Tafsir Surah Saff Ayat 10 – 14 (Jadilah seperti hawariyyun)

Saff Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengajar kita empat syarat untuk mendapat kemenangan.

Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah memberitahu yang Dia akan menegakkan agama-Nya di bumi. Kerana itulah jihad perlu dijalankan untuk menegakkan agama Islam di seluruh dunia supaya dapat mengatasi agama-agama yang lain. 

Sekarang ini memang tidak ada jihad qital (jihad perang) tetapi bagi kita, masih ada lagi jihad iaitu jihad lisan iaitu dakwah. Ini adalah jihad di dalam menyebarkan Al-Qur’an supaya Al-Qur’an ini menjadi resam di seluruh dunia. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, shall I guide you to a transaction that will save you from a painful punishment?

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau kamu rasa kamu beriman, maka hendaklah kamu menjalankan jihad seperti yang disebut dalam ayat ini.

 

هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ

sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan 

Allah ﷻ menarik perhatian manusia terutama pembaca Al-Qur’an dengan menceritakan tentang ‘perniagaan’ yang amat besar dan amat menguntungkan. Manusia memang sukakan perniagaan terutama orang yang berniaga kerana mereka mendapat hasil keuntungan sementara orang yang membeli pula mendapat barang yang mereka perlukan.

Allah ﷻ sebut perniagaan dalam ayat ini kerana perniagaan adalah sumber rezeki paling banyak. Lebih-lebih lagi perniagaan yang Allah ﷻ tawarkan ini adalah perniagaan yang hebat kerana ada untung sahaja dan tiada rugi.

 

تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih?

Perniagaan yang Allah ﷻ tawarkan ini adalah amat besar kerana ia dapat menyelamatkan manusia itu. Selamat itu adalah selamat daripada api neraka.  

Maka, mana lagi manfaat yang kita perlukan kalau dibandingkan dengan selamat daripada azab neraka? Tentu tidak ada kerana itu adalah keselamatan dan kejayaan yang paling besar dan paling kita perlukan.


Saff Ayat 11: Sekarang Allah ﷻ beri pula penjelasan bagi ‘perniagaan’ yang disebut di dalam ayat sebelum ini. 

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is that] you believe in Allāh and His Messenger and strive in the cause of Allāh with your wealth and your lives. That is best for you, if you should know.

(MELAYU)

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah ‘jumlah khabari’ di mana Allah ﷻ memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘perniagaan’ itu. Walaupun ia ayat memberitahu, sebaliknya maksudnya mengandungi arahan: Hendaklah beriman kepada Allah ﷻ dan Rasul dan ini kenalah sentiasa ada.

Kenapa tidak digunakan fi’il amar (kata arahan) sahaja? Hebatnya arahan dalam jumlah khabari ini adalah kerana kalau dalam fi’il amar, boleh jadi tidak sentiasa kena dilakukan. Sebagai contoh, kita suruh seseorang untuk duduk. Memang itu adalah arahan, tetapi tidaklah arahan itu untuk terus duduk sahaja sepanjang masa. Padahal beriman kena sentiasa ada. Tidak boleh sekali pun tidak beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul. 

Maka ini adalah dua syarat pertama untuk mendapat kemenangan: beriman kepada Allah ﷻ dan beriman kepada Rasul.

 

وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ

dan kamu berjihad di jalan Allah 

Bukan sahaja kena beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul, tetapi kena juga berjihad. Jikalau sedang tidak ada jihad, maka hendaklah ada niat untuk berjihad.

Inilah mentaliti yang kita kena ada iaitu apabila sampai masanya yang kita kena berjihad dan menyabung nyawa kita untuk menegakkan agama Islam, maka kita kena serahkan diri kita. Kena simpan niat ini dalam diri kita.

 

بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم

dengan harta dan jiwamu.

Untuk berjihad itu memerlukan modal seperti juga perniagaan memerlukan modal, bukan? Maka modal jihad ini adalah dengan harta dan diri. 

Harta: kena jalankan infak untuk membeli peralatan perang dan bekal perjalanan. Ini adalah kerana peperangan waktu itu bukanlah tentera kerajaan tetapi semua mujahideen kena bawa peralatan dan bekalan perjalanan sendiri. Ia tidak disediakan oleh kerajaan Islam.

Diri: kena sanggup menghadirkan diri untuk berjuang. Jangan bagi duit sahaja, tetapi duduk menyorok di rumah.

Maka ini lagi dua syarat untuk mendapat kejayaan: korban harta dan akhir sekali, korban diri. Inilah ‘modal’ perniagaan untuk mendapat kebaikan daripada Allah ﷻ.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Peperangan adalah sesuatu yang dipandang sebagai buruk oleh kebanyakan daripada kita. Namun sebenarnya ia ada kebaikan di dalamnya, kita sahaja yang tidak tahu dan tidak perasan. Kalaulah kita tahu apakah kebaikan itu, maka tentu kita tidak akan teragak-agak untuk berjihad di jalan Allah ﷻ. Antaranya disebut dalam Baqarah: 216

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

Ingatlah yang arahan jihad perang ini tidak pernah dikeluarkan daripada kerangka agama Islam. Jangan ada fahaman yang mengatakan ia telah dimansukhkan. Ini penting difahami kerana ada golongan Islam yang takut Islam dipandang serong, maka mereka kata Jihad sebenarnya sudah dimansukhkan.

Jihad tetap ada sampai bila-bila cuma perlu difahami dengan benar sahaja iaitu dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an. Ini juga penting kerana kalau tidak, ada sahaja yang berfahaman ekstrem sampai berfahaman kena terus bunuh orang kafir tanpa dakwah kepada mereka dahulu. Inilah terjadi kepada orang bodoh seperti ISIS dan sebagainya.


Saff Ayat 12: Setelah disebut tentang kepentingan jihad dan sekarang Allah ﷻ sebut natijah jikalau orang mukmin menjalankan kewajipan jihad. Ada kelebihan akhirat dan duniawi dan dalam ayat ini Allah ﷻ sebut kelebihan akhirat dahulu kerana ia yang paling penting.

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will forgive for you your sins and admit you to gardens beneath which rivers flow and pleasant dwellings in gardens of perpetual residence. That is the great attainment.

(MELAYU)

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

 

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu

Kalau sanggup beriman dan kemudian menjalankan jihad, natijahnya akan diampunkan segala dosa. Ini adalah amat penting kerana perkara yang paling kita takuti ada dosa-dosa kita kerana apabila kita ada dosa, maka itulah yang menyebabkan kita masuk ke dalam neraka. 

Ini juga ditujukan untuk mereka yang berfahaman tauhid dan tidak pernah membuat syirik. Namun disebabkan oleh ada dosa-dosa yang telah dilakukan, maka ia menyebabkan orang itu masuk neraka dahulu untuk mencuci dosanya.

Walaupun semua dosa telah dihapuskan, maka ini akan menyebabkan tidak perlu untuk masuk ke dalam neraka. Boleh terus masuk ke dalam syurga dan ini adalah nikmat yang amat besar kerana kita tidak mahu langsung melihat, dengar dan cium pun bau neraka itu.

 

وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; 

Apabila telah diampunkan segala dosa, maka para mujaheed itu tidak dimasukkan ke dalam neraka malah akan terus ke syurga.

Allah ﷻ sebut kelebihan syurga itu untuk menarik minat manusia. Di syurga itu nanti akan ada sungai yang mengalir di bawahnya. Ini adalah tempat tinggal yang amat hebat sekali. Begitulah manusia memang suka kalau dapat tinggal di kawasan perumahan yang ada air seperti tasik, laut, sungai dan sebagainya. Kalau tidak dapat kawasan itu pun, ada yang membina kolam di rumahnya kerana air kolam itu akan menambah kehebatan rumah itu.

 

وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ

dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. 

Allah ﷻ beri penerangan tambahan yang taman syurga yang disebut itu namanya adalah Syurga Adn. Ia bermaksud ‘kekal’. Ini kerana orang yang masuk ke dalam syurga akan kekal di dalamnya sampai bila-bila dan tidak akan dikeluarkan.

Inilah yang dinamakan ‘Eden’ oleh agama Kristian. Mereka ambil daripada sumber Islam kerana mereka sendiri tidak ada maklumat ini. Puncanya adalah kerana kitab wahyu mereka telah diubah-ubah dan tidak ada yang tepat. 

Apabila kalimah جَنّٰتِ digunakan dan ia dalam bentuk jamak (plural), ini memberi isyarat yang seorang ahli mujaheed itu bukan sahaja mendapat satu taman dan satu rumah tetapi ada banyak taman dan rumah. Allah ﷻ boleh bagi berapa banyak pun yang Dia mahu. 

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang besar.

Apabila dosa telah dihapuskan dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa masuk ke dalam neraka dahulu, maka ini adalah keberuntungan yang amat besar. Kalimah الفَوزُ berasal daripada katadasar ف و ز yang bermaksud selamat daripada sesuatu yang buruk.

Ini adalah kejayaan yang amat bermakna sekali kerana semua manusia akan ditunjukkan dengan neraka dan ahli syurga sedar yang mereka telah selamat daripada neraka. Oleh itu, kejayaan selamat daripada keburukan adalah lebih hebat lagi. Tidak sama kalau kita berjaya mendapat tempat pertama dalam peperiksaan, dibandingkan dengan selamat daripada dilanggar bas. Selamat daripada dilanggar bas bermaksud selamat daripada bahaya yang amat besar.


Saff Ayat 13: Selepas disebut tentang balasan baik di akhirat, sekarang disebut pula natijah di dunia kepada para pejuang jihad. 

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [you will obtain] another [favor] that you love – victory from Allāh and an imminent conquest; and give good tidings to the believers.

(MELAYU)

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

 

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai

Nikmat yang kedua ini adalah sekunder sahaja berbanding dengan syurga yang paling baik yang disebut dalam ayat sebelum ini tadi. Itu pun sudah hebat namun Allah ﷻ tahu yang kita juga suka dengan kejayaan di dunia ini maka Allah ﷻ janjikan juga balasan di dunia. Ini kerana balasan di dunia ini boleh terus dilihat dan akan memberi semangat kepada umat Islam.

Allah ﷻ kata umat Islam suka kepada kurniaan ini kerana mereka boleh nampak dengan mata kepala mereka dan dapat menikmatinya. Kalau dikatakan mereka dapat syurga, ia tidak nampak lagi. Sebelum mendapat kemenangan yang lebih besar, tentu kita juga memerlukan kemenangan yang kecil-kecilan untuk beri semangat kepada kita, bukan?

 

نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ

(iaitu) pertolongan daripada Allah 

Allah ﷻ akan berikan balasan berbentuk duniawiah iaitu bantuan terus daripada Allah ﷻ yang menyebabkan kemenangan. Pertolongan ini adalah daripada Allah ﷻ untuk mengalahkan musuh.

Ayat ini boleh dibaca secara umum merujuk kepada mana-mana peperangan dengan musuh Islam dan Islam telah menang. Akan tetapi kalau lebih spesifik, kemenangan yang telah diberikan kepada para sahabat dan golongan awal Islam adalah dapat mengatasi Kerajaan Parsi dan Rom. Kedua-duanya adalah kerajaan besar waktu itu (seperti Russia dan Amerika sekarang) namun kerajaan Islam berjaya mengalahkan mereka.

Maka ayat ini adalah janji Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah membuktikannya. Bayangkan Allah ﷻ telah menundukkan dua empayar yang sangat besar ketika itu. Kejayaan ini tidak berapa lama sahaja daripada permulaan Islam. Kita kena ingat yang Islam ini lahirnya di Mekah yang tidak dipandang pun asalnya oleh Parsi dan Rom. Namun tidak berapa lama selepas Islam bergerak di Madinah, dua empayar besar waktu itu dapat dikalahkan. 

Kejayaan ini telah dijanjikan seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ زَوَى لِي الْأَرْضَ فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا وَأُعْطِيتُ الْكَنْزَيْنِ الْأَحْمَرَ وَالْأَبْيَضَ وَإِنِّي سَأَلْتُ رَبِّي لِأُمَّتِي أَنْ لَا يُهْلِكَهَا بِسَنَةٍ عَامَّةٍ وَأَنْ لَا يُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ فَيَسْتَبِيحَ بَيْضَتَهُمْ وَإِنَّ رَبِّي قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي إِذَا قَضَيْتُ قَضَاءً فَإِنَّهُ لَا يُرَدُّ وَإِنِّي أَعْطَيْتُكَ لِأُمَّتِكَ أَنْ لَا أُهْلِكَهُمْ بِسَنَةٍ عَامَّةٍ وَأَنْ لَا أُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ يَسْتَبِيحُ بَيْضَتَهُمْ وَلَوْ اجْتَمَعَ عَلَيْهِمْ مَنْ بِأَقْطَارِهَا أَوْ قَالَ مَنْ بَيْنَ أَقْطَارِهَا حَتَّى يَكُونَ بَعْضُهُمْ يُهْلِكُ بَعْضًا وَيَسْبِي بَعْضُهُمْ بَعْضًا و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَإِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَابْنُ بَشَّارٍ قَالَ إِسْحَقُ أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرُونَ حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَبِي قِلَابَةَ عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى زَوَى لِي الْأَرْضَ حَتَّى رَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا وَأَعْطَانِي الْكَنْزَيْنِ الْأَحْمَرَ وَالْأَبْيَضَ ثُمَّ ذَكَرَ نَحْوَ حَدِيثِ أَيُّوبَ عَنْ أَبِي قِلَابَةَ

Daripada Tsauban berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah menghimpun bumi untukku lalu aku melihat timur dan baratnya dan sesungguhnya kekuasaan ummatku akan mencapai yang dihimpunkan untukku, aku diberi dua harta simpanan; merah dan putih, dan sesungguhnya aku meminta Rabbku untuk umatku agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, agar Dia tidak memberi kuasa musuh untuk menguasai mereka selain diri mereka sendiri lalu menyerang perkumpulan mereka, dan sesungguhnya Rabbku berfirman: ‘Hai Muhammad, sesungguhnya Aku bila menentukan takdir tidak boleh dirubah, sesungguhnya Aku memberikan untuk umatmu agar tidak dibinasakan oleh kekeringan menyeluruh, Aku tidak memberi kuasa musuh untuk menyerang mereka selain diri mereka sendiri lalu mereka menyerang perkumpulan mereka meski mereka dikepung dari segala penjurunya hingga sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian lainnya dan saling menawan satu sama lain.”

(Sahih Muslim No. 5144)

 

Syarah:

1. maksudnya Islam yang Nabi ﷺ asaskan di Madinah akan menjadi kerajaan besar, dari Morocco sampai ke Nusantara (timur dan barat).
2. ‘merah dan putih’ yang disebut dalam hadith ini, maksudnya dua empayar besar akan ditakluk oleh Islam Rome di Istanbul dan Farsi di Tehran, juga kerajaan India.

(Imam Nawawi, Syarah Sahih Muslim)

 

وَفَتحٌ قَريبٌ

dan kemenangan yang dekat

Seperti telah disebut, sebelum kejayaan besar-besaran, manusia memerlukan kejayaan yang kecil-kecil dahulu untuk memberi semangat kepada usaha yang sedang dijalankan. Maka ‘kemenangan yang dekat’ yang dimaksudkan adalah Pembukaan Mekah di mana ramai manusia masuk ke dalam Islam berbondong-bondong.

Ia adalah motivasi yang amat besar kerana ramai umat Islam waktu itu asalnya dari Mekah dan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka beberapa tahun dahulu kerana mereka telah ditindas dengan teruk sekali. Sepanjang masa itu mereka amat rindu untuk dapat pulang ke kampung halaman mereka. Sekarang ia telah dimasukkan ke dalam wilayah Islam.

Kepada penduduk yang tidak berasal dari Mekah pun, mereka tentu mendapat motivasi yang besar juga kerana Mekah ini adalah tempat yang terkenal dan dipandang tinggi kerana Kaabah ada di situ. Mereka semasa zaman jahiliyah pun biasa datang ke Mekah untuk tawaf Kaabah. Sekiranya mereka dapat menguasai Mekah, maka ini memberi semangat yang tidak dapat dibayangkan oleh kita yang tidak melaluinya. Kita cuma dapat bayangkan sahaja.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Yang telah disebut di atas adalah berita gembira daripada Allah ﷻ sebagai motivasi untuk manusia. Namun janji ini bukan untuk semua tetapi untuk yang betul-betul beriman. Ini kerana apabila mereka beriman, mereka sanggup untuk melakukan sesuatu yang nampak macam menyusahkan diri sendiri, tetapi mereka nampak kebaikan yang ada padanya. 

Oleh itu asal untuk mendapat kejayaan yang telah disebut di atas adalah bermula dengan iman. Kita telah sentuh sebelum ini yang iman yang dimaksudkan adalah tauhid. Segala usaha jihad yang dilakukan adalah untuk menegakkan agama tauhid.

Sekiranya tauhid pun tidak faham lagi dan sudah mahu berjihad, maka amat malang sekali kerana ditakuti mati dalam syirik. Oleh kerana sekarang kita tidak ada jihad perang, maka teruskan menjalankan jihad lisan di mana kita sampaikan dakwah kepada manusia.


Saff Ayat 14: Ayat 14 ini adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir surah ini. Ia mengandungi seruan berjihad. Ini adalah ayat tawaran untuk berkhidmat menegakkan agama Allah ﷻ. Kalau sudah bersedia, maka orang mukmin itu akan dapat jawatan. Mahu atau tidak? 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ۖ فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ وَكَفَرَت طّائِفَةٌ ۖ فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be supporters of Allāh, as when Jesus, the son of Mary, said to the disciples, “Who are my supporters for Allāh?” The disciples said, “We are supporters of Allāh.” And a faction of the Children of Israel believed and a faction disbelieved. So We supported those who believed against their enemy, and they became dominant.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah

Allah ﷻ tidak memerlukan bantuan dan pertolongan kita maka ayat ini bermaksud membantu ‘agama Allah’ dan menegakkan agama Allah ﷻ dengan menjalankan dakwah.

 

كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ

sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia:

Disebut dalam ayat ini tentang para sahabat Nabi Isa عليه السلام. Mereka itu dinamakan Hawariyyun dan mereka itu adalah sahabat setia Nabi Isa عليه السلام. Merekalah yang membantu baginda dalam dakwahnya. Ini terjadi apabila Nabi Isa عليه السلام berasa baginda diancam oleh penentang baginda yang membuat rancangan jahat seperti disebut dalam Ali Imran: 52

فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah.

 

Ini mengingatkan kita kepada para sahabat Rasulullah ﷺ. Kalau sahabat Nabi Isa عليه السلام tidak banyak, namun sahabat Rasulullah ﷺ sangat banyak. Di dalam Al-Qur’an disebut kumpulan Hawariyyun itu hanya ada 12 orang sahaja.

 

مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ

“Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?”

Kepada umat Nabi Isa عليه السلام, ditawarkan kedudukan ini kepada golongan yang rapat sahaja. Akan tetapi kepada kita umat Nabi Muhammad ﷺ, tawaran ini ditawarkan kepada semua umat baginda. 

Sekarang sudah dua kali Nabi Isa عليه السلام disebut sedangkan selalunya dikatakan yang perjuangan Nabi Muhammad ﷺ lebih rapat dengan perjuangan Nabi Musa عليه السلام kerana mereka juga diarahkan berperang. Namun ayat ini mengajar kita bahawa peperangan itu bukan sahaja di medan perang tetapi juga menentang ideologi yang salah seperti yang dilakukan oleh Nabi Isa عليه السلام. Oleh itu, walaupun baginda tidak ada perang pedang, baginda ada jihad lisan (dakwah).

Nabi Isa عليه السلام diarahkan oleh Allah ﷻ untuk berdakwah dan sekarang baginda menawarkan siapakah yang mahu membantu baginda? Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah ﷺ di musim-musim haji di Mekah:

 

“مَنْ رَجُلٌ يُؤويني حَتَّى أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي، فَإِنَّ قُرَيْشًا قَدْ مَنَعُونِي أَنْ أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي”

Siapakah orangnya yang mahu memberiku tempat hingga aku dapat menyampaikan risalah Tuhanku, kerana sesungguhnya orang-orang Quraisy telah mencegahku untuk dapat menyampaikan risalah Tuhanku.

 

 

Hingga pada akhirnya Allah ﷻ menetapkan baginya orang-orang Aus dan orang-orang Khazraj dalam kalangan penduduk Madinah (Yathrib pada waktu itu). Maka mereka membaiatnya, menolongnya, dan mengikat janji setia dengannya, bahawa mereka bersedia membelanya daripada gangguan orang-orang berkulit hitam dan orang-orang berkulit merah jika baginda berhijrah kepada mereka.

Ketika baginda ﷺ berhijrah kepada mereka dengan para sahabatnya, mereka memenuhi apa yang telah mereka janjikan kepada Allah ﷻ melalui Rasul-Nya. Kerana itulah maka Allah ﷻ dan Rasul-Nya menamai mereka dengan sebutan kaum Ansar, dan akhirnya nama tersebut menjadi gelaran bagi mereka, semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya bagi mereka dan membuat mereka puas.

 

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”,

Pengikut setia Nabi Isa عليه السلام menerima ajakan itu. Nabi Isa عليه السلام dan umat baginda tidak ada dalam sejarah disebut mereka berperang, tetapi dalam ayat ini disebut yang mereka sudah bersedia untuk berperang jika mereka diarahkan. Selagi belum berperang, maka mereka menjalankan jihad lisan sahaja. 

Telah disebut sahabat Nabi Isa عليه السلام menyahut seruan baginda. Maka ini memberi isyarat kepada kita: Takkan kita tak sahut? 

Oleh sebab itu janganlah kita lihat jihad itu sebagai jihad perang dan bunuh orang kafir sahaja. Jihad itu dari segi bahasa adalah berusaha untuk menegakkan agama Islam, mak ia boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Kita kena pilih dan lakukan cara yang sesuai untuk kita.

 

فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ

lalu segolongan daripada Bani Israil beriman 

Ada dalam kalangan Bani Israil itu yang beriman. Bukanlah semua mereka itu teruk. Golongan ini kalau mereka beriman, memang mereka menjadi orang yang hebat. Ini kerana Allah ﷻ kurniakan akal yang hebat kepada mereka.

 

وَكَفَرَت طّائِفَةٌ

dan segolongan lain kafir; 

Namun kita pun tahu yang sebahagian besar dari Bani Israil itu tidak beriman dan malah mereka menentang sendiri Nabi-nabi mereka. Yang tidak beriman dengan Nabi Isa عليه السلام adalah golongan Yahudi. Malah mereka telah menindas dan membunuh golongan Kristian.

Ada pula segolongan daripada para umat baginda yang berpendapat ekstrem hingga mereka meninggikannya lebih daripada apa yang diberikan oleh Allah ﷻ kepadanya, iaitu kenabian; dan mereka menjadi berpecah belah terdiri dari berbagai macam aliran dan golongan.

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa Isa عليه السلام adalah ‘anak Allah’, ada yang mengatakan bahawa dia adalah ‘salah satu daripada yang tiga’, iaitu tuhan ayah, tuhan anak, dan Ruhul Qudus. Ada pula yang mengatakan bahawa Isa عليه السلام itu sendiri adalah tuhan.

 

فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم

maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, 

Allah ﷻ akan bantu golongan mukmin untuk mengalahkan musuh yang kufur. Asalkan syarat-syaratnya dipenuhi.

Ada dalam kalangan Bani Israil itu yang beriman dan ada yang tidak. Maka Allah ﷻ bantu memberikan kejayaan kepada Bani Israil (yang beriman) melawan mereka yang tidak beriman. Oleh kerana ada yang tidak beriman dalam kalangan mereka, maka Allah ﷻ sebut tentang peperangan dalam kalangan mereka sendiri.

Walaupun kita lihat dari segi sejarahnya Nabi Isa عليه السلام dan pengikutnya tidak berjaya, tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa di zaman hadapan mereka yang mengikut Nabi Isa عليه السلام juga berjaya seperti Pemuda Kahfi dan lain-lain lagi.

Maka kejayaan itu bukan semestinya berlaku pada satu zaman itu sahaja tetapi ia mungkin berlaku di masa hadapan. Kita kena yakin yang kejayaan akan menjadi milik kita akhirnya. Mungkin kita sendiri tidak dapat melihat kejayaan itu tetapi anak cucu kita nanti akan berjaya. Kita kena corakkan mereka dan beri ilmu dan semangat kepada mereka dari sekarang.

Ayat ini telah dibacakan pertama kalinya kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ supaya mereka tahu bahawa bukan mereka yang mula-mula berusaha untuk menegakkan agama tetapi umat-umat yang terdahulu seperti pengikut Nabi Musa عليه السلام dan juga Nabi Isa عليه السلام juga telah melakukan jihad mereka. Dalam kalangan umat mereka itu memang ada yang tidak beriman. Yang tidak beriman itu akan diperangi. Maka kita kena berhati-hati supaya kita menjadi orang yang beriman.

Satu lagi tafsir tentang ayat ini: setelah Nabi Isa عليه السلام diangkat ke langit, umatnya telah berpecah kepada dua kumpulan besar: satu kumpulan mengatakan yang Isa عليه السلام itu adalah Tuhan (atau anak Tuhan) dan satu lagi adalah golongan mukmin yang berpegang yang baginda hanyalah seorang Rasul. Dua kumpulan ini telah berperang dan kemenangan telah diberikan kepada golongan mukmin. Allahu a’lam.

 

فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Mereka akan menjadi golongan yang benar dan menang dalam peperangan. Jikalau jihad yang dimaksudkan adalah ‘jihad mulut’ maka kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan dari segi hujah.

Maka ini adalah janji daripada Allah ﷻ – sebagaimana kemenangan diberikan kepada umat Nabi Isa عليه السلام, maka begitulah juga akan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ.

Surah ini memberitahu misi Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam iaitu menegakkan agama Allah ﷻ di atas muka bumi dan surah selepas ini iaitu Surah Jumaah akan mengajar kita bagaimanakah cara untuk kita dapat mencapainya.

 

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Saff. Sambung surah seterusnya, Surah Jumuah.

Tarikh: 25 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Saff Ayat 5 – 9 (Nabi Isa عليه السلام memberitahu kedatangan Nabi Muhammad ﷺ)

Saff Ayat 5: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) supaya umat akhir zaman jangan terpengaruh seperti umat-umat dahulu. Iaitu hati mereka tidak lagi berminat untuk sebar agama. Maka Allah ﷻ sambung surah ini dengan bawa kisah yang paling popular dalam Al-Qur’an iaitu kisah Nabi Musa عليه السلام.

Ayat 5 – 6 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar supaya jangan khianati Rasul seperti kaum Yahudi dengan Nabi-nabi mereka.

وَإِذ قالَ مو  سىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم ۖ فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Moses said to his people, “O my people, why do you harm me while you certainly know that I am the messenger of Allāh to you?” And when they deviated, Allāh caused their hearts to deviate. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya:

Nabi Musa عليه السلام telah diuji dengan dapat kaum yang amat degil. Mungkin tidak salah kalau dikatakan Bani Israil itu adalah umat yang paling degil dalam dunia ini. Apabila mereka telah melakukan banyak sekali masalah kepada baginda, maka baginda menegur mereka.

 

يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني

“Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku,

Menyakiti baginda itu boleh jadi macam-macam bentuk seperti kata-kata kesat kepada baginda, tidak taat kepada baginda, tidak berusaha untuk menegakkan agama Allah ﷻ bersama baginda, dan lain-lain lagi.

Seperti yang telah disebut, mereka ini amat degil maka banyaklah kedegilan yang mereka tunjukkan. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an dan entah berapa banyak lagi yang tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Ada pendapat yang mengatakan, yang dimaksudkan ‘menyakiti’ hati Nabi Musa عليه السلام adalah tidak mengikut arahan baginda untuk berjihad seperti yang disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila Nabi Musa عليه السلام arahkan mereka untuk masuk ke dalam Kota Jurusalem dan mengambil kota itu daripada Puak Amaliqah, mereka berani ingkar malah menyuruh Nabi Musa عليه السلام pula untuk pergi masuk berperang bersama dengan Tuhan sedangkan mereka akan duduk menunggu. Itu adalah perkataan yang menyakitkan hati baginda. Pendapat ini bertepatan dengan tema surah ini iaitu jihad.

 

 

وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” 

Nabi Musa عليه السلام menegur mereka kerana masih lagi menyakiti hati baginda walaupun mereka tahu bahawa baginda itu adalah Rasul kepada mereka. Mereka tidaklah menolak baginda sebagai Rasul, tetapi dalam terima baginda sebagai Rasul itu, masih juga tidak taat.

Begitulah degilnya Bani Israil itu sampaikan kepada Rasul mereka pun mereka sanggup layan sampai begitu sekali. Ada banyak sekali ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkenaan kedegilan mereka itu. Seperti kita tahu, Al-Qur’an banyak mengandungi kisah Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil.

Ayat ini juga adalah sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ yang ditolak oleh umat baginda. Baginda pernah bersabda tentang Nabi Musa عليه السلام:

“رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى مُوسَى: لَقَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ”

Semoga Allah merahmati Musa, sesungguhnya dia telah disakiti lebih dari ini dan dia tetap bersabar.

(Hadith Bukhari No 2917)

 

 

Ini adalah adalah peringatan daripada Allah ﷻ kepada umat Islam. Jangan mereka ikut perangai Bani Israil kepada Nabi Musa عليه السلام itu. Allah ﷻ beri peringatan dalam ayat lain:

 

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah. (Al-Ahzab: 69)

 

 

Jangan umat Islam melakukan perkara yang sama kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana kalau mereka buat begitu juga, maka mereka pun akan mengalami nasib yang sama seperti Bani Israil itu. Apakah nasib mereka?

 

 

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم

Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka;

Ini adalah balasan kepada mereka di atas kedegilan mereka. Maka ini mengajar kita yang jikalau kita tidak ikut arahan Rasulullah ﷺ, tidak ikut arahan agama, maka Allah ﷻ akan pesongkan hati kita.

Yakni ketika mereka menyimpang dari jalan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya, maka Allah ﷻ memalingkan hati mereka daripada hidayah dan menempatkan di hati mereka keraguan, kebimbangan, dan kehinaan. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ}

Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Qur’an) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya yang sangat. (Al-An’am: 110)

 

 

Seperti telah disebut, satu pendapat mengatakan yang mereka tolak itu adalah untuk berjihad. Dan apabila mereka berpaling daripada mengikuti arahan Nabi Musa عليه السلام untuk berjihad, maka Allah ﷻ palingkan hati mereka daripada menerima hidayah. Ini ada disebut dalam Surah Maidah.

 

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Kepada mereka yang tidak mengikut arahan dan berterusan berbuat dosa, maka Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka. Ini dinamakan khatmul qalbi (penutupan hati).

Daripada ayat ini dan banyak lagi ayat lain, kita dapat tahu yang bukanlah Allah ﷻ yang menyesatkan manusia yang ingkar itu. Allah ﷻ tidak memaksa manusia menjadi ingkar. Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada manusia, tetapi mereka yang ingkar dahulu dan selepas itu barulah Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka dan menjadikan mereka sesat.

Allah ﷻ telah beri pilihan kepada manusia untuk memilih jalan yang mereka hendak lalui. Allah ﷻ tidak memaksa manusia beriman; manusia kena pilih jalan itu sendiri. Kepada mereka yang memilih jalan kebenaran, maka Allah ﷻ akan beri kebenaran itu kepada mereka; akan tetapi kepada mereka yang memilih jalan kesesatan, maka mereka pun boleh pilih jalan itu. Terpulang kepada manusia.


 

Saff Ayat 6: Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberitahu yang Nabi Isa عليه السلام juga mengajak umat baginda untuk berjihad. Oleh itu ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad. Seperti yang telah disebut di pengenalan surah ini, Surah Saff ini adalah tentang jihad.

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ يٰبَني إِسرٰءيلَ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ ۖ فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when Jesus, the son of Mary, said, “O Children of Israel, indeed I am the messenger of Allāh to you confirming what came before me of the Torah and bringing good tidings of a messenger to come after me, whose name is Aḥmad.”¹ But when he came to them with clear evidences, they said, “This is obvious magic.”²

  • Another name of Prophet Muḥammad (ṣ).
  • i.e., fraud or deception.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”. Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

 

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: 

Sebelum ini disebut Rasul utama Bani Israil itu iaitu Nabi Musa عليه السلام dan sekarang disebut Rasul terakhir bagi mereka iaitu Nabi Isa عليه السلام. Dan sekarang akan disebut apakah syarah baginda kepada kaum baginda.

Allah ﷻ menceritakan sekarang kesalahan besar yang Bani Israil lakukan terhadap Rasul mereka sendiri. Sebelum ini telah disebut sikap mereka terhadap Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi mereka yang utama dan sekarang disebut Nabi mereka yang terakhir pula, iaitu Nabi Isa عليه السلام kerana kesalahan besar mereka yang menolak Rasul dan Nabi mereka inilah yang menyebabkan mereka menjadi bangsa yang dimurkai sehingga ke hari Kiamat.

Selalunya apabila Allah ﷻ sebut nama Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ akan sebut nama ibunya sekali. Tidak disebut sebegini bagi nama Nabi-nabi yang lain. Maka ini merupakan penghormatan kepada Maryam sebenarnya. Dan Allah ﷻ hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak kepada Siti Maryam dan bukannya anak Allah ﷻ. Maka ini adalah penekanan yang penting. Ini kerana terdapat salah faham dalam kalangan golongan Kristian yang mengatakan baginda anak Tuhan.

 

يٰبَني إِسرٰءيلَ

“Hai Bani Israil,

Kalau Nabi-nabi yang lain, mereka akan sebut “wahai kaumku”, tetapi apabila dinaqalkan kata-kata Nabi Isa عليه السلام kepada kaum baginda, yang digunakan adalah “wahai Bani Israil”. Ini adalah kerana kalau hendak masuk ke dalam sesuatu kaum itu, kenalah ayah seseorang itu adalah daripada kaum itu.

Tetapi memandangkan Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai ayah, maka baginda tidak dikira sebagai ahli kaum itu secara rasmi. Namun baginda tetap datang daripada kaum itu dan baginda memang diutus kepada kaum itu.

Mungkin juga ada golongan Bani Israil yang berhujah: di dalam Bani Israil yang menjadi pegangan mereka adalah ibu mereka. Maksudnya hendak menjadi golongan Bani Israil, kenalah ibu daripada Bani Israil. Akan tetapi ini tidak masuk akal kerana keseluruhan kaum itu pun dipanggil ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil) iaitu merujuk kepada Nabi Yaakob عليه السلام. ‘Israil’ adalah nama lain bagi Nabi Yaakob عليه السلام.

 

إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, 

Nabi Isa عليه السلام menekankan yang baginda adalah Rasul kepada mereka. Mereka kena iktiraf baginda sebagai seorang Rasul. Baginda adalah Rasul hanya kepada Bani Israil sahaja. Malangnya golongan Yahudi menolak baginda dan tidak mengiktiraf baginda sebagai Nabi mereka.

 

مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ

membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat,

Sebenarnya apabila digunakan kalimat بَينَ يَدَيَّ ia bermaksud ‘di antara dua tanganku’. Yang di antara dua tangan kita adalah di hadapan kita, bukan? Maknanya Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang Kitab Taurat itu ada di depan baginda iaitu ia telah ada dan digunakan sebagai rujukan bagi Bani Israil pada zaman itu.

Ini bermakna Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang baginda bukanlah datang membawa ajaran baru, tetapi ajaran sama sahaja dengan para Nabi lain yang sebelum baginda. Kerana itu baginda juga membenarkan Taurat.

Walaupun Kitab Taurat itu dipegang oleh rabbi Yahudi, tetapi Allah ﷻ telah ajar baginda terus dan bukannya baginda mendapat maklumat itu daripada rabbi Yahudi. Sememangnya tidak patut baginda ambil daripada mereka pun Kitab Taurat itu kerana mereka sudah mengubah isi kandungan kitab itu sampaikan ia tidak tulen lagi.

Nabi Isa عليه السلام pula telah mendapat Kitab Injil. Dari sini kita tahu bahawa Injil itu membenarkan ajaran yang ada di dalam Kitab Taurat. Maknanya Kitab Injil itu adalah penyempurna kepada Taurat.

Maka, kita dapat tahu yang Nabi Isa عليه السلام membenarkan apa yang ada di dalam Taurat. Maknanya, baginda hendak memberitahu yang baginda bukannya membawa ajaran agama yang baru, tetapi menegakkan ajaran Nabi Musa عليه السلام juga. Beginilah juga hujah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Satu lagi perkara yang Nabi Isa عليه السلام benarkan adalah kandungan Taurat yang mengatakan kedatangannya (Nabi Isa عليه السلام) sendiri. Maka kedatangan baginda itu membenarkan apa yang telah disebut dalam Taurat.

Perkara penting lain yang Nabi Isa عليه السلام benarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Kedatangan baginda telah disebut dalam Taurat, dan sekarang Nabi Isa عليه السلام pun membenarkannya. Kedatangan Nabi Akhir Zaman memang ada dalam Bible pun antaranya seperti:

 

 

“And this is the record of John (the Prophet John: Yahya) when the Jews sent priests and Levites from Jerusalem to ask him, Who art thou? And ho confessed, and denied not; but confessed, I am not the Christ. And they asked him What then? Art thou Elias? And be saith, I am not. Art thou that prophet? And he answered, No. Then said they unto him, Who art thou? that we may give an answer to them that sent us. What sayest thou of thyself? He said, I am the voice of one crying in the wilderness! Make straight the way of the Lord as said the prophet Esaias. And they which were sent were of the Pharisees. And they asked him, and said unto him, Why baptizest thou then, if thou be not that Christ, nor Elias, neither that prophet?” (John, 1: 19-25)

 

 

وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ

dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”.

Nabi Isa عليه السلام sendiri beritahu yang Nabi Muhammad ﷺ akan datang selepas baginda. Maka ini bermakna para pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda muncul nanti.

Akan tetapi kita boleh lihat yang Al-Qur’an menyebut nama baginda sebagai ‘Ahmad’ dalam ayat ini. Kenapa bukan ‘Muhammad’? Kerana digunakan nama inilah yang menyebabkan perbincangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ada yang mempersoalkan kenapa nama Ahmad yang digunakan dan tidak Muhammad?

Ini sebenarnya tidak ada masalah kerana kalimah ‘Ahmad’ adalah dalam bentuk sighah tafdhil (isyarat kepada keutamaan). Maksudnya ‘yang paling banyak memuji Allah’, ‘yang paling terpuji dalam kalangan manusia’. Dan inilah sifat Nabi Muhammad ﷺ .

Ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ lebih baik daripada Nabi Isa عليه السلام. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu terpuji tetapi baginda terbaik dari segi dipuji. Allah ﷻ puji Nabi Muhammad ﷺ lebih daripada yang lain.

Ia juga bermaksud yang Nabi Isa عليه السلام tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu lebih mulia daripada baginda. Kerana itu baginda mengatakan nama Nabi selepas baginda itu adalah Ahmad.

Nama ‘Ahmad’ juga tidaklah sepatutnya menjadi isu kerana ia juga adalah salah satu daripada nama Nabi Muhammad ﷺ pun. Ini kita dapat tahu daripada hadith yang ada yang diketengahkan oleh Imam Bukhari, iaitu:

لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ

“Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah ﷻ menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).”

(Riwayat al-Bukhari (3532))

 

Satu lagi pendapat mengatakan kalau nama Muhammad itu adalah umum di Tanah Arab, maka digunakan nama Ahmad di dalam Injil sebagai pengkhususan.

Maka jelaslah di sini, Nabi Muhammad ﷺ telah disebut oleh Nabi Isa عليه السلام dan ia ada di dalam pengetahuan golongan Nasrani. Malah, apabila rombongan Hijrah yang pertama berjumpa dengan Najasyi yang bertanya tentang agama Islam dan mereka menceritakan tentang agama Islam dan tentang Nabi Muhammad ﷺ, Najasyi mengiyakan kerasulan baginda. Potongan hadith yang panjang itu adalah seperti ini:

 

 

Maka Raja Najasyi memungut sebuah kayu dari tanah, kemudian berkata, “Hai orang-orang Habsyah dan para pendeta serta para rahib, demi Allah, apa yang dikatakan oleh mereka tidaklah melampaui apa yang dikatakan oleh kita mengenainya. Selamat datang untukmu dan orang-orang yang datang bersamamu dari sisinya. Aku bersaksi bahawa dia (Nabi ﷺ) adalah utusan Allah, dan bahawa dialah orang yang kami jumpai beritanya dalam kitab Injil, dan dialah orangnya yang diberitakan oleh Isa putra Maryam. Sekarang tinggallah kalian di mana pun kalian sukai di negeri ini. Demi Allah, seandainya aku bukan dalam keadaan seperti sekarang sebagai raja, nescaya aku akan datang kepadanya dan aku rela menjadi pelayannya yang membawa terompahnya dan mengambilkan air wudhu’nya.”

(Shahihus-Siratin-Nabawiyyah, hlm. 166)

فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

Nabi Isa عليه السلام memberitahu apakah penolakan yang akan dilakukan oleh kaum Nabi Muhammad ﷺ. Baginda menceritakan tuduhan yang akan dikenakan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Kaum Nabi Muhammad ﷺ yang tidak mahu menerima dakwah tauhid dari baginda menggunakan berbagai cara dan tuduhan yang dikenakan kepada baginda. Antaranya mereka kata baginda adalah seorang ahli sihir dan apa yang baginda bawa itu adalah sihir semata-mata.

Sekarang, apabila manusia yang sudah degil seperti itu, maka mereka memang layak diperangi. Mereka sememangnya mesti diperangi.


Saff Ayat 7: Ayat 7 – 9 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu berita kemenangan Islam.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents about Allāh untruth while he is being invited to Islām. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MELAYU)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

 

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah

Pembohongan atas nama Allah ﷻ adalah dengan mereka-reka perkara baru di dalam agama. Sebagai contoh, mengatakan Nabi Isa عليه السلام Anak Allah dan lain-lain lagi fahaman dan amalan syirik dan bid’ah yang direka dalam agama.

Bukan golongan Kristian yang mengubah agama mereka sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Kalau orang Islam yang suka reka dan tambah amalan dalam agama Islam pun, termasuk dalam ayat ini juga. Berapa ramai yang selamba sahaja tambah amalan dalam agama, tambah fahaman baru dalam agama tanpa dalil? Begitu ramai sekali dan mereka tidak segan silu melakukannya.

Mereka itulah yang paling zalim kerana tidak ada yang lebih zalim daripada mereka. Zalim memang banyak jenis, tetapi tidak ada zalim yang lebih teruk daripada mereka ini. Mereka kata Allah ﷻ ada anak, ada wakil untuk menyampaikan doa kepada-Nya (tawasul). Maka itu adalah zalim yang amat teruk.

Kalau menipu sesama manusia pun sudah teruk. Kalau menipu atas nama orang pun, orang itu akan marah. Kalau kita kata si A cakap begini dan begitu, tetapi si A tidak cakap pun, tentu A marah kalau dia dapat tahu, bukan?

Lalu bagaimana kalau menipu atas nama Allah ﷻ? Tentu lagi teruk, bukan? Inilah yang terjadi apabila Allah ﷻ tidak pernah ajar satu fahaman dan amalan agama, Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah sampaikan pun, tetapi ada orang yang kata: “Allah suka dengan amalan ini; Allah terima amalan ini; amalan ini baik di mata Allah…” dan berbagai lagi hujah-hujah bathil yang dibawakan oleh golongan bidaah. Apakah ini tidak termasuk ‘menipu atas nama Allah”?

 

وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ

sedang dia diajak kepada Islam? 

Mereka itu amat teruk sampai sanggup reka fahaman dan amalan baru dalam agama sedangkan mereka ketika itu sedang diajak kepada agama Islam yang berteraskan Tauhid. Mereka amat teruk kerana bukanlah mereka diabaikan begitu sahaja. Tidaklah mereka dibiarkan tanpa dakwah. Ada sahaja yang telah dakwah kepada mereka.

Akan tetapi mereka tetap juga berdegil. Kalau mereka diabaikan tidak diajak kepada Islam yang sebenar dan tidak didakwah, maka lainlah cerita. Walaupun mereka telah diajar kepada ajaran Tauhid tetapi mereka masih tetap juga mahu melakukan syirik. Mereka tetap juga mahu melakukan amalan-amalan bid’ah.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Mereka tidak akan diberi petunjuk lagi kerana mereka degil sangat. Apabila mereka degil, maka Allah ﷻ membuat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada mereka (khatmul qalbi) kerana mereka telah diberi bukti dan dalil tetapi mereka tetap menentang juga. Mereka telah diberi peluang dan sekarang peluang mereka telah ditarik.


Saff Ayat 8: Sekarang Allah ﷻ memberitahu yang pernyataan dusta mereka itu adalah kerana hendak mematikan agama. Ini adalah rancangan yang amat teruk. Maka kerana mereka ada niat begitulah yang mereka mesti diperangi.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh will perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MELAYU)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

 

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, 

Mereka itu hendak menjatuhkan agama Islam dengan kata-kata mereka dan propaganda yang mereka ada-adakan. Macam-macam yang mereka kata untuk memburukkan Islam. Mereka menggunakan media massa yang mereka kuasai untuk memburukkan Islam.

Bukan itu sahaja, kerana ada yang menipu dalam hal agama. Iaitu mereka menipu dalam agama dengan mengatakan ajaran mereka itu adalah daripada Tuhan tetapi tidak sebenarnya. Ini seperti golongan Kristian yang sebenarnya tidak pun menggunakan Kitab Injil yang sebenar lagi. Akan tetapi mereka telah menghasilkan kitab yang baru dan mereka kata itulah Kitab Injil/Bible/Gospel. Ini adalah perbuatan yang amat buruk sekali dan begitu juga jika dilakukan kepada kitab Taurat dan juga Al-Qur’an.

Itulah perbuatan yang amat buruk di mana mereka reka sendiri agama kemudian mengatakan ia daripada Allah ﷻ, daripada rasul. Mereka reka dan ajar daripada mulut mereka kemudian mereka kata Allah ﷻ suka sedangkan mereka menggunakan sumber bukan daripada wahyu.

Kenapa digunakan kalimat ‘cahaya Allah’ pula dalam ayat ini? Ini adalah kerana apa-apa sahaja ibadat yang dilakukan oleh umat Islam itu adalah seumpama cahaya. Sebagai contoh apabila seorang Mukmin sedang solat, sedang baca Al-Qur’an dan sebagainya. Begitu juga wanita yang sedang berjalan dan menutup auratnya adalah cahaya.

Orang-orang kafir tidak suka melihat cahaya-cahaya ini berada di mana-mana. Mereka rasa tidak suka dan gelisah jikalau ada orang Islam di sekeliling mereka dan tambahan pula jikalau orang-orang lslam itu melakukan amalan-amalan agama. Padahal tidak kacau pun mereka, tetapi mereka yang rasa tidak selesa. Ini adalah kerana ada masalah dengan hati mereka.

 

وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini yang Dia tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya itu walaupun orang kafir tidak suka. Maknanya usaha jahat orang-orang kafir itu untuk memadam cahaya itu tidak akan berhasil. Agama Islam takkan padam. Dan ikhtiar mereka akan dihancurkan. Mereka yang akhirnya akan rugi.

Ayat ini diturunkan dalam tahun 3 Hijrah di mana umat Islam waktu itu lemah dan tidak ramai pengikutnya. Ketika itu mereka baru sahaja menerima kekalahan di Perang Uhud. Maka tidak nampak sangat yang Islam akan berkembang tetapi Allah ﷻ telah memberi janji-Nya kepada umat Islam yang agama Islam akan berkembang pesat.

Daripada ayat ini kita boleh bayangkan yang cahaya Allah ﷻ itu berkembang sedikit demi sedikit pada setiap orang. Oleh itu di mana sahaja usaha kita walau sedikit pun akan memberi bekas sebenarnya. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya. Maka kita cuma perlu lakukan apa yang kita mampu walaupun sedikit dan Allah ﷻ akan sempurnakan cahaya itu nanti.


Saff Ayat 9: Ini pula adalah cara Allah ﷻ hidupkan wahyu di mana Allah ﷻ akan memilih Rasul untuk menyampaikannya dan akan memberi kemenangan kepadanya.

Ayat ini selalu sahaja ditulis di dalam penulisan tentang perkembangan dakwah semenjak dulu lagi. Ia mengajar kita bahawa Islam ini perlu dikembangkan dan dipraktikkan di dalam segenap kehidupan kita.

Shah Waliyullah berkata jikalau kita faham ayat ini maka kita akan senang faham Al-Qur’an. Begitu pentingnya ayat ini untuk kita sematkan dan cuba amalkan.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although those who associate others with Allāh dislike it.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar 

Allah ﷻ akan bangkitkan Rasul dan diberikan wahyu kepada Rasul itu untuk disampaikan kepada manusia. Rasul itu akan diberi cara penghayatan wahyu. Maka, kita dapat tahu yang tujuan Rasul adalah untuk menyampaikan wahyu dan cara mengamalkannya.

Deenul Haq pula adalah cara hidup berasaskan Al-Qur’an setelah Al-Qur’an itu dihayati. Maka kita kena faham ‘cara hidup’ bukan setakat ibadah sahaja. Ia meliputi segenap kehidupan kita.

Begitulah ajaran Islam ini tidak terhad kepada ibadah sahaja. Ia adalah agama yang ‘syumul’ (lengkap) dan memang praktikal untuk diamalkan. Ini tidak ada dalam agama-agama lain yang terhad sahaja. Agama mereka memang tidak dapat diamalkan dalam kehidupan bila-bila masa pun (sama ada zaman dulu atau zaman sekarang).

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama seluruhnya

Allah ﷻ telah menurunkan agama ini untuk mengalahkan agama-agama yang lain. Maknanya agama Islam ini adalah agama yang utama dan sepatutnya menjadi pegangan kesemua umat manusia.

Agama lain tidak halal, tidak boleh diamalkan. Maka kita tidak boleh kata agama lain pun sama sahaja. Ini penting kerana ada orang yang jahil berkata: agama dalam dunia ini sama sahaja, semuanya mengajak ke arah kebaikan.

Maka agama Islam akan menang kerana Allah ﷻ akan memenangkannya. Namun begitu kalau salah faham dengan ayat ini, maka ada Muslim yang menjadi ganas. Mereka marah dengan apa yang terjadi dalam dunia Islam dan mereka ambil pendekatan yang keras kononnya untuk memenangkan agama ini. Namun itu adalah cara yang salah. Kita hendaklah menggunakan cara dakwah yang berhemah.

Oleh sebab itu pergerakan untuk mengembangkan agama Islam ini boleh jadi dalam beberapa wajah, beberapa cara. Dan ini sedang dilakukan oleh banyak kumpulan seperti memberi ilmu pengetahuan pengenalan kepada Islam, menjalankan kerja-kerja keamanan yang dilakukan di seluruh dunia, dan macam-macam lagi.

Akan tetapi kita kena ingat perkara yang penting. Salah satu perkara penting yang perlu kita lakukan adalah dengan belajar memahami Al-Qur’an dan menyebarkan ilmu Al-Qur’an ini kepada manusia seluruhnya. Kerana itu memang kita kena kembangkan pengetahuan tafsir Al-Qur’an ini kepada manusia kerana sebelum manusia terbuka kepada perbincangan-perbincangan lain seperti falsafah, sejarah dan juga hadith dan juga ilmu fiqh dan sebagainya, manusia kena tahu tafsir Al-Qur’an.

Ia adalah ilmu yang paling utama kerana Al-Qur’an ini akan mengajar kita cara berfikir dan ia akan menjadi kayu pengukur untuk menilai manakah pemahaman yang benar ataupun tidak.

 

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

meskipun orang musyrik membenci.

Agama ini tetap akan menang walaupun orang kafir tidak suka. Allah ﷻ tidak mengambil kira kehendak mereka kerana Allah ﷻ tetap akan menghidupkan agama tauhid ini. Maka jangan kita risau tentang penerimaan masyarakat sekarang. Lama kelamaan ia akan berlaku di mana lebih ramai manusia akan menerima ajaran tauhid.

 

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku yang ada dalam surah ini.

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Saff Ayat 1 – 4 (Cakap tak serupa bikin)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan tentang hubungan dengan orang-orang Munafik. Memang kebanyakan surah-surah Musabbihaat ini ada mengandungi teguran tentang golongan munafik. Maka kita kena peka tentang perkara ini kerana ditakuti dalam kalangan kita ada orang munafik. Dan lebih menakutkan lagi, kalau-kalau kita sendiri ada sifat-sifat munafik!

Di dalam surah ini kita belajar bahawa di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ tidak memanggil orang-orang munafik: “Wahai orang-orang Munafik” tetapi Allah ﷻ masih panggil mereka dengan gelaran “wahai orang-orang yang beriman”. Bukanlah bermaksud mereka itu orang beriman, tetapi kerana mereka itu mengaku mereka beriman.

Surah Saff ini juga ditujukan kepada golongan Mujahidin (para pejuang dalam perang) kerana dengan mereka inilah, agama dapat disebarkan ke serata dunia.

Selepas surah ini adalah Surah Jumuah di mana ia ditujukan kepada para ulama’ dan juga pelajar kerana dengan adanya mereka maka ilmu agama ini dapat disebarkan kepada masyarakat awam. Maka semua orang Islam ada tugasnya masing-masing. Yang penting kena ingat, tujuan hidup kita adalah untuk mengembangkan agama Allah ﷻ kepada manusia. Kita lakukan apa yang kita mampu dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini.

Selepas Surah Jumuah pula adalah Surah Munafiqun di mana ia ditujukan kepada para penderma atau orang yang beri sedekah iaitu golongan hartawan yang tidak sombong. Dengan mereka juga jihad dapat tertegak dan orang yang memerlukan bantuan akan mendapat bantuan.

Gabungan tiga golongan ini akan memastikan agama Islam ini sampai bila-bila akan terjaga. Maka semoga kita termasuk dalam salah satu daripada tiga golongan itu.

Surah ini seperti juga Surah Mumtahanah sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Surah ini adalah surah kelima daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara penting iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


Saff Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang Allah ﷻ itu bersifat Azizul Hakim.

سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṣ-Ṣaff: The Row.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh, and He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi;

Surah ini bermula sekali lagi dengan tasbih di mana Allah ﷻ memberitahu bahawa segala makhluk di alam ini telah bertasbih kepada Allah ﷻ.

Kalimah sabaha dari segi bahasa bermaksud menimbulkan sesuatu, seperti seseorang yang berenang yang menimbulkan kepalanya di atas air. Maka perbuatan tasbih adalah menyebabkan sesuatu perkara itu timbul dan tidak tenggelam. Itu adalah dari segi bahasa.

Maksud tasbih pada kita adalah apabila kita meninggikan Allah ﷻ dan tidak merendahkan kedudukan Allah ﷻ daripada yang tidak sepatutnya. Apabila ada orang yang melakukan dosa, kita bertasbih; apabila orang melakukan syirik, kita bertasbih; apabila kita nampak benda yang buruk dan kita tidak suka, maka kita juga bertasbih.

Tasbih juga digunakan di dalam Al-Qur’an apabila ada manusia yang mengatakan sesuatu yang tidak patut bagi Allah ﷻ. Oleh itu apabila ada orang yang mengatakan sesuatu yang tidak patut tentang Allah ﷻ, maka kita menolak kata-kata mereka itu dengan melakukan tasbih. Apabila mereka merendahkan Allah ﷻ maka kita meninggikan Allah ﷻ dengan mengatakan Allah ﷻ itu sempurna dengan bertasbih.

Sekiranya kita juga merendahkan kedudukan Allah ﷻ dan dalam masa yang sama kita bertasbih, ini adalah tidak patut sama sekali. Maksudnya kita tidak faham apa yang kita lafaz dengan mulut kita. Mulut kita bertasbih tetapi perbuatan kita berlawanan dengan apa yang kita sebutkan.

Oleh itu surah ini dimulakan dengan kalimat pembesaran kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang seluruh alam ini bertasbih kepada-Nya. Allah ﷻ tidak memerlukan ketaatan daripada manusia pun kerana Allah ﷻ telah ada makhluk-makhluk lain yang taat kepada-Nya. Maka segala arahan yang diberikan kepada kita ada untuk kebaikan kita sahaja sebenarnya. Allah ﷻ tidak memerlukan pun amalan kita itu.

Akan tetapi apabila kita melakukannya, Allah ﷻ balas dengan banyak sekali. Maka kena sedar perkara ini. Kena sedar yang arahan Allah ﷻ adalah untuk kebaikan kita. Maka kenalah taat. Jangan degil sangat.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kenapa kita bertasbih kepada Allah ﷻ? Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini: Kita bertasbih kerana Allah ﷻ itu bersifat Maha Gagah Perkasa dan juga Maha Bijaksana.

Perkasa-Nya Allah ﷻ itu, Dia boleh mengazab sesiapa sahaja yang berdosa dan melakukan syirik. Kalau Allah ﷻ hendak mengazab itu, tidak ada sesiapa yang boleh halang sama sekali. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan Allah ﷻ.

Akan tetapi dalam masa yang sama, Allah ﷻ bersifat bijaksana di mana Allah ﷻ menangguhkan azab, tidak terus diberikan azab itu kepada manusia. Maka ada harapan bagi kita untuk bertaubat dan membetulkan amalan kita. Kalau tidak, tentulah kita telah lama mati kerana telah banyak kesalahan yang kita telah lakukan.


Saff Ayat 2: Ini adalah teguran Allah ﷻ kepada orang mukmin yang minta berjihad tetapi apabila syariat jihad diberikan mereka tidak mahu berjihad. Diingatkan kembali  yang tema surah ini adalah berkenaan jihad. Maka ayat ini menyentuh tentang jihad sebenarnya. Walaupun ada juga tafsiran yang lain.

Ayat 2 – 4 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita yang kesanggupan berjihad itu adalah bukti cinta kepada Allah ﷻ.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, why do you say what you do not do?

(MELAYU)

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman,

Sekarang Allah ﷻ menegur manusia yang mulut mereka mengaku Muslim dan beriman, tetapi perbuatan mereka tidak mengikut apa yang mereka katakan sebagaimana makhluk Allah ﷻ yang lain. Telah disebutkan sebelum ini yang ‘orang-orang beriman’ di dalam Al-Qur’an boleh juga merujuk kepada orang munafik.

Makhluk Allah ﷻ yang lain bertasbih dan dalam masa yang sama mereka taat kepada Allah ﷻ, tidak seperti kebanyakan manusia. Ada manusia mengucapkan tasbih namun dalam masa yang sama mereka membuat perkara syirik. Ini adalah kerana mereka tidak faham apa yang sebutkan.

 

لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ

kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Maksud ayat ini secara umum adalah teguran Allah ﷻ kepada manusia yang tidak sama perbuatan dengan percakapannya. Selalu kita kata: ‘Cakap tak serupa bikin’.

Cakap tak serupa bikin

 

Ini adalah sifat yang buruk. Kalau kita tidak mahu melakukan sesuatu atau tidak mampu, janganlah kita cakap kita boleh dan mahu melakukannya. Janganlah jadi seperti orang munafik kerana ini adalah sifat mereka seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat”.

(HR Bukhari No. 32)

Tanda Orang Munafik Ada 3

 

Oleh itu, orang mukmin dipegang pada kata-kata dan janjinya. Kalau dia berjanji kenalah dia tepati. Sampaikan dengan kanak-kanak pun kita kena tepati janji.

 

Dalam hadith riwayat Abu Daud, Abdullah bin Amir pernah dipanggil oleh ibunya untuk diberikan sesuatu lalu Nabi ﷺ bertanya kepada ibu Abdullah bin Amir apakah yang akan dia berikan kepada anak kecil itu.. Wanita itu menjawab kurma. Kemudian Baginda memberi peringatan, jika dia tidak memberikan kepada anaknya, maka dia dikira berdusta.
Dalam hadith riwayat Ahmad, baginda mengatakan:
من قال لصبي تعال هاك ثم لم يعطه فهي كذبة
“Sesiapa yang mengatakan kepada budak kecil ‘Ke sini, ambil ini’ kemudian dia tidak memberikannya maka dia dikira berdusta.
Sebahagian orang menipu kanak-kanak kerana mereka biasanya tidak menuntut kembali janji itu sedangkan hakikatnya perbuatan ini meletakkan pelakunya dalam perbuatan menipu. 
(Al-Dhiya’ al-Lami’ min al-Khutab al-Jawami’ 7/514)

 

Selain daripada makna umum seperti yang disebut di atas, dalam ayat ini Allah ﷻ menegur lagi orang-orang beriman berkenaan jihad. Ini dapat difahami kalau kita melihat konteks surah ini nanti. Allah ﷻ tanya kepada mereka kenapa dahulu mereka minta untuk berjihad dan sekarang apabila syariat jihad telah diberikan, mereka masih tidak melakukannya lagi. Maka sekarang hendaklah mereka berjihad.

Ayat ini ada kaitan dengan ayat yang lain dalam Nisa: 77 di mana para sahabat semasa duduk di Mekah dahulu mereka minta untuk membalas dendam kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi waktu itu mereka ditahan daripada membalas kekejaman itu. Namun apabila di Madinah dan mereka disuruh berjihad, hati mereka tidak mahu pula.

 

 

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللهِِِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun”.

 

 

Mereka kata: “Kenapalah Syariat jihad dipercepatkan?” Sedangkan dulu mereka juga yang minta jihad dibenarkan. Maka mereka itu sebenarnya adalah golongan munafik. Iaitu iman mereka lemah. Mereka cakap sahaja hendak berperang dan berjihad, tetapi bila disuruh berjihad mereka idtak mahu pula. Mereka ‘cakap tak serupa bikin’.

Dan ada lagi teguran kepada umat Islam yang meminta-minta untuk berjihad, tetapi bila jihad di depan mata, mereka takut pula. Ini disebut dalam Muhammad: 20

 

 

وَيَقولُ الَّذينَ آمَنوا لَولا نُزِّلَت سورَةٌ ۖ فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ ۖ فَأَولىٰ لَهُم

Dan orang-orang yang beriman berkata: “Mengapa tiada diturunkan suatu surat?” Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan karena takut mati, dan kecelakaanlah bagi mereka.

 


Saff Ayat 3:

كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقولوا ما لا تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Great is hatred in the sight of Allāh that you say what you do not do.

(MELAYU)

Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Maksud مقت adalah sesuatu yang sangat buruk yang dilakukan oleh manusia dan sebelum ini telah pernah disebut dalam Surah Mujadilah bahawa perbuatan zihar itu adalah مقت. Maka perbuatan meminta jihad tetapi tidak mahu berjihad apabila diarahkan, maka itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali. Allah ﷻ amat murka kepada mereka yang ada sifat begitu. Mereka cakap dengan mulut, tetapi tidak diikuti dengan perbuatan.

Secara umumnya pula, manusia memang selalu tidak melakukan apa yang dikatakan oleh mulutnya. Yang ini banyak dilakukan oleh manusia di mana kita selalu solat dan minta hidayah daripada Allah ﷻ, tetapi apabila Allah ﷻ beri hidayah dalam bentuk Al-Qur’an dan Sunnah kepada kita, maka kenapa tinggalkan?

Oleh itu kita kena lakukan apa yang kita katakan. Kalau kita nasihat orang, maka hendaklah kita pun buat juga apa yang kita cakap. Jangan kita pandai nasihat orang tetapi diri sendiri tidak lakukan apa yang kita sendiri cakap.

Namun ada juga yang salah faham tentang ayat ini kerana ada orang yang salah tafsir ayat ini dengan mengatakan: Jangan kita beri dakwah ataupun ajar orang perkara yang kita sendiri tidak buat; seperti kita belum pergi Haji lagi tetapi ajak orang untuk pergi Haji. Maka mereka kata tidak boleh berdakwah pula. Ini adalah tafsiran yang salah.

Sepatutnya apabila kita sudah cakap kepada orang, maka kita kenalah lakukan juga. Kita dakwah kepada orang tetapi sebenarnya kita dakwah kepada diri kita sendiri. Apabila kita sudah cakap kepada orang lain, tentu kita malu kalau tidak buat, bukan? Maka bila kita dakwah, itu adalah anjakan untuk kita juga berbuat seperti yang kita sebut. Ayat ini adalah ayat targhib (mengajak) bukan ayat tarhib (menghalang). Jangan salah faham dengan ayat ini.

Yang menjadi salah adalah kalau kita cakap kepada orang, tetapi kita tidak ada keinginan pun untuk melakukannya. Ini baru salah! Maka kalau kita dakwah orang lain, hendaklah kita juga ada keinginan untuk melakukannya.

Selain daripada itu, kita kena ingat yang keinginan kita hendaklah kita lapik dengan keizinan daripada Allah ﷻ. Kalau kita hendak melakukan sesuatu, jangan berharap semata-mata kepada kekuatan diri sahaja, tetapi hendaklah sebut in sha Allah (kalau Allah ﷻ berkehendak). Kerana kalau kita kata hendak buat, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan dan tidak beri kekuatan kepada kita, maka ia tidak akan terjadi.

Oleh itu, tidak salah kalau kita dakwah kepada orang lain tetapi kita buat perkara yang salah. Kerana dakwah itu satu kebaikan, meninggalkan dosa juga satu kebaikan. Jangan kerana kita tidak boleh satu kebaikan (meninggalkan dosa) menyebabkan kita meninggalkan satu kebaikan lain (dakwah atau menegur orang lain). Kadangkala dengan menegur orang lain, memberi kekuatan kepada diri kita untuk meninggalkannya juga.


Saff Ayat 4: Ini adalah tentang perbarisan (saf) dalam jihad. Daripada ayat ini jelas bahawa perkara yang dibincangkan adalah tentang jihad.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh loves those who fight in His cause in a row as though they are a [single] structure joined firmly.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur

Sekarang Allah ﷻ sebut tentang jihad perang pula kerana peperangan ini melibatkan kesanggupan untuk tinggalkan nyawa kita. Apabila berjihad, ada kemungkinan besar yang nyawa kita akan melayang.

Ini mengajar kita yang untuk taat kepada Allah ﷻ, kita kena sanggup untuk berkorban. Dan Allah ﷻ sebut pengorbanan yang terbesar sekali iaitu pengorbanan nyawa. Kerana inilah kemuncak pengorbanan daripada manusia.

Allah ﷻ juga beritahu dengan jelas yang Dia suka mereka yang sebegini. Kalau manusia suka pun kita sudah gembira, apatah lagi kalau Allah ﷻ yang suka. Tentulah berlebih-lebih lagi kita kena kejar.

 

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ثَلَاثٌ يَضْحَكُ اللَّهُ إِلَيْهِمُ: الرَّجُلُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلصَّلَاةِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلْقِتَالِ”.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Ada tiga macam orang yang Allah redha kepada mereka, iaitu seorang yang mengerjakan solat malam hari, dan kaum yang apabila solat mereka membentuk barisan dengan teratur, serta kaum yang apabila dalam medan perang mereka membentuk barisan dengan teratur.

(Riwayat Imam Ahmad)

 

Allah ﷻ suka kepada mereka yang berjihad kerana bukan senang untuk keluar perang. Ramai yang takut dan akan mencari alasan tidak ikut serta atau melarikan diri kerana yang dipertaruhkan adalah nyawa! Maka orang yang keluar jihad perang itu sudah melepasi ujian nafsu dirinya untuk tidak berperang. Nafsunya akan menghalangnya untuk keluar tetapi bila dia sudah keluar, maka dia sudah melepasi ujian itu.

Dan kemudian Allah ﷻ menyebut tentang ‘saf’ ataupun barisan kerana Allah ﷻ suka tentera yang bersusun di dalam barisan.

Sa’id ibnu Jubair mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur. (Ash-Shaff: 4) Bahawa Rasulullah Saw. tidak sekali-kali berperang melawan musuh melainkan terlebih dahulu mengatur barisan pasukannya membentuk saf, dan ini merupakan strategi yang diajarkan oleh Allah Swt. kepada orang-orang mukmin. Dan firman Allah Swt.: seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (Ash-Shaff: 4) Iaitu sebahagian daripadanya menempel dengan sebahagian lainnya dalam saf peperangan.

 

‘Barisan’ ini kita selalu dapat bayangkan saf di dalam solat. Ini mengajar kita bahawa saf di dalam solat itu adalah ‘latihan’ kepada kita untuk barisan dalam perang kerana dalam solat ada imam di hadapan dan para makmum taat dan ikut apa yang dilakukan oleh imam. Imam rukuk dan makmum rukuk, imam sujud maka baru makmum sujud.

Dan begitu juga dalam barisan perang. Para tentera mempunyai panglima (jeneral) di depan dan barisan tentera bawahan kena taat kepada apa yang dilakukan oleh jeneral dan beginilah yang sepatutnya berlaku di dalam pasukan tentera.

Tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak boleh bergerak ke hadapan sebelum diarahkan oleh panglima. Tidak boleh lemparkan panah atau peluru sebelum diarahkan oleh panglima. Maka ia adalah latihan untuk belajar ikut arahan.

Allah ﷻ jadikan ibadat solat itu sebagai latihan kepada kita untuk menjadi umat yang tersusun dalam barisan perang. Ini amatlah penting kerana apabila orang-orang Islam hidup tidak teratur, maka kita pun akan lemah.

Kerana itu kita dilatih disiplin dalam solat di mana tidak boleh mendahului imam dalam solat; kita diajar supaya meluruskan barisan dan merapatkan barisan; kita tidak boleh menegur imam begitu sahaja tetapi ada syarat-syarat yang perlu diikuti; kita senyap dan taat sahaja dalam solat. Bukan tidak boleh tegur, tetapi ada caranya.

Ini semua adalah latihan disiplin sebenarnya. Ini memberi kesan kepada diri kita sendiri dan membawa kepada kehidupan seharian kita. Juga mengajar kita untuk menghormati masa dan mengisi masa dengan perbuatan yang baik. Tentu ada lagi kelebihan dan latihan di dalam solat yang tidak terkira banyaknya.

Kadangkala ia boleh dilihat pada benda yang kecil-kecil seperti parkir kereta sahaja di mana umat kita kadang-kadang tidak parkir kereta kita dengan baik dan tidak beratur di tempat yang sepatutnya kita parkir. Selalunya terjadi semasa Solat Jumaat sampai menyebabkan orang marah dengan kita kerana menghalang jalan.

Kalau dalam perkara kecil seperti parkir kereta, beratur di kedai dan luruskan barisan dalam solat pun tidak boleh jaga, bagaimana hendak berjihad perang?

Allah ﷻ menyebut tentang barisan di dalam ketenteraan kerana jikalau barisan itu pecah maka ia akan menyebabkan bahaya kepada seluruh tentera itu. Ini amat penting kerana pasukan tentera adalah pasukan yang paling berdisiplin di dalam dunia. Kerana itulah ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tentera (Military College) supaya anak itu dapat belajar disiplin.

Disiplin amat penting dalam tentera kerana kalau tidak ada, ia boleh menyebabkan kekalahan seperti mana yang telah berlaku semasa Perang Uhud. Nabi ﷺ telah mengarahkan pasukan pemanah supaya tetap di tempat memanah tetap mereka tidak disiplin dan meninggalkan tempat itu. Ini telah disebut dengan panjang lebar dalam Surah Ali Imran dari ayat 121 hingga 171.

Akan tetapi di dalam ayat ini Allah ﷻ bukan bercakap kepada pasukan tentera sahaja tetapi kepada keseluruhan umat Islam. Allah ﷻ mengajar kita sebagai seorang Muslim kena ada disiplin seperti tentera. Bagaimana kita hendak menegakkan agama Allah ﷻ ini di atas muka bumi jikalau kita tidak ada disiplin?

Maka walaupun perang tidak ada, kita tetap kena menjaga disiplin dalam kehidupan kita. Semoga ayat ini memberi semangat kepada kita untuk taat kepada pemerintah dan menjaga disiplin dalam kehidupan kita. Bukanlah hanya dalam bentuk ibadat sahaja.

Sebagai contoh, jaga disiplin di tempat kerja kita. Di tempat kerja kita, kita diajar untuk menghormati masa. Ada masa masuk dan ada masa yang boleh keluar. Begitulah juga dalam ibadat kita kerana di dalam ibadat Islam itu ada yang terikat dengan masa seperti waktu solat dan juga puasa; itu semua sebenarnya mengajar kita untuk menghormati masa. Maka menjaga masa ini boleh diikuti oleh mereka yang mempunyai disiplin ini adalah sebahagian daripada iman.

Kita sebagai umat Islam kenalah menjaga disiplin kita dan menjadi contoh kepada umat yang lain. Jangan kita pula yang menjadi orang yang tiada disiplin sampaikan kita dipandang rendah oleh orang lain. Amat memalukan kalau orang dari Barat atau dari Jepun yang terkenal dengan penjagaan waktu itu lebih hebat daripada kita. Sedangkan kita kata Islam ini agama yang hebat; maka takkan kita tidak menjadi hebat kalau kita mengaku sebagai seorang Muslim?

 

كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ

seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Kalimah مَّرصوصٌ berasal daripada kata dasar ر ص ص yang bermaksud ‘simen’ atau tersusun bersama. Kita dapat bayangkan dinding simen yang kukuh seperti gigi yang tersusun cantik. Kalau kita lihat kepada dinding simen itu kita boleh lihat semua batu-bata pada simen itu ada tempatnya dan tidak boleh dipindah-pindah atau letak semberono sahaja. Kalau tidak disusun dengan kemas, maka dinding itu akan menjadi lemah.

Sebaliknya jikalau batu-batu itu disusun sahaja tetapi tidak ada simen sebagai pelekat batu bata itu di antaranya maka adakah dinding itu kuat? Tentu tidak sama sekali. Angin tiup pun boleh jatuh.

Kita pun tahu yang susunan bata tanpa simen, tidak kuat. Maka simen yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘wahyu Allah ﷻ’ atau dalam ayat lain ditafsirkan sebagai ‘tali Allah ﷻ’. Kita semua kena berpegang dengan tali Allah ﷻ, barulah penyatuan kita ini adalah penyatuan yang benar kerana kalau kita bersatu pun, tetapi tidak dipandu oleh wahyu, maka penyatuan itu akan menuju ke arah kehancuran.

Sepertimana batu-bata bangunan itu ada tempatnya masing-masing, maka setiap orang Islam ada tugas yang perlu dilakukan dalam menegakkan agama Islam dan menjalankan dakwah. Tujuan kita adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ dan kerana itu kena ada persatuan atau pergerakan. Bukanlah dalam persatuan itu kerana hanya keinginan untuk naik pangkat sahaja.

Ini mengajar kita yang pergerakan dakwah juga tidak boleh bersendirian. Kita memang tidak akan mampu untuk membuat kerja agama ini berseorangan. Kita memerlukan pertolongan, nasihat dan suntikan semangat daripada orang lain juga.

Usaha yang dilakukan bersama-sama dengan orang lain itu dapat mendekatkan diri kita kepada sesama Muslim. Ini sebagaimana jika ada orang yang dapat musibah seperti tenggelam dalam kapal dan mereka berjaya untuk melepasi musibah itu, maka mereka akan menjadi kawan selama-lamanya. Ini kerana mereka telah melalui perkara yang besar bersama.

Begitu jugalah kita dapat lihat bagaimana ahli di dalam satu-satu pasukan tentera itu memang begitu rapat di antara satu sama lain kerana mereka telah susah dan payah bersama di medan latihan dan medan peperangan. Mereka akan sanggup berkorban apa sahaja untuk rakannya itu.

Ringkasnya, Allah ﷻ suka mujahid yang mempunyai sifat-sifat berikut:

1. Mereka berperang kerana Allah ﷻ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain.

2. Tentera itu berdisiplin. Tidak kelam kabut dan berpecah belah.

3. Kuat dan teguh seperti simen. Barulah tidak dapat ditembusi oleh musuh.

 

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 12 – 13 (Bai’ah dengan wanita)

Mumtahanah Ayat 12: Ayat ini adalah ayat penghormatan kepada golongan wanita kerana di dalam ayat ini disebut bai’ah dengan wanita. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ telah banyak mengadakan bai’ah dengan manusia, tetapi tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Namun apabila baginda ﷺ mengadakan bai’ah dengan wanita maka kandungan bai’ah itu disebut satu persatu seperti ada di dalam ayat ini dan tidak ada disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Maka ini menunjukkan kehebatan bai’ah yang baginda adakan dengan para wanita itu.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ عَلىٰ أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا وَلا يَسرِقنَ وَلا يَزنينَ وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ ۙ فَبايِعهُنَّ وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, when the believing women come to you pledging to you that they will not associate anything with Allāh, nor will they steal, nor will they commit unlawful sexual intercourse, nor will they kill their children, nor will they bring forth a slander they have invented between their arms and legs,¹ nor will they disobey you in what is right – then accept their pledge and ask forgiveness for them of Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This is an allusion to pregnancy and childbirth, i.e., to falsely attribute a child (whether adopted or born of adultery) to a woman’s husband.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, kerana bagindalah yang mengadakan bai’ah dengan para wanita itu. Atau sesiapa yang baginda wakilkan untuk melakukan bai’ah itu. Kerana ada yang baginda wakilkan kepada para sahabat yang besar.

Ia juga ditujukan kepada khalifah Islam selepas baginda kerana khalifah juga boleh melakukan bai’ah dengan rakyat juga.

 

إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ

apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia denganmu,

Dalam ayat 10 sebelum ini, ia tentang ujian yang perlu dilakukan kepada wanita yang baru datang berhijrah ke Madinah. Selepas mereka diuji, maka barulah mereka dibai’ah. Akan tetapi bai’ah ini tidaklah hanya kepada mereka sahaja. Banyak kali bai’ah telah dilakukan pada zaman Nabi ﷺ.

Bai’ah adalah janji untuk taat setia. Bai’ah ini salah satu kepentingannya adalah untuk memberikan perasaan ‘kekitaan’ kepada satu-satu kumpulan dan menunjukkan kesetiaan kepada kumpulan itu. Selepas melakukan bai’ah itu, akan menyebabkan rasa rapat dan masuk ke dalam satu-satu kumpulan atau negara.

Oleh kerana itu kita ada dengar bagaimana ada orang yang bersumpah ikrar untuk tinggal di sesuatu negara yang mereka masuk itu dan apabila mereka selesai majlis ikrar taat setia itu, ada yang menangis kerana mereka terharu. Ini kerana mereka telah dimasukkan dan diiktiraf di negara itu.

Itu baru masuk menjadi warganegara satu negara, dan bagaimana pula kalau bai’ah itu adalah untuk berpegang kepada agama Islam ini? Maka tentulah ia lebih memberi kesan kepada hati manusia. Kerana mereka bukan sahaja meninggalkan negara lama dan masuk negara baru, tetapi mereka telah masuk ke dalam kehidupan yang baru.

Maka mereka yang berbai’ah kepada Rasulullah ﷺ itu telah berjanji setia untuk masuk ke dalam agama Islam dan berjanji untuk taat kepada ajaran Islam. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sekumpulan wanita yang telah masuk Islam dan telah berhijrah ke Madinah. Mereka telah dibai’ah oleh Rasulullah ﷺ. Apakah kandungan bai’ah mereka?

Selepas Pembukaan Mekah, Rasulullah ﷺ telah mengadakan bai’ah dengan para mukmineen yang masuk Islam di Bukit Safa. Baginda ﷺ telah mengarahkan Saidina Umar رضي الله عنه untuk menerima bai’ah daripada golongan mukminaat pula. Setelah itu, apabila pulang ke Madinah, baginda ﷺ mengarahkan bai’ah daripada para wanita dilakukan dan dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه juga.

Pernah baginda membacakan ayat ini dan mengadakan sendiri bai’ah dengan para wanita yang lain. Selain itu ada waktu-waktu lain juga para wanita datang kepada baginda ﷺ dan bai’ah daripada mereka dilakukan. Maka dalam semua keadaan itu, perkara yang dibai’ah adalah seperti yang di dalam ayat ini.

Apakah kandungan bai’ah mereka itu? Ada 6 perkara semua sekali.

 

أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا

bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah dengan apa pun, 

Yang paling penting sekali adalah berjanji untuk tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ, dengan apa juga pun. Bukan dengan ilah yang lain, dengan benda, dengan sistem apa-apa pun. Itulah maksudnya شَيئًا iaitu apa-apa sahaja.

Ini kerana manusia dan jin melakukan syirik dengan berbagai-bagai cara dan semua cara itu telah dimasukkan di dalam kalimah شَيئًا ini. Tidak kira bagaimana caranya, semua itu tidak boleh dilakukan. Maka kena belajar jenis-jenis syirik ini kerana takut ada perbuatan syirik yang kita tidak sangka yang ia adalah syirik.

Oleh kerana itu disebut tentang syirik. Sedangkan tentu sudah disebut iman di tempat yang lain, bukan? Kerana iman tanpa meninggalkan syirik adalah sia-sia. Ramai yang tahu tentang apa yang perlu diimani, tetapi ramai yang culas tentang syirik. Ini kerana ia tidak banyak ditekankan dalam pengajian dalam kalangan masyarakat kita.

 

وَلا يَسرِقنَ

dan tidak akan mencuri, 

Bai’ah kedua para wanita itu adalah tidak mencuri. Ini adalah tentang penjagaan harta manusia. Islam amat menjaga hak harta manusia. Oleh kerana itulah ada hukum Hudud berkenaan pencurian dan rompakan.

Berkenaan bai’ah inilah Hindun, isteri Abu Sufyan bertanya kepada baginda ﷺ sama ada dia boleh mengambil wang Abu Sufyan tanpa pengetahuannya itu.

 

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah ﷺ seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah رضي الله عنها. Satu hari Hindun Binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah ﷺ  untuk mengadu perihal suaminya. Kata beliau :

إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ ، لاَ يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ

” Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?. Sabda Rasulullah ﷺ: Ambillah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim(4574)

وَلا يَزنينَ

dan tidak akan berzina, 

Ini adalah janji untuk tidak berzina iaitu menjaga maruah dan nasab keturunan kerana kalau zina dibiarkan berleluasa, maka maruah akan hancur dan keturunan akan rosak kerana sudah tidak tahu bayi itu anak lelaki yang mana.

Maka kalau itu terjadi, institusi kekeluargaan akan hancur. Kita pun tahu bahawa kalau anak tidak ada penjagaan daripada ibu dan bapanya, mereka mungkin ada masalah. Tidaklah semua, namun ramai juga yang begitu.

Ditekankan bai’ah ini kepada wanita kerana kalau mereka dapat menjaga benar perkara ini, maka ia dapat mengurangkan zina dalam kalangan masyarakat. Kalau wanita menjaga perkara ini, lebih mudah bagi lelaki untuk menjaga perkara ini juga. Ini kerana zina ini senang terjadi kalau wanita tidak menjaganya.

 

وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ

tidak akan membunuh anak-anaknya, 

Ini adalah janji tidak akan membunuh anak yang lahir, sama ada anak itu lelaki atau wanita. Ini penting kerana pada zaman itu, ada yang membunuh anak perempuan kerana mereka malu jika mendapat anak perempuan. Maka ini adalah janji yang penting. Bukanlah semua orang Arab melakukannya, tetapi ada yang buat. Sebagai contoh, Bani Quraish tidak melakukannya (maka kisah yang mengatakan Saidina Umar رضي الله عنه membunuh anak perempuannya tidaklah benar).

Bukan zaman itu sahaja manusia tidak suka kepada anak perempuan. Malah pada zaman sekarang pun ada yang tidak suka. Kerana itu ada yang kalau tahu dapat anak perempuan, mereka akan gugurkan; atau kalau mereka dapat anak perempuan, muka mereka akan sedih kerana mereka kena menjaga anak perempuan itu sampai besar dan akhirnya setelah berkahwin dengan lelaki lain, dia akan meninggalkan keluarga. Sudahlah semasa kecil tidak dapat membantu, selepas dewasa pun tidak membantu kerana pergi ikut suaminya.

Perihal pembunuhan anak perempuan dan juga ketidaksukaan kalau dapat anak perempuan disentuh dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

Pembunuhan anak ini termasuk juga pengguguran anak. Ada wanita yang menggugurkan anak sama ada anak itu anak halal ataupun anak zina. Berbagai sebab kenapa mereka melakukan perkara itu, tetapi hukumnya adalah haram. Kecuali kalau kerana sebab-sebab tertentu dan ini terdapat dalam perbincangan ulama’ fiqh.

 

وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ

tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka 

Mereka berjanji untuk tidak memulakan skandal atau gosip walau di mana sahaja mereka berada. ‘Buhtan’ boleh bermaksud kata-kata dusta atau fitnah atau sumpah palsu.

Ini disebut di dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana perkara ini boleh menyebabkan sakit hati ataupun rendah hati pada pada mana-mana manusia yang akan menyebabkan mereka malu dengan semua orang. Bukan sahaja malu malah boleh menyebabkan perkelahian dan pertengkaran yang boleh sampai menyebabkan peperangan.

Ulama’ mengatakan ada dua maksud بِبُهتٰنٍ dalam ayat ini:

1. Mengatakan seorang wanita telah berzina dan menyebarkan berita palsu ini. Tidak dapat dinafikan, kaum wanita memang suka gossip begini dan kerana itu mereka diingatkan dengan perkara ini.

2. Seorang wanita telah berzina dengan lelaki selain daripada suaminya sehingga melahirkan anak haram. Namun dia mengatakan yang anak yang lahir itu adalah anak suaminya. Ini adalah penipuan yang amat besar.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah mereka menisbatkan anak-anak mereka kepada selain ayah-ayah mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Muqatil. Pendapat ini diperkuat dengan adanya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Walaupun statusnya telah didhaifkan oleh Al-Albani disebutkan bahawa:

[عن أبي هريرة:]

أيُّما امرأةِ أدْخَلَتْ على قومٍ مَن ليس منهم، فليست مِنَ اللهِ في شيءٍ، ولن يُدْخِلَها اللهُ جَنَّتَه، وأيُّما رَجُلٍ جَحَد ولدَه وهو يَنْظُرُ إليه احتَجَب اللهُ منه، وفَضَحَه على رؤوسِ الأولينَ والآخِرينَ.

الألباني (ت ١٤٢٠)، السلسلة الضعيفة ١٤٢٧ • ضعيف

“Sesiapa sahaja wanita yang masuk ke dalam kaum yang bukan dari kalangan mereka, maka dia bukan daripada Allah dalam sesuatu pun, dan Allah tidak akan memasukkannya ke dalam Syurga-Nya, dan sesiapa yang mendustakan anaknya sedang dia memandang kepadanya, Allah akan menutupinya. daripadanya, dan mendedahkannya di hadapan ketua-ketua yang terdahulu dan yang terakhir.

(Status lemah oleh Al-Albani (w. 1420), Al-Silsilah Al-Da’eefah 1427)

 

Kenapa ada sebut ‘antara kaki dan tangan’ mereka? Allah ﷻ mengingatkan tentang ‘saksi’ di akhirat kelak. Allah ﷻ mengingatkan bahawa kita ini ada saksi yang akan ulang semula kata-kata kita nanti. Iaitu kaki dan tangan kita akan menjadi saksi di akhirat kelak.

 

 

وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ

dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik,

Mereka juga berjanji akan taat kepada Rasulullah ﷺ dan tidak akan menderhakai baginda di dalam arahan baginda. Sebelum ini telah disebut perkara-perkara yang ‘jangan’ dilakukan iaitu perkara-perkara yang selalu dilakukan oleh wanita pada zaman itu. Sekarang disebut perkara yang ‘perlu’ dilakukan pula.

Disebut 4 perkara yang tidak boleh dilakukan dan sekarang bila suruhan melakukan sesuatu, hanya sebut satu sahaja: ikut arahan Nabi ﷺ sahaja. Allah ﷻ tidak sebut mengikut Al-Qur’an atau taat kepada Allah ﷻ dalam ayat ini, tetapi Allah ﷻ suruh taat kepada Nabi ﷺ sahaja.

Ini mengajar kita untuk mengenal kedudukan Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ telah diberikan dengan tugas untuk membentuk masyarakat Islam dan baginda ﷺ telah diberikan kuasa yang luas. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah untuk kebaikan dan manusia kena taat kepada baginda. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah agama.

Memanglah kena taat kepada Allah ﷻ, tetapi ketaatan kepada Allah ﷻ itu ditunjukkan dengan taat kepada Nabi ﷺ kerana baginda yang bawa amanah daripada Allah ﷻ. Lalu bagaimana pula ada golongan yang terlalu bodoh sampaikan boleh terima ajaran Anti-Hadith? Mereka rasa mereka boleh mengambil arahan daripada Al-Qur’an sahaja dan menolak hadith Nabi ﷺ? Bagaimana boleh sampai begitu? Kenapakah jahil sangat?

Maka ini mengajar kita yang Hadith dan Sunnah juga adalah sumber hukum kita. Jangan hanya dilihat apa yang ada dalam Al-Qur’an sahaja. Kerana kata-kata Nabi (hadith) itu adalah wahyu juga. Jangan salah faham, jangan tidak tahu pula. Jangan pula kata: “Aku tak mahu ikut kerana arahan ini tidak ada pun dalam Al-Qur’an!”. Ini adalah kata-kata orang yang sangat jahil dalam agama.

‘Perkara makruf’ adalah perkara yang telah diketahui perkara yang baik di dalam sesuatu masyarakat itu seperti yang telah tertulis di dalam undang-undang agama Islam. Perkara itu juga diketahui sebagai baik dalam masyarakat yang bukan Islam pun, maka ia adalah perkara yang semua orang sudah tahu ia adalah ‘baik’. Sampaikan tidak perlu ajar pun orang sudah tahu.

Oleh kerana itu kita sebut di dalam agama, disuruh untuk melakukan ‘amar makruf’ iaitu mengajak manusia untuk melakukan perkara baik yang mereka pun telah tahu ia adalah baik. Manusia juga tahu ia baik kerana fitrah diri kita memang sudah kenal mana yang baik dan mana yang buruk. Kerana itu orang yang pertama kali mencuri atau berbohong, mereka akan ketakutan (berpeluh dan berdegup jantung mereka) kerana itu berlawanan dengan fitrah kejadian mereka.

Lihat kalimah yang digunakan dalam ayat ini: “dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik“. Maknanya, taat kepada baginda pun ada syarat juga: kena dalam urusan yang baik. Kalau Nabi ﷺ suruh buat benda salah pun tidak boleh taat.

Memanglah Nabi ﷺ tidak akan suruh buat benda yang salah, tetapi Allah ﷻ hendak beritahu: kalau mahu mengikut Rasul pun kena dilihat sama ada benda itu baik atau tidak, apatah lagi kalau ikut arahan manusia? Kerana ada yang salah faham dengan mengatakan kena taat kepada Raja/Pemerintah sepertimana taat kepada Rasul kerana Nabi ﷺ adalah pemerintah pada zaman baginda.

Ini adalah salah kerana dalam taat, hanya boleh dalam perkara yang makruf baik sahaja. Tidak boleh hanya ikut membuta tuli sahaja. Ini kerana kalau taat dalam perkara maksiat, tetap berdosa. Yang suruh akan berdosa dan yang ikut arahan itu juga akan berdosa.

Oleh kerana baginda ﷺ itu menjadi sumber hukum juga, maka ada bai’ah yang baginda ﷺ juga tambah daripada selain yang ada dalam ayat ini:

عن أميمة بنت رقيقة بايعْتُ رسولَ اللهِ ﷺ في نِسوةٍ، فلقَّنَنا: فيما استطعْتُنَّ وأطَقتُنَّ. قلتُ: اللهُ ورسولُه أرحَمُ بنا من أنفُسِنا. قلتُ: يا رسولَ اللهِ، بايِعْنا. قال: إنِّي لا أُصافِحُ النِّساءَ، إنّما قَوْلي لامرأةٍ، قولي لمِئةِ امرأةٍ.
Umaima binti Raqiqa, aku berbaiat kepada Rasulullah ﷺ dengan wanita, maka kami diajarkan: Semampu dan mampu. Aku berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengasihani kita daripada diri kita sendiri. Aku berkata: Wahai Rasulullah, berbai’atlah kepada kami. Baginda berkata: Aku tidak berjabat tangan dengan wanita, tetapi apa yang aku katakan kepada seorang wanita adalah apa yang aku katakan kepada seratus wanita.
(HR. Ahmad No. 27006, sanadnya sahih menurut Syeikh al-Arnauth)

Selain itu, ada yang baginda ﷺ tambah lagi:

 

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ : حَدَّثَنَا بِشْرٌ حَدَّثَنَا يَزِيدُ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةُ فِي هَذِهِ الْآيَةِ ذُكِرَ لَنَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ عَلَيْهِنَّ النِّيَاحَةَ وَلَا تُحَدِّثْنَ الرِّجَالَ إِلَّا رَجُلًا مِنْكُنَّ مُحَرَّمًا، فقال عبد الرّحمن بن عوف: يا رسول اللَّهِ إِنَّ لَنَا أَضْيَافًا وَإِنَّا نَغِيبُ عَنْ نِسَائِنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيْسَ أُولَئِكَ عَنَيْتُ، لَيْسَ أُولَئِكَ عَنَيْتُ»

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr, telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa’id, daripada Qatadah sehubungan dengan ayat ini, bahawa pernah diceritakan kepada kami bahawa Nabi ﷺ telah menyumpah mereka untuk tidak melakukan niyahah dan janganlah mereka berbicara dengan kaum lelaki kecuali lelaki yang mahramnya. Maka Abdur Rahman ibnu Auf رضي الله عنه bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami sering mempunyai tamu-tamu, sedangkan kami sering meninggalkan isteri-isteri kami.” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Bukan mereka yang aku maksudkan, bukan mereka yang aku maksudkan.

(HR. at-Thabari dalam Tafsirnya 28/28-29)

Menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir 13/533,Islamkotob, sanadnya munqathi’.

 

 

فَبايِعهُنَّ

maka terimalah janji setia mereka 

Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ terimalah bai’ah mereka itu kerana bai’ah mereka itu ikhlas.

Kena ingat yang bai’ah itu tanpa ada pegangan tangan antara mereka dan Rasulullah ﷺ kerana itu adalah aurat. Maksudnya ini adalah teguran kepada sesiapa yang ada pula bai’ah bersalam antara guru lelaki dan anak murid perempuan seperti yang ada dilakukan oleh pertubuhan silat.

 

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعْدٍ حَدَّثَنَا ابْنُ أَخِي ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عَمِّهِ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَمْتَحِنُ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِ مِنْ الْمُؤْمِنَاتِ بِهَذِهِ الْآيَةِ بِقَوْلِ اللَّهِ { يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ إِلَى قَوْلِهِ غَفُورٌ رَحِيمٌ } قَالَ عُرْوَةُ قَالَتْ عَائِشَةُ فَمَنْ أَقَرَّ بِهَذَا الشَّرْطِ مِنْ الْمُؤْمِنَاتِ قَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ بَايَعْتُكِ كَلَامًا وَلَا وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ مَا يُبَايِعُهُنَّ إِلَّا بِقَوْلِهِ قَدْ بَايَعْتُكِ عَلَى ذَلِكِ تَابَعَهُ يُونُسُ وَمَعْمَرٌ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِسْحَاقَ عَنْ الزُّهْرِيِّ وَقَالَ إِسْحَاقُ بْنُ رَاشِدٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُرْوَةَ وَعَمْرَةَ

Telah menceritakan kepada kami Ishaq Telah menceritakan kepada kami Ya’qub bin Ibrahim bin Sa’dari Telah menceritakan kepada kami Anak saudaraku Ibnu Syihab dari pamannya Telah mengabarkan kepadaku Urwah bahwanya Aisyah radliallahu ‘anha Telah mengabarkan kepadanya, bahwasanya; Rasulullah ﷺ menguji kaum wanita yang berhijrah kepadanya dengan ayat ini: “Wahai sang Nabi, apabila wanita-wanita mukminat datang kepadaku hendak berbai’at -hingga firman-Nya- (Allah) Maha Pengampun dan juga Penyayang.” (Mumtahanah: 12). Urwah berkata; Aisyah berkata; Wanita-wanita mukminat yang mengikrarkan syarat ini, maka Rasulullah ﷺ bersabda padanya: “Sesungguhnya aku telah membai’atmu.” Yakni baginda membai’atnya hanya sebatas ungkapan. Dan demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun dalam berbai’at. Baginda tidak pernah membaiat mereka kecuali dengan ungkapan: “Sungguh, aku telah membai’atmu atas perkataan itu.”

(Hadith Bukhari No 4512)

Hadith ini dikuatkan oleh Yunus, Ma’mar dan Abdurrahman bin Ishaq daripada Az Zuhri. Dan Ishaq bin Rasyid berkata; daripada Az Zuhri daripada Urwah dan ‘Amrah.

 

وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ

dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. 

Selepas majlis bai’ah itu, Rasulullah ﷺ disuruh untuk minta ampun bagi pihak mereka.

 

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka Allah ﷻ akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu. Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa hamba-Nya yang minta ampun kerana Dia Maha Penyayang.


Mumtahanah Ayat 13: Kita sampai ke ayat terakhir surah ini. Diulang kembali perkara awal yang disebut di awal surah ini iaitu tidak berteman rapat dengan orang kafir.

Ayat 13 ini dikira sebagai Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Ia mengandungi perintah setia kepada Negara Islam dan putuskan hubungan dengan puak kafiroon.

Orang-orang kafir (yang menentang Islam) dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ. Maka jangan jadikan mereka rakan kerjasama, kerana mereka telah memusuhi agama Islam.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not make allies of a people with whom Allāh has become angry. They have despaired of [reward in] the Hereafter just as the disbelievers have despaired of [meeting] the companions [i.e., inhabitants] of the graves.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau tadi ayat ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, sekarang ayat ditujukan kepada orang-orang beriman pula. Kita yang menganggap diri kita beriman kenalah ambil peringatan daripada ayat ini.

 

لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم

janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. 

Allah ﷻ memberitahu kepada orang-orang beriman supaya jangan berkawan rapat dengan orang-orang yang telah dibenci oleh Allah ﷻ.

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, serta orang-orang kafir lainnya yang dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ serta yang berhak diusir dan dijauhkan dari rahmat-Nya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang munafik yang telah dikenalpasti siapakah mereka daripada sikap-sikap mereka.

 

قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ

Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat 

Mereka yang dimurkai oleh Allah ﷻ itu tidak ada harapan lagi di akhirat kelak. Mereka tidak akan mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ sampai bila-bila.

 

كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

Orang yang berputus asa itu adalah seperti orang yang telah berputus asa untuk bertemu dengan ahli keluarga mereka yang telah mati dan telah masuk ke dalam kubur. Memang kalau sudah mati salah seorang daripada ahli keluarga, tidak akan dapat jumpa sampai bila-bila.

Dikatakan demikian kerana mereka tidak menyakini adanya hari berbangkit dan tidak pula dengan hari perhimpunan semua makhluk; harapan mereka telah putus untuk dapat bersua kembali dengan kerabat mereka yang telah tiada, menurut keyakinan mereka.

Namun kita kena sedar yang orang Islam, masih lagi dapat jumpa ahli keluarganya di dalam syurga. Kalau ahli keluarga sama-sama dapat masuk ke dalam syurga, maka boleh duduk sekali dalam syurga. Ini adalah nikmat yang tidak ada pada orang kafir.

Juga bermaksud orang-orang kafir itu akan berputus asa apabila mereka telah masuk ke dalam kubur nanti kerana mereka akan tahu nasib mereka. Barulah mereka tahu yang perkara yang mereka tolak dulu semasa di dunia adalah benar belaka.

Mereka akan nampak alam kubur, mereka akan berjumpa dengan malaikat Munkar dan Nakir dan mereka akan dikenakan dengan azab kubur. Mereka akan menyesal sungguh-sungguh. Akan tetapi penyesalan waktu itu sudah terlambat kerana tidak akan ada peluang untuk patah balik ke dunia dan baiki segala kesalahan yang telah dilakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Saff.

Tarikh: 28 Oktober 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 10 – 11 (Periksa iman wanita yang hijrah ke Madinah)

Mumtahanah Ayat 10: Ayat 10 – 12 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi undang-undang kewarganegaraan. Kiranya undang-undang Imigresen Negara Islam juga.

Di dalam perenggan ini juga ada disebut hukum pertukaran Mahr.  Latar belakang: Peringkat awal Islam dahulu, terdapat suami-isteri yang terpisah kerana ada pasangan yang ikut Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah sedangkan ada pasangan mereka yang enggan masuk Islam dan kekal kafir.

Surah ini diturunkan selepas Perjanjian Hudaybiyah dan di dalam perjanjian itu ada yang mengatakan jikalau ada orang masuk Islam dan lari dari Mekah ke Madinah, orang itu mesti dikembalikan semula ke Mekah.

Ada seorang wanita yang telah beriman lalu lari dari Mekah ke Madinah. Kalau mengikut perjanjian itu, dia perlu dikembalikan tetapi Rasulullah ﷺ memberitahu yang perjanjian itu berkenaan dengan ‘orang-orang lelaki’ sahaja dan bukan orang perempuan. Ini adalah kerana kalau dikembalikan orang perempuan itu ke Mekah, maka tidak tahu apa yang akan dilakukan kepada mereka.

Akan tetapi ada masalah baru yang perlu dipastikan sama ada wanita-wanita itu memang orang-orang Mukminah ataupun tidak kerana ditakuti mereka itu mata-mata, ataupun dihantar untuk merosakkan moral orang Islam dari dalam. Pemeriksaan perlu dilakukan dan daripada inilah dapat nama surah ini.

Melakukan pemeriksaan ini tidaklah salah kerana sama sahaja seperti yang dilakukan Imigresen di mana-mana negara, di mana orang yang jaga imigresen itu akan tanya apakah tujuan kedatangan orang itu ke negara mereka. Ini kerana hendak memastikan supaya jangan ada niat yang tidak baik.

Maka ayat ini adalah tentang penjagaan Wilayah Islam dan ini adalah satu perkara yang hebat kerana Islam sudah lama ada perkara ini yang sekarang kita boleh lihat diamalkan di semua negara berdaulat. Agama Islam memang agama yang praktikal dan ajaran di dalamnya patut dan bersesuai diamalkan sepanjang zaman.

Ayat ini juga mengajar kita yang apabila salah seorang suami atau isteri sudah mahu masuk Islam, maka dia tidak boleh menunggu pasangannya itu sama-sama ada keinginan dengan dia untuk masuk Islam juga. Ini adalah kerana jika dia terus menunggu, ada kemungkinan dia akan mati dalam kufur.

Oleh itu, jika ada isteri sudah mahu kepada Islam maka dia kena tinggalkan suaminya itu; dan kalau suami mahu masuk Islam dan isterinya tidak mahu masuk Islam sekali dengannya, maka dia kena tinggalkan isterinya itu. Jangan jadikan kasih sayang sesama manusia sebagai penyebab masuk neraka pula.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا جاءَكُمُ المُؤمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامتَحِنوهُنَّ ۖ اللهُ أَعلَمُ بِإيمٰنِهِنَّ ۖ فَإِن عَلِمتُموهُنَّ مُؤمِنٰتٍ فَلا تَرجِعوهُنَّ إِلَى الكُفّارِ ۖ لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ ۖ وَءآتوهُم مّا أَنفَقوا ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم أَن تَنكِحوهُنَّ إِذا ءآتَيتُموهُنَّ أُجورَهُنَّ ۚ وَلا تُمسِكوا بِعِصَمِ الكَوافِرِ وَاسئلوا ما أَنفَقتُم وَليَسئلوا ما أَنفَقوا ۚ ذٰلِكُم حُكمُ اللهِ ۖ يَحكُمُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when the believing women come to you as emigrants, examine [i.e., test] them. Allāh is most knowing as to their faith. And if you know them to be believers, then do not return them to the disbelievers; they are not lawful [wives] for them, nor are they lawful [husbands] for them. But give them [i.e., the disbelievers] what they have spent.¹ And there is no blame upon you if you marry them when you have given them their due compensation [i.e., mahr]. And hold not to marriage bonds with disbelieving women, but ask for what you have spent and let them [i.e., the disbelievers] ask for what they have spent.² That is the judgement of Allāh; He judges between you. And Allāh is Knowing and Wise.

  • For marriage, i.e., compensate their loss.
  • When a disbelieving wife chose to join the disbelievers, a Muslim husband could demand in return the equivalent of her mahr. Likewise, the disbelievers had a similar right when a believing woman joined the Muslims. This and the following verses were revealed subsequent to the Treaty of al-Ḥudaybiyyah.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka. Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka, mahar yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atasmu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir; dan hendaklah kamu minta mahar yang telah kamu bayar; dan hendaklah mereka meminta mahar yang telah mereka bayar. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkan-Nya di antara kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Allah ﷻ mengajar orang Islam bagaimana untuk menjaga Negara Islam daripada dirosakkan. Antaranya adalah dengan menjaga siapakah yang masuk ke dalam negara.

Dan Allah ﷻ sekarang mengajar apa terjadi kalau satu pasangan masuk Islam sebaliknya pasangannya tidak pula mahu menyertai.

 

 

إِذا جاءَكُمُ المُؤمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامتَحِنوهُنَّ

apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka.

Oleh kerana kita tidak tahu sama ada mereka itu orang beriman atau pun tidak, maka kenalah negara Islam cuba pastikan apakah niat mereka. Ini dapat dilakukan dengan bertanya kepada mereka dengan berikan soalan-soalan yang agak sukar untuk memastikan yang mereka benar-benar seorang yang beriman dan tahu tentang Islam.

Seperti yang telah disebut, selepas Perjanjian Hudaybiyah ditandatangani, salah satu terma di dalamnya, kalau ada penduduk Mekah yang masuk Islam dan lari ke Madinah, maka mereka mesti dikembalikan ke Mekah. Dan memang ada yang telah dikembalikan. Sebagai contoh, seorang sahabat bernama Abu Jandal رضي الله عنه telah diseksa di Mekah dan beliau dapat melarikan diri ke Madinah. Namun disebabkan oleh perjanjian ini, maka Rasulullah ﷺ telah mengarahkan beliau dikembalikan ke Mekah. Rasulullah ﷺ mungkin sudah nampak bahawa kejayaan menakluk Mekah tidak lama lagi.

Akan tetapi, seorang wanita bernama Umm Kulthum Uqbah bin Abi Mu’ait رضي الله عنها telah masuk Islam dan berhijrah ke Madinah. Dua abangnya (yang musyrik) sudah datang ke Madinah untuk menuntut adik mereka. Waktu itu timbul persoalan: adakah Umm Kulthum Uqbah bin Abi Mu’ait رضي الله عنها perlu dikembalikan ke Mekah? Teks literal Perjanjian Hudaybiyah itu tidak dapat dipastikan maka susah untuk kita pastikan apakah perkataan yang tepat.

Ayat ini memberitahu bahawa Umm Kulthum رضي الله عنها atau mana-mana wanita dari Mekah tidak dikembalikan kerana terma itu berkenaan ‘lelaki’ Mekah sahaja dan tidaklah termasuk wanita dari Mekah. Maka terdapat hujah dari sudut teknikal teks kerana perjanjian itu secara spesifik sebut ‘orang lelaki’.

Maka jangan kita sangka yang Allah ﷻ tukar pendapat pula selepas Perjanjian itu ditandatangani; atau Rasulullah ﷺ ubah pendapat pula. Ini kerana kalau begitu, tentulah tidak adil. Dan kalau betullah baginda ﷺ mengubah pendapat setelah perjanjian ditandatangan, tentulah Musyrikin Mekah akan menggunakan hujah ini untuk memburukkan Islam (tentu mereka berkata: “Tengoklah bagaimana Muhammad senang sahaja nak tukar perjanjian”).

Namun kita tidak bertemu riwayat yang mengatakan Musyrikin Mekah menggunakan hujah ini untuk mengutuk Nabi Muhammad ﷺ atau umat Islam. Maka hujah baginda adalah tepat sampaikan mereka tidak dapat berhujah balik dengan baginda.

Mungkin mereka pun sangka bahawa terma kena kembalikan penduduk Mekah yang hijrah ke Madinah itu dalam bentuk umum, sama ada lelaki atau wanita. Kerana itulah abang Umm Kulthum datang ke Madinah untuk menuntut adik mereka. Namun baginda ﷺ mengatakan yang perjanjian ini berkenaan lelaki sahaja (kerana kalimah yang digunakan adalah ‘rajul’ – lelaki dewasa).

Apabila baginda ﷺ berhujah begitu, mereka pun terbungkam kerana begitulah perjanjian itu. Mereka tidak ada hujah balas dan mereka terpaksa terima. Kes yang sama juga telah berlaku kepada Sayyidah Sa’dah binti al-Harith al-Aslamiyah رضي الله عنها.

Akan tetapi, bukan semua wanita mendapat perlindungan ini. Mereka mestilah hendak beriman kepada Allah ﷻ dan Rasul, dan bukan kerana sebab yang lain. Entah dia ada masalah di Mekah dan lari ke Madinah, lari daripada suaminya, atau kerana hendakkan lelaki yang telah berhijrah ke Madinah, atau atas sebab-sebab lain. Maka mereka itu perlu diuji dan diselidiki apakah niat mereka.

 

 

اللهُ أَعلَمُ بِإيمٰنِهِنَّ

Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; 

Kita cuma boleh cuba periksa dan tanya sahaja, tetapi yang tahu apa yang di dalam hati mereka adalah Allah ﷻ sahaja. Mungkin mereka pandai menipu, atau memang mereka benar beriman tetapi tidak tahu hendak menjawab soalan lagi kerana belum banyak maklumat mereka tahu.

Maka kita cuma boleh berusaha sahaja untuk cuba mengesan dalam hati mereka.

 

Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman Allah ﷻ: Hai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. (Al-Mumtahanah: 10) Disebutkan bahawa ujian mereka ialah disuruh mengucapkan kalimat tasyahud, iaitu kesaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.

 

Maka, salah satu pendapat mengatakan: wanita itu hanya perlu bersumpah sahaja yang mereka itu sudah beriman kerana kalau hendak periksa hati mereka, memang tidak boleh pun.

 

Ibnu Jarir رضي الله عنه mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Bukair, daripada Qais ibnurRabi’, daripada Al-Agar ibnusSabbah, daripada Khalifah ibnu Husain, daripada Abu Nasr Al-Asadi yang mengatakan bahawa Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما pernah ditanya tentang cara Rasulullah ﷺ menguji wanita-wanita yang berhijrah itu. Maka Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما menjawab, bahawa Nabi ﷺ menguji mereka dengan pertanyaan ‘Tiadalah seseorang daripada mereka keluar kerana benci kepada suami,’ lalu disumpah untuk itu. Disumpah pula bahawa hendaklah keluarnya dia bukan kerana mahu pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Juga disumpah dengan nama Allah bahawa dia keluar bukan untuk mencari dunia. Dan disumpah pula bahawa hendaknya dia keluar bukan kerana dorongan apa pun, melainkan hanya kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Pendapat ini disokong di dalam ayat seterusnya yang menyebut tentang bai’ah.

فَإِن عَلِمتُموهُنَّ مُؤمِنٰتٍ فَلا تَرجِعوهُنَّ إِلَى الكُفّارِ

maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada orang-orang kafir.

Maka selepas bertanyakan soalan-soalan ujian itu kepada para wanita itu dan yang memeriksa itu sudah yakin (setakat yang boleh) yang mereka itu memang orang beriman, maka jangan pulangkan mereka kembali ke negara mereka. Ini sebagaimana seorang sahabiah yang masuk Islam selepas Perjanjian Hudaybiyah dan Nabi ﷺ tidak pulangkan wanita itu ke Mekah.

Mungkin mereka itu ada suami lagi di Mekah tetapi apabila mereka telah masuk Islam, maka perceraian terjadi secara automatik. Maka begitu juga kalau ada isteri yang masuk ke dalam negara Islam dan meminta perlindungan daripada kerajaan Islam kerana suami atau keluarganya belum masuk Islam, maka kerajaan Islam mestilah memberikan perlindungan. Jangan pulangkan wanita itu ke keluarganya kerana takut keluarganya akan buat apa-apa kepadanya pula.

 

 

لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم

Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu 

Kenapa tidak boleh dikembalikan? Kerana apabila seorang wanita telah masuk Islam, maka perkahwinan antara wanita itu dan suaminya telah terbatal. Tidak boleh mereka terus bersama lagi. Wanita itu tidak halal bagi suaminya yang kafir itu.

Ayat ini mengandungi perubahan hukum. Sebelum itu, walaupun salah seorang pasangan masuk Islam, tidaklah pernikahan mereka terbatal. Ini kita boleh lihat bagaimana anak Rasulullah ﷺ sendiri masih lagi menjadi isteri kepada seorang musyrik. Sayyidah Zainab رضی اللہ عنھا telah berhijrah ke Madinah akan tetapi suaminya Abu al As tetap tinggal di Mekah. Pernikahan mereka tidak diputuskan oleh Rasulullah ﷺ. Akhirnya Abu al As telah masuk Islam.

 

 

وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ

dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka. 

Jikalau mana-mana sahabat yang masih lagi ada isteri yang tidak mahu masuk Islam dan berada di Mekah, maka mereka hendaklah melepaskan isteri-isteri mereka itu dan tidaklah lagi boleh bersama dengan mereka.

Begitu juga dengan zaman sekarang: kalau ada yang masuk Islam tetapi isteri tidak mahu ikut, maka kena tinggalkan mereka. Boleh cari isteri yang lain.

 

 

وَءآتوهُم مّا أَنفَقوا

Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka, mahar yang telah mereka bayar.

Pulangkan semula mahr yang telah diberikan oleh suami asalnya yang tidak mahu masuk Islam itu. Namun bukanlah daripada isteri itu kerana besar kemungkinan mahr itu pun sudah tiada, entah ditinggalkan di Mekah. Ia dibayar oleh Kerajaan Islam, dan kalau tidak boleh, ia menjadi tanggungjawab umat Islam keseluruhannya untuk berkongsi harta membantu membayarnya.

Dalam surah sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang yang benar-benar beriman itu sanggup memutuskan perhubungan dengan ahli keluarga mereka untuk menjaga agama dan sekarang disebut bagaimana seorang isteri itu sanggup untuk memutuskan tali perkahwinannya dengan suaminya.

Inilah pengorbanan yang amat besar. Namun kerana agama, manusia yang benar-benar beriman akan sanggup untuk melakukannya. Maka kita kena kenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita dan kita hendaklah cuba ikuti cara mereka.

Lihatlah bagaimana  walaupun perhubungan perkahwinan itu telah terputus, tetapi Islam begitu adil dengan membayar kembali mahr yang telah diberikan oleh lelaki itu semasa perkahwinan dulu.

 

 

وَلا جُناحَ عَلَيكُم أَن تَنكِحوهُنَّ إِذا ءآتَيتُموهُنَّ أُجورَهُنَّ

Dan tiada dosa ke atasmu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. 

Apabila wanita itu telah masuk Islam, maka perkahwinannya dengan suami yang kafir itu telah terbatal. Maka wanita itu boleh berkahwin dengan orang mukmin yang lain. Walaupun suami asalnya yang musyrik masih hidup dan tidak menceraikan isterinya itu.

Oleh kerana wanita itu sudah bebas, maka dia boleh menikahi lelaki Muslim yang lain. Dan perkahwinan itu hendaklah dilakukan dengan baik dan seorang lelaki yang mahu mengahwini mereka hendaklah membayar mahr kepada wanita itu, walaupun mereka itu tidak ada wali dan tidak ada di dalam kedudukan untuk meminta mahr yang banyak.

Allah ﷻ beri penegasan tentang mahr ini kerana takut ada yang sangka tidak perlu dibayar mahr kepada wanita itu. Mungkin ada yang kata, mahr wanita itu telah dibayar oleh kerajaan Islam kepada bekas suaminya, maka mungkin tidak perlu dibayar mahr. Ini tidak benar, mahr wanita itu mesti juga dibayar untuk mengahwininya. Mahr adalah wajib (bukan rukun) di dalam pernikahan.

Ini adalah hukum yang baru. Sebelum itu, kalau salah seorang pasangan masuk Islam, perkahwinan itu tidaklah terus terbatal. Ini sebagaimana Zainab رضی اللہ عنھا (anak Rasulullah ﷺ sendiri) dan suaminya Abul As ibnur Rabi’. Abul As terus tinggal di Mekah kerana tidak menerima Islam dan Zainab رضی اللہ عنھا yang telah berhijrah ke Madinah. Perkahwinan mereka berterusan kerana tiada lagi hukum pemutusan tali perkahwinan itu. Sehinggalah akhirnya Abul As masuk Islam akhirnya.

Akan tetapi hukum lama itu menyusahkan para wanita kerana mereka ada yang masuk Islam tetapi suaminya tidak masuk Islam dan terus tinggal di Mekah. Suami mereka masih lagi boleh berkahwin orang lain, tetapi isterinya itu tidak boleh kahwin lagi kerana mereka masih lagi berstatus isteri orang.

Maka hukum ini membatalkan perkahwinan mereka itu dan bolehlah wanita yang telah masuk Islam itu mengahwini orang Mukmin yang lain pula. Hukum ini lebih adil bagi wanita itu, bukan? Tidaklah dia terus digantung tanpa tali.

 

 

وَلا تُمسِكوا بِعِصَمِ الكَوافِرِ

Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir; 

Allah ﷻ mengingatkan di dalam ayat ini: Kalau isteri tidak mahu masuk Islam dan berhijrah ke negara Islam, maka janganlah terus berkahwin dengan mereka. Kena tinggalkan mereka. Kalimah عِصَمِ berasal daripada kata dasar ع ص م yang bermaksud mempertahankan, memegang, penjagaan, kebaikan, kesucian. Dalam ayat ini, kalimah عِصَمِ bermaksud tali perkahwinan.

Maka Umar ibnul Khattab رضي الله عنه telah menceraikan dua orang isterinya; yang salah seorangnya kemudian dinikahi oleh Mu’awiyah ibnu Abu Sufyan, sedangkan yang lainnya dinikahi oleh Safwan ibnu Umayyah. Umar رضي الله عنه melakukan demikian kerana keduanya masih dalam kemusyrikannya (tidak mahu ikut masuk Islam). Sebelum itu beliau tidak menceraikan mereka kerana masih lagi dibenarkan untuk meneruskan pernikahan dengan musyrikah.

Manakala Talhah ibnu Abdullah رضي الله عنه menceraikan Arwa binti Rabi’ah ibnul Haris ibnu Abdul Muttalib. Kemudian dia dikahwini oleh Khalid ibnu Sa’id ibnul As sesudahnya. Maka ayat ini mengandungi perubahan hukum sekali lagi.

 

 

وَاسئلوا ما أَنفَقتُم

dan hendaklah kamu minta mahar yang telah kamu bayar; 

Bagi lelaki yang telah memberi mahr kepada isteri mereka yang tidak mahu masuk Islam maka bolehlah meminta kembali mahr yang telah diberikan. Mereka ada hak untuk memintanya kembali.

Akan tetapi, agaknya adakah golongan Musyrikin akan membayar semula? Mungkin tidak kerana mereka bukan kisah dengan hukum-hukum dalam Al-Qur’an pun. Maka masalah ini diselesaikan dalam ayat seterusnya. Kita bincang di situ nanti.

 

 

وَليَسئلوا ما أَنفَقوا

dan hendaklah mereka meminta mahar yang telah mereka bayar. 

Ada wanita yang masuk Islam dan suaminya tidak mahu masuk Islam. Maka dalam kes ini, hendaklah dipulangkan mahr yang telah diberikan oleh suami yang tidak mahu masuk Islam itu. Masa berkahwin dulu mahr telah diberikan, maka hendaklah dipulangkan kembali.

 

 

ذٰلِكُم حُكمُ اللهِ

Demikianlah hukum Allah 

Inilah hukum daripada Allah ﷻ yang mesti dipatuhi. Islam amat menjaga perhubungan dan menjaga keadilan supaya ditegakkan.

Maka ini adalah antara ayat jenis Umur Munazimah iaitu Allah ﷻ mengajar kita bagaimana cara bermasyarakat dan berhubungan dengan manusia yang lain. Kalau dipatuhi, ia akan dapat menjaga keamanan dalam masyarakat, tidak kira Muslim atau tidak. Hukum-hukum ini diberikan oleh Allah ﷻ yang tentunya kenal sangat dengan emosi manusia. Maka ia akan memuaskan hati semua orang.

 

 

 

يَحكُمُ بَينَكُم

yang ditetapkan-Nya di antara kamu. 

Iaitu dalam perjanjian perdamaian, dan pengecualian kaum wanita daripada perjanjian tersebut. Perintah demikian itu semuanya adalah hukum Allah ﷻ, yang berdasarkan ketentuan ini Dia menghukumi di antara makhluk-Nya. Maka kerajaan Islam hendaklah mengamalkan hukum yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Mengetahui tentang kemaslahatan hamba-hamba-Nya, lagi Maha Bijaksana dalam mengatur kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Maka hukum-hukum yang Allah ﷻ berikan ini adalah untuk menjaga perhubungan sesama manusia dan menjaga keadilan.


 

Mumtahanah Ayat 11:

وَإِن فاتَكُم شَيءٌ مِّن أَزوٰجِكُم إِلَى الكُفّارِ فَعاقَبتُم فَئاتُوا الَّذينَ ذَهَبَت أَزوٰجُهُم مِّثلَ ما أَنفَقوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you have lost any of your wives to the disbelievers and you subsequently obtain [something],¹ then give those whose wives have gone the equivalent of what they had spent. And fear Allāh, in whom you are believers.

  • From the side of the disbelievers, i.e., war booty or a believing woman seeking refuge with the Muslims.

(MELAYU)

Dan jika seseorang dari isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir, lalu kamu mengalahkan mereka, maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar. Dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepada-Nya kamu beriman.

 

 

وَإِن فاتَكُم شَيءٌ مِّن أَزوٰجِكُم إِلَى الكُفّارِ

Dan jika seseorang daripada isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir,

Bagaimana jikalau kamu telah memutuskan pernikahan dengan isteri yang tidak mahu masuk Islam dan apabila diminta semula mahr yang telah diberikan kepada mereka dan mereka tidak mampu beri, sedangkan lelaki Muslim itu memerlukan wang untuk berkahwin yang baru? Ini penting kerana jikalau dia terus kafir maka mungkin dia tidak mahu pulangkan semula wang itu.

Kalimah فاتَكُم berasal daripada kata dasar ف و ت yang bermaksud sesuatu yang pergi, tergelincir, melarikan diri, longgar, hilang. Bermaksud seolah-olah wang mahr itu telah hilang daripada kita. Islam beri jalan penyelesaiannya.

Ia juga bermaksud kalau ada dalam kalangan isteri lelaki Muslim telah murtad dan kembali kepada Jahiliyah?

 

 

فَعاقَبتُم

lalu kamu mengalahkan mereka, 

Kalimah فَعاقَبتُم berasal daripada kata dasar ع ق ب yang bermaksud berjaya, mengambil tempat, memukul. Allah ﷻ memberitahu bahawa apabila berperang dan menang nanti, boleh gunakan hasil daripada rampasan perang itu.

 

 

فَئاتُوا الَّذينَ ذَهَبَت أَزوٰجُهُم مِّثلَ ما أَنفَقوا

maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar.

Apabila mendapat harta rampasan perang, maka bolehlah gunakan wang itu untuk berkahwin yang baru. Kerajaan Islam boleh gunakan sebahagian daripada harta rampasan perang itu untuk membantu orang-orang untuk berkahwin.

 

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepada-Nya kamu beriman.

Yang penting adalah jaga iman dengan jaga agama dan hukum. Jangan buat perkara-perkara yang di luar daripada hukum Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 September 2021

Ringkasan nota tafsir


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi