Tafsir Surah Maryam Ayat 7 – 11 (Nabi Zakaria dapat berita gembira)

Ayat 7: Maka, Allah ‎ﷻ telah memakbulkan doa Nabi Zakaria عليه السلام dan Allah ‎ﷻ telah berfirman:

يَـٰزَڪَرِيَّآ إِنّا نُبَشِّرُكَ بِغُلٰمٍ اسمُهُ يَحيىٰ لَم نَجعَل لَّهُ مِن قَبلُ سَمِيًّا

Sahih International

[He was told], “O Zechariah, indeed We give you good tidings of a boy whose name will be John. We have not assigned to any before [this] name.”

 

Malay

(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorang pun yang senama dengannya”.

 

يَـٰزَڪَرِيَّآ

Wahai Zakaria,

Allah ‎ﷻ terus jawab doa Nabi Zakaria عليه السلام. Kalau kita lihat pada ayat ini, tidak ada perkataan lain langsung antara doa Nabi Zakaria عليه السلام dan jawapan Allah ‎ﷻ ini. Tidak ada pun perkataan seperti perkataan قال yang biasa kita lihat.

Ini menunjukkan betapa cepatnya Allah ‎ﷻ makbulkan doa baginda. Allah ‎ﷻ memakbulkan dengan cepat kerana doa Nabi Zakaria عليه السلام yang tepat dan kena caranya.

 

إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلٰمٍ

Sesungguhnya Kami memberi berita gembira kepada kamu dengan seorang anak;

Berita itu disampaikan semasa baginda sedang salat.

Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

اسْمُهُ يَحْيَىٰ

yang namanya Yahya;

Dari sini kita tahu yang nama Nabi Yahya عليه السلام itu bukan Nabi Zakaria عليه السلام yang beri, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri yang beri. ‘Yahya’ bermaksud ‘yang hidup’. Nabi Zakaria عليه السلام kata baginda sudah tua, isterinya tidak boleh dapat anak, tetapi anaknya dapat ‘hidup’ juga akhirnya.

Kita selalunya menamakan anak kita dengan nama orang baik-baik dari zaman dahulu. Kita namakan anak-anak kita seperti Bilal, Aisyah, Sumayyah, Hamzah, Ali, Hassan, Hussein dan lain-lain lagi individu soleh dan solehah zaman dahulu. Ia adalah sebagai doa kita supaya anak-anak kita jadi seperti mereka juga.

Nama itu menjadi sebagai motivasi kepada anak kita. Supaya apabila mereka tahu nama mereka diambil dari mana, mereka akan berusaha untuk menjadi seperti individu itu juga.

Atau nama itu sendiri ada doa di dalamnya. Macam kita namakan anak kita Husna, supaya anak itu jadi seorang yang baik. Itu adalah harapan kita dalam memberi nama itu dan semoga Allah ‎ﷻ menjadikan mereka seperti apa yang kita hajatkan.

Namun apabila Allah ‎ﷻ sendiri yang berikan nama itu, maka dia akan menjadi seperti apakah maksud nama itu. Apa sahaja maksud sebenar Yahya itu, dia akan menjadi seperti orang yang Allah ‎ﷻ maksudkan.

 

لَمْ نَجْعَلْ لَّهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا

yang belum pernah aku jadikan nama yang serupa dengannya;

Allah ‎ﷻ beritahu yang tidak ada lagi orang yang bernama Yahya sebelum itu. Nabi Yahya عليه السلام adalah orang yang pertama yang bernama Yahya.

Dari segi bahasa, سَمِيًّا diambil dari katadasar yang س م و bermaksud ‘ketinggian’. Jadi, ini boleh bermaksud, Allah ‎ﷻ berikan nama anak Nabi Zakaria عليه السلام itu dengan nama yang berkedudukan tinggi. Lebih tinggi lagi dari apa yang Zakaria عليه السلام harapkan dan doakan. Juga bermaksud, tidak pernah orang yang ada kualiti seperti apa yang Nabi Yahya عليه السلام ada.

Perkataan ‘ism’ – nama – juga datang dari kata dasar yang sama dengan perkataan س م و itu. Maka ada dua makna سَمِيًّا itu. Mungkin juga bermakna tidak ada orang yang bernama sebegini, atau ketinggian sifat Nabi Yahya عليه السلام. Kita boleh pakai kedua-dua makna.

Satu lagi makna adalah tidak ada lagi kejadian seperti ini sebelum itu. Iaitu seorang lelaki dan perempuan yang tua dapat melahirkan anak. Ataupun ia juga boleh bermaksud, tidak ada manusia yang sepertinya sebelum itu kerana istimewanya Nabi Yahya عليه السلام itu. Jadi, ada tiga maksud yang boleh diambil dari kata سَمِيًّا itu. Allahu a’lam.

Apabila doa dilakukan dengan baik dan dengan cara yang tepat, bertepatan pula dengan kehendak Allah ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan memakbulkan doa itu. Allah ‎ﷻ tidak kira dengan halangan yang ada. Memang ada sunnatullah (hukum alam) dalam alam ini. Seperti contoh, api akan membakar, pisau akan melukakan dan ibubapa yang tua tidak boleh melahirkan anak. Namun semua itu bukan halangan bagi Allah ‎ﷻ.

Allah‎ ﷻ boleh ubah sunnatullah itu jika Dia mahu kerana sunnatullah itu, Dia juga yang buat. Apabila doa dilakukan dengan betul, maka Allah ‎ﷻ boleh ubah. Jadi, kalau ikut sunnatullah, Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya tidak sepatutnya dapat anak pada usia yang sebegitu dan keadaan isterinya yang sebegitu, namun Allah ‎ﷻ makbulkan juga.


 

Ayat 8: Apabila manusia sudah dapat berita gembira, sama ada dapat projek atau dapat kerja, tentu mereka akan bertanya bila mereka akan dapat kerja itu. Ini kerana memang manusia itu bersifat gopoh.

Begitu juga dengan Nabi Zakaria عليه السلام sebab baginda gembira sangat bila diberitahu yang baginda akan dapat anak. Baginda hendak tahu lebih lagi. Maka, ini adalah soalan yang Nabi Zakaria عليه السلام tanya kepada Allah ‎ﷻ:

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَكانَتِ امرَأَتي عاقِرًا وَقَد بَلَغتُ مِنَ الكِبَرِ عِتِيًّا

Sahih International

He said, “My Lord, how will I have a boy when my wife has been barren and I have reached extreme old age?”

 

Malay

Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”

قَالَ رَبِّ

Dia (Nabi Zakaria) berkata: Ya Rabbku!

Kata-kata Nabi Zakaria عليه السلام ini adalah kerana baginda rasa gembira sangat. Baginda hendak Allah ‎ﷻ berkomunikasi dengannya lagi. Katakanlah kita dapat jumpa orang yang kita sayang sangat, takkan kita hendak cakap sekejap sahaja dengannya. Tentu kita akan tanya dia macam-macam lagi supaya dia terus duduk lama dengan kita.

Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria عليه السلام berkata terus dengan Allah ‎ﷻ. Walaupun waktu itu yang datang memberitahu kepada baginda adalah malaikat, tetapi Nabi Zakaria عليه السلام terus bercakap dengan Allah ‎ﷻ. Apakah yang kita boleh ambil dari ini?

Kita tidak perlu kepada perantaraan untuk bercakap dengan Allah ‎ﷻ. Kerana Allah‎ ﷻ dengar kata-kata kita. Maka kita boleh terus sahaja bercakap dengan Allah ‎ﷻ. Nabi Zakaria عليه السلام faham akan hal ini.

Tetapi malangnya orang kita ramai yang tidak faham – kalau hendak berdoa, mereka akan minta orang lain yang doakan. Mereka rasa kena juga gunakan perantara dalam doa. Mereka tidak percaya agaknya yang Allah ﷻ maha mendengar.

 

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلٰمٌ

Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak;

Nabi Zakaria عليه السلام tanya bagaimana caranya baginda boleh mendapat anak? Kita pun biasa juga tanya macam itu. Sebab kita tidak tahu ilmu ghaib, jadi kita hendakkan kepastian. Yang salahnya, masyarakat kita ada yang kata kalau hendak dapat anak, beri salam dan sedekah Fatihah kepada Nabi Zakaria عليه السلام.

Padahal, kita sendiri baca dalam ayat ini, Nabi Zakaria عليه السلام minta anak kepada Allah ‎ﷻ. Lalu bagaimana kita minta kepada Nabi Zakaria عليه السلام? Adakah Nabi Zakaria عليه السلام boleh tolong kita untuk dapatkan anak? Sedangkan baginda sendiri minta kepada Allah ‎ﷻ?

Kalimah أَنَّىٰ menunjukkan rasa terkejut macam tidak percaya.

Al-Qur’an menggunakan perkataan غُلَامٌ. Dalam kisah kelahiran Nabi Isa عليه السلام, apabila Maryam juga terkejut dengan berita bahawa beliau akan mendapat anak, perkataan yang digunakan dalam ayat Al-Qur’an berkenaan kisah itu menggunakan perkataan ‘walad’, bukan غُلَامٌ. Apakah bezanya dari dua perkataan itu? Tentu ada perbezaannya.

Apabila Maryam diberikan berita gembira dari Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kalimat’. Tetapi apabila berita gembira diberikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام, perkataan غُلَامٌ digunakan iaitu dalam ayat ke-7 dalam surah ini. Maka, Al-Qur’an meneruskan penggunaan kata yang sama.

 

وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا

sedangkan isteriku adalah seorang yang sampai sekarang belum pernah lagi berjaya melahirkan anak?

Kebanyakan terjemahan menggunakan perkataan ‘mandul’. Tetapi seperti kita telah belajar sebelum ini, perkataan mandul tidak sesuai digunakan dalam maksud عَاقِرًا ini.

 

وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا

dan aku sendiri pula telah melepasi tahap umur yang sangat lanjut?

Kalimah عِتِيًّا bermaksud ‘telah melampaui had’. Ada juga digunakan perkataan yang sama dalam Surah Mulk. Iaitu digunakan perkataan عُتُوٍّ dalam ayat ke Mulk:21. Dalam ayat itu, orang kafir telah melampaui had dalam kesesatan mereka. Dalam Surah Maryam ini, Nabi Zakaria عليه السلام mengaku bahawa baginda telah terlalu tua kerana baginda sudah lepas tahap umur yang sesuai untuk mendapat anak.

Mari kita bincangkan kenapa Nabi Zakaria عليه السلام masih lagi bertanya, padahal berita tentang kedatangan anak itu datang sendiri dari Allah ‎ﷻ. Bagaimana seorang Nabi seperti baginda boleh mempersoalkan pula berita dari Allah ‎ﷻ – (disampaikan oleh malaikat)?

Kita kena faham, pertanyaan Nabi Zakaria عليه السلام ini adalah kerana baginda hendak mendapatkan maklumat lanjut. Bukanlah baginda tidak percaya. Macam juga kita, apabila dapat surat kemasukan universiti, tentu kita amat suka. Baca surat tawaran itu sampai sepuluh kali. Kita tidak terus simpan macam ia tidak ada apa-apa makna, bukan? Kita hendak beritahu orang lain. Jumpa sesiapa sahaja kita akan cerita. Sebab kita sedang suka sangat.

Sama juga dengan Nabi Zakaria عليه السلام; baginda suka sangat dan baginda hendak bercakap-cakap lagi berkenaan dengan berita gembira itu. Kalau kita tahu kita akan mendapat anak sahaja, kita tidak sabar hendak berkongsi dengan orang lain. Dapat scan sahaja, kita hendak tunjuk kepada orang lain. Padahal kita tidak faham pun scan itu. Tetapi sebab kita suka sangat sampai kita hendak tunjuk merata-rata.

Sama juga dengan kisah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام bertanya kepada Allah‎ ﷻ bagaimanakah Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati? Allah ‎ﷻ tanya adakah baginda tidak percaya? Nabi Ibrahim عليه السلام kata baginda bukan tidak percaya, tetapi baginda hendak tahu dengan lebih lanjut lagi.

Maka Nabi Zakaria عليه السلام pun hendak tahu bagaimana cara baginda akan dapat anak itu? Kerana baginda sudah tua dan isterinya pula belum pernah dapat anak. Contohnya: Adakah Allah ‎ﷻ akan mudakan baginda balik? Atau akan diberikan isteri yang muda?


 

Ayat 9: Allah ‎ﷻ jawab. Mungkin jawapan itu melalui malaikat.

قالَ كَذٰلِكَ قالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَقَد خَلَقتُكَ مِن قَبلُ وَلَم تَكُ شَيئًا

Sahih International

[An angel] said, “Thus [it will be]; your Lord says, ‘It is easy for Me, for I created you before, while you were nothing.’ ”

 

Malay

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.”

قَالَ كَذَٰلِكَ

Katanya: seperti kamu sekarang;

Baginda akan mendapat anak dalam keadaan baginda dan isterinya sekarang. Tidak perlu diubah diri mereka. Kerana mungkin Nabi Zakaria عليه السلام tertanya-tanya: adakah apabila Allah ‎ﷻ hendak memberikan anak kepadanya, adakah Allah ‎ﷻ akan menjadikannya muda kembali? Kerana Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan manusia muda kembali.

Atau adakah Allah ‎ﷻ akan memberikannya isteri yang lain kerana isterinya sendiri tidak pernah melahirkan anak? Cara bertanya itu menunjukkan lemahnya baginda, mengharapnya baginda kepada pemberian Allah ‎ﷻ. Berminat sangat hendak tahu bagaimana cara baginda akan dapat anak.

Tetapi Allah ‎ﷻ jawab bahawa tidak perlu diubah apa-apa. Allah ‎ﷻ boleh baiki peranakan isterinya. Allah ‎ﷻ boleh beri kekuatan bersetubuh kepada dirinya kembali. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang perlu dilakukan untuk menjadikan anak itu. Kerana Dia itu adalah Allah ‎ﷻ yang Maha Berkuasa.

 

قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ

Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu;

Untuk mencipta Nabi Yahya عليه السلام itu mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ. Tidak perlu pelik dengan kejadian itu. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَبُّ dalam ayat ini. Kerana hendak mengingatkan bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan dan memelihara kita.

Senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk berbuat apa-apa. هَيِّنٌ bermaksud sesuatu yang amat mudah bagi pembuatnya untuk buat. Tidak memerlukan usaha pun. Kerana kalau senang, perkataan ‘yaseer’ digunakan. هَيِّنٌ adalah sesuatu yang lebih mudah dari senang.

Ingatlah bahawa ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat ketika mereka sedang ditindas oleh kafir musyrik di Mekah. Mereka waktu itu mengharapkan sangat pertolongan dari Allah ‎ﷻ. Dan dengan menurunkan ayat-ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa lihatlah sebagaimana Dia telah tolong Nabi Zakaria عليه السلام, maka Dia juga akan menolong Nabi ﷺ nanti. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa Dia tidak melupakan hal keadaan Nabi Muhammad ﷺ ketika itu.

Allah ‎ﷻ beri contoh seterusnya:

 

وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ قَبْلُ

sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu;

Allah ‎ﷻ ingatkan yang Dia lah juga yang telah menciptakan Nabi Zakaria عليه السلام dan segala makhluk-makhluk yang lain. Maka jangan hairan bagaimana Allah ﷻ akan jadikan anak bagi baginda. Sedangkan Maryam pun boleh melahirkan anak tanpa bapa, maka tentulah lagi mudah Allah ﷻ jadi anak bagi pasangan Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya.

 

وَلَمْ تَكُ شَيْئًا

sedang engkau pada masa itu belum apapun;

Sebelum itu Nabi Zakaria عليه السلام belum jadi manusia pun lagi. Jadi, hendak cipta manusia yang baru, tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ.

Ingatlah bahawa kita semua ini diadakan di dunia ini daripada tiada apa-apa. Waktu itu pun Allah ‎ﷻ boleh buat, tambahan pula kalau hendak menjadikan sesuatu daripada seorang ibu dan seorang bapa? Kalau hendak dikirakan mudah, lagi mudah kalau begitu. Tetapi pada Allah ‎ﷻ, semua itu sama sahaja, senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ.

Perkataan yang digunakan adalah تَكُ. Sepatutnya dari segi bahasa, perkataan yang biasanya digunakan adalah تكن. Penggunaan kedua-duanya adalah benar dalam bahasa Arab. Kadang-kadang huruf ن boleh dibuang. Tetapi kenapa Allah ‎ﷻ buang  ن  dalam ayat ini? Kerana hendak menunjukkan bahawa kamu dahulu Zakaria, belum apa-apa lagi seperti juga ن itu tidak ada apa-apa makna (boleh diletakkan dan boleh juga dibuang). Kamu belum jadi apa-apa, kemudian Allah ‎ﷻlah yang menjadikan kamu.

Kelahiran Nabi Yahya عليه السلام ini adalah satu kelahiran yang ajaib kerana ibubapanya kedua-duanya sudah tua sangat. Tetapi selepas ini kita akan belajar lagi tentang kelahiran yang lagi ajaib, iaitu kelahiran Nabi Isa عليه السلام dari ibu yang masih dara dan tiada bapa.

Jadi, Allah ‎ﷻ telah membuka sedikit minda kita bagaimana Allah ‎ﷻ mampu melakukan apa sahaja. Mula-mula Allah ‎ﷻ cerita tentang kelahiran yang ajaib sedikit (dari pasangan yang sudah tua) kemudian kejadian yang lebih ajaib lagi (kelahiran dari anak dara dan tidak ada bapa bagi anak itu).


 

Ayat 10: Apabila telah dapat berita gembira, soalan seterusnya dari Nabi Zakaria عليه السلام adalah bilakah baginda akan dapat anak? Ini menunjukkan para Nabi tidak tahu ilmu ghaib. Mereka juga ada kelemahan-kelemahan seperti manusia lain. Bukanlah disebabkan mereka itu Nabi, mereka tahu perkara ghaib. Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib.

Maka, tidak layak kita jadikan mereka sebagai ‘perantaraan’ dalam doa kita kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada manusia yang minta kepada Nabi Zakaria عليه السلام untuk mintakan pula kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan anak kepada mereka. Jadi, kalau kita hendak anak, maka minta terus kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu perantaraan.

قالَ رَبِّ اجعَل لّي ءآيَةً ۚ قالَ ءآيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلٰثَ لَيالٍ سَوِيًّا

Sahih International

[Zechariah] said, “My Lord, make for me a sign.” He said, “Your sign is that you will not speak to the people for three nights, [being] sound.”

 

Malay

Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”, Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.

قَالَ رَبِّ

Nabi Zakaria berkata, “Ya Rabbku!

Nabi Zakaria عليه السلام masih lagi mahu berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ. Maka ada soalan lagi yang baginda hendak tanya.

 

اجْعَلْ لِّي ءآيَةً

Jadikanlah aku suatu tanda;

Macam juga kita kalau dapat projek, kita hendak tahu bilakah kita akan dapat “offer letter” untuk projek itu? Kalau dapat kerja, bila boleh dapat surat tawaran kerja? Sebab kita mahukan kepastian.

Begitu juga kalau ada sesuatu tarikh yang kita anggap penting sangat, kita akan tertunggu-tunggu bilakah akan sampai kepada hari itu. Sebagai contoh, katakanlah kita akan tamat pengajian di universiti, kita akan tanda dalam kalendar kita dan akan kira berapa hari lagi sampai kita akan keluar dari universiti itu kerana kita tidak sabar-sabar lagi hendak keluar dan memulakan hidup yang baru.

Begitu jugalah dengan Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda hendak dapatkan kepastian, bilakah baginda akan dapat anak itu? Apakah tanda bila isterinya sudah mengandung?

Satu lagi sebab kenapa Nabi Zakaria عليه السلام tanya ini adalah kerana baginda hendak meneruskan pertanyaan kepada Allah ‎ﷻ kerana baginda sekarang dapat berkomunikasi dengan Allah ‎ ﷻ. Tidaklah secara terus, tapi melalui malaikat juga. Kerana yang bercakap-cakap terus dengan Allah ﷻ adalah Nabi Musa عليه السلام sahaja.

 

قَالَ ءآيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ

Allah berkata: tanda kamu adalah kamu tidak boleh berkata-kata dengan manusia

Tanda isteri baginda sudah mengandung adalah apabila baginda tiba-tiba tidak dapat bercakap. Ulama’ berpendapat, lidahnya kaku tidak dapat berkata-kata selama tiga hari. Ini akan menjadi tanda yang isterinya sudah mengandung.

 

ثَلٰثَ لَيَالٍ

selama tiga malam;

Dalam Ali Imran:41 disebut ‘tiga hari’. Dalam surah Maryam ini, permulaan surah ini adalah bagaimana Nabi Zakaria عليه السلام ‎merayu-rayu kepada Allah ‎ﷻ. Maka, keadaan adalah seperti suasana kegelapan, jadi Al-Qur’an meneruskan tema itu dengan menggunakan kalimah ‘malam’. Maksudnya tiga hari dan tiga malam baginda tidak dapat bercakap dengan orang (bukan tiga malam sahaja).

Tetapi, dalam Surah Ali Imran, tema surah itu adalah dalam keceriaan, maka Al-Qur’an meneruskan tema keceriaan itu dengan menggunakan perkataan ‘hari’.

 

سَوِيًّا

sedangkan kamu sihat

Tidak ada masalah dengan Nabi Zakaria عليه السلام pada waktu itu, cuma baginda tidak boleh bercakap dengan manusia waktu itu. Itulah tanda yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda.

Ini mengajar kepada kita, walaupun kita ada segala kelengkapan untuk bercakap, tetapi jika Allah ‎ﷻ tidak benarkan kita bercakap, kita pun tidak boleh hendak bercakap. Begitu jugalah dengan perkara-perkara yang lain. Kita mungkin sangka kita ada kudrat untuk melakukan sesuatu, tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan, kita tidak akan dapat melakukannya.


 

Ayat 11:

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

Sahih International

So he came out to his people from the prayer chamber and signaled to them to exalt [ Allah ] in the morning and afternoon.

 

Malay

Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu dia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.

 

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

Maka keluarlah Nabi Zakaria berjumpa kaumnya;

Iaitu baginda berjumpa dengan kaum Bani Israil yang duduk berdekatan dengannya. Manusia sedang menunggunya kerana baginda adalah imam kepada mereka.

 

مِنَ الْمِحْرَابِ

dari mihrab;

Ini adalah mihrab yang berada di dalam Masjid BaitulMaqdis. Mihrab adalah satu tempat yang digunakan untuk berzikir. Kalau zaman sekarang, ada manusia yang buat bilik bertapa. Tetapi apa yang Nabi Zakaria عليه السلام ‎buat itu adalah syariat Nabi-nabi dahulu. Syariat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada amalan bertapa. Yang kita ada adalah iktikaf dalam masjid. Jadi, tidak perlu hendak bertapa lagi.

Tetapi, ada ajaran-ajaran yang ‘terlebih pandai’ sampai mengajar manusia bertapa di gunung, di gua, di dalam kubur pun ada juga. Dengan harapan yang salah untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Tidaklah salah mendekatkand iri dengan Allah ﷻ tapi kenalah dengan cara yang ikut syarak. Padahal, bukankah kalau iktikaf di masjid itu lebih elok lagi? Kerana itulah ajaran Nabi ﷺ.

Ada juga yang memberikan alasan bertapa sebegitu kerana Nabi ﷺ dahulu pun bertahannuth di Gua Hira’. Tetapi, bilakah Nabi ﷺ buat begitu? Selepas baginda menjadi Nabi atau sebelum baginda menjadi Nabi? Selepas Nabi ﷺ diangkat menjadi Nabi, adakah baginda buat lagi amalan tahannuth itu? Tidak sama sekali.

Apa yang Nabi ﷺ buat semasa di Gua Hira’ itu pun kita tidak pasti kerana tidak pernah sampai kepada kita melalui jalan yang sahih apakah yang Nabi ﷺ buat semasa di sana. Jadi, apakah sunnah yang kita hendak ambil dari amalan Nabi ﷺ itu? Orang kita kalau buat amalan itu, hanya agak-agak sahaja atau mereka mendapat amalan dari syaitan sahaja.

Kalimah الْمِحْرَابِ dari katadasar ح ر ب – perang. Digunakan perkataan ‘perang’ di sini kerana di situlah orang yang beribadat sedang ‘berperang’ dengan syaitan dan nafsu mereka.

Hendaklah dibezakan perkataan الْمِحْرَابِ ini dengan mihrab yang kita ada pada zaman sekarang. Zaman sekarang, apabila disebut mihrab, ia merujuk kepada tempat imam berdiri semasa jadi imam. Itu lain daripada mihrab zaman Nabi Zakaria عليه السلام.

 

فَأَوْحَىٰ إِلَيْهِمْ

Maka dia memberi isyarat kepada mereka;

Waktu itu baginda beri isyarat sahaja kepada kaum baginda dalam berkomunikasi kerana baginda tidak boleh bercakap pada waktu itu.

Perkataan أَوْحَىٰ diambil dari katadasar  و ح ى – wahy. Dari segi bahasa, ia bermaksud mesej yang disampaikan dengan cepat dan secara senyap atau rahsia. Tidak pasti bagaimanakah cara Nabi Zakaria عليه السلام beri mesej kepada kaumnya itu. Ada yang mengatakan bahawa baginda menggunakan bahasa isyarat atau tulis atas tanah atau atas kertas. Yang pasti maklumat yang hendak disampaikan telah lepas.

 

أَنْ سَبِّحُوا

hendaklah mereka bertasbih

Baginda telah diberikan dengan berita gembira bahawa akan lahir anaknya yang akan meneruskan tugas-tugasnya. Tetapi baginda tidak melupakan umatnya yang ada bersamanya pada waktu itu. Baginda masih meneruskan tugas menyampaikan dakwah kepada mereka. Maka baginda menganjurkan mereka untuk bertasbih.

Baginda memang menunggu Allah ‎ﷻ mengurniakan kepada baginda seorang anak yang dapat meneruskan usaha menyebarkan agama kepada umat. Dan sekarang Allah ‎ﷻ telah memberitahu kepada baginda bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak seperti yang dipintanya. Tetapi lihatlah bagaimana baginda terus menjalankan apa yang baginda boleh buat dalam menyebarkan agama.

Baginda tidak tunggu anak itu lahir baru hendak dakwah dan mengajar. Begitu jugalah kita. Kita memang kadang-kadang simpan niat yang besar untuk belajar agama, contohnya. Kita kata dalam hati kita: kalaulah kita ada masa yang panjang, kita hendak belajar sungguh-sungguh agama ini. Hendak ambil cuti kerja setahun untuk pergi ke Pakistan, Mesir atau Madinah untuk belajar agama. Keinginan kita adalah untuk faham betul-betul agama yang telah diturunkan Allah ‎ﷻ ini.

Tetapi janganlah kita tunggu ada masa yang begitu baru kita hendak belajar agama. Kita belajarlah setakat yang kita mampu lakukan dalam masa sekarang. Boleh pergi mana-mana kelas yang mengajar agama dengan betul, yang mengajar tafsir Al-Qur’an, mengajar hadith dan sebagainya. Sudah ada banyak tempat untuk belajar di negara kita ini. Tidak perlu pergi jauh-jauh lagi pun sudah boleh belajar.

Cuma kena pandai pilih manakah tempat belajar dengan betul. Sebab kalau salah pilih, maka yang diajar adalah benda-benda yang salah. Takut yang diajar adalah benda-benda kecil sahaja, yang penting-penting tidak diajar. Yang diajar cuma kitab-kitab karangan manusia, tetapi makna-makna Al-Qur’an tidak diajar, kata-kata Nabi ﷺ tidak disentuh. Maka, akan semakin jahillah kita kalau begitu. Hendaklah cari kelas pengajian yang mengajar sunnah yang betul-betul sunnah.

Begitu juga, kita pun ada simpan dalam hati kita niat yang baik – kalau kita jadi kaya, kita akan bina masjid, kita akan buat rumah anak yatim dan sebagainya. Tetapi kita sekarang tidak kaya-kaya lagi. Adakah kita tunggu hendak jadi kaya baru kita hendak sedekah dan infak kepada manusia? Buatlah apa yang termampu dalam masa sekarang.

Begitu juga kalau kita sudah ada ilmu yang sedikit. Sampaikan kepada manusia lainnya. Tidak perlu tunggu sudah habis belajar, sudah jadi alim, sudah jadi ustaz, sudah jadi maulana baru hendak mengajar. Ajarlah mana yang kita sudah tahu. Sebab kalau hendak tunggu bila sudah habis belajar, tidak tahu bila lagi kita akan sampai ke tahap itu.

 

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi-pagi dan petang-petang;

Baginda nasihatkan mereka untuk bertasbih kerana baginda sendiri pun buat begitu juga dan sekarang baginda menyuruh kaumnya juga berbuat demikian.

Selepas itu, maka lahirlah Yahya عليه السلام. Kisah itu tidak disebut kerana ia tidak penting. Al-Qur’an tidak menceritakan semua perkara dengan satu persatu. Al-Qur’an bukanlah satu novel yang perlu melakukan begitu. Al-Qur’an hanya menyebut perkara-perkara yang penting sahaja.

Maka, kalau ayat-ayat Al-Qur’an itu kita baca, maka kita tahulah bahawa ia adalah penting kerana Allah ‎ﷻ telah memasukkan ayat-ayat itu ke dalam Al-Qur’an. Kalau tidak penting, Allah ‎ﷻ tidak masukkan. Maka kita tahu setiap ayat dalam Al-Qur’an ada pengajaran yang hendak disampaikan.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 4 – 6 (Cara berdoa)

Ayat 4: Inilah doa Nabi Zakaria عليه السلام. Beginilah cara Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdoa. Allah ‎ﷻ memberi contoh bagaimana cara seorang Nabi yang berdoa kepada-Nya.

قالَ رَبِّ إِنّي وَهَنَ العَظمُ مِنّي وَاشتَعَلَ الرَّأسُ شَيبًا وَلَم أَكُن بِدُعائِكَ رَبِّ شَقِيًّا

Sahih International

He said, “My Lord, indeed my bones have weakened, and my head has filled with white, and never have I been in my supplication to You, my Lord, unhappy.

 

Malay

Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

 

قَالَ رَبِّ

Dia berkata, “Ya Rabbku!

Sepatutnya perkataan yang digunakan adalah رَبٌِي ‘Tuhanku’ (dengan tambahan ي), tetapi kerana dia tergesa-gesa dan dalam keadaan yang mengharap sangat, sampaikan dia tidak menggunakan bahasa yang betul.

Bukanlah ini sebagai satu hujah mengatakan yang Al-Qur’an itu tersalah dari segi bahasa, tetapi ada maksud kenapa diletakkan perkataan ini sebegini. Ini hendak menunjukkan keadaan emosi Nabi Zakaria عليه السلام pada waktu itu.

 

إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي

Sesungguhnya tulang aku sudah reput

Nabi Zakaria عليه السلام mengadu keadaan dirinya kepada Allah ﷻ. Bukannya Allah ﷻ tidak tahu keadaan kita, tapi Allah ﷻ suka kalau kita mengadu kepadaNya.

Baginda mengadu yang baginda sudah tua dan lemah, hendak bangun pun sudah susah sebab sudah tua sangat. Perkataan وَهَنَ bermaksud sudah ‘sangat lemah’. Ia digunakan khas kepada tubuh badan.

Asalnya bermaksud sesuatu yang dahulunya keras, tetapi sekarang sudah menjadi lembut. Tubuh kita yang dahulu kuat, lama kelamaan akan jadi lemah akhirnya. Itulah keadaan Nabi Zakaria عليه السلام.

Kalimah الْعَظْمُ asalnya bermaksud tulang. Tulang yang dahulu keras pun sudah reput kira-kiranya. Ini adalah isyarat kepada tubuh badan yang sudah lemah kerana tua. Macam kita sekarang, kalau bergerak pun macam-macam bunyi sudah keluar dari tulang kita (krup sana dan krup sini).

Kalimah yang baginda gunakan adalah مِنِّي – dariku. Seperti dia mengatakan tulang-tulang itu dari dirinya, tetapi macam bukan dirinya lagi. Macam makhluk yang lain pula. Iaitu ia sudah jadi lain dari dulu.

 

وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا

Sudah penuh uban di kepalaku;

Kalimah اشْتَعَلَ asalnya bermaksud ‘menyala’. Contohnya digunakan kepada nyalaan api. Nabi Zakaria عليه السلام kata kepalanya sudah ‘menyala’ sekarang. Tetapi menyala dengan apa?

Kalimah شَيْبًا bermaksud ‘tua’. Asalnya bermaksud ‘putih’. Maka baginda hendak menyatakan bahawa kepalanya sudah penuh dengan uban yang putih. Kerana orang yang sudah tua akan penuh uban di kepalanya.

Indah sungguh bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an. Kenapa digunakan perkataan ‘menyala’? Kerana bukankah kalau kepala kita putih, ia akan lebih kelihatan, seperti menyala? Dan apakah akan jadi apabila sesuatu itu terbakar? Ia akan merebak dan memakan kawasan sekitarnya. Maknanya, uban di kepala Nabi Zakaria عليه السلام semakin banyak dan semakin merebak memakan rambut hitam yang lain.

Perkataan yang digunakan adalah الرَّأْسُ – kepala. Maknanya bukan rambut sahaja yang beruban. Tetapi lain-lain juga – janggut, kening, misai.

Nabi Zakaria عليه السلام sedang menceritakan keadaan dirinya kepada Allah. Maka, dalam kita berdoa, kita ceritakanlah kelemahan diri kita kepada Allah. Kalau kita lemah, atau kita tidak boleh hendak cari kerja, kita orang miskin, maka cakapkan kepada Allah. Adukan semuanya kepada Allah.

Ini dinamakan merendahkan diri kepada Allah. Kalau kita hendakkan sesuatu, kita menunjukkan kelemahan kita dan pengharapan kita kepada Allah. Tidak ada tempat lain kita hendak memohon lagi. Bukan kepada manusia kita buat macam ini, tetapi kepada Allah. Apabila kita mengaku lemah, Allah lebih kasihan dan lebih suka. Waktu itu kita lebih mengharap kepada Allah.

 

وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ

Dan belum pernah aku dalam berdoa kepada Kamu,

Sekali lagi, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah رَبٌِي.

Maksud baginda dalam ayat ini: Dalam selama aku berdoa kepada Engkau, ya Allah …. belum pernah aku… belum pernah apa?

 

شَقِيًّا

hampa;

Perkataan شَقِيًّا bermaksud ‘nasib malang’, tidak mendapat apa yang dihajati. Maka, Nabi Zakaria عليه السلام mengaku kepada Allah ‎ﷻ bahawa selama ini baginda tidak pernah kecewa dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang baginda minta, baginda akan dapat.

Tidak semestinya baginda akan mendapat apa sahaja yang baginda minta. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ akan tukar kepada yang lebih sesuai. Maknanya, baginda hendak kata bahawa baginda tidak pernah tidak mendapat manfaat daripada doanya kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah memberi banyak nikmat kepada baginda kerana banyak sangat nikmat yang telah diberikan kepadanya.

Ini adalah satu lagi cara berdoa. Hendaklah kita menyebut kelebihan-kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita selama ini. Memang kita sedang ada masalah sekarang, tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan kita sekian banyak nikmat. Dalam banyak kita tidak ada, janganlah lupa perkara lain yang kita sudah banyak dapat.

Maka pujilah Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan itu. Allah ‎ﷻ suka kita puji Dia. Kalau dengan manusia pun begitu juga. Kalau kita kata kepada orang yang kita minta tolong itu: “Engkau memang sudah banyak tolong aku selama hari ini. Aku minta kau tolong aku sekali lagi hari ini.” Itu akan menyebabkan dia akan lebih lembut hati untuk menolong kita.

Daripada muda sampai ke tua, Nabi Zakaria عليه السلام meminta doa supaya diberikan zuriat kepadanya. Bukan dalam masa yang pendek sahaja baginda berdoa. Baginda sentiasa berharap kepada Allah ﷻ dalam segala hal. Tidak lekang hati baginda dengan Allah ﷻ. Dan termasuklah baginda tidak berhenti dari berdoa minta supaya baginda diberikan anak.

Sampai satu masa, Nabi Zakaria عليه السلام telah diberikan tugas untuk menjaga anak saudaranya, Siti Maryam di Masjidil Aqsa. Ini adalah kerana ibu Siti Maryam telah memberikan anaknya untuk berkhidmat dalam agama.

Setiap kali Nabi Zakaria عليه السلام pergi menemui Siti Maryam, baginda dapati Siti Maryam ada sahaja makanan di sampingnya. Makanan itu pula bukan jenis yang senang didapati dan di luar musim pula. Apabila baginda tanya kepada Maryam daripada mana beliau dapat, Maryam jawab, ia adalah dari Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ boleh memberi apa sahaja yang Allah ‎ﷻ mahu beri (disebut dalam ayat yang lain).

Jadi, baginda nampak keberkesanan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Sedarlah baginda yang Allah ‎ﷻ mampu berikan apa sahaja dan tidak tertakluk kepada hukum alam. Bukanlah baginda tidak tahu tentang hal itu. Tapi apabila nampak ia terjadi di depan mata, maka ia menambah keyakinan itu.

Maka, baginda sekarang telah mendapat azam baru untuk berdoa lagi kepada Allah ‎ﷻ. baginda sedar bahawa Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja. Baginda memang selalu berdoa kepada Allah ‎ﷻ tetapi dengan melihat apa yang Maryam dapat itu, telah memberi semangat baru kepada baginda.


 

Ayat 5: Apakah sebabnya Nabi Zakaria عليه السلام memohon doa supaya mendapat anak itu?

وَإِنّي خِفتُ المَوالِيَ مِن وَرائي وَكانَتِ امرَأَتي عاقِرًا فَهَب لي مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا

Sahih International

And indeed, I fear the successors after me, and my wife has been barren, so give me from Yourself an heir

 

Malay

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

 

وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ

Sesungguhnya aku bimbang tentang mawaliku

Kalimah الْمَوَالِيَ merujuk kepada wali yang bukan anak sendiri. Mungkin terdiri daripada sepupu, pakcik dan sebagainya. Boleh juga merujuk kepada anak-anak murid dan anak-anak buah. Iaitu orang yang sepatutnya menjadi kepercayaannya atau sebagai penggantinya selepas baginda tiada lagi.

Maksudnya, baginda tidak yakin dengan mereka untuk meneruskan kerja-kerja agama selepas baginda tiada nanti. Mungkin baginda sudah nampak mereka tidak beriya mana menjaga agama.

Nabi Zakaria عليه السلام tidak mempunyai anak, jadi baginda hanya ada saudaranya yang lain. Tetapi baginda tidak yakin mereka akan mampu meneruskan usaha dakwahnya. Mungkin baginda telah nampak ketidaksungguhan mereka atau kekurangan-kekurangan lain pada mereka. Jadi, baginda risau apakah yang akan terjadi pada agama selepas baginda tiada nanti. Siapakah yang akan meneruskan kerja-kerja agama yang baginda sedang buat selama ini?

 

مِنْ وَرَائِي

selepas kematianku nanti;

Oleh itu kita sudah tahu apakah yang baginda bimbangkan. Iaitu tidak ada orang yang akan mengajar agama selepas baginda tiada nanti. Jadi baginda minta kalau ada anak sendiri supaya ada pengganti yang boleh menyambung tugasnya. Maka, dari sini kita dapat tahu yang sebenarnya Nabi Zakaria عليه السلام bimbang tentang agama, bukan kerana lain.

 

وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا

Dan isteriku ini memang dari dahulu lagi seorang yang mandul

Dari segi bahasa literal, perkataan امْرَأَتِي bermaksud ‘perempuanku’. Tapi itu tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kita. Oleh itu kena sesuaikan dengan masyarakat semasa. Jadi kita terjemahkan ayat ini kepada ‘isteriku’. Dalam surah lain, Al-Qur’an menggunakan perkataan zaujah pula untuk merujuk kepada isteri. Kenapa ada beza?

Apabila digunakan perkataan امْرَأَتِ, menunjukkan ada masalah sedikit dalam perhubungan mereka. Iaitu ada suatu kekurangan dalam perhubungan mereka atau pada isteri itu sendiri. Begitu juga kalimah yang sama digunakan apabila merujuk kepada isteri Nabi Luth عليه السلام. Ini adalah kerana ada kekurangan iman pada isterinya. Isteri Firaun juga begitu. Ada kekurangan dalam hubungan mereka iaitu Firaun tidak beriman.

Tetapi kepada isteri Nabi Zakaria عليه السلام, apabila belum beranak, maka ada kekurangan sedikit. Selepas isterinya melahirkan anak, barulah menggunakan perkataan zaujah. Itulah cara Al-Qur’an menjelaskan kedudukan wanita-wanita itu dengan cara halus.

Kalimah عَاقِرًا merujuk kepada wanita yang belum pernah mengandung. Literalnya ia bermaksud ‘memotong’. Secara tepat, bukanlah ‘mandul’. Kerana kalau mandul, ada perkataan lain dalam bahasa Arab yang boleh digunakan. Ada disebut tentang isteri Nabi Ibrahim عليه السلام dan perkataan aqim digunakan dalam ayat itu. Kalau mandul, memang ada masalah yang berkekalan yang menyebabkan perempuan itu tidak akan mengandung. Antaranya, mungkin perempuan itu tidak ada rahim, sebagai contoh.

Apabila digunakan perkataan عَاقِرًا, bermakna masih lagi ada peluang untuk dapat anak, cuma belum pernah dapat anak lagi. Jadi sebab itulah Nabi Zakaria عليه السلام memang pernah berdoa. Dan apabila digunakan kalimah وَكَانَتِ menunjukkan bahawa memang dari dahulu lagi tidak pernah dapat anak.

 

فَهَبْ لِي مِنْ لَّدُنْكَ وَلِيًّا

Maka berikanlah kepadaku, dari sisi Engkau, seorang anak dan pengganti;

Baginda berharap kepada Allah ‎ﷻ yang walaupun baginda sudah tua dan isteri baginda pun tidak pernah dapat anak, baginda tetap mohon dari kuasa Qudrat Allah ‎ﷻ, seorang anak dan pengganti.

Apabila digunakan kalimah هَبْ (berikan) ia merujuk kepada pemberian hadiah yang tidak mengharapkan balasan. Iaitu apabila seseorang yang memberi sahaja tanpa mengharap balasan dari orang yang diberikan hadiah itu. Dalam Al-Qur’an, apabila ia menyatakan tentang anak, perkataan هَبْ digunakan kerana anak itu adalah ‘hadiah’ dari Allah ‎ﷻ.

Dan memang anak itu adalah hadiah yang teramat istimewa. Anak adalah sesuatu yang amat menyenangkan hati ibubapa budak itu. Kalau kita ada masalah, apabila lihat anak sahaja, semua masalah itu hilang kerana kita suka sangat lihat anak kita. Kalau balik dari kerja dan kita dalam kepenatan, tetapi apabila lihat anak, terus hilang segala penat itu.

Anak juga adalah pelaburan kita di akhirat. Itu kalau kita lihat dari sudut agama pula. Ada hadith Nabi ﷺ yang mengatakan semua pahala terputus kecuali tiga perkara. Salah satunya adalah anak soleh yang terus berdoa untuk ibubapanya. Dan apabila anak itu beramal ibadat yang soleh, kita akan dapat saham pahala juga dari amalan anak itu.

Maka kita hendaklah menghargai anak itu yang diberi sebagai hadiah oleh Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah pandai menjaga anak. Kena belajar perkara ini dengan mengikuti kursus atau banyakkan membaca, kerana bila kita dapat anak, kita tidak dapat manual bagaimana menjaga anak, bukan?

Sebagai contoh kenalah kita belajar sampai pandai sensitif dengan perasaan anak. Anak-anak yang ada masalah di kala dewasa, selalunya kerana ada masalah dengan cara mereka dibela. Ini adalah kalau ibubapa mereka tidak pandai menangani emosi anak-anak mereka sampaikan emosi mereka tercalar.

Kalimah مِنْ لَدُنْكَ bermaksud ‘dari sisi Engkau’. Ini adalah ekspresi dalam bahasa Arab. Ia bermakna sesuatu yang amat-amat istimewa kerana ia dari sisi Allah ‎ﷻ sendiri. Ia adalah pertolongan yang amat penting. Ini adalah kerana kalimah لَدُنْ digunakan untuk menunjukkan yang memberi itu adalah rapat dengan kita. Kita tidak minta dengan cara begini dengan orang yang kita tidak kenal. Menunjukkan bahawa Nabi Zakaria عليه السلام dengan Allah ‎ﷻ adalah rapat.

Bukan anak sahaja baginda minta tetapi وَلِيًّا. Ia adalah seseorang yang rapat dengan kita dan boleh dipercayai dan boleh diharap. Sebab sebelum ini baginda risau tentang sanak-saudaranya yang lain sama ada mereka boleh diharap untuk meneruskan usaha dakwah agama. Jadi, baginda bukan sahaja meminta seorang anak tetapi seorang anak yang boleh dipercayai.

Baginda telah menceritakan bagaimana baginda seorang yang tua, dan isterinya sudah lama tidak pernah dapat mengandung, maka baginda tidak mengharap isterinya itu akan mengandung lagi. Jadi, baginda serahkan kepada Allah ‎ﷻ, untuk menyerahkan kepadanya seorang wali yang boleh menggantinya. Mungkin dari orang lain dan sebagainya.


 

Ayat 6: Lihatlah apa yang Nabi Zakaria عليه السلام minta. Permintaannya itu spesifik, baginda menjelaskan perawakan anaknya itu. Baginda minta anak yang paling baik. Bukan macam kita, kalau minta hanya minta ‘janji ada’ sahaja, padahal Tuhan boleh beri apa sahaja.

Lihatlah permintaan Nabi Zakaria عليه السلام ini:

يَرِثُني وَيَرِثُ مِن آلِ يَعقوبَ ۖ وَاجعَلهُ رَبِّ رَضِيًّا

Sahih International

Who will inherit me and inherit from the family of Jacob. And make him, my Lord, pleasing [to You].”

 

Malay

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.

 

يَرِثُنِي

Yang akan mewarisiku;

Warisi apa? Ulama’ membincangkan beberapa kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini:

1. Mewarisi Kenabian. Namun ada ulama’ tidak setuju kerana kenabian bukan boleh diwarisi, tetapi dipilih. Anak seorang Nabi tidak semestinya seorang Nabi. Lihatlah bagaimana anak Nabi Nuh عليه السلام tidak mengikutinya.

Tetapi pendapat yang mengatakan mewarisi kenabian ini adalah kuat. Kerana digunakan juga dalam Naml:16 bagaimana Nabi Sulaiman عليه السلام mewarisi kenabian dari ayahnya Nabi Daud عليه السلام.

وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud;

Tambahan pula, kenapa perlu disebutkan ‘mewarisi darinya’, sedangkan kalau yang dimaksudkan itu adalah harta, memang telah lumrah yang dia akan mewarisi harta itu dari ayahnya, tidak perlu sebut pun lagi.

2. Mewarisi Ilmu dan hikmah. Inilah pendapat kebanyakan ulama’. Apa yang ada pada para Nabi adalah ilmu dan hikmah dan itulah yang diharapkan oleh Nabi Zakaria عليه السلام supaya Yahya عليه السلام akan warisi darinya.

3. Harta Nabi-Nabi. Ini adalah pendapat yang terpencil. Tidak ramai yang memegang pendapat ini kerana ada hadith yang mengatakan para Nabi tidak mewariskan harta kepada umatnya. Di dalam Bukhari dan Muslim ada disebut satu hadith:

“Kami (para Nabi), harta kami tidak diwariskan. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah.”

Maknanya segala harta para Nabi akan disedekahkan. Tetapi ada juga yang berpendapat bahawa hanya syari’at Nabi Muhammad ﷺ yang tidak membolehkan hartanya diwarisi, tetapi Nabi-nabi lain, boleh. Oleh itu, ada juga pendapat minoriti yang mengatakan yang diwarisi adalah harta dunia. Tetapi hendaklah diingatkan, bahawa ini adalah pendapat yang kecil sahaja.

 

وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ

dan mewarisi dari keluarga Ya’qub;

Yang dimaksudkan adalah mewarisi ilmu Nabi-nabi. Ini kalau kita mengambil pendapat yang dikemukakan oleh jumhur ulama’. Kerana keluarga Ya’qub banyak terdiri dari nabi-nabi. Oleh itu bukan baginda minta anaknya mewarisi harta, tetapi kenabian. Nabi Zakaria عليه السلام berharap anaknya itu memiliki sifat-sifat kenabian.

Maka, Nabi Zakaria عليه السلام sebenarnya meminta anaknya itu dijadikan sebagai Nabi. Ini mengajar kita, apabila kita minta kepada Allah‎ ﷻ, mintalah betul-betul. Seperti sabda Nabi ﷺ: apabila kamu minta syurga, mintalah syurga Firdaus. Jangan segan-segan untuk meminta kepada Allah ‎ﷻ.

Kalimah آلِ bukan hanya bermaksud mereka yang terdiri dari keluarga tetapi mereka yang berkaitan dengan seseorang itu. Ini termasuklah sepupu, pakcik, malah termasuk juga anak buah.

Nabi Zakaria عليه السلام berhati-hati dalam doanya. Lihatlah bagaimana baginda menggunakan perkataan مِنْ dalam doanya. ‘Dari’ ahli Ya’qub – bukan dari semua ahli Ya’qub. Kerana bukan semua mereka adalah baik. Yang Nabi Zakaria عليه السلام maksudkan adalah mereka yang boleh dijadikan contoh.

Dalam ayat sebelumnya, telah disebut doa Nabi Zakaria عليه السلام supaya anaknya mewarisi darinya. Dan Nabi Zakaria عليه السلام sendiri adalah keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام. Kenapa dalam ayat ini disebut pula keluarga Ya’qub? Kenapa ada pengulangan? Tentu ada sebab.

Ini menunjukkan bahawa apa yang Nabi-nabi itu bawa adalah sama sahaja. Kerana tauhid semenjak dahulu sampai sekarang adalah sama. Kalau ada perbezaan, itu adalah dari segi syari’at dan hukum sahaja. Tauhid tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang.

 

وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

Dan jadikanlah dia, ya Rabbku seorang yang redha;

Nabi Zakaria عليه السلام meminta supaya anak itu bukan setakat jadi Nabi, tetapi seorang yang kuat ibadat, seorang yang wara’.

Kalimah رَضِيًّا bermaksud yang rasa cukup (redha). Baginda rasa cukup dengan apa yang ada kerana baginda akan menjadi seorang Nabi yang akan menjalankan tanggungjawab yang akan menyebabkan Allah ‎ﷻ suka. Begitu juga baginda akan disukai dan menyenangkan ibubapanya dan juga orang-orang sekelilingnya.

Atau, perkataan رَضِيًّا itu boleh jadi dalam bentuk umum. Maka boleh jadi lebih besar maknanya – bukan hanya bermaksud ‘diredhai’ sahaja. Dia juga akan berusaha berbuat amal dan menjalankan hidupnya supaya Allah ‎ﷻ redha kepadanya dan dia juga diredhai oleh Allah ‎ﷻ.

Jadi, dalam doa Nabi Zakaria عليه السلام itu ‎, baginda meminta:

      1. Seorang anak lelaki, kerana semua Nabi adalah lelaki
      2. Menjadi seorang Nabi
      3. Seorang yang wara’. Kuat beribadat, diredhai Allah ‎ﷻ dan manusia.

Ini sekali lagi mengajar kita cara berdoa. Kita memang boleh berdoa untuk apa sahaja keperluan kita dan keinginan kita. Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja yang kita minta kalau Dia kehendaki. Oleh kerana itu, boleh untuk kita minta hal-hal keduniaan juga. Tetapi seeloknya doa itu kenalah banyak tentang hal keagamaan kerana itu adalah lebih penting lagi.

Kerana hal dunia hanya untuk dunia yang sementara sahaja, namun hal keagamaan adalah untuk hidup kekal di akhirat nanti. Maka, dalam kita memohon doa kepada Allah ‎ﷻ, hendaklah kita meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ atas dosa-dosa kita dan hendaklah kita memohon keselamatan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Semoga kita dapat mengambil cara-cara berdoa yang Allah ‎ﷻ telah ajar kita dalam Surah Maryam ini dan kita praktikkan ke dalam doa kita. Kita sentiasa mahu supaya doa kita dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ. Tetapi sudahkah kita tahu bagaimana cara supaya doa kita akan cepat dimakbulkan?

Ramai antara kita yang tidak mendapat rezeki dikurniakan anak. Maka, bermacam-macam cara yang dilakukan oleh manusia. Pergi jumpa doktor, jumpa ustaz, jumpa bomoh, minum air dari Tasik Dayang Bunting, minum air dari Telaga Hang Tuah dan sebagainya. Perbuatan ini adalah syirik dan khurafat.

Mereka juga dalam masa yang sama berdoa kepada Allah‎ ﷻ juga. Tetapi cara berdoa itu yang tidak kena. Maka, moleklah kalau kita gunakan cara yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ dalam surah Maryam ini. Begini cara berdoa:

Mula-mula sekali, ambil wudhu’. Seelok-eloknya wudhu’ yang sempurna sepertimana yang Nabi ﷺ telah ajar. Nabi ﷺ hanya menggunakan satu cupak air sahaja untuk berwudhu’. Kemudian beristighfar banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ. Kerana dosa kita banyak. Tidak molek kalau kita minta macam-macam kepada Allah ‎ﷻ, tetapi dosa kita yang sudah banyak itu tidak kita minta ampun. Bacalah istighfar sebanyak-banyaknya.

Kemudian selawat kepada Nabi ﷺ kerana Nabi  yang mengajar kepada kita tentang agama. Tetapi ingat, bukanlah kita selawat kepada Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ yang akan memakbulkan doa kita. Dan tidaklah Nabi Muhammad ﷺ menjadi perantara dalam doa kita ini. Tetapi sebagai tanda syukur kita kerana Nabi ﷺ telah bersusah payah mengajar agama kepada kita semua, maka kita doa supaya Allah ‎ﷻ beri kebaikan kepada baginda.

Memang Nabi ﷺ pernah mengajar umat supaya dalam berdoa, berselawat kepada baginda. Jangan keliru dengan kebanyakan manusia yang reka amalan dalam kehidupan mereka – contohnya mereka akan baca selawat apabila hendak makan ubat, basuh sayur, basuh beras dan sebagainya.

Mereka yang buat begitu ada perasaan dalam hati mereka bahawa Nabi ﷺ boleh memakbulkan doa. Eloklah kita jangan buat seperti mereka. Bacalah bismillah sahaja dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya sakit kita disembuhkan.

Kemudian kita bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ. Pujilah Allah ‎ﷻ dengan sebanyak-banyaknya. Kemudian bacalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Zakaria عليه السلام dalam doa ini. Ini adalah doa yang diajar oleh Allah ‎ﷻ sendiri dalam Al-Qur’an.

Baca dengan lemah lembut. Baca dari ayat ke 4 surah ini. Iaitu bermula dari perkataan: رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي hinggalah kepada hujung ayat ke 6 ini. Ini adalah lafaz-lafaz yang memakbulkan doa Nabi Zakaria عليه السلام.

Kemudian mintalah anak sebagaimana yang kita hendak. Sama ada hendak lelaki atau perempuan. Kemudian kita nyatakan sifat yang kita mahukan pada anak kita itu. Orang yang pandai agama, pandai tentang Al-Qur’an, yang berakhlak baik. Mintalah apa yang kita bayangkan anak kita. Janganlah setakat kata hendak anak sahaja.

Akhir sekali mintalah supaya anak itu diredhai. Untuk maklumat lanjut tentang cara berdoa, lihat pada link ini. Saya sendiri 12 tahun berkahwin tidak mendapat anak tetapi dengan menggunakan cara-cara yang diajar dalam ayat ini, maka telah berjaya mendapat seorang anak perempuan. Alhamdulillah. Tidaklah saya pergi jumpa bomoh mana-mana, ustaz mana-mana untuk doakan supaya saya dapat anak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2020


 

Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah)

Pengenalan:

Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan perkara-perkara ajaib. Kalau mereka lihat benda-benda yang pelik, mereka mulalah terkesan dan mula fikir macam-macam. Kadang-kadang oleh kerana terkesan, mereka memuja makhluk-makhluk yang nampak macam ada kuasa ghaib, seperti wali-wali dan malaikat-malaikat.

Termasuk juga kalau mereka lihat benda-benda yang pelik seperti busut besar, pokok yang pelik rupanya dan sebagainya. Ada yang mereka jadikan sebagai tempat minta nombor ekorlah, minta tolong di situlah dan sebagainya lagi. Itu tidak boleh kerana mereka juga adalah makhluk, bukan Tuhan. Mereka juga bukan perantaraan bagi Tuhan.

Sebab ada juga yang bagi hujah, mereka bukan minta kepada entiti-entiti itu, tetapi mereka minta kepada Allah ‎ﷻ, hanya ‘melalui’ benda-benda itu atau makhluk-makhluk itu (kerana kononnya ada ‘berkat’ yang mereka sendiri letak).

Ini adalah kesalahan dalam tauhid, jadi kena faham betul-betul. Selepas ini, hanya minta kepada Allah ‎ﷻ secara terus sahaja. Jangan lagi menggunakan perantaraan-perantaraan yang dikenali sebagai tawassul.

Salah satu perkara ajaib yang Allah ‎ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an adalah tentang kisah Nabi Zakaria عليه السلام. Surah ini ada menceritakan tentang kekeliruan manusia tentang Nabi Zakaria عليه السلام. Agama sebelum Islam datang ada mengatakan Nabi Zakaria عليه السلام boleh ikhtiar untuk mendapat anak, padahal Nabi Zakaria عليه السلام dapat anak kerana doa baginda kepada Allah ‎ﷻ.

Bukannya kerana baginda ada kuasa lain daripada manusia lain yang boleh menyebabkan baginda dapat anak. Kita akan belajar bagaimana cara Nabi Zakaria عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ dalam surah ini nanti. Doa itu adalah satu cara kepada kita untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Ramai daripada kita berusaha untuk dapatkan anak. Ada yang senang dapat anak dan ada yang sudah bertahun-tahun kahwin, namun masih tidak dikurniakan anak oleh Allah ‎ﷻ. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan, sama ada dengan pergi ke hospital, atau cara-cara alternatif.

Dan cara alternatif itu pula bermacam-macam. Malangnya Al-Qur’an selalu disalahgunakan. Ada pula yang kata untuk dapat anak, kena baca Surah Maryam. Padahal, Siti Maryam tidak berdoa untuk dapat anak pun – anak itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Itu adalah satu kekeliruan dalam masyarakat kita dan yang sedihnya, ia telah diajar oleh guru-guru agama di Malaysia.

Mereka mengajar manusia yang jahil untuk hanya menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca berkali-kali tanpa memahami apakah maksud dan pengajaran dalamnya. Ketahuilah yang kalau kita sekadar membaca sahaja Al-Qur’an, kita tidak ada bezanya dengan Kaum Yahudi yang kita pun tahu mereka sesat. Mereka itu membaca dan menghafal Kitab Taurat, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripada Kitab Taurat itu.

Sama sahaja dengan kebanyakan masyarakat kita. Ramai orang Islam dalam masyarakat kita yang baca Al-Qur’an setiap hari, hafal pun ada, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca itu. Yang sebenarnya, dalam Surah Maryam ini ada doa Nabi Zakaria عليه السلام untuk mendapatkan anak. Ia adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام tetapi diletakkan dalam Surah Maryam.

Surah ini diturunkan hampir dengan masa sebelum Hijrah Pertama yang dijalankan ke Habsyah. Daripada sirah, kita dapat tahu bahawa pada tahun 4 kenabian, Nabi ﷺ telah diarahkan untuk berdakwah secara terbuka. Apabila Nabi ﷺ berdakwah secara terbuka, Musyrikin Mekah tidak suka, maka para sahabat yang telah masuk Islam telah ditindas dengan teruk sekali.

Para sahabat pada waktu itu adalah terdiri daripada orang-orang yang lemah dan kelas bawahan pada mata orang kafir. Mereka tidak ada perlindungan seperti orang-orang lain. Dalam adat waktu itu, selalunya perlindungan diberikan oleh kabilah masing-masing tetapi para sahabat itu adalah orang yang miskin dan lemah. Mereka tidak ada ‘payung’ yang dapat menyelamatkan mereka. Mereka terasa amat tertekan dengan penindasan yang mereka terima.

Mereka tidak tahan sampaikan mereka datang bertemu dengan Nabi ﷺ menceritakan keadaan mereka. Mereka mengadu tentang penindasan yang mereka terima (kerana mengamalkan agama tauhid). Pada mulanya, Nabi ﷺ menyuruh mereka bersabar dengan nasib mereka kerana umat yang terdahulu ada yang lagi teruk terima azab dari orang kafir.

Kemudian Nabi ﷺ telah mendapat wahyu untuk menyuruh mereka untuk berhijrah ke Habashah kerana raja Habasyah waktu itu adalah raja yang adil. Raja itu adalah raja yang beragama Kristian yang alim. Dalam riwayat, ada yang mengatakan bahawa yang pergi berhijrah itu adalah seramai 8 orang lelaki dan 3 orang perempuan.

Apabila Musyrikin Mekah mendapat tahu tentang penghijrahan itu, mereka tidak puas hati dan mereka telah cuba untuk mengejar para sahabat itu tetapi tidak dapat. Walaupun begitu, mereka telah menghantar satu delegasi untuk pergi ke Habasyah. Tujuan delegasi itu adalah untuk membawa kembali mereka yang telah pergi ke Habasyah itu.

Delegasi itu diketuai oleh Amru al As. Waktu itu Amru al As belum lagi masuk Islam. Mereka akhirnya telah berjaya untuk bertemu dengan raja selepas mereka berbaik-baik dengan para pendeta di Habasyah dengan memberi hadiah. Mereka mengatakan bahawa orang Islam yang sedang bermastautin di Habasyah itu adalah ‘pelarian’ dari Mekah dan mereka mahu supaya mereka itu dikembalikan.

Raja kata beliau tidak boleh beri mereka yang mencari perlindungan kepada negara asal mereka begitu sahaja. Maka, Raja telah bertanya kepada orang Islam tentang keadaan sebenarnya. Para sahabat telah menjelaskan bahawa mereka itu mencari perlindungan di Habasyah dan mereka hanya mahu mengamalkan agama mereka dengan aman.

Maka, Raja telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mereka dipulangkan. Namun delegasi Mekah telah pergi berjumpa dengan Raja sekali lagi pada esoknya dan mereka mengatakan bahawa mereka yang lari itu telah meninggalkan agama asal mereka. Mereka sedang mengamalkan agama yang baru yang sesat, kata delegasi itu. Mereka juga menentang agama yang lain dari mereka, sambungnya lagi. Mungkin mereka pun tidak menerima ajaran Kristian dan mengata tidak baik tentang Nabi Isa عليه السلام.

Maknanya delegasi Mekah itu telah cuba meracuni fikiran Raja Habasyah. Raja terkesan sedikit kerana beliau adalah orang Kristian yang taat. Maka Raja telah memanggil orang Islam dan bertanyakan mereka tentang pegangan mereka tentang Nabi Isa عليه السلام.

Jaafar Abu Talib رضي الله عنه sebagai ketua orang Islam waktu itu telah menjawab bagi pihak sahabat yang lain. Mereka telah bermesyuarat sebelum itu dan mereka sepakat bahawa jikalau Raja bertanyakan tentang Nabi Isa عليه السلام, mereka akan bercakap dengan benar dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.

Maka Jaafar رضي الله عنه mula membacakan Surah Maryam. Selepas beberapa ayat, Raja suruh mereka berhenti membaca kerana beliau tidak tahan kerana terkesan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan beliau menangis dan mengatakan ia adalah cerita yang menyayat hati dan benar belaka. Maka raja telah menyuruh Musyrikin Mekah pulang dan membenarkan orang Islam tinggal di Habasyah.

Kejadian itu berlaku dalam lebih kurang tahun kelima Kenabian. Maka Surah Maryam mungkin diturunkan pada hujung tahun keempat Kenabian. Surah ini diberikan sebagai ‘buah tangan’ kepada mereka yang akan berhijrah ke Habasyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang Kristian. Allah ‎ﷻ menurunkan surah ini pada masa yang diperlukan oleh mereka untuk mereka berhadapan dengan orang Kristian.

Surah ini adalah kesinambungan daripada surah sebelum ini, iaitu Surah Kahf, yang sudah menyentuh tentang salah faham Kristian. Maka, surah Maryam ini menceritakan dengan lebih panjang lagi tentang salah faham mereka. Salah faham mereka adalah tentang kedudukan Nabi Isa عليه السلام yang mereka anggap sebagai anak Tuhan.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Tentang Nabi Zakaria عليه السلام dan kelahiran anaknya Nabi Yahya عليه السلام. Umur Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya sudah sangat tua waktu itu. Isterinya pula tidak pernah melahirkan anak. Maka kelahiran Yahya عليه السلام adalah kelahiran yang ajaib.

Kemudian disambung dengan kelahiran Nabi Isa عليه السلام pula yang juga lebih ajaib.

 

2. Tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi-Nabi yang lain. Permulaan surah adalah untuk menghadapi orang Kristian dan akhirnya menghadapi orang musyrik maka dibawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun mereka musyrik, mereka masih memandang tinggi terhadap Nabi Ibrahim عليه السلام.

Begitu juga, orang Kristian menghormati Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda adalah salah seorang dari Nabi mereka. Maka kisah Nabi Ibrahim عليه السلام diletakkan di tengah-tengah.

Kisah Nabi-nabi lain itu dimasukkan untuk menunjukkan bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa bukanlah perkara baru sangat. Ia memang telah ada dibawa oleh Nabi-nabi yang lain.

 

3. Tentang Musyrikin Mekah.

Surah ini juga menceritakan tentang salah faham Musyrikin Mekah dan mereka yang sama fahaman seperti mereka itu. Jangan sangka Musyrikin Mekah sahaja yang buat syirik. Entah-entah dalam masyarakat kita pun ada fahaman dan amalan syirik walaupun beragama Islam.

 

Surah ini juga menceritakan tentang kepentingan menyampaikan ajaran agama kepada anak-anak kita. Ini untuk memastikan kesucian agama ini berterusan. Kita memang mahukan kebaikan kepada anak-anak kita. Kita hendak mereka sihat dan makan pakai mereka cukup selama mereka hidup.

Tapi jangan hanya fikirkan tentang kelangsungan hidup keduniaan mereka sahaja. Banyak diceritakan tentang perkara ini dalam kisah-kisah yang akan disampaikan. Dalam kisah Nabi Zakaria عليه السلام dan Yahya عليه السلام, Maryam dan Isa عليه السلام dan juga Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita dalam dunia sekarang menghadapi masalah penjagaan anak. Kita bising tentang akhlak dan pengetahuan agama anak-anak sekarang yang umumnya kurang dan akhlak mereka buruk. Kenapa jadi begitu? Kerana ibubapa tidak mengajar agama kepada anaknya.

Mereka tidak ajar kerana mereka sendiri tidak tahu agama. Maka bagaimana mereka hendak mengajar keluarga mereka? Selalunya ibubapa suruh anak belajar di sekolah sahaja sedangkan yang terbaik adalah didikan agama dari ibu bapa sendiri. Maka kena mantapkan pengetahuan agama untuk diri sendiri.

Surah ini juga menempelak mereka yang menjadikan kedudukan Nabi Isa عليه السلام itu berlebihan sampai menaikkan taraf baginda terlalu tinggi melebihi taraf manusia. Maka diingatkan supaya kita pun tidak berbuat begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ramai juga orang kita yang ada masalah ini.

Dari kisah Nabi Ibrahim عليه السلام, diberikan contoh bagaimana seorang anak itu kadang-kadang lebih beragama dan lebih berpengetahuan daripada bapanya sendiri. Maka tidak salah kalau ibu dan bapa mendengar nasihat dan mengambil ilmu agama daripada anak sendiri.

Surah ini juga memujuk para sahabat yang sedang ditindas oleh Musyrikin Mekah. Mereka diberikan dengan janji bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang berkekalan.

Ulama’ juga membincangkan kedudukan susunan surah ini dalam Al-Qur’an. Surah sebelum surah ini adalah Surah Kahf. Ia menceritakan empat kisah di dalamnya. Telah disampaikan kisah-kisah tentang perkara yang menolak logik – bagaimana ada pemuda-pemuda yang tidur beratus tahun dalam gua; Tentang Nabi Khidr عليه السلام, tentang Dzulqarnain dan lain-lain lagi.

Kemudian sekarang dalam Surah Maryam juga akan disampaikan kisah yang ajaib juga iaitu kelahiran ajaib Nabi Isa عليه السلام. Maka, dari satu surah yang menceritakan tentang kejadian ajaib kepada satu lagi surah tentang kejadian yang ajaib.

Dalam ayat kedua terakhir Surah Kahf, ada disebutkan tentang ‘kalimat’. Makna ‘kalimat’ mempunyai banyak maksud. Ia adalah apa sahaja yang menunjukkan kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk. Dalam ayat itu Allah ‎ﷻ berfirman, kalau segala laut dijadikan sebagai dakwat, tidak akan cukup untuk memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ dan segala pemberian-Nya.

Maka dalam Surah Maryam ini akan disebut tentang Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام yang juga ada disebut sebagai ‘kalimat’ Allah ‎ﷻ.

Dalam Surah Maryam, Nabi Zakaria عليه السلام dikatakan sebagai hamba-Nya. Begitu juga dalam permulaan dalam surah Kahf di mana Nabi Muhammad ﷺ juga dikatakan sebagai hamba-Nya.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 Perenggan Makro. Perenggan Makro Pertama dari ayat ini sehingga ke ayat 15. Ia berkenaan kisah Ajaib Nabi ZAKARIYA عليه السلام dan Nabi YAHYA عليه السلام. Kisah itu ajaib kerana pasangan tua dan mandul boleh mendapat anak.

كهيعص

Sahih International

Kaf, Ha, Ya, ‘Ayn, Sad.

 

Malay

Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad

 

كهيعص

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang ‘dipotong-potong’. Kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Kita tidak tahu kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ.

Ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, tetapi ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Ayat kedua dari surah ini sahaja yang kita boleh hendak mula tafsir. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan ilmu.

Allah ‎ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia hendak berikan pengetahuan. Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita. Kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya.

Bangsa Arab di zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Mereka selalu mengadakan pertandingan sajak dan syair sebagai pertandingan dalam bahasa. Sampaikan kalau sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, sebagai contoh, kalau dieja huruf ya dan seen يس, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘yas’. Tetapi tidak begitu. Begitu juga dengan huruf-huruf كهيعص ini. Maka mereka tertanya-tanya apakah maksudnya? Apakah yang hendak disampaikan? Kalau yang tidak mahu dengar pun akan mula memberi perhatian.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian orang untuk mendengarnya.

Manakala ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah selalunya tentang Al-Qur’an, maka mereka mengambil maksud bahawa Allah ‎ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Ada 29 surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah. 24 daripadanya terus menyebut tentang Al-Qur’an selepas dibacakan huruf muqatta’ah. Lagi lima tidak terus menyebut tentang Al-Qur’an termasuk surah Maryam ini. Kenapa begitu?

Ulama’ turut membincangkan perkara ini. Mereka mengatakan walaupun dalam lima surah itu tidak menyebut dengan jelas tentang Al-Qur’an, tetapi ia menyebut tentang Al-Qur’an secara tersirat atau secara tidak langsung. Sebagai contoh, selepas huruf muqatta’ah كهيعص dalam surah Maryam ini, ayat kedua ada menyebut perkataan ذِكْرُ, dan ذِكْرُ adalah salah satu daripada nama Al-Qur’an.

Keduanya, walaupun di awal surah tidak disebut tentang Al-Qur’an, tetapi di akhir surah nanti akan disebut juga.

Ketiganya, ulama’ bahas lagi bahawa tidak ada keperluan lagi untuk disebut Al-Qur’an selepas huruf-huruf muqatta’ah. Kerana sudah banyak kali sebut di 24 tempat yang lain. Macam kalau cikgu panggil pelajar dan suruh mereka ambil kerja mereka. Kita akan kata: “Ahmad, ambil kerja rumah kaum, Salmi, ambil kerja rumah kamu….”. Sampai kepada murid kelima dan seterusnya, cikgu itu tidak payah sebut lagi kenapa kena ke hadapan. Cikgu akan sebut nama sahaja kerana anak murid sudah tahu.

Begitu juga dengan lima surah yang tidak ada kaitan terus dengan Al-Qur’an. Kerana sudah banyak sangat sebutan tentang Al-Qur’an apabila ada huruf muqatta’ah, maka seperti kita sudah terbiasa – apabila dibacakan huruf muqatta’ah sahaja, terus kita teringat Al-Qur’an. Maka kita boleh katakan, Al-Qur’an melatih kita untuk ingat Al-Qur’an sentiasa.

Nabi ﷺ sendiri mengajar bagaimana cara membaca huruf-huruf muqatta’ah ini. Sebab itu kita baca huruf kaf panjang, huruf ha dan ya pendek dan huruf-huruf seterusnya panjang. Maka, hendaklah kita ikut cara bacaan sebegitu yang telah diajar.


 

Ayat 2:

ذِكرُ رَحمَتِ رَبِّكَ عَبدَهُ زَكَرِيّا

Sahih International

[This is] a mention of the mercy of your Lord to His servant Zechariah

Malay

(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

 

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ

Ceritakanlah kepada manusia tentang rahmat Tuhan kamu

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Tidak disebutkan apakah rahmat Tuhan itu. Salah satu sebabnya adalah untuk memberikan penekanan itu adalah dari Tuhan. Bukan rahmat yang hendak ditekankan, tapi Allah ﷻ.

Apakah yang hendak disampaikan? Seperti yang telah disebut, surah ini diturunkan di waktu Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sedang ditindas dengan teruk. Mereka seperti tidak nampak ada harapan lagi. Kalau lihat kepada keadaan masa itu, nampak seperti masa hadapan mereka adalah gelap. Kerana mereka lemah pada waktu itu, dan orang-orang kafir amat kuat menindas mereka.

Tetapi Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ dan para sahabat akan rahmat-Nya. Begitu banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada umat-umat terdahulu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberi nikmat kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Keadaan baginda pada waktu itu pun seperti tidak ada harapan untuk mendapat anak. Baginda sendiri sudah tua sangat dan isterinya dari muda lagi tidak pernah berjaya mendapat anak.

Kalau ikut logik akal, memang tidak ada harapan untuk mendapat anak. namun Allah ‎ﷻ kurniakan juga kepada baginda seorang anak. Begitu jugalah kepada kita yang hendak mengamalkan jalan sunnah ini. Begitu ramai sekali dalam Malaysia ini yang mengamalkan syirik dan bid’ah. Kalau dibandingkan dengan mereka, kita amat sedikit sekali. Mereka mempunyai saluran-saluran yang kuat untuk menyebarkan fahaman salah mereka.

Oleh kerana ia sudah biasa diamalkan oleh masyarakat semenjak dahulu lagi, maka masyarakat lebih selesa memegang pandangan mereka. Kalau kita cerita sedikit tentang sunnah, terus kita dilabelkan sebagai Wahabi. Terus mereka memandang serong kepada kita. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ boleh mengubah keadaan. Dari keadaan yang tidak selesa, umat Islam zaman Nabi ﷺ telah mencapai kejayaan sampai berjaya menakluk Mekah.

Ayat ini memujuk Nabi ﷺ dan para sahabat. Bahawa Allah ‎ﷻ tidak lupa kepada mereka. Mereka cuma perlu bersabar seperti Nabi Zakaria عليه السلام bersabar. Mereka perlu terus berdoa seperti Nabi Zakaria عليه السلام telah terus berdoa. Maka akan diajar bagaimana cara doa Nabi Zakaria عليه السلام nanti.

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ juga seorang manusia. Seorang manusia akan ada perasaan sedih, takut dan sebagainya. Bukanlah kerana baginda seorang Nabi, baginda tidak terkesan dengan kata-kata dan tohmahan dari kafir Musyrikin Mekah itu. Maka janganlah kita sangka bahawa Nabi itu luar biasa sangat sampai kita puja baginda melebihi kedudukan baginda sebagai manusia.

Nabi ﷺ tidak dapat mengawal apakah yang terjadi kepada baginda dan sahabat, maka tentulah baginda bersedih. Baginda tidak tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan kerana baginda tidak tahu perkara ghaib, jadi baginda risau dan takut. Maka Allah ‎ﷻ memberi ketenangan kepada baginda dengan menceritakan apakah rahmat yang Dia telah berikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام.

 

عَبْدَهُ زَكَرِيَّ

(kepada) hamba-Nya yang bernama Zakaria.

Nabi Zakaria عليه السلام adalah salah seorang Nabi yang besar dalam Bani Israil. Dalam hadith disebutkan bahawa baginda adalah seorang tukang kayu dan baginda mencari rezeki dengannya.

Waktu ini Nabi Zakaria عليه السلام sudah lama menjadi Nabi. Mengikut satu riwayat, semasa kisah ini berlaku, baginda berumur 120 dan isterinya sekitar 90 tahun. Ramai yang belajar dengan baginda tapi tidak ada orang-orang Yahudi yang belajar dengannya yang layak untuk menjadi alim dan menyambung tugas baginda menyebarkan agama Islam kepada manusia. Jadi, baginda bimbang kalau tidak ada penggantinya, agama Islam ini akan hilang. Itulah kerisauan baginda.

Jadi, selepas ini adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام.


 

Ayat 3: Dalam ayat kedua, tidak disebutkan tentang apakah nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Sekarang Allah ‎ﷻ mula hendak menceritakan tentang nikmat itu.

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا

Sahih International

When he called to his Lord a private supplication.

 

Malay

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

 

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ

Ketika memanggil / berdoa Nabi Zakaria kepada Tuhannya

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah نَادَىٰ. Ia berbeza dengan perkataan ‘doa’. Doa adalah apabila kita bercakap dan kita tahu orang yang kita sedang bercakap itu mendengar cakap kita. Seperti contohnya, orang itu ada dalam bilik dengan kita.

Tetapi perkataan نَادَىٰ itu digunakan apabila seseorang hanya menyuarakan rintihan hatinya. Dia buat begitu kerana dia tidak tahan sangat. Dan dia akan meraung kuat-kuat.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Zakaria عليه السلام‎ berdoa ini di waktu malam apabila manusia lain sedang tidur. Iaitu pada waktu qiyamullail.

 

نِدَاءً خَفِيًّا

dengan suara yang lembah lembut;

Ini adalah suara lemah lembut kerana sedang merayu dan merintih. Jadi kita sebagai makhluk Allah ‎ﷻ, hendaklah berdoa dengan merayu kepada Allah ‎ﷻ. Dengan suara yang lemah lembut.

Jangan kita minta Tuhan berbagai-bagai perkara tetapi langsung tidak dalam nada merayu dan dalam nada sombong macam Tuhan kena beri kepada kita.

Kita pun kenalah merendahkan diri kita dengan mengaku kesalahan kita yang kita sudah buat selama hari ini. Jangan kita tahu minta sahaja tetapi tidak mengaku tentang kesalahan dan dosa yang telah banyak kita buat.

Tadi kita telah belajar bahawa perkataan نِدَاءً bermaksud menyuarakan pengharapan dengan kuat. Iaitu seseorang yang dalam keadaan “desperate”. Tetapi selepas itu digunakan perkataan خَفِيًّا. Ia bermaksud sesuatu yang senyap dan tersembunyi. Kenapa seperti ada perbezaan dari segi maksud itu?

Salah satu keindahan dalam surah ini adalah perkataan yang berlawanan diletakkan bersama. Jadi, kita kena tahu apakah yang dimaksudkan dalam percanggahan itu.

Mufassir mengatakan bahawa tidak ada percanggahan dalam dua perkataan ini. Memang Nabi Zakaria عليه السلام merayu bersungguh-sungguh meluahkan perasaannya, tetapi kepada siapa? Kepada رَبَّهُ Tuhannya – Allah ‎ﷻ maha mendengar. Sebenarnya tidak perlu bercakap dengan kuat dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ maha tahu apakah dalam hati kita dan kehendak dan keperluan kita. Kita tidak cakap pun Allah ‎ﷻ tahu.

Jadi, perkataan نِدَاءً dalam ayat itu adalah berkenaan gelora dalam hatinya, baginda memohon kepada Allah ‎ﷻ dengan nada yang mengharap sangat. Baginda memohon bersungguh-sungguh.

Ulama’ membincangkan apakah cara doa yang paling sesuai? Adakah dengan mengeluarkan suara atau tidak? Pendapat yang kuat mengatakan lebih baik dengan mengeluarkan suara tapi dengan suara yang perlahan. Ia lebih rapat kepada Allah ‎ﷻ. Kerana sama sahaja kalau kita cakap dengan kuat atau berbisik, Allah ‎ﷻ akan mendengar juga.

Tetapi apabila dengan suara perlahan, ia lebih peribadi dan menghalang daripada rasa riak. Dan ia adalah permintaan yang lebih khusyuk. Cuma dalam keadaan tertentu boleh dikuatkan. Iaitu sebagai contoh, doa dalam majlis orang ramai untuk semua orang dan juga apabila hendak mengajar orang lain cara berdoa.

Atau kalau sedang doa merawat orang (ruqyah), memang kena dikuatkan supaya orang di sekeliling tahu yang kita bukannya berdoa kepada makhluk tetapi kepada Allah ‎ﷻ dan doa itu dengan cara yang betul (bukan tawassul).

Maka kerana itulah Nabi Zakaria عليه السلام berdoa dengan perlahan kerana baginda sedang mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Ataupun mungkin Nabi Zakaria memulakan doa dengan suara yang kuat. Tetapi kerana doa begitu mengharap dan dengan emosi, maka baginda menangis sampai hilang suaranya.

Atau baginda memang mahu meraung, tetapi kerana baginda sudah tua, maka baginda tidak mampu, jadi suaranya menjadi perlahan sahaja.

Pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini adalah betapa kita perlu percaya kepada Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ walau apapun. Kalau Nabi Zakaria عليه السلام memikirkan keadaannya, tentulah baginda tidak minta kepada Allah ‎ﷻ lagi kerana baginda sudah tua sangat dan isterinya tidak pernah melekat dapat anak. Namun baginda tahu bahawa Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja.

Maka baginda minta kepada Allah ‎ﷻ seolah-olah baginda tidak ada apa-apa masalah dan halangan pada Allah ‎ﷻ untuk memakbulkan doanya. Itu memerlukan kepercayaan yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi kadang-kadang kita segan hendak doa kepada Allah ‎ﷻ. Kita rasa macam Allah ‎ﷻ tidak mampu hendak beri apa yang kita minta tu. Adakah Allah ‎ﷻ begitu? Kenapa kita ada sangka buruk dengan Allah ‎ﷻ? Kenapa pula kita hendak kena ada rasa sangsi dengan kemampuan Allah ‎ﷻ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Zumar Ayat 72 – 75 (Masuk neraka berbondong-bondong)

Zumar Ayat 72: Dan malaikat-malaikat itu akan berkata:

قيلَ ادخُلوا أَبوٰبَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ

Sahih International

[To them] it will be said, “Enter the gates of Hell to abide eternally therein, and wretched is the residence of the arrogant.”

Malay

(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.

 

قِيلَ ادْخُلُوا أَبْوٰبَ جَهَنَّمَ

Akan dikatakan: Masuklah kamu melalui pintu-pintu neraka jahanam itu.

Oleh kerana mereka degil untuk taat, tidak mahu belajar wahyu, tidak ikut arahan dari wahyu itu, maka natijahnya, masuklah ke dalam neraka ini. Bukan masuk dengan senang lenang, tetapi dengan dilemparkan mereka itu ke dalam neraka dengan kasar sekali. Ada banyak jenis neraka dan mereka akan dimasukkan ikut neraka yang ditetapkan untuk mereka.

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

tinggal tetaplah kamu di dalamnya

Tidak ada peluang hendak keluar lagi dari neraka. Ini kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik, tidak beramal dengan tauhid. Kalau mereka orang beriman, tetapi ada dosa yang banyak, maka mereka kena dimasukkan ke dalam neraka dahulu tetapi akhirnya akan masuk ke dalam syurga juga.

فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Inilah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.

Sombong sebab tidak mahu belajar agama. Sombong tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana mereka sangka mereka sudah tahu tentang agama. Sebab mereka ada guru yang mengajar mereka benda-benda lain. Mereka sangka sudah cukup apa yang mereka belajar itu. Mereka sangka mereka sudah selamat dengan amalan bidaah mereka. Maka mereka jadi sombong untuk terima kebenaran.

Sebab itu bila diajak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu hendak belajar. Ada yang kata, tidak perlu belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis, cukup dengan kenal Tuhan. Tetapi bagaimana hendak kenal Tuhan, kalau bukan melalui Al-Qur’an? Ini bermakna, mereka mengenal Tuhan dengan cara lain. Mesti ada cara salah yang mereka telah belajar untuk mengenal Allah ﷻ. Tidak patut kenal Allah ﷻ kalau tidak melalui wahyuNya. Allah ﷻ sendiri memperkenalkan DiriNya melalui KalamNya, mereka tidak mahu terima. Tetapi mereka terima kata guru-guru mereka yang salah itu.

Macam mana kita tahu mereka salah? Kerana kalau tidak pakai ayat-ayat Al-Qur’an, kita sudah dapat agak yang mesti salah. Semua ilmu agama mesti berdasarkan kepada Al-Qur’an dan Sunnah untuk selamat. Tetapi ramai yang tidak mahu pakai ilmu wahyu. Mereka membesarkan guru mereka dari ayat-ayat Allah ﷻ. Guru-guru mereka itu mengajar agama bukan dari Al-Qur’an dan Hadis.

Maka, ajaran mereka itu tidak tepat. Maka, masyarakat pun buat perkara yang salah. Bayangkan, cara takbir pun sudah macam-macam jenis kalau kita lihat di masjid semasa solat berjemaah. Padahal, telah diajar cara takbir dalam hadis dengan jelas. Tetapi, sebab tidak belajar hadis, mereka mereka-reka perkara agama dan amal ibadah.

Maka yang layak bagi mereka adalah kekal dalam neraka. Kalimah مَثوَى dari katadasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.


 

Zumar Ayat 73: Tabshir Ukhrawi. Ini pula tentang orang-orang yang mukmin, iaitu ahli-ahli syurga. Bandingkan dengan cara mereka dimasukkan ke dalam syurga. Sebelum ini tentang ahli-ahli neraka.

وَسيقَ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم إِلَى الجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها وَفُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها سَلٰمٌ عَلَيكُم طِبتُم فَادخُلوها خٰلِدينَ

Sahih International

But those who feared their Lord will be driven to Paradise in groups until, when they reach it while its gates have been opened and its keepers say, “Peace be upon you; you have become pure; so enter it to abide eternally therein,” [they will enter].

Malay

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk)

 

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا

Dan diajak orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka ke syurga dalam berkumpulan juga

Perkataan وَسِيقَ juga digunakan dalam ayat ini. Mereka akan dimasukkan dengan segera juga. Tetapi dengan cara yang baik, bukan macam ahli neraka. Mereka dipersilakan masuk dengan segala kehormatan. Kerana ahli-ahli syurga juga dibawa dengan cepat ke syurga, supaya mempercepatkan mereka menerima nikmat syurga. Mereka tidak jalan sendiri tetapi dibawa dengan kenderaan sebagai penghormatan kepada mereka.

Mereka juga dibahagikan ikut kumpulan: ada kumpulan banyak solat, ada yang banyak puasa, ada yang pendakwah, dan sebagainya. Golongan yang pertama masuk adalah kaum Muqarribin, lalu kaum Abrar, kemudian orang-orang sesudah mereka, lalu menyusul golongan sesudah mereka lagi.

Masing-masing rombongan digabungkan bersama orang-orang yang setara kedudukannya, iaitu para nabi dengan para nabi, kaum siddiqin bersama orang-orang yang setara dengan mereka, para syuhada bersama orang yang sejenis dengan mereka, dan para ulama bersama teman-temannya; setiap golongan bersama golongan yang setingkat satu sama lainnya.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوٰبُهَا

Apabila mereka sampai, maka pintu syurga sudah terbuka.

Sebab dalam lafaz وَفُتِحَتْ ini ada huruf ‘و‘ menunjukkan pintu syurga sudah siap-siap terbuka. Dalam ayat sebelum ini tentang ahli neraka, tidak ada huruf و itu dan itu isyarat pintu tidak terbuka dan mereka kena tunggu. Tetapi bagi ahli syurga, pintu syurga sudah terbuka menunggu mereka datang sahaja.

Sebab menunggu sesuatu adalah satu azab. Bayangkan kalau kita pergi ke satu kenduri kahwin, kita sudah sampai, tetapi gate rumah kenduri itu tidak dibuka lagi. Tentulah kita tidak suka. Maka ahli syurga tidak akan dibiarkan menunggu lama. Itu adalah satu nikmat juga.

Pintu syurga itu tidak pernah ditutup dari dulu lagi, kerana menunggu ahlinya untuk masuk sahaja. Tidak macam pintu neraka yang sentiasa tertutup. Pintu itu pun sudah hebat, belum masuk ke dalam lagi. Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Abu Zar’ah, dari Abu Hurairah رضي الله عنه tentang hadis syafaat yang cukup panjang, yang antara lain seperti berikut:

“فَيَقُولُ اللَّهُ يَا مُحَمَّدُ، أَدْخِلْ مَنْ لَا حِسَابَ عَلَيْهِ . مِنْ أُمَّتِكَ مِنَ الْبَابِ الْأَيْمَنِ، وَهُمْ شُرَكَاءُ النَّاسِ فِي الْأَبْوَابِ الْأُخَرِ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ مَا بَيْنَ الْمِصْرَاعَيْنِ مِنْ مَصَارِيعِ الْجَنَّةِ -مَا بَيْنَ عِضَادَتَيِ الْبَابِ-لَكُمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَهَجَرٍ-أَوْ هَجَرٍ وَمَكَّةَ”. وَفِي رِوَايَةٍ: “مَكَّةَ وَبُصْرَى”

Maka Allah berfirman, “Hai Muhammad, masukkanlah orang yang tidak ada hisab baginya dari kalangan umatmu dari pintu sebelah kanan, dan pintu lainnya dipersekutukan oleh semua orang. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya jarak di antara kedua sisi pintu dari salah satu pintu syurga iaitu lebar dari kedua daun pintu (gerbang)nya benar-benar sama dengan jarak antara Mekah ke Hajar atau antara Hajar ke Mekah. Dan menurut riwayat lain disebutkan: antara Mekah dan Basra.

 

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ

Maka berkata penjaga syurga kepada mereka: selamat sejahtera ke atas kamu

Pada pintu syurga itu ada malaikat yang jaga sebagai penyambut tetamu yang mulia. Mereka itu adalah Malaikat Ridhwan. Seperti kalau kita pergi ke sesuatu majlis, tentu ada usher yang akan menjemput kita masuk. Malaikat itu akan menyambut kita dengan muka yang amat manis. Tengok muka malaikat itu pun sudah nikmat, belum masuk dalam syurga lagi.

Masuklah dengan sejahtera ke dalam syurga ini. Antara maksudnya, masuk dengan gembira, untuk menerima segala nikmat di dalamnya. Tidak ada kesusahan lagi ke atas mereka. Tidak ada kerja, tidak ada sakit, tidak ada sedih, tidak akan susah selama-lamanya.

طِبْتُمْ

Bergembiralah kamu

Pujian akan diberikan kepada ahli syurga semasa mereka masuk ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan berita gembira. Bergembiralah kamu kerana dulu kamu telah beramal dengan amal kebaikan dan mengamalkan tauhid. Jadi ini adalah seperti lafaz syabas yang diberikan kepada ahli syurga.

فَادْخُلُوهَا خٰلِدِينَ

Masuklah kamu ke dalam syurga ini, kekal kamu di dalamnya.

Tidak ditanya kepada mereka sama ada pendakwah datang atau tidak kepada mereka. Kerana memang sudah tahu yang mereka masuk syurga itu kerana mereka telah mendengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi dan para pendakwah.

Ucapan yang diberikan kepada ahli syurga adalah perkara baik-baik belaka. Diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Kerana itu adalah nikmat yang amat besar. Kalau masuk syurga, tetapi diberitahu masuk sekejap sahaja, tentu tidak puas menikmati nikmat dalam syurga kerana ada rasa yang tidak lama lagi akan keluar, bukan?

Dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak memberitahu kenapa mereka dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi ia diberitahu dalam ayat lain. Iaitu kerana mereka sabar. Sabar dalam beramal dengan agama.


 

Zumar Ayat 74: Ini adalah kata ahli-ahli syurga.

وَقالُوا الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ ۖ فَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Sahih International

And they will say, “Praise to Allah , who has fulfilled for us His promise and made us inherit the earth [so] we may settle in Paradise wherever we will. And excellent is the reward of [righteous] workers.”

Malay

Serta mereka berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.

 

وَقَالُوا الْحَمْدُ ِللهِ

Dan berkata mereka, segala puji *hanya* kepada Allah,

Kita kena kata pujian *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja. Kerana semua pujian akhirnya akan kembali kepada Allah ﷻ. Lihat perbincangan dalam Surah al-Fatihah. Maka, pujian sebenar hanya untuk Allah ﷻ sahaja.

Kita selalu cakap الْحَمْدُ ِللهِ setiap hari. Tetapi semasa ahli syurga cakap الْحَمْدُ ِللهِ waktu dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama langsung dengan ucapan kita semasa di dunia ini. Waktu itu mereka sudah berjaya masuk syurga, mereka sudah nampak segala kenikmatan syurga, maka cara mereka cakap الْحَمْدُ ِللهِ waktu itu pun tentu sudah lain.

Kalau kita cemas nak kena langgar dengan kereta dan Allah ﷻ selamatkan kita, pun sudah lain cara kita sebut الْحَمْدُ ِللهِ. Tambahan pula kalau dapat masuk dalam syurga nanti. Memang tidak dapat dibayangkan. Maka hendaklah kita berharap dan berusaha untuk masuk ke dalam syurga.

الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ

yang telah membenarkan janjiNya

Pujian yang istimewa mereka berikan kepada Allah ﷻ yang telah menjadikan janjiNya realiti. Sesiapa yang buat amalan, sebar agama, buat baik dan sebagainya, akan dibayar dengan kebaikan di akhirat nanti. Allah ﷻ tidak memungkiri janjiNya. Dan ahli syurga waktu itu menjadi saksi yang memang ia telah berlaku. Jadi mereka amat menghargai kebenaran janji Allah ﷻ itu.

 

وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ

dan Dia telah mewariskan kami bumi syurga ini

Kita sebenarnya mewarisi syurga itu daripada datuk kita iaitu Adam عليه السلام. Maka, syurga itu sebenarnya hak kita. Kita sepatutnya duduk di syurga kerana itulah tempat datuk kita. Dan memang tempat kita di dalam syurga sudah tersedia.

Tetapi, ada antara kita yang buang tempat kita dalam syurga dan buat perkara yang memasukkan kita ke dalam neraka. Ini macam ada tiket kapal terbang untuk pergi melancong tetapi tidak naik kapal terbang itu. Alangkah ruginya. Namun, ia tidaklah serugi kalau melupakan tiket masuk syurga yang kita telah ada ini.

 

نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاءُ

dan kami boleh menetap di mana sahaja yang kami kehendaki

Ahli syurga bebas untuk bergerak dan buat apa sahaja dalam syurga. Boleh ambil apa sahaja dalam syurga itu kerana apa sahaja yang kita nampak dalam syurga itu adalah hak kita, telah tersedia untuk kita. Tidak perlu hendak tanya mana satu kita punya, kerana boleh ambil semuanya sekali.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa ahli syurga dapat bergerak dan melawat tempat-tempat syurga yang lain. Mungkin dia dapat naik ke tingkatan yang tinggi untuk melawat para Nabi عليهم السلام. Ada satu hadis berkenaan perkara ini:

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah ﷺ dan berkata, “Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika sudah bertemu barulah hatiku menjadi tenang dan gembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati ini bertambah cemas dan takut kalau-kalau tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi. Sedangkan saya belum tentu, entah di syurga paling bawah atau yang paling mencemaskan, kemungkinan tidak dimasukkan ke syurga langsung. Jika demikian, tentu saya tidak akan bertemu denganmu lagi.” Rasulullah amat terharu mendengar perkataan Tsauban. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana balasan syurga atau neraka bagi setiap hamba itu hak dan urusan Allah. Maka setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah ﷺ yang berbunyi; “Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: nabi-nabi, para shiddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (QS An Nisaa’:69). Mendengar jaminan itu Tsauban pun tersenyum. Hatinya menjadi tenang dan gembira kembali.

Tidak ada larangan lagi apabila sudah masuk dalam syurga. Makan apa sahaja yang hendak makan, tidak ada kerisauan tidak cukup makanan, orang lain pun hendak makan juga, adakah ianya akan menyebabkan kita sakitkah atau apa-apa sahaja yang menghalang. Kita akan makan sebanyak nafsu makan seribu orang. Sebab di syurga tidak akan kenyang-kenyang. Sebab kalau kenyang, kita tidak makan banyak.

Tetapi tidaklah kita lapar sebenarnya, kerana di syurga tidak ada rasa lapar – kita makan untuk menikmati makan sahaja. Kekuatan seks pula adalah sekuat seratus kali ganda lelaki di dunia sekarang. Semuanya ini diceritakan dalam hadis.

Apa-apa sahaja kemahuan kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ianya adalah satu tempat untuk kita menikmati segala nikmat. Tubuh badan kita pun telah dinaiktaraf untuk menikmati segala nikmat di syurga nanti. Kita hendak ubah rupa kita pun boleh juga. Oleh itu, tidakkah kita rasa teringin untuk masuk ke dalam syurga?

Bayangkan, satu dunia akan jadi hak kita. Saiz dunia sekarang ini, akan jadi hak kita sahaja. Segala apa yang ada di syurga itu adalah hak kita.

فَنِعْمَ أَجْرُ الْعٰمِلِينَ

itulah sebaik-baik nikmat balasan kepada orang yang berbuat baik dalam amalan. 

Kita tidak masuk syurga kerana amalan kita kerana kalau dikira amalan kita, tidak layak untuk mendapatkan tempat kita di syurga. Bayangkan, amalan kita paling banyak pun dalam 60 tahun sahaja, itu pun bukan sepanjang hayat kita dan sepanjang hari kita buat ibadah – tetapi duduk di syurga selama-lamanya – mana cukup.

Tetapi Allah ﷻ kata kita masuk syurga kerana amalan kita. Bagaimana pula? Begini: kita tidak layak untuk kata kita masuk syurga kerana amalan kita, tetapi Allah ﷻ boleh kata kita masuk syurga kerana amalan kita. Kerana Dia yang menetapkan syarat itu. Kalau Dia telah letak syarat kita boleh masuk syurga dengan amalan kita, maka begitulah yang Dia telah tetapkan.

Satu perbandingan: ayah kita ada tanah seekar. Harganya mahal berpuluh ribu ringgit. Tetapi kerana kita anaknya, ayah kita kata: “Kau bagi aku lima ribu cukuplah, buat bekal aku nak buat Umrah tahun ini.” Maka kita tidak boleh kata harga tanah itu lima ribu kerana kita pun tahu bukan itu harganya. Tetapi ayah kita telah bermurah hati hendak bagi tanah itu dengan harga murah.


 

Zumar Ayat 75: Ini keadaan di Mahsyar sebelum perbicaraan dimulakan. Ini adalah seperti ulang tayang keadaan di Mahsyar sebelum manusia dimasukkan ke neraka dan syurga. Akan tetapi walaupun ianya belum terjadi lagi Allah ﷻ boleh beritahu kita apa yang akan terjadi. Allah ﷻ menceritakan tentang kehebatan akhirat.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ


Sahih International
And you will see the angels surrounding the Throne, exalting [ Allah ] with praise of their Lord. And it will be judged between them in truth, and it will be said, “[All] praise to Allah, Lord of the worlds.”

 

Malay

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

 

وَتَرَى الْمَلَائِكَةَ حَافِّينَ مِنْ حَوْلِ الْعَرْشِ

Kamu akan dapat lihat malaikat-malaikat terbang mengelilingi sekeliling Arasy

Ini adalah pemandangan yang menyebabkan kita tidak berani hendak berkata apa-apa. Kita akan takjub melihat kehebatan para malaikat itu, dengan keadaan mereka dan dengan melihat banyaknya mereka. Sekarang memang kita tidak bayangkan kerana ia akan berlaku di masa hadapan.

يُسَبِّحُونَ

sambil bertasbih menyucikan Tuhan

Mereka menyucikan Allah ﷻ dari perbuatan dan fahaman musyrikin. Mereka mengatakan perbuatan manusia yang sembah selain Allah ﷻ itu adalah salah. Mereka hendak ‘menyejukkan’ hati Tuhan ﷻ. Itulah pemahaman kita setakat yang kita boleh sampaikan. Macam orang yang marah, kita cuba hendak tenangkan hatinya.

بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

Dan memuji Tuhan mereka

Bukan sahaja mereka menyucikan Allah ﷻ, tetapi mereka memujiNya juga. Ini sama macam nafi dan ithbat dalam kalimah la ilaaha illallah. la ilaah adalah nafi dan illallah adalah ithbat. Begitu juga, dalam tasbih adalah nafi dan tahmid adalah ithbat.

 

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

Maka diberi keputusan di antara mereka dengan seadil-adilnya

Antara malaikat pun ada juga keputusan yang akan diberikan. Kerana mereka pun ada perbezaan pendapat di kalangan mereka dahulu. Masih ingat lagi bagaimana mereka dulu mempersoalkan kenapa Allah ﷻ hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi? Itu pun akan diberikan keputusan oleh Allah ﷻ.

وَقِيلَ الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

dan malaikat-malaikat akan berkata: segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Sekali lagi digunakan perkataan الْحَمْدُ لِلهِ. Itulah pujian yang amat-amat tinggi sekali. Kerana itulah, sepatutnya selepas kita mempelajari ayat ini, apabila kita sebut الْحَمْدُ لِلَّهِ, sepatutnya perasaan kita semasa membacanya tidak sama dengan kita lafazkan perkataan lain.

Kita akan teringat bagaimana الْحَمْدُ لِلهِ ini juga akan disebut oleh penghuni syurga dan sekarang disebut juga oleh malaikat-malaikat semasa di Arasy nanti. Maknanya, itulah sebutan yang akan diulang-ulang di akhirat kelak. Maka kita sekarang hendaklah selalu menyebutnya semasa kita di dunia.

Allahu a’lam. Sekianlah tamat tafsir Surah az-Zumar ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ghafir.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Zumar


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 71 (Kumpulan mana kita nak masuk?)

Zumar Ayat 68: Keadaan di akhirat kelak dengan diberikan juga takhwif ukhrawi.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ

 

Sahih International

And the Horn will be blown, and whoever is in the heavens and whoever is on the earth will fall dead except whom Allah wills. Then it will be blown again, and at once they will be standing, looking on.

Malay

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

 

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiup pada sangkakala

Ini adalah tiupan Sangkakala yang pertama. Israfil (ada pendapat kata namanya bukan Israfil) akan tiup pada sangkakala apabila diarahkan oleh Allah ﷻ apabila sampai masanya. Kenapa Allah ﷻ gunakan tiupan sangkakala dan bagaimanakah keadaannya? Kita tidak tahu dengan tepat kerana ini adalah termasuk perkara ghaib.

Tetapi kalau kita cuba, apa yang kita boleh bayangkan, tiupan sangkakala itu adalah satu tiupan yang kuat. Yang akan menyebabkan kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ia. Begitu juga sekarang ini pun, kalau ada bunyi hon yang kuat, kita akan terperanjat dan tertanya-tanya apakah sebabnya bunyi itu. Kalau kita tengok filem perang, kalau ada serangan, kem akan bunyikan siren dengan kuat, bukan?

Itu semua untuk beri makluman kepada orang lain. Begitulah nanti Allah ﷻ akan memberikan satu bunyi yang kuat yang akan menyebabkan kita terkejut. Dan tentunya tidak dapat kita bayangkan bagaimanakah bunyi Sangkakala itu.

فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ

apa sahaja makhluk yang berada di bumi dan langit akan mati semuanya,

Tiupan Sangkakala yang pertama itu akan mematikan seluruh makhluk di alam ini. Tidak kira sama ada mereka berada di langit atau di bumi. Tetapi Allah ﷻ sebut ‘langit’ dahulu kerana permulaan kiamat itu dari langit. Langit yang akan dapat kesannya dahulu. Langit yang akan hancur dahulu.

Kalimah صَعِقَ bermaksud jatuh pengsan dulu dan kemudian mati. Dan waktu itu tentulah sudah ramai yang mati. Maka mereka yang sudah mati, roh mereka pun akan pengsan dan mati juga.

إِلَّا مَن شَاءَ اللهُ

melainkan sesiapa yang dikehendaki Allah.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada juga makhluk yang tidak dimatikan dengan tiupan sangkakala. Siapakah mereka itu ada diceritakan dalam hadis.

Iaitu lapan malaikat yang menongkat Arasy, dan empat malaikat besar: Jibrail, Mikail, Malaikat Maut dan Israfil. Jadi, ada 12 malaikat yang tidak mati dengan tiupan sangkakala. Mereka akan dimatikan satu-satu dengan perintah Allah ﷻ. Allahu a’lam.

Maksudnya, tiupan Sangkakala itu tidak mematikan mereka. Tetapi tidaklah bermaksud mereka tidak mati langsung. Mereka akan tetap mati juga akhirnya, tetapi dengan cara yang lain, bukan dengan tiupan Sangkakala itu. Semua makhluk akan mati, kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang akan terus hidup.

 

ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ

dan kemudian ditiupkan pada sangkakala kedua,

Tiupan sangkakala kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk. Selepas ditiupkan pada Sangkala pertama dan kemudian setelah dimatikan semua makhluk yang tidak mati semasa tiupan Sangkakala pertama itu, hanya Allah ﷻ sahaja yang tinggal. Dalam riwayat, ada disebut tinggal Israfil dan Allah ﷻ sahaja maka Allah ﷻ mematikan Israfil dengan perintahNya.

Kemudian Allah ﷻ mula-mula menghidupkan Israfil dan beliau diarahkan untuk meniupkan tiupan kedua untuk menghidupkan kembali semua makhluk.

فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

maka mereka semua tiba-tiba bangkit berdiri dari kubur, hadir menunggu.

Kita semua akan bangkit dalam keadaan gelap gelita. Dibangkitkan untuk dibicarakan. Dan waktu dihidupkan itu tidaklah macam kita lahir ke dunia dulu. Kerana dulu kita lahir dari perut emak kita dan kita waktu itu bayi dan lama kelamaan membesar jadi dewasa.

Di akhirat nanti, apabila dibangkitkan, terus dalam keadaan dewasa. Cuma ahli syurga akan dibangkitkan sebagai ahli syurga dan ahli neraka akan dibangkitkan sebagai ahli neraka. Tanda mereka akan mengikut amal masing-masing.

Waktu itu, kita semua tidak tahu hendak pergi mana. Kemudian kita semua akan dihalau untuk pergi ke Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada hari itu. Kerana semua sekali akan dihidupkan dari mula kehidupan sehingga Hari Kiamat. Semuanya nanti akan dihidupkan semula serentak. Semua dapat melihat makhluk yang lain. Tidak dapat dibayangkan berapa ramai makhluk akan ada pada hari itu.


 

Zumar Ayat 69: Satu lagi ayat mutashabihah.

وَأَشرَقَتِ الأَرضُ بِنورِ رَبِّها وَوُضِعَ الكِتٰبُ وَجِيءَ بِالنَّبِيّينَ وَالشُّهَداءِ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَهُم لا يُظلَمونَ

 

Sahih International

And the earth will shine with the light of its Lord, and the record [of deeds] will be placed, and the prophets and the witnesses will be brought, and it will be judged between them in truth, and they will not be wronged.

Malay

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

 

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka akan terang benderang bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhannya.

Cerah macam mana? Kita tidak tahu keadaannya macam mana. Tidak boleh digambarkan. Tidak perlu untuk kita fikirkan dan bayangkan. Kerana ini adalah perkara ghaib.

Tidak perlu kita hendak takwil. Tidak pernah diberitahu oleh Nabi ﷺ, jadi tidak perlu kita susah payah hendak cari maksudnya. Dari lafaz ayat ini, memberi isyarat bahawa Allah ﷻ menampakkan DiriNya. Tetapi tidaklah dalam bentukNya yang sebenar.

 

وَوُضِعَ الْكِتٰبُ

dan akan dibawakan kitab suratan amal.

Setiap kita akan diberikan dengan kitab amalan kita sendiri. Amalan kita sehari akan diletakkan dalam satu skrol. Apabila dibentangkan, ianya adalah sejauh mata memandang. Kita sendiri akan baca amalan harian satu persatu. Yang jadi saksi adalah Malaikat Raqid Atid kerana merekalah yang menulis amalan mereka.

Ada kisah bagaimana Allah ﷻ akan arahkan malaikat untuk campakkan amalan mereka. Maka, malaikat pencatit akan kata bahawa mereka menyaksikan bahawa mereka manusia itu ada buat amalan itu. Tetapi Allah ﷻ akan tanya balik sama ada malaikat tahu apakah yang ada dalam hati manusia itu?

Ini bermakna, malaikat tidak tahu isi hati kita. Kalau malaikat pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata manusia boleh tahu pula? Ada kalangan orang kita yang takut bila hendak bertemu dengan guru mereka kerana mereka sangka guru mereka tahu apakah dalam hati mereka.

Ini adalah satu kepercayaan yang karut sama sekali. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu isi hati kita. Janganlah kita percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Teruk sangat kepercayaan masyarakat kita kerana telah dimomok-momokkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran sesat.

Ada yang dapat kitab amal dengan tangan kanan. Mereka yang banyak amal akan rasa bangga semasa membaca amalan mereka dan mereka yang jahat akan rasa sangat-sangat malu sambil membaca kitab amalan mereka.

Tafsiran kedua potongan ayat ini: dibawakan Kitab Wahyu umat masing-masing sebagai bukti sama ada mereka ikut atau tidak kitab wahyu mereka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ

Dan dibawa datang semua Nabi-Nabi dan segala saksi-saksi.

Apabila mahkamah Allah ﷻ dimulakan, para Nabi akan menjadi saksi ke atas umat-umat mereka. Termasuklah Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi saksi ke atas kita, umatnya. Ini telah disebut dalam Nisa:41.

Dalam ayat-ayat lain ada disebut bagaimana para Nabi akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah mereka. Maka berlakukan perbicaraan antara umat dan Nabi mereka. Ini kita akan belajar dalam surah-surah yang lain.

Siapakah pula saksi-saksi itu? Mereka yang melakukan tabligh (dakwah) untuk sebar agama. Yang menyebarkan ajaran tauhid. Yang pertama sekali adalah tentunya para Nabi kerana mereka yang mula menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kemudian pengikut para Nabi seperti yang disebut dalam Hajj:78.

Kemudian akan diteruskan oleh pendakwah yang meneruskan tugas para Nabi dan Rasul itu. Mereka akan beritahu siapakah orang-orang yang mereka telah dakwahkan tetapi tidak mahu terima. Mereka akan beritahu siapakah yang telah menghalang mereka dari mengajar dalam masjid, dalam surau dan sebagainya. Mereka akan bentangkan siapakah guru-guru, ustaz-ustaz yang cuba menyekat guru-guru ajaran sunnah dari dapat mengajar kepada masyarakat.

Mereka yang mengamalkan bidaah dan syirik akan cuba untuk halang kerana kalau dibenarkan guru ajaran tauhid dan sunnah mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka yang tidak tahu tentang agama. Mereka itu tidak tahu tentang agama kerana mereka tidak pernah lagi belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis Nabi.

Tetapi masalahnya merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat sekarang. Sampai mereka boleh masuk suratkhabar, TV, radio dan sebagainya. Merekalah yang buat duit dengan mengambil upah daripada masyarakat yang jahil untuk jadi pembaca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya.

Para malaikat juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam Qaf:21. Selain dari itu, tubuh badan kita juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam Yaasin:65.

 

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

dan akan dihakimi diantara mereka dengan adil,

Akan dijalankan pengadilan dengan seadil-adilnya. Allah ﷻ sudah tahu apakah yang makhluk telah buat. Allah ﷻ boleh sahaja masukkan ahli syurga ke dalam syurga dan ahli neraka ke dalam neraka. Tetapi Allah ﷻ jadikan majlis perbicaraan untuk menunjukkan keadilanNya. Supaya mereka dapat rasa yang hujah mereka didengari.

Semua makhluk akan mengadap Allah ﷻ dalam duduk berlutut dalam keadaan telanjang. Semuanya akan mengadap Allah ﷻ ada yang semasa berkumpulan dan ada yang semasa berseorangan, tidak ada yang bersama kita. Waktu itu, kita tidak mampu hendak menolak atau memberi alasan lagi diatas perbuatan kita. Kita terpaksa mengaku semuanya sekali.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.

Satu dosa akan dibalas satu atau boleh jadi, lagi kurang dari itu dan dimaafkan langsung. Satu pahala pula dibalas sekurang-kurangnya sepuluh atau lebih lagi berganda-ganda. Bermakna, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi oleh Allah ﷻ.

Mana boleh kita hendak kata Allah ﷻ berlaku zalim, sedangkan Allah ﷻ hanya membalas kejahatan dengan keburukan atau dimaafkan, tetapi yang melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang mereka buat.


 

Zumar Ayat 70:

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت وَهُوَ أَعلَمُ بِما يَفعَلونَ

Sahih International

And every soul will be fully compensated [for] what it did; and He is most knowing of what they do.

Malay

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

 

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ

Dan akan diberikan balasan setiap jiwa

Allah ﷻ dengan segala keadilanNya akan beri balasan yang setimpal. Dengan cukup. Tidak akan ada makhluk yang akan mempersoalkan keadilan Allah ﷻ pada waktu itu.

مَّا عَمِلَتْ

daripada apa yang telah mereka lakukan

Amalan baik akan dibalas baik. Amalan jahat dan zalim akan dibalas dengan keburukan. Tidaklah mereka akan dihukum atas perbuatan yang mereka tidak lakukan; kalau di dunia, ada kemungkinan manusia dihukum atas kesalahan yang mereka tidak lakukan; dan tidak ada amalan kebaikan yang tidak dibalas dengan kebaikan.

Allah ﷻ boleh berikan pengadilan yang adil kerana Allah ﷻ tahu belaka apa yang kita telah lakukan. Tidak akan tertinggal satu pun kebaikan melainkan akan dibalas.

Allah ﷻ Maha Adil dan tidak pernah dan tidak akan zalim. Bukanlah Allah ﷻ hendak menyeksa hambaNya, tetapi segala azab yang akan dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan manusia sendiri. Mereka telah diberi dengan segala penerangan dan peringatan, tetapi mereka masih lagi hendak menolak taat kepada Allah ﷻ.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

tetapi Allah sudah sedia tahu apa yang mereka amalkan.

Allah ﷻ lebih tahu apa yang telah mereka lakukan dahulu semasa di dunia. Bukanlah dibentangkan amalan itu sebab Allah ﷻ tidak tahu. Allah ﷻ memang sudah tahu segala-galanya. Tetapi Allah ﷻ hendak menunjukkan keadilanNya. Allah ﷻ bentangkan balik segala apa yang kita lakukan sampai kita tidak boleh hendak buat helah lagi. Kadang-kadang kita sendiri sudah lupa apa yang kita lakukan, tetapi Allah ﷻ tahu.

Habis Ruku’ ke 7 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Zumar Ayat 71: Ayat 71 – 75 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia memberitahu kesan bertaqwa dan kesan kalau kafir. Ayat 71 ini adalah Takhwif Ukhrawi, tentang golongan ahli neraka. Janganlah kita jadi golongan ini. Kalau anda yang baca ini rasa ada sifat mereka, maka tukarlah sifat anda.

وَسيقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها فُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَتلونَ عَلَيكُم ءآيٰتِ رَبِّكُم وَيُنذِرونَكُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا ۚ قالوا بَلىٰ وَلٰكِن حَقَّت كَلِمَةُ العَذابِ عَلَى الكٰفِرينَ

Sahih International

And those who disbelieved will be driven to Hell in groups until, when they reach it, its gates are opened and its keepers will say, “Did there not come to you messengers from yourselves, reciting to you the verses of your Lord and warning you of the meeting of this Day of yours?” They will say, “Yes, but the word of punishment has come into effect upon the disbelievers.

 

Malay

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Tidakkah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir

 

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan akan dihalau orang-orang yang kafir itu ke arah neraka jahanam berkumpulan-kumpulan.

Ayat ini diturunkan di Mekah. Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan di sini asalnya adalah kafir musyrikin. Tetapi, jangan kita sangka ianya hanya ditujukan kepada mereka sahaja. Mungkin ada yang sangka ini adalah hanya ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima dakwah Nabi ﷺ seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya sahaja.

Al-Qur’an ini bukanlah hendak menceritakan tentang mereka sahaja. Al-Qur’an hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi macam mereka. Kalau kita jadi seperti mereka, maka kita pun akan dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

Adakah kita ada persamaan dengan mereka? Bagaimana pula kita disamakan dengan mereka? Ketahuilah bahawa ada banyak persamaan kita dengan mereka. Mereka tahu Allah ﷻ itu adalah Tuhan. Mereka menganggap Kaabah itu suci dan kita juga anggap begitu. Mereka menerima Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai Nabi. Mereka juga tawaf keliling Kaabah.

Mereka juga ada yang solat (peninggalan dari syariat Nabi Ibrahim), mereka iktikaf, bernazar dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik. Mereka menyembah berhala, mereka bertawassul kepada berhala, mereka memohon doa kepada selain Allah ﷻ. Dan banyak lagi perbuatan syirik yang mereka buat.

Jadi, kalau kita pun buat seperti mereka juga – bertawassul, mengamalkan pantang selepas bersalin, percaya kepada perkara khurafat, ambil berkat dengan guru dan sebagainya, kita pun jadi musyrik juga dan termasuk dalam ancaman Allah ﷻ dalam ayat ini. Ingatlah bahawa Al-Qur’an ini adalah pedoman sepanjang zaman, ianya untuk mengingatkan kita di zaman sekarang. Ianya ditujukan kepada kita.

Jangan kita sangka ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya hendak menceritakan tentang kesalahan-kesalahan orang dahulu kala sahaja. Jangan sangka kita terselamat kerana kita orang Islam. Kalau kita tidak belajar, dan tersilap langkah dalam kepercayaan akidah kita, kita pun boleh masuk neraka juga tidak keluar-keluar. Walaupun kita sangka kita orang Islam, walaupun kita sangka kita sudah mengamalkan amalan-amalan yang banyak dalam agama.

Kalimah وَسِيقَ dari katadasar و س ق yang bermaksud mengumpulkan sesuatu yang bercerai berai dan membawanya.

Mereka yang engkar akan diheret seperti binatang diheret ke padang ragut dan kembali ke kandang mereka. Bayangkan keadaan apabila petang, dan penggembala lembu akan menghalau ternakan mereka untuk masuk kandang kembali. Begitulah juga nanti akan dilakukan kepada manusia yang engkar dengan perintah Tuhan ﷻ.

Mereka akan dimasukkan ke Neraka dalam keadaan berpuak-puak. Ikut dosa yang mereka lakukan – mereka dibahagikan ikut dosa mereka. Kita tidak pasti bagaimana pengkhususan itu – mungkin sebagai contoh, ikut kampung dan ikut masa.

Contohnya, ini kumpulan penduduk kampung Paya Jaras, tinggal pada tahun 2000 dan sebagainya. Ini adalah sebagai contoh sahaja untuk memahamkan ayat ini. Bukanlah semestinya tepat seperti yang Allah ﷻ akan lakukan. Allahu a’lam.

Mereka semuanya akan dihadapkan di pintu neraka. Akan dilempar dahulu yang paling jahat antara kumpulan itu. Kemudian yang kurang jahat selepas dia dan selepas dia ikut tahap kejahatan. Akan dipegang kepala dan kakinya oleh malaikat, kemudian akan dilempar ke dalam jurang neraka. Jauhnya dasar neraka itu, 70 tahun baru sampai ke dasar. Semasa jatuh itu, badannya akan terbakar sepanjang masa dia jatuh. Dan dia akan jatuh akan mukanya dahulu ke dasar neraka.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا

sehingga ketika mereka sampai ke neraka.

Mereka akan diheret ke pintu neraka kerana mereka takkan mahu hendak pergi sendiri. Sewaktu mereka sampai ke neraka, pintu neraka masih tertutup lagi. Jadi mereka kena tunggu di situ. Tunggu itu pun satu seksaan sebenarnya. Mereka tidak tahu bilakah mereka akan masuk. Tetapi mereka sudah nampak neraka itu dan azab yang ada di dalamnya.

Dan mereka sudah pasti yang mereka akan masuk ke dalamnya. Maka ia adalah azab emosi yang amat sangat. Bayangkan kalau orang yang akan digantung itu diletakkan di bilik yang bersebelahan sahaja dengan bilik gantung itu.

Bayangkan, kalau kita sudah nampak penjara yang kita akan masuk pun kita sudah rasa semacam. Apatah lagi kalau hendak masuk neraka. Tentunya lagi menakutkan. Tunggu pula dalam keadaan terseksa, dalam lapar dan dahaga, dalam kepanasan. Dalam Surah Yaasin, telah disebutkan tangan mereka diikat ke tangan dan tangan itu diikat ke leher. Memang azab di atas azab yang akan dikenakan kepada mereka. Semua ini untuk beri peringatan kepada kita.

 

فُتِحَتْ أَبْوٰبُهَا

barulah dibuka pintu neraka

Setelah sekian lama, setelah mereka diseksa dengan perasaan takut tidak tahu bilakah mereka akan dimasukkan, barulah dibuka pintu neraka itu. Maka mereka akan dimasukkan dan cara dimasukkan itu ada disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Kemudian pintu neraka itu akan ditutup rapat tidak dibuka lagi. Pintu neraka tidak terbuka, sebab tidak mahu kepanasan di dalamnya keluar. Macam pintu penjara, hanya dibuka apabila ada yang akan dimasukkan atau hendak keluarkan seseorang. Kerana kalau dibuka, akan ada yang cuba lari.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا

Maka berkatalah penjaga-penjaga neraka kepada mereka.

Sebelum mereka dicampak ke dalam neraka, malaikat penjaga neraka itu akan bertanya kepada mereka. Ada 19 malaikat sahaja yang jaga neraka. Bukannya ramai pun. Walaupun tidak ramai, tetapi semua yang masuk neraka akan taat kepada malaikat. Tidak berani hendak ambil air untuk minum walaupun air ada di kaki. Walaupun mereka amat dahaga.

Seribu tahun mereka minta hendak minum baru dapat. Itu pun akan diberikan air nanah dan air peluh yang panas sampai menyiatkan muka mereka.

Kata-kata malaikat itu adalah sebagai takzib rohani – untuk tambah menyakitkan hati mereka lagi. Mereka sudahlah takut akan masuk neraka, dan tubuh mereka akan diseksa dengan teruk sekali. Tetapi dalam masa itu, mereka akan dihina lagi oleh para malaikat mengingatkan akan kesalahan mereka. Apakah kata-kata malaikat itu?

 

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul dari kalangan kamu juga?

Selain daripada rasul-rasul itu, termasuklah juga mereka yang mengajar tauhid, kerana zaman kita tidak ada rasul lagi. Tidakkah datang kepada mereka pendakwah-pendakwah yang datang hendak mengajar mereka?

Rasul atau pendakwah itu dari kalangan kita juga. Masyarakat Arab dahulu diberikan dengan rasul dari kalangan mereka. Yang memahami keadaan mereka dan bahasa mereka. Supaya senang sampai maklumat kepada mereka. Kerana kalau dihantar bukan dari kalangan mereka, tentulah mereka tidak tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Rasul-rasul itu.

Begitu jugalah dengan kita, kalau pendakwah itu, mestilah dari kalangan bangsa itu juga. Kerana mereka kenal dan faham dengan situasi masyarakat itu. Bahasa pun senang faham.

Dan Rasul-rasul yang dipilih itu diambil dari orang yang paling baik dari kalangan mereka. Supaya mereka patutnya senang hendak ikut. Kerana itu akhlak para Nabi tidak pernah menjadi hujah dari penentang mereka, kerana memang mereka itu orang yang terbaik dalam masyarakat mereka.

 

يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ ءآيٰتِ رَبِّكُمْ

yang mereka membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu.

Bukanlah para pendakwah itu telah bacakan wahyu kepada kamu? Mereka telah membacakan wahyu tanpa tambah dan tanpa kurangkan. Apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu disampaikan oleh guru dan pendakwah itu.

Maknanya hendak tabligh manusia adalah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an dahulu. Kemudian apabila mereka sudah terima, baru dibaca hadis. Bukan terus diajar dengan kitab itu dan kitab ini. Kena dimulakan dengan mengajar mereka tafsir Al-Qur’an.

Tetapi realitinya, pengajaran tafsir Al-Qur’an amat jarang di Malaysia ini. Yang ada hanyalah pengajaran kitab yang ditulis manusia yang kebanyakannya diambil dari akal manusia. Lagi menyedihkan, guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar agama kepada masyarakat itu sendiri pun tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an. Ini termasuklah dengan mereka yang sepatutnya menjaga agama Islam di pejabat agama, majlis agama dan sebagainya. Termasuklah dengan mufti-mufti kita sendiri pun.

Maka, tidak hairanlah berapa ramai orang Islam yang sudah keluar dari Islam, masuk agama lain. Atau kalau mereka tidak masuk agama lain pun, mereka tidak mengendahkan agama Islam ini lagi. Kerana guru-guru yang mengajar pun tidak tahu apakah yang mereka ajar.

Sepatutnya mereka mengajar dari ayat-ayat Al-Qur’an seperti yang disebut dalam ayat ini, tetapi kerana mereka sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana mereka hendak mengajar tafsir Al-Qur’an?

 

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepada kamu tentang perjumpaan kamu pada hari ini

Selalu pendakwah tauhid akan mengingatkan kita tentang hal kematian. Sama ada kita buat baik atau tidak baik, kita akan bertemu juga dengan Allah ﷻ akhirnya untuk menerima balasan kita. Mereka akan selalu ulang perkara itu kerana banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita tentang perkara ini.

Kenapa malaikat penjaga neraka tanya macam itu? Itu juga sebagai seksaan kepada mereka. Mereka sudah tahu pun bahawa mereka telah celaka, akan dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi apabila ditanya sebegitu, akan menambahkan penyesalan kepada diri mereka. Mereka akan teringat dan menyesal – kalaulah mereka dahulu mendengar kata-kata Rasul, kata-kata guru yang mengajar, tentulah mereka tidak akan jadi begini.

قَالُوا بَلَىٰ

Mereka jawab: bahkan ada.

Soalan itu ditanya kepada mereka sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Mereka mengaku memang ada yang datang ajar dan ajak mereka kepada tauhid dan kepada Allah ﷻ. Tidak boleh hendak jawab lain lagi dari kebenaran. Mereka terpaksa mengaku yang benar sahaja waktu itu. Mereka tidak boleh menipu dengan kata tidak ada pendakwah yang datang kepada mereka.

Dan memang telah disebut bagaimana ada saksi yang akan membenarkan perkara itu, lalu bagaimana lagi hendak menipu? Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an menceritakan bagaimana penghuni syurga mengaku bahawa mereka telah didatangi oleh pemberi peringatan.

Maknanya, mereka sudah dengar dakwah, tetapi kenapa tidak ikut? Kerana mereka itu degil sahaja. Iaitu tidak ada sifat ingin tahu. Orang bukan Islam sudah tahu tentang Islam, tetapi mereka tidak ingin hendak tahu apakah Islam itu sebenarnya. Begitu juga, orang Islam tahu tentang Al-Qur’an, tetapi tidak teringin hendak tahu apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Jadi ada persamaan sahaja antara mereka.

Maka, Allah ﷻ kaitkan bahawa mereka itu masuk ke dalam neraka kerana mereka tidak ada hubungan dengan wahyu Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah beritahu untuk ikut wahyu, tetapi kalau degil, maka akan masuklah ke dalam neraka.

وَلَٰكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكٰفِرِينَ

tetapi sudah tetap keputusan azab atas orang-orang kafir.

Sama ada mereka sendiri berkata, atau malaikat yang berkata: walaupun mereka telah mengaku, telah beriman waktu itu dengan sebenar-benar iman, tetapi keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka telah ditetapkan dan tidak akan diubah lagi.

Kerana walaupun telah datang para pendakwah kepada mereka, mereka telah mendustakan para pendakwah itu atau degil untuk menerima dakwah daripada mereka.

Oleh kerana itu, mereka jadi kafir disebabkan degil atau jahil. Kerana ada dua jenis kafir – sama ada kerana dia tahu kebenaran tetapi degil untuk ikut; atau kerana dia tidak tahu kerana tidak belajar. Kafir berlaku kerana dua perkara ini sahaja. Satu dinamakan ‘kafir degil’ dan satu lagi dinamakan ‘kafir jahil’.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2023

Ringkasan Surah Zumar


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani