Tafsir Surah ash-Shura Ayat 14 – 15 (Jangan pakai kitab sahaja)

Ayat 14: Dalam ayat sebelum ini Allah melarang kita berpecah belah dalam hal tauhid. Tapi seperti yang kita tahu, amat banyak perpecahan yang berlaku.

Soalan yang mungkin timbul dalam kepala manusia adalah: Kenapakah ini boleh berlaku sedangkan para Nabi menyampaikan ajaran tauhid yang sama sahaja?

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتٰبَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Sahih International

And they did not become divided until after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And if not for a word that preceded from your Lord [postponing the penalty] until a specified time, it would have been concluded between them. And indeed, those who were granted inheritance of the Scripture after them are, concerning it, in disquieting doubt.

Malay

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

وَمَا تَفَرَّقُوا

Dan tidaklah mereka berpecah

Ini adalah tentang perpecahan antara umat-umat Rasul selepas ketiadaan rasul-rasul عليهم السلام itu. Bukan zaman itu sahaja berpecah, zaman sekarang pun sudah banyak perpecahan. Iaitu perpecahan antara umat, dalam negara, dalam keluarga, dengan kawan dan sebagainya.

Tapi yang paling penting adalah perpecahan ‘antara’ agama, malah ‘dalam’ agama sendiri. Yang paling teruk dan kita risaukan sangat adalah perpecahan dalam agama Islam ini, dan yang paling teruk adalah perpecahan tentang akidah.

Perpecahan ini tidaklah termasuk perbezaan antara mazhab atau perbezaan ijtihad antara ulama. Itu dibenarkan kerana ulama telah menjalankan usaha mereka untuk mencapai kepada satu-satu keputusan yang lebih rapat dengan dalil wahyu.

Kenapakah mereka berpecah? Kalau semua Rasul-Rasul عليهم السلام itu menyampaikan ajaran tauhid yang sama, kenapa ada perpecahan antara manusia dalam hal agama? Ini yang kita akan kupaskan sebentar lagi.

 

إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu

Pada mula kenabian, Nabi Muhammad ﷺ rasa susah berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Ini kerana mereka tolak baginda mentah-mentah. Maka Nabi Muhammad ﷺ rasa mungkin kerana mereka itu tidak berilmu agama sebelum ini kerana telah lama tiada Rasul diturunkan kepada mereka dan mereka tidak ada Kitab Suci.

Ini mungkin disebabkan benda baru sampai kepada mereka dan mereka tidak boleh nak terima. Manusia biasanya menolak perkara yang mereka tidak tahu. Maka, Nabi Muhammad ﷺ sangka kalau baginda mula berdakwah kepada Yahudi dan Kristian, akan jadi lebih mudah untuk mereka terima kerana mereka itu sudah biasa dengan agama, sudah ada kitab dan sudah berilmu. Inilah sangkaan baginda.

Maka, Allah terangkan tentang mereka yang ada ilmu pula dalam ayat ini. Mereka pun ada masalah juga. Ingat senangkah nak dakwah kepada mereka yang kononnya ada ilmu? Masalah orang jahil lain, masalah orang berilmu pula lain.

Samalah juga kalau hendak dakwah kepada mereka yang sudah belajar agama dalam kalangan kita. Kita sangka, tentu mereka yang sudah sekolah di pondok, sudah masuk tarekat, belajar agama di universiti, pergi sampai ke al-Azhar, sudah masuk Jemaah Tabligh itu, tentu senang untuk mereka terima akidah tauhid ini, bukan? Kerana mereka sudah ada keinginan kepada agama, bukan?

Kita sangka senanglah mereka terima kerana mereka pun sudah belajar agama, sudah mahu beriman, mahu jadi warak. Tapi tidak semestinya. Kadangkala, merekalah yang menjadi penentang ajaran tauhid yang kuat. Ini kerana mereka sudah ada fahaman agama yang tebal dalam diri mereka hasil dari pembelajaran mereka sebelum ini. Dan mereka rasa susah nak tinggalkan fahaman dan amalan yang telah lama mereka pelajari itu.

Perpecahan itu adalah kerana ilmu sebenarnya. Iaitu setelah datang kepada mereka ilmu tauhid. Apabila disampaikan sahaja tentang tauhid kepada manusia, maka tentu akan ada perbalahan.

Akan ada ketidakpuasan dan rasa tidak senang kerana akan ada yang tidak dapat terima apa yang dibawa dalam hal tauhid. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang berat bagi pengamal syirik untuk terima tauhid. Selagi tak memberitahu manusia tentang tauhid, tidak ada masalah malah boleh duduk bersembang macam biasa sahaja.

Tapi apabila diberitahu dan sentuh tentang tauhid, akan ada yang angkat punggung mereka dan meninggalkan majlis. Dan selepas itu tidak bertegur sapa dan kalau nampak akan bermasam muka.

Begitulah, kalau di masjid dan surau itu, jikalau ustaz mengajar tentang feqah macam solat, wuduk dan puasa, ramai yang boleh dengar. Bertahun-tahun cerita tentang feqah tak habis-habis. Tapi kalau ada yang datang mengajar tauhid seperti yang ada dalam Al-Qur’an, ramai yang akan panas punggung sebab akan ada yang tidak sama dengan apa yang mereka fahami selama ini.

Amatlah malang sekali, apabila kita sampaikan ajaran tauhid, berpecah keluarga dan sahabat handai; antara suami dan isteri, penduduk kampung dan sebagainya. Kemudian mereka tuduh kitalah yang memecah belahkan sesama masyarakat. Mereka kata kita perosak agama pula.

Tapi itulah dugaan penyebar fahaman tauhid. Jangan kita sangka kita kena jaga hati mereka dan tetap terima apa yang mereka faham itu. Walaupun mereka menolak dan ada fahaman yang lain, kenalah kita sampaikan juga dakwah tauhid ini.

Kalau bukan kerana hendak menyampaikan tauhid, tidaklah Nabi Muhammad ﷺ berpecah dengan masyarakatnya, malah ahli keluarga baginda sekali pun. Bayangkan, kalau baginda nak jaga keharmonian Mekah waktu itu, tentu baginda sudah buat senyap, bukan?

Tapi baginda terpaksa sampaikan walaupun ia akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat Mekah waktu itu. Maka begitulah juga dengan kita. Tetap kita kena sampaikan ajaran tauhid ini tanpa henti.

Ayat ini juga memberitahu kita, ilmu bukanlah penyelamat segalanya. Kalau ada ilmu pun, masih boleh menyebabkan perpecahan juga. Sekarang akan disebut kenapa mereka berpecah walaupun ada ilmu?

 

بَغْيًا بَيْنَهُمْ

kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ini adalah jawapan kepada soalan: kenapa manusia berpecah juga walaupun ajaran tauhid semua Nabi adalah sama sahaja – Jawapannya adalah: ahli agama telah mengubah agama kerana hasad dengki mereka. Agama yang asal adalah benar, tapi apabila sampai ke tangan ahli-ahli agama, mereka telah ubah ikut kehendak mereka.

Mereka yang berilmu itu rasa mereka lebih pandai, sudah pandai tidak boleh diajar lagi. Lihatlah bagaimana orang Yahudi tidak dapat menerima dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka rasa mereka sudah pandai, sudah berilmu, sudah lama ada kitab dan ada agama.

Mereka memandang agama itu sebagai satu kelebihan, satu komoditi, yang tidak boleh diberikan kepada orang lain. Mereka nak pegang sendiri dan kata orang lain selain mereka tidak ada kefahaman agama. Padahal sepatutnya mereka kena sampaikan agama kepada orang lain, tapi mereka simpan dan berbangga pula dengannya. Seolah-olah agama itu hak mereka.

Kalau dulu, mereka yang dipandang mulia kerana ada agama dari kitab wahyu (sampai digelar Ahli Kitab), tapi apabila Nabi akhir zaman diangkat dari bangsa Arab dan bukan dari bangsa Bani Israil, mereka rasa ianya akan hilang kepada bangsa Arab pula.

Mereka sanggup buat apa sahaja supaya mereka menang dan berada di atas. Kita akan belajar bagaimana walaupun mereka tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar-benar seorang Rasul, tapi mereka masih lagi menolak baginda.

Mereka tuduh bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa itu adalah salah dan sesat. Sampai begitu sekali mereka lakukan. Itu hasil dari rasa hasad dan dengki yang ada dalam diri mereka.

Begitulah juga dalam masyarakat kita sekarang. Pengajaran agama sudah lama ada dan berterusan dalam negara ini. Ada yang habis Sekolah Agama Rendah,  Sekolah Agama Tinggi, masuk universiti, masuk madrasah, pondok, pesantren dan apa-apa sahaja. Mereka yang sudah belajar itu sebenarnya ada satu perasaan dalam hati mereka bahawa mereka sudah cukup ilmu, sudah pandai, sudah tahu agama.

Selama ini merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat – kalau ada majlis kenduri kendara, merekalah yang dipanggil untuk menjadi kepala majlis; kalau ada Majlis Tahlil, Doa Selamat, merekalah yang dipanggil untuk baca doa; kalau ada masalah agama, merekalah yang dirujuk oleh masyarakat.

Maka, apabila ada sekumpulan manusia yang mahu memperkenalkan kembali ajaran Tauhid dan Sunnah, mereka rasa tercabar, maka mereka akan rasa dengki. Takut mereka nanti tidak dipandang tinggi lagi. Mereka sudah tidak dapat lagi sampul berisi wang lagi – sudah hilang satu punca pendapatan mereka.

Jadi apabila kita menegur mereka, mereka tak boleh terima. Mereka akan kata mereka sudah belajar di sana dan di sini, bertahun-tahun mereka belajar, bertahun-tahun mereka mengajar, anak murid pun ramai. Mereka rasa takkan mereka salah dan silap pula. Memang langsung melenting kalau kita tegur sikit pun.

Tegur pun bukan apa, hanya tanya dalil sahaja. Kita nak tahu, dari mana mereka dapat ajaran dan amalan itu dan ini. Sebagai contoh, kita tanya mereka, yang mereka buat Solat Hajat ramai-ramai itu, manakah dalilnya? Adakah Nabi dan sahabat pernah buat?

Tanya begitu sahaja, maka dengan anak murid mereka, dengan penyokong mereka, semuanya akan melenting dan memperlekehkan kita. Mereka akan kata: “Ustaz ini sudah belajar bertahun-tahun dah, engkau belajar di mana? Tentulah dia lebih tahu dari engkau!!” Itu sahaja ejekan mereka kepada kita, sedangkan dalil yang ditanya entah ke mana. Akhirnya dalil yang diminta masih tidak dapat lagi.

Mereka tidak suka kepada orang yang percaya kepada tauhid dari Al-Qur’an. Kita pun ada rasa benci juga kepada mereka kerana masih lagi kufur kepada Allah. Kita benci perangai dan kesalahan mereka itu.

Tapi sebenarnya, kita tidaklah boleh benci kepada mereka sebaliknya kita kena kasihan kepada mereka. Kena pandang mereka dengan pandangan rahmah. Kita dulu pun ada juga yang berfahaman seperti mereka, tapi kita sudah diberi hidayah dan taufik oleh Allah, dan mereka belum lagi.

Tapi memang mereka benci sungguh kepada kita. Sudah tidak mahu bercakap dalam telefon lagi kalau kita call. Kalau kita telefon pun, mereka sudah tak angkat. Kalau jumpa dalam mana-mana majlis, mereka akan cuba lari dari kita. Kalau nampak kita dari jauh, mereka akan juihkan mulut mereka kepada kita. Mereka akan cerita tentang ‘kesesatan’ kita kepada orang lain.

Hakikatnya, memang ada perasaan hasad dengki antara orang-orang yang berilmu. Dan amat buruk sekali apabila ahli agama berdengki dan hasad. Mereka tuduh macam-macam antara satu sama lain.

Dan begitulah keadaan mereka sebelum datang ilmu tauhid pun. Kerana sudah ada perpecahan antara mereka. Kalau tidak antara guru-guru pun, antara anak-anak murid mereka. Ada puak ini belajar dengan guru ini, puak itu belajar dengan guru itu. Dan mereka tidak boleh bercampur. Semuanya akan menceritakan kelebihan guru masing-masing. Sampai ada yang memperlecehkan kedudukan guru yang selain dari mereka.

Ini adalah kerana mereka taksub dengan guru mereka. Mereka jadi taksub kerana guru mereka pun ajar mereka begitu. Padahal mereka itu belajar dan sudah mempunyai serba sedikit ilmu agama. Maknanya, mereka sudah ada keinginan kepada agama, perkara-perkara asas mereka sudah tahu.

Maka, hendaklah kita ingat bahawa ini adalah satu dugaan kepada mereka yang belajar. Hendaklah kita ingat bahawa ilmu sahaja tidak cukup. Kena ada keinginan kepada hidayah. Kena ada satu perasaan rendah diri dan tawaduk dalam hati kita, yang berkata: kalau kita salah, kita akan terima kebenaran walaupun berlainan dengan apa yang kita telah belajar selama ini. Walaupun datang maklumat itu bukan dari kumpulan kita. Asalkan ianya kebenaran, kita nak terima.

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu

Ada satu lagi soalan yang timbul: Kalau apa yang dilakukan oleh ahli-ahli agama menukar agama itu salah, kenapa mereka dibiarkan sahaja oleh Allah? Kenapa mereka tidak dihancurkan terus dengan diberi azab? Allah beri jawapan dalam ayat ini.

Allah tidak terus azab mereka kerana sudah ada kalimah. ‘Kalimah’ apa yang dimaksudkan? Itulah kalimah janji dari Allah yang Dia akan beri tangguh kepada mereka yang buat dosa, buat syirik. Allah telah tetapkan ke atas DiriNya awal-awal lagi. Iaitu, Allah tidak terus beri azab atau matikan mereka yang buat syirik, bidaah dan dosa itu, Allah tidak terus masukkan mereka ke dalam neraka, Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah simpan dulu dan biarkan mereka buat apa yang mereka hendak buat.

Sampai bila?

 

إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Inilah jawapan kepada soalan di atas. Allah biarkan mereka dalam kesesatan dan kesalahan dan tidak terus hukum mereka kerana Allah telah berjanji untuk menangguhkan hukuman kepada masa tertentu.

Iaitu apabila mereka mati, barulah mereka akan dikenakan dengan azab. Masuk kubur sahaja, mereka akan mula dikenakan dengan azab. Dan apabila Kiamat datang, mereka akan diperhitungkan segala amalan mereka dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka.

Kalau tidak kerana ketetapan Allah untuk beri tangguh kepada manusia yang buat syirik, tentulah telah lama manusia itu dimasukkan ke dalam neraka atau diberikan azab semasa mereka di dunia lagi. Tentulah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka akan dikenakan dengan hukuman awal-awal lagi.

Sebagai contoh, kalau pergi buat ibadat di kubur, balik rumah kena sakit perut atau pening kepala dan sebagainya. Tapi sikit pun Allah tak beri apa-apa hukuman kepada mereka. Mereka pergi dan balik sama sahaja.

Ini adalah kerana Allah beri tangguh kepada mereka. Kerana Allah beri tangguh itulah, ada antara mereka yang tetap dalam amalan syirik. Kerana mereka tidak nampak salahnya perbuatan mereka. Pada mereka, kalau mereka ada buat salah dalam agama, tentu Allah telah beri ‘tanda’ bahawa mereka ada buat salah.

Kerana Allah beri tangguh inilah juga yang menyebabkan kita masih terima ajakan tauhid ini. Kalau tidak, sudah lama kita ini kena azab, sudah lama mati masuk kubur kena azab dalam kubur. Sebab kita dulu pun sebelum belajar tafsir Al-Qur’an dan sebelum belajar Sunnah, entah berapa banyak syirik yang kita lakukan, entah berapa banyak amalan bidaah yang kita buat.

Kalau Allah terus beri hukum azab bila manusia buat syirik, sudah lama kita tiada. Tapi Allah beri kesempatan untuk kita belajar mana yang salah dan bertaubat dari kesalahan dan kesilapan kita.

 

وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتٰبَ مِن بَعْدِهِمْ

Dan sesungguhnya orang-orang yang mewarisi Kitab selepas mereka,

Ayat ini merujuk kepada mereka yang telah diberikan dengan Kitab-Kitab Suci dahulu. Iaitu bangsa Yahudi dan Kristian. Mereka telah mewarisi Kitab Suci itu dari Rasul-rasul mereka. Tapi, apa yang mereka telah lakukan?

Orang Yahudi tidak belajar Kitab Taurat dan tafsir kepada Kitab Taurat. Mereka hanya belajar kitab tulisan ulama-ulama mereka. Tulisan pendeta merekalah yang mereka pegang sebagai agama mereka. Kitab Taurat pula mereka letak ke tepi.

Atau hanya dibaca pada hari perayaan sahaja. Penganut Kristian pun begitu juga. Dan kalau mereka belajar dari Taurat dan Injil pun, itu adalah kitab yang telah diubahsuai dari yang asal.

Kalimah مِن بَعْدِهِمْ bermaksud ‘selepas mereka’. Bermaksud selepas golongan awal. Selepas golongan yang awal menerima Kitab Taurat dan Injil, ianya telah diwarisi oleh keturunan dan penganut seterusnya. Sampailah kepada Yahudi dan Nasrani dan zaman Nabi Muhammad ﷺ dan sampailah sekarang. Kerana kita pun ramai yang buat macam itu juga.

Maka, kerana mereka sudah tidak merujuk kepada Kitab yang Allah sendiri turunkan, maka tentulah ada kesalahan yang mereka telah lakukan. Dan kesalahan itu berturutan dan bersambung sampailah kita lihat apakah yang terjadi kepada agama mereka sekarang. Tidakkah kita lihat apa yang terjadi kepada mereka? Tidakkah mereka itu agama yang sesat dari yang diajar oleh Allah?

Kita pun tahu bahawa mereka itu asalnya adalah agama yang benar, tapi sudah jadi sesat. Kalau ianya boleh terjadi kepada umat-umat dahulu, adakah mustahil ianya boleh terjadi kepada kita juga? Tentulah tidak mustahil.

Kerana sejarah akan berulang. Itulah sebabnya kisah mereka disebut-sebut dalam Al-Qur’an kerana kalau kita tidak berjaga dan berhati-hati, kita pun akan jadi macam mereka juga. Dan sudah ramai yang sudah cenderung ke arah itu.

Maka begitulah yang terjadi dalam agama kita ini pun. Orang Islam sudah lama tidak belajar tafsir dan terjemahan Al-Qur’an tetapi mereka belajar kitab yang ditulis oleh manusia. Mereka tidak hiraukan Al-Qur’an, tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi yang sahih. Tetapi mereka belajar berjenis-jenis kitab tulisan manusia dari muda sampai ke tua. Bersungguh-sungguh mereka belajar.

Maka, kerana itulah agama kita sudah ikut ugama Yahudi dan Nasrani. Bagaimana dengan Al-Qur’an? Mereka memang sanjung tinggi Al-Qur’an. Kalau ada majlis, mereka akan baca; setiap tahun akan ada pertandingan Musabaqah Antarabangsa; sekali sekala mereka akan baca Al-Qur’an; tapi setakat itu sahaja.

Mereka baca Al-Qur’an, tapi mereka tidak faham. Samalah juga seperti yang terjadi kepada Bangsa Yahudi juga. Mereka juga baca dan hafal Kitab Taurat tapi mereka tidak ambil sebagai panduan hidup mereka. Masyarakat Islam kita sama sahaja seperti mereka.

Kalau tidak percaya, tanyalah kepada ustaz-ustaz dan tokoh agama yang ramai dalam negara ini. Tanya mereka adakah mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk? Sudahkah mereka belajar kitab hadis Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang muktabar? Kalau mereka terketar-ketar untuk jawab, tanya lagi sama ada guru mereka sendiri ada belajar?

Kebanyakan mereka akan kata, mereka dan guru mereka pun tidak belajar. Cuma ambil sikit-sikit sahaja, cedok sana dan sini.

Termasuk dalam ayat ini adalah mereka yang menggunakan dalil ‘kitab’ dalam ajaran agama mereka. Termasuklah guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang ramai dalam negara kita ini. Apabila kita minta dalil kepada mereka dalam mana-mana amalan bidaah dan syirik mereka, jawapan standard dari mereka adalah: “sebenarnya ada dalam kitab”. Setelah mereka jawab ada kitab, mereka pun kata: “sebab awak tak belajar kitab itulah awak tak tahu”.

Ingatlah, kitab karangan manusia BUKAN DALIL. Manusia boleh tulis apa sahaja. Apa yang ditulis itu tidak semestinya benar, bukan? Kerana kita manusia, tidak lari dari kesalahan.

Yang menjadi panduan utama kita adalah Al-Qur’an dan sunnah. Sepatutnya kalau kitab rujukan kita, kitab itu mestilah merujuk kembali kepada ayat Al-Qur’an yang mana, hadis yang mana, dan bukannya pendapat ulama itu dan ini sahaja. Kena ada sandaran kepada dalil.

Apakah Allah kata tentang mereka ini?

 

لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ

berada dalam keadaan syak berkenaannya (Al-Qur’an) dan ragu-ragu

Mereka syak wasangka terhadap ajakan tauhid yang kita sampaikan kepada mereka. Dalam hati mereka, mereka berkata: “betulkah ajaran yang puak Sunnah ini bawa? Kenapa lain dengan apa yang aku faham?”

Mereka pun dalam keadaan termanggu-manggu kebengongan. Perkataan ه dalam مِّنْهُ itu merujuk kepada ‘Al-Qur’an’. Mereka syak tentang Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ dan mereka syak dengan Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Sepertimana bangsa Yahudi tidak boleh terima yang baginda adalah seorang Nabi lagi Rasul, begitulah juga puak-puak bidaah tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan oleh penyebar Tauhid. Mereka tidaklah syak yang Al-Qur’an itu dari Allah, tapi mereka syak dengan tafsir-tafsir dari ayat Al-Qur’an itu.

Dalam hati mereka, akan sentiasa ada rasa ragu-ragu dengan agama mereka sendiri. Mereka tidak tenang sebenarnya dalam hati mereka. Itu juga adalah satu bentuk hukuman dari Allah. Kerana Allah tidak terus beri azab dunia, tapi Allah beri hukuman dalam bentuk lain. Antaranya hati mereka tidak tenang dan rasa geram sahaja kepada golongan Sunnah.

Ketahuilah, mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk dan hadis Nabi yang sahih, TIDAK LAYAK untuk mengajar masyarakat kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka sendiri tidak ada asas. Kalau mereka sendiri tidak faham agama, masih lagi jahil, maka mereka akan mewariskan kejahilan mereka kepada anak murid mereka.

Maka carilah guru yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi. Habiskan belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis sebelum belajar kitab-kitab yang lain. Kalau sudah belajar dua sumber utama itu, maka bolehlah kita menilai sama ada kitab-kitab karangan manusia itu bersesuaian dengan ajaran Allah dan Nabi atau tidak.

Belajar kitab-kitab mana pun, bukannya kita halang. Tapi tolonglah belajar asas agama dahulu – iaitu Al-Qur’an dan sunnah. Oleh itu, mereka yang ada masalah dengan tauhid kerana belajar dengan kitab-kitab karangan manusia, kena diajak belajar kembali Tauhid. Dan untuk belajar tauhid, kena belajar dari pengajian Tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 15: Ibn Kathir kata ada 10 perkara yang disentuh dalam satu ayat ini sahaja dan setiap satu itu adalah hukum yang kita perlu perhatikan. Ianya adalah hukum yang boleh berdiri sendiri. Jadi ini adalah satu kehebatan ayat ini. Kerana tidak ada ayat lain yang ada 10 hukum di dalamnya, kecuali satu lagi adalah Ayat Kursi.

فَلِذٰلِكَ فَادعُ ۖ وَاستَقِم كَما أُمِرتَ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم ۖ وَقُل ءآمَنتُ بِما أَنزَلَ اللهُ مِن كِتٰبٍ ۖ وَأُمِرتُ لِأَعدِلَ بَينَكُمُ ۖ اللهُ رَبُّنا وَرَبُّكُم ۖ لَنا أَعمٰلُنا وَلَكُم أَعمٰلُكُم ۖ لا حُجَّةَ بَينَنا وَبَينَكُمُ ۖ اللهُ يَجمَعُ بَينَنا ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ

Sahih International

So to that [religion of Allah ] invite, [O Muhammad], and remain on a right course as you are commanded and do not follow their inclinations but say, “I have believed in what Allah has revealed of the Qur’an, and I have been commanded to do justice among you. Allah is our Lord and your Lord. For us are our deeds, and for you, your deeds. There is no [need for] argument between us and you. Allah will bring us together, and to Him is the [final] destination.”

Malay

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”.

فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah

1. Serulah manusia kepada tauhid. Ini adalah arahan dan seruan dari Allah kepada kita untuk berdakwah. Walaupun dalam ayat 13 sebelum ini telah disebut mereka yang berfahaman syirik akan berat untuk menerima ajaran tauhid, tapi tetap juga kita kena dakwah kepada mereka.

Serulah manusia kepada menyembah hanya Allah sahaja. Serulah manusia kepada belajar tafsir Al-Qur’an, kepada sunnah, kepada agama yang benar. Jangan kerana orang tak suka dengan seruan kita, kita berhenti pula. Ramai yang takut nak dakwah kerana takut dimarahi dan ini tidak patut.

Jangan berhenti berdakwah. Ada peluang sahaja, kita dakwah. Kerana ramai manusia yang tidak tahu, ramai yang jahil tentang agama. Kepada yang membaca tulisan ini, hantarkan tulisan ini kepada saudara anda, kawan-kawan anda malah kepada ustaz anda pun. Sampaikan dakwah ini kepada mereka.

Kerana ajaran tauhidlah yang boleh menyatukan manusia. Untuk bersatu, kena ajak manusia kepada tauhid. Bila ramai yang mengamalkan ajaran tauhid, maka semakin senang kita untuk mengamalkan agama ini kerana ramai yang buat sama macam kita. Hanya sembah satu Tuhan sahaja, iaitu Allah. Dalam manusia kebingungan tentang agama, maka bawalah mereka kepada menyembah Allah.

Dakwah adalah satu kewajipan. Kita disuruh berkali-kali dalam Al-Qur’an dan dalam hadis untuk berdakwah. Ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah dan kepada manusia. Malangnya, ramai yang belajar agama, tapi mereka tak ajak pun orang lain untuk datang belajar. Mereka nak selamatkan diri mereka sahaja nampaknya.

Soalan: adakah agama Islam ini benar? Tentulah ianya agama yang benar, bukan? Bagaimana pula dengan agama selain Islam? Tentulah agama lain tidak benar. Ini semua akan tahu jawapannya.

Maka, kalau agama Islam ini benar, maka hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Kenapa biarkan penganut agama lain pula yang berdakwah? Lihatlah bagaimana setiap hari kita boleh lihat penganut agama lain bersemangat berdakwah mengajak manusia kepada agama mereka. Padahal agama mereka adalah agama yang salah.

Jadi kalau kita tidak buat kerja kita menyebarkan agama yang benar ini, maka manusia akan mendapat agama yang salah kerana mereka yang beragama salah pula yang semangat untuk menyampaikan agama mereka.

 

وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,

2. Selain dari berdakwah, kita sendiri hendaklah mengamalkan apa yang kita dakwahkan itu.

Atau, dalam bentuk yang umum, kena jalankan apa yang Allah perintahkan, dari segi ibadat dan adat. Jangan pandai cakap sahaja. Jangan kata apa yang kita sendiri tidak lakukan.

Dan tetap teguh istiqamah dalam melakukan dakwah itu. Walaupun banyak yang menghalang kerja-kerja dakwah kita. Jangan takut dengan orang lain. Lebih-lebih lagi jangan takut dengan orang yang jahil.

Orang yang sudah terima sunnah ada satu masalah: takut nak amalkan sunnah kerana takut apa orang akan kata, takut kena marah, kena ejek, kena boikot. Mereka takut dengan orang yang jahil. Ini adalah masalah yang perlu diatasi dalam kalangan kita.

Buatlah seperti yang Allah perintah. Jangan buat cara yang lain. Jangan ada ifrat (berlebihan dari sepatutnya) dan tafrit (kurang dari sepatutnya). Maka, untuk mengetahui apakah yang diperintah, kenalah kita belajar, bukan? Ramai yang buat amalan dan pakai hukum dari kata-kata manusia yang tidak ada sandaran dari wahyu. Kerana itulah ada yang sampai korek dubur mereka dalam istinjak kerana diajar oleh ustaz yang tidak ikut sunnah.

Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah untuk mengetahui apakah perintah Allah. Kerana perintah Allah ada dalam Al-Qur’an dan sunnah. Bukannya dari kitab tulisan manusia yang tidak merujuk kepada Al-Qur’an dan sunnah.

Dan ingat, dakwahlah guna ayat-ayat Al-Qur’an. Bukannya dengan menggunakan lagu nasyid, qasidah, puisi, tulisan khat, Zikr Munajat dan lain-lain cara. Padahal Allah perintahkan kita untuk berdakwah menggunakan Al-Qur’an.

 

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

dan janganlah sekali-kali engkau menurut hawa nafsu mereka;

3. Jangan ikut mereka yang hanya menurut hawa nafsu mereka sahaja. Ramai manusia yang tidak kisah tentang agama, hanya mahu ikut apa yang nafsu mereka perintahkan mereka sahaja. Jangan terpedaya dengan mereka.

Dan kena berhujah dengan dalil wahyu. Hujah yang bukan dari Al-Qur’an dan sunnah adalah ‘dalil hawa nafsu’ belaka – tidak boleh dipakai. Tapi itulah yang dibawa oleh kebanyakan guru dan ustaz di negara ini.

 

وَقُلْ ءآمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللهُ مِن كِتٰبٍ

katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah,

4. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, sampai kepada perbalahan dan perpecahan. Kalau itu terjadi, kita katakan kepada mereka bahawa apa yang kita lakukan adalah apa yang diwahyukan oleh Allah dalam KitabNya. Kalau apa sahaja yang Allah wahyukan, kenalah kita ikut tanpa berbelah bahagi.

Dan ini juga adalah dalil bahawa umat Islam beriman dengan segala kitab wahyu yang Allah turunkan, bukan hanya Al-Qur’an sahaja.

Dan segala Kitab yang Allah turunkan adalah berkenaan Tauhid. Cuma apabila telah diubah oleh penganut-penganut mereka, maka hilanglah berita tentang Tauhid itu. Maka tidaklah perlu kita nak rujuk kepada kitab-kitab mereka sekarang kerana memang semua kitab itu telah diubahsuai dan tidak sahih lagi. Kita beriman bahawa Allah ada menurunkan kitab wahyu kepada selain Nabi Muhammad ﷺ tapi kita pakai syariat dari Al-Qur’an dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

 

وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ

dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.

5. Lafaz ‘Adil’ dalam ayat ini bermaksud memberitahu apa yang Allah sampaikan. Sampaikan dengan tidak pilih kasih. Kalau salah, sebut yang ianya salah. Jangan kita simpankan kebenaran kalau dengan sesetengah orang. Kadang-kadang, kalau dengan orang yang kita rasa tak boleh terima, kita tak cerita habis. Itu sudah tidak berlaku adil, namanya.

Juga hendaklah kita adil dalam berdakwah. Kena sampaikan kepada semua orang. Tidak pilih-pilih kepada siapa yang kita sampaikan ajaran tauhid ini. Jangan kita beritahu kepada sesetengah kawan kita dan keluarga kita, tapi kita simpan dari sesetengah kawan yang lain kerana kita rasa mereka tidak akan terima.

Dan adil itu bermaksud tidak seleweng makna. Tak hurai lebih dari yang sepatutnya. Tak tambah dari yang sepatutnya. Kita cuma beritahu apa yang kita belajar sahaja, jangan tambah dari pendapat kita sendiri. Kerana bahaya kalau kita beri pendapat kita kerana ia tidak pasti benar lagi. Dan kalau ia benar pun, itu adalah salah.

Ada juga yang kata ayat ini bermaksud ianya adalah adil dalam memberi hukuman. Iaitu Nabi Muhammad ﷺ diperintah untuk adil dalam memberi keputusan dalam hukuman.

Cuma pendapat itu agak lemah kerana ayat ini diturunkan di Mekah dan waktu itu, baginda tidak dijadikan sebagai hakim lagi dalam urusan orang Islam dan orang Yahudi. Ianya hanya mula terjadi di Madinah. Allahu a’lam.

 

اللهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu.

6. Katakan kepada mereka bahawa Tuhanku ini adalah Tuhan kamu juga. Walaupun kamu tidak mahu menerimaNya, tapi Dia tetap juga Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga kamu.

Ia juga memberitahu kita yang dakwah kita adalah mengajak manusia kepada Allah, Tuhan kita semua. Ini yang paling penting dan paling awal kita kena sampaikan kepada manusia.

 

لَنَا أَعْمٰلُنَا

Bagi kami amal kami

7. Kami hanya akan amalkan amalan yang diajar oleh Nabi dan yang diamalkan oleh para sahabat.

Ayat ini juga bermaksud, kita akan dapat hasil dari amalan kita. Kalau nak pahala, kena lakukan sendiri, tidak ada pahala hadiah dari orang yang hidup kepada orang yang mati.

 

وَلَكُمْ أَعْمٰلُكُمْ

dan bagi kamu amal kamu.

Kamu buatlah amalan kamu itu kalau kamu rasa ianya benar. Iaitu amalan yang direka oleh guru-guru, dari manusia, yang bukan dari Allah dan Nabi itu. Tapi kena berani untuk menerima kesannya nanti di akhirat. Kerana pasti kamu akan dapat kesannya.

Amalan bidaah itu kita tidak mahu terima, kita tidak akan amalkan. Kalau ahli bidaah nak amalkan, terpulang kepada mereka, kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai amalan dan majlis mereka.

Juga, ia bermaksud kamu akan mendapat balasan dari apa yang kamu amalkan. Maknanya, setiap orang hanya bertanggungjawab dengan amalan mereka sendiri. Kalau buat amalan yang betul, akan dapat balasan pahala. Kalau amalan salah, akan dapat dosa.

Dan kita hanya akan dapat pahala kalau amalan itu kita buat sendiri. Tidaklah boleh hendak kirim-kirim pahala seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita sekarang. Jadi, amalan Majlis Tahlil untuk mengirim pahala itu tidak benar dan hanya rekaan sahaja.

Jangan salah faham dengan ayat ini. Jangan baca ayat ini sebagai satu kebenaran untuk agama lain buat amalan ikut agama mereka. Seolah-olah nak kata: “ikutlah apa yang kamu nak amal, tidak mengapa….” Ini pemahaman yang salah kerana agama selain dari Islam tidak benar; dan amalan selain dari amalan yang soleh tidak benar.

Maka kita kena sampaikan mana yang benar kepada manusia. Cuma, kalau mereka nak amalkan juga amalan salah mereka, kita kata: kamu akan dapat hasil yang buruk dari amalan kamu itu.

 

لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ

Tidaklah ada hujah antara kami dengan kamu

8. Tidak ada hujah antara kita melainkan menggunakan Al-Qur’an dan sunnah kerana kebenaran telah jelas nyata di dalam keduanya. Yang kamu tidak tahu hujah itu adalah kerana kamu sahaja yang tidak belajar.

Maknanya, sebenarnya tidak ada keperluan untuk kita berhujah dan bertegang urat mempertahankan pendapat kita masing-masing. Ini kerana dalil yang ada amat jelas. Kalau kita ada perbezaan pendapat, rujuk dua sumber itu dahulu.

Macam inilah jawapan kita dengan golongan bidaah sekarang. Kalau kita berhujah dengan mereka, kita gunakan Al-Qur’an dan sunnah. Inilah cara berhujah.

Tapi mereka akan pakai kata-kata guru dan ustaz mereka, pendapat orang itu dan ini, akal mereka, kitab itu dan ini, malah macam-macam lagi. Rasanya seperti tidak berbaloi nak berhujah dengan mereka yang mengamalkan bidaah. Sebab kita bagi ayat Al-Qur’an dan mereka beri dalil lain. Rasa macam tidak kena sahaja. Adakah hujah lain yang boleh lawan Al-Qur’an dan hadis?

Sepatutnya mereka dengar sahaja apa yang kita sampaikan dan ikut. Kerana kita berikan dalil dari Al-Qur’an dan hadis. Tidak perlu nak berhujah lagi sebenarnya. Kalau masih berdegil, maka kita tinggalkan mereka sahaja buat masa itu. Lain kali kita datang lagi. Kerana sudah jadi sia-sia berhujah dengan orang yang kepala batu.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita, yang kita bukannya hendak berhujah dan berdebat. Kita bukan nak bandingkan mana kumpulan yang lebih bagus antara kita semua. Banyak kumpulan-kumpulan yang melakukan kerja dakwah maka jangan kita cari perbezaan antara mereka dan kita.

 

اللهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا

Allah akan menghimpunkan kita bersama

9. Kalau kamu tidak mahu percaya juga, tidak mengapa, kerana Allah akan mengumpulkan kita semua pada Hari Kiamat nanti. Dan keputusan siapa yang benar akan diberitahu pada hari itu.

Tapi di sana, keputusan akan dibuat secara amali. Maksudnya, bukanlah di sana baru tahu mereka salah, tidak. Sekarang di dunia lagi mereka sudah salah, cuma tidak dilakukan penghukuman secara amali lagi.

Penghukuman secara amali hanya akan diadakan di akhirat kelak. Tapi teorinya sudah ada dalam Al-Qur’an dan sunnah. Dan akan tahu kalau belajar. Jadi ayat ini adalah untuk menakutkan mereka, kerana kita hendak mereka memikirkan: bagaimana nanti keadaan mereka di akhirat (adakah mereka boleh berhujah di hadapan Allah atau tidak?).

 

وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya”

10. Semua akan dikembalikan kepadaNya adalah untuk dihakimi dan diberi balasan. Takkan nak tunggu perjumpaan di Mahsyar baru nak bertaubat, baru nak kembali ke dunia kerana nak amalkan ajaran tauhid?

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an menyebut tentang mereka yang menyesal kerana amalan salah mereka semasa di dunia dan mereka minta kembali ke dunia untuk beramal dengan benar, tapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 11 – 13 (Pengamal syirik susah terima tauhid)

Ayat 11: Dalil kenapa kita kena ikut hukum Allah dan kena tawakal kepadaNya sahaja.

فاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَمِنَ الأَنعٰمِ أَزوٰجًا ۖ يَذرَؤُكُم فيهِ ۚ لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ ۖ وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ 

Sahih International

[He is] Creator of the heavens and the earth. He has made for you from yourselves, mates, and among the cattle, mates; He multiplies you thereby. There is nothing like unto Him, and He is the Hearing, the Seeing.

Malay

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

فَاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi;

Allah sahaja yang mencipta alam ini. Yang selain Allah, tidak boleh mencipta apa-apa pun. Nabi, wali dan malaikat yang disembah dan dipuja oleh mereka yang sesat itu, tidak boleh mencipta. Langsung tidak boleh cipta apa-apa pun walaupun seekor lalat. Maka kenapa nak sembah dan buat ibadat kepada mereka?

 

جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوٰجًا

Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri,

Manusia kahwin dengan manusia dan jin kahwin dengan jin. Itulah lumrah alam. Maka, kalau ada kisah karut yang mengatakan ada manusia yang berpasangan dengan jin, bunian dan sebagainya, itu adalah kisah dongeng sahaja dan tidak perlu dilayan. Walaupun ada pendapat yang  mengatakan harus, tapi sifat jin dan manusia tidak sama, maka macam mana nak kahwin?

Kenapa tiba-tiba disebut tentang pasangan pula? Kerana sebelum ini disebut tentang perbezaan pendapat. Dan dengan pasangan kitalah kita selalu ada perbezaan pendapat ini. Kerana kita selalu berhubungan dengan mereka, duduk rumah sekali dan sentiasa berkomunikasi, maka tentulah sekali sekala akan ada perbezaan pendapat dan berbalah. Ini biasa sahaja.

Tapi hendaklah kita ingat bahawa pasangan kita adalah nikmat dari Allah. Sebagaimana Allah telah memberikan Hawa kepada Nabi Adam. Kerana Allah tahu apa yang kita perlukan. Iaitu setiap manusia memerlukan pasangan hidup masing-masing. Allah ingatkan kita dalam ayat ini tentang nikmat pasangan itu.

Maka kenalah sekali sekala bermusyawarah dengan mereka kalau ada apa-apa masalah dalam keluarga. Mereka itu tiang hidup kita. Kalau mereka gembira, kita pun gembira juga.

 

وَمِنَ الْأَنْعٰمِ أَزْوٰجًا

dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan

Binatang juga ada pasangan mereka. Kita memerlukan binatang ternak itu untuk makanan dan kegunaan kita, maka Allah beri pasangan juga kepada binatang itu. Kerana kita memerlukan binatang ternak itu berpasangan untuk berkembang biak.

 

يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ

dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua.

Allah mengembangbiakkan manusia dan binatang di dunia dengan proses pasangan itu. Kalau sendirian sahaja, tidak akan ada lahir anak dan penambahan bilangan. Ini cara yang Allah jadikan bagi kita walaupun Allah boleh sahaja lahirkan anak tanpa bapa seperti Nabi Isa a.s. dan tanpa ibu dan bapa sekali seperti Nabi Adam عليه السلام.

 

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya

Makhluk tidak sama langsung dengan Allah. Allah tahu segala-galanya. Allah tahu apa yang baik untuk kita. Maka sebab itu kita perlu menggunakan hukum Allah itu. Keputusan yang Allah buat bukan seperti keputusan kita. Semua yang Allah lakukan adalah untuk kebaikan kita.

Kerana Allah tidak sama dengan makhluk, kerana itulah Dia marah kalau minta kepada selain dariNya, kerana selain dariNya, tidak boleh memberikan kita apa-apa.

Ayat ini pun menjadi satu perbalahan diantara manusia yang beragama Islam. Ramai yang berhujah dengan ayat ini untuk mengatakan Allah langsung tidak bersifat dengan manusia. Salah satu perbalahan antara manusia sesama Islam adalah sama ada Allah bersemayam di Arash atau tidak.

Satu pihak mengatakan kalau Allah bersemayam di Arash, maka itu sudah menyamakan Allah dengan makhluk. Kerana mereka mengatakan pernyataan itu membawa maksud yang ‘Allah bertempat’.

Kita yang mengamalkan ilmu sunnah ini mengatakan bahawa pernyataan yang Allah bersemayam di Arash itu tidaklah berlawanan dengan ayat ini. Kerana kita tidak menyamakan duduknya Allah itu seperti duduk kita di kerusi dan sebagainya.

Kita katakan yang duduknya Allah itu tidak sama dengan duduknya makhluk. Ini bermakna, kita masih berpegang dengan ayat ini. Allah memang berada di langit kerana banyak ayat-ayat yang menyebut perkara itu. Tapi keberadaan Allah tidak seperti makhluk kerana Allah tidak sama dengan makhluk.

Dan pemahaman sebenarnya kita serahkan balik kepada Allah. Kita sebenarnya tidak perlu memikirkan tentang Dzat Allah kerana kita tidak akan dapat mencapai pengetahuan itu. Itu semua adalah buang masa dan kerana itu tidak perlu dipanjangkan perbincangan ini. Semua ini adalah termasuk dalam perkara-perkara mutashabihat – ada persamaan dengan makhluk, tapi tidak sama. Yang sebaiknya ditinggalkan sahaja perbincangan yang tidak memberi faedah ini.

Kena tahu ayat ini kerana ayat ini adalah penawar bagi banyak salah faham antara manusia. Dalam apa-apa hal, Allah tidak akan sama dengan makhluk. Apabila Allah kata Dia ada tangan, tanganNya pasti tidak sama dengan tangan makhluk; kalau Allah sebut tentang ‘wajah’, tentu ‘wajah’ Allah tidak sama dengan wajah kita pula. Kalau dapat terima perkara ini, maka senang nak teruskan dengan perkara yang lebih penting.

وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Sebelum ini disebut yang Allah tak sama dengan makhluk. Tapi dalam ayat ini disebut Dia juga mendengar dan melihat. Tapi makhluk juga mendengar dan melihat, bukan? Tapi bila sebut tentang sifat Allah mendengar dan melihat, kenapa tak takwil sekali? Sebab kita pun mendengar dan melihat juga, kan? Kenapa tidak kata sahaja: Allah tidak mendengar dan melihat, kerana manusia mendengar dan melihat?

Ini maksudnya, cara Allah mendengar dan melihat tidaklah sama dengan cara makhluk mendengar dan melihat. Inilah pemahaman yang susah sangat kebanyakan masyarakat Islam kita hendak terima. Kerana mereka ambil ilmu bukan dari Al-Qur’an dan hadis.

Mereka menolak langsung yang Allah berada di Arash, yang Allah ada tangan, yang Allah bersuara dan sebagainya. Mereka kata kita yang kata begitu adalah mujassimah (mengatakan Allah berjisim macam makhluk) kerana menyifatkan Allah sama dengan makhluk.

Padahal, apa yang kita katakan itu adalah apa yang Allah sendiri katakan, bukan kita yang reka. Cuma, kita tambah dengan satu lagi pemahaman seperti yang disebut dalam ayat ini – tidak ada yang sama denganNya – maknanya, kalau Allah duduk, tidaklah dudukNya itu sama macam duduk kita. Tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk. Suara Allah tidak sama dengan suara makhluk dan sebagainya.


 

Ayat 12: Satu lagi dalil kenapa kita kena sembah Allah sahaja

لَهُ مَقاليدُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ 

Sahih International

To Him belong the keys of the heavens and the earth. He extends provision for whom He wills and restricts [it]. Indeed He is, of all things, Knowing.

Malay

Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

لَهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dia lah jua yang menguasai kunci perbendaharaan langit dan bumi;

Allah sahaja yang memiliki kunci langit dan bumi dan Dia tidak memberikannya kepada sesiapa sahaja. Khazanah kekayaan langit dan bumi ini dalam pemilikanNya.

Dari segi balaghah, apabila kalimah لَهُ ditakdimkan (diawalkan), ia memberi isyarat takhsis (khusus). Maknanya, kunci perbendaharaan *hanya* ada pada Allah sahaja. Kalau kuncinya dengan Allah, maka mohonlah apa sahaja yang kita hendak kepada Allah. Kerana kalau Allah memegang kunci khazanah dunia dan langit, maka apa yang di dalamnya juga adalah kepunyaanNya.

Janganlah minta kepada yang lain. Janganlah ikut mereka yang sesat yang minta kepada makhluk. Kononnya mereka tak layak nak minta terus kepada Allah maka kena gunakan perantaraan pula. Itu sudah menjadi amalan tawasul yang dikutuk oleh Allah.

 

يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ

Dia meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Allah yang menentukan rezeki kita. Tidak ada entiti lain yang boleh menentukan rezeki kita. Allahlah sahaja yang membuat keputusan siapa yang akan dapat banyak mana rezeki. Setiap rezeki yang ditetapkan kita akan mendapatnya, menunggu kita sahaja untuk sampai kepadanya. Ianya tidak akan pergi ke mana-mana.

Allah meluaskan rezeki kepada seseorang itu sebagai ujian bagi orang itu. Kerana kadang-kadang kalau kita ada harta, waktu itulah kita mudah lupa Allah.

 

وَيَقْدِرُ

dan Dia juga yang menyempitkannya

Sebagaimana Allah meluaskan rezeki kepada seseorang sebagai ujian, begitu juga Allah sempitkan harta seseorang sebagai ujian juga.

Hanya Allah sahaja yang dapat menentukan rezeki kita. Maka janganlah kita rasa yang ada selain Allah yang dapat memberi rezeki atau menahan rezeki kita. Sebagai contoh, janganlah kita cakap: “Kalau ayah aku sudah tiada nanti, apa kami nak makan?” Itu adalah kata-kata yang sesat kerana bukanlah ayah kita yang beri rezeki kepada kita, tetapi Allah SWT

Allah luaskan dan sempitkan rezeki kita sebagai ujian. Maka janganlah kita dengki kepada orang yang kaya, yang sihat dan sebagainya. Semua itu adalah anugerah dari Allah. Semuanya dalam taqdir Allah. Kalau kita dengki, itu bermaksud kita tidak setuju dengan keputusan Allah.

Setiap makhluk ada mendapat sesuatu. Bezanya adalah sama ada sikit atau banyak sahaja. Jangan kita kata kita tidak ada apa-apa kerana pasti Allah telah beri sesuatu kepada kita, bukan? Dan Allah sentiasa memberi kepada kita. Jangan kita menidakkan pemberian Allah kepada kita.

Maka Allah sahaja yang buat keputusan siapa yang dapat banyak dan siapa yang dapat sikit. Jadi pulangkan balik kepada Allah. Jangan kita merungut kalau kita dapat rezeki sedikit sahaja. Apa yang Allah telah tetapkan, ada kebaikan padanya. Mungkin kita sahaja yang tak nampak.

Sebagai contoh, Allah tahu bahawa kalau seseorang itu dapat kemewahan, ianya akan merosakkannya. Sebagaimana Allah berfirman dalam ayat ke 27 surah ini:

وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

Kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana seorang yang mulanya baik dan warak, tetapi apabila dia jadi kaya, perangainya bertukar serta merta, bukan? Sebagai contoh, dia sudah mula menggunakan kekayaannya itu untuk bermaksiat dan sebagainya. Tidakkah kekayaannya itu menjadikannya melampaui batas?

Allah juga jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin untuk kebaikan manusia juga. Bayangkan, kalau semua manusia kaya, siapakah lagi yang akan jadi tukang sapu sampah? Apa akan jadi dengan alam sekitar kita kalau tidak ada orang yang kerjanya menyapu sampah?

Miskin itu sebagai ujian kepada manusia, hendak uji dia sama ada dia taat kalau dia miskin dan lemah. Tapi yang ramai orang tidak perasan adalah, kaya itu juga adalah ujian. Kerana Allah hendak lihat adakah manusia itu akan taat kepada Allah kalau dia mendapat kekayaan dan kesenangan. Selalunya kalau miskin dan susah, orang senang nak ingat Allah; tapi bila sudah senang lenang, susah pula nak ingat Allah.

 

إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah Maha Mengetahui bagaimana hendak memberi rezeki kepada hambaNya. Allah Maha Mengetahui apa yang kita perlukan, apa yang baik untuk kita. Bila masanya diberi rezeki itu kepada manusia dan di mana hendak diberikan rezeki itu. Maka, kita terima sahajalah apa keputusan Allah.

Allah yang berikan rezeki kepada kita semua.  Janganlah sesekali kita kata kita kaya sebab kita buat ini dan itu. Jangan kata sebab ‘nasib’ dan sebagainya. Sebenarnya Allahlah yang menentukan yang kita akan dapat rezeki atau tidak. Kita kena kata yang Allahlah yang menentukan rezeki itu. Allahlah yang menentukan kita dapat atau tidak. Bukannya sebab kita dan bukannya sebab orang lain.

Allah sebut tentang rezeki dalam surah ini adalah kerana salah satu perkara yang banyak manusia mula berbalah adalah kerana rezeki, harta dan wang. Maka, Allah beri isyarat dalam ayat ini bahawa rezeki itu adalah dalam tangan Allah. Terimalah apa yang terjadi dan apa yang Allah telah tetapkan. Jangan jadikan rezeki sebagai satu penyebab kepada pemecahan dalam umat kita.


 

Ayat 13: Ayat 13 – 20 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah suruhan untuk tegakkan agama. Allah suruh kita teruskan seruan tauhid.

Ini adalah salah satu ayat yang penting dalam surah ini. Ini adalah Maksud Kedua surah ini. Sebelum ini telah disebut nikmat rezeki yang Allah berikan. Sekarang disebut nikmat agama pula. Kerana agama ini juga adalah nikmat yang amat besar.

۞ شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدّينِ ما وَصّىٰ بِهِ نوحًا وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَما وَصَّينا بِهِ إِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسىٰ ۖ أَن أَقيمُوا الدّينَ وَلا تَتَفَرَّقوا فيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى المُشرِكينَ ما تَدعوهُم إِلَيهِ ۚ اللهُ يَجتَبي إِلَيهِ مَن يَشاءُ وَيَهدي إِلَيهِ مَن يُنيبُ

Sahih International

He has ordained for you of religion what He enjoined upon Noah and that which We have revealed to you, [O Muhammad], and what We enjoined upon Abraham and Moses and Jesus – to establish the religion and not be divided therein. Difficult for those who associate others with Allah is that to which you invite them. Allah chooses for Himself whom He wills and guides to Himself whoever turns back [to Him].

Malay

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ

Dia telah mensyariatkan untuk kamu dari ugama ini –

Kalimah شَرَعَ dari segi bahasa bermaksud ‘berjalan pada jalan yang telah ditetapkan dengan jelas’. Perkataan ini juga digunakan oleh masyarakat Arab untuk menjelaskan bagaimana unta dibawa kepada air.

Jadi kalimah شَرَعَ dalam agama bermaksud undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah dengan jelas. Ia merangkumi hal agama dan juga cara hidup. Ianya adalah perkara yang kita kena ikut. Inilah yang disebut-sebut ‘syarak’, ‘syar’ie’.

Tetapi, sepertimana kita boleh bawa unta kepada air, tapi kita tidak boleh memaksa unta itu minum air, begitu juga dengan syariat. Kita tidak boleh memaksa manusia untuk menerima syariat itu. Kita boleh sampaikan sahaja. Tapi orang yang degil, tetap tidak menerimanya. Ada sahaja alasan mereka.

 

مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا

apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh,

Bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diwajibkan ikut syariat. Umat terdahulu pun kena ikut syariat juga. Dan mereka juga diberikan dengan syariat yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Dikatakan dalam ayat ini bahawa syariat yang diberikan kepada kita adalah yang sama dengan yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام. Tapi kita pun tahu bahawa syariat kita dengan Nabi Nuh عليه السلام tidak sama. Hukum kita dan baginda tidak sama, iaitu ‘syariat feqah’ tidak sama.

Jadi syariat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah syariat dari segi tauhid. Kerana syariat tauhid adalah sama sahaja dari Nabi-nabi عليهم السلام dulu sampai Nabi Muhammad ﷺ.

Kenapa disebut Nabi Nuh عليه السلام dan tidak disebut Nabi Adam عليه السلام? Ini adalah kerana walaupun Nabi Adam عليه السلام adalah Nabi yang pertama tapi kesyirikan tidak berlaku pada zamannya. Yang mula-mula menghadapi kesyirikan manusia adalah Nabi Nuh عليه السلام.

 

وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ

dan yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Wahyu yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Mesej Nabi Nuh عليه السلام adalah untuk semua manusia kerana waktu itu, hanya tinggal mesej dari baginda sahaja kerana tidak ada manusia lain sebagai Nabi. Ini kerana waktu itu Banjir Besar dan kemudian tinggal umat baginda sahaja.

Mesej Nabi Muhammad ﷺ diberikan kepada semua manusia juga kerana baginda adalah Rasul terakhir dan baginda adalah Rasul kepada semua manusia dan jin. Jadi ada persamaan antara Nabi Muhammad dan Nabi Nuh عليه السلام. Tidak sama dengan Rasul-Rasul عليهم السلام yang lain kerana mereka diutus untuk ummat mereka sahaja. Sebab itulah disebutkan tentang Nabi Nuh dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an juga amat penting dan memberi maklumat tambahan. Lihatlah bagaimana apa kata tunjuk kepada syariat yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ digunakan perkataan الَّذِي dan kepada Rasul-Rasul lain dalam ayat ini digunakan مَا sahaja. Kenapa?

Kerana perkataan الَّذِي digunakan untuk perkara yang jelas diketahui. Sebagaimana kita tahu dengan jelas apakah syariat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Tapi kepada Nabi-nabi lain, tidak sampai dengan penuh apakah syariat mereka. Kita hanya tahu secara umum sahaja syariat mereka.

Cuma dari Al-Qur’an, kita tahu yang mesej yang mereka bawa adalah tauhid juga, sama seperti Nabi Muhammad ﷺ. Cuma syariat mereka kita tidak jelas satu persatu. Yang kita cuma tahu adalah syariat Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرٰهِيمَ

dan juga yang telah Kami wasiatkan kepada Nabi Ibrahim

Wahyu yang sama juga diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Ibrahim عليه السلام disebut dalam ayat ini kerana baginda adalah bapa kepada banyak Rasul dan Nabi Muhammad ﷺ adalah keturunan dari baginda juga.

Dan dalam susunan ayat ini, disebut Nabi Ibrahim a.s. dahulu kerana Nabi Muhammad ﷺ akan berdakwah kepada bangsa Arab. Mereka adalah bangsa yang mengaku Nabi Ibrahim عليه السلام adalah Nabi mereka. Mereka pun mengaku mengamalkan amalan yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Antaranya, tawaf di Kaabah. Malah banyak lagi yang amalan yang mereka teruskan seperti solat, iktikaf dan sebagainya. Nabi Ibrahim bukan asing kepada mereka.

Selepas bangsa Arab, siapa lagi yang Nabi Muhammad ﷺ akan berurusan?

 

وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ

dan Nabi Musa serta Nabi Isa,

Nabi Muhammad ﷺ juga akan berurusan dengan bangsa Yahudi yang menerima Nabi Musa sebagai Nabi mereka. Mereka mengaku mengikut ajaran baginda. Dan kemudian Nabi Muhammad ﷺ akan berurusan dengan penganut Kristian yang mengaku Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi mereka dan mereka mengaku mengikuti ajaran baginda.

Mereka itu adalah Bani Israil dan Nabi Muhammad ﷺ juga kena sampaikan dakwah tauhid kepada mereka dan mereka pun kena ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ juga sebenarnya.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua Nabi mengamalkan tauhid yang sama. Tidak ada bezanya. Apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa adalah ajaran yang sama. Apakah ajaran itu? Itulah ajaran tauhid, mengesakan Allah.

Jadi di dalam ayat ini, Allah sebut lima Nabi Ulul Azmi. Tapi bukanlah mereka sahaja yang diberikan dengan syariat tauhid. Allah sebut lima Rasul, tapi merangkumi semua Nabi. Apakah arahan kepada semua para Nabi?

 

أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ

iaitu: “Tegakkanlah ugama,

Mesej yang dibawakan oleh semua Nabi adalah sama sahaja, iaitu tauhid mengesakan Allah. Inilah agama yang kena ditegakkan oleh semua para Rasul. Oleh itu, kita kena tahu tentang tauhid 100%. Dan selepas tahu, kena taat dan amalkan. Taat macam bayang taat kepada badan – ikut sahaja ke mana badan itu pergi.

Lafaz الدِّينَ bermaksud ‘pegangan dan cara hidup’. Selalunya diringkaskan dengan lafaz ‘agama’ sahaja. Ada dua perkara yang utama: ibadat (hubungan dengan Allah) dan adat (hubungan dengan hamba). Kena jaga dua-dua perkara iaitu kedua-duanya kena ikut syariat Allah dan kena ada dalil dalam dua perkara ini.

Taat memang kena taat, tapi cara taat sahaja yang mungkin berbeza. Sebab itu ada banyak mazhab. Kalau perbezaan itu dalam perkara furu’ sahaja, tidak mengapa. Tapi dalam perkara usul, kena terima dari Al-Qur’an dan tidak boleh ada perbezaan. Ini memerlukan pembelajaran.

Kerana itu ayat ini juga bermaksud kita kena ‘dirikan’ agama itu. Kena belajar dan amalkannya. Ia bukanlah kerja yang mudah. Ia memerlukan usaha yang banyak. Maka salah satu tuntutan kepada umat manusia adalah belajar agama. Kerana kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu?

Malangnya, ramai orang kata mereka taat, tapi adakah mereka sudah tahu apakah yang perlu ditaati? Ramai yang pandai cakap sahaja, tapi mereka tidak belajar pun hal agama. Setakat pakai apa yang mereka pelajari di sekolah sahaja.

Maka kalau tidak belajar agama, bagaimana nak tegakkan agama? Dan kalau bukan kita yang tegakkan, siapa lagi? Yang penting, sebelum tegakkan, kenalah belajar. Tapi berapa ramai yang rasa mereka telah menegakkan agama dalam kehidupan mereka tapi mereka tidak belajar pun lagi. Yang paling utama, adakah mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk?

Tegak atau dirikan agama itu maksudnya kena sampaikan kepada manusia yang lain. Bukan setakat amal sendiri sahaja. Dan bukan setakat tampal poster atau pelekat di kereta sahaja. Ramai yang tidak jalankan usaha dakwah kerana mereka rasa ia tidak penting.

 

وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ

dan janganlah kamu berpecah belah di dalamnya”.

Terlalu banyak perpecahan sesama manusia dalam dunia ini. Ada yang hanya menyembah Allah dan ada yang tidak sembah Allah. Ada juga yang sembah Allah, tapi dalam masa yang sama, sembah juga entiti lain. Dan inilah perselisihan yang amat besar sekali. Allah ingatkan dalam ayat ini untuk tidak buat begitu kerana itu adalah syirik.

Tapi banyak sekali perpecahan antara manusia dalam perkara ini (syirik). Termasuklah masyarakat Islam dalam negara ini pun. Mereka ramai yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari. Dan kerana mereka tidak faham apakah tauhid dan syirik itu, maka banyak sekali perpecahan dalam masyarakat kita.

‘Berpecah belah’ berbeza dengan ‘perbezaan pendapat’. Memang akan ada perbezaan pendapat antara manusia. Itu adalah normal sahaja dan tidak dilarang dalam agama. Tapi jangan jadikan perbezaan pendapat itu sebagai satu punca perpecahan antara kita. Malangnya, kita selalu ambil isu-isu yang kecil-kecil dan jadikan ianya sebagai isu yang besar sampaikan membawa kepada perpecahan sesama kita.

Tapi ingat, kita boleh berbeza pendapat dalam perkara khilaf, tapi kita tidak boleh berbeza pendapat dalam hal usul akidah. Dalam akidah, tidak boleh nak raikan pendapat yang berbeza. Kalau pendapat mereka tak sama dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an, maka kita tidak boleh duduk bersetuju dengan mereka. Tak boleh kita mengatakan mereka itu benar.

Samalah Nabi Muhammad ﷺ tidak duduk sama dengan Musyrikin Mekah kerana perbezaan antara mereka adalah perbezaan dalam akidah. Maknanya, dalam hal akidah tidak ada kompromi. Kalau dalam bab feqah, masih boleh lagi ada kompromi.

Kalau dalam bahagian feqah, nak berbeza pendapat, silakan. Asalkan ada dalil yang datang dari Al-Qur’an atau hadis. Dalam bab feqah, dalil-dalil yang ada boleh diterjemahkan kepada lebih dari satu makna, sebab itu ada  khilaf di dalamnya. Tapi dalam bab Akidah, bab Tauhid, ianya amat jelas, jadi tidak ada ruang untuk khilaf.

Jadi, janganlah pula gunakan alasan: “Seru wali dan Nabi itu adalah khilaf, syeikh…” Memang ianya khilaf tapi khilaf antara tauhid dan syirik, antara ada dalil dan rekaan akal manusia, maka kita tidak boleh terima.

 

كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ

Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya.

Tapi tidak dinafikan, memang susah nak ajak manusia mengamalkan tauhid. Ini kerana ramai yang ada fahaman syirik dalam diri mereka. Kalau kita ajak mereka yang mengamalkan syirik kepada tauhid, mereka akan rasa berat. Kerana telah ada akidah syirik dalam diri mereka sampaikan mereka tak boleh nak terima.

Apabila kita beritahu mereka, mereka tidak boleh faham atau tidak mahu nak faham. Mereka nak tolak sahaja apa yang kita sampaikan. Ini kerana ia amat berat bagi mereka kerana mereka tidak buka hati dan mata hati mereka. Ada beberapa jenis cara mereka menolak:

– Ada yang lawan terus dengan berhujah dengan kita. Maka jelas nampak ketidaksetujuan mereka.
– Ada yang berubah air muka mereka tapi mereka tak cakap yang mereka tak setuju dengan kita. Tapi, dari air muka mereka, kita sudah dapat agak yang mereka tidak setuju dengan dakwah kita.
– Ada yang senyap sahaja tidak melawan, tapi dengar dengan mata yang layu, lama-lama mereka meninggalkan kita. Apa yang kita cakap, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kemudian tidak mahu jumpa lagi selepas itu. Itu maknanya mereka juga tak terima.

Ada yang lebih teruk lagi, mereka menghalang manusia lain dari belajar tauhid. Sampaikan ada yang berusaha supaya ajaran Tauhid tidak diajar di negara ini. Bayangkan, mereka ada yang tolak Akidah Tauhid 3T (Tauhid Tiga Serangkai – Rubbubiyyah, Uluhiyyah, Asma wa sifat) sampaikan mereka haramkan pengajaran Tauhid itu di tempat pengajian.

Mereka sampai kata ajaran Tauhid 3 itu melahirkan golongan terroris. Mereka buruk-burukkan ajaran Tauhid 3 ini. Yang mereka hendak suruh manusia belajar, hanya Tauhid Sifat 20 yang tidak boleh pun menjelaskan fahaman tauhid yang sebenar kepada masyarakat. Ianya lebih memeningkan manusia sampai ada yang jadi keliru dengan Allah pun ada.

 

اللهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ

Allah memilih kepadaNya sesiapa yang dikehendakiNya

Allah pilih siapa yang boleh terima akidah tauhid ini. Allah pilih mereka kerana mereka sendiri yang mahu belajar, mahu mencari kebenaran. Tapi kalau ada manusia yang berat untuk menerima ajakan tauhid ini, maka apa lagi usaha kita? Bukankah nampak macam sia-sia sahaja usaha kita untuk mengajak mereka?

Jangan putus asa dalam menjalankan dakwah. Allah jawab dalam potongan ayat ini yang Dia sendiri yang akan memilih mereka yang mahu menerima iman tauhid itu. Iaitu mereka yang berdoa meminta Allah menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus. Maka, kita kena berdakwah kerana akan ada sahaja mereka yang akan beriman.

Dan bila kita dakwah kepada mereka, pastikan suruh mereka sendiri doa kepada Allah untuk tunjukkan kebenaran. Senangnya mereka doa sendiri. Suruh mereka doa kepada Allah untuk tunjukkan mana yang benar. Kerana banyak sangat pendapat dalam agama ini sampaikan orang baru pun boleh pening. Ustaz ini kata begini dan ustaz itu kata begitu pula…

Maka suruh mereka doa kepada Allah untuk tunjukkan mana ajaran yang benar. Kena ikhlaskan diri dalam doa itu dan Allah akan pilih mereka dan tarik mereka kepada kebenaran.

Yang penting kita teruskan dakwah kepada mereka. Kalau mereka tidak terima pun, sudah pasti dengan perbuatan dakwah itu akan meningkatkan iman kita. Lihatlah bagaimana Nabi-nabi terdahulu tidak lelah dan jemu dalam berdakwah. Ada yang sampai berkali-kali pergi kepada orang yang sama.

 

وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

dan memberi hidayah petunjuk kepadaNya sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya

Iaitu mereka yang mahu mendekati Allah, yang mahu kepada kebenaran. Kepada mereka yang seperti itu, Allah akan beri jalan kepada mereka untuk menerima tauhid. Dia mungkin diberikan peluang untuk jumpa orang yang boleh mengajar mereka.

Atau dia jumpa syarahan yang boleh mengubah hatinya. Atau dia terbaca tulisan yang menjelaskan kepadanya perkara yang mengelirukannya sebelum itu sampai dia boleh faham; macam-macam cara Allah boleh bawa dan heret manusia ke jalan akidah yang benar.

Allah yang susun sampai mereka jadi beriman. Allah beri kelebihan itu kerana mereka sendiri yang hendak mencari kebenaran. Makanya, kena ada keinginan dalam diri dulu untuk menerima kebenaran.

Ada pendapat ulama yang membahagikan cara manusia mendapat hidayah:

1. اللهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ – Allah sendiri buat pilihan. Iaitu pemilihan khas yang diberikan kepada para Nabi dan Rasul عليهم السلام. Ini adalah keputusan Allah dan Dia sendiri yang pilih.
2. وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ – diberikan kepada manusia yang ada keinginan kepada kebenaran. Allah tarik mereka ke arah kebenaran kerana mereka sudah ada keinginan dalam hati mereka. Ini adalah kepada manusia biasa seperti kita. Maka kita kena ada niat untuk menerima kebenaran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

 

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 6 – 10 (Al-Qur’an untuk dunia)

Ayat 6: Ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ اللهُ حَفيظٌ عَلَيهِم وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ 

Sahih International

And those who take as allies other than Him – Allah is [yet] Guardian over them; and you, [O Muhammad], are not over them a manager.

Malay

Dan orang-orang yang menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang disembah dan diharapkan pertolongannya), Allah sentiasa mengawasi tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai soal (bawaan dan amalan) mereka.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah sebagai wali

Tujuan mereka mengambil selain daripada Allah sebagai wali mereka adalah dengan tujuan untuk merapatkan diri dengan Allah sebenarnya. Tujuan mereka baik sebenarnya. Tapi dengan cara yang salah.

Kalimah أَوْلِيَاءَ adalah jamak kepada kalimah ‘wali’. Dan siapakah pula ‘wali’ itu? Kalimah wali ini selalu disebut dan mempunyai banyak sekali pentafsiran. Dan ada berjenis-jenis wali dalam dunia ini.

Pertamanya, sifat Wali ini adalah seseorang yang rapat dengan kita dan kalau kita ada masalah, kita akan pergi kepadanya untuk meminta pertolongan.

Wali juga adalah seseorang yang ‘mahu’ memberi perlindungan kepada kita. Walaupun mungkin dia tidak dapat menolong kita, tetapi sekurang-kurangnya, dia berkeinginan untuk memberi pertolongan kepada kita.

Wali juga adalah seseorang yang kita taat kepadanya. Oleh itu, wali bukanlah hanya seseorang yang rapat sahaja dengan kita tetapi yang bantu membantu, taat mentaati. Sebab itulah, wali kepada seorang perempuan adalah ayahnya, atau kalau ayahnya tidak ada, jatuh kepada datuknya atau pakciknya dan ahli keluarganya yang lelaki. Bukankah anak perempuan itu kena taat kepada ayahnya?

Wali juga bermaksud seseorang yang akan membantu dan melindungi kita. Tidaklah dia sentiasa boleh melindungi kita, tapi sekurang-kurangnya dia mahu melindungi kita. Sebab itu selalunya perkataan ‘wali’ diterjemahkan dalam terjemahan bahasa kita sebagai ‘pelindung-pelindung’.

Selain dari itu, Wali selalunya dikatakan sebagai seorang yang mempunyai kuasa luarbiasa yang dapat memberi bantuan. Dalam perkara inilah banyak salah faham manusia. Ramai yang berharap kepada kuasa ‘luar biasa’ wali itu sampai menjerumuskan mereka ke lembah kesyirikan. Mereka sangka orang-orang alim yang telah mati itu diberi pangkat wali oleh Allah dan mereka boleh berharap kepada para ‘wali’ itu. Ini adalah syirik.

Soalan pertama yang kena tanya kepada mereka: “macam mana kamu tahu mereka itu ‘wali’? Kamu adakah sekali semasa wali itu mendapat watikah perlantikan dia?” Tentu tidak ada kerana wali ini rahsia Allah. Tidak ada sesiapa yang kenal wali. Yang ada sekarang adalah perlantikan ‘tidak rasmi’ iaitu manusia sahaja pandai-pandai kata orang itu dan orang ini sebagai wali.

Oleh itu, sesiapa yang mengambil selain dari Allah sebagai wali, bermaksud mereka itu mengharap kepada wali-wali itu, taat kepada mereka, memohon pertolongan kepada mereka. Ini adalah satu perbuatan yang syirik. Ini adalah kerana mereka telah menyamaratakan kedudukan Allah dengan wali-wali itu. Sepatutnya mereka memohon pertolongan, taat dan mengharap kepada Allah, tetapi mereka buat begitu kepada yang selain Allah.

Lebih teruk lagi, kalau mereka anggap yang wali-wali mereka itu ada kuasa luarbiasa dan kerana mereka sangka wali-wali itu ada kuasa luarbiasa, mereka sembah, puja wali itu, menyembelih binatang ternakan atau memberi persembahan kepada wali itu. Itu semua adalah perbuatan yang syirik, malangnya ada kalangan orang yang mengaku Islam pun ada buat juga.

Ramai sangat yang buat begitu. Kalau Musyrikin Mekah, mereka mengambil berhala-berhala mereka sebagai salah satu dari wali mereka. Tetapi ada juga orang-orang Islam yang melakukan kesalahan yang sama. Sebagai contoh, ramai yang mengambil orang-orang tertentu yang telah mati sebagai wali. Mereka akan berdoa kepada roh wali yang telah mati itu.

Mereka sembelih ayam atau apa-apa sahaja korban, kononnya supaya hajat mereka sampai. Mereka lawat kubur wali itu dan minta macam-macam kepada wali itu. Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan oleh mereka yang jahil. Ada yang sampai tawaf keliling kubur itu.

Dari mana mereka dapat ajaran sebegini? Dari guru-guru sesat. Dan itulah yang sekarang telah mula diajar oleh puak-puak Habib di negara ini. Mereka sudah mula ajak anak-anak muda kita berkumpul dan beribadat di kuburan ‘wali-wali’ (yang mereka lantik sendiri).

Kita terpaksa sebut tentang keburukan yang dibawa oleh mereka itu kerana jika tidak, akan ramai lagi yang akan sesat kerana terikut-ikut dengan mereka. Mereka datang dengan watak yang nampak alim, buat amalan yang nampak macam islamik tapi sebenarnya tidak. Kerana perawakan mereka yang ala islamik itu, maka ramai yang jahil terpengaruh dengan mereka.

Mereka itu akan menyesatkan masyarakat kita kalau kita tidak membongkar kesalahan mereka. Alhamdulillah sudah banyak pembongkaran tentang kesesatan mereka dari asatizah sunnah kita. Mereka itu tidak lain daripada penyanyi yang hendak mendapatkan upah sahaja dari nyanyian mereka. Mereka itu sebenarnya adalah golongan quburiyyun – penyembah kubur – yang telah ditolak di tempat asal mereka – Yaman.

Tapi yang hairannya, mereka mendapat tempat pula di negara kita ini. Ini adalah kerana kebanyakan orang kita keliru tentang hal agama dan tertipu dengan melihat kepada perwatakan manusia sahaja.

Yang berdoa kepada kubur Nabi Muhammad ﷺ pun ada juga. Ini adalah kerana salah faham dengan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah menaikkan baginda ke kedudukan yang melampau tinggi yang tidak sepatutnya bagi seorang manusia. Dan ajaran ini diamalkan dengan banyak sekali kerana dibawa dan diajar oleh guru-guru yang sesat.

 

اللهُ حَفِيظٌ عَلَيْهِمْ

Allahlah Penjaga atas mereka

1. Allah yang jaga segala amalan manusia, akan tulis amalan manusia untuk dihukum nanti di akhirat, bukan kamu wahai Muhammad. Allah akan memerhatikan tingkah laku mereka. Ini nak meringankan tugas Nabi. Supaya Nabi Muhammad ﷺ tak perlu sibuk dengan mereka.

Biar Allah sahaja yang menjaga amalan derhaka mereka untuk hukum mereka nanti. Nabi hanya perlu tabligh sahaja. Kita pun tak perlu nak sibuk jaga dosa dan pahala orang lain. Serahkan kepada Allah sahaja.

2. Selain dari itu, mereka yang sesat itu mengharap wali-wali itu melindungi, menjaga dan memelihara mereka. Tetapi di dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa Dialah yang menjaga dan memelihara mereka. Bukannya wali-wali itu yang memelihara dan menjaga mereka kerana wali-wali itu tidak mempunyai kuasa apa pun.

Bukanlah wali-wali itu yang dapat memenuhi doa mereka tetapi Allah. Bukanlah wali-wali itu yang melindungi mereka tetapi Allahlah sahaja yang mampu melindungi mereka. Wali-wali itu pun memerlukan perlindungan dari Allah, maka bagaimana mereka nak lindungi orang lain pula?

Ada antara mereka yang sesat itu yang telah mendapat sesuatu setelah mereka memohon kepada wali-wali yang telah mati itu. Mereka pun kata yang mereka telah dapat sesuatu itu setelah meminta kepada Wali itu, setelah buat itu dan ini di kubur wali-wali itu.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa walaupun mereka meminta kepada selain dari Allah, tetapi apa sahaja yang mereka dapat sebenarnya adalah dari Allah juga. Bukannya wali itu yang beri. Orang dalam kubur itu pun tak tahu apa yang diminta kepada mereka.

Sifat Allah adalah Maha Pemurah yang bermaksud walaupun manusia meminta kepada selain dariNya, tapi Dia masih tetap juga memberi kepada manusia itu hajat-hajat mereka. Jadi jangan gunakan apa yang mereka dapat itu sebagai dalil untuk mengatakan perbuatan mereka itu benar. Kesamaran ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat.

Cubalah fikirkan, sebelum mereka meminta kepada wali-wali itu, siapakah yang telah memberi mereka kehidupan dan keselamatan selama mereka hidup? Bukanlah mereka lahir-lahir sahaja telah minta kepada roh wali-wali itu, bukan? Tentulah segala nikmat yang mereka dapat adalah daripada Allah juga dan tidak ada kena mengena dengan wali-wali itu.

Sebenarnya, yang mereka ambil sebagai wali itu adalah syaitan. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana mata hati mereka telah dikelabui. Mereka sangka mereka puja Nabi dan wali, padahal sebenarnya mereka memuja syaitan. Sebagaimana Allah telah berfirman dalam Kahf:50

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai wali-wali selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim itu, pengganti yang mereka pilih itu.

Kenapa nak ambil syaitan-syaitan sebagai wali, sedangkan mereka itu adalah musuh kamu?

3. Ada satu lagi pemahaman dari ayat ini: sesiapa yang mengambil wali selain Allah, Allah akan menjadi حَفِيظٌ (Pengawas) ke atas mereka. Allah tahu apa yang mereka lakukan dan Allah tulis apa yang mereka perbuat. Ini adalah bahagian Takhwif Ukhrawi dimana Allah menakutkan kita. Allah nak beritahu yang Dia akan balas segala perbuatan syirik mereka itu dengan neraka yang mereka akan kekal di dalamnya.

 

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan engkau bukanlah menjadi penjaga amalan mereka.

Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman dan melakukan amal ibadat. Tidak ada paksaan di dalam agama. Begitu juga kita tidak dapat menjaga amal ibadat orang lain. Setiap manusia kena bertanggungjawab di atas amalannya sendiri.

Nabi Muhammad ﷺ dan kita juga hanya boleh menyampaikan dakwah dan mengajak manusia ke arah tauhid sahaja. Tidak boleh buat lebih dari itu. Hanya Allah sahaja yang menjadi wakil kepada mereka bagaimana firman Allah di dalam ayat Hud:12

إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu.

Dan di dalam ayat Yunus:99, Allah telah memberitahu kita bahawa kita tidak mampu untuk memaksa manusia untuk beriman:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

maka patutkah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Maka, jikalau kita telah menyampaikan kepada manusia ajakan tauhid dan mereka engkar tidak mahu menerimanya, maka mereka itu bukan tanggungjawab kita lagi. Kita tidak akan dipersalahkan jikalau mereka mengambil wali selain Allah. Kerana kita telah menjalankan tugas kita memberi dakwah kepada mereka.

Tapi bagaimana pula kalau kita tidak beri dakwah tauhid kepada mereka? Ini yang menakutkan kita kerana takut kita akan dipertanggungjawabkan nanti. Entah berapa ramai orang yang kita rapat dengan mereka, tapi kita tidak dakwah lagi kepada mereka.


 

Ayat 7: Ini adalah ayat targhib untuk kita mendekatkan diri dengan Al-Qur’an.

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لِّتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها وَتُنذِرَ يَومَ الجَمعِ لا رَيبَ فيهِ ۚ فَريقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَريقٌ فِي السَّعيرِ

Sahih International

And thus We have revealed to you an Arabic Qur’an that you may warn the Mother of Cities [Makkah] and those around it and warn of the Day of Assembly, about which there is no doubt. A party will be in Paradise and a party in the Blaze.

Malay

Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Qur’an dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Bagi tujuan kesempurnaan, Kami wahyukan kepadamu Al-Qur’an dalam bahasa Arab,

Lafaz كَذَٰلِكَ dalam ayat ini perlu diterjemahkan ‘bagi tujuan kesempurnaan’, baru boleh difahami. Tujuan Allah menurunkan Al-Qur’an adalah untuk memberi kesempurnaan. Iaitu kesempurnaan agama Islam. Kerana dengan Al-Qur’an ini kamu akan mendapat nikmat yang sempurna. Nikmat yang amat besar.

Lafaz Qur’an bermaksud: kitab yang selalu dan sentiasa dibaca. Apabila ditambah alif lam ma’rifah, maka ia merujuk kepada Al-Qur’an yang di tangan kita yang kita baca setiap hari ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab. Memang Kitab-kitab dari Allah diturunkan dalam bahasa umatnya. Kalau Taurat, ianya diturunkan dalam bahasa Hebrew kerana itulah bahasa mereka. Tujuannya supaya umat yang menerima kitab itu boleh faham.

Oleh itu, kerana Al-Qur’an mulanya diturunkan kepada bangsa Arab, maka Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab. Ini mengajar kita untuk menyampaikan dakwah dalam bahasa yang manusia yang didakwahkan itu boleh faham. Kalau dengan bangsa Cina, kenalah kita menyampaikan dakwah dalam bahasa Cina.

Ini mengajar kita bahawa Al-Qur’an itu mestilah disampaikan di dalam bahasa Arab. Maka janganlah kita hanya menggunakan terjemahan Al-Qur’an tanpa diletakkan bersamanya ayat Al-Qur’an yang asal. Memang ada dalam pasaran sekarang terjemahan Al-Qur’an yang tidak diletakkan ayat Al-Qur’an yang asal. Ini tidak patut.

Ini adalah amat bahaya kerana lama kelamaan ia nanti akan menjadi rujukan utama kepada mereka yang tidak tahu membaca dan memahami Al-Qur’an di dalam bahasa Arab. Nanti mereka tidak merujuk lagi kepada ayat Al-Qur’an yang asal.

Terjemahan ke dalam bahasa lain tidak boleh dipercayai sangat kerana terjemahan itu bukanlah terjemahan yang tepat. Ianya hanyalah sebagai rujukan kepada mereka yang tidak mahir bahasa Arab sahaja. Kita semestinya merujuk kepada Al-Qur’an yang asal.

Kita takut Qur’an nanti tidak dirujuk dalam bahasa Arab lagi. Begitulah yang terjadi kepada kitab-kitab yang sebelum Al-Qur’an. Sebagai contoh, Kitab Injil yang asalnya di dalam bahasa Hebrew telah dialih bahasa dari kitab yang asal tanpa disertai dengan teks Hebrew yang asal, sampaikan manusia sudah tidak tahu apakah teks asalnya. Mereka hanya merujuk kepada terjemahan ke dalam bahasa lain dan hingga mudah untuk mereka menukar-nukar maksud Kitab Injil itu.

Jadi, jangan kita guna hanya terjemahan Al-Qur’an. Begitulah juga bila kita memberikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada orang lain, dalam e-mel, whatsapp atau apa sahaja, hendaklah kita menyertakan bersama teks ayat itu, iaitu ayat Al-Qur’an yang asal. Jangan kita beri yang terjemahan sahaja. Kerana terjemahan itu tidak akan sama dengan Al-Qur’an yang asal. Ianya hanya sebagai rujukan sahaja kepada mereka yang tidak tahu bahasa Arab.

Selain dari itu, ayat ini mengajar kita bahawa kita kena berusaha untuk belajar bahasa Arab. Supaya kita dapat faham Al-Qur’an dengan lebih mendalam. Kerana kita kena faham dengan lebih mendalam Al-Qur’an ini. Kerana seperti yang kita telah tahu, hidup ini adalah ujian.

Dan seperti dalam ujian peperiksaan, tentu ada buku rujukan, bukan? Maka, buku rujukan kita adalah Al-Qur’an ini. Untuk kita memahaminya dengan lebih baik, kita kena tahu bahasa Al-Qur’an dengan fasih.

Tapi, janganlah pula tunggu sampai sudah pandai bahasa Arab baru nak belajar tafsir. Kita belajarlah sekali harung. Semasa belajar tafsir, boleh belajar sekali bahasa Arab. Ianya akan menjadi lebih cepat lagi kerana kita akan lebih bermotivasi untuk mempelajari bahasa Arab kerana kita hendak mengetahui maksud Al-Qur’an dengan lebih mendalam. Jangan beri alasan tak belajar tafsir kerana nak belajar bahasa Arab dulu – sampai bila-bila pun tidak akan belajar tafsir kalau macam itu.

 

لِّتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

supaya engkau memberi peringatan kepada (penduduk) “Ummul-Qura”

‘Ummul Qura’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah penduduk Mekah. Ummul Qura bermaksud ‘ibu segala pekan’. Sebagaimana anak akan pergi ke mana-mana tapi akan tetap balik kepada ibunya. Begitulah juga perumpamaan kepada setiap tempat dalam dunia ini.

Ibu negara dunia ini adalah di Mekah. Kerana di situlah permulaan penempatan manusia. Dan dari sejarah pun, penduduk-penduduk lain akan sentiasa datang ke Mekah untuk melakukan ibadat haji.

Lihatlah bagaimana Allah menghantar RasulNya ke ibu negara sesuatu negara itu untuk berdakwah. Maka, ini sebagai sunnah yang kita kena ikut. Iaitu kita kena mulakan dakwah dari ibu negara. Kalau di Malaysia, kita kena mulakan dari Kuala Lumpur.

Tapi tidaklah Al-Qur’an ini diberikan kepada Mekah pula, jadi maksudnya yang tersirat: ianya untuk diberikan kepada penduduk Mekah itu.

Maka begitulah Nabi Muhammad ﷺ telah mula-mula dihantar kepada penduduk Mekah,  kaumnya pada peringkat awal. Ini adalah kerana Nabi kena betulkan kaumnya dahulu sebagai model untuk menjadi rujukan kepada orang umat lain. Kerana itulah mereka menjadi penerima wahyu yang terawal. Mereka yang kena masuk Islam ramai-ramai dulu. Kalau mereka telah terima, maka senanglah untuk manusia yang lain untuk terima juga ajaran tauhid ini.

Tinggi sekali keutamaan Mekah ini dalam agama kita. Nabi Muhammad amat sayang kepada Mekah dan kerana itu baginda sedih apabila terpaksa meninggalkan Mekah. Baginda telah bersabda semasa meninggalkan Mekah:

“Alangkah indah engkau (Mekah) sebuah negara. Alangkah sayangnya daku kepadamu. Jikalau tidak kerana kaumku menghalau daku keluar darimu, aku tidak akan menetap selain darimu” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

 

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan sekalian penduduk di sekelilingnya,

Maksud pertama ‘penduduk sekelilingnya’ adalah mereka yang di sekeliling Mekah. Kerana mereka yang tahu bahasa Arab. Jadi mudah mereka untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an itu. Tapi bukan setakat mereka sahaja.

Al-Qur’an itu bukanlah hanya untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk penduduk-penduduk di sekelilingnya yang lebih besar dan luas lagi. Bukanlah juga setakat bermaksud di sekeliling tanah Arab sahaja. Kerana kalau begitu, tentulah Al-Qur’an tidak sampai kepada kita.

Maksud ‘sekelilingnya’ apabila diperbesarkan, ia akan meliputi seluruh dunia. Kerana kawasan dakwah akan berkembang dan berkembang. Sekeliling Mekah, membesar ke sekeliling Tanah Arab, membesar sekeliling benua Timur Tengah, kemudian membesar lagi meliputi seluruh dunia. Begitulah maksudnya.

Maksudnya, Al-Qur’an ini perlu disampaikan ke seluruh dunia sebenarnya. Dan itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat. Mereka telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan ayat Al-Qur’an kepada manusia lainnya. Sebab itulah mereka ramai yang mati di negara lain kerana mereka menyebarkan Islam. Mereka tinggalkan anak isteri untuk memperkenalkan Allah kepada dunia.

Marilah kita menyampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada masyarakat kita dahulu. Masyarakat kita ini telah lama jauh daripada pemahaman Al-Qur’an. Mereka kebanyakannya adalah orang yang baik-baik dan warak, tetapi malangnya mereka tidak mendapat ilmu Al-Qur’an. Kalau yang mereka mahir pun adalah ‘membaca Al-Qur’an’ dan ilmu-ilmu lain seperti fekah, contohnya. Tapi bagaimana dengan pemahaman ayat dalam Al-Qur’an itu?

Memang ilmu Tafsir Al-Qur’an ini boleh dikatakan tidak ada di negara ini sebelum ini. Jarang sekali diajar di negara kita. Kerana kita jarang dengar ada kelas pengajian Tafsir Al-Qur’an, sampaikan ianya menjadi sesuatu yang asing kepada kita. Adakah anda pernah dengar mana-mana ulama’ yang terkenal dengan pengajaran tafsir Al-Qur’an di Malaysia?

Tidak ada rasanya sebab kalau ada, dia sudah jadi terkenal. Pengajaran lain kita banyak dengar, tapi tentang Tafsir Al-Qur’an, kita tidak dengar lagi. Tetapi, janganlah kita terus berada di dalam kejahilan ini. Mulakan ajak manusia untuk memahami Al-Qur’an yang mereka baca setiap hari itu. Berhentilah jadi burung Belatok yang hanya pandai menyebut perkataan, tapi langsung tidak memahami apa yang disebutnya. Alhamdulillah semenjak dua menjak ini kita perhatikan manusia semakin berminat dengan pengajian Tafsir Al-Qur’an dan kelas pengajian semakin bercambah.

Bukan kepada orang Islam sahaja yang kita perlu ajar tafsir Al-Qur’an ini, tetapi kepada orang-orang kafir juga. Kalau bukan kita yang sampaikan, siapa lagi yang akan lakukan?

 

وَتُنذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ

serta memberi peringatan dan amaran mengenai Hari Perhimpunan

Lihatlah yang pertama sekali disampaikan adalah tentang Hari Akhirat. Hari Perhimpunan ini bukan hari perhimpunan di sekolah tapi perhimpunan di Mahsyar pada Hari Kiamat. Allah suruh kita ingatkan manusia kepada hari dimana semua makhluk akan dikumpulkan pada hari itu. Dari makhluk yang mula dicipta semenjak alam ini dijadikan, sampailah kepada makhluk yang dimatikan pada Hari Kiamat. Semua sekali akan dikumpulkan dan tidak ada makhluk yang boleh melarikan diri.

Bukan manusia dan jin sahaja, bukan makhluk yang hidup di bumi sahaja yang akan dikumpulkan, tetapi SEMUA makhluk, sama ada yang di langit atau di bumi dan di mana-mana sahaja. Tidak dapat dibayangkan berapa banyaknya makhluk waktu itu. Suasana akan menjadi amat kecoh waktu itu.

Untuk apa pengumpulan itu? Untuk dibacakan apakah yang mereka telah lakukan dan akan dijalankan pengadilan sama ada seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada syak tentang datangnya;

Maknanya pasti Allah Taala akan jadikan hari itu berlaku. Pasti kita akan bertemu dengan hari itu. Maka apabila telah tahu, kenalah buat persiapan awal untuk menghadapinya. Pertamanya, kena kenal tauhid dan kemudian kena buat amalan soleh.

Dan kemudian kita kena ingatkan manusia dengan hari akhirat. Supaya lembut hati manusia untuk menerima ajakan tauhid ini kerana takutkan akan balasan di akhirat kelak. Kita kena ingatkan walaupun kalau degil, kena ingatkan mereka.

 

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ

sepuak masuk Syurga

Yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Iaitu mereka yang buat persiapan awal. Tidaklah dengar tapi buat tak tahu, tidak buat amalan apa-apa. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.

 

وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

dan sepuak lagi masuk neraka.

Yang tidak beriman dan tidak melakukan amal kebaikan, akan dimasukkan ke dalam neraka yang apinya menyala-nyala. Itulah maksud kalimah السَّعِيرِ.

Mulanya makhluk dikumpulkan dan kemudian selepas pengadilan dilakukan, mereka pecah kepada dua kumpulan sahaja: sama ada masuk syurga atau masuk neraka. Tidak ada pilihan ketiga. Pilihan mana yang kamu hendak? Kita kenalah fikir-fikirkan.


 

Ayat 8: Allah memberitahu QudratNya dalam ayat ini. Allah boleh buat apa sahaja.

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَهُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن يُدخِلُ مَن يَشاءُ في رَحمَتِهِ ۚ وَالظّٰلِمونَ ما لَهُم مِّن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

And if Allah willed, He could have made them [of] one religion, but He admits whom He wills into His mercy. And the wrongdoers have not any protector or helper.

Malay

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya; dan orang-orang yang zalim, tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَهُم أُمَّةً واحِدَةً

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat

Maksud ‘satu umat’ itu adalah semuanya beriman. Allah boleh sahaja jadikan semua makhlukNya beriman belaka. Atau semua makhlukNya kafir belaka. Allah mampu untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Tetapi Allah tidak mahu untuk buat begitu. Allah berikan manusia peluang untuk memilih sama ada untuk beriman atau tidak. Terpulang kepada makhluk, tapi kalau tidak taat kepadaNya, akan dikenakan dengan balasan azab.

Allah beritahu tentang hal ini kerana ada yang tanya, kalau Allah berkuasa sangat, kenapa Allah tak buat semua manusia dan jin taat sahaja? Jawapannya, Allah boleh jadikan semua makhluk beriman, sebagaimana Allah jadikan semua malaikat itu beriman dan taat sahaja tanpa soal. Akan tetapi Allah tidak mahu jadikan begitu dan semua ini adalah atas kebijaksaanNya. Mungkin kita sendiri tidak nampak kenapa, tapi Allah Maha Tahu.

 

وَلَٰكِن يُدْخِلُ مَن يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ

akan tetapi Allah memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya

Allah memasukkan seseorang itu dalam rahmatNya dengan menjadikannya beriman. Ini kerana mereka sendiri mahu beriman dan mereka buat amalan baik sebagai persiapan untuk menuju akhirat. Mungkin amalan mereka itu tidak cukup untuk menempatkan mereka ke dalam syurga, tapi kerana ikhlasnya mereka, dan ada usaha dari mereka, Allah terima juga dan masukkan mereka ke dalam syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Maknanya, Allah yang berikan kita rahmat iman itu. Bukannya kita dapat sendiri atau dengan usaha kita. Kita beriman dan beramal soleh bukannya kerana kita baik, kita pandai atau sebagainya, tidak. Kita jadi begitu kerana Allah yang beri kita peluang itu.

Maka jangan kita bangga sangat kalau kita orang Islam yang banyak amal. Sebaliknya hendaklah kita bersyukur kepada Allah. Kerana Allah yang gerakkan kita jadi orang baik. Dan salah satu tanda kita bersyukur itu adalah dengan menyampaikan dakwah itu kepada orang lain.

 

وَالظَّالِمُونَ مَا لَهُم مِّن وَلِيٍّ

dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan

Zalim bermaksud zalim dengan diri sendiri kerana apabila diajarkan wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima. Mereka yang sebegitu tidak akan mendapat sesiapa pun yang mahu menjadi pelindung kepada mereka. Tidak akan sesiapa yang boleh lindung mereka dari masuk neraka.

 

وَلَا نَصِيرٍ

dan tidak ada pertolongan.

Ramai yang sangka mereka akan dapat pertolongan dari taghut-taghut yang mereka sembah sebagai wali. Tapi itu tidak akan terjadi. Tidak ada yang akan cari mereka dan keluarkan mereka dari neraka kelak apabila mereka dimasukkan.


 

Ayat 9: Ayat Zajrun.

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ۖ فَاللهُ هُوَ الوَلِيُّ وَهُوَ يُحيِي المَوتىٰ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

Or have they taken protectors [or allies] besides him? But Allah – He is the Protector, and He gives life to the dead, and He is over all things competent.

Malay

Adakah patut mereka menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang disembah dan dipuja) sedangkan Allah jualah Pelindung yang sebenar-benarnya, dan Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati. Dan (ingatlah), Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

أَمِ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Patutkah mereka mengambil selain dari Allah sebagai wali-wali mereka?

Tidak patut sama sekali kerana entiti-entiti yang mereka ambil sebagai wali itu, tidak mempunyai kekuasaan apa-apa. Allah tidak pernah lantik mereka pun. Allah tidak pernah beritahu pun perkara ini.

 

فَاللهُ هُوَ الْوَلِيُّ

padahal Allah jualah wali yang sebenar-benarnya,

Tidak patut kerana Allahlah wali yang sebenarnya. Sepatutnya, makhluk hanya mengambil Allah sahaja sebagai wali. Berharap hanya kepadaNya, taat hanya kepadaNya sahaja. Kita telah sebut bagaimana ‘wali’ antaranya bermaksud ‘pelindung’.

Maka kita sebagai umat Islam hendaklah menjadikan Allah sebagai pelindung kita. Dan kita juga telah memberitahu bahawa wali itu juga perlu ditaati. Maka kita kenalah taat kepada Allah sahaja sepenuhnya.

 

وَهُوَ يُحْيِي الْمَوْتَىٰ

dan Dialah yang menghidupkan yang mati.

Kenapa Allah sahaja sebenar-benar wali? Kerana hanya Allah sahaja yang boleh menghidupkan yang sudah mati. Ini bukanlah kerja selain Allah boleh buat dan HANYA Allah sahaja yang mampu melakukannya. Kerana Allah sahaja yang Maha Kuasa. Nabi, wali dan malaikat tidak boleh buat begitu. Semua sudah tahu perkara ini.

Kalau Allah boleh melakukan satu perkara yang hebat, menghidupkan yang telah mati, maka bolehkah Allah menyelesaikan masalah kita? Tentu boleh. Maka, hendaklah kita berdoa kepadaNya sahaja. Selain dari Allah tidak boleh. Jadi kalau minta kepada selain Allah itu memang tidak masuk akal.

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan (ingatlah), Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Tidak ada entiti lain yang Maha Berkuasa seperti Allah. Maka, janganlah kita sembah dan berdoa kepada entiti selain Allah.

Allah yang menentukan segalanya. Ini termasuk dalam perkara Qadha dan Qadar. Dan kita pun tahu yang kita kena beriman dengan Qadha dan Qadar. Maka apa-apa sahaja yang Allah telah tentukan, maka kita kena redha dan kena terima.

Habis Ruku’ 1 dari 5 ruku’ surah ini.


 

Ayat 10:

وَمَا اختَلَفتُم فيهِ مِن شَيءٍ فَحُكمُهُ إِلَى اللهِ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبّي عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

Sahih International

And in anything over which you disagree – its ruling is [to be referred] to Allah . [Say], “That is Allah , my Lord; upon Him I have relied, and to Him I turn back.”

Malay

Tentang sesuatu apapun kamu berselisih maka keputusannya [terserah] kepada Allah; [Yang mempunyai sifat-sifat demikian] itulah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”.

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ

Dan apa jua perkara yang kamu berselisihan padanya

Manusia memang banyak perselisihan antara mereka. Sama ada berselisih dalam perkara agama atau perkara dunia. Iaitu perkara apa sahaja. Sama ada perbezaan itu antara sesama Islam atau dengan orang bukan Islam pun.

Apa-apa sahaja perbezaan mungkin timbul. Manusia memang ada banyak perbezaan pendapat yang mereka berselisih antara mereka. Ini biasa sahaja kerana setiap manusia ada pandangannya sendiri. Tetapi perbezaan yang paling penting adalah tentang Tauhid. Ini adalah kerana perkara inilah yang menyebabkan sama ada kekal atau tidak di neraka atau syurga. Dan inilah pemisahan antara manusia yang utama. Kerana perbezaan pendapat inilah yang ada Ahli Haq dan Ahli Bathil.

Kalau ada perbezaan itu, apa yang boleh kita lakukan?

 

فَحُكْمُهُ إِلَى اللهِ

maka hukumnya terserah kepada Allah;

Serahkan keputusan kepada Allah. Allah akan buat keputusan dalam bentuk ‘amali’ di akhirat kelak. Tapi hukum dalam bentuk teori telah ada dalam kitab Allah. Kita sudah tahu mana yang benar dan mana yang tidak berdasarkan apa yang Allah beritahu dalam wahyu. Asalkan mahu belajar sahaja dan meluangkan masa untuk belajar. Kalau tidak tahu itu kerana tidak belajar. Maka kenalah kita belajar ‘keputusan teori’ sebelum ‘keputusan amali’ nanti.

Dan di akhirat nanti, akan dijelaskan perkara itu dalam bentuk kenyataan (bentuk amali) nanti. Waktu itu menyesallah mereka yang tidak melihat dan memahami apakah hukum dalam bentuk teori semasa di dunia. Kerana kalau baru sedar diri telah buat kesilapan, tidak ada apa yang mereka boleh baiki lagi kerana sudah terlambat.

Maka, dari sini kita tahu yang kita MESTI merujuk kepada Allah apabila kita ada perbezaan pendapat terutama dalam hal agama. Allah yang menentukan manakah yang benar dan baik. Hanya Allah sahaja yang boleh menentukan manakah yang betul dengan pasti. Kita kena ikut apa yang Allah beritahu kita, bukannya ikut hawa nafsu dan akal kita.

Sebaliknya kita kena cari apakah keputusan Allah dalam sesuatu perkara itu. Kerana keputusan Allahlah yang terbaik. Dan Allah telah buat keputusan dan panduan di dalam Al-Qur’an ini. Allah juga telah berfirman dalam Nisa:59

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Tapi bagaimanakah cara untuk merujuk kepada Allah? Tentulah dengan merujuk kitab Allah iaitu Al-Qur’an. Dalam Al-Qur’an telah diberikan berbagai-bagai hukum yang lengkap untuk menangani apa-apa masalah yang kita hadapi. Tapi untuk faham, kenalah pula belajar tafsir dan kaji pendapat ulama dalam pentafsiran ayat-ayat itu.

Allah Maha Bijaksana, maka keputusan Allah adalah keputusan yang terbaik. Allah tidak tertakluk kepada emosi. Macam manusia, keputusannya ada yang terikut-ikut dengan nafsu dan kerana itu keputusannya tidak berapa tepat. Dan Allah juga sempurna ilmuNya, maka tentulah Dia sahaja yang boleh keputusan dengan tepat.

Di dunia, Allah telah beri hidayah dan hukum manakah yang perlu dipakai. Dan di akhirat nanti, kalau ada perselisihan yang tidak dapat diselesaikan di dunia, Allah akan tetapkan manakah yang benar antara dua pendapat itu. Tapi, kalau keputusan itu kita hanya tahu di akhirat sahaja, sudah terlambat untuk kita memperbetulkan keputusan kita itu.

Maka, hendaklah kita tahu manakah keputusan yang benar semasa di dunia lagi. Maka kerana itu, hendaklah kita belajar wahyu ini semasa hidup lagi supaya kita tidak menyesal di akhirat kelak.

Malangnya, ramai orang kita yang pandai membaca ayat ini tapi mereka tidak mengamalkannya langsung. Mereka selalu mengatakan “marilah kembali kepada ajaran Al-Qur’an”, tetapi mereka sendiri tidak pernah pun belajar tafsir Al-Qur’an. Itu adalah kata-kata slogan kosong sahaja.

Lalu bagaimana mahu kembali kepada Al-Qur’an kalau tak belajar pun apakah makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an itu? Maka kata-kata mereka itu hanyalah kata-kata kosong sahaja. Itu adalah kata-kata menunjuk sahaja – nak menunjuk bahawa kononnya mereka itu beriman.

 

ذٰلِكُمُ اللهُ رَبِّي

Itulah untuk kamu, Allah Tuhanku;

Allah menekankan sifat Rabb dalam ayat ini. Rabb bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ tetapi ia merangkumi sifat Allah yang mencipta, memelihara makhlukNya. Allah sentiasa mentadbir kehidupan kita.

Allah bukan sahaja mencipta kita dari tidak ada kepada ada, kemudian biarkan kita hidup begitu sahaja. Allah tidak biarkan kita tapi Allah bekalkan kita dengan petunjuk wahyu dan diangkat para RasulNya untuk membimbing. Oleh kerana Allah yang jadikan kita, maka tentunya Allah yang paling tahu apa yang kita perlukan.

 

عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ

kepadaNyalah aku berserah diri

Kita hendaklah menerima apa sahaja yang Allah telah tetapkan. Itulah maksud ‘tawakal’. Iaitu kita usaha dan kemudian kita serahkan kepada Allah. Apa-apa sahaja yang terjadi selepas itu, kita serahkan kepada Allah dan kita redha dengan keputusan Allah dalam hal itu.

Kita mungkin tidak faham kenapa Allah suruh buat begini dan begitu. Akal kita tak mungkin dapat mencapai pemahaman seperti Allah. Tapi kerana kita percaya dengan Allah, kita terima sahaja. Kerana kita tahu yang Allah adalah Maha Bijaksana.

Oleh itu, selepas kita buat amal, kita serahlah sahaja kepada Allah nak buat apa dengan kita. Sama ada nak masukkan kita ke dalam syurga atau neraka. Kerana itu adalah keputusan Allah. Dan selepas kita berusaha dalam apa-apa hal, kita juga serahkan keputusan itu pada Allah. Kerana kita ada usaha sahaja, tapi yang menentukannya adalah Allah.

 

وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”.

Kita rujuk kepada Allah dalam membuat keputusan kita. Tapi kita tidak boleh bercakap-cakap dengan Allah. Oleh itu, kita hendaklah belajar ayat-ayat Allah kerana itulah cara yang Allah telah tetapkan untuk kita berinteraksi denganNya.

Oleh kerana itu, satu tips yang dapat mendekatkan diri kita dengan Al-Qur’an adalah bayangkan kita sedang berinteraksi dengan Allah semasa kita baca Al-Qur’an. Bayangkan yang Allah sedang bercakap-cakap dengan kita. Ini akan lebih memberi kesan kepada pembacaan Al-Qur’an dan tadabbur kita.

Maksud ayat ini adalah kena taat kepada Allah. Oleh kerana itu, tawakal kepada Allah hanya boleh dilakukan setelah taat kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 1 – 5 (Langit hampir pecah kerana syirik)

Pengenalan Surah Shura:

Surah ini ada menceritakan tentang guru-guru yang ajar ajaran syirik dan bidaah kepada anak-anak murid mereka. Ini ada disebut dalam ayat ke-21. Iaitu mereka ‘buat’ syariat sendiri. Mereka bermesyuarat sesama sendiri, dan kata amalan ini dan amalan itu adalah baik dan diterima. Mereka kata itu adalah ijma’ ulama.

Patutnya, kalau mesyuarat untuk menyelesaikan hal kehidupan, memanglah boleh, tapi bukan dalam hal ibadat. Kerana cara-cara ibadat telah ditetapkan oleh Allah dan telah diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Dan apabila mereka mengatakan itu adalah ijma’ ulama’, itu adalah perkara yang tidak tepat. Seolah-olah mereka tidak faham apakah maksud ijma’ itu sendiri. Kerana bukan senang ijma’ itu dapat dijalankan, sampaikan ulama sunnah mengatakan yang ijma’ hanya berlaku pada zaman sahabat sahaja, kerana waktu itulah sahaja yang ulama satu dunia dapat bertemu dan bersetuju atas sesuatu perkara.

Majlis baca yasin solat hajat bidaah
Nabi dan para sahabat sebelum keluar berperang tidak mereka buat solat hajat bersama-sama. Baca Yasiin pun tidak padahal urusan berat. Antara menang atau kalah, antara hidup atau mati

Bidaah ini apabila mula dibuka, mula dibenarkan, akan ditambah-tambah padanya. Contohnya, Solat Hajat itu kalau dikerjakan sendirian pun memang sudah bidaah sebab tidak ada sunnahnya dalam agama. Tapi apabila dibenarkan dan diajar kepada masyarakat, ia akan jadi melarat. Sepatutnya solat sunat biasa sahaja dan kemudian berdoa. Dan kalau solat sunat, kenalah buat sendirian sahaja, tidak boleh dilakukan solat sunat berjemaah melainkan ada dalil.

Mereka akan tambah lagi bidaah yang sudah ada. Mulanya, mereka tambah ‘lafaz niat’, maka timbullah soalan kurang cerdik: “macam mana niatnya, ustaz?”; kemudian cara-cara Solat Hajat itu kena direka, kerana memang tidak ada pun diajar oleh ulama salaf.

Maka, akan ada macam-macam jenis cara. Maka kerana ramai yang reka, maka tentulah ada sahaja perbezaan dari segi rakaat, dari segi doa, surah apa yang dibaca dalam solat itu, berapa kali kena baca dan sebagainya; kemudian ditambah dengan solat itu dibuat berjemaah, supaya lebih kuat lagi untuk ‘desak’ Allah.

Kalau seorang sahaja, tak cukup kuat pada anggapan mereka; kemudian ditambah lagi, jemaah itu pula kena 40 orang baru cukup; imam pula kena cari yang ‘terkenal’, yang serban besar, kuat zikir, dahi hitam dan sebagainya.

Dan apabila sudah ramai datang, sudah kena beri makan, maka kena buat kenduri; mulanya beri duit tambang sahaja kepada imam Solat Hajat itu, lama-lama sudah jadi ‘upah’. Lagi hebat dan terkenal ustaz itu, lagi mahal kena bayar.

Ini semua kerana asal dari tidak melarang Solat Hajat itu dari dilakukan. Mereka yang takut untuk mengatakan Solat Hajat itu bidaah, akan kata tidak ada masalah kalau buat Solat Hajat, tapi lihatlah bagaimana Solat Hajat ini telah menjadi satu punca pendapatan kepada sesetengah orang dan dilakukan dengan berbagai-bagai cara yang amat bidaah. Mulanya bidaah sedikit sahaja, tapi lama kelamaan telah jadi macam-macam. Sampaikan sekarang kalau kita tegur, kita pula yang dipersalahkan.

Itu semua adalah perbuatan-perbuatan yang ditambah dan menyusahkan umat. Ianya adalah salah di sini ugama kerana ianya menambah-nambah perkara dalam agama. Mereka tidak nampak beratnya dosa buat bidaah itu.

Mereka tidak perasan bahawa mereka-reka ibadah itu sebenarnya mengganti kerja Tuhan. Sepatutnya, aturan agama ini diberikan oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi ﷺ, tapi mereka sendiri yang memandai menambah-nambah apa yang tidak ada. Masalahnya cuma satu: tidak belajar agama.

Perkataan ‘Shura’ bermaksud mesyuarat/konsultansi. Surah ini adalah surah Makkiah – diturunkan di Mekah. Ianya adalah salah satu dari 7 surah hawameem – surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’. Surah-surah hamim ini memperkatakan tentang doa kepada Allah. Iaitu dalam berdoa, kita kena tauhid kepada Allah sahaja. Jangan seru kepada selain Allah. Ini adalah tafsir kepada ayat iyyaka nas’tain dalam surah Fatihah.

Banyak sungguh kekeliruan dalam masyarakat Islam kita tentang doa dan cara-cara berdoa. Jadi, diharap dengan membaca surah-surah ini, akan lebih memberi kefahaman tentang ibadah doa.

 

Tauhid Dalam Berdoa

Maksud utama tentang Tauhid dalam Berdoa telah dibentangkan dalam Surah Ghafir. Tetapi, mungkin ada yang keliru tentang Tauhid dalam Doa itu, maka Allah telah turunkan enam lagi surah selepas Surah Ghafir itu untuk menjelaskan tentang kesamaran tentang syirik yang mungkin timbul di hati dan fikiran manusia.

Dalam Surah Fussilat, telah dibincangkan kesamaran pertama: manusia yang melakukan syirik dalam berdoa masih lagi mendapat apa yang mereka hajati dengan cara syirik mereka. Allah jawab dalam Surah Fussilat itu, walaupun mereka dapat apa yang mereka minta dengan cara syirik, itu bukanlah tanda bahawa cara itu benar.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Surah Shura ini hendak membincangkan kesamaran yang kedua. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa itu kata ada dalil yang membenarkannya. Mereka bawa hujah dari merata tempat, dari kata ulama itu dan ini, kitab itu dan ini.

Dalil-dalil dan hujah itu telah menyebabkan ramai yang keliru dan mereka berpegang dengan dalil dan hujah itu walaupun sebenarnya ia bukanlah dalil sebenarnya. Mereka yang tidak belajar, memang akan keliru dengan hujah-hujah yang ada kerana mereka tidak dapat nak bezakan mana dalil dan mana tidak.

Surah ini menjelaskan bahawa tidak ada dalil sama sekali dalam nas yang diberikan kepada makhluk untuk buat syirik. Semua ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut bahawa Allah sahaja yang berkuasa. Tidaklah Allah beritahu ada yang lain ada kuasa sampai boleh minta kepada mereka. Dalam Al-Qur’an, Allah tetap memperkenalkan bahawa Dia sahaja yang Maha Kuasa, tidak ada entiti lain yang ada kuasa sepertiNya.

Tetapi, amat ramai manusia yang keliru tentang syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul. Sedangkan dosa syirik ini amat bahaya kerana Allah telah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik. Kalau dosa lain, Allah boleh ampunkan lagi, tapi tidak ada harapan kepada mereka yang melakukan syirik.

Kenapa berat sangat dosa syirik ini sampaikan Allah akan kekalkan pelakunya dalam neraka? Kita beri perumpamaan suami isteri. Kalau isteri kita tidak pandai masak, kita boleh maafkan lagi, boleh pergi makan di kedai. Kalau tidak cantik pun tidak mengapa, kalau tidak pandai mengemas pun masih ada maaf lagi.

Tapi kalau isteri itu sampai menduakan suami, sampai ada lelaki lain yang naik atas katil dengan isteri kita, suami yang normal takkan boleh terima dan takkan maafkan perbuatan isteri itu. Itu kalau menduakan suami, bagaimana pula kalau menduakan Allah? Tentu Allah lebih layak untuk marah kepada mereka yang menduakanNya. Semoga kita faham kenapa kita menekankan tentang tauhid dan syirik dalam penulisan blog ini.

Penerangan tentang syirik amat jelas dalam Al-Qur’an kepada mereka yang belajar. Segala bukti dan dalil telah diberikan untuk melarangnya. Tapi ada pula yang bawa dalil boleh buat syirik. Mungkin ada yang keliru dengan dalil-dalil yang dibawa itu. Mereka akan terfikir, bagaimana pula dengan dalil-dalil ini? Jadi Surah Shura ini Allah turunkan untuk menjawab dan menghilangkan kesamaran itu.

Ada yang tidak menyakini kitab wahyu kerana mereka tidak belajar. Dan apabila mereka diberikan dengan hujah dari sumber yang lain dari wahyu, mereka boleh keliru tentang tauhid. Pada mereka, sudah ada bukti yang membenarkan mereka melakukan perbuatan syirik yang mereka lakukan. Oleh itu, pada mereka, perkara yang mereka lakukan itu tidaklah syirik pada pandangan mereka.

Itu tidak benar sama sekali. Oleh itu, kalau ada ‘dalil’ yang sampai kepada kita yang sudah belajar ini yang membenarkan syirik dalam doa, kita kena jawab bahawa apa-apa sahaja riwayat yang bersalahan dengan akidah tauhid, itu semua adalah palsu. Kerana tidak ada lagi hadis sahih yang berlawanan dengan akidah yang diajar dalam Al-Qur’an.

Kalau periksa mana-mana hadis yang macam itu, kita pasti akan dapat kepastian bahawa ianya adalah palsu. Hadis-hadis sebegitu adalah hadis-hadis yang palsu yang ditulis oleh manusia hasil dari bisikan syaitan. Sebab itu penting belajar hadis juga. Kalau hadis pun tidak ada, tentulah pandangan lain pun tidak terpakai juga. Tidak kiralah datang dari kitab mana atau pandangan ulama mana pun.

Maka, kalau tidak belajar wahyu Al-Qur’an, maka ada yang keliru apabila dihulurkan dengan hujah-hujah lain. Kerana mereka tidak belajar dengan sempurna.

Cara untuk menjawab kesamaran itu ada dalam ayat ke-14. Inilah ‘Maksud’ surah ini – iaitu ayat terpenting dalam surah ini yang kita kena beri perhatian yang lebih – kena tawajuh. Kena belajar tafsir baru faham ayat ini kerana kalau baca sendiri tidak boleh faham kerana ianya memerlukan penjelasan.

وَما تَفَرَّقوا إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ أورِثُوا الكِتابَ مِن بَعدِهِم لَفي شَكٍّ مِنهُ مُريبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan melainkan setelah sampai ilmu tauhid kepada mereka; berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak terhadap Kitab itu.

Ayat ini memberitahu kita bahawa tidaklah golongan Ahli Kitab dahulu berbeza pendapat melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu tentang tauhid. Maknanya, bukan mereka tidak tahu kerana telah disampaikan kepada mereka. Selepas mereka disampaikan dengan ilmu tauhid itu, ada antara mereka yang menerima tauhid dan ada yang kembali kepada syirik.

Perselisihan yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah perselisihan yang kecil tetapi perselisihan dari segi akidah. Jadi, mereka berselisih itu bukanlah kerana mereka jahil, tapi kerana mereka degil sahaja. Kerana telah sampai kepada mereka ilmu tauhid tapi mereka degil untuk terima.

Allah beritahu kenapa mereka berselisih. Mereka berselisih itu kerana hasad dengki sesama mereka. Kerana ingin kedudukan dunia. Ini adalah kerana mereka tamak harta dunia dan tamak kedudukan di dunia. Kerana mereka cari makan dengan cara syirik. Mereka dapat habuan dari apa yang mereka lakukan dari amalan syirik.

Mereka ada hasad dengki itu sampai benda yang jelas jadi samar kepada mereka kerana hati mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang disampaikan. Apabila ada orang bawa dalil dari wahyu, mereka tak boleh terima.

Oleh itu, kita dapat faham bahawa yang melawan tauhid adalah kerana nak cari makan sahaja. Begitulah juga dalam masyarakat kita. Yang menentang kita menyampaikan ajaran sunnah dan tauhid ini adalah kerana kita kacau carian makan mereka. Memang mereka akan lawan sebab sudah susah mereka nak cari makan. Sudah susah mereka hendak menipu masyarakat dengan amalan-amalan doa mereka yang mengamalkan tawasul itu.

Walaupun mereka telah mengamalkan syirik dalam doa mereka, Allah tidak terus beri azab kepada mereka. Allah telah taqdirkan yang azab akan dikenakan kepada mereka pada waktu yang telah ditetapkan – hanya Allah sahaja yang tahu. Allah sanggup tangguh azab yang patut dikenakan kepada mereka. Maka itu sebab mereka selamat kerana Allah tidak terus beri azab. Tapi pasti mereka akan kena azab.

Mereka yang mewarisi kitab wahyu selepas mereka, seperti Taurat, Injil, terus menerus ragu-ragu dalam akidah tauhid. Walaupun mereka ada kitab, tapi mereka tidak ada keyakinan atas akidah tauhid. Ini kerana ada pemuka agama mereka telah ubah ajaran agama. Sampai para pengikut tidak tahu agama yang sebenar macam mana. Ini adalah kerana ajaran wahyu tidak dipakai, tapi pakai ajaran manusia.

Mereka jadi keliru kerana mereka jumpa dalil-dalil palsu yang direka oleh manusia. Mereka pun terima dalil-dalil palsu itu sebab mereka pun tidak belajar kitab wahyu yang sebenar. Mereka tidak belajar dengan benar apa yang ada dalam kitab mereka sendiri. Kitab Taurat dan Kitab Injil mereka pun sudah tidak benar lagi, kerana telah dimasuki oleh elemen-elemen luaran, jadi memang mereka akan terus keliru.

Jangan sangka itu terjadi kepada ahli-ahli Kitab terdahulu sahaja. Begitulah yang akan terjadi kepada kita kalau kita pun tak belajar tafsir Al-Qur’an dengan cara yang benar. Apabila jahil tentang wahyu, maka apabila datang hujah yang lain dari wahyu, ada kemungkinan akan termakan dengan hujah-hujah itu kerana syaitan akan bagi nampak indah hujah-hujah itu.

Sebab itu kena belajar tafsir Al-Qur’an itu sampai habis. Dan kalau ada yang beri hadis-hadis, kena periksa status hadis itu. Pasti ada yang boleh tolong kita periksa sama ada hadis itu benar atau tidak. Jadi kena berkawan dengan orang yang berilmu agama.

 

Anjuran Mengadakan Shura (mesyuarat)

Surah ini juga menceritakan jalan dalam menyelesaikan perbalahan. Setiap manusia ada perbezaan pandangan antara mereka dan kadang-kadang akan ada perbalahan sesama manusia.

Ini termasuk juga mereka yang berdakwah ke jalan Allah pun ada ketidaksamaan antara mereka. Tidaklah salah kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal fikiran kita yang sihat. Jadi berbeza pendapat tidaklah salah sebenarnya. Tetapi, ianya menjadi tidak baik jikalau manusia berkelahi kerana perbezaan pendapat itu.

Iaitu apabila seseorang hanya menganggap pendapatnya sahaja yang benar, sampai tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Kalau sampai jadi begitu, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk yang akan merosakkan masyarakat dan mereka yang terlibat.

Jadi, surah ini memberitahu kepada kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu. Iaitu dengan melakukan ‘shura’ di mana semua pihak kena duduk berbincang dan mendengar pendapat masing-masing. Diceritakan di dalam surah ini bagaimana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan bagaimana cara mereka menyelesaikannya.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan Makro. Ayat 1 – 12 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah pengenalan kepada wahyu Al-Qur’an dan sifat-sifat Allah.

حم

Haa, Miim.

 

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa.

Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Sedangkan kewajipan Nabi untuk menjelaskan perkara yang tidak jelas kepada kita. Kalau sesuatu hal agama itu penting, maka sudah jatuh wajib kepada baginda untuk jelaskan.

Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, apabila Nabi pun tidak menjelaskannya kepada kita, maka itu bermaksud, Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka juga tidak tahu. Kalau mereka jujur dengan ilmu, mereka akan cakap mereka tidak tahu.

Dan ini adalah dugaan kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu atau pandang rendah kepada mereka pula. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita. Kerana ia akan menahan ilmu dari masuk ke dalam otak.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya. Mereka sudah tertarik untuk mendengar apakah yang akan disampaikan selepas itu.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Ada getaran tersendiri pada bacaan huruf-huruf muqattaah ini. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah telah jadikan untuk kita.


 

Ayat 2: Huruf Muqattaah yang kedua.

عسق

Ain, Siin, Qaaf.

 

Unik sekali dalam surah ini, dua ayat yang pertama adalah ayat muqattaah. Selalunya ada satu sahaja di dalam surah-surah yang lain. Ini menambahkan kelainan pada surah ini. Tapi kita tidak tahu dengan pasti kenapa Allah lakukan demikian. Seperti kita telah sebut di atas, kita tidak mendapat maklumat dari Nabi apakah maksudnya.


 

Ayat 3: Ini adalah Dakwa yang pertama: Sepertimana Nabi-Nabi terdahulu diwahyukan dengan Dakwa Tauhid, begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ.

كَذٰلِكَ يوحي إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

Thus has He revealed to you, [O Muhammad], and to those before you – Allah , the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Sebagaimana yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu, oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

كَذَٰلِكَ يُوحِي إِلَيْكَ

Begitulah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)

Selepas diberikan ayat muqattaah dalam ayat sebelumnya, Allah terus berkata, ‘begitulah’. Sebagaimana akal kita tidak dapat mencapai maksud ayat-ayat muqattaah itu, akal kita pun tidak dapat mencapai bagaimana wahyu diturunkan kepada hambaNya.

Atau, ‘Begitulah’ – sebagaimana telah diwahyukan kepada kamu wahai Muhammad, begitulah juga wahyu-wahyu lain telah diberikan kepada Rasul-rasul sebelum kamu. Iaitu wahyu-wahyu yang sama juga, dan yang paling penting dalam wahyu itu adalah ajaran tidak boleh syirik dalam doa.

‘Wahyu’ bermaksud mesej yang diberikan dengan cepat dan secara rahsia. Ia disampaikan terus kepada orang yang dimaksudkan. Ia dilakukan dengan cara supaya orang-orang di sekitar tidak tahu. Ini adalah maksud literal perkataan ‘wahyu’.

Dalam segi syariat, maksud ‘wahyu’ adalah maklumat dari Allah yang diberikan kepada Nabi dan Rasul dalam berbagai cara. Antaranya, melalui Jibril. Ianya adalah satu proses yang amat berat. Ini boleh dipelajari dari hadis.

Wahyu diberikan kepada manusia kerana Allah hendak memberi hidayah kepada manusia. Semasa Nabi Adam diturunkan, Allah telah beritahu yang hidayah akan diberikan kepada manusia dan Allah memenuhi janjiNya dengan diturunkan kitab-kitab wahyu seperti Taurat, Injil, Zabur dan kepada kita, telah diturunkan Al-Qur’an ini sebagai panduan untuk kita.

Terdapat banyak sekali ayat-ayat dan ajaran yang ada dalam Al-Qur’an. Tetapi yang paling penting sekali adalah tentang akidah tauhid. Tambahan pula surah Syura ini adalah Surah Makkiah yang banyak menekankan tentang akidah dan pemantapan tauhid.

Inilah topik perbincangan yang berulang-ulang dan diberikan penjelasan dengan berbagai-bagai cara kepada kita. Kerana tujuan wahyu itu adalah untuk kenal Allah. Dan kenal Allah mestilah kenal dalam akidah tauhid. Kalau kita kenal Allah, tapi tidak kenal tauhid, itu maksudnya belum kenal lagi dengan Allah sebenarnya. Kerana mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an, akan kenal Allah dalam akidah tauhid. Mereka tidak akan menduakan Allah dalam apa segi pun.

 

وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ

dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu,

Ini bermakna wahyu ini bukanlah perkara yang baru, melainkan ianya telah diberikan juga kepada Rasul-Rasul dan umat-umat yang terdahulu.

Dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, wahyu yang terpenting adalah tentang akidah tauhid. Maka, Allah hendak menekankan bahawa akidah tauhid yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Rasul-rasul عليهم السلام sebelum baginda itu sama sahaja; kalau dari segi syariat mungkin berbeza, tapi kalau akidah, sama sahaja dari dulu sampai bila-bila.

Ayat ini juga hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa apa yang baginda terima itu adalah benar. Bukan baginda sahaja yang menerima wahyu itu kerana sebelum baginda pun sudah ada Rasul عليهم السلام lain yang menerima wahyu yang sebegitu juga. Janganlah baginda risau dan sangsi dengan apa yang baginda terima itu.

 

اللهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah. Pertamanya, kita kena sentiasa ingat bahawa yang menyampaikan wahyu itu adalah Allah. Jadi, jangan kita buat main-main dengan wahyuNya itu. Kenalah kita pelajari dan taati dengan sungguh. Kalau orang hantar surat kepada kita pun, kita akan baca, bukan? Takkan Allah hantar ‘surat’ Dia kepada kita tapi kita tidak teringin nak baca pula?

Dan Allah menyebut dua sifatNya di dalam ayat ini. Allah memberitahu sifatNya adalah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Allah berkuasa untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi-Nabi. Tidak ada masalah bagi Allah untuk memberikan wahyu itu kerana dia Maha Berkuasa. Dia boleh buat supaya wahyu itu sampai kepada para Nabi.

Selain SifatNya yang maha berkuasa, Allah juga bersifat Maha Bijaksana. Selalunya orang yang berkuasa, dia tidak menggunakan kebijaksanaan, sebaliknya dia akan menyalahgunakan kekuasaannya. Lihatlah bagaimana ramainya pemerintah yang berkuasa yang telah berlaku zalim.

Tapi Allah ada dua-dua sifat itu. Walaupun Allah berkuasa penuh, tapi Allah menggunakan kuasaNya itu dengan penuh bijaksana. Segala apa yang diberikan dariNya adalah dari kebijaksanaanNya. Maka kita tidak layak menolak dan mempertikaikan apa yang Allah wahyukan dan arahkan kepada kita. Kita kena ikut sahaja. Antara yang kita kena ikut adalah tentang Tauhid dalam doa. Jangan berdolak dalik lagi.


 

Ayat 4: Allah menceritakan lagi kepada kita tentang sifatNya dan siapakah Dia. Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada pemahaman tentang wahyu.

لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Sahih International

To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth, and He is the Most High, the Most Great.

Malay

Dia lah yang mempunyai dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

لَهُ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

KepunyaanNya yang ada di langit

Apa sahaja yang ada di langit adalah kepunyaanNya. Kita pun tidak tahu apakah yang ada di langit itu. Tapi, apa sahaja yang ada, ianya adalah milik Allah.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi;

Allah adalah pemilik segala-galanya sama ada di langit atau di dunia dan di mana-mana sahaja. Kalau kita fikir, kita pun ada juga memiliki sesuatu di dunia ini, tapi ketahuilah bahawa pemilik sebenar itu adalah Allah. Kita nampak sahaja macam memiliki harta itu, tapi hakikatnya, kita tidak menguasainya.

Termasuk yang dimiliki oleh Allah adalah para Nabi, wali dan malaikat. Oleh kerana mereka itu dimiliki oleh Allah, maka kenapa kita berdoa kepada mereka ataupun menggunakan mereka sebagai perantaraan (tawasul) di dalam doa kita? Mereka tidak boleh beri apa-apa kerana mereka tidak memiliki apa-apa. Kerana Allah kata dalam ayat ini yang Dia yang memiliki segala yang di langit dan di bumi.

Apabila Allah kata Dia mempunyai langit dan bumi, ia juga bermaksud yang Dia sahaja yang menguruskan langit dan bumi itu. Jangan kita ada pegangan macam Musyrikin Mekah pula. Mereka percaya Allah yang menjadikan alam ini, tapi Dia ada memberikan kuasa pengurusan kepada makhluk seperti wali, Nabi dan malaikat. Ini kita ada bincangkan dalam Usul Tauhid.

 

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

dan Dia lah Yang Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Hebat (kekuasaanNya).

Allahlah yang berada pada kedudukan yang paling tinggi meliputi segala makhluknya. Dia lah yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dariNya atau pun sama kedudukan denganNya. Tidak ada yang lebih hebat daripada Allah.

Kalau Allah itu Maha Tinggi dan Maha Hebat, maka kita sebagai makhlukNya yang kerdil dan lemah ini hendaklah hanya memuja kepadaNya, berdoa kepadaNya dan buat ibadat kepadaNya sahaja. Janganlah kita puja, doa dan buat ibadat kepada makhluk yang lain bersama dengan Allah. Banyak masyarakat Islam kita, puja, doa dan buat ibadat kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka pun puja, doa dan buat ibadat kepada entiti lain juga.


 

Ayat 5: Dalam ayat sebelum ini, Allah telah memberitahu Sifat-sifatNya. Apabila makhluk itu tahu betapa AgungNya Allah, hamba itu akan sujud hanya kepada Allah dan tidak akan doa kepada selain dari Allah. Dalam ayat ini, Allah memberitahu betapa AgungNya Dia.

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِن فَوقِهِنَّ ۚ وَالمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيَستَغفِرونَ لِمَن فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ اللهَ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ 

Sahih International

The heavens almost break from above them, and the angels exalt [ Allah ] with praise of their Lord and ask forgiveness for those on earth. Unquestionably, it is Allah who is the Forgiving, the Merciful.

Malay

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya; dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

تَكَادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya

1. Langit itu hampir pecah kerana keagungan Allah. Langit hampir pecah kerana takut dan takjub kepada Allah. Kita tidak dapat hendak membayangkan betapa besarnya langit itu sendiri dan langit yang amat besar itu pun takut dan takjub dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kenapa? Kerana langit sedar dengan kebesaran Allah Taala. Kita sahaja yang tak sedar. Sebab itu kita buat biasa sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa makhlukNya yang mengenal kebesaran dan keagungan Allah, akan tunduk dan takut kepadaNya. Mereka tidak akan berdiri sombong di hadapan Allah. Mereka tidak akan ingkar dengan petunjuk dan perintah Allah.

Kalimah فَوْقِهِنَّ bermaksud ‘di atasnya’. Maknanya kalau langit itu pecah, ia akan bermula daripada bahagian atas. Iaitu langit ketujuh pecah dan kemudian langit keenam, kelima dan seterusnya. Ini adalah kerana, langit yang ataslah yang lebih hampir dengan Allah.

2. Satu lagi, maksud hampir terpecahnya langit itu adalah kerana marahnya langit kerana kesyirikan manusia yang mengatakan Allah mempunyai anak. Ini ada disebut dalam Maryam:90-91

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

Apa yang mereka katakan itu adalah amat buruk sekali, sampaikan hampir-hampir terpecahnya langit itu kerana kemarahan Allah dan kemarahan langit itu. Allah itu Maha Tinggi dan Maha Mulia, lalu bagaimana ada yang mengatakan Allah memerlukan anak? Hanya makhluk sahaja yang memerlukan anak kerana kita lemah dan memerlukan pertolongan. Kita juga inginkan penyambung zuriat kita kerana kita tahu yang kita akan mati.

Tapi, Allah akan terus kekal sampai bila-bila. Lalu bagaimana manusia boleh mengatakan sesuatu yang amat dusta tentang Allah? Kalau kita berdusta tentang manusia pun manusia itu sudah marah, apatah lagi kalau yang didustakan adalah Allah, Tuhan kita? Tentulah tidak sama.

Jadi, langit itu amat marah kerana ada makhluk yang melakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana hal syirik itu bukanlah perkara yang kecil. Marahnya langit sampai ia hampir pecah.

3. Ada juga pendapat yang mengatakan langit itu hampir pecah kerana banyaknya para malaikat yang beribadat kepada Allah dan mereka berada di langit itu. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bagaimana besarnya mereka dan mereka memenuhi langit itu. Apa yang mereka lakukan? Allah sambung lagi:

 

وَالْمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya

Malaikat-malaikat itu hanya beribadat kepada Allah sahaja tanpa lelah dan tanpa bosan. Mereka tidak pernah ingkar kepada Allah walau sedikit pun. Kerana apa? Kerana mereka kenal Allah dan kenal Sifat-Sifat Allah.

Seperti juga langit yang kenal Allah, malaikat juga amat kenal Allah dan kerana itu mereka amat taat kepada Allah. Itulah maksudnya apabila makhluk mengenal Allah, mereka tak akan sombong dan tunduk kepadaNya sahaja.

Jadi, pertama sekali, diberitahu dalam ayat ini yang para malaikat beribadat kepada Allah di langit itu.

 

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ

serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.

Selain dari beribadat, para malaikat itu juga memohon keampunan  untuk makhluk, seperti juga disebut dalam Ghafir:7

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

Dalam ayat dari Surah Ghafir ini, kita boleh tahu bahawa malaikat-malaikat itu hanya meminta keampunan bagi mereka yang beriman sahaja. Tapi, kenapa kalau mereka sudah beriman, masih lagi malaikat itu meminta ampun untuk mereka?

Kerana walaupun mereka itu sudah beriman, tetapi kerana mereka itu manusia biasa, maka tentunya ada kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana beruntungnya orang-orang yang beriman sampaikan malaikat pun memohon keampunan untuk mereka.

Ada lagi kelebihan yang kita boleh faham dari ayat ini. Kerana istighfar bukan sahaja untuk pengampunan dosa tapi dia juga adalah sebagai asbab (penyebab) diturunkan rahmat yang banyak kepada mereka yang beristighfar itu. Seperti yang disebut di dalam Nuh:10-12

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

“Sehingga aku (Nabi Nuh a.s.) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Dalam ayat ini Nabi Nuh memberitahu kepada umatnya jikalau mereka beristighfar kepada Allah, Allah akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka dan akan memberikan kekayaan serta anak pinak. Jadi, apabila para malaikat itu melakukan istighfar untuk orang-orang yang beriman, ia bukan sahaja untuk menghapuskan dosa mereka tetapi supaya rahmat Allah akan diturunkan kepada mereka juga.

Jadi, ini adalah salah satu cara untuk kita mendapat keampunan dari Allah. Dalil telah diberikan dalam ayat ini. Malangnya, ada yang reka amalan baru seperti mereka yang reka ‘Solat Taubat’. Datang dari mana pun, kita tidak tahu. Tidak ada hadis langsung tentang perkara ini. Yang ada cumalah anjuran melakukan solat sebelum bertaubat – tidaklah itu menjadikan Solat Taubat.

Apabila sudah direka satu perkara bidaah, ianya akan bertambah-tambah. Sebagai contoh, apabila sudah ada Solat Taubat, ada yang tambah pula dengan ‘Mandi Sunat Taubat’. Kemudian direka cara mandi pula – kena mandi pukul 3 pagi. Macam-macam kebodohan yang kita boleh lihat manusia yang jahil lakukan.

solat taubat-bidaah

Itulah contoh ibadat rekaan yang berkenaan dengan taubat. Padahal, lihatlah dalam ayat Ghafir:7,  Allah memberitahu kita bahawa para malaikat akan meminta ampun kepada mereka yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah sahaja.

Maknanya untuk mendapat kelebihan doa mereka, kita kena ikut Al-Qur’an dan sunnah kerana jalan Allah itu bermaksud ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Itulah cara yang kita patut ikut. Bukannya jalan yang lain. Kalau ikut jalan tarekat, Habib dan guru-guru karut, tidak akan dapat kelebihan ini.

Satu lagi pendapat mengatakan yang para malaikat itu pun memohon keampunan bagi golongan yang engkar juga. Kerana kalau Allah marah kepada mereka, maka Allah tentu telah kenakan azab kepada mereka yang engkar dan bumi akan hancur sekali dengan orang beriman. Maka kerana para malaikat telah memujuk Allah, maka tidaklah bumi ini hancur lagi.

Tapi permohonan ampun para malaikat itu setakat di dunia sahaja. Selepas Kiamat bermula, para malaikat tidak meminta ampun bagi pihak mereka kerana hanya Allah sahaja yang buat keputusan nanti.

 

أَلَا  إِنَّ اللهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di hujung ayat ini, Allah memberitahu lagi kepada kita sifatNya. Itulah kepentingan belajar tauhid menggunakan Al-Qur’an. Kita belajar tentang Allah dari kalamNya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang tidak pasti dari manakah dalilnya.

Dua sifat yang disebut dalam ayat ini adalah sifat-sifat JamaliahNya – sifat-sifat yang cantik yang manusia suka. Ada manusia yang melihat Allah itu bagai Tuhan yang garang padahal Allah memberitahu tentang sifatNya yang Maha Pengampun dan belas kasihanNya di hujung ayat ini.

Walaupun banyak manusia yang berbuat dosa, malah sampai melakukan syirik, sampaikan langit itu hampir pecah kerana kata-kata mereka, tetapi langit itu tidak pun pecah dan tetap utuh kerana sifat Allah Yang Ghafir dan Rahim itu.

Dan Allah masih tetap mengampunkan dosa syirik kepada mereka yang bertaubat kepadaNya sebelum mati. Cuma kalau mati tidak sempat bertaubat dari dosa syirik itulah yang Allah kata Dia tidak akan ampunkan. Kalau selagi belum mati, masih ada harapan lagi untuk Allah ampunkan dosa. Tapi kalau tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik, bagaimana manusia nak minta ampun dari dosa-dosa syirik itu?

Allahu a’lam. Bersambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Yunus Ayat 91 – 93 (Mumia Firaun)

Yunus Ayat 91: Adakah diterima kata-kata iman Firaun itu? Allah ﷻ jawab kata-kata Firaun itu.

ءآلئٰنَ وَقَد عَصَيتَ قَبلُ وَكُنتَ مِنَ المُفسِدينَ

Sahih International

Now? And you had disobeyed [Him] before and were of the corrupters?

Malay

(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

 

ءآلْئٰنَ

“Adakah sekarang?!!!

“Baharu sekarang engkau hendak beriman?!!” Itulah tempelak Allah ﷻ kepada Firaun. Allah ﷻ tidak terima iman Firaun waktu itu. Padahal waktu itu Firaun belum mati lagi. Maknanya, kalau sudah hujung nyawa (nyawa-nyawa ikan) baru hendak beriman, ia tidak diterima. Ini disabitkan oleh sebuah hadith,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Daripada [Ibnu Umar رضي الله عنهما] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.”
(Jami’ Tirmizi (3460))
Status: Hasan

Maka dapat mengucap la ilaaha illallah semasa nazak tidak semestinya menjadi dalil orang yang mati itu selamat lagi. Entah dia pun waktu itu baru teringat hendak bertaubat, jika setakat mengucap sahaja tetapi sepanjang hidupnya amalannya bukan amalan orang Mukmin, maka dia tidak selamat. Kita tidak boleh jadikan fenomena mengucap semasa nazak itu sebagai tanda kerana ketika Rasulullah ﷺ hampir wafat pun tidaklah baginda mengucap, bukan?

Lalu bagaimana dengan amalan orang kita yang mengajar akidah kepada orang yang telah mati? Iaitu yang dimaksudkan adalah amalan talqin. Jika masih hidup lagi sudah tidak diterima perubahan akidah ketika di hujung nyawa, apatah lagi kalau sudah mati? Itulah salah satu daripada hujah kebohongan amalan talqin itu.

 

وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ

padahal sesungguhnya engkau dahulu derhaka,

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَبْلُ sahaja. Kalau maksud yang hendak dibawa adalah ‘dari dahulu’, perkataan yang selalunya digunakan adalah مِن قَبْل.

Apabila hanya kalimah قَبْلُ sahaja yang digunakan, ia bermaksud ‘baru sekejap tadi’. Maknanya, “baru sekejap tadi, kamu masih lagi derhaka, wahai Firaun.” Bukan lama pun jangka masa itu. “Baru sekarang kamu nak beriman? Tidak diterima iman kamu itu.” Baru sekarang ini hendak beriman, memang tidak ada harapan.

Pada waktu yang sepatutnya kamu beriman, kamu tidak beriman iaitu sebelum kamu nampak azab. Maka kita tegaskan di sini yang Firaun tidak dikira sebagai orang beriman. Ini penting kerana ada juga tafsiran yang mengatakan Firaun akhirnya beriman, mati sebagai orang Islam. Mereka berdalilkan dengan ayat sebelum ini (yang nampak macam Firaun mengucap syahadah itu). Ini tidak benar kerana ayat yang kita sedang baca sekarang ini memberitahu kita yang iman Firaun tidak diterima. Hendaklah dilihat semua ayat Al-Qur’an, jangan main tebuk satu ayat kemudian buat keputusan sendiri.

Dari sini kita mendapat satu kesimpulan: Sesiapa yang hanya beriman apabila nampak azab, tidak akan diterima. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Ghafir: 85

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمٰنُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكٰفِرونَ
Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

Ini kerana ujian kita semasa hidup adalah beriman dengan perkara yang ghaib. Jika sudah nampak azab baru mahu percaya, maka di manakah imannya? Mana ujiannya kalau begitu? Apakah pula nilai iman waktu itu? Ia tidak bernilai langsung. Maka tidak diterima iman yang hanya datang ketika nampak azab. Pengecualian dalam sejarah dunia hanya diberikan kepada umat Nabi Yunus عليه السلام, yang kisah mereka akan disebutkan nanti.

 

وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

dan engkau dulu orang yang melakukan kerosakan?

Banyak sungguh kerosakan yang telah dilakukan oleh Firaun. Dia telah menyesatkan kaumnya dan membuat kerosakan yang banyak di mukabumi. Dia telah memperhambakan Bani Israil. Dia menentang Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام apabila mereka berdakwah kepadanya. Dia juga telah menyeksa mereka yang mahu beriman kepada Islam.

Dia juga telah diberikan dengan segala macam nikmat yang hebat-hebat. Dia juga telah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, juga mukjizat telah ditunjukkan kepadanya. Akan tetapi kesemua itu tidak mengubah dirinya. Dia tetap degil dengan kekufurannya. Maka memang tidak ada harapan dan tidak patut diberi harapan kepadanya.


 

Yunus Ayat 92: Apa yang terjadi kepada tubuh Firaun itu?

فَاليَومَ نُنَجّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكونَ لِمَن خَلفَكَ ءآيَةً ۚ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ عَن ءآيٰتِنا لَغٰفِلونَ

Sahih International

So today We will save you in body that you may be, to those who succeed you, a sign. And indeed, many among the people, of Our signs, are heedless

Malay

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

 

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ

“Maka pada hari ini, Kami menyelamatkan engkau, dengan badanmu,

Allah ﷻ telah selamatkan badan Firaun daripada hancur binasa. Bukannya selamatkan dia daripada azab. Maksudnya dia tetap mati, tetapi tubuhnya yang diselamatkan. Tubuhnya tidak tenggelam dalam laut. Atau, laut telah memuntahkan jasadnya ke tepian. Allah ﷻ jadikan perkara ini kerana golongan Bani Israil takut sangat dengan Firaun. Walaupun telah ditenggelamkan, mereka takut entah-entah Firaun masih hidup lagi. Maka Allah ﷻ muntahkan balik tubuh Firaun dan tunjukkan memang dia telah mati. Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah:50

وَاِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَاَنْجَيْنٰكُمْ وَاَغْرَقْنَآ اٰلَ فِرْعَوْنَ وَاَنْتُمْ تَنْظُرُوْنَ
Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untukmu, sehingga kamu dapat Kami selamatkan dan Kami tenggelamkan (Fir‘aun dan) pengikut-pengikut Fir‘aun, sedang kamu menyaksikan.

Jasad Firaun masih ada lagi di muzium di Mesir. Dikatakan bahawa dia adalah Ramses II. Dialah yang dikatakan Firaun yang menentang Nabi Musa عليه السلام namun ini pun tidaklah dapat dipastikan. Kita kena faham yang ‘Firaun’ itu bukan nama tetapi gelaran kedudukan seperti ‘Sultan’, ‘Raja’, ‘Presiden’. Kedudukan itu bertukar-tukar dan diduduki oleh orang yang berbeza. Cuma kajian mengatakan Firaun yang dihadapi Nabi Musa عليه السلام itu adalah Ramses II.

Dia telah memerintah Mesir selama 67 tahun. Itu adalah satu jangka masa yang amat lama. Dia adalah seorang yang amat bijak dan kata-katanya amat hebat sekali. Sebab itulah Allah ﷻ merakamkan kisahnya dan kata-katanya dalam Al-Qur’an supaya kita boleh belajar apakah hujah orang-orang yang ingkar itu.

Mumia Ramses II

Jasad Firaun ada di muzium sekarang, bukan Ramses II sahaja tetapi semua Firaun pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Maknanya tidak ada ketinggalan mana-mana Firaun pun kalau dikaji dalam sejarah. Namun di dalam Bible disebut yang tubuh Firaun zaman Musa عليه السلام itu tenggelam di Laut Merah. Akan tetapi, bukankah semua jasad Firaun yang diawet itu ada?

Maknanya, tubuh Firaun diselamatkan daripada rosak. Dalam riwayat kita, tubuh dia sudah tenggelam tetapi dikeluarkan oleh Allah ﷻ. Sedangkan Bible pula kata dia tenggelam ke dasar laut. Jika mengikut isi kandungan Bible yang mengatakan dia tenggelam itu, akan timbul satu persoalan: Siapa pula yang menaikkan tubuh Firaun itu? Kerana mereka tidak ada teknologi pada waktu itu untuk menyelam dan membawa naik jasad ke darat. Firaun memang patut tenggelam kerana dia memakai baju perisai dan baju perisai berat dan tentunya akan menyebabkan pemakainya akan tenggelam. (Dikatakan pasukan tenteranya tidak memakai baju perisai tetapi dia sendiri memang ada memakai perisai). Maka jika dia tenggelam sebagaimana didakwa, maka siapakah pula yang mengeluarkannya?

Jelas sekali beza antara Al-Qur’an dan Bible adalah Al-Qur’an seperti di dalam ayat ini menyebut yang tubuh Firaun ditimbulkan dan ini adalah mukjizat Al-Qur’an yang menyebut sejarah dengan tepat kerana ia adalah Kalamullah, bukannya kalam manusia seperti Bible itu.

Oleh kerana terjumpanya jasad Firaun inilah juga yang menyebabkan Dr. Maurice Bucaille telah masuk Islam. Apabila tinggalan mayat Firaun telah dijumpai (di Lembah Raja, Mesir), beliau telah dipanggil untuk memeriksa mayat tersebut kerana beliau pada waktu itu adalah pakar bedah yang terkemuka di Perancis. Beliau hairan kenapa kisah Firaun dan apa yang terjadi selepas Bani Israil menyeberang laut tidak disebut di dalam kitab-kitab Taurat dan juga Injil. Ianya hanya disebut di dalam Al-Qur’an. Maka beliau telah berhenti menjadi doktor dan belajar bahasa Arab selama 10 tahun untuk membuat kajian tentang hal ini. Akhirnya beliau telah masuk Islam walaupun pada asalnya beliau hendak menjatuhkan agama Islam dengan sains. Akhirnya beliau menjumpai Islam kerana sains.

Kenapakah tubuh Firaun diselamatkan?

 

لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ ءآيَةً

untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang selepasmu.

Supaya manusia generasi kemudian zaman berzaman boleh mengambil iktibar daripada kedegilan Firaun. Supaya jangan menjadi bodoh seperti Firaun. Mengajar manusia bahawa inilah akibatnya mereka yang zalim, yang derhaka, yang sombong. Dia amat kaya dan berkuasa di dunia ini, namun dimusnahkan akhirnya di penghujung hayat.

Lihatlah juga bagaimana utuhnya bangunan piramid itu, sampai sekarang masih ada lagi, akan tetapi kerajaannya itu tidak kekal. Firaun hendak menyelamatkan kerajaannya namun tidak berjaya. Cuma, kajian moden mendapati bukanlah Firaun yang membina piramid itu, tetapi telah wujud sebelum dia ada lagi.

Begitu juga berkenaan mumia Firaun itu, di mana ada juga pendapat yang tidak menerima itu sebagai Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Terdapat beberapa hujah yang diberikan:

 1. Tujuan tubuh Firaun diselamatkan adalah sebagai tanda kepada umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu, untuk mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa Firaun yang mereka amat takuti itu telah benar-benar mati. Bukanlah tubuhnya menjadi pengajaran untuk zaman berzaman. Ini kerana mumia itu baru sahaja dijumpai tahun 1881, maka takkan sebelum itu tidak ada pengajaran?

2. Jasad Firaun yang kekal sampai sekarang adalah kerana diawet, bukan? Persoalannya di sini siapakah yang mengawetnya? Kerana yang bersama dengan tubuh Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام itu adalah Bani Israil yang baru sahaja menyeberang laut sehelai sepinggang. Bagaimana pula mereka boleh mempunyai bahan untuk mengawet tubuh Firaun?

3. Tubuh Firaun ketika itu berada pada Bani Israil zaman itu. Firaun itu musuh mereka. Maka sekiranya mereka mampu mengawet pun, apakah tujuannya untuk diawet kemudian disimpan pula? Bukankah perbuatan itu hanya membuang masa dan tenaga sahaja? Apakah perlunya diawet dan disimpan musuh ketat yang begitu zalim dan kejam yang sepatutnya dilemparkan sahaja ke lubuk buaya, bukan?

4. Kalau tidak dibuang ke lubuk buaya pun, tentunya mereka akan tanam kerana Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil adalah Muslim. Bilakah pula Muslim mensyariatkan tubuh mayat perlu diawet?

5. Kebiasaannya proses mengawet mayat manusia hanyalah dilakukan oleh rakyat sesebuah kerajaan dengan tujuan mengenang pemimpin mereka sahaja. Ini sebagaimana dilakukan oleh rakyat Turkiye yang mengawet jasad Kamal Ataturk atau juga seperti rakyat China mengawet pemimpin mereka Chairman Mao. Maka di manakah logiknya Bani Israil begitu membanggakan tubuh badan Firaun sehingga mahu mengawetnya pula sebagai kenangan?

6. Tubuh tidak diperlukan sebagai pengajaran. Allah ﷻ sebut kisah mereka di dalam Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Sebagai contoh lihat Baqarah: 65-66

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Kisah Bani Israil yang telah ditukar menjadi kera ini juga menjadi pengajaran buat kita, bukan? Namun di mana tubuh mereka yang telah jadi kera itu? Kenapakah tidak diawetkan sekali?

7. Firaun sekarang sedang diazab di Alam Barzakh seperti disebut dalam Ghafir: 46

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!””

Maka ini adalah beberapa isu dan hujah yang ditimbulkan bagi menolak pendapat yang mengatakan mumia yang berada di Mesir sekarang adalah Firaun zaman Nabi Musa عليه السلام. Allahu a’lam. Allah ﷻ sahaja yang tahu perkara sebenar.

 

وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ ءآيٰتِنَا لَغٰفِلُونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada tanda-tanda Kami!”.

Allah ﷻ telah menyelamatkan tubuh Firaun supaya manusia yang melihatnya boleh mengambil iktibar. Namun malangnya, ramai yang tidak mengambil pengajaran daripada kisah itu. Mereka semua tahu kisah Firaun, boleh nampak sekurang-kurangnya gambar jasad Firaun itu, malah mungkin ada yang telah ke Mesir dan melawat jasad itu, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran.

Mereka hanya melihat sahaja, mereka hanya membaca sahaja kisah Firaun itu. Kajian tentang Mesir purba amat banyak sekali, sampaikan muncul sebuah bidang ilmu khas dipanggil ‘Egyptology’. Akan tetapi mereka hanya mengkaji tentang kehidupan Mesir purba sahaja dan bagaimana ia telah musnah sehingga mendatangkan rasa kagum dalam kalangan mereka. Namun sedikitpun mereka tidak mengambil pengajaran tentang kenapakah kerajaan begitu hebat dalam sejarah dimusnahkan.

Begitu juga dengan umat Islam yang mengetahui tentang kisah Firaun. Kebanyakan mereka masih lagi lalai. Bagaimana kita tahu mereka kebanyakannya lalai? Kerana kebanyakan manusia itu lalai untuk belajar agama dan tafsir Al-Qur’an. Mereka sibuk dengan dunia, mereka tidak memikirkan tentang akhirat. Maknanya, ada persamaan dengan Firaun, bukan?

Yang [Kera]jaan Mesir sekarang pun boleh tahan juga mempamerkan kebodohan mereka sampaikan pada April 2021, mereka telah mengadakan sebuah majlis perarakan besar-besaran sempena upacara memindahkan kedudukan Firaun. Jika dilihat daripada perarakan itu memang jelas sekali seolah-olah kita ini mengagungkan Firaun pula. Firaun, yang begitu terkenal sebagai salah seorang manusia paling zalim dalam sejarah dunia. Amat pelik sekali bila difikirkan dengan fenomena ini, adakah ini kerajaan orang Islam atau kerajaan kafir?

Perbarisan Emas Firaun, perarakan memindahkan 22 mumia dari Muzium Mesir di Tahrir ke Muzium Tamadun Nasional Mesir di Fustat, Kaherah

 

Habis Ruku’ 9 daripada 11 surah ini.


 

JASA ALLAH ﷻ KEPADA BANI ISRAIL

Yunus Ayat 93: Ayat Zajrun (teguran) kepada Bani Israil. Dalam ayat sebelum ini adalah tentang kesudahan Firaun dan tamat sudah kisah dia. Sekarang disebut tentang kesudahan Bani Israil pula. Adakah mereka mengambil pengajaran setelah mereka selamat daripadaFiraun?

وَلَقَد بَوَّأنا بَني إِسرٰءيلَ مُبَوَّأَ صِدقٍ وَرَزَقنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ فَمَا اختَلَفوا حَتّىٰ جاءَهُمُ العِلمُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقضي بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

And We had certainty settled the Children of Israel in an agreeable settlement and provided them with good things. And they did not differ until [after] knowledge had come to them. Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.

 

وَلَقَدْ بَوَّأْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil

Ini adalah selepas Bani Israil diselamatkan melepasi Laut Merah. Mereka telah meninggalkan rumah-rumah mereka dan segalanya di Mesir kerana mengikut Nabi Musa عليه السلام. Maka Allah ﷻ telah memberi mereka tempat tinggal yang lebih baik.

 

مُبَوَّأَ صِدْقٍ

di negeri yang baik

Iaitu mereka telah ditempatkan di Jurusalem atau sekarang dikenali sebagai Palestin. Di situlah terletaknya BaitulMaqdis.

Kalimah صِدْقٍ yang selalu kita faham adalah bermaksud ‘benar’ tetapi bukan itu sahaja maksud صِدْقٍ itu. Ia bermaksud tempat yang baik. Ia juga boleh bermaksud ‘mulia’. Di dalam surah Isra’: 1, Allah ﷻ memberitahu kita yang tempat itu diberkati.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Lihatlah bagaimana kalau sesuatu tempat itu ada berkat, Allah ﷻ akan berikan dalilnya. Maknanya, kena ada dalil baru boleh dikatakan ia ada berkat. Bukanlah seperti yang dilakukan oleh sesetengah puak sekarang. Mereka memandai sahaja mengatakan sesuatu tempat itu berkat.

Sebagai contoh, puak Habib mengatakan yang kubur Habib yang telah mati ada berkat. Maka mereka telah berkumpul dan buat ibadat di situ. Mereka juga kata yang capal Nabi ﷺ ada berkat. Bukan itu sahaja, logo capal pun mereka kata ada berkat dan macam-macam lagi rekaan daripada mereka.

 

وَرَزَقْنٰهُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

dan Kami mengurniakan mereka dengan rezeki-rezeki yang baik.

Lihatlah betapa banyaknya nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil. Mereka dahulunya ditindas dan diperhambakan oleh Firaun. Kemudian Allah ﷻ berikan dua Nabi kepada mereka (Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام). Kemudian Allah ﷻ beri mereka nikmat ibadat dengan memerintahkan mereka mendirikan solat. Selepas itu Allah ﷻ selamatkan mereka dan memberikan mereka tempat tinggal yang penuh berkat. Allah ﷻ selamatkan mereka kerana mereka ada iman.

Apabila mereka berbuat salah dan disesatkan di padang pasir pun, Allah ﷻ masih memberi rezeki yang baik kepada mereka seperti disebut dalam Baqarah: 57

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبَـٰتِ ما رَزَقنَـٰكُم
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (daripada panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

Lihatlah mereka pernah mendapat makanan turun dari langit yang khas untuk mereka sahaja. Allah ﷻ masih lagi dengan rahmat-Nya memudahkan kehidupan Bani Israil itu walaupun mereka banyak membuat salah. Tidak hanya dengan nikmat makanan, malah nikmat air juga dengan mudah mereka perolehi melalui mukjizat Nabi Musa عليه السلام iaitu air yang keluar daripada batu seperti disebut dalam Baqarah:60.

وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِّزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah daripada batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu daripada rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”..

Sepatutnya sebagai hamba Allah ﷻ yang beriman, setelah mereka diberikan dengan segala nikmat itu, mereka hendaklah mensyukuri nikmat itu lalu beriman sungguh-sungguh. Namun apa yang mereka lakukan? Mereka berselisih sesama mereka.

 

فَمَا اخْتَلَفُوا حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْعِلْمُ

Mereka tidaklah berselisihan (tentang tauhid) melainkan setelah datang kepada mereka ilmu

Sebelum ini Allah ﷻ ungkit jasa dan kurnia-Nya menempatkan Bani Israil itu di tempat yang baik dan kemudian diberi rezeki. Sekarang Allah ﷻ sebut kesalahan mereka. Kesalahan mereka menjadi lebih besar kerana mereka telah terima segala nikmat daripada Allah ﷻ, namun masih lagi berselisih.

Mereka berselisih selepas mereka mendapat Ilmu, iaitu ilmu daripada Kitab Taurat. Mereka berselisih tentang hal agama walaupun kebenaran telah sampai kepada mereka. Perkara paling besar adalah pengetahuan tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu daripada kitab Taurat tentang sifat baginda, bila baginda akan datang dan sebagainya. Sampaikan di dalam Al-Qur’an Allah ﷻ beritahu yang mereka kenal baginda seperti kenal anak sendiri. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Baqarah:89

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

Namun begitu, apabila baginda benar-benar datang, mereka tolak. Mereka berselisih pendapat. Ada juga yang terima, tetapi majoriti daripada mereka tolak kerana mereka tidak dapat menerima Nabi Akhir Zaman itu dalam kalangan Bani Ismail (orang Arab). Mereka sangkakan dan tunggu dalam kalangan bangsa mereka, sebaliknya yang datang itu daripada golongan lain pula. Sudahlah selama hari itu mereka mengutuk Bangsa Arab itu sebagai tidak bertamadun, tidak ada agama, dan lain-lain lagi. Maka susahlah mereka hendak menerima Nabi Muhammad ﷺ pula. Bagi mereka ia adalah seolah-olah mereka terpaksa menjilat ludah mereka sendiri. Jatuhlah ego mereka jika mereka menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi Akhir Zaman. Sebab itulah mereka buat keputusan untuk tolak. Begitulah teruknya mereka walaupun ada ilmu sebagaimana Allah ﷻ sebudalam Bayyinah:4

وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ اِلَّا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَتْهُمُ الْبَيِّنَةُ ۗ
Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Mereka ini walaupun digelar ‘Ahli Kitab’ dan dikatakan ilmu telah datang kepada mereka, tetapi mereka tidak beriman pun dengan ilmu yang ada pada mereka. Mereka hanya pilih-pilih sahaja mana yang mereka terima dan mana yang mereka hendak tolak. Allah ﷻ tegur mereka tentang hal ini dalam Baqarah:85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ
patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?

Sekarang pun ramai kalangan orang kita yang berselisih dalam hal agama. Lebih-lebih lagi zaman sekarang iaitu apabila bangkit mereka yang memegang sunnah. Itulah golongan yang ingin kembali kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Bukan seperti dulu, tidak kedengaran perselisihan yang seperti ini. Ini kerana pada waktu dahulu, semua mengamalkan agama yang hampir sama sahaja. Kalau berselisih pun, sikit-sikit sahaja.

Namun kita dapat rasakan yang perselisihan sekarang amat besar. Ramai yang berselisih dengan kita kerana kita bawakan ajaran tauhid, dan menentang syirik dan bid’ah lah yang menyebabkan ramai yang tolak, ramai yang berselisih dengan kita. Ini telah disebut dalam Shura:14

وَمَا تَفَرَّقُوا إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى لَّقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ أُورِثُوا الْكِتَابَ مِن بَعْدِهِمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.

Kalau kita hanya ajar solat, wudhu’, puasa dan cara-cara ibadat lain, tidak ada yang melarang. Namun itu adalah berkenaan ibadat semata-mata. Bagaimana pula dengan ilmu aqidah, ilmu tauhid dan syirik? Ini kerana kalau tidak diajar tentang apakah syirik itu, manusia tidak akan tahu yang mereka mengamalkan syirik. Apabila mereka mengamalkan syirik, segala amal ibadat yang mereka lakukan itu akan punah, tidak mendapat pahala pun. Alangkah ruginya.

Apakah lagi maksud ‘perselisihan berlaku setelah datang ilmu’? Perselisihan itu berlaku apabila ada yang mendapat ilmu tetapi ditolak oleh mereka yang tidak ada ilmu. Kalau sama-sama tidak ada ilmu, tidaklah ada perselisihan, kerana sama-sama jahil dan bodoh. Namun apabila ada yang mendapat ilmu sunnah, mereka sudah tidak boleh menerima amalan yang bid’ah lagi, maka di situlah bermulanya perselisihan.

Ini kerana mereka akan mula menegur golongan yang mengamalkan bid’ah itu kerana menegur kesalahan adalah wajib. Maka puak bid’ah amat marah jika amalan mereka yang sudah lama diamalkan itu ditegur. Manakan tidak, amalan itu dipusakai zaman berzaman daripada tok nenek mereka lagi dan telah lama mereka amalkan. Mereka kata kita memecah belahkan masyarakat, padahal kita hendak menyatukan masyarakat.

Kenapakah dikatakan kita hendak menyatukan masyarakat? Lihatlah bagaimana manusia sekarang berpecah dalam hal agama. Semua mengadu kita tidak bersatu. Maka, apakah cara untuk menyatukan semua pihak? Semua pihak dapat disatukan jikalau semuanya memegang hukum agama daripada sumber yang sama – AL-QUR’AN & HADITH SAHIH.

Masyarakat Islam sekarang tidak dapat bersatu kerana semua mengambil dalil agama dengan cara caca merba. Ada yang mengikut kata ulama ini, ada yang mengikut pendapat ulama itu. Itulah sebabnya perselisihan banyak berlaku. Bayangkan kalau semua pegang sumber yang sama, bukankah akan ada penyatuan?

Namun, apa yang terjadi sekarang? Kebiasaannya, apabila kita menegur amalan yang salah, puak bid’ah akan jawab: “Itu khilaf ulamak, Syeikh”. Ketahuilah bahawa khilaf yang diterima adalah jikalau ada nas yang sahih, dan daripada nas yang sahih itu, ada perbezaan pendapat daripadanya. Ini berlaku kerana pemahaman manusia adalah berbeza-beza. Sebagai contoh, dalam Baqarah:228

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci.

Dalam situasi talak begini, ulama’ feqah berbeza pendapat tentang perkataan قُرُوءٍ itu. Ada yang kata قُرُوءٍ itu bermaksud selepas tiga kali suci, sementara ada yang kata selepas tiga kali haid. Maka, ini adalah khilaf yang diterima kerana ia adalah perbezaan daripada pemahaman ulama’ daripada dalil yang sah. Maknanya, kedua-dua pendapat berdasarkan dalil ada sahih dan kedua-dua boleh diterimapakai.

Akan tetapi apabila tidak ada dalil langsung, seperti dalil untuk mengadakan Majlis Tahlil, maka ini bukanlah khilaf yang patut dilayan. Itu adalah khilaf yang tidak diterima kerana pihak yang kata boleh buat Majlis Tahlil itu tidak dapat mendatangkan nas yang sahih, melainkan pendapat manusia sahaja yang mengatakan ia adalah ‘baik’ berdasarkan akal logik mereka sahaja. Inilah juga masalah dengan amalan-amalan bid’ah yang lain.

Khilaf yang dibenarkan itu juga boleh menyebabkan perselisihan. Ia berasal daripada perbezaan pemahaman. Kita kena hormati perbezaan pemahaman itu tetapi apabila ia dibawa sampai kepada perdebatan yang keras, akan menyebabkan perselisihan. Sepatutnya kita menghormati pendapat ulama’ yang lain, kerana ada pemahaman yang berbeza. Namun apabila satu pihak menyalahkan pihak yang lain kerana pendapat yang berbeza itu, itulah yang menyebabkan perselisihan.

Daripada perselisihan inilah yang menyebabkan berpecahnya Yahudi kepada 71 golongan, Kristian kepada 72 golongan dan Islam kepada 73 golongan. Satu golongan sahaja yang masuk syurga iaitu mereka yang berpegang dengan sunnah. Maka ini khilaf yang bahaya kerana ia khilaf berkenaan tauhid. Tidak boleh khilaf berkenaan tauhid, kalau bab feqah masih boleh lagi.

Para sahabat pun ada perbezaan pendapat antara mereka, namun tidaklah sampai kepada perselisihan dan pertengkaran pula. Jikalau para sahabat pun khilaf sesama mereka, maka tidak salah kalau kita khilaf. Yang tidak boleh khilaf adalah dengan Al-Qur’an dan Rasulullah seperti firman Allah ﷻ dalam Ali Imran:31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu akan buat keputusan di antara mereka pada hari kiamat

Ini pula adalah Takhwif Ukhrawi. Di Hari Akhirat nanti, Allah ﷻ akan membuat keputusan manakah pendapat yang benar. Ada pihak kata tawasul kepada orang mati tidak boleh, ada yang kata ia adalah elok.

Maka, di Akhirat nanti, Allah ﷻ akan beritahu mana satu yang benar. Namun, siapa yang benar waktu itu sudah terlambat. Kalau yang pegang pendapat salah itu, bagaimana mereka hendak memperbetulkan amalan mereka? Oleh itu, hendaklah kita pastikan manakah pendapat yang benar semasa di dunia lagi. Kenalah buat kajian dan dapatkan keputusan yang paling tepat.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

tentang apa yang mereka dulu perselisihkan itu.

Banyak yang guna alasan kata ‘khilaf ulama’. Atau mereka kata perkara itu furu’ (ranting) sahaja dan kena ‘berlapang dada’ dan terima kesemua pendapat. Padahal, banyak perselisihan itu dalam perkara penting iaitu termasuk perkara akidah, perkara tauhid yang tentunya bukan perkara ranting lagi.

Maka, janganlah kita senang-senang hendak berlapang dada dan meraikan pendapat semua orang, kerana kesannya adalah sama ada duduk di syurga, atau kekal di neraka.

Daripada ayat ini juga kita belajar yang perselisihan tetap akan ada sampailah hari kiamat. Maka jangan kita ribut sangat kerana ini perkara biasa sahaja. Tidak perlu dilayan sangat kerana ia membuang masa sahaja. Kita tidak akan dapat menghilangkan perbezaan yang pasti ada. Kita buat amal kita dan tunggu di akhirat kelak di mana segala perbezaan itu akan diselesaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ akan tentukan mana yang betul dan mana yang tidak. Cuma malanglah kalau di situ baru tahu rupanya selama ini berada di pihak yang salah kerana sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Januari 2024

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah