Tafsir Surah an-Nisa Ayat 102 (Solat Khauf)

Ayat 102: Ini adalah tentang Solat Khauf – Solat Takut. Ianya adalah solat yang dilakukan semasa berperang. Dalam Solat Khauf, ianya perlu dilakukan berjemaah. Kerana solat berjemaah adalah teras kepada hubungan dengan Allah. Dalam perang pun kena tegakkan, maka apatah lagi kalau dalam keadaan yang aman. Penyatuan umat Islam pun duduk dalam solat berjemaah, jadi perlulah ianya dijalankan.

Kecuali kalau kita dengan musuh sedaging (sedang berlawan dekat sangat sampai boleh sentuh) maka boleh solat sendirian. Boleh solat semasa berjalan atau berlari, atas tanah atau atas kenderaan. Maknanya, waktu itu solat sendirian sahaja kerana perang sedang berkecamuk.

وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم ۗ وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَو كُنتُم مَّرضىٰ أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم ۖ وَخُذوا حِذرَكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you [i.e., the commander of an army] are among them and lead them in prayer,¹ let a group of them stand [in prayer] with you and let them carry their arms. And when they have prostrated, let them be [in position] behind you and have the other group come forward which has not [yet] prayed and let them pray with you, taking precaution and carrying their arms. Those who disbelieve wish that you would neglect your weapons and your baggage so they could come down upon you in one [single] attack. But there is no blame upon you, if you are troubled by rain or are ill, for putting down your arms, but take precaution. Indeed, Allāh has prepared for the disbelievers a humiliating punishment.

  • At times of fear on the battleground.

MALAY

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

 

وَإِذا كُنتَ فيهِم

Dan apabila engkau berada dalam kalangan mereka, 

Arahan ini dikeluarkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mengajar baginda bagaimana hendak melakukan Solat Khauf iaitu semasa dalam peperangan. Dalam perang pun, solat berjemaah tidak ditinggalkan, apatah lagi kalau solat.

Ada ulama yang mengatakan khitab (ditujukan) ayat ini kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan kerana itu mereka kata ayat ini khusus pada zaman baginda sahaja. Pendapat ini lemah kerana banyak ayat khitab kepada baginda ﷺ tapi tidaklah terpakai hanya untuk baginda sahaja.

Jadi yang rajihnya ia bukan khusus kepada Nabi Muhammad sahaja, tapi kepada ketua perang yang berperang bersama dengan tenteranya. Dalilnya kerana para sahabat pun melakukannya juga setelah kewafatan baginda dan tidak ditegur oleh mana-mana sahabat pun.

Solat Khauf ini dilakukan dalam suasana perang tapi semasa menunggu peperangan bermula. Kalau peperangan sudah bermula maka susahlah untuk melakukan Solat Khauf ini. Sampaikan pendapat Imam Hanafi, solat boleh ditangguhkan. Imam Malik pula mengatakan kalau tidak mampu untuk rukuk dan sujud semasa berperang, maka boleh dilakukan solat dengan isyarat sahaja. Imam Syafie pula berkata semasa bergelut pun boleh solat juga.

Solat Khauf boleh dilakukan mengadap kiblat atau tidak. Kerana ada keadaan tertentu, tidak boleh nak mengadap kiblat – bergantung kepada kedudukan musuh. Kerana bahaya kalau membelakangkan musuh, maka kena mengadap kepada mereka. Maklumat yang lebih terperinci boleh didapati dalam kitab-kitab Fiqh.

 

فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ

lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,

Maknanya, dalam perang pun kena solat jemaah juga. Ma sha Allah, kalau semasa perang pun kena solat jemaah, apatah lagi kalau solat dalam keadaan aman. Ini adalah salah satu dalil untuk mengatakan yang solat jemaah adalah wajib bagi lelaki Mukmin.

 

فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ

maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri bersama-samamu,

Untuk mengerjakan Solat Khauf ini, pasukan tentera kena dipecahkan kepada dua puak. Satu puak akan solat sekali dengan imam pada rakaat pertama. Kerana sepuak lagi akan berjaga-jaga dari serangan musuh.

Cara Solat Khauf
Kena ada yang solat dan kena ada yang kawal

 

وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم

dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; 

Yang solat dengan imam waktu itu kena pegang senjata mereka jenis yang ringan. Maknanya, mereka kena solat dengan senjata. Kerana kalau tentera musuh menyerang, boleh terus mempertahankan diri. Satu golongan lagi berdiri di belakang berkawal.

 

فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم

kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang

Mereka jadi orang yang duduk di belakang pula. Setelah separuh solat – sudah sujud bersama dengan imam, kumpulan yang mula-mula bersolat dengan imam tadi, hendaklah berundur ke belakang. Maknanya, mereka telah dapat takbiratulihram dengan imam dan juga dapat sujud dengan imam dalam rakaat pertama. Mereka kena habiskan solat sendirian.

 

وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ

dan hendaklah datang pula puak yang lain yang belum sembahyang, maka hendaklah mereka bersembahyang bersama-samamu, 

Sekarang, kumpulan kedua pula yang masuk dalam jemaah. Mereka ganti kumpulan yang pertama tadi. Mereka pula yang jadi makmum kepada imam. Kedudukan imam tidak berubah, dia tunggu pasukan yang kedua masuk untuk jadi makmum kepadanya pula.

Ini adalah salah satu dari cara Solat Khauf. Ada lapan cara Nabi ﷺ ajar Solat Khauf. Cara untuk melakukan Solat Khauf bergantung kepada keadaan perang itu. Baginda pun melakukan berbagai cara. Ketua perang kena tengok keadaan musuh dan bahaya yang dihadapi.

 

وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم

dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.

Jangan lupa senjata dan barang-barang yang penting. Kena pegang senjata mereka dan letak barang-barang penting dekat dengan mereka. Kena jaga dari dicuri oleh musuh pula. Selain dari senjata, tentu ada barang yang penting.

Contohnya pada zaman sekarang, alat komunikasi. Kalau hilang alat komunikasi, tentu akan susah pula nanti. Begitu juga, kena jaga bekalan makanan dan minuman.

Dan disuruh pegang senjata kerana kalau tiba-tiba musuh menyerang, mereka boleh terus mempertahankan diri mereka walaupun dalam solat. Bukanlah buat keras sahaja kalau musuh menyerang.

 

وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم

Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan barang-barang kamu,

Kena berjaga-jaga kerana tentu tentera kafir nak ambil peluang waktu tentera Islam sedang solat. Mereka pun tahu yang umat Islam tak tinggal solat, dan mereka akan ambil peluang waktu itu. Mereka mahu kita lalai sahaja.

 

فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً

supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.

Mereka nak tunggu peluang untuk mereka serang kita sekaligus – dengan satu serangan yang kuat. Kerana mereka tahu waktu itu umat Islam sedang solat dan tidak berjaga-jaga. Oleh itu, Allah mengingatkan kita untuk berjaga-jaga waktu itu.

Asbabun Nuzul ayat ini:

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-hakim dan disahihkan oleh Al-Baihaqi di dalam Kitabnya Ad-dalail yang bersumber dari Ibnu ‘Iyasy Az-Zurqi. Diriwayatkan pula oleh At-Turmudzi seperti peristiwa di atas yang bersumber dari Abu Hurairah. Demikian juga Ibnu Jarir bin Abdillah yang bersumber dari Ibnu Abbas: Dikemukakan ketika Rasulullah Saw bersama sahabatnya di Asfan datanglah serbuan kaum musyrikin, yang diantaranya terdapat Khalid bin Walid. Mereka berada di arah kiblat. Kemudian Nabi Saw mengimami salat dhuhur. Kaum musyrikin berkata: “Alangkah baiknya kalau kita bisa membunuh pimpinannya dalam keadaan demikian”. Yang lainnya berkata: “Sebentar lagi akan datang waktu salat dan mereka lebih mencintai salat daripada anaknya  ataupun dirinya sendiri”. Lalu turunlah Jibril antara waktu dhuhur dan ashar membawa ayat ini (An-Nisa ayat 102).

 

وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ

Dan tidaklah kamu berdosa, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan

Tentera Islam kena pegang senjata yang ringan semasa dalam Solat Khauf seperti yang telah disebut di atas tadi. Tapi, dibenarkan untuk meletakkan senjata jikalau sedang hujan waktu itu, kerana kalau hujan, tentu susah nak pegang.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan. Ini dalam bentuk hujan yang positif.

Dan kadangkala Allah menggunakan kalimah مطر bagi hujan yang negatif. Iaitu sesuatu yang tidak baik seperti dalam ayat ini.

 

أَو كُنتُم مَّرضىٰ

atau kamu sakit.

Juga dibenarkan untuk meletakkan senjata di bawah kalau waktu itu sakit. Mungkin telah cedera sampai tidak mampu untuk memegang senjata pun. Maka dibenarkan kalau tidak pegang senjata waktu solat itu.

 

أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم

untuk meletakkan senjata masing-masing

Jadi, kalau sakit atau dalam kesusahan seperti hujan, boleh letak senjata di bawah.

 

وَخُذوا حِذرَكُم

Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. 

Allah ingatkan sekali lagi untuk berjaga-jaga, jangan lena, jangan lalai. Walaupun solat, walaupun sudah letak senjata, kena berjaga-jaga dan awas sentiasa.

 

إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا

Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Orang-orang kafir akan menerima azab seksa yang menghinakan. Kerana mereka kufur dan melakukan syirik kepada Allah dan kerana mereka telah menyusahkan orang Islam untuk menjalankan kewajipan dalam solat.

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Oktober 2020

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 98 – 101 (Kebenaran untuk Qasar Solat)

Ayat 98: Ada yang memang tidak boleh untuk meninggalkan tempat mereka menuju ke negara Islam. Ayat ini adalah tentang mereka yang ada alasan. Kerana mereka ada alasan, maka mereka tidak dipersalahkan.

Jadi ini adalah ayat memberitahu pengecualian dari kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak mahu berhijrah seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدٰنِ لا يَستَطيعونَ حيلَةً وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for the oppressed among men, women, and children who cannot devise a plan nor are they directed to a way¹ –

  • They are prevented by circumstances beyond their control.

MALAY

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

 

إِلَّا المُستَضعَفينَ مِنَ الرِّجالِ وَالنِّساءِ وَالوِلدٰنِ

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, 

Mereka lemah dari segi fizikal untuk berhijrah. Mereka tidak boleh meloloskan diri atau pergi sendiri ke negara Islam meninggalkan negara kafir.

 

لا يَستَطيعونَ حيلَةً

yang tidak berdaya upaya mencari helah

Mereka tidak mampu untuk mencari helah – tidak ada kemampuan untuk mencari jalan keluar. Tidak ada orang yang boleh bawa mereka pergi.

 

وَلا يَهتَدونَ سَبيلًا

dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan

Ataupun mereka pun tidak tahu nak pergi ke mana. Tempat lain pun sama sahaja, akan kena tindas juga.

Oleh kerana mereka itu tidak mampu untuk keluar dari negara kafir itu, maka mereka ada alasan yang akan diterima oleh Allah.

Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami ibnu Uyaynah, dari Ubaidillah ibnu Abu Yazid yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Ibnu Abbas mengatakan, “Aku dan ibuku termasuk orang-orang yang tertindas dari kalangan kaum wanita dan anak-anak.”

Macam negara kita ini masih lagi selamat, tidak perlu pergi ke mana-mana. Memang ramai yang buat bidaah, tapi kita tidak perlu ikut mereka. Tidak membahayakan pun kalau kita tidak ikut pun – kena jegil mata dan kena kutuk sahaja – itu biasalah datang dari mereka yang jahil – dan jangan kita takut dengan orang yang jahil.

Tetapi, kalau penduduk negara  ini paksa kita buat bidaah dan syirik, kita boleh pergi ke tempat lain.

Ataupun kalau pemimpin negara ini paksa kita buat benda bidaah dan syirik, maka kita kena tinggalkan. Tapi pemimpin negara ini adalah ahli politik dan mereka tidak campur dalam urusan agama. Mereka hanya menggunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja.

Kalau ada orang yang ikut sunnah, mereka akan biarkan sahaja kerana mereka tidak mahu hilang undi dari puak Sunnah pula nanti.


 

Ayat 99:

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم ۚ وَكانَ اللَهُ عَفُوًّا غَفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For those it is expected that Allāh will pardon them, and Allāh is ever Pardoning and Forgiving.

MALAY

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

 

فَأُولٰئِكَ عَسَى اللَهُ أَن يَعفُوَ عَنهُم

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka.

Mudah-mudahan Allah akan ampun mereka. Maknanya, belum tentu Allah akan maafkan lagi ni. Tapi memang sudah ada alasan yang kukuh. Kalau mereka mampu, Allah tak beri ampun.

Ada juga yang mengatakan lafaz عَسَى bermaksud ‘pasti’. Pasti Allah akan ampunkan. Kerana mengikut kaedah Qur’an, kalimah عَسَى membawa maksud ‘yakin’ juga.

 

وَكانَ اللَهُ عَفُوًّا غَفورًا

Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Allah ingatkan kita dengan SifatNya yang Maha Beri Maaf dan Maha Mengampun. Jadi, ada kemungkinan Allah akan ampunkan.


 

Ayat 100: Ini adalah ayat targhib kepada hijrah. Allah beri dorongan kepada manusia untuk hijrah kepada tempat yang lebih baik. Ini penting kerana dalam fikiran manusia, hijrah itu tentu susah.

Memang bukan senang nak berpindah dari tempat yang kita sudah biasa duduk ke tempat yang belum tentu lagi. Sudahlah jauh, nanti sampai ke sana, tidak tahu apa yang akan terjadi.

Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kelebihan hijrah. Agama akan selamat, dan dunia pun akan selamat juga. Asalkan hijrah kerana agama sahaja, Allah akan beri kemudahan dan kebaikan dan ini adalah janji Dia.

Apa yang hendak dirisaukan sangat tentang berpindah tempat? Orang lain selalu sahaja berpindah kerana hendak cari rezeki dan tidak ada masalah pun. Oleh itu, dalam fikiran kita, kita kena tahu yang bukan ada masalah sangat nak pindah.

Dah banyak dah orang yang hijrah kerana hendak mencari kesenangan dunia. Sekarang Allah suruh hijrah kerana agama, dan itu adalah lebih baik dari hijrah kerana dunia.

۞ وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللهِ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever emigrates for the cause of Allāh will find on the earth many [alternative] locations and abundance. And whoever leaves his home as an emigrant to Allāh and His Messenger and then death overtakes him – his reward has already become incumbent upon Allāh. And Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللهِ

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah

Iaitu mereka yang berhijrah untuk agama mereka – untuk menyelamatkan agama mereka. Kerana kalau di tempat asal mereka, mereka tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sempurna, maka mereka wajib untuk meninggalkan tempat mereka dan pergi ke tempat yang aman untuk mengamalkan agama Islam.

Satu lagi sebab yang membolehkan duduk di negara bukan Islam adalah jika orang itu berusaha untuk mengubah sistem itu kepada sistem Islam. Ini seperti yang dilakukan oleh golongan Rasul dan pengikut mereka. Walaupun mereka duduk di dalam negara kafir, tapi mereka memang berusaha untuk mengislamkan negara itu dengan usaha dakwah.

 

يَجِد فِي الأَرضِ مُرٰغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً

nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; 

Kalau mereka berniat dan berusaha untuk hijrah kerana menjaga agama, Allah akan bantu mereka. Nescaya mereka akan jumpa tempat tinggal yang sangat banyak untuk diduduki. Malahan Allah boleh bagi tempat yang lebih luas dari tempat asal dia. Dan juga dia akan dapati kelapangan rezeki.

Kalimah الْمُرَاغَمُ adalah bentuk masdar. Orang-orang Arab mengatakan, “ رَاغَمَ فُلَانُ قَوْمَهُ مُرَاغَمًا وَمُرَاغَمَةً ,” ertinya si Fulan benar-benar dapat memberikan perlindungan yang kuat kepada kaumnya.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa الْمُرَاغَمُ  ialah berpindah dari suatu tempat ke tempat lain. Hal yang sama dikatakan pula oleh riwayat yang bersumber dari Ad-Dahhak, Ar-Rabi’ ibnu Anas, dan As-Sauri.

Mujahid mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: tempat hijrah yang banyak. (An-Nisa: 100) Yaitu tempat untuk menyingkir dari hal-hal yang tidak disukai.

Sufyan ibnu Uyaynah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: tempat hijrah yang luas. (An-Nisa: 100) Yakni benteng-benteng perlindungan.

Makna lahiriah muragham, hanya Allah yang lebih mengetahui, ialah tempat yang kukuh untuk menyelamatkan diri dari musuh-musuh.

Tidak ada sesiapa yang pernah kecewa dari janji Allah ini. Nabi Ibrahim a.s telah berhijrah dari Syria ke Iraq, tempat yang lebih baik; Nabi Musa dan Bani Israil telah berhijrah dari Mesir ke tempat yang lebih baik (Syria); dan Nabi Muhammad ﷺ dan para Sahabat juga telah berhijrah dari Mekah ke Madinah yang kita pun tahu tempat yang lebih baik untuk mereka mengembangkan agama Islam.

Ramai dari kalangan para sahabat yang datang ke Madinah dalam keadaan miskin, tapi Allah beri kesenangan kepada mereka. Lihatlah kisah Abu Hurairah yang menjadi kaya.

Kalau tidak ada negara Islam pun di dunia pada waktu itu, tidak ada alasan tidak berhijrah kerana bumi Allah ini luas. Kita masih boleh duduk di hutan dan makan daun-daun kayu.

Ini adalah antara ayat-ayat yang menceritakan kelebihan hijrah di jalan Allah. Ada banyak lagi ayat-ayat lain tentang kelebihan hijrah seperti Baqarah:218 dan Tawbah:20.

 

وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ

dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,

Ini mengajar kita bahawa hijrah yang dikehendaki adalah kerana Allah dan kerana hendak mengikut sunnah Rasulullah ﷺ.

Maka kena betulkan niat – bukannya kerana mencari harta, bukannya kerana hendak menyelamatkan diri dari kesalahan yang telah dilakukan di tempat asal atau apa-apa sahaja sebab yang bukan kerana agama. Bukan juga kerana tidak dapat cari makan di tempat asal maka nak cari rezeki di tempat. Tidaklah salah kalau nak mencari rezeki lebih baik di tempat lain tapi tidaklah termasuk hijrah kepada Allah.

 

ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ

kemudian dia dikejar kematian

Ada kemungkinan orang yang berhijrah itu mati, tidak sempat sampai ke destinasinya; tidak sempat sampai ke negara Islam; tidak sempat sampai ke tempat yang dia boleh nak amalkan Islam itu. Semuanya dalam taqdir Allah, Allah yang tetapkan dia tidak sampai.

Kalau tak sempat sampai pun tidak mengapa. Asalkan keluar dari rumah sahaja.

Ada riwayat yang mengatakan asbabun nuzul ayat ini adalah tentang seorang sahabat yang bernama Khalid ibn Hizam yang dalam perjalanan untuk berhijrah ke Habashah tetapi dalam perjalanan beliau telah dipatuk ular sampai mati.

 

فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللهِ

maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. 

Walaupun dia tidak sempat sampai ke destinasi, tapi sudah pasti dia akan dapat pahala dari Allah. Ini juga janji yang dia akan pasti selamat di akhirat. Kerana dia telah melakukan usahanya. Allah hanya hendak lihat usaha sahaja, bukan kejayaan.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabiyullah SAW bersabda: “Sebelum zaman kamu ini, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh Sembilan) orang manusia, kemudian dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada seorang yang paling alim pada zaman itu. Selepas ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun berjumpa rahib tersebut. Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?” Rahib tersebut menjawab: “Tidak!”

Mendengar jawapan itu, dia tidak puas hati, terus naik marah lalu membunuh rahib tersebut dan genaplah jumlah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.

Namun niatnya ingin bertaubat tetap teguh. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim pada zaman itu. Kemudian lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim, dia terus berjumpa orang alim tersebut dan berkata: “Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?”

Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Siapakah yang menghalang seseorang dari bertaubat?”

“Sekarang, pergilah kamu ke tempat ini dan ini, kerana di sana terdapat ramai orang yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah bersama mereka dan jangan pulang ke tempat kamu kerana tempatmu itu adalah tempat yang teruk.”sambung orang alim itu lagi.

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan, tiba-tiba maut datang menjemputnya dan dia pun meninggal dunia.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Malaikat pembawa rahmat dan Malaikat Azab (malaikat yang ditugaskan menyeksa) bertelingkah mengenainya.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat dan menghadapkan hatinya secara ikhlas kepada Allah.”

Manakala Malaikat Azab pula berkata: “Benar, namun dia tidak pernah melakukan kebaikan.”

Lalu datanglah malaikat lain yang menyerupakan dirinya dalam bentuk manusia. Lalu dia menjadikan dirinya sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, iaitu dijadikan hakim pemutusnya untuk mengadili pertengkaran mereka dan untuk menetapkan mana yang betul.

Malaikat itu berkata, “Kalau begitu, ukurlah jarak kamu. Jarak di antara dua tempat, dari sini ke tempat yang ditinggalkan lelaki ini dan ke tempat yang hendak ditujunya; ke tempat mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.”

Kedua-dua malaikat tersebut lalu sama-sama mengukur dan setelah diukur, ternyata mereka dapati kedudukan mayat lelaki tersebut lebih hampir dengan tempat tujuannya untuk melaksanakan taubat iaitu tempat yang dihuni oleh orang-orang soleh, beerti ia termasuk di kalangan mereka. Maka akhirnya, lelaki tersebut berhak diambil oleh Malaikat Rahmat.”

(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

 

وَكانَ اللَهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah akan ampunkan segala dosa dia. Dan Allah akan beri rahmat kepada mereka. Ini adalah kerana Allah Maha Sayang kepada makhlukNya.

Habis Ruku’ ke 14 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 101: Ini adalah hukum ke-10. Iaitu apabila hendak solat dalam musafir, iaitu Solat Qasar.

Sebelum ini telah disebut tentang Jihad dan juga Hijrah. Kedua-duanya tentu melibatkan perjalanan yang jauh. Perjalanan yang jauh tentulah menyusahkan, tambahan lagi kalau di dalam waktu peperangan, kerana dalam perang ada ketakutan dalam hati yang pihak musuh boleh serang bila-bila.

Ada keringanan dalam ibadat semasa kita di dalam musafir dan Allah beri keringanan ini kepada sesiapa yang bersusah payah bermusafir dalam menegakkan tauhid. Kalau sampai berperang dengan musuh, akan lebih ringan lagi. Maknanya, dalam apa keadaan pun, solat tidak boleh ditinggalkan, tapi boleh diringankan.

Contoh, kalau musafir kerana Allah, solat yang empat sudah jadi dua rakaat. Kalau musuh di depan, sampai boleh solat sambil berjalan atau bergerak.

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلوٰةِ إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا ۚ إِنَّ الكٰفِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you travel throughout the land, there is no blame upon you for shortening the prayer,¹ [especially] if you fear that those who disbelieve may disrupt [or attack] you.² Indeed, the disbelievers are ever to you a clear enemy.

  • The four rak‘ah prayers are shortened to two rak‘ahs.
  • The example of the Prophet () and his companions illustrates that fear is not a condition for this allowance, merely travel.

MALAY

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

 

وَإِذا ضَرَبتُم فِي الأَرضِ

Dan apabila kamu musafir di muka bumi,

Musafir ini banyak jenis. Ada musafir untuk menegakkan agama Allah (dakwah) dan ada musafir yang biasa. Asal nama musafir sahaja, hukum yang akan disebutkan dalam ayat ini akan terpakai.

 

فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَقصُروا مِنَ الصَّلوٰةِ

maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang

Apabila dalam musafir, kita boleh qasar solat jadi pendek. Iaitu solat yang empat rakaat jadi dua rakaat. Solat yang selain dari itu tidak ada Qasar. Jangan pula qasarkan solat subuh dua rakaat jadi satu rakaat pula; atau solat Maghrib jadi satu setengah rakaat pula.

Solat Qasar adalah ‘hadiah’ yang telah diberikan oleh Allah, maka kita hendaklah melakukannya. Sabda Rasullah SAW  maksudnya:

“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Ada yang mengatakan kerana Qur’an menggunakan kalimah ‘tidaklah berdosa’ dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa Qasar tidaklah wajib, cuma dibenarkan sahaja. Maka perbincangan tentang perkara ini amat panjang tapi kita cuba ringkaskan di sini:

1. Pendapat Imam Syafie, qasr tidaklah wajib tapi tidak melakukannya menyalahi Sunnah.
2. Pendapat Imam Ahmad, qasr tidak wajib tapi makruh meninggalkannya.
3. Pendapat Imam Abu Hanifah (dan mungkin juga Imam Malik), qasr adalah wajib.

Perlu kita tahu bahawa banyak sangat hadis Nabi Muhammad ﷺ mengqasar solat baginda dalam musafir baginda. Maka Sunnah dalam hal ini adalah mengqasar solat dalam musafir.

Walaupun kalimah ‘tidaklah berdosa’ seolah-olah hanya benarkan sahaja perbuatan qasr ini, tapi dalam al-Baqarah 2:158, kalimah ini digunakan untuk saie di Safa Marwah dan kita tahu itu adalah untuk beri kebenaran untuk saie sahaja, tapi memang kena buat. Allah gunakan kalimah ‘tidaklah berdosa’ kerana ada salah faham tidak boleh saie antara Safa dan Marwah, maka Allah jelaskan dalam ayat itu.

Jadi ayat tentang qasr ini bukanlah sebagai kebenaran sahaja, tapi nak membetulkan fahaman manusia yang sangka berdosa atau pahala kurang kalau memendekkan solat.

Ada banyak lagi persoalan yang timbul berkenaan qasr ini dan ia elok diperjelaskan dalam kelas feqah supaya penerangan lebih mendalam. Cukuplah setakat di sini kita tahu di manakah dalil dalam Qur’an yang membenarkan qasr solat dalam musafir.

 

إِن خِفتُم أَن يَفتِنَكُمُ الَّذينَ كَفَروا

jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. 

Dalam ayat ini, seperti kemudahan ini diberikan jikalau bimbang diserang oleh musuh kafir. Tetapi, dalam perbuatan Nabi dan sahabat, kita boleh lihat bagaimana syarat ini bukan sahaja dalam keadaan takut, malah boleh dilakukan dalam keadaan aman juga, asalkan dalam musafir.

Ya’laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah – “maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”; sedangkan pada masa sekarang manusia telah pun berada dalam keadaan aman.

Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu, oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla kepada kalian, maka terimalah sedekahNya itu. Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud

Jadi, kalau kita tidak mengqasar solat, ianya seperti kita tidak suka dengan pemberian dari Allah itu.

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Ibnu Aun, dari Ibnu Sirin, dari Ibnu Abbas yang menceritakan, “Kami salat bersama Rasulullah Saw. di antara Mekah dan Madinah sebanyak dua rakaat-dua rakaat, padahal kami dalam keadaan aman dan tidak takut dengan apa pun di antara Mekah dan Madinah itu.”

Malangnya, ramai yang tidak mengqasar solat mereka kerana tidak faham anjuran ini. Mereka rasa macam tidak perlu untuk mengqasar solat kerana mereka rasa tidak susah dalam perjalanan mereka.

Tidak kurang juga yang tidak qasar kerana tidak tahu ‘lafaz niat’nya. Ini adalah kerana masyarakat kita telah diajar, kena lafaz niat dalam solat dan lafaz niat itu susah pula. Sampaikan mereka yang tidak menghafalnya, rasa baik mereka solat penuh sahaja.

Ini adalah salah sekali. Tidak ada ‘lafaz niat’ dalam solat dan mereka yang mengajarkan perkara itu telah menyusahkan umat dan telah menyebabkan ada amal ibadat yang tidak dilakukan oleh manusia. Ini adalah bidaah yang perlu ditinggalkan.

 

إِنَّ الكٰفِرينَ كانوا لَكُم عَدُوًّا مُّبينًا

Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

Mereka adalah musuh kita kerana mereka menentang agama Allah. Mereka telah tunjukkan permusuhan mereka kepada kita, maka hendaklah kita berperang dengan mereka. Lainlah kalau mereka tidak tunjukkan.

Macam zaman sekarang, penentangan terhadap Islam tidaklah nampak jelas. Mereka yang menentang pun menggunakan bahasa yang berlapik supaya menjaga hati umat Islam secara keseluruhannya. Maka tidaklah boleh nak serang dan berperang dengan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 95 – 97 (Hukum Hijrah)

Ayat 95: Ada orang yang diberi uzur tidak wajib menyertai perang menentang orang kafir. Ada dua kemungkinan dimana seseorang itu dibenarkan untuk tidak berjihad – mungkin dia menjaga perbatasan negara Islam atau memang dia uzur macam buta, tempang dan sebagainya.

Ada juga jihad fardhu kifayah, iaitu sukarela. Sebab mungkin sudah ada tentera Islam yang cukup. Yang pergi juga walaupun tidak diwajibkan kepada mereka, tentu lebih dapat pahala dari yang tidak pergi. Jadi ayat ini memberitahu kelebihan mereka yang sanggup berjuang semasa jihad fardhu kifayah.

لا يَستَوِي القٰعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالمُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ فَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القٰعِدينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَهُ الحُسنىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ عَلَى القٰعِدينَ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not equal are those believers remaining [at home] – other than the disabled – and the mujāhideen, [who strive and fight] in the cause of Allāh with their wealth and their lives. Allāh has preferred the mujāhideen through their wealth and their lives over those who remain [behind], by degrees. And to all [i.e., both] Allāh has promised the best [reward]. But Allāh has preferred the mujāhideen over those who remain [behind] with a great reward –

MALAY

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;

 

لا يَستَوِي القٰعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman

Ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak sama orang yang pergi berjihad dengan mereka yang tidak pergi. Ini adalah apabila arahan perang itu arahan fardhu kifayah, bukan arahan wajib.

Kena bezakan kerana ada arahan dari Khalifah untuk pergi berperang, dan ini tidak boleh ditolak. Kalau tidak pergi juga, maknanya munafik. Ini bukan perbincangan ayat ini.

Perbincangan ayat ini adalah apabila ada ajakan sukarela untuk berperang. Jadi apabila apabila sukarela, ada yang pergi dan ada yang tidak.

Oleh itu, mereka yang tidak pergi berjihad itu, tidaklah mereka bersalah jikalau ianya jenis jihad yang tidak wajib. Mereka yang tidak pergi itu pun mukmin juga seperti yang disebut dalam ayat ini. Mereka tidak berdosa walaupun tidak ada uzur pun. Cuma mereka tak dapatlah darjat yang Allah janjikan kepada mujahideen.

 

غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ

selain daripada orang-orang yang ada keuzuran

Melainkan jikalau mereka itu uzur, kerana uzur itu sudah ada sebab yang kukuh untuk tidak pergi berjihad. Jadi, ayat ini tentang mereka yang sihat, tapi tidak juga pergi berjihad.

Keuzuran itu boleh jadi macam-macam. Mungkin ada yang buta, tempang, lumpuh, sakit dan sebagainya yang tidak membenarkan dia pergi berjihad. Malah, kepada orang perempuan pun.

Mereka yang tidak dapat berjuang di jalan Allah itu pun akan mendapat pahala seperti mereka yang berjihad juga, asalkan yang menghalang mereka hanyalah kerana keuzuran mereka.

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bersumber dari Al-Barra. diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan lainnya dari Zaid bin Tsabit dan At-Thabarani dari Zaid bin Arqam dan Ibnu Hibban dari Al-Falatan bin Ashim seperti riwayat berikut: bahawa ketika turun ayat “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ (An-Nisa ayat 95) bersabdalah Nabi Saw: “Panggillah si anu”. Maka datanglah ia membawa tinta dengan alat tulisnya. Bersabdalah Rasulullah SAW: “Tulislah “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ. Di belakang Rasulullah SAW ada Ibnu Ummi Maktum, dia berkata: “Ya Rasulallah, saya buta”, maka turunlah kelanjutannya “غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ sampai akhir ayat (An-Nisa ayat 95) sebagai pengecualian bagi orang yang berhalangan (darurat).

Jadi ini memberi dalil kepada kita bahawa mereka juga mendapat pahala jihad kerana kalau mereka tidak sakit atau cacat, mereka pun akan turut berjihad.

Maka hal ini mengandung keringanan dan jalan keluar bagi orang-orang yang mempunyai uzur yang membolehkannya untuk tidak ikut berjihad, seperti tuna netra, pincang, dan sakit; hingga kedudukan mereka tetap sama dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya.

Memang demikianlah seharusnya, seperti yang dinyatakan di dalam kitab Sahih Bukhari melalui jalur Zuhair ibnu Mu’awiyah, dari Humaid ibnu Anas, bahwa Rasulullah Saw. telah bersabda:

” إِنَّ بِالْمَدِينَةِ أَقْوَامًا مَا سِرْتُم مِنْ مَسِير، وَلَا قَطَعْتُمْ مِنْ وَادٍ إِلَّا وَهُمْ مَعَكُمْ فِيهِ ” قَالُوا: وَهُمْ بِالْمَدِينَةِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: ” نَعَمْ حَبَسَهُمُ الْعُذْرُ “

Sesungguhnya di Madinah terdapat orang-orang yang tidak sekali-kali kalian berjalan, dan tidak pula menempuh suatu lembah, melainkan mereka selalu bersama kalian padanya. Ketika mereka bertanya, “Apakah mereka tetap tinggal di Madinah, wahai Rasulullah?” Nabi Saw. menjawab: Ya, mereka terhalang oleh uzur (hingga tidak ikut bersama kamu).

 

وَالمُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwanya.

Tidaklah sama mereka yang tidak pergi berjihad dengan mereka yang pergi berjihad. Tentulah ada kelebihan kepada mereka yang pergi berjihad itu.

Jihad memerlukan infak kerana tanpa kewangan, perang tidak dapat dijalankan kerana ianya memerlukan belanja yang besar.

Bukan sahaja mujahid itu mengeluarkan hartanya sahaja, tapi dia juga perlu pergi sendiri untuk menggadai nyawanya dalam menjalankan jihad itu.

 

فَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم عَلَى القٰعِدينَ دَرَجَةً

Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat.

Allah memberi motivasi kepada manusia untuk pergi berjihad. Iaitu mereka yang pergi berjihad fisabilillah itu mendapat derjat yang lebih tinggi dari mereka yang tidak pergi.

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، مَا بَيْنَ كُلِّ دَرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْض

“Ada seratus darjat di Syurga yang Allah telah sediakan kepada mereka yang berjuang di jalan Allah. jarak di antara dua darjat itu adalah seperti jarak antara langit dan bumi .” Sahih Bukhari.

 

وَكُلًّا وَعَدَ اللَهُ الحُسنىٰ

Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik

Golongan Mukmin yang pergi berjihad dan golongan mukmin yang tidak pergi berjihad, kedua-duanya mendapat balasan kebaikan dari Allah. Kerana yang tidak pergi berjihad pun mukmin juga.

 

وَفَضَّلَ اللَهُ المُجٰهِدينَ عَلَى القٰعِدينَ أَجرًا عَظيمًا

dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan pahala yang amat besar;

Tetapi, Allah melebihkan balasan kepada mereka yang pergi berjihad. Lebih dari mereka yang duduk tidak berjihad.

Ayat ini mengajar kita untuk berbuat lebih untuk agama, dalam hal ibadat dan kebaikan, untuk mendapatkan derjat yang lebih tinggi lagi. Kerana kita kena berusaha sebanyak yang kita mampu. Jangan buat yang wajib-wajib sahaja, tapi hendaklah disusuli dengan perkara-perkara sunat.

Ayat ini memberi dalil kepada kita bahawa jihad fisabilillah itu adalah Fardhu Kifayah. Ianya bukanlah Farhdu Ain. Kalau tentera sudah cukup, maka kewajipan itu sudah dipenuhi. Tetapi kalau ada yang kena serang, maka ianya adalah kewajipan mereka yang mampu untuk mempertahankan diri. Ataupun, kalau negara Islam yang lain kena bantu. Kalau selagi tidak cukup, maka kewajipan itu belum dipenuhi lagi.


 

Ayat 96: Inilah kelebihan yang mereka akan dapat. Kelebihan yang amat besar.

دَرَجٰتٍ مِّنهُ وَمَغفِرَةً وَرَحمَةً ۚ وَكانَ اللَهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Degrees [of high position] from Him and forgiveness and mercy. And Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

دَرَجٰتٍ مِّنهُ

Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya,

Derjat itu adalah pemberian dari Allah sendiri. Maknanya, ianya adalah kedudukan yang istimewa. Manusia ada juga beza-bezakan darjat antara manusia, tapi itu rekaan manusia sahaja – pangkat, kedudukan, kecantikan, bangsa dan sebagainya. Tapi derjat yang dimaksudkan ini adalah dari Allah sendiri.

 

وَمَغفِرَةً وَرَحمَةً

dan keampunan serta rahmat belas kasihan. 

Keampunan tambahan dan rahmat tambahan. Kita memang amat-amat mengharapkan dua-dua perkara ini – keampunan dan rahmat. Kalau Allah tidak ampunkan dosa kita, kita akan masuk ke dalam neraka.

Dan kalau Allah tidak beri rahmat kepada kita, kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga, kerana kita hanya dapat masuk ke dalam syurga dengan rahmatNya sahaja.

 

وَكانَ اللَهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan kita dengan dua SifatNya – Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Dalam kita mengharapkan pengampunan dan rahmat dari Allah, Allah terus memberitahu yang Dia memang sudah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

Habis Ruku’ ke 13 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 97: Ini adalah hukum ke-9 kepada pemerintah. Ini adalah tentang orang Islam yang tinggal di sekitar daerah Kafir Harbi.

Allah perintah Khalifah negara Islam dengan tanggungjawab untuk pastikan umat Islam tidak dizalimi walau mereka duduk di negara Kafir Harbi. Mungkin mereka tidak berhijrah kerana mereka tidak mampu berhijrah ke negara Islam. Kena bezakan dengan golongan munafik yang memang tidak mahu berhijrah kerana mereka nak duduk dekat dengan orang kafir.

Khalifah kena ambil tahu tentang hal mereka dan kena selalu bertanya. Kalau ada kezaliman ke atas orang Islam di negara Kafir Harbi, Khalifah kena arahkan tentera untuk menyelamatkan mereka. Kita telah belajar hal ini dalam ayat-ayat sebelum ini.

Tapi ayat ini tentang mereka yang mampu hijrah, tapi tetap tidak mahu hijrah. Hukumnya, kerana mereka mampu, mereka wajib hijrah. Mereka kena hijrah supaya boleh amalkan amalan Islam dengan sempurna.

Janganlah tidak mahu hijrah ke negara Islam kerana banyak rezeki tempat mereka duduk. Itu maknanya, mereka tidak mahu hijrah kerana tamak kepada dunia dan harta.

Masalahnya, bila duduk negara Kafir Harbi, banyak ibadat tidak boleh dilakukan kerana ada banyak sekatan dari pemerintah yang kafir. Apabila mereka tidak dapat menyempurnakan amal ibadat, mereka dikira berdosa kerana lalai kerana mereka mampu untuk berhijrah tapi tidak.

Kalau mereka ditanya di akhirat nanti kenapa tidak amalkan Islam dengan sempurna, alasan tidak mampu menjaga hukum Allah kerana ditindas oleh pemerintah, sudah tidak laku. Kerana bukannya mereka tidak boleh menyelamatkan diri mereka dari pemerintah zalim itu, tapi mereka yang tidak mahu.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang orang Mekah yang mampu untuk Hijrah ke Madinah tapi mereka tidak melakukannya kerana banyak rezeki dan harta mereka di Mekah jadi mereka tidak mahu kerugian kalau mereka berpindah ke Madinah.

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those whom the angels take [in death] while wronging themselves¹ – [the angels] will say, “In what [condition] were you?” They will say, “We were oppressed in the land.” They [the angels] will say, “Was not the earth of Allāh spacious [enough] for you to emigrate therein?” For those, their refuge is Hell – and evil it is as a destination.

  • By preferring to remain among the disbelievers, although they have the means to emigrate, in an environment where a Muslim is unable to practice his religion freely.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri

Ini adalah tentang orang Islam yang mati dalam hal keadaan mereka yang ‘menzalimi diri mereka’ kerana tidak mengamalkan Islam dengan sepenuhnya. Apabila tidak mengamalkan ajaran Islam, itu telah menzalimi diri sendiri kerana mereka akan tanya nanti di akhirat dan mereka akan diazab.

Ini adalah kerana mereka tinggal di negara kafir yang menghalang mereka dari mengamalkan Islam dengan sempurna. Mereka jadi begitu kerana mereka tidak berhijrah ke negara Islam. Sedangkan mereka mampu untuk berhijrah. Dan mereka dicabut nyawa oleh malaikat maut dalam keadaan begitu.

Ad-Dahhak mengatakan, ayat ini diturunkan berkenaan dengan sejumlah orang dari kaum munafik yang tidak ikut berperang bersama Rasulullah Saw. di Mekah, tetapi mereka keluar bersama-sama pasukan kaum musyrik dan memihak kepada mereka dalam Perang Badar, lalu di antara mereka ada yang mati dalam peperangan tersebut. Maka turunlah ayat yang mulia ini, yang maknanya umum mencakup semua orang yang bermukim di tengah-tengah kaum musyrik, padahal mereka mampu melakukan hijrah, namun mereka tidak dapat menegakkan agamanya; maka dia adalah orang yang aniaya kepada dirinya sendiri dan dinilai sebagai orang yang berbuat dosa besar menurut kesepakatan umat dan menurut nas ayat ini, kerana Allah Swt. telah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri. (An-Nisa: 97) Yakni karena ia tidak mau berhijrah ke Madinah. (kepada mereka) malaikat berkata, “Dalam keadaan bagaimanakah kalian ini?” (An-Nisa: 97) Dengan kata lain, mengapa kalian tinggal di Mekah dan tidak mau hijrah ke Madinah? Mereka menjawab, “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah) ini.” (An-Nisa: 97) Maksudnya, kami tidak mampu keluar meninggalkan negeri ini, tidak mampu pula bepergian keluar meninggalkannya. Para malaikat berkata, “Bukankah bumi Allah itu luas?” (An-Nisa: 97), hingga akhir ayat.

 

قالوا فيمَ كُنتُم

mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah keadaan kamu sebelum ini?”

Masa malaikat cabut nyawa mereka, malaikat tanya mereka: mereka dalam agama mana? Sebab banyak hukum Tuhan mereka tak buat sebab tak dapat buat. Dah tak nampak macam bukan orang Islam pula.

 

قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ

Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. 

Mereka kata mereka golongan yang tertindas di bumi kafir. Sebab itu mereka tidak dapat mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna. Mereka terhalang dari mengamalkan agama Islam dengan benar.

 

قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللهِ وٰسِعَةً

Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, 

Selepas mereka menjawap macam itu, para malaikat tanya balik: Kenapa buat alasan?  Bukankah bumi Allah ini luas? Kamu bukan kena tinggal di situ sahaja.

 

فَتُهاجِروا فيها

yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?”

Bila bumi ini luas, bukankah kamu boleh hijrah? Pergilah ke negara Islam, supaya senang nak amal agama.

Kalau pada zaman Nabi dulu, mereka sepatutnya hijrah ke Madinah, kerana Madinah dekat sahaja. Jangan beri alasan susah pula nak hijrah kerana semua yang hijrah itu susah belaka.

Kalau zaman sekarang, maksudnya kena duduk di negara yang mengamalkan Islam. Atau negara yang ramai orang Islam. Atau negara yang ada orang Islam dan mereka boleh mengamalkan Islam.

Kerana itulah apabila ada orang dari luar negara menelefon Syaikh Albani untuk bertanyakan hukum agama, beliau memulakan dengan mengajak orang itu pindak ke negara Islam.

 

فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ

Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam,

Mereka tetap kena hukum dengan dimasukkan ke dalam neraka. Alasan mereka yang mereka ditindas di negara kafir itu sampai tidak boleh mengamalkan Islam dengan sempurna itu tidak laku dan tidak diterima. Kerana ianya adalah salah mereka sendiri. Mereka boleh pindah, tapi mereka yang tidak pindah.

Mereka tidak boleh guna alasan yang mereka kena buat perkara salah kerana ikut penduduk setempat. Sebagai contoh, dalam zaman kita sekarang, katakanlah kita solat jemaah di masjid dan jemaah buat ‘salam keliling’ atau ‘salam itik’ selepas solat jemaah itu. Jangan pula kita buat sekali dan kemudian beri alasan kena ikut sebab ramai yang buat.

Kenapa nak ikut perkara yang bidaah? Kerana kalau kita tak buat pun, tidaklah kena pukul atau kena bunuh, bukan? Habis kuat pun mereka yang jahil akan jeling kita dan itu tidaklah memberi bekas dan cedera kepada kita, bukan? Kita kenalah berani, jangan takut kepada orang yang jahil.

Oleh itu, ayat ini tentang mereka yang tidak boleh amalkan hukum kerana ada halangan dari orang di negara atau kawasan itu.

 

وَساءَت مَصيرًا

dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Mereka akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka dan ianya adalah tempat yang paling buruk. Azab dalam neraka itu amat teruk sampaikan tidak ada sesiapa yang akan tahan. Azab itu tidak berhenti selagi penghuninya duduk dalam neraka. Bukan ada masa rehat.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini berlaku apabila ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il (katakerja). Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, jadi ini sebagai contoh sahaja.

Lihat kalimat تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ dalam ayat ini. Dalam ayat ini, ada ikhtizal pada kalimah تَوَفَّاهُمُ. Asalnya adalah تَتَوَفَّاهُمُ. Kenapa ada hazaf pada huruf ta’ itu? Kalau tanya ulama nahu, mereka akan jawap memang boleh dihazafkan kerana sebab muwalah, iaitu apabila ada huruf berulang memang boleh dibuang salah satunya. Tapi, kalau begitu hujahnya, apa beza dengan ayat Nahl:28?

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ فَأَلْقَوُا السَّلَمَ مَا كُنَّا نَعْمَلُ مِن سُوءٍ بَلَىٰ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).” Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): “Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan”. (Malaikat menjawab): “Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan”.

Lihatlah kalimat تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ yang hampir sama dalam Nisa:97, tapi kenapa ianya dalam wazan yang penuh? Sedangkan kedua-dua ayat ini tentang mereka yang mengalami su’ul khotimah (akhir hidup yang buruk).

Jawapannya kerana walaupun kedua-dua ayat itu disebabkan keadaan yang hampir serupa, tapi tidaklah sama. Kalau kalimat تَوَفَّاهُمُ dalam Nisa:97 dihazafkan kerana jumlah kejadian yang termasuk dalam keadaan ini adalah terhad.

Mereka itu mati su’ul khotimah iaitu mati dalam kafir kerana enggan berhijrah; dari segi bilangan, ini adalah kurang kalau dibandingkan dengan mereka yang mati su’ul khotimah dalam keadaan umum. Hari-hari ada orang mati kerana tidak beriman, kerana berdosa dan sebagainya. Tapi yang mati kerana tidak berhijrah, itu adalah kurang.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 93 – 94 (Hukuman membunuh)

Ayat 93: Sebelum ini tentang hukum kalau bunuh orang Mukmin lain tanpa sengaja. Kalau sengaja pula?

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَٰلِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever kills a believer intentionally – his recompense is Hell, wherein he will abide eternally, and Allāh has become angry with him and has cursed him and has prepared for him a great punishment.

MALAY

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

 

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَٰلِدًا فِيهَا

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya,

Kalau bunuh orang mukmin lain dengan sengaja, orang yang membunuh itu jadi murtad dan kekal dia dalam neraka. Lihatlah begitu punya teruk sekali hukuman yang ditetapkan oleh Allah.

 

وَغَضِبَ اللَُه عَلَيْهِ

dan Allah murka kepadanya, 

Allah tambah lagi dengan mengatakan yang Dia murka kepada orang itu. Murka Allah tidak sama dengan murka manusia.

 

وَلَعَنَهُ

dan melakanatkannya

Dan Allah kata lagi, Dia melaknat orang itu.

 

وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Lihatlah bagaimana Allah menyebut hukuman yang bertimpa-timpa. Memang marah sungguh Allah dengan orang yang membunuh orang mukmin lain dengan sengaja. Malangnya orang Islam sekarang macam tak kisah dengan ancaman ini.

Ataupun mereka sendiri tidak tahu langsung kerana tidak pernah belajar tentangnya. Selalu kita dengar pembunuhan terjadi merata-rata.

Nota: Jumhur ulama kata, kalau orang yang membunuh itu rasa halal membunuh orang Islam lain, maka dia akan kekal dalam neraka. Tapi kalau bunuh kerana nafsu, dalam dia tahu yang itu adalah salah dan berdosa besar, dia akan duduk lama dalam neraka.

Ulama yang berpendapat begitu kerana pada mereka, seorang mukmin tidak akan kekal di neraka kerana mereka kata yang kekal dalam neraka adalah yang syirik sahaja. Allahu a’lam.

Akan tetapi, kita kenalah ingat yang pintu taubat masih lagi terbuka kepada sesiapa sahaja selagi dia belum mati.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Mansur, telah menceritakan kepadaku Sa’id ibnu Jubair; atau telah menceritakan ke-padaku Al-Hakam, dari Sa’id ibnu Jubair yang pernah mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai firman-Nya: Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam. (An-Nisa: 93) Maka Ibnu Abbas menjawab, “Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila telah mengetahui Islam dan syariat-syariat (hukum-hukum)nya, kemudian dia membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam dan tiada taubat baginya.” Ketika aku (Sa’id ibnu Jubair) ceritakan jawaban tersebut kepada Mujahid, maka Mujahid mengatakan, “Kecuali orang yang menyesali perbuatannya (yakni bertaubat).”

Dengan kata lain, barang siapa yang bertaubat dalam apa-apa hal, niscaya Allah menerima taubatnya. Dalam ayat yang lain Allah Swt. telah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذلِكَ لِمَنْ يَشاءُ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. (An-Nisa: 48 dan 116)

Ayat ini umum pengertiannya mencakup semua jenis dosa selain dosa menyekutukan Allah (syirik).

Hukuman kalau sengaja membunuh dan kemudian bertaubat adalah memerdekakan seorang hamba, disebutkan seperti berikut:

أَتَيْنَا وَاثِلَةَ بْنَ الْأَسْقَعِ فَقُلْنَا: حَدِّثْنَا حَدِيثًا لَيْسَ فِيهِ زِيَادَةٌ وَلَا نُقْصَانٌ. فَغَضِبَ فَقَالَ: إِنْ أَحَدَكُمْ لَيَقْرَأُ وَمُصْحَفُهُ مُعَلَّقٌ فِي بَيْتِهِ فَيَزِيدُ وَيَنْقُصُ، قُلْنَا: إِنَّا أَرَدْنَا حَدِيثًا سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: أَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَاحِبٍ لَنَا قَدْ أَوْجَبَ -يَعْنِي النَّارَ-بِالْقَتْلِ، فَقَالَ: “أَعْتِقُوا عَنْهُ، يُعْتِقُ اللَّهُ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهُ عُضْوًا مِنَ النَّارِ”

“Kami datang kepada Wasilah ibnul Asqa’, lalu kami berkata kepadanya, “Ceritakanlah sebuah hadis yang tidak kamu tambah-tambahi dan tidak pula kamu kurangi kepada kami.” Maka Wasilah marah dan mengatakan, “Rupanya seseorang dari kalian biasa membaca Al-Qur’an yang dia gantungkan di dalam rumahnya, lalu dia menambah-nambah dan mengurangi bacaannya.” Kami berkata, “Sesungguhnya kami hanya bermaksud sebuah hadis yang engkau dengar secara langsung dari Rasulullah Saw. sendiri.” Wasilah menjawab, “Kami pernah menghadap Rasulullah Saw. sehubungan dengan seorang teman kami yang wajib masuk neraka (kerana telah membunuh seseorang). Maka Rasulullah Saw. bersabda: ‘Merdekakanlah seorang budak oleh kalian untuknya, niscaya Allah akan menebus setiap anggota tubuhnya dengan setiap anggota tubuh budak itu dari neraka’.”


Ayat 94: Ini adalah hukum kelapan. Jangan membunuh orang Islam dengan menuduhnya kufur kerana semata-mata tamak.

Ianya mengajar kita untuk berhati-hati dalam membuat keputusan membunuh orang lain. Jangan sampai terbunuh orang yang tidak patut dibunuh. Kita telah belajar sebelum ini bahawa membunuh orang Islam adalah kesalahan yang amat besar.

Oleh itu, apabila berperang, tentunya terjadi banyak pembunuhan. Dalam hal itu, kenalah berhati-hati, jangan sampai terbunuh orang Islam pula. Kena pastikan dulu samada orang itu Islam atau tidak. Kalau ada tanda dia seorang Islam, janganlah bertindak membunuh dia. Lihatlah satu kisah seorang sahabat:

Usamah bin Zaid Radhiallahu Anhu berkata: Rasulullah SAW mengutus kami ke Huraqah pada suku Juhainah, ketika kami sampai di sana, kami terus menyerbu. Tiba-tiba aku dan seorang sahabat Anshar bertemu dengan seorang dari mereka. Maka ketika kami telah mengepungnya, ia berkata “LA ILAHA ILLALLAH”. Maka shahabatku orang Anshar itu menyuruhku menghentikan (tidak membunuhnya), tetapi aku terus menikamnya dengan tombakku sehinggalah ia mati. Dan tatkala kami telah kembali ke Madinah, berita itu telahpun sampai kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bertanya “Apakah sesudah ia mengucapkan “LA ILAHA ILLALLAH”, masih juga engkau membunuhnya?” jawabku: ” Ya Rasulullah, ia berkata seperti itu mungkin hanya kerana takut kepada senjataku”. Bersabda Nabi Saw: “Apakah sudah kau belah dadanya ? sehingga engkau ketahui dengan jelas, apakah ia berkata kerana takut dengan senjatamu atau tidak? .”

Usamah bin Zaid sangat menyesal dengan kejadian itu. Ini adalah pengajaran kepada kita supaya jangan senang-senang mengambil keputusan untuk membunuh orang lain yang ada ciri-ciri keislaman padanya.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا ضَرَبتُم في سَبيلِ اللهِ فَتَبَيَّنوا وَلا تَقولوا لِمَن أَلقىٰ إِلَيكُمُ السَّلٰمَ لَستَ مُؤمِنًا تَبتَغونَ عَرَضَ الحَيَوةِ الدُّنيا فَعِندَ اللهِ مَغانِمُ كَثيرَةٌ ۚ كَذٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبلُ فَمَنَّ اللَهُ عَلَيكُم فَتَبَيَّنوا ۚ إِنَّ اللَهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you go forth [to fight] in the cause of Allāh, investigate; and do not say to one who gives you [a greeting of] peace, “You are not a believer,”¹ aspiring for the goods of worldly life; for with Allāh are many acquisitions. You [yourselves] were like that before; then Allāh conferred His favor [i.e., guidance] upon you, so investigate. Indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • Do not assume that he pretends Islām merely in order to save himself, for he may be sincere in faith.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا ضَرَبتُم في سَبيلِ اللهِ فَتَبَيَّنوا

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik

Ini adalah arahan Allah kepada kita apabila kita pergi berjihad. Kena berhati-hati dan kena buat keputusan dengan teliti.

 

وَلا تَقولوا لِمَن أَلقىٰ إِلَيكُمُ السَّلامَ لَستَ مُؤمِنًا

dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepada kamu: “Engkau bukan orang yang beriman”

Ucapan salam itu boleh jadi dalam bentuk salam ataupun dalam bentuk syahadah. Oleh itu, jangan kata kepada mereka yang melafazkan ucapan salam itu kepada mereka: hati kamu tidak beriman. Jangan kata begitu kepada mereka kerana kita tidak tahu hati orang lain.

Beri salam adalah tanda seseorang itu Muslim. Pada zaman itu, itulah cara nak mengetahui siapakah Muslim dan siapa tidak kerana tidak dapat dipastikan dari pakaian kerana pakaian masa itu sama sahaja.

Itulah tandanya untuk kita membezakan mereka dengan orang kafir kerana kalau kita lihat kepada pakaian, pakaian orang Islam dan orang bukan Islam mungkin sama sahaja. Maka kalau dalam peperangan, ada yang bagi salam, itu boleh dijadikan sebagai tanda mereka Muslim. Jangan kita persoal keislaman mereka.

Dalam keadaan aman sekarang tanpa perang, kalau ada yang bagi salam kepada kita, dah boleh terima orang itu seorang Muslim dan bukan kerja kita nak periksa dia mukmin atau tidak. Janganlah kita jadi macam ada orang yang nak cari salah orang sahaja.

Sebagai contoh, ada jenis manusia yang nak cari salah ulama sahaja. Tidak ada kerja lainkah?  Mereka buat itu kerana mahukan kedudukan tinggi dalam dunia. Mereka rasa mereka kena jatuhkan orang lain supaya manusia ikut mereka sahaja.

Asbabun Nuzul ayat ini ada disebut dalam Sahih Bukhari:

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Tirmidzi, Al-Hakim dan lainnya yang bersumber dari Ibnu Abbas: bahwa seorang laki-laki dari Bani Sulaim yang sedang mengiring dombanya bertemu dengan segolongan sahabat Nabi Saw. Ia mengucapkan salam kepada mereka. Mereka berkata: “Dia memberi salam dengan maksud untuk menyelamatkan diri dari kita”. Mereka pun mengepung dan membunuhnya, serta membawa dombanya kepada Rasulullah Saw. Maka turunlah ayat ini (An-Nisa ayat 94) sebagai teguran agar berhati-hati dalam melaksanakan suatu hukum.

Nota: Kena faham keadaan waktu itu. Waktu itu umat Islam sedang berperang dengan orang kafir, jadi mereka dibenarkan untuk membunuh orang kafir.

 

تَبتَغونَ عَرَضَ الحَيَوةِ الدُّنيا

dengan tujuan hendak harta dunia

Allah beritahu kenapa ada yang membunuh orang lain tanpa usul periksa lagi. Tujuan mereka itu adalah untuk mendapat habuan dunia.

Sa’id ibnu Mansur mengatakan, telah menceritakan kepada kami Mansur, dari Amr ibnu Dinar, dari Ata ibnu Yasar, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahwa pasukan kaum muslim mengejar seorang lelaki yang sedang mengurus ghanimahnya, lalu lelaki itu mengucapkan salam kepada mereka. Tetapi mereka membunuhnya dan merampas ghanimahnya. Maka turunlah ayat ini, yaitu firman-Nya: dan janganlah kalian mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kalian, “Kamu bukan seorang mukmin.” (An-Nisa: 94)

Allah mengingatkan umat Islam supaya jangan tetap bunuh nak bunuh mereka kerana mahu ambil harta mereka sebagai harta rampasan perang. Maknanya, ia berbalik kepada cinta dunia juga akhirnya. Kerana itu adalah tanda manusia yang tamak: hanya mahukan harta dunia sahaja. Jangan begitu.

 

فَعِندَ اللهِ مَغانِمُ كَثيرَةٌ

di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak.

Allah beritahu bahawa harta dunia itu tidak penting mana, kerana Allah boleh beri lagi banyak harta rampasan dari sumber lain yang halal. Tak perlu nak kejar dari sumber yang syubhat. Ada banyak lagi sumber lain.

 

كَذٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبلُ فَمَنَّ اللَهُ عَلَيكُم

Demikianlah juga keadaan kamu dahulu, lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. 

Allah nak ingatkan kita, termasuk para sahabat, bahawa dahulu asalnya semua kafir belaka, semua asal musyrikin belaka. Allah yang beri nikmat hidayah dengan beri taufik sampai boleh masuk Islam.

Waktu itu pun mereka masuk Islam mengucap dua kalimah syahadah sahaja dulu, tidak buat apa-apa lagi, tidak terus buat amal ibadat, tidak ada sumbangan untuk agama lagi pun, tidak ada buat amal ibadat lagi pun pada mulanya. Samalah dengan mereka yang asal kafir itu juga, mereka mula dengan ucap syahadah sahaja dulu. Jadi jangan pandang ringan ucapan dua kalimah syahadah itu. Kalau dah sebut, maka orang itu adalah orang Islam, walaupun dia tak pernah solat sekali pun lagi.

Begitu juga, ia mungkin merujuk kepada keadaan Muslim semasa awal Islam dahulu. Waktu itu, mereka takut untuk mengucapkan salam kepada orang kerana takut dikatakan sebagai Muslim dan nanti mereka diseksa. Maka mereka menyembunyikan keislaman mereka.

Maka, apabila mereka berjumpa dengan orang Islam, barulah mereka berani mengucapkan salam. Hanya apabila Allah beri nikmat kepada mereka dengan mengembangkan Islam, baru mereka berani untuk mengaku Muslim secara terang.

 

فَتَبَيَّنوا

Oleh itu selidikilah

Natijahnya, kamu kena berhati-hati semasa jihad. Jangan bunuh dengan bebas. Jangan bunuh orang dengan terburu-buru.

Selepas selidik, kalau memang benar orang itu bukan orang Islam, dari segi perbuatannya dan kata-katanya, barulah boleh dibunuh. Yang penting, kena selidik dahulu dan jangan terus bunuh.

Maksudnya, tidaklah langsung tidak boleh kita kata seseorang itu kafir. Kalau dia memang dari perbuatannya kita sudah nampak dia itu kafir, maka bolehlah kita kata dia kafir. Boleh tawan dia dan periksa benar atau tidak dia seorang muslim atau kafir. Kalau tak boleh tawan waktu itu, biarlah dia terlepas. Biar terlepas seorang kafir dari terbunuh seorang muslim.

 

إِنَّ اللَهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.

Kamu kena selidiki dan berhati-hati kerana Allah sentiasa melihat apa sahaja yang kamu lakukan. Kena ingat yang Allah tahu isi hati kita. Kalau kita bunuh dan kemudian kita beri alasan apa-apa sahaja kepada pemerintah, ingatlah yang Allah tahu isi hati kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Jun 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 92 (Hukum terbunuh orang Islam)

Ayat 92: Ini adalah hukum ketujuh. Ianya tentang jikalau terbunuh orang Islam. Sepatutnya tidak ada pembunuhan sesama orang Islam kerana patutnya boleh bunuh orang kafir sahaja kerana nyawa mereka halal (di dalam peperangan sahaja). Ini adalah kerana mereka telah melakukan syirik dan tidak perlu dihormati.

Tapi perlu diingatkan yang ini adalah kalau ada peperangan antara kita dan mereka sahaja. Bukanlah sekarang boleh dilakukan perkara ini kerana tidak ada khalifah dan sudah ada perjanjian antara negara sekarang.

Kita sekarang hendak belajar hukum membunuh. Oleh kerana tidak boleh bunuh orang Islam, maka kalau bunuh orang Islam pun, itu terjadi kerana tak sengaja sahaja. Apabila ini berlaku, ada tiga jalan penyelesaian yang telah digariskan dalam Qur’an.

Kalau bunuh dengan sengaja, hukum itu telah ada dalam Surah Baqarah tentang hukum Qisas.

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And never is it for a believer to kill a believer except by mistake. And whoever kills a believer by mistake – then the freeing of a believing slave and a compensation payment [diyah] presented to his [i.e., the deceased’s] family [is required], unless they give [up their right as] charity. But if he [i.e., the deceased] was from a people at war with you and he was a believer – then [only] the freeing of a believing slave; and if he was from a people with whom you have a treaty – then a compensation payment presented to his family and the freeing of a believing slave. And whoever does not find [one or cannot afford to buy one] – then [instead], a fast for two months consecutively,¹ [seeking] acceptance of repentance from Allāh.² And Allāh is ever Knowing and Wise.

  • Uninterrupted except when there is an Islāmically valid reason, as in Ramadhān.
  • An accidental death usually results from some degree of negligence or error for which the believer feels the need to repent.

MALAY

Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً

Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja.

Tidak patut seorang Mukmin membunuh orang Mukmin lain, melainkan tidak sengaja. Mungkin terlanggar orang semasa memandu, tertembak semasa memburu dan sebagainya.

Tidak boleh membunuh manusia lain kecuali sebab-sebab tertentu sahaja, seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain melalui Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda:

“لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ: النَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ”

Tidak halal darah seorang muslim yang telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku adalah utusan Allah, kecuali kerana salah satu dari tiga perkara, yaitu membunuh jiwa balasannya dibunuh lagi, duda yang berzina, orang yang meninggalkan agamanya lagi memisahkan diri dari jamaah.

Macam-macam boleh terjadi dalam kemalangan yang tidak diduga dan dielakkan. Ini adalah perkara yang tidak dapat dijangka. Tapi kenalah kita berhati-hati kerana kesannya amat berat sekali.

Tapi pembunuhan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kalau menggunakan undang-undang sekarang, kadangkala pembunuh itu dibiarkan sahaja, dan ini menyebabkan keluarga yang terbunuh itu tidak dapat apa-apa pun sebagai gantirugi dan ini tidak patut. Maka dalam Islam telah ada penyelesaian kepada perkara ini:

 

وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka wajiblah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman

Kaffarah pertama yang perlu dipenuhi adalah memerdekakan hamba yang beriman. Oleh kerana yang terbunuh itu adalah orang Islam, maka hamba yang dibebaskan kenalah orang Islam juga.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: أَنْبَأَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ، عَنِ الزُّهري، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ رَجُلٍ مِنَ الْأَنْصَارِ؛ أَنَّهُ جَاءَ بِأَمَةٍ سَوْدَاءَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ عَلَيَّ رَقَبَةً مُؤْمِنَةً، فَإِنْ كُنْتَ تَرَى هَذِهِ مُؤْمِنَةً أَعْتَقْتُهَا. فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أتشهدين أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؟ ” قَالَتْ: نَعَمْ. قال: “أتشهدين أني رسول الله؟ ” قالت نعم. قال:”أتؤمنين بِالْبَعْثِ بَعْدَ الْمَوْتِ؟ ” قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: “أَعْتِقْهَا”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Abdullah ibnu Abdullah, dari seorang lelaki, dari kalangan Ansar yang telah menceritakan hadis berikut: Bahawa dia datang dengan membawa budak perempuan yang berkulit hitam, lalu dia bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku terkena kewajiban memerdekakan seorang budak yang mukmin. Untuk itu apabila menurutmu budak ini mukmin, maka aku akan memerdekakannya.” Rasulullah Saw. bertanya kepada budak perempuan itu, “Apakah engkau telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah?” Budak perempuan itu menjawab, “Ya.” Rasulullah Saw. bertanya lagi, “Apakah engkau telah bersaksi pula bahawa aku adalah utusan Allah?” Si budak menjawab, “Ya.” Rasulullah Saw. bertanya lagi, “Apakah engkau beriman dengan hari berbangkit sesudah mati?” Si budak menjawab, “Ya.” Rasulullah Saw. bersabda, “Merdekakanlah dia!”

Di dalam kitab Muwatta’ Imam Malik, kitab Musnad Imam Syafii, kitab Musnad Imam Ahmad, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, dan Sunan Nasai disebutkan sebuah hadis melalui jalur Hilal ibnu Abu Maimunah, dari Ata ibnu Yasar, dari Mu’awiyah ibnul Hakam:

أَنَّهُ لَمَّا جَاءَ بِتِلْكَ الْجَارِيَةِ السَّوْدَاءِ قَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَيْنَ اللَّهُ؟ ” قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ. قَالَ: “مَنْ أَنَا” قالت: أنت رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ”

bahawa ketika dia datang membawa budak wanita hitam itu kepada Rasulullah Saw., maka Rasulullah Saw. bersabda kepada budak itu, “Di manakah Allah itu?” Dia menjawab, “Di langit.” Rasulullah Saw. bertanya lagi, “Siapakah aku ini?” Dia menjawab, “Utusan Allah.” Rasulullah Saw. bersabda: Merdekakanlah dia, sesungguhnya dia beriman.

Kaffarah dari katadasar ك ف ر yang bermaksud ‘tutup’. Ia bermaksud menutup kesalahan yang telah dilakukan.

Membebaskan hamba adalah perkara besar kerana melepaskan pekerja yang percuma di rumah di bawah kuasaan kita. Tapi ada yang mendapat manfaat dalam hal ini, iaitu hamba itu sendiri kerana mereka dibebaskan.

Ini adalah salah satu cara Islam menggalakkan pembebasan hamba. Islam bukanlah yang menganjurkan perhambaan, cuma meneruskan sistem yang telah ada sahaja. Dan Islam membaiki sistem yang ada.

Tapi Islam sebenarnya tidak suka kepada perhambaan dan kerana itu banyak hukum yang melibatkan pembebasan hamba. Dengan cara itu, sistem perhambaan lama kelamaan hilang dari dunia. Salah satunya dengan cara ini.

Apabila terbunuh tanpa sengaja, kena bebaskan hamba. Dan kena pastikan hamba itu adalah hamba yang Muslim. Kalau tidak ada hamba, maka kena beli dan kemudian bebaskan.

 

وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ

serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati),

Selain dari membebaskan hamba yang mukmin, pembunh itu kena bayar diyat. Jumlah yang perlu dibayar adalah ikut ketetapan dalam syarak. Itulah maksud مُّسَلَّمَةٌ. Dalam Sunan An-Nasa’i, diriwayatkan bahwa Nabi –shallallah ‘alaih wa sallam– menulis dalam surat baginda:

فِي النَّفْسِ مِئَةٌ مِنَ الإِبِلِ

Diyat nyawa adalah seratus ekor unta.”

Ibnu Hibban dan al-Hakim menghukumi sahih hadis ini, dan Al-Albani melemahkannya. Namun kandungan hadis ini disepakati oleh seluruh ulama, sebagaimana dinukil oleh  Imam Syafi’i, Ibnul Mundzir, dan Ibnu Abdil Barr (Al-Umm, 12:379 , Al-Isyraf, 2:133, dan At-Tamhid 17:381).

Ada pengiraan tentang bayaran unta itu. Telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para pemilik kitab sunnah melalui hadis Al-Hajjaj ibnu Artah, dari Zaid ibnu Jubair, dari Khasyf ibnu Malik, dari Ibnu Mas’ud yang menceritakan:

قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي دِيَةِ الْخَطَأِ عِشْرِينَ بِنْتَ مَخَاضٍ، وَعِشْرِينَ بَنِي مَخَاضٍ ذُكُورًا، وَعِشْرِينَ بِنْتَ لَبُونٍ، وَعِشْرِينَ جَذَعة وَعِشْرِينَ حِقَّة.

Rasulullah Saw. telah memutuskan terhadap diyat kes pembunuhan secara tidak sengaja dibayar dalam bentuk dua puluh ekor bintu makhad, dua puluh ekor bani makhad, dua puluh ekor bintu labun, dua puluh ekor jaz’ah, dan dua puluh ekor hiqqah.

Senarai di atas adalah umur unta-unta itu:

a. Bintu makhad: Unta betina yang telah genap berusia setahun dan sudah masuk tahun kedua.
b. Bani makhad: Unta jantan yang telah genap berusia setahun dan sudah masuk tahun kedua.
c. Bintu labun: Unta betina yang sudah genap berusia 2 tahun dan memasuki tahun ketiga.
e. Hiqqah: Unta betina yang telah genap berusia 3 tahun dan sudah memasuki tahun keempat.
d. Jadza’ah: Unta betina yang telah genap berusia 4 tahun dan sudah memasuki tahun kelima.

Diyat untuk muslimah adalah separuh dari diyat untuk lelaki yang terbunuh, yakni lima puluh ekor.  Jika tidak ada unta, diyat boleh dibayar dengan jumlah wang senilai seratus ekor unta. Kalau zaman Nabi, ia adalah 800 dinar dan pada zaman Umar, nilainya adalah 1,000 dinar emas. Maka kerajaan Islam kena letakkan nilai semasa.

Dan kalau dengan pembunuhan yang disengaja, diyatnya ditanggung oleh yang membunuh, tetapi pembayaran diyat pembunuhan yang tidak sengaja ini ditanggung oleh ahli waris yang membunuh, iaitu keluarga dari pihak ayah, dan boleh dibayar secara ansuran selama tiga tahun. Mereka ini dikenali sebagai al-aqilah dalam syariat.

Maka ahli keluarga kena pastikan yang ahli keluarga mereka berjaga dan berhati-hati dalam kehidupan mereka. Kalau tidak, mereka pun terlibat juga kena bayar diyat. Maka kalau bawa kereta, pastikan kita tidak terlanggar orang lain di jalanan.

Kenapa pula mereka yang nampaknya macam tidak ada kena mengena kena membayar atas kesalahan orang lain pula? Kenapa ahli keluarganya yang kena bayar juga?

Ini adalah kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mengawal mereka yang di bawah selaan mereka dari melakukan kesilapan membunuh orang. Dan apabila mereka telah terpaksa membayar, tentulah mereka akan lebih berhati-hati dalam menjaga orang itu selepas kejadian itu. Kerana kalau tidak, merekalah nanti yang kena bayar lagi.

Diyat itu dibayar kepada keluarga waris yang terbunuh. Jikalau dia tidak ada waris, maka wang diyat itu perlu diberi kepada BaitulMal.

 

إِلَّا أَن يَصَّدَّقُوا

kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). 

Ahli keluarga boleh beri maaf dengan tidak perlu bayar atau mereka boleh beri pengurangan (diskaun).

Ini adalah hukum yang pertama – jika bunuh orang Islam (tidak sengaja) dalam negara Islam.

 

فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Tetapi jika dia dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang dia sendiri beriman, 

Ini adalah situasi kedua: Sekiranya yang terbunuh itu orang Islam yang keluarga dia kafir harbi atau kaum mereka kafir harbi, lain pula hukumannya.

Situasi ini boleh terjadi dalam keadaan ada orang yang telah masuk Islam tapi mereka tidak dapat nak berpindah ke negara Muslim. Jadi mungkin dalam peperangan, tentera Islam terbunuh orang Islam yang telah menganut Islam.

 

فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ

maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. 

Kalau mereka yang terbunuh itu dari keluarga kafir harbi, pembunuh dan ahli keluarganya kena merdekakan hamba (yang beriman) sahaja. Tidak ada diyat dalam situasi ini kerana tidak boleh beri wang kepada mereka dan keluarga mereka kerana dari kafir harbi (kafir yang diperangi). Kalau diberikan, mungkin mereka akan guna wang itu untuk serang orang Islam balik.

Jadi, ini adalah hukum kedua – lelaki mukmin yang terbunuh itu dari keluarga Kafir Harbi. Kafir Harbi adalah kaum kafir yang sedang dalam peperangan dengan orang Islam ataupun yang bermusuh dengan orang Islam. Kalau zaman sekarang, tidak ada.

 

وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثٰقٌ

Dan jika dia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, 

Ini pula situasi ketiga, jikalau yang terbunuh itu dari keluarga orang kafir yang ada perjanjian damai antara negara Islam dengan negara mereka. Ini adalah situasi yang mungkin ada dalam dunia sekarang. Kerana kita ada perjanjian damai sesama negara.

Hukuman yang dikenakan:

 

فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ

maka wajiblah membayar “diyah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. 

Kena bayar diyat dan merdekakan hamba yang mukmin. Boleh diberikan diyat kepada mereka kerana duit itu tidak digunakan untuk serang umat Islam kerana ada perjanjian antara mereka dan negara Islam. Nilai diyat ini adalah mengikut persetujuan antara negara Islam dan negara kafir itu. Jadi tidak mengikut nilai kalau yang terbunuh itu orang Islam di negara Muslim.

Jadi ini sama sahaja kalau terbunuh seseorang dari negara Muslim. Kena bayar diyat dan bebaskan hamba mukmin juga. Tapi bagaimana kalau tidak ada hamba macam zaman sekarang? Atau mereka tidak mampu untuk membeli hamba?

 

فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ

Sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut;

Kalau tiada hamba, seperti zaman sekarang tentu tidak boleh nak cari hamba untuk dibebaskan, maka pembunuh itu kena puasa dua bulan berturut-turut.

Kalau dia berhenti puasa pada mana-mana hari (tanpa sebab seperti sakit), maka dia kena mengulangkan puasa itu semula dari hari pertama.

Kenapa kena puasa? Ada pendapat yang mengatakan ini baik untuk minda mereka. Kerana mereka telah terbunuh seseorang dan tentu ada trauma. Puasa dapat menyembuhkan trauma itu dan puasa itu kena dua bulan baru efektif. Allahu a’lam.

Para ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mampu melakukan puasa, apakah dia wajib memberi makan enam puluh orang miskin, sebagaimana dalam kifarat zihar? Ada dua pendapat mengenainya:

Pendapat pertama mengiyakan, kerana disamakan dengan kifarat dalam masalah zihar. Sesungguhnya alternatif ini tidak disebutkan di dalam ayat, kerana kedudukan ayat mengandung makna ancaman, peringatan, dan menakut-nakuti. Maka tidaklah serasi bila disebutkan padanya masalah memberi makan sebagai alternatif lain, kerana akan tersirat pengertian mempermudah dan menganggap ringan.

Pendapat yang kedua mengatakan tidak boleh berpindah kepada kifarat memberi makan, kerana sesungguhnya jika alternatif memberi makan ini hukumnya wajib, nescaya keterangan mengenainya telah disebut.

 

تَوْبَةً مِّنَ اللهِ وَكَانَ اللَهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

datangnya dari Allah untuk menerima taubat dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Hukum yang telah diberikan di atas adalah sebagai tanda kita bertaubat kepada Allah. Itulah cara untuk bertaubat. Kena ikut cara yang Allah telah ajar. Allah mahu pembunuh itu membersihkan dirinya dengan bertaubat. Taubat itu yang lebih penting.

Allah Maha tahu apakah yang kita telah telah lakukan. Allah tahu apa yang perlu dilakukan untuk memuaskan hati semua pihak. Kalau tidak ada bayaran seperti ini, maka keluarga yang terbunuh akan rugi sahaja.

Allah Maha bijaksana dalam memberi hukum agama kepada manusia. Hukum itu memang sesuai untuk makhluk. Kalau kita rasa ia tidak sesuai, masalah bukan pada hukum itu, tapi pada manusia sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi