Tafsir Surah Mulk Ayat 16 – 18 (Jangan berasa aman)

SOALAN 2: ADAKAH KAMU DI LUAR JANGKAUAN ALLAH ‎ﷻ?

Mulk Ayat 16: Ini adalah satu lagi dalil daripada Allah ‎ﷻ. Ayat ini adalah berupa soalan daripada Allah ‎ﷻ yang ditujukan kepada para penderhaka. Ini juga adalah ayat takhwif (penakutan).

ءَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ

Sahih International

Do you feel secure that He who is above the heaven would not cause the earth to swallow you and suddenly it would sway?

Malay

Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?

 

ءَأَمِنْتُمْ

Adakah kamu berasa aman?;

Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada apa-apa sahaja bukan salah atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa. Ingatlah yang kita sekarang duduk aman dan selesa di muka bumi ini kerana jaminan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak goyangkan bumi ini, mudah sahaja bagi-Nya. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah ‎ﷻ.

Namun kepada mereka yang ingkar kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.

Di sini kita dapat tahu ada satu dosa batin, iaitu merasa aman dalam berbuat dosa. Kalau buat perkara mungkar sendiri sudah berdosa, tetapi kalau berasa aman dengannya, itu adalah dosa tambahan. Berapa ramai yang aman-aman sahaja membuat dosa, tidak ingat Allah ‎ﷻ, tidak ingat akhirat? Mereka berbuat dosa seolah-olah mereka tidak akan mati sampai bila-bila, seolah-olah tidak ada akhirat. Kerana itu Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ pernah berkata yang orang beriman itu apabila mereka melakukan kebaikan pun mereka tetap takut kerana entah Allah ﷻ terima amalnya atau tidak; akan tetapi orang tidak beriman itu buat dosa pun aman tenang sahaja.

 

مَّنْ فِي السَّمَاءِ

dengan Yang duduk di langit itu?;

Yang dimaksudkan dengan ‘yang duduk di langit’ dalam ayat ini adalah Tuhan Allah Taala. Walaupun tidak disebut tetapi kita tahu yang dimaksudkan adalah Allah ‎ﷻ. Di sini Allah ‎ﷻ memberi ancaman kepada manusia. Adakah kamu rasa aman dengan Allah ‎ﷻ? Adakah kamu tidak takut dengan Allah ‎ﷻ? Bolehkah kamu menolak kehendak Allah ‎ﷻ?

Di sini Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia فِي السَّمَاءِ. Allah ‎ﷻ bukannya berada di langit tetapi berada lebih tinggi dari langit iaitu di luar alam ini. Ini adalah kerana kalimah فِي tidak semestinya bermaksud ‘di dalam’ akan tetapi boleh jadi di atas. Ini adalah satu dalil daripada Al-Qur’an sendiri bahawa Allah ‎ﷻ berada di atas dari langit. Lalu bagaimana ada pihak yang mengatakan selain daripada itu? Ada yang kata Allah ‎ﷻ ‘berada di mana-mana’. Dan ada yang kata ‘Allah wujud tidak bertempat’. Itu semua adalah salah faham mereka dengan Allah ‎ﷻ dan cuba memesongkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Padahal, Allah ‎ﷻ sendiri mengatakan bahawa Dia berada di atas. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mengatakan yang selain itu. Nabi ﷺ tidak pernah takwil ayat ini untuk mengatakan bahawa Allah ﷻ ada di mana-mana atau Allah ﷻ ‘wujud tidak bertempat’. Sekiranya Nabi ﷺ sendiri tidak takwil keberadaan Allah ﷻ, lalu bagaimana kita sebagai umatnya boleh membuat tafsiran sendiri? Kenapa tidak tenang berpegang sahaja dengan ayat-ayat Allah ﷻ di mana Allah ﷻ sendiri memberitahu tentang Diri-Nya?

Ini juga diperkuatkan daripada hadith Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bertanya kepada seorang hamba wanita:

أَيْنَ الله؟ قَالَتْ فِى السِّمَاءِ قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ: أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.
Di manakah Allah? Hamba itu menjawab: Di atas langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman.

Hadith ini dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya (no. 537), Abu Daud (no. 930), al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i (no. 1218), Abu ‘Awanah (2/141) Ahmad dalam al-Musnad (no. 7906), ad-Darimi (1/353-354) Ibn Hibban dalam Shahih Ibn Hibban (no. 165, 2274), Ibn Abi Syaibah dalam al-Mushannaf (no. 30333), al-Baihaqi (2/249-250) dan lain-lain yang banyak jumlahnya. Hadith ini adalah hadith yang sahih sebagaimana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. Berkata salah seorang jaguh hadith terkemuka di abad ini, Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ (1420H) menerusi kitabnya, Silsilah al-Ahadith ash-Shahihah.

Maka jelaslah sekiranya diandaikan jawapan wanita itu adalah satu kesalahan di sisi ajaran Islam maka sudah pasti sahaja baginda akan segera menegurnya lalu memperbetulkan semula jawapan wanita tersebut. Lebih-lebih lagi ia adalah sesuatu yang bersangkutan dengan persoalan akidah, persoalan yang menentukan beriman atau kufurnya seseorang kepada risalah ketuhanan yang dibawa oleh baginda. Dalam memberi komentarnya ke atas hadith di atas, al-Imam adz-Dzahabi رَحِمَهُ اللَّهُ (748H) berkata:

وهكذا رأينا كل من يسأل: أيْن الله ؟ يبادر بفطرته ويقول: في السماء. ففيْ الْخبر مسألتان: إحداهما: مشروْعية قول الْمسْلم أيْن الله؟ وثانيها: قول المَسؤول: في السماء. فمن أنكر هاتين المسألتين فإنما ينكر على المصطفى.
Demikian kita melihat setiap orang yang ditanya: Di mana Allah? Nescaya dia akan menjawab dengan fitrahnya: Allah di atas langit. Dalam hadith ini terdapat dua masalah: Pertama, disyariatkannya pertanyaan kepada seorang muslim: Di mana Allah? Kedua, jawapan orang yang ditanya pertanyaan tersebut: Di atas langit. Barangsiapa yang mengingkari dua masalah ini, maka bererti dia mengingkari al-Musthafa (Nabi ﷺ).

أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ

Yang boleh membenamkan kamu dalam bumi;

Bila-bila masa sahaja Allah ‎ﷻ boleh benamkan kita ke dalam bumi; Tidakkah kita pernah terfikir bahawa Allah ‎ﷻ sedang sentiasa melihat kita? Tidakkah kita takut apabila sedang melakukan dosa? Seandainya Allah ‎ﷻ taqdirkan kita terbenam ke dalam bumi kerana dosa kita, waktu itu juga, bagaimana? Walaupun di dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ berfirman هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا (Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah untuk dilalui) yang bermaksud bumi ini dijadikan tidak lembut, tidak keras supaya kita boleh hidup di atasnya, namun begitu Allah ‎ﷻ boleh sahaja jadikan tanah itu jerlus dan membenam manusia yang di atasnya.

Sekiranya kamu ingkar kepada Allah ‎ﷻ, adakah kamu berasa aman dengan Allah ‎ﷻ? Senang lenang kamu tinggal di bumi Allah ‎ﷻ ini? Perkataan خسف pada dasarnya bermaksud ‘menghilangkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila gerhana berlaku, ia juga dipanggil ‘khusuf’ kerana bulan menghilangkan sinar matahari. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud bumi boleh menghilangkan kita. Ia boleh menarik kita ke dalam perutnya. Kita pun biasa lihat bagaimana tanah jerlus boleh menyedut manusia dan menghilangkan terus manusia itu. Azab yang sama juga pernah dikenakan kepada Qarun seperti yang diceritakan dalam al-Qasas: 81 di mana perkataan yang digunakan adalah فَخَسَفْنَا (Maka Kami hilangkan). Kata dasar yang sama digunakan.

فَخَسَفنا بِهِ وَبِدارِهِ الأَرضَ
Maka Kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi

Sudah tentu Allah ‎ﷻ mampu melakukannya dan entah berapa kaum sudah terbenam di dalam bumi. Kajian arkeologi mendapati begitu banyak tamadun di dalam tanah. Setelah digali, baru tahu ada sebuah kota di bawah bumi 30 kaki dalamnya. Mereka itu pun telah dibenamkan oleh Allah ‎ﷻ entah bila.

 

فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

Maka tiba-tiba bumi itu digoncangkan;

Setelah disedut ke dalam bumi, disebut bumi bergoncang pula. Pada waktu itu baru kita hendak menyesal. Baru hendak takut dengan Allah ‎ﷻ. Namun semuanya sudah terlambat.

Kenapa bumi digoncangkan waktu itu? Kerana hendak memasukkan mereka yang diazab ke dalamnya dengan sepenuhnya. Untuk kita faham, cuba kita letak sesuatu seperti guli ke dalam sebuah balang gula. Untuk memasukkan guli itu masuk ke dalam gula itu sepenuhnya, kita kena goncangkan balang gula itu. Barulah guli itu keseluruhannya akan masuk ke dalam balang gula itu. Begitulah tepatnya penerangan Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Kita boleh faham kalau kita belajar Al-Qur’an dengan betul.

Melalui bahasa yang digunakan dalam ayat ini, kita boleh nampak bahawa Allah ‎ﷻ tidak berkenan dengan mereka yang ingkar kepada-Nya. Kerana itulah Allah ‎ﷻ berikan ancaman kepada pembaca Al-Qur’an ini. Yang  mula-mula sekali mendengar ayat-ayat ini adalah Musyrikin Mekah.

Ayat ini walaupun nampak bunyinya ganas dan menakutkan, namun ia adalah salah satu daripada bukti rahmat dan kasih sayang Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya. Hamba yang telah melakukan keingkaran sudah patut dan layak diberi azab namun Allah ‎ﷻ tidak azab lagi mereka, malah diberi ancaman dan peringatan terlebih dahulu kepada mereka supaya mereka beringat. Allah ‎ﷻ tidak terus mengazab tetapi beri tangguh kepada kita. Kalaulah Allah ‎ﷻ terus azab di atas kesalahan kita, tentu tidak ada saki baki manusia dan jin di bumi ini seperti firman- Nya di dalam Fatir: 45

وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;


 

Mulk Ayat 17: Soalan kedua daripada Allah ‎ﷻ. Daripada bahasa yang digunakan di awal ayat, pertanyaan ini lebih kuat berbanding pertanyaan sebelumnya. Ini kerana sebelum ini digunakan kalimah ءَأَمِنْتُمْ dan sekarang digunakan kalimah أَم أَمِنتُم yang lebih keras. Kalau sebelum ini telah disebut azab dari bumi, sekarang disebut azab dari langit pula. Memang di dalam surah ini Allah ﷻ menukar topik antara langit dan bumi.

أَم أَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يُرسِلَ عَلَيكُم حاصِبًا ۖ فَسَتَعلَمونَ كَيفَ نَذيرِ

Sahih International

Or do you feel secure that He who above the heaven would not send against you a storm of stones? Then you would know how [severe] was My warning.

Malay

Atau adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Yang berada di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

 

أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Apakah kamu merasa aman tenteram dengan Yang duduk di langit?

Tentulah yang ada di langit itu adalah Allah ﷻ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah ﷻ tidak sebut Nama-Nya tetapi kita faham Siapakah yang dimaksudkan. Ini kerana tema surah ini adalah untuk kita menggunakan akal kita. Kita kena fikirkan sendiri.

Perkataan أَمْ dalam ayat ini bermaksud ‘atau’. Ia adalah untuk meneruskan hujah yang telah diberikan dalam ayat sebelumnya. Malah ia adalah lebih keras lagi daripada huruf yang digunakan sebelumnya. Kerana selalunya begitu, ada peningkatan dari yang awal. Kerana degil juga, maka ditambah kesan kemarahan daripada Allah ﷻ.

 

أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا

yang boleh menimpakan hujan batu ke atas kamu;

Ini seperti yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah semasa tentera itu menyerang Kaabah. Bayangkan hujan yang biasanya air, Allah ﷻ jadikan dalam bentuk batu pula, tentunya mati semua orang. Angin yang sepoi-sepoi bahasa dan enak bagi kita ini Allah ﷻ  boleh sahaja menukarkannya menjadi taufan dan membawa batu dan jatuhkan ke atas kita!

Perkataan حَاصِبًا bermaksud membaling sesuatu dengan batu. Allah ﷻ memberikan contoh ini kerana ia pernah dikenakan kepada orang-orang sebelum kita. Dalam ayat Qamar: 34, Allah ﷻ telah menceritakan bagaimana kaum Luth juga telah dihujani dengan batu. Dalam ayat itu, Allah ﷻ juga menggunakan perkataan حَاصِبًا.

إِنّا أَرسَلنا عَلَيهِم حاصِبًا إِلّا ءآلَ لوطٍ
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut,

Selalunya hujan yang turun ke bumi adalah air yang menyejukkan dan memberikan ketenangan kepada kita. Namun Allah ﷻ boleh juga menurunkan hujan batu dari atas. Sama ada memang hujan itu dijadikan daripada batu atau angin itu terlalu kuat seperti tornado yang mengambil batu dari tempat-tempat lain dan menurunkannya kembali kepada manusia yang ingkar itu.

Bukan di dalam ayat ini sahaja Allah ﷻ ancam sebegini. Perhatikan di dalam Isra’: 68

أَفَأَمِنتُم أَن يَخسِفَ بِكُم جَانِبَ ٱلبَرِّ أَو يُرسِلَ عَلَيڪُم حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُواْ لَكُم وَڪِيلاً
Maka apakah kamu merasa aman (daripada hukuman Tuhan) yang menjungkir balikkan sebahagian daratan bersama kamu atau Dia menghujani kamu dengan batu-batu? Dan kamu tidak akan mendapat seorang pelindung pun bagi kamu,

Kerana itulah Nabi ﷺ dahulu apabila baginda melihat gugusan awan hitam di langit maka baginda selalu menjadi gelisah dan tidak tenang, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَأَى مَخِيلَةً فِي السَّمَاءِ، أَقْبَلَ وَأَدْبَرَ، وَدَخَلَ وَخَرَجَ، وَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ، فَإِذَا أَمْطَرَتِ السَّمَاءُ سُرِّيَ عَنْهُ، فَعَرَّفَتْهُ عَائِشَةُ ذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا أَدْرِي لَعَلَّهُ كَمَا قَالَ قَوْمٌ: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا»
Sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan mendung di langit, beliau mundar-mandir, keluar masuk, dan air mukanya berubah gelisah, namun ketika hujan turun maka beliau menjadi lega. Lalu ‘Aisyah رضي الله عنها pun bertanya tentang hal itu, maka Nabi ﷺ bersabda: Aku tidak tahu, jangan-jangan awan itu adalah seperti yang diucapkan oleh suatu kaum.“Ini awan yang akan memberi hujan (sedangkan ia adalah azab buat mereka).
(HR al-Bukhari)

Tidakkah kita takut dengan ancaman Allah ‎ﷻ ini? Bagaimana langit yang selama ini kita lihat indah, selalu menurunkan hujan rahmat kepada kita, tetapi Allah ‎ﷻ boleh turunkan bala darinya? Sepatutnya kita rasa takut yang amat dengan ancaman Allah ‎ﷻ ini. Allah ‎ﷻ memberikan ancaman-ancaman yang kuat dalam Surah al-Mulk ini. Ini adalah kerana tujuan surah ini adalah untuk membangunkan mereka yang sudah lama tidur dalam kesesatan. Kalau kita tidur nyenyak, tentu susah untuk digerakkan. Tidak cukup digerakkan dengan jam yang kecil sahaja tetapi kena menggunakan jam loceng yang jenis lama, yang akan menggegarkan bilik tidur kita. Begitulah perumpamaan ancaman-ancaman Allah ‎ﷻ dalam ayat ini.

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberikan ancaman dari bumi. Kali ini dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang azab yang Allah ‎ﷻ turunkan dari langit pula. Maknanya, dari bawah dan dari atas sekali Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab. Waktu itu, ke mana lagi kita boleh pergi? Allah ‎ﷻ memberikan ancaman dari bawah dahulu kerana sememangnya kita bermula dari bawah. Amalan kita pun kita buat di bumi dan kemudian baru diangkat ke langit. Maka kerana itu dalam Ayat 16 disebut bumi dahulu dan sekarang baru disebut langit pula.

 

فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimanakah ancaman azab Allah;

Kita akan tahu nanti bagaimana Allah ‎ﷻ akan buat terhadap orang yang ingkar. Kelak mereka akan tahu bahawa ingatan dan ancaman daripada Allah ‎ﷻ itu bukan main-main. Mereka mungkin tidak endah dengan ancaman itu sekarang sebab belum berlaku lagi, namun kelak mereka akan mengetahui. Waktu itu sudah terlambat kalau hendak berbuat apa-apa lagi.

Perkataan نَذِيرِ juga boleh merujuk kepada ‘pemberi peringatan’ itu sendiri, iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Pada awalnya, mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ, namun nanti mereka akan mengetahui bagaimana keadaan Nabi ﷺ itu. Bagaimana nanti mereka akan dikalahkan oleh Nabi ﷺ (di Perang Badr). Memang sewaktu di Mekah, Musyrikin Mekah itu kuat dan mereka nampak umat Islam itu lemah. Akan tetapi nanti keadaan akan jadi terbalik dan akhirnya nanti mereka kalah sampailah umat Islam akan dapat menakluk Mekah.

Lihatlah betapa pemurahnya Allah ‎ﷻ. Walaupun manusia telah melakukan segala macam maksiat dan syirik kepada-Nya, namun Dia tidak terus mengazab mereka. Walaupun Dia mampu untuk mengazab mereka. Mereka diberi tangguh sehingga sampai waktu yang telah ditetapkan.


 

Mulk Ayat 18: Ayat 18 – 23 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi pertanyaan kepada mereka yang menolak seruan wahyu. Di dalam makro ini mengandungi dalil Aqli, Afaqi dan Anfusi. Allah ‎ﷻ hendak menekankan siapakah yang berkuasa tentang beberapa kejadian di dalam alam ini iaitu hanya Dia sahaja. Ayat 18 ini mengandungi tasliah dan contoh takhwif duniawi. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang umat terdahulu yang juga telah menentang Allah ‎ﷻ, maka lihatlah pembalasan yang mereka terima. Jangan tengok sahaja, tetapi ambillah pengajaran. Takkan hendak jadi seperti mereka?

وَلَقَد كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

Sahih International

And already had those before them denied, and how [terrible] was My reproach.

Malay

Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaan-Ku.

 

وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Sesungguhnya telah mendustakan juga orang-orang yang sebelum mereka;

Iaitu sebelum orang-orang Musyrikin Mekah itu mendustakan Nabi Muhammad ﷺ, telah ada orang yang mendustakan Nabi dan Rasul mereka. Ini adalah kaum-kaum yang terdahulu. Mereka tidak mahu menerima ajakan tauhid daripada Nabi dan mereka kata bahawa kata-kata Nabi-nabi mereka itu adalah berdusta belaka. Maka tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini – bukanlah baginda sahaja yang didustakan oleh umat baginda malah umat-umat terdahulu pun mendustakan Nabi dan Rasul mereka juga.

Ia juga sebagai ancaman kepada penerima Al-Qur’an dan yang pertama sekali adalah Musyrikin Mekah. Allah ‎ﷻ hendak ingatkan yang bukan mereka yang baru berjinak-jinak menolak Rasul mereka; umat dahulu pun sudah buat perkara yang sama. Sekarang ini pun, memang ada orang yang mendustakan juga ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Dusta itu maksudnya tolak ayat Al-Qur’an. Kalau sekarang orang ingkar, dulu pun sudah ada orang yang ingkar. Jadi, tidak ada apa yang perlu dihairankan. Itu adalah sunnatullah – ia akan terus berlaku. Akan ada sahaja yang menentang ajakan tauhid Allah ‎ﷻ.

Terdapat penekanan dalam perkataan لَقَدْ itu. Dalam bahasa Arab, ia adalah seperti mengatakan sesuatu sampai menepuk meja menunjukkan keseriusan kata-kata yang disampaikan. Dari segi sebutan pun, perkataan قَدْ itu adalah kuat sekali. Huruf ق adalah satu huruf yang berat bunyinya dan huruf د pula adalah satu huruf yang ada qalqalah padanya. Jadi, gabungan dua huruf ini pun sudah menunjukkan kekuatan padanya.

Allah ‎ﷻ memberi penekanan kerana hendak mengingatkan tentang umat terdahulu yang telah melakukan penolakan yang sama kepada para Nabi mereka. Begitulah ramai manusia sangka apa yang mereka lakukan itu adalah perkara baru. Namun sekarang Allah ‎ﷻ beritahu yang telah ada umat terdahulu.

 

فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Maka bagaimanakah dahsyatnya celaan;

Ini adalah celaan Allah ‎ﷻ nanti di Mahsyar. Rasalah dahsyatnya azab itu di neraka kelak.

Ataupun, maksudnya kenanglah bagaimanakah azab yang Allah ‎ﷻ akan kenakan kepada mereka yang ingkar kepada-Nya semasa di dunia lagi. Ada orang-orang yang telah dikenakan azab oleh Allah ‎ﷻ di zaman dahulu. Kita masih boleh melihat tempat-tempat azab telah diturunkan kepada manusia sebelum kita seperti Laut Mati (kaum Nabi Luth), Aad, Tsamud dan sebagainya. Kita tidak digalakkan untuk melawat tempat-tempat sebegitu. Kalau kita pergi pun mestilah kerana hendak mendapatkan pengajaran dan tidak boleh duduk lama di situ. Begitupun, walaupun kita tidak melawat, namun kita tahu kisah mereka.

Manusia kadang-kadang sangka mereka itu istimewa, mereka sangka mereka tidak berkenaan, mereka tidak sama dengan orang lain. Di sini Allah ‎ﷻ hendak beritahu sama sahaja kamu ini dengan umat terdahulu. Kamu pun boleh dikenakan azab seperti mereka juga. Jangan sangka apa yang terjadi kepada umat terdahulu tidak boleh terjadi kepada kamu. Ini kerana manusia apabila dengar cerita orang lain, mereka tidak sangka ia boleh terkena kepada mereka. Bukan itu sahaja, kalau nasihat diberikan kepada mereka pun, mereka rasa ia nasihat yang bagus, tetapi ‘untuk orang lain’. Maknanya ia tidak memberi kesan kepada mereka. Kita kena jadikan insiden yang terjadi kepada orang lain sebagai nasihat kepada kita. Sebagai contoh, kalau nampak kemalangan, maka kita kena berhati-hati supaya jangan terlibat seperti di dalam kemalangan itu; bila dengar kematian, ingatlah yang kita pun akan mati juga.

Perkataan نَكِيرِ daripada katadasar ن ك ر yang bermaksud tidak suka; tidak berhubungan lagi; menafikan; menolak dengan lidah atau hukuman; menjadi keras; sukar; berasa jijik terhadap sesuatu; membuat pertuduhan; dahsyat; mengerikan; orang yang menafikan fakta; sesuatu yang tidak mengenali; orang yang menyimpang; paling tidak baik dan palsu. Kalimah نَكِيرِ boleh juga diertikan sebagai azab. Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ tidak gunakan perkataan ‘azab’ dalam ayat ini? Dari segi bahasa, perkataan نَكِيرِ antaranya bermaksud ‘tidak diketahui’. Kalimah munkar juga daripada katadasar yang sama. Oleh itu, ia bermaksud azab yang tidak diketahui dari mana ia datang, atau bilakah ia akan datang. Azab dari bumi yang diancam dan azab dari langit itu boleh datang kepada mereka secara tiba-tiba. Dalam mereka sedap-sedap menjalani kehidupan mereka dengan selesa, Allah ‎ﷻ boleh berikan azab itu kepada mereka secara tiba-tiba!

Kalimah نَكِيرِ juga bermaksud ingkar. Jadi Allah ‎ﷻ perli mereka: bagaimana kesan keingkaran kamu dahulu? Berbaloikah? Ia juga bermaksud sukar sangat dan begitulah yang mereka akan alami nanti.

Kita boleh lihat penggunaan nahu yang digunakan dalam ayat-ayat ini. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ berkata terus kepada manusia dan kadang-kadang Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa dalam kataganti ketiga. Ini dinamakan iltifat. Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kataganti ketiga, itu bermaksud Allah ‎ﷻ menunjukkan ketidaksukaan-Nya kepada makhluk itu. Kerana mereka ingkar, maka Allah ‎ﷻ pun tidak mahu bercakap dengan mereka. Namun lihatlah juga bagaimana rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun Allah ‎ﷻ murka dengan mereka, namun Allah ‎ﷻ masih lagi mahu memberi peringatan kepada mereka. Bandingkan kalau dengan kita – kalau kita marah sangat kepada seseorang, hendak bercakap dengan dia pun kita sudah tidak sudi. Pada kita, biarlah dia hendak jadi apa pun. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak begitu. Lihatlah selepas ini, berapa banyak lagi peringatan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Februari 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Bacaan tambahan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 63 – 65 (Perjumpaan dengan Khadr)

Kahf Ayat 63:

قَالَ أَرَءَيتَ إِذ أَوَينَآ إِلَى ٱلصَّخرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلحُوتَ وَمَآ أَنسَٮٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيطَـٰنُ أَن أَذكُرَهُ ۥ‌ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ عَجَبًا

Sahih International

He said, “Did you see when we retired to the rock? Indeed, I forgot [there] the fish. And none made me forget it except Satan – that I should mention it. And it took its course into the sea amazingly”.

Malay

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita ketika berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggeluncur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

 

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ

Yusha’ berkata: adakah engkau ingat, ketika kita berehat di batu itu tadi,

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidur di atas batu itu tadi. Kemudian terus berjalan. Yusha’ tidak tidur tetapi telah terjadi kejadian yang menakjubkan semasa Nabi Musaعَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidur tadi. Ikan masin yang mereka bawa telah menggeluncur masuk ke dalam laut.

 

فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ

sesungguhnya aku lupa tentang ikan itu;

Di sini jelas Yusha’ sebut beliau sendiri yang lupa. Namun seperti kita telah lihat sebelum ini mereka berdua yang dikatakan lupa. Yusha’ lupa hendak beritahu kejadian ikan itu melompat keluar. Ini adalah kerana beliau sudah biasa melihat perkara ajaib, maka kejadian itu tidaklah mengejutkan sangat baginya. Akan tetapi di sini beliau telah mengaku yang beliau terlupa.

 

وَمَا أَنْسٰنِيهُ إِلَّا الشَّيْطٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُ

Dan tidaklah aku lupa tentangnya melainkan syaitanlah yang menyebabkan aku tidak ingat;

Yusha’ memberikan alasan bahawa syaitan yang buat beliau lupa. Ini kerana syaitan tidak suka kalau kita buat perkara baik, maka dia akan lalaikan kita. Sebab itu kalau kita lupa, kita baca isti’azah kerana syaitan yang membuatkan kita lupa. Apabila kita isti’azah, syaitan akan lari dan kita akan ingat kembali.

Ada yang mengatakan bahawa, kuasa yang syaitan ada hanyalah boleh buat kita lupa sahaja. Maknanya tidaklah syaitan boleh cekik kita pun. Maka kalau ada orang kita yang takut hantu cekik dia, ini memang tidak faham hal jin. Selalu sangat menonton wayang cerita hantu boleh buat macam-macam, padahal itu adalah cerita rekaan sahaja.

 

وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ عَجَبًا

Dan ikan itu mengambil jalan ke dalam laut dengan cara yang menakjubkan;

Memang kejadian itu pelik dan ajaib kerana ikan itu membuat terowong dan masuk ke dalam laut. Padahal ikan itu sudah mati, sudah dimakan separuh pun oleh mereka berdua.

Akan tetapi ada juga yang tidak setuju mengatakan cara ikan itu masuk ke dalam air dengan cara hidup semula. Mereka kata mungkin Yusha’ telah meletakkan ikan itu di atas batu, kemudian terlanggar dan ikan itu terjatuh. Yang dimaksudkan ajaib itu adalah menghairankan sungguh bagaimana dia boleh terlupa. Allahu a’lam.


 

Kahf Ayat 64: 

قالَ ذٰلِكَ ما كُنّا نَبغِ ۚ فَارتَدّا عَلىٰ ءآثارِهِما قَصَصًا

Sahih International

[Moses] said, “That is what we were seeking.” So they returned, following their footprints.

Malay

Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; mereka pun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.

 

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ

Musa berkata: “itulah apa yang kita cari”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ gembira sekarang kerana apa yang mereka cari telah hampir mereka temui. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diberitahu dengan secara tepat bagaimanakah dan di manakah tempat pertemuan itu, tetapi dengan diberi isyarat sahaja. Maka, kejadian ikan melompat keluar ke dalam laut adalah tanda bahawa mereka telah sampai ke tempat yang mereka sepatutnya berjumpa dengan lelaki yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ.

Balaghah: hazfu wa zikru. Kalau kita lihat pada kalimah نَبْغِ, sepatutnya ada huruf ي pada kalimah itu kerana katadasar asal adalah ب غ ي. Akan tetapi ي telah dihazafkan. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu sesuatu. Iaitu pencarian mereka itu berterusan lagi. Ini adalah kerana apabila ya asliah (ya asal) dihazafkan, ia membawa maksud ‘berterusan’.

Maknanya, walaupun mereka telah menemui dengan tempat perjumpaan itu, tetapi perjalanan mereka mesti diteruskan lagi kerana tujuan mereka adalah untuk mencari Khadr. Bandingkan dengan ayat Yusuf: 65

قَالُوا يَا أَبَانَا مَا نَبْغِي هَٰذِهِ بِضَاعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا
Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita.

Kalau kita bandingkan, kalimah نَبْغِي dalam ayat daripada Surah Yusuf ini ada pula ي, tidak sama dengan ayat daripada Surah Kahf ini. Ini adalah kerana apabila ada huruf ya asliah, ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana apa yang mereka dapat itu telah mencapai kehendak mereka.

 

فَارْتَدَّا عَلَىٰ ءآثَارِهِمَا قَصَصًا

Maka mereka mula menjejaki bekas tapak kaki mereka;

Oleh kerana mereka telah sedar, maka mereka kena undur balik. Perkataan قَصَصًا bermaksud mereka kena teliti semula perjalanan mereka dengan baik. Mereka melihat semula kesan tapak kaki mereka. Daripada katadasar yang sama, menjadi kalimah ‘kisah’ kerana apabila kita mengisahkan tentang sesuatu, kita akan menjejaki Kembali apa yang telah berlaku.


 

PERJUMPAAN MEREKA BERDUA

Kahf Ayat 65: Perjumpaan dengan Khadr.

فَوَجَدا عَبدًا مِّن عِبادِنا ءآتَينٰهُ رَحمَةً مِّن عِندِنا وَعَلَّمنٰهُ مِن لَّدُنّا عِلمًا

Sahih International

And they found a servant from among Our servants to whom we had given mercy from us and had taught him from Us a [certain] knowledge.

Malay

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

 

فَوَجَدَا

Maka mereka dapati;

Ini adalah kisah apabila tiba ke tempat itu semula. Apabila mereka sampai ke batu tempat ikan itu melompat keluar, mereka nampak terowong dalam air yang dimasuki oleh ikan itu. Maka mereka pun masuk dalam terowong yang dibuat oleh ikan itu.

Mereka teruskan perjalanan di dalamnya sehingga sampai ke sebuah pulau. Itulah tempat Khadr berada. Apakah yang mereka temui?

 

عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا ءآتَيْنٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِنْدِنَا

seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang Kami telah beri kepadanya rahmat daripada Kami;

Al-Qur’an tidak menyebut namanya. Yang kita tahu namanya adalah Khidr (ataupun ada yang kata sebutan yang benar adalah Khadr) adalah daripada hadith Nabi ﷺ seperti yang telah dikongsikan di awal kisah Khadr ini. Dari segi bahasa Khadr bermaksud hijau. Ini kerana ada riwayat yang mengatakan tempat beliau duduk akan tumbuh tumbuhan menghijau, tidak kira keadaan tanah itu. Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا سُمِّيَ الْخَضِرُ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ
Sesungguhnya dinamakan sebagai Khadir disebabkan apabila dia duduk di atas tanah yang putih (yang kering dan tidak mempunyai tumbuhan), maka tanah yang tandus berubah menjadi hijau dan subur (setelah dia duduk di atasnya)
(Riwayat al-Bukhari (3402))

Ada banyak ayat tentang individu dalam ayat ini, tetapi namanya langsung tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ hanya sebut sebagai ‘hamba’ sahaja. Kerana itu ada ulama’ yang tidak menyebut pun namanya. Maknanya, tidak penting untuk kita tahu namanya. Sama juga kita tidak perlu tahu berapakah bilangan Pemuda Kahfi itu, kita juga tidak perlu tahu nama hamba yang disebutkan Allah ﷻ dalam ini. Kalau namanya penting, sudah tentu Allah ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Cuma namanya masyhur sebagai Khadr. Ini kerana ia ada disebut di dalam hadith yang sahih.

Cuma memang ada pelbagai pandangan ulama berkaitan nama sebenar Khadr, ada yang menyatakan bahawa nama Khadr adalah Iliya bin ‘Amil, Alfah bin Malkan, Balyan dan Armiya. Namun menurut pandangan yang lebih sahih, nama beliau adalah Balya bin Mulkan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Damiri di dalam kitabnya dengan menukilkan pandangan Imam al-Sa’labi رَحِمَهُ اللَّهُ:

والأصح الذي نقله أهل السير وثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم، كما قاله البغوي وغيره، إن اسمه بليا
Dan menurut pandangan yang lebih sahih yang menukilkan pandangan Ahli al-Sir dan jelas daripada Nabi ﷺ, seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baghawi dan selainnya bahawa nama Baginda adalah Balya.
(Rujuk, Hayat al-Hayawan al-Kubra, 1/382)

Cuma di dalam ayat ini Allah ﷻ hanya memberi gelaran hamba kepada beliau. Ini adalah gelaran yang tinggi. Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Ia menunjukkan yang seseorang itu taat kepada Allah ﷻ dengan penuh ketaatan. Ini sebagaimana Allah ﷻ juga menggelar Nabi Muhammad ﷺ sebagai hamba di dalam ayat Isra’: 1

سُبحٰنَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِّنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa

Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah manusia paling mulia dan Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda, maka itu bermaksud status ‘hamba’ adalah status tertinggi bagi manusia. Allah ﷻ puji baginda di sini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah insan yang patuh dan taat kepada Allah ﷻ di dalam segala hal.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah ﷻ adalah kedudukan yang tinggi. Ia juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Berbeza status seorang hamba kepada manusia yang berkedudukan yang hina, sebaliknya jikalau dinisbahkan hamba kepada Allah ﷻ, itu adalah kedudukan yang tinggi. Kerana itu di dalam ayat Furqan: 63, Allah ﷻ memuji hamba yang baik dengan menggunakan kalimah عِبادُ الرَّحمٰنِ.

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

Ada yang mengatakan apabila dikatakan beliau diberikan ‘rahmat’, bermaksud beliau adalah seorang Nabi. Itulah dalil yang digunakan bagi mereka yang mengatakan Khadr adalah seorang Nabi. Akan tetapi ada banyak pendapat berkenaan siapakah Khadr ini. Ini kerana tidak ada kepastian dalam hal ini maka kita tidak dapat nyatakan dengan pasti. Ada yang kata beliau adalah malaikat kerana malaikat sahaja yang boleh melanggar syariat (atas arahan Allah ﷻ) sampai membunuh seorang kanak-kanak. Antara yang berpendapat demikian adalah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Ada juga yang kata beliau seorang wali sahaja atau seorang yang soleh. Allahu a’lam. Malah ada juga pendapat yang mengatakan beliau ada jin! Allahu a’lam. Mereka tidak dapat terima Khadr adalah seorang Nabi kerana beliau melanggar hukum syariat yang sepatutnya dijaga oleh seorang Nabi. Kerana nanti kita akan belajar tindakan-tindakan beliau yang menyanggahi syarak.

Di sini disebut Khadr telah diberikan rahmat dan rahmat paling tinggi yang diberikan Allah ﷻ kepada hamba-Nya ialah rahmat ma’rifat, iaitu kenal akan Allah ﷻ, dekat dengan Tuhan, sehingga hidup mereka berbeza dengan orang lain. Sedangkan iman dan taqwa kepada Allah ﷻ sahaja sudah menjadi Rahmat Abadi bagi seorang hamba Allah ﷻ, tambahan pula kalau diberi pula ilmu yang diterima secara langsung daripada Allah ﷻ, yang akan dijelaskan di sini.

 

وَعَلَّمْنٰهُ مِنْ لَّدُنَّا عِلْمًا

Dan Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami;

Setelah Allah ﷻ beri rahmat, sekarang Allah ﷻ sebut ilmu pula yang diberikan kepada Khadr. Daripada kalimah عَلَّمْنٰهُ kita dapat tahu yang ilmu itu bukan Khadr sendiri tahu tetapi diajar oleh Allah ﷻ. Tidak ada manusia yang tahu ilmu ghaib melainkan hanya diberikan maklumat itu oleh Allah ﷻ dan bukan semuanya diberikan kepada seseorang itu.

Begitulah untuk mendapat ilmu, kena dapat rahmat daripada Allah ﷻ dahulu kerana kalau tiada rahmat, ilmu tidak melekat. Kalau tiada rahmat, maka ilmu itu tidak diamalkan. Berapa ramai yang ada ilmu tetapi tidak amalkan ilmu itu, bukan? Maka hendaklah kita berharap dan meminta rahmat daripada Allah ﷻ sentiasa. Di awal surah ini iaitu di ayat 10, Allah ﷻ telah sebut doa para Pemuda Kahf yang meminta rahmat daripada Allah ﷻ,

إِذ أَوَى الفِتيَةُ إِلَى الكَهفِ فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً وَهَيِّئ لَنا مِن أَمرِنا رَشَدًا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Bagaimana pula cara untuk kita untuk mendapatkan rahmat daripada Allah ﷻ selain daripada berdoa? Caranya kita pun hendaklah berlaku rahmat (kasih sayang) kepada yang di dunia seperti manusia dan binatang. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ الرَّحِمُ شُجْنَةٌ مِنْ الرَّحْمَنِ فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَهَا قَطَعَهُ اللَّهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Daripada [Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Ar Rahman, berkasih sayanglah kepada siapapun yang ada di bumi, nescaya Yang ada di langit akan mengasihi kalian. Lafaz Ar Rahim (rahim atau kasih sayang) itu diambil daripada lafaz Ar Rahman, maka barang siapa yang menyambung tali silaturrahmi nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya) dan barang siapa yang memutus tali silaturrahmi maka Allah akan memutusnya (daripada rahmat-Nya).” Berkata Abu ‘Isa: Ini merupakan hadith hasan sahih.
(Sunan Tirmidzi (1847))
Disahihkan oleh Albani

Begitulah kita pun sudah tahu hadith yang menyebut bagaimana seorang wanita pelacur daripada Bani Israil dimasukkan ke syurga kerana ikhlas memberi seekor anjing minum.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ غُفِرَ لِامْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ فَنَزَعَتْ خُفَّهَا فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا فَنَزَعَتْ لَهُ مِنْ الْمَاءِ فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Rasulullah ﷺ bersabda: “Ada seorang wanita penzina yang diampuni dosanya disebabkan (memberi minum seekor anjing). Ketika dia berjalan ada seekor anjing dekat sebuah sumur yang sedang menjulurkan lidahnya dalam keadaan hampir mati kehausan. Wanita itu segera melepas sepatunya lalu diikatnya dengan kerudungnya kemudian dia mengambil air dari sumur itu. Kerana perbuatannya itulah maka dia diampuni dosanya”.
(Sahih Bukhari (3074))

Maka berbuat baik adalah salah satu punca untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ seperti disebut dalam A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Di dalam ayat ini, apabila menyebut tentang pemberian rahmat, Allah ﷻ gunakan kalimah عند dan apabila menyebut tentang pemberian ilmu, Allah ﷻ gunakan pula kalimah لدن. Ibn Asyur mengatakan tidak ada bezanya sangat dan ini hanya sebagai penggunaan istilah yang lain sebagai perubahan perkataan sahaja supaya tidak bosan membacanya.

Manakala seorang ulama’ bernama Abu al-Hasan al-Harraali memberi pendapat, kalimah عند digunakan apabila sesuatu itu jelas nampak, sedangkan kalimah لدن digunakan apabila sesuatu tidak nampak. Dengan demikian yang dimaksudkan dengan rahmat oleh ayat di atas adalah “Apa yang nampak daripada kerahmatan hamba Allah yang soleh itu,” sedangkan yang dimaksudkan dengan ilmu adalah “Ilmu batin yang tersembunyi, yang pasti hal tersebut adalah milik dan berada di sisi Allah semata-mata.”

Maka ada berpendapat perbezaan antara dua perkataan itu adalah لَدُنَّ lebih kuat daripada perkataan عِنْدِ.

Ilmu yang diberikan kepada Khadr itu adalah terus daripada Allah ﷻ, bukan melalui pembelajaran. Dua cara ilmu ini diberi isyaratnya di dalam Alaq: 4-5,

الَّذي عَلَّمَ بِالقَلَمِ
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam,

عَلَّمَ ٱلإِنسَـٰنَ مَا لَم يَعلَم
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka kalimah بِالقَلَمِ adalah ilmu yang didapati dengan usaha manusia mempelajarinya, sedangkan مَا لَم يَعلَم adalah jenis ilmu yang Allah ﷻ beri terus kepada manusia melalui wahyu atau ilham.

Inilah dia ayat yang ramai orang mendakwa tentang ilmu ‘ladunni’. Sampai gila orang mencari ilmu ini. Paling banyak yang mencarinya adalah golongan tarekat. Sampai mereka ini mencari-cari Khadr sebab hendak dapatkan ilmu ini. Antaranya mereka tunggu Khadr pada Lailatul Qadr.

Padahal, bukan Khadr yang turun pada Lailatul Qadr, tetapi para malaikat yang turun sebagaimana yang disebut dalam Al-Qur’an. Akan tetapi mereka yang telah ada benih kesesatan dalam hati mereka tidak mengendahkan ayat-ayat Al-Qur’an lagi. Tambahan pula mereka yang masuk tarekat ini adalah golongan yang jahil agama dan kerana itu mudah sahaja ditipu. Mereka bukannya belajar tentang ilmu wahyu tetapi disibukkan oleh amalan bid’ah daripada guru-guru mereka. Sampai beribu zikir mereka kena habiskan, mana sempat belajar agama? Apabila guru mereka memberi sedikit ilmu khayalan maka mereka suka dan senang hati untuk menerimanya.

Mereka mendakwa sekiranya berjumpa Khadr, kena pegang janggutnya dan minta harta karun dan juga minta umur panjang daripadanya. Itu adalah satu fahaman yang sesat dan khurafat. Sememangnya banyak lagi fahaman karut dalam perkara ini. Sampaikan ada yang letak pelita takut Khadr sesat tidak nampak jalan. Jelas ternyata perbuatan ini mengikut agama Hindu kerana itu adalah cara ibadat orang kafir.

Itu semua adalah perkara yang karut marut yang diajar oleh guru-guru ajaran sesat terutama sekali guru tarekat sufi. Macam-macam lagi kepercayaan karut tentang Khadr ini kalau kita baca tentang kepercayaan mereka.

Sebenarnya Khadr telah diajar oleh Allah ﷻ tentang ilmu taqwini; iaitu ilmu yang membolehkan beliau tahu apa yang akan berlaku. Ia adalah ilmu tentang kejadian masa hadapan. Maka kita boleh katakan yang beliau mengetahui ilmu tentang masa hadapan. Tuhan yang berikan maklumat itu kepadanya dan kepadanya sahaja. Tidak diberikan kepada orang lain.

Oleh kerana itu, ini adalah ilmu yang tidak boleh dipelajari, kerana hanya khas diberikan oleh Allah ﷻ kepada Khadr. Ini kerana kalau ada orang lain yang tahu apa yang akan berlaku, sudah pasti dia akan menyalahgunakan ilmu ini untuk kepentingan dirinya sahaja contohnya mungkin dia mahukan kekayaan.

Namun begitu bukanlah Khadr ‘tahu’ tentang masa hadapan, tetapi ‘diberitahu’ oleh Allah ﷻ. Kena bezakan kerana tidaklah beliau diberi ilmu itu sepenuhnya. Tidaklah beliau tahu kesemua perkara yang akan berlaku. Hanya diberitahu perkara-perkara tertentu sahaja. Maka ia adalah ilmu tambahan yang diberikan kepadanya.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memiliki ilmu syariat kerana baginda adalah seorang Rasul. Baginda diperintahkan untuk berjumpa Khadr yang tahu ilmu taqwini. Maka Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang disuruh untuk mencari Khadr, bukannya semua orang. Yang kita kena belajar adalah ilmu syariat seperti yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada kerana ilmu taqwini ini tidak penting dan tidak perlu dipelajari.

Kalau sesiapa belajar ilmu itu dengan Khadr pun, tidaklah boleh menyebabkan dia masuk syurga. Tidak belajar dengannya pun tidak menyebabkan seseorang itu masuk neraka. Akan tetapi, tidak belajar ilmu syariat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (sekarang Nabi Muhammad ﷺ) itu akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka kerana tidak tahu hukum hakam.

Sebagaimana kita sekarang ini, mesti belajar syariat Nabi Muhammad ﷺ. Maka yang penting adalah belajar ilmu syariat. Bukannya membuang masa belajar kononnya ilmu ladunni daripada Khadr.

Ilmu ladunni ini hanya dikhaskan untuk Khadr sahaja. Belum ada dalam sejarah yang mengatakan ada orang lain yang mendapatnya. Bagaimana pula orang biasa dapat sedangkan mereka manusia biasa sahaja? Hanya kerana Khadr adalah Nabi dan kerana itu bolehlah beliau mendapat wahyu daripada Allah ﷻ. Untuk dapat ilmu khas sebegitu, kenalah menjadi Nabi terlebih dahulu. Tidaklah layak seorang manusia biasa untuk mempelajarinya.

Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini nanti kita akan belajar akhirnya tidak habis belajar pun. Maka takkan kita manusia biasa lebih hebat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula? Hujah ini pun sudah kuat untuk mengatakan karutnya mereka yang hendak belajar ilmu ladunni itu.

Namun begitulah betapa malangnya puak ajaran sesat seperti tarekat contohnya, mengatakan boleh dapat Ilmu Ladunni ini. Mereka mengutuk kita puak sunnah kerana kita belajar hadith daripad Nabi yang telah mati, tetapi mereka pula belajar daripada Allah yang Maha Hidup (atau Khadr yang masih hidup). Sebab kononnya mereka mendapat ilmu terus daripada Allah ﷻ.

Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ antara yang berpendapat bahawa Khadr masih hidup sehingga sekarang, dan ini juga merupakan pandangan jumhur ulama. Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut di dalam karyanya Syarh Sahih Muslim:

جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ عَلَى أَنَّهُ حَيٌّ مَوْجُودٌ بَيْنَ أَظْهُرِنَا وَذَلِكَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عِنْدَ الصُّوفِيَّةِ وَأَهْلِ الصَّلَاحِ وَالْمَعْرِفَةِ وَحِكَايَاتُهُمْ فِي رُؤْيَتِهِ وَالِاجْتِمَاعِ بِهِ وَالْأَخْذِ عَنْهُ وَسُؤَالِهِ وَجَوَابِهِ وَوُجُودِهِ فِي الْمَوَاضِعِ الشَّرِيفَةِ وَمَوَاطِنِ الْخَيْرِ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَرَ وَأَشْهَرُ مِنْ ان يستر
Majoriti ulama berpendapat bahawa Khidir masih hidup dan ada dalam kalangan kita, dan ini juga pandangan yang disepakati di sisi ahli Sufi (Tasawwuf), ahli Salih dan Ma’rifah, Dan kisah-kisah mereka pada melihatnya, berhimpun dengannya, mengambil pengajaran daripadanya dan bersoal jawab bersamanya dan kehadirannya di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat yang baik terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu mahsyur untuk dirahsiakan.

Mereka pun percayalah yang Khadr masih hidup lagi. Padahal pendapat yang lebih selamat adalah beliau sudah lama mati. Pendapat yang mengatakan Khadr hidup lagi adalah pendapat yang amat lemah dan tidak terpakai. Perbincangan panjang boleh dilihat pada hadith.

قَالَ سَالِمٌ أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ، قَالَ صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةً صَلاَةَ الْعِشَاءِ ـ وَهْىَ الَّتِي يَدْعُو النَّاسُ الْعَتَمَةَ ـ ثُمَّ انْصَرَفَ فَأَقْبَلَ عَلَيْنَا فَقَالَ ‏”‏ أَرَأَيْتُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ رَأْسَ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لاَ يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ ‏”‏‏.‏
Salim berkata, ‘Abdullah mengabarkan kepadaku, dia berkata, “Rasulullah ﷺ memimpin kami melaksanakan solat ‘Isya pada satu malam yang orang-orang menyebutnya dengan sebutan ‘Atamah’. Selesai solat, baginda berpaling dan menghadap ke arah kami seraya berkata: “Ingat baik-baik malam ini. Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang hidup di atas bumi pada malam ini akan terus hidup selama seratus tahun (bermula malam ini).”
(Sahih Bukhari (531))

Ada banyak khilaf tentang cerita Khadr ini. Ada yang kata beliau adalah salah seorang anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Kalau begitu entah berapa umur beliau. Ada pula yang kata beliau hidup selepas zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang kata beliau hidup pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ini adalah yang paling sahih. Ini berdasarkan daripada hadith-hadith dan juga daripada ayat Al-Qur’an daripada surah Al-Kahfi.

Akan tetapi, kalaulah beliau hidup pada zaman mana pun, kalaulah benar beliau adalah seorang manusia, tentunya beliau tertakluk kepada hukum alam iaitu beliau akan mati setelah sekian lama. Oleh itu sekiranya ada yang kata beliau hidup sampai sekarang maka mereka perlu membawakan dalil yang sah. Sedangkan hadith Nabi ﷺ sebut di atas, tidak akan ada manusia yang akan hidup lebih daripada seratus selepas malam yang baginda sebutkan itu. Kita sebagai orang Islam tidak boleh berdasarkan kepada kisah-kisah dongeng dan dalil yang tidak sahih. Kalau kita senang-senang boleh menerima fakta tanpa dalil, maka akan rosak agama Islam ini. Nanti akan jadi agama Hindu pula yang boleh kata bermacam-macam perkara ghaib dan penganut Hindu terima sahaja tanpa usul periksa lagi.

Kepada mereka yang mengatakan Khadr masih hidup lagi, mereka terpaksa mentakwil hadith ini. Mereka kata bahawa hadith ini adalah tentang manusia yang hidup di atas bumi. Manakala kata mereka Khadr tidak hidup di atas bumi/tanah, tetapi hidup dalam laut. Akan tetapi bukankah duduk di dalam laut pun dikira duduk di muka bumi juga? Dari manakah dalil yang mengatakan Khadr itu hidup dalam laut? Bagaimana pula boleh hidup di dalam laut? Amatlah pelik pendapat ini.

Mereka juga mengatakan bahawa hadith ini adalah berbentuk umum dan tidak melibatkan semua makhluk seperti malaikat, jin, Khadr dan sebagainya. Memang kita terima bahawa hadith ini tidak melibatkan jin dan juga malaikat namun bukankah Khadr itu adalah juga manusia? Adakah dalil yang mengatakan bahawa Khadr itu lain daripada manusia lain?

Hujah kita dikuatkan lagi kerana ada hadths lain yang menyebut ‘tidak ada manusia yang bernyawa’. Maknanya, ia lebih menjelaskan bahawa ia merujuk kepada semua manusia. Iaitu semua manusia yang hidup, tidak kira di mana mereka berada.

Mereka juga ada mengatakan maksud ‘muka bumi’ yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah ‘tanah Arab’ sahaja iaitu tempat tinggal Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata, mungkin Khadr pada malam itu berada di muka bumi yang lain. Akan tetapi kenapa kecualikan Khadr sahaja? Bukankah Nabi Muhammad ﷺ itu Nabi kepada seluruh alam? Kalau pun ia tidak melibatkan tempat selain Tanah Arab, tentu bukan Khadr sahaja yang duduk di sana. Adakah disebut orang lain lagi yang dapat hidup lebih daripada 100 tahun sejak malam itu?

Mereka juga berhujah bahawa sudah ramai alim ulama dan orang-orang soleh yang telah berjumpa dengan Khadr. Takkan mereka itu hendak berbohong yang mereka telah berjumpa dengan Khadr? Ini bukanlah satu dalil yang kukuh untuk menolak hadith Nabi ﷺ ini. Kita sebagai orang Islam, mesti memegang erat dalil yang sahih iaitu daripada Al-Qur’an dan hadith. Bukan sewenangnya menerima kata-kata manusia yang entah siapa mereka berjumpa. Kalau yang mereka jumpa itu adalah syaitan, bagaimana? Adakah kepastian yang dapat disahihkan yang mereka jumpa itu adalah Khadr? Adakah orang itu tunjuk IC dia yang dia benar-benar Khadr? Senang sangat orang kita percaya. Kalau dibiarkan kekarutan mereka ini, jangan kata jumpa Khadr, jumpa Allah setiap hari pun ada yang dakwa! Maka tugas kitalah untuk menyedarkan masyarakat dengan menyampaikan ajaran wahyu yang sahih ini.

Memang ada hadith yang dijadikan hujah oleh mereka yang mengatakan tentang Khadr masih hidup. Akan tetapi hadith-hadith yang dibawa adalah dhaif belaka. Banyak sangat masalah dengan hadith mereka sampaikan tidak boleh dijadikan hujah. Kalau kita hendak bawakan hadith, kenalah pastikan yang hadths itu adalah hadith yang sahih.

Memang ramai masyarakat kita yang ada fahaman salah tentang Khadr ini. Terlebih sekali adalah golongan sufi dan tarekat. Mereka memang senang ditipu kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka hanya ikut-ikut sahaja.

Oleh itu kita lebih selesa dengan pendapat mereka yang berpegang bahawa Khadr telah wafat seperti Abu Fadl bin Nasir, Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi dan yang lainnya, mereka berpandangan bahawa sekiranya Khadr masih hidup bagaimana mungkin beliau tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ seperti yang diperintahkan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti melakukan solat di belakang Imam umat sekarang. Imam Abadi رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan daripada Imam Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitabnya:

قَالَ الحافظ بن حَجَرٍ وَمِنْهُمْ أَبُو الْفَضْلِ بْنُ نَاصِرٍ وَالْقَاضِي أَبُو بَكْرِ بْنِ الْعَرَبِيِّ وَأَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بن الحسن النقاش ومنهم بن الْجَوْزِيِّ وَاسْتَدَلَّ بِمَا أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ عَنِ الشَّعْبِيِّ عَنْ جَابِرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي قَالَ فَإِذَا كَانَ هَذَا فِي حَقِّ مُوسَى فَكَيْفَ لَمْ يَتْبَعْهُ الْخَضِرُ أَنْ لَوْ كَانَ حَيًّا فَيُصَلِّي مَعَهُ الْجُمُعَةَ وَالْجَمَاعَةَ وَيُجَاهِدُ تَحْتَ رَايَتِهِ كَمَا ثَبَتَ أَنَّ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يُصَلِّي خَلْفَ إِمَامِ هَذِهِ الْأُمَّةِ
Al-Hafiz Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Dan daripada mereka Abu al-Fadl bin Nasir, al-Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi, Abu Bakr Muhammad bin al-Hasan al-Nuqash dan daripada mereka Ibn al-Jauzi menyimpulkan dengan apa yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada al-Sya’bi daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda. “Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya (kekuasaan-Nya), jika seandainya Musa masih hidup, tidaklah dibenarkannya melainkan perlu mengikutiku”. Imam Ibn Jauzi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Sekiranya ini merupakan hak bagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka bagaimana Nabi Khidir tidak mengikutinya (Nabi Muhammad ﷺ) sesungguhnya sekiranya beliau hidup maka beliau akan mendirikan solat Jumaat dan berjemaah bersama Baginda serta berjihad di bawah panji Baginda seperti yang disabitkan sesungguhnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendirikan solat di belakang imam umat ini”.
(Rujuk, ‘Aun al-Ma’bud, 11/339)

Syeikh ‘Atiyyah Saqr رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menjawab berkenaan dengan persoalan adakah Khadr hidup atau wafat dengan menyebut bahawa:

ولم يرد نص صريح فى كونه مات أو ما زال حيا حتى يقتله الدجال ، أو أن له لقاءآت مع بعض الأنبياء أو الأولياء ، أو أنه يلقى السلام على بعض الناس فيردون عليه التحية . كل ذلك ليس له دليل يعتد به وفى الوقت نفسه لا يترتب على الجهل به عقاب ، ولا يؤثر على إيمان المؤمن ، فهو ليس من العقائد التى كلفنا بها الدين ، وأولى ألا نشغل بالبحث عنها كثيرا ، وفى كتب التفسير والتاريخ متسع لمن أراد المزيد
Tidak terdapat nas yang jelas menceritakan keadaan wafat atau hidupnya Nabi Khidir sehingga Baginda membunuh Dajjal, atau Baginda berhimpun bersama sesetengah para Nabi atau para wali atau Baginda memberi dan menjawab salam kepada sesetengah manusia. Setiap kisah ini tidak terdapat dalil atau bukti yang jelas, pada masa yang sama tidak mendapat balasan (dosa) atas kejahilan berkenaannya dan tidak memberi kesan ke atas iman orang yang beriman, kerana ia bukan menjadi satu pegangan akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama, dan lebih baik sekiranya tidak terlalu banyak membincangkannya, malah ia banyak terkandung di dalam kitab tafsir dan sirah bagi sesiapa yang ingin menambah pengetahuan tentangnya.
(Rujuk Mausu’ah Ahsan al-Kalam Fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 6/271)

Maka janganlah kita mengatakan yang Khadr masih hidup lagi kerana ia adalah pendapat yang lemah. Malah ada pendapat yang mengatakan pandangan Khadr masih hidup adalah diselit oleh puak Syiah. Ini adalah kerana mereka mendakwa Imam mereka ke 12 sedang menyorok dan nanti akan keluar. Pendapat ini mengarut sekali sebab sudah seribu tahun dia menyorok, takkan masih hidup lagi? Maka mereka telah selit kisah Khadr dan mereka akan kata: ‘Habis korang kata Khidr masih hidup lagi tidak mengapa pula? Lagi lama dia hidup….’ Kalaulah kita terbelit dengan isu Khadr masih hidup, maka kita telah termakan dengan helah mereka. Imam jenis apakah ini? Seandainya benar dia boleh selamatkan agama Islam, buat apa dia menyorok?

Yang penting ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menekankan tentang ‘ilmu’. Ini bermakna, Allah ﷻ lebih banyak memberi ilmu kepada beliau kalau dibandingkan dengan rahmat. Apakah rahmat yang diberikan kepada Khadr? Kita tidak pasti kerana kita tidak diberitahu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Mulk Ayat 13 – 15 (Allah ‎ﷻ beri kemudahan kepada kita)

SOALAN 1: ADAKAH ALLAH ‎ﷻ TIDAK TAHU MAKHLUKNYA?

Mulk Ayat 13: Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan lagi dalil tambahan tentang kuasa-Nya. Allah ‎ﷻ sedang bercakap dengan menggunakan kata-ganti kedua pula dalam ayat ini. Di sini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu tentang Sifat-Nya yang Maha Mendengar.

Ayat 13 – 17 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan Kebenaran Tauhid. Ketahui dan yakinkan sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui, Maha Pencipta yang boleh menghancurkan bumi dan segala isinya.

Sementara ulama’ menyebutkan bahawa ketika turunnya ayat-ayat yang sebelum ini kaum musyrikin saling menyarankan supaya jika mereka berbicara agar berbisik-bisik, sehingga tidak didengar oleh Tuhan Muhammad. Saranan mereka itu dijawab Allah ‎ﷻ di sini.

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

And conceal your speech or publicize it; indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ

Dan sembunyikanlah kata-kata kamu;

Iaitu kamu cakaplah dengan perlahan, dengan rahsia atau berbisik kepada orang lain. Kalimah سِرُّ bermaksud ‘cakap dengan perlahan’, contohnya kita berbisik kepada orang lain. Dengan harapan supaya orang lain tidak dengar. Perkataan أَسِرُّوا adalah ayat dalam bentuk perintah. Allah ‎ﷻ cabar kita dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ cabar kita untuk cakap berbisik dengan orang lain, tengoklah Allah ‎ﷻ tahu atau tidak.

Kalimah أَسِرُّوا di dalam bentuk fi’il amr (perintah) akan tetapi bukan itulah dimaksudkan di sini. Ini dalam bentuk perintah akan tetapi bermakna khabar. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu ilmu-Nya di sini. Allah ‎ﷻ mahu kita tahu.

 

أَوِ اجْهَرُوا بِهِ

atau kamu zahirkan;

Perkataan جهر bermaksud bercakap dengan kuat iaitu jahrkan perkataan kamu. Senyap atau terang-terangan, sebenarnya sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ. Cakap perlahan, berbisik, cakap dengan kuat pun, Allah ‎ﷻ dengar semuanya.

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang dalam lipatan hati-hati kamu;

Sama ada kita kata dengan jelas atau tidak, Allah ‎ﷻ tahu. Macam kita baca doa, ada dalam hati yang kita tidak sebutkan, tetapi Allah ‎ﷻ tahu. Malah yang tidak dikatakan dalam hati pun Allah ‎ﷻ tahu. Sebagimana ada yang kita cakap dalam hati, tetapi ada yang kita tidak cakap dalam hati pun iaitu ‘lintasan hati’. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu. Sebelum kita cakap lagi, Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang kita hendak cakap. Maka ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ tahu ikhlas atau tidak dalam hati manusia. Sedarlah Allah ‎ﷻ tahu niat sebenar kita melakukan sesuatu itu. Maka kerana itu nanti ramai manusia akan melihat amal kebaikannya menjadi debu sahaja seperti disebut di dalam Furqan: 23 kerana tidak ikhlas.

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلنٰهُ هَباءً مَّنثورًا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Apakah kesannya kepada kita yang membaca ayat ini? Orang yang mengetahui dan menjiwai ayat ini, tentunya hendak memikirkan tentang buat maksiat pun dia takut kerana dia tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hatinya. Tentu dia malu dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kata hendak buat, mahu dirancang untuk buat pun sudah segan.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya yang Maha Mengetahui. Dia Maha Tahu apa sahaja yang berlaku dalam alam ini. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Jadi jangan kita kata ada jin tahu dalam hati manusia, ada guru yang boleh baca hati kita, dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik kerana apabila Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu, kemudian kalau kita kata ada selain Allah ‎ﷻ yang tahu, maka itu adalah fahaman syirik. Ini kerana kita telah meletakkan kuasa Allah ‎ﷻ pada makhluk. Malangnya, ada juga orang kita yang takut bersalam dengan guru dan ustaz, kerana takut guru atau ustaz itu boleh tahu apa yang ada dalam diri mereka, niat buruk mereka, amalan dosa mereka. Ini amat karut sekali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa apabila menyebut dan menyeru nama Allah dalam zikir tidak perlu kuat-kuat kerana Allah ‎ﷻ maha mendengar. Terdapat kumpulan sufi tarekat reka fahaman baru iaitu kena zikir dengan kuat kerana kita ini kononnya jauh daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang salah dan datang daripada puak yang tentunya jauh daripada ilmu wahyu.


 

Mulk Ayat 14: Bagaimana Allah ‎ﷻ boleh tahu apa yang ada dalam hati kita?

أَلا يَعلَمُ مَن خَلَقَ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ

Sahih International

Does He who created not know, while He is the Subtle, the Acquainted?

Malay

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

 

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ

Tidakkah yang menciptakan itu tidak tahu?;

Ini adalah soalan dalam bentuk soalan yang retorik. Digunakan di sini untuk kita berfikir. Sudah memang Allah ‎ﷻ yang menjadikan makhluk dan segala alam ini, tentulah Dia mengetahui segala-galanya. Jadi Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu yang Dialah yang Maha Pencipta.

Kita memang boleh fikir sendiri bagaimana ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Iman bukanlah sesuatu yang hanya percaya buta-buta sahaja. Kita boleh gunakan akal fikiran kita dengan melihat kejadian kita sendiri. Untuk faham lagi, lihat analogi ini: kalau pencipta telefon, tentulah dia tahu luar dalam tentang telefon itu, sebab dia yang cipta dan buat telefon itu, bukan? Lalu, bagaimana dengan Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita? Tentulah Dia tahu luar dalam tentang diri kita, malah lebih lagi. Lihatlah bagaimana dengan menggunakan akal fikiran, kita boleh capai kepada tahap keimanan yang tinggi. Itulah maksudnya agama Islam ini tidak meninggalkan akal. Agama Islam ini sesuai dengan akal.

Inilah beza Allah ‎ﷻ dengan makhluk. Kita ini kalaulah mempunyai anak cucu yang ramai, nama cucu pun kita ingat dan tersasul bila sebut. Akan tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui setiap makhluk-Nya. Kita tidak terlepas daripada pengawasan-Nya.

Maka, pemahaman makna ayat ini adalah: tidakkah yang menjadikan makhluk itu mengetahui? Namun begitu penggunaan perkataan مَن boleh juga disandarkan kepada ‘Allah’ dan boleh juga disandarkan kepada ‘makhluk’. Oleh itu, kalau disandarkan perkataan من itu kepada makhluk, ia boleh diterjemahkan sebegini: Tidakkah Allah ‎ﷻ mengetahui ‘siapa’ yang Dia telah ciptakan?

 

وَهُوَ اللَّطِيفُ

dan Dialah yang Maha Lembut;

Allah ‎ﷻ Maha Halus di dalam urusan pentadbiran-Nya. Bukanlah bermaksud Allah itu halus pula. Maksudnya Dia Maha Mengetahui perkara yang kecil-kecil, yang halus-halus pun Dia tahu. Cacing, nyamuk, lalat, virus yang kecil-kecil dan halus mulus itu pun Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ uruskan perjalanan hidup mereka.

Jadi jangan kita sangka Allah ‎ﷻ hanya tahu tentang perkara-perkara yang besar sahaja. Yang sekecil-kecilnya pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Semua sekali Allah ‎ﷻ kawal. Perjalanan darah kita, pernafasan kita – semua Allah ‎ﷻ yang kawal. Perancangan Allah ‎ﷻ amat halus dan kita pun tidak perasan apakah penghujungnya nanti. Lihatlah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan perjalanan hidupnya dari kecil sampailah baginda menjadi seorang menteri. Satu persatu perancangan Allah ﷻ itu membawa supaya baginda akhirnya menjadi menteri. Perancangan Allah ﷻ amatlah halus, dan kita makhluk yang lemah ini tidak nampak ke mana perancangan itu akan berakhir. Maka di hujung surah itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata sebagaimana dinukilkan di dalam Yusuf: 100

وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ مِن بَعدِ أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي ۚ إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut sifat Allah إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ. Baginda memuji perancangan Allah ﷻ sepanjang hidup baginda. Semasa kejadian itu semua, baginda tidak tahu apakah penghujung nasib baginda akan tetapi baginda tetap bersabar di atas iman dan yakin dengan perancangan Allah ﷻ.

 

الْخَبِيرُ

Lagi Maha Mengetahui?;

Dia Maha Mengetahui segala apa yang terjadi. Tidak ada yang dapat disembunyikan daripada-Nya. Perkataan الْخَبِيرُ bukan sahaja bermaksud ‘mengetahui’, tetapi memahami dengan mendalam. Kerana ada perkara yang kita tahu, tetapi kita tidak faham. Allah ﷻ bukan sahaja Tahu, tetapi Dia amat faham sekali.

Kedua-dua sifat Allah ﷻ ini bersesuaian dengan ayat-ayat sebelumnya. Surah ini menceritakan tentang manusia yang mengambil pengajaran (dan menjadi baik) dan manusia yang salah memilih jalan (dan menjadi rugi) dan kemudian Allah ﷻ beritahu kesan-kesan yang mereka akan hadapi daripada tindakan mereka itu di mana terdapat dua kesan berbeza: Allah ﷻ hendak memberitahu kepada kedua-dua pihak ini bahawa Allah ﷻ Maha Mengetahui. Kepada golongan yang salah, Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia tahu apa yang mereka kata, apa yang mereka fikirkan dan apa yang mereka lakukan walau sekecil mana sekalipun. Allah ﷻ pasti akan balas dengan balasan yang sesuai. Kepada golongan yang baik, Allah ﷻ juga hendak memberitahu kepada mereka bahawa Dia mengetahui apakah amalan baik yang telah mereka lakukan. Allah ﷻ tidak akan mensia-siakan perbuatan baik mereka itu. Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan yang berlipat kali ganda.

Maka sematkan di dalam hati dan benak kita yang Allah ﷻ mengetahui segala-galanya. Kalau kita kerja dengan orang, mungkin ketua kita tidak tahu apakah kebaikan yang kita lakukan. Kalau dia tidak tahu, mungkin dia tidak dapat balas dengan memberikan bonus atau naikkan gaji. Akan tetapi, dengan Allah ﷻ, kita jangan risau, Allah ﷻ tahu semuanya dan Allah ﷻ akan balas. Ini sepatutnya memberi ketenangan dan kesenangan fikiran kepada orang-orang yang beramal baik.

Habis Ruku’ 1 daripada 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Mulk Ayat 15: Dalil Aqli. Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang nikmat yang telah Dia berikan kepada makhluk-Nya.

هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ ذَلولًا فَامشوا في مَناكِبِها وَكُلوا مِن رِّزقِهِ ۖ وَإِلَيهِ النُّشورُ

Sahih International

It is He who made the earth tame for you – so walk among its slopes and eat of His provision – and to Him is the resurrection.

Malay

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki-Nya; dan kepada Allah jualah  dibangkitkan hidup semula.

 

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا

Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah untuk dilalui;

Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang bumi. Memang surah ini bertukar sekejap sentuh tentang langit dan sekejap sentuh tentang bumi. Berkenaan langit kita telah diberitahu yang ada pengawal yang menjaganya, maka jin syaitan yang naik ke langit untuk mencuri maklumat di langit akan direjam dengan api. Api dunia adalah mukaddimah kepada api neraka yang mereka akan dapat nanti. Nah, sekarang apabila disebut tentang bumi, ia adalah mukaddimah nikmat-nikmat di dalam syurga. Lihat keindahan bumi ini dan bagaimana Allah ﷻ telah menjadikan bumi ini mudah untuk kita berjalan dan duduki. Kalau bumi kita ini berpaya semuanya, tentulah susah kita berjalan, kena ada kenderaan seperti bot pula untuk bergerak ke sana sini.

Tidaklah bumi itu tanahnya lembik kerana itu pun susah juga untuk dijalani kerana sudah sedang berlecak pula. Namun, tidak jadi begitu kerana Allah ﷻ memudahkan untuk kita duduk atas bumi ini. Allah ﷻlah yang membuatkan bumi kita ini mudah untuk dijelajahi. Allah ﷻ juga tidak menjadikan keseluruhan dunia ini berbukit bukau sampai susah manusia berjalan di atasnya.

Tidaklah juga Allah ﷻ jadikan bumi ini berbatu sahaja semuanya kerana kalau berbatu, tentu susah untuk kita. Sebab kalau ia keras, ia akan terkesan dengan cuaca sejuk dan panas. Kalau cuaca sejuk, ia akan menjadi terlalu sejuk dan kalau cuaca panas, ia akan menjadi terlalu panas sebab ia akan menyerap kesejukan dan kepanasan itu. Akan tetapi oleh kerana bumi itu lembut, ia tidak terkesan sangat dengan cuaca.

Allah ﷻ menjadikan bumi ini mudah untuk kita. Perkataan ذَلُولًا juga bermaksud ‘mudah untuk diuruskan’ atau ditundukkan. Bumi ini memang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita gunakan maka kerana itu Allah ﷻ mudahkan. Kalau Dia telah jadikan untuk kita tetapi susah untuk kita usahakan, itu tidak sesuai dengan rahmat Allah ﷻ. Antara kemudahannya, telah dijadikan tanah itu lembut untuk senang kita bercucuk tanam padanya. Bayangkan kalau semua bumi ini berbatu? Tentu kita hendak menanam pun susah. Walaupun lembut, tetapi ia cukup keras untuk kita membina rumah, bangunan dan berdiri di atasnya. Allah ﷻ berikan bumi itu sudah cukup sesuai untuk kita diami. Tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.

 

فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا

Maka berjalanlah kamu ke setiap pelusuk bumi itu;

Setelah Allah ﷻ jadikan bumi ini mudah untuk dilalui, Allah ﷻ menggalakkan kita berjalan padanya. Bermusafirlah padanya dan lihatlah alam ini. Yang tinggi engkau dakilah, yang rendah engkau redahlah. Di mana sahaja kamu hendak pergi, kamu boleh pergi untuk mencari rezeki dan kehidupan. Terokailah alam ini yang Allah ﷻ telah jadikan buat kita. Berjalan dan perhatikanlah alam dunia ini untuk melihat kehebatan Allah ﷻ supaya kita semakin terkesan dengan Allah ﷻ. Carilah rezeki yang Allah ﷻ telah sediakan buat kita. Jangan bermalas-malas, menganggur dan tunggu orang bagi makan sahaja sebaliknya berusahalah!

Dengan kemajuan teknologi moden ini, semakin banyak tempat yang boleh diteroka oleh umat manusia. Manusia boleh mencari berbagai-bagai sumber dari alam ini. Ramai yang takut makanan tidak cukup, tetapi Allah ﷻ telah jadikan fikiran dan minda kita ini bijak untuk mencari jalan mencari rezeki, asalkan kita mahu berusaha.

Perkataan مَنَاكِبِ dari segi bahasa, bermaksud ‘bahu’. Bahu itu berada di tepi tubuh kita. Bermaksud Allah ﷻ menyuruh kita berjalan di tepian bumi ini. Perkataan مَنَاكِبِ boleh juga bermaksud bahu binatang yang dijadikan tunggangan semasa bermusafir. Ini adalah kerana kalau kita duduk di atas binatang, dikatakan di bahagian bahunya. Sebagaimana Allah ﷻ telah jinakkan bumi, maka begitulah Allah ﷻ jinakkan binatang sampai kita boleh menaikinya dan mengawal pergerakannya supaya boleh kita tunggang.

Kalimah مَنَاكِبِ juga boleh bermaksud gunung-ganang kerana seperti juga bahu yang terbonjol keluar, gunung-ganang juga begitu. Oleh itu, ia boleh bermaksud, kita juga boleh mendaki gunung-ganang itu. Ibnu Abbas, Mujahid, As-Saddi, dan Qatadah mengatakan bahawa مَنَاكِبِ ertinya daerah-daerah yang jauh, daerah-daerah pedalamannya, dan seluruh kawasannya. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan pula bahawa مَنَاكِبِ ertinya gunung-ganangnya.

Di sini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah امْشُوا untuk membawa maksud berjalan. Akan tetapi ada beberapa lagi kalimah untuk berjalan yang digunakan di dalam Al-Qur’an yang membawa konotasi berbeza. Ada jalan yang tenang-tenang seperti disebut di dalam Nahl: 36

فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ
Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).

Jadi امْشُوا adalah berjalan tenang-tenang sahaja kerana ia tentang kehidupan dunia. Namun begitu apabila tentang mendapatkan bukti, Allah ‎ﷻ suruh فَسيروا yang bermaksud lebih lagi cara berjalannya. Apabila mendapatkan keampunan Allah ‎ﷻ dan syurga pula, Allah ‎ﷻ suruh lebih laju seperti disebut di dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga

Untuk mentaati Allah ‎ﷻ, mestilah laju lagi seperti disebut di dalam Dzariyat: 50

فَفِرّوا إِلَى اللهِ
Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah.

Apabila mengerjakan Solat Jumaat pun disuruh kita bersegera seperti disebut di dalam Jumuah: 9

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ
Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Akan tetapi apabila telah selesai Solat Jumaat dan dibenarkan untuk mencari rezeki, tidak pula disuruh bersegera seperti disebut di dalam Jumuah: 10

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah

Ini kerana rezeki Allah ‎ﷻ telah tentukan bagi kita, jadi tidak perlu tergesa-gesa sangat. Ia pasti ada kerana apabila Allah ‎ﷻ telah hidupkan kita, Dia telah tetapkan rezeki buat kita setakat yang kita akan terima. Begitulah dalam bab dunia, Allah ‎ﷻ suruh relaks-relaks sahaja tetapi dalam hal kebaikan akhirat, Allah ‎ﷻ suruh bersegera seperti disebut di dalam Baqarah: 148 sampaikan disuruh berlumba-lumba,

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan

Dalam bab rezeki, yang kena ada adalah tawakal dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
Umar Bin Al Khaththab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ  bersabda: “Jika kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”
(Sunan Ibn Majah No. 200)

 

وَكُلُوا مِنْ رِّزْقِهِ

Dan makanlah daripada rezeki-Nya;

Allah ‎ﷻ menyuruh kita menggunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dalam dunia ini. Selepas Allah ‎ﷻ suruh kita berjalan di muka bumi, Allah ‎ﷻ suruh makan hasil rezeki yang Dia telah sediakan. Ini bermaksud kena berjalan untuk mencari rezeki. Kerana itu perniagaan berlangsung di tempat-tempat yang jauh supaya boleh bertukar-tukar barang jualan.

Kalimah كُلُوا bermaksud ‘kalian makanlah’, tetapi tidak semestinya hanya tentang mencari makan sahaja. Kerana رِزْقِ boleh bermaksud lebih daripada itu. Ketenangan pun adalah rezeki juga. Bayangkan ayat ini diturunkan kepada para sahabat yang ketika itu lemah dan ditindas di Mekah. Namun Allah ‎ﷻ sebut tentang berjalan-jalan dengan tenang dan makan apa sahaja yang ada di bumi. Sedangkan mereka waktu itu lemah dan terhad dengan apa yang mereka boleh lakukan. Hendak makan pun terhad kerana suasana di Mekah ketika itu. Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ memberi mereka isyarat yang mereka nanti akan diberikan dengan keluasan dan kebebasan di atas muka bumi dan rezeki yang melimpah ruah; iaitu apabila mereka hijrah ke Madinah.

Apabila Allah ‎ﷻ telah suruh kita makan, maka jangan kita mengamalkan ‘pantang’. Jangan kita memandai-mandai mengharamkan perkara yang halal. Ini kerana perbuatan mengamalkan pantang itu sebenarnya adalah perbuatan kufur. Allah ‎ﷻ telah halalkan makanan untuk kita makan, tetapi kita pandai-pandai haramkan untuk diri kita pula. Yang selalu melakukan begini adalah ibu-ibu yang mengandung. Itu adalah salah kerana mengharamkan yang halal. Kalau tidak selera makan, itu tidak mengapa kerana ia bermakna Allah ‎ﷻ sudah tarik nikmat makan sesuatu makanan kepada kita. Itu tidak menjadi masalah. Namun janganlah kita haramkan benda yang kita boleh makan.

Selalunya amalan pantang itu adalah daripada suruhan orang-orang tua atau daripada bidan-bidan yang mereka terima amalan pantang itu dari dulu lagi. Bukan berasaskan daripada kajian saintifik pun, tetapi hanya daripada kata-kata orang-orang tua. Yang mengajar pantang itu adalah syaitan sebenarnya. Dengan mengharamkan memakan sesuatu walaupun dalam satu jangkamasa sahaja, itu sudah menidakkan kebenaran Allah ‎ﷻ yang membenarkan kita makan apa sahaja yang boleh dimakan.

Namun begitu, ini bukanlah kita menidakkan kata-kata doktor dan pengamal perubatan yang telah menjalankan kajian dan mereka memang tahu manakah makanan yang sesuai dimakan atau tidak. Mereka telah belajar dan tahu daripada pengalaman mereka. Akan tetapi bidan kampung itu ada buat kajiankah?

Kalimah كُلُوا ini juga adalah dalil untuk mengatakan bahawa hukum asal sesuatu benda itu adalah halal, sehinggalah ada dalil yang mengatakan ia adalah haram. Ini merupakan salah satu daripada kaedah fiqh.

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita berjalan di mukabumi dan mencari rezeki padanya, bermakna Allah ‎ﷻ menyuruh kita berusaha untuk mencari kehidupan. Bukan bermalas-malasan menunggu hasil daripada orang lain sahaja. Ingatlah kisah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah suatu hari beliau nampak ahli ibadat hanya duduk-duduk sahaja beribadat di masjid melakukan ibadat mengharapkan pemberian orang sahaja. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah memarahi dan memukul mereka kerana mereka sepatutnya berusaha mencari rezeki dahulu, barulah mereka bertawakal kepada Allah ﷻ. Bukan hanya bertawakal tetapi tidak berusaha sedikit pun.

Kenanglah nikmat Allah ﷻ beri kita berjalan dan Allah ﷻ beri kita makan. Ini adalah antara nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Tidak kira sama ada kita kafir atau Muslim. Kalau kita beriman, maka pemberian Allah ﷻ ini adalah percuma sahaja akan tetapi kalau yang ingkar kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan tanya balik kepada mereka: bagaimana mereka menggunakan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada mereka tetapi tidak taat kepada-Nya? Allah ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Memang kita semua akan ditanya dengan nikmat yang kita dapat ini seperti disebut di dalam hadith yang panjang,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ  pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Ansar (Abu Haitsam bin At Taihan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ). Namun sayang dia sedang tidak di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, dia mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka dia berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tamu yang mulia.’ Lalu dia mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil dia mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim No. 3799)

 

وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Dan kepada-Nya jualah kamu akan kembali;

Sama ada kita lalai dengan ugama, atau kita menjelajah seluruh dunia untuk kenal Allah ‎ﷻ, maka untuk menyempurnakan kehidupan sahaja, apa-apa kita buat di dunia pun, kita semua akan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Itu kita kena ingat. Kena ingat bahawa kita semua akan kembali menemui Tuhan. Tadi Allah ‎ﷻ suruh berjalan di muka bumi, sekarang Allah ‎ﷻ ingatkan tentang perjalanan kita setiap hari yang menuju kematian. Jangan lupa yang setiap hari kita sebenarnya menuju ke kubur!

Perkataan نُّشُورُ bermaksud ‘berkembang’. Kenapa digunakan perkataan itu di sini yang maksudnya adalah kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ? Kerana nanti di akhirat, kita semua akan dikumpulkan dan ‘dikembangkan’ mengikut kumpulan masing-masing. Ada golongan yang baik dan ada golongan yang rugi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Januari 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Bacaan tambahan

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Kahfi Ayat 60 – 62 (Kisah Khadr)

KISAH 3: NABI MUSA عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DAN KHADR

Kahf Ayat 60: Sekarang ini kita masuk ke dalam kisah berkenaan Khadr. Ulama khilaf sama ada beliau seorang Nabi atau tidak. Kisah ini dibawakan kerana ia juga adalah satu syubhah pada manusia. Bermula ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro Keempat iaitu tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr. Ia tentang ujian kepada orang berilmu. Kisah ini hanya terdapat di dalam rentetan ayat-ayat ini sahaja.

Dalam Surah Kahfi ini, terdapat empat cerita. Semuanya kisah untuk mencungkil apa yang ada dalam hati manusia. Kisah Pemuda Kahfi, Kisah orang kaya, Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr dan akhir sekali adalah Kisah Dzulkarnain. Sekarang kita masuk kepada kisah ketiga iaitu tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr.

Sebelum ini telah disebut kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis. Iblis tidak mengakui kedudukan dan kemuliaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang dijadikan perbandingan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr pula di mana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui kelebihan yang ada pada Khadr.

Latarbelakang kisah: Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah ditanya oleh umatnya, adakah ada orang lain yang lebih pandai daripada baginda? Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab dalam bentuk umum yang memang baginda yang paling pandai kerana memang seorang Nabi adalah orang yang paling alim sekali dalam kalangan umatnya. Maka baginda jawab yang baginda adalah yang paling alim. Namun begitu baginda tidak sertakan dengan kata ‘wallahu a’lam’ (dan Allah ‎ﷻ lebih mengetahui).

Oleh kerana tidak disertakan dengan kalimah itulah, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diuji oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu baginda bahawa ada lagi yang lebih alim daripada baginda. Iaitu alim dari sudut lain. Bila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu ada orang yang lebih alim daripadanya, baginda ingin belajar dengan orang itu. Baginda bertanya kepada Tuhan di manakah baginda boleh berjumpa dengan orang itu?

Allah ﷻ beritahu bahawa baginda boleh berjumpa orang itu di pertengahan dua laut. Baginda perlu membawa ikan kering dan ikan kering itu akan membuat satu perbuatan yang pelik. Bila jadi begitu, di situlah tempatnya yang baginda akan bertemu dengan orang yang dicarinya itu.

Maka, begitulah pengajarannya dalam adab berilmu adalah memulangkan kembali ilmu itu kepada Allah ﷻ dengan mengatakan ‘Allahu a’lam’. Bukan hanya dalam ilmu agama sahaja, bahkan dalam segala bentuk ilmu sama ada matematik, geografi dan sebagainya kerana apa sahaja ilmu yang kita ada, tidak semestinya tepat kerana ia hanya setakat apa yang kita ada sahaja.

Bolehkah seorang manusia lebih pandai darpadai Nabi? Boleh, jikalau orang itu juga seorang Nabi. Ini kerana tidak boleh seorang manusia biasa lebih pandai daripada Nabi dalam perkara agama. Kalau dalam perkara kehidupan biasa, tidak mustahil seorang manusia biasa lebih pandai daripada Nabi. Namun secara umumnya, seorang Nabi itu adalah seorang yang bijak. Mereka bersifat fatonah (bijaksana).

وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِيَ حُقُبًا

Sahih International

And [mention] when Moses said to his servant, “I will not cease [traveling] until I reach the junction of the two seas or continue for a long period.”

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.

 

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتٰهُ

Dan ketika Nabi Musa berkata kepada pembantunya;

Kalimah فَتٰهُ ialah orang muda, anak muda atau secara ringkas sekarang, pemuda. Dalam bahasa Melayu yang asli, anak muda itu disebut bujang. Iaitu orang yang belum berkahwin. Yang dimaksudkan dengan menyebutkannya anak mudanya itu ialah pembantunya, pengawalnya, penemannya. Kadang-kadang dalam bahasa Arab ada kata lain yang digunakan untuk itu, iaitu khadam. Masyarakat Arab Jahiliyah juga memanggil hamba mereka dengan abd (hamba) dan Rasulullah ﷺ telah melarang penggunaan begitu lagi. Maka di dalam ayat ini telah diberikan contoh kesopanan Islam. Iaitu agar orang muda pembantu itu jangan disebut khadam atau pembantu rumahtangga. Sebutkanlah dia فَتٰهُ orang muda.

Nama pembantu itu adalah Yusha’ bin Nun, bin Ifra’im, bin Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau adalah murid kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang mengatakan beliau adalah anak saudara sebelah ibu kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu itu beliau adalah seorang yang muda dan berkhidmat kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia mengajar kita untuk ambil pembantu, carilah yang muda. Kalau tua sama dengan kita, buat susah kita pula. Ia juga mengajar kita kalau bermusafir, elok ada teman; jangan pergi jalan seorang diri sahaja.

Ini juga menjadi contoh kepada kita, bahawa elok kalau seorang anak murid membantu gurunya. Akhirnya nanti Yusha’ ini akan menjadi Nabi juga menggantikan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita boleh lihat dalam sejarah hidup Nabi ﷺ juga, banyak sahabat yang berkhidmat kepada baginda. Sama ada yang tua atau pun yang muda. Mereka berkhidmat supaya memudahkan tugas Nabi ﷺ menjalankan dakwahnya dan menguruskan hal-hal yang lebih penting.

Maknanya, kita selesaikan hal-hal kecil guru supaya dia dapat lebih tumpukan kepada pengajaran dan pemberian ilmu. Dengan berkhidmat dengan guru, kita akan mendapat peluang untuk mendapat ilmu yang lebih lagi. Banyak terjadi ada ulama yang asalnya mereka itu hamba kepada orang alim yang lain. Mereka menjadi pandai kerana mereka meluangkan masa dengan tuan mereka yang alim. Oleh kerana itu, kita kena meluangkan masa bersama guru.

Yusha’ kemudian akan diangkat menjadi Nabi selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ wafat dan menggalas tugas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan agama kepada manusia. Beliaulah nanti yang akan membawa Bani Israil keluar dari tempat sesat mereka di padang pasir selama 40 tahun itu. Seperti kita telah tahu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama kaumnya sesat di padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun telah ditakdirkan sesat bersama mereka dan tidak dapat keluar dari padang pasir itu. Hanya pada masa Yusya’ menjadi Nabi barulah beliau berjaya membawa Bani Israil untuk mengalahkan puak Amaliqah yang berada di Palestin dan mengambil alih Palestin dan BaitulMaqdis.

Kisah ini bermula dengan ayat ini. Kisah panjangnya kena lihat hadith yang akan disertakan nanti.

 

لَا أَبْرَحُ

Aku tidak akan berhenti;

Kalimah أَبْرَحُ daripada katadasar ب ر ح yang bermaksud menarik diri, putus asa, berhenti, lemah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berniat untuk tidak berhenti berjalan untuk mencari tempat pertemuan itu. Baginda tidak akan berhenti.

Ini menunjukkan motivasi dan prihatin baginda terhadap mencari ilmu. Ini adalah adab dalam mencari ilmu. Kalau kita tahu ada guru yang boleh mengajar, kita kena cari dia sampai dapat. Mencari ilmu memerlukan usaha dan pengorbanan kerana itu kalau kita baca kisah-kisah ulama, kita akan tahu yang mereka banyak mengembara untuk mendapatkan ilmu.

Sebaliknya sekarang, kadang-kadang bukan kena cari, sedangkan ustaz dari jauh sudah datang ke tempat kita tetapi masih ada juga yang masih malas lagi datang belajar. Tidak elok begitu kerana Allah ﷻ sudah mudahkan kerana sepatutnya kita yang kena cari guru. Betapa sekarang sudah dimudahkan. Malah tidak perlu keluar rumah pun kerana ilmu sudah boleh didapati secara online, kelas pun boleh dibuat secara online sekarang. Maka apakah lagi alasan kita untuk menjadi bodoh?

Ternyata di sini kita boleh faham tentang kepentingan ilmu. Masalah orang kita sekarang adalah kerana tidak ada ilmu. Sudahlah tidak ada ilmu, sombong pula; sudahlah bodoh, hendak bercakap juga hal-hal agama. Kebanyakan mereka bercakap hanya berlandaskan akal dan nafsu sahaja. Padahal sudah banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith yang menunjukkan kepentingan ilmu.

مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah yang kita pelajari daripada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setakat ini. Baginda berusaha mencari ilmu dan bermujahadah padanya. Ini juga adalah saranan daripada Nabi ﷺ,

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat Tirmidzi daripada hadith Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)
Kata at-Tirmidzi: “Hadith ini hasan gharib.”

حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ

sehinggalah aku sampai ke tempat pertemuan dua laut;

Baginda tekad tidak akan berhenti sehingga menemui tempat pertemuan dua lautan yang disebut oleh Allah ‎ﷻ sebagai tempat baginda akan bertemu dengan orang yang lebih pandai daripada baginda itu.

Mengikut kisah, ini terdapat di kawasan Laut Mediterranean. Macam-macam tafsiran yang diberikan. Kalau dalam Tafsir Jalalain disebut: Antara Laut Romawi dan Laut Parsi dari sebelah Timurnya. Ada yang mengatakan bahawa dua lautan itu adalah antara laut masin dan tawar. Tambahan pula kalau pertemuan dua lautan, memang ada banyak. Mana yang benar itu tidak penting. Yang penting adalah kisah pengajaran yang hendak disampaikan. Allah ﷻ pun tidak beritahu tentang tempat itu, bermakna ia tidak penting.

Ini adalah dalil mengatakan kalau terpaksa pergi seberang laut untuk belajar pun, kita harus belajar. Namun sekarang, tidak payah seberang laut pun, sudah ada guru banyak di Malaysia ini. Cuma tinggal hendak belajar sahaja lagi.

Maka kita dapat belajar daripada keazaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang baginda sendiri walaupun seorang alim, tetapi baginda juga boleh menjadi pelajar. Baginda bersungguh-sungguh mahu belajar. Tidak salah kalau kita menambah ilmu dengan belajar daripada orang lain walaupun kita sudah digelar ustaz.

Tempat pertemuan itu tidaklah disebut secara jelas oleh Allah ﷻ. Sedangkan boleh sahaja Allah ﷻ mudahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan beritahu di mana akan berjumpa. Akan tetapi begitulah ujian yang Allah ﷻ telah berikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam mencari Khadr itu pun ada banyak ujian-ujian lain. Ia mengajar kita dalam mendapatkan sesuatu yang baik, ia memerlukan proses dan masa dan ia tidak datang mudah begitu sahaja.

 

أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Atau aku terus berjalan untuk masa yang amat panjang;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertekad kerana keinginannya untuk mendapatkan ilmu. Kalimah أَمْضِيَ bermaksud terus dan kalimah حُقُبًا bermaksud masa yang lama. Ia adalah jamak bagi kalimah حُقبَة. Ada ahli bahasa mengatakan satu حُقبَة adalah setahun dan ada juga yang mengatakan ia adalah 80 tahun. Di sini ia bermaksud Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kisah berapa lama dan berapa jauh untuk baginda sampai ke tempat pertemuan itu. Kita pun seharusnya mempunyai sebegitu. Sekiranya kita terpaksa pergi jauh untuk belajar dan atas ketaatan kepada Allah ﷻ, maka kita harus pergi. Keazaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi pengajaran buat kita.

Kita boleh lihat contoh yang diberikan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Walaupun baginda seorang Nabi dan telah diberikan ilmu yang banyak, namun apabila diberitahu ada lagi guru yang lebih pandai, baginda tidak sombong untuk belajar dengan orang itu. Malah baginda sanggup untuk berusaha mencari orang itu untuk belajar.

Inilah yang patut kita contohi. Jangan kita sombong dengan ilmu kita kerana walau bagaimana pandai pun kita, ada lagi orang lain yang lebih pandai daripada kita. Kita kena terus belajar lagi. Para guru pun jangan halang anak murid daripada belajar dengan orang lain. Itulah tanda guru yang benar. Kita sebutkan di sini kerana ada juga kita perasan guru-guru yang tidak suka kalau anak muridnya belajar dengan orang lain.

Di sini juga kita belajar adab baginda dalam melayan pembantunya dengan baik. Baginda beritahu dulu tentang perjalanan mereka dan apa yang mereka akan lakukan. Kalau tuan yang sombong, dia rasa dia tidak perlu beritahu pun kepada pembantunya.

Hadith berkenaan kisah ini ada disebut di dalam Sahih Bukhari di dalam sebuah hadith yang panjang:

سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ قَالَ قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ إِنَّ نَوْفًا الْبَكَالِيَّ يَزْعُمُ أَنَّ مُوسَى لَيْسَ بِمُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنَّمَا هُوَ مُوسَى آخَرُ فَقَالَ كَذَبَ عَدُوُّ اللَّهِ حَدَّثَنَا أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ مُوسَى النَّبِيُّ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ فَسُئِلَ أَيُّ النَّاسِ أَعْلَمُ فَقَالَ أَنَا أَعْلَمُ فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ إِذْ لَمْ يَرُدَّ الْعِلْمَ إِلَيْهِ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ أَنَّ عَبْدًا مِنْ عِبَادِي بِمَجْمَعِ الْبَحْرَيْنِ هُوَ أَعْلَمُ مِنْكَ قَالَ يَا رَبِّ وَكَيْفَ بِهِ فَقِيلَ لَهُ احْمِلْ حُوتًا فِي مِكْتَلٍ فَإِذَا فَقَدْتَهُ فَهُوَ ثَمَّ فَانْطَلَقَ وَانْطَلَقَ بِفَتَاهُ يُوشَعَ بْنِ نُونٍ وَحَمَلَا حُوتًا فِي مِكْتَلٍ حَتَّى كَانَا عِنْدَ الصَّخْرَةِ وَضَعَا رُءُوسَهُمَا وَنَامَا فَانْسَلَّ الْحُوتُ مِنْ الْمِكْتَلِ { فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا } وَكَانَ لِمُوسَى وَفَتَاهُ عَجَبًا فَانْطَلَقَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِهِمَا وَيَوْمَهُمَا فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ { آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا } وَلَمْ يَجِدْ مُوسَى مَسًّا مِنْ النَّصَبِ حَتَّى جَاوَزَ الْمَكَانَ الَّذِي أُمِرَ بِهِ فَقَالَ لَهُ فَتَاهُ { أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهِ إِلَّا الشَّيْطَانُ } قَالَ مُوسَى { ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِي فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا } فَلَمَّا انْتَهَيَا إِلَى الصَّخْرَةِ إِذَا رَجُلٌ مُسَجًّى بِثَوْبٍ أَوْ قَالَ تَسَجَّى بِثَوْبِهِ فَسَلَّمَ مُوسَى فَقَالَ الْخَضِرُ وَأَنَّى بِأَرْضِكَ السَّلَامُ فَقَالَ أَنَا مُوسَى فَقَالَ مُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ قَالَ نَعَمْ قَالَ { هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِي مِمَّا عُلِّمْتَ رَشَدًا } قَالَ { إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا } يَا مُوسَى إِنِّي عَلَى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ عَلَّمَنِيهِ لَا تَعْلَمُهُ أَنْتَ وَأَنْتَ عَلَى عِلْمٍ عَلَّمَكَهُ لَا أَعْلَمُهُ { قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا } فَانْطَلَقَا يَمْشِيَانِ عَلَى سَاحِلِ الْبَحْرِ لَيْسَ لَهُمَا سَفِينَةٌ فَمَرَّتْ بِهِمَا سَفِينَةٌ فَكَلَّمُوهُمْ أَنْ يَحْمِلُوهُمَا فَعُرِفَ الْخَضِرُ فَحَمَلُوهُمَا بِغَيْرِ نَوْلٍ فَجَاءَ عُصْفُورٌ فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ فَنَقَرَ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ فِي الْبَحْرِ فَقَالَ الْخَضِرُ يَا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا كَنَقْرَةِ هَذَا الْعُصْفُورِ فِي الْبَحْرِ فَعَمَدَ الْخَضِرُ إِلَى لَوْحٍ مِنْ أَلْوَاحِ السَّفِينَةِ فَنَزَعَهُ فَقَالَ مُوسَى قَوْمٌ حَمَلُونَا بِغَيْرِ نَوْلٍ عَمَدْتَ إِلَى سَفِينَتِهِمْ فَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا { قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا } فَكَانَتْ الْأُولَى مِنْ مُوسَى نِسْيَانًا فَانْطَلَقَا فَإِذَا غُلَامٌ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ فَأَخَذَ الْخَضِرُ بِرَأْسِهِ مِنْ أَعْلَاهُ فَاقْتَلَعَ رَأْسَهُ بِيَدِهِ فَقَالَ مُوسَى { أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ } { قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا } قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ وَهَذَا أَوْكَدُ { فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ } قَالَ الْخَضِرُ بِيَدِهِ فَأَقَامَهُ فَقَالَ لَهُ مُوسَى { لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ } قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى لَوَدِدْنَا لَوْ صَبَرَ حَتَّى يُقَصَّ عَلَيْنَا مِنْ أَمْرِهِمَا
[Sa’id bin Jubair] berkata, aku berkata kepada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], “Sesungguhnya Nauf Al Bakali menganggap bahawa Musa bukanlah Musa Bani Isra’il, tetapi Musa yang lain.” Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا lalu berkata, “Musuh Allah itu berdusta, sungguh [Ubay bin Ka’b] telah menceritakan kepada kami daripada Nabi ﷺ: “Musa Nabi Allah عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdiri di hadapan Bani Isra’il memberikan khutbah, lalu baginda ditanya: “Siapakah orang yang paling pandai?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: “Aku.” Maka Allah ﷻ mencelanya kerana baginda tidak diberi pengetahuan tentang itu. Lalu Allah ‎ﷻ mewahyukan kepadanya: “Ada seorang hamba di antara hamba-Ku yang tinggal di pertemuan antara dua lautan lebih pandai darimu.” Lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “Wahai Rabb, bagaimana aku boleh bertemu dengannya?” Maka dikatakan padanya: “Bawalah ikan dalam keranjang, bila nanti kamu kehilangan ikan itu, maka itulah petunjuknya.” Lalu berangkatlah Musa bersama pelayannya yang bernama Yusya’ bin Nun, dan keduanya membawa ikan dalam keranjang hingga keduanya sampai pada batu besar. Lalu keduanya meletakkan kepalanya di atas batu dan tidur. Kemudian keluarlah ikan itu dari keranjang (lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu) ‘(Al Kahfi: 61). Kejadian ini menghairankan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan muridnya, maka keduanya melanjutkan sisa malam dan hari perjalanannya. Hingga pada suatu pagi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada pelayannya, ‘(Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa lelah kerana perjalanan kita ini) ‘ (Kahfi: 62). Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak merasakan kelelahan kecuali setelah sampai pada tempat yang dituju sebagaimana diperintahkan. Maka muridnya berkata kepadanya: ‘(Tahukah kamu ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi? Sesungguhnya aku lupa menceritakan ikan itu. Dan tidaklah yang melupakan aku ini kecuali syaitan) ‘ (Kahfi: 63). Musa lalu berkata: ‘(Itulah tempat yang kita cari. Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula) ‘ (Kahfi: 64). Ketika keduanya sampai di batu tersebut, didapatinya ada seorang laki-laki mengenakan pakaian yang lebar, Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lantas memberi salam. Khadr lalu berkata, “Bagaimana cara salam di tempatmu?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, “Aku adalah Musa.” Khadr balik bertanya, “Musa Bani Isra’il?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, “Benar.” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kemudian berkata: ‘(Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?) ‘Khadr menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersama Aku) ‘(Kahfi: 66-67). Khadr melanjutkan ucapannya, “Wahai Musa, aku memiliki ilmu daripada ilmunya Allah yang Dia mengajarkan kepadaku yang kamu tidak tahu, dan kamu juga punya ilmu yang diajarkan-Nya yang aku juga tidak tahu.” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: ‘(Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun) ‘(Kahfi: 69). Maka keduanya berjalan kaki di tepi pantai sementara keduanya tidak memiliki perahu, lalu melintaslah sebuah perahu kapal. Mereka berbicara agar orang-orang yang ada di perahu itu mahu membawa keduanya. Kerana Khadr telah dikenali maka mereka pun membawa keduanya dengan tanpa bayaran. Kemudian datang burung kecil hinggap di sisi perahu mematuk-matuk di air laut untuk minum dengan satu atau dua kali patukan. Khadr lalu berkata, “Wahai Musa, ilmuku dan ilmumu bila dibandingkan dengan ilmu Allah tidaklah seberapa kecuali seperti patukan burung ini di air lautan.” Kemudian Khadr sengaja mengambil papan perahu lalu merosaknya. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun berkata, “Mereka telah membawa kita dengan tanpa bayaran, tapi kenapa kamu merosaknya untuk menenggelamkan penumpangnya?” Khadr berkata: ‘(Bukankah aku telah berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku) ‘Musa menjawab: ‘(Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku) ‘(Kahfi: 72-73). Kejadian pertama ini kerana Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlupa. Kemudian keduanya pergi hingga bertemu dengan anak kecil yang sedang bermain dengan dua temannya. Khadr lalu memegang kepala anak itu, mengangkat dan membantingnya hingga mati. Maka Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun bertanya: ‘(Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain?) ‘(Kahfi: 74). Khadr menjawab: ‘(Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku?) ‘(Kahfi: 75). Ibnu ‘Uyainah berkata, “Ini adalah sebuah penegasan. ‘(Maka keduanya berjalan hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh. Maka Khadr menegakkan dinding itu) ‘(Kahfi: 77). Rasulullah ﷺ meneruskan ceritanya: “Khadr melakukannya dengan tangannya sendiri. Lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, ‘(Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu. Khadr menjawab, “Inilah saat perpisahan antara aku dan kamu) ‘(Kahfi: 77-78). Nabi ﷺ bersabda: “Semoga Allah merahmati Musa. Kita sangat berharap sekiranya Musa boleh sabar sehingga akan banyak cerita yang boleh kita dengar tentang keduanya.”
(Sahih Bukhari (119))

Kisah ini bermula kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlanjur mengatakan baginda orang yang paling pandai. Sebenarnya ini kalau terjadi kepada orang lain, ia termasuk perkara khilaf sahaja. Tidak salah sangat pun apa yang baginda katakan itu kerana baginda seorang Nabi, maka tentulah baginda yang paling berilmu. Akan tetapi perbuatan salah baginda sebagai seorang Rasul sudah pasti mendapat teguran daripada Allah ‎ﷻ kerana perbuatan seorang Rasul menjadi ikutan kepada manusia yang lain. Sepatutnya baginda serahkan kepada Allah ﷻ sahaja dengan sebut Allahu a’lam.

Kesimpulannya melalui hadith ini, tiga perkara penting kita telah dapat kepastian:

1. Musa yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
2. Pembantu baginda bernama Yusha bin Nun
3. Nama orang yang mereka berjumpa itu adalah Khadr

Apakah kedudukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibandingkan dengan Khadr? Pertamanya, kedudukan beliau sebagai Nabi pun dipertikaikan kerana ada yang tidak bersetuju mengatakan beliau pasti seorang Nabi. Kalau pun kita terima beliau adalah seorang Nabi, tetapi kedudukan beliau tidaklah lebih lagi daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki kelebihan-kelebihan lain. Pertamanya, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi kelebihan bercakap-cakap dengan Allah ﷻ secara terus. Keduanya, kedudukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan hanya seorang Nabi, malah seorang Rasul yang lebih tinggi daripada seorang Nabi. Seterusnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan kitab wahyu dan pengikut yang ramai sedangkan Khadr tidak.

Cuma di sini Allah ﷻ hendak mendidik Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan memberikan seorang guru yang lebih rendah kedudukannya daripada baginda. Ini mengajar kita bahawa tidak salah kita belajar dengan orang yang lebih rendah daripada kita kerana dia mungkin mempunyai ilmu yang kita tidak ada, seperti yang terjadi dengan Khadr ini. Sebelum ini kita telah baca teguran Allah ﷻ terhadap golongan pemuka Musyrikin Mekah yang tidak mahu duduk di dalam majlis ilmu bersama dengan orang kebanyakan yang miskin dan hina. Sekarang Allah ﷻ ajar bagaimana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sudah tinggi kedudukannya itu pun tidak canggung untuk belajar dengan orang yang lebih rendah kedudukannya.


 

Kahf Ayat 61:

فَلَمَّا بَلَغَا مَجمَعَ بَينِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ سَرَبًا

Sahih International

But when they reached the junction between them, they forgot their fish, and it took its course into the sea, slipping away.

Malay

Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.

 

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا

Apabila mereka sampai pertemuan dua laut;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Yusha’ sebenarnya tidak pasti di manakah tempat pertemuan itu. Mereka hanya diberikan isyarat sahaja. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya diberitahu bahawa ikan yang mereka bawa itu akan melakukan perkara yang pelik. Ikan itu adalah ikan kering yang dibawa sebagai bekalan makanan.

Ada yang kata ikan itu adalah ikan sebelah, tetapi bukan. Itu hanya kisah Israiliyyat sahaja. Ikan itu mereka sudah makan sebelahnya dan kemudian mereka masukkan semula ke dalam bekas mereka.

Di manakah pertemuan dua lautan ini? Ada beberapa pendapat. Akan tetapi kerana ia tidak penting, maka kita tidak perlu masukkan di sini dan berbincang tentangnya. Kalau ia penting, tentu Allah ﷻ ataupun Rasulullah ﷺ telah beritahu kita tentang hal itu.

 

نَسِيَا حُوتَهُمَا

mereka berdua lupa tentang hal ikan itu;

Sebelum ini telah diberitahu yang jikalau mereka berdua kehilangan ikan yang menjadi bekalan makanan mereka itu, maka di sanalah orang yang berilmu itu akan berada. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diperintahkan untuk membawa ikan yang telah dimasinkan. Atau ada yang kata ikan panggang. Ikan itu adalah jenis ikan yang besar. Mereka tahu tentang perkara ini tetapi apabila kejadian ini terjadi mereka kedua-dua terlupa tentang ikan itu.

Sebenarnya yang lupa itu adalah Yusha’ kerana yang melihat kejadian itu adalah beliau manakala Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri tidak nampak. Yusha’ yang nampak ikan itu hidup semula dan melompat keluar tetapi beliau lupa untuk beritahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu juga. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri telah tertidur kerana kepenatan. Akan tetapi kalimah yang digunakan adalah نَسِيَا yang bermaksud mereka berdua lupa. Ini mungkin kerana mereka itu berdua dan tanggungjawab jatuh ke atas kedua-duanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun terlupa mengingatkan pembantunya itu.

 

فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ سَرَبًا

lalu ikan itu mengambil jalan ke dalam laut;

Ikan itu hidup kembali dan keluar dari bekasnya dan melompat terjun ke dalam laut. Kalimah سَرَبًا daripada katadasar س ر ب yang bermaksud pergi dengan bebas, melarikan diri, pergi dengan jelas. Kalimah سَرَبًا juga digunakan untuk laluan melalui gunung ganang dan juga terowong bawah tanah. Atau, ia bermaksud lubang atau jurang yang sangat dalam di bawah tanah. Maka ia bermaksud telah dijadikan terowong laluan pada air laut.

Kejadian ini adalah amat pelik sekali: ikan yang sudah mati dan sudah dimakan pun boleh hidup semula dan keluar dari bekas dan masuk ke dalam air laut. Maka kejadian ini termasuk keajaiban yang telah dilakukan oleh Allah ﷻ.

Apabila ikan itu menyentuh sahaja pada air laut, air berhenti dan terjadi lubang di pantai sebagai terowong dan ikan itu masuk ke dalam terowong itu. Atau ikan itu masuk ke dalam air laut dan Allah ﷻ menjadikan air laut itu membeku dan keras dan boleh nampak lorong yang masuk jauh ke dalam laut itu.

Yusha’ nampak kejadian itu, namun disebabkan beliau yang sudah biasa melihat mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ maka beliau tidak teringat untuk menceritakan terus kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau kita nampak sekarang, tentu kita akan kelam kabut cerita kepada semua orang. Terus mencapai handphone merakam video dan terus disebarkan ke seluruh dunia agaknya. Waktu itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang tidur dan beliau rasa ralat untuk mengejutkan baginda. Oleh kerana Yusha’ itu sudah biasa dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pernah melihat mukjizat-mukjizat yang pelik-pelik, maka kuranglah sedikit rasa keajaiban terhadap perkara yang terjadi itu.


 

Kahf Ayat 62:

فَلَمّا جاوَزا قالَ لِفَتٰهُ ءآتِنا غَداءَنا لَقَد لَقينا مِن سَفَرِنا هٰذا نَصَبًا

Sahih International

So when they had passed beyond it, [Moses] said to his boy, “Bring us our morning meal. We have certainly suffered in this, our journey, [much] fatigue.”

Malay

Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.

 

فَلَمَّا جَاوَزَا

Maka apabila mereka melepasi tempat itu;

Oleh kerana tidak sedar tentang keluarnya ikan dari bekas makanan mereka, mereka terus berjalan. Mereka telah terlepas tempat ikan meluncur masuk ke dalam laut. Mereka sepatutnya berhenti di situ, tetapi mereka meneruskan perjalanan. Maknanya mereka telah terlajak melebihi daripada yang sepatutnya.

Semasa kejadian itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُtelah tidur di situ, dan apabila bangun baginda terus mengajak Yusha’ untuk pergi meneruskan perjalanan. Yusha’ pula tidak memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang kejadian ikan itu tadi kerana beliau sendiri telah terlupa tentang perkara itu.

قَالَ لِفَتٰهُ ءآتِنَا غَدَاءَنَا

Musa berkata kepada pembantunya: bawa datang makan tengahari kita;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta bekalan makanan mereka termasuklah ikan itu tadi kerana baginda sangka makanan itu masih ada lagi. Lihatlah bahasa lembut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda kata bawa kepada kami, bukan bawa kepadaku kerana mereka akan bersama-sama memakan ikan itu.

Di sini satu lagi kita nampak adab baik yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda kata غَدَاءَنَا yang bermaksud makanan tengahari ‘kita’. Iaitu mereka akan makan bersama-sama. Walaupun dengan khadam baginda layan dengan baik, makan bersama-sama. Tidaklah diasingkan makanan seperti yang selalu terjadi dengan pembantu rumah. Selalunya tuan tidak makan bersama dengan khadam atau hamba atau pembantu rumah.

لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا

Sesungguhnya kami dapati perjalanan musafir kali ini sangat memenatkan;

Mereka rasa lain macam kerana selepas mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti, Allah ﷻ memberikan perasaan letih kepada mereka. Ada mufassir yang mengatakan, mereka menjadi letih kerana mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti. Padahal sebelum itu mereka cergas sahaja. Kalau mereka telah berhenti di situ seperti yang sepatutnya, mereka tidaklah rasa letih begitu. Apabila mereka letih, mereka berasa lapar.

Atau pun, perasaan lapar itu menjadi isyarat yang mereka telah berjalan jauh dari tempat mereka berehat pada batu itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Mulk Ayat 9 – 12 (Kena dengar dan guna akal)

Mulk Ayat 9: Apa jawapan mereka?

قالوا بَلىٰ قَد جاءَنا نَذيرٌ فَكَذَّبنا وَقُلنا ما نَزَّلَ اللهُ مِن شَيءٍ إِن أَنتُم إِلّا في ضَلٰلٍ كَبيرٍ

Sahih International

They will say,” Yes, a warner had come to us, but we denied and said, ‘ Allah has not sent down anything. You are not but in great error.’ ”

Malay

Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!”

 

قَالُوا بَلَىٰ قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ

Mereka mengaku: Bahkan ada! Sesungguhnya telah datang kepada kami pemberi peringatan;

Pada waktu itu, mereka tidak ada pilihan selain daripada mengaku sahaja. Apakah lagi yang helah yang mereka boleh beri lagi? Memang tidak ada, maka mereka terpaksa mengaku sahaja. Akan tetapi bukankah penjenayah akan menidakkan segala tindak tanduk mereka dan akan beri berbagai-bagai alasan? Bukanlah mereka tidak beri alasan, namun itu sudah berlalu. Sekarang ini adalah ayat tentang mereka dimasukkan ke dalam neraka. Semasa perbicaraan, sudah banyak alasan yang mereka berikan. Jadi mereka sudah tahu yang itu tidak memberi kesan. Sekarang mereka mengaku dengan berharap kejujuran mereka itu dapat melepaskan mereka pula tetapi tentulah tidak.

Kalimah نَذِيرٌ adalah boleh jadi apa-apa bentuk peringatan, termasuklah Al-Qur’an kerana Al-Qur’an sebagai pemberi peringatan juga. Dengan Al-Qur’anlah dapat memberitahu kita tentang tauhid dan amal kebaikan dan dapat mengingatkan kita tentang azab di akhirat. Inzar itu perlu dilakukan dengan mengingatkan tentang ancaman neraka. Kalau sebut benda baik sahaja, ia tidak dikira sebagai inzar. Kena beritahu tentang ancaman neraka kepada manusia supaya mereka takut dan beringat.

Maka kita kena beri peringatan kepada manusia. Tugas guru adalah sebagai pemberi peringatan. Beritahu manusia: Kalau mereka berbuat baik, masuk syurga. Kalau buat tidak baik, masuk neraka. Itulah tugas utama seorang guru. sebab itu jikalau ada guru yang mengajar tetapi tidak memberitahu tentang Tuhan, tentang syurga dan neraka, tentang tauhid, bermakna mereka sendiri tidak belajar lagi tentang agama dan tidak layak mengajar. Malah, sesiapa sahaja boleh menjadi نَذِيرٌ, bukan kena tunggu jadi ustaz baru boleh tegur orang!

Maka peringatan yang terbaik adalah dengan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an telah ada segalanya. Al-Qur’anlah sumber utama dalam agama yang kena belajar terlebih dahulu. Namun begitu bukanlah hanya belajar ‘baca’ sahaja, tetapi kenalah ‘faham’ sekali. Sebab itu kita ajak sangat orang belajar tafsir Al-Qur’an. Tidak dapat tidak, kena belajar tafsir Al-Qur’an.

Perkataan قَالُوا – mereka berkata – adalah ‘past tense’ kepada perkataan قال – berkata. Kenapa digunakan ‘past tense’ padahal kejadian itu belum berlaku lagi? Ini adalah salah satu daripada penggunaan bahasa Arab. Sekiranya ia belum berlaku lagi tetapi telah digunakan ‘past tense’, bermakna ia pasti akan berlaku.

Sekarang perhatikan soalan daripada malaikat dan jawapan ahli neraka itu. Soalannya: أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ jadi sepatutnya jawapan mereka adalah: بَلَىٰ قَدْ أٰتَينَا نَذِيرٌ akan tetapi tidak. Mereka menggunakan kalimah جَاءَ yang lebih kuat daripada أتى kerana hendak memberitahu yang pendakwah memang benar telah datang dan beri peringatan bukannya dengan cara selamba sahaja tetapi benar-benar mengingatkan mereka bersungguh-sungguh. Yang datang kepada mereka itu bukannya cakap berselindung atau berkias lagi akan tetapi memang jelas sekali tentang kebenaran.

 

فَكَذَّبْنَا

Maka kami mendustakan;

Hanya disebut mereka mendustakan, tidak menerima sahaja. Akan tetapi mendustakan apa, siapa? Adakah mendustakan pendakwah atau pemberi peringatan itu? Adakah menidakkan nasihat? Adakah menidakkan wahyu Allah yang telah disampaikan? Adakah menolak hari kiamat? Tidak disebut di sini. Maknanya semua mereka tolak. Seolah-olah penghuni neraka itu berkata: “Kami dengar mereka tapi kami kata mereka berdusta. Kami hanya dengar kepada guru yang jenis lain. Kami kata kepada mereka bahawa mereka itu menipu sahaja.” Itulah maksud ayat ini. Mereka mengaku kesalahan mereka. Maka janganlah kita jadi seperti ahli neraka ini. Jangan kita menyesal nanti kerana tidak cukup tanah untuk kita lari nanti.

 

وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللهُ مِنْ شَيْءٍ

Dan kami berkata: Tidaklah Allah menurunkan apa-apa pun;

Mereka kata pendakwah yang datang itu pula yang salah. Mereka kata apa yang dibawa itu bukanlah daripada Allah ‎ﷻ tetapi rekaan pendakwah itu sahaja. Mereka kata mereka tidak pernah dengar pun apa yang disampaikan oleh penyebar tauhid itu. Kalimah مِنْ شَيْءٍ itu penting kerana ia bermaksud mereka kata Allah ‎ﷻ tidak turunkan sedikit pun.

Begitulah kata-kata orang yang degil dan penyesalan mereka sekarang kita sedang baca di sini. Ini tidak kiralah sama ada daripada orang Islam sekali pun. Tetap akan ada sahaja yang degil untuk menerima kebenaran wahyu yang datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Apa yang mereka dapat daripada guru-guru mereka, ustaz-ustaz merekalah sahaja yang benar. Walaupun guru-guru mereka itu tidak membawa dalil yang sahih daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Guru mereka hanya bawa hujah akal, kitab dan guru mereka yang terdahulu, tetapi itulah yang mereka katakan yang benar. Namun apabila ada guru yang bawa dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, mereka kata guru itu tidak pandai pula tentang agama. Siapakah yang lebih pandai sebenarnya? Yang bawa hujah akal atau yang bawa hujah daripada Al-Qur’an dan hadith?

 

إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ كَبِيرٍ

Sesungguhnya kamu tidak lain dan tidak bukan, duduk dalam sesat yang besar;

Mereka tolak ajaran pemberi ingatan itu sampai mereka kata guru itu dan pendakwah itu pula yang sesat. Padahal merekalah yang mengajar yang benar. Yang mereka bawa adalah ajaran daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Takkan Al-Qur’an dan sunnah sesat pula? Jadi kita boleh lihat di sini bahawa yang suka menuduh orang lain sesat adalah orang sesat. Maka jangan kita selalu suka melabel orang sebagai sesat, kerana takut kita sendiri pula yang sesat. Kena gunakan perkataan lain kalau boleh seperti tidak sunnah, tidak ada dalam syariat. Ini memang agak sukar kerana kadangkala amalan masyarakat setempat memang sesat pun, tetapi cubalah cari istilah yang lain. Ayat ini juga mengajar kita jangan hairan kalau orang sesat suka menuduh orang sunnah sebagai sesat. Memang itulah kebiasaan mereka.

Masalah sekarang adalah: masyarakat Islam kita tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka belajar daripada guru yang juga tidak belajar Al-Qur’an dan Sunnah. Maka, maka berterusanlah masyarakat kita dalam kesesatan. Mereka sangka mereka sudah pandai agama, tetapi sebenarnya tidak. Mereka tuduh pula orang yang ahli sunnah itulah yang sesat. Mereka beri gelaran yang macam-macam – Wahabi, anak pak Wahab, Syiah dan sebagainya. Padahal, ahli sunnahlah yang paling kuat menentang Syiah. Memang amat jauh tersasar orang-orang kita sekarang. Yang sedihnya, mereka lagi ramai daripada golongan Sunnah. Maka, kerana mereka ramai, mereka kata merekalah yang benar.

Perkataan أَنْتُمْ juga penting kerana memberitahu kita yang pendakwah itu ramai. Bukan seorang dua yang datang kepada ahli neraka itu tetapi ramai, kerana itulah kalimah أَنْتُمْ digunakan di sini.

Ada juga pendapat yang mengatakan kalimah إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ adalah kata-kata daripada para malaikat penjaga neraka itu sebagai herdikan kepada mereka. Ini kerana kata-kata mereka itu adalah kata-kata kesesatan.


 

Mulk Ayat 10: Sekarang disebut penyesalan mereka. Allah ‎ﷻ naqalkan kembali kata-kata mereka.

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ

Sahih International

And they will say, “If only we had been listening or reasoning, we would not be among the companions of the Blaze.”

Malay

Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

 

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ

Dan mereka berkata: Kalaulah kami dulu mendengar;

“Kalaulah kami percaya sikit sahaja pun kepada pemberi peringatan itu …” Itu adalah kata-kata penyesalan mereka. Namun malangnya tidak ada gunanya sesal waktu itu. Sesalan mereka itu adalah sebagai satu azab kepada mereka. Bayangkan, orang yang masuk penjara, selain mereka tidak mendapat kebebasan keluar dan hidup seperti orang lain, salah satu seksaan kepada mereka adalah seksaan mental. Mereka kena duduk lama dalam penjara itu dan mereka akan menyesali perbuatan mereka. Mereka akan rasa bahawa kesedapan yang mereka rasai semasa mereka buat kesalahan itu adalah sekejap sahaja, tetapi balasan untuknya adalah lebih lama lagi.

Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan سمع – mendengar – dalam ayat ini? Kerana orang-orang yang masuk neraka adalah mereka yang langsung tidak mahu mendengar dan memberi perhatian kepada pendakwah-pendakwah tauhid yang datang kepada mereka. Mereka akan lari daripada mendengar nasihat yang hendak diberikan. Kalau mereka dengar pun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tidak beri perhatian pun langsung. Jadi untuk selamat, seorang hamba mesti bersedia memberi telinga untuk mendengar nasihat.

Kita juga kena faham, سمع ini bukanlah setakat dengar sahaja, taetpi ia bermaksud kena faham dan kena ikut. Macam kita marah kepada seseorang dengan berkata: “itulah kau tak dengar cakap aku….”. Bukanlah kita marah kerana dia tidak dengar, sebab dia pasti dengar. Yang kita marah adalah dia tidak ikut nasihat kita. Jadi سمع ini bukan setakat dengar, tetapi kena faham dan kena ikut.

Kalimah نَسْمَعُ ini tidak diikuti dengan مفعول iaitu tidak disebut apa yang mereka tidak dengar. Adakah ajaran wahyu? Kata-kata Nabi, kata-kata pendakwah? Nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan? Jadi apabila tidak disebut tetapi dibiarkan begitu sahaja, maka ia di dalam bentuk umum. Maknanya semua yang patut mereka dengar, mereka tidak dengar.

Yang paling penting adalah dengar nasihat daripada Al-Qur’an. Maka kita kenalah selalu dengar ajaran daripada Al-Qur’an ini. Dengar dan fahami apa yang disampaikan. Syaitan memang tidak suka kalau kita bercerita tentang Al-Qur’an. Sebab itu mereka akan halang manusia daripada belajar tafsir Al-Qur’an. Antaranya, syaitan akan hasut dengan mengatakan tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an kalau tidak tahu bahasa Arab. Syaitan kata: “Al-Qur’an ini hanya boleh difahami oleh golongan ulama’ sahaja, kerana kena ada 15 ‘Ilmu Alat’ baru boleh faham tafsir Al-Qur’an! Boleh sesat kalau belajar!” Dek kerana terkesan dengan hasutan syaitan itu, maka ramailah yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sampai bila-bila. Ramai yang anggap Al-Qur’an ini setakat dibaca dan dihafal sahaja.

Yang membuat kesalahan dalam agama ini bukanlah tidak belajar agama langsung. Kadang-kadang mereka sudah ada satu kefahaman tentang agama yang mereka dapat daripada orang-orang sebelum mereka, sampaikan mereka tidak mahu lagi mendengar hujah lain. Padahal, hujah yang hendak diberikan kepada mereka ini adalah hujah daripada Al-Qur’an dan Hadith. Malangnya, mereka hendak juga memegang dengan kemas apa yang disampaikan oleh guru mereka. Oleh kerana mereka sudah ada ilmu agama, maka pendengaran mereka telah tertutup. Begitulah, sesalan kepada mereka pada hari akhirat nanti. Mereka akan menyesali kesilapan mereka yang tidak mahu mendengar apa yang hendak disampaikan oleh pendakwah.

Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang disebut di dalam Baqarah: 171 yang tidak mahu mendengar, degil untuk menerima nasihat dan dakwah. Allah ﷻ menempelak mereka sebagai orang yang pekak, bisu dan buta!

وَمَثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا كَمَثَلِ الَّذِيْ يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ اِلَّا دُعَاۤءً وَّنِدَاۤءً ۗ صُمٌّ ۢ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُوْنَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Jangan hanya mengaku mendengar tetapi sebenarnya tidak pun seperti firman Allah ﷻ di dalam Anfal: 21-22

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

۞ إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ
Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

 

أَوْ نَعْقِلُ

atau kami berfikir;

Mereka menyesal, iaitu kalaulah mereka memikirkan tentang Al-Qur’an? Mereka akan menyesal sebab tidak menggunakan akal fikiran yang sihat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka untuk memahami wahyu. Padahal, kalau mereka duduk sejenak dan memikirkan hujah-hujah yang diberikan kepada mereka, mereka akan nampak kebenaran yang hendak disampaikan. Kerana hujah yang diberikan bukanlah hujah yang enteng-enteng, tetapi diambil daripada Al-Qur’an dan Hadith yang sahih. Kita hairan, kenapakah mereka masih lagi tidak mahu terima? Mereka sendiri tahu bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ‎ﷻ dan Hadith itu disampaikan oleh Nabi ﷺ. Kenapa mereka masih tidak mahu terima?

Perkataan عقل aqal asalnya bermaksud ‘menambat sesuatu’. Orang Arab akan menggunakan tali yang mereka ikat di kepala mereka untuk mengikat unta atau kuda mereka. Ia untuk menambat binatang itu daripada bergerak jauh. Begitulah juga aqal fikiran kita. Ia sepatutnya digunakan untuk menambat nafsu kita. Bukan nafsu yang sepatutnya menguasai aqal kita. Namun malangnya, nafsu kita selalu menang dalam perlawanan antara aqal dan nafsu. Mereka tidak dapat menambat nafsu mereka. Oleh kerana itu, mereka membuat keputusan dengan menggunakan nafsu, bukan aqal.

Tema surah ini adalah mengajak manusia untuk menggunakan aqal fikiran. Jangan sia-siakan aqal yang Allah ‎ﷻ telah anugerahkan kepada kita. Masalahnya, kita yang hidup di zaman moden ini tidak menggunakan aqal sangat. Kita tidak sempat untuk berfikir dalam-dalam. Kita hidup dalam dunia yang semuanya cepat. Kita juga terdedah dengan terlalu banyak hiburan. Mahu dengar lagu senang, teringin tengok filem pun senang. Jadi, kita tidak menggunakan aqal kita lagi pada masa itu. Masa kita banyak digunakan untuk menjalani kehidupan yang cetek. Hidup dari hari ke sehari yang lain dalam fikiran yang kosong. Kita hanya fikir, lepas ini hendak ke mana, lepas ini hendak makan apa?

 

مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Tidaklah kami sekarang menjadi pemilik neraka yang apinya menyala-nyala;

Inilah penyesalan mereka yang mereka tidak akan beri apa-apa kelebihan kepada mereka kerana telah terlambat. Yang boleh ambil manfaat adalah kepada kita yang sedang membaca ini, supaya kita ingat betul-betul yang ugama ini kena dengar dan kemudian berfikir. Namun oleh kerana mereka tidak mahu dengar dan tidak mahu fikir, mereka telah masuk neraka. Mereka sekarang sudah menyesal, tetapi penyesalan di waktu itu tidak bermakna apa-apa lagi.

Kalimah السَّعِيرِ bermaksud api itu menyala-nyala dan membakar dengan kuat. Maknanya, tubuh mereka akan terbakar! Api itu berterusan! Apabila digunakan perkataan فِي – dalam – itu bermaksud, mereka sedang menjawab dan menyatakan penyesalan mereka ketika sedang dibakar di dalam api neraka! Bayangkan semasa kita membaca ayat-ayat ini yang mereka sedang bergelumang dalam neraka. Allahu Akbar! Semoga kita semua diselamatkan dari neraka jahannam.


 

Mulk Ayat 11:

فَاعتَرَفوا بِذَنبِهِم فَسُحقًا لِّأَصحٰبِ السَّعيرِ

Sahih International

And they will admit their sin, so [it is] alienation for the companions of the Blaze.

Malay

Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah daripada ahli neraka.

 

فَاعْتَرَفُوا بِذَنْبِهِمْ

Maka mereka telah mengakui dosa mereka;

Sekarang baru mereka hendak mengaku kesalahan tetapi malang sekali kerana sudah terlambat untuk mengaku berdosa. Seharusnya mengaku dosa ini amat elok kalau dilakukan ketika hidup dan ketika masih lagi boleh bertaubat. Mereka telah mengaku ذنب (dosa) yang mereka telah lakukan akan tetapi kalimah ذنب itu di dalam bentuk mufrad (tunggal). Namun dosa apa yang mereka  maksudkan? Tentunya mereka ini banyak dosa yang mereka telah lakukan termasuk kufur dengan Allah ‎ﷻ dan segala nikmat Allah ‎ﷻ. Ini tentunya termasuk dosa syirik dalam berkat seperti disebut di awal surah ini. Tentu tidak terkira dosa-dosa mereka tetapi kenapa mereka hanya sebut ذنب sahaja? Dosa yang mereka paling menyesal adalah dosa tidak mendengar. Kerana dengan tidak mendengar itulah yang membuka pintu kepada dosa-dosa yang lain.

Dalam bahasa Arab ذنب itu juga digunakan untuk ‘ekor’. Dosa itu diibaratkan seperti ekor. Ia akan pergi dengan tuannya sekali ke mana pun tuannya pergi. Akan tetapi kerana ia berada di belakang tubuh, tuannya tidak sedar. Tuannya sangka dia dapat meninggalkan dosanya, tetapi tidak. Seandainya seorang manusia ada ekor, tentulah dia malu, bukan? Maka orang yang berdosa juga sebenarnya malu dengan dosa dia. Namun janganlah kita setakat malu sahaja tetapi hendaklah kita mengaku dosa-dosa kita selama kita hidup di dunia ini lagi. Hendaklah kita selalu istighfar dan minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ suka kalau kita mengaku dosa kita dan bertaubat kepada-Nya. Asalkan kita lakukan sekarang, bukan di neraka. Kerana kalau hendak mengaku semasa sudah mati, sudah tidak berguna lagi.

 

فَسُحْقًا لِأَصْحٰبِ السَّعِيرِ

Maka kebinasaanlah bagi pemilik-pemilik Neraka yang apinya menyala-nyala;

Kalimah سُحْقً adalah kalimah laknat yang diberikan kepada ahli neraka. Mungkin yang melaknat itu adalah para malaikat yang bertanya kepada ahli neraka itu.

Kalimah سُحْقً juga digunakan apabila kita menghalau sesuatu yang menjijikkan. Sesuatu yang kita tidak suka. Seperti anjing kurap yang datang kepada kita. Kita akan kata: ‘Shuh! shuh! Pergi dari sini!” Maka, begitulah nanti akan dilakukan kepada mereka yang kufur dengan Allah ‎ﷻ dan nikmat Allah ‎ﷻ. Mereka dihalau dengan hina sekali. Kata-kata penyesalan mereka tidak mahu didengari lagi. Mereka hendak merayu pun akan dihalau sahaja. Kalimah سُحْقً juga bermaksud jauh, iaitu mereka itu dijauhkan daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Tidak ada peluang mereka untuk masuk ke dalam syurga, maka kebinasaanlah bagi mereka.


 

GANJARAN KEPADA ORANG BERIMAN

Mulk Ayat 12: Ayat Tabshir (berita gembira). Sebelum ini tentang orang yang tidak beriman, tidak menggunakan akal mereka; kali ini, Allah ‎ﷻ bercakap tentang orang yang beriman pula. Inilah hasil apabila mendengar, menggunakan akal sambil melihat alam ini dan sedar tentang kebesaran Allah ‎ﷻ. Mari kita lihat apakah yang mereka akan dapat. Ayat 12 ini adalah dikira Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu balasan baik kepada mereka yang menerima seruan tauhid. Mereka mendapat Keampunan yang besar.

إِنَّ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ

Sahih International

Indeed, those who fear their Lord unseen will have forgiveness and great reward.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang takut Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka

Iaitu takut kepada Allah ‎ﷻ, sampai takut untuk buat kesalahan dan dosa. Takut untuk tidak ikut perintah Allah ‎ﷻ dan takut untuk buat perkara yang Allah ‎ﷻ larang. Banyak lagilah yang mereka takut seperti takut neraka, takut tidak mendapat apa yang mereka hendak (syurga) dan takut jika dosa-dosa mereka ditunjuk di khalayak ramai.

Takut adalah satu jenis perasaan atau emosi. Akan tetapi di dalam ayat sebelum ini disebut tentang hal perbuatan akal, نَسمَعُ أَو نَعقِلُ. Dua-dua kena ada dan dikawal. Emosi adalah seperti satu senjata yang kuat, akan tetapi akal boleh mengawalnya. Emosi kalau dibiarkan tanpa kawalan, ia akan merosakkan kita. Kerana itulah disebut orang yang takut kepada Allah ‎ﷻ adalah orang berilmu seperti disebut di dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

 

بِالْغَيْبِ

dengan yang ghaib (tidak dapat dilihat);

Kita semua tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ itu ghaib. Walaupun begitu, kita masih mempercayai-Nya, dan takut kepada-Nya. Memang Allah ‎ﷻ tidak kelihatan, tetapi tanda-tanda-Nya banyak di alam ini. Di awal surah ini pun kita sudah disuruh melihat kepada alam. Ingatlah bahawa tema surah ini menyuruh kita menggunakan akal fikiran kita yang waras. Dengan menggunakan akal fikiran kita, kita akan dapat mencapai kebenaran bahawa Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan kita yang sebenarnya. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ yang sememangnya ghaib, kita tetap kena takut. Tetap juga kena jaga segala hukum Dia walau di mana sahaja kita berada. Kerana walaupun kita tidak nampak Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan.

Tidak akan ada peluang untuk kita melihat Allah ‎ﷻ semasa di dunia ini. Malangnya, ada golongan sufi yang mengatakan boleh mencapai tahap melihat Allah ‎ﷻ semasa di dunia, tetapi itu adalah satu penipuan yang amat besar sekali. Mereka itu sudah sesat kerana mereka jahil dengan wahyu. Mereka mengatakan sesuatu yang tidak akan terjadi. Kalau mereka benar ada melihat sesuatu, itu bukanlah Allah ‎ﷻ.

Maksud ghaib ini juga boleh merujuk kepada kita. Iaitu apabila bersendiri, kita tidak melakukan maksiat kepada Allah ‎ﷻ. Itulah orang yang sebenarnya beriman dengan Allah ‎ﷻ. Walaupun dia tahu yang tidak ada orang yang dapat tahu apakah yang dia lakukan. Kerana itu ada antara tujuh orang yang mendapat naungan di Hari Akhirat nanti adalah orang yang diajak berzina, tetapi mereka tidak melakukannya kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ.

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada Abu Hurairah  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat ke masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, (5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersadaqah dengan satu sadaqah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.”
(Sahih Al-Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806),
Muslim (no. 1031, 91))

 

Inilah yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda tahu segala apa yang baginda lakukan walaupun di dalam suasana yang rahsia dan sembunyi. Itu adalah contoh bagaimana walaupun kita tahu orang lain tidak akan tahu apakah yang kita lakukan, tetapi kita sedar dengan iman kita bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat.

Termasuk juga orang yang bersedekah dengan tangan kanannya sampai tangan kirinya tidak mengetahui. Serta banyak lagi contoh lain melakukan kebaikan walaupun orang tidak nampak. Kita hendaklah tidak melakukan dosa, sama ada kita di khalayak ramai ataupun bersendirian. Ada ramai yang kalau di depan orang lain, dia akan berbuat baik, tidak buat maksiat. Akan tetapi apabila bersendirian, atau kalau dia keluar negara, macam tidak ada Tuhan sahaja, sampai dia rasa bebas untuk berbuat apa sahaja. Itu adalah orang yang tidak beriman.

 

لَهُمْ مَّغْفِرَةٌ

hanya bagi mereka, keampunan yang besar

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah مَغْفِرَةٌ yang bermaksud keampunan yang besar. Namun begitu, dari segi bahasa Arab, apabila digunakan huruf yang banyak, bermaksud ada pertambahan dalam maknanya. Ini bukan sahaja pengampunan biasa, tetapi pengampunan yang total. Terus diampunkan semua sekali dosa-dosa mereka, tidak kira berapa banyaknya dosa mereka itu.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut ‘pengampunan’ dahulu? Kerana ia kena dengan ayat-ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebutkan tentang ancaman neraka. Untuk selamat daripada ancaman neraka, kenalah tidak ada dosa. Kalau ada dosa, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk membersihkan kita daripada dosa itu. Namun tentunya kita tidak mahu masuk neraka walaupun sekejap sahaja. Maka, kalau Allah ‎ﷻ menjanjikan pengampunan yang total, maka kita tidak akan masuk neraka.

Keduanya, disebut pengampunan dahulu kerana ia adalah perkara yang lebih penting dalam pemberian Allah ‎ﷻ. Dalam banyak hal, kita mahu supaya masalah kita diselesaikan dahulu, barulah diberikan pemberian. Sebagai contoh, kalau baju kita kotor dan renyuk, apa yang kita akan buat dahulu? – basuh baju atau seterika dahulu? Tentunya kita akan basuh dahulu.

Satu contoh lagi, katakanlah orang hendak beri wang kepada kita. Tentunya kita mahu supaya hutang-hutang kita diselesaikan dahulu sebelum kita menggunakannya untuk keperluan yang lain yang tidak mendesak. Itulah sebabnya disebutkan pengampunan dahulu sebelum disebut pemberian Allah ‎ﷻ yang lain. Kerana dosa adalah masalah kita yang utama sekali. Kita mengharapkan supaya dosa kita diampunkan.

 

وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

dan pahala yang besar;

Yang dimaksudkan adalah Syurga kerana tidak ada pahala yang lebih besar daripada syurga.

Apabila Allah ‎ﷻ menyebut tentang pemberian Allah – أَجْرٌ – Allah ‎ﷻ akan menggunakan perkataan (adjektif) yang berbeza-beza. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan penjelasan yang menggunakan perkataan كَبِيرٌ. Ini adalah bersamaan dengan tema dalam surah ini.

Sebelum ini, orang-orang kafir mengatakan orang-orang beriman itu dalam ضَلَالٍ كَبِيرٍ – kesesatan yang besar. Jadi, Allah ‎ﷻ menjawab kata-kata mereka itu dengan mengatakan orang-orang yang beriman dan takut kepada Allah ‎ﷻ ini bukanlah di dalam kesesatan yang besar, tetapi sebaliknya mereka akan mendapat pahala yang besar.

Kalau kita lihat dalam bilangan ayat, lebih banyak Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kesan kepada orang yang kufur dengan Allah ‎ﷻ, tetapi satu sahaja ayat tentang orang yang beriman. Kenapa ketidaksamaan itu? Ini adalah kerana surah ini adalah hendak memberi peringatan kepada orang-orang yang kufur, yang sedang tidur lena dalam kesesatan mereka. Jadi, untuk membangunkan mereka daripada lena mereka, memerlukan lebih banyak penekanan tentang apakah bala yang mereka akan dapat kalau mereka tidak bangun daripada tidur mereka dan mula memikirkan tentang apakah yang mereka sedang lakukan.

Allah ‎ﷻ menukar-nukar kataganti yang digunakan dalam surah ini. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan kataganti ketiga, tetapi dalam ayat selepas ini, Allah ‎ﷻ kembali menggunakan kataganti kedua, seperti seolah-olah Allah ‎ﷻ bercakap dengan manusia. Itu adalah untuk memberi penekanan dan supaya ayat-ayat Al-Qur’an tidak mendatar (monotonous) sahaja bunyinya. Ini kerana pembacaan yang mendatar akan menyebabkan kebosanan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Januari 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah