Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 85 – 86 (Tentang Roh)

SOALAN DARIPADA MUSYRIKIN

Isra’ Ayat 85: Di manakah personaliti kita itu berada kalau bukan di dalam roh kita? Maka sekarang Allah ﷻ menyentuh tentang roh pula.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ menghubungkan ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya yang berbicara tentang pertanyaan kaum musyrikin menyangkut kebangkitan setelah manusia menjadi tulang belulang dan kepingan-kepingan kecil bagaikan debu, (iaitu ayat 49 surah ini dan seterusnya). Di sana dinyatakan bahawa manusia akan dihidupkan lagi yakni rohnya akan dikembalikan ke jasadnya. Maka di sini – tulis al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ – mereka bertanya tentang roh itu.

Musyrikin Mekah tanya kepada Rasulullah ﷺ tentang roh dan jawapannya diberikan di dalam ayat ini. Mereka tanya Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka dapat idea daripada puak Yahudi yang berada di Yathrib (nama lama Madinah) ketika itu. Setelah kalah berhujah dengan Rasulullah ﷺ, mereka pergi ke Yathrib untuk bertanya kepada pendeta-pendeta Yahudi itu untuk mendapatkan cara atau hujah untuk berdepan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana mereka dengar orang Yahudi itu ada ilmu kitab.

Maka pendeta Yahudi suruh tanya tentang roh. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ﷺ jawab dengan panjang lebar tentang roh, maknanya dia bukanlah seorang Nabi yang sah. Kerana kalau baginda buat begitu, baginda menipu sahaja kerana mereka tahu dalam ilmu mereka pun, tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan mendalam tentang hal roh itu.

Oleh itu, apabila ditanya kepada Nabi ﷺ tentang roh, baginda tidak terus jawab kerana baginda tunggu wahyu. Kerana hal roh itu adalah perkara ghaib dan perkara ini bukan boleh direka. Maka ayat ini adalah jawapan kepada persoalan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they ask you, [O Muhammad], about the soul. Say, “The soul is of the affair [i.e., concern] of my Lord. And you [i.e., mankind] have not been given of knowledge except a little.”

(MELAYU)

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

 

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. 

Yang dimaksudkan ‘mereka’ itu adalah Musyrikin Mekah seperti yang telah disebut di atas. Mereka tanya itu bukannya kerana hendak tahu tetapi kerana hendak mengenakan Rasulullah ﷺ. Hal ini diriwayatkan dalam hadith,

عن ابن عباس قال : قالت قريش ليهود : أعطونا شيئا نسأل عنه هذا الرجل . فقالوا : سلوه عن الروح . فسألوه ، فنزلت : ( ويسألونك عن الروح قل الروح من أمر ربي وما أوتيتم من العلم إلا قليلا ) قالوا : أوتينا علما كثيرا ، أوتينا التوراة ، ومن أوتي التوراة فقد أوتي خيرا كثيرا . قال : وأنزل الله : ( قل لو كان البحر مدادا لكلمات ربي لنفد البحر قبل أن تنفد كلمات ربي ولو جئنا بمثله مددا ) [ الكهف : 109 ] .
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa orang-orang Quraisy pernah mengatakan kepada orang-orang Yahudi, “Berikanlah kepada kami sesuatu pertanyaan yang akan kami ajukan kepada lelaki ini.” Orang-orang Yahudi menjawab, “Tanyailah dia tentang roh.” Lalu orang-orang Quraisy bertanya kepada Nabi ﷺ tentang masalah roh. Maka turunlah firman-Nya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kalian diberi pengetahuan, melainkan sedikit.” (Al-Isra: 85) Orang-orang Yahudi berkata, “Kami telah diberi pengetahuan yang banyak, kami telah diberi kitab Taurat; dan barang siapa yang diberi kitab Taurat, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak.” Maka Allah menurunkan firman-Nya: Katakanlah, “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu. (Al-Kahfi: 109), hingga akhir ayat.
(Riwayat Tirmidzi (3140), Nasa’i (11314) dengan sanad yang sahih)

Ada satu lagi kisah tentang pertanyaan roh ini seperti disebut di dalam hadith yang lain,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَا أَنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَرْثٍ وَهُوَ مُتَّكِئٌ عَلَى عَسِيبٍ إِذْ مَرَّ الْيَهُودُ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ سَلُوهُ عَنْ الرُّوحِ فَقَالَ مَا رَأْيُكُمْ إِلَيْهِ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا يَسْتَقْبِلُكُمْ بِشَيْءٍ تَكْرَهُونَهُ فَقَالُوا سَلُوهُ فَسَأَلُوهُ عَنْ الرُّوحِ فَأَمْسَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِمْ شَيْئًا فَعَلِمْتُ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْهِ فَقُمْتُ مَقَامِي فَلَمَّا نَزَلَ الْوَحْيُ قَالَ { وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الرُّوحِ قُلْ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا }
Daripada [‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “ketika aku bersama Nabi ﷺ di suatu ladang sementara baginda tengah bersandar, tiba-tiba beberapa orang Yahudi melalui, dan mereka saling berkata satu sama lain: ‘Tanyakan padanya tentang roh sehingga dia kembali bertanya ‘bagaimana pendapat kalian tentangnya! Namun sebahagian mengatakan “Jangan sampai dia meminta kalian mendatangkan sesuatu yang kalian sendiri tidak menyukainya.’ Mereka berkata, ‘Bertanyalah padanya.’ Kemudian sebahagian mereka menghampiri baginda, lalu bertanya tentang roh’.” Nabi ﷺ diam dan tidak menjawab apa pun. Aku tahu baginda tengah diberi wahyu. Aku berdiri dari tempatku. Saat wahyu turun, baginda bersabda: ‘Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: ‘Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Al Israa`: 85).
(Sahih Bukhari (4352))

Soalan mereka itu secara spesifik tidak dinyatakan. Ia boleh jadi bermacam-macam. Misalnya apakah hakikat roh atau apakah ia kekal atau tidak? Atau apa makna kebahagiaan dan kesengsaraannya? Atau apakah roh bersifat ma¬terial atau bukan? Bagaimana ia berpisah dengan badan dan ke mana ia pergi setelah kematian?

Maka apakah roh di dalam ayat ini? Maksudnya adalah roh yang menyebabkan manusia hidup. Tubuh tanpa roh akan mati. Ia daripada katadasar ر و ح yang bermaksud nafas kehidupan; angin; kekuatan; semangat; jiwa; inspirasi; wahyu; intipati; pergi atau melakukan sesuatu pada waktu petang. Ia mempunyai banyak makna (boleh jadi jiwa, boleh jadi malaikat, boleh jadi wahyu) dan di dalam ayat ini ia bermaksud nafas kehidupan dan juga jiwa.

Mereka hendak menanyakan bagaimana keadaan roh itu di dalam tubuh manusia dan bagaimana hubungannya dan ke mana perginya Roh itu setelah ia bercerai daripada badan.

Misteri yang paling besar dalam bidang Psikologi adalah tentang personaliti seseorang itu. Kenapa seseorang itu berperangai begini dan begitu? Ilmu psikologi tidak dapat menjawab perkara ini kerana tidak ada cara untuk menjelaskan perkara ini dengan akal. Ini adalah kerana personaliti kita itu ada di dalam roh kita. Kita tidak ada cukup ilmu tentang roh. Maka walaupun persoalan ini selalu dibincangkan dan cuba diterokai oleh manusia, namun ia masih tidak dapat dijawab kerana ia berkenaan roh.

Memang ada ahli-ahli ilmu jiwa, baik yang dulu-dulu sebagai Imam Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Hazm رحمهم الله, dan ahli ilmu jiwa moden sebagai Sigmund Freud, Jung dan Adler. Mereka itu pun hanya sekadar mengetahui bekas perbuatan orang untuk mengetahui keadaan jiwanya. Namun jiwa itu sendiri tidaklah mereka ketahui dan tidaklah ada ilmu tentang itu. Pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ kepada manusia tentang hakikat jiwa itu sendiri tidak ada. Itu adalah rahsia Tuhan!

Bukankah sukar mengetahui apakah hakikat Roh kita? Maka 1,000 kali lebih sukarlah mengetahui zat Tuhan. Kita mengakui roh kita ada, namun kita tidak dapat meraba dan mencari tempatnya dalam diri. Kita hanya dapat membuktikan bahاwa kita hidup كعرانا kita bernafas, dan apabila bernafas telah berhenti, berhentilah hidup. Padahal bukan nafas itu yang bernama hidup, akan tetapi kita hidup kerana adanya roh itu di dalam diri kita.

 

قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى

Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku,

Allah ﷻ tidak menjawab pertanyaan mereka itu, sebaliknya Nabi Muhammad ﷺ disuruh beritahu kepada mereka yang bertanya itu yang roh itu adalah dalam urusan Tuhan. Maknanya hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu dan kita tidak tahu apakah hakikatnya. Allah ﷻ tidak beritahu pun apakah roh itu, maka jangan tanya lagi kerana ia urusan Tuhan. Ia akan terus berada dalam hal misteri.

Ini adalah kerana otak kita tidak akan dapat memahaminya. Ia bukanlah perkara fizikal yang kita boleh lihat dan kaji. Roh ini dijadikan terus oleh Allah ﷻ. Bukannya barang macam kereta yang kita boleh fikirkan bagaimana ia dijadikan.

Boleh jadi juga pertanyaan itu tidak dijawab, kerana yang bertanya bermaksud mengejek atau menguji, sehingga bila salah satu daripada kemungkinan pertanyaan di atas dijawab, maka mereka akan mempersalahkan dan berkata: “Bukan itu yang kami maksud.”

Di sini juga ada pengajaran tentang soal jawab. Orang alim bukanlah kena jawab semua soalan yang diberikan. Ada soalan yang tidak perlu dijawab, dan ada yang tidak boleh dijawab pun kerana bukan semua perkara manusia tahu. Kalau kita tidak tahu, kata sahaja tidak tahu. Namun begitu memang masalah orang berilmu adalah segan untuk cakap dia ‘tidak tahu’. Maka selalunya orang yang ditanya akan cuba juga menjawab dengan beri pendapat sendiri dan goreng sana sini. Ini adalah penyakit dan orang berilmu perlu belajar hal ini.

Kadangkala kena perhatikan juga orang yang bertanya. Kadangkala kita boleh agak yang bertanya itu bukannya hendak tahu, tetapi hendak menguji sahaja, atau hendak mengejek dan mencari salah kita. Maka soalan sebegitu pun tidak perlu kita layan. Begitu juga ada soalan yang tidak penting pun untuk dijawab. Sebagai contoh, soalan bagaimana solat kalau di bulan? Suruh orang yang bertanya pergi ke bulan dahulu baru kita jawab.

Walaupun seorang alim tahu jawapan bagi sesuatu soalan, dia kena lihat kepada kedudukan penanya itu. Kalau dia boleh rasa yang jawapan kepada soalan itu boleh menyebabkan kekeliruan kepada penanya, maka dia tidak perlu jawab. Sebagai contoh, ada soalan: benarkah kalau tidak solat, puasa tidak bernilai? Ini soalan yang bahaya. Kerana bagi orang yang baik, dia akan jaga solat dan puasanya sekali. Akan tetapi bagi orang bodoh dan tidak solat, dia akan fikir: (kalau macam itu, baik aku tak payah puasa, sebab puasa pun tak laku juga….). Nampak bukan bagaimana jawapan kepada orang bodoh akan menyebabkan dia semakin teruk?

Kepada yang bertanya pun kenalah faham juga, bukan semua perkara dia kena tahu. Bukan semua perkara yang lalu di media sosial dia kena komen dan cari jawapan. Segala macam benda karut ada di media sosial, maka kalau kita layan semua, memang buang masa sahaja. Tidak perlulah buang masa ustaz anda untuk melayan soalan mengarut anda itu yang kadangkala anda dapat dari media sosial sahaja. Fahami hadith ini,

“عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ :”مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ”
(حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya: Telah bersabda Rasulullah ﷺ: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.
(Hadith hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi (1402) dan yang lainnya)

Kalau kau tanya pasal solat di bulan hendak buat apa, bukannya esok hendak ke bulan, bukan? Kena sedar yang bukan semua orang tahu semua jawapan. Kalau tanya kepada ustaz dan dia jawab dia tidak tahu, hormatilah jawapan dia itu. Jangan pula cakap: “Hek eleh, ingat hebat sangat. Soalan macam ini pun tak boleh jawab?!”

Kerana itu salah satu doa yang diajar kepada kita adalah minta ilmu yang bermanfaat sahaja.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
(Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602))

 

وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً

dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

Hal roh adalah hal misteri dan kita tidak diberikan dengan ilmu tentangnya melainkan sedikit sangat. Setakat mana yang kita tahu tentang roh, itu semua adalah daripada nas yang sampai kepada kita. Kerana kalau kita mahu buat kajian sendiri, memang tidak akan berupa untuk mencapai ilmu tentangnya.

Roh adalah suatu perkara yang besar, yang ilmu manusia tidaklah sampai kepadanya. Tegasnya tidaklah Tuhan memberikan ilmu yang sekelumit itu kepada manusia. Supaya manusia insaf bahawa tidaklah dia mempunyai upaya untuk mengetahui hakikat dirinya sendiri, usahkan mengetahui hakikat orang lain, apatah lagi hakikat Tuhan. Insaflah hendaknya insan bahawa hijab yang menutupi di antara dia dengan Tuhan ialah dirinya sendiri. Bukankah sukar mengetahui apakah hakikat Roh kita? Maka 1,000 kali lebih sukarlah mengetahui Dzat Tuhan. Kita mengakui roh kita ada, namun kita tidak dapat meraba dan mencari tempatnya dalam diri. Kita hanya dapat membuktikan bahawa kita hidup kerana kita bernafas, dan apabila bernafas telah berhenti, berhentilah hidup. Padahal bukan nafas itu yang bernama hidup.

Antara yang kita tahu, roh kita memerlukan Al-Qur’an ini. Ini adalah kerana fizikal tubuh manusia dijadikan daripada tanah dan kerana itu fizikal tubuh badan kita memerlukan makanan daripada tanah; tetapi roh tidak dijadikan daripada tanah seperti tubuh kita tetapi dijadikan daripada cahaya – maka ia memerlukan makanan daripada cahaya juga dan makanan itu ada dalam Al-Qur’an.

Maka kita kena selalu baca Al-Qur’an untuk memberi makanan kepada roh kita. Kalau kita menjauhkan diri daripada Al-Qur’an, maka roh kita akan lemah. Akhirnya akan jauh daripada agama dan daripada Allah ﷻ.

Ini juga menjadi peringatan kepada kita, ilmu yang kita ada ini semuanya daripada Allah ﷻ. Ilmu yang diberikan-Nya kepada kita adalah amat sedikit. Maka tidak perlu hendak berlagak mana sangatlah.

Dalam kisah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr ada disebutkan bahawa Khadr memandang ke arah seekor burung pipit yang hinggap di pinggir perahu yang dinaiki keduanya, lalu burung pipit itu minum seteguk air dari sungai (laut) itu dengan paruhnya. Maka Khadr berkata, “Hai Musa, tiadalah pengetahuanku dan pengetahuanmu serta pengetahuan semua makhluk bila dibandingkan dengan pengetahuan Allah, melainkan sama halnya dengan apa yang diambil oleh burung pipit ini dari laut itu dengan laut itu sendiri.” Atau hal lainnya yang semakna. Kerana itulah disebutkan pada akhir ayat ini oleh firman-Nya: وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا dan tidaklah kalian diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Al-Isra: 85)

Apabila Allah ﷻ beritahu yang ada sedikit ilmu, maka kita boleh terima bahawa mungkin ada manusia yang diberikan lebih ilmu tentang roh. Mungkin ilmu itu daripada wahyu yang diberikan kepada para Nabi, atau ilham yang diberikan kepada para wali. Memang ada para ulama’ yang menulis buku tentang roh, setakat ilmu yang mereka tahu. Ini kerana ayat ini bukanlah menidakkan langsung pengetahuan tentang roh. Akan tetapi sedikit ilmu tentang roh itu hanya diberikan kepada orang tertentu sahaja agaknya.

Memang ada ahli-ahli ilmu jiwa, baik yang dulu-dulu sebagai Imam Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Hazm رحمهم الله, dan ahli ilmu jiwa moden seperti Sigmund Freud, Jung dan Adler. Mereka itu pun hanya sekadar mengetahui bekas perbuatan orang untuk mengetahui keadaan jiwanya. Namun jiwa itu sendiri tidaklah mereka ketahui dan tidaklah ada ilmu tentang itu. Pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ kepada manusia tentang hakikat jiwa itu sendiri tidak ada. Itu adalah rahsia Tuhan!

Antara ilmu tentang roh yang disebut di dalam Al-Qur’an adalah ayat Hijr: 29. Di sini kita tahu yang roh itu ditiup masuk ke tubuh manusia, barulah dia hidup. Begitulah kejadian asal Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan begitu jugalah kita kerana kita pun anak-anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ
Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Ada yang kata kita langsung tidak boleh hendak mengkaji tentang roh kerana Nabi ﷺ pun tidak tahu. Akan tetapi ada yang tidak sependapat dengan mereka yang melarang kita membicarakannya lebih daripada pernyataan bahawa roh itu maujud. Yang tidak sependapat dengan pandangan ini, kerana majoriti pakar muslim dan pakar-pakar hukum Islam seperti Abu Bakar Ibn al-‘Arabi dalam bukunya al-Awashim, dan an-Nawawi dalam Syarh Muslim, menegaskan bahawa ayat ini tidak menghalang ulama’ untuk membahas tentang roh, kerana ia turun untuk sekelompok orang-orang tertentu daripada orang-orang Yahudi dan bukan ditujukan kepada kaum muslimin. Demikian antara lain pendapat Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ.


 

AL-QUR’AN SEBAGAI RAHMAT

Isra’ Ayat 86: Anugerah Al-Qur’an adalah anugerah yang amat besar. Sebelum ini telah disebut ilmu tentang roh itu sedikit sahaja yang diberikan kepada manusia. Sekarang Allah ﷻ beritahu, segala apa ilmu yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik kalau Dia mahu. Maka bersyukurlah dengan ilmu yang kita dapat dan janganlah sibuk bertanya tentang perkara yang kita tidak mungkin dapat tahu atau tidak penting bagi kita.

 

وَلَٮِٕن شِئنَا لَنَذهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوحَينَآ إِلَيكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَينَا وَڪِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We willed, We could surely do away with that which We revealed to you. Then you would not find for yourself concerning it an advocate against Us.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan dengan pelenyapan itu, kamu tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami,

 

وَلَٮِٕن شِئنَا لَنَذهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوحَينَآ إِلَيكَ

Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu,

Allah ﷻ memberitahu yang kalau Allah ﷻ buat keputusan untuk tidak berikan Al-Qur’an kepada baginda, atau lenyapkan Al-Qur’an daripada hati baginda, Dia boleh buat begitu. Maksudnya, kalau bukan Allah ﷻ yang menjaga Al-Qur’an itu di dalam hati Nabi Muhammad ﷺ, ia tidak akan ada lagi. Namun Allah ﷻ yang telah menurunkan Al-Qur’an ke dalam hati Rasulullah ﷺ dan menetapkannya di dalam hati baginda, tentu Al-Qur’an itu tidak kekal sampai sekarang.

Ini mengajar kita tentang keterbegantungan kita terhadap ilmu Allah ﷻ. Ilmu yang Allah ﷻ berikan kepada kita, Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik kalau Dia mahu. Maka bersyukurlah dengan apa sahaja ilmu yang Allah ﷻ berikan. Jangan berlebihan memikirkan tentang perkara yang kita layak memikirkannya, seperti contoh Roh di dalam ayat sebelum ini.

Ayat ini memberitahu juga jika Allah ﷻ menghendaki boleh saja kejadian wahyu yang telah diturunkannya kepada engkau itu dicabutnya kembali, sehingga hilang laksana diterbangkan angin. Ini pun sudah pernah berlaku. Banyak wahyu yang diturunkan Allah ﷻ kepada Nabi-nabi yang telah terdahulu tidak lengkap terkumpul lagi. Atau hilang terbakar aslinya dan dicatat kembali hafalan orang lain yang berbeza-beza. Sehingga kita dapati apa yang dinamakan oleh orang Kristian sekarang Kitab Injil, bukanlah Injil asli yang diturunkan kepada Isa Al-Masih n, melainkan catatan yang datang kemudian. Iaitu penulis yang dikenali sebagai Markus, Lukas, Matius dan Yohannes. Satu dan lainnya tidak sama. Malah keempat-empat mereka ini tidak diketahui pun siapa mereka walaupun oleh orang Kristian sendiri. Kalau hal yang seperti itu kejadian pada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ adakah orang lain yang dapat menolong?

Namun begitu berkat Rahmat dan belas-kasihan Tuhan kepada ummat Muhammad ﷺ tidaklah berlaku sedemikian pada Al-Qur’an. Sejarah pemeliharaan Allah ﷻ atas Al-Qur’an itu jelas terbentang dan dapat kita menyelidikinya sampai ke pangkal. Boleh rujuk sejarah pengumpulan Al-Qur’an di zaman para sahabat.

Allah ﷻ juga telah menjaga Al-Qur’an itu di dalam hati Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam Qiyamah: 17

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

Allah ﷻ telah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an termasuklah bacaannya yang benar. Allah ﷻ sebut dalam Hijr: 9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Maknanya Allah ﷻ jaga Al-Qur’an itu dalam semua bentuk, seperti tulisan, ayat-ayatnya, termasuklah cara sebutan. Maka sebutan tajwid yang kita belajar semenjak kecil itu juga adalah dalam penjagaan Allah ﷻ. Kita bukan sahaja mendapat teks Al-Qur’an yang terpelihara tetapi bacaannya juga sama dari dulu sampai sekarang.

Allah ﷻ juga telah berfirman dalam A’la: 6

سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰ
Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan Jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,

ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَينَا وَڪِيلاً

kamu tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami,

Allah ﷻ beritahu yang seandainya Allah ﷻ hilangkan, baginda tidak akan dapati Al-Qur’an ini sebagai pembantu dan penolong. Tidak mungkin akan boleh ada balik Al-Qur’an itu.

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah ﷻ menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya daripada dada-dada para qurra’ (pembaca Al-Qur’an).

Manakala al-Imam al-Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata: Sebagaimana Kami mampu untuk menurunkan Al-Qur’an ini begitu juga Kami mampu untuk menghilangkannya iaitu ia dilupakan di sisi manusia.

Syeikh al-Sya’rawi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: Siyaq ayat ini menunjukkan bahawa perkara ini tidak berlaku pun kerana Allah ﷻ berfirman: ‘وَلَئِن شِئْنَا’ iaitu ‘Kalaulah Kami berkehendak, maka Kami boleh melakukan perkara itu’. Ini menunjukkan perbuatan itu tidak berlaku. Makna yang dikehendaki daripada ayat ini adalah untuk menjelaskan bahawa perkara itu boleh berlaku. Tujuannya adalah untuk membersihkan kedudukan Nabi ﷺ, dan bahawasanya Baginda ﷺ tidak ada sebarang kaitan dengan Al-Qur’an (kerana Al-Qur’an semuanya datang daripada Allah ﷻ).

Akan tetapi ada dalil-dalil yang menyebut yang Al-Qur’an boleh diangkat iaitu dihilangkan daripada hati-hati manusia jikalau manusia tidak mengendahkannya.

Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ
“Akan ditinggalkan Al-Qur’an pada malam tersebut dan tidak akan kekal satu ayat di dalam mushaf (Al-Qur’an) dan juga di dalam hati seseorang melainkan ia (Al-Qur’an) telah diangkat.”
(Riwayat al-Darimi (3209) dengan sanad yang sahih)

Daripada Huzaifah bin al-Yaman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.
“Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak diketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedekah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup bagi mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengucapkannya sebanyak tiga kali.”
(Riwayat Ibn Majah No. 4039)
Al-Hafiz Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan sanad bagi hadith ini kuat

Hadith ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya Al-Qur’an ini akan diangkat kembali kepada-Nya.

Nas ini dengan jelas menunjukkan saat Al-Qur’an dihapuskan daripada mushaf, maka itu merupakan tanda-tanda kiamat. Hal ini terjadi kepada semua mushaf dan bukan sebuah atau dua buah sahaja. Inilah yang difahami.

Maka ini mengajar kita supaya kita bersyukur dengan Al-Qur’an ini dan jangan tinggalkan sama sekali. Kita kena sayang, kena kaji, kena belajar dan diajar kepada orang lain. Akan sampai masanya nanti ia akan hilang dari sisi manusia, semoga ia bukannya terjadi di zaman kita. Namun kalau sekarang pun sudah sangat ramai yang tidak mengendahkan Al-Qur’an, entah apalah yang akan terjadi masa-masa hadapan.

Pendapat Ulama berkaitan perkara ini juga sama, iaitu ia Al-Qur’an akan hilang.

Pertama: Amru Bin Dinar رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Aku mendapati ramai guru-guru kami sejak 70 tahun berkata: “Al-Quran adalah Kalam Allah datang daripada-Nya dan kepada-Nya akan kembali.”

Kedua: Ibn Rajab رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Perkara pertama yang diangkat daripada ilmu adalah ilmu bermanfaat…..sehingga tiada kekal kecuali Al-Quran dalam mushaf, dan kemudian diangkatnya pada akhir zaman.”

Ketiga: Syeikh al-Islam رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Al-Quran akan diangkat pada akhir zaman daripada mushaf dan dada sehingga tiada kekal pada dada manusia walau satu kalimah dan pada mushaf walau satu huruf.”

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَرْجِعَ الْقُرْآنُ حَيْثُ نَزَلَ، لَهُ دَوِيٌّ حَوْلَ الْعَرْشِ، كَدَوِيِّ النَّحْلِ، يَقُولُ الرَّبُّ: مَا لَكَ؟ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أُتْلَى، وَلا يُعْمَلُ بِي
“Tidak akan terjadi hari kiamat sampai al-Qur’an itu dikembalikan ke tempat asal turunnya, ia mempunyai dengungan di sekitar Arasy sebagaimana dengungan lebah. Allah ﷻ berfirman: ‘Ada apa denganmu?’ Ia (Al-Qur’an) menjawab, ‘Wahai Rabb-ku, aku ini dibaca namun tidak diamalkan.”
(Riwayat al-Darimi dalam al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah (343) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (7513))
Al-Baghawi turut menukilkan dalam Syarh al-Sunnah

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 82 – 84 (Al-Qur’an sebagai syifa’)

AL-QUR’AN SEBAGAI PENAWAR

Isra’ Ayat 82: Sebelum ini telah disebut tentang haq dan bathil. Bagaimana kebenaran takkan kuat dan bathil akan lenyap, sedangkan Al-Qur’an telah diberikan?

Ayat ini juga adalah ayat Tabshir serta Zajrun (teguran). Tabshir kepada mukmin kerana Al-Qur’an itu menambah rahmat kepada mereka. Zajrun kepada orang zalim kerana mereka tidak mengambil pengajaran dari ayat Al-Qur’an. Juga ini ayat yang menyebut Al-Qur’an sebagai syifa’ (penawar). Apakah maksudnya?

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We send down of the Qur’ān that which is healing and mercy for the believers, but it does not increase the wrongdoers except in loss.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

 

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ

Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar

Huruf و di dalam ayat ini bersambung dengan ayat sebelumnya. Maka ia adalah waw al-hal yang kita boleh terjemahkan kepada ‘sedangkan’. Jika ia difahami demikian, maka ayat ini seakan-akan menyatakan: “Dan bagaimana kebenaran itu tidak akan menjadi kuat dan batil tidak akan lenyap, sedangkan Kami telah menurunkan al-Qur’an sebagai ubat penawar keraguan dan penyakit-penyakit yang ada dalam dada?”

Al-Qur’an itu adalah penawar bagi orang mukmin. Telah disebut di dalam Surah Yunus bahawa penyakit bahaya yang dimaksudkan adalah penyakit yang ada di dalam hati. Iaitu penyakit syirik dan hati yang busuk dengan sifat-sifat mazmumah. Lihat Yunus: 57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Kalimah شِفاءٌ digunakan sebanyak 4 kali di dalam Al-Qur’an. Selain Isra’: 82 dan Yunus: 57, ia juga disebut di dalam Nahl: 69 dan Fussilat: 44. Daripada 4 sebutan ini, 3 adalah berkenaan penyakit hati dan sekali sahaja di dalam Nahl: 69 berkenaan penyakit fizikal (menggunakan madu). Maka dari sini, ada ulama’ membuat kesimpulan, 3/4 daripada penyakit manusia adalah berkenaan hati dan 1/4 sahaja berkenaan fizikal. Oleh itu yang penting adalah penyakit hati, jiwa atau minda sebenarnya. Inilah yang lebih patut diberi perhatian. Akan tetapi manusia rata-ratanya lebih sibuk tentang penyakit fizikal sahaja, bukan?

Sedangkan penyakit dalaman itu lebih merbahaya. Kerana kalau penyakit fizikal, setakat di dunia sahaja. Namun kalau ada penyakit dalam, bagaimana? Penyakit itulah yang lebih bahaya dan Allah ﷻ memang sebut sebagai penyakit. Contohnya Allah ﷻ sebut tentang penyakit nifaq di dalam Baqarah: 10

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Yang paling penting di antara penyakit-penyakit hati itu adalah penyakit akidah. Maka penawar bagi akidah yang rosak dan hati yang rosak, adalah dengan mempelajari dan mengamalkan Al-Qur’an. Maka kena baca Al-Qur’an ini selalu untuk mengingatkan kita tentang kebenaran. Apabila kita selalu baca Al-Qur’an, maka kita akan selalu diingatkan tentang kebenaran. Al-Qur’an ini bukan sahaja untuk dipelajari, tetapi kena selalu dibaca dan dijadikan sebagai zikir harian kita.

Banyak penyakit yang boleh disembuhkan oleh Al-Qur’an. Memang banyak penyakit yang menyerang jiwa manusia, dapat disembuhkan oleh ayat-ayat Al-Qur’an. Sebagai contoh kesombongan adalah penyakit. Maka kalau dengan saksama dibaca ayat-ayat yang menyatakan kebesaran dan kekuasaan Ilahi, akan sembuhlah penyakit sombong itu. Kita akan insaf bahawa kita ini hanya makhluk kerdil, yang berasal daripada setitik mani.

Hasad atau dengki juga adalah penyakit. Kalau kita baca ayat-ayat yang menerangkan bahawa perbezaan bawaan bakat manusia tidak sama, namun sebahagian tetap memerlukan yang lain, beransurlah hilang penyakit dengki itu. Sungguh banyak penyakit jiwa dapat disembuhkan oleh ayat-ayat Al-Qur’an. Penyakit putus asa, malas, bodoh, mementingkan diri sendiri, rasa tamak, “mata keranjang” dan sebagainya.

Jangan salah guna ayat ini dan jadikan Al-Qur’an ini sebagai ayat-ayat Syifa’ pula. Ada gerakan yang menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai peluang buat duit dengan membuka pusat perubatan. Mereka pun reka: ayat ini untuk sembuh penyakit ini dan itu. Ini bukanlah cara menggunakan Al-Qur’an yang benar. Tidaklah perkara sebegitu dilakukan oleh golongan salaf.

Memang ada juga ayat-ayat Al-Qur’an yang dijadikan sebagai penawar. Akan tetapi ia mestilah terhad kepada surah-surah yang memang ada dalilnya seperti Surah Fatihah, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Kerana itulah ulama-ulama tafsir kadang-kadang menyebut juga bahawa penyakit badan pun boleh disembuhkan dengan ayat-ayat Al-Qur’an sampai ada dituliskan ayat-ayat Al-Qur’an dan digantungkan di tubuh. Akan tetapi cara yang begini sudah jauh sekali menyimpang daripada tujuan ayat ini.

Yang boleh adalah dibacakan ayat-ayat itu pada tubuh pesakit. Namun janganlah berlebihan. Gunakanlah hanya ayat-ayat yang telah ada dalilnya digunakan oleh Rasulullah ﷺ. Maknanya memang ada ada ayat-ayat Al-Qur’an yang boleh menjadi syifa’ untuk penyakit fizikal tetapi ia bukanlah tujuan utama Al-Qur’an diturunkan. Jangan jadikan Al-Qur’an sebagai kitab syifa’, kitab perubatan pula.

Sungguhpun demikian diakui juga dalam ilmu perubatan moden bahawa banyak juga penyakit tubuh yang berasal daripada masalah sakit jiwa. Timbullah ilmu perubatan psikosomatik menyelidiki penyakit si pesakit misalnya kekecewaan-kekecewaan, kegagalan dan lain-lain yang kian lama kian mempengaruhi badan kasar. Bukankah kerana kesusahan hati, nafas menjadi sesak dan segala penyakit badan pun terasa. Penyakit di badan diubati dengan ubat biasa. Namun penyakit di jiwa dengan apa diubati kalau bukan dengan perubatan yang mengenai jiwa juga. Sebab itu ahli psikosomatik dapat menyelidik dan mengubat penyakit pada tubuh kasar dengan terlebih dahulu mengubati kekecewaan jiwa tadi. Ahli-ahli kejiwaan Islam, seumpama Imam Ghazali, Ibnu Hazm, lbnu Maskawaihi, Ibnu Sina, Ibnu Taimiyah رَحِمَهُ اللَّهُ dan lain-lain banyak membicarakan Ilmu Thibb ar-ruhoni – ketabiban rohani itu.

Ahli psikosomatik di Indonesia, iaitu Prof. Dr. Aulia yakin bahawa apabila seorang pesakit benar-benar kembali kepada ajaran agamanya, amat diharapkan agar sakitnya akan sembuh. Beliau berpendapat betapa besar pengaruh ajaran Tauhid, yang mengandungi ikhlas, sabar, redha, tawakal dan taubat, besar pengaruhnya untuk mengubat sakit merana jiwa seorang Muslim. Beliau juga amat menganjurkan berubat dengan sembahyang dan doa.

Sekali lagi kalimah ٱلقُرءَانِ disebut di dalam surah ini. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.

3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

5. Di dalam ayat 60 disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.

6. Di dalam ayat 78 kita diberitahu yang para malaikat hadir untuk mendengar bacaan Al-Qur’an di waktu Solat Subuh.

7. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang Al-Qur’an ibarat serampang dua mata. Sebagaimana ia menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang mukmin, ia juga menjadi sebab kepada orang-orang yang zalim bertambah rugi.

 

 

وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَ‌ۙ

dan rahmat bagi orang-orang yang beriman

Selain itu, Al-Qur’an ini adalah rahmah bagi mereka yang beriman. Sebelum ini Allah ﷻsebut tentang syifa’ dan sekarang rahmat pula. Apakah bezanya? Kalau syifa’ ia bermaksud ada sesuatu yang perlu dibaiki (penyakit) sedangkan pemberian rahmat tidak semestinya kena ada masalah yang perlu dibaiki. Ia adalah bonus.

Rahmat-Nya adalah limpahan kurnia-Nya serta aneka nikmat yang tidak terhingga. Rahmat Allah ﷻ yang dilimpahkan-Nya kepada orang-orang mukmin adalah kebahagiaan hidup dalam berbagai aspeknya, seperti pengetahuan tentang ketuhanan yang benar, akhlak yang luhur, amal-amal kebajikan, kehidupan berkualiti di dunia dan di akhirat, termasuk perolehan syurga dan redha-Nya. Kerana itu jika Al-Qur’an disifatkan sebagai rahmat untuk orang-orang mukmin, maka maknanya adalah limpahan kurnia kebajikan dan keberkatan yang disediakan Allah ﷻ bagi mereka yang menghayati dan mengamalkan nilai-nilai yang diamanatkan Al-Qur’an.

Maka bacalah, fahamilah dan amalkanlah Al-Qur’an kerana kita memang amat memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ. Rahmat itu akan membawa orang mukmin itu ke dalam syurga. Seperti yang kita tahu, untuk masuk syurga, memerlukan rahmat, bukannya atas usaha kita. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Oleh itu, untuk mendapatkan rahmat ini, kenalah kita mendampingkan diri dengan Al-Qur’an. Kenalah kita selalu baca dan tadabbur dan amalkan ajaran dalam Al-Qur’an ini. Jangan abaikan Al-Qur’an ini. Perkara paling Nabi Muhammad ﷺ sedih adalah apabila umatnya meninggalkan Al-Qur’an ini sampaikan baginda mengadu kepada Allah ﷻ sebagaimana disebut di dalam Furqan: 30

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا
Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Mungkin ada yang berkata, masyarakat kita tetap sayang dan agungkan Al-Qur’an, tidak abaikan. Ini mereka salah faham. Abai itu ada banyak jenis: abai baca, abai faham, abai amal dan abai sampaikan. Kalau orang kita setakat baca tetapi tidak faham-faham, atau sudah faham tidak amalkan, atau sudah amal tetapi tidak sampaikan, ia tetap dikira mengabaikan Al-Qur’an juga.

Namun perhatikan, Allah ﷻ sebut keperluan syifa’ dahulu sebelum sebut tentang rahmat. Ini adalah kerana untuk mendapat rahmat, kita kena selesaikan penyakit batin yang ada pada kita. Barulah rahmat boleh masuk. Kita semua ada masalah batin dalaman yang perlu dibaiki. Akidah kita, Tauhid kita, pemikiran, fahaman, amalan hati, amalan badan, macam-macam. Oleh kerana itulah disebut syifa’ dahulu sebelum rahmat. Ini seperti orang yang hendak masuk syurga hendaklah bersihkan dosanya dahulu (sama ada dengan pengampunan daripada Allah ﷻ, syafaat daripada pemberi syafaat, atau perlu dibersihkan dengan azab di dalam neraka dahulu). Apabila tiada dosa, barulah boleh masuk ke dalam syurga.

Namun begitu kita jarang minta syifa’ daripada Allah ﷻ kerana kita tidak perasan yang hati kita ada masalah. Maka semasa membaca Al-Qur’an, kita tidak niatkan untuk mendapat penawar daripada Al-Qur’an. Mungkin ada yang baca hendak tahu rahsia Al-Qur’an, suka baca sebab sedap, baca sebab hendak khatam, baca kerana hendak dapat rahmat, dan sebagainya. Sebaliknya kita tidak niatkan untuk mencari penawar bagi masalah hati kita.

Sedangkan Al-Qur’an mengandungi penawar yang amat ampuh. Ia menegur kita untuk membaiki masalah yang ada di dalam hati kita. Kerana itu kita kena buka hati dan minda kita. Kerana akan ada sahaja teguran daripada Allah ﷻ yang rasanya terus menusuk ke dalam jantung hati kita. Memanglah akan sentap rasanya apabila ditegur, akan tetapi itu biasa sahaja. Ambillah teguran daripada Al-Qur’an, daripada Allah ﷻ, daripada orang lain sebagai satu perkara yang baik kerana dengan teguran itu dapat membaiki kita. Kenapa hendak melenting kalau ditegur?

Inilah penyakit yang tidak habis-habis dalam kalangan orang kita. Susah sangat hendak menerima teguran. Kalau ditegur, melenting. Orang yang menegur pula yang kena marah balik (Alah! Kau tu baik sangat ke?) Tidak kisahlah orang yang menegur itu lagi baik atau lagi buruk. Teguran tetap sebagai teguran yang baik. Mungkin datang daripada Allah ﷻ sendiri tetapi disampaikan melalui mulut manusia. Takkan kita mahu tunggu para malaikat yang tidak ada dosa menegur kita, baru kita hendak terima?

 

وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Walaupun ada penawar dan rahmat di dalam Al-Qur’an itu, namun malangnya ia tidak memberi kesan kepada orang kafir. Apabila mereka baca, ia hanya menambah kerugian sahaja kepada mereka. Kerana apabila mereka baca dan mereka tidak terima, mereka tolak. Apabila tolak Al-Qur’an, maka akan menambah kekufuran kepada mereka dan mereka semakin rugi. Patutnya tambah keimanan, tetapi jadi lain pula – maka rugilah mereka.

Orang yang zalim tidak akan mendapat manfaat kerana manfaat itu dijanjikan kepada orang mukmin sahaja. Yang kafir dan zalim tidak berpeluang untuk mendapat manfaat. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ
Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat itu menambah imannya, sedangkan mereka merasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafirannya di samping keka¬firannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.
(Taubah: 124-125)

Maka bandingkan beza antara orang munafik dan orang mukmin. Orang munafik apabila dibacakan Al-Qur’an, semakin bertambah kekufuran mereka. Sedangkan orang mukmin bertambah iman mereka. Bagaimana kita tahu iman kita bertambah? Tanda iman bertambah adalah amal kita pun bertambah juga. Kerana apabila iman kuat, kita mudah untuk beramal.


 

KESOMBONGAN DAN TIDAK MENGHARGAI

Isra’ Ayat 83: Sekarang disebut sifat orang kafir apabila mereka menjauhi Al-Qur’an. Maka ini jugalah kesan kepada kita kalau kita pun tidak memahami Al-Qur’an yang hebat ini. Kesan buruk akan terlihat pada akidah dan psikologi mereka.

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 100 adalah Perenggan Makro ke 8. Ia menceritakan kebiadapan Musyrikin Mekah yang menuntut Mukjizat Hissi (mukjizat yang boleh dilihat).

Memang sikap orang degil itu menolak seruan tauhid ialah dengan bertanya soalan yang bukan-bukan. Mereka bertanya tentang roh, minta mata air di tengah kebun, minta dijatuhkan langit berkeping-keping, minta rumah daripada emas, minta rasul daripada malaikat dan lain-lain lagi.

وَإِذَآ أَنعَمنَا عَلَى ٱلإِنسَـٰنِ أَعرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ‌ۖ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ كَانَ يَـُٔوسًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We bestow favor upon man [i.e., the disbeliever], he turns away and distances himself; and when evil touches him, he is ever despairing.

(MELAYU)

Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia; dan membelakang dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan nescaya dia berputus asa.

 

وَإِذَآ أَنعَمنَا عَلَى ٱلإِنسَـٰنِ أَعرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ‌ۖ

Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia; dan menjauhkan pada sisi mereka;

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa Al-Qur’an itu adalah penawar bagi hati dan penyakit hati. Penyakit hati yang paling bahaya adalah sombong iaitu sombong untuk terima kebenaran. Mereka berpaling menjauhkan diri daripada kebenaran kerana sombong untuk menerimanya. Mereka rasa mereka lebih besar daripada kebenaran itu. Mereka rasa mereka tidak perlu ikut.

Mereka yang sombong untuk terima kebenaran itu kerana mereka hidup dengan senang. Allah ﷻ beri mereka nikmat berupa harta, kesihatan, kemenangan, rezeki, pertolongan, dan memperoleh apa yang diinginkannya, maka mereka berpaling, tidak mahu mengerjakan ketaatan kepada Allah ﷻ, tidak mahu menyembah-¬Nya, serta berpaling membalikkan tubuhnya. Menurut Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ, makna membelakang dengan sikap yang sombong ialah menjauhi Allah ﷻ.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di da¬lam ayat lain melalui firman-Nya:

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَنْ لَمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَسَّهُ
tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.
(Yunus: 12)

Apabila tidak bersyukur kepada Allah ﷻ, maka manusia akan kufur nikmat dan akhirnya akan menjadi kufur terus. Banyak perkara mereka minta kepada Tuhan, tetapi apabila diberi, mereka lupa kepada Allah ﷻ yang telah memberikan kurnia itu kepada mereka.

 

وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ كانَ يَئوسًا

dan apabila dia ditimpa kesusahan nescaya dia berputus asa.

Ini adalah satu lagi perangai mereka. Apabila kesusahan menimpa mereka, mereka menjadi putus asa daripada patung berhala mereka atau mana-mana sembahan mereka yang lain. Apabila itu terjadi, mereka kembali berdoa kepada Allah ﷻ yang maha esa.

Sekarang kita dapat lihat lagi cara adab kepada Allah ﷻ. Apabila menyebut pemberian, Allah ﷻsebut Dia yang beri. أَنعَمنَا عَلَى ٱلإِنسَـٰنِ (Kami berikan kesenangan kepada manusia). Namun apabila menyebut tentang kesusahan, Allah ﷻ tidak kata Dia yang beri (tidak disebut sumber kesusahan itu sedangkan pada hakikatnya, Dia juga yang beri). Ya, kita boleh katakan ia daripada Allah ﷻ, akan tetapi kita kena sedar yang kedatangan kesusahan itu adalah kerana kesusahan manusia sendiri.

Atau ayat ini menyebut tentang manusia secara umum – bila tidak dapat apa yang mereka hendak, dan apabila mereka ditimpa musibah, mereka mengalami depresi. Ini adalah kerana mereka tidak sabar dan mereka tidak redha dengan apa yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka. Mereka lupa Allah ﷻberi susah sedikit sahaja sebagai ujian, sedangkan ada banyak lagi nikmat lain yang mereka sedang perolehi. Mereka sangka mereka sepatutnya dapat yang baik-baik sahaja, tidak boleh susah langsung. Kerana itu mereka jadi depresi bila mereka ada masalah. Mereka mudah sahaja berkata: Kenapalah aku kena macam ini?

Padahal orang mukmin akan menerima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan sebagai ujian. Mereka tetap bersabar dan terus mengerjakan amal kebaikan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Kerana kalau kita rasa yang kita hidup kena senang sahaja, memang akan mengalami depresi kerana Allah ﷻ pasti akan kenakan musibah kepada kita. Ini sama dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ
Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) daripada Kami, kemudian rahmat itu Kami cabut darinya, pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. Dan jika Kami rasakan kepadanya kebahagiaan sesudah bencana yang me¬nimpanya, nescaya dia akan berkata, “Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku, “sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga, kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh; mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.
(Hud: 9-11)

Oleh itu, bagaimanakah sikap seorang Mukmin sejati?

Daripada Shuhaib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)


 

Isra’ Ayat 84: Kita sudah tahu yang manusia ada yang bersyukur dan sihat jiwanya, dan ada yang kufur kerana jiwanya sakit. Maka amalan keduanya tidak sama.

Ayat ini juga mengajar kita yang setiap manusia berbeza kelebihan dan potensi mereka, maka kena gunakan kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan itu untuk kebaikan Islam.

قُل ڪُلٌّ يَعمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِۦ فَرَبُّكُم أَعلَمُ بِمَن هُوَ أَهدَىٰ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Each works according to his manner, but your Lord is most knowing of who is best guided in way.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing”. Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.

 

قُل ڪُلٌّ يَعمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِۦ

Katakanlah: “Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing”. 

Allah ﷻ memberitahu bahawa kita semua telah diberikan dengan tahap-tahap mengikut diri kita. Kita mestilah berusaha untuk memenuhi tahap-tahap itu. Ada perkara yang seseorang boleh buat dengan baik dan ada perkara yang mereka tidak mampu untuk melakukannya.

Kalimah شاكلة daripada katadasar ش ك ل yang bermaksud keserupaan; cara; sikap; pembawaan; peraturan kelakuan; persamaan. Kalau orang beriman akan ikut cara Nabi ﷺ; yang terpesong maka mereka akan ikut nafsu mereka. Mereka pun beramal, namun amalan yang terpesong, sesat atau bid’ah.

Kebolehan kita dan personaliti kita semua berbeza. Tiap-tiap manusia itu ada pembawaannya masing-masing yang telah ditentukan Tuhan sejak masih dalam rahim ibunya. Pembawaan itu ada macam-macam, berbagai warna, berbagai rupa, berbagai perangai, aneka ragam, sehingga yang satu tidak serupa dengan yang lain.

Apakah yang menyebabkan perbezaan sifat dan pembawaan ini? Iklim atau alam tempat kita dilahirkan, entah kita orang pulau entah kita orang darat. Entah orang yang hidup di pergunungan entah hidup di tepi laut. Entah di daerah khatulistiwa ataupun di negeri yang mengandungi empat musim; semuanya membuat syakilah.

Demikian juga lingkungan orang tua yang melahirkan, demikian juga pendidikan dan pergaulan di waktu kecil, demikian juga pengalaman dan perantauan dan perlawatan, siapa kawan kita, apa pendidikan kita dan sebagainya. Semuanya yang telah disebut membentuk jiwa. Maka pengajaran bagi kita adalah kita kena berhati-hati dengan pergaulan kita, pendidikan kita. Setakat mana yang kita boleh jaga, kita jaga. Kita tidak boleh menentukan di mana kita lahir, siapa keluarga kita, akan tetapi kita boleh menentukan siapakah kawan kita. Orang yang baik, akan cari kawan yang baik, bukan?

Begitulah yang Allah ﷻ telah tunjukkan di dalam Nur: 26

الخَبيثٰتُ لِلخَبيثينَ وَالخَبيثونَ لِلخَبيثٰتِ ۖ وَالطَّيِّبٰتُ لِلطَّيِّبينَ وَالطَّيِّبونَ لِلطَّيِّبٰتِ
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).

Bagaimana pula kita kaitkan perkara ini dengan dakwah agama Islam? Perkara pertama yang kita kena lakukan adalah mengetahui apakah kebolehan kita. Kita kena cari dan pastikan apakah bidang yang kita boleh ceburi untuk menaikkan agama Allah ﷻ. Sebagai contoh, ada orang yang ada kemampuan untuk mengajar; tetapi ada orang yang tidak pandai mengajar, tetapi mereka boleh berdakwah, ajak orang lain datang ke kelas; atau ada yang pandai buat kerja-kerja lain, seperti menguruskan kelas pengajian, melakukan kerja belakang tabir, menulis dan mengedit nota dan sebagainya.

Maka kita kena lihat manakah yang kita boleh buat dan berusahalah di dalam perkara itu. Jangan kalau tidak boleh mengajar, terus tinggalkan usaha agama. Ketahuilah yang bukan mengajar sahaja kerja seorang pendakwah. Ada banyak lagi. Antaranya, ada yang pandai menulis, maka eloklah mereka menulis tanpa perlu bercakap.

Oleh kerana personaliti dan kemampuan kita berbeza, maka Allah ﷻ akan tanya kita berkenaan usaha kita yang kita cuba lakukan di dalam bidang kita. Kita kena cari apakah yang kita boleh lakukan, dan kita lakukan ke tahap yang kita mampu. Kerana Allah ﷻ sudah pertanggungjawabkan diri kita dengan kemampuan itu, dan kalau kita tidak lakukan, maka kita tidak menggunakan kelebihan kita itu. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan Allah ﷻ dalam ayat lain, iaitu:

وَقُلْ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ اعْمَلُوا عَلَى مَكَانَتِكُمْ
Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman, “Berbuatlah menurut kemampuan kalian.”
(Hud: 121)

Satu lagi tafsir: manusia yang beriman atau tidak beriman, akan beramal mengikut akidah masing-masing dan pembawaan masing-masing. Mereka yang yakin dengan Allah ﷻ akan memilih sunnah dan mereka yang tidak yakin, akan memilih bid’ah. Akan tetapi apabila amal berlainan, natijah di akhirat juga akan berlainan lah juga – kalau amal sunnah akan masuk syurga, namun amalan bid’ah, nerakalah tempatnya.

Secara umumnya pula, ayat ini mengajar manusia untuk cuba mengenal dirinya. Ini supaya mudah dia menempuh jalan yang mudah ditempuh oleh bawaan dirinya itu. Supaya hidupnya jangan gagal dan jiwanya jangan sakit. Semua amal dalam dunia ini adalah baik dan mulia, asal sahaja dilakukan dalam garis yang ditentukan Tuhan. Sebagai contoh, kalau dia sedar yang dia tidak boleh berniaga sendiri, hendaklah dia menjadi pekerja sahaja. Kerana ramai yang cuba berniaga, akan tetapi rupanya dia tidak sesuai berniaga, tetapi sesuai bekerja sahaja. Rosak hidupnya apabila dia memaksa dirinya melakukan perkara yang tidak sesuai dengan dirinya.

 

فَرَبُّكُم أَعلَمُ بِمَن هُوَ أَهدىٰ سَبيلًا

Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.

Ini mengajar kita untuk menggunakan potensi yang Allah ﷻ telah berikan untuk meraih pahala dalam menjalankan agama ini. Allah ﷻ sahaja yang tahu, siapakah yang terpimpin jalan mereka. Kita tidak dapat melabel seseorang sama ada dia beriman atau tidak dengan perbuatan mereka. Jangan orang yang tidak mengajar kita hina pula kerana dia mungkin tidak ada kemampuan mengajar.

Ini juga mengajar kita yang Allah ﷻ sahaja yang tahu siapakah ahli neraka dan ahli syurga. Kita tidak menjaga pintu syurga dan neraka. Maka kita tidak boleh kata orang itu ahli neraka; orang itu ahli syurga.

Kita cuma boleh amalkan mengikut dalil yang ada. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita dan memberikan ilmu yang benar. Semoga Allah ﷻ tidak tinggalkan kita dari jalan yang lurus. Semoga Allah ﷻ pimpin kita ke jalan yang lurus.

Allah ﷻ juga akan membalas perbuatan baik yang dilakukan oleh insan mengikut kemampuan mereka. Allah ﷻ tahu siapakah yang bekerja untuk agama Allah ﷻ itu. Iaitu mereka yang menggunakan segala potensi yang Allah ﷻ berikan kepada diri mereka. Iaitu mereka yang mahu meluangkan masa untuk berkhidmat atas jalan Allah ﷻ.

Sekian Ruku’ 9 daripada 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 80 – 81 (Isyarat kepada Hijrah)

Isra’ Ayat 80: Dalam dua ayat sebelum ini Allah ﷻ telah suruh baginda menumpukan perhatian baginda kepada ibadat fardu dan ibadat sunat sebagai tambahan. Itu adalah sebagai penawar kepada kesusahan hati baginda kerana didesak dan diganggu oleh penentang golongan musyrikin Mekah.

Solat adalah melahirkan kesyukuran dengan ibadat badan. Sekarang Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ cara berdoa (ibadat lisan) pula untuk menyelesaikan masalah baginda waktu itu. Ia juga mengajar kita untuk berserah kepada Allah ﷻ dalam segala hal.

Sebelum ini di dalam ayat 76 telah disentuh tentang usaha Musyrikin Mekah untuk menghalau Rasulullah ﷺ dari bumi Mekah. Di sini diberi isyarat yang akhirnya baginda akan keluar dari Mekah juga untuk berhijrah. Doa yang diajar di dalam ayat ini ada bersangkutan dengan penghijrahan baginda ke Madinah.

 

وَقُل رَّبِّ أَدخِلنِى مُدخَلَ صِدقٍ وَأَخرِجنِى مُخرَجَ صِدقٍ وَٱجعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلطَـٰنًا نَّصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “My Lord, cause me to enter a sound entrance¹ and to exit a sound exit² and grant me from Yourself a supporting authority.”

  • Into Madīnah at the time of emigration, or into the grave.
  • From Makkah, or from the grave at the time of resurrection.

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.

 

وَقُل رَّبِّ أَدخِلنِى مُدخَلَ صِدقٍ

Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar

Doanya lebih kurang begini: “Wahai Tuhanku, masukkanlah aku dalam segala situasi dan kondisi dan tempat yang Engkau izinkan aku memasukinya di dunia dan di akhirat dengan cara masuk yang benar, terhormat, sempurna lagi Engkau redhai.”

Waktu ayat ini diturunkan, baginda sedang dilawan oleh para penentang baginda. Tentulah hati baginda amat sesak dengan gundah gulana kerana mereka itu adalah kaum baginda, yang baginda telah kenal semenjak kecil lagi. Maka Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk berdoa.

Doa ini amat tepat sekali kerana waktu itu, masalah yang sedang dihadapi oleh baginda adalah untuk meninggalkan Mekah. Maka baginda diajar untuk meminta kemasukan yang baik. Yang dimaksudkan adalah kemasukan ke Madinah. Mintalah kepada Allah ﷻ, kalaulah baginda dikeluarkan dari Mekah itu, berikan baginda dapat masuk ke tempat yang baik dengan cara kemasukan yang baik. Kalimah صِدقٍ di sini bermaksud benar mengikut ketentuan Allah ﷻ. Baginda menyerahkan hal itu kepada-Nya.

 

وَأَخرِجنِى مُخرَجَ صِدقٍ

dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar

Baginda berdoa supaya kalau baginda dikeluarkan pun, keluarkanlah baginda dengan cara yang baik. Baginda minta supaya kalau baginda dikeluarkan, dikeluarkan dengan mulia dan dengan cara baik. Maknanya lebih kurang begini: “Keluarkanlah aku dari mana sahaja dengan cara keluar yang benar menuju kemuliaan dan redha-Mu.”

Antara harapan baginda, biarlah hati baginda tidak berpaling lagi kepada Mekah tanah tumpah yang amat disayanginya itu apabila telah ditinggalkan. Supaya pemergian baginda itu selamat. Allah ﷻ makbulkan dengan memberi keselamatan kepada baginda walaupun Musyrikin Mekah mengejar dan mencari baginda.

Maka ulama’ mengatakan doa ini baik sekali dibaca ketika kita ada sesuatu penting yang kita hendak lakukan.

Lihat susunan ayat ini – disebut ‘masuk’ dahulu, kemudian baru disebut ‘keluar’. Sedangkan, kalau masalah tentang pengeluaran dari Mekah, bukankah yang patut diminta dahulu pengeluaran yang baik? Kerana itu yang terjadi dahulu, bukan? Namun Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ jangan risau bahagian ‘keluar’ itu. Minta yang lebih utama dahulu iaitu kemasukan yang baik. Allah ﷻ susun berdasarkan keutamaan, bukan berdasarkan susunan kejadian.

Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam tafsir ayat ini mengatakan bahawa sesungguhnya orang-orang kafir Mekah ketika mereka sepakat di antara mereka untuk membunuh Nabi ﷺ atau mengusirnya atau mengikatnya, dan Allah ﷻ berkehendak untuk memerangi ahli Mekah, maka Dia memerintahkan kepada Rasul-¬Nya untuk berhijrah ke Madinah, yang antara lain Allah ﷻ berfirman: Dan katakanlah, “Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar.” (Isra: 80), hingga akhir ayat.

Tafsiran lain: Al-Muhayami رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan hubungan di antara ayat 80 ini dengan ayat ter- dahulu daripadanya, iaitu soal ibadat, soal sembahyang lima waktu dan tahajjud. Rasulullah ﷺ disuruh mengiringi lagi dengan doa berserah diri kepada Tuhan, masukkanlah aku ke dalam ibadat yang aku kerjakan ini dengan baik. Ertinya dengan beramal yang ikhlas dan ikhlas pula memohonkan pahalanya daripada Allah ﷻ, terlepas daripada penyakit riya’ dan ujub, iaitu merasa bangga dan kagum dengan amalan yang telah dikerjakan. Dan keluarkan pulalah akan daku daripada ibadat ini dengan keluaran yang baik, iaitu jangan sampai batal amalan kerana kealpaan dan kelalaian, kerana perdayaan syaitan atau hawa nafsu atau semua perangai yang tercela.

 

وَٱجعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلطَـٰنًا نَّصِيرًا

dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.

Doanya lebih kurang begini maksudnya: “anugerahkanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan, kekuatan dan bukti yang membungkam dan yang menolong yakni membela aku menghadapi semua lawan.” Kalimah سُلطان dapat mencakup berbagai makna, seperti kekuasaan, kerajaan, bukti yang jelas. Masing-masing makna ini dapat dicakup bahkan ketiganya dapat difahami sebagai kandungan permohonan Nabi ﷺ.

Oleh itu ‘سُلطان’ dari sisi Allah ﷻ boleh diterjemahkan sebagai ‘kuasa’. Baginda disuruh minta kuasa yang dapat membantu baginda menjalankan tugas baginda sebagai seorang Rasul dan seorang pendakwah untuk menyebarkan agama-Nya. Bukan kuasa untuk memerintah sahaja (walaupun itu pun baginda akan dapat juga). Namun yang lebih penting adalah kekuasaan untuk menjalankan tugas baginda.

Di Madinah, baginda akan mendapat kekuasaan itu. Waktu itu baginda senang untuk berdakwah kepada manusia (terutama nanti apabila Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani). Ini kita akan belajar dalam Surah al-Fath nanti.

Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan — sehubungan dengan tafsir ayat ini—sesung¬guhnya Nabi ﷺ menyedari bahawa baginda tidak mempunyai kekuatan un¬tuk menanggung tugas dakwah ini kecuali dengan kekuasaan. Maka baginda memo¬hon kekuasaan yang menolong kepada Allah ﷻ untuk membela Kitabullah, batasan-batasan Allah ﷻ, hal-hal yang difardukan Allah ﷻ, dan untuk mene¬gakkan agama Allah ﷻ; kerana sesungguhnya kekuasaan itu adalah rahmat daripada Allah ﷻ yang Dia jadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya.

Seandainya tidak ada kekuasaan ini, tentulah sebahagian mereka menyerang sebahagi¬an yang lainnya, dan yang terkuat di antara mereka akan memakan yang lemah.

Tafsiran lain: Kekuasaan yang menolong. Amat luaslah maksud سُلطانًا itu. Ia boleh diertikan kekuatan yang mutlak, hilangnya kelemahan, terutama kelemahan semangat. Nabi ﷺ sebagai seorang pemimpin besar ummat, utusan Ilahi mesti mempunyai kekuasaan, mempunyai kredibiliti atau wibawa.

Malah lebih jelas daripada itu lagi, sultan pun سُلطانًا kekuasaan umum. Segala yang dititahkan oleh Ilahi dan disampaikan oleh Rasul kepada ummat, barulah ditaati, kalau ummat yang banyak itu mengakui, mahu atau tidak mahu, “de jure dan de facto” kekuasaan Nabi ﷺ itu. Sultan yang demikian itulah yang disuruh Allah ﷻ kepada Rasul-Nya memohonkannya langsung kepada Allah ﷻ, tegasnya turun dari langit. Berikan kepadaku, ya Tuhanku kekuasaan itu, kekuasaan yang langsung datang daripada Engkau. Kerana perintah-perintah Engkau itu tidak dapat berjalan lancar kuatkuasanya dalam masyarakat manusia kalau kekuasaan tidak ada padaku.

Ia juga boleh bermaksud hujah atau bukti yang jelas. Yang apabila diberikan, akan membungkam orang yang menentang. Maka kita juga boleh baca doa ini apabila berhadapan dengan manusia terutama yang menentang. Hujah dan bukti itu tentunya yang terbaik adalah dari Al-Qur’an, kemudian hadith, kemudian hujah-hujah akal yang membolehkan orang di hadapan kita itu faham. Kerana kadang kalau kita baca ayat-ayat wahyu, mereka tidak biasa dengar. Namun bila kita bagi analogi, barulah mereka faham. Analogi itu Allah ﷻ juga yang beri kepada kita, bukan?


 

Isra’ Ayat 81: Tabshir (berita gembira) pada Nabi ﷺ. Dalam ayat sebelum ini disebut doa untuk minta kekuatan. Maka dengan kekuasaan, bukti dan hujah yang haq, kebathilan akan lenyap.

وَقُل جَآءَ ٱلحَقُّ وَزَهَقَ ٱلبَـٰطِلُ‌ۚ إِنَّ ٱلبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Truth has come, and falsehood has departed. Indeed is falsehood, [by nature], ever bound to depart.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap”. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

 

وَقُل جَآءَ ٱلحَقُّ وَزَهَقَ ٱلبَـٰطِلُ‌ۚ

Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap”. 

Katakanlah yang kebenaran Al-Qur’an sudah sampai sekarang. Apabila kebenaran telah datang, maka kebathilan akan lari dan hilang. Bathil adalah segala penipuan. Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ‌ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?

Di dalam ayat ini terkandung ancaman dan peringatan yang dituju¬kan kepada orang-orang kafir Quraisy dan sesiapa sahaja yang bersifat seperti mereka, bahawa sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara haq daripada Allah ﷻ yang tiada keraguan di dalamnya serta tidak pernah mereka kenal sebelumnya, iaitu Al-Qur’an, iman, dan ilmu yang bermanfaat.

Lalu lenyaplah kebathilan itu, iaitu akan surut dan binasalah kebatilan itu; kerana sesungguhnya hal yang batil itu tidak akan dapat bertahan dan tidak dapat kekal bersama dengan adanya perkara yang hak. Kalimah زَهَقَ ada persamaan dengan kalimah ذَهَبَ yang bermaksud ‘pergi. Akan tetapi kalau ذَهَبَ, ia mungkin boleh datang kembali, sedangkan زَهَقَ pergi yang tidak akan kembali.

Sebagai diketahui, Sura Al-Isra’ ini diturunkan di Makkah. Ertinya: Di waktu itu orang yang beriman masih golongan kecil hidup di tengah golongan besar musyrikin. Dilihat pada kulit lahir, belumlah nyata dengan jelasnya kebenaran itu, dan belumlah lenyap dan hancur kebatilan, dan kekuasaan (Sultan) yang dimohonkan langsung daripada Allah ﷻ belum lagi datang. Muslimin masih lagi akan menempuh hijrah ke Madinah kerana tidak aman tinggal di Makkah.

Namun apabila ayat ini telah turun, sebab keyakinan telah ada dan telah sangat tertanam dalam jiwa. Malahan digunakan shighat (susun bahasa) dengan memakai fi’il madhi (perkara yang telah berlaku). Telah datang kebenaran dan telah lenyap kebatilan, padahal belum kejadian. Mengapa begitu? Itu adalah untuk menanamkan keyakinan bahawa kebenaran pasti menang dan kebatilan pasti sirna, lenyap dan hancur. Itu hanyalah soal waktu belaka. Kalau tidak ada keyakinan yang demikian, tidaklah ada ertinya Iman. Meskipun sekarang kini belum kejadian, ia pasti akan terjadi, sebagaimana pastinya sekarang malam, esok pagi pasti hari siang.

 

إِنَّ ٱلبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebathilan memang ditakdirkan akan lari dan hilang. Sesungguhnya yang batil itu sifatnya bertentangan dengan akal yang sihat, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang pasti lenyap tidak akan pemah dapat bertahan lama. Ini kerana bathil disebabkan oleh faktor-faktor eksternal, sehingga pegangan tersebut rapuh, maka akhirnya batil pun segera punah. Ini berbeza dengan haq yang memiliki pada dirinya sendiri faktor-faktor yang menjadikannya selalu dapat bertahan. Kalaulah ia tidak nampak ke permukaan dari awal, maka itu disebabkan kerana ia tertimbun, tetapi cepat atau lambat ia akan muncul kerana faktor internal yang melekat padanya akan mendorongnya muncul terus menerus tidak ubahnya dengan benih tumbuhan yang pada saatnya akan tumbuh berkembang dan berbuah.

Oleh itu bila ia akan lenyap, cuma Allah ﷻ sahaja yang tahu. Lihatlah bagaimana yang hilang patung berhala daripada Kaabah itu, yang telah hilang lenyap sampai ke hari ini; begitu juga amalan tawaf telanjang.

Kebathilan dalam ajaran agama yang ditambah-tambah dalam ajaran Islam ini juga akan hilang. Cuma tidak tahu bila ia akan hilang. Namun ia pasti akan hilang.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلَاثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعَنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ، وَيَقُولُ: {جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا} ، جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ”
Daripada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ memasuki Mekah (pada hari kemenangan atas kota Mekah), sedangkan di sekitar Ka’bah terdapat tiga ratus enam puluh berhala, maka Rasulullah ﷺ merobohkannya dengan tongkat yang ada di tangannya seraya mengucapkan firman-Nya: Yang benar telah datang, dan yang bathil telah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Isra: 81) Perkara yang hak telah datang, dan perkara batil pasti tidak akan muncul dan tidak akan kembali lagi (Saba’: 49).
(Sahih Bukhari (4351))

Nota: Kenapa ada 360 berhala waktu itu? Kerana Musyrikin waktu itu menyembah satu berhala setiap hari. Esoknya mereka sembah berhala yang lain pula.

Melalui perbuatan baginda itu, mengajar kita yang kita kena musnahkan patung-patung berhala dan alat-alat yang digunakan untuk menyembah selain Allah ﷻ dan juga perkara-perkara yang menjurus ke arah kekufuran. Jangan kita sayang pula hendak simpan patung-patung yang lama. Kerana itulah apabila Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ  turun kembali ke dunia, baginda akan memusnahkan salib dan babi.

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ‌لَيُوشِكَنَّ ‌أَنْ ‌يَنْزِلَ ‌فِيكُمُ ‌ابْنُ ‌مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ وَيَفِيضَ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ حَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا
Demi yang jiwaku di tangan-Nya sungguh hampir saja turun kepada kalian Isa bin Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Hakim yang Adil, Dia mematahkan salib, dan membunuh babi, dan meletakkan jizyah, tidak menerimanya daripada orang kafir, datang harta yang banyak namun tidak ada seorang pun yang mahu menerimanya, sehingga satu sujud lebih baik daripada dunia seisinya. Kemudian Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata : jika kalian mahu bacalah ayat Allah: Tidak seorang pun daripada Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya sebelum kematiannya, dan di hari kiamat nanti Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”
(Riwayat Bukhari (3448))

Semoga amalan-amalan bid’ah pun akan terhapus juga nanti akhirnya. Kerana lama kelamaan manusia akan sedar yang amalan bid’ah yang mereka lakukan itu rupanya tiada dalil. Akan tetapi ini pun kita tidak tahu bila. Kerana yang mempelopori amalan-amalan bid’ah ini pun golongan agamawan, malah dipanggil ulama’ juga. Sampaikan ada yang mengajar renjis kenderaan yang baru dibeli, tidak ubah seperti amalan tok sami Hindu sahaja.

.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 78 – 79 (Solat Tahajjud)

NASIHAT KEPADA RASULULLAH

Isra’ Ayat 78: Ayat jenis Umur Muslihah (anjuran untuk melakukan ibadah). Ia adalah ‘Amalan-amalan yang memberi kesan kepada Islah diri’. Ianya adalah ayat-ayat yang mengajar amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah (memperbaiki) diri.

Setelah Allah ﷻ beritahu dengan dugaan-dugaan yang akan dihadapi oleh baginda, apakah yang baginda kena lakukan? Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, untuk meringankan musibah yang baginda hadapi di Mekah itu, penawarnya adalah dengan melakukan ibadah.

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro ke 7. Ia memberitahu kita yang kebatilan akan terhapus kesan daripada hubungan baik dengan Allah ﷻ. Solat juga adalah perisai terbaik daripada musuh.

Penempatan ayat ini pada Surah al-Isra’ sungguh tepat, kerana dalam peristiwa itu Nabi ﷺ dan umat Islam diperintahkan untuk melaksanakan lima kali solat wajib sehari semalam.

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيلِ وَقُرءَانَ ٱلفَجرِ‌ۖ إِنَّ قُرءَانَ ٱلفَجرِ كَانَ مَشہُودًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Establish prayer at the decline of the sun [from its meridian] until the darkness of the night¹ and [also] the Qur’ān [i.e., recitation] of dawn.² Indeed, the recitation of dawn is ever witnessed.

  • i.e., the period which includes the thuhr, aṣr, maghrib, and ‘ishā’ prayers.
  • i.e., the fajr prayer, in which the recitation of the Qur’ān is prolonged.

(MELAYU)

Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).

 

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيلِ

Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam

Dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk tumpukan perhatian baginda kepada ibadat. Kerana dengan menumpukan diri pada ibadat, akan mengurangkan perhatian baginda kepada kesesakan jiwa yang dialami oleh baginda disebabkan oleh kata-kata dan perbuatan kaum baginda yang menentang baginda (seperti disebut di dalam ayat-ayat sebelum ini). Ini konsep mengalihkan fokus kita.

Ini juga telah disebut di dalam ayat Hijr: 97-98

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

Allah ﷻ suruh sibukkan dengan amal ibadat supaya tidak fikirkan sangat tentang apa yang para penentang kata. Maka ini adalah cara untuk menghilangkan kesedihan sempit dada yang kita alami. Daripada ingat kepada hal mereka, baik ingat kepada Allah ﷻ dengan melakukan amal ibadat, kerana kalau ingat kepada Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Maka bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah ﷻ. Zikir dan tasbih ada di dalam solat, maka kerana itu ada yang menafsirkan ‘tasbih’ ini bermaksud ‘solat’.

Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka mesti dipelajari ilmu fiqh solat supaya kita menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Satu lagi pengajaran ayat ini adalah untuk membaiki diri kita. Dalam kita berdakwah kepada manusia lain, jangan lupa pula amal ibadat kita. Itu pun kena dijaga juga. Begitulah Nabi Muhammad ﷺ, semakin banyak baginda berdakwah, semakin banyak baginda beribadat. Jangan kita sangka, semenjak kita sudah berdakwah kita boleh pula kurangkan amalan kita kerana sudah diganti dengan dakwah. Bukan begitu. Sebaliknya lagi banyak dakwah, lagi banyak kita kena beribadat untuk menguatkan diri kita.

Yang penting kita kena ingat kepada Allah ﷻ kerana ia dapat menenangkan hati kita seperti disebut dalam Ra’d: 28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ibadat yang utama adalah solat kerana Nabi ﷺ memang akan tenang dalam solat. Kalau baginda ada masalah, maka baginda akan solat. Maka kita pun kenalah jadikan solat sebagai satu sumber ketenangan kepada kita. Kalau ada masalah, banyakkan solat dan mengadu kepada Allah ﷻ dalam solat itu.

Masalahnya, kita tidak faham konsep solat itu dengan sempurna, sampaikan pada kita, solat itu hanya sebagai satu kewajipan yang kena dilakukan sahaja. Kerana itu ramai yang rasa ‘lega’ selepas mengerjakan solat kerana pada mereka, ia adalah ‘beban’ yang sudah dilepaskan. Mereka tidak merasakannya sebagai penyejuk jiwa, sebaliknya sebagai beban sahaja. Maksudnya ia tidak menjadi sebagai sumber penawar kepada hati kita.

Maka Allah ﷻ telah berikan penyelesaian kepada umat Islam untuk menangani gerakan daripada musuh. Maknanya, penyelesaian itu adalah kembali kepada Allah ﷻ dan serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Hendaklah kita memohon bantuan kepada Allah ﷻ. Ini pun telah diajar kepada kita di dalam Baqarah: 153

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh dirikan solat bermula لِدُلوكِ الشَّمسِ ‘matahari terlepas’. Kalimah دلك apabila dikaitkan dengan matahari maka ia bererti tenggelam atau menguning, atau tergelincir dari tengahnya. Ia bermaksud apabila matahari hendak turun, atau hendak tergelincir. Boleh diterjemah tergelincir dari khatulistiwa (semasa matahari tegak di atas kepada) menunjukkan telah masuk waktu Zuhur. Ia juga merujuk kepada Solat Maghrib ketika matahari terbenam. Ia juga secara tersirat merujuk kepada waktu Asar kerana waktu itu matahari mula hendak menguning.

Solatlah sehingga ke غَسَقِ ٱلَّيلِ kegelapan malam, yang merujuk kepada Solat Isya’. Kalimah غَسَقِ pada mulanya bererti ‘penuh’. Malam dinamai dengan غَسَقِ ٱلَّيلِ kerana pada waktu itu angkasa dipenuhi dengan kegelapannya. Ini menjadi dalil bagi pendapat yang mengatakan Solat Isyra’ hingga ke tengah malam sahaja, bukannya sampai ke pagi. Sebenarnya waktu berakhirnya Solat Isyak ini terdapat tiga pandangan dalam kalangan ulama’:

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Asy-Syafi’iy رَحِمَهُ اللَّهُ dan Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ serta segolongan ulama’ yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ.

Ketiga; sehingga terbit fajar sadiq

Perbincangan tentang perkara ini ada disentuh di dalam Ilmu Fiqh bab ‘Waktu-waktu Solat’. Oleh itu sebaiknya kita solatlah Isya’ itu awal, jangan sampai dekat subuh baru hendak solat. Ini kerana pendapat kedualah yang paling kuat.

Potongan ayat ini telah merangkumi Solat Zuhur ke Isya’, oleh itu empat waktu sudah disebut. Mana pula waktu Subuh?

 

وَقُرءَانَ ٱلفَجرِ‌ۖ

dan Qur’an subuh.

Telah disebut solat-solat daripada Zuhur hingga ke Isya’ dan tinggal satu lagi solat, iaitu Solat Subuh. Namun lihat bagaimana Allah ﷻ tidak sebut ‘Solat Fajr’ tetapi Allah ﷻ sebut قُرءَانَ ٱلفَجرِ‌. Secara literal ia bermaksud bacaan Al-Qur’an di waktu fajar. Akan tetapi tidak ada kewajipan membaca Al-Qur’an di waktu fajar, kecuali waktu solat sahaja. Maka ia merujuk kepada waktu Subuh.

Cara penyebutan tentang waktu solat Subuh ini nampak berlainan sikit daripada kebiasaan. Allah ﷻ tidak terus sebut ‘Waktu Subuh’. Kita boleh lihat isyarat ada kelebihan dan kelainan pada Solat Fajr yang menyebabkan Allah ﷻ asingkan penyebutannya dan cara penyebutannya di sini (dan tidak disebut bersama dengan Solat Zuhur sampai Isya’ di atas).

Kenapa diasingkan penyebutan tentang Solat Subuh ini, tidak dengan solat-solat yang lain? Ini kerana waktu Solat Subuh berdiri sendiri. Kalau solat yang lain, mereka berterusan. Solat Asar bermula sebaik sahaja habis Solat Zuhur, Solat Maghrib bermula sebaik sahaja Solat Asar tamat, dan Solat Isya’ bermula sebaik sahaja habis Solat Maghrib. Namun Solat Subuh tidak bermula sebaik sahaja Solat Isya’ tamat (bagi pendapat yang mengatakan habis waktu Solat Isya’ adalah waktu malam). Waktu Solat Subuh bukanlah sehingga masuknya waktu Zuhur, bukan? Maka anda boleh nampak yang ia berdiri sendiri dan bukannya bertaut dengan waktu-waktu solat yang lain. Kerana itulah Allah ﷻ menyebutnya berasingan.

Antara lain kelainannya adalah kerana ia disaksikan para malaikat, Al-Qur’an juga dibaca secara jahr pada waktu Solat Subuh dan ia menjadi ujian bagi manusia untuk melakukannya sampaikan golongan Munafik akan ponteng solat pada waktu ini.

‘Al-Qur’an’ di dalam ayat ini bermaksud ‘solat’ kerana Al-Qur’an adalah bahagian yang utama di dalam solat (paling kurang wajib dibaca Fatihah). Allah ﷻ sebut Al-Qur’an untuk merujuk kepada Solat Subuh kerana kita sepatutnya membaca Al-Qur’an dengan banyak pada waktu Solat Subuh itu. Kerana itulah sunnah Rasulullah ﷺ memanjangkan Solat Subuh berjemaah dengan para sahabat. Waktu itu baru lepas bangun dari tidur, maka tubuh sudah segar, maka boleh berdiri lama. Lagi pun waktu inilah Nabi Muhammad ﷺ memperdengarkan bacaan Al-Qur’an yang baginda baru dapat kepada para sahabat.

Dalil Rasulullah ﷺ membaca banyak ayat semasa Solat Subuh adalah hadith riwayat daripada Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْغَدَاةِ بِالسِّتِّينَ إِلَى الْمِائَةِ
”Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca di dalam solat Subuh sebanyak enam puluh ke seratus ayat.”
(Riwayat Al-Nasaie (939))
Sheikh Syu’aib Al-Arnaut رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah sanad yang sahih.

Sekali lagi kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.

3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

5. Di dalam ayat 60 disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.

6. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang para malaikat hadir untuk mendengar bacaan Al-Qur’an di waktu Solat Subuh.

 

إِنَّ قُرءَانَ ٱلفَجرِ كَانَ مَشہُودًا

Sesungguhnya Qur’an subuh itu disaksikan

Bacaan Al-Qur’an sewaktu Solat Fajar itu disaksikan oleh malaikat yang menjaga manusia dari malam dan malaikat yang baru turun untuk mengambil alih tugas kawalan kepada manusia. Waktu subuh itu adalah waktu pertukaran ‘syif’ antara dua kumpulan malaikat itu.

Maka oleh kerana itu lebih ramai malaikat yang menyaksikan pembacaan Al-Qur’an sewaktu Solat Subuh itu. Antara dalil yang menjadi dalil bagi perkara ini adalah:

عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ -وَسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “فَضْلُ صَلَاةِ الْجَمِيعِ عَلَى صَلَاةِ الْوَاحِدِ خَمْسٌ وَعِشْرُونَ دَرَجَةً، وَتَجْتَمِعُ مَلَائِكَةُ اللَّيْلِ وَمَلَائِكَةُ النَّهَارِ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ”. وَيَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ: اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ: {وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا}
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ telah bersabda: Keutamaan solat berjemaah atas solat sendirian ialah dua puluh lima darjat, dan malaikat yang bertugas di malam hari dan yang bertugas di siang hari berkumpul dalam solat Subuh. Kemudian Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bacalah jika kalian suka membaca¬nya,” iaitu firman Allah ﷻ: dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). (Al-Isra: 78)
(Sahih Bukhari (4348))

Alangkah baiknya jikalau di waktu para malaikat berkumpul tukar syif itu kita sedangkan mendirikan solat? Tidak sukakah kita jikalau para malaikat melaporkan kepada Allah ﷻ yang kita sedangkan mendirikan solat seperti di dalam hadith di bawah?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَار،ِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ وَصَلَاةِ الْفَجْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ فَيَقُولُ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّون (رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahwa Rasulullah ﷺ bersabda: “Di tengah-tengah kalian ada Malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kalian di waktu malam dan siang hari. Mereka bertemu ketika waktu slat ‘Asar dan waktu solat Subuh. Malaikat yang mengawasi kalian di malam hari naik ke langit, lantas Allah bertanya mereka, ‘bagaimana kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku? Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka sedang mereka tengah mendirikan solat, dan kami datangi mereka sedang mereka mendirikan solat’.”
(Sahih Bukhari No. 373)

Allah ﷻ juga hendak memberitahu bahawa solat itu disaksikan oleh-Nya walaupun manusia tidak ramai yang saksikan (kerana tidak ramai yang Solat Subuh).

Oleh itu, kesimpulannya ayat ini menyentuh keseluruhan solat lima waktu walaupun nampak seolah-olah hanya menyebut tiga waktu sahaja. Kerana ayat لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ bukanlah لِدُلوكِ الشَّمسِ وغَسَقِ اللَّيلِ. Kalimah الى itu bermaksud ‘hingga’ iaitu dari Zuhur hingga ke Isya’. Maka ia termasuk dengan waktu Zuhur, Asar, Maghrib sampaikan Isya’ dan kemudian ditambah dengan waktu subuh.

Maka lengkaplah lima waktu solat disebut dalam ayat ini. Akan tetapi ada golongan jahil yang mengatakan solat lima waktu tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka jahil tentang tafsir Al-Qur’an.


 

Isra’ Ayat 79: Tadi telah disebut solat fardhu. Sekarang disebut solat lain pula, iaitu Solat Tahajjud.

وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And from [part of] the night, pray¹ with it [i.e., recitation of the Qur’ān] as additional [worship] for you; it is expected that² your Lord will resurrect you to a praised station.³

  • Literally, “arise from sleep for prayer.”
  • This is a promise from Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) to Prophet Muḥammad ().
  • The position of intercession by permission of Allāh and the highest degree in Paradise.

(MELAYU)

Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

 

وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ

Dan dari sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu;

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk mendirikan Solat Tahajjud pada malam hari. Ini merujuk kepada solat malam dan bacaan Al-Qur’an yang selain daripada Solat Fardhu sebagai tambahan. Ia bukan solat sahaja kerana kalimah به (dengannya) adalah dengan Al-Qur’an kerana ayat sebelum ini tentang Al-Qur’an yang disaksikan. Namun ia juga bermaksud solat kerana Al-Qur’an di dalam ayat sebelum ini telah ditafsirkan sebagai solat.

Makna tahajjud ialah solat yang dikerjakan sesudah tidur. Demikianlah menurut pendapat Alqamah, Al-Aswad, Ibrahim An-Nakha’i, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang. Kalau tidak tidur dahulu, itu dinamakan Qiyamullail (mendirikan malam). Cara mendirikan sama sahaja, cuma bergantung sudah tidur atau belum.

Kalimah تَهَجَّد daripada katadasar ه ج د yang bermaksud berjaga malam, terus berjaga tidak tidur, bangun/bangkit daripada tidur. Daripada katadasar ini menjadi هجود (hujuud) yang bermaksud tidur dan juga bangun daripada tidur. Daripada ini kalimah تَهَجَّد bermaksud perbuatan bangun daripada tidur. Dari segi syariat, ia bermaksud bangun untuk mengerjakan solat malam. Bagi al-Biqa‘I تَهَجَّد bermaksud tinggalkan tidur untuk melakukan solat.

Ada juga pendapat yang mengatakan tidak ada syarat تَهَجَّد itu mesti dilakukan setelah tidur sekejap. Maknanya kalau tidak tidur pun dikira تَهَجَّد juga. Kerana syarat ini tidak pernah disebut dengan jelas. Cuma menjadi kebiasaan Rasulullah ﷺ dan para sahabat untuk تَهَجَّد selepas tidur sekejap. Maka kita boleh katakan ini adalah cara yang Sunnah dan terbaik. Tambahan pula kalau bangun di hening hari (waktu semua orang sedang nyenyak tidur) ia lebih khusyuk dan lebih berkesan.

Menjadi perbincangan juga kalimat نَافِلَةً لَّكَ (sebagai suatu ibadah tambahan bagimu). Kalimah نَافِلَةً daripada katadasar ن ف ل yang bermaksud memberi seseorang hadiah; memberi atau melakukan lebih dan melebihi apa yang diharapkan; hadir secara sukarela; rampasan atau keuntungan; anugerah ilahi tanpa perlu bekerja untuknya; harta rampasan perang; ; cucu. Daripada kalimah ini menjadi Solat Nafilah yang bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah ﷻ.

Menurut suatu pendapat, makna yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad ﷺ secara khusus wajib melakukan tahajjud itu. Maka ada ulama yang menganggapnya sebagai suatu kewajipan khusus bagi Nabi ﷺ sendiri, tidak bagi umat¬nya. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, ia adalah sunat. Demikianlah menurut pendapat yang diriwayatkan oleh Al-Aufi, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.

Inilah yang dikatakan oleh salah satu pendapat di antara dua pendapat yang ada dalam kalangan ulama, juga menurut salah satu pendapat Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ, dan pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ.

Akan tetapi adakah نَافِلَةً itu sebagai tambahan bonus atau sebagai tambahan kepada kewajipan? Maknanya solat fardhu yang 5 itu memang sudah wajib, kemudian ditambah lagi dengan Solat Tahajjud. Kerana itu ada juga pendapat yang mengatakan oleh kerana ia menjadi tambahan kewajipan kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka ia juga menjadi kewajipan bagi kita.

Solat malam ini sebenarnya pernah menjadi wajib kepada umat Islam pada awal Islam. Iaitu sebelum Solat 5 waktu diwajibkan. Ini seperti disebut di dalam Surah Muzzammil. Kemudian apabila Soat 5 waktu telah disyariatkan (selepas Isra’ Mi’raj) maka hukum Solat Tahajjud menjadi sunat. Maknanya hukum wajib itu telah mansukh.

Namun benarkah ia tetap kekal wajib kepada Rasulullah ﷺ? Ada pendapat yang mengatakan ia juga telah mansukh kepada baginda juga. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah لك (bagi engkau) dan bukannya عليك (ke atas engkau). Kerana kalau ia wajib, maka kalimah عليك lebih sesuai.

Akan tetapi kenapa sebut نَافِلَةً لَّكَ (sebagai suatu ibadah tambahan bagimu) juga dan khitab (ditujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ (لك)? Kerana bagi umat Islam, amalan nawafil (jamak kepada nafilah) adalah sebagai kafarah kepada dosa dan sebagai penampung kepada ibadah yang ada kekurangan (seperti solat yang tidak khusyuk contohnya). Ini seperti disebut di dalam hadith berikut,

عَنْ حُرَيْثِ بْنِ قَبِيصَةَ قَالَ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقُلْتُ اللَّهُمَّ يَسِّرْ لِي جَلِيسًا صَالِحًا قَالَ فَجَلَسْتُ إِلَى أَبِي هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ إِنِّي سَأَلْتُ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي جَلِيسًا صَالِحًا فَحَدِّثْنِي بِحَدِيثٍ سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَنْفَعَنِي بِهِ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ
Huraits bin Qabishah berkata; “Lalu aku berteman dengan [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], aku kemudian berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku telah meminta kepada Allah agar memberiku rezeki seorang teman yang soleh, maka bacakanlah kepadaku hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah ﷺ, semoga dengannya Allah memberiku manfaat.” Maka Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun berkata; “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Pada hari kiamat pertama kali yang akan Allah hisab atas amalan seorang hamba adalah solatnya, jika solatnya baik maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika pada amalan fardhunya ada yang kurang maka Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: “Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang?” Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.”
(Sunan Tirmidzi (378))
Status: Sahih

Akan tetapi bagi Rasulullah ﷺ yang ma’sum (terpelihara daripada melakukan dosa), baginda tidak memerlukannya. Maka amalan sunat bagi baginda memang benar-benar sebagai penambah pahala, bukannya sebagai kafarah dosa dan untuk membaiki amalan yang rosak.

Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud).
(Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, No. 1163)

Malah dimakruhkan (dibenci) meninggalkan solat tahajud bagi yang sudah kebiasaan bangun malam.

Nabi ﷺ pernah mengatakan kepada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,
يَا عَبْدَ اللَّهِ ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ ، كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ
“Wahai ‘Abdullah, janganlah engkau seperti si fulan. Dahulu dia rajin mengerjakan solat malam, namun sekarang dia meninggalkannya.”
(Sahih Bukhari, no. 1152)

Hukum mengerjakan Solat Tahajjud adalah Sunnat Muakkadah iaitu sunat yang diberatkan. Ia lebih tinggi daripada sunat biasa kerana Rasulullah ﷺ tidak pernah meninggalkannya. Menjaganya adalah antara ciri-ciri orang bertaqwa seperti disebut di dalam Dzariyat: 15-18

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّاتٍ وَعُيونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air,

آخِذينَ ما آتاهُم رَبُّهُم إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Kemudian Allah ﷻ sebut kenapa mereka diberikan dengan nikmat yang amat hebat itu:

كانوا قَليلًا مِنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.

Disebut pula di dalam Sajdah: 16

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقناهُم يُنفِقونَ
Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang Kami berikan.

Waktu yang paling afdal (utama) ialah pada sepertiga akhir malam.

Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda,
أحب الصلاة إلى الله صلاة داود عليه السلام ، وأحب الصيام إلى الله صيام داود ، وكان ينام نصف الليل ، ويقوم ثلثه ، وينام سدسه ، ويصوم يوماً ويفطر يوماً (متفق عليه)
“Solat yang paling dicintai oleh Allah adalah solat Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, puasa yang paling dicintai Allah adalah puasa Daud. Dia tidur setengah malamnya, lalu qiyamullail (menunaikan solat) sepertiganya, kemudian tidur lagi seperenamnya. Dan (beliau) puasa sehari serta berbuka sehari.”
(Sahih Bukhari No. 1063)

 

عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا

mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ melakukan Solat Tahajjud itu supaya baginda mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat kelak. Walaupun Allah ﷻ kata عَسىٰ (dari segi bahasa bermaksud mudah-mudahan) tetapi sudah pasti kedudukan tinggi itu akan diberikan kepada baginda di akhirat kelak. Harapan tidak bersangkut dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ boleh sahaja buat. Kerana harapan mengandungi maksud ketidakpastian sedangkan tidak ada sesuatu pun yang tidak pasti bagi Allah ﷻ.

Istilah الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ ini adalah disebut di dalam hadith. Memang ia adalah kedudukan yang akan diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ,

عَنْ آدَمَ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ يَصِيرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جُثًا كُلُّ أُمَّةٍ تَتْبَعُ نَبِيَّهَا يَقُولُونَ يَا فُلَانُ اشْفَعْ يَا فُلَانُ اشْفَعْ حَتَّى تَنْتَهِيَ الشَّفَاعَةُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَلِكَ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ
Daripada [Adam bin’Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Aku mendengar [Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; Sesungguhnya pada hari kiamat kelak manusia akan menjadi bangkai. Setiap umat akan mengikut Nabinya hingga mereka saling berkata; ‘Ya Fulan, berilah aku syafa’at, ya fulan, berilah aku syafa’at.’ Sampai akhirnya mereka mendatangi Nabi ﷺ. Itulah hari ketika Allah membangkitkan Nabi ﷺ pada kedudukan yang terpuji.
(Sahih Bukhari (4349))

Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, kebanyakan ulama ahli takwil mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kedudukan yang terpuji ini ialah kedudukan yang diperoleh Nabi ﷺ pada hari kiamat nanti, iaitu memberikan syafaat bagi umat manusia, agar Tuhan membebaskan mereka daripada kesengsaraan hari itu. Ia dipanggil al-syafa’ah al-kubra (Syafa’at terbesar). Ia berlaku di Mahsyar apabila sudah lama sangat manusia berkumpul dan semua bani Adam meminta syafaat kepada para Nabi dan semuanya menolak, kecuali Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Di hari Kiamat nanti, setelah kebangkitan manusia dari kubur dan ketika mereka berada di Padang Mahsyar, sengatan panas matahari sangat perih dirasakan lebih-lebih bagi yang bergelumang dengan dosa. Keringat manusia bercucuran sesuai dengan dosa masing-masing, sampai-sampai ada di antara mereka yang keringatnya hampir menenggelamkan badannya sendiri. Demikian bunyi suatu riwayat. Rasa takut menyelimuti jiwa setiap orang. Pada situasi yang sangat mencengkam di Mahsyar itulah, Allah ﷻ menunjukkan secara nyata betapa tinggi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ di sisi-Nya. Ketika itu-sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, manusia saling pandang-memandang, mencari siapa gerangan yang dapat diminta untuk bermohon kepada Allah ﷻ agar situasi yang mencengkam dan sengatan matahari itu dapat dielakkan. Mereka pergi kepada Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa عليهم السلام tetapi semua para Nabi yang mulia itu menolak dan menyebut dosa masing-masing sambil berkata: “Nafsi, nafsi” (diriku sendiri, diriku sendiri), kecuali Nabi ‘Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang juga menolak tanpa menyebut dosa. Akhirnya mereka menuju ke Nabi Muhammad ﷺ. Baginda menerima permohonan mereka dan bermohon – setelah menyampaikan pujian kepada Allah ﷻ pujian yang belum pernah terucapkan sebelumnya. Allah ﷻ memerintahkan baginda mengangkat kepala sambil bermohon, maka baginda berkata singkat: “Tuhanku, umatku-umatku.”

Inilah maksud Nabi Muhammad ﷺ dengan hadith baginda,

لِكُلِّ نَبِىٍّ دَعْـوَةٌ مُسْـتَجَابَةٌ فَتَعَجَّـلَ كُلُّ نَبِىٍّ دَعْوَتَـهُ وَإِنِّى اخْتَبَأْتُ دَعْـوَتِى شَــفَاعَةً لأُمَّـتِى يَوْمَ الْقِيَـامَـةِ فَهِىَ نَائـِلَةٌ إِنْ شَـاءَ اللَّهُ مَنْ مَـاتَ مِنْ أُمَّـتِى لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا
“Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajabah, maka setiap Nabi doanya dikabulkan segera, sedangkan aku menyimpan doaku untuk memberikan syafa’at kepada umatku di hari kiamat. Syafaat itu insya Allah diperoleh umatku yang meninggal tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ, sesungguhnya Rasulullah ﷺ mempunyai beberapa ke¬muliaan di hari kiamat yang tidak ada seorang pun yang menandinginya. Sebagaimana baginda pun memiliki beberapa keutamaan yang tiada seorang pun dapat menyainginya, iaitu seperti berikut:

1. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula dibangkitkan dari kuburnya.

2. Nabi ﷺ dibangkitkan dalam keadaan berkenderaan menuju Padang Mahsyar.

3. Nabi ﷺ adalah pemegang panji yang bernaung di bawahnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan nabi-nabi lain sesudahnya, semuanya berada di ba¬wah panjinya.

4. Nabi ﷺ mempunyai Telaga (Kautsar) yang di tempat perhentian itu tiada sesuatu pun yang lebih banyak pendatangnya daripada telaga yang dimilikinya.

5. Nabi ﷺ pemegang syafa’atul ‘uzma di sisi Allah ﷻ agar Allah ﷻ mahu datang untuk memutuskan peradilan di antara makhluk-Nya. Yang demikian itu terjadi sesudah semua manusia meminta kepada Adam, Nuh, Ibrahim, Musa عليهم السلام, lalu Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; mereka masing-masing mengatakan, “Saya bukanlah orangnya.”Akhirnya mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ Maka Nabi ﷺ bersabda: Akulah orangnya, akulah orangnya.

6. Keistimewaan lainnya yang dimiliki oleh Nabi ﷺ ialah memberikan syafaat kepada sejumlah kaum, padahal kaum-kaum itu telah diperintahkan untuk diseret ke dalam neraka, akhirnya mereka diselamatkan darinya.

7. Umat Nabi ﷺ adalah umat yang paling pertama menerima keputusan daripada Allah ﷻ dalam peradilan-Nya di antara sesama mereka. Mereka adalah umat yang mula-mula melewati sirat bersama nabinya.

8. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula diberi syafaat oleh Allah ﷻ untuk masuk ke dalam syurga, seperti yang disebutkan di dalam hadith sahih Muslim. Di dalam hadith sur (sangkakala) disebutkan bahawa semua orang mukmin tidak dapat masuk syurga kecuali dengan syafaat daripada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula masuk syurga bersama umatnya sebelum umat-umat lainnya.

9. Nabi ﷺ memberikan syafaat untuk meninggikan darjat sejum¬lah kaum yang amal perbuatan mereka tidak dapat mencapainya.

10. Nabi ﷺ adalah pemilik wasilah yang merupakan kedudukan tertinggi di syurga. Kedudukan ini tidak layak disandang kecuali hanya oleh Nabi ﷺ sendiri.

11. Apabila Allah ﷻ telah memberikan izin untuk memberi syafaat kepada orang-orang yang durhaka, maka barulah para malaikat, para nabi, dan kaum mukmin memberikan syafaatnya masing-masing. Nabi ﷺ memberikan syafaatnya kepada sejumlah besar makhluk yang tiada seorang pun mengetahui bilangannya kecuali hanya Allah ﷻ. Tiada seorang pun yang dapat menyamainya dan setara dengan baginda dalam hal memberi syafaat.

Maka hendaklah kita mendoakan kedudukan ini bagi baginda Rasulullah ﷺ. Ada doa yang jika kita baca, dijanjikan syafaat daripada Rasulullah ﷺ nanti di Hari Akhirat.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang membaca ketika mendengar azan; “ALLAHUMMA ROBA HADZIHID DA’WAATIT TAAMMAH WAS SHALATIL QOOIMAH ATI MUHAMMADANIL WASILATA WAL FADHIILAH WAB’ATSHU MAQOOMAM MAHMUDANIL LADZI WA’ADTAHU” (Ya Allah pemilik panggilan yang sempurna ini dan solat yang didirikan berilah Muhammad wasilah dan keutamaan dan bangkitkanlah dia pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan padanya) melainkan dia akan mendapatkan syafa’atku pada hari kiamat.”
(Sahih Bukhari (4350))

Maka inilah cara untuk mendapatkan syafaat daripada baginda. Bukannya dengan menyeru-nyeru dan memanggil Rasulullah ﷺ meminta syafa’at daripada baginda seperti yang dilakukan oleh golongan Habib dan pengikut mereka yang bodoh di stadium dan di tempat-tempat keramaian. Ia kerja bodoh kerana Rasulullah ﷺ tidak dengar pun apa yang mereka minta kerana baginda sudah lama wafat dan berada di alam lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 74 – 77 (Apa itu Sunnatullah)

Isra’ Ayat 74:

وَلَولَآ أَن ثَبَّتنَـٰكَ لَقَد كِدتَّ تَرڪَنُ إِلَيهِم شَيـًٔا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had not strengthened you, you would have almost inclined to them a little.

(MELAYU)

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

 

وَلَولَآ أَن ثَبَّتنَـٰكَ

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu,

Allah ﷻ telah menetapkan hati baginda daripada terikut-ikut dengan kata dan pujukan mereka. Allah ﷻ juga beritahu kepada baginda yang kalau Allah ﷻ tidak menetapkan hati baginda, maka baginda berkemungkinan akan mengikuti mereka.

Akan tetapi tidaklah ikut terus kepada mereka, cuma ‘condong’ sedikit sahaja kepada mereka. Namun itu pun tidak terjadi kerana Allah ﷻ telah tetapkan hati baginda. Ini adalah kerana baginda ma’sum (terpelihara) oleh Allah ﷻ.

Yang diteguhkan di sini adalah hati baginda, kerana baginda menghadapi pujukan daripada mereka. Kalau berperang, akan disebut peneguhan kaki. Dengan firman Tuhan demikian itu dapatlah kita memahami bahawa berjuang menghadapi lawan yang bersikap secara halus dan lemah lembut kadang-kadang lebih sukar daripada menghadapi sikap mereka yang kasar. Kalau bukan Allah ﷻ yang menolong boleh sahaja hati Nabi Muhammad ﷺ lemah dan kendur kerana sikap lunak lawan itu.

Begitulah, memang kalau penentangan secara lembut kita lagi susah untuk perasan, dan lagi susah untuk tolak. Kita lihatlah sekarang media massa menyesatkan umat kita dengan cara yang lembut sahaja, bukanya terang-terang menentang Islam.

Begitu juga kalau kita dengan orang yang kita dakwahkan itu, menolak dengan lembut. Mereka hendak berkawan dengan kita, kompromi dengan kita. Mereka kata tidaklah mereka menolak kita terus, tetapi takkan salah kalau mereka ini dan itu? (amalan bid’ah contohnya). Kita pun mungkin terfikir, sekurang-kurang mereka dengar apa yang kita sampaikan. Maka kita pun terimalah apa yang mereka amalkan itu walaupun ia bid’ah. Mungkin bid’ah itu jenis kecil sahaja, sebab itu kita rasa tidak mengapa. Namun ini tetap bahaya.

 

لَقَد كِدتَّ تَرڪَنُ إِلَيهِم شَيـًٔا قَلِيلاً

nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

Maka Nabi Muhammad ﷺ tidak cenderung langsung kepada mereka kerana Allah ﷻ telah memelihara baginda. Kalau dilihat kepada bahasa yang digunakan pun ia menunjukkan bahawa baginda hanya كِدتَ (hampir-hampir) dan kalau baginda cenderung pun, ia قَليلًا sikit saja. Kalimah تَرْكَنُ daripada katadasar ر ك ن yang bermaksud untuk bersandar; sokongan; percaya; tiang; batu asas; perkara yang dengannya seseorang itu diperkuatkan; bangga dengan kuasa dan keperkasaan. Maknanya condong dan cenderung kepada sesuatu golongan. Maka bukanlah baginda ikut tetapi kalau ada pun kehendak untuk condong sahaja. Akhir sekali kalimah لَولَآ di awal ayat ini menunjukkan perkara itu tidak berlaku pun.

Ayat ini dari satu sisi menunjukkan betapa besar upaya dan tipu daya kaum musyrikin terhadap Nabi ﷺ dan dari sisi lain ia menunjukkan juga betapa mantap hati dan kukuh pendirian baginda menghadapi mereka. Memang tidak mungkin Rasul ﷺ mengalah dalam tuntunan agama sehingga melemahkan sikap baginda terhadap kaum musyrikin. Apalagi Surah al-Qalam yang merupakan salah satu daripada wahyu-wahyu awal yang turun (bahkan ada yang menyatakan wahyu kedua atau keempat yang baginda terima) Allah ﷻ telah memperingatkan di dalam ayat ke 8-9:

فَلا تُطِعِ المُكَذِّبينَ
Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ
Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

Oleh itu, susunan ayat dalam ini berlainan dengan pembelaan Allah ﷻ terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam pembelaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ berfirman yang kalau Allah ﷻ tidak bantu baginda, memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan termakan dengan pujukan wanita yang menggodanya itu. Akan tetapi dalam kes Nabi Muhammad ini, Allah ﷻ beritahu: baginda hanya hampir condong sahaja, itu pun sedikit sahaja. Ini menunjukkan yang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ itu lebih tinggi daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Begitulah kita juga memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ untuk memperkukuhkan hati kita. Syaratnya adalah dengan kita berpegang dengan ilmu wahyu. Kalau kita tetap berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah, Allah ﷻ akan bantu. Siapa yang Allah ﷻ akan bantu? Iaitu mereka yang membantu agama Allah ﷻ dengan menjalankan jihad. Bagi mereka yang menjalankan jihad, Allah ﷻ janjikan keteguhan iman seperti disebut di dalam Muhammad: 7

يَـٰٓ يٰٓاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَنصُرُوا اللهَ يَنصُركُم وَيُثَبِّت أَقدامَكُم
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.

Ayat ini mengajar kita satu pelajaran yang penting: jangan kita condong kepada orang yang melakukan kesalahan dalam agama. Maksud condong itu boleh kita katakan sebagai sokong. Atau kita tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan. Ini pun sudah salah seperti firman Allah ﷻ di dalam Hud: 113

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


 

Isra’ Ayat 75: Allah ﷻ beritahu kalaulah Nabi Muhammad ﷺ ikut desakan mereka itu.

إِذًا لَّأَذَقنَـٰكَ ضِعفَ ٱلحَيَوٰةِ وَضِعفَ ٱلمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَينَا نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then [if you had], We would have made you taste double [punishment in] life and double [after] death. Then you would not find for yourself against Us a helper.

(MELAYU)

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

 

إِذًا لَّأَذَقنَـٰكَ ضِعفَ ٱلحَيَوٰةِ وَضِعفَ ٱلمَمَاتِ

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati,

Sekarang Allah ﷻ bercakap tentang Nabi Muhammad ﷺ dan kalaulah Nabi Muhammad ﷺ melakukan kecenderungan kepada Musyrikin Mekah itu. Kalau baginda cenderung kepada mereka, baginda akan mendapat azab dan azab itu pula berganda. Tidak sama dengan azab yang dikenakan kepada orang lain.

Yang dimaksudkan adalah gandaan azab di dunia dan gandaan azab di akhirat. Yang dimaksudkan dengan (seksaan) berganda kehidupan dunia adalah kehadiran aneka petaka, ketiadaan ketenangan hidup, gagalnya harapan dan cita-cita menegakkan nilai-nilai agama serta menguatnya pengaruh orang-orang musyrik. Akan tetapi sebagai penghormatan kepada Rasulullah ﷺ, Allah ﷻ tidak sebut pun kalimah ‘azab’ itu. Kita kena isi sendiri di tempat kosong. Kerana tidaklah Nabi ﷺ melakukan kesalahan dosa itu.

Namun kenapa Allah ﷻ sampaikan juga? Kerana hendak beritahu kepada kita, kalau Nabi ﷺ pun buat kesilapan, baginda akan dikenakan dengan azab begini. Kalau kita buat perkara yang sama, bagaimana? Tentulah kita pun dikenakan azab juga.

Akan tetapi ada pendapat yang mengatakan azab yang dikenakan hanya setakat kematian sahaja kerana tidak pun disebut akhirat, hanya disebut ٱلمَمَاتِ sahaja. Begitulah Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ cenderung memahaminya dalam erti seksaan berganda duniawi itu berlanjut hanya sampai kematian Nabi ﷺ, bukan dalam erti seksaan di akhirat. Ulama ini secara tegas menolak pendapat yang menyatakan bahawa potongan ayat ini bererti seksa di akhirat. Ini kerana kalaupun Nabi ﷺ cenderung sedikit kepada usul kaum musyrikin, maka pastilah hal tersebut lahir daripada ijtihad baginda dan terdorong oleh kemaslahatan agama – paling tidak menurut pertimbangan akal beliau. Siapa pun yang berijtihad – termasuk Nabi ﷺ – tidaklah terancam dengan seksa ukhrawi walaupun baginda keliru dalam hasil ijtihadnya. Bahkan yang keliru dalam ijtihadnya mendapat satu ganjaran/pahala. Memang kesalahan penilaian dan pendapat dalam kehidupan duniawi, pastilah mengakibatkan kesan buruk atau negatif- walau disertai dan didorong oleh niat dan i’tikad yang baik. Agaknya itulah sebab mengapa kalimah yang dipilih di sini berbeza dengan kalimah Al-Qur’an yang lain ketika menjelaskan seksa akhirat. Untuk seksa akhirat biasanya Al-Qur’an menggunakan istilah عذاب الاخرة, sedangkan di sini kalimah عذاب sama sekali tidak disebut. Demikian lebih kurang pendapat Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ.

Ancaman yang sama juga telah diberikan kepada para isteri baginda. Ini adalah kerana keluarga baginda menjadi contoh kepada umat yang lain. Kalau mereka melakukan kesalahan, maka kesalahan mereka itu akan menjadi contoh sampai bila-bila. Ini disebut di dalam Ahzab: 30

يٰنِساءَ النَّبِيِّ مَن يَأتِ مِنكُنَّ بِفٰحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضٰعَف لَهَا العَذابُ ضِعفَينِ
Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan dilipat-gandakan seksaan kepada mereka dua kali lipat.

Pengajarannya adalah orang yang dipandang sebagai rujukan hendaklah lebih berhati-hati. Kerana kalau kita yang dipandang sebagai ustaz contohnya, buat benda-benda yang lain, ia akan menjadi ‘dalil bagi orang yang jahil’. Mereka akan kata: “Tu ustaz boleh buat, tentulah tak salah!”

 

ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَينا نَصيرًا

dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

Apabila Allah ﷻ telah mengenakan azab, tidak ada sesiapa yang dapat bantu walau sedikit pun. Kalau Nabi ﷺ dan para isteri Nabi ﷺ pun tidak akan mendapat bantuan, apatah lagi kita, bukan? Ini sama seperti firman Allah ﷻ di dalam Hud: 113 yang telah dikongsi di atas tadi.

وَلا تَركَنوا إِلَى الَّذينَ ظَلَموا فَتَمَسَّكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن أَولِياءَ ثُمَّ لا تُنصَرونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.


 

Isra’ Ayat 76: Sekarang kita masuk penerangan penting di dalam makro ini iaitu tentang cubaan mengusir Rasulullah ﷺ.

وَإِن ڪَادُواْ لَيَستَفِزُّونَكَ مِنَ ٱلأَرضِ لِيُخرِجُوكَ مِنهَا‌ۖ وَإِذًا لَّا يَلبَثُونَ خِلَـٰفَكَ إِلَّا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they were about to provoke [i.e., drive] you from the land [i.e., Makkah] to evict you therefrom. And then [when they do], they will not remain [there] after you, except for a little.¹

  • Only ten years after the Prophet’s emigration, Makkah was completely cleared of his enemies.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar saja.

 

وَإِن كادوا لَيَستَفِزّونَكَ مِنَ الأَرضِ

Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri

Bumi yang dimaksudkan adalah bumi mekah. Mereka hampir hendak mengeluarkan Nabi Muhammad ﷺ dari bumi Mekah. Kerana mereka sudah tidak tahan dengan dakwah baginda dan mereka rasa lebih baik kalau baginda tidak ada lagi di Mekah. Selama itu baginda dapat tetap duduk di Mekah kerana baginda ada penolong baginda iaitu bapa saudara baginda, Abu Talib.

Kalimah لَيَستَفِزّونَكَ daripada katadasar ف ز ز yang bermaksud melakukan provokasi, menakutkan, memalukan dengan tujuan supaya seseorang itu buat sesuatu. Maknanya mereka telah buat macam-macam perkara supaya Rasulullah ﷺ tidak selesa lagi di Mekah, sampai keluar dari Mekah. Malah hampir-hampir mereka berjaya. Akan tetapi kerana baginda tidak mendapat arahan daripada Allah ﷻ, maka tidaklah baginda terus ikut kehendak hati baginda. Walaupun baginda membenarkan beberapa sahabat meninggalkan Mekah dan berhijrah ke Habasyah (Ethiopia).

 

لِيُخرِجوكَ مِنها

untuk mengusirmu daripadanya

Tujuan mereka provokasi baginda adalah untuk mengeluarkan baginda dari Mekah. Supaya terus nyah sahaja dari situ dan mereka pun senang hati tidak perlu berhadapan dengan baginda lagi. Mereka sudah tidak tahu mahu berhujah apa lagi dengan baginda kerana hujah mereka lemah.

Akhirnya mereka berjaya juga untuk mengeluarkan baginda dari Mekah. Iaitu setelah Allah ﷻ mengeluarkan arahan untuk berhijrah ke Yathrib. Semasa ayat ini diturunkan, ia belum berlaku lagi kerana belum sampai masanya. Nanti setelah Allah ﷻ mengizinkan baginda berhijrah, dan mereka membatalkan rencana pengusiran dengan menukar kepada rencana pembunuhan, barulah Allah ﷻ mengizinkan baginda berhijrah. Memang izin ini lahir kerana permusuhan kaum musyrikin sehingga mereka jugalah yang menjadi penyebab hijrahnya Nabi ﷺ tetapi rencana pengusiran pada waktu yang mereka inginkan tidak terlaksana, dan pemaksaan yang menjengkelkan itu tidak berhasil mengeluarkan Nabi ﷺ dari Mekah, walaupun seperti bunyi ayat ini, hal tersebut hampir saja berhasil.

Demikian Allah ﷻ memelihara Nabi ﷺ menghadapi rencana jahat kaum musyrikin dan menggagalkannya setelah ayat yang lalu menghuraikan bagaimana usul-usul buruk mereka pun gagal kerana kekuatan peribadi baginda yang kuat serta pemeliharaan Allah ﷻ.

 

وَإِذًا لَّا يَلبَثُونَ خِلَـٰفَكَ إِلَّا قَلِيلاً

dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar sahaja.

Namun begitu Allah ﷻ beritahu, jikalau baginda keluar dari Mekah pun, mereka pun tidak lama tinggal di situ. Mereka tidak akan selamat kalau baginda tidak ada. Ini adalah kerana azab tidak dikenakan kepada mereka selama hari itu adalah kerana Nabi ﷺ ada di situ dan Allah ﷻ tidak kenakan azab kalau begitu.

Mereka pun tidak tenang duduk di Mekah walaupun tanpa Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka perasan kekuatan umat Islam semakin kuat. Maka tidak lama selepas itu mereka pun keluar berperang dengan umat Islam di Badr. Tidak lama kemudian mereka berperang lagi di Uhud, kemudian Perang Ahzab. Kemudian umat Islam datang untuk mengerjakan Umrah dan terjadilah peristiwa Perjanjian Hudaybiyah. Begitulah secara ringkas, akhirnya setelah lapan tahun baginda berhijrah dari Mekah, umat Islam telah berjaya mengambil alih Kota Mekah daripada Musyrikin Mekah. Maka ayat ini mengisyaratkan bahawa suatu ketika Nabi ﷺ akan meninggalkan kota Mekah, dalam bentuk hijrah Nabi ﷺ dan itulah awal keruntuhan kekuasaan kaum musyrikin.

Dalam Tafsir Jalalain mengatakan yang ayat ini diturunkan ketika orang-orang Yahudi berkata kepada Nabi ﷺ, “Jika kamu benar-benar seorang nabi, pergilah kamu ke negeri Syam kerana negeri itu adalah negeri para nabi.” Maka ini adalah tafsir kedua pula. Iaitu yang hendak mengusir Nabi ﷺ adalah golongan Yahudi pula. Akan tetapi Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pendapat ini lemah. Tambahan pula surah ini adalah Surah Makkiyah. Begitulah juga pendapat Qatadah dan Mujahid رحمهما الله.


 

Isra’ Ayat 77:

سُنَّةَ مَن قَد أَرسَلنَا قَبلَكَ مِن رُّسُلِنَا‌ۖ وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحوِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That is Our] established way for those We had sent before you of Our messengers; and you will not find in Our way any alteration.

(MELAYU)

(Kami menetapkan yang demikian) sebagai suatu ketetapan terhadap rasul-rasul Kami yang Kami utus sebelum kamu dan tidak akan kamu dapati perubahan bagi ketetapan Kami itu.

 

سُنَّةَ مَن قَد أَرسَلنَا قَبلَكَ مِن رُّسُلِنَا‌ۖ

sebagai suatu ketetapan terhadap rasul-rasul Kami yang Kami utus sebelum kamu

Dugaan yang telah dikenakan kepada baginda itu adalah perkara biasa yang juga diberikan kepada rasul-rasul sebelum baginda. Maka ini adalah tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Kalau baginda tahu yang para Rasul dahulu pun dihalau dari kampung asal mereka, tentulah baginda ada rasa lega sedikit.

Semasa pertama kali Nabi Muhammad ﷺ bertemu Waraqah, Waraqah memberitahu yang kalaulah dia masih hidup semasa kaum baginda akan halau baginda dari Mekah, tentulah dia akan membantu baginda waktu itu. Waktu itu, Nabi Muhammad ﷺ seolah tidak percaya dan kehairanan yang amat sangat apabila diberitahu yang kaum baginda sendiri akan menghalau baginda. Baginda tidak dapat bayangkan ia sampai jadi begitu. Namun begitulah yang terjadi.

Sampai sekarang pun, ada orang yang menyampaikan kebenaran pun dihalau dari kampung. Saya teringat kisah seorang ustaz bernama Ustaz Halim yang terpaksa meninggalkan kampung halaman asalnya hanya kerana menyampaikan ajaran Sunnah kepada mereka.

Satu lagi sunnatullah yang berulang, apabila dihalau Rasul dari satu-satu tempat, penduduk asal akan binasa. Itu pun telah berlaku dahulu lagi pun.

Istilah سُنَّةَ dari segi bahasa berarti “kebiasaan”. Sunnatullah adalah kebiasaan-kebiasaan Allah ﷻ dalam memperlakukan masyarakat. Dalam Al-Qur’an kata sunnatullah, dan yang semakna dengannya seperti sunnatuna, sunnatulawwalin, terulang sebanyak tiga belas kali. Kesemuanya berbicara dalam konteks kemasyarakatan, sebagai contoh dapat dibaca Anfal: 38,

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم مّا قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu; dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya telah berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu”.

 

وَلا تَجِدُ لِسُنَّتِنا تَحويلًا

dan tidak akan kamu dapati perubahan bagi ketetapan Kami itu.

Allah ﷻ memang tidak mengubah cara itu dan ia tetap akan terjadi. Maka akan ada sahaja gangguan kepada para pendakwah seperti yang dikenakan kepada para Rasul; dan kalau pendakwah dikenakan dengan kezaliman, maka akan ada masalah yang akan dikenakan kepada mereka yang zalim itu.

Segala Rasul utusan Tuhan mesti menderita yang demikian. Mereka dibenci dan disengsarakan namun mereka tidak boleh mundur setapak jua pun. Berganjak daripada pendirian sedikit saja pun ertinya ialah melalaikan kewajipan. Memperturutkan kehendak mereka itu agak sedikit, bererti dosa merubah pendirian batin. Kerana sekali mereka telah diberi hati, mereka akan terus, dan pasti kepercayaan umat yang mengikutmu akan berkurang kalau engkau mundur.

Ayat tentang Sunnatullah ini tidak boleh difahami sebagai kematian manusia, tetapi kematian sistem/orde masyarakat. Orang-orang yang hidup dalam masyarakat tersebut tetap bertahan hidup, tetapi sistem kemasyarakatan dan pandangan Jahiliah yang mereka anut akan runtuh tidak lama lagi. Ini terbukti kebenarannya setelah sekitar 10 tahun hijrah Rasul ﷺ dari Mekah. Ayat ini merupakan salah satu bukti bahawa Al-Qur’an adalah kitab pertama yang menjelaskan hukum-hukum kemasyarakatan dan bahawa di samping ajal orang perseorangan, ada juga ajal bagi masyarakat. Seperti dalam firman-Nya di dalam A’raf: 34

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذا جاءَ أَجَلُهُم لا يَستَأخِرونَ ساعَةً ۖ وَلا يَستَقدِمونَ
Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.

Selanjutnya, kalau Al-Qur’an menyatakan bahawa: segala sesuatu ada kadar dan ada juga sebabnya, maka usia dan keruntuhan suatu sistem dalam suatu masyarakat pun pasti ada kadar dan ada pula penyebabnya. Apabila sampai masanya setelah melebihi kadar, ia akan hancur. Ayat al-Isra’ 76-77 di atas dapat menjadi salah satu hukum kemasyarakatan yang menjelaskan kadar dan penyebab itu, yakni jika satu masyarakat telah sampai pada satu tingkat yang telah amat menggelisahkan, maka ketika itu ia akan runtuh. Ini sejalan juga dengan firman-Nya di dalam Kahf: 59

وَتِلكَ القُرىٰ أَهلَكنٰهُم لَمّا ظَلَموا وَجَعَلنا لِمَهلِكِهِم مَّوعِدًا
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

Semoga Allah ﷻ hancurkan kuasa Barat dan Israel yang teruk sangat menindas umat Islam di Palestin. Apa pun keputusan itu daripada Allah ﷻ sahaja dan kita cuma berharap semoga situasi di belahan bumi sana dapat mencapai kata putus tidak lama lagi. Tidak tertahan hati ini melihat apa yang sedang dialami oleh mereka. Kita pun tertanya-tanya dan tertunggu bilakah ia akan selesai. Namun begitulah, belum masanya lagi maka kita boleh tunggu sahaja.

Sekian Ruku’ 8 daripada 12 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)