Tafsir Surah Tawbah Ayat 46 – 50 (Perangai orang Munafik)

PARA PENGACAU

Tawbah Ayat 46: Ini adalah kenapa Rasulullah ﷺ tidak sepatutnya dengan mudah memberikan keizinan kepada mereka. Allah ﷻ bongkar apa yang di dalam hati mereka. Alasan yang mereka berikan tidak patut diterima.

۞ وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم فَثَبَّطَهُم وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had intended to go forth, they would have prepared for it [some] preparation. But Allah disliked their being sent, so He kept them back, and they were told, “Remain [behind] with those who remain.”¹

  • i.e., the women and children.

(MALAY)

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. Dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

 

وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu,

Alasan yang mereka beri kepada Rasulullah ﷺ itu hanyalah alasan sahaja. Ini kerana kalaulah mereka memang ada kehendak untuk keluar berjihad, nescaya mereka akan membuat persiapan awal lagi. Baik persediaan dari segi harta dan diri mereka. Tidaklah mereka berlengah-lengah sampai hujung waktu. Ini kerana Rasulullah ﷺ sudah beritahu awal-awal rancangan untuk ke Tabuk.

Mereka beri alasan kepada Nabi ﷺ setelah sudah hampir waktu hendak pergi keluar jihad. Disebabkan masa sudah suntuk, maka alasan mereka tidak dapat dipastikan sama ada benar ataupun tidak. Akan tetapi Allah ﷻ pecahkan tembelang mereka. Allah ﷻ buka rahsia dalam hati mereka.

Kalau mereka benar-benar hendak pergi berjihad, tentu mereka sudah membuat persiapan awal lagi. Akan tetapi mungkin ada perkara yang menghalang di saat akhir yang menyebabkan mereka tidak boleh pergi. Ini barulah alasan yang benar. Seumpama seorang yang telah membuat rancangan untuk ke masjid Solat Jumaat, tetapi kemudian dia kemalangan di rumah yang menghalang dia untuk bergerak. Barulah benar dan terbukti yang dia ada niat hendak beribadah. Maka Allah ﷻ akan beri pahala sama seperti dia telah pergi Solat Jumaat.

Satu lagi contoh seorang yang membuat rancangan untuk bangun Solat Subuh. Dia telah mengunci jamnya, malah telah pesan kepada temannya untuk mengejutkannya supaya boleh solat sekali. Kemudian entah bagaimana, mungkin kerana terlalu penat, sampai tidak sedar bunyi jam. Kedua-dua dirinya dan temannya itu sama-sama berdengkur. Maka ini adalah alasan yang diterima. Rasulullah ﷺ pun pernah mengalami kejadian seperti ini. Baginda dan rombongan berehat setelah kepenatan dalam perjalanan dan baginda telah pesan kepada Saidina Bilal رضي الله عنه untuk mengejutkan semua orang. Akan tetapi kemudian tidak ada seorang pun perasan waktu Subuh termasuklah Bilal رضي الله عنه.

Maka ini mengajar kita yang dalam ibadah kita pun kena membuat persediaan awal. Sebagai contoh, kalau kita mahu solat berjemaah di masjid, maka kita akan menyusun jadual waktu kita dengan rapi, masa untuk kerja, tanggungjawab kepada keluarga, waktu makan dan sebagainya. Begitulah kita akan buat persediaan awal, bukannya apabila masa sudah masuk.

 

وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم

tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka,

Kalimah انبِعاثَهُم berasal daripada katadasar ب ع ث yang bermaksud bangkit, bergerak. Oleh kerana mereka munafik, Allah ﷻ tidak suka pemergian mereka ikut berjihad. Mereka tidak pergi pun memang bagus kerana kalau mereka pergi, mereka akan buat kekacauan sahaja. Mereka akan mengotori iman para pejuang yang lain. Mereka akan melemahkan semangat orang mukmin yang ada.

Nanti akan disebut apakah yang golongan munafik lakukan (kerana ada juga golongan munafik yang pergi ikut sekali ke Tabuk).

 

فَثَبَّطَهُم

maka Allah melemahkan keinginan mereka.

Kalimah فَثَبَّطَهُم berasal daripada katadasar ث ب ط dan ia digunakan dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud tahan, halang. Maksudnya Allah ﷻ melemahkan semangat mereka untuk ikut serta dalam rombongan jihad. Allah ﷻ menahan mereka daripada pergi.

Memang mereka sendiri tidak mahu pergi dengan memberikan berbagai-bagai alasan. Akan tetapi sebenarnya Allah ﷻ pun tidak mahu mereka pergi. Mereka menjadi terhegeh-hegeh untuk membuat persediaan. Hendak tidak hendak sahaja buat persediaan.

Maka ini memberi sebuah lagi pengajaran yang menakutkan kepada kita iaitu jikalau Allah ﷻ tidak suka kepada kita, Allah ﷻ akan menghalang kita daripada melakukan ibadah. Kalau Allah ﷻ tidak suka dengar suara kita baca Al-Qur’an, akan ada sahaja halangan untuk kita membaca. Kalau Allah ﷻ tidak suka kita, solat sunat selepas solat fardhu pun kita tidak dapat buat! Ada sahaja perkara yang menyibukkan kita dengan perkara keduniaan yang remeh temeh. Atau, kalau ada beribadah pun, ibadah-ibadah yang bid’ah (yang tidak ada nilai). Nauzubillah min zalik, semoga kita tidak termasuk golongan ini.

Yang kita berharap adalah semoga Allah ﷻ memberikan kita minat kepada agama, senang untuk belajar, ringan untuk beribadah, benci kepada dosa seperti yang Allah ﷻ telah berikan kepada para sahabat dan disebut dalam Hujurat:7

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ
tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan.

Maka kalau kita suka dan ringan untuk beribadah seperti solat sunat, baca Al-Qur’an, hafal Al-Qur’an dan sebagainya, maka itu adalah nikmat yang amat-amat besar kerana bukan semua orang dapat buat perkara itu. Maknanya Allah ﷻ suka hendak menerima ibadah kita. Kerana itu antara doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ adalah doa Nabi Daud عليه السلام seperti di bawah:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ
“Ya Allah, aku mohon pada-Mu cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, amalan yang mengantarkanku menggapai cinta-Mu.Ya Allah, jadikan kecintaanku kepada-Mu lebih aku cintai daripada cintaku pada diriku sendiri, keluargaku, dan air dingin.”
Jami’ Tirmidzi (3490)
Status: Hasan

وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

Lalu Allah ﷻ mengarahkan mereka untuk tidak ikut serta. Namun arahan ini dengan cara taqwini, bukan dengan syarak. Atau, dengan secara takdir, iaitu Allah ﷻ takdirkan mereka tidak ikut serta. Bukannya Allah ﷻ beri keizinan mereka untuk tidak pergi atau bercakap terus dengan mereka.

Maknanya tidaklah mereka diberi arahan daripada Nabi ﷺ yang mereka tidak perlu berjihad. Kerana arahan jihad tetap keluar untuk mereka. Akan tetapi Allah ﷻ campakkan dalam hati mereka, tidak ada keinginan untuk pergi jihad. Allah ﷻ jadikan mereka duduk bersama dengan orang-orang yang duduk tidak berperang (mereka yang lemah kerana ada keuzuran atau kanak-kanak dan para wanita).

Memang ada yang tidak diwajibkan jihad seperti kaum wanita, kanak-kanak dan orang yang uzur. Sedangkan puak munafik itu sihat sahaja. Namun Allah ﷻ jadikan mereka duduk dengan golongan yang dibenarkan untuk tidak serta. Maka ini sepatutnya memalukan mereka, kerana zaman dahulu kalau tidak pergi berperang, maknanya pengecut dan duduk pula bersama dengan golongan yang lemah. Maka ayat ini sebenarnya memperlekehkan mereka kerana dikatakan mereka hanya setaraf budak dan kaum wanita sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak khitab terus dengan mereka kerana Allah ﷻ marah. Allah ﷻ tidak mahu bercakap terus dengan mereka tetapi disebut dalam pihak ketiga sahaja.


 

Tawbah Ayat 47: Allah ﷻ menjelaskan kenapa Dia tidak suka puak munafik itu ikut serta dalam jihad. Ini adalah hikmah tidak adanya golongan munafik dalam tentera Muslim. Ramai yang tidak pergi walaupun ada juga yang terlepas dan ikut serta pergi berjihad.

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had they gone forth with you, they would not have increased you except in confusion, and they would have been active among you, seeking [to cause] you fitnah [i.e., chaos and dissension]. And among you are avid listeners to them. And Allah is Knowing of the wrongdoers.

(MALAY)

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

 

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka,

Sekiranya orang-orang munafik itu pergi juga bersama tentera Islam, mereka tidak menambahkan manfaat kecuali kerosakan sahaja. Sebab mereka bukan jiwa yang beriman. Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah فيكُم (di dalam kamu) dan bukan مَعَكُم kerana mereka tidak pernah beriman lagi. Mereka bukan bersama (مع) dengan golongan mukmin. Lihatlah Allah ﷻ menggunakan kalimah yang tepat di dalam Al-Qur’an dan kita boleh mengetahui maksud tambahan kalau kita tadabbur (melihat dengan lebih mendalam) penggunaan ayatnya.

Lafaz خَبالًا bermaksud anggota badan yang tidak sihat, ada sakit. Maknanya, mereka itu bukan menambahkan kekuatan, tetapi melemahkan umat Islam adalah. Mereka akan mengadu domba, menyebarkan fitnah dan permusuhan dalam kalangan umat Islam yang pergi jihad itu.

Maka memang molek bila mereka tidak menyertai pasukan Muslim kerana mereka akan membuat onar. Mereka akan mengomel dan mengutuk macam-macam hal, contohnya. Ini akan melemahkan semangat para pejuang yang lain. Mereka tidak membantu pun tetapi mereka akan hanya mahu menyelamatkan diri mereka sahaja. Jika nampak seolah-olah pasukan Muslim akan kalah, mereka dulu yang lari ke belakang nanti.

 

وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ

dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu;

Mereka akan memecut laju di celah-celah orang beriman. Kenapa? Mereka akan pergi ke sana ke sini, bercakap-cakap dengan puak Muslim yang lain supaya wujud fitnah dalam kalangan pasukan. Contohnya mereka mengadu kenapalah perjalanan ini jauh, kenapa keluar perang ketika berjihad, bolehkah melawan tentera Rom yang kuat itu, dan sebagainya. Ini bahaya kerana boleh melemahkan semangat pejuang Muslim yang lain.

Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan itu adalah kerosakan dan kekacauan dalam agama. Tujuan mereka adalah hendak merosakkan akidah. Lafaz أَوضَعوا berasal daripada katadasar و ض ع yang bermaksud ‘letak ke bawah’. Digunakan dalam ayat ini untuk menjelaskan bagaimana mereka menunggang kuda mereka dengan laju, di mana mereka akan menekan leher kuda itu ke bawah. Mereka buat begitu supaya kuda itu lari dengan laju. Maka ini adalah isyarat pergerakan mereka yang cepat di tengah-tengah para pejuang Muslim.

Ini adalah kerana rombongan perang itu tentu bergerak perlahan kerana ramai orang. Mereka yang munafik itu pula menaiki kuda. Maka mereka dapat bergerak dengan laju. Mereka akan pergi dari satu kumpulan ke satu kumpulan lain untuk menyebarkan fitnah mereka. Mereka akan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok. Antaranya mereka akan merendahkan Nabi ﷺ, kutuk apa yang sedang berlaku dan sebagainya.

Contohnya, mereka mungkin berkata: “Ish, kenapalah kita kena pergi berjihad ini… kalau duduk-duduk di Madinah sahaja, bukankah senang?”. Kemudian mereka pecut ke kawasan lain pula dan bersembang dengan orang lain pula mengatakan perkara yang sama. Kata-kata sebegini boleh merendahkan motivasi mereka yang ikhlas mahu berjihad. Maka sebenarnya golongan munafik itu buat kerja syaitan bagi pihak syaitan.

 

وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم

sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. 

Dalam kalangan Muslim ada yang suka mendengar kata-kata mereka itu. Iaitu golongan Muslim yang mudah ditipu dan terpesona dengan kata-kata manusia. Mereka pun dengarlah sahaja kerana yang datang kepada mereka pun berperawakan orang Islam juga, maka mereka sangka orang itu adalah dalam kalangan mereka juga, sedangkan mereka itu adalah munafik.

Ada lagi maksud lain, iaitu dalam kalangan munafik itu ada ‘pendengar’. Mereka yang mencuri dengar apakah yang dilakukan oleh pihak mukmin. Mereka masuk dalam kumpulan mukmin dan pasang mata, pasang telinga dan dengar apa yang dirancang oleh pihak mukmin.

Kemudian mereka akan sampaikan kepada sekutu mereka dalam kalangan munafik yang tegar. Kerana ada yang munafik tegar, langsung tidak mahu pergi jihad atau bercampur dengan mukmin yang lain. Mereka dapat maklumat daripada munafik lembut yang boleh lagi bercampur dengan pihak mukmin.

Begitu jugalah, zaman sekarang pun tentu ada orang-orang yang sebegini. Pihak yang ikhlas hendak berjuang, menegakkan sunnah ada, tetapi ada juga yang hanya datang untuk mencuri-curi dengar dan sampaikan maklumat kepada mereka yang anti-sunnah. Mereka masuk dalam kumpulan-kumpulan whatsapp pihak sunnah dan “shortcreen” kemudian sampaikan kepada teman mereka dalam kalangan anti-sunnah.

Oleh itu, maksud potongan ayat ini ada dua:

    1. Ada dalam kalangan mukmin yang mendengar dan memikirkan apa yang dikatakan oleh pihak munafik itu. Itu pun sudah tidak bagus; sepatutnya jangan dilayan mereka itu.
    2. Dalam kalangan Muslim, ada pihak yang menjadi mata-mata untuk sampaikan maklumat kepada musuh.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

Allah ﷻ mengetahui hati-hati mereka. Maka ada yang Allah ﷻ takdirkan untuk tidak sertai langsung rombongan jihad itu. Golongan mukmin tidak kenal mereka maka sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang mereka dan apakah sifat-sifat mereka.


 

Tawbah Ayat 48: Masih lagi Allah ﷻ membuka rahsia dalam hati golongan munafik.

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ وَهُم كٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They had already desired dissension before and had upset matters for you¹ until the truth came and the ordinance [i.e., victory] of Allah appeared, while they were averse.

  • Or “turned matters related to you over [in their minds, considering how to cause you failure].”

(MALAY)

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk (merosakkan)mu, hingga datanglah kebenaran (pertolongan Allah) dan menanglah agama Allah, padahal mereka tidak menyukainya.

 

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah

Allah ﷻ beritahu tentang sifat orang-orang munafik itu lagi: sebelum Perang Tabuk ini pun mereka telah cuba menabur fitnah, menimbulkan kekacauan dalam fikiran umat Islam. Mereka telah membuat banyak kerosakan dalam Madinah, antaranya mereka menuduh Aisyah رضي الله عنها telah berzina dengan lelaki lain.

Ini kita dapat tahu daripada kisah yang telah Allah ﷻ ceritakan dalam Surah Nur dan daripada pembelajaran hadith. Mereka juga telah membuat tohmahan lain-lain juga untuk melemahkan umat Islam. Mereka buat tuduhan-tuduhan seperti itu supaya menyusahkan Rasulullah ﷺ dan menimbulkan salah sangka dalam kalangan umat Islam.

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah tindakan mereka di dalam Perang Uhud. Apabila perang hendak berlaku, Rasulullah ﷺ telah bertanyakan pandangan umat Islam. Golongan munafik mencadangkan supaya perang dilakukan di Madinah sahaja (kerana senang mereka mahu lari perang terus masuk rumah). Akan tetapi Rasulullah ﷺ telah menerima pandangan orang-orang muda yang hendak berperang luar Madinah.

Oleh kerana tidak berpuas hati, golongan munafik telah meninggalkan medan perang. Asalnya tentera Muslim seramai seribu orang tetapi 300 daripada mereka meninggalkan perang diketuai oleh Abdullah bin Ubay. Maknanya 1/3 daripada kekuatan tentera Muslim telah hilang begitu sahaja! Ia telah menyebabkan Muslim lain pun mula goyang, malah ada yang hampir hendak ikut meninggalkan medan perang seperti disebut dalam Ali Imran:122

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

 

وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ

dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk menyusahkanmu,

Mreka telah mengatur berbagai-bagai helah untuk menymemusahkan Nabi ﷺ dan merosakkan keadaan umat Islam. Mereka tidak suka Nabi ﷺ dan mereka buat pelbagai rancangan untuk menyusahkan baginda. Sampaikan kalimah yang digunakan adalah قلبوا daripada katadasar ق ل ب yang bermaksud berbolak balik, tunggang terbalik, dan selalu digunakan untuk hati/jantung kerana hati/jantung itu berbolak balik.

Mereka membolak balikkan kebenaran. Yang benar menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik. Contohnya mereka kata sebab keluar berperang luar Madinahlah yang menyebabkan umat Islam kalah.

Mereka ini musuh dalam selimut sebenarnya. Sampaikan mereka pernah buat perancangan untuk menghalau keluar golongan mukmin dari Madinah. Mereka telah bergabung dengan Yahudi untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka beri maklumat kepada musuh, dan sebagainya.

 

حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ

hingga datanglah kebenaran

Mereka cuba membuat onar, sampailah Allah ﷻ datangkan kebenaran – janji Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membersihkan nama Aisyah رضي الله عنها daripada tohmahan mereka itu. Allah ﷻ juga telah memberikan kemenangan kepada umat Islam walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh golongan munafik itu. Allah ﷻ tetap membantu umat Islam yang mukmin, yang benar-benar beriman.

 

وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ

dan menanglah agama Allah,

Sehingga zahirlah kehendak Allah ﷻ untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Allah ﷻ buat seperti mana yang Allah ﷻ kehendaki dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang. Segala usaha golongan munafik atau musuh itu tidak berjaya. Islam tetap juga berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam. Maka kita jangan takut sangat usaha untuk menjatuhkan Islam kerana Allah ﷻ tetap memberikan kemenangan kepada Islam, agama-Nya.

Di awal Islam di Madinah lagi, Allah ﷻ telah memberikan kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr seperti Allah ﷻ sebut dalam Ali Imran:123.

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah

Ini telah menyebabkan puak-puak munafik mula nampak bahawa Islam ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijatuhkan. Akan tetapi mereka tetap juga berusaha dan Allah ﷻ sekarang suruh kita berhati-hati dengan mereka.

 

وَهُم كٰرِهونَ

padahal mereka tidak menyukainya.

Allah ﷻ menzahirkan kemenangan Islam, walaupun golongan munafik itu tentu tidak suka. Kemenangan demi kemenangan diberikan kepada umat Islam, dan agama Islam telah tersebar luas ke daerah-daerah dan kawasan-kawasan lain.

Tentunya mereka tidak suka begitu. Mereka tidak suka rancangan mereka tidak berjaya, tetapi Allah ﷻ tidak peduli dengan rancangan mereka.


 

ALASAN PALSU (2) GODAAN

Tawbah Ayat 49: Ini adalah ayat zajrun. Allah ﷻ menceritakan salah satu daripada alasan yang mereka berikan kenapa tidak menyertai Perang Tabuk (dan mana-mana jihad pun). Ada dalam kalangan munafik itu yang berani meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak menyertai peperangan dengan alasan yang bodoh. Dalam riwayat ada disebutkan yang namanya adalah Ibn Qais.

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي ۚ أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them is he who says, “Permit me [to remain at home] and do not put me to trial.” Unquestionably, into trial they have fallen.¹ And indeed, Hell will encompass the disbelievers.

  • By avoiding their obligation, they fell into destruction.

(MALAY)

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”. Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

 

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”.

Ini adalah kisah seorang munafik yang bernama Jadd ibnu Qais. Dia telah meminta izin kepada Nabi ﷺ dan minta Nabi ﷺ jangan masukkan dia dalam fitnah (ujian). Dia kata begitu kerana dia dengar yang wanita-wanita kafir itu cantik-cantik belaka dan kononnya dia takut dia rosak akidah kerana tertarik dengan wanita-wanita itu nanti dan dia pun masih muda. Dia kata dia tidak boleh tahan dengan wanita cantik. Itulah sebabnya dia minta dibenarkan tidak menyertai ekspedisi ke Tabuk itu. Lalu Nabi ﷺ telah beri izin kepadanya. Ibn Kathir رحمه الله meriwayatkan kisah ini di dalam tafsirnya:

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan daripada Az-Zuhri, Yazid ibnu Rauman, Abdullah ibnu Abu Bakar. Asim ibnu Qatadah dan lain-lainnya. Mereka mengatakan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah ﷺ sedang bersiap-siap untuk berangkat berjihad, baginda bersabda kepada Jadd ibnu Qais, saudara lelaki Bani Salamah,
هل لك يا جد العام في جلاد بني الأصفر؟) فقال: يا رسول اللّه أو تأذن لي ولا تفتني، فواللّه لقد عرف قومي ما رجل أشد عجباً بالنساء مني، وإني أخشى إن رأيت نساء بني الأصفر أن لا أصبر عنهن، فأعرض عنه رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم وقال: (قد أذنت لك)، ففي الجد بن قيس نزلت هذه
“Hai Jadd, mengapa tahun ini kamu tidak berangkat untuk memerangi Banil Asfar (orang-orang Romawi)?” Jadd menjawab, “Wahai Rasulullah, berilah saya izin untuk tidak berangkat, dan janganlah engkau jerumuskan diriku ke dalam fitnah. Demi Allah, sesungguhnya semua kaumku telah mengetahui bahawa tidak ada seorang lelaki pun yang lebih suka kepada wanita selain diriku. Dan sesungguhnya aku merasa khuatir bila melihat kaum wanita Banil Asfar, maka aku tidak dapat mengekang diriku lagi daripada mereka.” Maka Rasulullah ﷺ berpaling daripadanya dan bersabda, “Aku memberi izin kepadamu untuk tidak berangkat.” Sehubungan dengan peristiwa Al-Jadd ibnu Qais inilah diturunkan ayat ini.
[Ibnu Ishaq meriwayatkan secara muallaq, Ibnu Hisyâm, 4/216- 217; at-Thabari, at-tafsîr, 14/287-288]

Ini memang alasan yang bongok sekali. Ia seumpama kalau ada orang kata dia tidak mahu pergi solat berjemaah di masjid kerana takut menjadi riak! Atau ada yang kata dia tidak pergi kelas pengajian kerana nanti kena tanya, atau nanti jadi pandai sangat, susah! Itu semua alasan mengarut sahaja. Yang sebenarnya mereka tidak mahu pergi.

 

أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا

Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah.

Allah ﷻ beritahu sebenarnya mereka telah jatuh dalam fitnah pun kerana derhaka kepada suruhan Nabi ﷺ kepada jihad. Fitnah mereka adalah kerana kerugian besar kerana tidak ikut serta dengan Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin untuk berperang. Memang mereka telah lama jatuh dalam fitnah, bukan akan jatuh. Ini adalah kerana iman mereka yang lemah.

 

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

Allah ﷻ beritahu yang di akhirat nanti mereka akan masuk Neraka Jahanam. Neraka itu akan mengepung mereka, mereka tidak boleh lari dan tidak boleh pergi ke mana-mana lagi.

Lihatlah dalam ayat ini, Allah ﷻ panggil mereka ‘kafir’. Sebelum ini, mereka masih lagi termasuk dalam golongan Muslim kerana tidak jelas kekafiran mereka. Oleh itu selepas ayat ini, hanya ada orang mukmin dan orang kafir. Sama ada kamu mukmin atau kamu kafir, itu sahaja dan tidak ada pertengahan. Ayat ini telah membuka apa yang ada dalam hati mereka – kufur kepada Allah ﷻ dan agama. Jelas di sini bahawa golongan munafik itu sebenarnya kafir.


 

MEREKA YANG TINGGAL DI BELAKANG

Tawbah Ayat 50: Ayat Syikayah.

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم ۖ وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If good befalls you, it distresses them; but if disaster strikes you, they say, “We took our matter [in hand] before,”¹ and turn away while they are rejoicing.

  • The hypocrites claim to have protected themselves by remaining behind.

(MALAY)

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami (tidak pergi perang)” dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

 

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; 

Begitu teruknya golongan munafik itu, sekiranya kebaikan yang diperolehi oleh orang mukmin, mereka pula yang susah hati, tidak senang duduk. Mereka tidak suka Islam berjaya seperti menang dalam perang, ramai masuk Islam dan sebagainya, itu semua menyesakkan hati mereka. Mereka benci kepada Islam sampaikan kalau Islam berkembang, telah menyebabkan hati mereka resah dan sesak.

Bencinya mereka kepada orang mukmin dan Islam, sampaikan apabila Muslim pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pertama kali, mereka sudah gembira. Ini kerana mereka sangka tentunya umat Islam itu akan dibunuh semuanya oleh puak Mekah kerana orang Islam datang tanpa membawa senjata berat. Namun apabila umat Islam pulang dalam keadaan selamat, mereka marah sungguh.

 

وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ

dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”

Jikalau puak mukmin mendapat musibah, mereka gembira. Sebagai contoh, jika mukmin kalah perang, mereka akan suka. Mereka kata: “sesungguhnya kami dahulu sudah ambil keputusan untuk berjaga-jaga dalam urusan kami dengan tidak menyertai jihad. Kerana kalau kami pergi, kami pun akan mati juga. Nasib baiklah kami tidak pergi….”

Oleh itu, mereka bangga kerana tidak terkena musibah. Ini semua adalah dalam fahaman mereka yang sesat kerana tidak percaya kepada janji Allah ﷻ.

 

وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

Selepas bercakap begitu, mereka berpaling. Mereka berpaling dengan berasa gembira sangat kerana musibah telah menimpa umat Islam. Mereka berpaling dengan perasaan puas hati. Mereka gembira namun mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka ke lembah kehinaan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 42 – 45 (Orang munafik tidak sertai jihad)

ALASAN PALSU (1) TIDAK MAMPU

Tawbah Ayat 42: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 4 surah ini. Dalam perenggan ini, perkara utama yang Allah ﷻ tekankan adalah perang kepada orang kafir dan kepada orang munafik. Maka sekarang masuk kisah orang munafik pula. Mereka pun perlu diperangi juga tetapi dengan cara yang benar. Nanti akan disebutkan dengan jelas. Perenggan ini panjang dan berterusan sehingga ke ayat 127. Mulanya diceritakan yang mereka itu berat untuk menyertai jihad.

Dalam Perang Tabuk itu, orang mukmin semua pergi keluar jihad kecuali lapan orang. Selain daripada itu semua mukmin pergi berperang kecuali mereka yang dibenarkan untuk bertahan di Madinah. Daripada 8 orang itu, 5 orang daripada kumpulan Lubabah dan 3 lagi daripada kumpulan Ka’ab bin Malik. Mereka itu mukmin tetapi ada masalah pada mereka, kerana itu mereka tidak pergi. Kisah mereka ini nanti akan disebut di hadapan nanti.

Selain itu, ada ramai lagi golongan munafik yang tidak pergi berperang. Mereka itu tidak dikira mukmin dan mereka itu lebih ramai yang tidak pergi. Kumpulan Munafik itu pula terbahagi kepada 4 golongan. Dua kumpulan yang pertama adalah:

I. Ada yang minta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak berjihad
II. Ada yang tidak minta izin pun dan apabila Nabi ﷺ pulang, barulah mereka beri alasan.

Selain daripada dua jenis ini, ada dua kumpulan pula yang pergi juga berjihad. Di dalam ayat ini disebut tentang mereka yang tidak pergi. Allah ﷻ beri teguran kepada mereka dalam ayat ini. Maka ayat ini adalah jenis Ayat Zajrun. Munafik itu tidak pergi berperang kerana munafik itu pilih keuntungan dunia. Mereka itu memang tidak ada iman langsung atau mereka lemah iman.

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا وَسَفَرًا قاصِدًا لَّاتَّبَعوكَ وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم يُهلِكونَ أَنفُسَهُم وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had it been a near [i.e., easy] gain and a moderate trip, they [i.e., the hypocrites] would have followed you, but distant to them was the journey. And they will swear by Allāh,¹ “If we were able, we would have gone forth with you,” destroying themselves [through false oaths], and Allāh knows that indeed they are liars.

  • When you return from the Tabūk expedition.

(MALAY)

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

 

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh

Menurut Ibnu Abbas رضي الله عنهما, yang dimaksudkan dengan ‘aradan qariban’ ialah ghanimah (rampasan perang) yang dekat (mudah diperoleh).

Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang dalam hati orang-orang Munafik itu: sekiranya apa yang dijanjikan itu mudah dapat, mereka akan ikut serta kerana mereka tahu mereka akan untung kerana yang mereka hendak dapat berperang itu adalah harta rampasan perang. Akan tetapi mereka tidak mahu bersusah payah. Mereka tidak mahu berkorban untuk agama. Mereka hanya hendakkan benda yang senang sahaja, yang mudah dicapai.

Maka kena tanya diri kita: Adakah kita pun seperti itu juga? Adakah kita juga berkira-kira untuk berkorban dalam hal agama? Adakah kita hanya mahukan keuntungan yang mudah? Kalau ada untung baru kita hendak beribadah atau hendak berdakwah?

 

وَسَفَرًا قاصِدًا

dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,

Untuk mendapatkannya perjalanan pun dekat, tidak susah sangat, maka mereka pun akan pergi juga. Seperti yang telah disebut sebelum ini, kedudukan Tabuk itu adalah jauh dan musim itu sedang panas pula. Kena berjalan pula kerana kalau ada unta pun kena berkongsi seramai sepuluh orang. Maka tentunya golongan munafik itu tidak ada selera hendak pergi.

 

لَّاتَّبَعوكَ

pastilah mereka mengikutimu,

Jika senang dapat dan perjalanan tidak jauh, Allah ﷻ kata nescaya puak munafikin itu akan ikut serta orang-orang mukmin menyertai Perang Tabuk itu. Memang ada perang jihad yang mereka sertai kerana mereka rasa perang tidak susah dan kalau pergi, boleh dapat harta ghanimah nanti. Akan tetapi kali ini Allah ﷻ uji dengan satu perang yang amat payah.

Maka kita dapat tahu yang mereka hendakkan harta rampasan perang sahaja sebenarnya. Mereka bukannya hendak menegakkan agama Allah ﷻ di bumi ini. Itulah yang dimaksudkan dengan عَرَضًا iaitu pulangan yang boleh dilihat dengan mata. Sedangkan pahala dan balasan syurga mereka tidak nampak, bukan?

Maka kita dapat tahu dari sini yang golongan munafik ini sanggup buat ibadah yang mudah-mudah sahaja. Itu pun kerana untuk ditunjukkan kepada orang lain seperti disebut di dalam ayat yang lain. Maka kalau kita pun begitu juga, malas hendak beribadah, maka kita pun ada ciri-ciri munafik sebenarnya dan ini kita amat takut. Adakah kita solat setakat yang fardhu sahaja? Adakah kita sebagai lelaki hanya solat sendirian sahaja? Adakah kita buat ibadah ‘cukup-cukup makan’ sahaja? Asal ada nampak sebagai Muslim sahaja?

 

وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ

akan tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.

Akan tetapi Tabuk itu nampak jauh bagi mereka, maka mereka tidak mahu pergi. Yang dimaksudkan dengan syuqqah ialah jauh dan dalam kes Perang Tabuk, mereka kena menuju ke negeri Syam. Mereka terasa payah kalau mereka menyertainya.

Kerana itulah nama lain bagi perang ini juga ialah perang Al-Fadhihah yang bermaksud “mengungkap hakikat kaum munafik.” Hal ini adalah kerana peperangan ini menyerlahkan perangai sebenar puak munafik, cara permusuhan mereka, dan mengungkap permusuhan mereka kepada kaum Muslimin. Allah ﷻ hendak tunjukkan mana mukmin dan mana yang munafik kerana yang munafik akan berat untuk pergi jihad.

Maka puak munafik ramai yang tidak pergi dan ada antara mereka yang tidak pergi berjumpa Nabi ﷺ pun untuk meminta keizinan pelepasan. Sepatutnya, kerana ini adalah nafrul am (arahan wajib), maka semua kena pergi dan kalau tidak boleh pergi, kena beritahu kepada Nabi ﷺ menjelaskan kenapa tidak boleh pergi.

Mereka tidak berjumpa Nabi ﷺ meminta izin untuk tidak menyertai perang dan apabila Nabi ﷺ pulang daripada peperangan, baru mereka menemui Nabi ﷺ untuk memberi alasan. Ternyata ini adalah munafik yang jenis paling teruk.

 

 

وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم

Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”.

Allah ﷻ beritahu, pasti mereka akan datang kepada Nabi ﷺ dan bersumpah dengan nama Allah ﷻ: “Kalau kami mampu, tentu kami pergi juga; akan tetapi kami tidak mampu”. Maka mereka telah datang bertemu Nabi Muhammad ﷺ dengan pelbagai alasan.

Sampai ada yang kata, oleh kerana Nabi ﷺ ajak pergi berperang dengan ‘orang putih’, dan orang-orang perempuan mereka cantik bermata biru, mereka kata mereka takut nanti kalau mereka nampak, mereka akan terpikat dan rosak diri mereka pula nanti. Mereka kata nafsu mereka lemah dan elok mereka duduk di Madinah sahaja. Ini memang alasan kelas murahan betul.

Golongan munafik menggunakan senjata sumpah untuk menguatkan hujah mereka. Mereka terpaksa menggunakannya kerana kata-kata mereka itu lemah, maka kena kuatkan dengan sumpah. Mereka sendiri sedar yang kalau mereka cakap kosong sahaja, mereka pun tahu yang orang lain tidak akan percaya. Maka kalau suka bersumpah, itu adalah perangai orang munafik sebenarnya dan ini disebut dalam Munafiqoon:2

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai

 

يُهلِكونَ أَنفُسَهُم

Mereka membinasakan diri mereka sendiri 

Allah ﷻ beritahu bohongan mereka itulah yang membinasakan diri mereka sendiri. Tambahan pula mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ dan ini amat berat kerana mempermainkan nama Allah ﷻ.

Mereka beri alasan sahaja dan Allah ﷻ tahu yang ia tidak benar kerana Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kita memang tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu. Maka dari sini kita tahu yang alasan mereka tidak diterima oleh Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada mereka untuk mereka gunakan tetapi mereka tidak menggunakannya.

Allah ﷻ kata mereka binasa kerana sudahlah tidak pergi berjihad, main sumpah pula dalam memberi alasan yang lemah. Ternyata dari sini kita tahu yang bukan jihad yang membinasakan manusia, tetapi binasa itu kerana tidak pergi berjihad. Yang munafik mungkin berasa selamat kerana tidak mati di medan perang, tetapi sebenarnya mereka telah binasa, mereka sahaja yang tidak tahu.

Bagaimana dengan kita? Mari lihat satu senario. A pergi ke kelas pengajian, tetapi B tidak pergi kelas pengajian walaupun diajak oleh A. Dalam perjalanan ke kelas, A kemalangan dan mati. Apa agaknya kata B nanti? Adakah dia akan kata, “Selamat aku sebab tak ikut si A tu pergi kelas, kalau tak dengan aku sekali mati!” Kalau inilah kata-katanya maka dialah yang tersilap kerana A walaupun telah mati kemalangan, tetapi mati dalam perjalanan menuntut ilmu bermakna syahidlah balasan untuknya. Sedangkan B tidak mendapat apa-apa pun melainkan kebodohan yang berpanjangan.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Allah ﷻ tahu yang mereka memang berbohong dan Allah ﷻ beritahu Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Baginda itu manusia sahaja dan tidak dapat membaca niat dan bisikan hati manusia. Hanya apabila Allah ﷻ sendiri yang beritahu, barulah baginda tahu.

Habis Ruku’ 6 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Tawbah Ayat 43: Ayat Zajrun (teguran) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kenapa pula Allah ﷻ tegur baginda? Kita kena faham keadaan waktu itu. Semasa Perang Tabuk, jihad telah diwajibkan kepada semua yang mampu pergi. Apabila telah diwajibkan, maka kalau ada yang tidak dapat pergi, mereka mestimeminta izin daripada Nabi ﷺ untuk tidak pergi.

Inilah disiplin yang diajar dalam hal ini. Kita dalam kerja pun kena ada disiplin, bukan? Kita kena ikut cara dan protokol tempat kerja kita – kalau tidak dapat hadir untuk bekerja, kenalah laporkan kepada majikan atau kepada HR. Takkan buat tidak tahu sahaja dan ambil cuti sendiri, bukan? Ini penting, kerana kalau tidak ada protokol, maka akan kacau bilau sesebuah organisasi itu.

Masalah besar bagi mukmin di Madinah adalah golongan munafik. Mereka itu adalah ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’. Mereka bercampur gaul dengan puak mukmin dan berlagak sebagai orang yang beriman, tetapi sebenarnya tidak. Hati mereka sebenarnya benci kepada Islam.

Mereka itu tidak boleh dipercayai kerana mereka mungkin boleh pecahkan rahsia umat Islam. Tambahan pula waktu itu adalah zaman peperangan bergolak di antara Muslim dengan puak kafir dan puak Ahli Kitab. Akan tetapi golongan mukmin tidak kenal siapakah golongan munafik kerana sifat munafik itu adalah perkara dalam hati dan kita tidak dapat membaca hati orang, bukan? Kalau ada tanda di dahi siapa yang munafik, mudahlah hendak berhati-hati dengan orang yang sebegitu. Namun memang tidak ada tanda yang jelas.

Oleh itu, Perang Tabuk ini adalah satu peluang untuk puak mukmin tahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka. Kalau ada yang tidak pergi berperang, maka tahulah yang mereka itu munafik dan kena berhati-hati dengan mereka ini. Ini adalah peluang kerana berlainan daripada peperangan sebelum itu.

Peperangan sebelum itu adalah fardhu Kifayah sahaja dan tidak wajib, maka kalau puak munafik tidak pergi, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang tidak wajib pun. Mereka yang tidak mahu pergi pun tidak perlu meminta izin. Namun Perang Tabuk ini Allah ﷻ telah menjadikan sebagai peluang untuk membongkar hati puak munafik itu.

Akan tetapi, apabila diwajibkan berjihad ke Tabuk, ada dalam kalangan golongan munafik yang meminta izin daripada Nabi ﷺ, dan disebabkan sifat baginda yang berhati lembut, maka dengan mudah saja baginda telah memberi izin kepada mereka untuk tidak menyertai Perang Tabuk itu. Maka hilanglah peluang untuk mengetahui siapa yang munafik. Ini kerana jika ditanya kenapa mereka tidak pergi, mereka boleh jawab: “Kami sudah minta izin daripada Rasulullah ﷺ dan baginda benarkan kami tidak sertai perang ini”.

Maka, kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ ditegur oleh Allah ﷻ dalam ayat ini.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

May Allāh pardon you, [O Muḥammad]; why did you give them permission [to remain behind]? [You should not have] until it was evident to you who were truthful and you knew [who were] the liars.

(MALAY)

Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

 

عَفَا اللَّهُ عَنكَ

Semoga Allah memaafkanmu. 

Ayat ini dimulakan terus dengan menyatakan yang Allah ﷻ memaafkan Nabi Muhammad ﷺ. Memang Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ tetapi ayat ini dimulakan dengan pemaafan. Maknanya ada kesalahan yang telah dilakukan boleh baginda sebenarnya. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ beri kemaafan sedangkan seorang Nabi itu adalah maksum dan tidak ada dosa? Kita kena faham yang bukanlah Nabi ﷺ tidak melakukan kesalahan, tetapi kesalahan itu tidaklah berat sampai ke tahap berdosa. Ia dipanggil khilaaful awla (berlawanan dengan cara yang terbaik).

Mungkin ada yang tidak senang hati untuk mengatakan Nabi ﷺ telah bersalah. Namun di sini Allah ﷻ sendiri yang menegur dan menyatakan yang Nabi ﷺ telah bersalah. Maka kita terima seadanya, tidak berlebih-lebih. Kita kena ingat yang Allah ﷻ sahaja yang boleh menegur baginda. Jangan kita berlebihan pula dalam hal ini menyalahkan baginda atau merendahkan kedudukan baginda.

Permulaan ayat ini agak pelik dan kalau tidak belajar tafsir tentu tidak tahu latar belakang ayat ini dan kenapa Allah ﷻ terus memaafkan baginda. Selalunya sebelum peperangan, Nabi ﷺ tidak memberitahu kepada puak Muslim, ke mana mereka akan berperang. Ini adalah sebagai taktik peperangan kerana takut musuh dalam selimut menyampaikan berita kepada orang kafir.

Sebagai contoh, kadangkala kalau baginda hendak menyerang di timur, baginda akan tanya khabar bahagian barat. Atau baginda sengaja bertanya mana tempat ada air, tempat persinggahan dan sebagainya. Itu adalah untuk mengelirukan musuh dalam selimut – supaya mereka beritahu kepada sekutu mereka daripada pihak musuh yang Nabi ﷺ hendak menyerang dari arah barat. Akan tetapi keesokkannya Nabi ﷺ telah menghantar tentera ke arah lain. Inilah hikmah Nabi ﷺ dalam strategi peperangan.

Namun begitu berlainan pula strategi baginda dalam Perang Tabuk ini. Awal-awal lagi Nabi ﷺ sudah beritahu yang mereka akan pergi ke Tabuk untuk berperang dengan tentera Rom. Itu adalah tempat paling jauh yang pasukan tentera Islam pernah pergi. Tambahan pula ketika itu adalah musim panas. Bagi penduduk Madinah, tanaman utama mereka adalah kurma dan masa itulah buah kurma akan dikutip kerana sudah masak dan ranum. Ini adalah kerana ketika musim panas, lagi manis buah itu.

Kita juga jangan lupa yang hasil tahunan mereka bergantung kepada hasil tanaman kurma. Kebiasaannya yang berlaku sebelum ini, jika ada keperluan untuk keluar berjihad, mereka akan berhutang dengan pihak Yahudi yang dipercayai bagi mendapatkan modal berjihad. Setelah pulang berperang dan mereka memperoleh hasil tuaian maka mereka dapat membayar semula hutang tadi.

Namun keadaan sekarang tidak sama. Mereka berasa dilema kerana arahan untuk keluar berjihad dikeluarkan ketika mereka baru sahaja hendak menuai hasil tanaman mereka itu. Ditambah pula dengan faktor musim panas serta jarak Tabuk yang sangat jauh. Lebih membebankan lagi apabila arahan berjihad diwajibkan ke atas mereka SEMUA dan tidak ada yang terkecuali sebagaimana perang-perang sebelum ini.

Allah ﷻ sebenarnya tidak mahu Nabi ﷺ memberi izin kepada sesiapa pun untuk tinggal, melainkan alasan uzur syar’ie. Tujuan utamanya adalah kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan siapakah yang munafik. Nanti akan terserlah bagaimana yang tidak pergi jihad itulah yang munafik. Allah ﷻ buat begini supaya orang-orang mukmin senang kenal mereka selepas itu. Begitulah cara untuk mengenal orang munafik dan selepas ini sampai bila-bila. Jikalau infak dan jihad disyariatkan dan ada yang tidak menyertainya atau menghulurkan infak, maka itulah tanda mereka itu adalah munafik.

Inilah satu kaedah pengecaman yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Ia amat penting kepada khalifah negara Islam supaya mereka dapat gunakan kaedah ini untuk tahu siapa munafik dan mereka bolehlah berjaga-jaga dengan mereka. Amat berbahaya sekali jikalau ada munafik dalam negara kerana mereka boleh menghancurkan umat Islam dari dalam.

Namun begitu masalahnya, Nabi ﷺ telah memberi izin kepada para munafik yang datang kepada baginda dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk ini. Semuanya baginda beri izin tanpa diperiksa secara mendalam. Dengan sebab izin itu, orang mukmin tidak dapat membezakan, sama ada orang yang tidak pergi perang itu adalah kerana mereka munafik atau tidak.

Oleh kerana Nabi ﷺ telah beri izin kepada mereka, Allah ﷻ tegur baginda kerana ini adalah sebuah kesilapan yang memberikan kesan yang besar. Walau bagaimanapun, Allah ﷻ telah memaafkan awal-awal lagi kesilapan Nabi ﷺ itu. Lihat kepada permulaan ayat ini, terlebih dahulu Allah ﷻ memaafkan Nabi ﷺ sebelum Allah ﷻ tegur. Ini menunjukkan sayangnya Allah ﷻ kepada baginda. Namun tegur tetap kena tegur juga kerana ia menjadi pengajaran buat kita semua.

 

لِمَ أَذِنتَ لَهُم

Mengapa kamu memberi izin kepada mereka

Sekarang barulah disebut teguran Allah ﷻ kepada baginda. Allah ﷻ mulakan dengan beri kemaafan sebelum disebut kesalahan baginda kerana kalau dimulakan dengan teguran, tentulah hati Nabi ﷺ akan pecah kerana baginda sangat terkesan dengan teguran daripada Allah ﷻ.

Begitulah sayangnya Allah ﷻ kepada baginda, Allah ﷻ mulakan dengan pemaafan dahulu. Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abu Husain ibnu Sulaiman Ar-Razi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Uyaynah, daripada Mis’ar, daripada Aun yang mengatakan, “Apakah kalian pernah mendengar suatu teguran yang lebih baik daripada ayat ini? Iaitu seruan yang menyatakan pemberian maaf sebelum penyaksian.” Allah ﷻ telah berfirman: Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang)? (At-Taubah: 43)

Apakah teguran Allah ﷻ? Allah ﷻ tanya baginda kenapa baginda cepat sangat beri izin kepada mereka, sedangkan Allah ﷻ tidak beri izin lagi? Ini pula adalah perang yang fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Sepatutnya Nabi ﷺ kena tanya balik apa masalah mereka itu sebenarnya kalau betul ada masalah. Janganlah terus terima sahaja kerana mungkin alasan mereka tidak masuk akal dan tidak patut diterima.

Tentulah suka hati golongan munafik itu sebab mendapat izin daripada baginda. Mereka pun canang keliling kampung kata mereka berjaya menipu Rasulullah ﷺ. Atau mereka kata senang sahaja dengan Rasulullah ﷺ ini, boleh dibuat main-main sahaja. Sementara itu mukmin lain tidak tahu sama ada orang yang tidak pergi jihad itu munafik atau tidak kerana mereka telah mendapat izin daripada Nabi ﷺ. Seolah-olah mereka sudah dapat ‘lesen’ untuk tidak pergi jihad. Maka kerana itulah Allah ﷻ tegur Nabi ﷺ, kenapalah baginda dengan mudah sahaja memberi izin kepada mereka?

 

حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا

sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar

Sepatutnya baginda tidak beri izin (kena tangguh dulu) sehingga nyata kepada baginda siapa orang yang benar. Kalau hendak beri izin pun, biarlah kepada yang betul-betul ada uzur. Kalau tidak, maka wajibkan juga mereka untuk berjihad kerana ini cara untuk tahu siapa yang benar beriman dan siapa yang mengaku sahaja. Iaitu, mereka yang pergi berjihad ke Tabuk itulah yang benar dalam iman mereka dan merekalah orang mukmin yang sebenar.

Yang tidak pergi, buat tidak tahu sahaja, buat senyap sahaja apabila orang lain pergi, maka ketahuilah yang hati mereka itu sebenarnya ada sifat munafik. Oleh itu, selepas itu jangan lagi beri izin kepada mereka yang datang minta izin tanpa memberikan alasan yang benar.

 

وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi ﷺ tidak beri izin sehingga nyata kepada baginda siapa yang berbohong. Iaitu berbohong dalam hal iman mereka (kata beriman tapi sebenarnya tidak). Ini dapat diagak dari alasan yang mereka berikan.


 

PELEPASAN DARI BERJIHAD

Tawbah Ayat 44: Sebelum ini disebut sifat golongan munafik dan sekarang disebut tentang orang Mukmin sejati pula. Allah ﷻ membuat perbandingan siapa yang kita jangan ikut, dan sekarang Allah ﷻ ajar kita sifat siapa yang kita patut ikut.

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who believe in Allāh and the Last Day would not ask permission of you to be excused from striving [i.e., fighting] with their wealth and their lives. And Allāh is Knowing of those who fear Him.

(MALAY)

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

 

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad 

Inilah cara untuk mengenal siapakah yang benar-benar beriman dan yang munafik. Mereka akan taat apabila arahan daripada Rasulullah ﷺ sudah keluar. JIkalau sudah keluar arahan nafrul am, tidak boleh minta izin untuk ponteng. Mereka akan pergi walaupun berat bagi mereka. Orang yang benar-benar beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat, tidak akan mencari alasan untuk tidak keluar berjihad apabila arahan jihad yang wajib telah dikeluarkan. Ini kerana mereka tahu kepentingan jihad itu.

Dalam Surah Nur juga ada disebut tentang meminta izin tetapi itu adalah keizinan dalam perkara yang lain. Maka kena pandai bezakan. Surah Tawbah ini adalah tentang jihad yang memerlukan semua orang Islam turun. Ayat daripada Surah itu adalah Nur:62

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Mukminin tidak akan meminta izin untuk tidak menyertai peperangan kerana mereka percaya kepada janji yang Allah ﷻ telah berikan dan mereka amat berharap. Sifat mereka ini disebut juga di dalam Mukminoon:61

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

Maknanya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk mendapat kebaikan.

 

بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

dengan harta dan diri mereka. 

Apabila arahan jihad dikeluarkan, orang mukmin mesti mesti bersedia untuk mengorbankan diri dan harta mereka. Ini kerana jihad memerlukan belanja yang besar. Kebanyakan mereka yang hendak berjihad itu memang akan mengeluarkan belanja sendiri. Bukan sahaja belanja untuk diri mereka malah harus menyiapkan belanja untuk keluarga mereka yang akan ditinggalkan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan tinggi yang tidak sanggup dilakukan oleh golongan munafik yang kedekut dan amat sayangkan harta.

Bukan setakat keluarkan harta sahaja, malah diri sendiripun mesti berani untuk keluar berperang. Ini memang agak berat kerana mereka mungkin akan kehilangan nyawa. Akan tetapi kalau mereka percaya kepada janji Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya berharap yang mereka akan mati di medan jihad. Inilah peluang mereka seandainya mereka benar-benar faham kerana jihadlah satu-satu jalan pintas ke syurga.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Dia tahu siapa yang bertaqwa dan yang tidak. Cuma Allah ﷻ zahirkan siapa yang munafik dengan mengadakan kewajipan jihad. Ini kerana mereka yang tidak keluar berjihad tanpa alasan yang munasabah adalah tanda golongan munafik. Allah ﷻ tahu siapa yang beriman dan bertaqwa dan siapa yang munafik, cuma Allah ﷻ zahirkan kepada orang mukmin kerana orang mukmin tidak tahu apa yang di dalam hati manusia.


 

Tawbah Ayat 45:

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَارتابَت قُلوبُهُم فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Only those would ask permission of you who do not believe in Allāh and the Last Day and whose hearts have doubted, and they, in their doubt, are hesitating.

(MALAY)

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

 

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, 

Allah ﷻ beritahu yang minta izin itulah yang munafik. Mereka nampak seperti Muslim tetapi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya iman.

 

وَارتابَت قُلوبُهُم

dan hati mereka ragu-ragu, 

Hati mereka ragu-ragu tentang agama Islam. Ada perkara yang mereka terima dan ada yang mereka tidak terima. Sebagai contoh, mereka tidak percaya kepada janji Allah ﷻ tentang jihad. Sebab itu mereka sanggup mencari alasan untuk tidak keluar berjihad.

 

فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

Hati mereka goyah serta dalam kebimbangan kerana keraguan yang sudah ada dalam hati mereka. Apabila sudah diwajibkan jihad, mereka sudah bimbang. Mereka bimbang sebab mereka tidak mahu berjihad, tidak mahu susah, tidak mahu keluarkan harta mereka, tetapi kalau mereka tidak pergi, mereka takut pecah tembelang mereka. Maka hati sering berbolak balik mahu pergi kah atau tidak?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 40 – 41 (Rasulullah ﷺ dan Abu Bakr رضي الله عنه dalam gua)

MEMBANTU RASULULLAH ﷺ

Tawbah Ayat 40:

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا ثانِيَ اثنَينِ إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you do not aid him [i.e., the Prophet (s)] – Allah has already aided him when those who disbelieved had driven him out [of Makkah] as one of two,¹ when they were in the cave and he [i.e., Muḥammad (s)] said to his companion, “Do not grieve; indeed Allah is with us.” And Allāh sent down His tranquility upon him and supported him with soldiers [i.e., angels] you did not see and made the word² of those who disbelieved the lowest,³ while the word of Allah – that is the highest. And Allah is Exalted in Might and Wises

  • The second was his companion, Abu Bakr.
  • i.e., their claims and slogans.
  • i.e., degraded and dishonored.

(MALAY)

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya

Ada jumlah muqaddar di sini, iaitu sesuatu yang mesti dijelaskan dengan ditambah lafaz pada ayat itu, jika tidak akan susah untuk faham. Di dalam ini sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu, jika umat Islam tidak mahu menolong agama Allah ﷻ (dengan membantu Rasulullah ﷺ), tidak mengapa pun kerana Allah ﷻ dan Rasul-Nya memang tidak memerlukan mereka pun. Buktinya Allah ﷻ telah pernah menolong Nabi ﷺ.

Allah ﷻ akan tetap menolong baginda kalau mereka tidak mahu tolong baginda. Allah ﷻ maha berkuasa untuk membuat apa sahaja dan memenangkan agama Islam tanpa bantuan para sahabat. Cuma Allah ﷻ beri peluang sahaja kepada mereka untuk menyimpan saham bagi menyebarkan agama Islam ini dan memang mereka telah lakukan.

Sepatutnya umat Islam membantu Rasulullah ﷺ menjalankan misi baginda kerana misi itu dibebankan oleh Allah ﷻ. Akan tetapi jikalau tidak tolong, yang ruginya adalah umat, kerana Allah ﷻ beri peluang untuk umat Islam membantu supaya mendapat habuan daripada bantuan itu. Walau bagaimanapun jikalau tidak mahu tolong, Allah ﷻ sendiri pun sudah cukup untuk membantu baginda.

Secara umum pula, ayat ini bukan sahaja berkenaan menolong Rasulullah ﷺ, tetapi bagi kita ia merujuk juga kepada pemimpin (pemimpin negara) dan secara tidak langsungnya memang terkena kepada kitalah juga. Kita sekarang ini hendak menjalankan kerja dakwah untuk sebarkan agama Islam atau tidak? Kalau tidak ambil peluang, Allah ﷻ tetap akan sebarkan agama Islam ini dengan cara-Nya. Berapa ramai yang masuk Islam kerana mereka jumpa sendiri kelebihan agama Islam tanpa ada seorang pun berdakwah kepadanya? Ramai sekali.

 

إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا

ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya

Allah ﷻ beri contoh bagaimana Dia pernah bantu Rasulullah ﷺ. Iaitu ketika baginda ditentang kuat oleh Kafir Mekah, sehingga baginda terpaksa keluar berhijrah ke Madinah. Sebelum baginda keluar, para pemimpin Musyrikin Mekah telah bermesyuarat di Darun Nadwah (tempat mereka bersidang) dan mereka telah membuat keputusan sama ada hendak bunuh, tangkap atau usir baginda dari bumi Mekah.

Waktu itu Rasulullah ﷺ telah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk berhijrah. Maka baginda telah bergerak dengan cara yang senyap untuk keselamatan. Perancangan baginda amat teliti sekali kerana Musyrikin Mekah sedang mengejar baginda dan mereka tidak mahu melepaskan baginda.

.

 

ثانِيَ اثنَينِ

sedang dia salah seorang daripada dua orang

Ketika baginda melarikan diri itu, baginda berdua sahaja, iaitu dengan Abu Bakr رضي الله عنه. Tidak perlu ramai orang pun untuk menemani baginda. Abu Bakr رضي الله عنهlah teman baginda yang bersama-sama melarikan diri, terpaksa menyembunyikan diri daripada ditangkap oleh musuh. Pada waktu itu Musyrikin Mekah sedang mencari-cari baginda dan mereka berdua terpaksa menjalankan helah untuk menyelamatkan diri. Keluarga Abu Bakr رضي الله عنهlah yang banyak membantu.

Ini boleh dipelajari secara lanjut daripada sirah Nabi. Cuma perlu ditekankan yang kisah ini perlu ‘pemutihan’ daripada yang biasa kita dengar. Selalunya kita sudah biasa dengar yang Nabi Muhammad ﷺ keluar berhijrah ke Madinah di malam hari, waktu itu Sayidina Ali رضي الله عنه yang menggantikan tempat tidur baginda, bukan?

Sebenarnya kisah ini tidak benar, kerana berdasarkan hadith yang ada dalam Sahih Bukhari, Nabi ﷺ berhijrah dari rumah Abu Bakr رضي الله عنه di siang hari (tengahari). Akan tetapi kisah Sayidina Ali رضي الله عنه itu telah ditambah daripada riwayat Syiah. Mereka memasukkan kisah palsu ini ke dalam sirah kerana mereka mahukan Sayidina Ali رضي الله عنه terlibat dalam sejarah besar ini. Walaupun tidak ada nama Sayidina Ali رضي الله عنه, mereka tetap sumbat juga bagi ada! Ini kerana pada mereka, Sayidina Ali رضي الله عنه itu adalah Imam mereka (yang mereka lantik ikut suka hati mereka sendiri) dan pada mereka berasa ralat pula bila Imam mereka tidak terlibat dalam peristiwa yang besar itu. Mereka hendak mencapai matlamat mereka, sampaikan mereka sanggup melakukan penipuan dalam sejarah!

 

إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا

ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”.

Dalam mereka berdua melarikan diri, mereka telah berlindung di dalam Gua Thur, untuk menyelamatkan diri daripada pihak musyrikin yang mencari-cari mereka. Tempat perlindungan baginda itu bukanlah kubu yang kuat, tetapi sebuah gua sahaja yang pintunya bukan boleh ditutup. Ketika kedua-duanya berada dalam Gua Thur, musuh telah berada di sekeliling kawasan itu. Perjalanan mereka telah dikepung, sehingga mereka terpaksa melarikan diri memasuki gua. Mereka terpaksa bersembunyi dan menunggu selama tiga hari sampai tidak ada orang mengelilingi mereka lagi.

Mereka berdua tidak dapat terus pergi ke Madinah kerana musyrikin telah mengawal selia semua jalan. Ramai yang mencari-cari baginda kerana mereka ditawarkan upah yang lumayan untuk menangkap Nabi ﷺ. Semasa mereka di dalam gua itu, anak Abu Bakr رضي الله عنه yang bernama Asma’ yang menghantar makanan untuk Nabi ﷺ dan ayahnya.

Rasulullah ﷺ telah mengaturkan strategi dan pelbagai ikhtiar dengan menggunakan jalan rahsia dan bersembunyi di Gua Thur, namun dapat dijejak oleh kaum kafir Quraish sampai ke Gua Thur. Ini kerana mereka mempunyai ilmu mengesan tapak kaki sehingga jejak tapak kaki terhenti di hadapan Gua Thur. Dengan keadaan Gua Thur yang kecil jika tunduk sahaja pun sudah nampak orang ada atau tiada di dalamnya.

Ketika itu tentunya keadaan amat genting. Waktu itulah Nabi Muhammad ﷺ berkata kepada Abu Bakr رضي الله عنه seperti yang termaktub dalam ayat ini. Tentang benarkah yang dimaksudkan ‘seorang lagi teman’ itu adalah Abu Bakr رضي الله عنه, tidak ada khilaf dalam kalangan mufassir yang ia adalah Abu Bakr رضي الله عنه.

Sebab itulah Imam Malik رحمه الله telah mengeluarkan fatwa, sesiapa yang kata Abu Bakr رضي الله عنه telah kufur, orang itu telah kufur kerana ingkar dengan ayat ini. Maka bagaimana dengan pendapat Syiah yang mengatakan Abu Bakr رضي الله عنه telah murtad setelah Nabi Muhammad ﷺ wafat?

Semasa Musyrikin Mekah mencari-cari mereka berdua, sebenarnya mereka memang berada dekat sangat, sampaikan Abu Bakr رضي الله عنه boleh nampak kaki-kaki mereka dari dalam gua itu. Beliau berkata kepada baginda: “Seandainya salah seorang daripada mereka melihat ke arah bawah kakinya, nescaya dia akan dapat melihat kita berdua”. Abu Bakr رضي الله عنه waktu itu berasa amat takut sekali.

Nabi ﷺ jawab kepada Abu Bakr رضي الله عنه: “jangan bimbang”. Kita kena faham bahawa memang Abu Bakr رضي الله عنه waktu itu takut, tetapi bukan takut tentang dirinya sendiri namun beliau takut jika Nabi ﷺ yang akan dibunuh. Biasanya jikalau seseorang itu dikatakan takut, dia ‘takut’ atas dirinya sendiri, tetapi apabila dikatakan ‘bimbang’, maksudnya ke atas orang lain. Beliau takut Nabi Muhammad ﷺ yang ditangkap dan dibunuh kerana baginda seorang Rasul yang ditugaskan menyebarkan agama Islam.

Oleh kerana itu, Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya memberitahu kepada Abu Bakr رضي الله عنه, jangan bimbang atas diri baginda. Kata-kata ini ringkas sahaja tetapi ia datang dari hati yang tenang murni. Nabi Muhammad ﷺ berkata begitu kerana baginda tahu yang Allah ﷻ ada bersama mereka berdua (bersama dari segi ilmu, bukannya duduk sekali dalam gua itu pula). Allah ﷻ tidak akan membiarkan mereka ditangkap dan dibunuh.

Kita selalu sahaja mendengar kisah tentang labah-labah dan burung merpati membuat sarang, bukan? Kisah itu tidak benar, dongeng sahaja. Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ dari Mekah ke Madinah itu diabadikan orang dalam sirah Rasulullah yang diperingati, dibaca, dipidatokan dan dihayati dari dahulu sampai sekarang. Akan tetapi kerana terpesona dengan peristiwa hijrah itu orang sampai terlupa kepada satu hakikat yang bukan hakikat, iaitu satu KHURAFAT yang tersembunyi di sebaliknya. Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam gua Thur itu Rasulullah ﷺ dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah Rasulullah ﷺ dan sahabatnya Abu Bakar رضي الله عنه daripada buruan pemuda-pemuda Quraisy yang mengejar baginda.

Kisah dongeng masyhur kononnya merpati dan labah-labah melindungi Nabi dengan sarang ketika peristiwa Hijrah.

Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi peristiwa Hijrah itu. Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan sejarah itu menyimpang daripada hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya tidak sahih belaka. Tiada satu hadith pun yang sahih tentang sarang labah-labah dan kewujudan dua ekor burung merpati, di mulut gua Thur, meskipun banyak disebut dalam sesetengah buku dan ceramah yang disampaikan bersempena sambutan Ma’al Hijrah. [Silsilah al-Ahadith al-Daifah, jilid 3, halaman 339]

 

فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ

Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya

Allah ﷻ turunkan sakinah ke atas Abu Bakr رضي الله عنه. Kita tafsirkan yang lafaz عَلَيهِ (ke atasnya) itu merujuk kepada Abu Bakr رضي الله عنه kerana beliau yang berasa bimbang. Sedangkan Nabi ﷺ tidak bimbang. (Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir dalam lafaz عَلَيهِ itu merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ).

Kalimah سَكينَةٌ berasal daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Oleh itu sakinah bermaksud perasaan ketenangan dan Allah ﷻ berikan kepada beliau kerana beliau rasa bimbang dan juga sedih melihatkan keadaan Nabi ﷺ yang diperlakukan sedemikian – sedangkan baginda adalah orang yang paling mulia.

Beliau juga amat bimbang sekiranya Nabi ﷺ wafat, itu tentunya menjadi satu kerugian yang amat besar kerana baginda adalah Nabi dan beliau takut Islam tidak berkembang. Oleh kerana semua kerisauan yang dalam hati Abu Bakr رضي الله عنه itu, maka Allah ﷻ turunkan ketenangan kepadanya.

 

وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها

dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, 

Allah ﷻ telah kuatkan Nabi ﷺ dengan tentera yang manusia tidak dapat nampak. Iaitu Allah ﷻ telah menurunkan para malaikat untuk membantu baginda semasa di gua itu; dan bukan sahaja di gua itu sahaja, malah Allah ﷻ juga menurunkan malaikat di waktu-waktu peperangan lain untuk membantu tentera Muslim. Itu adalah salah satu cara bagaimana Allah ﷻ membantu baginda Nabi ﷺ.

Jelas sekali di sini yang Allah ﷻ hantar adalah para malaikat, bukannya labah-labah dan burung merpati seperti yang banyak disebut oleh orang kita.

 

وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ

dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah.

Maksudnya, Allah ﷻ telah menjadikan akidah syirik orang kafir itu duduk di bawah, rendah. Ia duduk luar dari hati manusia. Ia tidak akan berjaya, Islam pasti akan tetap menang.

 

وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا

Dan kalimat Allah itulah yang tinggi.

Allah ﷻ menjadikan kalimah-Nya duduk di tempat yang tinggi. Bukanlah Allah ﷻ menaikkan kalimah itu dari bawah ke atas, kerana kalimah Allah ﷻ tidak pernah rendah. Kalimat yang dimaksudkan adalah Kalimah Syahadah.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Perkasa, Dia boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, dan tidak ada yang dapat mengalahkan-Nya. Kalau ada yang hendak membunuh agama Islam, bunuh kalimat-Nya, mereka tidak akan berjaya.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam merancang. Segala yang terjadi adalah dalam perancangan-Nya dan perancangan-Nya amat teliti dan pasti akan terjadi.


 

Tawbah Ayat 41: Ini adalah ayat targhib (galakan) kepada jihad. Dalam ayat sebelum ini, Allah telah beritahu kalau tidak menjalankan jihad, Allah akan seksa dan ganti dengan kaum lain, maka kenalah keluar berjihad. Sebelum kena tukar dengan kaum yang lain, baiklah berjihad di jalan Allah.

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Go forth, whether light or heavy,¹ and strive with your wealth and your lives in the cause of Allah. That is better for you, if you only knew.

  • i.e., young or old, riding or walking, in ease or in hardship – in all circumstances and conditions.

(MALAY)

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat,

Kalimah خِفافًا bermaksud ringan dan ثِقالًا bermaksud berat. Ada banyak maksud yang boleh diambil daripada dua kalimah ini. Antaranya Allah ﷻ suruh umat Islam keluar menjalankan kewajipan jihad, sama ada dalam keadaan rasa ringan untuk berperang atau rasa berat hati. Perasaan berat dan ringan itu perasaan sahaja. Ringan juga boleh bermaksud muda dan berat bermaksud sudah tua; ringan boleh bermaksud tidak ada senjata dan berat boleh bermaksud berat dengan senjata.

Walau apa pun, kena keluar juga. Maka ini adalah arahan wajib terutama sekali pada Perang Tabuk kerana perang ini adalah perang yang wajib. Ini adalah perang yang disertai oleh orang awam, tidak sama dengan askar yang dibayar gajinya oleh kerajaan. Dalam sejarah Islam, bukan semua jihad itu wajib kerana pada peringkat permulaan Islam, jihad adalah sukarela sahaja.

Di dalam Perang Tabuk, Allah ﷻ mewajibkan golongan mukmin untuk berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ dalam keadaan apa pun, baik ia dalam keadaan ada semangat mahupun dalam keadaan malas, dan baik dalam keadaan sulit mahupun dalam keadaan mudah. Begitu juga, baik telah berusia lanjut mahu pun berusia muda, semuanya harus berangkat. Kerana itulah para sahabat, tetap juga pergi berperang walaupun pada usia mereka yang lanjut.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan daripada Mujahid sehubungan dengan firman-Nya: Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat. (At-Taubah: 41) Para sahabat mengatakan, dalam kalangan kami terdapat orang yang keberatan, orang yang mempunyai keperluan, orang yang miskin, orang yang sibuk, dan orang yang keadaannya mudah. Maka Allah ﷻ menurunkan firman-Nya menolak alasan mereka. Tiada lain bagi mereka kecuali harus berangkat, baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat. Yakni mereka tetap harus berangkat dalam keadaan apa pun yang mereka alami.

Setelah ayat ini diturunkan, para sahabat merasa keberatan dengan perintah itu. Maka Allah ﷻ memansukhnya dengan firman Allah ﷻ:

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلا عَلَى الْمَرْضَى وَلا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ
Tidak dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit, dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. (At-Taubah: 91)

Maka pengecualian diberikan kepada orang yang benar-benar tidak mampu. Akan tetapi kalau mereka tidak ada alasan, mereka kena pergi sama ada mereka suka atau tidak. Namun kenapakah seolah-olah ada paksaan pula? Kerana ia adalah penting untuk dilakukan oleh umat Islam. Ia ada kepentingan untuk negara Islam dan juga untuk individu itu sendiri.

Allah ﷻ terus suruh pergi sebagai arahan yang wajib ditaati kerana manusia perlu diberi arahan dan desakan. Jika hendak ditunggu ada motivasi untuk buat, maka tidak akan jadi apa-apa kerana nafsu memang akan malas untuk membuat perkara yang baik. Nafsu akan mengarahkan kita untuk hidup senang lenang duduk makan kerepek depan TV sahaja. Oleh itu, arahan tegas perlu diberikan.

Begitu juga dalam kehidupan kita, jangan tunggu ada motivasi baru hendak buat kerana motivasi itu mungkin tidak akan datang-datang. Contohnya anda tahu anda kena beriadah untuk jaga kesihatan. Kalau tunggu semangat sampai, memang membuntatlah jawabnya badan anda kerana emosi anda akan timbang antara rehat tidur dan pergi jogging. Memang tidur akan menang. Maka otak kita kena ambil alih iaitu abaikan perasaan kita dan terus buat sahaja sebab kita secara intelek tahu yang memang perkara itu memang kena buat pun. Contoh lain: nak terus tidur atau bangun pergi sekolah/kerja? Nak belajar atau pergi main dengan kawan?

Kalau kita beri peluang kepada emosi kita untuk mengambil alih, maka hidup kita akan jadi porak peranda kerana emosi dan nafsu sentiasa akan pilih benda yang senang. Sebab itu saya sarankan anda membaca buku yang bertajuk ‘5 Second Rule’ yang amat menarik.

 

وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ

dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah.

Yang penting adalah untuk keluar jihad kerana agama. Dan untuk berjihad, perlu mengeluarkan harta (kerana jihad memerlukan modal) dan kena diri sendiri keluar juga. Kena bawa diri sendiri untuk berperang. Tidaklah boleh hendak wakilkan orang lain pula seperti puak Syiah upah orang lain untuk pukul diri sampai luka itu.

Jihad qital itu ada dua kemungkinan: ada yang fardu dan ada yang kifayah. Ia menjadi fardu kifayah apabila sudah ada tentera kerajaan untuk keluar berjihad. Memang kalau tentera itu kerja mereka memang berperang dan mereka dibayar gaji untuk berperang. Akan tetapi ada juga jihad yang dinamakan nafrul am – semua rakyat yang mampu kena keluar jihad.

Ini seperti yang diwajibkan dalam Perang Tabuk, dan tidak ada keizinan untuk tinggal di rumah waktu itu, kecuali yang diberi kebenaran kerana ada keuzuran. Ini adalah kerana Perang Tabuk itu umat Islam mesti berhadapan dengan tentera kafir Rom yang ramai. Maka arahan itu adalah arahan wajib kerana memerlukan tentera yang ramai.

Masing-masing pasukan yang Muslim dan pasukan yang kufur akan ada rasa berat dan ringan. Akan tetapi pihak Muslim kena tabahkan hati dan terus sahaja ke medan perang. Ini kerana Allah ﷻ telah beri banyak arahan dan beri janji yang amat besar kepada mereka. Janji itu tidak ada bagi orang kafir kerana mereka keluar perang kerana keduniaan sahaja.

Dua perkara utama yang perlu dikorbankan dalam jihad adalah harta dan diri. Namun begitu dalam ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ sebut harta dahulu. Ini kerana walaupun nyawa itu lebih bernilai, akan tetapi ia adalah pra-syarat untuk menjalankan jihad kerana jikalau tidak ada modal untuk keluar berjihad, maka diri sendiri pun tidak berguna.

Satu lagi, Allah ﷻ mulakan dengan sebut tentang harta, kerana itulah yang lebih mudah untuk dikeluarkan berbanding dengan nyawa.

Selain itu, kena pastikan jihad itu adalah في سَبيلِ اللَّهِ. Ia dinamakan ‘jalan Allah’ kerana jalan itu Allah ﷻ yang buat. Sekiranya kita ikut jalan itu, ia pasti membawa kita menuju kepada Allah ﷻ. Apabila jalan itu Allah ﷻ yang buat, maka kenalah ikut syarat-syarat yang Allah ﷻ telah tetapkan. Jangan buat jalan sendiri pula.

Kalau kita pada zaman sekarang tidak ada perang qital, maka kita jalankan usaha kita dengan cara lain. Iaitu jihad kita adalah dakwah yang kita kena sampaikan kepada manusia. Apabila perlu tenaga kita dalam menegakkan Islam, kita kena ke hadapan dan tawarkan diri. Jikalau bukan kita yang pertahankan Islam, siapa lagi?

Sebagai contoh, kalau ada yang buat fitnah tentang Islam, maka kitalah yang kena pertahankan agama Islam dengan berhujah dengan mereka yang membuat tohmahan itu; kalau ada aktiviti dakwah yang memerlukan sumbangan kita, berilah sumbangan itu. Maka kita kena sumbangkan ke arah menegakkan agama sama ada dengan tenaga kudrat kita atau dengan bantuan kewangan.

Sama juga seperti jihad perang, jihad dakwah juga memerlukan harta dan juga diri. Kadangkala untuk menjalankan jihad, kena ada modal untuk mencetak buku, risalah, makalah, sewa tempat, bayaran internet, dan lain-lain. Manakala diri itu bermaksud kita sendiri yang berhadapan dengan orang untuk menyampaikan dakwah. Cuma kadangkala bukan semua orang boleh bercakap, maka kita buat sekadar kemampuan kita. Kalau boleh menulis, maka tulis nasihat kepada manusia. Kalau tidak mampu, maka bantu orang yang pandai bercakap dan menulis itu sampaikan kepada orang lain.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Kalaulah kita tahu kelebihan yang ada dalam jihad ini, tentu kita tidak akan menahan diri kita. Tentu kita tidak berasa berat hati untuk berperang. Namun malangnya kadang-kadang iman kita lemah dan tidak nampak kelebihan yang Allah ﷻ telah janjikan. Ini kerana pahala itu ghaib, kita tidak nampak kecuali di akhirat kelak. Kita kena percaya sahaja dahulu semasa di dunia.

Maka ramai yang tidak menjalankan jihad kerana tidak yakin dengan janji Allah ﷻ kerana kita tidak nampak syurga dan balasan Allah ﷻ. Mungkin dari segi akademik, kita tahu yang ia adalah baik, akan tetapi kita tidak yakin benar, sebab itulah kita tidak buat, bukan? Contohnya semua orang tahu solat berjemaah bagi lelaki itu lebih baik, tetapi ramai yang tidak buat, bukan? Kerana pahala yang dijanjikan itu tidak nampak.

Maka beruntunglah orang yang yakin dengan janji Allah ﷻ dan mereka lakukan seperti yang Allah ﷻ suruh, sama ada mereka faham atau tidak, nampak atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Kisah tidak sahih

Tafsir Surah Tawbah Ayat 37 – 39 (Perang Tabuk)

Tawbah Ayat 37: Penerangan lanjut tentang perbuatan mengubah takwim bulan-bulan.

إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ ۖ يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ ۚ زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the postponing [of restriction within sacred months] is an increase in disbelief by which those who have disbelieved are led [further] astray. They make it¹ lawful one year and unlawful another year to correspond to the number made unlawful by Allāh² and [thus] make lawful what Allāh has made unlawful. Made pleasing to them is the evil of their deeds; and Allāh does not guide the disbelieving people.

  • Fighting during a sacred month.
  • If they found it advantageous to violate a sacred month, they would do so, designating another month in its place in which to observe the restrictions concerning fighting.

(MALAY)

Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran. Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya, maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

 

إِنَّمَا النَّسيءُ زِيادَةٌ فِي الكُفرِ

Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran. 

Ini merujuk kepada perbuatan mereka menangguh-nangguh Bulan Haram yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Ini sesungguhnya penambahan kepada kekufuran. Maknanya, mereka sudah kufur, tetapi ditambah lagi dengan perbuatan kufur ini.

Sudahlah mereka mengamalkan syirik, ini dengan bulan yang Allah ﷻ telah susun pun mereka ubahsuai pula. Perbuatan mengubah-ubah kalendar yang Allah ﷻ telah tetapkan ini dipanggil النَّسيءُ. Ia berasal daripada katadasar ن س أ yang mempunyai banyak maksud: tongkat, yang memerintah dan berkuasa, menangguh, mencampurkan, mengubah. Oleh itu yang dimaksudkan di sini mereka telah menangguh, mengubah dan campur aduk bulan-bulan Haram itu. Ini adalah perbuatan dosa besar. Akidah mereka sudahlah syirik, perbuatan mereka pun menambahkan lagi kekufuran itu. Maka bertambah-tambah kufur mereka dengan Allah ﷻ.

Maka ini mengajar kita untuk menjaga bulan-bulan Qamariah (kalender berlandaskan kiraan bulan) ini (orang panggil ‘Bulan Islam’ tetapi tidaklah tepat sangat). Bulan Qamariah ini penting kerana ia menentukan ibadah-ibadah dalam Islam seperti Puasa dan Haji. Akan tetapi tidaklah kita lupakan terus Bulan-bulan Syamsiah (kiraan ikut matahari). Dua-dua boleh digunapakai sebenarnya. Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus:5

هُوَ الَّذي جَعَلَ الشَّمسَ ضِياءً وَالقَمَرَ نورًا وَقَدَّرَهُ مَنازِلَ لِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Maka perkiraan kalendar berdasarkan bulan dan matahari terpakai kedua-duanya. Sebab untuk mengira ibadah solat pun mesti berdasarkan kedudukan matahari, bukan? Maka bukanlah bulan Qamariyah ini sahaja ‘bulan Islam’ kerana bulan Syamsiah juga diterimapakai di dalam agama Islam juga.

 

يُضَلُّ بِهِ الَّذينَ كَفَروا

Disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu,

Dengan sebab perubahan takwim yang Allah ﷻ telah tetapkan itu, makin disesatkan lagi orang kafir dengan ketua-ketua mereka yang hendak berperang. Sebenarnya, ketua masyarakatlah yang mengalih kedudukan bulan itu dan pengikut mereka hanya mengikut sahaja.

 

يُحِلّونَهُ عامًا وَيُحَرِّمونَهُ عامًا

mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain,

Para pemimpin itu menghalalkan yang Allah ﷻ telah haramkan. Mereka pandai-pandai mengatakan tahun ini halal untuk berperang dalam Bulan Haram, tetapi tahun depan bertukar menjadi haram semula. Mereka mengikut konsep bulan-bulan Haram itu sebab mereka sudah mengaku mereka pengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun begitu mereka tidak mahu menerima semua ajaran, malah mereka sesuka hati merubah serta campur aduk halal dengan yang haram. Sememangnya sikap suka mengubah agama sikit-sikit ini adalah perbuatan golongan Musyrikin Mekah.

Oleh itu, jikalau kita pun mempunyai sikap seperti mereka yang suka mengubah dan menambah sikit di sana sini, maka tidak ada bezalah kita dengan mereka sebenarnya. Masyarakat kita tidaklah berani untuk menolak terus keseluruhan Islam itu, akan tetapi yang mereka berani buat adalah mengubah sana dan sini. Sebab itulah banyak fahaman baru dan amalan bid’ah baru bercambah dalam masyarakat kita, kerana sifat Musyrikin Mekah memang ada dalam diri mereka.

 

لِّيُواطِئوا عِدَّةَ ما حَرَّمَ اللَّهُ

agar mereka dapat mempersesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya,

Mereka tetap juga menjaga bilangan 12 bulan itu, tetapi setakat itu sahajalah. Sepatutnya bukan dijaga bilangan sahaja, akan tetapi kena dijaga kedudukan bulan itu dan namanya juga. Jangan diubah-ubah. Kadangkala mereka mengubah nama bulan (contohnya bulan Rejab mereka ubah menjadi bulan lain sebab bulan Rejab tidak boleh berperang).

Perbuatan mereka itu sudah teruk. Mereka berani kata tahun ini halal, tetapi tahun depan haram. Atau mereka ubah nama bulan itu menjadi nama bulan lain. Namun dalam masa yang sama mereka mengekalkan agar semua bulan tetap ada 12. Itu adalah cubaan mereka untuk perbetulkan takwim yang telah rosak. Akan tetapi perbuatan mereka itu telah menyebabkan bilangan bulan dan susunan bulan tidak dapat ditentukan lagi.

Lafaz يُواطِئوا berasal daripada katadasar و ط أ yang bermaksud berjalan atas sesuatu, menekan tanah di bawah dengan kaki, menjadikan sama, memperbetulkan. Ini seperti seorang yang berjalan dan menghancurkan apa yang ada di bawah kaki. Sebagai contoh berjalan di atas pokok bunga, tentu pokok bunga itu akan rosak, bukan? Maka mereka perbetulkan balik tanah itu supaya menjadi sama semula. Setelah merosakkan, kemudian diperbetulkan semula. Namun ia tetap juga telah rosak. Begitulah yang mereka lakukan terhadap takwim bulan yang Allah ﷻ telah tetapkan.

 

فَيُحِلّوا ما حَرَّمَ اللَّهُ

maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

Oleh kerana perbuatan pemimpin itu, maka yang sepatutnya haram telah menjadi halal. Apabila mereka membuat sendiri keputusan melawan hukum Allah ﷻ, lalu mereka telah melakukan peperangan dalam Bulan Haram. Hukumnya haram berperang dalam Bulan Haram tetapi menjadi halal pula bila mereka sudah memandai mengubah takwim itu.

 

زُيِّنَ لَهُم سوءُ أَعمٰلِهِم

dijadikan cantik kepada mereka memandang perbuatan mereka yang buruk itu.

Amalan mereka itu buruk tetapi diperlihatkan kepada mereka yang amalan itu baik. Yang menghasut dan mengelabui mata mereka adalah syaitan. Syaitan bisikkan kepada mereka yang mereka itu ada kuasa untuk membuat apa sahaja yang mereka hendak. Sedangkan yang ada kuasa itu adalah Allah ﷻ.

Kita mesti taat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang berhak menghalalkan dan haramkan. Apabila mereka rasa yang mereka layak mengubah apa yang Allah ﷻ tetapkan, maka mereka telah mengambil alih kuasa Allah ﷻ – dan ini adalah perbuatan yang syirik kerana mengambil alih tugas Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Sekiranya manusia tidak mahu mendengar suara hati mereka, dan menutup apa yang Allah ﷻ telah berikan sebagai fitrah kepada semua manusia, maka tidak ada petunjuk lagi untuk mereka. Allah ﷻ tidak beri lagi petunjuk kepada mereka dan ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati)

Selesai bahagian pertama Surah Tawbah ini. Secara ringkasnya, bahagian pertama ini telah membincangkan tiga perkara penting:

    1. Iklan pemutusan perjanjian dengan pihak musyrikin.
    2. Dipatahkan satu persatu hujah yang dikatakan menghalang peperangan diadakan. Ada 4 perkara semua sekali.
    3. Disebutkan 6 golongan kafir yang mesti diperangi.

Habis Ruku’ 5 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.


 

MEMULIAKAN BULAN-BULAN HARAM

Tawbah Ayat 38: Ini adalah Bahagian Kedua surah ini. Allah ﷻ akan beritahu kelebihan perang dalam bahagian ini. Allah ﷻ juga akan sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.

Dalam ayat ini, ada targhib (ajakan) kepada qital (perang) dan teguran kepada golongan munafikin. Latar belakang perang yang dimaksudkan adalah Perang Tabuk. Ia adalah perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ﷺ.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, what is [the matter] with you that, when you are told to go forth in the cause of Allāh, you adhere heavily to the earth?¹ Are you satisfied with the life of this world rather than the Hereafter? But what is the enjoyment of worldly life compared to the Hereafter except a [very] little.

  • i.e., inclining toward the comforts of worldly life.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا ما لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya dengan kamu ini?

Ini adalah teguran kepada orang Islam. Ada yang tidak suka kepada peperangan kerana takut mati. Atau, mereka kalah dengan perkara dunia sampai menyebabkan mereka berat untuk menjalankan jihad. Maka Allah ﷻ tegur mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ beri galakan kepada golongan Mukmin untuk berperang.

 

إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ

bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?

Allah ﷻ menegur puak Muslim, kenapa apabila mereka diajak keluar berjihad perang pada jalan Allah ﷻ, mereka merasa berat? Kalimah الأَرضِ (bumi) merujuk kepada bumi Madinah (mereka tidak mahu keluar) iaitu mereka berat hati untuk meninggalkan kampung halaman mereka. Kenapa kamu begini? Apa yang tidak kena dengan kamu ini?

Kalimah انفِروا berasal daripada katadasar ن ف ر yang bermaksud keluar berperang. Kalimah اثّاقَلتُم pula berasal daripada katadasar ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka merasa hendak melekat pada tanah (rumah) sahaja.

Teguran ini adalah berkisar tentang Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun 9 Hijrah. Semua umat Islam yang boleh berperang diwajibkan untuk menyertainya. Tabuk berada berdekatan dengan Syria pada masa itu. Syria berada di bawah takluk kerajaan Kristian Byzantine (Kerajaan Rom). Pembahagian ini semua adalah setelah penaklukan Mekah dan setelah terjadinya Perang Hunain dan Perang Taif. Maka pada waktu itu sebahagian besar daripada Semenanjung Tanah Arab adalah di bawah takluk kerajaan Islam.

Hirakl (Hiracklius) adalah ketua kepada kerajaan Kristian Rom pada masa itu dan dia tidak berpuas hati dengan pengembangan Kerajaan Islam. Maka dia telah membuat perancangan untuk menyerang Madinah. Tentera Byzantine telah diletakkan di Tabuk iaitu sempadan kepada Syria. Mereka telah diberi gaji awal selama setahun. Maklumat perancangan ini telah sampai kepada Rasulullah ﷺ maka baginda bercadang untuk menangani serangan itu dengan membuat persediaan. Ini adalah perang ke 27 dan yang terakhir disertai oleh Rasulullah ﷺ.

Berbeza dengan perang-perang sebelumnya, Nabi ﷺ sengaja memberitahu awal rancangan perang ini kepada kaum Muslimin. Padahal biasanya, apabila hendak berangkat berperang, baginda selalu menampakkan seolah-olah bukan untuk berperang. Atau baginda memberikan maklumat yang tidak benar kerana ditakuti akan bocor pula maklumat itu. Contohnya kalau rancangan hendak ke barat, baginda kata mereka akan ke timur. Namun kali ini baginda awal-awal telah mengumumkan yang mereka akan ke Tabuk.

Dalam perang ini, Abu Bakar رضي الله عنه telah mengorbankan seluruh hartanya. Manakala Umar رضي الله عنه, pula telah mengorbankan setengah daripada hartanya. Begitu pun dengan Uthman رضي الله عنه yang mengorbankan perlengkapan perang untuk sepertiga pasukan. Berserta sahabat lainnya, yang mereka itu menginfakkan lebih daripada kemampuan mereka.

Akan tetapi ramai dalam kalangan umat Islam pada waktu itu berat hati untuk menyertainya. Ada berbagai sebab kenapa boleh jadi begini:

 1. Waktu itu adalah musim menuai hasil tanaman. Ramai dalam kalangan umat Islam di Madinah ketika itu adalah petani dan sebagai petani, hasil tuaian diambil setahun sekali sahaja. Bayangkan, kerja menjaga tanaman selama setahun, tetapi hasil boleh dituai sekali sahaja. Maka peluang itu bukan boleh ditangguh-tangguh. Kalau tertinggal masanya, maka hilanglah peluang itu. Itulah gaji mereka untuk setahun.

Selain itu, sekiranya orang lelaki pergi keluar berjihad, yang perempuan dan kanak-kanak sahaja yang tinggal, mereka itu tidak mampu untuk menggantikan kerja menuai itu. Kalau ditangguhkan proses menuai, maka hasil tanaman itu akan rosak dan habislah punca pendapatan mereka untuk tahun itu. Mereka bukannya orang kaya. Sedangkan Tabuk jauh dari Madinah. Memang kalau pergi dan balik, tanaman sudah rosak. Ini adalah dugaan dan ujian yang berat daripada Allah ﷻ kepada mereka.

2. Tambahan pula kedudukan Tabuk itu jauh, susah untuk pergi dan memerlukan kenderaan. Bayangkan jaraknya adalah 778 KM dari Madinah! Untuk mempunyai kenderaan, kena buat persediaan dengan wang dan hartabenda sendiri. Lagipun bukannya semua dapat menaiki kenderaan unta. Seekor unta dikongsi oleh 10 orang. Perjalanan pasukan kaum Muslimin menuju Tabuk memakan masa sehingga 20 hari.

Kita yang terpaksa meredah jem untuk pulang beraya pun sudah bising, bukan? Maka bagi para sahabat, medan yang mereka perlu tempuh itu sangat sulit. Selain keterbatasan bahan makanan, mereka harus menghadapi panasnya gurun pasir. Begitu payah sekali untuk menghadapi perang ini sehingga ia digelarkan sebagai “Pasukan Jaisyul Usrah” yang ertinya pasukan yang dalam keadaan sulit.

3. Waktu itu musim panas, maka tentunya perjalanan ke sana tidak selesa langsung dan bukannya sekejap ekspedisi ini, keseluruhannya berjumlah 50 hari (jangkamasa perjalanan pergi balik dan menunggu di Tabuk).

4. Mereka baru sahaja melalui Peperangan Hunain dan Taif. Maknanya sudah 8 tahun mereka berperang bermula daripada Perang Badr. Sangka mereka, inilah waktu untuk berehat seketika. Mereka sudah menjadi malas dan penat.

Jelas di sini ia sememangnya dugaan besar untuk menyertainya. Kita sebut di sini supaya dapat difahami dilema para sahabat ketika itu. Oleh kerana dugaan yang besar ini, maka ada yang merasa berat hati untuk pergi. Terutama sekali golongan Munafik.

Akan tetapi perang kali ini bukan perang yang mereka telah lalui selama 8 tahun itu. Selama ini mereka berperang sesama bangsa Arab sahaja. Kali ini mereka akan menghadapi kerajaan Rom iaitu kerajaan yang besar. Pada zaman itu dua kerajaan paling besar adalah Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi (analoginya sebagaimana kerajaan USA dan Russia lah pada hari ini). Kerana itu Rasulullah ﷺ mengerahkan semua golongan Mukmin di Madinah untuk turut serta berperang dan malah baginda telah mengajak kabilah-kabilah di sekitar Madinah untuk menyertainya.

 

أَرَضيتُم بِالحَيَوٰةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ

Apakah kamu puas (redha) dengan kehidupan di dunia berbanding kehidupan di akhirat?

Berat sekali soalan Allah ﷻ ini: adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia melebihi daripada kehidupan di akhirat? Kamu melebihkan dunia daripada akhirat? Memang berjihad itu mesti meninggalkan segala kesenangan yang ada di dunia. Malah, boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesakitan fizikal yang teruk. Akan tetapi, setelah apa yang kamu lalui, kamu masih lagi tidak faham dan melebihkan dunia daripada akhirat?

Soalan ini diberikan secara umum, kepada orang-orang beriman, juga termasuk dalam seruan ini kepada orang munafik sekali. Walaupun mereka itu dalam hati mereka tidak beriman sebenarnya, tetapi kekufuran mereka tersembunyi. Maka Allah ﷻ memasukkan sekali mereka dalam golongan ‘orang-orang beriman’.

Setelah ajakan jihad kali ini, Muslimin pada waktu itu boleh dibahagikan kepada 6 golongan:

1. Golongan yang hebat iman mereka, yang terus menyahut ajakan Rasulullah ﷺ. Mereka inilah sebenar-benar Mukmin seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Hujurat:15

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ لَم يَرتابوا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

2. Golongan yang pada mulanya keberatan, tetapi akhirnya mengikuti rombongan jihad itu. Allah ﷻ sebut tentang mereka ini dalam ayat 117 nanti,

لَقَد تابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالمُهاجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ مِن بَعدِ ما كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِنهُم ثُمَّ تابَ عَلَيهِم
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan daripada mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu.

3. Golongan yang tidak dapat menyertai perang itu dan mereka mempunyai alasan yang kukuh. Allah ﷻ sebut tentang mereka dalam ayat 91,

لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ وَلا عَلَى المَرضىٰ وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ ۚ ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ
Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.

4. Golongan Mukmin yang tiada alasan untuk tidak menyertai perang. Mereka itu tidak pergi kerana malas sahaja. Ada beberapa ayat tentang mereka ini,

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم
Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Tawbah:102

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم
Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka.
Tawbah:106

وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذينَ خُلِّفوا حَتّىٰ إِذا ضاقَت عَلَيهِمُ الأَرضُ بِما رَحُبَت وَضاقَت عَلَيهِم أَنفُسُهُم
dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka.
Tawbah:118

5. Golongan Munafik yang amat berat untuk menyertai jihad. Kalau dulu mereka boleh lagi sertai jihad walaupun mereka itu Munafik, tetapi kali ini ia berat sangat sampaikan mereka tidak sanggup isi nama dalam ‘borang jihad’. Keluar Whatsapp group terus mereka ini. Sikap golongan Munafik yang tidak mahu menyertai perang banyak disebut dalam Al-Qur’an di surah-surah yang lain. Antaranyaayat Muhammad:20

فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُّحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ
Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati.

6. Golongan Munafik, tetapi mereka ada yang menyertai jihad Tabuk ini. Namun mereka hendak mengintip dan buat kacau sahaja dalam pasukan tentera Islam. Allah ﷻ ada sebut tentang mereka dalam beberapa ayat,

لَو خَرَجوا فيكُم ما زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلالَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّاعونَ لَهُم
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Tawbah:47

وَلَئِن سَأَلتَهُم لَيَقولُنَّ إِنَّما كُنّا نَخوضُ وَنَلعَبُ
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan jawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja”.
Tawbah:65

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ وَكَفَروا بَعدَ إِسلامِهِم وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا
Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya.
[Tawbah: 74]

Golongan yang majoriti adalah yang menyertai jihad, yang iman mereka kuat. Kerana itulah ketumbukan tentera Muslim besar, lebih daripada 30,000 orang kali ini (pasukan musuh pula seramai 40,000). Inilah pasukan tentera Muslim yang terbesar setakat itu. Oleh kerana ramainya tentera Muslim, Hirakl ketakutan dan tidak datang pun ke medan perang. Pasukan tentera Muslim melepak tunggu di sempadan Tabuk selama 20 hari, kemudian pulang ke Madinah. Rasulullah ﷺ mengirim beberapa pasukan kecil ke sekitar daerah Tabuk.

Tindakan ini telah menambah kekuatan dan wibawa Islam di wilayah utara jazirah Arab serta membuka jalan ke arah penaklukan daerah Syam. Syekh Ibnul Qayyim al-Jauziy رحمه الله menuturkan, ketika sampai di Tabuk, Rasulullah ﷺ didatangi pemimpin Ailah yang menawarkan perdamaian dan jizyah. Baginda juga didatangi penduduk Jarba dan Adzrah untuk memberikan jizyah.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ menegur golongan Mukmin yang berat hati untuk menyertai Perang Tabuk ini. Allah ﷻ mengingatkan mereka tentang dunia dan akhirat. Jangan kalah dengan dunia kerana dunia adalah tempat ujian untuk memasuki syurga seperti firman Allah ﷻ dalam Baqarah: 214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

فَما مَتاعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ

Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.

Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada mereka, kehidupan dunia itu sedikit sahaja jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Tidak patut melebihkan dunia daripada akhirat kerana nikmat di dunia tidak lain dan tidak bukan adalah sedikit. Kalimah إِلّا قَليلٌ di sini adalah إن لَا قَليلٌ. Oleh kerana itu kenalah berjihad, kerana tidak ada apa yang boleh dibandingkan dengan akhirat.

Begitulah banyak ayat menyebut tentang dunia dan hakikat dunia itu. Kebanyakan manusia ingkar kepada kebenaran dan sanggup membuat dosa kerana sayangkan dunia dan tidak takut kepada akhirat. Ada khabar mutawatir daripada ulama Salaf mengatakan, حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ (Cinta dunia merupakan induk kepada segala kesalahan (dosa) dan merosak agama). Hal ini kerana:

Pertama: Mencintai dunia bererti mengagungkan dunia, padahal ia sangat hina di mata Allah ﷻ. Termasuk dosa yang paling besar adalah mengagungkan sesuatu yang direndahkan oleh Allah ﷻ.

Kedua: Allah ﷻ mengutuk, memurkai, dan membenci dunia, kecuali yang ditujukan kepada-Nya. Kerana itu, barangsiapa mencintai apa yang dikutuk, dimurkai, dan dibenci oleh Allah ﷻ maka dia akan berhadapan dengan kutukan, murka dan kebencian-Nya.

Ketiga: Mencintai dunia bererti menjadikan dunia sebagai tujuan dan menjadikan amal dan ciptaan Allah ﷻ yang seharusnya menjadi jalan menuju kepada Allah ﷻ dan negeri akhirat berubah menjadi kepentingan dunia.


 

Tawbah Ayat 39: Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Ini adalah balasan kalau tidak menjalankan kewajipan jihad qital.

إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you do not go forth, He will punish you with a painful punishment and will replace you with another people, and you will not harm Him at all. And Allāh is over all things competent.

(MALAY)

Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

إِلّا تَنفِروا يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih 

Kalimah إِلّا di dalam ayat ini juga adalah gabungan إن dan لا. Allah ﷻ memberi ancaman kepada umat Islam: sekiranya mereka tidak ingin untuk berjihad apabila diseru, nescaya akan dikenakan dengan azab yang pedih. Jika disebut عَذابًا pun memang kita sudah tahu yang ia pedih, tetapi Allah ﷻ sengaja tambah penekanan lagi dengan kalimah أَليمًا. Maknanya memang pedih sungguh!

Maka ingatan daripada Allah ﷻ, kalau kamu takutkan kerugian di dunia, atau kamu takut dengan tentera musuh, azab daripada Allah ﷻ lagi besar.

وَيَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم

dan digantinya (kamu) dengan kaum yang selain kamu, 

Allah ﷻ sambung lagi ancaman: Dia akan mematikan kamu dan digantikan dengan kaum lain, untuk membela jihad. Kaum muslimin yang baru itu akan taat untuk melakukan jihad. Perkara yang sama juga ada disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

إِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kalian (ini). (Muhammad: 38)

Lihatlah ancaman Allah ﷻ kepada para sahabat yang amat keras sekali. Sedangkan mereka telah banyak berjasa kepada agama. Bandingkan dengan kita yang tidak buat apa-apa pun lagi. Kalau Allah ﷻ boleh gantikan mereka, apatah lagi kita?

Memang Allah ﷻ pernah menukarkan puak Islam dengan kaum yang lain. Pernah puak Tartar menyerang kerajaan Islam sampai hancur terus kerajaan Islam pada ketika itu. Ini adalah kerana umat Islam pada waktu itu telah menjadi lemah dek hanyut oleh kekayaan sehingga tidak menghiraukan lagi tentang agama dan dakwah.

Kemudian puak Tartar itu pula yang menjadi Muslim. Begitu juga, sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, tampuk Islam dipegang oleh Bani Israil. Merekalah Muslim ketika itu sepatutnya. Namun kita pun tahu bagaimana mereka telah sesat dan tidak menjalankan agama seperti yang sepatutnya. Maka mereka telah ditukar ganti dengan umat yang baru.

 

وَلا تَضُرّوهُ شَيئًا

dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. 

Jikalau kita umat Islam tidak berjihad, kita tidak bahayakan Allah ﷻ sedikit pun. Allah ﷻ tidak perlukan kita pun untuk mengembangkan agama-Nya. Kita sendiri yang membahayakan diri kita sendiri jika tidak menjalankan kewajipan perang. Kita sendiri yang rugi kalau tidak mengambil peluang ini.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Kalau kita tidak mahu jaga agama Dia, Dia boleh sahaja gantikan dengan orang lain yang akan menjaganya. Allah ﷻ tidak perlukan kita pun sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Tawbah Ayat 35 – 36 (Tukar Bulan Haram)

Tawbah Ayat 35: Balasan kepada mereka dalam ayat sebelum ini. Maka ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

يَومَ يُحمىٰ عَلَيها في نارِ جَهَنَّمَ فَتُكوىٰ بِها جِباهُهُم وَجُنوبُهُم وَظُهورُهُم ۖ هٰذا ما كَنَزتُم لِأَنفُسِكُم فَذوقوا ما كُنتُم تَكنِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day when it¹ will be heated in the fire of Hell and seared therewith will be their foreheads, their flanks, and their backs, [it will be said], “This is what you hoarded for yourselves, so taste what you used to hoard.”

  • The gold and silver which was hoarded, i.e., whose zakāh was not paid.

(MALAY)

pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu”.

 

يَومَ يُحمىٰ عَلَيها في نارِ جَهَنَّمَ

pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam,

Allah ﷻ menceritakan apa yang akan terjadi pada harta yang mereka simpan itu pada hari kiamat. Emas dan perak itu akan dibakar di dalam neraka jahanam. Harta yang mereka sayang dan banggakan itu akan menjadi azab bagi mereka.

Ucapan ini dikatakan sebagai kecaman, penghinaan, dan ejekan buat mereka; sama halnya dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat berikut:

{ثُمَّ صُبُّوا فَوْقَ رَأْسِهِ مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ ذُقْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ}

Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya seksaan (dari) air yang panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia. (Ad-Dukhan: 48-49)

Inilah pembalasan buat mereka di atas sikap mereka yang dahulu, dan inilah hasil daripada apa yang mereka dulu simpan buat diri mereka. Kerana itulah dikatakan, “Barangsiapa yang mencintai sesuatu hingga ia melebihkannya lebih dahulu atas taat kepada Allah, maka ia akan diazab dengannya.”

Sememangnya orang kafir sayang kepada harta dunia seperti disebut dalam Baqarah:212

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir

Maka jangan kita jadi seperti mereka pula! Jangan kita terpedaya dengan dunia. Ia sebenarnya tidak cantik pun tetapi dicantikkan (زُيِّنَ) oleh Allah ﷻ sebagai ujian daripada Allah ﷻ. Ia hanya dinampakkan cantik sahaja pada mata orang-orang yang malang.

 

فَتُكوىٰ بِها جِباهُهُم وَجُنوبُهُم وَظُهورُهُم

lalu diseterikakan dengannya dahi mereka, rusuk dan punggung mereka

Lafaz فَتُكوىٰ maksudnya emas dan perak itu dipanaskan sampai merah dan dilekapkan pada kulit manusia yang mengumpulkan dan menyimpan harta yang mereka dapat daripada penganut agama mereka. Digunakan semula benda yang mereka buat salah itu untuk menghukum mereka kembali di akhirat. Maknanya diselar emas perak itu di dahi mereka, rusuk mereka, belakang mereka. Ini adalah emas perak yang mereka tidak infak dan tidak bayar zakat. Mereka dapatkan harta itu dengan cara salah kemudian mereka tidak infakkan pula.

Mereka yang telah menghimpun harta benda itu dan lebih mementingkannya daripada keredhaan Allah ﷻ, akibatnya mereka diseksa dengan harta benda itu. Seperti apa yang dialami oleh Abu Lahab laknatullah, di mana dia telah berusaha dengan sekuat tenaga memusuhi Rasulullah ﷺ. Manakala isterinya pula membantunya untuk melampiaskan permusuhannya itu. Maka kelak di hari kiamat si isteri akan membantu mengazabnya, iaitu di lehernya ada tali diperbuat daripada sabut untuk mengumpulkan kayu di neraka, lalu kayu itu dilemparkan kepada Abu Lahab, agar menambah pedih seksaan yang sedang dialaminya.

Sebagaimana harta benda tersebut sangat disayangi oleh pemiliknya, maka kelak di hari akhirat harta benda itu berubah bentuk menjadi sesuatu yang paling membahayakan pemiliknya. Harta benda itu dipanaskan di dalam neraka Jahanam yang panasnya tidak terperi, lalu diseterika ke wajah, rusuk, dan punggung mereka.

Kenapa disebut tiga bahagian tubuh itu? Mungkin ia bermaksud seluruh tubuh mereka atau memang tiga tempat itu sahaja kerana bahagian tubuh itulah yang terlibat jika ada orang yang datang minta bantuan kepada mereka. Pertama, dahi mereka akan berkerut benci kalau ada orang datang meminta. Kemudian mereka cuba berpusing dengan rusuk mereka, hendak berpusing menunjukkan tidak suka. Dan jika masih ada lagi orang yang meminta itu, mereka berpusing terus meninggalkan orang itu dengan menunjukkan belakang punggung mereka.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui hadith daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ لَا يُؤَدِّي زَكَاةَ مَالِهِ إِلَّا جُعِلَ  يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ يُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبْهَتُهُ وَظَهْرُهُ، فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ، ثُمَّ يَرَى سَبِيلُهُ إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِمَّا إِلَى النَّارِ” وَذَكَرَ تَمَامَ الْحَدِيثِ

Tidak sekali-kali seseorang tidak menunaikan zakat harta bendanya melainkan akan dijadikan baginya kelak di hari kiamat lempengan-lempengan (plak) daripada api, lalu diseterikakan ke rusuk, dahi, dan punggungnya dalam suatu hari yang lamanya sama dengan lima puluh ribu tahun, hingga perkara hisab di antara sesama hamba diselesaikan. Kemudian diperlihatkan jalan yang akan ditempuhinya, adakah ke syurga, dan adakah ke neraka.
(HR. Muslim No. 987)

Terdapat satu lagi tafsir ayat ini. Ia adalah pendapat Abu Zar رضي الله عنه, salah seorang sahabat yang keras pandangannya. Imam Bukhari رحمه الله mengatakan bahawa,

Daripada Zaid ibnu Wahb yang mengatakan bahawa beliau telah bersua dengan Abu Zar رضي الله عنه di Rabzah, lalu beliau bertanya, “Apakah yang mendorongmu sampai datang di daerah ini?” Abu Zar رضي الله عنه menjawab bahawa pada asal mulanya beliau tinggal di negeri Syam, lalu beliau membacakan firman-Nya: Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan seksaan yang pedih. (At-Taubah: 34) Maka Mu’awiyah رضي الله عنه berkata, “Ayat ini bukanlah ditujukan kepada kami, tiada lain apa yang dimaksudkan oleh ayat ini melainkan ia terjadi dalam kalangan kaum Ahli Kitab.” Abu Zar رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya hal itu terjadi dalam kalangan kita dan kalangan mereka (Ahli Kitab).”

Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui hadith Ubaid ibnul Qasim, daripada Husain, daripada Zaid ibnu Wahb, daripada Abu Zar رضي الله عنه. Hanya dalam riwayat ini ditambahkan ‘maka ketegangan pun terjadi antara Abu Zar dan Mu’awiyah mengenai masalah ini’. Lalu Muawiyah رضي الله عنه berkirim surat kepada Khalifah Uthman رضي الله عنه, mengadukan perihalku (Abu Zar). Lalu Khalifah Uthman رضي الله عنه mengirimkan surat kepadaku, isinya memerintahkan kepadaku untuk menghadap kepadanya. Abu Zar رضي الله عنه melanjutkan kisahnya, “Ketika aku tiba di Madinah, maka orang-orang mengerumuniku seakan-akan mereka belum pernah melihatku sebelum hari itu. Lalu aku mengadu kepada Khalifah Uthman tentang hal tersebut, maka Khalifah Uthman berkata, ‘Keluarlah kamu dari Madinah, tetapi jangan terlalu jauh.” Aku (Abu Zar) berkata, ‘Demi Allah, aku tidak akan beranjak daripada pendapatku’.”

Oleh itu, pendapat Abu Zar رضي الله عنه mengatakan bahawa haram menyimpan harta lebih daripada apa yang diperlukan untuk nafkah orang-orang yang berada di dalam tanggungannya. Beliau selalu memberi fatwa dengan pendapat ini dan menganjurkan serta memerintahkan orang-orang untuk mengamalkannya, bahkan beliau bersikap keras terhadap orang yang melanggarnya. Maka sikapnya itu telah dicegah oleh Mu’awiyah رضي الله عنه, tetapi Abu Zar رضي الله عنه tidak menurut dan terus melanjutkan fatwanya itu.

Mu’awiyah رضي الله عنه merasa khuatir bila orang-orang tertimpa mudarat dalam masalah itu. Maka beliau menulis surat kepada Amirul Mu’minin Uthman ibnu Affan رضي الله عنه, mengadukan perkara Abu Zar رضي الله عنه dan meminta agar Abu Zar رضي الله عنه ditarik ke Madinah. Maka Uthman ibnu Affan رضي الله عنه memanggilnya ke Madinah dan menempatkannya di Rabzah seorang diri. Di Rabzah itu pula Abu Zar رضي الله عنه meninggal dunia dalam masa pemerintahan Khalifah Uthman رضي الله عنه.

 

هٰذا ما كَنَزتُم لِأَنفُسِكُم

“Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri,

Sewaktu emas dan perak itu ditekapkan pada mereka, dikatakan kepada mereka: “Inilah dia barang yang kamu simpan untuk diri kamu.” Kata-kata ini sebagai penambah azab mereka. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab fizikal, malah azab emosi pun ditambah.

 

فَذوقوا ما كُنتُم تَكنِزونَ

maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu”.

Ini merupakan suatu penyeksaan batin, seksaan emosi. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab itu, kemudian dikutuk, diperli dan diingatkan lagi kepada mereka, kenapa mereka dikenakan dengan azab itu.

Sila baca ayat ini dalam konteks keseluruhan surah. Ayat ini diturunkan bersamaan dengan Perang Tabuk dan pada waktu itu sedang dikumpulkan wang bagi menjalankan peperangan itu. Akan tetapi pada waktu itu masih ada yang enggan mengeluarkan wang untuk diinfakkan kepada peperangan itu. Maka ayat ini memberikan takhwif yang amat keras.

Maka dalam keadaan biasa, tidaklah haram atau salah kalau menyimpan harta asalkan zakat dikeluarkan dan infak dijalankan.


 

Tawbah Ayat 36: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 3. Akan dibentangkan galakan jihad dan juga arahan untuk memerangi Kaisar Rom. Perenggan ini sampai ayat ke 41.

Ayat adalah sebab keenam kenapa jihad qital mesti diteruskan terhadap musuh: kerana Musyrikin Mekah itu telah mengubah agama Allah ﷻ. Allah ﷻ telah mengharamkan empat bulan untuk berperang, tetapi kaum musyrikin telah melanggar susunan bulan itu, sehingga bulan-bulan itu habis bertukar.

Orang Kafir Mekah sudah sedia tahu tentang Bulan Haram itu kerana mereka berketurunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهماالسلام. Mereka tahu yang ada empat bulan yang tidak boleh berperang di dalamnya. Akan tetapi, oleh kerana orang kafir itu telah dihasut oleh syaitan, maka mereka telah mengubah kedudukan bulan-bulan Haram itu. Semasa berperang, kadang-kadang peperangan mereka itu berlanjutan sehingga termasuk dalam Bulan Haram. Mereka pula memang jenis kaum yang suka berperang.

Sepatutnya mereka kenalah berhenti daripada berperang apabila sudah memasuki bulan Haram. Akan tetapi, mereka mengalih sedikit bulan itu supaya mereka boleh juga meneruskan peperangan. Contohnya mereka isytihar, ‘Muharram tahun ini tidak haram, ganti dengan bulan depan (Safar).’ Namun mereka tetap mencukupkan 4 bulan setahun sebagai bulan Haram kerana tetap hormat ajaran lama Nabi Ibrahim عليه السلام. Hormat sedikit sahajalah, bukan semua. Cuma mereka ubah sahaja kedudukan bulan Haram itu sesuka hati mereka.

Pada awalnya mereka ubah sikit-sikit sahaja, namun lama-kelamaan menjadi celaru habis sampai tidak tahu bulan mana yang sebenar. Kalendar mereka telah jadi kucar-kacir habis. Padahal Allah ‎ﷻ telah menjadikan bulan Haram itu semenjak awal masa lagi iaitu semasa penciptaan bumi lagi.

Perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku. Mungkin ada yang kata, apalah sangat asalkan tidak mengubah 12 bulan menjadi 14 bulan, bukan? Akan tetapi ibadah dalam agama berkaitrapat dengan bulan-bulan. Contohnya Ramadhan untuk puasa, Syawal untuk berhari raya, DzulHijjah untuk mengerjakan Haji, dan sebagainya. Bagaimanakah hendak tetapkan ibadah kalau bulan yang tepat tidak ketahuan?

Akhirnya Nabi Muhammad ﷺ telah memperbetulkan semula susunan bulan itu setelah Pembukaan Mekah supaya kembali kepada bulan yang asal. Ini baginda lakukan semasa baginda datang mengerjakan Haji pada tahun 10 Hijrah. Ketika baginda mengerjakan Haji tahun itu, ia bertepatan pula dengan DzulHijjah dalam kiraan Musyrikin Jahiliyah. Manakala untuk bulan-bulan lain telah diperbetulkan semula susunannya.

Maka begitulah kesalahan besar yang telah dilakukan oleh Musyrikin Mekah pada waktu itu. Mereka mengambil mudah ketetapan agama dan ketetapan daripada Allah ﷻ. Disebabkan sikap mereka yang suka mempermudah-mudahkan serta sesuka hati mereka menukar ketetapan daripada Allah ﷻ, maka mereka memang patut diperangi.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ ۚ فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم ۚ وَقٰتِلُوا المُشرِكينَ كافَّةً كَما يُقٰتِلونَكُم كافَّةً ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the number of months with Allāh is twelve [lunar] months in the register of Allāh [from] the day He created the heavens and the earth; of these, four are sacred. That is the correct religion [i.e., way], so do not wrong yourselves during them.¹ And fight against the disbelievers collectively as they fight against you collectively. And know that Allāh is with the righteous [who fear Him].

  • i.e., do not violate the sacred months or commit aggression therein.

(MALAY)

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

 

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ﷻ adalah 12 bulan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Oleh itu, kita tahu yang kalendar kita yang gunakan 12 bulan dari dulu sampai sekarang ini, bukanlah rekaan manusia, tetapi Allah ﷻ yang tentukan. Ia telah ditetapkan dari mula lagi iaitu semasa alam ini diciptakan. Kalimah كِتٰبِ اللَّهِ merujuk kepada Kitab Lauh Mahfuz.

Semua bulan adalah milik Allah ﷻ. Maka apabila ada yang mendakwa bahawa terdapat kelebihan untuk bulan Rejab kerana ia adalah bulan Allah ﷻ, maka itu adalah dusta kerana mereka berdalilkan hadith palsu ini:

رَجَبُ شَهْرُ اللَّهِ وَشَعْبَانُ شَهْرِي وَرَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِي

“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban pula adalah bulanku (Rasulullah SAW) dan Ramadhan adalah bulan umatku”.

Berikut adalah beberapa pendapat para ulama’ dalam menilai dan menghukum hadith di atas:

    • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai bathil. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 14]
    • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith tersebut sebagai palsu. [Lihat: al-Maudhu’at, 124/2]
    • Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini dhaif. [Lihat: Jami’ al-Saghir, 426]
    • Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 90/2]
    • Imam al-Syaukani mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 47]
    • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 460]
    • Syeikh al-Albani menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah]

 

يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,

Susunan bulan yang 12 itu disusun semasa Allah ﷻ mencipta alam lagi, bukan selepasnya. Maka memang itu telah tetap dan tidak akan berubah sehingga kiamat. Oleh kerana Allah ﷻ yang tetapkan, tentulah Dia marah kalau manusia dengan selamba sahaja sesuka hati menukarnya.

Manakala matahari dan bulan pula Allah ﷻ jadikan untuk mudah manusia mengira perubahan kalendar itu. Sekiranya kita menggantung kalendar di dinding rumah, maka seolah-olah Allah ﷻ yang menggantung ‘kalendar’ untuk kita semua di langit. Oleh itu, amat kurang ajarlah Kafir Mekah apabila mereka senang-senang sahaja mengubah apa yang Allah ﷻ telah adakan.

 

مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ

di antaranya empat bulan haram. 

Daripada 12 bulan itu, ada empat bulan yang telah ditetapkan tidak boleh berperang. ‘Haram’ itu bermaksud ‘suci’ dan juga kerana haramnya berperang di bulan-bulan itu. Maksudnya, tidak boleh dimulakan perang. Maka, jikalau orang kafir menyerang kita, bolehlah kita balas, jangan duduk diam sahaja.

Empat bulan yang dimaksudkan itu ada disebutkan dalam hadith daripada Abu Bakroh رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,

الزَّمَانُ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا ، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِى بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

”Setahun berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Dzulqo’dah, Dzulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rajab Mudhor yang terletak antara Jumadal (akhir) dan Sya’ban.”

(Bukhari no. 3197 dan Muslim no. 1679).

Empat bulan ini adalah kelebihannya untuk melebihkan ibadah padanya. Ibnu Abbas رضي الله عنه menafsirkan ayat di atas,

في كلهن، ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما، وعظم حرماتهن، وجعل الذنب فيهن أعظم، والعمل الصالح والأجر أعظم.

“(Janganlah kalian menganiaya diri kalian) dalam seluruh bulan. Kemudian Allah mengkhususkan empat bulan sebagai bulan-bulan haram dan Allah pun mengagungkan kemuliaannya. Allah juga menjadikan perbuatan dosa yang dilakukan di dalamnya lebih besar. Demikian pula, Allah pun menjadikan amalan soleh dan ganjaran yang didapatkan di dalamnya lebih besar pula” (Tafsir Ibnu Katsir: 3/26).

 

ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ

Itulah (ketetapan) agama yang lurus,

Ketetapan bulan yang 12 dan empat bulan yang haram itu adalah sebahagian daripada agama. Ia tidak akan berubah sampai kiamat nanti. Oleh itu, kenalah hormati. Antara hikmah diadakan empat bulan itu adalah supaya ada rehat daripada peperangan dan supaya umat boleh melakukan ibadah, antaranya ibadah Haji. Jika sepanjang tahun asyik berperang sahaja, bilakah masanya untuk melakukan perkara-perkara lain pula?

Dengan orang kafir ini bukannya boleh dibuat kira, ada yang tidak kisah pun untuk berbuat apa sahaja kerana mereka tidak ada adab dan tidak ada agama. Mereka tidak takut dengan Allah ﷻ dan balasan daripada-Nya.

Maka di sini mereka telah melanggar larangan berperang dalam bulan Haram. Memang menyerang di bulan Haram adalah haram, akan tetapi jika kita diserang, kita boleh pertahankan diri. Begitulah juga jika mereka menyerang kita di Tanah Haram, kita boleh balas untuk pertahankan diri kita. Ini seperti yang ada dalam ayat yang lain:

{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ}

Bulan Haram dengan bulan Haram dan pada sesuatu yang patut dihormati berlaku hukum qisas. Oleh sebab itu, barang siapa yang menyerang kalian, maka seranglah dia yang seimbang dengan serangannya terhadap kalian. (Al-Baqarah: 194), hingga akhir ayat.

Juga dalam ayat lain:

{وَلا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ}

dan janganlah kalian memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kalian di tempat itu. Jika mereka memerangi kalian (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. (Al-Baqarah: 191), hingga akhir ayat.

Oleh itu, bulan yang diharamkan ada empat: tiga bulan di antaranya berurutan letaknya, sedangkan yang satunya lagi terpisah; hal ini tiada lain demi menunaikan manasik Haji dan Umrah. Maka diharamkan (disucikan) satu bulan sebelum bulan Haji, iaitu bulan ZulQaedah, kerana mereka dalam bulan itu adalah untuk beristirehat tidak mahu berperang untuk persiapan menunaikan Haji; dan diharamkan bulan ZulHijjah kerana dalam bulan itu mereka menunaikan ibadah Haji dan sibuk dengan penunaian manasiknya.

Kemudian diharamkan pula satu bulan sesudahnya —iaitu bulan Muharram— agar orang-orang yang telah menunaikan Haji pulang ke negerinya yang jauh dalam keadaan aman. Kemudian diharamkan bulan Rejab di pertengahan tahun, untuk melakukan ziarah ke Baitullah dan melakukan ibadah Umrah padanya, bagi orang yang datang kepadanya dari daerah yang jauh dari Jazirah Arab. Maka mereka dapat menunaikan ibadah umrahnya, lalu kembali ke negeri masing-masing dalam keadaan aman.

Cuma, yang menjadi khilaf ulama’ sama ada masih haram lagi berperang di bulan Haram atau tidak. Jumhur ulama’ (majoriti) berpendapat bahawa pengharaman tersebut telah dihapuskan hukumnya. Inilah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ahmad رحمه الله dan selainnya.

Sekelompok ulama’ salaf termasuk Ata’ رحمه الله berpendapat bahawa larangan itu adalah kekal. Sebahagian ulama’ khalaf (yang kemudian) menguatkan pendapat ini dan mereka berdalilkan dengan ayat daripada surah Al-Ma’idah, di mana surah ini merupakan surah yang paling akhir diturunkan daripada Al-Qur’an. Dalam sebuah riwayat, dinyatakan:

أَحِلُّوا حَلَالَها وَحَرِّمُوا حَرَامَهَا

Halalkan apa yang dihalalkan dalam al-Qur’an dan haramkan apa yang telah diharamkan.”

Riwayat Ahmad (6606)

Rujuk Maidah:97 tentang bulan Haram:

جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ وَالشَّهرَ الحَرامَ وَالهَديَ وَالقَلٰئِدَ

Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid.

Pendapat ini menyatakan bahawa tidak ada yang dihapuskan dalam masalah ini. Diriwayatkan bahawa Aisyah رضي الله عنها berkata:

فَإِنَّهَا آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ، فَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَلَالٍ فَاسْتَحِلُّوهُ، وَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوهُ

“Itulah surah terakhir yang diturunkan, apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang halal, maka halalkanlah. Dan apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang haram, maka haramkanlah.”
(Riwayat Ahmad (25547), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11138))
Syeikh Syu’aib al-Arna’ut رحمه الله menyatakan, isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.

Imam Ahmad رحمه الله juga meriwayatkan dalam Musnadnya, daripada Jabir رضي الله عنه, katanya:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْزُو فِي الشَّهْرِ الْحَرَامِ إِلَّا أَنْ يُغْزَى – أَوْ يُغْزَوْا – فَإِذَا حَضَرَ ذَاكَ، أَقَامَ حَتَّى يَنْسَلِخَ

“Rasulullah ﷺ tidak pernah berperang di bulan haram, kecuali jika diserang terlebih dahulu. Jika bulan haram tiba, baginda berhenti sehinggalah bulan haram itu berlalu.”
(Riwayat Ahmad (14583))
Syeikh Syu’aib al-Arna’ut رحمه الله menyatakan isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.

Sebahagian ulama’ menyebut bahawa Nabi ﷺ mengepung Taif pada bulan Syawal. Ketika memasuki bulan ZulQa’edah, baginda beristirehat dan tidak memerangi orang-orang kafir, tetapi hanya mengepung mereka, kemudian kembali ke tempat semula. Begitu juga, ketika umrah dalam peristiwa Hudaibiyyah, baginda tidak berperang. Sehinggalah apabila mendengar khabar Uthman رضي الله عنه dibunuh, maka baginda membai’ah para sahabat untuk berperang. Namun, setelah jelas bahawa berita itu tidak benar, maka baginda menahan niatnya untuk memerangi kaum kafir.

Akan tetapi jumhur ulama’ berdalilkan bahawa para sahabat, setelah kewafatan Rasulullah ﷺ sibuk mengadakan perluasan wilayah ke pelbagai negeri dan melanjutkan jihad. Tidak pernah dinukilkan satu riwayat pun bahawa ada dalam kalangan mereka yang berhenti berperang (dalam keadaan telah berniat untuk berjihad) pada bulan-bulan haram. Ini menunjukkan kesepakatan mereka tentang dihapusnya hukum berperang pada bulan tersebut. Wallahu a’lam.

Justeru, agak kuat juga pendapat yang mengatakan pengharaman bulan-bulan haram untuk berperang telah dinasakhkan berdasarkan nas dan amalan para sahabat selepas itu. Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman kepada kita semua. Allahu a’lam.

 

فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم

maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu,

Allah ﷻ tegaskan supaya janganlah menzalimi sesiapa pada bulan-bulan itu. Mungkin ada pendapat yang mengatakan ‘bulan-bulan’ yang dimaksudkan adalah empat bulan itu. Namun sebenarnya lebih baik kalau kita katakan, keseluruhan bulan untuk sepanjang tahun itu jangan zalimi orang lain kerana takkan empat bulan itu sahaja yang tidak boleh zalimi orang lain, tetapi dalam bulan lain, boleh pula. Adakah begitu? Tentu tidak.

Oleh itu maksudnya jaga semua bulan. Jangan ubah-ubah apa yang Allah ﷻ telah tetapkan. Terutama kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata mereka adalah penjaga Ka’bah dan Tanah Haram, maka kenalah jaga sekali dengan bulan-bulan yang Allah ﷻ telah tetapkan. Apabila mereka ubah satu bulan, tentunya bulan-bulan yang lain akan berubah sekali, bukan?

Kalau kita mahu memegang pendapat yang dimaksudkan adalah bulan-bulan Haram yang empat itu, maka kita boleh terima bahawa kalau dalam bulan lain pun tidak boleh menzalimi, lebih-lebih lagi dalam empat bulan itu.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, lafaz yang digunakan adalah ‘jangan menzalimi diri kamu’. Ini kerana apa sahaja kezaliman yang mereka lakukan terhadap bulan itu, mereka sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri, kerana mereka akan menanggung akibatnya nanti.

 

وَقٰتِلُوا المُشرِكينَ كافَّةً كَما يُقٰتِلونَكُم كافَّةً

dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, 

Allah ﷻ suruh puak Muslim hendaklah memerangi orang yang berakidah syirik semua sekali, sepertimana mereka juga ingin memerangi puak Islam semua sekali. Memang ada orang musyrikin yang kalau boleh memang hendak membunuh habis puak tauhid. Mereka itulah yang mesti diperangi.

Di sini sama ada Allah ﷻ suruh serang mereka semua, atau kamu semua serang mereka.

Cuma janganlah ayat ini digunakan sebagai dalil untuk memerangi orang kafir sekarang. Kerana zaman sekarang, kita ada perjanjian damai dengan negara-negara lain. Maka, apa yang dilakukan oleh terroris-terroris, IS, ISIS dan Daesh itu, adalah menyimpang jauh daripada Islam.

Mereka sahaja yang mengaku mereka Muslim dan melakukan perkara itu atas nama Islam, akan tetapi mereka itu bukanlah menegakkan Islam. Mereka itu membunuh tanpa haq dan mereka akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat kelak di atas perbuatan mereka itu.

Ringkasnya, kena musnahkan semua sekali musuh (Kafir Harbi sahaja). Manakala ada satu lagi maksud: umat Islam mesti bersatu semua sekali untuk menentang kafir Harbi itu. Malangnya ayat ini tidak diamalkan sekarang. Negara-negara Muslim di seluruh dunia sekarang tidak bersatu dalam mempertahankan negara Islam lain yang diserang. Sedangkan apabila musuh Islam menyerang sebuah negara Islam, mereka bersatu dan berjaya memusnahkan kita. Beginilah yang berlaku apabila ajaran wahyu jauh daripada manusia.

Selain itu, negara Muslim sekarang pun tidak mempunyai Khalifah untuk menjalankan perintah perang itu. Maka kena sesuaikan dengan keadaan. Hendaklah diingatkan bahawa bukanlah ayat-ayat perang ini sudah dimansukhkan. Ia masih tetap ada, kerana tidak semestinya keadaan akan aman sepanjang masa. Ada masanya nanti yang ayat-ayat hukum peperangan ini akan digunakan kembali. Dan kita kena bersedia.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

Jangan takut untuk berperang dengan musuh sekali pun kamu sedikit dan mereka ramai. Ini kerana Allah ﷻ akan bantu mereka yang bertaqwa; iaitu mereka yang takutkan Allah ﷻ dan sentiasa menjaga hukum Allah ﷻ. Allah ﷻ pasti akan menangkan golongan muttaqin. Kalau Allah ﷻ tidak bantu, itu tanda bukan muttaqin lah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 April 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien