Tafsir Surah Baqarah Ayat 142 (Penukaran Kiblat)

ARAH KIBLAT YANG BARU

Baqarah Ayat 142: Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Di dalam juzuk kedua ini terus dilanjutkan pembetukan masyarakat Muslim yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Dan untuk memenuhi tugas yang berat itu dimatangkanlah terlebih dahulu akidah, atau kepercayaan yang akan menjadi pegangan hidup. Di dalam juzuk 1 kita telah banyak membaca tempelak Tuhan terhadap Bani Israil dan kesimpulan bagi kita adalah: janganlah jadi seperti mereka. Di hujung Juzuk 1 kita telah berkenalan dengan Nabi Ibrahim dan permulaan Juzuk ke 2 ini disambung perkara yang ada kaitan dengan baginda iaitu tentang kiblat. Kerana Ka’bah itu telah dibina oleh baginda dan sekarang akan disebut yang Ka’bah itu akan menjadi kiblat.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 283 adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Tetapi boleh dipecahkan lagi: Ayat 142 – 152 adalah Perenggan Makro tentang Perlantikan Umat Wasato (Umat Pertengahan). Ia akan menceritakan tentang penukaran Kiblat. Dan kita akan belajar bagaimana Kiblat akan dibebaskan daripada berhala dan amalan syirik.

Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Kita kena mengambil syariat Rasul terakhir untuk menjadi umat terpilih dan menjadi contoh kepada manusia seluruh dunia. Ini termasuk cara berekonomi, politik dan bernegara. Oleh itu bahagian ini banyak mengandungi hukum-hakam syariat terakhir yang diturunkan kepada umat baru yang terpilih. Bukan lagi kepada Bani Israil tetapi kepada sekarang kepada Bani Ismail. Kaum Arab akan menjadi khalifah kepimpinan umat manusia menggantikan kaum Yahudi. Dan di dalam Juzuk 2 ini adalah keadaan umat Islam sudah ada negara dan dapatlah menegakkan dan mengamalkan agama Islam dengan sepenuhnya yang mereka tidak dapat lakukan ketika di Mekah dahulu. Sudah tidak perlu mengamalkan agama dengan sembunyi-sembunyi lagi.

Antara mesej penting juga ialah kepentingan infaq dan jihad. Untuk menyebarkan tauhid, menegakkan hukum-hakam dan syariat Islam hanya boleh dilaksanakan dengan adanya kekuasaan Islam. Itulah kena ada Negara Islam. Maka ada banyak seruan yang menyatakan umat Islam kena infaq, korban masa, tenaga, jihad perang untuk menegakkan Negara Islam. Malah kita akan bertemu perintah mengerjakan Haji, bahaya minuman keras dan perjudian dan peraturan berkenaan dengan membentuk rumahtangga, tentang kahwin, talak, rujuk, iddah, sampai kepada meminang, sampai kepada cara bergaul suami-isteri; semuanya itu peraturan yang selalu berpokok dan berpangkal daripada akidah dan hubungan takwa kepada Allah.

Allah mulakan dengan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Ini kerana ada yang kata kita sembah hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah daripada agama-agama lain. Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir ada yang berkata kita sembah batu dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir. Ada enam ayat Al-Qur’an tentang kiblat yang diturunkan kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar dan sangat penting, maka ia perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tidak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap Hajarul Aswad pula.

Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan dari Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tetapi lain dengan kita kerana kita menghadap kiblat Ka’bah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita menghadap Kiblat di Ka’bah itu kerana itu adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita menghadap ‘arah’, bukannya kita menghadap batu itu. Kalaulah Allah suruh kita mengadap pelbagai arah pun kita kena buat. Contohnya untuk qiyam mengadapap Ka’bah, kemudian rukuk kena mengadap BaitulMaqdis pula, maka kita tetap kena lakukan kerana ia adalah arahan Allah. Kita dengar dan kita taat.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah kena memisahkan diri  baginda daripada Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut baginda dan masuk Islam serta berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka menghadap kiblat yang sama (BaitulMaqdis). Tetapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.

Allah ‎ﷻ suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ia adalah kiblat asal Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan puak Ahli Kitab pun mengagungkan juga baginda, jadi sepatutnya tidak ada masalah dengan arah ini. Akan tetapi kita akan lihat mereka mengutuk pula Nabi Muhammad kerana mereka tuduh baginda memandai-mandai ubah arah kiblat yang Allah telah tetapkan. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai menjadi kiblat sepanjang zaman.

سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلَّٮٰهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِّلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

The foolish among the people will say, “What has turned them away from their qiblah, which they used to face?” Say, “To Allah belongs the east and the west. He guides whom He wills to a straight path.”

Malay

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

 

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ

Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;

Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu apa yang mereka akan kata. Ini adalah sebagai persiapan mental kepada Nabi Muhammad dan para sahabat. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu. Juga boleh dimasukkan golongan Musyrikin Mekah kerana mereka pun sibuk juga dalam hal ini. Mereka kata ini Muhammad hendak balik ke agama nenek moyanglah sebab itu tukar kiblat ke Ka’bah.

Ini kerana ayat ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelum ini tentang puak Yahudi itu. Kerana itulah permulaan ayat ini tidak dimulai dengan harf و yang menjadi tanda masuk kepada topik yang baru. Oleh kerana itu السُّفَهَاءُ di dalam ayat ini antara lain merujuk kepada golongan Yahudi. Tapi Allah tidak sebut nama mereka, hanya disebut السُّفَهَاءُ kerana hendak menekankan yang itulah sifat mereka. Tapi kita tahu kerana kesinambungan ayat ini dari ayat-ayat tentang mereka sebelum ini.

Akan berkata golongan bodoh itu daripada golongan Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah ‎ﷻ panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Maksud السُّفَهَاءُ adalah orang-orang yang lemah akalnya, atau yang melakukan sesuatu tanpa dasar, sama ada kerana memang tidak tahu atau tahu, tapi sengaja tidak ikut. Ini kerana mereka berkata itu dalam nada mengejek: “Kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini, boleh tukar-tukar pula?” Begitulah lebih kurang kata-kata mereka. Memang orang bodoh akan berkata tak fikir dahulu sebelum bercakap, pakai cakap apa sahaja yang lalu di kepala mereka yang dangkal. Begitulah yang kita lihat di dalam media sosial apabila ada perbincangan agama. Ramai yang tidak ada ilmu, tapi nak komen ikut otak mereka sahaja.

Ini adalah pujukan (tasliah) kepada Nabi Muhammad. Allah hendak pujuk supaya jangan kisahlah kata-kata orang bodoh itu. Ini macam kita kena kritik dalam dakwah Sunnah kita. Akan banyak yang akan kritik kita, sudah tentu punya. Tapi kalau yang kritik itu keyboard warrior di FB yang hingusan dan kita pun tahu mereka itu tidak ada ilmu, tak payahlah kita nak pening kepala. Memang itu sudah kerja mereka. Seperti banyak sahaja yang kritik tulisan saya di blog ini tapi apabila saya minta hujah, mereka krik krik sahaja kerana memang tidak ada hujah. Lainlah kalau yang kritik itu kita dengar seorang ustaz dan dia dihormati kerana ilmunya, maka kita kena periksa baliklah apa yang kita tulis. Tapi kalau budak-budak dan ustaz kampung yang kritik, tak payah kisahlah.

Apakah kata-kata orang bodoh itu? Ada yang berkata bahwa peralihan kiblat ini ialah kerana Muhammad itu berfikir kurang matang, sebentar menghadap ke sana sebentar menghadap ke mari. Dan ada pula yang berkata bahawa Muhammad hendak mengajak manusia kembali kepada agama nenek-moyangnya. Sebab di waktu itu di Ka’bah masih didapati berhala-berhala. Semuanya ini adalah lidah yang tidak bertulang. Maka di dalam ayat ini Nabi diberi peringatan, bahawa sebagaimana sudah terbiasa, apabila seorang Rasul atau pemimpin membuat suatu perubahan baru, sudah pasti akan ada ribut-ribut. Tetapi ribut-ribut hanya akan datang dari orang’ orang bodoh, orang yang tidak bertanggungjawab. Samalah kalau kita lihat perbahasan agama di media sosial. Kita perhatikan ramai sahaja orang jahil akan sibuk komen padahal mereka tidak ada asas di dalam agama. Tidak berilmu, tapi masih tetap hendak beri komen.

Allah beritahu kepada Nabi Muhammad yang baginda akan berhadapan dengan kata-kata orang bodoh. Jadi tidak perlu acuhlah kepada kata-kata mereka. Letih kalau hendak melayan kata-kata orang bodoh. Imam Syafi’i berkata :

ﺍﺫَﺍ ﻧﻄَﻖَ ﺍﻟﺴَّﻔِﻴْﻪُ ﻭَﺗُﺠِﻴْﺒُﻬُﻔَﺦٌﺮْﻳَ ﻣِﻦْ ﺍِﺟَﺎﺑَﺘِﻪِ ﺍﻟﺴُّﻜُﻮْﺕُ
Apabila orang bodoh mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak melayan

ﻓﺎِﻥْ ﻛَﻠِﻤَﺘَﻪُ ﻓَﺮَّﺟْﺖَ ﻋَﻨْﻬُﻮَﺍِﻥْ ﺧَﻠَّﻴْﺘُﻪُ ﻛَﻤَﺪًﺍ ﻳﻤُﻮْﺕُ
Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka dia akan selalu menyakiti hati

ﻗﺎﻟُﻮْﺍ ﺳﻜَﺖَّ ﻭَﻗَﺪْ ﺧُﻮْﺻِﻤَﺖْ ﻗُﻠْﺖُ ﻟَﻬُﻤْﺎِﻥَّ ﺍﻟْﺠَﻮَﺍﺏَ ﻟِﺒَﺎﺏِ ﺍﻟﺸَّﺮِ ﻣِﻔْﺘَﺎﺡُ
Apabila ada orang bertanya kepadaku, jika ditentang oleh musuh, apakah engkau diam?? Jawabku kepadanya : Sesungguhnya untuk menangkal pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya

ﻭﺍﻟﺼﻤْﺖُ ﻋَﻦْ ﺟَﺎﻫِﻞٍ ﺃَﻭْ ﺃَﺣْﻤَﻖٍ ﺷَﺮَﻓٌﻮَﻓِﻴْﻪِ ﺃَﻳْﻀًﺎ ﻟﺼﻮْﻥِ ﺍﻟْﻌِﺮْﺽِ ﺍِﺻْﻠَﺎﺡُ
Sikap diam terhadap orang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan.

 

مَا وَلَّٮٰهُم عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”

Kalimah قِبلَةَ dari kata dasar ق ب ل yang bermaksud menerima, jumpa seseorang, mengadap seseorang atau sesuatu, tunjuk persetujuan, dan banyak lagi. Kita pun sudah tahu maksud kiblat ini. Dulu Nabi ﷺ mengadap kiblat di Baitulmaqdis dalam salat, tetapi selepas itu Nabi ﷺ diperintahkan Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi ﷺ dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?

Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Di awal hijrah umat Islam di Madinah, kiblat masih lagi mengadap ke arahnya seperti disebut di dalam hadith yang direkodkan daripada al-Bara bin ‘Azib RA:

عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا وَكَانَ يُعْجِبُهُ أَنْ تَكُونَ قِبْلَتُهُ قِبَلَ الْبَيْتِ وَأَنَّهُ صَلَّى أَوْ صَلَّاهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ وَصَلَّى مَعَهُ قَوْمٌ فَخَرَجَ رَجُلٌ مِمَّنْ كَانَ صَلَّى مَعَهُ فَمَرَّ عَلَى أَهْلِ الْمَسْجِدِ وَهُمْ رَاكِعُونَ قَالَ أَشْهَدُ بِاللَّهِ لَقَدْ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ مَكَّةَ فَدَارُوا كَمَا هُمْ قِبَلَ الْبَيْتِ وَكَانَ الَّذِي مَاتَ عَلَى الْقِبْلَةِ قَبْلَ أَنْ تُحَوَّلَ قِبَلَ الْبَيْتِ رِجَالٌ قُتِلُوا لَمْ نَدْرِ مَا نَقُولُ فِيهِمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ }
Dari Al Bara’ radliallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat dengan menghadap ke Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Dan baginda menyukai jika kiblatnya menghadap ke arah Ka’bah. Kemudian baginda pun salat Asar bersama sekelompok para sahabat dengan menghadap ke arah kiblat. Setelah itu salah seorang dari sahabat tersebut keluar dan melalui kaum muslimin di sebuah masjid yang pada waktu itu mereka sedang ruku. Sahabat tadi berkata; Aku bersaksi kepada Allah, sungguh aku telah salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap kiblat. Mereka pun segera berputar dalam keadaan salat menghadap ke arah kiblat. Ada beberapa orang yang telah meninggal dengan menghadap ke arah kiblat pertama yang kami tidak tahu apa yang harus kami katakan mengenai hukumnya bagi mereka tersebut. Maka Allah pun menurunkan ayat; “Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan keimanan kalian, sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang kepada manusia.” (Al Baqarah: 143).
Sahih Bukhari (4126)

Golongan Yahudi mencemburui Kiblat Ka’bah kerana ia adalah satu kelebihan yang Allah berikan kepada umat Islam. Ini kita dapat tahu dari hadith yang diriwayatkan dari Ummum Mukminin Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

إنَّهم لا يَحسُدونا على شيءٍ كما يَحسُدونا على يومِ الجمُعةِ التي هَدانا اللهُ لها، وضَلُّوا عنها، وعلى القِبلةِ التي هَدانا اللهُ لها، وضَلُّوا عنها، وعلى قولِنا خلفَ الإمامِ: آمينَ
“Sesungguhnya kaum Yahudi itu tidak hasad kepada kita atas suatu yang lebih mereka hasad yakni:
– Hasad mereka akan hari Jumaat yang Allah anugerahkan. kepada kita dan mereka telah mengkufuri pemberian Allah.
– Hasad mereka akan kiblat yang Allah anugerahkan kepada kita dan mereka telah sesat padanya.
– Hasad pada ucapan amin kita ketika solat di belakang imam.”
1. Imam Bukhari (6395)
2. Imam Muslim (2165)
3. Imam Tirmizi (2701)
4. Imam Nasaie (10213)
5. Imam Ibnu Majah (856)
6. Imam Ahmad (25029)

Telah jelas kepada kita bahawa semasa di Madinah, Nabi dan para sahabat mengadap ke BaitulMaqdis. Tapi kita tahu bahawa perintah solat telah diberi semasa Isra’ Mi’raj iaitu semasa Nabi berada di Mekah. Kiblat apakah yang dihadap mereka semasa di Mekah? Ada Tiga pendapat:

    1. Mengadap Ka’bah juga waktu itu. Sebab tiada riwayat yang mengatakan masyarakat Arab kritik Nabi berkenaan hal kiblat. Kalau mengikut pendapat ini, hanya apabila di Madinah sahaja mereka berkiblatkan BaitulMaqdis.
    2. Sudah mengadap BaitulMaqdis tapi Nabi mengadap Ka’bah juga di dalam masa yang sama. Maknanya, Nabi dan para sahabat buat allignment supaya mengadap dua-dua kiblat di dalam satu masa ketika solat. Tapi pendapat ini tidak kuat. Kerana kedudukan rumah sahabat tidak begitu. Rumah mereka berselerak, jadi susah kalau kita kata mereka mengadap dua-dua kiblat. Banyak kemusykilan boleh ditimbulkan dalam pendapat ini.
    3. Mereka hanya mengadap BaitulMaqdis sahaja. Ini adalah kerana waktu itu Ka’bah ada banyak berhala jadi untuk membezakan antara Muslim dan kafir. Dan apabila hijrah ke Madinah, mereka terus sambung mengadap BaitulMaqdis selama 16/17 bulan.

Oleh kerana perbezaan pendapat ini, maka kalimat كَانُوا عَلَيْهَا boleh ditafsirkan dengan dua cara. Sama ada ia merujuk kepada BaitulMaqdis atau ia boleh merujuk kepada Ka’bah.

Apa-apa pun, kita boleh lihat bahawa arahan mengadap BaitulMaqdis itu hanya ada dalam wahy khafi – hadis sahaja. Ini adalah kerana ia tidak ada di dalam Al-Qur’an. Itu pun sudah menunjukkan ianya bersifat sementara sahaja. Ada juga pendapat yang mengatakan arah kiblat BaitulMaqdis itu pun sebenarnya bukan arahan Allah akan tetapi ijtihad Nabi Muhammad sahaja. Allahu a’lam.

Selepas Nabi ﷺ dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam salat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi ﷺ sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah. Dan ia telah ditukar dan ia adalah hukum pertama yang dinasikhkan oleh Allah.

Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, namun tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ. Kita boleh katakan yang BaitulMaqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga menghadap kepada kiblat mereka. Tetapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat pun. Tetapi yang jelas, mereka akan marah. Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak mahu terima sahaja kerana degil. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi ﷺ berpindah kepada menghadap Ka’bah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi Masjidil Aqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.

Nabi-Nabi daripada kalangan Bani Israil memang menghadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata, kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam menghadap ke BaitulMaqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Namun tidak begitu kehendak Allah ‎ﷻ.

Ayat ini masih lagi terpakai kerana memang sampai sekarang ada lagi yang mempersoalkan kenapa kiblat ditukar. Sebelum ini telah disebut tafsiran bagi السُّفَهَاءُ adalah Yahudi. Akan tetapi ia juga boleh merujuk kepada sesiapa sahaja yang bodoh dari kalangan manusia dan tidak terhad kepada golongan Yahudi sahaja. Sebab itulah Allah tidak mengkhususkan sebut golongan Yahudi di dalam ayat ini melainkan hanya menyebut السُّفَهَاءُ sahaja. Memang akan sentiasa sahaja ada orang bodoh dalam dunia ini yang mempersoalkan hal ini. Contohnya di universiti-universiti ada lagi Professor-professor yang kata patutnya Islam tidak menukar kiblat. Patutnya pakai sahaja kiblat ke Jurusalem. Apa mereka sangka ia adalah pilihan Nabi? Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah ‎ﷻ jawab dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.

 

قُلْ لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;

Sekarang Allah ajar apa yang hendak dijawab kepada orang-orang bodoh itu. Nabi Muhammad tak perlu fikir skrip, sekarang Allah berikan sendiri. Beritahulah yang Allah ‎ﷻ memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur pun Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka terpulang kepada Allah ‎ﷻlah hendak suruh kita menghadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaan-Nya. Yang penting adalah arahan itu dan arah ke mana tidak penting. Ini kerana jalan yang lurus adalah dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ bukan arah yang mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini. Perkara ini telah disebut di dalam ayat 115 surah ini sebelum ini:

وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

Arah mana kiblat itu tidak penting sangat kerana disebut di dalam ayat 115 yang kita hadapkan di dalam solat, فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ di situlah wajah Allah. Tambahan pula disebut di dalam Baqarah:177 yang kebaikan itu bukanlah pada arah,

لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat

Maknanya Allah tidak perlukan arah. Kebaikan juga boleh dicapai walaupun tanpa mengadap ke arah yang spesifik. Akan tetapi penyatuan arah adalah penting kerana kalau semua arah berlainan, maka tentulah tidak molek, bukan? Agama Islam mementingkan penyatuan, maka mestilah kena ada satu arah yang sama-sama umat Islam menghadap kepadanya. Ada berbagai cara untuk menyatukan masyarakat, sebagai contoh tempat, bahasa, bangsa dan lain-lain lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, kebijaksanaan Allah adalah menyatukan satu arah di dalam ibadah yang dilakukan setiap hari iaitu solat. Kerana kalau bahasa yang dijadikan alat penyatuan, bukan semua umat Islam boleh berbahasa Arab. Jadi kalau cara lain yang dijadikan sebagai punca penyatuan, ia tidak akan berjaya. Sebab itu Islam tidak ada uniform dan tidak perlu pun hendak pakai jubah, riddah di bahu kanan atau serban yang sama. Pakai baju apa-apa pun boleh asalkan menutup aurat dan tidak menjolok mata.

Pentingnya kiblat ini sampaikan kita tidak boleh mengkafirkan ahlul qiblah. Tapi Allah tidak berikan manusia memilih kerana kalau manusia pilih sendiri tentulah takkan selesai perbincangan mana satu arah yang dipersetujui. Jadi Allah sendiri yang pilih supaya manusia terus boleh ikut sahaja. Dan Allah telah lama pilih Ka’bah kerana itulah rumah ibadat yang pertama dibina di dunia seperti disebut di dalam Ali Imran:96

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Jadi kiblat ke Ka’bah itu bukanlah baru, jadi apabila umat Islam menghadap ke Ka’bah sebenarnya kita kembali ke kiblat yang asal. Cuma semasa Nabi ﷺ di Mekah, baginda menghadap BaitulMaqdis dalam salat baginda (mengikut satu pendapat yang kita akan bincangkan nanti). Ini kerana semasa di Mekah, Nabi ﷺ boleh lagi berada dalam posisi di mana baginda menghadap Ka’bah dan BaitulMaqdis dalam waktu yang sama. Nabi ﷺ menjadikan kedudukan Ka’bah dan BaitulMaqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali. Tetapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi ﷺ dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi ﷺ telah sedih disebabkan perkara itu kerana Nabi ﷺ amat sayangkan Ka’bah kerana ia ada kaitan dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Ka’bah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah ‎ﷻ berkata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah. Ini kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ hendak membiarkan umat Islam terus salat menghadap ke arah Ka’bah yang banyak berhala padanya? Para sahabat dari Mekah memang tidak pernah melupakan Mekah dan Ka’bah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.

 

يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Allah pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;

Di dalam Surah Fatihah Ayat 6 telah disebut الصِّرٰطَ المُستَقيمَ yang kita dambakan itu. Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:

1. Ia mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tetapi ia bukanlah الصِّراطَ kalau ia tidak lurus.

2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.

3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ia adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.

4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.

5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah ﷻ menggunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Al-Qur’an seperti yang dalam An’am: 153

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,

Allah ‎ﷻ boleh pilih dan bawa sesiapa sahaja ke arah kebenaran. Kerana itu kita katakan hidayah itu milik Allah ‎ﷻ. Dan Allah ‎ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahukan kebenaran. Iaitu mereka yang ada sifat inabah dalam hatinya. Mereka sendiri mahu kepada kebenaran dan sanggup mengikutnya. Iaitu jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah ‎ﷻ. Maka kenalah kita minta jalan yang lurus ini daripada Allah ‎ﷻ.

Allah sahaja yang tahu mengapa Dia arahkan manusia untuk mengadap Ka’bah di dalam ibadah. Kita mungkin boleh agak-agak sahaja dan tidak tahu dengan pasti. Akan tetapi bagi mereka yang Allah hendak beri hidayah, senang sahaja ikut apa sahaja arahan dari Allah. Kita tidak perlu tahu apakah hikmat sesuatu amalan itu untuk kita mengamalkannya. Asalkan kita taat sahaja kepada perintahNya. Yang pasti, tentu ada hikmah sama ada kita tahu atau tidak.

Tapi tidak salah untuk kita buat andaian apakah hikmat Allah suruh umat Islam bertukar arah kiblat. Ia boleh jadi benar tapi boleh juga jadi salah. Ulama’ berusaha memikirkan kenapa dan mengapa dari sesuatu arahan Allah kerana ia tugas akal yang memang ingin mengetahui, bukan? Boleh jadi pengalihan kiblat pertama dari Mekah ke BaitulMaqdis kerana pada waktu itu, Mekah dan Ka’bah dipenuhi dengan berhala yang banyak. Dan sekarang sudah sampai masa untuk membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala itu maka sekarang diarahkan manusia untuk mengarah kepadanya.

Allah akan membawa orang yang mahukan kebenaran ke arah kebenaran. Kerana dia sendiri yang hendak. Kerana itu ada kaedah penting di dalam ayat ini, iaitu نظرة الأمر وليس إلى الأمر ‏  (lihatlah kepada yang memberi arahan, bukannya kepada arahan itu). Jadi arahan untuk mengadap ke Ka’bah sebagai kiblat adalah arahan Allah. Tak perlulah untuk kaji kenapa dan mengapa pula.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 138 – 141 (Setiap umat tanggung sendiri)

RAMAI PARA NABI, AKAN TETAPI SATU MESEJ YANG SAMA

Baqarah Ayat 138: Sekarang kita akan belajar tentang Celupan Allah ‎ﷻ. Ia bermaksud Agama Allah ‎ﷻ. Dalam Kristian, mereka guna baptis – rendam dalam air.

صِبغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبغَةً ۖ وَنَحنُ لَهُ عَـٰبِدُونَ

Sahih International

[And say, “Ours is] the religion of Allah . And who is better than Allah in [ordaining] religion? And we are worshippers of Him.”

Malay

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat”.

 

صِبْغَةَ اللَّهِ

Celupan Allah.

Kalimah صِبغَة adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘celupan‘. Ia daripada kata dasar: ص ب غ yang bermaksud pewarna, warna, celup, tenggelam, mengambil sifat daripada sesuatu yang lain, dewasa, undang-undang, agama, sifat. Di sini Allah ‎ﷻ menghendaki kita untuk ‘mencelupkan’ diri kita dengan ‘celupan Allah ‎ﷻ’. Bayangkan kalau kita memasukkan kain yang putih ke dalam celupan nila berwarna biru. Selepas beberapa lama, kain itu akan bertukar kepada warna biru keseluruhannya. Itulah imej yang boleh kita bayangkan. Allah ‎ﷻ mahukan kita memasukkan keseluruhan diri kita ke dalam beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan sedikit-sedikit. Kita kena ikut Allah ‎ﷻ secara keseluruhan. Ini kerana celupan menyebabkan penyerapan ke dalam rongga dan pori-pori; tidak sama dengan cat yang hanya di luar sahaja. Jadi kita kena jadikan hati kita seperti span yang senang terima sunnah dan ajaran wahyu. Jangan pula senang sahaja terima ajaran karut, bi’dah dan syirik. Kena terima صِبْغَةَ اللَّهِ bukannya صِبْغَةَ شيطان.

Potongan ayat ini pendek sahaja: صِبْغَةَ اللَّهِ maka kena taqdir. Tambahan pula kalimah صِبْغَةَ اللَّهِ itu dalam bentuk nasab dan bukannya marfu’ صِبْغَةُ اللَّهِ. Jadi taqdirnya adalah قَبِلنَا صِبْغَةَ اللَّهِ (katakanlah kami terima celupan Allah ﷻ). Namun persoalannya adalah, apakah celupan Allah ﷻ itu?

Jadi kalimah صِبْغَةَ اللَّهِ boleh diterjemahkan sebagai agama Allah ﷻ. Ada juga yang menterjemahkan sebagai fitrah Allah ﷻ, iaitu fitrah kepada agama Islam yang Allah ﷻ telah berikan kepada setiap manusia. Bagaimana cara masuk Islam? Cara pengislaman adalah dengan syahadah pada lidah dan tasdiq (pengakuan) pada hati serta lakukan amalan Islam – inilah cara yang diajar apabila masuk Islam. Namun Yahudi dan Nasara ada cara mereka – mereka kena mandi dengan air yang diwarnakan kuning (baptis). Kononnya itu menggantikan khitan dan membersihkan dalaman dan luaran mereka. Jadi mereka tanya kepada orang Islam: masuk Islam celup macam mana yang kamu pakai?

Mereka kata hendak masuk agama ada cara tradisi macam mereka celup itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang itu adalah rekaan mereka sahaja, tidak ada perkara sebegitu yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka yang reka bid’ah itu. Allah ‎ﷻ tidak terima cara mereka, tetapi Allah ‎ﷻ terima cara Dia sahaja. Ini termasuklah amalan tok-tok guru sesat yang memandikan kereta dan motor yang baru dibeli oleh anak murid mereka. Kononnya akan menyelamatkan kenderaan itu daripada kemalangan tetapi ditimpa kemalangan juga. Buang duit sahaja bayar tok guru yang buat amalan sesat itu. Kemudian ada pula perempuan yang tidak laku yang disuruh oleh tok bomoh mandi bunga. Ini sudahlah bid’ah tapis syirik pula.

Kita terima cara celupan Allah ‎ﷻ sahaja iaitu dengan mengucap syahadah itu. Dengannya, Allah ‎ﷻ ubah akidah kita daripada syirik kepada tauhid; daripada khurafat kepada syariat. Yang kita perlu lakukan: Betulkan akidah dan betulkan amalan, betulkan adat supaya menepati kehendak syariat, itu sudah masuk agama Islam. Tidak perlu kepada proses seperti yang mereka lakukan itu. Yang penting kena masukkan celupan Allah ﷻ dalam diri kita iaitu dengan mengamalkan Islam dengan sepenuhnya.

Ia juga ada maksud tersirat. Iaitu sebagaimana kalau baju dicelup dengan sesuatu warna, maka akan kelihatan warna pada kain baju itu, maka begitulah dengan kita. Kena nampakkan Islam pada diri kita iaitu pada penampilan dan pengamalan kita. Jangan cakap sahaja bernama Islam tetapi apa pun tidak tidak boleh ditunjuk yang kita ini beragama Islam. Islam itu perlu ditunjukkan.

Ada juga yang mentafsirkan صِبْغَةَ اللَّهِ ini sebagai celupan Allah ﷻ pada alam ini. Kalau kita perhatikan alam ini dengan berbagai warna yang indah-indah, ia adalah hasil kerja Allah ﷻ. Allah sahaja yang mampu mewarnakan alam ini dengan segala keindahannya. Berjuta-juta tahun Allah ﷻ mengindahkan alam ini. Warna itu juga ada yang bertukar-tukar mengikut musim dan keadaan.

 

وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً

Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah daripada Celupan (Agama)?

Adakah agama lain yang lebih baik daripada agama Allah ﷻ? Kalau mereka kata kena juga ikut cara mereka, atau kena ada cara yang khusus, tanya kepada mereka; ada lagikah celupan lain yang mereka rasa lebih baik daripada Celupan Allah ‎ﷻ? Tentu tidak akan ada cara lain.

Kenapa hendak ambil ajaran daripada selain Allah ﷻ dan Rasul-Nya? Kenapa hendak reka amalan yang tentunya tidak ada dalil? Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam Isra’:36 tentang amalan mesti ada dalil. Pencipta amalan bid’ah selalu beri hujah bodoh: tidak ada larangan dalam Al-Qur’an. Mereka cakap begitu kerana mereka tidak faham ajaran Al-Qur’an sebab tidak pernah belajar tafsir tetapi ikut cakap tok guru mereka sahaja. Nah, ini larangan beramal dengan amalan bid’ah!

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Jadi mana-mana yang ada dalil, laju sahaja kita buat. Akan tetapi kalau ada amalan yang entah datang dari mana, kita akan tanya banyak. Dari mana dapat? Macam mana boleh jadi begitu? Siapa yang ajar kamu benda ini? Dan bermacam-macam lagi soalan yang kita akan tanya. Kena bersedia jawablah sebab kamu yang kata amalan itu ada. Kalau ada dapat dari mana? Dari anginkah?

Ada juga yang berpendapat bahawa yang dicelup Allah ﷻ adalah umat manusia seluruhnya. Manusia dicelup oleh Allah ﷻ dengan sesuatu yang telah melekat pada diri masing-masing, iaitu keyakinan tentang wujud dan keesaan Allah ﷻ. Semua manusia memilikinya seperti disebut di dalam satu hadith yang masyhur,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
(Riwayat al-Bukhari No. 1385)

Akan tetapi walaupun semua manusia ada fitrah itu akan tetapi yang menjaganya hanyalah umat Islam sahaja.

 

وَنَحْنُ لَهُ عَـٰبِدُونَ

Dan sesungguhnya terhadap Allah sahaja kami menghambakan diri;

Maknanya, kita kena kata dan mengaku yang kita berserah menghambakan diri dan berdoa hanya kepada Allah ‎ﷻ. Kita menegaskan bahawa kita hanya beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita cakap begitu kerana Ahli Kitab itu walaupun mereka kata mereka beribadat kepada Allah ‎ﷻ, namun hakikatnya, mereka tidak hanya beribadat kepada Allah ﷻ. Mereka ada juga menghambakan diri kepada entiti-entiti yang lain.

Ahli Kitab sangka mereka telah menyembah Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya mereka tidak menyembah Allah ‎ﷻ. Jangan kita jadi macam mereka pula. Kita kena belajar supaya kita dapat kemaskan tauhid kita kepada Allah ‎ﷻ.


 

Baqarah Ayat 139: Ini adalah ayat zajrun (teguran) kepada mereka yang menyimpang dari jalan yang benar. Ahli Kitab dan puak Musyrikin Mekah sangka yang amalan ibadat mereka mirip kepada syariat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun tidak sebenarnya. Itu hanya sangkaan mereka sahaja.

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Do you argue with us about Allah while He is our Lord and your Lord? For us are our deeds, and for you are your deeds. And we are sincere [in deed and intention] to Him.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

 

قُلْ أَتُحَاجُّونَنَا فِي اللَّهِ

Tanya kepada mereka: adakah kamu hendak berhujah tentang Allah?

Tanya mereka, adakah mereka hendak berhujah dengan kita tentang Allah ‎ﷻ? Mereka kata kita orang Islam bukannya sembah Allah ‎ﷻ, tuhan sekalian alam, tetapi mereka kata kita sembah Tuhan Bulan. Itu antara kata-kata mereka yang kata orang Islam yang sesat.

Ataupun, Allah ‎ﷻ suruh kita tanya mereka, adakah kamu hendak berhujah dalam hal mentauhidkan Allah ‎ﷻ? Ini adalah kerana Ahli Kitab dan Musyrikin Mekah telah menerima yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan utama. Cuma masalahnya, mereka ada juga sembah entiti lain selain daripada Allah ‎ﷻ. Yang mereka kita sebagai ‘tuhan-tuhan mini’.

Atau, adakah mereka hendak membantah Allah ‎ﷻ kerana memilih Nabi Akhir Zaman dalam kalangan bangsa Arab?

Atau, cakap kepada mereka: Kalian berkata Tuhan memiliki anak, agama kalian lebih benar! Petunjuk Allah ﷻ hanya untuk kalian! Syurga milik kalian!. Kalian tidak akan masuk neraka kecuali beberapa hari! Tuhan beranak, dan lain-lain. Apakah ada hal-hal yang khusus buat kalian, sehingga kalian menduga bahawa Tuhan mengkhususkan buat kalian sesuatu yang tidak dianugerahkan-Nya kepada kami? Apakah benar seperti itu ajaran-Nya? Apakah dia membeza-bezakan antara kita, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu?

 

وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

sedangkan Allah taala itu Tuhan kami dan juga Tuhan kamu

Mereka kata kita yang sesat, padahal kitalah yang menyembah Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini yang membawa makna: mencipta, memelihara dan menjaga sekalian alam. Maknanya Allah ‎ﷻ bukan hanya mencipta alam ini, tetapi Allah ﷻ akan terus menjaga dan memeliharanya. Tidak ada yang terlepas langsung daripada pandangan dan kawalan Allah ‎ﷻ.

Bagaimana hendak membantah Allah ‎ﷻ yang memilih Nabi Muhammad ﷺ, sedangkan itu adalah pilihan-Nya sendiri dan Dia adalah Rabb kita? Kerana Yahudi dan Nasarani itu jenis yang percaya kepada Tuhan (bukannya Atheis) jadi kenapa hendak membantah keputusan Allah ﷻ? Siapa kita yang hendak mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ? Sepatutnya apabila Rabb telah tentukan apa-apa, kita terima sahaja.

Allah itu Rabb untuk semua, bukan hanya umat Islam sahaja. Dia juga Tuhan kepada Yahudi dan Nasara juga. Jadi ini adalah hujah tidaklah salah kalau orang Kristian hendak menggunakan nama Allah bagi Tuhan mereka (God the Father). Cuma kita faham orang yang menentang itu adalah kerana pemahaman mereka tentang Allah ﷻ tidak seperti yang sepatutnya. Maka yang perlu diperbetulkan adalah pemahaman mereka tentang Allah ﷻ; bukannya terus melarang mereka menggunakan nama Allah.

Kalau kita sama, maka tidak patutlah kalau Yahudi dan Kristian itu mengkhususkan mereka sahaja yang benar, mereka sahaja masuk syurga. Takkan umat Islam umat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada peluang? Kenapa pula mereka hendak monopoli Allah ﷻ sedangkan Tuhan kita bersama, bukan?

 

وَلَنَا أَعمَـٰلُنَا

Dan bagi kami hasil daripada amalan-amalan kami;

Iaitu kita akan dapat hasil daripada amalan-amalan kita yang kita belajar asasnya daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau amalan itu tidak ada asas daripada Nabi ﷺ dan sahabat, maka tidak akan dapat hasilnya. Kita kena berbangga dengan amalan Sunnah yang kita amalkan kerana ia juga diamalkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Lebih tenang sebenarnya mengamalkan amalan yang pasti Sunnah kerana kita tahu yang ia pasti diterima oleh Allah ﷻ.

Ada yang salah faham dengan ayat ini. Ramai yang faham bahawa ayat ini adalah untuk dikatakan kepada orang lain yang amalan mereka tidak sama dengan amalan kita. Contohnya, seseorang itu akan kata kepada orang lain: “Buatlah apa kamu nak buat, amalan aku, amalan aku; dan amalan kamu adalah amalan kamu.” Itu tidak tepat. Ini kerana kalau kita kata begitu, ia seperti memberi peluang kepada mereka untuk berbuat apa sahaja amalan mereka. Takut ada pula yang akan buat amalan bid’ah dan kita mengiyakan cara mereka pula. Yang lebih tepat adalah ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap amalan itu akan ada hasilnya. Kita akan dapat imbuhan daripada amalan itu. Kalau ia adalah amalan yang soleh, kita akan mendapat pahala. Namun sebaliknya, kita lihat kepada bahagian ayat yang seterusnya:

 

وَلَكُمْ أَعمَـٰلُكُم

Dan bagi kamu hasil dari amalan-amalan kamu;

Haram mengikuti amalan Ahli Kitab. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ». رواه أبوداود قال الشيخ الألباني : حسن صحيح
Barang siapa yang meniru tradisi suatu kaum maka dia adalah sebagian daripada kaum tersebut.
(Sunan Abu Daud. Syaikh al-Albani berkata: hasan sahih).

Begitu juga kita tidak boleh beramal dengan amalan rekaan daripada manusia. Iaitu amalan-amalan bid’ah yang kamu belajar daripada guru-guru kamu yang tidak ada asasnya. Kebanyakan ajaran mereka datang daripada guru, bukan daripada wahyu. Tidak kira agama mana. Termasuk kepada mereka yang mengaku Islam pun, ramai yang mengamalkan ibadah yang bukan daripada wahyu. Melainkan mereka ambil daripada ajaran datuk nenek sahaja.

Jika amalan itu bukan daripada wahyu, maka ia adalah amalan bidaah. Amalan-amalan sebegitu pun akan ada hasilnya, tetapi bukanlah hasil yang baik. Mereka akan mendapat juga hasil daripada amalan mereka itu, tetapi balasan yang buruk. Maka kita ingatkan mereka supaya jangan membuatnya kerana mereka akan mendapat hasil yang buruk. Amal bid’ah tidak ada pahala melainkan mendatangkan dosa sahaja. Jangan ubah-ubah agama ini kerana nanti ia akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani.

Sebagai contoh, tidak ada nyanyian dalam agama Islam. Yang ada nyanyian adalah agama Kristian yang terpaksa tambah nyanyian dalam agama mereka untuk menarik minat penganut mereka. Namun sekarang kita sudah ada nasyid, qasidah dan sebagainya. Itu semua bukan daripada agama. Namun sudah mengikut cara agama Kristian pula. Kalau Kristian menyanyi dahulu dalam gereja mereka sebelum khutbah mereka, kita sekarang pun sudah mula bawa masuk qasidah ke dalam masjid. Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam negara kita dan masjid kita dan mula menyesatkan masyarakat kita.

 

وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Dan kami, kepada Allah sahaja kami tulus ikhlas;

Maksudnya, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita panjatkan harapan kita dalam ibadat, doa dan pemujaan kita. Jangan kita campur adukkan amalan ibadat kita kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Itu adalah perbuatan syirik dan ini tidak patut kita lakukan terhadap Allah ﷻ. Oleh itu maksud مُخْلِصُونَ adalah مُوَحِّدون iaitu orang-orang yang mentauhidkan Allah ﷻ semata-mata. Maka kesalahan besar telah dilakukan oleh Yahudi yang memuja Uzair dan Kristian yang memuja Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun adakah mereka sahaja bersalah dalam hal ini? Bagaimana dengan umat Islam? Ada juga yang jahil tentang akidah telah melakukan syirik yang sama seperti Ahli Kitab itu. Ini kerana mereka tidak belajar wahyu jadi banyak ajaran pelik-pelik dalam dunia Islam sekarang. Maka kita belajar dan jangan buat perkara syirik atau yang boleh membawa kepada syirik. Maka jangan kita puja Nabi Muhammad ﷺ sampai kita buat majlis Maulid Nabi. Jangan kita doa meminta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Jangan kita kirim salam kepada Nabi ﷺ, Malaikat dan Wali. Tidak perlu melakukan amalan karut seperti sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka dalam apa sahaja bentuk ibadat, kita hanya lakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan buat amalan ibadah melainkan kalau ada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith yang membenarkannya.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan ikhlas dalam ibadat kita. Ikhlas itu bermaksud kita hanya mengharap pahala dan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita lakukan ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan kerana kita takut orang pandang serong kepada kita, bukan sebab kita malu dengan orang atau kerana ada orang paksa kita – itu semua tidak ikhlas maknanya. Kita kena buat sesuatu amalan itu hanya untuk mengharapkan redha Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka janganlah kita menyebut-nyebut ibadat-ibadat kita yang sunat kepada orang ramai kerana ditakuti kita riak dan mengharap supaya orang memuji kita. Kita hanya mengharapkan pujian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada makhluk.


 

Baqarah Ayat 140: Rungutan Allah ‎ﷻ lagi terhadap golongan ahli kitab. Yahudi kata agama asal adalah Yahudi. Mereka kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan semua Nabi-Nabi lain adalah beragama Yahudi. Kerana tohmahan mereka itulah, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Mereka tuduh Islam adalah agama baru. Padahal Yahudi itulah agama yang baru, bukannya Islam.

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ ۗ  قُل ءَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Or do you say that Abraham and Ishmael and Isaac and Jacob and the Descendants were Jews or Christians? Say, “Are you more knowing or is Allah ?” And who is more unjust than one who conceals a testimony he has from Allah ? And Allah is not unaware of what you do.

Malay

“Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

 

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ

Apakah kamu mengatakan Nabi Ibrahim, 

Ini adalah soalan lagi kepada mereka. Tanya mereka tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana mereka memperkatakan sesuatu yang tidak benar tentang baginda. Maka kena persoal kepada mereka. Ya mereka memang bangga dan mengagungkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi bukan dengan cara yang sepatutnya. Mereka mendakwa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beragama bukan seperti yang sebenarnya.

 

وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ

dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mereka tohmah, keturunan baginda pun mereka tohmah juga iaitu anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan cucunya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

وَالْأَسْبَاطَ

dan anak cucunya,

Dan keturunan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mereka tohmah juga. Apakah tohmahan mereka?

 

كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ‌

yang mereka itu beragama Yahudi atau Nasara?

Bagaimana boleh mereka kata Nabi-nabi itu beragama Yahudi atau Nasrani sedangkan agama itu datang selepas mereka? Kitab Taurat dan Injil pun mereka tidak pernah lihat? Allah ‎ﷻ telah sebut tentang perkara ini di dalam Ali Imran:65

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

Ia samalah dengan kebodohan Nasrani yang kata untuk masuk syurga, kena mengaku bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah anak Tuhan atau Tuhan satu dalam tiga. Kalau begitu, bagaimana dengan umat-umat yang lahir sebelum Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka langsung tidak ada peluang untuk mengaku bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu Tuhan sedangkan mereka tidak pernah tahu tentang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kasihanlah kepada mereka. Jadi apabila dikatakan begini, penganut Kristian telah datang dengan hujah baru: semua yang lahir sebelum Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus masuk syurga, mereka akan diletakkan di satu tempat yang mereka panggil “Purgatory”. Di situ manusia akan ditanya apa pendapat mereka tentang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hanya selepas mereka mengaku Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah tuhan, barulah mereka akan dilepaskan oleh Nabi Isa v dan baginda akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itu semua adalah angan-angan kosong mereka sahaja.

Maka hujah Ahli Kitab tentang Nabi-nabi terdahulu itu jauh benar daripada sasaran. Mereka sebenarnya adalah Muslim dan beragama Tauhid seperti disebut di dalam Ali Imran:67

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

 

قُلْ ءَأَنتُم أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ

Katakanlah: adakah kamu lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui?

Allah ‎ﷻ menempelak mereka: Takkan kamu lebih tahu daripada Allah ‎ﷻ? Maka senyap sahajalah dan ikutlah apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan beritahu di dalam wahyu. Baik mereka atau kita, tidak mungkin boleh berkata yang kita tahu lebih daripada Allah ﷻ. Maka bagaimana untuk kita tahu apa yang Allah ﷻ sampaikan kepada kita.

Maka ini mengajar kita supaya jangan memandai-mandai tentang Allah ﷻ. Jangan kita cakap apa yang Allah ﷻ tidak cakap. Jangan kita suka-suki hendak takwil kata-kata Allah ﷻ ikut kepala kita sendiri. Sebagai contoh kalimah يد (tangan) di dalam Al-Qur’an dan hadith. Allah ﷻ sendiri cakap yang Dia ada tangan, maka apa salahnya kita terima sahaja? Kenapa hendak memandai kata ia bukan tangan tapi ‘qudrah’ (kekuatan). Apa Allah ﷻ tidak tahukah hendak sebut qudrah kalau itu yang Dia maksudkan? Oh kamu takut kita kata Allah ﷻ sama dengan kita? Siapa yang kata? Awak yang kata, kami tidak fikir pun begitu. Kerana kami cukup pandai untuk membezakan antara Allah ﷻ dan kita. Tangan kita tidak akan sama dengan kita. Tangan kita dengan tangan lipas pun sudah berlainan. Kalau sesama makhluk pun berlainan, takkan dengan Allah ﷻ boleh sama pula?

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih daripada seorang yang menyembunyikan penyaksiannya di sisi Allah?;

Lalu bagaimana boleh berlainan pandangan pula? Tentu ada yang menyembunyikan sesuatu. Kerana ketiga-tiga (Yahudi, Nasrani dan Islam) ada kitab wahyu, tetapi kena berbeza? Apakah yang mereka sembunyikan? Dalam Taurat, Injil, Zabur atau Al-Qur’an sekalipun ada perjanjian yang mereka mesti mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu syirik tetapi mereka menyembunyikan kebenaran itu. Mereka ini adalah orang yang paling zalim sekali.

Begitulah kita umat Islam kalau menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Selalu ada ahli agama menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu kerana tidak kena dengan agenda mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu, akan ada yang tidak dapat terima, dan seterusnya tidak menerima mereka lagi dan tidak memanggil mereka mengajar lagi dan mereka pun sudah tidak dapat upah mengajar. Mereka ini nanti akan ditanya tentang apakah yang mereka telah lakukan ini.

Atau, ia bermaksud golongan Ahli Kitab telah menyembunyikan apa yang tertulis dalam kitab mereka – yang Nabi akhir zaman akan datang. Nabi yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad ﷺ dan apabila Nabi Muhammad ﷺ telah hadir dalam kalangan mereka, mereka sedar yang baginda itulah Nabi yang dimaksudkan sebagai Nabi akhir zaman. Tetapi mereka sembunyikan fakta tersebut. Allah ﷻ sebut tentang ada berita tentang Nabi Muhammad ﷺ telah tertulis di dalam kitab mereka di dalam A’raf:157

الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ يَأمُرُهُم بِالمَعروفِ وَيَنهىٰهُم عَنِ المُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ الخَبٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَالأَغلٰلَ الَّتي كانَت عَلَيهِم
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad ﷺ) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai daripada apa yang mereka lakukan;

Maksud ‘Allah ‎ﷻ tidak lalai’ maknanya Allah ﷻ akan balas perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkannya sahaja. Allah ﷻ tidaklah buat ‘tidak tahu’ sahaja dengan perbuatan dan kata-kata mereka.

Kalau kita lihat daripada bahasa ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap dengan Ahli Kitab secara terus. Akan ada dalam ayat seterusnya selepas ini di mana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja beritahu kepada mereka.


 

Baqarah Ayat 141: Allah ﷻ ulang kalimat yang sama dengan ayat 134 sebelum ini. Ini adalah kerana ia adalah perkara yang amat penting dan perlu diingatkan berkali-kali.

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That is a nation which has passed on. It will have [the consequence of] what it earned, and you will have what you have earned. And you will not be asked about what they used to do.

Malay

Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

 

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ

Itulah dia umat yang sudah berlalu

Mereka itu sudah berada di zaman yang lepas. Mereka telah mati dan usaha mereka telah habis.

 

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka apa hasil daripada apa yang telah mereka lakukan

Mereka yang telah berlalu itu akan mendapat hasil daripada perbuatan mereka. Sama ada perbuatan baik atau perbuatan buruk. Apa yang mereka usahakan semasa kehidupan mereka, mereka kena tanggung atau terima balasan baik atau buruknya.

 

وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu hasil daripada apa yang telah kamu lakukan

Kita juga akan mendapat hasil daripada perbuatan yang kita lakukan. Kita kena berusaha dengan amalan-amalan baik kita sendiri. Kita tidak ada kena mengena dengan datuk nenek kita yang telah lepas.

Janganlah jadi seperti Bani Israil yang mengagung-agungkan perbuatan nenek moyang mereka dahulu tetapi mereka tidak ikut dengan amalan baik mereka sendiri. Kalau kita melihat perbuatan datuk nenek kita dahulu baik, maka kita kenalah ikut perbuatan baik itu. Jangan cakap sahaja dan menyanjung apa yang mereka lakukan. Janganlah mengaku keturunan ulama’ ini dan itu, wali itu dan ini.

 

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya terhadap apa yang dulu mereka lakukan

Kita tidak akan ditanya tentang orang lain yang datang sebelum kita. Yang kita akan ditanya adalah perbuatan kita sendiri. Mereka yang sudah lepas akan mendapat balasan daripada perbuatan mereka. Yang perlu kita risaukan adalah amalan-amalan dan iman kita. Bagaimana nanti kita akan berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila kita dihadapkan dengan Buku Amalan kita nanti.

Ini juga adalah tempelak kepada umat Islam sekarang yang hanya boleh membanggakan kejayaan tok nenek kita. Tok nenek kita meluaskan agama Islam, menakluk negara kafir dan mengislamkan mereka, maju di dalam usaha ilmu dan banyak lagi. Namun kita sekarang apa yang ada? Setakat boleh membanggakan ilmu ini orang Islam lah yang buat….ini kamilah yang jumpa dahulu… dan sebagainya. Sepatutnya kita ada pencapaian kita sendiri seperti yang ada di dalam syair,

إنّ الفتى من يقول ها أنذا

Orang muda sejati ialah yang berkata: Inilah aku,

ليس الفتى من يقول كان أبى

Bukanlah orang muda sejati yang berkata: bapaku dahulu begini dan begitu

 

Ini adalah akhir Juzuk Pertama. Kesimpulan dalam juzuk pertama adalah: ajaran agama mesti didapati sumbernya daripada wahyu.

Dan dengan ini juga, habis Perenggan Makro tentang Kisah Yahudi dari ayat 40. Pada kelompok ayat-ayat selepas ini, Al-Qur’an akan berbicara tentang mereka dalam kaitan dengan kaum Muslimin secara khusus.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Ketiga Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Ketiga ini berkenaan Legasi Nabi Ibrahim (ayat 122 – 141). Dari keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 133. Sekarang kita sambung dengan bahagian kedua pula.

Penerangan tentang kaitan antara topik:

[C5]/[C5’] – Kedua-dua bahagian ini bermula dan berakhir dengan mesej yang sama: iaitu hanya bertanggungjawab dengan amalan perbuatan kita, bukannya orang lain.

[C6]/[C6’] – Permulaan Bahagian ini bermula dengan menaqalkan ajakan golongan Ahli Kitab supaya ikut agama mereka maka Allah ﷻ mengatakan bukan ikut agama mereka, tetapi ikut agama Nabi Ibrahim. Di Bahagian [C6’] dijelaskan  yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucu keturunan baginda bukannya beragama Nasrani atau Yahudi (agama Ahli Kitab).

[C7]/[C7’] – Kedua-dua Bahagian ini menyuruh kita untuk menyerahkan diri kepada Allah ﷻ dan arahanNya. Di Bahagian [C7] kita disuruh cakap: وَنَحۡنُ لَهُ ۥ مُسۡلِمُونَ dan di Bahagian [C7’] kita disuruh cakap: وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ.

[C8] – Ini adalah mesej utama di dalam Cincin ini. Ahli Kitab ada dua pilihan: 1) Serahkan diri kepada Allah ﷻ sebagaimana yang telah dilakukan oleh para Nabi terdahulu termasuk Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucu baginda, atau 2) berpaling تَوَلَّوۡاْ dan terimalah kesan seperti yang telah disebut di dalam ayat-ayat ancaman sebelum ini. Kalimah تَوَلَّوۡاْ amat sesuai duduk di tengah kerana apabila di tengah-tengah, ia boleh pergi ke kiri atau ke kanan.

 

Oleh itu, kita telah habis membincangkan Makro Ketiga Surah ini.

Sekian Ruku’ 16 daripada 40 ruku’ surah ini

 

TAMAT JUZ 1

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 136 – 137 (Berimanlah seperti para sahabat beriman)

Baqarah Ayat 136: Ini adalah khulasah (ringkasan) kepada agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Inilah millah Ibrahim. Allah ‎ﷻ jelaskan di sini kerana bimbang jika ada yang hanya mengagak-agak sahaja apakah pegangan agama baginda. Inilah yang perlu kita pegang.

قولوا ءَامَنَّا بِاللَّهِ وَما أُنزِلَ إِلَينا وَما أُنزِلَ إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَما أوتِيَ موسىٰ وَعيسىٰ وَما أوتِيَ النَّبِيّونَ مِن رَّبِّهِم لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّنهُم وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Sahih International

Say, [O believers], “We have believed in Allah and what has been revealed to us and what has been revealed to Abraham and Ishmael and Isaac and Jacob and the Descendants and what was given to Moses and Jesus and what was given to the prophets from their Lord. We make no distinction between any of them, and we are Muslims [in submission] to Him.”

Malay

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Qur’an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

 

قُولُواءَامَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Katakanlah kamu sekalian: Kami beriman dengan Allah dan apa sahaja yang diturunkan kepada kami;

Ini adalah arahan Allah ‎ﷻ untuk ucapan dari kita. Bukan ucap sahaja tetapi kena pegang iktikad ini kerana bab iman bukan sekadar lafaz sahaja. Ini kerana munafik pun boleh lafaz mereka beriman tetapi mereka tidak beriman.

Yang disuruh berkata dalam ayat ini adalah ‘orang-orang Muslim’ – kalau kita lihat perkataan itu, ia adalah dalam bentuk jamak – plural. Ayat yang hampir sama ada dalam Surah Ali Imran, tetapi suruhan dalam Surah Ali Imran itu dalam bentuk mufrad – singular. Ini adalah kerana Surah Baqarah ini banyak berkenaan dengan Bani Israil dan masalah dengan Bani Israil ini adalah mereka terlalu berbangga dengan kaum mereka. Mereka perasan mereka adalah umat terpilih (the Chosen One) sampai mereka rasa mereka boleh buat apa yang mereka hendak dan Allah ‎ﷻ tetap sayang kepada mereka dan tidak mengazab mereka. Seolah-olah anak kesayangan seorang emak yang boleh lepas walau buat kesalahan apa sahaja. Oleh itu, Allah ‎ﷻ memerintahkan kepada ‘seluruh’ umat Islam untuk menyatakan aqidah mereka. Ini adalah isyarat bahawa kedudukan Bani Israil sebagai umat terpilih akan diambil alih oleh umat Islam pula.

Selepas kita disuruh menyatakan keimanan kepada Allah ‎ﷻ, kita disuruh menyatakan keimanan kepada وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا – “dan kitab yang diturunkan kepada kami” – yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Ini mengajar kita berdakwah kepada manusia – kita kena nyatakan kepercayaan kita kepada Al-Qur’an dahulu sebelum kita kata ada kebenaran dalam kitab-kitab yang lain. Ketahuilah yang Al-Qur’an lebih penting daripada kitab-kitab yang lain. Dalam bahagian seterusnya, baru dinyatakan kita juga percaya ada kitab yang diturunkan kepada Nabi-nabi yang lain. Ini untuk mencari persamaan antara agama kita dengan agama mereka. Ini kerana memang ada persamaan antara agama Islam dan agama sebelumnya. Akidah dari dulu memang sama. Cuma agama mereka banyak yang telah diubah sampai akidah mereka telah berubah dari asalnya.

Kita juga kena beriman dengan hadis Nabi. Walaupun ia adalah hadith, itu pun wahyu juga sebenarnya kerana Nabi ﷺ tidak reka agama ini – baginda tidak bercakap tentang agama daripada nafsunya sendiri atau daripada akalnya sendiri. Hadis yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu adalah dari Allah ‎ﷻ, tetapi guna perkataan Nabi ﷺ sendiri dan dikeluarkan dalam bentuk hadith. Ia adalah wahyu juga kerana kalau bukan wahyu, itu adalah bid’ah. Hadis penting kerana ia menjelaskan apa yang telah Allah sebut di dalam Al-Qur’an. Kalau Nabi tak jelaskan tentu kita tidak akan faham bagaimana mengamalkan Al-Qur’an.

 

وَمَا أُنْزِلَ إِلَىٰ إِبرٰهِـۧمَ

Dan apa sahaja wahyu yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim

Kita mengaku bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah diberi dengan wahyu. Itulah yang disebut suhuf-suhuf Nabi Ibrahim عليه السلام. Ia di dalam bentuk skrol. Kita bukanlah kena ikut syariat baginda, tapi kita hanya perlu percaya bahawa baginda dan para Nabi yang lain juga mendapat wahyu dan telah sampaikan kepada umat-umat mereka.

 

وَإِسمَـٰعِيلَ

dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ismail

Nabi Ismail عليه السلام iaitu anak kepada Nabi Ibrahim juga mendapat wahyu. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.

 

وَإِسحَـٰقَ

dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ishak

Nabi Ishak عليه السلام juga adalah anak Nabi Ibrahim (tapi berlainan emak dengan Nabi Ismail). Baginda juga turut mendapat wahyu juga. Tetapi tidaklah di dalam bentuk kitab.

 

وَيَعْقُوبَ

dan (wahyu yang diturunkan kepada) Nabi Ya’kub

Nabi Ya’qub عليه السلام adalah anak kepada Nabi Ishak. Baginda juga mendapat wahyu juga. Tapi tidaklah juga di dalam bentuk kitab.

 

وَالْأَسْبَاطِ

dan (wahyu yang diturunkan kepada) kalangan anak cucu Nabi Ya’qub

Kalimah الأَسبَاط adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘anak cucu‘ atau ‘keturunan‘. Ia dari kata dasar: س ب ط yang bermaksud longgar, pokok yang ada banyak dahan, dilanjutkan, suku kaum, anak cucu. Untuk keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْأَسْبَاطِ untuk merujuk kepada anak keturunan mereka. Untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz qaba’il. Sama sahaja maksudnya. Cuma kita boleh bezakan manakah keturunan yang dimaksudkan dengan melihat kepada lafaz yang digunakan. Kalau disebut الْأَسْبَاطِ, maka ia merujuk kepada keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام dan anaknya Nabi Ishak عليه السلام. Kalau untuk keturunan Nabi Ismail عليه السلام, digunakan kalimah qaba’il.

 

وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ

dan (apa sahaja wahyu) yang diberikan kepada Nabi Musa;

Iaitu Kitab Taurat dan ajaran wahyu yang lain (kerana bukan semua wahyu yang Nabi Musa dapat adalah di dalam bentuk kitab). Nabi Musa disebut kerana baginda adalah Nabi utama bagi Bani Israil.

 

وَعِيسَىٰ

dan (apa sahaja wahyu yang diberikan kepada) Nabi Isa;

Yang dimaksudkan adalah wahyu termasuk Kitab Injil dan wahyu-wahyu yang lain. Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام diletakkan sekali kerana Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi terakhir Yahudi mengikut pendapat Yahudi dan Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi kepada Nasrani. Kita menyatakan bahawa kita percaya kepada semua sekali nabi-nabi itu. Walaupun mereka berdua bukanlah Nabi yang kita ambil syariat daripada mereka, tetapi mereka tetap Nabi kita.

 

وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَّبِّهِمْ

dan apa sahaja wahyu yang diberikan kepada para-para Nabi dari Tuhan mereka;

Semua wahyu yang diberikan kepada para Nabi yang lain, semuanya kita terima. Ini adalah kerana sama sahaja wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dalam bentuk akidah tauhid. Allah ﷻ tidak pernah membiarkan umat tanpa wahyu.

 

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ

Kami tidak membezakan diantara Nabi-nabi itu;

Semua para Nabi itu kita terima, kita tidak tolak; dan kita tidak tafriq (kita tidak bezakan). Walaupun kita terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi akhir zaman dan menjadi ikutan kita, tidaklah kita tolak para Nabi yang sebelum baginda.

Apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini? Ayat ini menyatakan bahawa kita tidak boleh tidak menerima mana-mana Nabi. Jangan bezakan antara Nabi-Nabi itu kerana mereka itu semua memang berstatus Nabi. Jangan jadi seperti Yahudi, mereka tidak menerima kenabian Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Manakala Nasrani pula tidak menerima kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah (mereka telah tafriq). Kita kena terima semua para Nabi itu kerana semua Nabi-nabi itu telah dilantik oleh Allah. Tidak menerima mana-mana Nabi yang telah dipilih oleh Allah, dinamakan perbuatan ‘tafriq’ dan itu dilarang.

Namun begitu, dalam masa yang sama, kita tahu bahawa status antara satu Nabi dengan Nabi yang lain tidak sama. Ada Nabi yang Allah ‎ﷻ bercakap terus dengannya, ada Nabi yang mendapat status ‘Khalilullah’ dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang diberikan kepada Nabi-nabi tertentu.

Dan kita juga tahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman. Baginda juga telah diberikan dengan mukjizat Al-Qur’an. Baginda adalah Nabi yang paling mulia. Kita sendiri tidak tahu apakah perbezaan status-status itu kerana ia adalah pemberian Allah ﷻ sendiri. Itu dinamakan ‘tafdhil‘ – iaitu mengatakan bahawa ada Nabi-nabi yang dilebihkan kedudukan mereka dari yang lain (oleh Allah ﷻ sendiri). Ini tidak salah. Tidak ada beza di antara Nabi-Nabi itu dari segi akidah. Tetapi berbeza daripada cara pelaksanaan hukum. Ini kerana setiap Nabi diberikan dengan syariat yang sesuai untuk zaman mereka.

 

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan kepada Allah, kami berserah diri;

Kita kena isytihar yang kita berserah diri dalam iman dan amal kepada Allah ‎ﷻ. Dan ini dapat dicapai dengan menggunakan syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Sekali lagi perkataan ‘Muslim’ digunakan. Ini sebagai isyarat kepada Bani Israil untuk menjadi Muslim. Sebelum ini mereka berkata supaya jadi Yahudi atau Nasrani. Tetapi Allah ‎ﷻ mengingatkan lagi kepada mereka untuk masuk Islam dengan segera sebelum terlambat.

Berkenaan ayat ini, Imam Bukhari membawakan satu hadis,

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا { آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا } الْآيَةَ
Dari Abu Hurairah radiallahuanhu berkata; “Orang-orang ahlu kitab membaca Taurat dengan bahasa Ibrani dan menjelaskannya kepada orang-orang Islam dengan bahasa Arab. Melihat hal itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah kalian mempercayai ahlu kitab dan jangan pula mendustakannya. Tetapi ucapkanlah; “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami. (Al Baqarah; 136).’
Sahih Bukhari (4125)

Syarah: jangan kita percaya terus kepada apa-apa yang disampaikan oleh Ahli Kitab itu. Tetapi di dalam masa yang sama, janganlah terus menolak mereka kerana mungkin apa yang mereka sampaikan itu benar. Yang pentingnya adalah beriman dengan apa yang kita terima dari sumber kita. Ini kerana kisah-kisah para Nabi dari mereka telah banyak ditambah dengan rekaan-rekaan jadi kalau kita percaya, kita akan dapat maklumat yang salah tentang para Nabi. Kisah-kisah mereka itu dinamakan Israiliyyat dan banyak yang mengarut.


 

Baqarah Ayat 137: Allah ‎ﷻ mengangkat kedudukan sahabat dalam ayat ini. Allah mengiktiraf iman mereka yang mengikut ajaran yang benar. Maka di sini juga memberitahu kita salah satu definisi iman iaitu ikut seperti iman para sahabat.

فَإِن ءَامَنُواْ بِمِثلِ ما ءَامَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ ۖ فَسَيَكفيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

Sahih International

So if they believe in the same as you believe in, then they have been [rightly] guided; but if they turn away, they are only in dissension, and Allah will be sufficient for you against them. And He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

فَإِن ءَامَنُواْ بِمِثلِ ما ءَامَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا

Maka sekiranya mereka (ahli-ahli Kitab) itu juga beriman sepertimana kamu semua beriman dengannya;

Kalaulah orang Yahudi dan Nasara itu beriman. Itulah yang telah diajak kepada mereka dengan banyak sekali di dalam Surah Baqarah ini. Berbagai-bagai cara Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka untuk memujuk – dengan cara lembut dan juga dengan cara keras. Akan tetapi kebarangkalian itu agak diragukan kerana kalimah فَإِن (jika) yang digunakan di sini. Tetapi kalaulah mereka itu beriman, itu tentulah amat baik bagi mereka, kerana barulah mereka akan selamat. Tetapi beriman yang bagaimana?

Perkataan ‘kamu’ yang dimaksudkan adalah sahabat-sahabat Nabi. Maknanya, kalau hendak beriman, kenalah ikut iman yang sama macam mereka. Kerana merekalah yang benar-benar beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Allah ‎ﷻ. Mereka telah melihat bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam. Mereka yang berjuang bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Dan merekalah yang Allah ‎ﷻ telah beri pengiktirafan di atas iman mereka. Orang-orang selepas itu termasuk zaman sekarang, belum tentu lagi. Maka Yahudi dan Nasrani kena beriman seperti para sahabat itu, barulah mereka akan selamat.

Dan kena ikut sebiji-sebiji dengan tepat seperti apa yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat itu kerana tambahan  ب pada kalimah بِمِثلِ. Jadi ia bukan seperti serupa, tapi kena sebiji sungguh. Bukan mereka sahaja yang kena ikut para sahabat Nabi ﷺ‎, kita pun kena ikut. Kerana itulah kita tekankan kena ikut Sunnah. Dan Sunnah itu adalah bagaimana Nabi Muhammad ‎ﷺ dan para sahabat beramal dengan agama. Mereka itu menjadi kayu pengukur agama yang benar. Kalau mereka tidak buat sesuatu dalam hal agama, maka kenalah kita berhati-hati.

Tidak faham perkara inilah yang menyebabkan masyarakat kita senang hati sahaja mengamalkan bidaah. Mereka tidak periksa sama ada sesuatu amalan itu Nabi ﷺ‎ dan sahabat ada buat ataupun tidak. Maka kerana itu amat menyedihkan apabila kita menegur amalan bid’ah seperti Sambutan Maulid Nabi dan kita beri hujah: “Para sahabat tidak melakukannya.” Ini sebenarnya hujah yang kuat, akan tetapi ada pula yang tidak memandang hujah itu melainkan mereka berkata: “ada pendapat yang kata boleh”. Adakah ada pandangan yang lebih baik dari pandangan dan amalan para sahabat?

Oleh itu mereka memang tahu yang amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ‎ dan sahabat, tetapi mereka tetap juga hendak buat. Ini memang degil dan jahil sungguh. Dan berbagai-bagai hujah bathil mereka akan beri untuk benarkan juga amalan bidaah mereka itu. Seolah-olah mereka lebih pandai pula dari Nabi dan para sahabat dalam hal agama. Itu memang perasan sangatlah.

 

فَقَدِ اهْتَدَوْا

maka merekalah orang-orang yang dapat petunjuk;

Kena ikut apakah fahaman dan amalan sahabat Nabi ﷺ‎. Itulah baru dinamakan mendapat petunjuk. Tidak boleh ikut kata-kata tok guru atau ulama’ atau sesiapa sahaja tanpa usul periksa. Kita ikut apa yang ustaz beritahu sepertimana yang sahabat Nabi ﷺ‎ buat. Kalau ianya hanya pendapat pada guru dan ustaz sahaja, tidak boleh ikut lagi. Kena ada nas daripada perbuatan sahabat Nabi ﷺ‎.

Ini adalah kerana guru atau ulama’ adalah manusia dan ada buat silap. Mereka mungkin ada buat kesilapan dalam pentafsiran atau sebagainya. Masalah sekarang adalah masyarakat kita percaya sangat kepada guru agama dan ustaz mereka. Mereka tidak meminta dalil daripada guru mereka lagi. Pada mereka, kalau guru mereka buat, tentulah guru atau ustaz itu mengikut perbuatan Nabi ﷺ‎. Tetapi ketahuilah yang tidak semestinya begitu.

Yang benarnya adalah sahabat Nabi ﷺ‎ kerana mereka melihat bagaimana baginda mengamalkan Islam. Mereka tidak akan buat perkara yang Nabi ‎ﷺ tidak buat. Oleh itu, kena ikut dalil Al-Qur’an, Hadith dan sahabat Nabi ﷺ‎. Kerana mereka hidup bersama dengan Nabi ﷺ dan mereka lihat sendiri bagaimana Nabi ﷺ mengamalkan Islam.

Mereka tahu mana yang patut diikuti dan mana yang tidak. Dan kerana mereka hidup dengan Nabi ﷺ, jadi kalau mereka ada buat perkara yang salah, Nabi ﷺ wajib terus tegur mereka. Jadi para sahabat itu lebih faham agama dari kita sebenarnya. Contohnya, yang hanya boleh kahwin 9 hanyalah Nabi ﷺ sebab sahabat tidak ikut pun perbuatan Nabi ﷺ itu. Jadi, kalau ada perbuatan Nabi ﷺ tetapi sahabat tidak buat, itu bermakna ia adalah khas untuk Nabi ﷺ sahaja. Seperti kisah Nabi ﷺ mencacak pelepah kurma pada kubur. Sahabat tidak ikut pun. Maknanya, itu bukanlah untuk kita ikut. Kita panggil ia bukannya ‘sunnah’. Walaupun ia adalah hadith yang sahih, tetapi ia tidak sunnah, iaitu tidak perlu diikuti. Ini ramai orang yang tidak belajar, tidak akan dapat faham kerana mereka agak-agak sahaja dalam hal agama.

Kadang-kadang ada juga Nabi ﷺ tidak buat, tetapi ijma’ sahabat Nabi ﷺ buat. Contohnya sebagaimana Saidina Uthman رضي الله عنه memulakan azan dua kali pada Salat Jumaat. Itu pun kita boleh ikut. Kerana Nabi ﷺ sudah kata boleh ikut mereka. Iaitu boleh ikut pendapat yang dikeluarkan oleh khalifah ur rashidin al mahdiyyin.

Ini pun ada pengkhususan juga – kena amalan Khalifah, bukan hanya ‘sahabat’ sahaja. Ini adalah kerana kalau khalifah buat dan tidak ditegur oleh para sahabat yang lain, barulah ia jadi ‘sunnah’. Kalau setakat seorang sahabat sahaja buat, ia belum mencapai status sunnah lagi. Kerana ia mungkin pendapat dia sahaja dan tidak diiktiraf oleh sahabat yang lain.

Satu lagi adalah fatwa Saidina Umar رضي الله عنه supaya salat Terawih dibuat berjemaah mengikut seorang imam sahaja dan dibuat 20 rakaat. Itu juga boleh diikuti kerana beliau mengarahkan dalam kedudukan beliau sebagai Khalifah umat Islam. Dan para sahabat Nabi ﷺ yang tidak ada yang membangkang. Para Sahabat رضي الله عنهم itu tidak takut dengan manusia, hanya takut kepada Allah ‎ﷻ. Lagi pun memang sudah ada contoh solat Terawih berjemaah pun.

Maknanya, kalau perbuatan Saidina Umar dan Uthman رضي الله عنهما itu salah, tentulah mereka akan membangkang. Maka, keputusan kolektif mereka dinamakan ijma’. Maknanya, semua sahabat setuju dengan ijtihad Uthman dan Umar رضي الله عنهما. Pernah juga pendapat Saidina Umar رضي الله عنه ditolak oleh sahabat yang lain. Pernah beliau hendak menetapkan mahr bagi seluruh umat Islam tetapi terus ditegur, maka tidak dijalankan.

Oleh itu, kita kena jadikan Nabi ﷺ dan sahabat sebagai ukuran dan cara penghayatan agama. Jangan ketepikan sahabat. Bukan Al-Qur’an sahaja yang sunnah. Kena faham maksud ‘sunnah’. Sunnah itu termasuk fahaman dan amalan para sahabat. Sebab ada hadith yang memang sahih tetapi sahabat tidak amal pun. Sebab ada kemungkinan ia sudah mansukh. Maka kalau ia sudah mansukh, ia bukan sunnah. Sebab kalau kita lihat hadith, Nabi ﷺ tidak kata baginda tinggalkan Al-Qur’an dan hadith buat panduan kita, tetapi baginda sebut baginda tinggalkan ‘Al-Qur’an dan Sunnah‘.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengangkat darjat para sahabat sebagai ukuran syariat. Bukan kita yang angkat. Maka kedudukan mereka amat tinggi. Maka janganlah kita pandang rendah kepada mereka dan berkata tidak baik tentang mereka. Sebab kedudukan mereka itulah Allah ‎ﷻ beritahu kepada Yahudi dan Nasara, mereka kena jadikan sahabat sebagai neraca. Maka memang telah kufur golongan Syiah yang menghina para sahabat dan mengatakan mereka telah murtad.

 

وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ

Dan sekiranya mereka itu berpaling maka sesungguhnya mereka itu dalam sisi yang sangat berbeza dengan kamu;

Kalimah شِقَاق adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘perpecahan‘. Ia dari kata dasar : ش ق ق yang bermaksud melalui satu kawasan, menyeberangi, membuka jalan, membelah. Ia bermaksud berpaling daripada menerima Islam, berpaling daripada beriman seperti para sahabat. Maknanya mereka berada dalam permusuhan dengan kamu (Umat Islam). Jadi, memang golongan Ahli Kitab itu bermusuhan dengan umat Islam, sama ada berdepan atau di belakang. Mereka berpecah dengan jalan yang benar dari Allah.

Begitu jugalah bagi golongan yang tidak ikut sunnah Nabi ﷺ, maka mereka bermusuh dengan kita. Kerana itulah banyak sangat perbalahan antara umat Islam. Ini kerana pegangan agama sudah tidak sama. Yang tidak mengamalkan Sunnah akan selalu benci kepada mereka yang hendak mengamalkan sunnah. Ini adalah kerana kita selalu menegur kesalahan agama yang mereka lakukan dan mereka tidak tahan. Mereka pula tidak boleh bawakan hujah balas, maka kerja mereka hanya mengutuk dan menghina golongan Sunnah.

Ayat ini juga memberi isyarat yang sesama Ahli Kitab itu pun berpecah juga. Mereka tidak suka sama lain. Mereka memang nampak bersatu apabila menentang umat Islam, akan tetapi sesama mereka, mereka berpecah. Allah sebut tentang mereka ini dalam Hashr:14

بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Malangnya umat Islam pun sekarang berpecah. Kita telah sebut antara golongan Sunnah dan golongan bid’ah. Ini kerana tidak berpegang dengan fahaman dan amalan agama para sahabat. Selain itu, umat Islam seluruh dunia pun berpecah juga. Ada sahaja perbezaan yang diperbesarkan sesama sendiri. Sampaikan tidak menyokong sesama sendiri. Kita boleh perhatikan di dalam isu Palestin pun. Tidak sepakat umat Islam di dalam menanganinya. Ini adalah kerana Islam bukan lagi perkara utama bagi kita. Sepatutnya kalau Islam perkara terpenting, maka ia menjadi perkara yang menyatukan kita. Akan tetapi agama telah diketepikan dan yang lebih penting bagi umat Islam adalah wang, kedudukan, politik, kekuasaan.

 

فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ

maka cukuplah Allah untuk kamu terhadap mereka;

Ayat ini bermaksud yang Allah ‎ﷻ sudah cukup bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk menjaga daripada gangguan musuh baginda. Ini kerana apabila mereka tidak mahu ikut sahabat, mereka akan melawan umat Islam. Apabila mereka lawan, akan ada bahaya dan kemungkinan kesusahan kepada Nabi ‎ﷺ. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan jaga baginda, maka baginda tidak perlu risau. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Allah juga telah berfirman di dalam Maidah:67 tentang hal ini,

وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ
Dan Allah akan memelihara kamu dari (gangguan) manusia

Ia juga mungkin bermaksud yang iman Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang sudah pasti selamat. Lihatlah penggunaan bahasa dalam ayat ini. Perkataan ‘engkau’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dalam bahagian awal ayat, Allah ‎ﷻ bercakap kepada seluruh umat Islam, tetapi kemudian dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berfirman: فَسَيَكْفِيكَcukuplah untuk engkau (Muhammad ﷺ). Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang telah selamat. Umat Islam yang lain belum tentu lagi. Kita kena usaha lagi kerana kita belum tentu lagi. Jangan kita jadi macam Bani Israil – mereka sangkakan yang apabila Nabi mereka telah selamat, mereka pun selamat juga.

 

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apakah yang Ahli-ahli Kitab itu katakan di hadapan dan di belakang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Apabila mereka tidak suka dengan Islam, maka tentunya buat perancangan dengan rahsia. Mereka kena rancangan dengan rahsia kerana mereka lemah pada waktu itu. Tapi Allah hendak beritahu di sini yang kalau mereka ada perancangan jahat terhadap umat Islam dan agama Islam sendiri, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ akan jaga dan berikan balasan setimpal terhadap mereka. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah beri bantuan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk mengusir Bani Quraizah dan lain-lain golongan Yahudi dari Madinah.

 

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 133 – 135 (Nabi Ibrahim tidak musyrik)

Baqarah Ayat 133: Beginilah cara Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi wasiat agama kepada anak-anak baginda. Lihat bagaimana jawapan anak-anak baginda.

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Sahih International

Or were you witnesses when death approached Jacob, when he said to his sons, “What will you worship after me?” They said, “We will worship your God and the God of your fathers, Abraham and Ishmael and Isaac – one God. And we are Muslims [in submission] to Him.”

Malay

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

 

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ

Adakah kamu hadir ketika ajal sudah hampir kepada Nabi Ya’qub?

Setelah diberitahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Ahli Kitab jawab yang wasiat baginda lain, bukan begitu. Maka, Allah ‎ﷻ tanya kembali kepada mereka, adakah mereka hadir waktu wasiat itu disampaikan? Adakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh anak-anaknya beragama dengan agama Yahudi? Kerana di dalam mana-mana kitab mereka tidak disebut perkara itu. Jadi kenapa mereka mendakwa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka beragama Yahudi? Atau mereka hanya mendengar-dengar sahaja apa yang disampaikan oleh pendeta-pendeta mereka?

Sekarang, Allah ‎ﷻ tanya soalan ini kepada kita pula. Adakah kita hadir waktu itu? Tentulah kita tidak ada masa itu. Tuhan tanya itu kerana hendak memberitahu kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu, kita pun tidak tahu. Ketika telah datang alamat-alamat kematian kepada Nabi Ya’qub ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda telah memanggil kesemua anak-anaknya.

 

إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ

Ketika Nabi Ya’qub berkata kepada anaknya:

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah cucu kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, anak kepada Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada 12 orang anaknya semua sekali. Ini mengajar kita untuk berwasiat tentang perkara agama terhadap anak cucu kita. Merekalah yang akan menjadi saham pahala buat kita nanti setelah kita tiada, maka kena pastikan yang mereka itu tetap agama mereka. Jangan anggap mereka itu terus pandai sahaja, sebaliknya kena tanya. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Tahrim:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Jadi kena ambil i’tibar daripada perkara ini. Kenapa ia perlu dilakukan?

1. Ibubapa rapat dengan anak-anak mereka. Orang yang rapat yang patut memberi nasihat.

2. Tugas ibubapa terutama bapa sebagai ketua rumah yang sepatutnya mengajar agama kepada anak-anak. Begitulah contoh yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ seperti firman-Nya di dalam Tahrim:6 di atas dan juga Shuaraa’:214

وَأَنذِر عَشيرَتَكَ الأَقرَبينَ
Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,

Dan lihat juga Taha:132

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

3. Sebagai pendakwah, orang ramai akan melihat keberkesanan dakwah dalam kalangan keluarganya. Kalau keluarga pendakwah itu sendiri kelam kabut, orang hendak terima pun payah juga. Kadangkala seorang pendakwah hanya pandai berdakwah kepada orang lain sahaja sedangkan anak isterinya dibiarkan sahaja jadi rosak. Ini tidak patut.

 

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

“Apakah yang kamu akan sembah selepas aku?”

Maksud ‘selepas aku’ adalah ‘selepas aku mati’. Perkara penting yang ditanya oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya adalah apakah yang mereka akan sembah apabila baginda sudah tiada nanti. Baginda menggunakan perkataan مَا تَعْبُدُونَ – *apakah* yang akan kamu sembah – Kalau baginda tanya *siapakah* yang kamu akan sembah, tentulah mereka sudah tahu jawapannya – Allah ‎ﷻ. Tetapi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan ‘apa’ kerana manusia boleh menyembah macam-macam – berhala, harta, perempuan, pangkat dan sebagainya. Begitulah manusia yang sesat banyak menyembah perkara yang tidak ada nyawa seperti berhala dan sebagainya.

Perkataan مِنْ بَعْدِي – selepas aku tiada – itu bermaksud suatu jangkamasa yang lama sesudah baginda tiada di dunia ini. Itulah yang dirisaukan oleh baginda. Kerana baginda tahu, kalau selepas baginda mati sahaja, tentulah anak-anaknya masih akan sembah Tuhan.

Akan tetapi kalau lama selepas itu bagaimana? Belum tentu lagi. Jadi baginda hendak pastikan yang walaupun baginda sudah lama mati, mereka akan hanya menyembah Allah ‎ﷻ. Baginda beri wasiat supaya mereka ingat wasiat bapa mereka. Wasiat adalah pesanan yang penting untuk disampaikan kepada orang lain.

 

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ

Anak-anaknya jawab: “Kami sembah Tuhan kamu dan Tuhan kepada datuk nenek kamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak

Inilah tanda yang anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beriman belaka. Maka jangan kita kutuk mereka.

Menarik jawapan mereka itu: mereka kata mereka akan menyembah Tuhan, Tuhan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menunjukkan Tuhan kepada semua Nabi itu adalah Tuhan yang sama. Bukan lain-lain – bukanlah Tuhan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain dan Tuhan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain.

Ini adalah tempelak kepada Ahli Kitab yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ daripada rumpun yang sama. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Tuhan kepada semua Nabi-Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan yang sama.

 

إِلَٰهًا وٰحِدًا

Iaitu Tuhan yang satu

Tuhan yang sama – Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tekankan bahawa ilah hanya ada Satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana yang telah diterima juga oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keturunan baginda, keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka Yahudi dan Nasara sebenarnya ikut siapa? Takkan tidak ikut pegangan akidah Nabi-nabi mereka sendiri?

 

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan adalah kami kepada Tuhan itu berserah diri bulat-bulat”

Yang memberi jawapan sebegini adalah anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Satu lagi nama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ‘Israil’. Bermakna, mereka itu semua adalah Bani Israil – Anak-anak Israil – anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai 12 orang anak, maka Bani Israil ada 12 suku semuanya. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang 12 orang itu telah mengatakan bahawa mereka itu ‘Muslim’. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka berserah diri kerana kalimah لَهُ di dalam ayat ini ditaqdimkan (didahulukan) yang membawa isyarat eksklusif (hanya). Jadi apa alasan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak mahu menerima Islam, sedangkan datuk nenek mereka sendiri mengaku bahawa mereka adalah Muslim?

Bani Israil tidak menerima Islam kerana mereka telah lupa apakah pegangan agama nenek moyang mereka dahulu. Begitu juga orang Islam sekarang. Kita telah lupa apakah pegangan agama datuk nenek kita dahulu. Agama kita adalah agama Islam yang tulen. Tetapi oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Barat, maka mereka telah mencemarkan agama kita. Mereka telah memasukkan budaya mereka ke dalam masyarakat kita. Sampaikan kita menjadi keliru.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana majlis perkahwinan kita telah ada elemen-elemen barat. Budaya agama Hindu pun ada juga. Kita sudah tidak pasti mana satu amalan agama yang benar. Barat telah mengajar datuk nenek kita untuk hanya mengamalkan Islam dalam hal-hal tertentu sahaja – semasa nikah, semasa mati dan sebagainya – tetapi dalam perkara yang lain, pegang sedikit-sedikit sahaja. Jadi keturunan kita sebelum ini, tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Maka, kita pun sangka begitulah amalan agama yang benar. Padahal, ia tidak begitu. Kalau kita hendak mengamalkan amalan Islam yang sebenar, tidak mahu terlibat dalam persandingan majlis perkahwinan contohnya, ramai yang melenting marah dan kata kita tidak sayangkan adat Melayu. Padahal, bersanding itu tidak ada dalam adat Islam. Kalau kita pergi jauh lagi sebelum zaman mereka, kita akan nampak bagaimana keturunan kita yang dahulu mengamalkan Islam yang lebih tulen.

Maka, anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah orang yang baik-baik. Itu adalah keturunan Bani Israil dan mereka berbangga dengan keturunan mereka itu. Tetapi, janganlah kita hanya bercakap tentang kehebatan orang terdahulu. Kita pun kenalah juga amalkan sebagaimana mereka juga. Kena tengok apakah akidah dan agama mereka supaya kita boleh ikut rapat.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Ketiga Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Ketiga ini berkenaan Legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (ayat 122 – 141). Daripada keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 133.

Penerangan tentang topik:

[C1]/[C1’] – Bahagian ini bermula dengan Allah ﷻ mengajak Bani Israil memeluk Islam dengan mengingatkan mereka kepada jasa-jasa-Nya. Akan tetapi di bahagian [C1’] Allah ﷻ menyebut hanya mereka yang bodoh sahaja yang enggan ikut agama Nabi Ibrahim. Ia memberi isyarat yang Bani Israil itu bodoh kerana tidak mahu mengambil peluang beriman; ia seperti menolak rahmat daripada Allah ﷻ sendiri.

Di Bahagian [C1] Allah ﷻ menyebut tentang sifat kepemimpinan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di Bahagian [C1’] Allah ﷻ menyebut kepandaian baginda di dalam menyampaikan agama kepada anak cucunya. Hasilnya agama Tauhid berterusan diamalkan oleh keturunan baginda zaman berzaman.

[C2]/[C2’] – Kedua-dua bahagian ini menyebut tentang keprihatinan terhadap iman anak cucu yang akan ditinggalkan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon supaya keturunan baginda diselamatkan semua sekali. Di dalam [C3], Allah ‎ﷻ mengatakan tidak semua keturunan baginda akan selamat. Namun doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya Rasul dibangkitkan dalam kalangan anak cucu baginda di dalam [C3’] dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ dengan kebangkitan Nabi Muḥammad ﷺ.

[C3]/[C3’] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini menceritakan tentang tanggungjawab Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjaga kemurnian Kaʿbah.

[C4] – Di Bahagian tengah ini, dinaqalkan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya Mekah diberi rezeki dan keamanan. Topik ini penting kerana nanti akan disambung di dalam Bahagian [D] akan pertukaran Kiblat dari Jerusalem (kota yang asyik berperang dan tidak aman) ke Mekah (tempat yang sentiasa aman dalam sepanjang sejarah manusia).


 

Baqarah Ayat 134:

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That was a nation which has passed on. It will have [the consequence of] what it earned, and you will have what you have earned. And you will not be asked about what they used to do.

Malay

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

 

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت

Itulah suatu umat yang zaman mereka telah berlalu;

Iaitu daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan seterusnya; mereka itu telah mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka di dalam satu pegangan akidah yang sama.

Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Mereka sentiasa mengajar anak-anak mereka tentang kisah umat-umat yang terdahulu. Namun kisah mereka telah lama berlalu.

 

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka balasan daripada apa yang mereka lakukan

Umat-umat terdahulu itu telah melakukan amalan-amalan mereka. Mereka akan mendapat balasan daripada amalan-amalan mereka. Kalau mereka buat baik, mereka akan mendapat balasan baik. Kamu yang selepas mereka tidak ada apa-apa saham pun daripada kedudukan dan amalan mereka.

 

وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu akan dapat balasan daripada apa yang kamu lakukan

Amalan umat terdahulu adalah untuk mereka. Balasan untuk kita pula adalah apa yang kita lakukan. Kita tidak akan mendapat habuan daripada amalan umat-umat terdahulu itu. Kita kena buat amalan kita sendiri. Maka jangan berbangga sangat kalau kita keturunan Nabi, keturunan ulama’ itu dan ini, tetapi pegangan agama kita salah. Ramai yang berbangga dan rasa selamat kalau mereka keturunan orang alim, orang baik-baik. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam An’am:164

وَلَا تَكسِبُ ڪُلُّ نَفسٍ إِلَّا عَلَيہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ‌ۚ
Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)

Ini juga mengajar fahaman penting di dalam agama kita yang kita hanya dapat pahala daripada amalan kita sahaja. Tidak ada pahala sedekah, ‘transfer’ pahala dan seumpamanya setelah kita mati kelak. Kita tetap kena buat sendiri amal ibadah untuk membolehkan kita dapat pahala. Dalilnya seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Najm:39

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Akan tetapi ada cara untuk mendapatkan pahala yang terus mengalir masuk dalam akaun kita walaupun setelah kita mati. Iaitu dengan melakukan kebaikan yang kesannya berterusan, seperti yang diajar oleh Rasulullah, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Syarah: maka untuk mendapatkan anak soleh yang berterusan mendoakan kebaikan untuk kita, kita kenalah mendidik mereka dan berwasiat supaya mereka menjaga agama mereka. Mereka ini juga dikira sebagai hasil usaha kita juga kerana kitalah yang mendidik mereka supaya jadi orang yang soleh.

 

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan;

Kita tidak akan ditanya tentang apa yang umat-umat terdahulu telah lakukan. Yang kita kena tanya adalah amalan kita sahaja. Itu sahaja yang akan ditanya. Jangan kita jadi macam Bani Israil yang hanya berbangga dengan amalan datuk nenek mereka, tetapi lupa hendak berbuat amalan baik untuk diri mereka sendiri.

Banyak antara kita hanya menceritakan tentang kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu, keturunan kita yang dahulu, namun lupa tentang diri kita sendiri. Kita ceritakan tentang Tok Kenali contohnya, tetapi kita tidak mengikut jejak langkahnya. Tidak ada siapa pun tanya siapa datuk nenek mereka terdahulu pun. Begitu juga salah faham dengan golongan Habib sekarang. Ramai yang sedang ikut mereka tanpa usul periksa. Ini adalah salah kerana tidak semestinya apa yang mereka bawakan itu benar walaupun mereka keturunan Nabi pun. Orang jahil sahaja yang mahu mengikuti mereka – iaitu mereka yang tidak tahu agama sendiri sampaikan ajaran yang sesat pun boleh diterima.

Kita juga tidak perlu hendak fikirkan apa yang jadi kepada golongan terdahulu yang tidak mengamalkan sunnah, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sebagainya. Memang bukan tanggungjawab kita untuk tahu keadaan mereka. Mereka akan dapat balasan mereka dan kita akan dapat balasan atas perbuatan kita. Jadi jangan gunakan alasan amalan tok nenek untuk membenarkan amalan bid’ah kita. Janganlah kata: “Habis tu, takkan kau hendak kata tok nenek kita yang beramal begini dan begitu masuk neraka pula!” Kita tidak kata mereka itu masuk neraka kerana kita tidak jaga pintu neraka. Di sini Allah ‎ﷻ sudah kata kita tidak akan ditanya dan kita tidak dipertanggungjawabkan dengan amalan dan akidah mereka. Amalan mereka bukanlah alasan untuk kita beramal dengan amalan yang tidak ada dalil.

Akan tetapi sebaliknya kita akan ditanya tentang amalan orang bawah kita, kalau kita ajar ajaran yang salah. Kerana kita yang bertanggungjawab mengajar kepada mereka. Ini tsabit daripada hadith Nabi ﷺ,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Maka kerana itu kita sangat berhati-hati dalam mengajar. Kena pastikan ajaran kita itu ada sandarannya dari sunnah. Kalau kita ada ajar ajaran salah, maka kita kena perbetulkan balik dengan beritahu kepada anak murid kita. Kalau tulis buku dengan ajaran salah, kena tulis buku yang lain untuk memperbetulkan ajaran yang sebelumnya.

Amat pentingnya pengajaran di dalam ayat ini sehinggakan ia diulang lagi di dalam ayat 141 nanti.


 

PARA NABI ISLAM

Baqarah Ayat 135:

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

Sahih International

They say, “Be Jews or Christians [so] you will be guided.” Say, “Rather, [we follow] the religion of Abraham, inclining toward truth, and he was not of the polytheists.”

Malay

Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia daripada orang-orang musyrik”.

 

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا

Dan mereka berkata: Jadilah kamu Yahudi atau Nasara nescaya kamu akan terpimpin;

Ini adalah ayat muqaddar (ada penambahan maklumat yang perlu disampaikan untuk memahaminya) – Yahudi kata kena ikut Yahudi baru terpimpin dan Nasara kata ikut mereka baru terpimpin. Tidaklah mereka kata: “Ikutlah salah satu antara Yahudi dan Nasara, kamu akan terpimpin.”

Cuma Allah ‎ﷻ tidaklah bahagikan ayat ini begini: Yahudi kata kena ikut Yahudi; Nasara kata kena ikut Nasara. Ini adalah kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah i’jaz – memendekkan kalimah supaya nampak cantik dan tidak membosankan pembacaan. Allah ‎ﷻ tidak perlu menggunakan penerangan yang penuh. Kerana itulah memerlukan pembelajaran tafsir untuk memahami ayat-ayat sebegini. Begitulah ajaran mereka yang suka mengangkat kelebihan puak. Tetapi agama Allah ‎ﷻ tidak begitu. Allah ‎ﷻ tidak mementingkan puak tetapi Allah ‎ﷻ memandang iman dan amal sahaja.

Namun begitu memang ada pendapat yang mengatakan, mereka sama-sama berkata: “Masuklah Yahudi atau Nasara.” Ini kerana mereka benci kepada Islam. Mereka kata: “Masuklah salah satu daripada Yahudi atau Nasara, asalkan jangan Islam!” Allahu a’lam. Mereka kononnya sangka Yahudi atau agama Nasara itulah sahaja yang betul, bukannya Islam. Itu adalah kata-kata mereka sahaja. Yahudi dan Nasara sebenarnya tidak baik sesama mereka. Tetapi apabila mereka menentang agama Islam, mereka bergabung. Mereka kata biarlah masuk Yahudi atau Nasrani, asalkan bukan Islam. Ini pun adalah kesinambungan dari ayat Baqarah:111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ  تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Mereka sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka bersatu menentang kita, tetapi yang sedihnya kita pula yang berpecah belah sesama kita. Di mana-mana kita lihat perpecahan sesama Muslim. Semua membezakan antara kumpulan masing-masing (Syiah, Sunnah, ASWJ, Aswaja, Tabligh, Salafi, dan lain-lain lagi). Mereka tidak melihat yang mereka semuanya ‘Muslim’. Ini adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis dan syaitan memang suka umat Islam berpecah dan kita semua telah termakan dengan bisikan syaitan itu. Memang amat menyedihkan dan semoga semakin ramai umat Islam akan sedar tentang perkara ini.

Menjadi Yahudi atau Nasrani tidaklah bermaksud dalam erti menganut agama  mereka, tetapi cukup menganut pandangan hidup atau mengikuti tata-cara kehidupan mereka, dalam bidang ekonomi, sosial budaya, dan sebagainya. Dengan demikian, walaupun orang Yahudi tidak mengajak pihak lain untuk memeluk agamanya, tetapi ajakan untuk mengikuti cara hidup mereka sungguh amat jelas. Rasulullah ﷺ telah mengingatkan bahayanya perkara ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Daripada Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
(Sahih Bukhari No. 3197)

Perhatikan Yahudi dan Nasara ajak masuk agama mereka. Maknanya mereka juga berdakwah walaupun mereka itu ajaran sesat dan kufur. Namun semangat dakwah ada dalam diri mereka. Maka kalau kita kata ajaran kita ajaran yang benar, amat malulah kalau kita tidak berdakwah mengajak orang lain kepada Islam. Ramai yang tidak langsung ada semangat dakwah dalam dirinya, tengok sahaja kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Sedangkan para ulama’ dari dahulu sampai sekarang menjalankan dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar walaupun mereka dihalang malah dipenjara dan dibunuh kerana dakwah mereka. Kita lihat sekarang bagaimana kerajaan Arab Saudi telah menuju ke arah konsep sekular dan ia ditentang oleh para ulama’ di sana. Akan tetapi kerana hendak menjalankan juga proses sekularisasi itu, kerajaan telah memenjarakan ratusan para ulama’.

Kita yang faham ajaran wahyu dan salafi ini kena jalankan dakwah. Kerana kalau tidak, dakwah akan dipenuhi oleh golongan agamawan yang mengajar ajaran bid’ah dan syirik. Takkan kita hendak biarkan sahaja masyarakat kita diajar dengan perkara-perkara yang salah? Kita kena berikan alternatif kepada mereka. Cuma janganlah kita mengkafirkan mereka kerana bukan kerja kita mengkafirkan orang.

 

قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا

Kata kepada mereka: Bahkan sebenarnya ajaran Nabi Ibrahimlah yang lurus

Allah ‎ﷻ suruh kita menolak ajakan mereka itu. Kita kena tolak kerana agama mereka itu tidak benar. Agama mereka telah lama dirosakkan oleh pemuka agama mereka. Maka Allah ‎ﷻ suruh katakan: “Kami tidak akan ikut Yahudi dan Nasara.” Sebaliknya katakan yang kita sebenarnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang juga asal bagi agama Yahudi dan Nasara itu. Namun bukannya mengikut syariat baginda, tetapi mengikut ajaran baginda untuk tidak syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sahaja yang hendak mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beragama seperti agama mereka. Sedangkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kenal pun agama Yahudi dan Nasrani itu. Allah ‎ﷻ menegaskan perkara ini di dalam Ali Imran:67

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Ini sama macam golongan Asya’irah yang hendak mengabsahkan fahaman akidah mereka, mengatakan Nabi Muhammad ﷺ pun berfahaman Asya’irah! Nak gebang pun agak-agaklah sebab jauh sangat antara Nabi Muhammad ﷺ dan Imam Asy’ari. Bolehlah berhujah dengan hujah ilmiah tetapi janganlah sampai mengatakan perkara yang sah-sah tidak boleh dibuktikan.

Kalimah حَنِيفًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘lurus‘. Ia daripada kata dasar: ح ن ف yang bermaksud condong ke satu arah, condong, berpaling daripada kesesatan ke arah hidayah, condong ke arah agama yang benar, tegak berdiri, meninggalkan agama yang sesat. Kalimah ini pada mulanya digunakan untuk menggambarkan tapak kaki dan  kemiringannya kepada tapak pasangannya. Yang kanan condong ke arah kiri, dan yang kiri condong ke arah kanan. Ini menjadikan manusia dapat berjalan dengan lurus. Kelurusan itu, menjadikan si pejalan tidak melencong ke kiri, tidak pula ke kanan. Oleh itu penekanan di sini adalah ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah hanif, tidak bengkok, tidak memihak kepada pandangan hidup orang-orang Yahudi yang mengajak umat Islam menganut pandangan mereka, dan tidak juga hidup mengarah kepada agama Nasrani yang penganut-penganutnya juga mengajak kaum muslimin, seperti yang telah disebut di atas.

Ada ‘idhofah’ (penambahan) dalam ayat ini. Ada lafaz yang dihazafkan (tidak dimasukkan). Yang lengkapnya adalah: “Kami hanya akan ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.” Para Rasul diutus Allah ‎ﷻ untuk meluruskan yang miring, atau yang bengkok, dalam pandangan manusia. Yang melakukan pelurusan itu adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dihormati oleh penganut agama Yahudi dan Nasrani. Oleh kerana itu, sangat kena pada tempatnya bahawa Allah ‎ﷻ menganjurkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam untuk menjadikan baginda sebagai titik temu.

 

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan tidaklah Nabi Ibrahim itu termasuk orang yang pernah buat syirik kepada Allah;

Selalu disebutkan kepada kita dalam Al-Qur’an bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang manusia yang tidak pernah membuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sifat baginda yang terhebat. Bayangkan baginda seorang diri sahaja yang mengamalkan tauhid pada zamannya. Selepas itu baginda dakwah kepada isterinya. Lepas itu anak saudara baginda, iaitu Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka sahaja yang muwahhid (golongan tauhid) pada zaman itu. Kemudian baginda telah menghabiskan masanya hanya untuk berdakwah kepada orang lain namun tidak ada yang mahu menerima Islam. Kerana itulah kalau lihat hadith tentang para Nabi, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang tidak banyak pengikut.

Akan tetapi kenapa ditekankan dalam ayat ini yang baginda tidak musyrik? Kerana di dalam sejarah Ahli Kitab, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di hujung hayatnya telah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Begitu teruk sekali mereka ubah kitab mereka sampaikan mereka kata seorang Rasul yang mulia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain. Kerana itulah kalimah penolakan yang digunakan adalah ما dan bukan لا kerana apabila ما digunakan, ia hendak menolak pemahaman salah manusia.

Satu lagi sebab, Orang Mekah perasan mereka juga Hanif (lurus) kerana mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim. Ini adalah kebiasaan bangsa Arab dahulu, sesiapa yang ikut ajaran Nabi Ibrahim mereka gelar Hanif. Namun begitu, Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa yang Hanif itu bukan mereka, gelaran itu mereka sahaja gelar diri mereka sendiri dalam masa yang sama, mereka telah melakukan syirik.

Jadi Allah ‎ﷻ kutuk mereka dengan mengatakan mereka itu perasan sahaja mengikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hanif Ibrahim adalah Hanif yang tauhid tidak syirik. Akan tetapi Hanif Musyrikin Mekah itu pula mengandungi ajaran syirik, maka memang tidak sama. Oleh sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berfahaman dan beramal dengan amalan syirik dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain.

Memang begitulah manusia, ramai yang perasan mereka muwahhid. Termasuklah umat Islam di negara ini pun. Mereka sangka mereka telah faham tauhid dan agama mereka agama yang tauhid. Namun dek kerana jahil dengan wahyu dan tidak tahu mana tauhid dan mana syirik, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 130 – 132 (Wasiat kepada anak cucu)

TUHAN YANG SATU

Baqarah Ayat 130: Setelah diterangkan dengan panjang lebar tentang Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ hendak sampaikan kepada Ahli Kitab: “Wahai Yahudi dan Nasara, kamu juga anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام seperti juga Arab Mekah. Kamu semua daripada rumpun yang sama. Cuma sekarang yang mendukung umat akhir zaman adalah daripada anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام juga iaitu Nabi Ismail عليه السلام, maka kamu pun marilah ikut sekali. Sama-sama tegakkan tauhid bersama mereka. Jangan dengki kepada mereka sebab kamu semua daripada keturunan yang sama. Doa yang sampai melahirkan mereka adalah daripada doa Nabi kamu juga iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام.”

“Kalau kamu ikut, kamu boleh dapat pahala dua kali ganda – pahala beriman dengan Kitab kamu dan pahala beriman dengan Al-Qur’an. Maka, kamu tidak rugi pun, malah kamu akan dapat lebih daripada Arab Mekah kerana mereka hanya dapat beriman dengan Al-Qur’an sahaja kerana mereka dahulu tidak ada kitab.”

Maka pilihan bijak adalah dengan ikut Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, banyak ayat-ayat yang diberikan kepada mereka adalah sebagai pujukan kepada mereka. Kalau tidak mahu ikut juga, Allah ‎ﷻ beri ayat ini.

وَمَن يَرغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبرٰهِـۧمَ إِلّا مَن سَفِهَ نَفسَهُ ۚ وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Sahih International

And who would be averse to the religion of Abraham except one who makes a fool of himself. And We had chosen him in this world, and indeed he, in the Hereafter, will be among the righteous.

Malay

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

 

وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِّلَّةِ إِبرٰهِـۧمَ

Sesiapa yang membenci kepada ugama Nabi Ibrahim,

Kalimah يَرغَبُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘berharap‘. Akan tetapi, apabila diikuti selepasnya dengan harf عن, iaitu kalimat يرغب عن maka ia bermaksud ‘membenci’. Ia dari kata dasar: ر غ ب yang bermaksud menginginkan, berharap, benci, tidak suka, meminta, cinta. Jadi kena tengok bagaimana penggunaannya kerana ia mungkin berlawanan maksud dengan apa yang kita baca ini, seperti yang digunakan di dalam Sharh:8

وَإِلىٰ رَبِّكَ فَارغَب
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Millah (agama) Nabi Ibrahim عليه السلام sekarang ini telah dihidupkan semula oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kalau kamu membenci ajaran Nabi Muhammad ﷺ, seperti kamu membenci ajaran agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Mereka yang membenci agama Nabi Ibrahim عليه السلام adalah membenci agama Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام mengajak kepada agama Allah ‎ﷻ yang lurus.

Kita semua memandang tinggi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Sama ada daripada kalangan Islam dan juga dari kalangan Ahli Kitab. Tetapi ada kalangan orang yang tidak beragama (agnostic dan atheist) memandang sinis kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kisah-kisah tentang baginda. Mereka juga mengatakan apa jenis Tuhan yang buat begitu kepada Nabi yang disayangi-Nya? Kenapa Tuhan menyusahkan Nabi Ibrahim عليه السلام? – membakarnya, memisahkan baginda daripada ahli keluarganya dan mengarahkan baginda untuk membunuh anaknya sendiri? Mereka pun kata: Jikalau itulah perbuatan yang mulia, maka kenalah kita orang Islam pun membunuh anak kita.

Itu adalah kata-kata orang yang tidak tahu tentang agama. Arahan itu diberikan hanya kepada Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Kalau arahan itu tidak dikenakan kepada kita, maka kita pun tidak boleh buat begitu.

Di dalam ayat ini, Allah menggunakan istilah مِلَّةِ إِبرٰهِـۧمَ (Millah Ibrahim). Apakah pula beza antara مِّلَّةِ dan دين yang juga bermaksud agama? Kita kena faham perkara ini kerana ada pihak sesat yang mengatakan mereka berpegang kepada مِلَّةِ إِبرٰهِـۧمَ yang kononnya agama yang sebenar.

“Din” dan “Millah” adalah dua kata dalam Bahasa Arab yang memiliki makna yang berbeza, meskipun dalam konteks agama sering kali digunakan secara bersamaan. Berikut adalah perbezaan antara keduanya:

1. Din:

“Din” (دين) dalam Bahasa Arab merujuk pada konsep agama atau kepercayaan. Ini adalah istilah yang lebih umum dan meliputi semua agama atau sistem kepercayaan. Dalam Islam, “Din” merujuk pada agama Islam sebagai suatu keseluruhan, termasuk ajaran-ajaran, amal ibadah, dan aturan-aturan yang terkandung di dalamnya. Namun, secara harfiah, “Din” dapat diterjemahkan sebagai “agama” atau “keyakinan” dalam erti yang lebih luas.

2. Millah:

“Millah” (ملة) dalam Bahasa Arab memiliki erti yang lebih spesifik. Ini merujuk pada agama atau kepercayaan tertentu. Misalnya, dalam Islam, “Millah Ibrahim” merujuk pada agama Ibrahim (Abraham) sebagai satu agama yang diikuti oleh Nabi Ibrahim dan para pengikutnya. Secara harfiah, “Millah” dapat diterjemahkan sebagai “agama” atau “keyakinan” dalam erti yang lebih khusus, yang terkait dengan pengikut-pengikut tertentu.

Dalam konteks agama Islam, “Din” lebih sering digunakan untuk merujuk pada agama secara umum, sementara “Millah” lebih sering digunakan untuk merujuk pada agama atau keyakinan tertentu yang memiliki sifat-sifat yang khusus. Apabila disebut Millah, ia selalu dikaitkan dengan seseorang dan tidak berdiri sendiri.

 

إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ

tidak lain melainkan dia membodohkan dirinya sahaja;

Golongan ahli Kitab yang benci kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya memperbodohkan diri mereka sahaja kerana ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام adalah sama dengan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, iaitu tidak boleh syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kalau mereka tidak suka dengan ajakan tauhid, maka mereka akan memperbodohkan diri mereka.

Orang-orang yang bodoh sahaja yang tidak suka kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka menjadikan dirinya bodoh. Atau menjadikan diri mereka hina. Maksudnya, mereka tidak akan dihormati di dunia dan tidak ada harga di akhirat. Itu akan hanya merugikan diri sendiri.

Memang kita lihat orang-orang yang mengajarkan ajaran kufur dan syirik itu bodoh sangat. Mereka sembah api, batu, pokok, matahari, bintang. Amalan mereka pun amat karut seperti mandi sungai kotor, minum air kotor, mencederakan diri, bertapa di gua, minta kepada bintang, Nabi, wali, malaikat, jin, hantu, pakai lambang capal dan macam-macam lagi. Semoga kita diselamatkan dari jadi orang-orang yang bodoh. Untuk tidak jadi orang bodoh, maka kita kena belajar supaya kita jadi orang yang pandai.

 

وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنْيَا

Dan sesungguhnya Kami telah pilih Nabi Ibrahim itu di dunia ini;

Allah ‎ﷻ telah pilih baginda sebagai imam (ikutan) untuk manusia di dunia. Kita telah jelaskan apa maksud ‘imam’ dalam ayat yang lain sebelum ini.

Perkataan اصْطَفَ  bermaksud pemilihan yang dibuat kerana orang yang dipilih itu adalah orang yang suci. Dan pemilihan itu adalah pilihan Allah ‎ﷻ sendiri. 100% pilihan Allah ‎ﷻ. Kita sendiri tidak tahu dengan pasti kenapa Allah ‎ﷻ pilih. Namun yang pasti, Allah ‎ﷻ yang pilih.

Ahli Kitab tahu bahawa Allah ‎ﷻ ada hak untuk memilih sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka terima bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi mereka ada masalah pula apabila Allah ‎ﷻ memilih Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

dan sesungguhnya Nabi Ibrahim itu di akhirat kelak termasuk daripada Nabi-Nabi di peringkat soleh;

Nabi Ibrahim عليه السلام mempunyai kesolehan yang tinggi. Oleh itu, baginda berada di peringkat yang tinggi. Ini bukan soleh yang biasa, namun soleh peringkat Nabi. Jadi kita kena jadi orang yang soleh untuk bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.


 

Baqarah Ayat 131: Setelah mendengar uraian tentang bakti Nabi Ibrahim, permohonan baginda, juga mendengar pujian Allah kepadanya serta celaan terhadap orang-orang yang membenci ajaran-Nya, maka pada ayat berikut, dijelaskan inti yang menjadi intipati segala ajaran baginda. Maka sekarang Allah ‎ﷻ mulakan tentang apakah agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم ۖ قالَ أَسلَمتُ لِرَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

When his Lord said to him, “Submit”, he said “I have submitted [in Islam] to the Lord of the worlds.”

Malay

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

 

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم

Ketika Tuhannya berkata kepada Nabi Ibrahim: Serahkanlah diri;

Inilah sebenarnya ajaran dan suruhan terpenting dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka Allah ﷻ sampaikan kepada kita supaya golongan Ahli Kitab sedar tentangnya.

Makna Islam itu bermakna ‘serah diri kepada Allah ‎ﷻ’. Sanggup mengesakan Allah ‎ﷻ bulat-bulat, 100%. Serah diri kepada Allah ‎ﷻ dalam tauhid dan amal. Iaitu menjalankan segala arahan-Nya tanpa soal. Tetapi kita sekarang tafsir Islam ini sebagai ‘selamat’ sahaja. Maknanya, itu adalah tafsiran yang tidak lengkap lagi. Sebenarnya, maksudnya yang lebih tepat adalah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ, bermakna kita menjadi hamba kepada-Nya. Apa sahaja arahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita terima dan kita amalkan tanpa soal. Bila kita buat begitu, barulah kita akan ‘selamat’.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mula memberi isyarat tentang ‘Islam’. Iaitu hendak memberitahu kepada Ahli Kitab bahawa Islamlah agama yang sebenar. Memang semua agama Allah ‎ﷻ dari zaman Nabi Adam عليه السلام lagi dinamakan ‘Islam’. Tetapi golongan agama merekalah yang ubah nama kepada ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Kerana mereka telah ubah agama mereka, nama pun mereka sudah ubah. Sedangkan agama Nabi Ibrahim itu adalah Islam seperti disebut di dalam Hajj:78

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ
(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu

Malah memang semua Nabi membawa satu agama sahaja iaitu Islam, tidak ada agama lain. Allah berfirman di dalam Ali Imran:19

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam

Dan kalau mencari agama lain, tidak akan diterima seperti firmanNya di dalam Ali Imran:85

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ
Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

 

قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Kata Nabi Ibrahim: Sesungguhnya aku berserah diri bulat-bulat kepada Tuhan yang mencipta, menjaga sekalian alam.

Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab ajakan Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan أَسْلَمْتُ (aku telah menyerah diri). Perkataan itu dalam “past tense”. Kenapa Nabi Ibrahim عليه السلام buat begitu? Ini adalah keindahan bahasa Al-Qur’an. Ini kerana kalau dikatakan dalam “past tense”, itu menunjukkan lebih pasti lagi. Kalau digunakan dalam “present tense:, ada kemungkinan keislamannya itu tidak kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, kita boleh katakan ia bemaksud “It’s a done deal”. 

Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan kata أَسْلَمْتُ لِرَبِّ dalam kata-katanya dan bukannya أسلمت للّه. Ini kerana baginda hendak menekankan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan dan baginda adalah hamba Allah ‎ﷻ. Inilah ringkasan Al-Qur’an [Kita hamba Allah ‎ﷻ; dan Allah ‎ﷻ rabb kita]. Di dalam An’am:79 ada jawapan dari baginda yang lebih penuh,

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawa dalam ayat ini? Surah Baqarah ini ditujukan kepada Ahli Kitab dan ia berkenaan mereka. Mereka kenal siapakah Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Mereka pun terima baginda sebagai Rasul yang agung. Dan kerana karektor Nabi Ibrahim عليه السلام ini dikenali oleh Ahli Kitab dan juga orang Islam sendiri.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada semua orang. Allah ‎ﷻ kenalkan siapa baginda dan apakah pegangan agama baginda.  Oleh itu, Islamlah pegangan agama Nabi Ibrahim عليه السلام.


 

Baqarah Ayat 132:

وَوَصّىٰ بِها إِبرٰهِـۧمُ بَنيهِ وَيَعقوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ لَكُمُ الدّينَ فَلا تَموتُنَّ إِلّا وَأَنتُم مُّسلِمونَ

Sahih International

And Abraham instructed his sons [to do the same] and [so did] Jacob, [saying], “O my sons, indeed Allah has chosen for you this religion, so do not die except while you are Muslims.”

Malay

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

 

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبرٰهِـۧمُ بَنِيهِ

Nabi Ibrahim mewasiatkan perkara yang sama kepada anaknya;

Baginda sampaikan ajaran agama (millah) dan terutama sekali pegangan akidah kepada anak-anak baginda. Dhomir ها di dalam بِهَا merujuk kepada مِّلَّةِ seperti yang telah disebut sebelum ini. Maka beginilah yang kita kena lakukan. Kena ajar anak-anak kita. Berikan mereka pegangan agama yang benar. Malangnya, perkara ini banyak yang culas di kalangan ibubapa. Mereka tidak mengendahkan pengetahuan agama anak-anak. Ini adalah kerana mereka sendiri amat rendah pemahaman agama mereka.

Kalimah وَصَّىٰ yang bermaksud wasiat digunakan di sini untuk memberi penekanan kepada suruhan yang disampaikan. Ia selalunya disampaikan ketika hampir hendak mati, maka pesanan itu tidak mengandungi kepentingan duniawi.

Dan di dalam ayat ini digunakan kalimah. Oleh itu ia memberitahu kita yang anak Nabi Ibrahim bukan dua sahaja akan tetapi lebih lagi. Tidak pasti bilangan anak-anak Nabi Ibrahim, ada pelbagai pendapat tentang bilangan mereka. Tapi kerana ia tidak penting, maka tidaklah perlu kita bincangkan di sini.

 

وَيَعْقُوبُ

dan (begitu juga yang dilakukan oleh) Nabi Ya’qub:

Nabi Ya’qub عليه السلام (cucu Nabi Ibrahim) telah mengikut langkah Nabi Ibrahim عليه السلام. Anak-anak baginda ada seramai 12 orang termasuk Nabi Yusuf dan Bunyamin. Dari merekalah lahirnya keturunan Bani Israil itu. Baginda juga telah menyampaikan pegangan agama ini kepada keturunan baginda. Apakah kata-kata Nabi Ibrahim dan Nabi Ya’qub?

 

يَـٰبَنِىَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ

wahai anakku, sesungguhnya Allah sudah memilih ugama untuk kamu.

Agama yang hanya diterima dan diredhai oleh Allah ‎ﷻ adalah Islam sahaja. Maka ini menolak pegangan golongan Yahudi yang mengatakan Nabi Ya’kob mewasiatkan mereka mememang agama Yahudi. Tidak ada agama lain selain Islam. Jangan kita kata agama-agama lain sama sahaja. Itu adalah salah kerana agama yang hanya diterima adalah Islam sahaja. Memang agama-agama lain ada kebaikannya, tetapi tidak lengkap. Tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ. Ini kita akan dapat tahu jikalau kita belajar ilmu Perbandingan Agama dengan benar.

Apabila digunakan perkataan لَكُمُ – ‘untuk kamu’ – itu bermaksud ia diberikan dalam bentuk rahmat dari Allah ‎ﷻ kerana digunakan huruf jar ل (untuk). Berbeza kalau digunakan dalam bentuk ‘عليكم’ (ke atas kamu) – kalau dalam bentuk itu, ia bermaksud satu tanggungjawab. Dalam ayat ini, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan huruf ل, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa agama Islam itu diberikan kepada kita sebagai satu rahmat kepada kita.

Siapakah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام? Mereka terdiri daripada Nabi Yusuf عليه السلام, Bunyamin dan 10 lagi adik-beradiknya yang lain. 10 adik-beradiknya yang lain itu telah disebut kisah mereka tentang apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Ya’qub عليه السلام dan Nabi Yusuf عليه السلام (dalam Surah Yusuf). Mereka telah meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di dalam telaga kerana mereka dengki kepada baginda. Kemudian mereka telah menipu bapa mereka – Nabi Ya’qub عليه السلام. Ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Yusuf.

Kalau kita lihat keturunan mereka, tentulah kita rasa mereka sepatutnya menjadi orang yang baik, kerana bapa mereka Nabi, datuk mereka Nabi (Nabi Ishak عليه السلام) dan moyang mereka juga Nabi (Nabi Ibrahim عليه السلام). Namun hakikatnya mereka tidak begitu. Maka ini mengajar kita, tidak ada jaminan kalau keturunan baik, seseorang itu akan menjadi baik juga. Iman tidak boleh diwarisi. Seseorang itu kena cari sendiri. Maka janganlah kita terus percaya kepada seseorang itu jikalau dia dikatakan dari keturunan ulama’ terdahulu termasuklah kalau dia dikatakan seseorang itu daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Kena tengok dahulu apakah yang dilakukannya dan apakah ajaran yang dibawanya.

 

فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ

Maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri bulat kepada Allah.

Nabi Ya’qub عليه السلام telah berdoa dan juga menasihati anak-anak baginda. Tidak cukup kalau kita hanya mendoakan sahaja keselamatan dan keimanan keturunan kita. Kita kena juga bagi nasihat kepada mereka. Kita memang risaukan tentang apakah agama anak cucu kita nanti. Jangan tidak ambil kisah langsung. Apa yang kita boleh buat adalah memberi mereka pendidikan yang sempurna dan kemudian menasihati mereka dari masa ke semasa. Kita hanya boleh buat yang terbaik yang kita mampu lakukan. Selepas itu, terpulang kepada mereka.

Mungkin ada kehairanan, bukankah anak-anak Nabi Ya’qub ini jahat-jahat belaka seperti yang kita dengar kisah mereka di dalam Surah Yusuf? Ya mereka memang jahat akan tetapi akhirnya, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام telah bertaubat dan menjadi insan yang baik dan beriman. Jangan pula kita kutuk mereka. Apa yang terjadi kepada mereka adalah pengajaran buat kita. Maka ia mengajar kita yang orang jahat hatinya pun boleh berubah apabila telah sampai masanya. Jangan kita menghukum orang dengan mengatakan dia ini takkan berubah sampai bila-bila. Adakah orang itu jahat seperti jahatnya adik beradik Nabi Yusuf? Tentu tidak, bukan? Jadi jangan kita mendahului takdir.

Kita dapat tahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام kepada anaknya ini daripada Al-Qur’an kerana Tuhan beritahu dalam Al-Qur’an dan kita belajar tafsir Al-Qur’an. Oleh itu, lihatlah wasiat yang diberikan oleh para Nabi yang disebut di atas. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ sebutkan wasiat mereka dalam ayat ini. Kita sendiri kena wasiat kepada anak-anak kita pun begini juga.

Dan kita sendiri jangan mati melainkan dalam berserah diri kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana yang dikira adalah iman kita ketika kita di ambang maut. Rasulullah telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”
[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Maka kita kena berharap dan berdoa supaya kita dimatikan dalam keadaan beriman. Lihatlah doa Nabi Yusuf di dalam Yusuf:101

فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
(Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Tapi untuk mati di dalam keadaan yang baik, kita telah jaga agama kita dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami agama ini. Mati akan tetapi mati, tapi mati yang bagaimana yang kita dambakan? Allah telah mengajar apa yang kita kena harapkan seperti disebut di dalam Fussilat:30. Allah mengajar kita supaya istiqamah di atas agama dan ganjarannya adalah para malaikat rahmah akan menyambut kita apabila kita mati nanti.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ أَلّا تَخافوا وَلا تَحزَنوا وَأَبشِروا بِالجَنَّةِ الَّتي كُنتُم توعَدونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Satu pengajaran daripada ayat-ayat ini adalah: Kita kena ajar wasiat itu kepada anak-anak kita. Dalam Surah Luqman juga, kita belajar bagaimana Luqman mewasiatkan kepada anaknya supaya jangan mati melainkan dalam agama Islam. Maka kerana itu apabila anak kita hampir masuk akil baligh, kena ajar kepada mereka tentang agama. Ajar mereka siapa Tuhan dan siapa Nabi. Kemudian ajar mereka mengucap. Supaya mereka masuk Islam di hadapan kita secara rasmi.

Memang keturunan mereka memang sudah Muslim, tetapi kita hendakkan mereka masuk Islam secara rasmi. Iaitu masuk Islam dalam keadaan mereka faham siapakah Tuhan dan apakah itu Islam. Bukan sebab emak ayah dia Muslim. Kita dulu mungkin tidak ada yang buat begitu kepada kita.  Tidak ada sesiapa ajar kita maksud syahadah itu dengan benar. Sampaikan kita tidak tahu bila kita dahulu mula masuk Islam (Siapa ingat bilakah dia masuk Islam?) Maka ingatlah untuk mengajar syahadah kepada anak-anak kita. Kalau kita tidak buat begitu, ada kemungkinan mereka tidak sayang kepada agama kerana mereka tidak faham dan sangka itu adalah ‘agama keturunan’ sahaja. Inilah kefahaman kebanyakan masyarakat kita sekarang. Mereka melihat agama ini sebagai keturunan sahaja, tidak tahu langsung bab agama.

Lihatlah digunakan perkataan ‘Muslim’ sekali lagi dalam ayat ini juga. Penggunaan kalimah Muslim dan Islam banyak digunakan sekarang dan dalam berbagai-bagai cara. Semuanya untuk memberi isyarat kepada Bani Israil supaya masuk Islam. Mereka kena sedar yang Islamlah agama sebenar dan itulah agama sebenar tok nenek mereka pun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah