Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 2] (Jenis-jenis Hidayah)

 

Kita juga memerlukan petunjuk daripada Allah ﷻ untuk masa depan. Semoga Allah ﷻ terus memberi petunjuk kepada kita untuk melakukan yang terbaik di masa-masa hadapan. Dan semoga Allah ﷻ menetapkan kita dalam iman dan mematikan kita dalam iman. Ini amat penting untuk kita harapkan.

Jangan sangka kita tidak perlukan kerana sangka kita sudah Muslim dan sudah beriman. Jangan kita rasa selesa dengan apa yang kita ada sekarang. Kerana iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ada orang yang mula beriman, tetapi akhirnya mati dalam kekufuran – nauzubillahi min zaalik.

Kita kena rendahkan diri kita dengan mengharap betul-betul hidayah daripada Allah ﷻ. Kita kena sedar yang banyak lagi yang kita perlukan. Kita perlukan hidayah bukan setakat dunia sahaja tetapi sampai membawa ke syurga. Kerana amalan di pengakhiran hidup kitalah yang akan dikira.

Kita takut sepanjang hidup kita, kita beramal dengan amalan yang baik namun di penghujung hayat kita (hampir saat kematian), kita buat amalan ahli neraka pula. Maka kita kena berhati-hati kerana Allah ﷻ boleh sahaja mengubah hati kita. Maka kita kena berharap dan berdoa yang Allah ﷻ menetapkan kita atas iman.

Hidayah yang kita harapkan adalah hidayah daripada Allah ﷻ, kerana itulah hidayah dan petunjuk yang sebenarnya. Kerana itu kita kena selalu minta kepada-Nya.

Kalau kita lihat kepada terjemahan biasa, kita boleh nampak bagaimana terjemahan itu tidak berapa tepat. Ada berbagai-bagai terjemahan yang digunakan. Ini adalah kerana ada memang agak susah untuk menterjemahkan Al-Qur’an. Disebabkan itulah ada banyak terjemahan dalam dunia ini. Dan dalam terjemahan itu, yang ditulis: kita hanya meminta Allah ﷻ menunjukkan kita jalan yang lurus sahaja. Kita tidak mahu hanya setakat itu sahaja.

Kita hendak mahu banyak lagi sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Kita bukan sahaja mahu Allah ﷻ ‘tunjukkan’ sahaja hidayah itu, malah lebih lagi yang kita harapkan. Oleh itu, kalau kita hanya baca terjemahan sahaja tanpa belajar tafsir yang lebih lagi memberi pemahaman, kita tidak faham lebih lagi maksud Al-Qur’an itu. Atau, pemahaman kita terhad sahaja kepada satu terjemahan. Oleh itu, kita kena belajar lebih lagi.

Sebab itulah kita selalu memperkatakan tentang kepentingan belajar tafsir. Kerana maksud sesuatu ayat itu tidak dapat dijelaskan hanya dengan membaca terjemahan sahaja. Kalau kita mementingkan agama kita, maka kita akan meluangkan masa untuk belajar lagi dan lagi kerana kita hendak sangat memahami agama kita yang indah ini. Memang tidak akan habis kita belajar tafsir ini. Semakin kita belajar, semakin banyak Allah ﷻ buka lagi ilmu-Nya kepada kita.

Oleh hal yang demikian, jelaslah ayat ini merupakan satu doa. Apabila kita berdoa, kita kena tahu apa yang kita bacakan. Itulah cara berdoa yang betul. Jangan kita baca sahaja, tanpa kita mengetahui apa yang kita minta. Kalau kita baca sahaja tanpa mengetahui apa yang kita bacakan, ada kemungkinan Allah ﷻ tidak makbulkan doa kita.

Dalam masa yang sama, kita baca doa itu dengan mengharap sangat kepada Allah ﷻ. Jangan kita baca sambil lewa sahaja. Seolah-olah kita kata: – ‘Kalau nak bagi, bagilah; kalau tidak mahu bagi, tidak mengapa’.

Jangan begitu. Itu kalau kita minta dengan manusia, bolehlah kalau ada perasaan begitu. Akan  tetapi apabila kita kita berdoa kepada Allah ﷻ, kita kena betul-betul tanam dalam hati kita keinginan kepada hidayah dan taufik itu. Kerana kita sekarang meminta kepada Allah ﷻ yang ‘mampu‘ beri apa yang kita hendak, dan ‘mahu‘ beri apa yang kita minta.

Kalau kita lihat, bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk jamak – اهدِنَا  – pimpinlah ‘kami’ – padahal, kita baca berseorangan sahaja, bukan? Kenapa begitu pula?

Kita baca doa ini dalam bentuk jamak, kerana mengharapkan kalau doa kita tidak dimakbulkan, harapnya ada sesiapa yang dimakbulkan doanya dan kita pun termasuk sekali dengan mereka. Sebab itu, seeloknya kita solat berjemaah. Kerana dalam ramai-ramai yang berjemaah itu, mungkin ada orang yang doanya dimakbulkan waktu itu.

Dalam doa juga, kita jangan mengharap Allah ﷻ makbulkan doa kita tanpa kita melakukan usaha. Salah satu cara memakbulkan doa adalah dengan melakukan perkara yang patut dilakukan untuk mendapatkan sesuatu. Inilah yang dinamakan ‘asbab’. Kalau kita mahukan sesuatu, tentulah kita tidak hanya doa sahaja tanpa melakukan apa-apa. Sebagai contoh, kita minta Allah ﷻ memberi kerja untuk kita.

Tentulah kita kena berusaha untuk mencari kerja, bukan hanya duduk duduk di rumah sahaja dan tunggu panggilan kerja datang. Itu adalah cara yang salah, malah amat bodoh sekali. Kalau hendak lulus peperiksaan, kenalah belajar, bukan hanya berdoa sahaja. Sama juga apabila kita bertaubat kepada Allah ﷻ, ada cara yang perlu dilakukan. Kalau kita benar-benar ikhlas, kita kena lakukan asbab (penyebab) untuk mendapatkan sesuatu.

Maka, apakah asbab yang boleh kita lakukan? Apabila kita minta ditunjukkan jalan yang lurus, dari manakah kita boleh dapatkan? Tentulah daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ﷻ sudah berikan pun Al-Qur’an itu kepada dan kita semua tahu yang itu adalah sumber hidayah. Adakah kita hanya tahu sahaja tetapi kita tidak belajar memahami maksud Al-Qur’an itu untuk dapatkan hidayah itu? Kalau kita tidak merujuk Al-Qur’an, adakah itu menunjukkan ikhlas kita dalam mendapatkan hidayah itu?

Kita sudah beritahu sebelum ini bahawa kita kena buat asbab kalau hendak mendapatkan sesuatu, bukan? Maka, hendaklah kita belajar apakah wahyu yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita ini. Dan inilah sebabnya kita selalu tekankan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Dan ini memerlukan usaha yang tinggi kerana ia mengambil masa yang lama dan penelitian yang tinggi. Bukan senang-senang sahaja boleh dapat.

Selepas Surah Al-Fatihah, terus masuk Surah Al-Baqarah dan ayat-ayat awal dari Surah Al-Baqarah itu memberitahu kita yang Al-Qur’an itu adalah hidayah kepada orang mukmin. Dalam Surah Al-Fatihah, kita minta hidayah, dan tidak lama selepas itu, Allah ﷻ terus beritahu kita jawapannya – hidayah itu ada dalam Al-Qur’an.

Apakah kita orang yang tidak faham sampaikan setelah diberitahu perkara itu, kita buat tidak tahu sahaja? Malangnya begitulah ramai yang buat tidak tahu sahaja dengan wahyu Allah ﷻ dan tidak mahu meluangkan masa untuk memahami wahyu-Nya itu. Allah ﷻ sudah beri, tetapi kita tidak belajar pula. Padahal kita sudah minta hidayah setiap hari pun. Maka, mahu tidak mahu kita kena belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan setakat baca sahaja, tetapi kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Yang kedua, kita minta Allah ﷻ memasukkan hidayah ke dalam hati kita. Dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ telah beritahu tentang mereka yang diberi hidayah. Maka, kita kena ikut apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi orang-orang yang mendapat hidayah itu. Kalau kita tidak buat, itu menandakan kita sombong sahaja – mahu hidayah, tetapi tidak mahu menjadi seperti mereka yang mendapat hidayah. Apakah yang dilakukan oleh mereka yang mendapat hidayah itu?

Yang pertama, taubat kepada Allah ﷻ. Iaitu kembali rujuk kepada Allah ﷻ. Taubat itu ada banyak makna. Salah satunya adalah berubah dari jalan yang salah dan kembali rujuk kepada Allah ﷻ. Tinggalkan kehidupan yang salah.

Keduanya, apabila kita mahu hidayah, kita kena terima apakah hidayah itu. Janganlah apabila sudah tahu, tetapi tidak mahu ikut pula. Kita mahu ikut cara mereka yang diberi hidayah. Sepertimana kalau kita tawakal kepada Allah ﷻ, kita kena terima apa yang Allah ﷻ telah tetapkan keputusan-Nya untuk kita. Sama juga, kalau kita minta hidayah kepada Allah ﷻ, dan kalau Allah ﷻ telah beri hidayah itu, kenalah kita terima. Tidak bolehlah hendak pilih-pilih.

Tidak bolehlah mahukan hidayah, tetapi apabila Allah ﷻ suruh tinggalkan arak, kita tidak mahu ikut pula. Amatlah kurang ajar kalau kita minta sesuatu, dan apabila diberitahu kepada kita apa yang perlu dilakukan, kita tidak mahu terima dan tidak mahu buat pula. Bukankah kita minta hidayah yang penuh, bukan? Takkan apabila diberi hidayah dan apa yang perlu diikuti, kita mahu pilih-pilih pula.

Begitulah masalah yang banyak dihadapi oleh mereka yang belajar. Mereka sudah tahu kebenaran, apa yang perlu buat dan sebagainya, tetapi mereka rasa ia amat berat untuk mereka melakukannya, maka mereka tidak buat. Ada juga yang takut disisih oleh masyarakat, takut dipulau, atau dipandang serong.

Ketiga, kepentingan ilmu. Untuk mendapat hidayah, kita kena tahu apakah yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Ilmu yang benar akan memberi kesan kepada mereka yang mendapatinya. Hati mereka akan berubah. Mereka yang sebenar-benar tahu (yang sudah ada ilmu) akan takut kepada Allah ﷻ.

Mereka juga akan mengamalkan ilmu itu kalau mereka ikhlas. Bukan setakat tahu sahaja. Mungkin ilmu mereka belum mantap lagi, tetapi ilmu yang mereka ada itu sudah cukup untuk mereka amalkan. Amalkan setakat yang sudah tahu. Mereka yang ada ilmu sudah mula tahu mana yang salah dan benar. Yang penting, ilmu itu menyentuh hatinya.

Untuk mendapatkan ilmu, tentu memerlukan usaha. Kalau benar-benar mahukan ilmu, kena ada usaha yang banyak. Bukan goyang kaki sahaja. Bukan dengan cari ‘ilmu ladunni’ sebagaimana orang tarekat itu cari. Seperti juga kita hendak mendapatkan maklumat, kita kena luangkan masa dan buat kerja sikit, walaupun cari maklumat dalam internet. Termasuk kita akan bertanya orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat, bukan?

Begitulah juga kalau hendak mendapatkan ilmu agama. Malangnya, kebanyakan manusia dalam hal lain, sanggup meluangkan masa dalam hal lain, tetapi dalam ilmu agama, tidak mahu pula. Mereka berasa ilmu agama ini memadai sahaja dengan apa yang mereka belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja dan tidak ada usaha untuk menambah ilmu agama mereka selepas habis belajar. Sedangkan, dalam hal keduniaan, mereka sanggup belajar sehingga ke peringkat tertinggi di universiti, bergulung-gulun ijazah sehingga peringkat PHD, kemudian ditambah buat kajian lagi. Padahal, itu hanya untuk kepentingan dan kesenangan di dunia sahaja.

Seterusnya, untuk mendapat hidayah, kena tingkatkan iman kita. Semua orang ada iman dan semakin banyak iman kita, semakin kita mendapat hidayah. Semakin kita percaya dengan apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ, semakin kita akan mendapat hidayah. Kalau tidak mahu percaya, walaupun hidayah itu ada di depan kita, kita tidak mahu terima. Oleh itu, kena cari jalan untuk meningkatkan iman. Salah satunya adalah dengan meningkatkan pemahaman kita tentang Allah ﷻ.

Semakin kita kenal Allah ﷻ, semakin kita takut dengan Allah ﷻ, semakin kita berharap dengan Allah ﷻ dan hasilnya akan meningkatnya iman kita. Apabila iman kita meningkat, kita akan lebih mendapat hidayah. Seperti yang Allah ﷻ firman dalam Taghabun: 11

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ
dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya

Doa juga adalah salah satu daripada asbab untuk mendapatkan hidayah. Salah satunya termasuklah doa dalam Surah Al-Fatihah ini. Akan tetapi janganlah hanya setakat doa daripda Al-Fatihah ini sahaja. Kita kena buat lebih lagi. Bukankah ia sangat penting? Kalau ia penting, tentu kita akan berusaha untuk mendapatkannya dan melakukan segala-galanya.

Sebagai contoh, kita boleh berdoa untuk mendapat hidayah dengan berdoa dalam doa witir. Tambahan pula itu adalah waktu yang sesuai untuk berdoa – sepertiga malam.

Lagi satu asbab adalah dengan mengikuti ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kita kena betulkan pandangan kita terhadap ajaran agama Islam. Sekarang kita kena nilai semula bagaimanakah adab kita dengan Al-Qur’an dan Sunnah? Boleh dikatakan majoriti kita tahu yang Al-Qur’an dan hadith itu sumber hidayah, namun berapa ramai yang buat tidak tahu sahaja dengan keduanya?

Termasuklah mereka yang dalam kalangan ‘ ahli agama’ pun, termasuk ustaz-ustaz yang mengajar masyarakat. Mereka tidak belajar pun apa yang Al-Qur’an dan Hadith Nabi sebut tentang sesuatu perkara. Yang mereka gunakan adalah kata-kata manusia (ustaz dan guru mereka).

Dan ada juga golongan yang menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith. Kerana mereka kata ada masalah dengan hadith. Ada yang kata hadith tidak boleh dipercayai kerana perawi-perawi hadith itu takkan tidak melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith kerana mereka hanya mendengar daripada orang lain.

Oleh itu, ada golongan seperti golongan Anti-Hadith yang menolak hadith, padahal Allah ﷻ telah perintah kita untuk menerima Rasul juga. Itulah jalan kepada hidayah. Mereka menolak kerana salah faham dan salah belajar.

Bagaimana lagi kita boleh menerima agama kalau bukan melalui Nabi Muhammad ﷺ yang menyampaikannya kepada kita? Bukankah tugas Rasul itu adalah untuk menyampaikan kebenaran? Adakah kita ada pilihan selain daripada mengikutinya? Kalau kita tidak ikut, bermakna kita telah derhaka kepada Allah ﷻ juga!

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan adalah mujahadah. Iaitu berusaha lebih untuk mendapat hidayah dan kerana Allah ﷻ. Apabila kita buat begitu, Allah ﷻ akan balas dengan beri lebih hidayah lagi. Manusia memang ada kelebihan untuk melakukan usaha yang lebih.

Untuk perkara dunia, manusia sanggup untuk melakukan macam-macam perkara. Lihatlah kepada ahli sukan yang sanggup berlatih sehingga 12 jam sehari. Begitu juga dengan mereka yang hendak melepasi peperiksaan, mereka akan mengulangkaji bersungguh-sungguh sanggup bersengkang mata. Kita sebagai Muslim kena lakukan lebih lagi daripada mereka untuk mendapat hidayah.

Agama Islam tidaklah ekstrim, maka tidaklah sampai mujahadah itu membahayakan diri kita. Cuma kena usaha lebih sikit. Kena ada usaha kerana ia tidak datang dengan mudah. Kena lawan sifat malas yang ada dengan kita. Kerana hidayah yang kita kehendaki itu amatlah berharga. Usaha inilah yang dinamakan ‘jihad’ melawan nafsu. Kita kena isytihar jihad dengan nafsu kita. Ramai yang gagal kerana kalah dengan nafsu mereka.

Seterusnya, kita kena jihad melawan syaitan. Syaitan akan berusaha untuk membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang salah. Kita kena lawan mereka kerana Allah ﷻ. Allah ﷻ menilai kita dengan usaha yang kita lakukan. Dengan berusaha sahaja, sudah mendapat pahala.

Selepas kita mendapat hidayah dan ilmu itu, hendaklah kita menyampaikannya pula kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja. Dan untuk melakukan perkara ini bukanlah mudah, kerana ramai akan menentang. Akan sampai kepada satu tahap, orang akan melawan dan menuduh kita macam-macam, tetapi kita kena terus menyampaikan walau seteruk manapun mereka menentang kita.

Inilah yang telah dihadapi oleh Nabi ﷺ, para sahabat dan golongan-golongan salaf. Mereka tidak berhenti daripada menyampaikan dakwah sehingga akhir hayat mereka. Kita kena ingat daripada merekalah kita menerima agama yang murni ini. Kalau mereka tidak sampaikan, entah apalah jadi kepada kita, bukan? Maka tidakkah kita mahu berikan perkara yang sama kepada orang lain?

Bukan sahaja kita mujahadah dengan nafsu dan syaitan sahaja, tetapi kita kena melawan mereka yang mengajak kepada kederhakaan. Ramai manusia yang tidak mendapat hidayah yang mengajak kita juga ke arah kesesatan. Kita jangan terpengaruh dengan mereka, sebaliknya kita kena tetap dalam pendirian kita. Dalam perkara yang berkaitan juga, kita kenalah berkawan dengan orang yang baik dan meninggalkan mereka yang tidak baik.

Kawan-kawan yang rapat dengan kita akan memberi kesan kepada kita. Perumpamaan yang Nabi ﷺ berikan adalah perbezaan berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi dan orang yang berkawan dengan tukang besi akan berbau busuk.

Orang yang mendapat hidayah akan membantu kita dalam proses untuk mendapat hidayah. Maka, berhati-hati dengan siapa yang kita luangkan masa. Ramai yang gagal dalam kehidupan mereka dunia dan akhirat kerana mereka salah memilih kawan.

Maka, secara ringkasnya, bukan kita minta sahaja hidayah itu, tetapi kita kena ada usaha. Hidayah adalah satu perkara yang amat bernilai, maka kenalah ada usaha.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah al-An’am Ayat 2 – 5 (Allah tahu segalanya)

An’am Ayat 2: Ayat Dalil lagi. Kalau ayat sebelum ini adalah mengenai alam semesta, sekarang Allah ‎ﷻ sentuh tentang alam diri kita pula.

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِّن طينٍ ثُمَّ قَضىٰ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ ۖ ثُمَّ أَنتُم تَمتَرونَ

Sahih International

It is He who created you from clay and then decreed a term and a specified time [known] to Him; then [still] you are in dispute.

Malay

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن طِينٍ

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah liat,

Allah ‎ﷻ bukan sahaja menjadikan langit dan bumi, tetapi Allah ‎ﷻ jugalah yang telah menjadikan kita manusia. Selepas Allah ‎ﷻ menceritakan tentang penciptaan langit dan bumi, Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini, bahawa Dia lah yang telah menjadikan kita.

Dia telah menjadikan kita daripada tanah liat iaitu lumpur yang bercampur air. Yang dimaksudkan di sini adalah penciptaan Nabi Adam عليه السلام dahulu. Kita dikatakan diciptakan juga daripada tanah kerana kita anak cucu Nabi Adam عليه السلام. Cuma bezanya, kita dijadikan daripada air mani.

Walaupun begitu, kita pun sebenarnya ada elemen tanah juga, bukan? Makanan kita daripada sumber tanah juga sebenarnya seperti tumbuhan (dan kalau binatang pun, mereka makan tumbuhan yang ditanam di tanah juga). Dan daripada makanan diproses dalam badan menjadi air mani dan air mani itulah yang kita dijadikan dengan izin dan kuasa Allah ‎ﷻ.

Tanah liat adalah sesuatu yang tiada nyawa dan tidak boleh membuat apa-apa. Jika kita ambil tanah liat dan kita bentukkan menjadi sesuatu, ia juga tidak akan bernyawa dan bergerak. Jadi ini menunjukkan kuasa Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah memberi nyawa itu. Bukanlah kehebatan itu pada tanah liat itu tetapi pada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini juga mengingatkan kita kepada asal kejadian kita – daripada tanah yang hina. Kadang-kadang kita sangka kita sudah berjaya, kita orang besar, maka kita jadi sombong. Padahal asal kita semuanya sama sahaja, daripada sesuatu yang kotor dan lemah yang tidak ada nilai apa-apa. Kejayaan yang kita dapat itu sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ.

 

ثُمَّ قَضَىٰ أَجَلًا

kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu)

Kalimah قَضَىٰ bermaksud ‘penentuan yang terakhir’. Yang selepas itu akan dijalankan apa yang telah ditetapkan. Sebab itu hakim dalam bahasa Arab dipanggil qadhi kerana keputusan yang diberikannya adalah keputusan yang terakhir dan akan dijalankan berdasarkan apa yang dia telah tetapkan. Tiada yang boleh menolak keputusannya.

Kalimah أَجَلًا adalah satu tempoh masa dari sekarang sampai kepada masa yang telah ditetapkan. Jadi أَجَلًا adalah umur seseorang dari lahir sehingga matinya. Setiap orang telah ditentukan ajalnya, setiap orang telah ditentukan had umurnya. Apabila sampai masa, apabila sudah habis ajalnya, dia akan diambil nyawanya.

Ayat ini dimulakan dengan menceritakan kejadian kita daripada tanah. Kemudian disebut kita akan dimatikan apabila sudah habis ajal kita. Dia jadikan kita daripada tanah dan akan mengembalikan kita kepada tanah juga. Ini semua orang tahu yang mereka akan mati akhirnya.

Allah ‎ﷻ yang menentukan bila kita akan mati. Pelbagai jenis cara kita mati. Tidak sama umur seseorang dengan orang yang lain. Ada yang pendek umurnya dan ada yang panjang umurnya. Itu semua adalah dalam قَضَىٰ Nya. Tidak akan terjadi lebih awal atau terlambat. Maka kalau kita hendak mengambil nyawa kita sendiri, atau hendak ambil nyawa orang lain, namun jika Allah‎ ﷻ belum قَضَىٰ lagi masa untuk dia mati, maka tidak habis ajal orang itu.

Kadang-kadang kita dengar seseorang yang mengalami kemalangan yang amat teruk sekali tetapi dia tidak mati lagi. Ini kerana Allah ‎ﷻ belum قَضَىٰ matinya lagi. Ada orang pula melawat orang yang sakit tenat di hospital, tetapi dia pula yang mati dahulu.

Maka, kalau seseorang itu mati, tetapi ada yang kita kata dia ‘mati awal’, dia patut tidak mati lagi, atau kita kata doktor yang buat silap dalam pembedahan dan sebagainya, itu adalah salah faham. Kerana Allah ‎ﷻlah yang menetapkan yang seseorang itu akan mati waktu itu, jam itu dan saat itu.

 

وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ

dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya;

Ini pula adalah ‘ajal’ yang kedua. Sebagaimana diri kita ini akan mati akhirnya, maka alam semesta juga akan sampai masanya, mati juga. Allah‎ ﷻ telah tentukan bilakah alam ini akan dihancurkan.

Kalimah مُّسَمًّى bermaksud sesuatu ‘yang telah diberi banyak nama’. Yang ‘dikenali dengan banyak nama’. Yang dimaksudkan adalah hari kiamat. Kita pun tahu yang Kiamat itu ada banyak nama.

Telah ‘diketahui yang ia akan tiba’ tetapi tidak diketahui ‘bilakah’ ia akan terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak akan ada yang tahu sampai bila-bila. Oleh itu, buang masa sahaja mengagak bilakah hari Kiamat itu.

Para saintis ada yang suka sangat mengkaji bilakah alam ini akan hancur. Ada juga ahli-ahli agama yang buat andaian bilakah ia akan terjadi. Yang menyedihkan, ada juga orang Islam yang kononnya ustaz yang cuba beri agakan bilakah ia akan terjadi, alangkah bodohnya mereka.

Yang sepatutnya kita lakukan adalah taat kepada Allah ‎ﷻ dan melakukan ibadat untuk menyediakan diri kita untuk hari itu. Bukannya sibuk mencari bilakah ia akan terjadi.

Dikatakan ayat ini merujuk kepada ‘hari kiamat’ kerana ada perkataan عِندَهُ (di sisi-Nya) itu. Kerana pengetahuan tentang bila terjadinya kiamat itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Seperti yang Allah‎ ﷻ firman dalam Mulk: 26

قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

 

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadinya kiamat itu. Dalam Sahih Bukhari, ada dimasukkan satu hadith yang menyentuh perkara ini. Iaitu dalam satu hadith yang terkenal sebagai ‘Hadith Jibril’:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ {كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الإِيمَانُ ؟ قَالَ الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ . قَالَ مَا الإِسْلامُ ؟ قَالَ الإِسْلامُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ وَلا تُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤَدِّيَ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ. قَالَ مَا الإِحْسَانُ؟ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. وَسَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتِ الأَمَةُ رَبَّهَا , وَإِذَا تَطَاوَلَ رُعَاةُ الإِبِلِ الْبُهْمُ فِي الْبُنْيَانِ , فِي خَمْسٍ لا يَعْلَمُهُنَّ إِلاَّ اللَّهُ ثُمَّ تَلا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ ) الآيَةَ ثُمَّ أَدْبَرَ. فَقَالَ رُدُّوهُ فَلَمْ يَرَوْا شَيْئًا فَقَالَ هَذَا جِبْرِيلُ جَاءَ يُعَلِّمُ النَّاسَ دِينَهُمْ} قَالَ أَبو عَبْد اللَّهِ جَعَلَ ذَلِك كُلَّهُ مِنَ الإِيمَانِ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Abu Hayyan At Taimi daripada Abu Zur’ah daripada Abu Hurairah berkata; bahawa Nabi  ﷺ pada suatu hari muncul kepada para sahabat, lalu datang Malaikat Jibril عليه السلام yang kemudian bertanya: “Apakah iman itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan kamu beriman kepada hari berbangkit”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah Islam itu?” Jawab Nabi ﷺ: “Islam adalah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apapun, kamu dirikan salat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah ihsan itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu”. (Jibril عليه السلام) berkata lagi: “Bilakah terjadinya hari kiamat?” Nabi  ﷺ menjawab: “Yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi aku akan terangkan tanda-tandanya; (iaitu); jika seorang budak telah melahirkan tuannya, jika para penggembala unta yang berkulit hitam berlumba-lumba membangun gedung-gedung selama lima masa, yang tidak diketahui lamanya kecuali oleh Allah”. Kemudian Nabi ﷺ membaca: “Sesungguhnya hanya pada Allah pengetahuan tentang hari kiamat” (Luqman: 34). Setelah itu Jibril عليه السلام pergi, kemudian Nabi ﷺ berkata; “Hadapkan dia ke sini.” Tetapi para sahabat tidak melihat sesuatu pun, maka Nabi ﷺ bersabda; “Dia adalah Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada manusia untuk mengajarkan agama mereka.” Abu Abdullah berkata: “Semua hal yang diterangkan Beliau ﷺ dijadikan sebagai iman.

Hadith ini diriwayatkan daripada sahabat Umar bin Al-Khathab رضي الله عنه. Hadith ini boleh didapati di kedua-dua kitab Shahihain, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Daripada hadith ini, kita dapat tahu, Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat, malah Malaikat Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu. Kalau Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu

Ada banyak perkataan yang digunakan untuk membawa ‘ragu-ragu’ dalam Al-Qur’an. Dalam ayat ini, digunakan perkataan تَمْتَرُونَ.

Perkataan تَمْتَرُونَ ini adalah dari katadasar م ر ي yang bermaksud: ‘ragu-ragu tentang perkara yang jelas’. Seperti hari siang tetapi ada juga orang yang kata malam lagi. Kalau begitu, maknanya dia ragu-ragu sangat dan ia adalah keraguan yang tidak patut.

Hari kiamat adalah pasti. Banyak nama telah diberikan untuknya. Telah disebut terlalu banyak dalam Al-Qur’an. Secara logik pun, banyak hujah yang kuat boleh digunakan untuk menyatakan kepastian tentang hari kiamat itu.

Kita sendiri adalah dalil tentang adanya hari akhirat itu kerana dalam diri kita ada roh dan roh itu hanya akan keluar pada hari akhirat nanti.

Ragu dalam ayat ini juga bermaksud mereka ragu-ragu bahawa Allah‎ ﷻlah yang menciptakan semua sekali dalam alam ini. Orang yang buat syirik itu mereka sebenarnya ragu-ragu bahawa Allah ‎ﷻ berkuasa penuh menghidupkan dan mematikan. Mereka merasakan bahawa ada lagi entiti lain yang ada kuasa selain Allah‎ ﷻ.

Yang paling penting adalah mereka ragu-ragu tentang Hari Kebangkitan. Mereka tidak dapat terima yang apabila mereka mati dan menjadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ telah katakan bahawa Dia telah menjadikan kita daripada tanah dalam ayat sebelum ini. Kalau Dia telah jadikan kita asalnya daripada tanah, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kita kembali apabila kita sudah menjadi tanah?

Dalam surah Taha telah disebut tentang perkara ini, iaitu dalam Taha:55

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Inilah yang menghairankan sekali kerana Musyrikin Mekah tahu dan terima bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan mereka. Tetapi apabila disebut tentang Kebangkitan Semula, mereka tidak boleh terima pula. Ini kerana mereka takut jika mereka terima Hari Kebangkitan, bermakna mereka kena jawab segala kesalahan yang telah mereka lakukan.

Perkataan م ري juga bermaksud ‘berbalah’. Mereka Musyrikin Mekah itu berbalah sesama mereka tentang kejadian Hari Kebangkitan. Ada yang kata ada Hari Kebangkitan dan ramai yang kata tidak ada Hari Kebangkitan.


 

An’am Ayat 3:

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَفِي الأَرضِ ۖ يَعلَمُ سِرَّكُم وَجَهرَكُم وَيَعلَمُ ما تَكسِبونَ

Sahih International

And He is Allah , [the only deity] in the heavens and the earth. He knows your secret and what you make public, and He knows that which you earn.

Malay

Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

 

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia lah Allah di langit

Allah ‎ﷻlah Tuhan yang disembah di langit. Iaitu disembah oleh para malaikat. Maknanya Allah‎ ﷻ yang mengurus langit.

Dan Allah‎ ﷻ juga yang mengurus bumi. Allah‎ ﷻ tidak memberikan pengurusan alam ini kepada makhluk. Tidaklah Allah‎ ﷻ memberikan tugas mengurus alam kepada Nabi yang sudah wafat, wali yang sudah wafat atau sesiapa sahaja. Allah ‎ﷻ sendiri yang menguruskan alam ini dengan sendirinya.

 

وَفِي الْأَرْضِ

dan di bumi;

Dan Allah ‎ﷻ juga Tuhan yang disembah di bumi. Disembah oleh manusia, jin, binatang malah semua makhluk termasuk alam yang kita sangka tidak bernyawa ini. Dalam ayat lain ada disebut bahawa alam ini semuanya bertasbih kepada Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut yang Dia adalah Tuhan di langit dan di bumi? Ini disebut kerana ada yang kata Tuhan itu duduknya di langit dan tidak hiraukan keadaan kita di dunia ini. Kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah percaya bahawa Allah‎ ﷻ itu memang yang menjadikan alam ini.

Tetapi mereka kata selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ telah menyerahkan urusan seharian alam ini kepada ‘tuhan-tuhan mini’ yang lain. Ada ilah yang menjaga waktu, ada yang menjaga air, ada yang menjaga angin dan sebagainya.

Begitu juga dalam dunia sekarang, ada agama yang percaya kepada ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan segala-galanya. Tetapi selepas dijadikan alam ini, Dia berehat di langit.

Begitu juga, ada fahaman sesat dalam Islam yang dinamakan ‘Qadariah’ yang mengatakan selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ menyerahkan segala urusan dunia kepada manusia untuk uruskan. Mereka kata kita sendiri yang menentukan untung nasib diri kita 100% tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.

Mereka kata Allah ‎ﷻ sudah tidak peduli dengan apa yang terjadi. Semuanya adalah atas usaha manusia sendiri. Ini juga adalah satu akidah sesat. Jadi Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini yang Dia ambil tahu keadaan makhluk-Nya di dunia ini. Allah ‎ﷻ sentiasa mengurus makhluk-Nya di langit dan di bumi. Kerana itulah kita sentiasa kena berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada kita dalam urusan hidup kita.

Ada orang yang bodoh dan jahil mengatakan Allah ‎ﷻ berada di langit dan di bumi. Dan mereka kata Allah ‎ﷻ berada di mana-mana. Mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka.

Itu adalah kata-kata yang amat merbahaya dan salah sama sekali. Kalau kita terima Allah ‎ﷻ berada di mana-mana, maka kita bolehlah kata Allah‎ ﷻ ada dalam rumah kita, dalam almari kita, dalam poket kita, dalam tandas dan pelbagai tempat lagi. Itu adalah kata-kata yang amat merendahkan kedudukan Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ begitu.

Yang sebenarnya, ‘ilmu’ Allah ‎ﷻ meliputi langit dan bumi. Allah ‎ﷻ tahu apa yang berlaku di langit dan di bumi malah di mana-mana sahaja. Maka di mana Allah ‎ﷻ? Allah berada di Arasy-Nya. Namun begitu ilmu-Nya meliputi semua tempat. Allah‎ ﷻ tidak perlu berada di bumi untuk mengetahui apa yang terjadi di bumi.

 

يَعْلَمُ سِرَّكُمْ

Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan

Ada rahsia yang manusia simpan dalam dirinya. Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dan disimpan dalam dirinya sahaja. Yang tahu hanya dia dan Allah ‎ﷻ sahaja. Ada pula jenis rahsia yang seseorang itu menceritakan kepada orang tertentu sahaja. Allah‎ ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia tahu semua rahsia, tidak kira jenis rahsia. Sama ada yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan rahsia yang dikongsi dengan orang tertentu sahaja.

Ini adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ Maha Mendengar walaupun perkara yang kita rahsiakan daripada orang lain. Mungkin ada perkara yang kita boleh sembunyikan daripada makhluk. Ada perbualan yang kita bisik-bisik dengan kawan kita yang orang lain tidak tahu. Tetapi ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ mendengar segalanya, walaupun perbualan yang kita bisikkan, sembunyikan. Malah Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita bisikkan dalam hati kita.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa ini. Namun, amat menyedihkan terdapat kesyirikan yang manusia lakukan tentang perkara ini. Seperti yang kita telah sebut, Allah ‎ﷻ maha tahu. Tetapi ada dalam kalangan kita yang takut hendak bercakap yang tidak elok tentang seseorang kerana mereka rasa kalau jika kutuk orang itu, dia boleh dengar apa yang kita cakapkan itu.

Ini sebenarnya telah mengambil salah satu sifat Allah; iaitu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang maha mendengar. Akan tetapi ada manusia yang berfahaman syirik yang meletakkan sifat itu ada pada makhluk juga. Ini adalah satu kesyirikan kerana telah menyamakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk.

 

وَجَهْرَكُمْ

dan apa yang kamu lahirkan,

Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita cakap dengan kuat dan jelas. Yang kita cakap kepada orang lain, termasuklah SMS yang kita hantar, Whatsapp dan apa yang kita post dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam blog malah semuanya. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ ambil kira.

Oleh itu kita kena sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhati kita. Jika kita dapat sedar hal ini, tentu kita takut untuk membuat perkara yang salah. Jika ayah kita depan kita pun kita sudah jaga perbuatan kita, bukan? Apatah lagi kalau kita boleh sedar bahawa Allah ‎ﷻ sendiri sedang memerhatikan kita.

 

وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah ‎ﷻ tahu apa usaha kita dan apa hasil yang kita dapat daripada usaha itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ tahu berapa gaji kita yang kadang-kadang kita rahsiakan daripada orang lain.

Allah ‎ﷻ tahu apakah perbuatan kita sama ada kita buat sendiri-sendiri atau buat beramai-ramai.

Allah ‎ﷻ juga tahu perkara ghaib iaitu apakah amal ibadat kita dan pahala yang kita dapat daripada amal kita itu.

Jadi Allah ‎ﷻ tahu apakah usaha kita dalam dunia atau untuk akhirat. Sama ada perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Allah ‎ﷻ juga tahu perasaan kita, apa yang kita rasa. Begitu juga Allah ‎ﷻ tahu apakah ilmu dan pengetahuan kita. Semua itu termasuk dalam apa yang dapat daripada hasil perbuatan kita.

Daripada ayat ini, kita tahu yang Allah ‎ﷻ bukan sahaja telah menjadikan kita dan alam ini, tetapi selepas itu Dia memerhati apa yang kita lakukan. Dalam segenap perbuatan dan percakapan kita dan apa yang terjadi kepada kita, Allah ‎ﷻ tahu niat kita. Allah‎ ﷻ tahu sama ada apa yang kita buat itu ikhlas atau tidak.


 

An’am Ayat 4: Ayat Zajrun (teguran).

وَما تَأتيهِم مِّن ءآيَةٍ مِّن ءآيٰتِ رَبِّهِم إِلّا كانوا عَنها مُعرِضينَ

Sahih International

And no sign comes to them from the signs of their Lord except that they turn away therefrom.

Malay

Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

 

وَمَا تَأْتِيهِم

Dan tidak ada yang sampai kepada mereka

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Bukan mereka sahaja, tetapi mereka yang sefahaman dengan mereka. Jangan sangka mereka sahaja, kerana entah-entah kita pun ada akidah seperti mereka juga.

 

مِّنْ ءآيَةٍ

daripada sesuatu tanda pun

Salah satu tanda yang ditunjukkan kepada mereka adalah ‘mukjizat’. Mereka telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai mukjizat daripada Nabi. Sampaikan pernah dibelah bulan di hadapan mata mereka. Al-Qur’an itu sendiri merupakan sebuah mukjizat kerana sifat mukjizat itu bermaksud ‘mengalahkan’, dan kehebatan bahasa Al-Qur’an telah mengalahkan kemahiran bahasa Arab mereka.

Oleh itu kalimah ‘ayat’ bermaksud ‘tanda’. Jadi banyak tanda-tanda dalam alam ini yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam ayat ke 2, Allah‎ ﷻ telah sebutkan tentang ‘langit’ dan ‘bumi’. Itu adalah dua daripada tanda-tanda yang besar. Ia menjadi tanda kepada kewujudan Allah ‎ﷻ, juga menjadi tanda bagi kehebatan Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buka mata hati kita, kita pun akan nampak banyak tanda-tanda untuk meningkatkan keimanan kita. Antaranya, ada kalanya kita minta doa kepada Allah ‎ﷻ dengan sepenuh hati kita dan Allah ‎ﷻ makbulkan doa itu. Alangkah sukanya hati kita pada waktu itu. Maka sedarlah kita pada waktu itu yang memang ada Allah ‎ﷻ yang mendengar doa kita.

‘Ayat’ dalam ayat ini juga merujuk kepada ayat-ayat syar’i iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Dan ini yang selalu kita faham, bukan? Cuma jangan terhadkan kepada ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, kerana ayat itu ada banyak lagi.

 

مِّنْ ءآيٰتِ رَبِّهِمْ

daripada pelbagai keterangan-keterangan Tuhan mereka,

Semua itu adalah tanda-tanda daripada Allah ‎ﷻ kepada kita semua untuk untuk menunjukkan kepada kita tentang kewujudan-Nya. Maka ia sepatutnya menambahkan keimanan kita. Akan tetapi ini bagi mereka yang membuka mata hatinya sahaja; itu mereka melihat alam ini dan berfikir dengan mendalam. Tidaklah dia lihat dengan kosong sahaja.

 

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berkenaannya selalu buat tidak endah

Bermaksud mereka enggan menerimanya. Mereka nampak alam ini, tetapi mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah‎ ﷻ di belakangnya.

Oleh kerana itu, mereka tidak menghiraukan tanda-tanda itu. Perkataan مُعْرِضِينَ itu diambil daripada kata dasar ع ر ض yang  asalnya bermaksud ‘mempersembahkan’. Perkataan مُعْرِضِينَ  itu seperti mereka dalam proses hendak mempersembahkan sesuatu, tetapi kemudian mereka buat tidak tahu. Maknanya, mereka tahu kebenaran itu tetapi mereka buat tidak tahu dengan sengaja.

Mereka berpaling daripada ayat-ayat itu dengan hati dan perbuatan mereka. Mereka nampak yang ia adalah kebenaran tetapi mereka pilih untuk tidak menerima dan mengikutinya.

Musyrikin Mekah telah banyak minta ditunjukkan mukjizat dan ada yang telah ditunjukkan kepada mereka. Namun mereka masih menolak juga kebenaran selepas itu kerana hati mereka memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan mereka untuk menolak kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sayang sangat kepada dunia.

Seperti orang kita juga. Kalau menonton wayang dua jam tidak apa tetapi kalau hendak belajar tafsir, ajaklah bagaimana sekalipun tetap tidak mahu datang. Walaupun mereka tahu yang Al-Qur’an itu adalah pegangan hidup kita sebagai orang Islam. Dan mereka tahu yang mereka tidak faham Al-Qur’an.

Mereka juga tahu yang ia adalah penting untuk mengetahui apa yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Tetapi mereka masih tidak mahu belajar apabila diajak. Mereka tidak ada usaha pun untuk memahami ayat Al-Qur’an. Mereka lebih pentingkan hal lain daripada hal keduniaan. Hal-hal agama mereka buat lebih kurang sahaja.

Ayat ini memberitahu juga kepada kita kewajipan untuk melihat tanda-tanda Allah ‎ﷻ dalam alam ini dan juga ayat-ayat Al-Qur’an. Kena tadabbur (melihat yang tersirat) dalam ayat-ayat Al-Qur’an baru dapat faham. Yang itu kena belajar kerana kalau baca-baca sendiri tidak akan faham.


 

An’am Ayat 5:

فَقَد كَذَّبوا بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُم ۖ فَسَوفَ يَأتيهِم أَنباءُ ما كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Sahih International

For they had denied the truth when it came to them, but there is going to reach them the news of what they used to ridicule.

Malay

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Qur’an) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).

 

فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran

Kalimah الْحَقِّ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah apa-apa sahaja kebenaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ, sama ada ia adalah Al-Qur’an, kata-katanya (hadith) dan ajarannya.

Kebenaran yang paling utama adalah: Allah ‎ﷻ sahaja Tuhan kita yang boleh disembah dan diminta doa. Tetapi orang-orang yang tidak mahu beriman, tidak mahu menerima kebenaran ini. Termasuklah golongan Musyrikin Mekah (dan mereka yang seakidah dengan mereka).

 

لَمَّا جَاءَهُمْ

ketika ia sampai kepada mereka.

Telah disampaikan ajaran tauhid kepada mereka, tetapi mereka masih tidak beriman. Ini mengajar kita bahawa amat teruk kalau seseorang sudah tahu kebenaran, tetapi masih menolaknya. Itu lebih teruk daripada mereka yang tidak tahu dari awal atau tidak diberitahu kepada mereka. Kalau tidak tahu pun salah juga tetapi tidak seteruk berbanding dengan yang sudah tahu.

Ini memberi ancaman kepada kita yang telah belajar atau yang telah diberitahu tentang tauhid tetapi masih lagi tidak berubah, maka bersedialah untuk menerima azab Allah ‎ﷻ yang amat berat.

Amat menyedihkan masih ramai yang tidak menerima tauhid ini apabila disampaikan kepada mereka. Antaranya masih ada manusia yang sembah raja, pesilat sembah guru silat mereka, pengamal keris cium keris dan pelbagai lagi perkara syirik yang mereka lakukan.

Ada yang campur zikir kepada Allah ‎ﷻ dengan makhluk lain. Contohnya, selepas mereka baca ‘la ilaaha illah’, mereka sambung dengan ‘Muhammadur Rasulullah’ dan mereka mengulang-ulang kata-kata itu sebagai zikir. Antara yang ramai buat sebegini ini adalah ibu-ibu yang mendodoi anak-anak mereka. Sepatutnya cukuplah mereka zikir ‘la ilaaha illah’ sahaja. Ini lebih selamat. Bukan tidak boleh sebut ‘Muhammadur Rasulullah’ tetapi janganlah dijadikan sebagai zikir.

 

فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ

Oleh itu, akan datanglah kepada mereka

Mereka akan didatangi dengan hukuman untuk mereka. Inilah balasan untuk mereka nanti.

 

أَنبَاءُ

berita-berita besar

Iaitu berita-berita azab yang dikenakan dulu kepada kaum-kaum yang dahulu. Termasuk juga azab yang akan mereka terima di akhirat kelak. Ini semua diberikan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman. Kita kenalah ambil perhatian dengan perkara ini.

 

مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ

apa yang mereka selalu ejek-ejek itu

Mereka yang menentang kebenaran telah memperolok-olok hari Kiamat kerana mereka tidak percaya. Mereka tidak percaya kepada azab yang dijanjikan kepada mereka. Mereka kata: “Kalau betul ada azab, berilah kepada kami sekarang”.

Sebagai contoh lagi, apabila dikatakan mereka akan diberi makan Buah Zaqqum di akhirat kelak, ada golongan Musyrikin Mekah yang mengejek dengan kata mereka hendak makan buah Zaqqum untuk makanan tengahari. Begitulah mereka mengejek-ejek ajaran Nabi ﷺ.

Ayat ini memberi ingatan dan pujukan kepada penyebar tauhid bahawa mereka akan diejek. Memang dari dulu sampai sekarang, inilah dugaan bagi pendakwah. Jadi, kena bersedia untuk diejek. Antara yang mereka ejek adalah mereka akan kata kita ini ‘Wahabi’. Jadi ini adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita tahu ia memang akan berlaku, maka tidaklah kita terkesan sangat kalau orang tuduh kita begitu, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 1] (Tunjukkan Jalan yang Lurus)

Ayat 6: Ayat ini Allah ﷻ kata untuk kita.

اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ

(SAHIH INTERNATIONAL)
Show us the straight way.

(MALAY)
Tunjukilah kami jalan yang lurus;

Setelah menyampaikan pujian kepada Allah ﷻ, dan hanya kepada-Nya sahaja permohonan ditujukan, maka layaklah jika hal itu diikuti dengan permintaan. Demikianlah cara berdoa yang elok, iaitu dengan memuji Allah ﷻ kemudian memohon keperluan untuk diri sendiri dan dan keperluan saudara-saudaranya dalam kalangan orang-orang beriman.

Seorang hamba sentiasa memerlukan Allah ﷻ setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kelangsungan hidayah, kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah ﷻ menghendaki. Orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah ﷻ untuk memohon kepada-Nya. Kita berharap semoga Allah ﷻ berkenan terus menunjukkan kita kepada jalan yang lurus dan tidak menyimpangkan kita ke jalan yang lainnya.

Apakah yang hendak dimaksudkan dengan ‘tunjuk’? Katakanlah kita minta seseorang tunjukkan jalan ke sesuatu tempat kepada kita. Kalau orang itu beritahu sahaja, (Encik ikut jalan ini, kemudian belok kiri, kemudian belok kanan, ada simpang kecil, encik masuk sampai lebih kurang dua batu, jumpalah tempat yang encik cari itu), ada kemungkinan kita boleh tersesat.

Sebab kadang-kadang tunjuk arah yang diberikan tidak jelas atau kita sendiri yang kurang faham dan susah untuk terima tunjuk arah daripada orang lain. Satu lagi petunjuk adalah dengan cara ‘pimpin‘. Iaitu orang yang tahu jalan itu mengikut naik sekali dalam kereta bersama dengan kita.

Allah ﷻ menurunkan Al-Qur’an ini kepada kita supaya ia dapat memimpin kepada jalan yang lurus. Iaitu terdapat kombinasi ‘tunjuk’ dan ‘pimpin’ sekali di dalamnya.

Jalan yang lurus itu hendak ke mana? Jawapannya ada dalam Surah Yaasin ayat 61:

وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku sahaja; inilah jalan yang lurus.

Maknanya apabila kita sembah Allah ﷻ sahaja, doa kepada Allah ﷻ sahaja – itulah jalan yang lurus. Maknanya kalau berdoa dengan menggunakan tawasul/perantaraan, itu bukan jalan yang lurus. Itu adalah jalan syirik kepada Allah ﷻ. Zikir hanya kepada Allah ﷻ. Puja hanya Allah ﷻ sahaja.

Maka apabila kita memuja kepada makhluk yang lain dengan memberi salam kepada mereka atau menyedekahkan Fatihah kepada mereka, itu bukanlah jalan yang lurus. Malangnya, kebanyaan orang kita buat sekarang, kerana mereka jahil tentang ilmu wahyu dan hanya mengikut orang sahaja.

Dalam Surah Maryam: 36, dinukilkan kembali kata-kata Nabi Isa عليه السلام semasa baginda masih bayi lagi. Iaitu selepas Maryam melahirkan Nabi Isa عليه السلام, beliau telah membawa Nabi Isa عليه السلام kepada kaumnya. Mereka telah menghina dan memaki Maryam kerana mereka sangka Maryam telah melakukan perkara yang terkutuk. Maka Maryam tunjukkan anaknya Nabi Isa عليه السلام kepada kaumnya. Maka Nabi Isa عليه السلام yang masih bayi itu telah berkata:

وَإِنَّ اللهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.

Oleh itu, apa yang kita belajar daripada ayat Surah Maryam ini, hendaklah kita melakukan pemujaan kepada Allah ﷻ sahaja. Maka jangan sembah dan puja makhluk lain seperti sultan dan jangan puja benda yang lain seperti keris dan sebagainya. Jangan seru makhluk-makhluk yang lain walaupun Nabi Muhammad ﷺ dengan sebut ‘Ya Nabi Muhammad’.

Maksud ‘Jalan yang Lurus’ adalah: kita mesti beribadat, puja dan berdoa *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja. Adakah kita buat ibadat kepada orang lain? Malangnya jika diteliti memang ada, secara tidak langsung, tanpa kita perasan kerana kita tidak belajar ilmu wahyu.

Contoh ibadat adalah seperti kita zikir la ilaha illa Allah. Itu adalah salah satu bentuk ibadat, iaitu berzikir. Zikir ini memang digalakkan. Akan tetapi kita selalu dengar orang berzikir begini: la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah. Itu adalah berzikir kepada Allah ﷻ *bersama* dengan Nabi Muhammad ﷺ. Bila dizikirkan bersama-sama dan diulang-ulang, maka ia bertukar menjadi zikir kepada Nabi ﷺ.

Ini adalah contoh zikir yang biasa dialunkan oleh seorang ibu dalam masyarakat kita untuk mendodoi anaknya begitu, bukan? Perbuatan tersebut tanpa sedar adalah kufur kepada Allah ﷻ kerana kita hanya dibenarkan berzikir kepada Allah ﷻ sahaja. Nabi ﷺ tidak pernah ajar zikir sebegini. Kita hanya disuruh berselawat sahaja kepada Nabi ﷺ. Itulah yang kita dituntut, bukan mengulang-ngulang kalimah syahadah.

Dalam masa yang sama, hendaklah berhati-hati dengan berjenis-jenis selawat yang diajar kerana terdapat juga selawat rekaan yang berlebihan itu akan menjadikan kita memuja Nabi Muhammad ﷺ secara melampau tanpa kita sedar.

Mungkin ramai yang keliru dengan perkara ini dan berkata: ‘Takkan salah pula kalau begitu?’ Sebenarnya, Allah ﷻ telah berfirman tentang perkara ini dalam Mukminoon: 117:

وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ لا بُرهانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكافِرونَ
Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

Ayat Mukminoon: 117 ini melarang kita puja Allah ﷻ yang bersamanya ada puja yang lain. Mereka yang menganjurkan bacaan zikir seperti itu memang tidak boleh memberikan dalil yang membolehkan berbuat begitu. Kerana memang Nabi ﷺ tidak pernah ajar. Allah ﷻ nanti akan hisab (nilai) kesalahan mereka itu dan Allah ﷻ akan balas kesalahan yang mereka lakukan itu.

Kemudian Allah ﷻ berfirman: إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ (Sesungguhnya tidak akan berjaya orang-orang kafir). Ini amat menakutkan sekali kerana ia bermakna, kalau buat begitu, jadi kafir. Mungkin ramai yang terkejut dan tidak bersetuju kerana amalan ini selalu sahaja dilakukan oleh masyarakat kita. Maka kita sebagai Muslim hendaklah menilai semula amalan sebegini: ‘Adakah berbaloi aku buat begini, sedangkan ada kemungkinan ia membawa kepada perbuatan kufur?’

Selain itu, ingatlah juga yang kita tidak boleh juga bertabarruk (mengambil berkat) dengan Nabi Muhammad ﷺ. Itu juga dipanggil perantaraan. Contoh ‘tabarruk’ adalah dengan berkata: “Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad, berilah kami begini dan begini”.

Nabi Muhammad ﷺ sememangnya mempunyai berkat. Akan tetapi Nabi ﷺ tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa pun. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh memberi berkat. Ini termaktub dalam Ayat Mulk: 1

تَبارَكَ الَّذي بِيَدِهِ المُلكُ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

Dalam Mulk: 1 ini mengajar kita yang Allah ﷻ sahaja yang ada berkat. Tidak boleh minta berkat dengan makhluk lain. Maka bertabarruk dengan Nabi Muhammad pun ﷺ dilarang juga.

Maksud ‘Meminta Hidayah’

Dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah diberikan dengan pengetahuan tentang siapakah Allah ﷻ. Selepas kita kenal Allah ﷻ, maka timbullah rasa dalam diri kita untuk sembah Allah ﷻ. Dan dalam ayat sebelum ini, kita telah mengaku bahawa hanya kepada Dia sahaja yang kita akan buat ibadat.

Namun bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyembah-Nya? Kita perlukan petunjuk untuk sembah Allah ﷻ kerana kita tidak mungkin boleh tahu kalau kita memikirkan sendiri perkara itu. Maka, ayat ini seterusnya adalah permintaan kita kepada Allah ﷻ untuk memberi petunjuk kepada kita.

Dalam ayat ini, kita sebenarnya meminta taufik dan hidayah kepada Allah ﷻ. Bukan semua orang mendapat taufik sebenarnya. Maka, ia adalah sebuah anugerah yang besar. Seperti yang Allah ﷻ firman dalam al-An’am: 125

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam;

Oleh itu berdoalah supaya kita mendapat hidayah dan juga taufik daripada Allah ﷻ. Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang kehendaki untuk beri hidayah kepada kita.

Dalam ayat ini, kita berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ untuk memberi hidayah kepada kita. Lalu, apakah ‘hidayah’ itu dan apakah sebenarnya yang kita pohonkan? Hidayah yang kita mohon kepada Allah ﷻ adalah:

1. Hidayah dalam bentuk wahyu. Iaitu tentang apa yang perlu kita lakukan sebagai Muslim. Semua manusia mendapat hidayah ini. Allah ﷻ telah berikan wahyu itu dalam bentuk Al-Qur’an dan juga sunnah daripada Nabi ﷺ.

2. Hidayah supaya Allah ﷻ mengerakkan hati kita untuk menerima pedoman itu dan mengamalkannya. Ini penting, kerana walaupun hidayah itu telah diberikan, tetapi tidak semua makhluk mampu mengikutinya.

Oleh itu, ada dua jenis hidayah. Kedua-dua hidayah itu adalah daripada Allah ﷻ. Kita minta kedua-duanya kepada Allah ﷻ. Ini adalah pemberian yang amat penting sekali. Sebagaimana Allah ﷻ telah berfirman dalam Kahf: 17

مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

Semua manusia memerlukan kepada hidayah daripada Allah ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun perlu kepada keduanya. Seperti yang Allah ﷻ telah firman dalam Dhuha: 7

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ
Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk.

Oleh sebab itu, kalau kita mendapat hidayah daripada Allah ﷻ, maka hendaklah kita amat-amat bersyukur. Ini adalah kerana tidak semua manusia mendapatnya. Lihatlah bagaimana ada yang lahir dalam Islam tetapi mati dalam kufur juga. Namun, ada yang lahir dalam agama kafir tetapi akhirnya mati sebagai Muslim.

Kadang-kadang, seseorang yang masuk Islam itu dengan cara yang tidak disangka-sangka. Kita sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana seseorang itu mendapat iman.

Maka bersyukurlah yang kita lahir-lahir sahaja dalam Islam. Ini sudah memudahkan kita untuk kenal kebenaran. Dan hendaklah kita berdoa semoga kita terus kekal dan mati dalam Islam kerana belum tentu kita lahir dalam keluarga Muslim dapat menjamin kita mati sebagai seorang Muslim yang beriman. Ketahuilah bahawa inilah nikmat yang terbesar.

Dan nikmat Islam ini akan berterusan sampai akhirat. Maknanya, nikmat ini bukan kita boleh guna untuk dunia sahaja, tetapi ia berterusan sampai ke akhirat. Kalau kita dapat kekayaan yang banyak, itu hanyalah nikmat di dunia sahaja. Bila sudah mati, habislah nikmat itu tidak berguna (melainkan kalau kita infakkan). Akan tetapi nikmat iman, dibawa sampai ke akhirat dan sampai bila-bila.

Maka bersyukurlah yang kita mendapat hidayah dan kemudian kita jaga iman kita dan bermohon kepada Allah ﷻ supaya mengekalkan kita dalam Islam. Kerana Allah ﷻ boleh beri hidayah itu, dan Allah ﷻ boleh sahaja menariknya semula bila-bila masa Dia mahu. Alangkah malangnya kalau kita tidak menjaga hidayah ini dan Allah ﷻ menarik semula hidayah yang telah diberinya dahulu. Nauzubillahi min zaalik!

Kerana kepentingan hidayah yang amat besar itulah kita sentiasa mohon petunjuk daripada Allah ﷻ. Itulah yang Allah ﷻ kata dalam doa Surah Al-Fatihah ini.

Dari segi bahasa, ‘hidayah’ bermaksud ‘membawa seseorang ke arah sesuatu’. Ada dua elemen dalam maksud ini:

1. ada sesuatu/seseorang yang dibawa, dan
2. dibawa menuju kepada satu destinasi.

Yang dibawa itu adalah kita; dan destinasi yang dimaksudkan adalah ‘jalan yang lurus’. Oleh itu, kita minta Allah ﷻ tunjukkan apakah ‘jalan yang lurus’ itu.

Dan juga kita minta Allah ﷻ ‘letakkan’ kita dalam jalan itu, supaya kita dapat mengikut jalan itu. Bukan kita minta tunjukkan sahaja, tetapi minta kita ‘diletakkan’ dalam jalan itu. kedua-dua sekali kita mahu Allah ﷻ berikan. Bukan tunjuk sahaja.

Dalam Surah Al-Fatihah sebelum ini, sudah ada doa yang dibacakan, iaitu إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (kepada Engkaulah kami mohon pertolongan). Tetapi doa itu adalah doa dalam bentuk umum. Sekarang, ayat ini adalah doa dalam bentuk yang lebih spesifik. Kita kena ingat yang Allah ﷻ yang ajar kita baca doa ini.

Sudahlah Allah ﷻ ajar kita doa ini, kemudian Allah ﷻ suruh kita baca doa ini berulang-ulang, berkali-kali dalam sehari, terutama sekali apabila kita membaca Surah Al-Fatihah ini dalam solat kita. Sekurang-kurangnya kita membaca doa ini sebanyak 17 kali sehari semalam. Menunjukkan betapa pentingnya doa ini. Maknanya, kita amat memerlukan hidayah ini. Memang kita kena selalu berdoa kepada Allah ﷻ supaya diberikan hidayah ini.

Dalam kita membicarakan doa ini, molek juga jikalau kita memberitahu bagaimana orang Kristian menuduh Muslim dengan menggunakan ayat ini: Mereka kata orang Islam memohon hidayah daripada Tuhan dalam ayat ini, menunjukkan yang kita tahu yang kita sesat, sebab itu sampai kena minta hidayah. Mereka kata, sebab itu kita orang Islam kena minta hidayah.

Mungkin, dengan kata-kata itu, ada orang Islam juga yang keliru kenapa kita perlu minta kepada hidayah lagi. Sebab apa kita yang sudah Islam ini masih minta petunjuk lagi? Mungkin ada yang keliru dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh orang Kristian ini. Kekeliruan itu adalah kerana salah faham sahaja kerana tidak belajar agama sendiri. Oleh kerana tidak mahu orang Islam keliru, kita akan bincangkan tentang perkara ini.

Maksud kita minta petunjuk itu bukanlah petunjuk biasa sahaja, tetapi yang dimaksudkan adalah kita minta ‘petunjuk yang lengkap’. Kita mahukan semua sekali ‘hidayah’ yang diberikan oleh Allah ﷻ. Hidayah itu ada banyak perkara, yang merangkumi:

– Hidayah kepada agama Islam supaya kita menjadi orang Islam. Alhamdulillah, kita sudah berada dalam agama Islam. Kita lahir-lahir sahaja sudah beragama Islam.

– Hidayah supaya kita kenal manakah yang benar. Kita hendak Allah ﷻ beritahu kita apakah yang Allah ﷻ hendak kita lakukan dalam setiap keadaan. Kerana kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan kalau Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita. Cara Allah ﷻ beritahu itu adalah dengan beri wahyu, berikan Rasul untuk sampaikan kepada kita.

– Kita memohon taufik kepada Allah ﷻ. Taufik adalah keinginan dalam diri kita untuk melakukan amal. Kerana ada orang yang sudah tahu apakah yang perlu dilakukan, tetapi apabila tidak ada taufik, dia tidak melakukannya kerana tidak ada kekuatan. Dia setakat tahu sahaja, tetapi tidak buat.

– Kita memohon kepada Allah ﷻ untuk membolehkan kita melakukan sesuatu amal itu. Kerana kalau Allah ﷻ tidak izinkan, kita tidak mampu melakukannya. Kerana mungkin kita tahu apa yang hendak dilakukan, kita pun sudah ada keinginan untuk melakukannya, tetapi kalau Allah ﷻ tidak izinkan kita lakukan, kita pun tidak dapat melakukannya.

– Kita memohon kepada Allah ﷻ untuk mengajar kita bagaimanakah cara melakukan ibadat-ibadat (kaifiat) itu. Kerana kalau Allah ﷻ tidak ajar bagaimana cara beribadat kepada-Nya, kita tidak akan tahu. Sedangkan kita kena ikut cara ibadat yang Allah ﷻ kehendaki. Kalau kita tidak mengamalkan ibadat seperti yang dikehendaki oleh Allah ﷻ dan diajar oleh Rasu-lNya, maka amalan itu adalah amalan ‘bid’ah’, dan amalan ‘bid’ah’ adalah ditolak.

Kalau ditolak, sia-sia sahaja susah payah kita mengerjakan amalan itu. Maka, kita kenalah melihat sama ada satu-satu amalan itu telah ditunjukkan caranya oleh Nabi Muhammad ﷺ.

– Kita memohon kepada Allah ﷻ untuk memberi taufik kepada kita supaya kita dikuatkan untuk terus beramal dengan amalan ibadah itu. Kita mungkin telah tahu cara melakukan sesuatu ibadah itu, tetapi kalau Allah ﷻ tidak beri kekuatan kepada kita untuk terus melakukannya, tentu kita buat sekejap sahaja.

Sedangkan, Allah ﷻ suka kita istiqamah dalam beribadat kepada-Nya. Iaitu terus melakukan ibadat itu berterusan. Mungkin ibadat itu tidak banyak, tetapi tinggi nilainya kalau kita berterusan melakukannya. Jangan buat sekejap sahaja, dan kemudian tinggalkan.

– Kita memohon kepada Allah ﷻ untuk membuang segala penghalang yang boleh menghalang kita melakukan ibadat itu, supaya kita boleh amalkan Islam dengan yang sepatutnya. Kerana tentu akan ada perkara-perkara yang menghalang kita.

Maka, hendaklah kita memohon supaya Allah ﷻ menjauhkan kita daripada segala halangan itu. Kita sebenarnya tidak tahu apakah yang boleh menghalang kita daripada mendapat petunjuk. Ia boleh menjadi apa-apa sahaja. Namun, kita memohon kepada Allah ﷻ supaya menghilangkan segala halangan itu, tidak kira apa sekalipun halangan itu.

Itulah antara elemen-elemen hidayah yang kita minta kepada Allah ﷻ. Bukan hanya hidayah untuk masuk Islam sahaja. Oleh itu, kita sekarang tahulah yang apa yang ditohmahkan oleh Kristian itu tidak kena dengan pemahaman yang sebenar. Sebenarnya, tidak perlu takut dengan agama Kristian, kerana agama mereka lagi pelik dan tidak masuk akal.

Kita memang selalu membaca ayat ini dalam solat kita. Namun adakah kita tahu apakah maksudnya? Kalau kita meminta sesuatu, tentulah kita patut tahu apakah yang kita mahukan, bukan? Takkan kita hendak meminta sesuatu yang kita tidak faham pun apa yang kita minta, bukan? Maka, elok sangatlah kalau kita tahu apa yang kita minta.

Kita boleh faham sekarang bahawa banyak elemen yang termasuk dalam ‘hidayah’ itu. Sebelum ini mungkin kita tidak tahu pun. Maka, apabila kita membaca ayat ini di dalam solat nanti, ianya akan memberi lebih makna kepada kita. Tidaklah kita baca kosong sahaja.

Inilah salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat kita. Apabila kita faham apa yang kita baca dalam solat, kita akan lebih terkesan dengan solat kita. Kita akan lebih memberi perhatian kepada solat kita. Itulah yang dinamakan ‘khusyuk’.

Memang banyak yang kita minta kepada Allah ﷻ dalam ayat ini. Tidaklah semestinya kita akan dapat terus semuanya pada satu masa. Sebab itulah kita kena selalu berdoa kepada Allah ﷻ dengan penuh pengharapan. Kadang-kadang kita hanya dapat apa yang kita mohonkan itu sedikit demi sedikit. Dan walaupun kita sudah ada hidayah itu, ada kalanya ia boleh hilang sekejap. Maka kita mestilah berdoa kepada Allah ﷻ sentiasa.

Kepentingan Hidayah

Ingatlah bahawa petunjuk inilah yang paling kita perlukan. Ia amat penting sampaikan ia lebih penting daripada makan dan minum untuk melangsungkan hidup kita. Ini kerana, walaupun makanan dan minuman itu penting, tetapi makanan hanya keperluan fizikal di dunia sahaja.

Kalau kita tidak dapat makan, paling teruk, tubuh kita akan mati kelaparan dan kita akan berpindah ke alam barzakh yang tidak memerlukan makanan dan minuman pun. Akan tetapi petunjuk hidayah ini kita perlukan untuk dunia dan juga akhirat. Dengan mendapat petunjuk, kita akan mendapat nasib yang baik di akhirat.

Doa kita untuk hidayah ini diperlukan untuk masa lampau, masa sekarang dan juga masa depan.

Kenapa kita perlukan hidayah untuk masa lampau pula? Bukankah kita memerlukan hidayah ini untuk masa sekarang dan juga untuk masa hadapan? Sebenarnya memang perlu kerana walaupun hidayah kita untuk masa hadapan, kita perlu juga melihat masa lampau kita. Sebab kita kena periksa apakah amalan kita dulu. Kalau kita ada buat dosa dulu, kita minta ampun atas kesalahan kita dulu.

Kerana mungkin kita lakukan kesalahan dan dosa dahulu kerana kita tidak tahu bahawa apa yang kita lakukan dulu adalah salah. Ataupun kita waktu itu dalam keadaan lalai. Kalau kita ada buat salah, kita minta petunjuk kepada Allah ﷻ cara bagaimana untuk selesaikannya. Kalau dulu kita dalam jalan yang salah, kita minta Allah ﷻ letakkan kita atas jalan yang benar.

Kita juga minta Allah ﷻ tunjukkan manakah kesalahan kita dahulu supaya kita boleh berhenti daripada melakukannya dan memperbaiki amalan kita. Entah berapa ramai yang masih melakukan kesalahan dan dosa kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah satu kesalahan. Ini kerana mereka tidak mahu belajar manakah amalan yang betul.

Dan tentunya kita memerlukan hidayah untuk masa sekarang. Kita memerlukan hidayah dalam setiap perbuatan kita. Sama ada dalam hal agama ataupun perkara yang nampak tidak kena mengena pun dengan agama tetapi sebenarnya terbabit juga. Kerana segala kehidupan kita tidak terlepas daripada hukum agama. Ada yang wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

Sebagai contoh, bab makan: walaupun bukan hal ibadat, tetapi ada hukum wajib, sunat, haram dan halal. Makan itu ada masanya ia menjadi wajib, contohnya kalau kita boleh mati kalau tidak makan. Ketika itu, hukum makan menjadi wajib untuk kita.

Kita mestilah sentiasa meminta Allah ﷻ pandu kita dalam setiap detik kehidupan kita. Mungkin ada perkara yang kita tidak tahu hukumnya. Atau ada perkara yang ulama’ pun belum bincangkan. Iaitu perkara-perkara baru disebabkan peredaran zaman ataupun terjadinya peristiwa yang tidak pernah berlaku ketika zaman nabi dahulu. Contohnya hukum pemakaian topeng muka ketika solat berjemaah di masjid ketika berlakunya wabak pandemik di seluruh dunia.

Maka kita minta Allah ﷻ beri petunjuk kepada kita dalam segenap perkara. Cara Allah ﷻ beri petunjuk kita pun kita tidak tahu bagaimana. Mungkin kita diberikan dengan guru atau kitab yang boleh menjelaskan perkara itu sampai kita faham. Atau Allah  ﷻ beri ilham kepada kita bagaimana hendak buat.

Kita juga minta kepada Allah ﷻ bukan hanya untuk tahu apakah yang boleh dilakukan tetapi apakah yang terbaik. Iaitu manakah cara yang Allah ﷻ lebih suka kalau dibandingkan dengan cara yang lain. Sebagai contoh, kita tahu wudhu’ itu kena buat, tetapi bagaimanakah cara yang terbaik untuk melakukannya. Mungkin kita sudah tahu bagaimana melakukan wudhu’, tetapi kita perlu tahu manakah cara yang betul-betul mengikut sunnah Nabi ﷺ.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah al-An’am: Pengenalan – Ayat 1 (Tiga sembahan selain Allah)

Pengenalan

Al-An’am bermaksud ‘binatang ternak’. Ia adalah jamak kepada na’am yang asalnya bermaksud ‘unta’. ‘Binatang ternak’ disebut dalam surah ini kerana Musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka.

Surah al-An’am adalah Surah Makkiah yang terbesar. Ia menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh Arab Mekah. Jika Surah Baqarah mengisahkan tentang kerosakan dalam golongan Yahudi; Surah Ali Imran pula meneceritakan tentang kerosakan golongan Nasara; manakala Surah Nisa’ mengisahkan tentang kerosakan golongan Munafiqin, sementara Surah Maidah pula adalah gabungan tentang ketiga-tiga golongan (Yahudi, Nasara dan Munafiqin).

Oleh itu, satu lagi golongan tidak disebut iaitu Musyrikin dan ia disentuh dalam surah al-An’am ini.

Inilah empat golongan sesat yang disebut dalam Al-Qur’an satu persatu dan sifat-sifat mereka. Allah ‎ﷻ ajar awal-awal di dalam susunan surah-surah Al-Qur’an di permulaan supaya kita boleh kenal mereka dan periksa supaya tidak ada sifat-sifat mereka dalam diri kita. Ini penting kerana kita belajar tentang mereka bukanlah hendak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi seperti mereka.

Surah al-An’am ini telah diturunkan secara sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibril عليه السلام telah diiringi oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan betapa penting dan mulianya surah ini.

Jangan pula kita sangka yang turunnya malaikat beramai-ramai itu kerana hendak menjaga Al-Qur’an daripada dicuri atau dikacau oleh jin dan syaitan. Tidak, bukan begitu. Bukanlah malaikat-malaikat itu mesti menolong Jibril عليه السلام untuk menurunkan kononnya kerana Jibril عليه السلام sebagai malaikat sendiri pun takut, apatah lagi golongan jin. Namun begitu harus difahami bahawa para malaikat itu turun kerana kemuliaan surah ini. Contohnya seumpama seorang sultan melawat sesuatu kawasan, akan ada ramai pengikut yang akan mengiringinya.

Selalunya surah-surah yang panjang diturunkan sedikit demi sedikit, tetapi kali ini ia diturunkan hampir lengkap. Surah ini diturunkan setahun sebelum Hijrah ke Madinah. Maka, ia diturunkan di hujung-hujung masa Rasulullah ﷺ di Mekah. Oleh sebab itu, kata-kata di dalamnya merujuk kepada situasi itu – Nabi ﷺ telah lama berdakwah kepada mereka dan mereka tetap tidak mahu beriman. Teguran dalam surah ini agak kasar kerana ia diberikan kepada kaum yang amat degil. Masa berlembut dengan mereka sudah berlalu.

Surah Al-An’am ini adalah surah pertama Makkiah dalam susunan Al-Qur’an. Sebelum ini, surah-surah yang telah dibaca adalah surah-surah Madaniah, iaitu bermula dengan Surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maidah. Terdapat tema-tema yang berbeza antara surah yang Makkiah dan Madaniah. Surah Makkiah tema utamanya adalah peringatan. Ada dua jenis peringatan yang penting dalam kumpulan ini:

1. Surah Ayyaamillah – ‘Hari-hari Allah’. Ia mengandungi sejarah-sejarah penting yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Ia dibacakan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman.

2. Surah Alaa Illah – ‘Pemberian-pemberian Allah’. Diturunkan kepada manusia sebagai peringatan akan segala nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada mereka. Kadang-kadang kita tidak memandang dengan penting segala pemberian Allah‎ ﷻ itu kerana kita rasa ia biasa sahaja.

Namun begitu, terlalu banyak pengajaran sebenarnya yang terdapat di dalam segala pemberian Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk lihat kepada langit. Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan langit itu seimbang. Ini mengingatkan kita untuk berlaku adil dalam segenap kehidupan kita kerana keadilan bermaksud keseimbangan.

Ada banyak ayat dalam Surah al-An’am ini yang mengandungi peringatan kepada Alaa illah. Segala peringatan itu adalah berbentuk “Positive Reinforcement” (Pengukuhan Positif); untuk memberikan kita motivasi untuk melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Seperti juga apabila kita suruh anak kita belajar, kita akan cakap: “Husna, belajarlah baik-baik. Abba dah bagi macam-macam dah. Husna cuma belajar sahaja, boleh yer nak?” Allah ‎ﷻ mahu kita kenangkan segala pemberian-Nya supaya senang hendak melakukan ketaatan kepada-Nya.

Surah selepas Surah Al-An’am adalah satu lagi Surah Makkiah iaitu Surah Al-A’raf. Surah itu pula mengandungi banyak berkenaan ayyamillah; iaitu menceritakan tentang umat-umat yang lepas dan apakah yang terjadi kepada mereka apabila mereka tidak mahu beriman. Ia juga untuk memberi peringatan kepada kita, namun dalam bentuk yang lebih keras. Peringatan yang lebih keras diberikan kerana manusia masih lagi degil untuk beriman.

Nabi Muhammad ﷺ telah berdakwah kepada penduduk Mekah bertahun-tahun lamanya, dengan memberikan motivasi untuk mereka beriman. Tentulah baginda seorang pendakwah yang amat hebat. Akan tetapi ramai yang masih berdegil. Apabila degil, maka peringatan yang lebih keras akan diberikan.

Sama juga kita beri motivasi kepada anak kita untuk belajar, tetapi jika dia masih enggan, maka kita akan ancam mereka dengan ancaman yang keras. Kita katakan kepadanya yang kita akan rotan mereka, kurung mereka dan sebagainya. Kita ingatkan juga kepada mereka contoh-contoh mereka yang enggan belajar dan apakah yang terjadi kepada mereka.

Apabila masih lagi tidak terkesan dengan motivasi dan ancaman, maka langkah seterusnya kita akan hukum mereka. Maka kerana itu surah selepas Al-A’raf adalah Surah Al-Anfal yang menceritakan hukuman pertama yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah iaitu kekalahan mereka dalam Perang Badr.

Itu adalah hukuman pertama dan apabila masih lagi tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat akan diteruskan. Itu disebut dalam Surah At-Tawbah iaitu kekalahan mereka dalam Fath Makkah. Demikianlah Allah ‎ﷻ susun surah-surah dalam Al-Qur’an.

Isu utama yang dibawa dalam surah-surah Makkiah adalah Tauhid. Memang ada elemen-elemen lain yang disentuh tetapi ia adalah untuk menguatkan hujah Tauhid. Sebagai contoh, satu lagi tema dalam surah-surah Makkiah adalah tentang risalah kenabian. Ia untuk menyatakan bahawa memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi dan apa yang dibawanya adalah wahyu Al-Qur’an.

Itu semua menjurus kepada tauhid juga kerana Nabi ﷺ menceritakan tentang tauhid dan begitu juga Al-Qur’an menceritakan tentang tauhid. Oleh itu, surah-surah Makkiah menekankan tentang tauhid dalam berbagai-bagai cara. Memang banyak cara digunakan supaya manusia tidak ada lagi alasan tidak tahu dan tidak faham.

Bilangan surah-surah Makkiah sebenarnya lebih banyak daripada surah-surah Madaniah. Surah Makkiah adalah 2/3 daripada keseluruhan Al-Qur’an. Ia banyak memperkatakan tentang akidah – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada Nabi dan lain-lain lagi. Sedangkan bab hukum hakam seperti hukum salat, puasa, Haji dan sebagainya banyak terdapat dalam surah-surah Madaniah.

Oleh itu, surah-surah Makkiah diturunkan sewaktu hukum-hukum ibadat belum ada lagi. Lalu bagaimana kita mengenali orang Islam waktu itu? Untuk zaman sekarang kita boleh kenal seorang Muslim kerana dia salat, dia memakai tudung menutup aurat dan sebagainya. Sedangkan hukum menutup aurat contohnya, hanya diturunkan di Madinah.

Orang Islam dikenali waktu itu daripada sifat mereka.

Pertama, mereka kuat berdakwah mengajak kepada Islam. Mereka bagaikan tidak boleh berhenti bercakap mengenai Islam. Jikalau jumpa orang, mereka akan menceritakan tentang keindahan Islam;

Kedua, mereka mempunyai sifat yang murni, yang baik. Iaitu adab-adab yang baik yang diterima secara umum – tidak menipu, tidak menindas, tidak menyusahkan orang dan sebagainya.

Amat malang sekali pada zaman sekarang, Muslim banyak mengamalkan hukum-hukum ibadat, tetapi melupakan nilai-nilai murni yang banyak diterapkan dalam surah-surah Makkiah. Oleh itu, kita banyak melihat Muslim yang salat, tetapi dalam masa yang sama, mereka menipu orang lain, zalim, serta kasar sifatnya. Ya, mereka berpuasa tetapi dalam masa yang sama, mereka menindas orang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

Surah Al-An’am ini terbahagi kepada dua bahagian. Kedua-duanya berkenaan akidah tetapi boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

1. Bahagian pertama: ayat 1 – 117. Menghuraikan akidah syirik (atau syirik i’tikadi) kepada Allah ‎ﷻ iaitu antaranya syirik tasarruf: Syirik dalam pengurusan alam. Allah ‎ﷻ yang mentadbir semua makhluk, tetapi manusia yang jahil wahyu ada menyangka Allah ‎ﷻ beri tugas mengurus alam kepada makhluk pula. Contohnya mereka kata ada wali yang menjaga sesuatu kawasan.

Oleh kerana salah faham ini, ramai yang berdoa dan berharap kepada makhluk. Ini adalah syirik dan ia lahir daripada akidah yang salah. Perbuatan mereka adalah perbuatan syirik kerana akidah yang salah sudah ada dalam hati yang condong kepada syirik. Mereka mudah percaya kepada perkara khurafat.

Contohnya, ramai yang percaya jika burung hantu berbunyi malam hari, ada orang akan mati. Memang kita tidak cakap begitu selalunya, sebab burung hantu tidak ada di bandar. Tetapi apabila kita balik kampung atau masuk hutan, tiba-tiba kita dengar burung hantu berbunyi, terus ada yang kata: “Ada orang nak mati ni”. Maknanya, akidah syirik telah ada dalam hati kita, cuma kadangkala tidak dilahirkan sahaja.

2. Bahagian kedua: ayat 118 hingga akhir. Iaitu tentang amalan syirik yang manusia buat. Ini dinamakan syirik amali. Asalnya daripada akidah syirik yang sudah ada dalam hati yang disentuh dalam bahagian pertama.

Sebagai contoh, kita nampak tapak kaki gajah di hutan. Maka kita cakap: “Ada orang besar ni.” Apabila kita cakap begitu, kita sudah melakukan satu perbuatan syirik. Kerana gajah tidak ada di situ, dia tentu tidak dapat dengar kata-kata kita. Tetapi kita takut untuk cakap ‘gajah’, takut dia boleh dengar.

Padahal, yang boleh dengar dari jauh hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Namun kita letak satu sifat Allah ‎ﷻ pula pada makhluk yang tidak dapat dengar, malah tidak faham pun apa yang kita kata.

Antara amalan syirik yang manusia biasa lakukan adalah amalan berpantang. Mereka mengharamkan sesetengah jenis makanan sedangkan makanan itu halal. Sebagai contoh, ada masyarakat yang tidak makan ikan kacang untuk keturunan mereka. Kerana kononnya, dulu ada tok nenek mereka yang telah diselamatkan oleh Ikan Kacang semasa di lautan.

Maka, sebagai tanda hormat kepada ikan kacang itu, mereka telah ‘mengharamkan’ keturunan mereka untuk memakan Ikan Kacang. Oleh itu, Surah An’am ini juga menyebut tentang amalan pantang yang diamalkan oleh manusia.

Satu lagi pantang adalah pantang selepas bersalin. Inilah kebiasaan yang diajar oleh Bidan kampung. Bidan telah ‘mengharamkan’ makan itu dan ini, tanpa memberikan sebab-sebab yang munasabah sebagai pegangan kita. Apabila kita betul-betul berpantang hanya atas kata-kata bidan yang tidak ada dalil itu, maka ini adalah satu kesilapan.

Mereka senang sangat percaya kata-kata orang lain tanpa usul periksa. Kena lihat Hadith Nabi tentang bagaimana Orang Yahudi yang telah menjadikan rahib dan pendita mereka sebagai tuhan:

Nabi ﷺ pernah membacakan firman Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an :

” اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََّهِ ” (التوبة: 31)

“Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah ﷺ kebetulan Adi’ bin Hatim رضي الله عنه (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah ﷺ dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul ﷺ:

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم

“Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).

(Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi No. 3095 & Baihaqi)

Hadith ini menunjukkan kepada kita, jika kita ikut kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka kita telah menjadikan orang itu sebagai ‘tuhan’. Bukanlah ‘sembah’ itu hanya bermaksud sujud kepada sesuatu sahaja, tetapi ia lebih luas lagi.

Dalam ayat ini, ia merangkumi makna ‘ikut tanpa usul periksa’. Begitulah yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila diberitahu oleh bidan-bidan kampung yang kita tidak boleh makan itu dan ini semasa dalam ‘pantang’. Kalau apa yang dilarang itu masuk akal dan boleh diperiksa, maka tidaklah salah. Mungkin sudah ada pengalaman orang-orang terdahulu yang menjadi pengajaran, atau disokong oleh ahli perubatan, tidaklah bermasalah kalau diikuti. Namun jikalau ia pelik, maka janganlah terus ikut.

Surah ini juga hendak menolak 7 kesamaran  yang ada dalam akidah Musyrikin Mekah. Mereka mempersoalkan kenapa kena pegang akidah tauhid. Allah‎ ﷻ jawab satu persatu nanti di dalam surah ini.

Kemudian Allah ‎ﷻ ajar 7 cara bagaimana untuk tabligh wahyu kepada manusia. Allah ‎ﷻ ajar supaya manusia boleh terima dengan mudah (bagi yang hatinya suci). Ada cara dakwah yang kita reka sendiri, tetapi dalam surah ini cara-cara yang diajar itu adalah daripada Allah ‎ﷻ sendiri dan manusia akan senang faham kalau kita gunakannya.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu 7 sebab kenapa orang kafir tidak boleh terima tauhid. Allah ‎ﷻ sebut 7 alasan mereka. Allah ‎ﷻ beritahu kenapa mereka menjadi kafir dan di mana silap mereka. Ini bukan Musyrikin Mekah sahaja, tetapi ia boleh digunapakai oleh semua orang kafir.

Kesemua perkara di atas ini tidaklah disusun satu persatu tteapi berselerak dalam surah ini maka kenalah belajar baru akan nampak.


 

An’am Ayat 1: Dalil Aqli pertama. Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dalam ayat ini:

الحَمدُ ِللهِ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ ۖ ثُمَّ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم يَعدِلونَ

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , who created the heavens and the earth and made the darkness and the light. Then those who disbelieve equate [others] with their Lord.

Malay

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

 

الْحَمْدُ ِللهِ

Segala puji bagi Allah

Ini adalah salah satu surah dalam Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah الْحَمْدُ لِلَّهِ. Ada 4 surah yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ dan disusun kedudukan 4 surah itu dengan membahagikan Al-Qur’an itu dalam 4 bahagian dan semuanya dimulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Surah-surah itu adalah:

1. Surah Fatihah iaitu berada betul-betul di awal Al-Qur’an
2. Surah Al-An’am iaitu permulaan suku Al-Qur’an
3. Surah Al-Kahfi iaitu berada lebih kurang separuh Al-Qur’an
4. Surah Saba’ dan Faathir iaitu di tiga suku Al-Qur’an

Makna الْحَمْدُ لِلَّهِ telah ditafsir dengan panjang lebar dalam Surah Fatihah. Sila rujuk kepada tulisan tersebut.

Surah ini dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Kenapa? Selalunya apabila kita mulakan sesuatu yang penting, kita akan mulakan dengan puji-pujian kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita mula berucap, sunat untuk kita memuji-muji Allah ‎ﷻ. Jadi, permulaan ayat ini untuk memuji-muji Allah ‎ﷻ.

Allah‎ ﷻ sahaja yang layak dipuji. Allah ‎ﷻ sendiri memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Kerana itulah, tidak layak kalau seseorang memuji dirinya kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang layak memuji Diri-Nya sendiri. Oleh itu riak adalah dosa besar.

Maka jangan kita mengharap orang puji kita. Malangnya kita selalunya mengharap orang lain memuji kita walaupun apa yang kita buat sedikit sahaja. Tidak ada apa sebenarnya untuk dipuji tentang diri kita kerana semuanya daripada Allah‎ ﷻ belaka.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita memuji-Nya kerana Dia memang telah terpuji, layak dipuji walaupun tidak ada yang memuji-Nya. Nanti selepas ini akan disebut antara sebab-sebab kenapa Dia layak dipuji.

 

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

yang menciptakan langit dan bumi,

Kenapa Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji? Kerana Dialah yang telah menjadikan alam ini. Maka kepada Dia sahaja kita boleh lakukan ibadat.

Kepada Dia sahaja kita sembah dan melakukan ibadat. Tidak ada yang layak disembah melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi berapa banyak sembahan kepada selain daripada Allah‎ ﷻ yang masyarakat kita buat?

Antaranya yang senang dilihat adalah orang awam menyembah Sultan dan Raja, seorang pesilat menyembah gurunya dan pelbagai bentuk lagi. Itu tidak termasuk sembahan dalam bentuk lain  – beri salam kepada Nabi, Malaikat dan Wali yang dilakukan masyarakat kita kerana tidak faham hal akidah. Itu dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain.

Kenapa disebut Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi sahaja? Tidakkah ada ciptaan Allah ‎ﷻ yang lain? Tentu ada, tetapi hanya disebut dua ciptaan ini sahaja dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana dua inilah yang manusia boleh nampak. Dua ciptaan inilah yang nampak agung kepada manusia. Makhluk Allah ‎ﷻ yang lebih agung adalah Arasy-Nya tetapi kita tidak nampak.

Ini dinamakan Tauhid Rububiyyah; iaitu kepercayaan bahawa Allah ‎ﷻlah pencipta alam ini. Tauhid Rububiyyah ini juga dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Mungkin ada yang terkejut dengan kata-kata ini. Namun ketahuilah bahawa Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka tahu yang Allah‎ ﷻ telah menjadikan alam ini. Mereka tahu Allah‎ ﷻ itu adalah Tuhan. Tetapi, masalahnya, dalam masa yang sama, mereka telah mengambil benda-benda lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’, yang mereka juga sembah.

Dalam ayat ini, digunakan sighah jamak (plural) bagi langit kerana langit adalah tujuh lapis. Sedangkan bagi bumi digunakan sighah mufrad (singular). Akan tetapi dalam ayat lain seperti Talaq:12, disebut yang bumi juga 7 lapis. Kenapa pula begitu? Ulama’ mengatakan yang walaupun bumi adalah 7 lapis, tetapi sifatnya lebih kurang sama sahaja antara lapisan-lapisan itu, maka ia dikira sebagai satu sahaja selalunya. Berbeza dengan langit yang amat berbeza antara satu lapis dengan lapis yang lain.

 

وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ

dan Dia menjadikan kegelapan

Apabila disebut tentang penciptaan langit dan bumi, digunakan perkataan خَلَقَ tetapi bila disebut penciptaan ‘gelap’ dan ‘terang’, digunakan perkataan جَعَلَ.

Pertamanya, ini untuk mempelbagaikan perkataan dan ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Jika perkataan yang sama sahaja digunakan, tentu amat membosankan. Dan Al-Qur’an bukanlah satu bacaan yang bosan. Ia cukup indah dan disusun dengan cantik dan molek sekali.

Kedua, ini juga adalah kerana جَعَلَ boleh digunakan untuk barang yang abstrak yang tidak boleh disentuh dan خَلَقَ hanya untuk benda yang boleh dilihat.

‘Kegelapan’ ada yang boleh dilihat seperti kegelapan malam, kegelapan dalam laut dalam, dalam gua dan sebagainya. Dan ada ‘kegelapan’ yang abstrak seperti kegelapan kekufuran, kemunafikan, kejahilan dan sebagainya. Dua-dua jenis kegelapan ini adalah ciptaan Allah ‎ﷻ juga.

Satu lagi pendapat mengatakan, digunakan جعل bagi kegelapan dan cahaya kerana gelap dan terang tidak berdiri sendiri. Ia adalah ‘sifat’ bagi sesuatu benda seperti langit dan bumi.

 

وَالنُّورَ

dan terang;

‘Cahaya’ juga ada dua jenis sepertimana ‘kegelapan’. Ada cahaya yang nampak seperti matahari, lampu, api dan sebagainya.

Dan ada cahaya yang abstrak seperti cahaya keimanan, hidayah, taqwa, ilmu dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻlah juga yang beri cahaya keimanan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini dan Dia juga yang menjadikan kegelapan dan cahaya. Maka ini hendak menunjukkan kehebatannya. Oleh kerana Dia hebat, maka Dialah sahaja yang layak disembah.

Balaghah: Lihatlah bagaimana apabila Allah ‎ﷻ menyebut kegelapan, ia dalam sighah jamak tetapi apabila disebut cahaya, ia dalam sighah mufrad sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kesesatan itu banyak jenis, tetapi kebenaran itu satu jenis sahaja, iaitu ikut wahyu sahaja.

Disebut kegelapan dahulu kerana gelap itu adalah yang asal. Hanya apabila ada cahaya baru kegelapan itu hilang. Maknanya, keadaan yang asal adalah gelap dan inilah yang biasa ada. Contohnya, siang terjadi apabila ada matahari; tenggelamnya matahari, maka gelaplah alam ini.

 

ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

dalam pada itu, orang-orang kafir

Kalimah ثُمَّ digunakan sebagai penyambung perkataan dalam ayat ini untuk menunjukkan ‘ketakjuban’. Bayangkan betapa menghairankan sekali orang kafir itu: Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini, tetapi mereka masih kufur juga – masih juga mahu menyembah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang amat menghairankan. Tidakkah mereka menggunakan akal mereka untuk memikirkan?

Lihatlah betapa bodohnya mereka ini. Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi dan apa yang di antaranya tetapi mereka tidak menyembah-Nya? Mereka tidak meluangkan masa yang sedikit untuk melakukan ibadat kepada-Nya? Berapa minit sahaja dari masa kita yang banyak ini kalau kita gunakan untuk salat? Tidak banyak mana pun, tetapi itu pun manusia tidak boleh buat. Alangkah menghairankan sekali!

 

بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka melakukan syirik kerana meletakkan Allah ‎ﷻ sama kedudukan dengan makhluk.

Asal kata يَعْدِلُونَ dari عدل yang bermaksud sesuatu yang ‘sama tinggi’. Jadi يَعْدِلُونَ bermaksud meletakkan dua perkara pada sama tinggi – seperti juga ‘keadilan’.

Musyrikin Mekah meletakkan makhluk sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu perbuatan syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ, namun berdoa juga kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah sama sekali. Inilah yang dinamakan syirik.

Sebagaimana orang kita juga yang meminta kepada makhluk, seperti golongan Syiah yang meminta kepada Saidina Ali, Husin dan Imam-Imam mereka yang lain; juga seperti Golongan Habib yang meminta kepada kuburan; seperti juga puak silat yang meminta kepada jin; seperti masyarakat kita yang jahil yang meminta kepada Nabi Muhammad; seperti bomoh, dukun, pawang yang meminta kepada jin syaitan dalam perubatan mereka – semua ini meminta kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.

Mereka menyamakan kedudukan entiti-entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Sepatutnya tempat permintaan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Yang Maha Mendengar adalah Allah ‎ﷻ, tetapi apabila mereka beriktikad ada makhluk lain juga dapat mendengar seperti Allah ‎ﷻ, maka mereka melakukan syirik.

Masyarakat kita ramai yang kurang faham tentang syirik. Mereka sangka syirik itu adalah apabila ‘menyembah’ berhala, seperti orang Hindu menyembah patung berhala mereka. Tetapi, mereka tidak tahu, apabila menyamakan sifat Allah ‎ﷻ dengan makhluk juga adalah syirik.

Kita pun tahu, Allah ‎ﷻ ada 99 nama (mengikut satu pendapat). Oleh itu, sekurang-kurangnya ada 99 jenis syirik yang manusia lakukan untuk setiap nama sifat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 51 – 59 (Qur’an dipermudahkan)

Ayat 51: Ayat 51 – 57 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Selepas Allah ﷻ ceritakan tentang azab yang akan dikenakan kepada golongan penentang kebenaran, maka ini pula adalah balasan baik yang diberikan kepada orang mukmin.

Jadi ayat ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi. Memang selalunya selepas Allah berikan takhwif, adalah terus memberikan tabshir. Amat berbeza nasib mereka dengan orang yang berdosa. Maka kena baca dan fikirlah mana satu yang kita hendak pilih.

Selepas ini Allah ﷻ akan senaraikan perkara-perkara yang manusia memang suka dan dambakan. Ada 6 perkara semua sekali:

1. Rumah yang selesa
2. Pakaian yang selesa
3. Pasangan hidup
4. Makanan yang baik-baik
5. Tempat kediaman yang kekal
6. Bebas dari kesusahan dan malapetaka

Semua ini disenaraikan satu persatu dalam ayat-ayat yang mendatang ini.

إِنَّ المُتَّقينَ في مَقامٍ أَمينٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be in a secure place;

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –

 

إِنَّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Dalam setiap perbuatan, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah ﷻ dalam perkara itu. Ini adalah kerana mereka takut dengan Allah ﷻ. Mereka hendak menjaga redha Allah. Mereka tidak berani buat perkara yang akan menyebabkan Allah murka.

Mereka itulah yang akan menjaga hatinya dari fahaman syirik dan akhirnya akan mati dalam tauhid. Semasa hidup, mereka menjaga anggota dari menderhaka. Ini tentunya memerlukan pengetahuan dan disiplin diri yang kuat yang hanya akan diberikan kepada mereka yang beriman dan berilmu sahaja.

 

فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

di tempat tinggal yang aman. –

Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut dan tidak akan ada lagi perkara buruk bagi mereka.

Apakah maksud أَمِينٍ? Mulai semasa mati dan di dalam kubur lagi mereka akan ditunjukkan dengan tempat mereka di syurga. Memang kubur kepada orang mukmin adalah taman syurga. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan kekal di dalamnya. Mereka tidak takut ia akan ditarik dari kerana tahu akan kekal berada di dalamnya.

Kalau kita ada harta di dunia, kita sentiasa ada rasa takut sama ada mungkin akan kehilangan, diambil atau rosak. Jadi, kita tidak ada rasa aman yang sepenuhnya tetapi di syurga, ia akan kekal bersama kita.

Ahli syurga akan tenteram dan selamat dari kebimbangan apa sahaja. Semasa di dunia kita sudah memilih tempat tinggal yang selamat dan aman untuk didiami kerana memang kehendak manusia macam itu. Allah ﷻ sediakan tempat untuk orang mukmin tempat yang tenteram.


 

Ayat 52: Semua ini dibandingkan dengan kemewahan yang ada pada Firaun dulu tetapi semua itu ditinggalkan. Kepada ahli syurga, mereka tidak akan meninggalkannya. Segala kemewahan itu tidak akan diambil dari mereka.

في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

Within gardens and springs,

Malay

Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya,

 

فِي جَنّٰتٍ

Di dalam beberapa taman Syurga,

Firaun ada banyak taman-taman, tetapi menjadi tidak bermakna kepadanya apabila ia ditinggalkan terus. Namun bagi orang mukmin akan dapat kebun-kebun/taman-taman syurga yang banyak (bukan satu) dan itu lebih hebat lagi dari kebun/taman yang Firaun ada dulu.

 

وَعُيُونٍ

dengan matair-matair terpancar padanya,

Ini adalah keterbalikan dari ahli neraka. Mereka dalam keadaan panas dan membara, tetapi ahli syurga dalam keadaan aman dan dingin. Maka manakah satu pilihan anda?

Dalam ayat lain disebut bagaimana mata air itu dari berbagai jenis. Ada air dari air tawar, air madu, air susu dan air arak. Apabila hendak minum cuma perlu ambil sahaja dari sungai itu. Air itu tidak memabukkan penghuni syurga dan tidak memudharatkan langsung. Ini tidak sama dengan arak di dunia kerana semasa kita di dunia, kalau minum arak memang akan memudharatkan kita. Namun ini tidak dialami apabila di syurga nanti.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Ayat 53: Pakaian apakah yang mereka akan pakai di sana?

يَلبَسونَ مِن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَقٰبِلينَ

Sahih International

Wearing [garments of] fine silk and brocade, facing each other.

Malay

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).

 

يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus

Semasa di dunia, pakaian sutera adalah pakaian yang mewah. Tidak ramai yang boleh memakai sutera kerana ia mahal dan susah untuk dijadikan. Namun, semua ahli syurga akan pakai 70 lapis pakaian sutera. Kenapa banyak sangat? Ini kerana suasana di syurga adalah dingin iaitu dingin yang menyenangkan. Jadi, kena pakai pakaian yang tebal sikit baru sedap lagi.

Terdapat sutera lembut dan sutera tebal yang disebut dalam Al-Qur’an. Sutera lembut itu adalah yang digunakan pada badan kerana untuk badan, memang kain yang lembut sikit digunakan.

Di dunia, orang lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Ia adalah hukum yang telah ditetapkan tetapi dibenarkan memakainya di syurga. Jadi, kalau kita jaga hukum di dunia dengan tidak memakainya, kita akan memakainya di syurga kelak.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan kain sutera tebal yang bersulam;

Sebelum ini disebut sutera halus. Ia digunakan untuk baju, manakala sutera kasar pula untuk seluar. Macam kita di dunialah juga, kalau untuk seluar, kain yang lebih tebal digunakan.

Pakaian sutera dipakai jika seseorang itu kaya dan tidak ada kerja berat yang perlu dilakukan. Tidak mungkin seseorang hendak memakai sutera semasa membuat kerja. Ini bermaksud, ia menunjukkan isyarat kemewahan, duduk bersenang lenang dan menikmati masa lapang. Ahli syurga tidak ada apa-apa kerja lagi yang mereka perlu lakukan.

 

مُّتَقٰبِلِينَ

Duduk berhadap-hadapan.

Duduk dengan mesra bersama-sama ahli syurga yang lain dan tidak ada perasaan marah dan tidak selesa. Oleh kerana itu mereka boleh duduk berhadap-hadapan tanpa rasa kekok. Bilakah kita boleh begini? Bagi kita kalau ada rasa kekok sikit pun, akan susah hendak duduk berhadapan dengan orang lain. Namun, dalam syurga tidak ada rasa langsung perasaan tidak selesa sebegitu.

Juga bermaksud semua mengadap di hadapan. Ini terutamanya semasa di majlis bersama dengan Allah ﷻ. Mereka tidak ada yang duduk di belakang orang macam dalam dunia. Maknanya, tidak ada darjat rendah sebab duduk belakang orang lain tidak bagus.

Kalau di dunia, macam dalam stadium yang ada duduk depan dan belakang ikut tiket. Kalau tiket murah, duduk di belakanglah. Namun di syurga, tidak ada tiket duduk belakang, semua duduk depan. Macam mana Allah ﷻ buat sampai boleh jadi begitu, Allahu a’lam. Kita kena tunggu masuk syurga baru akan dapat tahu.


 

Ayat 54: Tidaklah ahli syurga duduk berseorangan tanpa pasangan. Maka Allah ﷻ berikan pasangan untuk mereka.

كَذٰلِكَ وَزَوَّجنٰهُم بِحورٍ عينٍ

Sahih International

Thus. And We will marry them to fair women with large, [beautiful] eyes.

Malay

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah balasannya;

Begitulah telah disebutkan dalam ayat-ayat yang lepas tentang balasan-balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh semasa di dunia. Bukan itu sahaja, ada lagi yang akan diberi:

 

وَزَوَّجْنٰهُم

dan Kami jodohkan mereka

Mereka akan diberi pasangan. Ini kerana kita sebagai manusia memang suka kepada pasangan hidup kerana tidak suka kalau hidup berseorangan. Kalau ada sesuatu kenikmatan, tentu kita hendak berkongsi dengan pasangan kita, bukan? Namun, siapakah pasangan mereka?

 

بِحُورٍ عِينٍ

dengan bidadari-bidadari cantik matanya.

Perkataan حُورٍ digunakan untuk ‘perempuan yang bermata cantik’. Mata putih yang amat putih dan mata hitam yang amat hitam – ini adalah kontras yang cantik. Kita sebagai manusia juga suka tengok mata orang lain, bukan?

Perkataan عِينٍ pula digunakan untuk mengisyaratkan kepada perempuan yang mempunyai ‘mata besar yang cantik’. Terpesona kita melihatnya. Allah ﷻ menyebut ‘mata’ untuk membayangkan kepada kita kecantikan pasangan hidup di syurga itu.

Ada juga yang membezakan: حُورٍ nisbah kepada warna kulit yang cantik dan عِينٍ pula nisbah kepada kecantikan mereka. Sudahlah kulit cantik, mereka juga memang cantik.

Ketua bidadari dalam syurga kita adalah isteri kita sendiri. Maknanya pasangan hidup kita semasa di dunia lagi (jikalau isteri turut masuk sekali ke dalam syurga). Sebenarnya, isteri kita lebih cantik dari bidadari-bidadari itu iaitu mereka akan dicantikkan apabila dimasukkan ke dalam syurga nanti. Bukanlah kita masuk dengan rupa kita semasa di dunia. Umur lelaki akan tetap 31 tahun dan perempuan berumur 29 tahun.

Walau bagaimana cantik sekalipun bidadari-bidadari itu, isteri kita lebih cantik dari mereka. Ini kerana isteri yang di dunia telah melalui banyak rintangan dan dugaan dan mereka ada melakukan amal ibadat. Walhal, bidadari dijadikan terus oleh Allah ﷻ. Maka kerana itu tidaklah mereka lebih hebat dari pasangan yang berasal dari dunia.

Jadi, jangan kita sangka bidadari sahaja pasangan kita. Isteri kita juga akan bersama dengan kita kalau dia adalah ahli syurga. Kalau isteri kita tidak masuk syurga, kita akan dipasangkan dengan wanita dunia yang tidak ada suami atau suami mereka tidak masuk syurga. Inilah salah satu pendapat.

Banyak persoalan diberikan terutama dari pihak wanita: “Kenapa hanya disebut bidadari sahaja? Kenapa tidak disebut pasangan untuk wanita pula?”. Ini wanita-wanita jangan risau. Wanita-wanita dunia akan dapat pasangan mereka juga. Malah, mereka akan dapat apa sahaja yang  mereka mahu.

Namun, Al-Qur’an hanya menyebut pasangan untuk lelaki sahaja, kerana memang perangai lelaki macam itu iaitu berkehendak kepada wanita. Dari dulu sampai sekarang, semua orang lelaki begitu. Namun orang perempuan lain sikit emosi mereka dan tidak sama seorang wanita dengan wanita yang lain.

Tidak sama keinginan pada satu masa dan masa yang lain. Hari ini hendak itu, esok hendak benda lain pula. Jadi, tidak dapat disebut satu benda yang wanita berkeinginan secara penuh. Jadi, Al-Qur’an hanya menyebut secara umum sahaja. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka hendak. Jadi jangan takutlah kalau mereka tidak mendapat nikmat macam yang lelaki dapat. Tidak ada kekurangan kerana mereka akan dapat semuanya, tetapi tidak dapat disebut apakah perkara itu.


buah-buahan-dalam-al-quran

 

Ayat 55:

يَدعونَ فيها بِكُلِّ فٰكِهَةٍ ءآمِنينَ

Sahih International

They will call therein for every [kind of] fruit – safe and secure.

Malay

Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.

 

يَدْعُونَ فِيهَا

Mereka meminta di dalam Syurga itu –

Allah ﷻ memberi motivasi lagi untuk manusia. Ketika di dunia, kita hendak makan macam-macam. Hari-hari kita hendak makan benda-benda yang sedap tetapi tidak semua yang kita mahu, kita akan dapat. Ini kerana mungkin kita tidak mampu, atau benda itu memang tidak ada, atau tidak baik buat kita. Maka, Allah ﷻ berkata, hendak makan apa sahaja di syurga, mereka akan dapat.

 

بِكُلِّ فٰكِهَةٍ

tiap-tiap jenis buah-buahan,

Allah ﷻ sebut buah-buahan kerana masyarakat Arab memang suka kepada buah-buahan. Namun tentulah bukan buah sahaja yang akan diberi sebagai makanan di sana. Ada berbagai-bagai jenis makanan akan diberikan nanti.

 

ءآمِنِينَ

dalam keadaan aman.

Kenapa perkataan آمِنِينَ digunakan sekali lagi? Mereka dikatakan akan makan buah-buahan itu dalam keadaan aman kerana tidak akan habis, rosak, atau ia akan menyebabkan kita sakit.

Kadang-kadang kalau kita makan sesuatu makanan di dunia, ada sahaja rasa takut dengan sebab-sebab lain. Mungkin buah itu sudah hendak habis jadi kita berdikit untuk makan; mungkin buah itu sudah hendak busuk; mungkin buah itu orang lain makan sedap tetapi kita makan tidak sedap pula sebab tidak kena dengan tekak kita; atau kalau makan banyak sangat, akan menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya.

Sebagai contoh, ada orang tidak boleh makan durian semasa di dunia disebabkan ada kesan-kesan tidak elok. Namun, kalau makan buah-buah di syurga, tidak akan ada kesan itu. Semuanya sedap-sedap belaka dan selamat untuk kita makan, tidak kira berapa banyak.

Kalau di dunia kita hendak makan susah juga kerana kalau hendak minta makanan di hotel mahal, tentu harganya turut mahal juga. Namun nanti di syurga hendak minta makanan apa sahaja, tidak ada bayaran lagi yang hendak dibayar kerana kita sudah ‘bayar’ dengan amalan kita semasa di dunia dulu.

Perkataan ‘aman’ selalu diulang-ulang kerana ini adalah satu kriteria penting dalam syurga. Tidak ada rasa takut apa-apa dalam syurga nanti. Kalau harta dunia, ada sahaja rasa risau kita dengan harta itu hilang, kena curi, rosak, sudah tidak cantik dan sebagainya tetapi di syurga, kita akan rasa aman sahaja.


 

Ayat 56: Ada ayat sebelum ini yang menyentuh tentang kematian. Bagaimana Musyrikin Mekah kata apabila mati, mereka akan menjadi seperti mati yang sebelum hidup. Kali ini disentuh lagi hal kematian.

لا يَذوقونَ فيهَا المَوتَ إِلَّا المَوتَةَ الأولىٰ ۖ وَوَقٰهُم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

They will not taste death therein except the first death, and He will have protected them from the punishment of Hellfire

Malay

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

 

لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu

Mati adalah satu benda yang paling ditakuti oleh manusia dalam dunia. Boleh dikatakan semua orang takut mati tetapi dalam syurga, sudah tidak ada perasaan itu lagi. Allah ﷻ sudah tarik habis perasaan itu dari dalam diri kita. Ini adalah kerana Allah ﷻ akan panggil ‘kematian’ dan akan dimatikan ‘kematian’ itu. Maka tidak akan ada kematian di akhirat, sama ada dalam neraka atau syurga.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“يُؤْتَى بِالْمَوْتِ فِي صُورَةِ كَبْشٌ أَمْلَحُ، فَيُوقَفُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُذْبَحُ، ثُمَّ يُقَالُ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ”

maut didatangkan dalam rupa kambing kibash yang bertanduk, lalu dihentikan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih, dan dikatakan, “Hai ahli syurga, kekallah, tiada kematian lagi. Hai ahli neraka, kekallah tiada kematian lagi.”

Maka bergembiralah ahli syurga kerana mereka tahu mereka akan kekal dalam Syurga; dan menangislah ahli Neraka kerana mereka tahu yang mereka akan kekal dalam Neraka.

Maka, memang tidak ada apa lagi yang ditakuti dalam syurga nanti. Ahli syurga akan dapat kepastian yang mereka akan kekal dalam syurga sampai bila-bila. Mereka boleh menikmati keamanan dan nikmat dalam syurga tanpa ada rasa risau sedikit pun.

Bayangkan kalau seorang dapat duduk di hotel yang paling mahal dan mewah dalam dunia. Memang dia seronok dan selesa semasa duduk di hotel, tetapi dia tahu yang lama-kelamaan dia kena tinggalkan juga hotel itu. Jadi ini mengurangkan kenikmatan duduk dalam hotel tetapi kalau ahli syurga, mereka tidak ada kerisauan ini lagi.

 

إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ

selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;

Itu sahaja kematian yang mereka akan rasai. Hanya kematian di dunia sahaja yang mereka akan terima. Malah, tidur juga tidak diberikan kepada ahli syurga:

قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ مُحَمَّدٍ النَّاقِدُ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ الرَّقِّيُّ، حَدَّثَنَا مُصْعَبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ الرَّبِيعِ الْكُوفِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيِّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ المُنْكَدِر، عَنْ جَابِرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سُئل نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيَنَامُ أَهْلُ الْجَنَّةِ؟ فَقَالَ: “النَّوْمُ أَخُو الْمَوْتِ، وَأَهْلُ الْجَنَّةِ لَا يَنَامُونَ”

Abul Qasim At-Tabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Muhammad An-Naqid, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Abdullah Ar-Ruqqi, telah menceritakan kepada kami Mus’ab ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Imran ibnur Rabi’ Al-Kufi, dari Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Jabir r.a. yang mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah ditanya, “Apakah ahli syurga tidur?” Nabi ﷺ menjawab: Tidur itu adalah saudaranya mati, maka ahli syurga itu tidak tidur.

Ahli syurga tidak penat, maka tidak perlu tidur. Malah kalau tidur, sudah rugi tidak dapat menikmati nikmat-nikmat dalam syurga selama beberapa jam. Maka ahli syurga tidak perlu tidur. Hanya rehat-rehat sahaja.

 

وَوَقٰهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

Kenapa mereka dikatakan ‘diselamatkan’ dari neraka? Ini adalah kerana semua kita kena lalui neraka di Titian Sirat nanti, termasuklah ahli syurga juga. Oleh itu, mereka yang tidak masuk Neraka adalah mereka yang telah ‘diselamatkan’.

Waktu itu, kita sendiri akan melihat bagaimana azab dalam Neraka itu. Kita akan lebih lagi rasa bersyukur kerana kita telah nampak apa yang kita telah selamat darinya. Kalau kita terus masuk Syurga, kita mungkin tidak dapat menghargai sangat. Namun, apabila sudah nampak neraka, kemudian dapat memasuki syurga, lagilah kita rasa bersyukur.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia yang selamatkan ahli syurga itu. Ini memberitahu kita bukan kerana amalan yang dilakukan menyebabkan kita selamat dari neraka. Amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi dosa kita tentu banyak tetapi Allah ﷻ yang selamatkan dari neraka itu. Ini adalah kerana Rahmat Allah ﷻ.

Sesungguhnya hal itu mereka peroleh hanyalah berkat kurnia dan kebaikan Allah ﷻ kepada mereka, seperti yang disebutkan di dalam hadis sahih dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

“اعْمَلُوا وَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَدًا لَنْ يُدخله عَمَلُهُ الْجَنَّةَ” قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يتغمَّدني اللَّهُ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَفَضْلٍ”

Beramallah, luruskanlah dan dekatkanlah kalian, dan ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga oleh amalnya! Para sahabat bertanya, “Dan tidak pula engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. menjawab: Dan tidak pula aku, terkecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan karunia-Nya kepadaku.

Maka dengan rahmat Allah ﷻ lah sahaja yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga walaupun dosa-dosa kita mungkin banyak. Dosa-dosa yang banyak itu Allah ﷻ telah ampunkan. Kalau Allah ﷻ kira semua sekali, tentu tidak ada harapan untuk sesiapa  masuk syurga.


 

Ayat 57:

فَضلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

As bounty from your Lord. That is what is the great attainment.

Malay

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.

 

فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ

sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu

Limpah kurnia yang paling besar adalah yang disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu tidak ada kematian.

Kalimah فَضْلًا adalah satu ‘pemberian yang tidak perlu diberi’. Iaitu pemberian yang berlebih-lebih dari yang sepatutnya. Dibandingkan dengan pemberian yang kita beri mungkin kerana seseorang beri kita sesuatu dan kita balas budi dia. Jadi lain dengan فَضْلًا  ini. Kita tidak perlu hendak bagi tetapi kita hendak memberi juga sebagai satu bonus. Jadi, segala kelebihan yang didapati dalam syurga adalah satu pemberian ‘bonus’ dari Allah ﷻ.

Kalimah فَضْلًا juga bermaksud pemberian balas yang lebih lagi dari apa yang diberi. Ini kerana kita tidak mungkin layak untuk masuk syurga berdasarkan kepada amalan kita. Namun, kita dapat masuk kerana Allah ﷻ hendak memberi kepada kita atas sifat rahmat-Nya dan Allah ﷻ puas hati dengan apa yang telah kita lakukan.

Bandingkanlah pemberian segala nikmat syurga itu dengan amalan kita yang sedikit. Amal sedikit sahaja, tetapi dibalas dengan banyak. Beramal beberapa tahun sahaja di dunia, tetapi dibalas dengan syurga selama-lamanya. Memang patut kalau lafaz فَضْلًا digunakan.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Iaitu selamat dari neraka dan dapat masuk syurga. Itulah kemenangan yang paling besar. Tidak ternilai harganya dan tidak mampu kita hendak membayarnya walaupun kalau kita beramal sepanjang hidup. Kita tidak akan masuk syurga disebabkan amalan kita sahaja. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ.

Lafaz الْفَوْزُ selalu diterjemahkan sebagai ‘kemenangan’ tetapi ia adalah jenis kejayaan yang didapati dan dalam masa yang sama, terlepas dari keburukan. Kita sudah dapat masuk dalam syurga, tetapi kita juga sebenarnya terlepas dari termasuk dalam azab neraka. Itu adalah kejayaan yang amat besar.

Jadi kita masuk syurga bukan kerana ‘pahala’ kita. Maka, amalan bidaah masyarakat kita yang ‘sedekah pahala’ itu adalah sia-sia sahaja. Oleh itu, hentikanlah dari membuat amalan yang sia-sia dan menambah-nambah dosa sahaja.


 

Ayat 58: Sekarang berubah kepada topik yang baru pula iaitu  tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana untuk masuk syurga, kena beramal dengan amalan Al-Qur’an. Nabi Muhammad ﷺ sudah tidak ada di kalangan kita untuk memberi nasihat terus kepada kita.

Namun, kita tetap ada Al-Qur’an ini. Maka, untuk masuk syurga dengan segala kenikmatan yang telah disebut di atas, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan beramal dengan apa yang disuruh dalam Qur’an. Selain itu kena mendekati Al-Qur’an dan selalu mendalami maksudnya. Untuk mendekatinya, Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita.

Ayat 58 dan 59 ini adalah Perenggan Makro Kelapan dan terakhir. Ia memberitahu kita yang Al-Qur’an ini mudah untuk dipelajari sebenarnya. Maka ambillah peluang untuk belajar tafsir Al-Qur’an.

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And indeed, We have eased the Qur’an in your tongue that they might be reminded.

Malay

Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Qur’an dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

 

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Qur’an

Allah ﷻ mengulang topik Al-Qur’an yang dibuka di awal surah. Surah ini dimulai dengan topik Al-Qur’an dan sekarang di bahagian akhir, diulang balik topik yang sama. Inilah kebiasaan di mana Allah ﷻ akan menutup dengan menyentuh perkara pertama yang disebut di awal sesuatu surah.

Allah ﷻ berfirman mengatakan Dia memudahkan Al-Qur’an untuk kita. ‘Mudah’ bukanlah bermaksud ‘simple’ (senang), tetapi ‘possible’ (tidak mustahil). Al-Qur’an bukanlah sesuatu yang mudah sangat sampai membaca sekali atau membaca sendiri boleh fahami, tidaklah begitu. Ini adalah kerana Al-Qur’an adalah amanat yang tinggi bahasanya dan hebat penerangannya.

Oleh sebab itu, kalau tidak belajar tafsir dengan guru, susah untuk faham apakah yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an. Walaupun kalau kita membaca terjemahan atau tahu bahasa Arab, kita masih susah hendak fahami sebenarnya. Jadi, untuk benar-benar faham Al-Qur’an sebenarnya bukanlah mudah sehinggakan pelajar peringkat sekolah rendah juga boleh faham.

Namun, Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita untuk memahaminya asalkan kita meluangkan masa dan tenaga sedikit untuk mempelajarinya. Memang kena masuk kelas tafsir.

Begitulah tujuan penulisan tafsir ini. Ia sebagai sumber rujukan untuk pembaca sekelian, tetapi anda hendaklah berguru dengan guru yang faham Al-Qur’an. Ini kerana apabila berguru, kalau ada perkara yang anda tidak faham, anda boleh bertanya.

Namun, hendaklah berhati-hati dalam memilih guru. Jangan salah pilih, nanti tersalah fahami Al-Qur’an. Oleh itu kena cari guru yang memang ada sanad untuk mengajar.

Untuk memahami Al-Qur’an, ia memerlukan usaha tetapi boleh dilakukan. Itulah maksud يسر itu. Maknanya ‘mudah’ itu, semuanya sudah disediakan untuk mencapai maksud. Macam kalau kita ditugaskan untuk menggali lubang – kita diberikan dengan alat-alat untuk menggali lubang seperti cangkul dan sebagainya. Maksudnya, Al-Qur’an itu ‘dipermudahkan’.

Allah ﷻ memberitahu Al-Qur’an ini mudah sahaja untuk dipelajari. Ini untuk memberi dorongan kepada kita untuk belajar. Kalau kita sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan dapati yang ia lebih mudah dari belajar matematik dan sains di sekolah.

Cuma orang jahil wahyu sahaja yang kata tafsir Al-Qur’an ini tidak boleh dipelajari oleh orang awam. Ini adalah bisikan syaitan yang memang tidak mahu manusia kenal ajaran dalam Al-Qur’an. Maka syaitan bisikkan kepada orang jahil supaya berkata begitu untuk menakutkan orang belajar tafsir.

 

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Iaitu Bahasa Arab yang jelas. Sifat bahasa Arab ini lain dari bahasa dunia yang lain. Ini adalah kerana bangsa Arab tidak bercampur dengan bangsa lain semasa perkembangan bahasa Arab. Jadi, pencapaian bahasa Arab telah dipertingkatkan dan menjadi bahasa yang amat mantap.

Mereka adalah bangsa yang mementingkan keindahan bahasa, suka dan pandai berpuisi, bersajak dan sebagainya. Cuma apabila zaman berubah, bahasa Arab sudah dicampuri dengan bahasa lain dan ia sudah tidak mantap lagi. Oleh itu, dalam memahami Al-Qur’an, kita kena cari maknanya yang asal. Ini dipanggil ‘bahasa Arab Klasik’.

Bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah bahasa yang mudah difahami. Bukan macam bahasa falsafah, yang berpusing-pusing sampai sudah tidak dapat faham apakah yang hendak disampaikan. Susah sangat sampai orang biasa tidak faham. Jadi Al-Qur’an tidaklah susah sangat, tetapi masih kena luangkan masa untuk belajar, bukan boleh faham sendiri.

‘Bahasa engkau’ – maksudnya ‘bahasa Nabi’, iaitu bahasa Arab. Mungkin ada yang tanya, kenapa dikira mudah kalau bahasa Arab? Ia dikira mudah kerana bahasa itu mudah untuk diterima kerana mudah untuk difahami. Kita yang memang asal tidak tahu cakap bahasa Arab juga boleh faham kalau kita sudah mula belajar, bukan?

Kalau tahu bahasa Arab lagilah senang hendak faham Al-Qur’an ini. Maknanya, tidak tahu bahasa Arab juga boleh faham, kerana bahasa Arab ini adalah bahasa yang hebat. Kalau tahu bahasa Arab, lagilah mudah faham apa yang dipelajari.

Bahasa Arab itu sangat sesuai untuk memberitahu perkara yang tersirat kerana ia adalah bahasa yang kaya. Satu kalimah boleh membawa banyak makna. Sudah cukup untuk sampaikan sesuatu perkara yang besar menggunakan bahasa yang minima sahaja.

Selalunya, apabila seseorang itu sudah semakin tinggi ilmunya, sudah jadi Doktor Falsafah, dan ada PHD, cara cakapnya sudah lain sedikit sebab mindanya juga sudah berbeza. Sampaikan perkataan yang digunakan kadang-kadang tidak difahami oleh orang biasa, apatah lagi orang kampung.

Namun lihatlah, tiada yang lebih alim dari Allah ﷻ , tetapi Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an yang mudah manusia fahami. Orang yang peringkat PHD boleh faham, orang kampung juga boleh faham. Begitulah hebatnya bahasa Al-Qur’an itu.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka mendapat peringatan.

Inilah tujuan Al-Qur’an untuk memberi peringatan kepada manusia dan jin. Kalau bukan peringatan itu datang dari Al-Qur’an, dari mana lagi? Ini kerana perkara-perkara ghaib memang kita tidak boleh dapat kalau hendak usaha untuk tahu sendiri.

Kalimah zikir yang digunakan juga sebagai isyarat yang Al-Qur’an ini mudah untuk dihafali. Asalkan kita mahu berusaha. Mulakan dengan sikit kemudian kita akan perasan bahawa ia semakin mudah. Kita juga boleh perasan yang kualiti hidup kita akan bertambah baik apabila kita mula menghafal Al-Qur’an.

Begitu hebatnya Al-Qur’an dan sedap, sampaikan orang yang tidak tahu bahasa Arab pun boleh hafal. Ramai budak-budak tahfiz yang hafal Al-Qur’an itu bukannya tahu bahasa Arab dan mereka tidak belajar tafsir pun lagi. Tapi walaupun begitu, mereka boleh hafal. Begitu jugalah para imam di masjid dan surau di negara kita. Ramai yang tidak tahu bahasa Arab dan faham Al-Qur’an tapi mereka tetap dapat hafal surah-surah dan memang sedap mereka baca.

Jadikanlah Al-Qur’an sebagai ‘zikir’ harian kita. Inilah zikir yang paling baik kalau dibandingkan dengan zikir-zikir yang lain. Pahalanya lebih banyak dari zikir-zikir yang lain. Gantikan lagi yang biasa dinyanyikan dengan lagu Al-Qur’an.


 

Ayat 59: Takhwif Duniawi. Namun, dengan segala peringatan serta dakwah yang diberikan, puak Musyrikin Mekah dan mereka yang degil, masih lagi tidak mahu beriman dan membantah usaha Nabi ﷺ. Inilah nasihat Allah ﷻ kepada baginda ﷺ dan kepada kita juga:

فَارتَقِب إِنَّهُم مُّرتَقِبونَ

Sahih International

So watch, [O Muhammad]; indeed, they are watching [for your end].

Malay

(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).

 

فَارْتَقِبْ

maka tunggulah

Perkataan رقب bermaksud tunggu tetapi bukan tunggu sahaja; ia bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’. Tunggulah sampai Allah ﷻ membuat keputusan.

Jadi ini adalah amaran dari Allah ﷻ supaya prihatin dengan Al-Qur’an. Allah sudah mudahkan, maka ambillah peluang mempelajari dan mengamalkannya. Kalau tidak kisah juga, maka kamu berjaga-jagalah. Nanti kamu akan tahu akibatnya dari penolakan pendustaan terhadap Al-Qur’an ini.

Ayat ini bermaksud tunggulah kesudahan mereka. Contoh seperti Nabi Musa عليه السلام menunggu apa yang akan terjadi kepada Firaun kerana kita tidak mampu hendak buat apa-apa kepada penentang wahyu. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ dan tunggu apakah keputusan Allah ﷻ.

 

إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ

sesungguhnya mereka juga menunggu.

Perkara yang Musyriki Mekah tunggu akan kematian Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana kata mereka, kalau Nabi ﷺ mati, ajaran baginda ﷺ ini akan mati bersamanya. Itu adalah penantian yang sia-sia dan ia memberi isyarat kepada kita: kalau mereka menunggu, maka kita juga kena lebih sabar menunggu daripada mereka.

Kemungkinan juga ia bermaksud: tidaklah yang mereka tunggu itu melainkan keputusan azab Allah ﷻ yang pasti akan kena kepada mereka. Mereka sahaja yang tidak tahu balasan buruk yang akan dikenakan kepada mereka nanti.

Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat pertolongan, kemenangan, dan kalimah yang tinggi di dunia dan akhirat. Sesungguhnya kelebihan syurga itu hanyalah untuk Nabi Muhammad ﷺ, dan bagi pengikut baginda ﷺ dari kalangan para Nabi dan para rasul serta orang-orang yang mengikutimu dari kalangan kaum mukmin.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Jathiya

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani