Tafsir Surah al-A’raf Ayat 28 – 30 (Pakaian semasa salat)

A’raf Ayat 28: Ayat Syikayah (bebelan daripada Allah ‎ﷻ)

وَإِذا فَعَلوا فٰحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها ءآباءَنا وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها ۗ قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ ۖ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they commit an immorality, they say, “We found our fathers doing it, and Allāh has ordered us to do it.” Say, “Indeed, Allāh does not order immorality. Do you say about Allāh that which you do not know?”

(MALAY)

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”. Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

 

وَإِذا فَعَلوا فٰحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها ءآباءَنا

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu,

Lafaz فٰحِشَةً bermaksud penderhakaan yang memalukan, yang terjadi kerana telah dibisik oleh syaitan. Malangnya ramai yang tidak sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila mereka ditegur kerana melakukan perkara فٰحِشَةً, mereka akan berkata – “Kami dapati amalan ini tok nenek kami dulu dah lama buat dah. Kami ikut sahaja, takkan salah? Kalau salah, tentu mereka tidak buat!”

Seperti kita telah sebut, Musyrikin Mekah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Mereka kata amalan itu telah lama dilakukan oleh datuk nenek mereka. Mereka hanya ikut sahaja (tanpa soal) dan mereka menjadikan hujah datuk nenek itu sebagai alasan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Jika orang kita pun berhujah yang mereka mengikut amalan datuk nenek dan sudah lama dilakukan di negara ini, maka alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ia adalah sama kerana akidah mereka pun sama sahaja seperti Musyrikin Mekah itu. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana tidak belajar ilmu wahyu dengan benar.

Itulah akidah ikut-ikutan sahaja, tidak mahu fikirkan adakah ia benar ada dalam agama ataupun tidak.  Mereka tidak terfikir untuk bertanya apakah dalil untuk perbuatan itu. Mereka hanya mengikut dan amal sahaja tanpa banyak soal.

Oleh kerana surah ini diturunkan di Mekah, maka dari segi asbabun nuzul, ada dua kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan lafaz فاحِشَةً itu daripada ayat ini:

1. Tawaf sambil telanjang.

2. Lafaz labbaikallah yang mereka tambah dengan kalimah syirik – “Tidak ada syirik kecuali yang tuhan setuju”. Mereka sanggup sebut begitu kerana syaitan telah bisikkan kepada mereka untuk menambah kalimah yang lain di mana mereka mahu berkata, ada perbuatan syirik yang Allah ‎ﷻ benarkan.

Orang-orang Arab di masa lalu (selain kabilah Quraisy), bila mereka melakukan tawaf, mereka melakukannya tanpa berpakaian (telanjang bulat). Mereka andaikan yang mereka tidak mahu melakukan tawaf dengan memakai pakaian yang biasa mereka pakai untuk bermaksiat kepada Allah ‎ﷻ. Sedangkan orang-orang Quraisy yang dikenali dengan sebutan Al-Hamas selalu melakukan tawaf mereka dengan memakai pakaian mereka.

Orang Arab lain bila diberi pinjaman pakaian oleh orang Hamas, maka mereka memakainya untuk bertawaf; dan orang yang mempunyai pakaian baru, maka dipakainya untuk bertawaf, lalu ia membuangnya tanpa ada seorang pun yang mahu mengambil­nya.

Sesiapa yang tidak mempunyai pakaian baru, tidak pula ada seorang Hamas yang mahu meminjamkan pakaian kepadanya, maka ia tawaf dengan telanjang bulat. Adakalanya terdapat seorang wanita melakukan tawaf dengan telanjang bulat, kemudian dia menjadikan sesuatu pada kemaluannya untuk menutupi apa yang dapat ditutupinya, lalu dia berkata: Hari ini kelihatan sebahagian atau seluruhnya; dan apa yang tampak daripadanya, maka saya tidak akan menghalalkannya.

Akan tetapi kebanyakan yang dilakukan oleh kaum wanita bila bertawaf di malam hari adalah telanjang. Hal ini merupakan suatu tradisi yang mereka buat-buat sendiri yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka. Mereka mempunyai keyakinan bahawa perbuatan nenek moyang mereka itu bersandarkan kepada perintah Allah ‎ﷻ dan syariat-Nya.

Begitulah manusia, akan menggunakan berbagai-bagai alasan dan hujah untuk membenarkan amalan mereka. Kalau mereka sudah mengamalkan amalan syirik dan bid’ah semenjak turun temurun, maka mereka masih akan mahu terus mengamalkan tradisi tersebut. Susah sangat untuk mengubah kepercayaan tradisi itu.

Kalau ditegur, mereka akan memberikan alasan sebagaimana dalam ayat ini. Mereka tidak mahu kalah, dan berterusan enggan untuk meninggalkan amalan itu. Maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari alasan, tidak kiralah dari mana alasan itu datang, sama ada masuk akal atau tidak. Asalkan menunjukkan amalan mereka itu tidak salah.

Maka, kita jangan terkeliru dengan jawapan sebegini. Allah ‎ﷻ telah berikan terus apakah jawapan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah ini supaya kita tahu alasan itu kerana alasan itu akan diulang-ulang sampai kiamat. Sekarang memang ramai yang cakap begitu, tidak kiralah sama ada orang itu adalah orang awam atau pun ustaz.

Memang amat menghairankan sekali, apabila terdapat golongan yang dikatakan ‘ustaz’ pun turut sama memberikan alasan yang serupa. Mereka tidak sedar yang alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tahu baca sahaja tetapi tidak faham maksud. Malang sekali kalau masyarakat kita belajar dan mendapatkan ilmu daripada golongan sebegini.

Oleh sebab itu, janganlah kita terima alasan seperti ini. Ini adalah alasan puak jahiliyah. Alasan ini tidak ada nilai. Allah ‎ﷻ sebutkan alasan mereka kerana Allah ‎ﷻ tahu memang mereka akan kata begitu. Maka, kalau sesiapa memberikan alasan sebegini, maka beritahu mereka yang alasan mereka sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Tinggalkanlah alasan itu, carilah alasan lain.

Kita kena tetap dengan pendirian dan manhaj kita, iaitu kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah, bukannya mengikut amalan datuk nenek yang tidak sama dengan amalan sunnah. Segala amalan orang-orang terdahulu, kenalah diperiksa semula sama ada selari atau tidak dengan agama. Kalau ia sama dengan sunnah, maka boleh diamalkan. Kalau tidak selari maka kita wajib tinggalkan.

 

وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها

dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. 

Dan mereka tambah dengan berkata, Allah ‎ﷻlah yang menyuruh mereka buat, kerana datuk nenek mereka pun buat juga. Mereka sangka, ‘takkan’ salah amalan datuk nenek mereka itu pula. Inilah yang dinamakan dalil ‘takkan’. Mereka kata: ‘takkan’ datuk nenek mereka tidak tahu mana yang salah, mana yang benar. Ataupun ada yang kata: “Takkan ustaz mereka tidak tahu agama”. Entah berapa ramai yang sesat, kerana menggunakan dalil ‘takkan’ ini.

Memang datuk nenek mereka buat dan mereka ikut, tetapi lihatlah bagaimana mereka kata Allah ‎ﷻ pula yang suruh. Ini merupakan sebuah penipuan yang besar kerana menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Jika benar Allah ‎ﷻ yang suruh, maka manakah dalilnya?

Oleh itu, ringkasnya mereka buat perkara yang keji itu tetapi mereka kata Allah ‎ﷻ yang suruh kerana datuk nenek mereka sudah lama buat dan mereka yakin tidak mungkin datuk nenek buat perkara yang salah. Mereka sangka, kalau keturunan mereka dahulu ada buat, tentulah Allah ‎ﷻ yang suruh mereka buat.

 

قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”.

Allah ‎ﷻ suruh kita jawab kepada mereka: Allah ‎ﷻ tidak buat arahan untuk melakukan فاحِشَةً’. Kenapakah Allah ‎ﷻ perintahkan untuk melakukan perkara yang tidak patut sedangkan ada banyak lagi amalan halal lain yang ada? Jangan kamu memandai-mandai menuduh dan letakkan nama Allah ‎ﷻ pula sedangkan tidak ada dalil.

Begitulah caranya kita menentang dan menegur amalan bid’ah yang masyarakat kita sekarang amalkan. Mereka kata akan dapat pahala. Maknanya mereka mendakwa Allah ‎ﷻ akan beri pahala seolah-olah Allah ‎ﷻ suruh buat dan Allah ‎ﷻ sukakan perbuatan bid’ah itu. Inilah kekeliruan yang menebal dalam masyarakat kita yang jahil bab ini. Banyak lagi amalan sunnah yang lain, belum mampu dibuat kesemuanya, tetapi kenapakah mahu dibuat juga amalan yang tidak ada dalil itu?

 

أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

Adakah kamu bercakap tanpa ilmu? Adakah patutkah kamu kata tentang Allah ‎ﷻ dalam perkara yang kamu tidak tahu perkara sebenarnya? Mereka yang memberikan alasan dan hujah yang tidak boleh dijadikan sebagai dalil itu adalah mereka yang tidak mempunyai ilmu sebenarnya. Memang kalau kita minta dalil pun mereka tidak boleh beri. Berbagai hujah akan diutarakan dan diselatankan, akan tetapi tidak ada pun dalilnya. Punyalah kita tunggu, namun tidak kunjung tiba.


 

A’raf Ayat 29:

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ ۖ وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۚ كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “My Lord has ordered justice and that you direct yourselves [to the Qiblah] at every place [or time] of prostration, and invoke Him, sincere to Him in religion.” Just as He originated you, you will return [to life] –

(MALAY)

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

 

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. 

Beritahu mereka: “Tuhan aku memerintahkan aku untuk melakukan perkara yang adil.” Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang adil itu? Itulah kalimah la ilaaha illallah. Iaitu kita adil dengan Allah ‎ﷻ dengan meletakkan kedudukan-Nya di tempat yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ sebagai Rabb yang selayaknya dan Dia sahaja kita sembah. Inilah tauhid.

Juga boleh juga bermaksud asalnya iaitu berlaku adil dalam setiap perkara. Islam memang mementingkan keadilan dalam setiap perkara. Memberi hak kepada yang sepatutnya.

Maka jangan melampaui batas dalam kehidupan kita. Terutama sekali jangan melampau dalam hal agama. Jangan buat perkara yang Allah ‎ﷻ dan Nabi tidak ajar.

 

وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang

Dan sekarang Allah ‎ﷻ mengarahkan kita supaya kita lurus semasa mendirikan salat di setiap tempat sujud (masjid) dan waktu sujud. Ini kerana masdar (kata terbitan) ‘masjid’ boleh menjadi tempat sujud dan juga masa sujud. Kenapakah digunakan kalimah ‘wajah’ dalam ayat ini? Adakah muka sahaja harus diluruskan? Tidak. Disebut wajah kerana ia adalah isyarat kepada seluruh badan.

Ini merujuk kepada perbuatan fizikal. Hendaklah lurus mengadap kiblat semasa mengerjakan salat. Ia juga bermaksud taat kepada perintah Allah ‎ﷻ dalam mengerjakan salat. Juga secara umum, iaitu dalam setiap segi ibadah kita kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dan serulah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. 

Jika tadi adalah mengenai ibadah fizikal badan, sekarang adalah tentang ibadah hati pula. Ibadah hati pun mesti dijaga. Hendaklah kita melakukan ibadah dan seru hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja tanpa dicampur aduk dengan seruan kepada yang lain. Ibadah mestilah dilakukan hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak boleh kepada selain-Nya. Jika dibuat juga, maka itu sudah termasuk syirik.

Bukan hanya ibadah sahaja untuk Allah ‎ﷻ, seruan juga hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Seruan dalam berdoa. Maka ini mengajar kita hanya berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan minta kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak tahu tentang hal ini sampai ada yang kata tidak salah meminta kepada wali yang sudah mati, tidak salah meminta kepada jin Islam. Ramai sudah tertipu dengan golongan penipu dalam agama.

Golongan sesat dan golongan ahli bid’ah ini telah keliru dalam bab ibadah dan doa mereka. Ibadah mereka ibadah rekaan (bid’ah) dan mereka selamba sahaja berdoa meminta pertolongan kepada selain Allah ‎ﷻ.

 

كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan, demikian pulalah kamu akan kembali (kepada-Nya)”.

Untuk menjaga ibadah dan hati itu kenalah ingat: Seperti mana kamu mula dijadikan, kamu akan kembali begitu juga di akhirat nanti. Nanti kamu akan bertemu Allah ‎ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan fizikal dan hati kamu.

Sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang akhirat dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ suruh kita bayangkan keadaan kita pada waktu itu. Kita tidak akan ada pakaian di akhirat kelak. Kita lahir tanpa pakaian dan kita akan mati pun tanpa pakaian juga.

Kalau anda masih ingat kisah Nabi Adam عليه السلام di awal surah ini telah disebut tentang pakaian dan sekarang disebut tentang pakaian lagi. Di awal dan hujung kehidupan tidak berpakaian, maka di tengah kehidupan kita, hendaklah kita berpakaian. Maka kena perhatikan betul-betul tentang pakaian kita. Jagalah pakaian kita selagi kita boleh menjaganya kerana nanti akan sampai satu masa yang kita tidak ada pakaian nanti.


 

A’raf Ayat 30:

فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A group [of you] He guided, and a group deserved [to be in] error. Indeed, they [i.e., the latter] had taken the devils as allies instead of Allāh while they thought that they were guided.

(MALAY)

Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

 

فَريقًا هَدىٰ

Sebahagian diberi-Nya petunjuk

Sebahagian daripada manusia mendapat hidayah petunjuk daripada Allah ‎ﷻ. Mereka ini adalah orang yang beriman sempurna. Apakah iman sempurna itu? Iaitu iman  yang tidak ada syirik di dalamnya.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

فَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ”

Adapun orang yang telah ditakdirkan termasuk orang-orang yang berbahagia, maka dimudahkan baginya jalan mengerjakan amal orang-orang yang bahagia. Dan adapun orang yang telah ditakdir­kan termasuk orang-orang yang celaka, maka dimudahkan baginya mengerjakan amal perbuatan orang-orang yang celaka.

(Hadith Riwayat Bukhari (1392), Muslim (2647))

 

وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ

dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. 

Terdapat juga puak yang telah tetap kesesatan di atas mereka. Jika kita dakwah kepada mereka dengan pelbagai cara sekalipun, mereka tetap tidak akan beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima iman. Ini dipanggil qatmul qalbi (penutupan hati).

Namun harus diingatkan, di sini bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ zalim. Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka kerana mereka sendiri tidak mahu beriman. Bukanlah dari awal lagi Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka. Mereka ini ditutup pintu hatinya setelah berkali-kali menolak dakwah tauhid yang disampaikan kepada mereka.

 

إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ

Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung (mereka) selain Allah,

Kenapa mereka ditutup hati mereka daripada menerima iman sampai bila-bila? Ini adalah kerana mereka telah jadikan syaitan sebagai pelindung, pemimpin dan teman rapat mereka. Sepatutnya mereka menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai wali, tetapi mereka telah tertipu dengan pujukan dan bisikan syaitan, maka mereka telah disesatkan.

 

وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ

dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Malangnya, mereka sangka mereka terpimpin, mereka sangka mereka mendapat hidayah. Mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka sedang melakukan kesalahan dalam agama.

Ini seperti kebanyakan golongan kita yang mengamalkan amalan yang bid’ah dan mereka seolah-olah tidak ada masalah untuk mengamalkannya. Mereka tidak takut melakukan amalan bid’ah itu. Sebaliknya mereka suka dan bangga mengamalkannya dan mereka rasa mereka telah mendapat banyak pahala dan Allah ‎ﷻ suka dengan perbuatan dan amalan mereka.

Ini adalah golongan yang susah untuk didakwah kerana mereka rasa mereka sudah pandai sedangkan mereka ini jahil. Inilah yang dipanggil jahil murakkab iaitu orang jahil yang sangka mereka pandai. Mereka yakin sungguh yang mereka itu dalam kebenaran. Kalau mereka sedar mereka jahil, senanglah untuk kita dakwah dan ajar mereka, bukan? Tetapi kalau mereka rasa mereka benar, telah pandai, itu memang susah. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa ayat ini merupakan dalil yang paling jelas untuk menolak kekeliruan orang yang menduga bahawa Allah ‎ﷻ tidak mengazab seseorang kerana maksiat yang dikerjakannya atau kesesatan yang diyakininya, melainkan bila dia melakukannya sesudah adanya pengetahuan daripadanya yang membenarkan sikapnya itu, lalu dia mengerjakannya dengan penuh rasa keingkaran terhadap Tuhannya. Seandainya memang demikian, nescaya tidak ada bezanya antara golongan orang-orang yang sesat yang menduga bahawa dirinya mendapat petunjuk, dengan golongan orang-orang yang mendapat petunjuk yang sebenarnya. Allah ‎ﷻ telah menjelaskan dan membezakan keduanya dan hukum-hukum mengenai keduanya dalam ayat ini.

Dalam bahasa ringkas, maksud Ibnu Jarir رحمه الله ini adalah mereka yang sangka mereka benar itu tidak ada alasan lagi. Tidak boleh mereka kata mereka yakin amalan mereka benar kerana mereka telah ikhlas hendak buat. Bukankah ada yang berpendapat: Jika amalan kita ikhlas, Allah ‎ﷻ akan terima?

Itu adalah fahaman yang salah disebabkan oleh kejahilan. Maka ini mengajar kita yang jahil bukanlah alasan di akhirat kelak. Kita tidak boleh hendak beri alasan: “Maaf, saya tidak tahu…” kerana Allah ‎ﷻ telah menurunkan wahyu dan Rasul kepada kita untuk mengajar agama. Selain daripada itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan kita pancaindera dan juga akal untuk menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Kalau tidak digunakan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka siapakah yang patut dipersalahkan kalau tersilap langkah? Tentulah diri sendiri!

Oleh sebab itu, kenalah berusaha untuk mencari ilmu dan menilai ilmu itu. Jika kita telah berusaha mencari ilmu akan tetapi tersilap juga, maka barulah ada alasan. Namun kalau langsung tidak ada usaha, apakah lagi alasan yang kita ada? Lalu bagaimana dengan manusia yang tidak berusaha langsung mendalami ilmu agama? Adakah mereka rasa selesa duduk terus di dalam kejahilan? Alangkah malangnya!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 24 – 27 (Tidak boleh nampak jin)

A’raf Ayat 24:

قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend, being to one another enemies. And for you on the earth is a place of settlement and enjoyment [i.e., provision] for a time.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

 

قالَ اهبِطوا

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian

Allah ‎ﷻ berfirman: turunlah kamu semua. Dikatakan ‘semua’, kerana yang turun ke dunia itu termasuk juga zuriat mereka berdua. Dan maksudnya ‘semuanya’, kerana termasuk iblis diturunkan juga dari langit ke dunia.

 

بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ

sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. 

Sesetengah daripada mereka akan menjadi musuh kepada sesetengah yang lain. Inilah perangai manusia apabila duduk di dunia. Kalau semuanya duduk syurga tidak ada masalah kerana tiada permusuhan di syurga.

Namun bila manusia duduk di dunia, pelbagai masalah ada. Lelaki menjadi musuh kepada wanita, wanita menjadi musuh kepada lelaki, manusia menjadi musuh kepada syaitan dan sebaliknya. Dan permusuhan sesama manusia pun sudah banyak.

Dan tentunya permusuhan daripada iblis syaitan yang tidak padam dengan anak-anak Adam. Itu semua kita akan tempuhi selama mana kita hidup di dunia ini.

 

وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

Bagi kita semua, telah ada satu tempoh yang ditetapkan untuk kita tinggal di dunia ini. Di dunia ini kita boleh nikmati segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah sediakan untuk kita.

Akan tetapi ingatlah yang tempat tinggal di dunia ini untuk sementara waktu sahaja. Itulah yang dinamakan sebagai متاع. Sampai masa kita akan dimatikan dan sampai masa, dunia akan kiamat dan semua akan mengadap Allah ‎ﷻ nanti. Oleh sebab itu hendaklah kita ingat yang dunia ini tidak kekal, maka jangan kita lebihkan sangat dunia ini berbanding akhirat.


 

A’raf Ayat 25:

قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Therein you will live, and therein you will die, and from it you will be brought forth.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

 

قالَ فيها تَحيَونَ

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup

Allah ‎ﷻ kata: kamu akan hidup di dunia. Di sinilah tempat kita mencari kehidupan kita, semenjak kita lahir, sehinggalah kita menghembuskan nafas terakhir. Di sinilah juga tempat yang kita gunakan untuk mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak. Maknanya, jangan ingat makan untuk hidup sahaja tetapi hendaklah beringat untuk mengumpul amal dan pahala.

 

وَفيها تَموتونَ

dan di bumi itu kamu mati,

Dan selepas menjalani kehidupan sekian lama, kita akan mati dan mati itu pun semasa di dunia. Kita kena sentiasa ingat tentang kematian. Ini penting kerana dengan ingat kematian lah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa.

 

وَمِنها تُخرَجونَ

dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

Dan dari dunia inilah nanti kita semua akan dihidupkan kembali. Kita akan dikuburkan dan kita akan dibangkitkan dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti. Maknanya Mahsyar nanti di bumi juga. Allah ‎ﷻ akan cipta yang lain, akan tetapi ia di sini juga.

Di bumi inilah hidup, mati dan dihidupkan semula. Allah ‎ﷻ sebut itulah sahaja guna tanah ini. Ia tidak ada apa-apa kerana ia akan hancur juga. Malangnya kita ini sibuk sangat dengan tanah. Berebut tanah, jual tanah, curi tanah, takluk tanah orang lain, berhabis harta untuk beli tanah dan sebagainya. Padahal ia bukan milik kita pun.

Habis Ruku’ 2 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 26: Allah ‎ﷻ memberikan nasihat kepada anak Adam dengan empat nasihat. Setiap satu ayat itu dimulai dengan lafaz ‘Wahai anak Adam’. Sekarang kita akan belajar kisah Nabi dan iblis.

Ini adalah ayat sokongan kepada Dakwa kedua: ikut wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan dan jaga hukum Allah ‎ﷻ. Ini adalah nasihat pertama:

يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن ءآيٰتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, We have bestowed upon you clothing to conceal your private parts and as adornment. But the clothing of righteousness – that is best. That is from the signs of Allāh that perhaps they will remember.

(MALAY)

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

 

يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian

Selepas mendengar kisah datuk kamu dan apa yang telah terjadi kepada mereka berdua, maka dengarlah nasihat dalam ayat ini. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah menceritakan bagaimana Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ telah diberikan hukuman semasa di syurga di atas kesalahan mereka, di mana mereka telah dinampakkan dengan aurat mereka, apabila pakaian mereka dicabut.

Dan sekarang dalam ayat ini pula, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia telah ‘menurunkan’ pakaian untuk kita. Ini menunjukkan yang kita tidak salah (tidak mewarisi dosa Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’). Kerana kalau kita salah, kita pun mewarisi hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua (terus ditelanjangkan) tetapi nampaknya tidaklah begitu.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia ‘turunkan’ pakaian kepada kita? Ini tidaklah bermaksud pakaian kita pakai ini adalah pakaian dari syurga atau dari langit. Akan tetapi ia bermaksud yang nikmat berpakaian ini diturunkan daripada Allah ‎ﷻ. Pakaian kita dibuat daripada elemen dunia yang Allah ‎ﷻ jadikan untuk kita. Kita cuma menggunakan segala khazanah Allah ‎ﷻ ini untuk mencipta pakaian yang indah-indah dan sesuai dipakai. Allah ‎ﷻ juga yang menurunkan air hujan dari langit yang menumbuhkan tanaman yang digunakan untuk membuat pakaian seperti kapas.

Oleh hal yang demikian, ini menolak fahaman sesat ‘dosa warisan’ (Original Sin) yang dipegang oleh puak Kristian. Mereka kata kita manusia adalah makhluk yang disumpah, lahir-lahir terus ada dosa. Itu adalah fahaman yang karut sekali kerana bersangka buruk dengan Allah ‎ﷻ dan alasan itu tidak ada dalilnya.

Selepas ini akan disebut tiga jenis pakaian. Yang pertama adalah pakaian fizikal, iaitu yang menutup aurat kita.

 

يُوٰري سَوءٰتِكُم

untuk menutup auratmu

Tujuan pakaian-pakaian itu diturunkan untuk kita adalah untuk menutup aurat. Maka, jika kita memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, maka itu tidaklah seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Maknanya kita tidak memakai pakaian sebenarnya.

Perhatikan yang ayat ini ditujukan bukan sahaja kepada Muslim, akan tetapi kepada anak Adam (seluruh umat manusia). Ternyatalah bahawa penutupan aurat adalah fitrah manusia sebenarnya.

Kalimah سواة yang digunakan dalam ayat ini bermaksud aib. Tubuh badan manusia tidaklah buruk dan hina kerana manusia dijadikan dalam bentuk terindah, akan tetapi ia tidaklah ditunjukkan di khalayak ramai. Kalau ditunjukkan itulah yang menjadi aib.

Menutup aurat adalah amat penting dalam agama. Dan kerana itulah penutupan aurat adalah perkara kedua yang disyariatkan selepas iman. Salat, puasa dan ibadah-ibadah lain datang selepas itu.

 

وَريشًا

dan untuk perhiasan. 

Ini adalah penerangan kedua tentang pakaian. Ia bukan sahaja untuk menutup aurat tetapi lebih daripada itu, iaitu untuk keindahan. Oleh sebab itu, pakaian itu diberikan kepada kita untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan. Tutup aurat itu adalah wajib dan memakai perhiasan itu hukumnya harus. Dibolehkan asalkan tidak melakukan perkara yang haram.

Kalimah risy atau riyasy secara harfiah bererti bulu burung yang halus dan indah. Risy menunjuk pada pakaian yang dikenakan untuk memperindah atau mempercantik diri. Oleh itu lafaz ريشًا dalam ayat ini bermaksud ‘keindahan pada pakaian’. Oleh itu, kita bukan sahaja disuruh untuk menutupi aurat kita tetapi kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang cantik dan menunjukkan ketamadunan kita. Dalam sirah dan hadith juga ada disebut bahawa Nabi ﷺ selalu memakai pakaian yang cantik-cantik. Ada pakaian yang diberi kepada baginda sebagai hadiah oleh para sahabat dan pembesar negara lain.

Oleh itu, berpakaianlah dengan kemas dan cantik. Allah ‎ﷻ mahu supaya kita nampak cantik dengan pakaian kita. Kerana itulah Dia telah menurunkan kepada kita pakaian yang cantik-cantik. Maka amat baik kalau kita menggunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Cuma bagi wanita, janganlah pakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.

 

وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ

Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.  

Selepas menyebut tentang pakaian yang zahir, sekarang Allah ‎ﷻ sebut pakaian jenis ketiga pula, iaitu taqwa. Pakaian taqwa adalah lebih baik lagi. Itu adalah pakaian rohani iaitu ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Oleh kerana taqwa itu letaknya di dalam hati, maka kita perlu mencantikkan hati kita sepertimana kita juga disuruh mencantikkan pakaian kita. Allah ‎ﷻ mengibaratkan taqwa itu seperti pakaian yang dipakaikan pada diri kita.

Zaid bin Ali berpendapat, pakaian taqwa itu adalah agama Islam itu sendiri. Menurut Ibn Abbas رضي الله عنهما ia adalah iman dan amal soleh. Pendapat lain menyatakan bahawa pakaian taqwa adalah moral dan keluhuran budi pekerti. (Tafsir al-Manar).

Oleh itu, pakaian taqwa adalah ketaqwaan itu sendiri, iaitu sikap tunduk dan patuh kepada Allah ‎ﷻ dengan melaksanakan semua perintah Allah ‎ﷻ dan menjauhi semua larangan-Nya. Dalam pengertian lain, inti taqwa adalah sikap mental atau kesedaran ketuhanan yang sangat tinggi pada seseorang yang memandang Allah ‎ﷻ selalu hadir menyertai semua perbuatannya. Apabila sedar Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan, maka ia akan menghalang manusia itu daripada melakukan maksiat.

Juga ia bermaksud pakaian yang dipakai itu hendaklah pakaian yang menunjukkan taqwa. Bukannya pakaian yang ketat dan menunjukkan bentuk badan. Ramai antara kita yang memakai pakaian yang sudah menutup aurat kononnya, tetapi jika pakaian itu ketat, ia tidak sesuai dan tidak menepati syarak lagi. Juga janganlah memakai pakaian cantik tetapi haram seperti sutera bagi lelaki.

Jangan juga pakai pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah ‎ﷻ tidak suka orang yang sombong. Pakailah pakaian biasa-biasa sahaja seperti orang lain.

 

ذٰلِكَ مِن ءآيٰتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Allah ‎ﷻ mahu kita ingat kepada-Nya. Oleh itu, hendaklah kita memakai pakaian dan dalam masa yang sama, dengan pakaian itu kita boleh ingat kepada Allah‎ ﷻ. Iaitu bila kita pakai, kita teringat yang itu adalah nikmat pemberian daripada Allah ‎ﷻ.

Ini menunjukkan segala apa yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mengingatkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Ketika memakai baju pun boleh ingat kepada Allah ‎ﷻ. Semasa memakai baju, ingatlah yang baju itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Dan kita pakai baju itu kerana mengikut arahan Allah ‎ﷻuntuk menutup aurat kita. Dan kita seboleh mungkin memakai pakaian yang menunjukkan ketaqwaan kita.

Ini penting untuk diingati dan kerana itu ada doa yang Nabi ﷺ ajar semasa memakai baju. Kita diingatkan sentiasa yang baju itu diberi oleh Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ telah beri nikmat kepada kita supaya dapat memakai baju yang cantik.

IMG_20200625_230438

Doa Ketika Memakai Pakaian

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ

Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rezeki dengan tiada upaya dan kekuatan daripadaku


 

A’raf Ayat 27: Ini nasihat kedua yang dimulakan dengan seruan wahai anak-anak Adam. Ini adalah tentang hikmah pakaian.

يٰبَني ءآدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما ۗ إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, let not Satan tempt you as he removed your parents from Paradise, stripping them of their clothing¹ to show them their private parts. Indeed, he sees you, he and his tribe, from where you do not see them. Indeed, We have made the devils allies to those who do not believe.

  • The garments of Paradise.

(MALAY)

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

يٰبَني ءآدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,

Janganlah lagi kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.

Seperti juga jika ada orang yang mengganggu ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Namun adakah kita berasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?

Janganlah kita bersikap begitu. Hendaklah kita sayang kepada mereka berdua sebagaimana juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh mereka adalah musuh kepada kita. Maka sebagai musuh, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita daripada penipuan syaitan dan iblis.

 

يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما

ia menanggalkan daripada keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.

Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.

Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Perbuatan ini paling teruk kerana mengaitkan telanjang dengan ibadah pula. Ini pun adalah daripada tipu daya syaitan juga. Mereka memberi hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah ‎ﷻdalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan datuk nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya. Ini antara bid’ah yang diajar oleh syaitan dulu.

 

إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. 

Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh melihat kita, dia dan anak keturunan dia – dalam kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka. Oleh kerana itu ancaman daripada mereka amat tinggi kerana kita tidak nampak musuh kita yang hendak menipu kita. Kalau nampak dengan mata, maka senang untuk elak, bukan?

Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada kekeliruan dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh ‘scan jin’ dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.

Dan kalau ada kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Disebabkan rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin. Jika berkawan dengan jin dan beramal dengan amalan yang jin suka, maka jin akan menampakkan diri mereka kepada kawan mereka.

Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi yang biasa boleh nampak itu hanyalah jelmaan dia sahaja. Daripada hadith kita tahu hanya keldai dan anjing sahaja yang boleh melihat jin dalam rupanya yang asal.

Daripada Jabir Bin Abdullah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ نُبَاحَ الْكِلَابِ، وَنَهِيقَ الْحُمُرِ بِاللَّيْلِ، فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ يَرَيْنَ مَا لَا تَرَوْنَ
Apabila kamu mendengar anjing menyalak dan tempikan suara keldai pada waktu malam maka hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah kerana sesungguhnya anjing dan keldai itu nampak akan apa yang kamu tidak nampak.

(Riwayat Abu Dawud (5103), al-Nasai’iy di dalam al-Sunan al-Kubra (10778) dan Ahmad (14283). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (14283) menyatakan sanad hadith ini Hasan.)

Manusia biasa nampak jin pun hanya dalam bentuk jelmaan sahaja. Ini boleh terjadi jika mereka menjelma seperti rupa manusia (atau hantu). Ini seperti kisah Abu Hurairah رضي الله عنه yang menangkap jin yang menyerupai manusia. Seperti juga malaikat, kalau mereka menjelma menjadi manusia, maka kita boleh melihat mereka. Namun itu jarang sekali berlaku. Jika seseorang itu mendapat karomah sekalipun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu. Tidak ada sesiapa yang mahu nampak jin sentiasa. Kalau rupa comel tidak mengapa, tetapi mereka hodoh yang amat.

Oleh kerana itu, jika seseorang itu mengatakan mereka boleh nampak atau “scan jin”, itu ada masalah. Sampaikan Imam Syafi’iy رحمه الله menolak persaksian orang yang mengaku boleh melihat jin. Maknanya persaksian mereka ini tidak laku di mahkamah dan tidak layak menjadi saksi.

Namun begitu timbul juga persoalan kenapakah mereka boleh nampak? Berkemungkinan besar, mereka boleh berasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada mengamalkan amalan yang salah, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam pun.

Amalan mereka banyak yang syirik dan bid’ah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Ini kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Itulah bahayanya jika berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya boleh menghalau jin, tetapi menambahkan jin pula. Oleh itu, kenalah diperiksa apakah amalan harian mereka.

Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.

 

إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan menjadi teman rapat dia. Ini dinamakan ‘qarin’ atau quranaa’ untuk jamak. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu. Selalu mengajak melakukan perkara maksiat dan berdosa.

Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimanakah pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tetapi sebenarnya berbogel kerana masih menampakkan bentuk tubuh. Maka, kita jangan jadi seperti mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tetapi bagaimana pula dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kita, dan pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.

Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan memakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tetapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak menjaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 20 – 23 (Doa pengampunan daripada Nabi Adam)

A’raf Ayat 20: Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ telah diingatkan untuk tidak mendekati pokok larangan itu, maka syaitan telah mengambil peluang untuk menghasut mereka. Dalam banyak perkara yang boleh dinikmati oleh mereka berdua, benda yang satu yang tidak boleh itulah yang syaitan akan gunakan sebagai penyebab untuk menjatuhkan Nabi Adam عليه السلام. Iblis sememangnya pandai mengambil peluang.

Di dalam ayat ini, kita akan melihat helah yang digunakan oleh iblis sampaikan Nabi Adam عليه السلام akhirnya tertipu.

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But Satan whispered to them to make apparent to them that which was concealed from them of their private parts. He said, “Your Lord did not forbid you this tree except that you become angels or become of the immortal.”

(MALAY)

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.

 

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya

Syaitan telah membisikkan was-was kepada mereka berdua. Inilah salah satu cara syaitan menggoda manusia. Syaitan tahu apakah yang telah dilarang kepada mereka dan syaitan mengambil peluang itu untuk menjerumuskan mereka supaya tidak taat kepada larangan Allah ‎ﷻ.

Nota: ini bukanlah was-was yang dialami oleh sesetengah Muslim kita. Was-was Melayu berbeza iaitu was-was dalam beribadah seperti asyik terlupa salat berapa rakaat, was-was wudhu’ dan ketika mandi junub. Was-was sebegini ada kaitan dengan masalah otak dan ditipu oleh syaitan yang mengganggu fikiran mereka. Was-was jenis ini pun ada elemen bisikan syaitan. Syaitan akan bisikkan seperti: “Eh kau dah basuh ke tangan kanan masa wudhu’ tadi? Eh, betul ke kau tengah rakaat 2, bukan 3 ke?”

Syaitan menggunakan kaedah bisikan. Ini kerana kalau hendak menipu, mengumpat, memang semua akan berbisik, bukan? Tak mahu orang lain tahu.

Tujuan syaitan adalah supaya mereka berdua derhaka kepada Tuhan sahaja. Kalimah ‘was-was’ dari segi bahasa maksudnya datang dari belakang supaya tidak nampak siapa yang membisikkan, kemudian bisik, kemudian hilang, datang kembali bisik dan hilang kembali. Dan terus melakukan perkara yang sama berulang-ulang.

Bisikan dari arah belakang dan kemudian hilang itu adalah supaya orang yang dibisikkan itu apabila dia toleh ke belakang, dia tidak nampak siapa yang bisikkan. Maka, orang itu tidak menyangka yang bisikan itu dari luar, tetapi adalah daripada dirinya sendiri. Maka, dia telah tertipu. Oleh itu, proses  meniupkan was-was itu berjaya bukanlah dengan hanya satu bisikan sahaja, tetapi berkali-kali. Kalau sekali, tidaklah ia menjadi. Yang memerangkap manusia adalah apabila perkara ini berterusan dan syaitan sememangnya tidak mempunyai kerja lain, maka diteruskan berkali-kali bisikan was-was ini kepada manusia. Kita telah jelaskan dengan panjang lebar di tempat yang lain.

Syaitan tidak kelihatan kepada mereka berdua; oleh itu tidaklah sama kisah ini seperti yang terdapat dalam tradisi Kristian yang menggambarkan syaitan datang menyerupai bentuk ular yang menghasut mereka. Itu adalah dongeng mereka sahaja (kisah Israeliyyat yang tidak boleh digunapakai). Oleh hal yang demikian, janganlah bayangkan begitu. Malangnya mungkin ramai yang sudah terbayang gambaran sebegitu kerana sudah selalu dihidangkan dengan kisah dongeng itu.

 

لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما

untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya

Akhirnya Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ telah termakan bisikan iblis dan hasil daripada kesalahan mereka itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat mereka yang biasanya tertutup. Secara automatik pakaian mereka telah dilucutkan oleh Allah ‎ﷻ. Maka tahulah mereka yang  mereka telah membuat kesalahan besar dan dimurkai oleh Allah‎ ﷻ.

Perlu diingatkan bahawa tujuan asal syaitan bukanlah untuk menelanjangkan mereka berdua. Tujuan syaitan adalah untuk mereka derhaka kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Cuma kemudian mereka ditelanjangkan hasil daripada perbuatan mereka. Oleh itu, huruf lam dalam lafaz لِيُبدِيَ bukan bermaksud ’tujuan’. Atau, ia memang bermaksud tujuan iblis kerana dia tahu yang itu menghinakan mereka berdua.

Perbuatan menelanjangkan manusia ini diteruskan iblis dan syaitan. Begitulah kita lihat bagaimana manusia yang jauh daripada agama, akan menayangkan tubuh badan mereka untuk dilihat oleh manusia lain. Ini kerana itulah yang syaitan bisikkan kepada manusia untuk bertelanjang. Iblis telah berjaya menelanjangkan Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’, maka anak cucunya pun hendak ditelanjangkan juga.

Oleh sebab itu, manusia yang sentiasa menampakkan aurat mereka sentiasa berada di dalam dosa. Pergi merata-rata luar dari rumah dan sepanjang masa mereka berada dalam keadaan berdosa. Perbuatan ini berbeza dengan perbuatan dosa lain seperti mengumpat. Dosa mengumpat tidaklah sepanjang masa dilakukan, bukan? Akan tetapi, dosa mendedah aurat adalah berpanjangan. Kerana orang dedah aurat ini bukan sekejap-sekejap sahaja, bukan?

 

وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ

dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat 

Di atas tadi adalah huraian bagi maksud ‘was-was’. Sekarang diberitahu apakah kata-kata iblis kepada mereka berdua untuk menipu mereka. Iblis telah menipu mereka dengan mengatakan, kononnya Allah ‎ﷻ menghalang mereka berdua daripada memakan daripada pokok itu kerana Dia tidak mahu mereka berdua menjadi malaikat. Iblis kononnya hendak beritahu jika dimakan daripada pokok itu, maka, mereka berdua akan menjadi malaikat.

Alasan ini sebenarnya tidak masuk akal. Kenapakah pula Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ hendak menjadi malaikat? Sedangkan malaikat sebelum ini telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk memuliakan Nabi Adam عليه السلام, maknanya kedudukan Nabi Adam عليه السلام adalah lebih tinggi daripada mereka!

Ini menunjukkan yang was-was syaitan tidak semestinya logik. Perkara mengarut pun mereka akan bisikkan. Namun oleh kerana selalu dia datang dan pergi membisikkan benda yang sama, menyebabkan manusia boleh termakan. Kerana itulah kita sebenarnya tidak hairan dengan kepelikan fahaman masyarakat kita. Ayah Pin yang gila itu pun ramai yang percaya, bukan? Begitu juga dengan banyak ustaz-ustaz karut di Malaysia dan serata dunia ini. Ada sahaja yang percaya kepada mereka, padahal kita sendiri boleh lihat ada ajaran mereka itu karut sangat.

Kenapa ditawarkan status malaikat kepada mereka berdua? Kerana sifat malaikat adalah hamba yang taat. Maka, iblis menawarkan mereka untuk menjadi baik, menjadi malaikat yang sentiasa beribadah dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini mengajar kita yang kadangkala syaitan menyesatkan manusia dengan mengajak ke arah kebaikan. Ia nampak sahaja baik, tetapi sebenarnya ‎ﷻ. Begitulah golongan sufi tarekat itu menjadi sesat kerana kononnya hendak menjadi baik. Namun, mereka sebenarnya telah ditipu oleh syaitan.

Begitulah syaitan pandai menipu manusia berdasarkan kepada keinginan dan minat seseorang. Kepada orang yang hendak menjadi orang ibadah, mereka ditipu dengan amalan-amalan bid’ah; kepada orang yang berjuang, mereka ditipu dengan ilmu-ilmu persilatan yang ada elemen syirik di dalamnya. Dan banyak lagi contoh lain.

Inilah salah satu daripada Talbis Iblis. Iblis mencantikkan perkara yang sebenarnya buruk. Manusia mudah tertipu sebagaimana Nabi Adam عليه السلام juga tertipu. Maka ini menjadi pengajaran kepada kita. Kalau Nabi Adam عليه السلام yang pandai itu pun boleh tertipu, apatah lagi kita. Ini mengajar kita untuk sentiasa berwaspada.

 

أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ

atau menjadi orang-orang yang kekal

Hasutan kedua iblis: Allah ‎ﷻ tidak mahu kamu kekal dalam syurga. Mereka masih manusia tetapi kekal dalam syurga. Syaitan menghasut mereka berdua dengan berkata, bukankah Allah ‎ﷻ telah berkata yang Allah ‎ﷻ menjadikan Adam عليه السلام sebagai khalifah di bumi? Oleh sebab itu, dia menghasut dengan berkata kalau tidak mahu pergi ke bumi, maka kena makan daripada pokok itulah. Dia juga kata, dia (iblis) kena keluar dari syurga itu sebab dia tidak makan pokok itulah.

Inilah cara syaitan buat was-was. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ kata ‘jangan dekati’ sahaja, tetapi syaitan yang berbohong dengan mengisikan tempat kosong – ‘kenapa’? Padahal Allah ‎ﷻ tidak perlu beri sebab, yang penting kena taat sahaja. Disebabkan kepandaian syaitan menipu inilah, ramai manusia terpedaya dengan syaitan.

Syaitan memang pandai menipu, kononnya dia beritahu hikmah larangan Tuhan. Sepatutnya apabila Allah ‎ﷻ larang maka ikut sahaja, tidak perlulah difikirkan sangat sebab Allah ‎ﷻ larang. Inilah bahayanya apabila tidak yakin dengan arahan Allah ‎ﷻ dan mula menggunakan akal untuk menterjemahkan larangan Allah ‎ﷻ, akibatnya manusia akan rebah dalam kesesatan. Syaitan akan memastikan manusia menggunakan akal dan tidak yakin dengan wahyu. Namun akal kita ini tidak mampu untuk mencapai tahap kebijaksanaan Allah ‎ﷻ. Kita tidak akan tahu apakah tujuan Allah ‎ﷻ.

Syaitan menipu mengatakan yang kalau makan pokok/buah itu, maka mereka kekal dalam syurga. Kerana itu dia kata ia adalah ‘Pokok Khuldi’ seperti yang syaitan sebut sendiri dalam Taha:120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

Maka di sini kita tahu yang ini adalah penipuan sahaja. Malangnya masyarakat kita apabila sebut pokok ini, semua akan sebut pokok khuldi, sedangkan ia nama yang diberi oleh iblis. Oleh yang demikian, tidak patut kalau kita menggunakan nama itu. Allah ‎ﷻ tidak menamakan pokok itu, maka kita biarkan sahaja begitu kerana nama pokok itu tidaklah penting.


 

A’raf Ayat 21: Ini adalah tambahan kata-kata iblis untuk menguatkan bisikan was-was. Tujuannya adalah untuk menguatkan lagi tipu helahnya itu.

وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he swore [by Allāh] to them, “Indeed, I am to you from among the sincere advisors.”

(MALAY)

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”,

 

Syaitan telah bersumpah kepada mereka berdua dengan menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Dia bersumpah kerana dia mahu meyakinkan yang dia benar dalam kata-katanya itu. Bersungguh-sungguh dia menggunakan nama Allah ‎ﷻ untuk menipu. Dia kata dengarlah nasihat dia sebab dia dulu pun sudah lama duduk dalam syurga jadi dia ada pengalaman.

Oleh sebab itu, kita jangan mudah terpedaya dengan mereka yang menggunakan sumpah di dalam hujah mereka. Tujuan dia adalah dia hendak menunjukkan yang dia sangat prihatin dan hendak memberikan nasihat sahaja kepada mereka. Dia hendak menunjukkan yang dia ikhlas dalam menasihati mereka dan kononnya nasihat itu demi kebaikan mereka.

Oleh kerana dia telah menggunakan sumpah dengan nama Allah ‎ﷻ, maka ini telah menambahkan kepercayaan kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ kerana mereka tidak sangka akan ada orang yang sanggup menipu dengan nama Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita tertanya, bagaimanalah Adam عليه السلام dan Hawwa’ boleh berjaya ditipu oleh iblis? Kita kena faham yang mereka berdua tidak pernah ditipu lagi oleh sesiapa. Seperti orang kita yang tidak pernah ditipu, maka senang sahaja ditipu kerana tidak pernah ada pengalaman. Tambahan pula, iblis menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Maka, Nabi Adam عليه السلام fikir tidak mungkin iblis berani bersumpah menggunakan nama Allah ‎ﷻ semata-mata untuk menipu?

Maka kita jangan ikut cara iblis yang bersumpah apabila menipu. Tidak molek kalau asyik bersumpah sahaja. Itu adalah sunnah iblis. Sepatutnya sesama Muslim kita percaya sahaja kata-kata seorang Muslim yang lain tanpa perlu dia bersumpah. Bersumpah itu digunakan dalam perkara yang besar-besar sahaja.


 

A’raf Ayat 22:

فَدَلّٰهُما بِغُرورٍ ۚ فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۖ وَنادٰهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُما إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he made them fall, through deception. And when they tasted of the tree, their private parts became apparent to them, and they began to fasten together over themselves from the leaves of Paradise. And their Lord called to them, “Did I not forbid you from that tree and tell you that Satan is to you a clear enemy?”

(MALAY)

maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

 

فَدَلّٰهُما بِغُرورٍ

Maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. 

Maka syaitan telah menyebabkan kedua-duanya tergelincir sehingga diturunkan ke dunia dengan menggunakan tipu daya. Dia telah berjaya menipu dan mengheret mereka untuk melakukan apa yang dia kehendaki dengan cara yang licik dan perlahan-lahan.

Ia tidaklah berlaku dengan segera tetapi mengambil masa yang lama. Penyabar sekali syaitan dalam memujuk Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’. Inilah cara syaitan yang kita belajar dalam ayat ini. Iblis dan kuncu-kuncu syaitan yang lain memang pandai dalam menggunakan taktik-taktik untuk menjatuhkan manusia. Mereka tidak akan berhenti selagi manusia itu hidup. Kalau mereka kena lari meninggalkan manusia sekejap, mereka akan datang lagi.

Sebagai contoh, jika azan dilaungkan, mereka akan lari seketika tetapi mereka akan kembali lagi. Mereka akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menipu kita. Mereka memang kenal sangat dengan perangai kita, kelemahan kita, apa yang kita suka dan sebagainya. Semoga Allah ‎ﷻ melindungi kita daripada was-was syaitan itu.

 

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, 

Apabila mereka berdua telah merasai pokok itu, serta merta terbuka aurat mereka berdua. Dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an menceritakan tentang kejadian ini, selalunya digunakan lafaz ‘pokok’ sahaja. Namun itu adalah dari segi bahasa sahaja. Dalam bahasa Arab, apabila dikatakan ‘merasai’ pokok itu, maknanya ada buah yang dimakan. Ini merupakan salah satu pendapat. Pendapat yang lain mengatakan jika disebut pokok, maka pokoklah yang dimakan. Kalau zaman sekarang pun ada batang pokok yang dimakan juga, bukan?

Selepas mereka memakan atau merasai pokok (atau buah) itu, maka teruslah terbuka aurat mereka yang selama ini tertutup dengan pakaian mereka. Ada tafsir yang mengatakan yang sebelum itu, aurat mereka tertutup dengan nur (cahaya).

Akan tetapi apa kaitan terbuka aurat mereka dengan makan pokok itu? Kita pun banyak juga buat dosa tetapi tidaklah terbuka pakaian kita, bukan? Ini adalah kerana perbuatan mereka itu adalah aib (aurat) dan Allah ‎ﷻ bukakan aurat mereka.

 

وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ

dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.

Mereka berdua dengan segera (bergegas) menutup aurat mereka dengan daun-daun daripada pokok yang ada dalam syurga. Maknanya pakaian yang Allah ‎ﷻ berikan, telah Allah ‎ﷻ menariknya balik. Sekarang mereka mesti bersusah payah mencari daun untuk dijadikan alas bagi badan mereka kerana itu sahaja yang ada pada waktu itu. Mereka lekatkan pada tubuh badan mereka masing-masing.

Inilah permulaan manusia mengalami perasaan malu yang amat sangat. Allah ‎ﷻ tidak mengajar pun mereka perasaan malu itu, tetapi mereka tahu sendiri. Ini bermaksud yang perasaan malu itu sudah ada dalam diri manusia, Allah ‎ﷻ telah meletakkan dari awal ke dalam diri manusia. Kita bukannya binatang yang tidak tahu erti malu kalau tidak berpakaian. Maka kalau ada yang suka berbogel, itu bukanlah sifat asal manusia, tetapi itu adalah sifat binatang dan adalah tidak normal untuk manusia.

Oleh kerana Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ berasa aib dengan dosa mereka itu, maka mereka bersegera menutupinya. Dan begitulah kita haruslah menutup aib dan dosa kita. Jangan pula cerita kepada orang lain. Malangnya ramai yang melakukan perkara ini seolah-olah bangga pula dengan dosa mereka. Mereka itu tidak diampunkan oleh Allah ‎ﷻ. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

كُلُّ أُمَّتِى مُعَافَاةٌ إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنَ الإِجْهَارِ أَنْ يَعْمَلَ الْعَبْدُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحُ قَدْ سَتَرَهُ رَبُّهُ فَيَقُولُ يَا فُلاَنُ قَدْ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ فَيَبِيتُ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

“Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam.

“Sementara Allah ‎ﷻ telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Dia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya dia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah ‎ﷻ.” 

(Sahih Bukhari: 5608).

 

وَنادٰهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ

Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pohon itu?

Sekarang, Allah ‎ﷻ mengingatkan kembali peringatan yang Dia telah sampaikan kepada mereka berdua, yang bukannya mereka tidak tahu. Allah ‎ﷻ bertanya: Bukankah Aku telah larang? Bukankah larangan sudah tsabit? Bukankah larangan itu jelas?

Ini seumpama anak kita yang kita sudah kata jangan main lantai basah sebab licin. Kalau dia jatuh, apa kita akan kata: “Bukankah ayah dah cakap jangan main kat sini?”

 

وَأَقُل لَّكُما إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

Dan Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka, bukankah Dia telah beritahu mereka berdua yang syaitan adalah musuh mereka yang jelas nyata? Kalau sudah jelas yang syaitan itu adalah musuh yang nyata, tidak ada apa yang dia beri sebagai nasihat yang untuk kebaikan manusia. Segala apa yang datang daripada mereka adalah tipu daya sahaja.

Dan apabila diletakkan kalimah لكم di awal ayat, ini bermakna syaitan tetap akan menjadi musuh kita. Jika kita bermusuh dengan manusia, entah di lain waktu akan menjadi kawan baik pula, bukan? Lihatlah parti politik yang sekejap lawan sekejap kawan. Akan tetapi berbeza dengan syaitan, dia akan jadi musuh sampai bila-bila.

Oleh itu, kalau ada idea yang bercanggah dengan wahyu, lain daripada apa yang Allah ‎ﷻ perintah dan tetapkan, ingatlah yang itu adalah daripada syaitan. Syaitan hendak merosakkan manusia sahaja. Jika sudah belajar wahyu dan ada perkara yang bercanggah dengannya, kita sudah tahu yang ia adalah daripada syaitan.

Akan tetapi jikalau tidak belajar wahyu, bagaimana hendak tahu? Itulah sebabnya kita tekankan kepada pembaca sekalian untuk belajar dan memahami wahyu ini dengan sebaik mungkin. Kenalah ada usaha untuk belajar.


 

A’raf Ayat 23: Nabi Adam عليه السلام beralah dan terus meminta ampun kerana baginda sedar yang baginda telah berbuat salah. Inilah yang Allah ‎ﷻ hendak daripada hamba-Nya. Allah ‎ﷻ hendak kita mengaku dan memohon ampun sahaja, jangan melawan. Jika tahu yang kita sudah membuat salah, cepat-cepat minta maaf.

Namun ramai yang apabila diberitahu mereka membuat salah, mereka bukan mahu terima, tetapi mereka melawan lagi, dengan memberi hujah-hujah yang bathil untuk membenarkan juga kesalahan yang mereka telah lakukan. Ramai yang akan beri alasan, padahal Allah ‎ﷻ bukan hendak dengar alasan, tetapi Allah ‎ﷻ hendak dengar taubat daripada kita.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Our Lord, we have wronged ourselves, and if You do not forgive us and have mercy upon us, we will surely be among the losers.”

(MALAY)

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

 

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,

Doa meminta ampun ini diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua kerana jika Allah ‎ﷻ tidak ajar mereka, mereka pun tidak tahu bagaimana hendak meminta ampun. Oleh itu, doa ini adalah doa yang baik untuk diamalkan.

Mereka mengaku yang mereka telah menzalimi diri mereka kerana mereka tidak berhati-hati dan tidak mengikut nasihat Tuhan. Mereka mengaku kekurangan mereka. Inilah cara hendak meminta ampun yang terbaik iaitu mengakui kesalahan yang kita lakukan. Apakah kesalahan mereka? Tidak berwaspada dengan tipu daya syaitan. Kita kenalah sentiasa berwaspada, jangan terlalu cepat membuat keputusan. Kena fikir dahulu sebelum membuat sesuatu kerana takut kita buat silap.

Maka Nabi Adam عليه السلام telah melakukan kesilapan. Allah ‎ﷻ telah mengampunkan semua dosa para Nabi. Akan tetapi yang lebih penting ditekankan di sini adalah permintaan pengampunan. Ini yang lebih penting.

Nabi Adam عليه السلام buat satu kesilapan sahaja pun sudah begitu hebat baginda meminta ampun. Maka ini mengajar kita untuk lebih meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ kerana kita lebih banyak dosa. Maka selalulah minta ampun kepada Allah ‎ﷻ dan boleh amalkan doa ini yang diminta oleh Abu Bakr رضي الله عنه:

عَلِّمْنِى دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِى صَلاَتِى قَالَ قُلِ :اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan ketika salat!” Maka baginda pun berkata, “Bacalah:

(Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)”

(HR. Bukhari No. 834 dan Muslim No. 2705)

Apakah maksud zalim? Jika menzalimi orang lain, mudah untuk kita fahami. Akan tetapi kalau menzalimi diri sendiri, mungkin agak susah. Menzalimi diri sendiri adalah apabila tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, menyebabkan kita yang susah nanti. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan kesalahan dosa kita di akhirat kelak. Malangnya kita tidak nampak bagaimana kita menzalimi diri sendiri jika tidak salat, tidak puasa, dan sebagainya, bukan?

Maka Adam عليه السلام dan Hawwa’ telah mengakui kesilapan mereka. Ini amat berlainan sekali dengan iblis yang tidak mengaku dia bersalah. Malah dia berhujah pula dengan Allah ‎ﷻ kenapa dia melanggar arahan Allah ‎ﷻ – dia gunakan alasan yang menggunakan logik akal sahaja, iaitu dia lebih tinggi kedudukan daripada Nabi Adam عليه السلام. Maka tidaklah patut kalau menggunakan logik akal untuk berhujah dengan Allah ‎ﷻ. Kena sedarlah Allah ‎ﷻ siapa dan kita ini siapa. Berapa ramai yang menggunakan logik akal mereka sampaikan terkeluar daripada Islam.

Mereka sangka akal mereka sudah cukup pandai untuk memikirkan kejadian Allah ‎ﷻ, kerja-kerja Allah ‎ﷻ dan undang-undang Allah ‎ﷻ. Ketahuilah yang itu adalah cara syaitan. Ramai yang sangka semua hukum Allah ‎ﷻ itu boleh dijelaskan dengan logik akal, dan kalau mereka tidak dapat jelaskan dengan logik akal, mereka tidak mahu terima. Mereka sangka Islam perlu menjelaskan semua perkara kepada mereka.

Ini adalah berbeza dengan sunnah dalam agama. Nabi kita semuanya taat kepada Allah ‎ﷻ tanpa soal; lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ikut segala arahan Allah ‎ﷻ, walaupun dari segi logik akalnya, tidak masuk akal. Sebagai contoh, kenapa pula baginda harus menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام? Kenapa kena tinggalkan anak dan isterinya di padang pasir Mekah yang tidak ada apa-apa pun pada waktu itu? Memang kalau difikirkan, perbuatan itu tidak masuk akal, tetapi baginda taat juga dan lakukan juga kerana itu pasti arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Namun begitu, ini bukanlah larangan untuk menggunakan akal. Jangan salah anggap pula dengan pemahaman ini. Agama Islam kita ini adalah mesra akal dan memang agama menyuruh kita menggunakan akal kita. Kita memang digalakkan menggunakan akal untuk melihat apakah hikmah sesuatu perkara itu diwajibkan kepada kita, atau diharamkan kepada kita. Akan tetapi itu adalah untuk mencari hikmah dan melihat apakah kebaikan yang ada dalam hukum itu, supaya kita menjadi semakin mantap dalam melaksanakannya.

Oleh hal yang demikian, janganlah digunakan akal untuk mempersoalkan arahan Allah ‎ﷻ pula. Disebabkan silap menggunakan akallah yang mengakibatkan ada manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Itu sudah melawan hukum yang telah ditetapkan, itu adalah derhaka.

Ada kadangkalanya kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan hukum itu. Jika kita jumpa pun, tidak semestinya ia adalah benar, kerana itu adalah kesimpulan daripada akal kita sahaja, dan akal kita tidak akan dapat mencapai tahap sempurna untuk mengetahui segala sesuatu dengan benar. Maka, kalau kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan Allah ‎ﷻ, kita tetap kena ikut juga.

Kita kena faham bahawa agama kita bukanlah memerlukan kita untuk faham sebab atau hikmah sesuatu perkara dalam agama itu, barulah diikuti. Tidak semestinya kita akan faham semua arahan Allah ‎ﷻ, tetapi yang pasti kita tetap kena taat. Sebelum masuk Islam, memang kita digalakkan untuk mempersoalkan segala perkara tentang agama Islam, tetapi apabila kita telah membuat keputusan untuk masuk Islam dan kita telah faham siapa diri kita dan siapa Allah ‎ﷻ, maka kita tidak ada hak untuk mempersoalkan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Dalam Al-Qur’an banyak diajar kita memulakan doa dengan kalimah ‘Rabbana’. Maka, ini adalah antara sunnah dimakbulkan doa kerana kita mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Rabb kita. Maksud Rabb adalah ‘pencipta, pemelihara dan penjaga’ kita. Maknanya kita mengaku kekuasaan Allah ‎ﷻ iaitu kita memulakan doa dengan mengagungkan Allah ‎ﷻ.

 

وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Dalam ayat ini, Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ memohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ dan juga memohon rahmat. Kenapakah dua perkara ini yang diperlukan? Kenapakah tidak meminta ampun sahaja? Kerana dua-ada perkara ini amat penting. Jika kita sudah membuat salah, kenalah kita meminta ampun dan maaf di atas kesalahan kita. Jikalau permohonan kita sudah dimakbulkan, maka kita sudah selamat.

Namun tidak semestinya selamat itu sesuatu yang bagus sangat. Memang sudah selamat tetapi itu sebenarnya tidaklah hebat sangat. Sebagai contoh, kita selamat daripada memasuki penjara, tetapi itu tidak semestinya kita mendapat kelebihan-kelebihan lain, tidak semestinya dapat hidup baik dan mewah, contohnya. Maka kerana itu kita kena juga meinta rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Walau bagaimanapun kenalah dimulakan dengan permintaan keampunan kerana itu yang lebih penting.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak dihalang daripada meminta rahmat daripada Allah ‎ﷻ walaupun baru sahaja membuat dosa. Lihatlah bagaimana Nabi Adam عليه السلام terus meminta rahmat daripada Allah ‎ﷻ selepas meminta ampun. Ini kerana baginda kenal akan Allah ‎ﷻ, dan tidak hilang harapannya terhadap Allah ‎ﷻ. Jika bukan berharap rahmat daripada Allah ‎ﷻ, dengan siapa lagi kita boleh berharap?

Di dalam potongan ayat ini juga, Adam عليه السلام dan Hawwa’ mengakui dan mengiktiraf yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh mengampunkan dosa mereka. Dan hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memberi rahmat. Tidak ada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah kata-kata pujian kepada Allah ‎ﷻ kerana dalam doa perlu disertakan dengan pujian kepada Allah ‎ﷻ.

Bilakah doa Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ ini diucapkan? Jika kita lihat kepada kronologi, maka kita dapat lihat yang ia terus disebut apabila mereka tahu yang mereka telah melakukan kesilapan. Maknanya mereka terus meminta ampun. Begitulah permintaan keampunan hendaklah terus dilakukan.

Oleh sebab itu, ini adalah salah satu doa yang amat bagus untuk kita amalkan, terutama kalau kita ada buat kesalahan. Ini adalah antara doa yang diambil daripada Al-Qur’an, maka tentu ia lebih baik daripada doa yang lain. Kalau tidak ada di dalam Al-Qur’an, maka boleh cari dalam hadith pula. Kalau tidak ada, baru boleh disusun doa mengikut keperluan kita. Asalkan jika maknanya baik, maka tidak ada masalah dengan doa itu kerana fiqh doa adalah luas. Cuma pastikan ia di dalam ruang lingkup doa yang dibenarkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 13 – 19 (Kisah Iblis dihalau dari syurga)

A’raf Ayat 13:

قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend from it [i.e., Paradise], for it is not for you to be arrogant therein. So get out; indeed, you are of the debased.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

 

قالَ فَاهبِط مِنها

Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu;

Allah ‎ﷻ telah menghalau Iblis dari syurga itu. Ini memberi indikasi yang iblis juga waktu itu duduk di dalam syurga. Akan tetapi khilaf syurga apakah itu. Adakah memang syurga yang manusia mukmin akan masuk nanti atau syurga yang lain? Ini tidak dapat dikenalpasti. Yang pasti dia telah dikeluarkan. Atau, ia mungkin juga dari langit, bukan dari syurga.

Yang penting kita kena tahu adalah kerana apa iblis dihalau?

 

فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها

kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya,

Maksudnya, disebabkan oleh sikap sombongnya itulah, dia telah diturunkan dari kedudukannya yang tinggi di langit.

Allah ‎ﷻ beritahu iblis yang dia tidak layak di dalam syurga. Ini juga memberi pengajaran kepada kita. Tidak ada sesiapa yang layak untuk menjadi sombong. Kalau kita pandai bagaimana sekalipun, dimuliakan oleh orang seramai mana pun, hendaklah kita ingat perkara ini: kita tidak layak sombong. Orang yang sombong tidak dapat masuk ke dalam syurga. Tidak kiralah sombong kerana apa: mungkin kerana kita lebih hebat, lebih pandai, lebih cantik, daripada keturunan yang baik-baik. Asalkan ada sifat sombong sahaja, maka tidak boleh masuk syurga.

 

فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ

maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Ini penekanan suruh keluar. Sesungguhnya iblis daripada golongan yang sangat-sangat rendah dan hina. Dia berkehendakkan kedudukan yang tinggi, dia rasa sombong dan bangga, maka Allah ‎ﷻ menjatuhkan dia. Begitulah, kalau berasa diri mulia sangat, Allah ‎ﷻ akan tukar seseorang itu menjadi sehina-hinanya. Maka, jangan rasa sombong takbur. Kena jaga hati kita. Kena ingat yang apa-apa sahaja kelebihan yang kita ada, ia bukanlah kerana diri kita, tetapi Allah ‎ﷻ juga yang beri. Hendak sombong kenapa pula?


 

A’raf Ayat 14:

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Satan] said, “Reprieve me until the Day they are resurrected.”

(MALAY)

Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

 

Iblis meminta tempoh supaya dia tidak dimatikan sehingga ke hari kebangkitan semula. Dia minta supaya jangan matikan dia lagi dan jangan terus mengazab dirinya. Ini adalah supaya dia ada kuasa bebas untuk menyesatkan manusia.

Lihatlah dalam dia sombong, tetap dia kena minta kepada Allah ‎ﷻ juga. Maka kita tahu dari sini yang iblis ini kenal Allah ‎ﷻ dan sedar Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri apa-apa.

Perhatikan permintaan iblis ini. Dia bukannya meminta dilanjutkan usia sehingga Hari Kiamat, tetapi sehingga Hari Kebangkitan semula! Maknanya bila semua makhluk sudah mati nanti, dia nak dia seorang sahaja hidup. Namun begitu, permintaan ini tidaklah dimakbulkan kerana apabila Kiamat nanti, dia pun mati sekali. Tidak ada guna pun umur dia dipanjangkan kerana tidak ada apa-apa kebaikan pun.

Ini mengajar kita umur yang panjang, bukanlah ada kelebihan dari segi agama. Sebab itu Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kepada iblis umur yang panjang. Kalau umur kita panjang tetapi banyak dosa, lagi bahaya kerana mengumpul dosa menjadi semakin banyak dan menyebabkan kita diazab lebih teruk di dalam neraka. Maka jangan berdoa minta umur panjang, tetapi doalah supaya dimatikan dalam keadaan beriman.


 

A’raf Ayat 15:

قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Indeed, you are of those reprieved.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh”.

 

Allah ‎ﷻ beritahu yang Iblis adalah daripada golongan yang diberi penangguhan. Namun bukanlah seperti yang dia minta, kerana dia minta hingga ke hari kebangkitan. Allah ‎ﷻ beri setakat hari dia mati sahaja. Apabila Iblis mati sahaja, dia akan dikenakan azab.

Kalau dilihat jawapan Allah ‎ﷻ yang ringkas ini nampak seperti penangguhan itu diberi seperti yang iblis minta. Namun jika kita rujuk Hijr: 38 ada disebut

إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ

sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan,

‘Hari yang telah ditentukan’ atau ‘Hari yang telah diketahui’ merujuk kepada Hari Kiamat. Maka penangguhan yang diberi kepada iblis adalah sampai Kiamat sahaja. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan itu pun tidak pasti. Pendapat itu mengatakan masa yang diberi itu adalah dalam rahsia Allah ‎ﷻ, tidak diketahui bila. Mungkin lebih awal dari Hari Kiamat. Disebut di dalam Tafsir Tabari yang masa itu sehingga tiupan sangkakala pertama sahaja. Mana mungkin iblis dibenarkan hidup sehingga Hari Kebangkitan kerana apabila semua makhluk dimatikan, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang hidup. Allah ‎ﷻ telah sebut di dalam Rahman: 26

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa

Benar, iblis diberi tangguh dan panjang umur. Selagi dia tidak mati, dia boleh cuba sesatkan manusia. Oleh itu, iblis telah diberi tempoh untuk usahakan apa sahaja yang dia inginkan selagi boleh. Semua itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ membenarkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan Allah ‎ﷻ.

Lafaz المُنظَرينَ dalam bentuk jamak, maka ia bermaksud dia telah diberikan bala tentera untuk membantu dia menjalankan kerja jahatnya itu.

Lihatlah yang Allah ‎ﷻ terus makbulkan doa iblis. Ini bukanlah bermakna yang Allah ‎ﷻ sayang kepada iblis. Oleh sebab itu, pemakbulan doa dengan segera bukan tanda sayangnya Allah ‎ﷻ. Ada orang yang beriman Allah ‎ﷻ tidak terus pula memakbulkan doanya. Kenapa pula? Kerana Allah ‎ﷻ suka mendengar permintaan doa orang itu. Lihatlah contoh doa Nabi Zakariya yang sudah lama meminta anak tetapi tidak terus diberikan dengan anak.

Timbul pula persoalan: bagaimana pula doa iblis diperkenankan? Adakah doa orang kafir juga diterima? Bagaimana dengan ayat Ra’d:14?

وَما دُعاءُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ

Dan doa orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.

Oleh itu, hendaklah dibezakan antara dua doa ini. Doa orang kafir itu tidak laku di akhirat sahaja. Akan tetapi boleh sahaja Allah ‎ﷻ perkenankan doa orang kafir di dunia ini. Lihatlah doa yang paling kafir sekali iaitu iblis pun diterima dan diperkenankan. Oleh sebab itu, jangan sangka yang doa yang diperkenankan itu tanda Allah ‎ﷻ sayang kerana doa orang kafir pun Allah ‎ﷻ boleh makbulkan.


 

A’raf Ayat 16: Ini adalah sumpah iblis tentang apa yang akan dilakukannya. Ini menjawab kenapa iblis hendak dipanjangkan usianya.

قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Satan] said, “Because You have put me in error, I will surely sit in wait for them [i.e., mankind] on Your straight path.

(MALAY)

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,

 

قالَ فَبِما أَغوَيتَني

Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, 

Iblis salahkan Allah ‎ﷻ kerana telah menyesatkan dia. Sudah taqdir Allah ‎ﷻ akan memasukkan iblis ke dalam neraka, tetapi usaha dia juga yang menyebabkan dia sesat dan ingkar. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Iblis menggunakan lafaz أَغوَيتَني (Kau menyesatkan aku) menunjukkan dia menyalahkan Allah ‎ﷻ kerana dia sesat.

Orang yang baik akan salahkan diri sendiri sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Adam عليه السلام. Apabila Nabi Adam عليه السلام sedar yang baginda telah berbuat salah, baginda mengaku kesalahan baginda dan terus meminta ampun. Sebaliknya, iblis menyalahkan Allah ‎ﷻ pula.

Begitulah ketaranya perbezaan antara Iblis dan Adam عليه السلام. Maka kita hendak ikut perangai Iblis atau perangai Nabi Adam عليه السلام? Janganlah kita asyik mahu menyalahkan orang lain pula kalau kita ada masalah dan kita sudah sedar yang kit memang ada berbuat salah. Terdapat ramai orang yang apabila ada dosa, mereka akan sibuk benar mencari salah orang lain, tetapi tidak nampak kesalahan itu pada dirinya.

Kalau kita menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, menyalahkan cuaca atau apa sahaja, itu adalah ‘keturunan’ iblis sebenarnya.

Begitu kurang ajarnya iblis di hadapan Allah ‎ﷻ. Berani dia berkata begini, di hadapan Allah ‎ﷻ di langit yang hebat itu? Kita diajar yang kalau di Mahsyar nanti di hadapan Allah ‎ﷻ, tidak ada sesiapa yang berani berkata-kata termasuklah para malaikat pun. Bagaimanakah pula iblis boleh sanggup berkata-kata begini? Ulama’ membincangkan iblis sanggup buat begini kerana tinggi sangat kufurnya itu sehingga terhijab kepadanya kehebatan Allah ‎ﷻ dan kerana itulah dia sanggup berkata-kata seumpama ini.

 

لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ

aku benar-benar akan (menghalang-halangi) duduk mereka dari jalan Engkau yang lurus,

Ini adalah sumpah iblis kerana ada taukid (penekanan) di dalam ayat ini.  Iblis kata, dengan sebab Allah ‎ﷻ telah menyesatkan dia, maka dia akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menghalang manusia dari jalan yang lurus. Dia meminta agar dipanjangkan umur itu supaya dia lagi banyak masa hendak menyesatkan manusia.

Kita boleh tengok salah faham iblis di sini. Tadi dia kata Allah yang sesatkan dia, jadi dia marah kepada Allahlah kiranya. Seolah-olah bukan salah dia yang jadi sesat, tapi Allah. Tapi sekarang dia kata dia akan buat usaha untuk sesatkan makhluk lain pula. Jadi bukanlah salah Allah, bukan? Nak sesat itu kena ada usaha dari makhluklah juga.

Lihatlah bagaimana dia kata dia akan قعُدَ (duduk) menunggu. Lafaz قعُدَ bermaksud duduk dalam jangka masa yang lama, tidak sama dengan lafaz duduk جلس. Maknanya, dia akan duduk memantau apa yang terjadi, dalam masa yang lama pun tidak mengapa pada dia. Sangat tekun dia melakukan kerja itu. Tidak pernah ambil cuti atau MC semenjak dari dulu lagi. Dan di manakah dia akan duduk tunggu itu?

Dia kata dia akan duduk tunggu di jalan yang lurus. Lihatlah dia pun tahu jalan Allah ‎ﷻ adalah jalan yang lurus. Bukannya dia tidak tahu, namun disebabkan kedegilannya sahaja. Oleh sebab itu kalau sudah tahu tetapi masih berdegil, maka itu pun adalah keturunan iblis juga.

Dia duduk di situ supaya dia boleh halang orang dari lalu jalan itu dan pergi ke jalan yang lain. Dia akan menyusahkan orang untuk lalu di jalan yang lurus itu. Dia akan tunggu di situ, tidak pergi ke mana-mana. Maknanya apa?

Maknanya kalau ada orang yang hendak menuju jalan yang lurus, iblis dan pengikutnya dalam kalangan syaitan akan ganggu dan hasut dan halang. Kalau ada keinginan dan usaha sahaja, maka bersedialah untuk menemui halangan. Ini kerana jalan menuju kebaikan bukannya mudah, kerana syaitan adalah penghalang.

Dan bagaimana pula kalau membuat dosa dan kesalahan? Tidak ada syaitan yang akan ganggu. Sebab itulah kita boleh bandingkan di antara mereka yang ingin membaca Al-Qur’an, kelas agama dan dengan mereka yang ingin pergi ke kelab malam atau bersukaria. Syaitan tidak mengganggu pun kalau hendak bersukaria sebab dia memang suka pun manusia lalai. Kalau kita menonton filem pun boleh sahaja berjam-jam tetapi baca Al-Qur’an 5 minit pun sudah mengantuk dan penat, bukan?

Syaitan tidak ganggu kalau manusia buat dosa. Sebab itu orang yang mengamalkan zikir sesat dan bid’ah seperti golongan sufi tarekat itu boleh berzikir berjam-jam. Mereka rasa tenang, sedap sahaja hati dan fikiran semasa melakukannya. Mereka sangka ia bagus dan Allah ‎ﷻ bantu. Namun sebenarnya, mereka boleh duduk lama dan bersemangat itu kerana iblis syaitan tidak ganggu. Tiada apapun mereka mahu ganggu kerana apa yang sedangkan dilakukan adalah perbuatan dosa. Boleh faham sekarang?


 

A’raf Ayat 17: Bagaimanakah caranya dia menghalang manusia itu? Kalau sebelum ini iblis sebut apa yang dia hendak buat, sekarang diberitahu pula caranya. Maka Allah ‎ﷻ sudah membongkar rancangan iblis sebenarnya. Kita sahaja yang mungkin tidak perasan kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم ۖ وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then I will come to them from before them and from behind them and on their right and on their left, and You will not find most of them grateful [to You].”

(MALAY)

kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

 

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم

kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, 

Selepas syaitan kata dia akan duduk di jalan yang lurus, dia kata dia akan datang kepada mereka dengan menggugat mereka dengan urusan akhirat. Itulah maksud مِن بَينِ أَيديهِم. Dari segi literal, maksudnya ‘dari depan’, iaitu dia akan tipu berkenaan Hari Akhirat. Syaitan akan datang lalu membisikkan kepada manusia bahawa tidak ada hari berbangkit, tidak ada syurga, dan tidak ada neraka.

Satu lagi maksud, mereka akan serang secara berhadapan.

Lafaz مِن خَلفِهِم bermaksud mereka akan merosakkan manusia daripada urusan dunia pula. Syaitan datang lalu syaitan menghiasi dunia dengan hiasan yang indah dan menganjurkan manusia untuk memakainya dan leka dengannya. Dari segi literal, bermaksud ‘dari belakang’.

Maknanya, sekarang mereka akan serang secara lembut dari arah belakang, kita tidak perasan. Maknanya, sudahlah dari depan mereka serang, dari belakang pun mereka serang supaya kita tidak perasan.

 

وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم

dari kanan-kanan dan dari kiri-kiri mereka.

Syaitan akan datang dari arah kanan – maksudnya akan sesatkan manusia supaya tidak melakukan kebaikan. Bukannya mereka tidak berbuat apa-apa, mereka buat, tetapi mereka sangka mereka melakukan sesuatu yang baik, padahal tidak. Seperti membuat amalan bid’ah.

Atau mereka suruh buat satu perkara, tinggalkan perkara lain. Seperti ramai yang puasa, tetapi tidak pula salat. Kanan adalah arah kebaikan, tetapi syaitan akan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan itu.

Syaitan juga akan datang dari arah kiri, maksudnya mereka akan cuba menyesatkan manusia supaya manusia melakukan kejahatan. Mereka akan menampakkan perkara yang buruk sebagai indah dan menghasut kita untuk melakukannya.

Syaitan akan datang dari arah kanan dan kiri. Maka ini menolak golongan sesat yang kononnya dapat maklumat daripada malaikat. Mereka kata kalau yang datang itu dari arah kiri, ya memang syaitan; tetapi mereka mendakwa kalau datang dari arah kanan, itu adalah malaikat. Padahal dalam Al-Qur’an Allah ‎ﷻ sudah sebut janji syaitan akan datang dari segala arah. Namun golongan sesat seperti golongan sufi tarekat dan silat itu memanglah tidak belajar tafsir Al-Qur’an, sebab itu senang tertipu.

Oleh sebab itu, kalau yang datang dari arah kanan itu akan berlakon mereka itu golongan Nabi, para malaikat, golongan wali yang telah lama mati. Kononnya mereka datang hendak mengajar agama kepada golongan sesat itu. Mereka akan bisikkan dengan amalan-amalan yang jauh daripada sunnah.

Maka, ini adalah empat cara Iblis menyesatkan manusia. Terdapat banyak pendapat tentang apakah maksud depan, belakang, kiri dan kanan namun tidak ada kesepakatan antara ulama’ tafsir, oleh itu cukuplah kita katakan bahawa syaitan akan menggunakan berbagai cara untuk menyesatkan manusia. Boleh baca penerangan lanjut tentang hal ini di penulisan lain. Kalau benda yang baik, syaitan akan cuba untuk menghalang kita daripada melakukannya; kalau benda yang buruk, syaitan akan cuba hasut kita untuk melakukannya.

Walau bagaimanapun ada satu arah yang tidak disebut – dari arah atas. Ini adalah kerana atas adalah tempat datangnya hidayah daripada Allah ‎ﷻ, maka mereka tidak boleh mengganggu dari arah itu.

 

وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ

Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.

Iblis yakin yang kebanyakan manusia tidak akan bersyukur, malah banyak yang kufur. Namun apakah maksud ‘syukur’ itu? Ia bukan sahaja mengucapkan Alhamdulillah (berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ) akan tetapi ia membawa maksud ‘taat’. Setelah menerima segala nikmat daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita taat kepada Allah ‎ﷻ, bukan? Yang paling penting adalah taat dalam mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Ia sama dengan kita makan gaji di satu tempat, maka hendaklah kita mengikut arahan ketua syarikat, bukan?

Sememangnya terlalu ramai yang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Iblis sudah dapat mengagak yang memang ramai manusia yang tidak akan taat kepada suruhan Allah ‎ﷻ. Dalam hadith juga ada disebut bagaimana hanya satu daripada seribu manusia sahaja yang akan masuk syurga.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا

Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ  bersabda: “Allah Ta’ala berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan Mu. Lalu Allah ‎ﷻ berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah ‎ﷻ menjawab: UNTUK SETIAP SERIBU ORANG ADA SEMBILAN RATUS SEMBILAN PULUH SEMBILAN. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.

(HR Bukhari No. 3121)

Ayat ini juga mengajar kita apa yang syaitan akan lakukan terhadap kita. Mereka akan hasut dan sesatkan manusia sehingga manusia tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita akan taat kepada segala suruhan-Nya. Kalau sudah tidak bersyukur, tidak ada ketaatan lagi. Maka kerana itu kita lihat ramai yang mengeluh sepanjang masa, sedangkan sudah banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka tidak nampak segala nikmat itu, tetapi nampak masalah sahaja sepanjang masa.


 

A’raf Ayat 18:

قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا ۖ لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Depart from it [i.e., Paradise], reproached and expelled. Whoever follows you among them – I will surely fill Hell with you, all together.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

 

قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا

Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. 

Allah ‎ﷻ mengarahkan supaya syaitan keluar dari syurga, dengan keadaan terkutuk lagi terusir daripada rahmat. Dia dikeluarkan dengan keadaan hina sekali kerana memang dia seorang yang bersalah sangat.

Dalam ayat 13 bukankah telah dihalau Iblis itu? Jadi kenapa ada pengulangan di sini? Ulama’ ada mengatakan di dalam ayat 13 itu adalah cadangan sahaja dan di ayat 18 ini ia sudah menjadi arahan tegas.

Lafaz مَدحورًا juga bermaksud dia dikeluarkan secara hina, dengan dijaga untuk memastikan dia benar-benar keluar. Seperti kalau ada orang yang tidak mahu masuk dalam pejabat kita, kita panggil sekuriti dan sekuriti itu akan menemani orang itu sehingga ke pintu untuk memastikan dia benar-benar keluar.

Atau kalau zaman dulu, kalau ada orang yang dibuang daerah, mereka akan dibawa ke pintu kota dan dihalau keluar dan diingatkan supaya tidak datang lagi ke bandar itu.

 

لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ

Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu kepada Iblis, sesiapa sahaja yang mengikutinya dan kuncu-kuncunya, Allah ‎ﷻ akan penuhkan neraka dengan mereka semua sekali – iblis, syaitan dan mereka yang mengikuti mereka akan duduk bersama-sama dalam Jahannam.

Ini adalah sumpah dan keputusan daripada Allah ‎ﷻ. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan rancangan iblis dan syaitan. Kena tahu perangkap mereka supaya kita boleh mengelak daripada mereka. Ini kena baca dan belajar melalui kitab Talbis Iblis yang menceritakan cara tipu helah iblis dan syaitan.


 

A’raf Ayat 19: Ini adalah penyempurnaan kisah tentang iblis dan bagaimana permulaan dia hendak menyesatkan manusia. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu tentang nasihat kepada Nabi Adam عليه السلام supaya mendengar nasihat-Nya dan jangan dengar nasihat selain daripada-Nya.

وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat from wherever you will but do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

(MALAY)

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

 

وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ

(Dan Allah berfirman): “Hai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga

Setelah Allah ‎ﷻ menjadikan Nabi Adam عليه السلام, dan kemudian menjadikan Hawaa’, mereka telah ditetapkan untuk tinggal di dalam syurga. Maka, ini adalah kebenaran untuk mereka duduk dalam syurga. Kisah ini juga sudah disebut di dalam Surah Baqarah. Sila rujuk ayat Baqarah: 35 juga.

Syurga apakah ini? Ini menjadi khilaf dalam kalangan agamawan. Ada yang kata inilah syurga yang sekarang ini menunggu kita memasukinya; ada yang kata ini syurga lain sebab kalau syurga sebenar, tidak ada larangan; ada yang kata ini adalah taman yang Allah ‎ﷻ jadikan kerana kalimah jannah itu asalnya bermaksud taman.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada Nabi Adam عليه السلام kerana baginda adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab kepada keluarga baginda itu. Bagindalah yang sebenarnya membuat keputusan keluarga.

Jadi, ini berlawanan dengan pendapat sesat Kristian yang mengatakan Hawwa’ lah yang telah buat keputusan untuk memakan pokok larangan itu dan telah menghasut Nabi Adam عليه السلام. Ini adalah tidak benar.

 

فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما

serta makanlah olehmu berdua di mana saja yang kamu sukai,

Allah عليه السلام kata mereka boleh makan di mana sahaja yang mereka ingin. Boleh makan apa sahaja yang mereka hendak dari syurga itu, di mana sahaja. Itulah maksud حيث yang nisbah kepada tempat dan masa. Begitu banyaklah nikmat yang sudah ada di dalam syurga itu, mereka boleh nikmati semuanya. Tidak ada halangan bagi mereka. Makanlah puas-puas.

Lihatlah bagaimana kali ini Allah ‎ﷻ berkata kepada kedua-dua Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’. Kerana kali ini bukan tentang tanggungjawab, tetapi tentang menikmati kehidupan. Allah ‎ﷻ suruh mereka menikmati kehidupan dalam syurga itu.

 

وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ

dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini,

Namun ada satu syarat. Boleh buat apa sahaja, makan apa sahaja yang ada di syurga itu, cuma ada satu syarat sahaja: jangan hampiri pokok ini. Oleh itu, semua perkara dibenarkan kecuali satu ini sahaja tidak boleh.

Sepatutnya tidaklah ada masalah sebab ada banyak benda boleh dimakan, cuma satu sahaja tidak boleh makan, bukan? Dan kali ini Allah ‎ﷻ berkata kepada kedua-dua mereka, kerana ini adalah perkara yang amat penting, jadi kena sampaikan kepada keduanya sekali. Adam ‎ﷻ dan Hawaa’ kena tahu ada larangan tentang hal ini.

Pokok apa? Tidak ada penjelasan. Pendapat yang mengatakan pokok epal, gandum dan sebagainya adalah daripada kisah Israeliyyat sahaja, maka tidak boleh digunapakai. Apabila Allah ‎ﷻ senyapkan, maka kita tidak perlu untuk membuat andaian. Dan yang disebut pun adalah ‘pokok’, bukannya ‘buah’ pun. Cuma ada juga pendapat yang mengatakan kalau disebut pokok, ia tentu membawa maksud buah. Akan tetapi, ada juga pendapat lain yang kata, ada juga pokok yang dimakan, tidak semestinya buah.

 

فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.

Namun kalau mereka hampiri juga, Allah ‎ﷻ berikan amaran awal-awal yang mereka berdua akan menjadi golongan zalim, kerana melanggar larangan. Arahan sudah diberi, bukan? Nanti kita akan lihat apa yang terjadi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 8 – 12 (Timbangan amal)

A’raf Ayat 8: Apabila diceritakan tentang amal, kita diberitahu yang amal itu akan ditimbang. Ini adalah ayat tabshir (berita gembira).

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the weighing [of deeds] that Day will be the truth. So those whose scales are heavy – it is they who will be the successful.

(MALAY)

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ

Timbangan pada hari itu adalah benar

Timbangan amal memang benar-benar akan berlaku. Satu lagi maksud, ia pasti adil/tepat. Amal yang baik akan ditimbang dan akan ditimbang juga amal yang buruk dibandingkan dengan amal yang baik itu. Cara bagaimana timbangan amal itu adalah khilaf di antara ulama’.

Ada yang kata yang ditimbang itu adalah buku amal. Sedangkan ada yang kata amalan itu sendiri yang akan ditimbang. Bagaimanakah caranya amal boleh ditimbang? Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kita pun tahu, sesuatu elemen itu boleh disukat bagi memastikan ukurannya tinggi ataupun rendah, seperti suhu, tekanan, jisim, isipadu dan sebagainya. Di dunia ini, manusia menggunakan alatan bersesuaian untuk mengukur sesuatu elemen contohnya termometer digunakan untuk mengukur suhu, barometer digunakan untuk menyukat tekanan manakala skala atau neraca digunakan untuk mengukur berat.

Maka, sudah tentu Allah ‎ﷻ ada cara hebatnya yang tersendiri bagaimana untuk menyukat amalan itu walaupun amalan itu tidak nampak semasa di dunia ini sekarang. Kita jangan bandingkan cara sukatan Allah ‎ﷻ dengan cara kita. Di zaman moden sekarang pun sudah banyak perkara yang dahulu dirasakan agak mustahil untuk diukur tetapi sekarang sudah berubah, bukan? Dahulu kita tidak boleh mengukur suhu panas atau sejuk, ketinggian, kelajuan udara dan sebagainya. Maka tentulah teknologi Allah ‎ﷻ lebih hebat lagi.

Bukan sahaja amalan, tetapi kekuatan keimanan pun akan ditimbang juga. Ini kerana setiap individu adalah berbeza, ada yang banyak amalan tetapi kadar keimanannya adalah lemah manakala ada pula yang sedikit amalannya tetapi kekuatan iman mereka lagi kuat. Semua berbeza nilainya. Allah ‎ﷻ sahajalah yang tahu bagaimana untuk menilainya dan Dia akan menzahirkan keadilan-Nya.

Allah ‎ﷻ boleh mengubah amalan kebaikan di dunia menjadi sesuatu yang fizikal. Di dalam hadith Al-Barra mengenai kisah pertanyaan kubur disebutkan:

“فَيَأْتِي الْمُؤْمِنَ شابٌّ حَسَنُ اللَّوْنِ طَيِّبُ الرِّيحِ، فَيَقُولُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا عَمَلُكَ الصَّالِحُ”

Maka orang mukmin didatangi oleh seorang pemuda yang bagus warna kulitnya lagi harum baunya. Maka orang mukmin itu bertanya, “Siapakah kamu?” Dia menjawab, “Saya adalah amal solehmu.”

أحمد شاكر (ت ١٣٧٧)، عمدة التفسير ٢‏/٧ • [أشار في المقدمة إلى صحته] • أخرجه أحمد (١٨٥٣٤)، والطيالسي (٧٥٣) مطولا باختلاف يسير

Satu lagi kebenaran adalah Allah ‎ﷻ tidak akan menganiaya sesiapa pun. Allah ‎ﷻ tidak sesekali akan melakukan kezaliman. Tidak ada amal kebaikan yang tidak akan dibalas. Dan manusia hanya akan dihukum di atas perbuatan yang mereka lakukan dan yang mereka bertanggungjawab sahaja. Berbeza dengan mahkamah di dunia, entah ada orang yang dipersalahkan bukan kerana kesalahan mereka. Biasa sahaja berlaku ketidakadilan dan kesilapan di dunia ini. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan melakukan kesilapan.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Sesiapa yang berat timbang amalannya, maka mereka itu berjaya dunia dan akhirat. Berat timbangan itu bermaksud terdapat banyak amal kebaikan soleh yang dia telah lakukan.

Daripada lafaz مَوازينُ kita dapat tahu yang timbangan itu bukan satu, tetapi ada banyak. Maka, ada timbangan berbeza untuk amal yang berbeza. Contohnya untuk sedekah ada satu timbangan, untuk salat ada timbangan lain, untuk puasa ada timbangan lain pula.

Keuntungan yang utama adalah di akhirat kelak di mana kita akan dibalas di atas segala amal kebaikan kita. Bukannya di dunia yang kadangkala kita tidak mendapat hak kita dan kita tidak mendapat keadilan. Oleh sebab itu, kejayaan yang sebenar dicari adalah kejayaan di akhirat kelak. Jangan kita rasa sedih sangat jikalau kita tidak mendapat hak kita di dunia kerana yakinlah yang kita akan mendapat hak kita dengan penuh di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 9: Ini pula merupakan  ayat takhwif.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are light – they are the ones who will lose themselves for what injustice they were doing toward Our verses.

(MALAY)

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya,

Sebelum ini disebut tentang mereka yang berat timbangan amal mereka, banyak amal yang boleh dikira tetapi ada juga mereka yang ringan timbangan amalannya. Ini kerana tidak banyak amal kebaikan yang mereka buat atau tidak ada benda untuk timbang pun.

Contohnya, apabila amal dibuat tetapi iman tidak ada, maka tidak ada yang boleh ditimbang. Atau amalnya banyak, tetapi amal bid’ah sahaja yang mereka banyak buang masa membuatnya, dan tidak boleh menjadi pahala pun. Maka, apa akan jadi kepada mereka?

 

فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Maka, mereka itulah golongan yang merugikan diri mereka sendiri. Ada peluang untuk selamat di akhirat, mereka tidak ambil. Peluang Allah ‎ﷻ telah banyak berikan di dunia tetapi mereka buat benda lain. Mereka tidak ambil peluang untuk bekalan di akhirat kelak.

 

بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

Mereka itu rugi kerana mereka menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu? Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka sepatutnya menjadikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ sebagai panduan hidup, tetapi mereka tidak melakukannya.

Mereka yang sanggup melakukan amalan baik itu adalah kerana mereka mengikut wahyu yang memberitahu kita yang ia adalah baik untuk kita. Namun begitu, jika menzalimi ayat Allah ‎ﷻ dan tidak percaya kepada wahyu, maka amalan baik yang dilakukan tidak ada harga.

Begitu juga, mereka tidak dapat membezakan dia antara perbuatan amalan sunnah dan amalan bid’ah. Maka mereka mengikut sahaja apa amalan yang mereka belajar dengan ustaz atau ulama’, walaupun yang mengajar itu tidak membawakan dalil untuk amalan-amalan itu.


 

A’raf Ayat 10: Ayat targhib (ajakan) kepada melakukan ibadat. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan jasa-Nya yang telah memberikan kehidupan kepada kita.

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ ۗ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly established you upon the earth and made for you therein ways of livelihood. Little are you grateful.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.

 

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi 

Apabila ada kalimah ولقد ia bermaksud ada sumpah di sini. Maknanya ada kalimah ‘demi Allah’ yang telah dihazafkan (dihilangkan).

Allah ‎ﷻ telah memberi kedudukan kepada manusia di muka bumi dahulu. Allah ‎ﷻ telah menjadikan gunung ganang, lembah, lautan, tasik dan sebagainya sebagai tempat kita tinggal di bumi yang indah ini. Jika hendak dihitung segala nikmat itu, kita tidak akan mampu seperti yang telah disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ}

Dan jika kalian menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kalian menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ

dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan.

Dan selepas Allah ‎ﷻ meletakkan kita di muka bumi, Dia telah menyediakan segala sumber kehidupan untuk kita. Ini termasuklah pakaian dan tempat tinggal.

Allah ‎ﷻ memberikan kehidupan yang senang kepada kita. Bandingkan kehidupan kita dengan haiwan – sama-sama hidup, tetapi hidup tidaklah sama. Lihatlah apa yang kita makan, apa yang kita pakai dan sebagainya. Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberikan kehidupan kepada kita, tetapi kehidupan yang bagus.

Begitulah juga yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka diingatkan yang mereka telah diberikan nikmat kehidupan yang bagus, berbanding dengan manusia lain. Lihatlah bagaimana kelebihan mereka telah disebut dalam Surah Quraish. Mereka ditempatkan di Mekah, satu tempat yang amat-amat hebat.

 

قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Apabila Allah ‎ﷻ telah berikan terlalu banyak nikmat itu, maka  hendaklah kita bersyukur. Dan bersyukur itu bukan cuma dengan ucapan ‘alhamdulillah’ sahaja, namun kenalah taat dan buat ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu cuma sedikit benar manusia yang bersyukur. Malangnya, yang Allah suruh ‎ﷻ buat, mereka tidak buat. Maka, janganlah kita tergolong dalam manusia seperti itu. Jangan kita gunakan sahaja nikmat Allah ‎ﷻ, tetapi segala suruhan-Nya kita abaikan.

Habis Ruku’ 1 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 11: Sekarang Allah ‎ﷻ sebut satu persatu nikmat-nikmat yang telah diberikan. Allah ‎ﷻ memulakan kisah dalam surah ini dengan kisah asal kejadian kita lagi, iaitu Nabi Adam عليه السلام. Kemudian akan disebut kisah Nabi-nabi yang lain sehingga akhirnya kita akan sampai kepada penghujung alam ini iaitu Hari Kiamat.

وَلَقَد خَلَقنٰكُم ثُمَّ صَوَّرنٰكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly created you, [O mankind], and given you [human] form. Then We said to the angels, “Prostrate to Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He was not of those who prostrated.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

 

وَلَقَد خَلَقنٰكُم

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Dia telah menciptakan kita dengan pertama sekali dicipta adalah datuk kita Nabi Adam عليه السلام. Lafaz خَلَقناكُم dalam bentuk jamak walaupun Nabi Adam عليه السلام itu seorang sahaja, kerana mengingatkan yang Nabi Adam عليه السلام adalah datuk kita semua. Daripada benih bagindalah kita semua dijadikan.

 

ثُمَّ صَوَّرنٰكُم

lalu Kami bentuk tubuhmu, 

Selepas kita dijadikan dalam bentuk benih, kemudian Allah ‎ﷻ membentukkan rupa kita dalam perut ibu kita. Allah ‎ﷻlah yang menentukan bagaimana rupa kita; ada yang pendek ada yang tinggi, ada yang comel ada yang tidak, ada yang gelap dan ada yang cerah. Namun ketahuilah yang Allah ‎ﷻ telah menjadikan kita dalam sebaik-baik rupa semisal dengan ayat lain yang disebutkan melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ [فَسَجَدَ الْمَلائِكَةُ] }

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kalian kepadanya dengan bersujud.” (Al-Hijr: 28-29)

Daripada ayat Surah Hijr ini kita dapat tahu yang sebelum diciptakan Nabi Adam عليه السلام lagi, Allah ‎ﷻ sudah memberitahu malaikat yang mereka nanti akan dikehendaki untuk sujud kepadanya. Maka, ia bukanlah berita baru.

 

ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ

kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, 

Kemudian Allah ‎ﷻ telah menitahkan para malaikat untuk sujud penghormatan kepada Nabi Adam عليه السلام. Ini telah dibincangkan dalam Baqarah: 30 dan seterusnya. 

 

فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

Semua malaikat telah sujud kecuali Iblis. Sujud ini bukanlah sujud ibadah tetapi sujud sebagai taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Apabila Allah ‎ﷻ telah melakukan perkara yang menakjubkan, maka makhluk-Nya mestilah sujud sebagai tanda kagum dengan kehebatan-Nya.

Ada pula yang takwil ini bukanlah sujud, tetapi rukuk sahaja. Ini pun tidak perlu dilakukan kerana ia memang sujud. Kalau hendak dikirakan, rukuk pun tidak boleh kepada makhluk lain dalam bentuk ibadah. Dan bukanlah malaikat itu sujud kepada Adam عليه السلام di waktu lain pula.

Dalam ayat ini disebut Allah ‎ﷻ telah memberikan arahan kepada para malaikat. Tetapi kemudian disebut Iblis. Perlu diingatkan yang Iblis bukanlah dalam kalangan malaikat kerana iblis dijadikan daripada api manakala malaikat pula daripada cahaya. Namun begitu, oleh kerana dia telah banyak beribadat, maka kedudukannya telah dinaikkan supaya berada bersama-sama dengan para malaikat.

Timbul pula soalan: kalau dia bukan malaikat dan arahan itu diberikan kepada malaikat, kenapa dia kena ikut pula? Soalan ini tidaklah berapa bijak. Kita buat analogi: ada orang Indonesia di negara kita dan tiba-tiba di jalan terdapat polis membawa Sultan lalu dan suruh ke tepi. Adakah orang Indonesia kena ikut arahan itu atau tidak? Bukankah dia bukan rakyat Malaysia dan tidak tertakluk dengan undang-undang negara kita? Tentulah dia kena ikut juga kerana dia sedang berada di Malaysia, bukan? Maka begitu jugalah iblis kena ikut arahan Allah ‎ﷻ kerana dia ada di situ.

Dan kita pun tahu yang para malaikat adalah makhluk yang taat. Maka mereka akan ikut sahaja arahan Allah ‎ﷻ. Oleh itu, suruhan untuk sujud kepada Nabi Adam عليه السلام itu adalah ujian bagi iblis sebenarnya. Allah ‎ﷻ sudah tahu yang dia itu tidak ikhlas dalam amalan dia, maka Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan sifat dirinya yang sebenar kepada para malaikat.

Lafaz ‘iblis’ berasal daripada lafaz ablasa yang bermaksud hilang segala harap. Memang dia telah hilang segala harapan untuk mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Penerangan tentang apa yang terjadi ada dijelaskan di dalam nota yang lain.

Timbul pula perbincangan lain. Ada pula orang jahil yang kata iblis tidak sujud itu kerana kononnya tinggi sangat nilai tauhid dia sampaikan tidak mahu sujud kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini amat mengarut sekali. Sekarang siapa yang suruh sujud? Bukankah Allah ‎ﷻ yang memerintahkannya untuk sujud? Kalau Allah ‎ﷻ yang perintahkan, maka kenalah taat. Hendak dibincangkan isu tauhid apa lagi?


 

A’raf Ayat 12: Allah ‎ﷻ tanya iblis:

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “What prevented you from prostrating when I commanded you?” [Satan] said, “I am better than him. You created me from fire and created him from clay [i.e., earth].”

(MALAY)

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

 

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?”

Allah ‎ﷻ bawakan soalan ini dalam Al-Qur’an untuk memberitahu kita yang arahan Allah ‎ﷻ itu penting, wajib ditaati. Tidak ada pilihan untuk tidak melakukannya. Tetapi kenapa langgar arahan itu? Allah ‎ﷻ memberi peluang kepada iblis untuk menjawabnya, untuk kita belajar sesuatu daripada hal ini.

 

قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ

Iblis jawab: “aku lebih baik daripadanya: 

Iblis jawab soalan itu dengan menggunakan akalnya sahaja. Dia rasa akal dia lebih bagus daripada arahan Tuhan. Allah ‎ﷻ sudah beri arahan yang jelas, tetapi dia menggunakan akal untuk menilai pula arahan itu. Inilah bahayanya kalau guna akal dalam menilai perintah Allah‎ﷻ .

Oleh sebab itulah, perbezaan ahli sunnah dengan Muktazilah yang sesat itu adalah dari segi penggunaan akal. Kita sepatutnya kena dahulukan arahan Tuhan daripada hujah menggunakan akal. Malangny puak Muktazilah dan orang lain yang sefahaman dengan mereka, mengutamakan akal kerana mereka kata Allah ‎ﷻ sudah berikan akal untuk kita guna, maka tidak salah kalau kita gunakan akal untuk menilai arahan Allah ‎ﷻ. Mereka kata, kalau ada arahan Tuhan, kena selaraskan dengan akal. Dan kalau arahan Allah ‎ﷻ itu tidak kena dengan akal mereka, mereka akan takwil arahan Tuhan itu. Ini adalah fahaman yang amat-amat salah.

Oleh itu banyak pemahaman perkara dalam Al-Qur’an yang amat berbeza antara kita dan mereka. Sebagai contoh, dalam perkara melihat Allah ‎ﷻ, mereka kata tidak mungkin boleh lihat Allah  di akhirat kelak. Sedangkan iktikad ahli sunnah, ahli syurga boleh melihat Allah ‎ﷻdi syurga nanti. Namun mereka menggunakan akal mereka untuk mentafsir ayat Al-Qur’an.

Ini amat bahaya sekali. Kita sepatutnya memastikan yang akal kita kena terima apa yang Allah ‎ﷻ telah kata dalam Al-Qur’an. Oleh itu, kita katakan mereka sesat kerana mereka ikut prinsip iblis yang hanya menggunakan akal untuk menolak arahan Allah ‎ﷻ. Prinsip kita ikut Nabi Adam عليه السلام, mengutamakan arahan Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi Adam عليه السلام terlupa arahan Allah ‎ﷻ. Dan kalau terlupa, tidaklah berat sangat.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa kesalahan makhluk itu bukan hanya dilihat pada perbuatannya sahaja, tetapi harus dilihat pada niat mereka. Niat yang salah akan mendatangkan sikap yang salah juga.

Apakah alasan dan hujah iblis?

 

خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.

Iblis menjawab yang dia rasa dia lebih baik daripada Nabi Adam عليه السلام. Dia menggunakan hujah akalnya sahaja: Allah ‎ﷻ menjadikan dia daripada api, manakala Allah ‎ﷻ telah menciptakan Nabi Adam عليه السلام daripada tanah. Dan tanah itu duduknya di bawah sedangkan api naik ke atas. Pada pendapatnya, bagaimana mungkin sesuatu yang naik ke atas, boleh sujud sesuatu yang berada di bawah?

Itulah cara iblis menggunakan akalnya. Itu adalah fahamannya sahaja, ikut pendapat akal dia sahaja, tidaklah boleh dikatakan benar. Iblis keliru dalam analogi dan pengakuannya yang mengatakan bahawa api lebih mulia daripada tanah.

Padahal sesungguhnya tabiat tanah liat itu ialah kuat, sabar, tenang, dan kukuh. Tanah merupakan tempat bagi tumbuhan, pengembangan, penambahan, dan pembaikan; sedangkan api mempunyai watak membakar, liar, dan cepat. Tidaklah hebat api berbanding tanah. Sebagai contoh, api tidak boleh membakar tanah, tetapi tanah boleh memadamkan api, bukan? Jika api dikenakan kepada tanah, tanah itu pula yang menjadi tembikar, dan bukankah ia menunjukkan tanah mampu menjadi lebih kuat?

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita yang akal tidak akan dapat mendahului arahan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mengajar dalam ayat ini, mana-mana manusia yang menggunakan akal dahulu dan kemudian baru hendak mencari ayat Al-Qur’an untuk menyokong pendapatnya, maka itu adalah perangai Iblis. Takkan kita hendak menjadi seperti iblis pula, bukan?

Ayat ini menceritakan apakah masalah asal iblis. Masalah iblis adalah kibr (rasa besar dan mulia). Kita kena ingat, iblis bukannya menolak kewujudan Allah ‎ﷻ dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Dia sedar dan mengaku yang Allah ‎ﷻlah yang menciptakannya.

Namun, dia tidak taat kepada Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ memerintahkannya menerima kemuliaan manusia. Dia tidak dapat terima perkara itu sedangkan Allah ‎ﷻ suruh ‘sujud’ sebagai isyarat hormat sahaja, bukannya menjadikan Nabi Adam عليه السلام sebagai ilah – kalau dalam istilah zaman moden, seumpama ‘tabik hormat’ sahaja.

Begitulah juga, ada manusia yang tidak dapat menerima kedudukan para Rasul lebih tinggi daripada kedudukan mereka, mereka tidak dapat terima ada orang yang lagi tinggi daripada mereka. Ada juga yang kononnya sangka mereka boleh terus berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ, tidak memerlukan para Nabi.

Ada yang menjadi golongan anti-Hadith kononnya boleh terus mendapat hidayah daripada Al-Qur’an secara langsung. Sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri suruh kita terima dan belajar dengan para Rasul. Memang kita memerlukan pengajaran daripada Rasul kerana Allah ‎ﷻ itu ghaib dan kita tidak boleh nak berkomunikasi terus dengan Allah ‎ﷻ.

Maka, kesalahan yang dialami oleh iblis ini juga masih ada sampai ke hari ini.  Ada yang rasa tidak perlu kepada agama dalam dunia ini dan boleh terus bercakap dengan Allah ‎ﷻ; dan berbagai lagi fahaman yang sesat dalam dunia kerana tidak belajar ilmu wahyu. Sifat sombong adalah sifat yang amat bahaya. Sombong untuk terima kebenaran dalam agama.

Begitulah masalah yang dialami oleh ramai daripada golongan yang ada ilmu agama pun. Mereka rasa semua orang kena belajar dengan mereka, tidak boleh belajar dengan orang lain. Mereka rasa mereka sahaja yang benar. Maka, kita kena berhati-hati dengan orang seperti ini.

Terdapat juga guru agama yang tidak suka kalau kita kata kita ada pergi belajar dengan orang lain. Larilah segera daripada guru yang seperti itu kerana kalau kita belajar dengan satu guru sahaja, ditakuti kita akan jadi taksub dengan guru pula; dan kita tidak dapat memastikan mana satu ajaran yang benar.

Ayat ini mengajar satu perkara yang amat penting tentang menjaga hati. Iblis dan syaitan akan mencari peluang untuk membisikkan perkara yang salah kepada kita. Dia akan bisikkan kepada kita supaya rasa besar (kibr). Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (penipuan Iblis).

Maka, kita kena berhati-hati dengan hal ini. Jangan kita rasa kita lebih hebat daripada orang lain. Walaupun kita pandai agama, kuat ibadat, tidak buat dosa dan taat kepada Allah ‎ﷻ, tetap jangan rasa sombong. Kita kena sedar yang apa-apa sahaja kebaikan yang kita ada, itu adalah daripada Allah ‎ﷻ. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mendorong kita menjadi baik, kita pun tidak mungkin akan menjadi baik.

Dan ubat untuk melawan kibr adalah jangan memandang diri lebih tinggi daripada orang lain, tetapi pandanglah diri kita lebih rendah daripada orang lain. Kalau kita lihat orang tua, maka cakap dalam hati kita: “Dia lebih tua daripada aku, tentu dia telah lama buat ibadah dan lebih banyak pahala daripada aku.” Dan kalau lihat orang muda pula, cakap dalam hati: “Dia masih muda lagi. Dia tentu lagi kurang dosa daripada aku yang telah lama hidup ini.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien