Tafsir Surah an-Najm Ayat 1 – 6 (Nabi jumpa Jibrail pertama kali)

Pengenalan

Surah Najm ini adalah surah tentang Mi’raj Nabi dari MasjidilAqsa ke langit. Tentang Isra’ (perjalanan dari Mekah ke MasjidilAqsa) telah diberitahu dalam Surah Isra’. Maka Surah Najm ini tentang kenaikan Nabi ke langit pula.

Ianya adalah Surah Makkiah. Ianya adalah surah pertama yang Nabi bacakan secara keseluruhan kepada penduduk Mekah (kerana surah-surah yang lain datang sikit demi sedikit). Dalam surah inilah, ayat tentang sujud telah dibacakan dan baginda terus sujud. Waktu itu baginda membacakan ayat ini di khalayak ramai, iaitu kepada sahabat-sahabat baginda dan juga kepada kaum Musyrikin Mekah.

Yang menariknya, apabila baginda sujud, sahabat kesemuanya telah sujud bersama baginda. Dan yang lebih hebatnya, puak-puak musyrikin yang tidak mahu beriman itu pun terpesona sangat dengan Surah an-Najm yang baginda bacakan dan perbuatan sujud baginda, maka mereka pun ramai-ramai sujud bersama Nabi!

Ini memang menakjubkan. Bayangkan mereka semua sekali yang berada di situ telah sujud, kecuali seorang sahaja yang degil. Begitu pun, dia telah mengambil sedikit tanah dan meletakkan tanah itu ke dahinya. Dia tahan dirinya dari sujud penuh, tapi dia telah terpanggil untuk meletakkan tanah ke dahinya. Kejadian ini boleh dibaca dalam Seerah.

Surah ini juga memberitahu tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad. Jadi Dakwa Surah ini adalah tentang Risalah (tentang kenabian baginda).

Dan ianya mengandungi teguran kepada amalan-amalan syirik Musyrikin Mekah. Mereka menyembah sembahan-sembahan lain selain Allah. Ini ada fahaman bathil yang tiada asas. Mereka sembah dan seru roh wali-wali dengan menamakan mereka Latta, Uzza, Manat dan lain-lain untuk tujuan supaya mereka yang disembah itu bawa doa mereka kepada Allah. Allah jelaskan bahawa fahaman itu adalah bathil tidak berasas.

Musyrikin Mekah itu kenal Allah dan terima Allah sebagai Tuhan. Mereka terima Allah sebagai pencipta alam dan menguruskan perkara yang besar-besar. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman syirik yang hendak diperbetulkan dalam surah ini. Maka ia juga ditujukan kepada golongan musyrik negara ini juga.


 

Najm Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 18 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberikan hujah kebenaran wahyu dan menyentuh peristiwa Isra’ Mi’raj.

Sebelum itu, ayat 1 – 10 menyentuh tentang kebenaran Wahyu Al-Qur’an dan kerasulan Nabi Muhammad. Allah menekankan yang Al-Qur’an itu bukan daripada diri Nabi sendiri.

وَالنَّجمِ إِذا هَوىٰ

Sahih International

By the star when it descends,

Malay

Demi bintang semasa ia menjunam, –

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah dengan ‘bintang yang terbenam’. Hanya Allah sahaja yang berhak bersumpah dengan makhlukNya. Allah jadikan makhlukNya sebagai dalil bukti yang Dia yang buat makhluk itu. Allah hendak menzahirkan bukti QudratNya.

Kita pula hanya boleh bersumpah dengan menggunakan nama Allah sahaja. Kita menggunakan sumpah untuk menguatkan kata-kata dakwaan kita. Maka kita kena guna nama Allah sahaja. Tidak boleh guna nama makhluk dan ini dilarang. Dalilnya, Nabi pernah bersabda:

Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”. Inilah juga yang digunakan oleh bangsa Arab. Selain dari itu, boleh juga bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”.

Boleh juga bersumpah dengan sifat-sifat Allah. Sebagaimana Nabi pun selalu lakukan:

Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.

Memang jiwa Nabi dan juga jiwa kita berada dalam Tangan Allah, maka itu tidaklah salah, tambahan pula Nabi Muhammad selalu gunakan sumpah begitu.

Oleh itu, ada tiga cara untuk bersumpah yang dibenarkan, maka gunakan cara itu sahaja. Maka janganlah kita buat seperti sesetengah orang yang bersumpah dengan ‘cahaya api’, dengan ‘matahari yang tengah naik’, sumpah dengan nama emak dan sebagainya. Itu semua memang berlaku tapi dilakukan oleh mereka yang jahil yang tidak tahu tentang larangan Allah.

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

Ibn ‘Umar (radhiallahu ‘anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.”

Kalimah نَجْمِ merujuk kepada bintang di langit yang manusia boleh lihat – jelas kelihatan di malam hari. Bintang-bintang itu digunakan sebagai penunjuk arah kepada bangsa Arab yang selalu mengembara waktu malam. Oleh itu, salah satu sifat bintang itu adalah sebagai ‘penunjuk di dalam kegelapan’ malam.

Bagaimana pula kaitannya dengan Al-Qur’an? Ianya adalah isyarat kepada Al-Qur’an yang memberi petunjuk kepada kaum yang berada di dalam kegelapan iman.

Apabila ditambah dengan ال, maka ia merujuk kepada satu bintang spesifik. Maka kerana itu ada pendapat yang mengatakan yang bintang ini adalah Bintang Suraya. Kerana ianya adalah bintang yang dikenali oleh masyarakat Arab.

Kalimah هَوَىٰ adalah apabila bintang hilang dari langit, tak nampak lagi (terbenam). Apabila matahari keluar, bintang sudah tidak kelihatan lagi. Ianya akan terjadi setiap hari. Perkataan هَوَىٰ ini selalunya digunakan untuk mengungkapkan objek-objek di langit yang terbenam.

Lagi satu, bintang itu akan jatuh apabila ia digunakan untuk menembak syaitan-syaitan yang cuba untuk mendengar rahsia-rahsia dari langit. Ini seperti yang disebut dalam Mulk:5

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (langit dunia) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu sebagai rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Jadi dalam potongan ayat pertama Surah Najm ini, Allah bersumpah dengan bintang untuk memberitahu kepada kita satu perkara yang penting yang akan disebutkan selepas ini. Macam kita juga, apabila hendak menekankan sesuatu perkara yang penting, kita akan kata sebagai contoh: “demi Allah, aku tak tipu, aku cakap benar ni!”.

Allah menggunakan bintang sebagai sumpahNya dalam ayat ini. Bintang adalah satu elemen penting dalam kehidupan orang Arab. Mereka suka melihat bintang. Mereka tidak ada TV nak tonton, supermarket untuk pergi jalan-jalan, internet nak dilayari. Maka, bintanglah yang mereka tenung malam-malam hari untuk mengisi masa lapang mereka. Maka, Allah menggunakan bintang sebagai sumpah kerana ianya penting kepada bangsa Arab.

Pada zaman itu, seperti juga zaman sekarang, ada Kaahin (tukang tenung) yang membaca nasib manusia dengan membaca bintang. Zaman sekarang pun ada juga, tapi lagi senang sekarang mereka boleh tengok suratkhabar dan tengok zodiak mereka. Ada Sagittarius, Pisces dan sebagainya. Mereka tengok ramalan nasib itu sebab nak tahu sama ada mereka akan bernasib baik atau tidak, dan sebagainya. Ini adalah syirik kerana nasib tidak ditentukan oleh bintang.

Malangnya ramailah budak-budak kita yang tertipu. Pada zaman Nabi pun memang sudah ada yang baca bintang ini. Mereka pun ada yang menuduh Nabi Muhammad sebagai ahli nujum atau kaahin juga. Mereka tuduh Nabi Muhammad mendapat maklumat dari bintang juga. Itulah Allah menyentuh hal bintang dalam ayat pertama ini.

Ataupun, mereka ada juga menuduh Nabi mendapat maklumat dari jin-jin yang kononnya menjaga bintang itu. Mana mungkin itu terjadi. Sedangkan kalau jin-jin itu cuba mendapatkan maklumat dari langit pun, mereka akan kena lempar dengan bintang-bintang itu seperti yang disebut dalam Surah al-Mulk.


 

Najm Ayat 2: Inilah perkara penting yang Allah hendak sebutkan sampaikan Allah bersumpah dengan bintang. Tujuan sumpah adalah untuk memberitahu sesuatu perkara yang penting. Jadi apakah yang Allah hendak tekankan?

ما ضَلَّ صاحِبُكُم وَما غَوىٰ

Sahih International

Your companion [Muhammad] has not strayed, nor has he erred,

Malay

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan dia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

 

Kalimah ضَلَّ bermaksud sesat yang disebabkan oleh kejahilan. Iaitu apabila sudah cari tapi tak jumpa. Jadi Allah menekankan dalam ayat ini  yang tidaklah Nabi Muhammad itu sesat setelah mendapat wahyu. Tidaklah Nabi itu seorang yang jahil. Memang baginda telah mencari-cari kebenaran dan apa yang baginda dapat itu adalah kebenaran.

Kalimah غَوَىٰ pula bermaksud terpesong atau keliru. Tidaklah juga baginda terpesong daripada jalan yang benar. Ia juga bermaksud sesat setelah sudah tahu kebenaran tapi tolak untuk menerimanya. Baginda tidaklah juga begitu. Jadi ada sedikit perbezaan antara ضَلَّ dan غَوَىٰ. Apabila wahyu diberikan kepada baginda tentang tauhid, baginda menerimanya dengan rela.

Ayat ini bermaksud, apa-apa sahaja yang Nabi Muhammad sampaikan kepada kita adalah berdasarkan panduan daripada Allah. Ianya berdasarkan ilmu dari Allah dan juga hidayah yang diberikan oleh Allah. Maka tentulah kita tidak akan tersesat kalau pegang ajaran dari baginda.

Tidaklah Al-Qur’an itu menyesatkan dan memesongkan manusia. Malangnya, kadang-kadang ada antara kita yang telah belajar tafsir Al-Qur’an dan juga belajar hadis Nabi, tetapi masih juga terpesong. Itu adalah mereka yang belajar bukan kerana hendak mendapat petunjuk, tapi mungkin kerana hendakkan ilmu supaya mereka boleh berlagak dengan orang lain.

Dalam ayat ini, perkataan صَاحِبُكُمْ – sahabat kamu – digunakan. Allah tidak mengatakan “Nabi Muhammad itu tidak sesat dan tidak keliru”, tapi Allah gunakan perkataan صَاحِبُكُمْ untuk merujuk kepada baginda. Kenapakah begitu?

Perkataan صَاحِبُكُمْ dari perkataan صحب yang bermaksud seseorang yang telah tinggal lama dengan kita. Yang kita memang kenal siapa dia, dan apakah perangainya kerana telah lama kita kenal.

Digunakan perkataan صَاحِبُكُمْ dalam ayat ini untuk mengingatkan kepada Musyrikin Mekah bahawa mereka telah lama kenal dan hidup dengan Nabi Muhammad. Bukan mereka baru kenal baginda semalam tetapi telah 40 tahun baginda tinggal bersama mereka. Mereka pun tahu bagaimana sifat Nabi Muhammad yang amanah dan tidak pernah menipu. Sampaikan mereka menggelar baginda dengan panggilan alAmin (yang amanah).

Sekarang Allah tempelak mereka: Kenapa dulu mereka menggelarnya al-Amin tetapi apabila baginda membawakan agama yang benar, kenapa mereka menggelar baginda al-kaazib – (penipu) pula? Ini adalah satu perkara yang menghairankan.

Dan Allah mengingatkan kepada puak Musyrikin yang Nabi Muhammad itu adalah sahabat mereka dan apabila kita dengan sahabat, sepatutnya dibantu oleh sahabatnya yang lain, bukannya macam yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Mereka bukan sahaja tidak membantu baginda, tapi mereka menentang baginda pula. Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan tak kena langsung.


 

Najm Ayat 3:

وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ

Sahih International

Nor does he speak from [his own] inclination.

Malay

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut hawa nafsunya sendiri.

 

Takkanlah Nabi Muhammad itu sesat kerana baginda bukannya berkata dari hawa nafsu dirinya sendiri tetapi baginda dipandu sendiri oleh Allah. Kata-kata Nabi sama ada dalam bentuk Al-Qur’an ataupun dalam bentuk hadis, bukanlah dari hawa nafsunya tetapi ianya adalah dari Allah.

Kerana itu kita katakan kata-kata Nabi sebagai ‘sabda’ yang bererti wujud dari lafaz baginda itu ‘makna agama’. Bukan cakap kosong sahaja, tapi ada nilai agama. Kalau untuk Allah, kita gunakan kalimah ‘firman’ pula. Digunakan dua terma itu untuk membezakan mana kalam Allah dan mana kalam Rasul.

Maka Nabi berkata tentang agama dengan wahyu dan panduan dari Allah. Ini berlainan dengan Musyrikin Mekah yang berkata dari hawa nafsu mereka sahaja.

Tapi kalam baginda ada banyak, bukan? Maka kita boleh bahagikan kata-kata Nabi Muhammad itu kepada tiga jenis. Yang pertama adalah kata-kata dalam bentuk Al-Qur’an yang tentunya hanya daripada Allah sahaja.

Yang keduanya adalah kata-katanya dalam bentuk Sunnah ataupun hadis dan itu juga bukanlah dari hawa nafsunya. Kata-kata Nabi dalam bentuk Sunnah itu adalah untuk memperjelaskan apa yang telah disebut di dalam Al-Qur’an. Dengan cara kita dengar dan lihat amalan baginda, kita dapatlah tahu bagaimana mengamalkan Al-Qur’an.

Yang ketiganya, ada juga kata-kata Nabi yang berbentuk ijtihad ataupun dari pemikiran baginda berdasarkan pengetahuan dan fikiran baginda yang sihat. Kita kena ingat bahawa baginda sebagai seorang Nabi telah diberikan dengan akal fikiran yang bijak. Walaupun ianya adalah ijtihad baginda, tapi itu pun bukanlah daripada hawa nafsu baginda. Nabi Muhammad tidaklah sama seperti kita, kerana kita sebagai manusia, kadang-kadang berkata dari hawa nafsu kita sahaja.

Dan kalau kata-kata Nabi yang berasaskan kepada ijtihad itu salah, Allah akan memperbetulkan kata-kata baginda itu dengan diturunkan wahyu. Ada banyak insiden yang kita dapat tahu daripada hadis yang sampai kepada kita, bagaimana Allah telah memperbetulkan kata-kata Nabi Muhammad kalau ianya salah.

Sebagai contoh, pernah seorang lelaki bertanya kepada Nabi, jikalau beliau mati dalam jihad Fisabilillah, adakah beliau akan masuk syurga? Nabi Muhammad beritahu kepada lelaki itu ‘ya’. Semasa lelaki itu sedang bergerak pergi, Nabi Muhammad telah memanggil balik lelaki itu. Kerana Jibril telah memberitahu baginda bahawa orang yang mati pada jalan Allah akan masuk syurga, kecuali mereka yang ada hutang (tidak terus masuk syurga tapi rohnya akan tergantung-gantung).

Nabi Muhammad tidak reka agama, semua perkara yang Nabi Muhammad sebut dengan mulut baginda itu adalah wahyu dari Allah. Maka kata-kata baginda ada nilai sabdaan. Kita pun apabila menyebut balik kata-kata baginda, kita kata: “Rasulullah bersabda….”

Oleh itu, jikalau apa yang Nabi kata itu bukan daripada hawa nafsu baginda, maka kita hendaklah mengambil serius kata-kata baginda itu dan tidak mempersoalkannya lagi. Tidaklah boleh kita berfikir atau mempersoalkan sama ada kata Nabi itu benar ataupun tidak. Kita kena terima sebagai satu kebenaran. Ada satu hadis untuk menjelaskan perkara ini:

قال عبد الله بن عمرو ـ رضي الله عنه: كنت أكتب كل شيء أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ، فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا، فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا خَرَجَ مِنِّي إِلَّا حَقٌّ.

رواه أحمد في المسند وأبو داود في السنن.

Abdullah bin Amr, ra berkata: Aku menulis semua yang aku dengar dari Rasul Allah SAW kerana aku mahu menyimpannya, maka ada orang Quraisy (mereka pun orang Islam juga) yang melarangku, mereka berkata: Kamu menulis semua yang kamu dengar daripada Rasulullah SAW, sedangkan Rasulullah SAW itu seorang manusia, yang kadang-kadang bercakap dalam kemarahan dan rasa tidak puas hati, maka aku berhenti dari menulisnya. Aku kemudiannya telah menyatakan perkara ini kepada Rasulullah SAW. Baginda berkata: tulislah, demi jiwaku yang di tanganNya, tidaklah yang keluar dariku melainkan haq.

Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad dan Sunan Abu Daud dalam Sunannya.

Tidaklah Nabi salah di dalam memperkatakan tentang hal agama. Cuma kalau kita lihat ada perbezaan di dalam hadis-hadis yang kita baca, itu adalah kerana kesilapan perawi. Atau, kadangkala kita tidak faham apakah yang baginda maksudkan. Maka ini memerlukan pembelajaran khusus tentang hadis Nabi.


 

Najm Ayat 4:

إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ

Sahih International

It is not but a revelation revealed,

Malay

Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

 

Jadi, tidak boleh ada keraguan dalam diri kita tentang apa yang Nabi katakan itu mungkin salah atau baginda menipu atau baginda keliru. Semua itu pasti tidak ada. Kerana tugas baginda adalah untuk mengajar kita tentang agama dan Allah tidak akan benarkan Nabi mengajar perkara yang salah. Kita kena yakin bahawa segala suruhan yang Nabi sampaikan kepada kita adalah benar dan kita kenalah mengikutinya.

Ayat ini juga sebagai dalil untuk menyatakan bahawa hadis dari Nabi pun adalah ‘wahyu’ juga. Bukanlah hanya Al-Qur’an sahaja yang dinamakan wahyu. Tapi tidaklah boleh kita baca hadis itu dalam solat kita pula. Hanya wahyu dalam bentuk Al-Qur’an sahaja yang boleh dibaca dalam Solat.

Ayat ini juga mengingatkan kita yang hadis juga adalah wahyu dari Allah. Maka, tidaklah boleh kalau kita tidak jumpa apa-apa hukum dalam Al-Quran, kita kata: “mana ada Qur’an cakap begitu? Tunjukkan kat aku yang Al-Qur’an ada cakap begitu..” Kadang-kadang hukum itu tidak ada dalam Al-Qur’an, tapi ada dalam hadis. Dan kalau dalam hadis, ianya masih lagi hukum dalam syariat, kerana ianya adalah wahyu juga.


 

Najm Ayat 5: Setelah diberitahu yang Nabi Muhammad bersabda berdasarkan wahyu, maka timbul soalan: bagaimana baginda dapat wahyu itu?

Maka Allah menceritakan tentang Jibril yang membawakan wahyu kepada Nabi Muhammad. Jibril adalah ketua malaikat yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Jadi Allah hendak menceritakan tentang sifat-sifat Jibril. Beliau adalah wakil bagi para malaikat. Beliau juga diberi pangkat ‘Rasul’ oleh Allah.

عَلَّمَهُ شَديدُ القُوىٰ

Sahih International

Taught to him by one intense in strength –

Malay

wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

 

Jibrillah yang membawakan wahyu kepada para Nabi walaupun tidak disebut namanya di sini. Dhomir ه di dalam عَلَّمَهُ boleh merujuk kepada Al-Qur’an dan juga merujuk kepada Rasulullah. Dua-dua boleh terpakai kerana dua-dua perkara ini telah disebut sebelum ini iaitu (وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ) merujuk kepada Rasulullah dan (إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ) yang merujuk kepada Al-Qur’an. Jadi kalimah عَلَّمَهُ boleh merujuk kepada kedua-duanya.

Dalam ayat ini, perkataan عَلَّمَ (mengajar) yang digunakan. Maknanya, Jibril bukan sahaja menyampaikan wahyu itu tetapi Jibril telah mengajarnya kepada Nabi Muhammad. Sebagai contoh, apabila Jibril memberitahu tentang sembahyang kepada Nabi Muhammad, bukanlah beliau hanya memberitahu Nabi kena solat sahaja, tetapi beliau juga memberitahu cara-cara untuk mengerjakannya dan juga waktu-waktu solat itu.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa ilmu agama ini perlu dipelajari. Nabi Muhammad pun ada guru dan guru Nabi adalah Jibril. Bukanlah agama ini boleh didapati dengan hanya membaca sahaja. Kerana kalau kita membaca sahaja, ada perkara-perkara yang kita tidak faham yang memerlukan kita untuk bertanya kepada mereka yang boleh menjelaskannya. Itulah sebabnya adalah baik kita berguru dengan guru yang boleh mengajar kita.

Oleh itu saya mengajak anda semua yang membaca penulisan ini untuk menghadiri kelas pengajian tafsir Al-Qur’an di mana-mana. Kerana tentunya semasa anda membaca penulisan ini terdapat banyak persoalan-persoalan yang timbul di hati anda yang memerlukan jawapan. Kita memang memerlukan guru untuk mengajar kita kerana lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun telah diberikan seorang guru oleh Allah Taala.

Ayat ini juga menceritakan satu sifat Jibril itu. Iaitu Jibril itu mempunyai kekuatan yang hebat. Sebagai contoh, kita telah diberitahu bahawa penerimaan wahyu itu amat berat kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad mempunyai kepayahan yang susah untuk menerima wahyu itu, sampaikan kalau baginda sedang duduk atas unta, unta itu pun terduduk kerana beratnya wahyu itu, bayangkan Jibril yang membawanya dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad. Ianya satu perjalanan yang amat jauh. Maknanya, Jibril itu kuat benar.

Kita juga telah belajar di dalam sirah bagaimana Jibrillah yang telah mengangkat tempat tinggal kaum Luth ke langit dan menghempaskannya kembali ke bumi. Tentulah kerja itu memerlukan kekuatan yang amat hebat.

Begitu juga ada diberitahu di dalam ayat-ayat lain bagaimana pekikan daripada Jibril itu sampai boleh menghancurkan satu kaum. Sebagai contoh, dalam ayat Yaasin:28-29, telah diceritakan bagaimana pekikan Jibril yang mematikan penduduk Antokiah semuanya.

Begitulah hebatnya Al-Qur’an itu. Ianya diberikan kepada seorang manusia yang paling afdhal dan paling hebat dan yang menyampaikannya pula adalah juga makhluk Allah yang amat hebat, iaitu Jibril.

Dalam hadis ada diberitahu bagaimana Jibril itu amat kuat dan mulia, sampaikan malaikat lain pun takut dan hormat kepada baginda. Kalau malaikat pun takut kepada Jibril, apatah lagi syaitan, bukan?

Dalam masa yang sama, ada hadis yang mengatakan apabila Jibril membawa turun ayat-ayat Al-Qur’an, baginda ditemani oleh malaikat-malaikat lain, sampaikan ada sampai beratus-ratus malaikat yang mengiringinya.

Ada yang jahil mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu turun menemani Jibril sebagai pengawal kepada Jibril, takut Al-Qur’an itu kena curi. Itu adalah pendapat yang amat salah sekali. Kerana Jibril itu adalah makhluk Allah yang amat kuat. Tiada makhluk lain yang dapat kacau beliau buat kerja.

Maka sebenarnya, malaikat yang ramai turun sekali itu adalah kerana sebagai penghormatan kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang diturunkan. Bukan sebab nak tolong bantu beri bantuan keselamatan kepada Jibril.

Ini penting untuk difahami kerana kalau kita tidak dapat terima yang Jibril itu kuat, maka ada kemungkinan ada yang kata ada syaitan yang curi wahyu dari Jibril pula. Ini memang tidak pernah berlaku kerana kehebatan Jibril.

Apa pengajaran yang kita dapat dari pemberitahu yang Jibril itu kuat? Kadangkala apabila kita bersama dengan orang yang kuat, kita pun jadi kuat dan berani, bukan? Kekuatan Jibril itu telah menyebabkan Rasulullah juga kuat untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Dan kekuatan Rasulullah itu juga telah menyebabkan para sahabat yang di sisi baginda juga jadi kuat dan berani. Dan kita yang dapat ilmu dari mereka juga telah mendapat kekuatan itu.

Kalimah القُوىٰ adalah jamak kepada قُوَّةٌ maknanya Jibril ada banyak kekuatan dan bukan satu sahaja. Setiap satu kekuatan itu adalah hebat kerana ada kalimah شَديدُ di situ. Contohnya kekuatan pergerakan, pemahaman, tubuh badan dan sebagainya. Ia juga boleh menjadi ancaman (kalau menolak ajaran yang Jibril sampaikan ini, dia sangat kuat tau…. jangan main-main!).

Kalau kita kata kita belajar dari guru yang bijak, kita boleh katakan yang kita mendapat manfaat dari kebijakan dia itu, bukan? Kalau kita belajar dari seorang guru yang kreatif, kita boleh kata kita dapat sifat kreatif juga, bukan? Kalau kita belajar dari guru yang kuat, bukankah kita dapat sedikit kekuatan itu?

Rasulullah di dalam kedudukan lemah semasa di Mekah, bukan? Tapi baginda belajar dari guru yang kuat. Jadi baginda mendapat kekuatan supaya baginda dapat membawa kekuatan itu. Kerana kekuatan itu penting untuk bawa Al-Qur’an ini. Kerana Al-Qur’an itu sendiri berat dan hebat. Kerana itu ia hanya boleh dibawa dan disampaikan oleh Jibril yang kuat. Allah sebut di dalam Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Qur’an yang mengandungi perintah-perintah) yang berat

Dan Allah sebut di dalam Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Dalam istilah Ilmu Hadis, kita belajar tentang sanad, bukan? Dan untuk sesuatu hadis itu menjadi kuat, sanad itu juga perlu kuat. Sekarang sanad Al-Qur’an antara Rasulullah dan Allah adalah Jibril dan Jibril adalah perawi yang ‘amat kuat’.

Penggunaan bahasa yang digunakan hebat juga. Kalimah شَديدُ dari شدّ digunakan untuk mengikat tali jadi ketat. Kalimah قُوَّ pula digunakan untuk tali yang kuat kerana makna asal قُوَّ adalah tali. Dua-dua kalimah ada kaitan dengan tali. Dan kalimah yang digunakan dalam ayat selepas ini juga adalah مِرَّةٍ yang datang dari مِرَّ yang digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk merujuk kepada tali juga.

Kenapa banyak tentang tali ini? Kerana bukankah Al-Qur’an diibaratkan sebagai tali di dalam Al-Qur’an seperti disebut di dalam Ali Imran:103

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Apabila kita berpegang dengan Al-Qur’an, kita sebenarnya berpegang kepada satu tali sebenarnya. Dan siapakah di hujung tali itu? Itulah Allah! Tali itu dipegang oleh Rasulullah, Jibril dan Allah!

Maka apabila kita sampaikan Al-Qur’an ini kepada umat Islam, ingatlah yang kita ada kekuatan. Jadi kata-kata manusia yang menentang, yang panggil kita Wahabi, sesat, dan apa-apa sahaja, itu semua lemah belaka. Hendak takut apa, bossku?


 

Najm Ayat 6: Masih lagi tentang Jibril dan sifatnya yang kedua.

ذو مِرَّةٍ فَاستَوىٰ

Sahih International

One of soundness. And he rose to [his] true form

Malay

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

ذو مِرَّةٍ

Lagi yang mempunyai kebijaksanaan

Ada tiga terjemahan bagi kalimah مِرَّةٍ ini:

1. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud kekuatan tubuh yang amat kuat dan tidak dapat dikalahkan.

2. Perkataan مِرَّةٍ bermaksud ‘kekuatan’ lebih-lebih lagi ‘kekuatan akal’. Jibril bukan sahaja mempunyai kekuatan tubuh tetapi juga mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Sangat kuat mengingat. Maksudnya bukanlah Jibril ada tertinggal untuk memberi tahu hal agama kepada Nabi Muhammad kerana terlupa atau tak faham bagaimana nak sampaikan.

3. Perkataan مِرَّةٍ juga bermaksud ‘molek untuk dilihat’. Ini bermaksud Jibril hadir kepada Nabi dalam rupa yang cantik dan indah. Sebab itu, walaupun Jibril menunjukkan dirinya yang asal dengan besarnya dan dengan 600 sayapnya, tetapi tidaklah rupanya itu menakutkan Nabi malah ianya mempersonakan Nabi Muhammad.

 

فَاستَوىٰ

kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal

Perkataan اسْتَوَىٰ bermaksud berdiri tegak. Maknanya Jibril datang bertemu Nabi dalam bentuknya yang lengkap dan asal. Ini adalah kali pertama Nabi Muhammad melihat Jibril dalam keadaan asalnya.

Nabi Muhammad dapat melihat Jibrail dengan segala kebesarannya. Baginda dapat melihat Jibril mempunyai 600 sayap. Dan setiap satu sayap boleh menutupi timur dan barat.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Mei 2023

Ringkasan Makro Najm


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah al-An’am Ayat 160 – 165 (Hidup kita untuk Allah)

An’am Ayat 160:

مَن جَآءَ بِٱلحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ عَشرُ أَمثَالِهَا‌ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجزَىٰٓ إِلَّا مِثلَهَا وَهُم لَا يُظلَمُونَ

Sahih International

Whoever comes [on the Day of Judgement] with a good deed will have ten times the like thereof [to his credit], and whoever comes with an evil deed will not be recompensed except the like thereof; and they will not be wronged.

Malay

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).

 

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ

Barangsiapa datang membawa amal yang baik,

Iaitu apabila datang mengadap kepada Allah ‎ﷻ di hari akhirat nanti. Setiap daripada kita akan datang kepada Allah ‎ﷻ dan akan ditunjukkan apa yang kita buat semasa di dunia. Setiap daripada kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Apakah nanti yang kita akan tunjukkan? Apakah bekalan kita nanti?

Ada yang berpendapat yang perkataan الْحَسَنَةِ itu adalah kalimah la ilaha illallah; dan ada yang mengatakan yang ia bermaksud apa sahaja perbuatan yang baik. Semua amal baik akan dikira dan akan dibalas di akhirat kelak. Maknanya amal baik yang kita lakukan bukanlah percuma sahaja.

Amal baik itu Allah ‎ﷻ pandang penting sehinggakan Allah ‎ﷻ menggunakan ال pada perkataan الْحَسَنَةِ itu. Kadang-kadang kita tidak sangka perbuatan kita itu ada pahala. Sebagai contoh, selalu kita senyum kepada orang lain. Kita sangka ia tidak ada apa-apa kebaikan pun kerana sedikit sahaja, tetapi ia berharga bagi Allah ‎ﷻ. Ada pahala daripada senyuman itu yang akan kita bawa kepada Allah ‎ﷻ nanti.

Kenapakah digunakan kalimat جَاءَ بِالْحَسَنَةِ (datang dengan kebaikan) dan bukannya عَمِلَ بِالْحَسَنَةِ (beramal dengan kebaikan)? Ini kerana ia akan dibalas kalau kekal amalan itu. Bukan setakat amal sahaja tetapi kemudian hapus oleh kerana sebarang sebab tertentu. Sebagai contoh, perbuatan syirik akan menghapuskan semua amal kebaikan sehinggakan tidak ada pahala yang tinggal lagi. Atau, sedekah yang diikuti dengan keburukan mengungkitnya. Maka, pahala kebaikan itu tidak akan dibalas. Ini kerana apabila ia sudah hapus, tidak ada apa-apa amal kebaikan yang dibawa datang ke akhirat.

 

فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya;

Pahala daripada amalan baiknya itu akan digandakan bagaikan seseorang itu telah membuat amal itu sepuluh kali, padahal dia hanya buat sekali sahaja. Sepuluh kali ganda itu adalah minimum. Allah ‎ﷻ boleh berikan berkali-kali ganda lebih lagi. Allah ‎ﷻ boleh berikan 700 kali ganda, malah boleh beri lebih lagi.

Bayangkan kalau kita sudah berniat sahaja, Allah ‎ﷻ sudah suruh malaikat tuliskan pahala amalan itu. Padahal belum buat pun lagi, cuma baru berniat sahaja. Kalau kita tidak dapat melakukannya kerana sebab-sebab tertentu, kita tetap akan mendapat pahala itu. Kalau kita buat, Allah ‎ﷻ akan beri pahala berganda pula. Inilah rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita. Buat sedikit, tetapi dibalas banyak. Ma sha Allah.

 

وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ

dan barangsiapa yang datang membawa perbuatan jahat

Malang sekali kalau kita bawa dosa ke hadapan Allah ‎ﷻ tetapi kita makhluk yang memang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Kita telah baca bagaimana Allah ‎ﷻ membalas kebaikan yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan dosa yang kita lakukan pula?

 

فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا

maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya,

Kejahatannya tidak digandakan. Dibalas mengikut perbuatannya sahaja. Berbeza dengan amalan kebaikan tadi yang Allah ‎ﷻ akan gandakan.

Kalau seseorang berniat hendak melakukan kejahatan, tidak ditulis lagi dosa itu. Dan kalau dia meninggalkan niatnya itu, dia akan mendapat pahala pula kerana meninggalkan niat jahatnya. Ma sha Allah, begitu besarnya rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita!

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).

Kita tidak akan rugi kerana apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Ini kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu dengan segala perbuatan kita. Dalam dunia ini, belum tentu kita dapat balasan daripada bos tempat kerja kita kerana mungkin bos itu tidak tahu kebaikan yang kita telah lakukan. Tetapi Allah ‎ﷻ Maha Tahu.

Selain itu juga, kita tidak akan diseksa kalau kita tidak melakukan kesalahan. Bayangkan bagaimana kadang-kadang manusia terpaksa merengkok dalam penjara walaupun dia tidak melakukan kesalahan tetapi telah ditohmah. Namun dengan Mahkamah Allah ‎ﷻ, tidak akan jadi begitu.

Allah ‎ﷻ hanya membalas dengan adil. Tidaklah ada kezaliman pada Allah ‎ﷻ. Mana tidak, sedangkan kebaikan dibalas berganda, dan kejahatan hanya dibalas sama dengan kejahatan itu sahaja. Maka di mana pula kezaliman Allah ‎ﷻ, bukan? Ini juga menyebabkan kita lebih menghargai Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikannya kepada kita.


 

An’am Ayat 161: Sekarang kita sampai kepada ayat-ayat penutup surah ini.

قُل إِنَّنِى هَدَٮٰنِى رَبِّىٓ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّستَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبرٰهِيمَ حَنِيفًا‌ۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

Sahih International

Say, “Indeed, my Lord has guided me to a straight path – a correct religion – the way of Abraham, inclining toward truth. And he was not among those who associated others with Allah .”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik”.

 

قُل إِنَّنِى هَدَٮٰنِى رَبِّىٓ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku

Apabila kaumnya masih tidak mahu ikut, maka Nabi Muhammad ﷺ disuruh berkata begini kepada mereka iaitu beritahu yang baginda telah diberi hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan kita boleh berkata begini. Kalau orang yang kita ajak kepada Islam yang benar tidak juga mahu ikut, maka beginilah kita katakan kepada mereka.

Bukan kita yang buat sendiri agama ini tetapi kita telah diberi petunjuk oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang mengajar kita melalui Al-Qur’an dan hadith yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

 

إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّستَقِيمٍ

kepada jalan yang lurus,

Allah ‎ﷻ membawa Rasul ke jalan yang lurus. Dan semoga Allah ‎ﷻ membawa kita juga kepada jalan yang lurus iaitu jalan ke syurga. Oleh itu, jikalau kita mahu masuk syurga, maka hendaklah kita ikut Al-Qur’an dan sunnah, tidak ada jalan lain lagi. Amat banyak jalan agama yang ada sekarang, tetapi yang selamat adalah yang berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah sahaja.

 

دِينًا قِيَمًا

(iaitu) agama yang benar,

Islam adalah agama yang tegak, yang lurus, yang benar, dan ia juga adalah agama yang mengajak manusia untuk menjadi lurus. Maka, sesiapa yang mengikut agama ini akan juga berada di atas jalan yang lurus dan jalan yang selamat. Dan inilah yang kita kehendaki, bukan?

 

مِّلَّةَ إِبرٰهِيمَ حَنِيفًا‌ۚ

agama Ibrahim yang lurus,

Agama yang Nabi Muhammad ﷺ bawa ini adalah seperti agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Baginda adalah ikon keagamaan bagi banyak agama seperti Yahudi, Nasrani dan Muslim. Malah Musyrikin Mekah juga kata mereka ikut agama peninggalan Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ pun kata baginda mengikut agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Tetapi kenapa ada banyak perbezaan? Siapakah sebenarnya yang mereka ikut?

Perkataan حَنِيفًا juga membawa maksud agama yang menyembah Tuhan yang satu. Memang Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah melakukan syirik dengan menyembah tuhan selain Allah ‎ﷻ. Tetapi mengapa Musyrikin Mekah ada tuhan selain Allah ‎ﷻ?

 

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik”.

Nabi Ibrahim عليه السلام tidak melakukan syirik tetapi kenapa mereka membuat syirik sedangkan mereka kata mereka mengikut peninggalan agama Nabi Ibrahim عليه السلام? Selalu apabila disebut tentang millah Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ akan tambah yang baginda tidak termasuk orang musyrikin. Ini kerana ramai yang menyangka baginda juga ada membuat syirik, maka Allah ‎ﷻ menafikan di dalam Al-Qur’an.

Ayat ini adalah juga untuk menolak pegangan sesetengah orang dan sesetengah agama yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام pernah melakukan syirik. Sama ada dalam kalangan Yahudi, Nasrani ataupun Musyrikin Mekah. Ayat ini membersihkan nama Nabi Ibrahim عليه السلام. Bukankah ada ayat yang menceritakan bagaimana baginda mengatakan yang bintang itu tuhannya, kemudian bulan itu tuhannya dan kemudian matahari pula tuhannya? Kita telah jelaskan di dalam perbincangan ayat itu bahawa itu semua adalah helah Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mengajar tauhid kepada kaumnya. Bukannya Nabi Ibrahim عليه السلام benar-benar percaya yang bintang, bulan dan matahari itu tuhannya.

Allah ‎ﷻ hendak membersihkan nama baginda kerana memang ada dalam pengajaran Yahudi dan Kristian yang mengatakan yang di hujung hayat baginda, baginda telah menjadi musyrik! Nauzubillah! Amat buruk apa yang mereka katakan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka Allah ‎ﷻ membersihkan nama baginda dalam ayat ini.


 

An’am Ayat 162: Ini adalah ayat ‘Perjanjian’ kita dengan Allah ‎ﷻ. Yang kita selalu baca dalam doa iftitah dalam salat. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu kesimpulan agama kepada manusia.

قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

Say, “Indeed, my prayer, my rites of sacrifice, my living and my dying are for Allah , Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku,

Sebelum ini, telah disebut tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Jika benar golongan Mekah itu memang mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, maka hendaklah mereka juga mengikut apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan. Nabi Ibrahim عليه السلام selalu melakukan salat, bahkan Musyrikin Mekah memang ada melakukan salat sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi lagi. Ini adalah kerana memang itu adalah ajaran nabi-nabi terdahulu pun, termasuklah Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ayat ini mengingatkan kita yang salat yang kita lakukan hari-hari itu adalah kerana Allah ‎ﷻ. Ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ, dan kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ, maka kita melakukan ibadat salat itu.

 

وَنُسُكِي

dan ibadatku,

Digunakan untuk bermaksud ibadat-ibadat yang kita lakukan kerana Allah ‎ﷻ. Asalnya ia bermaksud ‘sembelihan’ iaitu bermaksud apa sahaja yang kita sembelih dalam ibadah korban kita hanyalah untuk Allah ‎ﷻ dan bukan untuk selain Allah ‎ﷻ. Ini kerana kita telah belajar bagaimana surah ini menyentuh berkenaan binatang-binatang yang disembelih. Puak Musyrikin Mekah ada menyembelih binatang kerana tuhan-tuhan sembahan mereka yang lain.

Ia juga boleh diibaratkan kepada Haji (kerana itu ada perkataan ‘manasik Haji’). Korban dan Haji adalah dua jenis ibadat yang melibatkan pengeluaran harta.

Perkataan ini juga digunakan untuk merangkumi ibadat-ibadat yang lain juga dan tidak hanya untuk ibadat sembelihan sahaja. Maknanya ia telah digunakan untuk penggunaan maksud umum (merangkumi semua ibadah yang lain).

Ibadat yang kita lakukan mestilah hanya untuk Allah ‎ﷻ. Jangan ada ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita berzikir kepada selain Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu jangan hadiahkan bacaan Surah Fatihah kepada Nabi. Banyak telah kita sebutkan tentang kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam negara ini yang dilakukan kerana mereka tidak tahu tentang agama. Mereka tidak perasan yang mereka telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

وَمَحْيَايَ

dan hidupku

Adakah dalam kehidupan ini kita hidup berlandaskan Islam? Sebagai manusia, tentu kita mempunyai cita-cita untuk menjadi sesuatu dalam dunia ini. Ada yang hendak menjadi kaya, ada yang hendak menjadi pandai, ada yang ingin menjadi terkenal dalam masyarakat. Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini bahawa cita-cita kita di dalam dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari redha Allah ‎ﷻ.

Jangan kita terikut-ikut dengan cara pemikiran manusia lain yang hanya mementingkan kehidupan mereka di dunia ini. Kita hidup bukanlah hanya untuk memenuhi keinginan kita kepada dunia, kepada keluarga, kepada kesenangan dan tidak juga untuk menghabiskan masa dengan kerja-kerja di pejabat. Hidup kita ini perlu dikorbankan untuk Allah ‎ﷻ.

 

وَمَمَاتِي

dan matiku

Kita mahu apabila kita mati nanti kita berada di atas jalan agama Islam yang benar. Kita sanggup mati untuk memperjuangkan Islam. Semoga kita dimatikan di dalam agama Islam. Aameen.

Lihatlah sampai ke mati pun kita kena ikut suruhan daripada Allah ‎ﷻ. Bukankah selepas kita mati masih ada lagi hal-hal yang berkaitan agama? Seperti hal faraid, wasiat dan sebagainya.

 

لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Ini bermakna semuanya kita lakukan hanyalah untuk Allah ‎ﷻ. Inilah formula hidup kita di dunia ini, selagi mana kita hidup. Semuanya kita lakukan kerana Allah ‎ﷻ, untuk Allah ‎ﷻ. Dan apabila ia untuk Allah ‎ﷻ, maka ia hendaklah bebas daripada syirik.

Ayat ini amat berkait rapat dengan Nabi Ibrahim عليه السلام dan perjalanan hidup baginda:

1. صَلَاتِ – Nabi Ibrahim عليه السلام memang seorang yang kuat melakukan salat.

2. نُسُكِ – korban. Nabi Ibrahim عليه السلام telah diuji oleh Allah ‎ﷻ untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail عليه السلام.

3. مَحْيَا – kehidupan. Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta Allah ‎ﷻ menunjukkan kepada baginda bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Maka Allah ‎ﷻ telah memerintahkan baginda menyembelih empat ekor burung dan menceraikan bahagian tubuh burung-burung itu dan mencampur adukkan dan memecahkan kepada empat bahagian pula. Dan letakkan di empat buah bukit.

Allah ‎ﷻ telah menghidupkan keempat-keempat burung itu di hadapan mata baginda. Maka baginda telah melihat sendiri bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk yang mati. Kisah ini Allah ‎ﷻ sebutkan dalam [ Baqarah: 260 ]

4. مَمَاتِي – Nabi Ibrahim عليه السلام diajar bagaimana Allah ‎ﷻlah yang mematikan. Raja Namrud telah memasukkan baginda ke dalam api yang besar untuk membunuh baginda. Walaupun baginda dimasukkan ke dalam api yang besar, tetapi kalau bukan ketentuan Allah ‎ﷻ untuk mematikannya, baginda tidak akan mati. Kisah ini disebut dalam [ Anbiya: 69 ]

Dalam ayat ini juga, kita diajar untuk menumpukan perhatian kepada Allah ‎ﷻ dalam salat kita. Kemudian Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berkorban setiap tahun kepada Allah ‎ﷻ. Apabila sudah dilatih begitu, kita dibawa untuk menumpukan hidup kita seluruhnya untuk Allah ‎ﷻ. Kemudian sampai kepada tahap yang kita pun sanggup mati kerana Allah ‎ﷻ.

Banyak perkara kita boleh lakukan untuk Islam. Tidak semestinya semua Muslim kena mengajar, menjadi ustaz atau ulama’. Kita masing-masing ada tugas kita yang kita mampu lakukan. Kita kena pandai mencari bagaimana kita boleh berkhidmat kepada Islam.

Sebagai contoh, untuk kerja-kerja dakwah, tentunya memerlukan kewangan yang besar. Mungkin kita orang itu, yang memberi wang pada jalan dakwah. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Khadijah رضي الله عنهاlah yang telah membiayai dakwah Nabi ﷺ di awal Islam.


 

An’am Ayat 163:

لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذٰلِكَ أُمِرتُ وَأَنَا أَوَّلُ ٱلمُسلِمِينَ

Sahih International

No partner has He. And this I have been commanded, and I am the first [among you] of the Muslims.”

Malay

Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”.

 

لَا شَرِيكَ لَهُ

Tiada sekutu bagi-Nya;

Allah ‎ﷻ tidak mempunyai sekutu dan Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sekutu apa pun. Kalau kita buat kerja, mungkin kita memerlukan orang lain untuk menolong kita, bukan? Namun Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sesiapa untuk menolong-Nya.

Jika kita mahu bandingkan dengan ayat sebelum ini tentang memberi kehidupan kita kepada Islam, maka ayat ini menolak kita memberikan hidup kita kepada selain Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada manusia yang memberikan seluruh usahanya untuk negaranya, sampaikan dia melupakan Allah ‎ﷻ, tidak berkhidmat untuk Allah ‎ﷻ. Ada juga yang mementingkan parti politiknya. Jangan kita jadi begitu.

 

وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ

dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku

Inilah arahan kepada Nabi daripada Allah ‎ﷻ. Itulah arahan daripada Allah ‎ﷻ kepada kita juga untuk mendedikasikan ibadat dan kehidupan kita dan kematian kita untuk Allah ‎ﷻ.

 

وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

dan aku adalah orang yang awal-awal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Nabi Muhammad ﷺ adalah Muslim pertama dalam umat baginda. Ini kerana setiap Nabi adalah Muslim pertama dalam umatnya. Ayat ini mengajar kita kepentingan untuk menyerahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Perkataan ‘Islam’ itu sendiri bererti ‘menyerah diri’.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menjadi orang yang mula-mula untuk menyerahkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Kalau tidak ada orang lain yang buat, maka kita lah yang perlu menjadi contoh kepada mereka.

Sebagai contoh, mungkin kitalah orang pertama dalam keluarga kita yang menunaikan haji atau umrah; atau kitalah orang yang pertama dalam keluarga kita yang belajar tafsir Al-Qur’an dan kemudian kita ajak mereka untuk belajar juga. Maknanya, kita jangan tunggu orang lain buat dulu. Kita kenalah mulakan dan biarlah kita yang di hadapan.


 

An’am Ayat 164:

قُل أَغَيرَ ٱللَّهِ أَبغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىءٍ وَلَا تَكسِبُ ڪُلُّ نَفسٍ إِلَّا عَلَيہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ‌ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرجِعُكُم فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُم فِيهِ تَختَلِفُونَ

Sahih International

Say, “Is it other than Allah I should desire as a lord while He is the Lord of all things? And every soul earns not [blame] except against itself, and no bearer of burdens will bear the burden of another. Then to your Lord is your return, and He will inform you concerning that over which you used to differ.”

Malay

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.

 

قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا

Katakanlah: “Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah,

Nabi Muhammad ﷺ telah disuruh oleh puak-puak musyrikin untuk menyembah juga tuhan-tuhan berhala mereka. Kalau tidak sujud pun, sentuh sahaja sudah cukup. Kalau baginda buat begitu, maka mereka bersetuju untuk ikut juga ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Maka inilah jawapan baginda kepada mereka. Tidak mungkin sama sekali kita hendak mencari tuhan yang lain, bukan?

 

وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ

padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu.

Allah ‎ﷻlah yang mencipta dan memelihara segala sesuatu. Kenapa kita masih lagi mahu kepada yang lain sedangkan semuanya adalah makhluk kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri;

Sekiranya kita berbuat dosa, sebenarnya kita yang akan merugikan diri kita sendiri. Kita akan dibalas dengan azab di neraka kelak. Maka, kena ingat perkara ini. Jangan kita sendiri menyusahkan diri kita.

 

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

dan seorang penanggung tidak akan memikul untuk orang lain.

Kita akan memikul dosa kita sendiri. Kita tidak boleh berikan dosa kita kepada orang lain. Orang lain juga tidak boleh mengambil dosa kita.

Ini juga mengajar kita supaya jangan salahkan orang lain di atas kesalahan diri kita atau kekurangan diri kita. Kita kena bertanggungjawab di atas kesalahan kita. Jangan nanti di akhirat hendak salahkan tok guru yang sesat kita ikut itu, tetapi  kita juga bersalah kerana mengikutnya.

Memang kita tidak tanggung dosa orang lain. Akan tetapi kalau kita ajar ajaran salah kepada manusia, maka kita juga akan memikul dosa orang yang belajar dengan kita itu. Tidaklah dipikul semua dosa, tetapi kita pun akan ada saham juga. Maknanya sudahlah memikul dosa sendiri, ditambah lagi dengan dosa anak-anak murid. Maka, ini merupakan peringatan kepada golongan tok guru supaya berhati-hati dengan ajaran yang disampaikan. Jangan hanya sedap berkata: “Saya sampaikan sahaja….”.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ

Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali,

Di hujung-hujung surah ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa kita semuanya akan mati. Kita semuanya akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ nanti untuk menjawab perbuatan kita di dunia. Kita tidak akan hidup di dunia ini selama-lamanya – mati itu pasti. Oleh itu, sentiasa beringatlah dan berhati-hatilah dengan fahaman dan amalan kita semasa di dunia ini kerana kita tidak akan kekal selamanya di dunia.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan”.

Terdapat banyak perselisihan dalam dunia sekarang. Antaranya yang terbesar adalah perselisihan dalam agama. Perselisihan di dunia tentang agama akan diselesaikan di akhirat kelak. Di sana nanti, semua akan mengetahui dengan jelas manakah yang benar, manakah yang salah.

Di negara ini sekarang, kita boleh lihat bagaimana perselisihan agama ini berleluasa sekali. Ada yang salaf, ada yang khalaf, ada puak Habib, ada puak tarekat, ada puak Sufi, ada puak mengubat dan banyak lagi. Semuanya sangka dan yakin yang merekalah yang betul. Tidak benar pandangan begitu. Yang betul adalah mereka yang berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah kerana itulah neraca agama. Itulah jalan yang selamat.

Mula-mula perpecahan akan dimulakan dengan perselisihan. Mulanya perselisihan itu mungkin sedikit, tetapi  itulah nanti yang membawa kepada perpecahan ummah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Perselisihan memang akan sentiasa ada. Tidak semua perkara akan menemui satu penyelesaian, satu pendapat. Antara puak yang Sunnah pun ada perbezaan pendapat. Namun apa yang dimaksudkan adalah perselisihan dalam perkara dasar dalam agama. Bukanlah seperti perselisihan tentang feqah atau perkara perkara kecil.

Kita mungkin ada perbezaan dalam perkara feqah, tetapi dalam perkara tauhid, sepatutnya kita semua bersatu hati. Sebagai contoh, walaupun Imam-Imam mazhab itu berbeza pandangan dan hukum tentang feqah, namun dalam perkara tauhid, mereka semuanya sama.


 

An’am Ayat 165:

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُم خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلأَرضِ وَرَفَعَ بَعضَكُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجَـٰتٍ لِّيَبلُوَكُم فِى مَآ ءَاتَٮٰكُم إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلعِقَابِ وَإِنَّهُ ۥ لَغَفُورٌ رَّحِيمُۢ

Sahih International

And it is He who has made you successors upon the earth and has raised some of you above others in degrees [of rank] that He may try you through what He has given you. Indeed, your Lord is swift in penalty; but indeed, He is Forgiving and Merciful.

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُم خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلأَرضِ

Dan Dialah yang menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi

‘Khalifah’ bermaksud pengganti-pengganti yang silih berganti. Kita sebenarnya menggantikan orang yang terdahulu dan kita akan digantikan dengan orang yang kemudian. Kita bukan tinggal di dunia ini untuk selama-lamanya. Ini adalah peringatan kepada Musyrikin Mekah.

Memang waktu itu mereka adalah penjaga Kaabah, mereka berkuasa, tetapi mereka tidak akan kekal hidup di dunia ini. Mereka akan mati dan mereka akan digantikan dengan orang lain. Tidak ada gunanya mereka berlagak sombong dengan kedudukan mereka di dunia kerana apabila mereka mati kelak, lama kelamaan, orang tidak kenal dan tidak ingat pun lagi kepada mereka.

 

وَرَفَعَ بَعضَكُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجَـٰتٍ

dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat,

Kedudukan kita dalam dunia ini berbeza-beza. Ada yang lebih pandai daripada orang lain, ada yang lebih cantik, ada yang daripada keturunan yang lebih mulia, ada yang banyak harta daripada orang lain, dan sebagainya. Allah ‎ﷻlah yang meletakkan manusia dalam berbagai-bagai kedudukan dan darjat itu.

Darjat yang berbeza juga adalah satu nikmat sebenarnya. Sekiranya semua kita kaya, huru hara dunia ini, kerana tidak ada orang sanggup buat kerja buang sampah. Tiada orang yang akan bekerja sediakan makanan untuk kita, dan sebagainya. Maknanya, apa yang Allah ‎ﷻ buat itu sudah elok dan molek sangat. Jangan kita persoalkan.

 

لِّيَبلُوَكُم فِى مَآ ءَاتَٮٰكُم

untuk mengujimu tentang apa yang diberikan kepadamu.

Kenapakah Allah ‎ﷻ meletakkan manusia dalam darjat-darjat yang berlainan? Allah ‎ﷻ yang menentukan semua ini dan ia adalah sebagai ujian kepada mereka. Untuk melihat bagaimana kita menjalani kehidupan kita dalam kedudukan kita itu.

Ingatlah, bahawa segala rahmat dan kesusahan adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Jika kedudukan kita tinggi pun, itu adalah ujian juga sebenarnya. Bagi yang kaya, diberi ujian untuk mengeluarkan sedekah. Kepada yang miskin pula, ujian yang diberikan adalah ujian kesabaran. Untuk orang kaya, ujian berlainan daripada orang yang miskin. Namun tentunya semua adaxcf ujiannya masing-masing. Tidak ada manusia yang hidup tanpa ujian.

Ujian-ujian yang diberikan kepada manusia semasa di dunia ini adalah untuk melihat sama ada mereka layak untuk masuk ke syurga ataupun tidak. Allah ‎ﷻ mahu lihat sama ada kita lulus ujian itu ataupun tidak. Barulah bernilai balasan yang Allah ‎ﷻ berikan jika kita telah melepasi ujian itu.

Ujian-ujian itu adalah untuk melihat sama ada kita sabar atau tidak, pemurah atau tidak, rajin atau tidak, dan bermacam-macam lagi ujian.

 

إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ

Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya

Apabila Allah ‎ﷻ memulakan perbicaraan di Mahsyar kelak, ia hanya mengambil masa setengah hari sahaja. Makhluk yang mula dilahirkan sampailah kepada mereka yang akhir sekali mati waktu Kiamat nanti, semuanya akan dibicarakan dalam masa setengah hari sahaja. Kemudian, mereka yang ahli neraka akan segera dimasukkan ke dalam neraka untuk menerima seksaan.

 

وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kepada mereka yang beriman dan beramal ibadat, mereka akan diberi pengampunan oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ bersifat Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang beriman.

Berakhirlah sudah tafsir Surah al-An’am ini. Alhamdulillah – segala puji bagi Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kekuatan dan taufiq untuk meneruskan usaha tafsir ini.

Ingatlah bahawa surah ini adalah surah yang terakhir yang diturunkan sebelum Nabi ﷺ berhijrah ke Madinah. Perkara utama yang disentuh di dalam surat ini adalah tentang tauhid. Surah ini banyak menceritakan tentang siapakah Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur-an juga. Ini bertujuan supaya kita lebih beriman kepada-Nya.

 

Allahu a’lam. Alhamdulillah. Semoga Allah‎ﷻ  memberi pemahaman Al-Qur’an kepada kita. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-A’raf.

Kemaskini: 20 Jun 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 154 – 159 (Senjata Taswif)

An’am Ayat 154: Ini adalah Dalil Naqli berkenaan kisah Nabi Musa عليه السلام‎.

ثُمَّ ءَاتَينَا مُوسَى ٱلكِتَـٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِىٓ أَحسَنَ وَتَفصِيلاً لِّكُلِّ شَىءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً لَّعَلَّهُم بِلِقَآءِ رَبِّهِم يُؤمِنُونَ

Sahih International

Then We gave Moses the Scripture, making complete [Our favor] upon the one who did good and as a detailed explanation of all things and as guidance and mercy that perhaps in [the matter of] the meeting with their Lord they would believe.

Malay

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

 

ثُمَّ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Kemudian Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa

Kalimah ثُمَّ yang bermaksud ‘kemudian’ digunakan dalam ayat ini sebagai penyambung kepada ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah diberikan 10 perkara utama dalam agama. Ia adalah sama seperti ’10 Commandments’ (10 Wasiat) dalam agama Yahudi juga. Ia telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام‎.

Maka, ayat ini hendak memberitahu kita bahawa selepas Nabi Musa‎ عليه السلام diberikan dengan 10 wasiat itu, baginda telah diberikan dengan Kitab Taurat pula.

 

تَمَامًا عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ

untuk melengkapkan kepada orang yang berbuat kebaikan,

Kitab Taurat itu lengkap, di mana ‘melengkapkan’ itu bermaksud Allah ‎ﷻ melengkapkan nikmat-Nya kepada mereka. Dan nikmat yang dimaksudkan adalah ‘nikmat agama Islam’. Bermakna bukanlah Nabi Musa عليه السلام‎ hanya diberikan dengan 10 wasiat itu sahaja, tetapi kemudian baginda kemudian telah diberikan dengan Kitab Taurat untuk melengkapkan agama mereka.

Selepas Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya menyeberangi Lautan sewaktu lari daripada Firaun dan tenteranya, Nabi Musa عليه السلام telah mendaki naik ke bukit Thur. Kemudian, baginda telah diberikan dengan Lauh (Tablet) yang mengandungi 10 wasiat ini. Waktu itulah terjadinya kisah kaumnya menyembah patung anak sapi. Waktu itu hanya diberikan dengan 10 perkara itu sahaja kerana kaumnya itu baru sahaja keluar daripada sistem perhambaan Firaun dan mereka waktu itu memerlukan arahan yang ringkas-ringkas sahaja.

10 perkara itu adalah ajaran yang utama di dalam agama. Kepada mereka yang telah menerima dan mengikuti ajaran yang utama itu, maka mereka akan diberikan dengan lebih lagi ilmu untuk melengkapkan agama.

‘Lengkap’ itu juga bermaksud Kitab Taurat itu adalah satu kitab yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan kepada mereka yang hendak beriman. Yang penting, mereka itu hendak beriman. Potongan ayat عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ bermaksud Allah ‎ﷻ memberi hidayah kepada mereka yang mahu berbuat kebaikan dan mahu mencari kebenaran. Begitulah kalau kita mahu mencari kebenaran, Allah ‎ﷻ akan beri hidayah.

Sebagai contoh, Allah‎ ﷻ akan bawa kita kepada orang yang boleh mengajar agama kepada kita. Yang penting, kena mulai dengan keinginan dalam hati itu. Kalau kita memang tidak kisah dengan agama, tidak mahu tahu manakah jalan yang benar, maka Allah ‎ﷻ akan biarkan sahaja mereka duduk dalam kesesatan. Sampaikan kalau kita beritahu mereka hal-hal agama, mereka buat tidak kisah sahaja. Kalau diajak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak berminat pun.

Apabila agama itu dilengkapkan, ini bermakna ia adalah satu nikmat yang amat besar. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ juga telah lengkap seperti yang disebut dalam Maidah: 3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ingatlah bahawa hidup ini dikira lengkap hanya apabila kita ada agama. Jika kita kaya, anak banyak, kawan banyak, kedudukan dalam masyarakat tinggi dan disanjung, namun jika tidak ada agama, itu semua tidak bermakna langsung.

Akan tetapi jika kita tidak ada benda-benda lain, namun kita ada iman dan Islam, itu sudah cukup. Sebab yang penting adalah nasib kita di akhirat kelak, bukan di dunia. Dunia ini hanyalah tempat yang sementara sahaja. Akhirnya kita akan mati.

 

وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ

dan untuk menjelaskan segala sesuatu

Taurat menjelaskan segala sesuatu yang perlu diketahui ‘tentang agama’. Bukan tentang semua perkara dalam dunia. Entah berapa banyak kertas kalau kitab itu tentang agama dan dunia sekali. Yang dimaksudkan ‘segala sesuatu’ adalah segala sesuatu tentang agama.

Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberi hukum-hukum yang perlu diikuti kepada manusia, buat itu dan tinggalkan ini, tetapi Allah ‎ﷻ juga ‘menjelaskan’ kepada manusia tentang hukum-hukum itu. Ia memperjelaskan tentang suruhan-suruhan dalam agama.

Begitulah juga, bila kita mengajar kepada manusia tentang agama, perlulah kita menjelaskan kepada mereka tentang ajaran Islam ini. Sebagai contoh, apabila kita mengajar anak kita tentang puasa, janganlah kita hanya memberitahu yang mereka tidak boleh makan dari pagi sampai malam sahaja tetapi hendaklah kita beritahu kepada mereka asal hukum itu, kenapa ia dilakukan, bagaimanakah cara ia dilakukan, dan apakah kelebihan-kelebihan dan hikmat yang ada di dalam amalan puasa itu.

Apabila kita faham, kita lebih mudah untuk mengamalkannya. Kebanyakan manusia pun susah untuk beramal ibadat sebab mereka tidak belajar dan mereka tidak nampak kepentingan ibadat itu. Padahal, kalau kita belajar, kita akan tahu bahawa segala amal ibadat yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita sebenarnya.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةً

dan sebagai petunjuk dan rahmat,

Taurat itu juga adalah sebagai petunjuk dan rahmat kepada bangsa Yahudi jika ia dipelajari. Ilmu itu jika diamalkan, maka ia akan menjadi rahmat. Itu jikalau diamalkan. Malangnya, bangsa Yahudi tidak mempelajari isi kandung Taurat itu. Mereka tahu yang ia adalah kalam Allah ‎ﷻ dan mereka memang membacanya, tetapi mereka tidak menggunakannya sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka.

Mereka baca Taurat dalam majlis agama mereka dan mereka hafal, tetapi mereka tidak mengamalkan ajaran di dalamnya. Sebaliknya, sumber hukum mereka ambil daripada pendeta-pendeta mereka dan kitab-kitab karangan pendeta-pendeta mereka. Mereka tidak tahu apakah ajaran dalam Taurat itu sebenarnya.

Tidakkah itu sama sahaja dengan perbuatan kebanyakan dalam masyarakat kita yang berlaku pada hari ini? Kita hormat Al-Qur’an, tahu ia adalah daripada Allah ‎ﷻ, kita baca setiap hari dan kita hafal, tetapi adakah kita ambil pengajaran daripadanya? Adakah kita faham dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu? Kebanyakan daripada kita tidak faham kerana kita tidak belajar tafsir.

Apabila tidak belajar tafsir, maka tidaklah kita tahu apakah maksud yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an ini. Maka tinggallah Al-Qur’an ini sebagai bacaan dan hafalan sahaja. Tidaklah ia menjadi petunjuk. Maka, berhentilah daripada mengikut ‘sunnah’ Yahudi ini. Marilah belajar tafsir Al-Qur’an.

 

لَّعَلَّهُم بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

agar mereka beriman (bahawa) mereka akan menemui Tuhan mereka.

Umat Nabi Musa عليه السلام diingatkan dalam Taurat itu dengan perjumpaan dengan Allah ‎ﷻ. Lihatlah kisah bagaimana pertama kali Nabi Musa عليه السلام bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ, baginda awal-awal lagi telah diberitahu dengan hari kiamat. Ini kita boleh lihat dalam Taha: 15

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Sesungguhnya hari Kiamat itu akan datang; Aku merahsiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.

Maknanya, pertama sekali wahyu yang Nabi Musa عليه السلام dapat adalah tentang Kiamat. Untuk Nabi Muhammad ﷺ, wahyu pertama yang disampaikan adalah ‘iqra’ (baca), tetapi untuk Nabi Musa عليه السلام, pertama sekali yang diberitahu kepada mereka adalah tentang hari kiamat.

Maknanya, pertemuan dengan Allah ‎ﷻ perkara pertama yang diberitahu kepada Nabi Musa عليه السلام itu menunjukkan akan kepentingan perkara itu. Namun malangnya, inilah satu perkara yang banyak diketepikan oleh bangsa Yahudi sekarang. Kebanyakan daripada mereka sudah tidak mempercayainya. Padahal, ia adalah tonggak agama mereka, tetapi majoriti daripada mereka telah meninggalkan ilmu tentang hari kiamat. Semoga kita pun tidak menjadi seperti mereka.

Habis Ruku’ 19 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 155:

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلنَـٰهُ مُبَارَكٌ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُواْ لَعَلَّكُم تُرحَمُونَ

Sahih International

And this [Qur’an] is a Book We have revealed [which is] blessed, so follow it and fear Allah that you may receive mercy.

Malay

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

 

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلنَـٰهُ

Dan Al-Qur’an itu adalah kitab yang Kami turunkannya

Selepas memberitahu tentang Taurat, sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang Al-Qur’an pula. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dialah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu. Sebagaimana Taurat diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام pada zamannya, sekarang diberikan Al-Qur’an pula kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan lengkap.

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang ia adalah daripada Allah ‎ﷻ. Dan apabila ia daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita beri sepenuh perhatian dan jangan diambil lewa dengan Al-Qur’an ini. Malangnya ramai dalam kalangan umat kita tidak menghiraukan untuk memahami kandungan kitab ini.

 

مُبَارَكٌ

yang diberkati,

Sebelum ini telah disebut dengan ciri-ciri kitab Taurat. Untuk Al-Qur’an pula, Allah ‎ﷻ tambah dengan mengatakan yang ‘diberkati’. Maknanya Al-Qur’an ini lebih tinggi nilainya berbanding dengan kitab-kitab terdahulu kerana ajaran dalam Al-Qur’an ini mengumpulkan segala ajaran-ajaran di dalam kitab-kitab yang terdahulu.

Banyaklah lagi kelebihan Al-Qur’an ini jika dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain. Ajaran dalam Al-Qur’an mempunyai banyak keberkatan. Jikalau kita mengikuti ajarannya, maka hidup kita pun akan diberkati.

Namun ada yang salah faham dalam perkara ini di mana mereka salah faham maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’. Maka, mereka pun ada berdoa: “Ya Allah, dengan keberkatan Al-Qur’an, kau sempurnakanlah hajat kami”. Itu adalah cara berdoa yang salah. Kerana ini sudah bertawasul dengan sesuatu. Tawasul sebegini adalah dilarang. Bukan begitu maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’ yang hendak disampaikan. Lihatlah bagaimana jika lari sikit sahaja daripada faham yang sebenar, kita sudah tergelincir ke jalan yang salah.

Kerana salah faham dengan maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’ juga menyebabkan manusia ramai yang menggantung ayat-ayat Al-Qur’an di rumah, kedai, kereta dan merata-rata tempat lagi. Termasuklah ramai yang menggantungnya di masjid-masjid dan surau-surau. Padahal, tidak ada hadith yang mengatakan yang ada amalan menggantung ayat Al-Qur’an pada zaman Nabi.

Yang ada sekarang, termasuk di Masjidilharam dan Masjid Nabi, adalah hasil daripada perbuatan pemimpin-pemimpin yang terkemudian, bukanlah daripada Nabi ﷺ. Ini kerana salah faham dengan Al-Qur’an. Kita kena faham yang ayat-ayat Al-Qur’an adalah sebagai pedoman hidup kita, bukanlah sebagai perhiasan untuk digantung.

Bukan begitu cara untuk mendapat keberkatan daripada Al-Qur’an. Keberkatan daripada Al-Qur’an akan didapati apabila kita membacanya, kemudian memahaminya dengan belajar tafsir, dan kemudian mestilah mengamalkannya.

 

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah ia

Ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ untuk mengikuti ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an. Kepada Ahli Kitab yang memang sudah ada kitab, maka mereka pun mesti mengikuti ajaran yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

Begitu juga kita. Kita memang sudah tahu dan kenal Al-Qur’an, tetapi adakah kita sudah mengikuti segala apa ajaran di dalamnya? Sudahkah kita benar-benar faham ajaran Al-Qur’an ini? Sudahkah kita berguru kepada mereka yang boleh mengajar? Kerana kalau tidak faham, bagaimana pula hendak mengikutinya?

Oleh itu, peringkat pertama, kena faham dahulu.

Apabila sudah faham, mestilah ikut dan diamalkan.

 

وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat.

Taqwa itu bermaksud kita sedar tentang Allah ‎ﷻ yang sedang memerhatikan kita. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan berjaga-jaga supaya kita tidak melanggar hukum Allah ‎ﷻ. Kita akan bertaqwa apabila kita sudah belajar isi kandung Al-Qur’an, in sha Allah.


 

An’am Ayat 156: Asal Al-Qur’an diturunkan sebagai hujah kepada penduduk Mekah.

أَن تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآٮِٕفَتَينِ مِن قَبلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِہِم لَغَـٰفِلِينَ

Sahih International

[We revealed it] lest you say, “The Scripture was only sent down to two groups before us, but we were of their study unaware,”

Malay

Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”.

 

أَن تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآٮِٕفَتَينِ مِن قَبلِنَا

(Kami turunkan al-Qur’an itu) agar kamu (tidak) mengatakan: “Bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan sahaja sebelum kami,

Kamu yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kaum Musyrikin Mekah. Dan ia juga ditujukan kepada kita yang sedang membaca Al-Qur’an ini.

‘Dua golongan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani. Apabila Al-Qur’an telah diturunkan, puak Musyrikin tidak lagi mempunyai dalil untuk mengatakan mereka tidak diberikan dengan kitab seperti yang telah diberikan kepada Yahudi dan Nasrani. Maka, mereka tidak boleh memberi alasan yang mereka tidak tahu tentang agama kerana sekarang Al-Qur’an telah diturunkan dalam bahasa Arab.

 

وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِہِم لَغَـٰفِلِينَ

dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka belajar.

Kalimah دِرَاسَتِهِمْ berasal daripada katadasar د ر س yang bermaksud ‘belajar’; iaitu Taurat dan Injil yang dipelajari oleh Yahudi dan Nasrani

Mereka yang berbangsa Arab sudah tidak boleh kata mereka lalai dengan agama kerana kitab hanya diberikan kepada Yahudi dan Nasrani sahaja. Dan bahasa kitab Taurat dan Injil pula bukan di dalam bahasa Arab. Oleh itu, mereka tidak ada hujah untuk mengatakan mereka tidak faham dengan kitab-kitab itu kerana kitab-kitab itu di dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Tambahan pula bangsa Yahudi dan Nasrani tidak berkongsi kitab-kitab itu dengan bangsa lain. Mereka tidak akan ajar kepada penduduk Mekah walaupun diminta. Mereka kata kitab itu hanya untuk mereka sahaja dan tidak layak untuk bangsa Arab. Pada mereka, bangsa Arab adalah bangsa yang hina.

Oleh itu sekarang Allah ‎ﷻ mengatakan yang Allah ‎ﷻ telah menurunkan kitab Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab supaya mereka memahaminya. Maka mereka tidak ada alasan lagi untuk berhujah dengan alasan: “Kami tidak tahu”.

Mereka akan menyesal kerana mereka tidak mengendahkan Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada mereka, dalam bahasa mereka dan yang membacakannya adalah Nabi Muhammad ﷺ yang dalam kalangan mereka sendiri. Jangan kita juga menyesal seperti mereka nanti. Sekarang Al-Qur’an telah sampai kepada kita, kita sepatutnya mempelajarinya dan mengamalkannya.


 

An’am Ayat 157:

أَو تَقُولُواْ لَو أَنَّآ أُنزِلَ عَلَينَا ٱلكِتَـٰبُ لَكُنَّآ أَهدَىٰ مِنہُم فَقَد جَآءَڪُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّڪُم وَهُدًى وَرَحمَةٌ فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَصَدَفَ عَنہَا‌ۗ سَنَجزِى ٱلَّذِينَ يَصدِفُونَ عَن ءَايَـٰتِنَا سُوٓءَ ٱلعَذَابِ بِمَا كَانُواْ يَصدِفُونَ

Sahih International

Or lest you say, “If only the Scripture had been revealed to us, we would have been better guided than they.” So there has [now] come to you a clear evidence from your Lord and a guidance and mercy. Then who is more unjust than one who denies the verses of Allah and turns away from them? We will recompense those who turn away from Our verses with the worst of punishment for their having turned away.

Malay

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka”. (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

 

أَو تَقُولُواْ لَو أَنَّآ أُنزِلَ عَلَينَا ٱلكِتَـٰبُ

Atau agar kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya jikalau kitab ini diturunkan kepada kami,

Allah ‎ﷻ telah turunkan Al-Qur’an kepada Musyrikin Mekah. Maka jangan nanti mereka hendak kata: “Kalaulah dulu kami dapat kitab juga macam yang diberikan kepada Yahudi dan Nasrani itu.”

 

لَكُنَّا أَهْدَىٰ مِنْهُمْ

tentulah kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka”.

Mereka nanti akan kata mereka akan lebih mendapat petunjuk sebab mereka rasa mereka lebih pandai lagi. Bangsa Arab memang jenis bangsa yang berbangga dengan diri mereka dan bahasa Arab mereka. Sampaikan mereka panggil bangsa selain bangsa Arab sebagai ‘Ajam’, yang bermaksud ‘tidak tahu bercakap’.

Seperti juga sekarang ini, ramai yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an, kerana mereka kata takkan mereka tidak tahu Al-Qur’an daripada kita sedangkan mereka lagi sedap baca Al-Qur’an. Berlagu-lagu dan mendayu-dayu kalau mereka baca Al-Qur’an.

Mereka lupa, kalau tahu membaca sahaja Al-Qur’an itu, tetapi tidak memahami apa yang dibaca, tidak bermakna apa-apa kalau mereka tolak apa yang mereka baca itu. Sebagai contoh, ayat-ayat Al-Qur’an banyak yang melarang bertawasul, tetapi mereka buat pula tawasul itu.

 

فَقَدْ جَاءَكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhanmu,

Sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu mereka yang sekarang Dia telah turunkan satu kitab yang jelas ini dan ia di dalam bahasa mereka. Sudah ada hujah yang jelas dengan penurunan Al-Qur’an. Sekarang, sama ada mereka mahu terima atau tidak sahaja kerana mereka sudah tidak ada alasan lagi di hadapan Allah ‎ﷻ.

 

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

dan sebagai petunjuk dan rahmat

Taurat itu adalah petunjuk dan rahmat kepada orang beriman dalam kalangan bangsa Yahudi. Begitu juga Al-Qur’an ini akan menjadi petunjuk kepada mereka yang mahu mendapat hidayah.

Namun malangnya, ramai yang buat tidak kisah dengan Al-Qur’an ini. Mereka sendiri tahu yang mereka tidak faham apabila mereka baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka sangka cukup sahaja dengan mereka baca Al-Qur’an mendayu-dayu. Alangkah ruginya.

 

فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah

Walaupun Al-Qur’an telah diturunkan dalam bahasa Arab, namun kebanyakan puak Musyrikin tidak mahu menerima Al-Qur’an itu. Mereka mendustakan dengan mengatakan yang Al-Qur’an itu bukanlah daripada Allah ‎ﷻ, tetapi daripada Nabi Muhammad ﷺ. Bermacam-macam lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak untuk beriman dengan Al-Qur’an itu.

 

وَصَدَفَ عَنْهَا

dan berpaling daripadanya?

Bermaksud mereka berpaling dengan serta merta. Mereka tolak untuk beriman. Dalam masyarakat kita, ‘berpaling’ itu bermaksud mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Dan apabila mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an maka mereka akan menolak dan berpaling daripada ajaran-ajaran di dalam Al-Qur’an itu walaupun mereka membaca sendiri ayat Al-Qur’an itu setiap hari.

 

سَنَجزِى ٱلَّذِينَ يَصدِفُونَ عَن ءَايَـٰتِنَا

Kelak Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Kami

Allah‎ ﷻ tidak akan membiarkan sahaja mereka. Mereka akan dibalas di akhirat kelak.

 

سُوءَ الْعَذَابِ

dengan seksa yang buruk,

Mereka akan mendapat seksa yang amat buruk kerana tidak mengendahkan Al-Qur’an. Amatlah malang sekali kalau begitu.

Kenapa mereka diazab?

 

بِمَا كَانُوا يَصْدِفُونَ

disebabkan mereka selalu berpaling.

Bukanlah Allah ‎ﷻ sengaja hendak menyeksa mereka tetapi mereka diseksa kerana mereka tidak mahu beriman. Mereka berpaling dengan serta merta tidak mahu langsung mahu memikirkan sama ada Al-Qur’an itu benar ataupun tidak.


 

An’am Ayat 158: Ayat Takhwif Duniawi

هَل يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأتِيَهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ أَو يَأتِىَ رَبُّكَ أَو يَأتِىَ بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ‌ۗ يَومَ يَأتِى بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفسًا إِيمَـٰنُہَا لَم تَكُن ءَامَنَت مِن قَبلُ أَو كَسَبَت فِىٓ إِيمَـٰنِہَا خَيرًا‌ۗ قُلِ ٱنتَظِرُوٓاْ إِنَّا مُنتَظِرُونَ

Sahih International

Do they [then] wait for anything except that the angels should come to them or your Lord should come or that there come some of the signs of your Lord? The Day that some of the signs of your Lord will come no soul will benefit from its faith as long as it had not believed before or had earned through its faith some good. Say, “Wait. Indeed, we [also] are waiting.”

Malay

Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.

 

هَل يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأتِيَهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka

Kenapa mereka masih lagi tidak mahu beriman? Adakah mereka menunggu sesuatu? Apakah yang mereka tunggu lagi? Perkara tentang iman ini mestilah diambil tindakan dengan segera. Bukannya boleh tunggu dan lihat kerana ia adalah arahan terus daripada Allah ‎ﷻ.

Adakah mereka menunggu sampai malaikat datang kepada mereka baru mereka hendak beriman? Tidak lain dan tidak bukan, mereka menunggu malaikat sahaja. Malaikat yang mana yang mereka tunggu? Yang dimaksudkan mereka tunggu itu mungkin bermaksud Malaikat Maut, iaitu apabila Malaikat Maut datang maka itu bermakna mereka mati.

Ini kerana Malaikat Maut hanya datang untuk mengambil nyawa manusia sahaja. Adakah mereka hendak tunggu sampai mereka mati baru mereka hendak beriman? Kalau begitu, sudah terlambat untuk beriman. Tidak ada guna kalau sudah hendak mati baru hendak beriman. Ini disebut di dalam sebuah hadith:

إن الله يقبل توبة العبد مالم يغرغر

“Sesungguhnya Allah ‎ﷻ akan menerima taubatnya seorang hamba selama belum terjadi ghargharah (nyawa/nafas sudah kerongkongan)”.

(Sunan Tirmidzi dan disahihkan oleh Albani)

Maka jangan tunggu dan jangan tangguh. Malangnya ramai yang menangguh-nangguh. Seperti masyarakat kita sekaranglah juga. Kita ajak mereka belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu. Mereka kata mereka tidak sempat hendak belajar kerana sibuk dengan perkara-perkara lain. Sibuk dengan kerja, sibuk dengan keluarga, malah macam-macam lagi.

Mereka kata kalau mereka ada kelapangan, mereka akan datang. Cuma sekarang sibuk sangat, mereka kata. Mereka tunggu punya tunggu, tidak belajar sampailah tiba-tiba sudah sampai masa untuk mati. Tidak sempat untuk taubat atau beramal. Mati dalam kejahilan dan banyak dosa yang mereka lakukan kerana tidak belajar.

 

أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ

atau kedatangan (seksa) Tuhanmu

Atau adakah mereka menunggu kedatangan Allah ‎ﷻ sendiri? Kedatangan Allah ‎ﷻ adalah pada Hari Mahsyar seperti yang disebut dalam Fajr: 22

وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

Kalau hendak tunggu Allah ‎ﷻ datang, itu bermakna sudah sampai ke Hari Perbicaraan di Padang Mahsyar. Waktu itu sudah tidak boleh hendak bertaubat atau hendak beramal lagi. Waktu itu adalah waktu untuk menerima penghakiman sahaja, bukannya waktu untuk beramal.

Bagaimana keadaan Allah ‎ﷻ apabila Dia datang? Kita tidak dapat bayangkan dan tidak perlu bayangkan. Kita hanya perlu beriman sahaja.

 

أَو يَأتِىَ بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ‌ۗ

atau kedatangan sebahagian tanda-tanda daripada Tuhanmu.

‘Tanda-tanda’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tanda-tanda hampirnya kiamat. Daripada Hadith, telah diberitahu kepada kita bahawa apabila Kiamat sudah hampir, akan ada tanda-tandanya. Antaranya adalah: matahari akan terbit dari arah barat. Bila matahari sudah terbit dari arah barat, taubat sudah tidak diterima lagi.

Berkenaan kedatangan Kiamat, perlu rujuk kepada perbicaraan yang panjang tentang Kiamat. Terlalu panjang untuk kita masukkan dalam perbicaraan di sini.

Allah ‎ﷻ ejek mereka: Adakah mereka hendak menunggu datangnya Kiamat baru mereka hendak beriman? Jika itu yang ditunggu, maka ia sudah terlambat.

 

يَومَ يَأتِى بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ

Pada hari datangnya sebahagian tanda daripada Tuhanmu,

Tadi telah disebut tentang kedatangan ‘tanda-tanda Kiamat’. Sekarang ini disebut kedatangan Hari Kiamat itu sendiri. Apabila retak sahaja langit itu, taubat tidak diterima walaupun dia belum mati lagi.

Kalaulah sesiapa sempat nampak langit terbelah kemerahan, maka tentunya dia akan bertaubat dan percaya kepada Kiamat. Namun ketika itu, taubatnya tidak bernilai lagi.

 

لَا يَنفَعُ نَفسًا إِيمَـٰنُہَا لَم تَكُن ءَامَنَت مِن قَبلُ

tidaklah bermanfaat iman seseorang kepada sesiapa pun jika belum beriman sebelum itu,

Apabila datangnya kiamat, atau datangnya tanda besar kiamat, tidak berguna lagi iman mereka kalau waktu itu baru mereka hendak beriman.

Atau, apabila nyawa sudah di halqum. Katakanlah kita kemalangan, nyawa kita nyawa-nyawa ikan sahaja. Waktu itu juga taubat tidak diterima. Lihatlah bagaimana iman Firaun tidak diterima semasa hampir matinya.

Hanya mereka yang beriman sebelum keluar tanda-tanda itu baru diterima.

 

أَو كَسَبَت فِىٓ إِيمَـٰنِہَا خَيرًا‌ۗ

atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.

Ini bermakna amalan baik yang dilakukan hanya selepas datangnya tanda-tanda itu, tidak akan dikira. Takkan bila sudah keluar tanda Kiamat, baru hendak buat ibadat? Apa yang mereka buat selama hari ini?

Ramai orang Islam yang tidak berbuat amal kebaikan. Iman memang sudah ada, tetapi tidak ada usaha untuk beramal. Ini kerana mungkin malas hendak beramal, atau mereka tidak nampak kepentingan amal itu kepada diri mereka.

Ayat ini mengajar kita jangan berlengah dalam berbuat amal ibadah. Jangan sangka kita ada banyak masa lagi. Ingatlah yang kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Jangan terperangkap dengan salah satu senjata syaitan yang dinamakan ‘taswif’; iaitu menunggu-nunggu untuk buat kebaikan. Dengan taswif itu ramai manusia masuk neraka kerana tertipu dengan syaitan.

 

قُلِ انتَظِرُوا

Katakanlah: “Tunggulah olehmu

Katakan kepada mereka: Kalau mereka hendak menunggu lagi, maka tunggulah. Teruslah kamu di dalam kesyirikan dan kekufuran itu. Kita sudah beri dakwah, sudah beri nasihat, tetapi masih lagi berdegil.

Akhirnya, ini sahaja yang kita boleh katakan kepada mereka. Seperti juga kita berkata kepada orang yang degil: “Buatlah apa yang kamu nak buat.” Sebab kita hanya boleh nasihat dan dakwah sahaja, tidak boleh hendak memaksa orang lain untuk membuat kebaikan. Tidak boleh hendak memaksa orang lain beriman.

 

إِنَّا مُنتَظِرُونَ

sesungguhnya kami pun menunggu (juga)”.

Masing-masing kita semua menunggu datangnya hari Kiamat kerana kita hendak menunggu nasib kita dan bagaimana keputusan ke atas kita: adalah balasan baik atau balasan buruk. Kita tunggu untuk mendapat balasan baik daripada amalan kita.


 

An’am Ayat 159:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَہُم وَكَانُواْ شِيَعًا لَّستَ مِنہُم فِى شَىءٍ‌ۚ إِنَّمَآ أَمرُهُم إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُہُم بِمَا كَانُواْ يَفعَلُونَ

Sahih International

Indeed, those who have divided their religion and become sects – you, [O Muhammad], are not [associated] with them in anything. Their affair is only [left] to Allah ; then He will inform them about what they used to do.

Malay

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).

 

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama mereka

Tidak dapat dinafikan lagi, memang sekarang ini terdapat banyak sekali perpecahan dalam agama kita. Sudahlah perpecahan antara agama, dalam agama yang sama juga terdapat perpecahan lagi. Sedangkan Allah ‎ﷻ melarang kita berpecah belah. Sepatutnya kita ini berada dalam satu jalan agama yang satu. Namun malangnya, sebaliknya yang berlaku, kita tidak begitu.

Kenapakah perpecahan ini berlaku? Ia berlaku apabila setiap puak akan berasa mereka yang benar dan mereka akan menolak puak yang lain. Mereka berkeras dengan hujah masing-masing. Lalu mana satukah yang benar? Susah untuk dipastikan tetapi bukankah kita mahu berada dalam pihak yang benar? Siapakah pihak yang benar telah diberitahu oleh Nabi ﷺ maka kenalah kita belajar dan lihat apakah kriteria orang yang benar seperti yang disebut dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau tidak, hanya mendabik dada sahaja mengaku benar.

Salah satu cara memecahkan agama ini adalah dengan membuat amalan bid’ah. Agama Islam sebenarnya sudah lengkap, tetapi ramai yang rasa ia masih tidak sempurna. Sebab itu mereka amalkan amalan bid’ah. Amalan agama ditambah-tambah mengikut nafsu dan sangkaan mereka sahaja. Maka dengan sebab mereka, agama boleh jadi berpecah. Sedangkan Nabi ﷺ telah memberitahu kita bahawa jalan yang selamat adalah jalan yang diikuti oleh baginda dan para sahabat:

 عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِيْ مَا أَتَى عَلَى بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلاَنِيَةً لَكَانَ فِيْ أُمَّتِيْ مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوْا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Sungguh akan terjadi pada umatku, apa yang telah terjadi pada umat bani Israil sedikit demi sedikit, sehingga jika ada di antara mereka (Bani Israil) yang menyetubuhi ibunya secara terang-terangan, maka nescaya akan ada pada umatku yang mengerjakan itu. Dan sesungguhnya bani Israil berpecah menjadi tujuh puluh dua millah, semuanya di Neraka kecuali satu millah saja dan ummatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga millah, yang semuanya di Neraka kecuali satu millah.’ (para Sahabat) bertanya, ‘Siapa mereka wahai Rasulullah?’ Baginda ﷺ menjawab, ‘Apa yang aku dan para Sahabatku berada di atasnya.’”
(Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi No. 2641, dan dia berkata: “Ini merupakan hadith penjelas yang gharib, kami tidak mengetahuinya seperti ini, kecuali dari jalan ini.”)

Memecah-belahkan juga bermaksud mereka memilih bahagian agama yang mereka suka sahaja (dan tidak buat yang selainnya). Sebagai contoh, ada yang hanya mahu menggunapakai Al-Qur’an sahaja kononnya, hadith mereka tidak mahu terima. Kemudian ada yang belajar hadith, tetapi tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an (sedangkan Al-Qur’an sumber hukum utama). Ada yang hal fekah mereka jaga tertib sungguh-sungguh, tetapi tidak kisah tentang ilmu tauhid. Atau ramai yang belajar tasawuf bertahun-tahun, namun tidak tahu sedikit pun berkenaan tauhid.

Itu semua adalah salah kerana tidak mengamalkan agama dengan lengkap. Ketahuilah yang agama ini satu ajaran yang lengkap, maka kena tahu dan amalkan semua sekali. Jangan sekali-kali dipecah-pecahkan agama ini.

Lihatlah bagaimana Al-Qur’an menyentuh semua perkara tentang agama. Al-Qur’an sebut tentang tauhid, tentang feqah, tasawuf dan berbagai lagi perkara termasuk bagaimana menjalani kehidupan. Penjelasan lebih terperinci hendaklah dirujuk hadith dan juga syarah para ulama’.

 

وَكَانُوا شِيَعًا

dan mereka menjadi bergolongan,

Natijah daripada mereka yang memecahkan agama adalah umat Islam menjadi berpuak-puak. Ada puak tarekat, ada anti-hadith, ada puak tabligh, ada ahli bid’ah, ada ahli Qasidah, ada ahli nasyid dan bermacam-macam lagi.

Ketahuilah yang jika membahagi-bahagi kumpulan sahaja, itu pun sebenarnya sudah salah kerana kita dilarang daripada berpuak-puak. Kita sebenarnya adalah sebuah kumpulan yang satu, iaitu kumpulan ‘Muslim’. Kita hendaklah menggunakan nama ‘Muslim’ sahaja. Inilah nama yang Allah ‎ﷻ pilih untuk kita guna. Lihat dalam [ Hajj: 78 ]

مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ

(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu.

Jangan kita ikut seperti perbuatan Yahudi dan Kristian. Mereka dahulu sebenarnya adalah Muslim pada asalnya, tetapi kemudian mereka telah menamakan diri mereka dengan nama yang lain – Yahudi dan Nasrani. Mereka sengaja mengeluarkan diri mereka daripada kelompok Islam. Kerana itu bahaya kalau menamakan diri kita dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Malangnya kita pula suka menggelarkan diri kita dengan nama-nama tertentu. Kononnya merekalah yang benar sekali. Ini termasuklah mereka yang mahu mengamalkan sunnah. Mereka pun sudah ada nama sendiri – Salafi. Itu pun salah juga. Memang kita mengikut apa yang disampaikan oleh ulama’-ulama’ salaf (ulama’-ulama’ awal) kerana mereka lebih rapat dengan Nabi ﷺ dan sahabat, tetapi bukanlah kita harus menamakan diri kita dengan satu nama lain daripada ‘Muslim’.

Memang boleh sahaja jika mahu menubuhkan persatuan untuk menegakkan agama, tetapi tetaplah di atas landasan Islam. Jangan gunakan nama yang boleh membezakan kita daripada golongan yang lain. Semuanya sepatutnya menjadi Muslim dan mengamalkan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul.

 

لَّسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ

tidak ada sedikit pun tanggung jawabmu kepada mereka.

Kita diberitahu dalam ayat ini supaya tidak ada kena mengena dengan mereka. Ini kerana Nabi ﷺ diajar sebegitu. Kita tidak perlu risaukan mereka yang berpecah-pecah itu kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu. Jangan kita masuk campur dengan mereka. Jangan kita ikut mereka dalam perkumpulan yang mereka buat itu.

Perselisihan itu bukanlah ada kena mengena dengan Rasul iaitu berselisih tentang tauhid. Walaupun ada puak yang mengaku mereka cintakan Rasul, membuat majlis Cinta Rasul, puji dan puja Rasul, mengaku pula anak keturunan baginda, akan tetapi baginda tidak ada kena mengena dengan mereka.

 

إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ

Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah,

Bagaimana kesudahan mereka nanti akan ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan beritahu mereka nanti, apakah kesalahan mereka dan manakah kumpulan yang benar dan mana yang salah. Maka kita kena jaga diri kita dan betulkan pemahaman kita. Jangan terikut-ikut dengan kumpulan tertentu. Kumpulan itu bukannya tentu benar lagi.

Ini juga mengajar kita untuk serah sahaja urusan mereka kepada Allah ‎ﷻ. Kita bantu dan nasihat mereka setakat yang boleh, namun akhirnya nasib mereka di tangan Allah ‎ﷻ. Kita tidak jaga iman dan amal mereka.

 

ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.

Allah ‎ﷻ akan beritahu semula apa yang mereka buat dahulu semasa di dunia. Dan bukan diberitahu sahaja, tetapi akan dibalas kemudiannya.

Ayat ini juga menunjukkan yang kita akan dibalas dengan apa yang kita telah buat. Oleh sebab itu, tidak ada pahala kiriman. Maka, amalan sedekah Fatihah kepada si-mati adalah sia-sia kerana itulah kita telah katakan yang Amalan majlis Tahlil adalah amalan bid’ah yang mungkar.

Kalimah يَفْعَلُونَ bermaksud mereka buat tanpa berfikir sangat pun. Mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Mereka jahil tentang agama sebenarnya, tetapi sebab ramai yang buat, mereka sangka tentulah benar. Mereka sangka, kalau ramai-ramai, mana mungkin salah?

Begitulah cara mereka melihat Islam. Itu adalah cara melihat agama dengan pandangan yang amat salah. Bilangan ramainya orang melakukan sesuatu, tidaklah menunjukkan yang ia adalah benar. Yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Jun 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah al-An’am Ayat 152 – 153 (Sikap dengan anak yatim)

An’am Ayat 152:

وَلَا تَقرَبُواْ مَالَ ٱليَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ حَتَّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ ۥ‌ۖ وَأَوفُواْ ٱلڪَيلَ وَٱلمِيزَانَ بِٱلقِسطِ‌ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفسًا إِلَّا وُسعَهَا‌ۖ وَإِذَا قُلتُم فَٱعدِلُواْ وَلَو ڪَانَ ذَا قُربَىٰ‌ۖ وَبِعَهدِ ٱللَّهِ أَوفُواْ‌ۚ ذَٲلِڪُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُم تَذَكَّرُونَ

Sahih International

And do not approach the orphan’s property except in a way that is best until he reaches maturity. And give full measure and weight in justice. We do not charge any soul except [with that within] its capacity. And when you testify, be just, even if [it concerns] a near relative. And the covenant of Allah fulfill. This has He instructed you that you may remember.

Malay

“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. – Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”.

 

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ

Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim,

Ini adalah ayat tentang larangan memakan harta anak yatim. Perkataan yang digunakan adalah ‘janganlah kamu dekati’. Ini bermaksud jangan dekati untuk menguruskan pun harta itu. Ini jikalau kita rasa kita tidak dapat beramanah dengan harta itu, atau tidak rasa berkemampuan untuk menguruskan harta itu, maka jangan kita cuba-cuba untuk menguruskan harta itu. Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk menganggap harta anak yatim itu sebagai ‘api’ seperti yang disebut di dalam Nisa’: 10.

Sebagai contoh, kalau kita ini jenis orang yang memang sibuk dengan kerja lain, maka tentunya kita tidak mampu untuk menjadi pengurus untuk harta itu. Maka lebih baik untuk kita berikan kepada orang lain yang dapat menguruskannya.

Allah ‎ﷻ melarang kita daripada mendekati harta anak yatim kerana bila kita hampir dengan harta itu akan jadi mudah untuk kita mencurinya, atau termakan harta itu. Islam amat berhati-hati dalam hal ini.

Ini mengajar kita, ada perkara dalam agama ini jangan dekati pun. Dekati pun jangan, apatah lagi kalau melakukannya. Ini dipanggil saddudz dzari’ah, iaitu menutup pintu daripada melakukan dosa kerana syaitan akan menarik kita sedikit demi sedikit ke arah dosa itu. Maka kita kena elak daripada mendekatinya.

Anak yatim adalah anak yang kematian ayah sebelum dia baligh. Dia dalam keadaan yang lemah. Seorang anak yang kecil dan belum baligh tidak diberikan untuk memegang harta peninggalan ayahnya. Kalau dia yang pegang, nanti mungkin senang orang hendak curi, menipu dia dan sebagainya. Maka, sepatutnya ada orang yang dewasa yang menjaga hartanya bagi pihaknya.

 

إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat,

Bukanlah tidak boleh langsung untuk menjaga harta anak yatim. Kalau kita diberikan tanggungjawab untuk menjaga harta anak yatim, maka kita kenalah menguruskan harta itu dengan baik.

Antara cara yang ‘lebih baik’ adalah dengan melaburkan harta itu sampai harta itu boleh menjadi semakin banyak. Maknanya kena suburkan harta itu. Namun hendaklah dilaburkan dalam perniagaan yang menguntungkan. Jangan laburkan dalam perniagaan yang belum tentu halal haramnya atau yang ada kemungkinan senang rugi. Walaupun anak itu bersetuju dengan nasihat kita untuk memperniagakan harta itu dalam perniagaan yang belum tentu menguntungkan itu. Ini kerana anak yang belum baligh tentunya tidak dapat memberikan keputusan yang bijak lagi.

Salah satu pelaburan yang menguntungkan adalah pembelian rumah, kerana rumah harganya sentiasa naik sahaja.

أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ

Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat.

Hadith Riwayat Al-Tirmidzi (641)

Galakan untuk melaburkan itu penting kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah harta anak yatim itu akan berkurangan kerana sentiasa kena membayar zakat sahaja.

Ada sahabat yang takut sangat memakan harta anak yatim yang di dalam jagaan mereka sampaikan makanan yang dibeli dengan harta anak yatim untuk anak yatim itu langsung tidak disentuh oleh mereka kerana takut. Sampaikan kalau anak yatim itu makan tidak habis, mereka tidak berani untuk memberinya kepada anaknya yang lain. Sampaikan kadang kala makanan itu rosak tidak dimakan.

Itu sudah membazir namanya. Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata ‘dengan cara yang lebih baik’. Bermaksud harta anak yatim itu boleh digunakan juga untuk dikongsi bersama untuk dimakan bersama.

Juga bermaksud, kalau seorang penjaga itu mengenakan bayaran sebagai balasan menjaga harta itu, jangan ambil dengan terlalu banyak tetapi ambillah dengan kadar yang patut sahaja.

Tetapi jikalau penjaga anak yatim itu seorang yang kaya, dia perlulah menggunakan hartanya sendiri untuk menyara anak yatim itu dan tidak menyentuh harta anak yatim itu. Ini ada tersebut dalam Nisa: 6

وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَنْ كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ

Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (daripada memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah dia makan harta itu menurut yang patut.

 

حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

hingga sampai dia dewasa.

Penjaga harta itu hanya perlu menjaga harta anak yatim itu semasa anak yatim itu kecil sahaja iaitu semasa ia tidak mampu menjaganya sendirinya. Apabila anak itu telah dewasa dan mampu menjaga sendiri, maka harta itu perlu dikembalikan kepada anak yatim itu.

Kalimah أَشُدَّ bermaksud dewasa dari segi fizikal; juga akalnya kerana ada yang badan dan besar, tetapi masih keanak-anakan; maka mereka kena maiyyiz – tahu bagaimana berurusan.

Ada ulama’ yang mengatakan umur itu ditetapkan 25 tahun kerana pada mereka, itulah umur أَشُدَّ. Jika dilihat kepada zaman sekarang pun, jarang orang lelaki berkahwin sebelum umur mereka 25 tahun.

Dalam [ Nisa: 6 ] juga ada disebut bagaimana kita perlu menilai sama ada anak itu sudah pandai menjaga harta atau tidak:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kahwin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.

 

وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ

Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.

Rujuk surah [ Mutaffifin: 1-3 ] berkenaan perkara ini.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ
Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang
الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُون
(iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi,
وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ
dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

 

Ayat-ayat dari Surah Mutaffifin ini menjelaskan lagi bagaimana jenis orang yang celaka dalam perniagaan mereka iaitu apabila orang lain menyukat untuk mereka, mereka hendak cukup timbangan itu. Namun apabila mereka pula menyukat untuk orang lain, mereka kurangkan. Amat buruk sekali perangai itu. Perbuatan ini dinamakan tatfif.

Apabila digunakan perkataan الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ bermaksud setiap cara timbangan dan sukatan dimasukkan ke dalamnya kerana mungkin pada zaman sekarang, cara ukuran sudah semakin canggih, maka apapun cara timbangan, kita perlu memastikan timbangan itu tepat.

Ini adalah peringatan kepada peniaga-peniaga kita yang ada dalam kalangan mereka yang mengurangkan timbangan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka. Macam-macam cara mereka gunakan untuk mengurangkan timbangan itu. Mungkin mereka kurangkan sedikit sahaja setiap kali, tetapi kalau dicampur semua, maka lama kelamaan banyak juga habuan untuk mereka. Dengan keuntungan lebihan mereka yang sedikit itulah yang akan memasukkan mereka ke dalam neraka.

Inilah masalah masyarakat yang dialami oleh umat Nabi Syuaib عليه السلام, selain daripada masalah syirik yang mereka amalkan. Oleh kerana kesalahan mereka itu, seluruh bangsa mereka telah dihapuskan oleh Allah ‎ﷻ.

Kadang-kadang kita tidak berniat pun hendak menipu dalam timbangan itu. Kadang-kadang pengurangan itu disebabkan kecuaian kita. Ataupun kita tidak perasan. Sebagai contoh, peniaga makan dan minum mungkin terlupa memasukkan gula dalam minuman untuk pelanggannya. Pelanggan itu tidak minum tetapi dia bayar juga harga minuman itu. Pendapatan begini dinamakan ‘Harta syubhah’. Dia tidak layak mendapat harta itu. Dia tidak perasan pun yang dia tidak layak dapat. Harta sebegini boleh dibersihkan dengan mengeluarkan zakat.

Jika hal ini diluaskan lagi, ia bukan hanya bermaksud takaran dalam perniagaan jual beli sahaja, tetapi dalam semua perkara. Pernah sekali Saidina Umar رضي الله عنه melihat seorang lelaki tidak melakukan salat dengan sempurna dan menegur lelaki itu: “Engkau telah melakukan tatfif!”. Ini disebut di dalam Muwatta’ Imam Malik. Imam Malik رحمه الله menambah dengan mengatakan ini menunjukkan yang tatfif itu boleh berlaku dalam semua keadaan.

Sebagai contoh, pekerja yang ‘mengular’ di tempat kerjanya, pekerja yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, begitu jugalah sampai ke tahap menteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, semua ini boleh termasuk dalam tatfif.

 

لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya.

Allah ‎ﷻ tidak membebankan makhluk-Nya dengan perkara-perkara yang makhluk-Nya tidak boleh lakukan. Dalam konteks ayat ini, segala hukum-hukum dan suruhan yang telah disebut sebelum ini bukanlah sesuatu yang manusia tidak boleh penuhi. Manusia sebenarnya berkemampuan untuk menjalankan segala hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu.

Sebagai contoh bagi orang yang berniaga, jikalau ditimbang ada kurang butiran gula sebutir dua, ini dimaafkan. Ini kerana kita tidak mampu hendak periksa sampai ke butiran gula begitu. Salah satu cara yang boleh diamalkan seperti diajar oleh Rasulullah ﷺ adalah dengan memberi lebih. Bila beri lebih, maka sudah pasti tidak ada isu terkurang, bukan?

Dan ayat ini juga mengajar kita yang agama ini memang boleh diamalkan oleh semua manusia. Sebagai contoh, tidaklah susah untuk tidak melakukan syirik. Tidaklah mustahil untuk kita tidak membunuh anak-anak kita. Tidaklah juga sukar untuk berbuat baik kepada ibubapa dan juga untuk berlaku adil dalam sukatan kita semasa melakukan perniagaan. Kita cuma perlu buat sungguh-sungguh dalam menjalankan hukum Allah ‎ﷻ itu.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak membebankan kita melainkan kesanggupan kita. Maka, daripada ayat ini juga mengajar kita supaya jangan kita bebankan orang lain terutama sekali orang bawahan kita. Dan jangan kita marah kepada pekerja kita yang tidak mampu menjalankan tugas yang terlalu berat yang kita berikan kepada mereka.

Sebagai contoh, mungkin kita suruh despatch kita hantar surat ke sepuluh tempat. Tetapi oleh kerana banyak sangat tempat yang perlu dihantar, dia hanya sempat hantar tujuh tempat sahaja. Janganlah pula kita marah dia kerana kita pun telah berikan tugas yang memang dia tidak mampu hendak sempurnakan.

Ini juga mengajar kita yang apa sahaja bebanan tanggungjawab yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita sebenarnya mampu untuk menanggungnya. Maka, jangan kita mengeluh kerana kalau Allah ‎ﷻ sudah bebankan kepada kita, maknanya memang kita mampulah untuk melakukannya.

 

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا

Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil,

Setiap kali kita membuka mulut kita untuk berkata-kata, sama ada dalam memberi hukum ataupun memberi nasihat ataupun apa sahaja, hendaklah kita berlaku adil. Jangan berlaku zalim kerana ia adalah haram. Maknanya kita hendaklah berlaku adil bukan sahaja di dalam perbuatan kita tetapi di dalam percakapan kita juga.

Ayat ini tidak khususkan untuk situasi di mana. Oleh sebab itulah, yang senang kita kaitkan adalah dengan para qadi (hakim). Akan tetapi boleh diluaskan dalam semua keadaan. Semua orang kena berlaku adil dan jangan berbuat zalim.

Ini bermaksud kita tidaklah boleh pilih kasih antara manusia. Kadang-kadang dengan orang yang kita suka, kita akan bercakap baik dengan mereka tetapi malangnya dengan orang yang kita benci, kita pandang rendah, kita bercakap kasar dengan mereka. Ini tidak bertepatan dengan apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki.

Begitu juga, kadang-kadang berkenaan orang yang kita rapat, kita puji mereka di hadapan orang lain tetapi tidak pula kita lakukan perkara yang sama dengan orang yang tidak rapat dengan kita. Ini bermaksud kita telah pilih kasih, tidak berlaku adil dan ini adalah salah.

Selalunya kita dengan pekerja pun pilih kasih. Ada yang kita layan dengan baik dan bercakap dengan mereka dengan baik, namun ada yang sebaliknya. Maka, ingatlah tentang suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat ini.

 

وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

walaupun ia adalah kerabat(mu),

Lihatlah juga [ Nisa: 135 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.

Kita kena berlaku adil dengan semua orang. Jangan pilih kasih. Jangan kerana orang yang buat salah itu daripada keluarga kita, kawan rapat kita, kita biarkan mereka lepas. Kadang-kadang dengan orang yang baik dengan kita, kita tidak tegur mereka.

Ini terutama sekali berlaku dalam negara kita yang kuat berpolitik. Selalunya, kalau ahli dalam parti mereka, mereka biarkan mereka membuat salah pun tidak mengapa, tetapi kalau parti lawan yang buat salah, mereka kecam dan kutuk tanpa henti. Sampaikan dalam hal agama pun boleh dibiarkan.

Sebagai contoh, kalau ada orang dalam parti sendiri, sampai buat syirik pun ada pemimpin yang tidak tegur, kerana takut hilang sokongan. Sampaikan ada ahli yang sudah masuk Syiah pun, disenyapkan sahaja. Ini adalah satu kesalahan yang berat.

Lihat juga [ Maidah: 8 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا

dan penuhilah janji dengan Allah.

Apakah sebenarnya janji kita kepada Allah ‎ﷻ? Itulah janji kita di alam arwah semasa kita mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kita. Ini disebut di dalam [ A’raf: 172 ]

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.

Dan janji ini juga boleh didapati di dalam dua kalimah Syahadah yang setiap hari kita lafazkan. Kita telah berjanji untuk hanya sembah, puja, buat ibadat, berdoa dan  berharap hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita juga telah berjanji untuk taat kepada Allah ‎ﷻ. Dan kita juga telah berjanji di dalam Syahadah itu untuk mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita semua telah berjanji kepada Allah ‎ﷻ tetapi malangnya kita selalu terlupa dengan kita itu.

Yang terlebih malangnya, oleh kerana ramai tidak faham syahadah yang mereka lafazkan itu, maka ramai orang Islam pada hari ini yang telah berdoa, berharap, dan menghambakan diri kepada selain Allah ‎ﷻ.

Mereka juga mengambil ajaran-ajaran dan amalan-amalan selain daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka ambil ajaran dan amalan daripada manusia, kitab-kitab karangan manusia, guru-guru mereka, dan ustaz-ustaz mereka. Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat dengan Allah ‎ﷻ, tanpa mereka sedari.

Oleh itu, fahamilah janji yang selalu kita sebutkan setiap hari itu. Dan kembalilah memenuhi janji itu. Dan janji itu kalau diluaskan lagi, ia bermaksud janji untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dalam semua perkara yang Dia suruh dan tinggalkan segala apa yang Dia larang kita lakukan.

Dan sebenarnya janji dengan sesama makhluk pun kita kena sempurnakan. Kalimah ‘janji’ ada beberapa jenis digunakan di dalam Al-Qur’an.

1. الوعد adalah jenis yang ringan. Contohnya kita janji dengan isteri kita untuk beli roti, tapi tidak ditunaikan. Ini tidak mengapa dalam hukum fiqh.

2. العهد adalah perjanjian yang dikuatkan, ditegaskan. Contohnya nazar.

3. العقد adalah perjanjian yang telah berlaku dan telah diikat seperti akad jual beli, akad nikah dan sebagainya. Ia tidak boleh diputuskan apabila telah diikat melainkan dengan alasan yang syar’i.

 

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu

Itulah kewajipan-kewajipan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Ini adalah sebagai penekanan daripada Allah ‎ﷻ untuk kita taat kepada apa yang telah disebut sebelum ini. Mari kita senaraikan balik apakah wasiat-wasiat daripada Allah‎ ﷻ itu:

1. Beribadah hanya kepada Allah ‎ﷻ.
2. Berbuat baik dengan Ibu Bapa
3. Jangan bunuh anak
4. Jangan dekati dosa keji
5. Jangan bunuh orang
6. Jangan dekati harta anak yatim
7. Penuhi sukatan dalam timbangan
8. Berlaku adil dalam percakapan
9. Penuhi janji dengan Allah

Sepatutnya terdapat sepuluh wasiat daripada Allah ‎ﷻ. Namun setakat ini, kita hanya mendapat sebanyak sembilan sahaja. Yang ke sepuluh akan disebut dalam ayat seterusnya.

 

لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

agar kamu ambil pengajaran.

Allah ‎ﷻ mengingatkan balik janji-janji itu kepada kita. Dan kalau kita amalkan selalu membaca Al-Qur’an, maka kita akan bertemu dengan peringatan-peringatan ini banyak terdapat dalam Al-Qur’an. Kita akan selalu diingatkan dengannya.


 

An’am Ayat 153:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرٰطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذٰلِكُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Sahih International

And, [moreover], this is My path, which is straight, so follow it; and do not follow [other] ways, for you will be separated from His way. This has He instructed you that you may become righteous.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

وَأَنَّ هَٰذَا صِرٰطِي مُسْتَقِيمًا

dan (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus,

Inilah maksud tafsir daripada ayat ihdina siratal mustaqim. Setiap hari kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Dan dalam ayat ini, terdapat penjelasan apakah jalan yang lurus itu. Maknanya, untuk mendapatkan jalan yang lurus, kena rujuk Al-Qur’an kerana ia dijelaskan dengan panjang lebar di dalamnya.

Maka kalimah هذا (ini) merujuk kepada agama Islam dan juga Al-Qur’an. Atau secara khusus merujuk kepada ayat-ayat di dalam Surah Al-An’am ini kerana terdapat di dalamnya berbagai arahan yang kita kena ikuti.

 

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah dia,

Maka apabila jalan itu lurus dan jelas, maka ikutlah sahaja. Inilah wasiat ke sepuluh daripada Allah ‎ﷻ, iaitu, hendaklah kita mengikuti jalan yang lurus itu. Pertama, kita kena tahu apakah jalan yang lurus itu dan selepas kita tahu, maka hendaklah kita mengikutinya. Inilah jalan yang membawa kita ke syurga. Diingatkan sekali lagi, untuk tahu jalan yang lurus, kena rujuk Al-Qur’an.

Di dalam Kitab Tafsir Mazhari disebut yang tujuan Allah‎ ﷻ menurunkan Al-Qur’an dan para Rasul adalah supaya manusia mengikut acuan yang diberi di dalam wahyu. Malangnya ramai manusia yang mengambil wahyu dan mereka pusing ke arah fahaman mereka. Kerana itulah kita banyak melihat ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith disalahgunakan oleh ramai manusia dan golongan agamawan untuk dijadikan sebagai penguat kepada fahaman terpesong mereka. Mereka pesongkan maksud wahyu supaya ikut kehendak mereka. Sepatutnya kita ikut wahyu, tetapi ramai yang menjadikan wahyu ikut mereka pula.

 

وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ

dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain),

Selain dari jalan Islam yang sebenar, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang tidak betul. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu kepada kita bahawa terdapat 72 lagi jalan yang tidak membawa terus ke syurga, maka hendaklah kita tinggalkan jalan-jalan itu.

Jalan yang lurus hanya ada satu. Di tepi jalan itu, ada banyak lagi jalan-jalan lain yang diduduki oleh syaitan yang akan mengajak kita untuk keluar dari jalan yang lurus itu. Maka, hendaklah kita tetap di atas jalan yang lurus dan tinggalkan jalan yang lain.

Maka, apakah jalan yang lurus itu? Itulah jalan sunnah: mengikut Al-Qur’an dan hadith. Ayat ini menekankan kepada kita kewajipan untuk mengikut jalan yang Nabi ﷺ bawa. Bukan jalan ulama’-ulama’ besar dan terkenal dan bukan jalan ustaz-ustaz dan bukan juga ideologi-idealogi baru yang dibawa oleh manusia. Jika ulama’ dan ustaz itu mengajar kita berdasarkan Al-Qur’an dan hadith, maka boleh lah kita ikuti mereka.

Namun kalau ajarannya bukan mengikut Al-Qur’an sunnah, maka tinggalkan mereka. Walaupun gelaran mereka itu orang panggil ‘tok guru’. Ini kerana tok guru pun banyak ajar ajaran salah sekarang. Walaupun ramai orang panggil ‘tok guru’, tidak semestinya ia berilmu yang benar. Ada yang ulang balik sahaja ajaran  yang dia dapat daripada guru tanpa diperiksa benar atau tidak. Jangan jadi orang yang hanya percaya sahaja apa yang keluar dari mulut ‘tok guru’ dan ustaz. Semua kita akan dipertanggungjawabkan daripada fahaman dan amalan kita nanti. Kita tidak boleh jawab: “Ya Allah, aku tak tahu, sebab tok guru aku ajar begini, jadi aku ikut jer….”

 

فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

maka jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya.

Jalan-jalan selain dari satu jalan yang lurus itu akan membawa kita ke neraka.

Sekarang ini entah berapa banyak perpecahan dalam kalangan kita. Bayangkan berapa banyak jalan-jalan silat, jalan-jalan tarekat yang berlainan jenis dan sebagainya. Berhati-hatilah dengan berbagai-bagai fahaman itu dan jika tidak selaras dengan Al-Qur’an dan hadith Nabi, maka semua jalan itu akan membawa ke neraka.

Kita selalu mengeluh, terdapat banyak perpecahan umat Islam zaman ini. Namun jarang kita dengar orang yang mencari jalan penyelesaian kepada perpecahan itu. Perpecahan itu terjadi kerana berbezanya pendapat daripada satu puak ke puak yang lain. Ini adalah kerana sumber ambilan hukum mereka yang berlainan.

Namun begitu, jika kita semua kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah, maka semua kita akan bersatu kerana sumber hukum yang sama akan menyebabkan pertalian yang kuat antara kita. Ini kerana Al-Qur’an itu sama sahaja di tangan kita semua. Dan hadith-hadith yang sahih telah pun dibukukan untuk memudahkan kita merujuk hadith-hadith itu. Maka, semua akan ada sumber ambilan hukum yang sama. Oleh itu, kalau hendak bersatu, kenalah kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah.

Malangnya, golongan yang tidak peka perkara ini menuduh kita yang mengajar kepada Al-Qur’an dan Sunnah pula yang hendak memecahbelahkan umat dan masyarakat. Sedangkan kita hendak ajak bersatu. Walau bagaimanapun tuduhan ini biasa sahaja kerana Rasulullah ﷺ pun pernah dituduh begitu. Sebagaimana zaman Nabi ada Jahiliah Mekah, kita pun ada juga Jahiliah Malaysia.

 

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Yang demikian itu diperintahkan Allah

Ini penutup kepada tiga ayat yang panjang ini sebagai menerangkan agama kepada kita secara ringkas. Apa yang diperintahkan Allah ‎ﷻ, kenalah kita ikut. Tidak boleh ditolak walaupun satu. Yang penting kita perlu tahu apakah itu yang Allah ‎ﷻ perintahkan. Dan ini kena belajar. Jika arahan Allah ‎ﷻ pun tidak tahu, bagaimana kita hendak mengaku yang kita ini sudah taat? Ramai yang mengaku taat, taat, tapi belum tahu pun apa benda yang perlu ditaati.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

agar kamu bertaqwa.

Supaya kita takut kepada Allah ‎ﷻ dan kita menjaga hukum seperti yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Taqwa juga bermaksud kita sentiasa peka dengan Allah ‎ﷻ yang sentiasa mengawasi gerak geri kita sampaikan kita tidak berani hendak melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Jun 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 151 (Rezeki anak)

An’am Ayat 151: Ayat-ayat seterusnya selepas ini adalah jenis ayat-ayat yang Muhkamat iaitu ayat-ayat yang jelas maksudnya dan mengandungi hukum yang semestinya menjadi pegangan kita. Dari ayat ini sampai ayat 153, terdapat 10 arahan daripada Allah ‎ﷻ yang dikatakan sama dengan Ten Commandments di dalam Taurat.

Maknanya, perkara yang sama juga telah diberikan kepada umat-umat yang terdahulu. Walaupun syariat antara Nabi-nabi ada yang tidak sama, tetapi ada syariat yang sama sahaja daripada Nabi yang dahulu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka hendaklah kita memberi perhatian kepada ayat-ayat ini.

Oleh sebab itulah memang ada persamaan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an dan juga di dalam kitab-kitab yang terdahulu kerana asas agama adalah sama. Dan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Yahudi yang memasuki Islam kerana mereka dapati ajaran yang sama ada juga di dalam kitab mereka.

قُل تَعَالَواْ أَتلُ مَا حَرَّمَ رَبُّڪُم عَلَيڪُم أَلَّا تُشرِكُواْ بِهِۦ شَيـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسَـٰنً۬ا‌ۖ وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَڪُم مِّن إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُڪُم وَإِيَّاهُم وَلَا تَقرَبُواْ ٱلفَوٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنهَا وَمَا بَطَنَ‌ۖ وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّ‌ۚ ذٰلِكُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلُونَ

Sahih International

Say, “Come, I will recite what your Lord has prohibited to you. [He commands] that you not associate anything with Him, and to parents, good treatment, and do not kill your children out of poverty; We will provide for you and them. And do not approach immoralities – what is apparent of them and what is concealed. And do not kill the soul which Allah has forbidden [to be killed] except by [legal] right. This has He instructed you that you may use reason.”

Malay

Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

 

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ

Katakanlah: “Marilah kamu semua untuk kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk memberitahu kepada puak-puak Musyrikin itu, apakah yang sebenarnya yang telah diharamkan oleh Allah ‎ﷻ. Jadi ia adalah perutusan dari Allah ﷻ. Ada pendapat yang mengatakan ayat 151 – 153 adalah Ummul Kitab (Induk Kitab Al-Qur’an). Ini kepada ajaran Tuhan. Ia termasuk jenis ayat-ayat yang Muhkamat. Ia tidak berubah dan mana-mana Rasul datang bawa perintah yang sama juga. Muhkamat juga bermaksud ia tidak akan dimansukhkan, akan kekal sampai bila-bila.

Bukanlah yang diharamkan itu makanan-makanan yang mereka haramkan kerana itu semua bukanlah syariat daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita kena ikut syariat daripada Allah‎ ﷻ dan sekarang kita hendak dengar apa yang Allah ‎ﷻ telah wasiatkan kepada kita. Bukannya amanat dan ajaran tok sheikh tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Sekarang Allah ﷻ sampaikan hurmah (sempadan) yang kita tidak boleh langgar dan ceroboh.

Ayat-ayat ini juga ditujukan kepada kita orang Islam sebagai pegangan agama kita. Amat malang sekali jikalau kita mengaku kita orang Islam tetapi kita masih lagi melanggar larangan-larangan Allah ‎ﷻ. Puncanya kerana tidak tahu agama yang benar yang diambil daripada wahyu. Ramai yang suka agak-agak sahaja atau ambil sahaja kata-kata daripada guru mereka.

Perkataan تَعَالَوْا berasal daripada kata dasar ع ل و yang bermaksud ‘ketinggian’. Maka, perkataan تَعَالَوْا bermaksud ‘mengajak dari tempat yang tinggi’. Sebagai contoh, mungkin seorang yang ada di atas bukit, mengajak orang lain untuk naik ke bukit itu. Apabila seseorang itu berada di atas tempat yang tinggi, itu bermakna dia boleh nampak benda-benda yang orang di bawah tidak nampak.

Mengajak orang lain ke tempat yang tinggi juga boleh bermaksud mengajak kepada ketinggian dari segi fikiran iaitu mengajak mereka kepada ketinggian ajaran agama Islam yang benar. Ini dapat dicapai dengan meninggalkan pemahaman-pemahaman rendah yang salah. Oleh kerana Nabi ﷺ berada di kedudukan yang tinggi, maka Nabi ﷺ nampak apakah yang tidak diketahui oleh kaumnya.

Pemahaman-pemahaman syirik itu adalah fahaman salah yang rendah kedudukannya daripada fahaman agama Islam yang tinggi. Sebagai contoh, masih ramai lagi masyarakat kita yang walaupun mengaku Islam tetapi masih lagi mempercayai perkara-perkara karut dan khurafat yang berasal daripada pemikiran-pemikiran yang bodoh. Walaupun Gunung Jerai itu tinggi, tetapi beramal ke sana adalah perbuatan yang rendah dan bodoh.

Perkataan أَتْلُ asal daripada katadasar ت ل و yang bermaksud ‘membacakan’ tetapi bukan hanya membacakan sahaja tetapi membacakan sesuatu yang kita fahami. Bukan saja dia faham tetapi bermaksud dia juga mengikuti apa yang dia bacakan itu. Ini kerana kalau ‘membaca’ sahaja, sudah ada perkataan lain iaitu qira’ah.

Perkataan حَرَمَ yang selalu kita faham bermaksud sesuatu yang “diharamkan’ iaitu perkara yang kita tidak boleh buat. Tetapi apabila perkataan حَرَّمَ digunakan di dalam bentuk suruhan di dalam ayat ini, ia bermaksud ‘satu arahan yang mulia daripada Allah’. Seperti juga apabila kita gunakan perkataan haram kepada Masjidilharam, ia bukanlah bermaksud yang masjid itu haram untuk kita sentuh tetapi ia bermaksud satu masjid yang amat mulia.

Maka, di dalam ayat ini, perkataan حَرَّمَ bermaksud apa yang akan diberitahu selepas ini adalah arahan-arahan yang amat penting dan mulia yang perlu kita ikuti dan kita jaga.

 

أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia,

Ini adalah yang paling utama sekali. Jangan sekali-kali syirik. Haram untuk melakukan kesyirikan. Kesalahan syirik adalah satu kesalahan yang paling besar dalam agama. Dalam banyak-banyak dosa besar yang telah disebut, kesalahan syirik adalah kesalahan yang paling besar. Ini kerana dosa-dosa yang lain walaupun dosa-dosa yang besar, Allah ‎ﷻ masih ampunkan lagi, tetapi untuk dosa syirik, Allah ‎ﷻ telah beritahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan ampuni.

Maka ia kena ditinggalkan walau sekecil mana pun. Dan tidaklah syirik boleh ditinggalkan melainkan dengan Tauhid. Maka kena faham apa itu syirik dan kena tahu apa itu Tauhid. Ini sudah jadi perkara wajib kerana ada arahan tegas dari Allah ﷻ.

Apabila perkataan شَيْئًا digunakan, ia bermaksud kita tidak akan mensyirikkan Allah‎ ﷻ dengan sesuatu apa pun. Sama ada dengan benda yang besar ataupun kecil. Sama ada dengan benda yang jelas nampak ataupun benda yang samar – samar. Yang zahir ataupun yang batin (jaliyy atau khafiyy). Sama ada benda itu memang ada wujud dalam alam ini, ataupun dengan benda-benda yang tidak wujud hasil daripada rekaan fikiran manusia sahaja. Oleh sebab itu, jangan syirikkan Allah ‎ﷻ dengan apa-apa sahaja.

Namun, amat menyedihkan sekali, ramai yang berbuat syirik walaupun tidak ada sesiapa pun yang paksa kita buat syirik di dunia ini. Kebanyakan yang buat syirik itu sekarang adalah kerana kejahilan mereka dalam agama sahaja. Tiada sesiapa pun yang paksa berqasidah ya hanana beramai-ramai, tetapi yang pergi itu semuanya pergi dengan sukarela dan gembira. Mereka sendiri yang bawa diri mereka ke tempat syirik. Tidak ada sesiapa yang paksa ke Gunung Jerai, tetapi diri sendiri yang hendak pergi, bukan?

Sesiapa yang mati tanpa mensyirikkan Allah ‎ﷻ, akan masuk ke dalam syurga. Cuma kalau ada dosa, kena masuk ke dalam neraka untuk dicuci dosa-dosa itu. Maka, kenalah tahu apakah itu tauhid, dan apakah itu syirik.

Ragu-ragu dengan Allah ‎ﷻ pun sudah dikira sebagai syirik. Orang-orang kafir sebenarnya tidak berharap kepada Tuhan, sebaliknya mereka berharap kepada pemuka-pemuka agama mereka seperti sami, tok cha dan paderi. Maka, kalau kita pun ragu-ragu sama ada Allah ‎ﷻ dengar doa kita atau tidak, sampai kita minta tolong orang lain seperti ustaz atau orang lain, itu bermaksud kita ada ragu-ragu dengan Tuhan. Ini kerana kita tidak percaya yang Allah Maha Mendengar.

Oleh itu, jangan buat sedikit pun dosa syirik. Jangan kata tidak apa kalau buat syirik sikit, atau kita berhujah amalan-amalan yang tidak ada dalam agama itu sebagai tidak syirik sedangkan kita tidak tahu. Jangan meringankan dosa syirik. Lihatlah bagaimana tidak ada hukum hudud untuk dosa syirik. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ sendiri yang akan beri hukuman syirik itu. Ini adalah kerana berat sangat dosa syirik itu.

 

وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا

berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa,

Ini arahan mulia kedua yang Allah ‎ﷻ suruh kita lakukan. Kena sentiasa berlaku baik dengan kedua ibu bapa kita. Dengan kedua-duanya sekali. Jangan pula kita berbuat baik dengan ibu, tetapi dengan ayah tidak pula. Memang ada kelebihan pada ibu, tetapi berbuat baik mestilah dilakukan kepada kedua-dua sekali. Jangan kita sangka hanya ibu sahaja kita kena beri perhatian. Ini kerana perkataan والدين yang digunakan, yang bermaksud ‘dua ibu dan bapa’.

Lihatlah bagaimana selepas Allah ‎ﷻ sebut jangan syirik kepada-Nya, terus disebut kewajipan berbuat baik dengan ibubapa kita. Ini menunjukkan betapa pentingnya mereka kepada kita dan kepada Allah ‎ﷻ. Ini juga bermakna, derhaka kepada ibu bapa adalah haram. Tetapi, bukan hanya jangan derhaka kepada mereka, tetapi kita kena buat baik kepada mereka, iaitu kena ada bonus.

Lihat juga dalam Luqman: 14, bagaimana selepas disuruh kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita disuruh berterima kasih kepada ibubapa pula,

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Perkataan إِحْسَانًا bermaksud ‘berbuat baik’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘berbuat baik lebih daripada apa yang perlu’. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat membalas segala budi ibu bapa kita. Tetapi kita disuruh juga berbuat baik lebih lagi kepada mereka. Di dalam Isra: 24 Allah ‎ﷻ sebut وَٱخفِض لَهُمَا (Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua). Ia mengandungi banyak makna yang diterangkan di dalam tafsir ayat itu.

Dan kadangkala ini mencabar sebenarnya. Kalau mereka baik dengan kita, senanglah juga. Namun katakanlah mereka sedang marah kita, atau kita sedang marah dengan mereka, waktu itu memang amat mencabar. Tetapi Allah ‎ﷻ ingatkan dalam ayat ini, yang kita kena buat ‘lebih baik’ lagi.

Ini juga ada disebutkan dalam hadith berikut:

Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, “Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami – seraya menunjuk rumah Abdullah – ia berkata, “Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ, “Amal apakah yang paling dicintai oleh Allah?” Baginda menjawab: “Salat pada waktunya.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab: “Kemudian berbakti kepada kedua orang tua.”Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab: “Jihad fi sabilillah.” Abdullah berkata, “Baginda sampaikan semua itu, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda akan menambahkannya untukku.”

(HR Bukhari No: 496)

Status: Hadis Sahih

Lihatlah, selepas salat sahaja, disebut tentang berbuat baik kepada ibu bapa dan ia lebih lagi daripada berjihad fi sabilillah! Ma sha Allah.

Perkataan إِحْسَانًا bukanlah bermaksud berbuat baik sebagai balasan daripada kebaikan. Walaupun mereka tidak berbuat baik kepada kita, kita masih lagi kena berbuat baik dengan mereka. Ini kerana ada yang sangka kalau ibu bapa mereka tidak layan mereka dengan baik, mereka boleh layan mereka tidak baik juga. Bukan begitu.

Tidak kisah bagaimana mereka melayan kita, kita kena layan mereka dengan baik juga. Bayangkan, kesusahan ibu kita menanggung kita selama 9 bulan pun kita tidak dapat balas. Bagaimana pula dengan kesakitan yang ditanggungnya semasa melahirkan kita?

Banyak sangat aspek yang perlu disentuh kalau hendak menceritakan bagaimana hendak berbuat baik kepada mereka. Secara ringkasnya, kita hendaklah melakukan perkara yang menyebabkan mereka gembira. Ketahuilah apa yang mereka suka kita lakukan. Asalkan perkara itu tidak bercanggah dengan agama, maka hendaklah kita lakukan.

Dan kita kena lakukan apa yang mereka suka semasa mereka di dunia dan selepas MEREKA TIADA. Ataupun semasa mereka tiada di depan mata kita pun. Kalau kita berbuat baik, siapa yang akan dipuji? Mereka juga yang dipuji. Mungkin ada yang berkata: “Ini anak Pak Nayan rupanya, baiknya dia…..” Begitu juga kalau kita buat benda yang buruk, siapa yang kena kecam? Mereka juga, bukan?

Kita kena berbuat baik dengan mereka walaupun ibu bapa itu kafir. Berapa banyak kisah kita dengar bagaimana mualaf yang melayan ibubapa mereka dengan baik, sampaikan ibubapa mereka terbuka hati untuk masuk Islam? Ini kerana mereka nampak anak mereka itu lebih baik lagi dari sebelum mereka masuk Islam.

 

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلٰدَكُم مِّنْ إِمْلٰقٍ

dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan,

Sebelum ini telah disebut hak ibu bapa. Sekarang disebut hak anak-anak pula, jangan tidak diberi hak mereka dan jangan dizalimi mereka. Dan kezaliman yang paling teruk adalah membunuh mereka kerana apa-apa sebab pun. Bangsa Arab memang ada yang membunuh anak-anak mereka atas beberapa sebab yang kita telah pernah sebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat ini, disebutkan salah satu daripada sebab-sebab itu – kerana miskin atau kerana takut jatuh miskin.

Perkataan إِمْلَاقٍ berasal daripada م ل ق yang bermaksud ‘memadam’ dan ‘membersihkan sesuatu’. Apabila sesuatu dipadamkan, bermaksud ia telah tiada. Oleh itu, إِمْلَاقٍ digunakan dalam ayat ini bermaksud apabila sesuatu telah dipadamkan atau dibersihkan. Seperti duit kita, kalau digunakan, lama-lama akan habis. إِمْلَاقٍ juga bermaksud ‘kemiskinan’ kerana sudah tiada harta.

Pada zaman jahiliyyah, mereka akan tanam anak-anak mereka terutama anak perempuan. Dan kalau zaman sekarang pula, ada ibu yang menggugurkan anak dalam kandungan atau gunakan berbagai cara untuk mengelakkan daripada tidak mendapat anak. Untuk zaman sekarang pelbagai cara yang boleh digunakan.

Dalam ayat ini disebut ‘kerana kemiskinan’ iaitu memang sudah miskin. Dalam Isra’: 31 disebut خَشيَةَ إِملَـٰقٍ۬‌ۖ (takut miskin). Maknanya kedua-duanya dilarang. Sama ada kerana miskin atau takut miskin (belum jatuh miskin lagi), janganlah dibunuh anak-anak itu.

Ayat ini termasuklah perbuatan ‘merancang keluarga’ kerana takut miskin. Ramai masyarakat kita merancang keluarga kerana mereka takut kalau anak mereka ramai, mereka akan jatuh miskin dan tidak dapat menikmati kehidupan yang senang. Lainlah kalau mereka merancang untuk tidak dapat anak kerana masalah kesihatan. Jika untuk masalah kesihatan, maka perancangan keluarga itu dibenarkan. Atau untuk menjarakkan kelahiran anak selama dua tahun. Ini pun dibenarkan kerana kalau lahir setiap tahun pun susah juga.

Kenapa kita takut miskin sedangkan berapa sangatlah anak itu makan? Sikit sahaja sebab perut mereka pun kecil. Mereka bukan makan banyak pun. Tambah pula kalau kita menyusukan anak itu. Dan bukan mereka pun yang beri rezeki kepada anak itu, tetapi Allah ‎ﷻ yang beri rezeki mereka. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang takdirkan mereka dilahirkan, maka Allah ‎ﷻ akan sediakan rezeki untuk mereka pastinya.

Dalam ayat ini, perkataan إِمْلَاقٍ digunakan untuk membawa maksud ‘takut miskin’. Itulah yang mereka takuti. Padahal, mereka lupa bahawa harta dan wang datang daripada pemberian Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberi lebih lagi kepada kita.

Membunuh anak adalah satu perbuatan yang teramat buruk. Jika dibunuh orang lain, mungkin ada orang lain yang akan balas dendam dan tegakkan keadilan bagi orang itu. Akan tetapi kalau bunuh anak sendiri, siapa yang akan tegakkan? Maka kerana itu Allah ‎ﷻ sebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an tentang hal ini.

Kita sudah sebut tentang pembunuhan secara fizikal. Ini semua boleh faham. Akan tetapi ada juga yang menyebut pembunuhan secara ma’nawi (secara makna sahaja, secara kiasan). Iaitu tidak bunuh secara fizikal, tetapi tidak diberi ilmu agama kepada mereka. Ini pun dikira sebagai pembunuhan juga, tetapi tidaklah bunuh yang jenis fizikal itu. Kerana bukankah kalau tidak ada pemahaman agama itu dikira sebagai mati juga?

 

نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka,

Ini alasan Allah ‎ﷻ kenapa jangan dibunuh anak kerana miskin (atau takut miskin). Kerana Allah ‎ﷻlah yang memberi rezeki kepada kita dan juga kepada anak-anak kita. Kenapa kita perlu takut jatuh miskin kerana anak, padahal dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sendiri memberitahu kepada kita bahawa Dia yang memberi rezeki kepada anak itu dan bukannya kita.

Maknanya setiap orang di dunia ini Allah ‎ﷻ telah sediakan rezeki untuk mereka sebelum mereka dilahirkan lagi. Apabila Allah ‎ﷻ mengizinkan anak itu lahir dan terus hidup, Allah ‎ﷻ akan memberi rezeki kepada anak itu. Sepertimana Allah ‎ﷻ juga telah memberi rezeki kepada kita.

Pernahkah kita dengar bagaimana orang yang baru dapat anak, rezeki ibu bapanya bertambah? Itu adalah kerana Allah ‎ﷻ menambah rezeki ibu bapa kerana dengan menambahkan rezeki ibu bapa, ada bahagian untuk anak itu.

Balaghah: Terdapat balaghah takdim wa ta’khir dalam ayat ini – mendahulukan dan mengkemudiankan sesuatu. Susunan dalam potongan ayat ini berlainan dalam susunan dalam Isra: 31. Dalam surah itu, potongan ayat ini begini:

نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم

Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu.

Walaupun dalam terjemahan biasa, maksudnya sama sahaja, tetapi kenapa dalam Surah Isra itu, didahulukan pemberian rezeki kepada anak-anak itu dan dalam Surah al-An’am ini, kenapa didahulukan pemberian rezeki kepada ibubapa? Sedangkan tajuk dan tujuan potongan ayat sama sahaja: jangan bunuh anak.

Jawapan: Ayat dalam Surah al-An’am ini ditujukan kepada ibubapa yang sudah ada kesempitan hidup. Mereka amat miskin dan untuk tanggung diri mereka pun sudah payah. Maka, mereka takut kalau ada anak, akan menyusahkan mereka nanti, takut mereka tidak boleh beri makan kepada anak itu. Sampaikan mungkin ada yang bunuh anak kerana takut tidak ada rezeki.

Allah ‎ﷻ beritahu, tidak boleh begitu. Jangan bunuh anak kerana bukan kamu yang beri rezeki, tetapi Allah ‎ﷻ yang beri rezeki. Didahulukan rezeki kepada mereka sendiri sebelum rezeki kepada anak, kerana Allah ‎ﷻ mahu tekankan, mereka yang hidup itu pun Allah ‎ﷻlah yang beri rezeki. Dan bila anak itu lahir nanti, Allah ‎ﷻ akan beri rezeki kepada anak itu juga.

Dalam ayat ini, dimulakan sebut yang rezeki diberikan kepada ibubapa itu kerana itulah yang mereka lebih takut. Mereka takut mereka tidak ada rezeki kalau mereka dapat anak. Mereka takut nanti mereka sendiri hendak makan pun susah. Maka Allah ‎ﷻ sebut tentang rezeki untuk mereka dahulu.

Sedangkan, dalam Surah al-Isra itu, didahulukan pemberian rezeki kepada anak, kerana ayat itu ditujukan kepada orang yang kaya. Mereka ada kesenangan hidup, tetapi mereka takut kalau mereka ada anak, anak itu akan mengurangkan rezeki mereka pula nanti. Mereka tidak risaukan diri mereka, tetapi mereka risaukan anak itu akan makan rezeki mereka. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tekankan yang apabila anak itu dilahirkan, mereka akan diberikan rezeki.

Dan dalam ayat Surah Isra’ ini disebut rezeki untuk anak dahulu kerana ibubapa itu takut anak itu tidak dapat makan. Maka Allah ‎ﷻ sebut Dia pasti akan beri rezeki kepada anak itu.

Balaghah: Kenapa Allah ‎ﷻ tidak sebut sahaja yang Dia beri rezeki kepada semua? Kenapa Dia pecahkan rezeki ibubapa dan rezeki anak?

Jawapan: Kerana rezeki kita tidak pernah bercampur. Ada rezeki anak dan ada rezeki ayah. Malah rezeki setiap orang pun. Allah ‎ﷻ beri rezeki masing-masing dan kita tidak pernah bergantung rezeki dengan makhluk lain. Cuma, kalau nampak ibu bapa yang beri rezeki, mereka itu sebagai penyalur/agen Pemberi Rezeki (iaitu Allah ‎ﷻ) sahaja. Bukannya mereka beri rezeki mereka kepada anak. Begitu juga kalau tauke tidak memberi rezekinya kepada pekerja bawahannya, tetapi pekerja itu mendapat rezeki dia sendiri. Cuma Allah ‎ﷻ salurkan rezeki pekerja itu melalui tauke itu.

Akhir sekali, disebut rezeki dahulu kepada ibu bapa itu kerana Allah ‎ﷻ beri rezeki itu kepada ibu dan bapa dahulu, dan untuk diberikan kepada anak-anak mereka. Anak-anak itu tidaklah pula mendapat terus rezeki itu. Ini mengingatkan kita yang rezeki yang kita dapat ini, bukan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk orang yang di bawah tanggungan kita juga.

 

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوٰحِشَ

dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji,

Allah ‎ﷻ bukan kata ‘jangan buat’, tetapi Allah ‎ﷻ kata ‘jangan dekati’ pun. Jangan fikirkan pun hendak buat. Ini menolak pintu kepada maksiat. Jangan dekati kerana kalau dekati, berkemungkinan kita akan buat dosa itu. Maknanya ada perkara buruk dalam dunia ini, dekati pun jangan, apatah lagi untuk buat.

Perkataan الْفَوَاحِشَ bermaksud sesuatu ‘dosa yang keji dan memalukan’ seperti zina, iaitu dosa yang melibatkan moral yang buruk. الْفَوَاحِشَ adalah dosa yang buruk dan kesannya pun buruk kepada pelaku dan juga kepada orang lain. Antaranya termasuk dosa membunuh. Tetapi selalunya perkataan الْفَوَاحِشَ digunakan untuk merujuk kepada ‘dosa zina’. Seperti yang disebut dalam Isra:32

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Untuk Arab jahiliah, kebanyakan mereka tidak memandang zina sesuatu yang buruk kerana ia berlaku secara berleluasa pada zaman itu. Rumah-rumah pelacur ditandakan dengan bendera di atasnya untuk memudahkan orang untuk mencarinya. Mereka tidak ada rasa malu untuk mengiklankan kegiatan mereka secara terbuka begitu. Bagi pengembara, mereka akan cari rumah sebegitu untuk melabuhkan diri mereka. Dapat tempat tinggal pada malam itu dan teman ‘bermalam’.

Dan di rumah kediaman orang pula, adalah perkara biasa sahaja untuk mereka memberikan hamba perempuan mereka kepada tetamu untuk kepuasan seks sebagai satu cara menghormati tetamu.

Kita takuti kalau zaman sekarang dan zaman akan datang akan jadi begitu juga di mana manusia sudah tidak nampak keburukan zina. Namun begitu walaupun ia dipandang biasa oleh masyarakat, ia akan tetap dipandang keji oleh agama.

Allah ‎ﷻ memang tidak suka perbuatan yang keji. Lihatlah hadith berikut:

Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Sa’ad bin Ubadah berkata: 
لَوْ رَأَيْتُ رَجُلا مَعَ امْرَأَتِى لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ
Sekiranya aku melihat lelaki lain bersama isteriku, pasti aku akan menghunusnya dengan pedang tanpa ampun”. 
Lalu, hal tersebut sampai kepada Rasulullah ﷺ dan Baginda bersabda:
أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لأنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّى، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
Adakah kamu merasa kagum terhadap kecemburuan Saad? Demi Allah, aku lebih bersifat cemburu daripadanya, manakala Allah lebih bersifat cemburu daripadaku. Oleh kerana cemburunya Allah, Dia mengharamkan kekejian yang nampak dan yang tidak nampak. 
وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ الْمُبَشِّرِينَ وَالْمُنْذِرِينَ، وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمِدْحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الْجَنَّةَ
Sungguh, tiada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah ‎ﷻ. Dan, tidak ada seorangpun yang lebih menyukai uzur daripada Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu, Dia mengutuskan para nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan. Juga, tidak ada seorangpun suka dipuji lebih daripada Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah, Allah menjanjikan syurga”.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kalau manusia sendiri tidak suka perbuatan keji, apatah lagi Allah ‎ﷻ.

Potongan ayat ini kalau dibandingkan dengan ‘Ten commandments’, ia adalah larangan berzina dengan isteri jiran. Ini pun termasuk juga dalam larangan ayat ini.

 

مَا ظَهَرَ مِنْهَا

sama ada yang nampak di antaranya

Ini merujuk kepada الْفَوَاحِشَ yang zahir, yang jelas kelihatan seperti lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang duduk bersama berpegangan tangan tanpa rasa malu dan bersalah. Sekarang ini biasa sangat kita nampak di mana-mana. Kadang-kadang ibu bapa pun tidak kisah. Namun ia masih tetap berdosa walaupun kita nampak biasa sahaja.

Atau ayat ini juga merujuk kepada dosa yang dilakukan secara fizikal. Ada dosa yang kita lakukan dengan kaki dan tangan kita dan tidak disorok pun daripada orang ramai kerana kita tidak malu.

 

وَمَا بَطَنَ

mahupun yang tersembunyi,

Merujuk kepada الْفَوَاحِشَ yang dilakukan dalam rahsia. Kita tidak tunjuk kepada orang lain semasa melakukannya. Jenis buat dosa senyap-senyap sebab takut orang tahu kerana kita malu dengan orang lain.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, jangan buat dosa secara nyata atau tersembunyi kerana kedua-duanya tetap berdosa dan tetap Allah ‎ﷻ tahu.

Atau merujuk kepada dosa yang dilakukan dalam hati. Sebagai contoh: memikirkan sesuatu yang buruk. Sebagai contoh, menyimpan rasa cemburu kepada orang lain; rasa putus asa dan sebagainya.

Antara yang selalu kita buat sekarang adalah lawak lucah. Kita bagaikan sudah tiada rasa bersalah kalau buat lawak yang mengandungi unsur seks. Sedangkan perkara itu akan menyebabkan kita rasa lali dengan hal-hal seks sampaikan akhirnya dengan perbuatan zina pun kita tidak kisah. Malangnya kadangkala ia keluar di meja penceramah.

Begitu juga kita tidak kisah kalau filem yang kita tonton ada elemen seks di dalamnya. Kita pandai pula kata: “Tak banyak, sikit sahaja, masih boleh tengok lagi…”

Satu lagi pendapat ulama’ tafsir, yang zahir itu adalah segala jenis dosa melainkan yang melibatkan aqidah. Yang batin itu yang melibatkan aqidah.

 

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ

dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya)

Tidak boleh membunuh jiwa yang Allah ‎ﷻ telah haramkan kita membunuhnya. Ini rasanya semua orang boleh terima. Kita pun tidak ada bunuh orang dan tidak tefikir pun untuk bunuh orang.

Namun ini yang berlaku di negara kita. Bagaimana pula kalau di negara seperti Amerika di mana harga nyawa begitu murah sekali? Kadangkala silap masuk lorong di jalanan pun boleh melayang nyawa. Maka, peringatan ini adalah relevan. Mungkin tidak di negara kita, tetapi ada tempat yang memerlukan peringatan ini.

Termasuk dalam maksud jiwa adalah diri kita sendiri. Maka haram untuk membunuh diri kerana ia pun termasuk jiwa juga bukan? Sekarang berapa ramai sudah orang Islam yang mengambil keputusan membunuh diri kerana tidak tahan dengan dugaan hidup? Ia amat menakutkan.

 

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar”.

Ada keadaan yang memang boleh bunuh orang lain. Contohnya, apabila dibunuh kerana Qisas (Balas bunuh). Atau pembunuhan kerana menjalankan hukum Hudud. Atau pembunuhan orang kafir dalam peperangan.

Proses penghakiman Hudud perlu dijalankan dengan haq. Cuma di negara ini sekarang tidak dapat lagi dijalankan hukum Hudud. In sha Allah, apabila Islam sudah ditegakkan, hukum Allah ‎ﷻ akan ditegakkan.

Perhatikan bagaimana mula-mula telah disebut jangan membunuh anak-anak. Sekarang tentang pembunuhan lain pula. Dan di tengah-tengahnya ada sebut tentang zina. Semuanya berkaitan kerana yang dibunuh selalunya anak zina. Sekarang memang banyak kita dengar dan kita baca.

Jika tidak dibunuh pun, anak zina itu akan dibuang atau ditinggalkan di tempat sampah dan sebagainya. Hari-hari kita boleh lihat kejadian ini. Kemudian, kalau ada orang berzina dengan isteri orang lain, itu pun boleh menyebabkan pembunuhan kerana suami wanita itu tentu tidak tahan, sampai boleh membunuh.

Kita kena jaga nyawa manusia kerana darah manusia adalah mulia.

مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنِّي رَسُوْلُ اللهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ : الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ [رواه البخاري ومسلم]

Daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: “Rasululllah ﷺ bersabda: “Tidak halal ditumpahkan darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu di antara tiga alasan: orang yang telah kahwin melakukan zina, orang yang membunuh jiwa (orang muslim) dan orang yang meninggalkan agamanya memisahkan diri daripada jamaah.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, bukanlah bermaksud kita tidak boleh membunuh orang Islam sahaja. Orang kafir pun kita tidak boleh dibunuh kerana perkataan النَّفْسَ dalam ayat ini berbentuk umum – untuk mana-mana manusia pun. Jika kita membunuh orang kafir pun berdosa besar juga melainkan kalau dengan sebab yang haq. Kena ada sebab kalau nak bunuh mereka, sebagai contoh, mereka berperang dengan kita.

من قتل قتيلا من أهل الذمة لم يرح رائحة الجنة وان ريحها ليوجد من مسيرة أربعين عاما (رواه الإمام احمد

“Barang siapa membunuh seorang kafir dzimmy, tidak dapat mencium bau syurga. Dan sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dalam jarak perjalanan empat puluh tahun.”

( Hadith riwayat Imam Ahmad).

Kafir dzimmy adalah orang kafir yang tinggal dalam wilayah Islam dan telah mendapat kerakyatan dalam negara Islam kerana telah ada persetujuan antara kafir dzimmy itu dan pemerintah Islam.

ان اول ما يحكم بين العباد فى الدماء (رواه البخارى ومسلم والنسائى وبن ماجه والترمذى
“Perkara yang pertama diadili di hadapan Allah pada hari kiamat ialah masalah darah (pembunuhan).”

( Hadith riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai, Ibnu Majah dan Turmudzi).

Islam menganggap dosa besar orang yang mencabut nyawa orang lain. Oleh kerana itu, Islam memberikan perumpamaan, bahawa membunuh seseorang bererti membunuh seluruh umat manusia. Untuk itu Allah ‎ﷻ berfirman dalam Al-Qur’an dalam Maidah: 32:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ
“Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak diantara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi”.

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Demikian itu yang diperintahkan kepadamu

Telah disebut lima hukum (daripada sepuluh yang akan disebut) dan sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan kepentingan semua hukum itu. Kalimah وَصَّاكُم berasal daripada perkataan wasiyyah yang bermaksud ‘arahan yang penting’. Ia adalah penting kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, ia adalah wasiat yang amat penting untuk dijaga.

 

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

supaya kamu memahami(nya).

Allah ‎ﷻ memberikan semua ayat-ayat ini supaya kita menggunakan akal kita untuk mengikut perintah Allah ‎ﷻ dalam ayat ini. Semua yang diajar dalam Al-Qur’an dan oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk kepentingan kita. Kalau kita perhatikan dan kita tadabbur, maka kita akan nampak kepentingan dan kehebatan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Mei 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an