Tafsir Surah Yunus Ayat 88 – 90 (Firaun akhirnya beriman)

Yunus Ayat 88: Setelah sekian lama berdakwah dan Bani Israil ditindas, maka sekarang Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ.

وَقالَ موسىٰ رَبَّنا إِنَّكَ ءآتَيتَ فِرعَونَ وَمَلَأَهُ زينَةً وَأَموٰلًا فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا رَبَّنا لِيُضِلّوا عَن سَبيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطمِس عَلىٰ أَموٰلِهِم وَاشدُد عَلىٰ قُلوبِهِم فَلا يُؤمِنوا حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ

Sahih International

And Moses said, “Our Lord, indeed You have given Pharaoh and his establishment splendor and wealth in the worldly life, our Lord, that they may lead [men] astray from Your way. Our Lord, obliterate their wealth and harden their hearts so that they will not believe until they see the painful punishment.”

Malay

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meterikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

 

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan Nabi Musa berkata:

Setelah bertahun-tahun Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, inilah kata-kata dan doa baginda kepada Allah ﷻ. Doa ini sebenarnya adalah doa laknat kerana Nabi Musa عليه السلام nampak mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk beriman dan bahaya kalau mereka terus hidup senang lenang dan kesannya akan mempengaruhi manusia lain.

 

رَبَّنَا إِنَّكَ ءآتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya barang-barang perhiasan yang indah

Kalimah زِينَةً asalnya bermaksud sesuatu yang cantik dipandang mata. Sama ada dari segi akhlak, rupa paras dan barang-barang. Kalimah زِينَةً dalam ayat ini bermaksud Allah ﷻ telah memberikan Firaun, pembesar-pembesarnya dan bangsa Qibti dengan keindahan badan dan barang-barang perhiasan.

Mereka telah dilimpahi dengan segala kemewahan. Sebagai contoh, mereka mempunyai kereta kuda yang diperbuat daripada emas dan sebagainya. Rumah mereka berlantaikan marmar hitam. Sekarang sudah tidak tinggal kesan lagi kerana telah diambil oleh pemerintah lain.

 

وَأَمْوٰلًا

dan harta benda yang banyak

Kekayaan menyebabkan manusia jauh daripada kebenaran kerana sibuk dengan kesenangan mereka. Mereka tidak nampak keperluan agama lagi kerana hidup senang. Begitulah orang yang kaya, mereka akan menghabiskan masa mengira-ngira harta mereka. Mereka suka mengumpul harta dan tidak pernah rasa cukup. Padahal, berapa banyak sangat yang mereka boleh makan? Maknanya mereka bukan hendak makan sangat tetapi digunakan duit itu untuk berbangga-bangga dengan apa yang mereka ada.

 

فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia ini.

Begitulah kehidupan dunia telah menyebabkan manusia leka dan lalai. Mereka melebihkan kejayaan di dunia daripada kejayaan di akhirat. Inilah bahayanya jikalau manusia diberikan kekayaan dan mereka kalah dengan ujian kekayaan itu. Allah ﷻ berfirman dalam Alaq:6-7

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Mereka sahaja أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ nampak yang mereka serba cukup. Namun sebenarnya tidak. Mereka lupa bahawa apa sahaja yang mereka ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Namun begitu walau sekaya manapun manusia, tetap juga memerlukan orang lain. Begitulah manusia selalunya tergelincir apabila mendapat kemewahan dan kesenangan hidup. Satu lagi kisah Allah ﷻ sampaikan kepada kita adalah tentang lelaki pemilik kebun dalam Kahf:32

۞ وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنٰبٍ وَحَفَفنٰهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

Diringkaskan ceritakan, dalam ayat 34, dia sudah berlagak

وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصٰحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَناْ أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

Dalam ayat 35, dia sudah jadi zalim (syirik kerana angkuh)

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظالِمٌ لِّنَفسِهِ قالَ ما أَظُنُّ أَن تَبيدَ هٰذِهِ أَبَدًا
Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya..

Dalam ayat 36, dia sudah tidak yakin adanya kiamat pula,

وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُ إِلىٰ رَبّي لَأَجِدَنَّ خَيرًا مِنها مُنقَلَبًا
Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

 

رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ

Wahai Tuhan kami! akibatnya menyesatkan mereka dari jalan-Mu

Dengan harta dan perhiasannya banyak itulah yang menyebabkan Firaun dan pembesar-pembesarnya telah menjadi sesat. Termasuk bangsa Qibti sekali. Mereka langsung tidak bersyukur kepada Allah ﷻ namun sebaliknya mereka telah menjadi sesat. Dalam ayat ini, seumpama Nabi Musa عليه السلام bertanya kepada Allah ﷻ, kenapa Allah ﷻ memberikan segalanya itu kepada mereka sampai menyebabkan mereka menjadi sesat? Memang mereka kaya raya dan berkuasa seperti kata Firaun dalam Zukhruf:51

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

Manusia yang jahil senang tertipu dengan kesenangan hidup. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, takkan mereka mendapat segala kesenangan ini? Oleh itu kita semua kena ingat yang mendapat kekayaan dan kesenangan hidup bukanlah tanda yang Allah ﷻ sayang dan kita berada di atas jalan yang benar. Jangan tertipu dengan perkara ini. Lihatlah bagaimana Firaun yang paling teruk ini pun banyak sangat kesenangan yang diberikan kepadanya. Ini semua adalah ujian. Manakala hidup yang susah pula tidak bermakna yang anda dibenci oleh Allah ﷻ. Susah dan senang, kedua-duanya adalah ujian sebenar.

Walau bagaimanapun tidaklah menjadi satu kesalahan pula untuk berjaya dalam dunia dan memiliki kemewahan. Yang salah adalah jika dengan kekayaan dan kemewahan itu sampai menyebabkan kita menjadi sesat. Amat malang sekali kerana kebanyakan ramai yang menjadi begitu apabila mereka diuliti dengan kekayaan dan kemewahan.

Kita sekarang pun begitu juga. Ramai yang mementingkan kekayaan dunia. Kekayaan adalah ujian sebenar kerana dengan kekayaan, ramai manusia yang lalai dengan agama. Kemiskinan yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah ujian. Ada yang kaya terlalu sibuk untuk hidup senang sampai lupa agama. Atau ada pula yang tidak mampu belajar kerana kemiskinan hidup. Oleh itu, kekayaan dan kemiskinan adalah ujian. Jangan kita sangka kemiskinan sahaja ujian.

Bukanlah kita kata kaya itu salah pula ya. Kalau kita kaya, kita mempunyai peluang untuk mendapat pahala yang besar melalui infak harta yang Allah ﷻ telah berikan itu. Akan tetapi kenalah ikut kesesuaian harta kita. Kalau kita ada banyak wang, kenalah kita beri dengan banyak juga. Seorang yang ada duit sebanyak dua juta ringgit dan menderma dua puluh ribu ringgit tidak banyak sebenarnya kerana jumlah itu hanyalah 1% daripada hartanya sahaja. Walaupun rasa seperti banyak namun sebenarnya, dia hanya menderma sebahagian kecil sahaja daripada hartanya. Bandingkan dengan seorang yang ada dua ribu ringgit dan menderma sebanyak 200 ringgit. Dia sebenarnya telah menderma lebih banyak kerana dia telah menderma 10% daripada hartanya.

Dalam ayat ini, kekayaan dan kemewahan yang telah diberikan kepada Firaun dan kerajaannya telah menyebabkan dia menjadi sesat. Tidaklah ini bermakna yang kekayaan kerajaan itu tidak baik secara keseluruhan. Banyak yang kita boleh belajar dari negara maju. Lihatlah bagaimana kebebasan diberikan kepada masyarakat yang maju. Rakyat mereka dapat hidup senang (itu pun kalau kerajaan tidak sakau duit rakyat).

Lihatlah juga bagaimana mereka menjaga kebajikan masyarakat yang lemah dan tidak berpendapatan. Juga bagaimana mereka memudahkan kehidupan rakyatnya. Bagaimana mereka menjaga kebersihan. Bagaimana mereka memberikan layanan sama rata kepada pekerja dan pelanggan. Pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, persekitaran yang sihat, kerja sedikit tetapi gaji tinggi; itu semua kita patut pelajari dan ambil sebagai contoh. Sedangkan membuat kebaikan sebegini ada terkandung dalam ajaran Islam sebenarnya. Kita sepatutnya ambil yang baik, bukan yang buruk.

Tak Ada Negara Muslim Masuk, Negara Paling Bahagia di Dunia 2023

Lihatlah hanya negara barat yang maju dan kaya dicanang sebagai negara kebajikan yang paling menjaga kebajikan rakyatnya. Mereka diletakkan sebagai negara yang paling bahagia untuk diduduki dalam dunia. Mengapakah tiada negara Muslim termasuk dalam senarai?

Masalahnya masyarakat kita salah ambil contoh dari Barat. Dalam kepala mereka, apabila mengecapi arus kemodenan, kita perlu bersikap terbuka. Buka minda untuk kebebasan berbuat dosa, pakaian mendedah aurat, pergaulan bebas dan maksiat berleluasa, konsert hiburan yang membuang masa, sambutan perayaan yang tidak berfaedah dan terkini paling teruk adalah kebebasan bersuara untuk menegakkan hak manusia sehingga hak untuk menukar jantina, bercinta dan berkahwin sesama jenis sudah dihalalkan dan menjadi perkara norma di negara mereka!

Bukan itu yang patutnya kita tiru. Semua itu hanyalah perkara keji yang langsung tidak berfaedah semata-mata demi keseronokan di dunia yang akhirnya akan mengundang kemurkaan Allah ﷻ sahaja.

 

رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوٰلِهِمْ

Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka

Sekarang, baru Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ kerana baginda sudah nampak yang Firaun dan pengikutnya tidak akan berubah. Kalau mereka mereka masih kaya raya lagi, maka akan semakin sesatlah umat manusia yang lain.

Kalimah طمس bermaksud memusnahkan sesuatu itu sampai tiada kesan lagi. Oleh kerana harta itu yang menyebabkan mereka sesat, maka Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ supaya harta itu dihancurkan.

Namun begitu Allah ﷻ tidak memakbulkan doa Nabi Musa عليه السلام berkenaan harta ini kerana kita tahu bila Firaun dan pengikut-pengikutnya mengejar Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil, mereka telah meninggalkan harta yang banyak di Mesir. Allah ﷻ tidak menghancurkan harta mereka dan harta itu telah diambil oleh kaum yang lain (atau satu pendapat mengatakan diberikan kepada Bani Israil sendiri). Sebaliknya Allah ﷻ mematikan Firaun dan kaumnya itu.

Akan tetapi ada juga kitab tafsir yang sebut segala harta Firaun dan rakyatnya menjadi batu belaka. Allahu a’lam.

Soalan: bolehkah kita doakan kehancuran kepada harta benda penentang Tauhid seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام ini? Boleh, kalau kita pun sudah berdakwah kepada mereka seperti Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام berdakwah kepada Bani Israil itu. Namun jikalau setakat setahun dua, tidak perlulah doa sebegitu.

 

وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

dan keraskan hati mereka

Ini adalah doa laknat yang kedua daripada Nabi Musa عليه السلام. Yang pertama tentang harta mereka. Keraskan hati mereka seperti batu atau kuncilah hati mereka supaya mereka tidak masuk Islam. Kenapa pula sampai begitu? Kenapa sampai Nabi Musa عليه السلام tidak mahu mereka masuk Islam pula padahal baginda sudah lama berdakwah kepada mereka?

Ini kerana selepas apa yang mereka lakukan, Nabi Musa عليه السلام rasa mereka tidak layak mendapat iman. Itulah Allah ﷻ menceritakan balik apakah kata-kata Nabi Musa عليه السلام. Dalam masa yang sama, Allah ﷻ seumpama memberitahu Musyrikin Mekah yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pun berdoa begini kepada mereka kerana sekiranya Nabi ﷺ berdoa begitu juga, sudah lama mereka mendapat nasib yang sama. Allah ﷻ ancam mereka, jangan sampai Nabi Muhammad ﷺ berdoa seperti ini juga.

 

فَلَا يُؤْمِنُوا

maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman

Nabi Musa عليه السلام berdoa supaya Firaun dan pengikutnya tidak beriman. Bilakah baginda doakan ini? Iaitu setelah bertahun-tahun baginda berdakwah kepada mereka tetapi mereka menolak sahaja dan terus melakukan kezaliman kepada Bani Israil.

Malah lebih teruk lagi mereka telah menghalang agama Allah ﷻ daripada berkembang. Mereka tidak membenarkan Musa عليه السلام menyampaikan dakwah. Malah Firaun semakin menindas baginda dan Bani Israil. Kerana itulah Nabi Musa عليه السلام berdoa. Memang nampak keras tetapi ada sebabnya. Kerana kalau mereka dibiarkan, mereka akan terus melakukan kerosakan.

Maka, doa ini sebenarnya adalah strategi. Untuk meneruskan agama Islam bagi berkembang, Firaun dan kekayaannya perlu dimusnahkan. Sebagai contoh, jika ada bahagian badan kita terkena kanser, kadang-kadang bahagian badan itu terpaksa dipotong sebelum ia merebak ke bahagian tubuh yang lain.

 

حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Doa Nabi Musa عليه السلام ini telah dimakbulkan oleh Allah ﷻ. Firaun dan pengikutnya tidak beriman sampai mereka mati. Hanya apabila hendak mati sahaja, barulah Firaun mengaku beriman kepada Tuhan Bani Israil (Allah ﷻ) namun itu semua sudah terlambat.

Kalau kita bandingkan, doa Nabi Nuh عليه السلام adalah lebih keras lagi seperti disebut dalam Nuh:26-27

وَقالَ نوحٌ رَّبِّ لا تَذَر عَلَى الأَرضِ مِنَ الكٰفِرينَ دَيّارًا
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

إِنَّكَ إِن تَذَرهُم يُضِلّوا عِبادَكَ وَلا يَلِدوا إِلّا فاجِرًا كَفّارًا
“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

Ini adalah kerana Allah ﷻ telah memberitahu Nabi Nuh عليه السلام yang umatnya itu tidak akan beriman sampai bila-bila.. Ini telah disebut dalam Hud: 36

وَأوحِيَ إِلىٰ نوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤمِنَ مِن قَومِكَ إِلّا مَن قَد آمَنَ
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi daripada kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.


 

Yunus Ayat 89: Tanda makbul daripada Allah ﷻ.

قالَ قَد أُجيبَت دَّعوَتُكُما فَاستَقيما وَلا تَتَّبِعانِّ سَبيلَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Sahih International

[ Allah ] said, “Your supplication has been answered.” So remain on a right course and follow not the way of those who do not know.”

Malay

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.

 

قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua;

Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام bahawa doa mereka berdua telah dikabulkan. Sebelum ini seolah-olah disebut Nabi Musa عليه السلام sahaja berdoa, tetapi sebenarnya mereka berdua berdoa kerana mereka mempunyai tujuan yang sama. Ada tafsiran lain menyebut memang Nabi Musa عليه السلام yang berdoa dan Nabi Harun عليه السلام mengaminkan dan ta’min (mengaminkan) juga adalah sebahagian daripada doa. Maka mereka dikira berkongsi dalam berdoa.

Dikatakan bahawa doa itu dimakbulkan selepas 40 tahun (antaranya dikatakan oleh Al-Baghawi). Bukanlah terus dikabulkan waktu itu juga. Allahu a’lam. Maknanya sepanjang 40 tahun itu Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام tetap kena berdakwah. Ini mengajar kita yang doa tidak semestinya dimakbulkan terus oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu bila sesuatu itu patut diberikan. Walaupun begitu di dalam menunggu perkara diminta itu diberi, Allah ﷻ telah berikan perkara lain yang kita lebih perlukan, seperti keselamatan contohnya.

 

فَاسْتَقِيمَا

oleh itu hendaklah kamu berdua istiqamah,

Maknanya, mereka hendaklah terus menjalankan kerja dakwah. Mesti istiqamah di atas jalan yang benar. Maknanya, selepas berdoa, kita masih terus menjalankan tugas dakwah kita. Doa akan dimakbulkan, tetapi tidak semestinya terus diberikan. Dalam berdoa, kita tidak tahu sama ada ia dimakbulkan atau tidak. Kita pun tidak tahu bila ia akan diberikan. Maka sementara menunggu waktu dimakbulkan doa itu, kita terus sahaja melakukan kewajipan kita.

Tetap (istiqamah) itu juga bermaksud istiqamah dalam tauhid. Jangan keluar masuk. Kejap pegang tauhid, kejap tidak, jangan begitu. Terus tetap pegang tauhid ini. Bagi orang yang berada di atas jalan Sunnah ini, kena terus tetap di atas Sunnah.

Ayat ini juga boleh bermaksud, mereka berdua kena tetap dalam keinginan mereka itu. Jangan selepas mereka berdoa itu, dan Allah ﷻ sudah kata akan makbulkan doa mereka, jangan selepas itu mereka mahu tukar fikiran pula. Mereka telah berdoa untuk kemusnahan Firaun dan pengikutnya, maka jangan mereka mahu ubah fikiran pula selepas itu.

 

وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui”.

Jangan ikut langsung mereka yang jahil. Apabila digunakan perkataan تَتَّبِعَانِّ dalam nahu begitu, bermaksud ada penekanan. Don’t you dare follow. Nasihat ini juga untuk kita supaya jangan sekali-kali kamu ikut mereka yang tidak tahu tentang agama, tidak tahu tafsir Al-Qur’an.

Allah ﷻ kata jangan ikut mereka yang tidak tahu. Maka janganlah belajar dengan mereka yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi. Malangnya, yang banyak mengajar sekarang ini adalah mereka yang tidak belajar pun dua sumber utama agama itu. Kalau kita tanya mereka, “Sudahkah habis belajar tafsir Al-Qur’an?”, mereka akan jawab: “Adalah sikit-sikit dulu”.

Bila ditanya sudah habis belajar kitab hadith, atau salah satu dari kutubussittah?”,mereka akan jawab, “Saya ada belajar sikit”. Maknanya, mereka sendiri pun tidak lepas asas agama Islam, tetapi mereka inilah yang mengajar masyarakat sekarang. Mereka sendiri sudah jahil agama, mengajar pula orang yang memang jahil juga. Maka, kejahilan itu bertimpa-timpa. Malangnya golongan ini pula yang mendapat tempat dalam masyarakat. Antaranya ada yang kata boleh selak tirai untuk tanya Nabi sesuatu hadith itu sahih ataupun tidak! Sudahlah mengarut begitu ramai pula yang sanjung dan menyokong! Apa hendak jadi pun tidak tahulah dengan masyarakat kita.

Sedangkan dalam masa yang sama, mereka yang sudah habis belajar tafsir dan hadith, ramai juga bilangan mereka. Akan tetapi mereka tidak dibenarkan mengajar kepada masyarakat. Minta tauliah pun tidak diberikan. Maknanya bukan tidak ada yang boleh mengajar, ada, tetapi tidak dibenarkan. Sebab mereka akan mengajar ajaran yang betul yang bertentangan dengan apa yang masyarakat sudah biasa amalkan.

Maka, mereka yang bertanggungjawab menguruskan hal pembelajaran agama, terus membiarkan mereka yang tidak berilmu itu yang mengajar. Sebab itulah susah sangat ajaran sunnah ini hendak diterima oleh masyarakat kerana masyarakat sudah biasa dengan ajaran bid’ah. Sesungguhnya ajaran sunnah dan bid’ah tidak akan dapat duduk bersama. Ia berlawanan antara satu sama lain. Tidak mungkin kita boleh mengamalkan sunnah dan bid’ah dalam satu masa. Menghidupkan satu amalan bid’ah akan mematikan satu amalan sunnah.


 

KEHANCURAN FIRAUN

Yunus Ayat 90: Bagaimanakah cara doa mereka itu dimakbulkan?

وَجاوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ وَجُنودُهُ بَغيًا وَعَدوًا ۖ حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ وَأَناْ مِنَ المُسلِمينَ

Sahih International

And We took the Children of Israel across the sea, and Pharaoh and his soldiers pursued them in tyranny and enmity until, when drowning overtook him, he said, “I believe that there is no deity except that in whom the Children of Israel believe, and I am of the Muslims.”

Malay

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (Islam)”.

 

وَجٰوَزْنَا بِبَنِي إِسْرٰءيلَ الْبَحْرَ

Dan Kami lintaskan Bani Israil ke seberang Laut,

Allah ﷻ kata, Dia yang telah menyelamatkan Bani Israil menyeberangi laut itu. Walaupun zahirnya, yang bawa mereka itu adalah Nabi Musa عليه السلام, namun hakikatnya, Allah ﷻlah yang membawa mereka. Bilakah ia berlaku? Ia berlaku pada Hari Asyura iaitu 10 Muharram seperti yang disebut di dalam hadith,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Daripada [Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما] berkata: “Ketika Nabi ﷺ telah sampai dan tinggal di Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi melaksanakan puasa hari ‘Asyura’ lalu baginda bertanya: “Kenapa kalian mengerjakan ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari kemenangan, hari ketika Allah ﷻ menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh mereka lalu Nabi Musa عليه السلام menjadikannya sebagai hari berpuasa”. Maka baginda bersabda: “Aku lebih berhak daripada kalian terhadap Musa”. Lalu baginda memerintahkan untuk berpuasa.
(Sahih Bukhari (1865))

Mereka melarikan diri pada malam hari. Ada pendapat mengatakan seramai 60,000 mereka semua sekali. Sebelum ini telah disebut mereka disuruh untuk mencari penempatan yang lain daripada bangsa Qibti. Apabila mereka duduk di penempatan yang lain dari tempat tinggal bangsa Qibti, maka mereka boleh bergerak senyap-senyap di waktu malam. Namun mereka kena menjalani latihan dalam solat untuk menerima arahan dan fokus kepada kerja mereka. Itulah kelebihan solat, di mana ada latihan di dalam solat yang dilakukan mereka itu.

Di dalam ayat ini hanya disebut ringkas sahaja tentang mereka menyeberang itu. Nampak macam mudah pula Bani Israil itu lari dan menyeberang laut. Kena rujuk surah-surah yang lain, antaranya Shu’araa:51-58

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَن أَسرِ بِعِبادي إِنَّكُم مُّتَّبَعونَ
Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: “Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hamba-Ku (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekalian akan disusuli”.

فَأَرسَلَ فِرعَونُ فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ
Maka Fir’aun mengirimkan orang untuk mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota.

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَشِرذِمَةٌ قَليلونَ
(Fir’aun berkata): “Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil,

وَإِنَّهُم لَنا لَغائِظونَ
dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita,

وَإِنّا لَجَميعٌ حٰذِرونَ
dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga”.

فَأَخرَجنٰهُم مِّن جَنّٰتٍ وَعُيونٍ
Maka Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air,

وَكُنوزٍ وَمَقامٍ كَريمٍ
dan (daripada) perbendaharaan dan kedudukan yang mulia,

فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ

lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya,

Hanya apabila tiba siang hari, baru orang Qibti perasan bahawa Bani Israil yang menjadi hamba mereka telah tiada. Maksudnya mereka tidak datang kerja pada hari itu. Maka, mereka telah menyampaikan kepada Firaun tentang perkara itu. Ini disambung dalam Shu’araa:60-66

فَأَتبَعوهُم مُّشرِقينَ
Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.

فَلَمّا تَرٰءَى الجَمعانِ قالَ أَصحٰبُ موسىٰ إِنّا لَمُدرَكونَ
Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”.

قالَ كَلّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبّي سَيَهدينِ
Musa menjawab: “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku bersertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku”.

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

وَأَزلَفنا ثَمَّ الآخَرينَ
Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain.

وَأَنجَينا موسىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجمَعينَ
Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersertanya semuanya.

ثُمَّ أَغرَقنَا الآخَرينَ
Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.

Firaun telah mengeluarkan arahan yang mereka mesti mengejar Bani Israil yang melarikan diri itu dengan segera. Mereka amat marah sekali dan ramai-ramai telah keluar. Firaun mengajak semua bangsa Qibti ikut sekali untuk melihat bagaimana mereka akan menangkap semua Bani Israil itu. Begitulah perancangan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak matikan mereka semua sekali di dalam laut. Mereka dapat kejar dan nampak Bani Israil sedang hendak menyeberangi laut.

Allah ﷻ telah mewahyukan Nabi Musa عليه السلام untuk memukul laut dengan tongkat baginda. Apabila dipukul, laut itu telah terbelah dan mereka boleh melaluinya. Firaun dan tenteranya juga mengikut Bani Israil itu menyeberangi laut itu. Kisah ini semuanya kita sudah tahu dan sudah disebut dalam surah-surah yang lain.

 

بَغْيًا وَعَدْوًا

dengan tujuan melakukan kezaliman dan permusuhan,

Mereka kejar itu kerana marah dan mereka hendak mengambil semula hamba-hamba mereka. Bukanlah mereka kejar dengan niat yang baik, pujuk untuk ajak balik duduk dengan mereka. Mereka mahu menyeksa Bani Israil itu kalau mereka dapat tangkap.

Dipendekkan cerita, apabila Bani Israil sudah melepasi laut itu, Allah ﷻ telah mewahyukan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk memukul laut itu sekali lagi. Maka, laut yang terbelah itu telah bercantum kembali. Bayangkan ketinggian laut itu dan betapa beratnya air yang jatuh menimpa Firaun dan pengikutnya.

 

حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ

sehingga apabila Firaun hampir tenggelam

Kalimah أَدْرَكَهُ berasal daripada katadasar د ر ك yang bermaksud ‘sampai’. Sampai dari atas seperti turun tangga dan turun tangga itu sedikit demi sedikit, bukannya laju. Maknanya, Firaun sudah mulai tenggelam sejak mula Nabi Musa عليه السلام datang berdakwah kepadanya, dan tahap akhir adalah apabila dia tenggelam lemas di lautan itu.

Kalimah الْغَرَقُ berasal daripada katadasar غ ر ق yang bermaksud ‘lemas’. Ini setelah dia dihempap dengan air laut yang amat berat. Firaun sudah tahu yang dia akan tenggelam. Tidak ada harapan lagi untuk dia. Keadaannya pada waktu itu adalah nyawa-nyawa ikan sahaja. Doa pada tahap ini tidak makbul. Doa diterima selagi nyawa belum sampai ke halqum. Iman yang hadir ketika itu juga tidak diterima kerana memang pada waktu itu semua orang pasti akan beriman.

Apakah katanya waktu itu?

 

قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ

berkatalah dia: “Aku percaya, bahawa sesungguhnya tiada ilah yang disembah, melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,

Dia bercakap dalam hati sahaja kerana mulutnya telah disumbat dengan tanah selut oleh Jibril عليه السلام. Jibril عليه السلام buat begitu supaya Firaun tidak boleh ucap Syahadah. Dalam hadith riwayat Tirmizi, ada disebut:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَمَّا أَغْرَقَ اللَّهُ فِرْعَوْنَ قَالَ { آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ } فَقَالَ جِبْرِيلُ يَا مُحَمَّدُ فَلَوْ رَأَيْتَنِي وَأَنَا آخُذُ مِنْ حَالِ الْبَحْرِ فَأَدُسُّهُ فِي فِيهِ مَخَافَةَ أَنْ تُدْرِكَهُ الرَّحْمَةُ
Daripada [Ibnu Abbas رضي الله عنهما] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Ketika Allah ‎ﷻ menenggelamkan Fir’aun, dia mengatakan: Aku beriman bahawa tiada tuhan selain yang diimani Bani Israil. Jibril عليه السلام berkata: Wahai Muhammad, seandainya engkau melihatku ketika sedang mengurusi keadaan laut, lalu aku sumbat mulutnya kerana khuatir dia mendapat rahmat.
(Jami’ Tirmizi (3032))
Status: Hasan

Atau, memang Firaun sempat mengucap, dan Jibril عليه السلام terus memasukkan lumpur tanah ke dalam mulutnya supaya dia tidak dapat mengucap lagi. Takut kalau mengucap kali kedua Allah ﷻ akan beri rahmat dan menerima pula syahadahnya itu.

Kenapa pula Jibril عليه السلام buat begitu? Kerana dia benci dan marah kepada orang yang jahat. Maka benci dan marah kepada orang jahat juga adalah tuntutan iman. Sekiranya Jibril عليه السلام tidak buat begitu pun, Allah ﷻ tidak akan terima iman Firaun itu.

Lihatlah dalam kata-kata Firaun ini pun, dia masih lagi sombong. Dia tidak kata “Tidak ada tuhan melainkan Allah” tetapi dia kata “Tuhan Bani Israil”. Tidak sampai mulut dia hendak menyebut nama Allah ﷻ. Begitu sombongnya dia, sampai di hujung maut pun masih enggan menyebut nama Allah ﷻ.

 

وَأَنَاْ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

dan aku adalah daripada orang-orang yang berserah diri”.

Pada ketika inilah dia mengaku Muslim dan kononnya hendak taat menyerahkan diri kepada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, kita boleh lihat, bagaimana dia benar-benar telah beriman. Takkan waktu itu dia tidak beriman, bukan? Namun adakah imannya itu diterima?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 87 (Kewajipan Solat Berjemaah)

KEHEBATAN SOLAT DAN DOA

Yunus Ayat 87: Doa mereka sebelum ini diterima oleh Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ beri ajaran kepada mereka melalui wahyu. Bani Israil tinggal bersama bangsa Qibti kerana mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti. Mereka duduk di luar rumah, di serambi, kandang kuda dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah ﷻ telah mewahyukan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام untuk menyediakan penempatan yang lain untuk Bani Israil.

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ وَأَخيهِ أَن تَبَوَّءآ لِقَومِكُما بِمِصرَ بُيوتًا وَاجعَلوا بُيوتَكُم قِبلَةً وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Sahih International

And We inspired to Moses and his brother, “Settle your people in Egypt in houses and make your houses [facing the] qiblah and establish prayer and give good tidings to the believers.”

Malay

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.

 

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):

Selalunya disebut nama Nabi Musa عليه السلام sahaja, tetapi kali ini disebut nama Nabi Harun عليه السلام juga. Ini kerana Nabi Harun عليه السلام membantu Nabi Musa عليه السلام dan juga ditugaskan untuk menyampaikan ajaran wahyu kepada umat Bani Israil.

Di permulaan ayat ini, arahan diberikan kepada dua Nabi ini, kerana mereka yang kena sampaikan. Akan tetapi ketika turunnya arahan solat nanti, ia diberikan secara umum kerana semua Bani Israil kena solat.

 

أَن تَبَوَّءآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا

“Hendaklah kamu berdua menyediakan penempatan di Mesir sebagai rumah penginapan,

Kalimah تَبَوَّآ berasal daripada katadasar ب و ء yang bermaksud ‘tinggal di sesuatu tempat’. Sekarang mereka berdua diperintahkan untuk membina penempatan Bani Israil sendiri dan tidak lagi duduk di rumah-rumah tuan mereka. Mereka kena cari tempat yang sesuai di Mesir iaitu tempat yang selamat. Sebelum ini mereka hanya tinggal di tepi-tepi rumah tuan mereka kerana mereka adalah hamba.

Yang kita boleh ambil pelajaran daripada ayat ini adalah saranan untuk tinggal di dalam rumah. Apabila ada kacau-bilau di luar, maka kita kena cari keselamatan di dalam rumah kita. Jangan sibuk-sibuk hendak keluar rumah waktu itu. Tidak perlu menambah kekacauan yang ada. Sebab itu semasa Covid bermaharajalela, kita disuruh duduk di rumah sahaja.

Mereka juga disuruh untuk tinggal di negeri Mesir buat masa itu. Tidak selamat untuk mereka pergi ke mana-mana lagi pada waktu itu. Nabi Musa عليه السلام telah pernah meminta kepada Firaun untuk melepaskan Bani Israil tetapi tidak dipersetujui oleh Firaun. Mereka tidak berada di dalam kedudukan yang membolehkan mereka untuk melarikan diri lagi kerana mereka ramai dan tidak boleh lari begitu sahaja. Duduk di rumah sendiri juga adalah strategi supaya senang untuk mereka melarikan diri nanti. Maka ini adalah fasa pertama.

Kerana itulah mereka diarahkan untuk tunggu di Mesir sehingga mendapat arahan Allah ﷻ seterusnya. Bukanlah setiap penyelesaian kepada masalah adalah dengan hijrah kerana kadang-kadang seseorang itu tidak boleh terus berhijrah. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum meninggalkan tempat tinggal untuk mencari tempat yang lebih sesuai. Rasulullah ﷺ pun tidak terus berhijrah tetapi disuruh para sahabat dulu berhijrah.

Bani Israil kena tunggu di situ dan dalam masa yang sama, melakukan apa yang mereka patut lakukan iaitu mendirikan solat. Ini mengajar kita bahawa dalam keadaan kita tidak kuat, kita kena lakukan perkara yang kita boleh buat sahaja, terutamanya dengan membanyakkan ibadah. Jangan tinggalkan agama. Mintalah pertolongan dengan mendirikan solat.

 

وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً

dan jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai qiblat,

Firaun tidak membenarkan mereka untuk membina rumah ibadat. Oleh itu mereka hanya diarahkan pada waktu itu untuk melakukan ibadat di rumah sahaja. Walaupun mereka tidak ada rumah ibadat untuk solat berjemaah, tetapi solat perlu diteruskan dengan dilakukan di rumah-rumah mereka. Ini adalah kerana solat tidak boleh ditinggalkan. Bila sudah ada rumah sendiri, barulah boleh melakukan solat, bukan?

Apakah yang dimaksudkan قِبْلَةً (kiblat) dalam ayat ini? Kalau kita sekarang, kiblat solat kita adalah Mekah. Sebelum kiblat ditukar kepada Mekah, umat Islam berkiblatkan BaitulMaqdis, yang juga kiblat Bani Israil. Akan tetapi semasa arahan diturunkan dalam ayat ini, BaitulMaqdis belum ada lagi. Maka apakah قِبْلَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini?

Ada pendapat yang mengatakan قِبْلَةً di sini adalah masjid. Jadikan rumah-rumah mereka tempat solat.

Ada juga yang berpendapat yang mengatakan maksud ayat ini adalah mereka perlu memilih beberapa rumah di antara mereka untuk dijadikan sebagai kiblat. Atau, rumah-rumah mereka hendaklah mengadap kiblat yang telah ditetapkan pada waktu itu. Mengikut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, kiblat mereka juga adalah Mekah kerana kiblat umat-umat terdahulu pun adalah Mekah juga. Kiblat yang dikatakan BaitulMaqdis itu hanya ketika mereka meninggalkan Mesir dan menuju ke BaitulMaqdis sahaja.

Yahudi sampai sekarang kena solat di mihrab mereka atau di ‘synagogue’. Memang itulah syariat mereka. Tidak boleh sembahyang di tempat lain. Di dalam ayat ini adalah pengecualian kerana takut kepada Firaun sahaja. Mereka bukan macam kita yang boleh solat di mana-mana sahaja. Kelebihan itu hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Walaupun kita ada masjid, tetapi kita boleh lagi solat di mana-mana.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,
الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Seluruh bumi adalah masjid (boleh digunakan untuk solat) kecuali kuburan dan tempat pemandian.”
(HR. Tirmidzi No. 317, Ibnu Majah No. 745, Ad Darimi No. 1390, dan Ahmad 3: 83)
Syeikh Al Albani رحمه الله mengatakan bahwa hadith ini sahih

Syarah: ini adalah kemudahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Di mana-mana sahaja kita boleh solat (ada sedikit pengecualian). Kalau dibandingkan dengan umat terdahulu, mereka kena cari rumah ibadat mereka untuk beribadat.

Sinagog orang yahudi
Pemandangan dari dalam sinagog

Solat mereka pun sebenarnya seperti kita juga. Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak ada rukuk. Cuma sekarang mereka sudah tidak buat kerana sudah ditinggalkan (mereka memang sudah tukar agama mereka). Kristian pun begitu juga. Akan tetapi masih ada lagi Yahudi dan Kristian Orthodox yang mengerjakan solat (dengan cara mereka). Kita tahu yang solat itu sama kerana syariat yang sama kerana daripada Tuhan yang sama juga.

Sekarang mereka tidak melakukan solat sebagaimana yang sepatutnya kerana mereka sudah sesat. Macam kita jugalah, lama kelamaan kalau tidak dijaga agama kita ini, solat akan hilang daripada amalan kita. Entah berapa ramai yang sudah tidak kisah tentang solat dalam kalangan kita? Macam tidak kisah sahaja kalau mereka tidak solat. Yang pelik, mereka masih tidak malu kerana masih mengaku Muslim lagi. Masih selamba mengaku Muslim tetapi tidak solat.

Kenapakah digunakan perkataan قِبْلَةً dalam ayat ini? قِبْلَةً adalah tempat yang kita hadapkan wajah kita. Tahukah anda zaman sekarang apakah قِبْلَةً di rumah kita? Ia adalah TV kita! Setiap hari kita akan hadapkan wajah kita padanya, bukan? Namun adakah tempat di rumah kita yang kita jadikan sebagai tempat ibadat?

Selalunya bila masuk rumah, kita akan menuju ke ruang tamu di mana TV berada. Ayat ini mengingatkan kita untuk mengadakan tempat beribadat di dalam rumah kita. Tempat khas untuk kita solat, belajar dan mengajar anak isteri kita dan sebagainya. Itulah tempat yang sepatutnya kita hadapkan.

Apakah perkara penting yang sepatutnya kita lakukan di kiblat rumah kita?

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Dirikanlah solat sebagai cara berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Tentunya Bani Israil mahukan tempat ibadat untuk solat dan beribadat secara berjemaah. Akan tetapi Firaun tidak membenarkan didirikan rumah ibadat bagi umat Islam pada waktu itu. Firaun tidak benarkan kerana kalau Bani Israil ada tempat berkumpul, mereka akan bersatu dan akan mencambahkan titik-titik penentangan kepada kerajaan Mesir. Maka, dia tutup kemungkinan itu daripada berlaku.

Ayat ini mengajar kita untuk mencari jalan untuk beribadat. Sekiranya kita dihalang daripada beribadat dengan cara yang sepatutnya, kita harus mencari jalan untuk mengerjakannya juga dengan cara yang lain. Jika kita dihalang daripada mengerjakan solat berjemaah, kita boleh kerjakan solat di rumah. Jangan sampai tinggalkan solat pula.

Kita juga diajar dalam ayat ini untuk pandai mengubah strategi mengikut keadaan. Namun janganlah sampai mengubah syariat pula. Janganlah sampai mengatakan tidak perlu solat berjemaah. Lelaki Muslim wajib untuk solat berjemaah di masjid. Lelaki bukannya solat di rumah walaupun berjemaah dengan keluarga. Begitulah hukum yang paling tepat walaupun ada berpendapat ia hanya fardhu kifayah sahaja. Akan tetapi kalau diperhatikan dalil-dalil yang ada, pendapat yang lebih kuat adalah lelaki itu wajib berjemaah di masjid.

Kecuali jika ada halangan seperti sakit dan sebagainya. Atau kerana ketakutan seperti yang berlaku kepada Bani Israil seperti di dalam ayat ini. Maka ayat ini menjadi dalil juga bahawa solat lelaki adalah berjemaah di masjid kerana Bani Israil itu disuruh solat di rumah kerana takut Firaun mengambil tindakan bunuh mereka. Namun apakah alasan untuk orang lelaki kita di Malaysia?

Sebenarnya banyak lagi dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith berkenaan kewajipan ini. Antaranya seperti disebut dalam Nisa’:102

وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka

Tafsir: Ini adalah tentang Solat Khauf, iaitu solat ketika perang. Kalau dalam perang pun disuruh untuk solat berjemaah, apatah lagi kalau di dalam waktu aman damai?

Allah ‎ﷻ berfirman dalam Baqarah:43

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Tafsir: Ulama’ tafsir berpendapat yang kalimah وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ (dan dirikanlah s0lat) adalah arahan untuk mengerjakan solat. Namun kemudian ditambah dengan kalimah وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ (dan rukuklah bersama orang yang rukuk) yang membawa maksud mendirikan solat berjemaah.

Hujah daripada hadith juga ada:

أَتَى النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى، فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّه ليسَ لي قَائِدٌ يَقُودُنِي إلى المَسْجِدِ، فَسَأَلَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ له، فيُصَلِّيَ في بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ له، فَلَمَّا وَلَّى، دَعَاهُ، فَقالَ: هلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بالصَّلَاةِ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فأجِبْ.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Seorang lelaki yang buta datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengatakan: Ya Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku tidak memiliki seorang yang memimpinku ke masjid. Maka Rasulullah ﷺ memberikan rukhsah (keringanan), namun ketika orang buta itu berlalu pergi kemudian dipanggilnya lagi dan ditanya: “Apakah kamu mendengar panggilan solat (azan)? Orang itu menjawab: Ya. Maka baginda ﷺ bersabda: “Penuhilah panggilan itu.”
(Sahih Muslim No. 653)

Syarah: Kalau orang buta pun masih wajib pergi ke masjid untuk berjemaah, maka apa pula alasan kita? Kesimpulan: seandainya salat jemaah boleh dilakukan di mana saja, tentu Rasulullah ﷺ memberi izin kepada lelaki buta itu untuk salat di rumahnya secara berjemaah bersama keluarganya. Rasulullah ﷺ, jika dihadapkan dengan dua hal, pasti memilih yang paling ringan selagi itu bukan dosa.

Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما, daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda:
مَنْ سَمِعَ الِنّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ ، فَلَا صَلَاةَ لَهُ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ
Barangsiapa mendengar azan kemudian tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya (solatnya tidak sempurna-pent), kecuali kerana ada uzur.
(HR. Ibnu Majah, no. 793; Al-Hakim, I/245 dan al-Baihaqi, III/ 174)
Disahihkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh adz-Dzahabi, lihat Irwa-ul Ghalil (II/337)

Syarah: Di antara uzur yang membolehkan kita untuk meninggalkan solat berjemaah adalah sakit, mengembara (safar), hujan lebat, cuaca sangat dingin, dan uzur lainnya yang dijelaskan oleh syari’at. Kalimah فَلَا صَلَاةَ لَهُ (tidak ada soat baginya) menjadi perbincangan ulama’ juga. Ini kerana kalau kita baca secara literal, maka orang yang boleh solat berjemaah di masjid, tetapi tidak pergi, seolah-olah dia tidak solat. Namun, ulama’ tidaklah mengatakan sebegitu, melainkan pahala soalat tidak sempurna sahaja. Ada kekurangan dari segi pahala.

Malah Nabi ﷺ pernah hendak membakar rumah orang yang tidak berjemaah.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَقَدْ هَـمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ لِيُحْطَبَ ، ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَـهَا، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ، ثُمَّ أُخَـالِفَ إِلَـىٰ رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوْتَـهُمْ. وَالَّذِيْ نَـفْسِـيْ بِيَدِهِ ، لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَـجِدُ عَرْقًا سَمِيْنًا أَوْ مِرْمَـاتَيْـنِ حَسَنَـتَيـْنِ ، لَشَهِدَ الْعِشَاءَ.
Demi (Allah ‎ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sesungguhnya aku berniat menyuruh mengumpulkan kayu bakar, lalu aku menyuruh azan untuk solat. Kemudian kusuruh seorang lelaki mengimami orang-orang. Setelah itu, kudatangi orang-orang yang tidak menghadiri solat jemaah dan kubakar rumah-rumah mereka. Demi (Allah ‎ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai solat seorang di antara mereka tahu bahawa ia akan memperoleh daging gemuk atau (dua kaki haiwan berkuku belah) yang baik, nescaya ia akan mendatangi solat Isyak.”
Muttafaq ‘alaih:
(HR. Al-Bukhari, No. 644; Muslim, No. 651; Abu Dawud, No. 548; An-Nasa-i, II/107; dan Ibnu Majah, No. 791)

Syarah: Lihatlah betapa marahnya Nabi Muhammad ﷺ kepada mereka yang tidak datang berjemaah ke masjid. Baginda sudah berfikir hendak suruh salah seorang sahabat untuk menggantikan baginda menjadi imam dan baginda pergi ke rumah-rumah orang yang tidak solat berjemaah. Namun tidaklah itu terjadi kerana bukanlah semua orang di dalam rumah-rumah itu wajib berjemaah. Ada kanak-kanak dan juga para wanita. Maka tidaklah patut kalau baginda bakar rumah-rumah tersebut.

Kalau tidak solat berjemaah pula adalah tanda sebagai tanda munafik.

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah berkata:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَىٰ هٰؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَىٰ بِهِنَّ ، فَإِنَّ اللهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى ، وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَىٰ ، وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِـيْ بُيُوْتِكُمْ كَمَا يُصَلِّـيْ هٰذَا الْمُتَخَلِّفُ فِـيْ بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّـةَ نَبِيِّكُمْ ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ … وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُوْمُ النِّفَاقِ.
Barangsiapa ingin bertemu dengan Allah ‎ﷻ di hari kiamat kelak dalam keadaan Muslim, hendaklah dia menjaga solat lima waktu di mana pun dia diseru kepadanya. Sungguh, Allah ‎ﷻ telah mensyari’atkan kepada Nabi ﷺ kalian, sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Solat lima waktu termasuk sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Seandainya kalian solat di rumah kalian sebagaimana orang yang tertinggal ini solat di rumahnya (tidak solat berjemaah di masjid) nescaya kalian akan meninggalkan sunnah Nabi ﷺ kalian. Seandainya kalian meninggalkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ kalian, nescaya kalian akan sesat… Dan aku melihat (pada zaman) kami (para Sahabat), tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah kecuali seorang munafik, yang telah diketahui kemunafikannya.
(Sahih: Muslim No. 654; Sunan Abu Daud No. 550; Sunan an-Nasai No. 849)

Syarah: Lihatlah betapa kerasnya teguran pada zaman itu. Pada zaman Sahabat, orang yang meninggalkan solat berjemaah dimarahi dan ditegur dengan keras oleh para Sahabat. Para Sahabat dan Tabi’in marah kepada lelaki yang sihat, yang jelas tidak ada uzur syar’i untuk meninggalkan solat berjemaah. Ini kerana pada zaman para Sahabat, hanya orang munafik yang meninggalkan solat berjemaah. Ketika masuk waktu Subuh dan Isyak, mereka tidak hadir solat berjemaah di masjid kerana keadaan pada waktu kedua-duanya gelap, berbeza dengan solat yang dilakukan di siang hari, mereka ikut berjemaah kerana riya’. Mereka sebenarnya hendak tunjuk kepada orang lain yang mereka solat. Maka apabila waktu gelap (tidak nampak siapa datang), maka mereka tidak datang ke masjid.

Daripada Abu ad-Darda` رضي الله عنه berkata: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”
(Sunan Abu Daud no.547; Sunan an-Nasai no.847; Musnad Ahmad no.21710; dll]. Sanadnya hasan menurut an-Nawawi, al-Arnaut, al-Albani, dll)
Dinilai sahih oleh al-Hakim, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Syarah: Sekiranya suatu kampung atau mukim itu sudah ada 3 atau lebih lelaki, maka sudah jatuh wajib ke atas mereka untuk mendirikan solat berjemaah. Kalau tidak dikerjakan, maka mudah bagi syaitan untuk memecah belahkan mereka.

Kesimpulan: Dalil-dalil yang ada ini sudah cukup untuk menjadi hujah bagi mengatakan yang solat berjemaah (di masjid/surau) bagi orang lelaki adalah wajib. Ia adalah hujah yang kuat. Memang sukar untuk ditolak.

Mungkin ramai yang panik kerana sudah biasa mendengar yang ia adalah sunat (nanti kita bincangkan khilaf tentang hal ini). Bukan anda sahaja yang terkejut, saya pun apabila pertama kali mendengarnya pun terkejut dan berat hati untuk menerimanya.

Saya pun seperti mengadu kepada ustaz saya kerana ia amat berat bagi saya. Maka ustaz saya balas: “Kalau awak tidak mampu, itu lain cerita. Tetapi jangan kerana awak tidak mampu, awak hendak ubah hukum pula. Kalau awak tidak mampu, maka mohon ampun kepada Allah ‎ﷻ siap-siap dan terus berdoa supaya Allah ‎ﷻ beri kekuatan”.

Sekiranya kita tinggal di dalam komuniti yang tidak boleh mendirikan masjid untuk solat berjemaah, adakah kita tinggalkan terus solat berjemaah? Jangan begitu. Ambil sunnah Bani Israil zaman Nabi Musa عليه السلام ini – mereka disuruh untuk mengambil beberapa rumah dijadikan tempat solat.

Maka, kita pilihlah salah sebuah rumah dalam komuniti kita itu untuk dijadikan sebagai tempat solat berjemaah. Islam itu indah dan amat praktikal. Janganlah pula kita menentang kerajaan yang ada untuk mendirikan juga masjid. Kita mungkin tinggal di negara bukan Islam yang tidak memungkinkan pembinaan masjid sesuka hati. Ini kerana gazette tanah tempat kita mungkin hanya membenarkan pembinaan rumah kediaman sahaja.

Janganlah kita hendak mereka mengubah undang-undang mereka untuk kita pula kerana ini boleh menyebabkan konflik. Buat dengan cara baik iaitu dengan meminta kebenaran melalui proses undang-undang.

Memang ulama’ khilaf tentang hukum salat berjemaah di masjid. Pendapat empat mazhab tentang hukum salat berjemaah:

1. Mazhab Syafi’iy: hukum sembahyang berjemaah adalah Fardhu Kifayah, wajib ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadith di atas tadi:

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”

Hujah mereka: apabila sudah ada tiga atau lebih lelaki mendirikan salat berjemaah, maka kewajipan itu telah dipenuhi.

2. Dalam Mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah ialah Fardhu Ain.

3. Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad (sunat yang dituntut; sunat yang kuat)

Kesimpulan: perkara ini masih kekal dalam khilaf ulama’. Yang mengatakan solat jemaah di masjid itu tidak wajib pun mempunyai hujah-hujah mereka. Antaranya:

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما. Beliau meriwayatkan: Rasulullah ﷺ bersabda;
وجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
“Dan bumi dijadikan sebagai tempat sujud (masjid) yang suci untukku.”
(Sahih Bukhari (335))

Syarah: Mereka berkata: Ini menunjukkan bahawa di tempat mana pun seorang hamba solat, baik itu di masjid mahupun di tempat lain, maka solatnya diterima. Cuma, daripada dalil-dalil yang wujud, lebih banyak dalil yang mengatakan ia wajib. Oleh kerana itu, kita berpegang yang solat berjemaah bagi lelaki di masjid itu adalah wajib. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih Syaikhul Islam dan muridnya, Ibnul Qayyim, Syaikh as-Sa’dawi, Ibn Baz, dan Ibn Utsaimin رحمهم الله.

Sekian tentang solat. Di dalam ayat ini hanya disebut solat sahaja kerana kewajipan zakat belum ada lagi. Hanya apabila Taurat telah diturunkan, barulah diwajibkan zakat kepada Bani Israil.

 

وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman

Sampaikanlah berita gembira bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya.

Berita gembira juga bermaksud mereka akan selamat di akhirat. Akan tetapi berita gembira itu hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja. Permulaan ayat disebut arahan secara keseluruhan kepada Bani Israil, namun bila disebut berita gembira tidaklah disebut kepada Bani Israil, tetapi disebut kepada orang yang beriman sahaja. Maknanya bukan semua mereka dapat berita gembira itu tetapi hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yunus Ayat 84 – 86 (Tawakal dan iman akan menyelamatkan kita)

Yunus Ayat 84: Nabi Musa عليه السلام memberi tarbiyyah dan semangat kepada kaumnya yang masih takut dengan ancaman Firaun dan pembesar-pembesarnya.

وَقالَ موسىٰ يٰقَومِ إِن كُنتُم ءآمَنتُم بِاللَّهِ فَعَلَيهِ تَوَكَّلوا إِن كُنتُم مُّسلِمينَ

Sahih International

And Moses said, “O my people, if you have believed in Allah, then rely upon Him, if you should be Muslims.”

Malay

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

 

وَقالَ موسىٰ يٰقَومِ

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku!

Nabi Musa عليه السلام sekarang berucap memberi kata-kata nasihat kepada Bani Israil. Baginda kena beri semangat kepada kaumnya kerana cabaran yang sedang mereka hadapi. Selepas Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan setelah Firaun dikalahkan dalam pertarungan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa عليه السلام, Firaun amat marah sekali kerana dia telah dimalukan di khalayak ramai. Tambahan pula, ahli-ahli sihir harapannya itu pun terus sujud beriman kepada Allah ﷻ .

Kerana marah sangat, bukan sahaja dia tidak mahu membebaskan Bani Israil daripada cengkaman perhambaan, tetapi sebaliknya dia meningkatkan dan menggandakan lagi kesusahan kepada mereka. Maka Bani Israil pun marah kepada Nabi Musa عليه السلام kerana pada anggapan mereka, Nabi Musa عليه السلام lah yang menyusahkan mereka. Ini ada disebutdalam ayat A’raf:129

قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Dia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”

Mereka marah kepada Nabi Musa عليه السلام kerana sebelum Nabi Musa عليه السلام lahir lagi, Firaun telah mengarahkan untuk dibunuh semua anak lelaki bani Israil. Mereka kata itu disebabkan oleh Nabi Musa عليه السلام dan sekarang selepas baginda berdakwah kepada Firaun, sekali lagi Firaun mengarahkan untuk anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan bani Israil dijadikan hamba lagi.

Mereka kata Nabi Musa عليه السلام tidak habis-habis menyusahkan mereka. Maka Nabi Musa عليه السلام membalas kata-kata mereka:

 

إِن كُنتُمْ ءآمَنتُم بِاللَّهِ

Kalau sungguh kamu sudah beriman kepada Allah,

Iaitu kalau mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah ﷻ, mengharap hanya kepada Allah ﷻ juga kalau mereka beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Mereka tentulah tidak boleh menyalahkan baginda kerana ini adalah ujian daripada Allah ﷻ. Memang kehidupan di dunia adalah tempat ujian untuk setiap manusia. Sepatutnya yang manusia kena hadapi adalah sebagaimana yang dihadapi oleh para sahabat Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam Ahzab:22

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

 

فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا

maka hendaklah kamu berserah diri kepada-Nya,

Nabi Musa عليه السلام mengingatkan kaumnya supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau benar-benar mereka beriman. Tidak ada cara lain. Mereka hendaklah berharap semata-mata kepada Allah ﷻ sahaja. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kerana telah ditaqdimkan harf jar على sebelum kalimah تَوَكَّلُوا seperti yang telah banyak kali disebut sebelum ini.

Hendaklah mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22 di atas. Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam sebuah hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنهما] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رضي الله عنهما pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan orang-orang pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Kemudian Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رضي الله عنه] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431) )
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

 

إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ

jika betul kamu orang-orang Islam“.

Jika betul-betul kamu kata kamu orang Islam, maka bertawakal sahaja kepada Allah ﷻ. Buktikan yang kamu benar-benar beriman dan tidak hanya manis di mulut sahaja.

Ada tiga elemen agama yang disebut di dalam ayat ini.

      • Iman
      • Tawakal
      • Islam.

Iman itu terjadi apabila seseorang itu mengaku yang dia percaya kepada Allah ﷻ, kepada Rasul, kepada wahyu Allah ﷻ, dan lain-lain lagi. Iman itu di dalam hati tetapi tidaklah cukup kalau kita percaya di dalam hati sahaja tetapi tidak diikuti dan ditunjuk dengan perbuatan.

Oleh itu mesti ada elemen Islam di mana kita menjalankan perintah Allah ﷻ seperti kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan sebagainya. Ini adalah bukti iman kita.

Di antara Iman dan Islam ada tawakal. Selepas kita beriman, kita perlu bertawakal kepada Allah ﷻ. Kadang-kadang, selepas kita beriman dan hendak menjalankan perintah Allah ﷻ, kadang-kadang, kita tidak mampu bertahan ataupun susah untuk melakukannya.

Sebagai contoh, apabila masuk Islam, seorang Muslim itu wajib melakukan solat tetapi ada yang susah untuk menjalankan ibadah solat kerana mereka takut keluarga mereka yang kafir akan marah mereka; seorang wanita Muslim wajib untuk menutup auratnya tetapi kadangkala ada yang susah untuk memakai tudung. Mereka takut dengan keluarga mereka, dengan kata-kata kawan mereka, atau pun mungkin ada diskriminasi yang dilakukan oleh negara mereka. Misalnya, pernah Negara Perancis mengharamkan rakyatnya memakai tudung menutup aurat.

Sama juga kalau kita hendak mengamalkan sunnah di dalam negara yang majoriti umat Islamnya mengamalkan bid’ah. Memang payah dan ada kemungkinan kita akan susah kalau kita tetap amalkan juga amalan sunnah.

Dalam hal ini, terutama sekali apabila ada dugaan untuk melakukan sesuatu perintah agama maka seorang Muslim itu hendaklah bertawakal kepada Allah ﷻ. Kita akan hanya mendapat kekuatan untuk menjalankan perintah Allah ﷻ jikalau kita berserah diri kepada Allah ﷻ sepenuh-penuhnya. Kita kena melakukan perintah Allah ﷻ tidak kira bagaimana keadaan sekalipun.

Apa yang perlu dilakukan tetap perlu dilakukan kerana memang sudah tujuan hidup kita untuk taat kepada perintah Allah ﷻ (menjadi Muslim). Kita akan gagal kalau kita mengharapkan semua orang akan menyokong perbuatan kita dalam setiap keadaan. Akan ada sahaja yang tidak setuju dengan pegangan agama kita.

Kekuatan itu akan datang jikalau bertawakal kepada Allah ﷻ kerana kita sudah tidak boleh berharap kepada rakan-rakan kita, keluarga kita atau negara kita. Kita kena berharap kepada Allah ﷻ dan yakin bahawa Allah ﷻ akan memelihara kita. Seperti yang disebut di dalam ayat Talaq:3

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Ayat daripada Surah Yunus ini mengajar kita bahawa kita perlu bertawakal kepada Allah ﷻ dalam melakukan ibadah. Nabi Musa عليه السلام mengingatkan kaumnya untuk bertawakal kepada Allah ﷻ dalam beriman dan menjalankan ibadat kepada Allah ﷻ. Begitu juga dengan kita zaman sekarang. Memang ada rasa takut dan gelisah dalam melakukan ibadah yang sunnah, tetapi kita buat sahaja dan tawakal kepada Allah ﷻ.


 

Yunus Ayat 85: Jawapan balas kaumnya selepas diberi motivasi

فَقالوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلقَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

So they said, “Upon Allah do we rely. Our Lord, make us not [objects of] trial for the wrongdoing people

Malay

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.

 

فَقالوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah kami bertawakal.

Ini adalah kata-kata mereka yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Bukan semua benar-benar beriman tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang kuat imannya. Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa عليه السلام telah menyuruh Bani Israil untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Maka dalam ayat ini diceritakan bagaimana mereka terus menerima dan mereka terus bertawakal kepada Allah ﷻ.

Mereka mengaku yang mereka hanya tawakal kepada Allah ﷻ sahaja kerana telah ditaqdimkan harf jar على itu. Maknanya mereka terus taat kepada kata-kata Nabi Musa عليه السلام. Selepas mereka disuruh bertawakal, mereka terus berkata yang mereka bertawakal kepada Allah ﷻ.

Beginilah yang sepatutnya kita lakukan. Hendaklah kita taat dan terus melakukan arahan. Tanda mereka bertawakal kepada Allah ﷻ adalah mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ. Maka ini mengajar kita tawakal itu mesti disertai dengan doa. Kekuatan kita sahaja tidak cukup.

 

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami fitnah kesengsaraan

Ini adalah doa mereka kepada Allah ﷻ supaya menyelamatkan mereka daripada fitnah. Sebelum mereka menyebut permintaan mereka, mereka telah menyebut yang mereka telah bertawakal. Ini bermakna mereka bertawasul dengan iman dan tawakal mereka. Tidaklah ada disebut mereka tawasul dengan Nabi, wali, atau malaikat seperti yang selalu dilakukan oleh orang Muslim di Malaysia yang tidak tahu ilmu wahyu.

Mereka minta diselamatkan daripada ‘fitnah’. ‘Fitnah’ dalam Al-Qur’an bermaksud ‘ujian’ dan bukanlah ‘tohmahan’ yang kita faham dalam bahasa Melayu kita. Maka kena perbetulkan fahaman kita tentang maksud ‘fitnah’ di dalam Al-Qur’an.

Mereka berdoa supaya janganlah mereka menjadi sasaran fitnah. Janganlah mereka terus menerus dikenakan azab musibah daripada tangan Firaun. Maknanya mereka minta diselamatkan.

Maksud lain: Janganlah bala diturunkan kepada mereka sepertimana bala yang diberikan kepada orang-orang yang zalim. Supaya jangan nampak sama sahaja orang Islam dan orang kafir. Sampai orang-orang zalim boleh jadi keliru pula nanti. Nanti mereka boleh kata, “sama sahaja Muslim dan kafir, dua-dua Allah beri bala”.

Jangan nampak seperti orang Islam ini tidak ada Tuhan pula. Kalau keliru begitu, boleh sampai nanti orang bukan Islam tak mahu masuk Islam pula. Sebab mereka tak nampak pun kelebihan kalau masuk Islam. Kerana masuk Islam pun kena bala juga.

Maksud lain: mereka meminta supaya jangan jadikan mereka dalam kehinaan. Iaitu kehinaan jikalau doa mereka tidak dimakbulkan kerana nanti orang-orang yang zalim nampak mereka sama sahaja antara orang beriman dan orang yang zalim di mana doa mereka tidak makbul, doa orang Islam pun tidak makbul juga.

 

لِّلْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bagi kaum yang zalim.

Ayat ini juga bermaksud, mereka berdoa supaya mereka tidak dijadikan punca orang-orang zalim terus menjadi kufur dan tidak mahu masuk Islam. Iaitu mereka berdoa supaya Allah ﷻ memenangkan mereka ke atas puak yang zalim itu.

Sekiranya puak yang zalim dapat mengalahkan orang-orang Islam, maka tentunya mereka tidak ada alasan untuk masuk Islam kerana mereka yang menang tentunya akan rasa yang merekalah yang betul. Tidaklah mereka hendak masuk Islam kalau begitu, kerana mereka akan rasa merekalah yang benar. Mereka akan terus melakukan kezaliman yang mereka sedang lakukan.

Maka ayat ini juga mengajar kita supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah kepada kita. Sebagai contoh, kalau kita sudah terbuka hati untuk belajar agama, janganlah kita terus meninggalkan hal-hal dunia sampai boleh dipandang serong oleh orang yang bukan Islam. Mereka akan nampak kita seperti orang yang tidak berjaya dalam hidup dan mereka tidak mahu menjadi seperti kita.

Janganlah juga perangai kita buruk sampaikan orang bukan Islam melihat Islam itu tidak menarik. Kita harus sedar yang kita ini sebenarnya adalah ‘duta’ kepada agama Islam. Mereka lihat orang Islam ini mewakili agama ini. Apabila mereka lihat perangai kita buruk, yang jadi busuk nama adalah agama Islam sendiri. Mereka akan kata: “kalau agama ini baik, tentulah penganutnya pun baik juga, bukan?” Hakikat sebenarnya ‘Muslim’ tidak sama dengan ‘Islam’.

Agama Islam ini amat molek, malangnya penganutnya yang teruk. Buat malu sahaja. Kerana itulah kita sedih apabila ada Muslim yang ekstremis, yang belajar entah di mana, sampai boleh bom sana dan sini, menyebabkan nama Islam terpalit lumpur. Saya teringat kata seorang yang masuk Islam: “Saya bersyukur saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”

Maksudnya, kalau dia kenal orang Muslim dahulu, mungkin dia tidak jadi masuk Islam kerana melihatkan perangai orang Muslim yang teruk. Akan tetapi oleh kerana dia belajar Islam dahulu, dan dia nampak betapa indahnya Islam itu, dia dengan rela telah memeluk Islam.

Satu lagi maksud ayat ini adalah doa mereka supaya orang Islam tidak dijadikan mangsa kepada orang zalim. Ini kerana kalimah فِتْنَةً bermaksud ‘ujian’. Allah ﷻ sentiasa memberi ujian kepada hamba-Nya. Allah ﷻ benarkan manusia untuk buat apa sahaja yang mereka hendak buat selagi mereka di dunia. Sama ada mereka memilih jalan yang baik atau tidak.

Allah ﷻ beri peluang memilih sendiri itu pun sebagai ujian. Allah ﷻ hendak lihat apa yang mereka akan buat. Orang-orang zalim selalunya gagal ujian itu dengan melakukan kezaliman kepada orang lain. Bani Israil berdoa dalam ayat ini supaya mereka tidak dijadikan ‘mangsa’ dalam kezaliman mereka itu. Janganlah mereka gagal dalam ujian itu sampai mereka melakukan kezaliman.

Ini adalah doa yang baik untuk diamalkan. Sesungguhnya doa yang baik sudah banyak ada dalam Al-Qur’an. Ia menggunakan kata-kata yang pendek dan indah tetapi banyak makna di dalamnya.


 

Yunus Ayat 86: Sambungan doa

وَنَجِّنا بِرَحمَتِكَ مِنَ القَومِ الكٰفِرينَ

Sahih International

And save us by Your mercy from the disbelieving people.”

Malay

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.

وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu

Doa ini juga amat baik untuk diamalkan. Doanya ringkas sahaja. Ringkas sahaja permintaan mereka kepada Allah ﷻ. Memang kita tidak perlu ajar Allah ﷻ untuk beri apa kepada kita. Lihatlah ﷻ bagaimana Al-Qur’an mengajar kita berdoa dengan pendek sahaja tetapi penuh makna. Tidak perlu kita sebut satu-satu perkara yang kita ingini.

Sebagai contoh, doa mereka yang mahukan isteri. Mereka berdoa kepada Allah ﷻ dengan menyenaraikan segala kriteria isteri pujaannya itu: Mahukan isteri itu cantik, rambut ikal mayang, gigi bersusun, pandai memasak dan sebagainya. Itu sudah mengajar Allah ﷻ. Seolah-olah kita anggap Allah ﷻ tidak tahu kehendak kita. Sepatutnya pandailah Allah ﷻ untuk buat apa yang kita perlukan. Allah ﷻ lebih tahu apa yang kita perlukan. Allah ﷻ lebih tahu apa yang baik untuk kita. Tidak perlu mengajar Allah ﷻ.

Kita minta apa yang penting yang kita ingini. Seperti doa Bani Israil ini, mereka minta diselamatkan. Mereka tidak mengajar pula bagaimana mereka hendak diselamatkan – bagi Firaun menjadi sakit kah, tentera Firaun kabur mata kah atau sebagainya. Mereka tidak cakap begitu.

Mereka cuma minta ‘diselamatkan’ sahaja. Pandailah Allah ﷻ selamatkan mereka dengan cara apa; begitu juga jika mahukan isteri, cukuplah berdoa supaya Allah ﷻ berikan isteri yang solehah. Sebarang keinginan lain yang dalam hati kita, Allah ﷻ amat tahu.

Janganlah kita berdoa sebagaimana mereka yang berdoa sampai lenguh tangan dek kerana terlalu lamanya menadah tangan. Mereka ajar Tuhan satu persatu bagaimana untuk berikan kepada mereka apa yang mereka mahu. Sampai setengah jam doa. Semua perkara mereka hendak. Tamak betul.

Lihatlah dalam hadith bagaimana doa-doa Nabi, semuanya pendek-pendek sahaja. Ikutlah doa-doa yang diberikan dalam Al-Qur’an dan hadith terlebih dahulu sebelum doa-doa yang lain. Yang penting, jangan ajar Allah ﷻ dalam berdoa.

 

مِنَ الْقَوْمِ الْكٰفِرِينَ

daripada angkara kaum yang kafir”.

Bagaimana lagi kita hendak menyelamatkan diri daripada musuh seperti tentera Firaun itu melainkan dengan rahmat Allah ﷻ sahaja? Hanya kepada Allah ﷻ sahaja harapan kita.

Dalam mereka minta diselamatkan daripada ancaman tentera Firaun itu, doa mereka pendek sahaja. Mereka tidak minta supaya mereka diberikan senjata yang banyak, mereka tidak minta disakitkan Firaun dan tenteranya, tidak. Bermakna, tidak perlu kita ajar Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu bagaimana hendak menyelamatkan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Yunus Ayat 81 – 83 (Beriman dalam ketakutan)

Yunus Ayat 81: Sambung kisah perlawanan Nabi Musa عليه السلام dan tukang-tukang sihir secara ringkas.

فَلَمّا أَلقَوا قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ ۖ إِنَّ اللَّهَ سَيُبطِلُهُ ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يُصلِحُ عَمَلَ المُفسِدينَ

Sahih International

And when they had thrown, Moses said, “What you have brought is [only] magic. Indeed, Allah will expose its worthlessness. Indeed, Allah does not amend the work of corrupters.

Malay

Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

فَلَمَّا أَلْقَوْا

Setelah mereka campakkan (benda-benda itu),

Dalam Taha:66 telah disebut yang mereka mencampakkan tongkat dan tali. Ada dibincangkan kenapa Nabi Musa عليه السلام suruh mereka dahulu yang campakkan. Strategi itu dipilih supaya orang ramai boleh nampak perbezaan antara sihir tukang ahli sihir itu dan mukjizat yang akan ditunjukkan oleh baginda. Barulah jelas kehebatan mukjizat kerana telah nampak perbuatan sihir dahulu.

 

قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ

Nabi Musa berkata: “Apa yang kamu datangkan itu adalah sihir;

Nabi Musa عليه السلام tahu apa yang berlaku, maka baginda telah kata kepada mereka. Baginda beritahu kepada mereka: “Yang kamu bawakan inilah sihir, bukan apa yang aku bawa”. Yang Nabi Musa عليه السلام bawa adalah mukjizat, tidak sama dengan sihir. Ini kerana sihir itu hanya menjadikan nampak sahaja tongkat dan tali itu menjadi ular, tetapi bukan ular yang sebenar. Sihir hanya mengelabui mata yang melihat sahaja.

Belajar dan mengamalkan sihir hukumnya dosa besar. Tidak dibenarkan untuk kita mempelajarinya dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Baqarah:102.

 

إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ

sesungguhnya Allah akan menghapuskannya

Kalimah سَيُبْطِلُهُ adalah daripada katadasar ب ط ل yang bermaksud ‘membatalkan’. Apa yang mereka buat itu, Allah ‎ﷻ akan batalkan, maksudnya Allah ﷻ akan lemahkan sampai ia tidak akan menjadi apa-apa. Allah ﷻ maha berkuasa atas segala sesuatu dan bukan mereka yang ada kuasa sihir itu. Sihir itu menjadi kerana Allah ﷻ benarkan ia berlaku. Bukan juga Nabi Musa عليه السلام yang mempunyai kuasa maka kerana itu baginda kata Allah ﷻ yang akan menghapuskan sihir mereka.

Kita manusia biasa tidak mempunyai sebarang mukjizat sebagaimana Nabi Musa عليه السلام untuk melawan sihir, namun kita ada mukjizat Al-Qur’an. Oleh itu, sekiranya ada yang menggunakan sihir kepada kita, maka bacakan ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana apabila kita membacakan ayat-ayat seperti ayat ini, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menguasai sihir itu. Seterusnya kita berdoa terus kepada Allah ﷻ agar menghilangkan kesan sihir itu.

Bukannya pergi berjumpa dengan bomoh-bomoh dan ustaz-ustaz yang mengamalkan sihir juga. Masalah zaman sekarang, tukang-tukang bomoh dan pawang menggelarkan diri mereka sebagai ‘ustaz’. Namun sebenarnya mereka adalah uskun (ustaz dukun). Mereka sahaja sangka mereka menggunakan cara Islam, tetapi sebenarnya mereka menggunakan jin juga dalam amalan mereka tanpa mereka sedar. Ini adalah kerana mereka mengamalkan amalan yang bid’ah dan mungkin syirik yang menyebabkan jin-jin telah berdamping dengan mereka. Maka jikalau nampak mereka boleh buat bermacam-macam perkara luarbiasa, itu adalah kerana bantuan daripada golongan jin, kawan mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ

sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Kenapa tadi menceritakan sihir dan sekarang menyebut tentang ‘kerosakan’ pula? Ini adalah kerana kadangkala ada manusia yang benci kepada seseorang sampai menggunakan sihir. Dia pergi jumpa bomoh dan suruh bomoh itu buat macam-macam: bagi sakit, bagi jadi gila, bagi tiada nafsu dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah termasuk ‘melakukan kerosakan’. Ternyata memang perbuatan sihir itu melakukan kerosakan. Allah ﷻ tidak akan memberikan kejayaan kepada mereka. Ia tidak akan membawa kepada kebaikan. Mereka sangka mereka berjaya dan beruntung, tetapi sebenarnya tidak. Mereka akan dibalas di akhirat kelak dengan balasan azab yang amat dahsyat.

Ini juga mengajar kepada kita yang jikalau perbuatan kita itu membawa kepada kerosakan, ia tidak berguna kepada kita. ‘Kerosakan’ itu bukan sahaja di dalam bentuk sihir. Kerosakan itu merangkumi semua perkara, sama ada dalam perkara yang besar atau pun yang kecil. Sebagai contoh, dalam kita hendak mendisiplinkan kanak-kanak, kita tidak patut memaki mereka ataupun menipu kepada mereka. Lama- akan membawa kepada kerosakan juga nanti. Sebaiknya kita kena fikirkan kesan daripada perbuatan kita. Niat kena baik, tetapi tindakan pun kenalah baik juga.


 

Yunus Ayat 82:

وَيُحِقُّ اللَّهُ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

Sahih International

And Allah will establish the truth by His words, even if the criminals dislike it.”

Malay

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.

 

وَيُحِقُّ اللَّهُ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintah-Nya,

Allah ﷻ tetap akan menegakkan kebenaran kerana Allah ﷻ telah berjanji dengan kalimah-Nya untuk menegakkan kebenaran dan itu pasti akan terjadi. Maksud ‘kalimat’ di dalam ayat ini bermaksud ketetapan kauniah iaitu takdir yang Allah ﷻ tetapkan. Iaitu Allah ﷻ bantu memenangkan Nabi-Nya dengan memberi mukjizat kepada baginda untuk mengalahkan musuh.

Yang kedua, kalimah yang dimaksudkan adalah wahyu-Nya. Pada kita sekarang, ia adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya, dengan Al-Qur’an, Allah ﷻ akan menegakkan kebenaran. Kebathilan akan dikalahkan dengan hujah-hujah Al-Qur’an. Maka kita mesti belajar tafsir Al-Qur’an sampai kita dapat menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk mematahkan hujah-hujah bathil.

Yang ketiga, kalimah Allah ﷻ yang dimaksudkan adalah janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berjanji untuk memberi kemenangan kepada golongan mukmin dan mengalahkan orang kafir. Allah ﷻ pasti akan bantu mereka yang hendak menegakkan agama-Nya. Sebagai contoh, dalam kisah Nabi Musa عليه السلام ini, Allah ﷻ telah memenangkan baginda dengan menjadikan tongkat baginda menjadi ular yang sebenar dan memakan semua jelmaan ular-ular sihir itu.

Walau bagaimanapun umtuk menang, ia tetap memerlukan strategi. Dakwah juga memerlukan strategi supaya kebarangkalian berjaya lebih tinggi. Nabi Musa عليه السلام pun tidaklah terus berlawan dengan golongan tukang sihir itu tetapi baginda menggunakan cabaran itu untuk berdakwah. Lihat Taha:59

قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى
Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.

Baginda memilih hari perayaan supaya peristiwa itu boleh disaksikan oleh ramai orang. Kenapa waktu dhuha? Kerana waktu itu sejuk selesa dan ramai orang boleh datang dan duduk lama untuk menyaksikan peristiwa itu. Malah Nabi Musa عليه السلام telah mengambil peluang untuk berdakwah kepada golongan tukang sihir itu seperti disebut dalam Taha: 61-62

قالَ لَهُم موسىٰ وَيلَكُم لا تَفتَروا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسحِتَكُم بِعَذابٍ ۖ وَقَد خابَ مَنِ افتَرىٰ
Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.

Dakwah Nabi Musa عليه السلام itu telah menggoyangkan mereka, sampaikan mereka berbincang sesama sendiri,

فَتَنازَعوا أَمرَهُم بَينَهُم وَأَسَرُّوا النَّجوىٰ
Maka mereka pun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.

Walau bagaimanapun mereka telah terkesan dengan kata-kata Nabi Musa عليه السلام itu, maka mereka telah mudah untuk beriman dengan baginda apabila mereka kalah.

 

وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.

Orang yang berdosa tidak suka dengan kebenaran. Akan tetapi Allah ﷻ tidak peduli sama ada mereka suka atau tidak. Walaupun mereka tidak suka, Allah ﷻ akan memenangkan kebenaran juga. Kalimah الْمُجْرِمُونَ di dalam ayat ini bermaksud orang kafir. Allah ﷻ tidak akan memberi kemenangan kepada mereka. Di dalam Saf:8 juga Allah ﷻ telah menyebut perkara yang sama.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ
Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Ayat ini memberi kekuatan kepada kita untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Apabila kita yakin yang Allah ﷻ akan pasti memenangkan agama-Nya, maka kita senang untuk berharap dengan Allah ﷻ.

Habis Ruku’ 8 daripada 11 surah ini.


 

HANYA SEDIKIT YANG BERIMAN

Yunus Ayat 83: Apakah tindakan Firaun selepas itu? Dia menggunakan kekerasan terhadap sesiapa yang berani beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.

فَما ءآمَنَ لِموسىٰ إِلّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَومِهِ عَلىٰ خَوفٍ مِّن فِرعَونَ وَمَلَإِىْهِم أَن يَفتِنَهُم ۚ وَإِنَّ فِرعَونَ لَعالٍ فِي الأَرضِ وَإِنَّهُ لَمِنَ المُسرِفينَ

Sahih International

But no one believed Moses, except [some] youths among his people, for fear of Pharaoh and his establishment that they would persecute them. And indeed, Pharaoh was haughty within the land, and indeed, he was of the transgressors

Malay

Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itu pun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya dia dari orang-orang yang melampaui batas.

 

فَما ءآمَنَ لِموسىٰ إِلّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَومِهِ

Maka tidaklah beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil daripada keturunan kaumnya,

Ramai yang tidak beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام, walaupun mereka sendiri nampak bagaimana ahli-ahli sihir mereka telah dikalahkan dengan mukjizat Nabi Musa عليه السلام. Walaupun mereka nampak kebenaran dengan mata mereka sendiri, tetapi mereka masih tidak beriman. Mereka juga tidak beriman walaupun selepas itu para ahli sihir itu semuanya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام.

Walaupun ramai yang tidak beriman, namun masih ada juga antara mereka yang melihat pertarungan itu yang telah beriman. Pertamanya yang beriman itu adalah ahli-ahli sihir yang bertarung dengan Nabi Musa عليه السلام itu. Oleh kerana mereka orang yang berilmu, maka mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa عليه السلام lakukan itu bukanlah sihir tetapi ia adalah mukjizat. Mereka tahu sesiapa yang boleh mengalahkan mereka tentunya seorang Rasul yang benar kerana mereka tahu bahawa mukjizat itu yang hanya boleh dilakukan oleh seorang Nabi sahaja. Maka, mereka tahu yang apa yang dikatakan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah kebenaran. Oleh kerana itu mereka terus beriman tanpa berasa sangsi lagi walaupun telah diancam bunuh oleh Firaun.

Selain daripada ahli-ahli sihir itu, ada lagi yang beriman. Namun sedikit sahaja kerana kalimah ذُرِّيَّةٌ daripada katadasar ذ ر ر yang bermaksud atom, semut yang paling kecil, biji benih yang kecil, anak-anak, kanak-kanak, keturunan. Kalimah zuriat, zarah, diambil daripada katadasar ini.

Jelas maksudnya di sini bahawa hanya sedikit sahaja yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Merekalah golongan minoriti. Nanti akan disebut kerana sedikit sahaja yang beriman. Memang zaman berzaman, golongan yang berada di atas landasan yang benar itu sedikit sahaja. Sama seperti ajaran Sunnah sekarang pun. Inilah sunnatullah (ketetapan Allah ﷻ yang berulang-ulang) iaitu yang beriman sebenar hanya sedikit sahaja..

Apabila perkataan ذُرِّيَّةٌ digunakan, ia memberitahu kepada kita bahawa mereka adalah orang-orang muda. Memang zaman berzaman golongan mudalah yang senang untuk beriman. Golongan tua selalunya ikut amalan yang telah lama diamalkan. Otak mereka pun sudah lemah untuk fikir lebih-lebih, maka mereka cuma meneruskan apa sahaja yang telah diamalkan oleh orang sebelumnya. Kalau beri dalil kepada mereka pun, mereka sudah susah untuk fikirkan kerana untuk fikir lebih secara ilmiah, memerlukan kekuatan akal sedangkan otak mereka sudah lemah. Oleh kerana itulah dakwah sepatutnya difokuskan lebih kepada orang muda.

Perkataan قَوْمِهِ (kaumnya) boleh diertikan dalam dua makna. Sama ada zuriat keturunan daripada kaum Nabi Musa عليه السلام, atau kaum Firaun.

Jika ditafsirkan sebagai kaum Nabi Musa عليه السلام iaitu Bani Israil, timbul satu persoalan: bukankah mereka sudah beriman? Oleh itu, maknanya adalah: walaupun Nabi Musa عليه السلام memberikan ajaran tauhid kepada semua kaumnya, tetapi yang menerima hanya sedikit sahaja, iaitu golongan muda. Puncanyanya adalah sama: ramai yang takut dengan Firaun.

Manakala jikalau ia ditafsirkan sebagai ‘kaum Firaun’, ia merujuk kepada golongan kecil daripada bangsa Qibti dan kaum kerabat Firaun sendiri.

    1.  Asiah isteri Firaun.
    2. Seorang lelaki daripada golongan istana yang disebutkan dalam Surah Mukmin. Hanya disebut tentangnya, tanpa diberitahu namanya.
    3. Menteri kewangan Firaun.
    4. Tukang sisir (mashitah) anak Firaun

Sememangnya mad’u bagi Nabi Musa عليه السلام ada dua golongan: Qibti dan Bani Israil. Dengan Qibti baginda kena sampaikan Tauhid Rububiyyah dengan mengenalkan kepada mereka siapa Tuhan yang sebenarnya; sementara kepada Bani Israil baginda kena sampaikan Tauhid Uluhiyyah kerana walaupun mereka ikut baginda, tetapi mereka ada masalah tauhid dalam penyembahan. Lihatlah betapa pentingnya kisah Nabi Musa عليه السلام sehinggakan Allah ﷻ banyak menyebut tentang kisah baginda. قال السيوطي رحمه الله: “كاد القرآن أن يكون كله لموسى” (Telah berkata Imam Suyuti رحمه الله: “Hampir-hampir Al-Qur’an itu keseluruhannya tentang Musa”.)

Seperti yang telah disebut sebelum ini, yang sanggup beriman adalah golongan-golongan yang muda. Dalam setiap zaman, golongan mudalah yang berani menentang arus pemahaman kolot sesuatu masyarakat itu dan sanggup untuk beriman, walaupun berlainan dengan pendapat golongan-golongan yang tua. Kerana itulah di Malaysia ini digunakan istilah ‘Golongan Muda’ dan ‘Golongan Tua’. Ada yang menggelar golongan Salafi dan Sunnah ini sebagai Golongan Muda. Maka beruntunglah juga kita ini sebab sentiasa tergolong dalam golongan muda belia rupanya.

Maka berilah semangat kepada mereka yang muda dan sanggup menerima perubahan. Walaupun mereka tahu bahawa pemikiran itu akan menyebabkan mereka susah, tetapi mereka sanggup untuk menghadapinya. Ini adalah kerana mereka mahukan perubahan. Mereka juga lebih bertenaga dan lebih bersemangat untuk membawa arus pembaharuan. Fikiran mereka juga masih suci bersih lagi berbanding golongan tua yang sudah lama sebati dengan amalan dan fahaman salah setelah sekian lama.

Kalau kita lihat penyokong penyokong Nabi Muhammad ﷺ pun kebanyakannya adalah golongan yang muda seperti Saidina Ali, Uthman رضي الله عنهما dan lain-lain lagi. Begitulah juga sekarang, kalau kita lihat, golongan mudalah yang banyak beriman di jalan sunnah ini.

Maka kita boleh lihat di sini yang kalau Nabi Musa عليه السلام pun pengikutnya tidak ramai, maka kejayaan dakwah bukanlah dikira daripada bilangan ramainya pengikut. Sebagaimana Jalan Sunnah sekarang masih sedikit, tetapi itu tidak mengapa, asalkan kita berada di atas jalan yang benar.

 

عَلىٰ خَوفٍ مِّن فِرعَونَ وَمَلَإِىْهِم أَن يَفتِنَهُم

itu pun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka;

Kenapa ramai takut beriman walaupun mereka telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام dan golongan ahli sihir pun telah kalah dan kemudian telah beriman? Kerana mereka takut sangat kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Firaun tidak suka rakyatnya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Firaun pula ganas dan kejam teramat. Golongan ahli sihir yang telah beriman itu telah diseksa mati dan telah dipotong kaki dan tangan mereka, dan disalib supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai. Ini seperti disebutdalam A’raf:124

لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ
“Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semuanya”.

Juga disebut dalam Taha: 71

فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِن خِلافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُم في جُذوعِ النَّخلِ وَلَتَعلَمُنَّ أَيُّنا أَشَدُّ عَذابًا وَأَبقىٰ
Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal.

Sudah tentunya beriman dengan Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu merbahaya kerana boleh dibunuh oleh Firaun bila-bila masa sahaja. Kata Voltaire: “It is dangerous to be right, when the government is wrong.” Macam kita sekarang pun, ramai yang takut untuk mengikut jalan sunnah kerana ia berlawanan dengan arus biasa. Ramai yang takut dipulau oleh masyarakat. Mereka takut dimarah oleh guru, ibubapa atau kawan-kawan mereka.

Namun agak pelik sedikit, kerana bukannya ada ancaman nyawa pun jika mengikut jalan Sunnah. Setakat risau dengan pandangan dan kata-kata manusia sahaja. Ia bukan ada apa-apa pun sebenarnya. Kenapa perlu takut dengan orang yang jahil? Kerana perlu hiraukan kata-kata mereka? Adakah boleh mengancam nyawa? Tidak pun, namun oleh kerana lemahnya iman, kata-kata manusia memberi kesan pula kepada kita. Lemahnya iman sampai takut untuk menyatakan kebenaran. Iman kuat mampu untuk mengalahkan benda-benda yang kecil seperti kata-kata remeh manusia yang jahil.

Kalimah عَلَىٰ juga boleh bermaksud ‘walaupun’. Walaupun mereka takut, mereka tetap beriman juga. Itulah kekuatan golongan yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام itu. Mereka diancam bunuh tetapi tetap juga mereka beriman. Itulah tanda kekuatan iman yang tinggi. Bukan beriman hanya apabila ada keuntungan sahaja. Beginilah kualiti iman yang tinggi. Lihatlah kisah tukang sikat (mashitah) rambut anak Firaun seperti disebut di dalam Musnad Ahmad:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الَّتِي أُسْرِيَ بِي فِيهَا أَتَتْ عَلَيَّ رَائِحَةٌ طَيِّبَةٌ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ فَقَالَ هَذِهِ رَائِحَةُ مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ وَأَوْلَادِهَا قَالَ قُلْتُ وَمَا شَأْنُهَا قَالَ بَيْنَا هِيَ تُمَشِّطُ ابْنَةَ فِرْعَوْنَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ سَقَطَتْ الْمِدْرَى مِنْ يَدَيْهَا فَقَالَتْ بِسْمِ اللَّهِ فَقَالَتْ لَهَا ابْنَةُ فِرْعَوْنَ أَبِي قَالَتْ لَا وَلَكِنْ رَبِّي وَرَبُّ أَبِيكِ اللَّهُ قَالَتْ أُخْبِرُهُ بِذَلِكَ قَالَتْ نَعَمْ فَأَخْبَرَتْهُ فَدَعَاهَا فَقَالَ يَا فُلَانَةُ وَإِنَّ لَكِ رَبًّا غَيْرِي قَالَتْ نَعَمْ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ فَأَمَرَ بِبَقَرَةٍ مِنْ نُحَاسٍ فَأُحْمِيَتْ ثُمَّ أَمَرَ بِهَا أَنْ تُلْقَى هِيَ وَأَوْلَادُهَا فِيهَا قَالَتْ لَهُ إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً قَالَ وَمَا حَاجَتُكِ قَالَتْ أُحِبُّ أَنْ تَجْمَعَ عِظَامِي وَعِظَامَ وَلَدِي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَتَدْفِنَنَا قَالَ ذَلِكَ لَكِ عَلَيْنَا مِنْ الْحَقِّ قَالَ فَأَمَرَ بِأَوْلَادِهَا فَأُلْقُوا بَيْنَ يَدَيْهَا وَاحِدًا وَاحِدًا إِلَى أَنْ انْتَهَى ذَلِكَ إِلَى صَبِيٍّ لَهَا مُرْضَعٍ وَكَأَنَّهَا تَقَاعَسَتْ مِنْ أَجْلِهِ قَالَ يَا أُمَّهْ اقْتَحِمِي فَإِنَّ عَذَابَ الدُّنْيَا أَهْوَنُ مِنْ عَذَابِ الْآخِرَةِ فَاقْتَحَمَتْ قَالَ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ تَكَلَّمَ أَرْبَعَةٌ صِغَارٌ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَام وَصَاحِبُ جُرَيْجٍ وَشَاهِدُ يُوسُفَ وَابْنُ مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ
Daripada [Ibnu Abbas رضي الله عنهما], beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Di malam aku diIsra’kan, aku mencium aroma yang sangat harum, aku lalu bertanya kepada Jibril عليه السلام; “Wahai Jibril, aroma wangi apakah ini?” Jibril عليه السلام menjawab; “Ini adalah aroma wanginya tukang sisirnya puteri Fir’aun dan anak-anaknya.” Aku berkata; “Ada apa dengannya? Jibril عليه السلام menjawab; “Suatu hari, dia menyisir rambutnya puteri Fir’aun, tiba-tiba sisirnya terjatuh daripada tangannya, lalu dia mengucapkan; “Bismillah, maka puterinya Fir’aun berkata; ” (maksudnya) Ayahku.” Dia menjawab; “Tidak, akan tetapi Tuhanku dan Tuhan ayahmu adalah Allah.” Puterinya Fir’aun mengancam; “Aku akan memberitahukannya tentang itu!.” Dia menjawab; “Silakan.” Maka puterinya Fir’aun memberitahukannya, lalu Fir’aun memanggil tukang sisirnya seraya berkata; “Wahai Fulanah, apa benar engkau memiliki Tuhan selain diriku?” Dia menjawab; “Ya, tuhanmu dan tuhanku adalah Allah.” Maka Fir’aun memerintahkan untuk diambilkan patung sapi yang terbuat daripada tembaga lalu dipanaskan, kemudian memerintahkannya berserta anak-anaknya agar melompat ke dalamnya. Tukang sisir itu berkata; “Aku punya satu keperluan kepadamu.” Fir’aun berkata; “Apa keperluanmu?” dia menjawab; “Aku meminta agar engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang anak-anakku di dalam satu kain lalu menguburnya.” Fir’aun berkata; “Itu hakmu atas kami.” Lalu Fir’aun memerintahkannya agar melemparkan anak-anaknya di hadapannya satu per satu, hingga tinggal anaknya yang masih menyusu, dia tampak terpukul kerana anaknya tersebut, tetapi anak tersebut berkata; “Wahai ibuku, tabahkanlah hatimu, sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab Akhirat.” Maka dia pun tabah. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan; “Ada empat orang yang dapat berbicara di waktu masih bayi, iaitu; Isa bin Maryam, temannya Juraij, saksinya Yusuf dan putera tukang sisir puteri Fir’aun.”
(Musnad Ahmad (2682))
Dinilai sahih oleh Az-Zuhri, Ibnu Kathir, Ahmad Syakir..

* Nota: Firaun memanggil wanita tukang sisir itu dengan gelaran ‘fulanah’ kerana tidak diberitahu namanya. Maka namanya bukanlah Mashitah seperti pemahaman masyarakat kita sebelum ini kerana ‘mashitah’ maksudnya ‘tukang sisir’. Walau bagaimanapun terdapat khilaf dalam penilaian mengenai bayi yang boleh berbicara berdasarkan hadith batil ini:

لم يتكلمْ في المهدِ إلا ثلاثةٌ : عيسى ابنُ مريمَ، وشاهدُ يوسفَ، وصاحبُ جريحٍ، وابنُ ماشطةِ بنتِ فرعونَ
“Tidak ada bayi yang dapat berbicara dalam buaian kecuali tiga anak: Isa Ibnu Maryam, saksi untuk Nabi Yusuf, Shahib Juraij, dan bayinya (tukang sisir) masyithah kepada anaknya Fir’aun.”

Kualiti iman yang sebegini tinggi juga telah ditunjukkan oleh isteri Firaun yang bernama Asiah binti Mahazim. Beliau juga dibunuh dengan kejam dan kisahnya telah disentuh dalam Tahreem: 11

Untuk senario hari ini mereka yang tinggi imannya adalah mereka yang berani dan sanggup untuk terus meninggalkan perkara-perkara bid’ah dan syirik. Kalau sekarang ada kenduri kahwin bersanding, mereka yang kuat imannya ini tidak pergi walaupun adik mereka sendiri yang kahwin; mereka tidak pergi lagi ke Majlis Tahlil, majlis selawat beramai-ramai dan sebagainya. Kerana mereka tahu ada masalah dengan majlis-majlis sebegitu. Walaupun mereka dipandang serong, dikata dengan kata-kata cacian dan hina, tetapi mereka tabah.

Maka orang yang beriman dalam keadaan takut itu adalah orang yang benar-benar beriman sebenarnya. Iman mereka yang kuat melebihi ketakutan mereka. Atau, kita katakan mereka itu lebih takut kepada Allah ‎ﷻ daripada takut kepada musuh. Terbukti iman mereka itu lebih mantap kerana telah diuji.

Kerana itu kita boleh lihat orang yang masuk Islam itu lebih kuat iman mereka dan fahaman mereka berbanding orang yang Islam Keturunan seperti orang Melayu. Tahap keimanana mereka yang baru memeluk Islam berbeza sekali berbanding kita yang sedia Islam semenjak lahir. Mereka itu telah menemui kebenaran agama Islam setelah sanggup melalui proses masuk agama Islam yang kebiasaannya bukanlah mudah. Ada yang menghadapi dugaan dan halangan yang berat, namun mereka tetap bersemangat masuk Islam dan mereka berjaya. Ada juga di antara mereka yang mungkin terpaksa meninggalkan kesenangan yang selama ini mereka dapat serta ada juga yang dibuang keluarga.

Oleh sebab itulah sesuatu yang didapati dengan cara yang sukar itu lebih dihargai. Sedangkan orang Melayu ini Islam secara keturunan sahaja, bukannya tahu apa pun tentang Islam. Lahir-lahir sudah di dalam keluarga Muslim, kemudian tidak perbaharui pemahaman pun tentang agama. Kesannya ramai yang tidak ada rasa bersyukur malah langsung tidak menghargai akan nikmat agama Islam yang Allah ‎ﷻ telah kurniakan kepada kita semua ini.

 

وَإِنَّ فِرْعَوْنَ لَعَالٍ فِي الْأَرْضِ

kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi,

Kaum Firaun takut diseksa oleh Firaun kerana Firaun amat zalim dan sanggup lakukan apa sahaja tanpa rasa perikemanusiaan. Seksaan yang diberikannya amat teruk sekali. Firaun mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Allah ﷻ sendiri memberitahu kita kedudukan tinggi itu.

Akan tetapi kenapa di sini disebut dia berkedudukan tinggi di ‘bumi’ sedangkan dia hanya raja di Mesir sahaja? Ini adalah kerana kerajaan Mesir pada waktu itu adalah kerajaan terbesar dan seolah-olah dia paling tinggi di dunia pada waktu itu. Anak-anak raja daripada kerajaan lain pun dihantar ke istana Firaun untuk belajar pelbagai ilmu. Kerana hebatnya kerajaannya, dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu kerana dia telah mengawal negaranya secara pimpinan kuku besi.

Tiada kebebasan beragama atau apa kebebasan pun pada waktu itu. Itulah perangai Firaun yang ganas dan mengongkong kaumnya. Oleh itu, kita janganlah ikut sunnah Firaun ini. Janganlah kita dalam memimpin orang bawahan kita, menggunakan cara kepimpinan kuku besi seperti yang dilakukan oleh Firaun ini.

Sebagai contoh, kalau kita seorang bapa, janganlah anak isteri kita tidak dibenarkan untuk bersuara langsung bagi memberikan pendapat mereka. Begitulah juga kalau kita menjadi ketua di tempat kerja kita. Berikan orang bawahan kita kebebasan untuk bersuara kerana kadangkala kebenaran ada pada mereka dan kita kena dengar.

 

وَإِنَّهُ لَمِنَ الْمُسْرِفِينَ

dan sesungguhnya dia daripada orang-orang yang melampaui batas.

Firaun memang melampau dari segi akidah dan juga tindakannya yang zalim. Seksaan yang diberikan oleh Firaun kepada mereka yang menentang beliau amat teruk sekali, sampai melampau batas. Lihatlah bagaimana beliau sanggup membunuh isterinya sendiri Asiah apabila Asiah beriman – Firaun telah mengikat kaki tangan Asiah dan menghempaskan batu ke atas Asiah.

Lihatlah juga bagaimana dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang beriman itu – dia telah memotong kaki dan tangan mereka bersilang dan digantung di pokok kurma ramai-ramai supaya masyarakat nampak dan tidak berani nak beriman dengan Nabi Musa.

Memang Firaun adalah sejenis manusia yang tidak berhati perut. Tidak peduli denga apa pun yang dilakukan. Sebelum Nabi Musa عليه السلام lahir pun, bukankah dia telah mengarahkan seluruh anak lelaki Bani Israil dibunuh? Pernahkah ada manusia lain sekejam dia?

Dalam hal agama pula, Firaun sanggup mengaku tuhan dan ilah, dan tidak membenarkan kaumnya menyembah mana-mana tuhan lain. Maka memang dia amat melampaui batas. Iblis pun tidak berani mengaku tuhan, sebaliknya dia melebihi iblis pula begitu berani sekali sehingga sanggup berkata begitu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yunus Ayat 76 – 80 (Kisah Nabi Musa عليه السلام)

Yunus Ayat 76: Apakah tuduhan mereka terhadap Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام? Ini adalah khulasah (summary) kesesatan mereka.

فَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ مِن عِندِنا قالوا إِنَّ هٰذا لَسِحرٌ مُّبينٌ

Sahih International

So when there came to them the truth from Us, they said, “Indeed, this is obvious magic.”

Malay

Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

 

فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Ketika datang kepada mereka kebenaran

Kebenaran itu adalah ajaran tauhid yang dibawa Nabi Musa عليه السلام. Kebenaran itu juga adalah mukjizat yang baginda tunjukkan kepada mereka sebagai bukti kenabian baginda.

 

مِنْ عِندِنَا

dari sisi Kami,

Apa yang nabi Musa dan Harun عليهماالسلام bawa adalah daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada mereka berdua. Maknanya, Allah ﷻ mahu mengingatkan kita bahawa jangan main-main dengan ajakan mereka, ini adalah daripada Dia sendiri. Ajakan tauhid yang dibawa itu sebelum turunnya kitab Taurat kerana kitab Taurat hanya diturunkan selepas itu (selepas menyeberangi Laut Merah).

Diingatkan sekali lagi bahawa kebenaran itu mesti datang dan diambil daripada Allah ﷻ. Itulah ilmu wahyu. Bermula semenjak Nabi Adam عليه السلام diturunkan lagi Allah ﷻ suruh ambil kebenaran daripada-Nya seperti disebut dalam Baqarah: 147

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ
Kebenaran datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Kita diwajibkan mengajar ilmu yang ada sandaran daripada dalil wahyu (Al-Qur’an atau Sunnah). Jikalau ilmu wahyu yang disampaikan, maka sepatutnya manusia mestilah terima tanpa ragu-ragu, bukan? Akan tetapi apa yang terjadi sekarang ini terbalik pula kita nampak. Jika kita beritahu sesuatu itu daripada Al-Qur’an (dan hadith), kelihatan muka mad’u berkerut macam pelik sangat. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kita ceritakan kepadanya itu.

Sebaliknya jikalau ajaran tok-tok guru mereka, tok sheikh mereka, ulama’ mereka (yang mereka anggap sebagai ulama’), terus mereka terima tanpa usul periksa, tanpa ragu-ragu. Walaupun ajaran itu ternyata mengarut sekali. Namun golongan jahil itu menerimanya sahaja bulat-bulat. Sebab itulah sepatutnya ajaran daripada Al-Qur’an ini mesti diberikan pada peringkat awal lagi kepada anak-anak kita. Jangan sempat mereka dengar dan termakan dengan ajaran mengarut.

Bagi para pelajar pula, mereka ada hak untuk bertanya apakah dalil bagi sesuatu amalan dan fahaman. Para guru agama pula wajib untuk menjawabnya. Tidak boleh hanya bersandarkan kepada hujah lain (ada dalam kitab, guru saya ajar, sudah lama orang amal, ulama’ cakap itu mesti ada dalil, orang awam tidak faham dalil). Antara hujah popular sekarang: ‘Orang awam tidak perlu dalil’. Ini tidak patut menjadi hujah kerana segala amalan memerlukan dalil. Dalam keadaan waktu yang terhad, bolehlah kita berikan jawapan tanda dalil, tetapi dalam sesi ilmiah, dalil mesti diberikan.

Jangan pula dimarah orang yang meminta dalil. Sekiranya ada dalil, maka berikan sahaja. Yang sebenarnya, yang ditanya itu pun tidak ada dalil, tidak tahu pun apa itu yang dimaksudkan dengan ‘dalil’. Mereka pun amalkan sahaja tanpa periksa sebab itu mereka tidak boleh berikan dalil kerana besar kemungkinan mereka tiada dalil pun. Namun disebabkan tidak ada dalil, maka yang bertanya pula yang dimarahi.

 

قَالُوا إِنَّ هَٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

Mereka menolak sambil meletakkan label. Mereka tahu yang disampaikan itu benar tetapi mereka tolak. Mereka kata apa yang Nabi Musa عليه السلام tunjuk itu adalah ‘sihir’. Padahal dalam hati mereka, mereka tahu yang ia adalah benar. Ini seperti disebut dalam Naml: 14

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم ظُلمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ
Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

Melabel dengan mengatakan para Nabi mengamalkan sihir adalah hujah yang diulang-ulang oleh para penentang mereka. Ini seperti disebut dalam Dzaariyat: 52-53

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Semua umat gunakan hujah yang sama. Pelik bukan? Padahal mereka bukan saling mengenali di antara satu sama lain pun.

أَتَوَاصَوا بِهِ ۚ بَل هُم قَومٌ طاغونَ
Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu. Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.

Ini sebenarnya tidak pelik kerana yang memberikan hujah itu adalah syaitan belaka dan syaitan akan kitar semula hujah yang sama sahaja. Sebab itu kita sudah boleh tahu hujah golongan penentang kerana disebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an dan hujah yang sama digunakan oleh manusia yang menentang.

Golongan penentang akan sentiasa menolak dan mereka akan meletakkan label dengan tujuan untuk melemahkan peribadi pendakwah Tauhid (“character assassination”). Sebagaimana kita yang bawakan dakwah sunnah ini selalu diberi gelaran ‘Wahabi’. Takkan mereka hendak tolak begitu sahaja, bukan? Oleh itu mereka kena berikan label yang merendahkan apa yang ditolak itu. Kemudian mereka senaraikan pula ciri-ciri ‘Wahabi’ yang kononnya tersasar jauh daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Maka mereka yang mendengar hujah mereka akan percaya bahawa ‘Wahabi’ ini adalah golongan sesat dan mesti dijauhi sepenuhnya.

Apabila diberi label ajaran sunnah ini sebagai ‘Wahabi’, maka tidaklah nampak salah sangat kalau tolak kerana yang ditolak adalah ‘Wahabi’, bukan ‘Sunnah’. Mereka tidak sedar yang mereka tolak itu adalah Sunnah Nabi sebenarnya.


 

Yunus Ayat 77: Apakah reaksi Nabi Musa عليه السلام?

قالَ موسىٰ أَتَقولونَ لِلحَقِّ لَمّا جاءَكُم ۖ أَسِحرٌ هٰذا وَلا يُفلِحُ السّٰحِرونَ

Sahih International

Moses said, “Do you say [thus] about the truth when it has come to you? Is this magic? But magicians will not succeed.”

Malay

(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.

 

قَالَ مُوسَىٰ

Nabi Musa berkata:

Nabi Musa عليه السلام berkata kepada mereka dengan yakin dan sabar. Baginda tidak kelam kabut. Baginda bercakap dengan berani kerana baginda diberikan keberanian oleh Allah ‎ﷻ. Maka ini menjadi pengajaran bagi kita supaya jangan melenting.

 

أَتَقُولُونَ لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَكُمْ

Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu?

Nabi Musa عليه السلام berkata: “Patutkah kamu kata begini tentang kebenaran selepas kau melihatnya?”. Iaitu mereka nampak kebenaran itu, tetapi mereka tetap tidak mahu terima, dan malah berkata yang ia adalah perkara lain pula, bukan kebenaran.

 

أَسِحْرٌ هَٰذَا

Adakah bawaanku ini sihir?

Nabi Musa عليه السلام seperti berkata lagi: “Kau lihatlah betul-betul, adakah apa yang aku bawa ini sihir? Takkan sihir macam ini. Ini benda lain kerana kamu patut tahu bagaimana rupa sihir dan apa yang aku ini bukan sihir.”

Kebenaran telah dibawa kepada mereka, tetapi mereka kata ia adalah sihir? Adakah patut mereka berkata begitu?

Adakah sesat jalan yang baginda bawa itu? Nabi Musa عليه السلام bagaikan tidak percaya dengan kata-kata mereka yang menolak dakwah baginda. Sedangkan tidak sama sihir dan mukjizat. Yang tukang sihir lakukan itu adalah sihir. Ketahuilah sihir itu sebenarnya mengelabui mata mereka yang melihat sahaja. Apabila mereka lempar tongkat dan tali mereka, ‘nampak’ seperti tongkat dan tali itu menjadi ular.

Akan tetapi sebenarnya tongkat itu tidak bertukar menjadi ular pun – masih tongkat dan tali sahaja. Namun mata mereka yang melihat telah dikaburkan. Itulah kadangkala sihir dipanggil ‘Silap Mata’ atau ‘Sulap Mata’ dalam bahasa kita. Kerana mata kita telah disilapkan dalam melihat. Kerana itu orang yang mengamalkan sihir juga dipanggil ‘penyulap’. Sebagaimana Harry Potter itu juga digelar sebagai ahli sihir. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام dengan tongkat baginda itu bukanlah sihir kerana tongkat itu benar-benar bertukar menjadi ular.

Ketahuilah bahawa sihir ini memang boleh dipelajari (ia haram, tetapi ia sesuatu yang mampu dipelajari). Sama juga jikalau orang kita mahu menjadi Ahli Silap Mata pun boleh juga. Mahukan ilmu keramat pun boleh juga. Begitulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Asalkan tahu apa amalan yang hendak dibuat. Ilmu sebegini adalah untuk orang yang tidak pedulikan hukum halal dan haram. Kebiasaannya mereka mestilah mengamalkan suatu zikir jampi serapah dengan banyak sekali. Malah ada yang mengamalkan zikir dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Walaupun zikir yang diamalkan itu berasal daripada ayat Al-Qur’an, namun apabila dibaca dengan niat untuk mendapatkan sesuatu, ia berubah menjadi sihir. Inilah penyalahgunaan Al-Qur’an.

Orang kita yang jahil agama pun ada buat sihir juga tanpa sedar. Kadang-kadang mereka diberi amalan sesuatu ayat untuk sesuatu kelebihan. Pelbagai potongan ayat-ayat yang dicedok bersesuaian dengan tafsiran mereka sendiri lalu mereka datangkan fadilat tertentu untuk ayat-ayat tersebut. Bermacam fadilat diberikan contohnya untuk pendinding diri, ayat pengasih, menaikkan seri wajah dan sebagainya. Amat mengecewakan sekali apabila amalan-amalan sebegini banyak dikongsi melalui media sosial seperti TikTok, FB, Twitter, Instagram dan sebagainya. Dengan hanya satu klik amalan karut sebegini tersebar ke seluruh alam dan diamalkan oleh mereka yang jahil agama.

Perbuatan sebegini sebenarnya termasuk dalam perbuatan mempersenda ayat Al-Qur’an. Ayat Qur’an sepatutnya digunakan sebagai petunjuk, sebaliknya mereka gunakan untuk perkara yang lain. Balasannya adalah Neraka! Sila rujuk ayat Kahf:106

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai senda gurau.

 

وَلَا يُفْلِحُ السّٰحِرُونَ

Sedang ahli-ahli sihir itu tetap tidak akan berjaya”.

Ahli sihir tidak akan berjaya dan ini adalah janji Allah ‎ﷻ. Sekiranya Nabi Musa عليه السلام itu bawa sihir, baginda juga tidak akan berjaya. Sihir akan kalah dengan mukjizat. Memang Allah ﷻ sudah tetapkan begitu. Mereka yang mengamalkan sihir itu sahaja yang sangka mereka hebat dan mereka boleh buat macam-macam. Mereka tidak tahu yang mereka tidak akan berjaya sama ada di dunia, lebih-kebih lagi di akhirat.

Daripada ayat ini, kita tahu yang sihir itu tidak kuat. Kita boleh kalahkan dengan mudah dengan menggunakan Al-Qur’an. Sebagai contoh, boleh dibacakan ayat ini apabila berhadapan dengan sihir (untuk mengingatkan kita tentang lemahnya sihir itu dan kembalikan pergantungan kita kepada Allah ﷻ). Maka jangan takut dengan sihir. Kita kena takut dengan Allah ﷻ dan kita kena mengharap dengan Allah ﷻ semata-mata. Selepas kita baca ayat itu, maka doa kepada Allah ﷻ untuk hilangkan sihir itu (bukannya setakat baca sahaja ayat ini).


 

Yunus Ayat 78: Ini adalah tuduhan daripada pihak Firaun. Sebelum ini dia telah menuduh Nabi Musa عليه السلام melakukan sihir, sekarang lain pula tuduhannya. Memang Firaun hebat dalam berhujah, kerana itulah Allah ﷻ masukkan hujahnya dan diberikan jawapan kepada hujahnya itu. Kebanyakan hujahnya turut digunakan oleh golongan penentang sampai sekarang.

قالوا أَجِئتَنا لِتَلفِتَنا عَمّا وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا وَتَكونَ لَكُمَا الكِبرِياءُ فِي الأَرضِ وَما نَحنُ لَكُما بِمُؤمِنينَ

Sahih International

They said, “Have you come to us to turn us away from that upon which we found our fathers and so that you two may have grandeur in the land? And we are not believers in you.”

Malay

Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

 

قَالُوا

Mereka pula berkata:

Firaun dan pembesar-pembesarnya berhujah dengan Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام. Mereka buat tuduhan palsu kepada baginda. Bila mereka kata begitu, dan di hadapan khalayak rakyat pula, mereka mahu meperdayakan fikiran rakyat supaya melihat seolah-olah Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام sebenarnya hendak mengejar pangkat kedudukan tinggi sahaja.

 

أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا

“Adakah engkau datang untuk memesongkan kami

Mereka kata Nabi Musa dan Harun عليهماالسلام bawa ajaran sesat pula iaitu bawa ajaran yang berbeza daripada yang biasa mereka amalkan. Ini kerana mereka sudah terima yang amalan agama yang mereka ada sudah pasti benar (walaupun tidak).

Sama sahaja seperti hujah puak syirik dan bid’ah negara ini. Mereka akan kata kita hendak mengubah agama pula. Mereka kata agama sudah elok-elok, kita yang pusingkan pula ke tempat lain.

 

عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءآبَاءَنَا

daripada agama yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya,

Mereka kata Nabi Musa عليه السلام hendak mengubah apa yang mereka sekian lama telah lakukan semenjak nenek moyang mereka lagi. Apabila digunakan perkataan عَلَيْهِ (atasnya), itu bermaksud, mereka memang bersungguh-sungguh mengamalkan amalan yang dibuat oleh tok nenek mereka dahulu.

Sepertimana jikalau kita tegur amalan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat kita, mesti ramai pengamal bid’ah yang akan marah. Mereka akan kata yang amalan itu sudah lama ada dalam masyarakat. Ini kerana tok nenek kita sudah lama buat amalan itu (mereka kata: takkan tok nenek mereka salah?).

Itulah amalan bid’ah yang dalam bermacam bentuk dan cara. Mereka amalkan berdasarkan kepada amalan tok nenek sahaja. Mereka bukan tahu sama ada ia berasal daripada wahyu atau tidak. Mereka amalkan bid’ah secara semberono sahaja kerana malas hendak fikir, malas hendak persoalkan. Begitulah jahilnya masyarakat kita dalam agama. Mereka sangka, kalau orang dulu buat, tentulah ia benar. Kenapa perlu untuk tukar pula, mereka kata. Ini perkara yang biasa terjadi di dalam sejarah manusia yang jahil seperti disebut dalam Baqarah:170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

 

وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاءُ فِي الْأَرْضِ

dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)?

Ini adalah tuduhan ketiga pula. Mereka menuduh Nabi Musa عليه السلام hendak mengambil alih kerajaan negeri Mesir. Inilah yang mereka takut sangat dengan Nabi Musa عليه السلام. Mereka takut mereka akan kehilangan kuasa. Beginilah juga sifat diktator. Mereka hendak terus berkuasa sahaja.

Tuduhan mereka itu amat tidak berasas sekali. Bayangkan, sebagai diktator, dia memerlukan orang bawahan yang hanya menurut kata-katanya, bukan? Sememangnya Firaun menghambakan Bani Israil pun tanpa diberi peluang mereka membantah. Kalau bantah sahaja, akan terus dibunuh.

Jika benarlah Musa عليه السلام hendak mengambil alih kerajaan Mesir, tentu baginda sepatutnya meneruskan tradisi itu, bukan? Namun sebaliknya, apa yang Nabi Musa عليه السلام suruh Firaun lakukan? Baginda suruh Firaun bebaskan Bani Israil daripada kekangan perhambaan dan lepaskan mereka, bukan? Amat tidak kena dengan tuduhan Firaun dan kaumnya itu.

Keduanya, sekiranya seseorang itu hendak mengambil alih sesuatu kerajaan, tentu dia akan datang dengan tentera yang ramai dan kuat, bukan? Akan tetapi Musa عليه السلام datang dengan siapa? Baginda datang bersama Nabi Harun عليه السلام sahaja. Adakah dua orang nabi itu mampu untuk merampas kuasa takhta kerajaan Firaun yang hebat itu?

Sekarang kalau kita cuba hendak berdakwah, ada yang kata kepada kita adakah kita hendak memperbaiki agama pula? Adakah kita mahu mengambil alih majlis agama pulakah? Sampai ke situ mereka perli dan tuduh kita. Subhanallah! Apakah kita sudah tidak boleh memberi teguran?

 

وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

Mereka tidak mahu percaya kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام kerana itulah mereka menuduh yang Musa dan Harun عليهماالسلام itu hanya hendak mendapatkan kuasa dan kekayaan sahaja. Semenjak dari awal lagi mereka tidak mahu terima, mereka terus tolak sahaja. Samalah dengan pengamal bid’ah negara ini. Jika kita tegur sahaja amalan mereka, mereka terus tolak tanpa dengar apakah alasan kita.

Tidaklah para Nabi itu mahukan kuasa dan kekayaan. Seperti yang telah disebut tentang Nabi Nuh عليه السلام, baginda telah memberitahu bahawa baginda tidak pernah meminta upah kepada kaumnya atas dakwahnya. Kelebihan dunia bukanlah apa yang baginda cari. Maka samalah juga dengan Nabi Musa عليه السلام – baginda bukannya datang hendak meminta upah. Baginda bukan datang berdakwah kerana hendakkan kuasa.


 

Yunus Ayat 79: Apabila Firaun kalah dengan menggunakan hujah, maka dia telah menggunakan kuasa. Kuasa pada waktu itu adalah melalui para golongan tukang sihir.

وَقالَ فِرعَونُ ائتوني بِكُلِّ سٰحِرٍ عَليمٍ

Sahih International

And Pharaoh said, “Bring to me every learned magician.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ

Dan berkatalah Firaun:

Firaun memberi arahan kepada orang-orang bawahannya. Dia berkata ini selepas Nabi Musa عليه السلام datang kepadanya dan menunjukkan dua mukjizat: tongkat menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Dia telah buat keputusan untuk melawan Nabi Musa عليه السلام.

 

ائْتُونِي بِكُلِّ سٰحِرٍ عَلِيمٍ

“Bawa kepadaku semua ahli sihir yang mahir”.

Firaun nampak mukjizat Nabi Musa عليه السلام dan dia menyangka mukjizat itu lebih kurang seperti sihir juga. Maka Firaun mengarahkan untuk dipanggil ahli-ahli sihir yang mahir dan hebat-hebat dalam negara Mesir itu kerana zaman itu memang ramai yang tahu sihir dan mengamalkan sihir. Akan tetapi dia tidak mahu yang biasa-biasa sahaja, dia mahu ahli sihir yang betul-betul mahir yang dia mampu untuk melawan mukjizat Nabi Musa عليه السلام itu. Dia suruh panggil semua sekali yang mahir untuk datang.

Firaun sedar yang Nabi Musa عليه السلام itu bukanlah ahli sihir sebenarnya (seperti yang telah disebut sebelum ini). Akan tetapi dia hendak melawan Nabi Musa عليه السلام menggunakan sihir kerana itulah sahaja senjata yang dia ada. Inilah cara mereka yang telah kalah dari mula-mula lagi. Mereka yang berada dalam keadaan terdesak akan menggunakan apa sahaja yang mereka ada walaupun mereka sudah tahu yang mereka sudah kalah. Dalam Bahasa Inggeris, perbuatan mereka ini dipanggil ‘grasping at straws’.

Sepatutnya dia beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام itu tetapi dia hendak melawan pula. Dia tidak perlu pun serahkan kuasanya itu, dia tetap terus menjadi Firaun jika dia beriman. Namun dia tetap berdegil dan sombong untuk beriman. Kisah tentang tukang-tukang sihir ini ada disebut dengan lebih panjang dalam A’raf:109-112

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ
Berkatalah Ketua-ketua daripada kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ
“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ
Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

يَأتوكَ بِكُلِّ سٰحِرٍ عَليمٍ
“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.

Firaun menggunakan kuasa yang dia ada pada waktu itu. Sihir diamalkan dengan banyak dan Firaun menggunakan kedudukan mereka dan kemahiran mereka untuk menentang Nabi Musa عليه السلام. Dia hendak menggunakan ahli sihir yang terhebat dan berkemahiran tinggi; setaraf Dumbledore, budak hingusan baru belajar seperti Harry Potter boleh tolak ke tepi sahaja.

Memang sentiasa sahaja penyebar tauhid ditentang semenjak dahulu sampai sekarang. Jika Firaun mengumpulkan ahli-ahli sihir, puak Musyrikin Mekah pula mengumpulkan penyair-penyair untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang mengkritik baginda kerana mereka dipandang sebagai orang yang berilmu zaman itu dan disanjung tinggi. Maka mereka berasa merekalah yang paling layak untuk menegur Nabi ﷺ.

Begitulah juga apabila kita berhujah dengan puak syirik dan puak bid’ah. Apabila kita bawakan dalil Al-Qur’an & Hadith, sepatutnya mereka terima tetapi mereka tolak juga. Mereka menolak itu dengan menggunakan dalil-dalil yang bathil seperti kata-kata manusia dan akal fikiran mereka. Mereka gunakan para ustaz juga untuk menentang dakwah Sunnah (tetapi guna hujah bathil). Mereka tetap tidak mahu juga mengaku salah. Mereka hendak juga melawan.

Mereka akan panggil ustaz-ustaz mereka, guru-guru pondok mereka untuk berbincang dengan kita dan menegur kita. Akan tetapi yang selalunya terjadi, apabila kita berjumpa ustaz dan guru itu, kemudian membangkitkan beberapa isu, mereka sendiri yang tidak dapat jawab.

Contohnya, kita tanya manakah dalil tawasul dengan orang mati, mereka sendiri tidak dapat jawab. Atau mereka jawab dengan hujah-hujah akal sahaja. Atau, mereka bawa juga dalil yang sahih, tetapi diterjemahkan dan ditafsir mengikut fahaman mereka sahaja (bukan cara fahaman salaf).

Kerana itulah sekarang kita lihat sudah semakin banyak debat antara asatizah diadakan. Ia sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام dengan golongan tukang sihir. Tunjukkan perdebatan itu di khalayak ramai supaya masyarakat sendiri boleh nilai. Namun begitu golongan jahil marah kerana mereka kata golongan ilmuwan asyik hendak berkelahi sahaja sesama sendiri. Mereka tidak faham bahawa perdebatan itu adalah majlis ilmu. Ia adalah medan dan ruang untuk pihak masing-masing mengeluarkan hujah.


 

Yunus Ayat 80: Ini adalah apabila Nabi Musa عليه السلام sudah berhadapan dengan golongan ahli sihir.

فَلَمّا جاءَ السَّحَرَةُ قالَ لَهُم مّوسىٰ أَلقوا ما أَنتُم مُّلقونَ

Sahih International

So when the magicians came, Moses said to them, “Throw down whatever you will throw.”

Malay

Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”

 

فَلَمَّا جَاءَ السَّحَرَةُ

Setelah datang ahli-ahli sihir itu,

Dipendekkan cerita, ahli-ahli sihir itu sudah dikumpulkan dan sekarang mereka semua dan Nabi Musa عليه السلام berada di khalayak ramai. Ada banyak pendapat tentang berapa ramainya ahli-ahli sihir itu. Ada yang kata berpuluh dan ada yang kata sampai beribu. Kita kena ingat yang zaman itu adalah zaman sihir dan kerana itu memang bilangan mereka sangat ramai.

Pertarungan ini dilakukan ketika hari perayaan, bermaksud semua rakyat Mesir boleh berkumpul untuk melihat peristiwa bersejarah itu. Hari itu mereka tidak bekerja dan memang mereka sudah berkumpul pada satu tempat kerana telah lama diiklankan perjumpaan itu. Maka memang ramai yang hadir pada kejadian itu. Ini penting supaya ramai-ramai boleh nampak kebenaran.

 

قَالَ لَهُم مُّوسَىٰ

Nabi Musa berkata kepada mereka:”

Nabi Musa عليه السلام berkata kepada ahli-ahli sihir itu. Ini kerana sebelum itu mereka telah bertanya: siapa yang akan lempar tongkat dahulu? Ini telah disebut di dalam ayat lain.

 

أَلْقُوا مَا أَنتُم مُّلْقُونَ

Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan!”

Dalam surah yang lain, ada dikisahkan bagaimana ahli-ahli sihir itu yang bertanya kepada baginda sama ada baginda yang campak dahulu atau mereka. Ini boleh dibaca di dalam Taha: 65-69. Maka Nabi Musa عليه السلام suruh mereka yang campak dahulu.

قالوا يا موسىٰ إِمّا أَن تُلقِيَ وَإِمّا أَن نَكونَ أَوَّلَ مَن أَلقىٰ
Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?”

قالَ بَل أَلقوا ۖ فَإِذا حِبالُهُم وَعِصِيُّهُم يُخَيَّلُ إِلَيهِ مِن سِحرِهِم أَنَّها تَسعىٰ
Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.

فَأَوجَسَ في نَفسِهِ خيفَةً موسىٰ
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

قُلنا لا تَخَف إِنَّكَ أَنتَ الأَعلىٰ
Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.

وَأَلقِ ما في يَمينِكَ تَلقَف ما صَنَعوا ۖ إِنَّما صَنَعوا كَيدُ ساحِرٍ ۖ وَلا يُفلِحُ السّاحِرُ حَيثُ أَتىٰ
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an