Ayat 15:
وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم آياتُنا بَيِّناتٍ ۙ قالَ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنَا ائتِ بِقُرآنٍ غَيرِ هٰذا أَو بَدِّلهُ ۚ قُل ما يَكونُ لي أَن أُبَدِّلَهُ مِن تِلقاءِ نَفسي ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۖ إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who do not expect the meeting with Us say, “Bring us a Qur’an other than this or change it.” Say, [O Muhammad], “It is not for me to change it on my own accord. I only follow what is revealed to me. Indeed I fear, if I should disobey my Lord, the punishment of a tremendous Day.”
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Qur’an yang lain daripada ini atau tukarkanlah ia”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata,
Ayat ini mengajar kita bahawa kita hendaklah membacakan ayat-ayat Qur’an kepada manusia. Kita hendaklah berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Qur’an. Bila mereka telah terima Qur’an dan telah menerima ajakan tauhid, barulah kita ajar mereka dengan hadis-hadis Nabi.
Oleh itu, bukanlah berdakwah dengan manusia itu menggunakan akal semata-mata. Bukan juga berdakwah dengan menggunakan lagu nasyid, puisi-puisi, sajak-sajak, qasidah-qasidah dan sebagainya. Ketahuilah yang ayat-ayat Qur’an mengandungi hikmah yang dapat membuka hati manusia. Ianya mengandungi hujah-hujah yang tepat dan padu. Ianya mengajar perkara-perkara yang amat penting dalam agama, antaranya tentang tauhid dan syirik.
Oleh itu, bacakan kepada manusia ayat-ayat Qur’an. Beritahu mereka apakah maksud ayat-ayat itu. Dan apakah sifat ayat-ayat Qur’an itu? Ianya bersifat بَيِّنَاتٍ iaitu jelas nyata. Ini bermaksud ayat-ayat Qur’an itu jelas makna-maknanya, tidak keliru dan tidak pusing-pusing.
Tidaklah ia seperti ajaran Sifat 20 yang berpusing-pusing hujahnya sampai memeningkan manusia yang mempelajarinya. Yang tidak jelas adalah mereka yang tidak mahu belajar dan tidak mahu membuka minda dan iman mereka untuk memahami ayat ayat Qur’an itu.
قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا
orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata:
Tetapi sepanjang zaman akan ada sahaja mereka yang apabila dibacakan ayat Qur’an kepada mereka, mereka akan menolaknya. Mereka inilah orang yang tidak mahu bertemu dengan Allah atau tidak terfikir yang mereka akan bertemu dengan Allah. Berkali-kali mereka ini disebut di dalam surah ini.
Lihatlah bagaimana mereka ini bukan dikatakan mereka ‘kufur’ dengan hari akhirat. Mereka tahu bahawa mereka akhirnya akan mati dan akan bertemu dengan Allah. Tetapi apabila dikatakan mereka itu tidak ‘mengharap’ untuk bertemu dengan Allah, bermaksud mereka tidak menjadikan pertemuan dengan Allah itu sebagai fokus hidup mereka.
Oleh itu, sifat ini termasuk juga sifat orang-orang Islam yang walaupun mengaku beragama Islam tetapi tidak menjadikan hari akhirat sebagai fokus mereka. Mereka hidup di dunia ini seperti tidak akan mati, tidak akan bertemu dengan Allah.
Ini kali ketiga mereka yang tidak mengharap untuk berjumpa dengan Allah disebut dalam surah ini. Marilah kita lihat apa kata mereka:
ائْتِ بِقُرْآنٍ غَيْرِ هَٰذَا
“Datangkanlah Qur’an yang lain dari ini
Musyrikin Mekah tidak suka dengan Qur’an yang dibacakan oleh Nabi. Kerana ianya terlalu berat pada mereka. Kerana dalam Qur’an itu tidak ada ruang yang membenarkan perlakuan syirik. Mereka tidak mahu berubah, kerana mereka nak buat apa yang mereka hendak lakukan.
Oleh kerana mereka tak suka Qur’an yang Nabi bacakan itu dengan segala larangan dan arahan itu, mereka mahu Nabi bawa Qur’an yang lain, yang mereka nak tengok dulu, dan kalau mereka setuju, baru mereka akan luluskan. Mereka nak Qur’an yang ikut citarasa mereka.
Bagaimana pula dengan zaman sekarang? Mereka itulah ahli-ahli syirik dan ahli bidaah yang tidak suka dengan tafsir yang diajar. Kerana tafsir yang sebenar dengan jelas menghalang amalan syirik dan amalan bidaah yang mereka suka lakukan. Oleh itu, mereka minta tafsir yang lain.
Mereka kata tafsir yang kita bagi pula yang salah, padahal ianya amat jelas dan nyata. Selalunya, yang cakap tafsir kita itu salah ataupun tidak tepat, acap kalinya mereka pun belum belajar lagi tafsir. Tapi sebab tidak kena dengan selera syirik dan bidaah mereka, mereka tolak mentah-mentah. Guru-guru mereka pun mulalah memberikan tafsir ikut apa yang mereka faham, ikut bersesuaian dengan amalan-amalan mereka.
أَوْ بَدِّلْهُ
atau ubahlah ia”.
Atau, mereka kata kalau Nabi tidak boleh bawa Qur’an yang lain, sekurang-kurangnya, ubah sikit Qur’an yang sudah ada itu. Ubah pula kenalah ikut kemahuan mereka.
Begitulah juga yang dilakukan oleh ahli bidaah sekarang. Mereka akan ubah terjemahan Qur’an itu mengikut citarasa mereka. Mereka tidak boleh nak ubah ayat Qur’an itu sendiri, tapi mereka akan ubah tafsir yang telah diberikan oleh ulama-ulama dahulu.
Ayat ini mengajar kita bahawa kita yang kena ubah hidup kita mengikut Qur’an, bukannya mengubah Quran ikut suka hati kita. Banyak manusia yang apabila Qur’an itu tidak kena dengan cara hidup mereka, mereka nak ubah ia kepada makna yang lain. Ini tidak boleh.
قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِن تِلْقَاءِ نَفْسِي
Katakanlah: “Tidaklah boleh bagiku menggantinya dari pihak diriku sendiri.
Nabi disuruh untuk memberitahu kepada Musyrikin Mekah yang baginda tidak boleh suka-suka untuk mengubah Qur’an itu. Bukan hak baginda untuk mengubah Qur’an yang telah diturunkan itu. Qur’an itu sendiri bukan datang dari baginda, tentulah baginda tidak boleh nak ubah.
Perkataan تِلْقَاءِ dari katadasar ل ق ي yang bermaksud ‘berjumpa’. Maka, perkataan تِلْقَاءِ bermaksud ‘tempat perjumpaan’. Ia juga boleh diambil sebagai ‘arah tujuan’ kerana tempat perjumpaan yang telah ditetapkan akan menjadi arah tujuan kita. Oleh itu, ayat ini bermaksud: Nabi tidak boleh mengubah Qur’an itu mengikut arah tujuan baginda, tapi kena ikut apa yang Allah kehendaki.
Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengubah tafsiran mana-mana ayat. Janganlah kerana kita hendak memuaskan hati sesiapa maka kita ubah makna atau tafsir ayat Qur’an. Tafsir Qur’an ini telah diberikan oleh ulama-ulama salaf yang lebih faham tentang Qur’an ini. Mereka telah mengupas ayat Qur’an ini satu persatu dan kita hanya menyampaikan sahaja.
Pemahaman makna Qur’an itu telah ada, cuma kita berikan contoh-contoh semasa supaya pembaca lebih faham sahaja. Bukanlah kita suka-suka tafsir ayat Qur’an ini mengikut citarasa kita. Ayat Qur’an itu ditafsirkan dengan ayat Qur’an sendiri, kemudian dengan hadis Nabi, kemudian dengan kata-kata sahabat (kerana mereka belajar sendiri dengan Nabi), kemudian dengan kata-kata tabein (kerana mereka belajar dengan sahabat), kemudian dengan pemahaman bahasa Arab Quraish. Maknanya, Qur’an ini bukanlah boleh ditafsir dengan akal.
إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ
Sesungguhnya aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.
Tentulah Nabi Muhammad tidak boleh mengubah apa-apa kerana Nabi juga mengikut apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Dan begitu jugalah kita kena ikut sebegitu juga. Kalau apa yang ditafsirkan itu mereka tidak suka, kita tidak boleh buat apa-apa, kerana itulah tafsirannya.
Kita pun kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah. Tidak boleh kita nak ubah tafsir kalau ianya telah jelas. Dan tentang ayat-ayat mutashabihat yang tidak jelas maknanya kepada kita dan tidak pernah diberitahu oleh Nabi, kita terima tanpa mentakwilkan apakah maksudnya.
إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي
Sesungguhnya aku takut jika mendurhakai Tuhanku
Nabi Muhammad pun takut derhaka kepada Allah kalau mengubah Qur’an itu. Kalau Nabi Muhammad, seorang Rasul yang mulia pun takut dengan Allah, lalu bagaimana pula dengan kita manusia biasa ini? Maka takkan kita boleh berani nak tafsir ayat Qur’an ikut kehendak kita? Malangnya ramai yang buat begitu.
عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
seksa hari yang besar (kiamat)”.
Kesan kalau ubah ayat-ayat Allah adalah amat berat, tidak akan selamat pada hari akhirat nanti. Adakah kita sanggup untuk mengadap Allah dengan membawa satu dosa yang amat besar itu?
Ayat 16:
قُل لَو شاءَ اللَّهُ ما تَلَوتُهُ عَلَيكُم وَلا أَدراكُم بِهِ ۖ فَقَد لَبِثتُ فيكُم عُمُرًا مِن قَبلِهِ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ
Say, “If Allah had willed, I would not have recited it to you, nor would He have made it known to you, for I had remained among you a lifetime before it. Then will you not reason?”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Qur’an ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Qur’an ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Qur’an ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”
قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ
Katakanlah: “Jikalau Allah menghendaki,
Kehendak Allah adalah qada’Nya yang tidak dapat dielak lagi. Apa sahaja yang Allah kehendaki, Dia akan jadikan.
مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ
nescaya aku tidak membacakannya kepadamu
Kalau bukan kehendak Allah, tidaklah Qur’an ini diturunkan kepada kita dan dibacakan kepada kita dan tidaklah kita sedang mempelajari tafsirnya sekarang. Tapi Allah telah takdirkan yang Qur’an inilah yang menjadi panduan hidup kita sekarang dan kita kena taat kepada Qur’an ini kerana ianya dari Allah dan Allah suruh kita ikut Qur’an ini.
Kalau Allah mahu, tiadalah juga kita susah-susah nak menyampaikan tafsir ini kepada manusia. Tetapi Allah telah perintahkan kita untuk berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Qur’an. Maka janganlah marah kalau kita tulis tafsir ini dan sampaikan kebenaran. Malangnya, ramai yang tidak buka hati mereka kepada kebenaran dan menuduh kita dengan macam-macam tuduhan.
وَلَا أَدْرَاكُم بِهِ
dan tidaklah Dia memberitahu kamu tentangnya (tentang Qur’an)
Kalau bukan atas kehendak Allah, kita tidak akan tahu akan Qur’an ini. Tapi Allah telah takdirkan kita untuk mengetahui tentangnya.
Kalimat أَدْرَاكُم dari kata أدْرَى yang diambil dari katadasar د ر ي iaitu ‘mengetahui sesuatu dari tandanya’. Macam kita tahu ada api dari asapnya – walaupun kita tidak nampak api, tapi kita tahu ada api dari sebab kita nampak asap itu.
Oleh itu, Musyrikin Mekah sepatutnya tahu yang Qur’an itu adalah benar kerana mereka boleh lihat sendiri sifat Nabi Muhammad yang tidak pernah menipu. Takkan Nabi Muhammad hendak menipu tentang Qur’an ini pula? Juga mereka tahu sangat bahasa Arab dan mereka tahu yang bahasa yang ada di dalam Qur’an ini bukan bahasa Arab yang biasa dituturkan oleh manusia.
فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ
Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu lama sebelumnya.
Nabi Muhammad telah lama tinggal dengan kaumnya itu. Selama 40 tahun baginda tinggal tetap bersama mereka. Mereka sepatutnya tahu bahawa Nabi Muhammad itu adalah seorang yang jujur dan tidak pernah menipu.
Kalau baginda tidak pernah menipu tentang perkara lain, kenapa pula baginda hendak menipu tentang Qur’an ini pula? Sepanjang hidup baginda tidak menipu, tapi bila sudah umur lanjut tiba-tiba hendak menipu pula? Tentu tidak masuk akal. Jadi ini adalah salah satu tanda kepada mereka bahawa Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu adalah benar.
Nabi Muhammad disuruh oleh Allah untuk memberitahu kepada kaumnya tentang sifatnya yang mulia. Ini mengajar kita supaya mempunyai sifat-sifat yang mulia, supaya mereka yang kita dakwah itu yakin untuk mengikut kita. Cara hidup kita dilihat oleh manusia lain, seumpama kita ini duta kepada Islam, maka hendaklah kita menjaga budi pekerti kita.
Antara sebab masyarakat yang kafir tidak teringin untuk mempelajari Islam adalah kerana mereka melihat perangai kebanyakan umat Islam yang buruk sekali. Sampaikan mereka boleh kata: “kalau Islam itu adalah agama yang baik, tentulah penganutnya pun baik juga…” Lihatlah bagaimana nama Islam buruk kerana perangai umat sendiri yang buruk.
Kadang-kadang orang yang sudah lama hidup dengan kita menilai diri kita. Itulah orang yang kita sudah lama bersama mereka seperti ahli keluarga kita dan rakan kenalan kita. Mereka sudah kenal sangat dengan kita dan kita pun sudah kenal sangat dengan mereka. Kadang-kadang ada yang sama-sama nakal waktu kecil dahulu. Kadang-kadang sama-sama ponteng solat ponteng puasa dan sebagainya.
Tapi kita telah belajar Qur’an ini dan belajar agama dan kita telah faham. Tapi kadang-kadang, manusia akan menilai kita berdasarkan kepada sifat dan perangai kita yang dahulu. Kalau ini terjadi kepada kita, kita mengakulah yang kita memang sudah lama tinggal dengan mereka dan mereka pun sudah kenal kita dengan perangai kita yang dahulu. Tapi kita beritahu mereka, yang dahulu tidak semestinya kekal begitu.
Beritahu mereka: Kalau Allah sudah beri hidayah kepada kita, tentu kita boleh berubah. Tapi bagaimana dengan mereka? Adakah mereka mahu kekal hidup macam dahulu juga?
أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maka apakah kamu tidak memikirkannya?
Tidakkah puak musyrikin itu mahu memikirkan, kenapa Nabi Muhammad hendak menyusahkan diri baginda menyampaikan Islam kalau Islam itu tidak benar? Baginda pun tahu betapa susah hidup baginda selepas baginda membawa dakwah Islam ini.
Kalau dulu baginda dipandang tinggi, sampaikan baginda digelar al-Amin (Yang Dipercayai), tapi selepas baginda bawa mesej tauhid, tidak lagi. Baginda sudah mula dicaci, dicemuh dan sebagainya. Tapi baginda teruskan juga kerana itu adalah tugas baginda yang telah diberikan oleh Allah.
Begitu juga keadaan kita yang membawa dakwah tauhid ini kepada manusia sekarang. Apabila kita bawakan ajaran ini, manusia mencemuh kita, marah kepada kita, caci kita dan sebagainya. Bukan kita hendak meletakkan diri kita dalam keadaan ini. Kalau kita ikut amalan-amalan syirik dan bidaah dalam masyarakat kita, kita tidak akan ada masalah-masalah ini.
Tapi kerana apa yang kita sampaikan inilah kebenaran, maka kita tidak ada pilihan lain. Walaupun apa sahaja dugaan, kita tetap akan sampaikan juga. Maka kenapakah puak-puak bidaah tidak mahu memikirkan? Mereka sangka kita sukakah untuk dikutuk dan dicaci? Tentu tidak, tapi kita sampaikan juga kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kita. Orang yang tahu kena sampaikan kepada orang yang tidak tahu.
Begitu juga dengan ahli keluarga dan kenalan kita yang sudah lama kenal kita. Tidakkah mereka terfikir bagaimana kita sudah berubah kerana kita sudah belajar tafsir Qur’an? Kita sudah ubah perangai dari yang buruk kepada yang baik. Kenapakah mereka tidak mahu berubah juga?
Ayat 17: Ayat ini adalah tentang mereka-mereka yang buat bida’ah. Ingatlah bahawa mereka yang buat amalan bidaah itu adalah mereka yang menolak ayat-ayat Qur’an.
فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِآياتِهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ المُجرِمونَ
So who is more unjust than he who invents a lie about Allah or denies His signs? Indeed, the criminals will not succeed
Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.
فَمَنْ أَظْلَمُ
Maka siapakah yang lebih zalim
Apabila Allah bertanya ‘siapakah yang lebih zalim’, itu bermaksud tidak ada yang lebih zalim. Siapakah yang dimaksudkan itu?:
مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah
Mereka berdusta dengan mengatakan sesuatu amalan itu akan dapat pahala walaupun Allah dan Nabi tidak pernah mengatakan sedemikian. Sebagai contoh, ramai ahli bidaah mengatakan amalan Majlis Tahlil adalah baik dan dapat pahala dan pahala dari Majlis Tahlil itu boleh disampaikan pula kepada si-mati.
Ini adalah penipuan padahal Allah tidak pernah suruh dan Nabi Muhammad tidak pernah menganjurkan majlis ini dan tidak pernah mengatakan yang pahala sedekah atau pahala hadiah boleh sampai kepada orang yang telah mati. Perbuatan mereka itu telah melawan apa yang telah ditentukan di dalam ayat Qur’an seperti yang Allah telah firmankan dalam Najm:39
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰdan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,
Dan berbagai-bagai lagi amalan bidaah yang telah direka oleh manusia. Apabila mereka mengatakan sesuatu amalan itu boleh dapat pahala padahal tidak ada dalil terhadapnya, maka mereka telah berdusta atas nama Allah. Kerana hanya Allah yang memberikan pahala atas sesuatu amalan itu, dan hanya Nabi Muhammad sahaja yang diutuskan untuk mengkhabarkan dan mengajarkannya kepada kita dan memberitahu pahala kepada sesuatu amalan itu.
Oleh itu, amat berat apa yang ahli bidaah itu lakukan. Mereka sangka apa yang mereka buat itu baik tapi sebenarnya mereka berdusta atas nama Allah.
Ayat sebegini banyak terdapat di dalam Qur’an kerana ianya adalah perkara yang penting. Ianya banyak dilakukan oleh manusia. Maka, ianya diulang-ulang.
أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ
atau mendustakan ayat-ayat-Nya?
‘Mendustakan ayat-ayatNya’ boleh ditafsirkan sebagai ‘menolak ayat-ayat Allah’. Entah berapa ramai manusia yang mengaku mereka beragama Islam tetapi kerana mereka tidak belajar agama dengan benar, maka mereka telah menolak ayat-ayat Qur’an tanpa mereka sedari. Mereka sangka apa yang mereka buat itu adalah baik tetapi apabila mereka menolak ayat Qur’an, mereka sebenarnya telah kufur.
Ayat ini juga mengajar kita supaya ikhlas dalam mentafsir ayat-ayat Qur’an. Jangan kita berdusta dengan memberikan pentafsiran yang lain dari yang sepatutnya. Jangan kerana kita takut kepada seseorang atau kepada sesuatu puak, kita tukar makna sesuatu ayat itu. Itu juga dikira ‘berdusta’
إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ
Sesungguhnya, tiadalah beruntung orang-orang yang berbuat dosa.
Tidak akan beruntung mereka yang berdusta itu. Mereka sangka mereka akan dapat pahala tapi sebenarnya, mereka akan mendapat dosa. Mereka tidak akan beruntung langsung, malah mereka akan rugi. Mereka rugi di dunia kerana buang masa dengan amalan mereka itu dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan mendapat dosa.
Mereka juga tidak akan menang. Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad tidak akan berjaya dan kita pun tahu dari sejarah bagaimana mereka telah dikalahkan.
Orang-orang yang menentang ayat Allah pun tidak akan berjaya. Sebagai contoh, puak-puak bidaah di negara ini. Mereka tidak akan menang, kerana mereka tidak ada hujah. Hujah-hujah mereka hanyalah hujah-hujah akal dan kata-kata manusia. Sedangkan puak yang mendukung sunnah menggunakan hujah Qur’an dan hadis Nabi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 5 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair