kaya raya, maka dia tidak perlu bayaran daripada pelajarnya. Bagi guru ini, ajaran yang diberikan adalah infak kepada masyarakat.

Yang pasti tidak boleh adalah ambil upah dalam ibadah seperti solat jenazah dan ibadat-ibadat lain. Tidak boleh diambil sebenarnya. Boleh masuk api neraka kalau ambil juga. Gugur segala pahala daripada amal yang sudah dibuat. Kita tidak boleh mengambil upah atas apa sahaja ibadat yang kita buat. Apakah mereka tidak membaca Hud: 15 – 16.

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ akan bagi apa yang manusia itu hendak di dunia lagi kalau dia ‘jual’ amal dia dengan upah. Mereka hanya akan dapat balasan itu di dunia sahaja. Namun batal segala amalan yang mereka telah lakukan. Boleh masuk neraka pula. Sama ada solat jenazah atau apa sahaja perbuatan yang melibatkan ugama. Yang sepatutnya, kita hanya mengharapkan pahala daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu berdosa jika meminta upah dalam ibadat-ibadat seperti solat jenazah, baca doa dan sebagainya. Tidak boleh menjadikan agama sebagai punca pendapatan. Tidak ada upah dalam mengerjakan ibadah. Kita boleh lihat betapa pincangnya fahaman ini dalam masyarakat. Kita lihat apa yang terjadi kalau ada kematian. Ramai yang masih beri dan masih menerima wang apabila Solat Jenazah. Bayangkan, apabila seseorang itu mati, itu bermakna keluarganya sedang ditimpa bala. Takkan kita mahu mengambil wang daripada orang yang ditimpa musibah? Sanggupkah kita ambil duit tu? Lebih-lebih lagi kalau yang mati adalah ketua keluarga atau punca pendapatan keluarga itu. Mereka waktu itu mungkin sudah jatuh miskin papa kedana.

Di dalam agama Islam untuk amalkan ibadah, tidak memerlukan wang. Melainkan ibadah Haji dan kerana itulah ia hanya wajib bagi mereka yang mampu sahaja. Seandainya ibadah memerlukan wang dan upah, maka beruntunglah orang yang kaya. Tentu tidak adil, bukan? Sedarlah yang agama Islam ini boleh diamalkan dengan mudah untuk sesiapa sahaja tidak kira golongan kaya ataupun miskin. Ini kerana golongan miskin boleh belajar agama dan mengharapkan pertolongan daripada ahli agama tanpa perlu mengeluarkan wang pun. Kalaulah agama ini memerlukan duit baru boleh diamalkan, maka itu tidak betul sama sekali.

Tidaklah salah untuk beri sedekah/hadiah kepada guru agama. Terutama kalau dia sendiri tidak ada pendapatan lain. Nabi ﷺ sendiri pun ramai yang berikan hadiah kepada baginda. Memang para sahabat رضي الله عنهم suka untuk memberi hadiah kepada Nabi ﷺ. Mereka berbangga kalau Nabi ﷺ mengambil pemberian mereka dan menggunakannya. Nabi ﷺ akan ambil dan gunakan sedikit untuk menggembirakan hati mereka. Kemudiannya, baginda akan mengagihkan kepada para sahabat رضي الله عنهم yang lain. Jadi bagi pelajar-pelajar yang prihatin, mereka boleh beri hadiah. Mereka juga terhutang budi dengan guru yang telah menyampaikan ilmu. Mereka hendak balas dengan memudahkan kehidupan ustaz itu. Jadi kalau ustaz itu memerlukan, maka dia boleh ambil dan ini tidak ada masalah. Namun begitu ketika memberi itu sebutlah ‘hadiah’ dan bukannya ‘sedekah’. Kerana sedekah ini hanya untuk orang miskin sahaja dan kadang ustaz yang mengajar itu bukanlah miskin pun. Mungkin bukan kaya raya, tetapi kalau cukup makan dan pakai, itu sudah dikira kaya sebenarnya. Sebab kalau boleh keluarkan, sebenarnya status dalam Islam adalah ‘kaya’ lah.

Namun sebaliknya yang sering berkalu, kalau kita perhatikan ramai guru agama yang isytihar dia mahukan bayaran. Ada yang meletakkan harga yang tinggi sampai guru agama menjadi kaya raya. Sebagai contoh, kalau kita lihat perkumpulan tarekat, tok sheikh mereka kaya raya sedangkan anak murid miskin-miskin belaka. Ada ustaz yang kalau tidak dibayar dia tidak datang mengajar. Ada ustaz yang hanya mengajar di rumah Dato’ dan Datin sahaja. Adakah mereka ini dikira menjual agama? Ini juga kita kena bincangkan.

Yang paling bagus bagi menjaga maslahat para guru agama adalah dengan kerajaan yang beri upah atau gaji. Ini kerana ilmu agama penting buat masyarakat dan kerajaan mesti bertindak sebagai bapa kepada masyarakat. Sebagaimana bapa wajib memberi pendidikan kepada anak dan jikalau dia  tidak mampu maka dia harus mengambil orang luar untuk mengajar anaknya. Begitulah kerajaan sepatutnya menggaji guru agama untuk mengajar masyarakat. Ada riwayat tentang Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberi gaji kepada para guru agama. Jadi ini menjadi dalil untuk mengatakan boleh ambil daripada khazanah negara untuk menggaji mereka yang menyebar dan mengajar agama. Semasa Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjadi khalifah, beliau telah menjadikan tugas pengajar agama sebagai pekerja kerajaan dan mereka mendapat gaji.

Isu mengambil upah dalam mengajar memang satu perbincangan yang sukar untuk diberikan keputusan. Secara ringkasnya setakat yang kita telah bincangkan,

1. Apa yang dilakukan oleh pendakwah dan guru agama memang pekerjaan terbaik dan mereka kalau dikirakan memang layak mendapat upah.
2. Yang ada ilmu, kena sampaikan; yang tidak tahu, wajib belajar.
3. Keikhlasan dalam ibadah dan menyampaikan ilmu sangat penting.
4. Kalau boleh tidak ambil upah, ini adalah yang terbaik.
5. Tidak boleh ambil upah dalam ibadah.
6. Tidaklah salah untuk menerima hadiah daripada pelajar yang memberi tanpa dipinta.
7. Terbaik kalau kerajaan yang memberi gaji kepada guru agama.
8. Janganlah kerana tidak dibayar, tidak mengajar pula.

Akan tetapi bagaimana pula bagi para guru agama yang memang kehidupan mereka hanya mengajar sahaja? Mereka tidak ada profesi lain dan mereka tidak ada sumber dana dari mana-mana dato’ dan datin. Mereka juga dipandang sepi oleh kerajaan kerana mungkin pengajaran tidak sama seperti aliran yang dipegang oleh kerajaan. Kalau langsung tidak boleh mengambil upah atau yuran, mereka hendak makan apa? Kalau langsung tidak boleh, maka untuk kelangsungan hidup, mereka sudah kena tinggalkan tugas mengajar sepenuhnya atau sebahagiannya pula dan ini tentunya tidak baik bagi dunia ilmu, bukan?

Untuk menjalankan pembelajaran seperti kursus, kelas pengajian juga memerlukan dana untuk membayar sewa tempat, peralatan visual dan audio, internet, percetakan, pembantu peserta dan sebagainya. Kalau tenaga pengajar (contohnya ustaz) tidak mengambil upah pun, ada kos-kos yang memang ada seperti contoh yang telah diberikan di atas. Pembelajaran juga perlu dijadikan menarik supaya ramai berminat hendak belajar. Sudah ada banyak pusat-pusat pengajian, akademi dan sebagainya sekarang yang menarik yang membincangkan tentang pengajian agama termasuk tafsir Al-Qur’an. Ia dikelola oleh pakar-pakar yang profesional dan ini tentunya memerlukan dana. Sekiranya kita menutup terus dengan mengatakan tidak boleh langsung mengambil yuran, maka kita akan jadi susah untuk membina pusat-pusat pengajian sebegini. Akhirnya, kita umat Islam juga yang rugi.

Maka tidak betullah kalau ada yang kutuk: “Eh kenapa ada yuran?! Bukan mengajar tu kena percuma ke? Ini jual agama ni….tak baca ayat Qur’an ke larangan minta upah ni? Lalu mereka pun keluarkan ayat seperti Baqarah: 41

وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا
dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya

Ayat-ayat sebegini mungkin senang disalahtafsir dan digunakan untuk mengutuk para agamawan yang mengenakan yuran, menerima upah mengajar dan sebagainya. Jadi kena faham bahawa menjual agama untuk mendapat habuan ini maksudnya apabila seseorang itu mengubah ajaran agama untuk terus mendapat habuan daripada masyarakat. Sebagaimana pendeta Yahudi itu yang telah merubah-ubah hukum agama mengikut kehendak masyarakat mereka kerana mereka mendapat bayaran daripada yang bertanya tentang hukum agama.

Maka sekiranya agamawan pun menyembunyikan sesuatu ilmu daripada wahyu ilahi kerana takut tidak mendapat upah, sampul, bayaran daripada pelajar, barulah termasuk di dalam maksud ayat ini. Namun jikalau mereka mengajar perkara yang benar, tanpa menyembunyikan apa-apa, tidaklah termasuk di dalam maksud ayat ini.

 

وَهُم مُّهْتَدُونَ

“Dan mereka orang mendapat petunjuk.”

Ini adalah dalil ketiga yang dibawa oleh Habib. Beliau mengatakan bahawa para pembawa risalah itu orang-orang yang terpimpin. Iaitu mereka sampaikan ajaran agama mengikut wahyu daripada Allah ‎ﷻ, bukan mereka reka cipta sendiri syariat ini. Ini amat penting bagi kita juga iaitu apabila kita mengambil ilmu daripada mana-mana agamawan, kita kena selidik sama ada apa yang mereka  ajar itu ada disertakan sekali dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Bukan semua agamawan sebegini seperti sangkaan orang kita. Ramai yang menggunakan hujah yang lain, iaitu K.U.M.A.N. Apa pula ini?

K = Kitab
U = Ustaz/Ulama’
M = Majoriti
A = Adat
N = Niat

Ramai ustaz apabila mengajar dan berhujah, mereka akan sebut kitab itu dan kitab ini. Ini kita panggil AADK (Asal Ada Dalam Kitab). Kadangkala kitab entah dari mana pun kita tidak pernah dengar. Begitu juga dengan penulisnya. Kadangkala apabila diperiksa, rupanya ia adalah kitab Syiah. Namun dek kerana para ustaz kita hendak juga beri dalil (apabila diminta) maka mereka mencari-cari dan terjumpa kitab dan tidak kisah dari mana datangnya. Jangan salah faham pula, kita bukannya benci kepada kitab dan tidak menggunakan kitab dalam belajar. Namun kitab itu mestilah bersumberkan dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih.

Tidak kurang juga yang menggunakan hujah ulama’. Mereka kata ulama’ sudah lama bincang dan selesaikan sesuatu perkara itu. Kadang tidak disebut pun nama ulama’ itu tetapi hanya disebut secara umum sahaja: ‘Ulama’ dah ajar dah….’ tanpa disebut pun nama ulama’ itu. Sekali lagi kita bukannya tolak ulama’ malah kita pun dapat ilmu daripada ulama’ juga kerana kita tidak mungkin akan tahu agama tanpa melalui kata-kata kupasan daripada orang yang alim. Akan tetapi mestilah ulama’ itu berikan dalil daripada wahyu juga. Kalau pendapat ulama’ itu sahaja, belum tentu benar. Ia mesti kembali kepada wahyu juga.

Hujah ketiga yang digunakan adalah majoriti. Antara hujahnya dikatakan “Ramai yang buat amalan ini, takkan salah” dan sebagainya. Kita selalu tertipu dengan ‘hijab umum’ iaitu apabila ramai yang buat sesuatu amalan bid’ah itu, kita sangka ia adalah sebahagian daripada agama. Begitu ramai pula yang tidak usul periksa sama ada wujud dalil ataupun tidak bagi sesuatu amalan itu. Ingatlah yang majoriti bukanlah hujah di dalam agama.

Hujah seterusnya adalah adat iaitu seperti “Amalan ini sudah lama diamalkan dalam alam Melayu”, “Takkan engkau nak kata tok nenek kita masuk neraka pulak!”. Kita tidaklah menolak adat kalau ia tidak melanggar mana-mana syariat. Akan tetapi sekiranya ia melanggar syariat dan jelas-jelas amalan yang bid’ah, maka ini kita mestilah beritahu yang ia tidak boleh diamalkan.

Akhirnya selalu diberikan hujah niat. Mereka kata kalau “Niat baik, in sha Allah akan beri pahala”. Ini pun salah kerana niat yang baik tetapi amalannya salah juga tidak diterima. Ini kerana ada dua syarat sesuatu amalan itu diterima: niat yang ikhlas dan amalan yang ikut sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم.

Kembali kepada hujah lelaki ini tentang para Rasul itu. Oleh kerana para Rasul عليهم السلام itu terpimpin dengan wahyu, maka cara hidup mereka, cara bercakap mereka, apabila kita lihat mereka, kita akan tahu bahawa mereka adalah orang-orang yang terpimpin. Cara mereka bergaul dengan orang lain dan keluarga mereka, kita akan nampak mereka adalah orang yang berakhlak mulia.

Sebagaimana mereka itu berakhlak mulia, kita sendiri tahu bagaimana Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang yang memang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang paling mulia. Puak Quraish tidak ada alasan untuk merendahkan baginda berdasarkan akhlak baginda. Malah mereka sendiri sangat percaya kepada baginda dan menggelarkan baginda dengan gelaran ‘Al-Amin’. Kalau mereka ada barang yang hendak diamanahkan untuk dijaga bagi pihak mereka, mereka akan berikan kepada Rasulullah ﷺ. Akhlak baginda ini telah disebut di dalam ayat 3 & 4 sebelum ini,

إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٣) عَلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬ (٤)
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, (3) Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (4)

Begitulah pendakwah bukan setakat pandai bercakap sahaja, akan tetapi mestilah mempunyai akhlak yang mulia. Kalau setakat pandai ceramah, ahli politiklah tentunya yang paling pandai bercakap dan meyakinkan manusia dengan kata-kata mereka. Akan tetapi kita pun tahu bagaimana akhlak mereka, ada yang biasa sahaja dan ada yang buruk perangai mereka di belakang kamera.

Kita pun seharusnya begitu juga kerana kita tidak boleh benarkan akhlak kita yang buruk menjadi halangan untuk manusia beriman. Takut orang tidak mahu beriman kerana melihatkan akhlak buruk pendakwah (orang akan fikir: tentu agama yang dibawanya juga buruk, agaknya). Bayangkan kalau pendakwah atau guru mengajar dengan cara memaki hamun dan bercakap kasar, siapalah yang mahu ikut? Maka kita kenalah sentiasa menjaga akhlak kita dalam kehidupan kita juga.

Masalahnya sekarang, kadang-kadang pendakwah agama sendiri tidak memiliki akhlak yang mulia. Sampaikan orang yang didakwah susah untuk menerima dakwah mereka. Akhlak mereka yang buruk menjauhkan masyarakat daripada mereka dan daripada agama. Sekarang pun pangkat ‘ustaz’ sudah buruk kerana sudah semakin ramai melakukan onar di dalam masyarakat. Masyarakat awam pun sudah mula berasa sangsi dengan golongan agamawan kerana mereka lihat golongan inilah yang banyak kaya raya atas kesusahan pelajar mereka; ramai yang telah melakukan gangguan seksual kepada pelajar wanita (dan lelaki); dan sebagainya.

AKHIR JUZUK 22

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 20 (Dakwah Habib)

CONTOH PENDAKWAH YANG MENGAJAK KEPADA KEBENARAN

Yaasin Ayat 20: Sekarang kita masuk ke adegan yang baru dengan munculnya sebuah lagi karektor baru. Sehingga kini kita telah tahu terdapat tiga orang pendakwah yang telah dihantar kepada penduduk kampung itu. Sekarang muncul seorang lagi pendakwah yang menjadikan semua pendakwah menjadi empat orang kesemuanya! Kenapakah datangnya orang ini?

Sudah sampai ke tahap penduduk kota itu hendak merejam dan menyeksa para Rasul itu, namun para pembawa risalah itu masih lagi mahu bertahan, tidak berganjak daripada tujuan asal mereka. Lalu datanglah seorang lelaki untuk mempertahankan para Rasul yang telah ditolak itu. Allah ‎ﷻ berikan pengajaran dalam bentuk cerita kerana manusia memang suka kepada cerita. Boleh bayangkan seorang lelaki tergesa-gesa datang berlari ke arah mereka.

وَجاءَ مِن أَقصَا المَدينَةِ رَجُلٌ يَسعىٰ قالَ يٰقَومِ اتَّبِعُوا المُرسَلينَ

Sahih International

And there came from the farthest end of the city a man, running. He said, “O my people, follow the messengers.

Malay

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutilah Rasul-rasul itu –

 

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ

Maka datanglah seorang lelaki dari hujung bandar

Lelaki itu duduk jauh dari kota itu. Walaupun begitu, dia datang juga. Dia datang bersendirian sahaja. Sebelum ini kita telah baca ayat 7 لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ yang mengajar kepada kita yang ramai tidak akan beriman walaupun mereka telah tahu kebenaran. Kita juga telah baca di dalam ayat 11 إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلذِّڪۡرَ وَخَشِىَ ٱلرَّحۡمَـٰنَ بِٱلۡغَيۡبِۖ bahawa akan ada golongan minoriti yang akan beriman. Lelaki ini daripada golongan minoriti itulah.

Perhatikan di dalam ayat 13 sebelum ini disebut وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ di mana digunakan kalimah القَريَةِ. Sekarang digunakan kalimah الْمَدِينَةِ pula yang menunjukkan penggunaan القَريَةِ di dalam ayat 13 bukanlah bermaksud kampung tetapi kota sebenarnya. Ini adalah kerana kalimah القَريَةِ di dalam bahasa Arab boleh membawa banyak maksud dan bukannya kampung sahaja.

Atau, ada pendapat yang mengatakan ini الْمَدِينَةِ tempat lain dari القَريَةِ yang kita baca dari awal kisah ini. Ini kerana para Rasul itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk berdakwah dan bukannya di القَريَةِ itu sahaja. Maknanya mereka juga telah pernah pergi ke الْمَدِينَةِ tempat lelaki ini datang.

Namun lelaki bukannya dari bandar tetapi dari أَقْصَا الْمَدِينَةِ iaitu pinggir bandar, mungkin dari desa.

Balaghah: ada perbincangan balaghah dalam ayat ini. Kalau kita lihat, susunan potongan ayat ini adalah berlainan daripada susunan bahasa yang biasa. Susunan dalam ayat ini:

datang – dari hujung bandar – seorang lelaki

Sedangkan, susunan yang biasa adalah:

seorang lelaki – datang – dari hujung bandar

Ada sebab kenapa susunan sebegini digunakan, di mana Allah ‎ﷻ mendahului yang sepatutnya dikemudiankan. Ini dinamakan taqdim wa ta’khir. Susunan sebegini adalah untuk menunjukkan kemarahan dan kehairanan Allah ‎ﷻ terhadap perangai mereka – dinamakan tabkid wa ta’jub.

Ini adalah kerana, sepatutnya yang kenal agama adalah orang-orang yang duduk di bandar kerana mereka yang lebih terdedah dan banyak peluang kepada ilmu pengetahuan. Tamadun itu selalunya bermula di bandar, bukan? Ilmu akan bermula dari pusat sesuatu negeri dan disebarkan ke pedalaman (sama juga dengan fesyen). Namun apabila yang faham agama itu daripada orang yang luar bandar, itu sepatutnya satu perkara yang jarang berlaku. Begitulah yang biasa berlaku adalah orang miskin dan di peringkat rendah yang senang beriman. Kerana itu para sahabat Nabi رضي الله عنهم yang terawal adalah orang-orang yang lemah, tiada kedudukan dalam masyarakat dan hamba sahaya. Jadi Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kehinaan daripada perbuatan orang bandar dan ketakjuban Allah ‎ﷻ terhadap perbuatan mereka yang salah itu. Ia menunjukkan apa yang berlaku ini adalah satu perkara yang lari daripada kebiasaan. Sepatutnya yang awal beriman adalah orang bandar tetapi orang kampung pula yang senang beriman.

Begitulah, ia mengandungi pengajaran daripada Allah ‎ﷻ bahawa yang senang terima agama adalah orang dari luar bandar. Yang duduk di tengah-tengah bandar sibuk dengan pemerintahan, kuasa politik, perniagaan, hidup bersenang lenang dengan hiburan dan sebagainya. Tidak ada kelas pengajian agama di Bukit Bintang, bukan? Yang ada di luar hiruk pikuk bandar seperti kawasan di Sungai Buloh dan sebagainya. Yang kaya raya sibuk berhibur dan menikmati kehidupan kerana mereka kaya raya.

Cuma Allah ‎ﷻ memang akan menghantar para Rasul ke kawasan bandar seperti disebut di dalam Qasas: 59

“وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا ۖ وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَىٰ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ”
“Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kotanya seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak membinasakan kota-kota kecuali penduduknya melakukan kezaliman.”

Dalam sejarah kenabian, terdapat kecenderungan ramai rasul diutuskan ke kawasan bandar atau pusat populasi yang penting pada zaman mereka. Walaupun terdapat juga Nabi yang diutuskan ke kawasan luar bandar atau perkampungan, penghantaran rasul ke bandar mempunyai beberapa sebab yang signifikan:

    • Pusat Tamadun dan Kebudayaan: Bandar sering menjadi pusat tamadun, kebudayaan, dan perkembangan intelektual pada zaman itu. Ia adalah tempat di mana pelbagai idea, kepercayaan, dan falsafah bertemu dan berinteraksi. Oleh itu, penghantaran rasul ke bandar membolehkan mereka berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan terpelajar, pemimpin, pedagang, dan orang awam.
    • Pengaruh yang Luas: Bandar biasanya mempunyai pengaruh yang besar terhadap kawasan sekitarnya. Apa yang berlaku di bandar, baik dari segi sosial, politik, mahupun agama, cenderung mempengaruhi kawasan-kawasan lain di sekitarnya. Oleh itu, jika seorang rasul berjaya menyebarkan mesejnya di bandar, ia akan mempunyai impak yang lebih besar dan meluas.
    • Akses kepada Media Komunikasi: Walaupun media komunikasi pada zaman dahulu tidak sama dengan hari ini, bandar biasanya mempunyai infrastruktur dan jaringan yang lebih baik untuk penyebaran maklumat. Contohnya, pasar-pasar, tempat perhimpunan awam, dan majlis-majlis keagamaan di bandar menjadi platform penting bagi Rasul untuk menyampaikan mesej mereka kepada khalayak yang ramai.
    • Cabaran yang Besar: Bandar sering menjadi tempat di mana pelbagai bentuk kesesatan, kemungkaran, dan ketidakadilan berleluasa. Penghantaran rasul ke bandar membolehkan mereka menghadapi cabaran-cabaran ini secara langsung dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Ini menunjukkan keberanian dan ketegasan Rasul dalam menegakkan kebenaran.

Walaupun terdapat kecenderungan ini, adalah penting untuk diingatkan bahawa Allah ‎ﷻ memilih tempat dan masa yang paling sesuai untuk mengutuskan rasul-Nya. Ada juga Nabi yang diutuskan ke kawasan luar bandar atau perkampungan kerana di situlah terdapat keperluan yang mendesak untuk bimbingan dan petunjuk.

Secara keseluruhan, penghantaran rasul ke bandar adalah sebahagian daripada strategi ilahi untuk memastikan mesej Allah ‎ﷻ sampai kepada seberapa ramai orang yang mungkin, di tempat-tempat yang paling berpengaruh dan mencabar pada zaman itu.

Perhatikan Allah ‎ﷻ hanya sebut lelaki ini sebagai رَجُلٌ (seorang lelaki) sahaja. Tidak disebut namanya, kedudukannya, kelayakannya, taraf pendidikannya dan lain-lain. Tidak juga disebut dia belajar di mana, ada tauliah atau tidak. Ini kerana semua ini tidak penting. Kerana yang penting adalah keikhlasan lelaki ini. Kadangkala kita sibuk dengan kedudukan seseorang, dengan siapa dia belajar, apa kelulusan seseorang. Penulisan ini pun selalu mendapat teguran kerana penulis tidak dikenali. Akan tetapi kalau kita perhatikan contoh pengenalan seseorang di dalam Al-Qur’an, kebanyakan contoh yang Allah ‎ﷻ berikan tidak disertakan dengan pengenalan sebegitu. Ini kerana Allah ‎ﷻ lebih mementingkan pengajaran dan tidak ditumpukan tentang individu itu sendiri. Ada seorang lagi lelaki yang disebut di dalam Surah Ghafir yang mempertahankan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nama beliau juga tidak disebut tetapi kisahnya juga panjang bermula ayat 28,

وَقالَ رَجُلٌ مُّؤمِنٌ مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمٰنَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ
Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman daripada orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian daripada (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. 

 

يَسْعَىٰ

dengan berlari-lari anak.

Kata يَسْعَىٰ itu datang daripada kata سعىٰ sa’i yang bermaksud ‘berlari-lari anak’. Seperti juga kita bersa’i apabila kita melakukan umrah dan haji di antara bukit Safa dan Marwah ada tempat yang kita disunatkan untuk berlari-lari anak. Apabila dikatakan lelaki itu يَسْعَىٰ, bermaksud dia bersungguh-sungguh datang hendak membela para pembawa risalah itu. Ini seperti digunakan di dalam Jumuah: 9

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Apabila dia dengar sahaja tentang apa yang hendak dilakukan oleh penduduk kota itu, dia telah datang dengan segera dengan misi yang mulia. Dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.

Maka ini adalah bantuan daripada Allah , kadangkala datang tidaklah ramai tetapi Allah hantar seorang sahaja. Kadang agama ini ditegakkan oleh seorang sahaja tetapi berjiwa besar.

Ini mengajar kita jangan memandang orang yang dari luar bandar, yang nampak miskin dan tidak berpengaruh. Nanti kisah lelaki ini lagi banyak disebut daripada kisah tiga Rasul (menunjukkan kepentingannya).

Berlari-lari anak juga bermaksud bersegera atau bergegas di dalam membuat kebaikan. Dia tidak berlengah-lengah lagi untuk menyelamatkan kaumnya. Memang Allah suruh kita bersegera di dalam berbuat kebaikan kerana salah satu daripada talbis iblis (belitan iblis) adalah taswif (menangguh-nangguh untuk buat kebaikan). Allah berfirman antaranya di dalam Baqarah: 148

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
berlumba-lumbalah kalian dalam melakukan kebaikan

Begitulah ciri orang Mukmin yang bersegera melakukan kebaikan seperti disebut di dalam Mukminoon: 61

أُو۟لَـٰٓئِكَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَهُمْ لَهَا سَـٰبِقُونَ
“Mereka itu bersegera dalam kebaikan-kebaikan dan merekalah orang-orang yang lebih dahulu memperolehnya.”

Lihatlah lelaki ini datang dengan berjalan kaki sahaja, tidak disebut naik kuda, unta atau keldai. Maknanya dia menggunakan apa sahaja yang dia ada (kaki). Jadi hendak buat kerja dakwah, tidak perlukan banyak sumber daya (resources) sangat. Jangan jadikan alasan tiada itu dan ini sebagai penghalang untuk berdakwah. Kita gunakan apa sahaja yang kita ada (mulut kita, peluh, kudrat, dan sebagainya).

Apabila agama dihina, lelaki ini tampil ke hadapan untuk membelanya. Kita pun hendaklah bersikap begitu juga. Jangan duduk senyap sahaja. Banyak orang yang begitu – buat tidak tahu sahaja apabila Islam dihina. Sepatutnya kita lakukan yang di dalam kuasa dan kemampuan kita untuk membela agama, membela ulama’ atau ustaz yang dihina dan diperlecehkan; ini boleh berlaku sekarang di dalam media sosial. Kalau kita jumpa, maka kita hendaklah berusaha untuk membantu.

Kalau lelaki ini hendak lepas tangan tidak buat apa-apa, dia boleh sahaja kata: “Eh tiga Rasul dah ada ni, apa lagi aku nak cakap? Siapa aku?” Namun tidak, dia datang menampilkan diri dan berusaha untuk menjalankan dakwahnya. Memanglah tidak sama manusia biasa dengan Rasul. Ia seperti membandingkan matahari dan bulan. Matahari ada cahaya sendiri, cahayanya sangat terang; sedangkan bulan bergantung cahaya daripada matahari kerana ia tidak ada cahaya sendiri. Bulan pun tidak tetap bercahaya, ada fasanya. Jadi memang matahari lebih tinggi dan hebat daripada bulan, tetapi bulan pun masih ada fungsinya juga. Semua orang ada fungsi masing-masing. Macam di pejabat kita pun ada penyambut tetamu yang nampak tugasnya kecil sahaja, akan tetapi tidakkah dia juga penting bagi sebuah syarikat? Bukankah mereka ini orang pertama yang ditemui oleh pelawat kepada syarikat itu? Maka Allah mengajar kita jangan memandang enteng/rendah pendakwah yang mungkin tidak sehebat pemidato, tetapi usaha orang itu tetap dihargai oleh Allah sampaikan disebut contohnya di dalam ayat Al-Qur’an.

Lagi pun, tambahan orang yang berlainan boleh memberi perspektif berbeza. Kadangkala apabila kita mendengar syarahan daripada seorang pensyarah, kita tidak benar-benar faham kerana bahasa yang digunakan terlalu tinggi. Akan tetapi bila kita minta kawan kita jelaskan dengan bahasa yang lebih kurang bahasa dan tingkatan pemahaman seperti kita juga, barulah kita boleh faham.

Di dalam Qasas:20 juga ada ayat yang menyebut tentang seorang lelaki yang tidak dikenali datang dari pinggir kota,

وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ قالَ يٰموسىٰ إِنَّ المَلَأَ يَأتَمِرونَ بِكَ لِيَقتُلوكَ فَاخرُج إِنّي لَكَ مِنَ النّٰصِحينَ
Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: “Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”.

Akan tetapi perhatikan susunan yang sedikit berbeza dari ayat Yaasin ini. Di dalam Yaasin, susunannya وَجاءَ مِن أَقصَا المَدينَةِ رَجُلٌ يَسعىٰ sedangkan di dalam Surah Qasas susunannya وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ. Yang satu disebut أَقصَا المَدينَةِ dahulu dan satu lagi disebut رَجُلٌ. Yang disebut yang awal itu adalah penekanan di dalam ayat. Di dalam Surah Yaasin ditekankan kedatangan lelaki itu dari luar kota kerana itulah yang lebih penting. Sedangkan apabila ditekankan رَجُلٌ ia kerana hendak menekankan tentang lelaki itu dan mesej yang dia hendak sampaikan kepada Nabi Musa عليه السلام.

 

قَالَ يَٰقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

Dia berkata: “wahai kaumku, ikutlah sahaja rasul-rasul itu.”

Perhatikan panggilan lelaki ini kepada kaumnya: يَٰقَوْمِ iaitu panggilan lembut dan mesra. Tidaklah dia panggil “Hoi kapir!”, “Hoi Bodoh!” atau kata-kata kasar yang lain. Banyak ayat Al-Qur’an mengajar kita menggunakan bahasa yang bernada lembut dan mesra dalam dakwah. Ini penting kerana manusia melihat bahasa kita. Kalau bahasa kasar dan tidak molek, apa yang kita cakap lepas itu orang sudah tidak berminat untuk mendengarnya lagi. Tahu-tahu tiada seorang pun mahu mendengar apa yang kita mahu sampaikan walaupun apa yang kita ingin sampaikan itu mesej penting. Hadiah yang cantik dan mahal tetapi dibalut dengan kertas buruk tidak dipandang orang juga. Begitu juga kalau kita gunakan bahasa menyindir, pun orang tidak suka. Begitu juga kalau guna bahasa budak-budak WeChat, pun orang akan pandang apa yang kita cakap itu kurang bernilai. Maka kenalah berbahasa di dalam dakwah.

Ia juga mengajar kita supaya tujuan kita dakwah adalah kerana sayang kepada masyarakat. Kena ada sifat rahmah, bukannya sifat rasa diri lebih pandai, lebih tinggi, bukannya juga kerana hendak mencari salah masyarakat dan menunjukkan kita benar. Bukannya kita hendak menang, tetapi kita hendak masyarakat menjadi betul. Kerana apa? Kerana kita sayangkan mereka dan mahu kita dan mereka selamat. Jadi kalau sayang, gunakanlah bahasa yang penuh berkasih sayang dan saling mengasihani.

Lelaki ini menasihati kaumnya supaya janganlah dilawan para Rasul itu, sebaliknya ikutlah mereka. Perkataan اتَّبِعُ (ittiba‘) bukan sahaja mengikut, tetapi lebih daripada itu. Ia bermaksud: mendengar dengan baik mesej yang dibawa, memahaminya, mengamalkannya dan menyebarkannya kepada orang lain. Inilah makna اتَّبِعُ. Banyak sekali perkataan ini digunakan dalam Al-Qur’an.

Siapakah lelaki itu? Namanya Habib an-Najar. Kebetulan namanya begitu. Bukanlah dia ini seorang habib dari Yaman itu pula ya. Itu habib ajaran sesat dan membawa musibah ke dunia Islam sekarang. Sudah banyak dibongkarkan kesesatan dan kata-kata kartun mereka. Malangnya ramai daripada orang kita tertipu dengan penampilan para habib ini. Semoga masyarakat kita semakin bijak dan dapat menilai manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah.

Habib an-Najar ini telah mempelajari tauhid dengan rasul-rasul itu. Sebelum itu dia adalah seorang yang duduk dalam kuil dan telah terkena penyakit kusta. Lama beliau beribadat dalam kuil dan berdoa semoga penyakit kustanya disembuhkan, namun tidak sembuh-sembuh. Ada yang mengatakan beliau seorang tukang tenun. Ada pula yang mengatakan beliau seorang tukang kayu (itulah maksud an-Najjar). Ini semua tidak penting kerana apakah pekerjaannya itu tidaklah penting. Ditakdirkan para Rasul itu lalu di kawasan kuil itu dan telah mengajar tauhid kepadanya, dan telah menasihatinya: kalau dia beriman dan berdoa kepada Allah , dengan izin Allah dia akan sihat. Maka dia telah beriman dan sihat pada hari yang sama setelah berjumpa dengan Rasul-rasul itu.

Habib bukan hanya menyuruh penduduk kota itu mengikut para pembawa risalah itu. Beliau memberikan alasan yang kukuh kepada mereka. Dalam ayat ini, diberikan bukti pertama: pembawa risalah itu adalah الْمُرْسَلِينَ: Pembawa Risalah. Habib berkata mereka bukannya datang dengan tangan yang kosong, tetapi mereka datang membawa risalah daripada Allah . Mereka telah dihantar oleh Allah , maka hendaklah ikut kepada mereka.

Saudara Habib kita ini menyentuh satu konsep yang amat penting di dalam agama: Ittiba’ Rasul (ikut Sunnah Rasulullah). Kewajipan untuk mengikuti Sunnah Rasulullah ﷺ bukanlah satu ketetapan yang dibuat oleh para ulama semata-mata, tetapi ia berakar umbi daripada perintah-perintah langsung Allah di dalam Al-Qur’an dan ditegaskan pula melalui sabda-sabda Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Tambahan pula, wujud kesepakatan (ijma’) dalam kalangan para sarjana Islam sepanjang zaman mengenai autoriti Sunnah sebagai sumber hukum.

Antaranya Allah berfirman di dalam Hashr: 7

وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

Rasulullah ﷺ telah bersabda,

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
“Maka hendaklah kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Dan jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu adalah kesesatan.”
(HR Abu Daud No. 4607, Tirmidzi No. 2676 disahihkan oleh Al-Albani)

Jadi inilah pengulangan konsep ittiba’ yang telah disebut sebelum ini di dalam ayat 11,

إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ
Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an

Apabila kita disuruh mengikut Rasul, maka janganlah reka fahaman dan amalan baru pula. Kita kena ikut rapat cara para Rasul beragama, jangan memandai-mandai buat fahaman sendiri. Rosak agama kalau rasa boleh kita ‘perbaiki’ agama ini dengan mengatakan ia lebih baik, dengan mengatakan Allah ‎ﷻ suka (padahal tiada dalil), dengan mengatakan ia bagus bagi masyarakat, dan sebagainya. Konsep ittiba’ Rasul ini adalah satu perkara yang amat perlu ditekankan di dalam umat kita sekarang kerana ramai suka sangat buat perkara-perkara bid’ah di dalam agama. Sedangkan dakwah Pak Habib kita ini awal sekali adalah suruh kaumnya ikut para Rasul itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 18 – 19 (Percaya Sial Majal)

Yaasin Ayat 18: Biasanya apabila penyebar tauhid datang dan ditolak oleh masyarakat, maka bala akan didatangkan kepada masyarakat itu. Kalau menolak, maka akan didatangkan bala umum, contohnya kemarau kepada penduduk tempat itu. Ini diberikan untuk merendahkan ego mereka yang terlalu tinggi. Begitulah manusia biasa menjadi sombong kerana hidup senang sangat. Kena ingat, bukanlah kedatangan para Rasul membawa bala pula; memang mereka itu sudah ke arah kemusnahan, kedatangan para Rasul itu sebenarnya untuk menyelamatkan penduduk tempat itu.

Oleh kerana penduduk Antokiah itu telah menolak tabligh daripada Rasul-Rasul itu, maka mereka telah ditimpa dengan bala. Seharusnya ia dapat merendahkan ego mereka, sebaliknya lihatlah apa yang mereka katakan kepada para Rasul itu.

قالوا إِنّا تَطَيَّرنا بِكُم ۖ لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

They said, “Indeed, we consider you a bad omen. If you do not desist, we will surely stone you, and there will surely touch you, from us, a painful punishment.”

Malay

Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami ditimpa sial kerana kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

 

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ

Mereka kata “kami ditimpa sial kerana kamu”.

Apabila hujah daripada para Rasul itu tidak dapat dijawab dengan intelek dan hujah bernas, maka para penentang hanya mampu membuat tuduhan sahaja. Di sini mereka tuduh para Rasul itu yang membawa sial. Kalau zaman sekarang, apabila kita beri dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, para penentang pun hanya ada satu tuduhan sahaja: “Wahabi!”. Begitulah manusia apabila tidak ada hujah, mereka akan gunakan tuduhan kosong sahaja. Ada juga yang tuduh tulisan di celiktafsir ini ‘tafsir Wahabi’, dan kita tanya balik apa tafsiran yang sebenarnya (kalau tafsiran kita salah), tetapi biasanya ‘krik, krik’ sampai ke sudah. Maknanya mereka tidak ada hujah, hanya tuduhan sahaja. Apabila kita jelaskan yang tafsiran ini atas apa yang kita belajar, adakah yang tidak setuju itu ada belajar tafsir, pun senyap juga.

Sial yang mereka maksudkan di dalam ayat ini adalah tidak turun hujan dan sebagainya. Mereka kata para Rasul itulah yang membawa bala dan sial itu. Dulu tidak ada, tetapi bila mereka datang, terjadi pula kemarau itu. Memang ada kaum  yang sebegitu, menyalahkan para Rasul pula. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya yang menceritakan perihal kaum Firaun di dalam A’raf: 131:

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ
Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata, “Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang bersertanya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan daripada Allah.

Juga telah disebut di dalam Naml: 47

قالُوا اطَّيَّرنا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قالَ طٰئِرُكُم عِندَ اللهِ ۖ بَل أَنتُم قَومٌ تُفتَنونَ
Mereka menjawab: “Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersertamu”. Saleh berkata: “Nasibmu ada pada sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu kaum yang diuji”.

Perkataan تَطَيَّرْ diambil daripada perkataan طَيَّرْ (tayr) yang bermaksud ‘burung’, ‘terbang’. Orang-orang jahiliah selalu melepaskan burung untuk menilik nasib. Ia juga dikaitkan dengan kesialan. Ini adalah satu perkara khurafat (percaya tanpa bukti). Kepercayaan ini tidak boleh dipegang langsung. Bagaimana boleh burung tahu tentang apa yang akan terjadi? Atau burung menyebabkan sial?

Jadi, apabila perkataan تَطَيَّرْنَا digunakan dalam ayat ini, ia menceritakan bagaimana penduduk kota itu merasakan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu membawa sial kepada mereka. Memang sudah menjadi sunnatullah, jikalau umat menolak dakwah daripada para Nabi, Allah ‎ﷻ akan menurunkan bala kepada mereka. Boleh jadi dalam bentuk kemarau, tanaman tidak tumbuh dan berbagai lagi kesusahan. Selalunya, orang yang tidak mahu menerima ajakan dakwah adalah kerana mereka sombong dengan kesenangan mereka. Maka, Allah ‎ﷻ akan menghilangkan kesenangan mereka itu untuk menurunkan ego mereka supaya mereka senang menerima dakwah.

Ia juga sebagai penunjuk bahawa penyampai dakwah itu adalah benar dalam dakwah mereka. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat dalam surah lain, bagaimana apabila Firaun menolak dakwah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka telah dikenakan dengan berbagai-bagai bala. Maka, orang yang menggunakan akalnya, tentu berfikir yang mereka dikenakan bala kerana melawan utusan Allah ‎ﷻ.

Jadi, memang benar penduduk kota dalam ayat ini telah dikenakan dengan bala daripada Allah ‎ﷻ. Itu tidak dinafikan. Namun yang menjadi masalahnya, mereka meletakkan kesalahan itu pada salah tempat. Mereka menyalahkan pendakwah itu pula padahal mereka yang salah. Mereka kata pendakwah-pendakwah itulah yang membawa sial sampai mereka telah terkena bala itu. Sepatutnya bala-bala itu mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan mereka kena bertaubat dan menerima dakwah pendakwah-pendakwah itu. Sepatutnya mereka fikirlah apa salah mereka sampai Allah ‎ﷻ kenakan bala tersebut. Namun yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Mereka bertambah menentang lagi. Mereka ancam pula para Rasul itu.

Ayat ini juga menegur tentang salah faham masyarakat tentang sial. Mereka meletakkan sial pada sesuatu benda yang mengarut. Masyarakat Melayu tidak terkecuali, seperti kebanyakan budaya lain, juga memiliki berbagai kepercayaan karut (tahyul) tentang sial yang diwariskan secara turun-temurun. Beberapa di antaranya mungkin memiliki kemiripan dengan kepercayaan di budaya lain, namun ada juga yang khas Melayu. Berikut beberapa contoh kepercayaan karut masyarakat Melayu tentang sial:

  • Kucing hitam melintas: Sama seperti kepercayaan umum, kucing hitam melintas di depan seseorang atau kenderaan sering dianggap membawa nasib buruk atau menghalangi rezeki.
  • Burung hantu berbunyi di malam hari: Dipercayai sebagai petanda akan ada kematian atau khabar duka di kampung tersebut.
  • Anjing melolong di malam hari: Sama seperti burung hantu, lolongan anjing di malam hari juga sering dikaitkan dengan petanda kematian atau kejadian buruk.
  • Memecahkan pinggan atau gelas tanpa sengaja: Dipercayai membawa pertengkaran atau nasib malang. Namun, ada juga yang percaya jika pecahnya banyak sekaligus, membawa rezeki.
  • Payung terbuka di dalam rumah: Dipercayai membawa kesialan atau rezeki yang kurang.
  • Duduk di atas bantal: Dipercayai akan menyebabkan bisul.
  • Menyapu rumah pada waktu malam: Dipercayai akan “menyapu” keluar rezeki.
  • Memberi barang tajam (pisau, gunting) sebagai hadiah: Dipercayai akan memutuskan silaturahmi, kecuali jika penerima memberikan kembali wang kecil sebagai “penebus”.
  • Terjatuh ketika hendak keluar rumah: Dianggap sebagai petanda buruk untuk urusan yang akan dikerjakan. Sebaiknya menunda atau lebih berhati-hati.
  • Melihat jenazah dibawa melintas: Ada yang percaya harus berhenti sejenak dan mendoakan agar tidak tertimpa musibah serupa.
  • Menggunting kuku pada waktu malam: Dipercayai memendekkan umur atau membawa nasib buruk.
  • Menyanyi di dapur: Dipercayai akan mendapatkan suami atau isteri yang tua.
  • Makan nasi yang jatuh: Dipercayai akan mendapat rezeki yang berlimpah (namun ada juga yang mengaitkannya dengan hal lain).
  • Telinga berdesing: Telinga kanan berdesing dipercayai ada orang yang membicarakan kebaikan, sedangkan telinga kiri bererti ada yang membicarakan keburukan.
  • Mata berkedip: Mata kanan berkedip dipercayai akan bertemu orang jauh atau mendapat rezeki, sedangkan mata kiri bererti akan bersedih atau ada khabar buruk.
  • Tersedak saat makan: Dipercayai ada orang yang sedang merindukan atau membicarakan kita.
  • Hari tertentu untuk melakukan pekerjaan penting: Ada anggapan bahawa hari-hari tertentu kurang baik untuk memulai usaha atau melakukan perjalanan jauh.
  • Memakai baju terbalik tanpa sengaja: Dipercayai akan mendapat malu atau kejadian yang kurang baik.

Mengapa Kepercayaan Ini Bertahan? Kepercayaan karut ini bertahan dalam masyarakat Melayu kerana beberapa faktor:

  • Warisan Budaya: Diturunkan dari generasi ke generasi melalui cerita lisan dan praktik sehari-hari.
  • Psikologi: Manusia cenderung mencari penjelasan untuk kejadian yang tidak dapat dijelaskan secara rasional, terutama kejadian buruk.
  • Pengalaman Kebetulan: Jika suatu kejadian buruk terjadi setelah melakukan sesuatu yang dianggap sial, hal ini dapat memperkuat kepercayaan tersebut meskipun hanya kebetulan.
  • Solidaritas Sosial: Kepercayaan bersama dapat memperkuat ikatan sosial dalam masyarakat.

Pandangan Islam:

Dalam Islam, kepercayaan terhadap tahyul yang mengaitkan kesialan dengan benda, haiwan, waktu, atau tindakan tertentu tanpa kehendak Allah ‎ﷻ adalah dilarang. Umat Islam diajar untuk bertawakal sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ dan menyakini bahawa segala sesuatu terjadi atas izin-Nya. Tidak ada kekuatan lain yang dapat mendatangkan kebaikan atau keburukan kecuali Allah ‎ﷻ. Meskipun demikian, beberapa kepercayaan karut ini mungkin masih dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana faktor budaya dan kurangnya pemahaman agama yang mendalam. Penting bagi umat Islam untuk menjauhi kepercayaan karut yang bertentangan dengan akidah Islam dan menggantinya dengan keyakinan yang benar kepada Allah ‎ﷻ.

Rasulullah ﷺ sendiri telah pernah menegur umat tentang hal ini,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ لاَ طِيَرَةَ، وَخَيْرُهَا الْفَأْلُ ‏”‌‏.‏ قَالُوا وَمَا الْفَأْلُ قَالَ ‏”‏ الْكَلِمَةُ الصَّالِحَةُ يَسْمَعُهَا أَحَدُكُمْ ‏”‌‏.‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak ada Thiyarah, dan petanda terbaik adalah Fal.” Mereka bertanya, “Apakah Fal itu?” Baginda bersabda, “Perkataan yang baik yang didengar oleh salah seorang daripada kamu (dan dianggap sebagai petanda yang baik).
(Sahih al-Bukhari No. 5754)

Bagaimana orang zaman sekarang menolak para pendakwah? Mereka ada yang kata sial yang dibawa oleh pendakwah Sunnah adalah perpecahan dalam kalangan masyarakat. Mereka kata dulu kita orang Islam satu Malaysia hidup aman damai sahaja, apabila datang golongan yang mengaku Salafi ini, pecah belah habis masyarakat Islam; amalan yang dahulunya telah diamalkan zaman berzaman, tiba-tiba ada puak ini datang kata ia bid’ah!

 

لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا

Jika kamu tidak berhenti;

Mereka suruh para Rasul itu berhenti daripada menyeru mereka untuk mengesakan Allah ‎ﷻ dan menghina tuhan sembahan mereka; kerana mereka juga mempunyai agama yang sesat yang mereka amalkan. Mereka rasa, apabila tuhan mereka telah dihina, itulah sebabnya bala diturunkan kepada mereka. Mereka mahu pendakwah-pendakwah itu berhenti daripada berdakwah. Inilah yang dikehendaki oleh golongan penentang – jangan cakap, jangan dakwah. Mereka tidak senang. Maka mereka akan gunakan pelbagai cara untuk senyapkan para pendakwah. Sepatutnya kalau tidak bersetuju, maka berilah hujah balas, tetapi tidak begitu tindakan daripada mereka.

 

لَنَرْجُمَنَّكُمْ

kami pasti akan rejam kamu.

Perkataan رجمَ bermaksud merejam dengan batu. Atau membuang sesuatu macam sampah. Dalam ayat itu, mereka ada meletakkan huruf لَ bermaksud mereka pasti akan melakukannya. Rejam itu tidak semestinya sampai mati, kalau baling dengan batu pun dikira rejam juga. Mungkin mereka hendak kata, lepas ini kalau kami nampak kamu lagi, kami akan ramai-ramai baling kalian dengan batu!

Jadi tadi mereka beri balas hujah para Rasul dengan tuduhan para Rasul itu bawa sial, maka seterusnya mereka hendak gunakan kekerasan. Mungkin kerana mereka lebih kuat, lebih ramai, ada kuasa dan pengaruh, maka kekerasan sahajalah yang mereka ada. Hujah? Itu belakang kira, kata mereka. Janji pendakwah ini senyap dahulu.

Dalam Islam memang ada hukuman rejam iaitu apabila lelaki atau wanita muhsan (yang telah pernah menikah) berzina. Namun sekarang apakah kesalahan para pendakwah itu? Kerana berdakwah, memberi ingat, bagi nasihat. Itu pun hendak direjamnya mereka ini. Begitu teruknya penduduk kampung ini.

 

وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan kami akan mengenakan kalian dengan azab yang pedih daripada kami;

Mereka sudah beri ancaman bunuh kepada para Rasul itu. Kemudian mereka kata, sebelum mereka rejam sampai mati para Rasul itu, mereka akan kenakan seksaan dulu iaitu dipijak-pijak para Rasul itu beramai-ramai sampai patah tulang-tulang para Rasul itu.

Bagaimana kesan ayat ini kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم? Mereka juga sedang baca kisah ini, bukan? Di sini Allah ‎ﷻ hendak sediakan Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم yang mereka akan menghadapi golongan penentang seperti ini juga nanti dalam dakwah mereka. Kerana sejarah penolakan akan berulang zaman ke zaman. Lihatlah apa yang terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ sendiri? Baginda pernah direjam dengan batu apabila baginda berdakwah ke Taif. Manakala para sahabat رضي الله عنهم ada yang diseksa hingga ada yang dibunuh kerana mereka beriman dengan Nabi. Jadi Allah ‎ﷻ mahu mengingatkan kepada mereka yang ancaman dan dugaan seperti itu telah pernah terjadi zaman dulu lagi dan tidak mustahil ia juga akan terjadi kepada mereka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Jadi para penentang Islam mungkin akan menggunakan kekerasan kalau tidak dapat menolak Islam dengan hujah. Akan tetapi, orang Islam pun ada menggunakan cara yang sama juga, bukan? Kalau ada orang mengutuk Islam, bakar naskhah Al-Qur’an, tidak lama lagi adalah yang ancaman bunuh, cubaan menangkap orang itu dan sebagainya. Maknanya orang Islam yang jahil ada menggunakan kekerasan juga, jangan buat tidak tahu. Sama sahaja orang Islam sebegitu dengan orang kafir. Kalau di negara kita ada buat benda yang sama, netizen sekejap sahaja akan dapat tahu alamat orang yang jadi viral itu dan sekejap lagi keluarlah video baru orang yang jadi viral itu, tetapi kali ini dengan muka yang lunyai dan pecah kerana telah dirimbok oleh orang Islam yang datang mencari lelaki itu.

Ini bukan cara yang benar. Kita sudah cakap, orang yang menggunakan kekerasan ini adalah orang yang tiada hujah dan bukti. Kalau kita pun guna kekerasan, maka ia mencanangkan kepada seluruh dunia yang agama Islam ini tidak ada hujah, menggunakan kekerasan dari dahulu lagi (kerana tuduhan orang kafir adalah Islam disebarkan dengan peperangan). Jadi kita secara langsung telah memalukan agama Islam sendiri tanpa kita sedar.

Apa pengajaran bagi kita sebagai pendakwah? Ayat ini mengajar kita yang kalau kita dakwah dengan benar dan ikhlas, pasti akan ada tentangan daripada masyarakat. Masyarakat takkan sedang-senang hendak menerima dakwah. Ada yang gunakan mulut sahaja, ada yang gunakan kekerasan; yang pasti, pasti akan ada penolakan. Yang pelik kalau kita dakwah, semua orang terima dengan senang hati. Kalau ini yang terjadi, maknanya ada masalah dengan dakwah kita sebab tidak ada orang terasa hati dan sakit hati dengan dakwah kita. Kerana sunnatullah zaman berzaman, pasti akan ada penentangan kepada dakwah yang mengajak ke jalan yang benar.


 

Yaasin Ayat 19: Ini adalah jawapan para Rasul itu di atas dakwaan salah penduduk kota itu.

قالوا طٰئِرُكُم مَّعَكُم ۚ أَئِن ذُكِّرتُم ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

Sahih International

They said, “Your omen is with yourselves. Is it because you were reminded? Rather, you are a transgressing people.”

Malay

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

 

قَالُوا طَائِرُكُم مَّعَكُمْ

Rasul-rasul itu berkata: sial itu asalnya daripada kamu;

Lihatlah bagaimana para Rasul itu tidak menidakkan bala yang diterima oleh penduduk bandar itu. Menunjukkan memang benar mereka terkena bala. Akan tetapi para Rasul itu mengingatkan bahawa sebab mereka ingkar tidak mahu terima tauhid itulah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ menurunkan bala kepada mereka. Memang musibah dan bala yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada umat manusia adalah kerana kesalahan tangan-tangan mereka sendiri seperti disebut di dalam Rum: 41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia

Apabila para rasul itu berkata begini, maka penduduk tempat itu sepatutnya melihat apakah kesalahan mereka dan memperbetulkannya. Namun tidak, mereka sebaliknya menjadi lebih ingkar lagi.

Nabi Muhammad ﷺ pun ada mengalami kecaman yang sama juga. Mereka kata Nabi ﷺ telah memecah-belahkan kaum Quraish kerana dakwah baginda. Maka mereka telah menyuruh Abu Talib untuk memujuk Nabi ﷺ meninggalkan dakwahnya. Namun Nabi ﷺ menjawab: walaupun kalau mereka boleh meletakkan bulan di tangan kanan dan matahari di tangan kirinya, baginda tidak akan berhenti.

Perhatikan juga kalimah yang digunakan di sini adalah طٰئِرُكُم مَّعَكُمْ dan bukannya طٰئِرُكُم بِكُم seperti di dalam ayat sebelum ini: تَطَيَّرنا بِكُم. Apabila digunakan kalimah مَّعَكُمْ, ia memberi maksud berbeza. Maksudnya begini: hujah sial yang kamu gunakan itu hanya ada di dalam fikiran kamu sahaja, kamu tidak ada hujah balas, maka kamu reka alasan ini di dalam fikiran kalian sahaja.

 

أَئِن ذُكِّرْتُم

(Adakah kamu sangka bala itu datang kerana kami) beri peringatan kepada kamu?

Para Rasul itu menegaskan yang bala musibah itu bukan sebab mereka beri tazkirah kepada penduduk bandar itu. Peringatan itu mengajak mereka buat perkara-perkara yang baik. Takkan sebab suruh buat perkara yang baik, boleh turun bala pula? Memang tidak patut betul tuduhan mereka itu. Takkan kita boleh cakap kerana budak itu pergi sekolahlah dia menjadi mat rempit, bukan? Kerana sekolah tempat belajar ilmu dan adab, tidak sepatutnya disalahkan kalau budak itu yang menjadi rosak.

Begitulah sebab mereka ingkar terhadap peringatan, yang menyebabkan bala itu turun kepada mereka. Ini adalah kerana mereka ingkar kepada ajakan tauhid. Sepatutnya mereka mengambil peringatan yang diberikan oleh para Rasul itu dan mengamalkannya. Namun mereka tidak buat begitu. Mereka sebaliknya menjadi semakin ingkar.

 

بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Bahkan kamu adalah kaum yang melampau batas.

Mereka itu telah melampau dalam beragama kerana mereka buat syirik kepada Allah ‎ﷻ dengan menyembah berhala atau ma’bud bathil yang lain. Selain daripada menyembah berhala, ada banyak lagi had yang mereka telah langgar. Tidak disebut dalam Al-Qur’an apakah yang mereka telah lakukan kerana tentu terlalu banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka juga telah melampau di dalam menolak ajakan dakwah para Rasul itu. Mulanya mereka tuduh Para Rasul itu bawa sial, kemudian lebih teruk lagi mereka hendak menggunakan kekerasan. Itu adalah antara perbuatan-perbuatan مُسْرِفُ (melampau) mereka yang kita boleh dapat daripada ayat-ayat dalam Surah Yaasin ini. Mungkin ada banyak lagi yang mereka telah buat.

Ketiganya mereka telah melampau dari segi pemikiran. Boleh fikir pula mudarat yang mereka terima itu adalah kerana sial seseorang. Ini adalah kata-kata orang yang bodoh dan karut. Orang Islam pun boleh melampau dalam pemikiran seperti ini. Ada yang mengangkat orang gila sebagai wali, ada yang sanggup meminum air basuhan kaki tok guru, ada yang mengangkat Nabi Muhammad ﷺ sebagai Tuhan dan bermacam-macam lagi fikiran karut yang timbul dalam kalangan umat Islam. Ini semua terjadi apabila sudah jauh daripada ilmu wahyu, sepertimana golongan penduduk kampung dalam kisah Surah Yaasin ini juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 15 – 17 (Hujah golongan penentang)

Yaasin Ayat 15: Sekarang kita boleh belajar hujah para penentang untuk menolak dakwah para Rasul itu. Mereka tidak dapat menerima Rasul dalam kalangan manusia.

قالوا ما أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِّثلُنا وَما أَنزَلَ الرَّحمٰنُ مِن شَيءٍ إِن أَنتُم إِلّا تَكذِبونَ

Sahih International

They said, “You are not but human beings like us, and the Most Merciful has not revealed a thing. You are only telling lies.”

Malay

Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatu pun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.

 

قَالُوا مَا أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا

Mereka berkata: “tidaklah kalian bertiga melainkan manusia sahaja sama macam kami”. 

Hujah penduduk Antokiah itu, mereka rasakan mereka tidak perlu ikut kata-kata para pendakwah itu. Bagi mereka, seandainya Allah ‎ﷻ mahu turunkan utusan, mestilah Allah ‎ﷻ turunkan malaikat kepada mereka, bukannya hantar manusia biasa seperti para Rasul itu. Jadi kononnya mereka tidak mahu menerima dakwah daripada manusia. Lihat betapa sombongnya mereka itu.

Ini adalah dalihan yang banyak digunakan oleh umat-umat terdahulu. Itu bukan hujah tetapi alasan untuk menolak sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja turunkan malaikat, tetapi Allah ‎ﷻ tahu jika diturunkan malaikat pun kepada mereka, mereka tidak akan terima juga. Seandainya malaikat yang diturunkan, manusia bukannya nampak malaikat itu, jadi macam mana hendak ikut? Kalau Allah ‎ﷻ jadikan malaikat berupa manusia, nanti mereka tidak mahu percaya itu adalah malaikat pula. Jikalau Allah ‎ﷻ jadikan malaikat sebagai Rasul, manusia yang menolak akan ada hujah dengan berkata malaikat tidak sama sifatnya dengan manusia, jadi mereka tidak mampu untuk mengikut malaikat pula. Malaikat tidak perlu makan, tidak ada nafsu, tidak perlu rehat dan sebagainya. Jadi mereka akan kata bagaimana sepatutnya kami kena buat, kerana kalau hendak ikut cara malaikat memang takkan jadi. Maka, itulah sebabnya Allah ‎ﷻ turunkan manusia, supaya mereka boleh lihat bahawa manusia pun boleh beriman, takkan manusia lain tidak dapat beriman. Ini kerana manusia ada persamaan, ada masalah yang sama.

Contohnya, manusia perlu makan dan minum juga. Perkara ini banyak disentuh dalam Al-Qur’an kerana ramai yang berhujah begitu, termasuk Musyrikin Mekah. Banyak disebut manusia menolak para Rasul kerana para Rasul itu manusia. Antaranya ayat An’am: 8-9

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ
Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

Masyarakat kita sekarang tidaklah minta diturunkan malaikat kepada mereka akan tetapi ramai sahaja yang mempersoalkan para pendakwah. Mereka kata pendakwah itu bukanlah bagus sangat, macam mereka sahaja. Mereka kata begitu kerana hendak memperlecehkan para pendakwah, seolah-olah tidak cukup baik bagi mereka. Tujuannya hendak menolak sahaja, bukannya apa.

Begitulah ada sesetengah manusia yang tidak boleh mengikut cakap orang yang di atas mereka. Mereka tidak selesa dan tidak boleh terima yang mereka kena ikut cakap orang lain. Pada mereka ia seperti dikongkong, dikawal dan mereka rasa tidak bebas. Mereka hendak buat apa yang mereka hendak buat, tanpa halangan, tanpa teguran. Macam sekarang juga apabila kita tegur kesalahan masyarakat, mereka akan mencemuh dengan berkata: “Sikit-sikit tak boleh, jadi apa yang boleh?” Mereka tidak suka diarah-arah oleh pemimpin, polis, ibubapa, apatah lagi dengan adik beradik sendiri. Katakanlah ada seorang adik bercakap kepada kakaknya minta tolong ambil barang, kakak itu akan balas: “Eh kau ambillah sendiri!” Jadi begitulah penduduk kampung ini, apabila datang Rasul di dalam bentuk manusia juga, mereka menentang kerana mereka tidak suka autoriti yang menentukan apa boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Kerana itulah juga kita perhatikan ramai yang menjadi atheis kerana hal yang sama.

Dek kerana itulah agama Kristian menaikkan kedudukan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi tuhan. Sebab baru mudah untuk mereka menerima ajaran daripada baginda. Ini kerana jikalau kekal sebagai manusia, arahan daripada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mungkin lemah bagi mereka kerana datang daripada spesies yang sama.

Perhatikan penggunaan kalimah بَشَرٌ di dalam ayat ini yang merujuk kepada manusia. Di dalam Al-Qur’an, ada tiga istilah kunci yang mengarah kepada makna asas manusia, iaitu basyar, insan, dan an-nas. Ada konsep-konsep lain yang jarang digunakan di dalam Al-Qur’an seperti anasiy, insiy dan ins. Unas disebut sebanyak lima kali dalam Al-Qur’an (Baqarah: 60; A‘raf: 82; Ma’aarij: 160; Isra‘: 71; Naml: 56) dan menunjukkan kelompok atau golongan manusia. Di dalam Al-Qur’an, ayat Baqarah: 60 misalnya, unas digunakan untuk menunjukkan 12 golongan dalam Bani Israil.

Anasiy hanya disebut sebanyak satu kali (Furqan: 49). Anasiy dalam bentuk jamak daripada insan, dengan mengganti nun atau ya atau boleh juga bentuk jamak daripada insiy, (seperti kursiy, menjadi karasiy) yang merupakan bentuk lain daripada insan. Ins disebut sebanyak 18 kali di dalam Al-Qur’an, dan sering dihubungkan dengan jinn sebagai pasangan makhluk manusia yang mukallaf (An‘am: 112, 128, 130; A‘raf: 38, 179; Isra‘: 88; Naml: 17; Fussilat: 25, 29; Ahqaf: 18; Dzaariyaat: 56; Rahman: 33, 39, 56, 74; Jinn: 5, 6).

 

Apakah maksud بَشَرٌ BASYAR?

Kalimahبَشَرٌ disebut sebanyak 27 kali di dalam Al-Qur’an. Dalam semua ayat tersebut, بَشَرٌ memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi. Lihatlah bagaimana Maryam berkata, yang bermaksud: “Tuhanku, bagaimana mungkin aku mempunyai anak, padahal aku tidak disentuh بَشَرٌ.” (Ali Imran: 47); atau bagaimana golongan yang diseru para Nabi عليهم السلام menolak ajarannya, kerana Nabi hanyalah بَشَرٌ – manusia biasa yang ‘seperti kita,’ bukanlah luar biasa seperti ‘superman’ pula.

Kalimah بَشَرٌ selalunya dihubungkan dengan kalimah lain menjadi مثلكم (tujuh kali) dan مثلنا (enam kali) di antara ayat-ayat tersebut. Nabi Muhammad ﷺ disuruh oleh Allah ‎ﷻ untuk menegaskan bahawa secara biologi, baginda seperti manusia yang lain, yang bermaksud: “Katakanlah, aku ini manusia biasa (بَشَرٌ) seperti kamu, hanya saja aku diberi wahyu bahawa Tuhanmu ialah Tuhan yang satu.” (Kahfi: 110; Fussilat: 6).

Tentang para Nabi عليهم السلام, orang-orang kafir selalu berkata, “Bukankah dia basyar seperti kamu, dia makan apa yang kamu makan, dan dia minum apa yang kamu minum.” (Ahzab: 33). Ayat ini ditegaskan dalam Furqan: 7, yang bermaksud, “Mereka berkata, bukankah Rasul itu memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar.’ dan dalam Furqan: 20, ‘Dan tidak Kami utus sebelummu para utusan kecuali mereka itu memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar.’ Ketika wanita-wanita Mesir takjub melihat ketampanan Nabi Yusuf, mereka berkata, “Ya Allah, ini bukan بَشَرٌ, tetapi ini tidak lain kecuali malaikat yang mulia.” (Yusuf: 31).

Secara ringkasnya, konsep بَشَرٌ selalu dihubungkan dengan sifat-sifat biologi manusia yakni makan, minum, seks, berjalan di pasar. Dari segi inilah, tidaklah tepat mentafsirkan para Nabi عليهم السلام itu sebagai manusia seperti kita dalam hal berbuat dosa. Kecenderungan para Rasul عليهم السلام untuk tidak patuh dan melakukan dosa dan kesalahan bukan sifat-sifat biologi, tetapi sifat-sifat psikologi (atau spiritual). Sama tidak tepatnya untuk tidak mentafsirkan: ‘Sesungguhnya telah Kami jadikan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya.’ (Teen: 4) dengan menunjukkan karakteristik fisiologi manusia. Umumnya para mufasir memaknakan ayat ini untuk menunjukkan kelebihan manusia secara fisiologi yakni berjalan tegak, dan makan dengan menggunakan tangan.

Sekian penerangan tentang بَشَرٌ. Nanti perhatikan perbezaan dengan istilah insan dan an-nas pada ayat-ayatnya. Ringkasnya, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah. Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia. Sedangkan an-nas digunakan apabila menyebut manusia sebagai makhluk sosial.

Jadi di sini kita boleh belajar apakah hujah-hujah para penentang kebenaran. Ternyata hujah mereka sama sahaja (recycle) dari dulu sampai ke kiamat. Maka kalau kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an, kita sudah dapat tahu apakah hujah-hujah mereka dan kita sudah siap dengan jawapan balasnya. Hujah penentangan pertama adalah kredibiliti pendakwah itu sendiri. Mereka akan tanya datang dari mana, belajar di mana, naik kereta apa, siapa ayahnya, ramai pengikut atau tidak, pakai jubah atau tidak, pakai serban atau tidak dan bermacam-macam lagilah. Mereka akan merendahkan kredibiliti batang tubuh pendakwah itu.

 

وَمَا أَنزَلَ الرَّحْمَٰنُ مِن شَيْءٍ

“Tidaklah Tuhan Rahman menurunkan apa-apa pun;”

Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajakan dakwah itu, tetapi mereka sampai menidakkan kedudukan para Rasul عليهم السلام itu sebagai Nabi pula. Mereka mengatakan Tuhan tidak ada mengutuskan para Rasul. Malah lebih teruk lagi, mereka kata Tuhan tidak ada turunkan wahyu pun!

Jadi ini adalah hujah kedua golongan penentang. Mereka hendak kata Tuhan tidak turunkan apa-apa, dakwaan para Rasul dan pendakwah itu tidak benar. Ini adalah hujah yang amat lemah. Bagaimana hendak menjawabnya? Akal yang sihat yang menerima ada Tuhan, takkan dapat menerima yang Tuhan tidak turunkan panduan hidup kepada makhluk, bagaimana cara untuk mengenal-Nya, bagaimana untuk beribadah kepada-Nya. Takkan Tuhan jadikan kita hanya untuk makan, minum, kencing berak sahaja kemudian mati begitu sahaja? Ini tidak masuk akal.

Allah ‎ﷻ sebut banyak kali tentang hal ini seperti di dalam Mukminoon: 115-116

أَفَحَسِبتُم أَنَّما خَلَقنٰكُم عَبَثًا وَأَنَّكُم إِلَينا لا تُرجَعونَ
Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

فَتَعٰلَى اللهُ المَلِكُ الحَقُّ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ رَبُّ العَرشِ الكَريمِ
Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arsy yang mulia.

Perhatikan juga firman Allah ‎ﷻ di dalam Dzariyat: 56

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.”

Akhir sekali perhatikan Qiyama: 36

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى
Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?

Ayat-ayat di atas menolak hujah (alasan) golongan penentang yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak turunkan apa-apa arahan.

Kenapa mereka gunakan nama Ar-Rahman di sini? Kerana hendak mengejek para Rasul atau utusan itu. Mereka hendak kata: Tuhan yang kamu gelar sebagai Ar-Rahman itu, tidak pun ada menghantar kalian!”

 

إِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ

“Sesungguhnya kalian ini tidak lain adalah hanya berdusta sahaja.”

Mereka menuduh ketiga-tiga Rasul itu sebagai pendusta. Ayat-ayat ini sebagai pujukan (tasliah) kepada Nabi Muhammad ﷺ dan juga para pendakwah. Bukan Nabi dan pendakwah sahaja yang didustakan, pendakwah dan Rasul-rasul dahulu pun didustakan juga. Maka bersabarlah dan jangan hairan sangat kalau dikatakan sebagai pendusta. Begitulah psikologi manusia, kalau tahu ada orang lain pun menerima nasib yang sama dengan kita, kita akan berasa lebih tenang sedikit sebab rasa bukan kita sahaja yang kena.

Maka ia mengajar Nabi Muhammad ﷺ yang kalau hati memang sudah menolak, sampai dihantar tiga orang Rasul pun mereka tidak akan beriman seperti disebut di dalam ayat 7 لَقَد حَقَّ القَولُ عَلىٰ أَكثَرِهِم فَهُم لا يُؤمِنونَ (Demi sesungguhnya, telah tetap perkataan atas kebanyakan mereka, mereka tidak beriman). Juga telah disebut di dalam ayat 10 وَسَواءٌ عَلَيهِم ءَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ (Sama sahaja kalau kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan beriman.) Jadi perhatikan bagaimana ayat-ayat daripada kisah tiga Rasul ini memperjelaskan lagi ayat-ayat yang telah disebut di dalam bahagian awal Surah Yaasin ini.

Begitulah tiga Rasul ini ditolak oleh umat mereka. Jadi mereka tidak ada pengikut pun. Ada pun nanti kita akan bertemu seorang pengikut sahaja. Maka ini mengajar kita tidaklah kebenaran diukur dengan ramainya pengikut dan anak murid. Bukanlah semua Nabi ada ramai pengikut.  Daripada hadith Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ الأُمَمُ، فَجَعَلَ يَمُرُّ النَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلُ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلاَنِ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّهْطُ، وَالنَّبِيُّ لَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ
“Ditampakkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka aku pun melihat ada Nabi yang berlalu bersamanya seorang pengikut. Ada Nabi yang bersamanya dua orang pengikut. Ada Nabi yang bersamanya beberapa pengikut (yakni antara 3 hingga 10 orang). Dan ada Nabi yang tidak ada seorang pun bersamanya (yakni tidak ada pengikut).”
(Sahih Al-Bukhari No. 5705, 5752, 6541. Muslim No. 220)

Dalam lafaz yang lain, Nabi ﷺ bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ الأُمَمُ، فَأَخَذَ النَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ الأُمَّةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ النَّفَرُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ العَشَرَةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ الخَمْسَةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ وَحْدَهُ
“Ditampakkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka aku pun melihat ada Nabi yang berlalu bersamanya suatu umat. Ada Nabi yang berlalu bersamanya beberapa kelompok pengikut. Ada Nabi yang berlalu bersamanya sepuluh orang pengikut. Ada Nabi yang berlalu bersamanya lima orang pengikut. Dan ada Nabi yang berlalu bersamanya hanya seorang pengikut.”
(Sahih Al-Bukhari No. 6541)

Begitulah Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Yusuf: 103

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
“Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya.”


 

Yaasin Ayat 16: Jawapan daripada para Rasul عليهم السلام itu mudah sahaja dan mantap.

قالوا رَبُّنا يَعلَمُ إِنّا إِلَيكُم لَمُرسَلونَ

Sahih International

They said, “Our Lord knows that we are messengers to you,

Malay

Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

 

Para utusan itu menegaskan bahawa mereka dihantar oleh Allah ‎ﷻ. Cukuplah Allah ‎ﷻ menjadi saksi yang mereka itu adalah Rasul, seperti yang disebut dalam ayat Ankabut: 52:

قُلْ كَفَى بِاللَّهِ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ شَهِيدًا يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Katakanlah, “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan ingkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.” 

Jika mereka berdusta atas nama Allah, nescaya Dia akan menghukum mereka dengan sekeras-kerasnya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ akan memberi sokongan kepada mereka dan kelak penduduk itu akan tahu siapakah yang berada pada jalan yang benar.

Para Rasul عليهم السلام itu tidak memerlukan validasi daripada kaum itu kerana yang penting Allah ‎ﷻ tahu yang mereka buat kerja menyampaikan dakwah. Penerimaan manusia tidak penting, redha manusia juga tidak penting; redha Allah ‎ﷻ yang penting. Kalau manusia tidak terima tidak mengapa, asalkan Allah ‎ﷻ terima. Begitulah Allah ‎ﷻ telah pernah sebut di dalam ayat 3 kepada Nabi Muhammad ﷺ yang baginda itu benar-benar seorang Rasul walaupun masyakat baginda tidak menerimanya.

إِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah daripada mereka yang diutus.

Ada tambahan huruf ل sebagai taukid pada perkataan لَمُرْسَلُونَ itu. Itu bermaksud penegasan bahawa mereka memang diutuskan khas kepada penduduk kota itu. Sebelum itu, dalam ayat sebelum itu, tidak dimasukkan huruf ل sebab itu adalah pertama kali mereka menyebut mereka adalah para penyampai risalah. Jadi tidak perlu penegasan di situ lagi. Akan tetapi apabila penduduk kota itu menolak mereka, maka mereka perlu untuk menegaskan bahawa mereka memang adalah pembawa risalah.

Ada pengajaran dalam ayat ini. Apabila mereka ditentang, mereka tidak membalas dengan meminta daripada Allah ‎ﷻ sama ada mukjizat atau karamah ke atas penduduk itu. Mereka hanya menggunakan kata-kata sahaja. Walaupun kita tahu bahawa nabi-nabi kadang-kadang diberi kelebihan mukjizat dan wali diberi kelebihan karamah. Namun mereka tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya penduduk negeri itu dikenakan dengan bala, mereka hanya menggunakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ sahaja.

Pernah terjadi, Nabi ﷺ telah didebat oleh seorang lelaki bernama Utbah bin Walid. Dia adalah seorang yang pandai berkata-kata maka puak Quraish telah menyuruhnya untuk berdebat dengan Nabi ﷺ kerana mereka sangka dia boleh mengalahkan Nabi ﷺ dengan hujah-hujah hebat. Maka, dia telah mengatakan pelbagai argumen serta hujah kepada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ selepas mendengar apa kata-katanya, telah membaca ayat Al-Qur’an (daripada Surah Fussilat), sujud dan kemudian meninggalkannya. Perbuatan Nabi ﷺ itu telah mendiamkan Utbah. Apabila Utbah pulang kepada pemuka Quraish, mereka perasan bahawa mukanya tidak seyakin sepertimana dia mula-mula pergi untuk berjumpa Nabi ﷺ. Semasa mula hendak pergi berjumpa Nabi ﷺ, dia pergi dengan penuh yakin, namun selepas dia berhujah dengan Nabi ﷺ, wajahnya sudah berubah menjadi lain. Utbah kemudian berpesan kepada mereka untuk berjaga-jaga kerana mereka tidak akan dapat mengalahkan Nabi Muhammad ﷺ kerana dia sendiri takut dengan janji-janji azab yang diberikan oleh baginda melalui ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Begitulah kita diajar untuk berdakwah dengan menggunakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Berapa ramai orang bukan Islam telah masuk Islam hanya kerana mendengar keindahan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an? Kadang-kadang mereka boleh faham melalui bacaan terjemahan sahaja. Ini kerana terdapat mukjizat dalam ayat-ayat Allah ‎ﷻ yang dapat membuka hati manusia.

Ingatlah bahawa dakwah Nabi Muhammad ﷺ memang menggunakan Al-Qur’an. Akan tetapi kalau kita sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana kita boleh mengetahui kelebihannya? Bagaimana kita mampu untuk berdakwah kepada manusia bagi mengenal dan seterusnya memeluk agama Islam?

Perhatikan juga, para Rasul عليهم السلام itu tidaklah memaki hamun para penduduk tempat itu, atau mengutuk mereka dengan mengatakan mereka itu bodoh jahil (walaupun ya mereka jahil), akan tetapi mereka cuma kata Allah ‎ﷻ tahu. Begitulah para pendakwah seharusnya menggunakan bahasa yang lembut dan tenang-tenang sahaja. Kalau jenis panas baran, jenis mulut jahat, baik tidak perlulah berdakwah secara berdepan (boleh gunakan cara lain). Kerana manusia yang didakwah memandang juga cara kita bercakap. Ini kita pelajari melalui ayat-ayat Al-Qur’an apabila menceritakan para Rasul berdakwah.

Perhatikan juga para Rasul mengingatkan para penentang itu tentang Allah ‎ﷻ kerana hendak mereka kenang bahawa kalau tolak, bukannya tolak  mereka tetapi tolak Allah ‎ﷻ.


 

Yaasin Ayat 17: Para Rasul itu tidak memaksa, hanya sampaikan sahaja.

وَما عَلَينا إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Sahih International

And we are not responsible except for clear notification.”

Malay

“Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata”.

 

Tugas para Rasul itu hanya sampaikan tanggungjawab yang telah diletak di atas bahu mereka. Begitu jugalah tugas Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam ayat 4 عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ  (Di atas jalan yang lurus). Oleh kerana baginda di atas jalan yang lurus, maka baginda mestilah tabligh jalan yang lurus itu kepada umat baginda.

Yang dimaksudkan adalah menyampaikan ajaran tauhid. Ini kerana ajaran tauhid itu adalah ajaran yang jelas nyata. Senang sahaja untuk difahami kepada mereka yang membuka hatinya. Tugas mereka adalah mengajar manusia supaya mereka jangan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Semua Nabi akan beritahu perkara yang sama iaitu ajaran Tauhid. Perkara syariat mungkin tidak sama antara satu rasul dan rasul yang lain. Namun perkara tauhid sentiasa sama dari dulu sampai sekarang.

Ajaran tauhid itu mestilah dijelaskan dengan jelas. Rasul-rasul diturunkan dalam kalangan umatnya sendiri supaya mengajar dalam bahasa mereka sendiri. Dengan cara yang mudah untuk mereka fahami. Mereka akan sampaikan semua sekali wahyu yang mereka terima. Tidak ada yang mereka simpan.

Cuma kelebihan para Rasul عليهم السلام itu mereka diberikan dengan mukjizat. Ini adalah kerana mereka berhadapan dengan penentang yang kuat, jadi mereka diberikan dengan kelebihan mukjizat untuk membuktikan yang memang mereka adalah Nabi. Contohnya mereka boleh sembuhkan penyakit kusta, sopak, buta, menghidupkan orang mati dan sebagainya. Mereka menunjukkan bukti kenabian mereka melalui mukjizat yang pelbagai. Ini adalah kerana mereka menceritakan tentang perkara yang besar-besar dan kerana itu mereka dibekalkan dengan hujah yang kuat seperti mukjizat itu.

Manakala kepada Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat yang terbesar sekali adalah keindahan Al-Qur’an. Jadi walaupun kita tidak dapat melihat mukjizat-mukjizat para Rasul yang lain, kalau ada orang yang mahu melihat mukjizat Nabi kita, kita boleh pergi ke almari rumah kita dan keluarkan dan tunjuk kepada orang yang bertanya. Hebat, bukan?

Apabila penduduk kota itu menolak mereka dan kurang ajar kepada mereka, maka mereka menegaskan bahawa tugas mereka hanya menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ sahaja. Dari segi bahasa, perkataan البلاغ bermaksud ‘menyampaikan dari satu tempat ke satu tempat yang lain’. Tugas mereka adalah menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada umat mereka, daripada Allah ‎ﷻ ke dalam hati manusia. Banyak kali Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang hal ini di dalam Al-Qur’an antaranya ayat Maidah: 92

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ ۚ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَإِنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul (Nya). Jika kamu berpaling (daripada ketaatan itu), maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”

Begitulah apabila hendak bagi sampai masuk ke dalam hati manusia, maka kena ada tabligh dan penyampaian yang efektif. Bukan hanya bercakap-cakap sahaja. Kerana itu kita kena belajar cara bercakap, komunikasi, cara menulis dan kena ambil masa untuk memikirkan mad’u (orang yang didakwah) kita supaya mereka senang menerima apa yang kita akan sampaikan. Tidak sama kalau kita bercakap dengan orang kampung dengan pensyarah universiti, tidak sama kita bercakap dengan anak kecil dan mak Kiah jiran kita.

Kenapa kita perlu sibukkan diri dengan cara penyampaian yang efektif sedangkan Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam ayat 12 sebelum ini إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ yang bermaksud Dia sahaja yang menghidupkan hati yang mati? Kalau Allah ‎ﷻ punya kerja, kenapa tidak hanya cukup dengan sekadar menyampaikan apa yang kita perlu sampaikan kemudian serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ untuk buka hati orang itu? Kita tetap perlu memperbaiki cara penyampaian kita kerana Allah ‎ﷻ akan menilai kita berdasarkan kepada kemampuan dan usaha kita. Allah ‎ﷻ suka melihat kita berusaha dan Dia akan bantu kita. Kita pun akan dibalas atas usaha kita itu, sama ada berjaya ataupun tidak, yang pastinya pahala kita sudah tercatat.

Kata بَلَغَ (balagha) dalam konteks tugas seorang rasul memiliki akar yang sama dengan علم البلاغة (‘ilm al-balaghah), iaitu ilmu balaghah dalam bahasa Arab. Keduanya berkaitan erat dengan konsep penyampaian yang efektif dan persuasif. Berikut adalah bagaimana keduanya saling terkait:

    • Tujuan Ilmu Balaghah: Penyampaian yang Efektif: Ilmu balaghah adalah cabang ilmu dalam pengajian bahasa Arab yang fokus pada bagaimana menyampaikan makna secara efektif, indah, dan sesuai dengan konteks serta audiens. Tujuannya adalah untuk menghasilkan ucapan atau tulisan yang memiliki daya tarikan, mempengaruhi pendengar atau pembaca, dan mencapai tujuan komunikatif dengan cara yang paling tepat.

    • Tugas Rasul: Menyampaikan Risalah dengan Balaghah: Para rasul ditugaskan oleh Allah ‎ﷻ untuk menyampaikan risalah-Nya kepada umat manusia. Penyampaian risalah ini tidak hanya sekadar menyampaikan informasi, tetapi juga harus dilakukan dengan cara yang paling efektif untuk menyentuh hati, meyakinkan akal, dan mendorong manusia untuk beriman dan beramal soleh. Inilah dasar daripada balaghah dalam konteks kerasulan.
    • Al-Qur’an sebagai Puncak Balaghah: Al-Qur’an sendiri diyakini oleh umat Islam sebagai puncak keindahan dan kefasihan bahasa Arab (أبلغ الكلام – ablaghul kalam). Gaya bahasa Al-Qur’an, pemilihan kata, struktur kalimat, penggunaan majaz (figurative language), dan aspek-aspek lainnya menunjukkan tingkat balaghah yang tertinggi. Ini menjadi bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

    • Rasulullah ﷺ sebagai Ahli Balaghah: Nabi Muhammad ﷺ juga dikenali sebagai seorang yang fasih dan memiliki kemampuan berbicara yang sangat efektif. Ucapan-ucapan baginda (hadith) juga mengandungi unsur-unsur balaghah yang tinggi, meskipun tidak setingkat dengan Al-Qur’an. Cara baginda menyampaikan dakwah kepada berbagai kalangan masyarakat menunjukkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip balaghah.

Maka begitulah tanggungjawab yang telah diberikan kepada para Rasul dan juga kepada kita umat Islam untuk menyampaikan. Apabila ada kalimah على maka ia bermaksud tanggungjawab para Nabi عليهم السلام untuk sampaikan. Mereka tidak ada pilihan. Mereka akan tetap sampaikan walaupun mereka tahu yang mereka akan ditolak, ditentang, dicemuh dan sebagainya. Ini adalah sunnatullah yang akan pasti berlaku apabila kita sampaikan dakwah. Maka sekarang, yang paling penting para pendakwah perlu lakukan adalah menyampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Tidak kiralah apa kata orang yang menentang. Kena terima dengan tabah seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam An’am: 33-34

قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُۥ لَيَحْزُنُكَ ٱلَّذِى يَقُولُونَ ۖ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَٰكِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ يَجْحَدُونَ  
وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ فَصَبَرُوا۟ عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا۟ وَأُوذُوا۟ حَتَّىٰٓ أَتَىٰهُمْ نَصْرُنَا ۚ وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَلَقَدْ جَآءَكَ مِن نَّبَا۟ىِٕ ٱلْمُرْسَلِينَ  
“Sungguh, Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu benar-benar menyusahkan hatimu (Muhammad), padahal sebenarnya bukan engkau yang mereka dustakan, tetapi orang-orang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah. Dan sungguh, rasul-rasul sebelum engkau pun telah didustakan, tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan yang mereka terima, hingga datang kepada mereka pertolongan Kami. Dan tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat (ketentuan) Allah. Dan sungguh, telah sampai kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul (terdahulu).”

Ia juga mengajar kita tugas البَلٰغُ. Maka kita mestilah dakwah kepada manusia. Kalau kita ada ilmu tetapi kita simpan sendiri, tidak tegur orang, maka ada masalah. Allah ‎ﷻ melaknat orang yang menyimpan ilmu agama dan tidak sebarkan kepada masyarakat seperti disebut di dalam Baqarah: 159

إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّنٰتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّٰهُ لِلنّاسِ فِي الكِتٰبِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّٰعِنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Malah yang paling penting sekali mestilah menggunakan wahyu untuk berdakwah. Itu adalah alat dakwah yang utama yang mesti digunakan oleh para pendakwah. Contohnya, sebelum kita menggunakan hadith sebagai hujah kita, perlulah kita gunakan Al-Qur’an sebagai hujah kita yang pertama. Tidak ada yang lebih menyentuh hati dan minda manusia daripada ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila mereka sudah menerima Al-Qur’an dan terima akidah, barulah dibawakan hadith untuk mengajar mereka dengan lebih mendalam lagi tentang agama.

Makna المبين adalah ‘jelas nyata’. Tujuan kita dalam menyampaikan dakwah adalah menyampaikan mesej yang jelas dan nyata. Bukan setakat menyampaikan sahaja. Bukan dengan cakap berbelit-belit sampai orang yang mendengar pun tidak faham. Untuk mencapainya, kita sudah ada ayat-ayat Al-Qur’an yang memang sudah jelas dan nyata. Ini mengajar kita dalam berdakwah, kita hendaklah dakwah dengan jelas. Jangan cakap berbelit-belit. Jangan cakap berpusing-pusing macam ahli politik. Kalau salah, cakap sahaja salah. Gunakanlah bahasa yang senang difahami.

Kalimah المبين juga bermaksud dalil daripada wahyu. Jadi apabila kita sampaikan dakwah kepada manusia, maka hendaklah membawa dalil-dalil daripada wahyu. Maka penting sekali kita kena tahu dalil dan bersedia dengan dalil-dalil di dalam berdakwah.

Ayat ini juga sebagai pujukan kepada Nabi ﷺ. Walaupun puak-puak Quraish tidak mahu menerima ajakan dakwah baginda, tetapi Nabi Muhammad ﷺ telah melakukan tugasnya dengan menyampaikan mesej dengan terang dan nyata. Bukan salah baginda mereka tidak dapat menerimanya. Baginda telah menjalankan tugas baginda, dan yang tidak menerima itu bukan tidak faham, tetapi kerana degil sahaja.

Jadi ada dua elemen di sini yang disebut: البَلٰغُ dan المُبينُ. Kalimah البَلٰغُ itu merujuk kepada penyampaian yang sampai ke hati, mengetuk emosi dan perasaan manusia yang mendengarnya. المُبينُ itu pula sesuatu yang jelas, yang ada isi yang ada pengajaran. Kedua-dua elemen ini kena ada untuk penyampaian dakwah yang efektif. Kalau ada البَلٰغُ sahaja tanpa elemen fakta, maka ia menjadi ceramah ahli politik sahaja, semangat banyak tetapi apa yang ahli politik itu sebut pun kita tidak tahu kerana tidak jelas apa yang dia hendak buat kalau dia menang pilihanraya. Kalau ada المُبينُ sahaja, maka jadilah khutbah Jumaat yang ahli kariah masjid sedap tidur kerana cara penyampaian yang sangatlah tidak memberangsangkan. Secara ringkasnya البَلٰغُ itu adalah untuk jiwa manakala المُبينُ pula untuk intelek. Kalau dua-dua elemen ini ada, maka ia akan efektif dan pendengar pun akan terkesan dan lebih mudah untuk ikut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 14 (Kisah Tiga Rasul)

KISAH TIGA RASUL

Yaasin Ayat 13: Ayat 13 – 32 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ‎ﷻ menceritakan contoh balasan baik dan balasan buruk. Oleh kerana manusia pun memang suka bercerita dan mendengar kisah, maka banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an mengandungi kisah pengajaran.

Ayat 13 – 27 berkenaan kisah sebuah bandar yang didatangi tiga Rasul.
Ayat 28 – 32 pula berkenaan kaum-kaum terdahulu yang menolak peringatan para rasul yang telah dibinasakan.

Ayat 13 ini adalah Ayat Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Kena faham sejarah surah ini sedikit sebelum kita meneruskan tafsir ayat ini. Surah Yaasin ini diturunkan di Mekah, di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad ﷺ di sana sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Maknanya, sudah lama baginda berdakwah kepada mereka, bertahun-tahun. Baginda telah melakukan berbagai-bagai cara dalam dakwah baginda kepada penduduk Mekah. Sama ada dengan cara individu, ceramah ramai-ramai, beri insentif dan sebagainya. Semuanya baginda telah cuba. Kita harus ingat bahawa Nabi ﷺ adalah seorang yang bijak dalam berdakwah. Malangnya, tetap ramai yang tidak mahu menerima.

Baginda dan para sahabat رضي الله عنهم telah ditindas dengan teruk oleh penduduk Mekah. Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi contoh tentang apakah yang terjadi kepada masyarakat yang pernah menolak rasul yang datang kepada mereka dahulu. Ayat ini memberi ancaman kepada mereka, bahawa jikalau mereka tidak mahu menerima Islam, maka nanti mereka mungkin akan mengalami nasib yang sama. Allah ‎ﷻ memulakan kisah tentang penduduk sebuah kota. Sebagaimana Musyrikin Mekah itu telah didatangi oleh Rasulullah ﷺ, ada tempat lain yang telah didatangi dengan Rasul.

وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ إِذ جاءَهَا المُرسَلونَ

Sahih International

And present to them an example: the people of the city, when the messengers came to it –

Malay

Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

 

وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ

Dan buatlah kepada mereka satu kisah contoh bandingan penduduk suatu bandar.

Sekarang kita masuk menelusuri sedikit sejarah. Sejarah ini telah disebut di dalam ayat 9,

وَجَعَلنا مِن بَينِ أَيديهِم سَدًّا وَمِن خَلفِهِم سَدًّا
Allah akan jadikan hijab di hadapan mereka dan hijab di belakang mereka. 

Di dalam ayat itu kita telah sebut salah satu cara untuk mendapat hidayah adalah dengan melihat sejarah yang telah berlaku sebelum kita. Ia mengandungi pengajaran yang besar dan mengajar kita tentang kebenaran. Begitulah kita diajar mengambil contoh daripada orang-orang sebelum kita agar kita tidak mengulangi kesilapan mereka.

Perhatikan kalimah الْقَرْيَةِ di dalam bentuk makrifah kerana ada ال padanya. Namun tidak pula disebut nama tempat itu di dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menghina Musyrikin Mekah yang begitu berbangga dan perasan dengan kehebatan mereka kononnya dan rasa mereka besar. Akan tetapi di dalam ayat 6 sebelum ini, لِتُنذِرَ قَومًا مّا أُنذِرَ آباؤُهُم فَهُم غٰفِلونَ hanya digunakan kalimah قَومًا sahaja untuk mereka di dalam bentuk nakirah (umum) sahaja. Maknanya tempat yang tidak disebut nama pun dapat ال sedangkan mereka tidak ada pun ال.

Kalimah قَرْيَةِ boleh merujuk kepada kampung, pekan atau bandar. Ia digunakan untuk merujuk tempat yang ada penduduk di dalamnya. Dalam masyarakat kita pun sudah ada digunakan kalimah kariah masjid dan sebagainya. Ia diambil daripada kalimah yang sama. Bolehlah sedikit kita sebut tentang bandar ini menurut beberapa pendapat. Sebenarnya tidak penting pun kita tahu. Bandar yang dimaksudkan dalam ayat ini dikatakan bernama Antioch. Ataupun dipanggil Antokiah. Ia adalah salah satu bandar di bawah kerajaan Rom Purba. Ia adalah sebuah bandar purba terletak di Damsyik, berdekatan dengan Syria sekarang. Masih lagi boleh diziarahi sehingga hari ini. Zaman itu adalah zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bermakna, kejadian ini berlaku lebih kurang dua ribu tahun yang lalu.

Di sini beberapa orang Nabi termasuk Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dibunuh semasa menyebarkan agama kepada penduduk bandar itu. Namun ini pun belum pasti lagi kerana walaupun sejarah Antokiah ini ada, tetapi tidak pula terdapat kisah yang menceritakan bahawa tempat itu hancur. Sedangkan dalam Surah Yaasin ini, tempat itu telah hancur. Jadi jangan kata pasti lagi nama tempat ini adalah Antokiah kerana Al-Qur’an tidak menyebut nama tempat ini. Ketahuilah bahawa di manakah tempat itu bukanlah perkara penting. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini.

Perkataan اضْرِبْ bermaksud ‘pukullah’. Kenapa pula ada pukulan dalam penceritaan contoh? Ia bermaksud, Nabi ﷺ disuruh beri penegasan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau kita hendak menekankan sesuatu perkara sedang bercakap, kadang-kala begitu bersungguh sekali kita ingin menekankan betapa pentingnya perkara yang kita mahu sampaikan ini sampaikan kita memukul meja.

Apabila perkataan وَاضْرِبْ لَهُم digunakan, ia bermaksud, menjadikan kisah itu relevan dengan manusia semasa. Walaupun kisah itu telah lama berlalu, Nabi ﷺ disuruh menjadikan kisah itu relevan dengan penduduk Mekah di zaman baginda. Begitu juga kita, mestilah menjadikan kisah ini relevan dengan zaman sekarang. Walaupun kisah itu tentang penduduk yang kafir yang menentang Rasul mereka, tetapi kita hendaklah membandingkan dengan keadaan kita. Kerana takut-takut jikalau sifat mereka yang disebut dalam kisah mereka itu ada dengan kita. Jangan kita sangka apabila kisah dalam Al-Qur’an disebut, ia hanya berkisar tentang orang lain sahaja yang telah berlalu. Ini adalah kerana Al-Qur’an bukanlah buku sejarah.

Kita hendaklah bandingkan dengan diri kita sendiri. Kita disuruh melihat sama ada kisah mereka itu ada kena dengan kita atau tidak, bukan baca sebagai kisah menarik dan sebagai sejarah sahaja. Ramai orang tidak faham konsep ini. Mereka sangkakan kisah dalam Al-Qur’an sebagai kisah sahaja. Tidak begitu. Semua kisah dalam Al-Qur’an memberi peringatan untuk kita. Kena bandingkan dengan keadaan semasa.

 

إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ

Ketika datang kepadanya utusan-utusan Kami; 

Iaitu Rasul-rasul yang dihantar untuk berdakwah kepada penduduk bandar itu. Begitulah untuk setiap umat akan diberikan Rasul atau pendakwah untuk sampaikan ajaran agama. Allah ‎ﷻ telah berfirman akan hal ini di dalam Nahl: 36

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang rasul pada setiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” Maka di antara mereka ada orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Perhatikan kalimah yang digunakan di sini adalah الْمُرْسَلُونَ (yang diutuskan). Mereka tidak kata yang mereka itu para Rasul tetapi mereka ‘diutus’. Diutus oleh siapa? Tentunya oleh Allah ‎ﷻ. Di sini adalah kerana mereka hendak mengingatkan yang mereka bukan datang dengan kehendak mereka sendiri serta mereka sampaikan hujah mereka sendiri, namun semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau penduduk itu tolak, mereka bukan tolak para Rasul, tetapi sebenarnya tolak Allah ‎ﷻ!

Maka kerana itu kita bila berdakwah, kena bawakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Boleh beri hujah, tetapi hendaklah ada hujah dalil sama ada daripada ayat Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Bukannya bawa hujah sendiri, hujah ustaz, pendapat ulama’, kitab dan sebagainya. Kerana kalau kita bawa hujah sendiri, hujah ustaz, pendapat ulama’, kitab dan sebagainya, yang menentang kita pun boleh bawa hujah mereka sendiri, hujah ustaz mereka, pendapat ulama’ yang lain, kitab yang pelbagai dan sebagainya. Hasilnya tidak ke mana jadinya. Maka yang terbaik kita terus sahaja bawakan ayat Al-Qur’an dan hadith sahih supaya mereka sedar yang kalau mereka tolak bermaksud mereka sebenarnya sedang tolak wahyu!

Oleh itu, penting sekali seorang pendakwah mestilah mengulangkaji serta menghafal dalil-dalil yang perlu. Jangan bermudah sangat goreng hujah sendiri. Kalau tidak boleh hafal, maka boleh sediakan nota siap-siap.

Ada perbincangan mufassir tentang siapakah الْمُرْسَلُونَ itu. Ada yang kata, mereka adalah hawariyyin, pengikut-pengikut Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan oleh itu bukanlah Rasul. Walau bagaimanapun, bukanlah tujuan kita untuk memastikan siapakah mereka. Yang penting adalah untuk kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Begitulah kalau kita perhatikan, semasa Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kejadian di masa lalu, Allah ‎ﷻ jarang sangat menyebut tempat, zaman ia berlaku dan nama orang-orang yang terlibat. Kalau disebut pun tentu ada sebabnya. Kenapa Allah ‎ﷻ tidak sebut? Kerana ia tidak penting dan sebenarnya tidak perlu pun. Ini kerana kalau disibukkan dengan maklumat itu, ia akan menyebabkan kita lebih memikirkan tentang tempat, zaman dan nama orang-orang itu sahaja, dan terlupa untuk mengambil iktibar daripada pengajaran ayat-ayat tersebut. Jadi kalau tidak disebut, tidak perlulah kita bersungguh selidik sangat. Biarkan sahaja ia seperti itu. Buat apa hendak tahu tempat kejadian itu? Buat tambah tempat pelancongan sahaja nanti.

Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ banyak menyebut kisah terdahulu seperti kisah para Nabi dan Rasul عليهم السلام? Banyak kisah para Nabi عليهم السلام disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan pelajari kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu.

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan:

وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman

Maka ayat ini ada kaitan dengan ayat 3 إِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ (Sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah daripada mereka yang diutus.) Di situ kita telah belajar yang Nabi Muhammad ﷺ adalah salah seorang daripada persaudaraan para Rasul عليهم السلام dan sekarang baginda diberikan dengan kisah apa yang berlaku kepada saudara baginda di masa lalu.

Perhatikan penggunaan kalimah جَاءَهَا di sini. Dhomir ها di sini merujuk kepada الْقَرْيَةِ itu. Sebenarnya para utusan itu dihantar kepada kampung itu atau kepada penduduknya? Tentulah kepada penduduknya akan tetapi kenapa tidak digunakan kalimah جَاءَهُم? Ini kerana kalau dihantar hanya kepada penduduk itu sahaja, mereka nanti akan mati dan hilang. Akan tetapi kalau dihantar kepada kampung/bandar itu, bandar itu akan kekal dan mungkin ajaran mereka akan diterima kemudian di zaman hadapan. Maknanya para Rasul عليهم السلام dan pendakwah haruslah pandang ke hadapan. Mungkin masa sekarang dakwah kita ditolak, tetapi entah bila ia mungkin akan diterima.

Begitulah panjangnya pandangan Nabi Muhammad ﷺ setelah ditawarkan oleh Malaikat Penjaga Gunung untuk menghancurkan Bandar Thaif setelah baginda dihalau mereka,

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ أَنَّهَا قَالَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ أَتَى عَلَيْكَ يَوْمٌ كَانَ أَشَدَّ عَلَيْكَ مِنْ يَوْمِ أُحُدٍ قَالَ لَقَدْ لَقِيتُ مِنْ قَوْمِكِ مَا لَقِيتُ وَكَانَ أَشَدَّ مَا لَقِيتُ مِنْهُمْ يَوْمَ الْعَقَبَةِ إِذْ عَرَضْتُ نَفْسِي عَلَى ابْنِ عَبْدِ يَالِيلَ بْنِ عَبْدِ كُلَالٍ فَلَمْ يُجِبْنِي إِلَى مَا أَرَدْتُ فَانْطَلَقْتُ وَأَنَا مَهْمُومٌ عَلَى وَجْهِي فَلَمْ أَسْتَفِقْ إِلَّا وَأَنَا بِقَرْنِ الثَّعَالِبِ فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَإِذَا أَنَا بِسَحَابَةٍ قَدْ أَظَلَّتْنِي فَنَظَرْتُ فَإِذَا فِيهَا جِبْرِيلُ فَنَادَانِي فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ وَمَا رَدُّوا عَلَيْكَ وَقَدْ بَعَثَ إِلَيْكَ مَلَكَ الْجِبَالِ لِتَأْمُرَهُ بِمَا شِئْتَ فِيهِمْ قَالَ فَنَادَانِي مَلَكُ الْجِبَالِ فَسَلَّمَ عَلَيَّ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ وَأَنَا مَلَكُ الْجِبَالِ وَقَدْ بُعِثْتُ إِلَيْكَ لِتَأْمُرَنِي بِمَا شِئْتَ إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمْ الْأَخْشَبَيْنِ فَعَلْتُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا  
Daripada Urwah bin Az-Zubair, bahawa Aisyah RA bercerita kepadanya, beliau berkata kepada Nabi ﷺ, “Apakah pernah datang kepadamu suatu hari yang lebih berat bagimu daripada hari Uhud?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Sungguh aku telah menghadapi kaummu dengan berbagai macam (perlakuan), dan yang paling berat yang aku hadapi daripada mereka adalah pada hari Aqabah (perjalanan ke Thaif). Ketika aku menawarkan diriku kepada Ibnu Abdi Yalil bin Abdi Kulal, namun dia tidak menjawab apa yang aku inginkan. Maka aku pergi dengan wajah murung, dan aku tidak sedar kecuali ketika aku berada di Qarnuts-Tsa’alib. Aku mengangkat kepalaku, ternyata ada awan yang menaungiku. Aku melihat, ternyata di dalamnya ada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau memanggilku dan berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan penolakan mereka terhadapmu. Dan Dia telah mengutus kepadamu malaikat penjaga gunung untuk engkau perintahkan sesuai dengan keinginanmu terhadap mereka.’ Lalu malaikat penjaga gunung memanggilku, mengucapkan salam kepadaku, kemudian berkata, ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu, dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Aku diutus kepadamu untuk engkau perintahkan sesuai dengan keinginanmu. Jika engkau ingin aku menimpakan kepada mereka dua gunung Akhsyab (dua gunung di Mekah), aku akan melakukannya.’ Nabi ﷺ bersabda, ‘Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan dari sulbi (keturunan) mereka orang-orang yang menyembah Allah semata dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.'”
(Sahih Bukhari No. 3231)

Begitulah saya berharap dengan tulisan ini dapat menjadi sumber dakwah kepada pembaca sekalian. Mungkin ia sukar diterima sekarang kerana dianggap sebagai ‘tafsir wahabi’, akan tetapi harapnya di masa hadapan ia menjadi rujukan bagi umat untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an.


 

Yaasin Ayat 14:

إِذ أَرسَلنا إِلَيهِمُ اثنَينِ فَكَذَّبوهُما فَعَزَّزنا بِثالِثٍ فَقالوا إِنّا إِلَيكُم مُّرسَلونَ

Sahih International

When We sent to them two but they denied them, so We strengthened them with a third, and they said, “Indeed, we are messengers to you.”

Malay

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu’.

 

إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا

Iaitu ketika Kami menghantar dua orang rasul kepada mereka dan mereka dustakan kedua-duanya;

Di sini disebut dua orang Rasul telah diutus kepada kaum itu. Pertamanya kalau sampai dua orang Rasul telah dihantar, kita boleh bayangkan betapa degilnya kaum ini. Keduanya, ini menunjukkan sifat Rahmah Allah ‎ﷻ yang tetap mahu hamba-Nya beriman dan kita telah belajar tentang sifat Allah ‎ﷻ ini di dalam ayat 5

تَنزيلَ العَزيزِ الرَّحيمِ
Diturunkan oleh Allah yang Maha Gagah Perkasa lagi Maha Mengasihani

Akan tetapi kaum itu telah menolak dakwah kedua-dua Nabi itu. Begitulah sunnatullah yang berlaku zaman berzaman. Apabila ada Rasul yang berdakwah, pasti akan ada yang menolak. Begitulah antaranya Allah ﷻ berfirman di dalam Zukhruf: 23

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ
Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

Nama Rasul yang diutus itu dikatakan ialah Shaiq dan Shaduq dan pembantu yang didatangkan kemudian itu bernama Syalom. Akan tetapi ada pula riwayat lain mengatakan bahwa Rasul itu ialah Syam’un dan Yohana dan pembantu yang dikirim kemudian itu bernama Paulus. Di dalam bahasa Arab disebut Syam’un, Juhana dan Baulush. Namun begitu, kisah ini berdekatan pula dengan kisah-kisah Kristian, mirip dengan sebuah di antara kitab “Perjanjian Baru” yang bernama “Kisah Segala Rasul”. Jadi tidak boleh dipakai sangat kerana kata-kata di dalam kitab mereka itu jauh berbeza dengan ajaran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada pendapat lain mengatakan bahawa rasul-rasul itu bernama: Yahya, Sodum dan Sam’un. Ketiga-tiganya Nabi, bukan pendakwah biasa. Mereka dikatakan telah dihantar oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Atau diutus oleh Tuhan sendiri di zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, ada juga mufassir yang berpendapat bahawa mereka itu adalah manusia biasa, bukan Nabi. Maksud mereka itu diutus adalah kerana diutus oleh Rasul lain, berkemungkinan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Digunakan kalimah أَرْسَلْنَا (Kami telah utus) kerana kalau yang mengutus itu seorang Rasul, maka secara tidak langsung ia adalah utusan Allah ‎ﷻ juga.

Perkataan فَكَذَّبُوهُمَا bermaksud, penduduk negeri Antokiah itu telah mengatakan bahawa pembawa-pembawa risalah itu telah menipu, jadi mereka tidak mahu ikut. Itu adalah alasan mereka sahaja. Apabila mereka degil untuk menerima dakwah, mereka menuduh para pendakwah itu penipu. Tuduhan yang sama dikenakan terhadap Nabi Muhammad ﷺ juga.

 

فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ

maka Kami perkuatkan dengan yang ketiga.

Dihantar Rasul yang ketiga untuk menguatkan semangat mereka yang dua orang yang mula-mula datang. Ataupun untuk menguatkan mesej dakwah yang mereka bawa. Sepatutnya, kalau dua orang pun sudah lebih daripada cukup, tetapi Allah ‎ﷻ beri peluang dengan menghantar pendakwah yang ketiga. Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah فَعَزَّزْنَا dan di mana kita telah dengar kalimah ini? Perhatikan ayat 5 تَنزيلَ العَزيزِ الرَّحيمِ di mana digunakan kalimah العَزيزِ yang merujuk kepada Allah ‎ﷻ yang menurunkan Al-Qur’an. Maka dua Rasul itu dikuatkan dengan bantuan Rasul yang lain namun Nabi Muhammad ﷺ dikuatkan dengan Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ yang bersifat العَزيزِ.

Kisah tiga Rasul yang bekerjasama ini mengajar kita yang kadangkala dakwah memerlukan bantuan dan sokongan. Kalau seorang diri buat, mungkin tidak boleh. Maka jangan segan untuk bekerjasama dengan pihak yang lain, asalkan semuanya ada niat yang sama iaitu menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada masyarakat.

Ia juga mengajar kita di dalam kerja dakwah ini tidak boleh berputus asa. Lihatlah sudah dua orang dakwah tidak berjaya, datang pula yang ketiga. Apa sahaja yang boleh buat, kita jalankan usaha dakwah. Walaupun ditolak kerana itu biasa sahaja dalam dunia dakwah. Adakah kita ditolak oleh masyarakat kita? Mungkin tidak kerana kita tidak dakwah pun kepada orang. Sebab itu orang tidak marah kita kerana kita jadi ‘syaitan bisu’.

Sekarang bagaimana sudah ada tiga Rasul pula di sebuah kampung yang sama? Siapa ketua, siapa pengikut? Siapa yang senior? Siap yang bercakap dahulu? Mereka tidak ada masalah seperti kita yang ada ego sedikit sebanyak. Kerana para Rasul itu semuanya buat kerja Allah ‎ﷻ dan mereka bukan hendak menaikkan nama mereka dan mahu menjadi ketua. Tentulah mereka pandai menguruskan tugas mereka masing-masing. Kalau jadi pada ustaz kita, mulalah banding-bandingkan sesama sendiri. Kalau dijemput ceramah di tempat yang sama, mulalah buat perancangan dia hendak bercakap dahulu sebelum orang lain. Saya sendiri pernah ada pengalaman dijemput mengajar dalam satu medan dakwah. Sebelum saya sudah ada ustaz mengajar tafsir. Apabila saya dijemput, ustaz itu mempersoalkan kenapa perlu saya dijemput mengajar juga sedangkan dia sudah mengajar.

 

فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ

Rasul-rasul itu berkata: “sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu”.

Rasul-rasul عليهم السلام itu telah dihantar untuk penduduk Antioch itu. Mereka berdakwah dengan menggunakan syariat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun dari segi akidah, sama sahaja ajaran yang dibawa oleh setiap Nabi dan Rasul.

Akan tetapi penduduk negeri itu telah ingkar kepada para utusan itu. Maka apabila ingkar sahaja, bala telah diturunkan kepada mereka. Binatang sakit, tanaman hangus dan sebagainya. Itu adalah kesan jikalau menolak dakwah daripada penyebar agama. Disebabkan bala itulah yang menyebabkan mereka menuduh para utusan itu yang menyebabkan bala itu datang. Padahal, bala itu adalah kerana mereka menolak dakwah para rasul itu. Bala diturunkan untuk mengingatkan mereka. Apabila mereka jatuh susah, kesannya untuk merendahkan ego mereka yang sedang tinggi. Kerana selalunya apabila sesuatu kaum itu sedang hidup dengan senang, sedang kaya, mereka akan sombong dan tidak mahu menerima ajakan dakwah. Maka, Allah ‎ﷻ akan berikan bala kepada mereka. Bila ego sudah rendah, sepatutnya lebih senang menerima nasihat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre