Tafsir Surah Anfal Ayat 13 – 18 (Strategi peperangan)

Anfal Ayat 13: Kenapa kita boleh berperang dan bunuh golongan kafir?

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they opposed Allāh and His Messenger. And whoever opposes Allāh and His Messenger – indeed, Allāh is severe in penalty.

(MALAY)

(Ketentuan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras seksaan-Nya.

 

 ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ

yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; 

Oleh kerana golongan musyrikin itu menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul, mereka tidak layak duduk di atas dunia. Maka kerana itu bunuhlah mereka iaitu setelah diberikan dengan segala dakwah dan peringatan kepada  mereka. Rasulullah ﷺ telah berdakwah kepada mereka lebih dari 10 tahun. Segala peluang telah diberikan, tetapi masih lagi mahu menentang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Maksudnya, hujah perlu ditegakkan dahulu, bukan terus bunuh sahaja.

Lafaz شاقُّوا berasal daripada katadasar ش ق ق yang bermaksud berpecah, belahan, petir, menyusahkan, mengenakan kesusahan, kesusahan, masalah, tekanan, melawan. Maka kalimah شاقُّوا menentang, melawan Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Golongan kafir itu menentang agama Islam dengan keras dan kerana itu mereka layak diperangi. Maka maksud ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an adalah mereka yang menentang agama Islam.

Oleh itu, bukanlah semua non-Muslim itu boleh diperangi. Hanya yang menentang Islam sahaja. Mereka itu dianggap sebagai Kafir Harbi. Jangan semua orang bukan Islam kita hendak serang pula nanti. Ramai sahaja non-Muslim yang tidak menentang Islam.

 

وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras seksaan-Nya.

Maksudnya sesiapa sahaja yang menentang, bukan Arab Mekah sahaja. Allah ‎ﷻ akan bersikap keras dengan mereka, tidak ada kelembutan lagi. Sekiranya mereka menentang, mereka akan mendapat balasan. Sama ada mereka akan mendapatnya di dunia dan di akhirat, atau di akhirat sahaja. Yang pasti, mereka akan mendapat azab itu.


 

Anfal Ayat 14: Apakah balasan bagi mereka?

ذٰلِكُم فَذوقوهُ وَأَنَّ لِلكٰفِرينَ عَذابَ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“That [is yours], so taste it.” And indeed for the disbelievers is the punishment of the Fire.

(MALAY)

Itulah (hukum dunia yang ditimpakan atasmu), maka rasakanlah hukuman itu. Sesungguhnya bagi orang-orang yang kafir itu ada (lagi) azab neraka.

 

ذٰلِكُم فَذوقوهُ

maka rasakanlah azab itu. 

Oleh kerana penentangan kamu itu, maka rasailah di dunia ini kekalahan dan kematian yang menghinakan. Ayat ini diberikan sebagai ancaman dan peringatan kepada orang kafir. Allah ‎ﷻ akan bantu orang Islam untuk mengalahkan orang kafir. Mereka tidak akan menang kalau Allah ‎ﷻ beri bantuan.

 

وَأَنَّ لِلكٰفِرينَ عَذابَ النّارِ

Sesungguhnya bagi orang-orang yang kafir itu ada (lagi) azab neraka.

Ancaman di atas tadi adalah takhwif duniawi (azab di dunia) iaitu kekalahan dalam perang. Sekarang adalah ancaman takhwif ukhrawi (azab akhirat) yang lebih berat. Mereka di akhirat nanti akan dapat api neraka pula. Ia adalah lebih teruk lagi daripada azab yang dikenakan kepada mereka di dunia kerana azab di akhirat lebih keras lagi, dan kekal abadi. Kalau mati di dunia, sekali sahaja; sedangkan di akhirat kelak tidak mati-mati maka mereka akan diseksa tanpa henti sampai bila-bila.

Ini menjadikan apa sahaja yang mereka kena di dunia itu seolah-olah tidak ada apa-apa pun kerana azab di akhirat lebih keras lagi. Azab di dunia itu adalah sebagai ‘bayangan’ sahaja kepada azab yang akan dikenakan di akhirat kelak.


 

Anfal Ayat 15: Sekarang kita masuk ke perenggan Makro ke 3 daripada pecahan makro Surah Anfal. Sekarang akan diberikan arahan untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul dan perenggan ini berterusan sehingga ke ayat 28. Di sini Allah ‎ﷻ ajar cara-cara berjihad.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا زَحفًا فَلا تُوَلّوهُمُ الأَدبارَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you meet those who disbelieve advancing [in battle], do not turn to them your backs [in flight].

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur).

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا زَحفًا

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu,

Ini adalah peringatan hukum peperangan. Lafaz زَحفًا bermaksud dalam keadaan mendatang dan rapat di medan perang. Ia bermaksud sesuatu yang dekat dengan kita.

Begitulah di medan perang. Musuh-musuh akan bergerak ke arah satu sama lain, mula-mula perlahan, kemudian sudah dekat sangat. Apabila sudah dekat, tidak ada tempat untuk pergi lari lagi. Pada waktu itu, terpaksa menghadapi musuh itu. Allah ‎ﷻ menggambarkan pertembungan antara dua pasukan perang dalam potongan ayat ini.

 

فَلا تُوَلّوهُمُ الأَدبارَ

maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur).

Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, waktu sudah dekat berhadapan itu, janganlah berpaling ke belakang. Ketika itu kenalah istiqamah dalam perang itu, kena teruskan berperang. Ini adalah larangan lari dari medan pertempuran. Lari dari medan pertempuran adalah salah satu daripada dosa besar.

Ini adalah kerana ia membawa kesan yang amat buruk kepada pasukan tentera. Sekiranya seorang sahaja yang lari, maka ada orang lain yang akan ikut dan ini tidak bagus sama sekali. Kekuatan tentera akan berkurangan.

Di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan sebuah hadith melalui Abu Hurairah رضي الله عنه. yang telah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: “الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، والتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وقَذْفِ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ”

“Jauhilah tujuh dosa besar yang membinasakan.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah apakah tujuh dosa besar itu?” Rasulullah ﷺ bersabda.”Mempersekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan alasan yang benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang saat diserang, dan menuduh berzina wanita-wanita mukmin yang terpelihara kehormatannya yang sedang dalam keadaan lalai.”

(HR Bukhari no. 3456; Muslim, no. 2669)

Maka di dalam ayat ini, hukum umum diberikan: tidak kira berapa ramai musuh, mesti hadapi mereka. Akan tetapi nanti di dalam ayat 65 surah ini, diberikan had iaitu nisbah 1:10. Kalau seorang tentera Muslim, kena hadapi maksima 10 orang musuh. Kalau lebih, maka boleh berundur.

إِن يَكُن مِنكُم عِشرونَ صابِرونَ يَغلِبوا مِائَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَفقَهونَ

Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

Kemudian keringanan diberikan lagi dalam ayat 66 iaitu nisbah 1:2.

الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِائَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّابِرينَ

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.


 

Anfal Ayat 16: Hukuman kepada mereka yang lari dari medan pertempuran.

وَمَن يُوَلِّهِم يَومَئِذٍ دُبُرَهُ إِلّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتالٍ أَو مُتَحَيِّزًا إِلىٰ فِئَةٍ فَقَد باءَ بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَمَأوىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever turns his back to them on such a day, unless swerving [as a strategy] for war or joining [another] company, has certainly returned with anger [upon him] from Allāh, and his refuge is Hell – and wretched is the destination.

(MALAY)

Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.

 

وَمَن يُوَلِّهِم يَومَئِذٍ دُبُرَهُ

Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, 

Allah ‎ﷻ memberitahu apakah akibat dan hukum kepada pasukan tentera atau individu yang kalau berpaling juga. Mereka akan mendapat azab yang berat nanti.

Namun bukanlah semua unduran dalam perang itu salah. Ada dua keadaan di mana ia dibenarkan.

 

إِلّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتالٍ

kecuali berbelok untuk (siasat) perang

Ada dua sebab yang dibolehkan untuk undur ke belakang. Itu pun undur sekejap sahaja. Pertama, kecuali kerana mengubah langkah untuk menyerang balik. Itulah undur untuk serang semula, bukan untuk lari terus. Itulah maksud مُتَحَرِّفًا (strategi).

Allah ‎ﷻ kena ajar mereka dan beritahu mereka, kerana umat Islam amat taat: kalau Allah‎ﷻ  kata tidak boleh undur, nanti mereka langsung tidak berani untuk undur langsung, walau apa pun keadaannya. Begitulah para sahabat, mereka amat teliti dan mereka tidak akan mengelak. Sampai Allah ‎ﷻ kena beritahu, boleh untuk undur seketika untuk menyusun strategi peperangan.

Mungkin kerana kalau diteruskan menyerang atau bertahan dalam keadaan tertentu, panglima perang mungkin nampak yang mereka akan terus kalah dan itu tidak bagus. Oleh itu, dibolehkan untuk undur seketika untuk menyusun strategi. Seorang panglima perang akan tahu bilakah masa yang sesuai untuk berundur waktu itu.

Contoh: lari daripada teman-temannya sebagai siasat perang, untuk memperlihatkan kepada musuh bahawa dia takut kepada musuh, hingga musuh mengejarnya. Kemudian secara mendadak dia berbalik menyerang dan membunuh musuhnya, maka cara seperti ini tidak dilarang. Demi­kianlah menurut apa yang telah disebut oleh Sa’id ibnu Jubair dan As-Saddi.

 

أَو مُتَحَيِّزًا إِلىٰ فِئَةٍ

atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain,

Dibenarkan juga berundur dengan tujuan untuk bergabung dengan kumpulan lain. Lafaz مُتَحَيِّزًا bermaksud untuk ‘menyertai’. Maka, boleh berpisah dari medan peperangan itu dan kembali masuk balik ke medan perang dan bergabung dengan kumpulan yang lain. Ini juga adalah salah satu daripada strategi peperangan. Kadangkala pasukan tentera kena sertai kumpulan perang lain untuk menyerang tempat lain.

Sebagai contoh, lari dari suatu kelompok ke kelompok yang lain di dalam pasukan kaum Muslim untuk membantu mereka atau untuk meminta bantuan mereka; hal ini diperbolehkan. Hingga seandainya ia berada di dalam suatu sariyyah (pasukan khusus), lalu seseorang lari ke arah ketuanya atau kepada imam besarnya, maka hal ini termasuk ke dalam pengertian kemurahan yang disebutkan dalam ayat ini.

Oleh sebab itu, ada dua kemungkinan yang dibolehkan untuk berundur dalam perang dan kedua-duanya adalah atas strategi peperangan. Ini adalah dua taktik perang yang selalu digunakan. Begitulah indahnya Islam, strategi peperangan pun ada disebut dalam Al-Qur’an.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Umar ibnul Khattab رضي الله عنه sehubungan dengan gugurnya Abu Ubaidah di atas sebuah jambatan di negeri Persia ketika berperang melawan musuh. Beliau gugur kerana banyaknya pasukan pihak Majusi yang menyerangnya. Lalu Umar رضي الله عنه berkata, “Sekiranya dia bergabung kepadaku (yakni mundur untuk mencari bantuan), nescaya aku akan menjadi pasukan pembantunya.”

(AR. Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 13/15812)

 

فَقَد باءَ بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ

maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah,

Sekarang kembali untuk menyatakan hukum dan ancaman kalau berundur dari medan peperangan, bukan kerana strategi peperangan seperti yang telah disebut di atas. Sekiranya lari bukan kerana sebab dua perkara itu, maka mereka yang melakukan telah mati dengan bawa kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ.

Murka Allah ‎ﷻ bukan seperti murka manusia. Ia adalah lebih teruk lagi. Kalau dimurkai ayah, ibu, pemimpin, orang besar yang kita hormati pun kita sudah takut, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang murka kepada kita! Memang tidak ada harapan untuk selamat kalau Allah‎ ﷻ sudah murka.

 

وَمَأوىٰهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

dan tempatnya ialah neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.

Allah ‎ﷻ beritahu yang balasan mereka yang undur dari medan perang itu adalah mereka akan duduk dalam neraka jahanam. Itu adalah tempat yang paling buruk. Bayangkan, lari dari medan perang kerana takut mati, tetapi tidak selamat di akhirat. Memang tidak berbaloi kalau lari.

Ini adalah kerana kalau berundur di dalam peperangan, ia akan melemahkan tentera Muslim. Musuh akan lebih bersemangat menyerang dan senang untuk mereka mengalahkan. Orang lain pun akan dengar dan tahu yang umat Islam pengecut dan mereka tidak takut untuk serang kita. Maka dakwah Islam tidak dapat dijalankan dan kita akan diganggu gugat sampai bila-bila.

Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang Muslim yang terlibat dalam Perang Badr. Akan tetapi hal ini bukan bererti menafikan pengertian haram bagi selain mereka yang lari dari medan perangnya, sekalipun penyebab turunnya ayat ini berkenaan dengan mereka (ahli Badr).

Seperti apa yang ditunjukkan oleh makna hadith yang menyatakan bahawa lari dari medan perang merupakan salah satu dosa besar yang membinasakan. Demikianlah menurut pendapat jumhur ulama’.


 

Anfal Ayat 17: Ini adalah sebab keenam kenapa pembahagian harta rampasan ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Seperti yang telah disebut, ada tujuh sebab semuanya. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan, jangan bangga sangat menang itu kerana ia adalah kerana pertolongan daripada Allah ‎ﷻ.

فَلَم تَقتُلوهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُم ۚ وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ ۚ وَلِيُبلِيَ المُؤمِنينَ مِنهُ بَلاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you did not kill them, but it was Allāh who killed them.¹ And you threw not, [O Muḥammad], when you threw, but it was Allāh who threw² that He might test the believers with a good test.³ Indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

  • i.e., Your strength was insufficient to overcome them, but Allāh supported you and gave you victory.
  • When the Prophet () threw a handful of dust into the faces of the disbelievers, Allāh caused it to fill the eyes and nose of every soldier, preventing their advance.
  • So that they would appreciate Allāh’s favor to them.

(MALAY)

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar dan Allah hendak memberi ujian dengannya, ujian yang baik kepada orang-orang mukmin. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

فَلَم تَقتُلوهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُم

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka,

Allah ‎ﷻ beritahu yang bukan pasukan mukmin yang membunuh puak kafir itu, tetapi Allah ‎ﷻ yang sebenarnya bunuh mereka. Sememangnya jilka dilihat dari sudut zahir, pasukan Islam yang membunuh dan dibantu oleh tentera dalam kalangan malaikat. Namun Allah ‎ﷻ kata Dia yang sebenarnya membunuh mereka semua kerana semua itu adalah daripada Qudrat Allah ‎ﷻ. Kemenangan bukanlah kerana ramainya pasukan tentera, seperti pengertian yang disebutkan di dalam ayat lainnya:

{كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ}

Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

[ Al-Baqarah: 249 ]

Kisahnya, apabila selesai peperangan, ada dalam kalangan tentera Muslim yang bergebang di atas kejayaan mereka. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan yang bukan mereka yang bunuh, tetapi sebenarnya Allah ‎ﷻ yang bunuh.

 

وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ

dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar.

Ini adalah kejadian sebelum peperangan berlangsung, iaitu semasa kedua-dua pasukan tentera sedang berhadapan di medan perang, tetapi belum lagi mula berperang. Baginda diarahkan oleh Jibril عليه السلام untuk mengambil pasir dengan tangan baginda dan tabur ke arah orang kafir. Jarak antara baginda dan mereka adalah sejauh panahan anak panah. Maka ia memang agak jauh. Kalau hendak tabur tanah, tidak akan sampai dengan jarak sebegitu.

Kebiasaan dalam peperangan bangsa Arab, dua puak yang berhadapan, mereka akan mendekati satu sama lain sambil mereka akan memanah ke arah lawan. Kalau panah tidak sampai lagi, maka itu tanda mereka jauh lagi, maka kedua-dua pasukan akan merapatkan sesama sendiri. Apabila panah sudah sampai ke pasukan lawan, itu tandanya yang mereka sudah rapat, barulah mereka berhenti sebentar, menunggu berhadap-hadapan.

Kemudian setiap pasukan akan menghantar wakil dua orang tentera dalam kalangan mereka untuk berlawan di tengah medan. Apabila wakil yang dihantar itu sudah selesai berlawan dan berbunuhan sesama sendiri, barulah yang lain masuk berperang.

Oleh itu, kedudukan mereka pada waktu itu tidaklah dekat kerana jarak satu panahan. Maka, jika mengambil kira adat dunia, dengan jarak jarak sebegitu jauh, kalau lempar pasir pasti tidak akan sampai. Pada waktu itu, Nabi ﷺ mengambil segenggam pasir, dan tabur kepada mereka. Sepatutnya tidak sampailah kalau ikut logik, namun begitu pasir yang Nabi ﷺ tabur itu, Allah ‎ﷻ bawa sampai kena kepada semua orang kafir dan kena mata mereka. Selepas terkena pasir itu, ada yang rebah, ada yang tidak nampak mata mereka, mereka tertunduk dan sebagainya kerana pasir sudah masuk ke dalam mata mereka. Mereka dalam keadaan kacau bilah waktu itu, dan tentera Muslim dan Malaikat terus menyerang mereka.

Allah ‎ﷻ beritahu tidaklah Nabi ﷺ melempar pasir itu sehingga masuk mata mereka tetapi Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan pasir yang baginda lempar itu masuk ke dalam mata mereka kerana jika Nabi ﷺ sahaja yang lempar, tentu tidak akan sampai.

 

وَلِيُبلِيَ المُؤمِنينَ مِنهُ بَلاءً حَسَنًا

dan Allah hendak memberi ujian dengannya, ujian yang baik kepada orang-orang mukmin.

Lafaz يُبلِيَ bermaksud menguji seseorang untuk mengeluarkan yang terbaik daripada orang itu. Untuk menjadikan mereka lebih baik lagi apabila melepasi ujian itu. Lafaz بَلاءً حَسَنًا memberi isyarat yang ianya bukanlah ujian yang susah. Allah ‎ﷻ menjadikan ujian itu senang sahaja. Dengan ujian itu Allah ‎ﷻ hendak berikan nikmat kepada mereka seperti kemenangan dan harga rampasan perang.

Ada terdapat banyak hikmah di dalam peperangan jihad itu. Dengannya Allah ‎ﷻ dapat memberi orang mukmin itu kelebihan pahala yang sangat banyak. Pahala yang diberi itu tidak ada diberi pada masa lain. Sementara itu, para pejuang akan mendapat nikmat yang banyak, mereka dapat mengalahkan musuh dan masyarakat Arab lain pun sudah nampak kebenaran orang Muslim.

Mereka tidak akan dapat berkata yang puak Islam itu salah lagi kalau mereka menang dalam peperangan itu. Ia memberi kesan positif lain, antaranya bagi golongan yang selama ini menentang Islam, atau memandang rendah kepada Islam, mereka sudah tidak berani untuk melawan orang Islam sekarang. Mereka sudah mendapat anjakan paradigma. Mereka sudah memandang tinggi kepada umat Islam. Oleh itu, ada kelebihan dunia dan akhirat jika menjalankan peperangan.

Walaupun kalimah بَلاءً selalunya difahami sebagai bala, akan tetapi ia juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sama seperti yang digunakan dalam [ Al-Baqarah: 49 ].

Ada satu lagi sisi lain bagi tafsir ini. Kenapakah kalimat بَلاءً حَسَنًا digunakan dalam ayat ini? Kalimah بَلاءً ia bermaksud ujian. Ujian selalunya susah dan kepayahan yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita untuk lihat kita bersabar atau tidak. Apabila lepas ujian, Allah ‎ﷻ akan menaikkan darjat orang itu. Ini ujian yang biasa kita faham.

Akan tetapi ujian bukan selalunya dalam bentuk tekanan dan kesusahan. Ada ujian dalam bentuk kesenangan dan kebiasaannya ujian jenis ini lagi ramai yang gagal. Adakala Allah ‎ﷻ berikan kesenangan dan kejayaan untuk melihat apakah yang menerima nikmat itu ingat kepada Allah ‎ﷻ yang memberinya nikmat itu atau tidak? Maka begitulah ujian yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada para pejuang di Badr iaitu dengan kemenangan untuk menguji mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ maha mendengar isi hati kita dan Allah ‎ﷻ maha mengetahui apa usaha yang kita lakukan untuk menegakkan agama-Nya.


 

Anfal Ayat 18: Ini adalah satu lagi nikmat apabila rancangan musuh gagal.

ذٰلِكُم وَأَنَّ اللَّهَ موهِنُ كَيدِ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That [is so], and [also] that Allāh will weaken the plot of the disbelievers.

(MALAY)

Itulah (kurnia Allah yang dilimpahkan kepadamu), dan sesungguhnya Allah melemahkan tipu daya orang-orang yang kafir.

 

ذٰلِكُم

Itulah

Ada jumlah muqaddar dalam lafaz ذٰلِكُم ini. Allah ‎ﷻ hendak beritahu, itulah sebahagian daripada hikmah perang. Ambillah pengajaran itu semua.

 

وَأَنَّ اللَّهَ موهِنُ كَيدِ الكٰفِرينَ

dan sesungguhnya Allah melemahkan tipu daya orang-orang yang kafir.

Ini adalah tambahan daripada segala kelebihan yang telah disebut. Allah ‎ﷻ hendak menghina dan melemahkan rancangan jahat orang kafir. Memang mereka hendak menjatuhkan Islam tetapi tidak berhasil.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Sep 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal Ayat 9 – 12 (Allah ‎ﷻ beri rasa mengantuk)

Anfal Ayat 9: Ini adalah sebab yang ketiga kenapa Allah ‎ﷻ yang sepatutnya menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Senario di sini adalah apabila sudah berhadapan dengan musuh.

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you asked help of your Lord, and He answered you, “Indeed, I will reinforce you with a thousand from the angels, following one another.”

(MALAY)

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

 

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم

Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan bersungguh-sungguh kepada Tuhanmu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, ketika mereka hampir berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu, mereka telah berdoa kepada Allah‎ ﷻ untuk memberikan kemenangan kepada pihak Islam. Sememangnya jika dilihat kepada hadith tentang kejadian ini, Rasulullah ﷺ sahaja yang berdoa. Akan tetapi para sahabat juga mengaminkan doa itu, maka kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk jamak.

Maknanya, kemenangan mereka itu pun sebenarnya kerana mereka meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dengan qudrat mereka sahaja, tentu mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa sahaja.

Lafaz تَستَغيثونَ datang daripada lafaz yang bermaksud meminta air hujan yang sesuai iaitu air hujan yang turun tepat pada masanya, dengan kadar hujan yang secukupnya kerana kalau hujan banyak sangat turun, boleh menyebabkan rosak pula tanaman dan musim tengkujuh pula, bukan? Daripada katadasar yang sama, kita dapat kalimah seperti istighasah.

Oleh itu, istighasah itu bermaksud meminta doa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi bantuan dengan kadar dan pada masa yang sesuai. Istighasah adalah pengharapan yang tinggi kepada kuasa yang lebih tinggi daripada kita. Perlulah diingatkan, di dalam Islam, pengharapan itu hanyalah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak boleh istighasah kepada Nabi, wali dan malaikat. Tidak boleh istighasah kepada ahli kubur seperti yang diajar oleh puak Habib yang telah datang ke Malaysia dan membawa ajaran syirik kepada masyarakat kita.

 

فَاستَجابَ لَكُم

lalu diperkenankan-Nya bagimu: 

Allah ‎ﷻ telah menyahut doa mereka itu. Harf ف yang digunakan menunjukkan terus sahaja Allah ‎ﷻ makbulkan permintaan mereka.

Lafaz استَجابَ bukan sahaja bermaksud menjawab tetapi menjawab dengan memberi apa yang diminta kerana kalau setakat jawab sahaja, ada kemungkinan, jawapan itu adalah ‘tidak’.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: “بَابُ شُهُودِ الْمَلَائِكَةِ بَدْرًا “: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ رِفاعة بْنِ رَافِعٍ الزُّرَقي، عَنْ أَبِيهِ -وَكَانَ أَبُوهُ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ -قَالَ: جَاءَ جبريلإِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا تَعُدُّونَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيكُمْ؟ قَالَ: ” مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِينَ” -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا -قَالَ: “وَكَذَلِكَ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا مِنَ الْمَلَائِكَةِ.

Imam Bukhari رحمه الله dalam Bab “Kesaksian para Malaikat dalam Perang Badar” mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Jarir, daripada Yahya ibnu Sa’id, daripada Mu’az ibnu Rifa’ah ibnu Rafi* Az-Zuraqi Ar-Rizqi, daripada ayahnya, sedangkan ayahnya adalah salah seorang yang ikut dalam Perang Badar. Ayahnya menceritakan bahawa Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada Nabi ﷺ, lalu bertanya, “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi Perang Badar?” Nabi ﷺ menjawab, “Pasukan yang terdiri atas kaum Muslim yang paling pilihan,” atau kalimat yang serupa. Jibril عليه السلام berkata, “Demikian pula malaikat yang ikut dalam Perang Badar.”

(HR. Bukhari no. 3992)

 

أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

“Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia membantu dengan memberi seribu malaikat yang turun berturut-turut mengikut bilangan orang kafir. Sebenarnya tidak perlu dihantar ramai tentera malaikat pun. Ketika Jibril عليه السلام mengangkat penempatan kaum Luth dulu, beliau hanya menggunakan satu sayapnya sahaja. Namun Allah ‎ﷻ beritahu bilangan kerana manusia suka kepada bilangan yang banyak.

Lafaz مُردِفينَ bermaksud sesuatu yang berturut-turut seperti jatuhan domino kalau kita tolak satu sahaja domino itu. Ia memberi isyarat kepada pasukan tentera yang berlapis-lapis. Malaikat itu datang berturutan satu selepas yang lain.  Bahawa di belakang setiap malaikat ada malaikat lagi, ertinya sebahagian daripada mereka datang sesudah sebahagian yang lainnya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو نُوحٍ قُرَاد، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّار، حَدَّثَنَا سِمَاكٌ الحَنَفي أَبُو زُميل، حَدَّثَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ حَدَّثَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَصْحَابِهِ، وَهُمْ ثَلَاثُمِائَةٍ ونَيّف، وَنَظَرَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ فَإِذَا هُمْ أَلْفٌ وَزِيَادَةٌ، فَاسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ، وَعَلَيْهِ رِدَاؤُهُ وَإِزَارُهُ، ثُمَّ قَالَ: ” اللَّهُمَّ أَيْنَ مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ فَلَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ أَبَدًا”، قَالَ: فَمَا زَالَ يَسْتَغِيثُ رَبَّهُ [عَزَّ وَجَلَّ] وَيَدْعُوهُ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ، فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَرَدَّاهُ، ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ، فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ: {إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلائِكَةِ مُرْدِفِينَ} فَلَمَّا كَانَ يَوْمَئِذٍ وَالْتَقَوْا، فَهَزَمَ اللَّهُ الْمُشْرِكِينَ، فقُتِل مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا وَأُسِرَ مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Nuh Qirad, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, telah menceritakan kepada kami Sammak Al-Hanafi Abu Zamit, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abbas, telah menceritakan kepadaku Umar ibnul Khattab رضي الله عنه yang mengatakan bahawa ketika Perang Badar Nabi ﷺ memandang kepada semua sahabatnya yang saat itu berjumlah tiga ratus orang lebih. Nabi ﷺ juga memandang kepada pasukan kaum musyrik, ternyata jumlah mereka seribu orang lebih. Kemudian Nabi ﷺ menghadapkan dirinya ke arah kiblat —saat itu baginda memakai kain selendang dan kain sarungnya— lalu berdoa: Ya Allah tunaikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika golongan kaum Muslim ini binasa, maka Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini selama-lamanya. Nabi ﷺ terus-menerus memohon pertolongan kepada Tuhannya dan berdoa kepada-Nya sehingga kain selendangnya terlepas daripada pundaknya. Lalu Abu Bakar رضي الله عنه datang menghampirinya dan memungut kain selendangnya, kemudian disandangkan di tempatnya, dan Abu Bakar رضي الله عنه tetap berdiri di belakangnya. Kemudian Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan apa yang telah dijanjikan­-Nya kepadamu.” Maka Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: (Ingatlah) ketika kalian memohon pertolongan kepada Tuhan kalian, lalu diperkenankan-Nya bagi kalian, “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kalian dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Al-Anfal: 9) Maka setelah terjadi pertempuran di antara kedua pasukan, dan Allah ‎ﷻ mengalahkan pasukan kaum musyrik—sehingga tujuh puluh orang daripada mereka gugur, sedangkan tujuh puluh orang lainnya tertawan.

(HR. Muslim no. 1763, Ahmad no. 208

Di dalam ayat ini disebut seribu malaikat. Akan tetapi di dalam ayat 124 dan 125 Surah Ali Imran disebut tiga ribu dan lima ribu pula. Kenapakah ada tiga bilangan yang berlainan?

Janji asal semasa permulaan perang adalah seribu malaikat namun apabila tentera Muslim mendapat berita yang ada bantuan tambahan akan datang menyertai tentera Musyrikin Mekah yang diketuai oleh Kurz ibn Jabir al-Fihri, para sahabat telah goyang. Maka Allah ‎ﷻ berikan janji baru dengan ditambah dua ribu lagi tentera malaikat.

Janji ketiga dengan lima ribu malaikat itu adalah jikalau tentera musuh menyerang dengan tiba-tiba dari arah yang tidak diketahui, maka Allah ‎ﷻ menjanjikan dengan lima ribu malaikat pula.


 

Anfal Ayat 10:

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم ۚ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh made it not but good tidings and so that your hearts would be assured thereby. And victory is not but from Allāh. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira

Allah ‎ﷻ menurunkan bala tentera malaikat itu sebagai berita gembira sahaja kepada umat Islam. Maknanya, mereka menang bukannya kerana turunnya para malaikat itu. Allah ‎ﷻ berikan para malaikat itu kerana hendak menggembirakan hati mereka serta memberi bersemangat sahaja. Ini kerana apabila mereka tahu ada malaikat yang menolong mereka, turun sekali bersama dengan mereka, tentu hati para pejuang itu gembira dan bersemangat untuk berperang.

 

وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم

dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya.

Tujuan keduanya adalah supaya hati mereka tenteram kerana ada asbab iaitu asbab untuk kemenangan mereka. Ini adalah kerana manusia memerlukan asbab (penyebab) untuk kemenangan. Mereka berasa yang apabila ada malaikat yang membantu, tentulah harapan untuk mereka menang lebih tinggi. Sedangkan Allah ‎ﷻ tidak perlu pun untuk memberikan malaikat untuk memenangkan mereka.

Allah ‎ﷻ memberikan ketenangan kepada mereka kerana ketenangan penting dalam berperang. Kalau dalam keadaan tenang, manusia menjadi hebat. Kalau kelam kabut dan dalam keadaan rasa rendah diri, tidak yakin, maka ia tentu memberi kesan kepada gerak laku mereka.

Walaupun malaikat telah diturunkan, itu tidaklah menidakkan tanggungjawab manusia untuk berperang. Mereka tetap kena berperang juga. Tidaklah mereka duduk melihat sahaja malaikat bunuh musuh. Ini seperti orang yang meminta pertolongan orang lain menukar tayar keretanya. Takkan dia lihat sahaja, tentulah kena tolong, bukan?

 

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ

Dan tidaklah kemenangan itu melainkan dari sisi Allah. 

Kita kena faham, kemenangan sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ, bukan kerana malaikat yang membantu. Sekiranya Allah ‎ﷻ mahu memenangkan umat Islam, tanpa turunkan malaikat pun boleh menang. Ini telah terjadi pun dalam sejarah Islam, seperti Perang Ahzab apabila Allah ‎ﷻ memenangkan umat Islam tanpa bantuan malaikat pun. Pada waktu itu Allah ‎ﷻ berikan angin sahaja untuk memusnahkan musuh.

Kita kena yakin, kemenangan itu semua ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Bukannya oleh manusia, bukannya atas kelengkapan peperangan, bilangan tentera, strategi yang bagus dan apa sahaja.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha perkasa, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan-Nya kalau Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan.

Allah ‎ﷻ maha bijaksana untuk menentukan siapakah yang akan diberi kemenangan. Rancangan Allah ‎ﷻ adalah rancangan yang terbaik. Walaupun kalah, tentu ada kelebihan dan pengajaran di dalamnya.

Habis Ruku’ 1 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 11: Ini adalah sebab keempat kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Sebelum ini telah disebut yang pejuang Muslim di Badr meminta bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Sekarang kita akan baca apakah jenis-jenis bantuan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when He overwhelmed you with drowsiness [giving] security from Him and sent down upon you from the sky, rain by which to purify you and remove from you the evil [suggestions] of Satan and to make steadfast your hearts and plant firmly thereby your feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya kaki(mu).

 

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya,

Apabila ada kalimah إذ di awal ayat, ia sebenarnya ringkasan kepada kalimah أذكروي (ingatlah) iaitu Allah ‎ﷻ suruh sahabat kenang kejadian itu. Mereka yang berada di sana dahulu. Bagi kita, sekarang kita yang sedang membacanya sebagaimana yang Allah‎ ﷻ hendak sampaikan kepada kita.

Kenanglah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan mereka satu pemberian nikmat dalam bentuk rasa mengantuk. Bayangkan, dalam perang boleh timbul rasa mengantuk sedangkan mereka sedang menghadapi mati. Mereka sedar yang mereka boleh mati bila-bila masa sahaja, bukan? Sepatutnya, tentu ada perasaan gelisah yang amat sangat. Tambahan pula, pelbagai kemungkinan yang mereka sedang hadapi – kekalahan, kecederaan, kekalahan.

Walaupun tentunya perasaan mereka gundah gulana, dalam kerisauan, namun Allah ‎ﷻ lelapkan mata mereka. Semua tertidur sama ada mahu atau tidak, kecuali Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ mengaturkan ketenangan dalam hati manusia dengan cara itu. Selepas itu mereka rasa amat tenang, bagai bukan menghadapi peperangan pun. Ia seumpama ubat bius sampaikan boleh tertidur. Apabila tidur, maka mereka mendapat rehat dan badan menjadi lebih segar.

Ia menjadi satu nikmat daripada Allah ‎ﷻ kerana para sahabat ketika itu sedang takut. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh berikan ketenangan ini sampaikan ia menjadi satu tanda para pejuang Islam dibantu oleh Allah ‎ﷻ di mana kalau mereka ada rasa mengantuk, maka itu adalah petanda baik. Tidaklah semua mengantuk itu baik pula. Kalau mengantuk semasa sedang salat atau di dalam kelas, ini tidaklah baik pula. Itu daripada syaitan.

Ini semua adalah daripada Qudrat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia buat begitu, maka biarlah Dia yang bahagikan ghanimah. Allah ‎ﷻ menekankan lafaz مِنهُ (daripada-Nya) sebagai mengingatkan bahawa pemberian itu daripada Allah. Kalau kita hendak buat sendiri, buat-buat mengantuk, tidak akan boleh.

Lafaz يُغَشّيكُمُ bermaksud mereka diselubungi dengan secara penuh. Pada ketika itu mereka semuanya terus rasa mengantuk dan lafaz النُّعاسَ itu bermaksud bahagian pertama daripada rasa mengantuk iaitu peringkat sebelum tidur lagi. Atau, kita boleh katakan, tidur ringan. Pada waktu ini, selalunya manusia akan berasa tenang sangat sebab waktu itu kepala tidak memikirkan benda lain, hanya fikir hendak tidur sahaja. Kalimah النُّعاسَ ini lebih kurang sama dengan kalimah سِنَةٌ di dalam Ayat Kursi.

Para pejuang Islam itu diberi ketenangan hati dan mereka diselubungi dengan rasa mengantuk sebagai ketenangan semasa orang lain gelisah. Oleh kerana Allah‎ﷻ  sahaja yang boleh memberikan ketenangan, maka hendaklah berharap ketenangan daripada Allah ‎ﷻ.

Abu Talhah mengatakan bahawa dia termasuk salah seorang yang terkena rasa mengantuk itu dalam Perang Uhud, dan sesungguhnya pedangnya sampai terjatuh berkali-kali daripada tangannya. Bila pedangnya jatuh, maka dia memungutnya; dan bila jatuh lagi, dia memungutnya kembali. Dan sesungguhnya dia melihat pasukan kaum muslim menelentangkan tubuh mereka, sedangkan mereka berada di bawah lindungan perisai masing-masing.

Di dalam kitab Sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ ketika dalam Perang Badar berada di dalam khemah kecilnya dengan Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه —sedang berdoa— terkena rasa mengantuk, kemudian baginda terbangun seraya tersenyum dan bersabda:

“أَبْشِرْ يَا أَبَا بَكْرٍ، هَذَا جِبْرِيلُ عَلَى ثَنَايَاهُ النَّقْعُ” ثُمَّ خَرَجَ مِنْ بَابِ الْعَرِيشِ، وَهُوَ يَتْلُو قَوْلَهُ تَعَالَى: {سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ}

Bergembiralah, hai Abu Bakar, ini Malaikat Jibril datang (dengan mengenderai kuda) yang pada kedua sisinya berterbangan debu-debu. Kemudian Nabi ﷺ keluar (berangkat) melalui pintu Al-Arisy seraya membacakan firman-Nya: Golongan (kaum musyrik) itu pasti akan dikalahkan, dan mereka akan mundur ke belakang. (Al-Qamar: 45)

(HR. Bukhari no. 3953)

 

وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً

dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit 

Ini merupakan sebuah lagi pemberian daripada Allah ‎ﷻ, Dia juga telah menurunkan air dari langit dalam bentuk hujan. Puak kafir Mekah telah sampai dulu di Badr dan mereka telah mengambil tempat yang amat strategik – tempat yang tinggi dan berdekatan dengan sumber air. Manakala puak Muslim pula mendapatkan tempat di kawasan rendah dan berpasir. Ini disebut dalam ayat 42 surah ini juga. Maka puak mukmin dalam kepayahan. Untuk jalan pun susah seperti susahnya kita berjalan dan berlari di pantai, bukan?

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan untuk memudahkan umat Islam, tanah yang berpasir menjadi keras dan mendap memudahkan pergerakan mereka. Dalam masa yang sama, air pun mereka dapat kerana mereka sebelum itu duduk di kawasan yang jauh dari sumber air. Dalam masa yang sama juga, air hujan itu juga jatuh kepada puak musyrikin dan menyebabkan tanah yang mereka pijaki itu menjadi lecak dan susah untuk mereka bergerak.

 

لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

untuk menyucikan kamu dengan hujan itu

Air hujan itu juga menyucikan mereka. Badan mereka menjadi segar kerana sekarang mereka sudah mendapat sumber air. Pada waktu itu puak musuh yang duduk berdekatan dengan sumber air. Dengan air itu umat Islam dapat mengangkat hadas mereka dan melakukan ibadat.

Ini penting bagi mereka kerana mereka akan menghadapi musuh dalam peperangan dan mereka mahu melakukan ibadat dahulu supaya dengan itu dapatlah tenang hati mereka. Juga ada yang sampai tidur dan mimpi basah. Maka mereka rasa tidak sedap hati kalau tidak mandi.

Ini juga ada pengajaran kepada kita. Umat Islam hendaklah membersihkan diri luar dan dalam. Badan kena bersih, hati pun kena bersih juga daripada sifat-sifat terkeji.

 

وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ

dan menghilangkan daripada kamu gangguan-gangguan syaitan

Maksudnya, Allah ‎ﷻ menghilangkan bisikan syaitan yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak menolong mereka. Syaitan membisikkan pelbagai hasutan untuk menyebabkan mereka hilang rasa keyakinan diri dengan  apa yang mereka lakukan itu. Dengan pemberian air hujan itu, Allah ‎ﷻ memberikan isyarat yang Allah ‎ﷻ ada bersama mereka dan Allah ‎ﷻ redha dan memberikan pertolongan kepada mereka. Begitulah was-was daripada syaitan telah dihilangkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Nabi ﷺ ketika berangkat menuju medan Badar dan sampai padanya, lalu turun beristirehat. Saat itu pasukan kaum musyrik berada di dalam posisi yang antara mereka dan mata air terdapat banyak gundukan pasir, sedangkan keadaan pasukan kaum muslim sangat lemah, lalu setan menyusupkan rasa kebencian di dalam hati mereka dan membisikkan godaannya di antara mereka seraya mengatakan, “Kalian mengakui bahwa diri kalian adalah kekasih-kekasih Allah, dan di antara kalian terdapat Rasul-Nya, tetapi kaum musyrik ternyata dapat mengalahkan kalian dalam menguasai mata air; sedangkan kalian, salat pun kalian kerjakan dalam keadaan berjinabah.”

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan kepada pasukan kaum muslim, iaitu hujan yang cukup lebat, sehingga kaum muslim beroleh minum dan dapat bersuci. Allah ‎ﷻ pun menghilangkan godaan syaitan daripada mereka, dan tanah yang berpasir itu setelah terkena hujan menjadi padat dan kuat, sehingga orang-orang dengan mudah dapat berjalan di atasnya, begitu pula haiwan-haiwan kenderaan mereka; lalu pasukan kaum muslim maju menuju ke arah pasukan kaum musyrik. Kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan bala bantuan kepada Nabi-Nya dan kaum mukmin dengan seribu malaikat. Malaikat Jibril turun bersama lima ratus malaikat di suatu sisi, sedangkan di sisi lain turun Malaikat Mikail dengan membawa lima ratus malaikat lagi.

(AR. Ibnu Jarir 9/195, sahih)

 

وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم

dan untuk menguatkan hatimu

Semua itu dapat meneguhkan hati mereka untuk menghadapi musuh. Hati mereka jadi memusat untuk berperang dan menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tidaklah fikir bermacam-macam perkara yang tidak patut lagi kerana mereka telah yakin dengan sebenar-benar yakin yang Allah ‎ﷻ bersama mereka.

 

وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

dan memperteguh dengannya kaki(mu).

Dengan segala pemberian itu, Allah ‎ﷻ meneguhkan kaki mereka supaya tidak lari dari medan perang. Dari segi fizikal, dengan air itu tanah tempat mereka pijak menjadi kejap dan sesuai untuk berjalan padanya. Dari segi emosi pula, hati mereka menjadi tenang dan bersemangat untuk menghadapi musuh.


 

Anfal Ayat 12: Ini adalah sebab yang kelima kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk membahagikan pemberian harta rampasan perang itu.

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when your Lord inspired to the angels, “I am with you, so strengthen those who have believed. I will cast terror into the hearts of those who disbelieved, so strike [them] upon the necks and strike from them every fingertip.”¹

  • By which they grasp and manipulate their weapons. Also interpreted as “all extremities,” i.e., their hands and feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

 

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ suruh mengingati kembali. Ini tentang Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada para malaikat untuk memberitahu kepada umat Islam (melalui Nabi ﷺ): sesungguhnya Allah ‎ﷻ bersama mereka. Maka Nabi ﷺ beritahu para sahabat yang malaikat bersama mereka. Dengan itu hati mereka menjadi lebih tetap dan tenang kerana mereka tahu yang malaikat ada bersama mereka memberi bantuan.

Maksud Allah ‎ﷻ bersama itu bukanlah bermaksud duduk di tepi pula, tidak. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ memberi bantuan. Ini seperti orang kata: “Kami bersama Najib!” Tidaklah pula ia bermaksud mereka duduk sekali dalam penjara dengan Najib, bukan?

Dari sini kita tahu yang Allah ‎ﷻ sentiasa bersama orang-orang beriman. Sama ada dalam keadaan biasa, lebih-lebih lagi dalam peperangan.

 

فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا

maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”.

Allah ‎ﷻ suruh malaikat berikan ilham yang baik-baik kepada puak Mukmin yang akan menghadapi musuh supaya mereka tidak berundur ke belakang. Allah ‎ﷻ suruh para malaikat teguhkan pendirian orang Mukmin supaya meneruskan usaha mereka untuk berperang itu. Atau beri keteguhan itu dengan berperang bersama dengan golongan Mukmin ketika itu.

 

سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, 

Allah ‎ﷻ sendiri kata yang Dia akan campakkan kepada orang kufur itu, perasaan takut dan gerun terhadap umat Islam. Mereka akan takut untuk menghadapi umat Islam dalam peperangan itu. Mereka menjadi tidak yakin untuk berperang. Semasa mereka keluar dari Mekah mereka yakin sangat, tetapi apabila berdepan dengan umat Islam, mereka menjadi gementar.

Ini juga bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila musuh takut, maka senanglah untuk mengalahkan mereka.

 

فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ

maka penggallah kepala mereka

Allah ‎ﷻ beri kata semangat kepada mereka: pancunglah leher puak musyrikin itu. Jangan takut dengan mereka. Jangan bagi belas kasihan. Kenapakah sampai penggal terus? Ini supaya mereka itu dimatikan terus kerana mereka itu golongan penentang terkuat kepada Islam. Mereka itu tidak ada harapan lagi untuk beriman, maka layaknya bagi mereka adalah mati sahaja.

Ini mengajar kita bahawa halal untuk membunuh darah orang-orang yang menentang dakwah agama Islam dalam peperangan. Namun harus diingatkan yang mestilah mengikut syarat-syarat peperangan. Untuk memulakan perang, kenalah ada arahan daripada pemerintah (Khalifah). Jangan pula salah faham dan ambil tindakan sendiri pula.

 

وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

Allah ‎ﷻ suruh keratlah jari jemari pihak musuh itu. Allah ‎ﷻ sebut leher dan jari disebabkan dua tempat itu dijadikan sebagai sasaran kerana itulah dua kekuatan musuh. Apabila tidak ada jari, itu adalah tanda kelemahan supaya mereka jadi lumpuh dan tidak dapat melawan lagi. Ini kerana kalau jari sudah tiada, maka sudah tidak dapat memegang senjata lagi.

Juga boleh bermaksud setiap sendi tulang mereka, bukan hanya pada jari mereka sahaja.

Mungkin Allah ‎ﷻ berikan kata semangat ini kepada umat Islam atau arahan kepada malaikat. Namun yang pasti, ia adalah kata-kata semangat untuk disampaikan kepada umat Islam. Jangan takut dengan musuh dan terus mara dalam peperangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal Ayat 4 – 8 (Bagaimana mulanya perang Badr)

Anfal Ayat 4: Ayat Tabshir (berita gembira). Disebutkan balasan yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman.

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the believers, truly. For them are degrees [of high position] with their Lord and forgiveness and noble provision.

(MALAY)

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.

 

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا

Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. 

Mereka yang ada lima sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini, barulah termasuk sebagai golongan mukmin sebenar. Dalaman dan luaran mereka menunjukkan mereka itu benar-benar beriman. Jika setakat kata diri seorang mukmin, tetapi sifat-sifat itu tidak ada, jangan bermimpilah.

Allah ‎ﷻ menekankan kepentingan sifat-sifat itu dengan penggunaan lafaz حَقًّا (benar-benar) dalam ayat ini. Merekalah itu sebenar-benar orang beriman, Allah ‎ﷻ memberi cap itu kepada mereka – alangkah indahnya kalau kita pun termasuk dalam golongan ini juga.

Namun kita pun tidak akan dapat tahu yang kita ini beriman sepenuhnya atau tidak. Dalam kitab al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Imam Abu Hayyan al-Tauhidi mencatat sebuah kisah tentang Imam Hasan al-Bashri رحمه الله yang ditanyakan keimanannya oleh seseorang. Berikut kisahnya:

سأل رجل الحسنَ البصري: أمؤمن أنت؟ فقال: إن كنت تريد قول الله عزّ وجلّ: آمَنَّا بِاللهِ وَمَا أُنزِلَ إِليْنَا (البقرة: ١٣٦)، فنعم، به نتناكح ونتوارث ونحقن الدماء. وإن كنتَ تريد قول الله تعالي: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبُهُمْ (الأنفال: ٢)، فنسأل اللهَ أن نكون منهم

Seseorang bertanya kepada (Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله: “Apakah kau orang yang beriman?”

(Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله menjawab: “Jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ‘azza wa jalla (QS. Al-Baqarah: 136): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami,” maka (jawabannya adalah) iya. (Kerana) dengan (apa yang diturunkan-Nya itulah) kita menikah, mewariskan dan melindungi (tumpahnya) darah. (Namun), jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ta’ala (QS. Al-Anfal: 2): “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka,” maka kita (perlu) memohon kepada Allah agar kita (bisa) termasuk (dalam golongan) itu.” (Imam Abu Hayyan al-Tauhidi, al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Beirut: Dar Shadir, 1988, juz 1, h. 62)

Oleh itu kita kenalah berdoa dan berharap dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan perasan yang kita sudah beriman sebenar.

 

لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم

Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya

Di akhirat kelak, mereka akan mendapat banyak darjat di sisi Tuhan. Ahli syurga itu sebahagiannya mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada sebahagian yang lain, maka orang yang berada di atas kedudukan yang tinggi dapat melihat orang yang kedudukannya berada di bawahnya.

Akan tetapi, orang yang berada di tingkatan bawah tidak berpandangan pun ada yang lebih utama daripada dirinya. Kerana itulah di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِنَّ أَهْلَ علِّيين لَيَرَاهُمْ مَنْ أَسْفَلُ مِنْهُمْ كَمَا تَرَوْنَ الْكَوْكَبَ الْغَابِرَ فِي أُفُقٍ مِنْ آفَاقِ السَّمَاءِ”، قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، تِلْكَ مَنَازِلُ الْأَنْبِيَاءِ، لَا يَنَالُهَا غَيْرُهُمْ؟ فَقَالَ: “بَلَى، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ رِجَالٌ آمَنُوا بِاللَّهِ وَصَدَّقُوا الْمُرْسَلِينَ”

Sesungguhnya ahli ‘Illiyyin (syurga yang paling tinggi) benar-benar dapat dilihat oleh orang-orang yang ada di bawah mereka, sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang jauh berada di ufuk langit yang sangat luas. Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, syurga ‘Illiyyin itu tentu kedudukan para nabi, dan tidak dapat diraih oleh selain mereka.” Rasulullah ﷺ menjawab: Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, bahkan (termasuk pula) orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.

Kenapa disebut beberapa darjat? Seperti juga orang kita di dunia ini, kadang-kadang ada yang dapat banyak pingat kepujian dari negara dan daripada sultan. Begitulah juga di akhirat nanti, ada orang mukmin yang mendapat darjat seorang penderma, seorang yang suka membaca Al-Qur’an, darjat suka berpuasa dan sebagainya.

 

وَمَغفِرَةٌ

dan ampunan

Mereka akan mendapat keampunan. Orang yang beriman, tidak semestinya dia tidak ada dosa. Setiap manusia akan berdosa. Cuma dosa mereka itu adalah dosa-dosa kecil sahaja dan Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa mereka itu sampai tidak perlu dimasukkan ke dalam neraka. Inilah harapan kita.

 

وَرِزقٌ كَريمٌ

serta rezeki (nikmat) yang mulia.

Mereka akan mendapat rezeki dari sisi Tuhan mereka. Di dunia pun kita memang ada mendapat rezeki juga, tetapi di akhirat nanti, mereka yang memasuki syurga akan mendapat rezeki yang كَريمٌ (yang mulia). Ada yang menafsirkan rizqun kareem itu sebagai syurga.

Ini adalah tahap rezeki yang tertinggi. Tentunya tidak sama dengan rezeki yang diberikan semasa di dunia. Segala nikmat rezeki yang di dunia ini adalah seperti sampel sahaja untuk nikmat yang lebih hebat di akhirat kelak. Bezanya seperti handphone sebenar dengan handphone plastik sampel di kedai handphone itu sahaja.

Oleh itu, ada tiga perkara yang dijanjikan kepada mukmin sejati. Lihat kembali di mana tiga jenis perkara yang disyaratkan kepada mereka iaitu: tentang hati, tentang perbuatan fizikal dan tentang harta. Ketiga perkara ini dibalas dengan tiga balasan:

Bab hati dibalas dengan kedudukan tinggi di sisi Allah ‎ﷻ

Bab amalan fizikal dibalas dengan keampunan

Bab harta dibalas dengan balasan rezeki yang mulia


 

Anfal Ayat 5: Ini adalah sebab pertama kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Bermula daripada ayat ini kita akan belajar sejarah tentang Perang Badr seperti yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Mungkin kita sudah tahu serba sedikit tentang Perang Badr ini, tetapi mari kita lihat apa yang Allah ‎ﷻ hendak kita tahu daripada firman-Nya sendiri.

كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It¹ is] just as when your Lord brought you out of your home [for the battle of Badr] in truth, while indeed, a party among the believers were unwilling,

  • Referring to a dispute which occurred among the Muslims over distribution of war booty.

(MALAY)

Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan haq, padahal sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,

 

كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ

Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan kebenaran,

Kalimah كما adalah kalimah yang digunakan untuk membandingkan sesuatu dengan sesuatu. Namun apakah yang Allah‎ ﷻ hendak bandingkan di sini? Ulama’ tafsir berbeza pendapat sampaikan ada berbelas pendapat. Kita sebutkan beberapa sahaja di sini:

1. Sebagaimana mereka tidak ada hak untuk menentukan keputusan untuk berperang atau tidak, maka mereka tidak ada hak untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu. Allah ‎ﷻ yang menentukan kedua-duanya. Allah ‎ﷻ yang telah menyebabkan mereka berperang pada mulanya.

2. Di peringkat awal, ada yang tidak bersetuju dengan perang itu tetapi setelah diperintah oleh Allah ‎ﷻ untuk mereka berperang, mereka nampak pentingnya perang itu setelah kejayaan dicapai. Maka begitu jugalah dengan pembahagian harta rampasan itu. Pada peringkat awal, ramai yang tidak berpuas hati. Walau bagaimanapun kemudiannya apabila keputusan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ, mereka semuanya akan taat dan berpuas hati.

3. Pendapat ini merujuk kepada ayat 4 sebelum ini yang menjanjikan balasan kepada Mukmin yang sebenar. Ia adalah sesuatu yang tidak nampak lagi, bukan? Akan tetapi percayalah kepada janji Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Dia telah menjanjikan kejayaan di Badr dan telah menjadikan ia realiti, maka begitu jugalah dengan janji-Nya untuk memberi balasan kepada mereka.

Daripada ayat ini, seolah-olah Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ keluar dengan kehendaknya sendiri, tetapi ia atas arahan daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang hebat kerana menunjukkan yang memang Nabi Muhammad ﷺ taat sepenuhnya kepada arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Sebenarnya Tuhanlah yang telah memaksa umat Islam itu keluar dari rumah mereka untuk berperang di Badr, dengan tujuan untuk menzahirkan kebenaran. Itulah maksud بِالحَقِّ. Maka Allah ‎ﷻ yang memaksa mereka keluar sebenarnya. Ini adalah kerana, Nabi Muhammad ﷺ asalnya hendak keluar dengan tujuan untuk menyekat kafilah perniagaan Abu Sufyan sahaja, tetapi yang boleh jadi berperang itu kerana Allah ‎ﷻ yang tentukan. Oleh itu, berperang itu bukan kehendak asal Nabi ﷺ dan umat Islam. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang rancangkan, maka Allah ‎ﷻlah yang layak untuk bahagikan harta.

Mereka yang mendapat harta rampasan perang itu, amat sayang dan berkeinginan kepada harta itu. Ini adalah kerana susah untuk mereka mendapatkannya. Bukannya mereka dapat daripada berniaga dan sebagainya, tetapi mereka bertaruh nyawa. Maka kalau tidak kena cara pembahagian itu, tentu akan ada yang marah.

Sebab itu Allah ‎ﷻ kata Dia yang akan bahagikan sendiri. Kalau kamu yang buat keputusan untuk bahagikan sendiri, nanti mereka pula yang akan berperang sesama sendiri kerana akan ada yang tidak puas hati, bukan? Kalau ikut logik, tentulah kita boleh bahagikan sendiri, tetapi Allah ‎ﷻ tahu yang perkara ini adalah perkara sensitif, maka Allah ‎ﷻ tidak membiarkan pada keputusan manusia.

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini. Mengingatkan kita kepada sifat tarbiyah (salah satu maksud rabb) Allah ‎ﷻ yang hendak mengajar umat Islam dan membina jati diri mereka.

 

وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ

padahal sesungguhnya sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,

Semasa umat Islam diberitahu yang mereka disuruh berperang dengan tentera Musyrikin Mekah yang dipimpin oleh Abu Jahal, ada segolongan dalam kalangan umat Islam yang sangat-sangat tidak suka dengan keputusan itu. Mereka itu orang mukmin (lihat Allah ‎ﷻ masih iktiraf mereka mukminin), tetapi mereka rasa yang itu bukanlah keputusan yang baik.

Maka, keputusan untuk keluar itu bukanlah atas kehendak semua umat Islam asalnya. Memang ramai yang tidak suka berperang dan Allah ‎ﷻ telah sebutkan pun di dalam firman-Nya yang lain:

{كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ}

Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kalian; dan boleh jadi kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian; Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui. 

[ Al-Baqarah: 216 ]

Allah ‎ﷻ sudah berikan isyarat dalam Surah Baqarah itu yang mereka ada yang tidak suka berperang, tetapi sebenarnya peperangan itu baik bagi mereka. Sama jugalah dengan berperang dengan Musyrikin Mekah itu – mereka sangka ikut logik, ia adalah sesuatu yang tidak bagus, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu.

Maka, ketika hendak keluar itu, mereka tidak sepakat tetapi Allah ‎ﷻ yang suruh juga mereka keluar. Akhirnya mereka telah keluar dan telah memenangi perang itu serta dapat mengumpul harta rampasan. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan semula, mereka keluar itu adalah atas keputusan Allah ‎ﷻ. Oleh itu, sepatutnya serahlah kepada Allah ‎ﷻ sahaja untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu.

Namun begitu kenapa mereka berat hati hendak keluar berperang? Seolah-olah para sahabat itu ada masalah pula. Maka kita kena ketahui keadaan pada masa itu. Antara sebab-sebab yang kita boleh sebutkan setakat yang kita tahu:

1. Waktu itu adalah bulan Ramadhan. Tentunya mereka dalam kepenatan.
2. Rancangan perang tidak dilakukan dari awal. Ia adalah rancangan secara tiba-tiba menyebabkan para sahabat tidak bersedia.
3. Rasulullah ﷺ pun tidaklah mengatakan jihad di Badr ini wajib. Ia terpulang kepada sesiapa yang hendak dan sanggup menyertainya.
4. Rasulullah ﷺ mengatakan sesiapa yang ada kenderaan, boleh sertai jihad itu. Ramai daripada mereka yang tidak ada kenderaan. Ada yang kenderaan yang mereka boleh gunakan kena dapatkan dari kampung sebelah. Mereka meminta izin waktu untuk mendapatkannya. Akan tetapi tidak ada waktu untuk melakukan perkara itu. Maka ramai yang tidak dapat sertai kerana tidak ada kenderaan. Mereka hanya ada 70 unta dan terpaksa berkongsi unta. 3 orang berkongsi satu unta bergilir-gilir termasuklah Rasulullah ﷺ. Sahabat yang berkongsi dengan baginda segan dan suruh sahaja baginda duduk terus atas unta, tetapi baginda tidak mahu.
5. Rancangan asal adalah untuk menangkap kafilah perniagaan sahaja, bukannya batalion tentera.
6. Sikap normal manusia biasa yang takutkan kematian.

Oleh itu, sikap sesetengah para sahabat (bukan semua) yang keberatan untuk keluar berperang itu sebenarnya “valid” sahaja. Kalau kita dalam keadaan mereka pun tentu sudah lari entah ke mana. Akhirnya mereka tetap ikut juga berperang bersama Rasulullah ﷺ walaupun asalnya mereka keberatan.


 

Anfal Ayat 6:

يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ وَهُم يَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Arguing with you concerning the truth after it had become clear, as if they were being driven toward death while they were looking on.

(MALAY)

mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata (bahawa mereka pasti menang), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebab kematian itu).

 

يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ

mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata

Mereka yang tidak suka keluar berperang untuk melawan dengan tentera Musyrikin Mekah itu telah membantah pada mulanya. Inilah ujian Rasulullah ﷺ di mana telah dibantah oleh umatnya sendiri. Bagi orang beriman apabila telah jelas tentang kebenaran, mereka tidak sepatutnya membantah. Maka Allah ‎ﷻ menegur umat Islam ketika itu.

Keputusan untuk berperang itu dilakukan setelah mereka keluar ke Badr dengan tujuan untuk menyekat rombongan perniagaan Abu Sufyan. Apabila keputusan untuk berperang itu dikeluarkan, mereka ingin pulang ke Madinah apabila diberitahu yang rombongan Abu Sufyan sudah tiada.

Mereka itu tidaklah membantah seperti faham biasa kita, tetapi mereka sebenarnya memberi cadangan. Ia terjadi dalam bentuk mesyuarat. Memang Nabi ﷺ akan bertanyakan pendapat para sahabat dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka. Di situ ada antara umat Islam yang tidak mahu ada peperangan.

Kita kena faham, ada perbezaan antara puak Muhajirun dan Ansar. Puak Muhajirun telah melalui masa-masa yang keras di Mekah dan mereka telah diuji dengan berbagai-bagai dugaan yang besar setelah mereka beriman dengan Nabi ﷺ. Akan tetapi puak Ansar adalah mereka yang baru masuk Islam. Maka Nabi ﷺ kena dapatkan persetujuan daripada mereka. Walaupun ada yang sudah setuju, tetapi ada juga yang tidak suka berperang.

Namun begitu, Allah ‎ﷻ mengingatkan semula yang mereka berhujah itu setelah nyata ada keputusan daripada Allah ‎ﷻ yang akan ada peperangan dan mereka pasti akan menang. Maknanya telah jelas yang peperangan akan terjadi kerana keputusan itu bukanlah daripada Nabi ﷺ sendiri tetapi daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Mereka pun tahu, tetapi ada juga yang berhujah lagi.

Sebenarnya kelakuan mereka ini normal sahaja bagi manusia tetapi oleh kerana mereka itu statusnya adalah sahabat kepada Rasulullah ﷺ, maka kriteria yang dikenakan kepada mereka lebih tinggi daripada manusia biasa. Maka nampak tidak molek pula apabila mereka membantah Rasulullah ﷺ dalam hal ini.

 

كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ

seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, 

Kenapa mereka tidak setuju? Kerana mereka rasa seolah-olah Allah ‎ﷻ suruh mereka mati. Mereka berasa bagaikan berserah diri untuk mati sahaja kerana hati mereka tidak bersedia. Ini sebenarnya perkara biasa sahaja kerana memang sifat manusia takut mati.

Walau bagaimanapun Allah ‎ﷻ yang mentaqdirkan mereka tetap juga keluar untuk berperang itu. Kalau ikut hati mereka, tidaklah jadi berperang dan tidaklah ada harta rampasan perang. Oleh kerana itu, mereka tidaklah patut hendak menentukan pembahagian itu kerana mereka sendiri pun tidak mahu berperang pada asalnya.

 

وَهُم يَنظُرونَ

sedang mereka melihat

Mereka berkata begitu kerana mereka sendiri sudah melihat tanda-tanda mati. Ini adalah kerana peperangan itu bagaikan melihat kematian yang berada di hadapan mata. Ini kerana mereka tahu yang tentera yang mereka akan hadapi itu adalah lebih besar dan lebih lengkap dari segi kelengkapan perang berbanding dengan mereka. Mereka sudah berasa tidak yakin akan memenangi peperangan itu dan akhirnya mereka rasakan pasti akan mati sahaja.

Begitulah juga yang telah dikatakan oleh sebahagian daripada tentera Jalut yang sedang menghadapi tentera Talut. Kisah itu telah disebut dalam Surah Baqarah ayat 249.

فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ

Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.

Surah itu telah dibacakan awal lagi kepada mereka kerana ia diturunkan sebelum dikeluarkan arahan perang. Allah‎ ﷻ telah sebut kisah itu kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat kepada mereka yang mereka akan berperang. Allah ‎ﷻ juga mengingatkan tentang pertolongan-Nya di dalam ayat itu:

قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Maka, tujuan Allah ‎ﷻ keluarkan ayat ini adalah untuk mengingatkan mereka yang mereka dulu bukan semuanya mahu berperang pun. Allah ‎ﷻ juga yang memaksa mereka berperang. Maka apabila sudah menang dan sudah mendapat harta rampasan perang, berilah keputusan pembahagian harta itu kepada Allah‎ﷻ .


 

Anfal Ayat 7:

وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember, O believers], when Allāh promised you one of the two groups¹ – that it would be yours – and you wished that the unarmed one would be yours. But Allāh intended to establish the truth by His words and to eliminate the disbelievers

  • i.e., either the caravan of Quraysh or their army.

(MALAY)

Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu, tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir,

 

وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم

Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu daripada dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka yang berperang itu bukanlah atas strategi mereka dari awal untuk berperang, tetapi itu semua daripada perancangan Allah ‎ﷻ. Yang mereka rancangkan asalnya adalah untuk menyekat rombongan perniagaan sahaja.

Allah ‎ﷻ telah memberikan dua pilihan kepada mereka pada waktu itu. Mereka boleh menghadapi salah satu daripada dua kumpulan: rombongan perniagaan Abu Sufyan atau tentera Mekah. Ketika Allah ‎ﷻ beri pilihan itu, Allah ‎ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ yang pilihan mana pun yang mereka pilih, mereka akan menang.

Kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus sahaja arahkan menyerang antara salah satu daripada dua kumpulan musuh itu? Ia adalah sebagai ujian kepada umat Islam waktu itu. Untuk mereka pandai melihat kepada tujuan yang lebih besar, untuk menjadi berani dan apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak latih mereka. Allah ‎ﷻ lebih tahu kenapa Dia berikan ujian ini kepada mereka.

 

وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم

sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu,

Pada waktu itu ada antara mereka yang sangat ingin yang tidak ada kelengkapan peranglah yang menjadi milik mereka. Lafaz غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ bermaksud ‘yang tidak ada senjata’. Dari segi literal, ia bermaksud ‘tidak ada duri’.

Mereka berharap mereka akan mengejar kafilah perniagaan Abu Sufyan kerana itu adalah lebih senang kerana bilangan kafilah Abu Sufyan itu ada sekitar 40 orang sahaja, tanpa senjata lengkap. Maka senang sahaja untuk dikalahkan berbanding dengan tentera dari Mekah yang berjumlah lebih daripada seribu orang dengan kelengkapan perang. Tambahan pula kafilah itu sedang membawa harta yang banyak. Dikatakan yang pada waktu itu ada 50 ribu dinar bersama mereka. Ini adalah jumlah yang amat banyak. Semua penduduk Mekah ada bahagian dalam harta ini. Memang manusia tetap ingin kepada harta walaupun mereka itu beriman.

 

وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya

Namun begitu, sebenarnya Allah ‎ﷻ hendakkan yang lain daripada apa yang mereka mahu. Allah ‎ﷻ mahu kebenaran dizahirkan. Maksud dengan kalimah-Nya adalah dengan perintah-Nya.

Maksud kedua bagi ‘kalimah’ adalah taqdir kauniah (ketentuan Allah ‎ﷻ dalam hal yang berlaku dalam dunia). Sekiranya mereka pergi mengejar kafilah Abu Sufyan dan mereka berjaya pun, itu tidaklah menzahirkan apa-apa sangat kerana mereka ramai dan memang boleh mengalahkan rombongan perniagaan itu. Maka, peristiwa itu tidaklah menjadi sesuatu yang hebat sangat pun.

Namun Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan sesuatu yang lebih hebat daripada itu. Allah ‎ﷻ hendak memenangkan mereka walaupun mereka berhadapan dengan tentera yang lebih ramai daripada mereka. Kalau mereka menang dengan tentera yang lebih besar, barulah akan terbukti kebenaran. Barulah orang lain akan membuka mata mereka.

Oleh itu, walaupun Allah ‎ﷻ beri pilihan kepada mereka, Allah ‎ﷻ sebenarnya hendak mereka berperang dengan tentera Mekah itu.

 

وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ

dan memusnahkan orang-orang kafir,

Allah ‎ﷻ mahu mereka berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu kerana Allah ‎ﷻ mahu membinasakan keturunan orang yang menentang Islam. Sekiranya mereka mahukan harta, itu boleh dicari waktu lain, tetapi yang menentang mereka itu lebih penting untuk dihapuskan.

Ini kerana yang datang dalam kalangan tentera Mekah itu adalah ketua-ketua penjahat dan Allah ‎ﷻ mahu mematikan mereka. Maksud asal دبر adalah hujung (seperti dubur adalah hujung tubuh kita). Maksudnya Allah ‎ﷻ hendaklah menghapuskan semua ketua pemuka Musyrikin Mekah supaya tidak ada anak-anak kafir daripada keturunan mereka. Ini adalah kerana lafaz دابِرَ bermaksud belakang tubuh seseorang. Ia membawa maksud keturunan seseorang. Allah ‎ﷻ memusnahkan pemuka penjahat itu sekali dengan keturunan mereka supaya Musyrikin Mekah menjadi lemah. Semua ini adalah perancangan Allah ‎ﷻ.


 

Anfal Ayat 8:

لِيُحِقَّ الحَقَّ وَيُبطِلَ البٰطِلَ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He should establish the truth and abolish falsehood, even if the criminals disliked it.

(MALAY)

agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.

 

لِيُحِقَّ الحَقَّ

agar Allah menetapkan yang hak

Allah ‎ﷻ hendak menegakkan kebenaran dengan perang itu supaya kebenaran nampak jelas. Semua akan nampak walaupun tentera Islam itu sedikit, tetapi mereka dibantu oleh Allah ‎ﷻ sehingga dapat mengalahkan tentera yang lebih besar dan lebih lengkap daripada mereka. Allah ‎ﷻ mahu tunjukkan manakah pihak yang benar.

 

وَيُبطِلَ البٰطِلَ

dan membatalkan yang batil

Allah ‎ﷻ hendak membasmikan kebathilan iaitu kesyirikan. Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan supaya semua manusia tahu yang mereka yang syirik itu adalah puak yang bathil, yang salah. Abu Jahal pun telah berdoa di Kaabah untuk Allah ‎ﷻ berikan kemenangan kepada ‘pihak yang benar’, maka Allah ‎ﷻ akan beri kemenangan kepada pihak yang benar, dan dengan itu Dia akan zahirkan siapakah yang bathil.

Kemudiannya golongan Musyrikin Mekah telah malu besar dan kedudukan mereka telah jatuh di mata penduduk sekitar. Mereka telah datang dengan lebih ramai tentera yang lebih berpengalaman, dengan kenderaan yang lebih banyak, kelengkapan perang yang hebat, akan tetapi tetap kalah. Selepas itu mereka menerima lagi kekalahan demi kekalahan.

Maka inilah dua tujuan perang itu. Bukannya kerana hendakkan harta rampasan perang.  Allah‎ ﷻ menegur mereka supaya jangan sibuk sangat dengan harta itu.

 

وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.

Tentu sekali golongan kafir itu tidak suka dengan kekalahan itu. Akan tetapi keputusan Allah ‎ﷻ tidak boleh disangkal lagi. Allah ‎ﷻ telah memastikan akan zahirkan kebenaran dengan memberikan kemenangan kepada pihak yang benar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Sep 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal: Ayat 1 – 3 (Muqaddimah)

Anfal Ayat 1: Ayat ini adalah tentang pembahagian harta rampasan perang. Oleh kerana segala harta rampasan adalah hak Allah ‎ﷻ, maka kena dengar apakah yang Allah ‎ﷻ syaratkan tentang pembahagiannya.

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ ۖ قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم ۖ وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They ask you, [O Muḥammad], about the bounties [of war]. Say, “The [decision concerning] bounties is for Allāh and the Messenger.” So fear Allāh and amend that which is between you and obey Allāh and His Messenger, if you should be believers.

(MALAY)

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul, oleh sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu; dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ

Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. 

Selepas kemenangan dalam Perang Badr, dan umat Islam telah berjaya mengumpulkan harta rampasan, mereka telah datang kepada Nabi Muhammad ﷺ bertanyakan cara harta itu akan dibahagikan kerana ini merupakan kali pertama umat Islam berperang dan mereka tidak dapat mencapai kata sepakat tentangnya.

Ada tiga jenis harta rampasan perang: Ghanimah, Anfal dan Fa’i.

Ghanimah: harta rampasan perang yang diberikan kepada para mujahid. Ada bahagian masing-masing. 1/5 diberikan kepada BaitulMal dan 4/5 diberikan kepada para mujahid. Ini nanti akan disebut dalam ayat yang lain.

Anfal: harta rampasan perang juga akan tetapi pembahagiannya ditentukan oleh Rasulullah ﷺ sendiri. Ini adalah pada permulaan umat Islam berperang.

Fai: harta rampasan perang yang didapati tanpa perang. Dibahagikan oleh Rasulullah ﷺ. Jenis harta ini disebut di dalam Surah Hashr.

Kalimah anfal berasal daripada nafl yang juga digunakan untuk salat nafilah. Ia adalah salat sunat yang bukan fardu tetapi dikerjakan sebagai tambahan atau bonus oleh hamba Allah ‎ﷻ. Oleh itu, apabila dikatakan harta Anfal, ia adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ kepada umat Islam sebagai bonus sahaja. Untuk umat Islam sebelum ini, mereka tidak mendapat harta rampasan perang. Selepas perang, semua harta itu akan dikumpulkan. Sekiranya ia disambar oleh api, maka ia adalah sebagai tanda yang perjuangan mereka itu ikhlas. Hanya umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja diberikan dengan kelebihan boleh mengambil harta rampasan perang itu.

Ini dikuatkan dengan sebuah hadith:

جابر بن عبد الله قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أعطيت خمسا لم يعطهن أحد من الأنبياء قبلي نصرت بالرعب مسيرة شهر وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا وأيما رجل من أمتي أدركته الصلاة فليصل وأحلت لي الغنائم وكان النبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس كافة وأعطيت الشفاعة

Jabir bin ‘Abdillah, dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada Nabi-nabi sebelumku; Aku ditolong melawan musuhku dengan ketakutan mereka sepanjang sebulan perjalanan, bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan suci; Maka di mana saja seseorang daripada umatku mendapati waktu salat, hendaklah dia salat. Kemudian dihalalkan harta rampasan untukku. Dan para nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia, dan aku diberikan (hak) untuk memberikan syafaat.”

(Sahih Bukhari (419))

 

 قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ

Katakanlah: “Harta rampasan perang kepunyaan Allah dan Rasul,

Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah mengatakan, “Yang dimaksudkan dengan anfal ialah ghanimah (harta rampasan perang). Pada mulanya harta rampasan perang hanyalah untuk Rasulullah ﷺ, tiada seorang pun yang berhak mengambilnya barang sedikit pun.”

Umat Islam diberitahu yang harta rampasan itu hendaklah diserahkan kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ untuk dibahagikan. Ia adalah milik Allah ‎ﷻ dan bukan milik sesiapa termasuklah golongan mujahid yang berperang itu. Berapa banyak bahagian itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya sahaja. Maknanya, bukan tentera yang tentukan. Bahagian itu akan diajarkan dalam ayat lain. Dalam perang Badr ini, Rasulullah ﷺ telah membahagikan sama rata di antara mereka yang berperang.

Ayat ini juga membawa maksud yang harta rampasan itu adalah kepunyaan Allah  ‎ﷻ dan Rasul-Nya, habis cerita. Asalnya memang hak mereka, tetapi dek kerana banyak berbalah, maka Allah ‎ﷻ menarik hak mereka itu. Maka, umat Islam pada waktu itu diingatkan supaya jangan sibuk berkelahi lagi tentang bahagian siapa, siapa dapat banyak mana dan sebagainya. Ini adalah kerana para sahabat sudah ada yang berbeza pendapat. Maka Allah ‎ﷻ hendak tutup kes itu.

Kalau sudah harta itu Allah ‎ﷻ dan Rasul yang punya, janganlah mereka sibuk-sibuk lagi. Bahagian itu akan diberitahu dalam ayat yang lain. Sebenarnya lambat lagi akan diberitahu. Sekarang ayat-ayat awal ini adalah memberi teguran dan nasihat kepada mereka. Memang Allah ‎ﷻ hendak beritahu tentang pembahagian itu, tetapi sebelum itu umat Islam teruk ditegur tentang apakah yang lebih penting daripada harta itu. Pertamanya, mereka diingatkan supaya jangan pentingkan harta.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ مُوسَى، عَنْ مَكْحُولٍ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: سَأَلْتُ عُبَادَةَ عَنِ الْأَنْفَالِ، فَقَالَ: فِينَا -أصحاب بدر- نَزَلَتْ، حِينَ اخْتَلَفْنَا فِي النَّفَلِ، وَسَاءَتْ فِيهِ أَخْلَاقُنَا، فَانْتَزَعَهُ اللَّهُ مِنْ أَيْدِينَا، وَجَعَلَهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَقَسَمَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ عَنْ بَوَاءٍ -يَقُولُ: عَنْ سَوَاءٍ

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Salamah, daripada Ibnu Ishaq, daripada Abdur Rahman, daripada Sulaiman ibnu Musa, daripada Mak-hul, daripada Abu Umamah yang menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ubadah tentang makna Al-Anfal. Maka Ubadah menjawab bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang yang mengikut dalam Perang Badr, iaitu ketika kami berselisih pendapat tentang harta rampasan sehingga pekerti kami menjadi buruk kerananya. Maka Allah ‎ﷻ mencabutnya daripada tangan kami dan menjadikannya di bawah kekuasaan tangan Rasulullah ﷺ. Kemudian Rasulullah ﷺ membahagikannya di antara sesama kami dengan pembahagian yang rata.

(HR. Ahmad no. 22753) Status: hasan lighairih menurut Syeikh al-Arnauth

Manakala sebuah lagi hadith:

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا مُعَاوِيَةُ بْنُ عَمْرٍو، أَخْبَرَنَا أَبُو إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَيَّاشِ بْنِ أَبِي رَبِيعَةَ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ مُوسَى، عَنْ أَبِي سَلَّامٍ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، فَشَهِدْتُ مَعَهُ بَدْرًا، فَالْتَقَى النَّاسُ، فَهَزَمَ اللَّهُ [تَعَالَى] الْعَدُوَّ، فَانْطَلَقَتْ طَائِفَةٌ فِي آثَارِهِمْ يَهْزِمُونَ وَيَقْتُلُونَ، وَأَكَبَّتْ طَائِفَةٌ عَلَى الْعَسْكَرِ يَحْوُونَهُ وَيَجْمَعُونَهُ. وَأَحْدَقَتْ طَائِفَةٌ بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ لَا يُصِيبُ الْعَدُوُّ مِنْهُ غِرَّةً، حَتَّى إِذَا كَانَ اللَّيْلُ، وَفَاءَ النَّاسُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، قَالَ الَّذِينَ جَمَعُوا الْغَنَائِمَ: نَحْنُ حَوَيْنَاهَا، فَلَيْسَ لِأَحَدٍ فِيهَا نَصِيبٌ. وَقَالَ الَّذِينَ خَرَجُوا فِي طَلَبِ الْعَدُوِّ: لَسْتُمْ بِأَحَقَّ بِهِ مِنَّا، نَحْنُ مَنَعْنَا عَنْهَا الْعَدُوَّ وَهَزَمْنَاهُمْ. وَقَالَ الَّذِينَ أَحْدَقُوا بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: لَسْتُمْ بِأَحَقَّ مِنَّا، نَحْنُ أَحْدَقْنَا بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ، وَخِفْنَا أَنْ يُصِيبَ الْعَدُوُّ مِنْهُ غِرَّةً، فَاشْتَغَلْنَا بِهِ، فَنَزَلَتْ: ﴿يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأنْفَالِ قُلِ الأنْفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ﴾

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan pula bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah ibnu Umar, telah menceritakan kepada kami Abi Ishaq, daripada Abdur Rahman ibnul Haris ibnu Abdullah ibnu Ayyasy ibnu Abu Rabi’ah, daripada Sulaiman ibnu Musa, daripada Abu Salamah, daripada Abu Umamah, daripada Ubadah ibnus Samit yang menceritakan, “Kami berangkat bersama Rasulullah ﷺ, dan saya ikut berperang bersamanya di medan Perang Badr. Kedua belah pasukan bertempur dan Allah ‎ﷻ mengalahkan musuh kami. Kemudian segolongan daripada kami mengejar pasukan musuh yang melarikan diri dan memerangi mereka, sedangkan segolongan lagi tetap berada di medan perang, mengumpulkan ghanimah. Segolongan yang lainnya ada tetap di markas pasukan kaum muslim menjaga keselamatan Rasulullah ﷺ agar jangan diserang oleh musuh saat sedang dalam keadaan lalai. Dan pada malam harinya sebahagian di antara pasukan kaum muslim berebutan ghanimah dengan sebahagian yang lainnya. Orang-orang yang mengumpulkan ghanimah mengatakan, ‘Kamilah yang mengumpul­kannya, maka tiada seorang pun yang beroleh bahagian selain kami.’ Sedangkan orang-orang yang pergi mengejar musuh mengatakan, “Kalian bukanlah orang-orang yang lebih berhak padanya daripada kami. Kamilah yang menjadi benteng Nabi ﷺ daripada pasukan musuh, dan kami berhasil mengalahkan mereka. Dan orang-orang yang tetap mengawal Rasulullah ﷺ berkata, ‘Kami merasa khuatir bila musuh menyerang Rasulullah. ﷺ dengan serangan dari belakang saat tidak terkawal, sehingga kami sibuk dengan pekerjaan kami.’ Maka saat itulah turun firman Allah ‎ﷻ: Mereka menanyakan kepadamu tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah, “Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesama kalian.” (Al-Anfal: 1) Maka Rasulullah ﷺ membahagi-bahagikannya di antara semua kaum Muslim.

(HR. Ahmad no. 22762, 22814) Status: hasan lighairih menurut syeikh al-Arnauth

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم

bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu;

Yang paling penting, umat Islam diingatkan yang mereka hendaklah bertaqwa. Mesti sedar tentang Allah ‎ﷻ, takut tentang Allah ‎ﷻ, jaga hukum-hukum Allah ‎ﷻ dalam segenap peringkat kehidupan.

Mereka hendaklah memperbaiki hubungan antara mereka. Mereka hendaklah ‘islah’ (melakukan pembaikan), jangan berdengki dan iri hati, benci sesama sendiri. Mereka haruslah memperbaiki hubungan dalam kalangan mereka. Jangan bertelagah tentang pembahagian harta rampasan lagi. Memang kalau bab harta ini manusia boleh berkelahi adik beradik, dengan emak bapak pun. Umat Islam waktu itu sudah mula hendak berpecah belah dan sekarang Allah ‎ﷻ selesaikan dengan mengambil semua harta itu, maka jangan berbalah lagi. Memang para sahabat selepas itu berasa malu dengan apa yang mereka telah lakukan. Semuanya terima dengan redha apa yang ditentukan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam hal ini kerana perpecahan adalah punca kelemahan umat Islam. Umat Islam dahulu kuat, tetapi oleh kerana perpecahanlah yang menyebabkan kita lemah selemah-lemahnya. Suka sangat hendak berbalah antara satu sama lain. Suka sangat hendak mencari punca perbezaan. Sebenarnya perbezaan pendapat itu biasa sahaja, teapi bila berpecah itulah yang menjad masalah.

Ini kerana ramai yang tidak memahami kaedah ikhtilaf (perbezaan pendapat). Kita boleh sahaja berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai jadi permusuhan dan perpecahan dalam kalangan kita. Kita semua masih lagi sesama Muslim walaupun ada sedikit ketidaksamaan fahaman. Ini, pasal saf jarak atau tidak (semasa zaman Covid) pun boleh berbalah teruk, sampai kutuk mengutuk.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman”.

Kenalah mereka taat kepada perintah Allah ‎ﷻ dan Rasul yakni terimalah apa yang dibahagikan Nabi ﷺ kepada mereka, kerana sesungguhnya pembahagian yang dilakukan oleh baginda semata-mata hanyalah berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ kepadanya, iaitu berdasarkan keadilan dan kebijaksanaan.

Allah ‎ﷻ sambung إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ. Itu pun kalau mereka itu mengaku beriman. Sekiranya tidak beriman, tidak mengapalah, buatlah apa yang mereka hendak buat. Mereka kata mereka itu orang mukmin, maka Allah ‎ﷻ  hendak tanya semula: inikah sifat orang mukmin? Adakah orang mukmin akan bertelagah tentang harta pula?


 

Anfal Ayat 2: Allah ‎ﷻ beritahu bagaimana sepatutnya sifat orang Mukmin kerana sekarang  mereka tidak bersifat seperti itu.

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are only those who, when Allāh is mentioned, their hearts become fearful, and when His verses are recited to them, it increases them in faith; and upon their Lord they rely –

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

 

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati-hati mereka,

Allah ‎ﷻ mula menyebut tentang sifat-sifat orang mukmin. Tidak habis di sini sahaja sifat orang mukmin itu. Ada lagi yang akan disebut dalam ayat lain di hujung surah ini nanti di ayat 74. Dalam ayat ini dimulakan dengan lafaz إِنَّمَا (hanya).

Ini menunjukkan hanya mereka yang ada sifat-sifat ini sahaja yang boleh dikira mukmin. Sekiranya tiada, maka tidak boleh mengaku sebagai mukmin. Ayat-ayat begini hanya disebut empat kali dalam Al-Qur’an dan ada dua ayat dalam surah ini sahaja. Maka dalam kita membaca ayat-ayat kini, kita kena tanya diri kita sendiri: “Aku ada sifat-sifat ini atau tidak?”.

Lihatlah bagaimana cerita dalam surah ini daripada ayat pertama tentang harta rampasan, dan tiba-tiba bertukar berkenaan iman. Ini mengajar umat Islam tentang prioriti: lihat dan perbaiki mana yang penting dahulu. Jangan sibuk pasal harta rampasan perang lagi.

Allah ‎ﷻ mengajar kita, sekiranya kita beriman, bagaimanakah sifat orang mukmin itu? Yang pertama: Apabila disebut Allah ‎ﷻ di depan mereka, akan gementar hati mereka. Bukan sahaja dalam bentuk zikir yang biasa, tetapi apa sahaja yang disebut berkaitan dengan Allah ‎ﷻ. Hati mereka akan berasa gementar apabila diingatkan tentang Allah ‎ﷻ.

Kalimah ذُكِرَ adalah dalam bentuk mabni majhul (pasif) yang bermaksud diingatkan iaitu tidak disebut siapa yang ingatkan. Ini kerana orang mukmin tidak memilih-milih untuk mendengar siapa yang mengingatkan mereka. Asalkan ia tentang Allah ‎ﷻ, mereka akan berasa takut.

Kalimah وَجِلَت bermaksud gementar atau takut dan ini juga disebut dalam [ Hijr: 52 ]

إِذ دَخَلوا عَلَيهِ فَقالوا سَلامًا قالَ إِنّا مِنكُم وَجِلونَ

Ketika mereka masuk ke tempatnya, lalu mereka mengucapkan: “Salaam”. Berkata Ibrahim: “Sesungguhnya kami merasa takut kepadamu”.

Ini adalah kerana mereka kenal Allah ‎ﷻ daripada sifat-sifat-Nya yang telah disebut dalam Al-Qur’an. Kenalah kenal baru timbul rasa takut. Kalau tidak kenal, tentu tidak takut seperti budak kecil yang tidak kenal ular, maka bila ular datang kepadanya, dia tidak berasa takut pun.

Lafaz وَجِلَت diambil daripada katadasar و ج ل iaitu jenis takut yang menyebabkan bulu roma meremang naik. Ia adalah takut yang amat sangat kerana ketinggian Allah ‎ﷻ. Ini berbeza dengan takut jenis حوف. Tidak kisah dari mana datangnya ketakutan itu. Asalkan nama Allah ‎ﷻ disebut sahaja, sama ada daripada Al-Qur’an, daripada hadith, daripada kata orang, hati mereka sudah gementar, bulu roma sudah menegak. Ini dapat dicapai jikalau hati manusia itu sudah tunduk dan lembut terhadap Allah ‎ﷻ seperti disebut dalam [ Hajj: 34 ]

وَبَشِّرِ المُخبِتينَ

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh

Takut yang bagaimanakah kita dengan Allah ‎ﷻ? Kalau takut dengan binatang buas, kita sudah faham, iaitu kita akan lari kerana takut. Akan tetapi dengan Allah ‎ﷻ, lagi kita takut, lagi kita dekat dengan-Nya. Kalau takut dengan hantu atau binatang, hati kita tidak keruan, tetapi dengan Allah ‎ﷻ, hati akan tenang. Ini disebut dalam [ Ra’d: 28 ]

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ

Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Mereka tentunya beriman dengan ayat-ayat itu dan untuk beriman itu kena kenallah apa yang ayat itu sebut. Ini memerlukan pengajian tafsir. Kalau tidak faham, maka ia tidak akan memberi kesan yang sepatutnya.

 

وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءآيٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا

dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka,

Nama Allah ‎ﷻ itu boleh datang dari mana-mana sahaja, tetapi salah satunya datang daripada Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka, atau mereka baca sendiri, iman mereka bertambah. Kalimah تُلِيَت adalah dalam bentuk majhul (pasif) iaitu tidak disebut pun siapa yang bacakan kepada mereka. Maka tidak kira siapa yang bacakan kepada mereka, iman mereka akan bertambah.

Apabila dikatakan ‘bertambah’ maknanya iman mereka sudah ada pada waktu itu, cuma bertambah lagi. Oleh itu, iman yang sudah ada, bertambah lagi. Iman itu bertambah kerana semakin banyak ayat Allah ‎ﷻ yang dipelajari dan difahami. Oleh kerana dibaca berkali-kali, mereka semakin faham maksudnya.

Iman mereka semakin meningkat dari masa ke semasa, bukan duduk di takuk lama sahaja. Namun bukanlah setakat baca sahaja ya. Kenalah belajar tafsir dan tadabbur maknanya. Sebab itulah kita mementingkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana kalau baca Al-Qur’an tetapi tidak faham, tidak akan mendapat peringkat iman yang sebegini. Berapa ramai dalam kalangan kita yang baca Al-Qur’an, tetapi tidak faham langsung apa yang mereka baca?

Sekarang bandingkan sifat ini dengan sifat orang munafik seperti firman-Nya:

{وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ}

Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya sedang mereka merasa gembira 

[ At-Taubah: 124 ]

Maknanya, orang munafik rasa biasa sahaja apabila mereka dengar ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Malah diejek lagi kepada sahabat: “Eh iman kau naik ke bila baca ayat tu?” Maka, kalau kita pun seperti itu juga, baca Al-Qur’an seolah-olah baca novel sahaja, maknanya ada masalah dalam hati kita.

Imam Bukhari dan lain-lainnya رحمهم الله dalam kalangan para imam mengambil kesimpulan dalil daripada ayat ini dan ayat-ayat lainnya yang semakna, bahawa iman itu dapat bertambah (dan dapat berkurang), serta iman itu dalam hati mempunyai naik turunnya. Ia tidak statik tetapi berubah dari masa ke semasa. Ini penting kerana ada pandangan yang mengatakan iman itu bagaikan seketul sahaja. Sedangkan iman itu seperti air yang boleh bertambah dan berkurang.

Maka kena lakukan sesuatu untuk memastikan iman kita naik dan meninggalkan perkara buruk yang dapat menurunkan iman kita. Jangan kita sangka kalau sudah beriman, akan terus beriman sampai bila-bila. Kalau tidak dijaga, boleh berkurang iman kita itu.

Apakah tanda iman sudah naik? Tandanya adalah amal kita semakin banyak. Senang sahaja untuk beramal kalau iman sudah naik. Kalau tidak, berat sahaja badan hendak salat, infaq, puasa dan sebagainya.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.

Sifat kedua orang mukmin, mereka tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya mereka serahkan urusan mereka dan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Untuk bergantung itu mesti percaya dan yakin kepada Allah ‎ﷻ. Jika tidak percaya, tidak akan menjadi pergantungan itu, bukan? Untuk percaya, mesti ada yakin; dan untuk ada yakin, kenalah ada ilmu. Ia bukanlah pergantungan kosong sahaja.

Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka tawakal kerana itulah diawalkan kalimah عَلىٰ رَبِّهِم sebelum kalimah يَتَوَكَّلونَ untuk membawa maksud eksklusif (hanya). Ini kerana kalau berharap kepada makhluk, memang tidak menjadi apa kerana makhluk tidak mempunyai kuasa. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang patut kita berserah dan berharap kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang maha berkuasa.

Oleh hal yang demikian, ini termasuklah urusan pembahagian harta rampasan itu di mana mereka kenalah serahkan kepada Allah ‎ﷻ. Bila ada sifat begini, barulah mudah. Barulah senang ikut peraturan Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam apa-apa perkara sahaja, kena tanya semula: Allah ‎ﷻ mahukan yang bagaimana? Bila sudah tahu apa yang Allah ‎ﷻ hendak kita lakukan, maka lakukan tanpa rasa terkilan.

Oleh itu, ini adalah ayat teguran kepada para sahabat. Kita pun tahu bagaimana iman para sahabat itu – sudah tentunya iman mereka lebih tinggi daripada kita. Mereka pun lebih faham agama daripada kita. Maka, kalau para sahabat pun ditegur seperti itu, bagaimana lah kita pula?

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa orang-orang munafik itu tiada sesuatu pun daripada sebutan nama Allah ‎ﷻ yang dapat mempengaruhi hati mereka untuk mendorong mereka mengerjakan hal-hal yang difardhukan-Nya. Mereka sama sekali tidak beriman kepada sesuatu pun daripada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tidak bertawakal, tidak salat apabila sendirian, dan tidak menunaikan zakat harta bendanya. Maka Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa mereka bukan orang-orang yang beriman.


 

Anfal Ayat 3: Tambahan pengenalan kepada sifat orang mukmin. Bagaimana untuk mendapat yakin dan percaya kepada Allah ‎ﷻ? Inilah caranya.

Dalam ayat sebelum ini, ada tiga perkara disebut dan kesemuanya tentang ibadah hati. Sekarang baru disentuh tentang ibadah fizikal. Ini mengajar kita, kena kuatkan ibadah dalam hati terlebih dahulu, baru boleh buat ibadah fizikal.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who establish prayer, and from what We have provided them, they spend.

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ

orang-orang yang mendirikan salat 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut apakah perasaan dan hati dalaman orang mukmin itu. Sifat orang mukmin itu bukan dalam hati sahaja, tetapi kenalah ditunjukkan pada amalan. Amalan badani mereka iaitu mereka dapat mendirikan salat. Mereka melakukan ibadat seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Salat adalah contoh kepada amalan badan yang perlu dilakukan kerana ia adalah amalan yang paling baik.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang Al-Qur’an, dan dalam salat adalah cara terbaik untuk mengingat Al-Qur’an. Sebab itulah penting untuk kita hafal ayat-ayat Al-Qur’an dan kita baca dalam salat (muraja’ah). Ini kerana ketika salat, kita tidak buat apa-apa lagi, melainkan fikiran kita tertumpu pada Allah ‎ﷻ dan ibadat salat sahaja. Pada waktu itu kita fokus, maka kalau kita baca Al-Qur’an, kita memang menelitinya dan benar-benar membacanya.

Itulah yang dilakukan oleh para sahabat – mereka meneliti dan tadabbur Al-Qur’an dalam salat mereka. Maka kenalah mula menghafal Al-Qur’an. Hafallah setakat yang boleh. Al-Qur’an itu sebenarnya mudah untuk dihafal kerana ada keberkatan dan keindahan di dalamnya. Ramai yang boleh melakukannya, kenapa tidak anda?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tidak kata mengamalkan, buat Salat. Akan tetapi ‘mendirikan’ Salat. Maka ia bukan hanya salat 2, 3 atau 4 rakaat sahaja, tetapi perlu dijaga syarat dan kesempurnaannya. Sehubungan dengan ayat ini, Qatadah رحمه الله mengatakan bahawa mendirikan salat ialah memelihara waktu-waktu penunaiannya, wudhu’, rukuk dan sujudnya.

Muqatil ibnu Hayyan رحمه الله mengatakan, mendirikan salat ertinya memelihara waktu-waktu untuk menunaikannya; menyempurnakan caranya, melakukan rukuk dan sujudnya dengan sempurna, membaca Al-Qur’an di dalamnya, serta membaca tasyahhud dan salawat untuk Nabi ﷺ.

Kesimpulannya: kenalah jaga amalan salat kita dan perbaiki sehingga menjadi sempurna dan yang paling tinggi adalah apabila kita dapat khusyuk dalam salat. maka jangan hanya rasa cukup dengan ilmu salat yang kita belajar semasa kita sekolah rendah dahulu. Kenalah kita belajar sifat salat Nabi supaya kita dapat memperbaiki salat kita.

Apakah tanda salat itu sudah memberi kesan kepada kita? Ia akan menghalang kita daripada membuat dosa seperti disebut dalam [ Ankabut: 45 ]

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. 

 

وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Sekarang disebut tentang amalan harta pula. Harta adalah sesuatu yang amat berharga bagi kebanyakan manusia kerana mereka rasa mereka bersusah payah untuk mendapatkannya. Namun bagi orang mukmin itu, mereka akan infaqkan harta yang mereka ada kerana mereka tahu, harta yang mereka ada itu pun daripada Allah ‎ﷻ juga, bukanlah daripada usaha mereka sangat pun. Kerana itu Allah ‎ﷻ sebut: مِمّا رَزَقنٰهُم (sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka).

Orang mukmin sedar yang Allah ‎ﷻ hanya menjadikan mereka sebagai medium pemberi sahaja. Oleh itu, jangan kita sangka harta yang kita ada itu untuk kita sahaja. Allah ‎ﷻ berikan lebihan harta kepada kita, untuk kita sampaikan kepada orang lain juga. Dengan cara itu, kita dapat menambah pahala kita kerana berikan kepada orang lain.

Infaq di dalam ayat ini disebut secara umum sahaja maka ia merangkumi segala jenis infaq yang baik-baik seperti zakat, sedekah, derma, waqaf, beri kepada keluarga atau orang yang memerlukan, pada jalan Allah ‎ﷻ, untuk jihad dan lain-lain. Ini kerana ada ayat yang khusus menyebut tentang zakat dan ada yang khusus menyebut tentang infaq untuk jihad.

Fiqh Infaq juga banyak dan ada disebut di dalam ayat-ayat yang lain kerana bukan setakat keluarkan sahaja tetapi kenalah juga mengikut syarat-syarat untuk diterima infaq itu. Antaranya tidak boleh mengungkit, mesti diberikan harta yang baik dan banyak lagi.

Sekarang bandingkan dengan awal surah ini, di mana para sahabat sibuk bertanya tentang bagaimana untuk membahagikan harta rampasan. Sebaliknya sekarang, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, jangan sibukkan diri dengan apa yang mereka akan dapat, tetapi hendaklah sibukkan dengan memikirkan apakah yang kita boleh berikan kepada orang lain.

Allah ‎ﷻ sebut dua contoh ibadah kepada kita, iaitu Salat dan Infaq. Tentunya bukan dua ibadat ini sahaja, bukan? Allah ‎ﷻ tidak sebut semua ibadah tetapi cukup dengan diberikan dua contoh ibadah. Ibadah salat sebagai wakil kepada ibadah yang melibatkan hubungan dengan Allah ‎ﷻ; manakala ibadah infaq sebagai contoh ibadah yang melibatkan hubungan dengan manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Ogos 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Anfal: Pengenalan dan Muqaddimah

Pengenalan: Latarbelakang Sejarah

Di dalam surah al-A’raf kita telah belajar tentang puak yang dimusnahkan dalam dunia ini kerana mereka puak yang degil. Inilah sunnatullah – Allah ‎ﷻ menghancurkan kaum yang kuat menentang Rasul mereka. Namun begitu, bagaimanakah pula dengan Musyrikin Mekah? Bukankah mereka juga telah menentang Nabi Muhammad ﷺ, malah membuat perancangan untuk membunuh baginda? Jika kaum terdahulu dihancurkan dan dikenakan dengan azab oleh Allah ‎ﷻ, bukankah mereka juga patut dikenakan dengan perkara yang sama?

Mereka juga dikenakan dengan azab tetapi cara mereka sedikit berbeza – mereka dikenakan dengan pukulan serangan daripada para sahabat رضي الله عنهم. Allah ‎ﷻ memberikan kelebihan kepada Nabi ﷺ dan sahabat رضي الله عنهم, azab yang dikenakan kepada musuh mereka adalah dengan tangan mereka sendiri.

Kebiasaannya Allah ‎ﷻ akan mengenakan puak yang menentang dakwah dengan musibah-musibah kecil sebelum dikenakan dengan azab yang lebih besar yang menghancurkan. Tujuan musibah kecil itu adalah untuk merendahkan ego mereka dan supaya mereka memikirkan tentang kebenaran dan sepatutnya mereka kembali kepada ajaran Tauhid yang benar.

Sebagai contoh, kaum Firaun dikenakan dengan 9 azab kecil dahulu sebelum mereka ditenggelamkan dalam laut. Maka, bagaimana pula dengan Musyrikin Mekah? Manakah azab kecil bagi Musyrikin Mekah?

Azab kecil tersebut adalah kekalahan demi kekalahan perang yang mereka alami sebelum kekalahan akhir sekali pada Pembukaan Mekah. Oleh itu, Surah Anfal diturunkan selepas Perang Badr dan di dalamnya ada menceritakan kemenangan Badr itu. Puak Musyrikin Mekah telah mengalami kekalahan yang teruk, sebagai isyarat yang mereka akan terus jatuh selepas itu. Ia adalah sebagai tanda daripada Allah ‎ﷻ, dan sepatutnya mereka kembali menilai pandangan mereka terhadap Islam.

Jika di dalam Surah A’raf disebut kisah para Rasul yang terdahulu dengan kaumnya, maka Surah Anfal ini tentang Nabi Muhammad ﷺ dan kaum baginda pula.

Kejadian Perang Badr itu berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ia merupakan satu peristiwa yang amat bersejarah. Pertama sekali, penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ dan sahabat رضي الله عنهم ke Madinah dan tidak lama selepas itu, peperangan Badr. Kedua-dua peristiwa ini bukan sahaja sejarah besar dalam Islam, tetapi ia juga adalah sejarah dunia. Oleh hal yang demikian, kita perlu tahu sejarah kita ini supaya tidak disalahertikan oleh masyarakat dunia yang lain.

Mereka mungkin tidak faham apakah yang terjadi. Mungkin kalau kita bertanya dengan mereka, dan rujuk dengan mereka, pembacaan mereka tentang peristiwa ini tidak seperti yang sepatutnya. Mereka mungkin mendakwa, peperangan ini dimulakan oleh umat Islam. Sedangkan ini bukanlah salahlaku daripada pihak Muslim. Sekiranya tidak dijelaskan, nanti manusia menyangka yang umat Islam ini adalah umat yang suka berperang dan suka menyerang orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Oleh sebab itu, kita mestilah faham Al-Qur’an, hadith dan sirah. Semuanya berkaitrapat dan perlu difahami dengan saksama. Kita mestilah mempertahankan tohmahan manusia terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Kita hendaklah memberi kefahaman kepada manusia tentang Islam dan untuk melakukannya, kita sendiri kenalah faham tentang perkara itu. In sha Allah, kita akan belajar dalam surah ini sedikit.

Kita kena faham, mana-mana peperangan terjadi berpunca daripada 3 sebab utama:

      • Serang balas
      • Mempertahankan diri
      • Serangan awal terhadap puak lain

Dalam semua undang-undang dunia ini, sama ada undang Islam ataupun bukan Islam, perbuatan mempertahankan diri diterima sebagai hak individu dan hak kumpulan. Jika seseorang melakukan kesalahan atas sebab mempertahankan dirinya, maka dia tidak boleh dipersalahkan.

Bagaimana keadaan umat Islam di Mekah ketika awal Islam? Bukankah mereka telah diserang dan ditindas dengan begitu teruk sekali? Pada waktu itu, jika mereka bertindakbalas, tidaklah mereka bersalah kerana mereka hanya mempertahankan diri mereka sahaja. Namun begitu di awal Islam, umat Islam disuruh untuk tidak bertindak langsung kerana ketika itu adalah waktu untuk berdakwah dan belum lagi untuk berjihad.

Maka, walaupun Musyrikin Mekah telah melampau dalam layanan dan penindasan mereka terhadap umat Islam, tetapi umat Islam hanya protes tanpa kekasaran (“non-violent protest”). Walaupun mungkin ada yang melihat perkara ini sebagai satu kelemahan, tetapi sebenarnya ada kelebihannya kerana apabila satu pihak menindas dan satu pihak lagi tidak bertindak balas, orang luar yang melihat akan timbul rasa belas dalam diri mereka. Ia akan membuka hati mereka terhadap Islam.

Begitulah kita telah diajar dan kita haruslah mengamalkan perkara ini. Pada zaman ini, kita boleh lihat bagaimana penindasan dilakukan terhadap umat Islam dalam media massa dan negara-negara tertentu. Mereka yang benci kepada Islam, seringkali melakukan provokasi, menunggu masa sahaja untuk orang Islam bertindak balas dan sekali sahaja orang Islam bertindakbalas, mereka akan menggunakan isu itu untuk menuduh yang Islam adalah golongan yang ganas.

Maka, jangan kita jatuh dalam perangkap mereka. Sebagai contoh, mereka sengaja sahaja buat karikatur Nabi Muhammad ﷺ dan tunggu sahaja tindakan kita. Malangnya, ramai yang terjatuh dalam perangkap itu dan telah bertindak melampaui batas. Mereka yang melakukan perkara sedemikian telah memburukkan nama Islam.

Selepas Nabi ﷺ hijrah ke Madinah, pada peringkat awal adalah untuk menguruskan kenegaraan Islam. Terdapat 3 perkara penting yang telah ditetapkan oleh baginda:

    1. Didirikan masjid sebagai tempat pengurusan. Ia adalah umpama parlimen sesebuah negara sekarang. Ia menjadi tempat berkumpulnya masyarakat, tempat belajar dan banyak lagi kegunaan masjid itu.
    2. Baginda telah menjalinkan perhubungan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Baginda berjaya menjalinkan pertalian yang mesra dan menjadikan dua puak itu sama rata. Jauh berbeza dengan dunia sekarang. Jika dilihat dalam dunia sekarang, golongan pendatang selalunya dipandang rendah dan mereka selalunya tinggal di kawasan yang tidak berapa elok. Namun Nabi Muhammad ﷺ telah berjaya mengubah pandangan puak Ansar terhadap Muhajirin sehingga terjalinnya hubungan yang baik dan tidak ada caci mencaci antara mereka. Kemesraan antara mereka amat hebat sekali.
    3. Perjanjian damai dengan puak Yahudi yang menjadi jiran mereka di Madinah. Mereka sama-sama berjanji untuk mempertahankan Madinah dari mana-mana puak musuh yang datang menyerang. Walaupun terdapat perbezaan antara agama, tetapi perjanjian tetap telah dijalinkan dan kata sepakat telah dicapai.

Setelah 6 bulan berlalu, dan setelah Islam mendapat tempat di dunia, Nabi Muhammad ﷺ telah menghantar pasukan yang kecil untuk meninjau laluan perdagangan yang digunakan oleh puak Mekah. Misi serangan telah dihantar untuk menyerang kafilah perdagangan untuk merampas aset perniagaan. Ini merupakan serangan ekonomi terhadap puak Mekah.

Perbuatan ini tidak salah, walau dalam undang-undang antarabangsa moden sekalipun. Ini adalah kerana puak Muhajirin telah dihalau dari tempat asal mereka dan mereka layak untuk menyerang balas. Ini bukanlah termasuk dalam aktiviti pengganas (terroris). Mereka sebenarnya menyerang puak yang telah menzalimi mereka dahulu.

Orang bukan Islam sepatutnya boleh faham keadaan ini. Sekiranya kita dihalau dari negara asal kita, dan kita serang balik mereka yang telah menghalau kita, semua orang akan faham dan tidak salahkan kita. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh puak Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Setelah penghijrahan, Nabi ﷺ nampak bagaimana Musyrikin Mekah terus berniaga, dan baginda sedar yang mereka sedang mengumpulkan harta untuk terus melawan Islam. Nabi ﷺ telah memberi cadangan untuk menyekat rombongan perniagaan mereka. Ini adalah kerana keuntungan daripada perniagaan mereka itu adalah untuk menguatkan kekufuran. Abu Sufyan dapat tahu yang umat Islam keluar untuk menahan kafilah perniagaannya.

Maka dia dengan segera telah menghantar maklumat ke Mekah dengan memberitahu pemimpin Mekah, yang jika mereka tidak menyekat Nabi Muhammad ﷺ, mereka dan harta mereka akan dirampas. Maka Abu Jahal telah mengumpul orang-orang Mekah. Abu Jahal sendiri telah memegang kelambu Kaabah dan berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan kemenangan kepada yang haq. Allah ‎ﷻ menzahirkan doanya dengan memberikan kemenangan kepada Muslim (kerana memang Muslim golongan yang benar, bukan?).

Dalam masa yang sama, Abu Sufyan telah mengikut jalan laut dan dapat melepaskan diri daripada mata-mata yang dihantar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Dia sebenarnya hendak memberitahu hal itu kepada Abu Jahal (yang dia telah selamat), akan tetapi Abu Jahal sudah keluar dengan bala tentera menuju ke arah pihak Muslim. Zaman itu telegram belum wujud lagi. Dan dia tidak akan berundur ke belakang apabila sudah keluar untuk berperang.

Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat maklumat yang Abu Sufyan sedang menghala kembali semula ke Mekah dari Syam. Baginda bersama dengan 300 orang lebih para sahabat telah keluar untuk menyekat rombongan perniagaan itu. Selalunya mereka melalui jalan perdagangan yang melalui Badr kerana laluan itu adalah laluan yang pendek. Maka ke situlah kumpulan umat Islam tuju.

Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan pasukan baginda untuk merampas harta Abu Sufyan. Namun rancangan itu tidak berjaya kerana mereka terlambat dan rombongan kafilah Abu Sufyan telah melepasi Badr apabila pasukan yang dihantar oleh baginda Nabi ﷺ sampai ke situ. Ini adalah kerana Abu Sufyan telah tahu rancangan puak Islam terhadapnya.

Dia juga telah sempat menghantar permintaan bantuan kepada orang Mekah dengan memberitahu yang dia sedang diserang oleh puak Muslim. Ini telah menaikkan kemarahan Musyrikin Mekah kerana ini adalah serangan terhadap ekonomi mereka.

Dalam masa yang sama, ada satu lagi pasukan Muslim yang dihantar ke satu tempat yang bernama Nakhla dengan tujuan untuk mengintip sahaja. Namun begitu mereka yang mengintip itu telah dikesan dan telah terjadi pertempuran antara puak Muslim dan puak Kafir Mekah dan ada daripada puak kafir itu yang terbunuh dan harta mereka telah dirampas.

Sebenarnya Rasulullah ﷺ suruh mereka mengintip sahaja dan bukanlah untuk menyerang lagi. Namun apa yang terjadi itu telah ditakdirkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka yang terselamat telah pulang ke Mekah dan melaporkan apa yang terjadi. Dalam masa yang sama juga, mesej daripada Abu Sufyan juga telah sampai kepada orang Mekah. Maka terjadilah satu mesyuarat dalam kalangan puak Mekah. Ada antara orang Mekah yang tidak begitu kisah dengan apa yang berlaku kepada orang Islam selama itu.

Kita kenalah sedar yang memang ada antara mereka yang benci sungguh kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti Abu Jahal dan kuncu-kuncunya, namun begitu ada juga yang berada atas pagar (benci tidak, beriman pun tidak kepada baginda). Bagi mereka yang berada di atas pagar itu, tidak ada salahnya Nabi Muhammad ﷺ dan mereka yang mahu beriman dengan baginda, tambahan pula kalau mereka itu memang duduk di atas kebenaran, itu adalah kebanggaan untuk mereka kerana mereka datang dari Mekah juga.

Mereka tidak membenci Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam dan mereka hendak membiarkan sahaja mereka. Walau bagaimanapun dengan dua kejadian yang sedang berlaku itu, mereka pun sudah berfikir dua kali kerana mereka menganggap yang Muslim sudah menjadi ancaman kepada ekonomi mereka. Oleh sebab itu, puak yang membenci Islam sudah mendapat sokongan daripada pihak yang berada di atas pagar itu. Maka, satu pasukan tentera sudah berjaya dikumpulkan untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Dalam mesej permintaan pertolongan daripada Abu Sufyan, dia telah meminta pasukan tentera dari Mekah untuk terus ke Badr kerana dia mendapat maklumat yang pasukan Islam akan menunggu di sana. Dalam masa yang sama, Abu Sufyan sendiri telah melalui jalan yang jauh menuju ke Mekah untuk menyelamatkan diri. Dia bukan di Badr lagi.

Umat Islam pula terus ke Badr kerana hendak menahan kafilah Abu Sufyan yang mereka sangka berada di situ lagi. Tanpa mereka sedari, mereka akan berhadapan dengan tentera dari Mekah yang jauh lebih ramai daripada mereka: pasukan Islam hanya dalam tiga ratus orang manakala pasukan dari Mekah pula ada dalam seribu orang – lebih kurang tiga kali ganda daripada bilangan pasukan Muslim. Pasukan Muslim tidak ada kelengkapan perang sedangkan pasukan dari Mekah datang dengan segala kelengkapan untuk berperang. Sememangnya tidak sama kekuatan kedua-dua pasukan ini.

Pasukan tentera dari Mekah sudah sampai dahulu ke Badr dan mereka telah mengambil tempat yang berdekatan dengan sumber air. Nabi Muhammad ﷺ telah diberi wahyu tentang apa yang telah berlaku (kedatangan tentera kafir Mekah dan kafilah Abu Sufyan yang telah lepas jauh daripada mereka). Baginda telah diberi pilihan oleh Allah ‎ﷻ sama ada untuk berperang dengan tentera dari Mekah atau terus mengejar kafilah Abu Sufyan.

Pasukan tentera Mekah itu ramai dan lengkap sedangkan kafilah Abu Sufyan itu sedikit sahaja dan banyak harta bersamanya. Nampaknya pilihan untuk mengejar Abu Sufyan itu adalah lebih mudah jika mengikut logik akal. Baginda diberikan pilihan untuk memilih dan Allah ‎ﷻ menjanjikan kemenangan tidak kira mana satu pilihan baginda. Akhirnya keputusan telah dibuat oleh baginda bersama dengan para sahabat yang lain untuk berperang dengan tentera dari Mekah.

Walaupun asal tujuan mereka keluar itu adalah untuk merampas harta perniagaan, tetapi apabila rombongan perniagaan yang hendak dirampas itu telah tiada, Allah ‎ﷻ tetap suruh mereka tunggu juga. Ingat kembali bahawa mereka itu keluar dengan ala kadar sahaja, tidak sempurna dari sudut persediaan peperangan.

Tentera Islam pula waktu itu duduk di kawasan berpasir kering sedangkan orang kafir duduk di tempat yang ada air. Waktu itu Allah ‎ﷻ beri bantuan dengan menurunkan hujan dan tempat orang kafir menjadi lecak dan tempat tentera Islam pula menjadi lembap dan molek (kerana dibasahi hujan).

Dipendekkan kisah, akhirnya peperangan itu telah berjaya di pihak tentera Muslim. Walaupun harta daripada rombongan perniagaan mereka tidak dapat, tetapi umat Islam telah dapat membunuh kepala-kepala Musyrikin Mekah yang menentang Islam selama hari ini. Mereka itulah pemimpin masyarakat yang banyak menentang Rasulullah ﷺ dan Islam selama itu. Seramai 70 musyrikin yang dibunuh sementara 70 orang lagi ditawan.

Dengan kejayaan Perang Badr ini, Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan kepada manusia, bahawa apabila ada bantuan Allah ‎ﷻ, tentu ada kemenangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu, sekiranya manusia menentang Allah ‎ﷻ, walaupun mereka kuat, mereka akan kalah juga akhirnya.

Kita sebagai orang yang beriman, ambillah tertib dan cara Ahli Badr ini dalam peperangan. Jangan fikirkan kekuatan yang ada pada orang kafir, tetapi kenalah dilihat apa yang ada pada orang Islam.

Harta Rampasan:

Nama surah ini adalah Surah Anfal. Secara kasarnya, ia bermaksud ‘harta rampasan perang’. Ia berasal daripada kata dasar ن ف ل yang juga digunakan untuk kalimat salat nafilah (salat sunat) yang membawa erti lebih daripada yang wajib. Ada satu lagi istilah untuk harta rampasan, iaitu ‘ghanimah’. Namun begitu yang digunakan sebagai nama surah ini adalah Anfal. Lafaz Anfal berasal daripada katadasar nafala yang bermaksud ‘lebihan’. Ini hendak menunjukkan bahawa harta rampasan itu adalah lebihan, bonus sahaja, bukanlah tujuan asal peperangan itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan, lafaz anfal bermaksud satu jenis harta rampasan yang diambil daripada tubuh badan musuh – baju besi, perisai, topi besi, pedang dan sebagainya iaitu sesuatu yang boleh diambil daripada badan musuh itu sendiri setelah musuh itu dikalahkan. Ini biasa sahaja terjadi dalam peperangan pada zaman itu.

Bangsa Arab sudah biasa berperang sekian lama, maka ini bukanlah perkara baru bagi mereka semua. Pada waktu itu, selepas peperangan tamat, setiap individu akan mengambil apa sahaja yang ditinggalkan di dalam peperangan itu – perisai, pedang, emas, perak, baju besi dan sebagainya. Apa sahaja yang tinggal, orang yang pertama jumpa, boleh sahaja mengambilnya.

Pada ketika itu Islam masih baru lagi dan tidak ada lagi hukum tentang harta rampasan perang. Apabila pasukan Islam bersedia untuk berperang, Nabi Muhammad ﷺ sebagai ketua perang, telah membuat rancangan perang, termasuk meletakkan kedudukan tentera di tempat-tempat tertentu. Ada yang bertanggungjawab berada di hadapan dan ada yang di belakang.

Ini bermakna, mereka yang duduk di belakang tidak mendapat peluang untuk mengambil harta rampasan yang ditinggalkan pihak musuh kerana mereka duduk di belakang. Maka, telah timbul isu tentang pembahagian harta rampasan ini kerana ada yang mudah ambil dan ada yang jauh dan susah untuk mengambil harta itu. Oleh sebab itu, antara lain, surah ini diturunkan sebagai penetapan polisi tentang pembahagian harta rampasan perang yang akan digunapakai sehingga Kiamat.

Setelah berjaya dalam peperangan itu, inilah kali pertama mereka mendapat harta rampasan. Mereka boleh mendapat pedang, duit yang berlonggok, baju besi, topi besi dan sebagainya. Pada waktu itu, kelengkapan tentera memang mahal dan kelengkapan perang Musyrikin Mekah memang hebat dan mewah sekali seperti baju besi dan pedang yang bertatahkan emas.

Allah ‎ﷻ memberikan segala itu sebagai harta rampasan kepada umat Islam yang berjuang di Badr tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk membahagikan harta rampasan itu. Ada yang kata yang di hadapan yang ambil dulu. Sementara orang yang berperang di belakang kata lain pula.

Oleh itu, Allah ‎ﷻ menurunkan Surah Anfal supaya mereka jangan berebut kerana mereka mesti ingat, tujuan asal peperangan itu bukanlah untuk mengambil harta rampasan daripada peperangan dengan Musyrikin Mekah, tetapi untuk merampas harta rombongan perniagaan Abu Sufyan. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia yang berikan harta rampasan itu kepada mereka, Allah ‎ﷻ yang telah menyusun mereka datang berperang, dan Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kemenangan kepada mereka. Oleh kerana semua itu dalam takdir Allah ‎ﷻ maka biar Allah ‎ﷻlah yang memberi pembahagian harta itu.


Muqaddimah Surah: 

Apakah kaitan surah ini dengan surah-surah sebelumnya? Maksud surah Anfal ini atau tajuk utamanya adalah mengenai perang. Sebelum ini telah banyak surah-surah tentang golongan-golongan manusia. Setelah tahu siapakah empat golongan sesat yang kita perlu jauhi (diberitahu dalam Surah Baqarah sehingga Surah Maidah), kita disuruh tabligh (sampaikan) agama kepada manusia dan terutama sekali sampaikan ajaran tauhid kepada manusia supaya kita dan mereka tidak tergolong di dalam empat golongan sesat itu. Ini telah disampaikan dalam Surah al-A’raf.

Dalam rangka dakwah dan menegakkan agama, kita tidak cukup sekadar tabligh dengan lidah sahaja, tetapi kadangkala dakwah perlu dijalankan dengan pedang. Inilah yang hendak disampaikan dalam Surah Anfal dan Surah Tawbah. Ini perlu dilakukan sekiranya manusia masih terus berdegil dengan akidah syirik mereka dan menghalang usaha dakwah dijalankan.

Selain daripada menyebarkan dakwah, umat Islam pun boleh mendapat hasil daripada berperang dengan orang kafir, iaitu dengan mengambil harta mereka. Oleh kerana harta yang orang kafir dapat itu adalah dengan cara haram, maka kita dibenarkan mengambil harta itu daripada mereka. Harta yang kita dapat itu adalah dengan cara yang paling halal sekali kerana bukan senang untuk mendapatkannya (berperang bukanlah mudah).

Surah Anfal ini turun ketika awal Hijrah dan surah Tawbah pula diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi ﷺ, tetapi kita boleh lihat yang ia duduk berdekatan dalam susunan Al-Qur’an. Ini adalah kerana isi di dalamnya berdekatan (tentang perang), maka ia disusun berdekatan dalam susunan Al-Qur’an. Kita kena faham yang susun atur itu pula adalah tawqifi (ditetapkan) dengan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah Nabi ﷺ atau sahabat yang susun sendiri. Maka, walaupun turunnya berjauhan, akan tetapi di dalam Al-Qur’an, ia duduk rapat.

Dalam surah Anfal ini, kita akan dapat pelajari bagaimana peperangan itu ada syarat yang perlu dipenuhi. Tidak boleh kita sesuka hati mengumumkan perang, kerana kena ada khalifah yang umumkan. Tidak pernah ada perang dalam sejarah Islam tanpa wujudnya khalifah. Khalifah itu adalah khalifah dunia – khalifah mukmin, bukannya khalifah sesuatu negara. Pemerintahan khalifah yang terakhir adalah Khalifah Uthmaniah.

Dari sini kita tahu yang amat penting untuk dunia Islam mempunyai khalifah, kerana kalau tidak ada khalifah, umat Islam akan berperang sesama sendiri. Bukan itu sahaja, peperangan dengan orang kafir pun tidak dapat dijalankan kerana tidak ada arahan daripada Khalifah Islamiah. Oleh itu, kita mestilah menegakkan kembali pemerintahan berkhalifah kerana apabila ada khalifah barulah kita ada sistem  yang teratur. Tidak tahulah bila ini akan dapat direalisasikan. Kita hanya buat sedaya kita dan berdoa berharap kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak boleh berperang lagi sekarang, kenalah tunggu sehingga adanya khalifah barulah boleh kita menjalankan tugas jihad perang kita. Oleh kerana ada kekurangan ini sekarang, pada waktu ini kita kena sebarkan agama supaya lebih ramai manusia faham agama Islam dan sanggup berjuang di dalam menegakkannya. Maka, sekarang dakwah kepada kesedaran agama mesti ada dahulu, kerana kalau umat Islam ada khalifah pun, tetapi tidak faham agama, tak kena juga. Dakwah yang dimaksudkan adalah dengan lisan, bukan dengan pedang.

Oleh itu, kita hendaklah menggembleng tenaga untuk mengajar manusia tentang agama tauhid supaya manusia faham apakah tanggungjawab kita sebagai manusia di muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Malangnya, sekarang umat Islam hanya tahu cari makan sahaja dan ini adalah amat menyedihkan sekali. Begitu ramai yang mendakwa mereka beragama Islam sahaja tetapi tidak tahu apa yang ada dalam agama. Kalau ada tahu agama pun, mereka tahu secara ala kadar sahaja.

Ringkasan:

Surah Anfal ini terbahagi kepada dua bahagian. Seperti yang kita sebut, Dakwanya adalah peperangan. Itulah jihad atas tauhid. Jihad untuk menegakkan tauhid. Bukan perang semberono sahaja.

Ayat 1 – 40 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang pembahagian harta rampasan perang. Ia menceritakan 7 sebab kenapa harta rampasan peperangan (anfal) itu perlu dibahagikan oleh Allah ‎ﷻ sendiri dan bukannya ditentukan oleh umat Islam.

Kita akan faham kenapa Allah ‎ﷻ yang menentukan sendiri pembahagian harta rampasan itu kepada hamba-Nya yang berperang. Di dalam bahagian ini juga, terdapat 5 undang-undang perang. Mereka yang menjalankan jihad perlu memahami undang-undang ini kerana ia adalah berkenaan perhubungan antara askar dan ketua.

Ayat 41 – hingga akhir surah adalah pengulangan semula perkara-perkara yang telah disentuh dalam bahagian pertama. Cuma ada perbezaan sedikit. Dalam bahagian kedua ini, ada 5 sebab yang diberikan kenapa harta rampasan itu Allah ‎ﷻ yang bahagikan sendiri kepada pejuang. Kali ini ada 7 undang-undang untuk tentera: 2 untuk rakyat biasa dan 5 lagi untuk pemimpin.

Sekarang mari kita masuk ke tafsir ayat yang pertama.

Kemaskini: 29 Ogos 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir