Tafsir Surah Baqarah Ayat 124 (Kisah Nabi Ibrahim)

NABI IBRAHIM DI MEKAH

Baqarah Ayat 124: Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini adalah kali pertama kita berjumpa kisah baginda di dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ada keistimewaan pada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan. Jadi mereka sepatutnya jangan pandang rendah sangat kepada ‘Bani Ismail’ itu.

Jadi dalam ayat-ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام bukan hanya ada Nabi Ishaq عليه السلام sahaja (bapa keturunan Yahudi) tapi ada seorang lagi iaitu Nabi Ismail عليه السلام, abang sulung kepada Nabi Ishaq عليه السلام.

Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir dari doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka dan sekarang kita akan belajar tentang datuk mereka dan juga datuk kita juga, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.

Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sampai ada beri nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda. Yahudi dan Nasara perasan Nabi Ibrahim adalah Yahudi atau Nasrani maka pemahaman mereka ditolak di dalam kisah tentang Nabi Ibrahim ini.

Ayat 124 – 141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka jangan ikut ajaran tok nenek mereka sahaja tapi kena kembali kepada ajaran asal mereka iaitu bawaan Nabi Ibrahim yang mereka sendiri terima. Ini juga pengajaran kepada kita sebenarnya untuk kembali kepada ajaran Islam yang asal. Jangan tengok hanya kepada Islam yang sampai di negara ini dan diamalkan turun temurun, tapi kembalilah kepada ajaran Islam yang asal.

Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام (anak Nabi Ishak dan cucu kepada Nabi Ibrahim) supaya mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.

وَإِذِ ابتَلىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham was tried by his Lord with commands and he fulfilled them. [ Allah ] said, “Indeed, I will make you a leader for the people.” [Abraham] said, “And of my descendants?” [ Allah ] said, “My covenant does not include the wrongdoers.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

 

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ

Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya

Allah ‎ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar. Baginda telah mendapat julukan Khalilullah (Kekasih Allah) kerana ujian dan sanggupnya baginda menghadapi segala ujian itu.

Kalimah اِبتِلَى adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah menguji‘. Ia di dalam format Wazan VIII (افتعل) Ia dari kata dasar ب ل و yang bermaksud cubaan, ujian sama ada baik atau jahat; menjadi tua dan usang, haus dan lusuh, layu, reput; tidak mengambil berat, tidak mempedulikan, tidak mengendahkan, atau memberi perhatian; menganugerahkan nikmat, faedah atau berkat; bersumpah, perjanjian; memaklumkan; berkenalan; mendedahkan; menjelma; membuatkan jelas; bersaing; berusaha atau bersegera.

Siapakah Nabi Ibrahim? Ada yang mengatakan nama Ibrahim itu dari gabungan ab (ayah) dan rahim (penuh kasih). Maknanya baginda adalah seorang ayah yang penuh kasih sayang. Ada juga pendapat yang mengatakan Abram adalah bahasa Ibrani (Hebrew) yang bermaksud ayah kepada kelompok manusia yang banyak.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir dan membesar di bumi Iraq. Ini sekitar 4 ribu tahun yang lalu di wilayah Kasdim atau Kaldan. Kemudian baginda telah hijrah ke Palestin. Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadith Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Selepas kelahiran Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah ﷻ memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz (Mekah). Al-Qur’an merekodkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkunjung ke Mekah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah: iaitu ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bayi, kemudian ketika Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berkahwin, kemudian membina Ka’bah dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Qurban.

Baginda diberi gelaran yang amat tinggi iaitu Khalilullah (Kekasih Allah). Ini seperti disebut di dalam Nisa’:125

وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا
dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

Sesungguhnya baginda telah mencapai kedudukan tingkatan khullah (kekasih) yang merupakan kedudukan mahabbah yang tertinggi. Ini adalah kerana baginda telah melepasi segala ujian yang Allah telah kenakan ke atas baginda. Perlu juga diingatkan bahawa bukan Nabi Ibrahim sahaja yang mendapat gelaran Khalilullah akan tetapi Nabi Muhammad juga seperti sabda Nabi Muhammad:

فَإِنَّ اللَّهَ قد اتَّخَذَنِي خَلِيلًا كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا
Sesungguhnya Allah telah menjadikanku sebagai khalil (iaitu kekasih) sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim sebagai khalil.
Riwayat Muslim (532)

Jadi salahlah jikalau kita menggelar Rasulullah sebagai habibullah. Inilah gelaran yang kemudiannya digunakan bagi golongan Habaib sesat itu. Kenapa ia tidak patut? Kerana kedudukan habib lebih rendah dari kedudukan khalil. Maka dari itu, siapa yang menyifatinya dengan habib sahaja, maka dia telah menurunkan baginda Nabi Muhammad dari martabatnya, kerana sifat khalil lebih mulia dan lebih tinggi dari habib. Setiap mukmin adalah kekasih Allah (habibullah), tetapi Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam berada pada martabat yang lebih tinggi dari itu, iaitu khalil, kerana Allah telah menjadikannya sebagai khalil (kekasih) seperti Ibrahim. Maka dari itu kita kena katakan bahawa Nabi Muhammad adalah Khalilullah, kerana kata khalil mengandung di dalamnya kata habib, dan khalil adalah puncak tertinggi dari mahabbah.

Apakah ujian yang dimaksudkan? Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak berapa tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Malah yang kata sampai 40 ujian kesemuanya. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.

Dan kisah perjuangan baginda itu ada disebut dalam Al-Qur’an di pelbagai tempat. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.

Baginda diuji untuk menegakkan kalimah tauhid. Bukan sahaja kaum baginda sedang melakukan syirik, malah ayahnya sendiri. Baginda kemudian terpaksa berhijrah ke Syria. Dan dari Syria untuk baginda kena bawa pula anak isterinya ke Mekah yang tidak ada apa-apa di situ pada waktu itu. Bukan sahaja itu, baginda kena tinggalkan mereka pula di situ! Kisah ini menyayat hati kalau kita baca tentangnya. Nabi Ibrahim terlalu ingin taat kepada Allah sampaikan baginda apabila sampai sahaja terus meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu tentang arahan Allah itu.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ
Dari [Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum dari persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, aku telah redha kepada Allah”.
Sahih Bukhari (3114)

Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menghadapi ujian yang datangnya daripada Allah ﷻ. Sekurang-kurangnya ada empat ujian yang diberikan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita boleh cerita panjang sikit di sini:

 

1. Dibakar Raja Namrud

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir di Fadan Aram Irak, di tengah kaum penyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri, yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai Azar). Sedangkan rajanya bernama Namrud. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak ayahnya untuk beriman, antaranya seperti disebut di dalam An’am: 74

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

Akan tetapi bapanya menolak dan menghalau baginda seperti disebut di dalam Maryam: 46,

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُ‌ۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

Kemudian, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghancurkan patung berhala mereka. Kerana itu, Raja Namrud akhirnya memerintahkan rakyatnya untuk membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup-hidup. Namun, api yang berkobar yang hendak membakar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi dingin atas perintah Allah ﷻ. Di dalam Anbiya: 69, Allah ﷻ berfirman:

قُلْنَا يَا نَارُ كُوْنِيْ بَرْدًا وَّسَلَمًا عَلَى إِبْراهِيْمَ
“Kami berfirman, ‘Wahai api! Jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!’,”

Begitulah hebatnya ujian api Allah kenakan kepada baginda. Allah boleh sahaja selamatkan baginda sebelum masuk api itu tapi Allah tunggu sampai baginda masuk dalam api barulah Allah suruh api itu jadi sejuk. Ini untuk menguji kepercayaan Nabi Ibrahim kepada janji Allah untuk menyelamatkannya. Setelah peristiwa itu, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama isterinya berhijrah ke Syam untuk beribadah dengan tenang.

 

2. Diperintahkan khitan

Pada usia 99 tahun, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan oleh Allah ﷻ untuk melakukan khitan, maka kemudian baginda berkhitan bersama anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusia 13 tahun ketika itu. Sejak saat itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mulai melaksanakan khitan dalam keluarganya sehingga menjadi sunnah bagi kita sekarang.

Atau, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikhitan pada usia 80 tahun, sesuai hadith daripada Rasulullah ﷺ.

اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
Rasulullah ﷺ bersabda, “Ibrahim al Khalil berkhitan setelah mencapai usia 80 tahun dan beliau berkhitan menggunakan kapak.”
(Sahih Bukhari No. 3107)

 

3. Diperintahkan menyembelih anaknya

Allah ﷻ juga memerintah dan memberikan ujian kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyembelih puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang masih berusia 13 tahun sebagai qurban. Demi membuktikan kecintaannya kepada Allah ﷻ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun melaksanakannya dengan penuh ketaatan, keimanan dan keikhlasan yang tinggi. Ini disebut di dalam Saffat: 102

فَلَمّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعيَ قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ ۖ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰبِري
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

Ini adalah ujian yang amat besar kerana Nabi Ibrahim sudah tua dan tidak pernah ada anak. Maka mendapat anak itu adalah satu perkara besar bagi baginda dan tentulah amat berat untuk baginda melakukannya. Akan tetapi ini pun Nabi Ibrahim telah melakukannya. Namun, Allah ﷻ kemudian menggantikannya dengan menyembelih haiwan. Peristiwa besar ini telah diteruskan umat Islam sampai saat ini hingga hari akhir yang disebut dengan Hari Raya Qurban atau Idul Adha.

 

4. Diperintahkan membangunkan Ka’bah

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan Allah ﷻ untuk membangun Ka’bah menjadi kiblat solat umat Islam seluruh dunia hingga saat ini. Ka’bah menjadi salah satu bukti kebesaran maqam Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sisi Allah ﷻ.

Ka’bah merupakan sebuah bangunan suci yang sangat bersejarah dan akan tetap abadi hingga sampai hari akhir nanti. Dalam membangun Ka’bah ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menjadi tukangnya dan dibantu oleh puteranya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi kulinya, serta dibantu Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi arkiteknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 127

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu

 

Antara soalan yang mungkin timbul tentang ayat ini adalah: Kenapa Allah ﷻ menguji baginda? Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu diuji, antaranya kerana kesalahan itu sendiri. Atau kerana ujian untuk mengetahui kedudukan orang yang diuji. Akan tetapi ini bukanlah kesnya di sini. Nabi Ibrahim tidak melakukan kesalahan dan Allah ﷻ tidak perlu uji baginda untuk tahu siapa baginda kerana Allah ﷻ lebih tahu. Jawapannya kita boleh lihat dari penggunaan kalimah رب yang Allah ﷻ gunakan untuk merujuk kepada DiriNya. Maksud رب dari segi bahasa adalah seseorang yang mendidik dan mentarbiyah. Maka ia bermaksud ujian yang diberikan oleh Allah ﷻ itu adalah mendidik baginda. Ianya untuk menzahirkan kualiti terbaik yang ada dalam diri baginda.

Dalam potongan ayat ini, kita boleh lihat yang nama Nabi Ibrahim عليه السلام didahulukan sebelum nama Allah ﷻ. Ini adalah sebagai penghormatan kepada baginda, berbanding para Nabi yang lain. Allah juga menyandarkan namaNya kepada Nabi Ibrahim iaitu رَبُّهُ. Allah boleh sahaja berfirman: وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّ dan ia juga benar. Akan tetapi dengan menggunakan kalimat رَبُّهُ (Tuhannya) Allah menekankan yang memang Nabi Ibrahim benar-benar menjadi Allah sebagai Rabbnya dengan menjadi hamba yang amat taat.

 

بِكَلِمَـٰتٍ

dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan);

Seperti yang telah disebut, baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian. Di dalam ayat ini Allah menggunakan istilah كَلِمَـٰتٍ yang dari segi bahasa bermaksud ‘kata-kata’. Ulama’ tafsir berpendapat كَلِمَـٰتٍ yang dimaksudkan adalah kata-kata yang mengandungi perintah dari Allah ﷻ. Cuma para alim termasuk para sahabat pun tidak sepakat berapa banyak ujian yang telah diberikan kepada baginda; seperti yang telah disebut di atas, ada yang kata sepuluh ujian tapi ada yang kata sampai tiga puluh malah sampai empat puluh. Cuma yang pasti ujian yang telah diberikan kepada baginda bukanlah ujian bertulis seperti peperiksaan kita atau ujian kesihatan sebelum masuk kerja kerajaan. Ujian yang diberikan kepada baginda adalah untuk menguji kesediaan Nabi Ibrahim untuk taat kepada Allah dan kesabaran baginda di dalam taat kepada Allah.

Kita tahu banyak perkara yang telah diarahkan kepada baginda. Kita telah sebut beberapa perkara di atas dan sebagai tambahan lagi antara ujian yang diberi kepada baginda adalah kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari kampung halamannya; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama. Baginda terpaksa meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail  عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali. Kalau kita perhatikan, memang teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Apakah pengajaran bagi kita di dalam kehidupan kita ini? Kalau kekasihNya pun diuji, maka janganlah kita tidak redha atau pelik kalau kita pun diuji. Bersabarlah dengan segala ujian hidup kita kerana memang hidup ini adalah ujian. Ujian yang dikenakan kepada kita tidaklah seteruk  yang dikenakan kepada para Nabi kerana Rasulullah pernah bersabda,

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776)

Ini adalah kerana manusia itu diuji di atas kadar tinggi atau rendah imannya. Dan para Nabi itu mempunyai tingkatan iman yang tinggi, maka ujian yang dikenakan kepada mereka adalah berat. Kerana itu selepas para Nabi, mereka yang menerima ujian yang berat selepasnya adalah orang soleh. Ini bertepatan dengan sabda Baginda SAW bersabda:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
Riwayat Ahmad (1481) Sanadnya Hasan menurut Arna’uth

Tapi segala ujian ini bukan percuma sahaja. Ini adalah satu anjakan paradigma bagi kita sebenarnya kalau kita faham. Iaitu segala ujian yang kita dapat ini menjadi pembersih kepada dosa kita seperti yang telah disebut oleh Rasulullah,

مَا يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ ‏
Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa.
Riwayat Tirmizi (2399) Hasan menurut Darussalam

Begitulah rahmat yang Allah berikan kepada orang Mukmin. Dari Shuhaib, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim, no. 2999)

Cuma kita kena ingat yang ujian itu bukan sahaja dalam bentuk musibah, tetapi dalam bentuk nikmat juga. Ramai mungkin lebih suka jika diuji dengan nikmat berbanding musibah. Malah tidak kurang yang mungkin menyangka bahawa mendapat nikmat ialah tanda Allah ﷻ sayang manakala musibah ialah tanda Allah ﷻ benci. Pemahaman ini perlu diluruskan.

Pertamanya, perlu diingatkan bahawa kedua-dua nikmat dan musibah ialah ujian Allah ﷻ atas manusia bagi menentukan antara mereka yang bersyukur dengan mereka yang sabar. Ini bermakna nikmat itu tidak semestinya baik khususnya jika orangnya kufur dan tidak bersyukur. Demikian sebaliknya, musibah tidak semestinya buruk apatah lagi jika orangnya bersabar. Kerana itu Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah:216:

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Sedangkan Allah jualah yang mengetahui dan kamu tidak.”

Justeru Muslim seharusnya beringat bahawa rasa suka dengan nikmat dan benci pada musibah haruslah berpada-pada. Usah terlalu gembira jika mendapat nikmat atau terlalu bersedih jika ditimpa musibah sampai hilang pedoman. Ini kerana kesudahannya kita tidak tahu yang mana sebenarnya baik untuk kita; mendapat nikmat atau ditimpa musibah. Betapa ramainya mereka yang sesat sesudah Allah ﷻ uji dengan nikmat, dan tidak kurang mereka yang kembali ke pangkal jalan sesudah Allah ﷻ uji dengan musibah. Berdasarkan hakikat ini Khalifah Umar al-Khattab r.a. berkata:

مَا أُبَالِي عَلَى أَيِّ حَالٍ ‌أَصْبَحْتُ، ‌عَلَى ‌مَا ‌أُحِبُّ أَوْ عَلَى مَا أَكْرَهُ، لِأَنِّي لَا أَدْرِي الْخَيْرَ فِيمَا أُحِبُّ أَوْ فِيمَا أَكْرَهُ
“Aku tidak peduli sama ada keadaan yang aku terpaksa hadapi itu aku suka atau tidak. Ini kerana aku tidak tahu kebaikan itu ada pada yang aku suka atau pada yang aku benci.”
[al-Zuhd oleh Ibnu Mubarak]

 

فَأَتَمَّهُنَّ

Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kalimah أَتَمَّ adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah memenuhi‘. Ia di dalam Format Wazan IV (أفعل). Ia dari kata dasar: ت م م yang bermaksud penuh, berbunga, telah masak, lengkap, sempurna, berjaya, kuat, teguh, keras. Kalimah yang menggunakan kata dasar ini seperti tamat (tammat), juga ‘tamimah’ yang bermaksud: tangkal. Dan huruf ف di sini memberi isyarat yang baginda terus menyempurnakannya tanpa lengah dan menunda-nunda. Begitulah kita dengan arahan Allah, teruslah buat jangan tangguh-tangguh lagi.

Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang baginda telah menyempurnakan segala arahan kepadanya seperti disebut di dalam Najm:37

وَإِبرٰهيمَ الَّذي وَفّىٰ
Dan juga (lembaran-lembaran) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?

Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ‎ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ‎ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ‎ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ‎ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu. Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ‎ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ‎ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa bantahan.

Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ‎ﷻ dan telah melakukannya tanpa soal. Jadi ujian kepada Nabi Ibrahim عليه السلام bukanlah ujian bertulis, ujian matematik atau ujian kepandaian baginda. Akan tetapi ujian sama ada baginda taat perintah atau tidak. Ini memberi pengajaran tentang ketaatan kepada kita. Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmat dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ‎ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?

Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmat sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.

Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ‎ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ‎ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.

 

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Allah berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;

Maksud ‘imam’ itu adalah ‘sebagai ikutan’, pemimpin atau teladan. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan? Kalimah إمَامًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pemimpin’, ‘orang yang menjadi ikutan’. Kita biasa dengan kalimah ‘imam’ dalam solat atau gelaran seperti Imam Syafie, Imam Malik dan sebagainya. Ia dari kata dasar أ م م yang bermaksud mencadangkan, menuju ke sesuatu tempat, ibu, punca, prinsip, buta huruf, tiada ilmu kitab, puak, komuniti, umat, generasi, ciptaan Allah, iman, agama, masa, orang yang dijadikan contoh, orang beragama, pemimpin, imam, di hadapan.

Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam yang dimaksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya. Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan bagi seluruh umat. Dan kerana kita membincangkan tentang kedudukan Nabi Ibrahim, maka kedudukan ‘imam’ yang dimaksudkan ini juga boleh jadi khusus, iaitu sebagai seorang Rasul.

Kalau kita sebagai manusia ini juga diajar untuk menjadi imam supaya menjadi contoh tauladan kepada orang Mukmin yang lain seperti disebut di dalam doa yang diajar oleh Allah di dalam Furqan:74

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Memang layak pangkat Imam ini diberikan kepada Nabi Ibrahim kerana baginda telah melepasi ujian yang Allah berikan. Imamat yang sejati tidaklah mudah didapat oleh sebarang orang. Kekayaan harta boleh diwariskan kepada anak, pangkat jabatan jadi Raja boleh diturunkan, akan tetapi Imamat yang sejati haruslah melalui ujian. Di dalam Sajdah:34, Allah menjelaskan bahawa di antara pengikut- pengikut Nabi Musa ada yang diangkat Tuhan menjadi Imam, diberi pula petunjuk dan pimpinan, setelah ternyata akan keteguhan hati, ketabahan mereka dan sabar mereka menempuh berbagai ujian hidup.

وَجَعَلنا مِنهُم أَئِمَّةً يَهدونَ بِأَمرِنا لَمّا صَبَروا ۖ وَكانوا بِئايٰتِنا يوقِنونَ
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Kita boleh kaitkan kisah ini dengan kisah Nabi Adam bermula ayat 30 surah ini. Di situ telah diberitahu yang Nabi Adam menjadi patron/bapa bagi seluruh manusia, sekarang disebut lantikan kepada Nabi Ibrahim pula yang menjadi imam atau tauladan kepada seluruh manusia. Malah Nabi Muhammad pun telah diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim seperti firman Allah di dalam Nahl:123

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبرٰهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

 

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ‎ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia juga. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.

Permintaan Nabi Ibrahim pun tidaklah berlebihan sebenarnya. Kerana kalau kita lihat kalimat yang digunakan adalah: وَمِنْ ذُرِّيَّتِي (dan sebahagian dari keturunanku); bukannya: وَذُرِّيَّتِي (dan keturunanku). Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.

Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ‎ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ‎ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya. Iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.

 

قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ

Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;

Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan. Maknanya, bukanlah Allah ﷻ tidak kabulkan, tapi Allah ﷻ beritahu, bukan semua dari keturunannya yang akan imam. Memang ramai dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat dan zalim. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim  عليه السلام yang zalim juga.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi, kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ‎ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga. Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh. Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.

Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan dari Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ini adalah fahaman yang cetek sangat. Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka dari keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima. Maka golongan Habib ini kena ditolak dan dibongkarkan kesesatan mereka.

Masyarakat kita pun kalau ada di kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita. Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ. Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.

Ayat di atas juga mengisyaratkan bahawa kepemimpinan dan ketauladan harus berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan, pengetahuan, dan keberhasilan dalam aneka ujian. Kerana itu kepemimpinan tidak akan dapat dianugerahkan oleh Allah kepada orang-orang yang zalim, yakni yang melakukan aniaya

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 122 – 123 (Ulangan Ajakan kepada Yahudi)

PERINGATAN TENTANG JASA KEPADA BANI ISRAIL

Baqarah Ayat 122: Walaupun Yahudi dan Nasara itu banyak menentang, Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka seperti tertera di dalam ayat ini. Ini adalah siri ayat-ayat yang terakhir yang menceritakan kisah Yahudi dalam Surah Baqarah, supaya kita mengambil peringatan daripada kisah mereka. Ia adalah ayat penutup tentang Yahudi dan mula untuk memberitahu tentang umat Nabi Muhammad ﷺ.

Golongan Yahudi yang ada di Madinah itu memang datang ke Madinah kerana hendak tunggu kedatangan Nabi akhir zaman, namun apabila Nabi itu telah benar-benar datang, mereka pula yang lawan. Allah ‎ﷻ telah banyak memberitahu tentang mereka dan ini adalah penutup syarah yang panjang itu. Ia menjadi peringatan bagi mereka.

Selepas ini akan diberitahu tentang sejarah asal pengikut Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar. Allah‎ ﷻ hendak beritahu yang golongan daripada bangsa Arab yang mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah golongan bawahan walaupun mereka tidak ada kitab sebelum itu. Mereka itu lahir daripada doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka umat terpilih sebenarnya.

يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.

Malay

Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).

 

يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Wahai Bani Israil, ingatlah nikmatKu yang Aku telah beri kepada kamu;

Lihatlah Allah ‎ﷻ menggunakan gelaran manja يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ kepada mereka kerana hendak memujuk mereka. Di sini Allah ‎ﷻ ingatkan lagi tentang nikmat-nikmat yang banyak yang telah mereka terima. Ini kerana kalau kita hendak memujuk orang degil, kita ingatkan jasa kita kepadanya untuk melembutkannya. Banyak sekali nikmat dunia dan agama yang telah diberikan kepada golongan Bani Israil. Antaranya, mereka banyak bersaudara dan berkenalan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebab memang banyak nabi-nabi daripada golongan mereka. Maknanya mereka itu berasal daripada keturunan yang baik-baik.

Walau bagaimanapun keturunan tidak penting kalau tidak menjaga agama. Entah berapa banyak Yahudi dikenakan azab nanti kerana kesesatan mereka sebab Allah ‎ﷻ bukan mengambil kira keturunan. Yang penting mestilah dilihat amalan sama ada amalan benar ataupun salah. Kalau benar pun keturunan Rasulullah ﷺ atau anak cucu mana-mana ulama’ pun, belum tentu akan selamat kalau mereka juga membuat salah dalam akidah dan amalan. Malangnya, ramai orang kita yang pentingkan sangat keturunan. Seolah-olah kalau keturunan para wali, sudah tentu mereka selamat pula. Ini tidak benar sama sekali. Walaupun mungkin ada keturunan dia yang baik-baik, namun ada juga yang berbuat salah. Kalau mereka berbuat salah, mereka akan dihumban juga ke dalam neraka. Semuanya dinilai berdasarkan amalan dan perbuatan manusia itu secara individu tidak kira siapakah tok nenek dia. Ada yang baik dan ada yang jahat.

Tidaklah kita boleh kata kalau seseorang itu keturunan Nabi Muhammad ﷺ kita terus kata dia betul sahaja. Mestilah dilihat apakah yang diajarnya. Sekiranya ajaran benar, maka kita ikut, jikalau salah kita tinggalkan. Macam golongan Habib sekarang, yang menyanyi dan mengajar ajaran tarekat itu, itu sudah jelas kesesatan mereka, sudah banyak dibongkarkan kesesatan mereka, maka hendaklah ditinggalkan. Orang yang jahil sahaja yang masih ikut mereka.

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلعَـٰلَمِينَ

Dan sesungguhnya Aku telah melebihkan kamu ke atas penduduk sekalian alam;

Bukanlah sekalian alam sekarang, tetapi pada zaman itu sahaja. Ini kerana perkataan فَضَّلْتُكُمْ itu dalam bentuk “past tense”. Bukanlah berterusan mereka duduk dalam kelebihan itu kerana semenjak Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tidak ada lagi nabi daripada Bani Israil. Mereka sekarang sudah tidak ada kelebihan dalam hal agama lagi. Umat yang terbaik sekarang bukanlah mereka akan tetapi umat Islam kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran: 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Ayat yang sama telah disebutkan sebelum ini Baqarah: 47

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتيٓ أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

Di situ ia disebut sebagai muqaddimah peringatan kepada Bani Israil, kemudian kita telah baca banyak ayat-ayat yang menyentuh mereka, dan sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan dan mengajak sekali lagi mereka untuk beriman. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa kelebihan yang mereka ada itu datang daripada kurnia Allah ‎ﷻ. Selagi mana mereka menjaga agama, maka kedudukan mereka masih tinggi lagi. Bukan mereka sendiri yang ada kelebihan itu. Akan tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang beri, maka mereka dapat menikmatinya sementara waktu. Janganlah mereka berasa mereka layak terima segala kebaikan kerana keturunan mereka. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mengurniakannya, tentu mereka tidak akan mendapat apa-apa.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka supaya sekarang ikutlah Nabi Muhammad ﷺ. Nabi akhir zaman ini. Masih ada masa lagi untuk mereka bertaubat jikalau mereka ada berbuat salah. Masih ada waktu lagi untuk mereka mengambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Maknanya Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka, walaupun setelah disebut berbagai-bagai kesalahan yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ ulang sekali lagi di sini sebagai peringatan kepada mereka.


 

Baqarah Ayat 123: Namun begitu, seandainya mereka masih tidak mahu mengikut nasihat itu, maka Allah ‎ﷻ berikan takhwif ukhrawi (penakutan) kepada mereka untuk menakutkan mereka. Jangan sangka mereka umat pilihan sampai Allah ‎ﷻ tidak akan azab mereka pula. Itu adalah sangkaan yang tersasar jauh dan perasan sahaja. Betapa pun banyak nikmat yang mereka dapat di dunia, ia bukanlah jaminan yang mereka pasti akan masuk syurga.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها عَدلٌ وَلا تَنفَعُها شَفَـٰعَةٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

And fear a Day when no soul will suffice for another soul at all, and no compensation will be accepted from it, nor will any intercession benefit it, nor will they be aided.

Malay

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

 

وَاتَّقُوا يَوْمًا

Dan takutlah kamu pada suatu hari

Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Hari itu pasti akan datang. Inilah satu-satu hari yang sentiasa Allah ‎ﷻ ingatkan kepada kita berkali-kali di dalam Al-Qur’an kerana kepentingannya. Kena bersedia untuk menghadapi hari itu kerana hari itu nanti akan meresahkan semua orang. Ini kerana pada waktu itu nanti segala amal kita akan dinilai. Entah kita selamat, entahkan tidak. Maka jangan kita leka dengan dunia sampai kita tidak beramal untuk bersiap untuk menghadapi hari yang amat menakutkan itu.

 

لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَّفْسٍ شَيْئًا

yang tidak akan boleh satu jiwa membantu jiwa yang lain;

Waktu itu, tidak ada sesiapa pun boleh membantu sesiapa. Anak beranak pun tidak boleh tolong. Suami isteri pun tidak boleh tolong sesama sendiri. Guru tidak boleh bantu anak murid. Kawan tidak boleh bantu kawan. Pada hari itu, semuanya bergantung kepada amalan sendiri. Jadi, kalau ada yang berangan yang mereka itu daripada keturunan yang mulia, daripada keturunan para Nabi dan orang-orang soleh, janganlah berangan lagi kerana waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh membantu mereka. Maka jangan berharap bantuan dari sesiapa kerana semua akan lari daripada orang yang mereka kenal seperti disebut di dalam Abasa: 34 – 37

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
daripada ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
daripada isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ

dan tidak diterima dari mereka itu rasuah;

Mereka tidak boleh rasuah Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Jadi apa yang kita hendak tawarkan kepada Allah ‎ﷻ sebagai rasuah? Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 91

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Namun timbul pula persoalan: Adakah terdapat manusia yang cuba untuk merasuah Allah ‎ﷻ? Apakah yang mereka hendak beri kepada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak punya apa-apa lagi pada waktu itu? Harta kekayaan semua di dunia sahaja dan dunia sudah hancur. Rupa-rupanya mereka akan tawarkan orang lain untuk dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tawar anak mereka, ibubapa mereka, kawan-kawan mereka, sesiapa sahaja – asalkan mereka tidak masuk neraka. Begitulah yang akan terjadi nanti. Nauzibillah! Semoga kita diselamatkan nanti. Ini seperti disebut di dalam Ma’arij: 11 – 14

يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya daripada azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
Dan isteri serta saudaranya,

وَفَصِيْلَتِهِ الَّتِيْ تُـْٔوِيْهِۙ
dan keluarga yang melindunginya (di dunia),

وَمَنْ فِى الْاَرْضِ جَمِيْعًاۙ ثُمَّ يُنْجِيْهِۙ
dan orang-orang di bumi seluruhnya, kemudian mengharapkan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya.

 

وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَـٰعَةٌ

dan tidak akan memanfaatkan bagi mereka syafaat

Tidak akan bermanfaat syafaat daripada sesiapa sahaja jikalau mereka telah kufur dan rosak akidah. Mereka pun tidak mendapat syafaat walaupun mereka itu telah meminta-minta daripada penyampai syafaat (seperti Nabi Muhammad ﷺ). Jangan salah faham pula, bukanlah syafaat langsung tidak ada, cuma mereka yang mengamalkan syirik tidak akan ada peluang untuk mendapat syafaat. Ia hanya diberikan kepada orang yang layak sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ yang menentukan setelah diberikan izin seperti disebut di dalam Yunus: 3

ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ
Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkan-Nya.

Banyak manusia yang salah faham tentang syafaat. Umat Islam sekarang ramai yang sangka mereka akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu mereka memuja-muja baginda – dengan pujaan ‘ya Hanana’ dan macam-macam lagi. Namun pemujaan mereka itu tidak akan membolehkan mereka mendapat syafaat pun. Ini kerana bukan Nabi ﷺ yang membuat keputusan siapakah yang boleh diberikan syafaat. Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang boleh diberi syafaat – Nabi ﷺ hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat itu. Kalau seseorang manusia itu telah melakukan syirik kerana mereka tidak faham apa itu syirik, maka mereka tidak akan langsung ada peluang untuk mendapat syafaat. Orang yang layak sahaja dapat syafaat seperti disebut di dalam ayat Maryam: 87

لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا
Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!

Penerangan lebih lanjut telah kita bincangkan di dalam Baqarah: 48 sebelum ini.

 

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

dan mereka tidak dapat ditolong;

Sekiranya mereka ingkar daripada mengamalkan ajaran Tauhid, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat menolong mereka. Golongan Yahudi sangka, mereka golongan terpilih, maka mereka sangka mereka akan diselamatkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, tidak sama sekali mereka akan diberikan pertolongan dari mana-mana arah pun.

Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat Baqarah :48 akan tetapi dengan sedikit perbezaan susunan.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ
Dan peliharalah diri kamu daripada (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (daripada balasan azab), dan tidak diterima syafa’at daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

Di dalam ayat 48, didahulukan penyebutan tentang شَفٰعَةٌ sebelum عَدلٌ dan di dalam ayat 123 ini ia terbalik. Kenapa agaknya begitu? Kedua-dua ayat 48 dan 123 berbicara tentang dua jiwa, yakni dua orang. Ada yang menebus dan ada pula yang ditebus. Ada yang menerima dan ada pula yang memberi. Ayat 48 berbicara tentang jiwa yang bermaksud memberi syafa’at, sehingga wajar jika kata syafa’at didahulukan dengan menyatakan, tidak akan diterima daripadanya (pemberian) syafa’at. Jikalau syafa’atnya tidak diterima, maka boleh jadi yang akan memberi syafa’at itu mengajukan alternatif lain, iaitu membayar tebusan. Saat itu, sekali lagi dikatakan kepadanya, “tidak juga tebusan.”

Sebaliknya ayat 123 di atas, yang mendahulukan kata tebusan kerana ia berbicara tentang jiwa yang ingin ditolong (diberi syafa’at). Ini kerana yang bersangkutan bergelimang dosa, maka untuk menyelamatkan diri daripada seksa, dia menyatakan kesediaannya untuk membayar tebusan. Ketika itu, akan diberitahukan kepadanya bahawa tidak akan diterima suatu tebusan pun daripadanya. Setelah ditolak, maka dia akan mencari jalan lain. Dia akan menuju kepada seseorang yang dia anggap dapat memberinya syafa‘at. Maka datanglah pernyataan kedua, bahawa tidak akan berguna syafa’at untuknya. Demikian, terlihat masing-masing ayat menyesuaikan susunan kata-katanya, sejalan dengan konteks yang dibicarakannya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 120 – 121 (Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan umat Islam)

Baqarah Ayat 120: Ayat ini adalah tasliah (pujukan) untuk menghilangkan kerisauan Nabi Muhammad (dan para sahabat) disebabkan oleh keengganan golongan Yahudi beriman dengan baginda. Baginda risau baginda dipertanggungjawabkan tentang hal itu. Maka di dalam ayat ini Allah memberitahu keengganan mereka itu adalah kerana mereka tidak redha dengan agama Islam. Rasulullah berharap sangat mereka beriman, maka baginda berlembut dengan mereka dengan harapan mereka beriman. Maka Allah buka rahsia di dalam hati mereka; dan ketidakmungkinan mereka beriman.

Ayat ini juga adalah ayat zajrun (ayat ancaman) dari Allah, jikalau umat Islam ikut cara beragama Yahudi dan Nasara itu.

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

And never will the Jews or the Christians approve of you until you follow their religion. Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance.” If you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, you would have against Allah no protector or helper.

Malay

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

 

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ

Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap engkau;

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad yang tamak (tamak yang bagus) supaya golongan Ahli Kitab itu beriman. Baginda kira mereka itu sudah kenal Allah dan memang ada kitab wahyu, maka senanglah mereka beriman. Tapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka menolak dengan keras. Baginda amat bersedih dengan penolakan mereka sampaikan Allah memujuk baginda seperti disebut di dalam Fatir:8

فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ
maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Juga disebut di dalam Kahf:6

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Jadi di dalam Baqarah:120 ini Allah memberitahu kepada baginda supaya janganlah berharap lagi kepada golongan Ahli Kitab itu. Mereka tidak akan redha dengan agama Islam. Mereka tidak akan meninggalkan agama mereka ramai-ramai. Kalau yang beriman itu sebahagian sahaja sedangkan sebahagian yang lain akan tetap menentang baginda. Golongan Yahudi tidak dapat duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur.  Ini adalah kecaman terhadap mereka kerana apabila disebut tentang mereka di dalam bentuk kecaman, kalimah الْيَهُودُ yang digunakan. Ini kerana ayat ini menyebut mereka memusuhi dan benci kepada Islam. Kalau bentuk yang bukan kecaman, kalimah lain yang digunakan seperti di dalam Baqarah:62

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam. Bukanlah keseluruhan dari mereka kerana ada sahaja orang Yahudi dan Nasrani yang masuk Islam. Tapi ia bermaksud secara umumnya kebanyakan dari mereka.

Walaupun mereka tidak suka kepada perkembangan agama Islam, namun begitu agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Maka golongan Yahudi telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tetapi mereka tidak akan berputus asa. Kalimah yang digunakan adalah لن iaitu ‘tidak akan sampai bila-bila’ iaitu نَهي واستقبال. Mereka akan terus merosakkan orang Islam dan pemikiran golongan Muslim. Kalau Islam tidak hancur pun, biarlah pemikiran umat Islam yang hancur. Jadi mereka berusaha merosakkan pemikiran umat Islam menggunakan wang, hiburan dan media massa.

Kalau mereka tidak berhenti daripada merosakkan agama, maka kita pun jangan berdiam diri daripada menyampaikan agama ini kepada manusia. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus berdakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.

 

وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ

dan tidak juga orang Nasara;

Bukan sahaja Yahudi yang tidak redha dan mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga. Ini kerana kalau agama Islam ini diterima oleh manusia, maka akan nampaklah yang agama Kristian itu adalah agama yang sesat dan jauh daripada kebenaran.

Perhatikan kalimah penafian yang digunakan untuk Yahudi adalah لن sedangkan di sini untuk Nasara digunakan kalimah لا sahaja yang tidak sama dengan kalimah لن (tidak akan sampai bila-bila). Ini adalah kerana tidak sama Yahudi dan Nasara. Nasara lebih lembut terhadap Islam seperti diisyaratkan di dalam Maidah:82

۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

 

حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;

Kalimah مِلَّةَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘agama‘. Ia dari kata dasar: م ل ل yang bermaksud membacakan supaya orang lain menulis (dictate), memeluk agama, kepercayaan.

Yahudi dan Nasrani sangka agama mereka itulah yang terbaik. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad membawa Islam yang sebenar, mereka berharap bangsa Arab itu masuk agama mereka. Kerana mereka memandang bangsa Arab ketika itu menyembah berhala dan tidak ada pegangan agama yang teratur. Tiba-tiba bangkitnya Nabi Muhammad dari bangsa Arab itu bukannya masuk agama mereka, malah menyebut-nyebut cacat celanya Yahudi dan Nasrani itu. Tentulah mereka menjadi jengkel.

Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Kerana bukanlah mereka hendak sangat kita masuk agama mereka tambahan pula agama Yahudi bukannya kita boleh masuk pun. Yang mereka hendak adalah kita tinggalkan agama Islam. Dan walaupun tidak keluar Islam pun tidak mengapa, asalkan ikut cara hidup mereka terutama sekali cara beragama mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, namun akidah mereka, cara hidup mereka, dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.

Jangan kita lalai leka dengan usaha mengkristiankan umat Islam yang sentiasa berkembang pesat. Mubaligh-mubaligh mereka tetap masih berkeliaran di negara kita menimbulkan syak wasangka umat Islam terhadap agama Islam, dan mereka tarik sedikit demi sedikit ke agama Kristian. Entah berapa ramai anak-anak muda yang tertipu dan telah menganut agama Kristian. Mereka berjaya kerana kebanyakan dari kita hanya beragama pada nama sahaja.

Golongan Yahudi pula tidaklah ada mubaligh seperti Kristian. Mereka hendak simpan agama Yahudi pada keturunan mereka sahaja. Akan tetapi mereka meluaskan pengaruh mereka ke serata dunia. Sistem perbankan riba yang diamalkan dunia sekarang ini datangnya dari mereka lah. Dengan menggunakan sistem ini, mereka mengawal dunia. Rosak habis ekonomi dunia kerana sistem riba ini. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin terus melata. Yang hidupnya membayar hutang keliling pinggang adalah kerana sistem riba ini lah. Telah dibuat kajian tentang gelandangan di Amerika itu adalah kerana mereka terbeban dengan hutang bank sampaikan mereka tidak mampu lagi untuk hidup seperti manusia biasa.

Bagaimana kita hendak tahu yang kita telah ikut cara beragama mereka? Inilah yang kita sedang belajar di dalam Al-Qur’an apabila Allah sebut satu persatu. Lihatlah cara bagaimana mereka mengagungkan pendita mereka, menyorok kebenaran, melakukan syirik. Jadi untuk tahu apakah pegangan dan amalan mereka, maka hendak tak hendak, kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh elak dari ikut cara mereka. Selain dari ayat-ayat Al-Qur’an, Rasulullah sendiri telah dengan jelas memberitahu kita yang memang umat Islam yang akan ikut mereka,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Dari [Abu Sa’id radiallahuanhu] bahawa Nabi SAW bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
Sahih Bukhari (3197)

Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Ada pergerakan untuk memasukkan Muslim Melayu ke dalam agama Hindu. Ini amatlah pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu sedangkan ia adalah agama yang amat mengarut sekali? Tetapi masih ada yang masuk juga agama Hindu kerana ramai yang tidak kukuh dalam pemahaman agama Islam. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.

 

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;

Nah oleh kerana begitu keadaan Yahudi dan Nasrani itu, maka seolah-olah Nabi Muhammad bertanya, apa yang patut baginda katakan kepada mereka? Di dalam ayat ini baginda diajar bagaimana untuk cakap kepada mereka. Maka ini menutup pintu harapan bagi Yahudi dan juga Nasrani yang Nabi Muhammad akan masuk agama mereka. Ia tidak akan berlaku sama sekali!

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah. Takkan kita hendak ikut agama lain pula? Jadi agama selain Islam itu tidak boleh dipakai dan diamalkan. Agama Islam ini mendapat هُدَى اللَّهِ, takkan kita hendak tinggalkan? Takkan kita hendak pakai ajaran yang menggunakan pendapat manusia atau campur aduk antara wahyu dan ilmu khayalan pula?

Jadi jangan termakan dengan fahaman: semua agama baik. Tidak, tidak sama semua agama. Walaupun agama lain itu pun mengajak kepada akhlak yang baik, mengajar berbaik-baik dengan semua manusia, ia tetap tidak boleh diamalkan kerana akidah mereka akidah yang sesat. Hanya Islam sahaja agama eksklusif yang membaca kepada hidayah. Ini ditunjukkan dalam bentuk balaghah dengan penggunaan kalimah هُوَ sebelum kalimah الْهُدَىٰ sebagai penekanan sifat eksklusif ini.

Kita ada pegangan sendiri, takkan kita hendak pegang pendapat yang tidak benar pula, bukan? Begitu juga dengan akidah. Kita berpegang dengan akidah salaf dan Ahli Hadis kerana itulah yang pegangan golongan yang awal. Jadi takkan kita hendak terima akidah Asya’irah dan Maaturidiyyah yang datang kemudian pula? Takkan kita terpaksa terima pula walaupun itu pegangan rasmi negara atau golongan majoriti negara ini? Kita ada hak untuk beriman seperti yang kita yakini kerana ia terdapat di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Akan tetapi kita juga tidak memaksa akidah ini kepada umat. Terpulang kepada mereka untuk berpegang dengan akidah yang mereka selesa. Cuma yang menjadi pelik adalah apabila ia seolah-olah dipaksakan kepada orang ramai sedangkan itu adalah pilihan individu.

 

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika sekiranya engkau mengikut hawa-hawa nafsu mereka;

Walau ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi, tetapi sebenarnya untuk kita juga kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita mengikut nafsu mereka, maka ada amaran dari Allah ‎ﷻ dalam ini. Allah ‎ﷻ kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.

Lihatlah kalimah ini وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ. Sedangkan sebelum ini disebut millah حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ. Jadi Allah tidak meneruskan dengan menyebut وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ مِلَّتَهُمْ sebaliknya digunakan kalimah أَهْوَاءَهُمْ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan yang agama mereka adalah agama yang ikut nafsu mereka sahaja. Walaupun asalnya agama mereka itu adalah agama Tauhid, akan tetapi telah ditukar menjadi agama syirik.

‘Hawa nafsu’ yang dimaksudkan ialah apa sahaja hujah yang dibawa yang bukan dari Al-Qur’an dan Sunnah. Iaitu mereka yang hanya pakai hujah guru. Ini seperti masyarakat Muslim yang banyak berkata dalam hujah mereka: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Atau ada juga yang pakai hujah AADK (Asal Ada Dalam Kitab). Kalau ada orang yang pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik.

Tapi jangan salah faham pula. Bukanlah kita tolak kata-kata ulama’, ijmak dan qiyas dan bukanlah kita bakar semua kitab. Akan tetapi kata-kata manusia dan kitab itu hendaklah disandarkan kepada wahyu sama ada Al-Qur’an atau hadis yang sahih. Jangan pegang terus kata-kata manusia kerana manusia tidak terlepas daripada kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih. Maka kena tengok apakah sandaran hukum mereka. Jangan takut menolak pendapat manusia walau siapa pun mereka, sebagaimana kata Imam Malik:

كل يُؤخذ من كلامه ويُرد إلا صاحب هذا القبر
“Tiap-tiap orang boleh diambil perkataannya dan ditolak melainkan perkataan yang mempunyai kubur ini (sambil beliau menunjuk ke arah makam Nabi).”

 

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

selepas datang kepada kamu ilmu Al-Qur’an ini;

Takkan Nabi Muhammad hendak ikut hawanafsu golongan Ahli Kitab itu pula setelah mendapat ilmu wahyu ini. Ini juga adalah ancaman kepada kita yang sudah dapat dalil daripada ajaran Al-Qur’an, tetapi kita ikut juga mereka. Malangnya ramai umat Islam yang telah ada Al-Qur’an ini, masih lagi ikut fahaman Yahudi dan Nasrani! Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan dari Allah ‎ﷻ yang amat buruk. Kalau jahil dan mengikut hawa nafsu Yahudi dan Nasara, pun sudah teruk; namun kalau sudah ada ilmu agama tetapi masih lagi mengikut mereka, itu terlebih-lebih teruk dan malang sekali.

 

ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ

Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah; satu orang pun yang boleh beri pelindung

Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah ‎ﷻ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang ahli neraka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada peguam yang akan dapat berhujah ataupun pembantu yang dapat menahan pintu neraka itu.

Kalimah ini ditujukan kepada Rasulullah. Ia mengajar kita yang kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah ‎ﷻ tidak akan menolongnya, apatah lagi kita. Maka jangan rasa kita akan selamat kalau kita ikut hawa nafsu golongan Yahudi dan Nasara.

 

وَلَا نَصِيرٍ

dan tiada penolong;

Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan sudah campak kita ke dalam neraka. Tidak akan ada orang yang akan masuk neraka dan mencari-cari kita untuk selamatkan kita. Mungkin kita perasan kita ini umat pilihan, anak ulama’, keturunan orang baik-baik dan sebagainya. Kita sangka kita akan selamat dan dibantu, tapi tidak sebenarnya. Begitulah golongan Yahudi itu perasan mereka itu umat pilihan dan selamat, tapi di sini mereka diingatkan yang mereka takkan selamat kalau mereka menolak kebenaran.


 

Baqarah Ayat 121: Ini pula adalah pujian kalau mereka melakukan yang sebaliknya. Memang kebiasaan Al-Qur’an setelah menyebut tentang pihak negatif, diteruskan dengan menyebut tentang pihak yang positif. Maka setelah disebut tentang mereka yang menentang, sekarang disebut mereka yang wajar mendapat berita gembira dari Allah kerana beriman dengan sebenar-benar iman. Iaitu mereka benar-benar beriman dengan wahyu dan tidaklah menjadi seperti majoriti dari golongan Ahli Kitab itu.

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Sahih International

Those to whom We have given the Book recite it with its true recital. They [are the ones who] believe in it. And whoever disbelieves in it – it is they who are the losers.

Malay

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

 

الَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;

Iaitu kitab Taurat, Injil, Al-Qur’an  dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah ‎ﷻ turunkan kepada manusia. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ masih lagi suka dengan mereka kerana Allah ‎ﷻ masih lagi mengaitkan Nama-Nya dengan pemberian kitab itu. Maka ini memberikan harapan lagi kepada mereka.

Namun, ada terdapat di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah ‎ﷻ telah murka sangat kepada mereka. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak lagi menyebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah ‎ﷻ murka terhadap mereka. Walaupun memang Allah ‎ﷻ yang berikan kitab, tetapi Allah ‎ﷻ tidak letak perkataan ‘Kami’.

 

يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;

Allah ‎ﷻ memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Jadi bukanlah semua Yahudi dan Nasara seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Ada yang baik sebenarnya, walaupun tidak ramai. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan menemui tentang maklumat kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ. Maka ada syarat untuk Allah ﷻ terima mereka: hendaklah mereka rujuk kitab wahyu mereka. Bagi mereka itu, setelah kedatangan Rasulullah dan Al-Qur’an, mereka telah beriman dengan keduanya.

Kalimah تِلاَوَتٌ dalam ayat ini bermaksud ‘mengikuti’. Ini seperti penggunaan di dalam Syams:2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya (matahari),

Oleh itu baca dengan betul itu adalah dengan mengikuti segala arahan di dalamnya, beriman dengan apa yang telah disebut di dalamnya. Mereka akan menghalalkan perkara yang dihalalkan dan mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah ﷻ. Dan yang penting, tidak mengubah isi kandungannya. Tidak menyelewengkan maksudnya dan tidak menyembunyikan kandungannya.

Boleh juga ditambah di sini adalah dengan membacanya dengan baik. Maka perlu dibaca Al-Qur’an itu dengan tajwid yang baik. Tapi janganlah setakat baca dengan baik sahaja (seperti yang masyarakat kita lakukan) tapi hendaklah ditadabburi maksudnya dan diamalkan ajarannya.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Ini kerana kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Al-Qur’an? Mereka membaca Al-Qur’an setiap hari.

Namun malangnya mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Al-Qur’an seperti yang difahami oleh ulama’ salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru (maka kena ada fikiran yang kritis sedikit dalam memilih). Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tidak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.

Apabila kita sudah cinta kepada Al-Qur’an, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Al-Qur’an itu. Begitu juga ia akan menggerakkan kita untuk membaca Al-Qur’an dengan tajwid yang benar dan menghafal ayat-ayat Al-Qur’an.

Jadi maksud حَقَّ تِلَاوَتِهِ itu kita boleh ringkasnya seperti berikut:

1. Baca dengan betul

2. Memahami apa yang dibaca dengan belajar tafsir

3. Bukan setakat faham sahaja, tapi kenalah amalkan.

4. Bukan amalkan untuk diri sendiri sahaja, tapi kena sampaikan kepada orang lain juga.

 

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;

Kebenaran Al-Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ia bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka. Iaitu terdapat di dalam kitab yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, akan menemui fakta ini.

Maka kita kena berpegang dengan Al-Qur’an untuk keselamatan kita terutama sekali di akhirat. Dengan Al-Qur’an inilah yang akan menyelamatkan kita seperti yang disebut oleh Rasulullah,

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafaat pada seorang hamba dihari kiamat kelak”.
(Musnah Ahmad:6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi).

Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam juga bersabda:

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما
“Bacalah Al-Qur’an kerana Al-Qur’an akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu surat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” (Riwayat Muslim: 1910).

Dengan Al-Qur’an inilah yang akan meninggikan kedudukan kita di dunia dan akhirat seperti sabda baginda,

يقالُ لصاحبِ القرآن: اقرَأ وارتَقِ، ورتِّل كما كُنْتَ ترتِّل في الدُنيا، فإن منزِلَكَ عندَ آخرِ آية تقرؤها
“Dikatakan pada orang yang menjadi penjaga Al-Qur’an: bacalah dengan tartil sebagaimana engkau dulu sewaktu di dunia membacanya dengan tartil, kerana sesungguhnya kedudukanmu (tingginya derajatmu di syurga) adalah tergantung pada akhir ayat yang engkau baca”.
(Sahih, Sunan Abu Daud: 1464 dan Tirmidzi: 3141).

Tidakkah kita mahu menjadi orang yang dipuji oleh Allah dan Rasulullah?  Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.
[Riwayat al-Bukhari (5027)]

Mungkin orang kita mengatakan mereka sayang Al-Qur’an, membacanya, malah menghafalnya seperti ramai yang menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz. Akan tetapi kalau kita membacanya sahaja, itu tidak cukup. Malah kita boleh dikutuk oleh Al-Qur’an sendiri kerana meninggalkan pengajarannya. Dalam kita berharap kepada syafa’at dari Al-Qur’an, jangan kita mendapat kutukan darinya pula seperti sabda Rasulullah:

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim no.223)

 

وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ

dan sesiapa yang engkar dengannya;

Yang engkar adalah mereka yang tidak mahu menurut ajaran wahyu. Sama ada mereka itu Ahli Kitab ataupun orang Islam. Maka ini termasuk dengan mereka yang enggan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima kerana mereka tidak pernah dengar. Memanglah mereka tidak pernah dengar kerana mereka tidak pernah belajar.

Sebelum ini telah disebut gerakan untuk menarik umat Islam ke dalam agama Kristian dan cara hidup Yahudi. Bagi mereka yang jauh dari wahyu Ilahi, akan senang terpengaruh dengan golongan itu. Kerana umat kita hanya membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahaminya, maka kerana itulah kita jadi lemah dan diperkotak-katikkan oleh golongan Ahli Kitab itu.

 

فَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;

Mereka yang enggan untuk menerima ajaran wahyu itu amatlah rugi. Mereka telah diberikan dengan wahyu sebagai panduan hidup tetapi mereka biarkan sahaja.

Maka begitulah juga, rugi sungguh orang Islam yang jahil wahyu kerana mereka sudah ada Al-Qur’an sebagai pedoman hidup, tetapi mereka tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai pendidik dan pembimbing mereka. Mereka hanya baca untuk dapat pahala baca sahaja. Tapi di mana pula pahala memahami dan mengamalkan? Mereka terus ditakutkan dengan fahaman yang Al-Qur’an ini untuk golongan ulama’ sahaja, kalau kita belajar tafsir tidak akan faham, malah akan jadi sesat! Ini adalah kata-kata syaitan yang hendak menjauhkan umat manusia dari Al-Qur’an. Malangnya ramai yang sungguh benar-benar tertipu.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin yang Makro Kedua Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Kedua ini berkenaan Teguran kepada Bani Israil (ayat 40 – 121). Daripada keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 103. Sekarang kita lihat bahagian kedua pula (104 – 121)

Kaitan antara bahagian:

[B6]/[B6’] – Kedua-dua bahagian di dalam cincin luar ini menyebut tentang keraguan, pengejekan dan kedegilan Bani Israil. Sepatutnya mereka beriman dengan wahyu, namun sebaliknya mereka tanya soalan-soalan bodoh, menghina suruhan dan enggan masuk agama Islam.

[B7]/[B7’] – Di dalam bahagian ini ditekankan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang memiliki segala-galanya di dalam alam ini.

[B8]/[B8’] – Disebut Rasulullah ﷺ tidak dihormati dan kedudukan masjid Allah juga tidak dihormati. Kedua-duanya (Rasulullah ﷺ dan masjid) adalah wakil bagi kekuasaan Allah ﷻ dan orang kafir tidak menghormatinya.

[B9]/[B9’] – Dua-dua bahagian ini menyebut tentang dakwaan Nasrani dan Yahudi. Di dalam [B9] mereka mengatakan hanya agama mereka sahaja yang selamat dan masuk ke dalam syurga. Akan tetapi di dalam [B9′] disebut pula yang mereka tuduh menuduh sesama sendiri. Sebenarnya dua-dua mereka salah dan nanti Allah ﷻ akan menghakimi mereka di akhirat. Hanya Islam sahaja agama yang benar.

[B10] – Di tengah-tengah antara kekufuran dan kedegilan Bani Israil, Allah ﷻ memberitahu tentang orang yang benar-benar beriman. Mereka inilah yang taat kepada Allah ﷻ dan beramal soleh, mereka inilah yang akan mendapat balasan baik daripada Allah ﷻ.

 

Jadi kita telah habis membincangkan dua Makro di dalam Surah ini. Makro Pertama tentang perbezaan antara Mukmin dan Musyrikin dan Makro Kedua adalah Teguran kepada Bani Israil.

Sekian Ruku’ 14 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 118 – 119 (Kenapa Allah tidak bercakap terus dengan manusia)

HIDAYAH PETUNJUK YANG BENAR

Baqarah Ayat 118: Ini adalah rungutan (syikayah) kelima daripada Allah ‎ﷻ tentang kalimat-kalimat sesat dan bodoh dari segolongan manusia.

وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا ءَايَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّثلَ قَولِهِم ۘ تَشَـٰبَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يوقِنونَ

Sahih International

Those who do not know say, “Why does Allah not speak to us or there come to us a sign?” Thus spoke those before them like their words. Their hearts resemble each other. We have shown clearly the signs to a people who are certain [in faith].

Malay

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

 

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Dan berkata orang-orang yang tidak tahu: 

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah dan juga golongan Yahudi. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab. Nabi mereka pun sudah lama tidak ada jadi pengetahuan tentang agama mereka amat kurang. Dan walaupun golongan Yahudi itu ada kitab, tapi mereka hendak menimbulkan kekeliruan di kalangan manusia dengan menimbulkan persoalan-persoalan untuk menimbulkan salah sangka. Allah gelar mereka orang yang tidak tahu (jahil) kerana walaupun mereka itu ada kitab, tapi kalau tidak berpegang dengan kitab, maka jahillah jadinya. Begitu jugalah umat Islam kalau tidak berpegang dengan Al-Qur’an. Setakat boleh baca Al-Qur’an tapi tidak faham apa yang dibaca, itu tetap juga jahil.

Boleh juga bermaksud sesiapa sahaja yang jahil. Memang orang jahil akan cakap merapu, tanya soalan merapu, bagi logik yang pada mereka logik, tapi tidak pun. Itulah kejahilan yang banyak ada di kalangan manusia. Sebab itu kalau kita masuk media sosial, banyak sahaja pandangan  yang mengarut kerana datang dari kejahilan tentang agama. Kita hendak halang mereka bercakap pun tidak boleh, maka tugas kitalah untuk mendidik mereka. Kalau semua orang pandai, tidak adalah kerja dakwah dan mengajar, bukan?

 

لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ

kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;

Mereka kata kenapakah wahyu itu perlu melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak bercakap terus sahaja dengan mereka? Kalau Allah tidak bercakap terus dengan mereka, mungkin dengan perantaraan Malaikat seperti yang dikatakan oleh baginda. Supaya mereka dapat wahyu terus, atau sekurang-kurang Allah atau malaikat itu sendiri kata yang Nabi Muhammad ini memang benar-benar seorang Rasul. Ini sekarang mereka menggunakan logik akal mereka. Kalau cakap pakai otak sendiri memang akan jadi begini.

Tentu ada yang terfikir: “Kalau terus dapat maklumat daripada Allah ‎ﷻ, bukankah senang? Tentu tidak ada yang menentang Allah ‎ﷻ lagi kerana semua sudah tahu kebenaran. Tetapi sekarang bila pakai perantara, kita pun mungkin terfikir entah benar ataupun tidak Allah ‎ﷻ ada sampaikan maklumat wahyu ini?”

Atau, ia boleh bermaksud: kenapa Allah ﷻ sendiri tidak beritahu kami secara terus bahawa engkau Muhammad, adalah Rasul utusanNya?

Kata-kata mereka ini adalah kata-kata orang yang jahil, yang perasan mereka itu tinggi kedudukan. Di dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus berkomunikasi dengan mereka. Ini kerana kedudukan Allah ‎ﷻ amat tinggi maka tidak layak untuk bercakap terus dengan semua makhluk. Allah berfirman di dalam Shuraa:51

وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلّا وَحيًا أَو مِن وَراءِ حِجابٍ أَو يُرسِلَ رَسولًا فَيوحِيَ بِإِذنِهِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكيمٌ
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

Ini juga kerana beratnya wahyu yang disampaikan, maka orang biasa tidak mampu untuk menerima wahyu terus daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah penyampaian wahyu dilakukan seperti yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Allah berfirman di dalam Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu yang berat

Begitulah di dalam hadis kita dapat tahu pengalaman Rasulullah betapa beratnya cara baginda menerima wahyu. Yang kalau orang biasa tidak akan mampu menanggungnya.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ أَنَّهُ قَالَ رَأَيْتُ مَرْوَانَ بْنَ الْحَكَمِ جَالِسًا فِي الْمَسْجِدِ فَأَقْبَلْتُ حَتَّى جَلَسْتُ إِلَى جَنْبِهِ فَأَخْبَرَنَا أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْلَى عَلَيْهِ { لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ } { وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ } قَالَ فَجَاءَهُ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَهُوَ يُمِلُّهَا عَلَيَّ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ أَسْتَطِيعُ الْجِهَادَ لَجَاهَدْتُ وَكَانَ رَجُلًا أَعْمَى فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفَخِذُهُ عَلَى فَخِذِي فَثَقُلَتْ عَلَيَّ حَتَّى خِفْتُ أَنَّ تَرُضَّ فَخِذِي ثُمَّ سُرِّيَ عَنْهُ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ }
Dari Sahal bin Sa’ad As-Sa’idiy bahawa dia berkata: “Aku melihat Marwan bin Al Hakam sedang duduk di masjid lalu aku menemuinya hingga aku duduk di sampingnya lalu dia mengabarkan kepada kami bahawa Zaid bin Tsabit mengabarkan kepadanya bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membacakan ayat 97 Surah an-Nisaa’ kepadanya yang ertinya (“Tidaklah sama orang-orang yang duduk-duduk saja (tidak ikut berperang) dari kalangan Kaum Mu’minin dengan orang-orang yang berjihad fii sabilillah…”), maka datang Ibnu Ummu Maktum kepada baginda padahal baginda sedang membacakan ayat itu kepadaku dengan berkata: “Wahai Rasulullah, seandainya aku mampu berjihad pasti aku akan berjihad”. Dia adalah seorang yang buta. Maka Allah Tabaaraka Wa Ta’ala menurunkan ayat kepada Rasul-Nya pada saat paha baginda sedang berada di atas pahaku dan aku merasa berat dengan paha baginda tersebut (kerana beratnya wahyu yang baginda terima) hingga aku khuatir pahaku retak. Kemudian baginda tenang kembali. Maka Allah ‘AZZA WAJALLA menurunkan firman-Nya (kelanjutan ayat tersebut) yang ertinya: (“Yang tanpa memiliki alasan…”).
Sahih Bukhari (2620)

Di dalam hadis yang lain,

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رضي الله عَنْهَا{ أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رضي الله عَنْهم سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ .وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِيَ الْمَلَكُ رَجُلا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ . قَالَتْ عَائِشَةُ رضي الله عَنْهَا وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا }
Dari Aisyah Ibu Kaum Mu’minin, bahawa Al Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana datangnya wahyu kepada engkau?” Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “kadang-kadang datang kepadaku wahyu itu seperti bunyi gemerincing loceng dan cara ini yang paling berat buatku, lalu terhenti sehingga aku dapat mengerti apa yang disampaikan. Dan terkadang, datang Malaikat menyerupai seorang laki-laki lalu berbicara kepadaku maka aku faham apa yang diucapkannya”. Aisyah berkata: “Sungguh aku pernah melihat turunnya wahyu kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari yang sangat dingin lalu terhenti, dan aku lihat dahi baginda memancutkan keringat.”
Sahih Bukhari (2)

 

أَوْ تَأْتِينَا ءَايَةٌ‌

atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;

Yang dimaksudkan adalah mukjizat. Iaitu mereka mahukan mukjizat diberikan kepada mereka iaitu jenis mukjizat yang mereka boleh lihat, pegang dan rasa dengan pancaindera mereka. Antaranya mereka hendak Nabi Muhammad ﷺ menjadikan bumi Mekah yang berbatu dan gersang itu semua menjadi tanah. Mereka hendakkan air keluar dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam. Contoh permintaan mereka adalah seperti di dalam Isra’:90-93

وَقَالُواْ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفجُرَ لَنَا مِنَ ٱلأَرضِ يَنۢبُوعًا
Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

أَو تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ ٱلأَنهَـٰرَ خِلَـٰلَهَا تَفجِيرًا
atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

أَو تُسقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمتَ عَلَينَا كِسَفًا أَو تَأتِىَ بِٱللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ قَبِيلاً
atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

أَو يَكُونَ لَكَ بَيتٌ مِّن زُخرُفٍ أَو تَرقَىٰ فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَينَا كِتَـٰبًا نَّقرَؤُهُ ۥ‌ۗ قُل سُبحَانَ رَبِّى هَل كُنتُ إِلَّا بَشرًا رَّسُولاً
Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Apabila manusia minta, tidaklah Allah ‎ﷻ beri. Allah ‎ﷻ tidak perlu ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah ‎ﷻ. Malah, bukan juga dari kehendak para Rasul sendiri. Kalau mereka hendak buat mukjizat sendiri pun tidak boleh. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ pernah melakukan mukjizat, tapi itu bukanlah ikut kehendak baginda, tapi hanya apabila Allah ﷻ kehendaki.

 

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;

Setelah mendengar pemintaan-permintaan itu, tentulah susah hati Rasulullah. Maka Allah pujuk baginda dengan beritahu bahawa bukan Musyrikin Mekah yang mula-mula berkata begitu dan membuat permintaan dan hujah-hujah yang mengarut sebegitu. Sebenarnya, orang-orang dahulu pun sudah berkata begitu juga. Jadi ini bukanlah hujah baru tapi manusia sebelum itu sudah bercakap.

Begitu juga bagi kita yang belajar tafsir Al-Qur’an ini akan berjumpa banyak sekali hujah-hujah manusia sekarang yang sebenarnya sudah ada pun dalam Al-Qur’an. Cuma yang keluarkan hujah itu tak tahu pun yang kata-kata mereka itu sudah ada di dalam Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar pun tafsir. Maka ada kata-kata mereka sebiji seperti Arab Jahiliyah, kadang seperti Firaun dan banyak lagi karektor-karektor yang ada di dalam Al-Qur’an.

 

مِّثْلَ قَوْلِهِمْ

sepertimana kata-kata mereka;

Sama sahaja kata-kata Musyrikin Mekah dan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja. Sebagai contoh, umat Nabi Musa pernah minta untuk lihat sendiri Allah dengan mata kepala mereka. Ini seperti telah disebut di dalam ayat 55 sebelum ini:

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”.

Hujah yang sama sahaja yang syaitan gunakan kepada manusia dari dahulu sehingga sekarang. Kerana itulah kalau kita belajar tentang syaitan, sebagai contoh belajar Talbis Iblis, ajaran itu adalah relevan dari zaman berzaman kerana sama sahaja modal yang digunakan oleh syaitan. Sebenarnya syaitan re-cycle sahaja hujah-hujah yang sama kepada manusia dari berbagai zaman.

 

تَشَـٰبَهَت قُلُوبُهُمْ

serupa sahaja hati-hati mereka;

Orang yang sesat dahulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada di dalam hati mereka kerana hati dan akidah mereka sama sahaja sebenarnya. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang Musyrikin Mekah dahulu.

Memang menakjubkan, kerana kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.

Maka orang Melayu yang menentang wahyu Allah ‎ﷻ pun sama sahaja. Apabila mereka keluarkan hujah, terdetik dalam kepala kita: “Alamak, samalah dengan kata-kata Abu Jahal dan kawan-kawan dia….”. Mereka sahaja tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

 

قَدْ بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda bukti;

Di dalam ayat ini, golongan jahil itu memberikan dua hujah:

1. Allah (atau malaikat) bercakap terus dengan mereka

2. Beri tanda mukjizat untuk membuktikan kenabian Nabi Muhammad.

Bagi soalan pertama itu Allah tidak jawab pun kerana ia mengarut sangat, perasan mereka itu tinggi sangat, jadi Allah tidak layan pun. Allah cuma beri jawapan bagi hujah kedua mereka sahaja.

Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Sudah banyak mukjizat dan tanda kebenaran telah ditunjukkan kepada manusia. Tetapi manusia yang jahil itu mereka minta macam-macam kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawab kata-kata mereka. Mukjizat yang mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tetapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam perkara yang mengarut. Sememangnya Nabi ﷺ tidak boleh buat mukjizat mengikut suka baginda dan bukannya perlu untuk Allah ‎ﷻ layan kehendak mereka itu.

Lagi pun Allah tahu yang kalau diberikan dengan mukjizat pun, mereka tidak percaya dan beriman juga. Ini Allah jelaskan di dalam Isra’:59

وَمَا مَنَعَنَآ أَن نُّرسِلَ بِٱلأَيَـٰتِ إِلَّآ أَن ڪَذَّبَ بِہَا ٱلأَوَّلُونَ‌ۚ وَءَاتَينَا ثَمُودَ ٱلنَّاقَةَ مُبصِرَةً فَظَلَمُواْ بِہَا‌ۚ
Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu.

Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:

 

لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

orang-orang yang yakin sahaja;

Sudah banyak tanda diberikan, akan tetapi yang menerimanya hanyalah mereka yang ada keyakinan sahaja. Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah ‎ﷻ adalah Pencipta yang tiada tandingan. Mereka ini orang yang hati mereka telah condong kepada kebenaran. Iaitu hati mereka sudah terbuka untuk menerima kebenaran, dari mana pun ia datang. Jadi apabila dalil dan bukti diberikan kepada mereka, mereka terus terima dan semakin yakin dengan kebenaran. Ini kerana hati mereka telah terbuka kepada kebenaran. Mereka tidak perlukan bukti dalam bentuk mukjizat pun kerana mereka boleh terima hujah dan bukti dari sumber wahyu. Kerana itulah Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar dan terpakai zaman berzaman.

Sedangkan apabila dalil yang sama diberikan kepada orang yang degil, tetapi mereka tolak kerana hati mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka memang hendak buat apa yang mereka ingin sahaja.

Di dalam ayat ini Allah menyebut tentang يُوقِنُونَ iaitu orang-orang yang yakin. Bagaimana kita boleh dapat kedudukan ini? Kita hanya boleh dapat kedudukan ini dengan mendalami Al-Qur’an setelah memahaminya. Semakin kita faham Al-Qur’an, semakin kita yakin dengan kebenaran yang dibawa Allah dan Rasulullah. Maka apakah lagi yang ditunggu oleh umat Islam sekarang ini?


 

Baqarah Ayat 119: Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah (pujukan). Maknanya pujukan Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ dan para sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut penolakan golongan jahil terhadap kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Tentulah Nabi Muhammad bersedih dengan penolakan mereka itu. Maka di sini Allah ‎ﷻ hendak memberikan ketenangan kepada baginda dan para sahabat supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka. Baginda telah menjalankan tugas baginda menyampaikan wahyu; kalau yang menolak itu tidaklah perlu baginda hiraukan sangat.

Oleh kerana Nabi Muhammad dan para sahabat semua telah meninggal, sekarang ia adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama tauhid. Berbagai-bagai penolakan terhadap pendakwah Sunnah ini zaman berzaman. Maka ayat-ayat sebegini adalah sebagai motivasi kepada para pendakwah.

إِنّا أَرسَلنَـٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ

Sahih International

Indeed, We have sent you, [O Muhammad], with the truth as a bringer of good tidings and a warner, and you will not be asked about the companions of Hellfire.

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

 

إِنَّا أَرسَلنَـٰكَ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (Muhammad);

Allah ‎ﷻ menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri. Maka jangan baginda ragu-ragu. Jadi kita pun jangan ragu-ragu tentang perkara ini. Bila kita terima baginda sebagai Rasul, maka hendaklah kita terima ajaran baginda. Maka kena belajar apakah sunnah baginda.

Allah ﷻ berikan Rasul kepada manusia di atas rahmatNya. Kalaulah tidak diberikan Rasul, maka kita tidak ada contoh ikutan. Allah ﷻ tidaklah membiarkan kita terkontang-kanting tanpa panduan. Memang telah diberikan wahyu Al-Qur’an, tapi kalau tidak ada Rasul untuk memberikan contoh bagaimana mengamalkannya, bagaimana?

 

بِالْحَقِّ

dengan kebenaran;

Nabi ﷺ datang dengan agama yang benar. Baginda juga bawa kebenaran yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Maka jangan bimbang, jangan putus semangat.

Jadi ada dua perkara di sini:

1. Memang benar Nabi Muhammad ﷺ telah diutus oleh Allah ﷻ.
2. Nabi Muhammad ﷺ diutus dengan bawa kebenaran.

Jadi baginda benar dan apa yang baginda bawa adalah benar.

 

بَشِيرًا

Sebagai pembawa berita gembira;

Tugas baginda adalah untuk membawakan berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka dijanjikan dengan kemenangan dan kedudukan dalam syurga yang akan kekal abadi di dalamnya. Ini adalah sebagai motivasi semangat yang diberikan kepada orang yang baik-baik, yang mahu dengar dan mahu taat.

 

وَنَذِيرًا

dan sebagai pembawa ancaman;

Selain daripada berita gembira, tugas baginda juga menyampaikan ancaman. Ancaman pula kepada orang yang menentang tauhid dan ajaran wahyu. Maka kepada mereka yang masih lagi hendak membuat tawassul dalam berdoa dan menyembah selain Allah ‎ﷻ, maka kepada mereka diberikan ancaman. Beritahu kepada mereka yang kalau mereka teruskan amalan syirik mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Jadi, sampaikan berita gembira dan ancaman dan suruh mereka fikirkan: “Nak kekal dalam syurga atau nak kekal dalam neraka?” Ini adalah soalan yang amat penting. Ini bukan soalan main-main. Kalau gagal dalam peperiksaan, masih boleh tunggu tahun hadapan untuk ulang peperiksaan. Tetapi kalau gagal dalam pemilihan bab ibadah dan akidah, boleh kekal dalam neraka.

Jadi dua perkara (sampaikan berita gembira dan ancaman) adalah tugas Nabi. Sekarang kita sebagai umat baginda pun kenalah meneruskan tugas yang dipikul oleh baginda ini kerana baginda sudah tidak ada. Tapi bagaimanalah kita mampu menjalankan tugas ini kalau tafsir Al-Qur’an pun kita tidak tahu? Pakai melangut sahajalah dan keluar cerita merapu lah jawabnya. Sebab itu sekarang setiap hari kita akan lihat kisah-kisah mengarut dari meja penceramah yang entah apalah yang mereka ajar. Mereka menyebut kisah-kisah yang mengarut supaya masyarakat jadi melopong mulut mendengar kisah-kisah dongeng itu.

Kalimat بَشيرًا وَنَذيرًا boleh juga dikaitkan dengan pernah suruhan (بَشيرًا) dan larangan (نَذيرًا). Memang di dalam pengajaran agama sama ada Al-Qur’an atau hadis akan menyebut dua-dua perkara ini, the do’s and the don’ts. Dua-dua kena ada, tanpa ditinggalkan salah satu darinya. Dan memang manusia pun berbeza; ada yang senang buat suruhan tapi mereka berat untuk meninggalkan larangan seperti larangan berzina dan sebagainya; ada pula yang senang untuk tinggalkan perkara haram akan tetapi mereka susah untuk beribadah dan melakukan dakwah. Maka di sini diingatkan yang perintah suruhan dan perintah larangan itu kedua-duanya kena diikuti.

 

وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ

Dan engkau tidak akan ditanya tentang penghuni neraka;

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم: Jikalau mereka telah melakukan kerja menyampaikan berita gembira dan peringatan ancaman kepada manusia, maka mereka tidak akan ditanya lagi kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab yang digalas ke atas mereka untuk menyampaikan.

Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tidak beritahu kepada kawan-kawan dan ahli keluarga kita, kita akan ditanyai nanti “kenapa kamu tak sampaikan kepada manusia?”. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah ‎ﷻ? Ini adalah berita yang amat menakutkan! Tambahan pula kerana banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada manusia. Allah berfirman di dalam A’raf:164

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Ini kerana mereka bukan lagi tanggungjawab kita. Kalau tidak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita sampaikan, barulah kita selamat. Barulah ada alasan dan hujah di hadapan Allah: “ya Allah, aku telah sampaikan, tapi mereka sahaja yang tidak mahu dengar dan terima….”

Maknanya, kita kena sebar agama ini. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Ini adalah ayat yang menikam hati yang menggerakkan kita untuk menyebar agama kepada manusia. Memang hendak sampaikan dakwah ini agak berat. Tak perlu beritahu saya pun saya tahu ianya memang susah. Kadangkala orang yang disampaikan itu tidak suka kita beri peringatan kepada mereka. Kadangkala kita ditentang, dikutuk, dipulau, diperli, diberi gelaran seperti Wahabiol dan berbagai lagi kata-kata yang menyakitkan hati.

Namun kita kena ingat, kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dahulu yang akan ditanya. Maka memang ini adalah ujian bagi orang yang berilmu. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam. Maka kena kuatkan hati dan kaki supaya tetap sampaikan kepada manusia. Pekakkan sahaja terima dengan kata-kata mereka yang menyakitkan hati itu.

Satu lagi qira’at bagi ayat ini adalah وَلا تَسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ. Iaitu kalau تَسأَلُ, ia di dalam bentuk pasif, tapi تَسأَلُ ia adalah di dalam bentuk aktif. Jadi terjemahnya adalah: “jangan engkau tanya tentang ahli neraka itu”. Ini adalah kerana apa yang mereka akan terima itu adalah sangat teruk sekali, tidak dapat dibayangkan. Maka jangan tanyalah kerana engkau tidak dapat bayangkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 115 – 117 (Bahaya Tawassul)

Baqarah Ayat 115: Ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini. Sememangnya tempat yang paling sesuai untuk agama adalah masjid. Tetapi kalau masjid yang sesuai tidak boleh dimasuki, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang boleh gunakan mana-mana tempat untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Boleh duduk di mana sahaja untuk beramal dan mengajar agama.

وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ

Sahih International

And to Allah belongs the east and the west. So wherever you [might] turn, there is the Face of Allah. Indeed, Allah is all-Encompassing and Knowing.

Malay

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

 

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Hanya milik Allahlah timur dan barat;

Maknanya, milik Allah ‎ﷻlah semua sekali alam ini. Ada elemen takhsis (ekslusif) dalam ayat ini apabila ditakdimkan kalimah ولله itu. Maknanya, timur dan barat *hanya* milik Allah ﷻ sahaja. Bukan hanya timur dan barat sahaja. Disebut timur kerana ia adalah tempat terbit matahari; disebut juga barat kerana ia adalah tempat turunnya matahari. Dan matahari pula adalah tanda kekuasaan dan kehebatan Allah ﷻ kerana ia adalah makhluk Allah ﷻ yang besar.

Ayat ini menjadi pujukan (tasliah) kepada para sahabat ketika ayat ini diturunkan. Umat Islam yang ditindas di Mekah, mereka telah terpaksa meninggalkan Mekah dan Ka’bah dan berhijrah ke Madinah. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa kepunyaan-Nya seluruh alam ini. Maka walaupun mereka telah meninggalkan Rumah Allah ‎ﷻ (Kaabah) yang mereka cintai, mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan seluruh alam. Di mana-mana sahaja adalah bumi Allah sebenarnya. Mereka masih lagi dapat menyembah Allah ‎ﷻ dan mendirikan masjid di tempat-tempat lain juga. Allah ‎ﷻ bukannya berada di Mekah/Ka’bah itu. Jadi boleh sahaja menyembah Allah ‎ﷻ di tempat lain, di mana-mana sahaja.

Kenapa Allah sebut timur dan barat sahaja? Bagaimana dengan utara dan selatan? Kerana manusia banyak hidup di timur dan barat sahaja. Sedangkan utara dan selatan tidak ada apa sangat.

 

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maka di mana sahaja kamu hadap, di situlah wajah Allah;

Kalimah وَجْهُ اللَّهِ bermaksud ‘wajah Allah ‎ﷻ’ – boleh juga ditafsirkan ‘keredhaan Allah ‎ﷻ’. Kerana redha ditunjukkan dengan wajah. Bukankah kalau kita suka akan ditunjukkan dengan wajah kita yang berseri-seri? Maknanya di mana sahaja kita berada, yang paling penting adalah kita mencari keredhaan Allah ‎ﷻ. Arah mana kita menghadap tidak penting. Yang penting adalah niat kita. Apabila para sahabat terpaksa meninggalkan Mekah dan Ka’bah, mereka amat bersedih. Maka di sini Allah beritahu, ke mana sahaja mereka mengadap dalam melakukan ibadat, Allah bersedia mengadap mereka untuk menerima ibadat mereka.

Di mana sahaja kita solat, kita sebenarnya sedang menghadap Allah. Bukanlah bermakna Allah datang duduk pula di hadapan kita, tapi kita sedang bermunajat kepada Allah, maka kita kena sedar perkara ini supaya kita dapat khusyuk di dalam solat. Kita kena sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Dalil bagi perkara ini adalah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏”‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا
Bahawa Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) di sebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini”
Riwayat al-Bukhari (405)

Di sini adalah hukum tentang mengadap kiblat dalam solat. Ada keadaan, kita tidak dapat hendak menentukan arah kiblat dengan tepat. Contohnya, kita pergi ke satu tempat yang gelap, tidak tahu di mana arah kiblat, maka kita pilih sahaja satu arah untuk dihadapi dalam salat. Ini kerana di mana sahaja kita hadap, kita sebenarnya menghadap Allah ‎ﷻ. Asalkan kita telah berusaha untuk mencari arah kiblat. Keadaan lain seperti kalau dalam sakit dan terlantar di katil dan tidak dapat solat dengan sempurna, maka boleh sahaja mengadap ke mana-mana. Kerana itulah ada di dalam hadith disebut yang Nabi Muhammad ﷺ mengerjakan salat sunat di atas kenderaan sahaja (unta). Hanya apabila waktu Salat Fardhu barulah baginda berhenti dan salat di atas tanah (dan mengadap arah Kaabah). Ini seperti disebut di dalam satu hadis riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ
“Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu.”
Riwayat al-Bukhari (1097)

Syarah: Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Batthal dalam isu ini yang menyatakan: “Para ulama telah ijma’ akan pensyaratan hal ini (turun dari haiwan tunggangan) dan sesungguhnya tidak boleh bagi seseorang itu untuk menunaikan solat fardhu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang keuzuran.”

Beliau mengatakan lagi: “Perkataan ‘baginda bertasbih’ merujuk kepada solat sunat. Ini bersandarkan beberapa hadis yang menjadi sandaran kepada hal tersebut.” (Lihat Fath al-Bari, 2/667).

Satu lagi hukum adalah jikalau kita tidak tahu arah kiblat dan kemudian solat dengan tersalah kiblat. Maka ia dimaafkan. Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah daripada al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:

وَإِنِ اشْتَبَهَتْ عَلَيْهِ الْقِبْلَةُ وَلَيْسَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُهُ اجْتَهَدَ وَصَلَّى وَلَا يُعِيدُ (ف) وَإِنْ أَخْطَأَ فَإِنْ عَلِمَ بِالْخَطَأِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ اسْتَدَارَ وَبَنَى، وَإِنْ صَلَّى بِغَيْرِ اجْتِهَادٍ فَأَخْطَأَ أَعَادَ
“Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib ke atasnya mengulangi solat yang telah dilakukan.”

Pendapat ini berdasarkan hadith Baginda SAW:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ القِبْلَةُ، فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ، فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ: {فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ
Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui di mana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada SWT” Nabi SAW, maka turunlah ayat: “Ke arah mana pun kamu menghadap, maka di situlah wajah Allah.”
Riwayat al-Tirmizi (345)
cuma ia didhaifkan oleh Baitussalam akan tetapi tetap digunakan oleh ulama’ sebagai hujah.

Ayat ini juga hendak menolak fahaman jahiliyah yang mengatakan kena ada kiblat yang nyata. Sebab itulah mereka ada berhala yang dijadikan sebagai kiblat tawajjuh (tempat mengadap dan fokus). Sebab itu kita panggil ia berhala kerana hendak menghalakan fokus kita.

Ada hujah dari golongan Hindu terutamanya yang mengatakan kita umat Islam pun menyembah batu (Hajarul Aswad). Mereka kata kita menyembah berhala juga macam mereka, jadi tidak perlulah hendak kutuk mereka. Kita kena sedar bahawa kita tidak menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama beberapa tahun, namun umat Islam tetap salat menghadap arah Kaabah juga. Ini adalah kerana bukan Kaabah itu yang utama dalam salat. Kalaulah Kaabah itu dibom dan sudah tidak ada, kita masih mengadap arah itu juga. Ini adalah kerana untuk salat, mesti ada satu arah dan Allah ‎ﷻ telah tentukan yang arah yang dihadap adalah Kaabah. Kalau tidak ada satu arah, bagaimana hendak salat berjemaah? Tentu ada yang menghadap ke kiri dan ada yang menghadap ke kanan pula.

Ini adalah ayat permulaan kepada penukaran arah kiblat, kerana selepas ini akan ada ayat tentang penukaran arah kiblat ke Ka’bah dari Baitul Maqdis. Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam salat mengadap ke Baitul Maqdis. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah mula berikan isyarat yang arah itu tidak penting sangat. Allah surah beri persiapan mental kepada para sahabat supaya apabila tukar kiblat nanti, tidaklah mereka terkejut sangat dan banyak soal. Kerana arah itu tidak penting, yang penting adalah ikut arahan Allah.

Ayat ini memberitahu kita yang Allah ﷻ ada wajah. Cuma kita tidak tahu bagaimana rupa wajah Allah ﷻ dan tentunya tidak sama dengan wajah makhluk. Jadi kita cuma terima sahaja Allah ﷻ ada wajah dan biarkan begitu sahaja. Tidak perlu kita bersilat untuk mentakwilkan ayat ini yang akhirnya akan menyebabkan kita sendiri terbelit. Kalau kita kata Allah tidak ada wajah, itu sudah mencacatkan Allah. Kerana kalau seseorang tidak ada wajah, bukankah itu cacat? Cuma kita tidak dapat bayangkan wajah Allah itu. Dan kerana tidak mahu manusia terfikir dan terbayang wajah Allah, maka ada fahaman akidah yang menidakkan sifat-sifat Allah seperti wajah, tangan, ketawa dan sebagainya. Seolah-olah Allah tidak ada wajah dan tangan, tidak boleh ketawa. Maka ini adalah keliru, dan secara efektif menolak ayat-ayat Allah. Kalau takut manusia membayangkan wajah Allah, maka dari kecil lagi kita ajar anak-anak kita jangan bayangkan Allah, beritahu mereka yang Allah tidak boleh dibayangkan bagaimana rupaNya. Adakah kita mujassimah (mengatakan Allah berjisim) jikalau kita kata Allah ada wajah? Siapa pula mengatakan Allah berjisim, kita tidak sebut pun. Yang menuduh sahaja sebenarnya yang mujassimah kerana mengatakan kita kata Allah berjisim.

Ia juga tidaklah bermakna Allah ada di Ka’bah itu. Tidaklah ayat ini bermaksud Allah menempati ruang. Kita cuma disuruh untuk mengadap ke satu arah kerana untuk menyatukan semua orang yang sedang solat berjemaah. Kalau solat berjemaah itu makmumnya ke arah yang berlain-lainan, tentulah pelik pula.

Di dalam ayat 106 sebelum ini kita telah bincangkan tentang konsep Nasikh Mansukh. Nah, ayat 115 ini adalah antara ayat yang dikatakan telah dimansukhkan dengan ayat 149 – 150 dari surah Baqarah ini. Menurut suatu riwayat yang dibawakan oleh Ibnul Mundzir dan lbnu Abi Hatim dan al-Hakim dan dia berkata riwayat ini sahih, dan al-Baihaqi didalam Sunannya, dari Ibnu Abbas, bahawa dia berkata: “Yang mula-mula sekali dimansukhkan dari al-Qur’an menurut ingatan kita – tetapi Allah yang lebih tahu (Wallahu A’lam) – ialah urusan kiblat. Tuhan telah bersabda: “Kepunyaan Allahlah masyriq dan maghrib,” dan seterusnya sebagai tersebut di dalam ayat. Maka menghadaplah Rasulullah s.a.w. dan sembahyanglah dia menghadap ke Baitul Maqdis dan ditinggalkannya BaitulAtiq, dan dengan demikian dimansukhkanlah ayat ini; lalu dibaca oleh lbnu Abbas “dan dari mana sahaja engkau datang, maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.” (ayat 149 atau ayat 150).

Tetapi golongan yang mempertahankan bahawa di dalam Al-Qur’an tidak ada hukum yang mansukh menyatakan bahawa di dalam ayat ini pun tidak terdapat mansukh. Sebab isi ayat 115 ini tetap berlaku. Menurut mereka, tetaplah ke mana sahaja pun kita menghadapkan muka, namun di sana tetap ada wajah Allah. Perintah menghadapkan muka ke Ka’bah tetap berlaku untuk mempersatukan seluruh kiblat kaum Muslimin, jangan sampai mereka berpecah-belah, berkiblat sebanyak mereka, terutama di dalam sembahyang yang wajib lima waktu. Apa lagi ada pula sebuah riwayat yang dirawikan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Abd bin Humaid, dan Muslim dan Tarmidzi dan an-Nasa’i dan lain-lain, yang diterima dari sahabat Ibnu Umar, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah sembahyang di atas kenderaannya, iaitu sembahyang tathawwu‘ (sembahyang sunat), ke mana saja tunggangannya itu menghadapkannya. Lalu Ibnu Umar membaca ayat “Ke mana jua pun kamu menghadap, maka di sanalah wajah Allah.” (ayat 115 ini) dan dia berkata: “Pada keadaan seperti inilah ayat ini diturunkan.” Ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibnu ‘Umar رضي الله عنهما, dia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ إِلاَّ الْفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ
Ketika dalam perjalanan, Nabi ﷺ pernah mengerjakan salat malam di atas unta tunggangannya sesuai dengan arah yang dihadapi oleh tunggangannya itu. Baginda mengerjakannya dengan memberi isyarat (dengan kepalanya). Akan tetapi baginda tidak pernah mengerjakan salat fardhu di atas unta tunggangannya. Baginda juga mengerjakan solat Witir di atas unta tunggangannya.
(Riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jama’ah no. 1000)

 

إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bahawasanya Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Amat luas pemilikan Allah ‎ﷻ. Ilmu Allah ‎ﷻ juga amat luas dan kerana itu Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang berlaku. Tidak kira di mana kita berasa, Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan.

Allah ‎ﷻ juga maha mengetahui luar dan dalam. Allah ‎ﷻ mengetahui apa niat dalam hati kita.


 

ALLAH TIDAK MEMERLUKAN ANAK

Baqarah Ayat 116: Sekarang kembali memperkatakan tentang ucapan dan keyakinan sesat orang Yahudi dan Nasrani. Ayat ini adalah rungutan (syikayah) keempat Allah ‎ﷻ ke atas sifat degil manusia. Sudahlah tidak mengamalkan tauhid, kemudian melarang tauhid daripada diamalkan dan melawan penyebar tauhid, sekarang mereka kata Allah‎ ﷻ pula ada jadikan anak iaitu wakil.

Ini adalah kata-kata yang amat berat. Mereka kata Allah ‎ﷻ ada anak. Ini kerana mereka hendak seru anak Allah ‎ﷻ yang dijadikan wakil itu dalam bentuk wasilah. ‘Anak’ dalam ayat ini maksudnya ‘wakil’ atau naib. Ini adalah akidah sesat tawassul yang menyakini kalau hendak berdoa, mesti kena ada perantaraan, baru Allah dengar. Akidah sesat ini dari dahulu lagi sudah.

Ayat sebelum ini menyebut tentang kekuasaan Allah, yang timur dan barat dan alam ini semuanya milik Allah. Sekarang disebut tentang Allah lagi supaya kita jangan ada salah faham tentang Allah kerana akidah sesat telah lama ada di kalangan umat manusia. Jadi pandangan manusia tentang Allah kena dibersihkan dari fikiran manusia yang telah lama bergelumang di dalam akidah sesat seperti Yahudi, Nasara dan Musyrikin Mekah.

وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحَـٰنَهُ ۖ بَل لَّهُ ما فِي ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ كُلٌّ لَّهُ قَـٰنِتُونَ

Sahih International

They say, “Allah has taken a son.” Exalted is He! Rather, to Him belongs whatever is in the heavens and the earth. All are devoutly obedient to Him,

Malay

Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.

 

وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Dan mereka berkata: Allah mengambil anak;

Yang berkata itu adalah orang Yahudi, Nasrani dan juga puak Musyrikin Mekah. Yahudi kata Uzair anak Allah; Nasrani kata Nabi Isa anak Allah; Musyrikin Mekah pula kata para malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Mereka tidak sedar yang pegangan mereka itu sebenarnya menghina Allah ‎ﷻ. Ini kerana ada anak adalah sifat makhluk yang lemah yang memerlukan pembantu dan memerlukan penyambung kepada keturunannya. Mana mungkin Allah memerlukan semua ini! Ini adalah penipuan terhadap Allah! Allah berfirman di dalam satu hadis Qudsi,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ اللَّهُ كَذَّبَنِي ابْنُ آدَمَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ وَشَتَمَنِي وَلَمْ يَكُنْ لَهُ ذَلِكَ فَأَمَّا تَكْذِيبُهُ إِيَّايَ فَزَعَمَ أَنِّي لَا أَقْدِرُ أَنْ أُعِيدَهُ كَمَا كَانَ وَأَمَّا شَتْمُهُ إِيَّايَ فَقَوْلُهُ لِي وَلَدٌ فَسُبْحَانِي أَنْ أَتَّخِذَ صَاحِبَةً أَوْ وَلَدًا
Dari Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Sebahagian keturunan Adam telah mengatakan kebohongan tentang Aku padahal mereka sama sekali tidak berhak melakukan demikian. Dan mereka mencelaku, padahal mereka tidak punya hak untuk mencelaku. Kebohongan yang mereka perbuat tentang-Ku adalah mereka menganggap Aku tidak mampu menciptakan kembali sebagaimana dulu Aku telah ciptakan. Adapun celaannya kepada-Ku, iaitu mereka mengatakan bahawa Aku mempunyai anak. Maha Suci Aku, sama sekali Aku tidak mengambil isteri dan tidak mempunyai anak.’
Sahih Bukhari (4122)

Jadi mengatakan Allah mempunyai anak adalah satu perbuatan syirik dan syirik adalah satu dosa yang sangat-sangat besar. Akan tetapi bersabarNya Allah, Dia tetap beri kesihatan dan rezeki kepada makhluk walaupun mereka berkata demikian, seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحَدٌ أَصْبَرُ عَلَى أَذًى سَمِعَهُ مِنْ اللَّهِ يَدَّعُونَ لَهُ الْوَلَدَ ثُمَّ يُعَافِيهِمْ وَيَرْزُقُهُمْ
Dari Abu Musa Al asy’ari dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Shallallahu’alaihiwasallam bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih bersabar atas gangguan yang didengarnya selain daripada Allah, ada manusia mengaku Allah mempunyai anak, namun Allah masih juga memberi mereka kesihatan dan rezeki.”
Sahih Bukhari (6830)

Selain dari tiga golongan sesat di atas, ramai lagi manusia selain mereka yang juga berkata begitu, bukan mereka sahaja. Ini kerana lafaz ‘anak’ di sini maksudnya adalah ‘anak angkat’. Maksudnya mereka bertawassul (menjadikan wakil dalam doa) kepada sesiapa yang mereka anggap sebagai ‘anak angkat Allah ‎ﷻ’. Iaitu mereka bertawassul kepada Nabi-Nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Mereka hendak kata bahawa apabila kita berdoa, nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat itu yang akan menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ.

Begitulah masyarakat kita yang jauh dari wahyu pun telah melantik ‘wakil’ bagi Allah ﷻ. Mereka akan berdoa melalui ‘perantara’ yang mereka sendiri lantik seperti Nabi, wali dan malaikat. Ini adalah ajaran rekaan yang dibawa manusia yang jauh dari wahyu. Akan tetapi ia susah dibendung kerana sudah sebati ajaran sesat ini di dalam masyarakat kerana masyarakat kita telah jauh dari ilmu wahyu. Yang mereka ikut adalah ajaran tok nenek dan ajaran sesat seperti tarekat sufi yang banyak mengajar tawassul kepada masyarakat. Ia adalah ajaran yang membawa kepada syirik besar. Kerana mula-mula jadikan makhluk sebagai perantara, lama-lama jadikan perantara itu sebagai tuhan pula.

Contohnya Nasara asalnya menjadikan Nabi Isa sebagai perantara, tapi lama-lama doa terus kepada Nabi Isa dan lama-lama jadikan Nabi Isa sebagai tuhan. Ini kita boleh lihat di hadapan mata kita sendiri sedang berlaku. Kita ambil contoh GISB yang asalnya dari ajaran sesat Arqam. Asalnya menjadikan Abuya sebagai perantara dalam doa tapi lama kelamaan kebiasaan pengikut GISB yang bodoh dan jahil agama itu adalah menyebut “Abuya tolong” dan secara efektif menjadikan Abuya sebagai Tuhan! Abuya tidak teliti mana pun kerana semasa dia hidup pun dialah yang ajar ajaran sesat kepada pengikutnya. Ini jelas-jelas syirik tapi masyarakat kita masih ada lagi yang menyokong puak sesat ini. Ini kerana masing-masing telah jauh dari wahyu. Dan sampaikan telah menjadikan Nabi Muhammad sebagai Tuhan pun sudah ada, bukan?

 

سُبحَـٰنَهُ

Maha suci Allah;

Allah membantah pegangan mereka itu di sini. Allah ‎ﷻ suci daripada memiliki persamaan atau memerlukan wakil dalam penyembahan. Allah ‎ﷻ tidak layak mempunyai anak. Ini kerana mempunyai anak adalah tanda isyarat kepada kelemahan. Kerana kita manusia memerlukan anak untuk membantu kita. Sedangkan Allah maha berkuasa dan tidak mempunyai apa-apa kekurangan langsung. Seorang bapa teringin mempunyai anak untuk menyambung keturunannya sedangkan Allah tidak memerlukan kerana Dia maha hidup yang tidak mati-mati.

Perkataan سُبْحَانَ berasal dari perkataan ‘berenang’. Iaitu berenang dengan kepala di atas air, kepala tidak tenggelam ke dalam. Bermaksud kita meninggikan Allah ‎ﷻ daripada kata-kata manusia yang mengatakan tentang Allah ‎ﷻ dengan kata-kata yang tidak benar. Oleh itu, apabila orang berkata yang salah tentang Allah ‎ﷻ, kita kena kata Subhanallah. Kita menidakkan kata-kata mereka itu. Maksudnya, kita kata Allah ‎ﷻ tidak begitu.

Bukankah kalau berenang, kita berseorangan sahaja? Ini juga isyarat bahawa kadang-kadang kita sahaja yang terima Islam yang benar. Nabi-nabi selalunya berseorangan dalam menyampaikan dakwah mereka. Macam Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda seorang sahaja yang beriman asalnya. Ini seperti juga para sahabat Nabi di Mekah, selalunya mereka seorang sahaja yang menerima Islam dalam keluarga mereka. Berapa ramai juga orang yang lahir dalam keluarga kafir, tetapi dia seorang sahaja yang masuk Islam. Kalau dalam zaman sekarang, mungkin kita seorang sahaja dalam keluarga kita yang mengamalkan Sunnah. Begitulah lumrah alam. Kadang-kadang kita berseorangan sahaja mengamalkan Islam yang sunnah. Ini tidak menjadi masalah kerana ini adalah sunnatullah. Ia berlaku semenjak zaman berzaman.

 

بَلْ لَّهُ مَا فِي ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Bahkan sebenarnya milikNya sahaja apa sahaja yang di langit dan bumi;

Segala ada dalam alam ini adalah dimiliki oleh Allah ‎ﷻ. Ini termasuklah Nabi Isa, Uzair dan para malaikat itu. Jadi mereka itu semua milik Allah, bukan anak-anak Allah. Oleh kerana Dia yang mencipta alam ini, maka Dia sahajalah yang layak menguasainya. Maka tidak ada ilah selain daripada Allah ‎ﷻ, tidak ada tuhan selain daripada Allah  ‎ﷻ. Bayangkan, kalau Allah ‎ﷻ mempunyai anak, tentulah anak itu ada pula ada kawasannya pula.

Maksudnya, kalau Allah ‎ﷻ ada anak, maka Allah ‎ﷻ berkongsi pula dengan anak-Nya dalam memerintah alam ini (ada kawasan ayah dan ada kawasan anak-anak pula). Tentulah tidak begitu. Semua alam ini milik Allah ‎ﷻ sahaja.

Jadi semua yang selain Allah adalah milik Allah, semua kena menjawab nanti di akhirat sama seperti makhluk Allah yang lain. Semua akan datang sebagai hamba apabila mengadap Allah di akhirat kelak seperti disebut di dalam Maryam:93

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ إِلّا ءآتِي الرَّحمٰنِ عَبدًا
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

 

كُلٌّ لَّهُ قَـٰنِتُونَ

Semua sekali makhluk-makhluk ini kepada Allah jua mereka tunduk patuh.

Semua makhluk tunduk patuh kepada Allah ‎ﷻ belaka. Kalimah قٰنِتُون adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘mereka tunduk‘. Ia dari kata dasar: ق ن ت yang bermaksud menjadi taat, patuh, berdiri lama dalam solat. Oleh itu, tidak ada yang menjadi wakil Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang berkongsi pemilikan dan pentadbiran alam ini dengan Allah ‎ﷻ. Selain Allah ‎ﷻ semuanya adalah makhluk belaka dan semuanya tunduk kepada Allah ‎ﷻ dan menyahut arahan daripada Allah ‎ﷻ dengan taat. Maka kenapa kita tidak tunduk hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja sedangkan semua yang lain tunduk patuh hanya kepada Allah ‎ﷻ? Kenapa kita tidak terima ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada kita?

Bagaimana kita kata semua sekali patuh kepada Allah ‎ﷻ? Bagaimana pula dengan orang kafir yang tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ? Walaupun orang kafir tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ tetapi tubuh badannya tetap menurut perintah Allah ‎ﷻ. Bernafas, bergerak dan sebagainya. Yang mereka tidak taat itu adalah dalam hal yang mereka ada pilihan yang telah diberikan oleh Allah seperti beriman, solat, puasa dan ibadah lain. Allah tidak paksa manusia untuk taat di dalam hal-hal ibadah dan iman.


 

Baqarah Ayat 117: Kenapa semua makhluk tunduk kepada Allah dan tidak memerlukan anak? Maka di sini Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang Diri-Nya.

بَديعُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sahih International

Originator of the heavens and the earth. When He decrees a matter, He only says to it, “Be,” and it is.

Malay

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

 

بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dialah yang mencipta langit-langit dan bumi;

Kalimah بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Kalimah بَدِيعٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘yang mula-mula buat‘. Ia dari kata dasar: ب د ع yang bermaksud pencipta, pereka, baru, mencipta dari tidak ada. Kalimah bid’ah datang dari katadasar ini lah. Ayat ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ mencipta alam ini tanpa ada contoh daripada alam lain. Maksudnya Allah ‎ﷻ tidak tiru daripada mana-mana alam lain. Dari katadasar yang sama juga menjadi kalimah ‘bidaah’ yang kita selalu dengan itu. Ini kerana bidaah bermaksud mencipta amalan agama yang tidak ada contoh daripada Nabi.

Maka Allah ‎ﷻ mencipta alam ini dengan tidak ada contoh. Tidaklah Allah ‎ﷻ meniru alam ini daripada alam-alam yang lain. Kadang-kadang kita pun ada mencipta juga. Tetapi ciptaan kita adalah daripada bahan-bahan yang sudah ada dan kita bukannya mencipta benda yang baru. Ini kerana kita hanya mengubah atau menambahbaik daripada sesuatu yang sudah ada. Kalau kita cipta kapal terbang, kita hanya mengikut contoh burung yang Allah ‎ﷻ ciptakan. Tetapi Allah ‎ﷻ mencipta alam ini daripada tiada kepada ada, dan tidak ada contoh pun sebelumnya. Allah ‎ﷻ beritahu perkara ini kerana hendak memberitahu kita tentang kehebatan-Nya.

 

وَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Dan apabila Allah membuat keputusan untuk membuat sesuatu;

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak. Salah satu kehendak Allah ‎ﷻ adalah untuk menjadikan sesuatu. Iaitu kehendak mencipta. Tetapi cara Allah ‎ﷻ mencipta, tidaklah sama dengan kita. Kalau kita hendak buat sesuatu, banyak perkara yang kita kena lakukan.

 

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka dia hanya perlu kata ‘jadi’, maka jadilah;

Apabila Allah ‎ﷻ berkehendak untuk membuat sesuatu, maka sudah terjadi. Dan ia terus terjadi kerana huruf ف di dalam kalimah فَيَكُونُ itu bermaksud terus. Tidaklah Allah perlu buat plan, sediakan bahan mentah dan sebagainya. Allah tidak perlukan itu semua kerana apa sahaja yang Allah hendak jadikan, ia terus terjadi.

Maka di sini mengajar kita yang Allah tidak memerlukan anak, tidak memerlukan wakil dan tidak memerlukan sesiapa pun. Kerana Allah boleh buat apa sahaja dengan sangat mudah. Semudah sebut كُنْ sahaja. Kalau Allah ada anak, menganggur sahaja anak itu kerana Allah tidak perlukan apa-apa pun dari anak itu. Tapi كُنْ فَيَكُونُ ini sebenarnya adalah sebagai perumpamaan sahaja betapa cepatnya Allah mencipta. Allah tidak perlu kata ‘كُنْ’ pun sebenarnya. Allah ‎ﷻ sebut tentang kalimah كن itu kerana hendak menunjukkan cepatnya qudrat Allah ‎ﷻ.

Kalau mudah sahaja Allah menjadikan sesuatu, maka timbul persoalan: kenapa Allah perlukan para malaikat pula? Jawapannya Allah memang tidak memerlukan malaikat. Para malaikat diarahkan untuk menjalankan tugas mereka untuk menunjukkan kehebatan kerajaan Allah.

Pemahaman كُنْ فَيَكُونُ sepatutnya difahami oleh orang Nasrani. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام dijadikan begitu juga. Mereka pun tahu yang Nabi Isa عليه السلام dijadikan tanpa ayah. Kalau Nabi Adam عليه السلام, semua tahu baginda dijadikan tanpa ibu dan ayah. Maka tentulah kejadian baginda seperti كُنْ فَيَكُونُ ini juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah