Masalah Solat Hajat

Pengenalan

Zaman sekarang memang ramai yang mengamalkan Solat Hajat. Apa-apa hal pun akan Solat Hajat: anak hendak menghadapi peperiksaan, Solat Hajat; Hujan tak turun, Solat Hajat; ada ahli keluarga jatuh sakit, Solat Hajat. Kalau dulu, untuk menghadapi peperiksaan, hanya dilakukan Solat Hajat biasa sahaja, dibuat di sekolah-sekolah.

2016-03-22 11.42.52-1-picsay

Sekarang, dengar khabarnya, pensel, pemadam dan pembaris pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan diletakkan di hadapan. Tidak mustahil, tidak lama lagi, anak-anak murid itu yang akan diletakkan di hadapan nanti.

Tetapi, anak-anak orang Islam yang tidak mengulangkaji pelajaran tetap tidak mendapat keputusan yang baik dan anak-anak bukan Islam yang mengulangkaji juga yang berjaya. Saya harap belum ada lagi dialog sebegini: “Din, kenapa awak gagal? Bukan itu hari sekolah ada buat itu sembahyang di dewan kah? Apa Tuhan awak tidak tolong awak kah?”

Yang dipanggil untuk melakukan Solat Hajat itu adalah ahli-ahli surau, ahli-ahli masjid, mereka yang terlibat dengan projek yang hendak dihajatkan dan sebagainya. Lagi ramai, lagi bagus. Kalau musim pilihanraya, satu ADUN itu akan bersolat Hajat. Kalau ada projek, mereka yang terlibat akan dipanggil.

Kalau nak buat bangunan, solat Hajat itu akan diadakan atas tapak bangunan itu, kalau nak buat jambatan, solat di jambatan, kalau nak minta bot nelayan banyak tangkap ikan, solat atas bot. Seumpama mereka nak beritahu Allah, itulah tempat yang mereka maksudkan, takut Allah tak tahu pula.

Memang kita digalakkan untuk meminta pertolongan kepada Allah dengan cara solat. Seperti Allah firman dalam Baqarah:45

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Memang sunnah Nabi pun kalau ada masalah, baginda akan solat. Ada angin kuat, contohnya, baginda akan solat. Malam-malam juga, baginda akan solat sunat sambil mengadu dengan Allah. Kerana solat ini ‘tali’ kita dengan Allah. SILATUrrahim itu tali persaudaraan kan? Maka SOLAT itu tali kita dengan Allah. Maka, memang elok kalau kita mengerjakan solat sunat dan selepas solat itu, kita berdoa kepada Allah, memohon pertolongan Allah. Ini adalah sunnah.

Tapi, ‘Solat Hajat’ itu tidak ada. Itu adalah rekaan baru dalam agama. Kalau Nabi dan sahabat ada masalah, mereka akan solat. Tapi itu adalah solat sunat biasa sahaja. Tidak ada nama yang diberikan.

Dalam erti kata lain, ianya adalah Solat Sunat Mutlak. Memang tak perlu ada nama pun diberikan kepada solat sunat itu. Bukan perlu untuk kita lafazkan niat kita – oleh itu, lafaz niat usolli …. itu sendiri memang tidak ada. Lafaz niat usolli itu pun dah bidaah dah. Tapi itu adalah perbincangan lain pula.

Masalahnya, apabila diberi nama khusus (Solat Hajat), maka kenalah cipta pula cara (kaifiat) solat itu. Apa nak baca rakaat pertama dan kedua, baca doa masa mana, masa sujud dan sebagainya.

Bidaah ini kalau dimulakan, mula diberi ruang, ia akan membuka semakin banyak bidaah. Sampaikan ada yang dinamakan Solat Hajat Kaki Tunggal. Iaitu Solat Hajat dalam keadaan angkat satu kaki. Bagaimana pula kalau di masa hadapan disuruh angkat dua-dua kaki, macam mana?

Kemudian tambah lagi cara. Kena buat ramai-ramai berjemaah supaya lebih ramai desak Allah.
Kemudian kena panggil orang alim yang solatkan. Kerana kalau diimamkan oleh orang yang alim dan warak kononnya, doa itu lebih makbul.
Kemudian apabila sudah ramai yang menghadiri Solat Hajat itu, kena pula dibuat kenduri. Kerana mereka rasa takkan datang ke rumah tidak diberi makan dan minum pula?
Kemudian orang alim tu takkan datang sendiri, kena diberikan tambang datang ke tempat solat.

amplop rejeki
Kemudian takkan tidak diberi sedikit wang kepada imam itu sebagai upah, kerana tentunya imam itu juga perlu hidup dan punca pendapatan, bukan?

Tawasul

Menggunakan ‘Orang Alim’ sebagai imam dengan sangkaan bahawa doa imam itu lebih makbul; dan iktikad bahawa jemaah yang ramai akan lebih memakbulkan permintaan itu adalah termasuk menggunakan ‘perantaraan’ atau ‘tawasul’. Ini adalah tawasul yang dilarang. Allah kata ini kufur dalam Zumar:3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah! kepada Allah ialah segala ibadat dan agama yang suci bersih. Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mereka yang mengadakan perkara baru dalam agama), lagi kufur.

Asal ayat ini adalah berkenaan Musyrikin Mekah yang mengatakan mereka menyembah berhala itu kerana mereka iktikad bahawa berhala-berhala itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah. Dan supaya doa mereka lebih makbul kerana disampaikan oleh berhala-berhala itu.

Mereka menganggap bahawa mereka memerlukan perantara atau broker antara mereka dan Allah. Itu adalah anggapan yang salah dan jauh tersasar. Allah tidak pernah mengatakan yang Dia memerlukan perantaraan makhluk lain dalam doa.

Dan kalau kita mempunyai anggapan yang sama dengan Musyrikin Mekah itu – iaitu memerlukan makhluk lain sebagai perantara antara kita dan Allah dalam berdoa, itu bermaksud kita pun mempunyai iktikad seperti orang kafir juga.

Memberi Upah Dalam Ibadat

Memberi wang kepada imam dan makmum untuk melakukan ibadat adalah dilarang. Allah berfirman bahawa ibadat yang diberikan upah akan membatalkan ibadat itu dalam Hud:15

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

Sesiapa yang usahanya berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

Allah memberitahu kita bahawa mereka yang melakukan ibadat kerana hendakkan bayaran dan kelebihan dalam dunia, Allah akan berikan apa yang mereka mahukan itu. Mereka hendak dunia, Allah akan beri dunia itu kepada mereka. Tapi Allah sambung lagi dalam ayat seterusnya:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

Lihatlah balasan kepada mereka yang mahukan upah dalam ibadat mereka – Allah akan masukkan mereka ke dalam neraka! Dan ibadat yang mereka lakukan itu terbatal! Tidak ada nilai.

Kenapakah manusia mengamalkan Solat Hajat itu? Asalnya adalah kerana mereka ada penyakit ‘syak’ kepada Allah. Iaitu mereka sangka kalau mereka solat sendiri, doa sendiri, Allah tak dengar, tak layan. Bayangkan, kalau kita syak dengan kawan dan keluarga kita pun, mereka dah marah. Tambahan pula kalau kita ada syak dengan Allah. Bahaya penyakit syak kepada Allah ini telah disebut dalam Baqarah:10

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Allah beritahu kepada kita dalam ayat ini bahawa perasaan syak itu adalah satu ‘penyakit’. Apabila mereka ada perasaan yang Allah tak dengar dan layan doa mereka kalau mereka doa sendiri, Allah akan tambah penyakit mereka itu – iaitu mereka mula melakukan amalan-amalan yang salah dan bidaah.

Sebagai contoh, Solat Hajat. Allah tambah lagi penyakit mereka itu apabila mereka beri upah pula atas ibadat itu. Maka bertimpa-timpa kesalahan yang mereka lakukan.

Masalahnya, orang kita salah faham dengan Allah. Mereka rasa Allah itu amat jauh. Itu sebab mereka reka cara Solat Hajat. Dengan berjemaah ramai-ramai, dengan cara-cara tertentu. Padahal dalam 2:186, Allah kata Dia rapat dengan kita dan akan jawap doa kita:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka: sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Lihatlah bagaimana Allah beritahu kita bahawa Dia amat rapat dengan kita dan akan jawab sendiri doa kita. Lihatlah juga bagaimana Allah menjawab persoalan dalam ayat itu. Mulanya, ayat bermula: “apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu“. Ini bermakna, apabila ada orang bertanya. Sepatutnya, Allah jawab dengan berfirman: ‘Katakan kepada mereka”.

Tapi tidak. Sebaliknya, Allah terus jawab: “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir”. Ini menunjukkan isyarat bahawa dalam menjawab soalan itu pun Allah tidak menggunakan perantaraan Nabi; Allah terus jawab sendiri.

Doa sendiri atau solat hajat ramai-ramai

Oleh itu, hendaklah kita berdoa TERUS kepada Allah, tanpa menggunakan perantaraan. Yang cara orang kita lakukan sekarang adalah cara yang salah. Solat hajat perdana lah, mega lah. Itu semua adalah bidaah dholalah – bidaah yang sesat. Bukan Bidaah Hasanah. Bukan begitu cara minta kepada Allah.

Apakah amalan tawasul dalam Solat Hajat? Pertama, mereka menggunakan perantaraan imam yang alim dalam buat solat itu. Keduanya, mereka menggunakan perantaraan ‘orang ramai’ dalam solat itu.

Mereka yang tidak doa TERUS kepada Allah disifatkan sebagai orang yang ‘sombong’ oleh Allah. Allah kata Allah nak masukkan ke dalam neraka sesiapa yang sombong nak doa kepada Nya. Lihat ayat Ghafir:60

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.

‘Sombong’ berdoa itu adalah tidak terus kepada Allah, pakai perantaraan. Iaitu mereka hantar ‘wakil’ untuk minta dengan Allah. Apa perasaan kita kalau ada orang yang datang hendak minta tolong dengan kita, tapi dia tidak datang sendiri, sebaliknya dia hantar wakil? Tentulah kita kata ‘Eh, sombongnya dia, nak datang jumpa aku sendiri pun tidak mahu!”. Bayangkan, kita hendak minta sesuatu dengan Allah, tapi tak terus minta kepadaNya. Allah nak masukkan ke neraka dalam keadaan hina dina orang yang macam itu.

Adakah dalil untuk Solat Hajat?

Ramai yang mengamalkan Solat Hajat ini adalah kerana ikut-mengikut amalan orang lain sahaja. Dan memang telah lama diamalkan dalam masyarakat kita pun. Kalau ditanya kepada mereka yang mengamalkannya, mereka akan jawab: “Amalan ini telah lama diamalkan oleh ulama-ulama dahulu, bukan baru sekarang dilakukan”; “Ada dalam kitab”. “Takkan mereka salah?”

Mereka pun tak tahu sama ada ada dalil atau tidak amalan itu. Mereka tidak belajar. Dan tidak mahu belajar. Sebab itu mereka ikut membuta tuli sahaja. Orang buat, mereka ikut. Tetapi, persoalannya, adakah ada dalil amalan mereka itu?

Di dalam Jami’ Tirdmizi, ada satu tajuk berkenaan ‘Hajat’ dan Imam Tirdmizi membawakan satu hadis:

٤٤١ – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عِيسَى بْنِ يَزِيدَ الْبَغْدَادِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَكْرٍ السَّهْمِيُّ و حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُنِيرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بَكْرٍ عَنْ فَائِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاء

Terjemah:

441. Telah menceritakan kepada kami Ali bin Isa bin Yazid Al Baghdadi telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Bakr As Sahmi dan telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Munir dari Abdullah bin Bakr dari Fa’id bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abu Aufa dia berkata, Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai hajat (keinginan) kepada Allah atau kepada seseorang dari anak Adam, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan menyempurnakan wudhu’nya, lalu melaksanakan salat dua raka’at, memuji kepada Allah, membaca Salawat kepada Nabi Sallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian membaca “LAA ILAAHA ILLALLAAHUL HALIIMUL KARIIM, SUBHANALLAAHI RABBIL ‘ARSYIL ‘ADZIIM, AL HAMDULILLAAHI RABBIL ‘AALAMIIN, AS’ALUKA MUUJIBAATI RAHMATIKA WA AZAA’IMA MAGHFIRATIKA WAL GHANIIMATA MIN KULLI BIRRIN WAS SALAAMATA MIN KULLI ITSMIN, LAA TADA’ LI DZAMBAN ILLAA GHAFARTAHU WALAA HAMMAN ILLAA FARRAJTAHU WALAA HAAJATAN HIYA LAKA RIDLAN ILLA QADLAITAHA YAA ARHAMUR RADLIALLAHU ‘ANHAHIMIIN (Tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Allah yang maha lembut lagi Maha Pemurah, Mahasuci Allah Rabb pemilik ‘Arsy yang Mahaagung, segala puji bagi Allah Rabb semesta Alam, aku mengharap rahmatMU, ketetapan hati (untuk meraih) ampunanMu, mendapatkan keberuntungan dengan segala kebaikan dan keselamatan dari segala perbuatan dosa, jangan Engkau biarkan dosa padaku kecuali Engkau mengampuninya, dan jangan Engkau biarkan kegundahan kecuali Engkau membukakannya, dan jangan Engkau biarkan kebutuhan-kebutuhan yang Engkau ridhai kecuali Engkau penuhi, wahai Dzat yang maha pengasih) “.
Abu Isa berkata, hadits ini gharib dan dalam sanadnya ada sesutatu yang perlu dibicarakan, Fa’id bin Abdurrahman telah dilemahkan dalam masalah hadits, dan Fa’id adalah ‘Abul Warqa’.

Hadis ini berstatus hadis dhaif jiddan kerana ada 2 perawi yang lemah. Apabila ada perawi yang lemah, maka ianya tidak boleh dijadikan hujah.

Dan kalau pun ianya tidak lemah, kalau kita lihat kepada matan hadis, perkataan yang digunakan adalah لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ “hendaklah dia bersolat”, iaitu merujuk kepada perbuatan berseorangan. Tidaklah ada suruhan untuk melakukan solat ini berjemaah.

Sedangkan kita tahu bahawa solat sunat hanya dilakukan berseorangan, kecuali jika ada nas perbuatan Nabi melakukannya berjemaah. Sebagai contoh, Solat Sunat Terawih, Istisqa’ dan Solat Gerhana, ada contoh Nabi melakukannya secara berjemaah. Tetapi solat sunat yang lain seperti Tahiyatul Masjid, solat ba’diah dan qabliah waktu, tidak ada contoh dari Nabi. Maka, kalau kita buat berjemaah, itu pun sudah dikira bidaah.

Tidak ada lagi dalil lain yang sampai kepada kita yang membolehkan dan menganjurkan Solat Hajat seperti yang dilakukan oleh masyarakat kita. Memang kita tahu ada lagi hujah-hujah mereka dengan dibawakan hadis-hadis dari perbuatan Nabi. Tapi tidaklah cukup kuat untuk mengatakan yang baginda ada melakukan Solat Hajat.

Kalaulah Solat Hajat ini baik, maka tentulah Nabi dan para sahabat telah melakukannya. Mereka lebih faham agama dari kita dan lebih kuat melakukan amal ibadat dari kita. Sedangkan mereka juga ada keperluan mendesak dalam kehidupan mereka. Pernahkah kita terbaca apa-apa riwayat Nabi dan para sahabat solat hajat berjemaah sebelum keluar berperang?

Solat hajat perdana bidaah

Sebagai contoh, tidaklah Nabi dan sahabat melakukan Solat Hajat supaya dilembutkan hati Musyrikin Mekah untuk menerima Islam atau menahan mereka dari menindas kaum Muslim waktu itu; semasa mereka memulakan hijrah ke Madinah, tidaklah mereka buat Solat Hajat; tidaklah juga semasa di ambang Perang Badar, mereka pakat berjemaah melakukan Solat Hajat; dan peperangan-peperangan yang lain, yang jumlahnya hampir seratus kali peperangan.

Sedangkan peperangan itu adalah perkara yang besar dan menentukan hidup dan mati. Bukan hanya hidup dan mati mereka, tapi hidup dan mati agama Islam sendiri. Kerana kalau mereka semuanya mati, tidak ada yang akan menyembah Allah sepertimana yang Allah kehendaki.

Adakah kita anggap Nabi dan para sahabat terlupa atau malas melakukannya? Atau lebih teruk lagi, kita anggap mereka tidak tahu cara melakukan Solat Hajat? Nauzubillahi min zaalik.

Jalan Penyelesaian

Masalahnya, orang kita tidak tahu cara berdoa, dan kerana itu, mereka putus punca bila ada masalah. Mereka tidak tahu cara mantap untuk berdoa kepada Allah. Itulah yang menyebabkan mereka mencari orang surau, orang ‘alim’ untuk buat Solat Hajat. Kerana pada mereka, itulah sahaja jalan penyelesaian cara ‘islamik’ yang mereka tahu. Tambahan pula, ianya dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang terkenal juga.

Berhentilah kita dari faham Tuhan dan berdoa kepada Tuhan cara orang-orang kafir. Beginilah contoh cara berdoa orang-orang kafir dalam dunia ini:
1. Kristian minta paderi doakan hajat mereka, supaya sampaikan kepada Nabi Isa, supaya sampaikan kepada Tuhan Bapa.
2. Hindu -> sami -> dewa -> Tuhan yang satu
3. Buddha -> sami -> Buddha -> Tuhan yang satu
4. Taoism -> tok nenek yang telah mati -> Tuhan
5. Sikh -> paisam -> guru Nanak -> Allah.
6. Orang Islam Melayu yang tak belajar tafsir Quran -> imam/ustaz/guru – Nabi Muhammad/wali (contohnya Sheikh Abdul Qadir Jailani) -> Allah.

Padahal, dalam Qur’an telah  jelas kepada mereka yang belajar, doa TERUS kepada Allah.

Cara-cara berdoa telah Allah ajar dalam Qur’an. Antara yang disebut adalah dalam Sajdah:16

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Inilah cara makbul doa:

1. تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ – ‘merenggangkan lambung mereka dari tempat tidur’ yang bermaksud Solat malam. Waktu sahur (sepertiga akhir malam) adalah waktu terbaik. Kita kena pandai cari waktu terbaik untuk berdoa. Kerana ada waktu-waktu yang Nabi telah ajar kita sebagai waktu makbul doa. Bukannya Solat Hajat berjemaah. Yang kena buat adalah solat tahajjud. Iaitu solat sunat dua rakaat sekurang-kurangnya. Buat sendiri-sendiri sahaja.

2. يَدْعُونَ  – Mereka berdoa. Caranya adalah dengan melakukan ibadat dan kemudiannya doa. Doa ada dua makna: Ibadat dan doa. Kalau sebut dalam ayat ini disebut ‘doa’ sahaja, ia membawa kedua-dua makna. Jadi kita berdoa selepas solat. Itu yang paling bagus. Atau sekurang-kurangnya doa waktu malam, kalau tak mampu nak solat pun. Doa itu mestilah terus kepada Allah, tidak melalui perantaraan. Dalam doa itu, hendaklah kita merayu kepada Allah. Ceritakan apa sahaja masalah kita. Apa yang sebut dalam doa itu? Apa sahaja yang terlintas dalam hati kita. Kalau rasa nak menangis, menangislah. Tak tahu bahasa Arab? Pakai bahasa yang kita tahu sahaja. Kerana Allah itu TAHU APA SAHAJA BAHASA YANG KITA GUNAKAN. Orang kita, sampaikan rasa kalau doa dalam Melayu, tak mujarab. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah.

3. رَبَّهُمْ  – Tuhan mereka. Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan Rabb. Tidak digunakan perkataan ‘Allah’. Supaya manusia mengerti yang maksud rabb adalah ‘yang mengurus tadbir makhluk’ supaya kita ingat dan tahu yang Allah boleh selesaikan masalah kita. Kita kena minta dengan perasaan tahu yang Allah dapat menyelesaikan apa sahaja masalah kita. Masa doa itu, kita kena yakin yang Allah dengar rintihan kita, Allah tahu apa yang kita perlukan sampai kita tak perlu nak ajar Allah macam mana nak tolong kita. Jadi tak payahlah nak ajar Allah buat begini, begitu. Kita tak cakap pun Allah tahu, sebab Allah itu Rabb kita.

4. خَوْفًا  – Takut. Kena minta dengan perasaan takut. Dengan perasaan insaf dan menyesal. Iaitu kita takut dengan azab Allah. Ini adalah adab dalam berdoa. Kerana bayangkan kalau kita jumpa orang yang kita ada masalah dengan dia, ada buat salah dengan dia, tapi kita tengah ketawa, tersengih-sengih, tentu tidak kena kalau begitu.

Maka, kerana takut dengan azab Allah, mulakan doa dengan minta ampun dosa dosa kita. Sebab dosa kita banyak. Dosa banyak antara penghalang doa makbul. Bayangkan kalau anak kita datang jumpa kita meminta wang, tapi dia seorang yang perangai nakal, malas belajar dan sebagainya. Tentu kita berat hati untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Tapi, kalau dia datang, dengan lemah lembut, menundukkan diri dan memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan sebelum itu dan berjanji tidak buat lagi kenakalannya, tentulah kita akan rasa ringan untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Begitulah juga Allah dengan kita. Kalau kita mulakan dengan memohon ampun dengan segala kesalahan kita, Allah akan lebih ringan untuk memberi apa yang kita minta kepadaNya.

وَطَمَعًا .5. Harap sungguh, bukan harap biasa. Perkataan yang digunakan adalah tama’, macam ‘tamak’ nak semua. Apa sahaja yang Allah hendak beri kepada kita, kita hendak semuanya. Bukannya kita cakap dengan Allah: ‘bagilah kalau boleh’. Kena zahirkan perasaan ‘mengharap’ itu. Tidak boleh tidak, kita nak juga dari Allah. Sebab kalau bukan Allah yang beri, kita nak minta dari siapa?

6. يُنفِقُونَ Menderma. Infak harta. Menderma adalah sebagai satu asbab (penyebab) kepada makbul doa. Infaklah rezeki kepada seseorang, kepada masjid dan sebagainya. Ikutlah banyak mana nak beri. Kalau hajat besar, berilah banyak lagi.

Begitulah cara doa yang kita boleh amalkan. Semoga dengan mengetahui cara doa ini, kita tidak lagi perlu untuk buat Solat Hajat. Kerana Solat Hajat itu bukanlah cara untuk memakbulkan doa kepada Allah. Allahu a’lam. Semoga Allah memberi pemahaman agama lebih lagi kepada kita. Amin

Bacaan Tambahan

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 27 – 31 (Kenapa manusia tidak semua kaya?)

Ayat 27: Ini adalah jawapan kepada persoalan: kalau Allah itu Maha Kaya, kenapa Dia tidak beri semua makhlukNya jadi kaya?

۞ وَلَو بَسَطَ اللهُ الرِّزقَ لِعِبادِهِ لَبَغَوا فِي الأَرضِ وَلٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مّا يَشاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبادِهِ خَبيرٌ بَصيرٌ

Sahih International

And if Allah had extended [excessively] provision for His servants, they would have committed tyranny throughout the earth. But He sends [it] down in an amount which He wills. Indeed He is, of His servants, Acquainted and Seeing.

Malay

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

 

وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi hambaNya,

Kalimah بَسَطَ bermaksud ‘mengembangkan sesuatu’. Bermakna dikembangkan rezeki sampai manusia jadi kaya dan mewah. Allah boleh sahaja nak buat apa sahaja, termasuk hendak memewahkan sesiapa sahaja, bukan?

Kadang-kadang Allah tak beri rezeki yang banyak kepada orang beriman. Kita pun kadang-kadang hairan kenapa orang yang baik dan orang yang beriman tidak dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Secara umumnya, kita boleh lihat yang kekayaan sekarang berada dengan kaum kafir dan bukannya orang Islam.

Orang Islam pula selalunya miskin, tidak berkuasa dan tidak berpengaruh dalam dunia. Sedangkan kepada mereka yang kufur dan musyrik, Allah beri banyak kelebihan keduniaan kepada mereka. Kenapa begitu? Allah jawab dalam ayat ini:

 

لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ

nescaya mereka akan melampaui batas di bumi

Orang-orang kaya ramai yang melampaui batas. Bukanlah semua, tapi kebanyakannya. Bayangkan kalau semua manusia ini kaya? Kita ada sikit sahaja yang kaya raya dalam dunia ini pun sudah berapa banyak masalah kita hadapi. Mungkin 5% sahaja orang kaya dalam dunia ini, tetapi dari merekalah yang menjadi punca kerosakan dalam dunia ini.

Sebagai contoh, siapakah pengusaha arak dalam dunia ini? Dengan arak itu, menyebabkan kadar jenayah yang tinggi di sesuatu kawasan dan negara itu. Sebagai contoh, apabila satu-satu komuniti mula dijualkan arak dengan terbuka, kadar jenayah akan meningkat di komuniti itu.

Hanya kerana mereka mahukan kekayaan yang banyak, mereka telah merosakkan masyarakat dan mereka tak kisah pun apa yang akan berlaku. Kerana pada mereka, yang lebih penting adalah menjadi kaya dan kaya lagi.

Begitu jugalah dengan Muslim pun. Ada yang semasa mereka susah atau biasa-biasa sahaja, mereka jadi baik dan beriman. Tetapi apabila dia mendapat kemewahan keduniaan, dia sudah mula lupakan agama. Mula sibuk nak menghabiskan wangnya, berjalan sana-sini, beli berbagai barang dan sebagainya.

Sudah mula kurang buat amal, sudah tidak datang ke kelas agama dan sebagainya. Bukanlah kita kata semua orang, tapi kebanyakan orang akan jadi begitu. Takut ada orang kaya yang baca ni, marah pula… janganlah marah, ini adalah kenyataan.

Kalau kita ada banyak barang, memang sifat kita akan membazir. Ada satu kereta, nak kereta satu lagi. Semua manusia kalau boleh nak hidup senang. Akhirnya jadi malas, jadi lemak. Kita tengoklah anak orang kaya, perangai mereka lain dengan perangai anak orang miskin.

Bandingkan dengan mereka yang kurang hartanya, terhad barang yang mereka ada. Mereka akan berdikit menggunakan harta yang Allah beri. Mereka bercakap baik sahaja dengan orang lain. Sebab itu Allah hadkan rezeki kepada kita. Allah mahu kita tetap jadi orang yang baik. Allah maha tahu tentang hambaNya, kerana Dia yang cipta kita, maka Dia buat keputusan dengan bijaksana.

Kalau semua orang kaya di dunia ini pun, susah juga, bukan? Siapa nak jadi kuli kerja di pejabat dan gudang?

Maka dari ayat ini, pengajaran yang kita boleh ambil adalah kemiskinan pasti akan ada. Ia tidak dapat dihapuskan kerana memang ianya adalah sifat di dunia ini. Kalau kekayaan diberikan kepada semua manusia, maka tentu dunia akan kacau bilau.

Mungkin timbul persoalan: kenapa nanti di syurga ada banyak kekayaan tapi tidak ada kacau bilau? Ini kerana di syurga nanti tidak ada hasad dengki kerana semua perasaan buruk dari diri manusia akan ditarik.

Kenapa pula tidak ditarik perasaan hasad dengki dari semua manusia supaya semua manusia boleh kaya dan hidup aman damai? Ini Allah tidak jadikan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian. Memang ada manusia yang ada perasaan hasad dengki dalam hati mereka yang menyebabkan kegawatan dalam dunia ini.

Ada pendapat yang mengatakan ada para sahabat yang teringin untuk jadi kaya. Ini setelah mereka melihat kekayaan yang ada pada Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Juga dikatakan merujuk kepada Ahli Suffah yang ada teringin untuk jadi kaya juga sampaikan mereka menyuarakan keinginan hati mereka kepada Nabi ﷺ. Maka kerana itulah ayat ini diturunkan.

 

وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ

akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya.

Allah ingatkan yang Dia yang beri rezeki. Sebagai penekanan bahawa semua rezeki dari Allah. Tidak ada yang selain Allah yang boleh beri rezeki.

Rezeki utama dalam bentuk air. Kerana kalau air tidak ada, habis semua kehidupan di atas muka bumi. Manusia akan susah atau mati terus kalau tidak ada air. Dan Allah beri air itu kadar keperluan kita. Kalau diberikan semua air sekali gus, tentu semua tempat akan banjir, bukan?

Allah tahu kadar mana yang diperlukan oleh makhlukNya. Allah tahu apa yang diperlukan hambaNya. Kalau Allah hendak menjaga agama hambaNya, maka Allah akan beri cukup-cukup sahaja untuknya. Kerana Allah tahu kalau diberikan lebih lagi, akan menyebabkan dia itu akan terpesong dari agamanya.

Dan ada orang yang Allah beri lebih dan ada orang yang Allah beri kurang. Allah tahu keperluan satu individu dan individu yang lain. Ada orang yang boleh tahan dengan ada harta yang banyak, dan ada yang tidak.

Ada orang yang sibuk bekerja, tidak banyak duit untuk berlibur, makan apa yang ada sahaja. Orang itu akan senyap sahaja, tak kacau orang dan tak buat kerosakan. Tapi kalau tiba-tiba dia diberikan harta yang banyak, tiba-tiba perangai dia sudah jadi lain macam. Banyak kita boleh lihat orang sebegini, bukan?

 

إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

Allah tahu keperluan hambaNya. Allah Maha Tahu manakah hamba yang boleh tahan dengan harta yang banyak dan mana yang tidak. Allah selamatkan manusia yang tidak boleh tahan dengan harta yang banyak dengan diberikan sedikit sahaja.

Jadi, kalaulah kita tidak diberikan dengan harta yang banyak, mungkin kita pun termasuk orang yang sebegini. Kerana Allah tahu kalau kita dapat harta yang banyak, kita akan melampaui batas. Maka bersyukurlah anda tidak kaya.

Jangan kita salahkan Allah kalau kita dapat kurang. Ingatlah kedudukan kita di sisi Allah. Kita ini hambaNya dan Dia adalah Tuhan. Kita gunakan setakat mana yang Allah berikan ini sebagai alat untuk kita jadi hamba kepada Allah.

Dan ingatlah yang Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan dengan rezeki yang Dia berikan. Sama ada kita gunakan rezeki itu untuk kebaikan atau tidak. Setiap perbelanjaan kita akan ditulis dan akan ditanya nanti.

Allah tahu apakah yang baik untuk kita. Perancangan Allah sangat hebat, maka kita kena percaya sahaja. Kerana Allah maha bijaksana. Bandingkan dengan pemerintah negara kita. Sebagai perumpamaan, tengoklah keputusan yang terpaksa dilakukan oleh mereka. Mereka kadangkala terpaksa buat keputusan yang akan menyebabkan sesetengah pihak akan kerugian atau kesusahan. Tapi mereka terpaksa buat keputusan itu untuk kepentingan negara.

Mereka yang terkesan dengan keadaan itu tentulah marah kerana mereka jadi susah. Mereka mungkin memberontak atau mengata sana sini kerana mereka tidak tahu bahawa keputusan yang pemimpin negara buat itu adalah untuk kebaikan negara bagi jangka masa panjang.

Kalau hal masa depan negara pun kita tidak dapat nak tahu sebagai rakyat biasa, takkan kita boleh tahu apakah perancangan Allah yang tentunya lebih tepat dan lebih hebat? Maka kenalah kita redha dengan apa yang ditentukan oleh Allah.


 

Ayat 28: Dalil Aqli

وَهُوَ الَّذي يُنَزِّلُ الغَيثَ مِن بَعدِ ما قَنَطوا وَيَنشُرُ رَحمَتَهُ ۚ وَهُوَ الوَلِيُّ الحَميدُ

Sahih International

And it is He who sends down the rain after they had despaired and spreads His mercy. And He is the Protector, the Praiseworthy.

Malay

Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ

Dan Dia lah yang menurunkan hujan

Kita yang hidup di Khatulistiwa ini, mungkin tak rasa sangat nikmat hujan ini. Kerana kita selalu dapat hujan sepanjang tahun. Sampaikan berlebih-lebih hujan sampai kadang-kadang banjir. Sekali sekala sahaja kemarau. Sampaikan kalau ada hujan turun, kita macam tidak suka, kita kata: “alaaa… hujan pula… susah lah nak….”.

Allah selalu sebut hujan dalam Al-Quran kerana ianya adalah nikmat yang amat besar sekali. Lihatlah bagaimana Allah turunkan hujan itu mengikut keperluan kita. Allah turunkan hujan sepanjang tahun, bukannya Allah turunkan semuanya sekali di awal tahun.

Kalau keseluruhan hujan untuk tahun itu diberikan satu masa, maka tentulah akan banjir sesuatu tempat itu dan tidak elok pula. Antara nikmat Allah adalah Allah turunkan sedikit demi sedikit hujan itu. Maka, ianya dapat dimanfaatkan oleh kehidupan.

Dalam ayat ini, perkataan الْغَيْثَ digunakan. Sedangkan ada perkataan lain juga untuk hujan – مَطَر contohnya. Ini adalah kerana الْغَيْثَ adalah hujan yang diturunkan selepas kemarau. Iaitu waktu yang manusia amat mengharap kepadanya. الْغَيْثَ dari katadasar غ و ث yang bermaksud ‘kelegaan’.

Dan الْغَيْثَ juga bermaksud hujan itu turun dengan banyak. Selepas kemarau, tiba-tiba hujan turun, teramatlah suka manusia dengan hujan itu. Sedangkan kalau hari biasa hujan turun, sampai ada yang merungut bila hujan turun. Sampai ada yang kata: “alamak, hujan turun la pulak, aku nak keluar ni. Kenapalah hujan pagi-pagi ni? Tak tahu ke aku nak keluar?” Nauzubillah, kalau kita bercakap tanpa ilmu dan iman, memang boleh jadi macam ni.

Tapi kalau hujan turun selepas kemarau, ramai-ramai akan keluar menari-nari dalam hujan itu. Begitulah bezanya sikap manusia dengan hujan.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا

setelah mereka berputus asa,

Allahlah yang menurunkan hujan selepas manusia sudah tidak tahu nak buat apa untuk menurunkan hujan atau menghentikan kemarau itu. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa untuk menurunkan hujan. Memang hanya berharap kepada Allah sahaja. Bayangkan perasaan manusia apabila diberikan dengan hujan selepas lama hujan tak turun. Tentu amat lega.

Putus asa yang boleh adalah putus asa dengan usaha manusia. Sudah buat macam-macam tapi akhirnya tak tahu nak buat apa lagi. Jangan putus asa dengan Allah kerana putus asa dengan Allah adalah sifat kufur.

Negara kita jarang mengalami masalah kekurangan hujan. Tetapi sekali sekala ianya berlaku juga. Masalahnya, masyarakat kita tidak tahu bagaimana hendak memohon kepada Allah apabila hujan lama tidak turun. Kerana jahil, masyarakat kita masih juga mahu melakukan Solat Hajat.

Solat hajat lepas solat jumaat

Solat Hajat berjemaah adalah amalan yang bidaah. Sepatutnya yang dilakukan adalah Solat Istisqa’ – Solat Minta Hujan. Itulah cara solat yang diajar dan diamalkan oleh Nabi. Ada negara Islam yang apabila dua minggu sahaja hujan tak turun, mereka terus Solat Istisqa’.

Solat ini dilakukan di tempat umum seperti padang terbuka. Jemaah solat hendaklah memakai pakaian yang lusuh untuk menggambarkan kesusahan yang mereka sedang alami. Bawa sekali dengan binatang ternakan kerana binatang ternakan juga memerlukan hujan. Feqah Solat Istisqa’ ini boleh dipelajari di tempat lain.

solat minta hujan istisqa 3-1
Beberapa minit saja solat istisqa bermula, hujan telah turun dengan lebatnya hingga lebih 30 minit. Tempat peristiwa berlaku di SMA Negeri 1 Tanah Merah Riau pada 27.10.2015

Kadangkala satu-satu nikmat itu berlainan penerimaannya oleh manusia. Kadang-kadang Allah beri pertolongan di saat-saat seseorang itu sudah putus harap. Waktu itu, terasa sungguh nikmat itu.

Hikmahnya, apabila pertolongan itu diberikan waktu itu, mereka akan rasa teramat lega, dan teramat bersyukur. Kalau sebut ‘alhamdulillah’ waktu itu pun, bunyi sudah lain – disebut dengan penuh kelegaan dan dengan penuh syukur kepada Allah.

Ayat ini mengajar kita yang sekali sekala Allah akan tangguhkan penurunan hujan kepada manusia supaya mereka akan berharap lebih kepadaNya. Mungkin mereka telah melakukan kesalahan kepada Allah sebelum itu dan Allah tahan hujan sebagai peringatan kepada mereka untuk mengenang kembali apakah salah mereka dan bertaubat atas kesalahan mereka itu.

Perangai manusia, kalau selalu sahaja dapat apa yang dikehendaki, manusia tidak menghargai nikmat itu. Orang yang selalu makan sedap, dia tak kisah pun bila dia dapat makan makanan yang sedap. Tapi orang kampung yang jarang dapat makan sedap, sekali dapat makan steak, dia akan teruja sangat. Begitulah perumpamaannya.

 

وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ

dan Dia menyebarkan rahmatNya merata-rata.

Allahlah yang menyebarkan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya. Semua makhluk akan dapat rahmat dari Allah. Sema ada manusia, binatang, serangga, semua sekali. Semua akan dapat rezeki masing-masing. Dalam bentuk yang mereka perlukan. Makanan untuk lembu lain dengan makanan untuk semut kerana Allah beri bahagian ikut keperluan masing-masing.

Begitulah, rezeki dalam bentuk hujan jatuh ke merata-rata kawasan yang luas. Bandingkan kalau air dari dalam bumi, seperti mata air dan telaga, ianya hanya terhad dalam kawasan yang kecil sahaja. Tapi apabila hujan turun, ianya pergi ke merata tempat.

Rezeki itu bukan dalam bentuk hujan sahaja. Macam-macam jenis rezeki yang Allah berikan. Cuma Allah selalu beri contoh hujan dalam Al-Quran untuk isyarat kepada rezeki.

Seperti yang selalu disebut, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Kita disuruh berdoa hanya kepada Allah, dan terus kepada Allah sahaja. Kerana Dia sahaja yang dapat memberi apa yang kita perlukan. Begitulah yang ditekankan dalam ayat ini. Kalau hujan sudah lama tak turun, maka doalah kepada Allah. Jangan pergi jumpa Bomoh Hujan pula – ini syirik.

Kalau hanya Allah sahaja yang boleh beri rezeki kepada kita, dalam bentuk hujan dan lain-lain bentuk rezeki, maka minta kepada Allah lah sahaja, jangan pula minta kepada yang lain.

 

وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ

Dan Dia lah pelindung, lagi Yang Maha Terpuji.

Ayat ini mengajar kita bagaimana Allah memberikan rezeki mengikut kadar keperluan. DiberikanNya sedikit demi sedikit harta dan keperluan kepada manusia. Kerana Allah tahu, kalau hambaNya diberikan dengan harta yang banyak sekaligus, akan menyebabkan manusia itu terpesong, jadi tak tentu arah.

Ini seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Macam juga hujan, diberikan sedikit demi sedikit, kerana kalau diberi banyak terus, bukannya jadi nikmat, tapi jadi musibah.

Manusia akan jadi lain kalau tiba-tiba jadi kaya. Kalau kita lihat budak-budak selepas kira duit raya mereka pun cukuplah. Perangai mereka sudah jadi lain macam: nak beli itu lah, ini lah. Nak makan itu, makan ini. Sibuk mereka dengan duit raya mereka itu.

Orang dewasa pun begitu juga. Kalau ada duit banyak, selalunya mereka boleh jadi hanyut dengan kemewahan. Jadi, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah telah ‘menyusun’ rezeki yang hendak diberikan kepada kita. Allah tidak beri banyak untuk keselamatan iman kita juga sebenarnya.


 

Ayat 29: Dalil aqli sebagai alamat kepada Qudrat Allah. Kenapa kita kena sembah Allah sahaja.

وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَثَّ فيهِما مِن دابَّةٍ ۚ وَهُوَ عَلىٰ جَمعِهِم إِذا يَشاءُ قَديرٌ

Sahih International

And of his signs is the creation of the heavens and earth and what He has dispersed throughout them of creatures. And He, for gathering them when He wills, is competent.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya).

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya

Allah menyebut-nyebut tanda-tanda kekuasaanNya untuk mengingatkan kita yang Dialah Tuhan kita dan kita kena sembah dan seru hanya Dia. Tanda-tanda itu boleh dilihat pada alam ini. Dengan melihat alam ini akan mengingatkan kita kepada Allah.

 

خَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

ialah kejadian langit dan bumi

Allah selalu menyebut langit dan bumi kerana itulah dua makhluk besar yang kita selalu boleh lihat. Tidak mustahil ada lagi makhluk-makhluk Allah yang lain yang kita tidak dapat lihat. Sebagai contoh, Arasy adalah lebih besar lagi dari langit dan bumi, tapi kita tidak nampak.

Allah hendak memberitahu, begitu punya besar langit dan bumi itu, Dia sahaja yang mencipta keduanya, tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam penciptaannya.

 

وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَابَّةٍ

serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata;

Lihatlah berapa banyak makhluk Allah yang melata di bumi dan terbang di langit. Kalimah دَابَّةٍ bermaksud sesuatu yang bergerak sendiri dan selalunya digunakan untuk binatang. Termasuk juga sama ada manusia atau kehidupan yang lain. Apabila kita lihat segala makhluk itu, kita ingat dalam hati kita yang Allahlah yang menjadikan semua makhluk itu.

Semua yang ada atas bumi ini, binatang dan manusia dan apa sahaja, tidak terjadi sendiri. Tidaklah kita dan mereka membiak sendiri, melainkan Allah juga yang membiakkan kita. Kena ingat perkara ini.

Binatang dan makhluk di bumi kita boleh nampak. Tapi bagaimana dengan makhluk yang bergerak di langit? Mungkin yang dimaksudkan adalah para malaikat atau mungkin juga ada makhluk-makhluk lain yang melata yang kita tidak tahu kerana ilmu kita terhad terhadap alam ini. Oleh kerana itu, ada juga yang menggunakan ayat ini sebagai dalil ada makhluk di planet-planet lain. Ini adalah kerana kalimah دَابَّةٍ adalah makhluk yang melata di tanah. Kalau malaikat, mereka mungkin terbang sahaja.

 

وَهُوَ عَلَىٰ جَمْعِهِمْ إِذَا يَشَاءُ قَدِيرٌ

dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki

Walaupun makhluk itu merata-rata, ada di langit dan ada di bumi, tapi Allah mampu untuk mengumpulkan semua makhlukNya itu apabila tiba masanya. Kita nak kumpul anak beranak kita yang duduk di negeri lain pun sudah susah, tapi Allah mampu nak mengumpulkan makhlukNya walau di mana mereka berada. Semua makhluk nanti mati berlainan tempat dan berlainan masa, tapi Allah boleh kumpul semuanya sekali di Mahsyar.

Bila Allah yang jadikan dan menghidupkan makhluk, tentu Dia juga boleh matikan. Jadi kenapa Musyrikin Mekah tak boleh terima yang makhluk akan dihidupkan? Kerana mereka pun terima yang Allah sahaja yang boleh menjadikan. Mereka sepatutnya kena terima kerana itu semua dari Qudrat yang sama juga. Bila terima tentang Qudrat, maka syariat pun kena terimalah juga.

Habis Ruku’ ke 3 dari 5 ruku’ surah ini.


 

Ayat 30: Takhwif duniawi. Ayat ini adalah tentang bala yang menimpa manusia. Allah menceritakan kenapa manusia ditimpa bala itu. Ianya adalah kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Ini mungkin satu pemahaman yang ramai tidak tahu.

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ

Sahih International

And whatever strikes you of disaster – it is for what your hands have earned; but He pardons much.

Malay

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

وَمَا أَصٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),

Macam-macam kesusahan dan musibah yang kita alami dalam kehidupan dunia ini. Itulah namanya kehidupan, tidak sunyi dari masalah, tidak sunyi dari musibah. Sama ada berbentuk kesihatan, kewangan, pekerjaan, perhubungan antara manusia, malah apa-apa sahaja. Ada musibah yang besar dan ada musibah yang kecil. Apa yang Allah kata tentang musibah itu?

 

فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ

maka ia adalah disebabkan apa yang tangan kamu lakukan

Musibah-musibah itu ditimpakan kepada kita kerana perbuatan tangan kita sendiri. Manusia mendapat musibah kerana amalan dosa yang dilakukan. Bukan dosa tangan sahaja tapi dosa yang dilakukan oleh semua anggota walaupun disebut hanya tangan sahaja.

Ianya terjadi kerana kesalahan kita. Iaitu perbuatan dosa yang banyak kita lakukan. Perbuatan yang baik akan membawa kebaikan, dan perbuatan buruk akan membawa kepada keburukan.

Allah hendak memberitahu kita, apabila derhaka, di dunia lagi Allah boleh boleh beri azab sikit-sikit. Kalau orang kafir, apa sahaja musibah yang menimpa mereka itu sudah dikira azab. Iaitu azab yang kecil sebelum kena azab lebih teruk di neraka. Maka kalau nak selamatkan diri dari musibah, perbaiki amalan dari jahat kepada baik. Jangan jadi zalim, contohnya, taat kepada Allah dan serahkan diri kepada Allah.

Kepada orang mukmin yang ada buat dosa, ianya adalah peringatan atau sebagai asbab gugur dosa. Diberi musibah supaya orang itu insaf. Allah beri musibah-musibah itu untuk memberi peringatan kepada kita. Supaya selalunya apabila kita jatuh terduduk kerana masalah, baru kita teringat dengan Allah. Baru teringat dosa-dosa yang kita telah lakukan.

Selalunya orang bila sudah kena musibah, baru dia teringat nak istighfar, baru nak buat amal kebaikan. Masa kita kaya, masa kita ada kuasa dulu, kita menikmati kehidupan ini tanpa mengingati Allah. Sembahyang pun pakai mana yang mampu sahaja, kelas agama tak sempat nak pergi sebab sibuk nak belanja harta, pergi sana pergi sini.

Oleh kerana itu, kalau ada musibah dikenakan kepada diri kita, kena ingat baliklah: “apalah dosa yang aku telah lakukan? Apa yang Allah murka dengan aku?”

Tapi bagaimana dengan orang mukmin yang tidak buat dosa seperti para Nabi? Kenapa mereka kena musibah juga? Kepada mereka, dengan musibah yang mereka dapat itu, mereka akan naik darjat. Dan mereka akan diberikan pahala tambahan kerana sabar. Kerana kalau mereka tak diuji, macam mana orang mukmin nak dapat pahala sabar? Dan pahala sabar ini tidak ada had.

Maka musibah diberikan kepada mereka sebagai tambahan pahala kepada mereka. Jadi janganlah kita gatal mulut pula cakap dengan orang yang kena musibah: “ini tentu ada salah kau kat mana-mana ni… bertaubatlah…”. Jangan kita cakap begitu kerana musibah itu mungkin bukan kerana dosa dia, tapi kerana Allah nak beri pahala tambahan kepada dia.

 

وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Allah dengan Sifat RahmatNya, tak hukum kita terus dengan segala dosa-dosa yang kita lakukan. Kalau nak dikirakan, banyak sekali dosa-dosa yang kita lakukan. Tapi, musibah yang dikenakan kepada kita itu bukanlah atas semua dosa-dosa itu. Allah beri sikit sahaja. Ini istilah yang selalu gunakan: “Allah bayar cash terus ni…”

Maksud ayat ini, dosa-dosa yang kecil yang manusia lakukan, banyak yang Allah sudah ampunkan. Dosa itu diampunkan apabila kita solat, wuduk, buat kebaikan dan lain-lain ibadat. Kerana kalau Allah nak balas dengan semua dosa yang kita lakukan, tentu kita tidak mampu menanggungnya.

Oleh kerana itu, bukan semua amalan jahat terus dibalas di dunia. Allah maafkan begitu sahaja. Atau, Allah tangguh azab musibah itu kerana Allah beri peluang untuk bertaubat. Tapi kalau terlepas tidak kena azab di dunia, dan dia pun tidak minta ampun sampai dia mati, maka di akhirat akan kena juga. Maka jangan sangka akan terlepas begitu sahaja.

Tapi ada jenis dosa yang tidak diampunkan kerana pembuatnya kena minta ampun secara spesifik kepada Allah. Itulah dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Ini bukan jenis dosa yang akan terhapus dengan wuduk, solat dan buat kebaikan yang biasa. Ini termasuk dalam perbuatan syirik adalah amalan-amalan dan fahaman bidaah. Ini adalah kerana amalan bidaah adalah amalan menambah dalam agama, ianya adalah syirik juga. Ini kita telah belajar dalam tafsir ayat 21 surah ini.

Tetapi, kerana tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak belajar sunnah, manusia tidak tahu manakah amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan. Oleh kerana mereka tak tahu, maka mereka tidaklah meminta ampun atas dosa-dosa itu. Kerana kalau mereka tahu, tentulah mereka akan meminta ampun.

Kesimpulan ayat ini, kerana ada dosa yang manusia lakukan, dan mereka tidak mohon keampunan lagi, maka Allah telah menjatuhkan musibah ke atas mereka. Musibah itu dikenakan untuk mengingatkan manusia apakah kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa yang patut kita lakukan adalah memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita itu. Bukannya dengan buat Solat Tolak Bala, Doa Tolak Bala, Solat Hajat dan amalan-amalan bidaah yang lain.

Oleh kerana dosa-dosa yang tidak diminta ampun itulah yang menyebabkan kita dikenakan dengan musibah itu. Maka, kita kenalah sentiasa istighfar dan minta ampun kepada Allah supaya Allah terus ampunkan sahaja dosa kita dan tidak diganti dengan balasan musibah.

Manusia pertama yang melakukan dosa dan dikenakan musibah adalah Nabi Adam a.s. Baginda telah dihukum dengan diturunkan ke dunia dari syurga tempat tinggal asalnya. Itu adalah musibah yang amat besar. Bayangkan, setelah duduk di syurga dengan segala kenikmatannya, terpaksa tinggal di dunia yang serba tak cukup, serba kurang dan serba payah.

Maka, apakah yang baginda telah lakukan? Baginda telah memohon keampunan dari Allah. Walaupun baginda seorang yang amat bijak, tapi doa-doa taubat baginda tidak diterima oleh Allah. Sampailah Allah sendiri ajar baginda bagaimana memohon ampun. Doa yang diajar oleh Allah dan diamalkan oleh Nabi Adam ada tertulis dalam A’raf:23

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Nabi Adam dan Hawa mengaku kesalahan yang mereka lakukan dan memohon keampunan dari Allah. Selepas mengamalkan doa ini, barulah Allah maafkan baginda dan Hawa. Maka, tidaklah benar yang Nabi Adam bertawasul dengan nama Nabi Muhammad yang belum lahir, seperti yang diajar oleh puak-puak bidaah dan puak-puak tarekat.

Sedangkan telah jelas dalam ayat ini bagaimana cara Nabi Adam memohon ampun dari Allah. Maka, kalau kita ditimpa musibah, ada kemungkinan ianya adalah dari kesalahan yang kita lakukan, maka moleklah kalau kita amalkan doa ini juga.

Kalau kita tidak rasa kita ada buat dosa pun, sepatutnya kita kena selalu istighfar kepada Allah. Kerana kita tidak tahu apakah dosa yang kita telah lakukan. Tentunya kita ada sahaja dosa yang kita lakukan. Jangan nak tipu lah.


 

Ayat 31: Kalau Allah nak kenakan musibah atau azab, kita tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri.

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

And you will not cause failure [to Allah ] upon the earth. And you have not besides Allah any protector or helper.

Malay

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan (kuasa Allah) di muka bumi;

Tidak ada tempat untuk kita lari dari apa yang Allah telah tetapkan kepada kita. Kita tidak boleh lemahkan atau tahan kuasa Allah untuk mengenakan musibah kepada kita. Kerana kita tinggal dalam bumiNya. Kalau Allah nak kenakan musibah kepada kita, ianya pasti akan kena.

Kalau kesalahan jenayah dunia, edar dadah atau bunuh orang, boleh lagi nak lari sampai polis tak tangkap dan tak kena penjara. Tapi tidak akan boleh lari kalau dengan Allah. Kerana kita tidak dapat melemahkan qudrat Allah untuk balas segala dosa kita.

Kenapa Allah kenakan musibah itu kepada kita? Adakah Allah benci kepada kita? Tentunya tidak. Bala dan musibah itu adalah sebagai amaran dari Allah. Allah nak ingatkan kita bahawa ada kesalahan yang kita telah lakukan. Allah nak beritahu kepada kita bahawa kita telah lupa kepada Allah. Yang kita telah buat kesalahan. Kita kena periksa balik, apakah kesalahan yang kita lakukan. Kalau Allah beri peringatan sebegini, ia adalah rahmat dari Allah. Kerana azab di akhirat lebih teruk lagi, bukan?

Ini adalah tentang musibah di dunia. Bagaimana pula di akhirat kelak? Allah sambung dengan potongan seterusnya pula, iaitu keadaan di akhirat kelak:

 

وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ

dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung

Tidak ada mana-mana guru, ustaz, Tok Sheikh, wali atau sesiapa sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari azab Allah. Kalau di dunia, ada orang boleh tolong kita, atau kita rasuah orang tolong kita, atau upah mereka, atau paksa mereka; tapi segala itu tidak akan terjadi di akhirat kelak.

Hanya Allah sahaja yang boleh melindungi kita dan menyelamatkan kita. Minta ampunlah kepada Allah. Mintalah pertolongan kepada Allah.

 

وَلَا نَصِيرٍ

atau pemberi pertolongan.

Allah sahaja yang boleh memberi pertolongan kepada kita apabila kita ada musibah, ada masalah. Kalau satu dunia berusaha untuk tolong menyelesaikan masalah kita, tapi kalau Allah tidak membenarkannya, masalahnya itu tidak akan selesai.

Lafaz وَلِيٍّ untuk penolong untuk selamatkan kita dari kena musibah. Atau untuk menghalang dari masuk ke dalam neraka. Tidak ada yang boleh halang.

Lafaz نَصِيرٍ pula untuk penolong selepas kita kena musibah atau azab. Juga tidak ada yang akan dapat keluarkan kita dari neraka tanpa izin Allah kalau kita dimasukkan ke dalam neraka.

Maka, kita sepatutnya pergi kepada Allah, bukannya lari dari Allah. Malangnya, ada orang kita yang apabila ditimpa kesusahan, contohnya bisnes jatuh bangkrap, isteri lari dengan orang lain, anak tinggalkan mereka, mereka bukan kembali kepada Allah tapi sebaliknya menjauhkan diri lagi daripada Allah.

Mereka ada yang hisap dadah, minum arak sebab nak lupakan masalah, ada yang bunuh diri, pukul orang lain dan macam-macam lagi kesalahan yang mereka lakukan. Itu adalah cara yang salah untuk menghadapi musibah yang telah dikenakan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 23 – 26 (Tidak boleh minta upah dalam mengajar agama)

Ayat 23: Ayat 23 – 43 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang pahala yang akan diberikan kepada orang mukmin dan sifat-sifat mereka. Ayat 23 ini adalah Ayat Tabshir Ukhrawi

ذٰلِكَ الَّذي يُبَشِّرُ اللهُ عِبادَهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ ۗ قُل لّا أَسئلُكُم عَلَيهِ أَجرًا إِلَّا المَوَدَّةَ فِي القُربىٰ ۗ وَمَن يَقتَرِف حَسَنَةً نَّزِد لَهُ فيها حُسنًا ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ شَكورٌ

Sahih International

It is that of which Allah gives good tidings to His servants who believe and do righteous deeds. Say, [O Muhammad], “I do not ask you for this message any payment [but] only good will through kinship.” And whoever commits a good deed – We will increase for him good therein. Indeed, Allah is Forgiving and Appreciative.

Malay

(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللهُ عِبَادَهُ

Itulah yang Allah gembirakan hamba-hambaNya

Iaitu mereka diberikan dengan berita gembira bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan ditempatkan di tempat yang paling subur dan paling cantik di taman-taman syurga itu. Dan mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka mahukan.

Maka, apabila Allah telah beri berita gembira itu, hendaklah kita berusaha ke arahnya. Janganlah kita buat tidak tahu sahaja macam ianya tidak ada apa-apa. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Dan jalan pertama adalah dengan belajar ilmu agama dimulai dengan tafsir Al-Qur’an dan kemudian hadis Nabi.

Kepada siapakah berita gembira ini diberikan? Adakah kepada semua orang?

 

الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

yang beriman dan beramal soleh.

Tapi hanya kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh sahaja yang diberikan dengan berita gembira ini. Kepada mereka yang engkar, mereka pun akan mendapat berita juga, tapi berita buruk, iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Iman itu kena iman yang sempurna, iaitu amalkan tauhid dan tidak melakukan syirik; dan amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari Nabi dan sahabat dan bukan amal yang bidaah.

 

قُل لَّا أَسْئلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا

Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,

Nabi ﷺ tidak pernah meminta upah kepada umatnya. Dan inilah sunnah dalam mengajar ajaran agama. Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama.

Kerana apabila seseorang melakukan kerja baik kerana Allah, dia hanya mengharapkan balasan dari Allah, bukan dari manusia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas usaha mereka. Pahala mengajar pun sudah amat banyak, tidak terkira banyaknya. Maka, kenapa kita perlu balasan dari manusia?

Ini adalah satu perkara yang amat penting diketahui oleh mereka yang mengajar. Mengajar ilmu agama itu adalah WAJIB kepada mereka yang berilmu. Begitu juga, belajar agama itu adalah juga WAJIB bagi setiap orang yang sudah baligh.

Maka, kalau orang yang berilmu menetapkan bayaran untuk mengajar agama, akan ada masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menuntut ilmu, sedangkan belajar agama itu WAJIB. Maka mereka tidak dapat datang belajar kerana mereka tidak ada kemampuan. Maka tentulah mereka itu akan terus berada dalam kejahilan sampai bila-bila. Amat malang sekali kalau begitu.

Allah tidak benarkan meminta upah dalam mengajar, kerana kalau tidak, mereka yang tidak mahu belajar akan ada alasan pula untuk tidak belajar agama. Mereka akan kata: “bagaimana kami nak belajar, nak masuk kelas sahaja kena bayar RM100, setiap kali belajar kena bayar RM10 (dan apa-apa bayaran)”. Jadi Allah tutup alasan ini dengan melarang guru agama minta upah dalam mengajar. Supaya semua orang ada peluang untuk belajar.

Ini tidaklah menghalang guru agama untuk menerima pemberian dari anak muridnya. Anak murid yang berkemampuan sepatutnya memberi imbuhan kepada guru setakat yang mereka mampu. Hendaklah kita menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru dengan memberi sedekah atau hadiah kepada guru.

Dan mereka memang layak untuk menerima pemberian itu. Cuma, guru itu TIDAK boleh menetapkan berapakah bayaran yang dikenakan. Kalau tidak ada sesiapa pun memberi pemberian, dia masih tetap perlu meneruskan pengajaran kerana itu sudah menjadi kewajipan kepadanya untuk mengajar. In sha Allah, Allah akan memberi rezeki kepadanya dengan cara yang lain.

Malangnya, banyak sangat ustaz di negara ini yang meminta upah dalam mengajar. Sampaikan ada yang menetapkan upah mengajar setiap kali RM5,000. Paling kurang, sekali mengajar selama sejam dua, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM500. Selalunya, ia bergantung kepada ‘populariti’ ustaz itu.

Ustaz sebegini memang hendak mengajar agama untuk membuat duit sahaja. Dan selalunya apa yang mereka ajarkan itu bukanlah dari ajaran sunnah. Kerana memang mereka bukan berfahaman sunnah pun. Kalau mereka Sunnah, mereka tidak letak yuran pun.

Dan apabila mereka diberi bayaran, mereka tidak berani untuk menceritakan perkara yang akan menyebabkan anak murid marah. Jadi, mereka tidak tegur pun kesalahan anak-anak murid itu kerana mereka takut kalau mereka tegur, anak murid akan berasa hati dan tidak panggil mereka datang mengajar lagi.

Jadi, realiti sekarang adalah ramai guru yang meminta dan menetapkan bayaran upah dalam mengajar. Padahal, cara pengajaran salaf dari dahulu lagi adalah tidak mengenakan bayaran. Dan memang ada sampai sekarang, guru-guru agama yang mengajar agama tanpa mengenakan bayaran dan mereka boleh sahaja hidup sempurna.

Allah masih lagi memberi mereka dengan rezeki dengan cara lain. Tapi tidaklah ramai mereka itu, sampaikan jarang sekali kita dengar guru yang tidak meminta atau menetapkan bayaran dalam mengajar.

Ada satu lagi tafsir untuk lafaz أَجْرًا itu. Selain daripada upah dalam bentuk kewangan dan harta, ia juga boleh diterjemahkan kepada ‘sanjungan’. Kerana ada orang yang tidak mengharapkan harta, kerana mungkin mereka sudah kaya, tapi mereka mengharapkan sanjungan dari orang ramai.

Mereka suka kalau orang kata mereka pandai, bijak, berilmu dan sebagainya. Maka, ini pun kita kena jaga juga. Kerana takut kalau kita tidak mengharap upah dalam bentuk wang, tapi kita mengharapkan أَجْرًا dalam bentuk sanjungan manusia pula.

 

إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ

melainkan hanyalah kasih mesra dalam pertalian kerabat

Maksud ayat ini adalah: Nabi ﷺ tidak mengharapkan balasan upah daripada umatnya kecuali hanya mengharapkan pertalian rapat antara baginda dan umatnya sahaja. Baginda hanya mengharapkan semoga umatnya menghargai pertalian persaudaraan sesama mereka.

Tambahan lagi, Nabi ﷺ memang ada pertalian persaudaraan dengan mereka. Boleh dikatakan semua yang tinggal di Mekah itu ada pertalian persaudaraan dengan baginda. Walaupun mereka tak mahu terima, tapi sekurang-kurangnya sokonglah baginda.

Kalau tak mahu beriman pun, janganlah menentang baginda dan menyakiti baginda. Cubalah dengar apa yang baginda hendak katakan, kerana baginda bukan orang lain dengan mereka, tapi saudara mereka juga.

Dalam adat bangsa Arab, mereka amat mementingkan pertalian persaudaraan. Kalau seseorang itu dari puak mereka, mereka akan beri sokongan dalam semua hal. Tapi, apabila Nabi ﷺ membawa ajaran tauhid, mereka tidak menghargai langsung pertalian persaudaraan itu.

Malah, mereka yang rapat dengan baginda pun menentang baginda seperti Abu Lahab. Maka Nabi ﷺ memohon mereka supaya mengingati kembali pertalian antara mereka itu.

Tidaklah juga baginda berharap upah dari kerabat baginda. Seperti kita dengan anak beranak kita, takkan nak minta upah kepada mereka dalam mengajar, bukan? Takkan selepas memberi nasihat kepada anak beranak dan saudara mara, kita minta upah kepada mereka pula, bukan? Itu amat tidak patut kalau kita lakukan.

Ini juga sebagai isyarat yang kita kena sampaikan dakwah dan ajaran agama kepada kalangan kaum kerabat kita dahulu. Jangan sibuk dakwah kepada orang lain, tapi keluarga sendiri tidak diberi galakan sunnah.

Keduanya, perkataan الْقُرْبَىٰ boleh diterjemahkan sebagai ‘rapat’. Ianya adalah dari katadasar yang sama yang kita gunakan perkataan ‘karib’ yang kita gunakan dalam perkataan ‘sahabat karib’ kita yang bermaksud sahabat kita yang paling rapat.

Ini bermaksud Nabi ﷺ tidaklah mahukan upah daripada mereka sebaliknya Nabi ﷺ mahu mereka itu jadi rapat dengan Allah SWT. Kerana tugas setiap Rasul dibangkitkan adalah untuk mendekatkan manusia dengan Allah.

Apabila manusia sudah rapat dengan Allah dan menganggap Allah kekasih mereka, apa-apa sahaja arahan dari Allah akan mudah ditaati kerana ianya seumpama permintaan dari kekasih kita. Bukankah kita akan mudah penuhi permintaan kekasih? Oleh itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak mengharapkan أَجْرًا dari umatnya, asalkan mereka jadi rapat dengan Allah, sudah cukup untuk baginda.

Maksud ketiga yang diberikan oleh para mufassir adalah baginda tidak meminta upah melainkan hanya mengharap supaya mereka melayan baginda seperti kaum kerabat mereka yang rapat. Apabila dengan kerabat yang rapat, tidaklah sepatutnya menyakiti sesama sendiri, sebaliknya bantu membantu. Itulah harapan baginda. Kerana waktu itu, banyak yang melayan baginda dengan teruk sekali.

Maksud keempat yang dibincangkan oleh mufassir adalah yang dimaksudkan oleh الْقُرْبَىٰ adalah ahli keluarga baginda. Iaitu Ali, Fatimah dan keluarga mereka atau selalu dipanggil dengan gelaran Ahl Bayt. Tetapi, ayat ini diturunkan di Mekah di mana Fatimah masih kecil dan belum lagi berkahwin dengan Ali.

Dan ahli keluarga Nabi bukanlah mereka sahaja, malahan ada ramai lagi. Kalau tanya kepada kebanyakan orang Islam, mereka hanya tahu anak baginda ada Fatimah, dan cucu baginda adalah Hassan dan Husein sahaja. Padahal banyak lagi. Jadi, pendapat yang mengatakan ayat ini tentang mereka berlima adalah lemah.

Dan hujah itu digunakan oleh kumpulan Syiah dan kita pun tahu yang mereka itu memang penipu. Maka kita tidak boleh gunakan hujah ini. Kita memang mesti menghormati ahli keluarga Nabi ﷺ tapi bukanlah seperti yang dilakukan oleh puak Syiah itu. Allahu a’lam.

 

وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik,

Kata يَقْتَرِفْ terbit dari katadasar ق ر ف yang bermaksud ‘mengupil kulit pokok’. Atau ‘kopek luka yang sudah kering’ yang selalu dilakukan oleh kanak-kanak. Maka maksudnya adalah ‘melakukan sesuatu’. Dalam ayat ini, ianya tentang melakukan kebaikan.

Dan untuk melakukan sesuatu, memerlukan usaha. Nak solat, nak tolong orang lain, nak belajar, semua itu memerlukan usaha. Oleh itu, iqtarif adalah perbuatan yang bersungguh-sungguh dan ada sedikit kesusahan dalam melakukan – memerlukan usaha dari seseorang. Macam nak umpil pokok bukannya senang, bukan?

 

نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا

Kami tambahi kebaikan baginya dalam kebaikannya itu.

Allah beri ganjaran berganda-ganda dari amalan orang yang melakukan kebaikan itu. Allah akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan semasa di dunia. Bukan itu sahaja, malah dia akan diberikan dengan taufik untuk melakukan kebaikan lagi.

Iaitu, seseorang yang melakukan amalan baik akan timbul dalam hatinya untuk melakukan lagi kebaikan. Perasaan yang dinamakan taufik itu diberikan oleh Allah. Dengan itu, orang itu akan mendapat lebih banyak lagi kebaikan.

Sebab itu kadang-kadang kita hairan memikirkan bagaimana ada orang yang boleh melakukan banyak perkara ibadat. Dia boleh belajar, dia boleh mengajar, dan dalam masa yang sama, sempat lagi menulis kitab. Ini adalah kerana Allah telah memberikan taufik kepadanya untuk melakukan amalan-amalan ibadat itu.

Allah telah memberikan nikmat kepada orang itu untuk merasai kemanisan dalam melakukan amalan-amalan baik itu. Sampaikan orang itu merasa gembira dan ‘ringan tulang’ untuk melakukannya.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa Allah memberi perasaan ini kepada mereka yang mula melakukan ibadat itu sedikit demi sedikit. Apabila dia sudah mula melakukan sedikit amal kebaikan, dan istiqamah dalam melakukannya. Allah akan beri dia rasa nikmat melakukannya. Oleh itu, mulakan dengan melakukan amalan yang ringan-ringan dahulu dan istiqamah. Jangan nak terus buat banyak kerana akan melemahkan diri sendiri.

Apabila kita sudah mula rasa kemanisan melakukan ibadah itu, maka tambah lagi dengan amalan yang lain. Janganlah terus hendak ikut orang lain yang melakukan amalan yang banyak. Mereka yang istiqamah melakukan amalan yang banyak, mereka pun bermula dengan sedikit dahulu.

Ini adalah targhib (rangsangan) untuk umat memperbanyakkan amal mereka. Bila kita sudah tahu kebaikan yang amat banyak dalam mengerjakan amal soleh, maka rebutlah peluang dan jangan tunggu lagi. Banyak kali Allah sebut dalam Al-Qur’an mengajak kita beramal dengan kebaikan.

Amat rugi kalau berlengah dan menangguh untuk melakukan amal kebaikan. Kerana ramai yang sudah tahu tapi masih tunggu lagi. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan pada awalnya tak bagi kita belajar, tapi bila kita sudah belajar, syaitan bisikkan kepada kita untuk tangguhkan pula amal kebaikan itu.

Inilah senjata Talbis Iblis yang dinamakan taswif (melengahkan kebaikan). Syaitan tak boleh nak kata amal itu salah sebab orang itu sudah belajar, tapi mereka masih boleh lagi bisikkan supaya orang itu tangguhkan amal itu. Ramai yang mati dalam menjadi mangsa kepada senjata syaitan ini.

 

إِنَّ اللهَ غَفُورٌ شَكُورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Amat Menghargai

Allah Maha Menghargai makhluk yang beribadat kepadaNya dan Dia akan membalas dengan lebih baik lagi. Allah amat suka dengan amalan yang kita lakukan dan Allah tidak akan mensia-siakannya.

Kenapa ada disebut sifat Allah yang Maha Pengampun dalam ayat ini pula? Kerana walaupun kita hendak taat kepada arahan dan suruhan Allah, tapi kadang-kadang kita cuai dalam amal. Ini adalah penawar bagi penyakit ujub iaitu salah satu dari Talbis Iblis. Ujub ini terjadi apabila seseorang itu rasa hebat dengan amal yang dia telah lakukan. Maka Allah ajar supaya minta ampun selepas beribadat, untuk mengingatkan kita yang ada amalan kita yang tidak cukup dan tidak sempurna. Jangan pandang hebat amalan kita itu.

Maka oleh kerana itu kita kena minta maaf dan ampun kepada Allah. Dan kerana itulah Allah beritahu yang Dia Maha Pengampun. Oleh itu, ada anjuran minta ampun dari dosa dalam ayat ini.

Kita memang selalu dianjurkan untuk minta ampun kepada Allah kerana kalau amalan kita sikit, tapi dosa kita banyak, nanti ada masalah untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Maka, kita minta ampun supaya dosa kita tidak ada lagi dan yang tinggal adalah pahala amalan kita walaupun ianya sedikit.

Dan Allah memang suka makhlukNya minta ampun dan sebab makhlukNya minta maaflah Allah beri taufik untuk melakukan kebaikan lagi dan lagi. Allah suka kita minta ampun kerana Dia suka mendengar kita mengaku lemah.


 

Ayat 24: Ayat Syikayah. Ini adalah tuduhan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad. Dan tuduhan yang sama juga diberikan kepada penyebar tauhid sekarang. Allah beri jawapan kepada tuduhan itu dalam ayat ini.

أَم يَقولونَ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ اللهُ يَختِم عَلىٰ قَلبِكَ ۗ وَيَمحُ اللهُ البٰطِلَ وَيُحِقُّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

Or do they say, “He has invented about Allah a lie”? But if Allah willed, He could seal over your heart. And Allah eliminates falsehood and establishes the truth by His words. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah” (Sebenarnya tidak patut mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa – jika Dia menghendaki – menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Dia memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Adakah mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka dusta terhadap Allah”

Musyrikin Mekah memegang agama ajaran dari tok nenek mereka. Pada mereka, itulah ajaran yang benar. Dan mereka sangka ianya ajaran peninggalan dari Nabi Ibrahim.

Apabila Nabi Muhammad datang dan mengatakan bahawa pegangan mereka itu salah, maka mereka mengatakan Nabi Muhammad mereka-reka agama yang baru. Mereka juga menuduh yang Nabi Muhammad reka sendiri Al-Qur’an itu. Mereka pula yang kata Nabi Muhammad sesat sedangkan mereka yang sesat.

Mereka menuduh tanpa mendengar dulu pun apa yang hendak disampaikan oleh baginda. Mereka buat tuduhan melulu. Begitulah juga dengan kebanyakan dari kalangan masyarakat kita. Sebelum dengar dakwah dari kita, mereka terus label kita sebagai ‘wahabi’.

Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan. Tapi apabila Nabi datang dan membawakan ajaran tauhid la ilaaha illallah, (tidak ada ilah yang lain selain Allah), maka mereka melenting marah. Kerana mereka menyembah sembahan yang lain sebagai perantara (tawasul) kepada Allah. Mereka bukan sahaja sembah Allah, tapi mereka juga mahu sembah tuhan-tuhan yang lain yang mereka terima anggap sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ kepada Allah.

Begitulah juga dengan sesetengah dari masyarakat Islam kita. Mereka itu terima bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mencipta alam ini, tapi mereka menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara antara mereka dan Allah dalam berdoa dan dalam ibadat.

Maka apabila kita katakan bahawa itu adalah cara berdoa yang salah, melentinglah mereka. Dan mereka kata kita bawa ajaran yang baru. Kerana mereka telah lama menerima ajaran bertawasul itu dari guru-guru dan tok nenek kita yang lama dulu sampaikan mereka sangka itulah agama.

 

فَإِن يَشَإِ اللهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ

jika Allah menghendaki, Dia boleh menutup hatimu

Jika Nabi Muhammad itu benar-benar berdusta atas nama Allah, bawa ajaran baru, bawa ajaran yang tidak benar, Allah akan tutup hati baginda. Allah boleh kunci mati hati Nabi. Iaitu baginda tidak akan ingat lagi apa yang telah baginda sampaikan dari Al-Qur’an itu.

Tapi lihatlah bagaimana walaupun Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam masa selama 23 tahun, baginda tidak lupa langsung apa yang baginda telah sampaikan pada awal Islam.

Dan baginda tidak lupa pun apa yang telah baginda katakan pada awal Islam sampailah ke hujung hayat baginda. Bandingkan dengan penulis buku zaman sekarang. Hanya selepas beberapa tahun sahaja, mereka akan keluarkan edisi baru untuk memperbetulkan edisi asal tulisan mereka, kerana mereka jumpa maklumat baru, atau mereka nampak ada kesalahan dalam tulisan mereka yang dahulu.

Tapi itu tidak berlaku kepada Nabi, kerana baginda bukanlah penulis kepada Al-Qur’an. Itu adalah tanda bahawa Nabi menyampaikan ajaran yang benar.

Kalau Nabi pun akan dikunci mati hatinya kalau baginda reka agama, bagaimana pula kalau kita sendiri yang memandai reka agama, atau tambah amalan agama? Kita pun akan kena azab nanti. Cuma manusia yang menyebar ajaran salah tidaklah terjadi seperti Nabi Muhammad kerana kalau manusia ajar ajaran salah, ia tidaklah seteruk kalau Nabi yang ajar ajaran salah.

Ayat ini juga boleh bermaksud, kalau seseorang yang bukan Nabi tapi mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Allah tidak beri peluang ada seseorang yang mengaku Nabi dan orang ikut Nabi palsu itu. Kerana Allah tidak mahu ada kekeliruan dalam kalangan manusia.

Tapi ini adalah sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan. Maksudnya kalau selepas Nabi Isa diangkat dan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi, kalaulah ada yang mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Kalau ada yang mengaku sebagai Nabi palsu selepas Nabi Muhammad, tidaklah orang itu terus dimatikan.

Sebab itu kita boleh dengar ramai sahaja yang mengaku sebagai Nabi selepas Nabi Muhammad wafat. Sebab penutup Nabi sudah dibangkitkan, maka kalau ada lagi mengaku sebagai Nabi, sudah pasti mereka itu menipu. Maka mereka tidak perlu dimatikan langsung. Yang percaya hanyalah mereka yang jahil dan gila sahaja.

Oleh itu, kalau Nabi Muhammad telah mengaku sebagai Nabi, dan baginda hidup sahaja, itu adalah dalil yang baginda ada Nabi yang sebenar.

 

وَيَمْحُ اللهُ الْبٰطِلَ

Dan Allah menghapuskan perkara yang salah

Ini adalah kaedah Allah untuk memastikan agama yang benar sahaja yang kekal. Dia akan menghapuskan ajaran yang salah. Kalaulah benar apa yang Nabi sampaikan itu adalah dari kata-kata baginda sendiri, Allah akan menghapuskannya lama dulu lagi. Tetapi lihatlah bagaimana selepas 1,400 tahun, ayat-ayat Al-Qur’an itu masih sama sahaja sampai ke hari ini.

Allah juga menghapuskan ajaran yang salah dengan membangkitkan Nabi Muhammad untuk membawa ajaran yang benar. Dan pada zaman sekarang, agama yang benar akan tetap dibawa oleh guru yang akan mengajar kepada manusia ajaran yang benar supaya manusia ada yang berada atas landasan yang benar.

Itulah mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis yang sahih, dan mengajar ajaran yang benar itu kepada manusia supaya dapat menghapuskan ajaran yang salah. Akan ada sahaja golongan ini yang Allah akan bangkitkan.

 

وَيُحِقُّ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

Dia menetapkan yang benar dengan kalimahkalimah wahyuNya.

Allah menyampaikan kebenaran kepada manusia melalui ayat-ayat Al-Qur’an. Hujah-hujah yang disampaikan adalah dengan dalil-dalil yang jelas dan mantap. Tapi ianya hanya jelas kepada mereka yang belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Ayat ini juga bermaksud Allah akan jaga mereka yang menyatakan kebenaran. Allah akan beri ketetapan hati kepada mereka.

Satu lagi pendapat, Allah membantu para Rasul عليهم السلام untuk menguatkan hujah mereka dengan diberikan mukjizat. Oleh kerana para Rasul عليهم السلام itu membawa hujah yang besar, maka mereka dibantu dengan sesuatu yang dapat mengalahkan kebatilan dari kalangan masyarakat. Maka itulah diberikan dengan mukjizat.

Dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah Al-Qur’an. Ia dikira terbesar kerana ia masih kekal sampai sekarang. Kita sendiri boleh lihat mukjizat di hadapan mata kita. Sedangkan mukjizat Nabi-nabi lain kita tidak dapat tengok, bukan?

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Allah tahu apa yang ada dalam hati Musyrikin Mekah itu. Mereka tuduh Nabi mereka-reka Al-Qur’an. Tetapi Allah tahu bahawa mereka sebenarnya percaya yang Al-Qur’an itu bukanlah buatan manusia. Cuma mereka sombong untuk menerimanya.

Allah juga Maha Tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam amalan ibadat kita. Hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat pencatat amal kita pun tidak tahu. Malangnya, ada kalangan masyarakat kita yang kata tok guru tahu niat dalam hati kita pula.

Itu adalah fahaman yang syirik. Kerana hanya Allah sahaja yang tahu dalam hati kita dan kalau kita kata ada makhluk yang tahu juga, maka itu menyamakan sifat makhluk dengan Allah. Itu adalah fahaman syirik.

Allah juga Maha Tahu sama ada kita ada syak atau tidak dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ada Muslim yang membaca ayat-ayat Al-Qur’an tapi mereka masih ragu dengan apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak nampak apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Dan walaupun mereka belajar tafsir, ada yang tidak belajar dengan ikhlas untuk mencari kebenaran. Oleh itu, apabila mereka berjumpa dengan ayat-ayat yang tidak kena dengan amalan dan fahaman mereka, mereka tolak ayat-ayat itu.


 

Ayat 25: Kenapa kena seru Allah sahaja?

وَهُوَ الَّذي يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَعفو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعلَمُ ما تَفعَلونَ

Sahih International

And it is He who accepts repentance from His servants and pardons misdeeds, and He knows what you do.

Malay

Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

 

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya

Mereka yang menentang Nabi Muhammad ﷺ diingatkan dalam ayat ini yang mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan menerima baginda. Allah sanggup untuk menerima taubat mereka.

Sebelum ini Allah telah mengajar tentang syirik dalam berdoa. Maka ada orang yang setelah belajar tauhid, setelah belajar tafsir Al-Qur’an, barulah tahu yang mereka selama ini telah melakukan amalan dan fahaman yang syirik. Maka tentunya mereka hendak bertaubat dan meninggalkan amalan dan fahaman salah mereka itu. Inilah yang sepatutnya berlaku. Maka, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah sanggup menerima taubat mereka.

Allah sahaja yang mampu menerima taubat dari hambaNya. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menerima taubat dari makhluk. Oleh kerana itu, kita kena taubat terus kepada Allah.

Ini berlawanan dengan ajaran yang sesat seperti Nasara yang mengajar penganutnya untuk memberitahu dosa-dosa kepada paderi mereka dan paderi itu pula yang ampunkan dosa mereka. Itu adalah ajaran salah. Sepatutnya kita sendiri yang kena minta ampun kepada Allah.

‘Taubat’ bermaksud ‘kembali kepada Allah’. Allah suka untuk menerima taubat hambaNya. Walau banyak mana pun dosa manusia. Allah telah sebut dalam Zumar:53

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jangan putus harap dengan Allah. Allah mampu untuk mengampunkan segala dosa kita tidak kira berapa banyak pun. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang dosa kita telah banyak sangat sampaikan Allah tidak akan ampunkan dosa kita yang banyak itu. Berapa banyak pun dosa kita, rahmat dari Allah lebih besar lagi.

Ayat ini juga bermaksud yang Allah ‘senang’ untuk menerima taubat kita. Allah tidaklah macam manusia yang susah untuk menerima permohonan maaf dari orang lain. Kadang-kadang mulut manusia kata dia maafkan, tapi kalau orang itu buat salah lagi, kesilapan yang telah dimaafkan sebelum ini pun akan diungkit balik, bukan?

Syaratnya, kita kena minta ampun sendiri kepada Allah. Syarat taubat adalah menyesal dengan dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Satu lagi syarat penting: Ianya mesti dilakukan sebelum pintu taubat ditutup – kalau Malaikat Maut sudah sampai, nyawa sudah di kerongkong, taubat itu tidak akan diterima.

Syarat lagi satu adalah ikhlas dalam taubat itu. Bukan kita sebut sahaja dengan mulut tetapi hendaklah hati kita juga mahu bertaubat. Kenalah betul-betul mahu bertaubat, bukannya sambil lewa sahaja. Sebab itu kena menyesal benar-benar dengan dosa yang telah dilakukan. Barulah boleh datang perasaan ikhlas itu.

Ada dua jenis taubat yang dibahagikan oleh ulama untuk pemahaman kita:

1. Taubatul Kul – iaitu taubat ‘keseluruhan’ dosa. Sebagai contoh, seorang yang baru masuk Islam. Dia akan memohon ampun atas segala dosanya semasa dia musyrik dahulu. Dan Allah akan ampunkan segala dosanya itu, sampaikan dia adalah seperti kain bersih yang tidak ada kekotoran langsung.

2. Taubatul Juz. Taubat ‘sebahagian’ sahaja. Sebahagian sahaja dosa yang diampunkan. Mungkin sebab seseorang itu tak ingat apakah dosa yang telah dilakukan. Atau dia sendiri tidak tahu apakah dosa yang dilakukan kerana dia tidak tahu ada perbuatannya yang berdosa. Atau ada dosanya yang tidak diampunkan kerana tidak cukup syarat.

Taubat jenis manakah yang Allah terima? Allah terima kedua-duanya sekali. Yang penting, kita kenalah selalu bertaubat. Kerana kita tidak tahu sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kena teruskan bertaubat tanpa henti.

 

وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ

serta memaafkan kejahatan-kejahatan 

Taubat menghapuskan semua dosa sebelum itu jika Allah terima taubat itu. Apabila Allah terima taubat hamba itu, segala dosa-dosanya akan dihapuskan.

Sebagai contoh, apabila seseorang masuk Islam, segala dosanya akan diampunkan dan tidak sedikit pun tinggal (taubatul kul). Begitu juga kalau kita banyak dosa dan kita minta ampun dengan ikhlas. Kalau Allah terima taubat itu, Allah boleh ampunkan berapa banyak pun dosa kita. Walau sebanyak buih di lautan. Walaupun dosa itu adalah dosa syirik.

Atau Allah boleh sahaja bersihkan dosa yang tidak diminta ampun kerana kita tak ingat atau tak tahu yang kita berdosa. Allah boleh sahaja lakukan kalau Allah kehendaki.

Ataupun kita dalam proses belajar, maka ada dosa-dosa yang kita lakukan kerana kita tak tahu ianya adalah dosa. Maka, kerana kita sudah mula belajar, Allah akan maafkan kita.

Kita memang ada banyak dosa, tapi tidak semua Allah beri musibah. Mafhum dari ayat-ayat yang lain, segala musibah yang kita hadapi semasa di dunia adalah kerana kesalahan dosa kita. Sebagai contoh, hidup kita susah, hati tidak tenang, kerja tidak dapat diselesaikan dan macam-macam lagi.

Kalau Allah balas segala dosa kita dengan musibah di dunia ini lagi, tentulah lagi susah hidup kita. Tapi banyak yang Allah telah maafkan begitu sahaja tanpa kita minta maaf pun. Tapi ada yang Allah kenakan musibah juga untuk mencuci dosa itu semasa kita di dunia.

Oleh itu, kalau kita ada masalah dengan musibah yang bertimpa-timpa, kenalah kita kenang balik apakah dosa kita dan minta ampunlah atas segala dosa-dosa kita. Kalau Allah ampunkan dosa kita semuanya, maka tidak adalah musibah lagi.

Ada yang membezakan potongan ayat ini dengan potongan ayat sebelum ini. Taubat untuk dosa-dosa yang besar dan beri maaf adalah untuk dosa-dosa yang kecil. Allahu a’lam.

Dan ada dosa-dosa yang Allah ampunkan melalui syafaat Nabi Muhammad nanti di akhirat. Tapi kena tunggu di akhirat, jangan minta syafaat dari Nabi sekarang.

Allah sanggup ampunkan semua dosa manusia termasuk dosa syirik pun. Tapi dosa syirik, tidak akan diampunkan melainkan kita sendiri minta ampun. Tidak boleh harapkan ahli keluarga kita minta ampun selepas kita mati nanti. Dan tidak boleh harapkan doa pengampunan dari manusia lain.

 

وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

Semuanya Allah tahu. Allah tahu apa kita telah buat, segala kesalahan kita, berapa banyak kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Allah tahu betapa teruknya kita tapi Allah masih mahu ampunkan semua dosa-dosa itu. Begitulah sayangnya Allah kepada kita. Kalau emak dan ayah kita tahu segala dosa kita, belum tentu mereka masih mengaku kita anak mereka. Tapi Allah yang tahu segalanya tentang kita, masih tetap sayang kepada kita.

Sama ada kita sendiri tahu atau tidak tahu apakah dosa yang kita lakukan, Allah Maha Mengetahui. Tidak ada dosa yang kita boleh sembunyikan dari Allah. Allah juga tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam bertaubat dan meminta ampun.


 

Ayat 26: Ayat Tabshir. Targhib kepada doa. Allah galakkan manusia berdoa terus kepadaNya tanpa menggunakan perantaraan. Juga terdapat takhwif ukhrawi dalam ayat ini.

وَيَستَجيبُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ ۚ وَالكٰفِرونَ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sahih International

And He answers [the supplication of] those who have believed and done righteous deeds and increases [for] them from His bounty. But the disbelievers will have a severe punishment.

Malay

Dan Dia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan Dia menerima dari orang-orang yang beriman serta beramal soleh,

Menerima apa? Bermaksud Allah menerima dan ‘menjawab’ doa manusia. Hanya Allah sahaja yang mampu menerima doa kita. Tidak ada makhluk lain yang mampu mendengar dan menerima dan memakbulkan doa-doa itu. Oleh itu, permohonan doa kepada selain Allah adalah syirik.

Sama ada permintaan doa itu terus memohon kepada entiti selain Allah, ataupun menggunakan entiti selain Allah sebagai perantara dalam berdoa (tawasul). Sebagai contoh, ramai yang dari kalangan kita yang meminta pertolongan dari Nabi Muhammad untuk sampaikan doa kepada Allah. Tapi mampukah baginda mendengar permintaan kita, sedangkan baginda sudah mati?

Tidak ada dalil yang menyuruh kita meminta kepada baginda, sama ada dari Al-Qur’an atau hadis. Yang mengajar kita meminta pertolongan kepada Nabi itu adalah guru-guru yang sesat sahaja.

Allah suka untuk memakbulkan doa kita. Cuma tidaklah semua doa dimakbulkan di dunia ini. Ada yang dimakbulkan di akhirat kelak. Tapi kena ada dua syarat itu. Pertama, kena beriman sempurna dan beramal soleh.

‘Beriman sempurna’ bermaksud tidak melakukan syirik. Kalau orang yang buat syirik, tidak diterima doanya.

Keduanya, ibadat itu mestilah ibadat yang diajar oleh Nabi. Itulah baru dikatakan amal yang soleh. Ibadat yang tidak soleh adalah amalan yang bidaah dan akan menambah dosa sahaja, bukannya pahala seperti yang diharapkan.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah ‘menerima amal manusia’, asalkan amalan itu dilakukan oleh orang yang beriman dan amal itu kenalah amal yang soleh. Walaupun kita melakukan sebanyak mana amal ibadat dan amal kebaikan, tetapi jika kita tidak beriman sempurna, ada mengamalkan syirik, maka sia-sia sahaja amalan itu.

Entah berapa ramai yang tidak tahu tentang akidah tauhid dan manakah amalan yang syirik. Padahal mereka itu rajin beribadah. Mereka sangka amalan mereka itu menambah pahala, tapi sebenarnya amalannya itu tidak dikira lagi kerana mereka tidak ‘beriman sempurna’. Seumpama orang kafir yang solat, adakah dia mendapat pahala? Tentu tidak.

Dan entah berapa ramai manusia yang melakukan amalan dengan banyak, tapi amalan itu tidak diajar oleh Nabi, atau tidak dengan cara yang diajar Nabi. Mereka berusaha dan bertungkus lumus melakukan amalan itu, tetapi ianya adalah amalan yang bidaah yang bukan dari amalan sunnah. Amalan bidaah pun tidak diterima oleh Allah. Maka, sia-sia sahaja amalan mereka.

Pengajaran yang penting dalam ayat ini adalah: hendaklah kita belajar tentang tauhid dan lawannya: syirik; dan hendaklah kita belajar tentang amalan soleh dan lawannya: bidaah.

Kekeliruan timbul dalam masyarakat kerana tidak belajar wahyu Allah. Memang ada yang kononnya sudah belajar, tapi bukan dari aliran sunnah. Maka itulah sebabnya mereka punah.

 

وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ

dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya

Selepas Allah terima amal ibadat hambaNya itu, Allah akan balas berganda-ganda. Allah bukan balas sama banyak dengan amalan, tapi berganda-ganda. Kerana Allah Maha Pemurah. Allah nak beri lebih kepada hambaNya.

Dan apabila Allah menerima doa hambaNya, Allah boleh beri lebih lagi dari apa yang diminta oleh hamba itu. Kita pun tak sangka kita akan dapat apa yang kita dapat itu. Kita harapkan sikit sahaja, tapi Allah beri lebih lagi. Semuanya bergantung kepada Allah. Sebagai contoh, mungkin kita minta basikal, tapi Allah boleh sahaja beri kereta kepada orang itu.

Memang doa manusia terhad sahaja. Kerana kita hanya boleh minta apa yang kita nampak sahaja. Pengetahuan kita terhad dalam bab doa. Sebab itu kalau kita lihat doa-doa yang diajar Nabi, baginda ajar untuk minta perkara-perkara yang kita sendiri tidak terfikir untuk minta.

Sebagai contoh, Nabi ajar kita minta ‘afiat’. Maksud afiat itu adalah tidak didatangi ujian-ujian – contohnya, tidak jatuh sakit. Ini permintaan sebelum sakit lagi. Ini adalah permintaan yang baik sekali, kerana diselamatkan dari musibah. Selalunya kita minta tolong Allah apabila sudah kena masalah, bukan? Maka kali ini minta jangan dikenakan musibah pun lagi. Maka  mintalah afiat di dunia dan akhirat.

Satu lagi contoh, Nabi pernah ajar kita untuk minta terus Syurga Firdaus. Maknanya, minta terus perkara yang paling balik sekali, jangan malu-malu nak minta kerana Allah mampu nak berikan. Kalau Allah kabulkan doa kita untuk masuk ke Firdaus, maka tentulah Allah akan beri kita amalan-amalan baik untuk memasukkan kita ke dalam Syurga Firdaus itu. Allah beri kita taufik supaya kita jadi orang yang beramal yang layak masuk Syurga Firdaus.

Atau, kalau tidak dapat Syurga Firdaus pun, kita dapat masuk syurga yang rendah sedikit, tapi dapat jugalah masuk syurga, bukan? Tapi lihatlah bagaimana Nabi ajar kita untuk berharap kepada sesuatu yang tinggi supaya usaha kita pun jadi tinggi. Kita kena aim higher.

 

وَالْكٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

Ini pula adalah ayat takhwif. Kalau tak beriman dan tak beramal dengan amal yang soleh, balasan bagi mereka adalah azab seksa.

Dan kalau engkar dalam berdoa, iaitu berdoa dengan cara orang kafir, pun mereka akan mendapat azab seksa juga. Contohnya, mereka yang menggunakan tawasul yang dilarang. Bukan semua tawasul yang dilarang. Maka kena belajar mana tawasul yang digalakkan dan tawasul yang dilarang.

Atau mereka meminta kepada selain dari Allah. Sebagai contoh, sekarang ramai dari masyarakat kita yang menerima ajaran sesat dari golongan Habib yang mengajar meminta doa kepada orang mati di kubur. Alangkah ruginya manusia yang sebegitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 20 – 22 (Bidaah itu syirik)

Ayat 20: Ini adalah dorongan kepada kita untuk buat persiapan awal kepada akhirat.

مَن كانَ يُريدُ حَرثَ الآخِرَةِ نَزِد لَهُ في حَرثِهِ ۖ وَمَن كانَ يُريدُ حَرثَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن نَّصيبٍ

Sahih International

Whoever desires the harvest of the Hereafter – We increase for him in his harvest. And whoever desires the harvest of this world – We give him thereof, but there is not for him in the Hereafter any share.

Malay

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ

Sesiapa yang menghendaki hasil tuaian di akhirat,

‘Tuaian’ bermaksud menuai hasil setelah dilakukan usaha menanam. Sebagaimana petani menanam padi dan mengharap untuk menuai padi itu selepas ianya boleh dituai. Maknanya, mengharapkan sesuatu dari usaha yang kita lakukan. Oleh itu, sesiapa yang hendak menuai dengan banyak, maka kenalah bercucuk tanam dari sekarang.

Kita semua melakukan sesuatu, tapi apakah sebabnya kita melakukan apa yang kita lakukan itu? Apakah tujuan kita melakukan perkara atau amalan itu? Ada yang melakukan sesuatu itu kerana hendakkan faedah di akhirat. Itulah sebabnya kita solat, puasa, bayar zakat, infak dan amalan-amalan baik yang lain. Kita lakukan amalan itu semua kerana kita mengharapkan pahala dan semoga dengan pahala itu kita dapat masuk syurga.

Itulah harapan seorang mukmin yang benar. Bukanlah kita melakukan amalan tanpa mengharapkan apa-apa. Setiap perbuatan kita, ada sesuatu yang kita harapkan. Janganlah kita dengar kata-kata puak tarekat yang kata kononnya kalau buat amalan dan mengharapkan balasan adalah salah.

Mereka kata, kalau mengharapkan pahala atau syurga dalam beribadat, itu sudah tidak ikhlas. Pendapat mereka itu berlawanan dengan ayat ini. Lihatlah bagaimana Allah pun kata tentang mereka yang melakukan amalan sambil mengharapkan faedah di akhirat.

Mereka yang masuk tarekat itu adalah mereka yang senang ditipu, dan mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka hanya diajar berzikir sampaikan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan ilmu yang benar. Apabila mereka tidak belajar, mereka senang ditipu oleh guru-guru mereka.

Guru-guru itu pula dapat ilmu dari khayalan mereka sahaja, atau bisikan dari syaitan yang hendak menyesatkan mereka. Maka, mereka terus berada dalam kebodohan. Tapi mereka rasa mereka pandai, itu sebab susah nak ajar mereka dan ajak mereka ke arah jalan yang benar.

Selalunya, apabila kita kata tentang ‘amalan’, kita terus terfikir amalan yang dilakukan oleh fizikal kita. Tapi sebenarnya ada amalan yang berbentuk ‘amalan hati’. Sebagai contoh, kalau kita niatkan dalam hati kita sepanjang hari, niat untuk beri nasihat kepada orang lain, itu sudah dikira sebagai amalan hati yang baik dan sudah dikira sebagai amal. Sepanjang waktu akan dapat pahala. Ini adalah sunnah Nabi ﷺ kerana hati Nabi memang begitu, sentiasa hendak memberi nasihat.

Akan tetapi, kalau kita ada niat yang buruk, niat yang jahat, itu akan merosakkan segala amalan dan pahala kita. Sebagai contoh, kalau ada dengki dalam hati kita melihat kejayaan orang lain, itu akan merugikan kita. Sebagaimana seorang penuai yang menunggu masa untuk menuai hasil tanaman dia, tapi sebelum dapat tuai, dirosakkan oleh cuaca, belalang atau apa-apa sahaja. Tidakkah itu rugi sekali? Maka kena jaga juga hati kita kerana ia akan memberi kesan.

 

نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ

Kami akan menambah untuknya dalam tuaiannya;

Mereka yang mengharapkan faedah di akhirat, akan mendapat balasan yang berganda-ganda dari usahanya yang telah dilakukan. Sebab Allah itu Maha Pemurah, Allah nak beri lebih lagi dari apa yang kita lakukan.

Allah akan beri penambahan. Pertamanya, Allah akan tambah taufik kepada kita, supaya kita boleh melakukan lebih banyak lagi amal kebaikan. Kerana kita kena ingat, kita boleh buat amal kebaikan dengan banyak adalah kerana taufik Allah; kalau Allah tidak beri taufik, kita pun tidak boleh melakukan amal kebaikan apa pun. Mereka yang boleh buat banyak amal itu kerana Allah telah beri taufik kepada mereka.

Keduanya, Allah akan balas berlipat kali ganda. Kita buat sikit sahaja, tapi Allah balas dengan banyak sekali. Allah tak balas sama dengan kebaikan yang kita lakukan, sebaliknya Allah akan beri berkali-kali kali ganda! Lihatlah apa yang Allah kata dalam Baqarah:261.

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Lihatlah bagaimana Allah berfirman dalam ayat ini bahawa sedekah yang diberikan akan digandakan sampai 700 kali ganda! Dan Allah boleh untuk menggandakan bertambah-tambah lagi mengikut kehendakNya.

Mereka yang mengharap faedah di akhirat, bukan hanya dapat kebaikan akhirat sahaja, tapi mereka juga akan mendapat kebaikan di dunia juga. Allah Maha Pemurah sampaikan Allah tak suruh kita tunggu sampai di akhirat untuk mendapat kebaikan. Semasa di dunia lagi Allah sudah boleh beri.

Maknanya, orang itu akan dapat akhirat dan juga dunia. Oleh itu jadikanlah akhirat sebagai objektif kita, dan kita akan dapat kebaikan di dunia juga. Allah boleh beri kelebihan di dunia lagi, kerana ianya tidak bernilai mana. Sebab ia tidak bernilailah, yang Allah boleh beri kepada orang kafir pun. Jadi, kalau Allah boleh beri kepada orang kafir, kenapa Allah tidak boleh beri kepada manusia yang beriman dan beramal soleh?

Satu persoalan yang mungkin timbul adalah: bagaimana pula kalau kita melakukan perbuatan yang memang berbentuk keduniaan? Seperti makan, minum, bekerja, bermain sukan dan sebagainya? Adakah ianya terkeluar dari kategori mendapat faedah di akhirat?

Adakah kita tidak dapat hasil di akhirat kalau kita buat perkara yang tidak jelas nampak sebagai ‘ibadah’? Kerana, kalau amalan solat, puasa, zakat dan sebagainya, itu sudah jelas ada kaedah dengan akhirat kerana ianya termasuk dalam kategori ‘ibadah khusus’. Bagaimana pula dengan perbuatan berbentuk keduniaan?

Allah amat pemurah sampaikan kalau kita buat amal untuk dunia pun boleh dikira sebagai amal untuk akhirat juga dan kita akan mendapat faedah di akhirat kelak hasil dari perbuatan kita yang bersifat keduniaan. Ini adalah kerana, kita buat amal dunia pun kerana memenuhi perintah Allah.

Sebagai contoh, kita pergi ke kedai kerana membeli makanan. Kerana Allah yang suruh kita makan. Seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah:172

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Lihatlah, bagaimana mencari makanan yang bagus pun adalah arahan dari Allah. Maka, kalau kita memeriksa kandungan sesuatu makanan pun bermakna kita mengikuti arahan dari Allah. Iaitu ketika kita memastikan yang makanan yang kita makan itu baik. Kita makan pun untuk menjaga kesihatan dan Allah suruh kita jaga kesihatan kita. Supaya kita sihat untuk melakukan amal ibadat.

Maka semasa kita melakukan amal keduniaan itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Kita kena sedar bahawa apa sahaja yang kita lakukan itu adalah kerana memenuhi perintah Allah. Dan kena ada niat yang kita melakukan sesuatu itu kerana hendak menjadi hamba yang baik. Dan usaha ke arah melakukan ibadah.

Dan ingatlah bahawa Allah bersifat Maha Pemurah dan suka memberi. Oleh kerana itu, Allah suka kalau kita menikmati nikmat yang diberikanNya. Kerana Allah suka memberi dan Allah suka kalau kita menerima nikmatNya itu. Oleh itu, apabila makhluk menggunakan nikmat itu dengan baik, dan bersyukur dengan pemberian itu, Allah pun suka juga.

Tapi ada syarat yang perlu diikuti untuk mendapat pahala akhirat semasa melakukan perbuatan keduniaan.

Pertama, niat kena betul. Kita buat semua perkara kerana mengharapkan redha Allah. Kita ikhlas dalam melakukan sesuatu. Bukan kerana kita mengharap pujian dari manusia dan balasan dari manusia. Kalau kita buat sesuatu kerana Allah, kita pun senang hati melakukannya. Tapi kita kena pastikan yang kita buat perkara yang dalam lingkungan halal.

Keduanya, cara perbuatan itu kena betul. Ikut sunnah seperti yang dilakukan Nabi, selagi ada. Sebagai contoh, cara pakai baju, tidur, makan dan sebagainya boleh mengikut sunnah kerana ada contoh dari nabi. Kalau Nabi ﷺ melakukan sebegitu, maka bermakna Allah pun suka begitu, maka hendaklah kita ikut selagi boleh.

Walaupun begitu, tentu ada juga perbuatan yang tidak ikut sunnah, sebagai contoh, bawa kereta. Nabi ﷺ tidak pernah bawa kereta, jadi macam mana kita nak ikut sunnah baginda? Kita masih lagi boleh kaitkan dengan akhirat dalam perkara sebegitu dengan buat ibadat masa memandu.

Contohnya, kita boleh berzikir semasa memandu. Sebelum memandu, baca doa seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Dan kita memandu dengan cara yang baik. Jangan ganggu orang, membahayakan nyawa sesiapa dan sebagainya. Jangan membazir dan sebagainya.

Kadang-kadang kita lupa nak berniat pada setiap kali kita melakukan sesuatu perbuatan itu. Mungkin susah untuk kita memasang niat untuk akhirat setiap kali kita berbuat sesuatu aktiviti.

Contohnya, memang kita sudah biasa makan dengan tangan kanan tapi tidaklah kita berniat kita makan dengan tangan kanan itu kerana Allah atau kerana ikut sunnah Nabi ﷺ. Ulama pun ada yang kata tidak semestinya kena berniat setiap kali melakukan sesuatu. Walaupun begitu, ada juga ulama yang berpendapat kena berniat setiap kali.

Seeloknya, kita memperbaharui niat kita dari masa ke semasa supaya kita sedar bahawa apa yang kita lakukan itu adalah kerana mengikut sunnah dan mengharapkan balasanNya. Ingatkan diri kita dari masa ke semasa.

Saya pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang berjambang seperti yang dianjurkan oleh Sunnah. Tapi, bila ditanya, dia tidak pun ada berniat untuk menjalankan sunnah, tetapi sebab dia ‘suka’ sahaja. Amatlah rugi kerana dia sudah buat perkara sunnah, tapi kerana dia tidak ada niat untuk mengikut sunnah, berkemungkinan dia tidak mendapat pahala sunnah berjambang itu.

Maka, ayat ini juga mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita lakukan. Sepatutnya kita buat semua perkara yang menjurus kepada akhirat. Kurangkan buat perkara yang tidak boleh dikategorikan sebagai jalan ke akhirat.

Banyak perkara yang kita buat yang tidak kena mengena dengan akhirat seperti menulis di twitter, Facebook dan sebagainya yang tidak ada nilai untuk akhirat. Hanya memberitahu perkara kosong sahaja dan ada kalanya membawa kepada dosa sahaja.

 

وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا

dan sesiapa yang mahukan hasil tuaian di dunia

Ini adalah tentang mereka yang hanya mahukan dunia semata-mata. Ramai manusia yang berusaha keras untuk mendapatkan hasil di dunia. Dia bekerja siang dan malam supaya hartanya banyak. Dia bersenam setiap hari supaya dia sihat dan badannya cantik. Malah, banyak lagi perbuatan yang manusia lakukan hanya kerana dunia sahaja.

Tidaklah salah semua perbuatan itu. Tapi kena lihat niatnya. Atau, lihatlah tujuannya melakukan perkara itu. Yang tidak elok adalah kalau dia hanya mahukan kebaikan di dunia semata-mata, tanpa mengharap kebaikan di akhirat. Kalau jaga kesihatan supaya kita dapat buat banyak ibadat, bersenam itu sudah dikira sebagai ibadat sebenarnya.

 

نُؤْتِهِ مِنْهَا

Kami beri kepadanya sebahagian darinya

Kalau manusia melakukan perbuatan hanya mengharapkan dunia sahaja, maka Allah akan beri dunia kepadanya. Bukan dapat semua pun tapi ‘sebahagian’ sahaja. Kerana perkataan من bermaksud ‘sebahagian’. Memang manusia ada banyak keinginan tapi dia tak dapat semua yang dia inginkan.

Kalau dia berniaga, tentulah dia hendak untung banyak, berjuta-juta untung dia hendak, tapi Allah tak beri sampai berjuta keuntungan kepadanya. Memang dapat, tapi tidaklah dapat semua yang dia hendak. Ini adalah kerana Allah boleh beri, tapi ikut sekadar Dia hendak beri.

Kepada mereka yang mahukan dunia sahaja, memang Allah boleh beri. Tapi mereka tidak mendapat bahagian di akhirat. Ini amat merugikan sekali. Walaupun dapat bahagian di dunia, tapi bahagian dunia itu tidak kekal. Apa yang kita mahukan sebenarnya adalah bahagian di akhirat.

 

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

Allah akan beri apa yang mereka hendak itu semasa di dunia lagi supaya mereka tidak boleh tuntut lagi di akhirat. Tidak ada pahala untuk ditimbang di neraca timbangan. Allah tak beri hasil kepada mereka sebab mereka tidak mahu pun akhirat. Kerana pemberian Allah bergantung kepada niat seseorang.

Kalau niatnya hendakkan akhirat, maka Allah akan memberi akhirat kepadanya dan dunia sekali. Kalau seseorang itu niatnya mahu dunia sahaja maka Allah akan memberi kelebihan di dunia sahaja. Tapi dia tidak mendapat kebaikan dari bahagian akhirat langsung.

Itulah sebabnya penting untuk kita faham tentang niat. Segala perbuatan bergantung kepada niat seperti telah disebut dalam hadis riwayat Umar berkenaan niat.

ٍعَنْ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَلِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Umar radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda, “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana dia hijrah.” (HR. Bukhari, Muslim, dan empat imam Ahli Hadits)


 

Ayat 21: Ayat 21 & 22 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu kita yang Musyrikin Mekah itu telah buat syariat sendiri. Jadi ayat ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Ayat ini tentang guru yang reka amalan bidaah. Iaitu mereka yang reka amalan baru dalam agama.

أَم لَهُم شُرَكاءُ شَرَعوا لَهُم مِّنَ الدّينِ ما لَم يَأذَن بِهِ اللهُ ۚ وَلَولا كَلِمَةُ الفَصلِ لَقُضِيَ بَينَهُم ۗ وَإِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

Or have they other deities who have ordained for them a religion to which Allah has not consented? But if not for the decisive word, it would have been concluded between them. And indeed, the wrongdoers will have a painful punishment.

Malay

Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ

Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu

Adakah mereka menjadikan sekutu bagi Allah? Sepatutnya yang menentukan syariat adalah Allah, tapi mereka angkat orang lain pun boleh buat syariat juga.

Mereka yang menambah perkara baru dalam agama digelar sebagai ‘musyrik’ dalam ayat ini. Dulunya Musyrikin Mekah. Sekarang, kalau yang melakukannya adalah dari Malaysia, maka mereka adalah Musyrikin Malaysia! Lihatlah betapa teruknya menambah perkara baru dalam agama, sampaikan dikatakan ianya syirik.

Tapi mereka yang jahil agama, senang-senang sahaja tambah perkara bidaah dalam agama, tanpa rasa apa-apa kesalahan. Sebaliknya, mereka pula rasa mereka sudah buat kebaikan dengan menambah perkara baru dalam agama.

Amalan dan hukum agama hanya boleh diadakan oleh Allah sahaja. Maka, kalau ada entiti lain yang buat hukum yang baru, maka itu sudah menyamaratakan kedudukan entiti itu dengan Allah. Dan itu adalah syirik. Tidak kira siapa entiti itu – ustazkah, ulamakah, sistem seperti sistem demokrasi dan sebagainya.

Inilah pemahaman yang susah untuk diterima oleh masyarakat kita. Mereka sangka syirik itu hanyalah apabila sujud dan sembah tuhan yang lain sahaja. Padahal, konsep syirik itu sebenarnya luas lagi. Kalau ambil salah satu dari sifat Allah pun, sudah dikira sebagai syirik.

Jadi, apabila mereka tidak faham konsep syirik, maka ramai yang telah melakukan syirik tanpa mereka sedari. Mereka memang tidak berniat untuk melakukan syirik, tapi tanpa sengaja, mereka telah melakukannya.

 

شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ

yang menentukan mana-mana bahagian dari ugama mereka

Pertama, ia boleh bermaksud buat agama baru; atau keduanya, bermaksud menambah perkara baru dalam agama. Sama ada mereka buat amalan baru atau undang-undang baru dalam agama. Termasuk kalau mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Musyrikin Mekah telah mencipta syariat baru dengan menghalalkan yang haram seperti menghalalkan judi dan penzinaan. Dan mereka mengharamkan perkara yang halal sebagai contoh, mereka telah mengharamkan sesetengah binatang yang Allah halalkan. Perkara ini banyak disebut dalam Surah al-An’am.

Masyarakat kita pun ada yang menghalalkan yang haram. Sebagai contoh, mereka menghalalkan tawasul yang diharamkan. Mereka kata ianya perkara baik padahal ianya telah dikutuk oleh Allah.

Dan masyarakat kita pun banyak mengharamkan yang halal seperti mengharamkan makanan tertentu semasa ‘pantang bersalin’; atau semasa mengamalkan ilmu-ilmu tertentu; atau kerana keturunan mereka kononnya tidak boleh makan makanan-makanan tertentu. Perkara ini banyak dilakukan oleh masyarakat kita kerana dipelopori oleh ulama dan ustaz-ustaz yang tidak tahu agama. Ya, ustaz pun ada yang tidak tahu agama.

Termasuk dalam perkara ini adalah membuat amalan bidaah dalam agama. Ini adalah masalah sangat besar dalam masyarakat kita dan dalam dunia pun. Senang sangat ditambah amalan baru dalam agama dan ini dilakukan oleh mereka yang kononnya faham agama.

Mereka itulah digelar sebagai ustaz oleh masyarakat. Mereka selalunya ada kedudukan dalam masyarakat. Sampaikan amalan yang mereka reka itu diterimapakai oleh orang yang jahil. Jahil itu adalah kerana mereka tidak belajar agama, jadi mereka tidak tahu mana yang boleh dilakukan dan mana yang tidak.

Terlalu banyak amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat dan boleh dilihat dalam senarai yang kita berikan ini. Dan senarai ini akan bertambah lagi kerana akan ada sahaja tambahan amalan bidaah yang dilakukan oleh manusia.

Ayat ini adalah tentang mereka yang memulakan syariat baru itu. Mereka akan mendapat dosa atas amalan itu dan mereka juga akan mendapat tambahan dosa dari mereka yang mengikutinya. Bukan itu sahaja – orang yang mengikut bidaah itu akan mengajar pula kepada orang lain, maka orang yang menambah syariat dan amalan baru itu akan mendapat dosa yang bertimpa-timpa.

Mungkin boleh berterusan dia mengumpul dosa sampai ke kiamat pun kalau bidaah rekaannya itu berterusan diamalkan sampai ke kiamat.

Walaupun ayat ini tentang mereka yang mencipta syariat baru itu, tapi ia juga melarang kita dari mengikuti amalan dan syariat bidaah itu. Kebanyakan dari kita tidaklah reka amalan baru. Tapi banyak yang ikut-ikut sahaja amalan yang telah direka oleh guru yang salah. Itu namanya taqlid buta dan ini adalah bahaya kerana kalau yang kita ikut itu salah, maka kita pun terjerumus juga ke dalam neraka.

Maka, kita yang mengikuti pun dapat dosa juga. Dan kalau kita ajar pula orang lain, maka kita pun dapat imbuhan dari amalan orang yang kita ajar itu. Dan kalau yang kita ajar itu dia ajar pula kepada orang lain, kita akan dapat dosa orang itu juga. Ma sha Allah! Terlalu banyak dosa yang boleh dapat kalau kita terlibat dalam bidaah ini. Tapi kenapa ramai dalam masyarakat kita ambil mudah sahaja?

 

مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللهُ

yang tidak diizinkan oleh Allah?

Ayat ini dalam bentuk ‘istifham inkari’ – Allah tanya soalan, tapi sebenarnya hendak memberitahu bahawa apa yang dilakukan itu salah. Allah tidak beri izin pun. Maksudnya Allah tak suruh pun buat begitu. Dalam perkara agama, hendaklah kita buat apa yang Allah telah tetapkan sahaja.

Janganlah tambah perkara yang Allah tak pernah suruh. Kita tak layak nak tambah apa-apa pun. Ramai yang kata amalan bidaah itu ‘baik’. Tapi soalan kita adalah: siapa kita yang boleh menentukan bahawa amalan itu baik atau tidak? Mana kita tahu yang amalan itu baik? Sangkaan kita sahaja yang ianya baik, tapi dari hakikatnya belum tentu lagi.

 

وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ

Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan

Iaitu ketetapan dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu. Maknanya, manusia yang reka agama, tambah syariat baru dalam agama, reka amalan bidaah itu, tidaklah mereka diberi azab semasa di dunia ini lagi.

Allah biarkan sahaja dia nak buat apa. Allah tengok sahaja dulu. Kerana Allah telah berjanji kepada DiriNya yang Dia akan beri tangguh kepada mereka yang buat dosa itu. Tapi siaplah nanti apabila mereka sudah mati nanti, terus mereka akan diberi dengan seksaan yang amat pedih.

 

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka

Kalaulah Allah tidak tetapkan untuk beri tangguh itu, tentulah mereka itu terus kena azab kerana apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang buruk dan berat dalam agama. Tapi Allah tunggu mereka mati dan dimasukkan ke alam akhirat barulah mereka akan diazab. Kerana akhirat adalah ‘darul jazak’, tempat pembalasan. Selagi hidup di dunia, mereka akan diberi ujian dan Allah nilai sama ada mereka lepas ujian atau tidak.

Kalau nak balas dengan azab di dunia pun, memang tidak padan. Ini adalah kerana tubuh manusia tidak dapat menanggungnya, akan hancur begitu sahaja. Oleh itu, Allah akan naiktaraf tubuh manusia di neraka kelak dan akan diazab cukup-cukup.

 

وَإِنَّ الظّٰلِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Inilah balasan mereka yang mencipta amalan dan syariat yang bidaah dalam agama.

Mereka dikatakan sebagai ‘zalim’. Zalim itu banyak perkara dan zalim yang paling besar adalah zalim kepada Allah dimana kita melakukan syirik.


 

Ayat 22: Takhwif Ukhrawi.

تَرَى الظّٰلِمينَ مُشفِقينَ مِمّا كَسَبوا وَهُوَ واقِعٌ بِهِم ۗ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ في رَوضاتِ الجَنّاتِ ۖ لَهُم مّا يَشاءونَ عِندَ رَبِّهِم ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَضلُ الكَبيرُ

Sahih International

You will see the wrongdoers fearful of what they have earned, and it will [certainly] befall them. And those who have believed and done righteous deeds will be in lush regions of the gardens [in Paradise] having whatever they will in the presence of their Lord. That is what is the great bounty.

Malay

(Pada hari kiamat) engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.

تَرَى الظّٰلِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا كَسَبُوا

Engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Mereka akan merasai ketakutan yang amat sangat kerana amalan-amalan bida’ah yang mereka lakukan semasa di dunia itu yang telah menjadi azab di akhirat kelak. Amat terkejut dan takutnya mereka kerana mereka sangka amalan itu akan menambah pahala kepada mereka tetapi yang terjadi adalah sebaliknya, tambah dosa sahaja.

Bayangkan kalau kawan yang kita sangka akan menolong kita, tapi tiba-tiba dia yang datang pukul kita, tentulah kita terkejut sangat. Itulah yang mereka akan alami di akhirat kelak.

Dalam ayat 18, telah disebut bagaimana mereka yang engkar itu meminta-minta dicepatkan Hari Kiamat. Itulah adalah kerana mereka tidak tahu nasib mereka pada hari itu. Sekarang baru mereka tahu apakah hari kiamat itu.

 

وَهُوَ وَاقِعٌ بِهِمْ

sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka.

Mereka akan tetap kena azab itu, tidak dapat diselamatkan. Walaupun mereka telah sedar tentang kebenaran waktu itu, dan mereka telah takut dengan Allah, tapi mereka tetap kena azab juga. Tidaklah Allah tarik balik azab itu kerana mereka telah takut.

Maknanya mereka telah beriman waktu itu, tapi iman waktu itu tidak akan memberi faedah kepada mereka. Sepatutnya mereka takut azab itu semasa mereka di dunia macam orang Mukmin dalam ayat 18. Kalau baru takut semasa di akhirat, tidak berguna.

Mereka sudah nampak azab itu di hadapan mereka dan mereka pasti yang mereka akan kena. Ini adalah satu ketakutan yang teruk sekali. Kerana kadang-kadang kita takut kepada perkara yang belum tentu kena – ada harapan lagi tidak kena dan tidaklah takut sangat.

Tapi bayangkan kalau kita nampak sesuatu keburukan di hadapan kita dan kita tahu ianya pasti akan mengenai kita – tentu kita takut yang amat sangat kerana tunggu masa sahaja untuk kena. Bandingkan antara orang yang sedang dibicarakan dengan orang yang menunggu hukuman gantung dijalankan.

Orang yang sedang dibicarakan memang sedang takut, tapi dia masih ada harapan tidak dikenakan dengan hukuman; tapi mereka yang telah duduk di ‘Bilik Akhir’ dalam penjara, mereka itu tunggu masa sahaja. Tidak dapat dibayangkan ketakutan mereka itu.

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh

Sementara ahli neraka sedang diazab di neraka, orang beriman sedang menikmati nikmat dalam syurga.

‘Beriman’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘beriman sempurna’ iaitu tidak melakukan syirik. Mereka juga beriman dengan Al-Qur’an dimana mereka menerima seluruh ayat Al-Qur’an itu dan mengamalkannya. Mereka juga beriman dengan Nabi ﷺ di mana mereka hanya ikut melakukan amalan-amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja.

Amalan yang soleh pula bermakna amalan yang ada sumber perbuatannya daripada Nabi ﷺ dan bukannya amalan bida’ah. Malangnya, masyarakat kita ramai yang tidak faham maksud ini – maka mereka ramai yang melakukan amal bidaah. Itu adalah kerana tidak belajar Al-Qur’an dan sunnah sahaja. Mungkin mereka belajar agama, tapi bukan dari sumber utama Al-Qur’an dan Hadis sahih.

Banyak sekali ayat ini disebut dalam Al-Qur’an dimana diletakkan amal soleh bersama dengan iman. Mengingatkan kita bahawa iman itu tidak cukup sempurna kalau tidak disertai dengan amal yang soleh. Dan amal soleh tidak bermakna kalau tidak disertai dengan iman yang sempurna.

 

فِي رَوْضَاتِ الْجَنَّاتِ

dalam tempat paling subur dalam taman-taman Syurga;

Kalimah رَوْضَاتِ bermaksud tempat yang paling subur dalam taman. Tempat yang paling cantik dalam taman. Taman itu sudah cantik tapi dalam satu taman yang besar selalunya ada tempat yang paling hijau, paling subur, paling cantik. Dalam banyak-banyak pokok dan tumbuhan dalam taman itu, adalah satu tempat yang paling subur dan paling lebar tanamannya. Itulah yang dimaksudkan sebagai ‘raudhah’.

Mereka mendapat kelebihan ini kerana semasa mereka di dunia, mereka takut kepada hari kiamat, maka mereka mengubah kehidupan mereka ke arah kebaikan. Mereka tidak tambah perkara baru dalam agama; mereka tidak ikut mengamal perkara baru dalam agama.

Kalau mereka tidak tahu sama ada amalan itu sunnah atau bidaah, dia akan periksa dahulu. Lebih baik dia tidak buat selagi dia tidak dapat maklumat yang tepat. Dia berhati-hati dalam setiap amal perbuatannya. Lebih baik tinggalkan dulu amalan yang tidak ada dalil sehinggalah kita tahu atau berjumpa dalil tentangnya.

 

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ عِندَ رَبِّهِمْ

mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka;

Di syurga itu, mereka akan menikmati segala kenikmatan yang Allah sediakan untuk mereka. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka kehendaki. Ada perkara yang mereka teringin semasa di dunia tapi mereka tidak mampu untuk mendapatkannya, maka akan diberikan di syurga nanti.

Dan ada juga perkara yang mereka tidak tahu pun wujud, tapi apabila ditunjukkan kepada mereka, mereka pun teringin juga, itu pun akan diberi kepada mereka.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.

Inilah nikmat yang amat besar yang Allah berikan kepada kita. Lafaz الْفَضْلُ bermaksud pemberian yang tidak setimpal apa yang kita telah lakukan – macam lulus peperiksaan akhir tahun, dapat hadiah kereta – ini tidak setimpal.

Begitulah kita telah sebut yang Allah akan beri balasan yang berkali-kali ganda dari amalan kita. Amalan tidak seberapa, tapi balasan yang Allah beri adalah banyak sekali.

Untuk mendapatkannya, hendaklah kita mengamalkan agama ini dengan betul. Dan untuk itu, hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan juga hadis Nabi yang sahih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 16 – 19 (Kiamat itu dekat)

Ayat 16: Ayat ini adalah tentang mereka yang membantah ayat-ayat Allah setelah mereka menerima Islam.

وَالَّذينَ يُحاجّونَ فِي اللهِ مِن بَعدِ مَا استُجيبَ لَهُ حُجَّتُهُم داحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِم وَعَلَيهِم غَضَبٌ وَلَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sahih International

And those who argue concerning Allah after He has been responded to – their argument is invalid with their Lord, and upon them is [His] wrath, and for them is a severe punishment.

Malay

Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah sesudah disambut dan diterima ugamaNya itu – bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.

وَالَّذِينَ يُحَاجُّونَ فِي اللهِ

Dan orang-orang yang membantah terhadap Allah

Mereka membantah tentang Allah. Iaitu orang-orang yang membantah tentang ilmu tauhid. Termasuk mereka yang membantah tentang ayat-ayat tauhid yang Allah berikan di dalam Al-Qur’an. Ayat-ayat tauhid telah jelas dalam Al-Qur’an, tapi mereka masih tidak mahu terima.

Ada pendapat yang mengatakan bantahan ini datangnya dari Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasara. Mereka telah ada agama tauhid dulu tapi apabila Nabi Muhammad ﷺ dengan bawa ajaran tauhid yang benar, mereka menolaknya. Mereka berhujah kata agama mereka datang dulu dan mereka telah lama ada kitab.

Dan ada juga yang kata bantahan ini datangnya dari Musyrikin Mekah. Mereka dakwa mereka dulu telah ada Nabi dan mereka mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Bantahan ajaran tauhid ini juga boleh datang dari orang Islam sendiri, iaitu mereka yang jahil dengan wahyu. Apabila kita tafsirkan kepada mereka apakah maksud ayat-ayat itu, mereka tak mahu terima. Mereka kata tafsir kita salah. Padahal mereka tak belajar pun tafsir lagi. Ini amat menghairankan: yang tak belajar kata yang belajar pula yang salah!?

Yang membantah ayat-ayat Allah ini ada dua jenis: ada yang membantah kerana jahil dan ada yang membantah setelah tahu. Kalau yang membantah itu kerana jahil, maka kenalah ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an.

Dan kena berlembut dengan mereka, kerana mereka tidak ada ilmu. Jangan kita hina dan perli mereka pula. Jangan sakitkan hati mereka. Kena gunakan teknik komunikasi yang berkesan. Cerita kepada mereka supaya mereka nampak bagus dan hebat sungguh tafsir Al-Qur’an ini. Banyak benda baru boleh belajar. Bagi mereka minat. Timbul persoalan-persoalan yang boleh menarik minat mereka.

 

مِن بَعْدِ مَا اسْتُجِيبَ لَهُ

sesudah disambut dan diterima ugamaNya itu –

Ada yang sudah masuk Islam dengan Nabi Muhammad ﷺ, tapi masih juga membantah tentang Allah. Sebab masih lagi nak pegang pemahaman yang lama.

Begitulah kebanyakan masyarakat Muslim negara kita pun. Sesudah dia sendiri terima Islam, atau dia lahir dalam Islam, dia pun sudah ucap Dua Kalimah Syahadah, tapi dia hendak juga lawan tentang perkara tauhid. Padahal dia telah terima yang Allah itu adalah Tuhan dan Nabi Muhammad itu Rasul. Tapi ada perkara-perkara lain yang dia tidak terima.

Antaranya, tentang tawasul, dia tidak mahu terima yang tawasul itu adalah salah. Sepatutnya selepas dia masuk Islam, ataupun mengaku seorang Muslim, hendaklah dia menerima semua sekali ayat-ayat tauhid dalam Al-Qur’an itu.

 

حُجَّتُهُمْ دَاحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِمْ

hujah mereka sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka.

Mereka berilah berbagai-bagai hujah yang bukan datang dari Al-Qur’an atau Sunnah. Ataupun datang dari Al-Qur’an dan Sunnah, tapi mereka tafsir dengan fahaman mereka sendiri, tidak ikut fahaman salafussoleh.

Hujah-hujah mereka tidak ada dalil, oleh kerana itu ianya tidak bernilai langsung di sisi Allah. Ianya ditolak kerana amat lemah sekali. Itulah hujah-hujah dari guru, dari kitab, dari kitab karangan manusia, dari akal dan sebagainya. Yang laku di sisi Allah hanyalah dalil dan hujah dari Al-Qur’an dan sunnah.

Oleh itu, kalau ada orang-orang Islam yang membawa hujah-hujah dari kitab tulisan manusia, maka hujah itu tertolak kerana hujah itu berlawanan dengan hujah-hujah dari Al-Qur’an yang jelas nyata. Yang tidak nyata adalah kerana mereka tidak belajar sahaja.

Banyaklah dari kalangan masyarakat kita yang belajar tidak kemas mana, maka mereka berjumpa amalan-amalan tawasul dan syirik yang berlawanan dari Al-Qur’an dan sunnah. Apabila ditanya kenapa mereka beramal dengan amalan-amalan sebegitu, mereka kata amalan itu adalah dari kitab sekian dan sekian. Ingatlah yang itu bukanlah dalil.

Kita bukanlah tolak kitab agama tapi apa-apa kitab pun, kenalah berlandaskan kepada Al-Qur’an dan hadis yang sahih. Apa-apa sahaja ajaran tidak boleh lari dari apa yang dibawa oleh Al-Qur’an. Itulah sebabnya penting untuk belajar tafsir Al-Qur’an dahulu sebelum belajar ilmu-ilmu yang lain.

Atau, mereka beri hujah kenapa mereka tidak berpegang kepada tauhid: mereka kata mereka tidak tahu. Hujah ini juga tertolak kerana alasan ‘tidak tahu’ tidak boleh diterima kerana mereka sepatutnya kena belajar. Allah telah beri 30 juzuk Al-Qur’an untuk dipelajari. Orang lain boleh sahaja terima, kenapa kamu pula tidak boleh terima?

Atau, mereka kata mereka hanya ikut, maka mereka tidak bersalah kerana tertipu. Alasan ini juga tidak diterima. Kerana mereka kena tahu manakah kebenaran. Mereka kena ada usaha untuk memastikan manakah ajaran yang benar. Tidak boleh ikut buta sahaja. Masalah ini banyak dihadapi oleh orang kita. Mereka ramai yang mengikut sahaja.

Dan dalam Al-Qur’an banyak disebut penyesalan ahli neraka yang masuk neraka kerana salah ikut guru dan pemimpin. Mereka sampai marah kepada guru mereka itu dan mahu supaya guru mereka dikenakan dengan azab yang berganda. Yang pentingnya, mereka tetap juga masuk neraka bersama dengan guru-guru mereka itu. Mereka beri alasan mereka hanya ikut pun tidak diterima, tetap juga masuk neraka.

 

وَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ

dan ke atas mereka kemurkaan 

Yang mereka dapat hanyalah kemurkaan dan laknat dari Allah. Hujah mereka itu akan mendapat kemurkaan dari Allah. Murka Allah tak sama dengan murka manusia. Allah murka kepada mereka kerana mereka tidak belajar.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

dan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

Iaitu azab neraka akan dikenakan ke atas mereka kerana penolakan mereka itu. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.


 

Ayat 17: Ini adalah dalil seterusnya. Ia juga adalah takhwif ukhrawi.

اللهُ الَّذي أَنزَلَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ وَالميزانَ ۗ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Sahih International

It is Allah who has sent down the Book in truth and [also] the balance. And what will make you perceive? Perhaps the Hour is near.

Malay

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).

اللهُ الَّذِي أَنزَلَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran,

Al-Qur’an itu diturunkan untuk menzahirkan kebenaran iaitu Allah Tuhan kita yang sebenar-benarnya. Kita kena kenal Allah adalah Tuhan kita. Dan mestilah kenal Allah dengan semua sifatNya. Dan untuk mengenal Allah, kenalah melalui apa yang diberitahu olehNya kerana Dia sendiri akan memperkenalkan sifat-sifatNya.

Dan untuk faham itu hendaklah kita belajar Tafsir Al-Qur’an. Kerana telah lengkap Allah beritahu kepada kita tentang DiriNya dalam Al-Qur’an. Oleh itu bukanlah mengenal Allah itu dengan belajar sifat 20. Itu adalah cara yang kurang tepat.

Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk tidak tahu akidah tauhid dengan sebenarnya, kerana Allah telah turunkan wahyu dalam bentuk Al-Qur’an. Kalau masih tidak tahu, itu adalah kerana salah sendiri.

 

وَالْمِيزَانَ

dan neraca.

Segala ajaran dari wahyu adalah adil. Dan Al-Qur’an menjadi neraca untuk menimbang manakah yang baik dan manakah yang tidak; manakah yang tauhid dan manakah yang syirik. Maka, kita kenalah belajar tafsir Al-Qur’an ini supaya kita boleh jadikannya sebagai neraca.

Barulah kita senang nak membezakan manakah ustaz yang mengajar kebenaran dan ustaz yang mengajar ajaran yang salah. In sha Allah, kalau kita sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, walaupun belum habis, kita sudah boleh agak apakah yang disampaikan oleh seseorang penceramah itu benar atau tidak. Kita mungkin tidak jelas lagi apakah kesalahan mereka, tapi dalam hati kita sudah boleh agak bahawa ada yang tidak kena dengan guru atau penceramah itu.

Oleh itu, sebelum rujuk kepada kitab-kitab yang banyak di pasaran, maka hendaklah belajar dahulu tafsir Al-Qur’an ini, supaya boleh menilai dan menapis hujah-hujah dan dalil-dalil yang disampaikan oleh kitab-kitab tulisan tangan manusia itu.

Banyak sangat kitab-kitab agama dalam pasaran. Dari dulu sampai sekarang, entah berjuta kitab agama dalam dunia ini. Orang kita pun rajin juga rujuk kitab (tafsir tak belajar lagi pun). Kita bukan nak halang orang dari baca kitab dan bukanlah kita katakan semua kitab tidak boleh pakai.

Tapi, sebagai seorang Muslim yang berhati-hati, hendaklah rujuk kepada kitab-kitab yang muktabar sahaja. Kerana kitab-kitab itu telah diteliti zaman berzaman dan diterima pakai oleh kebanyakan umat Islam. Hentikanlah baca kitab-kitab yang tidak muktabar, terutama sekali kalau belum belajar tafsir lagi.

Neraca juga adalah isyarat kepada keadilan. Ayat-ayat Al-Qur’an itu mengajak kita kepada berlaku adil dalam semua perkara. Berkali-kali Al-Qur’an menekankan bahawa ianya diturunkan untuk menegakkan keadilan. Maka keadilan itu hendaklah dinilai dan dibandingkan dengan ajaran dalam Al-Qur’an.

 

وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir 

Ini adalah Takwif Ukhrawi – Allah hendak mengingatkan kita bahawa Kiamat itu amat dekat. Entah terjadi esok atau lusa, kita tidak tahu. Tidak ada jalan untuk kita mengetahuinya. Entah-entah kiamat itu sudah dekat.

Ini mengajar kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Kiamat itu, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Sebab itu, dalam hadis ada disebut bagaimana kalau cuaca tidak elok dan angin kencang, Nabi Muhammad ﷺ akan ketakutan kerana baginda takut kalau-kalau Kiamat sudah datang.

Kiamat ada dua: Kiamat yang besar dan Kiamat Kecil. Kiamat kecil adalah ‘mati’ yang boleh terjadi bila-bila masa sahaja kepada kita. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati, maka hendaklah kira segera belajar tafsir dan baiki amalan kita. Hendaklah kita segera mengubah diri kita untuk menerima kebenaran. Janganlah ditangguh-tangguh lagi. Kerana kita tidak tahu bilakah ajal kita.


 

Ayat 18: Sambungan tentang Kiamat.

يَستَعجِلُ بِهَا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِها ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا مُشفِقونَ مِنها وَيَعلَمونَ أَنَّهَا الحَقُّ ۗ أَلا إِنَّ الَّذينَ يُمارونَ فِي السّاعَةِ لَفي ضَلٰلٍ بَعيدٍ

Sahih International

Those who do not believe in it are impatient for it, but those who believe are fearful of it and know that it is the truth. Unquestionably, those who dispute concerning the Hour are in extreme error.

Malay

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta supaya disegerakan kedatangannya,

Mereka yang tidak beriman itu selalu bertanya-tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ bilakah hari Kiamat itu akan berlaku. Mereka sebenarnya tanya dalam mengejek.

Mereka kata Nabi ﷺ selalu cakap tentang Kiamat sahaja, maka kalau betul, bawa marilah Kiamat itu, mereka kata. Mereka berani cakap begitu kerana mereka bodoh dan tidak percaya akan datangnya hari Kiamat itu.

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا

dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya

Kenapa mereka takut? Kerana mereka telah belajar apakah yang akan terjadi pada Hari itu. Oleh itu mereka amat takut. Kerana mereka tidak pasti sama ada amalan yang mereka buat semasa di dunia ini diterima oleh Allah ataupun tidak.

Mereka amat mengharap upaya amalan mereka diterima tapi mereka sendiri tidak dapat memastikannya sama ada ianya diterima atau tidak kerana ianya salah satu daripada perkara ghaib. Orang yang rasa mereka telah selamat itu sebenarnya telah terkena Talbis Iblis (belitan Iblis). Iblis bagi mereka rasa selamat dengan amal ibadat mereka. Sedangkan para ulama’ amat takut kalau tidak ada langsung amalan mereka diterima.

Mereka juga tidak pasti sama ada taubat mereka diterima atau tidak. Dan mereka tahu yang mereka banyak dosa. Mereka hanya boleh mengharap sahaja. Maka kerana itulah Al-Qur’an dan hadis mengajar kita meminta ampun, termasuklah selepas buat ibadat. Kerana kita tidak tahu sama ada amalan kita diterima atau tidak. Inilah ubat bagi Talbis Iblis iaitu ghurur (dan lebih tepat lagi, Ujub).

Sama macam kita apabila ambil peperiksaan. Kita sudah buat sehabis baik. Tapi kita tidak pasti sama ada kita boleh lulus atau tidak. Kalau seorang pelajar yang baik, kalau satu soalan dia tidak dapat jawab dengan baik pun, dia sudah risau.

Tapi kalau pelajar yang tidak kisah masa depannya, dia tidak ambil kisah sama ada dia lulus atau tidak. Habis peperiksaan sahaja dia sudah gembira kerana tidak perlu susah baca buku dan belajar lagi. Mereka hendak bergembira sahaja sebenarnya. Itulah perumpamaan seorang Mukmin dan yang tidak.

Dalam masa yang sama, kita tidak menolak ada kemungkinan ada orang mukmin yang tidak takut dengan akhirat dan kerana itu mereka bercita-cita supaya akhirat itu sampai segera. Kerana mereka berharap supaya nikmat yang dijanjikan dalam wahyu dapat dipercepatkan.

 

وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ

serta mereka mengetahui bahawa ia adalah benar.

Mereka tahu dan ingat bahawa mati dan kiamat itu adalah dekat. Dan mereka tahu bahawa ianya pasti akan terjadi. Dan ia boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Jadi tidaklah mereka duduk goyang kaki sahaja. Mereka percaya dan yakin tentang kedatangannya kerana ianya telah diberitahu oleh Allah. Dan mereka percaya benar kepada Allah.

 

أَلَا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ

Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu,

Iaitu mereka yang ragu tentang Kiamat. Dan selepas mereka ragu tentangnya, mereka membantah tentangnya pula. Sudahlah mereka tak terima, mereka bantah pula lagi. Macam-macam hujah mereka bagi. Ada yang kata, neraka dan syurga itu tidak ada, tapi hendak menakutkan orang-orang Arab yang lampau sahaja.

 

لَفِي ضَلٰلٍ بَعِيدٍ

sesungguhnya tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Mereka yang tidak yakin dengan akhirat itu dikira amat jauh dari kebenaran. Kalau sudah jauh, maknanya susah untuk kembali ke pangkal jalan. Memerlukan usaha yang banyak untuk membawa mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 19: Kenapa Allah perlu dianggap sebagai penolong? Kenapa kita hanya boleh berdoa kepada Allah sahaja?

اللهُ لَطيفٌ بِعِبادِهِ يَرزُقُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ القَوِيُّ العَزيزُ

Sahih International

Allah is Subtle with His servants; He gives provisions to whom He wills. And He is the Powerful, the Exalted in Might.

Malay

Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

اللهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ

Allah Maha Halus kepada hamba-hambaNya;

Maksud ‘halus’ itu adalah ‘sayang’. Allah baik dan berlembut dengan hambaNya. Dia tahu apa yang hambaNya lalui. Tapi Dia berikan juga segala kesusahan dan kepayahan semasa di dunia kerana itu semua sebagai ujian. Bukan kerana Allah tidak suka.

Kalimah لَطِيفٌ juga bermaksud ‘halus’. Kalau benda yang halus, kita tak berapa nampak. Nak kena pakai mikroskop baru nampak. Maka, apabila dikatakan Allah itu لَطِيفٌ, ia bermaksud Allah tahu segala-gala tentang hambaNya, walaupun perkara yang halus mulus pun.

Tak ada benda yang kita boleh sembunyikan dariNya. Allah tahu segala hajat dan keperluan hambaNya. Maka, hadapkanlah sahaja doa kita kepadaNya, jangan hadapkan kepada selain dari Allah kerana tidak ada selain Allah yang tahu.

Kalimah لَطِيفٌ  juga bermaksud baik dan memberi kepada hambaNya. Banyak sangat nikmat yang Allah telah berikan kepada hambaNya. Tidak kira sama ada hamba itu beriman atau tidak, Allah tetap memberi kurniaan nikmat kepada makhluk.

 

يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ

Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Walaupun Allah tahu segala hajat dan keperluan hambaNya, tapi Allah beri rezeki ikut kehendak Dia. Itu adalah haqNya untuk memilih siapa yang dapat apa. Kita kena redha sahaja dengan apa yang diberikan kepada kita.

Allah membahagikan rezeki kepada makhluk ikut kebijaksanaanNya. Ada yang Allah beri lebih dan ada yang Allah beri kurang. Ada yang kaya dan ada yang miskin; ada yang pandai dan ada yang tidak berapa pandai (rezeki bukan sahaja dari segi harta tapi ilmu, kesihatan dan banyak lagi). Kelebihan dan kekurangan ini Allah jadikan supaya manusia bergantung kepada satu sama lain dan terjadilah hubungan baik sesama manusia. Yang miskin bergantung kepada yang kaya untuk kerja dan yang pandai dapat mengajar yang kurang berilmu.

Allah lah sahaja yang berkuasa memberi rezeki. Tidak ada entiti lain yang boleh beri rezeki. Dan Allah itu amat lembut kepada makhlukNya. Lihatlah bagaimana orang kafir pun dapat rezeki juga. Kadang-kadang mereka dapat lebih banyak dari orang Islam. Padahal mereka tolak Allah, mereka sembah selain Allah, mereka buat kezaliman dan sebagainya.

Tapi Allah tetap memberi rezeki kepada mereka. Itu bukanlah tanda Allah sayang kepada mereka. Dan Allah boleh beri dengan banyak kepada mereka, kerana sebenarnya harta yang mereka dapat itu tidak bernilai pun sebenarnya. Iman itu lebih bernilai dari harta.

Dan Allah Maha Bijaksana dalam memberi rezeki. Tidaklah Dia beri rezeki hambaNya itu sekaligus tapi diberikan sedikit demi sedikit. Kerana susah juga kalau Allah berikan sekaligus kerana kita pun tak dapat nak uruskan kerana jadi banyak sangat. Maka kita sebagai manusia, redha sahaja dengan apa yang Allah telah tentukan. Jangan kita persoalkan pula. Itu kurang ajar namanya.

 

وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Allah memberitahu kepada kita bahawa dia Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja kerana Dia Maha Kuat. Tapi ada juga manusia yang berani untuk mempersoalkan tentangNya.

Allah mampu untuk membalas dengan azab kepada mereka yang mempersoalkanNya, ayat-ayatNya, Nabi-nabiNya, tapi Allah tidak melakukannya di dunia kerana Allah bersifat لَطِيفٌ.

Habis Ruku ke 2 dari 5 ruku’ surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani