Tafsir Surah al-An’am Ayat 71 – 73 (Kawan ajak pun tak guna)

Ayat 71: Setelah dalil-dalil disebut, ini adalah natijahnya.

قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَنفَعُنا وَلا يَضُرُّنا وَنُرَدُّ عَلىٰ أَعقابِنا بَعدَ إِذ هَدٰنَا اللَّهُ كَالَّذِي استَهوَتهُ الشَّيیٰطينُ فِي الأَرضِ حَيرانَ لَهُ أَصحٰبٌ يَدعونَهُ إِلَى الهُدَى ائتِنا ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۖ وَأُمِرنا لِنُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Say, “Shall we invoke instead of Allah that which neither benefits us nor harms us and be turned back on our heels after Allah has guided us? [We would then be] like one whom the devils enticed [to wander] upon the earth confused, [while] he has companions inviting him to guidance, [calling], ‘Come to us.’ ” Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance; and we have been commanded to submit to the Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

قُلْ أَنَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ

Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah,

Ramai yang menyeru selain dari Allah. Mereka seru kepada wali, kepada malaikat dan kepada Nabi-nabi. Sebagai contoh, puak-puak Habib buat majlis ‘menyeru’ Nabi Muhammad. Ramai yang tertipu sampaikan penuh satu stadium memuja Nabi Muhammad yang dah wafat.

Alasan mereka buat amalan syirik dan bidaah itu adalah untuk ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Tapi cara mereka itu adalah menggunakan ‘perantaraan’ sama ada dengan Nabi, wali atau malaikat.

Inilah yang dinamakan ‘tawasul‘. Amat ramai yang salah faham dengan tawasul ini. Banyak dibincangkan dalam penulisan tafsir ini. Harap boleh dibaca bahagian-bahagian tersebut dan dibuat pemahaman yang lebih jitu.

مَا لَا يَنفَعُنَا

sesuatu yang tidak dapat mendatangkan apa-apa kemanfaatan kepada kita

Adakah dengan kita menyeru Nabi, wali atau malaikat itu akan memberi manfaat kepada kita? Tidak sama sekali kerana yang diseru itu tidak tahu pun mereka diseru. Kerana mereka sudah lama wafat dan mereka tidak dapat dengar apa yang kita seru kepada mereka.

Dan malaikat yang diseru itu walaupun mereka mungkin dapat dengar, mereka tidak dapat melayan kehendak kita pun. Kerana mereka hanya menurut arahan dari Allah sahaja. Maka itu pun perbuatan yang sia-sia juga. Maka kita ingatkan di sini bahawa perbuatan menyeru selain dari Allah itu adalah perbuatan yang mungkar.

وَلَا يَضُرُّنَا

dan tidak (pula) mendatangkan kemudharatan kepada kita

Kalau buat tidak dapat apa, kalau tak buat pun tidak jadi apa. Apa bahaya kepada kita kalau kita tidak menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara kita? Tentu tidak ada apa-apa mudharat pun, bukan?

Maka jangan kita jadi puak musyrik yang sembah berhala. Mereka diajar kalau tidak disembah berhala-berhala itu, mudharat akan datang kepada mereka. Itulah ajaran syirik yang semakin lama semakin teruk dalam masyarakat kita.

وَنُرَدُّ عَلَىٰ أَعْقَابِنَا

dan (apakah) kita akan kembali ke belakang,

Adakah patut kita kembali ke belakang? Kembali ke belakang itu maksudnya menjadi kafir semula, apabila kita telah beriman. Setelah masyarakat Melayu kita ini menerima Islam beratus-ratus dahulu, adakah patut kita ambil balik pemahaman agama Hindu tok nenek kita dahulu? Tentu tidak patut sama sekali.

بَعْدَ إِذْ هَدٰنَا اللَّهُ

sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita,

Takkan kita nak jadi murtad balik selepas kita telah mendapat iman? Hidayah telah lama Allah berikan tapi kita tidak ambil peduli? Kita tidak mahu belajar wahyu Allah yang ada dalam Qur’an ini? Maka alangkah rugi sekali.

كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيٰطِينُ فِي الْأَرْضِ

seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di dunia;

Kalimah اسْتَهْوَتْهُ dari katadasar ه و ي (hawa) yang bermaksud ‘keinginan’. Atau kita selalu gunakan dengan perkataan ‘hawa nafsu’. Ianya apabila kita berfikir tidak menggunakan akal lagi tapi menggunakan emosi kita, nafsu kita.

Ianya juga bermaksud ‘jatuh daripada atas’. Apabila kita terjatuh dari atas, kita tak tahu ke mana kita akan jatuh lebih-lebih lagi jika kita jatuh dari kedudukan yang tinggi.

Jadi اسْتَهْوَتْهُ bermaksud perbuatan yang menyebabkan seseorang hilang arah setelah akalnya tidak berfungsi lagi. Akal tidak berfungsi setelah hawa nafsunya mengambil alih keputusan yang sepatutnya dilakukan oleh akal.

Perkataan ini juga digunakan untuk menerangkan ‘orang gila’ kerana bangsa Arab percaya yang orang yang gila itu adalah mereka yang telah dirasuk oleh jin. Dan memang dalam zaman moden ini pun ada mangsa yang hilang akal sampai jadi gila kerana dirasuk oleh jin.

Maka dalam ayat ini, orang yang melakukan syirik diibaratkan oleh Allah sebagai orang yang telah hilang akal sepenuhnya. Mereka telah dikawal oleh syaitan sampai syaitan boleh arahkan mereka buat apa-apa sahaja. Sampai begitu sekali mereka itu diibaratkan oleh Allah. Kalau akal ada, tapi tidak digunakan, orang jenis apa itu?

حَيْرَانَ

dalam keadaan bingung,

Perkataan ini berasal dari katadasar ح ي ر yang bermaksud ‘bingung tidak tahu ke mana hendak pergi’. Tidak ada arah tujuan dan kerana itu mereka akan bergerak berpusing-pusing. Bayangkan kalau kita berjumpa dengan orang gila yang berseorangan di pekan, bagaimanakah keadaannya? Tentulah dia dalam keadaan kebingungan dan kalau kita tanya dia apa-apa pun dia tidak tahu.

Begitu jugalah dengan orang yang tidak belajar tafsir Qur’an. Kalau kita beritahu kepada mereka bahawa tawasul itu tidak boleh, mereka kehairanan dan kebingungan. Kerana mereka telah diajar dari dulu lagi untuk buat macam tu. Mereka telah diajar oleh guru-guru yang sesat bahawa tawasul itu bagus, digalakkan.

Apabila kita kata kepada mereka, bahawa kebanyakan amalan mereka selama hari ini adalah amalan bidaah, lagi terkejut mereka. Kita boleh nampak kehairanan dan kebingungan mereka.

لَهُ أَصْحٰبٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى

dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus

Dalam masa yang sama, mereka itu masih ada lagi kawan-kawan macam kita yang mengajak mereka untuk menyelamatkan mereka dari syirik. Maka kitalah yang kena nasihatkan kepada mereka untuk berhenti dari buat amalan-amalan syirik dan bidaah seperti solat hajat dan segala amalan bidaah lain.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.

ائْتِنَا

(dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami”.

Kita telah jumpa jalan yang benar, maka kita kena ajak mereka untuk ikut kita. Ajaklah mereka dengan cara yang paling baik. Cari peluang bagaimana hendak mengajak mereka. Fikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita ajak mereka. Jadi ilmu-ilmu dakwah pun kena ada juga.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk;

Allah boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah. Kalau tidak mahu kebenaran, kalau ada kawan ajak kepada kebenaran pun dia tidak akan terima.

Hidayah adalah hak Allah. Kita boleh nak beri dakwah, tapi sama ada dia terima atau tidak, bukan kuasa kita untuk menentukan. Kita hanya boleh dakwah dan doa untuk mereka.

وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعٰلَمِينَ

dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam,

Iaitu kita telah disuruh untuk serah diri 100% kepada Allah. Kerana Dialah Tuhan sekalian alam. ‘Serah diri’ itu bermakna ikut segala arahan dan tinggalkan segala laranganNya. Yang paling penting kita mulakan adalah dengan belajar tafsir Qur’an kerana Qur’an ini mengandungi ajaran tentang akidah dan tauhid. Itulah sepenting-penting ilmu.

Dengan belajar tafsir Qur’an, maka kita akan faham apakah kehendak Allah kerana Allah telah terangkan dalam Qur’an bagaimana menjadi seorang Muslim.


Ayat 72:

وَأَن أَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَاتَّقوهُ ۚ وَهُوَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And to establish prayer and fear Him.” And it is He to whom you will be gathered.

Malay

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

وَأَنْ أَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

dan agar mendirikan sembahyang

Telah dititahkan kepada kita: Kenalah buat amalan ibadah selain dari cakap beriman juga. Iman kena dibuktikan dengan amalan. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ solat. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, solat itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sampai kepada salam sahaja.

Ianya mempunyai perbuatan yang lebih lagi dari itu. Iaitu kena dimulakan dari mandi junub dengan betul dan ambil wuduk dengan betul. Pakai pula pakaian yang bersih. Dan solat sepertimana yang Nabi ajar. Bukan setakat amalan solat itu sahaja. Bermakna, kita kena menjaga ‘institusi’ solat itu. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.

‘Mendirikan’ juga bermaksud kita kena mementingkan solat itu dari segala perbuatan lain. Bayangkan kalau solat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang solat itu adalah tiang agama. Kalau tiang rumah, ianya adalah perkara pertama yang perlu dibina di sesebuah rumah. Iaitu sebelum dimasukkan perabot dan benda lain lagi dalam rumah itu.

Kalau kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambil kira tiang rumah itu. Kerana kita tidak boleh ubah tiang. Katakanlah kita nak letak kerusi di tengah rumah, tapi tiang sudah ada di tengah rumah. Tak boleh kita nak ubah tiang itu, maka kerusi itu yang kena mengalah.

Maka, begitu juga dengan solat. Solat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena mengalah dengan solat. Tidak boleh solat yang digenjak-genjak kerana nak jalankan keperluan hidup kita. Sebagai contoh, kerja, temujanji kita, makan minum, bersukan dan sebagainya.

Semua itu boleh dibuat, tapi solat mengambil keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu solat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.

وَاتَّقُوهُ

serta bertakwa kepada-Nya”.

Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah. Jaga dari dari buat syirik dan dosa-dosa yang lain. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah dalam perkara itu. Supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita ikut suka kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.

وَهُوَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan Dialah Tuhan yang kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Qur’an yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah nanti. Supaya kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.

Kalau kita dapat yakin perkara ini, maka tentulah kita tidak berani untuk buat perkara-perkara yang salah. Maka tentu kita akan berhati-hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Kerana kita takut untuk ditanya di hadapan Allah kenapa kita lakukan mana-mana dosa.


Ayat 73: Dalil Aqli.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ وَيَومَ يَقولُ كُن فَيَكونُ ۚ قَولُهُ الحَقُّ ۚ وَلَهُ المُلكُ يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ ۚ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Sahih International

And it is He who created the heavens and earth in truth. And the day He says, “Be,” and it is, His word is the truth. And His is the dominion [on] the Day the Horn is blown. [He is] Knower of the unseen and the witnessed; and He is the Wise, the Acquainted.

Malay

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar.

Allah mencipta alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. Inilah tujuan alam dijadikan. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah lah yang mencipta semua sekali. Oleh itu, kenalah puja Dia sahaja, lakukan ibadah kepada Dia sahaja. Dan pastikan kita berdoa kepada Dia sahaja.

وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ

di hari Dia mengatakan: “Jadilah, lalu terjadilah”,

Kalimah يَوْمَ bermaksud ‘hari’ dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu Allah akan memberi arahan kepada semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan.

قَوْلُهُ الْحَقُّ

benarlah perkataan-Nya

Bermaksud apabila Allah memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ianya akan pasti berlaku kerana perkataan Allah adalah perkataan yang haq. Kalimah Allah pasti akan memberi kesan. Ia pasti akan terjadi. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ianya pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah itu. Kalau kita yang beri arahan, belum tentu akan jadi lagi.

وَلَهُ الْمُلْكُ

dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan

Segala kehendak Allah akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. Kalimah al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, satu-satu negara, negeri dan sebagainya. Tapi kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak.

Kekuasaan Allah lah yang mutlaq. Dan ianya akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah tanpa syak lagi.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

di waktu sangkakala ditiup.

Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah sahaja. Kalau dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit.

Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa tetapi pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah sahaja yang berkuasa pada hari itu.

Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘sesuatu akan ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.

عٰلِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Dia mengetahui yang ghaib dan yang boleh dinampak.

Kalimah الشَّهَادَةِ bermaksud sesuatu yang boleh digarap dengan pancaindera. Makhluk hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Makhluk tidak boleh mengetahui yang ghaib melainkan diizinkan oleh Allah.

Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tahu perkara yang ghaib dengan kehendak mereka, maka itu adalah salah sama sekali.

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kalimah الْحَكِيمُ bermaksud terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah termasuk di dalam keputusan Allah untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan diberikan pada hari itu.

Kalimah الْخَبِيرُ bermaksud Allah Maha Tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhlukNya. Maka apabila Allah memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ianya adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah akan hukum makhluk atas perkara yang mereka tidak lakukan.

Kalimah الْخَبِيرُ bermaksud Allah bukan hanya tahu tentang perkara yang dizahirkan oleh makhlukNya tetapi apa-apa sahaja yang tidak dizahirkan oleh mereka. Perkara batin yang dalam hati pun Allah tahu juga. Jadi Allah siapa yang ikut kebenaran dan siapakah yang tidak mahu ikut.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya. 

Kemaskini: 18 Januari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s