Tafsir Surah Kahfi Ayat 52 – 56 (Manusia suka berjidal)

Kahf Ayat 52: Takhwif Ukhrawi. Allah ﷻ menegur orang yang melakukan syirik. Setelah menjelaskan ketidakwajaran iblis dan pengikut-pengikutnya untuk menjadi sekutu Allah ﷻ, bahkan kegagalannya memberi pertolongan dalam kehidupan dunia ini, kini Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk mengingatkan tentang ketidakmampuan mereka di tempat dan waktu yang lebih penting, yakni di akhirat nanti.

وَيَومَ يَقولُ نادوا شُرَكائِيَ الَّذينَ زَعَمتُم فَدَعَوهُم فَلَم يَستَجيبوا لَهُم وَجَعَلنا بَينَهُم مَّوبِقًا

Sahih International

And [warn of] the Day when He will say, “Call ‘My partners’ whom you claimed,” and they will invoke them, but they will not respond to them. And We will put between them [a valley of] destruction.

Malay

Dan (ingatkanlah) semasa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan Kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.

 

وَيَوْمَ يَقُولُ

Dan (ingatkanlah) semasa Allah berfirman:

Kalimah ‘hari’ di sini bermaksud semasa di Mahsyar atau di dalam neraka. Allah ﷻ seru kepada golongan musyrik itu. Apakah firman Allah ﷻ kepada mereka?

 

نَادُوا شُرَكَائِيَ

Panggillah sekutu-sekutu Aku itu; 

Allah perli mereka untuk panggillah ilah-ilah yang mereka jadikan sekutu bagiNya. Ini seperti Buddha, Jesus, Siva dan macam-macam lagi. Ini termasuklah Syaikh Abdul Qadir Jalani, Hussein, Habib Nuh atau sesiapa sahaja yang diseru selain Allah dalam ibadat dan doa.

 

الَّذِينَ زَعَمْتُمْ

yang dulu kamu percaya kepada mereka;

Allah ﷻ kata sekarang panggillah ilah-ilah mereka itu kerana dulu mereka yang musyrik itu yakin sangat yang ilah-ilah itu dapat membantu mereka dan beri berkat, beri syafaat dan beri pertolongan kepada mereka. Kalau mereka yakin sangat, maka panggillah sekarang.

Kenapa Allah ﷻ suruh mereka panggil sedangkan memang Allah ﷻ sudah tahu yang diseru itu tidak akan menjawab? Ini adalah perli daripada Allah ﷻ kerana itu kalimah yang digunakan adalah زَعَمْتُمْ daripada kalimah الزعم az-za’am iaitu ucapan, kepercayaan dan pendapat yang dinilai sebagai sesuatu yang mustahil atau bohong, walau oleh pengucapnya tidak dinilai demikian. Allah ﷻ hendak hina dan tunjuk kepada mereka bahawa memang sia-sia perbuatan mereka itu. Kalau di akhirat mereka yang diseru itu tidak sahut, maka begitulah juga semasa di dunia.

Maka bagaimana dengan amalan masyarakat kita yang seru orang-orang yang telah mati seperti para Nabi dan wali? Itu pun termasuk di dalam teguran Allah ﷻ ini. Ramai yang tidak perasan tentang hal ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an seperti yang sepatutnya.

 

فَدَعَوْهُمْ

Maka mereka pun menyeru;

Maka mereka pun serulah guru-guru mereka, wali-wali yang mereka seru, Nabi-nabi yang mereka dulu seru semasa di dunia dan lain-lain lagi seruan mereka. Ada bermacam-macam jenis wasilah yang digunakan dalam doa manusia yang sifatnya musyrik.

Maknanya bukanlah orang bukan Islam sahaja yang buat perkara ini tetapi orang Muslim pun ada buat juga. Memang ramai pun kalau kita tengok sekarang ini. Ini adalah kerana mereka jauh daripada ajaran wahyu dan kerana mereka diajar oleh guru-guru yang ada fahaman yang salah. Maka kita kena perbetulkan kembali salah faham itu dengan mengajak mereka belajar ilmu wahyu.

 

فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ

Tidaklah menyahut seruan mereka

Seruan golongan musyrik itu tentunya tidak dijawab. Yang diseru itu pun tidak cuba menjawab pun. Kalau dia daripada kayu atau batu dan segala yang berupa benda, tentu tidak ada yang akan menyahut, kerana mereka hanya objek yang tidak bernyawa. Kalau yang didewakan itu sesama manusia, maka kebanyakan sesama manusia itu dituhankan di luar tahu mereka. Ini kerana yang diseru itu pun tidak pernah ajar supaya mereka diseru dalam bentuk apa-apa pun. Yang menyeru itu bukannya mendapat ajaran itu daripada ajaran yang benar tetapi ajaran yang sesat.

Sebagai contoh, golongan Syiah menyeru Hussein رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tetapi Saidina Hussein رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak pernah pun suruh diseru. Maka ini adalah ajaran syaitan sahaja. Syaitan cuma akan berjaya menipu golongan yang jauh daripada wahyu sahaja.

 

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ مَّوْبِقًا

dan Kami jadikan diantara mereka satu sekatan. 

Perkataan مَوْبِقًا bermaksud ‘jurang’, ‘tempat penghancuran’. Bermakna di antara mereka yang diseru dan menyeru itu ada jurang neraka. Mereka akan nampak seruan dan sembahan mereka itu, tetapi di antara mereka itu ada jurang api neraka.

Allah ﷻ tunjukkan juga ilah-ilah dan mereka yang diseru itu sebagai menyakitkan hati mereka yang menyeru. Memang nampak ada, namun yang diseru itu tidak menyahut pun. Maka tentulah mereka lebih sakit hati lagi.

Sewaktu para penyembah itu hidup di dunia mereka menduga bahawa ada hubungan erat antara mereka dengan sesembahan-sesembahan (ma’bud bathil) itu, hubungan yang mereka sangka akan menjadikan mereka dapat memperoleh bantuan. Terputusnya hubungan itulah yang disebut di dalam ayat ini dengan kebinasaan sedang mereka sendiri ketika itu sebenarnya sangat berjauhan tempatnya.


 

Kahf Ayat 53:

وَرَءا المُجرِمونَ النّارَ فَظَنّوا أَنَّهُم مُّواقِعوها وَلَم يَجِدوا عَنها مَصرِفًا

Sahih International

And the criminals will see the Fire and will be certain that they are to fall therein. And they will not find from it a way elsewhere.

Malay

Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.

 

وَرَءا الْمُجْرِمُونَ النَّارَ

Dan orang-orang yang berdosa itu melihat neraka

Ini pula apabila mereka dibawa ke hadapan neraka dan ditunjukkan kepada mereka. Aduh, bayangkan kalau kita sendiri yang melihat neraka itu! Tentu kita akan menjadi amat takut! Ini maknanya sudah sampai ke peringkat ainul yaqin iaitu sudah melihat sendiri neraka itu di hadapan mata mereka. Kalau di dunia sekarang, kita tahu tentang syurga dan neraka setakat ilmul yaqin sahaja. Nanti kita akan diperlihatkan di akhirat kelak. Nanti setelah memasukinya barulah menjadi haqqul yaqin.

Pada waktu ini mereka benar-benar beriman. Akan tetapi iman apabila sudah nampak azab di hadapan mata tidak berguna lagi, seperti disebut di dalam Ghafir:84-85

فَلَمّا رَأَوا بَأسَنا قالوا ءآمَنّا بِاللهِ وَحدَهُ وَكَفَرنا بِما كُنّا بِهِ مُشرِكينَ
Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik”.

فَلَم يَكُ يَنفَعُهُم إيمٰنُهُم لَمّا رَأَوا بَأسَنا ۖ سُنَّتَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت في عِبادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنالِكَ الكٰفِرونَ
Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hamba-Nya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

 

فَظَنُّوا أَنَّهُمْ مُّوَاقِعُوهَا

Maka mereka pun yakin yang mereka pasti akan jatuh masuk neraka itu

Apabila mereka sudah nampak neraka itu, maka tahulah mereka yang mereka akan masuk ke dalamnya. Kalimah فَظَنُّوا di sini di dalam maksud ‘yakin’. Bayangkan kalau orang yang nampak tali gantung dan tahu yang dia akan dikenakan dengan hukuman gantung itu. Ia tidak sama dengan orang yang hanya melihat sahaja, bukan?

Mereka sendiri yakin yang mereka akan masuk ke dalam neraka itu kerana mereka sendiri pun sudah tahu kesalahan yang mereka lakukan telah melayakkan mereka dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan jatuh dengan keras ke dalam neraka yang dalam itu. Mereka akan cuba untuk tidak dimasukkan, mereka akan pegang apa yang mereka boleh pegang, tetapi mereka akan dimasukkan juga.

 

وَلَمْ يَجِدُوا عَنْهَا مَصْرِفًا

Dan tidaklah mereka mendapati jalan untuk mengelakkan diri darinya.

Kalimah مَصْرِفًا daripada katadasar ص ر ف yang bermaksud pusing, elak, ubah. Mereka akan cuba hendak lari, hendak merayu, hendak buat itu dan ini, tetapi tidak akan dilayan dan tidak akan berjaya. Mereka tidak dapat mengelak daripada dimasukkan ke dalam neraka.

Sekian Ruku’ 7 daripada 12 ruku’ surah ini


 

MENOLAK AL-QUR’AN

Kahf Ayat 54: Sekarang kita masuk ke Ruku’ ke 8 daripada 12 ruku’ dalam surah ini. Ini adalah Ayat Zajrun (Ayat Teguran).

وَلَقَد صَرَّفنا في هٰذَا القُرءآنِ لِلنّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا

Sahih International

And We have certainly diversified in this Qur’an for the people from every [kind of] example; but man has ever been, most of anything, [prone to] dispute.

Malay

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Qur’an ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

 

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْءآنِ لِلنَّاسِ

Sesungguhnya Kami telah perjelaskan dalam Al-Qur’an ini kepada manusia

Perkataan صَرَّفْ bermaksud ‘tukar-tukar’ – alternate. Allah ﷻ tukar-tukar perkataan dalam berbagai cara untuk menjelaskan kepada manusia kerana ada orang yang faham dengan cara begini dan ada orang yang faham dengan cara lain pula. Sebagaimana seorang guru yang baik akan cuba beri berbagai contoh untuk bagi anak muridnya faham.

Balaghah (Taqdim wa Ta’khir): Di dalam ayat ini, Allah mendahulukan lafaz فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ sebelum لِلنَّاسِ sedangkan di dalam Isra’:89 , susunannya diterbalikkan,

وَلَقَد صَرَّفنا في هٰذَا القُرءآنِ لِلنّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Qur’an ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

Dalam Surah Isra’, Allah mendahulukan kalimah لِلنّاسِ (bagi manusia) kerana di dalam Surah Isra’ sebelumnya disebut tentang manusia, nikmat Allah dan rahmatNya ke atas mereka, lihat Isra’:83

وَإِذَآ أَنعَمنَا عَلَى ٱلإِنسَـٰنِ أَعرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ‌ۖ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ كَانَ يَـُٔوسًا
Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia; dan membelakang dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan nescaya dia berputus asa.

Oleh kerana itu sesuailah disebut لِلنّاسِ kerana teguran ayat adalah tentang degilnya sifat manusia. Sedangkan di dalam Surah Kahf tidak ada pendahuluan seperti itu. Dan di dalam Surah Kahf telah didahulukan dengan perbincangan tentang Al-Qur’an, maka sesuailah ditaqdimkan kalimat في هٰذَا القُرءآنِ (di dalam Al-Qur’an ini) di dalam Surah Kahf. Lihat Kahf:1-2

ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبدِهِ ٱلكِتَـٰبَ وَلَم يَجعَل لَّهُ ۥ عِوَجَاۜ (١) قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأۡسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنهُ وَيُبَشِّرَ ٱلمُؤمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا حَسَنًا (٢)
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (1) (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. (2) 

Maka kita boleh perhatikan permulaan Surah Kahf tentang Al-Qur’an sedangkan Surah Isra’ tentang manusia. Perhatikan Isra’:1

سُبحٰنَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِّنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى الَّذي بٰرَكنا حَولَهُ لِنُرِيَهُ مِن ءآيٰتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

 

مِنْ كُلِّ مَثَلٍ

dari berbagai-bagai jenis contoh-contoh bandingan.

Allah ﷻ berhujah dalam Al-Qur’an dengan berbagai cara dan Allah ﷻ telah memberi berbagai contoh bandingan. Ini adalah kerana manusia senang faham sesuatu perkara dan konsep melalui cara analogi. Sebagai contoh, katakanlah pelajar sekolah sudah faham tentang kerajaan di Malaysia ini. Katakanlah guru ingin mengajar anak murid dengan kerajaan Melaka purba. Maka guru akan kata: “Parameswara itu adalah seperti Perdana Menteri kita sekarang.”

Analogi adalah satu cara yang amat baik dan banyak sekali digunakan dalam Al-Qur’an. Namun perumpamaan-perumpamaan itu kenalah dipelajari baru boleh faham. Ini kerana kadangkala kalau baca sahaja, tidak dapat faham kerana perbandingan itu adalah perbandingan yang tinggi pemahamannya. Ia memerlukan kupasan daripada ulama tafsir yang telah mencari cara untuk menjelaskannya kepada kita.

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut:43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?

Maka amat penting untuk kita belajar tafsir Al-Qur’an. Kemudian kita mengajarnya kepada manusia. Ingatkan sabda Rasulullah ﷺ tentang hal ini: Daripada Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

(Riwayat Bukhari (5027))

Begitulah manusia tidak menghargai pengajaran daripada Allah ‎ﷻ. Allah ﷻ telah sebut perkara ini di dalam Isra’:89

وَلَقَد صَرَّفنَا لِلنَّاسِ فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍ فَأَبَىٰٓ أَكثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُوْرًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam Al-Qur’an ini tiap-tiap macam perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkari(nya).

 

وَكَانَ الْإِنْسٰنُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا

Dan adalah manusia itu paling banyak sekali membantah;

Walaupun telah diberikan dengan berbagai cara untuk ajar manusia, namun ramai yang masih tetap hendak membantah sahaja. Begitulah ada jenis manusia yang dalam setiap perkara, hendak membantah sahaja. Bila mereka dengar sesuatu, perbuatan pertama mereka akan hendak menolak. Mereka bukan hendak dengar dulu, tetapi terus sahaja hendak membantah.

Dan kalimah ‘jidal’ itu merujuk kepada perbuatan hendak menolak dengan cara berdebat sahaja. Mereka sudah tidak kira benar atau salah, janji mereka menang. Tidak salah kalau hendak berhujah untuk mencari kebenaran akan tetapi kalau berdebat kerana hanya mahu menang sahaja, maka ini adalah salah dan bodoh.

Bukanlah salah berdebat, kerana itu adalah salah satu cara kita boleh mendapat kebenaran. Sebagai contoh, kalau dua orang ilmuwan berdebat, kita yang mendengar akan mendapat ilmu-ilmu baru. Namun kenalah tujuan perdebatan itu kerana hendak mencari kata putus yang paling rapat kepada kebenaran.

Dalam hal ini, manusia yang baik pun ada juga membantah, seperti yang terjadi kepada Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

عَنْ عَلِيِّ بْنِ حُسَيْنٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ عَلِيًّا يَقُولُ أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا نَائِمٌ وَفَاطِمَةُ وَذَلِكَ مِنْ السَّحَرِ حَتَّى قَامَ عَلَى الْبَابِ فَقَالَ أَلَا تُصَلُّونَ فَقُلْتُ مُجِيبًا لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا نُفُوسُنَا بِيَدِ اللَّهِ فَإِذَا شَاءَ أَنْ يَبْعَثَنَا قَالَ فَرَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَرْجِعْ إِلَى الْكَلَامِ فَسَمِعْتُهُ حِينَ وَلَّى يَقُولُ وَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى فَخِذِهِ { وَكَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا }
Daripada [Ali Bin Husain] daripada [bapanya] dia berkata; aku mendengar [Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; “Rasulullah ﷺ menemuiku sementara aku dan Fatimah sedang tertidur di waktu sahur, sampai baginda berdiri di depan pintu, kemudian baginda berkata; “Tidak solatkah kalian?” Maka aku menjawabnya; “Wahai Rasulullah, hanyasanya jiwa kami berada di tangan Allah, jika Dia menghendaki nescaya akan membangunkan kami.” Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; kemudian Rasulullah ﷺ pulang dan tidak mengulangi perkataannya, namun ketika pergi aku mendengar baginda membaca sambil menepukkan tangannya ke pahanya: (Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah.) (Kahfi: 54)

(Sahih Bukhari (858))

Begitulah manusia akan ada sahaja alasan yang diberikan apabila kita ajak untuk melakukan perkara yang baik. Apabila diajak solat malam, mereka kata mereka penat; apabila diajak i’tikaf, mereka kata mereka kena kerja, apabila diajak belajar agama, mereka kata mereka tunggu apabila sudah pencen. Malah berbagai-bagai lagi alasan yang ada sahaja mereka berikan. Takut-takut kita pun termasuk juga di dalam jenis orang sebegini.


 

Kahf Ayat 55: Setelah diberikan dengan berbagai nasihat dan perumpamaan supaya manusia faham, sekarang Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa manusia menolak kebenaran. Apakah yang menghalang mereka? Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَما مَنَعَ النّاسَ أَن يُؤمِنوا إِذ جاءَهُمُ الهُدىٰ وَيَستَغفِروا رَبَّهُم إِلّا أَن تَأتِيَهُم سُنَّةُ الأَوَّلينَ أَو يَأتِيَهُمُ العَذابُ قُبُلًا

Sahih International

And nothing has prevented the people from believing when guidance came to them and from asking forgiveness of their Lord except that there [must] befall them the [accustomed] precedent of the former peoples or that the punishment should come [directly] before them.

Malay

Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Qur’an kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau didatangi azab yang dilihat dan dihadapi.

 

وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَنْ يُؤْمِنُوا

Dan tidaklah mencegah manusia itu untuk beriman;

Apakah yang menyebabkan manusia tidak beriman? Tentu ada sesuatu yang menghalang mereka daripada beriman walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah yang cukup mantap.

 

إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ

apabila datang kepada mereka petunjuk;

Kenapa mereka masih juga mahu menolak apabila telah datang petunjuk kepada mereka? Kenapa mereka hendak lawan juga? Kenapa mereka tidak mahu terima kebenaran yang sudah jelas kepada orang lain?

Sesiapa yang sudah mula belajar dan sebar agama, akan faham hal ini kerana mereka akan menghadapi orang-orang yang sebegini apabila mereka mula berdakwah kepada manusia. Iaitu, apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, ramai yang akan bagi macam-macam alasan untuk tidak terima ajakan kita. Mereka akan bantah pendakwah dengan menggunakan berbagai-bagai hujah yang tidak diambil daripada nas.

 

وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُمْ

Dan untuk memohon ampun kepada Tuhan mereka;

Selain tidak mahu beriman, apakah yang menyekat mereka daripada meminta ampun kepada Tuhan mereka? Kerana kalau mereka sudah tahu yang selama ini amalan dan fahaman mereka salah, sepatutnya mereka mohon ampun dan ubahlah fahaman mereka, bukan? Namun sebaliknya kenapakah mereka tidak mengambil peluang tawaran Allah ﷻ untuk meminta ampun kepada-Nya?

Bayangkan, tidak ada sesiapa yang boleh sekat seseorang daripada meminta ampun. Kalau ada yang cuba sekat pun, dia boleh bertaubat dalam hatinya. Akan tetapi apakah yang menyekat mereka daripada meminta ampun itu?

 

إِلَّا أَنْ تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ الْأَوَّلِينَ

Kecuali datang ketetapan Allah sepertimana yang telah diberi kepada orang-orang terdahulu;

Mereka tidak beriman dan tidak mahu bertaubat kerana mereka rasa mereka selamat. Mereka tidak rasa penting untuk beriman dan meminta ampun kerana mereka tidak dikenakan dengan azab seperti yang dikenakan kepada kaum-kaum terdahulu. Mereka hendak menunggu azab dulu baru beriman dan meminta ampun. Iaitu contoh-contoh azab yang telah dikenakan kepada umat-umat terdahulu kerana kekufuran mereka.

 

أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ قُبُلًا

atau datang kepada mereka azab di depan mata mereka;

Mereka tidak akan bertaubat dan beriman sehinggalah datang azab depan mata mereka iaitu kematian. Bila hampir mati atau sudah mati dan nampak kebenaran perkara ghaib yang telah disampaikan, barulah mereka mahu beriman dan bertaubat.

Akan tetapi apabila azab dan kematian sudah hampir, iman dan keampunan sudah tidak diterima lagi. Seperti Firaun yang baru hendak beriman apabila dia hampir mati semasa ditenggelamkan dalam laut. Tidak diterima imannya ketika itu.

Maka, kalau ada orang yang dalam nazak hampir mati, imannya atau permintaan ampunnya ketika itu tidak diterima lagi kerana sudah terlambat walaupun dia tidak mati lagi waktu itu. Kalau dia ada mengamalkan syirik sebelum itu, istighfarnya tidak diterima. Kalau tidak buat syirik, masih ada harapan lagi.


 

Kahf Ayat 56: Setelah ayat yang lalu melukiskan keengganan kaum musyrikin beriman dan bagaimana para penderhaka itu selalu menuntut daripada Rasulullah ﷺ aneka mukjizat yang boleh dipandang dengan mata mereka, mengusulkan aneka usul yang tidak logik serta selalu menolak dan membantah, kini Rasul ﷺ dipujuk dengan menyatakan bahawa tugas baginda hanya menyampaikan.

وَمَا نُرسِلُ ٱلمُرسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ‌ۚ وَيُجَـٰدِلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ بِٱلبَـٰطِلِ لِيُدحِضُواْ بِهِ ٱلحَقَّ‌ۖ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَـٰتِى وَمَآ أُنذِرُواْ هُزُوًا

Sahih International

And We send not the messengers except as bringers of good tidings and warners. And those who disbelieve dispute by [using] falsehood to [attempt to] invalidate thereby the truth and have taken My verses, and that of which they are warned, in ridicule.

Malay

Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatKu, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.

 

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ

Dan tidaklah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan untuk memberikan berita gembira;

Tugas para Rasul jelas disebut dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan berita wahyu dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman. Iaitu akan dikatakan kepada mereka bahawa mereka akan mendapat syurga.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Musyrikin Mekah mengejek dengan tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, kenapa mereka tidak dikenakan dengan azab lagi sedangkan mereka telah lama menentang baginda? Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini untuk menjawab soalan mereka: tugas Nabi ﷺ hanya menyampaikan dakwah sahaja. Bukan baginda yang tentukan bila mereka dikenakan azab.

 

وَمُنْذِرِينَ

dan memberi ancaman;

Kepada yang ingkar, diberi ancaman dan peringatan pula kepada mereka. Iaitu mereka diancam dengan azab dan neraka. Dikatakan kepada mereka, kalau mereka tidak mahu menerima tauhid, mereka akan masuk neraka dan akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

Inilah dua perkara besar yang diberitahu oleh pendakwah: Beri berita gembira dan beri ancaman. Iaitu cerita tentang tauhid atau aqidah. Sekali-sekala diberikan berita gembira dan kalau tidak mahu terima, maka diberikan ancaman kepada mereka.

 

وَيُجٰدِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبٰطِلِ

Dan orang-orang kafir itu membantah dengan menggunakan hujah yang batil;

Musyrikin Mekah menolak dakwah Nabi ﷺ dengan memberi hujah-hujah bathil. Antaranya mereka kata: “Takkan Allah nak hantar manusia pula? Kenapa Allah ﷻ tak hantar malaikat sahaja supaya kami boleh terima?” Dan banyak lagi hujah-hujah bathil mereka yang Allah ﷻ naqalkan dalam Al-Qur’an.

Orang kafir itu tidak semestinya orang bukan Islam. Kalau orang itu Muslim pun tetapi dia membantah kebenaran, maka dia juga dikira ‘kafir’. Jangan kita sangka kita Muslim di mata manusia, kita tetap Muslim di mata Allah ﷻ. Takut-takut kita sahaja sangka kita ini Muslim, tetapi sebenarnya pada Allah ﷻ, kita sebenarnya kafir.

Orang-orang yang ingkar itu, tidak kira bernama Muslim atau tidak, mereka akan membantah kebenaran. Mereka akan beri hujah yang bukan dalil iaitu hujah yang bukan daripada nas Al-Qur’an dan Hadith. Antara hujah batil mereka adalah: “Takkan guru itu nak masuk neraka”. Mereka cakap begitu kerana mereka hendak membenarkan juga guru mereka walaupun guru mereka mengajar yang salah.

Itu bukan hujah menggunakan Al-Qur’an dan Hadith. Itu adalah hujah yang pernah digunakan oleh Musyrikin Mekah. Janganlah kita dalam berhujah mengatakan begini: “Ustaz saya beritahu macam itu”. Jangan sekali-kali kita kata begitu kerana guru dan ustaz kita bukannya dalil. Jangan letak hujah atas guru kita. Guru kita bukan Nabi yang maksum.

Kita kena kata Al-Qur’an dan Hadith yang kata begitu dan begini. Para ustaz itu hanya sampaikan mana ayat Al-Qur’an dan mana Hadith yang menjadi sandaran. Maka, kalau ada orang yang menggunakan hujah guru mereka, katakan bahawa itu adalah hujah Musyrikin Mekah. Cuma kita dapat tahu tentang mana ayat Al-Qur’an dan hadith itu daripada guru dan ustaz kita juga kerana kita belajar dengan mereka.

 

لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ

supaya mereka menghapuskan kebenaran wahyu dengan hujah itu;

Tujuan mereka membantah itu adalah menghapuskan kebenaran dengan menggunakan hujah mereka yang batil itu. Mereka sebenarnya tidak ada hujah daripada Al-Qur’an dan hadith. Yang mereka ada hanyalah hujah tok guru mereka.

Kalimah لِيُدْحِضُوا daripada katadasar د ح ض yang bermaksud lemah, tidak kuat, bathil, menolak tanpa kekuatan. Kalimah يُدْحِضُوا diambil daripada دحض yang bermaksud tanah yang tidak mantap, sehingga dapat menggelincirkan orang yang berjalan di atasnya. Maknanya, hujah-hujah yang digunakan oleh para penentang kebenaran adalah lemah sebenarnya.

Mereka juga menggunakan hujah akal yang tidak layak untuk dibandingkan dengan hujah Al-Qur’an dan hadith tetapi mereka tetap mahu guna juga. Akal itu tidaklah salah, tetapi hendaklah akal yang dipandu wahyu.

 

وَاتَّخَذُوا ءآيٰتِي

dan mereka telah jadikan ayat-ayat-Ku 

Mereka tidak memandang tinggi ayat Al-Qur’an dan hadith. Malah mereka rasa hujah-hujah mereka itu melebihi dalil yang diberikan dalam Al-Qur’an dan hadith pula. Mereka rasa kata-kata guru mereka itu adalah kata-kata hikmat yang mesti diikuti kerana tentu benar.

Mana boleh macam itu kerana mereka juga manusia dan terbuka kepada kesalahan dan kesilapan. Kalau mereka ambil juga kata-kata hujah guru mereka yang berlawanan dengan Al-Qur’an dan Hadith, maka sebenarnya mereka telah merendahkan Al-Qur’an dan menilainya sebagai olok-olok (mainan) sahaja.

 

وَمَا أُنْذِرُوا

dan amaran yang diberikan kepada mereka itu

Mereka berani membantah kerana mereka tidak takut kepada ancaman dan amaran yang telah diberikan. Mereka dengar ancaman itu tetapi mereka tidak rasa yang mereka akan dikenakan azab itu. Mereka main-main sahaja dengan ancaman itu tanpa rasa takut. Mereka seolah-olah sudah dapat tiket untuk melepaskan diri mereka. Apakah tiket itu? Mana mereka dapat?

 

هُزُوًا

sebagai senda gurau. 

Mereka memandang wahyu dan amaran yang diberikan sebagai perkara remeh sahaja, tidak ada apa. Mereka main-mainkan ancaman yang diberikan kepada mereka. Ada yang menggunakan ejekan dan lawak untuk menolak hujah daripada pendakwah.

Sebagai contoh, mereka buat lawak: “Kalau tidak boleh buat bidaah, jangan naik keretalah! Biar puak-puak wahabi itu naik unta sahaja semuanya…” Maka mereka ramai-ramai akan tertawa besar. Amat bodoh sekali lawak mereka itu.

Itulah cara yang digunakan oleh orang-orang jahil dari dulu lagi sampai bila-bila. Cara mudah yang digunakan oleh mereka menggunakan jenaka. Ini kerana kebanyakan orang suka dengar jenaka dan suka bergelak ketawa. Namun kelak nanti mereka akan menangis.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2026

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Mulk Ayat 1 (Syirik dalam berkat)

Pengenalan:

Surah Al-Mulk ini telah diturunkan di Mekah. Daripada gaya lenggok bahasa yang digunakan, ulama’ mengatakan surah ini diturunkan di awal-awal Zaman Mekah (awal dakwah Rasulullah ﷺ). Ini kerana terdapat perbezaan bahasa yang digunakan semasa awal Mekah dan hujung Mekah. Sebagai contoh, Surah Yaasin diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Dengan kita tahu bilakah masa ia telah diturunkan, maka kita boleh faham kenapa Allah ‎‎ﷻ menggunakan bahasa yang sebegitu. Bahasa dalam surah Al-Mulk ini dikatakan diturunkan di awal Kenabian Nabi ﷺ di Mekah kerana ia banyak mengandungi ayat peringatan kepada manusia.

Ayat-ayat itu sebagai satu ‘wake-up-call’ kepada manusia yang sedang tidur. Ia ditujukan kepada mereka yang berada dalam kesesatan, dalam kemusyrikan. Allah‎ ﷻ memberi peringatan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengamalkan tauhid dalam kehidupan mereka. Oleh kerana itu ada juga pendapat yang mengatakan surah ini di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad ﷺ di Mekah. Ini adalah kerana terdapat banyak ancaman di dalam surah ini. Ia juga banyak menceritakan tentang neraka lebih lagi tentang syurga. Begitulah sifatnya kerana waktu itu Musyrikin Mekah sudah semakin keras menentang Nabi Muhammad ﷺ maka ayat-ayat ancaman kepada mereka lebih keras dan lebih banyak. Allahu a’lam.

Surah ini banyak menceritakan tentang Allah‎ ﷻ. Dengan ayat ini, kita berdakwah kepada manusia dengan memperkenalkan Allah ﷻ kepada mereka. Ia menceritakan tentang kehebatan Allah‎ ﷻ.

Surah ini juga banyak menyebut tentang alam. Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini supaya kita ingat kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ.

Surah ini juga menceritakan bahawa yang mempunyai berkat hanya Allah ﷻ. Maka, kita harus faham bahawa hanya Allah‎ ﷻ sahaja yang boleh memberi berkat. Manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Makhluk hanyalah *penerima berkat*. Nabi Muhammad ﷺ penerima berkat, begitu juga kita. Majlis ilmu seperti kelas tafsir adalah majlis yang ‘diberkati’. Sesiapa yang berada dalam majlis itu akan mendapat ‘berkat’. Maka surah ini dan lima surah selepasnya sampai ke Surah Jin, mempunyai satu maksud yang sama, iaitu hendak menafikan Syirik dalam Berkat. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada berkat, kecuali ada dalil yang Allah ﷻ berikan berkat itu seperti Allah ﷻ beri kepada para Nabi. Jadi kalau kita kata ada manusia yang ada berkat, maka itu adalah syirik. Kerana itu adalah semata-mata sifat Allah.

Apakah maksudnya ada berkat? Berkat bermaksud kebaikan yang banyak dan bertambah-tambah. Sebagai contoh, berkat dalam majlis ilmu itu maksudnya, kita akan mudah untuk mendapat ilmu dan doa akan mudah dimakbulkan. Belajar sedikit, tetapi mungkin faham banyak. Kenapa penting untuk tahu tentang ‘berkat’? Kerana ramai yang buat syirik dalam hal berkat ini. Syirik dalam hal berkat ini terjadi apabila ada yang meminta berkat daripada tok guru atau makhluk lain. Ini adalah syirik walaupun berkat itu diminta dengan Nabi Muhammad ﷺ sekali pun. Malangnya ramai yang tidak tahu tentang perkara ini dan buat syirik, selalunya dengan meminta berkat daripada kubur-kubur Nabi dan wali. Itu semua adalah contoh-contoh syirik.

Dikatakan Nabi ﷺ mengamalkan bacaan surah As-Sajadah dan Al-Mulk pada setiap malam. Baginda tidak akan tidur sehinggalah surah-surah ini dibaca. Ini adalah kerana ada kelebihan pada Surah Al-Mulk ini. Ini kerana sekiranya kita baca dan fahami, ia akan menjadi syafaat untuk kita. Cuma hadith tentang perkara ini tidak sahih daripada Nabi ﷺ, namun begitu ada yang sahih daripada kata-kata sahabat. Maka bolehlah untuk kita amalkan dan baca setiap hari (dengan faham apa yang disampaikan). Bukannya baca kosong dengan tidak faham apa kerana tidak dapat kesan itu.

Surah ini antara surah lazim yang sering dibaca oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Rata-rata umat kita kenal surah ini (selain dari Surah Yaasin) dan ramai boleh membacanya. Akan tetapi baru-baru ini (tahun 2025) sudah ada amalan bid’ah baru yang dilakukan oleh masyarakat kita membacanya secara berjemaah selepas solat berjemaah di masjid. Ini bukan caranya. Nabi dan para sahabat tidak pernah membaca mana-mana surah secara berjemaah dengan satu suara. Pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an hendaklah dilakukan secara sendirian sahaja kerana ia adalah ibadah individu, bukan berjemaah.

Ada pula pendapat yang mengatakan surah ini akan menjadi jurucakap untuk kita menjawab Munkar Nankir dalam kubur nanti. Namun pendapat ulama hadith menyatakan hadith-hadith tentang fadhilat tersebut sangat lemah dan dhaif. Darjat yang paling kuat pun hanya hasan, itu pun mauquf (berhenti) kepada Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Maknanya, tidak disebutkan pun Rasulullah ﷺ sendiri melakukannya. Hadith yang dimaksudkan:

عن عبد الله بن مسعود قال : من قرأ { تبارك الذي بيده الملك } كل ليلة منعه الله بها من عذاب القبر وكنا في عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم نسميها المانعة وإنها في كتاب الله سورة من قرأ بها في كل ليلة فقد أكثر وأطاب
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, “Barangsiapa membaca ‘Tabarokalladzi bi yadihil mulk’ (Surat Al Mulk) setiap malam, maka Allah akan menghalanginya daripada seksa kubur. Kami di masa Rasulullah ﷺ menamakan surat tersebut “al Mani’ah” (penghalang daripada seksa kubur). Ia adalah salah satu surat di dalam Kitabullah. Barangsiapa membacanya setiap malam, maka dia telah memperbanyak dan telah berbuat kebaikan
(Riwayat An Nasai dalam Al Kabir 6/179 dan Al Hakim. Hakim mengatakan bahawa sanad hadith tersebut sahih)
Riwayat di atas mauquf, hanya perkataan ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Penilaian hadith:

    1. Hakim رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa sanad hadith tersebut sahih. Sebagaimana dinukilkan oleh Al Mundziri dalam At Targhib wa At Tarhib (2/294).
    2. Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith tersebut hasan sebagaimana dalam Shahih At-Targhib wa At Tarhib (1589).

Maka itu sahaja setakat ini yang kita tahu riwayat yang sahih. Sememangnya ada hadith dhaif dan palsu tentang perkara ini antaranya:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ هِيَ الْمُنَجِّيَةُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Tabaarak Allazi Biyadihi Al-Mulk (Surah Al-Mulk) ialah penyelamat daripada azab kubur

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hadith ini adalah palsu.

Malah ada banyak lagi hadith lain yang lemah. Maka kalau hendak amalkan pun, kenalah tahu apakah status hadith-hadith tersebut. Memang bagus kalau baca Surah al-Mulk setiap hari, tetapi ingatlah yang ada juga surah-surah yang lain. Jangan fokus kepada satu surah sahaja.

Selain daripada itu ada hadith yang khilaf kedudukannya di kalangan ulama’ hadith, akan tetapi lebih banyak mengatakan ia kuat.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ إِنَّ سُورَةً مِنَ الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ وَهِىَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Ada suatu surat daripada Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat dan dapat memberi syafa’at bagi yang membacanya, sampai dia diampuni, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil mulku… (Surah Al Mulk)’”
(HR. Tirmidzi no. 2891, Abu Daud no. 1400, Ibnu Majah no. 3786, dan Ahmad 2/299)

Asy Syaukani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, “`Abbas Al Jusyamiy tidak diketahui mendengar hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Akan tetapi Ibnu Hibban رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan perawi tersebut dalam Ats Tsiqqot. Hadith tersebut memiliki syahid (penguat) daripada hadith yang sahih daripada Anas, dikeluarkan oleh Ath Thabrani dalam Al Kabir dengan sanad yang sahih.” (Nailul Author 2/227)

Penilaian hadith:

      1. Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa At-Tirmidzi dalam Al Jaami’ Ash Shohih Sunan At Tirmidzi mengatakan bahwa hadith tersebut hasan.
      2. Abul ‘Abbas Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Al Fatawa (22/277) mengatakan bahwa hadith tersebut sahih.
      3. Muhammad bin ‘Ali Asy Syaukani dalam Nailul Author (2/227) mengatakan bahwa hadits tersebut memiliki penguat dengan sanad yang sahih.
      4. Syaikh Al Albani dalam Shahih Al Jaami’ (2091) mengatakan bahawa hadith tersebut hasan.
      5. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi mengatakan bahawa hadith tersebut tidak sahih. Kerana yang mentsiqohkan ‘Abbas Al Jusyamiy hanyalah Ibnu Hibban, tidak yang lainnya. Sedangkan Ibnu Hibban sudah terkenal sebagai orang yang mutasahil (bermudah-mudahan dalam mentsiqohkan). Namun ada beberapa atsar yang menguatkan hadith ini. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Ada pun dua hadith yang dhaif adalah seperti berikut,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى ضَرَبْتُ خِبَائِى عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « هِىَ الْمَانِعَةُ هِىَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ». قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ. وَفِى الْبَابِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ.
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata; “Sebahagian sahabat Nabi membuat khemah di atas kubur, ternyata dia tidak tahu yang itu adalah kubur, tiba-tiba ada seseorang membaca surat Tabaarokalladzi bi yadihil mulk (Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan), sampai selesai. Kemudian dia datang kepada Nabi ﷺ dan berkata; “Wahai Rasulullah sesungguhnya, aku membuat khemahku di atas kuburan dan saya tidak sangka tempat tersebut adalah kuburan, kemudian ada seseorang membaca surat Tabarok (surat) Al Mulk sampai selesai”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Dia adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang menyelamatkannya daripada seksa kubur”.
Abu Isa (At Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ) berkata; Dari jalur ini, haditth ini hasan gharib. Dan dalam bab ini, ada hadith daripada Abu Hurairah.
(HR. Tirmidzi No. 2890)

Dalam hadith ini terdapat perawi dhaif iaitu Yahya bin Amru bin Malik. Yahya bin Ma’in, Abu Zur’ah, Abu Daud dan An-Nasai menilainya dhaif. (Tahdzibul Kamal, 20/182)

Penilaian hadith:

      1. Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini dhaif sebagaimana dalam Dho’iful Jaami’ (6101).
      2. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi رَحِمَهُ اللَّهُmengatakan bahawa sanad hadith ini dhaif. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Satu lagi hadith,

عَنْ جَابِرٍ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ (الم تَنْزِيلُ) وَ (تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ )
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa, “Tidaklah Nabi ﷺ tidur hingga baginda membaca Alif laam miim tanzil (surat As Sajdah) dan Tabarokalladzi bi yadihil mulk (surat Al Mulk)”.

Abu Isa (At-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ) berkata, “Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa perawi daripada Laits bin Abu Sulaim seperti ini, dan diriwayatkan pula oleh Mughirah bin Muslim dari Abu Az Zubair daripada Jabir daripada Nabi ﷺ seperti ini. Zuhair meriwayatkan, katanya; “Aku bertanya kepada Abu Zubair, ‘Apakah kamu mendengar daripada Jabir?’ Ia pun menyebut hadith ini. Abu Az Zubair mengatakan; ‘Hanya Shafwan atau Ibnu Shafwan yang mengabarkannya kepadaku. Sepertinya Zuhair mengingkari hadith ini dari Abu Az Zubair daripada Jabir.’”

Penilaian hadith:

      1. Ibnu Hajar Al Asqolani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa hadith ini gharib dan ada dua ‘illah (cacat), iaitu Abu Az Zubair, (seorang perowi mudallis) yang meriwayatkan dengan mu’an’an dan dhaifnya Al Laits. (Nataij Al Afkar, 3/265)
      2. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini terdapat ‘illah (cacat). Laits bin Abu Sulaim adalah seorang perawi yang dhaif kerana seringnya dia keliru. Juga Abu Az Zubair dinilai sebagai seorang perawi mudallis. Sedangkan di sini dia tidak gunakan lafazh mendengar, namun menggunakan lafazh ‘an (daripada), maka sanad hadith tersebut dhaif. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Kesimpulannya, ada banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan surah ini, maka ia menguatkan di antara satu sama lain, yang memberi ganjaran hebat kepada mereka yang membaca dan melazimi membacanya. Akan tetapi kenalah ingat bahawa kalau ‘baca’ itu bermaksud faham sekali. Kalau setakat melafazkan, mengeja dan mengalunkannya sahaja, itu bukan baca namanya. Orang Melayu sahaja di dalam dunia ini yang faham mengeja sebagai baca. Maka ramailah yang mengamalkan surah ini namun sepatah haram mereka tidak faham maksudnya dan pengajaran di dalamnya. Maka mereka ini tidaklah mendapat kelebihan yang dijanjikan di dalam hadith-hadith di atas. Hanya dapat pahala baca sahaja. Allahu a’lam.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ringkasan makro itu adalah seperti berikut:


 

HIDUP ADALAH UJIAN

Mulk Ayat 1: Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu seruan tauhid dan tujuan kejadian manusia. Ia mengajar kita tentang Tauhid dalam Berkat. Pemilik dan Pemberi keberkatan hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Juga kita akan belajar bahawa manusia akan dinilai akidah dan amalan masing-masing untuk ditempatkan sama ada ke syurga atau ke neraka.

تَبٰرَكَ الَّذي بِيَدِهِ المُلكُ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

Blessed is He in whose hand is dominion, and He is over all things competent –

Malay

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

 

تَبٰرَكَ

Maha berkat Allah taala; 

Kalimah تَبَارَكَ adalah bentuk mubalaghah (bersangatan) kepada kalimah برك. Kalimah تَبَارَكَ di dalam wazan تفاعل yang selalunya melibatkan dua pihak (sebagai contoh saling nasihat menasihati memerlukan dua pihak). Akan tetapi apabila tidak ada pihak yang kedua, maka ia adalah dalam bentuk mubalaghah. Maknanya, Allah ‎ﷻ sangat-sangat berkat. Ada sebahagian kitab terjemahan di nusantara menterjemahkan maksud تَبَارَكَ itu sebagai ‘Maha Suci’ Allah. Tetapi kalau ‘maha suci’, perkataan yang digunakan adalah ‘subhanallah’. Jadi terjemahan sebegitu tidak tepat. Yang lebih tepat adalah ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah‎ ﷻ yang Maha Berkat. Jadi, kalau ada yang kata tok guru itu, tok guru ini ada berkat, maka mereka adalah salah sama sekali. Ini adalah syirik kerana Allah ‎ﷻ sendiri beritahu dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, Dia sahaja yang Maha Berkat.

Terjemahan Tabarakallazi alMulk
Kebanyakan Al-Qur’an terjemahan di nusantara menterjemah dengan ungkapan “Maha Suci ” pada hal sepatutnya seperti imej di sebelah kanan.

Apakah perasaan kita apabila membaca ayat ini dan menyebut kalimah تَبَارَكَ ini? Adakah biasa-biasa sahaja? Tidak patut kalau begitu kerana kita hendaklah rasa kagum dan takjub dengan Allah ﷻ apabila kita menyebut kalimah تَبَارَكَ ini. Namun kenalah faham dahulu apakah maksudnya dari segi bahasa dan tafsir yang kita cuba lakukan sekarang.

Dek kerana kurang faham dengan makna ‘berkat’, maka banyak dalam kalangan masyarakat Muslim kita telah melakukan syirik dalam perkara ‘berkat’ ini. Sikit-sikit, mereka hendak mendapatkan berkat daripada sesuatu atau seseorang tidak tentu hala. Mereka kata sesuatu tempat itu ada berkat, padahal Allah ﷻ tidak pernah kata begitu. Mereka kata seseorang itu ada berkat, tetapi tidak pernah Allah ﷻ  memberitahu kita bahawa ada keberkatan pada orang itu. Sebagai contoh, mereka akan cium guru mereka, ustaz mereka dan orang-orang yang mereka anggap alim dan suci, kerana mereka hendak mendapatkan ‘berkat’ daripada orang itu. Itu adalah fahaman khurafat. Siapakah yang boleh kata guru atau ustaz atau seseorang itu ada berkat? Tentu tidak ada dalil, bukan? Jadi kenapa buat? Kerana kejahilan inilah sampai kumpulan GISB itu menggunakan air rendaman janggut, air liur, kaki dan apa-apa lagi kerana sangka mereka mendapat berkat daripada guru mereka.

Kalau kita kata orang ada ‘berkat’, maka kita telah kata orang itu ada sifat Allah ‎ dan ini adalah syirik. Kerana syirik itu bukannya kena ada semua sifat Allah; kalau kita kata seseorang itu ada satu sifat Allah sahaja sudah jadi satu fahaman syirik.

Bukan itu sahaja, ada yang menggunakan entiti itu dalam doa mereka. Mereka bertawasul dengan ‘keberkatan’ orang itu dengan fahaman bahawa Allah ﷻ akan memakbulkan doa mereka kerana mereka bertawasul dengan keberkatan orang itu (juga dikatakan: dengan jah orang itu). Antara lafaz itu: “Dengan berkat Nabi Muhammad …. aku memohon….” Namun ketahuilah yang tidak pernah Nabi ﷺ  mengajar begini sebagai satu cara untuk berdoa. Kalau mereka ada hujah yang sahih, mereka kena berikan. Tidak lain dan tidak bukan, hanya hujah-hujah batil sahaja yang mereka boleh berikan.

Bagaimana pula dengan keberkatan yang ada pada Nabi Muhammad ﷺ? Banyak dalam kalangan kita yang berdoa dengan menggunakan ‘keberkatan’ Nabi Muhammad ﷺ. Ini dinamakan tabarruk. Itu juga adalah salah satu fahaman yang salah. Batang tubuh Nabi Muhammad ﷺ memang ada keberkatan. Sebab itu para sahabat ada yang simpan rambut baginda, kuku baginda, baju baginda dan sebagainya. Namun itu hanyalah pada ‘batang tubuh’ baginda. Apabila baginda sudah wafat, tidak ada lagi keberkatan sebegitu. Memang Nabi Muhammad ﷺ ada keberkatan, tetapi baginda tidak boleh memberikan keberkatan baginda itu kepada orang lain. Sebagai contoh, katakanlah kita ada dua tiga gelaran ‘datuk’ dari beberapa buah negeri. Memang orang boleh panggil kita sebagai ‘datuk’ sekian dan sekian. Akan tetapi sebab kita dapat pangkat datuk itu dari dua tiga negeri, bolehkah kita berikan salah satu pangkat datuk dari satu negeri kepada anak kita? Tentulah tidak boleh. Maka begitu jugalah dengan ‘berkat’ – tidak boleh dipindahkan. Yang sangka boleh begitu adalah kerana tidak faham dengan konsep ‘berkat’ itu sendiri.

Kita juga biasa dengar bagaimana ramai antara kita akan pergi ke rumah orang yang baru balik dari haji atau umrah untuk mendapat ‘berkat’ daripada dia sebab dia baru balik dari Mekah. Itu pun tidak ada dalilnya. Siapakah pula yang beritahu orang yang baru balik dari Mekah ada ‘berkat’ padanya? Boleh pula dia berikan sedikit keberkatan itu kepada orang lain yang bersalam atau berpelukan dengannya? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah satu sangkaan yang tidak ada asas sahaja. Fahaman salah ini telah diajar oleh orang-orang dahulu yang mereka pun tidak ada dalil. Oleh kerana kita tidak gunakan akal kita, maka ramai antara kita terus terima bulat-bulat.

Apakah maksud ‘barakah’? itu. Ada dua elemen dalam makna perkataan بَرَكَ iaitu كثرة الخير ودوامها. Banyak kebaikan dan berkekalan.

Pertama: bertambah – barakah itu semakin bertambah;
Kedua: kekal – barakah itu kekal, bukan untuk sementara. Bermakna, keberkatan Allah‎ ‎ﷻ bukan sahaja bertambah tetapi ia juga kekal.

Allah ‎ﷻ boleh memberi berkat kepada kita di dalam berbagai-bagai bentuk. Sebagai contoh, seseorang mungkin gajinya sedikit tetapi kita lihat cukup sahaja sedangkan ada orang yang gajinya mengejutkan kita, tetapi kita lihat dia seolah-olah tidak cukup sahaja. Itu beza antara gaji yang berkat dan gaji yang tidak berkat. Ada orang yang kita lihat boleh buat macam-macam kerja seperti mengajar, menulis, melakukan ibadah sedangkan kita yang ada masa yang sama, apa pun tidak sempat buat. Maknanya beliau ada berkat masa. Ada orang yang beri nasihat sedikit sahaja tetapi orang yang mendengar itu terkesan dan terus berubah orang itu daripada buruk kepada menjadi orang yang baik. Maknanya ada berkat di dalam nasihatnya. Ini semua Allah ‎ﷻ boleh beri kepada sesuatu yang Dia mahu. Memang kita berharapkan berkat daripada Allah ‎ﷻ dalam segenap kehidupan kita – dalam harta kita, masa kita, makanan kita dan seluruhnya.

Satu lagi sifat berkat itu ia kekal. Ini penting kerana kalau barang bertambah, ia menjadi rapuh. Sebagai contoh kalau kerajaan semakin membesar, raja sudah susah untuk kawal, jadi sebahagian wilayah kerajaannya boleh diserang dan ditakluk; kalau sesuatu perniagaan dikembangkan, selalunya menjadi terlalu besar untuk ditampung oleh pemiliknya boleh jadi bankrap terus. Jadi sesuatu yang bertambah-tambah itu tidak semestinya baik kerana ia boleh menjadi lemah. Namun begitu bagi berkat yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ, ia akan terus kekal dan tidak berkurang.

Apa kesan mendapat pemahaman ini kepada kita? Kita akan lebih berharap kepada Allah ‎ﷻ dan melegakan kita kerana kita tahu kita tidak hanya perlu bergantung kepada sebab musabbab sahaja (‘cause and effect’). Kerana kalau itu sahaja, maka satu campur satu hanya dua dan tidak lebih daripada itu. Namun kita tahu yang Allah ‎ﷻ boleh beri lebih lagi kepada kita kalau Dia mahu.

Oleh itu, perkara berkat ini kena ada dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ. Sebagai contoh, Al-Qur’an itu ada berkat apabila dibaca dan diamalkan. Kena baca, bukannya digantung. Salah kalau gantung Al-Qur’an kerana itu adalah satu penghinaan kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an itu sebagai petunjuk, bukannya sebagai perhiasan. Kecuali ulama’ ada mengatakan, boleh gantung kepada budak yang tidak boleh baca Al-Qur’an lagi. Akan tetapi bila dia sudah boleh baca, maka kena tanggalkan.

Semua amalan Sunnah ada keberkatan padanya. Zikir kepada Allah ﷻ ada keberkatan. Namun begitu tubuh kita tidak ada keberkatan. Akan tetapi banyak kekeliruan tentang berkat ini kerana manusia tidak belajar. Sampaikan mereka rasa ada orang yang ada ‘berkat’ dan kerana itu mereka dalam berdoa minta orang itu doakan kerana mereka rasa orang itu ada kelebihan. Padahal tidak ada. Sepatutnya dia kena berdoa sendiri, tetapi dia sudah minta orang lain yang doakan. Asalnya kerana salah faham tentang berkat dan kita lihat orang yang buat begini, kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu.

Lagi satu keberkatan ada pada air wudhu’. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ gunakan bekas air wudhu’ sebagai syifa’ untuk sembuhkan penyakit. Ini adalah kerana ia adalah amalan yang sunnah. Begitu juga Nabi ﷺ ajar apabila hendak tidur, baca Muawwizatain dan tiup pada tangan dan sapu pada badan. Maka bolehlah amalkan kerana ada dalil daripada Nabi ﷺ. Jadi kalau mahu berkat, maka kena minta kepada Allah ﷻ sahaja.

Siapakah yang ada berkat itu? Allah ﷻ sebut di dalam potongan seterusnya.

 

الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Yang dalam tangan-Nya sahajalah semua kerajaan; 

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa kekuasaan itu hanya berada dalam tangan-Nya sahaja. Dia berkuasa mengurus takbir ke atas seluruh makhluk-Nya. Kerajaan yang sebenar-benarnya adalah kerajaan Allah ﷻ. Kerajaan dunia ini tidak ada apa-apa pun. Allah ﷻ yang Maha Berkuasa dengan Kerajaan-Nya yang Maha Hebat. Kerana itulah Allah ﷻ tidak memerlukan anak kerana Allah ﷻ tidak mati-mati dan Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa.

‘Tangan’ dalam ayat ini bermaksud ‘kekuasaan’. Tidak perlu kita bayangkan bagaimana rupa tangan Allah ﷻ pula dan tidak salah kalau kita katakan ‘tangan’ itu bermaksud ‘kuasa’. Cuma jangan kita hadkan itu sahaja maksud ‘Tangan Allah’ kerana Allah ﷻ memang ada tangan.

Dan di sini Allah ﷻ sebut بِيَدِهِ الْمُلْكُ (di tangan-Nya segala kerajaan) sedangkan ada ayat lain yang Allah menggunakan kalimah وَلَهُ المُلكُ (dan kerajaan itu milik-Nya) contohnya boleh lihat dalam An’am: 73. Kedua-dua kalimat ini mungkin nampak sama akan tetapi kalimat بِيَدِهِ الْمُلْكُ ini lebih kuat lagi. Perumpamaannya seperti seseorang berkata: “Pisau itu milik saya” dengan “pisau di tangan saya”. Kerana kalau setakat miliknya sahaja, mungkin pisau itu jauh di atas meja sahaja. Namun kalau di tangan? Dia boleh terus gunakan pisau itu, bukan?

Apabila Allah ﷻ memberitahu بِيَدِهِ الْمُلْكُ ia bermakna Allah ﷻ sahaja yang menentukan kerajaan di dunia ini milik siapa. Allah ﷻ boleh beri dan Allah ﷻ boleh tarik kembali. Orang yang tidak disangka-sangka boleh menjadi raja dan kerajaan yang telah beribu tahun pun boleh musnah begitu sahaja. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 26

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Manusia telah melakukan segala-galanya untuk mendapatkan kekuasaan. Ada yang sanggup menipu, berbunuhan, menindas orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan kekuasaan dan kerajaan dunia. Mereka lupa bahawa kekuasaan itu tidak kekal. Kerajaan yang sebenarnya adalah di dalam tangan Allah ﷻ. Mereka sangka mereka berkuasa, tetapi sebenarnya mereka tidak berkuasa mana pun. Hari ini mungkin mereka dapat naik menjadi Perdana Menteri, Presiden, Diktator dan sebagainya. Hari ini parti politik mereka mungkin berkuasa. Namun esok belum tentu lagi. Jadi raja tidak semestinya ada kuasa penuh. Lihatlah raja negara kita pun, mereka hanya raja berpelembagaan sahaja. Allah ﷻ dengan mudah sahaja boleh jatuhkan mereka. Sepertimana yang kita boleh lihat dalam kerajaan-kerajaan dunia hari ini.

Kalimah الْمُلْكُ itu bukan sahaja bermaksud kerajaan tetapi banyak makna terangkum di dalamnya seperti kekuasaan, kebesaran, keagungan, kehebatan. Ia hanya milik Allah ﷻ sahaja. Kerajaan yang sebenarnya adalah kerajaan Allah ﷻ. Mungkin pada zahir nampak orang itu dan ini ada kuasa, tetapi kuasanya tidak mutlak. Allah ﷻ yang sebenarnya berkuasa. Bayangkan antara Firaun dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nampak pada zahirnya Firaun berkuasa dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lemah. Akan tetapi kerajaan Firaun itu bukannya mutlak dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dibantu oleh Allah ﷻ. Jadi siapa sebenarnya yang berkuasa? Kalau Allah ﷻ yang bantu, maka dialah yang lebih berkuasa. Maka ini memberi ketenangan kepada orang yang taat; iaitu selagi mereka taat kepada Allah ﷻ, maka mereka boleh berharap dan bergantung kepada Allah ﷻ. Jangan dipandang kuasa itu pada zahirnya sahaja tetapi lihatlah yang di sebaliknya. Bayangkan ayat ini diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat  yang zahirnya lemah dan dikira sebagai pemberontak. Yang berkuasa waktu itu nampaknya adalah pada para pemuka Quraish itu. Namun pada hakikatnya yang pemberontak adalah Musyrikin Mekah itu kerana mereka menentang Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu mereka bahawa mereka kecil sahaja sebenarnya. Allah ﷻ hendak menterbalikkan pemahaman mereka. Allah ﷻ sebenarnya di sini sedang menghentam kuasa-kuasa besar di mana-mana sahaja dan di mana-mana zaman yang bongkak itu bahawa mereka itu sebenarnya kerdil sahaja. Jangan perasan sangat ada kuasa kerana hakikatnya mereka tidak ada kuasa pun.

Perhatikan Allah ﷻ tidak sebut pun lagi nama-Nya di dalam ayat ini? Allah ﷻ hanya letak perkataan الَّذِي yang bermaksud ‘yang’ sahaja di dalam ayat ini. Padahal, dalam ayat-ayat lain, Allah ﷻ ada letak nama-Nya bersama dengan perkataan ‘berkat’. Sebagai contoh, dalam ayat Mukminoon: 14, Allah ﷻ menggunakan perkataan فَتَبَارَكَ اللهُ (Maha Berkat Allah). Namun tidak diletakkan sebegitu dalam ayat ini.

فَتَبارَكَ اللهُ أَحسَنُ الخالِقينَ
Maka Maha Berkat Allah, Pencipta Yang Paling Baik.

Ini adalah kerana Allah ﷻ  hendak kita memikirkan siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah‎ ﷻ sahaja. Tidak mungkin ada entiti lain yang dimaksudkan. Walaupun ayat ini pertama kali diperdengarkan kepada Musyrikin Mekah, mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan yang utama dan Maha Pencipta. Mereka tidak tahu ada lagi entiti lain yang boleh mencipta. Jadi mereka sepatutnya sudah faham isyarat kepada Allah ﷻ di dalam ayat ini. Oleh itu, surah ini banyak mengandungi ayat yang menyuruh kita banyak berfikir dengan mendalam. Ia menyuruh kita menggunakan akal kita yang waras dan sihat. Kerana kalau kita guna akal kita yang sihat, kita akan dapat mencapai pemahaman tentang Allah ﷻ dan tentang agama. Orang yang gagal itu hanyalah kerana mereka tidak memikirkan dan menggunakan akal mereka (dengan dipandu wahyu). Mereka itulah yang akan menyesal nanti kerana tidak menggunakan akal yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Ini akan disebut nanti dalam ayat ke-10 nanti.

Balaghah: Apabila diletakkan perkataan بِيَدِهِ sebelum perkataan الْمُلْكُ, ia bermaksud kerajaan yang sebenarnya *hanya* terletak dalam tangan-Nya. Ada elemen ‘eksklusif’ kalau disusun begitu. Kerana perkataan yang biasa sepatutnya الْمُلْكُ بِيَدِهِ. Apabila digunakan dalam bentuk seperti dalam ayat ini, menyebabkan orang Arab pada masa itu kehairanan dengan susunan ayat sebegitu.

Sememangnya mencapai maksud surah ini secara khusus dan Al-Qur’an secara amnya, untuk menarik perhatian manusia. Oleh itu, ia mencapai maksud untuk menarik perhatian, dan untuk menyampaikan maksud bahawa kerajaan yang sebenarnya adalah di tangan-Nya sahaja.

Jadi, sekali lagi persoalan ditimbulkan: siapakah yang mempunyai kerajaan yang sebenarnya? Tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah ﷻ sahaja. Maka, nama Allah ﷻ tidak perlu dimasukkan dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak kita memikirkan siapakah yang mempunyai kekuasaan yang boleh mentadbir seluruh kerajaan alam ini. Jawapan hanya satu sahaja: Allah.

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan Dia ke atas segala sesuatu, memang berkuasa sungguh;

Bukan kerajaan sahaja dimiliki-Nya, tetapi ke atas semua perkara Dia ada kuasa. Dialah pengendali segala-galanya terhadap semua makhluk sesuai dengan kehendak-Nya. Tidak ada yang boleh melawan hukum-Nya. Dia tidak akan ditanya setelah itu segala apa yang Dia lakukan. Dia mengawal segala perjalanan alam ini daripada sebesar-besarnya seperti planet-planet yang kita nampak besar itu sehingga sekecil-kecilnya seperti zarah dan atom. Seandainya kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk menyerahkan segala urusan kehidupan kepada-Nya.

Perkataan قَدِيرٌ bermaksud ‘seseorang yang mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu’. Jadi, Allah‎ ‎ﷻ berkuasa untuk melakukan kehendak-Nya ke atas كُلِّ شَيْءٍ ‘segala sesuatu’. Kalau kita lihat seorang raja bagaimana berkuasanya dia kalau dibandingkan dengan manusia lain, betapa besarnya wilayah penaklukannya, dia tetap tidak dapat menguasai keseluruhan kerajaannya itu. Tambahan pula kalau semakin luas, maka dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantunya mengurus kerajaannya itu. Namun tidak begitu bagi Allah ‎ﷻ, semuanya Dia boleh kawal.

Kalimah قَدِيرٌ juga bermaksud yang menentukan kadar. Memang Allah ‎ﷻ berkuasa buat apa sahaja, akan tetapi kita selalu lupa yang perbuatan Allah ‎ﷻ itu ada kadar, ada ketentuan yang Allah ‎ﷻ tentukan. Kalau tidak, maka berlanggaranlah segala planet di langit dan segala kehidupan di bumi ini. Allah juga yang menentukan kadar kehidupan kita, rezeki kita, nyawa dan umur kita. Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa dapat apa dan banyak mana dan berapa lama. Allah ‎ﷻ lah sahaja yang menentukan semua yang berlaku di alam ini. Bagi Allah ‎ﷻ tidak ada kadar yang menghadkan kuasa-Nya akan tetapi bagi makhluk ada sahaja hadnya dan tidak lebih dari apa yang Allah ‎ﷻ telah tentukan. Kuasa kerajaan yang ada pada mana-mana makhluk pun Allah ‎ﷻ yang tentukan tetapi kuasanya tiada batas.

Balaghah: Sekali lagi, susunan perkataan yang digunakan adalah lain daripada susunan yang biasa. Penggunaan yang biasa adalah seperti ini: قَدِيرٌعَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ. Namun Allah ‎ﷻ letakkan perkataan قَدِيرٌ itu di hujung. Pertama, ia untuk menarik perhatian bangsa Arab waktu itu (kerana susunan berlainan daripada kebiasaan – ada keindahan daripada segi bahasa). Keduanya hendak menunjukkan bahawa kekuasaan itu *hanya* ada pada Allah ‎ﷻ sahaja (eksklusif).

Ternyata kekuasaan Allah ‎ﷻ adalah ‘berterusan’. Kekuasaan Allah ‎ﷻ bukan bersifat sementara. Kalau raja di dunia, mungkin hanya beberapa tahun sahaja dia berkuasa, bukan sampai bila-bila pun. Kekuasaan Allah ‎ﷻ dari dahulu tiada penghujungnya.

Sebelum ini telah disebutkan tentang الْمُلْكُ – kerajaan. Dalam dunia, kita boleh lihat bagaimana seseorang itu diangkat sebagai raja. Bermakna dia adalah raja kepada negeri itu. Dia ada kuasa yang besar di negeri itu. Namun adakah dia mempunyai kuasa ke atas setiap perkara dalam negerinya? Dia mungkin memiliki negara itu, tetapi adakah dia memiliki setiap keping tanah dalam negeri itu, setiap rumah dalam negeri itu, setiap apa yang ada dalam rumah setiap rakyat dalam negaranya? Tentu tidak. Dia hanya mempunyai kekuasaan yang umum sahaja kepada negeri itu. Sebaliknya bagi Allah ‎ﷻ, Dia menekankan bahawa kekuasaanNya عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ – atas segala sesuatu. Secara ringkasnya, kekuasaan Allah ‎ﷻ atas alam ini adalah secara makro dan mikro. Daripada yang sebesar-besarnya sehingga kepada sekecil-kecilnya.

Jadi, ayat pertama ini adalah untuk memperkenalkan kita kepada Allah ‎ﷻ supaya kita menggunakan akal fikiran kita yang waras untuk faham dengan siapakah kita berurusan sekarang. Iaitu dengan Allah ‎ﷻ yang mempunyai kekuasaan yang mutlak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 25 November 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir Ibn Kathir

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Waqiah Ayat 77 – 85 (Boleh sentuh Al-Qur’an dalam hadas)

Ayat 77: Apakah Jawabul Qosam (jawab kepada sumpah) yang Allah sebutkan dalam ayat sebelum ini? Kerana apabila kita bersumpah, ada benda penting yang kita hendak sampaikan. Maka apakah benda penting yang Allah nak sampaikan?

إِنَّهُ لَقُرءآنٌ كَريمٌ

Sahih International

Indeed, it is a noble Qur’an

Malay

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Qur’an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),

 

Benda yang amat penting itu (sampai Allah bersumpah dengan bintang) adalah tentang Al-Qur’an. Allah hendak menceritakan kedudukan Al-Qur’an yang mulia ini. Allah hendak memperkenalkan Al-Qur’an kepada kita. Ianya adalah suatu yang amat mulia.

Kareem juga bermakna sesuatu yang tetap. Sebelum ini Allah telah bersumpah dengan kedudukan bintang-bintang di langit yang tetap. Maka kita kena ingat yang Al-Qur’an ini juga tetap dalam menyampaikan kebenaran. Allah yang menetapkan kedudukan bintang itu, maka Allah juga yang menurunkan Al-Qur’an yang mulia ini. Sebagaimana bintang-bintang itu tersusun dan sempurna, begitu jugalah Al-Qur’an ini. Maka Allah hendak mengingatkan manusia dengan kehebatan Al-Qur’an.

Tapi ini bukan kali pertama Arab Mekah itu diperkenalkan dengan Al-Qur’an. Nabi Muhammad sudah banyak kali bacakan kepada mereka sebelum ini. Ini kerana surah ini adalah surah pertengahan zaman kenabian di Mekah, maka mereka sudah kenal pun dengan Al-Qur’an. Tapi Allah hendak menyegarkan mereka dengan Al-Qur’an. Jadi Allah hendak ingatkan balik kepada mereka tentang Al-Qur’an.

Maka kita pun kena segarkan pemahaman diri kita dengan Al-Qur’an. Memang kita telah kenal lama dengan Al-Qur’an, kecil-kecil lagi sudah pernah nampak Al-Qur’an. Selalunya kita sudah diajar membaca Al-Qur’an dari kecil lagi. Tapi bagaimanakah pemahaman kita dengan Al-Qur’an?

Ketahuilah wahai manusia, bahawa Al-Qur’an itu amat-mulia. Kalau ia mulia, maka hendaklah kita sanjung. Jangan buat tidak tahu sahaja. Malangnya ramai yang salah faham. Mereka sangka memuliakan Al-Qur’an itu adalah dengan menatangnya, letak di tempat tinggi dan jenis-jenis sanjungan dan penghormatan yang lain. Kerana itu ramai simpan di dalam almari dengan kemas sekali.

Itu memanglah bagus. Tapi yang lebih penting, Al-Qur’an ini kena dipelajari. Bukan sahaja belajar membacanya tapi hendaklah belajar memahami maksudnya. Maka kerana itulah kena belajar tafsir Al-Qur’an. Al-Qur’an is for ourselves, not our shelves!

Maka kena luangkan masa dan bukannya sekejap untuk mempelajarinya. Kerana kalau benda penting, kita akan sanggup luangkan masa, bukan?


 

Ayat 78: Allah terangkan lagi tentang Al-Qur’an.

في كِتٰبٍ مَّكنونٍ

Sahih International

In a Register well-protected;

Malay

Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,

 

Kerana Al-Qur’an itu mulia, maka ia juga disimpan di tempat yang mulia. Kalimah مَّكنونٍ dari kata dasar ك ن ن yang bermaksud menutup, sorok, merahsiakan, terpelihara. Iaitu Al-Qur’an terpelihara di Lauh Mahfuz. Kitab asal Al-Qur’an ada di situ yang tidak boleh dicapai oleh sesiapa pun. Maka tidak ada sesiapa yang boleh menukarnya dan menghilangkannya. Tidak ada yang boleh mencemarinya atau menukarnya.

Inilah tempat simpan Al-Qur’an sebelum diturunkan ke langit dunia. Allah turunkan Al-Qur’an ke Langit Dunia pada Malam Qadr dan dari Langit Dunia, Allah turunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad yang mengambil masa 23 tahun.

Al-Qur’an juga sesuatu yang terpelihara. Maka kalau kita menjadikan ia ‘kawan’ kita, maka ia akan memberi kebaikan untuk kita. Maka Al-Qur’an ini bukanlah untuk dibaca sahaja, tapi hendaklah ia difahami dan diamalkan. Ianya hendaklah selalu dibaca dan dikaji-kaji sentiasa. Maka kalau kita sekarang belajar tafsir Al-Qur’an ini, maka ini adalah kelebihan untuk kita. Tidak semua orang dapat kelebihan ini.

Kerana dengan membaca Al-Qur’an ini Allah bercakap terus dengan kita. Dan kalau kita dapat rasa percakapan Allah ini terus kepada kita, maka kita akan rasa lain macam dengan Al-Qur’an ini. Jadi kalau kita dapat rasa bagaimana Al-Qur’an ini adalah ‘perbualan’ kita dengan Allah, maka ini adalah sesuatu yang hebat. Ia akan menjadikan hubungan kita dengan Al-Qur’an akan lebih rapat.

Dan perbuatan ini lebih hebat lagi kalau kita dapat rasa dalam solat kita. Maknanya, kita ada lima kali perbualan dengan Allah setiap hari. Ini adalah perhentian kita dalam perjalanan kehidupan kita. Sebagaimana ada perhentian dalam perjalanan kita yang jauh, maka dalam perjalanan kehidupan kita juga ada perhentiannya juga. Setiap kali selepas solat itu, seperti kita ‘isi minyak’ dan ambil tenaga untuk perjalanan seterusnya.


 

Ayat 79:

لّا يَمَسُّهُ إِلَّا المُطَهَّرونَ

Sahih International

None touch it except the purified.

Malay

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang suci;

 

Makhluk yang suci yang dimaksudkan itu adalah Jibril. Suci itu maksudnya suci dari syirik dan dari hadas. Dialah yang membawa Al-Qur’an itu dari Lauh Mahfuz ke langit pertama. Dan kemudian disampaikan kepada Nabi Muhammad.

Yang dimaksudkan dengan ‘tidak disentuh’ itu adalah kitab yang berada di langit. Adapun kitab Al-Qur’an yang di dunia, disentuh oleh semua orang, termasuk orang Majusi yang najis dan orang munafik yang kotor.

Memang ayat ini selalu digunakan sebagai dalil bahawa orang yang dalam hadas (maksudnya tidak suci) tidak boleh sentuh Al-Qur’an. Mereka mentafsir maksud kalimah لا dalam ayat ini sebagai ‘jangan’. Tapi ini adalah pendapat yang agak lemah, walaupun memang ianya adalah pendapat dalam mazhab Syafie. Kerana itulah kebiasaan masyarakat kita tidak memegang Al-Qur’an kalau dalam hadas.

Tapi ada lagi pendapat lain lagi yang juga kuat. Kerana kalimah المُطَهَّرونَ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah manusia ‘suci dari hadas’ tapi makhluk yang suci. Dan makhluk yang suci itu adalah para malaikat.

Kerana manusia tidaklah sentiasa suci. Kerana kalau buang air, sudah berada dalam hadas balik. Tapi para malaikat itu sentiasa dalam keadaan suci. Mereka itu bukan sahaja tubuh kejadian mereka suci, tapi hati mereka juga suci dari perkara dan perasaan yang buruk.

Lagi satu, kalau kita lihat siyaq dan sibaaq (ayat selepas dan ayat sebelum) ayat ini pun, tidak menyokong hujah yang melarang sentuh Al-Qur’an tanpa wuduk itu. Kerana ayat ini hendak menolak hujah Musyrikin Mekah yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu telah diturunkan oleh jin atau telah diganggu oleh jin. Kalau kita baca ayat ini sahaja, mungkin boleh diterjemahkan sebagai ‘jangan pegang Al-Qur’an kalau tidak suci’, tapi kalau kita lihat konteks ayat, tidak kena maksud itu.

Kerana itu maksud yang lebih sesuai untuk kalimah لا itu bermaksud adalah ‘tidak’. Jadi terjemahan yang lebih sesuai: “Tidaklah Al-Qur’an itu disentuh melainkan oleh makhluk yang suci.”

Maka kita berpendapat tidak ada masalah kalau nak sentuh Al-Qur’an tanpa wudhu. Dan wanita dalam haidh pun boleh sentuh mushaf Al-Qur’an. Walaupun ada pendapat lain, tapi kita tidak pegang pendapat itu. Tapi memang elok dan molek kalau sentuh Al-Qur’an dalam keadaan suci. Ini kita tidak nafikan sama sekali. Kerana kalau kita jaga perkara ini, maka ini akan mengajar kita untuk menghormati Al-Qur’an itu, pandang tinggi Al-Qur’an itu; sampaikan nak pegang pun kena suci.

Oleh itu, ayat ini menolak tuduhan orang kafir yang mengatakan ada gangguan dalam Al-Qur’an. Orang kafir Quraish menuduh Al-Qur’an itu dibawa turun oleh syaitan-syaitan, kerana itulah Allah menceritakan dalam ayat ini bahawa Al-Qur’an itu tidak akan dan tidak boleh disentuh kecuali oleh makhluk-makhluk yang disucikan (malaikat).

Jin tidak akan dapat nak ganggu sama ada untuk mencuri wahyu Al-Qur’an itu ataupun untuk menambah apa-apa ke dalamnya. Ini adalah kerana apabila wahyu Al-Qur’an mula diturunkan, maka langit ditutup dari dinaiki oleh jin.

Allah pelihara Al-Qur’an ini dengan hebat sekali, maka ia bukanlah sesuatu yang untuk dibuat main-main. Jangan kita pandang ringan kepadanya. Jangan kita dengar Al-Qur’an ini dengan sambil lewa sahaja. Jangan kita buat tidak tahu (tidak mempelajarinya). Belajarlah tafsir Al-Qur’an ini sikit-sikit. Jangan sampai mati tidak tahu tafsir Al-Qur’an langsung. Kena ada niat untuk habiskan tafsir Al-Qur’an 30 juzuk.


 

Ayat 80:

تَنزيلٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

[It is] a revelation from the Lord of the worlds.

Malay

Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

 

Allahlah yang menurunkan Al-Qur’an. Bukan seperti yang dikatakan oleh orang kafir bahawa ia merupakan sihir, perdukunan atau syair. Ia merupakan kebenaran yang tidak mengandung sebarang keraguan sedikit pun.

Dan ayat ini mengingatkan kita yang Al-Qur’an ini dari Allah. Maka kalau dari Allah, maka kenalah beri perhatian. Allah yang jadikan kita, maka tentulah Allah tahu panduan apa yang kita perlukan. Kalau tak pakai panduan dari Allah, nak pakai panduan yang mana lagi?

Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya dapat faham apakah yang Allah hendak kita lakukan. Dan kemudian kena selalu baca kerana ianya dari Allah. Kalau surat dari kekasih kita, tentu kita akan selalu baca, bukan? Maka adalah ada kekasih lain yang lebih hebat dari Allah?

Dan kena selalu tadabbur Al-Qur’an ini. Ianya dari Allah yang maha bijaksana. Banyak sekali pengajaran di dalamnya yang kita tidak akan dapat faham dengan sekali baca sahaja. Maka kena selalu baca dan selalu memikirkan ayat-ayatnya. Kalau kita mengkaji Al-Qur’an ini sepanjang hidup kita pun, kita tidak akan memahami sepenuhnya maksud Al-Qur’an ini. Tapi kenalah kita cuba memahaminya setakat yang kita mampu.


 

Ayat 81:

أَفَبِهٰذَا الحَديثِ أَنتُم مُّدهِنونَ

Sahih International

Then is it to this statement that you are indifferent

Malay

Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Qur’an ini?

 

أَفَبِهَٰذَا الْحَدِيثِ

Apakah dengan Al-Qur’an ini,

Kalimah الْحَدِيثِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Kalimah ح د ث antara lain bermaksud ‘kata-kata’ dan boleh merujuk kepada banyak perkara. Antaranya hadis dan juga ayat Al-Qur’an.

Maka jangan kita salah faham pula. Golongan anti-Hadis mengatakan berdasarkan ayat ini, ‘al-hadi’s adalah Al-Qur’an sahaja. Kerana itu mereka menolak dan tidak terima hadis-hadis dari kalimah Nabi Muhammad. Tapi ini tidaklah benar sama sekali. Ini kerana ح د ث boleh merujuk kepada banyak perkara, termasuk juga Al-Qur’an.

Maka jangan pula tolak hadis Nabi, kerana Al-Qur’an itu wahyu dari Allah, dan hadis Nabi juga adalah wahyu dari Allah juga cuma disampaikan dalam lafaz Nabi Muhammad. Tapi tidaklah baginda sebutkan apa-apa hal agama melainkan dari Allah jua.

 

أَنْتُمْ مُّدْهِنُونَ

kamu menganggapnya remeh?;

Allah tegur manusia yang meremehkan Al-Qur’an ini. Kalimah مُّدْهِنُونَ dari katadasar د ه ن yang antara lain bermaksud ‘hambar’. Ramai yang memandang remeh sahaja Al-Qur’an itu sampai mereka sangka tak payah belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka anggap Al-Qur’an ini tidak penting sahaja.

Mereka biar sahaja Al-Qur’an itu di almari. Sekali sekala sahaja buka untuk dibaca (bukan untuk tadabbur). Kerana itulah kalau kita lihat mushaf Al-Qur’an di masjid, tidak ramai yang baca. Walaupun banyak Al-Qur’an, tapi keadaannya elok sahaja, sebab orang tak pakai.

Begitulah hakikat masyarakat kita memang tak endahkan Al-Qur’an. Ramai yang buat tak peduli sahaja. Sekali sekala mereka baca dan itu pun mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar tafsir. Kalau tidak belajar tafsir, bagaimana mereka nak ambil manfaat dari Al-Qur’an?

Itu juga dikira sebagai menghina Al-Qur’an. Ramai yang jadikan Al-Qur’an sebagai perhiasan rumah dan masjid sahaja. Buat almari cantik-cantik, diletakkan Al-Qur’an untuk ditunjukkan kepada orang. Bila menikah, diberikan sebagai hantaran. Tapi adakah Al-Qur’an itu layak jadi begitu sahaja? Kalau benda mulia tapi digunakan dengan cara yang salah, tidakkah itu menghina Al-Qur’an?

Ada juga pendapat yang mengatakan maksud مدهن adalah berlaku lembut dengan manusia. Ini kerana salah satu dari maksud د ه ن adalah bersetuju sahaja dengan orang lain iaitu kita tak mahu nak sakitkan hati sesiapa, tak mahu singgung hati orang, maka kita sorok ajaran dalam Al-Qur’an ini. Ini kerana kalau kita kita sampaikan ajaran Al-Qur’an ini, tentu ada yang terasa kerana Al-Qur’an menegur amalan salah mereka.

Maka ada guru-guru yang takut nak sampaikan kebenaran dari Al-Qur’an, maka mereka tidak sampaikan perkara yang sepatutnya mereka sampaikan. Maka mereka biarkan sahaja orang awam melakukan kesalahan dalam agama kerana takut nak sampaikan.

Antaranya mereka takut nak ajar tentang syirik yang banyak disentuh dalam Al-Qur’an. Mereka takut nak beritahu yang amalan tawasul yang manusia lakukan itu adalah salah kerana ia dilarang oleh Al-Qur’an. Mereka juga takut nak tegur amalan-amalan syirik yang lain yang selalu diamalkan oleh masyarakat kita.

Ini adalah salah sama sekali. Jangan kita sorok ajaran Al-Qur’an ini. Kita kena sampaikan walaupun ia berat. Kalau manusia terasa, marah kepada kita, itu terpulang kepada mereka. Janji kita sudah sampaikan. Jangan takut nak tegur kesalahan manusia, kerana kalau tak tegur, mereka akan terus melakukannya.


 

Ayat 82:

وَتَجعَلونَ رِزقَكُم أَنَّكُم تُكَذِّبونَ

Sahih International

And make [the thanks for] your provision that you deny [the Provider]?

Malay

Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?

 

وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ

Dan kamu jadikan rezeki;

Dengan Al-Qur’an boleh mendapatkan rezeki. Selepas baca, kita baca doa untuk mendapatkan rezeki. Dengan baca Al-Qur’an, Allah akan turunkan rahmat, antaranya rezeki kepada kita.

Atau, maksudnya Al-Qur’an ini adalah rezeki yang amat besar kepada kita. Kerana ia mengandungi ajaran yang dapat menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Tapi ada juga yang meninggalkannya, dan ada yang sembunyikan ajaran di dalamnya. Ini seperti dapat madu tapi dibalas dengan tuba. Yakni terima kasihmu ialah dengan mendustakan.

Atau, seperti kata Imam Razi, ia memang berkenaan rezeki. Orang Arab Mekah yang mendengar Al-Qur’an ini tidak suka kepada Al-Qur’an kerana pada mereka, kalau ianya diterima oleh semua orang maka pintu rezeki mereka akan terganggu. Ini adalah kerana mereka mendapat rezeki yang banyak dengan kedatangan orang Arab ke Mekah kerana melawat berhala-berhala mereka di Kaabah. Dan apabila Al-Qur’an mengatakan itu adalah perbuatan syirik dan salah, ia tentu akan mengganggu ekonomi mereka. Kerana itulah mereka kena tolak juga Al-Qur’an itu.

 

أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ

sedangkan kamu mendustakannya;

Malangnya manusia menolak, tidak mahu terima ajaran dalam Al-Qur’an. Alangkah rugi dan bahayanya!

Sesiapa yang tolak ayat Al-Qur’an, mereka sudah murtad. Kadang-kadang kita membacakan ayat Al-Qur’an sebagai hujjah, tapi ada juga orang yang tolak, tak mahu terima. Kita amat takut dengan penolakan mereka itu, mereka telah jatuh kafir. Tapi tidaklah boleh kita kata mereka kafir lagi. Kerana Allah sahaja yang boleh menentukan kekafiran seseorang.

Kita setakat boleh kata: apa yang mereka sedang lakukan itu adalah ‘perbuatan’ orang kafir. Itu sahaja kita boleh kata dan jangan kita kata lebih dari itu. Ramai dari manusia yang tolak dalil Al-Qur’an dan kemudian mereka pakai hujjah dari guru mereka sahaja. Hujah guru pula mereka jadikan lebih tinggi dari ayat-ayat Al-Qur’an.

Ayat ini juga boleh ditafsir begini: “Kamu mengganti rezeki yang Allah berikan dengan mendustakan Allah.” Sepatutnya kalian bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan, tapi kalian ganti syukur itu dengan pendustaan, iaitu mereka tolak Al-Qur’an itu.

Atau mereka dapat rezeki dari Allah, tapi mereka kata dapat dari entiti lain. Ini seperti yang disebut dalam hadis seperti ini:

وَقَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ أُمَيَّةَ -أَحْسَبُهُ أَوْ غَيْرِهِ-أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا -وَمُطِرُوا-يَقُولُ: مُطِرنا بِبَعْضِ عَشَانين الْأَسَدِ. فَقَالَ: “كَذَبْتَ! بَلْ هُوَ رِزْقُ اللهِ”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Ismail ibnu Umayyah menurut keyakinanku atau lainnya, bahawa Rasulullah Saw. mendengar seorang lelaki yang baru mendapat hujan di kalangan kaumnya mengatakan, “Kami diberi hujan oleh gugusan bintang Asad.” Maka Nabi Saw. bersabda menyangkalnya: Kamu dusta, bahkan hujan itu adalah rezeki dari Allah.

Macam orang kita jugalah, Allah yang beri rezeki, tapi ada yang kata kerajaan bagi rezeki, parti politik bagi rezeki, tokey bagi rezeki, orang itu dan ini beri rezeki. Ini adalah kata-kata yang amat bahaya sekali kerana ada unsur-unsur syirik di dalamnya. Hendaklah kita berhati-hati dengan apa yang kita kata.


 

Ayat 83: Allah tsabitkan QudratNya. Maka kalau kamu rasa hebat sangat, sampai tak layak ikut hukum Allah dalam Al-Qur’an, maka Allah ada cabaran untuk kamu.

Ayat 83 – 96 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita yang manusia tidak berdaya menolak kematian. Dan ia menceritakan tentang untung dan rugi tiga kelompok manusia.

فَلَولا إِذا بَلَغَتِ الحُلقومَ

Sahih International

Then why, when the soul at death reaches the throat

Malay

Maka kenapa semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

 

Ini adalah ketika seseorang itu mengalami sakaratul maut. Iaitu waktu nazak nak meninggal dunia. Waktu itu roh sudah nak keluar dari tubuh dan roh itu sudah sampai ke kerongkong. Ini kerana roh itu ditarik dari kepala dan ia akan naik dari bahagian kaki. Ada orang yang sakarat mautnya menakutkan.

Waktu itu manusia yang sedang hampir mati itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Dalam ayat lain, Allah berfirman:

{كَلا إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ. وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ. وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ. وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ. إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ}

Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan, dan dikatakan (kepadanya), “Siapakah yang dapat menyembuhkan?” Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan), kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu digiring. (Al-Qiyamah: 26-30)


 

Ayat 84:

وَأَنتُم حينَئِذٍ تَنظُرونَ

Sahih International

And you are at that time looking on –

Malay

Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya,

 

Iaitu merujuk kepada orang yang melawat orang nazak itu ketika dia melihat orang yang hendak mati itu. Allah bercakap kepada ahli keluarga dia yang selalunya ada di sekitar orang yang sedang nazak itu. Dia cuma boleh lihat sahaja, tidak tahu apa yang sedang dilalui oleh orang nazak itu. Tidak boleh buat apa untuk menghalang orang itu dari nazak.


 

Ayat 85:

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِنكُم وَلٰكِن لّا تُبصِرونَ

Sahih International

And Our angels are nearer to him than you, but you do not see –

Malay

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

 

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ

Dan Kami lebih hampir kepadanya daripada kamu; 

Allah memberitahu yang Dia sebenarnya lebih hampir kepada orang yang nazak itu, lebih hampir dari sesiapa sahaja yang berada di sebelahnya. Allah tahu apa yang sedang berlaku.

Tapi bukanlah maksudnya Allah duduk dekat orang itu pula, tapi maksudnya Allah tahu dari segi ilmu.

Atau, Allah maksudkan para malaikat yang lebih hampir kepada orang yang hampir mati itu. Kerana para malaikat juga yang sedang mengambil nyawa orang itu. Ini seperti yang Allah maksudkan dalam ayat lain:

{وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ. ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلاهُمُ الْحَقِّ أَلا لَهُ الْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ}

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, dia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya. Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah. Penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah, bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dialah Pembuat perhitungan yang paling cepat. (Al-An’am: 61-62)

 

وَلَٰكِنْ لَّا تُبْصِرُونَ

sedangkan kamu tidak dapat melihat;

Tapi manusia yang ada berdekatan orang yang hampir mati itu tidak nampak perkara ghaib. Oleh kerana itu manusia yang ada berdekatan tidak nampak malaikat maut yang sedang mencabut nyawa orang yang sedang nazak itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Kahfi Ayat 50 – 51 (Iblis daripada golongan jin)

iblis DAN PENGIKUTNYA

Kahf Ayat 50: Sekarang kita masuk ke Ruku’ ke 7 daripada 12 ruku’ yang ada dalam surah ini. Ini tentang syubhah berkenaan malaikat dan jin. Ada manusia yang memuja malaikat sebagai anak perempuan Allah ﷻ. Mereka puja untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ (sebagai wasilah).

Apabila diceritakan tentang akhirat, Allah ﷻ akan menceritakan kenapa manusia akhirnya masuk neraka. Bukanlah Allah ﷻ terus masukkan manusia ke dalam neraka. Allah ﷻ tidak kejam kerana tidaklah Allah ﷻ ‘mahu’ manusia masuk neraka. Bukanlah Allah ﷻ tentukan dari awal lagi. Akan tetapi Allah ﷻ masukkan mereka ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Antaranya adalah kerana mereka mendengar bisikan syaitan. Maka ayat ini adalah cerita tentang kisah ketua syaitan sekalian iaitu iblis. Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada manusia tentang permusuhan iblis dengan kita semua.

وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلجِنِّ فَفَسَقَ عَن أَمرِ رَبِّهِۦۤ‌ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ ۥ وَذُرِّيَّتَهُ ۥۤ أَولِيَآءَ مِن دُونِى وَهُم لَكُم عَدُوُّۢ‌ۚ بِئسَ لِلظَّـٰلِمِينَ بَدَلاً

Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate to Adam,” and they prostrated, except for Iblees. He was of the jinn and departed from the command of his Lord. Then will you take him and his descendants as allies other than Me while they are enemies to you? Wretched it is for the wrongdoers as an exchange.

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

 

وَإِذْ قُلْنَا لِ

Kisah ini juga disebut dalam Baqarah: 30.

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.

Disebut juga di dalam A’raf: 11

وَلَقَد خَلَقنٰكُم ثُمَّ صَوَّرنٰكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

Allah ﷻ mengulang kisah ini untuk mengingatkan tentang permusuhan antara iblis dan manusia. Sujud yang dimaksudkan adalah ‘sujud penghormatan’, pemuliaan dan pengagungan. Bukanlah sebagaimana kita sujud kepada Allah ﷻ. Dalam Tafsir Jalalain disebut ia tunduk sahaja dan bukanlah sampai meletakkan kening ke tanah.

Akan tetapi pandangan itu dikritik kerana disebut sujud, bukannya rukuk. Tidak timbul soal syirik di dalam perbuatan sujud itu kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ suruh sujud, maka ini adalah arahan terus daripada Allah ﷻ dan ternyata tidak ada ruang untuk malaikat dan jin untuk menolak perintah itu.

 

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ

maka mereka semua sujud melainkan iblis;

Apabila arahan daripada Allah ﷻ telah diberikan, maka semua malaikat telah sujud. Maka bagaimana ada manusia yang sanggup mengatakan para malaikat itu sebagai wasilah mereka kepada Allah ﷻ sedangkan para malaikat itu adalah makhluk Allah ﷻ yang setia? Mereka tidak akan membuat perkara yang tidak patut dan yang tidak diarahkan oleh Allah ﷻ. Bukanlah tugas mereka untuk menyampaikan doa manusia kepada Allah ﷻ.

Maka di sini disebut yang semua malaikat itu sujud kepada Adam  kecuali iblis. Sekarang timbul persoalan yang selalu sahaja ditimbulkan oleh manusia: Adakah iblis dalam kalangan malaikat pula? Kerana melalui ayat-ayat Al-Qur’an, nampak seolah-olah iblis itu dalam kalangan malaikat pula. Adakah benar fahaman orang Kristian yang mengatakan iblis itu adalah ‘fallen angel’?

Kita kena tahu bahawa iblis itu bukan dalam kalangan malaikat. Oleh kerana itu dia boleh untuk tidak taat kepada Allah ﷻ kerana kalau dia benar-benar malaikat, dia tidak ada pilihan untuk menolak. Ini kerana semua malaikat tidak ada pilihan untuk tidak taat. Bukan seperti manusia dan jin yang Allah ﷻ telah berikan pilihan untuk taat atau tidak. Maka kerana iblis itu daripada bangsa jin, dia boleh ingkar. Di dalam Isra’: 61 telah disebut kenapa iblis enggan sujud:

وَإِذ قُلنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ قَالَ ءَأَسجُدُ لِمَن خَلَقتَ طِينًا
Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu semua kepada Adam”, lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: “Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan daripada tanah?”

Iblis perasan dia lebih hebat kerana ia dijadikan daripada api seperti disebut dalam A’raf: 12

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.

 

كَانَ مِنَ الْجِنِّ

iblis itu adalah daripada jin;

Inilah jawapan kepada persoalan sama ada iblis daripada golongan malaikat atau tidak. Dia adalah bangsa jin, sepertimana Nabi Adam  itu adalah bangsa manusia. Iblis dan keturunannya iaitu jin, dijadikan daripada nyalaan api manakala malaikat dijadikan daripada nur (cahaya).

Maka ini adalah dalil yang kukuh bahawa iblis itu bukanlah malaikat. Ramai juga orang Islam yang keliru tentang perkara ini sedangkan ayat ini dengan jelasnya menyebut apakah bangsa iblis itu. Mungkin mereka tidak tahu kerana tidak belajar ayat ini. Mungkin mereka selalu baca tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Maka memang iblis itu daripada bangsa jin tetapi oleh kerana dia telah banyak beribadat, maka dia telah dinaikkan ke langit untuk berada bersama dengan para malaikat. Akan tetapi tidaklah pernah statusnya naik menjadi ‘malaikat’. Apabila Allah ﷻ berikan arahan kepada ‘malaikat’, dia pun termasuk sekali kerana dia juga ada bersama waktu itu.

Mungkin ada pula yang berhujah: Eh kalau dia bukan malaikat, kenapa dia bersalah tidak sujud sedangkan arahan itu kepada malaikat sahaja?

Ini pun soalan yang jahil. Kita jawab dengan perumpamaan. Katakanlah Sultan lalu di jalanraya. Selalunya kereta lain kena beri laluan. Sebagai rakyat Malaysia, kenalah kita taat kepada undang-undang ini, bukan? Namun katakanlah ada seorang rakyat Indonesia di jalanraya itu juga? Agaknya patutkah dia tidak mahu ikut dengan berhujah: “Eh, aku bukan rakyat Malaysia, aku tak perlu ikut undang-undang kamu!”

Boleh atau tidak dia berhujah begitu? Tentulah dia pun kena ikut juga kerana dia waktu itu berada di Malaysia dan kenalah mengikut undang-undang di Malaysia.

 

فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ

dia telah menderhakai perintah Tuhannya;

Iblis tidak sujud kerana dia telah membuat keputusan untuk ingkar dengan perintah Allah ﷻ. Telah disebut dalam ayat-ayat yang lain kenapa dia ingkar. Iaitu punca dia sombong dan rasa dia lebih tinggi kedudukan daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah kerana dia dijadikan daripada api manakala Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah.

Sepatutnya dia sudah dimasukkan ke dalam neraka terus kerana ingkar tidak mahu sujud. Oleh kerana ingkar pada perintah Allah ﷻ, dia sudah layak dimasukkan ke dalam neraka terus tetapi Allah ﷻ tidak terus lakukan. Allah ﷻ telah memberi tempoh kepadanya untuk hidup sampai hari Kiamat. Ini pun adalah permintaannya seperti yang disebut dalam ayat dalam surah yang lain. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru dapat faham keseluruhan kisah ini.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menyebut: kerana dia daripada golongan jin, maka dia telah menderhakai perintah Allah ﷻ. Sebab itu adalah huruf فَ dalam perkataan فَفَسَقَ. Kalau dia dalam kalangan malaikat, tentulah dia tidak akan ingkar kepada perintah Allah ﷻ – kerana malaikat tidak akan melanggar perintah Allah ﷻ.

Ini menolak pendapat Kristian yang mengatakan iblis adalah daripada golongan malaikat – mereka kata dia ‘fallen angel‘ (malaikat yang diturunkan pangkat). Itu adalah fahaman yang amat salah dan mereka jadi begitu kerana mereka jauh daripada wahyu. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini, bahawa dia adalah daripada golongan jin. Seperti telah disebut sebelum ini, surah ini adalah berkenaan puak Kristian. Maka, ia akan menyebut tentang kesalahan dalam pemahaman mereka. Ini adalah salah satu salah faham mereka yang amat ketara.

Begitu juga, mereka ada salah faham dalam agama mereka. Pada mereka, perbuatan tidak penting. Pada mereka, walaupun mereka membuat kesalahan, mereka akan tetap selamat kerana mereka percaya kepada ketuhanan Jesus atau Jesus sebagai ‘Anak Tuhan’. Allah ﷻ menidakkan pandangan mereka itu. Allah ﷻ beri contoh perbuatan iblis ini. Dia menjadi kafir kerana menentang arahan Allah ﷻ.

 

أَفَتَتَّخِذُونَهُ ۥ وَذُرِّيَّتَهُ ۥۤ أَولِيَآءَ مِن دُونِى

Apakah patut kamu mengambil Iblis dan keturunannya sebagai pelindung-pelindung kamu selain dari Aku?

Ramai manusia yang menjadikan iblis dan jin sebagai wali-wali (pelindung) mereka. Mereka menjadi sesat kerana telah ditipu oleh iblis dan konconya dan keturunannya. Ini satu lagi dalil iblis bukan malaikat. Malaikat tidak ada keturunan tetapi iblis dan syaitan ada keturunan mereka. Iaitu mereka beranak pinak juga.

Allah ﷻ juga menempelak manusia yang kata mereka akan ikut dakwah kalau yang diturunkan untuk beri ajaran wahyu itu adalah malaikat. Allah ﷻ hendak beritahu kita, kalau kamu tidak dapat malaikat menjadi Rasul kamu, kenapa kamu mahu ikut iblis pula? Kenapa kamu tidak mahu mengikut Rasul dalam kalangan manusia? Apakah tidak cukup Allah ﷻ berikan Rasul dalam kalangan manusia?

Soalan:
Apakah iblis ada isteri sepertimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki isteri yang bernama Hawa?

Jawapan:
Al-Qur’an dan hadith yang sahih tidak menjelaskan apakah iblis memiliki isteri. Namun Al-Qur’an menyatakan iblis memiliki zuriat. Antaranya terdapat dalam surah al-Kahfi: 50:

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاء مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا
“Apakah kamu semua mahu menjadikan iblis dan zuriatnya sebagai sahabat karib yang memimpin selain-Ku? Sedangkan mereka semua adalah musuh bagi kamu.”

Ayat Al-Quran ini mengithbatkan zuriat kepada iblis. Persoalan yang timbul bagaimanakah iblis memperolehi zuriatnya? Al-Quran dan hadith yang sahih tidak menyatakan perkara ini secara jelas. Sebahagian ulama ada yang berpandangan iblis memperolehi zuriat melalui telur berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Barqani (البرقاني) dalam Sahihnya seperti yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin dengan lafaz:

لاتكن أول من يدخل السوق ولا آخر من يخرج منها، فيها باض الشيطان وفرخ
“Jangan kamu jadi orang terawal masuk ke pasar dan jangan juga orang terakhir keluar dari pasar. Sesungguhnya di pasar itu adalah tempat syaitan bertelur dan menetap.”

Selain itu, Al-Qur’an dan hadith yang sahih juga tidak ada menyebut tentang nama pasangan iblis. Kesimpulan daripada persoalan ini saya datangkan huraian al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti رَحِمَهُ اللَّهُ dalam tafsirnya Adhwa’ al-Bayan 4/158 ketika menafsirkan ayat 50 daripada surah al-Kahfi di atas, beliau berkata:

وقوله في هذه الآية الكريمة: { وذريته } دليل على أن للشيطان ذرية. فادعاء أن لا ذرية له مناقض لهذه الآية مناقضة صريحة كما ترى. وكل ما ناقض صريح القرآن فهو باطل بلا شك! ولكن طريقة وجود نسله هل هي عن تزويج أو غيره . لا دليل عليها من نص صريح، والعلماء مختلفون فيها. وقال الشعبي: سألني الرجل: هل لإبليس زوجة؟ فقلت: إن ذلك عرس لم أشهده! ثم ذكرت قوله تعالى: { أفتتخذونه وذريته أوليآء من دوني } فعلمت أنه لا تكون ذرية إلا من زوجة فقلت: نعم. وما فهمه الشعبي من هذه الآية من أن الذرية تستلزم الزوجة روي مثله عن قتادة. وقال مجاهد : إن كيفية وجود النسب منه أنه أدخل فرجه في فرج نفسه فباض خمس بيضات: قال: فهذا أصل ذريته. وقال بعض أهل العلم: إن الله تعالى خلق له في فخده اليمنى ذكرا، وفي اليسرى فرجا ، فهو ينكح هذا بهذا فيخرج له كل يوم عشر بيضات، يخرج من كل بيضة سبعون شيطانا وشيطانة . ولا يخفى أن هذه الأقوال ونحوها لا معول عليها لعدم اعتضادها بدليل من كتاب أو سنة. فقد دلت الآية الكريمة على أن له ذرية. أما كيفية ولادة تلك الذرية فلم يثبت فيه نقل صحيح، ومثله لا يعرف بالرأي. وقال القرطبي في تفسير هذه الآية: قلت: الذي ثبت في هذا الباب من الصحيح ما ذكره الحميري في الجمع بين الصحيحين عن الإمام أبي بكر البرقاني: أنه خرج في كتابه مسندا عن أبي محمد عبد الغني بن سعيد الحافظ، من رواية عاصم، عن أبي عثمان، عن سلمان قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تكن أول من يدخل السوق ولا آخر من يخرج منها ، فيها باض الشيطان وفرخ، وهذا يدل على أن للشيطان ذرية من صلبه .قال مقيده عفا الله عنه: هذا الحديث إنما يدل على أنه يبيض ويفرخ، ولكن لا دلالة فيه على ذلك . هل هي من أنثى هي زوجة له، أو من غير ذلك. مع أن دلالة الحديث على ما ذكرنا لا تخلو من احتمال. لأنه يكثر في كلام العرب إطلاق باض وفرخ على سبيل المثل، فيحتمل معنى باض وفرخ أنه فعل بها ما شاء من إضلال وإغواء ووسوسة ونحو ذلك على سبيل المثل، لأن الأمثال لا تغير ألفاظها . وما يذكره كثير من المفسرين وغيرهم من تعيين أسماء أولاده ووظائفهم التي قلدهم إياها؛ كقوله: زلنبور صاحب الأسواق. وتبر صاحب المصائب يأمر بضرب الوجوه وشق الجيوب ونحو ذلك . والأعور صاحب أبواب الزنى. ومسوط صاحب الأخبار يلقيها في أفواه الناس فلا يجدون لها أصلا . وداسم هو الشيطان الذي إذا دخل الرجل بيته فلم يسلم ولم يذكر اسم الله بصره ما لم يرفع من المتاع ويحسن موضعه يثير شره على أهله . وإذا أكل ولم يذكر اسم الله أكل معه. والولهان صاحب الطهارة يوسوس فيها، والأقيس صاحب الصلاة يوسوس فيها، ومرة صاحب المزامير وبه كان يكنى إبليس ، إلى غير ذلك من تعيين أسمائهم ووظائفهم – كله لا معول عليه؛ إلا ما ثبت منه عن النبي صلى الله عليه وسلم. ومما ثبت عنه صلى الله عليه وسلم من تعيين وظيفة الشيطان واسمه ما رواه مسلم رحمه الله في صحيحه: حدثنا يحيى بن خلف الباهلي ، حدثنا عبد الأعلى عن سعيد الجريري عن أبي العلاء: أن عثمان بن أبي العاص أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله ، إن الشطان قد حال بيني وبين صلاتي وقراءتي يلبسها علي!! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ذاك شيطان يقال له خنزب . فإذا أحسسته فتعوذ بالله منه ، واتفل عن يسارك ثلاثا قال: ففعلت ذلك فأذهبه الله عني . وتحريش الشيطان بين الناس وكون إبليس يضع عرشه على البحر ، ويبعث سرايا فيفتنون الناس فأعظمهم عنده أعظمهم فتنة – كل ذلك معروف ثابت في الصحيح . والعلم عند الله تعالى
Maksudnya lebih kurang: “Pada firman Allah yang mulia ini (yang bermaksud): “Dan zuriatnya (zuriat syaitan)” adalah bukti syaitan memiliki zuriat. Dakwaan yang mengatakan syaitan tidak memiliki zuriat adalah dakwaan yang jelas bertentangan dengan ayat ini seperti yang kamu dapat perhatikan. Setiap yang bertentangan dengan sesuatu yang jelas daripada al-Quran adalah satu kebatilan tanpa ragu. Akan tetapi bagaimana wujudnya zuriat syaitan, apakah melalui perkahwinan atau selainnya? Tiada bukti menjelaskannya daripada nas yang jelas. Para ulama berbeza pandangan dalam perkara ini. Kata al-Sya’bi: “Pernah seorang lelaki bertanya kepadaku: “Apakah iblis mempunyai isteri?” Aku menjawab: “Sesungguhnya ia satu perkahwinan yang belum pernah aku menyaksikannya! Kemudian aku teringat firman Allah: “Apakah kamu semua mahu menjadikan iblis dan zuriatnya sebagai sahabat karib yang memimpin selain-Ku?” maka aku tahu bahawa tidak akan ada zuriat melainkan mesti perlu ada pasangan (isteri). Lalu aku berkata: “Ya (syaitan ada isteri).” Apa yang difahami oleh al-Sya’bi daripada ayat al-Quran ini bahawa apabila ada zuriat maka sudah pasti ada pasangan diriwayatkan juga daripada Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ. Kata Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ: “Sesungguhnya cara wujudnya zuriat iblis ialah dengan cara iblis memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluannya yang satu lagi, lalu dia menelurkan lima telur.” Inilah asal zuriat iblis. Sebahagian ulama lain berkata pula: “Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan di peha kanan iblis zakar dan di sebelah peha kirinya pula faraj, iblis menikahkan zakar di peha kanannya dengan faraj di peha kirinya. Keluarlah pada setiap hari 10 telur. Daripada setiap telur pula akan keluar 70 syaitan jantan dan betina. (kata al-Syanqiti) Tidak tersembunyi lagi bahawa semua pandangan ini dan yang seumpama dengannya tidak memiliki sandaran kerana ketiadaan penguat dan penyokong daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Sesungguhnya ayat al-Qur’an yang mulia ini hanya menyatakan iblis memiliki zuriat. Adapun bagaimana cara wujudnya zuriat bagi iblis, tidak thabit dalam satu riwayat yang sahih sekalipun. Perkara seumpama ini tidak dapat diketahui dengan pandangan. Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ pula dalam tafsirnya kepada ayat ini berkata: “Sesuatu yang thabit dalam bab ini daripada hadith yang sahih adalah apa yang disebut oleh al-Humairi dalam kitabnya al-Jam’u Bain al-Sahihain daripada al-Imam Abu Bakr al-Barqani yang meriwayatkan dalam kitabnya secara bersanad daripada Abu Muhammad ‘Abdul Ghani bin Sa‘id al-Hafidz, daripada riwayat ‘Asim daripada Abu ‘Uthman, daripada Salman yang berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: “Jangan kamu jadi orang terawal masuk ke pasar dan jangan juga orang terakhir keluar dari pasar. Sesungguhnya di pasar itu adalah tempat syaitan bertelur dan menetap.” Hadith ini menunjukkan syaitan memiliki zuriat daripada sulbinya. Orang yang memberi komentar kepada perkataan ini, semoga Allah memberi kemaafan kepada-Nya (merujuk kepada diri beliau sendiri, Muhammad al-Amin al-Syanqiti) berkata: “Hadith ini hanya menunjukkan iblis itu bertelur dan menetap tinggal (di pasar). Akan tetapi hadith tidak menunjukkan apa yang dinyatakan oleh al-Qurtubi. Apakah ia daripada pasangan atau isterinya atau selainnya. Dalam masa yang sama, apa yang telah kami sebutkan sebelum ini memiliki kemungkinan juga daripada petunjuk hadis, kerana banyak percakapan, Arab melontarkan ungkapan “bertelur dan menetap (seperti yang disebut dalam hadith)” sebagai perumpamaan. Maka difahami dari makna “bertelur dan menetap” itu kepada perbuatan syaitan di pasar yang bertujuan menyesatkan, memalingkan, membisikkan keraguan dan seumpamanya dalam bentuk perumpamaan. Ini kerana perumpamaan-perumpamaan tidak diubah lafaz-lafaznya. Apa yang disebut oleh ramai ahli tafsir dan selain mereka terdiri daripada menetapkan nama-nama anak syaitan dan tugas-tugas yang dipikulkan ke atas mereka, seperti nama Zalanbur merujuk kepada syaitan yang berada di pasar-pasar, nama Tabar, syaitan yang menghasut manusia ketika ditimpa musibah untuk menampar muka dan mengoyakkan leher baju, nama al-A’war, syaitan yang menggoda ke pintu zina, nama Miswath, syaitan yang mencampakkan berita-berita palsu lalu ia dituturkan oleh mulut-mulut manusia, nama Dasim ialah syaitan yang jika ada seseorang lelaki masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah, syaitan itu akan menampakkan kepadanya perhiasan rumah yang belum diangkat dan diletakkan bukan pada tempatnya dan syaitan yang menyebarkan keburukan lelaki itu kepada isterinya. Apabila lelaki itu makan tidak menyebut nama Allah, Dasim ini akan makan bersamanya, nama al-Walahan, syaitan yang mendatangkan was-was ketika bersuci, nama al-Aqyas, syaitan yang mengganggu solat, nama Murrah, syaitan yang menggoda manusia dengan muzik, dengan nama inilah digelar untuk iblis dan seumpamanya daripada perbuatan menetapkan nama-nama dan tugas-tugas yang tiada sandaran kukuh. Melainkan antara perkara yang thabit daripada Nabi ﷺ dalam penetapan tugas syaitan dan namanya ialah berdasarkan riwayat Muslim dalam sahihnya: “Bahawa ‘Uthman bin Abi al-‘Ash pernah datang kepada Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah mengganggu aku dalam solat dan bacaanku, ia menjadikan aku keliru. Sabda Nabi ﷺ: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzab. Jika kamu diganggu olehnya ketika solat, maka berlindunglah dengan Allah dan ludahlah ke sebelah kiri tiga kali.” Kata ‘Uthman bin Abi al-‘Ash: “Aku melakukan seperti yang diajarkan oleh baginda, maka benar Allah telah menjauhkan syaitan itu daripadaku.” (Demikian juga thabit) Usaha syaitan merosakkan hubungan sesama manusia, iblis meletakkan singgahsananya di lautan, iblis mengutuskan para tenteranya untuk mendatangkan fitnah (keburukan) kepada manusia, syaitan yang paling mulia di sisi iblis adalah syaitan yang lebih hebat mendatangkan fitnah kepada manusia yang semua perkara ini thabit daripada hadith yang sahih.”

Kesimpulannya dari sini kita boleh andaikan yang iblis juga ada pasangannya, cuma kita tidak ada maklumat tentang siapakah pasangannya. Tambahan pula di dalam Dzariyat: 49 telah disebut yang setiap sesuatu ada pasangannya.

وَمِن كُلِّ شَيءٍ خَلَقنا زَوجَينِ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

 

وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ

sedangkan mereka adalah musuh ketat bagi kamu;

Oleh sebab itu kenanglah yang iblis dan syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Iblis sendiri kata yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah musuh ketatnya. Sekarang Allah ﷻ memberitahu kita lagi bahawa iblis itu memang musuh ketat kita. Maka Allah ﷻ dan syaitan berkata tentang perkara yang sama. Iblis dan syaitan itu ‘musuh yang nyata’ kerana mereka sendiri mengaku musuh kita. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, ada yang musuh dalam senyap.

Namun begitu manusia menjadikan iblis itu sebagai kawan sama ada dalam sedar atau tidak. Iaitu apabila kita mendengar kata-kata mereka. Mereka akan sentiasa membisikkan untuk mengajak kepada perkara yang jahat. Manusia yang jauh daripada wahyu dan tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak, akan mudah untuk termakan dengan bisikan mereka.

Sedangkan ada yang sudah tahu mana benar dan mana salah pun boleh tergelincir juga kerana iman yang lemah, apatah lagi kalau orang yang jauh daripada ajaran wahyu?

 

بِئْسَ لِلظّٰلِمِينَ بَدَلًا

Itu adalah seburuk-buruk pengganti bagi orang yang zalim;

Iaitu apabila manusia menjadikan syaitan sebagai pengganti kepada Allah ﷻ. Sepatutnya taat kepada Allah ﷻ namun sebaliknya mereka ganti dengan taat kepada iblis dan syaitan pula. Tentulah teruk sangat pergantian itu.


 

Kahf Ayat 51:

۞ مّا أَشهَدتُّهُم خَلقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلا خَلقَ أَنفُسِهِم وَما كُنتُ مُتَّخِذَ المُضِلّينَ عَضُدًا

Sahih International

I did not make them witness to the creation of the heavens and the earth or to the creation of themselves, and I would not have taken the misguiders as assistants.

Malay

Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.

 

مَّا أَشْهَدْتُّهُمْ خَلْقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Tidaklah Aku persaksikan pada mereka (syaitan-syaitan itu) kejadian penciptaan langit dan bumi;

Semasa Allah ﷻ menjadikan alam ini dahulu, tidaklah dipersaksikan kepada iblis dan syaitan itu. Tidaklah Allah ﷻ panggil dan tunjuk kepada mereka semasa mula-mula dijadikan alam ini dahulu dan selepas itu pun tidak ditunjukkan kepada mereka (untuk diminta pendapat mereka). Lepas sudah siap alam pun Allah ﷻ tidak memanggil mereka untuk lihat. Tidak ada keperluan untuk tunjuk kepada mereka kerana mereka juga hamba dan tidak lebih daripada itu.

 

وَلَا خَلْقَ أَنْفُسِهِمْ

Dan tidaklah juga diperlihatkan penciptaan diri mereka sendiri kepada mereka

Jangan kata penciptaan alam, penciptaan diri mereka sendiri mereka tidak dapat lihat. Tidaklah mereka lihat bagaimana sebahagian mereka diciptakan.

 

وَمَا كُنْتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا

Dan tidaklah aku pernah jadikan syaitan-syaitan yang menyesatkan itu sebagai pembantu-pembantu Aku;

Allah ﷻ tidak pernah menggunakan khidmat jin-jin itu untuk membantu-Nya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun. Mereka itu adalah makhluk yang lemah sahaja. Perkataan عَضُدًا digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada otot lengan (dari siku ke bahu). Digunakan untuk merujuk kepada ‘pembantu’. Tidaklah Allah ﷻ memerlukan iblis dan syaitan itu untuk membantu-Nya dalam penciptaan.

Maknanya, kita tidak patut ambil syaitan sebagai pelindung kalau Allah ﷻ sendiri pun tidak pernah beri kuasa kepada mereka. Bilakah kita ambil mereka sebagai pelindung pula? Iaitu apabila kita bertawasul. Setiap kali kita membuat tawasul, sebenarnya kita puja syaitan. Kita sangka kita seru Nabi, Malaikat dan Wali sebagai perantara kita dalam doa, tetapi sebenarnya kita menyeru dan memuja syaitan. Ramai sahaja yang tidak tahu kerana ramai yang jauh daripada wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Waqiah Ayat 63 – 76 (Lihatlah air yang kamu minum)

Ayat 63: Soalan yang seterusnya. Tadi tentang diri sendiri, sekarang tentang rezeki pula.

أَفَرَأَيتُم مّا تَحرُثونَ

Sahih International

And have you seen that [seed] which you sow?

Malay

Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

 

Sebelum ini disebut tentang ‘tanam’ air mani dalam rahim wanita. Dan sekarang tentang tanam benih dalam tanah pula. Iaitu usaha kita mencangkul tanah, membajak dan menaburkan benih-benih pada tanah itu. Biji benih itu memang kamu yang letakkan dalam tanah, bukan? Tapi selepas itu bagaimana?


 

Ayat 64:

ءأَنتُم تَزرَعونَهُ أَم نَحنُ الزّٰرِعونَ

Sahih International

Is it you who makes it grow, or are We the grower?

Malay

Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

 

ءأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ

Kamukah yang menumbuhkan pokok itu,

Selepas kita bajak tanah, korek tanah dan kemudian kita tanam benih, apa kita boleh buat? Adakah lagi usaha dari kita untuk menjadikan tumbuhan itu terus tumbuh? Selain dari siram tanah itu masa ke semasa, kita tidak boleh buat apa. Kerana kita tidak ada kemampuan. Kita tidak boleh nak picit-picit benih itu untuk keluarkan cambahnya. Kita pun tahu perkara ini, bukan?

 

أَمْ نَحْنُ الزَٰرِعُونَ

atau Kamikah yang menumbuhkannya?;

Kita tanam pokok atau tumbuhan pada tanah, kemudian kita letak baja dan air. Tapi lepas itu apa kita buat? Kita balik rumah. Bukan kita yang menumbuhkannya. Siapakah yang berkuasa menumbuhkan seribu benih itu dalam masa serentak kalau bukan Allah sahaja. Adakah tanah yang kita tanam itu kita punya? Bagaimana dengan cahaya matahari? Bagaimana dengan hujan yang diperlukan oleh tanaman itu?

Jadi Allah yang telah beri kesuburan kepada tanaman itu. Dan dengan tanaman itu kita makan untuk melangsungkan hidup kita. Maka hendaklah kita sembah dan seru Dia sahaja. Inilah tauhid. Senang sahaja Allah ajar tauhid dalam Al-Qur’an. Sebab itu kena ambil fahaman tauhid dari Al-Qur’an juga.

Dan ia juga memberi isyarat kepada kehidupan semula. Sebagaimana benih ditanam itu akan keluar sebagai tumbuhan, maka nanti semua mayat yang ditanam di dalam tanah juga akan keluar sebagai makhluk baru nanti untuk diadili di Mahsyar kelak.

Jadi soalan ini juga perlu dijawap “bal anta ya Rabb“, “bahkan Kamulah yang menumbuhkan, wahai Tuhanku!” Selepas baca ayat ini, bacalah doa kepada Allah. Itulah caranya; bukan dibaca berulang-ulang kali.

Menanam ini seperti berniaga juga. Kerana apa yang kita tanam, sebenarnya untuk kita jual kemudiannya selain dari kita makan sendiri. Jadi kalau nak doa supaya perniagaan kita berjaya, kita gunakan ayat ini.

Untuk tujuan perniagaan, kita terjemah begini: “Tidakkah kamu perhatikan perniagaan kamu itu? Kamukah yang mengajak orang datang membeli di kedai kamu, atau Akukah yang menggerakkan hati orang untuk membeli di kedai kamu?” Kalau di pasar selalunya, ramai lagi yang menjual barang yang sama dengan apa yang kita jual. Tapi kenapa orang akan singgah di kedai kita? Bukan boleh paksa orang nak singgah.

Bermakna, Tuhanlah yang mencampakkan ke dalam hati orang itu untuk singgah ke kedai kita. Maka, selepas baca ayat ini, dan menjawap “bal anta ya Rabb“, bacalah doa sebegini:

“Apalah kiranya Tuhan, kalau Kamu anugerahkan rezeki kepadaku. Kalau kamu memberi rezeki kepadaku, maka betullah Engkaulah Tuhanku. Sekiranya Engkau tidak memakbulkan doaku, Kuasa atas Engkaulah kerana Engkau Tuhanku. Tapi kalau Engkau tidak memakbulkan doakan ini, kepada siapalah lagi aku hendak bermohon?”.

Atau boleh ubah dengan apa sahaja permintaan yang kita hendak.


 

Ayat 65:

لَو نَشاءُ لَجَعَلنٰهُ حُطٰمًا فَظَلتُم تَفَكَّهونَ

Sahih International

If We willed, We could make it [dry] debris, and you would remain in wonder,

Malay

Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,

 

لَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنٰهُ حُطٰمًا

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami akan jadikan pokok itu kering hancur;

Kesuburan tanaman itu bergantung kepada Allah. Dan Allah boleh sahaja jadikan pokok itu rosak atau tidak subur atau hancur terus. Kalaulah kesemua ladang itu musnah habis, tidak ada gunanya. Manusia tidak dapat nak baiki lagi.

Kalau perniagaan, Allah boleh jadikan tidak ada sesiapa singgah masuk ke kedai kita. Allah boleh jadikan mana-mana perniagaan jadi bankrap terus.

Jadi apabila Allah suburkan tanaman dan menjadikan perniagaan kita maju, maka itu adalah rahmat dari Allah. Dan telah banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita semua.

 

فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ

Maka kekallah kamu dalam keadaan hairan;

Ramai yang tidak tahu tentang ujian Allah, maka dia kehairanan. Hairan macam mana pokok itu dia sudah tanam dengan cara elok, tapi mati juga. Terkejut sangat dan terus ظلل (kekal) dalam kehairanan.

Kalimah تَفَكَّهُونَ dari katadasar ف ك ه yang selalunya digunakan dalam Al-Qur’an untuk menyebut kegembiraan. Tapi kata dasar ini juga bermaksud takjub, kehairanan. Maksudnya rasa sedih kehairanan sangat kerana kehilangan benda yang penting.

Atau kita sudah buat kedai sudah cantik, memang sudah di kawasan orang lalu-lalang, tapi tak juga orang nak singgah datang masuk.

Ramai manusia lupa yang mereka boleh usaha sahaja, tapi kejayaan bergantung kepada kehendak Allah semata-mata. Kita tidak boleh nak tentukan kejayaan walaupun sudah melakukan berbagai usaha macam-macam. Maka jangan hairan, redhalah sahaja. Banyakkan doa kepada Allah dan berharap Allah beri rezeki kepada kita.

Kerana hairan itulah, banyak orang kita yang buat Solat Hajat berjemaah. Ajak ramai-ramai orang datang buat berjemaah pula. Sedangkan tidak ada amalan sebegitu. Jadi perbuatan solat hajat berjemaah adalah satu bidaah yang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Manusia banyak sangkaan-sangkaan yang tak baik. Mungkin dia sangka ada orang nak aniaya buat tak baik dengan kedai dia. Mulalah ada yang pergi rumah bomoh buang jin di kedai dan sebagainya. Kalau jumpa bomoh atau uskun (ustaz dukun) memang mereka mesti kata ada orang ‘buat’, ‘hantar’ dan ‘ganggu’. Kerana itulah sumber pendapatan mereka. Padahal, Allah nak uji dia sahaja.


 

Ayat 66: Maka ramai yang mengeluh.

إِنّا لَمُغرَمونَ

Sahih International

[Saying], “Indeed, we are [now] in debt;

Malay

(Sambil berkata): “Sesungguhnya kami menanggung kerugian.

 

Kalimah غ ر م  bermaksud kerosakan atau kerugian yang kena kepada harta seseorang. Ramai yang tidak sabar dengan musibah hilang pendapatan dan mereka mengeluh ke sana sini. Jumpa sesiapa sahaja mereka akan mengadu. Padahal sepatutnya mengadu kepada Allah, bukan mengadu kepada manusia.

Inilah jawapan yang diberikan mereka kalau mereka ditanya tentang perniagaan mereka atau tanaman mereka: “takde untung … rugi jer aku ni….”.


 

Ayat 67:

بَل نَحنُ مَحرومونَ

Sahih International

Rather, we have been deprived.”

Malay

“Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) ”

 

Lama selepas itu, apabila mereka ditanya, baru mereka mengaku bahawa Allah tak beri rezeki kepada mereka.

Kalimah مَحرومونَ dari katadasar ح ر م yang antara lain bermaksud ‘tertahan’. Ya dari kata dasar yang sama jadi kalimah ‘haram’ kerana tertahan dari melakukan sesuatu. Dalam konteks ayat ini, mereka tertahan dari mendapat rezeki. Bukan sahaja mereka tidak dapat untung, tapi modal mereka pun sudah habis.

Maknanya, baru mereka mengaku bahawa rezeki itu dari Allah, dan Allah tidak memberi rezeki kepada mereka. Baru mereka sedar yang kalau Allah tahan rezeki, tidak ada sesiapa yang boleh beri rezeki lagi.


 

Ayat 68: Ini adalah soalan yang ketiga dalam rantaian empat soalan. Sekarang kita boleh lihat bagaimana Allah sedang berkomunikasi dengan kita dalam Qur’anNya. Sebab itu hebat kalau kita dapat sematkan dalam minda kita, Allah sedang berkata-kata dengan kita sebenarnya dalam Al-Qur’an ini. Baru akan rasa rapat dengan Allah dan rapat dengan Al-Qur’an.

أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ

Sahih International

And have you seen the water that you drink?

Malay

Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?

 

Setiap hari kita minum air, bukan? Maka Allah suruh kita tengok air yang kita minum itu dan fikir-fikirkan. Jangan pandang biasa sahaja.

Maknanya, perkara ini boleh dilakukan setiap hari. Bila minum air, boleh teringat air ini dan teringat kepada ayat Al-Qur’an, dan juga teringat kepada Allah. Hebat, bukan?


 

Ayat 69: Allah tanya tentang air itu.

ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ

Sahih International

Is it you who brought it down from the clouds, or is it We who bring it down?

Malay

Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?

 

ءأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ

Kamukah yang menurunkannya dari awan?;

Kalimah الْمُزْنِ adalah awan yang ‘mengandung’. Kerana ia mengandungi banyak air. Allah tanya lebih kurang begini: “Adakah kamu wahai manusia yang naik ke awan dan perah-perah air itu supaya turun?” Macam mana nak naik ke atas awan, bukan?

 

أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ

atau Kamikah yang menurunkannya?;

Sudah tentu bukan kita yang menurunkannya tapi Allah. Maka kenalah kita bersyukur kepada Allah.

Ini pun kena jawab juga seperti soalan-soalan sebelum ini:  “bal anta ya Rabb“. Engkaulah ya Allah yang menurunkan air itu.

Kepada yang menanam, pun baca ayat ini dan berdoa selepasnya supaya Allah menurunkan hujan. Bukannya baca banyak-banyak kali. Contohnya begini: ”Ya Allah, Engkaulah yang menurunkan air hujan, maka turunkanlah hujan ya Allah.”


 

Ayat 70:

لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ

Sahih International

If We willed, We could make it bitter, so why are you not grateful?

Malay

Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?

 

لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنٰهُ أُجَاجًا

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami jadikan air hujan itu masin;

Allah boleh sahaja jadikan air itu masin dan kita tidak boleh minum. Tapi Allah tidak jadikan air itu masin, padahal asalnya air hujan itu datangnya dari wap air laut yang masin, tapi bila kita rasa, ia tidak masin.

Kita dapat air yang boleh diminum ini kerana rahmat Allah kepada kita, nak beri kita minum air itu untuk kehidupan kita. Kalau Allah jadikan air itu masin, tentulah bukan kita sahaja tak dapat minum tapi pokok-pokok pun semua akan mati, dan kita pun boleh mati juga sebab tidak ada makanan dan air minuman.

 

فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ

Maka kenapa kamu tidak mahu bersyukur?;

Jadi apa patut kita buat setelah dapat rahmat Allah ini? Kenalah kita bersyukur kepada Allah. Senang sahaja nak ingat syukur kepada Allah.

Dan maksud syukur itu bukan sahaja sebut Alhamdulillah sahaja, tapi kena diikuti dengan taat kepadaNya. Kerana kita sudah makan minum dari rahmatNya, takkan nak lawan kehendak Dia, bukan?

Tapi ramai buat tidak tahu sahaja padahal Tuhan telah memberi mereka rezeki. Mereka makan dan minum rezeki dari Allah tapi tidak bersyukur kepadaNya dan tidak taat kepada perintahNya. Ini memang tidak patut.

Ada pula yang tidak nampak Allah yang turunkan hujan. Mereka buat kajian tentang air wap naik ke langit dan kemudian diturunkan. Jadi mereka kata ini adalah proses alam. Tapi tidakkah alam ini Allah yang cipta? Tidakkah proses naik dan turun air itu Allah yang tentukan?

Dan malangnya ada juga yang kata orang lain yang memberikan rezeki. Mereka kata kerajaan, syarikat, tokey, keris, cincin atau apa-apa sahaja selain Allah yang telah memberi rezeki kepada mereka. Ini sudah jadi syirik.

Berkenaan dengan lafaz syukur, terdapat riwayat kalimah syukur dari Nabi apabila selesai minum:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ مُرَّةَ، حَدَّثَنَا فُضَيل بْنُ مَرْزُوقٍ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ أَبِي جَعْفَرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ إِذَا شَرِبَ الْمَاءَ قَالَ: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي سَقَانَا عَذْبًا فُرَاتًا بِرَحْمَتِهِ، وَلَمْ يَجْعَلْهُ مِلْحًا أُجَاجًا بِذُنُوبِنَا”

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Sa’id ibnu Murrah, telah menceritakan kepada kami Fudail ibnu Marzuq, dari Jabir, dari Abu Ja’far, dari Nabi Saw., bahawa baginda apabila selesai dari minumnya membaca doa berikut: Segala puji bagi Allah Yang telah memberi kami minum air yang tawar lagi menyegarkan berkat rahmat-Nya, dan tidak menjadikannya masin lagi pahit kerana dosa-dosa kami.


 

Ayat 71: Dalil yang seterusnya. Ini adalah soalan yang keempat.

أَفَرَأَيتُمُ النّارَ الَّتي تورونَ

Sahih International

And have you seen the fire that you ignite?

Malay

Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?

 

Api adalah salah satu lagi keperluan hidup yang amat penting. Bayangkan kehidupan tanpa api. Macam mana nak masak makanan, nak panaskan badan, nak dapatkan cahaya di malam hari?

Zaman dahulu untuk mengeluarkan api, mereka kena gesek antara kayu. Kerana itu disebut cara itu dalam ayat ini. Zaman sekarang, macam-macam cara boleh digunakan. Allah mudahkan cara untuk kita menyalakan api.


 

Ayat 72: Kamukah yang menyalakan api itu?

ءأَنتُم أَنشَأتُم شَجَرَتَها أَم نَحنُ المُنشِئونَ

Sahih International

Is it you who produced its tree, or are We the producer?

Malay

Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya?

 

ءأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا

Kamukah yang menumbuhkan pokok;

Iaitu yang kamu gunakan untuk menyalakan api itu? Ini sebab zaman dahulu api itu dinyalakan dengan menggesek pokok kayu. Kamukah wahai manusia yang jadikan pokok itu?

Pokok hutan itu bukan kita yang tanam. Tidak ada sesiapa yang baja dan siram pokok-pokok itu. Tahu-tahu sudah ada dan kita ambil untuk pakai, antaranya untuk menyalakan api.

Bangsa Arab mempunyai dua jenis pohon, al-marakh dan al-‘afar. Jika diambil dua dahan yang masih hijau dari kedua pohon itu, kemudian masing-masing digosok-gosokkan, maka akan memunculkan api padanya. Itu kelebihan dua pokok itu. Kalau pokok-pokok lain pun boleh digunakan tapi kena sudah kering. Cara ini mungkin masih diajar kepada pengakap lagi sampai sekarang.

 

أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ

atau Kamikah yang menumbuhkannya?;

Allah tanya adakah kita yang jadikan pokok-pokok itu atau Dia? Tentulah Dia yang jadikan pokok-pokok itu.

Soalan ini pun perlu dijawab:  “bal anta ya Rabb” bahkan Engkaulah yang menumbuhkannya, wahai Tuhanku. Selepas jawab itu, kita pun boleh lagi minta rezeki kepada Allah. Itulah sebabnya ada hadis yang mengatakan sesiapa yang membaca surah ini akan dimurahkan rezeki. Tapi hadis itu tidak sahih. Maka ia bukanlah untuk dibaca sahaja. Tapi kita boleh baca ayat itu dan kemudian berdoa kepada Allah. Jangan jadi orang yang hanya baca sahaja, tapi tidak berdoa.

Inilah tempat untuk baca doa untuk memohon rezeki. Baca ayat-ayat Al-Qur’an dan kemudian berdoa. Itulah cara yang betul. Iaitu tawasul dengan ibadah yang kita lakukan. Bukannya baca berkali-kali seperti yang banyak dilakukan orang kita. Kalau tak belajar, tak tahulah di manakah tempat yang mustajab untuk baca doa.

Mintalah apa-apa sahaja keperluan kita kepada Allah, bukan hanya untuk murah rezeki sahaja. Kalau anak nak masuk peperiksaan pun, boleh juga baca di tempat-tempat ini. Maka tak perlulah nak buat solat hajat berjemaah. Itu adalah perbuatan yang salah sebab Nabi tak pernah buat.

Orang kata itu adalah ‘usaha’ tapi itu adalah usaha dengan cara yang salah. Janganlah reka amalan baru. Kalau ada juga yang buat, maka jangan kita terlibat.


 

Ayat 73:

نَحنُ جَعَلنٰها تَذكِرَةً وَمَتٰعًا لِّلمُقوينَ

Sahih International

We have made it a reminder and provision for the travelers,

Malay

Kami jadikan api itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.

 

نَحْنُ جَعَلْنٰهَا تَذْكِرَةً

Kamilah yang menjadikan api itu sebagai suatu peringatan; 

Api ini mengingatkan kita kepada nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Kita masak makanan dengan api yang tanpanya, kita jadi seperti binatang sahaja yang makan makanan di tanah tanpa dimasak.

Api di dunia ini juga menjadi peringatan  tentang adanya api yang lebih besar – api neraka di akhirat nanti. Nabi pernah bersabda: “Api anak Adam yang mereka nyalakan itu hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian api Jahannam.” Jadi bila kita tengok api di dunia sekarang, ingatlah ada api lagi yang lebih hebat di akhirat kelak. Takutlah kepada api itu.

 

وَمَتٰعًا لِّلْمُقْوِينَ

dan bahan yang berguna untuk orang yang bermusafir; 

Kalimah مُقْوِينَ bermaksud orang dalam musafir dalam padang pasir. Ia dari katadasar ق و ي yang juga bermaksud kuat. Apabila menjadi مقو ia menjadi orang yang bermusafir di padang pasir.

Mereka yang mencari-cari tempat berteduh dan tempat api untuk memanaskan badan semasa dalam musafir mereka itu. Kalau dalam perjalanan di padang pasir, mereka nak cari pedoman, mereka akan cari kalau-kalau ada orang yang menyalakan api di padang pasir. Kalau mereka nampak, maka mereka akan menghala ke sana.

Orang bermusafir boleh menggunakan kemudahan api yang Allah berikan ini sebagai kemudahan untuk mereka dalam perjalanan mereka. Mereka gunakan untuk memasak, memanaskan badan dan untuk menghalau binatang serangga dan binatang buas dari mengganggu mereka.

Dalam ayat ini, Allah menyebutkan bahawa api itu khusus digunakan oleh orang yang bermusafir, meskipun pada dasarnya hal itu bersifat umum bagi semua manusia, termasuk yang tidak dalam musafir. Kerana kalau dalam rumah pun, perlukan juga api itu. Tapi kerana Al-Qur’an pertama kali diberikan orang Arab, maka contoh-contoh yang digunakan adalah merujuk kepada kehidupan mereka supaya mereka boleh faham.


 

Ayat 74: Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka, selepas kita tahu siapakah yang paling berkuasa dalam alam ini dan telah banyak berjasa kepada kita, oleh itu apa yang kita perlu buat?

فَسَبِّح بِاسمِ رَبِّكَ العَظيمِ

Sahih International

So exalt the name of your Lord, the Most Great.

Malay

Oleh yang demikian – (wahai orang yang lalai) – bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).

 

فَسَبِّحْ

Maka bertasbihlah kamu

Bertasbihlah kepada Allah banyak-banyak. Bila tidak buat apa-apa sepanjang hari, biasakan mulut kita baca tasbih.

Cuma kena faham maksud tasbih itu sendiri. Tasbih adalah menidakkan fahaman salah manusia tentang Allah. Sebagai contoh, ada yang kata Allah ada anak. Ada pula yang kata, Allah suka perantaraan Nabi, wali dan malaikat dalam kita berdoa kepadaNya.

Dan banyak lagi fahaman yang tidak benar tentang Allah. Itu adalah fahaman syirik dan kita tolak fahaman salah itu dengan tasbih. Seolah-olah kita kata: “tidak, Allah tidak begitu….”

Maka kalau mulut baca tasbih tapi ada fahaman syirik dalam hati kita, maka tidak bernilailah tasbih itu. Mulut cakap lain, hati cakap lain pula.

 

بِاسْمِ رَبِّكَ

dengan sebut dengan berkat nama Tuhan kamu

Kita jangan ambil berkat dengan selain Allah kerana Allah sahaja pemberi berkat. Nama Allah itu sendiri sudah ada berkat, apatah lagi kalau Allah sendiri? Maka Allah sahaja sumber berkat, jangan minta berkat dari selain Allah. Tapi salah faham tentang berkat ini amat banyak dalam masyarakat kita. Mereka tidak faham tentang berkat sampai mereka buat syirik dengan berkat.

Antaranya mereka ambil berkat dari tok guru mereka, seolah-olah tok guru mereka ada berkat. Ada yang ambil berkat dengan selipar Nabi. Kalau betul itu selipar (capal) Nabi, bolehlah juga nak sembang, tapi tidak dapat dipastikan. Tapi golongan yang mengambil berkat itu bukannya ambil berkat dengan selipar Nabi, tapi mereka ambil berkat dengan replika capal! Kemudian tak dapat replika, logo capal pun jadi! Jadi ini adalah golongan yang salah faham jauh sekali dari wahyu.

Maka mintalah berkat dengan Allah dan gunakan perantaraan dengan nama Allah. Jangan gunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah.

 

الْعَظِيمِ

yang Maha Agong;

Allah sahaja yang layak dijadikan tempat minta berkat dan wasilah dalam doa kerana Dia sahaja yang Maha Agong.

Ayat ini menceritakan kelebihan tasbih. Maka dalam apa pekerjaan kita, bacalah tasbih. Basahkan bibir kita dengan zikir dan tasbih kepada Allah. Disunatkan jikalau kita dengar bacaan ayat ini untuk membaca tasbih.


 

Ayat 75: Sekarang kita akan masuk ke dalam ayat-ayat yang menceritakan kehebatan Al-Qur’an. Ini adalah salah satu dari ayat-ayat yang indah tentang Al-Qur’an. Ayat 75 – 82 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia memberitahu kita yang Al-Qur’an adalah Kalam Tuhan, bukan kalam syaitan.

۞ فَلا أُقسِمُ بِمَوٰقِعِ النُّجومِ

Sahih International

Then I swear by the setting of the stars,

Malay

Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat beredarnya bintang-bintang, –

 

فَلَا أُقْسِمُ

Oleh sebab itu, Aku bersumpah 

Ini adalah Kalimah Sumpah atau Qosam. Apabila Allah bersumpah, ini menunjukkan bahawa apa yang hendak disampaikan selepas ini adalah amat penting. Inilah cara orang Arab zaman dahulu hendak menarik perhatian kepada apa yang hendak disampaikan. Maknanya, apa yang hendak disampaikan selepas itu adalah amat penting. Maka begitulah juga tujuan Allah menggunakan kalimah qosam sebegini.

Kenapa ada kalimah فلا itu? Kalau terjemah secara literal, ia bermaksud ‘maka tidak’. Ada yang mengatakan ia adalah kalimah penguat untuk sumpah itu, sebahagian ulama’ tafsir pula mengatakan bahawa huruf la di sini merupakan za’idah (tambahan). Maka makna yang dimaksudkan ialah “Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang.”

Dan ada juga yang mengatakan ia menolak fahaman salah manusia – “Tidak, kebenaran itu tidaklah seperti yang kamu sangkakan!” Maknanya Allah nak tolak fahaman salah dan kemudian Allah sambung dengan sumpah. Allah tolak dulu fahaman salah manusia dan kemudian beritahu kebenaran.

Ia didatangkan pada permulaan qasam (sumpah), apabila objek sumpahnya dinafikan, seperti perkataan Siti Aisyah r.a.. ”Tidak, demi Allah, tangan Rasulullah Saw. sama sekali belum pernah menyentuh tangan wanita lain.” Maka demikian pula halnya di sini, yang bererti bentuk lengkapnya ialah “Tidak, Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang, duduk perkaranya tidaklah seperti dugaan mereka terhadap Al-Qur’an, bahwa Al-Qur’an itu sihir atau tenung, bahkan Al-Qur’an ini adalah bacaan yang mulia.”

 

بِمَوٰقِعِ النُّجُومِ

dengan tempat beredarnya bintang-bintang;

Kalau manusia yang bersumpah dengan makhluk, itu adalah syirik. Ada yang bersumpah dengan matahari dan sebagainya. Kita cuma boleh bersumpah dengan nama Allah sahaja. Tapi Allah boleh bersumpah dengan makhlukNya.

Di sini, Allah bersumpah dengan bintang-bintang yang beredar di langit. Kalimah بِمَوٰقِعِ dari kalimah و ق ع yang bermaksud tempat jatuh sesuatu dan ia tidak akan bergerak. Semua bintang itu Allah yang jadikan. Tidak tahu berapa banyak jumlah bintang di langit kerana manusia sentiasa menjumpai bintang dan galaksi yang baru.

Allah menggunakan sesuatu yang penting kepada bangsa Arab. Kerana mereka selalu menggunakan bintang kerana mereka menggunakan bintang sebagai GPS pada zaman mereka. Mereka guna bintang sebagai penunjuk arah di dalam musafir mereka. Allah menggunakan objek sumpah dengan sesuatu yang berkenaan dengan apa yang hendak disampaikan. Kalau sumpah manusia, objek sumpah itu tidak penting mana, tapi Allah hebat, menggunakan sesuatu yang penting.

Selagi ada bintang, selagi itu ia dalam Langit Pertama. Dan bayangkan manusia tidak bertemu lagi tempat yang tidak ada bintang. Maknanya Langit Pertama pun sudah luas. Dan Langit Kedua lebih luas dari Langit Pertama dan Langit Ketiga lebih luas dari Langit Kedua dan seterusnya sampailah ke Langit Ketujuh. Memang tidak dapat dibayangkan Kerajaan Allah Taala.

Ibn Abbas mengatakan maksud bintang di sini adalah bintang-bintang Al-Qur’an. Di mana ia diturunkan secara keseluruhan pada malam Lailatul Qadr dari langit tertinggi ke langit dunia, dan kemudian turun secara terpisah-pisah dalam 23 tahun selepas itu.


 

Ayat 76:

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ لَّو تَعلَمونَ عَظيمٌ

Sahih International

And indeed, it is an oath – if you could know – [most] great.

Malay

Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya,

 

وَإِنَّهُ لَقَسَمٌ

Sesungguhnya sumpah seperti itu;

Iaitu merujuk kepada sumpah yang Allah gunakan dalam ayat ini. Ianya memberi peringatan kepada kita bahawa Allah yang menjadikan manusia dan segala makhluk lain di alam ini.

 

لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ

kalaulah kamu mengetahui, adalah sumpah yang besar.

Kalaulah kamu mengetahui bahawa Allah tidak bercakap bohong dengan kita. Dan sumpah itu adalah amat besar kerana kebesaran Yang mengucapkannya, iaitu Allah.

Allah memberitahu bahawa objek sumpah yang Allah gunakan sebagai sumpah itu sendiri sudah hebat dan besar. Kerana kalau kita bersumpah, benda yang penting itu akan disebut selepas disebut objek sumpah itu. Tapi dalam ayat ini (hanya di sini sahaja Allah buat), Allah mengatakan sumpah ini adalah sumpah yang besar. Maknanya kita kena tengok juga sumpah ini.

Kalau bintang, bukankah ia hanya keluar dalam kegelapan malam? Waktu itu panduan hanya ada pada bintang sahaja. Maka begitu juga dengan diri kita dalam kegelapan kehidupan, kita hanya boleh bergantung harap dengan petunjuk dari Al-Qur’an sahaja, bukan? Maka lihatlah begitu hebatnya Allah kaitkan bintang ini dengan panduan hidayah yang ada dalam Al-Qur’an.

Bintang juga sesuatu yang indah kepada orang Arab. Mereka tidak ada TV lagi maka bintang adalah pengisi masa lapang mereka. Mereka suka lihat bintang dan mereka sampai tidur sambil melihat bintang di atas bintang. Maka begitu juga Al-Qur’an sepatutnya sesuatu yang indah kepada kita.

Bintang juga sesuatu yang amat tinggi di atas sana. Kita rasa rendah dan kecil sahaja. Maka begitu juga kita kena rasa rendah dan pandang tinggi Al-Qur’an ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi