Tafsir Surah al-Falaq Ayat 1 – 2 (Berlindung dengan Allah ﷻ)

Muqaddimah

Surah ini adalah salah satu daripada dua surah yang dikenali Muawwizatain (dua yang melindung). Surah An-Naas dan Surah Al-Falaq merupakan dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan (‘Al-Mu’awwizataini’). Oleh kerana itu, kedua-dua surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di antara surah-surah yang lain.

Surah al-Falaq diturunkan selepas surah al-Fiil dan diletakkan selepas surah al-Ikhlas dalam susunan mushaf Al-Qur’an. Hampir kesemua orang Islam menghafal surah ini, maka ada baiknya kalau kita melihat apakah makna ayat-ayat dalam surah ini, supaya apabila kita membacanya, kita memahami apakah kesan dan harapan kita semasa membacanya.

Seperti yang kita ketahui, surah ini mempunyai permohonan perlindungan kepada Allah ‎ﷻ. Di dalam surah ini, kita meminta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada empat keburukan, iaitu:
1. Keburukan daripada semua ciptaan Allah ‎ﷻ (makhluk).
2. Keburukan yang ada pada malam.
3. Keburukan Sihir.
4. Keburukan Hasad Dengki.

Semasa kita membaca surah ini, kita memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya menjauhkan kita daripada semua kejahatan yang datang dalam empat perkara ini. Kita memohon supaya semuanya itu terlindung daripada kita dan kerana itu, kita memerlukan pertolongan daripada Allah‎ ﷻ.

Satu persamaan keempat-empat perkara ini adalah: ia adalah perkara yang kita tidak dapat kawal langsung. Dibandingkan dengan satu lagi Surah Muawwizaat (Surah an-Naas), di mana ia adalah tentang sesuatu yang kita ada kawalan – syaitan. Ini kerana syaitan hanya boleh membisikkan was-was kepada kita, maka kita mempunyai pilihan sama ada hendak ikut ataupun tidak.

Lihat kembali susunan 4 perkara itu. Ianya adalah susunan daripada yang umum kepada yang lebih khusus. Inilah yang hebatnya susunan Al-Qur’an dalam surah ini (dan tentunya surah-surah yang lain).

1. Segala keburukan yang boleh datang daripada ciptaan Allah ‎ﷻ (makhluk) – ini memang betul-betul dalam bentuk yang umum. Ianya boleh merangkumi apa-apa sahaja dan segala benda, bukan?

2. Kemudian keburukan malam lebih khusus daripada segi waktu. Merujuk kepada waktu malam.

3. Kemudian tentang sihir pula. Lebih khusus lagi daripada segi perbuatan jahat itu, tetapi masih dalam bentuk jamak.

4. Yang paling khusus adalah tentang mereka yang hasad dan melakukan sesuatu daripada sebab hasad dengki mereka itu.

Antara kelebihan surah ini adalah surah al-Falaq dapat melindungi kita daripada sihir yang hendak dikenakan kepada kita. Ada riwayat yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah disihir. Maka sihir ini memang benar-benar ada dan boleh terjadi kepada kita. Ini ada disebut di dalam Sahih Bukhari.

٥٣٢٣ – حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُيَيْنَةَ يَقُولُ أَوَّلُ مَنْ حَدَّثَنَا بِهِ ابْنُ جُرَيْجٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي آلُ عُرْوَةَ عَنْ عُرْوَةَ فَسَأَلْتُ هِشَامًا عَنْهُ فَحَدَّثَنَا عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلَا يَأْتِيهِنَّ قَالَ سُفْيَانُ وَهَذَا أَشَدُّ مَا يَكُونُ مِنْ السِّحْرِ إِذَا كَانَ كَذَا فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَعَلِمْتِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ الَّذِي عِنْدَ رَأْسِي لِلْآخَرِ مَا بَالُ الرَّجُلِ قَالَ مَطْبُوبٌ قَالَ وَمَنْ طَبَّهُ قَالَ لَبِيدُ بْنُ أَعْصَمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ حَلِيفٌ لِيَهُودَ كَانَ مُنَافِقًا قَالَ وَفِيمَ قَالَ فِي مُشْطٍ وَمُشَاقَةٍ قَالَ وَأَيْنَ قَالَ فِي جُفِّ طَلْعَةٍ ذَكَرٍ تَحْتَ رَاعُوفَةٍ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ قَالَتْ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِئْرَ حَتَّى اسْتَخْرَجَهُ فَقَالَ هَذِهِ الْبِئْرُ الَّتِي أُرِيتُهَا وَكَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ وَكَأَنَّ نَخْلَهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قَالَ فَاسْتُخْرِجَ قَالَتْ فَقُلْتُ أَفَلَا أَيْ تَنَشَّرْتَ فَقَالَ أَمَّا اللَّهُ فَقَدْ شَفَانِي وَأَكْرَهُ أَنْ أُثِيرَ عَلَى أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ شَرًّا

5323. Telah menceritakan kepadaku Abdullah bin Muhammad dia berkata; saya mendengar Ibnu ‘Uyainah berkata; orang yang pertama kali menceritakan kepada kami adalah Ibnu Juraij, dia berkata; telah menceritakan kepadaku keluarga ‘Urwah daripada ‘Urwah, lalu aku bertanya kepada Hisyam tentang hadithnya, maka dia menceritakannya kepada kami daripada ayahnya daripada ‘Aisyah رضي الله عنها dia berkata; bahawa Rasulullah ﷺ pernah disihir hingga seakan-akan baginda telah mendatangi para isterinya, padahal baginda tidak mendatanginya, -Sufyan mengatakan; “Bahawa keadaan seperti ini termasuk sihir yang paling berat- kemudian baginda bersabda: “Wahai Aisyah, apakah kamu mengetahui bahawa Allah telah memberikan fatwa (menghukumi) dengan apa yang telah aku fatwakan (hukumi)? Dua orang laki-laki telah datang kepadaku, lalu salah seorang daripada keduanya duduk di atas kepalaku dan satunya lagi di kakiku. Kemudian seorang yang berada di kepalaku berkata kepada yang satunya; “Kenapa laki-laki ini?” Temannya menjawab; “Terkena sihir.’ Salah seorang daripadanya bertanya; “Siapakah yang menyihirnya?” Temannya menjawab; “Lubid bin Al A’sham, laki-laki daripada Bani Zuraiq, seorang munafik dan menjadi sekutu orang-orang Yahudi.” Salah seorang daripadanya bertanya; “Dengan benda apakah dia menyihir?” Temannya menjawab; “Dengan rambut yang terjatuh ketika disisir.” Salah seorang daripadanya bertanya; “Di manakah benda itu diletakkan?” temannya menjawab; “Di mayang kurma yang diletakkan di bawah batu dalam sumur Dzarwan.” Aisyah berkata; “Kemudian Rasulullah ﷺ mendatangi sumur tersebut hingga baginda dapat mengeluarkan barang tersebut, lalu baginda bersabda: “Ini adalah sumur yang diperlihatkan padaku, seakan-akan airnya berubah bagaikan rendaman pohon inai dan seakan-akan pohon kurmanya bagaikan kepala syaitan.” Abu Hisyam berkata; “apakah baginda meminta barangnya dikeluarkan?” Aisyah رضي الله عنها berkata; Lalu aku bertanya; “Apakah anda tidak meruqyahnya?” baginda bersabda: “Tidak, sesungguhnya Allah telah menyembuhkanku dan aku hanya tidak suka memberikan kesan buruk kepada orang lain daripada peristiwa itu.”

(Sahih Bukhari No. 5323)

Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum. Kemudian, Rasulullah ﷺ membaca ‘Surah Mu’awwizataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada baginda dalam mimpi semalam.

Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut, terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah ﷺ dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas daripada belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh baginda yang beransur hilang.

Disebabkan riwayat itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa surah ini adalah Surah Madaniyyah. Akan tetapi yang menolaknya mengatakan surah ini Makkiah, cuma malaikat mengingatkan Nabi ﷺ bahawa dua surah itu boleh digunakan sebagai ruqyah.

Nabi ﷺ juga pernah bersabda lagi tentang kelebihan surah ini:

Rasulullah ﷺ bersabda:
أُنْزِلَ – أَوْ أُنْزِلَتْ – عَلَىَّ آيَاتٌ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ الْمُعَوِّذَتَيْنِ
“Telah diturunkan kepadaku ayat-ayat yang tidak sepertinya iaitu ‘Al-Mu’awwizataini’ (Surah An-Naas dan surah Al-Falaq).”
 (HR Muslim no. 814, At Tirmidzi no. 2827, An Nasa’iy no. 944)

Ada satu pendapat yang dipegang oleh ibn Mas’ud رضي الله عنه bahawa dua surah ini bukan sebahagian daripada Al-Qur’an tetapi ia merupakan Doa Ruqyah sahaja. Ini adalah pendapat minoriti sahaja dan ditolak kerana ijmak sahabat yang lain mengatakan bahawa dua surah ini adalah sebahagian daripada Al-Qur’an dan dimasukkan ke dalam mushaf. Tambahan pula ada riwayat yang mengatakan Nabi ﷺ ada membaca dua surah ini di dalam solat, maka tentulah ia adalah sebahagian daripada Al-Qur’an.

أَخْبَرَنِي مَحْمُودُ بْنُ خَالِدٍ قَالَ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ قَالَ حَدَّثَنِي ابْنُ جَابِرٍ عَنْ الْقَاسِمِ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ قَالَ بَيْنَا أَقُودُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَقَبٍ مِنْ تِلْكَ النِّقَابِ إِذْ قَالَ أَلَا تَرْكَبُ يَا عُقْبَةُ فَأَجْلَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَرْكَبْ مَرْكَبَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ أَلَا تَرْكَبُ يَا عُقْبَةُ فَأَشْفَقْتُ أَنْ يَكُونَ مَعْصِيَةً فَنَزَلَ وَرَكِبْتُ هُنَيْهَةً وَنَزَلْتُ وَرَكِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ أَلَا أُعَلِّمُكَ سُورَتَيْنِ مِنْ خَيْرِ سُورَتَيْنِ قَرَأَ بِهِمَا النَّاسُ فَأَقْرَأَنِي قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ فَأُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَتَقَدَّمَ فَقَرَأَ بِهِمَا ثُمَّ مَرَّ بِي فَقَالَ كَيْفَ رَأَيْتَ يَا عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ اقْرَأْ بِهِمَا كُلَّمَا نِمْتَ وَقُمْتَ

Telah mengabarkan kepadaku [Mahmud bin Khalid] ia berkata; telah menceritakan kepada kami [Al Walid] ia berkata; telah menceritakan kepadaku [Ibnu Jabir] daripada [Al Qasim Abu ‘Abdurrahman] daripada [‘Uqbah bin Amir] ia berkata, “Ketika aku menuntun (membimbing) haiwan tunggangan Rasulullah ﷺ dalam sebuah lembah, baginda bersabda: “Tidak mahukah jika engkau berkenderaan wahai ‘Uqbah?” Maka aku merasa kurang selesa untuk berkenderaan di sisi Rasulullah ﷺ. Kemudian baginda bertanya lagi: “Tidak mahukah engkau berkenderaan wahai ‘Uqbah?” Aku lalu menjadi takut jika penolakanku itu dihitung sebagai perbuatan maksiat. Saat baginda turun aku kemudian naik sebentar dan turun lagi. Setelah itu Rasulullah ﷺ berkenderaan kembali, kemudian baginda bersabda: “Tidak inginkah jika aku ajarkan kepadamu dua surah yang bagus untuk dibaca oleh manusia?” baginda lalu membacakan untukku: ‘QUL A’UUDZU BIRABBIL FALAQ (Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh) ‘ dan QUL A’UUDZU BIRABBINNAAS (Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia) ‘. Setelah itu iqamah dikumandangkan dan baginda maju ke depan membaca dua surah tersebut. Ketika baginda lalu di depanku baginda bertanya: “Wahai ‘Uqbah bin Amir, bagaimana menurutmu? Bacalah dua surah tersebut saat engkau akan tidur dan akan bangun.”

(HR. Nasa’iy No. 5342)

Selesai solat dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas, setiap satunya sekali.

Daripada Uqbah bin Amir رضي الله عنه, katanya;
أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ الْمُعَوِّذَاتِ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ
“Rasulullah ﷺ memerintahkan kepadaku untuk membaca Muawwizaat di akhir solat (sesudah salam).”
(HR. An Nasai no. 1336 dan Abu Daud no. 1523. Syeikh Al Albani mengatakan bahwa hadith ini sahih).

Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه membawakan hadith daripada Rasulullah ﷺ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
اقْرَأُوا الْمُعَوِّذَاتِ فِيْ دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ
“Bacalah Al-Muawwizat pada setiap kali selepas solat.”
(HR. Abu Dawud no. 1523, disahihkan oleh Asy Syeikh Al Albani dalam Ash Shahihah no. 1514)


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Setiap satu ayatnya adalah perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi arahan untuk memohon perlindungan dan keselamatan kepada Tuhan sebagai Rabb daripada segala bentuk kejahatan daripada makhluk.

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say: I seek refuge with the Lord of the Dawn

(MALAY)

Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan waktu pagi,

Terdapat arahan daripada Allah ‎ﷻ untuk kita baca surah ini kerana ada kalimah قل (katakanlah).

Perkataan أَعُوذُ (aku berlindung) adalah istiaazah iaitu meminta perlindungan dan berharap dan setelah itu tidak meninggalkan sedikit pun perlindungan itu. Maksudnya berharap terus dengan perlindungan itu. Kerana kalau kita tinggalkan, kita akan susah.

Kita mengucapkan istiaazah apabila kita meminta perlindungan Allah ‎ﷻ daripada sesuatu yang tidak dapat dilihat. Apabila kita mengucapkannya, bermaksud kita menyerahkan diri kita dalam perlindungan Allah ‎ﷻ semata-mata. Kerana tidak ada selain Allah ‎ﷻ yang dapat menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada kita. Kerana itu kita berharap hanya kepada Allah ‎ﷻ.

Ada mufassir mengatakan yang kita bukan lagi ‘meminta’ perlindungan kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kita ‘meletakkan’ diri kita di dalam perlindungan-Nya – bukan hendak meminta-minta lagi. Sebagai contoh, kalau kita sedang lapar hingga hampir mati, tiba-tiba kita terjumpa orang yang ada kemampuan untuk memberikan kita makan. Adakah kita meminta-minta sahaja, atau kita terus meminta sampai orang itu memberi kita makan?

Tentu kita akan terus merayu dan meminta, bukan? Begitulah kita dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kita minta main-main sahaja (kalau bagi bagus, kalau tidak bagi tidak mengapa), tetapi hendaklah kita tahu bahawa kita sedang meminta kepada yang boleh menolong dan memberi perlindungan kepada kita dan kita tidak ada harapan lain lagi selain kepada Allah‎ ﷻ. Bukannya kita boleh minta kepada selain Allah‎ ﷻ, bukan? Maka letakkan terus diri kita dalam perlindungan-Nya.

Kalimah الْفَلَقِ berasal daripada kata dasar ف ل ق yang bermaksud ‘membelah sesuatu’. Ada beberapa pendapat daripada maksud perkataan ini.

1. Ia bermaksud ‘waktu pagi‘ kerana waktu itu seperti langit dibelah. Apabila langit dibelah, maka masuklah cahaya matahari dan kegelapan malam dihilangkan.

Konsep ‘gelap’ pun banyak digunakan di dalam surah ini – kegelapan malam, ahli sihir yang melakukan kerja sihir mereka di dalam gelap, kegelapan syirik mereka yang mengamalkan sihir dan kegelapan niat manusia yang hasad kepada kita.

2. Juga digunakan untuk isyarat kepada semua makhluk. Kerana setiap kejadian memerlukan ‘belahan’. Macam telur pecah, biji benih pecah, sel badan kita pecah dan daripadanya kita dijadikan. Maka semuanya akan pecah terbelah dan kejadian baru akan terjadi.

Oleh itu, ayat ini mengingatkan kita yang Allah ‎ﷻ jua yang menjadikan siang. Allah ‎ﷻ jua yang menukar malam kepada siang. Allah ‎ﷻ menukarkan gelap kepada cahaya. Dalam masa yang sama, kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ: “Berilah cahaya kepada kami. Jangan biarkan kami di dalam kegelapan.”

Juga daripada kelahiran siang dan kelahiran segala makhluk, ia mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan Kelahiran. Dalam surah al-Ikhlas sebelum ini, Allah‎ ﷻ mengatakan yang Dia tidak melahirkan anak dan tidak dilahirkan. Sebaliknya, dalam ayat ini, kita diberitahu yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kepada kelahiran. Semua kelahiran adalah kerana-Nya. Maksudnya, ada kaitan dengan surah sebelum ini.

Satu lagi kaitan dengan surah al-Ikhlas: dalam surah al-Ikhlas, Allah ‎ﷻ dikatakan sebagai الصَّمَدُ – Dia tidak memerlukan sesiapa sebaliknya semua makhluk memerlukan-Nya. Dan bukankah dalam ayat ini menekankan lagi yang kita amat memerlukan Allah ‎ﷻ? Kita meletakkan diri kita dalam perlindungan-Nya kerana tidak ada tempat lain lagi untuk kita berharap melainkan kepada-Nya.

Jadi dalam surah al-Ikhlas, disebutkan konsep pengharapan dan dalam surah al-Falaq ini, konsep itu dipraktikkan. Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana cara untuk berdoa kepada-Nya. Maksudnya, cara doa juga Allah  ﷻ ajar. Kalau Allah tidak ajar, kita pasti tidak tahu.

3. Al-Falaq juga dikatakan adalah satu penjara dalam neraka. Yang apabila pintunya dibuka, akan menyebabkan api neraka lebih menyala-nyala. Ini isyarat kepada kita bahawa mereka yang mengamalkan kejahatan sihir dan hasad, mereka akan dimasukkan ke dalam al-Falaq ini. Kerana Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kepada al-Falaq.

Kenapakah Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan قُلْ (katakanlah) di awal surah ini? Ianya kerana Allah ‎ﷻ hendak kita iklankan kelemahan kita dengan lidah kita sendiri. Sebut dan mengakulah yang kita ini lemah dan mengharapkan pertolongan Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak kita merendahkan diri. Allah ‎ﷻ hendak kita berdoa dengan cara zahir kepada-Nya. Bukannya setakat di dalam hati sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak kita buang segala ketinggian diri kita dan merendahkan diri kita di hadapan-Nya. Buang semua ego kita iaitu mengatakan dengan jahar yang kita memerlukan pertolongan daripada Allah‎ ﷻ. Jangan sombong untuk meminta kepada Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak kita ikhlas kepada-Nya. Dan bukankah surah sebelum ini adalah al-Ikhlas?

Apabila kita kata seperti yang Allah ‎ﷻ suruh ini menunjukkan kita taat kepada suruhan Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ suruh kita berdoa dan kita terus berdoa. Bukankah doa akan makbul apabila kita taat kepada Allah‎ﷻ ? Jadi apabila Allah ‎ﷻ suruh kita berdoa, teruslah taat dengan melakukan doa itu.


Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah permohonan perlindungan daripada kejahatan makhluk.

 مِن شَرِّ مَا خَلَقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From the mischief of created things;

(MALAY)

“Daripada keburukan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan;

Perkataan شَرِّ digunakan untuk jenis keburukan yang dikenali oleh semua orang. Kerana ada perkara yang setengah orang menganggap buruk tapi setengah lagi tidak menganggapnya begitu. Tetapi kalau keburukan jenis شَرِّ  ini, semua manusia akan menilainya sebagai buruk. Ianya adalah keburukan yang boleh menyusahkan, merosakkan dan menyebabkan kecederaan.

Kenapa Allah ‎ﷻ suruh kita berlindung daripada ciptaan-Nya? Kerana semua yang Allah‎ ﷻ ciptakan ada potensi kepada kebaikan dan juga kepada keburukan. Semua kejadian ada kemungkinan boleh menyebabkan keburukan. Termasuk juga diri manusia. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam Syams:8

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –

Sebab itu ada segelintir manusia, ada kala baik dan ada kalanya dia menjadi jahat. Orang yang sama, tetapi sekejap baik, sekejap tidak baik. Ini kerana setiap makhluk tidak ada yang sempurna. Ini termasuklah seperti matahari, air dan macam-macam lagi. Sebagai contoh, matahari membantu kita dalam kehidupan dengan menyebabkan tanaman boleh tumbuh, namun sebaliknya jika ia terlampau panas, maka ia juga boleh mematikan tumbuh-tumbuhan itu.

Begitu juga air sangat berharga untuk kehidupan kita. Akan tetapi, sekiranya terlalu banyak air hujan yang turun maka boleh mendatangkan kemudaratan pula seperti banjir, yang mengakibatkan kerosakan harta benda malah boleh kehilangan nyawa. Api boleh digunakan untuk cahaya dan untuk memasak. Namun, jika tidak terkawal, ia boleh membakar rumah dan harta benda kita. Oleh itu, semua ciptaan Allah ‎ﷻ boleh membawa kepada kebaikan dan ada masanya, boleh memusnahkan.

Kita minta Allah ‎ﷻ selamatkan kita daripada keburukan yang boleh datang daripada makhluk ciptaan Allah‎ ﷻ. Kita mahukan kebaikan daripadanya, bukan keburukan daripadanya. Kita tidak boleh kawal keburukan yang boleh timbul daripada perkara-perkara itu. Memang kita boleh berhati-hati, tetapi perkara buruk bukan dalam kawalan kita.

Kita kadang-kadang takut hendak lakukan sesuatu kerana takut dengan apa yang terjadi kepada kita daripada keburukan makhluk. Sebagai contoh, takut hendak kahwin, takut hendak keluar rumah, takut hendak memandu kereta dan sebagainya. Inilah yang dinamakan fobia. Ramai yang ada masalah begini dan amat menyedihkan kerana ia telah mengganggu kualiti hidup seseorang.

Namun, mana mungkin kita mahu berasa takut sentiasa, bukan? Kita ada kehidupan yang perlu dijalankan, kerja yang perlu dilakukan. Maka Allah ‎ﷻ ajar dalam ayat ini, jangan takut. Sebaliknya, minta perlindungan kepada Allah‎ ﷻ. Minta Dia selamatkan kita daripada keburukan itu.

Diri kita ini juga adalah ciptaan Allah ‎ﷻ bukan? Daripada diri kita juga boleh ada masalah yang boleh membawa keburukan kepada kita. Maka ada beberapa keburukan yang boleh terjadi daripada ciptaan Allah‎ ﷻ. Antaranya:

1. Yang pertama adalah daripada keburukan nafsu kita sendiri. Kerana nafsu kita menyuruh kepada keburukan. Di dalam surah [Yusuf: 53] Allah ‎ﷻ ada berfirman:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan tiadalah aku berani mengatakan diriku suci; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Nafsu selalu membisikkan keburukan kepada kita. Ianya tidak akan jemu. Lagi satu, nafsu sentiasa ada bersama kita. Ia tidak pergi ke mana-mana, kita tidak boleh lari daripadanya, maka ia akan senang hendak membisikkan keburukan ke dalam hati kita.

Oleh itu, kita minta Allah ‎ﷻ melindungi kita daripada nafsu jahat kita. Bukanlah semua nafsu itu buruk. Kerana nafsu itu adalah naluri manusia. Nafsu makan mesti ada, nafsu kepada seks dan lain-lain. Cuma jangan memuaskan nafsu jahat itu dengan perkara yang salah.

2. Kedua pula adalah keburukan daripada bisikan syaitan. Ini juga amat bahaya kerana syaitan kerja mereka adalah membisikkan keburukan kepada kita dan mereka tidak jemu-jemu untuk membisikkan keburukan kepada kita. Mereka juga tidak ada kerja lain, melainkan menghasut manusia sahaja.

3. Ketiga, daripada makhluk-makhluk yang lain yang kita takut kepada mereka. Ada bermacam-macam perkara buruk yang boleh timbul daripada makhluk-makhluk itu. Terlalu banyak contoh yang kita boleh berikan, maka tidaklah perlu kita sebutkan di sini.

Oleh itu, kalau kita ada perasaan takut dengan apa-apa, mintalah perlindungan kepada Allah‎ ﷻ. Kerana semuanya Allah ‎ﷻ yang cipta dan Allah ‎ﷻ ada kekuasaan ke atasnya. Dari awal lagi kita terus minta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ. Kerana itu, Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita membaca surah ini setiap kali selepas solat. Kita terus letak diri kita dalam perlindungan Allah ‎ﷻ setiap kali selepas solat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Muzzammil Ayat 1 – 12 (Kelebihan Solat Malam Qiyamullail)

Pengenalan

Banyak yang salah sebut nama surah ini. Ramai tidak perasan ada syaddah pada huruf ز dalam nama surah ini. Jadi ramai yang sebut nama surah ini ‘Muzammil’, padahal yang betulnya adalah ‘Muzzammil’.

Surah ini adalah surah Makkiah dan diturunkan di awal periode kenabian Nabi Muhammad. Dalam surah ini, Nabi disuruh meninggalkan berselimut dan bangun menunaikan Solat Malam. Dalam Surah Muddaththir pula, baginda disuruh bangun untuk berdakwah.

Selepas Isyak sahaja kita sudah boleh Solat Malam. Bukan hanya sepertiga akhir malam sahaja. Bangun malam dinamakan ‘qiyamullail’. Kalau tidur dahulu dan kemudian bangun, itu dinamakan ‘tahajjud’.

Surah ini menceritakan kelebihan solat malam berbanding solat siang. Ia menganjurkan kita membanyakkan solat malam dan memperbanyakkan bacaan Al-Qur’an di dalamnya.

Solat Malam ini wajib kepada Nabi Muhammad tetapi ianya sunat kepada kita, seperti yang disebut dalam Isra’:79.

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Surah ini mengajar kita kadar berapa lama kena bangun mendirikan solat malam.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita tujuan dan kelebihan Solat Tahajjud.

يا أَيُّهَا المُزَّمِّلُ

Sahih International

O you who wraps himself [in clothing],

Malay

Wahai orang yang berselimut!.

 

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ

Wahai orang yang berselimut!.

Yang dimaksudkan dengan ‘yang berselimut’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad. Ianya adalah panggilan yang manja dari Allah. Bangsa Arab suka memanggil seseorang dengan keadaan mereka waktu itu. Waktu ayat ini diturunkan, Nabi sedang berselimut dan Allah panggil baginda dengan gelaran orang yang berselimut.

Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad menjumpai Saidina Ali sedang baring di atas tanah sampaikan belakang beliau penuh dengan tanah. Nabi telah mengusap pasir dari belakang Saidina Ali dan memanggil beliau dengan panggilan ‘ya Aba Turab’ – Wahai ‘Bapa Tanah’. Saidina Ali sukakan gelaran itu sampaikan beliau suka kalau beliau dipanggil dengan gelaran itu kerana Nabi Muhammad yang telah memberikan gelaran itu kepadanya.

Maka, kita kena tahu yang panggil Allah kepada Nabi ini adalah panggilan yang mesra. Dan Muzzammil adalah salah satu dari gelaran kepada Nabi Muhammad.

Manusia berselimut semasa takut, sejuk atau ketika sedang berehat. Manusia rasa selamat bila ada selimut. Kita kalau hendak berehat, akan rasa selesa kalau dapat membalut diri. Walaupun waktu itu tidak berapa sejuk pun. Itu adalah sifat manusia. Atau ada yang menyorok bawah selimut kerana takut atau berasa tidak yakin.

Selepas Nabi menerima wahyu pertama dari Jibrail di Gua Hira’, baginda berasa amat takut dan baginda meminta Khadijah menyelimuti baginda. Itulah sebabnya Nabi Muhammad dipanggil dalam ayat ini sebagai seorang yang berselimut. Kerana baginda waktu itu dalam ketakutan. Maka Allah nak beritahu kepada Nabi: jangan takut.

Ataupun, baginda dikatakan berselimut kerana waktu itu baginda sedang berselimut kerana sedang tidur. Maknanya Allah memberi arahan kepada baginda supaya jangan terus tidur. Waktu ayat ini diturunkan, sama ada Nabi sedang tidur atau baginda sedang berselimut. Ianya memberi isyarat bahawa baginda sudah tidak boleh bersedap-sedapan tidur sepanjang malam lagi. Sekarang baginda telah diangkat menjadi rasul, maka ada tanggungjawab besar yang baginda perlu lakukan.


 

Ayat 2:

قُمِ اللَّيلَ إِلّا قَليلًا

Sahih International

Arise [to pray] the night, except for a little –

Malay

Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

 

Dari ayat ini, Nabi diperintahkan untuk meluangkan masa malam baginda untuk solat melainkan sedikit sahaja. Maknanya, tidur sedikit sahaja. Yang lainnya, bangun untuk solat.

Perkataan قُمِ digunakan yang bermaksud bangkit berdiri dari kedudukan apa sahaja. Sama ada dari keadaan baring, atau duduk. Dalam keadaan Nabi Muhammad, baginda sedang berselimut pada waktu itu dan sedang berbaring.

Perkataan قُمِ juga berkait dengan perbuatan ‘qiyam’ dalam solat. Waktu itu adalah waktu yang amat penting kerana itulah waktunya kita membaca ayat Al-Qur’an dan mentaddabur ayat-ayat itu.

Apabila Nabi Muhammad diberikan tugas sebagai rasul, baginda rasa takut. Allah mengajar Nabi yang ketakutan itu boleh dihadapi dengan solat. Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang akan disebut selepas ini.


 

Ayat 3: Kadar berapa lama solat malam itu diberitahu dalam ayat ini.

نِصفَهُ أَوِ انقُص مِنهُ قَليلًا

Sahih International

Half of it – or subtract from it a little

Malay

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Solat malam itu dilakukan selama separuh malam atau boleh dikurangkan lagi sedikit. Ulama mengatakan boleh dikurangkan kepada 1/3 dari malam itu.


 

Ayat 4:

أَو زِد عَلَيهِ وَرَتِّلِ القُرآنَ تَرتيلًا

Sahih International

Or add to it, and recite the Qur’an with measured recitation.

Malay

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Qur’an dengan “Tartil”.

 

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya;

Solat Malam itu sama ada separuh malam, kurang sedikit dari separuh malam, atau lakukan lebih sedikit dari separuh malam. Ayat ini dan sebelumnya memberi kadar berapa lama masa solat malam itu. Sama ada separuh malam, lebih sedikit atau kurang sedikit. Maknanya, tanda aras yang digunakan adalah ‘separuh malam’. Kurang atau lebihkan sedikit dari separuh malam itu.

Ini maknanya Allah telah memberi kelapangan kepada manusia untuk memilih kadar lama mana untuk dia solat malam. Kerana setiap orang tahu kemampuan dirinya sendiri. Ada yang sanggup melakukan solat dengan banyak dan ada yang hanya mampu buat sedikit sahaja. Dan tidaklah setiap malam kena buat kerana kekuatan seseorang itu untuk beribadat tidak sama. Ada masanya dia rasa lemah atau sibuk dengan hal lain. Maka, dia boleh mengurangkan atau melebihkan waktu solat malam itu.

Dan tidaklah ditetapkan berapa lama masa dengan tepat untuk solat kerana susah nak agak berapa lama kita sudah solat. Lebih-lebih lagi kalau zaman dahulu yang tidak ada jam.

Apakah yang dilakukan dalam solat malam itu?

 

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

dan bacalah Al-Qur’an dengan “Tartil”.

Satu perkara penting dalam solat malam itu adalah membaca Al-Qur’an. Allah tak suruh baca sahaja Al-Qur’an itu tetapi Allah suruh baca dengan ‘tartil’. Apakah maksud ‘tartil’ itu? Kalimah تَرْتِيلًا dari katadasar ر ت ل yang bermaksud sesuatu yang tersusun dengan seimbang. Ianya adalah sesuatu yang disusun dengan cantik. Juga bermaksud sesuatu itu cantik dan indah.

Arahan untuk membaca Al-Qur’an dengan ‘tartil’ dalam ayat ini maksudnya membaca Al-Qur’an dengan perlahan-lahan. Sebut satu persatu ayat Al-Qur’an itu dengan jelas. Baca dengan indah dan cantik. Makhraj dan tajwid mestilah dijaga dengan baik. Berhenti dan menyambung bacaan pada tempat yang sepatutnya. Kerana kalau kita salah tempat berhenti, maka maksud bacaan itu boleh jadi tidak sesuai.

Oleh itu, bacalah Al-Qur’an dalam solat malam itu dengan molek dan indah. Tapi bukanlah macam pertandingan musabaqah sekarang. Itu sebenarnya bukanlah tajwid tapi ianya adalah taranum dan sebenarnya diilhamkan dari bunyi-bunyian muzik. Kerana raja-raja Parsi dulu suka dengar muzik dan apabila sampai Islam ke Parsi, mereka telah diberitahu yang muzik itu haram.

Maka mereka telah menyusun bacaan Al-Qur’an tapi dalam lagu muzik yang mereka biasa dengar. Jadi tidak perlu kita buat begitu. Dan kalau kita dengar musabaqah pun, ianya tidaklah memberi ketenangan melainkan menyebabkan kita rasa macam susah pula nak baca Al-Qur’an. Ianya adalah bacaan Al-Qur’an yang susah dan sudah kehilangan keindahan bacaan Al-Qur’an itu sendiri. Tambahan pula, bacaan Al-Qur’an bukanlah untuk dipertandingkan. Tambahan pula kalau dibacakan oleh wanita di khalayak ramai.

Dengan baca Al-Qur’an dengan perlahan, ianya akan membantu kita untuk tadabbur (memikirkan maksud dengan mendalam) Al-Qur’an. Yang paling penting bukan hanya membaca dengan indah, tapi membaca dengan pemahaman. Begitulah cara Nabi membaca Al-Qur’an di dalam solat. Baginda akan memanjangkan bacaan Al-Qur’an dalam solat. Baginda juga membaca satu persatu ayat Al-Qur’an.

Baginda menghayati apakah yang baginda bacakan. Apabila dibaca satu persatu, akan memudahkan kita memberi perhatian kepada apa yang kita baca. Pemahaman itu amat penting supaya kita dapat mengambil manfaat dari bacaan Al-Qur’an itu. Kalau sampai kepada ayat yang mengagungkan Allah, kita rasakan dalam hati kita keagungan Allah. Bila sampai kepada ayat azab, ianya sepatutnya menakutkan kita.

Apabila sampai kepada ayat hukum, maka kita fahamkan apakah hukum yang perlu kita perhatikan. Kita juga boleh berdoa dalam bacaan Al-Qur’an itu. Apabila sampai kepada ayat tentang Syurga, kita boleh berdoa dalam hati supaya Allah memasukkan kita ke dalam Syurga. Sebaliknya, kalau ayat tentang azab, kita boleh berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari azab itu.

Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Qur’an. Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Qur’an dengan jelas, perkataan demi perkataan. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)

Dalam hadis yang lain:

Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu: “Bagaimanakah cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Qur’an?” Anas menjawab: “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

Ini mengajar kita yang Nabi telah memberi hak-hak ayat Al-Qur’an itu. Baginda akan memanjangkan mana ayat yang perlu dipanjangkan. Maka, kena belajar tajwid untuk membaca dengan baik. Kena luangkan masa untuk belajar dan berlatih. Kalau anda sudah dewasa atau tua, ia bukanlah alasan untuk tidak belajar. Walau umur apa pun anda, anda masih kena belajar juga.

Memang menyedihkan melihat banyak orang Melayu tak pandai baca Al-Qur’an, lebih-lebih lagi kalau mereka sudah tua. Ini adalah kerana semasa mereka muda, mereka tak kisah dengan Al-Qur’an. Kalau anda juga begitu, kenalah anda bayar kesilapan anda semasa muda dengan bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk belajar tajwid ini.

Berilah nasihat kepada mereka yang masih muda untuk belajar tajwid dan baca Al-Qur’an semasa mereka masih muda lagi. Ajarlah anak-anak anda cara membaca Al-Qur’an dengan betul semasa mereka muda lagi. Kerana bila sudah tua, nanti malu nak belajar pula. Otak pun sudah lambat untuk tangkap ilmu-ilmu tajwid itu.

Zaid bin Thabit telah menyebutkan sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi :-

“ان الله تعالي يحب أن يقرأ القرءان غضا كما أنزل”

“Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hambanya membaca al-Qur’an secara tepat sebagaimana ia diturunkan”

Kita takut kita baca Al-Qur’an itu dengan salah sampaikan dilaknat oleh Al-Qur’an itu sendiri. Seperti sabda Nabi :

رب قارئ القرءان والقرءان يلعنه

Ramai orang yang membaca al-Qur’an, sedangkan al-Quran sendiri melaknatnya.

Percubaan kita membaca Al-Qur’an walaupun tidak betul lagi pun akan diberi pahala kerana usaha kita itu. Dan kerana untuk berlatih, mereka akan baca berulang-ulang. Dan setiap kali membacanya, pahala akan bertambah. Sebagaimana yang telah diberitahu oleh Nabi kepada kita:

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Qur’an dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:

“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat).

Baginda membaca ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘ lalu berhenti.

Kemudian Baginda membaca ‘الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ‘ lalu berhenti.

Kemudian Baginda membaca ‘مَالِكِ يَوْمِ الدِّين‘.”

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

Kita digalakkan berhenti selepas setiap ayat supaya kita dapat menghargai makna ayat itu. Tapi untuk menghargainya, hendaklah kita faham apakah tafsir ayat itu. Kalau tak faham, kita baca kosong sahaja. Ini memerlukan usaha dari kita untuk belajar.

Pembacaan Al-Qur’an yang baik adalah amat berharga, sampaikan Nabi pun suka mendengar sahabat yang pandai membaca Al-Qur’an.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata: Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku: “Bacakanlah Al-Qur’an untukku.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Qur’an untuk tuan? Padahal kepada tuan lah Al-Qur’an diturunkan.”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.” Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا

(Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).

Kemudian Baginda bersabda: “Cukuplah sampai di sini.” Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Maka, jangan baca Al-Qur’an dengan kelam kabut. Jangan baca Al-Qur’an macam baca puisi atau sajak. Kena ambil perhatian dengan apa yang kita bacakan. Bukan baca kerana hendak menunjuk kepada orang lain. Hati kita sepatutnya tersentuh dengan apa yang kita baca. Jangan nak cepat habis baca sahaja.

Malangnya, ramai yang membaca Al-Qur’an, nak cepatkan habis sahaja. Mereka nak kata mereka sudah baca sehari satu juz, setengah juz dan sebagainya. Tapi mereka tak faham pun apa yang mereka baca.

Solat malam itu adalah waktu untuk mengadu kepada Allah atas kelemahan kita, masalah kita, harapan kita dan sebagainya. Tapi itu adalah komunikasi satu hala sahaja. Untuk menjadikannya dua hala, itulah sebabnya kita membaca ayat Al-Qur’an dengan tartil supaya kita boleh mendengar apakah nasihat Allah kepada kita. Ianya adalah seperti Allah berkata-kata kepada kita, memberi nasihat kepada kita. Ia akan jadi komunikasi dua hala antara kita dan Allah.

Ayat ini menolak perbuatan mereka yang membaca Al-Qur’an dengan laju dalam solat mereka. Mereka baca dengan laju sebab nak habiskan Al-Qur’an sahaja. Tapi itu bukanlah apa yang dikehendaki oleh Allah. Tapi mereka yang tidak faham, tidak belajar tafsir Al-Qur’an, menyangka yang kalau mereka baca dengan banyak dan laju, itu sudah baik. Sebab itulah ada sesetengah masjid yang buat rekod dunia membaca Al-Qur’an dalam Solat Terawih. Mereka buat 20 rakaat, tapi mereka buat dengan kelam kabut kerana hendak menghabiskan solat itu dengan cepat. Ini adalah salah.


 

Ayat 5: Kenapa Nabi disuruh baca Al-Qur’an dalam solat malam itu dengan tartil dan menghayati ayat-ayat Al-Qur’an itu?

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sahih International

Indeed, We will cast upon you a heavy word.

Malay

(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Qur’an yang mengandungi perintah-perintah) yang berat

 

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Sesungguhnya Kami akan memberikan kepadamu wahyu yang berat

Solat Malam itu adalah latihan kepada para pendakwah. Ada beberapa maksud ‘berat’ di dalam ayat ini.

1. Berat untuk menyampaikannya kepada manusia. Kerana ianya mengajak manusia meninggalkan nafsu mereka yang menyuruh mereka kepada keburukan. Para pendakwah akan ditentang, termasuklah Nabi Muhammad sendiri.

Maka baginda diberikan persediaan dengan mendirikan solat pada waktu yang lama di malam hari. Baginda kena meninggalkan kesenangan hidup baginda dan rehat baginda, supaya baginda dapat bersedia menerima tugas yang berat itu. Bagaimana mana pula solat boleh membantu baginda?

Tugas Nabi menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia lebih-lebih lagi kepada Musyrikin Mekah adalah amat berat. Baginda akan mendapat tentangan yang amat banyak. Baginda akan menghabiskan waktu di siang hari berdakwah dan baginda memerlukan tenaga dan daya juang yang tinggi. Dengan melakukan solat malam, ianya akan memberi ‘tenaga’ kepada baginda.

Mungkin akal kita merasakan macam tidak kena sahaja kenapa baginda kena solat malam dalam kadar yang lama. Akal kita mungkin berkata yang kalau siang sudah kena kerja berat, maka malam kenalah banyak rehat, bukan? Tapi Allah telah menjadikan solat itu sebagai satu aktiviti yang memberi tenaga rupanya. Begitulah juga kebaikan dan kelebihan solat kepada kita pun. Ianya adalah satu rahmat kepada kita.

Ianya adalah rahmat kepada kita kerana solat malam adalah senjata seorang pendakwah. Kerana ia adalah tali untuk mendekatkan seorang daie dengan Tuhannya. Kerana kalau kita berhubungan baik dengan seseorang, tentunya kita banyak berkomunikasi dengan orang itu, bukan? Kita selalu bercakap dengannya, mengadu hal kita kepadanya, bukan?

Maka, itulah yang kita lakukan dengan Allah kalau kita melakukan solat malam. Kita merayu kepada Allah, berhubung dengan Allah, mendengar apakah perintah Allah. Kerana dalam solat itu, kita mentaddabur ayat-ayat suci Al-Qur’an. Kita akan rasa rapat sekali dengan Allah waktu itu.

2. Wahyu itu berat bagi yang ragu kepadanya dan tidak beriman kepadanya. Mereka tidak rela melakukan amal ibadat dan pengorbanan dalam Islam. Mereka akan menolak dengan hati dan dengan fizikal mereka. Mereka nampak berat sangat apa yang disuruh dan yang dilarang dalam agama ini.

3. Atau berat waktu turunnya wahyu itu kerana kebesarannya. Banyak hadis-hadis yang menunjukkan bagaimana susahnya keadaan Nabi semasa menerima wahyu itu.

حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ صَالِحِ بْنِ كَيْسَانَ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ حَدَّثَنِي سَهْلُ بْنُ سَعْدٍ السَّاعِدِيُّ، أَنَّهُ رَأَى مَرْوَانَ بْنَ الْحَكَمِ فِي الْمَسْجِدِ، فَأَقْبَلْتُ حَتَّى جَلَسْتُ إِلَى جَنْبِهِ، فَأَخْبَرَنَا أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمْلَى عَلَيْهِ لاَ يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَجَاءَهُ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَهْوَ يُمِلُّهَا عَلَىَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَاللَّهِ لَوْ أَسْتَطِيعُ الْجِهَادَ لَجَاهَدْتُ ـ وَكَانَ أَعْمَى ـ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صلى الله عليه وسلم وَفَخِذُهُ عَلَى فَخِذِي، فَثَقُلَتْ عَلَىَّ حَتَّى خِفْتُ أَنْ تُرَضَّ فَخِذِي، ثُمَّ سُرِّيَ عَنْهُ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ ‏{‏غَيْرَ أُولِي الضَّرَرِ‏}‏

Bahawa Nabi (ﷺ) bersabda kepadanya: “Tidaklah sama antara orang-orang mukmin yang duduk (di rumah) dan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah.” Zaid berkata: Ibn Um Maktum datang ketika Rasulullah (ﷺ) telah membacakan kepada saya dan dia berkata, dan dia adalah seorang yang buta “Wahai Rasulullah, Demi Allah, jika saya mempunyai kuasa untuk melawan (di jalan Allah), saya akan pergi,” Maka Allah mewahyukan kepada Rasul sambil pahanya berada di atas pahaku, dan pahanya menjadi begitu berat yang saya takut mungkin patah paha saya. Kemudian keadaan Nabi (ﷺ) begitu berlalu dan Allah menurunkan: – “Kecuali orang-orang yang kurang upaya (oleh kecederaan atau buta atau lumpuh dan lain-lain). Sahih Bukhari.

Ada lagi hadis bagaimana susahnya keadaan baginda semasa menerima wahyu.

أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ أَنْبَأَنَا سُفْيَانُ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ سَأَلَ الْحَارِثُ بْنُ هِشَامٍ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْىُ قَالَ ‏ “‏ فِي مِثْلِ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ فَيَفْصِمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَىَّ وَأَحْيَانًا يَأْتِينِي فِي مِثْلِ صُورَةِ الْفَتَى فَيَنْبِذُهُ إِلَىَّ ‏”‏ ‏.‏

Telah mengabarkan kepada kami Ishaq bin Ibrahim dia berkata; telah memberitakan kepada kami Sufyan dari Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari Aisyah dia berkata; “Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam; Bagaimanakah wahyu datang kepada engkau? ‘Rasulullah Shallallallahu’alaihi wasallam bersabda: ‘Seperti suara loceng, lalu wahyu terputus dariku dan aku telah hafal (wahyu tersebut), dan keadaan seperti itu yang paling berat kurasakan. Kadang-datang kepadaku dalam bentuk seorang pemuda, lalu dia memberikan wahyu kepadaku’.” Sunan Nasa’i

Diriwayatkan dalam hadis yang lain:

Diriwayatkan daripada Aisyah, Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan kepadamu? Rasulullah SAW menjawab: “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi loceng. Daripada pelbagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang selepas aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemuiku dalam keadaan seorang lelaki dan berbicara kepadaku dan aku mengingati apa yang dia katakan. Aisyah menambah: Ketika Nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukahri)

Dalam hadis yang lain pula:

أخبرنا عمرو بن يزيد قال ثنا سيف بن عبيد الله قال ثنا سوار عن سعيد عن قتادة عن الحسن عن حطان بن عبد الله عن عبادة بن الصامت قال كان نبي الله إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الْوَحْىُ كُرِبَ لِذَلِكَ وَتَرَبَّدَ لَهُ

Dari ‘Ubadah bin Ash Shamit Radhiyallahu’anhu, dia berkata: “adalah Nabi Muhammad Sholallahu Alaihi Wasalam apabila wahyu sedang turun kepadanya, beliau kesusahan karenanya dan wajahnya berubah menjadi ke hitam-hitaman”.(An-Nasai’)

Dalam Hashr:21 pun Allah sudah memberitahu betapa beratnya Quran itu, sampaikan kalau diturunkan kepada gunung, gunung itu akan hancur:

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

4. Ianya akan menjadi pahala yang berat di akhirat kelak kalau diamalkan dan dijaga. Ini menunjukkan kepada kita bahawa menerima dan menjalankan kewajipan wahyu itu adalah sukar. Tetapi, kalau kita sanggup melakukan amal yang payah di dunia, ianya akan menjadi timbangan yang berat di akhirat kelak.

5. Ianya adalah firman Allah, bukan kata-kata manusia biasa, maka sebab itulah ianya amat berat. Tetapi kepada orang mukmin, ianya akan mudah sahaja. Seperti Allah sebut dalam Qamar: 40

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Jadi walaupun firman Allah itu adalah berat, tapi kepada orang mukmin, ianya ringan sahaja. Jadi, adakah kita rasa berat dengan suruhan dan larangan dalam Al-Qur’an ini atau kita rasa berat? Kalau kita rasa berat, maka itu menunjukkan ada masalah dengan iman kita.


 

Ayat 6: Kenapa Solat Malam itu penting dan berkesan?

إِنَّ ناشِئَةَ اللَّيلِ هِيَ أَشَدُّ وَطئًا وَأَقوَمُ قيلًا

Sahih International

Indeed, the hours of the night are more effective for concurrence [of heart and tongue] and more suitable for words.

Malay

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

 

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا

Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

Kalimat نَاشِئَةَ اللَّيْلِ bermaksud mana-mana waktu dari malam. Kalimah نَاشِئَةَ asalnya bermaksud ‘keluar’, macam benih yang keluar dari tanah. Oleh itu, perkataan نَاشِئَةَ bermaksud bangun selepas tidur kerana ianya seperti pokok yang keluar dari tanah. Ianya bermaksud mana-mana dari bahagian malam tapi ada juga yang kata waktu selepas waktu isyak. Ada yang kata waktu sepertiga malam yang terakhir. Allahu a’lam.

Kalimat أَشَدُّ وَطْئًا bermaksud ‘lebih efektif’. وَطْئًا asalnya bermaksud ‘memijak-mijak tanah’. Juga bermaksud kesusahan dalam hidup. Dalam ayat ini, ia membawa maksud yang solat waktu malam adalah lebih berkesan untuk memijak-mijak nafsu kita. Ianya adalah latihan untuk merendahkan nafsu kita.

Ini kerana kita berlatih melawan nafsu kita yang waktu itu mahu sangat tidur dengan nyenyak. Seperti yang disebut sebelum ini, ia juga bermaksud ‘susah’. Oleh itu ia membawa maksud, ianya lebih susah untuk solat malam kalau dibandingkan dengan solat waktu siang. Dan kerana susahnya, maka ia mempunyai kelebihan yang lebih dan memberi pahala yang lebih banyak.

Kenapa waktu malam lebih berkesan? Kerana waktu malam adalah waktu paling kuat tautan antara hati dan lidah. Lidah dan hati menjadi seiring. Tidak ada gangguan lain waktu itu kerana suasasa bening, maka kita lebih memberi tumpuan kepada ibadat kita. Bandingkan dengan waktu siang yang menyibukkan kita dengan banyak hal. Nak solat, ada kerja, ada orang yang panggil kita, telefon kita berbunyi dan sebagainya. Jadi waktu siang susah sikit nak dapat tumpukan perhatian.

Kalau solat malam, bacaan ayat-ayat Al-Qur’an boleh menusup hati sampai kita boleh menangis kerana hati lebih terpaut dengan apa yang kita baca. Malangnya sekarang malam kita pun sudah macam-macam hal yang boleh melekakan kita. Sebagai contoh, ramai yang lebih suka tengok bola dan tengok tv dari melakukan ibadat malam. Itulah untungnya kehidupan dulu, mereka tidak ada aktiviti malam yang mereka boleh lakukan, maka mereka boleh tumpukan perhatian kepada ibadat waktu malam.

Kalimat أَقْوَمُ قِيلً bermaksud ‘bacaan yang lebih baik’. Bila kita baca Al-Qur’an waktu malam, kita akan lebih faham dengan apa yang kita baca, sebab waktu itu kurang gangguan. Kita boleh dengar baik-baik sebab malam itu lebih tenang. Kita baca dengan lebih tumpuan dan kurang salah dari segi bacaan.

Ia juga adalah bacaan yang lebih ikhlas. Kerana kalau siang, ada orang yang mungkin dengar dan mungkin kita nak mereka dengar bacaan kita kerana kita sukakan pujian orang. Tapi kalau malam, tidak ada sesiapa yang boleh beri pujian kepada kita. Maka, kita tidak mengharapkan pujian sesiapa pun waktu itu melainkan Allah sahaja.

Kalimah قِيلً juga boleh bermaksud ‘doa’. Maknanya, orang yang berdoa waktu malam akan lebih makbul doa mereka. Nabi Muhammad telah memberitahu kita yang Allah memakbulkan doa mereka yang berdoa waktu sepertiga dari malam.

١٠٧٧ – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ وَأَبِي عَبْدِ اللَّهِ الْأَغَرِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

1077. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Ibnu Syihab dari Abu Salamah dan Abu ‘Abdullah Al Aghor dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Rabb Tabaaraka wa Ta’ala kita turun di setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir dan berfirman: “Siapa yang berdo’a kepadaKu pasti Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepadaKu pasti Aku penuhi dan siapa yang memohon ampun kepadaKu pasti Aku ampuni”. Sahih Bukhari.

Akhir sekali, waktu itu adalah waktu yang amat sesuai untuk melatih diri kita. Nabi melatih sahabat untuk bangun malam supaya mereka semua dapat berjaga-jaga jikalau ada apa-apa keperluan, seperti mempertahankan kawasan mereka dari serangan musuh. Kadang-kadang umat Islam diserang di awal waktu pagi ataupun tengah malam.

Maka, kalau kita sudah biasa bangun dan berjaga malam, maka kita tidak ada masalah. Pernah kedengaran seperti Madinah diserang musuh. Sebelum sempat para sahabat buat apa-apa, apabila mereka sampai ke tempat itu, mereka lihat baginda sudah ada, dan baginda sendiri beritahu yang tidak ada apa-apa.


 

Ayat 7: Bagaimana pula dengan siang? Apakah beza siang dan malam?

إِنَّ لَكَ فِي النَّهارِ سَبحًا طَويلًا

Sahih International

Indeed, for you by day is prolonged occupation.

Malay

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang;

 

إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا

sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

Kalimah سَبْحًا bermaksud bergerak dengan laju di lautan atau di udara. Kalau di lautan, ianya bermakna ‘berenang’. Dari sini, ada beberapa pemahaman yang kita boleh ambil dari maksud ayat ini:

1. Maknanya pada waktu siang, kita sibuk ke sana ke mari – seperti ‘berenang’ ke sana dan ke sini. Kita berpindah dari satu perkara ke perkara yang berlainan – dari hal keluarga, hal kerja, hal kawan-kawan dan kejiranan dan sebagainya. Macam kalau kita sedang berenang, kita kena terus berenang.

Pada siang hari juga, kita melayan keinginan nafsu kita yang macam-macam. Hendak makan, hendak rehat, hendak bersembang dan macam-macam lagi kehendak nafsu kita. Oleh kerana pada waktu siang kita sibuk, maka pada waktu malam, sibukkanlah pula diri kita dengan solat dan ibadat.

2. Banyak perkara sunat boleh juga dibuat di siang hari kerana waktunya yang panjang. Malam khususkan untuk solat tapi pada waktu siang, banyakkan dengan tasbih. Itulah kaitan perkataan سَبْحًا dalam ayat ini. Kerana perkataan ‘tasbih’ datang dari katadasar yang sama dengan سَبْحًا. Semasa kita menjalani kehidupan dunia sepanang hari, jangan lupa untuk berzikir (terutama sekali tasbih) kepada Allah.

3. Allah memberitahu kita bahawa kita ada waktu yang panjang di siang hari. Maka kita boleh juga ambil masa untuk tidur di siang hari, dan khususkan malam untuk beribadat. Sebab itu, ada orang yang mengambil sedikit waktu untuk tidur di siang hari – waktu itu dinamakan Qailullah. Ini juga dipanggil ‘power nap’ kerana bila kita tidur waktu siang (lebih kurang selepas zuhur), maka ia akan memberi tenaga untuk bangun malam.

Ayat ini turun sebelum Peristiwa Isra’ Mi’raj dan waktu itu, solat lima waktu tidak diwajibkan lagi. Jadi solat yang wajib waktu itu adalah solat malam. Selama setahun Nabi dan para sahabat mengamalkan solat malam sepanjang malam. Sampai bengkak-bengkak tumit dan kaki mereka. Apabila sudah turun ayat فاقرءوا ما تيسر منه, maka diringankan solat malam itu menjadi sunat sahaja, maka barulah mereka berhenti dari melakukan solat malam sepanjang malam.

Allah beri keringanan dalam ibadat kerana Allah tahu yang manusia tak mampu nak buat secara berterusan. Kenapa Allah tak bagi kewajipan yang ringan terus sedangkan Allah tahu kekuatan dan kelemahan manusia? Allah tidak terus buat begitu supaya manusia tahu yang kehendakNya lebih lagi dari apa yang manusia mampu lakukan. Kerana segala nikmat yang Allah berikan kepada kita itu jauh lebih baik dari apa yang kita boleh balas dengan ibadat.

Bayangkan, kalau kita nak balas nikmat satu mata pun, tidak akan mampu kita membalasnya walau kita beribadat sepanjang masa. Maka pada permulaan Allah suruh buat yang berat dahulu. Dan kemudian apabila Allah beri keringanan, maka kita sedarlah yang itu adalah sebahagian dari rahmat Allah juga (dengan beri keringanan itu).


 

Ayat 8: Apa yang kita kena lakukan dalam solat malam itu?

وَاذكُرِ اسمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّل إِلَيهِ تَبتيلًا

Sahih International

And remember the name of your Lord and devote yourself to Him with [complete] devotion.

Malay

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

 

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ

Dan ingatlah nama Tuhanmu

1. Apabila memulakan solat malam itu, sebutlah nama Allah banyak-banyak. Ini kerana topik surah ini adalah tentang Solat Malam. Kena ingat kepada Allah pada waktu itu dengan banyak sekali.

2. Dalam kehidupan kita sepanjang hari pun, kenalah ingat kepada Allah sentiasa. Ini kalau kita mengambil sambungan dari ayat sebelum ini. Sebelum ini disebut bagaimana kita ada banyak urusan di siang hari (dan kita telah diingatkan untuk melakukan tasbih pada waktu siang). Dan sekarang Allah mengingatkan kita untuk menyebut namaNya. Maka, ianya adalah isyarat – walaupun kita sibuk dengan hal dunia, jangan lupa mengingatiNya.

 

وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

serta tumpukanlah kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Kalimah تَبَتَّلْ dari katadasar ب ت ل yang bermaksud potong sesuatu dan asingkan dari yang lain. Ayat ini bermaksud, asingkan diri kita dari kesibukan dunia dan dekatkan diri kita dengan Allah pada waktu solat malam itu.

Bukanlah ini bermaksud asingkan terus dari manusia lain dari kehidupan kita. Kita kena ingat ada hak orang lain ke atas kita – isteri kita, anak kita, keluarga kita ada hak ke atas kita. Cuma malam sahaja kita beri hak Allah ke atas kita. Iaitu hak Allah atas tanggungjawab menghambakan diri kepadaNya.

Dalam kita melakukan ibadat, kita kena ikut sunnah Nabi. Jangan kita buat berlebihan dalam beribadat kepadaNya. Nabi telah bersabda:

Anas bin Malik Radhiyallahu anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تُشَدِّدُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَيُشَدِّدُ اللهُ عَلَيْكُمْ فَإِنَّ قَوْمًا شَدَّدُوْا عَلَى أَنْفُسِهِمْ فَشَدَّدَ اللهُ عَلَيْهِمْ فَتِلْكَ بَقَايَاُهْم فِي الصَّوَامِعِ وَالدِّيَارِ وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوْهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ

“Janganlah kamu memberat-beratkan dirimu sendiri, sehingga Allah Azza wa Jalla akan memberatkan dirimu. Sesungguhnya suatu kaum telah memberatkan diri mereka, lalu Allah Azza wa Jalla memberatkan mereka. Sisa-sisa mereka masih dapat kamu saksikan dalam biara-biara dan rumah-rumah peribadatan, mereka mengada-adakan rahbaniyyah (ketuhanan/kerahiban) padahal Kami tidak mewajibkannya atas mereka.” Hadits riwayat Abu Dâwud dan dishahîhkan oleh al-Albâni dalam Silsilah Shahîhah (3124).

Pernah ada tiga orang sahabat yang ingin mengetahui apakah ibadah Nabi di rumah. Mereka tidak bertemu dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas mereka bertanya kepada ‘Aisyah r.ah tentang ibadah baginda. Setelah diberitahu, mereka merasa ibadah baginda itu hanya sedikit.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَقُولُ: جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا، فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ. قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا. فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي»
Daripada Anas bin Malik R.A. beliau berkata: “Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi SAW untuk bertanya tentang ibadah Nabi SAW. Setelah mereka diberitahu, seolah-olah mereka menganggap ibadah Nabi itu sedikit, lalu mereka berkata: ‘Di manakah kedudukan kita berbanding Nabi SAW? Sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.’ Salah seorang daripada mereka berkata: ‘Adapun aku, aku akan solat malam selama-lamanya (tanpa tidur).’ Yang lain pula berkata: ‘Aku akan berpuasa setiap hari tanpa berbuka (pada hari lain).’ Dan yang lain lagi berkata: ‘Aku akan menjauhkan diri daripada wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.’ Kemudian Rasulullah SAW datang kepada mereka dan bersabda: ‘Adakah kalian yang berkata begini dan begitu? Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa di antara kalian, namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat malam dan aku juga tidur, serta aku mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.'” 

Sahih al-Bukhari: Hadis No. 5063; Sahih Muslim: Hadis No. 1401.

Lihatlah bagaimana mengikut sunnah itulah agama. Dalam ibadat kita, jangan kita buat berlebih-lebihan sampai menyusahkan diri kita sendiri. Jangan terpedaya dengan gerakan Tarekat dan Sufi yang kononnya hendak mendekatkan diri dengan Allah, sampai guru mereka mengajar mereka amalan-amalan yang menyusahkan diri yang tidak diajar Nabi pun. Sudahlah mereka menyusahkan diri, mereka membelakangkan sunnah Nabi pula!


 

Ayat 9: Siapakah Allah? Kita diberitahu tentang Allah dalam ayat ini. Ayat 9 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita untuk bersabar dan abaikan celaan orang yang engkar.

رَبُّ المَشرِقِ وَالمَغرِبِ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ فَاتَّخِذهُ وَكيلًا

Sahih International

[He is] the Lord of the East and the West; there is no deity except Him, so take Him as Disposer of [your] affairs.

Malay

Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

 

رَّبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat;

Menguasai ‘timur dan barat’ itu bermaksud, Allah menguasai segala-galanya. Maka, kalau Allah sahaja yang menguasai segala-galanya, maka minta kepadaNya sahaja. Jangan minta kepada selain dariNya, kerana selain dariNya tidak dapat memberikan kita apa-apa.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tiada ilah melainkan Dia;

Tidak ada Tuhan yang layak disembah, diibadati, ditaati dan diharapkan selain daripada Allah. Kita telah membincangkan dengan panjang lebar tentang konsep ini dalam tulisan-tulisan yang lain. Ianya bukan hanya mengatakan ‘tidak ada tuhan selain Allah’, tapi lebih lagi. Harap dapat dirujuk di tempat-tempat yang lain.

 

فَاتَّخِذْهُ وَكِيلًا

maka ambillah Dia sebagai Penjaga.

Kalimah وَكِيلًا adalah seseorang yang menguruskan semua hal dan keperluan kita. Yang boleh selesaikan masalah kita. Orang yang dipercayai oleh kita sepenuh-penuhnya.

Ayat ini mengajar kita untuk tawakal kepada Allah. Segala sesuatu yang berlaku hanya berlaku dengan izin Allah. Maknanya, kita tidak boleh bergantung kepada selain Allah. Kita tidak boleh berharap kepada manusia kerana manusia tidak mentadbir alam. Hanya Allah sahaja. Kepada diri kita pun tidak boleh harap.

Kita serahkan semuanya kepada Allah. Apabila kita sudah tawakal dan sudah serahkan segala urusan kita kepadaNya, kita terima sahaja apa yang berlaku. Kalau ada kata ‘kalau-kalau’, itu bukan lagi tawakal. Bukankah kita selalu kata begini? – “Kalaulah aku tahu nak jadi macam ini, tentu aku akan buat begitu begini”. Ini adalah salah kerana kata ‘kalau’ itu dari syaitan. Syaitan mahu kita menolak tawakal dan penyerahan kepada Allah. Syaitan nak suruh kita sangka yang kita ada kuasa dalam mengubah takdir. Padahal, kita tidak mungkin boleh mengubah takdir kerana Allah sudah atur semua sekali apa yang terjadi.

Ini bukanlah menidakkan usaha kita untuk mendapatkan sesuatu atau menghalang sesuatu dari terjadi. Usaha kena tetap dijalankan kerana Allah hendak melihat usaha kita. Tapi usaha kita itu tidak memberi ‘bekas’ kalau Allah tidak izinkan ia berlaku. Tapi, kalau kita ikhtiar, janganlah kita melakukan sesuatu yang di luar syarak.

Sebagai contoh, ramai yang menyalahgunakan perkataan ‘ikhtiar’ ini dalam usaha mereka dalam perubatan. Mereka kata tidak salah kalau jumpa bomoh, jumpa pawang, pergi Darul Syifa’ dan sebagainya, kerana itu adalah ‘ikhtiar’. Kita tidak boleh menggunakan cara-cara yang di luar syarak. Kita kena berusaha dalam lingkungan syarak dan kalau itu tidak berjaya, kita kena redha dengan apa yang berlaku.


 

Ayat 10: Sebelum ini adalah ayat-ayat tentang hubungan dan komunikasi dengan Allah. Sekarang Allah sentuh tentang komunikasi manusia dengan manusia pula.

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا

Sahih International

And be patient over what they say and avoid them with gracious avoidance.

Malay

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

 

وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka,

Allah memerintahkan Nabi bersabar dengan apa yang dikatakan oleh kaumnya yang menentang dakwah baginda. Mereka kata baginda menipu, mereka kutuk baginda, tohmah baginda dan sebagainya. Ianya bukan mudah untuk menadah telinga mendengar kata-kata mereka tanpa melakukan apa-apa. Kerana kalau orang cakap buruk dengan kita, selalunya kita akan terasa. Sampai sepanjang hari kita akan teringat.

Sebagai contoh, ada orang tuduh kita kata sesuatu yang kita tidak kata, buat sesuatu yang kita tidak buat, sampai menuduh kita munafik, itu semua adalah perkara-perkara yang payah untuk untuk kita dengar. Kalau zaman sekarang, ahli sunnah selalunya dituduh sebagai ‘Wahabi’. Ramai yang terasa dengan panggilan ini.

Itu kalau kita, apatah lagi Nabi yang hatinya memang lebih sensitif. Tapi lihatlah bagaimana Allah suruh Nabi bersabar dgn kata-kata buruk kaumnya yang tentunya amat teruk sekali. Itu sebabnya Nabi disuruh solat malam supaya dapat membersihkan hati dan menenangkan dirinya. Segala luka pada hatinya hasil dari kata-kata kaumnya, diubati dengan solat malam itu.

Ini mengingatkan kita bahawa orang yang kita beri dakwah itu tidak semuanya akan menerima kata-kata kita. Ada sahaja yang akan menentang. Ada sahaja yang akan gelar kita dengan gelaran wahabi dan sebagainya. Malah lebih ramai yang menentang dari yang menerima.

 

وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Allah suruh Nabi Muhammad meninggalkan mereka. Tapi suruhan itu adalah untuk memulaukan mereka dengan ‘cara yang baik’. Maksudnya, jangan sampai memutuskan hubungan terus dengan mereka. Tidak ada celaan kita beri bersama pulauan itu. Jangan kita maki mereka sebelum kita tinggalkan mereka. Mereka pun tak tahu mereka kena pulau.

Kenapa disuruh tinggalkan mereka? Nabi disuruh meninggalkan mereka supaya baginda boleh beri tumpuan kepada orang mukmin. Ada ramai lagi orang mukmin yang mahu menerima dakwah dari baginda. Daripada melayan mereka yang memang menentang sahaja, baik tumpukan kepada mereka yang mahu menerima.

Bagaimana kalau kita kena fitnah atau ada yang tuduh kita dengan tuduhan tidak baik seperti menuduh kita munafik? Kita boleh tinggalkan mereka tanpa kita mencela mereka, tanpa kita memaki balik kepada mereka. Biarkan sahaja mereka. Itu adalah tindakan yang paling baik. Kita tidak hiraukan mereka lagi.

Maksud ‘meninggalkan’ mereka bukanlah bermaksud memutuskan langsung hubungan dengan mereka yang menentang, sampaikan tidak berdakwah lagi kepada mereka. Tapi ianya bermaksud berhenti dari berhubungan rapat dengan mereka, bercampur gaul dengan mereka dalam amalan salah mereka.


 

Ayat 11:

وَذَرني وَالمُكَذِّبينَ أُولِي النَّعمَةِ وَمَهِّلهُم قَليلًا

Sahih International

And leave Me with [the matter of] the deniers, those of ease [in life], and allow them respite a little.

Malay

Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

 

وَذَرْنِي

Dan biarkanlah Aku

Allah kata serahkan sahaja dan biarkan Dia sahaja membalas kepada mereka. Tak perlu buat apa-apa kepada mereka. Serahkan sahaja kepada Allah untuk membalas kepada mereka.

Dalam ayat 9 tadi, kita sudah disuruh untuk bertawakal kepada Allah, serahkan urusan kita kepada Allah. Ini dikuatkan lagi dengan ayat ini. Iaitu kita serahkan urusan kepada Allah.

 

وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ

dan orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang dalam kemewahan,

Biar sahaja Allah menguruskan dan membalas kepada mereka yang mendustakan itu. Kalau kita nak balas, kita tidak mampu, maka serangkan sahaja kepada Allah. Tahulah Allah nak buat macam mana dengan mereka.

Dalam potongan ayat ini, Allah menyebut orang-orang yang berada dalam kemewahan selepas menyebut mereka yang menentang. Ini menunjukkan bahawa orang-orang yang menentang itu selalunya golongan-golongan yang mewah. Bukanlah Islam menentang orang kaya. Tapi mereka yang kaya itu, selalunya tidak beriman kerana mereka sombong. Mereka rasa mereka tidak perlukan orang lain, mereka anggap diri mereka lebih baik dari orang lain.

Dan mereka selalunya jahil agama kerana mereka tidak belajar. Ini adalah kerana mereka sibuk dengan harta dan dunia. Padahal mereka sepatutnya lebih mudah untuk datang belajar dan berdakwah kerana mereka banyak duit. Mereka tidak perlu sibuk sangat nak kerja kerana mereka sudah kaya sebenarnya. Sebab itu dituntut lebih lagi dari mereka kerana mereka telah diberikan dengan banyak kelebihan. Tapi ramai yang tidak ambil kesempatan itu.

Yang menentang itu selalunya dari golongan yang berada, yang kaya dan berkuasa kerana agama yang benar dan lurus itu akan menggugat kedudukan mereka. Mereka selalunya berjaya dan berkuasa di atas sistem yang tidak betul. Mereka dapat cari makan kerana sistem yang memudahkan mereka terus menjadi kaya. Jadi, kalau ada yang datang  membawa sistem yang betul, tentu mereka akan menentang. Kerana sistem yang dibawa Islam memberi kesamarataan kepada semua orang.

Sebagai contoh, yang kaya itu mungkin kerana sistem Riba yang berleluasa sekarang. Dengan sistem Riba, yang kaya semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin. Ini adalah sistem yang amat teruk sampai menyebabkan negara boleh jatuh, keluarga papa kedana dan orang biasa membunuh diri kerana tidak tahan dengan hutang keliling pinggang.

 

وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلًا

dan berilah tangguh kepada mereka sedikit masa;

Maksud ‘beri tangguh’ itu adalah – Jangan lawan mereka lagi. Biar Allah sahaja yang akan uruskan mereka. Kita hanya bersabar sahaja. Tambahan pula kerana surah ini diturunkan di Mekah dan umat Islam waktu itu lemah. Maka memang tidak boleh balas penindasan yang dilakukan oleh golongan penentang. Nanti bila di Madinah nanti (apabila umat Islam sudah kuat), barulah Allah suruh beri balasan kepada Musyrikin Mekah itu dengan tangan para sahabat sendiri.

‘Beri tangguh’ itu juga bermaksud jangan doakan keburukan untuk mereka. Jangan doakan kebinasaan untuk mereka. Kenapa? Supaya mereka dapat masa dan diberi peluang untuk masuk Islam. Ada ramai yang lambat masuk Islam. Ini seperti Saidina Umar, Khalid al Walid, Abu Sufyan dan ramai lagi. Kalaulah Nabi doakan kehancuran untuk mereka dari awal lagi, tentu mereka tidak ada peluang untuk masuk Islam dan itu adalah merugikan sekali.

Ini mengajar kita yang mungkin ada yang menolak dakwah kita pada mulanya. Tetapi jangan kita terus kata yang mereka tidak ada harapan langsung. Kerana mungkin lama kelamaan mereka akan diberikan taufik oleh Allah dan mereka mahu pula beriman.

Atau, ayat ini juga boleh bermaksud – biarkan mereka, tak lama lagi mereka akan dapat balasan azab untuk mereka. Tak payah kita tunggu-tunggu apa yang akan terjadi kepada mereka. Jangan sibukkan otak kita dengan mereka. Itu buat serabut otak sahaja dan tidak menjadikan kita produktif.


 

Ayat 12: Ini adalah ayat ancaman dari Allah. Apakah yang Allah akan lakukan kepada mereka? Allah memberi bayangan apakah yang dilakukan kepada mereka.

إِنَّ لَدَينا أَنكالًا وَجَحيمًا

Sahih International

Indeed, with Us [for them] are shackles and burning fire

Malay

Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

 

إِنَّ لَدَيْنَا أَنكَالًا وَجَحِيمًا

Kerana sesungguhnya di sisi Kami, belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,

Kalimah أَنكَالًا adalah belenggu yang digunakan untuk membelenggu binatang. Ianya adalah belenggu yang lebih kuat dari yang digunakan untuk manusia. Kerana binatang lebih kuat kalau dibandingkan dengan manusia.

Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan api yang menjulang-julang. Itulah balasan bagi mereka yang menentang dan mendustakan Nabi dan agama.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Februari 2026


Rujukan:

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Balad Ayat 1 – 4 (Manusia memang hidup susah dalam ujian)

Pengenalan:

Surah ini diturunkan di Mekah. Ia diturunkan pada Peringkat Ke-3 Kenabian. Sekitar Tahun 6 – 10 Kenabian.

Bahaya cinta dunia (hubbud dunya) telah disebut dalam Surah al-Fajr. Musyrikin Mekah itu terhalang dari menerima ajakan tauhid Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka terhijab dari kebenaran dek kerana mereka lihat Nabi Muhammad ﷺ itu miskin, maka mereka tidak rela nak turun darjat kerana hendak jaga kedudukan mereka.

Mereka rasa kalau mereka ikut Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan jadi hina, jadi miskin dan mereka tidak sanggup. Maka mereka mati kufur seperti juga Abu Talib yang sedar kebenaran Islam, tetapi tidak sanggup nak masuk Islam kerana segan dengan masyarakat Quraisy waktu itu. Dia malu kalau orang kata dia tukar agama nenek moyang.

Sebegitu juga Raja Rom waktu itu yang tahu Islam itu benar, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasulullah, tetapi dia tidak sanggup nak jatuh pangkat dari jadi Raja Rom dan masuk Islam. Dia juga mati kufur dan kisah beliau ada disebut dalam Sahih Bukhari.

Begitulah kalau tidak ada sifat sanggup berkorban, tidak akan masuk syurga. Syurga itu mahal dan memerlukan pengorbanan. Ramai yang tidak sanggup berkorban jadi ada yang degil untuk terima kebenaran Islam kerana hendak jaga kedudukan mereka dalam dunia. Seolah-olah nilai tauhid itu lebih rendah dari kedudukan mereka. Mereka lebihkan dunia lagi dari mendapat tauhid.

Antara sifat cinta dunia adalah tidak infak kepada agama. Dalam surah ini pula, Allah ﷻ sebut walaupun manusia tidak infak untuk agama, mereka tetap akan infak untuk perkara yang sia-sia juga. Bukan sahaja infak ke tempat yang salah tidak mendapat pahala, malah ia boleh dapat dosa pula.

Allah ﷻ tegur mereka kerana  mereka kedekut untuk infak pada agama, tetapi dapat beri pula untuk benda yang lain. Mereka akan mendapat kerugian dan dosa sahaja kerana infak itu sepatutnya kena pada tempat yang betul, dan kena ikhlas untuk Allah ﷻ, barulah boleh dapat pahala.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang dunia ini adalah tempat ujian. Dalam kehidupan memang ada kepayahan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).

Ayat 1 ini adalah sumpah Allah ﷻ yang pertama.

لا أُقسِمُ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

I swear by this city, Makkah –

Malay

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

 

Dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan negeri Mekah. Perkataan لا selalunya bermaksud ‘tidak’. Tetapi apabila diletakkan sebelum satu sumpah seperti dalam ayat ini, ianya hendak menekankan (tahkik) sumpah itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan لا itu adalah untuk menidakkan fahaman salah Musyrikin Mekah dalam beragama. Ada ketikanya, bila Allah ﷻ bersumpah, Dia tidak terus guna perkataan ‘uqsimu’, tetapi Dia akan mulakan dengan perkataan ‘la’ seperti dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain. Penggunaan ‘la’ ini tidaklah sama dengan penggunaan biasa. Ianya kerana Allah ﷻ hendak menidakkan pemahaman orang kafir. Allah ﷻ hendak beritahu yang benar dan menolak fahaman salah mereka. Dengan menggunakan perkataan ‘la’, Allah ﷻ hendak menarik perhatian pembaca kepada ayat Al-Qur’an ini.

Perkataan البَلَدِ (negeri) dalam ayat ini bermaksud Negeri Mekah. Al-Qur’an tidak sebut ‘Mekah’ dalam ayat ini. Tetapi apabila ada alif lam sebelum perkataan ‘balad’ itu, ia bermaksud negeri yang sudah dikenali, dan dalam konteks ini, ulama’ tafsir sepakat bahawa negeri yang dimaksudkan adalah Mekah.

Allah ﷻ cintakan Mekah dan kerana itulah Allah ﷻ bersumpah dengan Negeri Mekah. Baitillah (Rumah Allah ﷻ) berada di Mekah iaitu Ka’bah. Ianya adalah tempat yang amat istimewa. Ianya adalah tempat dibangkitkan Rasul dan Nabi yang terakhir dan di situlah juga diturunkan Al-Qur’an yang Agung.

Mekah adalah satu negeri yang orang yang duduk di dalamnya susah kerana hendak mempertahankan agamanya. Ini adalah sebagai ujian dari Allah ﷻ. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail عليهما السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Ini hendak mengajar kita, bukan mudah untuk menegakkan dan mengamalkan agama.

Maka, agama itu kena ada usaha, bukan goyang kaki untuk mengamalkan agama. Bila pergi ke Mekah, kita akan ingat tentang kesusahan yang dialami oleh para Nabi عليهم السلام dan sahabat kita. Bayangkan 13 tahun Nabi ﷺ jaja kalimah tauhid kepada kaumnya dan baginda ditolak dengan teruk sekali sampaikan baginda terpaksa meninggalkan negeri Mekah yang baginda amat cintai.

Dalam surah sebelum ini, Allah ﷻ berkata tentang nafsu yang tenang. Dan bukankah apabila kita berada di Mekah, jiwa kita akan tenang? Ini adalah kerana Mekah adalah tempat yang paling tenang dalam dunia. Apabila kita pergi ke Mekah, seperti kita pulang ke tempat asal kita. Tanyalah kepada mereka yang telah pergi ke sana. Mereka yang telah pergi, akan teringin lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Mereka sentiasa rindu kepada Mekah.

Begitu juga, panggilan ‘jiwa yang tenang’ itu adalah ucapan kepada orang mukmin semasa mereka memakai pakaian ihram apabila menjalankan Umrah atau Haji. Ianya juga adalah pakaian yang sama kita pakai apabila kita mati nanti (kafan). Ini semua mengingatkan kita kepada mati dan kita amat berharap semoga kita mendapat ucapan yang baik dari malaikat semasa nyawa kita dicabut. Semoga kita dimatikan dalam keadaan tenang. Aameen.

Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan sesuatu, Allah ﷻ menaikkan martabat sesuatu yang digunakan sebagai sumpah itu. Dan memang Mekah adalah tempat yang penuh berkah. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberkati negeri Mekah itu. Allah ﷻ telah makbulkan doa baginda.

Dan kerana itu sampai sekarang, Mekah adalah tempat yang aman dan tidak ada orang yang kebuluran di Mekah. Makanan akan sentiasa sahaja ada di Mekah, dan semua orang boleh dapat makanan walaupun mereka tidak ada wang kerana akan ada sahaja orang yang memberi makan kepada orang lain.

Allah ﷻ boleh bersumpah dengan apa sahaja kerana semua yang ada adalah makhlukNya. Tetapi manusia tidak boleh bersumpah dengan selain Allah ﷻ. Tidak boleh kalau kita pula nak bersumpah dengan negeri Mekah walaupun ada dalam ayat ini. Hanya Allah ﷻ sahaja boleh buat, tetapi kita tak boleh buat.


 

Ayat 2: Ayat ini adalah penerangan kepada sumpah yang pertama.

وَأَنتَ حِلٌّ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

And you, [O Muhammad], are free of restriction in this city –

Malay

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini,

 

Ayat ini menekankan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tinggal di negeri Mekah ini. Baginda bermukim di sana. Ayat pertama Allah ﷻ bersumpah dengan ‘ketua segala negeri’ (Mekah) dan ayat kedua ini, Allah ﷻ bersumpah dengan ‘penghulu segala Nabi’ (Nabi Muhammad ﷺ).

Ada beberapa tafsir tentang apakah yang hendak ditekankan oleh Allah ﷻ dalam ayat ke-2 ini. Perbezaan pendapat ini adalah kerana perbezaan pentafsiran kalimah حِلٌّ dalam ayat ini.

Pendapat 1: Jika kita mengambil maksud perkataan حِلٌّ  sebagai ‘halal’, ia bermaksud: Engkau wahai Muhammad akan menjadi ‘halal’ di negeri ini. Maknanya Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa ada perancangan untuk membunuh baginda (menghalalkan darah baginda).

Walaupun orang Arab memandang haram untuk membunuh kehidupan di Tanah Mekah, sampai binatang pun mereka tak buru di situ, tetapi mereka akan melupakan pegangan mereka nanti untuk membunuh baginda – mereka meng’halal’kan darah Rasulullah ﷺ.

Begitulah betapa mereka tidak sukakan Nabi ﷺ. Padahal dulunya mereka sayang dan sangat percaya kepada Nabi ﷺ. Tetapi apabila Nabi ﷺ membawa akidah tauhid yang berlawanan dengan pemahaman mereka, mereka sanggup nak buruk baginda.

 

Pendapat 2: Allah ﷻ menghalalkan kepada Nabi ﷺ untuk menghukum orang kafir pada satu waktu di Mekah. Walaupun tempat itu adalah suci, tidak boleh menumpahkan darah, tetapi akan dibenarkan kepada Nabi Muhammad ﷺ – tetapi hanya pada satu waktu – iaitu semasa Pembukaan Mekah.

Ayat ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ pasti akan dapat masuk ke dalam Mekah dengan cara aman. Memang baginda akan dihalau dari negeri Mekah ini, namun akhirnya baginda akan masuk dengan cara aman akhirnya. Iaitu semasa Nabi ﷺ menakluk Mekah dan mengambil alih Ka’bah dari Musyrikin Mekah.

Surah ini adalah Surah Makkiyah, diturunkan di waktu umat Islam sedang lemah. Jadi ini bermakna, Allah ﷻ menceritakan satu kejadian di masa depan, iaitu akan sampai satu masa nanti apabila Islam akan dapat berkuasa di Mekah. Memang ada hadis yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ hanya dibenarkan buat perkara itu satu waktu sahaja. Dan selepas itu tidak boleh lagi.

٣٩٥٧ – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ شُرَحْبِيلَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ الْعَدَوِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِعَمْرِو بْنِ سَعِيدٍ وَهُوَ يَبْعَثُ الْبُعُوثَ إِلَى مَكَّةَ ائْذَنْ لِي أَيُّهَا الْأَمِيرُ أُحَدِّثْكَ قَوْلًا قَامَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَدَ يَوْمَ الْفَتْحِ سَمِعَتْهُ أُذُنَايَ وَوَعَاهُ قَلْبِي وَأَبْصَرَتْهُ عَيْنَايَ حِينَ تَكَلَّمَ بِهِ إِنَّهُ حَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنْ مَكَّةَ حَرَّمَهَا اللَّهُ وَلَمْ يُحَرِّمْهَا النَّاسُ لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْفِكَ بِهَا دَمًا وَلَا يَعْضِدَ بِهَا شَجَرًا فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ لِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا فَقُولُوا لَهُ إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ وَإِنَّمَا أَذِنَ لِي فِيهَا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ وَقَدْ عَادَتْ حُرْمَتُهَا الْيَوْمَ كَحُرْمَتِهَا بِالْأَمْسِ وَلْيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَقِيلَ لِأَبِي شُرَيْحٍ مَاذَا قَالَ لَكَ عَمْرٌو قَالَ قَالَ أَنَا أَعْلَمُ بِذَلِكَ مِنْكَ يَا أَبَا شُرَيْحٍ إِنَّ الْحَرَمَ لَا يُعِيذُ عَاصِيًا وَلَا فَارًّا بِدَمٍ وَلَا فَارًّا بِخَرْبَةٍ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْخَرْبَةُ الْبَلِيَّةُ

3957. Telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Syurahbil telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Al Maqburi dari Abu Syuraikh Al’Adawi, dia berkata kepada Amru bin Said yang ketika itu dia mengirim beberapa utusan ke Makkah; “Wahai Amir, izinkanlah aku mengajakmu bicara suatu hal yang akan diucapkan Rasulullah ﷺ esok pada penaklukan Makkah, yang kudengar dengan kedua telingaku dan diperhatikan oleh hatiku serta dilihat oleh kedua mataku ketika baginda mengucapkannya. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah lantas bersabda: “Sesungguhnya Makkah telah Allah sucikan dan manusia tidak mensucikannya sebelumnya, tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk menumpahkan darah di sana, tidak pula menebang pohon, kalaulah seorang berkilah bahawa Rasulullah pernah memberi keringanan untuk perang, katakan padanya: ‘Allah mengizinkan khusus untuk Rasul-Nya dan tidak mengizinkan untuk kalian, dan Allah pun mengizinkannya hanya beberapa saat ketika siang, dan kesuciannya telah kembali hari ini sebagaimana kesucian kelmarin, hendaklah yang menyaksikan menyampaikan yang tidak hadir.” Ditanyakan kepada Abu Syuraikh; “Apa yang Amru ucapkan kepadamu? Jawabnya; “Aku lebih tahu terhadapnya wahai Abu Syuraikh, sesungguhnya Tanah Haram tidak akan melindungi pelaku kemaksiatan dan tidak pula manusia yang lari menumpahkan darah dan tidak pula yang lari melakukan penghancuran-penghancuran.” Kata Abu Abdullah, makna Kharibah adalah bencana (kehancuran). [ Sahih Bukhari no. 3957]

 

Pendapat 3: حِلٌّ bermaksud ‘bermukim’. Iaitu apabila sampai ke sesuatu tempat untuk tinggal berterusan, kita berhenti dan memasang segala peralatan kita di situ. Ia bermaksud tinggal berterusan di sesuatu tempat. Dan memang Nabi ﷺ membesar dan kebanyakan dari usia baginda adalah di Mekah.

Ini juga bermaksud, walaupun Nabi Muhammad ﷺ akan dihalau daripada Mekah, tetapi baginda akan datang semula ke Mekah. Allah ﷻ memberi isyarat ini kepada Nabi ﷺ dan memberi jaminan kepada Nabi ﷺ bahawa baginda akan menguasai Mekah.

 

Pendapat 4: Allah ﷻ memuliakan Mekah dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya. Kerana apabila kita bercakap tentang Mekah, kita tentu teringat yang ianya adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad ﷺ. Sudahlah ianya tempat yang mulia, dimuliakan lagi dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya.


 

Ayat 3: Ini adalah satu lagi sumpah.

وَوالِدٍ وَما وَلَدَ

Sahih International

And [by] the father and that which was born [of him],

Malay

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

 

Ada beberapa pendapat tentang maksud ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini:

1. Pendapat yang kuat mengatakan ‘bapa’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Ibrahim dan zuriatnya Nabi Ismail عليهما السلام dan kemudian termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Pendapat ini lebih kuat kerana dalam ayat sebelum ini, disebut tentang negeri Mekah dan Mekah itu kuat kaitannya dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام.

Dan kepada bangsa Arab, apabila dikatakan ‘walid’, mereka akan teringat ‘datuk’ mereka iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan mereka juga mengaku bahawa apa yang mereka lakukan adalah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun banyak yang sudah diubah dari ajaran baginda, namun mereka masih mengaku mereka mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام. Pendapat ini kata begini kerana ayat pertama memperkatakan tentang Mekah dan Nabi Ismail عليه السلام adalah lelaki pertama di Mekah.

Oleh itu, ayat ini menempelak Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Mengapakah mereka mahu menentang baginda sampai mahu membunuh baginda, padahal Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang sama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sendiri? Mereka kata mereka mengikut agama Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi apa yang mereka amalkan adalah jauh dari apa yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام.

 

2. Ada juga pendapat lain yang tidak kurang kuatnya, yang mengatakan ‘bapa’ dalam ayat ini adalah Nabi Adam عليه السلام dan anak yang dimaksudkan adalah anak cucunya.

Ini bermakna, apabila Allah ﷻ bersumpah begini, menunjukkan kemuliaan anak Adam. Dan memang begitupun. Kita ini memang mulia, dan ada disebut dalam ayat-ayat yang lain yang mengatakan demikian. Kita lebih mulia dari jin, tetapi dalam Al-Qur’an disebutkan ada manusia yang memuja jin. Padahal mereka itu rendah dari kita.

Apabila yang rendah dipuja, naik tocanglah mereka. Kerana tidak faham dengan perkara inilah yang menyebabkan ramai yang takut dengan jin/hantu sedangkan mereka tidak boleh buat apa pun kepada kita. Disebabkan kerana kita takut itulah yang menyebabkan mereka boleh kacau kita. Kerana kita beri ‘kunci’ kepada mereka untuk menguasai kita.

 

3. Ianya merujuk kepada semua bapa dan semua anak. Sama ada manusia atau pun binatang. Kerana ianya adalah sesuatu yang menakjubkan, bagaimana keturunan berlangsung dari seorang bapa kepada anaknya, dan anaknya pula nanti menjadi bapa pula kepada anaknya sendiri. Kejadian ini silih berganti sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Allah ﷻ sebut tentang anak kerana untuk melahirkan anak itu, ibu dan bapa akan susah. Nak lahirkan susah, nak jaga dan besarkan anak itu pun susah juga. Dan jadi anak pun susah juga kerana nak membesar dari kecil akan susah – nak mula-mula belajar jalan pun susah juga.

Allah ﷻ hendak mengajar yang Allah ﷻ sengaja ciptakan manusia hidup dalam susah, supaya dia boleh jadi biasa bersusah payah untuk taat kepada Allah ﷻ. Bukanlah manusia itu ditakdirkan hidup senang sentiasa. Memang manusia akan sentiasa mengalami kesusahan. Dalam hidup hendak cari makan pun susah juga, bukan senang.

Dan Allah ﷻ uji manusia dengan kesusahan untuk menegakkan agama Allah ﷻ dan mengamalkan agama Allah ﷻ. Tetapi susah semasa di dunia sahaja, nanti akan senang di akhirat. Kalau tidak susah untuk agama, mereka akan susah selepas mereka mati nanti – semasa dicabut nyawa pun susah, akan susah di barzakh, di Mahsyar dan di akhirat kelak kerana akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

4. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Ibnu Atiyyah, dari Syarik, dari Khasif, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: dan demi bapak dan anaknya. (Al-Balad: 3) Al-walid kata ertinya orang yang beranak, dan wama walad ertinya orang yang mandul tidak dapat beranak.

Jadi ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, tidak dapat dipastikan dengan pasti siapakah ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini kerana tidak ada ال dalam perkataan والِدٍ dan وَلَدَ yang digunakan. Ianya dalam isim nakirah, oleh itu, ianya adalah dalam bentuk yang umum yang membuka kepada beberapa tafsiran.


 

Ayat 4: Allah ﷻ telah bersumpah dengan Negeri Mekah, Nabi Muhammad ﷺ, bapa dan anak. Jadi apakah sumpah ini hendak cerita? Sebab sumpah-sumpah itu adalah kerana hendak menceritakan sesuatu yang penting. 

Maka, kenapakah sumpah itu diutarakan? Apakah jawaabul qasm kepada qasm (sumpah) sebelum ini? Sumpah digunakan untuk menekankan kepada perkara yang penting. Maka, apakah perkara penting yang Allah ﷻ hendak tekankan?

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ

Sahih International

We have certainly created man into hardship.

Malay

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

 

Jangan kita faham dari pembacaan ayat ini yang Allah ﷻ itu zalim, sampai hendak jadikan kita hidup dalam susah pula. Allah ﷻ senang sahaja hendak jadikan manusia – kun fayakun, dan Allah ﷻ boleh jadikan kita semuanya hidup dalam kesenangan. Dan Allah ﷻ pernah buat kerana Allah ﷻ sudah pernah pun letakkan Nabi Adam عليه السلام dalam syurga. Allah ﷻ boleh juga jadikan seluruh anak cucu Adam عليه السلام tinggal dalam syurga pun. Tetapi Allah ﷻ tidak hendak jadikan begitu. Kerana Allah ﷻ jadikan dunia ini sebagai tempat ujian untuk kita.

Akan tetapi Allah ﷻ takdirkan menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan kesulitan dan risaukan tentang sesuatu. Dari bayi, dan berterusan sepanjang hidupnya. Di mana sahaja mereka berada, walau siapa pun mereka. Tentu ada kesusahan yang akan dialaminya. Lain orang lain perkara yang dia risaukan.

Semua manusia akan ada kerisauan yang sentiasa difikirkannya. Ada yang berat dan ada yang ringan. Ada perkara yang merisaukan orang lain tetapi tidak merisaukan kita dan begitu juga sebaliknya – perkara yang sama namun kerisauan yang berbeza.

Contohnya, orang miskin risaukan pasal makanan. Orang kaya mungkin tidak risau pasal makanan sebab mereka senang hendak dapat makanan, tetapi mereka risaukan pasal kesihatan pula kalau tidak jaga makanan – sebab mereka sudah ada darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sedangkan orang yang miskin boleh makan apa sahaja yang mereka hendak makan.

Kenapa Allah ﷻ beri kesusahan kepada manusia? Semua itu adalah sebagai ujian kepada manusia. Allah ﷻ beri ujian kesusahan kepada makhlukNya, supaya makhluk itu sedar yang tidak ada manusia yang selamat dari kesusahan. Selagi hidup di dunia, mereka akan berhadapan dengan kesusahan hidup di dunia.

Dunia ini adalah pentas ujian. Hidup yang tidak ada kesusahan dan untuk menerima nikmat, hanya di syurga. Selagi tinggal di dunia, akan kena uji. Sebab dunia adalah tempat manusia diuji. Oleh itu, kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga. Untuk dapat syurga, kena susah sikit di dunia. Kena susah sikit untuk dapat tempat di dalam syurga.

Oleh itu, kita kena sabar dengan kesusahan di dunia ini. Jangan lari dari kesusahan sampai kita melakukan dosa. Tidaklah kalau kita lari dari syariat Allah ﷻ akan memudahkan kita pun. Ada orang yang kerana hendakkan kesenangan, mereka sanggup buat dosa dengan menipu dan menindas manusia lain. Mereka lari dari kesusahan yang kecil di dunia untuk mendapat kesusahan yang lebih besar di akhirat kelak.

Padahal, kalau kita mengikut suruhan Allah ﷻ, lagi mudah dan akan lagi mendekatkan kita dengan Allah ﷻ. Sedangkan Allah telah letakkan jalan yang banyak untuk ke syurga. Orang kaya dengan cara mereka dan orang miskin dengan cara mereka. Beramallah dengan apa yang kita mampu. Mungkin ada orang yang suka membersihkan jalan untuk orang ramai. Dan itulah punca dia dapat masuk syurga.

Semua kita tahu kisah seorang penzina Bani Israil yang masuk syurga kerana memberi air minum kepada anjing. Kita tidak tahu dengan amalan kita yang mana yang membolehkan kita masuk syurga. Allah ﷻ akan memberi balasan yang banyak waktu kita paling ikhlas beramal. Kadang-kadang amal kita itu sedikit, tetapi kerana ikhlasnya tinggi, ianya bernilai amat berharga kepada Allah ﷻ.

Ayat ini juga hendak memberitahu yang bukan Nabi ﷺ sahaja yang mengalami masalah, tetapi orang lain juga struggle dalam dunia ini. Semua orang ada masalah masing-masing. Jadi, ayat ini untuk menenangkan Nabi ﷺ yang sedang bersusah payah dalam perjuangan baginda. Baginda dicemuh, disakiti, ditohmah dan sebagainya dalam usaha baginda menyampaikan Islam ini kepada masyarakat Arab. Allah ﷻ pujuk Nabi ﷺ dengan ayat-ayat sebegini.

Begitu jugalah kita, apabila membaca ayat ini, akan memberi kelegaan kepada kita. Kalau kita dalam kesusahan dan kepayahan menghadapi kehidupan di dunia ini, terubat sedikit apabila kita baca ayat ini. Kerana apabila kita tahu orang lain pun ada juga kesusahan mereka, kesusahan yang kita hadapi ini pun rasa dapat tertanggung.

Surah ini menceritakan bahawa ada pilihan kepada manusia – sama ada mengambil jalan menuju kepada Allah ﷻ atau jalan yang menjauh dari Allah ﷻ. Jalan mana pun yang mereka pilih, kedua-duanya ada struggle masing-masing. Akan tetapi yang satu membawa kepada Allah ﷻ dan satu lagi menjauh dari Allah ﷻ. Oleh itu, manusia kena pandai pilih. Dan jangan risau dengan struggle yang perlu dihadapi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Jin Ayat 23 – 28 (Tentang Ilmu Ghaib)

Ayat 23: Apakah tugas Rasulullah? Dan ayat ini juga mengandungi takhwif ukhrawi.

إِلّا بَلٰغًا مِّنَ اللهِ وَرِسٰلٰتِهِ ۚ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ لَهُ نارَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

Sahih International

But [I have for you] only notification from Allah, and His messages.” And whoever disobeys Allah and His Messenger – then indeed, for him is the fire of Hell; they will abide therein forever.

Malay

“hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

 

إِلَّا بَلٰغًا مِّنَ اللهِ وَرِسٰلٰتِهِ

“hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya

Ada dua makna yang boleh diambil dari ayat ini. Kedua-duanya bergantung kepada ayat yang berbeza.

1. Dalam ayat ke 21, Nabi disuruh memberitahu yang baginda tidak boleh beri mudharat dan petunjuk. Ayat ini menyambung ayat itu dengan mengatakan yang Nabi hanya boleh sampaikan wahyu sahaja. Kalau mereka menolak, baginda tidak boleh kenakan mudharat kepada mereka.

2. Dalam ayat ke 22, Nabi disuruh memberitahu yang baginda tidak akan selamat dan lepas dan dari Allah. Dan ayat ke 23 ini menyambung ayat itu dengan memberitahu yang baginda hanya boleh lepas bila sudah sampaikan wahyu yang telah ditugaskan kepada baginda untuk disampaikan. Itu adalah tugas Nabi dan baginda kena penuhi. Ini disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَما بَلَّغْتَ رِسالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. (Al-Maidah: 67)

Begitu juga mereka yang beriman dan ada ilmu, mereka kena sampaikan ilmu yang mereka ada. Oleh itu, kita yang ada ilmu pun kena sampaikan apa yang kita tahu.

Dan kita juga kena tahu yang Nabi Muhammad telah memenuhi kewajipan baginda menyampaikan ajaran Allah kepada manusia dan juga jin.

 

وَمَن يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ

dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan RasulNya,

Iaitu sesiapa yang tidak mengikut arahan dari Allah yang disampaikan melalui RasulNya, Nabi Muhammad. Apa yang akan terjadi kepada mereka?

 

فَإِنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خٰلِدِينَ فِيهَا أَبَدًا

maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

Inilah balasan yang paling teruk sekali. Terus tinggal sampai bila-bila dalam neraka. Tidak dapat nak dibayangkan bagaimanakah keadaannya. Semoga kita diselamatkan terus dari neraka – kita tidak mahu dengar, lihat dan hidu baru neraka sedikit pun.

Tidak semua dosa yang dilakukan manusia menyebabkan mereka tinggal terus dalam neraka selama-lamanya. Dosa yang dimaksudkan adalah dosa syirik.


 

Ayat 24: Sampai bilakah mereka yang menentang itu akan menentang?

حَتّىٰ إِذا رَأَوا ما يوعَدونَ فَسَيَعلَمونَ مَن أَضعَفُ ناصِرًا وَأَقَلُّ عَدَدًا

Sahih International

[The disbelievers continue] until, when they see that which they are promised, then they will know who is weaker in helpers and less in number.

Malay

Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

 

حَتَّىٰ إِذَا رَأَوْا مَا يُوعَدُونَ

Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka,

Mereka itu adalah musyrikin dari manusia dan jin. Ada dari mereka yang tidak akan berubah cara hidup mereka. Walaupun kebenaran telah ditunjukkan kepada mereka, tapi mereka akan tetap tidak mahu menerima agama Islam dan mereka akan tetap menentang kebenaran.

Ianya akan berterusan sehingga mereka nampak azab yang memang telah dijanjikan pun kepada mereka. Azab itu sama ada diberikan di dunia atau Allah akan beri tangguh sampai ke akhirat nanti. Kalau mereka nampak malaikat maut yang datang kepada mereka pun, mereka sudah mula berhenti dari buat syirik.

 

فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ أَضْعَفُ نَاصِرًا

maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolong-penolongnya,

Waktu itu barulah mereka akan tahu nanti siapakah yang akan mendapat penolong yang kuat – adakah mereka yang musyrik, atau ahli tauhid? Tentulah yang menyembah selain Allah akan berada dalam keadaan yang lemah. Tidak ada apa dan sesiapa pun yang boleh membantu mereka.

Begitulah berbezanya antara mereka dan orang yang beriman dengan tauhid. Semasa di dunia dahulu, Musyrikin Mekah berlagak dengan kekuatan dan jumlah mereka yang ramai. Tapi keadaan akan jadi terbalik di akhirat kelak.

 

وَأَقَلُّ عَدَدًا

dan sedikit jumlah bilangannya.

Nanti mereka akan tahu siapakah yang dapat penolong yang ramai. Semasa Rasulullah di Mekah, baginda keseorangan dan kurang pengikut. Tapi keadaan akan bertukar nanti. Allah tentunya akan membantu Nabi Muhammad.


 

Ayat 25: Nabi tidak tahu bilakah azab yang dijanjikan itu akan berlaku. Ini adalah kerana Nabi Muhammad tidak tahu perkara ghaib. Ini adalah tauhid tentang ilmu. Hanya Allah sahaja mengetahui perkara ghaib.

قُل إِن أَدري أَقَريبٌ مّا توعَدونَ أَم يَجعَلُ لَهُ رَبّي أَمَدًا

Sahih International

Say, “I do not know if what you are promised is near or if my Lord will grant for it a [long] period.”

Malay

(Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.

 

قُلْ إِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ مَّا تُوعَدُونَ

katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat,

Ayat ini mungkin sebagai jawapan dari soalan golongan musyrik. Mereka mungkin tanya: “bilakah akan datangnya azab yang kau janjikan itu?”. Maka kerana itu Allah suruh Nabi jawab begini.

Perkataan إِنْ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘jika’ tetapi ‘tidak’. Kena belajar bahasa Arab untuk faham. Kalau setakat tahu sedikit-sedikit sahaja, tentu akan kata yang perkataan إِنْ itu adalah ‘jika’.

Nabi selalu ditanya bilakah terjadinya Kiamat. Sama ada oleh golongan Musyrikin atau dari golongan Muslim sendiri – lebih-lebih mereka yang baru masuk Islam dan tidak tahu apakah perkara yang boleh ditanya dan tidak. Dalam ayat ini, baginda disuruh untuk memberitahu yang baginda sendiri pun tidak tahu bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku. Begitu juga Nabi tidak tahu bilakah azab yang dijanjikan kepada Musyrikin Mekah akan berlaku.

Ini menunjukkan yang Nabi Muhammad tidak tahu tentang perkara ghaib. Ilmu ghaib hanya dimiliki oleh Allah sahaja. Maka janganlah kita percaya kalau ada sesiapa yang mengatakan mereka tahu bilakah Hari Kiamat itu. Atau kalau mereka kata mereka ada pengetahuan tentang ilmu-ilmu ghaib. Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain telah menidakkan sesiapa pun untuk mengetahui perkara ghaib.

Ingatlah juga bahawa kita tak perlu tahu bilakah kiamat itu. Yang penting apakah persiapan kita? Itulah jawapan Nabi apabila ada sahabat yang bertanya:

حَدَّثَنِي أَبُو الرَّبِيعِ الْعَتَكِيُّ، حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، – يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ – حَدَّثَنَا ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ ‏”‏ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الإِسْلاَمِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ ‏.‏

Anas b. Malik melaporkan bahawa seseorang datang kepada Rasulullah (ﷺ) dan berkata kepada Rasulullah saw:
Bilakah akan Kiamat? Baginda (nabi) berkata: Apa persediaan kamu untuk Kiamat? Beliau menjawab: Cinta Allah dan Rasul-Nya (adalah persediaan yang saya sediakan). Baginda (nabi) berkata: engkau akan bersama-sama dengan yang engkau suka.
Anas berkata: Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami sesudah memeluk Islam daripada kata-kata Rasulullah: engkau akan bersama-sama dengan yang engkau sukai. Dan Anas berkata. Saya cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dan saya berharap bahawa saya akan bersama-sama dengan mereka walaupun saya tidak beramal seperti mereka.

Yang penting adalah kita bersedia untuk Kiamat itu. Kerana ianya pasti datang, jadi kenalah bersedia walau apa pun.

Dalam hadis ini, disebut tentang ‘cinta kepada Allah dan RasulNya’. Janganlah pula kita salah anggap cinta kepada Rasul itu dengan menyanyi Qasidah dan ber’ya hanana’ memekik-mekik pula. Ini adalah amalan golongan yang sesat.

Cinta kepada Allah dan Rasul itu ditunjuk dengan mempelajari kalam-kalam Allah dan Rasul dan mengamalkannya dalam kehidupan kita. Ini penting untuk difahami kerana ramai sangat yang salah faham. Mereka sangka yang cinta mereka kepada Nabi itu ditunjuk dengan mereka memuja-muja baginda. Padahal, bukanlah begitu yang dikehendaki oleh Allah dan Nabi sendiri. Yang penting adalah belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Hadis Nabi (Sunnah).

 

أَمْ يَجْعَلُ لَهُ رَبِّي أَمَدًا

atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.

Allah punya hak mutlak dalam mengadakan Kiamat. Bila-bila sahaja Dia boleh adakan dan kalau Allah nak lewatkan, itu terpulang kepada Allah. Nabi tidak tahu bilakah Kiamat akan berlaku, sampaikan kalau cuaca mendung sahaja, Nabi sudah takut kerana takut Kiamat atau azab diturunkan.

Masalahnya, Nabi takut tapi kita tak takut pula. Sampaikan ada yang berhujah, selagi disebut nama Allah dalam dunia, takkan kiamat. Itu adalah hujah yang tidak tepat. Kita macam lupa pula bahawa Allah boleh buat apa-apa sahaja mengikut kehendakNya. Tidak semestinya Allah kena tunggu sampai tidak ada lagi yang menyebut NamaNya dalam dunia. Ingatlah bahawa Kiamat itu adalah hak mutlak Allah. Kita sampai tidak boleh berkata yang berdasarkan firasat kita, Kiamat itu lambat lagi.

Kita tidak disuruh cari bilakah Kiamat. Jangan percaya kalau ada yang kata Kiamat sudah dekat. Yang penting, kita paling perlu bersedia buat masa ini adalah ‘kiamat’ diri kita. Itu yang dinamakan ‘Kiamat Kecil’. Kerana yang pasti kita semua akan mengalami kematian yang akan berlaku tidak lama lagi. Apa yang kita siapkan untuk menghadapinya?

Yang banyak tanya kepada Nabi pun adalah orang orang Badwi. Iaitu golongan Arab yang tinggal di pedalaman. Dan mereka itu adalah umat Islam yang baru, jadi banyak soalan dari mereka. Sahabat yang besar tak tanya pun. Kerana mereka tahu yang perkara itu tidak patut ditanya.


 

Ayat 26: Siapakah yang tahu perkara ghaib?

عٰلِمُ الغَيبِ فَلا يُظهِرُ عَلىٰ غَيبِهِ أَحَدًا

Sahih International

[He is] Knower of the unseen, and He does not disclose His [knowledge of the] unseen to anyone

Malay

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –

 

عٰلِمُ الْغَيْبِ

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,

Inilah sifat Allah yang ramai tidak perasan. Hanya Allah sahaja yang tahu hal-hal ghaib. Kalau kita kata ada sesiapa yang tahu ilmu ghaib, itu sudah memberikan satu sifat Allah kepada makhluk. Dan ini adalah syirik. Sebagai contoh, penganut Syiah mengatakan yang Imam-Imam mereka tahu perkara ghaib. Maka kalau mereka jenis yang ada iktikad begitu, mereka itu adalah musyrik.

 

فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِ أَحَدًا

maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –

Allah tidak berikan ilmu ghaib itu kepada sesiapa pun dari makhluk. Ayat ini menolak langsung kemungkinan sesiapa pun yang mendapat ilmu itu.


 

Ayat 27: Pengecualian tentang pengetahuan ilmu ghaib.

إِلّا مَنِ ارتَضىٰ مِن رَّسولٍ فَإِنَّهُ يَسلُكُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ رَصَدًا

Sahih International

Except whom He has approved of messengers, and indeed, He sends before each messenger and behind him observers

Malay

“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

 

إِلَّا مَنِ ارْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍ

“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya

Hanya para Rasul sahaja yang diberikan sedikit pengetahuan tentang ilmu ghaib. Bukanlah orang biasa yang akan mendapat kelebihan ini tetapi kepada para Rasul sahaja. Jadi, kalau ada tok guru yang kata mereka ada ilmu ghaib, itu adalah pembohongan yang besar.

Ada nafi dan ithbat dalam ayat ini dan ayat sebelumnya. Macam nafi dan ithbat yang ada dalam kalimah la ilaaha illa Allah – Allah menolak kemungkinan ada Tuhan (nafi) dan kemudian Allah tekankan yang hanya Allah sahaja yang Tuhan (ithbat). Ini adalah pernyataan yang paling kuat dalam bahasa Arab iaitu digunakan penafian dahulu sebelum ada ithbat.

Maka, begitu juga dengan pengetahuan tentang ilmu ghaib. Allah menolak kemungkinan ilmu ghaib diketahui oleh sesiapa pun (nafi) dan kemudian Allah kata hanya para Rasul sahaja yang diberikan dengan pengetahuan itu (ithbat). Ini penting kerana ada yang berhujah ada kemungkinan Allah beri kepada mereka yang dikehendaki dan kononnya menggunakan ayat dari ayat Kursi:

وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Ada yang berhujah dengan menggunakan ayat ini – kalau Allah nak beri pengetahuan ghaib itu kepada sesiapa, Allah boleh sahaja berikan. Jadi mereka kata guru tarekat mereka antara orang yang mendapat ilmu ghaib itu. Tapi, hujah itu ditolak kerana ayat dari Surah Jin ini menafikan ada makhluk lain yang diberikan dengan pengetahuan ghaib melainkan para Rasul sahaja. Memang ada yang diberi dengan pengetahuan ilmu ghaib, tetapi hanya para rasul sahaja.

Hujah ini dikuatkan lagi dengan ayat Naml:65

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

Nabi Muhammad juga disuruh isytihar dalam An’am:50

قُل لَّا أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

Juga dalam A’raf:188

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Oleh itu, hanya dibukakan ilmu ghaib kepada para Rasul sahaja dan bukannya sentiasa dibukakan kepada mereka. Hanya pada waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh, dalam awal surah ini lagi telah diberitahu bagaimana Nabi Muhammad tidak tahu pun yang ada beberapa jin yang mendengar bacaannya. Maknanya, bukanlah sentiasa Nabi Muhammad tahu perkara ghaib. Ini pun ada yang salah faham. Ada yang sangka Nabi sentiasa tahu perkara ghaib, tapi sebenarnya tidak.

Oleh itu, ringkasan kepada ilmu ghaib adalah:

1. Berita ghaib yang para Rasul tahu itu adalah kerana ianya ‘diberitahu’ kepada mereka. Bukanlah mereka tahu sendiri tapi diberitahu dari masa ke semasa. Hanya apabila perlu sahaja.

2. Tidak semua perkara ghaib diberitahu kepada para Rasul. Hanya perkara yang mereka perlu tahu sahaja.

3. Ilmu Allah tiada had. Pengetahuan makhluk termasuk para Rasul adalah terhad.

4. Ada rahsia yang diberitahu kepada Nabi yang tidak diberikan kepada kita. Sebagai contoh, Nabi pernah nampak syurga. Apa yang Nabi beritahu kepada kita adalah perkara yang kita patut tahu sahaja. Maknanya, ada perkara yang tidak diberitahukan kepada kita kerana yang tidak diberitahu kepada kita, tidak perlu kita cari. Jangan kita jadi seperti golongan yang mencari-cari ‘ilmu rahsia’ sampaikan mereka boleh jatuh ke lembah kesesatan dan kesyirikan.

Rasul itu termasuk juga dari kalangan para malaikat.

 

فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengatasinya

Pengetahuan ghaib ada yang diberikan kepada para Rasul dan ianya dikhususkan kepada para Rasul sahaja kerana mereka itu dijaga dengan malaikat yang mengawal. Maka maklumat yang sampai kepada mereka itu terpelihara. Tidak ada kemungkinan yang mereka mendapat maklumat yang salah dari syaitan. Dan untuk memastikan wahyu yang disampaikan kepada Rasul itu tidak dicampuri dengan maklumat dari luar, maka ada pengawal dari kalangan malaikat yang memastikan ada perlindungan.

Kalau maklumat yang sampai kepada para Rasul, kita boleh pasti yang ianya dari Allah sahaja. Bandingkan, kalau tok guru dan tok syeikh kata boleh nampak perkara ghaib, apakah jaminan yang apa yang mereka nampak itu bukan gangguan dari syaitan? Kerana tidak ada jaminan dari Allah yang mereka itu terpelihara dengan bantuan malaikat yang menjaga mereka.

Oleh itu, hanya para Rasul sahaja yang boleh kata mereka dapat ilmu dengan cara ghaib. Kalau ada manusia lain pun yang boleh mengaku begitu, maka tentu akan bercanggah ajaran agama, sebab nanti ada pula yang mengaku mereka juga mendapat maklumat agama selain para Rasul. Takkan Rasul ajar satu perkara dan kita kena terima ajaran dari manusia lain pula? Siapa yang betul kalau semua boleh nampak benda ghaib?

Tiada ada sesiapa yang ada hak untuk kata mereka dapat maklumat dengan cara ghaib. Oleh itu, Allah tutup ruang keraguan dari hati kita dengan menolak kemungkinan ada ilmu yang diberi kepada selain para Rasul.

Maka, tolaklah pendapat dan ajaran dari guru-guru tarekat dan syeikh-syeikh mereka yang kata mereka mendapat ilham itu dan ini, berjumpa dengan malaikat, berjumpa dengan Nabi dan sebagainya. Itu adalah bohong belaka. Orang-orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sahaja yang senang ditipu.


 

Ayat 28: Kenapa disampaikan perkara ghaib kepada para Rasul?

لِيَعلَمَ أَن قَد أَبلَغوا رِسٰلٰتِ رَبِّهِم وَأَحاطَ بِما لَدَيهِم وَأَحصىٰ كُلَّ شَيءٍ عَدَدًا

Sahih International

That he may know that they have conveyed the messages of their Lord; and He has encompassed whatever is with them and has enumerated all things in number.

Malay

“(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya – (dengan jagaan mereka) – Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); padahal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.

 

لِّيَعْلَمَ أَن قَدْ أَبْلَغُوا رِسٰلٰتِ رَبِّهِمْ

supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka,

Allah menggunakan perkataan لِّيَعْلَمَ (supaya Dia mengetahui) – sedangkan memang Allah telah sedia mengetahui. Jadi, Allah sebut ‘supaya Dia tahu’ kerana Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia tahu dengan sebenar-benar tahu. Maknanya, Allah beri pengetahuan ilmu ghaib itu adalah kerana Allah nak memastikan yang para rasul telah menyampaikan risalahNya. Dan para pelindung dari kalangan malaikat itu akan memastikan yang Nabi tidak tersilap dalam menyampaikan.

Atau bermaksud, Allah berikan pelindung itu supaya pasti RasulNya menerima wahyu yang benar tanpa bercampur dari anasir luar.

Itu adalah kalau kita kata لِّيَعْلَمَ itu dhomir kepada Allah. Ulama’ khilaf tentang siapakah dhomir yang dimaksudkan kepada perkataan لِّيَعْلَمَ ini. Selain daripada Allah, ada mufassir yang kata, yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad.

Kalau begitu, maksud ayat itu adalah ‘supaya Nabi tahu yang apa yang dibawa oleh para Rasul sebelum baginda dahulu adalah benar’. Iaitu apabila diberitahu yang para Rasul dilindungi oleh malaikat di depan dan belakang, maka yakinlah Nabi Muhammad bahawa para Rasul sebelum baginda telah menerima dan telah menyampaikan ajaran yang benar’.

Juga supaya Nabi Muhammad pasti yang apa sahaja maklumat wahyu yang sampai kepada baginda, ianya benar-benar dari Allah. Maka tidaklah baginda risau dan bertanya: benarkah ini dari Allah?

Oleh itu, dua tujuan para Rasul diberikan dengan pengetahuan ghaib :

1. Untuk menjalankan tugas mereka. Contohnya Allah beritahu Nabi Muhammad tentang apa yang berlaku dengan Nabi-Nabi terdahulu. Kalau Allah tidak beritahu, Nabi Muhammad tidak akan tahu kerana ianya adalah ilmu ghaib (telah berlaku dahulu). Dengan maklumat sebegitu, dapat membantu Nabi menjalankan tugas baginda sebagai pembawa Risalah.

2. Sebagai mukjizat kepada para Rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Sebagai contoh, Nabi Isa telah diberitahu apakah yang berlaku di rumah umatnya; Nabi Muhammad diberitahu dengan kejadian-kejadian masa hadapan, dan apabila ianya benar-benar terjadi, maka nyatalah kepada kita yang Nabi Muhammad itu bukanlah manusia biasa, tetapi baginda juga adalah utusan Allah.

Tapi ingatlah bahawa bukan semua pengetahuan ghaib diberikan kepada rasul, hanya yang perlu sahaja. Oleh itu, jangan kita kata yang ‘Nabi tahu perkara ghaib’. Kita cuma katakan, ‘Nabi disampaikan dengan ilmu ghaib’, sahaja.

 

وَأَحَاطَ بِمَا لَدَيْهِمْ

padahal Dia meliputi segala keadaan yang ada pada mereka,

Tidak ada benda terlepas dari ilmu Allah. Allah tahu dan ada kuasa Allah atas segalanya. Maka para malaikat atau para Nabi tidak boleh menyampaikan perkara yang tidak ada dalam wahyu. Allah sentiasa memerhati.

 

وَأَحْصَىٰ كُلَّ شَيْءٍ عَدَدًا

serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.

Allah tahu dengan terperinci. Sebagai contoh, Allah tahu setiap daun yang jatuh ke tanah. Allah juga tahu dari setiap perbuatan makhlukNya. Oleh kerana Dia Maha Tahu perbuatan makhlukNYa, maka Dia akan membalas segala perbuatan makhlukNya sama ada dengan kebaikan atau keburukan. Allah juga tahu setiap perbuatan RasulNya dan Dia telah memastikan yang RasulNya menyampaikan sebagaimana yang dikehendaki.

Allah juga uruskan semuanya dengan terperinci. Sebagai contoh, setiap ayat dan huruf dalam Al-Qur’an diturunkan adalah seperti yang dikehendaki oleh Allah. Oleh itu, jangan kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an ini. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang terdapat ayat-ayat yang ditambah tanpa sengaja dalam Al-Qur’an ini atau ada ayat-ayat yang tertinggal. Ingatlah bahawa Al-Qur’an ini adalah selengkap-lengkapnya.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya – Surah Muzzammil

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Adli Yayasan Ta’lim

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Jin Ayat 14 – 22 (Istidraj)

Ayat 14:

وَأَنّا مِنَّا المُسلِمونَ وَمِنَّا القٰسِطونَ ۖ فَمَن أَسلَمَ فَأُولٰئِكَ تَحَرَّوا رَشَدًا

Sahih International

And among us are Muslims [in submission to Allah ], and among us are the unjust. And whoever has become Muslim – those have sought out the right course.

Malay

`Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,

 

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ

`Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang beragama Islam,

‘Muslimin’ bermaksud mereka menyerahkan dirinya kepada Allah, mengikut perintah Allah. Tidak semestinya mereka itu beriman dengan Nabi Muhammad lagi kerana sebelum itu Nabi Muhammad pun mereka tidak kenal. Maknanya, agama-agama wahyu sebelum itu iaitu agama Yahudi dan Nasrani kerana mereka juga asalnya adalah agama Islam sehinggalah ajaran itu telah diubah.

Atau, ia bermaksud selepas dakwah mereka tentang Al-Qur’an dan Nabi Muhammad, ada yang menerimanya dan ada yang tidak.

 

وَمِنَّا الْقَٰسِطُونَ

dan ada pula dari kalangan kami yang menyimpang

Mereka telah menyimpang dari jalan yang benar dan telah melampau terhadap kebenaran. Mereka adalah golongan yang melampaui batasan hak dan menyimpang darinya, yakni durhaka. Lafaz al-qasit berbeza dengan lafaz al-muqsit, kerana al-muqsit ertinya adil. Mereka telah berlaku zalim kepada diri mereka kerana tidak serahkan diri kepada Allah.

 

فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

maka sesiapa yang menurut Islam, maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari jalan yang benar,

Kalimah تَحَرَّوْا dari katadasar ح ر ي yang bermaksud matlamat, mencari, pilih, mencadangkan. Dalam ayat ini ia bermaksud mencari pilihan yang paling baik di dalam bermacam-macam pilihan, dan kemudian menggunakan pilihan itu. Golongan yang pertama adalah mereka yang telah memilih Islam dan mengamalkan ajaran Islam.

Kalau kita memilih makanan, tentu kita akan ambil yang terbaik, bukan? Ada yang sampai tengok apakah kandungan dalam makanan itu. Itulah yang dinamakan تَحَرَّوْا . Jadi kenapa dalam hal agama, kebanyakan manusia tidak buat macam itu? Kenapa pakai ambil sahaja tanpa melihat sama ada sesuatu amalan atau fahaman itu ada dalil atau tidak?

Mereka yang mahukan hidayah dan berusaha mencari, Allah akan berikan kebenaran kepadanya. Oleh itu, kita kena simpan dalam hati kita keinginan untuk mendapatkan hidayah. Ini dinamakan sifat inabah. Kita kena selalu berdoa kepada Allah untuk memberikan hidayah kepada kita. Kalau kita ada niat begitu, Allah akan pimpin kita kena kebenaran.


 

Ayat 15: Apakah kesan kepada mereka yang memilih jalan yang menyimpang dari kebenaran?

وَأَمَّا القٰسِطونَ فَكانوا لِجَهَنَّمَ حَطَبًا

Sahih International

But as for the unjust, they will be, for Hell, firewood.’

Malay

`Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. ‘

 

Neraka dinyalakan dengan menggunakan mereka sebagai bahan bakar – sama ada mereka dari golongan jin atau manusia. Maknanya mereka bukan sahaja terbakar tapi mereka akan ‘membakar’ juga. Mereka juga akan mengeluarkan haba. Kerana itulah apabila masuk sahaja penghuni neraka yang baru, neraka dan ahli neraka yang sudah ada di dalamnya akan marah kerana kemasukan pendatang baru itu akan menyebabkan neraka jadi lagi panas.

Ayat ini adalah untuk menakutkan mereka. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat kelak. Malah, mereka akan jadi bahan api neraka! Kepanasan neraka itu akan bertambah dengan adanya mereka.

Mungkin ada yang bertanya soalan kurang cerdik: “kalau jin itu dijadikan dari api, kenapa mereka sakit kalau terkena api?” Kalau begitu, manusia pun patutnya tidak sakit kalau kena tampar dengan tangan dan juga dibaling dengan bikar tanah liat kerana tangan dan bikar itu dijadikan dari tanah.


 

Ayat 16: Telah habis kata-kata jin itu dan sekarang Allah yang berfirman. Ayat 16 – 19 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi ancaman kepada Musyrikin Mekah.

وَأَلَّوِ استَقٰموا عَلَى الطَّريقَةِ لَأَسقَينٰهُم مّاءً غَدَقًا

Sahih International

And [ Allah revealed] that if they had remained straight on the way, We would have given them abundant provision

Malay

(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

 

وَأَلَّوِ اسْتَقٰمُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ

“Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka itu istiqamah di atas satu jalan,

Perkataan yang digunakan adalah الطَّرِيقَةِ – jalan. Ini bukan bermaksud ‘tarekat’ golongan Sufi. Ini kita kena cakap, sebab golongan Sufi Tarekat ni, mereka memang suka pusing-pusing ayat Al-Qur’an. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hanya ambil mana-mana ayat yang macam kena dengan jalan mereka, dan mereka tafsirkan ayat itu dengan cara yang salah. Takut mereka kata tareqat itu ajaran yang benar kerana memang dalam Al-Qur’an. Memang ada dalam Al-Qur’an, tapi bukanlah bermaksud ajaran mereka itu.

Kalimah الطَّرِيقَةِ dalam ayat ini boleh bermaksud ‘jalan yang dibawa oleh Nabi’. Ada kebaikan yang diberikan kepada mereka kalau mereka tetap berada di atas jalan yang benar itu. Maka mereka kenalah ikut.

 

لَأَسْقَيْنٰهُم مَّاءً غَدَقًا

sudah tentu Kami akan memberikan mereka minum air yang banyak.

Kalau mereka ikut jalan yang benar, maka mereka akan diberikan dapat meminum air yang banyak. Kalimah غَدَقًا ertinya ‘banyak’, makna yang dimaksudkan ialah memberinya rezeki yang banyak lagi berlimpah.

Ini adalah isyarat kepada rahmat yang banyak dan kehidupan, kerana kehidupan memerlukan air. Kehidupan mereka boleh menjadi mudah. Ini seperti firman Allah dalam Maidah: 66

وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِم مِّن رَّبِّهِمْ لَأَكَلُوا مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِم مِّنْهُمْ أُمَّةٌ مُّقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ سَاءَ مَا يَعْمَلُونَ

Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Qur’an), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.

 

Dan juga dalam A’raf: 96

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Ini kita boleh lihat telah terjadi kepada para sahabat. Lihatlah bagaimana para sahabat mendapat nikmat dunia apabila mereka bersabar dan teguh dalam Islam. Mereka telah ramai yang menjadi kaya raya. Dan memang Islam suatu waktu dulu memang berada di ambang kejayaan dan kekayaan.

Abu Hurairah sebagai contoh, asalnya seorang yang hidup teramat susah, tetapi dia telah menjadi kaya dan telah berkahwin dengan seorang wanita yang kaya. Sampaikan beliau telah menjadi gabenor. Ini adalah kerana, semasa beliau hidup dengan Nabi, beliau telah berkorban masa dan tenaga untuk belajar agama. Beliau telah menjadi terkenal dan mengajar agama pula kepada umat Islam. Beliau telah istiqamah atas agama, dan dengan itu, Allah telah beri balasan keduniaan yang baik kepada beliau.

‘Air’ itu juga adalah isyarat kepada ‘ilmu agama’. Mereka yang tetap atas jalan agama, akan diberikan pengetahuan agama yang bertambah-tambah. Oleh itu, kalau kita tidak jadi kaya dan senang di dunia, kita kena lihat bagaimana ilmu agama kita telah berlipat kali ganda dari dahulu. Mungkin Allah tidak beri dengan kekayaan harta, tapi Allah beri dengan kekayaan ilmu.


 

Ayat 17: Takhwif ukhrawi. Apakah tujuan nikmat itu? Dan apakah balasan kalau gagal dalam ujian?

لِّنَفتِنَهُم فيهِ ۚ وَمَن يُعرِض عَن ذِكرِ رَبِّهِ يَسلُكهُ عَذابًا صَعَدًا

Sahih International

So We might test them therein. And whoever turns away from the remembrance of his Lord He will put into arduous punishment.

Malay

“(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, maka Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

 

لِّنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

“untuk Kami menguji mereka mengenainya

1. Tujuan diberikan rezeki itu adalah untuk menguji mereka dan kemudian beri bala kepada mereka. Mereka diuji dengan harta untuk lihat sama ada mereka terus dalam Islam atau tidak. Ada yang terpedaya dengan kekayaan dan nikmat yang telah diberikan kepada mereka sampai mereka boleh jadi menyimpang dari ajaran Islam. Maknanya, mereka gagal dengan ujian itu.

Sedangkan orang mukmin tidak kisah sama ada Allah beri nikmat atau tidak. Pada mereka, sama sahaja kalau Allah beri nikmat atau tidak. Mereka terima sahaja apa yang Allah beri kepada mereka. Mereka tahu yang ianya adalah ujian. Mereka tahu bahawa kehidupan yang susah itu adalah ujian, kehidupan yang senang juga adalah ujian.

Tidak salah untuk ada harta dan hidup dalam kesenangan. Jangan sampai ada yang buang harta mereka kerana kononnya mereka nak ‘zuhud’. Jangan kita salah faham dengan maksud zuhud. Zuhud bukannya tidak ada harta tapi tidak meletakkan hatinya pada harta itu. Kalau hartanya hilang, dia tidak kisah pun. Kerana dia sedar yang itu hanya barang dunia sahaja. Dia letakkan harta itu di tangan, bukan di hati.

Sebagai contoh, walaupun Saidina Umar telah menjadi seorang Khalifah, tapi beliau masih kuat melakukan ibadat dan beliau masih lagi melakukan tugas-tugas yang kita rasa sepatutnya diserahkan kepada hamba sahaja. Sebagai contoh, beliau masih lagi menguruskan untanya sendiri walaupun sudah menjadi Khalifah.

Oleh itu, jangan kita tertipu dengan dunia. Ingatlah bahawa dunia ini adalah ujian kepada kita. Banyak yang keliru, sebab ada yang sangka, kalau mereka beribadah banyak, akan lebih banyak rezeki mereka. Kalau mereka tengok orang yang susah, mereka ada yang kata: “Itulah kamu, tinggal solat dan ibadat, tengok Allah dah tak beri rezeki kepada kau.”

Itu adalah pandangan yang salah. Kita buat ibadat bukan kerana kita nak dapat rezeki. Jangan pula kita buat amal ibadat kerana hendak Allah sayang kita, dan beri kesenangan kepada kita.

2. Ini adalah pendapat yang kedua. Kalau pendapat pertama tadi, perkataan الطَّرِيقَةِ ditafsirkan sebagai jalan agama yang benar. Tetapi pendapat kedua pula memegang perkataan الطَّرِيقَةِ sebagai bermaksud ‘jalan kesesatan’. Kalau mereka berterusan berada di atas jalan kesesatan, Allah akan beri juga rezeki mencurah-curah kepada mereka tetapi sebagai istidraj (nikmat yang diberi kepada manusia yang menjauhkannya dari jalan Allah). Seperti yang Allah firmankan dalam An’am:44

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Semakin mereka sesat, semakin Allah beri rezeki kepada mereka. Supaya mereka lebih dekat kepada azab.

Oleh itu, kalau kita lihat ada orang yang hidup kaya dan mewah, tapi mereka melakukan maksiat, maka ketahuilah yang mereka itu telah diberikan istidraj oleh Allah. Malangnya, ramai yang terpedaya dengan nikmat yang mereka dapati. Mereka sangka Allah sayang kepada mereka. Seperti yang Allah firman dalam Mukminoon: 55-56

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ

Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.

نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).

Ada orang kafir atau orang yang zalim yang masih juga melakukan kebaikan kepada manusia lain. Kepada mereka yang seperti ini, Allah akan bayar terus kebaikan mereka semasa di dunia lagi. Macam orang kafir yang baik, dibayar pulangan mereka dalam dunia. Sebab itu kalau kita lihat orang kafir yang rajin berderma, mereka akan dapat balik harta berlipat ganda. Mereka dibalas semasa mereka di dunia lagi supaya tiada lagi balasan yang mereka boleh tuntut di akhirat.

Tetapi kepada orang mukmin pula, ada balasan yang Allah simpan untuk dibalas di akhirat. Dan balasan di akhirat lebih istimewa lagi tentunya. Dan kalau mereka dapat nikmat, dan dengan ini mereka bersyukur, pahala syukur itu disimpan lagi.

 

وَمَن يُعْرِضْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِ

dan sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya,

Ada yang mengatakan perkataan ذِكْرِ رَبِّهِ bermaksud Al-Qur’an. Iaitu mereka bukan sahaja berpaling dari mengingati Tuhan tapi mereka juga berpaling dari pengajaran Al-Qur’an. Iaitu tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau nak pakai Al-Qur’an, tiada cara lain lagi dari mempelajari tafsir Al-Qur’an.

Atau ia juga bermaksud mereka yang tahu apakah kebenaran (kerana telah disampaikan kepada mereka), tapi mereka tetap berpaling. Iaitu mereka yang belajar Al-Qur’an tapi selepas itu melupakan dan meninggalkannya.

Atau dia belajar tapi dia tidak amalkan apa yang disuruh dalam Al-Qur’an itu. Ini peringatan berat kepada kita yang belajar tafsir Al-Qur’an ini. Adakah kita telah mengamalkan apa yang kita tahu?

 

يَسْلُكْهُ عَذَابًا صَعَدًا

Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

Azab itu adalah azab yang tinggi dan makin menaik. Intensiti semakin tinggi dari masa ke semasa. Kerana perkataan صَعَدًا berasal dari katadasar ص ع د yang bermaksud mendaki naik. Maknanya, azab itu tidak akan berkurangan langsung. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa صَعَدًا adalah nama sebuah gunung di dalam neraka Jahanam.


 

Ayat 18: Ayat penting tentang masjid Allah. Ini adalah khulasah dari ayat-ayat yang telah disebut sebelum ini bermula dari Surah al-Mulk lagi. Iaitu tidak boleh seru selain dari Allah.

وَأَنَّ المَسٰجِدَ ِلِلهِ فَلا تَدعوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

Sahih International

And [He revealed] that the masjids are for Allah, so do not invoke with Allah anyone.

Malay

“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

 

وَأَنَّ الْمَسٰجِدَ ِلِلهِ

Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk Allah semata-mata;

Masjid itu dijadikan untuk menyembah Allah sahaja. Oleh itu, jangan langsung ada sembah dan seru yang lain. Bukanlah ayat ini bermaksud di dalam masjid sahaja tidak boleh seru selain Allah. Di luar masjid pun tidak boleh juga. Tapi kalau seru selain Allah di masjid, lebih teruk lagi.

Ada yang mengatakan yang ‘masjid’ dalam ayat ini bermaksud ‘dunia’ ini kerana seluruh dunia ini boleh dijadikan tempat solat. Maka di mana-mana pun tidak boleh sembah dan seru selain Allah. Ini bertepatan dengan hadis Nabi. Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَجُعِلَتْ لِىَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا ، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِى أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ

Seluruh bumi dijadikan sebagai tempat solat dan untuk bersuci. Siapa saja dari umatku yang mendapati waktu solat, maka solatlah di tempat tersebut” (HR. Bukhari no. 438 dan Muslim no. 521).

Masjid adalah tempat menyembah dan menyeru Allah dan perkara yang berkaitan dengannya. Sebab itulah ada larangan berjual beli dalam kawasan masjid. Dan jangan buat pengumuman cari barang hilang. Seperti satu hadis Nabi:

١٢٤٢ – حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ الْخَلَّالُ حَدَّثَنَا عَارِمٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ خُصَيْفَةَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ ثَوْبَانَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ وَإِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَنْشُدُ فِيهِ ضَالَّةً فَقُولُوا لَا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْكَ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ كَرِهُوا الْبَيْعَ وَالشِّرَاءَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُوَ قَوْلُ أَحْمَدَ وَإِسْحَقَ وَقَدْ رَخَّصَ فِيهِ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي الْبَيْعِ وَالشِّرَاءِ فِي الْمَسْجِدِ
1242. Telah menceritakan kepada kami Al Hasan bin Ali Al Khallal, telah menceritakan kepada kami ‘Arim telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Muhammad, telah mengabarkan kepada kami Yazid bin Khushaifah dari Muhammad bin Abdurrahman bin Tsauban dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kalian melihat orang menjual atau membeli di dalam masjid, maka katakanlah; Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada barang daganganmu. Jika kalian melihat orang yang mengumumkan sesuatu yang hilang di dalamnya maka katakanlah; Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu.” Abu Isa berkata; Hadits Abu Hurairah adalah hadits hasan gharib dan menjadi pedoman amal menurut sebahagian ulama, mereka memakruhkan menjual dan membeli di dalam masjid, ini adalah pendapat Ahmad dan Ishaq namun sebahagian ulama membolehkan menjual dan membeli di dalam masjid.

‘Masjid’ juga boleh bermaksud ‘anggota sujud’. Kita hanya boleh sujud kepada Allah sahaja. Ini bermaksud, waktu melakukan ibadat, hanya ibadat kepada Allah sahaja. Allah yang jadikan anggota sujud kita, takkan kita gunakan anggota itu untuk sujud dan sembah kepada orang lain pula?

 

فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

“maka janganlah kamu seru sesiapa pun bersama-sama Allah.

Dulu, Yahudi dan Nasrani menyeru Allah dan juga selain Allah dalam rumah ibadat mereka. Begitu juga dengan Musyrikin Mekah – mereka sembah Allah dan sembah berhala di Kaabah. Mereka telah melakukan kesalahan yang besar iaitu kesalahan syirik.

Tapi bukan mereka sahaja yang telah melakukan kesalahan sebegitu. Orang kita pula seru tok nenek dan syeikh dalam masjid juga. Selain dari itu, mereka juga menyeru Nabi Muhammad. Itu pun salah juga. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang syirik.

Dan zaman sekarang, puak-puak Habib telah dipanggil untuk melagukan qasidah sampai ke dalam masjid. Sudahlah mereka melalaikan manusia di stadium-stadium dan tempat ibadat mereka, sekarang sampai bergendang di masjid pula sekarang. Malang sekali masyarakat ramai yang tidak nampak kesesatan yang dibawa oleh mereka.

Ayat ini adalah ayat tauhid. Ia mengajar kita untuk seru hanya kepada Allah sahaja kerana Allah sahaja yang boleh sambut seru kita. Kalau seru kepada Nabi Muhammad dan Nabi-nabi lain pun tidak boleh. Memang kita digalakkan selawat, tapi buat dengan cara yang sesuai. Bukanlah dengan selawat-selawat rekaan.

Selawat dengan kuat dan beramai-ramai pun tidak sesuai kerana bukan begitu cara yang dianjurkan. Malangnya sampai ada yang zikir melompat menari dan sebagainya. Sampaikan ke dalam masjid pun manusia masih buat lagi perkara ini dan ini adalah amat-amat menghampakan untuk dilihat.

Pada hari ayat ini diturunkan, tidak ada masjid diketahui waktu itu melainkan Masjidil Haram sahaja. Kerana ayat ini diturunkan di Mekah. Sedangkan perkataan masaajid adalah dalam bentuk jamak. Masjid-masjid lain seperti Masjidil Aqsa tidak diketahui waktu itu. Walaupun begitu, bukanlah ayat ini hanya untuk Masjidil Haram sahaja tapi semua masjid di mana-mana.

Jin-jin meminta untuk solat bersama Nabi maka turun ayat ini. Kemudian Nabi memberitahu mereka untuk solat dan jangan campur dengan manusia.

Al-A’masy mengatakan bahawa jin berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah kami untuk ikut salat bersamamu di masjidmu ini.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah. (Al-Jin: 18) Maka Nabi Saw. bersabda kepada mereka, “Salatlah kalian, tetapi jangan bercampur dengan manusia.”

Maknanya, tidak ada percampuran antara manusia dan jin langsung. Tidaklah mereka sampai duduk satu saf dengan manusia pula. Mereka boleh solat tapi dengan cara mereka. Maka kalau ada yang kata ada manusia yang berkawan dengan jin, itu ada masalah. Kalau berkawan dengan jin, maksudnya orang itu ada mengamalkan amalan yang menyebabkan jin melekat kepadanya.


 

Ayat 19: Zajrun kepada penentang Nabi dalam dakwah.

وَأَنَّهُ لَمّا قامَ عَبدُ اللهِ يَدعوهُ كادوا يَكونونَ عَلَيهِ لِبَدًا

Sahih International

And that when the Servant of Allah stood up supplicating Him, they almost became about him a compacted mass.”

Malay

“Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.

 

وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللهِ يَدْعُوهُ

“Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah berdiri menyeru kepadaNya,

‘Hamba Allah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Waktu itu Nabi Muhammad sedang membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

 

كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا

mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.

Kalimah لِبَدًا adalah merujuk kepada ‘kumpulan manusia yang menindih satu sama lain’. Mereka bertindih-tindih kerana nak melihat apa yang berlaku. Katakan ada satu pertunjukan yang amat menarik perhatian manusia, maka mereka akan berkerumun sampai menindih satu sama lain.

Ada beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dalam ayat ini:

1. Hampir jin-jin itu memanjat Nabi kerana kesungguhan untuk mendengar apa yang dibaca oleh baginda. Mereka dekat sungguh dengan baginda pada waktu itu. Tapi Nabi tak tahu pun mereka ada. Mereka berkerumun sampai bertindihan sesama sendiri. Mereka ajak jin-jin lain untuk mendengar sekali. Ini kerana mereka bersungguh mahu mendengar bacaan Nabi.

2. Pendapat kedua mengatakan yang ayat ini bermaksud jin-jin itu menceritakan balik bagaimana mereka nampak para sahabat yang taat dan mengerumuni Nabi dalam mendengar ajaran dari Nabi. Jin takjub dengan ketaatan para sahabat kepada baginda. Memang selalunya apabila Nabi bercakap, baginda akan dikerumuni kerana ramai yang mahu mendengar.

3. Pendapat ketiga mengatakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: manusia dan jin berkerumun untuk menyekat Nabi dari berdakwah. Bukannya kerumun kerana hendak mendengar tetapi kerana hendak menghalang. Iaitu ketika baginda bangun untuk berdakwah. Mereka tidak mahu Nabi terus membaca ayat Al-Qur’an dan mereka cepat-cepat menghalang Nabi. Dan pendapat ini disokong dengan ayat seterusnya.

Keadaan yang sama juga ada disebut dalam ayat Maarij: 36-37

فَمَالِ الَّذِينَ كَفَرُوا قِبَلَكَ مُهْطِعِينَ

Maka apakah yang menyebabkan orang-orang kafir, yang menentangmu (wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisimu –

عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ عِزِينَ

berpuak-puak di sebelah kanan dan di sebelah kirimu.


 

Ayat 20: Apakah tindakbalas dari Nabi? Nabi juga mengajar tauhid dalam ayat ini. Hanya doa kepada Allah sahaja dalam segala hal dan melakukan syirik. Ayat 20 – 28 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Ia mengandungi Risalah Kerasulan Nabi Muhammad.

قُل إِنَّما أَدعو رَبّي وَلا أُشرِكُ بِهِ أَحَدًا

Sahih International

Say, [O Muhammad], “I only invoke my Lord and do not associate with Him anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”.

 

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah menyeru kepada Tuhanku semata-mata,

Inilah yang dimaksudkan yang ayat ini menyokong pendapat ketiga dalam ayat sebelum ini. Iaitu yang mengerumun baginda yang membaca ayat Al-Qur’an itu adalah kerana hendak menghalang baginda dari membaca ayat-ayat Al-Qur’an.

Apabila mereka melakukan begitu, baginda disuruh untuk memberitahu yang baginda hanya mengajak kepada Allah sahaja. Baginda mengajak kepada kebaikan, bukan kerana hendak mengambil kuasa atau harta mereka. Baginda langsung tidak mengancam mereka.

 

وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا

dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”.

Baginda juga mengajak kepada ajaran Tauhid. Itulah ajaran yang amat penting sekali yang perlu dipelajari dan diikuti oleh manusia. Dan itulah ajaran yang akan menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Jangan sekali-kali melakukan syirik. Tapi untuk kenal syirik, kenalah belajar. Ramai yang tidak tahu syirik kerana mereka tidak belajar wahyu. Kerana itu mereka tidak tahu yang mereka telah ditipu oleh syaitan yang mengajar syirik dalam amalan.

Antara salah faham syirik yang manusia pegang adalah syirik dalam berkat. Ini telah mula disebut dalam Surah Al-Mulk dan disambung dalam surah ini kerana kepentingannya. Kerana ada manusia yang sangka Allah ada beri kuasa berkat kepada makhluk, maka ramailah manusia jahil yang berdoa kepada selain Allah untuk mendapatkan berkat mereka. Ini adalah syirik.

Maka, kenapa mereka hendak menghalang baginda sedangkan baginda mengajak kepada kebaikan dan keselamatan?


 

Ayat 21: 

قُل إِنّي لا أَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا رَشَدًا

Sahih International

Say, “Indeed, I do not possess for you [the power of] harm or right direction.”

Malay

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudharat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

 

قُلْ إِنِّي لَا أَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku tidak memiliki kuasa mendatangkan sebarang mudharat kepadamu

Nabi Muhammad disuruh untuk memberitahu mereka. Kalau mereka tidak ikut baginda, baginda tidak boleh memberi mudharat pun kepada mereka. Kerana baginda tidak ada kuasa untuk beri mudharat kepada sesiapa pun.

 

وَلَا رَشَدًا

dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang petunjuk bagi kamu.

Baginda juga tidak boleh memberi hidayah kepada mereka atau memaksa mereka ikut baginda. Nabi hanya boleh tunjuk jalan sahaja. Baginda juga hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja. Begitu juga kita dalam berdakwah. Kita tidak boleh beri manusia terima hidayah. Allah sahaja yang ada kuasa itu.

Dalam ayat ini, Allah hendak  memberitahu yang Nabi Muhammad sendiri tidak ada kuasa memberi mudharat dan manfaat. Baginda sendiri bergantung kepada Allah.


 

Ayat 22: 

قُل إِنّي لَن يُجيرَني مِنَ اللهِ أَحَدٌ وَلَن أَجِدَ مِن دونِهِ مُلتَحَدًا

Sahih International

Say, “Indeed, there will never protect me from Allah anyone [if I should disobey], nor will I find in other than Him a refuge.

Malay

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

 

قُلْ إِنِّي لَن يُجِيرَنِي مِنَ اللهِ أَحَدٌ

Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun dari Allah

Kalimah يُجِيرَنِي dari katadasar ج و ر yang bermaksud ‘diberi perlindungan’. Perkataan ‘jiran’ juga dari katadasar yang sama – mereka yang tinggal di sebelah kita dan boleh memberi bantuan dan perlindungan kepada kita.

Nabi sendiri pun tidak dapat melindungi dirinya dari Allah kalau baginda engkar kepada arahan Allah. Kalau diri baginda sendiri pun tidak dapat selamatkan, apatah lagi kalau baginda nak lindungi orang lain? Maka, kalau kita minta pertolongan kepada Nabi pun tidak patut sangat kerana kita minta kepada seseorang yang tidak dapat menyelamatkan kita.

 

وَلَنْ أَجِدَ مِن دُونِهِ مُلْتَحَدًا

dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

Perkataan مُلْتَحَدًا dari katadasar ل ح د yang bermaksud ‘perlindungan’. Perkataan ‘liang lahad’ juga dari katadasar yang sama kerana lahad itu memberi perlindungan kepada jenazah di dalamnya.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang tidak ada tempat lari dari Allah kalau kita buat salah. Bukanlah ayat ini hendak mengatakan Nabi telah buat salah sampai tidak ada tempat lari dariNya. Nabi Muhammad memberitahu yang kalau baginda tidak melakukan tugasnya untuk menyampaikan ajaran tauhid, baginda pun tidak akan selamat dari azab Allah. Ini akan dijelaskan lagi dalam ayat selepas ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an