Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 7 – 8 (Israel akan musnah?)

Isra’ Ayat 7: Ini adalah kandungan dan khulasah (ringkasan) kedua yang ada dalam Kitab Taurat. Ia juga mengandungi takhwif duniawi: Azab pertama telah dikenakan kepada mereka dan sekarang disebut kemusnahan kali kedua mereka.

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم ۖ وَإِن أَسَأتُم فَلَها ۚ فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And said], “If you do good, you do good for yourselves; and if you do evil, [you do it] to them [i.e., yourselves].” Then when the final [i.e., second] promise came, [We sent your enemies] to sadden your faces and to enter the masjid [i.e., the temple in Jerusalem], as they entered it the first time, and to destroy what they had taken over with [total] destruction.

(MELAYU)

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.

 

إِن أَحسَنتُم أَحسَنتُم لِأَنفُسِكُم

Jika kamu berbuat baik, kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri 

Sekiranya manusia berbuat baik maka mereka sebenarnya berbuat baik terhadap diri mereka sendiri. Iaitu mereka yang akan mendapat kebaikan itu. Yang dimaksudkan berbuat baik adalah kalau mengikut wahyu dan kalau Bani Israil, bermaksud kalau mereka ikut ajaran dalam Taurat.

Kenapa Allah ‎ﷻ perlu sebut perkara ini, sedangkan ia mudah sahaja untuk difahami? Kerana ramai manusia tahu tetapi tidak faham. Atau mereka tidak nampak tentang kepentingan hal ini. Kita rasa kita tahu, tetapi sebenarnya kita tidak tahu pun. Kita sebenarnya tidak nampak bagaimana kebaikan yang dilakukan akan pulang kembali kepada kita. Sebagai contoh, kalaulah kita tahu dengan sebenarnya kebaikan solat, tentu kita akan solat lama-lama dan memperbanyakkan solat-solat sunat; kalau kita tahu dengan sebenarnya balasan bagi sedekah yang kita keluarkan, tentu kita tidak akan kedekut untuk sedekah dan kita akan habiskan duit kita dengan sedekah; kalau kita tahu kepentingan membaca Al-Qur’an, tentu kita akan baca banyak-banyak dan kita akan hafal ayat-ayat Al-Qur’an dengan segera supaya kita senang untuk membacanya.

Namun kita tidak buat semua perkara di atas, bukan? Kerana kita tahu, tetapi tidak faham dengan sebenar-benarnya. Kerana kita tidak nampak bagaimana sebenarnya balasan kepada kebaikan yang kita lakukan itu.

 

وَإِن أَسَأتُم فَلَها

dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri,

Begitulah sekiranya manusia berbuat jahat, maka kesannya adalah ke atas diri mereka sendiri juga. Maksud berbuat kejahatan adalah apabila menolak wahyu.

Di sini Allah ﷻ memberitahu juga yang Dia akan membalas kejahatan yang Bani Israil itu telah lakukan itu. Oleh kerana mereka telah melakukan kerosakan di atas muka bumi sebanyak dua kali, maka Allah ﷻ telah membalas kepada mereka dua kali juga. Kerosakan yang dimaksudkan pula adalah kerosakan dalam agama. Ini adalah apabila manusia lupa kepada agama dan meninggalkan arahan wahyu daripada Allah ﷻ.

Baik, itu adalah tafsiran yang biasa digunakan dan senang juga difahami, iaitu: jika kamu berbuat baik, kamu berbuat baik bagi diri kamu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka bagi diri kamu (juga). Akan tetapi tafsiran ini dikritik oleh sesetengah ulama’ kerana penggunaan bahasa yang tidak kena. Kerana kalau hendak menyebut azab yang dikenakan, bukan huruf ل yang digunakan seperti فَلَها tetapi عليها seperti penggunaan di dalam Baqarah: 286 لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت.

Oleh itu penggunaan kata لِأَنفُسِكُم dan لَها pada perenggan ayat di atas bertujuan menekankan bahawa amal seseorang, baik atau buruk, akan tertuju kepadanya secara khusus, dan tidak kepada orang lain. Memang terkadang ada amal baik seseorang yang dampaknya menyentuh orang lain, demikian juga amal buruknya, tetapi hal itu pasti tidak demikian di akhirat nanti. Di dunia ini pun, amal apa saja dan daripada siapa pun tidak akan dapat berdampak kepada pihak lain, kecuali atas izin Allah ﷻ, yang berkehendak untuk melimpahkan rahmat atau bencana. Amal itu sendiri tidak dapat menimpa kecuali pelakunya. Sang pelaku tidak dapat mengakibatkan amal yang dilakukannya berdampak buruk kepada pihak lain kecuali atas izin-Nya juga.

Dengan demikian, tepat sudah pesanan ayat di atas bahawa apapun yang kamu lakukan, maka dampaknya hanya khusus kamu yang memperolehnya. Yang berbuat baik mendapat bahagian dari kebaikannya dan yang berbuat jahat pun demikian. Seperti dalam firman-Nya di dalam Zalzalah: 7-8:

فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ. وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihatnya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.

Dalam konteks inilah Sayyidina ‘Ali Ibn Abu Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Aku tidak pernah berbuat baik kepada seseorang, tidak juga pernah berbuat jahat.” Maksudnya, apa sahaja yang dia buat, tidak memberi kesan kepada orang lain, tetapi dia juga yang akan menerima kesannya, sama ada baik, atau jahat. Sebagai contoh, kalau kita berbuat baik kepada orang lain, kita sebenarnya menguntungkan diri kita, berbaik kepada diri sendiri sebenarnya kerana Allah ﷻ akan balas kebaikan itu.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم

dan apabila datang janji yang akhir (yang kedua), maka disuramkan muka-muka kamu

Kali ini mereka dikenakan lagi dengan serangan daripada tentera yang kuat. Ada dikatakan yang kesalahan mereka kali ini adalah kerana mereka telah membunuh Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ balas dengan beri kekalahan kepada mereka menyebabkan muka mereka suram, iaitu bermaksud mereka dimalukan. Kalimat لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم memberi isyarat bahawa kehancuran kali kedua ini lebih besar daripada yang pertama.

Ini kerana iman sejati mereka sudah hilang, tinggal sedikit sekali. Kemudian setelah Allah ﷻ menunjukkan kekayaan-Nya dengan membuntingkan Maryam binti Imran, mereka tuduhlah Maryam dengan tuduhan amat hina. Dituduhnya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak zina kerana baginda dilahirkan Allah ﷻ tidak menurut yang teradat, iaitu berbapa. Padahal Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seorang Rasul Allah ﷻ dan penghulu Baitul Maqdis menjadi saksi atas kesucian Maryam, itu pun tidak mereka percayai. Akhirnya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus Tuhan mengajak mereka kembali kepada agama yang benar, kembali kepada Taurat. Mereka tolak seruan Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, bahkan sampai mereka fitnahkan baginda kepada penguasa Romawi. Mereka tuduh baginda hendak menjadi raja dan menjatuhkan kerajaan Romawi. Mereka usulkan supaya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disalibkan sebagai orang jahat.

Inilah kerosakan hebat kedua kali yang dibawa Bani Israil, yang membawa perpecahan yang paling hebat dalam sejarah agama. Kerana bencinya mereka kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ibunya, mereka tuduh dua insan mulia itu dengan tuduhan hina.

 

وَلِيَدخُلُوا المَسجِدَ كَما دَخَلوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ

dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama

Pada kali ini yang menyerang mereka juga masuk ke dalam Masjidil Aqsa dan menghancurkannya. Kalau kali pertama Masjidil Aqsa tidak dihancurkan. Kejadian ini berlaku sekitar 70 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit, di mana Jerusalem sekali lagi ditawan seperti yang kali pertama juga dulu. Mereka dikenakan dengan kehinaan ini kerana mereka bunuh Nabi Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga mereka rancang mahu bunuh.

 

وَلِيُتَبِّروا ما عَلَوا تَتبيرًا

dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai.

Kemusnahan yang musuh mereka lakukan itu adalah secara keseluruhan. Apa-apa pembinaan dan kejayaan yang Bani Israil telah bina dahulu telah dimusnahkan. Hancurlah mereka sehancur-hancurnya, sebagaimana yang diancamkan Tuhan di ayat 7 ini. Maka terpecah belahlah Bani Israil dibawa nasib ke merata tempat, ke Mesir, ke Sepanyol, ke India dan lain-lain. Setengahnya lagi berdiam di Tanah Arab, di Khaibar, di Yastrib (Madinah), yang terdiri daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizhah.

Akan tetapi pengharapan mereka akan bangun kembali masih ada kerana di dalam Taurat dan Kitab Nabi-nabi telah disebut bahawa seorang Nabi akhir zaman akan bangkit, mereka namai sebagai Messios. Pengharapan ini kerapkali mereka terangkan kepada orang-orang Arab di Yastrib. Namun begitu Nabi itu rupanya tidaklah timbul dalam kalangan Bani Israil lagi, melainkan dalam kalangan Bani Ismail, iaitu Muhammad ﷺ.

Pengajaran bagi kita adalah jangan leka dengan kesenangan keduniaan sampaikan menyebabkan kita lupa kepada Allah ﷻ, kepada agama dan kepada wahyu. Apabila kita melakukan kederhakaan semasa di dunia, Allah ﷻ boleh balas dengan istidraj yang banyak kali disebut di dalam Al-Qur’an. Iaitu Allah ﷻ beri kesenangan tetapi bukanlah sebagai nikmat akan tetapi sebagai bala. Oleh kerana bala itulah menyebabkan manusia semakin leka dan leka dan akhirnya mereka akan ditimpa dengan kebinasaan yang menyejutkan. Antara ayat yang menyebut perkara ini adalah seperti di dalam A’raf: 95

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Secara ringkasnya bermula ayat 4 hingga 7 ini disebut tentang sejarah Bani Israil: mereka melakukan kerosakan dan kerana itu mereka dikenakan dengan azab serangan daripada musuh mereka. Kemudian mereka nampaknya telah bertaubat dan Allah ﷻ kembalikan kesenangan kepada mereka. Kemudian mereka lalai leka kembali maka Allah ﷻ kenakan sekali lagi dengan azab serangan yang lebih teruk lagi.

Maka ada dua kali mereka melampau dan dua kali mereka diserang. Ayat-ayat ini menyebut dua kali akan tetapi kalau dibandingkan dengan sejarah, terdapat 6 kali kejadian itu berlaku. Kalau kita susun kembali sejarah itu jadi begini:

1. Kejadian pertama dikatakan berlaku selepas kewafatan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, pengasas Masjid al-Aqsa. Pemimpin Baitul-Maqdis waktu itu telah korup dan mereka telah diserang oleh kerajaan Mesir pada waktu itu dan telah diambil segala kekayaan emas dan perak mereka. Akan tetapi bandar dan Masjid al-Aqsa tidak dimusnahkan.

2. Kejadian kedua berlaku 400 tahun selepas itu. Ada golongan Yahudi yang berada di Baitul-Maqdis mula menyembah berhala dan yang lain-lain bertelagah sesama mereka. Sekali lagi musuh dari Mesir menyerang mereka dan mengalahkan mereka.

3. Kejadian ketiga adalah ketika Raja Nabukadnesar (Bukhti-nashar) dari Babil menyerang Baitul-Maqdis. Dia telah menawan bandar itu, merampas segala harta dan telah menjadikan sebahagian besar bangsa Bani Israil menjadi tawanan perang. Apabila Raja Nabukadnesar meninggalkan Baitul-Maqdis, dia melantik seorang raja sebagai wakilnya.

4. Kejadian keempat. Raja yang dilantik oleh Nabukadnesar kemudian telah menyembah berhala dan menentang Nabukadnesar. Maka Nabukadnesar telah datang kembali dan kali ini telah membunuh ramai penduduk, memusnahkan harta secara pukal dan membakar bandar menjadi abu. Ini berlaku lebih kurang 415 tahun selepas pembinaan Masjid al-Aqsa. Golongan Yahudi kemudiannya telah meninggalkan Syria menuju ke Babil dan hidup sebagai pelarian dalam kehinaan.

Kemudian Raja Iran yang bernama Korusy (Cyrus) telah menyerang Babil dan menakluknya. Raja Iran kasihan kepada golongan Yahudi dan membenarkan mereka balik ke Syria bersama dengan harta mereka yang telah dirampas. Waktu itu mereka telah menyesal dari kesalahan mereka dan mereka kembali dan membina semula Masjid al-Aqsa dengan bantuan Raja Iran.

5. Kejadian kelima. Apabila Yahudi mendapat kesenangan, mereka sekali lagi lupa diri dan lupa apa yang telah berlaku di dalam sejarah mereka. Mereka kembali melakukan kerosakan dan meninggalkan agama. Mereka telah diserang oleh pengasas Antakiah (Antioch) yang menyerang mereka dan membunuh 40,000 Yahudi dan menjadikan tawanan 40,000 juga. Mereka juga telah menghancurkan Masjid al-Aqsa tinggal tapak sahaja. Ini berlaku 170 sebelum kelahiran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kemudian Baitul-Maqdis jatuh ke tangan Kerajaan Rom. Di bawah pemerintahan mereka, Masjid al-Aqsa kembali dibina dan selepas 8 tahun, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilahirkan.

6. Kejadian keenam. 40 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit, puak Yahudi telah memberontak melawan Kerajaan Rom. Kerajaan Rom telah menang dan telah memusnahkan Baitul-Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Raja Kerajaan Rom ketika itu adalah Titus yang tidak beragama Yahudi mahu pun Nasrani. Dari waktu ini sehinggalah ke waktu Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menakluk Baitul-Maqdis dan membina kembali Masjid al-Aqsa.

Telah disenaraikan 6 peristiwa dan tidak pasti manakah satu peristiwa yang dimaksudkan. Cuma ada pendapat yang mengatakan yang kuat adalah kejadian 4 dan 6 yang dimaksudkan di dalam ayat-ayat yang kita telah pelajari ini. Maka kalau kita ringkaskan: kali pertama mereka meninggalkan wahyu yang disampaikan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka dihancurkan dan kemudian mereka bertaubat dan mereka dikembalikan dengan kekuasaan. Namun untuk kali kedua mereka meninggalkan ajaran wahyu yang disampaikan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, sekali lagi mereka telah dimusnahkan dengan lebih teruk lagi.

Akan tetapi ada satu lagi tafsir moden. Ia menjadi popular kerana kejadian serangan pihak Hamas ke negara haram Israel pada 7 Oktober 2023. Pandangan masyarakat dunia termasuk negara Islam memandang berat perkara ini dan majoriti masyarakat dunia benci dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel kepada penduduk negara Palestin. Maka ayat ini menjadi bahan perbincangan.

Adakah apa yang berlaku pada tahun 2023 itu sebagai satu permulaan kepada kehancuran mereka secara total? Ramai ulama’ moden memberikan pandangan mereka dan merujuk kepada ayat 7 ini. Mereka kata inilah ayat yang menyebut tentang kehancuran mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga mengaitkan ayat ini dengan peristiwa akhir zaman. Tafsiran ini tidak kelihatan 70 tahun yang lepas (sebelum kemasukan Yahudi ke negara Palestin) kerana suasana waktu itu berbeza. Cuma setelah kemasukan mereka dan penjajahan dan kekejaman yang mereka lakukan, ramai yang menunggu kehancuran Israel itu dan mereka berharap ayat inilah yang menyebut tentang kehancuran itu.

Allahu a’lam apakah ini benar. Seperti yang telah disebut sebelum ini, ulama’ silam membaca ayat ini dan memandangkan apa yang telah disebut telah pun berlaku (cuma tidak dapat sebut secara spesifik kejadian yang mana). Pada mereka ayat ini bukanlah menceritakan masa depan, tetapi perkara yang telah berlangsung.


 

Isra’ Ayat 8:

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم ۚ وَإِن عُدتُّم عُدنا ۘ وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكٰفِرينَ حَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then Allāh said], “It is expected, [if you repent], that your Lord will have mercy upon you. But if you return [to sin], We will return [to punishment]. And We have made Hell, for the disbelievers, a prison-bed.”

(MELAYU)

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يَرحَمَكُم

Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu;

Allah ‎ﷻ mahu memberitahu bahawa Allah ﷻ bukan benci kepada Bani Israil itu dan Allah ﷻ masih beri peluang lagi kepada mereka. Kalimah عَسىٰ asalnya bermaksud ‘mudah-mudahan’, akan tetapi kalau ia daripada Allah ﷻ, maka ia bermaksud pasti, wajib. Seandainya mereka bertaubat dan tidak buat kerosakan lagi, kemudian mengikut syariat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad ﷺ), mereka akan selamat. Allah ﷻ masih sanggup untuk melimpahkan Rahmat-Nya kepada mereka.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah ﷻ sebagai Rabb Tuhan Pemelihara pada dasarnya melimpahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya, selama mereka mengikuti fitrah asal kejadian mereka yang selalu cenderung kepada kebaikan dan mengakui keesaan Allah ﷻ.

 

وَإِن عُدتُّم عُدنا

dan sekiranya kamu kembali kepada (kederhakaan) nescaya Kami kembali (mengazabmu) 

Akan tetapi, Allah ﷻ mahu tegaskan bahawa kalau mereka kembali semula kepada perangai lama mereka, Allah ﷻ akan berikan nasib yang sama seperti yang telah diberikan dulu kepada mereka. Iaitu Bangsa Yahudi telah hancur sebanyak dua kali. Pada kali ini, kalau mereka tidak ambil peluang juga lagi untuk menerima ajaran daripada Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka akan mendapat nasib yang sama sekali lagi.

Namun begitu seperti yang kita tahu melalui sirah, kebanyakan daripada mereka tidak mengambil pengajaran. Maka, ada Yahudi di Madinah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka dikalahkan iaitu Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Bani Nadhir semua telah dihalau keluar dan Bani Quraizah telah dibunuh semua sekali (kejadian pada 6H). Itulah balasan yang dikenakan kepada mereka.

Perkara ini berulang-ulang kali di dalam sejarah. Mereka dihinakan, kemudian mereka kembali berkuasa. Kemudian mereka buat kerosakan dan kemudian Allah ﷻ akan hancurkan mereka lagi. Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ mereka telah buat onar dan mereka telah dihalau dari Madinah pada waktu itu.

Kerajaan Islam juga pernah mengalahkan mereka dan mengambil alih Baitul Maqdis semasa zaman Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Masjidil Aqsa waktu itu menjadi tempat pasar yang kotor sahaja namun Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah mengarahkan supaya ia dibersihkan dan dibina semula. Penduduk Yahudi waktu itu tidak ada langsung kerana telah dibunuh atau dihalau, maka Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengarahkan untuk dibawakan kembali mereka untuk menjadi penempatan mereka. Maka Masjidil Aqsa telah dimuliakan kembali.

Dalam sejarah terdekat kita boleh lihat bagaimana rejim Nazi (Hitler) telah memusnahkan mereka. Sekarang mereka di dalam kuasa di negara Israel. Tidak mustahil yang mereka akan dimusnahkan kembali. Ini pasti berlaku cuma kita tidak tahu bila ia akan berlaku.

Akan tetapi sekarang yang membaca Al-Qur’an adalah umat Islam, bukan? Maka perkara yang terjadi kepada Bani Israil ini adalah pengajaran buat kita. Kejayaan dan kedudukan kita bergantung kepada betapa taatnya kita kepada Allah ﷻ dan ajaran Rasul-Nya. Jikalau kita membelakanginya, kita pun akan menerima nasib yang serupa!

Lihatlah siapa yang menguasai Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa sekarang? Mereka itu adalah Israel yang sedang disebut-sebut di dalam beberapa ayat sebelum ini yang telah dimusnahkan. Akan tetapi sekarang mereka yang menguasai masjid ketiga teragung umat Islam. Kenapa? Kerana kita telah lama membelakangi ajaran Al-Qur’an. Kita berpecah belah sampaikan negara Israel yang ciput kecil itu pun kita tidak boleh hendak kalahkan. Ini amat memalukan kita. Maka ia mengajar kita supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Kedudukan Baitullah (Mekah dan Ka’bah) tidak sama dengan Masjidil Aqsa. Allah ﷻ telah menjaga Baitullah semenjak daripada cubaan Tentera Bergajah Abrahah lagi. Akan tetapi perkara yang sama tidak berlaku dengan Masjidil Aqsa. Ini adalah ketentuan Allah ﷻ.

 

وَجَعَلنا جَهَنَّمَ لِلكٰفِرينَ حَصيرًا

dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.

Yang disebut itu tadi adalah azab di dunia. Allah ﷻ juga telah menyediakan neraka jahannam untuk orang-orang kafir yang akan mengepung mereka seperti penjara. Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka jahannam. Kalau penjara di dunia, mungkin ada harapan lagi untuk lari, namun tidak ada harapan kalau penjara di akhirat.

Ada banyak kisah yang disebut tentang tafsir ayat ini dengan nama dan kisah-kisah yang menakjubkan. Akan tetapi kita tidak memerlukannya. Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an tidak mementingkan dalam menyebut nama orang atau tempat kerana tujuan kisah yang dipaparkan ialah untuk diambil pengajaran dan peringatan.
Maksud yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat ini ialah Bani Israil telah melakukan kerosakan pada zaman pertama. Mereka telah berlaku zalim dan melampaui batasan. Maka pada zaman pertama itu, Allah ﷻ telah memberikan kuasa kepada orang yang menawan dan mengalahkan mereka. Orang ini tidak perlu ditentukan kepada Sanjarib atau Bakhtansir dan tentera-tenteranya, kerana dengan mengetahuinya tidak akan mendatangkan apa-apa faedah yang boleh diambil peringatan.

Pada zaman kedua pula, Allah ﷻ telah memberi kuasa kepada orang yang memang dan menawan mereka dengan memasuki Masjidil Aqsa lalu mereka melakukan kerosakan dan menghancurkannya. Tidak ada keperluan bagi kita untuk mengetahui sama ada orang ini Taitus berbangsa Rom atau selainnya. Ini kerana tujuan kisah ini ialah ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ ke atas Bani Israil kerana mereka adalah orang yang melakukan kerosakan, kezaliman dan melampaui batas.

Oleh yang demikian, Allah ﷻ memberi keizinan kepada manusia dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang akan menindas, menawan, mengusir dan berlaku zalim ke atas mereka. Seterusnya ayat-ayat ini juga menunjukkan bahawa Bani Israil bukan sahaja diizinkan melakukan kezaliman dan kerosakan, malah ayat ini menunjukkan bahawa ia akan berterusan hingga ke satu masa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan memberikan kuasa kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya untuk menyeksa dan menindas mereka sebagai memulangkan semula kezaliman dan kejahatan kepada diri mereka sendiri.

Adakah pada hari ini, Allah ﷻ telah mengutuskan orang yang akan menawan dan menyeksa mereka dengan hebat disebabkan oleh kezaliman dan kedurjanaan yang mereka lakukan?; iaitu mereka telah mengusir penduduk Palestin dari negara mereka, mereka merampas tanah, menindas manusia dan mereka menghina nilai-nilai akhlak serta hak manusia. Kita tunggu dan lihat bagaimanakah kesudahan mereka nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 4 – 6 (Balasan kepada Bani Israil)

PERINGATAN KEPADA BANI ISRAIL

Isra’ Ayat 4: Ayat Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia). Setelah menyebut tentang kitab yang dianugerahkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kini disebutkan sebahagian kandungan kitab tersebut, sekaligus memperingatkan bahawa siapa yang melanggar ketetapan dan tuntunan kitab suci, maka mereka terancam dengan seksa — walau setelah waktu yang lama.

Di sini kita akan belajar yang Bani Israil telah melakukan kerosakan yang besar di mukabumi. Maka Allah ﷻ hantar golongan yang kuat untuk musnahkan mereka. Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kezaliman mereka terhadap Allah ﷻ dan terhadap manusia lain.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرٰءيلَ فِي الكِتٰبِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We conveyed¹ to the Children of Israel in the Scripture that, “You will surely cause corruption on the earth twice, and you will surely reach [a degree of] great haughtiness.”

  • Foretold out of divine knowledge of what they would do.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

 

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرٰءيلَ فِي الكِتٰبِ

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: 

Telah ditakdirkan dalam kitab Taurat atau sebelumnya lagi iaitu dalam suhuf. Maksudnya Allah ﷻ telah beritahu mereka awal-awal lagi. Ada juga pendapat yang mengatakan ‘kitab’ yang dimaksudkan di sini adalah Lauh Mahfuz. Di situ tertulis segala perkara yang akan berlaku. Maknanya Allah ﷻ telah tahu apa yang mereka akan lakukan.

Di dalam Tafsir al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa harus juga dikatakan قَضَينا sebagai fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam. لَتُفسِدُنَّ adalah jawabnya. Seolah-olahnya dikatakan, وأقسمنا لتفسدن (Kami telah bersumpah, bahawa sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan).

Di dalam ayat 2 sebelum ini telah disebut mereka telah diberikan dengan kitab wahyu dan sepatutnya mereka mengikut kitab wahyu itu. Akan tetapi kerana mereka meninggalkannya, maka mereka akan diberikan dengan balasan yang buruk.

 

لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ

“Sesungguhnya kamu pasti akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali

Allah ﷻ telah beritahu yang mereka pasti akan melakukan kerosakan di muka bumi sebanyak dua kali. Mereka pasti akan melakukan penderhakaan kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka ada kuasa, bukan? Bumi yang dimaksudkan itu adalah Syria.

Bani Israil telah mendapat nikmat-nikmat yang berganda-ganda daripada Tuhan. Mereka telah pindah ke Mesir seketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkuasa di sana. Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, yang diberi gelaran Israil, dengan anak-anaknya dan cucu-cucunya telah pergi ke Mesir atas anjuran anaknya iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh itu mereka telah berdiam di Mesir turun temurun. Jumlah mereka sekeluarga yang pindah ke Mesir itu menurut satu riwayat daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah seramai 93 orang, laki-laki, perempuan.

Kemudian mereka telah keluar dari Mesir dipimpin oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ 400 tahun kemudian mencapai ketika jumlah mereka mencapai 670,000 orang. Kisahnya kerana takut mereka akan kuat di sana, Fir’aun-fir’aun yang memerintah Mesir selalu menghinakan mereka seperti hamba. Maka kemudian Allah ﷻ telah mengutus Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk memimpin mereka, sampai mereka dibawa keluar dari Mesir menuju tanah yang dijanjikan Tuhan untuk mereka. Tanah yang subur, yang kaya dengan air susu dan madu iaitu Palestina. Demikianlah mulanya dengan pimpinan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kemudian dengan pimpinan Nabi Yusya’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dapatlah pula akhirnya mereka menjadi bangsa yang kukuh dan kuat di Jerusalem, Palestina itu. Puncak kemegahan mereka ialah di zaman Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; dua Nabi Bani Israil yang merangkap menjadi Raja.

Tetapi setelah kedua Nabi Raja itu mangkat, mulailah kucar-kacirnya Bani Israil, mulai mereka langgar hukum-hukum Taurat. Bermulalah negeri itu berpecah menjadi dua, menjadi negeri Yahudi dan Afraim. Lalu banyaklah maksiat terjadi, penzinaan, menjual orang merdeka, penganiayaan sehingga hancurlah kemegahan Bani Israil. Maka datanglah azab Tuhan. Didatangkan musuh-musuh mereka, pertama orang Mesir di bawah raja Fir’aun Nikho. Setelah itu Raja Nabukadnesar (Bukhti-nashar) dari Babil. Negeri Bani Israil dimusnahkan dan Baitul Maqdis yang didirikan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu diratakan dengan bumi. Lebih 10,000 orang yang ditawan dan dibawa ke Babil dan dijadikan hamba abdi.

Setelah 100 tahun negeri itu hancur maka datanglah Korusy, raja Persia yang disebut juga sebagai Cyrus, dia memerangi Babil hingga kalah. Maka keturunan-keturunan Bani Israil yang tertawan di Babil itu seluruhnya pulang ke Jerusalem buat membangunkan kembali negeri mereka dan Baitul Maqdis itu. Di bawah pimpinan Nabi ‘Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (‘lzra) 5 abad sebelum Masehi mereka teguh kembali. Tetapi tidaklah semegah dahulu. Mereka hanya selalu di bawah lindungan kerajaan asing.

Mulanya lindungan kerajaan Persia. Kemudian takluk kepada Iskandar Macedonia (3 abad sebelum Masehi). Setelah itu takluk ke bawah hukum bangsa Romawi. Di zaman inilah Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus Tuhan kepada mereka. Namun begitu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mereka lawan dengan keras, nyaris mereka bunuh.

Mereka telah diajar oleh Nabi-nabi tentang Tauhid. Mereka juga mengakui bahawa mereka menyembah Tuhan Yang Esa. Tuhan nenek moyang mereka lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi pada satu waktu mereka setelah terpedaya menyembah “‘ljil”, iaitu patung anak lembu daripada emas yang dibina oleh Samiri, sehingga amat murkalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun pernah mengutuk mereka kerana telah banyak maksiat yang mereka lakukan. Bahkan Nabi llyas عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, memberi peringatan kepada mereka, kerana telah ada pula yang menyembah berhala Balal.

Agama mereka telah menjadi kaku, berpegang kepada yang tertulis, tetapi akhlak telah runtuh. Kedatangan Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mengajak mereka kembali kepada hukum Taurat yang sebenarnya. Akan tetapi tidak mereka acuhkan. Di kala Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang ke Baitul Maqdis baginda sudah amat murka, kerana rumah suci itu telah mereka kotori menjadi pasar tempat berjual-beli.

Lantaran yang demikian tidaklah dapat lagi Bani Israil dibebani tugas. Mereka membunuh pula Nabi-nabi. Inilah ditegaskan Tuhan tentang akibat keingkaran-keingkaran Bani Israil itu. Oleh kerana mereka telah ingkar, maka Allah ‎ﷻ menghantar golongan kafir untuk memusnahkan mereka.

 

وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

Mereka akan membuat kerosakan itu sebanyak dua kali – maknanya mereka akan naik tinggi dua kali di mana mereka akan mendapat kuasa dalam dunia. Mereka sombong dengan golongan orang lain kerana bangga dengan keturunan mereka.

Atau maksud mereka sombong sangat itu adalah kerana mereka membunuh Nabi yang menjadi lambang Tauhid. Oleh itu, maksud meninggi itu adalah mereka angkat kepala kerana derhaka. Mereka menjadi sombong terhadap hamba Allah ﷻ yang lain, sampai mereka sanggup membunuh Nabi! Ini memang perbuatan yang amat teruk.


 

DUA KEROSAKAN

Isra’ Ayat 5: Ada dua kenaikan mereka dalam sejarah iaitu pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekali lagi pada zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولٰهُما بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَّنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ فَجاسوا خِلٰلَ الدِّيارِ ۚ وَكانَ وَعدًا مَّفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the [time of] promise came for the first of them,¹ We sent against you servants of Ours – those of great military might, and they probed [even] into the homes,² and it was a promise fulfilled.

  • i.e., the promised punishment for the first of their two transgressions.
  • Violating their sanctity, to kill and plunder.

(MELAYU)

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela sampai ke dalam rumah, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولٰهُما

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, 

Ini adalah janji daripada dua kemungkaran yang mereka lakukan yang telah disebut sebelum ini. Untuk tahu ayat ini, kena tahu sejarah Bani Israil:

Selepas Bani Israil diarahkan untuk masuk ke dalam Bandar Palestin di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas mereka menyeberangi Laut Tih, mereka enggan untuk masuk ke dalam bandar. Kerana untuk masuk ke dalam bandar, mereka harus berperang dengan puak Amalikah yang sedang menghuni bandar itu dan puak Amalikah itu pula kuat. Maka, kerana keengganan mereka, Allah ﷻ telah takdirkan mereka terus sesat dalam padang pasir selama 40 tahun.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah wafat semasa puak Bani Israil itu sesat di dalam padang pasir itu. Maka, hanya di bawah pimpinan Nabi Yusha’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ barulah golongan yang baru (golongan tua telah mati semuanya) dalam kalangan mereka yang sanggup berperang dan kerana itu mereka telah menang. Sememangnya pada waktu itu mereka sudah kuat.

Pada masa itu, mereka ada 12 puak. Selepas itu, mereka berpecah sesudah menang. Sepatutnya mereka bersatu sahaja kerana mereka berjaya menang pun kerana mereka bersatu. Namun memang kebiasaan manusia, lama-lama akan terjadi perpecahan.

Maka, begitulah juga yang terjadi kepada kita sekarang. Kita semua beragama Islam, tetapi ada Muslim dari Sudan, dari Pakisan, dari Malaysia dan pelbagai negara lagi. Malangnya, kita masih tidak dapat bersatu walaupun kita semua beragama Islam. Kita juga yang buat begitu kerana masalah yang ada pada diri kita.

Apabila berpecah tentulah kekuatan berkurangan. Dari segi ketenteraan juga sudah tidak kuat kerana tidak bersatu. Ini menyebabkan mereka senang untuk diserang – walaupun mereka sudah menang sebelum itu, tetapi orang luar mudah menawan mereka.

Begitulah yang terjadi apabila Nebuchadnezzar menyerang dan menakluk Palestin pada tahun 587 SM. Akan tetapi pada tahun 538 SM, Bani Israil telah kembali dari Babylon dan menakluk kembali Palestin. Mereka telah memenangkan kembali kerajaan Bani Israil.

Kalau kita bandingkan dengan kerajaan Islam juga, kerajaan Islam kuat semasa zaman Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sampai ke zaman Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Namun, pada zaman Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ umat Islam sudah mula berpecah menjadi dua kumpulan.

Semasa Bani Israil berpecah itu, waktu itulah mereka jauh daripada agama, rasuah semakin menjadi-jadi. Ini kerana mereka tidak melihat diri mereka dalam satu agama, tetapi mereka bezakan antara agama dan umat. Ini sama seperti kita juga. Kita bezakan diri kita antara agama dan bangsa.

Kita mesti belajar daripada apa yang telah terjadi kepada Bani Israil ini. Kerana apa yang Allah ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an ini bukanlah sebagai sejarah semata, tetapi kita hendaklah ambil pengajaran daripadanya. Kalau tahu sejarah sahaja, tetapi tidak diambil pengajaran daripadanya, maka rugilah kita. Ibarat bacaan kosong sahaja ayat-ayat ini.

 

بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَّنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ

Kami bangkitkan ke atas kamu, hamba-hamba milik Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, 

Maka, janji yang pertama ini adalah kemusnahan pertama Bani Israil. Ada pendapat yang mengatakan kesalahan pertama mereka adalah kerana mereka membunuh Nabi Zakaria عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh kerana itu seluruh Israil telah ditakluki. Ramai yang telah dibunuh dan ramai juga yang telah ditawan dan diambil sebagai tawanan.

Ini adalah kekalahan besar yang pertama bagi mereka. Ini terjadi 450 tahun sebelum lahirnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu inilah juga dikatakan Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berjalan ke kota yang hancur dan baginda telah ditidurkan selama 100 tahun. Kemudian di bawah pemerintahan Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan Yahudi telah naik kembali dan mereka dibenarkan untuk kembali ke tanah mereka.

Waktu itu, mereka telah membuka kerajaan yang baru. Namun seperti biasa, apabila sesuatu kerajaan itu telah sangat besar dan sangat mewah, lama kelamaan mereka kembali jatuh. Apabila mereka sudah lemah kembali, mereka diserang pula oleh Greek. Lalu, kemudian mereka di bawah pemerintahan Roman dan waktu inilah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilahirkan. Kemudian, 70 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tiada (diangkat ke langit), mereka telah diserang oleh Roman dan sekali lagi Masjidil Aqsa dihancurkan.

Namun begitu ini adalah satu pendapat. Memang sangat banyak pendapat yang diberikan tentang apakah sejarah yang dimaksudkan dan siapakah yang menghancurkan mereka kerana Allah ﷻ tidak sebut siapa. Sungguh tepat penegasan pakar tafsir ar-Razi yang menyatakan bahawa pengetahuan tentang siapa mereka tidaklah banyak gunanya, kerana tujuan pemaparan ayat-ayat ini adalah menyampaikan informasi bahwa orang-orang Yahudi itu telah melakukan banyak kederhakaan sehingga Allah ﷻ menyeksa mereka melalui penguasaan dan penindasan hamba-hamba Tuhan yang taat mahupun yang zalim.

Ulama’ berbeza pendapat siapakah عِبادًا لَّنا di dalam ayat ini. Golongan zalim itu hamba Allah ﷻ juga. Maksudnya, mereka adalah hamba milik Allah ﷻ kerana ada tambahan huruf ل di sini. Tidaklah ini bermaksud mereka itu orang baik-baik. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah عِبادًا لَّنا (hamba milik Kami) dan bukannya عِبادنا (hamba Kami). Allah ﷻ tidak mengaku mereka itu hamba-Nya seperti kalimah yang digunakan di dalam ayat pertama عَبدِهِ yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan ciri-ciri hamba Allah ﷻ yang baik. Kalimah عِبادًا لَّنا merujuk kepada orang kafir. Kerana walau jahat atau baik, semuanya adalah hamba Allah ﷻ juga, bukan? Namun mereka itu kuat kerana ada keberanian dalam peperangan yang sangat hebat. Allah ﷻ boleh sahaja hantar musuh-Nya untuk mengalahkan umat Islam yang telah lupa taat kepada Allah ﷻ.

Oleh sebab itu, sebagaimana Yahudi ada dua kali kenaikan dan dua kali kejatuhan, sejarah Islam juga mengalami dua kali naik dan dua kali jatuh. Kali pertama kita naik pada zaman Khalifah Rasyidin dan kemudian kita dijatuhkan oleh bangsa Tartar. Kemudian Islam naik kembali di bawah Turki dan akhirnya dijatuhkan oleh pengambilan bangsa Eropah.

Itu adalah sejarah ringkas secara keseluruhan, tetapi ayat ini menceritakan tentang kekalahan bangsa Yahudi di tangan Babylon.

 

فَجاسوا خِلٰلَ الدِّيارِ

lalu mereka merempuh sampai ke dalam rumah,

Kata جاسوا diambil daripada kataالجوس al-jaus iaitu mencari secara sungguh-sungguh dan menyeluruh, menelusuri kampung dan memasuki desa-desa untuk melaksanakan apa yang direncanakan terhadap yang dicari itu. Waktu musuh mereka menyerang itu, mereka memang menghancurkan semua sekali negeri Palestin itu dan sampai mereka masuk ke dalam rumah-rumah bangsa Yahudi itu. Cari sampai ke segala ceruk maknanya. Maksudnya mereka bunuh semua sekali orang Yahudi waktu itu.

Selalunya peperangan berlaku di luar kita sahaja tetapi apabila digunakan perkataan الدِّيارِ (rumah) di dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa kejadian itu amat besar sekali sampaikan tentera datang masuk ke dalam kota dan ke dalam rumah. Apabila diserang, musuh masuk dalam setiap pelosok negeri dan samun habis.

Allah ﷻ buat begitu kerana mereka telah derhaka kepada Allah ﷻ dan melanggar ajaran di dalam kitab Taurat. Maka kehancuran yang dikenakan kepada mereka amat hebat.

 

وَكانَ وَعدًا مَّفعولًا

dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

Itulah yang telah terjadi. Seandainya Allah ﷻ telah tetapkan, maka ia akan tetap terjadi. Mereka tidak boleh menghalangnya. Maka ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ kepada kita juga. Allah ﷻ boleh hancurkan kita bila-bila masa dan kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Maka ini menjadi pengajaran kepada kita. Umat Islam pun boleh dikalahkan oleh orang kafir. Ini seperti terjadi di Syria di mana umat Islam dikalahkan oleh puak Syiah; juga di Iraq apabila Allah ﷻ hantar tentera US untuk mengalahkannya. Maka tidak mustahil ini juga boleh terjadi kepada kita kalau kita lupa menjaga agama.


 

Isra’ Ayat 6: Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia akan memberi kemenangan dan nikmat setelah mereka bertaubat.

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم وَأَمدَدنٰكُم بِأَموٰلٍ وَبَنينَ وَجَعَلنٰكُم أَكثَرَ نَفيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We gave back to you a return victory over them. And We reinforced you with wealth and sons and made you more numerous in manpower

(MELAYU)

Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

 

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم

Kemudian Kami kembalikan kepadamu giliran untuk mengalahkan ke atas mereka

Allah ﷻ benarkan Bani Israil untuk mendapat kemenangan dan merampas kerajaan mereka kembali. Selepas seratus tahun kekalahan mereka, Jalut dikalahkan dan Allah ﷻ berikan kejayaan ini kerana mereka telah bertaubat dan kembali menjaga agama. Begitulah Allah ﷻ akan memberi nikmat kepada orang yang meninggalkan dosa yang dilakukannya dan meminta ampun kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Nuh: 10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

وَأَمدَدنٰكُم بِأَموٰلٍ وَبَنينَ

dan Kami membantumu dengan keluasan harta kekayaan dan anak-anak

Mereka diberikan dengan kekayaan dan keturunan yang baik-baik. Maka kerana itu mereka mendapat kekuatan dan kemenangan. Mereka mendapat harta yang banyak termasuk banyak pengikut dan anak-anak.

 

وَجَعَلنٰكُم أَكثَرَ نَفيرًا

dan Kami jadikan kamu kelompok yang besar.

Mereka diberikan dengan kekuatan ketenteraan. Jumlah mereka pun menjadi ramai dan kuat. Kerana ramainya penyokong mereka.

Demikianlah Allah ﷻ mengembalikan mereka ke negerinya lepas dari zaman kekuasaan bangsa Persia. Pimpinan seorang Nabi, iaitu ‘Uzair (khilaf beliau Nabi atau tidak) telah membangkitkan mereka kembali. Di zamannyalah kitab Taurat dikumpulkan dijadikan kitab, ditambah dengan sejarah nenek moyang mereka. Pada waktu itulah Allah ﷻ memberi peringatan kepada mereka, supaya pengalaman pahit yang telah lalu mereka jadikan pengajaran. Peringatan Tuhan itu dilukiskan, dan tersebut di dalam ayat selepas ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 2 – 3 (Sejarah Bani Israil)

Isra’ Ayat 2: Dalil naqli (nakalan daripada Allah ﷻ). Oleh kerana surah ini tentang Bani Israil, maka Allah ﷻ menyebut tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kitab Taurat. Setelah membuktikan kuasa-Nya Yang Maha Besar melalui peristiwa Isra’ itu, sekaligus menyebut anugerah-Nya kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan mengisra’kan baginda dalam waktu yang sangat singkat, kini diuraikan anugerah-Nya mengisra’kan Nabi yang lain yakni Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari Mesir ke negeri yang diberkati pula yakni Palestina, tetapi Isra’ yang memakan waktu lama.

Selalu Allah ﷻ menyebut tentang kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas menyebut tentang Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana umat baginda sama sahaja perangai dengan umat Nabi Muhammad ﷺ. Umat Islam diingatkan di sini supaya jangan membangkang Nabi Muhammad ﷺ sepertimana umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membangkang rasul mereka itu.

Penyebutan tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini, mempunyai juga kaitan yang sangat jelas dengan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj, kerana baginda yang berulang-ulang mengusulkan agar Nabi ﷺ memohon keringanan tentang kewajipan yang ditetapkan-Nya bagi umat Islam untuk solat lima puluh kali sehari semalam. Ini ketika Nabi Muhammad ﷺ turun setelah mendapat wahyu arahan Solat dan baginda bertemu dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Di sisi lain, penyebutan keadaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh ayat ini juga mengandungi isyarat perbandingan kedudukan baginda dengan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan berpuasa tiga puluh tambah sepuluh hari sebelum bermunajat kepada Allah ﷻ (rujuk A‘raf: 142), sedangkan Nabi Muhammad ﷺ tidak perlu demikian.

وَءآتَينا موسَى الكِتٰبَ وَجَعَلنٰهُ هُدًى لِّبَني إِسرٰءيلَ أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave Moses the Scripture and made it a guidance for the Children of Israel that you not take other than Me as Disposer of affairs,¹

  • i.e., trust in Allāh, knowing that He (subḥānahu wa ta‘ālā) is responsible for every occurrence.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan firman): “Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

 

وَءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) 

Allah ﷻ sebut Nabi Bani Israil yang paling utama iaitu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat ke langit bertemu Allah ﷻ dan diberikan dengan syariat Solat dan diberikan dengan Al-Qur’an sebelum itu, maka Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada sejarahnya juga. Baginda telah bercakap-cakap dengan Allah ﷻ di Gunung Thur dan baginda telah diberikan juga dengan kitab wahyu iaitu Kitab Taurat.

Sambungan daripada ayat yang lalu dan ayat ini bagaikan menyatakan: “Allah telah mengisra’kan hamba-Nya, Muhammad, dan telah menganugerahkan Musa al-Kitab”. Dua hal itu merupakan anugerah besar kepada kelompok besar umat manusia.

Siapakah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Dikatakan nama penuh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ialah Musa bin ‘Imran bin Yashar (يَصْهَرَ) bin Qahith bin Lawi bin Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim. Lawi dilahirkan ketika Ya‘qub berusia 89 tahun, dan Qahith pula dilahirkan ketika Lawi berusia 46 tahun. Qahith mendapat anak yang diberi nama Yashar dan Yashar mendapat anak yang diberi nama ‘Imran ketika berumur 60 tahun. Umurnya keseluruhan adalah seratus tiga puluh tahun.

Seterusnya, para ulama juga berselisih pendapat berkenaan nama ibu Nabi Musa kepada beberapa pendapat. Ibn Athir menyatakan nama ibunya ialah Yukhabid. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150). Namun, ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, nama ibunya ialah Mehyanah binti Yashar bin Lawi. Ada yang berpendapat, namanya ialah Yukhabiz binti Lawi bin Ya‘qub. Ada juga yang berpendapat, namanya ialah Yarikha atau Yarikhat dan lain-lain lagi. Ibunya dilahirkan dan tinggal di Mesir. Beliau tergolong dalam kalangan wanita yang mulia nasab dan budi pekertinya. Beliau berkahwin dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Ya‘qub. Beliau dilahirkan dan hidup di Mesir, keturunan yang mulia, keluarga yang terhormat, beriman dan solehah. Beliau menikah dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Firaun Mesir pada zamannya ialah Qabus bin Mus‘ab bin Mu‘awiyah. Isteri firaun itu pula bernama Asiyah binti Muzahim bin ‘Ubaid bin al-Rayyan bin al-Walid. Dikatakan, isterinya berasal dari Bani Isra’il.

Apabila Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipanggil, baginda mengetahui bahawa Qabus Firaun Mesir telah meninggal dunia, dan saudaranya al-Walid bin Mus’ab bangkit menggantikan tempatnya. Dia mempunyai umur yang panjang, lebih kuat dan lebih berani daripada Qabus. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan saudaranya Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan untuk pergi bertemunya dengan membawa risalah (tauhid). Dikatakan bahawa al-Walid kemudiannya berkahwin dengan Asiah selepas kematian saudaranya. Kemudian Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi kepada Firaun sebagai seorang rasul bersama Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Semenjak kelahiran Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُsehingga Bani Isra’il dikeluarkan dari Mesir adalah lapan puluh tahun. Kemudian baginda pergi ke al-Tih setelah menyeberangi laut, dan mereka tinggal di sana hingga mereka keluar bersama Yusya‘ bin Nun selama empat puluh tahun. Maka, dari kelahiran Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُhingga wafatnya adalah seratus dua puluh tahun (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150-151).

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah salah satu nabi yang paling banyak disebutkan dalam Al-Quran. Dalam Al-Qur’an (kitab suci umat Islam), nama Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebutkan sebanyak 136 kali, menjadikannya sebagai manusia yang namanya paling banyak disebut dalam Al-Qur’an. Ada beberapa faktor yang mungkin menjadikan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebutkan lebih banyak dalam Al-Quran daripada nabi-nabi lainnya:

    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus untuk menegakkan tata cara hidup yang benar dan menegakkan keadilan. Hal ini membuat kisah perjuangannya dengan Fir’aun menjadi sangat penting, dan memberikan banyak pelajaran yang dapat diambil untuk memperbaiki keadaan dunia saat ini.
    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai nabi yang paling penting dalam Islam setelah nabi Muhammad ﷺ. Hal ini boleh dilihat daripada banyaknya hadith yang menceritakan tentang perjalanan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pentingnya mengambil pelajaran daripada kehidupannya.
    • Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga berisi banyak ajaran tentang ketabahan, keberanian, kesabaran, dan kebijaksanaan dalam menghadapi tentangan hidup. Hal ini membuat kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi sangat relevan bagi kita yang hidup di zaman moden yang penuh dengan berbagai macam tentangan.
    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang sangat sabar. Baginda menghadapi berbagai macam rintangan dan ujian hidup dengan tetap sabar dan tawakal kepada Allah ﷻ.
    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang sangat taat kepada Allah ﷻ. Baginda sentiasa berusaha untuk melaksanakan perintah-perintah Allah ﷻ dengan baik dan menghindari segala larangan-Nya.
    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang sangat berani dan pemberani. Baginda berani menghadapi Fir’aun yang sangat kuat dan diisytiharkan kebenaran meskipun hal itu membawa banyak risiko.
    • Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang sangat cerdas dan bijaksana. Baginda sentiasa berusaha mencari solusi yang terbaik dalam menghadapi berbagai macam masalah.
    • Baginda menghadapi kaum yang paling degil maka ia menjadi pelajaran yang amat baik bagi Nabi Muhammad ﷺ umatnya kerana akan berhadapan dengan golongan yang degil juga di zaman kita.

Baginda telah diberikan dengan Kitab Taurat. Kitab Taurat (توراة) ialah salah satu daripada empat buah kitab Islam. Kitab ini mengandungi wahyu Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Taurat atau Torah berasal daripada bahasa Ibrani yakni yarah. Sebagai kata kerja, yarah dapat diertikan sebagai “memberi pengajaran”, “mengajarkan”, atau “menunjukkan”. Dalam konteks agama, Torah boleh bermakna “ajaran atau perintah daripada Tuhan”. Kata Torah kemudian digunapakai dalam erti yang lebih luas, yakni aturan tertulis mahupun lisan, dan akhirnya mencakup seluruh ajaran Yahudi. Selain itu, tulis Philip Birnbaum dalam Encyclopedia of Jewish Concepts (1964), Taurat juga bermaksud sebagai “pengajaran/petunjuk/perintah” atau “kebiasaan”, bahkan “sistem”. Kitab Taurat memang dikenal sebagai kitab suci umat Yahudi. Dalam Islam, Taurat termasuk salah satu kitab Allah ‎ﷻ yang wajib diimani dan termaktub dalam rukun iman, yakni Iman Kepada Kitab-Kitab Allah ‎ ﷻ.

Ia diturunkan khusus untuk umat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kitab ini merupakan kesinambungan kitab Nabi Allah ﷻ yang terdahulu iaitu Zabur. Kitab Taurat kemudian diikuti dengan penurunan kitab Injil dan kitab suci yang terakhir iaitu Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ, sebagai pelengkap kepada semua kitab-kitab suci yang sebelumnya. Dengan turunnya Al-Quran, secara tidak langsung semua ajaran kitab-kitab yang terdahulu termansuh dengan sendirinya. Telah banyak kali disebut di tempat yang lain, Taurat itu sama dengan Al-Qur’an dari segi akidah. Ajaran Tauhid yang ada dalam Al-Qur’an sama sahaja dalam Taurat kerana ajaran Tauhid tidak pernah berubah.

Al-Quran menyatakan bahawa Injil dan Taurat telah ditahrif (diubahsuai iaitu ditokok tambah dan dikurangi) oleh penganut-penganutnya yang menyeleweng selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ wafat dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat ke langit. Di dalam Maidah: 13, Allah ‎ﷻ berfirman:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

 

وَجَعَلنٰهُ هُدًى لِّبَني إِسرٰءيلَ

dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil

Kitab Taurat itu sebagai pedoman kepada Bani Israil. Bani Israil adalah panggilan bagi kaum keturunan Israil. Manakala ‘Israel’ pula adalah negara yang menjajah Palestin sekarang. Dalam Al-Qur’an, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut dengan nama Israil, maka Bani Israil adalah anak-cucu Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh itu ‘Bani Israil’ adalah bangsa atau keturunan, sedangkan ‘Yahudi’ adalah agama mereka. Ini seperti kita berbangsa Melayu, sedangkan Islam adalah agama kita.

Dalam Al-Qur’an, sejarah Bani Israil juga banyak diceritakan. Kaum ini disebut sebagai kaum yang diunggulkan berbanding umat yang lain. Janji Allah ‎ﷻ ini berlaku selama mereka berpegang kepada ajaran-Nya. Dalam Baqarah: 47 Allah ﷻ berfirman:

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Menurut tafsir Ibnu Katsir , alasan kaum ini memiliki keunggulan adalah kerana Allah ﷻ mengutus nabi-nabi dan menurunkan kitab-kitab kepada mereka.

Israil merupakan istilah yang berasal daripada Bahasa Ibrani, iaitu isra yang ertinya hamba atau kekasih, dan il bermakna Tuhan. Maka Israil adalah hamba Allah atau kekasih Allah ﷻ. Daripada keempat isterinya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki 12 anak lelaki, yakni Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asyer, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. Melalui mereka inilah umat Bani Israil berkembang biak hingga sekarang.

Oleh itu, kita dapat tahu bahawa Taurat itu hanya kepada Bani Israil sahaja dan dalilnya dalam ayat ini. Sedangkan Al-Qur’an yang diberikan untuk semua umat akhir zaman. Jikalau Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil, maka Al-Qur’an ini adalah petunjuk bagi kita. Maka kita mestilah berpegang Al-Qur’an ini dan kena faham apakah yang disampaikan olehnya dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an.

 

أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

“Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

Allah ﷻ sebut perkara yang penting disebut dalam Taurat. Inilah khulasah (ringkasan) Kitab Taurat. Sememangnya banyak perkara tentang agama yang ada dalam Taurat itu, tetapi Allah ﷻ berikan patinya: Jangan jadikan pelindung selain Allah ﷻ. Jangan jadikan selain Allah ﷻ sebagai ilah yang mereka serahkan urusan kepadanya.

Kalimah وَكيلًا daripada katadasar و ك ل yang bermaksud mengamanahkan; mengesahkan; memberi; mewakilkan dengan tugasan; yang menyelesaikan urusan; bersandar kepada sesuatu; bergantung kepada sesuatu; meletakkan kepercayaan; bertanggungjawab dalam hal ehwal; penjaga; saksi; sokongan; kuasa untuk mengawal. Oleh ikut istilah ‘wakil’ adalah seseorang yang dipercayai dalam hal peribadi. Kerana ada perkara yang kita mahu lakukan sendiri, susah kita hendak beri kepada orang lain untuk dilakukan bagi pihak kita. Akan tetapi kalau kita percaya sangat kepada seseorang itu, kita sanggup membenarkan dia melakukan perkara itu bagi pihak kita. Inilah kepercayaan yang diberikan kepada seorang ‘wakil’.

Allah ﷻ beritahu mereka jangan percaya orang lain melainkan kepada Dia sahaja. Jangan letak kepercayaan penuh melainkan kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan jadikan pelindung selain Allah ﷻ. Maksudnya jangan syirikkan Allah ﷻ dengan sesuatu apa pun. Kerana tidak ada yang setanding dengan Allah ﷻ sama sekali.


 

Isra’ Ayat 3: Siapakah yang dimaksudkan ‘selain Allah ﷻ’? Itulah umat manusia yang kelangsungan sejarah mereka berterusan di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ ۚ إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O descendants of those We carried [in the ship] with Noah. Indeed, he was a grateful servant.

(MELAYU)

(Iaitu) anak cucu daripada orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.

 

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ

(iaitu) anak cucu daripada orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. 

Kita ini adalah keturunan daripada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana selepas Banjir Besar itu, memang tidak ada manusia lain yang hidup. Yang hidup hanya keturunan yang berada di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Ada pendapat yang mengatakan hanya Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang mempunyai keturunan (bukannya semua yang ada di atas kapal bahtera itu). Menurut Ibnu Mardawaihi رَحِمَهُ اللَّهُ, yang diterimanya daripada Abdullah bin Zaid al-Anshari, Nabi ﷺ bersabda: “Tidak ada bersama Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melainkan empat anak; iaitu Ham, Sam, Yufits dan Kusy; daripada keempat anak itulah turun sekalian makhluk.”

    1. Maka, yang dimaksudkan adalah umat manusia keturunan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maksud ayat ini: Jangan ambil zuriat manusia sebagai wakil atau sebagai pelindung selain Allah ﷻ kerana mereka itu semua manusia, bukannya ilah. Sebagai contoh, jangan jadikan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Tuhan.
    2. Atau, ayat ini sambung daripada ayat sebelum ini, maka ia berbunyi begini: “jangan ambil wakil selain Allah, wahai zuriat selepas Nabi Nuh”. Kamu janganlah berbuat syirik. Kamu ini keturunan Nabi yang baik, maka jangan kamu cemari namanya.

Siapakah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda adalah salah seorang Rasul Ulul Azmi. Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu surah ini adalah ayat-ayat Naqli daripada Allah ﷻ kepada kita. Berdasarkan satu hadith, kita dapat tahu yang baginda adalah Rasul yang pertama. Walaupun sebelum baginda, telah ada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dikira sebagai seorang ‘Rasul’, hanya sebagai Nabi sahaja.

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الْأَرْضِ وَسَمَّاكَ اللَّهُ عَبْدًا شَكُورًا
“Maka manusia pun datang pula kepada Nuh dan mereka berkata: ‘Wahai Nuh, engkau adalah Rasul yang pertama diutus kepada penduduk bumi dan Allah menamakan kamu Hamba yang sangat bersyukur..”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tarmizi, Ahmad)

Berdasarkan hadith ini, sabitlah bahawa Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Rasul pertama yang Allah ﷻ utuskan kepada manusia selepas mereka menjadi musyrik. Adapun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda adalah Nabi bukan Rasul kerana manusia di zaman baginda semuanya beriman. Dalilnya firman Allah ﷻ:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ
”pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan …” (Baqarah: 213)

Dikatakan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup 10 generasi selepas Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, manusia tidak ada yang melakukan syirik. Hanya zaman baginda baginda sahaja manusia mula berbuat syirik. Perbuatan paling melampau mereka adalah menyembah berhala (patung). Asalnya manusia hendak mengingati orang alim dalam kalangan mereka yang telah mati. Mereka bermula dengan gambar sahaja. Lama kelamaan mereka membuat patung. Akhirnya mereka sembah patung itu. Waktu itulah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutuskan.

Penyebutan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini, bukan nabi-nabi yang lain, kerana baginda adalah Nabi yang paling lama berdakwah di tengah kaumnya, yakni selama 950 tahun (baca Ankabut: 14). Ini mengisyaratkan bahawa sebenarnya penangguhan atau percepatan sesuatu oleh Allah ﷻ selalu berkaitan dengan hikmah dan kemaslahatan. Bukankah kaum Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi kesempatan yang begitu panjang agar mereka beriman? Akan tetapi lamanya kesempatan itu bukan bererti bahawa Allah ﷻ tidak mampu menjatuhkan seksa, terbukti dengan datangnya air banjir yang membinasakan mereka semua, kecuali yang diselamatkan di atas perahu.

 

إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

Sesungguhnya dia adalah hamba yang banyak bersyukur.

Selepas itu disebut pula tentang Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda adalah seorang Nabi yang banyak bersyukur. Di dalam hadith dan atsar daripada ulama Salaf disebutkan bahawa Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu memuji Allah ﷻ bila makan, minum, berpakaian, dan dalam semua perbuatannya. Kerana itulah maka dia digelar sebagai hamba Allah ﷻ yang banyak bersyukur.

Seperti yang kita telah tahu, Bani Israil telah diselamatkan dengan menyeberangi air laut apabila mereka lari daripada Firaun dan kuncu-kuncunya. Namun Allah ﷻ mahu mengingatkan yang itu bukan kali pertama manusia diselamatkan dengan cara yang melibatkan air. Kali pertama dalam sejarah adalah apabila Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pengikut baginda diselamatkan daripada Banjir Besar dengan dimasukkan ke dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ juga mahu mengingatkan yang Bani Israil adalah keturunan Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga iaitu daripada anak baginda yang bernama Sam bin Nuh.

Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang banyak bersyukur. Bila diberitahu begini, kita haruslah ikut baginda juga iaitu dengan banyak mengucapkan kesyukuran kepada Allah ﷻ. Jangan lupa bersyukur kepada Allah ﷻ setiap masa.

Pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah baginda dan pengikut baginda diselamatkan kerana baginda banyak bersyukur kepada Allah ﷻ. Maka kalau hendak selamat, hendaklah kita selalu mensyukuri nikmat Allah ﷻ. Di dalam hadith telah diberitahu kepada kita bahawa jikalau kita jaga arahan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan menjaga kita,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ
Daripada [Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku pernah membonceng di belakang Rasulullah ﷺ pada suatu hari, baginda bersabda: “Hai anak, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat; jagalah Allah nescaya Dia menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemui-Nya di hadapanmu, bila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak akan memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) ”
(Riwayat Tirmidzi (2440) dengan sanad yang Hasan)

Kita juga boleh mengambil sunnah daripada Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah diselamatkan daripada mati di dalam perut ikan paus. Kalaulah baginda bukan insan yang sentiasa taat kepada Allah ﷻ, maka sudah tentu baginda tidak akan selamat seperti disebut di dalam Saffat: 143-144

فَلَولا أَنَّهُ كانَ مِنَ المُسَبِّحينَ
Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah,

لَلَبِثَ في بَطنِهِ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.

Akan tetapi seolah-olah ada teguran Allah ﷻ dalam ayat ini. Sebagai contoh, kalau diberitahu yang ayah seseorang itu baik secara tiba-tiba, ini seolah-olah mahu beritahu yang anak itu tidak baik (ayah kamu baik, kenapa kamu tidak jadi baik seperti dia?) Maka, seperti ada teguran kepada Bani Israil yang tidak banyak bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Maka hendaklah memperbanyakkan syukur kerana Allah ﷻ telah mudahkan banyak benda untuk kita. Janganlah guna sahaja, tetapi haruslah bersyukur kepada Allah ﷻ. Bersyukur itu bukan sekadar hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Ayat yang sama juga telah disebut di dalam Fatir: 12

وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Muatiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 1 (Perjalanan Isra’)

Pengenalan:

Surah Isra’ ini amat berkaitrapat dengan surah sebelumnya kerana di hujung Surah Nahl mengandungi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan sekarang surah ini menyambung tentang pemberian tasliah kepada baginda.

Ia juga rapat dengan Surah Kahf yang datang selepasnya dan ia mengandungi pengajaran yang amat penting sekali. Ada banyak persamaan antara surah ini dan Surah Kahf nanti yang kita akan perhatikan. Jika dalam Surat al-Isra’ yang dimulai dengan bayangan perjalanan malam hari Nabi ﷺ ke Baitul Maqdis dan Mi’raj ke langit, lalu Surah al-Kahfi lebih ditekankan kepada kisah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khidhir عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Dzul-Qarnain dan isyarat tentang Ya’juj dan Ma’juj. Di dalam dua surah ini kita dapati pertalian yang berisi bimbingan bagi Muslim di dalam kehidupan mereka tentang cara bergaul dengan pemeluk agama-agama lain.

Terutama lagi setelah kita ketahui bahawa kisah penduduk Kahfi dan Dzul-Qarnain yang terletak dalam Surat al-Kahfi sama halnya dengan jawapan pertanyaan tentang hal roh yang tersebut di dalam Surat al-Isra’, ketika hal itu ditanyakan oleh orang Quraisy kepada Rasulullah menuruti bisikan dari orang Yahudi di Madinah. Mereka hasut kaum Quraisy agar menanyakan ketiga hal itu; Kahfi, Dzul-Qarnain dan Roh, untuk menguji kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata kalau baginda memang Rasulullah nescaya baginda akan dapat menjawabnya. Semuanya itu dapat dijawab akan tetapi jawapan tentang Roh disebut di dalam Isra’: 85 dan tentang Pemuda Kahfi tersebut di pangkal Surat al-Kahfi, dan tentang Dzul-Qarnain bertemu di akhir surah.

Maka memang ada kaitan antara tiga surah ini seperti disebut sendiri oleh seorang sahabat,

ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ وَالْكَهْفِ وَمَرْيَمَ وَطه وَالْأَنْبِيَاءِ إِنَّهُنَّ مِنْ الْعِتَاقِ الْأُوَلِ وَهُنَّ مِنْ تِلَادِي
[Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata terkait dengan surat Bani Isra`il, Al Kahfi Maryam, Thaaha dan Al Anbiya`, “Sesungguhnya itu semua adalah daripada surat-surat pertama yang diturunkan, dan semuanya pernah saya baca semenjak dahulu.”
(Sahih Bukhari (4610))

Surah ini adalah Surah Makkiyah. Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan ada ayat-ayat yang diturunkan di Madinah (ayat 73 & 74, ada yang menambah ayat 60 & 80), akan tetapi pendapat yang paling kuat, keseluruhannya diturunkan di Makkah. Antara ciri-ciri Makkiyah adalah tentang kedatangan kaum musyrikin kepada Nabi Muhammad ﷺ menuntut agar baginda mempertunjukkan mukjizat atau tanda-tanda kepada mereka dan kemudian mereka berjanji akan beriman apabila baginda sanggup memenuhi tuntutan mereka itu. Kita juga akan dapati pengajaran tentang adab sopan kehidupan sebagai Muslim.

Surah ini diturunkan di tahun-tahun akhir Rasulullah ﷺ berada di Makkah. Dari segi tertib susunan, ia adalah surah ke 50 yang diturunkan. Maka ini bermakna sudah banyak surah-surah dan ayat yang telah disampaikan (2/3 daripada keseluruhan Al-Qur’an diturunkan di Makkah). Penentangan Musyrikin Makkah telah lama dan sudah sampai ke tahap mereka merancang untuk menghalau Nabi ﷺ dari Makkah. Mereka telah membuat keputusan untuk membantun agama Islam. Membantun maksudnya hendak menjatuhkan bagi terduduk tidak dapat bangun lagi. Begitulah niat mereka.

Surah ini juga dikenali dengan nama Surah Bani Israil, kerana surah ada menyebut tentang sejarah mereka sebelum kebangkitan Nabi Muhammad ﷺ dan jatuh bangunnya mereka. 9 ayat pertama surah ini tentang mereka. Ini penting kerana sejarah mereka penting untuk kita ketahui. Perkara yang berlaku kepada mereka akan berlaku kepada kita juga kalau kita tidak ambil pengajaran. Maka, ada pengajaran penting yang kita harus tahu supaya kita dapat berhati-hati. Ambillah pengajaran daripada surah ini.

Dakwa surah ini ada pada ayat 1 dan ayat terakhir. Ada dua cara Allah ‎ﷻ hujah kepada hamba-Nya.

    1. Satu dengan cara diberikan dalil-dalil ayat Al-Qur’an, dan
    2. Satu lagi dengan cara mukjizat.

Oleh itu, ada 5 ayat berkenaan mukjizat dan 10 ayat-ayat Tauhid dalam surah ini. Iaitu ayat Tauhid dalam jenis dalil.
Ada juga dimasukkan ‘amalan tiga serangkai’. Ini boleh rujuk kepada Istilah Tafsir. Ringkasnya, ada tiga perkara yang mesti dilakukan apabila ditimpa musibah – Jangan syirik – jangan zalim – hendaklah berbuat kebaikan. Ini disebut dalam ayat 23-39.

Di dalam surah ini juga, Allah ﷻ mengajar cara tabligh tentang bagaimana menyampaikan dakwah kepada manusia.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa tema utama surah ini adalah ajakan menuju ke hadirat Allah ﷻ dan meninggalkan selain-Nya, kerana hanya Allah ﷻ Pemilik segala sesuatu dan Dia juga yang mengutamakan sesuatu atas lainnya. Itulah yang dinamai taqwa yang batas minimalnya adalah pengakuan akan Tauhid/Keesaan Allah ﷻ.

Kelebihan surah:

Telah disampaikan oleh Ummul Mukminin ‘Aisyah رضي الله عنها kata beliau:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَالزُّمَرَ
“Rasulullah ﷺ tidak akan tidur (di malam hari) kecuali setelah membaca ‘Bani Israil’ (Surah Al-Isra’) dan surah az-Zumar”.
(Riwayat Tirmidzi No. 2844 dan dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah serta al-Albani)

Hadith ini menunjukkan disunnahkan untuk membaca surah Al-Isra’ sebelum tidur. Malah membacanya akan lebih maksimal lagi bermanfaat jikalau sambil merenungi kandungan yang ada di dalam surah mulia ini. Sehingga bukan hanya kita mendapatkan pahala daripada setiap huruf yang kita baca, namun juga kita boleh mendapatkan pahala daripada memahami kandungannya.


 

PERJALANAN DARI MEKAH KE JURUSALEM

Isra’ Ayat 1: Ayat Dalil Wahyi. Ia juga adalah Ayat Mukjizat dan Dakwa bagi surah ini.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 10 Perenggan Makro. Ayat 1 – 10 adalah Perenggan Makro yang Pertama. Ia memberitahu bahawa Umat Islam akan membebaskan dan mengusai Mekah dan BaitulMaqdis. Ia juga mengandungi sejarah jatuh bangun Bani Israil.

سُبحٰنَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِّنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى الَّذي بٰرَكنا حَولَهُ لِنُرِيَهُ مِن ءآيٰتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Isrā’: The Night Journey. The sūrah is also known as Banī Isrā’eel (The Children of Israel).

Exalted¹ is He who took His Servant [i.e., Prophet Muḥammad ()] by night from al-Masjid al-Ḥarām to al-Masjid al-Aqṣā,² whose surroundings We have blessed, to show him of Our signs. Indeed, He is the Hearing, the Seeing.

  • Above any imperfection or failure to do as He wills.
  • In Jerusalem.

(MELAYU)

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

سُبحٰنَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam

Surah ini ada dinamakan juga Surah Subhaanu kerana ia dimulakan dengan Tasbih. Kalimah سبحان daripada katadasar سبح yang pada mulanya bererti ‘menjauh’. Seseorang yang berenang dibayangkan dengan menggunakan akar kata yang sama, kerana pada hakikatnya dengan berenang ia menjauh dari posisi asalnya. “Bertasbih” dalam pengertian agama berarti “Menjauhkan Allah ‎ ﷻdaripada segala sifat kekurangan dan kejelekan”.

Kalimah سبحان biasa digunakan untuk menunjukkan kehairanan atau keajaiban terhadap sesuatu. Agaknya dalam konteks ayat ini – kerana tidak ada sesuatu yang menghairankan sebelumnya, maka ia mengisyaratkan apa yang disebut sesudahnya iaitu peristiwa Isra’-nya Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah suatu peristiwa yang menakjubkan dan menghairankan kerana terjadinya sangat di luar kebiasaan yang selama ini dikenal manusia.

Allah ﷻ memulakan surah ini dengan mengagungkan – dengan sebutan Subhanallah. Allah ﷻ memuji Diri-Nya sendiri kerana memang segala pujian kembali kepada-Nya. Sebagai contoh, jikalau kita memuji seseorang itu pandai, siapakah yang menjadi orang itu pandai? Bukankah Allah ﷻ?

Kalimah tasbih juga adalah kalimah Tauhid sebenarnya iaitu ia menafikan syirik. Surah ini adalah antara surah yang dimulakan dengan kalimah Tauhid. Oleh itu kita hendaklah mensucikan Allah ﷻ daripada perbuatan dan fahaman syirik. Kita hendak bertasbih kepada Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga menyuruh kita mensucikan-Nya daripada apa yang dianggap oleh Musyrikin yang Dia memerlukan perantara atau wakil. Ini juga adalah maksud Subhanallah itu. Iaitu Allah ﷻ suci daripada pemahaman golongan musyrik itu.

Kalimah isra’ maksudnya ‘bawa berjalan malam hari’. Yang dimaksudkan adalah perjalanan isra’ Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah satu mukjizat yang Allah ﷻ berikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ boleh memperjalankan baginda dalam satu malam sahaja melangkau perjalanan yang amat jauh.

Sebenarnya kalimah isra’ sendiri sudah ada membawa maksud ‘malam’ iaitu ‘perjalanan di waktu malam’, maka kenapa tambah dengan kalimah لَيلًا (malam)? Ini kerana, hendak menekankan bahawa bukan sepanjang malam masa yang diambil oleh Nabi ﷺ dalam isra’, tetapi sebahagian malam sahaja. Manakala jangka masa itu amat pendek: kalaulah Nabi ﷺ langgar daun dalam perjalanan itu, baginda kembali semula ke Makkah sebelum sempat daun itu berhenti bergerak. Menurut suatu riwayat ia berlangsung demikian singkat, sehingga setelah kembali, baginda masih menemukan kehangatan pembaringan baginda walau perjalanan demikian jauh.

Kenapa Allah ﷻ memperjalankan baginda di malam hari? Tentu sahaja boleh kalau Allah ﷻ memperjalankan baginda di siang hari, bukan? Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menunjukkan kepentingan malam hari di dalam ibadah. Isra’ Mi’raj adalah perjumpaan Nabi Muhammad ﷺ dengan Allah ﷻ, sebagaimana solat kita adalah ‘perjumpaan’ kita dengan Allah ﷻ. Ia paling molek dilakukan pada waktu malam. Kerana itulah solat sunat yang terbaik adalah dilakukan pada malam hari (Tahajjud).

Solat tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa. Nabi ﷺ yang dijamin keselamatan serta kebahagiaannya di syurga pun sentiasa melaksanakan solat tahajud, tetapi adakah kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya? Solat tahajud bukan hanya bermanfaat untuk di akhirat nanti iaitu mendapat pahala, diampunkan dosa, ditinggikan darjatnya, malah solat tahajud juga mempunyai banyak manfaat lain yang boleh kita rasakan sekarang.

Seseorang yang selalu terbiasa solat tahajud akan dapat mengawal emosinya, kerana mempunyai ketenangan dan kedamaian jiwa. Solat tahajud adalah ibadah saranan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Jika kita ingin meminta sesuatu tentunya kita perlu mendekatkan diri kepada yang akan kita minta. Seperti kita ingin meminta keampunan atas dosa yang kita lakukan, maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah ﷻ supaya taubat nasuha kita diterima. Solat tahajud hanya dilakukan secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan solat tahajud dengan penuh keikhlasan.

Oleh itu, ayat ini adalah tentang perjalanan isra’ mi’raj Nabi Muhammad ﷺ. Isra’ adalah perjalanan peringkat pertama iaitu perjalanan di bumi dari Makkah ke MasjidilAqsa. Manakala mi’raj pula adalah perjalanan kedua yang naik ke langit. Surah ini hanya sebut tentang isra’ sahaja dan Surah Najm pula menyentuh tentang mi’raj. 5 bulan setelah peristiwa Isra’ Mi’raj ini, Rasulullah ﷺ pun diarahkan untuk berhijrah ke Madinah.

Kita boleh lihat dalam ayat ini, Allah ﷻ menggelar Nabi Muhammad ﷺ dengan gelaran ‘hamba-Nya’. Tidak disebut nama baginda (walaupun ada surah lain yang sebut nama baginda) dan tidak disebut pangkat baginda (Nabi atau Rasul). Allah ﷻ baginda adalah ‘hamba-Nya’. Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah manusia paling mulia dan Allah ﷻ gunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda, maka itu bermaksud status ‘hamba’ adalah status tertinggi bagi manusia. Allah ﷻ puji baginda di sini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah insan yang patuh dan taat kepada Allah ﷻ di dalam segala hal.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah ﷻ adalah kedudukan yang tinggi. Ia juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Berbeza status seorang hamba kepada manusia memang kedudukan yang hina, tetapi kalau dinisbahkan hamba kepada Allah ﷻ, itu adalah kedudukan yang tinggi. Kerana itu di dalam ayat Furqan:63, Allah ﷻ memuji hamba yang baik dengan menggunakan kalimah عِبادُ الرَّحمٰنِ.

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

Menggunakan kalimah ‘hamba’ juga untuk merendahkan kedudukan baginda. Ini penting supaya jangan ditinggikan kedudukan baginda melebihi seorang manusia pula. Kejadian ini walaupun hebat, namun bukanlah ia di atas kuasa Nabi Muhammad ﷺ tetapi kuasa Allah ﷻ. Sebab itu awal-awal lagi Allah ﷻ beritahu yang Dia yang memperjalankan baginda, bukannya baginda jalan dan naik ke langit sendiri.

Kenapa ini penting? Kerana manusia kalau salah faham, akan meninggikan kedudukan baginda. Ini telah terjadi kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan? Allah ﷻ yang naikkan baginda ke langit tetapi manusia memuja baginda sebagai tuhan pula. Bukankah umat Islam ada juga yang sesat yang mengagungkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ terlebih-lebih? Sampai yang ada berdoa kepada baginda, malah paling teruk sekali sampai mengatakan baginda adalah Tuhan!

Penggunaan huruf ب di dalam kalimah بِعَبدِهِ mengisyaratkan bahawa perjalanan Isra’ tersebut terjadi di bawah bimbingan Allah ﷻ dan taufik-Nya. Penggunaan kata ini menjadikan Nabi ﷺ bukan saja diisra’kan lalu dilepas begitu saja, tetapi Isra’ dilakukan Allah ﷻ di bawah bimbingan-Nya secara terus menerus bahkan “disertai” oleh-Nya.

Peristiwa Isra’ Mi’raj adalah untuk memujuk hati baginda. Waktu kejadian ini, baginda sudah tidak ada pelindung lagi iaitu Abu Thalib yang sentiasa memelihara baginda semenjak kecil dan sehingga baginda menjadi Rasul. Walaupun Abu Thalib sendiri tidak beriman, tetapi beliau tetap percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ dan mempertahankan baginda daripada diganggu oleh Musyrikin Makkah yang mahu menyakiti baginda. Musyrikin Makkah tidak dapat menyakiti fizikal baginda kerana menghormati kedudukan Abu Thalib dalam masyarakat mereka.

Akan tetapi, baginda tetap berdakwah walaupun Abu Thalib sudah tiada. Kemudian isteri baginda tersayang pula wafat. Khadijah رضي الله عنها juga adalah tonggak baginda yang sentiasa membantu baginda di dalam kerja-kerja dakwah selain di dalam kehidupan baginda. Kehilangan dua tonggak ini amat memberi kesan kepada baginda. Oleh kerana pelindung Nabi Muhammad ﷺ sudah tidak ada, maka gangguan daripada Musyrikin Makkah semakin hebat. Maka tidak lama kemudian baginda telah cuba berdakwah di Taif. Baginda berharap jikalah orang Makkah menolak baginda, entah-entah penduduk Taif boleh menerima baginda.

Akan tetapi seperti kita tahu, baginda ditolak juga di Taif, malah mereka telah mencederakan baginda selain dari menghina baginda. Allah ﷻ membawa Nabi Muhammad ﷺ melalui perjalanan yang hebat itu untuk memberitahu kepada baginda: tidak mengapa bagi baginda kalau sudah tidak ada pelindung dalam kalangan manusia, kerana sekarang Allah ﷻ yang akan menjadi pelindung kepada baginda.

Allah ﷻ tunjukkan bagaimana Dia boleh memperjalankan baginda dalam perjalanan yang jauh dalam masa yang singkat dan ditunjukkan dengan berbagai kejadian hebat. Allah ﷻ yang begini hebat akan menjaga baginda. Maka, jangan risau dengan apa yang hendak dilakukan oleh manusia terhadap baginda kerana Allah ﷻ sahaja sudah cukup sebagai pelindung. Allah ﷻ menghibur bagainda seakan-akan berkata: “Kalau penduduk bumi menolak kehadiranmu dan menentang ajaran yang engkau sampaikan, maka tidak demikian penghuni langit. Dari sini baginda diisra’kan dan dimi‘rajkan.

Rasulullah ﷺ hanya bermimpi?
Ada juga yang menolak kejadian Isra’ Mi’raj ini kerana mereka tidak percaya yang Rasulullah ﷺ boleh naik ke langit. Ada dua pandangan yang menolak Isra’ Mi’raj ini:

    1. Iaitu Rasulullah ﷺ pergi dengan roh sahaja tanpa jasad
    2. Rasulullah ﷺ hanya bermimpi. Ini pandangan yang lebih teruk dari di atas kerana kalau mimpi, roh pun tidak pergi, bukan? Contohnya kita bermimpi bercanda di Amerika, roh tidak pergi pun.

Antara hujah yang mereka gunakan adalah ayat-ayat daripada surah ini juga iaitu pertamanya Isra’: 60

وَما جَعَلنَا الرُّؤيَا الَّتي أَرَيناكَ إِلّا فِتنَةً لِلنّاسِ
Dan Kami tidak menjadikan penglihatan yang telah Kami tunjukkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia

Puak itu berhujah bahawa kalimah الرُّؤيَا itu bermaksud mimpi kerana mereka faham ia bermaksud mimpi sahaja. Memang ada terjemahan yang menggunakan kalimah mimpi di sini. Namun kenapa pula ia tidak boleh bermaksud penglihatan baginda semasa di langit? Kalimah الرؤيا yang utama adalah penglihatan, iaitu melihat dengan mata kasar. Kalau dalam bahasa Arab Klasik, kalimah الرؤيا ini boleh juga digunakan untuk bawa maksud lihat dengan mata atau lihat dengan hati.
Makna kedua baginda kalimah الرُّؤيَا adalah ‘pandangan’ atau ‘pendapat’. Makna Ketiga adalah ‘kefahaman’ atau ‘pengetahuan’. Maka ia tidak terus membawa maksud ‘mimpi’. Perkataan MIMPI yang merujuk kepada الرؤيا bagi orang Arab pada waktu itu adalah jarang digunakan. Mereka tidak fikir رءيا merujuk kepada mimpi pada asalnya. Untuk mimpi, di dalam bahasa Arab yang digunakan adalah الحلم.

Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bila ditanya tentang ayat ini, beliau menerangkan bahawa الرؤيا ini dengan mata. Ini seperti disebut dalam hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فِي قَوْلِهِ تَعَالَى { وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ } قَالَ هِيَ رُؤْيَا عَيْنٍ أُرِيَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ قَالَ { وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ } قَالَ هِيَ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tentang firman Allahتَعَالَى (Isra’ ayat 60): (“Dan tidaklah kami jadikan pandangan yang Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia”). Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Itu adalah penglihatan mata telanjang yang diperlihatkan kepada Rasulullah ﷺ pada malam baginda diIsra’ menuju Baitul Maqdis”. Dan Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا juga berkata; bahawa lanjutan ayat yang ertinya: (“dan begitu pula pohon yang terkutuk di dalam al-Qur’an.”) maksudnya adalah pohon zaqqum (di neraka) “.
Sahih Bukhari (3599)

Terdapat riwayat mutawatir daripada Rasulullah ﷺ bahawa baginda diangkat (mi’raj) ke langit, lalu dibukakan pintu-pintu langit untuknya sehingga baginda melalui langit ketujuh. Lalu Tuhannya berbicara kepadanya sesuai yang Dia inginkan, kemudian diwajibkan untuknya solat lima waktu. Di dalam riwayat-riwayat itu tidak disebut pun yang baginda hanya bermimpi.

Ath-Thahawi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata dalam kitab ‘Aqidah Thahawiyah’ yang terkenal berkata, “Peristiwa Mi’raj terjadi dengan nyata. Nabi ﷺ telah di Isra-Miraj-kan dengan peribadinya dalam keadaan sedar ke langit. Kemudian dibawa ke tempat yang Allah kehendaki di atas, lalu Allah muliakan dengan sesuatu yang Allah kehendaki dan Allah berikan wahyu yang Dia kehendaki. Hati tidak dapat mendustakan apa yang dilihat, semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada baginda di dunia dan akhirat.”

Pengingkaran yang mengatakan Is’ra Mi’raj bukan dengan roh dan jasad Rasulullah ﷺ adalah tidak benar. Dalilnya adalah bemula ayat 1 ini iaitu سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ. Kalimah عَبْدِ merujuk kepada roh dan jasad seseorang itu. Sebagaimana manusia, adalah terdiri gabungan daripada fizikal dan roh. Inilah yang dikenal secara mutlak. Inilah pendapat yang benar. Maka, Isra’ terjadi dengan kedua unsur tersebut. Hal itu tidak terhalang secara logik. Seandainya naiknya malaikat tidak dapat diterima, maka turunnya malaikat (dari langit) juga tidak dapat diterima. Akibatnya, hal ini akan berakhir pada pengingkaran terhadap pangkat kenabian dan ini merupakan kekufuran.

Kalimah Tasbih (سُبْحَانَ) apabila digunakan, adalah untuk perkara yang besar. Maknanya semenjak awal lagi Allah ﷻ sudah beri isyarat bahawa peristiwa ini adalah peristiwa besar dan juga ajaib. Jika peristiwa itu terjadi dalam mimpi, maka ia bukanlah perkara besar dan tidak perlu dibesarkan. Sesiapa sahaja boleh bermimpi pergi ke sana dan ke sini, bukan?

Lagi satu hujah, kita pun tahu bagaimana Musyrikin Makkah sibuk mendustakan peristiwa itu setelah Rasulullah ﷺ memberitahu mereka apa yang terjadi pada malam itu. Syeikh Hafiz Alhukmi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata dalam kitab Ma’arijul Qabul, “Seandainya Isra’ Miraj terjadi dalam mimpi, maka ia bukanlah mukjizat dan tidak pula akan didustakan oleh kaum kafir Quraisy apabila mereka berkata, “Kami dahulu mengendarai unta hingga Baitul Maqdis, sebulan berangkat dan sebulan pulang, sementara Muhammad mengaku bahawa dia diIsra’kan dalam satu malam dan pagi harinya sudah ada di tengah kita….’ Begitu seterusnya pendustaan dan pelecehan mereka terhadap Rasulullah ﷺ. Seandainya peristiwa ini berupa mimpi, nescaya mereka tidak akan menolaknya dan tidak berguna penolakan mereka. Kerana manusia dapat bermimpi lebih jauh dari Baitul Maqdis dan tidak ada orang yang akan mengingkari mimpinya. Akan tetapi karena peristiwa Isra’ Mi’raj Rasulullah ﷺ terjadi dalam keadaan terjaga, bukan mimpi, maka mereka mendustakannya dan melecehkannya dan menganggapnya sebagai perkara yang tidak mungkin diiringi kesombongan mereka serta minimanya pengetahuan mereka terhadap kekuasaan Allah ﷻ dan bahawa Allah ﷻ dapat berbuat apa yang Dia kehendaki. Kerana itulah Abu Bakar Ash-Sidiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika disampaikan berita tersebut, beliau berkata, “Jika dia mengucapkan hal itu, maka dia benar.” Mereka berkata, “Apa yang membuatmu membenarkannya?” Dia berkata, “Ya, kerana aku membenarkan yang lebih jauh daripada itu berupa berita dari langit yang datang kepadanya setiap pagi dan petang.” Atau kurang lebih seperti itu ucapannya.”

Orang Mukmin boleh menerima kisah Isra’ Mi’raj ini dengan tenang hati. Alhafiz Abul Khatab Umar bin Dihyah berkata dalam kitabnya ‘An-Tanwir Fi Maulidi As-Sirajjil Munir’, “Riwayat-riwayat tentang peristiwa Isra’ Mi’raj bersifat mutawatir. Daripadash Umar bin Khattab, Ali, Ibnu Mas’ud, Abu Zar, Malik bin Sha’shaah, Abu Hurairah, Abu Said, Ibnu Abbas, Syaddad bin Aus, Ubay bin Kaab, Abdurrahman bin Qart, Abu Hibbah, Abu Laila Al-Anshari, Abdullah bin Amr, Jabir, Huzaifah, Buraidah, Abu Ayub, Abu Umamah, Samurah bin Jundub, Abu Hamra, Shuhaib Ar-rumi, Ummu Hani’, A’isyah, Asma’, keduanya puteri Abu Bakar Ash-Siddiq رَحِمَهُ اللَّهُ. Di antara mereka ada yang menyampaikannya panjang lebar, ada pula yang menyampaikannya secara singkat sebatas apa yang terdapat dalam musnad, meskipun sebahagian riwayat mereka tidak memenuhi syarat sahih. Maka hadith Isra’ Mi’raj disepakati oleh kaum muslimin, dibantah oleh kaumm zindiq dan atheis. Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, tetapi Allah sempurnakan Cahaya-Nya walau orang-orang kafir mengingkarinya.” (Dikutip dari tafsir Ibnu Katsir)

Rasulullah ﷺ tidak mampu naik ke langit?
Satu lagi hujah yang dikemukakan oleh golongan yang menolak kejadian Isra’ Mi’raj ini adalah ayat Is’ra: 93

أَو تَرقىٰ فِي السَّماءِ وَلَن نُؤمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتّىٰ تُنَزِّلَ عَلَينا كِتابًا نَقرَؤُهُ ۗ قُل سُبحانَ رَبّي هَل كُنتُ إِلّا بَشَرًا رَسولًا
atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Mereka berhujah mengatakan ayat ini sendiri mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh naik ke langit. Fahaman ini pun satu kekeliruan mereka juga. Memanglah Rasulullah ﷺ tidak boleh naik ke langit sendiri. Ayat ini hendak menjawab permintaan karut mereka untuk Nabi Muhammad ﷺ naik ke langit untuk bawa turun kitab. Maka memanglah Nabi ﷺ tidak boleh naik sendiri tetapi yang Isra’ Mi’raj ini pula bagaimana? Tidak pelik pun kerana Allah ‎ﷻ yang naikkan baginda. Nabi Muhammad ﷺ memang tidak boleh terbang sendiri, tetapi Allah ‎ ﷻ boleh sahaja untuk bawa baginda.

Ini sama sahaja dengan mana-mana mukjizat yang baginda tunjukkan seperti terbelahnya bulan, keluarnya air dari celah-celah jadi baginda. Bukannya baginda buat sendiri tetapi Allah ﷻ yang menjadikannya.

 

مِّنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى

dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa

Isra’ adalah perjalanan Nabi Muhammad ﷺ ke Jurusalem. Itu adalah tempat Bani Israil. Ini sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja imam kepada Masjidil Haram di Makkah, tetapi imam kepada Masjidil Aqsa juga.

Masjid al-Aqsa di dalam ayat ini adalah Bait al-Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya.

Kisah tentang perjalanan ini sangat panjang dan perlu dipelajari secara khusus di tempat lain. Yang penting untuk kita ketahui bahawa baginda telah menjadi imam kepada para Nabi di Masjidil Aqsa itu.

Semasa baginda memberitahu kepada Musyrikin Makkah tentang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa itu, mereka tidak mempercayai baginda. Mereka menguji baginda dengan bertanya keadaan di masjid itu. Baginda sendiri tidak pernah pergi ke sana. Maka Allah ﷻ telah mendatangkan rupa masjid itu supaya baginda menjelaskan bagaimana rupanya, berapa pintunya dan sebagainya. Ini seperti telah disebut di dalam satu hadith,

قَالَ أَبُو سَلَمَةَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَمَّا كَذَّبَتْنِي قُرَيْشٌ قُمْتُ فِي الْحِجْرِ فَجَلَّى اللَّهُ لِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ
[Abu Usamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; Aku mendengar [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Ketika orang-orang Quraisy mendustakan perjalananku ke Baitil Maqdis, aku berdiri di Hijr Isma’il, lalu Allah menampakkan Baitul Maqdis kepadaku hingga aku memberi tahu kepada mereka tentang tanda-tandanya, dan aku dapat melihatnya.”
(Sahih Bukhari (4341))

Ada hadith yang tidak sahih mengatakan Nabi ﷺ mula perjalanan dari rumah Umm Hani’ رضي الله عنها. Maka hadith itu berlawanan dengan ayat Al-Qur’an ini. Kisah yang masyhur itu sebenarnya datang daripada Syiah kerana mereka sengaja mahu mengaitkan keluarga Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam kisah Isra’ Mi’raj. Mereka tambah kisah Umm Hani’ رضي الله عنها kerana Umm Hani’ رضي الله عنها itu adalah kakak Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Kita kena bersihkan kisah itu kerana kita mesti menjaga nama baik Rasulullah ﷺ. Bayangkan, baginda dan Umm Hani’ رضي الله عنها itu adalah sepupu, beliau pula adalah seorang janda. Maka kenapa Nabi Muhammad ﷺ berada di sana? Bagaimana pula dengan anak isteri baginda, kenapa ditinggalkan dan berada di rumah sepupu perempuan pula?

Pada tahun 632 M, ‘Umar Ibn al-Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengunjungi Palestina (tepatnya Iliya’) yang dikenal sebelumnya dengan nama Yerusalem (setelah penaklukan oleh Islam). Dalam kunjungannya itu, Sayyidina ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya tentang “Masjid” Nabi Daud/Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. itu. Beliau kemudian dihantar ke lokasinya yang ketika itu pintunya telah dipenuhi sampah. Maka dengan sulit beliau masuk dan melihatnya. Beliau mengucapkan takbir, sambil berkata: “Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman tangan-Nya, ini adalah Masjid Daud, yang oleh Rasul ﷺ disampaikan kepada kami sebagai tempat baginda diisra’kan.” Lalu beliau bersama kaum muslimin membersihkan shakhrah/batu tempat Nabi ﷺ berpijak ketika bermi‘raj itu, sehingga bersih dan nampaklah batu itu secara utuh. Setelah itu beliau solat, lalu meninggalkan al-Quds/Iliya’yakni Yerusalem.

Masjid al-Aqsa adalah juga masjid bagi kaum muslimin, baru diperintahkan untuk dibangun oleh Marwan Ibn ‘Abdul Malik dengan menugaskan Haywah al-Kindi salah seorang pakar muslim yang memulai pekerjaannya pada tahun 66 H. Pembangunannya serta bangunan untuk kubah ash-Shakhrah baru selesai pada tahun 73 H.

Seperti yang kita tahu, Masjidil Aqsa sekarang adalah di dalam genggaman puak Zionis. Sampaikan sekarang kita hendak melawatnya pun susah, sedangkan ia adalah salah satu dari tempat yang mulia, yang dibenarkan untuk kita melakukan rehlah ibadah kepadanya seperti disebut di dalam satu hadith,

حَدَّثَنِي عَمْرٌو النَّاقِدُ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُيَيْنَةَ قَالَ عَمْرٌو حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسْجِدِي هَذَا وَمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الْأَقْصَى و حَدَّثَنَاه أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ
Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kalian bersusah payah melakukan perjalanan jauh, kecuali ke tiga Masjid. Iaitu Masjidku ini (Masjid Nabawi di Madinah), Masjidil Haram (di Makkah) dan Masjid Al Aqsa (di Jerusalem).”
(Hadith Riwayat Muslim (2475))
Masjid ini adalah masjid kedua yang dibina di bumi seperti disebut di dalam satu hadith,
عَنْ أبي ذر رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلُ؟ قَالَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً وَأَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ فَصَلَّ فَهُوَ مَسْجِدُ
Daripada Abu Dzar , dia berkata; “Aku pernah bertanya, ‘Ya Rasulullah, masjid mana yang pertama kali dibangunkan di muka bumi ini?’ Baginda menjawab, ‘Masjidil Haram.’ Aku bertanya lagi: ‘Kemudian yang mana lagi?’ Baginda menjawab, ‘Masjid Al-Aqsa.’ Aku bertanya lagi, ‘Selang berapa lama keduanya dibangunkan?’ Baginda menjawab, ’40 tahun, tetapi di mana pun kamu mendapati waktu solat, maka kerjakanlah solat, kerana tempat itu sebagai masjid.”
(Sahih Bukhari No. 745)

Daripada Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

تَذَاكَرْنَا وَنَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهُمَا أَفْضَلُ: مَسْجِدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَوْ مَسْجِدُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَرْبَعِ صَلَوَاتٍ فِيهِ، وَلَنِعْمَ الْمُصَلَّى، وَلَيُوشِكَنَّ أَنْ لَا يَكُونَ لِلرَّجُلِ مِثْلُ شَطَنِ فَرَسِهِ مِنَ الْأَرْضِ حَيْثُ يَرَى مِنْهُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ خَيْرٌ لَهُ مِنَ الدُّنْيَا جَمِيعًا – أَوْ قَالَ: خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Kami sedang mengingati antara satu sama lain dan Rasulullah ﷺ berada di sisi kami berkaitan yang mana lebih afdal di antara masjid Rasulullah ﷺ dan juga masjid Bait al-Maqdis. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Solat di masjidku ini lebih afdal daripada empat kali solat di Bait al-Maqdis. Alangkah nikmatnya bagi orang yang solat. Sesungguhnya akan tiba satu masa, seseorang itu memiliki tanah seukuran tali kuda sehingga dia mampu melihat Bait al-Maqdis. Hal itu adalah lebih baik baginya daripada dunia keseluruhannya atau lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(Riwayat Hakim (8553))
Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hakim dengan menyatakan sanad hadith ini adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Imam al-Zahabi juga menilai hadith ini sebagai sahih sepertimana penilaian al-Hakim

Maka jelas sekali perjalanan Rasulullah ﷺ adalah dari masjid ke masjid. Bukannya dari R & R ke R & R. Allah ﷻ memberi isyarat kepentingan masjid kepada kita di dalam ayat ini. Masjid adalah tempat yang mulia yang sepatutnya menjadi nadi dan fokus di dalam kehidupan kita. Kita sepatutnya selalu dekat dengan masjid dan banyak menghabiskan masa di masjid. Kerana itulah ada ganjaran kelebihan hati manusia yang bertaut dengan masjid seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat ke masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, (5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersadaqah dengan satu sadaqah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.”
(Al-Bukhari (No. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (No. 1031 (91)),

Apabila Allah ﷻ menyebut tentang MasjidilHaram dan MasjidilAqsa, ia mengandungi isyarat yang umat Islam akan menguasai kedua-dua tempat itu.
Bilakah berlaku peristiwa Isra’ dan Mikraj? Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

    • Setahun sebelum hijrah: Inilah pendapat Ibn Mas’ud, al-Zuhri, Urwah bin al-Zubair, Ibn Sa’d dan Ibn Hazmin رحمهم الله mendakwa ini adalah ijmak. Inilah yang dijazamkan oleh Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ.
    • Pada tahun Baginda ﷺ diangkat menjadi nabi: Inilah pendapat al-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ.
    • Dua tahun sebelum hijrah.
    • Tiga tahun sebelum hijrah: Inilah yang dihikayatkan oleh Ibn al-Athir رَحِمَهُ اللَّهُ. Setepatnya berlaku 27 Rejab tahun kesepuluh kenabian. Inilah pendapat oleh al-Allamah Mansurfuri رَحِمَهُ اللَّهُ.
    • Lima tahun sebelum hijrah: Inilah pendapat al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ dan al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ. Inilah pendapat al-Zuhri رَحِمَهُ اللَّهُ dan dihikayatkan daripadanya oleh Qadhi Iyad رَحِمَهُ اللَّهُ dan beliau mentarjihkannya dengan sepakat bahawa Khadijah رضي الله عنها pernah solat bersama Nabi ﷺ selepas difardukan solat.
  • Berkenaan dengan bulannya pula ada beberapa pendapat, antaranya:
    • Bulan Rabi’ul Awal. Syeikh al-Maraghi رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut: “Peristiwa ini terjadi pada 17 Rabi’ al-Awwal, setahun sebelum Hijrah.” Inilah pendapat kebanyakan ahli tahqiq.
    • Bulan Rabiul Akhir. Inilah yang ditarjihkan oleh Ibn al-Munir رَحِمَهُ اللَّهُ.
    • Bulan Rejab. Inilah yang paling masyhur dalam kalangan orang ramai pada masa ini.

Berdasarkan pengamatan para ulama dan muhaqqiq, peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku pada bulan Rabiul Awal sama ada pada 12 Rabiul Awal atau 17 Rabiul Awal. Hal ini dikuatkan dengan hujah Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah berdasarkan athar Jabir dan رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.

Kenapa sampai ada banyak pendapat? Ini kerana para sahabat dahulu tidak ambil pusing pasal tarikh-tarikh ini. Mereka lebih mengambil pengajaran berbanding kejadian itu sahaja.

 

الَّذي بٰرَكنا حَولَهُ

yang telah Kami berkahi sekelilingnya

Allah ‎ﷻ telah berkati Masjidil Aqsa itu. Barakah bermaksud ‘kebaikan yang banyak’. Ia memang tempat yang subur. Tempat itu memang ada sungai dan juga buah-buahan tumbuh subur. Ini memang benar terutama sekali kalau dibandingkan dengan Makkah yang tidak banyak tumbuhan itu.

Akan tetapi selain itu, tempat tersebut telah diberikan dengan ramai para Nabi. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga pernah ke sana. Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditinggalkan di situ oleh Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula di Makkah). Sekarang, keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga (iaitu Nabi Muhammad ﷺ) yang akan menggabungkan dua tempat suci ini.

Keberkatan itu tidak lagi terasa sekarang dengan terjadinya peperangan dan kekerasan, sama sekali tidak bertentangan dengan ayat ini. Kerana keberkatan tersebut telah dianugerahkan Allah ﷻ dahulu – sebagaimana diisyaratkan oleh bentuk kata kerja masa lampau (past tense), dan kini telah dicabut atau tidak berlanjut lagi kerana tidak ada lagi nabi yang diutus, dan penduduknya pun banyak yang telah melanggar ketentuan Allah ﷻ.

Kalimah حَولَهُ (sekitarnya) memberi kesan bahawa kalau “sekitarnya” pun telah diberkati Allah ﷻ, maka tentu lebih-lebih lagi lokasi masjid dan masjidnya sendiri. Kata sekitarnya – menurut Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ memberi isyarat bahawa keberkatan tersebut melimpah sehingga membanjiri sekitarnya. Ini adalah satu daripada contoh ketelitian bahasa Al-Qur’an.

 

لِنُرِيَهُ مِن ءآيٰتِنا

agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami.

Tujuan Nabi Muhammad ﷺ dibawa dalam perjalanan hebat itu adalah untuk menunjukkan sebahagian dari tanda-tanda Qudrat dan kebesaran Allah ﷻ. Diperlihatkan syurga neraka dan macam-macam lagi. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى
Sesungguhnya Dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (ke¬kuasaan) Tuhannya yang paling besar.
(An-Najm: 18)

Kenapa ini penting? Kerana nikmat terbesar kepada manusia adalah mengenal Allah ﷻ. Bagaimanakah cara untuk mengenal-Nya? Tentulah dengan melihat kepada tanda-tanda kebesaran-Nya, bukan? Ini telah ditunjukkan kepada baginda. Maka hati baginda menjadi yakin dengan Allah ﷻ, sudah tidak takut lagi dengan manusia kerana baginda telah kenal benar-benar dengan Allah ﷻ yang Maha Berkuasa itu.

Kejadian isra’ mi’raj ini berlaku selepas baginda dihalau apabila baginda berdakwah di Ta’if. Baginda telah berdakwah di sana kerana waktu itu baginda lihat yang penduduk Makkah ramai yang tidak mahu menerima dakwah Tauhid. Maka, baginda mencuba nasib dengan berdakwah di Ta’if pula. Namun malangnya, penduduk Ta’if juga tidak mahu menerima malah lebih teruk lagi menolak baginda hinggakan baginda dihalau dengan dihujani dengan batu.

Namun, hati baginda tetap cekal dalam dakwah erana baginda tidak kisah kalau orang tidak berkenan kepada baginda, asalkan Allah ﷻ berkenan dengan baginda. Maka, Allah ﷻ beri pengalaman isra’ mi’raj ini kepada baginda untuk menguatkan kecekalan hati baginda. Allah ﷻ tunjuk syurga, neraka dan Kerajaan-Nya kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Allah ﷻ mahu memberitahu kepada baginda, siapa yang ikut baginda, mereka akan masuk syurga itu dan yang menolak baginda akan masuk neraka itu. Maka legalah hati Nabi ﷺ setelah melihat itu semua. Yang hendak ditunjukkan adalah Rasulullah ﷺ sendiri, kerana itulah digunakan kalimah لِنُرِيَهُ dan bukannya لِنُرِيَهُم (supaya ditunjukkan kepada mereka) kerana yang penting Rasulullah ﷺ yang kena yakin dahulu. Setelah baginda yakin, baginda akan bersemangan dan yakin untuk berdakwah.

 

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah ﷻ Maha Mendengar. Allah ﷻ mahu memberitahu yang Dia dengar segala kata-kata dakwah Nabi ﷺ dan segala kata-kata orang yang mengata dan menentang dan mentohmah baginda. Allah ﷻ Maha Melihat segala hal yang berlaku.

Allah ﷻ juga Maha Mendengar apakah kesan daripada kejadian isra’ mi’raj itu. Apabila baginda beritahu tentang kejadian itu, ramai orang Makkah suka. Ini adalah kerana mereka pernah kata yang baginda gila, dan sekarang mereka ada bukti! Mereka mahu menggunakan kisah ini sebagai hujah kuat mereka.

Orang pertama yang mereka jumpa adalah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kerana mereka mahu mengejek baginda. Mereka rasa tentu Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga akan meninggalkan baginda Rasul apabila mendengar kisah gila ini. Akan tetapi, apabila mereka kata yang menceritakan pengalaman itu adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri, Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kata jikalau Nabi Muhammad ﷺ yang berkata, tentu ia benar.

Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sanggup kata begitu kerana beliau sungguh percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Beliau tahu yang Nabi Muhammad ﷺ pasti tidak akan menipu kalau itu yang terjadi kepada baginda. Kerana itulah beliau digelar as-Siddiq kerana beliau membenarkan apa sahaja daripada Nabi Muhammad ﷺ tanpa sangsi sedikit pun.

Sekarang bandingkan dengan kebanyakan golongan Bani Israil yang walaupun mereka mengaku telah beriman dengan Nabi mereka, mereka tetap tidak percaya. Mereka itu cakap sahaja percaya tetapi sebenarnya tidak pun. Maka ini peringatan kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 115 – 117 (Yang haram dimakan)

Nahl Ayat 115: Dalam ayat sebelum ini disebut kita kena makan makanan yang halal dan baik. Sekarang disambung tentang pemakanan itu iaitu disebutkan apakah makanan yang haram dimakan. Setelah Allah ﷻ suruh makan makanan yang halal, Dia tidak senaraikan makanan yang halal, tetapi sebaliknya di dalam ayat ini disenaraikan makanan yang haram sahaja. Kenapa pula begitu? Kerana makanan yang halal itu banyak, yang haramnya sedikit. Maka Allah ﷻ sebut jenis-jenis yang haram dan selain daripada yang disebut adalah halal. Inilah cara berhukum yang bijak. Kerana kalau hendak disebut makanan yang halal, tentulah panjang pula jadinya.

إِنَّما حَرَّمَ عَلَيكُمُ المَيتَةَ وَالدَّمَ وَلَحمَ الخِنزيرِ وَما أُهِلَّ لِغَيرِ اللهِ بِهِ ۖ فَمَنِ اضطُرَّ غَيرَ باغٍ وَلا عادٍ فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He has only forbidden to you dead animals,¹ blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allāh. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit] – then indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • Those not slaughtered or hunted expressly for food.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

إِنَّما حَرَّمَ عَلَيكُمُ المَيتَةَ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai,

Kalimah إِنَّما bermaksud ‘hanya ini sahaja’. Maka kalau sekali baca, nampak macam hanya senarai makanan dalam ayat ini sahajalah yang haram. Namun jangan faham begitu kerana mestilah dibaca dengan hadith-hadith Nabi ﷺ juga tentang pengharaman makanan.

Ini kerana ayat ini adalah Ayat Makkiah maka ia adalah penerangan di permulaan Islam sahaja; dan disenaraikan di sini hanyalah pemakanan yang biasa dimakan oleh bangsa Arab waktu itu yang mereka kata ‘halal’ sedangkan ia adalah ‘haram’.

Atau, ia menolak pengharaman salah yang dilakukan oleh mereka. Mereka banyak mengharamkan makanan yang halal. Maka Allah ﷻ hendak memberitahu, dalam banyak-banyak yang mereka haramkan itu adalah tidak benar, yang haram hanyalah ini sahaja seperti disebut di dalam ayat ini.

Oleh itu, sekali diingatkan, makanan haram bukan yang tersenarai dalam ayat ini sahaja. Maka jangan salah faham. Kena lihat juga kepada hadith-hadith dan ijmak ulama’ di dalam hal ini.

Yang pertama diharamkan adalah bangkai. Iaitu binatang yang telah mati tidak disembelih cara Islam. Contohnya kita terjumpa lembu mati tepi jalan dan sudah mati. Jangan dimakan daging percuma itu kerana ia adalah haram.

Memang tidak patut makan binatang yang telah mati kerana kita tidak tahu kenapa ia mati, mungkin ia mati kerana penyakit. Kalau makan juga, ia akan menyebabkan penyakit itu merebak ke dalam tubuh kita pula. Maka ini adalah makanan yang ‘tidak baik’. Sudahlah tidak halal, tidak baik pula.

Bangkai juga termasuk binatang yang asalnya halal dimakan, tetapi disembelih dengan cara yang salah. Iaitu dibunuh dengan elektrik, ditembak, dipotong bukan di tengkuk dan sebagainya. Ini juga haram dimakan.

Atau, binatang itu halal di makan dan disembelih dengan cara yang betul, akan tetapi semasa disembelih, disebut nama lain Allah ﷻ. Ini juga haram dan kita akan sentuh kemudian.

Ayat lain yang menyebutkan makanan atau haiwan yang diharamkan adalah firman Allah ﷻ,

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.”
(Al Maidah: 3)

Di dalam Nahl: 115 ini disebut 4 sahaja makanan yang haram akan tetapi di dalam Maidah: 3 disebut dengan lebih banyak lagi. Ini adalah kerana Surah Nahl adalah Surah Makkiyah sedangkan Surah Maidah adalah Surah Madaniyyah maka ada lebih banyak maklumat dan perincian yang diberikan.

Akan tetapi bukanlah semua bangkai itu haram dimakan. Ada bangkai yang boleh dimakan iaitu hidupan laut dan juga belalang. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

Daripada Ibn ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ
Daripada [Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Telah dihalalkan buat kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah, dua jenis bangkai adalah; bangkai ikan dan bangkai belalang, sedangkan dua jenis darah adalah darah hati dan limpa.”
(Sunan Ibn Majah (3305)) dengan sanad yang sahih

Maka kalau makan ikan, sotong dan lain-lain kehidupan lain, ia boleh sahaja. Tidak perlu disembelih kerana boleh terus dimakan apabila telah dimasak. Ini juga telah disebut di dalam Maidah: 96

أُحِلَّ لَكُم صَيدُ البَحرِ وَطَعامُهُ مَتٰعًا لَّكُم وَلِلسَّيّارَةِ
Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan;

 

وَالدَّمَ

dan darah, 

Darah juga adalah makanan orang Arab waktu itu. Ia digunakan sebagai kuah atau dimasak bersama dengan daging. Ini pun tidak boleh dimakan kerana ia adalah haram. Malah, teruknya golongan Arab pada masa itu, mereka akan ambil darah daripada binatang itu semasa binatang itu masih hidup lagi. Allah ﷻ melarang memakannya kerana kita disuruh untuk makan makanan yang baik-baik dan bersih sedangkan darah itu adalah barang yang kotor.

Namun kena tahu yang dalam ayat lain disebut bahawa darah yang dilarang adalah ‘darah yang mengalir’ atau terpancar. Maka kalau ada sikit-sikit darah pada daging yang dimasak, tidak mengapa. Kadangkala kita makan ayam goreng, tiba-tiba ternampak ada kesan darah, bukan? Tidak mengapa, makanlah sahaja dengan senang hati. Jangan jadi orang yang takut sangat dengan darah, sampai mereka akan mencuci daging ayam sampai pucat daging itu. Ini tidak perlu dan sudah dikira ghuluw. Dalilnya adalah An’am: 145

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطعَمُهُ ۥۤ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَّسفُوحًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir,

Kalau kita perhatikan, darah yang dilarang kita memakannya adalah دَمًا مَّسفُوحًا. Bukan semua darah itu haram kerana ada darah yang dihalalkan iaitu hati dan limpa seperti disebut di dalam hadith di atas riwayat Ibn Majah: “وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ sedangkan dua jenis darah adalah darah hati dan limpa”.

 

وَلَحمَ الخِنزيرِ

dan daging babi 

Daging babi seperti yang semua sudah tahu, haram untuk kita. Kalau sesiapa yang lahir sebagai orang Islam, memang tidak akan lalu tekaknya untuk makan daging babi ini. Malah kalau nampak sahaja di mana-mana tempat yang ada babi, terus kita terasa geli. Begitulah kerana kita telah lama hidup dan tidak teringin pun hendak makan daging babi.

Akan tetapi bagi orang yang tidak lahir sebagai seorang Muslim semenjak kecil, tentu mereka akan menghadapi masalah dan dugaan. Kerana ada yang sudah biasa makan daging babi dan bagi mereka daging babi itu sedap. Walaupun kita yang asalnya Muslim tidak mengalami masalah ini, ketahuilah yang ada orang yang ada dugaan dalam hal ini.

Di dalam ayat ini hanya disebut daging. Namun begitu apabila disebut daging, ia merangkumi semua sekali bahagian babi itu, maka janganlah pula buat sup tulang babi. Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Begitu juga dilarang memakan daging babi baik yang mati dengan cara disembelih atau mati dalam keadaan tidak seperti biasanya. Lemak babi juga haram dimakan sebagaimana dagingnya kerana penyebutan daging dalam ayat cuma menunjukkan keumuman (aghlabiyyah) atau dalam daging juga sudah termasuk pula lemaknya, atau hukumnya diambil dengan jalan qiyas (analogi).” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/36)

Ibn al-‘Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Umat telah bersepakat haramnya daging babi dan seluruh bahagian tubuhnya. Dalam ayat disebutkan dengan perkataan ‘daging’ kerana babi adalah haiwan yang disembelih dengan maksud mengambil dagingnya. … Dan lemak babi termasuk dalam larangan daging babi.” (Lihat Ahkam al-Qur’an, 1/94)

Salah satu perkara yang selalu dibincangkan adalah kenapa babi diharamkan? Ini bagi mereka yang hendak sangat tahu tujuan Allah ﷻ haramkan. Sebenarnya apabila Allah ﷻ telah haramkan, maka kita terima sahaja lah. Akan tetapi perkara ini memang dibincangkan dengan panjang lebar. Pengharaman khinzir adalah disebabkan ia membawa beberapa kemudaratan sama ada dari aspek kimia, mikrob dan sikap (psikologi), iaitu ia disebut boleh menghilangkan perasaan cemburu serta menjadi dayus. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/98)

Dr Yusuf al-Qaradhawi رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam ketika mengulas berkenaan pengharaman daging babi menyebut: Perkara ketiga yang diharamkan Allah ﷻ ialah daging babi. Ini adalah kerana tabiat yang sihat akan memandangnya kotor dan tidak akan menyukainya. Sebab babi ini, makanan yang sangat disukainya ialah daripada benda-benda yang kotor, jijik dan najis.

Ilmu perubatan moden menetapkan bahawa memakan daging babi itu sangat berbahaya di seluruh pelusuk dunia, khususnya di daerah yang beriklim panas. Sebagaimana yang berkaitan dengan penyelidikan ilmiah bahawa sesiapa yang memakan daging babi itu menyebabkan lahirnya cacing kerawit yang sangat merbahaya, dan ulat-ulat yang dapat membinasakan tubuhnya.

Justeru, dalam masa terdekat ini, ilmu moden ini akan mendedahkan banyak lagi rahsia pengharaman itu, lebih banyak daripada apa yang difirmankan Allah ﷻ, ketika Dia mensifatkan Rasul-Nya dalam firman-Nya (وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ) yang bermaksud: “Bahawa dia (Nabi Muhammad ﷺ) telah mengharamkan ke atas mereka semua yang kotor.” (al-A’raf: 157)

Ada sesetengah penyelidik berpendapat: Jika membiasakan diri selalu memakan daging babi, nescaya akan menghilangkan perasaan cemburu terhadap perkara yang terlarang. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 69-70)

Dr. Joseph Mercola, pakar kesihatan terkenal Amerika Syarikat menyebut: “Kajian mendapati daging babi boleh memberikan bahaya kepada kesihatan dalam pelbagai peringkat. Menurut kajian oleh Consumer Reports, 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh menyebabkan masalah-masalah kesihatan.”

Dr. Muhammad Abdul Khair menyebut beberapa penyakit yang disebabkan oleh daging babi: “Daging babi mengandung benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain. Cacing-cacing ini akan berpindah kepada manusia yang memakan daging babi tersebut. Perlu dicatat, sehingga ini, generasi babi belum terbebas daripada cacing-cacing ini.” (Lihat Ijtihadat fi al-Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 112)

Dr. Zakir Abdul Karim Naik حفظه الله dalam “20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam” berkata: Antara sebab pengharaman daging babi ialah: Memakan daging babi akan menyebabkan tidak kurang daripada 70 pelbagai jenis penyakit yang akan dijangkiti antaranya:

• Helminthes seperti cacing bulat, cacing peniti, cacing kerawit dan lain-lain lagi.

• Antara yang berbahaya adalah Taenia Solium, iaitu menurut istilah umum cacing pita. Tersimpan dalam usus dan sangat panjang. Ovumnya, iaitu telur memasuki aliran darah dan mampu mencapai ke semua organ tubuh. Jika ianya memasuki otak, boleh mengakibatkan hilang ingatan. Jika memasuki jantung, boleh menyebabkan serangan jantung. Jika memasuki mata, boleh menyebabkan buta. Jika memasuki hati, akan menyebabkan kerosakan pada hati.

Maka ini adalah antara pendapat-pendapat yang diberikan ulama’ kenapa Allah ﷻ haramkan. Namun kita tidak perlu tahu pun sebenarnya kenapa sesuatu itu haram. Cukup dengan kita tahu yang ianya adalah haram. Dr Yusuf al-Qaradhawi رَحِمَهُ اللَّهُ yang menyebut: Tidak semestinya setiap Muslim mengetahui secara terperinci kesemua barangan yang dianggap rosak dan bahaya, yang dengan sebabnya diharamkan oleh Allah ﷻ sesuatu barangan itu. Adakalanya, hal itu terlindung daripada kefahamannya, yang mana keadaan yang sama kelihatan pada keadaan yang lain. Adakalanya, keburukan sesuatu barangan itu tidak jelas pada sesuatu zaman yang tertentu, manakala ianya jelas pula pada zaman yang berikutnya. Oleh itu, sewajarnya sikap seorang mukmin itu selalu mengatakan: “Kami dengar dan kami taat.”

Begitulah para sahabat tidak tahu pun tentang cacing-cacing apa ini semua ketika Allah ﷻ mengharamkan babi kepada mereka. Akan tetapi mereka ikut sahaja kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Mereka yakin bahawa ia semestinya buruk, cuma mereka sahaja tidak tahu pada waktu itu. Perumpamaannya seperti kita ada dua anak yang kita berikan arahan kepada keduanya. Yang satu terus buat, yang satu lagi buat juga tetapi banyak tanya. Mana yang kita suka dan mana yang kita hangin dengannya?

Kita sebenarnya kena taat sahaja dengan hukum yang telah diberikan kepada kita oleh Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Kita lihat contoh wanita haidh yang hanya disuruh mengqadha puasa tapi tidak mengqadha solat. Sedangkan kalau difikirkan, solat lebih utama dari solat, bukan? Namun wanita hanya disuruh mengqadha puasa sahaja. Begitulah jawapan A’isyah رضي الله عنها apabila ditanya hal itu:

عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قُلْتُ لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّي أَسْأَلُ قَالَتْ كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Daripada [Mu’adzah] dia berkata, “Aku bertanya kepada [Aisyah رضي الله عنها] dengan berkata, ‘Kenapa gerangan wanita yang haid mengqadha’ puasa dan tidak mengqadha’ solat? ‘ Maka Aisyah رضي الله عنها menjawab, ‘Apakah kamu daripada golongan Haruriyah? ‘ Aku menjawab, ‘Aku bukan Haruriyah, akan tetapi aku hanya bertanya.’ Dia menjawab, ‘Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha’ solat’.”
(Sahih Muslim (508))

 

وَما  أُهِلَّ لِغَيرِ اللهِ بِهِ

dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah;

Kalimah أُهِلَّ daripada kalimah hilal yang bermaksud ‘bulan’. Kalimah ahalla asalnya bermaksud panggil orang untuk lihat bulan baru sudah masuk. Kebiasaan mereka, apabila sudah lihat anak bulan sebagai tanda bulan baru sudah masuk, mereka akan mengiklankannya – menyebutnya dengan meneriak kepada orang ramai.

Dari itu datang uhilla (meninggikan suara) iaitu ketika menyebut nama ilah semasa menyembelih. Orang Arab adakala menyebut nama Allah ﷻ apabila sembelih untuk Allah ﷻ dan adakala menyebut nama berhala mereka apabila mereka sembelih untuk dipersembahkan kepada berhala mereka.

Maka tidak boleh makan makanan yang disebut nama selain Allah ﷻ semasa disembelih. Bagaimana kalau disembelih tidak disebut nama selain Allah ﷻ dan juga tidak disebut nama Allah ﷻ? Jumhur ulama’ mengatakan yang ini halal dimakan kerana menyebut nama Allah ﷻ semasa sembelih adalah sunat sahaja. Namun janganlah sengaja tidak sebut pula. Yang kita boleh terima adalah sembelih tetapi terlupa sebut nama Allah ﷻ.

Termasuk juga di dalam kategori yang haram dimakan adalah binatang yang disembelih kerana bomoh suruh. Yang bomoh suruh itu sebenarnya adalah jin yang suruh. Kononnya untuk berubat, syarat putus ubat, untuk jamu jin makan dan sebagainya. Ini pun kita tidak boleh makan kerana tujuan sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ, bukan untuk dimakan biasa, akan tetapi ada tujuan lain yang haram. Maka kalau pun semasa sembelih itu disebutkan nama Allah ﷻ, tetap ia adalah makanan yang haram.

 

فَمَنِ اضطُرَّ

tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya

Oleh itu, ada tiga makanan yang diharamkan makan seperti yang disebut di atas. Namun begitu kadangkala tidak ada makanan lain yang menyebabkan kita terpaksa makan makanan yang haram juga. Ini adalah rukhsah (kelonggaran) dalam keadaan darurat.

Contohnya kita sesat dalam hutan dan daging yang ada hanyalah daging babi hutan, maka dibolehkan untuk memakannya. Kerana jikalau tidak makan akan mati pula. Ini dibenarkan dalam keadaan terpaksa kerana kita disuruh untuk menjaga nyawa kita.

 

غَيرَ باغٍ

dengan tidak menganiaya

Yang memakan makanan itu bukan kerana mahu melawan hukum, tetapi kerana terpaksa. Kalau tidak makan, memang akan mati. Ini adalah tentang sifat orang yang memakan. Iaitu semasa makan itu bukanlah kerana memang hendak makan benda yang haram, tetapi terpaksa sahaja.

 

وَلا عادٍ

dan tidak pula melampaui batas, 

Satu lagi syarat untuk memakan makanan yang haram itu adalah dengan tidak melampau. Cukup setakat tidak mati sahaja. Jangan kerana makanan itu sedap, maka makan dengan banyak pula. Ramai yang kata daging babi itu memang sedap, maka jangan makan berlebihan pula. Jangan pula ambil peluang, ini kalilah sahaja dapat makan babi, mari kita makan banyak-banyak.

 

فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka kepada mereka yang terpaksa memakan makanan yang haram itu dengan dua syarat yang telah disebut, sesungguhnya Allah ﷻ akan mengampunkan dosa mereka kerana memakan makanan haram itu. Ayat yang lebih kurang sama terdapat di dalam Baqarah: 173

اِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيْرِ وَمَآ اُهِلَّ بِهٖ لِغَيْرِ اللّٰهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَّلَا عَادٍ فَلَآ اِثْمَ عَلَيْهِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Maknanya, memang memakan perkara-perkara di atas adalah haram dan berdosa, tetapi Allah ﷻ ampunkan melalui sifat rahmah-Nya kerana sayang kepada manusia yang berada di dalam darurat.


 

Nahl Ayat 116: Allah ﷻ mengingatkan hanya Allah ﷻ sahaja yang layak untuk mengharamkan sesuatu makanan itu, bukannya manusia. Maka, jangan mengatakan sesuatu itu halal atau haram tanpa berdasarkan wahyu. Ini adalah Ayat Zajrun.

وَلا تَقولوا لِما تَصِفُ أَلسِنَتُكُمُ الكَذِبَ هٰذا حَلٰلٌ وَهٰذا حَرامٌ لِّتَفتَروا عَلَى اللهِ الكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللهِ الكَذِبَ لا يُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not say about what your tongues assert of untruth, “This is lawful and this is unlawful,” to invent falsehood about Allāh. Indeed, those who invent falsehood about Allāh will not succeed.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.

 

وَلا تَقولوا لِما تَصِفُ أَلسِنَتُكُمُ الكَذِبَ

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disifatkan oleh lidah-lidahmu secara dusta

Allah ﷻ melarang bercakap bohong dalam agama. Undang-undang agama dibuat oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ kepada manusia. Maka jangan kita memandai-mandai buat hukum yang baru pula – kerana ini sudah dikira mengambil kerja Allah ﷻ dan Rasul pula.

 

هٰذا حَلٰلٌ وَهٰذا حَرامٌ

“ini halal dan ini haram”,

Allah ﷻ menegur kerana ada manusia yang sesuka hati menghalalkan dan mengharamkan. Mereka mungkin pandai berhujah memberikan alasan mereka – maka Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan ingkar hukum Allah ﷻ. Mungkin kamu pandai berhujah tetapi sebenarnya kerana hendak mengikut hawa nafsu kamu sahaja.

Sampai hari ini ada kalangan orang Islam yang liberal. Mereka ada bermacam-macam hujah untuk menjadikan yang haram menjadi halal; dan ada jenis yang keras sangat menjadikan halal kepada haram. Selalu kita marah kalau orang jadikan perkara yang haram menjadi halal, bukan? Namun kita harus ingat bahawa ada satu masalah yang orang tidak perasan – iaitu menjadikan benda yang halal menjadi haram. Ini pun tidak boleh juga.

Sebagai contoh, ada puak yang mengharamkan makanan-makanan tertentu kepada masyarakat mereka. Contohnya, ada golongan di Malaysia ini yang mengharamkan sejenis ikan untuk keturunan mereka. Mereka kata keturunan mereka tidak boleh makan ikan itu.

Atau selalu masyarakat Melayu kita melarang memakan makanan tertentu kepada orang yang baru lepas bersalin. Mereka kata ini adalah ‘pantang’. Padahal tidak ada hujah dan sumber akan perkara itu. Mungkin ada orang dahulu kala yang jatuh sakit apabila makan makanan tertentu selepas bersalin. Maknanya makanan itu tidak sesuai untuk dirinya – bukannya boleh dipukul rata untuk semua orang.

Oleh itu, orang kita kumpulkan semua makanan itu dan kata kepada semua orang baru bersalin, mereka tidak boleh makan senarai makanan itu. Sedangkan individu itu tidak ada masalah pun jika mereka mahu makan. Maka, walaupun mereka kata ‘pantang’, tetapi sebenarnya mereka ‘mengharamkan’ makanan itu sebenarnya. Maka ini pun tidak boleh.

Susunan di dalam Al-Qur’an adalah tepat. Perhatikan Allah ﷻ sebut هٰذا حَلٰلٌ dahulu di dalam ayat kerana manusia lebih banyak menghalalkan yang haram daripada mengharamkan yang halal. Ini kerana ramai manusia suka melakukan perkara yang haram. Allah ﷻ sebut perkara yang lebih banyak dilakukan dahulu.

Perkara halal dan haram ini bukan tentang pemakanan sahaja, tetapi termasuklah dalam perkara ibadat. Ini penting kerana banyak hukum yang terlibat dengan kehidupan manusia dan ada yang menghalalkan dan mengharamkan tanpa ilmu. Oleh kerana itu ada yang menghalalkan perbuatan bid’ah tanpa mereka sedari dan mengharamkan perbuatan yang baik.

Ia juga amat menakutkan kerana ramai yang memberi fatwa dengan cara yang salah. Kita takut kalau-kalau hukum yang kita keluarkan itu adalah salah kerana kurangnya ilmu kita. Kerana itu kena berhati-hati di dalam mengeluarkan fatwa. Contohnya janganlah mudah-mudah menerakakan orang yang makan keropok lekor yang bercampur dengan isi ikan. Kerana itu para ulama’ amat berhati-hati dalam perkara ini. Sebagai contoh, kata Imam Malik رَحِمَهُ اللَّهُ:

مَا أَفْتيت حَتَّى شهد لي سَبْعُونَ أَنِّي أهل لذَلِك
“Aku tidak berfatwa sehinggalah disaksikan bagiku 70 orang saksi (para ulama) bahawa aku merupakan ahli (orang yang berkelayakan) dalam hal tersebut.”

Kata beliau lagi:

لَا يَنْبَغِي لرجل أَن يرى نَفسه أَهلا لشَيْء حَتَّى يسْأَل من كَانَ أعلم مِنْهُ وَمَا أَفْتيت حَتَّى سَأَلت ربيعَة وَيحيى بن سعيد فأمراني بذلك وَلَو نهياني انْتَهَيْت
“Tidak sepatutnya bagi seorang lelaki untuk melihat dirinya layak dalam sesuatu perkara sehinggalah dia bertanya kepada orang yang lebih alim daripada dirinya.
Dan tidaklah aku memberikan fatwa sehinggalah aku bertanyakan terlebih dahulu kepada Rabi’ah dan Yahya bin Sa’id, lalu mereka berdua mengarahkan aku untuk melakukannya (memberi fatwa).
Sekiranya keduanya melarangku, nescaya aku akan berhenti.”

Ibnu Abi Hatim رَحِمَهُ اللَّهُ mengeluarkan suatu riwayat daripada Abu Nadhrah; berkata beliau ini: “Saya baca ayat ini di dalam Surat an-Nahl. Sejak membaca ayat ini senantiasalah saya merasa takut akan mengeluarkan fatwa, sampai kepada hari ini.“

Pengarang Tafsir Fathul Bayan menulis: “Benarlah apa yang beliau katakan itu, moga-moga rahmat Allah atas beliau. Sesungguhnya ayat ini dengan umum lafaznya meliputi juga akan segala fatwa yang difatwakan berlawanan dengan kitab Allah atau Sunnah Rasul-Nya, sebagaimana banyak kejadian pada orang-orang yang lebih mementingkan pendapat sendiri (ra’yi) daripada mengemukakan riwayat, atau orang yang jahil, tidak ada pengetahuannya tentang al-Kitab dan as-Sunnah.”

Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kedua kitabnya yang terkenal, iaitu “Al-Umm” dan “Ar-Risalah” pun tidaklah dengan semahunya saja mengeluarkan hukum haram atau halal. Setinggi-tinggi perkataan beliau hanyalah “yukrahu” (tidak disukai), atau beliau kemukakan pendapat sendiri dengan menyebut “karihtu” (saya tidak suka), atau “akrahu” (saya tidak senang, atau saya benci). Setelah membaca, fahamlah orang bahawa pendapat beliau condong kepada haram.

Begitulah yang dikatakan oleh ulama: أَجرَؤُكُم عَلَى الفُتيَى أَجرَؤُكُم عَلَى النَّارِ (seberani-berani kamu berfatwa, ialah seberani-berani kamu masuk neraka).

 

لِّتَفتَروا عَلَى اللهِ الكَذِبَ

untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. 

Apa yang mereka lakukan itu adalah penipuan atas nama Allah ‎ﷻ. Mereka telah mengambil kerja Tuhan dan ini adalah dosa besar. Ini sudah termasuk syirik amali. Kerana tugas penentuan halal dan haram adalah tugas Allah ﷻ, bukan?

Jikalau kita percaya kata-kata bidan yang menyambut anak itu, maknanya kita telah menyamakan kedudukan bidan itu sama dengan Allah ﷻ, dia boleh menghukum pula dan kita ikut tanpa usul periksa. Malangnya berapa ramai dalam kalangan masyarakat Melayu kita yang masih lagi mengamalkan pantang ini?

Maka kerana inilah pentingnya ilmu dan kepentingan terus belajar dan belajar. Kerana mungkin kita faham satu perkara semasa mula belajar, tapi kemudian kita dapat lebih lagi maklumat. Maka jangan kita bercakap tanpa ilmu, amal dan ikut pun jangan tanpa ilmu. Ingat firman Allah ﷻ di dalam Isra’: 36

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

 

إِنَّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللهِ الكَذِبَ لا يُفلِحونَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.

Ini adalah zajrun dan takhwif ukhrawi. Mereka yang buat begitu tidak akan berjaya. Mereka tidak akan berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi tidak akan berjaya di akhirat.


 

Nahl Ayat 117: Mereka yang reka hukum itu kadang-kadang berjaya dalam kehidupan mereka, mereka menjadi rujukan orang dalam hal agama dan mendapat imbuhan dari orang lain atas nasihat mereka itu. Namun mereka itu tidak akan selamat dan kerana itu ayat ini juga adalah Takhwif Ukhrawi.

مَتٰعٌ قَليلٌ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is but] a brief enjoyment, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

(Itu adalah) kesenangan yang sedikit, dan bagi mereka azab yang pedih.

 

مَتٰعٌ قَليلٌ

(Itu adalah) kesenangan yang sedikit,

Allah ﷻ kata mereka tidak akan berjaya walaupun pada zahirnya nampak seperti mereka berjaya di dalam kehidupan dunia. Maka, Allah ﷻ membalas bahawa itu adalah kesenangan sementara sahaja. Kejayaan yang mereka dapat itu adalah kejayaan keduniaan sahaja yang tidak boleh dijadikan ukuran sebagai kejayaan sebenar.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih.

Mereka mungkin sangka mereka berjaya tetapi mereka akan dapat balasan azab. Azab itu adalah azab yang pedih yang tidak akan berkurangan sampai bila-bila. Allah ﷻ juga telah memberi amaran di dalam ayat yang lain iaitu Luqman: 24

نُمَتِّعُهُم قَليلًا ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ
Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

Setelah direnungkan ayat ini, nyatalah bahawa yang ditegur bukanlah orang musyrikin saja; Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ menulis dalam Tafsirnya:

“Termasuk juga ke dalam ayat ini orang-orang yang membuat-buat bid’ah baru, yang tidak ada sandarannya daripada syara’, atau menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan Allah, atau mengharamkan apa yang telah dilapangkan oleh Tuhan, hanya semata-mata kerana menurut fikirannya (ra’yinya) sahaja!”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin