Tafsir Surah Baqarah Ayat 251 – 252 (Kisah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Baqarah Ayat 251:

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ ۗ وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَّفَسَدَتِ الأَرضُ وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL
So they defeated them by permission of Allah, and David killed Goliath, and Allah gave him the kingship and prophethood and taught him from that which He willed. And if it were not for Allah checking [some] people by means of others, the earth would have been corrupted, but Allah is full of bounty to the worlds.

MALAY
Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

 

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ

mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah,

Doa mereka dimakbulkan. Malah dimakbulkan dengan segera kerana ada harf ف pada kalimah فَهَزَموهُم yang bermaksud ia terus dilakukan. Begitulah jikalau bantu agama Allah, Allah ‎ﷻ akan bantu seperti disebut di dalam Muhammad: 7

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Salah satu kelebihan paling signifikan dan faktor penentu kemenangan tentera umat Islam dalam banyak pertempuran adalah keberanian dan ketiadaan rasa takut mati di jalan Allah. Bagi seorang Muslim yang beriman, kematian di medan jihad bukanlah akhir, tetapi merupakan gerbang menuju syurga dan pertemuan dengan Sang Pencipta. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Tawbah: 111

۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

Rasulullah ﷺ juga menjanjikan syurga bagi mereka yang mati di dalam jihad,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا الْعَدُوَّ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ.”
Daripada Abdullah bin Abi Aufa رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda pada suatu hari daripada hari-hari baginda berhadapan dengan musuh: “Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu bercita-cita (berharap) bertemu musuh, dan mintalah kepada Allah keselamatan (kesejahteraan). Namun, apabila kamu bertemu mereka, maka bersabarlah, dan ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayangan pedang.”
(Sahih Bukhari No. 2966, Sahih Muslim No. 1742)

Kerana itulah tentera kafir amat takut berhadapan dengan tentera Muslim. Bagaimana hendak lawan dengan sebuah pasukan tentera yang tidak takut mati? Memang mereka akan perang habis-habisan ke titisan darah terakhir! Pernah Khalid bin Al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang dijuluki “Pedang Allah yang Terhunus” (Sayfullah al-Maslul), berkata kepada musuh-musuhnya, khususnya dalam pertempuran menentang Rom dan Parsi: (أَتَيْتُكُمْ بِرِجَالٍ يُحِبُّونَ الْمَوْتَ كَمَا تُحِبُّونَ الْحَيَاةَ) “Aku datang kepada kalian dengan membawa kaum yang mencintai kematian sebagaimana kalian mencintai kehidupan.”

Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang mereka menang bukan kerana kekuatan tentera mereka tetapi dengan keizinan Allah ‎ﷻ. Kalau dikira logik akal, mereka tidak layak menang pun kerana bilangan mereka sedikit dan lemah. Kemenangan bukannya kerana ramai dan bukan juga kerana di pihak tentera Islam. Bukannya tidak pernah tentera Muslim kalah walaupun mereka ramai. Ini terjadi ketika Perang Hunain. Kisah ini disebut di dalam Tawbah: 25

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang-orang mukmin) di medan-medan perang yang banyak, dan (ingatlah) perang Hunain, ketika kamu menjadi bangga dengan jumlahmu yang banyak, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang seluas-luasnya itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu lari ke belakang dengan mundur.”

Umat Islam telah kalah di Hunain kerana mereka bergantung kepada jumlah mereka yang ramai, bukan lagi dengan Allah ‎ﷻ. Mereka sangka mereka pasti menang dan kerana itu Allah ‎ﷻ telah mengalahkan mereka.

Begitu juga dengan kisah Khalifah Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menurunkan jawatan Khalid bin Al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sebagai panglima besar yang merupakan sebuah peristiwa penting dalam sejarah Islam yang sering dibincangkan. Ini bukanlah kerana Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak mempercayai kemampuan Khalid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang dijuluki “Pedang Allah” oleh Rasulullah ﷺ dan tidak pernah kalah dalam pertempuran (sama ada ketika kafir dan setelah masuk Islam). Sebaliknya, keputusan itu dibuat atas beberapa pertimbangan yang mendalam, dan salah satunya adalah kekhuatiran Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa umat Islam mungkin akan terlalu bergantung pada Khalid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan mengaitkan kemenangan kepada dirinya, bukan kepada Allah ‎ﷻ. Ketika itu umat Islam sudah mula bercakap: “Kalau Khalid jadi panglima, kita pasti menang!” Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ khuatir bahawa umat Islam, terutamanya tentera dan masyarakat umum, mungkin mulai mengagungkan Khalid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ secara berlebihan dan menganggap kemenangan itu datang daripada kehebatannya semata, bukan daripada pertolongan Allah ‎ﷻ. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ingin menegaskan bahawa kemenangan mutlak hanya datang daripada Allah ‎ﷻ, dan kepahlawanan seseorang hanyalah wasilah (perantara). Dengan menyingkirkan Khalid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada posisi komando tertinggi, Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ingin mengingatkan umat bahawa mereka harus bersandar hanya kepada Allah. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri pernah menyatakan: “Aku tidak memecat Khalid kerana kemarahan atau tuduhan khianat, tetapi kerana aku takut manusia akan terfitnah dengannya, lalu mereka akan menyandarkan kemenangan kepadanya. Aku ingin mereka tahu bahawa Allahlah yang melakukan segala sesuatu, dan tidak ada kerosakan di muka bumi.”

Kita semua pernah diuji oleh Allah ‎ﷻ dengan virus Covid-19. Ketika itu baru kita tahu erti putus asa daripada usaha kita kerana ketika itu kita tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak ada tempat berharap ketika itu melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja untuk menyelamatkan kita. Ramai yang hilang tempat bergantung seperti suami, bapa, ibu, abang, ahli keluarga terdekat. Ketika itu mereka terpaksa hidup dengan apa sahaja bekal yang mereka kerana tempat bergantung telah hilang. Waktu itu kita semua banyaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan ramai yang mula kenal agama kembali, bukan?

Di dalam ayat ini digunakan kalimah بِإِذنِ اللَّهِ (dengan izin Allah ‎ﷻ). Ada satu lagi kalimah yang lebih kurang maksudnya iaitu إِن شَاءَ اللَّهُ (jika Allah ‎ﷻ berkehendak). Lebih kurang sahaja kan maksudnya? Namun, terdapat perbezaan halus dalam makna, konteks penggunaan, dan penekanan.

1. InsyaAllah (إِن شَاءَ اللَّهُ)

Maksud Literal: “Jika Allah menghendaki” atau “Jika Allah berkehendak.”

Penggunaan: “InsyaAllah” digunakan apabila seseorang menyatakan niat atau merancang untuk melakukan sesuatu di masa hadapan, dan menyandarkan terlaksananya perkara tersebut kepada kehendak Allah ‎ﷻ. Ia menunjukkan kerendahan hati seorang hamba di hadapan kekuasaan Allah ‎ﷻ, serta kesedaran bahawa segala sesuatu hanya akan terjadi jika Allah ‎ﷻ mengizinkannya.

Konteks Utama: Sesuatu yang akan dilakukan atau diharapkan berlaku pada masa depan, dan keberlakuannya bergantung pada usaha manusia serta kehendak Allah ‎ﷻ.

Dalil: Penggunaan “InsyaAllah” ini disarankan dalam Al-Qur’an, terutama setelah peristiwa di mana Nabi Muhammad ﷺ lupa untuk mengucapkannya ketika ditanya tentang Ashabul Kahfi seperti disebut di dalam Kahf: 23-24.

“Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, ‘Aku akan melakukan itu esok hari’, kecuali jika Allah menghendaki. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah, ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.'”

Contoh:

    • “Saya akan datang ke majlis esok, InsyaAllah.” (Menyatakan niat masa depan)
    • “Kita akan siapkan projek ini minggu depan, InsyaAllah.” (Menyatakan perancangan masa depan)

 

2. Bi’iznillah (بِإِذْنِ اللَّهِ)

Maksud Literal: “Dengan izin Allah” atau “Dengan perintah Allah.”

Penggunaan: “Bi’iznillah” digunakan untuk menyatakan bahawa sesuatu telah, sedang, atau akan terjadi semata-mata kerana izin atau kuasa Allah ﷻ, tanpa bergantung pada usaha atau campur tangan langsung manusia sebagai faktor penentu. Ia sering merujuk kepada peristiwa atau keadaan di mana kuasa Allah ﷻ secara langsung terlihat.

Konteks Utama: Menekankan kekuasaan dan izin mutlak Allah ﷻ dalam suatu kejadian atau hasil, baik yang telah terjadi, sedang terjadi, atau akan terjadi, di mana peranan manusia hanya minimal atau tiada.

Dalil: Frasa ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an untuk peristiwa yang menunjukkan mukjizat atau kehendak ilahi secara langsung selain daripada ayat Baqarah: 251 ini.

Baqarah: 102 (mengenai sihir):


“…dan tidaklah mereka dapat membahayakan sesiapa pun dengannya (sihir itu) melainkan dengan izin Allah.” (Sihir tidak berkesan kecuali dengan izin Allah)

Ali ‘Imran: 145 (mengenai ajal):


“Dan tidaklah suatu jiwa itu akan mati melainkan dengan izin Allah, pada waktu yang telah ditetapkan.” (Kematian mutlak terjadi dengan izin Allah)

Contoh:

    • “Dengan rahmat Allah dan Bi’iznillah, saya telah sembuh sepenuhnya.” (Menyatakan hasil yang telah berlaku melalui izin Allah)
    • “Hujan turun dengan lebat Bi’iznillah.” (Peristiwa alam yang dikawal Allah)
    • “Dia mampu melakukan mukjizat ini Bi’iznillah.” (Menekankan kuasa Allah ﷻ dalam mukjizat)

 

وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ

dan Nabi Daud telah membunuh Jalut.

Jalut adalah ketua syirik waktu itu dan dia telah dibunuh oleh Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merupakan salah seorang daripada tentera Talut kerana waktu itu baginda belum diangkat menjadi Nabi. Akan tetapi tentunya baginda sudah memiliki tahap keimanan yang tinggi. Ini memberitahu kita bahawa syirik mesti dibasmikan oleh orang agama. Oleh kerana itu, akhir zaman nanti, apabila tentera Imam Mahdi menentang tentera Dajjal, yang akan membunuh Dajjal adalah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.  Namun begitu, kepemimpinan tetap ada pada Imam Mahdi. Kerana itu jugalah, Talut tetap ketua tentera tetapi yang membunuh ketua syirik (iaitu Jalut waktu itu), adalah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Cara Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membunuh Jalut (Goliath) adalah dengan menggunakan lastik (slingshot) dan batu. Berikut adalah urutan kejadian berdasarkan riwayat yang umum diterima:

1. Cabaran Jalut: Ketika tentera Talut berhadapan dengan tentera Jalut yang perkasa, Jalut sendiri keluar dan mencabar sesiapa saja daripada Bani Israil untuk bertanding satu lawan satu. Jalut adalah seorang yang bertubuh besar yang menakutkan, jadi tiada siapa di kalangan tentera Talut yang berani menyahut cabarannya.

2. Keberanian Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang pada masa itu masih seorang pemuda gembala dan belum menjadi Nabi atau raja, tampil menawarkan diri untuk menghadapi Jalut. Umurnya tidak dapat dipastikan; ada yang kata 9 tahun, ada yang kata antara 12 hingga 15 tahun. Pada awalnya, Talut ragu kerana Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih muda dan tidak bersenjata lengkap seperti pahlawan lain. Namun, Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meyakinkan Talut dengan menceritakan pengalamannya membunuh singa dan beruang yang menyerang kambing gembalaannya. Baginda menyatakan keyakinan penuh kepada pertolongan Allah ‎ﷻ.

3. Persiapan Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menolak memakai baju zirah (baju armor) dan topi baja (helmet) yang ditawarkan oleh Talut, kerana baginda tidak biasa dengannya. Sebaliknya, baginda memilih alat yang biasa digunakannya: tongkat gembala dan sebatang lastik. Baginda kemudian mengambil beberapa butir batu licin dari sungai atau tanah.

4. Pertarungan dan Kemenangan: Ketika Jalut yang gagah perkasa mendekati Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan sombong dan mencemuhnya kerana hanya kerana baginda seorang pemuda dengan sebatang lastik sahaja, Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak gentar. Dengan nama Allah, baginda meletakkan salah satu batu ke dalam lastiknya.

        • Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membidik lastiknya.
        • Batu itu lepas dan tepat mengenai dahi Jalut.
        • Dengan izin Allah, hentaman batu tersebut membuat Jalut yang besar itu terhuyung-huyung dan akhirnya jatuh tersungkur ke tanah, tidak bernyawa.

5. Kemenangan Umat Islam: Kematian Jalut yang merupakan panglima mereka secara tiba-tiba menyebabkan tentera Jalut panik dan kacau bilau. Mereka melarikan diri, dan tentera Talut mengejar serta mengalahkan mereka dengan izin Allah.

Meskipun ayat Baqarah: 251 ini tidak memperincikan cara pembunuhan, kitab-kitab tafsir dan riwayat-riwayat lain menyebut bahawa kematian Jalut itu adalah melalui lastik dan batu sahaja, menunjukkan mukjizat dan kekuatan yang diberikan Allah ‎ﷻ kepada Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meskipun usianya muda dan senjatanya yang biasa sahaja bukanlah luarbiasa.

Sehingga sekarang, dunia menggunakan istilah ‘David versus Goliath’ untuk merujuk kepada keadaan orang yang kecil dan lemah melawan orang atau institusi yang besar. Ia mengingatkan kita yang besar tidak semestinya selamat daripada orang yang kecil dan nampak macam lemah. Selalunya yang lemah terima sahaja penindasan orang yang kuat; tetapi kalau dia berani melawan, dia dikatakan mempunyai semangat Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Siapakah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Nama dalam ICnya adalah Daud bin Esai. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (David dalam tradisi Barat) adalah salah seorang Nabi dan rasul yang agung dalam Islam, diutus kepada kaum Bani Israil. Baginda juga seorang raja yang adil (mewarisi kerajaan selepas Talut) dan perkasa, dan kisahnya banyak disebutkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ‎ﷻ mengurniakan banyak kelebihan dan mukjizat kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    • Zabur: Kitab suci yang diturunkan kepadanya, berisi pujian kepada Allah ‎ﷻ dan doa-doa.
    • Suara yang Indah: Baginda dikurniakan suara yang sangat merdu, sehingga gunung-ganang dan burung-burung bertasbih bersama baginda apabila baginda bertasbih.
    • Kemampuan Melembutkan Besi: Allah ‎ﷻ memberi mukjizat kepadanya kebolehan untuk melembut dan membentuk besi dengan tangan kosong tanpa memerlukan api atau alat pemanas, sehingga baginda dapat membuat baju-baju besi (perisai) untuk kegunaan peperangan.
    • Hikmah dan Ilmu: Baginda memiliki kebijaksanaan dan ilmu yang luas, yang membantunya dalam memutuskan hukum dan menyelesaikan perselisihan.

Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Saba’: 10 

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia daripada Kami: ‘Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud’, dan Kami telah melunakkan besi untuknya.”

Dengan kebolehan melunakkan besi itu, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah manusai pertama yang membuat baju besi yang ringan seperti disebut di dalam Anbiya’: 80

وَعَلَّمنٰهُ صَنعَةَ لَبوسٍ لَّكُم لِتُحصِنَكُم مِّن بَأسِكُم ۖ فَهَل أَنتُم شٰكِرونَ
Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, untuk memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka adakah kamu mahu bersyukur?

 

وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ

Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.

Pada kemudian hari, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan kerajaan dan pangkat kenabian dan Allah ‎ﷻ mengajarkan ilmu wahyu. Baginda telah diberikan dengan Kitab Zabur. Setelah peristiwa itu, Talut menjadi sayang kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan telah mengahwinkan baginda dengan anaknya. Setelah kematian Talut, Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah yang menjadi raja mengambilalih tempat mertuanya.

Begitulah Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang Nabi dan juga raja bagi Bani Israil. Kombinasi kenabian dan kerajaan pada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sebuah keistimewaan, menunjukkan autoriti spiritual dan juga politik. Baginda memerintah dengan adil dan bijaksana, membawa kemakmuran kepada kaumnya. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah antara Nabi yang diberikan dengan pangkat kenabian dan juga kuasa kenegaraan. Tidak ramai sebenarnya yang diberikan dengan dua kedudukan ini kerana selalunya para Nabi orang yang lemah dari segi kedudukan di dalam masyarakat. Seorang lagi yang mendapat perkara yang sama adalah anaknya, Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkenal sebagai raja yang sangat adil dalam menyelesaikan perselisihan di antara rakyatnya. Al-Qur’an mengisahkan beberapa contoh kebijaksanaan baginda dalam peradilan. Allah ‎ ﷻdi dalam Sad: 20

“Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah dan kemampuan menyelesaikan perselisihan (dengan bijak).”

Allah ‎ﷻ berfirman tentang kisah di dalam Anbiya’: 78-79

وَدَاوُ ۥدَ وَسُلَيۡمَـٰنَ إِذۡ يَحۡڪُمَانِ فِى ٱلۡحَرۡثِ إِذۡ نَفَشَتۡ فِيهِ غَنَمُ ٱلۡقَوۡمِ وَڪُنَّا لِحُكۡمِهِمۡ شَـٰهِدِينَ (٧٨) فَفَهَّمۡنَـٰهَا سُلَيۡمَـٰنَ‌ۚ وَڪُلاًّ ءَاتَيۡنَا حُكۡمً۬ا وَعِلۡمً۬ا‌ۚ وَسَخَّرۡنَا مَعَ دَاوُ ۥدَ ٱلۡجِبَالَ يُسَبِّحۡنَ وَٱلطَّيۡرَ‌ۚ وَڪُنَّا فَـٰعِلِينَ (٧٩)
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. (78) Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (daripada mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. (79)

 

وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَّفَسَدَتِ الأَرضُ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia dengan setengahnya yang lain, nescaya rosak binasalah bumi ini;

Ini adalah hikmah disyariatkan perang. Ia dapat menolak keganasan manusia dengan menggunakan setengah manusia lain yang beriman. Kalau ada yang berkuasa dan mereka telah berbuat zalim kepada dunia, maka Allah ‎ﷻ akan datangkan kuasa yang baik untuk menentang dan mengalahkan mereka. Kalau Allah ‎ﷻ tidak buat begitu, tentulah dunia ini tidak ada syariat dan ada maksiat sahaja kerana yang zalim akan terus berkuasa tanpa disekat. Maka kena ada golongan baik yang kuat supaya dapat mengalahkan kebatilan.

Manusia yang tidak ada agama, akhirnya akan sampai kepada tahap melakukan keganasan. Semasa tiada kuasa dan wang, mereka boleh duduk senyap lagi. Namun apabila sudah ada kuasa lebih, mereka akan ganas. Begitulah yang kita takut dengan golongan Syiah. Apabila mereka berkuasa, mereka akan menjadi ganas. Mungkin ada yang tidak tahu apa-apa berkata: “Apa salahnya dengan syiah itu? Mereka juga orang Islam, bukan?” Masalahnya mereka ini golongan yang jahat yang di dalam agama mereka mengajar untuk menipu, khianat kepada orang Sunni. Semasa mereka tidak ada kuasa, mereka macam tikus mondok sahaja buat-buat baik dengan golongan Sunni. Namun bila berkuasa, mereka akan membuat onar yang sangat besar. Ini kita boleh lihat pada Kerajaan Syiah Bashar al-Assad di Syria yang memang dianggap “sangat teruk” oleh kebanyakan komuniti antarabangsa, organisasi hak asasi manusia, dan sebahagian besar rakyat Syria sendiri disebabkan oleh rekod yang mengerikan dalam pelanggaran hak asasi manusia, jenayah perang, dan kezaliman yang sistematik. Rejim ini telah memerintah Syria dengan kuku besi selama lebih 50 tahun (bermula dengan bapa Bashar, Hafez al-Assad). Alhamdulillah, Allah ‎ﷻ telah gulingkan kerajaan ini di penghujung tahun 2024.

Begitulah apabila ada golongan besar yang menjadi ganas, Allah ‎ﷻ akan hantar golongan lain yang lebih daripada mereka yang akan memusnahkan mereka. Jihad juga adalah untuk membasmi keganasan manusia. Maka kerana itu amat penting jihad dijalankan oleh umat Islam.

Maka ini mengajar kita jangan buat senyap sahaja apabila kezaliman dilakukan oleh golongan yang besar dan berkuasa. Kalau kita tidak bertindak, kezaliman akan terus berleluasa. Orang zalim ini apabila mereka tidak dihalang, mereka akan semakin berani untuk membuat keganasan yang lebih teruk. Maka dari awal lagi mereka mestilah terus dicantas. Maka jangan jadi ‘syaitan bisu’ dengan berdiam diri. Antara berdiam diri adalah dengan tidak menegur golongan agamawan yang menyimpang dari jalan yang betul (jalan Sunnah). Jangan dibiarkan mereka terus mengajar manusia dengan perkara yang mengarut tanpa dalil. Kalau mereka ini tidak ditegur, mereka akan sangka mereka benar (sebab mereka fikir: ‘Kalau aku salah, mesti dah ada orang tegur aku’, bukan?). Kadangkala kita takut hendak tegur sebab agamawan itu mempunyai ramai pengikut, mungkin ada tauliah dan kuasa daripada pejabat agama. Kalau kita tegur, pengikut ustaz itu pun tentu akan serang kita kerana mereka bukan tahu apa pun. Namun itu semua bukan alasan untuk berdiam diri. Kita telah baca kisah-kisah tentang golongan kecil menentang golongan besar kerana itu adalah kehendak Allah ‎ﷻ terhadap kita semua. Takkan sudah baca ayat-ayat ini semua kita tidak terasa pula? Abaikan kata-kata pengikut ustaz yang jahil itu; takkan kita mahu hiraukan kata-kata budak-budak hingusan?

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

Antara kurniaan Allah ‎ﷻ adalah akan membangkitkan golongan yang berani menentang dan menjatuhkan kezaliman di dunia ini. Ia mungkin mengambil masa yang lama, ramai yang terbunuh kerana menentang golongan yang kuat, tetapi itu semua adalah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan kebenaran. Ia tidaklah boleh didapati dengan mudah dan segera seperti mee maggi. Akan tetapi ia mestilah bermula dengan kesedaran yang membawa kepada tindakan. Ini kerana kalau sedar sahaja tetapi simpan sendiri, ia tidak ke mana. Ada yang Allah ‎ﷻ berikan kekuatan minda dan hati untuk bertindak dengan sebetulnya. Menang dan berjaya atau tidak, itu di tangan Allah, bukan di tangan kita. Kita hanya boleh berusaha dan berserah kepada Allah ‎ﷻ. Persoalannya, kita di dalam golongan yang mana? Golongan yang hanya melihat kezaliman berterusan atau yang sanggup mengambil tindakan?

Banyak lagi kurnia Allah ‎ﷻ ke atas  manusia. Kalau tidak ada peperangan pun, Allah ‎ﷻ masih lagi mengurniakan keamanan. Ini semua adalah kurniaan Allah ‎ﷻ. Maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dengan melakukan ketaatan kepada-Nya.

 

Ayat 243 – 251 boleh dijadikan di dalam bentuk Komposisi Cincin. Ia adalah cincin kecil di dalam cincin besar Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Penjelasan:

[A6.1]/[A6.1′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia memberikan kurnia-Nya kepada manusia.

[A6.2]/[A6.2′] – Di dalam Bahagian [A6.2] mengandungi anjuran untuk melakukan jihad dan di dalam [A6.2′] diajar doa para mujahideen ketika sedang menghadapi musuh.

[A6.3]/[A6.3′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang kegagalan golongan Bani Israil untuk berjihad. Di dalam [A6.3] disebut bagaimana mereka telah meminta seorang raja untuk berjihad tetapi apabila raja itu telah dilantik, mereka takut pula untuk berjihad; di dalam [A6.3′] disebut pula kebanyakan daripada mereka telah gagal dengan ujian yang telah dibuat oleh Talut.

[A6.4]/[A6.4′] – Di dalam Bahagian [A6.4] Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Dia telah melantik Talut sebagai raja untuk memimpin Bani Israil untuk berjihad dengan musuh dan di dalam [A6.4] disebut tanda yang benar beliau telah dilantik oleh Allah ‎ﷻ.

[A6.5] – Di dalam Bahagian tengah ini Allah ‎ﷻ menjelaskan yang Dia memberi kerajaan dan kekuasaan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia pilih.


 

Baqarah Ayat 252: Penutup bagi kisah ini. Ayat ini adalah dalam bentuk jumlah mu’taridah. “Jumlah Mu’taridah” (جملة معترضة) merujuk kepada ayat atau frasa sisipan (interjection/parenthetical clause) yang diletakkan di antara dua bahagian ayat lain yang saling berkaitan secara langsung. Nanti selepas ini akan bersambung cerita yang berkaitan.

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

SAHIH INTERNATIONAL
These are the verses of Allah which We recite to you, [O Muhammad], in truth. And indeed, you are from among the messengers.

MALAY
Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang daripada Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

 

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar;

Allah ‎ﷻ berikan kisah ini kepada Nabi ﷺ dan umat Islam sebagai pengajaran. Amat banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini. Semoga ia bermanfaat buat kita, itu pun jikalau kita mempelajarinya dan memikirkan tentangnya. Kalau setakat baca terjemahan tetapi tidak belajar tafsir dan mentadabburi ayat-ayatnya, maka ia setakat baca sahaja lah.

Maklumat ini hanya diberikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi ﷺ. Maka ia adalah kisah yang benar kerana ia daripada Allah ‎ﷻ dan disebut di dalam Al-Qur’an. Kalau kisah Hang Tuah dan Hang Jebat pun kita tidak pasti ia benar atau tidak kerana ia mungkin dongengan sahaja. Akan tetapi lain dengan kisah di dalam Al-Qur’an yang kita boleh yakin bahawa ia pasti berlaku. Allah ‎ﷻ telah awal-awal beritahu di awal surah ini,

“Kitab Al-Qur’an ini, tiada sebarang syak (ragu-ragu) padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Allah ‎ﷻ bawakan ayat-ayat dan kisah-kisah ini untuk mengajarkan kita tentang al-haq iaitu kebenaran. Ia hanya dapat diambil manfaat oleh orang yang bijak pandai dan mahu ikut kebenaran. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 147


“Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.”

 

وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari padaRasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang boleh bawa cerita ini kerana baginda yang diberi wahyu. Maka tsabitlah Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Nabi. Kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah ini. Jadi kisah ini dan kisah-kisah lain menjadi bukti lagi dalil bagi keabsahan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Manakala peristiwa kemenangan umat Islam ke atas kuffar di dalam kisah Talut dan Jalut ini berlaku di zaman Nabi ﷺ ketika Perang Badr.

Menariknya, kejadian Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membunuh Jalut itu pernah berlaku kepada sahabat Rasulullah ﷺ iaitu Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Peristiwa ini berlaku pada hari Perang Badr itu, perang besar pertama antara umat Islam dan musyrikin Quraisy. Pada penghujung perang, apabila tentera Musyrikin mula kacau-bilau dan melarikan diri, Rasulullah ﷺ memerintahkan agar dicari Abu Jahal. Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan kisahnya sendiri (atau diriwayatkan daripadanya): Dalam kekecohan medan perang, setelah Musyrikin mulai kalah, Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ melihat Abu Jahal terbaring cedera parah di antara mayat-mayat dan orang-orang yang terluka. Kaki Abu Jahal telah putus terkena pedang (ada riwayat mengatakan daripada pukulan Mu’awwiz bin Afra’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ). Dia masih hidup, tetapi berada dalam keadaan yang sangat lemah. Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang bertubuh kecil, mendekati Abu Jahal yang terbaring. Abu Jahal, walaupun dalam keadaan nazak, masih menunjukkan kesombongan dan keangkuhan. Dia bertanya kepada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Kamu telah memanjat tempat yang tinggi, wahai gembala kambing (gelaran yang merendahkan)!” Ini menunjukkan Abu Jahal masih memandang rendah Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kerana asal-usulnya yang rendah sebelum Islam.

Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ membalas: “Allah telah memuliakan Islam.” Beliau kemudian bertanya kepada Abu Jahal: “Adakah kamu masih mengagungkan (keunggulanmu) wahai musuh Allah?” Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ingin memastikan kematian Abu Jahal untuk memenuhi perintah Nabi ﷺ dan membebaskan umat daripada kekejaman pemimpin kafir ini. Beliau meletakkan kakinya di leher Abu Jahal (sebagai tanda penghinaan dan kemenangan) dan hendak memenggal kepalanya. Abu Jahal, yang meskipun cedera parah dan terhina, masih cuba menunjukkan kekerasan hatinya dan berkata: “Engkau telah membunuh seorang lelaki yang sangat dimuliakan oleh kaumnya.” (Ungkapan lain: “Telah sampai waktunya engkau membunuhku, wahai gembala kambing.”). Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak menghiraukan kata-kata itu. Dengan pedangnya yang tumpul atau kecil (kerana beliau tidak sekuat panglima lain), beliau berusaha memenggal kepala Abu Jahal. Kerana pedangnya yang kurang tajam dan tubuh Abu Jahal yang besar, beliau terpaksa mengulanginya beberapa kali sehingga akhirnya kepala Abu Jahal terpisah daripada badannya.

TAMAT JUZUK 2

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi) Bahagian 2

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ

Dia tidak dihampiri permulaan rasa mengantuk,

Sebelum ini disebut yang Allah ‎ﷻ sifat-Nya القَيّومُ yang menjaga alam ini. Kalau kita manusia banyak kerja, tentu kita akan berasa penat dan perlukan rehat, bukan? Akant tetapi Allah ‎ﷻ tidak ada rasa penat malah rasa mengantuk pun. Yang mengantuk itu adalah makhluk seperti manusia dan binatang. Ini kerana kita ini makhluk yang lemah dan memerlukan rehat, namun langsung tidak bagi Allah ‎ﷻ. Tidaklah Allah ‎ﷻ berehat daripada mentadbir alam ini, tidaklah Dia tidak mendengar doa-doa kita hanya kerana Dia mengantuk.

Jangan kata hendak mengantuk, mula hendak mengantuk pun tidak ada. Ini adalah kerana perkataan yang digunakan bukan ‘mengantuk’ tetapi ‘permulaan untuk mengantuk’. Ini kerana yang dimaksudkan dengan سِنَةٌ adalah mula-mula rasa mengantuk, kerana kalau ‘mengantuk’, ada perkataan lain yang digunakan dalam Al-Qur’an (نُعَاسًا). Sifat mengantuk ini adalah sifat makhluk yang lemah kerana apabila kita mengantuk, orang yang ada di depan kita pun kita sudah tidak berapa cam lagi tetapi sebelum betul-betul mengantuk itu, akan ada rasa hendak mengantuk dan itulah yang dinamakan سِنَةٌ. Mengantuk dan mula-mula rasa mengantuk pun tidak ada pada Allah ‎ﷻ.

Ada Ilmu Balaghah dalam ayat ini iaitu tentang taqdim (diawalkan) dan ta’khir (diakhirkan). Ada perkataan yang dimulakan dan ada yang dikemudiankan. Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dahulu sebab mengantuk datang sebelum tidur.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tidak kata Dia tidak mengantuk, tetapi لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ tidak dikuasai oleh kantuk. Ini kerana kita sebagai makhluk memang dikalahkan oleh kantuk ini. Berapa ramai orang yang menahan matanya daripada tidur, tetapi apabila badan sudah tidak boleh tahan, mata sendiri akan tutup dan ini dinamakan micro-sleep. Ramai orang yang kehilangan nyawa atau kemalangan dek kerana micro-sleep ini. Kerana kalau sudah mengantuk, bukan boleh bawa bincang.

 

وَلا نَومٌ

dan tidak tidur.

Allah ‎ﷻ juga tidak pernah tidur. Sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dan sekarang sebut tidur pula. Kenapa perlu disebut tidur sedangkan ia lebih kurang sahaja (orang mengantuk akan tidur). Ini adalah kerana ia kejadian yang berlainan. Ada orang mengantuk tetapi dia tidak boleh tidur (mungkin fikiran dan emosinya terganggu). Ada orang yang ada penyakit insomnia contohnya; dan ada orang yang tidur tetapi tidak dimulai dengan mengantuk. Ada orang biasa-biasa sahaja, tetapi masuk kereta sahaja terus mengantuk. Ada orang yang biasa-biasa sahaja, tetapi bila mula kelas agama, mula khutbah Jumaat, mula hendak baca Al-Qur’an, terus tertidur.

Tidur pun banyak peringkat juga kerana ada tidur-tidur ayam, ada yang tidur nyenyak, dan ada yang ‘tidur mati’. Tidur mati itu sampai kalau kena sepak pun tidak bangun kerana sudah tidur nyenyak sangat. Ada tidur yang lebih lagi hebat iaitu seperti tidur Ashabul Kahfi yang tidur selama lebih 300 tahun. Semua jenis tidur ini tidak ada langsung pada Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu bangunan. Walaupun mereka sepatutnya menjaga bangunan itu tetapi selalunya kita pun tahu yang mereka itu sama ada tidur ataupun mengantuk dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ tidak begitu, Dia tetap menjaga alam ini kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah tidur-tidur. Alam ini dijaga dan tetap berdiri kerana Allah ‎ﷻ, maka takkan Allah ‎ﷻ mengantuk dan tidur pula, siapa jaga alam ini kalau Allah ‎ﷻ sedang tidur? Maka kerana itu kita boleh berharap kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sentiasa beri perhatian.

 

لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit-langit dan segala yang ada di bumi.

Mungkin si iblis datang lagi dan membisikkan: “Tuhan Allah tidak berkuasa menjangkau tempat pemohon berada, lalu bagaimana Dia boleh membantu kalian?”, Maka Allah ‎ﷻ memberitahu yang alam ini semuanya milik-Nya, maka takkan Dia tidak mampu mendengar permintaan orang berdoa dan memberikan apa sahaja kepada makhluk yang meminta?

Huruf ل di sini bermaksud pemilikan. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa alam ini adalah kepunyaan Dia. Perhatikan Allah ‎ﷻ tidak kata Dia memiliki langit dan bumi tetapi Dia memiliki apa sahaja yang ada di langit-langit dan di bumi. Ini lebih kuat daripada mengatakan Dia memiliki langit dan bumi. Sebagai contoh kalau kita kata rumah itu rumah aku, mungkin rumah itu telah disewakan dan barang di dalam rumah itu bukan miliknya tetapi milik penyewa. Jadi pemilikan tuan rumah itu tidak penuh, setakat memiliki rumah sahaja. Akan tetapi kalau seseorang itu berkata semua di dalam rumah itu dia yang punya, maka ini lebih kuat. Tidak perlu sebut rumah itu miliknya lagi kerana kalau barang dia pun sudah ada dalam rumah itu, bermakna rumah itu pun dia yang punya kerana takkan barang dia ada dalam rumah orang lain pula?

Kalau kita ada barang, agaknya cara penjagaan kita kepada barang itu berbeza jikalau barang itu kita punya ataupun orang lain punya? Tentu ada beza kalau kita menjaga barang orang lain dengan menjaga barang kita. Tentunya kita lebih sayangkan barang kita dan akan memberi perhatian yang lebih kepadanya. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang alam ini kepunyaan Dia dan dari situ, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.

 

مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ

Siapakah yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya?

Kalimah من itu asalnya istifham (soalan) akan tetapi ia bermaksud ‘tidak’ kerana ada kalimah إِلّا di dalam ayat ini. Jadi ia hendak menolak pemberian syafaat daripada selain-Nya. Jadi soalan ini adalah soalan retorik. Macam kita cakap kepada orang: “Kalau aku tak tolong dia, siapa lagi yang boleh tolong dia?” Dia hendak memberitahu yang tidak ada orang lain yang boleh memberi pertolongan kepada orang itu. Allah ‎ﷻ beri soalan ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

Kalimah شَفٰعَةٌ adalah daripada kata dasar: ش ف ع yang bermaksud menegakkan sesuatu yang senget, menggandakan sesuatu, pasangan, menghubungkan sesuatu yang sama sifat, melindungi, menjadi orang tengah, bagi rekomendasi untuk seseorang. Memberi dan menerima syafa’at terjadi atas izin Allah ﷻ dan keputusan-Nya adalah keputusan yang haq lagi bijaksana sebagaimana ditegaskan dalam Saba’: 23

وَلا تَنفَعُ الشَّفٰعَةُ عِندَهُ إِلّا لِمَن أَذِنَ لَهُ ۚ حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم ۖ قالُوا الحَقَّ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ
Dan tiadalah berguna syafa’at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa’at itu, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata, “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Tidak ada, walaupun yang diharapkan syafaat itu adalah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Kalaulah baginda ada kuasa memberi syafaat, maka tentu baginda akan bantu ahli keluarga baginda sendiri akan tetapi baginda telah menidakkan hal itu,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أُنْزِلَ عَلَيْهِ { وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ } يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ مِنْ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا عَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ رَسُولِ اللَّهِ سَلِينِي بِمَا شِئْتِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا
Bahawa Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda ketika turun ayat ini kepadanya: ‘(Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang dekat) ‘ (Syu’ara`: 214). Baginda bersabda: “Wahai orang Quraisy, belilah diri kalian daripada Allah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai bani Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Abbas bin Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Shafiyyah, bibi Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku sesuatu yang kamu kehendaki, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun.”
(Sahih Bukhari No. 305)

Kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh bantu sanak saudaranya di akhirat kelak, jadi kenapa ramai masih jahil lagi berharap bantuan baginda, para wali yang telah mati, tok guru mereka dan lain-lain lagi? Walaupun kita tahu yang baginda akan meminta syafaat untuk manusia tetapi baginda pun tidak berani membuka mulut baginda melainkan setelah diizinkan oleh Allah ‎ﷻ dan baginda pun hanya akan mengatakan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kita boleh faham daripada sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
“Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan  memberi syafaat.”
(Riwayat Muslim No. 2278)

Jadi kena faham yang keputusan beri syafaat itu bukan hak Nabi ﷺ. Ini kita dapat faham daripada ayat ini. Semua umat Islam baca ayat ini tetapi mereka tidak faham maksudnya. Apakah salah faham mereka? Mereka tidak faham kerana jahil wahyu.

Ramai tidak sedar yang Nabi Muhammad ﷺ hanya boleh memberi syafaat kepada mereka yang dibenarkan menerima syafaat sahaja. Maknanya, Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang boleh terima syafaat itu, bukannya Nabi ﷺ. Maka golongan sesat yang minta syafaat daripada Nabi ﷺ sekarang ini adalah sia-sia sahaja. Ini kerana baginda bukan dengar pun permintaan kita dan kalau baginda dengar pun, baginda bukan boleh bagi. Maka sia-sia sahajalah nyanyian Ya Hanana golongan Habib yang sentiasa meminta syafaat kepada Rasulullah ﷺ. Ini termasuk juga dengan permintaan mana-mana golongan pun yang berharap sangat syafaat daripada baginda.

Kenapa baginda tidak dapat beri syafaat kepada kita? Kerana sebelum kita membantu (atau beri syafaat) seseorang dengan meminta pertolongan untuk mereka hendaklah kita tahu kedudukan seseorang itu. Kita bawakan satu contoh di sini untuk mudah faham. Katakanlah seorang ketua syarikat telah marah kepada seorang pekerja dan dia telah memecat pekerja itu. Mungkin kerana pada pengetahuan ketua itu, pekerja itu telah melakukan satu kesalahan berat. Katakanlah kita tahu keadaan sebenar, yang pekerja itu tidak lakukan pun kesalahan yang dituduh itu, dan kita hendak membantu pekerja yang telah dipecat itu. Maka kita pun pergilah berjumpa dengan ketua syarikat itu untuk tidak memecat pekerja itu kerana kita kata ada perkara yang ketua syarikat itu tidak tahu. Maka kita pun menjelaskan kepada beliau kedudukan perkara yang sebenar. Maknanya ketua syarikat itu telah membuat keputusan kerana ada perkara yang dia tidak tahu dan kita telah membantu pekerja yang telah dipecat itu dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar kerana kita ada maklumat itu.

Namun bagaimana kita hendak memberitahu Allah ‎ﷻ kedudukan seseorang yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sendiri tahu perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku. Semua perkara tentang seseorang itu Allah ‎ﷻ ketahui, lalu bagaimana kita hendak hendak rekomen orang itu kepada Allah ‎ﷻ?

Ramai manusia yang bercakap tentang syafa’at. Ramai yang mengharapkan ada pemberi syafa’at nanti di akhirat kelak. Lalu mereka melakukan amalan-amalan kononnya untuk mendapat syafa’at daripada wali, Nabi dan malaikat. Mereka memberi salam, seru Nabi, wali dan malaikat, sedekah Fatihah, melawat kubur, berqasidah dan bermacam-macam lagi amalan yang tidak ada dalam ajaran agama.

Begitulah ramai yang salah faham tentang syafa’at ini. Ramai yang meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad ﷺ, padahal tidak boleh meminta syafa’at dengan baginda. Walaupun ada hadith yang mengatakan Nabi ﷺ akan memberi syafa’at di akhirat kelak. Memanglah Nabi ﷺ ‘pemberi Syafa’at’ tetapi jangan salah faham.

Begini caranya untuk faham: Memang Nabi ﷺ akan beri syafa’at tetapi bukanlah baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafa’at. Nabi Muhammad ﷺ hanyalah ‘tukang sampaikan’ sahaja. Kita jadikan perumpamaan seorang pelajar universiti yang hanya akan mendapat sijil graduan sekiranya dia sudah melepasi ujian-ujian yang telah ditetapkan di universiti itu. Sememangnya sewaktu Hari Graduasi, canselor universiti yang akan menyampaikan skrol ijazah kepada pelajar tersebut akan tetapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan menerima skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak menerima ijazah itu adalah mereka di bahagian lain yang bertanggungjawab menentukannya berdasarkan daripada keperluan syarat yang telah dipenuhi oleh pelajar itu. Itu pun sekiranya dia telah memenuhi segala syarat untuk mendapatkannya.

Maka begitulah juga dengan konsep syafa’at. Pertama, hanya Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan mendapat syafa’at. Keduanya, syafa’at itu diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Antara kelayakan utama, hendaklah tidak langsung mengamalkan syirik. Antaranya boleh dibaca dalam ayat Maryam: 87

لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا
Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!

Kerana itulah Allah ﷻ beritahu dengan jelas dalam ayat ini bahawa syafa’at itu bukan hak makhluk tetapi hak Allah ﷻ. Tiada sesiapa yang boleh beri syafa’at kecuali yang diberi izin oleh Allah ﷻ. Disebabkan ramai yang tidak tahu tentang perkara ini maka mereka meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad ﷺ, daripada orang yang sudah mati (mereka kata si mati itu ‘wali’) dan daripada malaikat. Maka ini adalah salah faham terbesar dalam hal syafa’at. Syafa’at itu diminta kepada Allah ﷻ, bukan kepada makhluk! Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus: 3

ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ
Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafa’at melainkan sesudah diizinkan-Nya.

Akan tetapi disebut di dalam Najm: 26 bahawa para malaikat itu pun tidak berani meminta ampun bagi manusia sehinggalah diberikan keizinan oleh Allah ‎ﷻ,

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ لا تُغني شَفٰعَتُهُم شَيئًا إِلّا مِن بَعدِ أَن يَأذَنَ اللهُ لِمَن يَشاءُ وَيَرضىٰ
berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya.

Mereka tidak mempunyai kuasa dan tidak akan berani membantu sesiapapun. Bukan sahaja izin untuk bercakap diperlukan malah hendak memberi syafa’at kepada mana-mana individu itu pun memerlukan izin daripada Allah ﷻ. Bukanlah mereka boleh memberi syafa’at kepada sesiapa sahaja. Penerima syafa’at juga mesti mendapat izin daripada Allah ﷻ. Kita kena tahu bahawa tidak ada makhluk yang mampu berikan syafa’at termasuk makhluk yang paling rapat dengan Allah ﷻ pun, iaitu para Malaikat. Dua syarat telah disebut di dalam Taha: 109

يَومَئِذٍ لا تَنفَعُ الشَّفاعَةُ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَولًا
Pada hari itu, tidak berfaedah syafa’at (daripada dan kepada sesiapapun) kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.

1. Allah ﷻ benarkan orang yang memberi syafa’at itu memberi syafa’at. Bukan semua dapat memberi syafa’at. Hanya mereka yang dibenarkan memberi syafa’at sahaja yang boleh beri syafa’at.

2. Allah ﷻ redhai atau benarkan kata-kata pemberi syafa’at. Apa yang mereka minta itu pun mesti mendapatkan kebenaran Allah ﷻ dulu.

3. Syarat yang ketiga disebut di dalam ayat Anbiya: 28 orang yang diberi syafa’at itu adalah yang diredhai oleh Allah ﷻ untuk menerima syafa’at. Tidak akan diberikan syafa’at kepada mereka yang melakukan syirik dan bid’ah semasa di dunia.

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَلا يَشفَعونَ إِلّا لِمَنِ ارتَضىٰ وَهُم مِن خَشيَتِهِ مُشفِقونَ
Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tiada memberi syafa’at melainkan kepada orang yang diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.

Oleh itu, bukanlah kita menidakkan Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafa’at. Akan tetapi dengan syarat yang tiga ini. Yang memberi syafa’at itu diberikan kelebihan itu untuk memuliakan dia. Bukanlah dia mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima syafa’at.

Kita kena sedar yang syafa’at itu adalah hak mutlak Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang layak memberi dan menerima syafa’at. Yang memberi syafa’at seperti Nabi, orang yang hafal Al-Qur’an dan lain-lain lagi, mereka diberi kebenaran untuk memberi syafa’at itu sebagai satu penghargaan daripada Allah ﷻ. Untuk menunjukkan kemuliaan mereka atas apa yang mereka telah kerjakan di dunia.

Untuk kita lebih jelas lagi apakah syafa’at itu; ia adalah adalah rekomendasi daripada seseorang terhadap seorang yang lain. Contohnya kita hendak rekomen rakan kita masuk ke tempat kerja kita, kita akan beritahu kepada pengarah syarikat yang rakan kita itu seorang yang baik dan rajin kerana hanya kita yang mengenali rakan itu dan pengarah syarikat tentulah tidak kenal rakan kita itu. Inilah rekomendasi. Begitulah juga pemberi syafa’at nanti. Mereka cadangkan kepada Allah ﷻ untuk selamatkan kita. Namun cuba fikir kembali, apa yang kita boleh beritahu Allah ﷻ sedangkan Dia tahu segalanya? Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus: 18

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم وَيَقولونَ هٰؤُلاءِ شُفَعٰؤُنا عِندَ اللَّهِ ۚ قُل أَتُنَبِّئونَ اللَّهَ بِما لا يَعلَمُ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ
Dan mereka menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.”

Oleh itu, sia-sia jikalau kita meminta syafa’at kepada selain Allah ﷻ kerana tidak ada sesiapa yang berkuasa memberi syafa’at selain Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Yaasin: 23

أَأَتَّخِذُ مِن دونِهِ ءآلِهَةً إِن يُرِدنِ الرَّحمٰنُ بِضُرٍّ لّا تُغنِ عَنّى شَفٰعَتُهُم شَيئًا وَلا يُنقِذونِ
Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudaratan terhadapku, nescaya syafa’at mereka tidak memberi manfaat sedikit pun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?

Pemilik syafa’at hanya Allah ﷻ sahaja seperti yang ditegaskan di dalam Zumar: 43-44

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ
Patutkah mereka mengambil yang lain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain daripada Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafa’at itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).”

Sebaliknya masyarakat kita pula menyangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawassul dengan baginda, mereka selalu berselawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tetapi apabila ia sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’). Ada pula yang reka amalan, sedekah Fatihah kepada baginda. Tidak tahu datang dari mana amalan sesat ini.

Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, namun sebaliknya ia adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka mengamalkan selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat. Mereka sangka, dengan amalan menyambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan suka dengan perbuatan mereka itu dan sebagai balasan, memberi syafa’at kepada mereka.

Malang sekali, segala amalan tersebut tidak mungkin akan menyebabkan mereka mendapat syafaat baginda kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bid’ah. Malah lebih malang lagi, Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengandungi elemen syirik di dalamnya. Seandainya ada yang mengamalkannya, maka berhentilah dan jangan beri alasan lagi demi untuk membenarkannya. Buat malu sahaja hujah yang cuba membenarkannya. Yang penting untuk mendapatkan syafa’at, kita mestilah menjaga tauhid kita kerana mereka yang ada tauhid sahaja yang akan mendapat syafa’at, seperti disebut di dalam Zukhruf: 86

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ
Dan segala yang mereka sembah yang selain Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahui-Nya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafa’at itu).

Lalu persoalannya, kenapakah ada dalil-dalil yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ dan selain baginda boleh memberi syafa’at? Kena faham yang semua itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka di atas kemuliaan mereka. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang layak mendapat syafa’at dan pemberian itu disampaikan melalui pemberi syafa’at seperti Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah untuk memuliakan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 12 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi) Bahagian 1

TUHAN YANG SATU

Baqarah Ayat 255: Ini adalah ayat yang terkenal sebagai Ayat Kursi. Memang ramai yang hafal ayat ini dan diamalkan dalam berbagai-bagai keadaan dan keperluan. Ini adalah kerana ayat ini adalah ayat teragung di dalam Al-Qur’an. Ini sahih berdasarkan beberapa hadith:

Daripada Ubai bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya: Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ ‏.‏ قَالَ فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ ‏:‏ وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ‏.‏
“Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku (Ubai) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda: “Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu, apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku berkata: ‘اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ’. Lalu Baginda menepuk dadaku, dan bersabda: “Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abu al-Munzir.”
(Riwayat Muslim (810), Abu Dawud (1460), Ahmad (20588))

Syarah: Apabila Rasulullah ﷺ menepuk dada Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia menandakan bahawa pendapat Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu benar. Ini menunjukkan para sahabat sebenarnya sudah tahu bahawa Ayat Kursi ini adalah ayat yang paling agung di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia mengandungi ajaran tentang Allah ‎ﷻ dan tauhid. Kita pun tahu yang Tauhid adalah perkara terpenting di dalam Al-Qur’an. Kerana itulah Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak kata ayat tentang solat atau puasa, akan tetapi tentang Tauhid.

Ayat ini juga dapat membawa pengamalnya masuk ke dalam syurga. Daripada Abu Umamah al-Bahili رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7532); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9848) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Syarah: Jadi jangan lupa membawa ayat ini setiap kali selepas solat fardhu kita. Cuma jangan pula kita sangka kena ‘baca’ sahaja, tetapi hendaklah kita baca-faham-amal-hafal-sebar. Orang kita sahaja yang sangka baca itu setakat baca sahaja tanpa mereka tahu apa maksud ayat ini dan bagaimana cara mengamalkannya. Berapa ramai yang minta kepada selain Allah ‎ﷻ kerana tidak faham tentang ayat ini?

Apakah maksud ‘tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati’? Maknanya dia tidak masuk syurga lagi sebab dia tidak mati sahaja lagi. Cuma mungkin ramai nampak macam senang sahaja masuk syurga dengan membaca ayat Kursi selepas solat sahaja, bukan? Tidaklah begitu. Jangan fikir hanya baca sahaja ayat Kursi ini. Ia hendaklah difahami dan diamalkan. Kalau setakat baca sahaja tanpa faham, apatah lagi tidak diamalkan, maka tidaklah ia memberi makna. Kerana kalau kita faham dan amal, maka tauhid kita tentu sudah mantap; dan kalau tauhid sudah mantap, tentulah syurga yang layak bagi kita.

Selain itu, bukanlah lihat kepada hadith ini sahaja. Kenalah juga perhatikan juga ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith yang lain tentang amalan-amalan yang memasukkan seseorang ke dalam syurga.

Ayat ini juga boleh menjadi pelindung kepada kita (kalau kita faham dan amalkan suruhan di dalam ayat ini). Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ». فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ سَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ. قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «مَا هِيَ؟» قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ – وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ – فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟» قَالَ: لاَ. قَالَ: «ذَاكَ شَيْطَانٌ».

“Rasulullah ﷺ mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.” Abu Hurairah berkata: Aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.”

Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi ﷺ bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.

Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.” Dia berkata: ”Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.” Aku menjawab: “Apakah kalimah itu?” Dia berkata: “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya))[Surah al-Baqarah: 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.” Maka aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apakah itu?” Aku berkata: “Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah ‎ﷻ) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’” – (Perawi berkata:) Mereka (yakni Para Sahabat) adalah orang-orang yang sangat bersungguh demi kebaikan. Nabi ﷺ bersabda: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Itulah syaitan.”

(Riwayat al-Bukhari No. 2311)

Dalam ayat ini diulangi semula tajuk Tauhid atau Dakwa Surah dalam ayat ini untuk kali yang ketiga. Cuma di dalam ayat ini diberikan Dakwa dahulu kemudian disertakan dalilnya sekali. Dakwa ayat ini adalah: Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh diminta pertolongan untuk masalah kecil ataupun besar. Dalilnya adalah Sifat-Sifat-Nya yang sempurna yang Allah ‎ﷻ akan sebut satu persatu.

Setelah kita membaca segala macam tentang perbuatan Allah ‎ﷻ maka sepatutnya timbul di dalam benak kita: siapakah Allah ‎ﷻ? Maka sekarang Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ maka kita hanya boleh bergantung dengan penerangan daripada-Nya sahaja. Pancaindera kita tidak dapat hendak membayangkan Allah ‎ﷻ maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu tentang Diri-Nya. Ia juga memotong bisikan-bisikan sesat tentang Allah ‎ﷻ yang dibisikkan oleh syaitan.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ ۚ لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ ۚ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۖ وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ ۚ وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما ۚ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of [all] existence. Neither drowsiness overtakes Him nor sleep. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Who is it that can intercede with Him except by His permission? He knows what is [presently] before them and what will be after them, and they encompass not a thing of His knowledge except for what He wills. His Kursi extends over the heavens and the earth, and their preservation tires Him not. And He is the Most High, the Most Great.

MALAY
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah, dicintai, ditaati dan diibadati) melainkan Dia,

Allah ‎ﷻ sedang memperkenalkan Diri-Nya. Nama dzat adalah اللَّهُ. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah ‎ﷻ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala bentuk sifat. Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah merujuk kepada sifat Pemurah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu hanyalah menyentuh tentang sifat Allah ‎ﷻ memberi rezeki sahaja. Akan tetapi apabila kita gunakan nama Allah ‎ﷻ – ia merangkumi semua sifat-sifat Allah ‎ﷻ itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diri-Nya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui daripada kata apakah nama itu berasal. Maka di antara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar. Akan tetapi pendapat yang paling umum dan diterima luas dalam kalangan ulama bahasa dan teologi Islam adalah nama “Allah” berasal daripada gabungan kata definitif “al-” (الـ) yang bererti “itu” dan kata benda “ilah” (إله) yang bererti “tuhan” atau “sesuatu yang disembah.” Maka al-Ilah menjadi Allah.

Kita selalu terjemah ayat ini sebagai tidak ada yang layak ‘disembah’ melainkan Allah ‎ﷻ tetapi bukan itu sahaja. Ini kerana ada orang yang beribadah kepada Allah ‎ﷻ tetapi tidak taat kepada-Nya. Tidak lengkap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh, mereka tidak pernah tinggal solat, mereka pergi mengerjakan ibadah Haji, tetapi mereka tidak taat dalam hal perniagaan berlandaskan riba. Maknanya mereka tidak taat sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak sebenar-benarnya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Potongan ayat ini hendak mengingatkan kita kembali kepada kalimah syahadah kita yang menjadi pegangan kita seumur hidup. Secara ringkasnya, lafaz kalimah shahadah yang pertama adalah lafaz perjanjian atau ikrar kita kepada ALLAH untuk berpegang kepada akidah tauhid; ia adalah perjanjian kita untuk mengEsakan ALLAH dengan tidak membuat atau mengamalkan apa jua bentuk syirik pada-NYA sama ada dalam ibadat mahupun doa. Kita berjanji dengan Allah ‎ﷻ: Aku berjanji pada MU ya ALLAH bahawa tidak ada perantaraan, sembahan, pujaan, seruan dalam doa serta ibadat melainkan “hanya” serta “terus” kepada  MU sahaja. Ini selari dengan maksud surah Al-Fatihah ayat 5:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ
Engkaulah sahaja yang kami sembah.

(bermaksud sembah, puja seru ALLAH hanya dengan cara ibadat yang ALLAH wahyukan saja),

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(bermaksud doa hanya terus pada ALLAH tanpa perantaraan)

Bagaimana untuk menjaga kalimah perjanjian pertama ini daripada rosak atau batal? Untuk jaga perjanjian pertama ini adalah dengan dimulakan dengan belajar wahyu ALLAH yang paling utama iaitu belajar memahami isi kandung Quran. Hampir keseluruhan isi kandung Quran ini adalah berkenaan tauhid dalam ibadah dan juga doa. Kekufuran manusia terdahulu adalah berkaitan dengan dua perkara ini iaitu kekufuran dalam ibadah dan juga doa.

Untuk kita memenuhi tuntutan tauhid ini, kenalah difahami apakah maksud ‘ilah‘ itu sendiri. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Amat penting sekali kena faham betul-betul tentang ilah ini. Kalau faham, akan mudah faham tafsir Quran. Bila kita tahlil pun, akan rasa lain kerana ia akan memberikan kesan ke dalam hati kerana kita sudah faham maksud ilah itu. Apabila kita lafaz la ilaha illallah, kita sebut dengan kefahaman yang jitu. Waktu itu, kita akan rasa bergantung sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Masyarakat kita memang ramai yang tidak faham maksud ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita, tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tidak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ‎ﷻ. Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Ramai yang kongsi status ilah itu dengan Allah ‎ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah dan malangnya orang kita pun ada akidah ini. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ‎ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Apa Maksud “Ilah”? “Ilah” (إِلَٰه) dalam bahasa Arab secara umum bermaksud: “Sesuatu yang disembah.” Kata ini berasal daripada akar kata (أ-ل-ه) yang membawa makna penyembahan, pengabdian, atau ketundukan. Ilah bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang disangka oleh kebanyakan orang. Ia lebih luas lagi maksudnya. Berikut adalah beberapa penjelasan yang lebih mendalam mengenai maksud “ilah”:

* Tuhan: Ini adalah makna yang paling umum dan sering digunakan. “Ilah” merujuk kepada zat yang Maha Esa, pencipta, dan penguasa alam semesta yang layak disembah.
* Sesuatu yang disembah dan dipatuhi: Makna ini lebih luas dan mencakup segala sesuatu yang diagungkan, dicintai secara mutlak, dipatuhi perintahnya, dan tempat bergantung.
* Yang diharapkan: “Ilah” juga bermakna sesuatu yang sentiasa diharapkan pertolongan dan kasih sayangnya.
* Yang dicintai: “Ilah” adalah zat yang paling dicintai dan dirindui oleh hamba-Nya.
* Yang ditaati: “Ilah” adalah zat yang segala perintah dan larangan-Nya wajib ditaati.
* Yang ditakuti: “Ilah” adalah sesuatu yang ditakuti kemurkaan dan azab daripada-Nya.

Jadi ilah itu boleh jadi makhluk selain Allah ‎ﷻ seperti patung berhala, Nabi, wali, malaikat, jin, manusia, wang, parti politik, sistem pemerintahan, hawa nafsu dan banyak lagi. Ramai yang menjadi ilah selain Allah ‎ﷻ. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh umat manusia dari dahulu sampai sekarang. Semua itu adalah syirik dan penafian syirik ada dalam kalimah لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ. Dalam kalimat “La ilaha illallah” (لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ), yang merupakan kalimat tauhid dalam Islam, “ilah” menafikan segala sesuatu yang disembah selain Allah, dan menetapkan bahawa hanya Allah ‎ﷻ satu-satunya “ilah” yang benar dan berhak disembah. Oleh kerana itu, memahami maksud “ilah” sangat penting dalam memahami konsep ketauhidan dalam Islam.

Kerana itu digunakan kalimah tauhid ini di dalam bentuk yang paling kuat di dalam Bahasa Arab iaitu di dalam bentuk nafi dan ithbat. Nafi bermaksud penolakan/penafian dan ithbat bermaksud penetapan. Di dalam bahasa Arab, apabila hendak menekankan tentang sesuatu perkara, apabila dinafikan dan kemudian ditetapkan, ia adalah penekanan yang paling kuat. Kalimah nafi di dalam kalimah tauhid adalah لَا إِلَٰهَ dan kalimah ithbat pula adalah إِلَّا ٱللَّٰهُ.

1. Nafi (النفي)
* Maksud: Nafi secara bahasa bermaksud penolakan, peniadaan, atau pengingkaran.
* Dalam Konteks Tauhid: Dalam kalimat “La ilaha,” nafi berfungsi untuk menolak dan meniadakan segala bentuk ilah (tuhan) selain Allah ‎ﷻ. Ini termasuk menolak penyembahan terhadap berhala, manusia, roh, alam, hawa nafsu, atau segala sesuatu yang dipertuhankan selain Allah ‎ﷻ.
* Implikasi: Nafi mengharuskan seorang Muslim untuk mengingkari dan menjauhi segala bentuk syirik (menyekutukan Allah ‎ﷻ) dalam perkataan, perbuatan, dan keyakinan. Ia juga bermakna berlepas diri daripada segala sembahan batil dan tidak mengakui keabsahannya.

2. Ithbat (الإثبات)
* Maksud: Ithbat secara bahasa bermaksud penetapan, pengesahan, atau pembuktian.
* Dalam Konteks Tauhid: Dalam kalimat “illallah,” ithbat berfungsi untuk menetapkan dan mengesakan Allah ‎ﷻ sebagai satu-satunya Ilah (Tuhan) yang benar dan berhak disembah. Ini bermakna mengakui keesaan-Nya dalam zat, sifat, dan perbuatan-Nya, serta mengkhususkan segala bentuk ibadah hanya kepada-Nya.

Kalau ayat itu begini: Allah adalah Tuhan, ia tidaklah sekuat kalau digunakan begini: tidak ada tuhan, melainkan Allah sahaja. Oleh kerana itu, sebelum masuk Islam dan menerima Tauhid dengan sepenuhnya, kena tolak segala jenis ilah-ilah selain Allah ‎ﷻ. Ini perumpamaan sebelum memasukkan air susu ke dalam gelas, gelas itu perlulah dikosongkan dahulu. Kalau ada sesuatu di dalam gelas itu tetapi ada bahan lain, maka ia sudah bercampur baur pula dan tidak suci murni.

Selepas memberitahu Dakwa ayat, Allah ‎ﷻ meneruskan dengan memberikan dalil-dalil kenapa Dia sahaja ilah iaitu sekarang Allah ‎ﷻ akan menceritakan Sifat-sifat-Nya.

 

الحَيُّ

Yang Tetap hidup,

Boleh jadi iblis membisikkan ke dalam hati manusia: “yang dimohonkan pertolongan dan perlindungan-Nya itu, dahulu pernah ada, tetapi kini telah mati,” maka potongan ayat ini memangkah bisikan itu. Allah ‎ﷻ tetap hidup!

Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Hidup. Sekarang ini kita hidup, tetapi adakah kita hidup dengan sendiri? Tidak! Melainkan Allah ‎ﷻ yang beri kita bernyawa. Akan tetapi tidaklah kita kekal hidup, bukan? Selain daripada Allah ‎ﷻ akan mati belaka. Kita ini adalah jenis yang diberi nyawa dan nanti akan diambil nyawanya. Maka, oleh kerana semua selain Allah ‎ﷻ akan mati, kenapa hendak meminta kepada yang akan mati? Itu adalah sia-sia sahaja kerana kalau kita minta pertolongan kepada yang mati, apakah yang dia boleh bantu kita? Maka berhentilah meminta tolong kepada wali yang telah mati, ahli kubur yang tidak boleh bantu apa-apa kepada kita. Terimalah hakikat yang mereka itu telah mati dan merekalah yang memerlukan doa kita, bukannya kita memerlukan doa mereka.

Maka hendaklah kita meminta kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Hidup dan tidak akan mati-mati, sampai bila-bila pun dan kena tahu bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang sebenar-benar hidup. Walaupun kita lihat makhluk itu hidup, tetapi segala kehidupan yang lain itu adalah kerana Dia sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan makhluk itu hidup, maka makhluk itu akan mati. Maka bergantunglah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, Dzat yang sebenar hidup. Kenapa kita hendak bergantung kepada entiti yang kehidupan dia sendiri pun bergantung kepada Allah ‎ﷻ?

Yang Maha Hidup hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Jadi akidah yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi, ada wali hidup boleh manusia, Khidr hidup lagi dan membantu manusia adalah akidah yang sesat. Ada pula yang sangka orang yang telah mati rohnya masih tinggal lagi di alam ini menjadi hantu dan mengganggu manusia. Kerana akidah yang sesat inilah timbul ajaran karut marut seperti boleh selak tabir untuk tanya hadith kepada Nabi Muhammad ﷺ! Begitulah kalau wahyu ditinggalkan dan diterima ajaran karut daripada rekaan manusia yang dibimbing oleh syaitan!

 

القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan

Mungkin iblis datang lagi untuk menimbulkan kekeliruan dalam hati manusia: “Memang Dia hidup kekal tetapi Dia tidak ambil pusing dengan urusan manusia, apalagi kepada pemohon doa,” maka Allah ‎ﷻ memotong bisikan itu dengan menyatakan Dia tetap kekal memberi pertolongan dan mentadbir alam ini. Mintalah apa sahaja kepada-Nya, Dia akan mendengar.

Kalimah القَيّومُ mengandungi banyak maksud. Ia di dalam bentuk mubalaghah kerana kalau dalam bentuk umum yang biasa adalah قيام. Umumnya ia bererti Allah ‎ﷻ berdiri sendiri, tidak bersandar atau bergantung kepada yang lain. Mana mungkin kerana yang selain-Nya yang bergantung kepada Allah ‎ﷻ! Sepertimana kehidupan kita ini Allah ‎ﷻ yang beri, seperti kita telah sebut di atas.

Berkata Mujahid: القَيّومُ ialah yang berdiri sendiri-sendirinya, sedangkan yang lain adalah bergantung kepada-Nya.

Berkata ar-Rabi’: القَيّومُ ialah bahawa Dia yang menciptakan segala sesuatu, Dia yang memberinya rezeki, dan Dia yang memelihara.

Berkata Qatadah: القَيّومُ ertinya, memberi ukuran kekuatannya dan rezekinya.

Berkata Ibnul Arabi: القَيّومُ ertinya Pengatur.

Jadi kita boleh ambil pengertian di sini ada dua makna utama:

1. Allah ‎ﷻ berdiri sendiri tidak memerlukan sesiapa

2. Allah ‎ﷻ yang menjadikan alam ini berdiri dan menguruskan

Maka di sini kita dapat ambil kesimpulan bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang bersedia dan mampu untuk mengurus dan mentadbir untuk segala hamba. Dia sentiasa menjaga segala makhluk supaya makhluk itu dapat terus berdiri. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri sokongan, maka tentu alam ini terus roboh dan berantakan. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang jadikan alam ini dan kemudian Dia yang meneruskan kewujudan alam ini agar terus berdiri. Maknanya Allah ‎ﷻ sentiasa mentadbir alam ini tanpa henti. Bukanlah Allah ‎ﷻ cipta dan jadikan alam ini dan tinggalkan begitu sahaja. Maka kalau ada apa-apa keperluan, kena minta kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia juga yang sediakan segala keperluan makhluk. Jangan minta kepada selain Allah ‎ﷻ.

Gabungan nama الحَيُّ القَيّومُ dikatakan adalah الاسم الاعظم al-ism al-a’zam (Nama Allah yang agung). Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه
“Nama Allah yang Agung apabila kita berdoa dengannya akan dimustajab (oleh Allah ‎ﷻ) ada di dalam tiga surah al-Baqarah, Ali-Imran dan Thaha”.
[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 3846][Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani].

Ada banyak pendapat tentang apakah الاسم الاعظم yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ ini (sampaikan ada sekurang-kurangnya 14 pendapat). Gabungan nama الحَيُّ القَيّومُ dikatakan salah satu darinya. Ini adalah salah satu pendapat yang kuat dan dipegang oleh Imam Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ. Telah berkata Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam fatwanya berkaitan nama-nama Allah ‎ﷻ yang agung:

“Padanya terdapat banyak hadith berkaitan hal ini, contohnya seperti di dalam Sunan Ibn Majah dan selain daripada itu. Antaranya hadith seperti di atas yang diriwayatkan Abi Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Telah berkata sebahagian para imam terdahulu yang dimaksudkan dengan nama Allah yang agung di dalam tiga surah tersebut adalah “هُوْ الحَيُّ القَيُّوْمُ” kerana ayat tersebut terdapat dalam surah al-Baqarah iaitu di dalam ayat al-Kursi, di awal surah Ali-Imran ayat ke 111 di dalam surah Thaha iaitu firman Allah SWT: “وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ”. Ini merupakan istinbat yang hasan”. [Lihat: Fatwa Imam al-Nawawi, 279]

Kenapa maklumat ini penting? Nama Allah ‎ﷻ yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah ‎ﷻ. Tambahan pula, hal ini dituntut oleh Allah ‎ﷻ, sebagaimana firman-Nya di dalam A’raf: 180

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 12 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 254 (Anjuran Infak)

INFAK DI JALAN ALLAH

Baqarah Ayat 254: Selepas sebut jihad, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang infak, kerana infak dan jihad memang berkait rapat.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوٓا أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ وَلا خُلَّةٌ وَلا شَفٰعَةٌ ۗ وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, spend from that which We have provided for you before there comes a Day in which there is no exchange and no friendship and no intercession. And the disbelievers – they are the wrongdoers.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Kalau kita rasa kita ini orang yang beriman, kita kena dengar dan amalkan ayat ini betul-betul dan kena amalkan apa yang akan disebut nanti. Ayat sebelum ini telah sebut ada golongan beriman dan ada yang tidak. Adakah cukup cakap beriman sahaja tanpa melakukan pengorbanan? Jadi di dalam ayat ini disebut pengorbanan harta.

Di dalam Surah Baqarah ini banyak mengandungi anjuran-anjuran kepada orang beriman sama ada tentang ibadah, hubungan dengan manusia seperti isteri, nikah cerai, anak yatim dan bermacam-macam lagi. Namun apakah yang boleh menghalang manusia daripada mengikut hukum hakam Allah ﷻ ini? Yang pertama adalah sayang kepada diri dan kedua, sayang kepada harta. Ada lagi perkara-perkara yang lain tetapi dua inilah yang utama dan ditangani di dalam surah ini juga.

Tentang isu sayangi diri, Allah ﷻ telah menganjurkan untuk berjihad di dalam ayat 244 وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ. Di dalam ayat seterusnya, ayat 245, Allah ﷻ mendidik manusia untuk melakukan infak مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا. Ayat jihad itu dijelaskan lagi dengan kisah tentang Talut dan perang menentang musuh. Sekarang ayat 245 itu dijelaskan lagi di dalam ayat 254 ini.

 

أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم

infakkanlah daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, 

Allah ﷻ menyuruh kita memberi infak sebahagian daripada rezeki kita. Kalimah مِمّا itu sebenarnya من ما yang disambungkan terus. Kalimah من (daripada) memberi isyarat sebahagian. Maknanya daripada banyak-banyak rezeki yang Allah ﷻ berikan itu, berilah sebahagian kepada yang memerlukan. Bukannya beri semua kerana Allah ﷻ tahu yang manusia ini sayangkan harta; maka yang diminta adalah beri sebahagian sahaja, bukannya semua. Kalau Allah ﷻ suruh beri semua, lagi teruklah penentangan itu.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa rezeki yang kita dapat itu adalah daripada pemberian Dia juga. Apabila Allah ﷻ menggunakan istilah ‘Kami’ dalam رزقنا ia bermakna ada keterlibatan selain Allah ﷻ. Memang untuk mendapat rezeki kita pun kena ada usaha selalunya, tetapi kalau Allah ﷻ tidak berikan, kita tidak akan dapat apa-apa. Ada yang kata, Allah ‎ﷻ beri rezeki dengan banyak supaya kita boleh perbanyakkan infak. Maka jangan perasan sangat yang harta dan wang yang kita ada itu hanya untuk kita sahaja. Ada hadith tentang hal ini,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Kenapa kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari No. 1411)

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ

sebelum tibanya hari yang tidak ada jual-beli padanya,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk infak sebelum datang hari yang usaha kita tidak berguna lagi. Semasa dalam dunia, kita boleh dapat rezeki dengan usaha kita dan dengan pertolongan daripada orang lain. Maka pada waktu inilah yang kita patut infak kerana nanti bila sudah mati, tidak ada peluang lagi.

Allah ‎ﷻ mengingatkan ada banyak perkara yang kita tidak boleh buat bila kita sudah mati nanti. Semua ini adalah punca-punca untuk dapat pendapatan.

Usaha yang pertama adalah usaha jual beli – berniaga. Disebut berjual-beli di dalam ayat ini kerana berjual-beli atau pun berniaga adalah cara usaha yang paling menguntungkan sekali untuk mendapatkan harta dan punca pendapatan. Selain daripada itu termasuklah usaha lain seperti bekerja dan sebagainya.

 

وَلا خُلَّةٌ

dan tidak ada kawan

Yang kedua, kita boleh mendapat harta dan pendapatan adalah daripada orang lain iaitu kawan-kawan kita, keluarga kita. Mungkin kita ada kawan yang pemurah dan sanggup bantu dan beri wang kepada kita. Kalimah خُلَّةٌ merujuk kepada kawan  yang sangat rapat. Sebelum ini kita telah sebut penerangan istilah Khalilullah. Ia adalah jenis persahabatan yang dijalin oleh cinta dan redha yang mendalam sehingga meresap masuk ke celah-celah relung hati. Jadi kalau خُلَّةٌ itu adalah kawan yang sanggup bergolok bergadai kerana rapat sangat dengan kita dan sayang sangat dengan kita. Namun itu semasa di dunia, bukan di akhirat. Di akhirat nanti kawan pun boleh jadi lawan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Zukhruf: 67

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Sahabat-sahabat karib pada hari itu (Hari Kiamat) sebahagian daripada mereka menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

 

وَلا شَفٰعَةٌ

serta tidak ada pula pertolongan syafaat.

Yang ketiga, adalah pertolongan daripada orang-orang yang tidak kenal kita tetapi mereka mempunyai simpati kepada kita. Selalunya kawan rapat kita yang tolong kita; namun ada kalanya, bantuan boleh datang daripada orang lain juga.

Jadi melalui ketiga-tiga cara itu bolehlah kita mendapat harta semasa di dunia. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa tiga-tiga cara ini tidak akan ada lagi di akhirat. Oleh itu hendaklah kita infak semasa di dunia ini lagi supaya ia yang menjadi bekal untuk kita di akhirat nanti.

1. Sebab di akhirat nanti, tidak ada jual beli. Memang ada yang cuba jual keluarga mereka tetapi tidak diterima nanti.

2. Di akhirat, kawan-kawan atau kenalan rapat kita langsung tidak dapat tolong kerana mereka pun ada masalah mereka sendiri.

3. Di akhirat, memang ramai yang mengharapkan syafaat nanti di akhirat. Ramai juga yang perasan mereka akan dapat syafaat. Sebagai contoh, Bani Israil sangka Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sebab kedudukan mereka, tetapi tidak. Orang kita pun ada masalah kefahaman tentang syafaat ini, kerana mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ tentu akan tolong, tetapi tidak semestinya. Hal syafaat ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam ayat-ayat lain.

Ketiga-tiga lafaz yang digunakan: شَفاعَةٌ, خُلَّةٌ ,بَيعٌ, digunakan dalam bentuk yang umum, maksudnya bukanlah menidakkan terus adanya jual beli, persahabatan dan syafaat. Memang ada juga, tetapi dalam bentuk-bentuk yang dibenarkan sahaja. Sebagai contoh, memang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat di akhirat kelak tetapi tidaklah dalam pemahaman yang banyak difahami oleh masyarakat kita. Nanti apabila sampai ke tempatnya, kita akan berbincang bagaimana jual beli, persahabatan dan syafaat ini akan ada di akhirat kelak.

Di dalam ayat 245 sebelum ini pun ada anjuran infak. Akan tetapi ia di dalam bentuk targhib (mengajak). Jenis ini diberikan kepada orang yang berhati lembut dan mahukan balasan daripada Allah ‎ﷻ.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? 

Akan tetapi di dalam ayat 254 ini anjuran infak itu mengandungi ancaman. Kalau tidak buat, maka akan ada masalah di akhirat kelak kerana tidak ada bantuan. Yang boleh membantu adalah iman dan amal, termasuklah infak. Ancaman sebegini dinamakan Tarhib. Jadi di dalam Al-Qur’an ada targhib dan tarhib. Ini kerana watak manusia berbeza-beza. Ada yang terkesan dengan imbuhan dan ada yang hanya terkesan dengan ancaman. Kita mungkin biasa dengan istilah carrot and stick. Ada orang gerak kerana carrot dan ada orang gerak dengan stick.

Istilah ترغيب daripada رَغِبَ yang bermaksud menyenangi, menyukai, mencintai, menginginkan, mengharapkan. Jadi ترغيب bermaksud perbuatan menganjurkan, mendorong, memotivasi, memujuk, menarik perhatian, memberikan harapan atau janji baik (pahala, ganjaran). Sedangkan ترهيب dari رَهِبَ yang bermaksud takut, ngeri, gentar, merasa khuatir. Jadi ترهيب adalah perbuatan menakut-nakuti, mengancam, mengancam, memberikan peringatan keras, membangkitkan rasa takut.

 

وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Orang-orang yang kufur ingkar (tidak kiralah sama ada non-Muslim atau Muslim sendiri) adalah mereka yang tidak beriman dengan Allah ‎ﷻ sepenuhnya dan perasan yang harta yang mereka ada itu adalah hak mereka dan bukan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Jangan sangka ia sebut orang kafir sahaja kerana di pangkal ayat ia menyebut orang beriman; dan apabila hujungnya ini menyebut tentang kafir, ia merujuk kepada orang kafir yang beriman. Iaitu mereka tidak mahu beriman dengan ayat sebegini dan tidak mengeluarkan infak kerana mereka tidak percaya kepada hari akhirat.

Zalim di dalam ayat ini adalah kerana tidak infak kepada yang memerlukan. Mereka itu bukan zalim kepada orang lain (dengan tidak memberikan hak mereka) malah mereka itu zalim kepada diri sendiri kerana kesan kedekut itu akan kena kepada diri mereka juga.

Memang sifat orang kafir itu tidak mementingkan infak, sama perangai seperti Bani Israil. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Tawbah: 34

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۗ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya kebanyakan daripada pendeta-pendeta Yahudi dan rahib-rahib Nasrani, benar-benar memakan harta manusia dengan cara yang batil dan menghalang (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksaan yang pedih.”

Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Maidah: 64

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ ۚ غُلَّت أَيديهِم وَلُعِنوا بِما قالوا ۘ بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ
Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.

Sifat kikir dan tidak infak juga adalah sifat orang munafik dan Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang sifat mereka ini di dalam Tawbah: 54

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلَّا أَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ
Dan tiada apa yang menghalang mereka daripada diterima perbelanjaan (infak) mereka melainkan kerana mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka tidak datang mengerjakan sembahyang melainkan dengan malas, dan mereka tidak membelanjakan (harta mereka) melainkan dengan rasa terpaksa (benci).

Juga di dalam Munafiqun: 7 ada lagi menyebut mereka suruh untuk infak tidak diberikan kepada golongan Muhajirin.

هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُوا عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا ۗ وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوٰتِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ
Merekalah (orang-orang munafik) yang mengatakan: “Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang bersama Rasulullah (yakni kaum Muhajirin dan orang-orang fakir dari kalangan Ansar) sehingga mereka bersurai (meninggalkan Rasulullah).” Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengerti.”

Maka ini adalah dua contoh golongan kafir yang tidak suka infak. Maka kalau kita pun ada sifat itu, maka kita pun boleh termasuk di dalam kumpulan mereka walaupun kita sudah mengucap dua kalimah Syahadah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 253 Part 2 (Perbezaan pegangan)

وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ

Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran

Selepas menyentuh tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi utama Bani Israil, Allah ‎ﷻ sebut pula Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu Nabi yang Bani Israil tidak iktiraf. Ini mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi pertama yang ditolak oleh mereka. Sebelum ini pun mereka sudah menolak seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat dan juga telah diberikan dengan Kitab Injil. Kelahiran baginda sendiri adalah mukjizat yang besar seperti disebut di dalam Maryam: 21

قَالَ كَذٰلِكِۚ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌۚ وَلِنَجۡعَلَهٗۤ اٰيَةً لِّلنَّاسِ وَرَحۡمَةً مِّنَّاۚ وَكَانَ اَمۡرًا مَّقۡضِيًّا
“Dia (Jibril) berkata: ‘Demikianlah’. Tuhanmu berfirman: ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan’.”

Disebut juga di dalam Ali Imran: 49 beberapa mukjizat baginda,

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

 

وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ

serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus [Roh Suci] (Jibril)

Ruhul-Qudus yang dimaksudkan adalah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bagaimana kita tahu? Ini seperti disebut di dalam Nahl: 102

قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذينَ ءآمَنوا وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ
Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu daripada Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.

Kenapa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi gelaran itu? Kerana peranan utama Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyampai wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada para Nabi dan Rasul, terutamanya Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Wahyu Allah itu adalah kalam yang suci, dan ia dibawa oleh utusan yang suci. Oleh itu, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digelar Ruhul Qudus kerana beliau membawa dan menurunkan firman Allah ‎ﷻ yang suci, menjamin kemurnian dan keasliannya daripada sebarang campur tangan syaitan atau pencemaran.

Sokongan tambahan telah diberikan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana setiap kali baginda keluar berdakwah, baginda akan disokong oleh Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukanlah anak Tuhan sampaikan baginda perlu diberi sokongan tambahan. Kalau baginda anak Tuhan, kenapa lagi perlu penolong? Baginda diberikan sokongan dengan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda tidak mempunyai ayah dan kedudukan baginda dalam masyarakatnya waktu itu adalah amat lemah.

Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga disebut kerana bukankah Bani Israil bermusuh dengan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka suka Malaikat Mikail tetapi mereka tidak sukakan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini di dalam Baqarah: 97

قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

Kita kena ingat bahawa para ‘rasul’ terdiri daripada manusia dan juga malaikat. Ini kerana malaikat juga menyampaikan ‘risalah’ daripada Allah ‎ﷻ. Rasul dalam kalangan malaikat pun kita terima juga semuanya, tidak seperti Bani Israil yang memilih milih mana yang mereka suka sahaja.

Maka telah disebut tiga Rasul (Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), yang menjadikan dasar kepada tiga agama utama di dunia ini (Yahudi, Islam dan Kristian).

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم

Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan

Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan semua manusia ini di dalam satu agama sahaja, tidak ada Yahudi, Kristian, Hindu dan agama-agama lain. Lagi pun Allah ‎ﷻ telah sebut di atas yang para Nabi itu semua bawa ajaran Allah ‎ﷻ sahaja, jadi kenapa Allah ‎ﷻ membenarkan manusia berlainan agama pula? Ini kerana mereka berbeza pendapat antara satu sama lain. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hud: 118

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمَّةً وٰحِدَةً ۖ وَلا يَزالونَ مُختَلِفينَ
Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat,

Begitu juga Allah ‎ﷻ boleh jadikan tidak ada peperangan langsung sesama manusia, hidup aman damai sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ jadikan juga jihad itu kerana ia adalah untuk kebaikan hamba-Nya juga. Ini kerana dengan jihad, umat Islam boleh menyampaikan Islam kepada umat manusia. Kalau dibiarkan sahaja manusia membuat pilihan sendiri dengan tidak diberikan dakwah kepada mereka, maka tentu lebih ramai lagi yang tidak masuk Islam. Jihad adalah salah satu daripada usaha dakwah yang umat Islam jalankan. Kerana kadangkala untuk sampaikan dakwah, laluan kepada dakwah itu perlu dibuka dengan jihad. Bukanlah jihad itu bermaksud umat Islam memaksa orang kafir itu masuk Islam, cuma dengan menguasai mereka, barulah kita boleh menyampaikan dakwah. Kerana kalau tidak, pemimpin kafir itu akan menahan dakwah Islam daripada sampai kepada kaum mereka.

Dengan ada jihad ini juga memberi peluang kepada para mujahideen mendapat mati syahid. Kalau tidak mati di jalan Allah, mereka boleh dapat pahala yang banyak. Jadi dengan adanya orang yang perlu diperangi, memberi peluang jihad kepada umat Islam. Begitu juga dengan ramainya orang yang belum masuk Islam, memberi peluang kepada kita dapat pahala dakwah. Begitu juga dengan ramainya orang yang jahil, ia memberi peluang kepada kita mengajar mereka. Bayangkan kalau semua pandai, apa yang kita hendak ajar? Maka pandanglah perbuatan Allah ‎ﷻ dengan pandangan yang positif. Kalau semua sudah Muslim, sudah pandai, peluang kita untuk buat pahala akan berkurangan.

Kalimah اقتَتَلَ yang digunakan di dalam ayat ini asalnya bermaksud berbunuh-bunuhan tetapi ia juga boleh bererti bertengkar, mengutuk, berkelahi, dan membunuh. Berbunuh-bunuhan adalah puncak perselisihan mereka, namun ini tidak menutup kemungkinan bahawa sebahagian mereka saling bertengkar, kutuk mengutuk, dan berkelahi, sebagaimana yang kita boleh lihat di dalam umat yang beragama.

Jadi ini adalah ayat terakhir tentang jihad di dalam Surah Baqarah. Ringkasan ayat-ayat tersebut boleh dilihat di sini.

مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan

Setelah datang kebenaran yang jelas البَيِّنٰتُ kita agak-agak manusia sepatutnya bersatulah. Kerana sama sahaja pegangan, lagi pun ia jelas. Begitulah kalau manusia berpegang dengan ilmu wahyu, manusia boleh bersatu. Namun begitu perpecahan tetap juga berlaku.

Di sini kita diberitahu yang mereka berpecah itu bukannya sebab tidak ada Nabi, tidak ada kitab daripada Allah ‎ﷻ, tidak ada ilmu, akan tetapi ia berlaku selepas semua petunjuk telah datang kepada manusia. Mereka telah disampaikan dengan kebenaran, tetapi mereka yang tolak. Ini adalah kerana ramai manusia yang degil. Begitu jugalah dalam kalangan umat Islam yang mengamalkan bid’ah. Apabila kita tegur mereka, mereka bukannya tidak tahu yang amalan mereka itu tidak ada dalil, tetapi mereka tetap juga hendak buat. Mereka tidak nampak kesalahan pada amalan mereka kerana mereka tidak mahu memahaminya walaupun setelah disampaikan kepada mereka.

Dalil-dalil mereka putar-belitkan, atau tidak dipelajari dengan betul sampai disalah fahami, boleh jadi kerana rayuan nafsu dan dengki, atau oleh kerana  bisikan syaitan yang menyesatkan mereka. Ada yang terlalu ghairah beragama  sehingga menyalahkan pihak lain yang tidak sependapat dengannya, ada juga yang melihat kebenaran dalam satu bentuk sahaja (fahaman mereka), sehingga ijtihad atau pemahaman kelompok lain dianggapnya salah, bahkan sesat. Maka kerana itu kita lihat banyak takfiri (mengkafirkan) berlaku sewenang-wenangnya. Tulisan blog ini ada yang tuduh mengkafirkan orang. Setahu saya tidaklah ada perbuatan mengkafirkan mana-mana individu atau kelompok. Kalau ada mengkafirkan pun, itu mengkafirkan perbuatan dan ini kerana ia disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang sedang dibincangkan.

Ayat ini mengandungi peringatan kepada kaum muslimin agar jangan saling bermusuhan atau kafir mengkafirkan. Nabi ﷺ pun mengingatkan kaum muslimin jangan mengkafirkan orang lain.

“إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا، فَإِنْ كَانَ كَمَا قَالَ وَإِلَّا رَجَعَتْ عَلَيْهِ.”
“Apabila seorang lelaki berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir!’ Maka sungguh salah seorang daripada keduanya telah kembali dengan (label kekafiran) itu. Jika memang dia (yang dituduh) itu kafir (seperti yang dikatakan), maka (betullah tuduhan itu). Jika tidak, maka ia (tuduhan kekafiran itu) akan kembali kepadanya (orang yang menuduh).”
(Sahih Bukhari No. 6104 dan Muslim No. 60)

Ini kerana bila dia menuduh demikian, maka dia telah menanamkan benih pertengkaran dan permusuhan sehingga wajar pula dia yang memikul dosanya. Peringatan ini baginda sampaikan berkali-kali, bahkan merupakan salah satu peringatan baginda pada Peristiwa Haji Wada’ (Haji Perpisahan). Kerana itu kita telah biasa nasihat, jangan bertindak seperti qadhi (yang menghukum) akan tetapi bertindaklah seperti da’ie (pendakwah). Kita bukan hendak label orang lain, tetapi hendak mereka kembali ke pangkal jalan.

 

وَلٰكِنِ اختَلَفوا

Tetapi mereka berselisih,

Ada yang berhujah, kalau agama Islam itu benar, kenapa ada perpecahan dalam kalangan penganutnya? Memang kita tidak nafikan pun, kerana kita biasa lihat pun bagaimana ulama’ ini kata begitu, ulama’ ini kata begini pula dan sebagainya. Boleh dikatakan perbalahan dan perpecahan fahaman dalam Islam ini menyeluruh dan tidak dapat disangkal lagi.

Jawabnya, bukan dalam agama Islam sahaja ada pertelingkahan, perbezaan pendapat, malah peperangan. Zaman dahulu pun sudah berlaku. Masalahnya bukan pada agama, tetapi pada manusia. Memang sifat manusia itu selalu berbeza, semua ada pendapat sendiri. Kadang-kadang mereka tidak tahu menangani perbezaan pendapat itu sampai boleh membawa kepada peperangan. Maka, jangan salahkan agama.

Adakah langsung tidak boleh ada perselisihan pendapat? Tentu sahaja akan ada perbezaan pendapat (ikhtilaf) di antara manusia. Dalam Islam, ikhtilaf adalah suatu yang pasti dan bahkan dalam beberapa konteks dianggap sebagai rahmat. Namun, penting untuk membezakan antara ikhtilaf yang dibenarkan (muktabar atau saigh) dan ikhtilaf yang tercela (ghayr saigh). Ikhtilaf yang dibenarkan adalah perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan ulama yang berkelayakan (mujtahid) dalam permasalahan yang tidak mempunyai dalil qath’i (jelas dan pasti) atau dalilnya bersifat zhanni (bersifat sangkaan atau mempunyai pelbagai tafsiran). Kerana itulah kita ada banyak mazhab dan banyak pendapat. Maka dalam permasalahan ini, kita hormati pendapat yang ada hujah dan sandarannya kepada wahyu. Kalau langsung tidak ada sandaran, maka kita perlu berhati-hati. Ini memerlukan pembelajaran dan pemikiran yang tajam dan kritis. Jangan terima terus dan jangan tolak terus, kena perhatikan dahulu.

Kemudian kita ada ikhtilaf yang tercela. Ikhtilaf menjadi tercela apabila:

    1. Bertentangan dengan Dalil Qath’i: Perbezaan pendapat dalam perkara yang sudah ada nas yang jelas dan pasti (qath’i al-dalalah). Contoh: Seseorang mengatakan solat lima waktu tidak wajib.
    2. Berkenaan dengan Usuluddin (Akidah Asas): Ikhtilaf dalam rukun iman, rukun Islam, atau perkara-perkara dasar akidah.
    3. Berasal dari Hawa Nafsu: Perbezaan pendapat yang timbul bukan dari niat mencari kebenaran, tetapi daripada hawa nafsu, kebencian, iri hati, atau kepentingan peribadi.
    4. Menyebabkan Perpecahan Umat: Walaupun sesuatu ikhtilaf itu dibenarkan dari segi hukum, tetapi jika perdebatan mengenainya menyebabkan perpecahan teruk dalam masyarakat, ia perlu diuruskan dengan adab yang tinggi.

Maka umat Islam diajar untuk memahami bahawa ikhtilaf dalam masalah cabang adalah sesuatu yang semula jadi dan boleh diterima, asalkan ia dilakukan dengan adab, ilmu, dan rasa hormat antara satu sama lain, serta tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa apabila datangnya ilmu, manusia yang asalnya bersatu pun boleh berpecah. Sebagai contoh, golongan Yahudi itu bersatu untuk menerima kedatangan Nabi Akhir Zaman. Mereka kata nanti apabila Nabi itu dibangkitkan, mereka akan beriman dengannya dan akan bersatu di bawah pimpinan Nabi itu. Akan tetapi apabila telah datang pengetahuan bahawa Nabi itu namanya Muhammad ﷺ dan bangsa Arab, mereka berpecah. Ini adalah salah satu kesan penyampaian ilmu yang tidak dapat dielakkan.

Begitu juga dalam masyarakat kita. Semuanya dahulu bersatu beramal sama-sama seperti Yasinan Malam Jumaat, Tahlilan, Doa Selamatan dan sebagainya. Namun apabila sudah ada yang belajar agama dan tahu bahawa semua itu adalah bid’ah, maka masyarakat berpecah. Ada yang boleh menerima ilmu yang baru diketahui ini, dan ada yang tetap berdegil. Kesannya, masyarakat Islam kita berbeza pandangan dan boleh dikatakan berpecah juga. Akan tetapi, adakah kita perlu menahan ilmu daripada disampaikan hanya untuk menjaga kesatuan? Ini tidak mungkin kerana ilmu perlu disampaikan. Kesan daripadanya tidak dapat dielakkan dan kita sahajalah yang harus pandai menanganinya. Berbeza pendapat boleh sahaja, namun janganlah sampai berkelahi dan berperang pula. Apabila ilmu telah disampaikan dan tidak diterima, kita kena redha.

 

فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ

di antara mereka ada yang beriman, 

Apabila ada perbezaan pendapat, manusia berpecah kepada dua bahagian: Ada manusia yang tetap di dalam akidah tauhid yang benar, terus mereka beriman dengan Allah‎ ﷻ dan perkara-perkara yang wajib diimani. Ini adalah kerana mereka telah buka hati mereka untuk menerima Islam.

 

وَمِنهُم مَّن كَفَرَ

dan ada dalam kalangan mereka yang kafir.

Akan tetapi ramai yang tidak mahu menerima kebenaran. Selain daripada agama Islam, semua kafir tidak kiralah apa jenis agamanya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 19

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Dan tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab, kecuali setelah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Ayat Baqarah ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda kesedihan kerana ramai yang enggan untuk beriman. Maka Allah ‎ﷻ beritahu para Nabi sebelum baginda pun telah menyampaikan dakwah Tauhid kepada umat mereka, tetapi bukan semua terima. Malah lebih ramai lagi yang terpedaya dengan bisikan syaitan dan mereka memilih jalan kekufuran. Mereka sangka mereka benar dan mereka sampai sanggup mengangkat senjata untuk menegakkannya. Ada yang membunuh orang lain atas nama agama, mereka sangka mereka melakukan kebenaran. Mereka telah membunuh kerana salah faham. Kerana itu Steven Weinberg pernah berkata: “With or without religion, good people can behave well and bad people can do evil; but for good people to do evil – that takes religion,”

Allah ‎ﷻ telah kata Dia boleh menjadikan semua manusia atas satu agama, tidak berbeza pendapat, tidak berkelahi, tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun kenapa Dia membenarkan terjadi semua perkara yang tidak elok itu? Kerana Allah ‎ﷻ mahukan manusia dan jin beriman dengan kehendak hati sukarela, ikhlas. Bukan kerana terpaksa atau mereka tidak ada pilihan lain. Allah ‎ﷻ mahu manusia melihat pilihan yang ada dan buat pilihan sendiri. Kerana itu Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا

Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;

Kalau Allah ‎ﷻ hendak menjadikan umat manusia ini taat sahaja semuanya, Allah ‎ﷻ boleh buat. Sebagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan para malaikat yang lebih ramai dan lebih kuat daripada kita itu, dan taat sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi Allah ‎ﷻ biarkan manusia memilih jalan sendiri. Maka terjadilah perselisihan dan apabila ia berlaku, ia boleh membawa kepada peperangan. Kerana itulah banyak terjadi peperangan zaman berzaman antara agama, malah sesama dalam agama sendiri pun berperang dan berbunuhan. Namun ia bermula daripada perselisihan yang tidak berlandaskan kepada dalil yang sahih dan pemahaman agama yang sihat.

Malah di dalam agama Islam sendiri ada sejarah hitam ini. Semenjak para sahabat masih hidup lagi telah ada peperangan sesama Muslim seperti Perang Jamal dan Perang Siffin. Maka berterusanlah ada peperangan sesama kita, kadangkala kerana hendak menekankan fahaman yang dipegang kepada orang lain. Di dalam lipatan sejarah kita ada seorang manusia yang bernama Muhammad bin Tumart, (selalu disebut sebagai Ibn Tumart) pengasas Dinasti Muwahhidun (Almohad) di Maghribi pada abad ke-12, sememangnya dikaitkan dengan tindakan keras, bahkan pembunuhan, dalam usaha untuk memaksakan akidahnya ke atas umat Islam di wilayah tersebut. Dia adalah seorang tokoh kontroversi dalam sejarah Islam. Dia adalah seorang Berber daripada suku Masmuda di Pegunungan Atlas. Dia belajar di Timur Tengah (termasuk Baghdad dan Damsyik) dan dipengaruhi oleh pemikiran Ash’ari dan Mu’tazilah, khususnya dalam bidang teologi. Dia kembali ke Maghribi dengan misi reformasi yang kuat, menganggap pemerintah Murabithun pada masa itu telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar, terutamanya dalam aspek tauhid dan fiqh. Dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu.

Ibn Tumart dan pengikutnya telah melakukan pemusnahan kitab-kitab yang mereka anggap tidak selari dengan akidah mereka. Ibn Tumart tidak ragu-ragu menggunakan kekerasan terhadap mereka yang tidak menerima akidahnya atau menentang ajarannya. Ini termasuk ulama-ulama yang tidak sependapat dengannya. Terdapat laporan mengenai hukuman mati yang dikenakan kepada mereka yang menentang atau didapati tidak selari dengan akidah dan pemahaman tauhid Almohad. Ini termasuk ulama terkemuka seperti Qadhi ‘Iyadh, walaupun perinciannya masih diperdebatkan oleh sejarawan. Sejumlah sumber menyebutkan ribuan, bahkan ada yang mencecah puluhan ribu umat Islam yang dibunuh atas nama reformasi akidah ini.

Ibn Tumart dikatakan melakukan ujian akidah kepada penduduk. Sesiapa yang gagal dalam ujian tersebut atau tidak dapat melafazkan akidahnya seperti yang dikehendaki, boleh dikenakan hukuman. Ini tidak jauh beza sahaja dengan pejabat agama zaman sekarang yang menahan tauliah daripada diberikan kepada asatizah yang tidak selari dengan mereka. Mereka tidak beri tauliah, tetapi apabila ustaz itu tetap mengajar juga, mereka akan ditangkap. Sebagaimana Ibn Tumart ini terpaksa melakukan perkara sebegini kerana akidah Asyairah yang dipegangnya itu kalau didakwah secara biasa, mungkin tidak ramai orang akan terima. Kerana ia bukannya selari dengan apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah ﷺ dan salafussoleh. Jadi terpaksalah guna kekerasan untuk paksa orang menerimanya.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

Allah ﷻ boleh menjadikan semua manusia di dalam fikiran yang sama dan agama yang satu. Akan tetapi bukan begitu yang Allah ‎ﷻ kehendaki kepada umat manusia. Ini semua adalah ujian kepada kita belaka. Kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Dia hendak buat. Pastilah ada hikmah kenapa Allah ﷻ melakukan sebegitu. Antaranya adalah kerana Allah ﷻ mahu yang layak sahaja dimasukkan ke dalam syurga kerana syurga itu balasannya amatlah tinggi. Maka yang layak sahaja dapat masuk.

Sekian Ruku’ 33 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah