Tafsir Surah al-An’am: Pengenalan – Ayat 1 (Tiga sembahan selain Allah)

Pengenalan

Al-An’am bermaksud ‘binatang ternak’. Ia adalah jamak kepada na’am yang asalnya bermaksud ‘unta’. ‘Binatang ternak’ disebut dalam surah ini kerana Musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka.

Surah al-An’am adalah Surah Makkiah yang terbesar. Ia menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh Arab Mekah. Jika Surah Baqarah mengisahkan tentang kerosakan dalam golongan Yahudi; Surah Ali Imran pula meneceritakan tentang kerosakan golongan Nasara; manakala Surah Nisa’ mengisahkan tentang kerosakan golongan Munafiqin, sementara Surah Maidah pula adalah gabungan tentang ketiga-tiga golongan (Yahudi, Nasara dan Munafiqin).

Oleh itu, satu lagi golongan tidak disebut iaitu Musyrikin dan ia disentuh dalam surah al-An’am ini.

Inilah empat golongan sesat yang disebut dalam Al-Qur’an satu persatu dan sifat-sifat mereka. Allah ‎ﷻ ajar awal-awal di dalam susunan surah-surah Al-Qur’an di permulaan supaya kita boleh kenal mereka dan periksa supaya tidak ada sifat-sifat mereka dalam diri kita. Ini penting kerana kita belajar tentang mereka bukanlah hendak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi seperti mereka.

Surah al-An’am ini telah diturunkan secara sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibril عليه السلام telah diiringi oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan betapa penting dan mulianya surah ini.

Jangan pula kita sangka yang turunnya malaikat beramai-ramai itu kerana hendak menjaga Al-Qur’an daripada dicuri atau dikacau oleh jin dan syaitan. Tidak, bukan begitu. Bukanlah malaikat-malaikat itu mesti menolong Jibril عليه السلام untuk menurunkan kononnya kerana Jibril عليه السلام sebagai malaikat sendiri pun takut, apatah lagi golongan jin. Namun begitu harus difahami bahawa para malaikat itu turun kerana kemuliaan surah ini. Contohnya seumpama seorang sultan melawat sesuatu kawasan, akan ada ramai pengikut yang akan mengiringinya.

Selalunya surah-surah yang panjang diturunkan sedikit demi sedikit, tetapi kali ini ia diturunkan hampir lengkap. Surah ini diturunkan setahun sebelum Hijrah ke Madinah. Maka, ia diturunkan di hujung-hujung masa Rasulullah ﷺ di Mekah. Oleh sebab itu, kata-kata di dalamnya merujuk kepada situasi itu – Nabi ﷺ telah lama berdakwah kepada mereka dan mereka tetap tidak mahu beriman. Teguran dalam surah ini agak kasar kerana ia diberikan kepada kaum yang amat degil. Masa berlembut dengan mereka sudah berlalu.

Surah Al-An’am ini adalah surah pertama Makkiah dalam susunan Al-Qur’an. Sebelum ini, surah-surah yang telah dibaca adalah surah-surah Madaniah, iaitu bermula dengan Surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maidah. Terdapat tema-tema yang berbeza antara surah yang Makkiah dan Madaniah. Surah Makkiah tema utamanya adalah peringatan. Ada dua jenis peringatan yang penting dalam kumpulan ini:

1. Surah Ayyaamillah – ‘Hari-hari Allah’. Ia mengandungi sejarah-sejarah penting yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Ia dibacakan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman.

2. Surah Alaa Illah – ‘Pemberian-pemberian Allah’. Diturunkan kepada manusia sebagai peringatan akan segala nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada mereka. Kadang-kadang kita tidak memandang dengan penting segala pemberian Allah‎ ﷻ itu kerana kita rasa ia biasa sahaja.

Namun begitu, terlalu banyak pengajaran sebenarnya yang terdapat di dalam segala pemberian Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk lihat kepada langit. Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan langit itu seimbang. Ini mengingatkan kita untuk berlaku adil dalam segenap kehidupan kita kerana keadilan bermaksud keseimbangan.

Ada banyak ayat dalam Surah al-An’am ini yang mengandungi peringatan kepada Alaa illah. Segala peringatan itu adalah berbentuk “Positive Reinforcement” (Pengukuhan Positif); untuk memberikan kita motivasi untuk melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Seperti juga apabila kita suruh anak kita belajar, kita akan cakap: “Husna, belajarlah baik-baik. Abba dah bagi macam-macam dah. Husna cuma belajar sahaja, boleh yer nak?” Allah ‎ﷻ mahu kita kenangkan segala pemberian-Nya supaya senang hendak melakukan ketaatan kepada-Nya.

Surah selepas Surah Al-An’am adalah satu lagi Surah Makkiah iaitu Surah Al-A’raf. Surah itu pula mengandungi banyak berkenaan ayyamillah; iaitu menceritakan tentang umat-umat yang lepas dan apakah yang terjadi kepada mereka apabila mereka tidak mahu beriman. Ia juga untuk memberi peringatan kepada kita, namun dalam bentuk yang lebih keras. Peringatan yang lebih keras diberikan kerana manusia masih lagi degil untuk beriman.

Nabi Muhammad ﷺ telah berdakwah kepada penduduk Mekah bertahun-tahun lamanya, dengan memberikan motivasi untuk mereka beriman. Tentulah baginda seorang pendakwah yang amat hebat. Akan tetapi ramai yang masih berdegil. Apabila degil, maka peringatan yang lebih keras akan diberikan.

Sama juga kita beri motivasi kepada anak kita untuk belajar, tetapi jika dia masih enggan, maka kita akan ancam mereka dengan ancaman yang keras. Kita katakan kepadanya yang kita akan rotan mereka, kurung mereka dan sebagainya. Kita ingatkan juga kepada mereka contoh-contoh mereka yang enggan belajar dan apakah yang terjadi kepada mereka.

Apabila masih lagi tidak terkesan dengan motivasi dan ancaman, maka langkah seterusnya kita akan hukum mereka. Maka kerana itu surah selepas Al-A’raf adalah Surah Al-Anfal yang menceritakan hukuman pertama yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah iaitu kekalahan mereka dalam Perang Badr.

Itu adalah hukuman pertama dan apabila masih lagi tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat akan diteruskan. Itu disebut dalam Surah At-Tawbah iaitu kekalahan mereka dalam Fath Makkah. Demikianlah Allah ‎ﷻ susun surah-surah dalam Al-Qur’an.

Isu utama yang dibawa dalam surah-surah Makkiah adalah Tauhid. Memang ada elemen-elemen lain yang disentuh tetapi ia adalah untuk menguatkan hujah Tauhid. Sebagai contoh, satu lagi tema dalam surah-surah Makkiah adalah tentang risalah kenabian. Ia untuk menyatakan bahawa memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi dan apa yang dibawanya adalah wahyu Al-Qur’an.

Itu semua menjurus kepada tauhid juga kerana Nabi ﷺ menceritakan tentang tauhid dan begitu juga Al-Qur’an menceritakan tentang tauhid. Oleh itu, surah-surah Makkiah menekankan tentang tauhid dalam berbagai-bagai cara. Memang banyak cara digunakan supaya manusia tidak ada lagi alasan tidak tahu dan tidak faham.

Bilangan surah-surah Makkiah sebenarnya lebih banyak daripada surah-surah Madaniah. Surah Makkiah adalah 2/3 daripada keseluruhan Al-Qur’an. Ia banyak memperkatakan tentang akidah – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada Nabi dan lain-lain lagi. Sedangkan bab hukum hakam seperti hukum salat, puasa, Haji dan sebagainya banyak terdapat dalam surah-surah Madaniah.

Oleh itu, surah-surah Makkiah diturunkan sewaktu hukum-hukum ibadat belum ada lagi. Lalu bagaimana kita mengenali orang Islam waktu itu? Untuk zaman sekarang kita boleh kenal seorang Muslim kerana dia salat, dia memakai tudung menutup aurat dan sebagainya. Sedangkan hukum menutup aurat contohnya, hanya diturunkan di Madinah.

Orang Islam dikenali waktu itu daripada sifat mereka.

Pertama, mereka kuat berdakwah mengajak kepada Islam. Mereka bagaikan tidak boleh berhenti bercakap mengenai Islam. Jikalau jumpa orang, mereka akan menceritakan tentang keindahan Islam;

Kedua, mereka mempunyai sifat yang murni, yang baik. Iaitu adab-adab yang baik yang diterima secara umum – tidak menipu, tidak menindas, tidak menyusahkan orang dan sebagainya.

Amat malang sekali pada zaman sekarang, Muslim banyak mengamalkan hukum-hukum ibadat, tetapi melupakan nilai-nilai murni yang banyak diterapkan dalam surah-surah Makkiah. Oleh itu, kita banyak melihat Muslim yang salat, tetapi dalam masa yang sama, mereka menipu orang lain, zalim, serta kasar sifatnya. Ya, mereka berpuasa tetapi dalam masa yang sama, mereka menindas orang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

Surah Al-An’am ini terbahagi kepada dua bahagian. Kedua-duanya berkenaan akidah tetapi boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

1. Bahagian pertama: ayat 1 – 117. Menghuraikan akidah syirik (atau syirik i’tikadi) kepada Allah ‎ﷻ iaitu antaranya syirik tasarruf: Syirik dalam pengurusan alam. Allah ‎ﷻ yang mentadbir semua makhluk, tetapi manusia yang jahil wahyu ada menyangka Allah ‎ﷻ beri tugas mengurus alam kepada makhluk pula. Contohnya mereka kata ada wali yang menjaga sesuatu kawasan.

Oleh kerana salah faham ini, ramai yang berdoa dan berharap kepada makhluk. Ini adalah syirik dan ia lahir daripada akidah yang salah. Perbuatan mereka adalah perbuatan syirik kerana akidah yang salah sudah ada dalam hati yang condong kepada syirik. Mereka mudah percaya kepada perkara khurafat.

Contohnya, ramai yang percaya jika burung hantu berbunyi malam hari, ada orang akan mati. Memang kita tidak cakap begitu selalunya, sebab burung hantu tidak ada di bandar. Tetapi apabila kita balik kampung atau masuk hutan, tiba-tiba kita dengar burung hantu berbunyi, terus ada yang kata: “Ada orang nak mati ni”. Maknanya, akidah syirik telah ada dalam hati kita, cuma kadangkala tidak dilahirkan sahaja.

2. Bahagian kedua: ayat 118 hingga akhir. Iaitu tentang amalan syirik yang manusia buat. Ini dinamakan syirik amali. Asalnya daripada akidah syirik yang sudah ada dalam hati yang disentuh dalam bahagian pertama.

Sebagai contoh, kita nampak tapak kaki gajah di hutan. Maka kita cakap: “Ada orang besar ni.” Apabila kita cakap begitu, kita sudah melakukan satu perbuatan syirik. Kerana gajah tidak ada di situ, dia tentu tidak dapat dengar kata-kata kita. Tetapi kita takut untuk cakap ‘gajah’, takut dia boleh dengar.

Padahal, yang boleh dengar dari jauh hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Namun kita letak satu sifat Allah ‎ﷻ pula pada makhluk yang tidak dapat dengar, malah tidak faham pun apa yang kita kata.

Antara amalan syirik yang manusia biasa lakukan adalah amalan berpantang. Mereka mengharamkan sesetengah jenis makanan sedangkan makanan itu halal. Sebagai contoh, ada masyarakat yang tidak makan ikan kacang untuk keturunan mereka. Kerana kononnya, dulu ada tok nenek mereka yang telah diselamatkan oleh Ikan Kacang semasa di lautan.

Maka, sebagai tanda hormat kepada ikan kacang itu, mereka telah ‘mengharamkan’ keturunan mereka untuk memakan Ikan Kacang. Oleh itu, Surah An’am ini juga menyebut tentang amalan pantang yang diamalkan oleh manusia.

Satu lagi pantang adalah pantang selepas bersalin. Inilah kebiasaan yang diajar oleh Bidan kampung. Bidan telah ‘mengharamkan’ makan itu dan ini, tanpa memberikan sebab-sebab yang munasabah sebagai pegangan kita. Apabila kita betul-betul berpantang hanya atas kata-kata bidan yang tidak ada dalil itu, maka ini adalah satu kesilapan.

Mereka senang sangat percaya kata-kata orang lain tanpa usul periksa. Kena lihat Hadith Nabi tentang bagaimana Orang Yahudi yang telah menjadikan rahib dan pendita mereka sebagai tuhan:

Nabi ﷺ pernah membacakan firman Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an :

” اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََّهِ ” (التوبة: 31)

“Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah ﷺ kebetulan Adi’ bin Hatim رضي الله عنه (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah ﷺ dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul ﷺ:

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم

“Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).

(Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi No. 3095 & Baihaqi)

Hadith ini menunjukkan kepada kita, jika kita ikut kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka kita telah menjadikan orang itu sebagai ‘tuhan’. Bukanlah ‘sembah’ itu hanya bermaksud sujud kepada sesuatu sahaja, tetapi ia lebih luas lagi.

Dalam ayat ini, ia merangkumi makna ‘ikut tanpa usul periksa’. Begitulah yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila diberitahu oleh bidan-bidan kampung yang kita tidak boleh makan itu dan ini semasa dalam ‘pantang’. Kalau apa yang dilarang itu masuk akal dan boleh diperiksa, maka tidaklah salah. Mungkin sudah ada pengalaman orang-orang terdahulu yang menjadi pengajaran, atau disokong oleh ahli perubatan, tidaklah bermasalah kalau diikuti. Namun jikalau ia pelik, maka janganlah terus ikut.

Surah ini juga hendak menolak 7 kesamaran  yang ada dalam akidah Musyrikin Mekah. Mereka mempersoalkan kenapa kena pegang akidah tauhid. Allah‎ ﷻ jawab satu persatu nanti di dalam surah ini.

Kemudian Allah ‎ﷻ ajar 7 cara bagaimana untuk tabligh wahyu kepada manusia. Allah ‎ﷻ ajar supaya manusia boleh terima dengan mudah (bagi yang hatinya suci). Ada cara dakwah yang kita reka sendiri, tetapi dalam surah ini cara-cara yang diajar itu adalah daripada Allah ‎ﷻ sendiri dan manusia akan senang faham kalau kita gunakannya.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu 7 sebab kenapa orang kafir tidak boleh terima tauhid. Allah ‎ﷻ sebut 7 alasan mereka. Allah ‎ﷻ beritahu kenapa mereka menjadi kafir dan di mana silap mereka. Ini bukan Musyrikin Mekah sahaja, tetapi ia boleh digunapakai oleh semua orang kafir.

Kesemua perkara di atas ini tidaklah disusun satu persatu tteapi berselerak dalam surah ini maka kenalah belajar baru akan nampak.


 

An’am Ayat 1: Dalil Aqli pertama. Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dalam ayat ini:

الحَمدُ ِللهِ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ ۖ ثُمَّ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم يَعدِلونَ

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , who created the heavens and the earth and made the darkness and the light. Then those who disbelieve equate [others] with their Lord.

Malay

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

 

الْحَمْدُ ِللهِ

Segala puji bagi Allah

Ini adalah salah satu surah dalam Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah الْحَمْدُ لِلَّهِ. Ada 4 surah yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ dan disusun kedudukan 4 surah itu dengan membahagikan Al-Qur’an itu dalam 4 bahagian dan semuanya dimulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Surah-surah itu adalah:

1. Surah Fatihah iaitu berada betul-betul di awal Al-Qur’an
2. Surah Al-An’am iaitu permulaan suku Al-Qur’an
3. Surah Al-Kahfi iaitu berada lebih kurang separuh Al-Qur’an
4. Surah Saba’ dan Faathir iaitu di tiga suku Al-Qur’an

Makna الْحَمْدُ لِلَّهِ telah ditafsir dengan panjang lebar dalam Surah Fatihah. Sila rujuk kepada tulisan tersebut.

Surah ini dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Kenapa? Selalunya apabila kita mulakan sesuatu yang penting, kita akan mulakan dengan puji-pujian kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita mula berucap, sunat untuk kita memuji-muji Allah ‎ﷻ. Jadi, permulaan ayat ini untuk memuji-muji Allah ‎ﷻ.

Allah‎ ﷻ sahaja yang layak dipuji. Allah ‎ﷻ sendiri memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Kerana itulah, tidak layak kalau seseorang memuji dirinya kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang layak memuji Diri-Nya sendiri. Oleh itu riak adalah dosa besar.

Maka jangan kita mengharap orang puji kita. Malangnya kita selalunya mengharap orang lain memuji kita walaupun apa yang kita buat sedikit sahaja. Tidak ada apa sebenarnya untuk dipuji tentang diri kita kerana semuanya daripada Allah‎ ﷻ belaka.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita memuji-Nya kerana Dia memang telah terpuji, layak dipuji walaupun tidak ada yang memuji-Nya. Nanti selepas ini akan disebut antara sebab-sebab kenapa Dia layak dipuji.

 

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

yang menciptakan langit dan bumi,

Kenapa Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji? Kerana Dialah yang telah menjadikan alam ini. Maka kepada Dia sahaja kita boleh lakukan ibadat.

Kepada Dia sahaja kita sembah dan melakukan ibadat. Tidak ada yang layak disembah melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi berapa banyak sembahan kepada selain daripada Allah‎ ﷻ yang masyarakat kita buat?

Antaranya yang senang dilihat adalah orang awam menyembah Sultan dan Raja, seorang pesilat menyembah gurunya dan pelbagai bentuk lagi. Itu tidak termasuk sembahan dalam bentuk lain  – beri salam kepada Nabi, Malaikat dan Wali yang dilakukan masyarakat kita kerana tidak faham hal akidah. Itu dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain.

Kenapa disebut Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi sahaja? Tidakkah ada ciptaan Allah ‎ﷻ yang lain? Tentu ada, tetapi hanya disebut dua ciptaan ini sahaja dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana dua inilah yang manusia boleh nampak. Dua ciptaan inilah yang nampak agung kepada manusia. Makhluk Allah ‎ﷻ yang lebih agung adalah Arasy-Nya tetapi kita tidak nampak.

Ini dinamakan Tauhid Rububiyyah; iaitu kepercayaan bahawa Allah ‎ﷻlah pencipta alam ini. Tauhid Rububiyyah ini juga dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Mungkin ada yang terkejut dengan kata-kata ini. Namun ketahuilah bahawa Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka tahu yang Allah‎ ﷻ telah menjadikan alam ini. Mereka tahu Allah‎ ﷻ itu adalah Tuhan. Tetapi, masalahnya, dalam masa yang sama, mereka telah mengambil benda-benda lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’, yang mereka juga sembah.

Dalam ayat ini, digunakan sighah jamak (plural) bagi langit kerana langit adalah tujuh lapis. Sedangkan bagi bumi digunakan sighah mufrad (singular). Akan tetapi dalam ayat lain seperti Talaq:12, disebut yang bumi juga 7 lapis. Kenapa pula begitu? Ulama’ mengatakan yang walaupun bumi adalah 7 lapis, tetapi sifatnya lebih kurang sama sahaja antara lapisan-lapisan itu, maka ia dikira sebagai satu sahaja selalunya. Berbeza dengan langit yang amat berbeza antara satu lapis dengan lapis yang lain.

 

وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ

dan Dia menjadikan kegelapan

Apabila disebut tentang penciptaan langit dan bumi, digunakan perkataan خَلَقَ tetapi bila disebut penciptaan ‘gelap’ dan ‘terang’, digunakan perkataan جَعَلَ.

Pertamanya, ini untuk mempelbagaikan perkataan dan ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Jika perkataan yang sama sahaja digunakan, tentu amat membosankan. Dan Al-Qur’an bukanlah satu bacaan yang bosan. Ia cukup indah dan disusun dengan cantik dan molek sekali.

Kedua, ini juga adalah kerana جَعَلَ boleh digunakan untuk barang yang abstrak yang tidak boleh disentuh dan خَلَقَ hanya untuk benda yang boleh dilihat.

‘Kegelapan’ ada yang boleh dilihat seperti kegelapan malam, kegelapan dalam laut dalam, dalam gua dan sebagainya. Dan ada ‘kegelapan’ yang abstrak seperti kegelapan kekufuran, kemunafikan, kejahilan dan sebagainya. Dua-dua jenis kegelapan ini adalah ciptaan Allah ‎ﷻ juga.

Satu lagi pendapat mengatakan, digunakan جعل bagi kegelapan dan cahaya kerana gelap dan terang tidak berdiri sendiri. Ia adalah ‘sifat’ bagi sesuatu benda seperti langit dan bumi.

 

وَالنُّورَ

dan terang;

‘Cahaya’ juga ada dua jenis sepertimana ‘kegelapan’. Ada cahaya yang nampak seperti matahari, lampu, api dan sebagainya.

Dan ada cahaya yang abstrak seperti cahaya keimanan, hidayah, taqwa, ilmu dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻlah juga yang beri cahaya keimanan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini dan Dia juga yang menjadikan kegelapan dan cahaya. Maka ini hendak menunjukkan kehebatannya. Oleh kerana Dia hebat, maka Dialah sahaja yang layak disembah.

Balaghah: Lihatlah bagaimana apabila Allah ‎ﷻ menyebut kegelapan, ia dalam sighah jamak tetapi apabila disebut cahaya, ia dalam sighah mufrad sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kesesatan itu banyak jenis, tetapi kebenaran itu satu jenis sahaja, iaitu ikut wahyu sahaja.

Disebut kegelapan dahulu kerana gelap itu adalah yang asal. Hanya apabila ada cahaya baru kegelapan itu hilang. Maknanya, keadaan yang asal adalah gelap dan inilah yang biasa ada. Contohnya, siang terjadi apabila ada matahari; tenggelamnya matahari, maka gelaplah alam ini.

 

ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

dalam pada itu, orang-orang kafir

Kalimah ثُمَّ digunakan sebagai penyambung perkataan dalam ayat ini untuk menunjukkan ‘ketakjuban’. Bayangkan betapa menghairankan sekali orang kafir itu: Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini, tetapi mereka masih kufur juga – masih juga mahu menyembah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang amat menghairankan. Tidakkah mereka menggunakan akal mereka untuk memikirkan?

Lihatlah betapa bodohnya mereka ini. Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi dan apa yang di antaranya tetapi mereka tidak menyembah-Nya? Mereka tidak meluangkan masa yang sedikit untuk melakukan ibadat kepada-Nya? Berapa minit sahaja dari masa kita yang banyak ini kalau kita gunakan untuk salat? Tidak banyak mana pun, tetapi itu pun manusia tidak boleh buat. Alangkah menghairankan sekali!

 

بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka melakukan syirik kerana meletakkan Allah ‎ﷻ sama kedudukan dengan makhluk.

Asal kata يَعْدِلُونَ dari عدل yang bermaksud sesuatu yang ‘sama tinggi’. Jadi يَعْدِلُونَ bermaksud meletakkan dua perkara pada sama tinggi – seperti juga ‘keadilan’.

Musyrikin Mekah meletakkan makhluk sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu perbuatan syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ, namun berdoa juga kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah sama sekali. Inilah yang dinamakan syirik.

Sebagaimana orang kita juga yang meminta kepada makhluk, seperti golongan Syiah yang meminta kepada Saidina Ali, Husin dan Imam-Imam mereka yang lain; juga seperti Golongan Habib yang meminta kepada kuburan; seperti juga puak silat yang meminta kepada jin; seperti masyarakat kita yang jahil yang meminta kepada Nabi Muhammad; seperti bomoh, dukun, pawang yang meminta kepada jin syaitan dalam perubatan mereka – semua ini meminta kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.

Mereka menyamakan kedudukan entiti-entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Sepatutnya tempat permintaan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Yang Maha Mendengar adalah Allah ‎ﷻ, tetapi apabila mereka beriktikad ada makhluk lain juga dapat mendengar seperti Allah ‎ﷻ, maka mereka melakukan syirik.

Masyarakat kita ramai yang kurang faham tentang syirik. Mereka sangka syirik itu adalah apabila ‘menyembah’ berhala, seperti orang Hindu menyembah patung berhala mereka. Tetapi, mereka tidak tahu, apabila menyamakan sifat Allah ‎ﷻ dengan makhluk juga adalah syirik.

Kita pun tahu, Allah ‎ﷻ ada 99 nama (mengikut satu pendapat). Oleh itu, sekurang-kurangnya ada 99 jenis syirik yang manusia lakukan untuk setiap nama sifat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 51 – 59 (Qur’an dipermudahkan)

Ayat 51: Ayat 51 – 57 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Selepas Allah ﷻ ceritakan tentang azab yang akan dikenakan kepada golongan penentang kebenaran, maka ini pula adalah balasan baik yang diberikan kepada orang mukmin.

Jadi ayat ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi. Memang selalunya selepas Allah berikan takhwif, adalah terus memberikan tabshir. Amat berbeza nasib mereka dengan orang yang berdosa. Maka kena baca dan fikirlah mana satu yang kita hendak pilih.

Selepas ini Allah ﷻ akan senaraikan perkara-perkara yang manusia memang suka dan dambakan. Ada 6 perkara semua sekali:

1. Rumah yang selesa
2. Pakaian yang selesa
3. Pasangan hidup
4. Makanan yang baik-baik
5. Tempat kediaman yang kekal
6. Bebas dari kesusahan dan malapetaka

Semua ini disenaraikan satu persatu dalam ayat-ayat yang mendatang ini.

إِنَّ المُتَّقينَ في مَقامٍ أَمينٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be in a secure place;

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –

 

إِنَّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Dalam setiap perbuatan, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah ﷻ dalam perkara itu. Ini adalah kerana mereka takut dengan Allah ﷻ. Mereka hendak menjaga redha Allah. Mereka tidak berani buat perkara yang akan menyebabkan Allah murka.

Mereka itulah yang akan menjaga hatinya dari fahaman syirik dan akhirnya akan mati dalam tauhid. Semasa hidup, mereka menjaga anggota dari menderhaka. Ini tentunya memerlukan pengetahuan dan disiplin diri yang kuat yang hanya akan diberikan kepada mereka yang beriman dan berilmu sahaja.

 

فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

di tempat tinggal yang aman. –

Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut dan tidak akan ada lagi perkara buruk bagi mereka.

Apakah maksud أَمِينٍ? Mulai semasa mati dan di dalam kubur lagi mereka akan ditunjukkan dengan tempat mereka di syurga. Memang kubur kepada orang mukmin adalah taman syurga. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan kekal di dalamnya. Mereka tidak takut ia akan ditarik dari kerana tahu akan kekal berada di dalamnya.

Kalau kita ada harta di dunia, kita sentiasa ada rasa takut sama ada mungkin akan kehilangan, diambil atau rosak. Jadi, kita tidak ada rasa aman yang sepenuhnya tetapi di syurga, ia akan kekal bersama kita.

Ahli syurga akan tenteram dan selamat dari kebimbangan apa sahaja. Semasa di dunia kita sudah memilih tempat tinggal yang selamat dan aman untuk didiami kerana memang kehendak manusia macam itu. Allah ﷻ sediakan tempat untuk orang mukmin tempat yang tenteram.


 

Ayat 52: Semua ini dibandingkan dengan kemewahan yang ada pada Firaun dulu tetapi semua itu ditinggalkan. Kepada ahli syurga, mereka tidak akan meninggalkannya. Segala kemewahan itu tidak akan diambil dari mereka.

في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

Within gardens and springs,

Malay

Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya,

 

فِي جَنّٰتٍ

Di dalam beberapa taman Syurga,

Firaun ada banyak taman-taman, tetapi menjadi tidak bermakna kepadanya apabila ia ditinggalkan terus. Namun bagi orang mukmin akan dapat kebun-kebun/taman-taman syurga yang banyak (bukan satu) dan itu lebih hebat lagi dari kebun/taman yang Firaun ada dulu.

 

وَعُيُونٍ

dengan matair-matair terpancar padanya,

Ini adalah keterbalikan dari ahli neraka. Mereka dalam keadaan panas dan membara, tetapi ahli syurga dalam keadaan aman dan dingin. Maka manakah satu pilihan anda?

Dalam ayat lain disebut bagaimana mata air itu dari berbagai jenis. Ada air dari air tawar, air madu, air susu dan air arak. Apabila hendak minum cuma perlu ambil sahaja dari sungai itu. Air itu tidak memabukkan penghuni syurga dan tidak memudharatkan langsung. Ini tidak sama dengan arak di dunia kerana semasa kita di dunia, kalau minum arak memang akan memudharatkan kita. Namun ini tidak dialami apabila di syurga nanti.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Ayat 53: Pakaian apakah yang mereka akan pakai di sana?

يَلبَسونَ مِن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَقٰبِلينَ

Sahih International

Wearing [garments of] fine silk and brocade, facing each other.

Malay

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).

 

يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus

Semasa di dunia, pakaian sutera adalah pakaian yang mewah. Tidak ramai yang boleh memakai sutera kerana ia mahal dan susah untuk dijadikan. Namun, semua ahli syurga akan pakai 70 lapis pakaian sutera. Kenapa banyak sangat? Ini kerana suasana di syurga adalah dingin iaitu dingin yang menyenangkan. Jadi, kena pakai pakaian yang tebal sikit baru sedap lagi.

Terdapat sutera lembut dan sutera tebal yang disebut dalam Al-Qur’an. Sutera lembut itu adalah yang digunakan pada badan kerana untuk badan, memang kain yang lembut sikit digunakan.

Di dunia, orang lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Ia adalah hukum yang telah ditetapkan tetapi dibenarkan memakainya di syurga. Jadi, kalau kita jaga hukum di dunia dengan tidak memakainya, kita akan memakainya di syurga kelak.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan kain sutera tebal yang bersulam;

Sebelum ini disebut sutera halus. Ia digunakan untuk baju, manakala sutera kasar pula untuk seluar. Macam kita di dunialah juga, kalau untuk seluar, kain yang lebih tebal digunakan.

Pakaian sutera dipakai jika seseorang itu kaya dan tidak ada kerja berat yang perlu dilakukan. Tidak mungkin seseorang hendak memakai sutera semasa membuat kerja. Ini bermaksud, ia menunjukkan isyarat kemewahan, duduk bersenang lenang dan menikmati masa lapang. Ahli syurga tidak ada apa-apa kerja lagi yang mereka perlu lakukan.

 

مُّتَقٰبِلِينَ

Duduk berhadap-hadapan.

Duduk dengan mesra bersama-sama ahli syurga yang lain dan tidak ada perasaan marah dan tidak selesa. Oleh kerana itu mereka boleh duduk berhadap-hadapan tanpa rasa kekok. Bilakah kita boleh begini? Bagi kita kalau ada rasa kekok sikit pun, akan susah hendak duduk berhadapan dengan orang lain. Namun, dalam syurga tidak ada rasa langsung perasaan tidak selesa sebegitu.

Juga bermaksud semua mengadap di hadapan. Ini terutamanya semasa di majlis bersama dengan Allah ﷻ. Mereka tidak ada yang duduk di belakang orang macam dalam dunia. Maknanya, tidak ada darjat rendah sebab duduk belakang orang lain tidak bagus.

Kalau di dunia, macam dalam stadium yang ada duduk depan dan belakang ikut tiket. Kalau tiket murah, duduk di belakanglah. Namun di syurga, tidak ada tiket duduk belakang, semua duduk depan. Macam mana Allah ﷻ buat sampai boleh jadi begitu, Allahu a’lam. Kita kena tunggu masuk syurga baru akan dapat tahu.


 

Ayat 54: Tidaklah ahli syurga duduk berseorangan tanpa pasangan. Maka Allah ﷻ berikan pasangan untuk mereka.

كَذٰلِكَ وَزَوَّجنٰهُم بِحورٍ عينٍ

Sahih International

Thus. And We will marry them to fair women with large, [beautiful] eyes.

Malay

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah balasannya;

Begitulah telah disebutkan dalam ayat-ayat yang lepas tentang balasan-balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh semasa di dunia. Bukan itu sahaja, ada lagi yang akan diberi:

 

وَزَوَّجْنٰهُم

dan Kami jodohkan mereka

Mereka akan diberi pasangan. Ini kerana kita sebagai manusia memang suka kepada pasangan hidup kerana tidak suka kalau hidup berseorangan. Kalau ada sesuatu kenikmatan, tentu kita hendak berkongsi dengan pasangan kita, bukan? Namun, siapakah pasangan mereka?

 

بِحُورٍ عِينٍ

dengan bidadari-bidadari cantik matanya.

Perkataan حُورٍ digunakan untuk ‘perempuan yang bermata cantik’. Mata putih yang amat putih dan mata hitam yang amat hitam – ini adalah kontras yang cantik. Kita sebagai manusia juga suka tengok mata orang lain, bukan?

Perkataan عِينٍ pula digunakan untuk mengisyaratkan kepada perempuan yang mempunyai ‘mata besar yang cantik’. Terpesona kita melihatnya. Allah ﷻ menyebut ‘mata’ untuk membayangkan kepada kita kecantikan pasangan hidup di syurga itu.

Ada juga yang membezakan: حُورٍ nisbah kepada warna kulit yang cantik dan عِينٍ pula nisbah kepada kecantikan mereka. Sudahlah kulit cantik, mereka juga memang cantik.

Ketua bidadari dalam syurga kita adalah isteri kita sendiri. Maknanya pasangan hidup kita semasa di dunia lagi (jikalau isteri turut masuk sekali ke dalam syurga). Sebenarnya, isteri kita lebih cantik dari bidadari-bidadari itu iaitu mereka akan dicantikkan apabila dimasukkan ke dalam syurga nanti. Bukanlah kita masuk dengan rupa kita semasa di dunia. Umur lelaki akan tetap 31 tahun dan perempuan berumur 29 tahun.

Walau bagaimana cantik sekalipun bidadari-bidadari itu, isteri kita lebih cantik dari mereka. Ini kerana isteri yang di dunia telah melalui banyak rintangan dan dugaan dan mereka ada melakukan amal ibadat. Walhal, bidadari dijadikan terus oleh Allah ﷻ. Maka kerana itu tidaklah mereka lebih hebat dari pasangan yang berasal dari dunia.

Jadi, jangan kita sangka bidadari sahaja pasangan kita. Isteri kita juga akan bersama dengan kita kalau dia adalah ahli syurga. Kalau isteri kita tidak masuk syurga, kita akan dipasangkan dengan wanita dunia yang tidak ada suami atau suami mereka tidak masuk syurga. Inilah salah satu pendapat.

Banyak persoalan diberikan terutama dari pihak wanita: “Kenapa hanya disebut bidadari sahaja? Kenapa tidak disebut pasangan untuk wanita pula?”. Ini wanita-wanita jangan risau. Wanita-wanita dunia akan dapat pasangan mereka juga. Malah, mereka akan dapat apa sahaja yang  mereka mahu.

Namun, Al-Qur’an hanya menyebut pasangan untuk lelaki sahaja, kerana memang perangai lelaki macam itu iaitu berkehendak kepada wanita. Dari dulu sampai sekarang, semua orang lelaki begitu. Namun orang perempuan lain sikit emosi mereka dan tidak sama seorang wanita dengan wanita yang lain.

Tidak sama keinginan pada satu masa dan masa yang lain. Hari ini hendak itu, esok hendak benda lain pula. Jadi, tidak dapat disebut satu benda yang wanita berkeinginan secara penuh. Jadi, Al-Qur’an hanya menyebut secara umum sahaja. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka hendak. Jadi jangan takutlah kalau mereka tidak mendapat nikmat macam yang lelaki dapat. Tidak ada kekurangan kerana mereka akan dapat semuanya, tetapi tidak dapat disebut apakah perkara itu.


buah-buahan-dalam-al-quran

 

Ayat 55:

يَدعونَ فيها بِكُلِّ فٰكِهَةٍ ءآمِنينَ

Sahih International

They will call therein for every [kind of] fruit – safe and secure.

Malay

Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.

 

يَدْعُونَ فِيهَا

Mereka meminta di dalam Syurga itu –

Allah ﷻ memberi motivasi lagi untuk manusia. Ketika di dunia, kita hendak makan macam-macam. Hari-hari kita hendak makan benda-benda yang sedap tetapi tidak semua yang kita mahu, kita akan dapat. Ini kerana mungkin kita tidak mampu, atau benda itu memang tidak ada, atau tidak baik buat kita. Maka, Allah ﷻ berkata, hendak makan apa sahaja di syurga, mereka akan dapat.

 

بِكُلِّ فٰكِهَةٍ

tiap-tiap jenis buah-buahan,

Allah ﷻ sebut buah-buahan kerana masyarakat Arab memang suka kepada buah-buahan. Namun tentulah bukan buah sahaja yang akan diberi sebagai makanan di sana. Ada berbagai-bagai jenis makanan akan diberikan nanti.

 

ءآمِنِينَ

dalam keadaan aman.

Kenapa perkataan آمِنِينَ digunakan sekali lagi? Mereka dikatakan akan makan buah-buahan itu dalam keadaan aman kerana tidak akan habis, rosak, atau ia akan menyebabkan kita sakit.

Kadang-kadang kalau kita makan sesuatu makanan di dunia, ada sahaja rasa takut dengan sebab-sebab lain. Mungkin buah itu sudah hendak habis jadi kita berdikit untuk makan; mungkin buah itu sudah hendak busuk; mungkin buah itu orang lain makan sedap tetapi kita makan tidak sedap pula sebab tidak kena dengan tekak kita; atau kalau makan banyak sangat, akan menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya.

Sebagai contoh, ada orang tidak boleh makan durian semasa di dunia disebabkan ada kesan-kesan tidak elok. Namun, kalau makan buah-buah di syurga, tidak akan ada kesan itu. Semuanya sedap-sedap belaka dan selamat untuk kita makan, tidak kira berapa banyak.

Kalau di dunia kita hendak makan susah juga kerana kalau hendak minta makanan di hotel mahal, tentu harganya turut mahal juga. Namun nanti di syurga hendak minta makanan apa sahaja, tidak ada bayaran lagi yang hendak dibayar kerana kita sudah ‘bayar’ dengan amalan kita semasa di dunia dulu.

Perkataan ‘aman’ selalu diulang-ulang kerana ini adalah satu kriteria penting dalam syurga. Tidak ada rasa takut apa-apa dalam syurga nanti. Kalau harta dunia, ada sahaja rasa risau kita dengan harta itu hilang, kena curi, rosak, sudah tidak cantik dan sebagainya tetapi di syurga, kita akan rasa aman sahaja.


 

Ayat 56: Ada ayat sebelum ini yang menyentuh tentang kematian. Bagaimana Musyrikin Mekah kata apabila mati, mereka akan menjadi seperti mati yang sebelum hidup. Kali ini disentuh lagi hal kematian.

لا يَذوقونَ فيهَا المَوتَ إِلَّا المَوتَةَ الأولىٰ ۖ وَوَقٰهُم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

They will not taste death therein except the first death, and He will have protected them from the punishment of Hellfire

Malay

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

 

لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu

Mati adalah satu benda yang paling ditakuti oleh manusia dalam dunia. Boleh dikatakan semua orang takut mati tetapi dalam syurga, sudah tidak ada perasaan itu lagi. Allah ﷻ sudah tarik habis perasaan itu dari dalam diri kita. Ini adalah kerana Allah ﷻ akan panggil ‘kematian’ dan akan dimatikan ‘kematian’ itu. Maka tidak akan ada kematian di akhirat, sama ada dalam neraka atau syurga.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“يُؤْتَى بِالْمَوْتِ فِي صُورَةِ كَبْشٌ أَمْلَحُ، فَيُوقَفُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُذْبَحُ، ثُمَّ يُقَالُ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ”

maut didatangkan dalam rupa kambing kibash yang bertanduk, lalu dihentikan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih, dan dikatakan, “Hai ahli syurga, kekallah, tiada kematian lagi. Hai ahli neraka, kekallah tiada kematian lagi.”

Maka bergembiralah ahli syurga kerana mereka tahu mereka akan kekal dalam Syurga; dan menangislah ahli Neraka kerana mereka tahu yang mereka akan kekal dalam Neraka.

Maka, memang tidak ada apa lagi yang ditakuti dalam syurga nanti. Ahli syurga akan dapat kepastian yang mereka akan kekal dalam syurga sampai bila-bila. Mereka boleh menikmati keamanan dan nikmat dalam syurga tanpa ada rasa risau sedikit pun.

Bayangkan kalau seorang dapat duduk di hotel yang paling mahal dan mewah dalam dunia. Memang dia seronok dan selesa semasa duduk di hotel, tetapi dia tahu yang lama-kelamaan dia kena tinggalkan juga hotel itu. Jadi ini mengurangkan kenikmatan duduk dalam hotel tetapi kalau ahli syurga, mereka tidak ada kerisauan ini lagi.

 

إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ

selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;

Itu sahaja kematian yang mereka akan rasai. Hanya kematian di dunia sahaja yang mereka akan terima. Malah, tidur juga tidak diberikan kepada ahli syurga:

قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ مُحَمَّدٍ النَّاقِدُ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ الرَّقِّيُّ، حَدَّثَنَا مُصْعَبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ الرَّبِيعِ الْكُوفِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيِّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ المُنْكَدِر، عَنْ جَابِرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سُئل نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيَنَامُ أَهْلُ الْجَنَّةِ؟ فَقَالَ: “النَّوْمُ أَخُو الْمَوْتِ، وَأَهْلُ الْجَنَّةِ لَا يَنَامُونَ”

Abul Qasim At-Tabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Muhammad An-Naqid, telah menceritakan kepada kami Salim ibnu Abdullah Ar-Ruqqi, telah menceritakan kepada kami Mus’ab ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Imran ibnur Rabi’ Al-Kufi, dari Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Jabir r.a. yang mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah ditanya, “Apakah ahli syurga tidur?” Nabi ﷺ menjawab: Tidur itu adalah saudaranya mati, maka ahli syurga itu tidak tidur.

Ahli syurga tidak penat, maka tidak perlu tidur. Malah kalau tidur, sudah rugi tidak dapat menikmati nikmat-nikmat dalam syurga selama beberapa jam. Maka ahli syurga tidak perlu tidur. Hanya rehat-rehat sahaja.

 

وَوَقٰهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

Kenapa mereka dikatakan ‘diselamatkan’ dari neraka? Ini adalah kerana semua kita kena lalui neraka di Titian Sirat nanti, termasuklah ahli syurga juga. Oleh itu, mereka yang tidak masuk Neraka adalah mereka yang telah ‘diselamatkan’.

Waktu itu, kita sendiri akan melihat bagaimana azab dalam Neraka itu. Kita akan lebih lagi rasa bersyukur kerana kita telah nampak apa yang kita telah selamat darinya. Kalau kita terus masuk Syurga, kita mungkin tidak dapat menghargai sangat. Namun, apabila sudah nampak neraka, kemudian dapat memasuki syurga, lagilah kita rasa bersyukur.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia yang selamatkan ahli syurga itu. Ini memberitahu kita bukan kerana amalan yang dilakukan menyebabkan kita selamat dari neraka. Amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi dosa kita tentu banyak tetapi Allah ﷻ yang selamatkan dari neraka itu. Ini adalah kerana Rahmat Allah ﷻ.

Sesungguhnya hal itu mereka peroleh hanyalah berkat kurnia dan kebaikan Allah ﷻ kepada mereka, seperti yang disebutkan di dalam hadis sahih dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

“اعْمَلُوا وَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَدًا لَنْ يُدخله عَمَلُهُ الْجَنَّةَ” قَالُوا: وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يتغمَّدني اللَّهُ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَفَضْلٍ”

Beramallah, luruskanlah dan dekatkanlah kalian, dan ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga oleh amalnya! Para sahabat bertanya, “Dan tidak pula engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah Saw. menjawab: Dan tidak pula aku, terkecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan karunia-Nya kepadaku.

Maka dengan rahmat Allah ﷻ lah sahaja yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga walaupun dosa-dosa kita mungkin banyak. Dosa-dosa yang banyak itu Allah ﷻ telah ampunkan. Kalau Allah ﷻ kira semua sekali, tentu tidak ada harapan untuk sesiapa  masuk syurga.


 

Ayat 57:

فَضلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

As bounty from your Lord. That is what is the great attainment.

Malay

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.

 

فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ

sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu

Limpah kurnia yang paling besar adalah yang disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu tidak ada kematian.

Kalimah فَضْلًا adalah satu ‘pemberian yang tidak perlu diberi’. Iaitu pemberian yang berlebih-lebih dari yang sepatutnya. Dibandingkan dengan pemberian yang kita beri mungkin kerana seseorang beri kita sesuatu dan kita balas budi dia. Jadi lain dengan فَضْلًا  ini. Kita tidak perlu hendak bagi tetapi kita hendak memberi juga sebagai satu bonus. Jadi, segala kelebihan yang didapati dalam syurga adalah satu pemberian ‘bonus’ dari Allah ﷻ.

Kalimah فَضْلًا juga bermaksud pemberian balas yang lebih lagi dari apa yang diberi. Ini kerana kita tidak mungkin layak untuk masuk syurga berdasarkan kepada amalan kita. Namun, kita dapat masuk kerana Allah ﷻ hendak memberi kepada kita atas sifat rahmat-Nya dan Allah ﷻ puas hati dengan apa yang telah kita lakukan.

Bandingkanlah pemberian segala nikmat syurga itu dengan amalan kita yang sedikit. Amal sedikit sahaja, tetapi dibalas dengan banyak. Beramal beberapa tahun sahaja di dunia, tetapi dibalas dengan syurga selama-lamanya. Memang patut kalau lafaz فَضْلًا digunakan.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Iaitu selamat dari neraka dan dapat masuk syurga. Itulah kemenangan yang paling besar. Tidak ternilai harganya dan tidak mampu kita hendak membayarnya walaupun kalau kita beramal sepanjang hidup. Kita tidak akan masuk syurga disebabkan amalan kita sahaja. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ.

Lafaz الْفَوْزُ selalu diterjemahkan sebagai ‘kemenangan’ tetapi ia adalah jenis kejayaan yang didapati dan dalam masa yang sama, terlepas dari keburukan. Kita sudah dapat masuk dalam syurga, tetapi kita juga sebenarnya terlepas dari termasuk dalam azab neraka. Itu adalah kejayaan yang amat besar.

Jadi kita masuk syurga bukan kerana ‘pahala’ kita. Maka, amalan bidaah masyarakat kita yang ‘sedekah pahala’ itu adalah sia-sia sahaja. Oleh itu, hentikanlah dari membuat amalan yang sia-sia dan menambah-nambah dosa sahaja.


 

Ayat 58: Sekarang berubah kepada topik yang baru pula iaitu  tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana untuk masuk syurga, kena beramal dengan amalan Al-Qur’an. Nabi Muhammad ﷺ sudah tidak ada di kalangan kita untuk memberi nasihat terus kepada kita.

Namun, kita tetap ada Al-Qur’an ini. Maka, untuk masuk syurga dengan segala kenikmatan yang telah disebut di atas, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan beramal dengan apa yang disuruh dalam Qur’an. Selain itu kena mendekati Al-Qur’an dan selalu mendalami maksudnya. Untuk mendekatinya, Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita.

Ayat 58 dan 59 ini adalah Perenggan Makro Kelapan dan terakhir. Ia memberitahu kita yang Al-Qur’an ini mudah untuk dipelajari sebenarnya. Maka ambillah peluang untuk belajar tafsir Al-Qur’an.

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And indeed, We have eased the Qur’an in your tongue that they might be reminded.

Malay

Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Qur’an dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

 

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Qur’an

Allah ﷻ mengulang topik Al-Qur’an yang dibuka di awal surah. Surah ini dimulai dengan topik Al-Qur’an dan sekarang di bahagian akhir, diulang balik topik yang sama. Inilah kebiasaan di mana Allah ﷻ akan menutup dengan menyentuh perkara pertama yang disebut di awal sesuatu surah.

Allah ﷻ berfirman mengatakan Dia memudahkan Al-Qur’an untuk kita. ‘Mudah’ bukanlah bermaksud ‘simple’ (senang), tetapi ‘possible’ (tidak mustahil). Al-Qur’an bukanlah sesuatu yang mudah sangat sampai membaca sekali atau membaca sendiri boleh fahami, tidaklah begitu. Ini adalah kerana Al-Qur’an adalah amanat yang tinggi bahasanya dan hebat penerangannya.

Oleh sebab itu, kalau tidak belajar tafsir dengan guru, susah untuk faham apakah yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an. Walaupun kalau kita membaca terjemahan atau tahu bahasa Arab, kita masih susah hendak fahami sebenarnya. Jadi, untuk benar-benar faham Al-Qur’an sebenarnya bukanlah mudah sehinggakan pelajar peringkat sekolah rendah juga boleh faham.

Namun, Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita untuk memahaminya asalkan kita meluangkan masa dan tenaga sedikit untuk mempelajarinya. Memang kena masuk kelas tafsir.

Begitulah tujuan penulisan tafsir ini. Ia sebagai sumber rujukan untuk pembaca sekelian, tetapi anda hendaklah berguru dengan guru yang faham Al-Qur’an. Ini kerana apabila berguru, kalau ada perkara yang anda tidak faham, anda boleh bertanya.

Namun, hendaklah berhati-hati dalam memilih guru. Jangan salah pilih, nanti tersalah fahami Al-Qur’an. Oleh itu kena cari guru yang memang ada sanad untuk mengajar.

Untuk memahami Al-Qur’an, ia memerlukan usaha tetapi boleh dilakukan. Itulah maksud يسر itu. Maknanya ‘mudah’ itu, semuanya sudah disediakan untuk mencapai maksud. Macam kalau kita ditugaskan untuk menggali lubang – kita diberikan dengan alat-alat untuk menggali lubang seperti cangkul dan sebagainya. Maksudnya, Al-Qur’an itu ‘dipermudahkan’.

Allah ﷻ memberitahu Al-Qur’an ini mudah sahaja untuk dipelajari. Ini untuk memberi dorongan kepada kita untuk belajar. Kalau kita sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan dapati yang ia lebih mudah dari belajar matematik dan sains di sekolah.

Cuma orang jahil wahyu sahaja yang kata tafsir Al-Qur’an ini tidak boleh dipelajari oleh orang awam. Ini adalah bisikan syaitan yang memang tidak mahu manusia kenal ajaran dalam Al-Qur’an. Maka syaitan bisikkan kepada orang jahil supaya berkata begitu untuk menakutkan orang belajar tafsir.

 

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Iaitu Bahasa Arab yang jelas. Sifat bahasa Arab ini lain dari bahasa dunia yang lain. Ini adalah kerana bangsa Arab tidak bercampur dengan bangsa lain semasa perkembangan bahasa Arab. Jadi, pencapaian bahasa Arab telah dipertingkatkan dan menjadi bahasa yang amat mantap.

Mereka adalah bangsa yang mementingkan keindahan bahasa, suka dan pandai berpuisi, bersajak dan sebagainya. Cuma apabila zaman berubah, bahasa Arab sudah dicampuri dengan bahasa lain dan ia sudah tidak mantap lagi. Oleh itu, dalam memahami Al-Qur’an, kita kena cari maknanya yang asal. Ini dipanggil ‘bahasa Arab Klasik’.

Bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah bahasa yang mudah difahami. Bukan macam bahasa falsafah, yang berpusing-pusing sampai sudah tidak dapat faham apakah yang hendak disampaikan. Susah sangat sampai orang biasa tidak faham. Jadi Al-Qur’an tidaklah susah sangat, tetapi masih kena luangkan masa untuk belajar, bukan boleh faham sendiri.

‘Bahasa engkau’ – maksudnya ‘bahasa Nabi’, iaitu bahasa Arab. Mungkin ada yang tanya, kenapa dikira mudah kalau bahasa Arab? Ia dikira mudah kerana bahasa itu mudah untuk diterima kerana mudah untuk difahami. Kita yang memang asal tidak tahu cakap bahasa Arab juga boleh faham kalau kita sudah mula belajar, bukan?

Kalau tahu bahasa Arab lagilah senang hendak faham Al-Qur’an ini. Maknanya, tidak tahu bahasa Arab juga boleh faham, kerana bahasa Arab ini adalah bahasa yang hebat. Kalau tahu bahasa Arab, lagilah mudah faham apa yang dipelajari.

Bahasa Arab itu sangat sesuai untuk memberitahu perkara yang tersirat kerana ia adalah bahasa yang kaya. Satu kalimah boleh membawa banyak makna. Sudah cukup untuk sampaikan sesuatu perkara yang besar menggunakan bahasa yang minima sahaja.

Selalunya, apabila seseorang itu sudah semakin tinggi ilmunya, sudah jadi Doktor Falsafah, dan ada PHD, cara cakapnya sudah lain sedikit sebab mindanya juga sudah berbeza. Sampaikan perkataan yang digunakan kadang-kadang tidak difahami oleh orang biasa, apatah lagi orang kampung.

Namun lihatlah, tiada yang lebih alim dari Allah ﷻ , tetapi Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an yang mudah manusia fahami. Orang yang peringkat PHD boleh faham, orang kampung juga boleh faham. Begitulah hebatnya bahasa Al-Qur’an itu.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka mendapat peringatan.

Inilah tujuan Al-Qur’an untuk memberi peringatan kepada manusia dan jin. Kalau bukan peringatan itu datang dari Al-Qur’an, dari mana lagi? Ini kerana perkara-perkara ghaib memang kita tidak boleh dapat kalau hendak usaha untuk tahu sendiri.

Kalimah zikir yang digunakan juga sebagai isyarat yang Al-Qur’an ini mudah untuk dihafali. Asalkan kita mahu berusaha. Mulakan dengan sikit kemudian kita akan perasan bahawa ia semakin mudah. Kita juga boleh perasan yang kualiti hidup kita akan bertambah baik apabila kita mula menghafal Al-Qur’an.

Begitu hebatnya Al-Qur’an dan sedap, sampaikan orang yang tidak tahu bahasa Arab pun boleh hafal. Ramai budak-budak tahfiz yang hafal Al-Qur’an itu bukannya tahu bahasa Arab dan mereka tidak belajar tafsir pun lagi. Tapi walaupun begitu, mereka boleh hafal. Begitu jugalah para imam di masjid dan surau di negara kita. Ramai yang tidak tahu bahasa Arab dan faham Al-Qur’an tapi mereka tetap dapat hafal surah-surah dan memang sedap mereka baca.

Jadikanlah Al-Qur’an sebagai ‘zikir’ harian kita. Inilah zikir yang paling baik kalau dibandingkan dengan zikir-zikir yang lain. Pahalanya lebih banyak dari zikir-zikir yang lain. Gantikan lagi yang biasa dinyanyikan dengan lagu Al-Qur’an.


 

Ayat 59: Takhwif Duniawi. Namun, dengan segala peringatan serta dakwah yang diberikan, puak Musyrikin Mekah dan mereka yang degil, masih lagi tidak mahu beriman dan membantah usaha Nabi ﷺ. Inilah nasihat Allah ﷻ kepada baginda ﷺ dan kepada kita juga:

فَارتَقِب إِنَّهُم مُّرتَقِبونَ

Sahih International

So watch, [O Muhammad]; indeed, they are watching [for your end].

Malay

(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).

 

فَارْتَقِبْ

maka tunggulah

Perkataan رقب bermaksud tunggu tetapi bukan tunggu sahaja; ia bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’. Tunggulah sampai Allah ﷻ membuat keputusan.

Jadi ini adalah amaran dari Allah ﷻ supaya prihatin dengan Al-Qur’an. Allah sudah mudahkan, maka ambillah peluang mempelajari dan mengamalkannya. Kalau tidak kisah juga, maka kamu berjaga-jagalah. Nanti kamu akan tahu akibatnya dari penolakan pendustaan terhadap Al-Qur’an ini.

Ayat ini bermaksud tunggulah kesudahan mereka. Contoh seperti Nabi Musa عليه السلام menunggu apa yang akan terjadi kepada Firaun kerana kita tidak mampu hendak buat apa-apa kepada penentang wahyu. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ dan tunggu apakah keputusan Allah ﷻ.

 

إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ

sesungguhnya mereka juga menunggu.

Perkara yang Musyriki Mekah tunggu akan kematian Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana kata mereka, kalau Nabi ﷺ mati, ajaran baginda ﷺ ini akan mati bersamanya. Itu adalah penantian yang sia-sia dan ia memberi isyarat kepada kita: kalau mereka menunggu, maka kita juga kena lebih sabar menunggu daripada mereka.

Kemungkinan juga ia bermaksud: tidaklah yang mereka tunggu itu melainkan keputusan azab Allah ﷻ yang pasti akan kena kepada mereka. Mereka sahaja yang tidak tahu balasan buruk yang akan dikenakan kepada mereka nanti.

Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat pertolongan, kemenangan, dan kalimah yang tinggi di dunia dan akhirat. Sesungguhnya kelebihan syurga itu hanyalah untuk Nabi Muhammad ﷺ, dan bagi pengikut baginda ﷺ dari kalangan para Nabi dan para rasul serta orang-orang yang mengikutimu dari kalangan kaum mukmin.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Jathiya

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 40 – 49 (Penerangan Akhirat)

hari keputusan
Hari Keputusan. Hari amalan dihisab.

Ayat 40: Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang Hari Kiamat pula. Ini adalah salah satu perkara yang selalu diulang-ulang dalam Qur’an untuk mengingatkan manusia tentang ancaman Allah ﷻ. Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

إِنَّ يَومَ الفَصلِ ميقٰتُهُم أَجمَعينَ

Sahih International

Indeed, the Day of Judgement is the appointed time for them all –

Malay

Sesungguhnya hari pemutusan hukum untuk memberi balasan, ialah masa untuk mereka semua berhimpun, –

 

إِنَّ يَوْمَ الْفَصْلِ

Sesungguhnya hari pemutusan hisab amal,

Ini adalah jawapan kepada hujah Musyrikin Mekah yang minta dibawakan tok nenek mereka yang telah mati. Allah ﷻ memberitahu yang hari akhirat dan penghisaban amal itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ, bukan hendak ikut kehendak mereka. Allah ﷻ yang tentukan bila akan berlaku.

Perkataan الْفَصْلِ literalnya bermaksud ‘yang memisahkan’. Ia dipanggil ‘hari pemutusan’ kerana pada hari itu, walaupun semua makhluk akan dikumpulkan, mereka akan dipisahkan antara satu sama lain.

Apa sahaja pertalian antara mereka akan diputuskan walaupun antara kawan, keluarga, anak murid dan sebagainya. Mereka akan diadili seorang demi seorang.

Kebenaran dan kebatilan juga akan dipisahkan pada hari itu. Maka, akan nampak jelas kepada semua orang mana yang benar dan salah. Amalan yang baik akan dibalas dengan baik dan begitu juga jika melakukan amalan yang salah pasti akan dibalas.

Keputusan akan diberikan kepada semua makhluk pada hari itu.

 

مِيقٰتُهُمْ أَجْمَعِينَ

ialah masa untuk mereka semua berhimpun, –

Perkataan مِيقَاتُ diambil dari perkataan وقت yang bermaksud ‘sesuatu yang telah ditetapkan dari segi waktu’. Semua makhluk akan dihimpunkan pada masa yang telah ditetapkan. Namun, hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah masanya. Tidak ada sesiapa yang tahu bilakah kejadian itu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Mereka yang tidak beriman tidak percaya kepada hari ini. Mereka tidak sangka hari ini akan tiba tetapi ia pasti akan berlaku. Sama ada mereka percaya atau tidak, mereka semua tetap akan dihimpunkan, tidak ada sesiapa  yang akan tertinggal.


 

Ayat 41: Apakah yang terjadi pada hari itu?

يَومَ لا يُغني مَولًى عَن مَولًى شَيئًا وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

The Day when no relation will avail a relation at all, nor will they be helped –

Malay

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan,

 

يَوْمَ لَا يُغْنِي

Iaitu hari tidak dapat membantu,

Ramai yang sangka dan berharap yang mereka akan dibantu oleh seseorang. Ada yang mengharapkan tuhan sembahan mereka selain Allah ﷻ iaitu dewa, ahli keluarga, wali yang mereka puja dan beri salam, malaikat, guru yang mengajar ajaran salah dan macam-macam lagi.

Apabila mereka sangka akan ditolong, maka mereka rasa selamat tetapi ini adalah satu pemahaman yang salah. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu kita nanti di akhirat melainkan amal kita sendiri.

 

مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا

seseorang kerabat atau sahabat karib kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, walau sedikit pun.

Apakah maksud مَوْلًى? Ia dari perkataan و ل ي – wali. Orang kita banyak sebut perkataan ini, terutama yang belajar agama. Lebih-lebih lagi yang berkecimpung dalam ajaran tarekat. Sikit-sikit mereka akan sebut wali itu dan wali ini kerana itu perkara yang paling disukai. Mereka bercerita tentang kehebatan wali kerana seronok dan khayal dengan kisah dongeng para wali itu. Tanpa disedari ia hanya membuatkan mereka begitu mudah dan senang ditipu.

Wali dan مَوْلًى adalah ‘kawan rapat’ dan juga ‘penjaga’. Apakah bezanya antara wali dan mawla?

Wali – seseorang yang menawarkan pertolongan mereka. Belum tentu dia boleh bantu lagi.

Mawla – seseorang yang pasti membantu. Dia memenuhi janjinya untuk membantu.

Perkataan مَوْلًى digunakan dalam ayat ini kerana memang mereka semasa di dunia membantu kita. Namun, di akhirat mereka tidak dapat membantu walaupun mereka kalau boleh hendak membantu. Contoh seperti ibubapa kita, memang boleh mengharapkan mereka untuk membantu kita dalam setiap keadaan kerana mereka memang sayang kepada kita.

Begitu juga, ada jenis-jenis kawan yang kita memang boleh harap. Kalau ada masalah, kita minta tolong, mereka akan tolong selagi boleh. Walaupun begitu ada juga jenis kawan yang hanya berkawan dengan kita semasa senang sahaja. Namun, مَوْلًى adalah kawan yang memang boleh diharap.

Tapi mereka hanya boleh jadi مَوْلًى semasa di dunia sahaja dan tidak boleh hendak tolong langsung sesiapa apabila di akhirat nanti.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu sedikit pun. Seorang ayah tidak dapat membantu anaknya. Tidaklah juga seorang guru boleh tolong anak muridnya dan seorang wali boleh menolong sesiapa pun. Namun berapa banyak masyarakat kita yang memuja wali, sebab mengharap wali-wali itu boleh menolong mereka.

Mereka seru wali-wali mereka itu siang dan malam, dengan harapan dapat mendekatkan diri mereka dengan wali yang diseru itu. Namun seperti Dakwa Surah ini beritahu kita, hanya Allah ﷻ sahaja yang Maha Mendengar seruan kita, dan para wali itu tidak ada sifat mendengar sebegitu.

Jadi, serulah banyak mana pun, mereka tidak dapat mendengar. Jadi mereka yang menyeru-nyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja.

 

وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan

Tidak ada sesiapa yang boleh ditolong. Hendak tolong tidak boleh, hendak ditolong juga tidak boleh. Mereka nampak kenalan mereka, bukan tidak nampak, tetapi tidak boleh hendak tolong atau minta tolong.

Ini adalah bantuan lain selain keluarga atau kawan. Mungkin ada yang berharap entah belas kasihan dari Allah ﷻ. Ini turut tidak diberikan kepada mereka yang lalai dalam agama. Apa sahaja yang tergambar dalam harapan mereka sesuatu atau sesiapa yang boleh membantu, tidak akan dapat membantu. Allah ﷻ tutup semua harapan.

Jadi kita tidak boleh hendak mengharap kepada sesiapa jua di akhirat nanti. Maka janganlah kita bangga dan rasa selamat kalau ada keluarga kita yang alim, atau kita ada kawan dengan orang yang baik-baik. Kita kena berharap pada diri kita sahaja. Maka janganlah buang masa lagi menyeru-nyeru para Nabi dan wali dengan harapan mereka tolong kita nanti.


 

Ayat 42: Kalau tidak ada sesiapa pun yang boleh tolong, maka hendak berharap kepada siapa waktu itu?

إِلّا مَن رَّحِمَ اللهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

Sahih International

Except those [believers] on whom Allah has mercy. Indeed, He is the Exalted in Might, the Merciful.

Malay

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

 

إِلَّا مَن رَّحِمَ اللهُ

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah;

Hanya dengan Allah ﷻ sahaja kita boleh berharap. Kita hendaklah mengharapkan rahmat dan belas kasihan dari Allah ﷻ. Kita tidak boleh mengharapkan kepada yang lain. Kalau kita menaruhkan harapan kepada yang lain, kita akan kecewa.

Namun, tidaklah dengan harapan kosong sahaja. Kenalah kita ada usaha untuk buat baik, baru ada harapan. Maka, kita kena buat baik semasa di dunia, barulah Allah ﷻ akan beri rahmat kepada kita. Kita hendaklah mengikut arahan-Nya, meninggalkan larangan-Nya, menjadi hamba-Nya sebaik mungkin.

Serulah Allah ﷻ banyak-banyak semasa di dunia. Teruskan berdoa dan berharap hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Bukannya doa dalam bentuk tawasul dengan wali, Nabi dan malaikat.

 

إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Kenapa kita hanya boleh mengharap kepada Allah ﷻ? Ini kerana Allah Maha Kuasa – maka tidak ada sesiapa yang boleh mendesak Allah ﷻ untuk tolong sesiapapun. Tidaklah boleh seluruh makhluk dalam dunia ini, kalau tidak berpuas hati dengan Allah ﷻ, berkumpul ramai-ramai dan buat demonstrasi tunjuk perasaan untuk Allah ﷻ buat sesuatu, atau untuk masukkan sesiapa dalam syurga dan sebagainya.

Tidak boleh langsung kita hendak mendesak Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ buat apa yang hendak dibuat. Maka, janganlah kita mengharap kepada ibubapa kita, guru-guru kita, syeikh-syeikh kita, wali-wali dan sebagainya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun.

Dalam masa yang sama Allah ﷻ akan bersifat Raheem kepada mereka yang beriman dan beramal soleh. Allah ﷻ boleh tolong sesiapa yang Dia hendak tolong. Allah ﷻ amat belas dan kasihan kepada hamba-Nya yang mukmin.

Sifat Raheem Allah ﷻ ini hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada semua manusia. Maka kita kena jadi mukmin barulah Allah akan beri bantuanNya.

Habis Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 43: Ayat 43 – 50 adalah Perenggan Makro Keenam. Allah menceritakan layanan yang akan diberikan kepada ahli neraka.

Ayat sebelum ini Allah ﷻ sebut rahmah-Nya yang diberikan kepada orang mukmin. Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang akhirat pula. Ia dimulakan dengan tentang neraka. Apakah kaitan penceritaan neraka dan sifat rahmah-Nya? Ini kerana dari sifat rahmah Allah ﷻ lah Dia menerangkan tentang neraka dan balasan akhirat kepada kita.

Jangan kita lupa bahawa penerangan tentang neraka adalah salah satu dari sifat rahmah Allah ﷻ. Maklumat itu diberikan untuk menakutkan kita supaya dapat memperbetulkan diri kita. Allah ﷻ menjelaskan neraka dalam bentuk grafik supaya kita dapat bayangkan. Supaya kita mendapat pengajaran dan takut dengan akhirat. Apabila kita takut, kita akan berbuat baik di dunia.

Agama lain tidak ada elemen ini. Agama lain tidak menceritakan neraka dan syurga dengan panjang lebar. Maka mereka tidak tahu bagaimanakah keadaan neraka dan syurga. Sampaikan mereka mempermainkan keadaan neraka. Mereka agak-agak sahaja apa yang ada di neraka dan syurga. Banyak kartun-kartun yang mempermainkan keadaan di sana. Banyak lelucon yang difikirkan oleh mereka. Begitulah yang kita boleh lihat dalam filem-filem barat.

Jadi, marilah kita belajar dan tahu tentang apakah yang ada di neraka itu. Apakah balasan kepada orang yang berdosa? Bagaimanakah keadaan dalam neraka itu?

Pertamanya, apa mereka akan makan?

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ

Sahih International

Indeed, the tree of zaqqum

Malay

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, –

 

Inilah makanan yang paling buruk sekali. Tidak ada makanan yang baik-baik untuk penghuni Neraka. Apabila mereka minta makanan, mereka akan diberikan dengan buah dari Pokok Zaqqum. Inilah satu-satunya pokok yang dapat hidup dalam neraka. Bayangkan betapa buruknya satu pokok yang boleh hidup dalam api? Kalau boleh hidup dalam api, maka itu tentu bermakna ia pun ada sifat-sifat api juga.

Tidak ada pokok lain lagi. Kalau di dalam syurga, sentiasa Allah ﷻ menceritakan berbagai jenis pokok dan buah-buahan. Namun, dalam neraka, hanya ada pohon Zaqqum sahaja yang disebut. Penerangan tentang Zaqqum ini boleh dilihat dalam Saffat:64-65.

Mujahid mengatakan, “Seandainya dijatuhkan satu titis dari zaqqum itu ke bumi ini, nescaya semua penghidupan penduduk bumi menjadi rosak (tercemar) kerananya.” Hal yang semisal telah disebutkan secara marfu’.

Orang kafir Mekah mengejek-ngejek tentang pokok Zaqqum ini. Mereka kata mereka suka Zaqqum itu. Mereka kata adalah makanan untuk mereka nanti kalau mereka masuk neraka. Mereka bermain-main dengan maklumat dari Nabi Muhammad itu.


buah pohon-zaqqum snap dragon
Buah zaqqum tentulah lebih mengerikan dan dahsyat daripada yang digambarkan di atas. Jadi maklumat ini tidak benar.

Ayat 44: Untuk siapakah buah Zaqqum itu?

طَعامُ الأَثيمِ

Sahih International

Is food for the sinful.

Malay

(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).

 

 

Buah Zaqqum itu diberikan kepada mereka yang banyak buat dosa. Dosa pula jenis dosa yang besar tetapi bukan itu sahaja makna الْأَثِيمِ ini. Ia juga bermaksud ‘mereka yang condong ke arah dosa dan tidak mahu berbuat baik’. Mungkin mereka tidak buat lagi dosa tetapi mereka sudah condong kepada keburukan. Hati mereka sentiasa ke arah berbuat dosa.

Perkataan الْأَثِيمِ ini asalnya digunakan untuk unta yang boleh bergerak pantas, tetapi hendak jalan perlahan juga. Seperti juga manusia yang boleh sebenarnya hendak buat kebaikan, tetapi mereka tidak mahu. Ini kerana hati mereka telah condong kepada berbuat dosa. Peluang hendak berbuat baik ada, tetapi mereka tidak meraih peluang itu.

Maka, untuk mereka itu, mereka akan diberi makanan buah Zaqqum!


 

Ayat 45: Apakah sifat buah Zaqqum ini? Dalam sirah, ada diceritakan bagaimana orang-orang Musyrikin Mekah bermain-main dengan cerita Nabi tentang buah Zaqqum ini. Mereka telah diberitahu oleh Nabi bahawa penghuni Neraka akan makan buah Zaqqum.

Jadi, mereka memperolokkan baginda dengan berkata: “Wahai kawan-kawan, mari kita makan buah Zaqqum!”. Alangkah kurang ajar mereka. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan buah Zaqqum itu.

كَالمُهلِ يَغلي فِي البُطونِ

Sahih International

Like murky oil, it boils within bellies

Malay

(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, –

 

كَالْمُهْلِ

seperti kerak minyak,

Ia seperti minyak masak yang telah banyak kali digunakan untuk memasak. Lama-kelamaan ia akan melikat dan pekat berwarna kegelapan. Tembaga juga apabila telah dipanaskan sampai menjadi cair dan sangat-sangat panas akan melekat kepada tubuh kita kerana pekat dan likat.

Maka, kehangatannya bertambah lagi. Bayangkan kalau kita menyentuh lilin yang cair kepanasan. Ia memang sudah panas, tetapi menjadi lebih panas kerana apabila cair, ia melekat kepada tubuh kita, kan?

Itulah buah Zaqqum nanti dan dibayangkan seksanya dalam ayat ini. Na’uzubillah min zalik! Semoga kita terselamat dari memakan buah ini.

 

يَغْلِي فِي الْبُطُونِ

yang mendidih dalam perut,

Bila makan sahaja buah Zaqqum itu, ia akan bertukar menjadi minyak yang mendidih. Bayangkan apabila sesuatu itu mendidih, ia akan berbunyi cissss. Mendidihnya seperti tembaga yang cair. Bayangkan bagaimana kerak minyak atau tembaga boleh mendidih dalam perut! Maknanya, ia panas sangat!


 

Ayat 46: Bagaimana keadaan ia mendidih itu?

كَغَليِ الحَميمِ

Sahih International

Like the boiling of scalding water.

Malay

Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.

 

Bayangkan kalau kita memasak kerak minyak. Kerak minyak adalah sesuatu yang pekat, bukan macam air. Kalau air, kita boleh masak dan senang sahaja hendak mendidih. Membuak-buak kalau air telah mendidih. Namun kalau kita hendak masak kerak minyak di dalam dunia, ia tidak akan mendidih kerana pekat.

Bayangkan bagaimana di neraka nanti, sesuatu yang pekat itu boleh sampai jadi mendidih. Ini kerana api yang digunakan bukan api jenis yang digunakan di dunia, tetapi api neraka! Maknanya, ia panas sangat, sampai ribu juta darjah. Sampaikan kerak minyak atau tembaga boleh mendidih seperti mendidihnya air!

Ia akan mendidih dalam perut ahli neraka pula!


 

Ayat 47: Bukan itu sahaja seksaan yang dikenakan kepada mereka. Ada lagi yang diterangkan dalam ayat ini. Ini adalah tentang azab rohani pula.

خُذوهُ فَاعتِلوهُ إِلىٰ سَواءِ الجَحيمِ

Sahih International

[It will be commanded], “Seize him and drag him into the midst of the Hellfire,

Malay

(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka.

 

خُذُوهُ

Tangkaplah orang yang berdosa itu

Allah ﷻ suruh malaikat tangkap ahli neraka atau penjaga neraka bercakap sesama mereka. Sebenarnya ahli neraka bukan boleh lari mana pun, ada di situ sahaja tetapi mereka dihina dengan disuruh mereka itu ditangkap. Macam tangkap binatang.

Ini adalah azab emosi, diberi penghinaan dengan disuruh tangkap. Kalimah tangkap ini adalah menakutkan dan menghinakan, sampaikan kalau zaman sekarang, pendatang tanpa izin dengan kalimah ‘tangkap’  sudah takut dan ada yang terus terjun tingkap. Ini kerana perkataan ‘tangkap’ adalah menghinakan.

Ada pendapat yang mengatakan, kerana sekarang baru disebut ditangkap ahli neraka itu, maka buah zaqqum itu telah diberikan kepada ahli neraka sebelum mereka dimasukkan ke dalam neraka lagi. Mereka kata inilah yang dimaksudkan dengan Waqiah:56

هٰذا نُزُلُهُم يَومَ الدّينِ

Itulah hidangan untuk mereka pada hari Pembalasan”.

 

فَاعْتِلُوهُ

dan seretlah dia

Diseret dengan cara diikat dengan besi. Bayangkan keadaan seorang penjenayah yang tidak mahu bergerak. Polis akan pegang dia beramai-ramai, kemudian diseret dengan ganas dalam keadaan dia meronta-ronta.

 

إِلَىٰ سَوَاءِ الْجَحِيمِ

ke tengah-tengah neraka.

Diseret ke tengah neraka kerana mereka akan dikenakan seksaan di tengah-tengah neraka itu. Semua kena duduk di tengah neraka, tidak boleh lari ke tepian. Kenapa di tengah pula? Ini kerana di tengah neraka itu adalah tempat paling panas. Allah ﷻ hendak bagi mereka rasa kepanasan yang maksima.


 

Ayat 48: Selepas diseret ke tengah Neraka, apakah yang akan dilakukan kepada mereka?

ثُمَّ صُبّوا فَوقَ رَأسِهِ مِن عَذابِ الحَميمِ

Sahih International

Then pour over his head from the torment of scalding water.”

Malay

“Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak”.

 

ثُمَّ صُبُّوا

Kemudian curahkanlah

Kalimah صُبُّوا bermaksud dicurahkan dengan banyak macam air terjun. Bukan curah sikit-sikit.

 

فَوْقَ رَأْسِهِ

di atas kepalanya –

Sudahlah dalam perut mereka telah mendidih buah dari pokok Zaqqum, sekarang dicurahkan lagi satu jenis azab ke atas kepala mereka iaitu air panas yang menggelegak. Maknanya, ada azab dari dalaman dan luaran. Apakah yang dicurahkan ke atas kepada mereka itu?

 

مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ

dari azab air panas yang menggelegak”.

Ini adalah azab jenis air panas pula. Memang berbagai jenis azab akan dikenakan kepada penghuni neraka. Air panas di neraka bukanlah seperti air panas menggelegak di dunia. Kalau air panas di dunia kena kepada kulit kita pun sudah melecur, bukan? Apatah lagi kalau di neraka kelak?

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{يُصَبُّ مِنْ فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ. يُصْهَرُ بِهِ مَا فِي بُطُونِهِمْ وَالْجُلُودُ}

Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka, dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit mereka. (Al-Hajj: 19-20)


 

Ayat 49: Kemudian dikatakan kepada mereka:

ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ

Sahih International

[It will be said], “Taste! Indeed, you are the honored, the noble!

Malay

(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

 

ذُقْ

Rasalah,

Rasalah azab seksa itu. Sudahlah kena seksa, kena perli lagi. Ini adalah azab emosi. Sengaja ahli neraka itu diperli supaya mereka lebih sakit hati  dan bertambah lagi menyesal.

 

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ

Sesungguhnya engkau dulu adalah orang yang gagah perkasa dan terhormat

Allah ﷻ mengejek mereka dalam ayat ini. Mereka inilah orang-orang kaya dan orang-orang besar yang mempunyai kedudukan dulu semasa mereka di dunia. Ini kerana kedudukan itu telah membuatkan mereka sombong dan telah menjadi sesat.

Termasuk dalam golongan ini adalah guru-guru agama yang mengajar ajaran salah dan sesat. Inilah juga mereka yang ambil upah dalam amalan dan apabila mengajar.

Kita semasa di dunia hendakkan kedudukan yang tinggi. Jangan sampai ia menjauhkan kita dari agama dan sampai ia menjatuhkan kita nanti.


Ayat 50: Ini lagi satu dikatakan kepada mereka.

إِنَّ هٰذا ما كُنتُم بِهِ تَمتَرونَ

Sahih International

Indeed, this is what you used to dispute.”

Malay

(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”

 

إِنَّ هَٰذَا مَا كُنتُم بِهِ

Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu

Waktu itu ditunjukkan neraka di hadapan mereka. Allah ﷻ gunakan perkataan itu dalam bahasa present tense, padahal ia belum berlaku lagi, supaya kita dapat membayangkan kalau kita ada di sana. Efek kepada emosi kita lebih tinggi lagi.

 

تَمْتَرُونَ

ragu-ragu terhadapnya!

Dulu kamu ragu-ragu kepadanya, tetapi sekarang, ia di depan mata kamu! Apa hendak buat lagi? Adakah kamu hendak tolak lagi?!

Ini kerana mereka ragu-ragu tentang adanya azab itu, mereka tidak buat persiapan untuk mengelak darinya. Maka kerana itulah mereka dimasukkan ke dalamnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 30 – 39 (Penindasan Firaun)

Ayat 30: Sekarang Allah ﷻ mengalihkan pandangan kita kepada Bani Israil pula. Ayat ini termasuk dalam jenis Tabshir Duniawi. Natijah yang terjadi apabila seseorang itu mengikuti Rasul mereka.

وَلَقَد نَجَّينا بَني إِسرٰءيلَ مِنَ العَذابِ المُهينِ

Sahih International

And We certainly saved the Children of Israel from the humiliating torment –

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina, –

 

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِي إِسْرٰءيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil,

Allah ﷻ mengingatkan kepada orang Yahudi dan kita juga betapa mereka telah diberi rahmat dengan diselamatkan. Mereka dulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti dan ditindas oleh kaum itu tetapi Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka.

Ini adalah kerana mereka telah mengikut Nabi mereka, Nabi Musa عليه السلام. Jadi mereka telah diberikan dengan keselamatan dari Firaun. Maka kalau kita ikut wahyu, kita juga akan selamat. Walaupun mulanya mungkin susah tetapi yang penting adalah hujungnya. Kalau ada kesusahan dan dugaan, maka kena tanggung dan sabar dahulu.

Maka ini juga memberi harapan kepada para sahabat yang di Mekah. Kalau mereka juga ikut Nabi berhijrah ke Madinah, mereka pun akan selamat.

 

مِنَ الْعَذَابِ الْمُهِينِ

dari azab yang menghina, –

Azab yang dimaksudkan adalah perhambaan ke atas Bani Israil. Ini kerana perhambaan adalah sesuatu yang amat menghinakan. Sudahlah dihambakan, ditambahkan lagi dengan seksaan yang dikenakan ke atas mereka.

Tentunya teruk sekali apa penindasan yang dilakukan oleh Firaun. Antara yang disebut adalah Firaun telah membunuh anak lelaki mereka.


 

Ayat 31: Siapakah Firaun dan apakah sifatnya?

مِن فِرعَونَ ۚ إِنَّهُ كانَ عالِيًا مِّنَ المُسرِفينَ

Sahih International

From Pharaoh. Indeed, he was a haughty one among the transgressors.

Malay

Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).

 

مِن فِرْعَوْنَ

Dari penindasan Firaun,

Firaun adalah dinasti ketua kerajaan Mesir waktu itu. Mereka memerintah dengan kuku besi dan dinasti itu telah memperhambakan Bani Israil. Dan mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Antaranya, mereka telah dikerah untuk membina piramid yang kita boleh lihat sampai hari ini. Dan kerja-kerja berat yang lain. Kalau sudah dijadikan sebagai hamba, maka tentulah mereka kena buat macam-macam.

 

إِنَّهُ كَانَ عَالِيًا

sesungguhnya dia adalah seorang yang sombong takbur

Firaun pada zaman Nabi Musa itu rasa dia tinggi sangat, sampai dirinya menjadi sombong kerana mempunyai kelebihan kerajaan yang besar dan kekuatan tentera. Selain itu turut memiliki  kekuatan ekonomi dan tamadun yang tinggi. Maka kerana itu dia bersikap sangat teruk, berlagak dan sombong hingga orang bawah dia turut jahat sepertinya.

Macam kalau kita lihat pekerja satu syarikat sombong, ada kemungkinan ketua syarikat itu begitu juga, kerana orang bawahan akan akan ikut orang atasan.

Dalam ayat ini juga Allah ﷻ perli kepada pemuka Quraish yang terlalu bangga dengan kedudukan mereka. Namun, adakah mereka sama tahap dengan Firaun? Tentu tidak. Firaun yang hebat itu sangat mudah sahaja Allah ﷻ musnahkan.

 

مِّنَ الْمُسْرِفِينَ

dari orang-orang yang melampaui batas.

Tidak ada yang melebihinya dalam perangai buruknya. Lihatlah bagaimana teruk sekali seksaan yang diberikan kepada Bani Israil. Dalam Al-Qur’an telah disebut bagaimana dia telah menyalib keseluruhan ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام .

Bilangan mereka dikatakan sampai beribu orang waktu itu dan semuanya sekali telah disalib. Sedangkan isterinya yang beriman turut dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau orang lain? Apabila dia buat keburukan, dia buat dalam keadaan melampau lebih lagi dari orang lain. Orang lain turut kejam juga, tetapi tidaklah sekejam Firaun.

Sebelum itu, kita juga telah membaca bagaimana beliau telah mengarahkan seluruh anak lelaki yang baru lahir dari Bani Israil dibunuh kerana dia takut ada penentangnya dari kalangan Bani Israil. Itu amat kejam dan entah apa lagi kekejaman yang dilakukan olehnya yang kita tidak tahu.

Allah ﷻ menegur Musyrikin Mekah dengan membawakan kisah Firaun ini. Lihatlah bagaimana kaum Musyrikin Mekah juga telah melampau dalam kegiatan mereka menyeksa orang Islam yang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Kisah yang paling selalu masyarakat kita dengar adalah bagaimana Bilal telah dijemur di tengah panas dan ditindih dengan batu. Bukan Bilal sahaja yang diseksa, malah banyak lagi.

Allah ﷻ kisahkan bagaimana Firaun juga kuat menyeksa Bani Israil dan lihatlah bagaimana kesudahannya. Allah ﷻ memberi peringatan kepada kaum musyrikin dalam ayat ini sebenarnya. Maka hendaklah mereka berhati-hati. Jangan mereka ingat mereka kuat dan mereka boleh terlepas dari hukuman Allah ﷻ .


 

Ayat 32: Sekarang disebut tentang bagaimana Bani Israil telah dilebihkan kedudukan mereka daripada bangsa lain pada zaman itu.

وَلَقَدِ اختَرنٰهُم عَلىٰ عِلمٍ عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

And We certainly chose them by knowledge over [all] the worlds.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu),

 

وَلَقَدِ اخْتَرْنٰهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Israil. Allah ﷻ telah memberi mereka dengan banyak kelebihan. Begitu banyak sekali kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Antaranya, paling banyak sekali golongan Rasul dan Nabi adalah dari golongan mereka.

 

عَلَىٰ عِلْمٍ

dengan berdasarkan pengetahuan

Allah ﷻ tahu kelebihan dan kekurangan Bani Israil, tetapi Allah ﷻ tetap memberi kelebihan kepada mereka. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah memilih mereka di atas pengetahuan-Nya yang sempurna. Maka kita tidak boleh persoalkan pemilihan Allah ﷻ ini. Kita tidak mampu hendak mempersoalkan pilihan Allah ﷻ.

Ada dua pendapat tentang maksud ‘pengetahuan’ dalam ayat ini.

1. Oleh kerana ilmu yang mereka ada iaitu ilmu tentang tauhid. Walaupun waktu itu mereka belum mendapat Kitab Taurat lagi, dan tidak mahir tentang agama, tetapi mereka telah tahu tentang tauhid, mereka tahu tentang Allah ﷻ .

Mereka juga tahu serba sedikit tentang agama. Mereka tidak sama dengan bangsa Qibti yang mengamalkan agama syirik. Ini kerana pengetahuan agama yang sedikit ini juga, Allah ﷻ telah memilih mereka.

Oleh itu, tahulah kita yang pengetahuan agamalah yang menaikkan kedudukan manusia. Bukannya pengetahuan tentang dunia. Hanya dengan mengetahui agama, seseorang itu akan selamat dunia dan akhirat. Ini menunjukkan kepentingan ilmu. Malangnya, masyarakat kita buat tidak endah sahaja tentang pengetahuan agama.

Kebanyakan manusia lebih pentingkan kepandaian dalam hal-hal dunia. Kalau hal dunia, mereka sibuk mendapatkan ilmunya sampaikan dapat PHD, Master dan sebagainya. Itu adalah kerana mereka hendakkan kehidupan yang senang, gaji yang tinggi dan sanjungan masyarakat.

Namun, bagaimana dengan pengetahuan agama? Mereka tahu sedikit sangat, setakat ada-ada sahaja. Selainnya, mereka serahkan kepada orang lain kerana diri mereka sendiri tidak mahu belajar. Mereka akan meminta kepada ‘ahli agama untuk menjadi imam, membaca doa, memberi hukum dan sebagainya’. Keadaan  yang terjadi sekarang di kalangan masyarakat kita amat menyedihkan kerana mereka jahil tentang ilmu agama sampai boleh dipesongkan dengan mudah.

2. Mereka dipilih atas pengetahuan Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu yang mereka layak dipilih. Allah ﷻ tahu yang mereka lebih layak lagi dipilih kalau dibandingkan dengan Firaun dan kaumnya. Allah Maha Tahu dan kita tidak tahu. Maka jangan kita persoalkan keputusan Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu kelebihan dan kelemahan mereka, tetapi Allah ﷻ tetap pilih mereka.

Allah ﷻ pilih mereka walaupun Allah ﷻ tahu yang mereka akan melakukan kesalahan dan tahu yang mereka lemah. Namun, kerana mereka duduk dengan Nabi, maka mereka telah diberi kelebihan itu.

Kenapa Allah ﷻ pilih juga mereka? Katakanlah kita ada anak yang kita tahu mereka pandai. Oleh itu tentu kita memberi mereka pendidikan yang terbaik. Namun, ada antara mereka yang tidak mahu belajar kerana rasa diri senang sebab tahu kita ada yang akan membantu mereka. Mereka fikir kalau mereka buat salah, tentu ada orang yang akan bantu dan selamatkan mereka. Namun, kita sebagai ibubapa tetap memberi peluang kepada mereka, bukan?

Allah ﷻ tahu yang Bani Israil adalah bangsa yang pandai. Mereka ada potensi dalam diri mereka dan ada antara mereka yang baik. Namun apabila mereka telah menggagalkan diri mereka, barulah mereka ditinggalkan. Maknanya, Allah ﷻ tetap memberi peluang kepada mereka.

 

عَلَى الْعٰلَمِينَ

menjadi lebih dari penduduk dunia,

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka dari kaum Firaun. Bukan hanya sekumpulan Bani Israil yang diselamatkan tetapi keseluruhan kaum mereka. Malah Allah ﷻ juga telah menghapuskan Firaun dan tenteranya sekali. Termasuk mereka yang telah menyeksa Bani Israil sebelum itu.

Kemudian Allah ﷻ telah memberikan kerajaan Palestin kepada mereka dan pemimpin yang mulia seperti Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام . Dulunya mereka tertindas, tetapi kemudian Allah ﷻ telah muliakan. Mereka diberikan dengan entah berapa banyak rasul dan Nabi dari kalangan mereka. Allah ﷻ telah menaikkan kedudukan mereka menjadi umat yang utama melebihi kaum lain waktu zaman mereka.

Merekalah sahaja orang Islam waktu itu tetapi pada ketika itu sahaja. Bukanlah mereka terus menjadi umat pilihan sampai sekarang. Ini kerana apabila mereka telah menyalahgunakan agama, maka kedudukan mereka telah ditarik dan diberikan kepada umat Nabi Muhammad pula sampai sekarang.

Maka, kita kena beringat dengan kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan. Kalau kita juga buat seperti mereka, maka akan ditarik status keislaman kita dan akan diberikan kepada orang lain. Tidakkah ini amat menakutkan? Oleh kerana itu Allah ﷻ banyak sebut tentang mereka dalam Al-Qur’an kerana hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka.


 

Ayat 33: Tambahan maklumat tentang apakah lagi yang telah diberikan kepada Bani Israil.

وَءآتَينٰهُم مِنَ الآيٰتِ ما فيهِ بَلٰؤا مُّبينٌ

Sahih International

And We gave them of signs that in which there was a clear trial.

Malay

Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).

 

وَءآتَيْنٰهُم مِّنَ الْآيٰتِ

Dan Kami berikan kepada mereka daripada tanda-tanda

Ia adalah hujah-hujah, keterangan-keterangan dan mukjizat-mukjizat yang berbeza dengan hukum alam. Tanda-tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Banyak mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka. Antaranya:

– Tongkat Nabi Musa عليه السلام menjadi ular.
– Tangan Nabi Musa عليه السلام bercahaya.
– Laut terbelah dua dan mereka menyeberanginya dengan selamat.
– Nabi Musa عليه السلام memukul tongkat yang mengeluarkan air untuk minuman mereka.

Terdapat banyak lagi tanda-tanda yang telah diberikan kepada mereka. Semua tanda-tanda itu boleh dilihat dengan mata kepala mereka sendiri.

 

مَا فِيهِ بَلٰؤا مُّبِينٌ

yang mengandungi ujian yang jelas nyata

Tanda-tanda mukjizat itu adalah sebagai ujian kepada mereka. Apakah ujian itu? Ia adalah sama ada hendak bersyukur dan mengikut arahan Nabi Musa عليه السلام serta beriman dengan Allah ﷻ atau tidak. Bukan senang-senang sahaja Allah  ﷻ beri tanda-tanda itu.

Ini memberi peringatan kepada kita. Walaupun satu-satu bangsa itu diberikan nikmat agama, tetapi dalam masa yang sama, mereka akan diuji dalam agama. Tidak ada yang tidak diuji. Ketika zaman itu, Bani Israil adalah umat Islam.

Pada masa sekarang, kitalah pula umat Islam yang memegang agama Islam. Kita sekarang sedang diuji sama ada kita akan bertanggungjawab dalam memegang agama Allah ﷻ ini. Kita juga diuji sama ada kita bersyukur atau tidak dengan kedudukan tinggi yang Allah ﷻ berikan kepada kita sebagai umat Islam. Ini adalah satu ujian dan tanggungjawab yang tinggi.

Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita sedang menjalankan tanggungjawab kita? Adakah kita sedang sampaikan agama tauhid ini kepada seluruh manusia? Kalau tidak, ada masalah di situ kerana berkali-kali dalam Al-Qur’an Allah ﷻ menyuruh kita sampaikan kerana ini adalah tanggungjawab kita.

Kalimah بَلَاءٌ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’. Ini kerana ia adalah satu perkataan yang boleh ada maksud yang berlawanan. Jadi kalau begitu, kita boleh terjemah ayat ini: “yang mengandungi nikmat yang jelas” iaitu Bani Israil telah diberikan dengan kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kepada bangsa lain.

Selesai kisah Firaun dan penindasannya kepada Bani Israil.


 

Ayat 34: Ayat 34 – 37 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima berita tentang akhirat. Ia juga mengandungi dalil tarikhi iaitu tentang Kaum Tubba’.

Ayat 33 ini adalah Ayat Syikayah. Sekarang Allah ﷻ kembali memperkatakan tentang Musyrikin Mekah yang tidak mahu beriman. Ini adalah iltifad – perubahan tajuk. Setelah diberikan contoh tentang Bani Israil, Al-Qur’an kembali menyentuh tentang Musyrikin Mekah.

Ia mengenai bagaimana mereka telah diberikan peluang untuk mendapat kelebihan agama. Bayangkan, mereka telah diberikan dengan Nabi Muhammad ﷺ, Rasul dan Nabi akhir zaman. Itu adalah satu kelebihan yang amat besar tetapi malangnya, mereka tidak mengambil peluang keemasan itu. Apa kata mereka?

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَيَقولونَ

Sahih International

Indeed, these [disbelievers] are saying,

Malay

(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): “Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَيَقُولُونَ

Sesungguhnya mereka ini berkata:

Allah merungut tentang kata-kata mereka menolak ajaran Nabi Muhammad. Apa yang mereka katakan menunjukkan apakah fahaman dan iman mereka. Bukan mereka cakap dengan mulut sahaja. Jadi kita boleh tahu apakah pegangan mereka dengan melihat kata-kata mereka ini. Kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia, tetapi kita boleh agak dari perkataan-perkataan mereka.

Sebab itu, kita tidak boleh kata seseorang itu sesat atau kafir kerana perkara itu dalam hati manusia. Namun, kalau dia sudah mengeluarkan kata-kata yang kufur, tidakkah boleh kita mengatakan mereka telah sesat? Ini kerana ia telah keluar dari mulut mereka sendiri dan kita hanya menilai dari apa yang mereka katakan dan tulis, atau perbuatan yang mereka lakukan di hadapan kita. Kalau dalam hati, memang kita tidak tahu.


 

Ayat 35: Inilah kata-kata mereka.

إِن هِيَ إِلّا مَوتَتُنَا الأولىٰ وَما نَحنُ بِمُنشَرينَ

Sahih International

“There is not but our first death, and we will not be resurrected.

Malay

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama, dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);

 

إِنْ هِيَ إِلَّا مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama,

Mereka percaya bahawa kehidupan di dunia dan mati itu hanya sekali sahaja serta tidak akan dihidupkan lagi setelah mati.

Apakah yang dimaksudkan dengan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ? Kita semua ada dua kali kematian. Ia adalah sebelum kita hidup di dunia ini, kita dalam keadaan ‘mati’ – iaitu ketiadaan nyawa. Ketiadaan nyawa juga adalah satu kematian.

Kemudian Allah ﷻ hidupkan kita dalam dunia ini. Setelah itu kita akan mati sekali lagi dan akan dihidupkan semula di akhirat. Ini adalah pemahaman kita sebagai orang Islam.

Jadi مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ adalah keadaan mati kita sebelum dihidupkan di dunia iaitu kita tidak ada apa-apa, belum jadi apa-apa. Apakah fahaman Musyrikin Mekah? Apabila kehidupan ini telah habis, manusia akan kembali kepada keadaan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ itu, iaitu tidak ada apa-apa dan tidak menjadi apa-apa. Non-existance. Mereka sangka mereka akan habis begitu sahaja.

 

وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ

dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup semula

Mereka tidak percaya akan dihidupkan semula kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan juga tidak tahu. Namun lain pula dengan Ahli Kitab kerana mereka memang tahu tentang akhirat. Maka untuk boleh terima akhirat kena rapat dengan wahyu.

Apabila diberitahu tentang akhirat kepada Musyrikin Mekah, mereka tidak dapat terima kerana kalau percaya akan dibangkitkan, mereka kena terima akan diadili tentang perkara yang telah dilakukan semasa di dunia. Mereka tidak mahu kalau jadi begitu, kerana hendak buat apa yang mereka suka.

Pemahaman seperti ini masih ada lagi sekarang. Lihatlah agama-agama lain seperti Buddha yang tidak percaya dengan kiamat. Mereka percaya akan dihidupkan semula (reinkarnasi). Kalau mereka tidak baik, maka akan dihidupkan sebagai binatang atau serangga.


 

Ayat 36: Mereka sanggup cabar Nabi Muhammad ﷺ dengan kata-kata ini:

فَأتوا بِئآبائِنا إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Then bring [back] our forefathers, if you should be truthful.”

Malay

“(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

 

فَأْتُوا بِئآبَائِنَا

“Maka kamu semua bawakanlah datuk nenek kami

Mereka cabar Nabi ﷺ dan orang-orang Islam yang lain untuk bawa hidup kembali datuk nenek mereka yang telah mati. Kemudian baru mereka hendak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Mereka kata, “biarkan mereka yang telah mati itu sendiri beritahu yang mereka telah hidup setelah mereka mati, tidak payah kamu (Nabi Muhammad ﷺ dan orang Mukmin) sibuk hendak beritahu kami, biar mereka sahaja yang beritahu”.

Maka inilah dalil orang jahil. Masih juga hendak pakai dalil tok nenek. Mereka berhujah yang tok nenek mereka tidak pernah cakap tentang kehidupan semula. Mereka hendak suruh Nabi ﷺ membawa balik tok nenek untuk beritahu mereka bahawa ada akhirat.

Begitulah juga orang jahil dari kalangan masyarakat Islam kita yang masih juga menyebut amalan-amalan tok nenek dahulu. Orang beriman dan bijak berbeza, kerana dapat yakin dengan wahyu.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Ini adalah hujah mereka yang mengarut. Mereka sangka sudah pandai dan berjaya membungkam orang mukmin dengan memberikan cabaran ini. Mereka juga memang tidak pernah lihat orang mati hidup semula, maka mereka sudah rasa bangga dengan hujah ini.

Namun, ini adalah hujah yang dangkal. Ini kerana tidak mungkin akan dihidupkan orang yang mati sebelum Kiamat bermula. Bukan begitu cara Allah ﷻ untuk menunjukkan kebenaran. Allah ﷻ, Nabi dan orang mukmin tidak katakan yang manusia akan dihidupkan kembali semasa ‘di dunia ini’, tetapi selepas kiamat sahaja. Mereka tidak dapat hendak bezakan.

Ingatlah bahawa Allah ﷻ kata bahawa semua kita ini akan dihidupkan di akhirat kelak, apabila semua makhluk telah mati di Hari Kiamat, bukan di dunia sekarang. Tidaklah Allah ﷻ kata hendak hidupkan tok nenek mereka yang telah lama mati itu semasa di dunia. Hanya yang dijanjikan adalah semua makhluk akan dihidupkan semula di akhirat kelak.

Allah ﷻ tidak menjawab tuduhan mereka ini kerana tuduhan ini tidak layak dilayan. Allah ﷻ terus cerita benda lain selepas ini.


 

Ayat 37: Takhwif Duniawi. Sekarang Allah ﷻ menempelak mereka. Mereka sangka mereka bagus sangat, maka Allah ﷻ perli mereka.

أَهُم خَيرٌ أَم قَومُ تُبَّعٍ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ أَهلَكنٰهُم ۖ إِنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

Sahih International

Are they better or the people of Tubba’ and those before them? We destroyed them, [for] indeed, they were criminals.

Malay

Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum “Tubba'” dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

 

أَهُمْ خَيْرٌ

Adakah mereka yang lebih baik

Musyrikin Mekah memang rasa tinggi kedudukan mereka kerana ada harta dan  kuasa. Malah mereka tidak ada rasa bersalah menentang Nabi Muhammad ﷺ kerana merasakan mereka lebih baik dari baginda ﷺ.

Maka, Allah ﷻ soal mereka balik dalam ayat ini: adakah mereka sangka mereka hebat?

 

أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ

atau kaum “Tubba'”

Adakah mereka lebih hebat dari kaum ‘Tubba’? Dikatakan bahawa Tubba’ adalah nama seorang raja yang baik dan rakyatnya dipanggil Tubba’ sempena namanya. Sepertimana juga Bani Israil dipanggil sempena nama Nabi mereka, begitu juga rakyat Tubba’ ini mengambil nama raja mereka.

Ada juga yang mengatakan mereka adalah orang Arab yang tinggal di Yemen yang berasal dari keturunan Qahtan. Puak Quraish pula dari keturunan Adnan. Mereka memerintah satu kerajaan yang besar di Yemen. Raja-raja mereka dikenali sebagai ‘Tubba’. Ini adalah gelaran kepada raja-raja mereka, sepertimana juga raja Mesir dikenali sebagai Firaun, raja Habsyah dikenali sebagai Najashi, raja Parsi – Kisra, raja Rom – Kisra dan lain-lain.

Mereka ada nama mereka sendiri, tetapi pangkat raja mereka adalah begitu. Maka, raja kerajaan di Yemen ini dikenali sebagai Tubba’. Dikatakan mereka mengambil alih kerajaan Saba’ pada tahun 150 SM selama 300 tahun. Kerajaan mereka amat besar sampaikan ke negara Russia sekarang.

Maka, mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan yang banyak. Contoh kaum Tubba’ dibawakan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka kenal tamadun itu.

Ada pula yang kata mereka adalah kaum selepas kematian Firaun dan tenteranya. Mereka telah mengambil alih peninggalan kaum Firaun yang semuanya telah mati kerana ditenggelamkan dalam laut. Mereka menjadi hebat dengan apa yang ada dan juga memerintah satu kerajaan. Allahu a’lam.

Salah satu kisah tentang mereka adalah seperti yang disebut dalam Surah Saba’ itu. Ini kerana mereka telah mengamalkan syirik, maka kerajaan mereka telah dihancurkan dan bangsa mereka bertebaran di Tanah Arab.

Namun, sebelum itu, Raja Tubba’ adalah seorang yang baik dan telah menganut agama Tauhid sampaikan baginda memujinya.

وَقَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبُو زُرْعَة، حَدَّثَنَا صَفْوَانُ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بن لَهِيعَة عَنْ أَبِي زُرْعَة -يَعْنِي عَمْرَو بْنَ جَابِرٍ الْحَضْرَمِيَّ-قَالَ: سَمِعْتُ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ السَّاعِدِيَّ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَسُبُّوا تُبَّعًا؛ فَإِنَّهُ قَدْ كَانَ أَسْلَمَ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Zar’ah, telah menceritakan kepada kami Safwan, telah menceritakan kepada kami Al-Walid, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Lahi’ah, dari Abu Zar’ah (Yakni Amr ibnu Jabir Al-Hadrami) yang telah mengatakan bahawa dia pernah mendengar Sahl ibnu Sa’d As-Sa’idi r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Janganlah kalian mencaci Tubba’, kerana sesungguhnya dia adalah orang yang telah masuk Islam.

Yang pastinya, siapa sahaja mereka itu, tentunya lebih hebat dari segi tamadun kalau dibandingkan dengan kaum Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ hendak memberitahu kepada Musyrikin Mekah itu, kaum Tubba’ itu hancur kerana tidak terima iman tentang hari akhirat.

Tidak kira betapa hebat mereka, Allah ﷻ hancurkan sahaja dengan mudah. Adakah kamu rasa kamu tidak hancur kerana tidak menerima akhirat? Adakah kamu rasa kamu dapat menahan kemarahan dari Allah ﷻ dengan apa yang kamu ada?

 

وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

dan orang-orang yang terdahulu dari mereka?

Banyak lagi kaum-kaum sebelum kaum Tubba’ yang lebih hebat dari Arab Mekah. Sebagai contoh, sebelum itu ada kerajaan besar Firaun dan berbagai-bagai lagi tamadun yang hebat-hebat. Apalah sangat yang Mekah itu ada? Memang tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan tamadun lain.

 

أَهْلَكْنٰهُمْ

Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan,

Mereka yang lebih hebat dari penduduk Mekah turut Allah ﷻ telah musnahkan kerana mereka tidak beriman. Adakah kaum Quraish rasa mereka bagus sangat? Mereka tidak terfikirkah yang Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan mereka sepertimana Allah ﷻ telah musnahkan kaum-kaum terdahulu yang lebih hebat dari mereka?

 

إِنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

Kaum-kaum dulu itu memang hebat tetapi mereka syirik kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, mereka telah dibinasakan oleh Allah ﷻ . Mereka juga tidak dapat menyelamatkan diri, maka kenapa Musyrikin Mekah ingat mereka boleh selamat?

Allah ﷻ tidak kira bagaimana mereka menjalani kehidupan keduniaan. Kalau mereka melakukan syirik dan berdosa kepada Allah ﷻ mereka akan tetap mendapat hukuman dari Allah ﷻ. Walaupun mereka nampak hebat dan berjaya dalam dunia.


 

Ayat 38: Ayat 38 – 42 adalah Perenggan Makro Kelima. Allah menceritakan tujuan penciptaan alam ini. Mereka yang tidak menerima kebangkitan semula itu sangka yang kehidupan dunia ini main-main sahaja. Ada yang sangka Allah ﷻ jadikan hendak main-main sahaja, nanti bila sudah mati, habis begitu sahaja. Ini kan main-main?

Tentu Allah ﷻ tidak main-main dalam menjadikan dunia ini kerana ia adalah tempat ujian. Allah yang amat mulia tentu tidak menjadikan sesuatu sebagai main-main atau sia-sia Jadi ini adalah jawapan kedua bagi mereka yang menolak kebangkitan semula.

Ini juga adalah Dalil Aqli. Kenapa kita kena beriman dan ikut arahan Allah ﷻ sahaja? Tentulah kerana Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam ini. Allah ﷻ memberi dalil dalam ayat ini dan suruh kita melihat alam ini.

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما لٰعِبينَ

Sahih International

And We did not create the heavens and earth and that between them in play.

Malay

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

وَمَا خَلَقْنَا السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi

Allah ﷻ memberitahu kita semua termasuk kepada Musyrikin Mekah bahawa Dia lah yang telah mencipta alam ini. Langit dan bumi yang amat luas ini dicipta oleh Allah. Maka kena taat kepadaNya kerana kita duduk di alamNya.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya,

Segala apa sahaja yang ada dalam alam ini, adalah dari penciptaan Allah ﷻ belaka. Kita juga tidak tahu apakah yang ada di antara kedua langit dan bumi kerana ilmu kita terhad.

 

لٰعِبِينَ

secara main-main;

Bukanlah Allah ﷻ saja suka-suka ciptakan alam ini kerana tiada apa hendak buat dan bosan sangat, maka Allah ﷻ cipta alam ini. Kalau begitu, itu bermakna Allah ﷻ main-main sahaja. Namun, Allah ﷻ tidak begitu. Tidaklah sia-sia Dia jadikan alam ini. Telah disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَاطِلا ذَلِكَ ظَنُّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا مِنَ النَّارِ}

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka. (Shad: 27)

Bukanlah Allah ﷻ sengaja hendak tengok apa yang akan terjadi kalau Dia buat begini, begitu atau main-main dengan kita. Ini kita sebut sebab dalam agama lain, macam-macam fahaman karut yang ada. Sebagai contoh, dalam salah satu fahaman Hindu, memang tuhan dewa mereka bermain-main dengan manusia sebab hendak tengok apa manusia akan buat kalau begini dan begini. Macam budak-budak main mainan.

Dan firman Allah ﷻ lainnya yang menyebutkan:

{أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ}

Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (Al-Mu’minun: 115-116)

Allah ﷻ menciptakan alam ini semuanya bersebab. Bukanlah alam ini tempat kita tinggal sekejap, kemudian mati begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan. Kehidupan di dunia ini ada tujuan. Allah ﷻ memberitahu dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 39: Kenapa Allah ﷻ cipta alam ini?

ما خَلَقنٰهُما إِلّا بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

We did not create them except in truth, but most of them do not know.

Malay

Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

 

مَا خَلَقْنٰهُمَا

Tidaklah Kami menciptakan keduanya

Allah ﷻ hendak beritahu kita kenapakah Dia telah menjadikan alam ini.

 

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan kerana hendak menzahirkan kebenaran;

Kebenaran apa? Iaitu  Allah ﷻ lah yang menciptakan segalanya. Hendak memberitahu kewujudan-Nya dan bahawa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan segalanya.

Alam ini juga sebagai dalil yang Allah ﷻ mampu untuk membangkitkan semula makhluk selepas kematian mereka. Ini kerana kalau Allah ﷻ mampu menjadikan alam ini dari tiada kepada ada, maka apakah yang menghalang Allah ﷻ untuk menjadikan mereka hidup semula?

Alam ini menjadi dalil adanya hari akhirat. Ini kerana kalau tidak ada akhirat, maka sia-sialah Allah ﷻ menjadikan alam dunia ini kerana habis begitu sahaja tanpa ada pembalasan baik dan buruk. Takkan Allah ﷻ yang Maha Hebat dan Bijaksana buat sesuatu yang sia-sia? Tidak mungkin.

Maka apabila semuanya dicipta oleh-Nya, dan Dia maha berkuasa, maka kenalah kita sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Kita jangan sembah, berdoa dan meminta kepada selain dari Allah ﷻ. Maknanya, Allah ﷻ hendak menzahirkan kebenaran tauhid dengan menjadikan alam ini.

Hendaklah juga kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah menjadikan alam ini dan memberi peluang kepada kita untuk menimba pahala dan dimasukkan ke dalam syurga yang kekal di dalamnya.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Benda ini mudah sahaja untuk difahami tetapi ramai yang tidak faham. Kebanyakan manusia tidak tahu yang tuntutan untuk sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada-Nya sahaja adalah tuntutan terpenting dalam agama.

Ramai manusia yang tidak faham kenapa alam ini dijadikan. Ini adalah kerana mereka tidak memikirkan tentang alam. Tidak mungkin alam yang begini hebat dan teratur ini tidak ada Penciptanya? Kalau mereka memikirkan, tentu mereka akan terima bahawa ada Tuhan yang menjadikan mereka.

Selain itu tidak mungkin juga alam yang begini hebat ini tidak ada sebab ia dijadikan? Maka mereka yang tidak memikirkan perkara ini akan menjadi orang yang sesat dalam kehidupan di dunia ini dan mereka akan mendapat balasannya di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 19 – 29 (Bumi dan langit menangis)

Dukhan Ayat 19: Sambungan dari kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun. Ini adalah dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun. Ia juga adalah peringatan kepada kita. Sebelum ini telah disebut tentang zalim kepada manusia, sekarang ayat ini tentang zalim kepada Allah ﷻ  pula. Inilah zalim yang paling besar sekali.

وَأَن لّا تَعلوا عَلَى اللهِ ۖ إِنّي ءآتيكُم بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

Sahih International

And [saying], “Be not haughty with Allah . Indeed, I have come to you with clear authority.

Malay

“Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah; sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

وَأَن لَّا تَعْلُوا عَلَى اللهِ

“Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah;

Ini adalah dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada bangsa Qibti. Nabi Musa عليه السلام bukan hanya diutuskan untuk Bani Israil sahaja tetapi baginda عليه السلام juga diutuskan kepada bangsa Qibti. Kalimah تَعْلُوا bermaksud ‘rasa tinggi dari orang lain’. Nabi Musa عليه السلام mengingatkan Firaun dan kita semua supaya jangan melebihkan diri dari Allah ﷻ dan hendak tinggi diri dari Allah ﷻ .

Maksudnya hendaklah rendahkan diri di hadapan Allah ﷻ. Jangan sombong untuk mentauhidkan Allah ﷻ kalau tidak, kita telah berlaku zalim kepada Allah ﷻ. Itulah yang selayaknya untuk diri kita kerana tidak ada apa-apa untuk dibanggakan dan rasa diri itu lebih.

Firaun merasakan dirinya terlalu tinggi. Dia sangka, dengan kuasanya di bumi Mesir, dia boleh buat apa-apa sahaja yang dia hendak. Sampaikan dia rasa dilah tuhan. Oleh itu dia tidak mahu tunduk kepada ajakan tauhid Nabi Musa عليه السلام . Maka Nabi Musa عليه السلام mengingatkan Firaun yang dia bukannya menolak baginda, tetapi menolak Allah ﷻ sebenarnya.

Bagaimana pula dengan diri kita dan masyarakat? Ada antara masyarakat kita apabila diberikan dalil dengan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka tidak mahu menerima dalil yang diberikan.

Mereka tidak mahu tunduk dengan arahan yang Allah ﷻ telah keluarkan dalam Al-Qur’an. Mereka yang tidak ikut suruhan Allah ﷻ dan Nabi, kerana mereka rasa lebih tinggi dari Al-Qur’an, lebih tinggi dari Allah ﷻ . Mereka rasa pendapat dan akal mereka lebih bagus.

Begitulah yang banyak terjadi dalam kalangan kita. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, ramai yang tidak terima. Mereka hendak juga menggunakan pendapat akal mereka, kata-kata guru dan kitab-kitab selain Al-Qur’an. Sikap begini seolah-olah mereka lebih tahu dari Nabi dan Allah ﷻ atau mereka rasa pendapat guru mereka lebih baik dari ayat-ayat Al-Qur’an. Ma sha Allah!

 

إِنِّي ءآتِيكُم بِسُلْطٰنٍ مُّبِينٍ

sesungguhnya aku datang membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

Nabi Musa عليه السلام bukan datang dengan tangan kosong tetapi dengan membawa mukjizat iaitu bukti yang baginda adalah seorang Nabi. Buktinya adalah dengan mukjizat yang diberikan kepada baginda عليه السلام . Mukjizat yang ditunjukkan oleh para Nabi adalah yang sesuai dengan zaman mereka.

Zaman Nabi Musa عليه السلام , umatnya banyak amal sihir dan mereka hormat dan pandang tinggi kepada ahli sihir. Zaman Nabi Muhammad ﷺ, pula mukjizat dalam bentuk bahasa yang hebat iaitu Al-Qur’an. Mukjizat Nabi Musa عليه السلام yang ditunjukkan itu ada dua:

1. Tongkat baginda عليه السلام yang bertukar menjadi ular.
2. Tangan baginda عليه السلام bercahaya selepas meletakkannya di celah ketiak.

Bukan itu sahaja mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda عليه السلام. Ada lagi mukjizat-mukjizat lain yang semakin lama semakin besar seperti yang disebut dalam Zukhruf:48

وَما نُريهِم مِن آيَةٍ إِلّا هِيَ أَكبَرُ مِن أُختِها

Dan tidaklah Kami perlihatkan kepada mereka sesuatu mukjizat kecuali mukjizat itu lebih besar dari mukjizat-mukjizat yang sebelumnya.

Maka sepanjang Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada Firaun dan bangsa Qibti di Mesir itu, ada banyak mukjizat yang telah ditunjukkan kepada mereka.

Kita tidak ada mukjizat, tetapi kita ada Al-Qur’an sebagai hujah kita. Ia adalah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ dan merupakan mukjizat terakhir yang akan kekal sampai ke Hari Kiamat. Itulah dalil yang amat jelas sekali kepada mereka yang mahu membuka hati kepada kebenaran. Ini dinamakan Mukjizah Khaalidah – berkekalan sampai bila-bila.

Mukjizat para Nabi lain, orang yang nampak sahaja yang tahu. Kita tidak nampak bagaimana tangan Nabi Musa عليه السلام bercahaya dan tongkatnya menjadi ular, bukan? Namun, Al-Qur’an ini sampai bila-bila boleh nampak dan boleh baca hari-hari. Maka, amat sedih bila ramai dari antara kita yang tidak menghargainya.

Sedangkan mukjizat yang ada ada di dalam Al-Qur’an ini adalah jelas. Ia hanya tidak jelas kepada mereka yang tidak mahu belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.


 

Dukhan Ayat 20: Ada idmaj sebelum ayat ini. Idmaj adalah kisah yang panjang diceritakan dalam surah-surah yang lain. Hanya yang tidak disebut adalah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah lama berdakwah kepada kaumnya itu.

Sekarang terus masuk kepada kisah bagaimana mereka telah membuat keputusan untuk menyakiti baginda عليه السلام. Mereka marah sangat sampai mereka mengancam hendak sakiti dan hendak merejam baginda عليه السلام. Inilah kata-kata Nabi Musa عليه السلام kepada mereka apabila mereka mengancam hendak menyakitinya.

وَإِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم أَن تَرجُمونِ

Sahih International

And indeed, I have sought refuge in my Lord and your Lord, lest you stone me.

Malay

“Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

 

وَإِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي

“Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku

Sebaik-baik pelindung adalah Allah ﷻ . Oleh itu, kita hendaklah meminta perlindungan kepada Allah ﷻ dan percaya bahawa Allah ﷻ akan melindungi kita. Senjata yang paling hebat bagi penyeru tauhid yang taat kepada Allah ﷻ adalah doa. Jangan kita pandang rendah kuasa doa ini.

 

وَرَبِّكُمْ

dan Tuhan kamu,

Tuhan Nabi Musa عليه السلام bukan Tuhannya sahaja, tetapi Tuhan kepada Firaun dan kaumnya juga. Walaupun mereka tidak mengaku Allah ﷻ itu Tuhan mereka, Allah ﷻ tetap Tuhan mereka.

 

أَن تَرْجُمُونِ

daripada kamu merejam daku.

Dari sini kita tahu yang Firaun mengancam hendak ‘merejam’ Nabi Musa عليه السلام. Apa yang Nabi Musa عليه السلام lakukan adalah mengatakan yang baginda berlindung dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ pelindung kita. Kalau Allah ﷻ tidak izinkan sesiapa untuk mencederakan kita, tidak ada sesiapa yang boleh buat perkara tidak elok kepada kita.

Inilah yang dinamakan tawakal. Allah ﷻ hendak mengajar kita untuk berdoa dan berserah diri kepada Allah ﷻ . Kalau kita berdoa itu menunjukkan kita rapat dengan Allah ﷻ dan sentiasa mengharap dengan Allah ﷻ .

Jangan kita jadikan doa sebagai jalan yang terakhir. Setelah sudah habis ikhtiar lain dilakukan baru hendak mencari Allah ﷻ , maknanya kita tidak kenal Allah ﷻ serta tidak bersungguh-sungguh berharap kepada Allah ﷻ.

Nota: Ada juga pendapat yang mengatakan rajam itu adalah dengan kata-kata yang menghina dan mencaci maki.

Ibnu Abbas عليه السلام mengatakan, demikian pula Abu Saleh— bahawa yang dimaksudkan dengan rajam ialah rajam dengan lisan iaitu mencaci maki. Maka kalau pendapat ini dipakai, makna ayat ini ialah: ‘aku berlindung kepada Allah ﷻ yang telah menciptakan diriku dan diri kalian agar jangan sampai kalian menyentuhku dengan perbuatan atau ucapan yang buruk.’

 

Dukhan Ayat 21: Jika mereka tidak mahu terima Islam, sekurang-kurangnya,

وَإِن لَّم تُؤمِنوا لي فَاعتَزِلونِ

Sahih International

But if you do not believe me, then leave me alone.”

Malay

“Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah mengganggu daku).”

 

وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا لِي

“Dan sekiranya kamu tidak juga mahu beriman denganku,

Ada orang yang memang walaupun kita telah dakwah dan ajak mereka kepada kebenaran, mereka tidak akan terima. Ini kerana mereka telah ditaqdirkan tidak akan beriman.

 

فَاعْتَزِلُونِ

biarkanlah aku.”

Kalau tidak mahu beriman, janganlah hendak mencederakan dan mengacau baginda عليه السلام hendak berdakwah kepada manusia lain. Baginda عليه السلام hanya mahu membawa mereka kepada jalan tauhid. Ini kerana telah ada tanda-tanda yang Firaun akan mencederakan malah mahu membunuh baginda عليه السلام .

Nabi Musa عليه السلام bukan takut dibunuh oleh Firaun kerana Allah ﷻ telah beritahu yang baginda عليه السلام akan selamat. Namun, membunuh seorang Nabi adalah jenayah yang paling besar sekali, jadi baginda عليه السلام ingatkan mereka jangan mencari masalah. Jika mereka buat begitu, mereka sebenarnya mencari masalah dengan Allah ﷻ. Riwayat mereka akan jadi pendek sekali kalau mereka teruskan juga. Nabi Musa عليه السلام ingatkan sahaja.

Zaman sekarang, tidak ada lagi Nabi dan Rasul. Namun, masih ada penyebar dan pendakwah Tauhid. Merekalah yang meneruskan tugas Nabi dan Rasul. Kalau mereka diancam untuk dibunuh atau disakiti, kemudian mereka angkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ, itu juga akan menjadi satu sebab untuk azab diturunkan.


 

Dukhan Ayat 22: Walaupun Nabi Musa عليه السلام telah bercakap kepada Firaun supaya meninggalkan baginda dan jangan mencederakannya, Firaun masih bertekad hendak  membunuh baginda. Maka, Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ:

فَدَعا رَبَّهُ أَنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ مُّجرِمونَ

Sahih International

And [finally] he called to his Lord that these were a criminal people.

Malay

(Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka ia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: “Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya, dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya)”.

 

فَدَعَا رَبَّهُ

Maka Dia pun merayu kepada Tuhannya

Sekian lama Nabi Musa عليه السلام berusaha berdakwah kepada Firaun dengan menggunakan pelbagai cara dan menunjukkan berbagai mukjizat baginda عليه السلام. Malah Firaun juga dikenakan bala-bala untuk menundukkan ego, tetapi  masih lagi  sama. Mereka tetap tidak mahu beriman atau membiarkan baginda عليه السلام menjalankan tugas dakwah. Maka, barulah Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk berbuat sesuatu kepada Firaun dan kaumnya.

Maknanya, apabila sampai kepada satu tahap, baginda عليه السلام sudah tidak tahan lagi, barulah baginda عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ. Inilah senjata ampuh orang mukmin  iaitu berdoa kepada Allah ﷻ. Bukanlah Nabi Musa عليه السلام awal-awal terus berdoa untuk menjatuhkan azab kepada mereka. Begitu juga kita, tidak boleh kita terus hendak doakan kehancuran kepada mereka yang tidak mahu beriman dan terus mahu melakukan syirik.

Memang tidak disebut dalam ayat ini apa yang terjadi, tetapi dari ayat-ayat yang lain, kita dapat tahu bahawa berbagai-bagai perkara telah berlaku antara ayat 21 dan 22 ini. Makan masa bertahun-tahun kisah itu.

Begitu juga kita kena berdakwah dengan berbagai cara dan berkali-kali sebelum kita meninggalkan orang yang menentang itu.

Doa Nabi Musa عليه السلام itu kita boleh lihat dalam ayat Yunus:88

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Musa berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami — akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih”.

 

أَنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ مُّجْرِمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa.

Ijram adalah dosa yang paling besar. Ini kerana Firaun bukan sahaja tidak mahu beriman, tetapi telah menentang Nabi Musa عليه السلام, mengejek, ugut untuk membunuh dan menambahkan kezaliman kepada Bani Israil. Firaun juga telah mengeluarkan arahan untuk membunuh kanak-kanak Bani Israil. Dulu dia sudah keluarkan arahan itu semasa Nabi Musa عليه السلام lahir, kali ini dia hendak mengulangi perbuatan itu lagi.

Dosa paling besar Firaun dan pengikutnya adalah dosa syirik dan ia telah menjadi tabiat mereka.

Doa adalah senjata paling kuat seorang Nabi. Kalau seorang Nabi berdoa, Allah  ﷻ akan makbulkan. Allah ﷻ ingatkan bangsa Quraish bahawa boleh sahaja Nabi Muhammad ﷺ berdoa untuk diturunkan azab kepada mereka seperti doa Nabi Musa عليه السلام ini, maka berhati-hatilah. Ini kerana mereka juga ada mengancam hendak membunuh baginda ﷺ.

Mereka diingatkan supaya jangan sampai Nabi Muhammad ﷺ berdoa seperti doa Nabi Musa  عليه السلام ini. Tentera malaikat menunggu sahaja hendak menghancurkan mereka kalau Nabi ﷺ berdoa.


 

Dukhan Ayat 23: Setelah Nabi Musa عليه السلام berdoa begitu, maka Allah ﷻ telah memperkenankan doa dan memberikan arahan kepada baginda عليه السلام . Ini adalah perlaksanaan kepada doa yang telah dimakbulkan itu. Nabi Musa عليه السلام kena ikut arahan ini:

فَأَسرِ بِعِبادي لَيلًا إِنَّكُم مُّتَّبَعونَ

Sahih International

[ Allah said], “Then set out with My servants by night. Indeed, you are to be pursued.

Malay

Lalu (diperintahkan kepadanya): “Bawalah hamba-hambaKu keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).

 

فَأَسْرِ بِعِبَادِي

“Bawalah hamba-hambaKu keluar pada waktu malam

Ada muqaddar dalam ayat ini, قلنا (Kami [Allah] berkata). Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi arahan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk membawa Bani Israil bersama untuk lari pada malam hari, waktu bangsa Qibti sedang tidur.

Allah ﷻ memberi penghormatan kepada mereka dengan menggelar mereka ‘hamba-Nya’. Padahal bukan semua yang mengikut Nabi Musa عليه السلام  itu semuanya beriman. Ada juga yang tidak beriman tetapi dibawa juga kerana mereka adalah dari Bani Israil. Antara mereka yang termasuk dalam menyeberang adalah dari bangsa Qibti yang ada beriman dengan Nabi Musa عليه السلام . Ada yang mengatakan termasuklah seorang Lelaki Mukmin yang disebut-sebut dalam Surah Ghafir.

Timbul satu persoalan: kalau difikirkan, Nabi Musa عليه السلام boleh sahaja membawa kaumnya lari awal-awal lagi. Namun, lihatlah bagaimana baginda عليه السلام telah pergi berjumpa dengan Firaun sendiri dan memohon kepada Firaun untuk membenarkan baginda عليه السلام membawa keluar. Kemudian setelah tidak dibenarkan oleh Firaun, baginda telah menunggu bertahun-tahun. Kenapa?

Kenapa perlu melalui proses itu? Ini kerana hendak memberi peluang kepada Firaun untuk bertaubat tetapi apabila Firaun tidak mahu ikut dan terus dalam kesesatan, barulah Allah ﷻ memberikan arahan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk melakukan tindakan seterusnya.

 

لَيْلًا

pada satu ketika dari waktu malam,

Perkataan أَسْرِ sendiri sudah bermaksud ‘keluar pada waktu malam’ tetapi ditambah dengan perkataan لَيْلًا untuk merujuk ia adalah waktu yang tertentu pada waktu malam. Ketika itu adalah waktu yang selamat untuk mereka lari. Mungkin semua orang lain sudah tidur, waktu pengawal tidak ada dan sebagainya.

Mereka kena keluar pada waktu malam kerana mereka kena lari dalam rahsia kegelapan malam dan kena pilih waktu yang sesuai. Ayat ini lebih kurang sama seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ يَبَسًا لَا تَخَافُ دَرَكًا وَلا تَخْشَى}
dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa, “Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israil) di malam hari, maka buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut, kamu tak usah khawatir akan tersusul dan tidak usah takut (akan tenggelam).” (Thaha: 77)

 

إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

kerana sesungguhnya kamu akan dikejar

Allah ﷻ telah beritahu awal-awal lagi yang mereka akan dikejar oleh Firaun. Apabila Firaun dan orang-orangnya sedar yang kaum Bani yang menjadi hamba mereka telah hilang, mereka terus mengejar Bani Israil itu. Firaun mengarahkan semua sekali ikut pergi mengejar Musa عليه السلام dan Bani Israil. Oleh kerana itu mereka kena lari semasa bangsa Qibti telah tidur.

Dia tidak benarkan sesiapa tinggal. Beginilah cara Allah ﷻ jadikan supaya mereka semua sekali keluar. Sebab Allah ﷻ hendak musnahkan mereka semua sekali. Allah ﷻ  mahu mengeluarkan mereka semua sekali dari Mesir dan mereka akan dimusnahkan. Maka Mesir tidak terganggu dan akan diberikan kepada orang lain pula.

Allah ﷻ telah merancang perjalanan masa itu, supaya apabila mereka keluar lari pada malam hari, mereka dapat lari pada satu jarak yang jauh. Supaya nanti apabila Firaun dan pengikutnya mengejar, mereka akan bertembung di tepi laut. Semua itu dalam perancangan Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga memberi isyarat kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini bahawa baginda ﷺ juga akan dikejar apabila berhijrah nanti. Jadi ini adalah isyarat kepada baginda supaya berhati-hati.


 

Dukhan Ayat 24: Di celah ayat ini dan ayat sebelumnya juga ada idmaj. Ada kisah panjang lagi bagaimana mereka lari dan sampai ke laut. Ini diceritakan dalam ayat-ayat yang lain.

Ayat 24 ini adalah mengenai kejadian semasa Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil sedang menyeberang laut. Selain itu ayat ini  juga adalah selepas Nabi Musa عليه السلام diarahkan oleh Allah ﷻ untuk memukul laut dengan tongkatnya dan dengan izin Allah ﷻ, laut itu terbelah. Mereka telah menyeberangi laut itu mengikut Nabi Musa عليه السلام .

Waktu itu ramai kaum Firaun dari bangsa Qibti yang sedang mengejar Bani Israil. Kebanyakan mereka adalah tentera-tentera Firaun. Kita kena ingat bahawa Mesir waktu itu adalah negara ketenteraan. Jadi, pemuka-pemuka negara mereka, yang kaya raya dan mempunyai kuasa adalah tentera-tentera.

Semasa Bani Israil telah melepasi laut itu, Bani Israil suruh Nabi Musa عليه السلام untuk menutup kembali laluan laut itu supaya Firaun dan tenteranya tidak dapat ikut mereka. Namun, Allah ﷻ berfirman:

وَاترُكِ البَحرَ رَهوًا ۖ إِنَّهُم جُندٌ مُّغرَقونَ

Sahih International

And leave the sea in stillness. Indeed, they are an army to be drowned.”

Malay

“Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang – terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa)”.

 

وَاتْرُكِ الْبَحْرَ

“Dan biarkanlah laut itu

Setelah mereka selamat menyeberangi laut itu, Allah ﷻ tidak memberi Nabi Musa عليه السلام untuk mengetuk laut itu dengan tongkatnya. Tongkat Nabi Musa عليه السلام waktu itu adalah seperti suis on dan off. Kalau baginda عليه السلام ketuk sekali lagi, laut boleh tertutup kembali. Bani Israil telah mendesak Nabi Musa عليه السلام untuk mengetuk laut itu sekali lagi, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan. Allah ﷻ suruh biarkan sahaja.

 

رَهْوًا

dalam keadaan terbelah,

Perkataan رَهْوًا berasal dari katadasar ر ه و yang bermaksud ‘tenang’, ‘berjalan dengan tenang’, ‘air laut yang tenang’. Bukankah selalunya laut itu memang bergelora? Tidak kira waktu bila kita pergi ke laut, tentu laut sedang bergelora. Memang begitu tetapi apabila Nabi Musa عليه السلام memukul laut, ia menjadi tenang. Keadaan itu telah memudahkan bani Israil untuk menyeberangi laut. Itu adalah salah satu lagi dari rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada Bani Israil.

Oleh itu, ayat ini menceritakan bahawa selepas Bani Israil telah menyeberang laut, Allah  ﷻ suruh biarkan sahaja laut itu dalam keadaan tenang dan terbelah. Allah ﷻ beritahu Nabi Musa عليه السلام jangan lagi ketuk laut itu untuk mencantumkannya balik semula. Biarkan ia terbelah lagi.

Mujahid mengatakan bahawa rahwan ertinya jalan yang kering seperti keadaan ketika dipukul oleh Musa عليه السلام dengan tongkatnya. Ini kerana Allah hendak biar Firaun pun ikut laluan itu juga. Allah ﷻ berfirman, “Janganlah kamu perintahkan laut supaya menutup sebelum orang yang terakhir dari pasukan Fir’aun masuk ke dalamnya.”

 

إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan”.

Ada tujuan kenapa Allah ﷻ hendak biarkan air laut itu dalam keadaan begitu. Allah ﷻ hendak mereka ikut sampai ke tengah laut, dan waktu itulah nanti laut itu akan dicantumkan semula dan mereka semuanya akan ditenggelamkan. Bayangkan air laut yang tinggi menggunung di sebelah kanan dan kiri mereka dan apabila laut itu dicantumkan kembali, air laut itu akan menghempas mereka dan mematikan mereka.

Begitulah kesudahan Firaun dan tenteranya yang sombong dengan Allah ﷻ. Mereka yang sombong dengan Allah ﷻ akan kalah dan akan menerima bala yang besar.

Firaun sombong kerana dia ada kekayaan dan kekuasaan. Dia telah mabuk dengan kelebihan keduniaan yang dia ada. Begitu jugalah dengan Musyrikin Mekah yang sangka mereka sudah cukup kaya, cukup kuat. Sampai apabila Nabi Muhammad ﷺ berdakwah kepada mereka, mereka tidak mahu terima. Padahal, apalah sangat yang mereka ada kalau hendak dibandingkan dengan Firaun dan kekayaannya.

Begitulah juga dengan masyarakat kita sekarang. Apabila kehidupan senang, kaya dan berkuasa, mereka susah hendak menerima kebenaran kerana menyangka sudah cukup keperluan kehidupan mereka, tidak memerlukan apa-apa lagi. Mereka senang hendak melupakan Allah ﷻ kerana kesenangan yang mereka ada itu.

Mereka hanyut dalam kenikmatan yang Allah ﷻ juga berikan kepada mereka. Mereka sudah tidak nampak yang segala kenikmatan yang mereka ada itu adalah dari Allah ﷻ. Mereka sangka ia adalah hasil usaha mereka. Itulah kesilapan kebanyakan manusia, mereka lupa bahawa segala apa yang mereka ada, itu semuanya dari Allah ﷻ belaka.


 

Dukhan Ayat 25: Selepas mereka mati, apakah yang terjadi dengan segala kemewahan yang mereka banggakan itu dulu?

كَم تَرَكوا مِن جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

How much they left behind of gardens and springs

Malay

Banyak sungguh kebun-kebun dan matair, mereka tinggalkan,

 

Kehebatan kaum Firaun adalah tentang bandar mereka yang hebat. Apa yang mereka banggakan semuanya tidak dapat membantu mereka.

Selepas mereka dilemaskan, segala kekayaan mereka di Mesir itu kena ditinggalkan. Kota Mesir dan penempatan tidak dimusnahkan kerana ada dari mereka yang tidak bersalah seperti kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak ikut serta mengejar Bani Israil. Allah ﷻ tidak hancurkan mereka dan tempat penempatan.

Allah ﷻ hanya musnahkan musuh sahaja macam buang sampah dan tidak musnahkan tempat tinggal dan segala harta benda. Allah ﷻ tidak musnahkan kerana hendak memberi segala kekayaan itu kepada Bani Israil. Mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih kekayaan itu. Mereka diberikan dengan nikmat itu kerana mereka sanggup ikut Nabi Musa عليه السلام  .

Ini menunjukkan bahawa dengan mengikut Nabi, ada keberkatan dan kelebihan yang akan diberikan. Ketahuilah yang manusia yang taat boleh dapat kelebihan dunia juga, bukan hanya akhirat. Ini kerana Nabi Musa عليه السلام ada janjikan perkara itu kepada Bani Israil dan kerana itu Allah ﷻ penuhi janji itu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Dukhan Ayat 26: Allah ﷻ sebut apakah yang ditinggalkan.

وَزُروعٍ وَمَقامٍ كَريمٍ

Sahih International

And crops and noble sites

Malay

Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah – mulia,

 

وَزُرُوعٍ

Dan juga tanam-tanaman, ladang-ladang.

Tanam tanaman dan makan ruji.

 

وَمَقَامٍ

serta tempat-tempat kediaman

Tempat mereka berdiri (tinggal) iaitu rumah-rumah dan istana-istana mereka.

Juga boleh juga digunakan untuk menceritakan kedudukan mereka yang tinggi di mata masyarakat dan negara-negara lain. Kedudukan yang tinggi dipegang oleh mereka yang dalam tentera kerana negara Firaun adalah negara tentera. Mereka telah kehilangan segala ketinggian keduniaan itu.

 

كَرِيمٍ

yang indah – mulia,

Semuanya ditinggalkan sahaja. Ini kerana semasa Firaun mengejar Bani Israil yang lari dengan Nabi Musa عليه السلام, Firaun telah mengajak tentera-tenteranya ikut sekali. Merekalah golongan elit masyarakat itu. Mereka semuanya mati bersama dengan Firaun dalam laut dan yang tinggal adalah mereka yang tidak terlibat sahaja, seperti kaum wanita dan kanak-kanak.


 

Dukhan Ayat 27:

وَنَعمَةٍ كانوا فيها فٰكِهينَ

Sahih International

And comfort wherein they were amused.

Malay

Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.

 

وَنَعْمَةٍ

Dan juga nikmat kemewahan hidup,

Kehidupan yang senang lenang. Mereka hidup dengan senang lenang dan dalam masa yang sama, mereka memperhambakan Bani Israil.

 

كَانُوا فِيهَا فٰكِهِينَ

yang mereka sekian lama menikmatinya.

Dulu mereka telah memperhambakan Bani Israil begitu lama sekali. Mereka hidup dengan segala kesenangan waktu itu. Sekarang semuanya ditinggalkan sahaja dan tidak dapat membantu mereka langsung. Bukankah agama mereka mengajar bahawa segala harta mereka boleh dibawa kepada kehidupan yang seterusnya?

Sebab itulah kita lihat dalam piramid itu, mereka simpan berbagai harta, emas dan sebagainya kerana mereka sangka mereka boleh bawa ke alam yang seterusnya. Namun sekarang? Semuanya mereka tinggalkan. Langsung tidak berguna kepada mereka. Allah ﷻ hina mereka begitu sekali.


 

Dukhan Ayat 28: Apa yang jadi dengan segala harta kekayaan itu?

كَذٰلِكَ ۖ وَأَورَثنٰها قَومًا ءآخَرينَ

Sahih International

Thus. And We caused to inherit it another people.

Malay

Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah keadaannya

Itulah hukuman kepada mereka dan lihatlah bagaimana mereka meninggalkan segala yang dibanggakan itu. Wahai orang Mekah, dengarlah pengajaran ini dan jangan degil kerana kalau masih berdegil, kamu juga akan kena sama seperti mereka.

 

وَأَوْرَثْنٰهَا قَوْمًا ءآخَرِينَ

dan Kami wasiatkan kepada kaum yang lain

Diberikan kemewahan itu kepada orang lain. Apabila ditinggalkan begitu sahaja, ada orang lain yang datang dan ambil semua kemewahan itu. Ada yang kata bahawa ia telah diambil oleh Bani Israil dan mungkin juga diambil oleh kaum lain kerana Bani Israil semuanya sudah melepasi Laut Merah.

Namun, daripada dalil dari Surah Syuara’, pendapat yang kuat mengatakan ia diambil oleh Bani Israil iaitu mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih Kota Mesir. Memang ada yang mengkritik pendapat yang mengatakan Bani Israil mengambil kembali Mesir kerana tidak ada maklumat ini dalam lipatan sejarah tetapi ini telah dijawab dalam ayat Syuara’.

{كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا بَنِي إِسْرَائِيلَ}

demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israil. (Asy-Syu’ara: 59)

Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:

{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ}

Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Al-A’raf: 137)


 

Dukhan Ayat 29:

فَما بَكَت عَلَيهِمُ السَّماءُ وَالأَرضُ وَما كانوا مُنظَرينَ

Sahih International

And the heaven and earth wept not for them, nor were they reprieved.

Malay

Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.

 

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ

Mereka itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi

Kematian mereka beramai-ramai itu adalah kejadian yang pelik. Habis semua sekali dalam masa sekejap sahaja tetapi tidak ada sesiapa yang menangisi mereka. Bandingkan, kalau ada yang mati banjir sekarang, siap masuk surat khabar dan orang ramai akan sedih.

Firaun dan pengikutnya tidak dihiraukan kerana tidak ada siapa peduli golongan sampah. Mereka golongan yang hina. Semasa mereka hidup, memang penduduk sekitar memuji dan baik kepada mereka kerana kekuasaan yang ada pada mereka. Namun, apabila mereka mati semuanya, semua penduduk sekitar menarik nafas lega.

Langit dan bumi juga tidak rasa kasihan kepada mereka langsung. Sebenarnya, kalau orang beriman mati, langit dan bumi akan kesedihan. Ini kerana orang beriman itu tidak solat lagi di atasnya, tidak buat kebaikan lagi di atasnya. Semasa orang beriman itu hidup lagi, amalan mereka diangkat ke langit dan bila dia mati, langit tidak menerima amalan orang itu lagi.

Tempat yang kita selalu lakukan amalan baik akan sedih kalau kita tinggalkan mereka. Tahukah anda kisah pokok tempat Nabi Muhammad ﷺ bersandar semasa beri khutbah? Nabi ﷺ akan bersandar kepada pokok itu semasa beri khutbah sebelum Masjid Nabi ada mimbar.

Apabila mimbar Masjid siap, dan baginda ﷺ tidak lagi bersandar kepada pokok itu. Ini menyebabkan pokok itu menangis kerana Nabi ﷺ sudah tidak lagi bersandar kepadanya. Nabi ﷺ kena peluk pokok itu, barulah pokok itu senyap. Ini disebut dalam hadis yang sahih dan ramai para sahabat yang mendengarnya. Ini adalah salah satu dari kisah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ .

Kisah ini mengajar kita bahawa alam ini menyimpan rasa sayang kepada kita apabila kita beramal berdekatan dengannya. Begitu juga, alam ini akan benci kepada kita apabila kita buat maksiat padanya. Ini adalah kerana alam ini beribadat kepada Allah ﷻ dan mereka suka kalau kita beribadat berdekatannya.

Satu kisah juga disampaikan kepada kita: bagaimana Arash Allah ﷻ bergegar apabila Saad bin Muaz رضي الله عنه meninggal. Saad adalah ketua kaum dari Yathrib yang mula-mula masuk Islam. Beliau telah memberitahu kepada kaumnya, kalau mereka tidak beriman kepada Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ, beliau tidak akan bercakap dengan mereka selama-lamanya.

Petang itu, semua ahli kaumnya telah masuk Islam. Besar sekali jasanya sampaikan apabila beliau meninggal, Arash Allah ﷻ bergegar kerana kesedihan. Sebagai contoh,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ

Dari [Jabir] dia berkata; Rasulullah Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “‘Arsy Ar Rahman ‘azza wajalla bergetar kerana kematian Sa’d bin Mu’adz.”

Sahih Bukhari (154)

Ini mengajar kita untuk memikirkan apakah kelakuan kita dalam dunia ini. Apakah yang kita buat dalam dunia dan adakah alam ini akan menangisi kita apabila kita mati nanti? Oleh itu, ke mana sahaja kita pergi, tinggalkan perkara baik di tempat itu. Sebagai contoh, apabila kita pergi ke hutan contohnya, laungkan azan untuk solat. Kemudian solatlah di dalam hutan itu.

Tempat itu akan menjadi saksi untuk kita nanti. Banyakkan juga tempat sujud kerana tempat sujud akan menjadi saksi buat kita nanti kerana alam ini menyaksikan segala perbuatan kita sebenarnya. Janganlah alam ini nanti menjadi saksi atas segala dosa yang kita lakukan di dalamnya. Sebaliknya biarlah alam ini jadi saksi bagi amal kebaikan yang kita telah lakukan.

Ada satu mukjizat Al-Qur’an di dalam ayat ini. Ia berkenaan dengan ilmu pengetahuan Mesir (Egyptology). Antara perkara yang dikaji adalah tulisan zaman kuno iaitu hieroglif. Dari kurun ke 5 sehingga ke zaman moden, tulisan hieroglif ini tidak dapat diterjemahkan kerana ia adalah bahasa yang telah mati. Sehinggalah pada tahun 1820an ia dapat dilakukan oleh seorang lelaki bernama Jean-Francois Champollion, dengan bantuan Rosetta Stone.

Setelah diterjemahkan, antara perkara yang dapat diketahui adalah rupanya rakyat Mesir menangisi kematian Firaun mereka dan ditulis dalam bentuk hieroglif. Apa mereka tulis?

The sky weeps, the stars shake, the keepers of the gods tremble and their servants flee when they behold the King rising up as spirit, as a god who lives on his fathers and possesses his mothers. 

Lihatlah mereka kononnya kata langit menangisi kematian Firaun. Tapi 1,400 tahun dahulu sudah jawab yang langit dan malah bumi tidak menangisi pun kematian Firaun. Waktu wahyu ini diturunkan, tidak ada sesiapa pun yang tahu tentang tulisan hieroglif ini. Maka ia adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an.

 

وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh.

Mereka tidak diberi masa tangguh untuk bertaubat. Masa Firaun dan tenteranya hampir mati kelemasan dalam laut, baru mereka hendak beriman. Termasuklah Firaun sekali tetapi iman mereka tidak diterima waktu itu. Ini kerana iman yang hanya timbul masa sudah melihat azab yang dikenakan kepada mereka, atau apabila nyawa sudah di halqum, tidak diterima. Mereka tidak akan diberi peluang.

Begitu juga, kalau kita selama ini berbuat dosa dan syirik, dan apabila kita hanya hendak bertaubat apabila nyawa sudah di halqum, ia tidak diterima.

Apabila ahli neraka kena azab nanti, mereka juga tidak diberi tangguh. Mereka tidak boleh hendak minta dengan malaikat supaya jangan seksa dulu, tunggu sehari dua dulu, seminit dua pun, tidak. Apabila kena seksa, malaikat yang ditugaskan menyeksa akan terus menyeksa ahli neraka tanpa henti.

Habis Ruku’ 1 dari 3 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Ogos 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani