Tafsir Surah Mulk Ayat 26 – 27 (Penyesalan yang tidak sudah)

Mulk Ayat 26: Ini pula jawapan kepada syikayah (persoalan) dalam ayat sebelum ini iaitu tentang bilakah Hari Kiamat itu. Bagaimana hendak menjawab soalan yang mereka berikan itu? Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana hendak menjawab kalau ada soalan-soalan seperti itu. Sebelum menjawab, kita hendaklah melihat soalan dan cara soalan itu disampaikan.

قُل إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّما أَنا نَذيرٌ مُّبينٌ

Sahih International

Say, “The knowledge is only with Allah , and I am only a clear warner.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

 

قُلْ

Katakanlah kepada mereka:

Allah ‎ﷻ menyuruh Nabi ﷺ menjawab mereka. Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ dan kita juga bagaimanakah cara menjawab soalan mereka kalau ditanya dengan cara sebegini?

 

إِنَّمَا الْعِلْمُ عِنْدَ اللهِ

Sesungguhnya ilmu adalah hanya di sisi Allah;

Jawab begini: ‘Kami sendiri tak tahu bilakah akan terjadinya kiamat itu. Kami pun tidak tahu bilakah akan dikenakan azab yang dijanjikan itu. Maklumat itu hanya Allah sahaja yang tahu’.

Ini adalah jawapan yang benar. Kerana Nabi ﷺ sendiri memang tidak tahu. Nabi ﷺ hanya tahu apa sahaja yang Allah ﷻ beritahu kepada baginda. Ini adalah dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu perkara ghaib kerana bilakah Hari Kiamat dan azab itu adalah termasuk dalam perkara ghaib. Di dalam hadith pun Rasulullah ﷺ memberitahu kita tidak ada sesiapa pun yang tahu,

قَالَ , فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ , قَالَ ” مَا المَسْئُوْلُ بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ
Orang itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku tentang kiamat.” Rasulullah ﷺ menjawab,” Orang yang ditanya itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya.”
(Sahih Muslim No. 8)

Syarah: yang bertanya itu adalah Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Rasulullah ﷺ beritahu baginda tidak tahu, malah yang bertanya (Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) juga tidak tahu bilakah ia akan berlaku.

Pengajaran pertama daripada ayat ini adalah: Kalau kita tak tahu, kena cakap tidak tahu. Jangan malu untuk mengaku tidak tahu. Jangan pandai-pandai memberi jawapan kerana malu mengaku tidak tahu.

Perhatikan ayat ini, Allah ‎ﷻ berfirman: قُل إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ dan bukannya قُل إِنَّمَا العِلمُه عِندَ اللهِ. Jadi ia bukan bermaksud ilmu tentang bila Hari Kiamat sahaja, akan tetapi semua ilmu. Semua ilmu ada pada Allah ‎ﷻ dan apa sahaja yang Rasulullah ﷺ dan kita tahu, itu daripada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ayat ini juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak mempunyai Ilmu Ladunni. Apa sahaja maklumat yang Nabi ﷺ ada, datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Lalu, bagaimana dengan fahaman sesetengah ajaran yang mengatakan guru mereka dapat Ilmu Ladunni itu? Yang selalu ada fahaman sesat ini adalah golongan tarekat dan sufi. Mereka telah tertipu oleh guru-guru mereka. Manakala guru-guru mereka itu telah ditipu oleh syaitan. Syaitan telah memberikan ilmu-ilmu yang bukan daripada ajaran Islam. Mereka sangka mereka dapat ilmu yang khas dari sisi Allah ‎ﷻ, namun sebenarnya ilmu itu adalah daripada syaitan. Kenapa kita berani cakap begitu? Kerana apa yang kononnya guru mereka itu ada, lebih tinggi lagi daripada apa yang Nabi ﷺ kita ada. Adakah masuk akal kalau begitu? Adakah lagi manusia yang lebih mulia dan lebih berilmu daripada Nabi Muhammad ﷺ? Kita tahu apakah fahaman mereka kerana dulu kita pun berkecimpung dengan jalan tarekat dan kesufian juga.

Walaupun Nabi ﷺ berhadapan dengan orang kafir, baginda tidak malu untuk mengatakan bahawa baginda tidak tahu. Begitulah yang sepatutnya. Kalau orang bertanya kepada kita, dan kita memang tidak tahu, maka hendaklah kita kata kita tidak tahu. Orang akan lebih percayakan kita apabila kita beritahu perkara yang kita tahu nanti kerana mereka akan tahu bahawa kita bersikap jujur dengan mengaku tidak tahu sebelum itu.

Apabila digunakan perkataan إِنَّمَا, itu bermakna, *hanya* Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadinya hari Kiamat itu. Perkataan إِنَّمَا bukan sahaja bermaksud ‘sesungguhnya’, tetapi ia juga bermaksud menolak yang selain daripadanya. Maksudnya, apabila dikatakan dalam ayat ini bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ mempunyai pengetahuan tentang bilakah terjadinya Hari Kiamat itu, bermakna tidak ada entiti lain yang tahu.

Jadi, kalau ada yang kata Kiamat akan terjadi pada sekian-sekian tarikh, maka itu adalah satu pembohongan yang besar. Kita sudah selalu sangat dengar manusia yang cuba memberitahu kepada masyarakat bilakah terjadinya Kiamat itu. Mereka kononnya akan buat kira-kira dan tanda-tanda kemudian dakwah kiamat akan berlaku sekian dan sekian tahun. Hari yang mereka katakan akan terjadi Kiamat itu datang dan pergi begitu sahaja. Kita tidak pelik sangat kalau orang kafir cakap mereka tahu Hari Kiamat itu, tetapi yang peliknya, orang yang mengaku Islam pun ada juga yang boleh tahu bila hari Kiamat itu. Yang peliknya lagi, ada juga yang percaya.

Apakah lagi yang kita boleh belajar daripada cara jawapan ini? Untuk menjawab, kita hendaklah tahu apakah tujuan pertanyaan mereka itu. Terdapat perbezaan antara soalan yang memang ikhlas hendak tahu dan soalan yang hendak mengejek-ngejek sahaja. Apabila kita dapat soalan yang mengejek itu, maka hendaklah kita bersabar dan menjawab dengan tenang. Lihatlah jawapan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ ini. Ia adalah satu jawapan yang tenang dan tidak melatah kerana kalau kita melatah, maka kita akan kalah. Mereka yang bertanya dengan cara mengejek itu pun memang hendak melihat kita melatah dan hilang kawalan akal sahaja sebenarnya.

Kita juga tidak perlu menjawab dengan tepat apakah soalan mereka itu. Lihatlah soalan mereka itu: bila? Namun tidak dijawab pun bila akan terjadinya kiamat itu. Kerana mereka tanya pun bukannya hendak tahu sangatpun, tetapi hendak mengejek sahaja. Maka kita kenalah kawal keadaan. Kalau kita jawab lebih-lebih, nanti mereka akan ada peluang untuk tanya soalan perangkap lagi. Maka, berhati-hatilah.

Walau bagaimanapun kita hendaklah jawab dengan yakin. Lihatlah dalam ayat yang digunakan ini. Antara soalan dan jawapan tidak ada ayat tambahan. Ini kerana kadang-kadang dalam bahasa Arab, ada tambah perkataan ثُمٌَ atau ف. Namun tidak ada dalam penggunaan ayat ini. Maknanya, jawapan yang diberikan adalah terus sahaja. Tidak ada teragak-agak kerana kalau ada teragak-agak, menunjukkan kita tidak yakin. Maka, kita hendaklah ada ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk mendapatkannya, kena belajar lagi.

Perhatikan yang Allah ‎ﷻ tidak menjawab soalan tentang bilakah Kiamat itu. Di sini kita belajar bahawa bukan semua maklumat Allah ‎ﷻ beritahu kita. Kalau kita perlu tahu, maka tentu Allah ‎ﷻ akan beritahu. Bukan semua maklumat kita perlu ada. Kita kena rendahkan diri kita dan sedar bahawa kita ini hanya hamba sahaja. Yang kita minta daripada Allah ‎ﷻ adalah ilmu-ilmu bermanfaat sahaja. Doa yang diajar kepada kita pun adalah

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ya Allah, aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang thoyyib dan amalan yang diterima”
(Riwayat Ibnu Majah no. 925, sahih)

Jadi ini mengajar kita supaya tidak perlu tanya perkara-perkara yang kita tidak perlu tahu. Kadang-kadang ada orang suka bertanya bermacam-macam perkara dan apabila ditanya kenapa hendak tahu, jawapan mereka, “Saja…. nak tahu jer…”. Buat apa kita perlu tahu perkara itu kalau ia tidak memberi manfaat kepada kita? Oleh itu, sekiranya ada perkara yang tidak dapat dijawab oleh ustaz atau ulama’, terimalah sahaja.

Sebenarnya kita tidak perlu tahu pun bilakah Kiamat itu. Ia pasti datang. Yang terlebih penting adalah apakah persediaan untuk menghadapinya? Lihatlah hadith ini,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ bertanya semula: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim No. 4777)

Namun yang kita tahu, ia sudah dekat seperti sabda Rasulullah ﷺ,

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيْرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ بِهِمَا
“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda berisyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.” (Sahih Bukhari No. 6022)

 

 

وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan sesungguhnya aku tidak lain dan tidak bukan adalah pemberi peringatan yang terang nyata;

Nabi ﷺ hanya disuruh untuk menyampaikan bahawa janji-janji itu pasti akan terjadi. Apa yang baginda dapat daripada Allah ‎ﷻ, maka baginda terus sampaikan kepada umat dan itu pun telah Nabi ﷺ sampaikan kepada umatnya. Tidak ada yang baginda simpan sendiri atau sorok. Baginda tetap akan sampaikan walaupun perkara itu pedih dan berat, sama ada boleh diterima oleh manusia atau tidak, baginda tetap sampaikan.

Sekali lagi digunakan perkataan إِنَّمَا dalam ayat ini. Maksudnya, tugas Nabi ‎ﷺ hanyalah sebagai penyampai peringatan sahaja. Baginda tidak boleh sampaikan perkara yang baginda tidak tahu dan baginda memang tidak buat begitu pun.

Perhatikan di dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut tugas Nabi ﷺ adalah وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ sedangkan di dalam ayat lain seperti A’raf: 188, ada dua tugas baginda,

إِن أَناْ إِلّا نَذيرٌ وَبَشيرٌ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”

Di sini hanya disebut tugas baginda sebagai نَذِيرٌ sahaja kerana ayat-ayat ini tentang penentang kebenaran. Bagi mereka hanya ada ancaman sahaja mereka tidak layak mendapat berita gembira. Ini kerana berita gembira لِقَومٍ يُؤمِنونَ. Hanya orang beriman sahaja layak dapat berita gembira.

Perkataan نَذِيرٌ adalah bermaksud ‘peringatan’. Yang memberi peringatan itu adalah kerana mereka sayang kepada orang yang diberi peringatan itu. Sebab itu mereka ingatkan kepada orang yang lalai. Kalau tidak kisah kepada umat, tentunya Nabi ﷺ buat tidak kisah sahaja. Kalimah نَذِيرٌ bermaksud memberi peringatan yang mengandungi ancaman. Kalau tidak ada ancaman, maka ia bukanlah نَذِيرٌ. Namun bukanlah tugas نَذِيرٌ itu hanya menakut-nakutkan sahaja dengan janji azab. Kerana kalau begitu, orang akan hanya takut sahaja kepada Allah ‎ﷻ, tetapi tidak ada rasa sayang kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, apabila kita berdakwah, hendaklah kita memberitahu dan mengingatkan kepada manusia tentang siapakah Allah ‎ﷻ itu, dan bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat kepada kita selama ini. Janganlah takutkan manusia sahaja dengan kata: Ini dosa, itu dosa. Kamu akan masuk neraka, kena azab kubur dan sebagainya sahaja. Kena ada imbangan antara memberi khabar gembira dan memberi khabar buruk. Cuma di dalam ayat ini ianya ditujukan kepada golongan yang menentang, maka selayaknya mereka mendapat ancaman sahaja.

Nabi ﷺ bukan sahaja memberi peringatan, tetapi baginda juga ditugaskan untuk memberi penjelasan – مُبِينٌ menjelaskan dengan sejelas-jelasnya. Sebagai contoh, kalau kita kata kepada orang lain: “Berhati-hati yer…”, tentu orang itu akan tanya berhati-hati dengan apa? Maka, kita pun beritahulah berhati-hati sebab lantai itu basah, takut terjatuh. Begitu juga, Nabi Muhammad ﷺ telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang perkara yang perlu kita beri perhatian. Malah telah diberikan dengan jelas – tidak berbelit-belit macam sesetengah ilmu yang diajar oleh guru.

Segalanya telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Segala ajaran Nabi ﷺ telah sampaikan, tidak ada tertinggal. Kalau kita rasa ada tertinggal, itu bermakna, kita mengatakan Nabi ﷺ tidak habis ajar kepada umatnya. Kita seolah menuduh Nabi ﷺ khianat dengan ilmu sampaikan ada ilmu yang tidak disampaikan. Begitulah yang dikatakan oleh ajaran tarekat (mereka kata ada ilmu rahsia yang Allah ‎ﷻ ajar kepada sahabat tertentu sahaja).

Lalu, bagaimana pula dengan ada amalan-amalan baru yang masyarakat kita buat? Majlis Solat Hajat, talqin, Majlis Tahlil, makan bubur Asyura dan sebagainya? Siapa yang pandai-pandai buat amalan yang Nabi ﷺ tidak pernah buat ini? Adakah Nabi ﷺ terlupa untuk beritahu amalan itu? Atau, memang amalan itu tidak ada dalam Islam, dan masyarakat kita buat hanya kerana ikut-ikut sahaja kata orang dulu-dulu? La hawla wala quwwata illa billah, ingatlah bahawa Nabi ﷺ telah sampaikan Islam ini kepada kita semua dengan selengkapnya. Apa sahaja amalan yang bagus, Nabi ﷺ sudah ajar. Kenapa hendak dibuat amalan yang baru pula? Yang kita sibuk buat amalan yang Nabi ﷺ tidak ajar ini, adakah kita sudah habis buat amalan yang Nabi ﷺ ajar?

Atau tidak buat kerana tidak belajar hadith Nabi? Asyik belajar kitab karangan manusia sahaja? Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan Hadith Nabi yang sahih. Berhentilah daripada belajar dengan guru yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Tanya kepada mereka: “Ustaz, maaf, saya nak tanya, jangan marah pula. Ustaz dah habis belajar tafsir Quran 30 juz? Ustaz dah habis belajar Kitab Hadith? Kerana kalau ustaz sudah belajar, saya nak belajar dengan ustaz…” Adakah salah kalau kita tanya begitu? Adakah tidak penting soalan ini? Kerana kalau dia sendiri tidak belajar, lalu bagaimana kita tahu bahawa apa yang diajarnya itu betul? Dua sumber yang wajib diketahui pun dia belum belajar lagi? Kadang kala, jangan kata belum habis, tidak pernah mula belajar pun!

Lihatlah jawapan yang diajar oleh Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ itu. Jawapan itu mengajar tentang merendah diri. Apabila kita mengatakan kita hanya menyampaikan sahaja, menunjukkan kita tidak meninggi diri. Ada lagi yang lebih tinggi daripada kita. Iaitu Allah ‎ﷻ. Apa yang kita bawa dalam dakwah kita bukanlah daripada kita, tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Maka, dalam masa yang sama, kita mengatakan kepada mereka, bahawa apa yang mereka tentang itu bukanlah tentangan kepada kita, tetapi kepada Allah ‎ﷻ sendiri.

Maka, fikirlah apa yang mereka katakan itu. Mereka menolak Allah ‎ﷻ, bukan menolak kita. Kalau pendapat kita sebagai manusia, tidak mengapa lagi, boleh ditolak, tetapi kalau ia datang daripada Allah ‎ﷻ, bagaimana nanti nasib kamu?


 

Mulk Ayat 27: Ayat jenis Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan kejadian di akhirat).

فَلَمّا رَأَوهُ زُلفَةً سيئَت وُجوهُ الَّذينَ كَفَروا وَقيلَ هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَدَّعونَ

Sahih International

But when they see it approaching, the faces of those who disbelieve will be distressed, and it will be said, “This is that for which you used to call.”

Malay

Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!”.

 

فَلَمَّا رَأَوْهُ زُلْفَةً

Dan tatkala mereka melihatnya (azab api neraka itu) sudah dekat;

Yang dilihat mendekat itu adalah azab neraka. Azab api neraka itu adalah di masa hadapan. Namun perkataan yang digunakan adalah رَأَوْ – yang bermaksud ‘telah melihat’. Nampak seperti ia telah berlaku sedangkan ini adalah peristiwa yang akan berlaku di akhirat kelak. Ini adalah salah satu daripada ciri keunikan bahasa Arab. Ia digunakan untuk menyatakan bahawa ia *pasti* akan berlaku. Ini kerana kalau digunakan dalam bentuk future tense, ia adalah hanya satu kebarangkalian sahaja – mungkin terjadi, mungkin tidak. Namun begitu apabila digunakan perkataan past tense, ia menunjukkan bahawa ia PASTI akan berlaku. Akan tetapi kita tahu ia merujuk kepada masa hadapan kerana ada perkataan فَلَمَّا – apabila/tatkala. Digunakan perkataan فَلَمَّا yang bermaksud ‘apabila’, bukan ‘jikalau’. Maknanya, mereka pasti akan melihat azab api neraka itu.

Huruf هُ dalam رَأَوْهُ (melihatnya) itu merujuk kepada janji-janji kejadian di akhirat kelak. Antaranya adalah azab api neraka.

Perkataan زُلْفَةً pula merujuk kepada sesuatu yang datang mendekat dan semakin mendekat. Contohnya seperti kita menunggu LRT, kita akan nampak ia akan datang mendekat dan mendekat. Tidak datang terus tetapi datang secara beransur-ansur. Bermakna, mereka akan melihat janji-janji hari akhirat itu satu persatu. Mula-mula dengan kedatangan Malaikat Maut yang datang mencabut nyawa mereka. Kemudian mereka akan dibawakan ke dalam kubur dan mereka akan melalui alam barzakh. Kemudian mereka akan melalui Hari Kiamat. Kemudian mereka akan dibawa ke Mahsyar. Kemudian mereka akan dibicarakan. Kemudian mereka akan melalui Titian Sirat. Kemudian mereka akan melihat neraka dan akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka. Semua itu akan dilalui satu persatu. Perkara yang disebut-sebut dalam Al-Qur’an dan hadith akan berlaku satu persatu. Mereka dulu semasa di dunia tidak percaya, namun di akhirat nanti mereka akan melihatnya berlaku betul-betul depan mata mereka.

Setiap satu kejadian itu adalah dalam jangkamasa yang lama, entah berapa lama. Maksudnya mereka tidak terus dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan melihat bahawa janji kehidupan selepas mati itu pasti ada. Semua yang disebut dalam Al-Qur’an dan dalam hadith itu pasti akan berlaku dan mereka akan melaluinya satu persatu. Waktu itu barulah mereka akan menyesali apakah yang mereka lakukan di dunia dulu. Namun tidak ada gunanya lagi kalau waktu itu baru mereka hendak menyesal. Mereka tidak akan ada peluang untuk menyelamatkan diri lagi. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia untuk membuat kebaikan semula. Maka penyesalan mereka tiada penghujungnya.

 

سِيئَتْ وُجُوهُ الَّذِينَ كَفَرُوا

jadi jeleklah muka-muka orang-orang kafir;

Telah disebut penolakan golongan kafir tentang janji-janji akhirat sebagai ancaman kepada mereka. Begitulah mereka yang tidak percaya, tetapi nanti apabila benar-benar terjadi nanti tengoklah mereka. Apabila mereka melihat semua perkara akhirat yang berlaku itu, muka mereka bertukar jadi hodoh sebab terlalu takut kepada api neraka. Malah bermula dari saat mereka mati lagi sudah menjadi hodoh. Kerana mereka sudah mula nampak kebenaran kata-kata para pendakwah semasa di dunia. Muka mereka menjadi suram kerana mereka sudah tahu apa yang mereka akan alami selepas itu adalah keburukan dan penderitaan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Zumar: 48

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Perkataan سِيئَتْ adalah bermaksud jelek, buruk, berlawanan dengan kebaikan. سِيئَتْ وُجُوهُ adalah muka yang sudah tiada seri. Kita pun boleh bayangkan sedikit sebanyak. Kadang-kadang seseorang yang mendapat panggilan telefon yang menceritakan perkara tidak gembira kepadanya – seperti contoh, ada orang kesayangannya baru kematian – kita boleh lihat bagaimana rupanya selepas mendapat berita itu. Lain daripada wajahnya yang sebelumnya. Seri daripada mukanya telah hilang.

Mufassir mengatakan سِيئَتْ وُجُوهُ mengisyaratkan kepada muka mereka yang sedang dibawa kepada hukuman kematian. Cuba bayangkan muka orang yang sedang dibawa ke tali gantung. Itulah lebih kurang wajah mereka, malah lebih buruk lagi apabila mereka melihat kepada kebenaran hari akhirat yang mereka dustakan selama ini. Allah ‎ﷻ berfirman tentang situasi ini di dalam Zumar: 47-48

وَبَدا لَهُمْ مِنَ اللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ وَبَدا لَهُمْ سَيِّئاتُ مَا كَسَبُوا وَحاقَ بِهِمْ ما كانُوا بِهِ يَسْتَهْزِؤُنَ
Dan jelaslah bagi mereka azab daripada Allah yang belum pernah mereka perkirakan. Dan (jelaslah) bagi mereka akibat buruk daripada apa yang telah mereka perbuat dan mereka diliputi oleh pembalasan yang mereka dahulu selalu memperolok-olokkannya.

 

وَقِيلَ

Dan dikatakan

Dikatakan kepada mereka. Yang berkata itu mungkin Malaikat Penjaga Neraka – Malaikat Zabaniah. Ia tidak disebut secara jelas di sini jadi kita tidak tahu dengan pasti. Ia tidak disebut kerana ia tidak penting dan yang penting adalah apa yang dikatakan. Kata-kata ini adalah untuk menyakitkan hati mereka sebagai azab emosi. Tubuh mereka akan diseksa dan Allah ‎ﷻ tambah lagi sakit jiwa mereka itu.

 

هَٰذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تَدَّعُونَ

Inilah dia hari yang mana kamu dulu meminta-minta; 

Dahulu kalian yang minta supaya azab ini disegerakan. Kamu asyik bertanya mana dia, mana dia? Nah sekarang, rasakanlah.

Kita boleh lihat ada shaddah dalam perkataan تَدَّعُونَ itu. Ini bermaksud, bukan sekali sahaja mereka ejek kepada Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم bilakah akan terjadi hari akhirat dan bala ke atas mereka, tetapi berkali-kali dan dengan agresif sekali. Ini kita boleh lihat dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka yang tidak mempercayai dakwah tauhid, kejadian akhirat dan balasan di akhirat, mereka selalu kata: “Mana dia azab yang kau janjikan itu?” Mereka katakan begitu kepada Rasul dan juga pendakwah. Bukan sekali dua tetapi banyak kali. Nah sekarang ia sudah ada di depan mata, amacam?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 5 April 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Bab 3: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat Allah (2)

Bab 3: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Sambungan)

Sesungguhnya mengenal Allah ‎ﷻ, mengenal nama-nama-Nya yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia merupakan cita-cita tertinggi manusia. Ia merupakan ilmu yang paling mulia dan paling tinggi serta merupakan puncak ilmu yang manusia selalu berlumba-lumba meraihnya dan hati yang baik selalu rindu kepadanya. Dengannya, manusia boleh menggapai kehidupan yang tenteram, kerana kehidupan manusia ini tergantung kepada kehidupan hati dan ruhnya.

[Oleh kerana Allah ‎ﷻ itu paling utama, maka ilmu mengenai-Nya naik menjadi ilmu yang paling utama. Maka ia sepatutnya menaikkan semangat kita untuk belajar Asma’ul Husna ini kerana kita akan kenal Allah ‎ﷻ dengan lebih baik lagi. Maka kenalah ada cita-cita untuk belajar tentang Asma’ul Husna ini. Kecintaan kita kepada Allah ‎ﷻ pun akan bertambah kerana ‘kalau tak kenal, maka tak cinta’. Bila sudah kenal, tentulah semakin cinta.]

Tidak ada kebaikan pada kehidupan hati, melainkan dengan mengenali penciptanya, mencintai dan beribadah kepada-Nya sahaja, bertaubat, berzikir dan selalu mendekatkan diri kepada-Nya. Barangsiapa yang kehilangan kehidupan seperti ini, maka dia telah kehilangan semua kebaikan.

Seandainya hal itu diganti dengan semua kenikmatan dunia tidak akan mungkin boleh terganti. Bahkan dunia dan seisinya tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan tersebut. Segala sesuatu yang terlewatkan masih ada penggantinya, tetapi jika dia kehilangan Allah ‎ﷻ, tidak ada sesuatu pun yang boleh menggantikannya.

[Maknanya, kalau tidak kenal Allah ‎ﷻ (melalui mempelajar Asma’ul Husna ini), seolah-olah sia-sialah hidup.]

Gejala yang aneh dari kebanyakan manusia, “Bagaimana waktu terus berlalu, usia terus berjalan, sedangkan hati tertutup (dari mengenali Allah ‎ﷻ), tidak mencium sedikit pun baunya, dan dia keluar dari dunia sebagaimana dia masuk ke dalamnya, tidak merasakan kehidupan yang sejahtera. Bahkan hidupnya di dunia seperti kehidupan binatang ternak, kemudian dia berpindah ke alam kerugian. Hidupnya di dunia merana, kematiannya terseksa, dan hari akhiratnya sengsara.

[Penulis membandingkan manusia yang tidak kenal Allah ‎ﷻ seperti binatang kerana tidak mempelajari perkara yang perlu dipelajari. Maka bila tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka seperti binatang yang tidak ada tanggungjawab mengenal Allah‎ ﷻ dan mempelajari tentang Allah‎ ﷻ.]

Dia keluar dari dunia ini dalam keadaan tidak merasakan kebahagiaan sedikit pun, dan dia meninggalkan dunia ini dalam keadaan terhalang daripada kenikmatannya, kerana kenikmatan dan kelazatan serta kebahagiaan yang sempurna hanya ada pada ma’rifatullah (mengenal Allah ‎ﷻ), bertauhid, dekat dan rindu kepada perjumpaan dengan Rabbnya.

Sedangkan hidup yang paling sengsara adalah kehidupan hati yang tercerai berai, jiwa yang terobek-robek, yang tidak memiliki tujuan yang benar serta jalan yang jelas hingga dia boleh menuju kepadanya.

[Ini adalah orang yang amat malang sekali kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ. Dia tidak berusaha untuk belajar Asma’ul Husna. Maka dia tidak merasa kemanisan beragama kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ sama sekali. Dia kenal begitu-begitu sahaja tanpa mendalam. ]

Jalannya bercabang, banyak bengkoknya, di setiap jalan terdapat onak dan duri, dia pun kebingungan di atas muka bumi, tidak mengetahui ke mana dia harus melangkah.

Seandainya berpindah, dia tidak akan mampu, dan hatinya tidak akan mendapatkan ketenangan, ketenteraman, tidak ada yang dapat menyejukkan pandangan matanya hingga dia menuju kepada sesembahan, Rabb dan penciptanya yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

[Hati orang yang tidak kenal Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benarnya akan keluh kesah kerana dia tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Mana mungkin dia boleh letakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ kalau dia tidak kenal Allah ‎ﷻ?

Sebagai contoh, dia kehilangan kerja. Adakah dia yakin dengan sebenar-benarnya yakin yang Allah ‎ﷻlah yang memberikan rezeki kepada makhluk?

Kalau dia ada masalah pula, adakah dia boleh bertawakal kepada Allah ‎ﷻ yang boleh menyelesaikan segala masalahnya?]

Dia pun selalu memerlukan pertolongan-Nya setiap saat. Sebagaimana yang dikatakan oleh seorang penyair:

➿ Palingkan hati ke mana engkau suka dari cinta

➿ Tidaklah cinta itu akan berpaling melainkan pada cinta pertama

➿ Berapa banyak rumah di atas bumi ini yang ditempati oleh seorang anak manusia

➿ Akan tetapi, kerinduannya selama-lamanya pada rumahnya pertama

[Adakah hatinya sentiasa mendambakan Allah ‎ﷻ? Adakah dia meletakkan hatinya sentiasa kepada Allah ‎ﷻ? Adakah dia dapat sedar yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan segala apa yang dia lakukan?

Ini dapat diperolehi apabila sudah belajar sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan menyakininya.]

Barangsiapa yang bersemangat untuk menjadikan tujuan utamanya hanya satu saja, iaitu Allah ‎ﷻ dan langkah satu-satunya adalah keredhaan-Nya, maka dia akan meraih puncak harapannya dan menggapai semua bentuk kebahagiaan.

Akan tetapi, kebanyakan manusia hidupnya jauh dari harapan ini, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian salaf, “Sungguh merugi, orang yang hidup di dunia kemudian keluar darinya, tetapi tidak merasakan kelazatan di dalamnya.”

Kemudian dia ditanya, “Apa kelazatan di dalamnya?’ Dia berkata, “Mengenal Allah, mencintai, selalu dekat dan rindu kepada-Nya.”

[Keindahan dan kelazatan dunia dapat dicapai dengan mengenal Allah ‎ﷻ. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله pernah berkata lebih kurang begini maksudnya: tidak akan masuk ke syurga orang yang tidak merasa syurga dunia.

Salah satu syurga dunia adalah mengenal Allah ‎ﷻ]

Mengenal Allah‎ ﷻ, mencintai dan selalu rindu kepada-Nya merupakan jalan keselamatan dan keberuntungan bagi para pejalan serta pencarinya.

“Berjalan menuju kepada Allah ‎ﷻ melalui jalan nama dan sifat-Nya adalah perkara yang luar biasa. Orang yang melakukannya telah mendapatkan kebahagiaan, meski dia hanya berbaring di atas pembaringan tanpa lelah dan letih.”

Dia senantiasa naik ke darjat yang lebih tinggi dan terus berjalan di jalan ini hingga tingkat yang paling tinggi.

[Perjalanan mengenal Allah ‎ﷻ adalah perjalanan yang indah. Ia tidak melelahkan malah memberi kekuatan kepada insan.

Maka jalannya adalah dengan belajar asma’ul Husna]

Jalan mengenal Allah‎ ﷻ ini dilakukan dengan memahami makna nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan menanamkannya dalam hati hingga berpengaruh nampak dan konsekuensinya di hati dan dipenuhi hati tersebut dengan ilmu yang sangat mulia.

Contoh, nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan akan keagungan, kebesaran, kemuliaan, dan kehormatan akan memenuhi hati dengan pengagungan dan pemuliaan kepada Allah ‎ﷻ.

[Apabila kita belajar asma’ul Husna, ia bukan setakat ilmu sahaja tetapi hendaklah sampai memberi kesan kepada hati. Apabila kita kenal Allah ‎ﷻ, maka sepatutnya kita berharap kepada-Nya kerana kita tahu Dialah tempat pengharapan.]

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan keindahan, kebaikan, keutamaan, kasih sayang, kedermawanan akan memenuhi hati dengan kecintaan kepada Allah ‎ﷻ dan puji syukur serta rindu kepada-Nya.

[Ada pula nama-nama yang menaikkan cinta dan sayang kepada-Nya].

Nama-nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan kemuliaan, kebijaksanaan, ilmu, dan kekuasaan akan memenuhi hati dengan ketundukan, kekhusyukan, ketakutan kepada-Nya.

[Ada pula nama-nama Allah ‎ﷻ yang menyebabkan kita takjub kepada-Nya].

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan keilmuan, pengawasan, peliputan, dan persaksian akan memenuhi hati dengan perasaan selalu diawasi Allah ‎ﷻ dalam setiap gerak-geri dan diamnya, serta menjaga fikiran dari hal-hal yang jahat serta keinginan yang negatif.

[Ada nama-nama yang menyebabkan kita takut hendak berbuat dosa kerana kita yakin dengan sebenar-benarnya yakin yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Takkan berani hendak buat salah depan ayah, bukan? Apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ?]

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan kekayaan dan kelembutan akan memenuhi hati dengan sikap selalu memerlukan, memasrahkan, dan menyerahkan diri kepada-Nya di setiap waktu dan keadaan.

[Terdapat juga nama-nama yang menyebabkan kita berharap sepenuhnya kepada Allah‎ ﷻ dalam menangani masalah dan musibah kita].

Pemahaman hati seperti ini merupakan hasil pengenalan hamba tentang nama, sifat, dan ibadahnya kepada Allah ‎ﷻ. Seorang hamba ketika di dunia tidak akan mampu mendapatkan hal yang lebih mulia dan utama serta sempurna daripada mengenal Allah‎ﷻ. Itulah anugerah termulia daripada Allah ‎ﷻkepada hamba-Nya, dan itulah inti tauhid dan sumbernya. Barangsiapa yang dibukakan baginya pintu ilmu ini, maka terbukalah pintu tauhid yang murni dan iman yang sempurna.

[Kefahaman hati yang dimaksudkan adalah, seorang Muslim itu apabila sudah kenal dengan nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya, ada kesan pada diri mereka. Tidaklah mereka tahu sahaja, tetapi ada kaitan dengan hati mereka, sama ada takjub, berharap, tawakal dan sebagainya. Inilah tujuan kita belajar Asma’ul Husna ini.]

Di sini perlu untuk diketahui bahawa mengenal Allah ‎ﷻ ada dua macam, iaitu pertama, sekadar mengenal, yang hal ini sama antara manusia, yang baik, yang jelek, yang taat dan yang berbuat maksiat.

Kedua, pengenalan yang menimbulkan rasa malu, cinta, bergantungnya hati, rindu, takut, bertaubat, selalu dekat, dan sentiasa menghadap kepada-Nya.

[Kita bukan hendak kenal Allah ‎ﷻ sahaja. Ini semua orang boleh belajar dan boleh tahu. Profesor di universiti luar negara seperti Oxford pun boleh senaraikan sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan boleh bagi kelas tentang Allah‎ﷻ. Tetapi yang lebih penting adalah kesan pada hati. Kesan itu yang kita hendak. Kita hendak didik hati kita lekat dengan Allah‎ ﷻ, terkesan dengan Allah‎ ﷻ.]

Pengenalan seperti ini merupakan sumber segala bentuk kebaikan dan mata air bagi setiap keutamaan. Oleh kerana itu, metode Al-Qur’an dalam berdakwah kepada kebenaran, pentunjuk dan memperingatkan dari segala mara bahaya dan kebinasaan didasari oleh pengenalan terhadap ilmu yang mulia ini.

Di dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ menyebutkan sifat kesempurnaan-Nya, ketinggian-Nya di atas Arsy, sifat bicara dan dialog-Nya, keluasan ilmu, dan perwujudan kehendak-Nya, yang dapat membawa seorang hamba kepada keikhlasan, pengesaan, dan kebencian kepada kesyirikan.

[Senarai Asma’ul Husna ini diambil dari Al-Qur’an kerana di situlah Allah‎ ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kalau anda perasan, banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang diakhiri dengan menyebut sifat-sifat Allah‎ ﷻ. Tetapi kena belajar tafsir baru faham apakah yang hendak disampaikan.

Akan tetapi, memang dalam kitab-kitab tafsir pun tidak dijelaskan sangat tentang Asma’ul Husna ini. Maka kerana itu kita bincangkan khusus di sini supaya penekanan lebih mendalam dapat diberikan.]

Allah‎ ﷻ menyebutkan kepada mereka sifat kesempurnaan dan kemuliaan-Nya yang dapat menggiring hati mereka untuk bersegera kepada seruan-Nya dan bergegas untuk menaati-Nya, dan berlumba-lumba dalam mendekatkan diri kepada-Nya serta untuk selalu mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan sebaik-baiknya.

Allah ‎ﷻ juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika Dia memberikan khabar gembira dan memperingatkan hamba-Nya untuk memperkenalkan kepada hati, siapa yang berhak untuk ditakuti dan diharapkan.

[Begitu tinggi tujuan kita mengenal Allah‎ ﷻ ini. Perkara yang disebut-sebut ini sepatutnya memang kena ada dalam hati. Maka ia dapat dipenuhi dengan kita kenal Allah ‎ﷻ melalui Asmaul Husna ini.]

Dia menyebutkan sifat-sifat-Nya juga ketika menjelaskan hukum-hukum, perintah-perintah, dan larangan-larangan-Nya agar hamba benar-benar mengagungkan perintah-Nya serta menjalankan syariat-Nya. Sedikit sekali anda mendapatkan ayat yang berkaitan dengan hukum, kecuali diakhiri dengan salah satu atau sebahagian sifat Allah ‎ﷻ. Terkadang disebutkan dahulu sifat-Nya pada permulaan ayat atau pertengahan atau pada akhirnya. Seperti firman Allah ‎ﷻ,

قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها وَتَشتَكي إِلَى اللهِ وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

[Al-Mujadilah: 1]

[Allah ‎ﷻ mengingatkan sifat-Nya kepada kita apabila menyebut tentang hukum supaya kita menjaga benar-benar hukum itu. Sebagai contoh dalam ayat ini, disebut sifat Allah‎ ﷻ yang maha mendengar, supaya kita sedar yang apa sahaja yang kita katakan, Allah ‎ﷻ mendengar sahaja setiap butir.

Allah ‎ﷻ juga beritahu Dia maha melihat segala perbuatan kita. Supaya kita sedar yang kalau kita tidak menjaga sesuatu hal atau hukum itu, Allah‎ ﷻ sedang melihat dan kita akan ditanya dan dibalas dengan perbuatan kita itu.]

Allah ‎ﷻ juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika seorang hamba bertanya kepda Rasul-Nya tentang-Nya. Dia juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika mereka bertanya kepada-Nya tentang hukum-hukum-Nya. Hukum-hukum Allah‎ ﷻ, semuanya ditegakkan untuk mengingat nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya, bahkan salat tidak dikerjakan, kecuali dengan menyebut nama Allah‎ ﷻ dan sifat-Nya.

Menyebut nama dan sifat-sifat-Nya merupakan inti dan rahsia di sebalik ibadah salat, yang selalu mengiringinya daripada pertama hingga terakhir. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ memerintahkan untuk ditegakkannya salat dengan tujuan untuk disebut nama dan sitat-Nya. Demikianlah semua ketaatan dan ibadah, mengenal nama dan sifat-Nya merupakan dasar bagi kebahagiaan dan pintu bagi semua kebaikan, dan hidayah hanya di tangan Allah ‎ﷻ.

[Hati kita kena sentiasa tertaut dengan Allah ﷻ sepanjang masa. Sekurang-kurangnya kita ingat kepada Allah‎ ﷻ semasa melakukan ibadah. Maka kerana itu dalam ibadah, banyak disebut-sebut nama-Nya dan sifat-Nya. Maka alangkah baik kalau semasa kita sebut nama-nama-Nya itu, kita faham apakah maksud nama-nama itu? Tentu lebih memberi khusyuk kepada salat kita, bukan?]

Sambung ke bab yang seterusnya

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ﷻ dan Sifat Allah (1).

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ﷻ dan Sifat-Nya.

Tidak diragukan lagi bahawa ilmu tentang nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu syar’i dan semurni-murninya tujuan yang agung kerana berkaitan dengan semulia-mulianya Dzat iaitu Allah ﷻ.

Mengenal Allah ﷻ, nama-nama dan sifat-sifat serta perbuatan-perbuatan-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu agama. Mengharapkan wajah Allah ﷻ merupakan semulia-mulianya tujuan. Beribadah kepada-Nya merupakan sebaik-baiknya amal perbuatan dan memuji Allah ﷻ melalui nama dan sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ucapan.

Itulah landasan agama yang lurus iaitu agama Nabi Ibrahim عليه السلام, yang telah disepakati oleh semua nabi. Dakwah serta ajaran mereka bersatu di atasnya dan nasihat serta penjelasan mereka terfokus padanya. Bahkan hal tersebut merupakan salah satu bahagian yang agung daripada fokus dakwah mereka dari yang pertama sampai yang terakhir iaitu Muhammad ﷺ.

Mereka diutus untuk berdakwah kepada Tauhidulllah (mengesakan Allah ﷻ), menjelaskan jalan yang menyampaikan kepada-Nya dan balasan bagi orang yang mengikutinya. Inilah tiga landasan utama bagi setiap ajaran para nabi.

Dari sinilah Imam Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Sesungguhnya dakwah para rasul berkisar pada tiga hal, iaitu memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia melalui nama dan sifat serta perbuatan-Nya. Kedua: menjelaskan jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya. Ketiga: menerangkan balasan bagi mereka di syurga dan kenikmatan di dalamnya dan yang paling mulia dan utama adalah redha-Nya serta melihat kepada Wajah-Nya yang Maha Mulia serta ucapan salam serta berdialog dengan-Nya.

[Maka ilmu Asma’ul Husna ini adalah untuk kenal Allah ﷻ. Inilah yang pertama sekali kita kena tahu. Bagaimana kita hendak beribadat kepada-Nya dan menyayangi-Nya kalau kita tidak kenal Allah ﷻ?

Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dengan memberitahu nama-nama-Nya kepada kita di dalam Al-Qur’an. Kemudian Nabi ﷺ memperjelaskan lagi dalam penerangan hadith-hadith daripada baginda. Maka itulah tujuan para Nabi ﷺ dan begitulah juga kerja para guru dan pendakwah.]

Beliau juga (Ibn Qayyim) juga berkata tentang dakwah Rasul ﷺ terakhir yang berkaitan hal ini: “Baginda memperkenalkan kepada manusia Rabb mereka dan sembahan mereka sesuai kadar kemampuan mereka dalam memahami penjelasan. Kadangkala baginda menjelaskan, mengulangi, meringkas, dan terkadang memperluas penjelasan tentang nama, sifat dan perbuatan-Nya, hingga jelas pengenalan terhadap-Nya dalam hati para hamba-Nya yang beriman dan tersingkaplah keraguan dari pengenalan terhadap-Nya sebagaimana jelasnya rembulan di kala purnama.

Baginda tidak meninggalkan bagi umatnya sedikit pun penjelasan tentang hal ini untuk orang sebelum dan sesudah baginda, bahkan baginda telah mencukupi mereka,

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

[Rasulullah telah mengambil masa selama 23 tahun mengajar agama kepada manusia. Maka kita yang prihatin terhadap diri sendiri dan ke mana dia akan pergi (ke syurga atau neraka) akan mendalami ilmu yang baginda sampaikan. Maka pembelajaran perlu dijalankan.

Antara perkara penting yang kita kena belajar adalah tentang nama-nama Allah ‎ﷻ yang memberi penerangan yang lebih tentang Allah ‎ﷻ kerana kita tidak akan kenal Allah ‎ﷻdengan diri sendiri. Fikir banyak kali pun, takut sesat pula.]

Bagaimana tidak, sedangkan baginda telah bersabda:

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

“Sungguh aku telah meninggalkan kalian di atas (Islam) yang putih bersih, siang dan malamnya sama terangnya. Siapa saja yang menyimpang darinya (dari jalan putih bersih yang para sahabat berada di atasnya), pasti (dia) binasa. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

[Agama Islam ini telah jelas. Iaitu agama yang mengikut dalil daripada wahyu. Maka kerana itu kita kena periksa pemahaman kita dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan.]

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

إنه لم يكن نبي قبلي إلا كان حقا عليه أن يدل أمته على خير ما يعلمه لهم، وينذرهم شر ما يعلمه لهم

“Sesungguhnya tidak ada seorang Nabi pun sebelumku, melainkan wajib baginya untuk menunjukkan kepada umatnya kebaikan yang ia ketahui untuk mereka, serta memperingatkan mereka dari keburukan yang diketahui bagi mereka.” (HR. Muslim 1844)

[Maka Nabi Muhamamad telah lengkap sampaikan agama ini kepada kita, tinggal kita untuk belajar sahaja. Maka jangan kita hendak reka ajaran agama yang baru. Kena belajar apa yang baginda telah ajarkan.]

Lihat hadith ini:

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: تَرَكَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا طَائِرٌ يُقَلِّبُ جَنَاحَيْهِ فِي الْهَوَاءِ إِلاَّ وَهُوَ يَذْكُرُنَا مِنْهُ عِلْمًا. قَالَ: فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَقِيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ إِلاَّ وَ قَدْ بُيِّنَ لَكُمْ.

Dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه, beliau berkata, “Rasulullah ﷺ telah pergi meninggalkan kami (wafat), dan tidaklah seekor burung yang terbang membalik-balikkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda ﷺ telah menerangkan ilmunya kepada kami.” Berkata Abu Dzarr رضي الله عنه, “Rasulullah ﷺ telah bersabda, ‘Tidaklah tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka melainkan telah dijelaskan semuanya kepada kalian.’”

(HR. At-Thabrani dalam Mu’jamul Kabir (II/155-156 no. 1647) dan Ibnu Hibban (no. 65) dengan ringkas dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه. Lihat Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah no.1803).

[Maknanya Nabi Muhammad ﷺ telah menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan ajaran agama. Semua yang perlu sudah diajar. Jadi apabila ada golongan seperti golongan tarekat yang reka fahaman dan amalan baru, itu sudah tidak adil kepada baginda. Seolah-olah baginda ada tertinggal ajaran kepada kita pula. Mereka juga seolah-olah hendak mengatakan mereka lebih pandai daripada Nabi ﷺ pula. Ini tentulah tidak patut, bukan?

Maka kita kena belajar dengan tekun apakah yang Nabi Muhammad ﷺ telah ajar kepada kita. Ambil dengan kemas dan jangan tinggalkan. Kalau ada yang ajar perkara baru, jangan terima. Kena tanya dari manakah amalan agama itu diambil. Yang mengajar kena berikan dalil dari Al-Qur’an atau dari Sunnah Nabi Muhammad ﷺ.]

Selain itu, mustahil bagi Nabi ﷺ yang telah mengajarkan kepada umatnya tatacara buang hajat, makan dan minum, masuk dan keluar (rumah) dengan terperinci lalu meninggalkan mereka tanpa mengajarkan apa yang harus mereka katakan dengan lisan mereka dan apa yang mereka yakini dengan hati mereka tentang Rabb dan sesembahan mereka.

[Lihatlah, kencing berak pun Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar kepada umatnya. Takkan benda-benda penting dalam agama tidak diajar? Sebagai contoh, zaman baginda juga telah ramai orang yang mati. Adakah mereka buat Kenduri Arwah? Majlis Tahlilan? Tentu tidak ada kerana tidak sampai kepada kita. Kita ikut siapakah sebenarnya?]

Pengetahuan tentang-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu dan perjalanan kepada-Nya merupakan semulia-mulianya tujuan serta seutama-utamanya pemberian. Bagaimana mungkin baginda tidak menjelaskannya, padahal keperluan manusia kepadanya lebih mendesak daripada semua keperluan kerana tidak ada kebahagiaan, kejayaan, kebaikan, kenikmatan, dan ketenteraman bagi manusia, kecuali dengan mengenal Rabb dan sesembahan mereka serta beribadah kepada-Nya. Sehingga Dia-lah satu-satunya yang diharapkan dan tempat mereka bergantung. Mengingat dan mendekatkan diri kepada-Nya merupakan penyejuk mata dan penghidup bagi hati.

Apabila mereka kehilangan semua itu, maka keadaannya jauh lebih buruk daripada binatang ternak, sebagaimana Allah ﷻ berfirman,

إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ ۖ بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

“Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.” (QS. Al-Furqan: 44)

[Ilmu yang terpenting adalah mengenal Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘makrifat’ (kenal). Iaitu kenal Allah ﷻ. Inilah ilmu yang amat penting sekali. Kalau kita tidak kenal siapa Allah ﷻ, kepada siapa sebenarnya kita sembah dan menghambakan diri?

Kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, maka amatlah malangnya hidup ini. Sia-sia kita dilahirkan ke dunia kerana tidak kenal Allah ﷻ. Ia lebih teruk lagi daripada tidak kenal siapa ibu bapa kita sendiri, bukan?

Untuk kenal Allah ‎ﷻ hendaklah diambil ilmunya daripada Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar dan tidak perlu kita hendak reka fahaman baru. Tidak perlu kita hendak fikir-fikir guna akal kita dan cuba agak-agak Allah ‎ﷻ itu bagaimana kehendak-Nya.]

Apabila seorang hamba mengenal Rabbnya, cinta dan selalu beribadah kepada-Nya, menjalankan perintah dan menjauhi-larangan-Nya, maka akan terealisasi pada dirinya dengan mengenal (ilmu ini) dan peribadahannya, yang keduanya merupakan tujuan penciptaan dan perkaranya, maka akan teraih kesempurnaan seorang manusia dan ketinggian darjatnya.

[Jadi ada dua tujuan utama belajar tentang Asma’ul Husna ini:
1. Kenal Allah ‎ﷻ
2. Selepas kenal, maka ada kesan dalam kehidupan

Maknanya, setiap nama-nama itu bukan untuk diketahui sahaja, tetapi ada kesannya. Contohnya, apabila kita kenal Allah‎ ﷻ itu Yang Maha Mendengar, maka tentulah kita takut untuk cakap merapu dalam kehidupan kita.

Contoh lagi: Apabila kita sudah tahu Allah‎ ﷻ itu Maha Pemurah, maka ia akan menggerakkan kita untuk lebih banyak berharap dan berdoa kepada-Nya]

Bahkan, “Tidak ada keperluan roh manusia yang melebihi daripada keperluannya kepada pengenalan terhadap Rabbnya dan penciptanya, cinta, menyebut, bergantung dan mendekatkan diri kepada-Nya. Tidak ada jalan menuju kepada hal ini, melainkan dengan mengenal sifat dan nama-Nya.

[Diri kita memang sudah kenal Allah ‎ﷻ dari alam roh lagi. Tetapi kita sudah lupa. Maka kita kena belajar balik. Keinginan kita untuk kenal Allah ‎ﷻ memang sentiasa sahaja ada. Ia sudah ada dalam fitrah kita, “sub conscious mind” kita. Kita sudah terima dalam diri kita, adanya Tuhan yang menjadikan kita, yang lebih besar daripada kita, yang mengurus kehidupan kita. Sekarang kita hendak tahu dengan lebih lagi tentang apakah sifat Tuhan yang Satu itu. Maka inilah kita belajar tentang Allah ‎ﷻ dengan Asma’ul Husna.]

Barangsiapa yang lebih mengetahui ilmu ini, maka dia lebih mengenal Allah‎ ﷻ, lebih mengharap, dan dekat kepada-Nya. Barangsiapa yang lebih banyak tidak mengetahui tentang ilmu ini, maka dia adalah seorang yang paling jahil tentang Allah ‎ﷻ, benci dan jauh dari-Nya.

[Beza kita dalam ilmu Asma’ul Husna ini adalah daripada segi pemahaman. Lagi banyak faham, lagi banyak kita kenal Allah ‎ﷻ. Namun harus diingatkan yang pemahaman itu Allah‎ ﷻ yang beri, maka usaha kita belajar sahaja.

Tetapi kalau kita dapat tahu sedikit sebanyak pun, lebih baik daripada tidak tahu langsung. Kita akan diberi pemahaman setakat kemampuan kita sahaja.]

Al-Hafiz Ibnu Kathir رحمه الله berkata dalam tafsirnya tentang firman Allah ‎ﷻ:

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.” [Fathir: 28]

Kata Ibnu Kathir رحمه الله: ”Sesungguhnya yang paling takut dengan sebenarnya kepada Allah ‎ﷻ adalah para ulama’ yang mengenal diri-Nya kerana jika dia mengenal Allah ‎ﷻ Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui, yang tersifati dengan sifat-sifat sempurna dan yang dinamai dengan nama-nama yang mulia, maka jika pengenalan terhadap diri-Nya lebih sempurna dan ilmu tentang-Nya lebih banyak, maka rasa takut kepada-Nya lebih besar dan lebih banyak.”

[Ulama’ itu bermaksud orang yang ada ilmu. Bukanlah pangkat ulama’, kerana kalau begitu, seolah-olah kita yang bukan ulama’ ini tidak perlu takut kepada Allah ‎ﷻ pula. Kita pun boleh jadi orang alim juga, bukan? Kalau kita ada ilmu agama, maka kita jadi orang alim lah juga.

Tidak kenal maka tidak cinta. Begitu juga dengan Allah ‎ﷻ, tidak kenal, maka kita tidak takut kerana kita tidak sedar tentang kehebatan Allah ‎ﷻ, maka kita anggap biasa sahaja. Seolah-olah Allah‎ ﷻ tidak ada kuasa hendak menghukum kita, memasukkan kita ke dalam neraka dan sebagainya.

Analoginya seperti kita duduk sebelah ketua gengster. Kalau kita tidak kenal dia ketua gengster, tentu kita tidak takut. Kita mungkin anggap dia pakcik biasa sahaja, boleh bergelak ketawa makan kuaci dengan dia. Tetapi katakanlah tiba-tiba kita tahu dia ketua gengster, perasaan kita pun sudah lain. Hendak cakap sepatah perkataan pun tidak berani agaknya.]

Mengenal Allah ‎ﷻ dapat memperkuatkan rasa takut, merasa diawasi, harapan kepada-Nya, menambah iman hamba, membuahkan berbagai-bagai macam ibadah. Selain itu, dengannya, hati akan lebih cepat berjalan menuju kepada Rabbnya dan langkahnya lebih cepat dalam meraih redha-Nya melebihi kecepatan angin yang berhembus, dia tidak akan menoleh ke kanan maupun ke kiri. Hidayah hanya di tangan Allah ‎ﷻ, tidak ada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan dari-Nya.

[Inilah harapan kita dengan belajar fiqh Asma’ul Husna ini. Supaya kita rasa lain macam dengan Allah ‎ﷻ. Yang Allah ‎ﷻ itu bukan ‘biasyer-biasyer’ sahaja. Dengan belajar, ia memberi kesan kepada jiwa kita.

Pertamanya, kita takut kerana Allah ‎ﷻ berkuasa hendak berbuat apa-apa sahaja kepada kita dan kita tidak dapat menghalang-Nya.

Takut ini dipupuk dengan kesedaran yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Kita sudah tahu dari segi ilmu, tetapi dari segi amali, adakah kita sedar? Kalau sedar, tentu kita tidak berani hendak membuat dosa, bukan?

Apabila kita kenal Allah ‎ﷻ, maka iman kita kepada-Nya akan bertambah kerana kita yakin dengan sebenar-benar yakin, yang memang Allah ‎ﷻlah layak diimani dan tempat kita menyerahkan ketaatan dan harapan.

Kita akan semakin berharap kepada-Nya kerana kita tahu Dia dengar permintaan kita, Dia Pemurah dan sanggup layan kehendak kita, Dia mempunyai segala perbendaharaan langit dan bumi maka Dia boleh beri apa sahaja yang kita minta. Ini antara perasaan yang timbul daripada pengenalan kita kepada Asma’ul Husna ini.

Tentunya hanya Allah‎ ﷻ sahaja yang boleh beri pemahaman tentang Diri-Nya kepada kita. Kita hanya boleh berusaha belajar sahaja. Semoga Allah‎ ﷻ beri pemahaman kepada kita.]

Sambung ke bab yang seterusnya


Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Bab 1: Kedudukan Ilmu Tentang Asma’ Allah dan Sifat-Nya

Mukaddimah dari Penulis:

Kitab ini adalah kumpulan tulisan yang bermanfaat – dengan seizin Allah – dalam membahas fikih yang paling mulia dan yang paling bermanfaat iaitu fiqih Asmaullah Al-Husna (nama-nama Allah yang terbaik). Di dalamnya saya jelaskan lebih dari seratus nama dari nama-nama Allah yang baik, yang didahului dengan mukaddimah tentang dasar-dasar ilmu dalam pembahasan ini.

Saya pun telah berusaha dalam menyusun kitab ini menggunakan kata-kata yang jelas dan metode yang mudah disertai dengan penyebutan dalil-dalil serta bukti-bukti dari Al-Qur’an dan hadits Rasul dan sekaligus penjelasan dari sisi ibadah serta pengaruh keimanan yang merupakan perwujudan iman terhadap nama-nama Allah.

Saya banyak mengambil manfaat dari ucapan para ulama, khususnya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, dan murid beliau, Imam Ibnu Al-Qayyim serta Syaikh Abdurrahman As-Sa’di – semoga Allah merahmati mereka semua.

Nabi SAW bersabda :

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari

Semoga Allah Ta’ala mengampuni kesalahan, kejahilan, dan berlebih-lebihanku dalam segala urusanku serta memberi hidayah kepadaku ke jalan yang lurus, sesungguhnya Dia merupakan sebaik-baiknya tempat meminta dan semulia-mulianya tempat berharap, cukuplah Dia bagi kita dan Dialah sebaik-baiknya pelindung.

👁‍🗨 Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin Al-Badr


 

Bab 1: KEDUDUKAN ILMU TENTANG ASMA’ ALLAH DAN SIFAT-NYA

Sesungguhnya memahami nama Allah ‎ﷻ yang terbaik (Asma’ul Husna) merupakan pintu ilmu yang mulia, bahkan ini termasuk Al-Fiqh Al-Akbar (fiqh yang paling agung) dan paling utama serta pertama kali yang masuk dalam sabda Rasulullah ﷺ,

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan atasnya, maka Dia akan memberikan kefahaman kepadanya dalam masalah agama”. (Muttafaq Alaih)

Mempelajari ilmu ini merupakan usaha termulia yang dilakukan oleh setiap jiwa dan sebaik-baiknya apa yang diraih oleh orang-orang yang memiliki kecerdasan akal dan petunjuk. Bahkan ini merupakan puncak yang direbut oleh manusia.

[Maka fiqh Asma’ul Husna ini amat penting untuk dipelajari oleh umat Islam. Amat tidak patut kalau tidak diambil perhatian. Untuk kenal Allah ‎ﷻ, kenalah belajar Asma’ul Husna.]

Ilmu ini merupakan asas jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ dan jalan masuk yang lurus dalam meraih kecintaan dan keredhaan-Nya serta jalan yang lurus bagi setiap orang yang dicintai dan dipilih-Nya.

Sebagaimana bangunan memiliki asas, maka fondasi agama ini adalah iman kepada Allah ‎ﷻ dan kepada nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Jika asas ini kuat, maka dia akan dapat memikul bangunannya dengan kuat dan kukuh serta selamat daripada goncangan dan kerobohan.

[Ilmu fiqh Asma’ul Husna ini adalah asas. Maka kenalah ada asas yang kukuh sebelum melonjak kepada ilmu-ilmu yang lain. Kita selalu dengar: Kenal Allah ‎ﷻ. Namun bagaimana hendak kenal Allah ‎ﷻ melainkan dengan Asma’-Nya?]

Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Barangsiapa yang menghendaki bangunan yang tinggi, maka diharuskan baginya untuk menguatkan asas dan benar-benar memperhatikannya kerana ketinggian bangunan tergantung pada kukuh dan kuatnya asas. Amal dan darjat adalah bangunan, sedangkan fondasinya adalah iman.

[Semoga ilmu ini dikejar dan cuba difahami oleh semua umat Islam kerana amat penting. Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang mengupas tajuk ini supaya kita dapat memahaminya dengan agak mudah. Asalkan mahu belajar. Tentunya kena belajar ikut jalan Sunnah dan bukan ikut nafsu dan ilmu khayalan.]

Apabila asasnya kuat, maka ia akan dapat memikul bangunan dan meninggikannya. Kalau roboh sebahagian daripada bangunan itu, maka mudah untuk memperbaikinya. Jika asas tidak kuat, maka tidak akan tinggi bangunannya dan tidak akan kukuh. Jika roboh sebahagian daripada asas, maka akan jatuh bangunannya atau hampir jatuh.

[Maka untuk belajar dengan lebih tinggi lagi, kena kemaskan dahulu kefahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Orang bijak akan memiliki target iaitu membenarkan asas dan menguatkannya, sedangkan orang jahil adalah orang yang meninggikan bangunan tanpa asas, maka tidak lama kemudian, bangunannya pun akan roboh.

Allah ‎ﷻ berfirman dalam [Tawbah: 109]

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

[Asas untuk belajar ilmu agama adalah dengan mengenali Allah ‎ﷻ. Mengenali Allah ‎ﷻ dengan mempelajari Asma’-Nya. Bukannya setakat hafal dan dinyanyikan di kelas-kelas pengajian. Bukan juga diseru-seru berkali-kali tanpa memahami maksudnya.]

Asas bagi bangunan amal seperti kekuatan bagi tubuh manusia. Jika kuat, maka dia dapat membawa badan dengan baik dan menolak segala penyakit. Jika lemah kekuatannya, maka lemah pula dia dalam membawa badannya serta cepat diserang penyakit. Jadikan bangunanmu di atas asas iman yang kuat dan jika ada bahagian atas atau atapnya yang rosak, maka mudah untuk memperbaikinya daripada kerosakan asasnya.

[Kalau ada asas ilmu tentang Asma’, maka tidaklah senang ditipu orang. Tidaklah senang percaya amal-amal yang datang entah dari mana. Tidaklah senang syaitan tipu dengan pemahaman yang salah tentang Allah ‎ﷻ. Apabila tidak belajar, itulah sebabnya bila syaitan bisikkan Allah ‎ﷻ begitu dan begini, senang sahaja diterima. Memang salah satu cara yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia adalah membisikkan fahaman salah tentang Allah ‎ﷻ.]

🏛 Asas ini ada dua:

Pertama, mengenal Allah ‎ﷻ, perintah, nama, serta sifat-Nya dengan baik.

Kedua, tunduk dan patuh kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Inilah sekuat-kuatnya asas agama yang dibangunkan oleh seorang hamba bagi bangunannya dan sesuai dengan kekuatan asas agama itulah ketinggian suatu bangunan yang dia inginkan.

[Asas pertama perlu didapati dengan belajar Asma’-Nya. Setelah kenal, maka kenalah aplikasikan asas kedua, iaitu taat. Tidaklah kita kata kita taat, tetapi tidak tahu ‘APA yang perlu ditaati’. Ramai yang kata dia beriman, dia seorang yang taat. Namun apabila soal kepadanya: “Apa yang kamu kena taat?” Atau Kamu perasan sahaja kamu taat?”]

Oleh kerana itu, banyak sekali dalil di dalam Al-Qur’an yang menguatkan asas ini, bahkan hampir-hampir semua ayat tidak pernah lepas daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya. Ini semua menunjukkan dengan jelas tentang pentingnya ilmu yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ serta keperluan yang mendesak untuk mengenalnya. Bagaimana ia tidak menempati kedudukan yang tinggi, sedangkan ia adalah tujuan utama diciptakan semua manusia.

[Kalau kita perasan, banyak sangat ayat Al-Qur’an diakhiri dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ. Kalau kita tidak belajar ilmu Asma’ul Husna, maka nama-nama itu setakat kita baca sahaja. Maka ilmu tafsir Al-Qur’an tidak lengkap tanpa kita juga belajar Asma’ul Husna itu.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang terpenting dalam kehidupan kita, maka tidakkah ilmu kenal Allah ‎ﷻ ini penting? Tidak kenal maka tidak cinta. Lalu bagaimana kita dapat mencintai Allah ‎ﷻ kalau kita tidak kenal Dia? Bagaimana hendak kenal Dia kalau tidak melalui sifat-sifat-Nya?]

Tauhid yang merupakan tujuan utama diciptakannya manusia terbahagi menjadi dua:

1⃣ Tauhid Ma’rifah (kenal) dan Ithbat (penetapan); ini mencakupi iman kepada rububiyah, nama, dan sifat-Nya.

2⃣ Tauhid Iradah (kehendak) dan Thalab (tuntutan); ini adalah Tauhid ibadat.

[Ini adalah pembahagian ilmu Tauhid kepada dua (berlainan sedikit dengan tauhid 3). Akan tetapi ia tetap sama sahaja kerana Tauhid Rububiyah dan Asma wa Sifat dimasukkan sekali dalam Tauhid Ma’rifah.

Tauhid Iradah dan Thalab itu kalau dalam Tauhid 3 dipanggil Tauhid Uluhiyyah.

Jadi ilmu tentang Asma’ul Husna ini memang berkait dengan ilmu Tauhid. Maka ia amat penting sekali. Kalau belajar Tauhid 3, Tauhid ke 3 itu adalah Asma’ wa Sifat. Tauhid ini memang berkenaan Asma’ul Husna. Jadi ilmu Tauhid tidak lengkap kalau tidak ada ilmu Asma’ul Husna ini]

Adapun dalil yang pertama [Tauhid Ma’rifah & Ithbat] adalah Firman Allah ‎ﷻ:

اللَّهُ الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ وَمِنَ الأَرضِ مِثلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الأَمرُ بَينَهُنَّ لِتَعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَد أَحاطَ بِكُلِّ شَيءٍ عِلمًا

“Allah lah yang menciptakan tujuh langit dan sebagaimana itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu. ” At-Thalaq:12

[Allah ‎ﷻ yang mencipta alam ini. Maka Dialah Al-Khaaliq. Kita kena kenal Dia dan tetapkan Dia sebagai Pencipta kita dan alam ini]

Dan dalil yang kedua [Tauhid Iradah dan Thalab] adalah Firman Allah ‎ﷻ,

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” Dzariyat: 56.

Yang pertama, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ‎ﷻ) dan yang kedua, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian beribadah (kepada-Nya). Oleh kerana itu, Tauhid adalah ilmu dan amal. Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.

[Maka kita kenal belajar Asma’ul Husna untuk kenal Allah ‎ﷻ. Selepas kenal, kenalah buat amal kerana apabila kita sudah kenal Dia, maka kita hendak mengagungkan Dia. Macam kita kenal ayah kita, takkan setakat kenal sahaja. Kenalah kita hormat dia, tolong dia, mengaku menjadi anak dia, bukan? Maka dengan Allah ‎ﷻ pun, ada hak Dia.

Bila kita rasa takjub dengan Allah ‎ﷻ, tentu kita ingin melakukan ibadat kepada-Nya. Kita hendak berkomunikasi dengan Dia, hendak minta tolong kepada-Nya, dan macam-macam lagi. Namun hendaklah dimulai dengan kenal terlebih dahulu. Ini kerana: Tidak kenal maka tidak cinta, bukan?]

Yang pertama, Allah ‎ﷻ menciptakan agar kalian mengenal (Allah ‎ﷻ) dan yang kedua, Allah ‎ﷻ mencipta agar kalian beribadah kepada-Nya.

Oleh kerana itu tauhid adalah ilmu dan amal.

[Maka ini adalah dua tujuan asas manusia dan alam diciptakan. Maka kalau tanya apa tujuan kita ini dijadikan, kita sudah ada jawapannya:

☝️ Kenal Allah ‎ﷻ
✌️ Beribadah kepada Allah ‎ﷻ. Atau, dalam terjemahan yang lain, menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Juga ia mengajar kita yang tauhid ini bukan di akal sahaja. Apabila sudah faham tauhid, maka haruslah dilaksanakan dalam bentuk amal perbuatan. Kena lakukan ibadah. Jangan kata faham, tetapi tidak beramal.]

Banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebutkan tentang perintah untuk mempelajari ilmu yang mulia ini dan untuk memperhatikan pokok yang agung ini.

[Baqarah: 231]

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬
serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu

[Baqarah: 233]

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan

[Baqarah: 209]

فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ
ketahuilah, bahawa Allah Maha Perkasa, Maha bijaksana

Ayat-ayat semisal ini kurang lebih berjumlah 30 ayat.

[Ayat-ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat yang ada ٱعۡلَمُوٓاْ di dalamnya menyebut tentang sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Kalimah ٱعۡلَمُوٓاْ bermaksud ‘ketahuilah’. Maka ia adalah arahan dari Allah ‎ﷻ untuk kita tahu, maka kena belajar. Maka kita kena kenal Allah ‎ﷻ melalui nama-nama-Nya yang disebut dalam Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Maka mahu tidak mahu kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kaitkan dengan Asma’-Nya]

Adapun apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ tentang nama dan sifat-Nya dalam Al-Qur’an, maka sangat banyak dan tidak boleh dibandingkan dengan yang lainnya, kerana nama dan sifat Allah ﷻ merupakan seagung-agungnya dan semulia-mulianya serta seutama utamanya hal yang disebut dalam Al-Qur’an.

[Oleh kerana itu, kita kenalah memandang tinggi ilmu fiqih Asma’ul Husna ini dan meluangkan masa untuk memahaminya].

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata, “Di dalam Al-Qur’an, penyebutan tentang nama, sifat, dan perbuatan Allah ﷻ lebih banyak daripada penyebutan tentang makanan, minuman, serta pernikahan di syurga. Ayat-ayat yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ lebih mulia daripada ayat yang berkaitan dengan hari Kiamat.

Semulia-mulia ayat di dalam Al-Qur’an adalah ayat Kursi yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ.

Ini sebagaimana yang disebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Nabi ﷺ. Sebagaimana yang ada pada pertanyaan yang diajukan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ubay bin Ka’ab, “Ayat mana yang paling agung dalam kitabullah?” Ubay menjawab, “Ayat kursi.” Maka baginda ﷺ menepuk dada Ubay kemudian berkata, “Wahai Abu Mundzir, semoga engkau berbahagia dengan ilmu yang engkau miliki.” (HR. Muslim).

[Kalau kita baca ayat Kursi itu, ia memang banyak mengandungi nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya].

Semulia-mulianya surat dalam Al-Qur’an adalah Ummul Qur’an (yakni Surah Fatihah) sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith:

Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah tidak pernah menurunkan dalam Taurat ataupun Injil ataupun surah, sepertimana Ummul Quran, ia adalah sab’ul matsani…” (Hadith riwayat Nasa-i)

Di dalamnya terdapat penyebutan nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya yang lebih banyak berbanding hari Kiamat.

Ini semuanya membuktikan akan ketinggian ilmu yang mulia ini dan keagungannya serta banyaknya pelajaran yang boleh dipetik dan bahwasanya ia adalah salah satu dasar keimanan serta salah satu rukun agama yang di atasnya dibangunkan kedudukan agama yang tinggi.

Bagaimana mungkin perkara syariat akan lurus dan keadaan manusia akan baik tanpa mereka mengenal Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki mereka dan tanpa mengenal nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia lagi sempurna yang menunjukkan akan kesempurnaan dan kemuliaan serta keagungan-Nya, dan bahawasanya Dia adalah sesembahan yang haq dan tidak ada sesembahan yang haq selain-Nya.

[Amatlah penting ilmu ini tetapi malangnya kebanyakan daripada kita tidak mempelajarinya. Kalau baca Al-Qur’an dan terjumpa tentang Nama-nama Allah ‎ﷻ, kita baca sahaja tanpa mengerti apakah maksudnya. Lebih malang lagi, kita sangka beramal dengan Asma’ Allah ‎ﷻ ini adalah dengan menyanyikan nasyid Asma’ul Husna di sekolah-sekolah dan kelas-kelas pengajian sahaja.

Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan Asma’ul Husna sebagai zikir untuk mendapatkan sesuatu. Ini kita akan terangkan nanti di bahagian penyalahgunaan Asma’ul Husna. Namun sebelum itu kita terangkan kepentingan mempelajari Asma’ul Husna terlebih dahulu.]

Akan tetapi, kebanyakan manusia terlalaikan dengan dunia daripada menyembah-Nya, padahal Allah ‎ﷻ telah memperingatkan mereka dengan firman-Nya,

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Munafiqun:9

[Kita terlalai dengan keindahan dunia sampaikan kita lupa tentang Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana kita sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ sebagaimana yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ kenalkan Diri-Nya dengan memperkenalkan Asm’aul Husna kepada kita supaya kita kaji, tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu. Semoga dengan pengajian ini akan memberi pengenalan yang lebih baik tentang Allah ‎ﷻ kepada kita.]

Allah sahajalah tempat kita memohon pertolongan dan Dialah yang dapat memberi petunjuk kepada setiap kebaikan.

Sambung ke bab yang seterusnya


Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Tafsir Surah Mulk Ayat 23 – 25 (Hanya Allah ‎ﷻ tahu bila Kiamat)

SOALAN 6: SIAPAKAH YANG MENCIPTAKAN KALIAN?

Mulk Ayat 23: Sekarang diberikan Dalil Aqli (dalil akal) untuk kita berfikir.

قُل هُوَ الَّذي أَنشَأَكُم وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۖ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Sahih International

Say, “It is He who has produced you and made for you hearing and vision and hearts; little are you grateful.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

 

قُلْ

Katakanlah

Apabila Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ yang memberitahu kepada mereka, ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ amat marah dan murka dengan mereka yang degil itu. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak mahu lagi bercakap terus dengan mereka. Kalau kita pun, kalau terlalu marah dengan seseorang sampaikan ada ketikanya hendak bercakap dengan dia pun kita tidak sudi lagi. Kita akan gunakan perantara untuk menyampaikan apa yang kita hendak cakap. Selepas kita ini adalah lihat hampir kesemua ayat dimulai dengan قُلْ belaka.

Keduanya, ini menunjukkan kepentingan Nabi Muhammad ﷺ dalam menyampaikan dakwah. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah calang-calang manusia. Baginda telah diberikan tugas menyampaikan mesej daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah baginda yang kena sampaikan. Secara umumnya, semua ayat baginda kena sampaikan, akan tetapi apabila kalimah arahan قُلْ, maka ada penekanan. Maknanya ia adalah sesuatu yang amat penting sampaikan Allah ‎ﷻ berikan arahan khusus untuk sampaikan.

Ternyata Nabi ﷺ mempunyai cara dakwah yang paling berhemah. Sememangnya lebih baik untuk seorang manusia sendiri yang bercakap dengan manusia lainnya. Kerana umat lebih senang terima. Kalaulah Allah ‎ﷻ turunkan malaikat untuk menyampaikan dakwah kepada manusia, manusia tentu akan beralasan untuk tidak mengikutinya, kerana mereka kata mereka tidak sama dengan para malaikat itu.

Lihatlah rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun Allah ‎ﷻ telah murka, dan tidak mahu berkata-kata secara terus dengan orang kafir, tetapi Allah ‎ﷻ masih lagi mengambil jalan untuk menyampaikan peringatan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak membiarkan terus. Begitulah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada makhluk-Nya.

 

هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ

Dialah yang mencipta kamu; 

Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita daripada tiada kepada ada. Dulunya, kita pun tidak pernah disebut pun sebab tidak wujud lagi. Proses ini bertahap daripada sperma yang bertemu dengan telur ibu, lalu menjadi alaqah, kemudian mudghah dan seterusnya sampai fizikal lengkap dan ditiupkan roh kepada tubuh itu dan dilahirkan ke dunia. Rasulullah ﷺ telah bersabda tentang proses ini,

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ : إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ   ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ      أَوْ سَعِيْدٌ.    فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ  الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
[رواه البخاري ومسلم]
“Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya Rasulullah ﷺ telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: ‘ Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya.
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.”
(HR. Bukhari No. 6594 dan Muslim No. 2643)

Ada pendapat yang mengatakan kalimah أَنْشَأَ di sini bermaksud خَلَقَ. Akan tetapi kalau Allah ‎ﷻ hendak maksudkan خَلَقَ, tentu sahaja Allah ‎ﷻ boleh letak خَلَقَ di sini tetapi Allah ‎ﷻ gunakan أَنْشَأَ. Ia daripada kata dasar ن ش ا yang bermaksud membesar (kanak-kanak); berlaku; dihasilkan; hidup; naik (awan); mencipta; menghasilkan; menaikkan; pengeluaran; pertumbuhan; dibiakkan. Jadi perkataan أَنْشَأَ bukan sahaja bermaksud menjadikan sahaja tetapi ia juga ada maksud tambahan: iaitu menjadikan dan membangunkan makhluk itu, daripada kecil sampai menjadi besar, daripada sedikit sampai menjadi banyak. Allah‎ ﷻlah yang melakukannya.

Surah Mulk ini pertama kalinya diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka juga diingatkan di sini kedudukan mereka di Mekah itu pun kerana Allah ‎ﷻ yang membiakkan mereka dan menjadikan tempat itu subur dan ramai penduduk. Asalnya adalah tanah gersang sahaja. Kemudian datang Hajar dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarnya air zam-zam. Daripada air yang satu itu semakin ramai orang duduk di situ sehinggalah Ka’bah dibina kembali di situ. Kemudian semakin ramai orang duduk di situ dan menjadi maju. Maka kenanglah jasa Allah ‎ﷻ yang telah beri segala nikmat itu kepada mereka.

 

وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ

dan yang menjadikan untuk kamu pendengaran;

Ayat ini menunjukkan bahawa ugama ini boleh kita dapat dengan cara mendengar. Maka gunakanlah ia.

Selalunya Allah ‎ﷻ menyebut ‘pendengaran’ sebelum penglihatan kerana ia adalah lebih penting daripada penglihatan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Ini kita boleh bandingkan antara orang yang cacat pendengaran dan orang yang cacat penglihatan. Mereka yang cacat penglihatan lebih berakal daripada orang yang cacat pendengaran. Kerana maklumat lebih banyak masuk melalui telinga dan kerana itulah kalau ada masalah pendengaran, maka akan susah untuk mendapat ilmu pengetahuan. Lagi satu, dalam banyak-banyak deria, deria pendengaran tidak berhenti daripada berfungsi. Sebab itu, walaupun seseorang itu tidur, kalau bunyi bising, dia boleh terjaga lagi kerana pendengarannya berfungsi. Kalau mata, kita boleh tutup lagi sampai tidak dapat terangnya cahaya.

Sebab itu, dalam ayat Kahfi: 11, apabila Allah ‎ﷻ hendak menidurkan pemuda-pemuda Gua itu, Allah ‎ﷻ menutup pendengaran mereka supaya mereka boleh tidur lama.

فَضَرَبنا عَلىٰ ءآذانِهِم فِي الكَهفِ سِنينَ عَدَدًا
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

 

وَالْأَبْصٰرَ

dan penglihatan;

Ilmu agama boleh juga didapati dengan cara lihat. Lihatlah kebenaran yang ada di hadapan mata kita. Perhatikan dengan pandangan mata hati, bukan pandangan kosong sahaja. Manusia ada banyak lagi pancaindera akan tetapi hanya dua sahaja disebut di dalam ayat ini kerana dua pancaindera inilah yang manusia banyak digunakan untuk mendapat ilmu dan maklumat.

Allah ‎ﷻ menyebut pendengaran menggunakan ayat yang melambangkan ia satu sahaja (singular) tetapi kepada penglihatan dalam bentuk jamak (plural) kerana hanya ada satu pendengaran tetapi penglihatan ada banyak. Setiap orang mempunyai penglihatan yang berbeza-beza. Semua orang mungkin mendengar perkara yang sama tetapi pandangan mereka mungkin berbeza-beza bergantung kepada ilmu dan minda mereka. Begitu juga kita boleh pilih bahagian mana yang mahu lihat dan kita boleh larikan pandangan kita daripada sesuatu yang kita tidak mahu lihat. Ini kerana kita boleh kawal penglihatan kita. Kita boleh alihkan pandangan atau kita tutup mata kita.

 

وَالْأَفْئِدَةَ

dan hati-hati;

Agama boleh juga didapati dengan cara berfikir dengan hati yang suci murni dan jelas. Iaitu dengan memikirkan kejadian alam ini yang akhirnya akan membawa kita kepada satu keputusan bahawa tentunya ada Tuhan yang menjadikan alam ini. Allah ‎ﷻlah yang telah memberikan akal fikiran kepada kita dan hendaklah kita gunakan dengan sebaik mungkin. Maka, hendaklah kita menggunakan akal fikiran kita untuk mendapatkan kebenaran. Tema surah Mulk ini memang menyuruh kita menggunakan pemikiran kita yang jelas untuk mendapatkan kebenaran.

Ada pendapat yang mengatakan kalimah الْأَفْئِدَةَ di sini bermaksud (akal) عُقولٌ. Akan tetapi jikalau Allah ‎ﷻ maksudkan عُقولٌ, boleh sahaja Allah ‎ﷻ gunakan kalimah itu dan bukannya الْأَفْئِدَةَ di sini, bukan? Ada penekanan di sini iaitu melalui pendengaran dan penglihatan, ya memang boleh membawa kepada akal yang sihat. Akan tetapi ia bukan setakat tahu sahaja, namun hendaklah memberi kesan kepada hati. Kerana perbuatan kita dipandu oleh hati yang baik. Berapa orang yang tahu, tetapi pengetahuan mereka itu setakat di otak sahaja dan tidak memberi kesan kepada hati.

Malah bukan itu sahaja. Perkataan الْأَفْئِدَةَ adalah jamak bagi perkataan فُؤادٌ. Ia bukan hanya bermaksud ‘hati’ kerana kalau hati sahaja, perkataan قَلبٌ akan digunakan. Kalimah bermaksud hati yang sedang bekerja dan ada emosi sedangkan kalau قَلبٌ, ia adalah hati yang normal atau digunakan di dalam bentuk umum sahaja. Daripada hati sebeginilah akan ada keputusan yang dicapai oleh manusia. Hati sebeginilah yang akan bertindak melakukan sesuatu yang penting. Ia dalam bentuk jamak kerana hati manusia mempunyai emosi yang lain antara seorang dan seorang yang lain.

Imam Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan الْأَبْصٰرَ bermaksud akal dan الْأَفْئِدَةَ bermaksud pemahaman. Elemen الْأَفْئِدَةَ inilah yang membezakan manusia dengan haiwan kerana haiwan pun ada pendengaran dan penglihatan juga. Jadi kalau kita tidak gunakan untuk kebaikan, maka tidak ada bezanya pun dengan haiwan.

Ketiga-tiga perkara atau pancaindera inilah yang menjadikan kita unik. Tiga perkara inilah yang menjadikan kita sebagai manusia. Memang ada lagi pancaindera lain dalam tubuh badan manusia, tetapi ia tidaklah sepenting tiga perkara ini. Maka, kita sepatutnya menggunakan ketiga-tiga kurniaan Allah ‎ﷻ ini untuk membuat keputusan yang baik. Kalau tidak digunakan, maka jadilah seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam A’raf: 179

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Maka الْأَفْئِدَةَ kita kena selari dengan pemahaman Islam. Kita kena ada ilmu pengetahuan tentang Islam supaya iman kita mantap dan stabil. Kalau kita tidak ada ilmu tentang Islam, maka senang sahaja musuh-musuh Islam mempermainkan agama kita. Mereka boleh sahaja timbulkan sesuatu isu yang menyebabkan ramai orang Islam menjadi goyah; mereka goyah kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka bukan sahaja tidak dapat mempertahankan Islam malah iman mereka sendiri pun susah hendak mereka kekalkan. Jadi iman kita bukannya setakat pegang teguh sahaja, tetapi kena ada pengetahuan. Begitulah pembelajaran agama yang berterusan amat perlu. Jangan kita hanya Islam kerana kita lahir di dalam negara Islam dan ibubapa kita Muslim. Itu adalah Islam yang lemah dan rapuh dan senang sahaja dijatuhkan oleh musuh Islam. Kita pun tahu dengan media massa dan capaian internet yang terbuka kepada semua orang, senang sahaja musuh Islam menyampaikan diayah palsu. Bagaimana kalau anak-anak kita tidak faham tentang Islam dan mereka terbaca? Mereka mungkin bertanya kepada kita, jadi apa yang kita hendak jawab kepada mereka kalau soalan itu datang kepada kita nanti? Jangan kita sangka iman anak-anak kita terjaga sentiasa.

 

قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

amatlah sedikit kamu bersyukur;

Namun begitu, walaupun manusia telah diberikan dengan segala keperluan mereka untuk hidup, manusia tidak banyak bersyukur. Atau tidak banyak manusia bersyukur. Sebenarnya kalau ayat ini berbunyi قَلِيلًا تَشْكُرُونَ, sudah cukup, akan tetapi kalimah مَّا itu sebagai kalimah ta’jub. Teruknya manusia ini, sudah banyak diberi, tetapi tidak banyak mereka bersyukur. Bayangkan nikmat mata sebegitu hebat pun kita anggap biasa sahaja.

Kalimah قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ bermaksud ramai orang tidak bersyukur atau manusia tidak banyak bersyukur (bersyukur juga tetapi tidak banyak seperti yang sepatutnya). Ada pendapat yang mengatakan kalau ramai yang tidak bersyukur, ayatnya adalah وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ seperti disebut di dalam Baqarah: 243.

Perkataan قَلِيلًا bermaksud sedikit sangat sampaikan boleh dikatakan tidak ada langsung. Ia lebih sedikit daripada ‘sedikit’. Kerana kalau ‘sedikit’ sahaja, perkataan qalla digunakan. Maksudnya mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, hampir-hampir tidak bersyukur dengan segala pemberian Allah ‎ﷻ. Kalau ada pun, ia terlalu sedikit sampaikan tidak layak untuk dikira.

Manusia yang baik akan mensyukuri nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam banyak-banyak nikmat, nikmat apa yang dikhususkan di dalam ayat ini? Itulah nikmat السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ kerana inilah yang disebut sebelumnya.

Bagaimana cara bersyukur dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan? Kalau kita terima pemberian seseorang, tanpa kita berterima kasih adalah dengan menggunakan pemberian itu, bukan? Katakanlah kita beri buku kepada anak ita untuk dia baca, tetapi dia pergi conteng buku itu? Adakah dia mensyukurinya? Tentu tidak! Jadi setelah mendapat السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ, seorang manusia hendaklah menggunakannya pada perkara yang baik. Namun sebaliknya kebanyakan manusia tidak menggunakan segala kelebihan yang Allah ‎ﷻ berikan itu untuk mengenal Allah ‎ﷻ dan agama Islam. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’raf: 179 tentang kesan mereka yang tidak mempergunakan pemberian Allah ‎ﷻ ini.

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Ulama’ membincangkan manakah yang lebih utama: seorang miskin yang sabar atau seorang kaya yang bersyukur? Mereka mengatakan seorang kaya yang bersyukur lebih utama. Kerana ramai orang miskin yang bersabar namun jarang ada orang kaya yang bersyukur. Padahal Allah ‎ﷻ juga pernah mengatakan jikalau kita bersyukur, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat kepada kita. Ini disebut di dalam Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu

Maka janganlah kita tidak bersyukur dengan nikmat Allah ‎ﷻ. Kenanglah selalu banyak sekali nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Syukur itu perlu dirasa oleh hati, disebut dengan mulut dan dilakukan oleh badan kita. Jikalau kita bersyukur, kita perlu zahirkan dalam perbuatan kita dengan melakukan suruhan Allah ‎ﷻ. Yang paling utama sekali adalah dengan melakukan ibadat solat. Maknanya, syukur itu bukanlah dengan hanya sebut ‘alhamdulillah’, ‘alhamdulillah’ sahaja, tetapi kenalah ditunjukkan dengan perbuatan kita. Iaitu kita hendaklah akur dengan segala arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Ada kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Ayat ini Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dia yang menjadikan kita dan kehidupan kita dengan diberikan segala nikmat yang kita perlukan. Allah ‎ﷻ juga mengajar kita di pertengahan hidup kita untuk mensyukuri nikmat kehidupan ini seperti disebut di dalam Ahqaf: 15

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ
Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku


 

Mulk Ayat 24: Ayat 24 – 28 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi ancaman azab di akhirat. Penghuni neraka ditempelak tentang azab yang dahulu mereka dustakan. Kalau di dalam ayat 23 tadi kita diajar untuk mensyukuri nikmat hidup yang Allah ‎ﷻ telah berikan, sekarang kita diingatkan yang di pertengahan kedua hidup kita, yang kita akan menuju kematian pula.

Ayat 24 ini adalah Dalil Aqli lagi. Apa lagi nikmat Allah ‎ﷻ kepada kita?

قُل هُوَ الَّذي ذَرَأَكُم فِي الأَرضِ وَإِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

Say, ” It is He who has multiplied you throughout the earth, and to Him you will be gathered.”

Malay

Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan”.

 

قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ

Katakanlah: Dialah Tuhan yang menjadikan kamu mengembang biakkan kalian di atas muka bumi; 

Perkataan ذَرَأَ bermaksud mengembang biakkan makhluk di muka bumi ini. Daripada perkataan inilah kita biasa lihat perkataan ‘zuriat’ digunakan. Manusia telah berkembang biak daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawa. Di zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibinasakan kebanyakan manusia kerana kederhakaan mereka. Yang tinggal hanya beberapa kerat sahaja di dalam bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Anak keturunan merekalah yang berkembang biak dan bertebaran ke seluruh benua yang ada. Berbagai-bagai jenis bahasa, warna kulit, bentuk dan keadaan.

Pengaruh daripada iklim dan udara menyebabkan lama kelamaan menimbulkan perbezaan kulit; ada yang putih, hitam, kuning, merah dan sawo matang. Menimbulkan pula beratus-ratus bahkan beribu-ribu bahasa yang tumbuh menurut kecerdasan masing-masing kelompok. Maka di sini Allah ‎ﷻ memberitahu yang memperkembangkan itu ialah Tuhan sendiri. Tuhanlah yang memberikan ilham bagi manusia bertebaran di muka bumi mencari kediaman yang sesuai untuk mereka.

Di bumi inilah Allah ‎ﷻ jadikan tempat kita hidup dan berkembang biak. Untuk apa? Untuk diuji kita ini adakah kita beriman atau tidak. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf: 7

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

 

وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan; 

Walaupun kita bertebaran di muka bumi, duduk jauh antara satu sama lain, tetapi nanti apabila tiba masanya, kita akan dihimpunkan pada satu tempat. Iaitu di Mahsyar. Pengumpulan ini bukan kerana hendak buat kenduri akan tetapi makhluk semuanya akan dipertanggungjawabkan dengan amal-amal mereka semasa hidup di dunia.

Struktur ayat ini tidak normal. Sepatutnya dalam bahasa yang biasa, perkataan itu sepatutnya begini: تُحْشَرُونَ إِلَيْهِ. Apabila Allah ‎ﷻ mengubah struktur ayat, ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Allah ‎ﷻ menekankan perkataan ini kerana hendak menolak pemahaman Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai bahawa mereka akan hidup semula dan dikumpulkan di hadapan Allah ‎ﷻ. Bukan mereka sahaja yang tidak percaya begitu. Ada agama dunia sekarang ini pun tidak percaya kepada kehidupan setelah mati. Mereka sangka mereka akan dihidupkan kembali ke dunia sebagai binatang. Ini adalah fahaman sesat ‘reinkarnasi’.

Kita orang Islam pun seperti tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Memang kita kata kita percaya. Namun cara kita hidup di dunia ini, seperti kita tidak percaya pun dengan adanya kehidupan akhirat. Kita macam tidak takut yang kita akan dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ nanti dan akan dibicarakan atas segala perbuatan kita. Kita engkar dengan arahan-Nya dan kita buat selamba sahaja dengan larangan-larangan-Nya. Walaupun kita mengaku kita orang Islam.

Jadi, Allah ‎ﷻ mengingatkan orang kafir dan kita juga bahawa kita akan dihadapkan di hadapan-Nya nanti. Kerana itu diawalkan kalimah إِلَيْهِ sebagai penekanan. Jangan kita lupa tentang perkara ini. Hendaklah kita ingat sentiasa dan kerana itu banyak sekali ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita. Setiap helaian kita diingatkan akan perkara ini sampaikan rasanya tidak ada mukasurat dalam Al-Qur’an yang tidak ada memberi peringatan kepada mati.

Maka sebelum kita buat sesuatu, hendaklah kita memikirkan apakah kesannya nanti kepada kita di akhirat kelak. Sanggupkah kita ditanya tentang perkara dosa yang kita lakukan itu? Kita bukan hidup di dunia ini sahaja. Setiap makhluk akan merasai mati. Jadi apa yang kita hendak bawa ke akhirat kelak? Dosa atau pahala?

Kenapa Allah ‎ﷻ gunakan perkataan تُحْشَرُونَ dalam ayat ini? Kadangkala Allah ‎ﷻ akan menggunakan perkataan turja’un yang mempunyai maksud kembali juga. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ gunakan di dalam Baqarah: 28 

ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya

Allah ‎ﷻ gunakan perkataan تُحْشَرُونَ kerana bersesuaian dengan perkataan ذَرَأَ sebelumnya. ذَرَأَ bermaksud kita akan berkembang biak. Namun begitu, walau di mana pun kita berada, kita akan dikumpulkan di hadapan-Nya juga nanti. Lagi pun kalimah تُحْشَرُونَ agak keras dan ia ditujukan kepada orang-orang kafir kerana kalimah تُحْشَرُونَ dari segi penggunaan adalah untuk mengumpulkan binatang ternak. Jadi Allah ‎ﷻ bayangkan kepada kita yang orang kafir nanti akan dikumpulkan seperti dikumpulkan binatang sahaja.


 

SOALAN 7: ADAKAH ENGKAU HENDAK MENIDAKKAN HARI KEBANGKITAN?

Mulk Ayat 25: Ayat jenis syikayah (rungutan daripada Allah ‎ﷻ tentang kata-kata orang kafir). Apabila telah disampaikan segala bentuk hujjah kepada manusia yang degil, mereka masih tidak mahu terima. Mereka tidak dapat menolak hujjah-hujjah itu kerana ia adalah hujjah-hujjah yang padat. Oleh itu, mereka hanya boleh menyebut perkara yang karut sahaja. Inilah sahaja yang mereka boleh katakan:

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”

Malay

Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”

 

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

Dan orang-orang yang ingkar itu berkata: Bilakah akan datang janji itu;

Mereka sanggup kata begini: Bilakah akan datang azab api neraka itu, yang kau katakan itu? Ini memang soalan yang amat karut. Soalan ini mereka tanya kerana kerana mereka memang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Jadi soalan ini adalah soalan mengejek. Ini seperti ejekan mereka kepada Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam Yaasin: 78

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Perkataan الْوَعْدُ bermaksud ‘janji’. Iaitu telah disampaikan kepada mereka janji Allah ‎ﷻ bahawa sesuatu akan berlaku kalau mereka tidak mahu beriman. Akan tetapi dari segi penggunaan bahasa, kalimah الْوَعْدُ bermaksud janji yang menggembirakan, sedangkan kalau kalimah الْوَعيدُ bermaksud janji yang mengandungi ancaman. Akan tetapi daripada konteks ayat ini, ia adalah ancaman kepada orang kafir, jadi kenapa digunakan kalimah الْوَعْدُ yang bermaksud janji baik? Jadi ini adalah ejekan buat mereka sebenarnya. ‘Janji baik’ tetapi sebenarnya buruk bagi mereka.

Ada juga penafsir berkata, ‘janji’ yang mereka maksudkan itu adalah janji kemenangan orang Islam atau janji mereka akan dikenakan azab di dunia ini. Mereka mengejek dengan mengatakan kalau benarlah orang Islam akan menang, atau mereka akan kena azab di dunia atau azab di akhirat, mereka tanya bilakah akan datangnya hari itu?

Mereka sudah tidak ada hujah lagi sebenarnya tetapi mereka tidak mahu kalah. Mereka menggunakan hujah bodoh mereka ini. Mereka kata kalau betul apa yang kamu katakan itu, bila akan datangnya?

Banyak orang sebegini dalam dunia ini. Kalau kita beri nasihat kepada mereka, mereka akan beri hujah-hujah bodoh. Antaranya mereka kata: “Kubur masing-masing.” Atau mereka kata: “Mana dia larangan Allah dalam Qur’an?”, atau mereka kata mereka sudah buat dosa itu, tetapi tidak ada apa-apa azab pun mereka dapat?

Itu semua adalah hujah-hujah bodoh sahaja. Mereka hendak mengelirukan masyarakat sahaja. Mereka cuma hendak buat bising sahaja.

Ayat ini adalah tentang orang-orang kafir zaman Nabi ﷺ. Akan tetapi dari segi nahu, perkataan يَقُولُونَ itu adalah dalam bentuk present tense. Maknanya, dulu pun orang bertanya begitu, sekarang pun dan di masa hadapan, ada orang yang masih lagi bertanya begitu. Bukan waktu ayat ini diturunkan sahaja. Inilah kepentingan kita tahu nahu bahasa Arab supaya boleh faham perkara-perkara sebegini.

Perkataan مَتَىٰ itu bermaksud ‘bila’? Kadang-kadang kita pun menggunakan perkataan yang sama. Contohnya kita hendak tanya bilakah pegawai kerajaan itu akan sampai? Itu adalah soalan yang ikhlas. Namun soalan mereka dalam ayat ini adalah soalan yang mengejek. Mereka kata: “Bila tu? Bila lagi?”

 

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu;

Mereka bukan sahaja mengejek janji itu, tetapi mereka juga cuba hendak menjatuhkan kedudukan Nabi ﷺ. Mereka menyoal kebenaran Nabi ﷺ kerana mereka tanya: “Sekiranya kamu benar”. Maknanya, mereka tidak percaya yang Nabi ﷺ itu bawa kebenaran.

Itu adalah satu tindakan yang bodoh. Kerana mereka sendiri tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah menipu sampaikan baginda diberikan gelaran al-amin. Walaupun selepas baginda menjadi Nabi, mereka masih mempercayai baginda. Sampaikan ada yang meninggalkan barang mereka dengan Nabi ﷺ sebagai amanah kerana mereka tahu bahawa baginda adalah orang yang boleh dipercayai kalau dibandingkan dengan orang lain. Jadi, takkanlah Nabi ﷺ hendak menipu kali ini pula?

Soalan itu bukan sahaja mereka tujukan kepada Nabi ﷺ kerana perkataan yang digunakan adalah كُنْتُمْ – kamu semua. Bermakna, ia merujuk kepada Nabi ﷺ dan juga para sahabat رضي الله عنهم. Ini menunjukkan bahawa sahabat-sahabat رضي الله عنهم juga telah menyampaikan janji yang sama. Ini bermaksud sahabat رضي الله عنهم juga menjalankan dakwah dan tabligh kepada orang musyrikin. Kita pun kena ambil tugas mereka itu dengan menyampaikan dakwah juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 20 Mac 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah