Tafsir Surah Saffat Ayat 77 – 90 (Adam Kedua)

Ayat 77: Sambungan dari kisah Nabi Nuh selepas baginda diselamatkan dari banjir besar.

وَجَعَلنا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الباقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made his descendants those remaining [on the earth]

(MELAYU)

Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.

 

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa walaupun ada orang lain yang naik dalam bahtera Nabi Nuh itu, tetapi keturunan manusia hanya berlangsung daripada keturunan baginda sahaja. Kerana kita lihat dhomir ه kepada baginda sahaja dalam kalimah ذُرِّيَّتَهُ.

Kerana itulah salah satu gelaran Nabi Nuh a.s. adalah ‘Adam Kedua’ kerana kita semua adalah anak cucu Nabi Nuh belaka. Kalau Nabi Adam, semua orang sudah tahu kita anak cucu Nabi Adam, bukan? Tapi mungkin tak ramai yang tahu bahawa kita semua juga adalah anak cucu Nabi Nuh a.s.

Walaupun kita tahu ada anak Nabi Nuh yang tidak beriman dan telah ditenggelamkan, tetapi ada lagi anak-anak baginda yang lain yang beriman. Dalam riwayat ada diberitahu bahawa ada tiga anak nabi Nuh iaitu Sam, Ham dan Yafith. Dari mereka inilah keturunan manusia bercambah dan berkembang biak ke seantero dunia.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ، عَنْ سَعِيدٍ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ سَمُرَةَ؛ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “سَامٌ أَبُو الْعَرَبِ، وَحَامٌ أَبُو الْحَبَشِ، وَيَافِثُ أَبُو الرُّومِ”
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahhab, dari Sa’id, dari Qatadah, dari Al-Hasan, dari Samurah r.a. yang telah mengatakan bahwa Nabi Saw. pernah bersabda: Sam menurunkan bangsa Arab, Ham menurunkan bangsa Habsyah, dan Yafith menurunkan bangsa Romawi.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah: keturunan mereka yang zalim dan menentang Nabi Nuh itu dimatikan semua sekali dan yang tinggal hanyalah keturunan mereka yang beriman dengan baginda (yang ada dalam bahtera). Tapi para mufassir banyak mengambil maksud yang pertama (keturunan Nabi Nuh sahaja yang hidup). Tapi kerana ayat ini tidak jelas mengatakan sedemikian, maka kita nukilkan juga pendapat kedua ini.


 

Ayat 78:

وَتَرَكنا عَلَيهِ فِي الآخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And left for him [favorable mention] among later generations:

(MELAYU)

Dan Kami abadikan untuk Nuh itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian;

 

Allah tinggalkan kisah baginda untuk golongan selepas itu. Sampai sekarang kita mempelajari kisah baginda. Amat banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari baginda. Terutama sekali tentang kesabaran baginda dalam berdakwah.

Bayangkan, baginda sabar selama 950 tahun berdakwah! Dan 950 tahun itu adalah zaman-zaman yang teruk. Maknanya baginda dakwah lebih lama dari itu. Maka kalau kita kata kita sudah berdakwah tapi orang tidak terima juga, maka kena kenanglah kisah Nabi Nuh a.s. ini.


 

Ayat 79:

سَلامٌ عَلىٰ نوحٍ فِي العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“Peace upon Noah among the worlds.”

(MELAYU)

“Kesejahteraan dilimpahkan atas Nuh di seluruh alam”.

 

Allah beri salam kepada Nabi Nuh a.s. sebagai penghormatan kepada baginda. Apabila kita beri salam, itu adalah doa supaya Allah beri kesejahteraan kepada orang yang kita beri salam itu. Tapi kalau Allah yang beri salam, maksudnya itu memang sudah pasti baginda dalam kesejahteraan.

Maknanya juga, sepanjang zaman orang berkata yang baik-baik sahaja tentang baginda dan tidak ada yang boleh memburukkan baginda.

Tapi ini bukanlah amalan bagi salam kepada Nabi Nuh pula. Jangan jadikan ayat ini sebagai dalil untuk bertawasul pula. Kita tidak boleh beri salam kepada Nabi Nuh kerana baginda sudah lama wafat dan tidak dengar salam kita.


 

Ayat 80:

إِنّا كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We thus reward the doers of good.

(MELAYU)

Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

Begitulah Allah balas amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia yang ikhlas. Maka kalau kita hendak dapat balasan baik, maka hendaklah kita buat amalan yang baik juga. Balasan baik tetap akan dibalas baik oleh Allah.


Ayat 81:

إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he was of Our believing servants.

(MELAYU)

Sesungguhnya dia termasuk di antara hamba-hamba Kami yang beriman.

 

Allah memuji Nabi Nuh a.s. dengan mengatakan baginda termasuk hamba-hambaNya yang beriman. Alangkah hebatnya mendapat pujian dari Allah sendiri dan diletakkan di dalam Al-Qur’an dan dibaca zaman berzaman sampai Kiamat!


 

Ayat 82:

ثُمَّ أَغرَقنَا الآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We drowned the others [i.e., disbelievers].

(MELAYU)

Kemudian Kami tenggelamkan orang-orang yang lain.

 

Selain daripada Nabi Nuh a.s. dan pengikut baginda yang naik sekali dalam bahtera itu, mereka semuanya telah ditenggelamkan dalam banjir besar yang mengenai seluruh dunia. Maka kerana itu tidak ada keturunan lain selain dari keturunan baginda.

Maka ini juga menolak kisah karut yang mengatakan ada yang selamat. Malah ada kisah tidak benar yang mengatakan ada perempuan tua yang tidak tahu pun ada banjir! Ini tidak benar dan berlawanan dengan ayat ini.


 

Ayat 83: Sekarang Allah masuk ke dalam kisah Nabi Ibrahim pula. Maka ayat 83 – 111 adalah pujian dan ucapan salam kepada Ibrahim.

۞ وَإِنَّ مِن شيعَتِهِ لَإِبرٰهيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, among his kind was Abraham,

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh).

 

Nabi Ibrahim adalah dari keturunan Nabi Nuh iaitu daripada anak Nabi Nuh yang bernama Sam bin Nuh. Kita telah katakan sebelum ini yang keturunan selepas banjir besar itu hanya datang dari jalur Nabi Nuh sahaja.

Ali ibnu Abu Jalhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh). (Ash-Shaffat: 83) Yakni termasuk pemeluk agamanya.
Mujahid pula mengatakan, berada dalam tuntunan dan sunnahnya. Ini adalah kerana ajaran dan amalan pada Nabi memang sama sahaja terutama sekali akidah mereka.

 

Ayat 84:

إِذ جاءَ رَبَّهُ بِقَلبٍ سَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When he came to his Lord with a sound heart

(MELAYU)

(lngatlah) ketika dia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci:

 

Ini adalah kisah sebelum Nabi Ibrahim a.s. diangkat menjadi Rasul lagi. Baginda sudah merujuk kepada Allah kerana baginda sudah mempunyai hati yang bersih. Kerana baginda sejahtera dari syirik.

Kadang-kadang ada orang yang belum jumpa kebenaran lagi tetapi hati mereka sudah mahu kepada kebenaran dan kerana itu apabila kebenaran ditunjukkan kepada mereka, senang sahaja untuk mereka menerimanya kerana hati mereka telah beriman. Mereka cuma tidak tahu bagaimana caranya.

Kerana itu jikalau kita tanya kepada orang yang menerima kebenaran, kita  tahu bahawa mereka itu telah berdoa kepada Allah untuk menunjukkan jalan kebenaran. Pernah ada satu ketika mereka berdoa supaya Allah tunjukkan mana yang benar. Kerana mereka pun tidak tahu mana satu yang benar. Satu ustaz kata begini dan satu ustaz kata begitu.

Jadi mereka keliru. Dan mereka serahkan kepada Allah untuk tunjukkan mana yang benar kepada mereka. Dan apabila mereka berkata begitu maka Allah akan membawa mereka ke jalan sunnah. Allah akan tarik mereka kepada jalan Sunnah.


 

Ayat 85:

إِذ قالَ لِأَبيهِ وَقَومِهِ ماذا تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] when he said to his father and his people, “What do you worship?

(MELAYU)

(Ingatlah) ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah yang kamu sembah itu?

 

Ini adalah cara dakwah Nabi Ibrahim kepada bapa dan kaum baginda. Baginda gunakan dakwah dengan cara soalan. Baginda tanya mereka supaya mereka gunakan akal mereka untuk menilai balik, apakah perbuatan mereka itu benar atau tidak.

Walaupun baginda belum lagi mendapat wahyu, tapi baginda sudah nampak ada tidak kena dengan agama dan amalan kaumnya itu. Kerana itu baginda bertanya. Ini sama sahaja dengan agama-agama lain. Banyak kisah yang kita dapat orang yang masuk Islam itu telah bertanya kepada ibubapa mereka, atau ketua agama mereka, kenapa buat begitu dan begini? Ini kerana mereka guna akal mereka dan mereka nampak tak patut apa yang dilakukan oleh mereka.

Sebagai contoh, pernah dengar cerita seorang anak pembuat patung Hindu yang tanya ayah dia: “Ayah masukkan nyawa dalam patung tuhan itu… maka tentulah ayah lagi hebat dari tuhan… tidak begitu?”


 

Ayat 86:

أَئِفكًا ءآلِهَةً دونَ اللهِ تُريدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is it falsehood [as] gods other than Allāh you desire?

(MELAYU)

Apakah kamu menghendaki sembahan-sembahan selain Allah dengan jalan berbohong?

 

Kalimah أَئِفكًا dari أ ف ك yang bermaksud penipuan, penukaran. Maksudnya Nabi Ibrahim tegur mereka: “tuhan tipukah yang kamu hendak” Kalau duit tentulah kita duit yang benar, bukan? Takkan kita nak duit tipu. Maka begitulah juga dengan Tuhan, tentu Tuhan yang benar yang kita hendak.

Baginda mempersoalkan perbuatan mereka yang menyembah selain Allah. Ini menunjukkan bahawa mereka itu kenal Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga kepada selain Allah. Inilah sifat musyrik. Macam Musyrikin Mekah, bukannya mereka tidak kenal Allah dan sembah Allah. Mereka memang sembah Allah, cuma selain dari Alah, mereka ada sembah entiti lain juga. Itu yang mereka digelar ‘musyrik’.

Macam orang Islam kita juga, semua kenal Allah, tapi ada yang berdoa kepada selain Allah. Mereka berbohong dalam beramal itu kerana mereka amalkan perkara yang tidak ada dalil. Apabila amalan itu tidak ada dalil, maka ia adalah amalan bohong dan dusta.


 

Ayat 87:

فَما ظَنُّكُم بِرَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then what is your thought about the Lord of the worlds?”

(MELAYU)

Maka apakah anggapanmu terhadap Tuhan semesta alam?”

 

Nabi Ibrahim ajak mereka berfikir tentang Allah dan kedudukan Allah. Mereka pun sudah tahu bahawa Allah itu adalah Rabb yang mencipta dan mengurus alam ini.

Mungkin begini soalan baginda yang kita pun boleh tanya kepada penyembah selain Allah: “Adakah kamu rasa yang kamu boleh jadikan berhala-berhala dan ilah-ilah lain itu sebagai ganti kepadaNya? Adakah kamu sangka yang kamu boleh terselamat dari kemarahanNya dan azabNya?”


 

Ayat 88:

فَنَظَرَ نَظرَةً فِي النُّجومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he cast a look at the stars

(MELAYU)

Lalu dia memandang sekali pandang ke bintang-bintang.

 

Salah satu daripada sembahan kaum Nabi Ibrahim adalah kepada bintang. Mereka mengadakan majlis besar-besaran keluar untuk menyembah bintang dan baginda amat tidak suka dengan perbuatan mereka itu.

Kisah ini telah disebut dengan lebih mendalam dalam ayat dari Surah Al-Anbiya’: 71-73 dan Al-`Ankabut: 16-27

Kalimah نظر (melihat) itu adalah isyarat kepada bahasa kiasan iaitu Nabi Ibrahim berfikir panjang-panjang dan mendalam. Qatadah mengatakan bahawa orang-orang Arab menganggap orang yang sedang memandang ke arah langit itu adalah orang yang sedang berfikir atau merenungkan sesuatu.

Iaitu baginda berfikir sama ada baginda patut ikut kaumnya itu di majlis syirik mereka ataupun tidak. Baginda berfikir dengan mendalam dan kerana itu adalah maf’ul mutlaq نَظرَةً dalam ayat ini.


 

Ayat 89: Baginda dapat ilham bagaimana baginda boleh menyelamatkan diri baginda dari mengikut mereka.

فَقالَ إِنّي سَقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And said, “Indeed, I am [about to be] ill.”

(MELAYU)

Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya aku sakit”.

 

Ini adalah kisah apabila kaum baginda mengajak baginda untuk pergi meraikan majlis syirik mereka, dan baginda berfikir mencari helah untuk mengelak dan menyelamatkan diri baginda. Kerana baginda sudah sedar yang amalan yang mereka lakukan itu adalah amalan syirik. Maka baginda tidak mahu menyertai mereka dan baginda mendapat ilham untuk beritahu yang baginda sakit.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim mengatakan alasan ini kerana baginda mahu untuk bersendirian dengan berhala-berhala kaumnya itu kerana ada sesuatu yang baginda hendak lakukan yang akan disebut selepas ini.

Dan baginda pun sebenarnya tidak berbohong kerana baginda ‘sakit hati’ dengan amalan syirik yang dilakukan oleh kaum baginda itu. Ini penting untuk difahami kerana ada pendapat yang mengatakan ini adalah salah satu dari tiga ‘penipuan’ yang baginda pernah lakukan dalam hidup baginda. Kita kena sedar yang baginda tidaklah menipu tapi ini adalah helah dari baginda sahaja. Helah ini pun ilham dari Allah.

Adapun hadis yang dimaksudkan adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir sehubungan dengan makna ayat ini, iaitu:
حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْب، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، حَدَّثَنِي هِشَامٌ، عَنْ مُحَمَّدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ، عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ، غَيْرَ ثَلَاثِ كَذْبَاتٍ: ثِنْتَيْنِ فِي ذَاتِ اللَّهِ، قَوْلُهُ: {إِنِّي سَقِيمٌ} ، وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} [الْأَنْبِيَاءِ: 62] ، وَقَوْلُهُ فِي سَارَةَ: هِيَ أُخْتِي”
telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah, telah menceritakan kepadaku Hisyam, dari Muhammad, dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Ibrahim a.s. tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga perkara; dua di antaranya dalam membela Zat Allah, iaitu ucapannya, “Sesungguhnya aku sakit,” dan perkataannya, “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya.” Dan perkataannya tentang Sarah, “Dia adalah saudara perempuanku.”
Hadis ini diketengahkan di dalam kitab-kitab sahih dan kitab-kitab sunah melalui berbagai jalur. Akan tetapi, hal ini bukan termasuk dusta murni yang dicela oleh syariat kepada pelakunya.
Tidaklah demikian kerana pada hakikatnya, ia disebut sebagai dusta dengan ungkapan majaz (andaian) sahaja. Dan sesungguhnya hal itu hanyalah termasuk kata-kata sindiran untuk tujuan yang diperbolehkan oleh syariat dan agama, sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang mengatakan:
“إِنَّ [فِي] الْمَعَارِيضِ لَمَنْدُوحَةً عَنِ الْكَذِبِ”
Sesungguhnya di dalam ungkapan-ungkapan sindiran benar-benar terdapat jalan untuk mengelak dari berkata dusta.

 

Ayat 90:

فَتَوَلَّوا عَنهُ مُدبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they turned away from him, departing.

(MELAYU)

Lalu mereka berpaling daripadanya dengan membelakang.

 

Jadi apabila Nabi Ibrahim kata baginda sakit, maka kaum baginda meninggalkan baginda dan waktu itu hanya baginda sahaja yang tinggal di bandar. Maknanya mereka terima alasan baginda itu. Maka bolehlah juga dikatakan yang alasan baginda itu ada asasnya. Mungkin baginda waktu itu memang ada sakit yang menyebabkan kaum baginda percaya kepada baginda.

Kerana kalau baginda nampak sihat sahaja, tentulah mereka tidak terima alasan baginda. Tapi apabila dikatakan kaum baginda meninggalkan baginda, ini bermakna yang mereka terima alasan Nabi Ibrahim itu.

Sufyan mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya aku sakit. (Ash-Shaffat: 89) Yakni terkena penyakit ta’un. Baginda mengatakan demikian kerana kaumnya takut terhadap penderita ta’un, takut berjangkit, dan kerana itulah mereka lari meninggalkannya sendirian. Bila baginda kata baginda kena ta’un, yang lain terus tidak tanya banyak dan berlalu meninggalkannya.
Dengan demikian, maka tercapailah keinginan Ibrahim a.s. yang menginginkan agar dapat baginda menyendiri bersama berhala-berhala mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 8 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Penukaran blog ke celiktafsir.net

Assalamualaikum pembaca blog yang budiman,

Nama blog ini akan ditukarkan ke celiktafsir.net selepas ini. Buat masa ini, dua-dua alamat boleh digunakankan, tapi nanti saya akan jadikan satu alamat sahaja supaya tidak ada kekeliruan lagi. Dalam seminggu dua lagi.

Kalau ada masalah dengan link, saya minta maaf awal-awal lagi. Kerana ada kerja-kerja pengemaskinian yang perlu dilakukan.

Tafsir Surah Saffat Ayat 64 – 76 (Bahaya ikut tok nenek)

Ayat 64: Ayat Takhwif Ukhrawi. Allah sambung menyebut tentang Buah Zaqqum untuk terus menakutkan kita.

إِنَّها شَجَرَةٌ تَخرُجُ في أَصلِ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is a tree issuing from the bottom of the Hellfire,

(MELAYU)

Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka Jahim.

 

Pohon Zaqqum itu dapat hidup dalam neraka kerana ia memang keluar dan berasal dari neraka pun. Iaitu dari dasar neraka itu.

Memang ia ada kaitan dengan api, dan kerana itulah ia dapat hidup dalam api. Maka bayangkan satu pokok yang boleh hidup dalam api, maka tentu ia bukanlah pokok biasa, bukan? Ia bukanlah pokok yang segar yang menyenangkan orang yang melihat dan memegangnya. Tambahan pula memakannya!


 

Ayat 65:

طَلعُها كَأَنَّهُ رُءوسُ الشَّيٰطينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Its emerging fruit as if it was heads of the devils.

(MELAYU)

mayangnya seperti kepala syaitan-syaitan.

 

Rupanya pun sudah buruk sangat. Rupanya pun sudah macam kepala syaitan yang tentunya pemandangan yang tidak menarik langsung. Kita pun tidak mahu nak tengok syaitan macam mana rupanya.

Kita tidak tahu bagaimana rupa syaitan jadi kita tidak dapat nak bayangkan rupa Pohon Zaqqum itu. Ada juga yang bagi gambar dalam internet tapi itu tidak dapat dipastikan kerana kita sendiri tidak tahu rupa syaitan yang sebenar. Jadi ini sebenarnya adalah perumpamaan betapa buruknya Pohon Zaqqum itu.

Kononnya pokok Zaqqum. Tapi tidak boleh dipercayai

 

Ayat 66:

فَإِنَّهُم لَآكِلونَ مِنها فَمالِئونَ مِنهَا البُطونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they will eat from it and fill with it their bellies.

(MELAYU)

Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu.

 

فَإِنَّهُم لَآكِلونَ مِنها

Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian dari buah pohon itu,

Sudahlah pohon Zaqqum itu dari neraka, rupanya pun huduh, tapi ahli neraka akan memakannya. Mereka bukan nak makan dengan sukarela, tapi kerana lapar sangat, tidak ada makanan lain, maka mereka pun terpaksa memakannya. Hal yang semakna disebutkan oleh Allah Swt. dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلا مِنْ ضَرِيعٍ. لَا يُسْمِنُ وَلا يُغْنِي مِنْ جُوعٍ}

Mereka tidak memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. (Al-Gasyiyah: 6-7)

 

فَمالِئونَ مِنهَا البُطونَ

maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu.

Mereka makan sampai penuh perut mereka kerana mereka lapar sangat. Sejak masuk dalam neraka ahli neraka akan rasa lapar dan dahaga dan tidak pernah berkurangan rasa itu. Ataupun, buah Zaqqum ini sebahagian dari azab di neraka. Mereka dipaksa makan buah itu walaupun mereka tidak mahu.


 

Ayat 67:

ثُمَّ إِنَّ لَهُم عَلَيها لَشَوبًا مِّن حَميمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, they will have after it a mixture of scalding water.

(MELAYU)

Kemudian sesudah makan buah pohon zaqqum itu pasti mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas.

 

Bila makan buah Zaqqum itu, mereka rasa dahaga sangat sampai mereka nak minum pula. Tapi tidaklah ada air segar di dalam neraka itu. Yang ada hanyalah air yang kotor dan panas pula.

Kalimah لَشَوبًا dari katadasar ش و ب yang bermaksud campuran minuman. Iaitu air minuman yang ada beberapa bahan di dalamnya. Dan ini bukanlah campuran kopi dan gula atau susu, tapi campuran nanah dan darah. Ianya adalah air yang menjijikkan sekali. Sudahlah jijik, ia air yang panas sangat.

Tapi ahli neraka akan minum juga air itu kerana mereka dahaga sangat dan tiada air lain. Jadi ini sebenarnya adalah azab untuk mereka juga. Mereka sudahlah lapar dan dahaga, dan mereka memerlukan makanan dan minuman. Tapi Allah jadikan makanan dan minuman mereka pun sebagai azab juga. Memang ini semua sepatutnya menjadi penghalang kita dari melakukan dosa kerana tidak sanggup kita nak hadapi semua ini.


 

Ayat 68:

ثُمَّ إِنَّ مَرجِعَهُم لَإِلَى الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, their return will be to the Hellfire.

(MELAYU)

Kemudian sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka Jahim.

 

Tempat tinggal mereka akan kekal dalam neraka. Kerana itu ahli neraka akan dikembalikan ke neraka. Iaitu ke tengah-tengah neraka. Semasa mereka hendak diberi makan dengan Buah Zaqqum itu, mereka akan dibawa ke tepian neraka dan selepas mereka selesai makan, mereka akan dikembalikan ke tengah neraka balik.

Maknanya, mereka dikenakan dengan berbagai-bagai azab. Sekejap azab begini dan sekejap dipindahkan ke tempat azab yang lain. Sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Swt.:

{يَطُوفُونَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ حَمِيمٍ آنٍ}

Mereka berkeliling di antaranya dan di antara air yang mendidih yang memuncak panasnya (Ar-Rahman: 44)


 

Ayat 69: Ayat 69 – 74 adalah tentang golongan sesat kerana mereka hanya mengikut membuta tuli agama nenek moyang.

إِنَّهُم أَلفَوا ءآباءَهُم ضالّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed they found their fathers astray.

(MELAYU)

Kerana sesungguhnya mereka mendapati bapa-bapa mereka dalam keadaan sesat.

 

Mereka yang jadi ahli neraka itu kerana mereka mengikut ajaran dan amalan tok nenek. Ajaran dan amalan itu telah lama diamalkan dan mereka terus terima sahaja. Kadangkala mereka tahu yang amalan tok nenek mereka itu tidak ada bukti tapi mereka masih nak ikut juga.

Ini kerana ia sudah biasa diamalkan. Sampaikan nampak sebagai benar pula. Ini dinamakan ‘hijab rasmi’. Kerana apabila sudah lama diamalkan, maka akal manusia sangka, ia tentulah benar. Ramai yang terhijab dengan perkara ini. Minda mereka telah tertutup dari melihat kebenaran.


 

Ayat 70:

فَهُم عَلىٰ ءآثٰرِهِم يُهرَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they hastened [to follow] in their footsteps.

(MELAYU)

Lalu mereka sangat tergesa-gesa mengikuti jejak orang-orang tua mereka itu.

 

Mereka yang menjadi ahli neraka itu telah mengikut amalan dan ajaran tok nenek itu. Mereka minat sangat nak ikut sampai Allah beri isyarat yang mereka seolah-olah berlari-lari untuk mengamalkannya. Kalimah يُهرَعونَ dari katadasar ه ر ع yang bermaksud berjalan dengan laju, berlari dengan cepat.

Mereka degil sangat untuk terima ajaran wahyu. Walaupun mereka telah diingatkan, diajar amalan yang sunnah, tapi mereka tetap tidak mahu ikut. Mereka tetap nak pakai amalan lama tok nenek juga.


 

Ayat 71:

وَلَقَد ضَلَّ قَبلَهُم أَكثَرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there had already strayed before them most of the former peoples,

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah sesat sebelum mereka sebahagian besar dari orang-orang yang dahulu,

 

Golongan yang masuk neraka itu telah ikut sahaja amalan dan fahaman tok nenek mereka padahal mereka yang terdahulu itu telah sesat dari jalan yang benar. Tapi mereka tidak mengkaji sebaliknya mereka terus terima pakai sahaja. Ini adalah salah kerana kita telah diberikan dengan akal dan pancaindera untuk menilai mana benar dan mana yang tidak.


 

Ayat 72:

وَلَقَد أَرسَلنا فيهِم مُّنذِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had already sent among them warners.

(MELAYU)

dan sesungguhnya telah Kami utus pemberi-pemberi peringatan (rasul-rasul) di kalangan mereka.

 

Golongan terdahulu itu pun bukannya tidak ada pemberi peringatan. Semua umat telah diberikan dengan pemberi peringatan untuk mengajar wahyu dan ajaran yang benar. Tapi tetapi mereka telah menolak para penyebar tauhid itu. Mereka mendustakan para penyebar wahyu itu. Dan sekarang anak cucu mereka pun ikut sama.


 

Ayat 73:

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُنذَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then look how was the end of those who were warned –

(MELAYU)

Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang diberi peringatan itu.

 

Tengoklah apa yang terjadi kepada mereka yang telah diberikan peringatan itu tetapi mereka tidak mengikutnya. Allah telah memberi berbagai-bagai kisah tentang golongan terdahulu yang telah menentang para rasul mereka. Mereka telah dibinasakan. Allah beritahu yang kesan peninggalan mereka itu masih boleh dilihat lagi. Maka perhatikanlah kalau kamu masih berdegil. Adakah kamu hendak jadi begitu?


 

Ayat 74:

إِلّا عِبادَ اللهِ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But not the chosen servants of Allāh.

(MELAYU)

Kecuali hamba-hamba Allah yang bersihkan (dari dosa tidak akan diazab).

 

Apabila ada kaum yang menentang Rasul mereka, maka akan diselamatkan mereka yang ikhlas dalam agama. Mereka ini adalah golongan yang menerima ajaran wahyu dan sanggup mengamalkan amalan agama dengan ikhlas.

Maksud ikhlas itu adalah mereka lakukan amalan agama hanya kerana Allah.

Dan lagi satu, mereka tidak campur amalan agama itu dengan amalan-amalan yang datang dari luar. Mereka cuma amalkan amalan agama Islam sahaja. Mereka tidak lakukan amalan yang bidaah.

Tamat Ruku’ 2 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 75: Sekarang disebut golongan para Nabi. Mereka pun tak mampu nak bantu mengubah takdir Allah. Para Rasul dipuji sebagai mereka yang mukminin, mukhlasin dan mukhsinin.

Ayat 75 – 148 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia menceritakan ganjaran bagi orang yang beriman, ikhlas dan berbuat baik.

Oleh kerana perenggan ini juga panjang, maka ia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian lagi. Ayat 75 – 82 adalah pujian dan ucapan salam kepada Nabi Nuh.

وَلَقَد نادٰنا نوحٌ فَلَنِعمَ المُجيبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Noah had certainly called Us, and [We are] the best of responders.

(MELAYU)

Sesungguhnya Nuh telah menyeru Kami: maka sesungguhnya sebaik-baik yang memperkenankan (adalah Kami).

 

وَلَقَد نادٰنا نوحٌ

Sesungguhnya Nuh telah menyeru Kami:

Ini adalah tentang doa Nabi Nuh yang berdoa kepada Allah supaya kaumnya dimusnahkan. Dan kita tahu bahawa umat waktu itu telah dilanda banjir yang menghapuskan semua manusia kecuali mereka yang berada dalam bahtera Nabi Nuh sahaja. Doa ini disebut dalam Qamar:10

فَدَعا رَبَّهُ أَنّي مَغلوبٌ فَانتَصِر

Maka dia mengadu kepada Tuhannya: “bahwasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, oleh sebab itu menangkanlah (aku)”.

 

فَلَنِعمَ المُجيبونَ

maka sesungguhnya sebaik-baik yang memperkenankan

Jumlah Muqaddar: Allahlah sebaik-baik yang boleh memperkenankan.

Allah kata Dia yang memperkenankan doa Nabi Nuh, tetapi seperti yang kita tahu Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Takkan selama baginda berdakwah itu, baginda tidak pernah berdoa kepada Allah?

Maka bagaimana kita hendak kata yang Allah telah memperkenankan doa? Kerana mungkin kita sangkakan yang jikalau doa itu diperkenankan tentulah kita terus dapat apa yang diminta, bukan? Tidaklah begitu. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh berdakwah dan berdoa, tapi sekian lama juga Nabi Nuh berdoa sampaikan akhirnya keputusan dibuat untuk memusnahkan umat manusia waktu itu.

Oleh itu ini mengajar kita bahawa Allah mendengar doa tetapi tidaklah Allah terus beri apa yang diminta itu kerana Allah akan beri apa yang sepatutnya diterima. Terpulang kepada Allah untuk beri ikut kehendakNya. Allah akan beri apabila masanya telah tiba. Tapi kita tetap kena berterusan berdosa.


 

Ayat 76:

وَنَجَّينٰهُ وَأَهلَهُ مِنَ الكَربِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We saved him and his family from the great affliction.

(MELAYU)

Dan Kami telah menyelamatkannya dan pengikutnya dari bencana yang besar.

 

Walaupun umat manusia dimusnahkan dengan banjir besar itu, tetapi Allah sentiasa memelihara mereka yang mukmin dari dikenakan dengan azab yang sebegitu. Allah akan suruh pengikut para Nabi untuk berkumpul dengan Nabi dan ikut mereka ke tempat yang selamat. Dalam kes Nabi Nuh ini, kaum keluarga dan pengikut yang beriman telah disuruh untuk masuk ke dalam bahtera sebelum air diturunkan dari langit dan dinaikkan dari tanah.

Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad dan para sahabat akan diselamatkan dari gangguan dan penentangan kaum Musyrikin Mekah itu. Sebagaimana Nuh dan pengikutnya diselamatkan, begitu juga dengan Nabi Muhammad dan para sahabat baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 3 Julai 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Perubahan nama

Assalamualaikum…Blog ini akan berubah nama tidak lama lagi. Saya masih memikirkan nama yang sesuai.

Saya sayang dengan nama ini tapi apakan daya, ada kekeliruan dengan nama satu madrasah. Walaupun blog ini sudah ada sebelum madrasah itu, tapi masih ada yang keliru dan mengaitkan blog ini dengan madrasah Tafsirsunnah.

Maka saya ambil keputusan untuk ubah sahaja nama blog ini.

Tafsir Surah Saffat Ayat 52 – 63 (Ahli syurga tengok kawan ahli neraka)

Ayat 52: Ini sambungan kisah ahli syurga yang terkenangkan kawannya semasa di dunia dahulu.

يَقولُ أَءِنَّكَ لَمِنَ المُصَدِّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who would say, ‘Are you indeed of those who believe

(MELAYU)

yang berkata: “Apakah kamu sungguh-sungguh termasuk orang-orang yang membenarkan (hari berbangkit)?

 

Ahli syurga itu telah beriman dengan ajaran tauhid tapi kawannya itu tidak ikut beriman. Malah kawannya itu hairan dan tak dapat terima bila kawan baiknya itu masuk Islam. Jadi Allah hendak menceritakan penolakan Musyrikin Mekah itu adalah dalam hal kebangkitan semula.

Begitulah kita dalam dunia ini. Kadangkala kita nak berubah tapi kawan baik kita sendiri tidak terbuka hatinya. Ada yang akhirnya berubah tapi ada juga yang kekal dengan perangai lama yang buruk.

Ada yang boleh terima kita nak berubah tapi ada juga yang jadi pelik. Mereka tidak dapat terima kerana sudah hilang geng nak buat macam-macam hal lagha.


 

Ayat 53: Kawan yang tidak mahu beriman itu berhujah dengan kawannya yang mahu beriman itu. Dia konon nak bagi hujah yang takkan ada hari kebangkitan.

أَءِذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا وَعِظٰمًا أَءِنّا لَمَدينونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That when we have died and become dust and bones, we will indeed be recompensed?’ “

(MELAYU)

Apakah bila kita telah mati dan kita telah menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi pembalasan?”

 

Musyrikin Mekah menolak kebangkitan semula kerana akal mereka kata: takkan apabila manusia sudah mati dan tulang semua sudah hancur itu akan dibangkitkan semula dan dibalas atas perbuatan kita semasa di dunia? Pada mereka pelik sangat kejadian itu dan tidak mungkin berlaku.

Ini adalah kerana mereka hanya guna akal mereka yang cetek. Mereka hanya pandang satu perkara sahaja iaitu tidak pernah ada orang mati hidup balik. Jadi pada mereka, kalau ianya tidak pernah berlaku, maka takkan ia akan berlaku pula?

Kawan kepada ahli syurga itu macam tidak percaya yang kawannya itu mahu percaya kepada benda karut seperti kebangkitan semula. Jadi dia tanya dalam nada mengejek. Dia bagi hujah sebegini: “eh, kau boleh percaya ke benda macam tu?”

Jadi asal kisah ini adalah kata-kata ahli syurga yang teringat hujah kawannya itu semasa di dunia. Dia teringat dan terfikir, di manakah agaknya kawannya itu, sebab tak nampak dia di syurga. Dan dia teringat kata-kata kawannya itu dulu semasa di dunia. Iaitu kawan dia mempersoalkan iman dia.


 

Ayat 54: Maka ditawarkan kepada ahli syurga itu. Apakah tawaran itu?

قالَ هَل أَنتُم مُّطَّلِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say,¹ “Would you [care to] look?”

  • To his companions in Paradise.

(MELAYU)

Berkata dia: “Mahukah kamu meninjau?”

 

Kalimah مُّطَّلِعونَ dari ط ل ع yang bermaksud panjat gunung untuk lihat sesuatu yang di sebalik gunung itu. Maknanya, meninjau di sebalik bukit.  Maksudnya, ditawarkan kepada ahli syurga yang bertanya tentang kawannya itu, nak tengokkah kawannya yang tidak percaya kepada hari akhirat?

Atau, kalimat ini dikatakan oleh orang mukmin kepada teman-temannya sesama penghuni syurga. Dia nak tunjukkan kawannya itu kepada kawannya di syurga.

Ini menunjukkan bahawa ahli syurga boleh dapat apa sahaja. Mereka boleh minta macam-macam. Kita selalu fikir mereka boleh minta nikmat seperti makanan sahaja. Di sini kita tahu yang mereka boleh minta nak tengok keadaan orang lain.


 

Ayat 55:

فَاطَّلَعَ فَرَءآهُ في سَواءِ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he will look and see him¹ in the midst of the Hellfire.

  • The companion who had tried to dissuade him from belief on earth.

(MELAYU)

Maka dia meninjaunya, lalu dia melihat temannya itu di tengah-tengah neraka menyala-nyala.

 

Maka ahli syurga itu pun diberikan melihat kawannya yang di dunia dulu. Maka dia nampak kawannya itu sedang diazab di dalam neraka. Ini adalah kerana dia telah menolak hari kebangkitan semula. Apabila tidak percaya kepada akhirat, maka banyaklah kesalahan yang dia telah lakukan. Maka tempatnya di neraka.


 

Ayat 56:

قالَ تَاللهِ إِن كِدتَّ لَتُردينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say, “By Allāh, you almost ruined me.

(MELAYU)

Dia berkata: “Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar hampir mencelakakanku,

 

Apabila kalimah تَاللهِ digunakan, ia adalah sumpah yang kuat dari biasa. Kerana sumpah biasa adalah واللهِ sahaja. Ini adalah kerana dia amat terkejut melihat azab itu dan dia bersyukur sangat kerana terselamat. Kalaulah dia dulu ikut kawannya itu, tentu dia pun sudah masuk neraka sekali.

Lihatlah ahli syurga ini setelah melihat kawannya itu, dia tidak minta untuk tolong kawannya pun. Kerana dia tahu yang kawannya itu sudah tidak boleh ditolong. Jadi kalau nak harap kawan-kawan yang masuk syurga boleh tarik masuk syurga, ini adalah harapan kosong. Lainlah kalau kita memang ada iman, bolehlah juga berharap ada kawan tolong. Tapi kalau iman kepada akhirat pun ada masalah, memang tidak ada harapan.

Ahli syurga itu tidak pun cuba menolong kawannya di dalam neraka itu, sebaliknya dia dapat bercakap dengan kawannya itu yang sedang berada di neraka (nasib baik aku tak ikut kamu dulu). Kita pun tidak tahu bagaimana cara mereka berkomunikasi tapi Allah boleh jadikan ini sebagai realiti.

Kalimah لَتُردينِ dari katadasar ر د ي yang bermaksud jatuh ke dalam jurang yang dalam. Ahli syurga itu sudah nampak kalaulah dia ikut kawannya itu, maka dia akan masuk neraka juga.

Maka ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam memilih kawan. Kalau kawan bagi hujah apa-apa tentang agama, kenalah pakai akal yang sihat untuk menilai. Jangan terkesan dengan kawan. Boleh berkawan tapi jangan ikut kalau dia buat salah. Jangan kerana kawan, kita termakan diri.


 

Ayat 57: Dia bersyukur kepada Allah.

وَلَولا نِعمَةُ رَبّي لَكُنتُ مِنَ المُحضَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If not for the favor of my Lord, I would have been of those brought in [to Hell].

(MELAYU)

jikalau tidaklah kerana nikmat Tuhanku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka).

 

Ahli syurga ini terkenang rahmat Allah SWT yang menyelamatkannya dari masuk ke dalam neraka. Kalau dia silap langkah dulu, dia pun akan dihadhirkan ke neraka juga.

Ini mengajar kita yang kita masuk syurga dan selamat dari neraka adalah kerana rahmat Allah. Bukannya kita dapat masuk syurga kerana amalan kita. Tapi, untuk mendapatkan rahmat Allah itu, hendaklah beriman dan memperbanyakkan amal-amal Soleh. Tidaklah hanya berharap sahaja tapi kenalah ada usaha.

Kenapa digunakan kalimah المُحضَرينَ yang bermaksud ‘orang yang hadhir’. Ini adalah kerana ada orang yang mereka tidak dibenarkan masuk syurga. Ahli syurga ini terkenang semasa dia nampak sekumpulan manusia yang tidak dibenarkan masuk syurga. Dia dapat masuk tetapi ada ramai yang tertahan di pintu syurga. Mereka hadhir sahaja tapi tidak dapat masuk.

Macam di imigresen ada ramai yang tidak dapat masuk ke dalam negara tertentu kerana dokumen tak lengkap dan mereka tertahan di imigresen lapangan terbang. Begitu jugalah perumpamaan manusia yang tidak dapat memasuki syurga kerana masalah-masalah tertentu.

Maka ini adalah  kenangan lama ahli syurga itu. Dia teringat kenangan semasa di dunia dahulu.


 

Ayat 58:

أَفَما نَحنُ بِمَيِّتينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, are we not to die

(MELAYU)

Maka apakah kita tidak akan mati?,

 

Dia terkenang nikmat tak mati sampai bila-bila. Apabila tidak mati, dia tahu yang dia akan kekal dalam syurga selama-lamanya.

Ini terjadi selepas dia tengok neraka. Dia sedang mensyukuri nikmat yang dia sedang terima. Kerana kalau bukan di syurga, tentu dia di neraka. Dan dia sudah nampak bagaimana teruknya neraka itu kerana dia baru lihat kawannya diazab di sana.


 

Ayat 59:

إِلّا مَوتَتَنَا الأولىٰ وَما نَحنُ بِمُعَذَّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for our first death, and we will not be punished?”

(MELAYU)

melainkan hanya kematian kita yang pertama sahaja (di dunia), dan kita tidak akan diseksa (di akhirat ini)?

 

إِلّا مَوتَتَنَا الأولىٰ

melainkan hanya kematian kita yang pertama sahaja (di dunia),

Dia bimbang hidup semula di dunia. Jadi dia suka dan bersyukur betul apabila dia teringat yang dia tidak akan mati dan akan kekal dalam syurga. Hanya sekali sahaja dia mati iaitu mati di dunia dulu.

 

وَما نَحنُ بِمُعَذَّبينَ

dan kita tidak akan diseksa (di akhirat ini)?

Apabila tidak akan mati, maka ahli syurga tidak akan masuk neraka dan mereka tidak akan diazab sampai bila-bila. Berita baik ini Allah sampaikan dengan mematikan ‘mati’.

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاءُ بِالْمَوْتِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ كَبْشٌ أَمْلَحُ

Bersabda Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam: “Kematian didatangkan pada hari kiamat berupa seekor kambing hitam…” (HR Muslim 5087)

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَارَ أَهْلُ الْجَنَّةِ فِي الْجَنَّةِ وَأَهْلُ النَّارِ فِي النَّارِ جِيءَ بِالْمَوْتِ حَتَّى يُوقَفَ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُذْبَحُ ثُمَّ يُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ يَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ فَازْدَادَ أَهْلُ الْجَنَّةِ فَرَحًا إِلَى فَرَحِهِمْ وَازْدَادَ أَهْلُ النَّارِ حُزْنًا إِلَى حُزْنِهِمْ (أحمد)

“Bila penghuni syurga sudah masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka, datanglah kematian berdiri di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih. Lalu terdengar seruan “Hai penghuni syurga, kekallah tidak ada lagi kematian… Hai penghuni neraka, kekallah tidak ada lagi kematian”, maka bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka.” (HR Ahmad 5721)


 

Ayat 60:

إِنَّ هٰذا لَهُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this is the great attainment.

(MELAYU)

Sesungguhnya ini benar-benar kemenangan yang besar.

 

Sekarang disebut nikmat yang baru: selamat dari neraka. Tadi tentang masuk ke dalam syurga. Dan satu lagi nikmat adalah selamat dari neraka. Kerana itu digunakan kalimah الفَوزُ yang bukan bermaksud kemenangan dan kejayaan sahaja tetapi ia bermaksud berjaya selamat dari bahaya.

Dan apakah bahaya yang lebih besar daripada neraka? Maka apabila berjaya selamat dari neraka, tentulah itu kejayaan yang paling besar sekali, bukan? Maka ahli syurga ini terkenang dan menghargai nikmatnya itu.


 

Ayat 61:

لِمِثلِ هٰذا فَليَعمَلِ العٰمِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For the like of this let the workers [on earth] work.

(MELAYU)

Untuk kemenangan serupa ini hendaklah berusaha orang-orang yang bekerja”

 

Maka Allah sudah sampaikan berita kejayaan yang amat besar. Maka kejayaan-kejayaan inilah yang kena dikejar. Takkan tak mahu dapat seperti yang telah disebut di atas? Dan untuk dapat kejayaan di atas, kena ada usaha. Bukan cakap dan berharap sahaja.

Dan sebelum nak beramal, kenalah ada ilmu dulu kerana kalau tidak, seseorang itu akan silap amal dan hanya tambah dosa sahaja. Maka kena belajar mana amalan tauhid dan mana amalan syirik; mana amalan Soleh dan mana amalan bidaah. Kena luangkan masa untuk belajar.


 

Ayat 62: Allah suruh kita berfikir. Ayat 62 – 68 ini adalah tentang Buah Zaqqum, dan juga tentang makanan dan minuman ahli neraka.

أَذٰلِكَ خَيرٌ نُّزُلًا أَم شَجَرَةُ الزَّقّومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is that [i.e., Paradise] a better accommodation or the tree of zaqqūm?

(MELAYU)

Itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon Zaqqum?

 

Banyak sudah disebut tentang syurga dan segala kenikmatan di dalam Al-Qur’an sebelum ini. Tidak cukupkah maklumat itu semua sebagai galakan untuk kita berusaha untuk memasukinya?

Semua yang disebut itu adalah sebagai نُّزُلًا sahaja, iaitu sebagai makanan sambutan tetamu sahaja. Maknanya hidangan utama lebih hebat lagi. Tapi tidak dapat diberitahu sekarang kerana akal kita tidak akan mampu untuk memahami dan menggarapinya kerana ia terlalu hebat.

Begitu jugalah dengan neraka. Apa yang disebut dalam Al-Qur’an tentang neraka dan azabnya hanya sebagai azab menyambut sahaja. Maknanya ada azab yang lebih teruk lagi!

Antara azab yang disebut adakah buah Zaqqum. Maka buah Zaqqum itu sebagai snack sahaja dulu sebelum diberikan dengan azab yang lebih teruk!


 

Ayat 63:

إِنّا جَعَلنٰها فِتنَةً لِّلظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have made it a torment for the wrongdoers.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai seksaan bagi orang-orang yang zalim.

 

Di akhirat nanti, Zaqqum itu menjadi makanan bagi ahli neraka. Tapi semasa di dunia, ia menjadi ujian (fitnah) kepada manusia. Ini kerana apabila disebut tentang pohon Zaqqum, ada yang terima dan ada yang tidak.

Kepada orang-orang yang zalim yang tidak percaya kepada hari akhirat, mereka mempersendakan pohon Zaqqum itu. Mereka kata kalau ada makanan di dalam neraka maka tidaklah ada masalah kerana mereka kata ada juga makanan untuk mereka kalau mereka masuk neraka pun. Mereka cakap dalam nada sendaan, nada mengejek.

Dan mereka juga kutuk Nabi Muhammad kerana Nabi Muhammad kata di neraka itu ada api, maka mereka kata, bagaimana pula ada pokok boleh hidup dalam api? Mesti keliru atau pembohong Muhammad itu, kata mereka.

Maka mereka mempermainkan berita yang Allah dan Rasul sampaikan. Kerana kata-kata ejekan mereka itu, mereka akan menerima balasannya di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 8 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi