Tafsir Surah an-Nahl Ayat 1 – 3 (Azab yang telah sampai)

Pengenalan:

Dakwa surah ini ada pada ayat 1 iaitu kalimat أَتىٰ أَمرُ اللهِ yang bermaksud telah datang azab kepada Musyrikin Mekah. Azab kemarau yang panjang telah menimpa mereka. Kemarau itu sebagai bala kerana mereka menolak ajaran Nabi ﷺ. Surah ini diturunkan di Mekah untuk memberitahu kepada mereka, azab itu telah pun berlaku kepada mereka.

Khulasah surah ini adalah penafian syirik fi tasarruf (pentadbiran alam). Kuasa Allah ‎ﷻ sahaja untuk menentukan kehendak-Nya. Tidak ada yang berkuasa sama seperti Allah ﷻ untuk menentukan hal ini.

Ia juga menafikan syirik dalam ibadah. Tidak boleh menyembah dan menyeru doa kepada selain Allah ﷻ.

Surah ini juga menyebut tentang jalan-jalan dakwah. Allah ﷻ mengajar cara berdakwah kepada golongan yang musyrik.

Surah ini dinamakan sebagai Nahl (madu) kerana ada disebut tentang madu nanti. Satu lagi nama bagi surah ini adalah an-Ni’am (nikmat-nikmat) kerana surah ini banyak menyebut tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ kurniakan kepada kita.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

1. Ayat 1 – 112 adalah bahagian pertama. Di dalamnya ada 8 dalil yang diberikan. Bahagian ini membincangkan Tauhid – iaitu menafikan syirik ilmu dan tasarruf. Allah ﷻ hendak memberitahu yang kedua-duanya hanya milik Allah ﷻ sahaja. Oleh kerana ini adalah dalam fikiran, maka yang dinafikan syirik i’tikadi.

2. Ayat 113 – 119 adalah bahagian kedua. Bahagian ini hendak menafikan syirik amali (syirik dalam bentuk perbuatan). Ini adalah kerana ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah ﷻ telah halalkan. Juga kerana ada melakukan nazar kepada selain Allah ﷻ.

3. 120 sampai akhir adalah bahagian ketiga.

Hubungan dengan surah-surah sebelum ini:

Surah Ibrahim menunjukkan dalil-dalil peristiwa berkenaan Tauhid. Maka mesti berpegang kepada Tauhid.

Surah Hijr selepas itu memberi amaran, kalau tidak berpegang kepada Tauhid, maka seseorang itu akan menyesal apabila berhadapan dengan pembalasan daripada Allah ﷻ.

Surah Nahl ini pula memberitahu manusia bahawa jika mereka masih menolak untuk menerima ajaran Tauhid, maka janganlah tergesa-gesa memohon agar diazabkan dengan segera.

Tambahan kaitan dengan Surah Hijr:

1. Surah an-Nahl seperti al-Hijr termasuk surah yang turun di Mekah sebelum Hijrah. Maka ia berisi soal-soal Tauhid, Kerasulan dan Hari Akhirat.

2. Pada Bahagian Akhir Surah Al Hijr (Ayat 92, 93), Allah ﷻ, menyatakan bahawa manusia akan dihisab pada Hari Kemudian terhadap apa yang telah dikerjakannya di Dunia ini. Maka pada Awal Surah An-Nahl, Allah ﷻ menegaskan mepastian datangnya Hari Kiamat itu, dan pada Ayat 93 An-Nahl ditegaskan lagi hari pembalasan tersebut.

3. Pada Bahagian Pertama Surah Al-Hijr, Allah ﷻ, menerangkan tentang kebenaran Al-Qur’an serta jaminan-Nya untuk memeliharanya, sedang dalam Surah An-Nahl terdapat ancaman-ancaman terhadap mereka yang mendustakan kebenaran Al-Qur’an itu.


 

Nahl Ayat 1:  Ayat Takhwif Duniawi. Musyrikin Mekah mengejek-ngejek Nabi Muhammad ﷺ dengan mengatakan kalau benar mereka akan dikenakan azab musibah, mana dia?

Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang tujuan penurunan Al-Qur’an adalah untuk memberi peringatan kepada tauhid dan ajakan untuk bertaqwa kepada Allah ﷻ sahaja.

أَتىٰ أَمرُ اللهِ فَلا تَستَعجِلوهُ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The command of Allāh is coming,¹ so be not impatient for it. Exalted is He and high above what they associate with Him.

  • Literally, “has come,” indicating the certainty and nearness of the Last Hour.

(MELAYU)

Telah pasti datangnya ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

 

أَتىٰ أَمرُ اللهِ

Telah pasti datangnya ketetapan Allah

Apakah أَمرُ اللّٰهِ itu? Ada beberapa pendapat tentang maksudnya. Ada pendapat yang mengatakan ia adalah keputusan Allah ﷻ untuk memberikan kemenangan kepada umat Islam dan kekalahan kepada Musyrikin Mekah. Mereka sedang kuat waktu itu dan menindas puak Muslim. Akan tetapi akan sampai masanya yang mereka akan dikalahkan dan dihinakan.

Ada juga pendapat yang mengatakan ia bermaksud Hari Kiamat yang akan datang. Iaitu ia akan datang tidak lama lagi. Nabi ﷺ bersabda:

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيْرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ بِهِمَا
“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda berisyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.”
(Sahih Bukhari (6022))

Syarah: Kenapa pula Rasulullah ﷺ mengatakan kiamat sudah dekat, sedangkan jarak baginda dengan kita pun sudah 1,400 tahun tetapi tidak datang pun kiamat lagi? Apa yang dimaksudkan dekat itu? Ini kerana selepas baginda, tidak ada Nabi lain lagi. Maka kejadian besar yang ditunggu-tunggu selepas baginda adalah kiamat sahaja.

Ia adalah bandingan kepada jarak masa antara baginda dengan masa dunia. Dunia ini telah dicipta entah berapa lama. Maka kalau dibandingkan jarak antara baginda dan kiamat, ia adalah dekat kalau dibandingkan jarak antara baginda dan penciptaan alam.

Maka jangan kita sangka kiamat itu jauh lagi. Yang sangka kiamat itu jauh hanyalah orang kafir sahaja seperti disebut di dalam Ma’arij: 6-7

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا
Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

وَنَرىٰهُ قَريبًا
Sedang Kami memandangnya dekat,

Ada juga pendapat yang mengatakan ia bermaksud azab yang akan dikenakan kepada Musyrikin Mekah. Tidak lama lagi mereka akan dikenakan dengan azab. Maka ini adalah Surah Makkiah Peringkat Ketiga (tidak lama sebelum Nabi ﷺ berhijrah ke Madinah). Ada 4 peringkat penurunan wahyu di Mekah dan surah ini turun di dalam peringkat ketiga.

Pembukaan surah ini agak keras, bukan seperti surah-surah yang lain kerana ayat ini terus menceritakan tentang azab. Ini adalah kerana ayat ini adalah herdikan kepada Musyrikin Mekah. Nabi ﷺ selalu menyampaikan ancaman bahawa kalau mereka tidak juga taat dan menerima apa yang diperintahkan oleh Tuhan dan tidak juga berhenti menyembah berhala, azab seksaan Tuhan pasti datang, kehendak Allah ‎ﷻ akan berlaku, perintah-Nya mesti jadi. Mereka mendesak-desak, kalau memang azab itu mesti datang, datangkanlah sekarang juga.

Oleh kerana azab itu tidak segera datang, mereka pun bertambah mengejek dan bertambah menolak. Mereka anggaplah bahawasanya segala yang diancamkan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah omong kosong belaka. Maka Allah ﷻ terus berikan ancaman di dalam ayat ini. Allah ﷻ menegur mereka yang tidak mahu memperhatikan Hikmat Allah ﷻ yang terkandung di dalam perintah-perintah yang datang di dalam wahyu. Mereka tidak mahu merenungkan kejadian alam yang ada di keliling, yang sepatutnya mengetuk hati dan perasaan.

Maksudnya ayat ini, Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk mengenakan azab kepada mereka. Ia ‘pasti’ datang dan sebab itu kalimah أَتىٰ di dalam fi’il madhi (past tense). Ini adalah kerana kalau ia dalam fi’il madhi, tetapi tidak berlaku lagi, ini bermaksud ia pasti akan berlaku. Kenapa? Kerana kalau kita kata kita akan buat sesuatu, belum tentu kita akan berjaya melakukannya, bukan? Akan tetapi kalau kita sudah buat sesuatu, maka pasti ia telah berlaku.

Atau, ada pendapat yang mengatakan ia memang telah terjadi juga kerana mereka telah dikenakan dengan kemarau yang panjang. Mereka minta disegerakan musibah, maka Allah ﷻ beritahu mereka memang sudah terima azab musibah.

 

فَلا تَستَعجِلوهُ

Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya.

Maka janganlah kamu minta ia dipercepatkan. Tidak ada gunanya kamu minta ia dipercepatkan, kerana ia sudah pun dekat. Oleh kerana Allah ﷻ memang sudah membuat keputusan untuk mengazab, maka tidak perlu hendak minta-minta. Kalau sudah ditimpakan azab musibah, kamu sendiri yang akan menyesal. Sepatutnya kamu minta hidayah, bukannya minta azab. Akan tetapi, kerana mereka itu degil dan tidak percaya dengan ancaman itu, mereka minta disegerakan pula azab itu.

Perihalnya sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَوْلا أَجَلٌ مُسَمًّى لَجَاءَهُمُ الْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ يَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ
Dan mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Kalau tidaklah kerana waktu yang telah ditetapkan, benar-benar telah datang azab kepada mereka, dan azab itu benar-benar akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, sedangkan mereka tidak menyedarinya. Mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Dan sesungguhnya Jahanam benar-benar meliputi orang-orang kafir.
(Al-‘Ankabut: 53-54)

Semua itu kerana mereka jahil. Mereka tidak takut dengan azab itu kerana mereka jahil seperti disebutkan dalam firman-Nya:

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلالٍ بَعِيدٍ
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan, dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya kiamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh.
(Asy-Syura: 18)

Oleh itu tidak perlu sibuk minta-minta disegerakan azab itu kerana Allah ﷻ yang Maha Tinggi tahu bilakah ia patut diberikan kepada mereka. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hajj: 47

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ وَلَن يُخلِفَ اللهُ وَعدَهُ
Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya.

Bukan orang kafir sahaja ditegur jangan minta azab dipercepatkan. Para pendakwah juga mesti ingat ayat ini. Jangan cepat sangat minta Allah ﷻ beri azab kepada para penentang. Memang ramai yang menentang tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ tentang hal mereka dan azab mereka. Jangan kita mendahului takdir.

Ia mengajar kita janganlah tergesa-gesa. Rasulullah ﷺ telah memberi ingat kepada kita,

الأَنَاةُ مِنَ اللَّهِ وَالعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
“Kehati-hatian itu daripada Allah dan ketergesa-gesaan itu daripada syaitan.”
(Riwayat Tirmidzi daripada Sahl bin Sa’ad)
Kata Tirmidzi (dalam sebahagian manuskrip Sunan Tirmidzi): “Hadith hasan gharib.”

 

سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Ini adalah Dakwa Surah ini. Ia adalah kesinambungan daripada dua ayat terakhir surah Hijr sebelum ini (ayat 98 – 99) yang mengarahkan kita untuk bertasbih. Maka sucikan Allah ﷻ daripada apa yang manusia samakan dengan sifat makhluk. Allah ﷻ tidak mungkin sama sifat-Nya dengan makhluk. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada sifat ilah dan sifat Tuhan, maka janganlah mengangkat kedudukan makhluk seperti Tuhan pula. Janganlah sembah makhluk dan jangan berdoa kepada makhluk. Jangan melakukan syirik.

Ada dua kalimah yang disebut di dalam ayat ini iaitu Tasbih dan Ta’al. Tasbih itu membersihkan Allah ﷻ daripada sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah ﷻ dan Ta’al itu pula adalah memuji Allah ﷻ. Ini dinamakan konsep nafi dan ithbat. Iaitu menafikan dan menetapkan sifat-sifat yang patut bagi Allah ﷻ. Ia adalah kalimah yang paling kuat, kerana itulah kalimah Syahadah kita pun ada nafi dan ithbat. Kalimah لا اله adalah nafi dan إلا الله adalah ithbat.


 

Nahl Ayat 2: Ini juga adalah Dakwa Surah ini. Dakwa Surah ini berkenaan Tauhid. Hendaklah Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan ajaran Tauhid dan tiada ilah melainkan Allah ﷻ.

Ayat ini juga mengandungi bukti yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul kerana baginda telah diturunkan dengan wahyu. Maka ia juga berkenaan Risalah.

يُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَناْ فَاتَّقونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He sends down the angels, with the inspiration [i.e., revelation] of His command, upon whom He wills of His servants, [telling them], “Warn that there is no deity except Me; so fear Me.”

(MELAYU)

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

 

يُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya

Kalimah الرّوحِ dalam ayat ini ditafsirkan sebagai ‘wahyu’ iaitu wahyu Al-Qur’an. Ini adalah kerana wahyu itu adalah roh bagi roh manusia. Jasad kita mengandungi roh, bukan? Roh kita ini ada rohnya juga iaitu Al-Qur’an.

Jasad kita memerlukan makanan daripada bumi iaitu daripada tanah. Manakala, roh kita ini memerlukan makanan daripada wahyu. Kalau manusia yang tidak makan menjadi lemah tubuhnya, maka manusia yang jauh daripada wahyu itu lemah roh mereka. Kerana itulah manusia kena selalu baca Al-Qur’an untuk memberi makan kepada rohnya. Manusia yang jauh daripada Al-Qur’an akan jauh daripada kebaikan.

Ia memberi maksud bahawa roh yang tiada Al-Qur’an di dalamnya tidak bermakna. Hidup hanya menunggu mati untuk diseksa sahaja. Mereka itu telah mati sebelum mati. Subhanallah! Bagaimanalah cara hidup kita akan selari dengan kehendak Allah ﷻ kalau kita tidak tahu pun apa yang Allah ﷻ kehendaki? Apa yang Dia kehendaki, Dia telah beritahu di dalam Al-Qur’an. Namun malang sekali terlalu ramai yang tidak tahu menahu pun tentang Al-Qur’an, bukan? Mereka setakat baca dan hafal sahaja, tetapi apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu mereka tidak kisah pun.

Kerana itulah kita pentingkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an untuk difahami. Ada banyak kelas pengajian tafsir Al-Qur’an di berbagai tempat. Ada tempat pengajian, ada kelas secara online, ada penulisan seperti di sini. Tidak ada alasan lagi untuk tidak tahu sebenarnya. Yang kata tidak tahu tafsir Al-Qur’an hanya kerana malas atau degil sahaja. Jangan terkejutlah kalau mereka diseksa setelah mereka mati nanti.

Maka jangan kita abaikan Al-Qur’an ini kerana ia adalah roh kepada roh kita. Ia yang menghidupkan kita di dalam kehidupan yang sebenar-benarnya. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Anfal: 24

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu,

Hati manusia yang tidak ada pemahaman Al-Qur’an di dalamnya adalah keras seperti disebut dalam Zumar: 22

فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Sekali lagi Allah ﷻ berfirman di dalam An’am: 122 tentang hati yang mati tanpa wahyu di dalamnya.

أَوَمَن كَانَ مَيتًا فَأَحيَينَـٰهُ وَجَعَلنَا لَهُ ۥ نُورًا يَمشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia,

Seperti yang kita tahu, malaikat yang menurunkan wahyu kepada Rasulullah ﷺ hanya Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Akan tetapi kalimah yang digunakan di sini adalah المَلٰئِكَةَ iaitu jamak kepada malaikat. Ini adalah kerana semasa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menurunkan wahyu itu, beliau ditemani oleh banyak malaikat. Yang menariknya, Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga digelar Ar-Ruh kerana beliau menurunkan Al-Qur’an (juga digelar Ar-Ruh) seperti disebut dalam Qadr: 4

تَنَزَّلُ الْمَلٰۤىِٕكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِاِذْنِ رَبِّهِمْۚ مِنْ كُلِّ اَمْرٍۛ
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Bukanlah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menentukan penurunan Al-Qur’an itu tetapi Allah ﷻ. Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya menyampaikan sahaja. Allah ﷻ berfirman di dalam Syuara’: 192-194

وَإِنَّهُ لَتَنزيلُ رَبِّ العٰلَمينَ
Dan sesungguhnya Al Qur’an ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam,

نَزَلَ بِهِ الرّوحُ الأَمينُ
dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril),

عَلىٰ قَلبِكَ لِتَكونَ مِنَ المُنذِرينَ
ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan,

 

عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya,

Wahyu itu diturunkan kepada para anbiya’. Allah ﷻ yang pilih siapakah yang layak menerima wahyu itu. Allah ﷻ yang pilih sendiri dan tidak ada manusia yang boleh berusaha untuk menjadi Nabi. Maka manusia jangan persoalkan pemilihan Allah ﷻ itu. Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa Muhammad pula yang dapat wahyu, kenapa tidak mereka atau orang-orang yang lebih hebat (pada pandangan mereka) dalam kalangan mereka?

Allah ﷻ mahu memberitahu, tidak perlu sibuk akan hal itu kerana Allah ﷻ sendiri yang pilih. Jangan jadi seperti Syiah yang kata Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ silap beri wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata sepatutnya diberikan kepada Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, tetapi tersilap beri kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Itu memang fahaman yang amat karut daripada golongan yang amat jahil. Allah ﷻ tidak akan tersalah pilih kerana Dia yang paling bijak memilih. Ada disebut di dalam hadith tentang pemilihan Nabi,

عن عبد الله بن مسعود، قال: ” إن الله نظر في قلوب العباد، فوجد قلب محمد صلى الله عليه وسلم خير قلوب العباد، فاصطفاه لنفسه، فابتعثه برسالته، ثم نظر في قلوب العباد بعد قلب محمد، فوجد قلوب أصحابه خير قلوب العباد، فجعلهم وزراء نبيه، يقاتلون على دينه، فما رأى المسلمون حسنا، فهو عند الله حسن، وما رأوا سيئا فهو عند الله سيئ ”
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Allah melihat ke dalam hati para hamba, dan mendapati hati Muhammad ﷺ sebaik-baik hati para hamba, maka Dia memilihnya untuk Diri-Nya sendiri dan mengutus baginda dengan risalah-Nya.Kemudian Dia melihat ke dalam hati hamba-hamba setelah hati Muhammad, dan mendapati hati para sahabatnya sebaik-baik hati hamba, maka dia menjadikan mereka pembantu Nabi-Nya, berperang atas agamanya. Maka apa sahaja yang dilihat oleh orang Islam sebagai baik adalah baik di sisi Allah, dan apa yang mereka lihat buruk adalah buruk di sisi Allah.”
(Musnad Ahmad (5/211) dengan sanad yang sahih)

 

أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَناْ

iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, 

Untuk apakah wahyu itu diberikan kepada para Rasul? Tujuannya adalah untuk memberi peringatan kepada manusia. Kalimah أَنذِروا ini adalah arahan kepada semua Rasul. Setiap Rasul yang diberikan wahyu itu dipertanggungjawabkan untuk memberi peringatan kepada umat mereka. Ini sepertimana firman Allah ﷻ di dalam Furqan: 1

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا
Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

Inzar itu baru bermakna jikalau ada ancaman di dalamnya. Kalau kita suruh anak kita tetapi dia tidak ikut dan tidak ada hukuman, maka tentulah peringatan itu tidak bermakna. Maka inzar daripada Allah ﷻ yang disampaikan oleh para Rasul itu ada ancaman. Iaitu kalau tidak ikut, maka azab nerakalah balasan bagi mereka.

Maka wahyu telah diberikan kepada para Rasul untuk disampaikan kepada umat. Lalu apakah perkara utama yang mesti disampaikan dan mesti difahami? Iaitu tentang Tauhid. Tentang ilah dan apakah yang kita perlu lakukan dan perlu tinggalkan. Inilah penekanan untuk faham apakah Tauhid dan bersamanya kena faham apa itu syirik. Ini kerana ramai sudah tahu tentang kepentingan Tauhid, namun ramai tidak tahu tentang syirik. Maka kerana itu ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedari.

Mereka tidak faham kerana mereka tidak tahu maksud ilah. Mereka sangka syirik itu hanya sujud pada patung berhala sahaja. Mereka sangka mereka telah selamat. Mereka tidak sedar bahawa ada amalan mereka yang sebenarnya termasuk di dalam syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada selain Allah ﷻ. Memang mereka tidak sembah wali, Nabi dan Malaikat, tetapi dengan meminta tolong kepada mereka itu, sudah termasuk di dalam perkara syirik.

 

فَاتَّقونِ

maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

Kesimpulan daripada wahyu yang disampaikan oleh setiap Rasul itu, termasuk juga Al-Qur’an adalah untuk mengajak manusia supaya bertaqwa kepada Allah ﷻ. Iaitu dengan menjaga hukum dan sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan. Kita harus taat kepada hukum Allah ﷻ kerana kita takut dengan balasan yang Allah ﷻ boleh timpakan kepada mereka yang ingkar.

Balaghah: Kalimah فَاتَّقونِ sepatutnya adalah ي tapi dihazafkan. Sepatutnya kalimah ini begini: فَاتَّقونِي kerana ي bermaksud ‘Aku’. Apabila dihazafkan ya’ mutakallim (merujuk kepada yang bercakap), maka ia bermaksud ‘berterusan’ dan ‘sentiasa’.

Oleh itu, ia mengajar kita yang kita kenalah terus sentiasa bertaqwa kepada Allah ﷻ, bukan sekejap-sekejap sahaja. Tidak ada masa yang kita tidak perlu bertaqwa kepada Allah ﷻ dan tidak ada masa yang kita boleh berhenti bertaqwa kepada Allah ﷻ.


 

Nahl Ayat 3: Ayat ini sehingga ke ayat 21 adalah Perenggan Makro Pertama juga (bahagian ke dua). Ia berkenaan Tauhid Kholiqiyyah. Allah ﷻ menegaskan yang Dia yang telah mencipta langit, bumi, manusia, haiwan, tanam-tanaman, mengatur perubahan malam dan siang, lautan dan isinya. dan gunung-ganang.

Seterusnya Allah ﷻ membidas kenapa pula patung berhala yang dibuat manusia menjadi sembahan?! Maka ini adalah ayat Dalil Aqli Afaqi iaitu Allah ﷻ jadikan tanda di dalam alam (ufuk). Dengannya Allah ﷻ memberi hujah kenapa kita harus sembah dan doa hanya kepada Dia sahaja, kerana Dia yang menjadikan alam ini.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ تَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens and earth in truth. High is He above what they associate with Him.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Mesti sembah Allah ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang mencipta, sedangkan makhluk tidak mencipta. Allah ﷻ telah menjadikan langit dan bumi ini dengan bersebab. Bukanlah Allah ﷻ jadikan alam ini sia-sia sahaja (seperti fahaman sesetengah agama lain). Allah ﷻ menjadikan bumi ini sebagai ‘tempat ujian’ untuk kita. Maka kerana itu kita harus beramal dengan amal kebaikan dan taat kepada Allah ﷻ selama kita duduk di dunia ini. Allah ﷻ menciptakan semuanya dengan benar dan tidak sia-sia, bahkan:

لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).
(An-Najm: 31)

Allah ﷻ menjadikan alam ini untuk menzahirkan kebenaran – iaitu Allah ﷻ Maha Pencipta dan Dialah sahaja yang patut ditaati. Kalau kita tidak mahu taat kepada Allah ﷻ, maka duduklah di bumi dan langit yang lain kerana langit dan bumi yang ini dijadikan oleh Allah ﷻ. Kalau Dia yang jadikan alam ini dan kita tidak mahu taat, maka teruk sungguh perangai kita yang tidak mengenang jasa.

Dengan benar juga bermaksud Allah ﷻ mencipta alam ini menurut peraturan-peraturan yang benar, tanpa salah sedikitpun. Seandainya salah sedikit saja peraturan alam di langit dan bumi ini, maka hancurlah ia. Kerana itu kajian astronomi mengatakan bahawa sekiranya berubah sedikit sahaja kedudukan planet ini, maka akan berantakanlah alam ini kerana larinya daya tarikan graviti antara bumi ini. Itulah adanya imbangan daya tarik, penentuan jarak letak di antara bintang dengan bintang, bulan dengan bumi, bumi dengan matahari.

Demikian jua ia bermaksud segala yang benar dalam bumi sendiri, misalnya tentang undang-undang alam, iaitu yang berat akan jatuh ke bawah, yang ringan terapung ke atas, pencampuran kimia dan sebagainya, undang-undang ilmu Matematik, Geometri dan sebagainya. Bertambah direnung maka bertambah dekatlah ke arah kebenaran itu, dan ilmu pengetahuan ialah untuk mendekati kebenaran itu.

 

تَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Sifat-sifat Allah ﷻ lebih tinggi daripada yang manusia musyrikin itu sifatkan. Mereka ada menyamakan kedudukan makhluk dengan kedudukan Allah ﷻ. Ini tidak mungkin kerana Sifat Allah ﷻ lebih tinggi lagi daripada itu. Yang golongan musyrik sembah itu tidak ciptakan apa-apa pun. Maka sia-sia sahaja ibadah yang mereka lakukan terhadap selain Allah ﷻ itu.

Sebagai contoh, ada yang berdoa memohon pertolongan kepada Nabi dan wali. Mereka kata Nabi dan wali itu boleh dengar walaupun mereka telah mati dan walaupun mereka itu tidak ada di depan. Ini tidak ada dalam nas syarak, maka ini adalah rekaan mereka semata.

Mereka yang ada fahaman begitu sebenarnya telah ada iktikad di dalam hati mereka yang makhluk-makhluk itu ada sifat yang sama dengan Allah ﷻ dan ini adalah syirik. Ini kerana yang Maha Mendengar adalah sifat Allah ﷻ, bukan sifat makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 85 – 89 (Allah ‎ﷻ hadiahkan Fatihah kepada Nabi ﷺ)

NASIHAT KEPADA RASULULLAH ﷺ

Hijr Ayat 85: Dalil aqli. Mulai ayat ini sehingga ke hujung surah (ayat 99) adalah Perenggan Makro ke 5. Ia mengandungi motivasi dan pujukan kepada Nabi ﷺ dan para pejuang tauhid. Kita kena ingat yang surah ini diturunkan di waktu Nabi ﷺ dan para sahabatnya ditentang keras oleh Musyrikin Mekah. Maka dengan mengetahui kisah-kisah para Nabi terdahulu dapat membuatkan hati Nabi Muhammad ﷺ lebih tabah.

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ ۗ وَإِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ ۖ فَاصفَحِ الصَّفحَ الجَميلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have not created the heavens and earth and that between them except in truth. And indeed, the Hour is coming; so forgive with gracious forgiveness.

(MELAYU)

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.

 

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan kebenaran.

Semua dijadikan Allah ‎ﷻ dengan tujuan. Allah ﷻ bukan jadikan alam ini sebagai main-main. Allah ﷻ beritahu, tidaklah layak kalau Tuhan itu bersifat begitu. Ini penting kerana ada agama lain yang sangka tuhan main-main sahaja buat alam ini. Ini adalah pemahaman yang teruk sekali. Sedangkan Allah ﷻ ada tujuan menjadikan alam ini, iaitu untuk menzahirkan kebenaran.

Untuk kita, dunia ini dijadikan sebagai tempat ujian untuk kita. Allah ﷻ tegur mereka yang kata Allah ﷻ jadikan alam ini main-main sahaja:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maka apakah kalian mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kalian secara main-main (sahaja), dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.
(Al-Mu’minun: 115-116)

Maka kena ingatlah yang dunia ini adalah tempat ujian dan kita akan dipertanggungjawabkan atas apa sahaja yang kita lakukan.

 

وَإِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ

Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang,

Tujuan dijadikan alam ini adalah untuk menguji manusia selama mereka hidup di dunia, sampailah masa datangnya Hari Kiamat. Apabila Hari Kiamat sudah tiba, maka selesailah tugas langit dan bumi dan Allah ﷻ akan musnahkan dan menggantikan dengan bumi dan langit yang lain.

Yang penting, kita kena ingat yang Kiamat itu pasti akan datang. Jikalau tidak percaya adanya Hari Kiamat, maka tidak akan nampak kepentingan alam yang Allah ﷻ cipta ini. Kerana kalau tidak percaya adanya Hari Kiamat, seolah-olah Allah ﷻ suka-suka sahaja jadikan alam ini.

 

فَاصفَحِ الصَّفحَ الجَميلَ

maka abaikanlah (mereka) dengan cara yang cantik.

Kalimah الصَّفحَ daripada katadasar ص ف ح yang antara lain bermaksud lembaran (seperti suhuf Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ [lembaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ]). Ia digunakan untuk bermaksud menukar lembaran (‘turning the pages’) yang digunakan untuk bermaksud ‘memaafkan’. Kerana bila sudah pindah muka surat, maka sudah dilupakan muka surat yang sebelum itu.

Allah ﷻ suruh maafkan mereka, iaitu biarkan mereka. Jangan risau sangat tentang mereka yang menentang. Ini sebagai tasliah daripada Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah. Kalau ada yang menentang, biarkanlah mereka. Biarlah Allah ﷻ sahaja yang akan balas mereka nanti. Hal ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلامٌ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
Maka berpalinglah kamu (hai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah, “Salam (selamat tinggal).” Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).
(Az-Zukhruf: 89)

Kalimat الصَّفحَ الجَميلَ bermaksud bila maafkan dan biarkan itu, janganlah buat dengan keras. Buat biasa sahaja, jangan sampai nampak di muka yang kita marah kepada mereka. Itulah bermaksud ‘pemaafan yang cantik’. Sebab kadang-kadang ada yang kata mereka maafkan, tetapi dengan muka yang merengus dan memek muka yang bengis. Di dalam Muzzammil: 10 juga Allah ﷻ telah beri nasihat yang sama,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Hal ini lebih-lebih lagi kerana ayat ini adalah Ayat Makkiah di mana umat Islam waktu itu tidak dibenarkan untuk membalas dengan berperang dengan golongan Musyrikin yang menindas itu. Jikalau mereka tidak mahu beriman, maka biarkanlah sahaja mereka. Tidak boleh balas lagi dan fokuslah kepada dakwah kepada orang lain pula.

Walaupun ayat ini nampaknya seperti ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, tetapi ia juga ditujukan kepada kita. Oleh itu sebagai pengajar dan juga pendakwah yang mengajak kepada wahyu, maka kita hendaklah bersabar. Memang akan ada yang menentang kita, mengutuk kita dan menuduh kita dengan bermacam-macam tuduhan, tetapi kita janganlah membalas dengan cara yang buruk. Sebaliknya kita bermuka manis dan bercakap dengan baik kepada mereka. Ini supaya akhlak kita jangan dijadikan sebagai alasan bagi manusia untuk menolak ajaran wahyu. Mungkin hari ini mereka menolak kita, tetapi entah di hari lain mereka terkesan dengan akhlak kita yang baik.


 

Hijr Ayat 86: Ayat sebelum ini Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ maafkan pelaku dosa yang jahat. Sekarang Allah ﷻ menerangkan tentang Diri-Nya dalam ayat ini iaitu Allah ﷻ tahu segalanya tentang kita kerana Dia yang menjadikan kita. Sebelum kita buat dosa pun Allah ﷻ sudah tahu apa yang kita akan melakukannya.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ الخَلّٰقُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord – He is the Knowing Creator.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.

 

Allah ﷻ Maha Pencipta dan Dia kerap mencipta. Sentiasa sahaja ada benda baru yang Allah ﷻ ciptakan, kita sahaja yang tidak nampak. Termasuk yang Dia akan cipta adalah Hari Kiamat dan kemudian nanti Dia akan bangkitkan kembali semua makhluk.

Ini yang susah untuk diterima oleh manusia yang ingkar. Namun Allah ﷻ sudah berhujah dalam ayat yang lain sebagai jawapan kepada keengganan mereka itu:

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ بَلَى وَهُوَ الْخَلاقُ الْعَلِيمُ إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan tidakkah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan kembali jasad-jasad mereka yang sudah hancur itu? Benar, Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia. Maka Maha suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kalian dikembalikan.
(Yaasin: 81-83)

Setelah Allah ﷻ cipta, Allah Maha Tahu dengan apa yang Dia ciptakan itu. Kalau kilang buat sesuatu alat, setelah alat itu keluar sahaja dari kilang, yang tukang buat alat itu tidak tahu menahu lagi apa sahaja berlaku kepada alat yang dia buat itu.

Akan tetapi Allah ﷻ selepas Dia cipta, segala apa yang diciptakan-Nya itu, Dia tahu segala-galanya tentang makhluk itu. Allah ﷻ tetap mengurus kita setelah menjadikan kita. Maknanya, kita sekarang ini sedang diperhatikan oleh Allah ﷻ dalam apa sahaja perbuatan dan fikiran kita. Ini kerana Allah ﷻ bukan hanya tahu apa yang kita lakukan, tetapi apa yang dalam hati kita pun Allah tahu.


 

Hijr Ayat 87: Ayat tasliah (pujukan) lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai pembakar semangat kepada baginda. Ada satu anugerah yang amat besar telah diberikan kepada baginda.

وَلَقَد ءآتَينٰكَ سَبعًا مِّنَ المَثاني وَالقُرءانَ العَظيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly given you, [O Muḥammad], seven of the often repeated [verses]¹ and the great Qur’ān.

  • Referring to Sūrah al-Fātiḥah.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al Qur’an yang agung.

 

وَلَقَد ءاتَينٰكَ سَبعًا مِّنَ المَثاني

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh yang dibaca berulang-ulang

Musyrikin Mekah tanya dengan nada mengejek, apa sangatlah yang diberikan kepada baginda? Allah ﷻ beritahu bahawa apa yang baginda dapat adalah sesuatu yang amat hebat. Tujuh ayat yang diulang-ulang baca itu adalah Surah Fatihah. Dalilnya adalah hadith berikut,

عَنْ أَبِي سَعِيدِ بْنِ الْمُعَلَّى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِهِ وَهُوَ يُصَلِّي فَدَعَاهُ قَالَ فَصَلَّيْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ فَقَالَ مَا مَنَعَكَ أَنْ تُجِيبَنِي قَالَ كُنْتُ أُصَلِّي قَالَ أَلَمْ يَقُلْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ } أَلَا أُعَلِّمُكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ قَبْلَ أَنْ أَخْرُجَ مِنْ الْمَسْجِدِ قَالَ فَذَهَبَ لِيَخْرُجَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَوْلَكَ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي الَّذِي أُوتِيتُ وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ
Daripada [Abu Sa’id bin Al Mu’alla رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawasanya Nabi ﷺ pernah melewatinya ketika dia sedang solat, lalu baginda ﷺ memanggilnya. Abu Said رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Aku tadi sedang solat.” Lantas aku mendatangi baginda ﷺ. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah yang menghalangimu untuk menjawabku?” Aku menjawab, “Aku tadi sedang solat.” Baginda ﷺ bersabda: “Bukankah Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman penuhilah seruan Allah dan Rasul jika menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu (Anfaal: 24) ‘. Mahukah kalian aku ajarkan tentang surat yang paling agung sebelum aku keluar dari masjid?” Lalu Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Lalu Rasulullah ﷺ pergi keluar masjid, dan aku berkata, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, mana sabdamu? ‘ Baginda ﷺ bersabda: ‘Alhamdulillah rabbil ‘aalamiin (Segala puji bagi Allah. Rabb semesta alam) adalah sab’ul matsani yang diberikan kepadaku, juga Al Qur ‘an Al ‘Azhim’.’
(Sahih Bukhari (904))

Ia dinamakan sebegitu kerana ia sentiasa sahaja dibaca, sama ada dalam solat atau pun di luar solat. Kalau dalam solat, ia dibaca pada setiap raka’at. Solat pun sentiasa dikerjakan di setiap pelusuk dunia ini. Maka amat banyak sekali Surah Fatihah ini dibacakan. Ini adalah satu penghormatan kepada Fatihah. Kalau kita belajar tafsir Surah Fatihah pun, kita akan nampak amat banyak kehebatan surah itu. Tidak habis dikaji oleh manusia.

Soalan: anda telah baca Surah Fatihah ini dari kecil lagi dan sentiasa sahaja dibaca setiap hari, bukan? Namun adakah anda sudah bosan baca surah ini? Tentu tidak, bukan? Begitu hebat sekali surah ini. Orang selalunya suka dengar lagu, bukan? Akan tetapi kalau lagu itu hari-hari dia dengar dan nyanyi, tentu tidak lama selepas itu dia akan bosan untuk mendengar lagu itu lagi dan kalau dia terpaksa dengar juga, dia akan muntah, bukan?

Namun Allah ﷻ beri kelebihan kepada surah ini, kita dah berjuta kali baca pun, tetapi masih tidak bosan lagi mendengar dan membacanya.

Satu lagi pendapat mengatakan ia merujuk kepada tujuh surah yang panjang iaitu 7 Surah Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa’, Al-Maidah, Al-An’am, Al-A’raf dan Al-Anfal + Al-Bara’ah/Tawbah (Surah Anfal dan Tawbah dikira sebagai satu dan kerana itulah tidak ada Basmalah di antaranya). Akan tetapi pendapat yang lebih masyhur adalah tujuh yang dikatakan itu adalah Surah Fatihah.

 

وَالقُرءانَ العَظيمَ

dan Al-Qur’an yang agung.

Kemudian Allah ﷻ sebut Al-Qur’an pula; tetapi bukankah al-Fatihah itu sebahagian daripada Al-Qur’an? Memang ia sebahagian daripada Al-Qur’an (kalau sebut Al-Qur’an pun sudah termasuk dengan Fatihah sekali) tetapi Allah ﷻ sebut tentang Surah Fatihah secara khusus sebagai penghormatan kepadanya.

Cara ini selalu digunakan dalam Al-Qur’an apabila menyebut tentang Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – disebut tentang para malaikat, tetapi disebut Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara khusus. Ini adalah kerana kelebihan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Sepertimana kita kata begini: “Semua jemputan telah masuk termasuk Perdana Menteri”. Bukankah Perdana Menteri itu juga jemputan, tetapi kenapa sebut nama beliau secara khusus? Kerana ada kelebihan pada Perdana Menteri itu disebabkan kedudukannya.

Di sini juga ada isyarat bahawa Surah Fatihah itu adalah ringkasan bagi keseluruhan Al-Qur’an. Ia mengandungi topik-topik yang disentuh di dalam keseluruhan Al-Qur’an. Kerana itulah kita disuruh untuk membaca Surah Fatihah di dalam solat kita untuk mengingatkan kandungan Al-Qur’an itu. Inilah juga kenapa Al-Qur’an juga digelar sebagai Ummul Kitab.


 

Hijr Ayat 88: Ini adalah nasihat untuk Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita. Maka ini adalah ayat Zajrun. Allah ﷻ sudah beri Al-Qur’an, maka cukuplah dengan Al-Qur’an itu, jangan harap kepada kelebihan keduniaan yang diberikan kepada orang yang ingkar.

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not extend your eyes toward that by which We have given enjoyment to [certain] categories of them [i.e., the disbelievers], and do not grieve over them. And lower your wing [i.e., show kindness] to the believers

(MELAYU)

Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.

 

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم

Janganlah sekali-kali kamu memanjangkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka

Ada penekanan pada kalimah تَمُدَّنَّ itu, yang bermaksud: ‘Jangan sekali-kali’. Jangan lihat dan mengharap apa diberikan kepada أَزواجًا .أَزواجًا bermaksud kumpulan yang sama sifat di dalamnya – sama sahaja sifat mereka semua sekali. Yang dimaksudkan adalah golongan orang-orang kafir.

Kalau nampak mereka senang dan kaya, jangan kisah dengan mereka. Jangan panjang mata lihat mereka dan berharap dapat jadi seperti mereka pula. Memang mereka dapat nikmat hidup yang banyak, tetapi itu bukanlah kebaikan sebenarnya.

Ini adalah teguran kepada kita juga kerana kadang-kadang kita jadi lain pula kalau berhadapan dengan orang kaya. Adab kita menjadi baik, cakap pun lembut, kita rasa rendah diri sahaja. Padahal, sebenarnya kekayaan yang mereka ada itu bukanlah apa-apa pun.

 

وَلا تَحزَن عَلَيهِم

dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka

Janganlah bersedih hati atas penolakan mereka terhadap dakwah tauhid itu. Jangan hati kamu sedih kalau terkenangkan mereka akan dikenakan azab dan sebagainya. Apa yang mereka dapat itu adalah layak bagi mereka, patut bagi mereka. Jangan kasihankan mereka.

Jangan berharap sangat mereka beriman kerana iman ini adalah sesuatu yang mahal. Kita hanya sampaikan sahaja dakwah kepada manusia, tetapi bukanlah kita seperti penjual yang hendak sangat orang beli barangan kita. Jangan tunjukkan kita beriya-iya sangat mereka beriman kerana merekalah yang sepatutnya beriya-iya masuk Islam kerana kita yang sebenarnya telah melakukan kebaikan dengan berdakwah kepada mereka. Islam tidak memerlukan iman mereka, tetapi merekalah yang memerlukan Islam!

Cuma perhatikan di sini. Rasulullah ﷺ bersedih, bukan? Kerana baginda telah berusaha sedaya upaya baginda untuk mengajak mereka ke arah Tauhid tetapi mereka menolak. Baginda sedih kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Namun bagaimana dengan kita? Adakah kita bersedih kerana ramai orang menolak Tauhid? Tidak patut sebenarnya. Kerana kita tidak berdakwah pun! Kalau kita berdakwah tetapi mereka menolak, barulah kita patut bersedih. Akan tetapi kalau setakat menjadi Muslim sahaja tetapi tidak mengajak orang ke arah agama Islam, maka tidak patut pun bersedih kerana kita tidak berbuat apa-apa pun, tidak kisah pun dengan mereka…

 

وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ

dan rendahkanlah sayapmu terhadap orang-orang yang beriman.

‘Rendah diri’ itu bermaksud fokus kepada golongan yang beriman. Dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ diajar jangan berharap sangat pemimpin Mekah ikut baginda. Baginda memang mahu sangat kalau mereka beriman supaya ramai lagi akan ikut beriman.

Baginda sebenarnya berniat baik iaitu mahukan impak yang baik kalau mereka beriman – kerana kalau pemuka Mekah yang beriman, maka akan ramai lagilah orang yang akan ikut mereka beriman. Tujuan baginda itu adalah baik dan betul. Bukannya baginda mahukan kekayaan atau kuasa daripada mereka, tetapi baginda mahu lebih ramai masyarakat Arab beriman.

Macam kita pun, memang suka kalau kita dengar orang-orang besar dan yang terkenal masuk Islam. Kalau ada artis atau orang terkenal di dunia masuk Islam pun, kita suka. Malangnya kadang-kadang berita palsu yang keluar. Orang kita suka sangat sampai tergopoh-gopoh sebarkan berita yang belum pasti benar. Akhirnya memalukan diri sendiri.

Baginda diajar janganlah dikejar sangat sokongan daripada mereka yang kufur itu sampai baginda melupakan golongan yang lemah tetapi sudah beriman. Allah ﷻ suruh tetaplah bergaul dengan mereka yang lemah itu. Janganlah berharap sangat kepada golongan pemimpin dan pemuka Mekah itu sampai baginda lupakan orang-orang yang lemah yang memang sudah beriman.

Kalau baginda lupakan mereka yang lemah itu, tentu mereka akan terasa hati. Ini dibahas dalam Surah Abasa dengan panjang lebar. Iaitu apabila baginda menunjukkan muka tidak suka kepada salah seorang sahabat yang buat.

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ
Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ
kerana telah datang seorang buta kepadanya.

Nabi Muhammad ﷺ telah lakukan seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kaum kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kalian, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kalian, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
(At-Taubah: 128)

Maksud merendah diri itu adalah sifat tawadhuk. Sebagai contoh Rasulullah ﷺ adalah orang yang selalu bersikap lembut kepada anak-anak. Diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, Anas bin Malik bercerita bahawa, “Dahulu ada budak kecil perempuan daripada penduduk Madinah meraih tangan Rasulullah ﷺ. Lalu dia mengajak baginda pergi ke mana saja dia suka.”

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Al Bukhari dari al-Aswad bin Yazid, dia berkata, “Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah رضي الله عنها: “Apakah yang biasa dilakukan Rasulullah ﷺ di rumahnya? ‘Aisyah رضي الله عنها menjawab: ‘Baginda biasa membantu keluarga; apabila mendengar suara azan, baginda segera keluar (untuk menunaikan) solat.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bahwa tidak ada seorang pun yang dicintai oleh para Sahabat daripada Rasulullah ﷺ. Namun apabila mereka melihat Rasulullah, mereka tidak berdiri untuk menyambut baginda. Para Sahabat tahu bahawa Rasulullah ﷺ tidak menyukai cara seperti itu.

Rasulullah ﷺ tidak suka jika ada sahabat atau umatnya yang memujinya berlebihan. Ketika seseorang memuji secara berlebihan, ditakutkan akan menimbulkan kesan bahawa seseorang yang dipuji memiliki sifat ilahiyyah. Baginda selalu berpesan untuk menganggapnya sebagai hamba Allah dan seorang rasul.

Diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dan Imam At Tirmidzi, Rasulullah ﷺ pernah bersabda, “Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji ‘Isa putra Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah, ‘Abdullaah wa Rasuuluhu’ (hamba Allah dan Rasul-Nya)”.

Ada sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah, di mana Rasulullah ﷺ bersabda, “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin dan himpunkanlah aku ke dalam golongan orang fakir miskin”. Para ulama mengatakan bahawa doa tersebut diungkapkan Rasulullah ﷺ ketika baginda berkumpul dengan sahabat yang tidak memiliki kelebihan harta (miskin). Tujuan Rasulullah ﷺ mengatakannya adalah agar para sahabat yang miskin itu tidak merasa rendah diri di hadapan baginda. Malah apabila orang yang tidak kenal baginda, mereka tidak dapat membezakan antara baginda dengan para sahabat yang di sekeliling baginda kerana baginda sama sahaja dari segi cara penampilan dengan para sahabat yang lain. Baginda tidaklah berpakaian yang lain daripada mereka.


 

Hijr Ayat 89: Bagaimanakah sepatutnya sikap baginda terhadap golongan pemuka Mekah itu?

وَقُل إِنّي أَنَا النَّذيرُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Indeed, I am the clear warner” –

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan”.

 

Baginda disuruh oleh Allah ﷻ untuk bercakap begini kepada golongan elit itu. Jangan rendahkan diri di hadapan mereka, tetapi sebaliknya teruskan beri ancaman kepada mereka. Semoga mereka beringat dengan mendapat ancaman-ancaman itu. Macam-macam tuduhan yang mereka kata kepada baginda malah ada yang mengancam baginda; tetapi ingatlah yang ancaman mereka itu tidak bermakna tetapi ancaman yang baginda sampaikan itulah yang bermakna.

Di sini Allah ﷻ ingatkan baginda bahawa baginda hanya penyampai sahaja. Baginda tidak boleh pastikan manusia beriman. Maka janganlah baginda bersedih kerana baginda telah sampaikan apa yang telah diamanahkan oleh Allah ﷻ. Dengan perkara yang kita tidak boleh kawal, janganlah kita bersedih kalau ia tidak berlaku. Para pendakwah kena ingat hal ini.

Baginda adalah النَّذيرُ المُبينُ. Baginda disuruh untuk sampaikan ancaman daripada Allah ﷻ dengan jelas dan tanpa sembunyi-sembunyi. Maka begitulah kita yang mengajar dan juga berdakwah kepada umat, tidak boleh tinggalkan apa-apa pun daripada ajaran wahyu. Wajib disampaikan semuanya sekali, jangan disorok-sorok. Mungkin ramai yang takut hendak sampaikan kerana hendak menjaga hati masyarakat, atau takut mereka marah kerana ditegur. Namun tidak boleh begitu, tetap kita kena sampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

Apabila baginda telah sampaikan ajaran Tauhid dengan jelas, maka yang menolak baginda adalah kerana degil sahaja, bukannya kerana tidak faham. Bagaimana mereka boleh kata tidak faham, sedangkan baginda sudah terangkan dengan jelas? Begitulah dengan kita yang berdakwah dan mengajar, kena sampaikan dengan terang dan jelas. Berikan segala dalil yang ada, bukannya kata ustaz aku cakap, tok guru aku kata, tok guru aku bermimpi dan sebagainya. Itu karut! Sepatutnya kita kena berikan dalil daripada wahyu.

Ada penegasan di dalam kalimat إِنّي أَنَا kerana kalimah إِنّي bermaksud ‘sesungguhnya aku’ dan sekali lagi digunakan kalimah أَنَا (aku). Maka ia berbunyi, “sesungguhnya aku, aku”. Selain penegasan, ia juga membawa maksud eksklusif. Iaitu Rasulullah ﷺ hanya bekerja sebagai pendakwah sahaja, tidak ada kerja lain. Ramai orang kata perniagaan itu adalah Sunnah Nabi ﷺ. Sebenarnya bukanlah sunnah sangat pun, kerana itu hanyalah pekerjaan baginda sebelum menjadi Nabi. Setelah menjadi Nabi, baginda tidak berniaga pun lagi, tetapi berdakwah dan mengajar agama sepenuh masa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 72 – 84 (Mada’in Saleh)

Hijr Ayat 72: Ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan). Dalam kisah yang panjang, kadang-kadang Allah ‎ﷻ akan mencelah untuk memberikan pengajaran atau tambahan maklumat.

لَعَمرُكَ إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

By your life, [O Muḥammad], indeed they were, in their intoxication, wandering blindly.

(MELAYU)

(Allah berfirman): “Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)”.

 

لَعَمرُكَ

(Allah berfirman): “Demi umurmu (Muhammad),

Allah ﷻ bersumpah menggunakan Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dan Allah ﷻ menggunakan perkara-perkara yang penting (seperti masa, langit, matahari dan sebagainya). Apabila Allah ﷻ menggunakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai muqsam bihi (sesuatu yang digunakan sebagai alat sumpah), itu menunjukkan betapa dekatnya Allah ﷻ dengan baginda.

Ia juga menunjukkan besar tingginya kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun baginda nampak seperti manusia biasa sahaja, tetapi hebatnya baginda di sisi Allah ﷻ. Sampaikan Allah ﷻ menggunakan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ sebagai muqsam bihi.

Amr ibnu Malik An-Nakri telah meriwayatkan daripada Abul Jauza, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan,

“Tiadalah Allah menciptakan dan menjadikan makhluk yang lebih dimuliakan-Nya daripada Nabi Muhammad ﷺ. Saya belum pernah mendengar Allah bersumpah dengan menyebut usia seseorang selain Nabi Muhammad ﷺ sendiri.”

Allah ﷻ boleh menggunakan apa sahaja sebagai muqsam bihi, tetapi kita sebagai makhluk hanya boleh menggunakan Allah ﷻ sebagai muqsam bihi kita (wallahi, tallahi, billahi). Tidak boleh kita menggunakan selain Allah ﷻ sebagai muqsam bihi. Maka tidaklah boleh kita bersumpah: “demi masa”, “demi negara”, “demi nyawa aku” dan sebagainya. Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”
(Riwayat Bukhari (3836) dan Muslim (1646))

Walaupun Allah ﷻ menggunakan makhluk sebagai muqsam bihi, tetapi ia kembali kepada Allah ﷻ juga kerana semua makhluk itu adalah ciptaan Allah ﷻ belaka. Tidak kira hebat bagaimana sekalipun kedudukan makhluk itu, kedudukannya tinggi kerana Allah ﷻ juga, bukan?

Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir ك di dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana ia kisah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya Allah ﷻ pujuk Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan pujuk mereka lagi kerana mereka itu memang tidak ada harapan lagi. Ini golongan Mujahiroon yang tidak ada harapan lagi untuk dimaafkan seperti berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dalam dirinya.
(Riwayat Al-Bukhari (6069))

 

إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ

sesungguhnya mereka terumbang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)”.

Mereka buta hati, bengong, keliru dalam kemabukan mereka. Ini kerana kalimah سَكرَتِهِم daripada katadasar س ك ر yang asalnya bermaksud ‘mabuk’. Maka di sini سكرة bermaksud keadaan mabuk atau seperti mabuk – sudah tidak sedar apa yang di sekeliling mereka. Maknanya akal mereka sudah terumbang ambing. Mereka mabuk di dalam syahwat nafsu, dambakankan hubungan kaum sejenis sahaja.

Mereka pula buta, tidak nampak kebenaran yang ada di hadapan mereka. Kalau عمى bermaksud ‘buta mata’ dan عمه bermaksud ‘buta hati’. Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka itu sudah teruk sangat, tidak nampak kebenaran lagi kerana keadaan mereka begitu.


 

Hijr Ayat 73: Apakah azab yang dikenakan kepada mereka?

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُشرِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the shriek¹ seized them at sunrise.

(MELAYU)

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit.

 

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur,

Kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah dimusnahkan oleh suara yang keras. Ini bukan suara yang biasa kerana ia adalah suara yang mampu memecahkan kepala! Ini juga telah disebut dalam Hud: 67. Maknanya, pekikan yang sama yang telah dikenakan kepada kaum Tsamud.

وَأَخَذَ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيٰرِهِم جٰثِمينَ
Dan satu suara keras yang mengguntur menimpa orang-orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya,

 

مُشرِقينَ

ketika matahari akan terbit.

Suara pekikan yang membinasakan itu datangnya di pagi hari iaitu selepas Waktu Subuh. Ia berakhir apabila matahari sudah naik. Kita selalu panggil sebagai Waktu Isyraq atau Syuruk iaitu sebelum Waktu Dhuha. Waktu Isyraq itu tidak boleh solat subuh.


 

Hijr Ayat 74: Apa lagi yang dikenakan kepada mereka.

فَجَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها وَأَمطَرنا عَلَيهِم حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made the highest part [of the city] its lowest and rained upon them stones of hard clay.

(MELAYU)

Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras.

 

فَجَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها

Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah

Bahagian bumi mereka yang di atas Allah ‎ﷻ jadikan ke bawah. Maknanya ditelungkupkan. Sekarang tempat itu menjadi lautan sahaja iaitu Laut Mati di Jordan. Ramai orang suka melancong ke sana, tetapi mereka tidak sedar bahawa ada larangan untuk melawat ke tempat yang telah dikenakan dengan azab. Lebih-lebih lagi tempat itu dijadikan sebagai pusat pelancongan bagaikan menggalakkan lagi lebih ramai pengunjung untuk datang ke sana.

Laut Mati kesan azab dahsyat kaum Nabi Luth kini dijadikan tempat tarikan pelancong

 

وَأَمطَرنا عَلَيهِم حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ

dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.

Sambil itu, mereka dikenakan dengan tembakan dahsyat daripada tanah keras yang dibakar. Boleh juga diterjemahkan sebagai hujan batu seperti yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah seperti yang disebut dalam al-Fiil: 4.

تَرميهِم بِحِجارَةٍ مِن سِجّيلٍ
yang melempari mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar,


 

Hijr Ayat 75:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّلمُتَوَسِّمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that are signs for those who discern.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.

 

Kalimah لِلمُتَوَسِّمينَ daripada katadasar و س م yang bermaksud simbol. مُتَوَسِّمينَ adalah orang yang boleh meliaht simbol-simbol/tanda-tanda yang ada dan boleh membuat keputusan daripadanya. Kita boleh ertikan orang-orang yang berfikiran dalam. Di dalam beberapa penafsiran yang besar-besar terdapat pandangan bahawa yang dimaksudkan dengan Al-Mutawassimiin ialah orang yang mendalam firasatnya.

Ertinya, dengan melihat keadaan yang disebut situasi dan kondisi, orang yang beriman dan berfikiran dalam itu telah dapat mengira-ngirakan apa yang akan terjadi kemudiannya. Maka di dalam ayat ini, apabila kita lihat kemungkaran telah sampai ke puncaknya, satu waktu mesti sampai kepada kejatuhan. Umat Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menderhaka kepada Allah ‎ﷻ; maka orang yang beriman dari jauh lagi telah dapat mengirakan apa kecelakaan yang akan menimpa. Oleh sebab itu orang yang beriman dan berfikiran dalam tidaklah terjatuh ke dalam cengkaman situasi, sebaliknya dia akan tetap waspada.

Maknanya, mereka ini adalah orang yang bijak kerana mereka melihat tanda sudah tahu apakah yang dimaksudkan. Kalau kita sekarang, kalau kita melihat batu atas tanah pun sudah boleh teringat azab itu. Kita sudah sepatutnya boleh mengambil pengajaran iaitu apabila kita melihat batu atas tanah, terus teringat ayat tentang bagaimana Kaum Luth itu telah dihujani dengan batu.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

I. Ibn al-Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Mujahid berkata, ‘ (Mereka adalah) Para ahli firasat.”

II. Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, ”’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”

III. Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”

IV. Muqatil رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang Mukmin, sebahagian daripada kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian daripada buah-buah keimanan, dan sebahagian daripada pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”

Sabda Rasulullah ﷺ:
اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
“Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”
(Riwayat Tirmidzi (3127) dan At-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843))

Firasat Imam al-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ

Berkenaan dengan firasat Imam al-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ di mana al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang muridnya pernah berkata: “Apabila kami masuk menemui Imam al-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ ketika hampir meninggal dunia, lantas beliau memandang dengan renungan tajam kepada kami semua seraya berkata: ‘Kamu hai Abu Ya’qub (Al-Buwaiti) akan mati dengan besi kamu. Kamu pula hai al-Muzani akan menguasai Mesir sehingga kamu dianggap secerdik manusia pada zamanmu. Adapun kamu hai Muhammad, akan mengikut kembali mazhab ayahmu iaitu mazhab Maliki. Sedangkan kamu hai al-Rabi’, banyak memberi manfaat kepadaku dalam menyebarkan kitab dan mazhabku.”

Ternyata apa yang difirasatkan oleh Imam al-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ adalah benar belaka. Itulah tajamnya firasat Imam al-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ dan benarlah sabda Nabi ﷺ seperti dalam hadith yang dinyatakan di atas.


 

Hijr Ayat 76:

وَإِنَّها لَبِسَبيلٍ مُّقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they [i.e., those cities] are [situated] on an established road.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (dilalui manusia).

 

Tempat tinggal Kaum Luth itu iaitu Kota Sodom itu berada di jalan yang terkenal (لَبِسَبيلٍ). Iaitu jalan yang memang menjadi laluan ramai orang sehingga ke waktu ayat ini diturunkan. Maka golongan Musyrikin Mekah pun tidak jauh dari tempat itu seperti disebut dalam Hud: 83

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَما هِيَ مِنَ الظّٰلِمينَ بِبَعيدٍ
Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauh daripada orang-orang yang zalim.

Dari dulu lagi ia adalah tempat yang biasa dilalui kerana ia adalah laluan perdagangan. Oleh kerana itu orang yang melalui kawasan itu boleh tahu dan nampak sendiri adanya kesan umat-umat terdahulu yang telah diazab. Kalimah مُقيمٍ bermaksud ia di tempat tinggal manusia (yang bermukim). Oleh itu, boleh dicari dan boleh diambil pengajaran daripada kejadian itu.

Kedudukan Sodom yang menjadi laluan perdagangan

Kaum Nabi Luth yang telah dimusnahkan itu adalah di Laut Mati sekarang. Namun bukanlah dinasihatkan untuk kita pergi ke tempat mereka untuk berkelah dan melancong pula. Kalau kita pergi pun, kena duduk sekejap sahaja, cukup untuk ambil ibrah. Kerana ada larangan daripada Nabi ﷺ untuk pergi ke kawasan-kawasan yang telah dikenakan azab.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang telah berkata: “Rasulullah ﷺ ketika berada di Hijr (daerah kaum Thamud), maka baginda pernah bersabda:

لا تدخلوا على هؤلاء القوم المعذبين إلا أن تكونوا باكين فإن لم تكونوا باكين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم مثل ما أصابهم
“Janganlah kalian masuk ke tempat orang-orang yang diseksa itu kecuali jika kalian dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis, maka janganlah kalian memasukinya, dikhuatirkan kalian tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka.”
(Hadith riwayat Bukhari No. 3200, Muslim No. 2980 dan Ahmad)

Kalau terpaksa lalu pun, mestilah beredar dengan segera. Kecuali kepada mereka yang degil, memang Allah ‎ﷻ suruh pergi lihat sendiri supaya mereka boleh berfikir sikit. Akan tetapi kalau kita yang sudah ambil pengajaran, sudah beriman, tidak perlulah ke sana.

.


 

Hijr Ayat 77: Jelaslah kawasan penempatan itu diketahui oleh mereka, sepatutnya mereka ambillah pengajaran itu. Namun begitu ada yang ambil pengajaran dan ada yang tidak.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a sign for the believers.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

 

Ia menjadi satu tanda kepada manusia. Iaitu cara Allah ‎ﷻ mengazab kaum Nabi Luth itu bukan biasa-biasa dibunuh sahaja tetapi dikenakan dengan azab yang amat teruk sampai sekarang kita boleh lihat tempat tinggal kesan mereka itu. Semua manusia boleh melihatnya, mengambil pengajaran daripadanya. Namun yang boleh menerimanya adalah mereka yang mahu beriman sahaja. Iaitu ada keinginan dalam hatinya untuk mencari kebenaran. Bagi jenis degil juga, berilah contoh apapun, memang mereka tidak akan terima.

Untuk menjadikan tempat itu sebagai peringatan dan pengajaran, Allah ﷻ jadikan kebanyakan tempat-tempat yang dilaknat dan azab tidak didiami seperti disebut dalam Qasas: 58

وَكَم أَهلَكنا مِن قَريَةٍ بَطِرَت مَعيشَتَها ۖ فَتِلكَ مَسٰكِنُهُم لَم تُسكَن مِّن بَعدِهِم إِلّا قَليلًا
Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan, yang sudah berbangga dalam kehidupannya; maka itulah tempat kediaman mereka yang tiada didiami (lagi) sesudah mereka, kecuali sebahagian kecil.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut tanda-tanda itu boleh diterima dan diambil kesannya oleh golongan mukmin. Sebelum ini disebut golongan Mutawassimin. Maka ia memberi isyarat yang orang mukmin pun Mutawassimin juga iaitu mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Mereka sentiasa berfikir dan mengambil pengajaran.


 

KAUM NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hijr Ayat 78: Ini adalah kisah yang dijadikan sebagai contoh kedua.

وَإِن كانَ أَصحٰبُ الأَيكَةِ لَظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the thicket [i.e., the people of Madyan] were [also] wrongdoers,

(MELAYU)

Dan sesungguhnya adalah penduduk Aikah itu benar-benar kaum yang zalim,

 

Kalimah الأَيكَةِ bermaksud hutan menjadi negeri Aikah ini adalah negeri yang ada pokok-pokok yang banyak. Yang dimaksudkan sebagai penduduk Aikah ini adalah Kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tempatnya adalah di Daerah Madyan. Madyan terletak berdekatan dengan kota Al-Bada, provinsi Tabuk, bahagian barat laut Arab Saudi, sekitar 170 KM dari Tabuk.

Setengah ahli tafsir mengatakan bahawa Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu datang kepada dua kaum, iaitu Madyan dan Aikah. Hanya seorang Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah di antara Nabi-nabi yang terdahulu itu yang mendatangi dua kaum. Akan tetapi setengah ahli tafsir lagi mengatakan bahawa orang Madyan itulah juga yang disebut sebagai orang Aikah. Sebab erti Aikah ialah tempat yang banyak tumbuh pohon kayu, kerana suburnya.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan Madyan dan Aikah adalah dua tempat berbeza. Setelah Madyan dimusnahkan, Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah pergi Aikah dan di situ juga akhirnya penduduknya dibinasakan.

Atau, ada juga pendapat yang mengatakan Aikah dan Madyan itu berdekatan, maka baginda diutuskan kepada kedua-duanya. Baginda berasal dari Madyan tetapi dihantar juga untuk berdakwah kepada penduduk Aikah. Kerana itulah apabila sebut tentang Madyan, baginda dikatakan saudara mereka seperti disebut dalam A’raf: 85

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا
Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib.

Perbuatan zalim mereka ialah kerana mereka mempersekutukan Allah ‎ﷻ, gemar merompak (orang-orang yang lalu kawasan mereka), serta gemar mengurangi takaran dan timbangan.


 

Hijr Ayat 79:

فَانتَقَمنا مِنهُم وَإِنَّهُما لَبِإِمامٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We took retribution from them, and indeed, both [cities] are on a clear highway.

(MELAYU)

maka Kami membinasakan mereka. Dan sesungguhnya kedua kota itu benar-benar terletak di jalan umum yang terang.

 

فَانتَقَمنا مِنهُم

maka Kami membinasakan mereka.

Penduduk Aikah yang telah menolak kebenaran itu juga telah dikenakan azab.

 

وَإِنَّهُما لَبِإِمامٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya kedua kota itu benar-benar terletak di jalan umum yang terang.

Kedua-dua tempat kediaman kaum itu (Kaum Luth dan Kaum Madyan) terletak di jalan yang biasa dilalui. Mereka berada berdekatan kaum Luth sesudah kaum Luth binasa, dan hal itu pertanda tempat tinggal mereka berdampingan.

Kalimah إمامٌ boleh bermaksud jalan yang biasa dilalui, jalan utama (highway). Menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Ad-Dahhak, dan lain-lainnya, makna imamum mubin dalam ayat ini ialah jalan umum yang terang. Ia adalah jalan yang selalu diikuti seperti imam juga diikuti oleh makmum di dalam solat. Oleh itu ramai sahaja yang boleh lihat kesan tinggalan mereka. Apabila boleh dilihat, bolehlah ambil pengajaran daripada mereka.

Sekian Ruku’ 5 daripada 6 ruku’ surah ini.


 

UMAT NABI SALEH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hijr Ayat 80: Ini pula adalah contoh ketiga. Sekarang kita lihat kisah yang diambil sebagai nama surah ini (al-Hijr).

وَلَقَد كَذَّبَ أَصحٰبُ الحِجرِ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And certainly did the companions of al-Ḥijr¹ [i.e., the Thamūd] deny the messengers.

  • The valley of stone.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya penduduk-penduduk kota Al Hijr telah mendustakan rasul-rasul,

 

Kalimah الحِجرِ daripada kalimah ح ج ر yang bermaksud ‘batu’. Maka ini adalah tentang kawasan yang berbatu. Mereka ini adalah tempat Kaum Tsamud iaitu Kaum Nabi Saleh. Mereka sekarang dinisbahkan daripada nama tempat tinggal mereka. Nama الحِجرِ iaitu nama kota inilah yang dijadikan sebagai nama Surah ini. Ia terletak di antara Madinah dan Syam.

Sekarang tempat ini dinamakan juga Mada’in Saleh. Mada’in Saleh, juga disebut Al-Hijr, adalah sebuah kota purba yang terletak di wilayah utara Hijaz, terletak sekitar 25 KM dari utara kota Al-‘Ula. Pada zaman dahulu, kota ini dihuni oleh kaum Tsamud dan Nabatea dan dikenali sebagai Hijr. Mada’in Saleh (bahasa Arab: مدائن صالح‎, “Kota Saleh”), disebut pula Al-Hijr atau Hegra, adalah sebuah tempat arkeologi yang terletak di dekat Al-`Ula, Provinsi Madinah di wilayah Hijaz, Arab Saudi.

Tidak berapa lama dahulu ada orang kita yang teruk dikecam di media sosial kerana melawat tempat itu. Walau bagaimanapun sebenarnya tempat yang dilawati olehnya itu bukanlah tempat yang dikenakan azab itu kerana tempat itu besar.

Penduduk al-Hijr itu juga telah menolak Rasul-rasul mereka. Kalimah المُرسَلينَ adalah dalam bentuk jamak. Ini adalah kerana apabila mereka menolak satu Rasul sahaja (Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), mereka dikira telah menolak semua Rasul.

Atau, memang mereka ada banyak Rasul yang telah berdakwah kepada mereka dan semua sekali mereka tolak dan yang terakhir sekali mereka tolak adalah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka penghujungnya mereka telah dikenakan dengan azab di tempat tinggal mereka. Tentang mereka ini ada satu hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ الْمُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ لَا يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ
Daripada [‘Abdullah bin ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian memasuki tempat yang penghuninya diseksa kecuali kalian menangis, jika tidak mampu menangis maka janganlah kalian memasukinya agar kalian tidak mendapat musibah sebagaimana mereka mendapatkannya.”
(Sahih Bukhari (415))


 

Hijr Ayat 81:

وَءآتَينٰهُم ءآيٰتِنا فَكانوا عَنها مُعرِضينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave them Our signs, but from them they were turning away.

(MELAYU)

dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami, tetapi mereka selalu berpaling daripadanya,

 

وَءآتَينٰهُم ءآيٰتِنا

dan Kami telah mendatangkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami,

Kepada mereka juga telah diberikan dengan tanda-tanda yang jelas nyata. Iaitu tanda-tanda kepada Qudrat dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Ia dalam bentuk wahyu dan juga mukjizat. Kita pun sudah tahu bahawa mukjizat terkenal yang diberikan kepada mereka adalah Unta Betina. Ini disebut dalam surah yang lain.

 

فَكانوا عَنها مُعرِضينَ

tetapi mereka selalu berpaling daripadanya,

Walaupun telah mendapat tanda yang jelas nyata, namun mereka tetap juga menolak ajakan tauhid kerana mereka itu kaum yang degil. Mungkin sebab yang utama mereka memalingkan diri daripada peringatan Nabi mereka ialah kerana hidup yang mewah dan kepandaian yang tinggi sehingga memandang enteng sahaja kepada seruan Rasul Allah.


 

Hijr Ayat 82:

وَكانوا يَنحِتونَ مِنَ الجِبالِ بُيوتًا ءآمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they used to carve from the mountains, houses, feeling secure.

(MELAYU)

dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.

 

Kelebihan mereka ini adalah mereka mahir memahat gunung. Daripada batu-batu gunung itu, mereka boleh membina rumah yang besar-besar pula. Ini adalah kerana mereka kuat dan mereka boleh menggunakan kepandaian mereka. Allah ‎ﷻ telah memberikan kelebihan kepada mereka daripada bangsa yang lain di zaman mereka itu.

Dengan kelebihan mereka itu, mereka boleh membina rumah daripada gunung dan mereka boleh duduk dengan aman. Ini adalah kerana rumah mereka itu kukuh. Kesan tinggalan mereka itu masih ada sehingga hari ini iaitu kita boleh lihat di Petra.

Kesan peninggalan tamadun Kaum Madyan di Petra

Hal tersebut masih dapat terlihat daripada bekas-bekas peninggalan mereka di Lembah Al-Hijr, yang Nabi ﷺ pernah melaluinya ketika dalam perjalanan ke Medan Tabuk. Ketika melaluinya Nabi ﷺ menundukkan kepalanya dan memacu kenderaan dengan cepat serta bersabda kepada para sahabatnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ الْمُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ لَا يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ
Daripada [‘Abdullah bin ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian memasuki tempat yang penghuninya diseksa kecuali kalian menangis, jika tidak mampu menangis maka janganlah kalian memasukinya agar kalian tidak mendapat musibah sebagaimana mereka mendapatkannya.”
(Sahih Bukhari (415))

Itulah yang kita katakan tempat-tempat sebegini tidak digalakkan kita lawat. Ia bukannya tempat perlancongan.

Kisah ini adalah salah satu daripada mukjizat sejarah yang ada di dalam Al-Qur’an. Ia telah dibina pada tahun 400 sebelum Masihi dan telah beratus tahun hilang daripada sejarah manusia. Hanya pada awal abad ke 19 barulah ia dijumpai semula oleh orang Barat. Namun Allah ﷻ telah sebut tentangnya di dalam Al-Qur’an 1,400 tahun dahulu. Melalui kajian arkeologi memang dijumpai nama Allah ﷻ di dalam tinggalan binaan tamaddun ini. Ya mereka kenal Allah ‎ﷻ tetapi di dalam masa yang sama, mereka menyembah ilah lain dan kerana itulah kaum mereka telah dimusnahkan keseluruhannya.

 

Hijr Ayat 83: Sambungan kisah azab yang dikenakan kepada Kaum Tsamud.

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُصبِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the shriek seized them at early morning,

(MELAYU)

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di waktu pagi,

 

Mereka telah dikenakan dengan azab pekikan yang kuat yang mematikan. Pekikan itu sangatlah dahsyat sampai memecahkan jantung mereka dan mereka terus mati begitu sahaja. Kejadian itu berlaku di pagi hari juga, iaitu di waktu Subuh. Segala kemewahan mereka menyebabkan mereka menjadi sombong dan kerana itu mereka gagal dalam hal agama dan menyebabkan mereka dikenakan dengan azab yang menghapuskan mereka.


 

Hijr Ayat 84:

فَمآ أَغنىٰ عَنهُم مّا كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So nothing availed them [from] what they used to earn.

(MELAYU)

maka tak dapat menolong mereka, apa yang telah mereka usahakan.

 

Tidak berguna bagi mereka apa yang mereka lakukan. Iaitu pujaan bathil mereka tidak dapat menyelamatkan mereka daripada dikenakan dengan azab yang dahsyat itu. Sia-sia sahaja pemujaan mereka kepada Nabi, wali dan malaikat sebelum itu. Ma’bud bathil yang mereka puja itu tidak akan dapat menolong mereka.

Malah usaha mereka dalam mengadakan rumah-rumah yang kukuh pun tidak dapat menyelamatkan diri mereka. Maka kerana itu dalam kesenangan hidup kita sekarang dan kemajuan teknologi yang kita ada, janganlah kita menjadi sombong. Kena tetap rendahkan diri kita di hadapan Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 November 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 54 – 71 (Kisah Homoseksual Kaum Sodom)

Hijr Ayat 54: Namun begitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkejut dengan berita gembira ini, susah sedikit untuk baginda percaya. Bukannya baginda tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi baginda hendak tahu bagaimanakah caranya?

قالَ أَبَشَّرتُموني عَلىٰ أَن مَّسَّنِيَ الكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Have you given me good tidings although old age has come upon me? Then of what [wonder] do you inform?”

(MELAYU)

Berkata Ibrahim: “Apakah kamu memberi khabar gembira kepadaku padahal usiaku telah lanjut, maka dengan cara bagaimanakah (terlaksananya) berita gembira yang kamu khabarkan ini?”

 

قالَ أَبَشَّرتُموني عَلىٰ أَن مَّسَّنِيَ الكِبَرُ

Berkata Ibrahim: “Apakah kamu memberi khabar gembira kepadaku padahal usiaku telah lanjut,

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hairan kerana waktu itu, baginda sudah tua sangat. Ada riwayat yang menyebut bahawa umurnya pada waktu itu adalah 100 tahun. Kalau ikut logik akal, memang tidak mampu untuk melahirkan anak lagi. Walaupun ia berita gembira, tetapi ini amat menghairankan.

 

فَبِمَ تُبَشِّرونَ

maka dengan cara bagaimanakah (terlaksananya) berita gembira yang kamu khabarkan ini?”

Baginda tahu yang berita itu daripada Allah ﷻ dan bukanlah baginda tidak percaya atau mempersoalkannya. Namun baginda sedar yang baginda sudah tua, maka bagaimanakah caranya baginda akan mendapat anak? Adakah baginda akan dimudakan kembali, atau baginda akan mendapat isteri yang lebih muda?


 

Hijr Ayat 55: Jawab malaikat.

قالوا بَشَّرنٰكَ بِالحَقِّ فَلا تَكُن مِّنَ القٰنِطينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We have given you good tidings in truth, so do not be of the despairing.”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa”.

 

قالوا بَشَّرنٰكَ بِالحَقِّ

Mereka menjawab: “Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan benar, 

Para malaikat kata memang benar yang baginda akan mendapat anak. Mereka bukanlah bercakap main-main melainkan apa yang telah diberitahu oleh Allah ﷻ untuk mereka sampaikan. Apa yang mereka sampaikan adalah الحَقِّ (kebenaran). Ia hendak menzahirkan الحَقِّ iaitu kebenaran kekuasaan Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak perlukan hukum alam biologi iaitu hanya yang muda belia sahaja boleh lahirkan anak. Allah ﷻ tidak terikat dengan hukum alam sebegitu. Hukum alam itu pun Allah ﷻ yang buat, maka Allah ﷻ boleh buat yang di luar kebiasaan alam.

 

فَلا تَكُن مِّنَ القٰنِطينَ

maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa”.

Janganlah putus asa dengan rahmat Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia mahu. Tidak perlu pun untuk menukar fizikal Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau beri isteri baru kepada baginda. Dengan isteri yang sama, walaupun sudah tua dan mandul pun boleh melahirkan.

Kalimah قنط maksudnya sangat putus asa. Iaitu digunakan kepada seseorang yang asyik nampak perkara yang negatif sahaja. Selalu kita panggil orang sebegini sebagai ‘pesimis’. Ia adalah berdosa di dalam Islam kerana Allah ﷻ tidak benarkan manusia berputus asa. Nabi Ya’akub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berpesan kepada anaknya seperti disebut di dalam Yusuf: 87

يا بَنِيَّ اذهَبوا فَتَحَسَّسوا مِن يوسُفَ وَأَخيهِ وَلا تَيأَسوا مِن رَوحِ اللهِ ۖ إِنَّهُ لا يَيأَسُ مِن رَوحِ اللهِ إِلَّا القَومُ الكافِرونَ
Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”.

Mereka yang berputus asa adalah sifat kufur, maknanya berdosa besar. Kenapa ia boleh membawa kepada kekufuran? Kerana bersangka buruk dengan Allah ﷻ, tidak berharap lagi dengan rahmat Allah ﷻ yang amat besar.


 

Hijr Ayat 56: Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setuju yang tidak patut seseorang berputus asa dengan Allah ﷻ. Baginda beritahu di sini yang baginda bukanlah seorang yang berputus asa dengan Allah ﷻ.

قالَ وَمَن يَقنَطُ مِن رَّحمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضّآلّونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “And who despairs of the mercy of his Lord except for those astray?”

(MELAYU)

Ibrahim berkata: “Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat”.

 

Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membalas semula kata-kata para malaikat tadi. Baginda kata tidaklah baginda seperti itu kerana yang berputus asa adalah orang yang sesat sahaja. Baginda bukanlah orang yang sesat.

Maka ayat ini mengajar kita jangan berputus harap dengan Allah ﷻ. Kita kenalah ada pengharapan yang tinggi dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Kadang-kadang kita bandingkan diri kita dengan Allah ﷻ pula. Memanglah diri kita tidak boleh buat banyak perkara, tetapi Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja. Termasuklah perkara yang tidak masuk dek akal kita; atau perkara yang kita pasti tidak mungkin terjadi. Memang kalau kita yang buat tidak mungkin terjadi, tetapi kalau Allah ﷻ yang buat, boleh sahaja.

Kerana itulah kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah رَحمَةِ رَبِّهِ dan bukan رَحمَةِ اللهِ kerana hendak mengingatkan sifat Rabb yang mengurus alam ini. Dia boleh buat apa-apa sahaja tanpa ada kekangan sedikitpun.


 

Hijr Ayat 57: Setelah selesai penyampaian berita gembira itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanya perkara lain pula.

قالَ فَما خَطبُكُم أَيُّهَا المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Abraham] said, “Then what is your business [here], O messengers?”

(MELAYU)

Berkata (pula) Ibrahim: “Apakah urusanmu yang penting (selain itu), hai para utusan?”

 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah dapat mengagak mereka mesti ada hal lain. Takkan mereka datang itu semata-mata hendak sampaikan berita kepada baginda sahaja. Kalau hendak beritahu berita tentang baginda akan dapat anak itu, tidaklah perlu ramai malaikat yang datang.

Maka baginda dapat merasakan ada sesuatu perkara lain yang hendak dilakukan oleh mereka. Baginda dapat rasa yang perkara itu perkara yang buruk kerana kalau guna kalimah خطب, ia untuk orang menceritakan berita yang tidak elok.


 

Hijr Ayat 58:

قالوٓا إِنّا أُرسِلنآ إِلىٰ قَومٍ مُّجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Indeed, we have been sent to a people of criminals,

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kami sesungguhnya diutus kepada kaum yang berdosa,

 

Kaum berdosa yang dimaksudkan adalah Kaum Nabi Luth iaitu penduduk Sodom. Para malaikat itu ada tugas lain – iaitu untuk memusnahkan kaum itu. Maka rentetan ayat-ayat ini menarik kerana para malaikat itu bukan datang untuk membawa berita gembira tentang kelahiran anak Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja, tetapi hendak beritahu juga tentang penghancuran kaum Luth. Oleh itu, ada dua perkara dalam kisah ini.


 

Hijr Ayat 59: Bukan semua kaum itu akan dimusnahkan. Ada juga yang akan selamat.

إِلّا ءآلَ لوطٍ إِنّا لَمُنَجّوهُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except the family of Lot; indeed, we will save them all

(MELAYU)

kecuali Luth berserta pengikut-pengikutnya. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan mereka semuanya,

 

إِلّا ءآلَ لوطٍ

kecuali keluarga Luth.

Semua Kaum Nabi Luth akan dimusnahkan kecuali ahli keluarga Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Memang yang beriman hanya daripada keluarga baginda sahaja seperti disebut dalam Dzariyat: 36

فَما وَجَدنا فيها غَيرَ بَيتٍ مِّنَ المُسلِمينَ
Dan Kami tidak mendapati negeri itu, kecuali sebuah rumah dari orang yang berserah diri.

Namun begitu ahli keluarga ini bukanlah hanya kerana ada pertalian darah dan perkahwinan dengan baginda sahaja kerana anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak selamat walaupun dia anak Rasul. Yang dimaksudkan dengan ahli adalah mereka yang beriman dengan Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka yang beriman dengan baginda pun memang daripada ahli keluarga baginda sahaja (tidak ada orang lain).

 

إِنّا لَمُنَجّوهُم أَجمَعينَ

Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan mereka semuanya,

Mereka yang beriman dengan Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan diselamatkan. Begitulah yang selalu terjadi – apabila sesuatu kaum Nabi hendak dimusnahkan, Nabi itu akan diberitahu tentang apa yang akan berlaku dan mereka diberikan dengan masa untuk menyelamatkan diri dengan melarikan diri jauh-jauh supaya mereka terselamat daripadaazab itu. Yang dikenakan azab hanyalah mereka yang ingkar sahaja.


 

Hijr Ayat 60: Bukan semua ahli keluarga Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan diselamatkan.

إِلَّا امرَأَتَهُ قَدَّرنآ ۙ إِنَّها لَمِنَ الغٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except his wife.” We [i.e., Allāh] decreed that she is of those who remain behind.¹

  • For having collaborated with the evildoers.

(MELAYU)

kecuali isterinya. Kami telah menentukan, bahawa sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang tertinggal (bersama-sama dengan orang kafir lainnya)”.

 

إِلَّا امرَأَتَهُ

kecuali isterinya.

Isteri Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak selamat kerana dia sendiri ada masalah. Dialah yang menjadi dalang kepada kaumnya yang homoseksual itu. Apabila datang para malaikat yang kacak-kacak itu, dialah yang memberitahu kepada pemuka kaumnya. Dia pula yang menjadi tali barut.

Maka isterinya tidak selamat daripada azab yang akan dikenakan azab sama dengan azab yang dikenakan kepada kaumnya itu kerana kesalahannya yang kufur itu seperti disebut dalam Tahreem: 10

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ ۖ كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ فَخانَتاهُما فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun daripada (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

 

قَدَّرنآ ۙ إِنَّها لَمِنَ الغٰبِرينَ

Kami telah menentukan, bahawa sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang tertinggal 

Yang menentukan isteri Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak selamat adalah Allah ﷻ sendiri. Telah ditentukan bahawa dia tidak selamat. Ini adalah kerana dia adalah seorang yang degil dan Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk tidak akan selamatkan dia.

Semua ini sedang diberitahu kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Sekian Ruku’ 4 daripada 6 ruku’ surah ini.


 

NABI LUTH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DILAWAT PARA MALAIKAT

Hijr Ayat 61: Kisah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan para malaikat disambung.

فَلَمّا جآءَ ءآلَ لوطٍ المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the messengers came to the family of Lot,

(MELAYU)

Maka tatkala para utusan itu datang kepada ahli keluarga Nabi Luth,

 

Ini adalah kisah apabila para malaikat itu tiba di rumah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Nota: Ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.


 

Hijr Ayat 62: Apa kata Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila melihat tetamunya itu?

قالَ إِنَّكُم قَومٌ مُّنكَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Indeed, you are people unknown.”

(MELAYU)

dia berkata: “Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang tidak dikenal”.

 

Baginda kata baginda tidak kenal mereka. Maknanya, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sama-sama tidak kenal malaikat. Ini menunjukkan bahawa para Nabi tidak tahu perkara ghaib. Lalu bagaimana ada tok guru di negara ini dikatakan boleh tahu perkara ghaib? Siap kenal malaikat, kenal jin dan sebagainya? Itu semua adalah kerana mereka ada mengamalkan ilmu yang sesat sampai boleh mendapat benda-benda itu.

Mereka yang percaya ada orang yang tahu ilmu ghaib itu adalah musyrik kerana yang hanya tahu ilmu ghaib adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Bila kata ada selain Allah ﷻ pun tahu ilmu ghaib, maka itu adalah fahaman syirik. Malang sekali dek kerana jahil tentang tauhid dan syirik, mereka boleh pula percaya ada tok guru boleh tahu hal-hal ghaib.

Namun bagaimana pula kisah memang apa yang mereka cakap itu benar-benar berlaku? Maka ini kita kena tahu yang mereka itu dapat maklumat daripada jin syaitan yang menyampaikan maklumat ilmu ghaib kepada mereka. Jin syaitan pun tidak tahu ilmu ghaib, tetapi mereka curi dengar perbualan daripada para malaikat.


 

Hijr Ayat 63: Jawab para malaikat itu kepada Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قالوا بَل جِئنٰكَ بِما كانوا فيهِ يَمتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “But we have come to you with that about which they were disputing,

(MELAYU)

Para utusan menjawab: “Sebenarnya kami ini datang kepadamu dengan membawa azab yang selalu mereka dustakan.

 

Para malaikat itu memperkenalkan diri mereka. Mereka beritahu yang mereka datang untuk bawa azab sebenarnya. Sebelum itu Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdakwah dan mengancam kaumnya – kalau mereka teruskan juga dengan kesyirikan mereka dan mengamalkan homoseksual, mereka akan dikenakan dengan azab daripada Allah ﷻ.

Selepas baginda beritahu mereka, kaumnya itu tidak mahu percaya dan mereka mendustakan azab yang diancam oleh Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu (mereka kata Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdusta sahaja tentang azab itu). Maka para malaikat itu datang untuk azab yang tidak dipercayai oleh kaumnya yang sesat itu.


 

Hijr Ayat 64:

وَأَتَينٰكَ بِالحَقِّ وَإِنّا لَصٰدِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And we have come to you with truth, and indeed, we are truthful.

(MELAYU)

Dan kami datang kepadamu membawa kebenaran dan sesungguhnya kami betul-betul orang-orang benar.

 

وَأَتَينٰكَ بِالحَقِّ

Dan kami datang kepadamu membawa kebenaran

Para malaikat kata mereka datang itu bersebab. Mereka datang bawa kebenaran. Ia benar-benar akan terjadi, tidak boleh ditolak sama sekali. Dalam ayat 8 sebelum ini telah disebut tentang perkara ini:

مَا نُنزلُ الْمَلائِكَةَ إِلا بِالْحَقِّ
Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab).
(Al-Hijr: 8)

Oleh itu, kalau Musyrikin Mekah mahu sangat diturunkan malaikat kepada mereka, mereka kena ingatlah yang kalau malaikat turun dan jumpa manusia, itu adalah untuk menurunkan azab kepada mereka, sama seperti yang dilakukan kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

 

وَإِنّا لَصٰدِقونَ

dan sesungguhnya kami betul-betul orang-orang benar.

Mereka tekankan yang memang azab itu benar-benar akan berlaku. Mereka bukan main-main. Maksudnya, benar dalam pemberitaan yang mereka sampaikan kepadanya, iaitu bahawa mereka akan menyelamatkan baginda (Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan membinasakan kaumnya. Ungkapan ayat ini mengukuhkan makna ayat sebelumnya.


 

Hijr Ayat 65: Ini arahan kepada ahli keluarga Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apa yang mereka perlu lakukan?

فَأَسرِ بِأَهلِكَ بِقِطعٍ مِّنَ اللَّيلِ وَاتَّبِع أَدبٰرَهُم وَلا يَلتَفِت مِنكُم أَحَدٌ وَامضوا حَيثُ تُؤمَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So set out with your family during a portion of the night and follow behind them and let not anyone among you look back and continue on to where you are commanded.”

(MELAYU)

Maka pergilah kamu di akhir malam dengan membawa keluargamu, dan ikutlah mereka dari belakang dan janganlah seorang pun di antara kamu menoleh ke belakang dan teruskanlah perjalanan ke tempat yang diperintahkan kepadamu”.

 

فَأَسرِ بِأَهلِكَ بِقِطعٍ مِّنَ اللَّيلِ

Maka pergilah kamu keluar di sebahagian malam dengan membawa keluargamu,

Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk membawa keluarganya keluar pada malam itu. Ini kerana kalimah أسر bermaksud keluar di waktu malam. Bawa mereka keluar pada bahagian hujung malam waktu semua orang tidur. Bukan waktu malam sahaja tetapi sebahagian daripada waktu malam kerana kalimah yang digunakan adalah قِطعٍ. Kalau awal malam, belum boleh lagi kerana ramai tidak tidur. Kena bawa keluar waktu orang lain tengah nyenyak tidur kerana tidak mahu mereka tahu aktiviti keluar dari kawasan itu.

Apabila disuruh bawa ahli keluarga baginda sahaja, ini memberi isyarat yang ahli keluarga baginda sahaja yang beriman. Memang pada waktu itu, yang beriman hanya keluarga baginda. Kalau dengan para Nabi yang lain, ada juga pengikut dalam kalangan orang luar. Akan tetapi Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini hanya dikurniakan pengikut daripada keluarga baginda sahaja. Itu pun bukan semua.

 

وَاتَّبِع أَدبٰرَهُم

dan ikutlah dari belakang mereka

Apabila mereka telah keluar dari rumah, Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mestilah yang terakhir sekali ikut di belakang. Baginda kena duduk di hujung barisan. Ini adalah kerana baginda mesti memastikan semua ahli keluarga baginda dapat keluar. Inilah sunnah bagi pemimpin iaitu duduk di belakang, bukannya di hadapan.

Hal yang sama telah dilakukan pula oleh Rasulullah ﷺ dalam peperangannya, di mana baginda berjalan di belakang pasukannya. Baginda berbuat demikian untuk menolong orang yang lemah dan mengangkut orang yang tidak berkenderaan.

 

وَلا يَلتَفِت مِنكُم أَحَدٌ

dan janganlah seorang pun di antara kamu menoleh ke belakang

Baginda diingatkan jangan toleh ke belakang. Kalau terdengar jeritan daripada kaum mereka yang sedang dikenakan dengan azab itu, tetap jangan pandang ke belakang. Kalau baginda ada di belakang, senanglah baginda hendak jaga kerana kalau ada yang menoleh ke belakang, baginda akan nampak.

Mereka dilarang untuk menoleh ke belakang kerana takut ada perasaan kasihan belas. Atau, azab yang dikenakan kepada kaumnya itu amat teruk, sampaikan kalau ternampak, akan memberi kesan kepada mereka sampai bila-bila (trauma).

 

وَامضوا حَيثُ تُؤمَرونَ

dan teruskanlah perjalanan ke tempat yang diperintahkan kepadamu”.

Jangan pandang belakang dan teruskan berjalan menuju tempat yang telah diberitahu. Maknanya, mereka kena ikutlah arahan. Daripada makna ayat ini tersirat seakan-akan ada yang menuntun memberi petunjuk jalan yang harus ditempuh.


 

Hijr Ayat 66:

وَقَضَينا إِلَيهِ ذٰلِكَ الأَمرَ أَنَّ دابِرَ هٰؤُلاءِ مَقطوعٌ مُّصبِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We conveyed to him [the decree] of that matter: that those [sinners] would be eliminated by early morning.

(MELAYU)

Dan telah Kami wahyukan kepadanya (Luth) perkara itu, iaitu mereka akan dimusnahkan habis di waktu subuh.

 

وَقَضَينا إِلَيهِ ذٰلِكَ الأَمرَ

Dan telah Kami wahyukan kepadanya (Luth) perkara itu,

Diwahyukan kepada Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa keputusan untuk memberi azab kepada kaumnya itu sudah dibuat. Ia sudah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan tidak akan berubah lagi.

 

أَنَّ دابِرَ هٰؤُلاءِ مَقطوعٌ مُّصبِحينَ

iaitu mereka akan dimusnahkan keseluruhannya di waktu subuh.

Kalimah دابِرَ bermaksud sisi, iaitu bahagian yang kuat. Allah ﷻ beritahu yang bahagian itu akan dipotong. Maksudnya keturunan mereka semua akan dihapuskan terus sehingga ke akar umbi.

Kejadian itu akan berlaku di pagi hari. Sama pengertiannya dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

إِنَّ مَوْعِدَهُمُ الصُّبْحُ أَلَيْسَ الصُّبْحُ بِقَرِيبٍ
Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?
(Hud: 81)

Allah ﷻ selalu mengenakan azab kepada kaum yang menentang di waktu malam, waktu sedang rehat, sedang bekerja di waktu Dhuha, waktu subuh. Umumnya waktu yang mereka tidak sangka-sangka datangnya azab itu. Sengaja Allah ﷻ lakukannya untuk menambahkan impak sengsaranya azab itu. Kerana waktu mereka sedang bersenang-senang, tiba-tiba dum jatuhnya azab ke atas mereka!


 

KEMUSNAHAN UMAT NABI LUTH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hijr Ayat 67: Sekarang kisah berpatah balik ke permulaan kedatangan para malaikat itu ke rumah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَجاءَ أَهلُ المَدينَةِ يَستَبشِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the people of the city came rejoicing.¹

  • At the news of Lot’s visitors.

(MELAYU)

Dan datanglah penduduk kota itu (ke rumah Luth) dengan gembira (kerana) kedatangan tamu-tamu itu.

 

Seperti kita telah sebut, dosa besar yang dilakukan oleh Kaum Luth itu (selain daripada syirik) adalah homoseksual. Iaitu mereka berahi kepada kaum yang sejenis dengan mereka. Apabila para malaikat itu datang ke rumah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, isterinya telah membocorkan maklumat dengan memberitahu kedatangan lelaki-lelaki yang kacak ke rumahnya itu. Isterinya tidak tahu yang datang itu adalah para malaikat.

Para malaikat itu pula datang dengan berupa lelaki yang kacak. Maka penduduk pekan yang mendapat maklumat daripada isteri Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dengan gembiranya terus bergegas ke rumah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana ada orang kacak. Allah ﷻ sebut mereka datang dengan gembira, iaitu tanpa segan silu dan tanpa menyorok lagi sifat malu berbuat dosa. Inilah sifat orang jahat yang bergembira berbuat dosa. Maknanya mereka bersifat kebinatangan dek kerana sudah hilang rasa malu!

Begitulah penduduk madinah (kota, bandar) yang selalunya di situlah kemaksiatan bermaharajalela. Allah ﷻ menyebut yang datang adalah أَهلُ المَدينَةِ (ahli kota) seolah-olah keseluruhan lelaki di kota itu bergegas datang beramai-ramai. Maknanya perbuatan mereka ini sudah diterima oleh masyarakat sebab itu mereka tidak malu. Ini sudah tahap paling teruk di mana kemaksiatan sudah dilihat sebagai satu norma. Kalau sudah sampai ke tahap ini, memang teruk! Mereka berbuat onar secara terbuka!

Kerana itulah kita halang normalisasi LGBTQ dan seumpamanya kerana ini mengundang murka daripada Allah ﷻ. Sifat songsang ini memang kita tahu ramai yang ada. Namun ia mestilah terus dianggap sebagai satu penyakit yang pelakunya tidak berani tunjukkan di khalayak ramai. Maka ia terus menjadi dosa peribadi antara dia dengan Allah ﷻ. Supaya dia tidak berjangkit kepada orang lain yang sepatutnya menjadi normal. Akan tetapi kalau ia disudah dinormalisasikan, maka ini bahaya. Kerana itu pelaku LGBTQ tidak boleh dikedepankan, diberi anugerah, dianggap normal, diangkat menjadi pemimpin dan sebagainya. Mereka mesti terus dianggap sebagai pelik dan berpenyakit.


 

Hijr Ayat 68: Melihat ramai yang datang ke rumahnya, maka Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah merayu kepada mereka.

قالَ إِنَّ هٰؤُلاءِ ضَيفي فَلا تَفضَحونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Lot] said, “Indeed, these are my guests, so do not shame me.

(MELAYU)

Luth berkata: “Sesungguhnya mereka adalah tamuku; maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku),

 

قالَ إِنَّ هٰؤُلاءِ ضَيفي

Luth berkata: “Sesungguhnya mereka adalah tamuku;

Ini adalah permintaan daripada Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan ganggu tetamunya itu. Waktu itu baginda masih tidak tahu yang mereka itu adalah malaikat.

 

فَلا تَفضَحونِ

maka janganlah kamu memberi malu

Iaitu beri malu kepada baginda dengan melakukan perkara yang tidak senonoh. Kalimah فضح bermaksud memalukan seseorang di khalayak ramai. Kalau baginda tidak dapat menjaga tetamunya, malulah baginda. Maka inilah rayuan baginda kepada mereka sambil berdakwah dan menegur perbuatan salah umatnya itu.

Kalimah تَفضَحونِ bermaksud memberi aku malu tetapi harf ya’ dihazafkan (dihilangkan). Kita dapat tahu kerana huruf nun itu berbaris bawah. Kalau kalimah biasa, ia sepatutnya تَفضَحونَ.


 

Hijr Ayat 69:

وَاتَّقُوا اللهَ وَلا تُخزونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fear Allāh and do not disgrace me.”

(MELAYU)

dan bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu membuat aku terhina”.

 

وَاتَّقُوا اللهَ

dan bertaqwalah kepada Allah

Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihatkan kepada mereka supaya ingat hukum Allah ﷻ. Takutlah kepada Allah ﷻ dan azab-Nya! Baginda sudah banyak kali menegur mereka atas kesalahan mereka dalam homoseksual itu. Namun mereka tidak mahu dengar. Maka kali ini baginda ingatkan mereka lagi.

 

وَلا تُخزونِ

dan janganlah kamu membuat aku terhina”.

Kalimah تُخزونِ bermaksud membuat aku terhina tetapi harf ya’ dihazafkan (dihilangkan). Kita dapat tahu kerana huruf nun itu berbaris bawah. Kalau kalimah biasa, ia sepatutnya تُخزونَ. Baginda merayu mereka supaya janganlah jadikan baginda terhina dengan buat perkara itu depan baginda.

Homoseksual adalah perbuatan yang amat buruk dan sangat terkutuk. Malangnya ia semakin berleluasa. Orang Melayu Islam pun sudah ramai yang buat perkara ini. Mereka sudah tidak segan lagi memberitahu yang mereka itu homoseksual. Ini kerana masyarakat sudah dilalikan dengan perkara ini. Kalau dalam rancangan TV, golongan LGBT ini dipaparkan sebagai manusia biasa sahaja, bagaikan mereka tidak ada masalah. Malahan dalam rancangan TV itu, mereka yang memandang serong kepada golongan LGBT itu pula yang dikatakan teruk.


 

Hijr Ayat 70: Kaumnya degil tidak mahu dengar kata.

قالوا أَوَلَم نَنهَكَ عَنِ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have we not forbidden you from [protecting] people?”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Dan bukankah kami telah melarangmu dari (melindungi) manusia?”

 

Kaumnya marah baginda semula. Mereka marah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempertahankan tetamunya itu (para malaikat). Mereka kata kenapa baginda masih lagi mempertahankan tetamunya itu, bukanlah mereka sudah pernah melarang baginda?

Mereka larang baginda daripada sibuk tentang hal orang lain. Tentu sebelum ini baginda sudah pernah menegur mereka dan mereka sudah marah baginda. Kali ini terjadi lagi. Mereka kata, orang-orang yang datang itu pun bukan keluarga baginda pun.

Satu lagi tafsir bagi kalimat نَنهَكَ عَنِ العٰلَمينَ adalah mereka telah pernah melarang baginda daripada membawa lelaki-lelaki kacak. Kerana kalau bawa juga, mereka akan datang dan mahu melakukan hubungan seksual dengan lelaki-lelaki itu. Di sini mereka hendaklah salahkan baginda pula. Begitulah manusia yang sesat, sudahlah mereka buat salah malah mahu salahkan orang pula.

Rupa-rupanya sudah ada peraturan yang mereka perbuat, tidak boleh orang menerima tetamu laki-laki dengan diam-diam. Kalau ada tamu laki-laki mesti laporkan kepada seluruh isi negeri! Sekarang Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah ada tetamu, tidak dilaporkan dan ini adalah satu kesalahan besar. Orang-orang ini mesti diserahkan kepada mereka. Malah mereka telah sekat jalan untuk mengetahui siapa pendatang ke tempat mereka, tetapi kali ini boleh terlepas pula.


 

Hijr Ayat 71: Kita sambung kisah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaumnya. Mereka telah datang meminta diberikan kepada mereka para malaikat yang tampan-tampan itu.

قالَ هٰؤُلاءِ بَناتي إِن كُنتُم فٰعِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Lot] said, “These are my daughters¹ – if you would be doers [of lawful marriage].”

  • i.e., the women of his community who were lawful for marriage.

(MELAYU)

Luth berkata: “Inilah puteri-puteriku (kahwinlah dengan mereka), jika kamu hendak berbuat (secara yang halal)”.

 

Mereka datang beramai-ramai ke rumah baginda setelah mereka dengar yang tetamu yang tampan kacak telah datang ke rumah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tentunya telah menghalang mereka. Kemudian baginda tawarkan anak-anak perempuan baginda kepada mereka. Jika kamu hendak melakukan juga persetubuhan melepaskan syahwatmu tidak ada halangan. Ini anak-anak perempuanku, kahwinilah secara sah. Inilah jalan yang benar. Islam bukannya menghalang memuaskan nafsu tetapi mestilah mengikut landasan yang benar.

Ada pendapat mengatakan memang baginda tawarkan anak-anak perempuan kandung baginda kepada ketua masyarakat. Ambillah anak-anak perempuan baginda itu dan kahwinilah dengan baik, janganlah amalkan homoseksual lagi.

Atau ada yang mengatakan, bukanlah baginda tawarkan anak kandung baginda sendiri – tetapi baginda tunjuk kepada perempuan-perempuan lain (yang dikira sebagai anaknya kerana baginda adalah Nabi umat itu). Baginda suruh mereka kahwinlah dan campurilah pasangan yang perempuan itu. Janganlah buat perbuatan terkutuk itu.

Pendapat ini lebih baik kerana takkanlah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak memberikan anak-anak perempuan kandungnya kepada orang yang teruk mengamalkan liwat itu. Bukan caranya kita mengelak keburukan dengan membawa kepada keburukan yang lebih teruk. Kalau baginda memberikan anak kandungnya kepada kaumnya yang teruk itu, tentulah mendatangkan keburukan kepada anaknya pula.

Lihatlah contoh dakwah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda bukan sahaja melarang umat baginda daripada melakukan kesalahan, tetapi baginda beri alternatif apa yang mereka patut lakukan. Maka ini mengajar kita, dalam melarang hendaklah kita beritahu masyarakat apa yang sebaliknya mereka kena lakukan. Sepertimana anak kita, kalau kita larang dia buang masa menonton TV contohnya, hendaklah terus diberi alternatif seperti baca buku, berjalan di pantai, beriadah dan sebagainya. Jangan larang sahaja kerana dia pun pening nanti tidak tahu hendak buat apa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 November 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Surah al-Hijr Ayat 47 – 53 (Nikmat-nikmat Ahli Syurga)

Hijr Ayat 47: Sebelum ini telah disebut nikmat fizikal di dalam Syurga, sekarang disebut nikmat emosi pula.

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ إِخوٰنًا عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will remove whatever is in their breasts of resentment,¹ [so they will be] brothers, on thrones facing each other.

  • See footnote to 7:43.

(MELAYU)

Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sehingga mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

 

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ

Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, 

Sekarang ayat ini iltifad (perubahan) kembali kepada pihak gha’ibah (pihak ketiga). Ini adalah peristiwa sebelum ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga. Iaitu Allah ﷻ akan hilangkan segala rasa tidak sedap hati ahli syurga itu. Apakah maksudnya?

Kadang-kadang kita ada rasa tidak sedap hati walaupun sesama saudara seislam. Perasaan ini mungkin seperti dendam, dengki, iri hati dan sebagainya. Ini biasa sahaja kalau ada kerana kita pun manusia juga dan kadang-kadang kita tidak dapat mengawal perasaan kita. Kadang-kadang tidak dapat dielakkan. Kadang-kadang ada kata-kata orang yang menyakitkan hati kita dan kita pula cepat terasa hati dan makan hati. Dikatakan bahawa ahli syurga itu masih ada lagi perasaan itu. Namun begiut ia akan dihilangkan seperti juga disebut dalam A’raf: 43

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka

Allah ‎ ﷻ akan mencabut daripada hati mereka (bersihkan) segala perasaan hasad dengki yang memudarkan kehidupan di dunia dulu. Perasaan ini tidak boleh ada di dalam syurga kerana akan mengurangkan nikmat syurga, bukan?

Kalimah نزع bermaksud perbuatan mencabut hingga ke akar umbi. Maksudnya cabut habis. Kalimah ini juga digunakan oleh kita apabila kita kata seseorang itu dalam keadaan nazak. Maknanya dia sedang ditarik nyawanya oleh malaikat maut.

Perasaan ini dinamakan غِلٍّ iaitu perasaan tidak enak dalam hati kerana tidak selesai sesuatu perkara. Mereka tidak ada perasaan yang tidak elok. Ini kerana hidup dari segi fizikal senang, tetapi sekiranya dalam hati ada perasaan dengki, atau apa-apa sahaja perasaan yang tidak molek seperti sedih, geram, tidak puas hati dan sebagainya, itu maknanya tidak senang juga sebenarnya.

Lafaz غِلٍّ bermaksud perasaan hasad dengki yang rahsia terhadap seseorang. Ini termasuk perasaan benci terhadap seseorang dan juga dendam. Kadang-kadang kalau kita benci sangat kepada seseorang, atau kita marah kepada seseorang, perasaan itu akan bermain-main dalam hati dan perasaan kita, yang menyebabkan kita tidak senang duduk dan hati tidak tenteram, bukan? Perasaan itu tidak ada di syurga nanti. Allah ‎ ﷻ akan hilangkan sepenuhnya.

As-Saddi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai. (Al-A’raf: 43), hingga akhir ayat. Sesungguhnya ahli syurga itu apabila digiring masuk ke syurga, maka mereka menjumpai di dekat pintu syurga sebuah pohon yang pada akarnya terdapat dua mata air. Kemudian mereka minum daripada salah satunya, maka tercabutlah (terhapuslah) daripada dada mereka semua dendam kesumat yang ada; minuman tersebut dinamakan ‘minuman kesucian’. Kemudian mereka mandi daripada mata air yang lainnya, maka mengalirlah ke dalam tubuh mereka kesegaran yang penuh dengan kenikmatan, sehingga diri mereka tidak awut-awutan (kusut masai) dan tidak pucat lagi untuk selama-lamanya.

Satu pendapat mengatakan tempat ini adalah Qantharah. Di sinilah yang akan diselesaikan dendam kesumat antara sesama manusia sampai hilang perasaan tidak puas hati itu kerana telah diselesaikan. Mungkin ramai tidak pernah dengar tentang hal ini. Rasulullah ﷺ bersabda,

خْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الْجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا
“Orang-orang beriman yang telah selamat daripada api neraka (telah melewati sirat/jambatan yang ada di atas punggung neraka, pent) akan tertahan di Qantharah (sebuah tempat di antara syurga dan neraka). Kemudian ditegakkanlah qisas terhadap sebahagian mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh salah seorang di antara mereka lebih faham terhadap tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

 

Juga disebutkan dalam beberapa kitab-kitab akidah, salah satunya adalah Al-Aqidah Al-Wasithiyah karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, beliau berkata,

فمن مر على الصراط دخل الجنة‏.‏ فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض‏.‏ فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم دخول الجنة
“Barangsiapa yang melewati sirat akan masuk syurga. Jika mereka melewatinya, mereka akan berhenti di Qantharah antara syurga dan neraka. Maka mereka saling qisas satu sama lainnya. Jika mereka setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga.”

Oleh itu, akan berjumpalah orang-orang yang tidak berpuas hati sesama sendiri. Kena bayar dendalah. Akan tetapi di sana bukan ada duit, maka yang digunakan sebagai barang tukaran adalah pahala dan dosa. Yang buat salah kena beri pahala dia kepada yang dizalimi dan kalau habis pahalanya, maka dia kena ambil dosa orang yang dizalimi itu.

Akan tetapi mungkin tidak semua perlu melalui perkara ini kerana ada pendapat yang mengatakan perasaan ghil itu boleh dihilangkan dengan ‘minuman kesucian’ sahaja. Bila minum sahaja, hilanglah perasaan tidak enak itu.

Di manakah Qantharah ini? Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

واختلف العلماء في هذه القنطرة؛ هل هي طرف الجسر الذي على متن جهنم أو هي جسر مستقل؟! والصواب في هذا أ نقول : الله أعلم، وليس يعنينا شأنها، لكن الذي يعنينا أن الناس يوقفون عليها
“Ulama’ berselisih mengenai Qantharah, apakah ia merupakan hujung dari jambatan (sirat) yang berada di atas punggung Jahannam atau jambatan yang berdiri sendiri. Yang benar mengenai hal ini, kita katakan: “Allahu a’lam, Allah lebih mengetahui, tidak pasti perkaranya akan tetapi yang pasti manusia akan berhenti di sana.”

Kesimpulannya, di syurga nanti tidak ada perasaan غِلٍّ itu kerana ia sesuatu yang memang tidak menyenangkan. Maka di dunia ini juga kita sedaya upaya cuba untuk menghilangkannya. Kita kenalah berbaik dengan sesama Muslim. Akan tetapi kita memerlukan juga pertolongan Allah ‎ﷻ kerana kita sendiri tidak mampu untuk menghilangkannya sendiri. Sebab itu Allah ‎ ﷻ ajar kita doa untuk menghilangkannya di dalam Hashr: 10

وَلا تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا
dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman

Semoga kita jangan ada dengki dan hasad sesama kita kerana ia hanya memakan diri kita sahaja. Tidak dapat dinafikan perasaan ini memang susah hendak dihilangkan. Kadangkala orang pandang kita lain macam, kita sudah terasa; orang marah kita, kita terasa. Ini kerana kita senang terkesan dengan perkataan manusia. Begitu juga, kalau orang lain dapat rezeki lebih pun kita terasa; orang lain naik pangkat, kita terasa; orang dapat anak pun hendak terasa juga…. macam-macam. Inilah antara punca manusia tidak bahagia di dunia.

Kita lupa yang semua itu adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Kita lupa yang hidup ini memang ujian yang kadangkala kita kena berhadapan dengan orang yang toksik sifat mereka. Kadang kita pun lupa yang kita sendiri yang ada masalah menyebabkan orang marah kita, tidak sukakan kita. Kita hendak orang layan kita macam kita raja, tetapi kita sedarkah siapa kita ini?

Kenapalah kita hendak layan perasaan tidak baik ini? Adakah apa-apa kelebihan kepada kita kalau kita ghil, dengki, hasad dengan orang lain? Tidak ada, bukan? Buat sakit hati kita sahaja. Kalau tidak ada perasaan itu semua, bukankah tenang-tenang sahaja hari-hari kita? Oleh itu, cubalah hilangkan perasaan itu, jangan tunggu di akhirat sahaja.

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, berkata, “Sesungguhnya di dunia terdapat syurga yang seperti (merupakan representasi) syurga akhirat. Barangsiapa yang memasuki syurga dunia itu maka dia kelak akan memasuki syurga akhirat, dan barangsiapa yang tidak memasuki syurga dunia tersebut nescaya dia tidak akan memasuki syurga akhirat.” (Ad-Dā` wad Dawā`, hal. 186; dan Madārij as-Sālikīn vol. I, hal. 454)

إِخوٰنًا

mereka merasa bersaudara

Allah ﷻ akan hilangkan perasaan tidak sedap itu sampai mereka rasakan mereka itu bersaudara. Allah ﷻ kata Dia sendiri yang akan keluarkan dan hilangkan غِلٍّ itu kerana Allah ﷻ tahu yang kita sendiri tidak mampu keluarkan sendiri. Walaupun kita cuba sedaya upaya untuk hilangkan perasaan itu, tetapi tetap tidak boleh, sampai dibawa mati pun ada.

Akan tetapi jangan dilayan perasaan itu. Sepatutnya kita kena jaga hati kita supaya kita tidak ada perasaan buruk terhadap sesama Muslim. Sebaliknya kita kena berkasih sayang sesama sendiri seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya,

ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
“Sayangilah siapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh yang ada di langit”
(Tirmidzi No. 1924)

 

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوادِهِمْ، وتَراحُمِهِمْ ، وتَعَاطْفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذا اشْتَكَى مِنهُ عُضْقَ تَداعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ والحُمّى
“Perumpamaan sesama kaum mukminin dalam menjaga hubungan kasih sayang dan kebersamaan seperti satu tubuh, jika satu anggota merasakan sakit, maka akan membuat seluruh tubuhnya terjaga dan merasakan demam.”
(Muslim No. 2586)

 

Antara yang boleh menimbulkan sayang sesama Muslim adalah dengan memberi salam sesama kita. Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )
“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.
(Riwayat al-Bukhari, No. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, No. Hadith 56)

 

عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ

di atas pelamin-pelamin mereka duduk berhadap-hadapan.

Apabila sudah hilang rasa غِلٍّ itu, barulah boleh duduk berhadap-hadapan. Kalau tidak, tentu susah untuk bersua muka. Kadang-kadang kalau kita ada perasaan geram dan benci kepada seseorang, hendak pandang muka dia atau nak dengar suara dia pun tidak boleh.

Ini adalah suasana di dalam syurga di mana Allah ﷻ boleh buat sampaikan semua orang yang tinggal bersama di dalam syurga boleh berhadapan sesama sendiri. Kalau di dalam dunia sekarang, kita mungkin boleh mengadap sebahagian sahaja.

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa kita akan duduk dalam keadaan mewah di dalam syurga. Kerana syurga ini bukan tempat untuk buat kerja atau buat ibadat lagi, tetapi tempat untuk menikmati segala nikmat di dalam syurga. Ia adalah tempat untuk memenuhi nafsu sahaja. Tempat istirehat yang paling baik, sampaikan duduk pun di atas dipan – boleh juga diterjemahkan sebagai singgahsana atau pelamin. Dari segi bahasa Arab Moden, kalimah سُرُرٍ bermaksud katil, tetapi ahli syurga tidak tidur maka tidak sesuai pula. Kerana سُرُرٍ di dalam syurga adalah tempat lepak, tidur tidak, duduk pun tidak.


 

Hijr Ayat 48: Bagaimanakah keadaan ahli syurga itu?

لا يَمَسُّهُم فيها نَصَبٌ وَما هُم مِّنها بِمُخرَجينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No fatigue will touch them therein, nor from it will they [ever] be removed.

(MELAYU)

Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya.

 

لا يَمَسُّهُم فيها نَصَبٌ

Mereka tidak merasa lelah di dalamnya

Mereka yang tinggal di dalam syurga tidak akan penat. نَصَبٌ bermaksud jenis penat sampai tidak boleh berdiri lagi sebab penat sangat. Walaupun banyak nikmat di syurga, macam-macam buat dan macam-macam makan, tetapi tidak penat langsung. Mereka yang di syurga tidak perlu tidur pun kerana tiada penat lelah. Kalau tidur, sudah rugi kerana ada nikmat yang tidak dirasai pula.

Bayangkan dengan keadaan di dunia, kalau buat kerja banyak sedikit pun akan penat. Bukan sahaja kerja, kalau bergembira pergi beli belah, melancong pun penat juga, bukan? Kita suka bila makan, tetapi makan pun penat juga. Kita suka dapat gaji setiap bulan, tetapi untuk kerja pun penat juga. Jangan kita penat tidak sudah-sudah. Tidak tak cukup, penat; tapi kalau tidak terlebih pun jadi penat juga. Semua itu tidak akan dirasai lagi di dalam syurga.

 

وَما هُم مِّنها بِمُخرَجينَ

dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya.

Segala nikmat itu tidak berkekalan kalau tinggal sekejap sahaja. Katakanlah kita dapat tinggal di hotel mewah paling mahal di dunia pun, ia tidak sama kerana kita tahu yang kita akan keluar juga akhirnya dari hotel itu. Oleh itu, nikmat tinggal di hotel itu akan berkurang kerana kita tahu yang kita lambat laun akan kena keluar juga, bukan?

Maka salah satu kenikmatan yang amat besar di syurga itu adalah tidak akan keluar sampai bila-bila. Maka Allah ﷻ sudah berjanji yang ahli syurga akan kekal dalam syurga dan tidak akan dikeluarkan, tidak akan mati di dalamnya. Nikmat yang mereka dapat di dalam Syurga itu tidak akan habis-habis sampai bila-bila seperti disebut dalam Sad: 54

إِنَّ هٰذا لَرِزقُنا ما لَهُ مِن نَّفادٍ
Sesungguhnya ini adalah benar-benar rezeki daripada Kami yang tiada habis-habisnya.

Adakah ahli syurga akan berasa bosan tinggal di dalam syurga? Ini kerana ada juga orang sufi kata lama-lama ahli syurga akan bosan duduk dalam syurga dan akhirnya minta kembali untuk hidup di dunia. Ini ditolak oleh ayat Kahf: 108

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.


 

ALLAH ﷻ MEMPUNYAI RAHMAT DAN JUGA AZAB

Hijr Ayat 49: Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Diri-Nya.

۞ نَبِّئ عِبادي أَنّي أَنَا الغَفورُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[O Muḥammad], inform My servants that it is I who am the Forgiving, the Merciful,

(MELAYU)

Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahawa sesungguhnya Aku-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

 

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada manusia yang Sifat-Nya yang Maha Pengampun. Kalimah نَبِّئ daripada katadasar ن ب ا yang bermaksud tinggi; berita; maklumat; nubuwwat; nabi; untuk memaklumkan; mesej; pengumuman (orang yang diberi kitab suci). Maka kalimah النَّبَإِ bermaksud ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘khabar’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tonton setiap hari dalam berita di TV.

Akan tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ia salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat. Berita-berita itu juga relevan dengan keadaan masyarakat semasa. Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ beritahu yang Dia bersifat Maha Pengampun dan Dia Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Apabila Allah ﷻ gunakan kalimah نَبِّئ, ia bermakna maklumat ini penting dan berita besar. Memang kita sebagai manusia dan hamba Allah ﷻ, kena kenal Allah ﷻ.

Memang ada banyak ancaman dan larangan dalam Al-Qur’an tetapi Allah ﷻ tetap pemaaf dan pengasih. Ketahuilah yang Allah ﷻ amat suka mengampuni. Maka, kalau kita ada buat salah, maka kita minta ampunlah kepada Allah ﷻ. Kalau dosa kita diampunkan, maka kita akan ada peluang untuk masuk ke dalam syurga yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kalau kita ada dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.

Pengetahuan sifat ini penting dan kerana itu Allah ﷻ letak penekanan أَنّي أَنَا di dalam ayat ini. Selepas sebut أَنّي (sesungguhnya Aku) kemudian Allah ﷻ tambah lagi kalimah أَنَا (Aku). Ini adalah penegasan. Satu lagi, apabila Allah ﷻ tambah kalimah أَنَا, ia memberi isyarat ekslusif. Iaitu tidak ada selain Allah ﷻ yang mempunyai sifat الغَفورُ الرَّحيمُ.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Kerana apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada buat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera minta maaf, bukan?

Maka jangan kita berlengah untuk minta ampun kepada Allah ﷻ. Jangan berputus harap untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ walaupun kita banyak dosa bagaikan buih di lautan. Allah ﷻ telah mengingatkan kita lagi di dalam Zumar: 53

قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


 

Hijr Ayat 50: Sifat Pengampun adalah salah satu daripada Sifat Jamal (kecantikan) Allah ﷻ. Namun begitu jangan lupa sifat Allah yang Jalal (keras). Begitulah Allah ﷻ seimbangkan pemahaman kita supaya kita jangan senang hati sangat dan jangan takut sangat. Ini seperti Allah ﷻ terus ceritakan tentang neraka selepas Allah ﷻ cerita tentang syurga.

وَأَنَّ عَذابي هُوَ العَذابُ الأَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that it is My punishment which is the painful punishment.

(MELAYU)

dan bahawa sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.

 

Dalam kita mengenali Allah ﷻ sebagai Pengasih dan Pengampun, jangan kita lupa yang Allah ﷻ juga ada sifat yang keras. Iaitu Allah ﷻ boleh sahaja azab hamba-Nya yang ingkar. Setelah diberi peringatan namun masih lagi berdegil untuk bertaubat dan memperbetulkan langkah mereka. Kepada mereka itu, akan diberikan dengan azab yang pedih.

Apabila Allah ﷻ tambah kalimah هُوَ di dalam ayat ini, ia mengandungi penekanan. Iaitu tidak ada azab yang lebih teruk daripada azab Allah ﷻ. Kerana manusia juga ada yang mengazab orang lain, bukan? Akan tetapi sekeras mana pun seksaan manusia, ia tidak akan dapat menandingi azab seksaan Allah ﷻ. Seteruk mana pun penindasan yang dilakukan oleh Israel kepada penduduk Gaza dan Palestin, teruk lagi apa yang mereka akan alami di akhirat kelak.

Ini juga Nabi ﷺ disuruh untuk sampaikan. Sampaikan kedua-dua Sifat Allah ﷻ itu. Manusia kena tahu kedua-dua jenis sifat ini. Kalau kita kenang sifat Allah ﷻ yang pengasih, maka ada raja’ (harapan) kepada Allah ﷻ. Apabila kita mengenang Sifat Allah ﷻ yang memberi azab, maka kita ada rasa khauf (takut) kepada Allah ﷻ.

Kedua-dua jenis perasaan ini kena ada supaya kita seimbang. Kerana kalau ada salah satu sahaja, kita akan ada masalah. Kalau kita ada raja’ sahaja, maka kita akan bermudah-mudah sahaja kehidupan di dunia ini. Kalau kita ada khauf sahaja, maka kita akan susah untuk hidup di dunia ini, kerana asyik rasa takut sahaja tanpa henti.


 

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DILAWAT PARA MALAIKAT

Hijr Ayat 51: Sekarang kita masuk ke dalam kisah yang baru. Rentetan keseluruhan kisah ini adalah takhwif duniawi.

Ayat ini sehingga ke ayat 84 adalah Perenggan Makro ke 4. Ia adalah Dalil dalam bentuk Tarikhi (sejarah). Ia mengandungi kisah teladan daripada sejarah. Allah ﷻ menceritakan tentang kaum-kaum yang dibinasakan seperti Kaum Nabi Lut, Penduduk Aikah dan penduduk Al-Hijr.

وَنَبِّئهُم عَن ضَيفِ إِبرٰهيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And inform them about the guests of Abraham,

(MELAYU)

Dan khabarkanlah kepada mereka tentang tamu-tamu Ibrahim.

 

Dimulakan kisah ini dengan kedatangan ‘tetamu’ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka itu sebenarnya adalah para malaikat dan bukanlah tetamu biasa. Ayat ini adalah muqaddimah kepada kisah ini. Memang kisah ini bermula dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi nanti ia akan berpindah ke kisah Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.


 

Hijr Ayat 52: Para malaikat menemui Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumahnya.

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ فَقالوا سَلٰمًا قالَ إِنّا مِنكُم وَجِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they entered upon him and said, “Peace.” [Abraham] said, “Indeed, we are fearful [i.e., apprehensive] of you.”

(MELAYU)

Ketika mereka masuk ke tempatnya, lalu mereka mengucapkan: “Salaam”. Berkata Ibrahim: “Sesungguhnya kami merasa takut kepadamu”.

 

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ

Ketika mereka masuk ke tempatnya,

Kisah ini ada juga dalam surah yang lain, tetapi sekarang diceritakan melalui perspektif lain. Para malaikat itu datang bertandang ke rumah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menemui baginda.

 

فَقالوا سَلٰمًا

lalu mereka mengucapkan: “Salaam”.

Apabila mereka sampai, mereka telah memberi salam. Namun Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu yang mereka adalah malaikat. Ini adalah kerana para Nabi tidak tahu perkara ghaib (melainkan diberitahu oleh Allah ﷻ). Walaupun seorang Rasul, baginda tidak tahu pun yang sedang mengunjungi baginda ini adalah para malaikat.

Jelas sekali salahlah fahaman yang kata para Nabi mengetahui ilmu ghaib. Tidak ada manusia yang tahu ilmu ghaib melainkan berita yang disampaikan kepada mereka sahaja oleh Allah ﷻ. Lebih teruk lagi adalah fahaman yang mengatakan tok guru mereka tahu perkara ghaib, sampai boleh baca hati manusia, tahu yang terjadi di tempat lain dan juga di masa hadapan. Itu adalah akidah syirik yang mesti dibuang daripada fahaman orang kita.

 

قالَ إِنّا مِنكُم وَجِلونَ

Berkata (Ibrahim): “Sesungguhnya kami merasa takut kepadamu”.

Baginda kata mereka menakutkan baginda dan isterinya. Ini kerana perawakan mereka yang lain daripada orang lain. Baginda tidak tahu apakah hajat mereka dan baginda takut mereka berniat untuk membunuh baginda. Kerana dalam surah yang lain, diceritakan bagaimana setelah baginda menghidangkan mereka dengan makanan, mereka tidak makan. Itu selalunya adalah tanda orang yang datang untuk membunuh tuan rumah (kerana adat pembunuh tidak memakan makanan daripada orang yang hendak dibunuh). Sila rujuk tafsiran ayat Hud: 70

فَلَمّا رَءا أَيدِيَهُم لا تَصِلُ إِلَيهِ نَكِرَهُم وَأَوجَسَ مِنهُم خيفَةً
Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, Ibrahim memandang aneh perbuatan mereka, dan merasa takut kepada mereka.

Kalimah وَجِلونَ daripada katadasar و ج ل yang bermaksud takut seperti yang digunakan dalam Anfal: 2 إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ. Kalimah وجل sebenarnya takut yang disimpan dalam hati. Kerana itu baginda beritahu mereka yang baginda takut sebenarnya, kerana wajah baginda tidak menampakkan ketakutan.

Maka ini adalah satu lagi dalil untuk mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan juga semua Nabi) adalah manusia. Mereka tidak tahu ilmu ghaib. Mereka tidak kenal itu adalah malaikat dan mereka juga memiliki emosi dan perasaan takut.


 

Hijr Ayat 53: Para malaikat maka menenangkan hati baginda.

قالوا لا تَوجَل إِنّا نُبَشِّرُكَ بِغُلٰمٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The angels] said, “Fear not. Indeed, we give you good tidings of a learned boy.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut, sesungguhnya kami memberi khabar gembira kepadamu dengan (kelahiran seorang) anak laki-laki (yang akan menjadi) orang yang alim”.

 

قالوا لا تَوجَل

Mereka berkata: “Janganlah kamu merasa takut,

‘Mereka’ berkata, menunjukkan lebih daripada dua orang malaikat. Mereka kata jangan takutlah kerana mereka hanya hendak menyampaikan berita baik sebenarnya. Namun berita yang hendak disampaikan itu, tidak perlu ramai pun untuk sampaikan.

 

إِنّا نُبَشِّرُكَ بِغُلٰمٍ عَليمٍ

sesungguhnya kami memberi khabar gembira kepadamu dengan (kelahiran seorang) anak laki-laki (yang akan menjadi) orang yang alim”.

Khabar gembira itu adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan dikurniakan dengan anak. Kalau digunakan kalimah غُلامٍ, ia bermaksud umur budak antara 8-13 tahun. Sifat yang disebutkan adalah budak itu nanti akan menjadi orang yang alim. Maka, ini memberi isyarat yang budak itu memang berilmu tinggi kerana umur dalam lingkungan 8-13 pun beliau sudah pandai. Anak yang dimaksudkan adalah Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Memang ibubapa amat mengharapkan anak-anak mereka itu pandai. Dalam kepandaian dan kepintaran anak, yang paling penting adalah pandai dalam ilmu agama. Kalau pandai dalam keduniaan, tetapi ilmu agama dia hampeh, memang malanglah ibubapa itu kerana tidak boleh berharap kepada anak itu. Memanglah anak dia boleh menjaga semasa ibubapa itu hidup dalam sepuluh tahun paling lama. Namun yang lebih diharapkan oleh ibubapa adalah kepandaian agama, supaya boleh menjadi saham untuk mereka di akhirat kelak.

Sebab itulah kita diajar untuk berdoa untuk mendapat zuriat yang menyejukkan mata seperti diajar di dalam Furqan: 74

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.

Itulah yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mendapat anak yang berilmu. ‘Ilmu’ yang dimaksudkan pada Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah ilmu kenabian. Ini adalah berita gembira sangat untuk Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana bukan sahaja baginda akan memperolehi anak, malah anaknya itu akan menjadi Nabi. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah salah satu contoh utama seorang ayah yang prihatin kepada keturunannya. Baginda berharap sangat kalau anak-anaknya dan keturunannya menjadi orang yang baik-baik. Maka apabila diberitahu yang anaknya itu akan menjadi Nabi, tentulah baginda terlalu gembira.

Ini adalah anak kedua bagi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda sudah mempunyai Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada masa itu. Dalam riwayat ada disebut beza umur Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah 13 tahun. Kalau ada yang kata ada seorang lagi anaknya bernama Qanthurah, iaitu dikatakan bapa bagi orang Melayu, ini tidak ada dalil yang jelas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 November 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah