Tafsir Surah Yunus Ayat 73 – 75 (Allah ﷻ kunci mati hati)

Yunus Ayat 73: Apakah tindakan kaumnya selepas mendengar dakwah Nabi Nuh عليه السلام yang tidak minta upah itu? Bayangkan baginda telah berdakwah selama 950 tahun. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut nasib mereka akhirnya.

فَكَذَّبوهُ فَنَجَّينٰهُ وَمَن مَّعَهُ فِي الفُلكِ وَجَعَلنٰهُم خَلىٰئِفَ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُنذَرينَ

Sahih International

And they denied him, so We saved him and those with him in the ship and made them successors, and We drowned those who denied Our signs. Then see how was the end of those who were warned.

Malay

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

 

فَكَذَّبُوهُ

Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh,

Kaumnya masih juga menolak ajakan dakwah daripada Nabi Nuh عليه السلام. Yang menolak itu adalah musyrikin ketika zaman baginda. Gelaran ‘musyrikin’ sebenarnya merujuk kepada golongan yang menentang ajakan tauhid untuk setiap zaman, tidak kira di zaman mana sekalipun.

Ini termasuk jugalah orang Islam di zaman sekarang yang menolak tauhid dan sebaliknya mereka melakukan syirik. Mereka juga dikenali sebagai ‘musyrikin’ walaupun mereka mengaku Islam. Mengaku Islam sahaja tidak cukup, kita mesti beriman sempurna tanpa melakukan syirik.

 

فَنَجَّينٰهُ وَمَن مَّعَهُ

lalu Kami selamatkan baginda bersama-sama pengikut-pengikutnya

Apabila kaumnya ingkar, mereka telah dikenakan dengan azab dalam bentuk banjir yang besar. Banjir itu menenggelamkan mereka. Namun Nabi Nuh عليه السلام, dan orang beriman telah diselamatkan. Dalam surah ini diceritakan dengan ringkas sahaja kisah baginda kerana kisah itu banyak disebut dalam surah-surah yang lain.

Yang selamat bersama baginda hanyalah mereka yang beriman. Ada riwayat mengatakan dalam 40 orang dan ada riwayat yang kata dalam 80 orang. Allahu a’lam. Di sini kita dapat tahu yang selamat bukanlah orang yang kaya, tetapi orang yang beriman. Maka kalau hendak selamat, hendaklah beriman sempurna.

 

فِي الْفُلْكِ

di dalam bahtera,

Allah ﷻ selamatkan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam bahtera. Apabila semua tempat telah dibanjirkan, maka yang selamat hanyalah mereka yang berada di dalam bahtera itu. Bahtera tersebut bukanlah bahtera ‘cruise’ mewah dan bukan juga kapal Titanic. Ia adalah kapal laut pertama dalam sejarah manusia dan tentulah jaket keselamatan dan bot keselamatan pun tidak ada. Namun kuasa Allah ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.

 

وَجَعَلْنٰهُمْ خَلىٰئِفَ

dan Kami jadikan mereka pengganti-pengganti

Merekalah umat yang menggantikan penduduk yang semuanya telah mati dalam banjir itu. Keturunan merekalah yang selepas itu tersebar ke serata dunia. Ada juga pendapat yang mengatakan hanya keturunan Nabi Nuh عليه السلام sahaja yang hidup.

 

وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.

Selain daripada mereka yang ikut Nabi Nuh عليه السلام di dalam bahtera itu, umat baginda yang lain tidak selamat. Mereka semua ditenggelamkan dalam Banjir Besar yang semua sudah tahu kisahnya. Musyrikin Mekah pun tahu akan kisah mereka.

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُنذَرِينَ

Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

Mereka diberikan dengan azab semasa di dunia lagi. Ini kerana mereka telah diberikan peringatan dengan banyak sekali namun mereka masih lagi ingkar. Maka, Allah ﷻ telah mengazab mereka.

Oleh itu, jangan kita bersenang lenang sangat. Jika Allah ﷻ mahu menurunkan azab kepada kita, bila-bila masa sahaja ia boleh berlaku. Dengan semakin banyak kemungkaran yang dilakukan manusia sekarang, kita takut kalau-kalau Allah ﷻ buat keputusan turunkan azab segera.

Sekiranya Allah ﷻ turunkan azab yang menyeluruh, dengan kita sekali pun boleh terkena azab itu. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita semua sebagaimana Allah ﷻ selamatkan Nabi Nuh عليه السلام dan pengikut baginda.


 

PARA NABI SETELAH NABI NUH عليه السلام

Yunus Ayat 74: Contoh takhwif duniawi secara ijmali (secara umum, tidak disebut nama Nabi). Kalau secara tafsili, akan disebut nama Nabi.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِ رُسُلًا إِلىٰ قَومِهِم فَجاءوهُم بِالبَيِّنٰتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا بِهِ مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ نَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِ المُعتَدينَ

Sahih International

Then We sent after him messengers to their peoples, and they came to them with clear proofs. But they were not to believe in that which they had denied before. Thus We seal over the hearts of the transgressors

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

 

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِ رُسُلًا

Kemudian Kami utuskan sesudahnya (Nabi Nuh), Rasul-rasul

Telah banyak Rasul-Rasul diturunkan seperti Nabi Luth, Nabi Ibrahim, Nabi Saleh عليهم السلام dan lain-lain lagi. Kaum Nabi Nuh عليه السلام dihancurkan semua sekali maka yang tinggal adalah pengikut-pengikut baginda yang beriman sahaja. Akan tetapi lama kelamaan keturunan mereka telah melakukan kesyirikan yang sama juga. Mereka telah melakukan tawassul dengan berleluasa.

Sebagaimana masyarakat sekarang ini yang melakukan tawasul dengan berleluasa. Kenapakah begitu? Bukankah mereka yang melakukan tawassul itu telah dihancurkan kesemuanya sekali? Ini adalah kerana walaupun mereka telah mati, tetapi yang mengajar mereka melakukan tawassul itu masih hidup lagi. Guru itu adalah iblis dan syaitan. Maka, Allah ﷻ turunkan Rasul-rasul bersilih ganti selepas itu untuk memperbetulkan tauhid hamba-hamba-Nya.

 

إِلَىٰ قَوْمِهِمْ

kepada kaum masing-masing;

Setiap kaum akan mendapat Rasul mereka. Hanya Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diutuskan untuk keseluruhan umat manusia. Rasul-rasul itulah yang menyampaikan ilmu tauhid kepada kaum mereka. Jika bukan kerana mereka itu diturunkan, memang tidak akan sampai ajakan tauhid kepada manusia. Maka, itu memerlukan pendakwah-pendakwah untuk menyampaikan kepada mereka.

Kepada kita, tidak diturunkan Rasul lagi. Allah ﷻ membuat keputusan yang bersesuaian dengan zaman. Ketika zaman dahulu, media untuk menyebarkan maklumat tidak ada, maka mestilah diturunkan Rasul kepada setiap kaum. Akan tetapi, kepada kita yang hidup di era moden ini, banyak sekali cara untuk menyampaikan dakwah. Maka, tidak ada lagi Rasul. Namun kita masih ada pendakwah-pendakwah yang meneruskan tugas-tugas Rasul itu.

 

فَجَاءُوهُم بِالْبَيِّنٰتِ

Maka Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata;

Kalimah فَجَاءُوهُم itu bermaksud para Rasul itu yang datang mencari umat mereka. Mereka adalah mad’u (orang yang didakwah). Ini mengajar kita yang kita sebagai pendakwah yang harus mencari mad’u, bukannya hanya menunggu mereka datang. Jika para Rasul yang mulia pun pergi kepada mad’u, maka kita yang bukan Nabi, bukan juga ulama’ pun kenalah cari mereka. Kerana orang yang buat salah selalunya tidak berasa mereka berbuat salah, maka mustahil untuk mereka mencari ustaz untuk memperbetulkan mereka.

Sekiranya mereka tahu mereka bersalah, mereka pun kebanyakannya tidak ada yang mahu ‘menghulur tengkuk’ sendiri untuk ditegur oleh golongan ustaz. Maka para pendakwah yang kena cari mereka itu. Nabi Musa عليه السلام seorang nabi yang hebat pun Allah ﷻ suruh pergi kepada Firaun seperti disebut dalam Naaziat:17

ٱذهَب إِلَىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ
“Pergilah kamu kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas,

Para Rasul itu datang bertemu kaum mereka membawa kebenaran dengan memberikan dalil-dalil yang jelas nyata. Bukan dalil yang samar-samar. Termasuklah juga, mereka membawa mukjizat. Kalau mereka tidak bawa الْبَيِّنٰتِ dan kaum mereka tolak, tidaklah bersalah kaum mereka itu. Akan tetapi kaum mereka itu diazab kerana menolak الْبَيِّنٰتِ yang dibawa oleh para Rasul mereka. Menolak الْبَيِّنٰتِ adalah suatu kesalahan yang besar yang mengundang murka Allah ﷻ.

Ini mengajar kita bahawa ajaran agama ini mesti jelas. Jangan dibiarkan samar-samar sepertimana yang diajar oleh golongan sesat seperti golongan tarekat itu. Pengajaran mereka boleh mengelirukan manusia, bukannya mendekatkan mereka kepada agama. Tanyalah kepada penganut-penganut tarekat itu tentang agama, akan nampak yang mereka keliru dan bermacam-macam pandangan agama yang sampai daripada mulut mereka. Ini kerana memang apa yang diajar oleh guru tarekat mereka itu bukan daripada agama yang jelas nyata, melainkan daripada mimpi khayalan guru mereka sahaja.

Allah ﷻ tidak menyebut mukjizat dibawakan di dalam ayat ini kerana bukan semua ada mukjizat. Maka apakah الْبَيِّنٰتِ yang ada pada kita? Itulah Al-Qur’an. Kita tidak diberikan mukjizat sebagaimana para Rasul itu akan tetapi kita diberikan mukjizat yang kekal sampai ke hari ini iaitu Al-Qur’an. Jelas sekali dalam berdakwah hendaklah disebut dan dijelaskan ayat-ayat Al-Qur’an. Namun malang sekali kita lihat ramai pendakwah dan penceramah hari ini tidak membawa perkara ini. Ini amat menyedihkan kerana guru agama pun tidak menghiraukan ayat Al-Qur’an.

Lebih malang lagi apabila ada golongan agamawan juga yang menakut-nakutkan dengan berkata Al-Qur’an ini berat sangat, kita orang awam tidak akan mampu untuk faham. Mereka kata kalau belajar, boleh menjadi sesat. Kenyataan sebegini teramalah mengarut sekali! Jika benarlah mempelajari Al-Qur’an boleh menyesatkan, kenapa Allah ﷻ berikan kepada kita, dan memerintahkan Rasulullah ﷺ sampaikan kepada kita? Memang tidaklah semudah itu Al-Qur’an boleh difahami oleh semua, sebab itu kenalah belajar tafsir. Akan tetapi ia boleh difahami oleh manusia. Sedangkan jin yang tidak berapa pandai itu pun boleh faham, takkan kita yang diberikan kelebihan akal tidak mampu untuk faham pula?

 

فَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا بِمَا كَذَّبُوا بِهِ مِن قَبْلُ

mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah dustakan sebelum itu.

  1. Bilakah mereka dustakan Rasul-Rasul itu? Maksud ayat ini, apabila para Rasul itu datang kepada mereka dan menyampaikan ajakan tauhid pada mulanya, mereka terus menolak dakwah para Rasul itu. Mereka tidak dengar betul-betul dan buka hati mereka, sebaliknya mereka tolak terus. Mereka kata ini adalah ajaran yang karut kerana lain dengan apa yang mereka faham.

Selepas itu, setelah sekian lama, apa sahaja yang disampaikan oleh Rasul itu, mereka akan tolak. Mereka tidak akan berganjak daripada keputusan asal mereka yang mula-mula telah tolak itu. Sebagai contoh, selepas ini akan dibawakan kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun. Daripada mula lagi Firaun tidak mahu beriman walau apa pun hujah dan dalil termasuk mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام dan Firaun tidak beriman sehingga ke hujung hayatnya (nyawa di kerongkong baru dia hendak beriman).

Walaupun para Rasul itu telah membawa bukti-bukti dan dalil-dalil yang jelas pun, mereka tetap tidak mahu beriman. Ini mengajar kita, kalau kita tolak dakwah dari awal-awal lagi, maka ia menjadi susah untuk kita menerima dakwah itu kemudiannya. Kalau ditolak dan ditolak lagi, akhirnya hatinya akan tertutup terus untuk menerima tauhid. Allah ﷻ telah sebut dalam An’am: 110 tentang hal ini:

وَنُقَلِّبُ اَفْـِٕدَتَهُمْ وَاَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوْا بِهٖٓ اَوَّلَ مَرَّةٍ وَّنَذَرُهُمْ فِيْ طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُوْنَ ࣖ ۔
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

Inilah bahayanya bila berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Apabila kita membawakan ajaran sunnah, mereka terus tolak tanpa usul periksa. Mereka akan kata ini adalah ajaran karut sebelum mereka dengar apa yang kita hendak sampaikan. Kebanyakan mereka tidak mahu menerimanya. Tambahan pula ada golongan jahil yang menghalang manusia daripada mendengar dengan menuduh kita sebagai golongan Wahabi. Mereka kata Wahabi sesat, sampaikan ramai orang takut hendak dengar apa yang kita hendak sampaikan.

Yang terima hanyalah sedikit sahaja. Iaitu golongan yang tidak tolak terus. Walaupun mungkin pada awalnya, mereka kehairanan kenapa ajaran Sunnah ini berlainan dengan apa yang mereka tahu dan amal selama ini, akan tetapi mereka masih membuka minda dan hati mereka untuk mendengar lagi. Lalu Allah ﷻ tarik mereka kepada kebenaran akhirnya.

2. Tafsiran lain bagi maksud مِن قَبْلُ itu adalah umat mengikut penolakan ajaran wahyu yang dilakukan oleh tok nenek sebelum itu. Ini kerana manusia banyak mengikut sahaja amalan salah tok nenek mereka tanpa periksa. Walaupun amalan tok nenek itu jauh daripada amalan dan ajaran wahyu, mereka amalkan sahaja. Bila datang ajaran wahyu yang sebenar, mereka tolak. Inilah masalah zaman berzaman sampailah sekarang. Allah ﷻ sebut tentang mereka dalam Zukhruf: 22-23

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ
Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

Begitu jugalah yang terjadi dengan umat manusia dahulu seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام itu. Selama 950 tahun baginda ditolak kerana umat baginda mewasiatkan kepada anak cucu supaya tolak ajaran Nabi Nuh عليه السلام. Maka seluruh keturunan mereka turun temurun menolak baginda. Kerana itulah baginda akhirnya minta supaya dimatikan semua sekali umat baginda yang menentang itu kerana mereka tidak ada harapan lagi.

3. Atau yang dimaksudkan adalah mereka sememangnya tidak ambil peduli kisah Nabi Nuh عليه السلام dahulu. Mereka sudah tahu apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran. Sebab itu penting kita belajar dan faham kisah-kisah para Nabi dan kaum mereka. Jika tidak belajar, memang susah untuk kita benar-benar beriman.

 

كَذٰلِكَ نَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِ الْمُعْتَدِينَ

Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka. Allah ﷻ menutup terus hati mereka daripada menerima hidayah kerana mereka telah melampau. Melampaui batas itu bermaksud melakukan syirik dan mengerjakan amalan yang bid’ah. Oleh kerana ayat ini bermula tentang kaum Nabi Nuh عليه السلام yang melakukan tawassul, maka ‘melampaui batas’ yang dimaksudkan adalah melakukan tawassul dalam berdoa. Ada tawassul yang digalakkan, tetapi mereka masih juga hendak melakukan tawassul yang dilarang.

Tindakan melampau itu juga adalah tindakan mereka menolak para Rasul itu dari awal-awal lagi. Begitulah juga yang terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ada Musyrikin Mekah yang terus menolak baginda semenjak awal lagi walaupun mereka tahu bahawa apa yang baginda bawa itu adalah kebenaran. Mereka tolak kerana mereka sombong dan takut kedudukan mereka dalam masyarakat akan terjejas.

Begitu juga dengan zaman sekarang. Ada golongan agama yang ada kedudukan agama di dalam masyarakat yang tidak mahu mendengar dan mengikut dakwah Sunnah. Mereka mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Merekalah yang menjadi pakar rujuk masyarakat. Merekalah yang diminta fatwa dan keputusan agama selama ini.

Mereka rasa kalau mereka terima ajaran sunnah itu, bermakna mereka telah mengakui bahawa apa yang mereka lakukan sebelum itu adalah salah dan mereka tidak mahu mengaku begitu. Mereka ada ego dan ego itulah yang menjatuhkan mereka.

Ada pula yang mendapat upah daripada kedudukan mereka itu. Mereka itulah yang dipanggil untuk mengetuai majlis bacaan tahlil, doa selamat dan sebagainya. Selepas mereka buat amalan bid’ah itu, mereka diberi habuan upah pula. Bagi mereka, sekiranya dakwah Sunnah diterima, maka tiada lagi amalan bid’ah yang mereka boleh jadikan sebagai sumber kewangan. Amat rugilah mereka. Disebabkan itulah, mereka akan menentang habis-habisan.

Maka, apakah kesan akibatnya kepada mereka apabila mereka tolak awal-awal lagi? Bahayanya adalah Allah ﷻ boleh meterikan, boleh kunci mati hati mereka untuk menerima tauhid nanti kerana mereka tolak dari awal-awal lagi. Walaupun selepas diajak berkali-kali, mereka tetap tidak mahu terima.

Apabila sudah tolak berkali-kali, Allah ﷻ akan kunci mati hati mereka untuk menerima iman. Mereka tidak akan terima iman itu sampai bila-bila pun. Mereka sudah kehilangan peluang untuk beriman. Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka lagi. Alangkah ruginya. Kita pun kadang-kadang hairan kenapalah mereka susah sangat hendak terima dakwah. Ini adalah kerana hati mereka sudah keras seperti disebut dalam Zumar:22

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) daripada Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Ketika itu, berdakwahlah dan berhujahlah apa sahaja pun, mereka tidak akan terima. Seperti Allah ﷻ sebut dalam Baqarah:6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

Jangan kita hanya sangka non-Muslim sahaja boleh terkena penyakit ini. Orang yang mengaku Muslim pun boleh terkena juga. Apakah punca hati menjadi keras ini? Allah ﷻ sebut dalam Hadid:16

أَلَم يَأنِ لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ
Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

Di dalam ayat daripada Surah Hadid ini Allah ﷻ menegur bukannya golongan kafir, tetapi Muslim. Ini kerana mereka sudah tidak menjaga hati mereka, tidak menghiraukan ajaran wahyu, perangai sudah seperti golongan Yahudi dan Nasara. Apakah bukan ini yang berlaku sekarang?


 

NABI MUSA DAN NABI HARUN عليهما السلام

Yunus Ayat 75: Sekarang Allah ﷻ beri contoh kepada kita tentang kisah Nabi Musa عليه السلام. dan Firaun pula.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ وَهٰرونَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ بِئآيٰتِنا فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ

Sahih International

Then We sent after them Moses and Aaron to Pharaoh and his establishment with Our signs, but they behaved arrogantly and were a criminal people

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan pembesar-pembesarnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

 

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِم مُّوسَىٰ وَهٰرُونَ

Kemudian Kami bangkitkan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun,

Banyak sekali kisah Nabi Musa عليه السلام dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah baginda. Apa yang baginda lalui, ada banyak persamaan dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ dan pendakwah-pendakwah kita. Maka Allah ‎ﷻ banyak beri pengajaran daripada pengalaman baginda.

Tambahan pula baginda adalah Nabi yang paling utama daripada golongan Yahudi. Maknanya baginda telah berhadapan dengan bangsa yang paling degil dalam sejarah manusia. Baginda juga adalah salah seorang daripada lima Rasul Ulul Azmi. Baginda juga ada kelebihan yang tidak diberikan kepada manusia lain iaitu baginda boleh bercakap terus dengan Allah ﷻ. Sebab itulah nama baginda disebut sebanyak 136 kali di dalam Al-Qur’an. Bandingkan kedudukan kedua adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan itu pun hanya sebanyak 69 kali sahaja nama baginda disebut.

Kemudian nama Nabi Yusuf عليه السلام pula sebanyak 58 kali. Seterusnya adalah Nabi Isa عليه السلام sebanyak 55 kali (21 kali dengan sebutan Nabi Isa عليه السلام, manakala 11 kali dengan sebutan al-Masih, dan 23 kali dengan Ibnu (Putra) Maryam). Selanjutnya adalah Nabi Nuh عليه السلام sebanyak 43 kali, Nabi Luth عليه السلام sebanyak 27 kali, Nabi Adam عليه السلام sebanyak 25 kali, Nabi Muhammad ﷺ sebanyak 25 kali, Nabi Sulaiman عليه السلام sebanyak 21 kali, Nabi Harun عليه السلام sebanyak 20 kali.

Seterusnya adalah Nabi Ya’qub 18 kali, Nabi Daud 18 kali, Nabi Ishaq 17 kali, Nabi Ismail 12 kali, Nabi Zakariya 12 kali, Nabi Syuaib 11 kali, Nabi Saleh 10 kali, Nabi Hud 7 kali, Nabi Yunus 5 kali, Nabi Yahya 5 kali, Nabi Ayyub 4 kali, Nabi Ilyas 4 kali, Nabi Idris 2 kali, Nabi Zulkifli 2 kali, dan Nabi Ilyasa’ 2 kali.

 

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإيْهِ

kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya

Satu lagi sebab Nabi Musa عليه السلام disebut paling banyak adalah kerana baginda berhadapan dengan Firaun, musuh tauhid yang paling petah berkata-kata. Kesesatan Firaun amat melampau sekali ini, sampaikan dia mengaku dialah rabb, juga mengaku dialah ilah.

Firaun mengaku sebagai rabb telah disebut dalam Nazi’at: 24

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ ٱلأَعلَىٰ
(Firaun) berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi”.

Dia mengaku sebagai ilah disebut dalam Qasas: 38

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري
Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ilah bagimu selain aku.

Kalimah مَلَئِهِ berasal daripada katadasar م ل أ yang bermaksud ‘memenuhkan’. Digunakan dalam ayat ini merujuk kepada ‘pembesar-pembesar’ kerana orang-orang yang besar ini memenuhkan hati mereka yang melihat pembesar itu dengan rasa kagum, takjub, takut dan sebagainya. Atau, mereka memenuhkan istana sebagai orang Raja. Mereka inilah orang kita akan lihat orang yang berpangkat tinggi, berkedudukan tinggi dengan pandangan yang lain macam.

Golongan ملأ pada zaman Firaun itu adalah golongan elit dalam masyarakat Mesir. Mereka memegang jawatan yang tinggi dalam kerajaan seumpama kabinet menteri pada zaman sekarang.

Kenapakah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada Firaun dan golongan elit itu? Bukankah nampak seolah-olah mereka hanya berdakwah pada orang-orang kaya sahaja? Bagaimana pula dengan golongan-golongan miskin dan hamba? Bagaimana pula dengan Bani Israil? Bukankah agama itu untuk semua orang?

Kita harus faham bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya itu kerana merekalah kepala yang diikuti oleh rakyat jelata. Apa-apa sahaja pegangan mereka akan diikuti dan dituruti oleh masyarakat umum. Tambahan pula sewaktu zaman Firaun itu, masyarakat tidak mempunyai kebebasan untuk memilih agama. Mereka kena ikut apa yang pemimpin mereka kata. Maka, kenalah dakwah kepada kepala dahulu.

Masyarakat Mesir pada waktu itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu Bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Para pembesar dan orang-orang kaya adalah daripada bangsa Qibti manakala Bani Israil adalah golongan hamba. Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام dihantar kepada dua-dua golongan itu, bukan kepada Firaun dan pembesar sahaja.

Kedua-dua Nabi عليهماالسلام itu mempunyai misi yang berbeza untuk bangsa Qibti dan kepada Bani Israil. Ini adalah kerana bangsa Qibti masih kafir dan Bani Israil sudah Muslim sebenarnya (namun tidaklah taat seperti yang sepatutnya). Maka, tidaklah sama pendekatan yang digunakan untuk Firaun dengan pendekatan yang digunakan kepada Bani Israil.

Kita juga kena tahu bahawa ملأ (pembesar) pada zaman Firaun itu juga ada dua jenis: ada daripada bangsa Qibti dan ada daripada Bani Israil. Kenapakah begitu? Bukankah Bani Israil itu adalah golongan hamba? Dalam kalangan mereka juga ada pembesar, kerana untuk mengawal Bani Israil, Firaun memerlukan ‘Orang Dalam’. Maka, mereka melantik ketua-ketua daripada Bani Israil sendiri menjadi pembesar. Antaranya yang kita kenal adalah seperti Qarun (ya Qarun daripada Bani Israil).

Namun begitu pembesar daripada Bani Israil itu sebenarnya di bawah telunjuk Firaun. Mereka diletakkan di tempat mereka supaya mereka senang mengawal Bani Israil itu. Sepertimana ketika Jepun memerintah negara ini, mereka akan melantik ketua-ketua dalam kalangan masyarakat kita juga, supaya mereka itu boleh menjadi mata-mata kepada Jeneral Jepun.

 

بِئآيٰتِنَا

dengan membawa ayat-ayat Kami;

Allah ‎ﷻ hantar mereka dengan membawa mukjizat. Iaitu mukjizat yang utama sekali adalah tangan Nabi Musa عليه السلام yang bercahaya dan tongkat baginda yang bertukar menjadi ular. Selain itu, ada beberapa lagi mukjizat. Kesemua sekali terdiri daripada sembilan tanda yang telah disebut dalam Al-Qur’an.

Tanda-tanda itu jelas. Mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk melihat tanda-tanda itu. Oleh itu, jikalau mereka tolak, bukanlah kerana mereka tidak nampak atau tidak faham, tetapi kerana sombong sahaja. Macam kita sekarang, apabila berdakwah, kita menyampaikan kepada masyarakat ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas, tetapi ramai yang masih tidak mahu terima. Itu adalah kerana mereka degil sahaja.

 

فَاسْتَكْبَرُوا

lalu mereka sombong

Maksud ‘sombong’ dalam ayat ini adalah sombong untuk menerima ajaran tauhid. Mereka berasa mereka besar dan tidak memerlukan agama ‘baru’ bagi mereka. Mereka memandang rendah terhadap Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام. Mereka berdua itu daripada Bani Israil dan kerana itu Firaun dan pembesar-pembesarnya tidak memandang mereka berdua kerana mereka daripada golongan hamba. Mereka tidak memandang apakah yang dibawa oleh kedua Nabi itu, tetapi mereka melihat status kedua-dua mereka.

Orang kita pun kadangkala begitulah juga. Ramai yang tidak memandang hujah yang diberikan oleh pendakwah Tauhid, sebaliknya mereka melihat siapakah orang itu. Kalau orang itu tidak mempunyai kedudukan, mereka susah hendak terima. Atau kalau mereka itu tidak belajar di pondok, di sekolah agama, belajar sana dan sini, mereka tidak mahu terima. Mereka sombong dengan merasakan yang mereka lebih pandai daripada orang lain. Hujah yang diberikan, mereka tolak terus. Mereka tidak dengar pun.

 

وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

Mereka itu adalah kaum penjenayah. Lihatlah bagaimana mereka telah menghambakan Bani Israil sekian lama. Itulah dosa mereka selain daripada dosa syirik yang mereka lakukan. Apabila Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام datang untuk mengajak kepada Tauhid, mereka tidak mahu beriman. Dari situ, banyak lagilah dosa yang mereka lakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 71 – 72 (Kisah Nabi Nuh عليه السلام)

NABI NUH عليه السلام DAN UMATNYA

Yunus Ayat 71: Sekarang Allah ﷻ beri contoh Takhwif Duniawi tentang kaum yang sesat dan balasan yang dikenakan kepada mereka. Allah ﷻ beri contoh kepada kita tentang satu kaum yang mengamalkan tawasul, iaitu kaum Nabi Nuh عليه السلام. Kaum Nabi Nuh عليه السلام mengamalkan tawasul dengan menggunakan lima orang wali mereka yang telah mati sebagai perantara (tawasul) kepada Allah ﷻ. Kisah ini ada disebut dengan panjang lebar di dalam Surah Nuh.

Ada yang berpendapat Nabi Nuh عليه السلام ini telah berdakwah ke serata dunia kerana Banjir Besar itu terjadi di seluruh dunia. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak menghancurkan umat melainkan mereka telah diberikan dengan Rasul untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Jika bukan seluruh dunia yang menolak ajakan tauhid itu, maka tidaklah keseluruhan manusia yang dibanjirkan. Tambahan pula umur baginda amat panjang yang boleh dijadikan hujah yang baginda telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan dakwah tauhid.

Allahu a’lam. Akan tetapi yang lebih kuat adalah baginda hanya berdakwah kepada kaum baginda sahaja dan Banjir Besar itu terjadi di kawasan baginda sahaja. Boleh rujuk perbincangan di dalam Hud:48.

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ نوحٍ إِذ قالَ لِقَومِهِ يٰقَومِ إِن كانَ كَبُرَ عَلَيكُم مَّقامي وَتَذكيري بِئآيٰتِ اللَّهِ فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلتُ فَأَجمِعوا أَمرَكُم وَشُرَكاءَكُم ثُمَّ لا يَكُن أَمرُكُم عَلَيكُم غُمَّةً ثُمَّ اقضوا إِلَيَّ وَلا تُنظِرونِ

Sahih International

And recite to them the news of Noah, when he said to his people, “O my people, if my residence and my reminding of the signs of Allah has become burdensome upon you – then I have relied upon Allah. So resolve upon your plan and [call upon] your associates. Then let not your plan be obscure to you. Then carry it out upon me and do not give me respite.

Malay

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.

 

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ نُوحٍ

Dan bacakanlah kepada mereka berita Nabi Nuh,

Allah ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ dan kita yang membawa mesej Al-Qur’an ini untuk menyampaikan kepada manusia tentang kisah Nabi Nuh عليه السلام dan kaumnya. Kisah baginda disebutkan dahulu kerana baginda adalah Rasul yang pertama dan kerana lamanya tempoh baginda berdakwah. Ada pengajaran yang kita kena belajar daripada kisah baginda.

Ia juga bertindak sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Apabila baginda mendengar kisah-kisah para Nabi yang terdahulu, maka terubatlah sedikit rasa berat di hati baginda kerana dakwah para Nabi sebelum baginda juga ditolak. Begitu juga kepada kita para pendakwah ini, ia menjadi pujukan juga kepada kita. Kalau para Nabi pun ditolak, apatah lagi kita?

Ia mengingatkan kita supaya jangan mudah berputus asa dalam berdakwah. Kalau baru berdakwah dan kemudian ditolak, janganlah patah semangat kerana Nabi Nuh عليه السلام amat lama berdakwah, 950 tahun baginda ditolak seperti disebut dalam Ankabut:14

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.

Allah ﷻ suruh sampaikan kisah daripada Al-Qur’an, maka ini mengajar kita yang berdakwah mestilah menggunakan Al-Qur’an. Mahu ditambah dengan perkara-perkara dan kaedah lain boleh, tetapi metod dakwah utama mestilah menggunakan Al-Qur’an.

Dan setelah dibacakan ayat-ayat wahyu, kenalah diikuti. Kerana kalimah اتْلُ ada membawa maksud ‘ikut’ seperti yang digunakan di dalam Syams:2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya,

Banyak sekali kisah para Nabi di dalam Al-Qur’an ini. Sikit-sikit kita jumpa kisah mereka, kadangkala berulang-ulang pula. Kenapa Allah ﷻ sebut kisah mereka? Secara umumnya ada tiga sebab:

1. Sebagai ibrah (pengajaran). Dalilnya adalah Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

2. Supaya manusia berfikir dan memilih jalan yang benar. Dalilnya A’raf:176

ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا ۚ فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ
Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

3. Untuk meneguhkan iman orang Mukmin yang melakukan kerja dakwah. Dalilnya adalah Hud:120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu;

Maka amat penting sekali kisah para Nabi ini kepada kita. Sebab itu Allah ﷻ sampaikan kepada kita dan kita kena sampaikan kepada orang lain pula. Malangnya kalau kita dengar ceramah dan kelas agama sekarang, bukan kisah para Nabi yang disampaikan tetapi kisah tok guru itu, tok syeikh itu, Habib itu, wali ini. Kononnya mereka buat itu dan ini. Kisah-kisah itu pula mengarut-ngarut jadinya dan tidak boleh dipastikan sama ada benar ataupun tidak. Seolah-olah golongan itu berlumba pula kisah siapa yang paling mengarut di antara tok guru mereka.

 

إِذ قالَ لِقَومِهِ يٰقَومِ

ketika dia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata terakhir daripada baginda kepada kaumnya sebelum Banjir Besar berlaku. Iaitu selepas 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka. Mereka itu semua adalah kaumnya, sepertimana Quraish dan Arab adalah bangsa Nabi Muhammad ﷺ. Tentunya baginda sayang kepada kaumnya, tetapi mereka tetap menolak ajakan dakwah baginda.

Lihatlah cara panggilan Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya itu. Baginda memanggil dan menyeru mereka dengan menggunakan kalimah yang baik-baik. Beginilah cara dakwah, bukannya dengan cara yang kasar dan biadap. Jangan gunakan bahasa yang kesat kerana ia boleh menolak manusia daripada dakwah.

 

إِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكُم مَّقَامِي

Sekiranya menjadi keberatan kepada kamu kedudukan aku dalam kalangan kamu,

“Sekiranya kamu berasa berat kerana aku tinggal bersama kamu; Kalau kamu rasa susah apabila aku berada bersama-sama dengan kamu.” Begitulah lebih kurang kata baginda. Ini kerana kaumnya yang ingkar sudah berasa tidak selesa Nabi Nuh عليه السلام tinggal bersama mereka. Mereka rasa berat dengan adanya baginda bersama mereka.

Memang sudah lumrah yang orang yang mengamalkan tauhid dan sunnah, akan dibenci oleh orang lain yang hendak mengamalkan syirik dan bid’ah. Sampai ada yang kena halau dari kampung halaman pun pernah kita dengar. Apabila mereka nampak kita, mereka akan menjuihkan mulut ke arah kita. Mereka pula akan bercakap sesama mereka tentang kita dalam nada menghina. Mereka naik bosan apabila selalu ditegur. Maka begitulah dengan Nabi Nuh عليه السلام, malah lebih teruk lagi.

Maksud kedua perkataan مَّقَامِ itu adalah ‘kedudukan’. Jikalau mereka rasa berat dengan ‘kedudukan’ Nabi Nuh عليه السلام itu. Apakah ‘kedudukan’ Nabi Nuh عليه السلام? Iaitu sebagai Rasul dan penyebar tauhid kepada mereka. Maka, sebagai Rasul, tentunya tugas baginda adalah menyampaikan ajaran agama dan menegah mereka daripada berbuat dosa, lebih-lebih lagi dosa syirik. Mereka tidak senang dengan dakwah yang disampaikan oleh baginda.

Memang kaum Nabi Nuh عليه السلام rasa berat dengan dakwah baginda. Ada dua sebab:

    1. Baginda terus menerus berdakwah tanpa henti. Mereka sudah rasa rimas dan tidak tahan lagi. Kalau orang dakwah kepada kita sebentar sahaja, kita bolehlah hendak tahan walaupun kita tidak suka. Akan tetapi kalau hari-hari dakwah kepada kita, tentu kita rasa tertekan, bukan?
    2. Kerana apa yang baginda dakwah itu berlawanan dengan kehendak nafsu mereka. Mereka hendak buat apa sahaja yang mereka suka. Apabila Nabi Nuh عليه السلام mengajak kepada yang lain (ke arah Tauhid), mereka tidak suka.

 

وَتَذْكِيرِي بِئآيٰتِ اللَّهِ

dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat Allah itu,

Sebenarnya, bukan kerana Nabi Nuh عليه السلام tinggal dengan mereka yang menyebabkan mereka benci itu, tetapi kerana dakwah baginda yang mereka benci. Kalau duduk buat senyap sahaja, tidak ada hal kepada mereka. Kalau kita tahu tentang tauhid, tetapi kita buat senyap sahaja, kita pun selamat juga daripada diganggu puak bidaah. Akan tetapi, kita nanti tidak selamat daripada seksa Allah ﷻ kerana tidak menyampaikan ilmu.

Kalimat آيَاتِ اللَّهِ (ayat-ayat Allah ﷻ) yang dimaksudkan itu adalah ‘ayat-ayat tauhid’; iaitu wahyu daripada Allah ﷻ. Itulah mesej utama yang disampaikan oleh semua Rasul dan Nabi; iaitu memberitahu manusia tentang Allah ﷻ dan tentang larangan kesyirikan yang dilakukan oleh manusia. Nabi Nuh عليه السلام mengajak mereka untuk menyembah Allah ﷻ sahaja. Nabi Nuh عليه السلام melarang mereka melakukan tawasul. Disebabkan teguran baginda itulah yang menyebabkan baginda dibenci.

Ini mengajar kita dakwah mesti dibawakan dengan ayat-ayat wahyu. Namun sekarang jarang kita dengar pada penceramah membawakan ayat Al-Qur’an, bukan? Apa mereka sangka masyarakat sudah mahirkah dengan Al-Qur’an sampai tidak diajar kepada masyarakat lagi? Atau, penceramah itu sendiri tidak mahir Al-Qur’an sampai mereka pun tidak boleh ajar?

Kembali kepada kisah Nabi Nuh عليه السلام. Selama 950 tahun Nabi Nuh عليه السلام telah berdakwah kepada kaumnya dan kaumnya sudah berasa terlalu bosan dengan ajakan baginda. Kebosanan mereka telah bertukar menjadi benci sehingga mereka hendak melakukan rancangan jahat terhadap baginda. Maka baginda telah bercakap dengan mereka secara terbuka.

Namun sebelum itu mari kita lihat bagaimana cara dakwah Nabi Nuh عليه السلام dan sikap umat baginda terhadap dakwah itu. Mari kita lihat nukilan Allah ﷻ tentang aduan Nabi Nuh عليه السلام kepada-Nya di dalam Nuh: 5-9

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam

فَلَم يَزِدهُم دُعائي إِلّا فِرارًا
“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (daripada kebenaran).

وَإِنّي كُلَّما دَعَوتُهُم لِتَغفِرَ لَهُم جَعَلوا أَصابِعَهُم في آذانِهِم وَاستَغشَوا ثِيابَهُم وَأَصَرّوا وَاستَكبَرُوا استِكبارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

ثُمَّ إِنّي دَعَوتُهُم جِهارًا
“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

ثُمَّ إِنّي أَعلَنتُ لَهُم وَأَسرَرتُ لَهُم إِسرارًا
“Selain daripada itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Begitulah cara baginda berdakwah tanpa lelah dan tanpa bosan. Kita pun boleh melihat bagaimana kaum baginda tidak suka dengan dakwah itu. Hanya beberapa puluh orang sahaja beriman dengan baginda. Adakah Nabi Nuh عليه السلام telah gagal dalam dakwahnya? Tentu tidak! Dakwah tidak dinilai dengan jumlah bilangan pengikut. Nabi Muhammad ﷺ selama berdakwah 13 di Mekah pun hanya lebih kurang 200 orang sahaja yang beriman. Adakah Rasulullah ﷺ telah gagal? Tentu tidak!

Walaupun hanya sedikit sahaja beriman, tetapi dakwah baginda telah sampai kepada kita. Begitu juga dengan Nabi Nuh عليه السلام. Taqdirnya adalah baginda tidak kisah dengan sikap mereka, baginda tetap melakukan dakwah. Kita ini semua keturunan baginda. Ya, tidak ramai yang beriman di masa hidup baginda, namun akhirnya dakwah baginda telah sampai juga kepada kita melalui keturunan baginda.

 

فَعَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْتُ

Kepada Allah aku bertawakal.

Disebabkan Nabi Nuh عليه السلام yang tidak berhenti mengajak kepada Tauhid, maka kaumnya telah marah dan telah membuat perancangan jahat terhadap baginda. Nabi Nuh عليه السلام membalas dengan memberitahu yang baginda hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja. Apa-apa sahaja yang mereka hendak buat kepada baginda, baginda telah menyerah dirinya kepada Allah ﷻ. Terpulang kepada Allah ﷻ apa yang Allah ﷻ akan lakukan kepada baginda. Baginda akan terima sahaja apa yang Allah ﷻ telah tentukan untuknya.

Maka begitulah juga kita mestilah bertawakal kepada Allah ﷻ dan hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Ini kita dapat tahu daripada susunan ayat ini. Apabila ditaqdimkan (didahulukan) huruf jar على, maka ia memberi isyarat eksklusif. Ia tidak sama kalau susunannya وعلي الله توكلت. Kalau susunannya begini, ia membawa maksud biasa sahaja. Akan tetapi daripada ayat yang kita belajar ini, ia membawa maksud yang tidak boleh langsung tawakal kepada selain Allah ﷻ. Memang tidak sesuai pun kerana selain Allah ﷻ tidak ada lagi tempat untuk kita meletakkan harapan kita.

Selain itu juga maksud tawakal mestilah difahami dengan jelas. Bukan setakat menyerah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian barulah serahkan kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

 

فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ

Oleh itu, kamu kumpullah urusan kamu dan sekutu-sekutu kamu

“Kalau kamu tidak suka aku berada bersama kamu dan dengan kedudukan aku sebagai Rasul kamu, dan dengan aku memberi peringatan kepada kamu, maka kamu buatlah rancangan kamu. Teruskan rancangan untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku.” Ini adalah kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya secara terbuka.

Sebelum itu, sudah kedengaran kepada Nabi Nuh عليه السلام yang kaumnya mahu membunuhnya. Maka Nabi Nuh عليه السلام suruh mereka teruskan apa yang mereka telah rancang itu kerana baginda telah menyerahkan diri baginda kepada Allah ﷻ.

 

ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً

kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi

“Jangan kamu rahsiakan rancangan kamu itu. Tak perlu buat rancangan secara sembunyi-sembunyi!” Kalimah غُمَّةً berasal daripada katadasar غ م م yang bermaksud ‘awan’ dan sifat awan itu melindungi. Melindungi kepanasan matahari daripada sampai ke bumi. Nabi Nuh عليه السلام suruh mereka jangan sembunyikan apa perancangan mereka itu. Jangan buat secara tersembunyi. Buatlah secara ‘gentleman’, berdepan.

“Kamu buatlah rancangan kamu itu dengan cara terbuka. Buat rancangan itu di depan aku dan di depan semua orang.” Sebab kalau mereka buat rancangan tersembunyi, nanti ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu apa hendak buat, bukan? Maka, berpakatlah molek-molek dan terang-terang, supaya perancangan mereka betul-betul mantap.

Ini adalah cabaran Nabi Nuh عليه السلام kepada mereka. Selalunya rancangan jahat akan dilakukan dengan sembunyi dan rahsia. Akan tetapi Nabi Nuh عليه السلام sudah beri mereka peluang untuk buat rancangan secara terbuka. Supaya semua tahu apa yang hendak dibuat kepada baginda. Tidak ada yang tertinggal daripada dapat maklumat yang jelas.

 

ثُمَّ اقْضُوا إِلَيَّ

sesudah itu bertindaklah terhadapku

Kalimah اقْضُوا berasal daripada katadasar ق ض ى yang bermaksud menjalankan sesuatu rancangan. “Buatlah apa pun rancangan yang telah kamu semua tetapkan untuk diriku.” Nabi Nuh عليه السلام sudah bersedia untuk menerima apakah keputusan dan tindakan mereka kerana pengharapan dan tawakal baginda kepada Allah ﷻ amat tinggi.

 

وَلَا تُنظِرُونِ

dan janganlah kamu lengahkan kepadaku.

“Jangan beri tangguh kepada aku. Buat terus apa yang kamu telah rancangkan. Jangan beri peluang untuk aku melarikan diri atau apa-apa sahaja.”

Nabi Nuh عليه السلام berkata begitu kerana baginda tidak takut kepada mereka dan baginda telah bertaqwa kepada Allah ﷻ. Baginda hanya takut kepada Allah ﷻ sahaja. Baginda juga amat yakin dengan apa yang baginda lakukan. Baginda juga yakin yang Allah ﷻ akan selamatkan baginda.

Begitu jugalah dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, perlu juga yakin bahawa apa yang kita lakukan dan sampaikan ini adalah kebenaran. Bila kita yakin dengan dakwah yang kita bawa, maka kita akan jadi berani. Kita tidak takut dengan ancaman musuh.

Apabila kita berdakwah, sudah tentu kita akan ditentang. Ini adalah sunnatullah dan pasti akan berlaku. Jangan terkejut bila ia terjadi dan jangan takut dengan tentangan itu sampai kita memberhentikan gerakan dakwah ini. Kita kena teruskan juga walau apa pun kata-kata nista daripada masyarakat yang terpaksa kita hadap.

Manusia tidak akan mampu untuk memberi mudarat kepada kita tanpa izin daripada Allah ﷻ. Walaupun mereka berkumpul ramai-ramai membuat rancangan jahat kepada kita dan mereka beramai-ramai datang kepada kita untuk menyakiti kita, mereka tidak dapat berbuat apa-apa jika Allah ﷻ tidak izinkan. Akan tetapi tidaklah kita disuruh mengikut cara Nabi Nuh عليه السلام ini dengan mencabar manusia pula kerana tahap kita tidaklah sama dengan tahap para Nabi.


 

Yunus Ayat 72: Sambungan kata-kata Nabi Nuh عليه السلام.

فَإِن تَوَلَّيتُم فَما سَأَلتُكُم مِن أَجرٍ ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللَّهِ ۖ وَأُمِرتُ أَن أَكونَ مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And if you turn away [from my advice] then no payment have I asked of you. My reward is only from Allah, and I have been commanded to be of the Muslims.”

Malay

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

فَإِن تَوَلَّيْتُمْ

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku,

Ini merupakan peringatan untuk mereka yang menolak dakwah tauhid disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام. Setelah diberi peringatan, tetap juga tidak mahu terima. Sekarang Nabi Nuh عليه السلام berhujah dengan mengingatkan kepada mereka bahawa baginda tidak pernah meminta habuan apa-apa pun daripada mereka.

 

فَمَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ

aku tidak pernah meminta sebarang balasan upah daripada kamu

Nabi Nuh عليه السلام mengingatkan mereka yang baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka atas dakwahnya itu kerana memang sudah tugas baginda untuk menyampaikan. Ini adalah sepertimana kita beritahu kepada keluarga kita tentang suatu nasihat kebaikan, takkan selepas itu kita minta upah daripada mereka pula, bukan?

Maka Nabi Nuh عليه السلام di dalam ayat ini memberitahu kepada mereka bahawa jika mereka menolak dakwah daripada baginda, baginda tidak terkesan dengan penolakan mereka itu. Baginda tidak rugi pun kerana baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka. Maknanya, sekiranya mereka beriman, tidaklah baginda mendapat ganjaran wang atau sebarang keuntungan daripada mereka.

Begitu juga kalau mereka tidak mahu beriman, baginda tidak rugi apa-apa kerana baginda berdakwah bukanlah kerana mahukan upah daripada mereka. Yang rugi hanyalah mereka sahaja kerana menolak jalan tauhid yang baginda sampaikan.

 

إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

balasanku hanyalah atas Allah semata-mata

Kalau umat baginda tidak beri upah pun, baginda tidak rugi kerana yang baginda harapkan hanyalah balasan daripada Allah ﷻ yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Pahala sebar tauhid itu adalah seperti jihad fisabilillah. Takkan kita tidak mahu? Kalau upah di dunia berapa lama sangat kita boleh guna? Akan tetapi pahala dakwah itu berterusan walaupun kita sudah mati. Lihat bagaimana Allah ﷻ meneruskan pahala Rasulullah ﷺ kerana menyampaikan agama seperti disebut dalam Qalam:3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ
Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Allah ﷻ juga mengingatkan yang balasan di akhirat itu lebih baik seperti disebut dalam Dhuha:4

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (dunia)..

Ayat ini mengingatkan kita untuk tidak meminta upah dalam mengajar agama kepada orang lain. Ketahuilah bahawa meminta upah itu adalah kesalahan yang besar. Sesiapa yang minta upah dalam mengajar, akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang disebut dalam Hud 15-16.

مَن كانَ يُريدُ الحَياةَ الدُّنيا وَزينَتَها نُوَفِّ إِلَيهِم أَعمالَهُم فيها وَهُم فيها لا يُبخَسونَ
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

.

Ayat ini memberitahu kita yang jikalau ibadah yang kita lakukan kerana hendakkan balasan keduniaan (seperti upah), maka tidak ada pahala langsung baginya. Maka begitu juga dengan dakwah, ia adalah satu ibadah. Takkan kita minta wang dari orang yang kita dakwah itu? Begitu juga dengan mengajar, jangan berharap kepada bayaran. Jangan letak kadar yuran.

Ini kerana jika kita mengenakan yuran, maka ia akan menghalang sesetengah orang daripada belajar agama. Sedangkan belajar agama itu wajib. Kalau diletakkan yuran, maka hanya orang yang mampu sahaja boleh belajar. Adakah patut orang miskin terus menjadi jahil kerana tidak mampu untuk membayar yuran kelas? Ini tidak patut kerana semua manusia patut belajar agama, dan bagi yang ada ilmu wajib menyampaikannya. Sampaikan Allah ﷻ beritahu jangan semua mukmin pergi berjihad, kena ada yang perlu mendalami agama dan kemudian menyampaikannya kepada manusia. Ini Allah ﷻ sebut dalam Tawbah:122

وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِنهُم طائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Akan tetapi bagaimana kalau kita mengenakan yuran dan ada yang tidak mampu membayarnya? Adakah mereka itu tidak dapat belajar? Lihat apa Allah ﷻ firman dalam Thur:40

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ
Ataukah kamu meminta upah kepada mereka sehingga mereka dibebani dengan hutang?

Maknanya kalau kita mengenakan yuran belajar, ditakuti pelajar menjadi berat pula untuk belajar. Namun begitu jikalau ada pelajar yang menghulurkan hadiah, maka ada pendapat mengatakan bolehlah diterima. Rezeki jangan ditolak. Tambahan pula yang memberi itu hendak menunjukkan kesyukuran mereka terhadap ilmu yang kita sampaikan. Akan tetapi jikalau itu pun kita tidak terima, maka lebih baik lagi kerana ia dapat menjaga hati kita supaya terus ikhlas mengajar. Terdapat ada sebuah hadith yang menakutkan tentang menerima hadiah kerana mengajar:

عَنْ مُغِيرَةَ بْنِ زِيَادٍ عَنْ عُبَادَةَ بْنِ نُسَيٍّ عَنْ الْأَسْوَدِ بْنِ ثَعْلَبَةَ عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ عَلَّمْتُ نَاسًا مِنْ أَهْلِ الصُّفَّةِ الْكِتَابَ وَالْقُرْآنَ فَأَهْدَى إِلَيَّ رَجُلٌ مِنْهُمْ قَوْسًا فَقُلْتُ لَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَأَسْأَلَنَّهُ فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ أَهْدَى إِلَيَّ قَوْسًا مِمَّنْ كُنْتُ أُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْقُرْآنَ وَلَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ إِنْ كُنْتَ تُحِبُّ أَنْ تُطَوَّقَ طَوْقًا مِنْ نَارٍ فَاقْبَلْهَا
Daripada ‘Ubadah bin Ash Shamit dia berkata; aku mengajari orang-orang ahli Shuffah kitab dan Al-Qur’an, kemudian seseorang di antara mereka memberiku hadiah sebuah busur panah. Kemudian aku katakan; busur bukanlah sebuah harta, dan aku akan menggunakannya untuk memanah di jalan Allah عَزَّ وَجَلَّ. Sungguh aku akan datang kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya kepada baginda. Kemudian aku datang kepada baginda dan aku katakan; wahai Rasulullah, seorang laki-laki di antara orang-orang yang aku ajari menulis dan membaca telah memberiku hadiah satu busur panah, dan busur bukanlah merupakan harta dan aku akan menggunakannya untuk memanah di jalan Allah ﷻ. Baginda berkata: “Apabila engkau ingin dikalungi dengan kalung daripada api maka terimalah!”
(Riwayat Abu Daud No. 2964)
Status: sahih

Walau bagaimanapun tidaklah patut jika kita menghalang orang lain daripada menerima sumbangan pelajar. Ini kerana ada dalam kalangan para guru agama yang tidak mempunyai pekerjaan tetap yang lain. Maka mereka memerlukan juga sumbangan daripada pelajar. Maka jika perlu, ambillah, jika tidak, tolaklah dengan cara baik. Cuma jangan ditetapkan bayaran yuran itu. Sekiranya ada yang belajar secara percuma, maka biarkan mereka dan tetap ajar juga mereka. Allah ﷻ akan beri rezeki dengan cara lain. Jangan kita lebihkan dunia ini dan Allah ﷻ telah nasihat kita dalam A’la:16-17

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا
Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Sebenarnya masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah jikalau pihak kerajaan sendiri memberi upah kepada para guru agama. Ini seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar رضي الله عنه ketika zaman pemerintahannya. Akan tetapi malangnya asatizah Sunnah susah untuk mendapat mendapat tempat mengajar secara rasmi, maka mereka tidak mendapat upah daripada kerajaan. Namun begitu ajaran Sunnah perlu disampaikan. Kerana itu kalau diperhatikan, asatizah Sunnah tidak menetapkan bayaran dan tidak menerima upah kerana mereka amat faham tentang hal ini. Kalau diberikan sumbangan pun, ada yang memasukkan ke dalam tabung masjid/surau.

Mungkin ada yang berhujah: berhibur dengar lagu pergi konsert, menonton wayang dan sebagainya pun kena bayar, maka kalau kelas pengajian tentulah lebih patut dikenakan bayar, sebab belajar agama. Ini hujah yang salah kerana menyamakan kelas pengajian agama dengan majlis maksiat pula. Amat sempit perbandingan ini. Tentulah jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi.

Ada juga berhujah, perlu diletakkan yuran sebagai komitmen. Mereka kata kalau tidak ada bayaran, pelajar tidak menghargai apa yang mereka belajar (sebab dapat percuma). Ini pun tidak benar. Komitmen atau tidak bukan berlandaskan wang ringgit. Sekiranya orang yang menghargai ilmu, mereka akan tetap hargai ilmu itu dan jika guru agama tidak mengambil upah dan mengajar dengan ikhlas, semoga dengan keikhlasannya itu menyebabkan ajarannya itu sampai masuk ke dalam hati pelajar (kerana ia disampaikan dengan ikhlas). Kerana itu penting untuk menjaga hati kita supaya ikhlas dalam mengajar. Ini dapat dijaga kalau tidak mengambil bayaran. Kalau tidak, hati akan teringat-ingat ‘Berapa banyak mereka akan beri aku selepas ini’?

 

وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

dan aku pula diperintahkan supaya menjadi daripada orang-orang Islam”.

Menjadi seorang Muslim bermaksud berserah diri kepada Allah ﷻ dengan mengesakan-Nya. Maka Muslimin di sini bermaksud Muwahhidin. Iaitu, tidak kira apa yang mereka hendak lakukan kepada baginda, baginda akan berserah kepada Allah ﷻ semata.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yunus Ayat 67 – 70 (Tawassul dan bid’ah mengundang azab Allah ﷻ)

Yunus Ayat 67: Dalil Aqli lagi.

هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَسمَعونَ

Sahih International

It is He who made for you the night to rest therein and the day, giving sight. Indeed in that are signs for a people who listen.

Malay

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).

 

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu

Apabila masuknya waktu malam, ketahuilah yang Allah ﷻlah yang menjadikan malam itu. Adakah berhala atau ilah-ilah rekaan mereka itu boleh menjadikan malam? Tentu tidak.

Dari sini juga kita kena ingat yang bukanlah malam itu terjadi dengan sendiri. Kita mungkin belajar bila bumi berputar, matahari terlindung, maka berlakulah malam. Namun bukankah Allah ﷻ yang menentukan pergerakan bumi dan matahari itu? Kerana itu ada doa yang Nabi ﷺ ajar apabila masuk malam, untuk mengingatkan kita tentang Allah ﷻ.

 

لِتَسْكُنُوا فِيهِ

supaya kamu berehat padanya,

Kalimah لِتَسْكُنُوا berasal daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental. Maknanya Allah ﷻ telah menjadikan malam untuk kita berehat dan berasa aman terutama sekali di dalam rumah kita.

Allah ﷻ tidak menceritakan sifat malam dalam ayat ini tetapi Allah ﷻ memberitahu apa yang kita patut buat di waktu malam (berehat). Walaupun Allah ﷻ tidak memberitahu kita apakah sifat malam itu, namun kita tahu bahawa malam itu gelap gelita.

Apabila gelap gelita, maka mudah untuk kita berehat. Mudah untuk kita tidur sebab cahaya tidak ada. Maka melatonin akan dikeluarkan untuk memudahkan kita tidur. Orang lain pun tidak berbuat bising sebab sudah malam, lagi senang kita hendak tidur sebab senyap sunyi. Allah ﷻ telah mudahkan segalanya untuk kita berehat setelah penat bekerja di siang hari kerana Allah ﷻ rehat ini amat penting untuk hamba-Nya.

 

وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا

dan menjadikan siang terang-benderang

Kalimah مُبْصِرًا bermaksud ‘sesuatu yang boleh melihat’. Secara literal ia bermaksud ‘siang boleh melihat’. Namun tentulah siang tidak boleh melihat, bukan? Maksudnya, Allah ﷻ telah menjadikan siang itu dalam keadaan yang kita boleh melihat pada waktunya, sebab ada cahaya terang benderang. Sepertimana kalau kita kata ‘sungai melimpah’ – adakah sungai itu melimpah? Tentu tidak, yang melimpah adalah air dalam sungai itu, bukan? Maksud ‘siang boleh melihat’ adalah kita boleh melihat dengan mata kita pada waktu siang.

Allah ﷻ menceritakan sifat siang yang terang benderang, tetapi Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita apa yang patut kita buat di waktu siang. Ia terbalik dengan malam tadi, bukan? Walaupun Allah ﷻ tidak memberitahu apakah yang patut kita buat di waktu siang, tetapi kita boleh gunakan akal kita untuk mengetahuinya. Oleh kerana siang itu terang dan kita senang melihat di dalamnya, maka mudahlah kita untuk melakukan kerja dan tugas harian kita.

Maka kesimpulan di sini, malam untuk berehat dan siang untuk bekerja; dan bukan sebaliknya. Kalau kita buat yang sebaliknya, maka kita telah melanggar fitrah yang telah dibuat oleh Allah ﷻ. Apabila kita langgar, maka ada kesannya kepada diri kita sendiri.

Nabi ﷺ telah memberi nasihat kepada kita untuk berhati-hati pada waktu malam kerana pada waktu malamlah banyak keburukan akan berlaku. Sebagai contoh, perompak-perompak selalunya keluar pada waktu malam. Oleh kerana itu kita kena kurangkan aktiviti malam kita. Jangan kita selalu keluar tidak tentu hala. Akan tetapi inilah masalah yang dihadapi oleh pemuda-pemudi kita. Mereka suka sangat keluar malam berpoya-poya dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Lainlah kalau mereka memang ada kerja, pergi kuliah dan sebagainya. Namun tidak begitu pula, yang mereka buat adalah hal-hal yang lagha. Antaranya, melepak lama-lama di kedai mamak.

Siang itu dicerahkan supaya kita dapat mencari rezeki, dan dengan rezeki itu kita dapat sebar agama ini. Bukan hanya mencari rezeki untuk hidup sahaja, kerana bukan itu tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita adalah untuk membesarkan nama Tuhan. Selalunya, ayat ini diterjemahkan ‘untuk mencari nafkah’ sahaja. Itu tidak tepat. Kita kena tambah dalam tafsir, mencari nafkah itu adalah untuk menyebarkan agama ini. Semua perkara mestilah kembali kepada tujuan hidup kita sebagai hamba Allah ﷻ.

Perbincangan balaghah dalam ayat ini:

Allah ﷻ sebut tujuan malam dalam ayat ini (لِتَسْكُنُوا فِيهِ) untuk berehat.
Tetapi Allah ﷻ tidak sebut tujuan siang dijadikan. Tujuan siang dihazafkan.

Allah ﷻ sebut sifat siang (مُبْصِرًا) terang benderang,
Tetapi Allah ﷻ tidak sebut sifat malam. Sifat malam dihazafkan.

Tujuan hazaf itu adalah untuk memendekkan penceritaan dan ia dapat diketahui dengan melihat kepada lawannya. Ini adalah satu keindahan Al-Qur’an yang dapat diketahui kalau belajar balaghah. (Ilmu Balaghah mengkaji makna-makna yang terkandung dalam Bahasa Arab tidak sahaja makna yang tersurat namun ada makna yang tersirat dalam bahasa tersebut.)

Jadi, untuk melihat tujuan siang, dan sifat malam yang tidak disebut, kena lihat kepada lawan masing-masing:

Maka, daripada lawannya, kita dapat tahu yang tujuan siang dijadikan adalah untuk bekerja kerana itu adalah lawan kepada rehat. Ini adalah kerana Allah ﷻ sebut tujuan malam (untuk berehat)

Manakala untuk tahu sifat malam, kita kena lihat lawannya, iaitu siang yang sifatnya terang benderang. Maka sifat malam adalah gelap, iaitu lawan kepada terang.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَسمَعونَ

Sesungguhnya pada demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi mereka yang mahu mendengar

Pada kejadian siang dan malam itu, pada pertukarannya yang tidak pernah bertukar atau terbalik lagi. Pada kegunaan malam dan kegunaan siang itu, semuanya ada guna, ada sebab kenapa Allah ﷻ jadikan.

Namun begitu hanya orang yang mahu mendengar sahaja akan dapat pengajarannya. Mahu mendengar apa? Mahu mendengar wahyu Al-Qur’an dibacakan. Mahu mendengar nasihat yang disampaikan kepada mereka. Merekalah yang sanggup datang belajar tafsir Al-Qur’an dan terus belajar dan mengkaji Al-Qur’an itu. Maka anda yang membaca tulisan ini, marilah masuk kelas secara talaqqi dan belajar wahyu Allah ﷻ betul-betul. Marilah berusaha untuk belajar sehingga faham.

Jangan dengar sahaja, mestilah dengar dengan faham. Begitulah untuk ambil pengajaran daripada ayat-ayat Al-Qur’an, iaitu kena difahami apa yang disampaikan. Ramai bukan, orang kita yang dengar atau baca Al-Qur’an tetapi langsung tidak faham? Sampai bila mahu begini? Takkan anda tidak tahu bezakan antara ‘baca’ dan ‘mengeja’, antara ‘faham’ dan ‘sebut sahaja’ ayat-ayat Al-Qur’an itu? Umur sudah tua, bergelar Muslim semenjak lahir lagi, tetapi wahyu dan rujukan utama agama Islam ini masih tidak tahu lagi?

Maka kenalah dengar, faham dan kemudian kenalah ikut. Jangan jadi seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Anfal:21

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

 إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

Lihatlah betapa kerasnya Allah ﷻ sehingga menyamakan mereka itu dengan binatang! Kadangkala orang yang berhati tisu marah sangat bila kita tegur mereka. Mereka kata cara tegur kita tidak lembutlah, tidak berhemahlah, tidak baguslah, bahasa kasarlah dan macam-macam lagi. Ini Allah ﷻ terus samakan dengan binatang, amacam?


 

ALLAH ﷻ TIDAK MEMPUNYAI ANAK

Yunus Ayat 68: Ayat tentang tawassul lagi. Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan Allah ﷻ) tentang kedegilan manusia yang melakukan syirik.

قالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحٰنَهُ ۖ هُوَ الغَنِيُّ ۖ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ إِن عِندَكُم مِّن سُلطٰنٍ بِهٰذا ۚ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

They have said, ” Allah has taken a son.” Exalted is He; He is the [one] Free of need. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. You have no authority for this [claim]. Do you say about Allah that which you do not know?

Malay

Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?

قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Mereka berkata: “Allah mengambil anak”

Ini merupakan teguran terhadap golongan yang mengatakan Allah ﷻ mempunyai anak. Amat ramai sekali manusia yang berkata begitu. Yang jelas kepada kita, agama Kristian mengatakan Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak Tuhan. Namun bukan mereka sahaja kerana agama Yahudi mengatakan Uzair pula adalah anak Allah ﷻ. Musyrikin Mekah pula mengatakan yang para malaikat itu semua adalah anak perempuan Allah ﷻ.

Ini adalah kesesatan yang amat berat dan banyak kali Allah ﷻ menegurnya di dalam Al-Qur’an,, antaranya Maryam:88-93

وَقالُوا اتَّخَذَ الرَّحمٰنُ وَلَدًا

Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

لَقَد جِئتُم شَيئًا إِدًّا

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,

أَن دَعَوا لِلرَّحمٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

وَما يَنبَغي لِلرَّحمٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak.

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ إِلّا ءآتِي الرَّحمٰنِ عَبدًا

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

Bagaimana pula dengan orang Islam? Kita pun terlibat juga dengan kesesatan ini jika tidak mempelajari dan memahami wahyu. Maksud ‘anak’ di dalam Al-Qur’an adalah ‘anak angkat’. Iaitu sebagai wakil Allah ﷻ kononnya. Seperti yang kita tahu, Allah ﷻ tidak beranak seperti yang disebut dalam Ikhlas:3

لَم يَلِد وَلَم يولَد

Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,

Jelas sekali Allah ﷻ tidak mempunyai anak kandung. Agama lain pun tidaklah menganggap anak itu lahir daripada Allah ﷻ sendiri. Namun apabila disebut di dalam Al-Qur’an tentang ‘anak Allah’, kita boleh tafsirkan dengan maksud ‘anak angkat Allah’. Sebab itu, kita jangan sangka yang Al-Qur’an ini hanya menempelak orang kafir sahaja – kita turut ditempelak juga jika jahil tentang agama.

Apakah maksud ‘Anak Angkat’ itu? Apabila seseorang itu anak angkat kepada seseorang yang berkuasa dan berpengaruh besar, tentulah anak angkat itu rapat dengan orang itu. Maka, jika kita hendakkan sesuatu daripada orang berpengaruh besar itu, kita minta pertolongan melalui anak angkatnya. Siapakah yang diangkat sebagai ‘anak angkat’ oleh orang yang mengaku Islam?

Itulah para Nabi, para Wali dan para Malaikat. Mereka kata Syeikh itu dan ini rapat dengan Allah ﷻ, maka kenalah minta doa kepada Allah ﷻ melaluinya. Mereka kata Nabi-nabi rapat dengan Allah ﷻ, maka kena minta kepada Allah ﷻ melalui mereka. Itulah yang dinamakan amalan tawasul, dan tawasul adalah perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang kafir. Malangnya, orang kita yang mengaku Islam turut melakukan perbuatan kufur juga. Cuma mereka ubahsuai agar berbunyi islamik pula, namun dasarnya tetap sama, iaitu berdoa kepada selain Allah ﷻ.

 

سُبْحٰنَهُ

Maha Suci Allah

Allah ﷻ suci bersih daripada apa yang mereka katakan itu! Apa yang mereka katakan dan anggapkan itu adalah salah. Allah ﷻ tidak begitu sama sekali! Allah ﷻ tidak memerlukan anak. Allah ﷻ suci daripada perkara tersebut. Allah ﷻ suci daripada sifat-sifat makhluk. Apa yang mereka katakan itu adalah salah sama sekali.

Kenapa Allah ﷻ tidak memerlukan anak?

 

هُوَ الْغَنِيُّ

Dia lah Yang Maha Kaya;

‘Kaya’ bermaksud tidak memerlukan apa-apa langsung daripada sesiapapun. Seperti orang kaya, mereka tidak memerlukan wang ringgit daripada manusia lain. Namun begitu, sekaya-kaya mereka, mereka masih lagi memerlukan pertolongan daripada manusia lain, bukan?

Allah ﷻ pula ‘Maha Kaya’. Allah ﷻ langsung tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk-Nya. Allah ﷻ tidak perlu berkongsi kerajaan-Nya kerana Allah ﷻ itu Maha Kaya. ‘Maha Kaya Allah’ bermaksud Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapapun untuk membantu-Nya dari segala segi. Allah ﷻ juga tidak memerlukan sesiapa untuk menemani-Nya. Bukan seperti kita, bila bersendirian, kita akan berasa sunyi, bukan? Maka kita memerlukan seseorang untuk menemani kita. Allah ﷻ tidak begitu kerana sunyi itu adalah sifat makhluk.

Makhluk yang hidup memang memerlukan anak untuk meneruskan keturunan mereka. Memang ini adalah juga fitrah manusia. Setiap lelaki dan perempuan yang normal, akan ada keinginan untuk mempunyai anak. Kalau tidak percaya, tanyalah kepada orang kaya yang tidak ada anak. Mereka akan ada rasa kekurangan yang amat sangat walaupun harta mereka banyak. Sampaikan mereka sanggup untuk ambil anak angkat untuk meneruskan legasi mereka. Mereka berasakan perlu untuk meninggalkan sesuatu dalam dunia ini apabila mereka pergi nanti.

Begitulah sifat manusia tetapi Allah ﷻ tidak begitu. Allah ﷻ Maha Hidup dan akan terus hidup. Makhluk bersifat lemah memerlukan kepada anak, manakala Allah ﷻ langsung tidak memerlukan anak. Maka reka fahaman yang Allah ﷻ ada anak sangatlah tidak patut sama sekali.

 

لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

kepunyaanNya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi

Allah ﷻ tidak perlu kepada anak, kerana segala yang dalam dunia ini adalah milik-Nya belaka. Sebaliknya kita pula tidak tidak mempunyai apa-apa dalam dunia ini. Semua hak Allah ﷻ belaka. Lebih-lebih lagi yang ada di langit itu langsung tidak ada apa-apa milik kita pun. Langsung tidak mampu untuk tinggal di langit pun.

Bagaimana pula di bumi? Bukankah kita ada harta di bumi? Allah ﷻ beritahu, yang di bumi ini pun semuanya milik Allah ﷻ. Kita tidak memiliki apa-apa pun sebenarnya. Nampak sahaja kita ada pemilikan, tetapi sebenarnya tidak. Allah ﷻ beri kita pinjam sahaja untuk digunakan dan diuruskan.

 

إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطٰنٍ بِهَٰذَا

Tidak ada sebarang bukti di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu.

Dalam ayat ini, perkataan إِنْ bermaksud ‘tidak’. Ia berlainan dari maksud yang selalu digunakan (jika).

Kalimah سُلْطَانٍ dalam ayat ini bermaksud ‘bukti’. Selalunya kalimah سُلْطَانٍ bermaksud ‘kuasa’ tetapi di dalam ayat ini ia bermaksud ilmu atau bukti. Ini kerana jika mempunyai kuasa sahaja, ia hanya dapat menguasai fizikal, akan tetapi ilmu dan bukti pula dapat menguasai fikiran. Berkata tanpa dalil menyebabkan manusia melakukan syirik terhadap Allah ﷻ seperti disebut tentang masyarakat Pemuda Kahfdi dalam Kahf: 15

هٰؤُلاءِ قَومُنَا اتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً ۖ لَّولا يَأتونَ عَلَيهِم بِسُلطٰنٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا
“Kaum kita itu menyembah beberapa ilah yang lain daripada Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu. (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

Ingatlah bahawa perkara dalam agama ini memerlukan bukti. Kalau tidak memerlukan bukti, maka sesiapa sahaja akan boleh berbicara apa sahaja yang mereka suka. Sebagaimana puak bid’ah, apabila mereka berhujah, mereka tidak mendatangkan bukti. Ataupun bukti yang mereka keluarkan hanyalah kata-kata manusia, kitab-kitab atau hasil daripada akal logik mereka yang sahaja.

Ini kerana mereka tidak faham apakah maksud ‘dalil’. Padahal, bukti yang perlu dikeluarkan adalah daripada Al-Qur’an dan hadith (dan mestilah ditafsirkan mengikut cara salaf, kerana mereka yang paling faham tentang agama). Maka kerana itulah amat bahaya jika bercakap tanpa ilmu. Terutama sekali bercakap tentang Allah ﷻ seperti seperti di dalam Baqarah:169

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Ini kerana manusia yang jahil senang sahaja ditipu oleh syaitan sampai mengatakan itu dan ini tentang Allah ﷻ. Terbukti begitulah yang terjadi dalam kalangan masyarakat yang mengatakan Allah ﷻ ada mengambil anak. Hujah mereka yang mengatakan Allah ﷻ mempunyai anak itu tidak ada landasan sedikit pun.

Maka Allah ﷻ tanya di dalam ayat ini, mereka ada buktikah yang Allah ﷻ ada mengambil anak angkat? Adakah apa-apa bukti yang kamu boleh berikan, wahai manusia? Sama ada dalil naqli atau dalil aqli? Kalau ada, sila bawakan.

 

أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Atau adakah kamu mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?

Jangan kita memandai-mandai memberikan hujah dalam agama kalau kita tidak tahu, tidak belajar. Terpaling teruk apabila mengatakan tentang Allah ﷻ tanpa dalil (juga, tentang maksud ayat Al-Qur’an). Untuk mendatangkan hujah bagi perkara lain pun sudah salah, apatah lagi tentang Allah ﷻ. Malangnya amat ramai sekali mereka yang mengamalkan syirik dan bid’ah yang memberikan hujah-hujah yang bathil, yang menunjukkan mereka sebenarnya tidak faham agama. Apa yang mereka tahu adalah sangat sedikit hal agama.

Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan bercakap tanpa ilmu, kerana ia akan dipertanggungjawabkan kelak. Lihat Isra’:36 tentang hal ini yang menjadi nasihat kepada kita sepanjang zaman apabila berkata dan beramal:

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Masalahnya kebanyakan daripada mereka telah dikelirukan oleh guru-guru yang sesat. Amat sedih sekali apabila berhujah dengan mereka. Kita boleh nampak bahawa hujah mereka itu tidak ada asas, tetapi mereka sangka hujah mereka kuat sebab tok syeikh mereka yang cakap. Mereka sangka mereka pandai dalam berhujah, namun hakikatnya tidak.


 

Yunus Ayat 69: Zajrun dan Takhwif Ukhrawi kalau tidak mementingkan bukti dan dalil.

قُل إِنَّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ لا يُفلِحونَ

Sahih International

Say, “Indeed, those who invent falsehood about Allah will not succeed.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.

 

قُلْ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah,

Dusta itu bermaksud buat ‘bid’ah’. Iaitu dusta dengan mendakwa sesuatu amalan ibadah itu baik, akan mendapat ganjaran pahala jika dikerjakan, sedangkan Allah ﷻ atau Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan sedemikian. Mereka berdusta dengan tidak membawa dalil yang sah.

 

لَا يُفْلِحُونَ

tidak akan berjaya”.

Mereka tidak akan berjaya di dunia dan tidak akan berjaya di akhirat. Walaupun nampak mereka seolah-olah berjaya di dunia, tetapi akhirnya mereka akan kalah juga. Mereka akan berdebat dengan menggunakan hujah-hujah bathil mereka. Hakikatnya jikalau kita terus berhujah dengan mereka, mereka akan kalah.

Lebih malang lagi, mereka tidak akan berjaya di akhirat kelak. Mereka akan mendapat balasan yang buruk. Mereka yang mengamalkan perbuatan bid’ah sangka mereka telah melakukan amalan yang baik dalam agama. Mereka sangka pahala mereka sudah banyak terkumpul. Namun sebaliknya, mereka telah mengumpul dosa dengan melakukan perkara bid’ah itu.

Kejayaan yang sebenarnya adalah apabila Allah ﷻ redha dengan kita. Tidak semestinya kita berjaya dalam dunia, bermaksud kita sudah berjaya. Ada fahaman dalam Agama Kristian yang percaya kalau mereka berjaya di dunia, itu menunjukkan yang mereka akan berjaya di akhirat. Mereka sangka, kalau Tuhan sayangkan seseorang di dunia, bermakna Tuhan sayang juga orang itu selepas dia mati. Maka, mereka menggalakkan penganutnya untuk mencapai kejayaan dan kekayaan sebanyak mungkin.

Begitu jugalah yang sering dicanangkan oleh para pakar motivasi di negara kita. Bersemangat sekali mereka menganjurkan agar peserta mereka beramal ibadah dengan tujuan utama bagi mendapat kejayaan dan kesenangan di dunia pula. Contoh amalan bersedekah untuk menambah rezeki, amalan solat sunat dhuha untuk menarik rezeki, juga amalan zikir tertentu serta mantra tertentu untuk magnet rezeki dan sebagainya. Sedangkan ibadah bersedekah, solat, serta zikir sepatutnya hanya diniatkan untuk Allah ﷻ sebagai tanda kita hamba-Nya bukanlah semata-mata untuk kepentingan kejayaan duniawi sahaja. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, kejayaan dunia bukanlah kejayaan sebenar. Jangan kita sangka yang mereka telah berjaya, tidak semestinya begitu. Begitulah kebanyakan manusia apabila sudah lupa tujuan mereka dijadikan untuk menjadi hamba Allah ﷻ dan bukanlah hamba dunia.


 

Yunus Ayat 70: Maka jangan tertipu dengan kesenangan hidup di dunia

مَتٰعٌ فِي الدُّنيا ثُمَّ إِلَينا مَرجِعُهُم ثُمَّ نُذيقُهُمُ العَذابَ الشَّديدَ بِما كانوا يَكفُرونَ

Sahih International

[For them is brief] enjoyment in this world; then to Us is their return; then We will make them taste the severe punishment because they used to disbelieve

Malay

(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.

 

مَتٰعٌ فِي الدُّنْيَا

(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia,

Ada sesetengah manusia yang melakukan syirik dan amalan bid’ah, namun Allah ﷻ tetap berikan nikmat dan kesenangan dunia kepada mereka. Akan tetapi harta yang mereka kumpulkan itu tidak bernilai langsung pada sisi Allah ﷻ. Ia hanyalah kesenangan dunia yang sementara sahaja.

Seperti kita telah belajar di dalam beberapa ayat yang lalu, walaupun orang yang ingkar itu hendak memberikan harta sebesar dunia sekalipun untuk menembus diri mereka daripada azab Allah ﷻ, hartanya itu tidak akan diterima oleh Allah ﷻ kerana harta dunia tidak ada nilai langsung.

Begitu juga seperti kita telah belajar dalam ayat yang lalu, kejayaan yang sebenarnya adalah apabila Allah ﷻ redha dengan kita dan memasukkan kita ke dalam syurga. Oleh itu, jikalau kita melihat orang yang ingkar, tetapi di dunia mereka ada harta yang banyak dan hidup senang lenang, janganlah kita pandang mereka sebagai berjaya. Kejayaan di dunia tidak bernilai apa-apa jikalau tiada kejayaan di akhirat.

 

ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ

kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka.

Mereka hanya menikmati kesenangan dunia itu sekejap sahaja. Hanya semasa di dunia sahaja mereka ada banyak benda dan kesenangan. Mereka lupa yang mereka akan dikembalikan kepada Allah ﷻ. Hakikatnya kehidupan di dunia itu amatlah sebentar berbanding dengan kehidupan di akhirat kelak. Ramai yang tidak sedar akan perkara ini, ataupun mungkin ada yang sedar tetapi cara mereka hidup di dunia ini seolah-olah mereka akan hidup lama dan selama-lamanya pula.

Bukan mereka sahaja yang akan dikembalikan, namun termasuk kitalah juga. Tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengelaknya. Ayat ini mengingatkan kita kepada mati yang kita semua akan hadapi. Kita semua mestilah sentiasa mengingati mati. Mati adalah satu perkara yang kebanyakan manusia malas untuk memikirnya. Padahal ia adalah sesuatu yang pasti. Ia tetap akan terjadi sama ada kita fikirkan atau tidak, bersedia atau tidak. Ia pasti mengejar kita apabila tiba saatnya. Kita seharusnya sering fikirkan tentang mati supaya kita beringat untuk membuat persediaan untuk mati.

 

ثُمَّ نُذِيقُهُمُ الْعَذَابَ الشَّدِيدَ

Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang amat berat

Alangkah malangnya mereka kerana dikenakan dengan azab yang berat. Itulah azab yang mereka tidak akan sanggup untuk bertahan dan menanggungnya. Akan tetapi mereka terpaksa menerimanya kerana mereka tidak mampu untuk lari daripadanya.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.

Mereka dikenakan azab itu bukanlah kerana Allah ﷻ zalim. Namun kerana mereka sendiri yang ingkar iaitu kerana ayat Al-Qur’an dan hadith yang mereka ingkarkan. Bukan sekali dua sahaja mereka lakukan kerana kalimah يَكْفُرُونَ itu adalah di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermakna mereka sendiri kufur.

Selesai Ruku’ 7 daripada 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yunus Ayat 63 – 66 (Pendakwah jangan bersedih)

Yunus Ayat 63: Ayat ini memberikan definisi ‘Wali Allah’. Allah ﷻ sendiri beritahu kita dalam Al-Qur’an apakah sifat Wali Allah itu. Sifat-sifat ini yang perlu ada ada dalam kita dan kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sekiranya kita mempunyai sifat-sifat ini, maka kita pun boleh mencapai taraf Wali Allah.

Maknanya, sesiapa sahaja boleh menjadi Wali Allah jikalau mereka memiliki sifat-sifat ini. Bukanlah wali itu mempunyai sifat yang luar biasa sebagaimana anggapan kebanyakan manusia sekarang. Padahal, Allah ﷻ beri isyarat dalam ayat ini, semua orang boleh menjadi wali Allah.

Manusia sahaja yang letakkan sifat-sifat yang mustahil pada wali itu kemudian mereka sanjung wali-wali itu. Ini selalu dilakukan oleh golongan tarekat sufi kerana kejahilan mereka. Kemudian mereka jadikan wali-wali itu sebagai pemberi Syafaat kepada mereka; mereka puja, sembah dan buat ibadat kepada wali-wali itu sebagai wasilah mereka dalam amalan tawasul mereka.

الَّذينَ ءآمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ

Sahih International

Those who believed and were fearing Allah

Malay

(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

 

الَّذِينَ ءآمَنُوا

(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman

Iaitu mereka yang beriman sempurna. Akidah mereka sempurna kerana mereka tidak melakukan syirik. Mereka juga tidak mengamalkan bid’ah kerana sepatutnya mereka ada ilmu Sunnah. Dari segi akhlak pula, mereka tidak melakukan maksiat.

Kita kenalah beriman sempurna. maknanya, ia bukan setakat beriman sahaja kerana ada manusia yang beriman dengan Allah ﷻ, beriman dengan Nabi dan sebagainya lagi yang perlu diimani; akan tetapi malangnya dalam masa yang sama, mereka ada juga beriman dengan perkara lain. Mereka beriman bahawa ada entiti-entiti lain yang mempunyai sifat-sifat Allah ﷻ. Itulah syirik – meletakkan sesuatu yang sama taraf dengan Allah ﷻ dari segi sifat-Nya. Bukan hanya kerana melantik tuhan yang baru, jika hanya diberikan satu sifat Allah ﷻ pun sudah menjadi syirik sebenarnya.

Sebab itulah berbagai-bagai jenis syirik yang dilakukan manusia. Sebagai contoh, Allah ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk memberi dan menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Namun ada dalam kalangan muslim yang salah sangka menganggap bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun ada kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima Syafaat. Tanggapan ini ternyata salah sekali kerana seolah-olah mereka telah memberikan kuasa dan hak Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ pula.

Untuk mengetahui dan memahami apakah yang dikatakan akidah yang sempurna itu, maka mestilah belajar dan fahami tafsir Al-Qur’an. Ini kerana hal-hal akidah diberitahu dengan jelas dan berulang kali dalam Al-Qur’an. Kerana itulah kita sebagai Muslim harus sedar betapa pentingnya pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Semoga Allah ﷻ memberikan kita semua taufiq untuk terus bersemangat bagi mempelajari dan memahami isi kandungan Kitab-Nya ini.

 

وَكَانُوا يَتَّقُونَ

serta mereka pula bertaqwa.

Taqwa bermaksud menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Bukannya setakat bermaksud ‘takut’. Kalau setakat takut, takut sahaja namun tidak pula mengamalkan amalan ibadah tidak benar, maka bukanlah layak dipanggil sebagai wali. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan cukup berhati-hati dan memastikan sama ada amalan itu Allah ﷻ suka ataupun tidak. Mereka buat itu semua kerana mereka takut dengan Allah ﷻ.

Itulah dua sifat terpenting seorang Wali Allah, iaitu mereka beriman dan bertaqwa. Orang alim juga sepatutnya mengajar orang lain. Mereka bukan hanya menyelamatkan dirinya sahaja, tetapi mereka juga menyampaikan ajaran Islam yang benar kepada masyarakat. Kerana itulah suruhan daripada Allah ﷻ (iaitu berdakwah) dan mereka taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidaklah duduk di rumah tidak bercampur manusia. Mereka takut kalau mereka tidak sampaikan ajaran Allah ﷻ, mereka akan disoal oleh Allah ﷻ di akhirat kelak. Kalau seorang alim itu tidak mengajar, bukanlah dia seorang wali.

Daripada ayat ini, tahulah kita bahawa bukannya Wali Allah itu seorang yang asyik mengusung tasbih sahaja. Bukanlah mereka itu jenis orang yang berzikir tidak henti-henti seorang diri. Bukanlah mereka dengan pakaian tidak terurus dan compang camping, kuku panjang dan sebagainya. Malangnya ada yang percaya sebegitu. Yang peliknya ada orang gila pun dianggap wali. Mereka siap ada gelaran ‘Wali Majzub’ kepada orang yang sebegini. Mereka akan berkata: “Ingat-ingat sikit, entah-entah dalam kalangan kita ini ada wali Allah…” Ini adalah kata-kata karut yang keluar dari mulut orang yang jahil sahaja.

Makin gila makin wali: Wali Majzub

Bukan setakat wali sahaja, ada yang sampai kata, kena beringat takut-takut dalam manusia yang ramai-ramai ini, Nabi Muhammad ﷺ ada dalam kalangan kita. Subhanallah! Sekiranya kita tidak beri pengajaran agama yang benar dalam kalangan masyarakat kita, maka akan adalah fahaman karut-karut sebegini.


 

Yunus Ayat 64: Apakah balasan yang wali-wali Allah ﷻ itu akan dapat?

لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۚ لا تَبديلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

For them are good tidings in the worldly life and in the Hereafter. No change is there in the words of Allah. That is what is the great attainment.

Malay

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.

 

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Untuk mereka sahajalah berita yang menggembirakan di dalam kehidupan dunia

Apakah maksud الْبُشْرَىٰ itu?

  1. Ada yang kata ia adalah mimpi yang baik-baik (ru’ya solihah). Ini ada dalilnya di dalam hadith.

إِذَا اقْتَـرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ، وَأَصْدَقُكُـمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا، وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُـزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ.

‘Jika Kiamat sudah dekat, maka hampir-hampir mimpi seorang muslim tidak dusta. Mimpi kalian yang paling benar adalah yang paling benar pembicaraannya. Dan mimpi seorang muslim adalah satu bahagian daripada empat puluh lima bahagian kenabian.’”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Ubadah bin Shamit رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,

رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
“Mimpi seorang mukmin adalah 1 daripada 46 bahagian kenabian.”

(Bukhari 6987, Muslim 6043)

Mimpi itu yang memberi keseronokan kepada mereka. Mimpi itu akan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Ia adalah atas wahyu yang sedia ada, bukannya menjadi wahyu baru pula. Ia adalah hanya untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan apa yang telah usahakan.

Bukanlah untuk memberi hukum baru atau amalan yang baru. Ramai yang mengaku wali sambil mendakwa mereka telah mendapat amalan baru. Banyak amalan dalam masyarakat bila ditanya dari mana dapat amalan mereka jawab: sheikh ini dan itu dapat daripada Nabi ﷺ secara mimpi. Ada yang kata secara yaqazah (secara jaga) pun ada juga. Oleh kerana itulah kita kena berhati-hati dengan mimpi yang kita dapat itu kerana ada yang ditipu dalam mimpi. Mimpi itu ada tiga jenis:

      1. Daripada Allah ﷻ
      2. Daripada syaitan
      3. Mainan perasaan

2. Ada juga yang mengatakan الْبُشْرَىٰ yang dimaksudkan adalah kemasyhuran seseorang itu. Mereka menjadi masyhur kerana kebaikan yang telah dilakukannya, kerana penjenayah pun masyhur juga tetapi kerana keburukan. Sebagai contoh, Imam Bukhari رحمه الله telah menulis kitab sahihnya dan lihatlah bagaimana masyhur sekali kitab itu dan dengan baginda sekali. Begitu juga Imam Nawawi رحمه الله yang meninggal di usia muda namun kitab-kitabnya terkenal dan dijadikan rujukan di serata dunia sehingga hari ini.

Sepertimana juga Kitab Sahih Bukhari itu dikaji dan dibaca oleh manusia seluruh dunia. Bila sebut Sahih Bukhari sahaja, semua akan terima hadith di dalamnya sebagai sahih belaka. Nama ‘Bukhari’ pun terkenal di mana-mana. Ibubapa menamakan anak mereka dengan nama Bukhari. (Walaupun sebenarnya itu kurang tepat kerana Bukhari adalah nisbah kepada nama tempat kelahiran beliau, bukannya namanya yang sebenar).

3. Ada yang mengatakan bahawa الْبُشْرَىٰ itu adalah bantuan daripada Allah ﷻ. Dalam usahanya untuk melakukan amalan yang baik, Allah ﷻ mudahkan. Sebagai contoh, Allah ﷻ akan memudahkan wali itu untuk mengadakan kelas pengajian.

4. Ada yang mengatakan mereka akan mendapat kefahaman dan ilmu agama yang luar biasa.

5. Ada juga mengatakan mereka mendapat berita baik tentang nasib mereka. Sebagai contoh, ada sahabat yang diberikan dengan berita gembira yang mereka akan menjadi ahli syurga semasa mereka di dunia lagi. Semasa mereka hidup lagi mereka sudah mendapat berita baik itu.

Orang Mukmin juga akan mendapat berita baik ini. Apabila malaikat mengambil nyawa mereka di hujung hayat, malaikat akan memberikan berita gembira yang mereka akan dimasukkan ke syurga seperti firman Allah ﷻ dalam Fussilat: 30

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka: “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Maklumat itu diberikan sebaik sahaja mereka mati sebelum mereka dimasukkan ke dalam alam kubur. Apakah yang mereka akan dapat nanti? Disambung di dalam ayat 31 seterusnya,

نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

Hebat sekali kerana mati sahaja akan diberikan dengan berita gembira itu. Mereka juga akan dimasukkan terus ke dalam syurga sementara menunggu Kiamat dan peristiwa di Mahsyar. Dalilnya seperti disebut dalam Nahl: 32

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.

Ada yang mengatakan ia adalah kemenangan di dunia. Contohnya kepada Rasulullah ﷺ diberikan kemenangan menentang orang kafir, ramai yang masuk Islam semasa baginda hidup lagi dan banyak lagi kelebihan yang diberikan kepada baginda.

Berdoalah sekarang supaya Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam golongan ini.

 

وَفِي الْآخِرَةِ

dan di akhirat;

Mereka pun akan mendapat berita gembira di akhirat kelak. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan segala nikmat yang mereka sendiri tidak sangka. Sementara anak cucu yang mereka tinggalkan juga akan dijaga oleh Allah ﷻ seperti disebut satu kisah di dalam Kahf:82

وَأَمَّا الجِدارُ فَكانَ لِغُلٰمَينِ يَتيمَينِ فِي المَدينَةِ وَكانَ تَحتَهُ كَنزٌ لَّهُما وَكانَ أَبوهُما صٰلِحًا

Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.

 

لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمٰتِ اللَّهِ

tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah

Kalimah-kalimah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah janji-janji Allah ﷻ. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah janji-janji Allah ﷻ itu. Ia pasti akan dijalankan.

Kalimah Allah ﷻ itu juga boleh bermaksud Al-Qur’an. Kita juga tidak dapat mengubah ayat-ayat Allah ﷻ. Ayat-ayat Al-Qur’an ini dipelihara dan tidak akan berubah sampai bila-bila.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Kejayaan yang dimaksudkan adalah mendapat berita gembira daripada Allah ﷻ. Inilah kejayaan yang sebenar. Jelas sekali ini bukan kejayaan biasa tetapi jenis الْفَوْزُ. Ia bermaksud berjaya selamat daripada bahaya. Ini adalah kerana mereka terselamat dari neraka yang amat menakutkan dan kerana itulah ia digelar الْفَوْزُ الْعَظِيمُ.


 

YANG MAHA BERKUASA

Yunus Ayat 65: Ini adalah ayat tasliah (pujukan).

وَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنَّ العِزَّةَ لِلَّهِ جَميعًا ۚ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Sahih International

And let not their speech grieve you. Indeed, honor [due to power] belongs to Allah entirely. He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;

Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ dan begitu jugalah kepada para pendakwah Tauhid. Janganlah kita merasa dukacita dengan kata-kata hina manusia kepada kita yang menyebarkan ajaran tauhid. Juga jangalah terlalu bersedih dengan tuduhan yang mereka lemparkan. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad ﷺ pun telah ditolak dan dihina oleh kaumnya. Begitu juga dengan kita yang menyebar tauhid ini. Mereka kata kita sesat, kita wahabi dan sebagainya. Memang pedih rasa hati kita. Akan tetapi Allah ﷻ kata, jangan berdukacita dengan kata-kata mereka.

Allah ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda ditolak semenjak hari pertama baginda berdakwah lagi. Iaitu ketika baginda memanggil keluarganya untuk kenduri dan hendak menyampaikan ajaran Tauhid. Kemudian ketika baginda memanggil kaumnya dan baginda sampaikan ajaran dan pesanan dari atas bukit. Kisah ini kita boleh tahu melalui Sirah Nabi.

Antara surah terawal yang diturunkan adalah Surah Muzzammil. Di dalam surah yang awal itu pun Allah ﷻ sudah pujuk baginda seperti disebut dalam Muzzammil:10

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Di dalam ayat Surah Yunus ini Allah ﷻ tidak membiarkan Nabi ﷺ dalam kesedihan. Akan tetapi tidakkah sedih ini adalah perasaan normal bagi mana-mana manusia? Perasaan sedih ini kadangkala tidak mampu kita kawal. Maka maksud Allah ﷻ adalah jangan bersedih keterlaluan sehingga mengganggu sangat perasaan baginda dan mengakibatkan baginda tidak dapat menjalankan kerja dakwah, dan sehingga boleh menyebabkan baginda sakit dan sebagainya. Sedih sikit-sikit itu biasalah. Biasalah manusia ini hatinya lembut seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ وَكَانَ ظِئْرًا لِإِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَذْرِفَانِ فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ
Daripada [Anas bin Malik رضي الله عنه] berkata; Kami bersama Rasulullah ﷺ mendatangi Abu Saif Al Qaiyn yang (isterinya) telah mengasuh dan menyusui Ibrahim عليه السلام (anak Nabi ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya. Kemudian setelah itu pada kesempatan yang lain kami mengunjunginya sedangkan Ibrahim telah meninggal. Hal ini menyebabkan kedua mata Rasulullah ﷺ berlinang air mata. Lalu berkatalah ‘Abdurrahman bin ‘Auf رضي الله عنه kepada baginda: “Mengapa anda menangis, wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat (tangisan kasih sayang) “. Baginda lalu melanjutkan dengan kalimat yang lain dan bersabda: “Kedua mata boleh mencucurkan air mata, hati boleh bersedih, hanya kita tidaklah mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Rabb kita. Dan kami dengan perpisahan ini wahai Ibrahim pastilah bersedih”.
(Sahih Bukhari (1220))

Janganlah dibiarkan perasaan sedih kita berlarutan sehingga memakan diri kita sendiri. Perasaan sedih yang keterlaluan boleh menyebabkan kehidupan kita terganggu. Ia boleh menyusahkan hidup pula apabila hilang fokus untuk melakukan sebarang pekerjaan. Tambahan pula syaitan amat suka kalau kita bersedih dan merekalah antara sebab manusia bersedih seperti disebut dalam Mujadilah:10

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudarat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

Setan suka kita larut dalam kesedihan

Syaitan mahu kita bersedih supaya kita lemah semangat untuk berdakwah. Ramai yang sentap dan patah semangat ketika sering ditolak sampai meninggalkan terus dakwah. Maka syaitanlah yang menang. Oleh itu jangan hiraukan mereka yang menentang itu tetapi fokus kepada tujuan utama kita iaitu menjaga agama dan teruskan beribadah seperti disebut dalam Hijr: 97-99

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِنَ السّاجِدينَ

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ

dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).

Ini kerana apabila kita fokus pada ibadah dan buat hal kita, maka kita tidaklah terlalu melayan perasaan sangat. Yang menjadi masalah jika difikir-fikir perasaan orang, kata-kata nista daripada orang. Perbuatan sebegitu hanyalah membuang masa sahaja kerana tidak mampu untuk mengawal apa yang mereka rasa dan kata. Maka kita kena alihkan fikiran kita kepada perkara lain.

Ayat ini juga mengajar kita supaya mengawal perasaan kita jangan sampai menyusahkan diri. Walaupun perasaan tidak boleh dihilangkan, namun haruslah berusaha agar dapat dibendung. Contohnya samalah juga untuk perasaan marah. Bukannya mudah untuk kita hilangkan begitu sahaja. Semua manusia ada perasaan marah, yang itdak ada rasa marah itu lembu, bukannya manusia. Namun begitu janganlah marah sangat sampai kita membuat perkara di luar batasan pula. Tiada pihak yang mendapat keuntungan akibat daripada perasaan marah. Disebabkan rasa marah keterlaluan akibatnya amat buruk sekali sehingga mungkin ada nyawa boleh melayang.

Marah keterlaluan di luar kawalan amat buruk akibatnya

 

إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

kerana sesungguhnya segala kemuliaan itu milik Allah seluruhnya;

Kenapa tidak perlu bersedih? Kerana kemuliaan milik Allah ﷻ. Maksud الْعِزَّةَ adalah القَهرُ (mengatasi), الغَلَبَة (mengalahkan), القُوَّة (kekuatan) dan المَنْعَة (menghalang). Tidak perlu bersedih kerana semua ini ada pada Allah ﷻ, maka para musuh tidak dapat menghalang dan mengalahkan baginda.

Mereka yang menentang itu hendak menghina kita tetapi ingatlah yang kemuliaan yang sebenarnya milik Allah ﷻ. Apabila kita dihina dan dikeji, mungkin kita akan ada rasa terhina, kita rasa kita tidak dihormati. Apa Allah ﷻ kata dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu memang milik Allah ﷻ. Sepenuhnya milik Allah ﷻ dan bukannya pada tangan manusia dan bukan juga milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang menghina kita.

Golongan penentang sangka mereka hebat, kuat, berkuasa, ada kemuliaan. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu yang mereka itu tersilap. Kemuliaan sebenarnya milik Allah ﷻ semuanya (جَمِيعًا) dan Allah ﷻ boleh beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ﷻ beri kemuliaan kepada Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin seperti disebut dalam Munafiqoon:8. Maka jangan takut, jangan sedih, tetapi kuatkanlah semangat kerana kebenaran di tangan kita.

يَقولونَ لَئِن رَّجَعنا إِلَى المَدينَةِ لَيُخرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ

Mereka (golongan munafik) berkata: “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang mulia akan mengusir orang-orang yang rendah daripadanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

 

هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

Allah ﷻ Maha mendengar apa yang orang ingkar itu kata kepada kita dan Allah ﷻ tahu apa perasaan kita. Allah ﷻ pujuk Rasulullah ﷺ dan para pendakwah Tauhid dengan memberitahu yang Dia mendengar segalanya termasuk kata-kata penentang dan keluhan hati kita. Dari segi psikologi, kalau orang yang kita hormati tahu apa yang kita lalui, maka akan berkuranglah sedih kita, bukan? Tambahan pula kalau Allah ﷻ yang sebut seperti di dalam An’am:33

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

Bagi kita pula, dengan kisah-kisah ini sepatutnya memberi semangat kepada kita. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun dihina dan dicaci maki apatah lagi kita orang biasa yang hendak menyebarkan dakwah ini.


 

Yunus Ayat 66: Dalil Aqli tentang kemuliaan Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini disebut kemuliaan milik Allah ﷻ , sekarang dijelaskan lagi kenapa Allah ﷻ mulia.

أَلا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ ۗ وَما يَتَّبِعُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ شُرَكاءَ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

Sahih International

Unquestionably, to Allah belongs whoever is in the heavens and whoever is on the earth. And those who invoke other than Allah do not [actually] follow [His] “partners.” They follow not except assumption, and they are not but falsifying

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

 

أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمٰوٰتِ

Ingatlah! Sesungguhnya milik Allah segala yang ada di langit

Allah ﷻ memiliki sesiapa yang ada di langit. Langit itu kepunyaan Allah ﷻ dan apa dan siapa sahaja yang berada di langit itu, Allah ﷻ yang punya. Kita pun tidak tahu apakah makhluk yang hidup di langit itu melainkan para malaikat. Namun tentunya ada lagi makhluk-makhluk lain yang akal kita tidak dapat capai. Bukankah para malaikat itu tentera Allah ﷻ? Ini seperti disebut dalam Fath:7

وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi.

Bila-bila masa sahaja Allah ﷻ boleh mengarahkan para malaikat untuk memusnahkan musuh-Nya dan musuh umat Islam. Ini seperti disebut dalam Anfal:12. Maka Rasulullah ﷺ tidak perlu risau dan sedih kerana hanya Allah ﷻ berkuasa untuk memberi kemenangan kepada baginda.

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

Sesungguhnya tentera Allah ﷻ pasti menang seperti disebut dalam Saaffat:173

وَإِنَّ جُندَنا لَهُمُ الغٰلِبونَ

Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang,

 

وَمَن فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi

Allah ﷻ juga memiliki sesiapa saja yang ada di bumi. Begitu banyaknya makhluk yang hidup di bumi, para saintis pun belum sempat untuk mengkatalog segalanya secara lengkap. Malah ada spesis yang baru menjelma yang dulu tidak ada. Maka amatlah banyak makhluk di bumi dan semuanya milik Allah ﷻ belaka, termasuklah kita.

Termasuk yang dimiliki adalah para penentang itu. Semua tindakan mereka di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh musnahkan mereka pada bila-bila masa dengan tentera-Nya. Kalau di langit, tentera Allah ﷻ adalah para malaikat, maka di bumi tenteranya adalah golongan Mukmin. Allah ﷻ boleh beri kemenangan kepada golongan Mukmin untuk mengalahkan golongan kafir.

 

وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ

dan mereka yang menyembah sesuatu yang selain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut yang mereka sembah itu

Ada dua tafsiran tentang potongan ayat ini:

  1. Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘apa’. Iaitu apa-apa yang golongan musyrik sembah sebagai ilah-ilah selain Allah ﷻ yang mereka anggap sebagai ‘sekutu-sekutu’ Allah ﷻ. Namun tidaklah sembahan-sembahan mereka itu sama taraf ataupun sekutu kepada Allah ﷻ sebenarnya kerana mereka tidak memiliki apa-apa pun di langit dan di bumi. Malah apa-apa yang mereka sembah itu sebenarnya tidak ada. Maka tentulah mereka tidak memiliki apa-apa. Cubalah fikirkan sendiri apakah faedahnya?
  2. Ini adalah jikalau ما yang bermaksud ‘tidaklah’. Yang menyembah selain Allah ﷻ itu tidaklah mengikut apa yang disuruh oleh sembahan mereka itu kerana sembahan itu bukanlah boleh bercakap pun. Yang jadi ‘jurucakap’ bagi berhala itu hanyalah tok sami/pendita. Mereka sahaja yang cakap ‘oh hari ini berhala suruh sembelih kambing’, ‘berhala suruh korbankan anak dara tahun ini’, ‘berhala nak makan nasi beriyani’, dan sebagainya.
  3. Tafsir lain: mereka bukan ikut pun Nabi, wali dan malaikat yang diseru itu. Contohnya yang seru Nabi Muhammad ﷺ, bukan ikut ajaran baginda pun; yang menyeru wali, mereka bukan mengikut pun amalan para wali itu. Mereka sahaja perasan mereka ikut Nabi dan wali itu.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,

Mereka sahaja yang menganggap ada entiti lain yang mempunyai kuasa yang sama seperti Allah ﷻ. Akan tetapi entiti yang mereka sembah itu tidak wujud seperti berhala-berhala itu. Mereka tidak ada dalil pun melainkan sangkaan mereka sahaja. Mereka percaya sahaja kata-kata orang sebelum mereka, orang ramai, tok sami mereka, tok dukun dan sebagainya.

Mereka sahaja sangka mereka ikut ajaran Nabi, wali dan malaikat itu tetapi tidak sebenarnya.

 

وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

Mereka hanya agak-agak sahaja tanpa mempunyai dalil bukti. Perkataan يَخْرُصُونَ berasal daripada katadasar خ ر ص yang bermaksud menipu, buat agakan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, sangkaan, spekulasi, memalsukan. Pada zaman dahulu ia merujuk kepada perbuatan mengagak bilangan buah kurma di atas pokok untuk dijual. Sebelum pokok itu berbuah, mereka sudah anggarkan berapa banyak buah yang pokok itu akan keluarkan. Mereka yang melakukan begitu hanya mengira dengan sekadar anggaran sahaja.

Kaedah anggaran sebegitu hanya terpakai untuk mengira buah yang ada pada pokok. Namun ingatlah yang dalam agama tidak boleh agak-agak begitu, tetapi hujah agama memerlukan dalil dan bukti yang sahih. Bila tidak ada dalil bukti, maka mereka mulalah menipu kerana خ ر ص juga bermaksud menipu. Itulah bahayanya apabila menilai perkara agama tanpa dalil yang sahih.

Malangnya begitulah kebanyakan manusia, main agak-agak dan percaya sahaja kata orang. Dari dulu sampailah sekarang seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah:78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Ini amat bahaya kerana kita sepatutnya kena tahu dalil. Beramal kena ada dalil yang sahih. Malang sekali sekarang umat manusia malas belajar. Mereka menggunakan pandangan sempit yang mengatakan orang awam tidak memerlukan dalil, mereka harus terima sahaja kata-kata ulama’. Masalahnya kalau begitu, orang awam belum tentu selamat. Bagaimana sekiranya kata-kata ulama’ yang diikut itu sesat (ulama’ suu’)? Hanya kerana dia malas bertanyakan dalil, malas untuk mengambil tahu lebih sedikit tentang hal agama ini. Padahal dalil itu amat penting, kerana ia menentukan tempat sama ada di syurga atau neraka. Adakah kita sanggup memperjudikan nasib kita di akhirat kelak?

Semenjak awal Tok Adam kita diturunkan di bumi pun Allah ﷻ sudah mengingatkan kita untuk hanya mengikut hidayah daripada-Nya. Hidayah itu pula memerlukan dalil. Jika kita hanya mengikut dalil hidayah, barulah selamat di dunia dan akhirat. Ini Allah ﷻ sebu dalam Baqarah:38

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 61 – 62 (Sifat Wali)

ILMU ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 61:

وَما تَكونُ في شَأنٍ وَما تَتلو مِنهُ مِن قُرءَآنٍ وَلا تَعمَلونَ مِن عَمَلٍ إِلّا كُنّا عَلَيكُم شُهودًا إِذ تُفيضونَ فيهِ ۚ وَما يَعزُبُ عَن رَّبِّكَ مِن مِّثقالِ ذَرَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ وَلا أَصغَرَ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرَ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And, [O Muhammad], you are not [engaged] in any matter or recite any of the Qur’an and you [people] do not do any deed except that We are witness over you when you are involved in it. And not absent from your Lord is any [part] of an atom’s weight within the earth or within the heaven or [anything] smaller than that or greater but that it is in a clear register.

Malay

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Qur’an dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

 

وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ

Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan,

Kalimah شَأْنٍ bermaksud apa-apa sahaja urusan penting yang manusia sedang lakukan. Ia adalah urusan yang besar. Perkara yang dilakukan itu boleh jadi perkara yang baik atau pun tidak.

Apabila ia dinisbahkan kepada Nabi ﷺ, ia tentunya urusan yang penting. Bagi kita, urusan Rasulullah ﷺ walaupun remeh bagi orang biasa, ia tetap penting bagi kita kerana ia melibatkan urusan agama. Alangkan cara kencing berak baginda pun kita belajar untuk kita terapkan di dalam kehidupan kita. Begitulah Rasulullah ﷺ menjadi model bagi seluruh segi kehidupan kita sepertimana firman Allah ﷻ di dalam Ahzab:21

لَّقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu

 

وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِن قُرْءَآنٍ

dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu ayat dari Al-Qur’an

Dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari, macam-macam yang kita lakukan: kita makan minum, bercakap-cakap, bekerja dan sebagainya.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana perkataan تَتْلُو (engkau baca) itu dalam bentuk mufrad – singular. Oleh itu, ia bermaksud ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dalam Nabi Muhammad ﷺ melakukan pelbagai perkara dalam kehidupan baginda, baginda juga ada membaca Al-Qur’an.

 

وَلَا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ

dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sebarang amal,

Dalam potongan ayat sebelum ini, ia hanya ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi sekarang Allah ﷻ sedang berkata dengan kita semua kerana perkataan تَعْمَلُونَ dalam bentuk jamak pula. Jelas di sini, bukan baginda sahaja yang mendapat nasihat ini akan tetapi seluruh umat.

Ada juga pendapat yang mengatakan keseluruhan ayat ditujukan kepada baginda walaupun dalam sighah jamak. Ia digunakan dalam bentuk jamak kerana menghormati kedudukan baginda.

Kalimah عَمَلٍ bermaksud apa sahaja perbuatan yang kita lakukan sama ada baik atau pun tidak.

 

إِلَّا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا

melainkan Kami menjadi saksi terhadap kamu,

Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa dalam setiap perbuatan kita, sama ada baik atau pun tidak, sama ada sedang membaca Al-Qur’an ataupun tidak, Allah ﷻ sedang menyaksikan perbuatan kita. Maka ini mengajar kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan, tidak kira besar atau kecil.

Kepada Rasulullah ﷺ, Allah ﷻ hendak memberi kelegaan kepada baginda. Baginda tidak perlu takut kerana apa sahaja yang baginda lakukan, Allah ﷻ sedang memerhatikan dan memberi perlindungan kepada baginda.

 

إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ

ketika kamu mengerjakannya.

Kalimah تُفِيضُونَ berasal daripada katadasar ف ي ض yang bermaksud ‘melimpah’. Apabila sesuatu bekas itu yang sudah dipenuhi dengan air, lalu air yang di dalamnya ditambah, ia akan melimpah. Bila air melimpah dan terkeluar dari bekasnya, air itu akan merebak ke merata tempat. Maka kalimah تُفِيضُونَ bermaksud kamu menyelam di dalamnya atau menjerumuskan dirimu di dalam air.

Kenapakah digunakan perumpamaan ini? Sebagai contoh, kadang-kadang apabila kita bersembang dengan orang lain, topik yang kita sembang itu akan berlarutan menjadi bermacam-macam perkara seolah-olah melimpah ke merata tempat sampai tidak terkawal dan tidak tahu ke mana lagi.

Maka di sini, kalimah تُفِيضُونَ ini merujuk kepada perbuatan yang kita lakukan sampaikan kita boleh lupa diri. Sebagai contoh, seseorang yang sedang sibuk bekerja sampai dia terlupa yang dia belum makan lagi. Atau seseorang yang sibuk bersembang sampaikan dia lupa yang dia sedang sakit. Atau seperti budak yang bermain game sampai tidak ingat apa-apa lagi. Kalau dalam keadaan begitu, adakah dia akan ingat Allah ﷻ? Sedangkan diri sendiri pun dia boleh lupa, apatah lagi Allah ﷻ?

Oleh itu, waktu kita sibuk bersembang, sibuk dengan kerja, sibuk dengan menonton TV, mendengar lagu dan sebagainya, Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia sedang menyaksikan kita. Kita sudah lupa diri, kita sudah tidak mengingati Allah ﷻ, namun Allah ﷻ ingat kepada kita.

 

وَمَا يَعْزُبُ عَن رَّبِّكَ

Dan tidak akan tersembunyi dari pengetahuan Tuhanmu

Kalimah يَعْزُبُ berasal daripada kata dasar غ ز ب yang bermaksud sesuatu yang tersembunyi kerana ia jauh daripada kita. Analoginya adalah seperti sebuah kereta yang bergerak pergi daripada kita, lama-lama ia menjauh dan kita tidak nampak lagi kereta itu.

Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Lalu tidak mungkin Allah ﷻ tidak tahu apa yang kita lakukan, sedangkan tidak ada apa pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

 

مِن مِّثْقَالِ ذَرَّةٍ

sesuatu daripada sehalus-halus zarah

Zarah dalam bahasa Arab merujuk kepada semut yang paling kecil. Atau habuk-habuk yang kelihatan apabila kita membuka tingkap di pagi hari dan habuk-habuk itu disinari cahaya matahari pagi. Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang perbuatan sekecil mana pun Allah ﷻ tahu. Barang yang sekecil atom pun tidak tersembunyi daripada Allah ﷻ. Sedangkan kalau atom itu berada di depan mata kasar kita pun kita tidak akan nampak. Namun Allah ﷻ tahu.

Zarah

 

فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

yang ada di bumi dan tidak di langit,

Tidak kira sama ada benda itu berada di langit atau pun di bumi, Allah ﷻ boleh tahu.

Balaghah: bab takdim wa ta’khir (awal dan akhirkan). Di dalam potongan ayat ini, ‘bumi’ disebut dahulu, kemudian baru disebut ‘langit’. Selalunya dalam Al-Qur’an akan disebut ‘langit’ dahulu sebelum ‘bumi’. Sebagai contoh, lihat pula dalam Saba:3

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَأْتِينَا السَّاعَةُ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّي لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَالِمِ الْغَيْبِ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِن ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Dan orang-orang yang kafir berkata:” Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu”. Tiada tersembunyi daripada pengetahuan-Nya barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil daripada itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Kenapakah susunannya berbeza dalam ayat ini? Ia adalah cerita yang sama iaitu tidak terlepas apa-apa pun daripada pengetahuan Allah ﷻ.

Segala makhluk dijadikan dengan tujuan aqidiah iaitu untuk membuktikan keesaan Allah ﷻ dan rububiyyah Allah ﷻ bagi menunjukkan yang Allah ﷻ itu ada. Kemudian barulah untuk kegunaan makhluk itu. Sebagai contoh, tujuan untuk dijadikan makanan, pakaian dan sebagainya adalah dijadikan untuk kita manusia gunakan.

Oleh itu, alam ini merupakan tanda bagi manusia tentang kewujudan dan kehebatan Allah ﷻ. Ibn Qayyim رحمه الله mengatakan selalunya didahulukan langit kerana tanda di langit lebih banyak daripada apa yang ada di bumi. Ini adalah kerana langit itu lebih luas daripada bumi, bukan?

Selain itu, susunan yang berbeza dalam ayat Surah Yunus ini kerana terdapat perbezaan konteks antara dua ayat itu. Ayat Surah Yunus ini merupakan tentang ancaman keras. Allah ﷻ mengingatkan yang Dia tahu segala amal kita. Jangan rasa senang hidup di dunia dengan melanggar segala hukum Allah ﷻ. Jangan sangka Allah ﷻ tidak kisah dengan segala perbuatan kita.

Jangan sesekali memandang rendah amalan yang baik walaupun kita nampak kecil sahaja. Disebabkan amalan kita dikerjakan di bumi, maka Allah ﷻ sebut bumi dahulu kerana perbuatan manusia itu dilakukan di bumi. Manakala ayat dalam Surah Saba’ pula tentang kiamat, dan kiamat itu bermula di langit.

 

وَلَا أَصْغَرَ مِن ذَٰلِكَ

dan tidak yang lebih kecil daripada itu

Benda yang lebih kecil daripada atom pun Allah ﷻ boleh tahu. Langsung tidak tersembunyi daripada Allah ﷻ.

 

وَلَا أَكْبَرَ

dan tidak yang lebih besar,

Sekiranya perkara sekecil atom Allah ﷻ boleh nampak apatah lagi kita? Ke mana lagi kita hendak lari dan menyorok supaya Allah ﷻ tidak nampak kita? Tidak ada tempat lain lagi.

 

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

Kitab yang dimaksudkan adalah Lauh Mahfuz.

Tidak ada perkara langsung yang tersembunyi daripada Allah ﷻ. Tidak ada apa-apa perbuatan kita yang Allah ﷻ tidak tahu. Dalam ayat ini secara spesifik disebut tentang pembacaan Al-Qur’an. Ini menunjukkan kepentingan membaca Al-Qur’an. Oleh itu kita kenalah nilai diri kita sama ada kita selalu baca Al-Qur’an ataupun tidak.

Semasa kita sedang membaca Al-Qur’an, kita kena ingat dan sedar bahawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Memang Allah ﷻ sentiasa melihat kita, tetapi di dalam pembacaan Al-Qur’an, kita kena lebih berhati-hati lagi. Hadhirkan perasaan ini semasa kita membaca Al-Qur’an di mana-mana sahaja, sama ada di rumah, di dalam kelas tafsir, dalam kelas tajwid kita, atau di mana-mana sahaja.

Sekiranya kita sedang mempelajari tajwid Al-Qur’an, belajar tafsir, membaca Al-Qur’an dalam solat dan di luar solat, dan kita mula berasa bosan, sebab rasa sangat lama atau sebagainya, maka hendaklah kita rasa dan ingat bawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita.

Bila kita rasa orang lain melihat kita, lebih-lebih lagi jikalau Allah ﷻ yang melihat kita, itu akan membuatkan kita melakukan perkara itu dengan lebih baik lagi. Maka ini mendidik kita dengan مراقبة الله iaitu sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Ini penting kerana dosa yang kita lakukan adalah kerana tidak sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Orang yang mencuri, makan rasuah dan sebagainya adalah kerana mereka rasa orang tidak melihat apa yang mereka lakukan. Akan tetapi kalau mereka sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan, bagaimana? Tentu mereka tidak berani.

Ini sebagaimana sebuah kisah yang berlaku di zaman Saidina Umar رضي الله عنه.

Suatu malam, beliau bersama seorang pembantunya melakukan rondaan seperti malam-malam sebelumnya. Ketika melewati sebuah rumah kecil dan daif, Umar al-Khattab رضي الله عنه berasa curiga melihat lampu rumah itu yang masih menyala. Rupa-rupanya dalam rumah itu masih ada penghuninya yang belum tidur. Beliau mendekati rumah itu dan cuba meneliti perbualan mereka. Dari sebalik dinding rumah itu, Khalifah Umar al-Khattab رضي الله عنه cuba mengintip dan kelihatan seorang ibu tua dengan seorang gadis sedang sibuk menadahi susu.

“Wahai ibu, kita hanya mendapat beberapa bekas susu ini sahaja untuk hari ini,” kata anak perempuan itu kepada ibunya.

“Anakku, kita campurkan saja susu itu dengan air.” Cadang ibunya. Anak gadis itu tercengang dan ditatapnya wajah ibu yang sudah tua itu.

“Tidak, Ibu.” katanya cepat.

“Khalifah melarang keras penjual susu mencampur susu dengan air.” Tegas anak gadis itu lagi.

“Tapi khalifah tiada di sini dan beliau tidak akan nampak, anakku.” Balas ibunya.

“Wahai ibu, meskipun tidak ada seorang pun yang nampak, tapi Allah tetap melihat. Allah pasti mengetahui segala perbuatan kita walau serapi manapun kita menyembunyikannya,” tegas anak gadis itu kembali.

Ibunya hanya menarik nafas panjang. Kecewa hatinya mendengar anaknya tidak mahu menuruti cadangannya. Namun, jauh di lubuk hatinya dia begitu bangga akan kejujuran anak gadisnya.

“Aku tidak mahu melakukan ketidakjujuran pada waktu ramai mahupun sunyi. Ibuku, aku yakin, Allah s.w.t tetap selalu mengawasi setiap yang kita lakukan setiap saat.” kata gadis itu lagi.

Tanpa berkata apa-apa, ibunya masuk ke bilik dan gadis itu menyelesaikan kerjanya sehingga selesai. Di luar rumah itu, Umar al-Khattab رضي الله عنه tersenyum kagum akan kejujuran gadis muda itu. Lalu Umar al-Khattab رضي الله عنه menarik pembantunya menjauhi rumah itu dan berkata;

“Wahai Aslam, tidakkah kau mendengar akan kata-kata anak gadis itu tadi?” Pembantunya hanya mengangguk tanda dengar. “Tandakan rumah ini supaya esok kita akan kembali ke sini lagi dan agar kita tak lupa rumah yang sentiasa didoakan malaikat ini!” Pesan Umar al-Khattab رضي الله عنه kepada Aslam. Umar al-Khattab رضي الله عنه benar-benar terkesan dengan kata-kata gadis itu bahkan bertekad untuk melakukan sesuatu.

“Siapakah gadis itu? Jelmaan Malaikatkah dia? Keimanannya begitu sempurna dan tertanam kuat.” Ingatan Umar al-Khattab رضي الله عنه pada gadis itu semakin kuat atas keimanan dan kejujurannya, dan tertanya siapakah gerangan gadis itu sebenarnya. Lalu beliau meminta Aslam pergi semula ke rumah itu dan menyiasat latarbelakang gadis tersebut. Pembantunya lalu mula menyiasat perihal gadis itu dengan menemui jiran tetangganya. Dia mendapat tahu bahawa dalam rumah itu hanya terdapat dua penghuni iaitu seorang tua yang sudah ketiadaan suami bersama anak gadisnya itu yang menjadi penjual susu di pasar.

Aslam segera menyampaikan maklumat itu kepada Khalifahnya. Umar al-Khattab رضي الله عنه sangat tertarik dengan maklumat itu dan memikirkan ikatan keimanan gadis itu. Lalu dipanggil semua putera dan puterinya. Beliau menceritakan tentang gadis jujur penjual susu itu, dan mencadangkan penikahan dengan gadis itu.

“Gadis yang akan aku jodohkan ini pasti akan menggembirakan pasangannya kerana dia adalah gadis yang baik-baik dan akan mendapat keturunan yang lebih baik. Gadis itu bukan takut pada manusia. Tapi takut pada Allah yang Maha Melihat.” Kata Umar al-Khattab رضي الله عنه kepada anak-anaknya; Abdullah, Abdurrahman, Hafshah, Ruqayyah, Zaid, Ubaiddillah dan Ashim. Hanya Ashim yang belum bernikah ketika itu.

“Wahai bapaku, aku belum beristeri, nikahilah aku dengannya.” pinta Ashim anak Umar al-Khattab رضي الله عنه yang paling bongsu daripada isterinya yang bernama Jamilah.

“Baiklah, anakku nikahilah dengan gadis itu. Aku sangat menyukai kejujurannya.” kata Khalifah Umar al-Khattab رضي الله عنه. Selepas Ashim bernikah dengan gadis itu, kehidupan mereka sangat bahagia, penuh kasih sayang dan membahagiakan kedua-dua ibubapa mereka. Daripada pasangan inilah yang kelak lahirnya keturunan yang beriman, alim, qadi, ahli politik, pemimpin yang berwibawa serta khalifah umat; iaitu Umar Abdul Aziz atau Umar II yang begitu mirip kepimpinannya dengan moyangnya.

Hebat bukan jika kita dapat mencapai pemahaman dan kesedaran sebegini? Merasakan diri diperhatikan oleh Allah ﷻ setiap saat merupakan suatu bentuk tahap iman yang tertinggi. Maka ajarilah anak-anak kita juga seperti yang Luqman lakukan di dalam Luqman:16

يٰبُنَيَّ إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ فَتَكُن في صَخرَةٍ أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ يَأتِ بِهَا اللهُ ۚ إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.


 

WALI-WALI ALLAH ﷻ

Yunus Ayat 62: Ayat Tabshir. Ayat ini berkenaan wali yang akan memberitahu kita tentang sifat-sifat wali Allah ﷻ. Mereka adalah orang yang taat setia kepada Allah ﷻ.

أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Unquestionably, [for] the allies of Allah there will be no fear concerning them, nor will they grieve

Malay

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah,

‘Wali’ pada kita adalah seseorang yang rapat dengan kita. Yang berkawan rapat dengan kita, yang tahu banyak perkara tentang kita. Sepertimana wali untuk pernikahan adalah seorang bapa atau ahli keluarga yang rapat dengan pengantin perempuan.

Maka, ‘Wali Allah’ adalah mereka yang rapat dengan Allah ﷻ. Hubungan mereka dengan Allah ﷻ amat kuat dan pertalian antaranya adalah cinta. Mereka teramat cinta kepada Allah ﷻ.

Mereka bukan sahaja rapat dengan Allah ﷻ, malah mereka juga rapat dengan sesama orang Islam kerana Allah ﷻ. Maknanya mereka berkawan kerana Allah ﷻ. Mereka berkawan bukan kerana kebendaan atau sebab lain tetapi hanya kerana Allah ﷻ.

Ini adalah sebagaimana disebut dalam hadith berikut:

Daripada Umar al-Khattab رضي الله عنه, beliau berkata,

إن من عباد الله لأناسا ماهم بأنبياء ولاشهداء يغبطهم الأنبياء والشهداء يوم القيامة بمكانتهم من الله
عز وجل
من هم وما أعمالهم؟ لعلنا نحبهم
قال: قوم يتحابون بروح الله عز وجل من غير أرحام بينهم ولا أموال يتعاطونها بينهم والله إن وجوههم لنور وإنهم لعلى منابر من نور لايخافون إذا حاف الناس ولايحزنون إذاحزن الناس

Sesungguhnya terdapat sebahagian hamba-hamba Allah, yang mana mereka bukanlah para Nabi dan para syuhada, namun mendatangkan cemburu para Nabi dan para syuhada, sebab mereka ditempatkan sebagaimana para Nabi dan Syuhada ditempatkan oleh Allah عز وجل”.
Mendengar itu, seseorang bertanya kepada Umar رضي الله عنه: “
“Siapakah Mereka, dan apakah amalan mereka agar kami juga ikut mencintainya?”
“Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah عز وجل tanpa ada hubungan saudara, dan tidak harta yang saling mereka berikan satu sama lain. Demi Allah, sungguh pada wajah mereka terdapat cahaya, pun mereka di atas berada dalam gudang-gudang daripada cahaya. Mereka tidak takut sama sekali, di saat manusia lain ketakutan, dan mereka tidak bersedih hati, di saat manusia lain bersedih”.
(HR. Abu Daud no. 3527, Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya 1/5, al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 8584)

Bagaimana mereka boleh rapat dengan Allah ﷻ? Kerana mereka kenal rapat wahyu Al-Qur’an. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah banyak disebut tentang Al-Qur’an dan kepentingan membaca dan mempelajarinya. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, memahami, mengamalkan ajarannya dan menyampaikannya dan mengajarnya kepada masyarakat, maka mereka menjadi Wali Allah.

Bagaimana kita boleh kenal wali Allah ﷻ ini? Tandanya ada disebut di dalam sebuah hadith yang menjadi isyarat,

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ يَزِيدَ أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخِيَارِكُمْ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ خِيَارُكُمْ الَّذِينَ إِذَا رُءُوا ذُكِرَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

Daripada [Asma binti Yazid], bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Mahukah aku beritahukan kepada kalian orang yang terbaik daripada kalian?” mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang mereka, akan mengingatkan kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ.”
(Sunan Abi Dawud (4109))

Masyarakat kita memang ada banyak masalah dengan definasi hal wali ini. Suka-suka dan bermudah-mudah sahaja melantik orang yang mereka kehendaki sebagai taraf wali. Ada juga orang yang tanpa segan silu mengaku wali. Saya sendiri pernah menjumpai orang yang mengaku Sultanul Auliya’ (raja segala wali). Sangkaan mereka wali itu mesti berserban besar, berjubah labuh, pegang tasbih sebesar kepala lutut, sangkut pula tasbih di leher, ada kuasa ajaib seperti boleh terbang, isi tangki minyak dengan air sahaja, boleh baca hati orang, dan macam-macam lagi. Sekarang kita hendak belajar siapakah wali yang mengikut laras Allah ﷻ sendiri.

 

لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

tidak ada ketakutan terhadap mereka,

Mereka tidak akan takut apabila mereka mati. Mereka juga tidak takut di Hari Mahsyar dan akhirat kerana Allah ﷻ akan menyelamatkan mereka. Semasa di dunia, manusia mempunyai terlalu banyak perasaan takut yang tidak berkesudahan. Sebagai contoh, takut lapar, takut sakit, takut hilang harta dan sebagainya. Kadangkala perasaan takut yang keterlaluan menghantui mereka sehingga mengakibatkan penyakit mental pula seperti ‘anxiety’ (kegelisahan), paranoia, serangan panik dan sebagainya. Namun para Wali Allah tidak akan ada langsung rasa takut dalam situatsi yang orang lain amat takut.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan merasa dukacita kerana semasa mereka hidup di dunia, mereka tidak mengumpul harta, tetapi mengumpul amalan kebaikan. Oleh kerana itu, Allah ﷻ akan memberi segala nikmat kepada mereka sampaikan tidak ada lagi rasa sedih pada mereka.

Kenapa manusia bersedih? Kerana ada perkara yang mereka rasa kekurangan, ada perkara yang mereka tiada, hilang dan sebagainya. Di akhirat kelak, Allah ﷻ akan balas kepada mereka dengan yang lebih baik lagi, sampaikan tidak ada kesedihan lagi kerana kehilangan apa-apa.

Kesedihan juga berlaku apabila terpaksa meninggalkan perkara yang kita sayang seperti keluarga, sahabat kita. Para wali Allah ﷻ tidak sedih meninggalkan dunia ini kerana kalau ada perkara yang mereka tinggalkan, kesedihan mereka itu ditutupi dengan kegembiraan menerima nikmat akhirat yang Allah ﷻ berikan. Kenikmatan akhirat ternyata berganda-ganda lebih hebat. Mereka sudah tidak ingat kekurangan mereka semasa di dunia. Mereka akan hanya diselimuti dengan perasaan gembira sahaja.

Namun sekiranya ahli syurga memang tidak ada takut dan kesedihan lagi apabila masuk syurga, maka apakah kelebihan auliya’ Allah ﷻ ini? Ada pendapat yang mengatakan mereka itu di dunia lagi tidak ada takut dan tidak ada kesedihan. Akan tetapi bukankah sifat takut itu tetap ada?Contohnya disebut dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.

Sememangnya sifat golongan mukmin itu takut dengan azab seperti disebut dalam Ma’arij: 27

وَالَّذينَ هُم مِن عَذابِ رَبِّهِم مُشفِقونَ

Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya

Di dalam hadith ada disebut Rasulullah ﷺ dan para sahabat takut dengan azab, amat berhati-hati dalam tindakan mereka. Sampaikan pernah Saidina Umar رضي الله عنه pengsan kerana terkesan dengan ayat Al-Qur’an. Takut ini adalah jenis takut yang berbeza.

Maka kita kenalah bezakan jenis takut itu. Para wali, para Nabi dan orang beriman itu bukannya tidak mempunyai perasaan takut langsung. Namun takut mereka itu dengan Allah ﷻ sahaja. Bukannya takut dan sedih dengan kehidupan dunia yang fana ini. Mereka tidak terkesan dengan jatuh bangun dunia ini, dengan ketidakselesaan hidup di dunia seperti kemiskinan, harga barang mahal, harta tidak ada dan sebagainya. Mereka itu tenang-tenang sahaja dengan ketentuan daripada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila melibatkan hal agama, tentang Allah ﷻ, tentang azab, mereka takut sangat.

Jelas sekali ada kelebihan besar para wali Allah ﷻ ini. Namun bagaimanakah kita boleh mendapatnya? Adakah kita manusia biasa-biasa ini layak? Sudah tentu dan Allah ﷻ telah beri formulanya kepada kita seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ
Daripada [Abu Hurairah] menuturkan, Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya, dan hamba-Ku tidak mampu mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan, jika hamba-Ku terus menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunnah, maka Aku mencintai dia, jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, dan pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, dan tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia meminta-Ku, pasti Kuberi, dan jika meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Ku-lindungi. Dan aku tidak ragu untuk melakukan sesuatu yang Aku menjadi pelakunya sendiri sebagaimana keragu-raguan-Ku untuk mencabut nyawa seorang mukmin yang dia (khuatir) terhadap kematian itu, dan Aku sendiri khuatir dia merasakan kepedihan sakitnya.”
(Sahih Bukhari (6021))

Oleh hal yang demikian, sesiapa sahaja boleh menjadi wali sebenarnya sekiranya cukup kriterianya. Istilah wali itu meluas, bukannya untuk orang tertentu sahaja. Kita boleh menjadi wali, orang lain boleh menjadi wali, para sahabat itu wali malah Rasulullah ﷺ juga seorang wali kerana baginda rapat dengan Allah ﷻ. Ia adalah istilah umum bukannya istilah yang hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 13 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah