Tafsir Surah Qalam Ayat 30 – 42 (Kisah peladang yang kedekut)

Ayat 30:

فَأَقبَلَ بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ يَتَلٰوَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then they approached one another, blaming each other.

(MELAYU)

Lalu sebahagian mereka menghadapi sebahagian yang lain seraya cela mencela.

 

Sekarang mereka menyalahkan sesama sendiri. Kalimah يَتَلٰوَمونَ dari katadasar ل و م yang bermaksud menyalahkan orang lain, menuduh. Mereka marah kawan-kawan dan saudara mereka yang tidak menasihatkan mereka dulu untuk ingat kepada Allah. Diri sendiri tidak ada usaha untuk ingat, salahkan orang lain pula (“engkaulah dulu.. tak ingatkan aku…!”)


 

Ayat 31:

قالوا يٰوَيلَنا إِنّا كُنّا طٰغينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O woe to us; indeed we were transgressors.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Aduhai celakalah kita; sesungguhnya kita ini adalah orang-orang yang melampaui batas”.

 

Sekarang mereka sudah sedar kesilapan diri sendiri. Tidak terkata lagi kesesalan yang mereka rasai. Mereka rasa sedih sangat dengan apa yang terjadi. Mereka mengaku dan sudah sedar kesilapan mereka. Alhamdulillah, kesedaran ini mereka dapat sebelum mereka mati.


 

Ayat 32:

عَسىٰ رَبُّنا أَن يُبدِلَنا خَيرًا مِّنها إِنّا إِلىٰ رَبِّنا رٰغِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps our Lord will substitute for us [one] better than it. Indeed, we are toward our Lord desirous.”¹

  • Of His mercy, forgiveness and bounty.

(MELAYU)

Mudah-mudahan Tuhan kita memberikan ganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada itu; sesungguhnya kita mengharapkan ampunan dari Tuhan kita.

 

عَسىٰ رَبُّنا أَن يُبدِلَنا خَيرًا مِّنها

Mudah-mudahan Tuhan kita memberikan ganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada itu;

Mereka bertaubat dan berdoa kepada Allah mengharap kurniaan dariNya. Mereka sudah sedar yang Allah sahaja yang boleh ganti kehilangan mereka itu. Maka mereka berharap Allah ganti kebun mereka itu dengan kebun yang lebih baik.

 

إِنّا إِلىٰ رَبِّنا رٰغِبونَ

sesungguhnya kita mengharapkan ampunan dari Tuhan kita.

Mereka berharap kembali kepada Allah. Dan selepas itu, mereka akan berharap kepada Allah sahaja. Menurut suatu pendapat, mereka menginginkan dengan kesedaran dan taubat mereka itu agar diberi ganti dengan kebun yang lebih baik di dunia ini. Dan menurut pendapat yang lain, mereka mengharapkan pahala dari Allah di negeri akhirat. Allahu a’lam.

Kemudian sebahagian ulama Salaf menyebutkan bahawa mereka adalah penduduk negeri Yaman. Sa’id ibnu Jubair mengatakan bahwa mereka dari suatu kota yang dikenal dengan nama Darwan, terletak enam batu dari kota Sana’.

Menurut pendapat yang lainnya lagi, mereka adalah penduduk negeri Habsyah, dan bapak moyang mereka telah mewariskan kebun itu kepada mereka, dan mereka adalah dari golongan Ahli Kitab.

Di masa lalu bapak moyang mereka mempunyai perjalanan hidup yang baik dalam mengusahakan kebunnya. Dari hasilnya mereka mengembalikan sebahagiannya untuk usaha kebun itu sendiri sesuai dengan keperluannya (modal pusingan), dan sebahagian yang lainnya mereka simpan buat makan setahun anak-anak mereka, sedangkan sisanya mereka sedekahkan.

Ketika bapa mereka meninggal dunia, lalu kebun itu diwarisi oleh anak-anaknya. Maka berkatalah anak-anaknya, “Sesungguhnya bapak kita dahulu bodoh, kerana dia telah membelanjakan sebahagian dari hasil kebun ini untuk kaum fakir miskin. Maka seandainya kita hentikan perbelanjaan itu, nescaya akan bertambah melimpahlah hasil yang kita peroleh nanti.”

Tatkala mereka bertekad untuk melaksanakan niat mereka itu, maka dihukumlah mereka dengan kebalikan dari apa yang telah diceritakan di atas. Allah melenyapkan dari tangan mereka semua modal mereka, keuntungan dan sedekah yang biasanya dikeluarkan, semuanya hampa, tiada sesuatu pun yang tersisa bagi mereka.


 

Ayat 33: Ayat 33 ini adalah Perenggan Makro Keempat. Allah memberitahu yang perit azab di dunia tidak seperit azab di akhirat.

كَذٰلِكَ العَذابُ ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Such is the punishment [of this world]. And the punishment of the Hereafter is greater, if they only knew.

(MELAYU)

Seperti itulah azab (dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui.

 

كَذٰلِكَ العَذابُ

Seperti itulah azab (dunia).

Itulah azab Allah bagi semasa mereka di dunia lagi. Kerana mereka kedekut tidak mahu membantu orang miskin lagi. Maka Allah beri peringatan kepada mereka. Walaupun ia azab tapi ia ada kebaikan kerana menyedarkan diri mereka. Kalau Allah tak beri azab ini, entah mereka tidak sedar sampai bila-bila. 

 

وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَكبَرُ

Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar

Dan rahmat Allah memberikan azab di dunia lagi kerana kalau azab itu diberi di akhirat, ia lagi teruk. 

 

لَو كانوا يَعلَمونَ

jika mereka mengetahui.

Kalaulah mereka mengetahui kelebihan azab di dunia itu, mereka tidak akan marah. Kalaulah mereka tahu azab di akhirat itu teruk, tentu mereka tidak akan melakukan rancangan mereka yang buruk itu.

Tamat Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam ayat ini.


 

Ayat 34: Ayat 34 – 36 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan akibat baik bagi orang bertaqwa. Jadi ini adalah Ayat Tabshir. 

إِنَّ لِلمُتَّقينَ عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتِ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, for the righteous with their Lord are the Gardens of Pleasure.

(MELAYU)

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.

 

Kepada orang-orang yang bertaqwa pula, mereka akan mendapat nikmat yang berkekalan di akhirat. Balasan itu amat besar sekali nikmatnya kerana ia dari Sisi Allah. Kalau ianya dari Allah, tentu ia amat hebat.

Tapi ia diberikan kepada mereka yang bertaqwa sahaja. Iaitu mereka yang takut dengan Allah dan kerana itu mereka jaga hukum yang Allah telah tetapkan. Mereka sedar yang Allah sentiasa memerhatikan segala perbuatan mereka dan kerana itu mereka berhati-hati dan berjaga-jaga dengan segala perbuatan mereka. Setiap perbuatan mereka dimulai dengan penilaian sama ada Allah suka atau tidak.

Ayat ini adalah jawapan balas kepada hujah pemuka Quraish yang musyrik itu. Mereka kata mereka hidup senang di dunia dengan kedudukan yang tinggi kerana mereka itu disayangi oleh Allah. Dan mereka kata, kalau benarlah akhirat itu ada seperti yang didakwa oleh Nabi Muhammad, mereka tentu akan dapat kelebihan dan kedudukan tinggi di akhirat juga kerana memang mereka itu kesayangan Allah.

Allah nak beritahu kepada mereka: jangan perasanlah. Mereka bukan orang bertaqwa jadi mereka tidak akan dapat masuk syurga. Syurga untuk orang bertaqwa sahaja.


 

Ayat 35:

أَفَنَجعَلُ المُسلِمينَ كَالمُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then will We treat the Muslims like the criminals?

(MELAYU)

Maka apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang kafir)?

 

Orang Islam tidak sama dengan orang kafir. Fahaman mereka tidak sama dan kerana itu amalan mereka tidak sama. Oleh kerana itu, takkan balasan yang mereka akan terima sama?

Tentu tidak sama. Walaupun mereka nanti akan sama-sama masuk tanah yang sama, tapi tidak sama balasan yang akan diberikan kepada mereka. Semua manusia akan dibalas mengikut amalan masing-masing. 

Maka apabila pemuka Quraisy yang kaya dan berpengaruh itu kata mereka akan dapat kelebihan di akhirat nanti, kerana mereka itu kesayangan Allah, maka Allah jawab balik dalam ayat ini: takkan orang miskin tapi beriman itu pula akan dilayan seperti penjenayah hanya kerana mereka miskin dan susah semasa di dunia? Sedangkan mereka beriman dan beramal soleh?


 

Ayat 36:

ما لَكُم كَيفَ تَحكُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What is [the matter] with you? How do you judge?

(MELAYU)

Atau adakah kamu (berbuat demikian): bagaimanakah kamu mengambil keputusan?

 

ما لَكُم

Apa yang tidak kena dengan kamu? 

Allah tegur: Kenapa kamu buat begini dan begitu? Kenapa kamu teruk sangat? Apa yang telah jadi dengan kamu? Apa yang tak kena dengan kamu?

 

كَيفَ تَحكُمونَ

bagaimanakah kamu mengambil keputusan?

Kenapa cara kamu buat keputusan ini amat salah? Apakah hujah kamu? Dari manakah dalil sandaran kamu? Bagaimana kamu sampai boleh hukum yang kamu yang buat dosa di dunia akan dapat kebaikan di akhirat dan mereka yang beriman pula yang akan susah di akhirat? Pelik sungguh hukum kamu itu!


 

Ayat 37: Ayat 37 – 50 adalah Perenggan Makro Keenam. Allah mengajar jangan tergesa-gesa mengharap kejayaan dalam berdakwah.

أَم لَكُم كِتٰبٌ فيهِ تَدرُسونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you have a scripture in which you learn

(MELAYU)

Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu membacanya?,

 

Allah mengutuk Musyrikin Mekah yang mengamalkan syirik dan segala kesalahan dalam agama. Dari mana mereka dapat ajaran mereka itu? Adakah dari kitab wahyu yang ada pada mereka?

Musyrikin Mekah itu pun tahu yang mereka tidak ada kitab. Bangsa lain di sekeliling mereka pun tahu bahawa Arab Mekah itu tidak ada pegangan agama dari langit. Contohnya, Bani Israil memang memandang rendah golongan Arab kerana pada mereka, orang Arab ini tidak ada agama kerana mereka memang tidak ada kitab.

Jadi, Allah hendak kata, mereka itu pandai mereka-reka sahaja fahaman agama.


 

Ayat 38: Kalaulah mereka ada kitab.

إِنَّ لَكُم فيهِ لَما تَخَيَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That indeed for you is whatever you choose?

(MELAYU)

bahawa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu.

 

Adakah mana-mana kitab yang kata kamu boleh dapat apa sahaja yang kamu mahu di akhirat kelak? Atau adakah kamu hanya pandai reka sendiri fahaman agama kamu? Kamu boleh pilih apa yang kamu hendak? 


 

Ayat 39:

أَم لَكُم أَيمٰنٌ عَلَينا بٰلِغَةٌ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۙ إِنَّ لَكُم لَما تَحكُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you have oaths [binding] upon Us, extending until the Day of Resurrection, that indeed for you is whatever you judge?

(MELAYU)

Atau apakah kamu memperoleh janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat; sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan (sekehendakmu)?

 

أَم لَكُم أَيمٰنٌ عَلَينا بٰلِغَةٌ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

Atau apakah kamu memperoleh janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat;

Adakah kamu ada janji yang Allah takkan azab kamu? Adakah kamu dapat janji dari Allah sendiri yang kamu akan selamat?

 

إِنَّ لَكُم لَما تَحكُمونَ

sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan (sekehendakmu)?

Dan janji itu benarkan kamu buat apa-apa sahaja yang kamu suka? Kalau ada, selamatlah kamu. Tapi tentu tidak ada, bukan? Kamu sendiri pun tahu yang memang tidak ada perjanjian itu.


 

Ayat 40:

سَلهُم أَيُّهُم بِذٰلِكَ زَعيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ask them which of them, for that [claim], is responsible.

(MELAYU)

Tanyakanlah kepada mereka: “Siapakah di antara mereka yang bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil itu?”

 

Siapa yang kata begitu? Siapa yang mendakwa ajaran-ajaran salah itu? Siapa yang kata dia tahu apa yang Allah hendak?

Kalimah زعيم bermaksud penjamin seorang. Contohnya ada orang kena dakwa dan dia jadi penjamin orang itu. Allah tanya siapakah yang akan jadi penjamin mereka di akhirat kelak?

Jangan nak perasan lah. Tidak akan ada sesiapa yang akan jamin mereka nanti.


 

Ayat 41:

أَم لَهُم شُرَكاءُ فَليَأتوا بِشُرَكائِهِم إِن كانوا صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they have partners?¹ Then let them bring their partners, if they should be truthful.

  • i.e., those to whom they attribute divinity other than Allāh or partners from among themselves.

(MELAYU)

Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka adalah orang-orang yang benar.

 

أَم لَهُم شُرَكاءُ فَليَأتوا بِشُرَكائِهِم

Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya

Adakah mereka rasa selamat kerana mereka sangka mereka ada penolong, wali dan pembantu? Mereka sangka mereka ada ilah-ilah yang dapat menyelamatkan mereka nanti. Allah kata, kalau ada maka keluarkanlah. Panggillah mereka datang tolong.

 

إِن كانوا صٰدِقينَ

jika mereka adalah orang-orang yang benar.

Itu pun kalau dakwaan mereka itu benar. Tentu sekali mereka tidak ada hujah terhadap perkara itu. Tentu sekali tidak ada sesiapa yang dapat selamatkan mereka nanti.


 

Ayat 42: Allah suruh bayangkan keadaan diri mereka nanti.

يَومَ يُكشَفُ عَن ساقٍ وَيُدعَونَ إِلَى السُّجودِ فَلا يَستَطيعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day the shin will be uncovered¹ and they are invited to prostration but they [i.e., the disbelievers] will not be able,

  • i.e., when everyone will find before him great difficulty. In accordance with authentic ḥadīths, “the shin” might also refer to that of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā), before which every believer will prostrate on the Day of Judgement. See footnote to 2:19.

(MELAYU)

Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud; maka mereka tidak mampu,

 

يَومَ يُكشَفُ عَن ساقٍ

Pada hari betis disingkapkan

Ini adalah salah satu dari Ayat Mutashabihat. Ulama’ pun tidak pasti apakah maksudnya dengan tepat.

Kita dapat isyarat yang ini adalah keadaan di hari akhirat. Tapi kita tidak dapat jelaskan bagaimana pula ‘betis’ itu tersingkap. Jadi kita hanya terima yang Allah sedang menceritakan keadaan apabila Dia menunjukkan kehebatanNya pada hari akhirat kelak. 

Salah satu pendapat dari ibnu Abbas: ‘apabila kebenaran akan disingkap’. Iaitu pada hari akhirat nanti. Ia adalah salah dari peribahasa Arab klasik. Waktu itu segala rahsia akan dibuka. Kebenaran akan terserlah.

Satu lagi pendapat adalah ia bermaksud hari yang penuh huru-hara.

Demikianlah menurut Ibnu Jarir dalam riwayatnya, dan dia mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Mahran, dari Sufyan, dari Al-Mugirah, dari Ibrahim, dari Ibnu Mas’ud atau dari Ibnu Abbas —Ibnu Jarir ragu— sehubungan dengan makna firman-Nya: Pada hari betis disingkapkan. (Al-Qalam: 42) kerana terjadinya peristiwa yang sangat besar (dahsyat), semakna dengan ucapan seorang penyair, “Perang itu kian memuncak hingga menyingkapkan betis orang-orang yang terlibat di dalamnya.”

 

وَيُدعَونَ إِلَى السُّجودِ

dan mereka dipanggil untuk bersujud;

Pada hari itu semua makhluk akan dipanggil untuk sujud kepada Allah. Tidak perlu dipanggil dan disuruh pun kerana automatik makhluk yang taat akan sujud.

 

فَلا يَستَطيعونَ

maka mereka tidak kuasa,

Akan tetapi mereka yang mengamalkan syirik itu tidak mampu untuk sujud. Ini adalah kerana Allah tak bagi mereka sujud. Mereka telah ada peluang untuk sujud semasa di dunia tapi mereka tidak ambil, maka sekarang mereka tidak diberi peluang lagi. 

Imam Bukhari sehubungan dengan hal ini mengatakan:

حَدَّثَنَا آدَمُ، حَدَّثَنَا اللَّيْثِ، عَنْ خَالِدِ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِلَالٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَار، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “يَكشِفُ رَبّنا عَنْ سَاقِهِ، فَيَسْجُدُ لَهُ كُلُّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ، وَيَبْقَى مَنْ كَانَ يَسْجُدُ فِي الدُّنْيَا رِيَاءً وَسُمْعَةً، فَيَذْهَبُ لِيَسْجُدَ فَيَعُودُ ظَهْرُهُ طَبَقًا وَاحِدًا”

telah menceritakan kepada kami Adam, telah menceritakan kepada kami Al-Lais, dari Khalid ibnu Yazid, dari Sa’id ibnu Abu Hilal, dari Zaid ibnu Aslam, dari Ata ibnu Yasar, dari Abu Sa’id Al-Khudri yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Nabi Saw. bersabda: Kelak (di hari kiamat) Tuhan ‘menyingkapkan betis’ (sebagian kekuasaan)Nya, maka bersujudlah kepada-Nya semua orang mukmin laki-laki dan perempuan, dan tertinggallah orang yang dahulunya ketika di dunia sujud kerana riak dan menunjuk-nunjuk, maka dia berupaya untuk melakukan sujud, tetapi punggungnya kembali berbalik menjadi tegak (tidak dapat sujud).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 6 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Qalam Ayat 13 – 29 (Jangan lupa istisna)

Qalam Ayat 13:

عُتُلٍّ بَعدَ ذٰلِكَ زَنيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Cruel, moreover, and an illegitimate pretender.¹

  • i.e., claiming a particular lineage falsely. The description given in these verses is of al-Waleed bin al-Mugheerah (see also 74:1125) or possibly, as asserted by Ibn Katheer, al-Akhnas bin Shurayq.

(MELAYU)

yang kaku kasar, selain dari itu, yang terkenal kejahatannya,

Mereka itu jenis yang kasar dan kita pun malas nak berkawan dan bercakap dengan mereka. Perbuatan mereka itu sentiasa menyakitkan hati. Mereka terkenal sebagai orang jahat.

Kalimah عُتُلٍّ juga digunakan untuk menyebut tentang orang yang tamak dalam makan dan berperangai buruk.

Juga digunakan apabila warden penjara yang tarik banduan dengan kasar bawa ke jel. Maka ia digunakan untuk orang yang tidak tahu nak buat baik dengan orang lain. Mereka juga tidak kisah apa orang kata terhadap keburukan mereka kerana hati mereka telah kaku sangat. Maknanya teruk sangat kerana orang biasa malu kalau orang kata buruk tentang mereka. 

Kalimah زَنيمٍ asalnya digunakan untuk unta yang telinganya telah dibelah sebagai tanda yang unta itu akan dikorbankan di Kaabah. Maka ia asalnya adalah kalimah pemuliaan kepada unta itu. Tetapi apabila digunakan dalam ayat ini, ia hendak perli orang yang sangka mereka mulia sampaikan tidak boleh ditegur.

Abu Ishaq alias Sa’id ibnu Jubair telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa zanim adalah orang yang terkenal dengan kejahatannya.

Mujahid mengatakan bahawa zanim adalah orang yang dikenal dengan ciri khas ini, sebagaimana yang dikenal pada kambing.

Abu Razin mengatakan bahawa zanim adalah alamat kekafiran.

Ikrimah mengatakan, zanim ialah orang yang terkenal tercela sebagaimana seekor kambing terkenal dengan tanda khususnya.

Pendapat mengenai makna zanim ini cukup banyak, tetapi pada garis besarnya kembali kepada pendapat yang zanim adalah seorang yang terkenal dengan kejahatannya di antara orang ramai. Semua orang kenal perangai buruk dia.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْحَمِيدِ، عَنْ شَهْر بْنِ حَوْشب، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ غَنْم، قَالَ: سُئل رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ العُتلِّ الزَّنِيمِ، فَقَالَ: “هُوَ الشَّدِيدُ الخَلْق الْمُصَحَّحُ، الْأَكُولُ الشَّرُوبُ، الْوَاجِدُ لِلطَّعَامِ وَالشَّرَابِ، الظَّلُومُ لِلنَّاسِ، رَحِيبُ الْجَوْفِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid, dari Syahr ibnu Hausyab, dari Abdur Rahman ibnu Ganam yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah ditanya tentang makna al-utuluz zanim. Maka beliau bersabda: Orang yang kaku perangainya, kasar, banyak makan dan minumnya, lagi rakus dalam makan dan minum, dan banyak berbuat aniaya terhadap orang lain, serta berperut besar.


 

Qalam Ayat 14: Kenapa mereka sangka mereka mulia dan hebat?

أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because he is a possessor of wealth and children,

(MELAYU)

kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak.

Mereka berlagak sebab mereka kaya dengan harta dan banyak anak. ‘Anak’ itu juga boleh menjadi isyarat bagi ‘pengikut’. Maknanya mereka ada kehebatan dunia. Mereka berbangga dengan apa yang mereka ada dan mereka rasa mereka kuat.

Begitulah selalunya orang kaya yang menghalang Nabi Muhammad. Selalunya mana-mana zaman pun, penentang kebenaran adalah orang yang kaya dan banyak pengikut mereka. 


Qalam Ayat 15:

إِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا قالَ أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When Our verses are recited to him, he says, “Legends of the former peoples.”

(MELAYU)

Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata: “(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala”.

Mereka tak percaya kepada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Wahyu pun mereka tidak mahu terima. Mereka tolak dengan menuduh Al-Qur’an itu adalah dongeng kisah-kisah orang dahulukala sahaja. Macam kisah dongeng dalam masyarakat kita: selalu disebut-sebut orang tapi nak percaya susah kerana entah benar, entahkan tidak.


Qalam Ayat 16:

سَنَسِمُهُ عَلَى الخُرطومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will brand him upon the snout.¹

  • Literally, “trunk,” meaning the nose of an elephant or pig.

(MELAYU)

Kelak akan Kami beri tanda dia di belalai(nya).

Kalimah الخُرطومِ digunakan untuk orang yang ‘panjang hidung’. Ini selalu digunakan untuk hidung gajah atau babi yang hidungnya panjang kalau dibandingkan dengan binatang-binatang lain.

Dalam bahasa kita, kita kata orang yang ‘hidung tinggi’. Mereka itu jenis orang yang sombong atas dunia. الخُرطومِ adalah orang paling sombong dalam sesuatu kampung itu.

Allah kata Dia akan beri tanda pada hidung mereka. Iaitu tanda sebagai ahli neraka. Bukan sahaja di neraka tapi di dunia lagi mereka akan dihinakan.


 

Qalam Ayat 17: Allah buat satu kisah perumpamaan sebagai pengajaran bagi kita. Ayat 17 – 32 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi kita contoh akhlak buruk daripada kisah tuan kebun yang fasik.

إِنّا بَلَونٰهُم كَما بَلَونا أَصحٰبَ الجَنَّةِ إِذ أَقسَموا لَيَصرِمُنَّها مُصبِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have tried them as We tried the companions of the garden, when they swore to cut its fruit in the [early] morning

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mencubai mereka (musyrikin Mekah) sebagaimana Kami telah mencubai pemilik-pemilik kebun, ketika mereka bersumpah bahawa mereka sungguh-sungguh akan memetik (hasil)nya di pagi hari,

 

إِنّا بَلَونٰهُم كَما بَلَونا أَصحٰبَ الجَنَّةِ

Sesungguhnya Kami telah mencubai mereka (musyrikin Mekah) sebagaimana Kami telah mencubai pemilik-pemilik kebun,

Allah telah menguji Musyrikin Mekah itu dengan beri kenikmatan hidup. Ini merupakan perumpamaan yang dibuat oleh Allah Swt. untuk menggambarkan perihal orang-orang kafir Quraisy yang telah diberi anugerah oleh Allah kepada mereka berupa rahmat yang besar, dan Allah telah memberi mereka nikmat yang tak terperikan besarnya, yaitu dengan diutus-Nya Nabi Muhammad Saw. kepada mereka. Tetapi mereka membalas semuanya itu dengan mendustakan dia, menolaknya, dan memeranginya.

Allah beri perumpamaan keadaan mereka itu dengan kisah beberapa orang lelaki masa silam. Dikatakan kisah ini terjadi di Sana’a. Kisah itu lain dari kisah dua orang lelaki dalam Surah Kahf. 

 

إِذ أَقسَموا لَيَصرِمُنَّها مُصبِحينَ

ketika mereka bersumpah bahawa mereka sungguh-sungguh akan memetik (hasil)nya di pagi hari,

Mereka berkongsi kebun/ladang yang sama. Mereka hendak menuai hasil kebun mereka. Dan mereka berhajat untuk potong semuanya.

Mereka telah buat rancangan untuk buat kerja itu dipagi hari apabila mereka bangun pagi. Ini adalah kerana waktu itu sudah sampai masa menuai. Mereka kata ini di waktu malam apabila mereka bersungguh-sungguh hendak menuai di pagi hari nanti. 


 

Qalam Ayat 18:

وَلا يَستَثنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Without making exception.¹

  • i.e., without conceding that nothing can be accomplished unless Allāh wills, saying, “…if Allāh wills” (“in-shā’-Allāh”). See 18:2324.

(MELAYU)

dan mereka tidak menyisihkan,

 

Mereka berkeinginan pasti nak buat. Mereka sangka dengan mereka buat rancangan itu, mereka pasti akan dapat lakukan. Kalimah يَستَثنونَ dari ث ن ي yang bermaksud ‘pengecualian’. Mereka tidak kata in sha Allah. Seolah-olah mereka pasti akan dapat buat. Mereka sangka mereka akan dapat apa yang mereka hajati nak buat.

Ini adalah salah. Sepatutnya mereka kenalah berlapik dengan kata in sha Allah. Mereka patutnya meletak pengecualian: mereka akan buat kecualilah jika Allah tidak benarkan ia terjadi. Kerana tidak pasti mereka dapat melakukannya tanpa keizinan Allah. Kalau Allah tak izinkan, ia pasti tidak akan terjadi. Maka ini juga mengajar kita dalam kita buat rancangan. Mestilah kita kena tambah: in sha Allah (kalau Allah mahu).


 

Qalam Ayat 19:

فَطافَ عَلَيها طائِفٌ مِّن رَّبِّكَ وَهُم نائِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So there came upon it [i.e., the garden] an affliction from your Lord while they were asleep.

(MELAYU)

lalu kebun itu diliputi malapetaka (yang datang) dari Tuhanmu ketika mereka sedang tidur,

 

Allah telah takdirkan yang kebun mereka dilanda oleh taufan. Lihat kalimah taufan طائِفٌ itu dari katadasar  ط و ف yang bermaksud ‘mengelilingi sesuatu’. Dan dari katadasar yang sama, itulah kalimah ‘tawaf’ yang kita selalu dengar. Kerana semasa tawaf Kaabah, bukankah kita mengelilingi Kaabah?

Maka taufan itu adalah perbuatan angin yang berpusing-pusing keliling sesuatu tempat macam tawaf yang berpusing. Kejadian taufan itu telah berlaku semasa mereka tidur di malam hari. Esoknya mereka telah kata mereka akan nak pergi menuai di kebun. Tidaklah mereka sangka yang kebun mereka akan dilanda taufan malam itu yang akan memusnahkan semuanya.


 

Qalam Ayat 20:

فَأَصبَحَت كَالصَّريمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it became as though reaped.

(MELAYU)

maka jadilah kebun itu seperti telah dicabut.

 

Maka musnahlah kebun mereka itu, nampak macam sudah kena potong dari akarnya. Seperti telah dicabut dengan akar-akarnya sekali, maknanya rosak habis. Pokok-pokok yang mengambil masa bertahun-tahun nak jadi besar, tapi telah dimusnahkan dalam satu malam sahaja. 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa kebun itu menjadi hitam legam bagaikan malam yang gelap gelita. As Sauri dan As-Saddi mengatakan bahawa semisal dengan sawah yang telah dituai, yakni tinggal dedaunan dan bijirinnya yang kering kerontang.

Itulah balasan yang Allah kenakan kepada mereka sebagai pengajaran bagi mereka. Maka kita juga kenalah ambil peringatan kerana ia boleh menyebabkan kita susah hidup semasa di dunia lagi:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: ذُكِرَ عَنْ أَحْمَدَ بْنِ الصَّبَّاحِ: أَنْبَأَنَا بِشْرُ بْنُ زَاذَانَ، عَنْ عُمَرَ بْنِ صُبْحٍ عَنْ لَيْثِ بْنِ أَبِي سُلَيْمٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَابِطٍ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِيَّاكُمْ وَالْمَعَاصِيَ، إِنَّ الْعَبْدَ لَيُذْنِبُ الذَّنْبَ فَيُحْرَمُ بِهِ رِزْقًا قَدْ كَانَ هُيِّئ لَهُ”، ثُمَّ تَلَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {فَطَافَ عَلَيْهَا طَائِفٌ مِنْ رَبِّكَ وَهُمْ نَائِمُونَ فَأَصْبَحَتْ كَالصَّرِيمِ} قَدْ حُرِمُوا خَير جَنّتهم بِذَنْبِهِمْ

Ibnu Abu Hatim telah meriwayatkan dari Ahmad ibnus Sabah, bahawa telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnu Zazan, dari Umar ibn uSabih, dari Lais ibnu Abu Sulaim, dari Abdur Rahman ibnu Sabit, dari Ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Jauhilah olehmu perbuatan-perbuatan maksiat, kerana sesungguhnya seseorang hamba melakukan perbuatan dosa, lalu dia benar-benar dihalangi dari rezeki yang telah disiapkan untuknya sebab perbuatan dosanya itu. Kemudian Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: lalu kebun itu diliputi malapetaka (yang datang) dari Tuhanmu ketika mereka sedang tidur. maka jadilah kebun itu hitam seperti malam yang gelap gelita. (Al-Qalam: 19-20) Mereka telah dihalangi dari kebaikan yang dihasilkan dari kebun mereka disebabkan dosa mereka.


 

Qalam Ayat 21:

فَتَنادَوا مُصبِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they called one another at morning,

(MELAYU)

lalu mereka panggil memanggil di pagi hari:

 

Mereka telah buat rancangan nak menuai pagi itu. Mereka dengan semangatnya telah memanggil-manggil satu sama lain. Nak ajak gerak pergi ke kebun bersama-sama kerana hendak menuai. Bersemangat betul mereka dan dalam keadaan suka kerana hendak menuai hasil.


 

Qalam Ayat 22:

أَنِ اغدوا عَلىٰ حَرثِكُم إِن كُنتُم صٰرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Saying], “Go early to your crop if you would cut the fruit.”

(MELAYU)

“Pergilah di waktu pagi (ini) ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya”.

 

Mereka menyeru sesama sendiri untuk pergi menuai ke kebun sebelum tengah hari. Kalimah اغدوا dari katadasar غ د و yang bermaksud bahagian awal pagi. Mungkin mereka nak gerak selepas subuh dan waktu isyraq. Mereka tidak mahu lambat-lambat, kerana kalau lambat nanti orang miskin dan peminta sedekah akan datang dan macam-macam mereka akan minta kalau nampak mereka telah menuai. 

Mujahid mengatakan bahawa pohon yang ditanam oleh mereka adalah buah anggur.


 

Qalam Ayat 23:

فَانطَلَقوا وَهُم يَتَخٰفَتونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they set out, while lowering their voices,

(MELAYU)

Maka pergilah mereka saling berbisik-bisik.

 

Mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada kebun mereka. Maka di pagi hari, mereka telah pergi ke kebun mereka seperti yang mereka rancangkan malam sebelumnya.

Mereka bercakap perlahan-lahan sebab tak mahu orang dengar. Mereka nak menuai dan ambil hasil mereka dengan senyap. Mereka takut kalau ada yang dengar, nanti orang miskin datang meminta-minta pula. 

Waktu ini mereka sedang berangan nak menuai dan dapat hasil yang banyak sebab mereka tahu yang tanaman mereka tengah masak molek. 


 

Qalam Ayat 24: Walaupun mereka berbisik, tapi Allah tahu apa yang mereka sebutkan dan Allah ulang apa yang mereka katakan.

أَن لّا يَدخُلَنَّهَا اليَومَ عَلَيكُم مِّسكينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Saying], “There will surely not enter it today upon you [any] poor person.”

(MELAYU)

“Pada hari ini janganlah ada seorang miskin pun masuk ke dalam kebunmu”.

 

Kita telah sebut mereka nak pergi waktu pagi, pergi pula dengan senyap kerana tak mahu orang miskin tahu yang mereka menuai hari itu. Mereka kedekut dan tidak mahu nak sedekah kepada orang miskin. Seorang miskin pun mereka tak mahu nak sedekah kerana pada mereka, kalau bagi seorang sahaja pun, nanti akan ramai pula datang. 

Atau mereka ingatkan jangan antara mereka seorang pun yang bagi kepada orang miskin. Kerana kalau seorang bagi maka yang lain pun akan malu nak kena bagi. Jadi mereka ingatkan sesama sendiri: “ha ingat yer… jangan seorang pun bagi tau!”

Ayah mereka baik dan kerana itu Allah kekalkan ladang itu. Tapi kita sedang belajar dalam ayat ini yang adik beradik ini tidak baik dalam perbuatan mereka.


 

Qalam Ayat 25:

وَغَدَوا عَلىٰ حَردٍ قٰدِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they went early in determination, [assuming themselves] able.¹

  • To carry out their plan, confident of their ability.

(MELAYU)

Dan berangkatlah mereka di pagi hari dengan niat menghalangi (orang-orang miskin) padahal mereka (menolongnya).

 

Mereka pergi di pagi hari seperti yang dijanjikan malam sebelumnya.

Mereka pergi ke kebun mereka dengan حَردٍ yang bermaksud ‘keazaman’. Yakni mereka pergi dengan langkah yang tegap dan cepat.

Juga kalimah حَردٍ bermaksud ‘menahan dari memberi’. Mereka pergi dengan serius dan bagi nampak garang sikit. Mereka tunjukkan muka tak layan kerana peminta sedekah selalunya akan cari orang yang nampak baik. Kalau orang nampak baik, itulah yang mereka akan kejar kerana nampak ada harapan nak dapat sedekah. Maka mereka berazam tidak akan beri kepada peminta sedekah. 

Kalimah قٰدِرينَ bermaksud mereka yakin yang mereka ada qadr/berkuasa untuk menghalang orang miskin datang dan meminta-minta kepada mereka. 

Juga kalimah قٰدِرينَ bermaksud mereka yakin yang mereka akan dapat menuai hasil tanaman mereka pada hari itu.


 

Qalam Ayat 26: Tapi bagaimana keadaan mereka apabila mereka sampai ke kebun mereka?

فَلَمّا رَأَوها قالوا إِنّا لَضالّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when they saw it, they said, “Indeed, we are lost;

(MELAYU)

Tatkala mereka melihat kebun itu, mereka berkata: “Sesungguhnya kita benar-benar orang-orang yang sesat (jalan),

 

Ini adalah keadaan apabila mereka nampak kebun mereka. Iaitu apabila mereka sudah sampai ke tempat kebun mereka. 

Kebun mereka telah hancur kena taufan. Tapi mereka tidak dapat terima apabila mereka lihat apa yang tinggal dari kebun mereka. Mereka kata mereka sudah sesat jalan agaknya. Tentu mereka silap tempat kerana kebun mereka tidak rupa macam itu. Kebun mereka hebat, kebun mereka banyak tanaman. 


 

Qalam Ayat 27:

بَل نَحنُ مَحرومونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, we have been deprived.”

(MELAYU)

bahkan kita dihalangi (dari memperoleh hasilnya)”.

 

Akhirnya mereka sedar yang memang itulah kebun mereka. Tidak ada tempat lain lagi. Takkan mereka silap tempat pula. Waktu itu mereka menyesali nasib mereka. Mereka rasa mereka telah ‘diharamkan’ dari harta mereka. Maksudnya mereka telah dihampakan dari mengaut hasil mereka. 


 

Qalam Ayat 28:

قالَ أَوسَطُهُم أَلَم أَقُل لَّكُم لَولا تُسَبِّحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The most moderate of them said, “Did I not say to you, ‘Why do you not exalt [Allāh]?'”¹

  • i.e., remember or mention Him by saying, “…if Allāh wills.” An additional meaning is “praise” or “thank” Him for His bounty.

(MELAYU)

Berkatalah seorang yang paling baik fikirannya di antara mereka: “Bukankah aku telah mengatakan kepadamu, hendaklah kamu bertasbih (kepada Tuhanmu)?”

 

Dalam kalangan mereka itu adalah yang paling betul akidah dia. Dia tahulah serba sedikit hal agama. Ibnu Abbas, Mujahid, Sa’id ibnu Jubair, Ikrimah, Muhammad ibnu Ka’b, Ar-Rabi’ ibnu Anas, Ad-Dahhak, dan Qatadah mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan adalah dia seorang yang paling bijaksana dan paling baik dari mereka.

Dia mulalah berkata: kenapalah sebelum ini tidak ikut nasihat dia untuk bertasbih? Kenapa tak puji Allah? Kenapakah tidak memuji Allah kerana memberi nikmat kepada mereka? Kenapa semasa mereka nak pergi menuai ke kebun mereka, mereka tidak beri puji-pujian kepada Allah?

Maka eloklah kita membanyakkan tasbih kepada Allah dalam hendak mengambil hasil dari tanaman kita. Dan ini bukan amalan untuk peladang dan petani sahaja, tetapi kepada mereka yang nak dapat gaji pun molek bertasbih juga. Bila sudah dapat gaji dan hasil dari ladang maka kena tasbih. Kena ingat Allah kerana duit yang kita dapat itu boleh jadi baik dan boleh menjadikan kita jahat. Kita berharap supaya Allah berkati hasil yang kita dapat itu. 

Dia juga telah menegur mereka kerana yakin sangat yang mereka akan dapat tuai hasil mereka tanpa menyebut in sha Allah. Mereka tidak pandang qadar Allah dalam hal pekerjaan mereka. Mereka yakin sangat yang mereka berkuasa nak buat apa-apa sahaja. As-Saddi mengatakan bahawa istisna mereka di masa itu berupa tasbih. Kalau sekarang, kita sebut in sha Allah.

Dia juga menegur mereka kerana beriya-iya tidak mahu sedekah kepada orang miskin sebelum itu. Sepatutnya bila dapat rezeki, kenalah sedekah. Lihat sekarang apa yang Allah telah jadikan kepada kebun mereka?

Maka ini mengajar kita jangan jadi macam mereka dalam kisah ini yang memang tak mahu nak derma. Memang mereka sudah buat rancangan supaya hasil mahsul mereka tidak jatuh ke tangan orang-orang miskin. 

Maka Allah telah beri peringatan dan pengajaran dalam ayat ini. Kalau tak sedar juga, maka Allah akan beri peringatan seperti disebut dalam kisah ini. Maka kena cari orang yang memerlukan bantuan terutama di kalangan masyarakat kita. Jangan lupakan orang di kalangan kita kerana ramai yang tolong orang jauh-jauh sampai ke Palestin sana tapi jiran sebelah rumah dalam kesusahan pun tidak ditolong. 

Maka kita kena galakkan anak belajar beri sedekah dari kecil lagi. Kita pun kena buat dan tunjukkan kepada anak-anak kita bagaimana baiknya apabila beri sedekah. Kita kena pupuk minat ini dari kecil lagi kerana memberi itu adalah sesuatu yang amat berat sebenarnya. Kerana itu kita lihat kanak-kanak kecil memang kedekut dengan barang mereka. Mereka takkan beri kepada orang lain kerana mereka tahu itu adalah barang-barang mereka.


 

Qalam Ayat 29: Mereka telah menyesal dan telah mengambil pengajaran dari kejadian itu dan mereka telah bertaubat.

قالوا سُبحٰنَ رَبِّنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Exalted is our Lord! Indeed, we were wrongdoers.”

(MELAYU)

Mereka mengucapkan: “Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

Barulah sekarang mereka ingat dan memuji Allah. Maknanya mereka terima pengajaran yang Allah telah berikan. Apa yang berlaku kepada mereka itu adalah kebaikan untuk mereka. Mereka ambil pengajaran dan hati mereka menjadi lembut. 

Maka barulah mereka menunaikan ketaatan di saat tiada gunanya lagi upaya mereka, kini mereka menyesali perbuatan mereka di saat nasi telah menjadi bubur.

Yaitu sebahagian dari mereka mencela sebahagian yang lain atas sikap mereka yang berkeras tidak mahu memberi kaum fakir miskin dari hasil tuaian mereka. Maka tiadalah jawaban sebahagian dari mereka kepada sebahagian yang lain kecuali mengakui kesalahan dan dosa mereka sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Qalam Ayat 1 – 12 (Jangan kompromi dengan musyrik)

Pengenalan: 

Surah ini juga dikenali dengan nama: Surah Nun kerana ia dimulai dengan huruf Nun.

Surah al-Qalam ini adalah Surah Makkiyah. Seperti surah-surah Makkiyah yang lain, bacaan surah ini bunyinya sedap dan berirama. Maka ianya sedap dibaca terutama kalau dibaca dalam solat.

Dan begitulah caranya yang sebenar untuk menikmati keindahan Al-Qur’an iaitu dibaca dalam solat. Oleh itu, Al-Qur’an ini bukan sahaja untuk dibaca setakat difahami sahaja tapi kena didengari dan menjadi makanan kepada roh kita. Kalau kita belajar menjiwai dan mengambil kehebatan Al-Qur’an dari segi bacaan ini juga, maka kita tidak perlukan hiburan lagu dan sebagainya lagi kerana kita sudah ada Al-Qur’an sebagai penghibur kita. 

Ia antara surah-surah yang awal turun di Mekah. Antara tahun 4 – 5 Kenabian. Tapi dari bahasa dan topik yang dibincangkan, ia diturunkan selepas penentangan kepada dakwah Nabi Muhammad menjadi kuat. Para peringkat awal, Musyrikin Mekah tidak tahu nak buat apa dengan Nabi, ada yang tengok sahaja. Tapi lama kelamaan, mereka mula menentang dan penentangan menjadi semakin kuat dan kuat.

Surah ini mengajar bahawa tidak boleh ada tolak ansur dalam hal Akidah. Ini amat penting untuk difahami kerana dosa akidah tidak ada ampun. 

Secara keseluruhan, ada tiga tema penting dalam surah ini:

1. Jawapan kepada penentangan musuh Islam
2. Nasihat kepada Musyrikin Mekah
3. Nasihat dan pujukan kepada Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah

Di awal surah ini nanti akan disebut bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Ini adalah kerana ada tuduhan dari para penentang yang baginda adalah orang gila. Allah kemudian berhujah yang Al-Qur’an ini hebat, takkan datang dari orang gila pula?

Kemudian disentuh akhlak Nabi Muhammad yang mulia. Sifat dan akhlak baginda telah lama dikenali oleh semua orang. Dan orang pun tahu akhlak para penentang baginda. Jadi bezakanlah antara keduanya, siapa yang kamu lebih percaya?

Kemudian Allah beri perumpamaan kisah para lelaki yang berkongsi satu kebun yang subur. Mereka telah diberikan rahmat dari Allah tapi mereka tidak taat kepada Allah. Mereka tidak mahu menggunakan rahmat yang Allah berikan itu untuk bersedekah. Mereka jadi kedekut walaupun mereka hidup dengan senang. Maka Allah beri peringatan kepada mereka dengan memusnahkan tanaman kebun mereka itu. Barulah mereka menyesal dan memperbaiki keadaan diri mereka.

Maka Allah hendak menegur penduduk Mekah. Mereka telah diberikan dengan seorang Rasul dari kalangan mereka, dan kalau mereka tidak menghargai nikmat itu, maka mereka yang akan rugi.

Kemudian Allah menegur Musyrikin Mekah dengan bawa hujah satu persatu. Banyak sekali teguran yang diberikan kepada mereka kerana mereka ada salah faham yang banyak. Mereka sangka mereka hidup dalam kesenangan, maka mereka sangka mereka akan selamat.

Akhir sekali Allah tutup surah ini dengan menasihat Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah dan jangan jadi seperti Nabi Yunus yang tidak sabar dengan kaum baginda.


 

Qalam Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita tentang akhlak dan peribadi pemimpin yang baik. Kebaikan dan keburukan pasti boleh dibezakan.

ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qalam: The Pen.

Nūn.¹ By the pen and what they inscribe,

  • See footnote to 2:1

(MELAYU)

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,

 

ن

Nun

Surah ini dimulai dengan huruf muqattaah dan ini adalah surah terakhir yang ada huruf muqattaah.  Seperti yang kita telah jelaskan dalam surah-surah yang lain sebelum ini, kita tidak tahu maksud huruf ini kerana Allah dan RasulNya tidak pernah menjelaskan maksudnya kepada kita.

Tapi kita dapat merasakan kehebatan surah-surah yang dimulai dengan huruf-huruf muqattaah ini kerana ia amat menarik perhatian.

Menurut suatu pendapat, nun adalah nama seekor ikan yang amat besar berada di atas lautan air yang sangat luas, dialah yang menyangga tujuh lapis bumi. Benarkah? Mari kita lihat hadisnya.

Telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhuma- bahawa beliau berkata:

أوّل ما خلق الله من شيء القلم ، فجرى بما هو كائن ، ثم رفع بخار الماء ، فخلقت منه السماوات ، ثم خلق ” النون ” – يعني الحوت – فبسطت الأرض على ظهر النون ، فتحرّكت الأرض فمادت ، فأثبت بالجبال ، فإن الجبال لتفخر على الأرض ، قال : وقرأ : (ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ (

“Sesuatu yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah pena, maka ia menulis semua kejadian, kemudian uap air diangkat ke atas, maka darinyalah langit-langit diciptakan, kemudian Dia (Allah) menciptakan Nuun, yaitu; ikan paus, maka dihamparkannya bumi di atas punggung ikan paus tersebut, maka bumi pun bergerak dan berguncang, lalu ditopang oleh gunung-gunung, maka gununglah yang lebih utama dari pada bumi, lalu beliau berkata dan membaca: “Nuun, demi pena dan apa yang mereka tulis”.

(Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq dalam Tafsirnya: 2/307, dan Ibnu Abi Syaibah: 14/101, dan Ibnu Abi Hatim-sebagaimana di dalam Tafsir Ibnu Katsir: 8/210, dan Thabari dalam Jami’ Al Bayan: 23/140, dan Hakim dalam Al Mustadrak: 2/540, dan masih banyak yang lainnya, semua riwayat dari jalur Al A’masy, dari Abi Dzabyan Hushain bin Jundub, dari Ibnu Abbas (yang ini sanadnya shahih). Al Hakim berkata: ini adalah hadis yang shahih sesuai dengan syarat kedua Syeikhan (Bukhari dan Muslim) namun keduanya tidak meriwayatkannya. Adz Dzahabi berkata dalam at Talkhish: Sesuai dengan syarat Bukhari dan Muslim. Sebagaimana yang diriwayatkan dari Mujahid, Muqatil, Sudi dan al Kalbi. Silakan anda baca: (Ad Durrul Mantsur: 8/240, dan Tafsir Ibnu Katsir: 8/185 dalam permulaan tafsir surat al Qalam).

Atsar ini –sebagaimana boleh dilihat- adalah mauquf (terhenti) sampai pada Ibnu Abbas, bukan dari sabda Nabi –shallallahu ‘alaihi wa sallam-, secara umum Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhuma- mengambil dari Ka’b al Ahbar atau dari buku-buku Bani Isra’il yang mencakup banyak keajaiban, keanehan dan kedustaan.

Sekarang selepas kita tahu ia adalah kisah Israiliyyat, bagaimana sikap kita sepatutnya? Sepatutnya kita tinggalkan sahaja kerana Rasulullah pernah bersabda:

لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا الْآيَةَ (رواه البخاري، رقم (4485

“Janganlah kalian membenarkan ahli kitab dan janganlah mendustakan mereka, akan tetapi katakana: “Kami beriman kepada Allah dan ayat yang diturunkan kepada kami”. (HR. Bukhari: 4485)

Di dalam hadis lain, yang dimaksudkan dengan Nun adalah dakwat/tinta. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Abu Abdullah maula Bani Umayyah, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ شَيْءٍ خَلَقَهُ اللَّهُ الْقَلَمُ، ثُمَّ خَلَقَ “النُّونَ” وَهِيَ: الدَّوَاةُ. ثُمَّ قَالَ لَهُ: اكْتُبْ. قَالَ وَمَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبْ مَا يَكُونُ -أَوْ: مَا هُوَ كَائِنٌ-مِنْ عَمَلٍ أَوْ رِزْقٍ أَوْ أَثَرٍ أَوْ أَجَلٍ. فَكَتَبَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ} ثُمَّ خَتَمَ عَلَى الْقَلَمِ فَلَمْ يَتَكَلَّمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ خَلَقَ الْعَقْلَ وَقَالَ: وَعِزَّتِي لَأُكَمِّلَنَّكَ فِيمَنْ أَحْبَبْتُ، وَلَأَنْقُصَنَّكَ مِمَّنْ أَبْغَضْتُ”

Sesungguhnya sesuatu yang mula-mula diciptakan oleh Allah adalah al-qalam, kemudian Allah menciptakan nun iaitu dakwat, lalu Allah berfirman kepada al-qalam, “Tulislah!” Al-qalam bertanya, “Apa yang harus aku tulis?” Allah berfirman, “Tulislah segala sesuatu yang akan terjadi, atau segala sesuatu yang akan ada, dari amal perbuatan, atau rezeki atau jejak atau ajal.” Maka al-qalam menulis semuanya itu sampai hari kiamat. Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah Swt., “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis, (Al-Qalam: 1).” Kemudian al-qalam dikunci, maka ia tidak berbicara sampai hari kiamat. Kemudian Allah menciptakan akal, lalu Allah berfirman, “Demi keagungan-Ku, sungguh Aku benar-benar akan menyempurnakanmu terhadap orang yang Aku sukai, dan sungguh Aku benar-benar akan mengurangimu terhadap orang yang Aku murkai.”

 

وَالقَلَمِ

demi kalam

Ini adalah Kalimah Qasam (sumpah). Allah bersumpah dengan qalam (pen). 

Makna lahiriah menunjukkan jenis qalam (pena) yang dipakai untuk menulis, semakna dengan pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-‘Alaq: 3-5)

Ini merupakan sumpah dari Allah Swt. dengan menyebut qalam, untuk mengingatkan makhluk-Nya akan nikmat yang telah Dia berikan kepada mereka, iaitu Dia telah mengajarkan kepada mereka menulis yang dengan melaluinya ilmu pengetahuan dapat diraih. Kerana itulah maka disebutkan dalam firman berikutnya:

 

وَما يَسطُرونَ

dan apa yang mereka tulis,

Ini adalah qasam kedua. Siapa yang tulis? Siapakah ‘mereka’ dalam ayat ini? Tidak disebut siapa, maknanya Allah sengaja biarkan. Jadi kerana itu ada beberapa pendapat tentang siapakah mereka itu. 

As-Saddi mengatakan, yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ adalah para malaikat dan segala sesuatu yang mereka catat tentang amal perbuatan semua hamba.

Ulama lainnya mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan dengan al-qalam dalam ayat ini ialah pena yang diperintahkan oleh Allah untuk mencatat takdir, yakni ketika Allah memerintahkan kepadanya mencatat semua takdir yang telah Dia tetapkan atas semua makhluk-Nya, yang hal ini terjadi sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jarak masa lima puluh ribu tahun.

Atau ia bermaksud para malaikat yang menyalin Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid sehubungan dengan makna firman-Nya, “Al-Qalam, ” bahawa makna yang dimaksudkan ialah pena yang digunakan untuk menulis zikir (peringatan).

Atau ia merujuk kepada para penulis Bani Israil yang salin kitab-kitab rujukan mereka. 

Juga sekarang pada zaman sekarang pun masih lagi banyak penulisan dilakukan. Maknanya penulisan sentiasa berterusan sepanjang zaman menggunakan pen dan alat-alat lain. 


 

Qalam Ayat 2:

ما أَنتَ بِنِعمَةِ رَبِّكَ بِمَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are not, [O Muḥammad], by the favor of your Lord, a madman.

(MELAYU)

berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.

 

Salah satu tuduhan yang dilemparkan oleh para penentang Nabi Muhammad adalah baginda adalah orang gila. Bila ramai manusia kata Nabi gila, maka Allah beri tasliah (pujukan) kepada baginda. Allah menekankan bahawa baginda bukanlah seorang yang gila.

Hujah mereka yang mengatakan Nabi Muhammad itu gila pun tidak patut: mereka sudah lama kenal dengan baginda kerana membesar bersama dengannya. Sebelum baginda jadi Nabi, mereka pun sedar dan terima yang Muhammad itu adalah insan terbaik dari kalangan mereka dan mereka gelar baginda al-amin (yang dipercayai). Cuma bila baginda ajar wahyu barulah mereka kata macam-macam terhadap baginda.

Baginda juga kena percaya dengan apa yang disampaikan kepada baginda. Baginda juga sebenarnya ada rasa sangsi pada asalnya dengan wahyu yang disampaikan kepada baginda. Maka Allah tenangkan hati baginda dan meyakinkan baginda bahawa benarlah bahawa apa yang diberikan kepada baginda itu benar-benar wahyu dari Allah.

Ini amat penting kerana baginda kena percaya dahulu sebelum bagi orang beriman. Kalau nak dakwah sesuatu perkara kepada orang lain, pendakwah itu mestilah kena percaya dulu dengan apa yang dia akan sampaikan. Kalau tidak, dia akan dakwah separuh hati sahaja. 

Allah tegaskan yang Nabi Muhammad tidak gila apabila baginda kata baginda terima wahyu Al-Qur’an ini. Kerana orang gila tidak akan dapat Al-Qur’an yang mulia dan hebat ini. 

Apabila ada qasam dalam ayat pertama, maka ayat kedua ini adalah Jawabul Qasam. Apa yang manusia tulis itu sebagai dalil bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Iaitu merujuk kepada penulisan Al-Qur’an. 

Lihatlah bagaimana ilmu Al-Qur’an ini sentiasa ditulis dan dikaji zaman berzaman. Manusia tak habis kaji lagi kehebatan Al-Qur’an ini. Dan ini menjadi bukti yang apa yang Nabi bawa itu adalah benar zaman berzaman. Kerana kalau ianya hanya tulisan manusia, ianya tidak dikaji sebegini hebat. 

Allah gunakan Al-Qur’an ini sebagai penolakan kepada tuduhan mereka yang kata Nabi gila. Mereka pun boleh nampak hebatnya Al-Qur’an ini dan tidak mungkin ia ditulis oleh manusia.


 

Qalam Ayat 3:

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for you is a reward uninterrupted.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

 

Allah memberitahu yang Nabi Muhammad akan dapat pahala tidak berhenti. Biarlah para penentang itu nak kata apa pun: mereka akan rugi sedangkan engkau Muhammad akan dapat kelebihan yang tidak berhenti.

Maknanya Nabi Muhammad mendapat maqam yang amat tinggi. Apa sahaja amalan ibadat yang baginda ajarkan kepada umat, sentiasa sahaja akan mengalir pahala kepada baginda. Ada saham tidak berhenti lagi selama 1,400 dulu sampai kiamat. Pahala sentiasa sahaja mengalir kepada baginda. 

Kedudukan baginda bertambah tinggi dan tinggi dari masa ke semasa. Maka kalau ada yang nak ‘sedekah’ atau ‘hadiah’ pahala baca Fatihah kepada baginda seperti yang diamalkan oleh golongan jahil sekarang, memang tak patut langsung. Kerana kalau kita baca Fatihah (tanpa perlu nak sedekah atau hadiah) sahaja Nabi akan dapat pahala kerana bagindalah yang ajar Fatihah itu kepada umat. 

Maka amalan sedekah Fatihah itu tidak ada dan ia adalah bidaah munkarah. Tujuan asalnya adalah nak bertawassul dengan baginda dan ‘upah’ yang hendak diberikan kepada baginda adalah Fatihah itulah.

Maka hentikanlah amalan pelik dan bidaah ini. Jangan dengar ajaran dari ustaz-ustaz karut yang ajar amalan bidaah sebegini. Kalau ditanya apakah dalil amalan tentang amalan ini, memang tidak ada. Kalau ditanya kepada mereka, maka akan dengarlah jawapan berbelit-belit dari mereka.


 

Qalam Ayat 4:

وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, you are of a great moral character.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.

 

Allah memuji Nabi Muhammad kerana baginda mempunyai akhlak yang baik. Sebelum baginda jadi Nabi lagi pun baginda sudah ada akhlak yang mulia. Baginda tidak gila malah akhlak baginda memang hebat. 

Akhlak adalah cara kita berurusan dengan makhluk. Ia ada kena mengena dengan kalimah ‘makhluk’. Maksudnya orang yang ada akhlak baik, itu adalah makhluk yang terbaik. Oleh kerana akhlak baginda yang mulialah yang baginda layak dapat wahyu. 

Allah sebut tentang akhlak, tapi malangnya ramai kita Muslim lupa tentang akhlak. Akhlak tidak diterapkan dalam segenap hal. Sampaikan orang kafir pun boleh tahu yang Muslim itu tidak bermoral. Ini amat memalukan. Sedangkan kitalah umat Islam yang kena ada akhlak yang terbaik kerana kita dipandu oleh wahyu Allah.

Kerana akhlak ini adalah perkara yang semua orang tahu, termasuk kalau orang bukan Islam pun tahu tentang moral yang baik. Maka amat memalukan sekali apabila orang Islam tidak ada akhlak yang baik. Kita boleh lihat bagaimana orang kitalah yang tidak jaga kebersihan, tipu orang sana sini, tidak beratur semasa naik bas dan sebagainya. Itu adalah tanda akhlak yang tidak baik.

Allah mengatakan kerana Nabi mempunyai akhlak yang hebatlah yang menyebabkan baginda terus dapat berdakwah kepada manusia. Kerana kalau orang lemah, sudah lama berhenti dari dakwah.

Menurut Atiyyah, disebutkan benar-benar berbudi pekerti yang agung. Ma’mar telah meriwayatkan dari Qatadah, bahawa dia pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah Saw. Maka Aisyah menjawab:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ

Akhlak beliau adalah Al-Qur’an.

Yakni sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Nabi Muhammad itu adalah ‘Al-Qur’an bergerak’. Segala yang disebut dalam Al-Qur’an itu dipraktikkan olehnya. Maka, kalau hendak tahu bagaimana hendak mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an, kena belajar hadis dan bagaimana cara baginda menjalani kehidupan baginda.

Makna yang dimaksudkan dari kesemuanya ini menunjukkan bahawa Rasulullah Saw. adalah seorang yang mengamalkan Al-Qur’an; mengamalkan perintahnya dan menjauhi larangannya, yang hal ini telah tertanam dalam diri baginda sebagai watak dan pembawaannya serta sebagai akhlak yang telah terpatri dalam sepak terjang baginda.

Maka apa pun yang diperintahkan oleh Al-Qur’an, baginda pasti mengerjakannya; dan apa pun yang dilarang oleh Al-Qur’an, baginda pasti meninggalkannya. Hal ini di samping watak yang dibekalkan oleh Allah dalam diri baginda berupa akhlak yang besar seperti sifat pemalu, dermawan, berani, pemaaf, penyantun, dan semua akhlak yang terpuji. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Anas yang telah mengatakan:

“Aku menjadi pelayan Rasulullah Saw. selama sepuluh tahun, dan baginda sama sekali belum pernah membentakku dengan kata, “Husy!” Dan belum pernah mengatakan terhadapku tentang sesuatu yang seharusnya tidak kulakukan, “Mengapa engkau melakukannya?” Dan tidak pula terhadap sesuatu yang seharusnya kulakukan, “Mengapa tidak engkau lakukan?” Baginda Saw. adalah seorang yang paling baik akhlaknya, dan aku belum pernah memegang kain sutera, baik yang tebal mahupun yang tipis dan tidak pula sesuatu yang lebih lembut dari telapak tangan Rasulullah Saw. Dan aku belum pernah mencium minyak kesturi dan tidak pula wewangian lainnya yang lebih harum daripada bau keringat Rasulullah Saw.

 

Dan dalam hadis yang lain:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah yang telah mengatakan: Rasulullah Saw. sama sekali belum pernah memukulkan tangannya kepada seorang pun dari pelayannya, dan belum pernah memukul seorang pun dari isteri (baginda), dan belum pernah memukulkan tangannya kepada sesuatu pun kecuali bila dalam berjihad di jalan Allah. Dan tidak pernah baginda disuruh memilih di antara dua perkara melainkan memilih yang paling disukai dan paling ringan di antara keduanya terkecuali bila (yang ringan itu) berupa dosa. Maka jika hal itu berupa dosa, maka baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Dan baginda tidak pernah melakukan suatu pembalasan yang pernah ditimpakan kepada dirinya, melainkan bila batasan-batasan Allah dilanggar, maka baginda baru melakukan pembalasan dan itu hanyalah kerana Allah Swt.

Begitulah beberapa hadis dari banyak hadis-hadis tentang akhlak baginda yang kita patut ikuti. Kerana baginda pernah bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلان، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيرة قَالَ: قَالَ رسولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّمَا بُعِثتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Mansur, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Muhammad ibnu Ajlan, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini secara munfarid.

Akhlak baginda yang hebat ini juga sebagai hujah yang dakwah baginda itu adalah benar. Kerana orang baik tentulah tidak gila. Tengoklah apakah ajaran yang baginda bawa, adakah ianya ajaran gila? Tentu tidak sama sekali.

Zaman sekarang pun masih ada lagi orang kafir yang tuduh macam-macam tentang baginda. Allah suruh lihatlah sirah Nabi dan lihatlah hadis-hadis tentang sifat baginda. Adakah ia menunjukkan baginda seorang yang gila? Tentu tidak, bukan?


 

Qalam Ayat 5:

فَسَتُبصِرُ وَيُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So you will see and they will see

(MELAYU)

Maka kelak kamu akan melihat dan mereka (orang-orang kafir)pun akan melihat,

 

Kebenaran pasti akan diperlihatkan kepada semua orang. Sama ada di dunia ini ataupun di akhirat kelak.


 

Qalam Ayat 6:

بِأَييِكُمُ المَفتونُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which of you is the afflicted [by a devil].

(MELAYU)

siapa di antara kamu yang gila.

 

Kalimah ini lebih kurang dengan majnoon (gila) tapi maknanya orang itu jadi gila kerana sesuatu peristiwa. Kadangkala selepas sesuatu perkara yang besar, orang yang terlibat kena trauma. 

Musyrikin Mekah dan penentang Rasulullah mengatakan baginda gila, tapi nanti mereka akan nampak sendiri siapakah yang gila sebenarnya. Adakah Rasulullah atau mereka sendiri? Ayat ini semakna dengan firman-Nya:

سَيَعْلَمُونَ غَداً مَنِ الْكَذَّابُ الْأَشِرُ
Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya amat pendusta lagi sombong. (Al-Qamar: 26)

 

Qalam Ayat 7:

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is most knowing of who has gone astray from His way, and He is most knowing of the [rightly] guided.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; 

Tidak perlu nak kata sesiapa itu sesat kerana Allah tahu siapa yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad sesat, tapi sebenarnya merekalah yang sesat.

 

وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Allah Maha Mengetahui siapakah yang benar-benar beriman dan berada di atas jalan petunjuk.


 

Qalam Ayat 8: Ayat 8 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu kita akhlak dan peribadi orang fasik/kafir.

فَلا تُطِعِ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do not obey the deniers.

(MELAYU)

Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

 

Jangan jadi jahil dan ikut orang yang menolak ayat-ayat Allah. Maksudnya mereka yang menolak wahyu Al-Qur’an. Mereka yang menolak wahyu Al-Qur’an berada dalam kesesatan dan kalau sesiapa ikut orang-orang sebegitu, maka mereka yang ikut itu nanti yang akan ikut jadi sesat juga.


 

Qalam Ayat 9: Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka kena berikan perhatian. 

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They wish that you would soften [in your position], so they would soften [toward you].

(MELAYU)

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

 

Kalimah تُدهِنُ  dari katadasar د ه ن yang bermaksud ‘minyak’. Seperti minyak masak.  Apabila sayur dimasukkan dalam minyak, ia akan menjadikan sayur itu lembut. Maka kalimah تُدهِنُ adalah perbuatan untuk untuk melembutkan hati seseorang. Dalam ertikata lain, berkompromi. 

Musyrikin Mekah telah cuba bersikap lunak kepada baginda untuk berbaik dengan baginda. Tujuan mereka melakukannya adalah supaya baginda pun tidak keras menegur amalan salah mereka. Kerana mereka sudah tidak boleh nak melawan baginda, maka salah satu langkah yang mereka cuba lakukan adalah percubaan untuk kompromi dengan baginda. 

Satu lagi maksud تُدهِنُ adalah bercakap dengan lembut dengan seseorang walaupun sebenarnya dalam hati mereka, mereka benci kepadanya. Musyrikin Mekah benci kepada Rasulullah tapi mereka terpaksa bercakap lembut kepada baginda kerana hendak berkompromi dengan baginda. 


 

Qalam Ayat 10:

وَلا تُطِع كُلَّ حَلّافٍ مَّهينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not obey every worthless habitual swearer

(MELAYU)

Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,

 

Kalimah حَلّافٍ dari katadasar ح ل ف yang bermaksud ‘sumpah’. Maka kalimah حَلّافٍ  dalam bentuk mubalaghah yang bermaksud orang itu rajin bersumpah. Mereka berkali-kali bersumpah. Mereka selalu bersumpah dalam kata-kata mereka kerana mereka pun tahu yang orang lain tidak percaya kata-kata mereka. Kerana itu mereka kena bersumpah apabila bercakap.

Allah beritahu jangan ikut mereka yang sebegitu. Itu jenis orang yang tidak boleh dipercayai. 

Ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada Walid al Mughirah. Beliau adalah seorang yang terkemuka di Mekah dan kuat menentang Rasulullah. Anaknya bernama Khalid al Walid, panglima perang yang terkenal. Dia asalnya telah nampak kebenaran Al-Qur’an tapi kerana hendak ikut kehendak Abu Jahal, maka akhirnya dia mengatakan yang Al-Qur’an itu tidak benar.

Mereka yang kuat bersumpah kosong itu selalunya memberikan pendapat yang tidak bernilai. 

Dan kerana itu mereka itu adalah hina, kecil dan lemah sebenarnya. Maka mereka itu tidak patut diikuti dan diberikan perhatian. Mereka mungkin orang yang terkenal tapi sebenarnya akal mereka lemah. Mereka mungkin besar dalam masyarakat tapi pendapat mereka tidak bernilai. 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna al-muhin ialah al-kazib iaitu pendusta.
Menurut Mujahid, ertinya lemah hatinya. Menurut Al-Hasan, makna ayat ialah setiap orang yang banyak mengucapkan sumpah sombong lagi lemah keyakinannya.

 

Qalam Ayat 11:

هَمّازٍ مَّشّاءٍ بِنَميمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] scorner, going about with malicious gossip –

(MELAYU)

yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah,

 

Kalimah هَمّازٍ bermaksud mereka itu selalu menghina, mengumpat dan mencela orang lain. Ianya dalam isim mubalaghah maknanya mereka selalu melakukannya. Mereka berjalan ke merata tempat kerana memfitnah orang. Mereka selalu bercakap sesuatu yang tidak baik tentang orang lain. Tujuannya kerana hendak menjatuhkan orang itu.

Kalimah نَميمٍ dari ن م م yang bermaksud fitnah atau namimah. Menceritakan penipuan tentang keburukan orang lain (orang Melayu selalu tersilap menggunakan kalimah ‘fitnah’ sedangkan sepatutnya namimah atau tohmah). Ia juga dalam bentuk isim mubalaghah. Mereka suka melagakan manusia dengan menceritakan perkara yang tidak benar. 

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Mujahid, dari Tawus, dari Ibnu Abbas yang mengatakan:

مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ: “إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ” الْحَدِيثَ

bahawa Rasulullah Saw. melewati dua buah kuburan, lalu bersabda: Sesungguhnya penghuni kedua kuburan ini benar-benar sedang diazab, dan keduanya diazab bukanlah kerana mengerjakan dosa besar. Salah seorangnya mempunyai kebiasaan tidak pernah bersuci sehabis buang air kecilnya, sedangkan yang lainnya mempunyai kebiasaan berjalan kian kemari menghambur hasutan (mengadu domba).


 

Qalam Ayat 12:

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ مُعتَدٍ أَثيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A preventer of good, transgressing and sinful,

(MELAYU)

yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa,

 

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ

yang banyak menghalangi perbuatan baik,

Mereka menghalang manusia dari melakukan kebaikan. Kerana mereka tidak suka buat kebaikan. Dan kalau ada orang di sekeliling mereka buat kebaikan, maka nampaklah mereka berperangai buruk. Maka mereka halang orang lain dari buat kebaikan supaya tidaklah nampak mereka sahaja yang tidak buat kebaikan. Kalau semua tak buat baik, maka tidaklah sikap mereka orang nampak.

Paling teruk sekali, mereka menghalang manusia dari masuk agama Islam dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

 

مُعتَدٍ أَثيمٍ

yang melampaui batas lagi banyak dosa,

Kalimah أَثيمٍ adalah isim sifah. Maknanya mereka itu selalu sangat sentiasa dalam melakukan dosa. Dosa mereka itu amat buruk dan melampau sangat.

Ia melampau sangat kerana mereka sudah buat onar dan kesan perbuatan dia telah merebak ke merata tempat. Sampaikan bila dia tidur pun keburukan dia berpanjangan. Dia sudah burukkan orang dan perkara itu berjalan kerana orang lain pula yang akan menyampaikan fitnahnya itu. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 September 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Tahreem Ayat 9 – 12 (Isteri ustaz belum tentu selamat)

Tahreem Ayat 9: Sekarang kita masuk ke bahagian kedua surah ini iaitu tentang Jihad.

Ayat 9 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar kita yang pentohmah rumahtangga mestilah disekat. Kadangkala rumahtangga menjadi kucar kacir akibat campurtangan orang luar yang mengganggu dan merosakkan. Allah ‎ﷻ memberikan perumpamaan pengganggu itu dengan memberi isyarat kepada orang kafir dan orang munafik.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ وَاغلُظ عَلَيهِم ۚ وَمَأوٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, strive against the disbelievers and the hypocrites and be harsh upon them. And their refuge is Hell, and wretched is the destination.

(MELAYU)

Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi, 

Ini adalah arahan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda yang diwajibkan untuk menjalankan jihad. Maka baginda hendaklah mengajak orang-orang Muslim untuk berjihad bersama baginda ﷺ.

Walaupun ayat ini khitab kepada Nabi ﷺ, namun ia juga tertuju kepada kita kerana mengikut kaedah: arahan kepada ketua adalah juga arahan kepada anak buah. Oleh kerana kita adalah umat baginda, maka arahan ini terjatuh ke atas kita juga.

 

 

جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ

perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik 

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ memerangi orang-orang kafir yang memang jelas nyata mereka itu kafir. Akan tetapi Allah ﷻ juga suruh perangi orang munafik dan ini adalah susah kerana kita tidak kenal orang munafik. Lalu bagaimana kita hendak berperang dengan mereka? Tidakkah nanti akan dikatakan perang saudara pula sesama Muslim?

Maka kita kena faham yang jihad dengan orang kafir adalah menggunakan pedang dan jihad dengan orang munafik adalah dengan menggunakan lidah; iaitu  dakwah, ajak dan ajar mereka dengan agama yang benar.

Oleh hal yang demikian, jangan diterjemahkan semua jihad itu dengan maksud mesti lawan dengan pedang. Ini kerana kita tidak boleh melawan orang munafik dengan pedang. Pertama, kita tidak boleh pastikan yang mereka itu munafik; dan kedua, kita tidak boleh serang orang yang pada zahirnya menunjukkan keislamannya. 

Oleh itu, kenalah dakwah dan ajar kepada golongan yang kita rasa mereka itu munafik. Ini kita boleh kenal daripada sifat-sifat mereka yang telah banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka itu mendakwa sahaja bahawa mereka Muslim, tetapi mempunyai sifat-sifat munafik. Mereka itu adalah orang-orang yang tidak kisah untuk memperbaiki agama mereka dan juga anak isteri mereka. Mereka hidup dengan melihat dunia sahaja dan tidak kisah tentang akhirat. 

Oleh kerana itu orang-orang munafik sebenarnya adalah kafir sebenarnya dan mesti diperangi dengan dakwah kepada mereka. Mereka ini lebih bahaya daripada orang kafir yang zahirnya nyata kekafiran mereka. Malangnya orang munafik yang tidak nampak jelas kekafiran mereka ini boleh menyebabkan orang Muslim yang lain terikut-ikut dengan cara hidup dan fahaman sesat mereka.

Yang paling penting adalah kita mestilah mendidik isteri kita terlebih dahulu kerana dengan adanya isteri yang faham agama, maka anak-anak pun akan terdidik sekali. Perkara ini amat penting sekali kerana kebiasaannya anak-anak selalu bersama dengan ibu mereka. Hendaklah biasa mengadakan majlis agama di rumah dengan anak isteri. Sekali sekala duduk bersama dan berbincanglah hal agama.

Namun kadang-kadang kita pun tidak mendapat isteri yang baik, yang tidak kisah tentang agama. Nanti akan disebut yang isteri para Nabi pun bukanlah semua orang yang baik (Isteri Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام) walaupun mereka telah berkahwin dengan para Nabi. Oleh itu, jika isteri kita tidak kisah tentang agama pun, ini bukanlah perkara yang pelik.

 

 

وَاغلُظ عَلَيهِم

dan bersikap keraslah terhadap mereka.

Dengan orang mukmin, kita berlembut dan jaga akhlak kita dengan mereka. Sebaliknya akhlak kita dengan orang kafir dan munafik adalah keras dan tegas. Kita tidak boleh berlembut dengan mereka. Kalau kita berlembut, mereka pun naik lemak dan kita pula nanti terikut-ikut dengan cara hidup dan fahaman mereka. 

Maksudnya tidak ada kompromi dengan orang munafik dan kafir. Sebagai contoh, pernah pemuka Musyrikin Mekah hendak melakukan kompromi dengan Rasulullah ﷺ. Mereka sanggup terima agama baginda asalkan baginda sanggup juga terima agama mereka; tahun ini ikut Rasulullah ﷺ dan seterusnya tahun depan ikut mereka pula. Cadangan ini telah ditolak mentah-mentah oleh Rasulullah ﷺ dengan membacakan Surah al-Kaafiruun kepada mereka.

 

 

وَمَأوٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.

Ingatlah yang tempat orang kafir dan munafik adalah di neraka. Maka kita kena berusaha untuk selamatkan mereka.

Pertama, kena selamatkan diri kita daripada kufur dan nifak. Kemudian barulah dilihat orang lain pula. Jangan fikir hanya untuk selamatkan orang lain sahaja sedangkan diri kita pula terabai. Namun begitu jangan terlalu hanya fikirkan diri sendiri sahaja untuk selamat. Kena juga fikirkan orang lain, terutama ahli keluarga kita.


 

Tahreem Ayat 10: Ayat 10 – 12 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita yang suami isteri akan mendapat balasan di atas peranan dan amalan masing-masing.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ membandingkan di antara isteri yang jahat dan isteri yang baik. Ada disebut tentang 4 orang wanita selepas ini. 2 orang yang tidak baik dan 2 lagi yang baik. Nanti kita akan belajar tidak semestinya seorang isteri kepada Nabi itu sudah tentu selamat. Maka isteri kepada wali dan kepada ustaz pun belum tentu selamat lagi. Semua kena ada usaha sendiri dan tidak boleh tumpang kedudukan pasangan masing-masing.

Ini mengajar kita yang walaupun duduk sekali di dunia namun di akhirat belum tentu duduk bersama-sama lagi. Oleh itu, kenalah ajak pasangan kita ke arah iman. Kena ajar anak isteri tentang agama supaya mereka pun selamat juga dan mereka juga dapat masuk ke dalam syurga bersama dengan kita. Alangkah indahnya jika dapat bersama-sama di dunia dan akhirat, bukan?

Ayat ini mengajar kita yang isteri Nabi pun ada yang munafik juga tetapi mereka tetap duduk bersama dengan Nabi itu dan tidak diceraikan kerana tidak ada nusyuz yang jelas. Namun tidaklah bermakna mereka itu automatik selamat lagi. Allah ﷻ tidak menilai siapa pasangan hidup seseorang tetapi melihat kepada orang itu sendiri. 

Sebelum ini kita telah belajar kisah dua isteri Rasulullah ﷺ dan sekarang kita akan belajar kisah dua isteri kepada Nabi yang lain pula. Ia sebagai pengajaran yang kalau isteri Nabi pun belum tentu selamat lagi. Oleh itu, jangan berharap kepada kedudukan rapat dengan orang yang baik.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ ۖ كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ فَخانَتاهُما فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh presents an example of those who disbelieved: the wife of Noah and the wife of Lot. They were under two of Our righteous servants but betrayed them,¹ so they [i.e., those prophets] did not avail them from Allāh at all, and it was said, “Enter the Fire with those who enter.”

  • In the matter of religion.

(MELAYU)

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

 

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir.

Sekarang Allah ﷻ mula memberi contoh bandingan bagi para isteri. Semoga menjadi pengajaran kepada kita semua terutama kepada para isteri. Pertama, kita lihat contoh isteri yang kafir. Namun sebelum itu kita hendaklah menerima hakikat yang ada daripada isteri para Nabi yang kafir iaitu mereka itu termasuk dalam golongan munafik. Mereka tidaklah menzahirkan kekafiran mereka, maka mereka itu adalah ‘munafik’.

Ayat ini adalah pukulan kepada orang kafir dan orang munafik. Walaupun mereka itu duduk bersama dengan orang Islam, mereka tidak akan selamat kerana ada isteri para Nabi pun tidak selamat.

Terdapat dua orang isteri Nabi yang tidak selamat. Isteri Nabi Nuh عليه السلام dikatakan bernama Waghilah sementara isteri Nabi Luth عليه السلام dikatakan bernama Walihah. Akan tetapi nama mereka tidak penting. Sebelum ini kita telah belajar kisah dua orang isteri Rasulullah ﷺ, sekarang kita pelajari kisah dua orang isteri Nabi yang lain pula.

 

 

كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ

Keduanya berada di bawah dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami;

Mereka hidup di bawah jagaan hamba Allah ‎ﷻ  yang soleh dan soleh pula adalah peringkat tertinggi iaitu kedudukan Nabi lagi Rasul. Mereka makan sekali, tidur sekali, berkeluarga dan bersosial sekali. Sememangnya itu sudah hebat sebenarnya. Namun itu pun belum tentu mereka selamat lagi. Maka menjadi pasangan orang yang baik bukanlah penentu bagi keselamatan kita di akhirat kelak. 

Syiah mengatakan isteri Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام telah berzina tetapi sebenarnya tidaklah sampai ke tahap itu kerana mereka itu sebenarnya tidak menyokong perjuangan suami-suami mereka sahaja. Mereka telah berlaku khianat dengan membocorkan rahsia kepada orang-orang kafir yang lain.

Seandainya mereka itu telah berzina dengan orang lain, maka tentu mereka telah diceraikan oleh para Nabi itu. Sebenarnya Allah ﷻ tidak membenarkan seorang Nabi memiliki isteri yang penzina. Syiah sebenarnya mereka cerita itu kerana hendak mengatakan Aisyah dan Hafsah رضي الله عنهما telah berzina (Syiah memang jahat sampaikan ibu-ibu kita pun mereka hina sampai begitu sekali).

Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام tentunya manusia yang soleh dan sempurna kerana kedudukan mereka sebagai Nabi. Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ tekankan sifat mereka di sini? Kerana hendak menekankan betapa teruknya isteri-isteri mereka. Walaupun ada suami yang baik, tetapi mereka tetap juga degil untuk menerima kebenaran.

 

 

فَخانَتاهُما

lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing),

Mereka mengkhianati suami mereka dari segi akidah dan dalam dakwah. Dalam hal lain, mereka tidak menentang dengan cara zahir. Mereka juga tidaklah curang. Kerana itulah mereka kekal menjadi isteri kedua Nabi itu dan tidak diceraikan. Inilah pegangan ahli sunnah. Maknanya, mereka itu khianat dari segi agama. 

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan daripada Musa ibnu Abu Aisyah, daripada Sulaiman ibnu Qarm, bahawa beliau pernah mendengar Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya. (At-Tahrim: 10) Bahawa keduanya tidak berbuat serong (zina). Adapun pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Nuh عليه السلام ialah kerana dia memberitahukan (kepada kaumnya) bahawa Nuh عليه السلام gila. Sedangkan pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Luth عليه السلام ialah kerana dia memberi tahu kaumnya akan tamu-tamu lelaki suaminya.

Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما yang telah mengatakan bahawa pengkhianatan yang dilakukan oleh kedua isteri tersebut kerana keduanya tidak seagama dengan suaminya masing-masing. Isterinya Nuh عليه السلام selalu mengintip rahsia Nuh عليه السلام; apabila ada seseorang daripada kaumnya yang beriman, maka isterinya memberitahukan hal itu kepada orang-orang yang bertindak sewenang-wenang dalam kalangan kaumnya. Dan isterinya Luth عليه السلام, apabila Luth عليه السلام kedatangan seorang tetamu lelaki, maka dia memberitahukan kepada penduduk kota yang senang dengan perbuatan keji (liwat).

Ad-Dahhak telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنه, bahawa tiada seorang wanita pun daripada isteri seorang Nabi yang berbuat serong (zina), melainkan pengkhianatan yang dilakukannya hanyalah dalam masalah agama. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Ad-Dahhak, dan lain-lainnya. Ini kerana Allah ﷻ menjaga nama baik suami-suami mereka.

فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا

maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun daripada Allah; 

Kedudukan mereka sebagai isteri kepada para Nabi tidaklah dapat menyelamatkan mereka daripada seksaan Allah ﷻ di akhirat kelak. Para suami mereka pun tidak dapat menyelamatkan mereka nanti.

Oleh itu, sebenarnya kesalahan mereka adalah dengan tidak memberi bantuan kepada suami mereka dalam hal agama dan untuk menegakkan ajaran agama. Mereka telah salah anggap dengan menyangka dengan kedudukan mereka itu akan menyelamatkan mereka. Padahal tidak sama sekali. Maka jelaslah kalau isteri seorang ustaz pun belum tentu selamat lagi kalau diri sendiri tidak beriman.

 

 

وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ

dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

Akhirnya nanti mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah tempat yang layak bagi mereka, walaupun mereka itu isteri para Nabi. Maka janganlah rasa kita akan selamat dengan kedudukan kita berkeluarga dengan orang alim dan warak.


 

Tahreem Ayat 11: Bandingan yang kedua adalah tentang isteri yang beriman. Jika tadi isteri yang jahat, sekarang diberikan dua contoh isteri yang baik pula. 

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ وَنَجِّني مِن فِرعَونَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh presents an example of those who believed: the wife of Pharaoh, when she said, “My Lord, build for me near You a house in Paradise and save me from Pharaoh and his deeds and save me from the wrongdoing people.”

(MELAYU)

Dan Allah ﷻ membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.

 

 

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ

Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, 

Allah ﷻ memberi perumpamaan isteri yang baik kepada orang-orang beriman pula. Allah ﷻ ceritakan supaya beliau menjadi contoh kepada para isteri dan memberi semangat kepada para wanita untuk mengikut jejak langkah yang baik ini.

Ini merupakan perumpamaan yang dibuat oleh Allah ﷻ untuk kaum mukmin bahawa pergaulan mereka dengan orang-orang kafir tidaklah membahayakan mereka, jika mereka mempunyai keperluan dengan orang-orang kafir, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

 

{لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً}

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia daripada pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka.

[ Ali Imran: 28 ]

 

Isteri Fir’aun adalah Asiah binti Muzahim dan beliau adalah isteri kepada seorang pemerintah yang besar di dunia pada waktu itu. Hebat sekali Mesir itu sampaikan sekarang pun negeri Mesir itu masih ada lagi peninggalannya yang hebat-hebat.

Waktu kegemilangan Mesir ketika itu telah menjadi contoh dan diikuti oleh negara-negara yang lain. Anak raja kerajaan yang lain menghantar anak-anak mereka belajar di Mesir. Ini kerana sistem pendidikan di istana Mesir itu amat hebat sekali.

Sampai sekarang pun negara Amerika meletakkan gambar piramid di dalam wang kertas dan logo-logo mereka kerana mereka hendak mencontohi kejayaan yang ada pada pemerintahan Fir’aun pada zaman itu. 

Asiah merupakan permaisuri kepada kerajaan ketika itu. Jelas sekali jikalau beliau mahu hidup mewah, tentu sahaja beliau boleh mendapatnya. Beliau boleh melakukan apa-apa saja dan boleh menikmati kesenangan hidup di dunia. Namun begitu tidaklah kedudukannya itu menjadikannya sebagai seorang yang kafir. Beliau adalah seorang yang mukminah. Di dalam Kitab Maariful Qur’an disebut yang beliau telah beriman apabila Nabi Musa عليه السلام mengalahkan golongan ahli sihir di dalam pertandingan. Maka Allah ﷻ memuji beliau dalam surah ini.

 

 

إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ

ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku di sisi-Mu sebuah rumah dalam syurga, 

Asiah hidup di istana yang hebat, dalam kerajaan yang besar, tetapi beliau tidak memandang kepada kesenangan dunia itu. Beliau tahu itu semua adalah benda duniawi sahaja dan tidak ada nilainya. Disebabkan itu beliau meminta supaya Allah ﷻ memasukkan dirinya ke dalam syurga dan diberikan rumah di dalam syurga. Kerana itulah yang beliau mahu dan damba-dambakan.

Lihatlah cara doa Asiah ini. Beliau mulakan dengan kalimah عندك (di sisi Engkau) sebelum meminta rumah (istana). Ini kerana yang lebih penting adalah duduk di sisi Allah ﷻ.  Seperti pepatah Arab الجار قبل الدر (jiran sebelum rumah). Lihatlah siapa jiran kamu sebelum kamu lihat rumahnya.

Maka ini mengajar kita tidak salah meminta kedudukan yang tinggi atau syurga yang paling tinggi, walaupun kita rasa kita tidak beriman mana. Lihatlah yang Asiah ini baru sahaja beriman dan mungkin ibadah tidak banyak. Namun beliau tetap meminta sesuatu yang hebat. Maka jangan malu untuk meminta masuk ke dalam syurga yang tertinggi sekali.

Bagaimana kisahnya Asiah beriman?

Abu Ja’far Ar-Razi telah meriwayatkan dariada Ar-Rabi’ ibnu Anas, daripada Abul Aliyah yang mengatakan bahawa imannya isteri Fir’aun melalui iman isteri bendahara Fir’aun. Kisahnya bermula ketika isteri bendahara duduk menyisiri rambut anak perempuan Fir’aun, lalu sisir yang digunakannya itu terjatuh, dan dia berkata, “Celakalah orang yang kafir kepada Allah ﷻ.”

Maka anak perempuan Fir’aun bertanya kepadanya, “Apakah engkau punya Tuhan selain ayahku?” Isteri bendahara menjawab, “Tuhanku, Tuhan ayahmu dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah ﷻ.” Maka anak perempuan Fir’aun menamparnya dan memukulnya, lalu dia melaporkan hal itu kepada ayahnya.

Fir’aun memerintahkan agar isteri bendahara ditangkap, lalu dia menanyainya, “Apakah engkau menyembah Tuhan lain selain aku?” Isteri bendahara menjawab, “Ya. Tuhanku, Tuhanmu, dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah ﷻ, dan hanya kepada-Nya aku menyembah.”

Lalu Fir’aun menyeksanya dengan mengikat kedua tangan dan kedua kakinya pada pasak-pasak dan melepaskan ular-ular berbisa untuk mengerumuninya. Isteri bendahara dalam keadaan demikian hingga pada suatu hari Fir’aun datang dan berkata, “Apakah kamu mahu menghentikan keyakinanmu itu?” Tetapi isteri bendahara itu terus menjawab, “Tuhanku, Tuhanmu, dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah ﷻ.”

Fir’aun berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku akan menyembelih anak laki-lakimu yang terbesar di hadapanmu jika kamu tidak mahu melakukan apa yang kuperintahkan.” Dia menjawab, “Laksanakanlah apa yang ingin engkau putuskan.” Akhirnya Fir’aun menyembelih anak laki-lakinya di hadapannya; dan sesungguhnya roh anak laki-lakinya menyampaikan berita gembira kepadanya dan mengatakan, “Hai Ibu, bergembiralah, sesungguhnya bagimu di sisi Allah ﷻ ada pahala anu dan anu.” Akhirnya dia tetap bersabar dan teguh dalam menghadapi seksaan itu.

Di hari yang lain Fir’aun datang, lalu mengatakan hal yang sama seperti sebelumnya, maka dia menjawabnya dengan kata-kata yang sama. Kemudian Fir’aun menyembelih lagi puteranya yang lain di hadapannya. Dan roh puteranya itu menyampaikan berita gembira pula kepada ibunya seraya berkata, “Hai Ibu, bersabarlah, kerana sesungguhnya bagimu di sisi Allah ﷻ ada pahala yang besar sekali.”

Ternyata isteri Fir’aun mendengar pembicaraan roh kedua putera isteri bendahara itu, akhirnya dia beriman. Lalu Allah ﷻ mencabut nyawa isteri bendahara Fir’aun itu dan menampakkan pahala dan kedudukannya serta kemuliaannya di sisi Allah ﷻ di mata isterinya Fir’aun, sehingga keimanan isteri Fir’aun bertambah kuat dan begitu pula keyakinannya.

Lalu Allah ﷻ menampakkan keimanan isteri Fir’aun kepada suaminya, maka Fir’aun berkata kepada para pemimpin kaumnya, “Bagaimanakah pengetahuan kalian tentang Asiah binti Muzahim?” Ternyata mereka memujinya. Maka Fir’aun berkata kepada mereka, “Sesungguhnya dia sekarang menyembah selainku.” Mereka berkata kepada Fir’aun, “Kalau begitu, bunuh saja dia.” Maka dibuatkanlah untuknya empat buah pasak, kemudian kedua tangan dan kaki Asiah diikatkan pada masing-masing pasak, lalu Asiah berdoa kepada Allah ﷻ seperti dalam firman-Nya: Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga. (At-Tahreem: 11)

Fir’aun datang menyaksikan ucapannya itu, lalu Asiah tertawa ketika menyaksikan rumahnya di syurga. Maka Fir’aun berkata, “Tidakkah kalian hairan dengan kegilaannya ini. Sesungguhnya kita menyeksanya, sedangkan dia tertawa.” Maka Allah ﷻ mencabut nyawa Asiah dan menempatkannya di dalam syurga, semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya kepadanya.

Nota: selalu orang kita sangka nama tukang sisir rambut itu namanya Mashitah. Maka ramailah orang kita yang namanya Mashitah. Ini tidak benar dan salah terjemahan kerana Mashitah bermaksud tukang sisir. Namanya tentulah ada nama lain.

 

 

وَنَجِّني مِن فِرعَونَ وَعَمَلِهِ

dan selamatkanlah aku daripada Fir’aun dan perbuatannya, 

Asiah sedar yang apa yang dilakukan Fir’aun dalam pemerintahan dan kehidupannya adalah kesalahan besar. Oleh itu Asiah berdoa supaya beliau diselamatkan daripada Fir’aun dan kesan daripada perbuatan Fir’aun. Asiah berlepas diri daripada segala perbuatan Fir’aun yang berdosa dan kejam.

Ini kerana beliau tahu yang Fir’aun akan mendapat kesan yang buruk daripada perbuatannya itu dan Asiah tidak mahu ada kena mengena dengan perbuatan suaminya itu. Asiah meminta diselamatkan daripada akibat buruk itu, walaupun beliau adalah isteri Fir’aun itu.

Ini juga mengajar kita supaya jangan jadikan orang lain sebagai penghalang kita untuk beriman. Lihatlah yang Asiah ini suaminya Firaun, namun ia tidaklah menghalangnya untuk beriman.

Ini juga mengingatkan kepada para isteri sekarang, janganlah keras sangat dengan suami anda. Seburuk-buruk suami anda, tidaklah seburuk Firaun. Sedangkan Asiah pun boleh bersabar dengan Firaun, kenapa tidak anda? Semoga ini menjadi semangat kepada para isteri untuk bersabar dengan para suami mereka.

 

 

وَنَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.

Asiah memohon agar diselamatkan daripada kaum Qibti yang menjadi pengikut Fir’aun yang juga zalim. Oleh kerana itu jugalah Asiah berdoa supaya diselamatkan daripada mereka. Apakah kezaliman mereka? Kita tahu yang mereka itu teruk sekali sehingga sanggup membunuh anak-anak lelaki sementara anak-anak perempuan pula dijadikan hamba. Akan tetapi jangan lupa yang kezaliman mereka yang paling besar adalah syirik.

Allah ﷻ telah menerima doa Asiah ini. Beliau menjadi isteri kepada Fir’aun sehingga akhir hayatnya (dibunuh oleh Fir’aun sendiri) tetapi Allah ﷻ selamatkan akidahnya. 

 

Abu Hurairah رضي الله عنه menyatakan:

أَنَّ فِرْعَوْنَ أَوْتَدَ لِامْرَأَتِهِ أَرْبَعَةَ أَوْتَادٍ فِي يَدَيْهَا وَرِجْلَيْهَا فَكَانَ إِذَا تَفَرَّقُوْا عَنْهَا ظَلَّلَتْهَا الْمَلَائِكَةُ فَقَالَتْ : {رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِيْنَ} فَكَشَفَ لَهَا عَنْ بَيْتِهَا فِي الْجَنَّةِ

Sesungguhnya Fir’aun memasang pasak untuk mengikat isterinya dengan 4 tiang pasak. Mengikat pada kedua tangan dan kedua kakinya. Jika mereka telah pergi meninggalkannya, Malaikat datang menaunginya. Beliau (isteri Fir’aun) berkata:

رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِيْنَ

Wahai Rabbku bangunkanlah untukku di sisi-Mu rumah di syurga, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim (Tahreem ayat:11)

Allah pun menyingkapkan untuknya (sehingga ia dapat melihat) rumahnya di syurga
(H.R Abu Ya’la, dinyatakan sahih mauquf oleh al-Hafidz Ibnu Hajar)


 

Tahreem Ayat 12: Contoh wanita beriman yang kedua.

وَمَريَمَ ابنَتَ عِمرٰنَ الَّتي أَحصَنَت فَرجَها فَنَفَخنا فيهِ مِن رّوحِنا وَصَدَّقَت بِكَلِمٰتِ رَبِّها وَكُتُبِهِ وَكانَت مِنَ القٰنِتينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [the example of] Mary, the daughter of ‘Imrān, who guarded her chastity, so We blew into [her garment] through Our angel [i.e., Gabriel], and she believed in the words of her Lord and His scriptures and was of the devoutly obedient.

(MELAYU)

dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

 

 

وَمَريَمَ ابنَتَ عِمرانَ

dan Maryam binti Imran

Maryam adalah ibu kepada Nabi Isa عليه السلام. Beliau adalah daripada keturunan orang yang baik-baik. Imran adalah orang yang baik yang kisahnya ada di dalam Surah Ali Imran. Beliau bukan isteri sesiapa (kerana kita tidak ada maklumat beliau bernikah) tetapi kisah hidupnya tetap menjadi pengajaran bagi kita terutama kepada para wanita.

 

 

الَّتي أَحصَنَت فَرجَها

yang memelihara kehormatannya,

Maryam merupakan seorang wanita suci yang menjaga maruah dan kehormatan dirinya. Allah ﷻ memuliakan diri Maryam dengan mengatakan yang beliau adalah seorang yang suci, bukan penzina. Ini menolak tuduhan Yahudi yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام lahir daripada penzinaan ibunya. Tidak diketahui dengan jelas sama ada Maryam berkahwin dengan sesiapa selepas kelahiran Nabi Isa عليه السلام.

 

 

فَنَفَخنا فيهِ مِن رّوحِنا

maka Kami tiupkan ke dalam (rahim)nya daripada roh (ciptaan) Kami, 

Allah ﷻ telah memasukkan roh Nabi Isa عليه السلام ke dalam rahimnya. Oleh itu, walaupun beliau merupakan seorang anak dara, namun beliau telah mengandung.

Roh itu ditiup melalui Malaikat Jibril عليه السلام, di mana Allah ﷻ mengutuskan Jibril عليه السلام kepadanya menyerupai seorang manusia yang sempurna. Kemudian Allah ﷻ memerintahkan kepada Jibril عليه السلام agar meniupkan ke dalam baju kurung Maryam dengan sekali tiup. Maka tiupan itu turun ke bawah dan memasuki farjinya, lalu terjadilah kehamilan Maryam dengan izin Allah ﷻ.

 

 

وَصَدَّقَت بِكَلِمٰتِ رَبِّها وَكُتُبِهِ

dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, 

Maryam telah membenarkan dan menerima takdir Allah ﷻ ke atas dirinya apabila diberitahu yang beliau akan melahirkan anak tanpa bapa. Kemudian apabila anaknya Nabi Isa عليه السلام itu menyampaikan ajaran agama, beliau telah percaya kepada apa yang disampaikan oleh anaknya itu.

Maryam juga beriman dengan takdir Allah ﷻ (inilah maksud kitab dalam ayat ini – penetapan daripada Allah ﷻ). Atau, ia bermaksud beliau beriman dengan wahyu daripada Allah dan juga kitab-kitab daripada Allah ﷻ.

 

 

وَكانَت مِنَ القٰنِتينَ

dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat. 

Beliau beriman dengan ajaran Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Beliau seorang yang mempunyai sifat yang taat. 

 

سيدات نساء أهل الجنة أربع مريم بنت عمران و فاطمة بنت رسول الله صلى الله عليه و آله و سلم و خديجة بنت خويلد و آسية

Pemuka wanita ahli Syurga ada empat: Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulillah ﷺ, Khadijah binti Khuwailid, dan Asiyah

(HR. Al-Hakim dalam Mustadrak, Kitab Ma’rifat al-Sahabah, bab Khadijah bint Khuwaylid no. 4853, dari ‘Urwah. Az-Zahabi berkata ia sesuai dengan syarat Bukhari dan Muslim. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Jami’ no. 5991)

 

No photo description available.

 

Kita telah belajar tentang empat orang wanita dalam surah ini. Ada empat jenis wanita semua sekali:

1. Ada yang teruk dan kufur tetapi suami mereka baik.

2. Ada yang ditakdirkan berkahwin dengan suami yang teruk tetapi dia seorang yang baik dan beriman dengan sebenar-benarnya.

3. Ada wanita baik dalam suasana yang baik. Contoh mereka itu para isteri Nabi Muhammad ﷺ. Suami mereka baik dan mereka pun baik juga.

4. Ada isteri yang teruk dan suami mereka pun jahat juga. Ini ada dalam Surah Masad berkenaan isteri Abu Jahal.

Dalam sebuah keluarga yang sihat dan harmoni, ketua keluarga adalah suami dan juga bapa di mana dia yang membuat keputusan. Dia yang mesti menguruskan keluarga itu dengan baik supaya keluarga kecil itu dapat hidup dalam menegakkan agama Islam. 

Seorang suami dan bapa mestilah menjaga keluarganya dengan baik, bukannya secara kuku besi dan sentiasa memaksa seperti seorang diktator. Kita sudah lihat Allah ﷻ telah ajar di awal surah ini yang jikalau isteri itu mengambil peluang daripada kebaikan suaminya maka Allah ﷻ tidak suka. 

Bakal pasangan isteri dan suami hendaklah menghormati di antara satu sama lain dan juga jangan ambil kesempatan di atas sifat baik dan mulia suami ataupun isteri itu. Sebaliknya kenalah hidup dengan harmoni. 

Keharmonian di antara suami dan isteri dapat dikecapi dan diamalkan jika ada mesyuarat di antara kedua-duanya dan tidak ada pemerintahan kuku besi. Begitulah manusia tidak suka apabila diberi arahan untuk melakukan perkara yang mereka tidak suka atau apabila kita mengajak kepada kebaikan. Maka hendaklah kita bermesyuarat dan menjelaskan kenapa isteri kita ataupun suami kita kena buat begini dan begitu. Yang amat kita pentingkan adalah supaya masing-masing masuk syurga. 

 

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Tahreem ini dan Juz 28. Sambung ke surah seterusnya, Surah Mulk.

Tarikh: 25 Ogos 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Maulana Asri

Tafsir Surah Tahreem Ayat 6 – 8 (Jihad dengan golongan munafik)

Tahreem Ayat 6: Sekarang ayat ini ditujukan untuk semua orang pula. Ini adalah ayat yang berat dalam Al-Qur’an. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ mengajar kita untuk mengambil perhatian kepada urusan ahli keluarga sebagaimana dia menjaga dirinya sendiri.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, protect yourselves and your families from a Fire whose fuel is people and stones, over which are [appointed] angels, harsh and severe; they do not disobey Allāh in what He commands them but do what they are commanded.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman, 

Dengarlah semua wahai orang-orang yang mengaku beriman. Dengar dan amalkanlah.

 

 

قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا

peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka 

Allah ﷻ mengajar kita dalam ayat ini yang setiap orang mempunyai tanggungjawab kepada orang lain. Sebelum ini kita telah belajar kisah rumahtangga Rasulullah ﷺ; tetapi kita juga mempunyai rumahtangga kita sendiri, bukan? Kita bukanlah hanya bertanggungjawab ke atas diri kita sahaja, tetapi ada tanggungjawab ke atas orang lain, iaitu keluarga yang berada dalam jagaan kita. Maka, arahan ini ditujukan terutamanya kepada para suami dan bapa. Kita mestilah selamatkan mereka daripada api neraka dengan sedaya upaya kita.

Qatadah mengatakan bahawa engkau perintahkan mereka untuk taat kepada Allah ﷻ dan engkau cegah mereka daripada perbuatan derhaka terhadap­-Nya. Dan hendaklah engkau tegakkan terhadap mereka perintah Allah ﷻ dan engkau anjurkan mereka untuk mengerjakannya serta engkau bantu mereka untuk mengamalkannya.

Dan apabila engkau melihat dalam kalangan mereka terdapat suatu perbuatan maksiat terhadap Allah ﷻ, maka engkau harus cegah mereka daripadanya dan engkau larang mereka melakukannya.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Ad-Dahhak dan Muqatil, bahawa sudah merupakan suatu kewajipan bagi seorang Muslim mengajarkan kepada keluarganya—baik dalam kalangan kerabatnya ataupun budak-budaknya — hal-hal yang difardhukan oleh Allah ﷻ dan mengajarkan kepada mereka hal-hal yang dilarang oleh Allah ﷻ yang harus mereka jauhi.

Semakna dengan ayat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Turmuzi melalui hadith Abdul Malik ibnur Rabi’ ibnu Sabrah, daripada ayahnya, daripada datuknya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

 

“مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ، فَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا”

Perintahkanlah kepada anak untuk mengerjakan solat apabila usianya mencapai tujuh tahun; dan apabila usianya mencapai sepuluh tahun, maka pukullah dia kerana meninggalkannya.

(Hadith riwayat Abu Dawud, No. 495, At-Tirmidzi, No. 407, Ad-Darimi, No. 1395). Berkata an-Nawawi, isnadnya Abu Dawud adalah hadith hasan. At-Tirmidzi berkata dalam riwayatnya, hadith ini Hasan Sahih)

 

 

Api neraka itu amat menakutkan. Maka usahakanlah semampu mungkin untuk menyelamatkan diri kita dan bukan sahaja untuk selamatkan diri sendiri sahaja, tetapi cubalah selamatkan ahli keluarga juga.

Selalunya apabila kita disuruh untuk menyelamatkan diri daripada sesuatu, ia menunjukkan yang kita ada kemungkinan akan dikenakan dengan perkara tersebut. Di sini ia bermaksud kita orang Islam berkemungkinan juga akan dimasukkan ke dalam neraka. Akan tetapi ayat ini ditujukan kepada orang Islam dan bukannya kepada orang-orang kafir, bukan? Kenapakah ada nasihat tentang neraka pula?

Oleh sebab itu, ini memberi isyarat kepada kita bahawa orang-orang Islam belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Jangan kita berangan yang apabila kita ini orang Islam, kita pasti selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang pasti selamat lagi. Maka kenalah ada usaha untuk menyelamatkan diri kita.

Ini meletakkan kita pada tempatnya (sedar diri sikit) iaitu kita kena sedar bahawa kita dan ahli keluarga kita belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Oleh itu kita kena berusaha untuk menyelamatkan diri kita kerana jikalau kita tidak buat apa-apa, maka kita akan masuk ke dalam neraka.

Allah ﷻ menyuruh kita menyelamatkan diri kita terlebih dahulu kerana jikalau kita tidak menyelamatkan diri kita maka tentu kita tidak boleh menyelamatkan ahli keluarga kita. Sebagaimana sebelum pesawat berlepas, kita sering diingatkan oleh kru kabin untuk mengenakan topeng oksigen untuk diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum mengenakannya kepada orang lain contohnya anak kita sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Selamatkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyelamatkan diri orang lain kerana kalau kita terus berikan topeng oksigen kepada anak kita kerana kita sayangkan dia tetapi kita tidak pula tidak cukup oksigen dan pengsan pula, bagaimana mahu selamatkan anak kita?

Malangnya kadang-kadang kita tahu ada ibu bapa yang menghantar anaknya ke sekolah agama supaya anaknya boleh menjadi baik dan kenal agama sedikit. Memang perbuatan itu elok tetapi dia sendiri tidak tahu apa-apa pun tentang agama. Ada yang hantar anak dan tunggu sahaja di luar. Bukan mahu mendengar apa yang diajar di dalam pun.

Maka di dalam hal ini kita kena pentingkan diri sendiri juga di mana kita kena pastikan yang kita selamat dahulu dan jangan sibuk tentang hal orang lain sahaja. Kerana kalau hal kita sendiri pun tidak selesai maka bagaimana kita hendak sibuk bagi nasihat kepada orang lain?

Para sahabat telah bertanya dengan Nabi ﷺ bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada api neraka dan baginda menjawab dengan mengajar agama. Maka kita kena ajar agama kepada keluarga kita. Kita sendiri kenalah belajar agama terlebih dahulu. Menyelamatkan diri itu pertamanya dengan belajar agama dengan memahami wahyu.

Ibu bapa kena tahu tentang agama dan mahir menyampaikan kepada mereka sehingga boleh bercakap kepada anak-anaknya tentang agama dan memberi nasihat kepada mereka. Perkara ini dimulai dengan seorang suami mengajar kepada isterinya. Perkara ini bukanlah perlu dibuat dalam bentuk ceramah kepada anak isteri tetapi hendaklah diajar dalam keadaan santai sahaja seperti ketika sedang makan ataupun tengah berjalan-jalan atau pun tengah bersembang-sembang. Selitkan pelajaran agama dalam kehidupan kita. 

Maka ibu bapa hendaklah menjaga akhlak dan juga agama mereka kerana anak-anak bukannya tidak nampak apa yang mereka lakukan. Jikalau kita hanya memberi nasihat sahaja tetapi kita tidak mengamalkannya, maka ia akan menjadi sesuatu yang tidak bererti kepada anak-anak itu dan mereka pun tidak mahu ikut. Jika kita mahukan anak-anak suka membaca Al-Qur’an, maka kenalah kita sendiri selalu baca Al-Qur’an di hadapan mereka, bukan?

Nota: ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk melakukan Majlis Tahlil. Kononnya majlis sedekah pahala itu boleh menyelamatkan si mati dari neraka. Dalil yang sebenar memang tidak ada, maka mereka terpaksa cedok mana-mana ayat Al-Qur’an yang boleh dipusing menjadi dalil untuk membuat perkara bid’ah. Namun kita yang belajar wahyu ini tahu yang tidak ada dalil langsung untuk mengadakan Majlis Tahlil yang bid’ah itu.

Sebenarnya bagaimanakah hendak menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka? Ringkasnya adalah dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ‎ﷻ semua sekali. Asasnya adalah ilmu. Maka kenalah belajar agama berlandaskan wahyu dan ajarkanlah wahyu kepada ahli keluarga.

 

 

وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; 

Sekarang Allah ‎ﷻ menakutkan kita dengan neraka pula. Allah ‎ﷻ memberitahu kita serba sedikit gambaran neraka supaya kita boleh bayangkan sedikit.

Kita mahu supaya ahli keluarga kita selamat daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu. Apabila Allah ﷻ sebut manusia dahulu sebelum disebut ‘batu’, maksudnya lebih banyak manusia daripada batu yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Maka ini amat menakutkan sekali.

Manusia dibakar dalam neraka seperti kita membakar sampah yang tidak ada harga dan nilai. Oleh kerana manusia juga menjadi bahan bakar dalam neraka, maka semakin ramai ahli dalam neraka, semakin panas keadaan dalam neraka. Disebabkan itulah ahli neraka tidak suka apabila ada ahli neraka baru kerana lagi ramai, lagi panas.

Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan ‘batu’ adalah berhala-berhala yang dahulunya dijadikan sembahan, kerana ada firman Allah ﷻ yang mengatakan:

{إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ}

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam.

[ Al-Anbiya: 98 ]

 

Apabila diberitahu yang batu itu menjadi bahan bakar, maka kita dapat tahu yang api itu teramat panas sampaikan batu pun boleh terbakar. Oleh itu, kita kena ada usaha untuk menyelamatkan anak isteri kita kerana kita tentu tidak mahu ahli keluarga kita dibakar dalam api neraka, bukan?

 

 

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ

penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, 

Allah ﷻ takutkan kita lagi dengan memberitahu sifat malaikat-malaikat penjaga Neraka itu. Neraka itu dijaga oleh para malaikat yang garang dan mereka tidak ada perasaan belas kasihan kepada ahli neraka. Mereka tidak kisah untuk menyeksa ahli neraka itu dan kalau ahli neraka merayu apa saja pun mereka tidak akan terkesan.

Ini adalah kerana mereka lebih taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidak boleh mempunyai belas kasihan lagi kerana di dalam neraka itu adalah tempat azab. Tugas mereka adalah untuk mengazab ahli neraka maka takkan mereka akan tinggalkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah ﷻ itu?

 

 

لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم

dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka

Para malaikat itu taat kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah beri arahan kepada mereka untuk menyeksa ahli neraka, maka mereka pasti akan melakukannya tanpa lengah dan tanpa belas kasihan. Mereka tidak akan ingkar dengan arahan yang telah diberikan kepada mereka. Maka jangan harap ada sesiapa lagi yang akan kasihan kepada kita.

Bebeza dengan keadaan penjara di dunia kerana mungkin ada warden penjara yang agak-agak kasihan kepada banduan dalam penjara. Namun begitu jangan ada pengharapan ini di dalam neraka kerana kalau ada, maka akan jadi sia-sia sahaja. Maka untuk selamatkan diri kita adalah ketika di dunia lagi, bukannya mahu mencuba nasib di akhirat kelak. 

 

 

وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Malaikat itu akan tetap menyeksa ahli neraka. Kalau seganas-ganas tentera yang paling ganas di dunia seperti Tentera Israel pun, masih ada yang tidak boleh terus menyeksa para tawanan kerana mereka masih ada sifat kemanusiaan lagi. Kerana itulah kita selalu dengar ada tentera Israel yang membocorkan rahsia perbuatan kejam rejim Zionis.

Namun begitu jangan harap para malaikat itu mempunyai sifat kemanusiaan kerana mereka bukan manusia pun. Mereka akan tetap menjalankan tugas mereka menyeksa ahli neraka. 


 

Tahreem Ayat 7: Ayat Takhwif Ukhrawi

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا لا تَعتَذِرُوا اليَومَ ۖ إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have disbelieved, make no excuses that Day. You will only be recompensed for what you used to do.

(MELAYU)

Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا

Hai orang-orang kafir,

Ini adalah satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah ﷻ bercakap terus kepada orang-orang kafir. Tidak seperti di dalam ayat-ayat Al-Qur’an lain yang apabila bercakap kepada orang kafir, Allah ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang cakapkan.

Ini nampak seperti iltifad (perubahan orang yang dihadap bercakap) kerana ayat sebelumnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman dan ayat selepasnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman kembali dan tiba-tiba pada ayat ini ada penukaran di mana Allah ﷻ bercakap dengan orang kafir pula. Namun sebenarnya Allah ﷻ bercakap kepada orang yang sama sahaja. Cuma sekarang Allah ﷻ bercakap dengan keras kerana terus panggil mereka sebagai ‘orang kafir’ sahaja. 

Maka mereka ini sebenarnya adalah orang Islam yang tidak berjaya melepaskan diri mereka daripada api neraka ataupun setelah diberikan nasihat mereka tetap juga tidak mengambil pengajaran. Mereka sekarang berada di dalam neraka dan waktu itu Allah ﷻ bercakap dengan mereka dengan gelaran ‘orang kafir’ terus. Kerana kalau sudah masuk di dalam neraka takkan hendak digelar orang beriman lagi?

Apa yang Allah ﷻ kata kepada mereka?

 

لا تَعتَذِرُوا اليَومَ

janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. 

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka ketika itu mereka supaya tidak dibenarkan untuk memberi alasan lagi. Mereka akan cuba untuk menyelamatkan diri mereka dengan memberi berbagai-bagai alasan dan hujah, tetapi Allah ﷻ beritahu yang waktu itu hujah dan alasan mereka tidak laku langsung.

Allah ﷻ menolak percubaan mereka untuk menyelamatkan diri dengan alasan. Allah ﷻ berkata: jangan buang masa beri alasan kamu. 

 

 

إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

Antara alasan yang cuba diberikan nanti adalah mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu salah. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ hendak memberitahu yang alasan itu tidak boleh diterimapakai kerana Allah ﷻ telah memberi nasihat di dalam Al-Qur’an dan telah diajar dalam sunnah.

Semua itu telah ada dan sekiranya manusia itu yang tidak mengamalkannya, itu adalah salah mereka sendiri kerana tidak belajar dan mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Maka ini adalah ancaman keras kepada manusia yang mengaku Muslim tetapi tidak mengamalkan amalan Islam seperti yang sepatutnya.  

Di sini ditekankan yang kita hanya dikenakan balasan atas amalan yang kita buat sendiri, bukan atas amalan orang lain.

Habis Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Tahreem Ayat 8:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ ۖ نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا وَاغفِر لَنا ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, repent to Allāh with sincere repentance. Perhaps¹ your Lord will remove from you your misdeeds and admit you into gardens beneath which rivers flow [on] the Day when Allāh will not disgrace the Prophet and those who believed with him. Their light will proceed before them and on their right; they will say, “Our Lord, perfect for us our light and forgive us. Indeed, You are over all things competent.”

  • i.e., it is expected or promised.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Di dalam ayat sebelum ini adalah ayat yang mengejutkan kerana orang-orang Islam yang tidak aktif menyelamatkan diri mereka daripada api neraka akan dimasukkan ke dalam neraka; dan mereka akan dipanggil dengan panggilan “orang-orang kafir!”.

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar kepada mereka yang terkejut supaya bertaubat kepada-Nya dan hendaklah mengubah cara hidup mereka. Jangan terus berada dalam kegelapan kejahilan dan ditipu oleh kehidupan dunia sahaja. Bukankah kamu mengaku yang kamu sekarang orang beriman? Maka beramallah seperti orang beriman. Kena lihat apa yang perlu dilakukan kalau kamu betul-betul orang beriman.

 

 

توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا

bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya).

Sebentar tadi telah diseru orang beriman, dan sekarang disuruh bertaubat kepada Allah ‎ﷻ. Ini mengajar kita yang orang beriman pun mempunyai juga dosa, bukan tidak ada. Maka hendaklah selalu bertaubat kepada Allah ‎ﷻ, iaitu dengan mengubah diri kita. Kalau dulu membuat dosa, tinggalkan dosa. Kalau dulu tidak belajar, maka hendaklah mula belajar.

Kita selalu dengar kalimat ‘Taubat Nasuha’ dan sekarang kita sudah menemui ayat tentangnya. ‘Taubat Nasuha’ itu ringkasnya adalah ‘taubat yang ikhlas’. Kerana bukan semua taubat itu ikhlas, bukan? Ada yang dilakukan sambil lewa sahaja.

Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah  النصيحة (an-nashiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).

Ada tiga syarat untuk mendapat Taubat Nasuha ini:

1. Betul-betul menyesal kerana telah melakukan kesalahan dosa sebelum itu. Mesti menyesali perbuatan itu kerana telah ingkar dengan Allah ﷻ. (bukan kerana perbuatan itu membuang masa dan membuang duit). Maknanya dia sudah menjadi benci kepada perbuatan dosa yang dulu dia suka lakukan.

2. Berazam tidak akan mengulangi sampai bila-bila lagi dosa-dosa itu kerana kalau ada lagi keinginan hendak buat lagi, maka itu taubat yang main-main sahaja. 

3. Dari segi perbuatan, hendaklah terus berhenti serta-merta daripada membuat dosa-dosa itu lagi. Jangan lengahkan lagi. Jangan tunggu masa yang ‘sesuai’ kononnya. 

Selain daripada tiga syarat ini, ditambah satu lagi syarat: jikalau dosa itu ada hubungan kesalahan dengan hamba yang lain, maka mesti minta maaf dengan orang itu. Kemudian kalau ada barang mereka yang telah diambil atau dicuri, maka kena pulangkan semula. Jika barang itu telah hilang atau telah dipakai/dimakan, maka hendaklah diganti. 

Saidina Ali رضي الله عنه pula senaraikan 6 perkara untuk Tauba Nasuhat:

1. Menyesal dengan perbuatan dosa yang dahulu
2. Kembali taat dalam ibadah yang ditinggalkan
3. Memperbetulkan hak yang telah diambil
4. Meminta maaf kepada orang yang telah dizalimi
5. Berazam untuk meninggalkan dosa itu
6. Terus berada dalam taat kepada suruhan Allah ‎ﷻ

Satu lagi sifat Taubat Nasuha ialah ia adalah satu perbuatan taubat yang mengubah diri seseorang. Ini kerana maksud ‘nasuha’ itu ada elemen ‘ikhlas’ di dalamnya. Kerana itulah maksud ‘nasihat’ sebenarnya adalah ‘ikhlas’.

Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Malah kita pun pernah dengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ‎ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam). Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul pula? Itulah makna asal nasihah adalah ‘ikhlas’.

 

AGAMA ADALAH NASIHAT (FAIDAH

 

Maka Taubat Nasuha adalah taubat yang serius, bukan main-main. Oleh kerana itu satu lagi maksud ‘Taubat Nasuha’ adalah selepas kita bertaubat, kita membaiki diri kita menjadi lebih baik, sampaikan menjadi ‘nasihat’ kepada orang lain. Orang lain lihat kita pun mereka teringin mahu mengikut menjadi lebih baik.

Kita kena selalu bertaubat kepada Allah ﷻ kerana kita sebagai manusia memang akan ada membuat salah. Ini biasa sahaja tetapi pelaku kesilapan yang baik adalah mereka yang bertaubat. Rasulullah ﷺ bersabda:

 

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Seluruh anak Adam berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.”

(HR Ibnu Majah (4241), dihasankan oleh Syeikh Al-Albani)

 

Picasso Carpets Sby on Twitter: "BERTAUBAT "Seluruh anak Adam berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat" (HR. Ibnu Majah) #picassocarpet #karpetmasjid #quotespicasso #quotesislam #bertaubat #HRIbnuMajah https://t.co/SCN2VEdKyB ...

 

 

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم

Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu

Selalulah bertaubat, mudah-mudahan Allah ﷻ akan memaafkan semua dosa kita. Dikatakan ‘mudah-mudahan’ kerana mungkin kita belum bertaubat lagi dan mungkin kita telah bertaubat tetapi taubat itu taubat yang tidak ikhlas dan main-main sahaja (maka tidak diterima lagi oleh Allah ﷻ). Allah ‎ﷻ tidak wajib menerima taubat kita, ia terpulang kepada-Nya untuk terima atau tidak.

Atau mungkin ada orang yang walaupun telah bertaubat tetapi kemudian dia mengulang kembali dosa yang sama. (Dia memang berniat dan ikhlas bertaubat, tetapi malangnya dia gagal di kemudian hari). Maka kerana itu Allah ﷻ tidak berikan janji yang dosa itu akan pasti diampunkan. Ini kerana tidak semestinya semua taubat akan diterima. Ada yang masih lagi melakukan dosa yang sama (kerana kita ini sememangnya manusia yang lemah).

Namun jangan berputus asa dalam bertaubat. Walaupun masih melakukan dosa yang sama, jangan putus asa bertaubat. Jangan tertipu dengan syaitan dalam hal ini seperti ramai orang yang tertipu. Syaitan akan hasut kita (“Kamu asyik buat dosa yang sama sahaja, baik jangan bertaubat! Kau ingat Tuhan nak terima ke taubat kau yang banyak kali ni?”) Jangan termakan dengan hasutan syaitan ini, kerana syaitan memang tidak suka kita bertaubat.

Oleh hal yang demikian, tidaklah wajib Allah ﷻ mengampunkan dosa kita. Ia adalah hak Allah ﷻ. Maka, janganlah sengaja membuat dosa kemudian dalam hati kita berkata: “alaah… nanti aku taubat lah”. Ini bahaya kerana tidak pasti Allah ﷻ akan ampunkan.

Salah faham dalam sesetengah orang yang berkata: kalau bertaubat, Allah ﷻ pasti terima. Ini tidak benar kerana kita tidak pasti sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kita kenalah selalu bertaubat dan selalu berharap Allah ﷻ terima taubat kita itu. Kena berharap betul-betul dan takut kalau-kalau Allah ‎ﷻ tidak terima taubat kita. Kita berharap dalam keadaan takut.

Jangan tinggalkan taubat walaupun kita melakukan dosa yang sama setiap kali. Jangan putus asa dengan rahmat Allah ﷻ. Jangan kita ragu-ragu dengan Allah ﷻ sampai kita tidak taubat pula.

Yang penting, kita teruskan bertaubat. Kalau bertaubat, mungkin Allah ﷻ terima dan mungkin tidak. Namun kalau tidak bertaubat langsung, memang langsung lah Allah ﷻ tidak terima, bukan?

 

 

وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkanmu ke dalam taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, 

Mudah-mudahan Allah ﷻ terima taubat kita dan kerana kita tidak ada dosa lagi, maka itu menyebabkan Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam syurga. Inilah motivasi bagi kita untuk bertaubat. Sebab kita kena takut sangat dengan neraka itu dan hendak sangat masuk syurga.

Kemudian sebagai motivasi lagi, Allah ﷻ berikan perumpamaan syurga itu. Akan ada sungai di bawah istana syurga. Ini merupakan sebuah motivasi yang hebat dan selalu disebut dalam Al-Qur’an kerana manusia memang suka tinggal di kawasan ada air. Sebab itu ada yang suka duduk di kawasan pantai, di tasik; dan ramai yang suka pergi berkelah di sungai dan air terjun.

Tambah hebat lagi kalau rumah itu ada air di dalamnya (atau rumah di atas air). Maka Allah ﷻ beritahu yang rumah di syurga amat hebat sampaikan ada ‘sungai’ di dalamnya. Malah sungai-sungai itu berjenis-jenis pula seperti madu, arak dan susu sebagaimana disebut dalam ayat yang lain.

 

 

يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ

pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersamanya;

Allah ﷻ cerita lagi kelebihan di akhirat kelak bagi orang yang mukmin. Allah ﷻ beritahu yang di Mahsyar nanti Allah ﷻ tidak malukan Nabi ﷺ dan mereka yang bersama dengan baginda ﷺ. Mereka yang ‘bersama’ dengan baginda ﷺ adalah mereka yang meneruskan tugas Nabi ﷺ iaitu menjalankan kerja dakwah

Kalimah مع  (bersama) digunakan di dalam ayat ini kerana ada orang yang mengaku beriman dengan agama Allah ﷻ dan beriman dengan Rasul, tetapi mereka tidak berterusan mengamalkan ajaran Rasulullah ﷺ maka mereka tidak termasuk dalam golongan ini. Mereka tidaklah ‘bersama’ dengan Rasulullah ﷺ. Kalau ingin bersama dengan Rasulullah ﷺ, maka hendaklah ada usaha untuk berdakwah dan menegakkan agama ini di atas muka bumi. Tentunya dengan menjalankan kerja dakwah.

Apabila Rasul dan pengikutnya tidak dihinakan, maka ini mengajar kita yang ada orang yang akan dihinakan iaitu golongan kafir dan golongan munafik. Namun apakah maksud dihinakan? Dihinakan itu adalah dengan dimasukkan ke dalam neraka dan diberikan azab. Kita telah lihat sebelum ini disebut mereka dibakar seperti sampah sahaja dalam neraka. Dimasukkan ke dalam neraka adalah satu penghinaan seperti disebut dalam Ali Imran: 192

 

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya

 

 

نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم

cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, 

Allah ﷻ terus menceritakan keadaan di Titian Sirat nanti. Ia adalah satu tempat ujian yang amat hebat dan kita amat memerlukan bantuan semasa di Sirat itu.

Ketika berjalan di atas Sirat itu, waktu itu keadaan sangat gelap dan mereka yang ada cahaya sahaja boleh melintas. Sebagaimana dalam kegelapan malam, tentu sukar untuk kita berjalan kerana kita tidak nampak jalan dan tidak nampak halangan. Di akhirat, tentu keadaan lebih gelap lagi. Maka tentu akan memerlukan ‘lampu suluh’. Oleh kerana itu kena ada cahaya di hadapan untuk menunjukkan jalan untuk kita.

Inilah yang diberikan kepada orang mukmin. Cahaya mereka itu bergantung kepada amal-amal mereka semasa di dunia. Semakin banyak amal, maka semakin bercahaya dan besar cahaya mereka itu. Kerana itu disebut ada cahaya di sebelah kanan, kerana ia memberi isyarat kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Ada juga pendapat yang mengatakan cahaya di kanan itu merujuk kepada pahala infaq. Ada juga pendapat yang mengatakan cahaya di kanan itu kerana kita menerima kitab amalan kita di tangan kanan.

Orang Islam akan diberikan cahaya namun orang munafik akan ditarik cahaya daripada mereka dan mereka akan berada dalam kegelapan. Namun mereka ada usaha hendak mendapatkan cahaya itu. Seperti disebut dalam Hadid: 13, mereka mengejar-ngejar orang mukmin untuk berkongsi cahaya orang mukmin itu, tetapi mereka akan ditinggalkan juga.

 

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.

 

Apabila orang mukmin nampak cahaya orang-orang munafik ditarik daripada mereka, maka mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ:

 

 

يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا

sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami

Ini adalah doa orang mukmin yang sudah ada cahaya. Mereka telah ada cahaya tetapi mereka tetap berdoa kepada Allah ﷻ supaya cahaya itu diteruskan kepada mereka sampai mereka tiba ke syurga. Ini kerana mereka nampak yang cahaya orang-orang munafik ditarik daripada mereka. Orang beriman takut cahaya mereka ditarik seperti telah ditarik cahaya orang-orang munafik.

Atau, cahaya mereka itu sedikit sahaja kerana amal mereka tidak banyak semasa di dunia. Ya memang ada cahaya, tetapi sedikit sahaja. Sebagai contoh, hanya ada di kaki sahaja, jadi tidak nampak jalan di hadapan sangat.

 

 

وَاغفِر لَنا

dan ampunilah kami;

Mereka juga berdoa kepada Allah ﷻ semoga dosa-dosa mereka diampunkan kerana cahaya itu boleh dihilangkan kerana dosa yang mereka pernah lakukan. Sekiranya Allah ﷻ mengampunkan maka cahaya itu akan berterusan.

 

 

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Maka kita mestilah mengiktiraf kekuasaan Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ hendak membuat apa-apa sahaja, kita tidak dapat hendak menghalangnya. Maka kita berharap kepada ehsan Allah ﷻ sahaja. Sentiasalah berdoa dan berharap kepada Allah ﷻ di dunia dan juga di akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 15 Ogos 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Maulana Asri