Tafsir Surah Naml Ayat 14 – 18 (Kisah Semut)

Ayat 14: Sebelum ini tentang dakwah Nabi Musa tentang tauhid kepada Firaun dan pengikutnya dan bagaimana baginda telah menunjukkan mukjizat kepada mereka. Adakah mereka terima?

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم ظُلمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they rejected them, while their [inner] selves were convinced thereof, out of injustice and haughtiness. So see how was the end of the corrupters.

(MELAYU)

Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

 

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم

Dan mereka mengingkarinya padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. 

Kalimah جحد bermaksud melawan sesuatu walaupun dia sendiri tahu yang dia itu salah.

Kalimah وَاستَيقَنَتها adalah dari ي ق ن yang bermaksud yakin. Sebenarnya mereka yakin bahawa Nabi Musa itu benar tetapi mereka tidak menerima ajakan baginda kerana mereka telah lama zalim dan mereka tidak dapat meletakkan kedudukan mereka yang tinggi di muka bumi. Mereka rasa mereka tinggi sangat untuk ikut ajaran baginda. Maka mereka tetap melawan juga.

 

ظُلمًا وَعُلُوًّا

kerana kezaliman dan kesombongan

Mereka itu tahu yang mukjizat yang baginda tunjukkan itu benar dan Nabi Musa itu memang seorang Rasul tetapi mereka tolak kerana mereka degil sahaja.

Tidaklah mereka terus percaya dalam hati mereka kepada Nabi Musa kerana kalimah استيقن dalam wazan yang digunakan menunjukkan proses keyakinan itu mengambil masa yang lama.

Kita tahu yang mereka percaya dengan Tuhan Nabi Musa kerana dalam surah A’raf ada disebut bagaimana mereka minta Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk mengangkat musibah yang telah dikenakan kepada mereka.

Jadi kafir itu bukannya bermaksud tidak percaya langsung kerana ada orang kafir yang percaya tetapi dalam masa yang sama mereka tidak teruskan kepercayaan mereka itu dengan amalan yang taat. Maksud ‘kafara’ itu pun memang ‘menutup’. Iaitu mereka menutup iman yang memang telah ada dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana iblis itu bukannya tidak beriman dengan Allah tetapi kerana dia sombong maka dia tidak sanggup untuk taat kepada Allah.

Mereka tolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa itu kerana mereka zalim dan kerana mereka sombong.

Jadi sebagaimana pengetahuan iblis itu tidak menjadikan dia seorang yang mukmin, maka ada manusia yang ada pengetahuan agama tetapi mereka tetap juga kafir kerana kepercayaan mereka itu tidak disambung dengan ketaatan kepada Allah.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

Maka Allah memberi ancaman kepada mereka yang kafir yang mereka akan dikenakan dengan azab yang buruk nanti. Kita pun tahu apa yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya. Maka belajarlah dan ambillah pengajaran dari kisah mereka.

Maka kalau tolak apa yang disampaikan oleh Nabi Musa pun sampai ditenggelamkan dalam laut, maka bagaimana pula kalau sanggup untuk menentang dakwah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Muhammad? Sedangkan kita pun tahu yang Nabi Muhammad itu lebih mulia dari Nabi Musa dan hujjah yang disampaikan oleh baginda itu lebih jelas lagi kerana baginda sampaikan ayat-ayat dalam Al-Qur’an? Fikirkanlah wahai Arab Mekah; fikirkanlah wahai manusia, umat-umat Nabi Muhammad sekalian.


 

Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada kisah Nabi yang baru. Sekarang akan disebut dua Nabi yang jarang disebut setakat ini. Kisah ini hendak mensabitkan kesempurnaan ilmu yang ada pada Allah.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 44 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ianya adalah tentang kisah Nabi Sulaiman dan kerajaannya yang hebat. Kaum Saba’ contoh kaum yang terselamat daripada dibinasakan kerana menerima seruan tauhid.

Ia juga mengajar kita yang sebar tauhid lebih mudah jika ada kuasa pemerintahan. Ia juga mengandungi kisah raja semut memikirkan keselamatan kaumnya.

وَلَقَد ءآتَينا داوودَ وَسُلَيمٰنَ عِلمًا ۖ وَقالَا الحَمدُ ِللهِ الَّذي فَضَّلَنا عَلىٰ كَثيرٍ مِّن عِبادِهِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given to David and Solomon knowledge, and they said, “Praise [is due] to Allāh, who has favored us over many of His believing servants.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.

 

وَلَقَد ءآتَينا داوودَ وَسُلَيمٰنَ عِلمًا

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman;

Mereka diberikan dengan ilmu kenabian. Iaitu ilmu kefahaman kepada syariat. Yakni nikmat-nikmat yang berlimpah, bakat-bakat yang luar biasa, sifat-sifat yang indah, dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, kerajaan, pengaruh yang kuat di dunia, dan kenabian serta risalah agama.

Mereka berdua ini adalah anak beranak. Mereka berdua adalah dua Nabi yang diberi kelebihan keduniaan dan juga akhirat.  Selalunya Nabi-nabi lain tidak dapat kedudukan keduniaan.

 

وَقالَا الحَمدُ ِللهِ الَّذي فَضَّلَنا عَلىٰ كَثيرٍ مِّن عِبادِهِ المُؤمِنينَ

dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.

Mereka berdua bersyukur kepada Allah kerana telah memilih mereka menjadi Nabi dan dipilih daripada sekian banyak orang-orang mukmin yang lain. Ini pengajaran penting bagi kita: bersyukur atas nikmat yang Allah telah berikan.

Ini menunjukkan betapa mereka tidaklah sombong dengan pemilihan terhadap mereka itu tetapi mereka berdua amat-amat bersyukur kerana kita sebagai manusia tidak layak untuk mendapat apa-apa daripada Allah dan jikalau Allah ada memberikan apa-apa kepada kita, maka itu adalah nikmat yang amat besar. Dan hendaklah kita bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Jadi jikalau kita sekarang ini berada di dalam kumpulan yang sedang menegakkan agama Allah, mungkin kita buka madrasah, mungkin kita mengajar, mungkin kita buka pusat Tahfiz dan sebagainya, janganlah kita berbangga dengan kebolehan kita itu kerana kita mesti ingat yang kita sebenarnya telah dipilih oleh Allah dan itu adalah satu nikmat sebenarnya.

Jangan kita rasa hebat sangat kerana kita sebar agama dan ajar agama. Ingatlah daripada ramai manusia yang beriman Allah telah pilih untuk kita menjadi pembantuNya untuk menegakkan agamaNya.

Ayat ini juga adalah perli kepada Musyrikin Mekah yang telah diberikan dengan kelebihan sebagai penjaga Kaabah tetapi mereka tidak bersyukur dan bangga diri dan sombong dengan pemberian Allah itu. Mereka tidak mengambil peluang dengan kedudukan mereka itu untuk melakukan perubahan yang baik dalam agama.


 

Ayat 16:

وَوَرِثَ سُلَيمٰنُ داوودَ ۖ وَقالَ يٰأَيُّهَا النّاسُ عُلِّمنا مَنطِقَ الطَّيرِ وَأوتينا مِن كُلِّ شَيءٍ ۖ إِنَّ هٰذا لَهُوَ الفَضلُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Solomon inherited David. He said, “O people, we have been taught the language of birds, and we have been given from all things. Indeed, this is evident bounty.”

(MELAYU)

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: “Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata”.

 

وَوَرِثَ سُلَيمٰنُ داوودَ

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud,

Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud dan baginda telah mewarisi banyak perkara daripada Nabi Daud seperti ilmu wahyu dan pemerintahan kerajaan. Yakni mewarisi kerajaan dan kenabiannya, bukan mewarisi hartanya.

Kerana seandainya Nabi Sulaiman mewarisi harta Nabi Daud, tentulah tidak hanya khusus Nabi Sulaiman sahaja yang mewarisinya, melainkan anak-anak Nabi Daud yang lainnya pun ikut mewarisinya, kerana Nabi Daud mempunyai seratus orang isteri. Hal ini menguatkan bahawa yang diwarisinya hanyalah kerajaan dan kenabiannya saja, kerana sesungguhnya para nabi itu tidak diwarisi hartanya, seperti yang diberitakan oleh Rasulullah Saw. melalui salah satu sabdanya yang mengatakan:

نَحْنُ مَعْشَرَ الْأَنْبِيَاءِ لَا نُوَرَّثُ، مَا تَرَكْنَاهُ صَدَقَةٌ

Kami para nabi, tidak diwarisi; semua yang kami tinggalkan adalah sedekah.

 

وَقالَ يٰأَيُّهَا النّاسُ عُلِّمنا مَنطِقَ الطَّيرِ

dan dia berkata: “Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung 

Baginda telah diberikan dengan kelebihan untuk bercakap dengan burung. Akan tetapi bagaimanakah caranya dan kenapakah diberi kelebihan bercakap dengan burung itu dan banyak lagi soalan yang mungkin timbul, tidak dapat dijawab kerana semua ini adalah di dalam kebijaksanaan Allah Ta’ala untuk memberikannya kepada baginda.

Dalam ayat ini disebut yang Nabi Sulaiman ‘diajar’ bahasa burung. Maknanya, burung itu bahasa mereka sendiri. Dan bahasa ini boleh dipelajari. Zaman ini sudah dapat dikenalpasti sedikit bahasa burung. Boleh baca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/languages.htm

 

وَأوتينا مِن كُلِّ شَيءٍ

dan kami diberi segala sesuatu.

Dan ada banyak lagi kelebihan-kelebihan dan nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Sulaiman. Baginda diberi dengan setiap sesuatu yang penting yang melengkapkan kerajaan dunianya. Bukanlah diberi ‘semua’ tapi apa yang perlu sahaja.

 

إِنَّ هٰذا لَهُوَ الفَضلُ المُبينُ

Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata”.

Baginda sedar bahawa apa yang diberikan kepada baginda itu bukanlah kerana baginda dan kerana itu baginda menghargainya sebagai satu pemberian yang besar daripada Allah Taala. Inilah sifat kesyukuran dan merendah diri yang kena ada pada diri kita.


 

Ayat 17:

وَحُشِرَ لِسُلَيمٰنَ جُنودُهُ مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ وَالطَّيرِ فَهُم يوزَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And gathered for Solomon were his soldiers of the jinn and men and birds, and they were [marching] in rows

(MELAYU)

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

 

وَحُشِرَ لِسُلَيمٰنَ جُنودُهُ مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ وَالطَّيرِ

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung

Nabi Sulaiman telah diberikan dengan tentera dari golongan jin, manusia dan juga burung-burung. Ada tiga sekali golongan. Begitu hebat sekali pemberian yang telah diberikan kepada baginda. Tidak ada manusia lain yang ada diberikan dengan kelebihan ini lagi. Kalau sebelum baginda tidak pernah, selepas baginda pun tidak akan ada lagi.

Kerana itu tidak ada manusia lain yang boleh menguasai jin kerana itu adalah kelebihan Nabi Sulaiman sahaja. Jadi kalau ada bomoh atau ustaz (yang pakai nama ustaz tapi sebenarnya bomoh) boleh menguasai jin, itu adalah karut sahaja.

 

فَهُم يوزَعونَ

lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

Mereka semua itu dikumpulkan untuk baginda dan berdiri dalam barisan mengikut golongan masing-masing. Iaitu dipecahkan mengikut batalion.

Ini kerana kalimah awza’a bermaksud dipecahkan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Maksudnya ada kumpulan manusia, kumpulan burung dan kumpulan jin; dan di dalam kumpulan manusia itu pula dipecahkan lagi mengikut pangkat masing-masing dan tugas masing-masing. Begitu juga ada pembahagian dalam kumpulan jin dan dan burung.


 

Ayat 18: Tentera itu telah bergerak.

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ قالَت نَملَةٌ يٰأَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَسٰكِنَكُم لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمٰنُ وَجُنودُهُ وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until, when they came upon the valley of the ants, an ant said, “O ants, enter your dwellings that you not be crushed by Solomon and his soldiers while they perceive not.”

(MELAYU)

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”;

 

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut 

Tentera Nabi Sulaiman itu telah bergerak pergi dan mereka sedang melalui kawasan yang ada banyak busut-busut semut. Kawasan itu disebut dalam ayat ini sebagai ‘Lembah Semut’ kerana banyak penempatan semut di situ. Tidak perlu dicari di manakah Lembah Semut ini.

 

قالَت نَملَةٌ يٰأَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَسٰكِنَكُم

berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, 

Seekor ‘semut betina’ bercakap dan memberi arahan kepada rakyat semut semua dan ini maklumat hebat kerana apabila kita kaji tentang kehidupan semut, ketua mereka adalah Permaisuri Semut (betina). Dan dalam Qur’an sendiri telah digunakan indikasi kepada perkara itu. Kerana semut itu menggunakan nahu perempuan (قالت) dan ta marbootah (نملة) yang menunjukkan ia betina.

Dan kenapa semut-semut itu kena  masuk ke dalam sarang? Ini kerana mereka tidak ada sayap. Kalau mereka ada sayap, mereka boleh terbang sahaja. Jadi kerana mereka tidak ada sayap, maka mereka kena lari masuk dalam rumah-rumah mereka.

Ini adalah kerana semut yang betina tidak ada sayap. Semut pekerja semuanya betina dan mereka tidak ada sayap. Ini adalah maklumat kajian moden tapi Allah sudah gunakan penggunaan nahu yang tepat. Ini adalah dalil bahawa Al-Qur’an ini dari Allah. Takkan Nabi Muhammad tahu perkara ini, jadi bukanlah baginda yang tulis Al-Qur’an. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/ants.htm

Lihat betapa hebatnya Allah menceritakan tentang semut yang halus itu dan bagaimana kata-kata dan perbualan mereka. Walaupun mereka itu halus tapi Allah tahu apa yang mereka kata. Dan Allah sampaikan kepada kita.

 

لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمٰنُ وَجُنودُهُ

agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, 

Arahan Permaisuri Semut: Masuklah kamu ke dalam rumah-rumah kamu supaya kamu tidak dipijak-pijak oleh tentera Sulaiman. Kerana tentera Sulaiman itu amat besar sekali.

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedangkan mereka tidak menyedari”;

Sedangkan tentera Sulaiman itu tidak menyedari kerana semut itu kecil sahaja. Bukanlah niat tentera itu untuk memusnahkan busut-busut semut itu. Tapi sebab kecil sangat, mereka tentu tidak perasan.

Ayat ini mengajar kita yang semut itu ada akal sebenarnya dan mereka kenal siapakah Nabi Sulaiman dan tentera baginda dan mereka ada sistem pemerintahan dan juga sistem pemberitahuan maklumat kepada golongan mereka.

Selepas ini apabila kita melihat kepada semut-semut yang berkeliaran di rumah dan di luar rumah kita, maka kita sudah tahu bahawa mereka itu adalah makhluk yang ada akal rupanya.

Akan tetapi ini bukanlah ayat untuk dibaca untuk halau semut. Tidak ada kena mengena. Ini salahfaham manusia yang tidak belajar tafsir. Semua ayat mereka nak pakai sebagai azimat. Padahal semut pun tak faham apa yang kita bacakan kepada mereka. Kalau nak halau semut, pakai umpan dan cara-cara yang sesuai (jangan guna api).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s