Tafsir Surah al-An’am Ayat 65 – 67 (Jenis-jenis azab boleh dikenakan ke atas kita)

An’am Ayat 65: Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan azab dunia). Apabila kita telah selesai daripada masalah yang kita hadapi, kadang-kadang kita akan rasa bahawa tidak akan ada masalah lagi yang akan timbul. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ boleh saja memberikan masalah lain kepada kita. Allah‎ ﷻ maha berkuasa untuk buat apa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat sangat.

قُل هُوَ القادِرُ عَلىٰ أَن يَبعَثَ عَلَيكُم عَذابًا مِّن فَوقِكُم أَو مِن تَحتِ أَرجُلِكُم أَو يَلبِسَكُم شِيَعًا وَيُذيقَ بَعضَكُم بَأسَ بَعضٍ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَفقَهونَ

Sahih International

Say, “He is the [one] able to send upon you affliction from above you or from beneath your feet or to confuse you [so you become] sects and make you taste the violence of one another.” Look how We diversify the signs that they might understand.

Malay

Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ

Katakanlah: “Dialah yang berkuasa

Allah ‎ﷻ amat berkuasa dan amat mampu untuk memberikan bencana lain kepada kita. Oleh itu kenapa kamu rasa kamu selamat sangat? Maka apabila kita selamat daripada sesuatu bencana, jangan kita sangka bahawa kita akan sentiasa selamat. Jangan bila sudah selamat, kita terus lupa Allah ‎ﷻ.

عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا

untuk mengirimkan azab ke atas kamu,

Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita semua. Semasa di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh turunkan azab. Azab itu boleh datang dari mana-mana sahaja. Dalam ayat ini disebutkan tiga jenis azab.

Apabila Allah ‎ﷻ memberikan telah senarai, maka ia merupakan sesuatu yang berperingkat dan meningkat naik; iaitu daripada yang susah kepada yang semakin susah., yang  teruk kepada yang paling teruk.

مِّن فَوْقِكُمْ

dari atas kamu

Azab yang pertama adalah dari ‘atas’ kita. Ia bermaksud sama ada bencana dari langit seperti hujan batu, taufan, ribut gempita dan sebagainya. Contohnya hujan yang turun kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, taufan kepada Kaum Aad, hujan batu kepada Kaum Nabi Luth عليه السلام, hujan darah dan katak kepada Bani Israel dan hujaman batu kepada tentera Abrahah.

Atau ia boleh juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ boleh meletakkan pemimpin-pemimpin di atas kita yang akan menindas kita. Ada antara mereka yang tidak adil dan akan berlaku zalim kepada kita. Mungkin mereka itu terdiri daripada ketua-ketua kita di pejabat, ataupun pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik, JKKK kampung, ibu bapa kita, suami kita dan sebagainya.

Para pemimpin zalim diberikan kepada kaum yang zalim juga. Kalau kita tidak endahkan agama, maka salah satu musibah yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita adalah para pemimpin yang zalim. Seperti pepatah Arab: أعمَالُكم، عُمَّالُكم (amalan kamu, pemimpin kamu).

أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ

atau dari bawah kakimu

Yang lebih teruk daripada azab yang di atas kita adalah azab dan bala dari ‘bawah’ kita. Sebagai contoh, gempa bumi sampai runtuh bangunan, bumi yang boleh saja menelan manusia. Contoh yang Allah ‎ﷻ telah kenakan adalah naiknya air kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام (selain air hujan dari atas), Firaun dan pengikutnya yang ditenggelamkan air laut juga Qarun yang ditelan bumi.

Atau tanah yang rapuh sehingga tanah itu boleh runtuh dan meranapkan rumah dan bangunan kita. Banjir juga boleh dikira sebagai bencana dari bawah kita kerana air yang naik dan semakin naik yang akhirnya akan melemaskan kita.

Boleh juga bermaksud masalah-masalah yang ditimbulkan daripada orang-orang bawahan kita. Sebagai contoh, ada pekerja-pekerja yang menipu kita. Atau anak-anak yang degil, tidak mahu mendengar cakap kita dan memalukan kita. Atau isteri kita yang menyusahkan kita.

Jikalau itu semuanya berlaku kepada kita, maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah ‎ﷻ kerana semua ini mungkin terjadi disebabkan oleh kesalahan yang kita telah lakukan. Mungkin kerana kita telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ tanpa kita sedari. Jangan kita hanya mencari salah orang sahaja tetapi lupa tentang kesalahan yang kita telah lakukan. Kitan haru kaji balik apakah perbuatan kita selama ini adakah bertepatan dengan Islam atau tidak.

أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا

atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan)

Ini adalah yang paling teruk. Jika sebelum ini menceritakan tentang azab dari atas dan dari bawah, sekarang dari dalam pula.

Kalimah يَلْبِسَكُمْ berasal daripada perkataan لبس yang bermaksud ‘bercampur aduk sampai tidak dikenali antara satu sama lain’. Ini akan menyebabkan kita menjadi keliru.

Kalimah شِيَعًا pula berasal daripada perkataan ش ي ع yang bermaksud kumpulan atau pengikut. Ia adalah jamak bagi kalimah شِيعَةٌ. Ia bermaksud kumpulan manusia yang bersama atas satu sebab dan tujuan.

Ayat ini bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh memecahbelahkan kita kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan. Kadang-kadang dalam keluarga kita pun boleh berpecah belah kerana perselisihan pendapat. Sampaikan hendak makan sama-sama pun susah, di masjid hendak salat jama’ah sekali pun susah kerana berlainan pendapat dari segi pegangan mazhab mana yang mahu digunakan. Ada yang sampai tidak balik berhari raya kerana marah sangat kepada ahli keluarga yang lain.

Ini juga adalah satu bentuk hukuman daripada Allah ‎ﷻ. Dari sini tahulah kita bahawa perpecahan adalah satu hukuman atas kesalahan kita. Sebenarnya perpecahan pendapat bukanlah suatu rahmat. Ini kita sebutkan kerana ramai yang kata: ‘Khilaf itu adalah satu rahmat’.

Tidak, khilaf itu bukanlah satu rahmat. Jika mempunyai pendapat yang sama itu adalah lebih baik, maka itulah rahmat kerana kalau kita kata ‘khilaf’ itu rahmat, apa pula harus kita katakan kepada penyatuan pendapat? Adakah kita panggil ia sebagai satu bala pula?

Mungkin ada yang menukilkan sebuah hadith (اختلاف أمتي رحمة) perbezaan ummatku adalah rahmah. Malangnya hadith ini adalah palsu dan ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Dan memang kita ditakdirkan akan mengalami banyak perbezaan pendapat dalam kalangan kita. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bagaimana Nabi ﷺ telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan tiga perkara:

أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا

“Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

“Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s).

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

(HR. Muslim no. 2890, daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه)

Allah ‎ﷻ tidak memakbulkannya kerana perpecahan itu terjadi disebabkan oleh kesalahan kita. Apabila berbeza pendapat, maka manusia menjadi keliru manakah pendapat yang benar dan manakah yang salah. Jika itu terjadi, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menunjukkan yang manakah kebenaran.

Akan tetapi khilaf pendapat itu biasa sahaja. Cuma jangan dijadikan sebagai punca kepada perpecahan pula. Kena pandai menangani perpecahan. Jika tidak dapat menangani perbezaan pendapatlah yang menyebabkan perkelahian yang akan disebut nanti.

Atau, ayat ini boleh juga bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh mencampurkan kita dalam golongan yang jahat. Mereka itu semuanya zalim tetapi kita terperangkap dalam kumpulan itu. Sebagai contoh, kita berada dalam negara yang kafir yang menentang Islam. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita seorang sahaja. Allahu a’lam.

وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ

dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain.

Apabila manusia berbeza pendapat dan berpecah belah, mereka akan berlaku ganas kepada pihak yang lain. Kadang-kadang keganasan itu di dalam bentuk kata-kata yang kasar. Dan kadang-kadang ia boleh sampai kepada bentuk keganasan fizikal sehingga boleh mengakibatkan peperangan, pertumpahan darah dan sebagainya. Inilah sebenarnya yang memusnahkan umat Islam. Bilangan kita sebenarnya ramai dan kuat, namun oleh kerana asyik berperang sesama sendiri yang akhirnya memusnahkan Muslim itu sendiri dari dalam.

Kadang-kadang berlaku juga perselisihan pendapat dalam agama sampai menyebabkan berbunuhan sesama manusia. Ini selalu juga kita lihat dalam sejarah. Manusia yang jahat akan menggunakan nama agama untuk membunuh dan menindas manusia yang lain. Ini amat malang sekali sampaikan pemimpin negara yang Islam pun begitu juga.

Lihatlah apa yang terjadi kepada ulama-ulama salaf kita seperti Ibn Taimiyyah, Imam Ahmad, Imam Bukhari رحمهم الله dan banyak lagi. Mereka cuba menegakkan Islam yang sebenar, tetapi khalifah itu pula mempunyai penasihat-penasihat agama yang sesat. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk menindas pendapat yang benar.

Sekarang pun kita semakin hari dapat dengar bagaimana ada usaha-usaha daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membendung ajaran Sunnah. Mereka mengatakan yang ajaran Sunnah adalah ajaran Wahabi dan ia adalah bahaya dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Maka ada yang sudah ditangkap dan dipenjarakan. Subhanallah! Kita tidak tahu lagi apa yang mereka akan buat.

Yang mampu kita buat adalah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dipermudahkan perkembangan ajaran Sunnah ini. Semoga puak Bid’ah tidak menggunakan kedudukan mereka dalam kepemimpinan agama untuk menindas ajaran agama yang benar. Inilah yang dimaksudkan perpecahan yang boleh terjadi.

Mereka cuba memburukkan ajaran sunnah dengan memberikan gelaran-gelaran jelek kepada kita. Apabila itu tidak berjaya, dan ajaran sunnah semakin berkembang, tidak mustahil mereka akan menggunakan kedudukan mereka dalam negara untuk menindas kita.

Jika sesebuah negara itu membiarkan perbuatan syirik tanpa sekatan, tanpa teguran, maka tunggulah perpecahan yang bakal tiba. Sebagai contoh, lihatlah apa yang terjadi kepada negara Iraq. Mereka sampai sudah buat ‘berhala’ untuk Saddam Hussein dan gambar Saddam Hussein ada merata-rata tempat dan tidak ada yang menegur.

Maka, oleh kerana mereka telah membuat syirik secara terang-terangan, Allah ‎ﷻ telah menurunkan bala kepada mereka. Lihatlah bagaimana Amerika telah memusnahkan negara mereka.

Apabila ini terjadi, maka hendaklah kita ingat kembali kepada Allah ‎ﷻ dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan oleh-Nya kepada kita. Semoga kita tidak jadi seperti mereka.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ boleh memberi bala kepada kita melalui alam ini ataupun Allah ‎ﷻ menggunakan manusia yang lain untuk menjatuhkan kita. Semua itu dalam genggaman Allah ‎ﷻ, dalam kuasa Allah ‎ﷻ.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti

Allah ‎ﷻ sentiasa mengulang-ulang topik yang sama dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah amat penting sekali. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama sahaja bunyinya, dengan menyentuh topik yang sama, tetapi dengan berbagai-bagai cara. Ini kerana kalau ayat yang sama sahaja, tentu manusia yang membacanya akan bosan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ akan mengulang topik yang sama tetapi dalam berbagai-bagai bentuk.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ mengulang-ulang larangan bertawasul dalam banyak ayat. Begitu juga Allah ‎ﷻ menerangkan tentang syafaat dalam berbagai-bagai ayat dan berbagai-bagai cara. Begitu juga tentang doa kepada-Nya. Begitu juga tentang bid’ah. Berulang kali peringatan diberikan kepada manusia yang mahu membaca dan memahami Al-Qur’an.

Pengulangan itu diberikan kerana topik tersebut adalah perkara-perkara yang penting dan manusia selalu keliru. Maka, Allah ‎ﷻ ulang berkali-kali kerana kalau sudah banyak kali dengar, maka patutnya bolehlah faham.

لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

agar mereka memahami(nya)”.

Supaya manusia memahami bahawa perbuatan syirik itu adalah perbuatan yang ditolak dan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ.

Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak tahu bahawa kesusahan yang kita alami itu dan perpecahan yang kita hadapi sekarang adalah kerana kita tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dan kerana kita telah mengamalkan amalan syirik dalam masyarakat.


An’am Ayat 66: Ini adalah nasihat kepada Nabi ﷺ dan kepada penyeru-penyeru tauhid.

وَكَذَّبَ بِهِ قَومُكَ وَهُوَ الحَقُّ ۚ قُل لَّستُ عَلَيكُم بِوَكيلٍ

Sahih International

But your people have denied it while it is the truth. Say, “I am not over you a manager.”

Malay

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Qur’an), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)”.

وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ

Dan kaummu mendustakannya

Mendustakan apa? Maksud dusta di sini adalah mendustakan Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, Musyrikin Mekah tidak mahu terima. Mereka kata itu hanyalah dusta daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Iaitu mereka antara lain mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ reka sahaja perkara itu.

Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat kita. Apabila diberikan dalil-dalil Al-Qur’an, ramai yang tidak mahu terima. Mereka bagaikan tidak pernah membaca Al-Qur’an. Mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an itu seolah-olah mereka itu bukan orang Islam. Mereka mahu juga menggunakan pendapat yang ada dalam kitab, pendapat guru mereka dan pendapat akal mereka.

Benarlah apa yang Allah ‎ﷻ firmankan ini. Memang benar akan ada dalam kalangan kaum kita yang akan menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau tidak tolak ayat Al-Qur’an pun, mereka tolak tafsiran ayat-ayat itu. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir.

وَهُوَ الْحَقُّ

padahal ia (Al-Qur’an) itu benar.

Mereka berani menolak Al-Qur’an sedangkan ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ adalah benar. Allah ‎ﷻ, Al-Qur’an dan tauhid adalah benar. Sesiapa yang ingkar, azab Allah ‎ﷻ ke atas mereka itu juga benar.

Mereka pun dengan mulut mereka sendiri kata bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ dan mereka sendiri selalu berkata: “Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan hadith.” Mereka siap tulis pada kain rentang dan letak merata-rata. Mereka juga suka dengan Al-Qur’an. Sebab itu mereka akan baca Al-Qur’an hari-hari, malah sedap juga bacaan mereka. Tajwid yang mereka lagukan mendayu-dayu sekali.

Namun begitu, kalau kita tanya apakah makna ayat yang mereka baca itu, mereka pun tidak tahu. Mereka kata mereka hanya baca sahaja. Atau kalau mereka pandai sedikit, mereka akan bacakan ‘terjemahan’ ayat yang mereka baca itu. Tetapi apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ, mereka tidak tahu pun apa yang mereka baca itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Atau mereka hanya tahu sikit-sikit sahaja (tidak belajar secara menyeluruh).

Dan apabila kita beritahu mereka makna ayat-ayat yang mereka telah baca itu, mereka pula kata kita salah tafsir. Padahal, mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Tetapi, kerana apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham, lain dengan apa yang tok nenek dan guru mereka ajar, mereka tolak kita mentah-mentah. Itulah yang disebut dalam ayat ini – mereka menolak Al-Qur’an.

Mereka bukan tolak kita, tetapi tolak ayat Al-Qur’an itu sendiri. Dan apabila tolak ayat Al-Qur’an, mereka tolak Allah ‎ﷻ sebenarnya.

قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ

Katakanlah: “Aku ini bukanlah orang yang diserahi mengurus urusanmu”.

Perkataan وكل bermaksud ‘penjaga’. Orang yang kita serahkan urusan kita kepada mereka untuk diselesaikan. Sebagaimana perkataan ‘tawakal’ yang bermaksud kita ‘menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ’  untuk Allah‎ ﷻ selesaikan. Iaitu orang yang bertanggungjawab dalam hal orang lain.

Ayat ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memaksa umatnya untuk beriman kepada Allah ‎ﷻ. Baginda hanya boleh menyampaikan ajakan tauhid sahaja kepada mereka.

Juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa untuk memberi hidayat atau berkat. Tidak ada kuasa untuk menjadi perantaraan antara mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita bahawa pendakwah hanya mampu menyampaikan sahaja. Mereka hanya boleh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan dan selepas itu menyerahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk beri hidayah kepada manusia. Kita tidak akan bertanggungjawab jikalau mereka tidak menerima hidayah.


An’am Ayat 67:

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّستَقَرٌّ ۚ وَسَوفَ تَعلَمونَ

Sahih International

For every happening is a finality; and you are going to know.

Malay

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

لِّكُلِّ نَبَإٍ

Untuk setiap berita (yang dibawa oleh rasul-rasul)

Kalimah نَبَإٍ adalah berita-berita penting yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. ataupun melalui Nabi kita. Ia adalah tentang perkara-perkara agama, perkara yang kita tidak nampak, atau perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan.

Sebagai contoh, tentang syurga, tentang neraka, tentang azab kubur, tentang Mahsyar, Titian Sirat dan sebagainya. Semua perkara-perkara itu tidak akan dapat diketahui melainkan melalui berita-berita yang disampaikan oleh Nabi ﷺ sahaja.

مُّسْتَقَرٌّ

ada (waktu) terjadinya

Kalimah مُّسْتَقَرٌّ daripada kata dasar ق ر ر yang bermaksud ‘stabil’. Kalimah مُّسْتَقَرٌّ bermaksud tempat dan masa yang tetap. Iaitu ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan.

Ayat ini bermaksud segala berita yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ itu pasti akan berlaku pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, berita-berita seperti berita Mahsyar, berita masuk syurga, berita masuk neraka dan sebagainya. Apabila sampai waktunya, iaitu apabila manusia telah mati, maka semua perkara-perkara yang dijanjikan itu akan berlaku.

Ada Musyrikin Makkah yang kata, kalau betul berita itu benar, maka bawalah ia dengan segera. Mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka tidak percaya. Maka, Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia pasti akan berlaku, tetapi pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya. Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ boleh menentukan bilakah terjadinya kejadian-kejadian itu.

Maknanya Allah ‎ﷻ bukan memberi amaran yang kosong. Allah ‎ﷻ tekankan yang semua yang telah disampaikan itu pasti akan berlaku. Janganlah mereka sangka apabila mereka mencabar Nabi ﷺ untuk mempercepatkan kejadian berita-berita itu, dan Nabi ﷺ tidak bawakan, bukanlah itu bermakna ia tidak akan terjadi.

وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

dan kelak kamu akan mengetahui.

Bilakah semua yang dijanjikan itu akan berlaku? Sebaik sahaja seseorang manusia itu mati. Waktu itu semua manusia akan nampak dan akan mengetahui dengan pasti.

Pertama sekali mereka akan bertemu dengan alam kubur. Waktu itu awal-awal lagi mereka akan dikejutkan dengan kedatangan Munkar dan Nakir yang akan bertanya beberapa soalan kepada mereka.

Bukan berita-berita besar itu sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ tetapi semua perkara telah ditetapkan masanya oleh Allah ‎ﷻ. Sama ada lahirnya manusia, atau pun bila matinya, ataupun bila dia akan mendapat rezeki. Jika kita kelam kabut untuk mendapatkan sesuatu, tidaklah ia akan dapat mempercepatkan rezeki itu.

Selalunya kita mahukan sesuatu itu berlaku dengan segera tetapi ia tidak akan berlaku kerana masanya telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia hanya akan menyebabkan kita berasa kelam kabut saja. Akan menyebabkan kita jadi gundah gulana sahaja.

Dan akan menyebabkan kita rasa tidak bersyukur kerana benda yang kita tunggu itu tidak jadi-jadi lagi. Selagi apa yang kita harapkan berlaku, tidak terjadi, maka kita seharusnya bersabar dan menumpukan perhatian kepada perkara yang kita boleh lakukan.

Sebagai contoh, ada perempuan yang hamil yang tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan anaknya sampaikan mereka jadi resah gelisah. Tetapi tentulah dia tidak dapat mempercepatkan kelahiran bayinya itu kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini Musyrikin Mekah meminta-minta supaya dipercepatkan azab ke atas mereka, Itu adalah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka minta itu. Mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ sebenarnya dalam permintaan mereka itu. Mereka tidak percaya yang apa yang diberitahu oleh Nabi ﷺ itu perkara yang benar. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ menipu sahaja.

Selepas ia terjadi nanti kepada mereka, barulah mereka akan akan tahu dan akan rasa menyesal yang amat sangat. Segala apa yang mereka ejek itu akan terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 62 – 64 (Perpecahan sebagai azab)

An’am Ayat 62: Selepas mereka dimatikan, nasib manusia itu tidak selesai lagi. Apa yang akan berlaku kepada mereka?

ثُمَّ رُدّوا إِلَى اللهِ مَولٰهُمُ الحَقِّ ۚ أَلا لَهُ الحُكمُ وَهُوَ أَسرَعُ الحٰسِبينَ

Sahih International

Then they His servants are returned to Allah, their true Lord. Unquestionably, His is the judgement, and He is the swiftest of accountants.

Malay

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

 

ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللهِ

Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah,

Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ satu demi satu. Tidak ada sesiapa pun yang akan tinggal di dunia ini selama-lamanya. Moyang kita mati, datuk kita mati, kemudian ayah kita mati dan kita pula akan mati – satu persatu kita semua akan mati.

Oleh, apabila kita lihat orang yang kita kenal mati, sama ada sahabat kita atau kawan-kawan kita, maka ketahuilah bahawa masa kita mungkin tidak lama lagi.

Apabila kita telah mati, kita akan dibawa ke hadapan Allah ‎ﷻ untuk dipertimbangkan hisab amalan kita. Bukanlah kita akan berjalan-jalan keliling dunia ataupun dikembalikan ke dalam tubuh badan yang lain, bukan. Itu adalah fahaman sesat agama agama lain seperti agama Buddha yang ada fahaman reinkarnasi. Kita akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Dan akan ditanya apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia dahulu.

 

مَوْلٰهُمُ الْحَقِّ

Pemelihara, penjamin, penjaga mereka yang sebenarnya.

Allah ‎ﷻlah pelindung kita sebenarnya. Wali yang selain Allah ‎ﷻ bukanlah pelindung yang sebenarnya. Sebelum ini telah disebut tentang malaikat yang menjaga keselamatan kita. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menekankan bahawa sebenarnya Allah ‎ﷻlah yang menjaga kita, bukannya para malaikat itu. Allah ‎ﷻ cuma mewakilkan sahaja kepada malaikat-malaikat itu.

‘Maula’ juga bermaksud ‘tuan punya’. Allah‎ﷻ lah tuan punya kita yang sebenarnya. Malangnya, di dunia ini ramai antara kita menjadi hamba kepada harta benda, perempuan, pangkat dan sebagainya. Sepatutnya Allah ‎ﷻlah maula kita yang sebenarnya yang perlu kita penuhi tuntutan-Nya.

Maula juga bermaksud Allah ‎ﷻ akan membantu hamba-Nya yang meminta pertolongan kepada-Nya pada hari itu. Sesiapa yang layak, akan diberi bantuan dan syafa’ah.

 

أَلَا لَهُ الْحُكْمُ

Ketahuilah! bahwa segala hukum kepunyaan-Nya.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita bahawa pada hari akhirat nanti hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang akan menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman kepada kita. Tidak ada yang lain kerana keputusan sepenuhnya di dalam tangan Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang taat kepada Allah ‎ﷻ, mereka akan berjaya. Sesiapa yang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, maka mereka akan mendapat nasib buruk.

 

وَهُوَ أَسْرَعُ الْحٰسِبِينَ

Dan Dialah Pembuat Perhitungan yang paling cepat.

Apabila Allah ‎ﷻ mula melakukan penghisaban amal manusia, Allah ‎ﷻ akan mengambil masa separuh hari sahaja untuk menyelesaikan perhitungan hisab amal manusia. Ini disebut dalam hadith walaupun begitu ramai makhluk pada waktu itu, iaitu setelah Allah ‎ﷻ memulakan hisab amal. Ini kerana sebelum perhitungan hisab amal itu dijalankan, semua makhluk akan menunggu lama di Mahsyar nanti. Tetapi apabila sudah dimulakan, masa yang diambil sekejap sahaja iaitu separuh hari sahaja atau sekadar waktu tidur qailullah di siang hari.

Imam Al-Muzani رحمه الله berkata,

وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]

“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah ‎ﷻ menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Kalaulah seandainya bukan Allah ‎ﷻ sebagai hakimnya nescaya tidak akan boleh terjadi, akan tetapi Allah ‎ﷻlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirahat siang di dunia, dan Allah ‎ﷻ Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah ‎ﷻ memulakan menciptakan mereka, sama ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”

Itu bermakna Allah ‎ﷻ cepat sekali menjalankan hisab amal itu. Kalau dalam dunia ini kita mengambil masa yang lama untuk audit sesuatu syarikat sampaikan berhari-hari. Dalam dunia ini banyak orang tugasnya menghitung kira-kira seperti akauntan contohnya. Juga ada banyak perisian yang membuat kira-kira dalam syarikat.

Tetapi apabila Allah ‎ﷻ telah mula mengambil ‘akaun’ kita, ia tidak mengambil masa yang lama. Cuba bayangkan semua makhluk dari yang mula kejadian sehingga ke hari Kiamat, akan bangun serentak. Tidak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk waktu itu. Tetapi Allah akan selesaikan perhitungan hisab amal semua sekali dalam masa segera.

Kalau di dunia, mahkamah kadangkala ambil masa bertahun-tahun untuk membuat keputusan ke atas satu-satu kes. Tetapi Allah ‎ﷻ apabila membuat penghakiman-Nya akan mengambil masa sekejap sahaja.

Perhitungan itu juga bermula dengan cepat. Ada dua jenis perhitungan: satu semasa di Mahsyar dan satu lagi apabila kita masuk sahaja ke dalam kubur. Bila kita masuk dalam kubur sahaja, kita telah disoal jawab oleh malaikat. Malaikat yang dua itu akan datang dengan tiba-tiba dan akan terus tanya kepada kita. Mereka tidak beri peluang untuk tinggal lama dalam kubur.

Soalan-soalan yang akan ditanya pun kita sudah tahu sebenarnya. Kalau kita beriman, maka kita akan senang untuk menjawab soalan-soalan daripada malaikat-malaikat itu. Tetapi kalau kita bukan Muslim sejati, iaitu kalau kita seorang munafik, kita akan ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu.

Begitu juga kepada orang-orang kafir dan musyrik, langsung tidak boleh menjawab. Kalau hafal soalan dan jawapan pun tidak ada guna, kerana bukan otak kita yang jawabnya, tetapi amalan kita; begitu juga kalau selepas mati baru hendak diajar jawapan itu (dalam Talqin yang selalu dilakukan) pun tidak ada gunanya kerana sudah terlambat untuk ahli kubur itu belajar.


 

An’am Ayat 63: Dalil Aqli Iktirafi. Allah ‎ﷻ mengiktiraf fahaman Musyrikin Mekah kerana Orang Mekah pun menerima akidah yang akan disebut ini. Mereka juga percaya yang hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.

قُل مَن يُنَجّيكُم مِّن ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ تَدعونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفيَةً لَّئِن أَنجٰنا مِن هٰذِهِ لَنَكونَنَّ مِنَ الشّٰكِرينَ

Sahih International

Say, “Who rescues you from the darknesses of the land and sea [when] you call upon Him imploring [aloud] and privately, ‘If He should save us from this [crisis], we will surely be among the thankful.’ “

Malay

Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”.

 

قُلْ مَن يُنَجِّيكُم

Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu

Allah ‎ﷻ tanya siapa lagi yang boleh selamatkan kita? Ini adalah soalan dalam bentuk retorik. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh menyelamatkan kita melainkan Allah ‎ﷻ.

 

مِّن ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

daripada kegelapan di darat dan di laut,

Kadang kala kita berada di dalam keadaan gelap, siapakah yang dapat menyelamatkan kita apabila tiada cahaya untuk membantu kita? Contohnya dalam kegelapan malam yang kita tidak nampak apa-apa jalan di hadapan kita. Atau kalau tiba-tiba ada orang yang serang kita. Siapakah lagi yang dapat membantu kita pada waktu itu?

Atau kita berada dalam kegelapan gua. Tiba-tiba gua itu bergegar dan runtuh. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita pada waktu itu? Begitu juga dalam kegelapan di lautan dan kita waktu itu berada dalam kapal di laut lepas. Laut bergelombang, suasana gelap, tidak nampak daratan atau kapal-kapal yang lain – siapa yang dapat selamatkan kita waktu itu?

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘kegelapan’ dalam ayat ini adalah sebagai isyarat. Iaitu kesusahan yang dialami oleh manusia semasa di darat dan lautan. Kalau begitu, ia boleh bermaksud apa-apa sahaja kesusahan. Sebagai contoh, dalam keadaan bumi sedang bergegar, hujan turun yang tidak berhenti-henti, diserang belalang yang memakan tanaman kita dan sebagainya.

Dan kalau di lautan, berbagai-bagai kesusahan yang lebih teruk lagi – seperti ombak yang memukul kapal kita, “iceberg” yang besar, taufan, tsunami dan lain-lain lagi.

 

تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

kamu berdoa kepada-Nya sahaja dengan rendah diri dengan suara yang lembut

Waktu kita sedang dalam kesusahan itu, kebanyakan daripada kita hanya sebut Allah ‎ﷻ sahaja. Sama ada kafir atau Islam, sama-sama akan memohon pertolongan kepada ‘Tuhan yang satu’. Malah Musyrikin Mekah pun akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan berdoa pula dengan suara yang perlahan dan berharap sangat. Kerana mereka sedar waktu itu, Tuhan yang sebenar sahaja yang dapat menolong.

Kepada yang kafir, mereka akan terus kata ‘Oh My God’. Tidak sempat lagi sebut tuhan lain – tidak sempat nak sebut Jesus, Siva, Guru Nanak, Buddha dan sebagainya.

Kepada puak Islam yang membuat tawasul, mereka tentu sudah tidak sempat seru wali, malaikat, Nabi mana-mana lagi. Waktu itu mereka tidak sempat membuat tawasul lagi. Mereka tidak sempat sebut ‘ila hadratin’ lagi. Waktu itu baru mereka terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ secara terus sahaja.

Kalimah تَضَرُّعًا bermaksud mereka akan merendahkan diri mereka di hadapan Allah. Mereka waktu itu amat sedar tentang kerdilnya diri mereka. Mereka sudah sedar yang mereka tidak ada kuasa lagi. Dan waktu itu mereka mengharap sangat kepada Allah ‎ﷻ. Waktu berdoa itu, mereka sungguh-sungguh berdoa. Mereka amat khusyuk dalam doa mereka.

Kalimah تَضَرُّعًا juga bermaksud mereka menyebut nama Allah ‎ﷻ dalam doa itu dengan suara yang jelas. Kerana dibandingkan dengan perkataan خُفْيَةً yang bermaksud mereka berdoa dalam hati mereka. Maksudnya mereka berdoa dengan suara yang jahr (ada suara) dan dalam hati dan minda mereka juga.

Ini mengajar kita bahawa kalau kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ dengan merendahkan diri kepada-Nya, maka Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Inilah cara doa yang sebenarnya dan bukanlah dikuatkan suara kita dengan lantang.

Walaupun yang berdoa itu seorang kafir tetapi kalau dia merendahkan diri, Allah ‎ﷻ akan membantunya juga. Ini kerana mungkin pengharapan mereka kepada Tuhan pada waktu itu amat tinggi.

Kalimah خُفْيَةً bermaksud mereka berdoa dengan amat ikhlas sekali – kerana mereka berdoa tanpa keluar suara atau suara yang amat lembut sekali sampai orang di sebelah pun tidak dengar. Itu adalah tanda doa yang ikhlas. Ini kerana kalau kita berdoa dengan suara yang orang boleh dengar, ada kemungkinan kita hendak menunjuk, riak sahaja (supaya orang nampak kita pandai doa panjang-panjang). Tetapi apabila خُفْيَةً digunakan, bermaksud mereka memang doa dengan tulus ikhlas.

Ada orang yang malu hendak berdoa kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak biasa baca doa. Jadi mereka malu hendak berdoa dengan suara yang orang lain boleh dengar. Maka, mereka akan berdoa dalam keadaan خُفْيَةً, dengan lemah lembut, tanpa suara.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita dibolehkan untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ sama ada dengan suara yang kuat dan juga suara yang lembut. Kita memang tidak perlu berdoa dengan suara yang kuat kerana Allah ‎ﷻ memang mampu mendengar suara kita.

Tetapi kita dibenarkan juga untuk berdoa dengan suara yang boleh didengari. Namun begitu, bukanlah dengan suara yang menjerit-jerit. Sebagai contoh, ada masanya kita doa beramai-ramai. Waktu itu, kita kena jelaskan suara kita supaya orang lain boleh dengar apa yang kita sedang sebut. Sebab kalau tidak didengari, tidak tahu apakah doa yang dibaca. Ini penting kerana seseorang yang berdoa mewakili orang lain perlulah menguatkan suaranya supaya didengari oleh orang lain.

Kita yang meng’amin’kan doa itu pun kena dengar juga apa yang dibaca supaya kita dapat pastikan yang doa itu tidak dalam bentuk doa yang syirik atau yang melibatkan perbuatan tawasul.

Kadang-kadang kita dengar doa yang dibaca oleh imam pun memusykilkan. Mereka baca dalam bahasa Arab, jadi ramai yang tidak faham. Maka, ada yang baca doa dimulakan dengan tawasul. Itu sudah salah. Dan ada yang memulakan doa mereka dengan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah – itu adalah dua jenis selawat yang syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka, kalau ada orang yang berdoa seperti itu, maka jangan kita aminkan sekali.

Kalau doa ruqyah, memang kena dengar apa yang disebut dalam doa itu oleh peruqyah. Takut mereka berdoa dengan cara yang salah (mungkin tawasul, mungkin minta kepada jin). Maka peruqyah kena lafazkan doa mereka dengan jelas.

 

لَّئِنْ أَنجٰنَا مِنْ هَٰذِهِ

(dengan mengatakan: “Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada (bencana) ini,

Mereka amat berhadap semoga Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ pada waktu itu.

 

لَنَكُونَنَّ مِنَ الشّٰكِرِينَ

tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur””.

Mereka berjanji: kalau mereka diselamatkan, barulah mereka hendak menjadi orang yang baik, mulalah hendak sembahyang, barulah rasa hendak buat baik, rasa hendak belajar agama dan macam-macam lagi perkara yang baik-baik.  Itulah maksudnya mereka hendak menjadi ‘orang yang bersyukur’. Kalau yang buat syirik, waktu itu mereka berjanji tidak mahu berbuat syirik lagi.

Mereka akan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ atas segala nikmat yang telah diberikan. Mereka hendak menghargai apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Kalau sebelum ini, mereka buat tidak kisah sahaja. Mereka tidak jaga salat, mereka tidak pergi haji walaupun mereka mampu dan sebagainya. Mereka dulu lalai dalam menjalankan perintah agama.

Kalau Musyrikin Mekah yang sebut, maksud ‘syukur’ dalam ayat ini adalah bermaksud ‘tauhid’. Jika mereka diselamatkan, mereka berjanji yang mereka akan mengamalkan tauhid sahaja tidak sembah selain Allah ‎ﷻ. Mereka akan seru Allah ‎ﷻ sahaja.


 

An’am Ayat 64:

قُلِ اللهُ يُنَجّيكُم مِّنها وَمِن كُلِّ كَربٍ ثُمَّ أَنتُم تُشرِكونَ

Sahih International

Say, “It is Allah who saves you from it and from every distress; then you [still] associate others with Him.”

Malay

Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.

 

قُلِ اللهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا

Katakanlah: “Allah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu untuk mengingatkan manusia. Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita. Tidak ada entiti lain yang dapat menyelamatkan kita. Apabila kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menyelamatkan kita daripada kegelapan darat dan lautan, daripada kesusahan darat dan lautan, maka, Allah ‎ﷻlah sahaja yang dapat menyelamatkan.

 

وَمِن كُلِّ كَرْبٍ

dan dari segala macam kesusahan,

Kalimah كَرْبٍ bermaksud kesusahan yang amat sangat yang dihadapi oleh manusia. Kesusahan yang amat sangat sampai mereka rasa hendak bernafas pun susah. Maka ini jenis kesusahan sampai rasa sesak nafas. Sampaikan kita kena duduk sekejap dan cuba bernafas dengan baik semula. Sampai kena tenangkan diri semula.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia boleh bebaskan kita dari mana-mana kesukaran pun. Sama ada kesusahan yang kita alami itu kecil ataupun besar, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu menyelamatkan kita.

Beberapa ayat tentang masalah kehidupan dan penyelesaiannya daripada Allah ‎ﷻ mengandungi pengajaran yang amat penting bagi kita. Kita mungkin tidak minta kepada berhala, wali atau sesiapa sahaja ilah rekaan manusia. Akan tetapi bagaimana cara kita menangani masalah kita? Ya, kita memang melakukan usaha untuk keluar daripada kesusahan kita dengan cara akal, dengan memminta pertolongan daripada manusia lain, usaha keras dan sebagainya. Akan tetapi, adakah kita juga bergantung kepada Allah ‎ﷻ, atau kita lupa terus kepada-Nya? Adakah  selain daripada usaha itu, kita duduk sejenak dan mengadu masalah kita kepada Allah ‎ﷻ? Atau kita hanya bergantung kepada usaha kita?

Manusia semakin maju dan kadang-kadang rasa tidak memerlukan Tuhan lagi. Akan tetapi apalah sangat kemajuan kita dapat selesaikan masalah kita? Contohnya, kalau Allah‎ﷻ  berikan penyakit dan wabak, ya kita boleh mencipta ubat dan vaksin. Tetapi adakah ia dapat menyelesaikan masalah kita 100%? Tentu tidak. Ada vaksin pun wabak masih ada lagi. Jadi mahu tidak mahu, kita masih lagi berharap kepada Allah ‎ﷻ juga. Maka, jalankan usaha, tetapi dalam masa yang sama, tawakal dan berharap kepada Allah ‎ﷻ jangan dilupakan.

 

ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ

kemudian kamu kembali mensyirikkan-Nya”.

Allah ‎ﷻ menempelak Musyrikin Mekah yang apabila selamat ke daratan, mereka lupa Tauhid kepada Allah ‎ﷻ dan kembali melakukan syirik. Begitulah juga dengan kebanyakan manusia, walaupun sebelum itu mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan mereka, tetapi selepas mereka diselamatkan daripada kesusahan itu, mereka membuat syirik pula. Ini seperti yang disebut juga dalam ayat Az-Zumar:8.

۞ وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”.

Apakah yang dimaksudkan mereka menjadi syirik selepas itu? Selepas mereka selamat daripada kesusahan yang mereka minta doa kepada Allah ‎ﷻ itu, dan mereka diselamatkan, mereka kata mereka selamat sebab pertolongan daripada orang lain (atau alam dan sebagainya). Itulah syiriknya.

Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini bahawa Allah‎ﷻ lah yang menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah mereka tetapi mereka kata sebab itu dan ini pula yang selamatkan mereka.

Sebagai contoh, semasa Tsunami dahulu, apabila ditemuramah mereka yang selamat, ada yang berkata: “sebab pelampung inilah saya selamat”. Apa yang mereka cakap itu nampak mudah sahaja, tetapi perkataan mereka itu ada masalah akidah.

Syirik bukan sahaja menyembah selain Allah ‎ﷻ. Syirik juga menyamakan kedudukan makhluk lain dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita kata ada entiti lain yang menyelamatkan kita, bermakna kita telah menyamakan kedudukan entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Seperti kita mengatakan entiti itu pula yang menyelamatkan kita. Padahal, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita.

Sebagai contoh, katakan kita sudah kesusahan. Mungkin pernah perniagaan kita jatuh sampai kita muflis. Waktu itu kita dalam kepayahan sangat. Tidak tahu hendak buat apa lagi kerana kemampuan kita sebagai manusia memang terhad. Kita pun berdoa dan mengharap kepada Allah ‎ﷻ. Mengharap sangat-sangat pada waktu itu dan berdoa dengan sehabis baik. Waktu itulah kita boleh lihat orang yang tiba-tiba jadi baik, sudah mula pergi ke surau dan masjid untuk berjama’ah.

Kemudian, ada yang berjumpa dengan seseorang yang mendengar masalah kita. Dia pun beri cadangan jumpa ‘ustaz’ untuk mendoakan kita. ‘Ustaz’ itu pun buatlah air mandi buang sial kepada kita. Selepas tujuh hari, semangat kita pun pulih. Perniagaan kita kembali bangkit. (Kita kata orang itu jumpa ‘ustaz’, tetapi sebenarnya dia jumpa bomoh. Sebab sekarang bomoh menggunakan nama ustaz).

Semasa dia mula-mula jatuh muflis, dia telah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ telah mengubah nasibnya. Tetapi oleh kerana dia ada mandi buang sial dengan seorang ‘ustaz/bomoh’ itu, dia pun kata kepada orang lain: “Nasib baik aku jumpa ustaz tu. Dialah yang telah mandikan buang sial aku. Kalau bukan dia, tak tahu lah apa jadi kepada aku sekarang.” Di sinilah maksudnya dia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Kenapa semasa kita susah, kita minta tolong kepada Allah ‎ﷻ tetapi apabila kita selamat daripada kesusahan itu kita kata entiti lain yang tolong kita? Kita memang boleh berterima kasih kepada mereka yang telah menolong kita tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah ‎ﷻlah yang sebenarnya yang telah menyelamatkan kita.

Allah ‎ﷻlah yang telah menghantar mereka untuk menyelamatkan kita. Allah ‎ﷻlah yang telah menggerakkan mereka untuk membantu kita. Hakikatnya Allah ‎ﷻlah yang membantu kita. Maka, jangan lupa kepada Allah ‎ﷻ. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa apabila kita telah selamat daripada kesusahan, maka hendaklah kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi selalunya bila masalah kita telah selesai dan kita telah gembira kerana masalah kita selesai, kita terlupa langsung untuk mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah begitu, jangan cepat lupa.

Ayat ini juga mengajar kepada kita, apabila kita telah selesai daripada masalah kita, maka hendaklah kita menunaikan apa saja nazar yang kita telah lakukan semasa kita berdoa kepada Allah‎ﷻ  sebelum itu. Kerana, dalam ayat sebelum ini, orang yang berdoa itu telah berjanji untuk menjadi ‘orang yang bersyukur’.

Bermakna, dia ada bernazar/berjanji dengan Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada berdoa kalau selesai daripada masalah, mereka akan beri sedekah kepada anak yatim dan sebagainya. Jangan kita lupa akan nazar kita itu kerana Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita telah nazarkan.

Cuma sebagai penambahan, kenalah tahu yang nazar bukanlah sesuatu yang molek untuk dilakukan. Ini ada perbincangan yang lain pula.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 59 – 61 (Allah yang menghidup dan mematikan)

An’am Ayat 59: Ini adalah ayat jenis Dalil Aqli. Ia menyebut tentang ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas.

۞ وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And with Him are the keys of the unseen; none knows them except Him. And He knows what is on the land and in the sea. Not a leaf falls but that He knows it. And no grain is there within the darknesses of the earth and no moist or dry [thing] but that it is [written] in a clear record.

Malay

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib (Para Rasul hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ). Jadi kalau ingin mengetahui perkara ghaib, mesti dapatkan maklumat itu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah kena dapatkan daripada guru sesat yang kononnya boleh tahu pula perkara ghaib. Itu karut sahaja.

Antaranya mereka kata guru mereka boleh “scan” jin. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – pelbagai kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka perkara ini perlu difahami benar-benar supaya tidak mudah ditipu oleh golongan sesat.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh “scan” jin, nampak jin, kawal jin, kawan dengan jin, bunuh jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi ﷺ sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda.

Salah satu perkara ghaib adalah kejadian masa hadapan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Malangnya banyak dalam kalangan manusia yang percaya masa hadapan boleh diramal. Jadi ada yang menggunakan ilmu Feng Shui, bomoh, ahli nujum, astrologi, Kad Tarot dan berbagai lagi cara syirik yang manusia lakukan.

Kalau dalam kalangan orang Islam pula, ada yang percaya terdapat wali-wali yang kononnya ada ilmu kasyaf iaitu tabir yang menghalang daripada melihat sesuatu perkara ghaib itu telah diangkat. Jadi orang itu kononnya boleh nampak perkara ghaib, boleh tahu masa hadapan, boleh ramal itu dan ini. Ini adalah satu penipuan. Ada melibatkan campurtangan jin dalam perkara ini.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, sama ada di daratan atau lautan. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu hal di dunia ini, tetapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

Ini pun termasuk dalam bab Tauhid juga. Perbincangan Tauhid bukanlah menceritakan tentang Allah ‎ﷻ sahaja satu-satunya Tuhan. Akan tetapi ada banyak lagi. Antaranya adalah beriktikad yang sifat-sifat Allah ‎ﷻ tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk. Satu sifat pun tidak boleh diberikan kepada makhluk. Kalau itu berlaku, bermaksud kita telah melakukan syirik.

Antara syirik yang dilakukan oleh manusia adalah bab ilmu. Ada fahaman sesat yang mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Sedangkan mengetahui ilmu ghaib, mengetahui segala-galanya adalah Allah ‎ﷻ sahaja.

Salah satu contoh adalah fahaman Sufi Bathiniah yang mengatakan ada wali-wali yang menjadi Ahli Naubah boleh tahu segala apa yang berlaku, yang akan berlaku dan mereka boleh menentukan apa yang akan berlaku.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Kalau sebelum ini mengenai benda besar (alam) maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut benda kecil-kecil pun Allah ‎ﷻ tahu. Allah ‎ﷻ berikan contoh daun yang di seluruh alam ini. Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja daun yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan selepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gugur itu dan segala-galanya tentangnya.

Kalau benda yang sekecil itu pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu segala perkara. Termasuk yang Dia tahu adalah segala perbuatan kita, segala detik hati kita. Maka kalau kita dapat faham perkara ini maka kita tidak akan berani hendak melakukan dosa kerana kita tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمٰتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji pun dalam kegelapan bumi,

Allah ‎ﷻ tahu tentang biji-bijian dalam kegelapan malam pun. Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tidak kiralah sama ada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan tidak ada yang tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepada-Nya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah ‎ﷻ.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa masak, ia berada dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’.

Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat biasa dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Al-Qur’an kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, sudah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang kerana semua yang bernyawa ada air di dalamnya.

Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

Kalimah رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah ‎ﷻ. Seperti sabda Nabi ﷺ yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Termasuk sama ada kita zikir ataupun tidak.

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah ‎ﷻ tahu (Ilmu Ilahi) dengan segala terperinci. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah ‎ﷻ. Ia sudah tertulis di dalam Kitab Lauh Mahfuz yang telah menulis semua perkara yang akan terjadi sampailah Kiamat nanti. Ia digelar kitab yang nyata kerana apa yang tertulis di dalamnya pasti akan berlaku dan tidak akan berubah.


An’am Ayat 60: Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang tidak ada pada sesiapa. Oleh kerana itu tidak boleh ingkar adanya Kiamat kerana Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja. Sekarang Allah ‎ﷻ beri dalil dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menggunakan contoh tidur yang setiap hari terjadi kepada kita.

Kiamat nanti kita akan mati, dan akan dihidupkan kembali. Sekarang belum Kiamat lagi tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri perumpamaannya kepada kita dalam bentuk tidur dan bangun daripada tidur.

وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ ثُمَّ يَبعَثُكُم فيهِ لِيُقضىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيهِ مَرجِعُكُم ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And it is He who takes your souls by night and knows what you have committed by day. Then He revives you therein that a specified term may be fulfilled. Then to Him will be your return; then He will inform you about what you used to do.

Malay

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيْلِ

Dan Dialah yang mengambil roh kamu di malam hari

Perkataan يَتَوَفَّاكُم daripada katadasar و ف ي yang bermaksud ‘mengambil sesuatu dengan lengkap’. Ambil sepenuhnya sehingga tiada apa-apa lagi yang tinggal. Selalunya digunakan untuk bermaksud ‘mematikan’ kerana keseluruhan Roh akan diambil oleh Allah ‎ﷻ apabila telah habis ajal seseorang.

Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud ‘tidur’ kerana waktu kita tidur, roh kita akan dipisahkan daripada badan. Manusia ada dua jenis roh. Satu dinamakan ‘roh hayat’ dan satu lagi ‘roh kesedaran’. Apabila kita tidur, hanya roh kesedaran kita sahaja yang diambil.

Tetapi kita tidak mati lagi kerana roh hayat masih ada lagi. Oleh kerana bukan semua roh diambil, maka perkataan يَتَوَفَّاكُم digunakan. Iaitu ia dalam bentuk isim fa’il. Allah ‎ﷻ menyebut bahawa Allah ‎ﷻ menidurkan kita seperti juga difirmankan dalam ayat Zumar:42.

Kalimah اللَّيْلِ ‘Malam hari’ disebut dalam ayat ini kerana kebiasaannya manusia akan tidur waktu malam. Fitrah manusia memang memerlukan tidur di malam hari. Kalau kita tidak tidur di malam hari, maka kita telah melawan fitrah yang Allah ‎ﷻ telah jadikan untuk manusia. Maka akan ada masalah di siang hari nanti, jika kita melawan fitrah ini.

Malangnya, ramai yang tidur lambat di malam hari sampaikan mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada siang hari. Ada yang buang masa dengan bermain game, ada yang clubbing dan sebagainya. Lainlah kalau dia beribadat, barulah ada faedah untuknya. Namun begitu, untuk qiyamullail juga, sunnah mengajar kita bagaimana Nabi ﷺ pun tidur sebelum baginda bangun mengerjakan salat malam.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa tidur itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Tidur itu pun suatu nikmat juga. Kalau Allah ‎ﷻ tidak berikan kita nikmat tidur walaupun di malam hari, maka kita pun tidak dapat tidur. Pusinglah macam mana pun, tetapi kita tidak dapat tidur.

Kita tidak dapat kawal sepenuhnya tidur kita. Kadang-kadang kita hendak sangat tidur tetapi tidak boleh tidur juga. Kadang-kadang kita tidak mahu tidur, tetapi Allah ‎ﷻ tidurkan juga kita. Sebagai contoh, kita sedang memandu tetapi keadaan mengantuk sangat dan mata (otak sebenarnya) buat keputusan untuk tidur sendiri (dipanggil micro sleep). Entah berapa ramai yang tertidur semasa sedang memandu itu dan kerana itu banyak kejadian kemalangan yang berlaku.

Jadi, kalau kita ada masalah dengan tidur kita, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memperbetulkannya kerana tidur itu dikawal oleh Allah ‎ﷻ. Kita mintalah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi nikmat tidur kepada kita. Tidur ini pun memang satu masalah besar kepada manusia. Memang kita memerlukan kualiti tidur yang bagus. Bukan sahaja dapat tidur, tetapi ‘kualiti’ tidur itu pun penting juga. Ini dinamakan “deep sleep”.

Kalau kita tidak dapat tidur di malam hari, mungkin itu bermakna Allah ‎ﷻ hendak kita salat dan berdoa kepada-Nya. Mungkin waktu itulah kalau kita berdoa, doa itu akan dimakbulkan. Daripada berpusing-pusing atas katil tidak boleh tidur, baik kita bangun untuk salat, baca Al-Qur’an dan berdoa kepada-Nya.

Maka Allah ‎ﷻhendak memberitahu yang Dia boleh ‘matikan’ kita di malam hari, Allah ‎ﷻ boleh ambil roh kita bagaimana Dia kehendaki. Maka Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh mematikan kita terus dan jadikan Kiamat sebagaimana kehendak Dia.

وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ

dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari,

Tadi Allah ‎ﷻ menceritakan tentang malam. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang siang pula. Apa sahaja yang kita lakukan pada siang hari, Allah ‎ﷻ mengetahui mengenainya. Kalimah جَرَحْتُم daripada katadasar ج ر ح yang asalnya bermaksud ‘memberi luka kepada seseorang’.

Dalam ayat ini boleh bermaksud ‘perbuatan yang dilakukan oleh seseorang’. Macam-macam perbuatan yang kita lakukan sepanjang hari. Perbuatan itu boleh jadi perbuatan yang baik dan boleh jadi perbuatan yang jahat.

Jadi, Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita lakukan sepanjang hari kita. Oleh itu hendaklah kita memikirkan apakah yang kita lakukan sepanjang hari dari pagi sampai ke malam. Adakah ia sesuatu yang buang masa sahaja atau adakah ia sesuatu yang akan beri manfaat kepada kita di hari akhirat nanti? Tidakkah kita malu yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan perbuatan kita itu kalau perbuatan kita itu mengundang dosa?

ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ

kemudian Dia membangunkan kamu padanya (siang hari)

Setelah kita telah tidur di malam hari kemudiannya apabila menjelangnya siang, maka Allah ‎ﷻ akan bangunkan kita. Bangun di siang hari juga adalah satu nikmat. Kerana ada yang Allah ‎ﷻ tidak bangunkan terus. Sebab itu kita diajar untuk mengucapkan syukur apabila kita bangun daripada tidur. Lihat doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ:

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali.

Waktu siang memang waktu untuk berjaga. Sebab itu adalah amat susah untuk kita tidur pada siang hari. Sudahlah cahaya terang, bunyi pula bising ketika itu kerana memang manusia lain sedang bekerja dan bergerak. Memang waktu siang bukan keadaan yang sesuai untuk tidur. Kecuali kalau kita penat sangat atau kita tidak sihat pada waktu itu.

Tujuan apa Allah ‎ﷻ hidupkan kita semula di pagi hari?

لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى

untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan,

Masa kita daripada kita mula lahir sampai kita mati telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Itulah yang dinamakan ‘ajal’. Ajal itu bermaksud masa yang telah ditetapkan dari saat kita lahir sampailah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kita akan memenuhkan masa itu. Selagi belum sempurna masa itu, Allah ‎ﷻ akan beri kita bangun daripada tidur lagi.

Kalimah لِيُقْضَىٰ bermaksud ‘untuk disempurnakan’. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukan untuk disia-siakan. Ada tujuan kita hidup ini dan ia hendaklah disempurnakan.

Satu persoalan: memang kita tahu tujuan dan tugas kita di dunia ini iaitu untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ dan beribadat kepada-Nya. Tetapi BAGAIMANA kita memenuhi tanggungjawab itu? Sepanjang kita hidup dari pagi sampai ke malam hari, adakah kita buat sesuatu untuk mencapai tujuan hidup kita itu?

ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Allah-lah kamu kembali,

Sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan dimatikan dan akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Sama ada kamu bersedia atau tidak. Sama ada kamu muda atau tua. Kematian datang tidak mengenal usia. Bila-bila masa sahaja boleh mati kerana tidak diketahui bilakah saat kita akan mati.

Maka, hendaklah kita bersedia setiap masa. Entah-entah sekejap lagi kita akan mati. Maka sampai satu masa, Allah ‎ﷻ akan mematikan semua makhluk dan semuanya akan kembali mengadap Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita tangguh untuk bertaubat, untuk memperbaiki keadaan kita, untuk buat persediaan kepada akhirat.

ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Kalimah يُنَبِّئُكُم daripada perkataan naba’ yang bermaksud ‘maklumat-maklumat yang penting’. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita telah lakukan dalam hidup kita  semenjak kita lahir sampai kita mati. Kita sendiri lupa semua yang kita lakukan tetapi Allah‎ ﷻ tidak lupa.

Kalau setakat semalam dan pagi tadi, mungkin kita masih ingat lagi, tetapi apakah yang terjadi semasa kita berumur 20 tahun? Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang kita telah lakukan dan hari akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan memberitahu semula kepada kita apakah nilai segala perbuatan tersebut. Dan Allah ‎ﷻ akan balas, sama ada dengan kebaikan atau dengan keburukan, bergantung kepada apakah amalan itu.

Ini bermakna, bukan sia-sia sahaja kita dibangkitkan kelak. Bukan untuk suka-suka, tetapi akan dibentangkan apakah yang kita telah lakukan.

Yang dahulu kamu kerjakan‘: ini bermakna, tiada ‘pahala pos’ atau ‘pahala sedekah’ daripada majlis tahlil, daripada bacaan Al-Qur’an orang lain. Tidak ada. Hanya apa yang kita lakukan sahaja yang akan menjadi pahala. Beratus kali ayat seperti ini diulang di dalam Al-Qur’an. Sebab Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita bahawa memang tidak ada sedekah pahala. Maka, amalan tahlil untuk sedekah pahala itu adalah sia-sia, kerana tidak sampai.

Dan amatlah sia-sia apabila kita dengar sahaja orang mati, ramai yang terus automatik sebut: ‘Al-fatihah’. Mereka yang buat seperti itu berniat hendak menghadiahkan pahala bacaan fatihah itu kepada si mati. Namun itu bukan daripada ajaran Islam yang sunnah dan ia adalah amalan yang sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ menceritakan semula apa yang kita telah lakukan itu bukan sengaja suka-suka untuk bercerita, tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengadili dan akan menghukum segala perbuatan kita itu.

Habis Ruku’ 7 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.


An’am Ayat 61: Takhwif Ukhrawi.

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ

Sahih International

And He is the subjugator over His servants, and He sends over you guardian-angels until, when death comes to one of you, Our messengers take him, and they do not fail [in their duties].

Malay

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan mutlak di atas semua hamba-Nya,

Ini kali kedua perkataan الْقَاهِرُ digunakan dalam surah ini. Mungkin pada kali pertama ia disebut dalam ayat ke 18, kita tidak nampak kekuasaan Allah ‎ﷻ itu. Maka dalam ayat-ayat selepas ayat ke 18 itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan berbagai-bagai dalil tentang kekuasaan-Nya berkali-kali dan dengan berbagai jenis contoh. Dan sekarang Allah ‎ﷻ mengulang lagi perkataan الْقَاهِرُ  dan kali ini kita sepatutnya semakin faham dan semakin yakin.

Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dengan makhluk-Nya kerana Allah ‎ﷻ ada hak ke atas kita. Kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak tidak ada pengecualian. Apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki tidak boleh dikalahkan tidak boleh dihalang. Kita pun ada kuasa ke atas sesuatu, tetapi kekuasaan kita tidak mutlak.

Contohnya, kita ada hak kuasa ke atas anak-anak kita, tetapi kita tidak boleh suruh mereka buat apa yang mereka tidak mahu buat. Atau kita tidak ada kuasa untuk suruh mereka lakukan perkara yang maksiat.

Dan kita tidak boleh kawal perasaan mereka. Sebagai contoh, kalau kita suruh jadi sedih, jadi gembira, mereka tidak boleh terus dapatkan perasaan itu. Tetapi, kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja kepada kita.

وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً

dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga,

Allah ‎ﷻ menugaskan kepada kita malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Ada beberapa makna yang kita boleh ambil daripada maksud ‘malaikat penjaga’ itu.

Pertamanya, ia bermaksud kita sentiasa diawasi. Seperti yang disebut dalam Ayat Infithar:10-11.

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
كِرَامًا كَاتِبِينَ
yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),

Ini bermakna, ada malaikat Hafazah yang ditugaskan untuk menulis setiap perbuatan kita. Lihat pula ayat Qaf: 17-18.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Ayat daripada Surah Qaf itu memberitahu kepada kita bahawa malaikat-malaikat itu bukan hanya menulis apa yang kita buat tetapi apa yang kita cakapkan juga. Mereka duduk di kiri dan kanan kita.

Ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam perbuatan dan percakapan kita. Kadang-kadang kita membuang masa dengan bercakap dan melakukan perkara yang lalai sahaja. Masa yang telah diberikan kepada kita hilang begitu sahaja. Alangkah malunya nanti apabila setiap percakapan kita dan tulisan kita di Facebook dan di Twitter dibentangkan kepada semua manusia untuk dilihat. Apa yang ada hanyalah perkara sia-sia sahaja.

Ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menceritakan bagaimana ada malaikat yang berada bersama kita bergilir-gilir. Mereka berkumpul pada waktu Fajar dan Asar. Mereka kemudian akan naik bertemu Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka bagaimana mereka meninggalkan kita.

عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ‏”‏ يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر، ثم يَعرج الذين باتوا فيكم، فيسألهم وهو أعلم بهم كيف تركتم عبادي فيقولون تركناهم وهم يُصلون، وأتيناهم وهم يُصلون ‏”‏‏.‏

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu salat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang bermalam dalam kalangan kamu naik. Lalu Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka, dan Allah ‎ﷻ lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu?‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan salat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan salat’.”

Bayangkan kalau waktu Asar itu kita hanya sibuk dengan kerja-kerja kita tanpa melakukan salat Asar? Bayangkan kalau waktu Subuh itu kita sedang tidur? Tidak malukah kita kalau malaikat-malaikat itu melaporkan kepada Allah ‎ﷻ tentang keadaan diri kita yang leka dalam beribadah kepadanya?

Selain daripada mengawasi apa yang kita lakukan, malaikat Hafazah itu ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman daripada dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita kerana ada malaikat yang mengawal kita. Jin tidak boleh masuk ke dalam badan kita dan mengawal minda kita. Kalau tidak ada malaikat yang jaga kita, sudah lama jin akan mengganggu kita.

Namun begitu, jika sering melakukan perbuatan syirik sahaja, maka, tiada lagi penjagaan daripada para malaikat. Mereka akan tinggalkan kita. Apabila kembali kepada tauhid, jin dan syaitan tidak boleh ganggu kita. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu diganggu hantu, boleh nampak hantu dan sebagainya, tidak lagi akan diganggu apabila mereka kembali belajar tauhid. Itu adalah kerana hantu sudah tidak boleh mengganggu mereka lagi.

Dalil penjagaan ini boleh dilihat dalam ayat Rad:11.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Dalam ayat ini diberitahu yang para malaikat akan sentiasa menjaga kita, tetapi apabila kita mengubah akidah kita, maka malaikat akan tinggalkan kita.

Selain menjaga kita daripada gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat.

Begitulah caranya Allah ‎ﷻ melindungi kita dengan menugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum tiba ajal kita, maka selagi itu kita akan diselamatkan daripada kematian.

Lihat juga ayat at-Tariq: 4.

إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
tidak ada suatu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya.

Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menjaga kita tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah ‎ﷻ kepada kita sampai Allah ‎ﷻ menghantarkan para malaikat untuk menjaga kita. Bukan seorang malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi banyak malaikat diberikan kepada manusia itu.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,

Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun selesai. Waktu itulah kalau kemalangan berlaku, maka itulah sebab kematian kita.

تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا

dia diwafatkan oleh Rasul-rasul (malaikat-malaikat) Kami,

Kemudian, ada pula Malaikat yang diwakilkan untuk mengambil nyawa kita. Lihat Ayat Sajdah:11.

۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.

Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan daripada Hadith kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jika kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik kita dengan ganas kalau kita roh yang jahat.

Ada juga pendapat yang mengatakan malaikat yang sama menjaga kita, malaikat itulah juga yang mengambil nyawa kita nanti.

Daripada ayat ini juga, kita tahu bahawa para malaikat itu juga Rasul utusan Allah ‎ﷻ. Maka Rasul ‎ﷻ ada dalam kalangan manusia dan ada dalam kalangan malaikat.

وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya.

Malaikat yang telah ditugaskan itu tidak boleh mempercepat atau melewatkan apa-apa arahan kepada mereka. Mereka hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka taat dan tidak akan terima rasuah daripada manusia.

Malaikat-malaikat itu tidak akan memberi belas kasihan sedikit pun kepada mereka yang tidak layak. Walau bagaimana kuat dan bagaimana cara pun kita merayu kepada malaikat-malaikat itu untuk memberi belas kasihan kepada kita. Malaikat-malaikat itu langsung tidak akan menangguhkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah‎ﷻ .

Ayat ini mengingatkan kepada kita supaya tidak leka dan lalai dalam menjalankan tugas dan ibadat kita. Jangan kita tunggu-tunggu untuk membuat benda-benda yang baik. Jadilah kita seperti malaikat itu yang tidak lalai dalam menjalankan perintah Allah ‎ﷻ. Jangan kita kata hendak buat esok, nak buat minggu depan, hendak buat bulan depan, hendak buat tahun depan dan sebagainya, kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan habis.

Kalau benda itu baik, hendaklah kita lakukan segera. Kalau salat, hendaklah kita dirikan salat itu dalam waktunya kerana kita pun sebenarnya tidak tahu sama ada kita akan masih hidup menjelang petang ataupun malam nanti. Lalu bagaimana kita akan yakin yang kita ada masa untuk membuat perkara-perkara yang kita sepatutnya lakukan itu? Oleh itu, jangan tangguh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Al-An’am Ayat 54 – 58 (Ilmu Ghaib milik Allah sahaja)

An’am Ayat 54: Ayat Tabshir (berita gembira).

وَإِذا جاءَكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِئآيٰتِنا فَقُل سَلٰمٌ عَلَيكُم ۖ كَتَبَ رَبُّكُم عَلىٰ نَفسِهِ الرَّحمَةَ ۖ أَنَّهُ مَن عَمِلَ مِنكُم سوءًا بِجَهٰلَةٍ ثُمَّ تابَ مِن بَعدِهِ وَأَصلَحَ فَأَنَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sahih International

And when those come to you who believe in Our verses, say, “Peace be upon you. Your Lord has decreed upon Himself mercy: that any of you who does wrong out of ignorance and then repents after that and corrects himself – indeed, He is Forgiving and Merciful.”

Malay

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

 

وَإِذَا جَاءَكَ

Dan apabila datang kepadamu

Siapa yang dimaksudkan datang kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini?

 

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِئآيٰتِنَا

orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami

Mereka yang datang itu adalah orang-orang yang beriman. Yang kebanyakan mereka adalah orang-orang yang miskin dan lemah tetapi mereka telah percaya kepada Al-Qur’an dan kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi ﷺ. Maka mereka datang kepada baginda dengan penuh ketaatan.

 

فَقُلْ سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ

maka katakanlah kepada mereka: “Sejahtera ke atas kamu!

Tidak kira siapa mereka dan apa kedudukan mereka, jika mereka beriman, maka berikan salam kesejahteraan kepada mereka. Walaupun mereka belum mati lagi, tetapi beritahu kepada mereka yang mudah-mudahan mereka akan selamat daripada bahaya akhirat. Maknanya mereka sekarang diberi berita gembira oleh Allah ‎ﷻ!

Dalam ayat ini, Nabi ﷺ yang disuruh memberi salam kepada mereka. Sepatutnya sahabatlah yang kena beri salam terlebih dahulu. Tetapi lihatlah Allah ‎ﷻ telah memuliakan mereka sehinggakan mereka layak mendapat salam daripada Nabi ﷺ sendiri.

Ada disebut dalam hadith yang Nabi ﷺ sendiri telah mengajar sahabat bahawa mengikut protokol, mereka yang datang yang kena memberi salam kepada mereka yang sudah ada; mereka yang sedikit bilangan memberi salam kepada yang ramai; mereka yang muda memberi salam kepada yang tua. Walaupun telah ada ajaran itu, tetapi mereka tidak berpeluang buat begitu, kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan sentiasa terkehadapan dalam memberi salam – walaupun mereka yang hendak datang berjumpa Nabi ﷺ, tetapi belum sempat mereka memberi salam, Nabi ﷺ sudah beri salam.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رضي الله عنه – قَالَ: [قَالَ] رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم: «لِيُسَلِّمِ الصَّغِيرُ عَلَى الْكَبِيرِ, وَالْمَارُّ عَلَى الْقَاعِدِ, وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ». مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ. (١)
وَفِي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: «وَالرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي». (٢)

Daripada Abū Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasūlullāh  ﷺ bersabda: “Hendaklah salam itu diucapkan yang muda kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk, dan yang sedikit kepada yang banyak.” (Muttafaqun Alaihi)

Menurut riwayat Muslim: “Dan yang menaiki kenderaan kepada yang berjalan.” 

Ayat ini mengajar kita, apabila kita berjumpa orang Muslim, kita kena berikan salam kepada mereka. Selalunya kita hanya beri salam kepada orang yang kita kenal sahaja. Jangan buat begitu kerana ayat ini suruh kita beri salam kepada orang Muslim seagama tidak kira siapa mereka. Kita hendaklah menyebarkan salam kepada sesiapa sahaja yang kita rasa mereka itu orang Islam.

 

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Tuhan kamu telah menetapkan bagi Diri-Nya sifat rahmat:

Kerana sifat rahmat Allah ‎ﷻlah yang menerima sesiapa sahaja yang mahu beriman. Tidak kira apakah kesalahan yang mereka telah lakukan sebelum ini, tidak kira apa kedudukan mereka dalam masyarakat Ini kerana Allah ‎ﷻ telah mewajibkan sifat rahmah kepada Diri-Nya.

Allah ‎ﷻ tidak kira siapakah orang yang mahu beriman itu. Mungkin dia lambat menerima iman, tetapi akhirnya dia menjadi seorang Muslim yang baik. Dalam kalangan kita pun ramai yang seperti itu. Walaupun dari kecil sepatutnya sudah masuk Islam, tetapi bila sudah dewasa dan lanjut usia, baru hendak masuk Islam dengan sebenarnya kerana baru hendak mula beribadat, baru hendak belajar tafsir Al-Qur’an, baru hendak masuk kelas agama, dan sebagainya. Itu tidak berapa penting kerana yang lebih penting, dia sudah ada kehendak untuk menjadi baik.

Kalau dulu, entah berapa banyak kesalahan yang dia telah lakukan, entah perbuatan syirik yang mana yang dia telah amalkan; Allah ‎ﷻ akan ampunkan segala dosanya kalau dia mahu bertaubat, kerana Allah ‎ﷻ telah menetapkan sifat rahmah kepada Diri-Nya.

Ayat ini juga mengajar kita untuk bersifat rahmah dengan orang lain. Mula-mula kita kena beri salam kepada mereka, jangan buat tidak kenal sahaja. Ataupun kadang-kadang ada orang yang kita kenal tetapi kita marah dengan mereka dan sebagainya, kita tidak beri salam pun kepada mereka. Jangan begitu, hendaklah kita memulakan memberi salam. Setelah kita lakukan itu, maka hendaklah kita berbuat baik dengan mereka. Jangan pula setelah beri salam, kita maki pula mereka!

Dalam ayat ini, Nabi ﷺ disuruh memberitahu tentang sifat rahmah Allah ‎ﷻ kepada makhluk-Nya. Begitulah juga kita dalam berdakwah. Memang kita kena beri amaran kepada manusia. Janganlah hanya menakutkan mereka dengan azab neraka sahaja. Ingatkan juga sifat Rahman Allah yang mempunyai belas kasihan yang melimpah ruah.

Ingatkan manusia, bahawa walau bagaimana banyak dosa yang telah mereka lakukan, Allah ‎ﷻ masih sanggup untuk mengampunkannya asalkan mereka mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka. Kita kena beri harapan kepada manusia.

 

أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهٰلَةٍ

bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya,

Sebelum ini kerana jahil tidak tahu agama, banyak yang buat kesalahan. Seperti juga orang kita, ramai yang tidak tahu pun sebelum ini amalan-amalan bid’ah; tidak tahu ada syirik dalam amalan tawasul itu; dan banyak lagi amalan-amalan syirik dan bid’ah yang mereka sangkakan baik amalan itu. Ini kerana dia tidak ada ilmu sebelum ini.

Ataupun dia tahu mana-mana perbuatan berdosa, tetapi dia lakukan juga. Ini kerana dia ‘terlupa’ apa yang dia buat itu adalah satu kesalahan. Ataupun dia terlalu ikut emosi sampaikan dia lupa sekejap; atau tidak kuat dalam menahan dirinya daripada melakukan dosa. Ini bermakna, dia lakukan sesuatu kerana emosi tidak terkawal. Ini pun dikira sebagai melakukan perbuatan dosa kerana kejahilan juga. Perbuatan dia seperti orang yang jahil, sedangkan kadang-kala dia tahu pun yang amalan itu salah.

Ketahuilah yang mereka yang melakukan dosa adalah orang yang jahil walau bagaimana tinggi ilmu mereka. Tidak kira betapa pandai mereka, tidak penting berapa banyak ilmu yang manusia ada, tetapi kalau mereka tidak mengamalkan apa yang mereka yang telah belajar, ia tidak akan membantu mereka. Kepada mereka ini, masih ada lagi pintu taubat bagi mereka.

 

ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ

kemudian dia bertaubat sesudah itu,

Selepas dia tahu segala kesalahan itu tidak benar, maka dia bertaubat. Dia menyesal dari perbuatan salahnya itu dan dia berazam untuk tidak melakukannya lagi. Atau, dia sedar kesalahan yang dilakukan itu adalah amat berdosa.

Ini termasuk orang yang tahu perbuatan itu salah dan berdosa tetapi dia tetap buat kerana dia tidak kuat pada waktu itu untuk menahan dirinya. Maka dia rasa malu dan menyesal dengan perbuatannya itu. Inilah makna taubat, iaitu rasa menyesal.

 

وَأَصْلَحَ

dan berusaha memperbaiki (amalannya),

Dan ini pula adalah syarat taubat diterima. Taubat tadi (rasa menyesal) adalah urusan hati. Maka orang yang bertaubat sepatutnya ikuti dengan amalan perbuatan dia. Dia hendaklah lakukan sesuatu, jangan cakap di mulut sahaja bertaubat.

Iaitu dia kena berterusan memperbaiki amalannya. Tukar amalan buruk kepada amalan yang baik. Dia pun hendaklah mula bercakap perkara yang benar kepada kepada orang lain – iaitu dengan menyampaikan ajaran yang betul kepada orang lain. Contohnya dia beritahu kepada orang lain, kepada kawan-kawannya, kepada ahli keluarganya yang apa yang mereka lakukan itu adalah amalan syirik dan bid’ah. Maknanya, tidaklah dia simpan seorang sahaja. Apabila dia telah tahu mana yang salah, dia beritahu juga kepada orang lain.

Dia pun hendaklah berazam untuk meninggalkan amalan salah yang dilakukannya dahulu. Amalannya dulu tidak dikira lagi, akan diampunkan oleh Allah ‎ﷻ. Ini kalau Allah ‎ﷻ buat keputusan untuk mengampunkan. Tetapi dia hendaklah menjaga perbuatannya supaya tidak kembali melakukan dosa lagi.

Dan dia hendaklah membaiki kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini. Ada haq Allah ‎ﷻ dan haq makhluk. Kalau haq Allah ‎ﷻ, contohnya zakat yang tidak dibayar selama ini, hendaklah dibayar. Kalau haq manusia, contohnya wang yang telah dicuri, hendaklah dipulangkan. Kalau ada yang disakiti, maka hendaklah dia meminta maaf.

Jadi ringkasan syarat supaya taubat diterima:

1. Tukar mula buat benda yang baik
2. Berazam untuk meninggalkan perbuatan dosa itu
3. Baiki kesalahan yang lepas sama ada kesalahan terhadap Allah ‎ﷻ atau terhadap makhluk.

 

فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Sekarang Allah ‎ﷻ beri berita baik kepada mereka iaitu Allah ‎ﷻ sanggup mengampuninya. Sebenarnya Allah ‎ﷻ amat suka melihat kita meminta ampun kepada-Nya. Sebab itulah Allah ‎ﷻ sentiasa membuka pintu pengampunan kepada hamba-Nya.


 

An’am Ayat 55: 

وَكَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ وَلِتَستَبينَ سَبيلُ المُجرِمينَ

Sahih International

And thus do We detail the verses, and [thus] the way of the criminals will become evident.

Malay

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Qur’an satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

 

وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيٰتِ

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Qur’an satu persatu

Kalimah نُفَصِّلُ bermaksud menerangkan sesuatu sampai jelas. Ia adalah daripada katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Iaitu memecahkan subjek sesuatu perkara itu satu persatu dan dijelaskan dan diterangkan satu persatu supaya dapat kefahaman yang jelas.

Apabila kita baca dan tadabbur Al-Qur’an, pelbagai perkara kita akan dapat faham. Akhirnya akan jelas sesuatu perkara dalam agama. Tetapi kena belajar tafsir Al-Qur’an terlebih dahulu, kerana kalau baca sendiri tidak boleh faham. Jangan jadi seperti segelintir mereka yang membaca terjemahan dan sangka mereka sudah boleh faham Al-Qur’an. Maka banyaklah keluar fahaman-fahaman yang pelik dan sesat daripada golongan sebegini.

 

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

Perkataan وَلِتَسْتَبِينَ daripada katadasar ب ي ن yang bermakna ‘jelas nyata’. Jadi kalimah وَلِتَسْتَبِينَ bermaksud ‘memperjelaskan’. Ini adalah penekanan makna tentang ‘jelas’ dalam potongan ayat sebelum ini. Allah ‎ﷻ ingin menjelaskan bahawa syirik itu jelas salah, bukan samar-samar. Jadi kalau tidak terima juga, itu kerana degil sahaja dan bukan sebab tidak jelas.

Al-Qur’an memberitahu kita manakah jalan yang salah, supaya kita boleh tinggalkan. Jalan orang sesat mudah untuk kenal sebenarnya. Apabila kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an, kita sudah boleh tahu manakah amalan yang benar dan mana amalan yang salah.

Kenapakah jalan-jalan orang yang berdosa perlu diperjelaskan? Supaya menjadi sempadan kepada kita. Supaya kita tidak buat seperti mereka. Apabila kita sudah tahu apa yang salah, maka kita boleh elak daripada melakukannya.

Itulah sebabnya penting guru agama menceritakan apakah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Namun masalahnya, kebanyakan guru agama tidak berani ajar begitu. Mereka cuma ajar apa yang perlu dilakukan oleh anak muridnya.

Malangnya, kesalahan yang murid sedang lakukan, tidak ditegur langsung. Sebab mereka dapat agak, kalau tegur juga, ditakuti anak murid akan terasa dan sudah tidak panggil mereka mengajar lagi. Memang manusia jahil akan senang terasa jika ditegur. Kalau sudah tidak dipanggil mengajar, mereka akan kehilangan punca pendapatan kerana mereka ambil upah dengan mengajar agama.

Itulah masalah yang jadi kalau kita minta bayaran atas apa yang diajar. Apabila kita minta upah, maka susah untuk guru agama mengajar benda yang tidak suka didengar oleh umat.

Begitu juga, banyak guru agama amat memelihara kononnya ‘perpaduan’ masyarakat. Mereka tidak berani tegur kumpulan itu, kumpulan ini salah. Kononnya mereka kata kerana takut nanti mereka dikatakan memecah-belahkan umat. Jadi, apabila datang puak tarekat di Malaysia, dengan membuat perkara syirik, mereka tidak tegur. Ini kerana ramai yang terlibat dalam tarekat dan ramai yang ikut. Sampaikan sekarang ajaran Bathiniah sudah semakin melanda masyarakat kita.

Begitu juga apabila kumpulan Syiah datang dan sekarang kumpulan Habib pula datang, mereka tidak tegur. Apabila tidak ditegur, maka masyarakat sangka kumpulan-kumpulan sesat itu tidak salah, jadi boleh ikutlah. Hasilnya, semakin terjerumus masyarakat kita dalam lembah kesesatan.

Kita kena tegur kerana telah jelas kesalahan yang mereka lakukan. Jelas kerana apa yang mereka lakukan itu bercanggah dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan amalan sunnah daripada Nabi ﷺ. Apabila sudah jelas salah, maka kewajipan kita untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa apa yang mereka buat itu salah kerana kalau tidak diberitahu, nanti masyarakat akan terus menerus sahaja ikut. Kita sepatutnya tidak perlu hendak jaga kedudukan sangat.

 

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ

bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah Yusuf:35

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ

Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55 ini

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ

Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا

ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

Habis Ruku’ 6 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 56: Cara kelima tabligh wahyu kepada manusia. Allah ‎ﷻ tekankan tentang tauhid di dalam ayat ini.

قُل إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ ۚ قُل لّا أَتَّبِعُ أَهواءَكُم ۙ قَد ضَلَلتُ إِذًا وَما أَنا مِنَ المُهتَدينَ

Sahih International

Say, “Indeed, I have been forbidden to worship those you invoke besides Allah .” Say, “I will not follow your desires, for I would then have gone astray, and I would not be of the [rightly] guided.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”. Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

 

قُلْ

Katakanlah:

Apa yang hendak disampaikan ini adalah penting sampaikan Nabi‎ ﷺ disuruh secara spesifik untuk cakap (sampaikan) kepada kita. Padahal, bukan ini sahaja yang Nabi ﷺ perlu sampaikan, tetapi seluruh ajaran agama. Oleh kerana pentingnya perkara ini, Nabi ﷺ disuruh sampaikan secara spesifik.

 

إِنِّي نُهِيتُ

“Sesungguhnya aku dilarang

Nabi ﷺ sendiri dilarang oleh Allah ‎ﷻ. Maka kalau Nabi ﷺ sendiri dilarang, bermakna kita juga dilarang. Kalau dilarang, maka jangan dibuat.

 

أَنْ أَعْبُدَ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللهِ

Daripada menyeru yang kamu seru selain Allah”.

Iaitu kita dilarang daripada menyeru, memanggil, beri salam dan sebagainya kepada selain Allah ‎ﷻ. Sama ada yang diseru itu adalah tok wali, Nabi atau malaikat. Seru kepada yang ghaib bermaksud seru selain Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak ada di hadapan kita.

Begitulah juga kalau kita seru jin. Begitu juga kalau kita bercakap dengan ahli keluarga kita yang telah mati. Malah, banyak lagi contoh kesalahan menyeru yang dilakukan oleh masyarakat. Ada yang seru Nabi Khidr عليه السلام, ada yang seru ahli Naubah, ada yang seru itu dan ini. Tidak habis modal syaitan ajar manusia untuk seru selain Allah ‎ﷻ.

Perkataan تَدْعُونَ daripada perkataan د ع و yang bermaksud ‘doa’ iaitu menyeru. Doa itu ada dua jenis. Yang pertama adalah apabila kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk meminta sesuatu. Yang kedua maksudnya adalah beribadat kerana doa adalah pati kepada ibadat.

Oleh itu, berhentilah daripada menyeru selain Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja seruan selain Allah ‎ﷻ adalah kufur – termasuklah kalau yang diseru itu adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Sampaikan ada lagu nasyid yang istighasah terus kepada Nabi ﷺ dan didendangkan oleh ramai daripada masyarakat kita. Itu jelas syirik namun ramai yang jahil tentang hal ini, maka mereka buat tidak tahu sahaja.

 

قُل لَّا أَتَّبِعُ أَهْوَاءَكُمْ

Katakanlah: “Aku tidak akan mengikuti hawa nafsumu,

Beritahu dengan tegas kepada mereka dalam dakwah kita: Kami tidak akan ikut apa yang kamu lakukan ini. Dan kami tidak terima hujah batil kamu. Hujah kamu yang tidak ada dalil ini aku tidak akan ikut dan antara hujah-hujah mereka adalah: “Takkanlah guru-guru dan tok nenek kita itu nak masuk neraka”. Itu adalah antara contoh hujah-hujah batil. Yang kita nantikan adalah hujah daripada Al-Qur’an atau Sunnah yang tidak kunjung tiba kalau kita minta. Hujah yang bukan selain daripada dalil-dalil yang sah adalah dikira dalil-dalil daripada hawa nafsu.

Kita juga tidak akan ada bertolak ansur dalam hal agama terutama dalam hal tauhid. Kalau salah, kita akan kata salah. Sebagaimana baginda Nabi Muhammad ﷺ yang menolak toleransi yang dicadangkan oleh Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah mengajak baginda menyembah berhala setahun dan tahun depan sembah Allah ‎ﷻ pula – bergilir-gilir – Nabi ﷺ tolak terus kerana itu adalah timbangtara yang tidak dibenarkan. Agama bukan politik yang boleh ditimbangtara, boleh tolak ke sana ke sini.

 

قَدْ ضَلَلْتُ إِذًا

sungguh sesatlah aku jika berbuat demikian

Nabi ﷺ disuruh untuk cakap: “Jika aku ikut kamu, aku akan sesat”. Musyrikin Mekah minta kepada Nabi ﷺ kalau Nabi ﷺ tidak percaya kepada Tuhan mereka pun, tetapi sekurang-kurangnya sentuhlah sikit berhala mereka. Dan katakan bahawa tidak ada masalah dengan tuhan mereka itu.

Maka, Nabi ﷺ disuruh dalam ayat ini supaya tidak ada kompromi langsung dengan perbuatan syirik yang mereka lakukan itu. Ini kerana jika baginda buat begitu, akan menunjukkan bahawa Nabi ﷺ menghormati kepada berhala-berhala mereka. Ibadah bukan hanya sujud dan tunduk kepada sesuatu sahaja tetapi dengan menunjukkan hormat pun sudah dikira sebagai ibadah. Kalau tidak tegur pun sudah ada masalah.

Inilah perkara yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat Islam kita kerana ramai dalam kalangan kita yang beribadat kepada Allah ‎ﷻ tetapi apabila perkara perkara doa, mereka akan minta kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Mereka akan minta kepada kubur, kepada wali, pada malaikat, kepada nabi dan lain-lain lagi.

Mereka menjadikan kubur wali, Nabi dan malaikat itu sebagai perantara untuk menyampaikan doa kepada Allah ‎ﷻ. Itu adalah dilarang sama sekali kerana kita sebenarnya mesti berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ kerana jika berdoa menggunakan perantaraan pun sudah dikira berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ.

 

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

dan tidaklah aku termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Nabi ﷺ disuruh cakap: “Kalau aku ikut kamu dan hujah batil kamu itu, tentulah aku tidak akan mendapat petunjuk.” Kalau tidak dapat petunjuk daripada Allah‎ ﷻ, apalah nasib kita lagi?

Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa tidak ada timbang tara dan tidak ada kompromi dalam perkara agama. Kalau perbuatan yang salah kita langsung tidak boleh ikut. Kita juga tidak boleh mendiamkan diri.


 

An’am Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ melarang menggunakan dalil daripada hawa nafsu. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menerangkan apakah dalil yang sahih. Jadi ini adalah cara keenam untuk tabligh wahyu kepada manusia. Dan diajar bagaimana untuk menjawab golongan yang acah-acah minta azab disegerakan kepada mereka.

قُل إِنّي عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَكَذَّبتُم بِهِ ۚ ما عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا ِللهِ ۖ يَقُصُّ الحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيرُ الفٰصِلينَ

Sahih International

Say, “Indeed, I am on clear evidence from my Lord, and you have denied it. I do not have that for which you are impatient. The decision is only for Allah. He relates the truth, and He is the best of deciders.”

Malay

Katakanlah: “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Qur’an) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.

 

قُلْ إِنِّي عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku berada di atas hujah yang nyata dari Tuhanku,

Hujah yang nyata jelas itu adalah hujah-hujah daripada Al-Qur’an. Apa yang diberitahu dalam Al-Qur’an, kita akan ikut. Ia adalah dalil yang cukup sempurna dan ia adalah jelas. Mana mungkin ia tidak sempurna sedangkan ia datangnya daripada Allah ‎ﷻ?

Definisi بَيِّنَةٍ dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Bayyinah. Ringkasnya, ia mempunyai dua elemen: dalil yang nyata dan karektor yang sempurna. Dalil yang nyata adalah Al-Qur’an dan penyampainya adalah Rasulullah.

 

وَكَذَّبْتُم بِهِ

sedang kamu mendustakannya.

Masdar ‘nya’ dalam ayat ini sama ada merujuk kepada ‘dalil yang nyata’ ataupun ‘Allah’ sendiri. Apabila manusia menolak dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, bermakna mereka menolak Allah ‎ﷻ sebenarnya.

Mereka menolak pula tanpa dalil. Kita beri dalil yang nyata daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi ramai yang menolak begitu sahaja, tanpa diberi dalil pun. Mereka cuma beri hujah akal sahaja selalunya. Mereka amat jahil sampai sangkakan hujah mereka kuat, hujah mereka terpakai. Padahal tidak, kerana agama ini memerlukan dalil daripada Al-Qur’an atau daripada perbuatan Nabi ﷺ. Inilah yang susah sangat masyarakat kita hendak faham kerana sudah lama jauh daripada didikan wahyu.

 

مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Tidak ada padaku kuasa untuk menyegerakan kedatangannya.

Orang Musyrikin Mekah selalu minta kepada Nabi ﷺ untuk membawakan mukjizat, atau kalau betul mereka buat itu salah, segerakan datangnya azab itu. Kalimah ما dalam ayat ini bermaksud ‘azab’. Mereka sebenarnya mengejek Nabi Muhammad ﷺ dalam permintaan mereka itu. Sepatunya mereka minta diselamatkan daripada azab tetapi mereka tergesa-gesa menolak sampaikan minta azab disegerakan pula.

Nabi ﷺ disuruh memberitahu kepada mereka bahawa baginda tidak ada kuasa untuk mempercepatkan datangnya azab itu. Nabi ﷺ juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan mukjizat untuk diberikan kepada mereka. Baginda juga adalah manusia dan memang tidak ada kuasa untuk berbuat begitu.

 

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا ِللهِ

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.

Keputusan untuk beri azab itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Bagaimana cara, besar mana dan bilakah azab itu akan diberikan, terpulang kepada Allah ‎ﷻ.

Begitu juga, para Nabi tidak dapat mengeluarkan mukjizat dengan kehendak sendiri kerana ia adalah keputusan Allah ‎ﷻ semata-mata.

 

يَقُصُّ الْحَقَّ

Dia menerangkan yang haq.

Apa sahaja maklumat yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ adalah kebenaran belaka. Maka janganlah kita meraguinya. Allah ‎ﷻ tentunya akan memberikan penerangan yang jelas.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Apakah ‘haq’ itu? Haq itu diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menzahirkan kebenaran kepada kita. Kebenaran apa? Iaitu Allah ‎ﷻlah sahaja Tuhan yang menjadikan alam ini. Hanya Dia sahaja yang layak disembah, tidak ada yang lain. Hanya kepada-Nya sahaja kita boleh berdoa.

 

وَهُوَ خَيْرُ الْفٰصِلِينَ

dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik”.

Perkataan الْفَاصِلِينَ berasal daripada perkataan ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Dalam konteks ayat ini الْفَاصِلِينَ bermaksud ‘pemberi keputusan’ kerana keputusan akan diberikan setelah yang haq dan batil akan dipisahkan. Allah ‎ﷻ juga akan pisahkan orang yang beriman dan kufur.

Terpulang kepada Allah ‎ﷻ: Allah ‎ﷻ boleh terus beri azab atau Allah ‎ﷻ boleh tangguh azab itu untuk beri peluang kepada manusia untuk bertaubat.


 

An’am Ayat 58: 

قُل لَّو أَنَّ عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ لَقُضِيَ الأَمرُ بَيني وَبَينَكُم ۗ وَاللهُ أَعلَمُ بِالظّٰلِمينَ

Sahih International

Say, “If I had that for which you are impatient, the matter would have been decided between me and you, but Allah is most knowing of the wrongdoers.”

Malay

Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”.

 

قُل لَّوْ أَنَّ عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Katakanlah: “Kalau sekiranya ada padaku kuasa untuk mempercepatkan apa yang kamu minta itu,

Ini kalaulah Nabi ﷺ ada kuasa untuk mempercepatkan azab kepada mereka. Mereka sentiasa meminta-minta azab diturunkan dengan segera kepada mereka sebagai ejekan kepada Nabi. Bagaimana kalau memang benar Nabi Muhammad ﷺ ada kuasa itu?

 

لَقُضِيَ الْأَمْرُ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ

tentu telah diselesaikan urusan antara aku dan kamu.

Kalau Nabi ﷺ ada kuasa untuk beri azab kepada mereka, tentu sudah lama mereka kena azab kerana Nabi Muhammad ﷺ pun adalah manusia juga. Tentunya Nabi ﷺ terkesan dan terasa hati dengan apa yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Nabi ﷺ tidak boleh sabar seperti Allah ‎ﷻ.

Allah itu al-Halil – Maha Lembut – bermaksud tidaklah Allah ‎ﷻ seperti kita, cepat sahaja menghukum orang yang buat salah dengan kita. Allah ‎ﷻ bersabar dengan hamba-Nya dan Allah‎ﷻ  boleh beri tangguh lagi. Allah ‎ﷻ boleh sahaja lihat manusia buat syirik dengan tidak membuat apa-apa.

Sama juga dengan kita. Kalau kita ada kuasa, sudah lama kita akan kenakan sesuatu yang tidak baik dengan orang yang menentang kita. Sebab kita manusia bukan boleh sabar sangat. Mereka yang kata macam-macam tentang kita, ejek kita dan kutuk kita, tentulah kita marah kepada puak-puak ini.

Jadi, dengan rahmat Allah ‎ﷻlah, Allah ‎ﷻ tidak beri kuasa mengazab kepada manusia. Kerana kalau kita ada kuasa, tidak ada manusia yang hidup sekarang kerana semua sudah kena azab dan sudah lama mati.

 

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالظّٰلِمِينَ

Dan Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang zalim.

‘Zalim’ dalam ayat ini adalah mereka yang buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ayat ini bermaksud bukan Allah ‎ﷻ tidak tahu siapakah yang zalim dan melakukan kezaliman. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak mengazab lagi mereka yang zalim itu kerana Allah ‎ﷻ tidak tahu mereka sudah melakukan kezaliman dan kesyirikan. Tidak. Bukan begitu. Allah ‎ﷻ tidak mengazab lagi kerana Allah ‎ﷻ hendak beri peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat.

Ada hikmah kenapa Allah ‎ﷻ melambatkan azab itu. Berapa ramaikah Musyrikin Mekah yang masuk Islam setelah sekian lama menentang Nabi ﷺ? Sebagai contoh, Abu Sufyan yang menjadi ketua perang menentang Rasulullah namun akhirnya masuk Islam dan menjadi Muslim yang hebat. Begitu juga dengan Khalid al Walid dan ramai lagi. Kalau awal-awal lagi mereka diazab, tentu mereka tidak ada peluang untuk beriman.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita di dunia ini. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita sama ada yang baik ataupun yang buruk. Sepatutnya kita takut dengan balasan Allah ‎ﷻ itu kalau kita buat perkara yang salah. Tetapi kalau kita buat perkara yang salah kepada manusia, kita takut sangat kalau mereka tahu.

Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu dan tiba-tiba polis lalu, tentu kita rasa takut. Namun dalam masa yang sama kita tidak takut pada Allah ‎ﷻ padahal Allah ‎ﷻ Maha Tahu segala yang kita lakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Ogos 2023

Ringkasan Surah An’am


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Al-An’am Ayat 51 – 53 (Masalah orang kaya)

An’am Ayat 51: Ayat Takhwif Ukhrawi (Penakutan tentang Akhirat).

وَأَنذِر بِهِ الَّذينَ يَخافونَ أَن يُحشَروا إِلىٰ رَبِّهِم ۙ لَيسَ لَهُم مِّن دونِهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

And warn by the Qur’an those who fear that they will be gathered before their Lord – for them besides Him will be no protector and no intercessor – that they might become righteous.

Malay

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.

وَأَنذِرْ بِهِ

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu

Ayat ini menunjukkan bahawa kita perlu memberi peringatan kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Inilah metode dakwah yang paling utama kerana ianya bukan kalam manusia tetapi kalam Allah ‎ﷻ. Apabila ia kalam Allah ‎ﷻ, maka ia mengandungi mukjizat yang dapat membuka hati-hati manusia.

Malangnya ramai manusia yang mereka-reka perkara dalam agama untuk memberi peringatan kepada manusia. Sebagai contoh, apabila mereka mengajar manusia supaya tidak membazir makanan, mereka akan kata bahawa makanan itu kalau dibazirkan akan menangis.

Tujuannya baik namun caranya adalah salah kerana kalau mereka hendak melarang manusia daripada melakukan pembaziran, telah ada hujahnya dalam Al-Qur’an dan hadith. Tetapi, mereka mahu juga menggunakan peringatan dengan cara yang lain.

Sama juga dengan mereka yang menggunakan qasidah dan nasyid untuk memberi dakwah kepada manusia. Itu juga cara yang salah. Tidak pernah Nabi ﷺ menggunakan nyanyian dalam dakwah baginda. Yang menggunakan nyanyian dalam dakwah mereka adalah Kristian.

Oleh kerana sudah ramai tidak datang gereja, maka ketua agama mereka rasa perlu menarik minat manusia dengan memberikan hiburan di gereja. Sekarang persoalannya, adakah kita hendak ikut cara Islam, atau kita hendak ikut cara agama lain?

الَّذِينَ يَخَافُون

kepada orang-orang yang merasa takut

Kepada siapakah yang perlu diingatkan? Kepada orang-orang yang takut kepada Allah ‎ﷻ. Itulah orang-orang yang telah beriman. Mereka inilah yang akan mendapat manfaat daripada peringatan yang diberikan.

Namun, kalau mereka telah beriman, kenapa perlu mereka diberi peringatan? Kerana peringatan itu akan memberi kebaikan kepada mereka. Kerana orang-orang yang takut lah yang akan mendapat peringatan ini.

Peringatan Al-Qur’an diberikan kepada semua tetapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Yang tidak takut, mereka akan buat tidak tahu sahaja apabila ayat-ayat ancaman diberikan kepada mereka. Kalau mereka tidak ada rasa takut untuk berdiri di hadapan Allah ‎ﷻ, mereka akan buat tidak kisah sahaja kepada peringatan yang diberikan dalam Al-Qur’an.

Maka kerana itu jangan hairan kalau ada dalam kalangan orang Muslim apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, mereka tidak terkesan pun. Ini kerana mereka tidak takut dengan Allah ‎ﷻ pun sebenarnya.

Allah ‎ﷻ ajar dalam ayat ini, jika mereka yang menolak itu masih tidak mahu juga mendengar kebenaran, asyik hendak berdebat sahaja, maka tinggalkan mereka. Baik tumpukan perhatian kepada orang yang hendak menerima hidayah yang disampaikan kepada mereka. Jangan layan orang yang degil teruk sangat, yang menghina, yang mempermain-mainkan agama.

Berkenaan kepercayaan kepada akhirat, umumnya manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1. Yang benar-benar percaya;
2. Yang ragu-ragu antara percaya dan tidak;
3. Tidak percaya langsung.

Bagi pendakwah, golongan 1 & 2 itu yang patut lebih diberi keutamaan. Ini supaya kita tidak membuang masa dan tenaga. Sedangkan masa itu patut diperuntukkan kepada yang ada harapan untuk menerima dakwah itu.

أَن يُحْشَرُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ

bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat),

Apakah yang mereka takutkan? Iaitu mereka akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ dan mereka akan dihisab atas segala perbuatan mereka. Mereka itu takut kerana mereka tahu bahawa keadaan itu adalah keadaan yang amat payah. Mereka tahu kerana mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith-hadith yang menceritakan keadaan di Mahsyar kelak.

Dan mereka tidak pasti sama ada mereka akan selamat atau tidak. Mereka sentiasa rasa mereka ada kekurangan daripada amalan mereka. Mereka yang sebeginilah yang akan mengikuti ajaran Al-Qur’an.

Kepada mereka yang tidak belajar,mereka sangka perhimpunan di Mahsyar itu biasa-biasa sahaja. Oleh kerana itu, mereka tidak ada rasa takut langsung. Sebagaimana kita, kalau kita tidak tahu seseorang itu garang, tentulah kita tidak takut untuk  berjumpa dengan dia kerana kita tidak ada pengetahuan tentang orang itu, bukan? Namun kepada mereka yang sudah tahu kegarangannya, mereka akan takut kerana mereka telah kenal dia.

Begitu jugalah kita yang telah belajar tafsir Al-Qur’an ini – kita telah tahu bahawa perhimpunan di Mahsyar itu adalah perkara yang menyeksakan sekali. Maka kita amat berjaga-jaga.

لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ

tiadalah bagi mereka pelindung yang lain daripada Allah,

Apa yang perlu diingatkan kepada manusia? Iaitu di akhirat nanti, tidak ada penolong selain Allah ‎ﷻ. Pada hari akhirat tidak ada sesiapa pun yang boleh menolong sesiapa pun.

Jadi, ayat ini mengingatkan kita untuk berharap pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita mengikut suruhan-Nya. Jangan hendak bergantung kepada wali, kepada Nabi, kepada keturunan kita. Itu semua adalah harapan palsu sahaja. Akhirnya, kita kena bergantung kepada amalan kita sendiri.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak juga pemberi syafaat

Ingatlah bahawa pada hari akhirat nanti, tidak  ada sesiapa pun yang boleh memberikan syafa’at ataupun memberi pertolongan kepada sesiapa pun. Oleh itu janganlah mengharap kepada sesiapa melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Ramai yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad, padahal tidak boleh minta syafaat dengan Nabi. Walaupun ada hadith yang mengatakan Nabi ﷺ akan beri syafaat di akhirat kelak. Memang Nabi ‘pemberi Syafaat’ tapi jangan salah faham.

Begini untuk faham: Memang Nabi ﷺ akan beri syafaat. Tetapi bukan baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafaat. Nabi Muhammad ﷺ ‘tukang sampaikan’ sahaja. Kita buat perumpamaan pelajar universiti yang hanya akan dapat sijil graduan kalau dia sudah melepasi ujian-ujian yang ditetapkan di universiti itu.

Memang semasa Hari Graduasi, chancellor yang akan sampaikan skrol itu. tetapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan dapat skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak dapat ijazah itu adalah bahagian lain yang bertanggungjawab menentukan berdasarkan daripada keperluan yang telah dipenuhi oleh pelajar itu.

Itu pun kalau dia telah memenuhi segala syarat untuk mendapatnya. Maka begitu juga dengan syafaat. Pertama, hanya Allahﷺ  yang menentukan siapa yang akan dapat syafaat. Keduanya, syafaat itu diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Antara kelayakan utama, hendaklah tidak mengamalkan syirik.

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

supaya mereka bertaqwa.

Inilah tujuan manusia diingatkan dengan Al-Qur’an – supaya manusia menjadi orang yang bertaqwa. Mereka yang mengambil peringatan daripada wahyu akan mendapat taqwa.

Taqwa adalah meninggalkan dosa sama ada kecil atau besar. Seorang muttaqeen tidak merendahkan dosa-dosa kecil kerana mereka sedar bahawa dosa kecil yang banyak akan membawa kepada dosa besar akhirnya.

Dan mereka itu ibarat orang yang berjalan di jalan yang penuh berduri. Apa yang akan dilakukan kalau jalan penuh berduri? Tentunya mereka akan berhati-hati supaya tidak kena duri itu. Oleh itu, kita kena hidup dalam dunia dengan penuh berhati-hati. Setiap perbuatan kita, kita kena fikirkan sama ada ia dibenarkan oleh Allah ﷺ atau tidak. Untuk tahu sama ada ia dibolehkan atau tidak, kenalah seseorang itu berilmu. Kena belajar apakah hukum Allah ‎ﷻ di dalam setiap perkara.


An’am Ayat 52: Zajrun (teguran daripada Allah ‎ﷻ). Nabi ﷺ pernah ditegur oleh pemuka Quraish yang rasa diri mereka bangsawan. Jadi mereka tidak mahu duduk sekali dengan para sahabat yang miskin. Mereka mahu Nabi ﷺ asingkan mereka semasa berbincang kerana mereka rasa mereka tidak layak duduk bersama golongan marhaen.

Ini bermakna Nabi ﷺ kena halau golongan yang kelas rendah itu. Allah ‎ﷻ larang Nabi ﷺ lakukan perkara ini. Jangan layan orang kafir dengan memberi keistimewaan kepada mereka untuk belajar wahyu. Allah‎ ﷻ mahu manusia sama rata. Jangan ajar fahaman kasta dalam masyarakat. Jangan pandang golongan kelas bawahan itu sebagai hina sedangkan mereka itulah sebenarnya yang mulia.

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And do not send away those who call upon their Lord morning and afternoon, seeking His countenance. Not upon you is anything of their account and not upon them is anything of your account. So were you to send them away, you would [then] be of the wrongdoers.

Malay

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

وَلَا تَطْرُدِ

Dan janganlah engkau usir

Nabi ﷺ disuruh dalam ayat ini supaya jangan buat tidak kisah kepada para sahabat-sahabat baginda. Jangan usir mereka dari sisi baginda. Perkataan تَطْرُدِ daripada perkataan ط ر د yang bermaksud ‘membuang sesuatu yang kita rasa tidak baik, hina dan tidak elok.’

Selalunya, mereka yang mula-mula menerima Islam adalah mereka yang miskin dan lemah dalam masyarakat. Ini adalah kebiasaan zaman berzaman. Akan tetapi, Nabi ﷺ berharap supaya ada kalangan mereka yang kaya dan berpengaruh dalam kalangan bangsa Arab yang akan masuk Islam dan akan menguatkan islam. Ini kerana kalau mereka masuk Islam, maka akan lebih ramai yang akan ikut mereka.

Tetapi mereka itu sangat sombong sampaikan mereka tidak mahu duduk bersama dengan Nabi ﷺ kalau ada golongan mereka yang lemah itu. Mereka anggap mereka kasta tinggi dan tidak layak duduk dengan golongan kasta rendah itu. Maka mereka suruh Nabiﷺ  halau dulu sahabat-sahabat yang telah beriman itu.

Namun Allah ‎ﷻ telah melarang Nabi ﷺ supaya jangan halau dan tinggalkan mereka. Sebaliknya hendaklah baginda jadikan mereka sebagai sahabat rapat baginda kerana mereka itu sebenarnya orang yang mulia.

الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم

orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka

Maksudnya mereka sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka meminta kepada Allah ‎ﷻ dalam segala keperluan mereka. Dan juga mereka banyak melakukan ibadat kerana doa itu adalah ibadah. Maknanya, mereka itu rapat dengan Allah ‎ﷻ kerana kalau kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ, kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Tautan hati kita sentiasa bersama-Nya.

Ayat ini mengajar kita tentang kepentingan berada bersama orang-orang yang soleh. Allah ‎ﷻ menyuruh kita berkawan dengan orang yang baik-baik. Banyak kebaikan kalau kita berkawan dengan orang-orang yang baik.

Ia juga adalah larangan untuk menghalau mereka yang soleh dan benar-benar hendak belajar agama. Jangan kerana mereka miskin dan tidak ada pengaruh, kita pandang rendah kepada mereka. Ini bukan ajaran agama Islam. Islam tidak memandang kedudukan dan kasta.

بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ

pagi dan petang,

Para sahabat yang miskin itu sentiasa beribadat siang dan malam. Maknanya mereka sentiasa ingat kepada Allah‎ﷻ . Hidup mereka sentiasa menghubungkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Maka jangan usir mereka.

Ini adalah satu konsep yang penting. Kita kena ingat bahawa dalam Mekah pada waktu itu, ada banyak jenis manusia. Ada yang elit, ada kelas hamba, ada yang pendatang dan sebagainya. Yang mula menerima Islam adalah orang yang susah dan lemah. Nabi ﷺ mengharapkan ada yang beriman dalam kalangan yang kuat dan berkuasa. Kerana itulah baginda juga berdakwah kepada golongan yang ada kedudukan dalam kalangan Quraish.

Itu adalah perbuatan yang baik juga, kerana kalau yang berkuasa masuk Islam, pengikut mereka pun akan masuk Islam juga. Maka dengan ini Islam akan lebih cepat berkembang. Jangan kita anggap Nabi ﷺ pilih kasih pula dalam hal ini. Nabi ﷺ sebenarnya memandang kepada kebaikan Islam secara keseluruhan. Namun dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah dan yang beribadat siang dan malam.

Walaupun mendapatkan sokongan yang kuat adalah strategi yang bagus, tetapi jangan lupa kepada golongan yang lemah. Mereka itu beriman dengan benar dan banyak beribadat. Tidak kira mereka itu daripada golongan mana pun. Mereka itu yang lebih penting sebenarnya kerana mereka itu ikhlas beragama.

Mereka lebih tinggi sebenarnya kedudukan di sisi Allah ‎ﷻ kerana kedudukan di sisi Allah ‎ﷻ bukanlah berdasarkan berapa banyak harta dan berapa banyak pengikut kamu, tetapi betapa tingginya taqwa mereka.

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

mereka menghendaki Wajah-Nya semata-mata.

Kenapa mereka berdoa dan beribadat siang dan malam? Kerana mereka mencari ‘wajah’ Allah ‎ﷻ. ‘Cari wajah Allah ‎ﷻ’ bermaksud ‘mencari redha Allah ‎ﷻ’. Maknanya mereka itu ikhlas dalam ibadah mereka. Ini mengajar kita penting ikhlas dalam beribadah. Tanpa ikhlas, ibadah kita tidak ada nilai.

Juga bermaksud mereka hendak melihat wajah Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Kerana mereka yang beriman akan dapat melihat wajah Allah ‎ﷻ nanti di akhirat kelak. Ada persamaan ayat ini dengan ayat Kahf:28.

مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka,

Kepada yang selain daripada mereka yang beribadat itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak bertanggungjawab ke atas amalan dan pahala mereka. Mereka itulah orang musyrik. Kamu, wahai Muhammad ﷺ tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak beriman.

Saad Abi Waqas رضي الله عنه meriwayatkan hadith bahawa kejadian ini berlaku semasa beliau bersama Nabi ﷺ dan lima orang sahabat yang lain. Musyrik Mekah datang dan berkata kepada Nabi ﷺ, kalau Nabi ﷺ hendak mereka duduk bersama baginda (untuk dengar dakwah baginda), maka hendaklah Nabi ﷺ menghalau dulu sahabat-sahabat yang sedang berada bersama Nabi ﷺ itu. Ini kerana golongan berpengaruh Musyrikin Mekah itu memandang rendah sahabat-sahabat Nabi ﷺ itu kerana mereka itu berkedudukan tinggi dan rasa tidak layak duduk bersama orang-orang yang miskin dan hina itu.

Terdetik di hati Nabi ﷺ yang mungkin baginda boleh menyuruh sahabat-sahabatnya itu untuk pergi sementara supaya baginda boleh berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraish itu. Ada juga riwayat yang mengatakan ini adalah nasihat daripada Saidina Umar رضي الله عنه. Bukan lama pun, sekejap sahaja. Mungkin itu akan memberi peluang untuk mereka mendengar apa yang baginda sampaikan, dan kalau mereka masuk Islam, maka ramailah nanti orang musyrik yang masuk Islam. Niat baginda adalah baik. Baginda hendakkan lebih ramai masuk Islam.

Nabi ﷺ diingatkan bahawa apa yang baginda rasa itu adalah salah. Mereka itu rasa sombong sampai tidak mahu duduk bersama manusia yang mereka pandang hina. Maka, kalau mereka tidak mahu beriman, jangan hiraukan mereka dan Nabi ﷺ tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak mahu beriman. Ini kerana bukan salah Nabi ﷺ jika mereka tidak mahu beriman. Maka Nabi ﷺ diberitahu supaya jangan rasa bersalah kalau mereka tidak beriman. Setiap orang bertanggungjawab untuk dirinya sendiri.

Ayat ini mengajar kita, bahawa mereka yang meletakkan syarat untuk beriman, tidak akan beriman. Sebagai contoh, kalau ada yang kata kalau mereka sudah berjaya dapat satu projek, mereka akan mula masuk kelas tafsir, itu bukanlah iman yang sebenarnya. Mereka tidak akan datang walaupun mereka telah berjaya.

Mereka yang memandang rendah orang lain kerana kekurangan pada orang juga adalah orang yang tidak beriman. Orang beriman akan menyayangi sesiapa yang beriman juga tanpa mengira latar belakang mereka.

Yang penting adalah iman. Ini yang sepatutnya menjadi nilai pada kita. Oleh itu, apabila seorang lelaki ingin memilih pasangan hidupnya, hendaklah dia mencari seseorang yang beriman. Imanlah yang amat penting. Imanlah yang dipandang tinggi oleh Allah ‎ﷻ. Ia adalah sifat yang paling disayangi oleh Allah ‎ﷻ. Maka jangan hanya melihat kedudukan dunia mereka.

وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ

dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu.

Setiap orang hanya bertanggungjawab kepada amalan mereka sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh sedekah atau pindahkan pahala kepada sesiapa pun. Maka, amalan yang dilakukan oleh ramai masyarakat Islam kita, iaitu Majlis Tahlilan itu adalah perbuatan yang sia-sia sahaja.

Kerana Majlis Tahlil itu bertujuan hendak memberi pahala kepada si mati, tetapi ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh sedekah atau pindahkah pahala kita kepada orang lain. Sudahlah perbuatan itu adalah satu perbuatan bid’ah kerana tidak pernah dibuat Nabi ﷺ. Tambahan pula entah berapa banyak kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam majlis itu. Sebagai contoh, selalunya sebelum memulakan tahlil, akan ada tawasul kepada Nabi Muhammad ﷺ dahulu (apabila sedekah Fatihah kepada baginda dengan lafaz ila hadratin…)

فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظّلِمِينَ

Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

Maka jangan halau orang yang hendak belajar agama. Tidak boleh kita halang sesiapa yang hendak datang belajar. Kalau buat begitu, maka kita adalah zalim, iaitu tidak adil dalam menyampaikan wahyu. Dosa zalim adalah amat besar sekali.

Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada berdakwah kepada masyarakat Arab. Kalau kita belajar sirah Nabi, kita akan tahu perkara ini. Mereka juga menghalang manusia daripaa rapat dan mendengar ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tahu, kalau ada yang mendengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ, hati mereka akan terkesan dan ramai yang akan masuk Islam.

Ingatlah yang tidak ada sesiapa boleh memberi rahmat melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ pemberi rahmat dan makhluk penerima rahmat. Salah satu rahmat itu adalah ‘berkat’. Masalahnya sekarang ini ramai yang kononnya hendak ambil ‘berkat’ daripada orang lain sebagaimana Kristian yang mengambil berkat daripada Nabi Isa عليه السلام.

Ini adalah ajaran yang salah. Kalau ada yang kata manusia boleh beri berkat, hendaklah diberikan dalil. Sebagai contoh, majlis ilmu ada berkat, dan itu ada dalil. Tetapi mana dalil daripada sumber yang sahih mengatakan yang manusia boleh beri berkat kepada orang lain? Oleh itu, apabila manusia menggunakan berkat Nabi untuk menyempurnakan majlis bid’ah mereka, maka itu adalah syirik.

Ini juga adalah ayat tentang kepimpinan. Itu adalah salah satu daripada tanggungjawab Nabi Muhammad ﷺ. Kita boleh mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Apabila pemimpin sedang memimpin, tentulah dia memandang dan mengharapkan sokongan daripada orang yang kuat. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah.

Seperti sekarang, kalau kita hendak membina masjid, kita akan cari mereka yang kaya raya. Namun kita lupa kepada mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal mereka pun ada kelebihan juga. Mereka itulah nanti yang akan memakmurkan masjid itu, bukan mereka yang kaya raya itu. Kadangkala mungkin yang beri duit itu tidak datang pun ke masjid selepas itu.

Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺbuntuk jangan memandang kepada kekayaan manusia. Kekayaan itu bukanlah tanda iman seseorang.


An’am Ayat 53: Maka kedudukan tinggi dalam masyarakat menjadi ujian bagi sesetengah manusia untuk menerima kebenaran. Memang dunia ini adalah tempat ujian dan salah satu ujian adalah kedudukan dalam dunia.

وَكَذٰلِكَ فَتَنّا بَعضَهُم بِبَعضٍ لِّيَقولوا أَهٰؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيهِم مِّن بَينِنا ۗ أَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِالشّٰكِرينَ

Sahih International

And thus We have tried some of them through others that the disbelievers might say, “Is it these whom Allah has favored among us?” Is not Allah most knowing of those who are grateful?

Malay

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ

Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada manusia dengan sebahagian yang lain;

Sebahagian manusia menjadi ujian kepada sebahagian yang lain. Dalam ayat sebelum ini, orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada musyrikin yang kaya. Ujian mereka adalah: mereka tetap kena terima Islam walaupun yang mula-mula beriman adalah golongan miskin dan lemah.

Iaitu, kerana yang miskin telah beriman, menyebabkan musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama Nabi ﷺ. Mereka rasa kedudukan mereka tinggi sampai mereka tidak layak duduk bersama orang-orang yang lemah dan miskin. Dan Allah mentakdirkan pula, memang orang miskin yang mula-mula terima kebenaran tauhid.

Memang orang miskin tidak ada apa sangat yang mereka hendak fikirkan. Ini kerana tidak ada apa yang mereka akan kehilangan kalau mereka terima ajaran agama. Mereka sudah terima yang dunia ini sementara sahaja dan mereka berharap kepada akhirat kerana mereka tidak ada kedudukan dan kesenangan di dunia pun.

Kita semua sebenarnya diuji dengan orang lain. Dan kita juga akan menjadi ujian kepada orang lain juga. Mungkin keluarga kita, kawan kita, guru kita, bos kita di tempat kerja dan sebagainya. Kita juga diuji dengan orang-orang yang jahat. Kita juga diuji dengan orang-orang yang tidak berniat jahat pun dengan kita. Sentiasa sahaja ujian di dunia ini berjalan kerana kita memang hidup dalam kalangan manusia, maka antara ujian adalah daripada manusia juga.

Ingatlah kalau kita sedang diuji dengan perbuatan manusia lain, maka kenalah kita ingat ayat ini. Sedarlah bahawa mereka itu adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Dan kita kena selesaikan dan tangani segala ujian itu. Pertamanya, kita kena berikan hak mereka. Jangan buat tidak tahu sahaja tentang hak mereka. Kalau kita tidak berikan hak mereka, bermakna kita yang menjadi ujian bagi mereka.

لِّيَقُولُوا أَهَٰؤُلَاءِ

supaya mereka (orang-orang yang kaya) itu berkata: “Inikah orang-orangnya

Yang berkata begini adalah golongan pemuka-pemuka Quraish. Siapakah yang mereka maksudkan? Mereka maksudkan sahabat-sahabat yang miskin dan lemah kedudukan dalam masyarakat Arab waktu itu.

Daripada ayat ini juga kita dapat tahu bahawa memang selalunya orang yang miskin dan lemah yang mengikut Nabi ﷺ‎. Bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja tetapi Nabi-Nabi yang terdahulu pun begitu juga. Pengikut mereka adalah orang-orang yang miskin-miskin belaka. Ini kerana yang kaya selalunya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka.

Mereka yang kaya susah mahu merendah diri. Maka kerana itulah yang mula-mula mahu menerima iman selalunya adalah orang-orang yang lemah dan miskin.

مَنَّ اللهُ عَلَيْهِم مِّن بَيْنِنَا

yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?

Mereka rasa mereka lebih layak untuk mendapat iman berbanding orang-orang lemah dan miskin itu kerana mereka sangka mereka lebih pandai dan mereka lebih kaya. Mereka kata sepatutnya mereka dululah yang dapat iman daripada Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana mereka dapat harta yang banyak. Mereka kata yang Allah‎ ﷻ silap beri rahmat pula kepada manusia. Maknanya, mereka telah gagal dalam ujian yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Kenapa mereka tidak berpuas hati? Kerana banyak daripada sahabat-sahabat sudah masuk Islam itu tidak pandai membaca dan menulis pun. Mereka juga miskin dan lemah kedudukan di sisi masyarakat. Jadi puak musyrik yang kaya itu rasa mereka lebih layak untuk mendapat kelebihan kalau ada pun.

Mereka rasa kalau orang orang miskin itu sudah beriman, mereka tidak mahu beriman sebab mereka tidak mahu bercampur dengan orang-orang miskin dalam majlis yang sama. Kalau baru sekarang mereka beriman, bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani oleh mereka yang lemah itu.

Mereka seolah-olah orang yang terlambat dan telah didahului oleh orang-orang yang lemah pula. Itu yang mereka tidak mahu kerana malu. Mereka rasa malu sebab seolah-olah mereka lambat dapat kebenaran. Begitulah teruknya fikiran mereka, sampaikan mereka sanggup tidak beriman kerana takut mereka akan dikatakan begitu nanti.

Maka daripada ayat ini, tahulah kita bahawa tidaklah semestinya orang-orang yang beriman itu dalam kalangan orang-orang kaya (atau orang-orang miskin pun). Allah ‎ﷻ pilih sesiapa yang Dia hendak pilih. Tidak ada kelebihan sama ada kamu kaya atau berkuasa. Yang penting adalah iman.

أَلَيْسَ اللهُ بِأَعْلَمَ بِالشّٰكِرِينَ

“Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

Ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan taufiq dan hidayah. Allah ‎ﷻ tidak pernah salah dalam memberi nikmat. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca dan menulis, tetapi mereka yang sebenarnya layak.

Kerana apa? Kerana mereka golongan yang bersyukur. Kerana itulah mereka berhak menerima tauhid dan iman. Orang yang bersyukur akan mendapat kelebihan tambahan daripada Allah ‎ﷻ.

Kerana itu Allah ‎ﷻ berikan iman kepada mereka dan bukan kepada musyrikin yang kaya dan berkedudukan itu. Kita sebagai manusia tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ. Adakah kita layak untuk mempersoalkan Allah ‎ﷻ? Tentu tidak sama sekali. Mereka yang mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ seperti yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah itu amatlah kurang ajar.

Siapakah orang yang bersyukur? Mereka itu adalah orang-orang yang tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka juga berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Ibadah pula mereka ikut cara ajaran Nabi ﷺ. Bermakna, mereka mengikut semuanya arahan dan pedoman daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi. Selepas itu barulah mereka menyebut Alhamdulillah.

Bukanlah hanya menyebut ‘Alhamdulillah’ berkali-kali, tetapi perintah dan arahan-Nya tidak diikuti. Maknanya, orang-orang yang bersyukur ini adalah orang yang taat kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada Rasulullah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 4 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an